Tafsir Surah Yusuf Ayat 23 (Ujian digoda wanita) Part 1

GODAAN

Yusuf Ayat 23: Sambungan keadaan ke 5 iaitu kita akan mendengar kisah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digoda oleh isteri tuannya. Maka ini adalah ujian bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang seterusnya. Ternyata baginda dapat ujian demi ujian. Begitulah syaitan tidak melepaskan peluang untuk menyesatkan manusia.

Di dalam kisah yang kita baca ini nanti, mungkin ada yang tidak sesuai dijelaskan kepada anak-anak lagi. Ini kerana ia tentang perkara ‘dalam kelambu’ yang mereka tidak tahu menahu lagi. Al-Qur’an memang untuk semua lapisan masyarakat dan tidak ada perkara yang kita perlu malu dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan kalimat yang digunakan adalah tidak lucah pun. Akan tetapi apabila memberikan penjelasan, kita kena lihat kepada siapa yang kita sampaikan. Kalau kita rasa anak kita itu pun sudah terbiasa dengan perkara ini di sekolah, maka bolehlah kita ambil peluang untuk mengajar mereka dengan cara yang terbaik menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an.

وَرٰوَدَتهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيتِهَا عَن نَّفسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلأَبوٰبَ وَقَالَت هَيتَ لَكَ‌ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she, in whose house he was, sought to seduce him. She closed the doors and said, “Come, you.” He said, “[I seek] the refuge of Allāh. Indeed, he¹ is my master, who has made good my residence. Indeed, wrongdoers will not succeed.”

  • Her husband, al-‘Azeez.

(MALAY)

Dan wanita  yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: “Marilah ke sini”. Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

 

وَرٰوَدَتهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيتِهَا عَن نَّفسِهِۦ

Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya hendak menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya

Harf و di sini menjadi tanda sekarang masuk kepada tajuk kisah yang baru atau babak yang baru. Isteri menteri itu telah jatuh hati kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Selalunya lelaki yang menggoda wanita tetapi kali ini terbalik pula. Jikalau wanita yang menggoda, tentulah payah bagi lelaki untuk menolak melainkan ada iman yang kuat. Tidak dinafikan, kita mungkin selalu sahaja nampak orang yang kita berkenan, tetapi kita tidak buat apa-apa pun. Yang menjadi masalah adalah apabila kita melakukan sesuatu yang meneruskan kehendak hati kita itu. Kerana inilah penting untuk kita mengelak daripada percampuran antara jantina yang berlawanan kerana syaitan akan mengambil peluang.

Bagaimana wanita itu sampai sanggup melakukan perkara yang terkutuk ini? Kalau kita cuba untuk menggali psikologi wanita itu, bolehlah kita buat spekulasi dan boleh mengambil pengajaran dengan suasana hidup kita sekarang. Pertamanya, kita pun tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang kacak dan kadangkala terlalu kacak sangat pun bahaya juga kerana ramai wanita yang minat. Ayat sebelum ini pun kita telah diberitahu yang baginda telah sampai ke tahap umur yang matang jadi tentulah baginda ganteng sekali waktu itu.

Sememangnya ada pendapat yang mengatakan suaminya pun mungkin tidak dapat memuaskannya lagi dari segi fizikal. Atau kalau dia tidak ada masalah dari segi fizikal pun, mungkin kerana dia terlalu sibuk, maka isteri itu rasa kurang kasih sayang. Sampaikan mencari kasih sayang dari tempat lain pula. Mungkin isteri itu melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat molek perangainya selain rupanya yang kacak. Selama ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu melayannya dan apatah lagi mereka selalu berada di rumah bersama sedangkan suaminya Al-Aziz itu entah ke mana. Ini mengajar para suami di luar sana, jangan abaikan kehendak isteri. Isteri memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada suaminya. Memang kadangkala ia payah, namun suami kena tahu hal ini. Kadang-kadang kita penat balik dari kerja, sudah kena dengar mereka membebel hal mereka pula yang pada kita tidak penting pun. Namun percayalah, kena juga dengar dan buat-buat ambil tahu. Isteri cuma hendak kita dengar sahaja, itu pun sudah puas bagi mereka. Dalam hal ini, Rasulullah ﷺ menjadi contoh tauladan buat kita. Baginda melayan para isteri baginda dengan baik sekali, walaupun semua ada 9 orang. Kita dengan isteri seorang sahaja pun takkan payah? Rasulullah ﷺ mengajar kita,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ.”
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap isteri-isterinya.”

Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad (no 7356). Syaikh Syu’aib al-Arnaut mengesahkan hadith ini sebagai sahih li ghairihi 

Luangkan masa bersama dengan mereka dan jangan buat keras sahaja di rumah, sebaliknya ringankanlah tangan itu membantu isteri. Siapa anda hebat sangat sampai tidak boleh tolong di rumah sedangkan Rasulullah ﷺ pun membantu juga?

عَنِ الْأَسْوَدِ، قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: “مَا كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ؟” قَالَتْ: “كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ.”
Daripada Al-Aswad, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: ‘Apa yang Nabi ﷺ lakukan di dalam rumahnya?'” Beliau menjawab: “Baginda adalah seorang manusia biasa; baginda melayan (membantu) urusan ahli keluarganya, dan apabila tiba waktu solat, baginda keluar untuk menunaikan solat.”

(Riwayat Al-Bukhari No 676)

Malah baginda walaupun mempunyai 9 orang isteri namun baginda menziarahi mereka setiap hari (cuma tidak bermalam kecuali di rumah giliran isterinya pada hari itu). Ini disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا.

“كَانَ إِذَا صَلَّى الْعَصْرَ دَارَ عَلَى نِسَائِهِ، فَيَدْنُو مِنْهُنَّ.”
“Ketika Baginda selesai menunaikan solat Asar, baginda akan melawat semua isteri-isterinya lalu mendekati mereka.”

(Riwayat Al-Bukhari No. 4793)

Maka banyak perkara yang kita boleh belajar dengan urusan hidup baginda. Baginda memakai banyak topi sebagai pemerintah, pendakwah, panglima perang, dan juga suami dan bapa. Jadi memang tepat sangat kalau kita boleh belajar dengan baginda, tambahan pula baginda adalah suami yang terbaik,

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
“Orang yang terbaik di antara kamu adalah yang terbaik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang terbaik terhadap ahli keluargaku.”

(Riwayat At-Tirmidzi. No. 3895) 

Maka sang isteri Aziz itu sentiasa sahaja mencari peluang untuk menggoda dan mengambil kesempatan ke atas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia selalu memuji-muji kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, rambut cantik, mata cantik apa bagai. Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak layan dan buat tidak tahu sahaja.

Siapakah isteri Al-Aziz itu? Kalau kita cari dalam Al-Qur’an dan juga hadith, Allah ‎ﷻ tidak disebut pun nama wanita ini. Akan tetapi ramai sahaja kata namanya Zulaikha dan ini tidak benar kerana tidak ada dalil yang sahih tentang nama itu. Oleh itu, nama dia tidak perlu diketahui kerana Allah ‎ ﷻ tidak sebut pun (maknanya tidak penting), kerana yang penting hendak disampaikan adalah sifatnya yang buruk. Ya, kisahnya buruk dalam sejarah agama kita, bukannya kemudian dia berubah menjadi baik, kemudian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula terkejar-kejarkan dia dan kemudian mereka berkahwin. Ini semua tidak ada dalam sejarah yang sahih dan kita boleh katakan ia direka-reka bagi sedap cerita sahaja.

Kalimah راوَدَت adalah satu perkataan yang agak kompleks. Ia daripada kata dasar ر و د yang bermaksud mencari, mahu, mendamba, keinginan, menggoda, meminta dengan lembut, mencari (seperti mencari makanan), kehendak. Ia menjadi راود yang bermaksud meminta dengan lembut kerana orang yang diminta tidak mahu memberinya, maka diminta berkali-kali. Jadi kalimah راوَدَت adalah keinginan yang telah menjadi satu keputusan yang mantap untuk melakukan sesuatu setelah berfikir lama, sampaikan seseorang itu berjalan mundar mandir memikirkannya. Maknanya lama sudah difikirkan rancangan itu dan bermain di dalam kepalanya. Dia tidak boleh hilangkan perasaan itu kerana dia mahu dan teringin sangat. Malah usaha ini bukanlah sekali sahaja dilakukan tetapi berkali-kali kerana ia di dalam wazan راوَدَ – فاعل. Cuma di dalam kisah ini, ia yang paling keras sebab selalu diminta tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak layan, jadi kali ini dia bertindak ekstrem terus. Selama ini dia meminta dengan lembut sahaja. Wazan راوَدَ juga memberi maksud ada dua pihak yang terlibat. Di dalam kes ini, wanita ini meminta dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menolak ajakan wanita itu.

Kalimah هُوَ في بَيتِها (baginda tinggal di rumah perempuan itu) bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal di rumah itu. Allah ‎ ﷻ tidak sebut ‘isteri lelaki itu’, tetapi Allah ‎ﷻ sebut ‘dia di rumah wanita’ itu. Allah ‎ ﷻ hendak menekankan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal di bawah bumbung wanita itu. Ini adalah kerana Allah ‎ ﷻ hendak beritahu dilema yang dihadapi oleh baginda. Amat susah keadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika ini kerana wanita itu yang selalu berada di rumah. Wanita itulah yang menjaga rumah itu kerana suaminya selalu tidak ada di rumah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula dikira menumpang di rumah wanita itu sebagai hamba. Maka, bayangkanlah bukan senang baginda hendak menolak apa yang diminta oleh wanita itu. Tambahan pula ada pendapat dikatakan yang adat wanita pada zaman itu dibolehkan mempunyai gundik lelaki juga. Maknanya mereka biasa tidur dengan hamba lelaki (sebagaimana seorang tuan boleh tidur dengan hamba wanitanya). Akan tetapi pendapat ini agak lemah kerana nanti kita akan jumpa di hujung kisah ini bagaimana wanita itu dikecam oleh suaminya dan para wanita di kota itu pun mengutuk wanita itu kerana perbuatannya itu. Ini menunjukkan ia bukanlah kebiasaan bagi mereka.

Mungkin ada yang berkata: apa yang hendak dihairankan sangat? Wanita itu bukanlah seorang Muslim pun dan mereka bukan jaga pun perkara dalam kelambu ini? Itu salah kerana hubungan suami isteri dan menjaga kesucian rumahtangga bukan hanya di dalam Islam tetapi di dalam semua agama dan tamadun yang ada moral. Tidak ada mana-mana suami yang waras akan membenarkan isterinya berkongsi katil dengan lelaki lain.

Mungkin ada yang berkata oleh kerana cinta wanita itu menyebabkan dia tidak dapat mengawal dirinya. Namun kita kena sedar dan faham yang ini adalah cinta yang bengkok, cinta yang toksik. Cinta jenis ini bukanlah cinta sejati kerana kalau kita benar-benar cintakan seseorang, kita tidak mahu menjatuhkan orang itu, memalukan orang itu, merosakkan orang yang kita kata kita cintakan itu. Kadang cinta memerlukan kita duduk jauh daripada orang itu kerana kalau diteruskan akan menyebabkan bahana. Jadi jangan kata ini cinta tetapi ini adalah penyakit hati sebenarnya.

Kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan istilah هُوَ في بَيتِها sedangkan karektor ini telah pernah diperkenalkan sebelum ini? Boleh sahaja digunakan kalimah هي (dia) dan kita tahu siapa yang dimaksudkan. Kenapa disebut rumah wanita itu, bukankah itu rumah menteri itu? Ini membuka berbagai spekulasi. Mungkin ini kerana menteri ini kaya sangat, sampai dia ada rumah dia dan isterinya ada rumah yang lain. Mungkin dia ada banyak isteri dan wanita dalam kisah ini adalah salah seorang isteri yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkhidmat di rumahnya. Atau mungkin kerana menteri itu jarang ada di rumah, maka rumah itu diurus oleh isterinya itu sepenuhnya. Semua hamba di bawah jagaannya dan dialah ‘mem’ besar di rumah itu dan semua kena ikut kata dia. Termasuk yang kena ikut perintah wanita itu adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kenapa tidak disebut ‘isteri Al-Aziz’ sedangkan kita sudah baca interaksi antara mereka sebelum ini? Seolah-olah istilah ‘isteri’ tidak layak digunakan untuknya lagi kerana sudah ada suami pun tetapi masih lagi mencari lelaki lain.

Jadi isteri Al-Aziz itu selalulah lihat dan bersama dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di rumah itu. Pi mai pi mai mereka selalu terserempak. Lalu dari mata turunlah ke hati perasaan teringin kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Maka ini mengajar kita bahaya kalau seorang lelaki duduk di rumah yang sama dengan wanita yang bukan mahram. Contohnya seorang lelaki yang ada pembantu rumah wanita atau seorang wanita ada tukang kebun lelaki. Ini pun tidak boleh. Kerana itulah Islam amat menjaga perkara ini. Malah kalau dengan ipar duai pun tidak boleh. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang menjadi tajuk satu filem Indonesia,

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ: “إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ.” فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ: “يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الْحَمْوَ؟” قَالَ: “الْحَمْوُ الْمَوْتُ.”
Daripada Uqbah bin ‘Amir al-Juhani رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Berhati-hatilah kamu daripada masuk (berduaan) menemui wanita-wanita.” Lalu seorang lelaki daripada golongan Ansar bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan al-hamwu (ipar)?” Baginda menjawab: “Al-hamwu itu adalah al-maut.”

(Riwayat Bukhari No. 5232 dan  Muslim No. 2172)

Syarah: Frasa “maut” di sini bermaksud kehancuran agama dan kehormatan. Hubungan yang tidak terkawal dengan ipar boleh membawa kepada fitnah, syak wasangka, dan kemusnahan rumah tangga. Ia diibaratkan seperti maut kerana kesannya yang fatal dan menghancurkan, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Hadith ini memberi amaran bahawa bahaya berduaan dengan ipar lebih besar daripada berduaan dengan orang asing. Ini kerana hubungan kekeluargaan sering kali membuatkan orang merasa selamat dan tidak curiga. Keadaan ini membuka ruang yang lebih luas untuk syaitan memainkan peranan, lari daripada pengawasan, dan akhirnya terjerumus ke dalam maksiat.

Maka janganlah berkhalwat dengan lawan jenis. Jangan ambil ringan tentang perkara ini kerana syaitan akan ambil peluang seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: “لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ.”
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan seorang wanita, melainkan syaitan adalah orang yang ketiga (dalam hubungan itu).

(Riwayat At-Tirmizi No. 2165) Status: Imam At-Tirmizi menyatakan hadis ini Hasan Sahih; (Riwayat Imam Ahmad No.177) Status: Diriwayatkan juga dalam Musnad Imam Ahmad dan dinilai Sahih oleh para pentahkik hadith.

Sekarang kita perhatikan kalimat عَن نَفسِهِ (daripada dirinya – Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Di dalam ayat sebelum ini, telah disebut yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎kuat berpegang pada prinsipnya. Sekarang kita dapat tahu bahawa perempuan ini hendak baginda meninggalkan prinsipnya dengan menggodanya. Jadi kalimah عَن نَفسِهِ (tentang dirinya) maksudnya perempuan itu hendak baginda mengubah pegangannya dengan menarik buang prinsip itu daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang mempunyai prinsip dan seorang yang baik. Akan tetapi wanita itu mahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggugurkan pegangannya itu. Ia juga bermaksud wanita itu hendak mengambil diri (نَفسِ) Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan tubuh badannya sahaja. Dia hendak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi miliknya jiwa dan raga sekali. Dia hendak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mahu kepadanya. Seperti kita telah sebut di atas, mungkin kerana suaminya sendiri tidak memberi perhatian kepada dirinya. Kalimah بَيتِها juga memberi isyarat yang mereka duduk berasingan.

Maka kerana itu wanita itu kesunyian dan mahukan belaian kasih daripada orang lain. Kita boleh faham perkara itu. Namun kita tidaklah membenarkan kerana yang salah tetap salah. Cuma kita boleh ada kefahaman kenapa dia jadi sebegitu. Bandingkan pula dengan isteri Firaun yang tentunya tidak bahagia dengan Firaun. Akan tetapi beliau tidaklah pula melakukan perkara seperti isteri Al-Aziz ini. Maka ini mengajar para isteri jangan ikut apa yang dilakukannya. Kalau suami tidak layan, suami zalim, suami kaki pukul, kaki arak, tinggalkan sahaja, bercerai dengan baik. Islam memberi ruang ini dan tidak mengutuk pun sesiapa yang bercerai. Jangan kerana suami tidak indah di mata, berselingkuh pula dengan orang lain seperti yang dilakukan oleh isteri Al-Aziz ini. Kenapa dia tidak tinggalkan suaminya? Mungkin kerana malu, kerana takut miskin dan sebagainya; dan begitulah juga ramai wanita yang tetap di dalam pernikahan yang toksik hanya kerana takut malu, takut tidak ada duit dan sebagainya. Ini salah! Jangan begitu kerana pernikahan adalah seperti syurga dunia, jangan kita biarkan perkara ini tanpa melakukan apa-apa.

Apa pengajaran besar bagi kita? Di dalam kisah ini ada dua pihak: (1) seorang wanita yang sudah bersuami, (2) seorang lelaki yang menjaga imannya. Pengajarannya adalah kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga mata dan segalanya kerana wanita yang bersuami pun tidak selamat daripada zina (oleh kerana apa-apa sebab) dan seorang lelaki baik pun, tidak mencari masalah, pun boleh diuji dengan hal zina ini. Terutama sekali kalau lelaki segak bergaya, atau pandai bercakap, atau seorang guru agama (ustaz). Kalau ustaz pun boleh hanyut dalam melayan pelajar wanita. Kerana itulah kita selalu sangat dengar tentang perselingkuhan yang berlaku dalam kalangan orang Islam sekali pun termasuklah guru agama. Betapa ia senang sangat terjadi. Selepas ini kita akan baca usaha yang dilakukan oleh wanita itu untuk menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; tetapi dalam zaman kita sekarang, senang sahaja ia terjadi. Dalam bilik hotel boleh, dalam kereta pun ada yang buat. Kalau jadi ustaz, jangan melayan sangat soalan peribadi daripada wanita, suruh sahaja mereka tanya di dalam kelas. Juga jangan ambil tahu hal peribadi pelajar wanita itu. Kalau mereka ada masalah, suruh mereka selesaikan dengan orang di sekeliling mereka sahaja.

 

Hubungan Suami Isteri

Ada kemungkinan isteri Al-Aziz itu ada masalah dengan suaminya. Maka mari kita ambil peluang untuk berbincang tentang hubungan suami isteri ini. Ia bukan perkara yang kecil. Semenjak kita lahir, kita akan terus ada hubungan dengan ibu bapa kita. Akan tetapi hubungan pertama manusia dalam dunia adalah hubungan suami isteri (Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’). Bayangkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah duduk dalam syurga yang ada segala-galanya, akan tetapi masih lagi tidak cukup, sehinggakan baginda meminta seorang pasangan buat baginda! Ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan ini.

Apabila melihat kepada hubungan suami isteri ini, ia ada 3 dimensi sekurang-kurangnya:

1. Ia adalah perjanjian antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Jadi ia adalah perjanjian peribadi.

2. Ia adalah kontrak sosial juga.

3. Ia adalah hubungan suci yang dimeterai oleh Allah ‎ﷻ.

1. Hubungan suami isteri dalam bentuk perjanjian peribadi

Allah ‎ﷻ telah menjadikan manusia kena hidup berpasangan. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Rum:21

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Ayat ini memberitahu kita yang kita memerlukan pasangan hidup. Jarang yang hidup sebatang kara. Ini kerana kita hanya akan rasa lengkap apabila kita ada pasangan hidup yang sentiasa bersama dengan kita. Kita sebagai الإنسان yang daripada kata dasar ا ن س yang bermaksud perasaan yang mesra; kasih sayang dan cinta; pergaulan; bersikap mesra; biasa dengan seseorang; menggembirakan dengan adab yang baik; melihat sesuatu dari jauh. Jadi kita sebagai insan adalah makhluk yang memerlukan hubungan sosial dan memerlukan kasih sayang.

Perhatikan ayat daripada Surah Rum itu, Allah ‎ﷻ menyebut لِتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً (supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang). Allah ‎ﷻ menyebut tentang perasaan tenteram, bukannya sebut tentang hubungan seks. Jadi menikah bukan kerana seks tetapi kerana hendak mendapatkan ketenangan. Ya, memang ada hubungan kelamin akan tetapi tujuan akhirnya adalah untuk mendapatkan ketenangan juga.

Sementara di dalam Baqarah:187 Allah ‎ﷻ menyebut pasangan kita adalah ‘pakaian’ kita.

هُنَّ لِباسٌ لَّكُم وَأَنتُم لِباسٌ لَّهُنَّ
Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut pasangan sebagai ‘pakaian’? Ini adalah kerana

1. pakaian adalah perlambangan kepada kemuliaan. Orang yang memakai pakaian itu mulia kalau dibandingkan dengan orang yang tidak ada pakaian. Kalau zaman dahulu, orang yang bangsawan sahaja ada pakaian. Untuk zaman sekarang, pakaian pun berbeza daripada satu golongan ke satu golongan.

2. Kita memakai baju untuk menutup tubuh kita. Akan tetapi dengan isteri kita, kita boleh tunjukkan semua sekali tubuh kita tanpa ada aurat. Begitulah juga dengan diri kita, kita tidak tunjukkan segalanya kepada manusia lain. Ada yang kita simpan sebagaimana kita memakai baju untuk menutup tubuh kita. Akan tetapi dengan isteri kita, tidak ada rahsia; isteri kita boleh tahu segala-galanya tentang diri kita.

3. Pakaian yang kita kenakan pada tubuh kita melambang siapa kita, status kita, sifat kita. Maka begitu jugalah dengan isteri kita. Orang menilai kita dengan melihat siapakah pasangan kita. Maka sebagaimana kita kena berhati-hati dalam memilih pakaian kerana ia melambangkan kita, maka begitu jugalah dengan pemilihan pasangan. Jangan kita hanya pilih sahaja asal ada sahaja kerana isteri kita dan juga suami kita akan sentiasa bersama dengan kita.

4. Kalau pakaian kita koyak sedikit, kita tidak buang, bukan? Kita akan jahit semula, tampal semula. Maka begitulah dengan pasangan kita, kita tidak terus buang mereka (cerai atau minta dicerai). Ini kerana masih ada ruang untuk baiki diri dan hubungan suami isteri.

Apabila ada hubungan dan perjanjian antara suami dan isteri, masing-masing ada hak ke atas pasangan. Ini seperti disebut di dalam Baqarah:228

وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ
Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak);

Akan tetapi bagaimana kalau ada hak yang tidak dipenuhi? Kalau sedikit sahaja dan sekali sekala sahaja, mungkin boleh dipejamkan mata sahaja. Namun bagaimana kalau hak-hak itu tidak dipenuhi selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun? Kira macam tidak adalah. Hak-hak itu sama ada dalam bentuk fizikal atau emosi. Hendak dilupakan begitu sahaja tentulah memakan diri. Sebagai contoh, tidak disentuh isteri itu atau isteri itu tidak melayan kehendak suaminya. Atau tidak diberi perhatian sehinggakan tidak ditegur sapa sekian lama. Apakah tindakan yang pasangan itu ada?

Sebelum diberitahu apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan, mari kita lihat apa yang selalu dilakukan oleh pasangan itu? Kalau zaman sekarang ramai akan pergi ke media sosial dan mulalah bersembang dengan orang lain yang bukan mahram. Mulalah mengadu dengan orang yang baru dikenalinya itu, menceritakan segalanya dan mengadu tentang nasib dalam hidupnya tidak dihiraukan pasangan. Akan ada sahaja yang rajin mendengar dan melayan kalau di media sosial itu. Sebab itulah namanya so’sial’. Perkara yang patut dibincangkan dengan pasangan sendiri, sekarang sedang dibincangkan dengan orang lain. Kalau kita tegur, ada sahaja alasan yang akan diberikan: “Alaaahhh, sembang jer takde apa pun….; aku tak bolehlah lupakan dia… dia pandailah layan aku…. dia faham perasaan aku… masalah dia sama macam masalah aku….” Ketahuilah ini adalah langkah-langkah syaitan. Memang engkau kata ia tidak ada apa-apa sekarang, tetapi syaitan akan menghasut sampailah nanti ‘check-in’ ke hotel dan berselingkuh. Engkau kata ia tidak ada apa-apa, tetapi sebenarnya itu sudah zina! Ya zina, kerana zina ada banyak peringkat, seperti disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ.”
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan ke atas anak Adam bahagiannya daripada zina yang pasti akan ditemuinya. Zina mata ialah pandangan, zina lisan ialah perkataan, zina hati ialah keinginan dan nafsu, dan faraj (kemaluan) pula yang membenarkan atau mendustakannya.”

Dalam riwayat lain, hadith ini juga menyebutkan:

“Zina kedua telinga ialah mendengar (yang haram), zina kedua tangan ialah menyentuh, dan zina kedua kaki ialah melangkah (ke tempat maksiat).”

(Riwayat Bukhari No. 6243 dan Muslim No. 2657)

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat setiap satu.

  1. Apakah ujian utama yang dihadapi Nabi Yusuf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dalam Ayat 23 ini?
  2. Mengapakah Al-Qur’an tidak menyebut nama isteri Al-Aziz, dan apakah pelajaran yang boleh diambil daripadanya?
  3. Jelaskan maksud perkataan Arab “راوَدَت” dan implikasinya terhadap usaha menggoda Nabi Yusuf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.
  4. Mengapakah Allah ‎ﷻ menggunakan frasa “هُوَ في بَيتِها” (dia tinggal di rumah wanita itu) dan bukannya “isteri lelaki itu”?
  5. Menurut tafsiran, mengapakah bahaya khalwat (berdua-duaan dengan bukan mahram) lebih besar dengan ipar duai berbanding orang asing?
  6. Apakah definisi “cinta yang bengkok” atau “cinta toksik” seperti yang dijelaskan dalam konteks isteri Al-Aziz?
  7. Sebutkan tiga dimensi utama dalam hubungan suami isteri menurut panduan ini.
  8. Terangkan dua sebab mengapa pasangan disebut sebagai “pakaian” dalam Al-Qur’an Surah Baqarah:187.
  9. Nyatakan tiga jenis “zina” yang disebut dalam hadis mengenai zina mata, lisan, dan hati.
  10. Apakah langkah pertama syaitan dalam menghasut pasangan yang tidak bahagia dalam hubungan mereka, terutamanya pada zaman moden?

Glosari Istilah Penting

  • Al-Aziz: Gelaran bagi seorang menteri atau pembesar di Mesir pada zaman Nabi Yusuf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ; suaminya.
  • Khalwat: Berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang wanita yang bukan mahram di tempat sunyi, di mana tiada orang lain yang boleh melihat atau mendengar mereka.
  • Bukan Mahram: Individu yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang mengharamkan perkahwinan antara mereka, dan oleh itu tidak dibenarkan berduaan atau bersentuhan.
  • Ipar Duai (Al-Hamwu): Saudara-mara suami atau isteri. Hadis mengibaratkan khalwat dengan ipar sebagai “maut” kerana bahaya fitnah dan kehancuran rumah tangga.
  • Zina: Perbuatan persetubuhan haram antara lelaki dan wanita. Dalam Islam, ia juga merangkumi peringkat-peringkat awal seperti zina mata, lisan, hati, tangan, telinga, dan kaki.
  • Zina Mata: Pandangan yang bernafsu kepada bukan mahram.
  • Zina Lisan: Perkataan atau percakapan yang mengghairahkan atau mengarah kepada maksiat dengan bukan mahram.
  • Zina Hati: Keinginan dan nafsu dalam hati terhadap bukan mahram.
  • Pernikahan Toksik: Hubungan perkahwinan yang tidak sihat, penuh dengan penderaan (fizikal atau emosi), kekurangan kasih sayang, dan memberi kesan negatif yang berpanjangan kepada salah satu atau kedua-dua pasangan.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 23 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Keseluruhan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 22 (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bersedia)

Yusuf Ayat 22: Ini adalah keadaan ke 5. Setelah menerima ujian yang besar dan diletakkan di dalam rumah menteri, sekarang baginda diuji dalam rumah pula. Walaupun dari segi penempatan sudah senang, tetapi baginda diuji juga dengan hal nafsu pula. Walaupun baginda dilayan dengan baik oleh keluarga barunya, tetapi baginda tetap dikenakan dengan ujian.

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ ۥۤ ءَاتَينَـٰهُ حُكمًا وَعِلمًا‌ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِى ٱلمُحسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he [i.e., Joseph] reached maturity, We gave him judgement and knowledge. And thus We reward the doers of good.

(MALAY)

Dan tatkala dia cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ ۥۤ

Dan tatkala dia mencapai kedewasaannya

Iaitu apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎telah mencapai usia baligh. Kalimah أَشُدَّ daripada kalimah شِدَّةٌ yang bermaksud kesempurnaan kekuatan. Ia adalah jangka umur daripada umur 20 tahun sehinggalah 40 tahun. Perhatikan Ahqaf:15

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً
Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun

Maka had umur ini adalah 40 tahun manusia boleh sahaja mencapai tahap itu sebelum masuk 40 tahun. Jadi tidak pasti berapa umur Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada waktu itu. Memang ada banyak pendapat tentang perkara ini. Yang pasti, baginda telah dewasa dan matang. Ini kerana pada peringkat inilah baru baginda boleh menggalas tugas kenabian. Bolehlah kita katakan mungkin umurnya 33 tahun ataupun kurang lagi. Menurut Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ, umur baginda ketika itu adalah 33 tahun. Dahhak رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan umurnya ketika itu 20 tahun sedangkan Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan 40 tahun. Ada lagi pendapat lain tentang umur baginda, yang pasti kita tahu baginda telah dewasa dan matang. Kebiasaannya pada peringkat umur inilah hormon lelaki sedang menggelodak dan berbagai penyimpangan boleh berlaku oleh seorang lelaki jikalau tidak ada bimbingan agama.

 

ءَاتَينَـٰهُ حُكمًا وَعِلمًا‌

Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu.

Majoriti para ulama’ mengatakan ketika inilah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan pangkat kenabian. Jadi semasa baginda mendapat wahyu di dalam telaga, itu bukanlah wahyu sebagai seorang Nabi tetapi ia merupakan suatu ilham sahaja. Baginda tidaklah diberikan pangkat kenabian sebaik sahaja masuk ke rumah Al-Aziz tetapi setelah duduk di rumah itu berkhidmat dan belajar menimba ilmu dan pengalaman sekian lama.

Ketika baginda sudah dewasalah baru Allah ‎ﷻ berikan hikmah dan juga ilmu. Selama beberapa tahun di rumah menteri itu baginda telah belajar banyak perkara. Apabila berada di rumah pemimpin, baginda dapat menyaksikan sendiri bagaimana cara menguruskan kerajaan. Baginda bukan hanya melihat keputusan rasmi yang dikeluarkan di buletin utama, tetapi baginda melihat perbincangan dalaman antara menteri-menteri yang dilakukan secara tertutup di dalam rumah menteri besar. Baginda juga melihat dan menganalisa hubungan di antara pemimpin, isteri-isteri pemimpin, orang bawahan mereka, pekerja mereka, hamba-hamba mereka dan lain-lain lagi. Ini kerana tentu banyak aktiviti di rumah itu.

Di dalam ayat ini disebut dua perkara: hukman dan ilman. Ahli tafsir menafsirkan dua perkara ini kerana ia diletakkan bersama. Menurut para ulama tafsir, kalimah حُكْمًا di sini boleh merujuk kepada:

1. Kebijaksanaan (الحِكْمَة – Al-Hikmah)

Ini adalah makna yang paling utama. حُكْمًا di sini bermaksud kebijaksanaan atau pemahaman yang mendalam tentang kebenaran dan hikmah di sebalik segala sesuatu. Ia bukan hanya ilmu pengetahuan biasa, tetapi kemampuan untuk menggunakan ilmu itu dengan cara yang benar, adil, dan penuh hikmah. Kebijaksanaan ini adalah kurniaan yang membantu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuat keputusan yang tepat dalam setiap situasi yang mencabar.

2. Kemampuan Menghukum dan Mengadili

Makna ini merujuk kepada kemampuan untuk membuat keputusan yang adil dan benar. Ia juga boleh bermaksud kemampuan menjadi hakim atau penguasa, yang mana ini adalah petanda awal bagi peranan besar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di kemudian hari sebagai orang yang berkuasa di Mesir yang menguruskan urusan rakyat dan perbendaharaan negara.

3. Kenabian (النُّبُوَّة – An-Nubuwwah)

Sesetengah ulama juga menafsirkan حُكْمًا di sini sebagai kurniaan kenabian. Pada usia dewasa, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara rasmi dilantik oleh Allah ‎ﷻ sebagai seorang Nabi, yang mana jawatan ini merangkumi kebijaksanaan (hikmah), ilmu, dan kemampuan untuk memimpin dan memberikan petunjuk.

Secara ringkasnya, Allah ‎ﷻ memberikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan hanya ilmu (ilmu pengetahuan), tetapi juga hukm (kebijaksanaan dan kemampuan membuat keputusan yang adil). Gabungan kedua-dua kurniaan ini adalah ganjaran daripada Allah ‎ﷻ atas keikhlasan dan kesabaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang merupakan contoh bagi setiap “muhsinin” (orang yang berbuat kebaikan).

Secara bahasa, kalimah عِلمًا bermaksud ilmu atau pengetahuan. Dalam konteks Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia merujuk kurniaan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mencakupi beberapa perkara:

1. Ilmu Agama dan Syariat: Pengetahuan tentang agama dan hukum-hukum Allah yang menjadi bekal penting bagi seorang Nabi. Ini termasuk pemahaman tentang tauhid dan ajaran-ajaran yang benar.

2. Ilmu Hikmah dan Kebijaksanaan: Kalimah ‘ilman’ ini sering disebut beriringan dengan hukman (kebijaksanaan). Ini menunjukkan bahawa ilmu yang diberikan bukan sekadar pengetahuan biasa, tetapi pengetahuan yang mendalam yang membolehkannya membuat keputusan yang tepat dan bijak dalam pelbagai situasi.

3. Ilmu Tafsir Mimpi: Ini adalah jenis ilmu khusus yang paling terkenal yang dikurniakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ilmu ini adalah kurniaan langsung daripada Allah ﷻ yang membezakannya daripada manusia lain. Ia membolehkan baginda menafsirkan mimpi orang lain, yang kemudian menjadi kunci utama dalam jalan ceritanya, termasuk ketika baginda menafsirkan mimpi raja Mesir.

4. Ilmu Pentadbiran dan Strategi: Di kemudian hari, ilmu ini membolehkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menguruskan sumber daya negara Mesir dengan sangat efisien, menyelamatkan rakyat daripada kebuluran yang dahsyat. Ini menunjukkan ilmu yang diberikan kepadanya tidak hanya bersifat spiritual, tetapi juga praktikal dan strategik. Maka ini mengajar kita yang ilmu keduniaan juga penting. Jangan kita pandang rendah seolah-olah buang masa belajar ilmu yang untuk digunakan di dunia. Kalau ia tidak penting, tentu Allah ﷻ tidak ajar. Malahan, semua ilmu adalah daripada Allah ﷻ, bukan?

Secara keseluruhannya, ‘ilman’ dalam ayat ini merujuk kepada himpunan pengetahuan yang menyeluruh, baik dari segi agama, hikmah, mahupun praktikal, yang merupakan hadiah dan persediaan daripada Allah ﷻ untuk mengangkat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang nabi dan pemimpin yang ulung. Jadi ilmu yang Allah ﷻ berikan ini adalah sebahagian daripada hikmah yang Allah ﷻ berikan juga kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendapat ilmu agama daripada bapanya ketika baginda kecil lagi; dan sekarang baginda mendapat ilmu keduniaan terutama ilmu mentadbir dan memerintah daripada Al-Aziz.

Kalau kita lihat susunan ini: حُكمًا وَعِلمًا di dalam ayat-ayat lain, selalunya terbalik, bukan? Selalunya disebut penerimaan ilmu dahulu dan ilmu itu diuruskan dengan hikmah. Sebagai contoh disebut tentang Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Ali Imran:48

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

Akan tetapi Allah ‎ﷻ menyusun secara berlainan di dalam ayat ini dan ini adalah kerana Allah ﷻ memberi ‘hikmah’ dahulu kepada baginda. Begitu juga apabila menyebut tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Qasas:14

وَلَمّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاستَوىٰ ءآتَينٰهُ حُكمًا وَعِلمًا ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ
Dan setelah Musa cukup umur dan sempurna akalnya, Kami berikan kepadanya hikmah (kenabian) dan pengetahuan. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Penyebutan tentang diberikan hikmah sebelum disebut ilmu mungkin bermaksud walaupun baginda (dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) tidak banyak ilmu lagi, tetapi baginda sudah pandai membuat keputusan yang baik hanya melalui pemerhatian baginda. Begitulah kadang-kadang kita lihat, ada orang yang pandai dari segi ilmu pengetahuannya dan juga bijak dalam membuat keputusan, bukan? Maknanya, orang ini ada kedua-duanya sekali. Manakala, ada yang pandai dari segi ilmu pengetahuan, tetapi tidak bijak – sebagai contoh ada orang pandai ekonomi tetapi diri sendiri tidak pandai untuk berniaga. Maka, pandai ataupun tidak, tidak semestinya pandai membuat keputusan.

Begitulah juga ada orang yang tidak belajar secara formal, tetapi dia lebih pandai daripada orang yang ada sijil atau ijazah kerana dia ada pengalaman. Sebagai contoh, dulu adik saya hendak mengambil kursus membaiki kereta. Oleh kerana saya bimbang dia tidak mampu, jadi, saya mencadangkan dia belajar membaiki motor sahajalah. Dia jawab: “Membaiki motor? Itu tak belajar pun dah tahu!” Barulah saya faham bahawa ada orang yang tidak perlu belajar secara formal pun; dia sudah ada pengetahuan dan sudah hebat. Di sini juga mengajar kita, ada orang yang memiliki sijil, ijazah dan diploma, tetapi tidak boleh melakukan kerja pun kerana apa yang mereka ada itu hanyalah pembelajaran teori sahaja. Apa yang mereka belajar di universiti dan kolej itu tidak terpakai pun kerana ia tidak sesuai di dunia nyata. Sebab itu ramai majikan takut hendak mengambil budak graduan baru, kerana tahu mereka tidak ada pengalaman. Sudah jadi satu kerja pula untuk menyediakan latihan dan ‘hand-holding’ mereka ketika mereka mula bekerja kerana hampir semua benda kena ajar mereka.

Begitulah dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda tidak mendapat ilmu agama yang banyak melainkan apa yang baginda dapat daripada bapanya ketika kecil itu sahaja. Akan tetapi baginda menjadi pandai kerana pemerhatian baginda terhadap apa yang terjadi di hadapan baginda. Kemudian setelah dilantik menjadi Nabi, barulah baginda diberikan dengan ilmu wahyu yang kita boleh kata sebagai ilmu formal. Oleh itu, kita kena belajar daripada ayat ini dan amalkan iaitu kita kena pandai menilai segala sesuatu dan mengambil nota dan pengajaran. Ini kerana ia boleh membantu kita membuat keputusan di kemudian hari. Jangan kelam kabut dalam membuat keputusan. Kena perhatikan apa yang terjadi dan cuba buat penilaian berdasarkan akal yang waras, bukan berpandukan emosi. Kena gunakan segala pengalaman hidup yang ada untuk sampai kepada keputusan yang terbaik.

 

وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Begitulah kurniaan Allah ‎ ﷻ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya kerana baginda mempunyai sifat muhsin, maka hadiahnya baginda diberikan dengan hikmah dan ilmu. Namun kalimah yang digunakan adalah المُحسِنينَ (orang-orang yang baik). Ia bukan khusus kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja kalau begitu. Maka apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat itu bukan untuk baginda sahaja malah kita pun boleh dapat kelebihan itu kalau kita berusaha. Mungkinlah tidak sampai ke tahap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi mungkin akan menjadi lebih baik lagi daripada diri kita sebelum ini. Ini kerana حُكمًا وَعِلمًا yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tahap Nabi dapat, akan tetapi manusia selain Nabi boleh juga dapat yang tahap kurang sikit daripada itu.

Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka sentiasa cuba membaiki dan menambahbaik diri mereka. Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia. Manakala ihsan paling tinggi adalah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Bagaimana maksudnya berbuat baik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”

(Hadith Riwayat Muslim No. 8)

Melalui hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.

  1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah ﷻ melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.
  2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya, iaitu melihat nama dan sifat Allah ﷻ serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah ﷻ secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan dengan maqam muraqabah.

Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu adalah ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur)

Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah ﷻ di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah ﷻ. Selepas itu disambung dengan ihsan kepada manusia. Ini kerana kita telah sebut ihsan itu bukan dengan Allah ﷻ sahaja tetapi sesama makhluk, tidak kira manusia atau binatang.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian

Namun bagaimanakah ihsan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Dengan Allah ﷻ, kita perhatikan baginda bersangka baik dengan Allah ﷻ dan redha dengan Allah ﷻ walaupun baginda ditakdirkan ditinggalkan oleh abang-abang sendiri dalam telaga; kepada manusia, nanti kita akan baca baginda memaafkan mereka dan memuliakan mereka. Ini adalah tingkatan ihsan paling tinggi, iaitu berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Jadi, kita telah katakan bagi manusia yang berbuat ihsan, Allah ﷻ akan beri حُكمًا وَعِلمًا sebagai habuannya. Akan tetapi timbul persoalan, bagaimana boleh menjadi seorang yang المُحسِنينَ tanpa حُكمًا وَعِلمًا? Ini seperti situasi Catch-22 pula. Hendak dapat حُكمًا وَعِلمًا kena ada sifat المُحسِنينَ sedangkan untuk dapat sifat المُحسِنينَ, kena ada حُكمًا وَعِلمًا. Atau, mana dulu, telur atau ayam?

Hikmah adalah kebolehan dan kekuatan untuk membuat keputusan yang benar. Kalau kita tahu sesuatu itu benar, kita akan lakukan; kalau kita tahu sesuatu itu salah, maka kita akan elak. Ini bukan tahap ilmu sahaja tetapi tahap hikmah. Kerana ada orang yang sudah ada ilmu, tetapi hikmah tidak ada. Ilmu sahaja banyak, tetapi dia tidak dapat mengawal nafsunya. Maka hikmah itu juga adalah kekuatan untuk mengawal nafsu dan tidak ikut sahaja kehendak nafsu. Kerana nafsu itu macam-macam dia hendak, selalunya berlawanan dengan syarak. Maka hikmah, ilmu dan ihsan ini adalah bertahap. Setakat mana ilmu yang kita ada, amalkanlah dan kuatkan hikmah itu. Maka kita telah mengamalkan ihsan, dan semakin tinggi ihsan kita, semakin banyak ilmu dan hikmah yang Allah ﷻ beri. Kerana Allah ﷻ tidak terus beri ilmu dan hikmah tahap tinggi punya terus begitu sahaja. Ia memerlukan latihan.

Ini sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dilatih. Di hujung kisah ini (spoiler alert) Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan diberi keupayaan untuk mengawal kerajaan dan manusia. Akan tetapi baginda diuji dahulu dengan ujian untuk mengawal dirinya. Kerana itu selepas ini kita akan baca kisah baginda dan isteri tuannya dan bagaimana baginda telah diuji dengan godaan wanita dan baginda (spoiler alert lagi) telah dapat melepasinya. Baginda mengamalkan ilmu yang baginda tahu dan baginda telah menggunakan hikmah. Ini memerlukan didikan jiwa yang berterusan. Ini kerana untuk mendapatkan ilmu itu agak lebih mudah daripada hikmah. Orang muda senang belajar akan tetapi hikmah selalunya memerlukan usia yang lebih kerana manusia belajar hikmah dengan masa. Namun begitu, sekiranya orang muda pun sudah ada hikmah, ini adalah satu kehebatan.

Jadi manusia kena ada ilmu dan hikmah. Jangan ada ilmu sampai PHD tetapi tidak beradab dengan jiran, dengan keluarga, dengan orang lain. Jangan ada ilmu tetapi buat perkara yang melanggar syariat dan memalukan diri sendiri dan agama. Jangan setakat ada ilmu tetapi tidak ada moral sampai menyusahkan manusia lain. Ada orang yang ada kepakaran dalam perubatan, maka ada yang gunakan untuk buat ubat, tetapi ada juga yang gunakan ilmu itu untuk mencipta virus (supaya dia boleh cipta vaksin). Ada orang yang ada ilmu agama, tetapi dengan ilmu itulah dia menunggang agama dan menipu manusia. Kita kena ingat bahawa yang boleh menipu dalam hal agama bukanlah tukang kayu dan tukang kasut tetapi orang agama juga kerana mereka tahu selok belok di mana hendak menipu dan jargon/istilah yang perlu digunakan.

Pengajaran paling penting bagi kita adalah perlunya untuk mengamalkan setakat mana ilmu yang ada. Sebagai contoh, bayangkan seorang yang baru masuk Islam, belum belajar banyak hukum agama. Sekarang keluarga dan kawan-kawannya belum lagi Muslim dan mereka mengajak dia minum arak. Dia tidak tahu banyak lagi ilmu agama, tetapi dia tahu arak itu haram. Maka dia tidak minum langsung walaupun dia sendiri tahu dia akan dipandang serong oleh kebanyakan manusia yang tidak menghormati keputusan orang lain. Namun dia tetap berpegang dengan apa yang dia tahu. Ini hikmah. Dengan hikmah ini dan ilmu yang sedikit ini, Allah ‎ﷻ akan tambah lagi ilmu dan hikmah dia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah:269

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Perhatikan juga Baqarah:282

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ
Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu;

Mungkin ada yang kata senanglah Nabi Yusuf, dia kan Nabi! Kita pula hidup di dalam dunia yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Kita hidup dalam kalangan orang-orang yang jahat, yang tidak menjaga agama, bagaimana hendak jadi baik? Kita kena faham yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada ujian suasana juga, hidup dalam kalangan orang kafir dan sebagai hamba abdi yang tidak mempunyai kebebasan sendiri. Dugaan bagi para Nabi memang Allah ‎ﷻ beri berkali-kali ganda daripada ujian kita. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak jadikan mereka sebagai contoh tauladan. Kalau mereka pun boleh hadapi ujian setinggi itu, takkan kita tidak boleh?

Dan siapa kata kita tidak boleh menjaga agama dan iman kita walaupun di dalam suasana yang buruk? Di dalam Nur:35 Allah ‎ﷻ menyifatkan roh manusia sebagai cahaya.

نّورٌ عَلىٰ نورٍ ۗ يَهدِي اللهُ لِنورِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَيَضرِبُ اللهُ الأَمثٰلَ لِلنّاسِ ۗ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Sekarang bayangkan cahaya, adakah cahaya itu boleh nampak kalau tiada kegelapan? Tidak! Cahaya semakin jelas apabila suasana gelap, bukan? Maka begitulah diri kita hanya akan berguna jika berada di dalam suasana yang gelap. Kita tidak sepatutnya terkesan dengan suasana tetapi hendaklah kita yang melangkauinya. Jangan kita menjadi termometer yang sikit-sikit terkesan dengan suhu sekitar, tetapi jadilah termostat yang mengawal suhu sekitar. Kita tidak perlu suasana islamik sebaliknya diri kita yang kena menjadi islamik. Kita tidak perlu hendak ikut orang sekeliling, tetapi kita yang sepatutnya menjadi contoh mereka. Kenapa hendak ikut orang? Kena ada jati diri dan ya ini perlu dipupuk. Kita mestilah mengamalkan apa yang kita tahu, kemudian Allah ‎ﷻ akan balas dengan beri kekuatan kepada kita. Sampai satu ketika, kita tidak hairran pun dengan orang lain dan persekitaran kita kerana iman kita telah mantap dan tidak boleh digoyah lagi.

Bayangkan para Nabi dan pengikut mereka semuanya di dalam golongan yang minoriti tetapi mereka tetap berjaya menjaga agama mereka dan iman mereka. Yang penting adalah jangan jadi hamba kepada nafsu dan menuhankan nafsu. Ini seperti disebut di dalam Jatsiyah:23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah atas ilmu, dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Sekian bahagian yang menceritakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dinaikkan pangkat secara tidak rasmi. Ini adalah kerana baginda telah dimasukkan ke rumah menteri Al-Aziz itu.

Kuiz (10 Soalan Jawab Pendek)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah jenis ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada “keadaan ke-5” ini setelah beliau ditempatkan di rumah menteri?
  2. Menurut majoriti ulama, bilakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan pangkat kenabian? Adakah ia berlaku semasa baginda di dalam telaga?
  3. Berikan dua makna yang berbeza bagi kalimah حُكْمًا (hikmah) seperti yang dijelaskan dalam teks.
  4. Apakah ilmu khusus yang paling terkenal yang dikurniakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan mengapa ia penting dalam jalan ceritanya?
  5. Mengapa teks menyatakan bahawa hikmah disebut sebelum ilmu dalam ayat ini mengenai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), berbanding ayat lain yang menyebut ilmu dahulu?
  6. Terangkan secara ringkas maksud muhsinin seperti yang dijelaskan dalam hadith Jibril.
  7. Sebutkan dua contoh ihsan kepada Allah ‎ﷻ yang disebutkan dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 16-19.
  8. Bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan tingkatan ihsan yang paling tinggi kepada manusia, seperti yang diisyaratkan pada akhir kisah beliau?
  9. Jelaskan konsep “Catch-22” berkaitan dengan hikmah, ilmu, dan ihsan, dan bagaimana ia diselesaikan dalam konteks teks ini.
  10. Apakah perumpamaan “termometer dan termostat” ingin sampaikan tentang bagaimana kita seharusnya berinteraksi dengan persekitaran yang buruk?

Glosari Istilah Utama

  • Ihsan: Tingkatan tertinggi dalam agama, yang bermaksud berbuat baik dengan kesempurnaan dan kesedaran penuh. Ia melibatkan melakukan ibadah seolah-olah melihat Allah ‎ﷻ (musyahadah) atau menyakini Allah ‎ﷻ melihat kita (muraqabah), dan juga berbuat baik kepada sesama manusia (termasuk memaafkan musuh).
  • An-Nubuwwah (النُّبُوَّة): Kenabian, iaitu pangkat dan kedudukan sebagai seorang Nabi yang menerima wahyu daripada Allah ‎ﷻ.
  • Catch-22: Situasi dilema di mana untuk mendapatkan sesuatu, seseorang perlu memiliki sesuatu yang hanya boleh diperolehi setelah mencapai perkara pertama itu, atau sebaliknya. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada hubungan hikmah, ilmu, dan ihsan.
  • Termometer: Perumpamaan untuk seseorang yang mudah terkesan atau terpengaruh oleh keadaan atau persekitaran sekeliling.
  • Termostat: Perumpamaan untuk seseorang yang mampu mengawal atau mempengaruhi keadaan persekitaran, tidak mudah terpengaruh, dan berpegang pada prinsip diri.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Keseluruhan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 21 (Menetap di Mesir)

NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DI MESIR

Yusuf Ayat 21: Pada waktu itu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bersedia untuk menjadi barang dagangan kerana baginda redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Maka baginda telah dijual dan dibawa ke tempat lain. Begitulah ujian yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terpaksa tempuhi, dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat. Begitulah orang yang mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari telaga itu telah menjual baginda di pasar hamba. Akan tetapi, dia telah meletakkan dengan harga yang mahal. Dia telah membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan harga yang murah daripada abang-abang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (atau penjual yang menjumpai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di telaga itu), tetapi dia jualkan dengan harga yang mahal pula. Atau mungkin baginda dijual berkali-kali kepada peniaga hamba dan harga baginda semakin meningkat dan meningkat kerana mereka boleh melihat dia adalah ‘barang baik’ sampai akhirnya harganya telah menjadi mahal.

Oleh kerana dia telah meletakkan harga yang mahal, maka yang mampu membeli baginda adalah orang kaya sahaja sahaja. Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, harganya di Mesir dibida sampai naik sampai ke tahap emas seberat dirinya atau sutera seberat dirinya. Maka yang menang bidaan akhirnya adalah Al-Aziz Mesir.

وَقَالَ ٱلَّذِى ٱشتَرَٮٰهُ مِن مِّصرَ لِٱمرَأَتِهِۦۤ أَڪرِمِى مَثوَٮٰهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَو نَتَّخِذَهُ ۥ وَلَدًا‌ۚ وَڪَذٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلۡأَرضِ وَلِنُعَلِّمَهُ ۥ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ‌ۚ وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمرِهِۦ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the one from Egypt¹ who bought him said to his wife, “Make his residence comfortable. Perhaps he will benefit us, or we will adopt him as a son.” And thus, We established Joseph in the land that We might teach him the interpretation of events [i.e., dreams]. And Allāh is predominant over His affair, but most of the people do not know.

  • The minister in charge of supplies, whose title was al-‘Azeez.

(MALAY)

Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak”. Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’bir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.

 

وَقالَ الَّذِي اشتَرٰهُ مِن مِّصرَ لِامرَأَتِهِ

Dan orang dari Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya:

Seorang lelaki dari Mesir telah membeli Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan beliau belikan untuk isterinya. Namanya tidak disebut di dalam Al-Qur’an, hanya disebut pangkatnya sahaja dan itu akan disebut nanti. Nama tidak penting kerana itu tidak diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Melalui kisah selepas ini kita tahu yang beliau adalah seorang ahli politik (pemimpin). Dalam Tafsir ibn Kathir, dikatakan yang orang yang membelinya dari negeri Mesir itu dikenali sebagai Al-Aziz Mesir, yakni perdana menterinya, atau Raja Muda, Menteri Kewangan atau apa-apa pangkat yang sesuai bagi orang yang nombor dua dalam negara itu. Kalimat مِن مِّصرَ boleh bermakna dia sendiri dari Mesir, ataupun dia membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di pasar hamba di Mesir.

Dalam Surah Yusuf ini hanya disebut Mesir sahaja sedangkan tempat asal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Kana’an) tidak disebut. Maka sekiranya Allah ‎ﷻ sebut, tentu ada kepentingan nama itu. Yang pertama adalah kerana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini disampaikan Allah ‎ﷻ kerana puak Yahudi bertanya kepada Rasulullah ﷺ sejarah Bani Israil bagaimana boleh sampai ke Mesir. Maka inilah kisahnya. Akan tetapi takkan itu sahaja tujuannya? Mungkin kerana Mesir ini penting kerana Mesir ini adalah tempat Firaun dan ia tempat tinggal Bani Israil buat sekian waktu mereka di sana. Dua golongan ini mewakili jenis-jenis manusia yang ada zaman berzaman. Firaun adalah jenis manusia yang degil untuk menerima kebenaran dan Bani Israil adalah jenis kufur yang degil menerima kebenaran walaupun mereka itu tahu kebenaran itu. Maka dengan belajar tentang mereka, kita akan belajar banyak tentang jenis manusia seperti ini. Walaupun Firaun itu datang lama setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi tamadun Mesir ketika zaman Firaun itu tidak akan ada kalau bukan kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyelamatkan kerajaan Mesir pada zaman baginda menjadi menteri. Jelas sekali, Mesir adalah satu tamadun yang amat hebat, sampaikan kesannya sampai sekarang ada terpakai di dunia moden ini. Perhatikan desain-desain bangunan yang masih menggunakan piramid sebagai desain mereka. Bayangkan piramid dipandang begitu tinggi sekali dalam sejarah tamadun dunia sehingga ia diabadikan dalam kertas matawang Amerika Syarikat!

Al-Aufi رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa nama si pembeli itu adalah Qitfir (Potiphar). Muhammad ibnu Ishaq mengatakan, nama si pembeli itu adalah Itfir ibnu Ruhaib, menteri negeri Mesir yang memegang jawatan sebagai menteri perbendaharaan Mesir pada waktu itu. Yang menjadi raja di zaman itu adalah Ar-Rayyan ibnul Walid, seorang lelaki daripada keturunan bangsa ‘Amaliq (raksasa). Menurut Mazhari, dia telah masuk Islam di tangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mati sebagai seorang Muslim.

Muhammad ibnu Ishaq رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa nama isteri menteri itu adalah Ra’il binti Ra’abil. Menurut selain Muhammad ibnu Ishaq, nama isterinya adalah Zulaikha. Inilah nama Zulaikha yang selalu digunakan oleh orang kita. Siap jadi doa pula di majlis perkahwinan. Oleh kerana kesahihan kisah ini tidak kuat, maka kita tidak menggunakan nama Zulaikha di dalam tafsir ini. Kita hanya akan sebut ‘isteri Al-Aziz’. Biarlah dia tidak bernama di sini dan janganlah beri nama ini kepada anak-anak kita kerana karakternya di dalam surah ini adalah orang yang jahat. Takkan kita hendak beri nama orang jahat kepada anak kita?

Di dalam ayat ini digunakan istilah امرأة untuk merujuk kepada isterinya. Padahal ada istilah lain untuk isteri iaitu زَوْج (isteri) [istilah زوجة sebenarnya tidak pernah digunakan). Al-Qur’an mesti menggunakan istilah yang tepat setiap waktu, jadi kenapa digunakan istilah امرأة dan bukan زَوْج? Istilah امرأة (wanita/isteri) digunakan apabila wujud hubungan jasmani sahaja, tetapi tiada keserasian pemikiran dan keimanan. Maknanya hubungan suami isteri yang tidak sempurna. Maka Al-Qur’an menyebut mereka sebagai امرأة seperti:

• Imra’atu Nūḥ (isteri Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)
• Imra’atu Lūṭ (isteri Nabi Lut عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)
• Imra’atu Fir‘awn (isteri Firaun)

Istilah زَوْج (isteri) digunakan di dalam Al-Qur’an apabila jasad disertai dengan keserasian pemikiran, keimanan, kasih sayang dan keharmonian, maka disebut sebagai زَوْج contohnya di dalam Baqarah:35

وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ
Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga

Dan di dalam Ahzab:59

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزوٰجِكَ
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu

Ada satu lagi istilah iaitu صاحبة (teman). Istilah زوجة (teman) ini digunakan di dalam Al-Qur’an apabila terputus semua bentuk ikatan — sama ada jasmani mahupun rohani. Sebagai contoh digunakan di dalam Abasa:34-37 apabila isteri melarikan diri dari suaminya di akhirat kelak,

يَوۡمَ يَفِرُّ ٱلۡمَرۡءُ مِنۡ أَخِيهِ (٣٤) وَأُمِّهِۦ وَأَبِيهِ (٣٥) وَصَـٰحِبَتِهِۦ وَبَنِيهِ (٣٦) لِكُلِّ ٱمۡرِىٍٕ مِّنۡہُمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ شَأۡنٌ يُغۡنِيهِ (٣٧)
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, (34) Dan ibunya serta bapanya, (35) Dan isterinya serta anak-anaknya; (36) Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (37) 

Dan istilah ini digunakan juga untuk ‘pasangan’ Allah kerana Allah memang tidak ada pasangan pun, seperti digunakan di dalam An’am:101

أَنّىٰ يَكونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَم تَكُن لَّهُ صٰحِبَةٌ
Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri?

Perhatikan juga kisah Nabi Zakaria عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Pada mulanya baginda berkata: “isteriku mandul” di dalam Maryam:8

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ وَكانَتِ امرَأَتي عاقِرًا
Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul

Nabi Zakaria عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan امرأة di sini kerana faktor penghalang dalam hubungan ialah tidak mampu melahirkan anak. Tetapi setelah Allah ‎ﷻ menganugerahkan anaknya Yahya kepadanya, maka Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Anbiya’:90 dengan menyebut زَوْج pula,

فَاستَجَبنا لَهُ وَوَهَبنا لَهُ يَحيىٰ وَأَصلَحنا لَهُ زَوجَهُ
“Dan Kami perbaiki untuknya isterinya.” 

Begitu juga Al-Qur’an membongkar rumah Abu Lahab di dalam Masad:4

وَامرَأَتُهُ حَمّالَةَ الحَطَبِ
Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.

Dikatakan imra’ah kerana tiada kasih sayang dan tiada keharmonian di dalam keluarga itu. SubhanAllah! Setiap lafaz dalam Al-Qur’an datang tepat pada tempatnya. Ia mengajar kita bahawa hubungan suami isteri bukan sekadar jasad, tetapi juga keserasian, akidah, kasih sayang dan rahmat. Kerana itu Allah ‎ﷻ ajarkan doa kepada kita di dalam Furqan:74

رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Baik, kembali kepada perbincangan kita dalam ayat Surah Yusuf ini, kenapa digunakan istilah امرأة untuk isteri al-aziz itu dan bukannya زوج? Ia adalah satu pilihan linguistik Al-Qur’an yang sangat teliti dan penuh hikmah. Ia bukanlah suatu kebetulan, tetapi bertujuan untuk menekankan kekurangan dalam hubungan perkahwinan itu, terutamanya dari segi moral dan spiritual. Apabila nanti kita akan belajar bagaimana isteri Al-Aziz itu akan mencuba menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan memfitnah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ serta menipu suaminya (Al-Aziz), dia telah meruntuhkan semua asas keharmonian, kesetiaan, dan ketenangan (sakinah) dalam rumah tangga mereka. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menggunakan istilah امرأة untuk menunjukkan bahawa walaupun dia masih terikat secara undang-undang sebagai isteri (status fizikal), ikatan rohani dan moral sebagai pasangan sejati (زوج) telah musnah.

 

أَكرِمي مَثوىٰهُ

“Muliakanlah tempat tinggalnya, 

Walaupun beliau membeli Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi lihat bagaimana beliau cakap tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan isterinya. Beliau adalah seorang ahli politik yang sudah biasa berurusan dengan manusia. Maka tentulah dia tahu menilai manusia daripada perawakan dan percakapan mereka; dia juga kena berhati-hati dengan semua manusia yang dia ada interaksi kerana bukan semua manusia akan menunjukkan belangnya. Maka apabila dia melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang yang hebat, maka ini adalah satu perkara yang hebat kerana ia datang daripada manusia yang berkedudukan tinggi dan pandai menilai manusia.

Kalimat أَكرِمي مَثوىٰهُ bermakna berilah tempat yang baik untuk budak itu tinggal. Ia juga bermakna berilah layanan yang baik kepada budak itu. Kalau tempat tidur itu, jadikanlah ia tempat tidur yang selesa dan ada permaidani macam tempat tidur orang besar-besar. Kenapa muliakan tempat tinggal, bukan muliakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana kalau muliakan baginda sahaja, mungkin tempat tinggal biasa sahaja tetapi kalau tempat tinggal pun sudah mulia, tentulah baginda pun dimuliakan sekali. Jadi ada isyarat di sini yang dia sudah dapat merasakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan biashe-biashe melalui perawakan dan kata-kata baginda. Mungkin mereka telah meluangkan masa bersama dalam perjalanan dari tempat pembelian ke rumah Al-Aziz itu. Jadi dalam interaksi mereka, Al-Aziz sudah dapat menilai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitulah juga kita melihat dua orang wanita yang berjumpa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Madyan telah dapat mengenali istimewanya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan sekali lihat sahaja.

Abu Ishaq telah meriwayatkan daripada Abu Ubaidah, daripada Abdullah ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa orang yang ahli dalam firasat ada tiga orang, iaitu: Pertama, menteri negeri Mesir ketika dia mengatakan kepada isterinya dalam pesannya: Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik. (Yusuf:21) Kedua, seorang wanita yang mengatakan kepada ayahnya: Wahai bapaku, ambillah dia sebagai orang yang bekerja (pada kita). (Qasas:26), hingga akhir ayat. Yang ketiga adalah Abu Bakar As-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ketika beliau mengangkat Umar Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sebagai khalifah penggantinya.

Ilmu ini dinamakan Physiognomist atau dalam bahasa Melayu disebut pakar fisiognomi iaitu seseorang yang dapat menilai atau mentafsirkan perwatakan, karakter, atau nasib seseorang berdasarkan ciri-ciri fizikal luaran, terutamanya bentuk wajah. Secara ringkasnya, seorang physiognomist percaya bahawa setiap aspek wajah, seperti bentuk hidung, mata, dahi, atau struktur muka, mempunyai kaitan dengan sifat dalaman seseorang. Perlu diingatkan bahawa fisiognomi pada masa kini tidak diiktiraf sebagai bidang sains yang sahih, sebaliknya lebih dianggap sebagai pseudosains atau seni ramalan kuno. Menurut riwayat-riwayat sejarah dan biografi, Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ dikenali memiliki kemahiran dalam bidang fisiognomi atau lebih tepatnya, firasat yang sangat tajam. Ini bukanlah bidang utama yang beliau ajar atau tulis dalam kitab-kitabnya seperti Al-Umm atau Al-Risalah, yang fokus pada fiqh dan usul fiqh. Namun, ia adalah kemahiran peribadi yang mengagumkan yang ada pada beliau. Terdapat kisah yang masyhur bahawa ketika beliau masih muda, beliau pernah belajar ilmu firasat daripada satu suku Arab di Yaman yang dikenali sebagai Bani Muzaynah. Mereka adalah pakar dalam mengenali sifat dan karakter manusia hanya dengan melihat rupa fizikal dan cara berjalan seseorang. Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ mempelajari ilmu ini sehingga menjadi sangat mahir.

Apabila Al-Aziz berkata أَكرِمي مَثوىٰهُ kepada isterinya itu, ia bukanlah permintaan tetapi sebagai arahan kerana beliau adalah ketua keluarga. Kenapa beliau beri arahan sebegitu? Mungkin kerana beliau kenal isterinya dan beliau tahu bagaimana isterinya itu melayan hamba-hamba di rumah mereka. Maka beliau hendak beritahu, hamba yang ini jangan dibuat seperti hamba lain kerana dia istimewa.

Beliau juga berniat untuk memberikan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal lama dengannya kerana kalimah مَثوا adalah tempat tinggal yang lama. Kenapa gunakan kalimah ini sedangkan ada banyak lagi kalimah yang lain? Kalimah مَثوَى daripada kata dasar ث و ي yang bermaksud menetap di suatu tempat, berhenti, menetap di suatu tempat, menahan sesiapa sahaja (di suatu tempat), penginapan, tempat tinggal, resort, tempat berehat, penghuni. Kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama. Selalunya digunakan sebagai tempat tinggal dan tempat mati juga – tinggal sampai mati di situ – tempat tetap untuk tinggal. Maka di sini kita boleh tahu bahawa beliau berniat supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal lama di situ, bukannya untuk dijual kepada orang lain pula.

Oleh itu kita boleh lihat bagaimana Allah ‎ﷻ menempatkan baginda di tempat tinggal yang baik. Tidaklah baginda ditinggalkan di luar rumah sahaja seperti hamba yang lain, tetapi ditempatkan di tempat yang baik di dalam rumah. Allah ‎ﷻ muliakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ

boleh jadi dia bermanfaat kepada kita

Boleh jadi isteri Al-Aziz kehairanan kenapa suaminya itu hendak memuliakan hamba yang baru ini begitu sekali. Maka ini adalah jawapan Al-Aziz kepada isterinya itu. Beliau kata mungkin budak yang beliau baru beli itu bermanfaat bagi mereka; mungkin beliau telah nampak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu memiliki perawakan sebagai seorang yang cerdik, dapat menolong apa sahaja di rumah. Namun kalau setakat hendak tolong menolong di rumah, hamba lain mereka pun tentu sudah ramai, maka ini adalah manfaat yang lain.

Beliau mungkin sudah melihat kepandaian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ maka beliau mungkin berharap baginda boleh membantunya di dalam kerja-kerjanya. Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh memberi nasihat yang berguna kepadanya nanti. Nanti di hujung kisah ini nanti kita akan lihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi menteri kewangan. Ini adalah kerana baginda sudah biasa melihat bagaimana kerajaan diurus ketika baginda hidup di rumah menteri ini. Maka di sini kita boleh andaikan yang menteri Al-Aziz itu akan mendidik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seolah-olah sebagai mentor kepada baginda.

 

أَو نَتَّخِذَهُ ۥ وَلَدًا‌

atau kita ambil dia sebagai anak”.

Kalau dia baik, boleh sahaja ambil dia untuk dijadikan anak angkat. Ini kerana ada riwayat yang mengatakan mereka tidak mempunyai anak. Beginilah perasaan sayang yang telah Allah ‎ﷻ masukkan ke dalam hati menteri itu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebenarnya Al-Aziz beriya mahukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai anak angkat kerana ada penekanan pada kalimah نَتَّخِذَهُ kerana ada syaddah pada huruf ت itu.

Mungkin beliau memerlukan seseorang untuk dilatih untuk mengambil alih kedudukan dan keluarganya. Kalau dalam zaman moden ini, ia ada diamalkan di Jepun. Amalan ini dikenali sebagai pengambilan anak angkat dewasa atau dalam bahasa Jepun, mukoyōshi (婿養子), yang secara harfiah bermaksud “anak angkat menantu lelaki”. Sistem ini wujud sejak beratus-ratus tahun lalu sebagai satu penyelesaian praktikal bagi keluarga yang berhadapan dengan masalah tidak ada anak lelaki. Dengan cara ini perniagaan boleh diambilalih oleh seorang lelaki yang dijadikan anak angkat atau menjadi menantu lelaki. Lelaki itu boleh mengambil nama keluarga dan dengan ini meneruskan legasi keluarga itu. Amalan ini adalah praktikal dan sesuai bagi mereka kerana mereka boleh memilih lelaki yang sesuai. Kalau anak belum tentu akan itu ada ketrampilan, bukan? Tradisi ini juga diamalkan di Rom Purba dan ia dikenali sebagai adoptio dan adrogatio. Ia bukanlah sekadar satu amalan, tetapi satu mekanisme sosial dan politik yang penting untuk memastikan kelangsungan nama keluarga (nomen), legasi, dan harta benda.

 

وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ

Dan demikianlah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), 

Ini adalah jumlah mu’taridah. Kalimah كَذٰلِكَ (demikianlah) boleh ditafsirkan sama ada merujuk kepada keseluruhan kisah ini (abang-abang dengki, letak di dalam telaga, dijual dan seterusnya) atau ia boleh juga merujuk kepada kisah yang kita baru baca ini iaitu baginda ditempatkan di rumah seorang menteri. Allah ‎ﷻlah yang merancang semua ini untuk Nabi-Nya. Inilah juga jawapan kepada soalan daripada Bani Israil kepada Nabi Muhammad ﷺ: Kenapa Bani Israil boleh sampai duduk di negeri Mesir pula sedangkan mereka asalnya dari Palestin – jawapannya adalah sejarah mereka bermula di Mesir itu dengan datangnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke Mesir.

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ memuliakan kedudukan baginda setelah baginda dihina oleh saudara-saudaranya. Begitulah ada orang yang hina di mata manusia tetapi mulia di mata Allah ﷻ. Ternyata nasib Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mula berubah semenjak baginda ditempatkan di rumah Al-Aziz itu.

 

وَلِنُعَلِّمَهُ ۥ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ‌

dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’wil percakapan.

Kenapa Allah ﷻ ditempatkan di rumah menteri itu? Kerana Allah ﷻ hendak mengajar baginda tentang ilmu dunia. Baginda diberikan kelebihan untuk menilai dan memahami perkara yang kompleks dan susah difahami oleh manusia lain. Bukan sahaja dalam ta’bir mimpi tetapi dalam percakapan biasa juga dan segala yang terjadi di sekeliling baginda. Kelebihan ini diberikan melalui kebijaksanaan baginda. Akhirnya nanti, Allah ‎ﷻ hendak jadikan baginda sebagai menteri kewangan Mesir juga. Oleh itu baginda ditakdirkan supaya tinggal di rumah orang politik supaya baginda dapat belajar banyak perkara.

Kita kena tahu bahawa Mesir ketika itu adalah kerajaan yang tamadunnya paling tinggi ketika itu. Antaranya kita akan lihat kisah para wanita yang makan menggunakan pisau yang orang Melayu pun ramai tidak tahu guna. Oleh kerana itu baginda didedahkan dengan banyak perkara tentang negara kerana baginda akan dengar percakapan tuan rumahnya itu terutama kalau tuannya itu berbincang dengan pembesar-pembesar yang lain. Begitulah kalau seseorang itu duduk di rumah seorang nelayan, tentu dia dapat belajar menjadi nelayan juga, bukan? Mesir juga adalah tamadun yang paling maju ketika itu sampaikan raja-raja di tempat lain akan menghantar anak-anak mereka untuk belajar di Mesir.

Begitulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bergaul dengan pemimpin yang lain yang berbincang tentang perkara-perkara pemerintahan dan negara. Tentu baginda akan terdedah dengan perkara-perkara itu dan nanti baginda akan menjadi orang yang pandai dan faham tentang dunia dan hal politik. Baginda sendiri memang seorang yang bijak. Semua ini baginda mendapat ilham yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan ilmu dunia daripada pergaulannya. Maka baginda mendapat ilmu ramalan tepat dalam sesuatu perkara. Kedua-duanya baginda dapat.

Maka ini mengajar kita ilmu dunia pun diajar oleh Allah ﷻ menunjukkan kepentingannya. Jangan kita pandang hanya ilmu akhirat sahaja berguna. Kalau ia tidak penting, Allah ﷻ tidak ajar hal-hal dunia kepada kita. Namun Allah ﷻ mahu kita hidup di dunia ini dengan harmoni. Maka tidak salah kalau kita belajar ilmu psikologi, sosiologi, politik, kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya. Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar berbagai-bagai perkara tentang dunia. Baginda telah mendapat ilmu agama daripada ayahnya dan sekarang baginda belajar ilmu keduniaan dari persekitaran menteri itu. Maka ia mengajar juga bahawa bukan ilmu dunia sahaja penting, tetapi perlukan ada ilmu agama juga. Kerana ilmu dunia tanpa dipandu oleh ilmu akhirat akan menjadikan manusia yang rosak  yang menyalahgunakan ilmu yang dia ada kepada kerosakan. Sebagai contoh, ilmu tentang nuklear boleh menghasilkan tenaga elektrik yang boleh dimanfaatkan oleh manusia; namun di dalam masa yang sama, ilmu yang sama itu juga boleh membuat bom nuklear yang membinasakan manusia dengan teruk sekali.

 

وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمرِهِ

Dan Allahlah yang menang terhadap urusan-Nya,

Kalimah غالِبٌ bermaksud mengalahkan seseorang/sesuatu. Apa sahaja yang terjadi kepada baginda adalah dalam urusan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menyusun semua sekali walaupun kalau baginda tidak mahukannya. Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda. Allah ﷻ mengalahkan rancangan manusia kerana rancangan manusia tidak ada apa-apa. Sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak menyisihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jauh-jauh tetapi nanti mereka akan kembali. Mereka sangka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ entah merempat di mana-mana, sebaliknya Allah ﷻ tempatkan baginda di tempat yang mulia.

Bukan sahaja baginda, tetapi kita semua adalah dalam urusan Allah ‎ﷻ. Kita selalu merancang tetapi perancangan kita tidak semestinya menjadi kerana Allah ﷻ dapat mengalahkan perancangan kita. Kita boleh sahaja merancang, akan tetapi ingatlah bahawa ketentuan di tangan Allah ﷻ. Kita mungkin sangka sesuatu yang terjadi kepada kita itu sangat buruk, akan tetapi kita tidak pasti entah-entah ia adalah kebaikan untuk kita. Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekarang kita baca baginda menjadi hamba, tetapi dengan menjadi hamba itulah baginda belajar banyak perkara. Sampaikan nanti apabila baginda keluar dari penjara dan ditawarkan jawatan menjadi penasihat raja, baginda minta dijadikan menteri kewangan. Ini kerana baginda yakin yang dengan ilmu yang baginda ada, baginda boleh melakukannya.

Dengan ilmu yang baginda ada, baginda telah menyelamatkan negeri Mesir itu. Memang ayah baginda menitiskan air mata kerana kehilangan anaknya; akan tetapi dengan segala yang terjadi, baginda telah menyelamatkan entah berapa ribu ibu bapa daripada tidak menitiskan air mata kerana baginda telah menyelamatkan negeri itu daripada musibah ketiadaan makanan.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.

Namun ramai manusia yang tidak faham tentang perkara ini. Mereka mengeluh apabila ada masalah, mereka rasa Allah ﷻ tinggalkan mereka, mereka rasa mereka tidak disayangi oleh Allah ﷻ kalau mereka mendapat nasib yang malang. Mereka berusaha berbagai-berbagai perkara tetapi mereka jatuh semangat dan putus asa setelah rancangan mereka tidak berjaya. Ini adalah kerana mereka tidak meletakkan tawakal mereka kepada Allah ‎ﷻ. Tawakal itu bermaksud serahkan urusan kepada Allah ﷻ (setelah berusaha) dan menerima dengan redha ketentuan Allah ﷻ setelah itu.

Orang yang tidak beriman tidak dapat menerima kalau apa yang mereka rancangkan tidak menjadi. Mereka salahkan diri mereka, orang lain, keadaan, malah ada yang menyalahkan Allah ‎ﷻ. Inilah kesalahan manusia yang tidak beriman dengan qadha dan qadar Allah ﷻ.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini memberi semangat kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dikeluarkan dari tempat tinggalnya di Kana’an akan tetapi ditempatkan di negeri Mesir dan akhirnya berjaya. Begitulah nanti Rasulullah ﷺ dan para sahabat tidak lama selepas surah ini diturunkan akan terpaksa keluar dari tanah air mereka Mekah akan tetapi mereka akan ditempatkan di Madinah dan di situ mereka akan berjaya menegakkan negara Islam dan mengembangkan Islam ke serata dunia. Semuanya di dalam perancangan Allah ﷻ yang kita tidak tahu bagaimana ia akan berakhir.

 

Kuiz (10 soalan pendek – 2-3 ayat setiap satu)

  1. Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan redha beliau terhadap ketentuan Allah ﷻ setelah dijual sebagai hamba?
  2. Siapakah yang akhirnya memenangi bidaan untuk membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir, dan apakah pangkat beliau?
  3. Apakah dua kemungkinan tafsiran bagi frasa “مِن مِّصرَ” (dari Mesir) dalam konteks pembelian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  4. Mengapakah nama Mesir disebut secara spesifik dalam kisah ini, berbanding tempat asal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  5. Apakah yang dimaksudkan oleh Al-Aziz Mesir apabila beliau berkata kepada isterinya, “أَكرِمي مَثوىٰهُ” (Muliakanlah tempat tinggalnya)?
  6. Apakah tiga individu yang disebutkan dalam sumber sebagai ahli firasat atau mempunyai firasat yang tajam?
  7. Mengapakah Al-Aziz Mesir berminat untuk menjadikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai anak angkat, dan apakah amalan yang serupa dalam sejarah?
  8. Bagaimana Allah ‎ﷻ merancang kedudukan yang baik bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir, dan apakah tujuannya?
  9. Bagaimanakah ilmu dunia dan ilmu agama digambarkan dalam konteks pendidikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Apakah maksud “وَاللهُ غالِبٌ عَلىٰ أَمرِهِ” dan mengapa kebanyakan manusia tidak memahami konsep ini?

Glosari Istilah Utama

  • Al-Aziz Mesir: Pangkat atau gelaran bagi pembesar atau menteri utama di Mesir pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau adalah individu yang membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai hamba.
  • Qurtubi: Seorang ulama dan mufassir (pentafsir Al-Qur’an) terkenal, merujuk kepada Imam Al-Qurtubi.
  • Tafsir ibn Kathir: Sebuah karya tafsir Al-Qur’an yang masyhur, ditulis oleh Imam Ibnu Kathir.
  • Kana’an: Nama tempat asal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarganya, yang sering dikaitkan dengan Palestin kuno.
  • Ra’il binti Ra’abil / Zulaikha: Nama-nama yang disebutkan dalam riwayat sebagai isteri Al-Aziz Mesir. Sumber ini mengesyorkan tidak menggunakan nama Zulaikha kerana kesahihan riwayatnya tidak kuat dan karakternya negatif dalam kisah.
  • Firasat / Physiognomy: Ilmu atau kemahiran untuk menilai atau mentafsirkan perwatakan, karakter, atau nasib seseorang berdasarkan ciri-ciri fizikal luaran, terutamanya bentuk wajah. Dalam Islam, ia juga merujuk kepada ketajaman intuisi atau pandangan batin yang diberikan Allah ‎ﷻ.
  • Jumlah mu’taridah: Satu frasa atau klausa sisipan dalam ayat Al-Quran yang tidak mengubah makna utama ayat tetapi memberikan penjelasan atau penekanan tambahan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Overview Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 19 – 20 (Nabi Yusuf dijual)

NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DIJUAL SEBAGAI HAMBA

Yusuf Ayat 19: Ini adalah keadaan ke 4. Ia adalah berkenaan permulaan kepada perpindahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke Mesir. Ayat 18 sebelum ini adalah kali terakhir Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada di Kana’an, tempat kelahiran baginda. Sekarang kita di dalam babak di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang berada di dalam telaga dengan duduk di atas batu supaya tidak tenggelam. Kita akan baca bagaimana baginda akan dijumpai oleh kafilah dagang yang melalui kawasan itu. Dalam riwayat ada disebut yang adik beradik baginda masih ada berdekatan telaga itu. Mereka tetap tunggu untuk memerhatikan apa yang akan berlaku. Maknanya mereka bimbang juga – ada perasaan belas kepada adik mereka juga.

وَجآءَت سَيّارَةٌ فَأَرسَلوا وارِدَهُم فَأَدلىٰ دَلوَهُ ۖ قالَ يٰبُشرىٰ هٰذا غُلٰمٌ ۚ وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً ۚ وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there came a company of travelers; then they sent their water drawer, and he let down his bucket. He said, “Good news! Here is a boy.” And they concealed him, [taking him] as merchandise;¹ and Allāh was Knowing of what they did.

  • To be sold as a slave.

(MALAY)

Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir, lalu mereka menyuruh seorang pengambil air, maka dia menurunkan timbanya, dia berkata: “Oh; khabar gembira, ini seorang anak muda!” Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

 

وَجآءَت سَيّارَةٌ

Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir,

Sekarang lensa kisah ini (kalau kita bayangkan kisah ini seolah filem dalam fikiran kita) berubah ke dalam telaga pula. Harf و dalam وَجاءَت ini sebagai tanda permulaan episod yang baru. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang berada di dalam telaga itu dalam kegelapan dan tentu dalam kesejukan (berkemungkinan besar tidak berbaju juga kerana telah diambil oleh abang-abangnya dijadikan sebagai bukti kepada bapa mereka). Baginda tidak tahu apa yang terjadi selepas itu. Maka datanglah satu kelompok musafir pedagang setelah berapa hari pun kita tidak tahu. Beberapa ahli tafsir dan sejarawan Islam, berdasarkan riwayat-riwayat lain, menyebutkan bahawa kafilah ini berasal daripada kaum Madyan atau kaum Bani Ismail (Orang Arab). Mereka adalah pedagang-pedagang yang sering berdagang di laluan antara Syam (Palestin) dan Mesir.

Kalimah سَيّارَةٌ dalam ayat ini bukanlah kereta seperti yang digunakan dalam bahasa Arab moden, tetapi kafilah iaitu rombongan pedagang. Ia adalah rombongan perniagaan yang bermusafir dalam perdagangan yang bergerak dari satu tempat ke satu. Dalam perjalanan mereka, tentunya mereka mencari kawasan yang ada telaga yang dapat mereka mendapat bekalan air.

Mereka mungkin sudah tahu di kawasan itu ada satu telaga buta. Atau, ada juga pendapat yang mengatakan mereka tersesat sebenarnya dan setelah jalan punya jalan, terjumpalah telaga itu ketika mencari air. Adakah ia kebetulan? Mana ada kebetulan kerana semuanya di dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Seperti kata Albert Einstein: “God does not play dice with the universe”. Semua ini adalah perancangan halus Allah ‎ﷻ yang merancang kisah yang kita baca ini. Kita baca kisah ini setelah ia terjadi, bukan? Namun yang merancangnya adalah Allah ‎ﷻ untuk memberi pengajaran kepada kita. Allah ‎ﷻ lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Burooj:16

فَعّالٌ لِّما يُريدُ
Dia berbuat apa yang dikehendaki-Nya.

 

فَأَرسَلوا وارِدَهُم فَأَدلىٰ دَلوَهُ

lalu mereka mengutus pengambil air, maka dia menurunkan timbanya,

Mereka telah menghantar seseorang yang tugasnya mencari air untuk mencari air atau melihat-lihat kawasan itu. Kalimah وارِدَ daripada kata dasar و ر د yang mempunyai banyak makna. Antaranya berkaitan tempat air minum, orang yang mengambil air, yang sampai, yang memimpin. Kadang-kadang kita dengar ustaz cakap: “Telah warid kepada kita” maknanya telah sampai dalil kepada kita sama ada ayat Al-Qur’an, hadis atau riwayat. Jadi وارِدَ itu adalah orang yang berjalan di hadapan kafilah yang menjaga keperluan kafilah itu, antaranya untuk mendapatkan air. Apabila dia menemui perigi itu, maka dia turunkan timbanya. Dikatakan دَلوَهُ ‘timbanya’ kerana tidak ada timba di tempat itu kerana seperti kita telah sebut, telaga itu adalah telaga di perjalanan yang tidak ramai orang datang. Maka kena bawa timba sendiri.

Kalimah أَدلىٰ dalam ayat ini boleh ditafsirkan sebagai “menurunkan dengan perlahan” kerana makna linguistiknya merujuk kepada satu perbuatan yang memerlukan ketelitian dan kawalan. Perkataan أَدلىٰ berasal daripada kata (دَلْوٌ), yang bermaksud tali dan timba (baldi) yang digunakan untuk mengambil air dari perigi atau telaga. Apabila seseorang hendak mengambil air dari telaga yang dalam, mereka tidak akan menjatuhkan timba tersebut secara mendadak. Sebaliknya, mereka akan menurunkan timba itu dengan berhati-hati dan terkawal menggunakan tali, agar timba tidak pecah atau tersangkut, dan dapat mencedok air dengan sempurna di permukaan air. Oleh itu, kalimah أَدلىٰ secara linguistik menggambarkan seluruh proses yang teliti ini—iaitu perbuatan menurunkan timba ke dalam telaga secara perlahan dan terkawal, bukan sekadar menjatuhkannya. Penggunaan kalimah ini adalah bukti keindahan dan ketepatan bahasa Al-Quran. Allah ‎ﷻ tidak menggunakan perkataan lain seperti رَمَىٰ yang bermaksud “melemparkan” atau “mencampak”. Sekiranya kalimah itu digunakan, ia akan membawa makna yang kasar dan tidak teratur. Jadi jangan bayangkan timba itu dilemparkan ke dalam telaga sampai boleh menyebabkan terkena kepala Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula.

Apabila timba itu turun, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bergantung pada timba itu, dan ini mungkin atas arahan abang-abang baginda juga. Mereka sudah ajar baginda awal-awal lagi apa perlu dibuat kalau orang datang ke situ. Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ redha sahaja dengan apa yang terjadi dengannya kerana Allah ‎ﷻ sudah ilhamkan kepada baginda yang akhirnya nanti baginda akan mendapat kesenangan. Lagipun kalau baginda hendak lari pun, bagaimana dan ke mana? Sekiranya baginda berjumpa dengan orang yang kenal dengan baginda, tentu ini akan memalukan keluarga baginda juga. Oleh itu baginda sudah terima hakikat yang baginda memang tidak boleh pulang ke rumah. Bagaimana hendak pulang ke rumah lagi, sedangkan adik beradik sendiri tidak suka?

 

قالَ يٰبُشرىٰ هٰذا غُلٰمٌ

dia berkata: “Wah alangkah gembiranya, ini seorang anak muda!”

Orang yang menaikkan timba itu berkata: يا بُشرىٰ bermaksud dia terkejut dalam kegembiraan kerana bukan air yang naik tetapi seorang budak. Dia gembira kerana budak yang dia angkat dengan timba itu nampak elok benar. Memang tidak perlu diberitahu lagi yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah fseorang yang diberikan keindahan rupa bentuk. Jadi mungkin dia nampak peluang untuk menjual budak yang comel itu sebagai hamba.

Kalimah غُلٰمٌ merujuk kepada anak muda yang berusia antara 10 – 20 tahun. Memang ada pendapat yang mengatakan ketika kejadian ini baginda berusia 17 tahun. Akan tetapi ia tidak dapat dipastikan dengan dalil. Namun kalau berumur 17 tahun, sudah agak berusia dan takkanlah hanya disuruh menjaga barangan sahaja dan ditakuti dimakan serigala seperti disebut di dalam ayat yang lepas-lepas. Maka kerana itu Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ mengagak usia baginda ketika itu adalah 14 tahun. Kerana selepas peringkat غُلٰمٌ berlalu, digunakan istilah فتى bagi yang lebih berumur daripada غُلٰمٌ dan akhirnya setelah benar dewasa, digunakan istilah رجل bagi lelaki dewasa.

 

وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً

Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan. 

Kalimah أَسَرّوهُ bermaksud mereka cepat-cepat menyembunyikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana takut orang lain ambil. Ini seperti orang yang sorok barang curi, atau terjumpa barang bernilai kepunyaan orang lain. Mereka akan cepat-cepat sorok supaya orang lain tidak nampak mereka ambil barang itu. Mereka juga takut kalau-kalau ahli keluarga budak itu akan datang mencari atau tuannya datang (kerana mereka mungkin telah menganggap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai hamba kerana tidak berbaju).

Mereka menganggap baginda sebagai ضاعَةً (barang dagangan). Sampai 6 kali kalimah ini digunakan di dalam surah ini nanti. Maknanya zaman dahulu lagi sudah ada ‘perdagangan manusia’. Sekarang kita tahu dari dahulu lagi sudah ada aktiviti ini. Itu adalah kebiasaan pada zaman itu. Kalau ada dijumpai budak yang jauh daripada keluarganya, mereka akan tangkap dan jual. Pemerdagangan manusia memang telah lama dilakukan dan sampai sekarang pun masih berlaku. Bak kata dalam filem P. Ramlee,

Akan tetapi siapakah yang menyembunyikan? Adakah keseluruhan kafilah itu? Apabila digunakan kalimah وارِدَهُم, ia mungkin merujuk kepada pembantu kepada kafilah itu. وارِدَهُم itu adalah pekerja bawahan yang ditugaskan antaranya mencari air. Mereka bukanlah seorang sahaja menunjukkan bukanlah sebahagian daripada kafilah perdagangan itu tetapi hanya sebagai pekerja dan pembantu sahaja. Jadi mereka bukanlah orang yang kaya. Kerana itu di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ tambah kalimah وارِدَهُم sebagai satu karektor di dalam kisah ini kerana mereka itu penting di dalam jalan cerita. Jadi apabila mereka jumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka nampak peluang mereka untuk buat duit. Oleh itu, merekalah yang menyembunyikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada majikan mereka.

Lihat penggunaan kalimah ضٰعَةً yang digunakan. Ia daripada kata dasar ب ض ع yang kita telah sebut sebagai barang dagangan. Akan tetapi ia juga bermaksud bahagian yang dipotong daripada bahagian yang besar. Maka mereka ini mengambil bahagian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini sebagai barang mereka, dan bukan daripada keseluruhan barang dagangan kafilah itu. Menariknya kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah dipisahkan (dipotong) daripada keluarga baginda juga dan kali ini dipisahkan lagi. Begitulah yang berlaku apabila sudah hilang sifat belas kasihan kepada manusia. Mereka bukannya hendak cari siapa ibubapa budak itu tetapi terus fikir cara bagaimana hendak buat duit sahaja.

 

وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ tahu apa yang mereka lakukan, dan Allah ‎ﷻ akan tanya mereka tentang penculikan mereka itu. Begitulah kita semua akan ditanya nanti dengan apa yang kita lakukan. Mereka itu semua bersalah kerana mereka sama-sama bersubahat. Walaupun yang angkat itu seorang sahaja, tetapi yang lain bersetuju hendak buat apa yang mereka telah buat.

Ia juga merujuk kembali kepada perbuatan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ‎ﷻ juga Maha Tahu perbuatan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka telah melakukan satu perbuatan yang amat buruk sekali. Mereka sanggup membuang adik mereka sendiri untuk diambil oleh orang lain. Mereka buat itu hanya kerana hendak mendapatkan kasih ayah mereka.

Kisah apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi pujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ. Ketika surah ini diturunkan, mereka mendapat tentangan dan tekanan yang amat teruk daripada Musyrikin Mekah. Sudah semestinya mereka merasa amat hiba dan takut dengan apa yang sedang berlaku. Akan tetapi sekarang Allah ‎ﷻ beritahu bahawa apa sahaja yang terjadi kepada mereka itu adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ, bukannya Allah ‎ﷻ tidak tahu. Sebaliknya ia adalah sebagai ujian dan kelak sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan berada di atas, mereka juga akan berada di atas juga nanti. Orang lemah tidak semestinya sentiasa lemah sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi hamba yang akhirnya menjadi menteri kesayangan raja.

Mereka tidak sedar apa yang mereka sedang lakukan ini adalah rantaian peristiwa yang memberi kesan yang besar akhirnya nanti. Iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi orang yang menyelamatkan Mesir daripada kemarau dan membawa keseluruhan Bani Israil ke Mesir. Namu di sinilah permulaannya. Kalau kita bandingkan dengan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kisah baginda bermula dengan Firaun yang membuat keputusan membunuh anak-anak lelaki keturunan Bani Israil dan rantaian dari telah menyebabkan baginda dibawa terus ke istananya. Begitulah perancangan Allah ‎ﷻ.


 

Yusuf Ayat 20:

وَشَرَوهُ بِثَمَنِۭ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدُودَةٍ وَڪَانُواْ فِيهِ مِنَ ٱلزّٰهِدِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they sold him for a reduced price – a few dirhams – and they were, concerning him, of those content with little.

(MALAY)

Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja, dan mereka merasa cukup dalam hal ini.

 

وَشَرَوهُ بِثَمَنِۭ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدُودَةٍ

Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham yang boleh dikira,

Kalimah بَخسٍ bermaksud ‘sangat-sangat murah’. Murah sampaikan boleh dikatakan beri percuma sahaja. Macam barang bernilai RM10,000 tetapi dijual dengan harga RM100 sahaja. Contohnya kalau barang curi, orang yang curi itu tidak jual dengan mahal pun kerana dia hendakkan duit cepat dan dia tidak mahu orang banyak tanya. Orang kita kata ‘barang panas’. Ini juga kerana mereka tidak tahu kedudukan baginda dan kenabian baginda dan nilai baginda. Maka kerana itu mereka jual cepat-cepat.

Maksud دَراهِمَ مَعدودَةٍ adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Ada yang mengatakan bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijual dengan harga 20 dirham sahaja (menurut Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan juga dalam Bible). Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, orang Arab apabila berdagang dengan barang yang banyak, mereka akan timbang beratnya. Jikalau sedikit, mereka akan menggunakan cara kiraan. Oleh itu apabila disebut مَعدودَةٍ, ia bermaksud mereka menggunakan cara kiraan dan cara ini digunakan bagi nilai yang kurang daripada nilai 40. Jadi harga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika itu kurang daripada 40 dirham sahaja. Adakah bilangan ini sedikit? Tidaklah sedikit sangat kerana 20 dirham itu adalah hasil yang hanya didapati oleh para petani setelah bekerja dua tiga tahun. Jadi tidaklah sikit sangat akan tetapi kalau dibandingkan dengan harga sebenar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentulah tidak terbanding.

Jadi yang menjadi isu perbincangan adalah bagaimana manusia yang pentingkan wang, melihat segala-galanya sebagai komoditi untuk menambahkan kekayaan diri mereka. Mereka tidak fikir lagi tentang keselamatan manusia, kesusahan manusia. Yang menjual Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukannya hendak menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi hendak buat duit. Big Pharma pula membuat ubat bukannya hendak selamatkan manusia tetapi hendak buat duit di atas kesusahan orang. Mereka buat ubat itu murah sahaja tetapi mereka jual dengan mahal untuk buat keuntungan berganda-ganda. Mereka bukannya fikirkan orang yang sakit itu mampu beli atau tidak, yang penting boleh buat duit. Pembuat makanan pula, tidak kisahkan bahan yang mereka gunakan di dalam makanan segera itu sihat atau tidak, asalkan ia sedap di tekak manusia dan mereka buat untung. Jadi ini adalah isu kemanusiaan sebenarnya yang telah berlangsung turun temurun.

 

وَكانوا فيهِ مِنَ الزّٰهِدينَ

dan adalah mereka dalam hal ini termasuk orang-orang yang tidak berminat.

Kalimah الزّاهِدينَ bermaksud ambil sesuatu setakat ada sahaja. Ia daripada kata dasar yang sama juga datang kalimah ‘zuhud’ dan Zahid Hamidi iaitu ز ه د. Ia bermaksud melepaskan, mengelak, tidak mendambakan, kadar, bilangan, tidak berminat kerana nilai yang rendah, menilaikan sesuatu sebagai sedikit, tidak suka kepada sesuatu, bilangan yang sedikit, lembah yang hanya ada air yang sedikit. Kalau zuhud di dalam agama Islam, ia bermaksud seseorang yang yang tidak berminat dengan dunia, banyak berzikir kepada Allah ‎ﷻ sahaja dan hanya berminat kepada agama dan akhirat.

Apabila digunakan kalimah الزّاهِدينَ bagi mereka, ia bermaksud mereka tidak berminat dengan nilai yang mereka dapat dalam menjual Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya, mereka tidak kisah berapa harga mereka dapat kerana pada mereka, baginda tidak bernilai sangat bagi mereka. Nampak macam mereka tidak kisah dengan harta pula (dan bukankah sifat zuhud adalah sifat yang baik, bukan?). Namun sebenarnya, Allah ‎ﷻ perli mereka dalam ayat ini. Mereka menjual dengan murah itu kerana hendak cepat sahaja sebab mereka takut ditangkap sebenarnya, bukan kerana mereka pemurah. Mereka juga tidak tahu nilai sebenar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana itu mereka jual mur-mur sahaja.

Ada juga yang kata, abang-abang baginda yang jual dengan harga murah. Ini adalah pendapat Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Kisahnya, setelah mereka meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam telaga, mereka tidak pergi terus tetapi terus berada di tempat yang berdekatan sambil mengendap untuk melihat apa yang terjadi. Apabila mereka nampak ada orang mengangkat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari telaga itu, mereka cepat-cepat datang dan kata itu adalah hamba mereka yang selalu sahaja lari daripada mereka. Mereka sudah tidak mahu hendak simpan dia lagi dan mereka hendak jual sahaja dia dan kerana sudah tidak suka, mereka hendak menjualnya dengan harga yang murah sahaja. Ini kerana mereka kata malas hendak jaga lagi kerana selalu sahaja lari.

Maka mereka menjual dengan harga sangat murah kerana waktu itu mereka bukan berminat pada duit tetapi mereka berhajat untuk menghilangkan sahaja Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mereka. Mereka kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah hamba mereka kerana mereka tahu yang orang tidak akan beli orang merdeka. Dengan menjual harga murah begitu, maka hajat mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada pandangan ayah mereka tercapai. Tujuan mereka menghilangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah kerana mereka mahukan ayah mereka sayang kepada mereka, namun itu tidak berjaya. Nanti ayah mereka lebih benci terhadap mereka malah masih tetap sayang dan teringat-ingat kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun kisah ini tidak selari dengan kisah yang disebut di dalam Al-Qur’an. Di dalam Al-Qur’an, setelah mereka meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam telaga, mereka terus pergi kepada bapa mereka. Bagi mereka yang hendak jamakkan (gabungkan) dengan sumber Israiliyyat itu, mereka beri pendapat setelah mereka menipu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka buat alasan untuk pergi semula ke kawasan telaga itu. Sejujurnya kisah daripada Al-Qur’an lebih menenangkan hati. Lagi pun itulah tujuan Allah ‎ﷻ menceritakan kisah ini semula di dalam Al-Qur’an untuk memberi naratif yang sebenarnya.

Membaca kisah apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini memang menyayat hati kita; bagaimana seorang Nabi diperlakukan sedemikian rupa. Namun begitu tahukah anda yang kisah ini masih berjalan lagi? Berapa ramai kanak-kanak yang diculik daripada ibu bapa mereka setiap hari dan dipaksa menjadi hamba, diperah tenaga mereka di dalam berbagai pekerjaan (termasuk pelacuran) atau diambil organ mereka? Allah ‎ﷻ pilih seorang Nabi-Nya untuk mengalami kesusahan ini supaya kita menjadi cakna dengan isu ini dan melakukan apa yang kita boleh untuk mengelaknya daripada berlaku.

Sekian Ruku’ 2 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Kuiz (Soalan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Bagaimana keadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digambarkan di dalam telaga sebelum ditemui oleh kafilah?
  2. Siapakah “pengambil air” (وارِدَهُم) yang disebut dalam ayat 19, dan apakah tugas utamanya?
  3. Mengapakah kalimah “أَدلىٰ” (menurunkan dengan perlahan) digunakan untuk menggambarkan perbuatan menurunkan timba, dan bukan perkataan lain seperti “رَمَىٰ”?
  4. Apakah reaksi pengambil air apabila menemui Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam timba?
  5. Apakah yang dimaksudkan dengan “غُلٰمٌ” dalam konteks ayat ini, dan apakah anggaran usia Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada waktu itu?
  6. Mengapa kafilah itu menyembunyikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai “barang dagangan” (بِضٰعَةً)?
  7. Apakah kepentingan frasa “وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ” (Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan) dalam konteks ayat 19?
  8. Terangkan maksud “بِثَمَنٍ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدودَةٍ” berkaitan dengan penjualan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
  9. Bagaimanakah istilah “الزّٰهِدينَ” (orang-orang yang tidak berminat) digunakan dalam ayat 20, dan apakah maknanya dalam konteks penjualan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Apakah kaitan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dengan keadaan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat pada waktu Surah Yusuf diturunkan?

 

Glosari Istilah Utama

  • Kana’an: Tempat kelahiran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebuah wilayah purba di Timur Tengah.
  • Mesir: Negara tempat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipindahkan dan akhirnya menjadi menteri.
  • Kafilah: Rombongan pedagang atau musafir yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada kumpulan pedagang yang menemui Nabi Yusuf di telaga.
  • يا بُشرىٰ (Ya Bushra): Ungkapan kegembiraan atau “Oh, khabar gembira!”.
  • غُلٰمٌ (Ghulam): Anak muda atau remaja, biasanya berusia antara 10 hingga 20 tahun.
  • بِضٰعَةً (Bidha’ah): Barang dagangan atau komoditi yang diniagakan. Dalam kisah ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianggap sebagai barang dagangan.
  • الزّٰهِدينَ (Az-Zaahideen): Orang-orang yang tidak berminat, yang melepaskan, atau tidak mendambakan sesuatu. Dalam konteks ini, ia bermaksud mereka yang tidak kisah dengan harga murah yang diterima, bukan kerana zuhud tetapi kerana ingin cepat menyingkirkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau takut ditangkap.
  • Zuhud: Konsep dalam Islam yang merujuk kepada sikap tidak berminat terhadap dunia atau harta benda, dan lebih fokus kepada akhirat. Dalam ayat ini, penggunaannya adalah perli.
  • Ruku’: Pembahagian surah dalam Al-Qur’an yang selalunya menandakan satu unit makna atau tema.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 16 – 18 (Selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditinggal dalam telaga)

MEMALSUKAN KEMATIAN NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 16: Ini adalah kisah selepas mereka meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang kita akan baca bagaimana mereka melakukan helah terhadap ayah mereka.

وَجَآءُوٓ أَبَاهُم عِشَآءً يَبكُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they came to their father at night, weeping.

(MALAY)

Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di malam hari sambil menangis.

 

وَجَآءُوٓ أَبَاهُم عِشَآءً

Dan mereka datang kepada ayah mereka di malam hari 

Mereka pulang pada waktu malam berjumpa ayah mereka. Kebiasaannya mereka pulang pada waktu petang. Begitulah jikalau mereka kata pergi berkelah atau bermain pun, mestilah di siang hari, bukan? Akan tetapi mereka sengaja memilih untuk pulang pada waktu malam kerana takut jiran-jiran nampak tidak ada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan banyak pula persoalan yang timbul nanti. Lagi pun kalau orang berbuat jahat, mereka hendak menjaga air muka mereka juga supaya tidak nampak yang mereka sedang menipu. Mereka pun mungkin pertama kali buat benda jahat sebegini jadi mereka pun rasa malu juga. Mereka juga boleh membuat alasan seolah-olah mereka telah sibuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hilang sampai mereka balik lewat. Lagi satu, kalau sudah malam, sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Katakanlah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendesak mereka untuk patah balik dan mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka boleh membuat alasan tidak boleh keluar lagi kerana susah untuk mencari di waktu malam.

 

يَبكونَ

sambil menangis

Mereka mengadap ayah mereka sambil konon-konon menangis. Dalam istilah dipanggil ‘crocodile tears’, menangis yang dibuat-buat. Mereka hanya berlakon menangis, bukan betul-betul pun kerana semua tahu apa yang terjadi. Mereka memperlihatkan seakan-akan mereka kecewa dan sedih atas nasib yang dialami oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka meminta maaf atas apa yang telah menimpa Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sesuai dengan rancangan yang mereka buat. Maka ini mengajar kita jangan percaya kepada tangisan orang sangat kerana tangisan itu boleh dibuat-buat. Manusia akan cuba menggunakan emosi untuk menipu kita kerana umumnya emosi memainkan peranan di dalam membuat keputusan. Kita pun selalunya kalau orang menangis di hadapan kita pun, kita akan gelabah, bukan? Jangan. Jangan percaya sangat tangisan orang kerana anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun menipu dengan cara menangis. Nanti kita akan baca nanti tangisan isteri al-Aziz juga digunakan untuk menipu.

Ini adalah dalil hujah bagi kita untuk jangan terus percaya orang yang menangis. Ini kerana menangis boleh dibuat-buat. Orang bersalah pun boleh juga menangis. Anak-anak kecil kita pun selalu juga menggunakan modal menangis bukan untuk minta barang permainan? Jangan terkesan dengan tangisan orang.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka memang menangis dengan ikhlas kerana menyesal perbuatan mereka terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya mereka ada juga maruah dan walaupun telah melakukan kesalahan, mereka selepas itu telah menyesal.

Begitulah penipuan mereka yang entah kali ke berapa kita baca di dalam kisah mereka ini. Begitulah kalau sudah mula menipu maka akan terus menipu kerana penipuan seterusnya perlu untuk menutup penipuan yang pertama. Maka ini mengajar kita janganlah mula menipu kerana akan jadi masalah bertambah besar.


 

Yusuf Ayat 17: Perhatikan kata-kata mereka yang mengandungi pengajaran kepada kita.

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّا ذَهَبنَا نَستَبِقُ وَتَرَڪنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَـٰعِنَا فَأَڪَلَهُ ٱلذِّئبُ‌ۖ وَمَآ أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنَا وَلَو ڪُنَّا صَـٰدِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O our father, indeed we went racing each other and left Joseph with our possessions, and a wolf ate him. But you would not believe us, even if we were truthful.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala; dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَآ

Mereka berkata: “Wahai ayah kami,

Sekarang kita akan baca alasan dan tipu helah mereka. Mereka membuat cerita tipu kepada ayah mereka. Mereka sedang merayu-rayu dalam lakonan mereka.

 

إِنّا ذَهَبنا نَستَبِقُ

sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba

Mereka kata mereka berlumba lari sesama mereka. Atau lumba memanah dan ini tidaklah salah. Malah ulama’ di sini membincangkan hukum berlumba lari. Ia dibenarkan kerana ia bagus untuk kesihatan. Malah Rasulullah ﷺ sendiri berlumba lari dengan isterinya A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: “خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ، وَأَنَا جَارِيَةٌ لَمْ أَحْمِلْ اللَّحْمَ وَلَمْ أَبْدُنْ، فَقَالَ لِأَصْحَابِهِ: تَقَدَّمُوا، فَتَقَدَّمُوا، ثُمَّ قَالَ لِي: تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ، فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقْتُهُ، فَسَكَتَ عَنِّي. حَتَّى إِذَا حَمَلْتُ اللَّحْمَ وَبَدُنْتُ خَرَجْتُ مَعَهُ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ، فَقَالَ لِأَصْحَابِهِ: تَقَدَّمُوا، فَتَقَدَّمُوا، ثُمَّ قَالَ لِي: تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ، فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقَنِي، فَضَرَبَ عَلَى مَنْكِبِي، وَقَالَ: هَذِهِ بِتِلْكَ السَّبْقَةِ”
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: “Aku keluar bersama Nabi ﷺ dalam sebahagian perjalanannya. Pada ketika itu, aku masih seorang gadis yang belum berbadan berisi. Baginda berkata kepada para sahabat: ‘Berjalanlah di hadapan.’ Lalu mereka pun berjalan di hadapan. Kemudian baginda berkata kepadaku: ‘Mari, aku mahu berlumba lari denganmu.’ Maka aku pun berlumba lari dengannya dan aku berjaya mengalahkannya. Baginda diam sahaja mengenainya. Sehinggalah apabila aku sudah berbadan berisi, aku keluar lagi bersama baginda dalam sebahagian perjalanannya. Baginda berkata kepada para sahabat: ‘Berjalanlah di hadapan.’ Lalu mereka pun berjalan di hadapan. Kemudian baginda berkata kepadaku: ‘Mari, aku mahu berlumba lari denganmu.’ Maka aku pun berlumba lari dengannya, tetapi kali ini baginda mengalahkanku. Baginda lalu menepuk bahuku dan berkata: ‘Ini pembalasan bagi yang dahulu (kemenanganmu yang lalu).'”

Sunan Abu Dawud, hadith ini bernombor 2578. Para ulama hadith, termasuk Imam Al-Nawawi, Syeikh Syu’aib Al-Arna’ut, dan lain-lain, menilai hadith ini sebagai sahih

Jadi umumnya bersukan dan berlumba dibenarkan di dalam Islam, iaitu jika ia ada kebaikan. Asalkan tidak bertaruh kerana itu akan menjadi judi.

Atau, ayat ini juga boleh bermaksud mereka berlumba bekerja untuk melihat siapakah yang paling banyak dapat hasil.

 

وَتَرَكنا يوسُفَ عِندَ مَتٰعِنا

dan kami tinggalkan Yusuf di tempat barang-barang kami,

Semasa berlumba itu mereka meninggalkan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan barang mereka, mungkin untuk menjaganya. Mereka kata kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlalu muda, maka tidak ikut sekali berlumba atau ikut serta bekerja.

 

فَأَكَلَهُ الذِّئبُ

lalu dia dimakan serigala;

Mereka kata baginda dimakan dengan serigala yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga yang cakap sebelum ini. Ini kerana sebelum ini ayah mereka telah menyuarakan kebimbangan takut-takut Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimakan oleh serigala. Maka mereka menggunakan hujah yang sama juga. Malah ada pendapat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara tidak sengaja telah mengajar anak-anaknya itu menipu kerana sebut serigala sebelum ini.

Ini pun cerita yang tidak masuk akal sebenarnya. Kalau digunakan kalimah أَكَلَ ia bermaksud makan sampai habis. Kebiasaan serigala, ia tidak makan mangsa mereka sampai habis kerana memang tidak mampu pun mereka lakukan. Mungkin ini yang menyebabkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya dengan kisah mereka.

Oleh kerana penggunaan kalimah فَأَكَلَهُ الذِّئبُ sememangnya tidak sesuai disebut oleh mereka, sebaliknya yang sesuai adalah فَإفتَرَسَهُ الذِئبُ (serigala telah menerkamnya). Kerana selalunya serigala akan terkam dahulu, dan kemudian tarik mangsa itu ke tempat mereka dan mereka akan makan sikit-sikit. Ada yang mengatakan, sengaja Al-Qur’an menggunakan kalimah فَأَكَلَهُ الذِّئبُ yang juga kata-kata abang-abang itu kerana hendak menutup penipuan mereka. Mereka hendak kata memang serigala itu makan habis أَكَلَ dan bukan sahaja menerkam.

 

وَمَآ أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنَا

dan engkau sekali-kali tidak akan percaya kepada kami,

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya mendengar sahaja apa kisah tipu mereka itu. Mereka sendiri cakap yang baginda tidak percaya dengan kisah mereka. Mereka sendiri sudah ada rasa bersalah di dalam hati mereka. Mereka terus kata ayah mereka tentu tidak percaya. Mereka sendiri tahu yang kisah mereka itu tidak masuk akal. Mereka juga telah bersangka buruk dengan ayah mereka itu.

 

وَلَو كُنّا صٰدِقينَ

sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.

Mereka kata ayah mereka tidak akan percaya walaupun mereka cakap perkara yang benar. Lihat mereka gunakan لَو (jika) – bukan إنَّ (sesungguhnya). Memberi isyarat yang mereka memang menipu pun.

Ini adalah cara berhujah yang kotor. Cara ini dinamakan Poisoning the Well (Meracun Perigi). Ini adalah taktik di mana seseorang menyerang reputasi atau kredibiliti lawan terlebih dahulu sebelum perbincangan bermula. Dengan mengatakan, “Kamu bukan percaya pun,” pembicara sudah meletakkan pendengar dalam posisi yang tidak adil dan menjadikan apa sahaja yang akan dikatakan selepas itu tidak bermakna.

Atau ia boleh jadi hujah jenis Ad Hominem (Serangan Peribadi). Walaupun bukan serangan peribadi secara langsung, ayat tersebut masih termasuk dalam kategori ini kerana ia menyerang watak atau sikap pendengar (“kamu takkan percaya”) dan bukannya hujah yang bakal dibentangkan.

Jadi kalimah وَما أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنا وَلَو كُنّا صٰدِقينَ terlalu awak dikeluarkan oleh mereka. Ia menunjukkan yang mereka risau adalah tentang ayah mereka percaya atau tidak kepada mereka, bukannya tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mereka kata telah dimakan serigala itu. Jadi kata-kata seperti ini memberi isyarat akan orang yang menipu kerana orang menipu itu beriya-iya mahukan orang percaya kepada mereka kerana itu yang mereka risaukan. Orang yang bercakap benar, dia tidak risau orang percaya atau tidak kerana mereka sudah cakap perkara yang betul jadi kebenaran pasti akan terserlah juga nanti.


 

Yusuf Ayat 18: Inilah kesilapan dalam rancangan mereka. Sebelum ini mereka berkata sahaja, sekarang diberikan bukti.

قَمِيصِهِۦ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they brought upon his shirt false blood.¹ [Jacob] said, “Rather, your souls have enticed you to something, so patience is most fitting. And Allāh is the one sought for help against that which you describe.”

  • They had stained Joseph’s shirt with the blood of a lamb but had forgotten to tear it, thereby arousing their father’s suspicion.

(MALAY)

Mereka datang membawa baju gamisnya (yang berlumuran) dengan darah palsu. Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan”.

 

وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍ كَذِبٍ

Mereka datang membawa bajunya (yang berlumuran) dengan darah palsu.

Untuk membuktikan yang memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diserang dan dibunuh oleh serigala. Kalimah جاء asalnya bermaksud ‘datang’ akan tetapi apabila ada harf بِ yang mengikutinya, maka membawa maksud ‘bawa’. Mereka bawa baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak ada idea lain melainkan menggunakan semula kata-kata bapa mereka yang bimbang anaknya dibaham serigala. Jadi mereka guna sahaja hujah itu dan sebagai bukti, mereka bawakan baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berlumuran darah. Ini adalah kali pertama baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut dalam surah ini dan akan disebut lagi nanti. Kesemuanya terdapat tiga kali kisah baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebutkan di dalam surah ini. Tidaklah kita tahu jenama apa baju baginda itu.

Melalui susunan bahasa yang digunakan, ia lebih tepat diterjemahkan: ‘mereka bawa darah yang diletakkan di atas baju’. Ini kerana harf بِ diletakkan pada darah itu بِدَمٍ. Jadi mereka bawa darah atau mereka baju sebenarnya? Mereka bawa darah sebenarnya akan tetapi di dalam ayat ini, disebut baju dahulu dan bukannya darah. Jadi ini adalah hujah mereka apabila ayah mereka tidak percaya kepada mereka. Tadi telah mereka katakan ayah tentu tidak percaya, jadi sekarang nah lihat baju ini, ada darah. Mereka yang mengusungkan baju itu sebagai bukti, bukannya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta. Kerana yang masuk akal adalah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mesti akan tanya di manakah jenazah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan?

Akan tetapi baju itu disebut dahulu menunjukkan kepentingannya pada kisah ini. Kerana itu ia diletakkan di awal ayat. Mana mereka dapat baju itu kalau tidak bukan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri? Maknanya mereka telah meninggalkan baginda tanpa baju! Sudahlah mereka buat apa yang mereka itu, ditambah pula dengan memalukan baginda pula. Bayangkan baginda tentu seorang yang sopan santun dan menjaga maruah dirinya di hadapan orang dan diambil baju! Orang yang ada maruah diri tidak berjalan atau menayang tubuh badan mereka. Itulah mereka yang telah hilang akal sekarang kerana manusia senang sahaja tidak berbaju di khalayak ramai seperti di pantai. Mereka bukan seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang pemalu orangnya dan menjaga maruah dirinya namun malang sekali apabila abang-abangnya sendiri yang sepatutnya melindunginya telah mencarik maruah baginda.

Kalimah كَذِبٍ ini bukan pada darah itu sahaja akan tetapi pada keseluruhan kisah mereka dan perbuatan mereka. Mereka telah melakukan penipuan yang banyak tanpa segan silu lagi. Mereka tipu dan terus menipu lagi bertalu-talu. Begitulah apabila sudah mula menipu. Mereka terpaksa terus menipu kerana sudah mula menipu dari mula.

Kalimat بِدَمٍ كَذِبٍ (dengan darah tipu) inilah kesilapan dalam kisah mereka. Kalaulah benar serigala menyerang dan memakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentulah baju itu koyak, bukan? Namun tidak disebut dalam ayat ini yang baju itu koyak, cuma ada ‘darah tipu’. Maknanya, mereka mengambil darah binatang lain dan mereka lumurkan darah binatang pada baju itu. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak keadaan baju itu dan baginda sudah tahu apa yang telah terjadi. Abang-abang itu buat kerja tidak kemas, orang kata. Takkan serigala larikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sempat pula membuka baju baginda pula.

Maka ayat ini menjadi dalil dan hujah bagi para Qadi untuk pandai melihat dan meneliti bukti-bukti yang ada di dalam menentukan kes-kes yang sampai kepada mereka. Ini kerana ia boleh membantu untuk mencari kebenaran.

Menurut riwayat yang diceritakan oleh Mujahid, As-Saddi, serta lain-lainnya yang bukan hanya seorang, malah saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menangkap seekor kambing muda, lalu mereka sembelih, dan darahnya mereka lumurkan ke baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai bukti bahawa inilah baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah dimangsa oleh serigala, dan padanya terdapat bekas-bekas darahnya. Akan tetapi, mereka lupa merobek baju itu. Kerana itulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya kepada bukti yang diajukan kepadanya itu. Bahkan baginda menyindir mereka yang telah menipunya seperti disebut di dalam potongan ayat selepas ini.

Walaupun banyak tafsir yang menyebut abang-abang itu terlupa mengoyakkan baju itu sebelum dilumur dengan darah, akan tetapi Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ tidak bersetuju dengan pendapat ini. Memang tidak disebut pun di dalam ayat Al-Qur’an kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mempercayai dakwaan dan helah abang-abang itu. Tidak ada disebut apakah benda yang menyebabkan baginda tidak percaya akan tetapi bagi Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ, ia bukanlah kerana tidak dikoyak baju itu dahulu. Kerana sukar diterima akal yang abang-abangnya yang 10 orang itu tidak terfikir untuk mengoyak baju itu dahulu. Mungkin ada perkara lain yang kita tidak dapat pastikan disebabkan penipuan amat sukar dilakukan kerana semua kena tutup. Kalau kita lihat rancangan TV tentang penyiasatan pun, kita boleh lihat sehebat mana sekalipun penjenayah cuba menutup bukti akan tetapi ada sahaja hero yang boleh nampak benda-benda kecil macam rambut, pasir tanah, benang dan sebagainya. Jadi mungkin ada perkara yang menyebabkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pasti ada sesuatu yang tidak sepatutnya dan itulah yang meyakinkan baginda.

Jadi kalau kita hendak senaraikan beberapa kemungkinan kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya kepada dakwaan mereka itu adalah:

1. Bukti yang bercanggah dan tidak kemas.
2. Baginda sudah tahu mereka itu tidak sukakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang boleh menyebabkan mereka melakukan sesuatu yang buruk terhadap baginda.
3. Mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baginda telah ceritakan di permulaan kisah ini. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mentafsir mimpi itu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan dipilih menjadi Nabi dan akan mendapat penghujung yang istimewa. Takkan mimpi itu tidak benar pula? Apabila janji Allah ‎ﷻ telah diberikan dan kalau dibandingkan dengan dakwaan anak-anaknya itu, baginda lebih memilih janji Allah ‎ﷻ yang pasti Allah ‎ﷻ akan tunaikan.

Maka kita mestilah menjadi seperti Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang percaya kepada janji Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ﷻ berfirman yang Dia akan bantu orang Mukmin, maka kita kenalah percaya kerana bantuan itu pasti datang, kalau tidak cepat, lambat. Kalau Allah ﷻ berjanji memberi jalan keluar daripada masalah kepada orang Mukmin, percayalah juga. Malah banyak lagi keyakinan kepada janji-janji Allah ﷻ yang kita kena tanam dalam diri kita. Orang mungkin bercakap macam-macam, tetapi jangan hiraukan kata-kata manusia. Sebagai contoh, mungkin ada orang yang pujuk kita terima rasuah untuk hidup senang. Namun kita tahu ia adalah berdosa dan kita pun yakin dengan janji Allah ﷻ memberi rezeki kepada manusia, maka jangan kita hiraukan dan termakan pujukan sebegitu.

 

قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا

Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; 

Maka terbukalah sudah rahsia mereka. Adakah baginda percaya kata-kata abang-abang itu? Tidak dan ia terletak pada kalimah بَل yang bermaksud ‘tidaklah’… Di sini kita boleh lihat kawalan emosi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dipandu oleh kedudukan nubuwwat. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak melenting tetapi baginda kata yang nafsu mereka telah membisikkan kepada mereka untuk membuat rancangan yang tidak baik dan menampakkan ia baik pada pandangan mereka.

Kalimah سَوَّلَت daripada س و ل yang bermaksud ditipu, diajak, dipujuk. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu mereka yang diri mereka telah mengajak dan memujuk mereka melakukan perkara yang terkutuk itu. Mereka telah termakan dengan pujukan nafsu mereka sendiri dan tentunya dibantu dengan bisikan syaitan.

Satu lagi maksud سَوَّلَت adalah memandang ringan perbuatan mereka itu sedangkan ia adalah besar sekali! Oleh itu, perbuatan taswil adalah menganggap sesuatu itu ringan sahaja, tidak kisah sangat kalau dilakukan. Macam kadang-kadang apabila kita sangka dosa itu kecil, kita tidak kisah untuk melakukannya. Ini adalah kerana syaitan telah menjadikan benda yang berat nampak ringan sahaja. Begitulah alasan yang biasa digunakan oleh pembuat dosa sebagai penyedap hati mereka – “Alaa, bukan teruk sangat pun….orang lain buat lagi teruk…” Begitulah juga hujah ahli bid’ah yang mengatakan amalan mereka baik. Ini kerana ia telah dinampakkan baik oleh syaitan. Begitulah apabila tidak dipandu oleh ilmu wahyu sampaikan manusia sanggup melakukan perkara ikut nafsu.

Kalimat ini digunakan sekali lagi di dalam ayat 83, iaitu apabila Bunyamin ditahan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir nanti dan abang-abangnya memberitahu kepada baginda akan hal itu.

قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا ۖ فَصَبرٌ جَميلٌ ۖ عَسَى اللهُ أَن يَأتِيَني بِهِم جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ
Ya’qub berkata: “Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

Perhatikan penggunaan kalimat بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا yang disebut oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam kedua-dua insiden ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengagak sahaja. Di dalam ayat 18 ini, baginda benar akan tetapi di dalam ayat 83, memang anak-anaknya itu berkata benar tetapi baginda gunakan kalimat yang sama juga. Ini mengajar kita yang agakan kita mungkin salah, kerana kita lihatlah seorang Nabi pun boleh tersilap agak kerana ia adalah pendapat peribadi, berdasarkan penilaian sendiri yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Kadangkala kita yakin sungguh penilaian kita benar, bukan? Namun janganlah kita yakin 100% kerana tidak mungkin kita akan tahu segalanya dan boleh buat andaian yang tepat setiap kali. Jadi jangan kita taksub sangat dengan pendapat dan pegangan kita, tetapi bukalah hati kita kepada kebarangkalian orang lain pun benar dan kita tersilap.

 

فَصَبرٌ جَميلٌ

maka kesabaranlah yang baik

Allah ‎ﷻ berikan wahyu kepada baginda, sekadar itu sahaja perlu baginda respon, selebihnya kena bersabar. Sememangnya baginda telah bersabar sungguh kerana baginda tidak bertanya pun mana Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beginilah pendapat sesetengah ahli tafsir. Ini kerana baginda sedar yang baginda kena terima sahaja yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah hilang. Tidak ada gunanya marah mereka dan minta mereka membawa pulang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.‎ Maka apa yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh buat adalah bersabar sahaja. Tidak guna bercakap dengan mereka lagi.

Akan tetapi agar sukar menerima pendapat ini. Kerana takkan baginda biarkan begitu sahaja tanpa bertanya. Jadi kita boleh sahaja terima pendapat yang mengatakan baginda bersabar ini setelah melakukan usaha untuk mendapatkan kebenaran dan menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Cuma setelah tidak berjaya, barulah baginda bersabar.

Maksud صَبرٌ جَميلٌ adalah kesabaran tanpa rungutan kepada selain Allah ‎ﷻ. Perbezaan utama antara صَبرٌ جَميلٌ (sabr jamil) dan sabar yang biasa terletak pada ketiadaan keluhan dan ketenangan hati yang penuh tawakal. Sabar yang biasa adalah peringkat pertama kesabaran. Ia adalah keupayaan untuk menahan diri daripada mengeluh, marah, atau panik ketika berhadapan dengan musibah atau kesulitan. Seseorang yang sabar menahan emosinya dan tidak melakukan perkara yang dilarang seperti meratap, merosakkan barang, atau menyalahkan takdir. Namun, صَبرٌ جَميلٌ (Sabar yang Indah) adalah tahap kesabaran yang lebih tinggi dan lebih sempurna. Ia bukan sekadar menahan diri, tetapi ia adalah kesabaran tanpa sebarang keluhan sama sekali. Seseorang yang mempunyai sabrun jamil tidak hanya menahan diri daripada mengeluh di hadapan orang ramai, tetapi juga tidak mengeluh kepada dirinya sendiri atau kepada sesiapa pun selain daripada Allah ‎ﷻ. Jadi kalau sabar tetapi masih lagi memuatnaik status di FB dan Thread, ia bukanlah sabar jenis ini.

Apa yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah perkara yang mengejutkan sekali kerana bukan senang bersabar dalam perkara seperti ini. Ini menunjukkan kebijaksanaan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang Nabi kerana baginda tahu tidak ada gunanya marah mereka pada waktu itu – semuanya ada dalam takdir dan baginda kena bersabar sahaja. Memang berat perkara yang terjadi itu, kerana penculikan dan buang adik sendiri bukan perkara kecil, namun baginda bersabar sahaja.

Perlu diingatkan yang marah adalah sifat semulajadi. Ia datang dan pergi dengan sendiri setelah sesuatu berlaku ke atas kita. Kita tidak boleh kawal perkara itu. Cuma, bagi orang mukmin, mereka boleh kawal marah mereka. Marah itu datang sahaja, mereka cepat-cepat sedar dan bersabar dan tidak meneruskan kemarahan itu. Ini adalah salah satu daripada nasihat Rasulullah ﷺ seperti disusun di dalam Hadith 40 Imam Nawawi,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ
رَوَاهُ البُخَارِي
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ, “Berilah aku wasiat.” Baginda menjawab, “Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulang-ulang permintaannya, (namun) Nabi ﷺ (terus) menjawab, “Janganlah engkau marah.”

(HR. Bukhari No. 6116)

Kata ar-Razi رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitab tafsirnya tentang maksud صَبرٌ جَميلٌ:

“Rintihan jiwa kerana beratnya cubaan dapat sahaja menyebabkan keluarnya rintihan, kerana tak tahan. Tetapi rohani yang lebih dalam selalu mengajak dan memberi ingat supaya sabar dan rela menerima. Hal yang demikian menyebabkan di antara nafsu dengan roh terjadi perselisihan ataupun perang dalam batin. Kalau rintihan jiwa itu dapat diatasi, sehingga roh yang terlatih itu yang menang, selamatlah diri; kalau tidak, diri boleh hancur. Oleh sebab itu Allahlah yang akan sanggup menolong dalam hal yang seperti itu.”

Menurut ar-Razi رَحِمَهُ اللَّهُ, untuk mendapat صَبرٌ جَميلٌ adalah dengan cara:

1. Sedar bahawa apa sahaja yang terjadi adalah dengan kehendak Allah ‎ﷻ, maka hati kena serahkan urusan kepada Allah ‎ﷻ.
2. Yang kita serahkan urusan itu (Allah ‎ﷻ) adalah lebih baik daripada kita. Allah ‎ﷻ lebih pandai, lebih sayang, lebih adil dalam segala hal. Kita mungkin ada sifat-sifat itu tetapi tidak setinggi Allah ‎ﷻ.
3. Sedar bahawa sabar jenis ini boleh membawa kepada pengakhiran yang baik dengan izin Allah ‎ﷻ.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar yang indah kerana hendak menjaga iman baginda. Kalau kita hilang sabar, kita sebenarnya hilang iman ketika itu. Memang ketika itu baginda berhadapan dengan perkara yang buruk tetapi baginda ada janji yang indah daripada Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam ayat 6,

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰٓ آلِ يَعقوبَ
dan akan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub

Kalau ada صَبرٌ جَميلٌ, tentu juga ada صَبرٌ  yang tidak جَميلٌ. Ini adalah orang yang nampak bersabar pada luarannya, tidak melakukan apa-apa, tetapi di dalam hatinya menyimpan dendam kesumat dan segala emosi yang buruk-buruk. Begitulah kalau ayah lain sudah mengamuk gila agaknya. Di negara kita pun ada banyak kejadian ini (culik dari rumah, dari pusat beli belah). Kita pun tidak dapat membayangkan kalau terjadi pada diri kita sendiri, kalau anak kita sendiri yang diculik – bayangkan kalau kita dengar maklumat NURIN alert tu, kita sudah risau sangat dan terbayang perasaan kita kalau anak kita sendiri jadi begitu. Memang menakutkan sekali, bukan? Kita amat takut membaca kisah-kisah culik sebegini kerana kita pun tahu ramai kanak-kanak itu dijadikan sebagai hamba, hamba seks, diambil organ mereka dan sebagainya. Sampaikan kita tidak sanggup hendak membaca berita pun kalau ada kisah itu kerana budak itu tidak bersalah, bukan? Samalah juga kisahnya di sini, bukankah Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dijual sebagai hamba?

Namun sekarang kita belajar bagaimana seorang Nabi yang kehilangan anaknya dapat bersabar. Adakah baginda tidak rasa apa-apa? Tentu ada! Akan tetapi baginda dipandu oleh صَبرٌ جَميلٌ. Oleh itu, kalimat فَصَبرٌ جَميلٌ bermaksud sabar yang tidak ada rungutan. Ini kerana kalau merungut, itu bukan sabar namanya. Begitulah tindakan kita kena dipandu oleh iman dan redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Jangan hilang sabar kerana sememangnya hilang sabar adalah bahaya kerana ada manusia yang boleh tergelincir akidah mereka apabila ditimpa musibah yang besar-besar begini. Sampai yang ada tertanya: “Kenapa Allah ‎jadikan ini?” Ini amat bahaya sekali kerana akidah kita pun boleh tergugat kerana mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ lakukan.

Dengan kata lain, baginda akan bersabar dengan kesabaran yang baik atas musibah ini yang anak-anaknya telah sepakat untuk menimpakannya kepada baginda, sehingga Allah ‎ﷻ memberikan jalan keluar di hujung nanti berkat pertolongan dan kasih sayang-Nya. Baginda tidak tahu di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sama ada hidup atau sudah tiada kerana ia bukanlah pengetahuan yang diberikan kepada baginda. Ini adalah hujah untuk Dakwa Pertama surah ini: kesabaran Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mengetahui akan perkara ghaib.

Adakah sabar ini satu sifat yang lemah? Mungkin ada orang kata seseorang itu sabar kerana tidak boleh buat apa-apa kerana lemah. Tidak sama sekali. Orang bersabarlah orang yang kuat. Kerana mereka kuat sampai dapat mengawal emosi mereka yang bukan semua orang boleh lakukan.

 

وَاللهُ المُستَعانُ عَلىٰ ما تَصِفونَ

Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu sifatkan itu”.

Kalimat اللَّهُ المُستَعانُ bermaksud Allah ‎ﷻlah sahaja tempat kita mendapatkan pertolongan dan tempat kita berharap. Mungkin ada pernah dengar orang selalu cakap: Allahu musta’an. Kalimah المُستَعانُ ini sama sahaja kata dasarnya dengan ayat yang semua orang tahu daripada Fatihah:5,

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Ia daripada kata dasar ع و ن yang bermaksud membantu, menolong. Akan tetapi penggunaannya adalah apabila seseorang meminta tolong, dia usaha dulu. Dia telah melakukan apa yang dia boleh. Sebagai contoh, kalau kereta saya tayar pancit, maka saya akan cuba dulu untuk buat sendiri. Apabila tidak boleh, barulah saya minta tolong orang lain. Namun apabila sudah minta tolong pun, tidaklah saya duduk dalam kereta sahaja tetapi saya pun buat sama-sama. Maka di sini ada isyarat yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melakukan apa sahaja yang baginda boleh buat. Mungkin baginda sendiri sudah keluar mencari, baginda pun sudah memaksa anak-anaknya itu beritahu di mana tempat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mereka tinggalkan, dan macam-macam lagi. Tidak disebut di dalam ayat yang ringkas ini tetapi kita boleh agak daripada kalimah المُستَعانُ yang baginda gunakan.

Akhirnya setelah anak-anaknya tetap tegar memberi berbagai-bagai hujah dan helah, barulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar sahaja dan serahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi kebaikan. Ini kerana apa-apa yang terjadi itu ada hikmah yang Allah ‎ ﷻ hendak berikan, tetapi kita sahaja yang tidak nampak. Baginda hanya dapat berharap sahaja. Sekarang baginda serahkan urusan itu kepada Allah ‎ﷻ kerana baginda sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Sehubungan dengan hal ini Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan hadith A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dalam kisah tuduhan palsu yang ditujukan terhadap dirinya,

…قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “أَمَّا بَعْدُ يَا عَائِشَةُ، فَإِنَّهُ قَدْ بَلَغَنِي عَنْكِ كَذَا وَكَذَا، فَإِنْ كُنْتِ بَرِيئَةً فَسَيُبَرِّئُكِ اللَّهُ، وَإِنْ كُنْتِ أَلْمَمْتِ بِذَنْبٍ فَاسْتَغْفِرِي اللَّهَ وَتُوبِي إِلَيْهِ، فَإِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ، تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ.” قَالَتْ: فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَقَالَتَهُ، قَلَصَ دَمْعِي حَتَّى مَا أُحِسُّ مِنْهُ قَطْرَةً، فَقُلْتُ لِأَبِي: “أَجِبْ عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِيمَا قَالَ.” قَالَ: “وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.” فَقُلْتُ لِأُمِّي: “أَجِيبِي عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.” قَالَتْ: “وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.” فَقُلْتُ أَنَا: “وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُ لَقَدْ سَمِعْتُمْ هَذَا الْحَدِيثَ حَتَّى اسْتَقَرَّ فِي أَنْفُسِكُمْ وَصَدَّقْتُمْ بِهِ، وَلَئِنْ قُلْتُ لَكُمْ إِنِّي بَرِيئَةٌ لَا تُصَدِّقُونِي، وَلَئِنِ اعْتَرَفْتُ لَكُمْ بِأَمْرٍ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَنِّي مِنْهُ بَرِيئَةٌ لَتُصَدِّقُنِي، فَوَاللَّهِ لَا أَجِدُ لَكُمْ مَثَلاً إِلاَّ أَبَا يُوسُفَ حِينَ قَالَ: فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ.”
Rasulullah ﷺ bersabda: “Amma ba’du, wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentangmu seperti ini dan ini. Jika engkau suci, Allah akan membersihkanmu. Dan jika engkau melakukan dosa, maka mintalah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya, kerana seorang hamba apabila mengakui dosanya lalu bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya.” Aisyah berkata: “Ketika Rasulullah ﷺ selesai berbicara, air mataku kering hingga aku tidak merasakan setitik pun air mata. Aku berkata kepada ayahku (Abu Bakar): ‘Jawablah Rasulullah ﷺ bagiku tentang apa yang beliau katakan.’ Ayahku berkata: ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepada Rasulullah ﷺ.’ Lalu aku berkata kepada ibuku: ‘Jawablah Rasulullah ﷺ bagiku.’ Ibuku berkata: ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepada Rasulullah ﷺ.’ “Lalu aku berkata (sendiri): ‘Demi Allah, aku tahu bahawa kalian telah mendengar berita ini sehingga ia telah berbekas di hati kalian dan kalian telah membenarkannya. Jika aku katakan bahawa aku suci, kalian tidak akan percaya kepadaku. Dan jika aku mengakui sesuatu yang Allah tahu bahawa aku suci daripadanya, nescaya kalian akan mempercayaiku. Maka, demi Allah aku tidak mendapati perumpamaan yang lebih sesuai bagi kalian melainkan seperti kata-kata ayah Yusuf ketika dia berkata: “Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaran yang terbaik). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan (Yusuf:18).”

Sahih al-Bukhari Nombor Hadith: 4141, 4142, 4143, 4144, 4145, 4146. Sahih Muslim Nombor Hadith: 2770.

Kalimah تَصِفونَ daripada kata dasar و ص ف yang bermaksud huraikan, menekankan sesuatu sebagai fakta, menganggap, nyatakan. Ia bermaksud menjelaskan sesuatu akan tetapi di dalam Al-Qur’an ia bermaksud menipu dan reka sesuatu dengan terperinci. Sebagai contoh digunakan di dalam Zukhruf:82

سُبحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ
Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, – Tuhan yang mempunyai Arasy (yang melambangkan kebesarannya), – (Maha Sucilah Dia) daripada apa yang mereka katakan itu.

Ayat ini menyebut tentang golongan musyrikin yang apabila mereka reka ilah-ilah mereka, mereka buat bermacam-macam sifat dan cerita. Macam tuhan Yunani dan tuhan-tuhan Hindu. Kalau kita baca tentang sejarah dan siapa tuhan-tuhan mereka itu, bermacam-macam kisah tentang keluarga, sejarah mereka, apa terjadi dengan mereka, kuasa mereka, mereka berperang dengan siapa dan bermacam-macam lagi. Semua itu rekaan sahaja, bukan betul tetapi punyalah rajin mereka reka benda itu. Maka begitulah apa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cakap tentang rekaan cerita abang-abang itu tentang apa yang telah terjadi dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itu rekaan terperinci mereka sahaja.

Sekian bahagian yang menceritakan pertelingkahan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan anak-anaknya. Jangan kita sangka yang ia adalah pendek seperti dalam ayat ini sahaja. Berkemungkinan ia berlarutan berjam-jam lamanya di mana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaksa mereka memberitahu kejadian yang sebenar. Akan tetapi mereka tetap juga tidak berganjak dan berterusan menipu ayah mereka. Mereka kena buat begitu kerana mereka hendak menunjukkan mereka budak baik, bukan? Bukankah mereka hendak ayah mereka sayang mereka? Jadi takkan mereka akan mengaku punya kerana kalau mengaku, mereka nampak buruklah.

Namun begitu bagaimanakah hubungan baginda dengan anak-anaknya selepas itu? Adakah baginda menghalau mereka, atau tidak bercakap lagi dengan mereka? Tentu tidak kerana baginda ada صَبرٌ جَميلٌ. Sebagaimana seorang petani kena bersabar dengan tanamannya dan seorang guru kena bersabar dengan anak muridnya, maka seorang ayah kenalah bersabar dengan karenah anak-anaknya. Mereka itu masih anak-anaknya, bukan? Takkan hendak tinggalkan begitu sahaja. Sekiranya baginda menghalau mereka, tentu mereka akan menjadi lebih teruk lagi. Sepertimana ada ramai bapa yang menghalau anak keluar rumah, berkawan pula dengan penjenayah dan keadaan menjadi lebih teruk. Kita yang sedang baca kisah ini setakat ini pasti akan mengagak yang anak-anak itu tidak akan berjaya dan tidak akan menjadi baik. Namun di hujung nanti (spoiler alert) mereka menyesali kesalahan mereka dan menjadi orang yang benar-benar beriman.

Adakah mereka layak mendapat perlakuan seperti itu? Tentu tidak! Namun baginda didik mereka bukan kerana mereka baik, tetapi kerana itulah perkara yang sepatutnya dilakukan. Jadi kita kena faham perkara ini. Sebagai contoh, kita buat baik kepada ibu bapa kita walaupun mereka itu zalim, kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Begitu juga kita berbaik dengan adik beradik kita pun begitu juga. Kerana Allah ‎ﷻ suruh kita menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga. Kalau ada pekerja kita buat salah pun, mungkin kita potong gaji dia tetapi tidaklah kita sampai memburukkan dia atau pukul dia, kerana itu adalah salah. Jangan ada mentaliti: ‘Oleh kerana kamu telah buat salah kepada aku, maka aku akan buat salah kepada kamu juga.’ Bagaikan kata pepatah: “Tidak perlu menjadi ular untuk selamat daripada gigitan ular.” Maka ada banyak perkara yang kita boleh belajar dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.

Glosari Istilah Penting

  • Crocodile tears (Tangisan Buatan): Ungkapan yang merujuk kepada tangisan palsu, yang dibuat-buat tanpa perasaan sedih yang sebenar, selalunya untuk tujuan manipulasi.
  • Poisoning the Well (Meracun Perigi): Taktik retorik di mana seseorang menyerang reputasi atau kredibiliti lawan terlebih dahulu sebelum perbincangan bermula, dengan tujuan untuk menyebabkan pendengar menolak hujah lawan.
  • Ad Hominem (Serangan Peribadi): Taktik di mana seseorang menyerang watak, motif, atau atribut peribadi lawan dan bukannya hujah yang dibentangkan.
  • بَل (Bal): Kata hubung bahasa Arab yang bermaksud “tidaklah”, “sebaliknya”, atau “tetapi”. Menunjukkan penolakan terhadap kenyataan sebelumnya.
  • Taswil: Perbuatan menganggap sesuatu (terutama dosa) itu ringan sahaja atau memperlihatkannya sebagai baik, sedangkan ia adalah perkara buruk.
  • نبووت (Nubuwwat): Kenabian; merujuk kepada sifat seorang Nabi.
  • تَوَكَّل (Tawakkal): Bergantung sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ, menyerahkan segala urusan kepada-Nya.
  • Silaturrahim: Hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dalam Islam, yang perlu dijaga dan diperkukuh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)