Tafsir Surah Baqarah Ayat 97 – 98 (Hukum memusuhi malaikat)

MENOLAK KEBENARAN

Baqarah Ayat 97: Allah ‎ﷻ menceritakan kesamaran-kesamaran yang ada pada Yahudi yang menghalang mereka mendekati ajaran dan arahan Al-Qur’an. Kalau hilang kesamaran-kesamaran itu, mungkin mereka boleh masuk Islam. Sebenarnya ia adalah alasan bodoh sahaja.

Macam juga orang kita yang tidak datang belajar ilmu secara sunnah sebab telah dimomokkan dengan gelaran ‘Wahabi’. Sudah masyhur dalam masyarakat Islam kita tentang Wahabi ini. Puak-puak bid’ah telah memberikan peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan ‘ajaran Wahabi’ – diberikan dengan berbagai-bagai fakta yang tidak benar tentang beliau. Orang yang hendak mengamalkan sunnah pula yang digelar wahabi. Ini telah menyebabkan masyarakat takut untuk belajar Sunnah kerana takut menjadi sesat (atau menjadi Wahabi). Tetapi, bila diperjelaskan dengan baik kepada mereka, baru mereka membuka hati dan mahu datang belajar. Begitulah kalau tidak mendapat maklumat yang benar.

Maka dalam ayat-ayat ini Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang puak Yahudi terkilan tentang Islam. Ada tiga perkara syubhat yang akan disebutkan. Di dalam ayat ini disebutkan perkara pertama.

Yang pertama, mereka kenal malaikat tetapi mereka suka Mikail sahaja dan mereka benci Jibril عليه السلام. Sebab pada mereka Jibril عليه السلام adalah malaikat yang membawa bala. Ini mereka dapat maklumat dari kitab-kitab yang ditulis oleh pendita-pendita mereka. Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka tanya siapakah yang membawa wahyu kepada baginda. Apabila dikatakan Jibril عليه السلام, mereka kata yang Jibril عليه السلام adalah musuh mereka. Jadi mereka tolak segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Memang ada orang Yahudi dan Kristian yang tidak suka kepada Jibril ﷺ. Mereka hanya suka kepada Mikail. Sebab itu ada mereka buat dalam filem mereka, peperangan antara “Angel Michael” dan “Angel Gabriel”. Sebab itu juga mereka tidak namakan anak mereka Gabriel tetapi mereka banyak menamakan anak mereka Michael. Mari kita lihat apakah jawapan Allah ‎ﷻ kepada kebencian mereka itu.

قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِّجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ

Sahih International

Say, “Whoever is an enemy to Gabriel – it is [none but] he who has brought the Qur’an down upon your heart, [O Muhammad], by permission of Allah, confirming that which was before it and as guidance and good tidings for the believers.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Qur’an ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

 

قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِّجِبْرِيلَ

Katakanlah: dan sesiapa yang memusuhi Jibrail;

Membenci mana-mana malaikat adalah kesalahan yang amat besar. Kita tidak boleh memusuhi mana-mana malaikat. Memang sia-sia kalau membenci para malaikat. Namun itulah yang ada di dalam fikiran orang Yahudi.

Sebelum ini telah disebut mereka hanya percaya kepada kitab yang telah diturunkan kepada mereka sahaja. Antara sebab lain yang mereka marah dengan Jibril عليه السلام itu adalah kerana pada mereka, wahyu sepatutnya hanya sampai kepada Nabi dari kalangan Bani Israil sahaja. Orang lain tidak boleh menerima wahyu, lebih-lebih lagi orang Arab. Mereka tahu bahawa yang menurunkan wahyu adalah Jibril عليه السلام. Jadi, mereka berkata Jibril عليه السلام telah salah bagi wahyu. Sepatutnya bagi kepada orang lain, tetapi Jibril عليه السلام telah bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ dari bangsa Arab.

Macam sekarang, kita ada orang Syiah yang juga berkata yang Jibril عليه السلام salah bagi wahyu. Mereka berkata sepatutnya wahyu itu disampaikan kepada Ali رضي الله عنه tetapi Jibril عليه السلام telah silap bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana semasa mencari-cari Ali رضي الله عنه semasa beliau sedang tidur di rumah, Jibril عليه السلام telah tersalah beri wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ yang juga sedang tidur di rumah yang sama.

 

فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَىٰ قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ

sesungguhnya dia menurunkan Al-Qur’an itu ke atas hatimu dengan izin Allah;

Maknanya, dengan izin Allah ‎ﷻlah, masuknya Al-Qur’an ke dalam hati Nabi Muhammad ﷺ dengan perantaraan Jibril عليه السلام. Ia masuk ke hati baginda dan baginda dapat menghafal ayat-ayat Al-Qur’an. Kenapa hendak marah kepada Jibril sedangkan dia hanya penyampai sahaja? Ini sudah macam marahkan posmen yang bawakan surat saman kepada kamu sahaja. Bukannya Jibril عليه السلام pandai-pandai pilih sendiri siapa yang patut mendapat wahyu. Ia bukan keputusan dari Jibril عليه السلام, tetapi dari Allah ‎ﷻ sendiri.

Dengan izin Allah ‎ﷻ sahaja Al-Qur’an itu sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebagaimana sekarang, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada kita, yang boleh melekat apa yang diajar itu ke dalam hati dan akal kita, adalah kerana izin Allah ‎ﷻ jua. Oleh itu kenalah kita berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan kita faham ajaran Al-Qur’an itu. Kalau tidak, kita hanya dapat mendengar tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan. Berapa ramai yang sudah pergi ke kelas Tafsir, tetapi mereka tidak faham apa yang disampaikan. Atau, mereka salah faham maksud yang disampaikan oleh guru yang mengajar.

Ini mengajar kita yang Al-Qur’an itu untuk hati, untuk difahami dan diamalkan. Bukannya untuk mulut dan dibaca-baca sahaja tanpa difahami seperti yang dilakukan oleh kebanyakan dari masyarakat kita.

Orang Yahudi, apabila mereka mendengar bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat wahyu dari Jibril عليه السلام, mereka kata: “Jibril yang itukah yang sampaikan wahyu kepada Nabi kamu? Sebenarnya kami ada banyak masalah dengan Jibril itu.” Mereka hendak menjatuhkan kredibiliti Jibril عليه السلام. Mereka juga tahu bahawa Jibril عليه السلامlah yang telah menurunkan bala kepada umat-umat dahulu yang menentang ajaran Allah ‎ﷻ. Maka, mereka kata Jibril عليه السلام adalah seorang yang jahat.

Menurut satu riwayat kitab-kitab tafsir, salah satu sebabnya ialah setelah salah seorang pemuka mereka bernama Abdullah bin Shuriya pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. malaikat yang mana yang menurunkan Al-Qur’an kepada baginda itu. Rasulullah menjawab bahawa yang membawanya dari Tuhan ialah malaikat Jibril. Terus dengan serta-merta Abdullah bin Shuriya itu berkata bahawa mereka tidak mahu percaya Al-Qur’an ialah kerana Jibril itu yang membawnya kepada Nabi. Cuba kalau Malaikat Mikail yang membawa, barangkali mereka boleh beriman. Kami orang Bani Israil, bermusuh dengan Jibril. Ketika ditanyakan apa sebab Jibril mereka musuhi, dia menjawab kerana Jibril itulah yang dahulu pernah menyampaikan bahawa BaitulMaqdis satu waktu kelak akan hancur. Dan memang hancurlah Baitul Maqdis. Ini jawab Abdullah bin Shuriya.

Dan satu riwayat lagi, pada suatu hari Umar bin Khathab masuk ke dalam salah satu Madrasah Yahudi. Ketika bercakap-cakap tersebutlah oleh beliau akan nama Jibril. Serta-merta pula Yahudi yang menyambutnya di situ berkata bahawa Jibril itu musuh kami. Sebab dia banyak sekali membuka rahsia-rahsia kami kepada Muhammad. Itulah Malaikat yang banyak sekali merosak dan membawa azab. Lain dengan Mikail; itulah Malaikat yang membawa kesuburan dan damai.

Lihat betapa peliknya otak mereka ini. Kalau Jibril turunkan azab, itu adalah kerana arahan Allah dan kerana manusia yang engkar dan telah berbuat zalim. Bukannya kepada mereka pun. Kalau kepada tok nenek mereka, ia adalah kerana tok nenek mereka yang buat salah. Takkan mereka tetap hendak sokong tok nenek mereka itu?

Itu semua hanya sebagai alasan mereka sahaja untuk menolak kebenaran kerana kedegilan mereka. Dalam kitab mereka, mereka ada meletakkan kisah bagaimana malaikat-malaikat adalah ‘anak-anak Tuhan’ yang ‎berlawan sesama mereka untuk mendapatkan kuasa. Jadi, kita boleh tahu bahawa pemahaman mereka tentang para malaikat bukanlah pemahaman yang benar. Ilmu agama tentang perkara ghaib telah ditukar sampai mereka menjadikan malaikat ada nafsu pula untuk mendapatkan kuasa. Padahal, malaikat itu hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab bahawa Al-Qur’an itu walaupun dibawa oleh Jibril عليه السلام, tetapi dia turun dengan izin Allah ‎ﷻ. Bukanlah dia turun membawakan sendiri dan pilih kepada siapa dia hendak berikan wahyu itu.

Mungkin ada yang salah faham kalimat عَلَىٰ قَلْبِكَ (ke atas hatimu) di sini. Ada yang mengatakan ayat ini memberitahu bahawa yang dimasukkan ke dalam hati Rasulullah adalah maksud Al-Qur’an sahaja dan ayat-ayat Al-Qur’an itu pemahaman baginda. Ini adalah pandangan yang salah kerana di dalam banyak ayat lain memberitahu yang Al-Qur’an adalah kalam Allah dan disebut yang Al-Qur’an diturunkan di dalam bahasa Arab.

 

مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ

Yang membenarkan kitab yang ada di hadapan mereka;

Dan bukanlah wahyu itu menyampaikan ajaran baru tentang tauhid, tetapi ia adalah sama seperti yang ada dalam kitab-kitab yang terdahulu. Jadi, apa bezanya sampaikan mereka tidak suka dengan apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu?

Kalau ia perkara yang lain dan salah, barulah ada sebab untuk melawan dan membenci, tetapi ia adalah benda yang sama sahaja dengan apa yang mereka ada. Tidak lain dan tidak bukan, itu adalah alasan-alasan mereka dan kesamaran yang ada dalam hati mereka sahaja. 

 

وَهُدًى

Dan ianya adalah kitab yang memberi pimpinan;

Apa salah wahyu itu sedangkan wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu memberi petunjuk. Maka kalau manusia mahukan petunjuk, kena dapatkan dari Al-Qur’an, bukan dari sumber lain. Ia hendaklah dijadikan sebagai sumber hidayah yang pertama. Kalau yang lain adalah sekunder sahaja. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis khatam 30 juzuk dan kemudian kena selalu tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an itu.

 

وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

dan berita gembira kepada orang mukmin;

Sesiapa yang mengikut ajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an, akan mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang mendapat petunjuk, akan mendapat berita gembira. Iaitu dia akan dibalas dengan syurga. Oleh itu hendaklah kita belajar bersungguh-sungguh tafsir Al-Qur’an ini. Sesiapa yang berniat untuk belajar isi Al-Qur’an sepenuhnya sebanyak 30 juzuk, dia telah menempah tempatnya di syurga. Barulah ada peluang untuk masuk ke dalam syurga. Bukanlah tentu masuk syurga lagi kalau sudah belajar tafsir.

Kerana masih ada syarat iaitu kenalah istiqamah dalam belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau dia mati dan tidak sempat habis belajar, dia pun in sha Allah akan memasuki syurga juga kerana Allah ‎ﷻ akan memasukkan dia di dalam golongan orang yang telah belajar Al-Qur’an kerana dia telah berniat. Walaupun tidak sempat habis, tetapi Allah ‎ﷻ akan melengkapkan niatnya itu. Apabila sudah berniat sahaja, Allah ‎ﷻ sudah suruh malaikat tulis dengan lengkap perbuatannya itu.

Tetapi belajar sahaja pun belum tentu lagi, jika tidak mengamalkan apa yang dipelajari itu. Ini kerana kalau sudah belajar tetapi tidak mengamalkan apa yang dia belajar, maka tidak ada harapan untuk memasuki syurga.  Kenalah jadi orang mukmin terlebih dahulu. Jadi, berita baik itu adalah kepada orang yang mukmin sahaja. Kalau bukan mukmin, mereka tidak dapat terima berita baik itu. Oleh itu, berusahalah kita supaya kita termasuk dalam golongan mukmin.

Jadi salah satu sifat Al-Qur’an adalah ia berita gembira. Akan tetapi perhatikan di sini yang ia bukan untuk semua, tapi untuk orang Mukmin sahaja. Maka mereka inilah sahaja yang akan belajar ilmu wahyu dan mengamalkannya. Jadi tanda orang-orang yang beriman adalah dia suka belajar tafsir Al-Qur’an dan dia suka sampaikan kepada orang. Maka cubalah kita jadi orang yang sebegini. Ingatlah sabda Rasulullah yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.
[Riwayat al-Bukhari (5027)]


 

Baqarah Ayat 98: 

مَن كانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ وَرُسُلِهِ وَجِبريلَ وَمِيكَٮٰلَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ

Sahih International

Whoever is an enemy to Allah and His angels and His messengers and Gabriel and Michael – then indeed, Allah is an enemy to the disbelievers.

Malay

Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

 

مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ

Sesiapa yang bermusuh dengan Allah;

Dalam ayat sebelum ini, kita telah diberitahu bahawa golongan Yahudi bermusuh dengan Jibrail عليه السلام. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak memberi isyarat bahawa sesiapa yang bermusuh dengan malaikat-Nya, sebenarnya dia menjadikan Allah ‎ﷻ sebagai musuh. Walaupun mereka tidak sebut pun yang mereka memusuhi Allah, tetapi hakikatnya begitu. Kerana itu Allah mulakan menyebut memusuhiNya dahulu di dalam ayat ini. Tentunya tidak akan berjaya sesiapa yang memusuhi Allah ‎ﷻ, bukan?

 

وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ

dan segala malaikat-malaikatNya;

Mereka tidak suka kepada Jibrail عليه السلام sahaja, tetapi dikatakan mereka memusuhi semua malaikat. Ini adalah kerana kalau marah kepada satu malaikat, bermakna marah kepada semua malaikat sekali. Seperti kalau kita sakiti seorang, bermakna kita juga menyakiti semua sahabatnya atau saudaranya sekali. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

 

وَرُسُلِهِ

dan segala rasul-rasulNya

Dan kalau bermusuh dengan rasul dari kalangan malaikat, maka bermakna dia bermusuh dengan semua rasul sama ada dari kalangan manusia atau malaikat. Dan kalau bermusuh dengan mana-mana utusan Allah ‎ﷻ, (sama ada mereka itu utusan dari jenis manusia, atau dari jenis malaikat), sebenarnya mereka bermusuh dengan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻlah yang mengutus mereka.

Dan tidak boleh tolak mana-mana Rasul kerana kalau tolak satu sahaja, maka dikira tolak semua dan terus jadi kufur. Walaupun ada sebahagian yang diterima. Contohnya Yahudi terima semua Nabi kecuali Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Dan Nasrani terima semua Nabi tapi tidak terima Nabi Muhammad. Maka mereka itu kufur. Sebagaimana Kaum Tsamud dikira menolak semua Rasul sedangkan dari sejarah, mereka hanya tolak satu Nabi sahaja sebagaimana disebut di dalam Syu’ara:141

كَذَّبَت ثَمودُ المُرسَلينَ

Kaum Tsamud telah mendustakan rasul-rasul.

Para Rasul itu hanya menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau posmen hantar surat, dan kita marah kepada posmen itu kerana beri surat saman, ini tidak patut. Kalau kita marah, maksudnya kita marah kepada orang yang menghantar surat itu, bukan?

 

وَجِبْرِيلَ

dan (lebih-lebih lagi) Jibril;

Dalam ayat ini disebut Jibril عليه السلام sekali lagi walaupun Jibril عليه السلام adalah salah seorang dari malaikat. Ini adalah sebagai pengulangan dan penekanan kepadanya. Ini adalah kerana kedudukannya yang tinggi di sisi Allah ﷻ.

 

وَمِيكَٮٰلَ

dan Mikail;

Sebelum ini telah disebut yang mereka kata mereka sukakan Mikail عليه السلام. Ini ada disebut dalam kitab-kitab mereka. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kalau tidak sukakan Jibril عليه السلام bermaksud Mikail عليه السلام pun mereka musuhi juga. Kalau sudah berani sebut tidak suka Jibril, jadi apa yang menghalang mereka ini memusuhi Mikail pula jikalau lambat dapat nikmat?

Allah juga mengajar kita yang kita kena terima semua, tidak boleh pilih-pilih. Tidak boleh pilih mana Rasul hendak terima dan tolak sebahagian; tidak boleh tolak ibadah mana yang hendak dibuat dan ada yang tidak; juga tidak boleh terima sebahagian malaikat dan tolak sebahagian lain. Kena terima agama Islam dengan lengkap. Kalau tolak salah satu sahaja, maka terus jadi kafir. Sebagaimana tidak boleh tolak satu ayat Al-Qur’an pun kerana itu pun sudah kufur.

Allah sebut nama malaikat Jibril dan Mikail secara khusus kerana mereka berdua yang disebut oleh Yahudi dan kerana dua malaikat ini adalah dua malaikat yang utama. Dalilnya Rasulullah menyebut nama mereka di dalam Doa Istiftah,

أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ إِذَا قَامَ مِنْ اللَّيْلِ قَالَتْ كَانَ إِذَا قَامَ مِنْ اللَّيْلِ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ أَنْتَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
[Abu Salamah bin Abdurrahman bin ‘Auf] dia berkata; aku bertanya kepada Aisyah; “Dengan apakah Nabi Allah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ berdoa sebagai pembukaan solat malam?” [Aisyah] menjawab; “Sebagai pembukaan solat malamnya, baginda memulai dengan doa; (Ya Allah, Tuhan Jibril, Mika`il dan Israfil yang telah menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui hal yang ghaib mahupun yang nyata. Engkau lah dzat yang akan mengadili hamba-hamba-Mu mengenai apa yang mereka perselisihkan. Berilah aku petunjuk dengan keizinan-Mu terhadap kebenaran yang diperselisihkan, sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus).”
Sahih Bukhari (653)

 

 

فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ

Maka Allah itu musuh bagi orang kafir;

Allah ‎ﷻ sebut perkataan ‘kafir’ di sini. Bermakna, sesiapa yang marahkan walaupun satu sahaja malaikat Allah ‎ﷻ, maka orang itu sudah dikira menjadi kafir. Sememangnya Allah ‎ﷻ bermusuh dengan orang kafir. Maknanya ayat ini bukan khusus tentang Yahudi atau Bani Israil sahaja, akan tetapi ancaman ini diberikan kepada mana-mana sahaja yang kufur.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka mengatakan mereka orang beriman, tetapi Allah ‎ﷻ ingin memberitahu di dalam ayat ini, bukan sahaja mereka tidak beriman, tetapi Allah ‎ﷻ sudah menjadikan mereka sebagai musuh-Nya. Alangkah beratnya kesalahan dan kesilapan yang telah mereka lakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 95 – 96 (Sayang dunia jadi punah)

Baqarah Ayat 95: Agak-agaknya adakah mereka akan meminta untuk dimatikan terus?

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Sahih International

But they will never wish for it, ever, because of what their hands have put forth. And Allah is Knowing of the wrongdoers.

Malay

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

 

وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا

Dan tidak akan sekali-kali mereka itu akan meminta mati selama-lamanya

Nescaya mereka tidak akan berdoa begitu kerana mereka paling takut untuk mati. Kalau berperang pun mereka tidak mahu berperang di barisan hadapan kerana mereka itu memang jenis penakut. Allah gunakan kalimah لن di sini yang bermaksud ‘tidak akan sampai bila-bila’. Allah tahu apa yang di dalam hati mereka.

Ayat ini menjadi satu dalil dan pembuktian kebenaran Al-Qur’an. Begitulah kalau ada ayat-ayat yang mencabar manusia. Kalau mereka hendak patahkan ayat Al-Qur’an, senang sahaja sebenarnya. Iaitu mereka datang kepada Nabi dan kata yang Al-Qur’an tidak benar, “sebenarnya kami bersedia mati dan menginginkannya.” Nah kalau mereka ada yang berkata begini, maka patahlah hujah Al-Qur’an ini. Akan tetapi tidak ada seorang pun yang datang dan berkata begitu kepada baginda. Maka kebenaran Al-Qur’an terbukti dengan ayat ini juga.

 

بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ

dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan dengan tangan-tangan mereka;

Mereka tidak akan doa begitu kerana mereka tahu mereka banyak dosa. Bukan dosa-dosa tangan mereka sahaja tetapi termasuk jugalah segala dosa yang dilakukan oleh anggota mereka yang lain. Cuma digunakan kalimah tangan kerana tangan yang banyak melakukan dosa kalau dibandingkan dengan anggota yang lain. Kerana itu yang dilaknat adalah tangan Abu Lahab.

تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ

Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

Mereka tahu bahawa mereka tidak banyak amal yang baik yang mereka lakukan. Dan mereka tahu bahawa mereka melebihkan dunia dari akhirat. Dan sebab mereka tahu yang amalan yang mereka buat itu tidak sesuai dengan syurga. Mereka tahu yang mereka banyak dosa. Maka mereka sendiri tidak yakin yang mereka akan masuk syurga.

Macam kita juga, kita sudah boleh agak kita banyak amalan dunia atau amalan akhirat. Kita sendiri pun takut kalau kita tiba-tiba mati, bukan? Sebab kita tahu banyak lagi dosa kita tidak minta ampun. Kita tahu amalan ibadat kita tidak banyak. Kita tahu yang banyak lagi perubahan yang kita tidak buat lagi.

 

وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan Allah Maha Mengetahui sifat-sifat jelek orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ maha tahu apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tahu siapa yang berbuat zalim di atas dunia ini. Ini memberi isyarat yang Yahudi itu telah berbuat zalim. Mereka zalim dalam hal agama, akidah dan juga hal keduniaan.

Penyakit yang Allah hendak ubati adalah penyakit perasan akan selamat. Allah ingatkan jangan perasan kerana Dia tahu apa sahaja amalan manusia. Jangan perasan akan selamat tapi takutlah akan hisab di akhirat kelak kerana segala perbuatan kita akan dipertimbangkan.


 

Baqarah Ayat 96:

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Sahih International

And you will surely find them the most greedy of people for life – [even] more than those who associate others with Allah. One of them wishes that he could be granted life a thousand years, but it would not remove him in the least from the [coming] punishment that he should be granted. And Allah is Seeing of what they do.

Malay

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

 

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ

Kamu akan dapati mereka manusia yang paling tamak atas kehidupan dunia;

Allah ‎ﷻ beritahu sifat orang Yahudi. Mereka itu manusia yang paling tamak dalam dunia. Mereka memang manusia yang mementingkan keduniaan. Apabila berdoa, mereka akan minta panjang umur. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk dapat kelebihan di dunia. Mereka mahu membolot semua sekali harta dalam dunia ini.

Kalimah حَيَوٰةٍ adalah dalam bentuk nakirah (bentuk umum). Maka ia bermaksud apa jenis kehidupan pun. Termasuklah kalau kehidupan yang penuh kehinaan. Asalkan terus hidup. Kerana kehidupan dunia bagi mereka tentu lebih baik dari akhirat kelak. Mereka tahu yang amal-amal mereka tidak akan membantu mereka di akhirat!

Allah mengutuk penyakit sayangkan dunia dan takut mati. Sedangkan dunia itu sesuatu yang rendah dan tidak berharga; dan mati itu pasti datang. Sepatutnya kita tidak takut mati kerana dengan mati itulah yang menyebabkan kita boleh masuk ke syurga. Dengan mati juga kita akan dapat bertemu dengan Allah seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bersumber dari Aisyah r.a., sebagai berikut:

‏عن ‏ ‏عائشة ‏ ( ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏من أحب لقاء الله أحب الله لقاءه ومن كره لقاء الله كره الله لقاءه فقيل يا رسول الله كراهية لقاء الله في كراهية لقاء الموت فكلنا يكره الموت قال لا إنما ذاك عند موته إذا بشر برحمة الله ومغفرته أحب لقاء الله فأحب الله لقاءه وإذا بشر بعذاب الله كره لقاء الله وكره الله لقاءه ‏ ) .
Dari Aisyah r.ah., Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Barangsiapa yang suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka bertemu dengannya. Barangsiapa yang membenci bertemu dengan Allah, maka Allah benci bertemu dengannya. Lalu ada sahabat yang bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kebencian bertemu dengan Allah itu kerana kebencian terhadap kematian? Kita semua membenci kematian.” Rasulullah menjawab: “Bukan. Hal itu hanya akan terjadi pada saat dia mahu mati. Apabila diberitakan kepadanya dengan berita gembira bahawa dia akan mendapat rahmat Allah dan pengampunannya, maka dia suka bertemu dengan Allah. Dan apabila diberitakan kepadanya bahawa dia akan mendapatkan seksaan Allah dia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci bertemu dengannya.
HR. Ibn Majah.

Apa yang digambarkan oleh Rasulullah adalah berkaitan dengan macam manusia. Ada manusia yang takut mati, dan ada manusia yang tidak takut mati. Manusia yang takut mati adalah manusia yang tidak mahu bertemu dengan Allah. Sebab, jika dia mati maka dia akan bertemu dengan Allah. Orang yang tidak bertemu dengan Allah adalah orang yang tidak menyiapkan bekal untuk bertemu dengan Allah. Dia tidak memiliki amal saleh sebagai bekal hidupnya di akhirat. Selama hidupnya, dia berpangku tangan, tidak beramal saleh, dan selalu melakukan pelanggaran atas perintah Allah.

Hadis di atas juga menggambarkan bahawa orang yang akan mati akan mengalami sakaratul maut. Pada saat itulah, Allah akan menggambarkan kepadanya semua yang telah dilakukannya selama hidupnya, yang baik dan buruk. Orang yang hidupnya bergelimang dengan dosa akan melihat perbuatannya itu pada saat sakaratul maut. Pada saat itulah, dia menangis dan ketakutan untuk mati dan menghadap kepada Allah.

Sebaliknya, ada manusia yang tidak takut mati. Mereka adalah manusia yang ingin segera bertemu dengan Allah. Sebab, jika dia mati maka dia akan segera bertemu dengan Allah. Orang yang mahu segera bertemu dengan Allah adalah orang yang telah menyiapkan bekal untuk bertemu dengan Allah. Dia telah memiliki amal saleh sebagai bekal hidupnya di akhirat. Selama hidupnya, dia beribadah kepada Allah dan taat kepada-Nya dan selalu melakukan perbuatan yang sesuai dengan perintah Allah.

Orang yang hidupnya taat beribadah kepada Allah akan melihat perbuatannya itu pada saat sakaratul maut. Pada saat itulah, dengan melihat amalnya, wajahnya cerah, ceria, dan bahkan tersenyum karena melihat amalnya yang saleh. Saat itu pun, dia ingin agar segera bertemu dengan Allah.

 

وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا

dan lebih teruk lagi daripada orang-orang musyrik;

Puak Bani Israil itu takut mati dan malah lebih teruk lagi dari golongan Musyrikin Mekah yang membuat syirik itu. Mereka kutuk Musyrikin Mekah itu, tetapi mereka sebenarnya lebih teruk dari musyrikin itu. Kenapa pula mereka lebih teruk dari golongan musyrik? Kerana orang musyrik pun mengharap supaya mereka mati dalam peperangan yang boleh menaikkan nama mereka dan disebut-sebut orang. Mereka sanggup mempertahankan berhala dan agama mereka kerana kepercayaan mereka yang kuat. Maknanya orang musyrik pun sanggup mati mempertahankan sesuatu.

Dan orang Musyrikin Mekah tidak percaya kepada kehidupan selepas mati, jadi mereka tidak takut mati. Malah Musyrikin Mekah itu yang sepatutnya lebih sayangkan dunia kerana pada mereka kehidupan hanya di dunia sahaja (You Only Live Once) jadi kenalah cukup-cukup puaskan hati selama di dunia. Sedangkan orang Yahudi itu patutnya tahu tentang hari kebangkitan dan pembalasan. Yang kehidupan dunia ini sementara sahaja. Jadi kerana mereka lebih tahu, maka mereka lebih teruk kalau sangat sangat kepada dunia, sampai lupa kepada akhirat.

Satu lagi kemungkinan adalah kerana puak Yahudi itu sendiri tahu apa yang mereka telah lakukan. Maka mereka takut kepada akhirat dan mereka berharap supaya mereka hidup lagi lama, untuk melambatkan masuk neraka. Oleh kerana orang Yahudi memang takut hendak berperang kerana mereka takut mati. Mereka akan cari peluang untuk elak dari berperang. Untuk mengelak berperang, mereka akan beri alasan mereka menunggu Rasul akhir zaman turun supaya mereka boleh mengalahkan orang-orang kafir dengan mudah. Dan kalau pun mereka terpaksa berperang, mereka tidak akan duduk di barisan hadapan kerana mereka jenis takut mati.

 

 يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ

Setiap orang dari mereka amat berkeinginan kalau diberikan umur seribu tahun;

Begitulah mereka. Kalimat يَوَدُّ أَحَدُهُمْ (setiap seorang dari mereka) itu merujuk kepada setiap mereka yang kufur itu, dan mempunyai perangai seperti yang telah disebut. Mereka berharap sangat supaya mereka dapat hidup lama. Ini kerana mereka lebih selesa dengan dunia yang indah bagi mereka. Begitulah, puak yang sesat memang hendak hidup lama. Kerana mereka sayang dengan dunia.

Tapi tidaklah mereka minta hidup seribu tahun. Ini mereka pun tahu takkan dapat dan kerana itu digunakan kalimah لو di sini. Maksud di sini adalah mereka itu sebenarnya enggan bertemu dengan Allah. Mereka juga tahu yang mereka pasti akan mati, tapi mereka hendak mereka yang menentukan sendiri bila mereka akan mati, bukan Allah.

Kematian pasti akan datang menjemput kita, cepat atau lambat sahaja, tidak boleh dielak. Maka kita kena ada sikap yang sihat terhadap kematian. Sungguh alangkah pendeknya hidup dunia dan alangkah sempitnya ia bila jiwa manusia merasa bahawa hidup ini tidak bersambung dengan kehidupan ukhrawi. Alangkah pendeknya ia bila jiwa tidak mengharapkan kecuali hembusan dan tarikan nafas dalam beberapa saat di dunia ini. Kepercayaan tentang adanya kehidupan akhirat merupakan nikmat yang tercurah oleh iman ke dalam hati sanubari manusia yang beriman. Itu adalah nikmat, yang dianugerahkan Allah kepada setiap orang yang berfikir dan bersedia menghadapinya.

 

وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ

Dan tidaklah umur yang panjang itu boleh melepaskan mereka dari azab Sekiranya Allah panjangkan umur mereka

Kalau doa mereka supaya umur mereka dipanjangkan itu dimakbulkan Allah ‎ﷻ, ia tidak dapat melepaskan mereka dari azab Allah ‎ﷻ. Tidak ada kebaikan kalau umur mereka panjang beribu-ribu tahun pun. Ini kerana mereka akan gunakan masa itu untuk membuat keburukan dan kezaliman. Hanya menambah dosa mereka sahaja sebenarnya. Memang ia tidak akan terjadi, tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, kalau ia terjadi sekalipun, ia tidak bermanfaat untuk mereka. Ia akan jadi lebih buruk bagi mereka.

Umur yang panjang kalau dipenuhi dengan kebaikan, barulah beruntung. Dan memang naluri manusia mahukan umurnya panjang. Tapi bagaimana cara untuk memanjangkan umur kita? Rasulullah telah ajar pun kita,

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat Bukhari (5986) dan Muslim (2557))

Tapi kalau umur panjang itu diisi dengan dosa, maka alangkah malangnya. Allah telah menyebut tentang mereka yang dipanjangkan umur tapi mengumpul dosa sahaja di dalam Maryam:75

قُل مَن كانَ فِي الضَّلٰلَةِ فَليَمدُد لَهُ الرَّحمٰنُ مَدًّا ۚ حَتّىٰ إِذا رَأَوا ما يوعَدونَ إِمَّا العَذابَ وَإِمَّا السّاعَةَ فَسَيَعلَمونَ مَن هُوَ شَرٌّ مَّكانًا وَأَضعَفُ جُندًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”

Di dalam A’raf: 14, iblis minta ditangguhnya kematiannya sehingga ke hari kebangkitan.

قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
Iblis berkata: “Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

Ini mengajar kita umur yang panjang, bukanlah ada kelebihan dari segi agama. Sebab itu Allah ‎ ﷻboleh sahaja beri kepada iblis umur yang panjang. Kalau umur kita panjang tetapi banyak dosa, lagi bahaya kerana mengumpul dosa menjadi semakin banyak dan menyebabkan kita diazab lebih teruk di dalam neraka. Maka jangan berdoa minta umur panjang, tetapi doalah supaya dimatikan dalam keadaan beriman.

Tahukah anda bahawa doa iblis ini banyak diulang-ulang oleh orang kita? Itulah doa minta panjang umur. Biasa bukan dengar doa minta dipanjangkan umur ini? Maka kalau kita berdoa begitu, maknanya kita ikut sunnah iblis sebenarnya. Oleh itu ini bukanlah doa yang baik. Sebaliknya kita sepatutnya minta dimatikan dalam keadaan baik iaitu di dalam iman. Antaranya doa sebegini:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة
“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Atau, boleh amalkan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Yusuf: 101

تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

 

وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ

Dan Allah Maha Melihat terhadap apa yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ tetap memerhatikan sahaja apa yang mereka perbuat dan Allah ‎ﷻ akan membalas segala perbuatan mereka itu. Jangan sangka yang mereka akan terlepas.

Yang menjadikan kita susah hendak lupakan dunia ini adalah kerana kita sayang sangat kepadanya. Kerana kita sudah terpesona dengan keindahan dunia dan sudah tertipu dengan dunia. Padahal, kita semua akan pergi jua meninggalkannya. Ini semua orang tahu, termasuklah orang musyrik, termasuklah kita pun. Maka, kalau kita sudah tahu yang kita akan mati juga akhirnya, janganlah terpaut sangat kepada dunia.

Ingatlah yang tempat tinggal kita yang sebenarnya adalah di syurga nanti. Ke situlah kita hendak kembali. Maka sebagai seorang Islam, kita hendaklah mempersiapkan diri kita untuk sampai ke sana. Iaitu dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya.

Habis Ruku’ 11 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 93 – 94 (Perasan jadi Ahli Syurga)

Baqarah Ayat 93: Allah ‎ﷻ memberitahu sebab kenapa mereka tidak patut menolak wahyu dan kenapa mereka ada masalah dengan wahyu Al-Qur’an. Sepatutnya mereka tidak ada alasan untuk menolak Al-Qur’an yang dibawa oleh Nabi Muhammad kerana:

1. Kerana wahyu itu adalah yang haq dari Allah ‎ﷻ.
2. Membenarkan akidah seperti apa yang ada dalam kitab mereka (Taurat).
3. Allah telah mengecam perbuatan tok nenek mereka yang membunuh para Nabi yang ajar wahyu. Mereka sepatutnya takut dengan apa yang telah difirmankan Allah ini. Nabi Muhammad ﷺ pun mereka cuba bunuh kerana mereka telah pernah racun Nabi yang menyebabkan kematian Nabi.
4. Mereka sendiri tahu bagaimana umat mereka telah pernah diselamatkan dari Firaun pada zaman Nabi Musa عليه السلام dan mereka telah diberi dengan berbagai nikmat-nikmat lain.
5. Allah mengingatkan yang setelah Taurat diberikan kepada mereka pun, mereka tolak juga. Maka mereka diingatkan di dalam Al-Qur’an ini supaya jangan buat tindakan yang sama.

Kita akan baca sekarang bagaimana mereka menolak Taurat kitab mereka sendiri. Iaitu mereka tidak beramal dengannya. Lepas gunung diletakkan tepi sahaja (setelah diangkat ke atas mereka) mereka telah tolak. Ini kerana mereka amat kasih kepada patung anak lembu sebab ia nampak pelik pada mereka. Mereka ada perasaan itu kerana mereka ada sifat kekufuran mereka yang lama.

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا ۖ قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم ۚ قُل بِئسَما يَأمُرُكُم بِهِ إِيمَـٰنُكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sahih International

And [recall] when We took your covenant and raised over you the mount, [saying], “Take what We have given you with determination and listen.” They said [instead], “We hear and disobey.” And their hearts absorbed [the worship of] the calf because of their disbelief. Say, “How wretched is that which your faith enjoins upon you, if you should be believers.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُم

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah kisah bagaimana Nabi Musa عليه السلام telah membawa 70 orang wakil puak Yahudi mengikutinya ke atas Bukit Thursina. Mereka naik mengikut Nabi Musa عليه السلام itu adalah untuk melihat cara Kitab Taurat diturunkan. Mereka kemudian dimatikan kerana mereka minta hendak lihat Allah ‎ﷻ secara nyata. Kemudian mereka telah dihidupkan semula selepas Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan mereka semula. Ini telah diceritakan dalam Surah Baqarah ini juga.

Apabila mereka mati dan telah dihidupkan semula, tentulah mereka percaya dan beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Apabila mereka beriman, maka mereka telah menceritakan apa yang terjadi kepada orang-orang yang tidak naik sekali dengan mereka. Orang-orang Yahudi yang di bawah bukit tidak mahu percaya kepada mereka. Ini kerana mereka kata wakil-wakil itu telah berpakat dengan Nabi Musa عليه السلام untuk menipu mereka. Oleh kerana itu mereka tidak mahu percaya.

 

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

dan Kami angkat Bukit Thur atas kepala kamu;

Apabila mereka tidak mahu percaya, Allah ‎ﷻ telah angkat Bukit Thursina atas mereka. Kalau mereka tetap tidak beriman, Allah ‎ﷻ akan hempapkan bukit itu ke atas mereka. Setelah diangkat Bukit Thur ke atas kepala mereka dan diancam, barulah mereka berjanji untuk taat. Kisah ini telah pernah disebut di dalam ayat 63 cuma di dalam ayat 93 ada penambahan maklumat tentang sikap mereka.

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

Ayat 63 menceritakan ketidaksetiaan mereka kepada janji mereka dan di dalam ayat 93 ini mengandungi bantahan kepada mereka. Memang kadangkala ayat-ayat ada yang diulang, nampak seperti agak sama, tapi pengajaran yang hendak dibawa berlainan melihat kepada sudut yang lain.

Di sini kita melihat perbuatan Allah mengangkat bukit itu bukanlah dalam rangka memaksa mereka beriman, tapi kerana kasih sayangnya Allah kepada makhlukNya. Ini seperti ayah yang mengancam rotan kepada anak yang tidak mahu makan ubat yang diperlukannya. Adakah ayahnya itu mengancam kerana benci kepada anak? Tentu tidak! Maka sayangnya Allah kepada makhlukNya, Dia telah melakukan berbagai-bagai cara untuk mengajak mereka beriman.

 

خُذُوا مَاءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا

Peganglah dengan bersungguh apa yang Kami berikan kepada kamu dan kamu dengarlah;

‘Dengar’ ini bermaksud dengarlah kepada guru yang mengajar Kitab Taurat. Dengarlah nasihat yang disampaikan kepada mereka. Dan kepada mereka yang datang setelah Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, hendaklah dengar wahyu yang baginda sampaikan. Memang ilmu agama ini kita kena tadah telinga untuk menerimanya. Kena luangkan masa dan fokus belajar, barulah ilmu akan masuk. Tidaklah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kena dengar dan terima dengan hati. Jangan jadi seperti orang munafik seperti disebut di dalam Anfal:21-22

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ

dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

Jadilah seperti orang Mukmin seperti disebut di dalam Baqarah:286,

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Jadi memang untuk taat, kena dengar dulu apa yang perlu ditaati. Jangan perasan kita taat, taat, tapi apa yang perlu ditaati pun belum tahu lagi. Ramai orang kita perasan mereka Muslim yang baik tapi mereka tidak belajar pun ilmu wahyu untuk mengetahui apa yang mereka taat. Jadi mereka itu perasan sahaja lebih.

Pegang itu bermaksud terima dan mestilah dengan kuat dan bersungguh-sungguh. Maknanya bukanlah setakat dengar, tapi kenalah faham. Dan bukan sahaja faham, tapi kena amalkan. Kerana ramai sahaja yang faham, tapi setakat faham sahajalah, amalnya tidak, bukan?

 

قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا

Jawapan mereka: “Kami dengar tapi kami engkar”;

Engkar di sini adalah engkar dengan hati. Tentulah mereka tidak berani untuk bercakap secara nyata. Oleh itu, Allah ‎ﷻ memberitahu kita bahawa mereka dengar tetapi mereka tidak mahu ikut. Hati mereka sendiri tidak mahu ikut apa yang mereka telah janji dengan mulut mereka sendiri. Tapi tidaklah mereka mengatakan perkara ini dengan zahir, cuma Allah sahaja yang beritahu apa yang di dalam hati mereka. Akan tetapi ia jelas dari perbuatan mereka yang buat tidak endah dengan hukum Taurat. Begitulah ucapan lidah sahaja tidak penting sangat, tapi yang dilihat adalah perbuatan itu sendiri. Kalau mengaku beriman dengan lidah tapi tidak ditunjukkan dengan perbuatan, apa gunanya?

Atau mungkin memang mereka cakap begitu secara nyata. Mereka memperolokkan arahan Allah ‎ﷻ sampai mereka cakap: “Kami dengar tetapi kami engkar”. Ini pun tidak pelik kerana memang bangsa Yahudi itu jenis degil lain macam, melawan tak ingat diri lagi.

 

وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ

Kerana mereka telah diresapi dalam hati hati mereka sayang kepada anak lembu;

Mereka engkar dengan perjanjian dengan Allah ‎ﷻ itu kerana hati mereka dipenuhi dengan perasaan sayang terhadap patung anak lembu itu. Allah gunakan istilah وَأُشْرِبُوا yang asalnya bermaksud ‘diminumkan’ sebagai perumpamaan. Kerana kita minum untuk memuaskan diri kita yang dahaga dan berkali-kali kita akan minum kerana ia menyegarkan kita. Maka di sini ia memberi isyarat yang mereka sembah anak lembu itu dengan suka sangat.

Yang dimaksudkan adalah patung anak lembu yang dibuat oleh Samiri yang kisahnya telah disebut di dalam Baqarah:54 sebelum ini. Di dalam ayat itu kumpulan yang menyembah patung itu telah dibunuh. Akan tetapi mereka yang tidak menyembah pun ada masalah juga kerana mereka tidaklah membenci perbuatan orang yang menyembah itu sangat.

Maka ini mengajar kita untuk membenci perbuatan salah walaupun dilakukan oleh orang lain, terutama sekali kalau perbuatan itu adalah perbuatan syirik. Jangan kita pandang begitu sahaja kerana takut itu terserap ke dalam jiwa kita pula. Kena segera tolak dengan hati dan mulut terus mengucapkan tasbih atau tahlil untuk menguatkan kembali iman tauhid kita.

Jangan kita lupa, kita umat Islam sekarang pun ada perjanjian juga dengan Allah ‎ﷻ iaitu apabila kita mengucapkan dua kalimah syahadah apabila kita masuk Islam dan setiap hari kita lafazkan syahadah itu. Kalau kita mungkir dengan janji itu, maka kita pun boleh juga melakukan perkara syirik. Dan memang banyak dari amalan masyarakat kita yang sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi oleh kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka mereka tidak perasan yang sebenarnya mereka telah melakukan syirik tanpa sedar. Banyak amalan syirik dan khurafat telah lama ada dalam hati umat kita dan mereka tidak dapat tinggalkan kerana telah sebati dalam jiwa.

Kalau puak Yahudi itu telah sayang kepada patung anak lembu itu, masyarakat kita pun ada benda selain Allah ‎ﷻ yang kita sayang. Macam masyarakat kita sekarang, mereka sayangkan pulut kuning. Itu adalah sebagai contoh salah satu perbuatan syirik yang banyak lagi masyarakat kita amalkan. Sampaikan kalau tidak buat pulut kuning dalam majlis mereka, mereka rasa tidak lengkap majlis itu. Padahal, asal pulut kuning itu ada kepercayaan khurafat dan pemujaan padanya. Tapi kalau kita tegur, memang akan melenting ramai orang yang tidak faham.

Begitu juga kepada mereka yang sayang kepada adat bersanding, pelamin dan sebagainya. Mereka sudah tidak kisah sama ada perkara itu boleh dilakukan dalam Islam ataupun tidak. Ini kerana perbuatan itu sudah lama sebati di dalam jiwa mereka. Memang susah sangat untuk mereka tinggalkannya. Sampaikan kalau kita tegur mereka, mereka akan kata macam-macam tentang kita. Berbagai-bagai alasan yang mereka akan berikan.

 

بِكُفْرِهِمْ

Dengan kekufuran mereka;

Mereka timbul perasaan sayang itu kerana kekufuran mereka yang telah ada sebelum itu. Memang telah ada sifat-sifat dan condong kepada syirik di dalam hati mereka. Mereka telah menutup iman yang ada dalam hati mereka. Jangan lupa yang sejurus sahaja mereka menyeberang laut dan menyelamatkan diri dari Firaun dan tenteranya, puak Bani Israil itu telah meminta Nabi Musa menjadikan satu berhala pula bagi mereka setelah melihat ada puak yang ada berhala. Ini disebut di dalam A’raf:138

وَجٰوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَّهُم ۚ قالوا يٰموسَى اجعَل لَّنا إِلٰهًا كَما لَهُم ءآلِهَةٌ ۚ قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

Begitu juga dengan golongan Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ itu, mereka merasakan apa yang datuk nenek mereka buat dahulu adalah betul belaka. Sebab itulah mereka mengikut perangai datuk nenek mereka itu. Begitulah orang kita pun berpegang sungguh kepada amalan tok nenek tanpa soal. Malah para sahabat yang baru masuk Islam pun ada yang masih tidak mengenal agama dengan benar. Seperti yang tersebut dalam sebuah hadith:

وَرَوَى الْإِمَامُ أَبُو جَعْفَرِ بْنُ جَرِيرٍ [رَحِمَهُ اللَّهُ] تَفْسِيرَ هَذِهِ الْآيَةِ مِنْ حَدِيثِ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ وعَقِيل، وَمَعْمَرٍ كُلِّهِمْ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ سِنَانِ بْنِ أَبِي سِنَانٍ، عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ: أَنَّهُمْ خَرَجُوا مِنْ مَكَّةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى حُنَيْنٍ، قَالَ: وَكَانَ لِلْكُفَّارِ سِدْرَةٌ يَعْكُفُونَ عِنْدَهَا، وَيُعَلِّقُونَ بِهَا أَسْلِحَتَهُمْ، يُقَالُ لَهَا: “ذَاتُ أَنْوَاطٍ”، قَالَ: فَمَرَرْنَا بِسِدْرَةٍ خَضْرَاءَ عَظِيمَةٍ، قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، اجْعَلْ لَنَا ذَاتَ أَنْوَاطٍ كَمَا لَهُمْ ذَاتُ أَنْوَاطٍ. فَقَالَ: “قُلْتُمْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى لِمُوسَى: {اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ. إِنَّ هَؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}

Imam Abu Ja’far ibnu Jarir mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini melalui hadith Muhammad ibnu Ishaq, Uqail, dan Ma’mar yang ketiga-tiganya daripada Az-Zuhri, daripada Sinan ibnu Abu Sinan, daripada Abu Waqid Al-Laisi, bahawa mereka (sahabat) berangkat keluar dari Mekah bersama-sama Rasulullah ﷺ menuju ke Medan Hunain. Disebutkan bahawa dahulu orang-orang kafir mempunyai sebuah pohon sidrah tempat mereka melakukan meditasi dan menggantungkan senjata-senjata mereka, pohon tersebut mereka namakan Zatu Anwat. Kemudian kami melewati sebuah pohon sidrah yang hijau lagi besar. Maka kami katakan “Wahai Rasulullah jadikanlah untuk kami Zatu Anwat sebagaimana dahulu mereka mempunyai Zaatu Anwat” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, kalian ini telah mengatakan perkataan seperti yang diucapkan oleh kaum Musa kepada Musa, iaitu: “Buatlah untuk kami sebuah berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa berhala. Musa menjawab, ‘Sesungguhnya kalian ini adalah kaum yang tidak mengetahui (sifat-sifat Tuhan),” Sesungguhnya mereka itu akan dihancurkan kepercayaan yang dianutinya dan akan batal apa yang selalu mereka kerjakan.

(HR Ahmad no. 21897, Tirmidzi no. 2180)  Syeikh al-Arnauth menilai sanadnya sahih menurut syarat Muslim

Jadi kalau mereka pun begitu, apatah lagi umat Melayu Islam Nusantara ini. Kita dulu pun asalnya beragama Hindu. Walaupun telah masuk Islam, akan tetapi ilmu agama Tauhid belum benar-benar sampai ke dalam hati masyarakat kita lagi. Kerana itu kita boleh lihat fahaman karut marut masih ada lagi dalam masyarakat ini. Kerana pembelajaran tafsir Al-Qur’an, kekemasan ilmu Tauhid yang berdasarkan cara salaf, belum lagi sampai kepada majoriti dari masyarakat kita.

 

قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَـٰنُكُم

Katakan kepada mereka: buruk sungguh kepercayaan kamu yang menyuruh kamu buat perkara yang mungkar ini;

Pada permulaan ayat ini, Allah ‎ﷻ masih lagi bercakap terus kepada mereka. Tetapi selepas mereka kurang ajar dengan Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ terlalu murka kepada mereka sampaikan Allah ‎ﷻ tidak mahu lagi bercakap dengan mereka. Maka Nabi yang diarahkan untuk bercakap dengan mereka. Ini adalah isyarat yang Allah ﷻ menjauhkan diri dari mereka.

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad berkata kepada mereka: “Kamu kata kamu beriman, tetapi kalau inilah iman kamu suruh kamu buat, suruh sembah patung sapi, teruk sangat iman kamu itu. Sebenarnya, kamu tidak beriman pun. Kerana kalau beriman, tidak akan buat apa yang kamu buat ini”.

Bermula dari ayat ini, Allah ‎ﷻ hanya bercakap dengan mereka melalui Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Perbuatan ini dinamakan ‘tab’eed’, iaitu menjauhkan diri dari seseorang kerana marahkan orang itu. Seperti juga kita kalau sudah marah sangat kepada seseorang, hendak bercakap dengan dia pun kita tidak mahu, bukan?

 

إِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِينَ

Sekiranya kamu beriman;

Sekiranya kamu beriman, maka berhentilah dari buat perkara-perkara ini. Iman sepatutnya menggerakkan kita untuk melakukan perkara yang baik-baik, akan tetapi terbalik pula iman Yahudi itu yang suruh buat benda-benda buruk. Iman jenis apa itu? Iman taik kucing? Maka mereka diajak untuk kembalilah kepada ajaran yang benar. Masih ada harapan lagi untuk beriman sebelum mati. Bukankah kamu kata kamu beriman?

Ayat-ayat selepas ini Allah ‎ﷻ terus menerangkan tentang perbuatan Bani Israil dan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ perlu menghadapi mereka.


 

TERLALU SAYANG KEPADA KEHIDUPAN DUNIA

Baqarah Ayat 94: Ayat ini adalah satu bentuk mubahalah. Ia berasal dari kata bahlah atau buhlah yang bermakna kutukan atau melaknat. Mubahalah menurut istilah adalah dua pihak yang saling memohon dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya Allah ‎ﷻ melaknat dan membinasakan pihak yang batil atau menyalahi pihak kebenaran.

Bani Israil perasan kaum mereka sahaja layak sahaja memasuki syurga. Mereka berasa begitu sebab mereka ramai yang dari keturunan Nabi. Memang beginilah sifat manusia. Selalu sebut keturunan mereka yang baik-baik. Kalau keturunan mereka orang-orang baik dan alim ulama’, maka mereka sangka mereka sudah pasti selamat. Itu memang perasan sahaja. Ini tidak benar sama sekali. Sedangkan ada ahli keluarga Nabi pun masuk neraka. Lihatlah kisah anak Nabi Nuh  عليه السلام. Jadi keturunan tidak ada nilai kalau jauh dari agama.

Ini kita ingatkan juga kepada kumpulan-kumpulan Habib yang sangka kononnya mereka keturunan Nabi Muhammad ﷺ (belum pasti lagi kerana takut setakat dakwa sahaja keluarga Nabi) jadi mereka itu telah selamat dan benar. Belum tentu lagi – kita kena lihat sama ada apa yang mereka bawakan itu adalah cara sunnah ataupun tidak. Kalau tidak sunnah, kalau benar mereka keturunan Nabi pun, mereka tidak akan selamat.

Dan kalau kita tidak terima ajaran mereka itu, bukanlah kita menghina keturunan Nabi dan menghina Nabi sendiri – nauzubillah min zalik, sungguh jauh sekali dari sangkaan mereka. Kita sayangkan Nabi, tetapi tidaklah kita terus percaya kepada keturunan baginda membabi buta. Apa yang kita boleh lihat, golongan yang dipanggil Habib itu memang membawa ajaran yang salah, maka kita tolak dan kita sebarkan kepada masyarakat.

Satu lagi, Bani Israil merasakan mereka itu keturunan yang disayangi dan terpilih oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana memang mereka itu keturunan yang cantik dan cerdik-cerdik belaka – ini tidak dapat dinafikan sama sekali, sampai sekarang pun. Dan kalau mereka masuk Islam, memang mereka akan jadi seorang Muslim yang amat baik sekali kerana mereka memang orang yang bijak-bijak. Dan kalau mereka lawan Islam, merekalah yang jadi ketua. Oleh itu kita kena berhati-hati dengan mereka. Kita pun telah baca dengan banyak sekali perangai buruk mereka. Mereka akan sentiasa hendak menjatuhkan orang Islam dari luar atau dari dalam. Dan kalau mereka memberi nasihat, ditakuti nasihat mereka itu untuk menjatuhkan kita. Maka kenalah berhati-hati dengan mereka. Malangnya, kerajaan kita pun pernah ambil penasihat dari kalangan mereka. Ditakuti kita telah tertipu dengan propaganda mereka.

Kepada Yahudi, agama Yahudi sahaja yang benar. Sampaikan mereka sanggup tolak orang lain. Macam kita juga, kita sangka puak kita sahaja yang betul, puak lain semua salah. Sampaikan ada masyarakat Islam kita yang tidak mahu berimamkan kepada imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam kerana mereka kata imam-imam itu Wahabi dan tidak tahu baca Fatihah. Padahal, mereka orang Arab dan kita bukan orang Arab. Itu dinamakan ‘perasan’ diri telah benar dan orang lain semua salah. Subhanallah! Begitulah juga orang Yahudi dalam ayat ini yang sangka mereka sahaja yang akan masuk syurga dan puak-puak lain adalah sesat.

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِّن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “If the home of the Hereafter with Allah is for you alone and not the [other] people, then wish for death, if you should be truthful.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwa itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

 

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِّن دونِ النّاسِ

Katakan kepada mereka: Sekiranya negara akhirat itu hanya khas untuk kamu sahaja di sisi Allah dan bukan untuk manusia lain,

Inilah mubahalah yang dimaksudkan. Lafaz ini dikatakan kepada mereka kerana mereka sangka mereka sahaja yang dapat memasuki syurga. Yang yakin mereka akan masuk syurga antaranya adalah Orang Yahudi, Kristian dan juga Islam. Orang Yahudi sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Kristian pula sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Islam pun sangka orang Islam sahajalah yang akan memasuki syurga.

Dalam ayat ini, ia adalah tentang orang Yahudi yang memang yakin benar bahawa apabila mereka mati nanti, mereka pasti akan memasuki syurga. Mereka sangka mereka yang terpilih. Mereka sahaja yang masuk syurga, tidak dikongsi dengan orang dari agama lain.Begitu juga dengan Orang Kristian, mereka sangka mereka akan memasuki syurga kerana mereka telah menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Tuhan. Semua ini adalah sangkaan belaka tanpa bukti. Yakin sangat mereka itu sampaikan kalau masuk neraka pun, sekejap sahaja kata mereka seperti yang telah disebut di dalam Baqarah:80

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”.

Dan nanti kita akan berjumpa dakwaan mereka disebut di dalam Baqarah:111

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ  تِلكَ أَمانِيُّهُم

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja.

Semua ini adalah kerana perasan mereka insan terpilih dan menjadi kesayangan Allah seperti disebut di dalam Maidah:18

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”.

 

فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ

Maka kamu inginkanlah mati;

Inilah cabaran yang diberikan kepada mereka. Allah ajar bagaimana untuk cakap kepada mereka: “Mintalah mati sekarang juga”. Cabaran ini logik, sebab kalau mereka kata mereka akan terus memasuki syurga, mintalah mati segera supaya mereka boleh terus memasuki syurga itu. Kalimah تَمَنَّوُا di sini bermaksud ingin di dalam hati, bukanlah disuruh mereka minta dengan doa. Jadi bolehkah kita kata walaupun mereka tidak ucapkan minta kematian, tapi mereka inginkan kematian itu di dalam hati? Ini pun tidak kerana disebut di ayat selepas ini yang inginkan kematian pun mereka tidak mahu/takut.

Sebab, bukankah kalau mereka mati sekarang, mereka kata mereka boleh terus masuk syurga? Maknanya, penghalang mereka dan syurga adalah kehidupan sahaja, bukan? Dan bukankah syurga itu lebih baik lagi dari dunia ini? Buat apa lagi mereka tinggal di dunia lagi kalau sudah pasti mereka akan masuk syurga? Sudah tentu kehidupan di syurga lebih baik dari kehidupan dunia, bukan?

Orang Islam juga rasa mereka akan masuk syurga. Jadi, mungkin ada yang berkata, ayat ini juga boleh ditujukan kepada orang Islam juga. Tetapi, sebenarnya, orang Islam yang sebenar, tidak berfahaman seperti orang Yahudi itu. Kita sebenarnya ‘mengharap’ untuk masuk syurga, tetapi dalam masa yang sama, kita ‘takut’ yang kita tidak dapat masuk syurga. Tidaklah kita yakin dan pasti yang kita akan masuk syurga. Akan tetapi keyakinan yang tinggi kepada para sahabat Nabi, mereka sanggup mati untuk mempertahankan agama dan menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia. Kerana mereka yakin benar yang kalau mereka  mati di medan jihad, mereka akan masuk ke dalam syurga sebagai syahid.

Kita tidak boleh pasti sama ada kita secara individu adalah ahli syurga ataupun ahli neraka. Cuma kita tahu bahawa kalau Muslim yang sebenar – iaitu orang mukmin dan bertaqwa, orang itu pasti akan masuk syurga. Tetapi tidak ada sesiapa yang boleh kata mereka ahli syurga lagi. Kita cuma boleh tahu di akhirat nanti – selepas pengadilan dijalankan di Mahsyar kelak.

Kita sekarang sedang berusaha untuk berbuat kebaikan seperti yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Semoga dengan amalan kita itu, kita dapat masuk syurga. Namun kita kena sentiasa ada imbangan antara ‘takut’ dan ‘harap’. Takut masuk neraka dan mengharap untuk masuk syurga.

Tetapi lain sekali dengan Orang Yahudi. Mereka sudah ada fahaman yang mereka itu adalah umat terpilih. Mereka yakin mereka akan masuk syurga. Macam syurga itu mereka yang punya. Jadi, mereka itu perasan yang bangsa mereka itu sahaja yang akan masuk syurga. Maka dengan orang yang jenis macam ini, memang susah untuk dakwah kepada mereka. Sebab mereka sudah yakin ahli syurga, jadi bagaimana hendak dakwah lagi? Maka kalau mereka berdegil juga, maka kita mubahalah dengan mereka seperti dalam ayat ini. Cabar dia untuk mati cepat. Ajak dia berdoa sekali.

Di dalam ayat ini, Allah cabar mereka untuk menginginkan kematian. Akan tetapi ada hadis Nabi yang melarang menginginkan kematian,

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ
“Janganlah seorang daripada kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya.”
Riwayat Muslim (6990)

Adakah percanggahan ayat ini dengan hadis Nabi? Tidak! Kerana cabaran Allah di dalam ayat ini adalah untuk mematahkan hujah-hujah mereka; sedangkan larangan Nabi di dalam hadis adalah berkenaan sifat putus asa yang tidak patut ada dalam diri orang Mukmin. Dalam konteks yang lain, ingin mati di jalan Allah ketika melakukan jihad juga tidak salah. Secara umumnya, jangan minta mati melainkan untuk kebaikan. Kita kena teruskan hidup selagi berbaki, selagi Allah belum tentukan tarikh kematian kita. Kalau tidak tahan sangat pun, kenalah doa berlapik seperti disebut di dalam satu hadis yang lain,

اللَّهُمَّ أَحْيِنِى مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِى وَتَوَفَّنِى إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِى
“Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku.”
Riwayat Muslim (6990)

 

إِنْ كُنْتُمْ صَـٰدِقِينَ

Sekiranya kamu benar dalam dakwaan kamu itu.

Sekiranya mereka berasa mereka betul, maka kita cabar kepada mereka untuk mintalah mati dengan segera. Ayat mubahalah ini akan diterangkan dalam Surah Ali Imran nanti. Di situ nanti pun kita akan belajar yang mereka tidak berani untuk bersumpah mubahalah. Semoga dengan ini mereka akan terfikir dan tersentap: “Benarkah aku pasti masuk syurga?”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 91 – 92 (Yahudi melakukan Syirik)

Baqarah Ayat 91: Ini adalah Ayat Syikayah iaitu ayat rungutan Allah ‎ﷻ. Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan bagaimana orang Yahudi tidak mahu beriman kerana mereka ada sikap dengki di dalam diri mereka. Tetapi sikap dengki itu sikap dalaman, maka kita tidak tahu mereka betul-betul dengki ataupun tidak. Maka Allah ‎ﷻ berikan dalil yang mereka memang ada perasaan dengki.

وَإِذا قيلَ لَهُم ءَامِنُواْ بِما أَنزَلَ اللَّهُ قالوا نُؤمِنُ بِما أُنزِلَ عَلَينا وَيَكفُرونَ بِما وَراءَهُ وَهُوَ الحَقُّ مُصَدِّقًا لِّما مَعَهُم ۗ قُل فَلِمَ تَقتُلونَ أَنبِياءَ اللَّهِ مِن قَبلُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sahih International

And when it is said to them, “Believe in what Allah has revealed,” they say, “We believe [only] in what was revealed to us.” And they disbelieve in what came after it, while it is the truth confirming that which is with them. Say, “Then why did you kill the prophets of Allah before, if you are [indeed] believers?”

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Qur’an itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْءَامِنُواْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ

Apabila dikatakan kepada mereka: “Kamu berimanlah dengan wahyu yang Allah turunkan”;

Iaitu apabila mereka dinasihatkan supaya beriman dengan Al-Qur’an. Allah gunakan kalimah قِيلَ (dikatakan) iaitu di dalam bentuk pasif. Apabila ia di dalam bentuk pasif, tidak disebut siapa yang berkata. Yang ditekankan di sini apa yang disampaikan sahaja. Ia mengajar kita untuk mendengar  hujah dan dalil yang disampaikan, bukannya melihat siapa yang sampaikan. Tidak kiralah yang sampaikan itu budak, orang tua, lelaki atau wanita, kaya atau miskin, seorang ustaz atau tidak, pakai serban atau pakai baju biasa sahaja. Kalau yang disampaikan itu benar, maka kita kena rendahkan diri kita dan terima apa yang disampaikan itu. Jangan sombong dan tolak pula kerana kita sendiri yang akan rugi. Orang sombong tidak akan masuk syurga, bukan?

Malangnya orang kita ini asyik memandang kepada penampilan diri sahaja. Senang sangat terima kata-kata dari orang yang berpakaian ala-ala islamik gitu. Asal pakai serban, pakai jubah, pakai rida’, seolah-olah apa sahaja yang disampaikan itu sudah benar belaka. Apa orang kita senang kena tipu kah? Sedangkan pakaian itu tidak memainkan apa-apa peranan pun. Asalkan pakai tutup aurat dan kemas, cukuplah. Kenapa perlu ada uniform apa bagai?

Malah kalau diperhatikan sekarang, orang yang beriya-iya pakai jubah, serban, rida’, celak dan sebagainya itulah yang banyak mengajar ajaran salah. Mereka nampaknya try-hard sangat nak tonjolkan keagamaan mereka dari segi pakaian dan penampilan diri kerana apa yang mereka sampaikan itu tidak benar. Jadi mereka menipu dengan penampilan diri pula. Kalau berpakaian sebegitu dan benar apa yang disampaikan, tidaklah mengapa. Jadi kena nilailah apa yang disampaikan itu, jangan mudah tertipu dengan pakaian. Jangan lupa yang Al-Arqam yang sesat itu dan sampai sekarang GISB itu menarik perhatian orang ramai kerana pakaian sahaja.

 

قَالُوا نُؤْمِنُ بِمَا أُنْزِلَ عَلَيْنَا

mereka jawab: “Kami hanya beriman dengan apa yang diturunkan kepada kami sahaja”.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada kita alasan batil Bani Israil itu dan kenapa mereka tidak mahu menerima Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ. Alasan mereka itu adalah alasan yang tidak boleh dipakai langsung. Mereka tidak mahu terima Al-Qur’an yang diturunkan Allah ‎ﷻ kerana mereka kata ia tidak diturunkan kepada puak mereka. Kononnya mereka hendak beriman dengan apa yang diberikan kepada mereka sahaja. Jadi ini adalah tanda yang mereka itu benar-benar telah kafir kerana telah menolak Al-Qur’an.

Begitulah juga ada di antara masyarakat kita yang tidak mahu menerima dakwah kerana cara orang mengajar itu lain dari cara yang mereka telah biasa. Ini kerana cara mengajar itu tidak kena dengan selera mereka, maka mereka tolak sahaja. Atau mereka nak berpegang kepada yang diajar oleh guru-guru mereka sahaja, orang lain mereka tidak mahu dengar. Ramai yang mahu berpegang sahaja dengan ajaran tok nenek kerana telah biasa, kononnya ‘kalau salah, takkan ramai amalkan’. Maka kalau begitulah akal orang kita, maka tidak jauh sangat bezanya dengan orang Yahudi sahaja. Sebab itu kita kena belajar tentang Yahudi ini dan perangai mereka supaya boleh bandingkan dengan diri kita.

Bani Israil sangka mereka tidak boleh hendak terima kitab lain lagi. Ini kita dapat tahu dari penggunaan perkataan عَلَيْنَا – “ke atas kami”. Perkataan itu menunjukkan ada elemen ‘tanggungjawab’ yang telah dikenakan ke atas mereka di dalamnya. Mereka sangka hanya Taurat sahaja yang mereka boleh terima, kitab-kitab lain sudah tidak boleh lagi. Ini adalah kerana pendeta mereka ada yang ajar: memang Muhammad ﷺ itu Nabi, tetapi Nabi untuk bangsa Arab sahaja. Mereka tetap kena pakai Taurat juga. Ini adalah fahaman yang salah yang ada dalam hati mereka kerana mereka degil dan sudah menutup pintu hati mereka kepada kebenaran. Lagi satu mereka percaya yang Nabi Ya’qub telah mewasiatkan agar mereka berpegang dengan agama Yahudi sahaja.

Begitulah sifat Yahudi yang memberi berbagai-bagai alasan untuk menolak ajaran wahyu. Maka kalau orang Islam pun begitu juga, maka terdapat pada mereka sifat-sifat Yahudi, tanpa mereka sedari. Dan memang ramai ada begitu. Selalu apabila diberikan larangan dari Al-Qur’an atau dari Sunnah, ramai yang beri hujah: mazhab kami kata boleh, ada dalam kitab, ustaz kami kata boleh, atau mereka kata ada pendapat yang kata boleh. Banyak, bukan? Sebagai contoh, sambutan Maulid yang dilakukan setiap tahun (dapat pada Habib, seminggu mereka buat). Tapi bila kita katakan Nabi tak pernah suruh dan para sahabat tak pernah buat, alasan di atas akan diberikan. Seolah-olah para sahabat itu orang kampung mereka sahaja dan tidak ada nilai hujah pun. Seolah-olah mereka hendak kata lantaklah para sahabat tak buat pun, tapi kami nak buat kerana ada pendapat kata boleh buat!

Satu lagi contoh, tentang pembacaan Al-Qur’an di kuburan. Ini kerana ada yang baca Al-Qur’an di kuburan kononnya hendak sedekah pahala bacaan itu kepada si mati. Dan ada yang ambil upah baca Al-Qur’an di kuburan kononnya si mati selamat dari ditanya di dalam kubur. Lapar sangat duit upah sampai direka-reka amalan yang palsu yang tidak pernah dilakukan oleh golongan awal (yang lebih pandai agama dari mereka dan lebih awal dapat Al-Qur’an dari mereka). Kita berikan hujah dari hadis,

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.
Sahih:Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1179

Di dalam hadis ada suruhan dan larangan. Iaitu anjuran dibacakan surah Baqarah di rumah dan larangan baca Al-Qur’an di kuburan kerana kubur bukan tempat Al-Qur’an dibacakan. Lagi pun ia tidak pernah diajar oleh Sunnah. Akan tetapi orang yang banyak alasan bukan kira itu semua, mereka buat andaian sahaja yang ia adalah benda baik.

 

وَيَكْفُرُونَ بِمَا وَرَاءَهُ

Dan mereka engkar dengan kitab yang setelahnya;

Iaitu mereka mereka tidak mahu terima kitab yang diturunkan selepas Taurat. Kalimah ini bukan dari kata-kata mereka seperti sebelum ini akan tetapi ia adalah komentar dari Allah kerana kalau mereka hanya terima Taurat sahaja, maka ia bermakna mereka menolak Al-Qur’an. Mereka kata mereka tetap kena pegang Taurat kerana mereka telah berjanji dahulu. Tetapi sebenarnya mereka bukan beriman pun dengan Kitab Taurat itu. Lihatlah bagaimana Bani Israil tidak menerima Nabi Isa عليه السلام – padahal Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka juga. Itu semua adalah alasan mereka sahaja.

Dan mereka kata mereka beriman dengan Taurat, tetapi dalam ayat sebelum ini kita telah belajar bagaimana Kitab Taurat itu pun mereka telah ubah mengikut kehendak nafsu mereka. Zaman sekarang mereka memberi alasan kenapa mereka boleh ubah Kitab Taurat.

Mereka kata tidak salah mereka ubah Taurat sebab Allah ‎ﷻ telah memberikan akal kepada manusia, maka manusia boleh mengubah Kitab Allah ‎ﷻ mengikut keadaan semasa (mana yang sesuai kononnya). Begitulah, mereka memang jenis manusia yang pandai memusing kata-kata.

 

وَهُوَ الْحَقُّ

Sedangkan Al-Qur’an itu benar;

Al-Qur’an itu benar dari Allah ‎ﷻ. Kalau Taurat itu benar dan datang dari Allah ‎ﷻ, begitu juga dengan Al-Qur’an. Tetapi mereka tetap juga berani hendak menolak Al-Qur’an yang datang dari Allah ‎ﷻ. Dan Al-Qur’an itu adalah الْحَقُّ yang bermaksud benar-benar mencapai puncak kebenaran dari segala segi kerana ada الْ pada kalimah الْحَقُّ itu.

 

مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَهُمْ

membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;

Iaitu membenarkan Kitab Taurat, Injil dan Zabur yang mereka telah ada. Apakah yang telah dibenarkan oleh kitab-kitab itu?

Kitab-kitab itu telah menyebut tentang kedatangan Nabi akhir zaman. Dan kriteria manusia yang disebut dalam kitab-kitab itu menepati ciri-ciri Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sahaja yang menutup mata hati mereka daripada menerima Nabi Muhammad ﷺ walaupun telah jelas kepada mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ itulah yang mereka tunggu-tunggu selama ini.

 

قُلْ فَلِمَ تَقْتُلُونَ أَنْبِيَاءَ اللَّهِ مِنْ قَبْلُ

Katakan kepada mereka: “Kenapa kamu bunuh nabi-nabi Allah sebelum ini,

Allah ‎ﷻ suruh Nabi sahaja yang cakap kepada mereka sebab Allah ‎ﷻ sudah murka kepada mereka, tidak mahu bercakap secara langsung dengan mereka lagi. Allah ‎ﷻ ajar bagaimana untuk bercakap dengan mereka.

Tanya mereka: kenapa mereka bunuh para Nabi mereka? Dan lihat ada penambahan مِنْ قَبْلُ (sebelum Nabi Muhammad) ditambah di sini. Kerana kalau tidak, mungkin timbul di benak orang Yahudi itu yang mereka juga boleh Nabi Muhammad. Atau, kalau tidak ada, umat Islam waktu itu pun tentu risau kerana entah-entah puak-puak Yahudi ini pun akan cuba hendak bunuh Nabi Muhammad pula. Maka Allah tekankan tidak boleh dengan menambah kalimat مِنْ قَبْلُ. Maka ia memberi ketenangan kepada Rasulullah dan para sahabat.

Kalimah تَقْتُلُونَ sekali lagi di dalam bentuk fi’il mudhari seolah-olah ia sedang berlaku sedangkan kejadian itu sebelum Al-Qur’an diturunkan. Ia digunakan di dalam bentuk ini untuk lebih menampilkan kejadian itu di benak pembaca Al-Qur’an seolah-olah ia sedang terjadi.

 

إِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِينَ

sekiranya kamu benar-benar beriman!”

Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Yahya عليه السلام, Zakaria عليه السلام dan lain-lain. Allah ‎ﷻ suruh Nabi tanya: kalau betul kamu itu beriman dengan kitab yang telah diturunkan kepada kamu, kenapa kamu bunuh nabi-nabi dahulu? Adakah dibenarkan dalam kitab mereka untuk membunuh para Nabi? Hendak bunuh manusia biasa pun tidak boleh, apatah lagi membunuh seorang Nabi? Itu adalah dosa yang amat besar.

Mereka dengki apabila Nabi Akhir Zaman dari kalangan bangsa Arab. Tapi lihatlah bagaimana perlakuan mereka terhadap Nabi-nabi dari kalangan mereka. Mereka tolak, malah ada yang mereka bunuh. Jadi jangan marahlah kalau Allah sudah tidak bangkitkan Nabi dari kalangan mereka lagi.

Allah ‎ﷻ akan buka lagi rahsia mereka dalam ayat seterusnya.


 

 NABI MUSA PUN DITOLAK OLEH BANI ISRAIL

Baqarah Ayat 92: Allah tempelak golongan Yahudi dengan kata kalau benar-benar beriman, kenapa ajaran Tauhid mereka langgar?

وَلَقَد جاءَكُم مّوسىٰ بِٱلبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظَـٰلِمُونَ

Sahih International

And Moses had certainly brought you clear proofs. Then you took the calf [in worship] after that, while you were wrongdoers.

Malay

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.

 

وَلَقَد جاءَكُم مّوسىٰ بِٱلبَيِّنَـٰتِ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa dengan bawa dalil bukti yang jelas

Nabi Musa عليه السلام telah datang menyampaikan dakwah kepada Bani Israil. Baginda adalah Nabi mereka yang utama di kalangan Nabi-nabi mereka yang lain. Bukanlah Nabi Musa عليه السلام dengan tangan kosong tetapi baginda telah membawakan banyak bukti kukuh yang jelas tentang kekuasaan Allah ‎ﷻ. Baginda juga telah banyak menunjukkan mukjizat dan juga kejadian-kejadian pelik kepada Bani Israil yang mereka boleh nampak sendiri. Maka sepatutnya mereka beriman penuh kepada baginda.

Akan tetapi Allah tidak sebut kitab Taurat dan mukjizat-mukjizat baginda melainkan menggunakan istilah ٱلبَيِّنَـٰتِ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan bahawa sifat tanda-tanda itu adalah jelas nyata; yang menolaknya hanyalah yang degil keras kepala dan menidakkan naluri insani sendiri. Begitu jugalah Al-Qur’an pun jelas juga dan sepatutnya diambil pengajaran darinya. Ia boleh difahami seperti disebut di dalam Qamar:17

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Maka salahlah pegangan ramai orang yang mengatakan Al-Qur’an itu susah untuk difahami dan hanya boleh difahami oleh orang-orang tertentu sahaja. Kerana ada fahaman salah beginilah yang menyebabkan sunyinya pembelajaran tafsir Al-Qur’an di sebelah Nusantara kita.

Allah gunakan kalimah ٱلبَيِّنَـٰتِ kerana kebenaran itu jelas sebenarnya. Bukankah Allah telah berfirman di dalam Baqarah:256 bahawa kebenaran itu jelas?

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

sesungguhnya telah nyata kebenaran itu dari kesesatan (kufur)

 

ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ مِنْ بَعْدِهِ

Kemudian kamu ambil juga anak lembu sebagai pujaan kamu selepas perginya

Iaitu selepas perginya Nabi Musa عليه السلام ke Bukit Thursina. Dalam ayat sebelum ayat ini, mereka berkata mereka beriman. Tetapi kalau betul mereka beriman, kenapa mereka puja pula patung anak lembu?

Mereka sebenarnya bercakap ‘tidak serupa bikin’. Padahal, dalam sejarah mereka, Nabi Musa عليه السلام adalah nabi utama mereka. Dan mereka kata umat yang hidup dengan Nabi Musa عليه السلام itulah umat yang terbaik. Kalau Nabi mereka yang utama dan umat mereka yang terbaik pun boleh berbuat syirik dengan memuja patung, bagaimana pula dengan mereka?

Akan tetapi bukanlah Yahudi di zaman itu yang menyembah patung anak lembu itu. Akan tetapi mereka tahu tentang hal itu dan mereka mempertahankan perbuatan tok nenek mereka. Jadi mereka sebenarnya sama sahaja di dalam fahaman syirik mereka.

 

وَأَنْتُمْ ظَـٰلِمُونَ

Dan kamu pada ketika itu menzalimi diri sendiri;

Mereka berbuat zalim dengan buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Makna ‘zalim’ dalam ayat ini adalah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Bukan zalim seperti yang kita biasa faham itu.

Jadi ini adalah tempelak kepada Bani Israil: “Kalau dulu pun kamu sudah tak ikuti apa yang ada dalam kitab kamu sendiri, apa sebab kamu boleh kata kamu tak boleh ikut Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ kerana kamu kata kamu kena ikut Taurat?”

Mereka gunakan alasan tidak boleh mengikut Al-Qur’an kerana mereka kata mereka kena ikut Taurat, tetapi Taurat pun mereka sebenarnya tidak ikut. Jadi alasan yang mereka berikan itu adalah amat rapuh sekali. Itu cuma sebagai alasan mereka sahaja. Mereka memang umat yang amat degil.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 88 – 90 (Tolak kebenaran kerana dengki)

Baqarah Ayat 88: Ini adalah jawapan mereka apabila mereka diajak untuk menerima Al-Qur’an. Ada berbagai dalihan dari mereka untuk tidak menerima kebenaran dan ini adalah salah satunya.

وَقَالُواْ قُلُوبُنَا غُلفُۢ‌ۚ بَل لَّعَنَہُمُ ٱللَّهُ بِكُفرِهِم فَقَلِيلاً مَّا يُؤمِنُونَ

Sahih International

And they said, “Our hearts are wrapped.” But, [in fact], Allah has cursed them for their disbelief, so little is it that they believe.

Malay

Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

 

وَقَالُوا قُلُوبُنَا غُلْفٌ

Dan mereka berkata: Hati-hati kami sudah tertutup;

Ayat sebelum ini di dalam bentuk percakapan kepada pihak kedua tapi sekarang ada iltifat kepada pihak ketiga. Ini adalah kerana ada pengalihan dari perbuatan mereka terhadap Nabi-nabi mereka dan sekarang Allah memperkatakan sikap mereka terhadap Nabi Muhammad.

Kalimah غُلْفٌ dari kata dasar: غ ل ف yang bermaksud dicomotkan, tidak khatan, tutup, meliputi. Mereka beri alasan yang hati mereka tertutup daripada menerima ajaran dari Nabi Muhammad ﷺ. Mereka rasa hati mereka dipertahankan dari menerima ajaran Nabi Muhammad yang mereka anggap sesat. Mereka berbangga dengan kelebihan ini, kononnya mereka tetap di atas agama mereka. Mereka tidak sedar yang agama mereka telah dimansukhkan dengan kedatangan Nabi Muhammad.

Ini adalah alasan yang mereka berikan. Kononnya mereka ada uzur kenapa tidak beriman, tapi ini bukanlah jenis uzur yang boleh diterima. Mereka itu jenis yang keras kepala. Sebab itulah apabila dinasihatkan kepada mereka untuk beriman dengan Al-Qur’an, mereka kata hati mereka sudah penuh dengan ilmu sampai kononnya tidak boleh ilmu yang baru lagi.

Satu lagi tafsir, ia bermaksud mereka kata mereka sudah pandai sangat, jadi mereka suruh ajar orang yang jahil sahaja, kononnya. Alasan begini pun orang kita pun mungkin akan berkata begitu juga. Iaitu mereka kata mereka sudah belajar agama lama dan mereka sudah pandai. Mereka sudah ada guru, sudah ke universiti, sudah ke pondok dan sebagainya. Jadi, kalau hendak dakwah, maka dakwah sahaja kepada orang yang tidak belajar.

Atau satu lagi tafsir, ia bermaksud hati mereka amat kental, bukan mudah untuk masuk ajaran lain. Inilah salah satu punca susah untuk beriman, iaitu sombong dan degil. Sombong kerana rasa diri sudah benar dan hebat.

Dan tafsir yang terakhir, mereka kata mereka tidak memahami apa yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Sebab itu mereka kata hati mereka tertutup dari terima.

Adakah umat Islam berperangai begini? Ya ada. Contohnya apabila diajar belajar agama seperti belajar tafsir Al-Qur’an, mereka akan jawab otak mereka sudah tepu tak boleh masuk lagi ilmu baru. Padahal kalau benda lain, boleh sahaja mereka belajar, tapi kalau bab agama, senang sangat mereka buat kesimpulan mereka tidak boleh terima ilmu. Kalau dapat telefon baru, sanggup pula mereka belajar bagaimana menggunakannya.

Ada juga banyak kita dengar alasan ‘tidak sampai seru’ lagi. Ini pun alasan mengarut sahaja. Jadi sama sahaja kata-kata mereka ini dengan golongan Yahudi. Apa mereka sangka para sahabat belajar Islam dulu itu semuanya muda belia belaka kah? Ramai sahaja yang tua dan boleh menerima agama. Jadi jangan beri alasan tidak boleh masuk ilmu agama. Selagi ada nyawa, teruskan belajar. Kalau tolak belajar tafsir Al-Qur’an, seolah-olah kita menolak Al-Qur’an dan akan masalah kita nanti di akhirat.

 

بَل لَّعَنَہُمُ ٱللَّهُ

Bahkan Allah sebenarnya telah melaknat mereka;

Kalimah بَلْ menidakkan anggapan mereka itu yang salah. Itu alasan mereka sahaja, sebenarnya Allah ‎ﷻ sudah laknat mereka. Kalimah بل bermakna menidakkan kata-kata mereka sebelum itu. Sebenarnya mereka tidak dapat memahami dakwah dari Rasulullah adalah kerana mereka telah dilaknat.

Makna ‘laknat’ adalah, Allah ‎ﷻ jauhkan mereka dari rahmat-Nya. Maksudnya mereka tidak akan mendapat kesedaran kerana kekufuran mereka yang lama-lama terdahulu. Allah ﷻ kunci hati mereka dari menerima kebenaran. Allah ﷻ sudah tidak mahu beri hidayah kepada mereka lagi.

Ini kerana mereka banyak sangat menolak hidayah pada waktu dahulu, sampaikan Allah ‎ﷻ sudah tidak mahukan mereka lagi. Syukurlah Allah ‎ﷻ telah memberikan kita hidayah dengan menggerakkan hati kita untuk mula belajar tafsir Al-Qur’an ini.

 

بِكُفْرِهِمْ

dengan kesesatan mereka;

Allah ‎ﷻ laknat mereka kerana kekufuran mereka yang dahulu. Bukanlah kerana memang sengaja Allah ﷻ hendak melaknat mereka. Tapi ia adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Allah menegaskan di sini yang mereka memang telah jatuh kufur.

Ini adalah kufur peringkat Ke-Empat. Iaitu apabila hati sudah dikunci mati dari menerima kebenaran. Tidak kisahlah siapa yang sampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak akan terima.

Peringkat Pertama: ragu-ragu dengan dakwah

Peringkat Kedua: mula menolak

Peringkat Ketiga: menolak dengan berdepan, dengan kasar, dengan ganas.

Peringkat Keempat: telah menolak kebenaran dan sampai satu masa Allah buat keputusan untuk tutup terus pintu hati dari terima kebenaran.

 

فَقَلِيلًا مَّا يُؤْمِنُونَ

dan sedikit sangat di antara mereka itu yang beriman.

Sedikit sahaja yang beriman dari kalangan mereka. Memang tidak ramai yang beriman dari kalangan Yahudi itu. Antara yang terkenal adalah Abdullah bin Salam, bekas pendita Yahudi yang mengenal kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, maka beliau terus beriman.

Atau ia bermaksud sedikit sahaja ajaran yang mereka boleh terima. Ini adalah kerana kedegilan mereka. Kerana kedegilan mereka, maka mereka tidak dapat menerima banyak ilmu. Iman mereka jadi cetek kerana itu.

Sebelum ini telah disebut yang mereka hanya beriman dengan sebahagian kitab sahaja. Maka inilah antara sebab mereka telah ditutup pintu hati mereka. Iman mereka menjadi amat lemah.


 

BANI ISRAIL MENOLAK AL-QUR’AN

Baqarah Ayat 89: Ini adalah tentang Yahudi jenis kelima. Ayat ini merujuk kepada Yahudi di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Ayat ini ingin memberitahu kepada kita yang menolak kitab itu bukan sahaja Yahudi di zaman datuk nenek dahulu, tetapi Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ juga. Sedangkan ajaran nabi-nabi mereka pun mereka tolak, apatah lagi bila Nabi Muhammad ﷺ membawakan ajaran Islam, lagilah mereka tolak dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula Nabi Muhammad ﷺ bukan dari kalangan Bangsa Yahudi.

وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ

Sahih International

And when there came to them a Book from Allah confirming that which was with them – although before they used to pray for victory against those who disbelieved – but [then] when there came to them that which they recognized, they disbelieved in it; so the curse of Allah will be upon the disbelievers.

Malay

Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.

 

وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ

Dan apabila datang kepada mereka Kitab daripada sisi Allah

Yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an kerana ada sifat Al-Qur’an ini yang akan disebut selepas ini: (yang membenarkan) مُصَدِّقٌ.

Di sini Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka bahawa Al-Qur’an itu dari sisi Allah ‎ﷻ bukannya rekaan manusia. Kalau Taurat dari Allah ‎ﷻ, begitu juga Al-Qur’an. Maka jangan disangsikan lagi. Jangan tolak begitu sahaja kerana amat buruk padahnya.

 

مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ

yang membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;

Iaitu membenarkan pemberitahuan dalam Kitab Taurat. Pemberitahuan apa? Tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Jadi mereka sebenarnya sudah tahu dengan diberikan dengan segala sifat-sifat Nabi itu. Kalau mereka benar-benar beriman dengan Taurat, maka mereka tidak boleh menolaknya. Sepatutnya mereka suka kerana orang yang tunggu-tunggu selama hari ini sudah ada.

Di dalam masa yang sama, secara umumnya memang Al-Qur’an membenarkan ajaran di dalam Taurat. Iaitu membenarkan isi kitab mereka dari ‘segi tauhid’. Kena terjemah seperti ini kerana bukan membenarkan dari segi amalan dan fiqah kerana syariat tidak sama. Tetapi ajaran tauhid sahaja yang sama. Maka kalau sama, sepatutnya mereka boleh terima dengan mudah kerana bukan benda baru pun yang disampaikan. Malah dalam bentuk syariat, ia lebih memudahkan bagi mereka kalau dibandingkan dengan syariat mereka sebelum itu.

 

وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا

Sedang mereka sebelum itu meminta kemenangan ke atas kaum Musyrik;

Sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi, orang-orang Yahudi Madinah memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dilantik seorang Rasul untuk memerangi kuffar Musyrikin Madinah dari kalangan bangsa Arab. Mereka tahu yang Musyrikin Madinah itu salah kerana mengamalkan syirik dengan menyembah berhala. Padahal mereka tidak sedar yang mereka pun sesat juga.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang mereka dahulu pernah minta dibangkitkan Rasul akhir zaman. Yahudi Madinah semasa berbalah dengan puak Arab, mereka berkata: “Tunggulah nanti Nabi akhir zaman akan datang, kami akan hapuskan kamu semua!” Maka, setiap kali ada peperangan antara Yahudi dan puak Arab, puak Yahudi akan berkata, akan bangkit Nabi yang akan membaca kitab wahyu seperti mereka juga dan kedatangan Nabi itu akan memberi kemenangan kepada mereka. Namun apabila Nabi akhir zaman itu (Nabi Muhammad ﷺ) datang, mereka tolak pula.

 

فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَّا عَرَفُوا

Maka tatkala datang kepada mereka seorang yang mereka kenal;

Iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mereka katakan sebelum itu, benar-benar telah dibangkitkan. Mereka kenal sungguh Nabi Muhammad ﷺ itu kerana sifat Nabi sama dengan apa yang mereka baca dalam kitab mereka. Ini Allah telah bongkar di dalam Baqarah:146

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِّنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

Cuma yang mereka tidak sangka adalah baginda dari Bani Ismail, bukan dari Bani Israil tapi dari bangsa Arab. Mereka sangkakan yang Nabi itu akan meneruskan agama Yahudi tetapi sebaliknya pula. Mereka tidak sangka Nabi akhir zaman itu dari bangsa Arab.

Jadi di sini kita tahu setakat ada ilmu sahaja tapi degil, tidak berguna. Setakat tahu sahaja tapi tidak percaya dan tidak beramal dengannya, itu tidak cukup. Kalau setakat tahu sahaja sudah dikira beriman, maka tentulah iblis itu ada iman yang paling tinggi kerana ilmunya lagi tinggi.

 

كَفَرُوا بِهِ

mereka telah kufur kepadanya;

Apabila benar Nabi akhir zaman yang mereka katakan itu telah dibangkitkan, mereka tidak mahu terima kerana Nabi Muhammad ﷺ bukan datang dari bangsa mereka. Mereka tolak baginda walaupun mereka sedar yang memang baginda itu seorang Nabi dan memang Nabi akhir zaman yang mereka tunggu-tunggu selama ini.

Maknanya, kadang-kadang manusia apabila kebenaran tidak datang dari puak mereka, maka mereka tolak. Contohnya, kalau ada yang hendak datang mengajar tafsir Al-Qur’an, tetapi orang itu bukan dari guru yang mereka biasa belajar dengannya, maka mereka akan tolak. Ataupun, yang  mengajar itu lain dari apa yang dia faham selama hari ini, maka dia tolak juga. Begitulah sifat manusia yang degil macam Yahudi.

 

فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ

Maka laknat Allah ke atas orang-orang kafir;

Oleh kerana mereka terus tolak Nabi Muhammad ﷺ dan kebenaran yang disampaikan oleh baginda, maka mereka telah dilaknat oleh Allah ‎ﷻ. Maksud dilaknat itu bermakna mereka akan dibiarkan dalam kufur. Rahmat keimanan tidak akan diberikan kepada mereka.

Keduanya, Allah ‎ﷻ tidak beri keampunan kepada mereka. Caranya adalah tidak ditimbulkan dalam hati mereka untuk meminta ampun. Pernah tidak kita berbuat dosa, tetapi kita tidak teringin untuk minta ampun? Rasa macam malas hendak meminta ampun. Atau tidak teringat pun untuk meminta ampun atas dosa kita itu. Walaupun kita tahu yang kita telah buat itu adalah salah. Itu maknanya, Allah telah ‎ﷻ melaknat kita. Ini kerana, kalau kita minta ampun, in sha Allah Dia akan ampunkan dosa kita itu. Terpulang kepada Dia sama ada hendak ampunkan ataupun tidak. Tetapi kalau langsung tidak ada keinginan untuk meminta ampun, bagaimana?

Dorongan untuk meminta ampun itu pun sebenarnya datang dari Dia juga. Jadi, kalau kita teringat akan dosa yang telah kita telah lakukan, sama ada tengah masak atau tengah bawa kereta, teruslah meminta ampun waktu itu juga. Ini kerana semasa itu Allah ‎ﷻ telah timbulkan dalam hati kita keinginan untuk meminta ampun kepada dosa itu. Dan ketika itu pintu pengampunan sedang terbuka. Allah ‎ﷻ detikkan keinginan untuk meminta ampun dalam hati kita kerana Dia memang hendak mengampunkan kita. Maka jangan kita tidak endahkan bisikan hati kita untuk meminta ampun pada waktu itu. Ambil peluang itu untuk benar-benar memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Selalunya orang yang berbuat dosa, mereka tidak teringat untuk meminta ampun. Apabila Allah ‎ﷻ tidak ampunkan dosa kita, kita tidak akan masuk syurga. Ingatlah bahawa kita masuk syurga bukan dengan pahala. Kita masuk syurga dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Ini kerana berapa banyak pun ibadat yang kita buat, tidak mampu membalas segala kurnia Allah ‎ﷻ ke atas kita.

Walaupun ayat ini tentang golongan Yahudi tapi Allah tidak sebut Dia melaknat Yahudi tapi melaknat orang kafir. Maka mana-mana orang kafir pun akan menerima nasib yang sama. Kalau Yahudi pun boleh kena laknat kerana kesalahan mereka, maka kita pun boleh kena laknat kalau perangai kita sama sahaja.


 

Baqarah Ayat 90: Ayat 90 – 123 menceritakan tentang sifat dengki luar biasa Yahudi terhadap keturunan lain. Mereka menolak wahyu hanya kerana Nabi terakhir dilantik daripada bangsa yang lain. Mereka menganggap syurga hanya untuk bangsa mereka sahaja. Mereka juga mendakwa merekalah bangsa yang benar dan bangsa lain adalah sesat.

بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ بَغيًا أَن يُنَزِّلَ اللَّهُ مِن فَضلِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ فَباءوا بِغَضَبٍ عَلىٰ غَضَبٍ ۚ وَلِلكَـٰفِرِينَ عَذابٌ مُّهينٌ

Sahih International

How wretched is that for which they sold themselves – that they would disbelieve in what Allah has revealed through [their] outrage that Allah would send down His favor upon whom He wills from among His servants. So they returned having [earned] wrath upon wrath. And for the disbelievers is a humiliating punishment.

Malay

Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم

Buruk sungguh jual beli mereka dengan diri-diri mereka sendiri;

Mereka telah menyebabkan kerugian kepada diri mereka. Kerana mereka telah menolak kebenaran. Kalimah اشتَرَوا itu di dalam bentuk fi’il madhi (masa lampau) kerana penolakan mereka telah ada sebelum ayat ini diturunkan lagi. Dhomir بِهِ di sini merujuk kepada kitab itu. Mereka jual dan tolak kitab untuk beli kesenangan diri mereka.

Allah ﷻ beri perumpamaan perniagaan jual beli dalam ayat ini. Maka apakah jual beli yang dimaksudkan ini? Mereka tukar keampunan Allah ‎ﷻ dengan neraka. Mereka ada peluang untuk membaiki keadaan diri mereka, tetapi mereka tidak ambil. Mereka beli dunia dengan menjual rahmat dari Allah ‎‎ﷻ sebab mereka merasa kalau mereka masuk neraka pun sekejap sahaja.

Begitulah orang kafir. Tapi bagaimana pula dengan orang Mukmin? Mereka jual diri mereka untuk dapat syurga seperti disebut di dalam Tawbah:111

إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

 

أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ

dengan mereka kufur dengan Al-Qur’an yang Allah turunkan;

Mereka ‘beli’ kufur, dan mereka nanti akan diazab dalam neraka. Berdoalah kita supaya berlindung dari mempunyai sifat sebegini. Kalimah أَن يَكفُروا di dalam bentuk fi’il mudhari’ kerana penolakan dan kekufuran mereka itu masih lagi terjadi.

Allah ingatkan bahawa yang menurunkan Al-Qur’an itu adalah Allah. Mereka lupa bahawa yang mereka kufurkan itu adalah Al-Qur’an iaitu wahyu Allah ‎ﷻ. Mereka tidak mahu belajar Al-Qur’an. Mereka beli kufur dengan menolak Al-Qur’an.

Macam orang kita juga yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an tetapi sangka akan dapat masuk syurga. Mereka biarkan Al-Qur’an berlapuk di rumah dengan tidak dibaca dan dipelajari maknanya. Atau mereka cuma jadikan hiasan dinding. Hanya dibaca sekali sekala (selalunya bila Ramadhan menjelma).

Kenapa orang-orang Yahudi buat begitu?

 

بَغْيًا

Kerana mereka dengki;

Kenapa mereka kufur? Kita kena tahu apakah maksud lafaz بَغْيًا itu. Ia bermaksud dengki dan hasad. Ia adalah perasaan tidak boleh tengok orang lain lebih daripada mereka. Lebih-lebih lagi kalau orang bawahan mereka yang menjadi besar. Mereka hendakkan mereka sahaja di kedudukan yang tinggi. Yahudi itu rasa diri mereka tinggi benar dan malah digelar Ahli Kitab sedangkan bangsa Arab itu terkenal sebagai bangsa yang rendah, gasar dan tidak ada agama lagi kitab. Jadi tentulah mereka tidak puas hati apabila ada pula Nabi dari kalangan mereka dan dapat pula kitab wahyu.

Orang Melayu pun banyak ada sifat ini. Mereka tidak mahu jatuh “standard”. Oleh itu, kita dapat tahu bahawa orang Yahudi itu dengki kerana Nabi akhir zaman bukan orang Yahudi. Mereka tidak puas hati sebab Nabi akhir zaman itu datang dari kalangan bangsa Arab yang mereka selama ini pandang rendah dan menjadi kuli mereka sahaja. Padahal Allah tidak pernah janji pun yang para Nabi mesti dari kalangan Bani Israil.

Orang kita pula, dengki kerana ilmu tafsir ini tok guru mereka tidak ajar. Tok guru mereka hanya ajar kitab yang bukan diambil ajaran dari Al-Qur’an. Jadi bila ada yang datang membawa ajaran tafsir Al-Qur’an, yang mereka cerita adalah kitab-kitab yang mereka sudah belajar dari guru mereka. Macam-macam kitab karangan manusia mereka sudah belajar. Tetapi tafsir Al-Qur’an mereka belum belajar lagi.

Jadi mereka belajar kitab karangan manusia itu sampai tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka rasa sudah cukup dengan kitab-kitab itu. Dan ada guru yang tidak suka anak murid dia belajar tafsir Al-Qur’an. Seperti mereka menyekat sesiapa yang mahu belajar Al-Qur’an. Padahal kita hendak belajar tafsir Al-Qur’an kerana kita ingin tahu kehendak Allah ‎ﷻ dan untuk tahu kehendak Allah  ‎ﷻ kita kena tahu tafsir.

Malangnya, ada guru-guru yang ajar ajaran salah akan kata kalau belajar tafsir Al-Qur’an, akan menjadi sesat. Sampai hasilnya, anak-anak murid mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Antara cara mereka sekat adalah mereka kata bagaimana hendak belajar Al-Qur’an sedangkan mereka tidak tahu membaca Al-Qur’an? Dan tidak tahu bahasa Arab?

Sampaikan mereka menangguh belajar tafsir Al-Qur’an sehingga mereka tahu baca Al-Qur’an dan tahu bahasa Arab. Kalau begitu, sampai bila baru mereka boleh belajar tafsir? Sedangkan apabila belajar tafsir, akan timbul dalam hati keinginan untuk belajar baca Al-Qur’an dan untuk tahu bahasa Arab. Lama-kelamaan kita akan tahu bahasa Arab sebab kita hendak tahu apakah makna setiap huruf-huruf itu. Yang penting, mulakan dengan mengetahui apakah kehendak Allah ‎ﷻ dari Al-Qur’an itu.

Maka dengki adalah sifat buruk yang ada di dalam hati-hati manusia yang tidak menjaga hatinya. Dengki atau hasad itu adalah apabila tidak suka dengan apa yang ada pada orang lain. Kita mahu kita yang dapat dan bukan orang itu. Maka kena jauhkan sikap ini dari dalam hati kita. Ada dua sahaja hasad yang dibenarkan seperti disebut di dalam hadis,

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
[Abdullah bin Mas’ud] berkata; Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “Tidak boleh mendengki kecuali terhadap dua hal; (terhadap) seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain”.
Sahih Bukhari (71)

Dua jenis dengki/hasad ini begini: Kita tengok orang banyak sedekah harta, kita dengki dan jadi seperti dia, maka kita usaha untuk dapatkan harta dan sedekah lagi banyak dari dia; kita lihat orang ada ilmu dan amalkan sambil mengajar kepada orang lain. Kita rasa tak boleh jadi begini, maka kita pun belajar dan berusaha mengajar kepada orang lain lagi banyak dari dia. Maka ini adalah dengki jenis yang baik dan menyebabkan kebaikan yang berganda.

Maka ayat ini mengajar kita supaya tidak memandang siapa yang sampaikan kebenaran. Asalkan yang disampaikan adalah perkara yang benar, terutama sekali dari wahyu, maka kena terima. Tidak kiralah sama ada yang sampaikan itu adalah bangsa lain, orang miskin atau lemah, orang muda malah anak murid kita pun. Ini semua kena terima. Jangan berlagak yang semua benda kita tahu dan jangan sombong dengan kedudukan kita yang tidaklah hebat mana. Kalau yang disampaikan dari wahyu Al-Qur’an dan hadis yang sahih, maka wajib kita terima. Dan kalau yang sampaikan itu orang yang berjubah dan berserban akan tetapi dalil yang disampaikan adalah palsu, maka wajib kita tinggalkan.

 

أَنْ يُنَزِّلَ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

Kerana Allah menurunkan daripada kurniaNya

Mereka tidak suka Allah ‎ﷻ turunkan wahyu kepada Nabi dari bangsa Arab. Mereka mahukan Nabi dari kalangan mereka juga. Sedangkan mereka sepatutnya tahu yang Nabi akhir zaman tidak semestinya akan datang dari bangsa mereka. Malah mereka telah berpindah ke Madinah kerana mereka tahu yang Nabi Akhir Zaman akan datang berpindah ke situ.

Namun oleh kerana dengki, mereka tidak mahu puak lain menjadi Nabi. Jiwa mereka tidak boleh terima. Mereka sanggup jadi kafir disebabkan hal ini dan mereka sendiri yang rugi! Tetapi sebenarnya, kalau datang dari bangsa mereka sendiri pun, mereka tidak ikut juga. Ini kerana sifat mereka yang amat degil.

Orang kita pun ada masalah untuk menerima kebenaran juga. Mereka tahu yang Al-Qur’an itu dari Allah dan mereka sayang; kerana itu mereka selalu baca dan mereka hafal. Akan tetapi itu sebelum mereka tahu maksud ayat-ayat yang mereka baca itu. Apabila disampaikan, mereka jadi ragu-ragu pula untuk terima. Mereka tidak percaya dengan orang yang sampaikan maksud dan tafsir ayat-ayat itu sedangkan yang disampaikan itu adalah wahyu. Jadi orang kita setakat boleh baca dan hafal sahajalah tanpa faham apa yang mereka baca. Dari muda sampailah mereka mati.

 

عَلَىٰ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

ke atas sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya;

Dari ramai-ramai makhluk yang dijadikan, Allah ‎ﷻ telah pilih Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan wahyu Al-Qur’an dan dijadikan Nabi Akhir Zaman. Allah ‎ﷻ tidak pilih orang Yahudi walaupun keturunan mereka banyak nabi-nabi dan rasul-rasul. Ini adalah pilihan dari Allah sendiri dan siapa manusia yang boleh mempersoalkan keputusan dari Allah?

Macam kita juga, kalau orang lain yang mengajar tafsir Al-Qur’an yang bukan dari puak kita, ada yang tidak mahu belajar tafsir. Dikatakan pula kepada yang mengajar tafsir itu bahawa ajaran mereka sesat sebab ajaran dari tafsir Al-Qur’an lain daripada apa yang mereka telah belajar dari kitab-kitab itu. Padahal Al-Qur’an dari Allah ‎ﷻ dan kitab itu karangan manusia sahaja. Kalau karangan manusia, tentu ada salah dan silapnya. Maka untuk tahu mana yang salah dan silap, kenalah tahu tafsir Al-Qur’an.

 

فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبٍ

Maka mereka kembali kepada Allah dengan kemurkaan atas kemurkaan;

Oleh kerana kedegilan mereka itu, maka mereka kembali bertemu Allah ‎ﷻ dengan kemurkaan atas kemurkaan. Kemurkaan yang baru di atas kemurkaan yang sudah ada. Berganda kemurkaan ke atas mereka kerana kemungkaran yang mereka lakukan juga bertingkat-tingkat dan berlipat ganda. Kemurkaan pertama kerana tidak mengikut kitab mereka dan kemurkaan kedua kerana tidak mengikut Al-Qur’an. Dan dari situ berbagai-bagai kemungkaran yang mereka lakukan.

 

وَلِلكَـٰفِرِينَ عَذابٌ مُّهينٌ

Dan bagi orang kafir seperti ini akan dapat azab yang menghinakan di akhirat kelak.

Mereka akan mendapat azab yang menghinakan. Maknanya ia bukan azab biasa. Azab yang akan dikenakan kepada mereka amat teruk. Dan di sini tidak dikhususkan kepada Bani Israil sahaja melainkan disebut secara umum. Jadi tidak kira kafir yang mana pun, mereka akan menerima azab yang menghinakan.

Maka begitu jugalah bagi umat Islam  yang tidak mahu menerima wahyu dan kufur kepada ajaran wahyu. Iaitu mereka yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi dengan memberi pelbagai alasan. Ini adalah kerana sama sahaja sifat mereka dengan sifat orang Yahudi itu.

Sebenarnya semua azab itu menghinakan, jadi kenapa Allah sebut sifat azab itu menghinakan? Allah akan menghukum orang yang berdosa dengan dosanya. Oleh kerana dosa mereka di sini adalah kerana sombong, maka Allah hina mereka. Maka kerana itu kita kena minta berlindung dari hina di akhirat seperti disebut di dalam Ali Imran:194

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah