Tafsir Surah Baqarah Ayat 243 – 244 (Jangan Takut Mati)

BERKORBAN DI JALAN ALLAH ﷻ

Baqarah Ayat 243: Ini adalah pengulangan semula bab jihad. Banyak ayat-ayat jihad dan infak diselit antara ayat-ayat Umur Munazimah. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa perkara-perkara Umur Munazimah itu penting supaya jihad dan infak dapat dilakukan kerana apabila umat Islam berbaik dan bersatu hidup aman sentosa, barulah jihad dan infak dapat dilakukan. Maknanya, tujuan utama adalah untuk jihad dijalankan. Kalau kehidupan kita sendiri tidak harmoni (tidak mengikut hukum Allah ‎ﷻ) mana mungkin kita mampu hendak menjalankan jihad yang tentunya lebih berat?

Tujuan jihad dilakukan pula adalah untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia. Sekiranya orang yang melakukan jihad itu sendiri tidak kenal Allah ‎ﷻ, tidak tahu apa tauhid dan syirik, maka jihadnya itu adalah sia-sia sahaja. Hendak ajak orang kenal Allah ‎ﷻ, tetapi diri sendiri tidak kenal Allah ‎ﷻ dan tidak taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Kalau dia sendiri mati semasa berjihad itu, dia akan terus masuk neraka kerana dia sendiri mungkin ada mengamalkan syirik.

Sekiranya seseorang itu mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik, barulah Allah ‎ﷻ akan tolong dia dalam jihad. Apabila kita kata ‘kenal Allah ‎ﷻ’, kenalah kenal Allah ‎ﷻ sebagaimana yang Dia ajar dalam Al-Qur’an. Bukanlah mengenali Allah ‎ﷻ itu sepertimana cara tarekat dan tasawuf yang banyak berzikir untuk kenal Allah ‎ﷻ. Itu bukan caranya. Untuk kenal Allah ‎ﷻ adalah melalui ilmu dan untuk mendapat ilmu, mestilah belajar. Yang penting adalah mesti mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an. Wajiblah belajar tafsir dan belajar Asma’ul Husna.

Tambahan pula, apabila kita hendak berdakwah, kita kena bawa ajaran Islam. Lalu ajaran Islam apa yang kita hendak bawa kalau masyarakat kita sendiri tunggang langgang? Islam ajar tentang keindahan hidup bermasyarakat di dalam Islam. Orang yang tidak kenal Islam akan nampak rupanya Islam ini hebat dan indah, hal nikah cerai pun ada diajar dan dipelihara kesantunannya. Maka ini akan menarik mereka kepada Islam.

Apabila disebut tentang jihad, salah satu perkara yang menghalang jihad dijalankan adalah takut mati. Maka Allah ‎ﷻ membuka cerita dalam ayat ini tentang golongan terdahulu yang takut mati sampai tidak menjalankan jihad. Ini penting kerana untuk terus hidup, kita tidak boleh takut mati. Untuk menekankan tentang hal ini Allah ﷻ bawakan satu kisah sebagai pengajaran. Kisah ini dibawa semasa umat Islam akan berperang dengan Musyrikin Mekah (Perang Badr).

Allah ‎ﷻ membawakan kisah Bani Israil sekali lagi dalam ayat ini. Ada kisah yang bagus dan ada kisah yang tidak baik tentang mereka. Kita sudah banyak baca tentang kesalahan yang dilakukan oleh golongan ini. Namun ada juga dalam kalangan mereka yang Allah‎ ﷻ suruh kita jadikan sebagai contoh.

۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Have you not considered those who left their homes in many thousands, fearing death? Allah said to them, “Die”; then He restored them to life. And Allah is full of bounty to the people, but most of the people do not show gratitude.

MALAY
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya

Kalimah أَلَم تَرَ adalah di dalam bentuk istifham (soalan). Namun begitu di dalam Al-Qur’an, penggunaan istifham bukanlah di dalam bentuk soalan untuk bertanya, tetapi hendak membawa makna yang lain. Kalimah أَلَم تَرَ di dalam ayat ini adalah Istifham Ta’ajjub (Kehairanan/Kekaguman). Pertanyaan ini digunakan untuk menyatakan rasa hairan, kagum, atau terkejut. Iaitu tidak hairankah dengan mereka ini?

Digunakan kalimat أَلَم تَرَ di dalam maksud ألم تعلم (tidakkah engkau tahu?). Maknanya walaupun digunakan kalimah تَرَ (melihat) akan tetapi ia bukanlah bermaksud melihat dengan mata tetapi melihat dengan mata hati (ru’yah al-qalbi) iaitu memahami. Ini kerana kejadian ini telah berlaku entah berapa ribu tahun yang lepas, sudah tentulah Rasulullah ﷺ tidak dapat melihatnya. Maka ia adalah tentang pengetahuan. Namun begitu kenapakah tidak digunakan sahaja kalimah ألم تعلم? Ini sebagai penekanan tentang benarnya ia berlaku. Ini kerana kalau kita tahu dengan orang beritahu dan kita nampak, yang lebih kuat adalah kita nampak sendiri, bukan? Walaupun di dalam ayat ini, kejadian itu bukan disaksikan dengan mata Nabi ﷺ, namun apabila Allah ‎ﷻ yang menyebutnya, maka ia sudah sampai ke tahap benar yakin seolah-olah melihat dengan mata sendiri.

Allah ‎ﷻ tidak sebut siapakah orang-orang ini tetapi ada pendapat yang mengatakan kisah ini tentang golongan Bani Israil dahulu yang lari keluar dari kampung halaman mereka kerana takut mati.

 

وَهُم أُلوفٌ

sedang mereka beribu-ribu ramainya

Kalimah yang digunakan di sini adalah أُلوفٌ yang bermaksud beribu-ribu. Akan tetapi ia bukan jamak yang biasa namun جمع الكثرة (jamak yang banyak). Ini kerana kalau seribu, أَلْفٌ; kalau lebih daripada seribu tetapi tidak melebihi sepuluh ribu, maka kalimah yang digunakan adalah آلاَفٌ. Akan tetapi apabila ia digunakan dalam bentuk أُلوفٌ, ia bermaksud lebih daripada sepuluh ribu. Sebab itu ada banyak pendapat tentang bilangan mereka ini: ada kata 30 ribu, ada kata 80 ribu dan lain-lain bilangan.

Sedangkan bilangan mereka waktu itu beribu-ribu dan lebih ramai daripada musuh mereka pada waktu itu tetapi mereka masih juga takut dan mereka tetap lari. Kalau musuh itu ramai, masuk akal juga, tetapi tidak. Ini adalah kerana mereka takut mati sangat sampaikan mereka tidak mempertahankan kampung halaman mereka sendiri.

Kita manusia biasa memang takut mati pun, jangan kata tidak takut pula. Namun kalau kita dijanjikan syurga kalau kita mati, siapa yang tidak mahu? Ingatlah bahawa Roh orang yang mati syahid akan terus dimasukkan ke dalam syurga, tidak sama dengan roh orang lain.

Roh mereka yang mati bukan semasa jihad, kena tunggu dibicarakan di Mahsyar barulah boleh masuk syurga. Oleh kerana telah dijanjikan dengan syurga sebegitu rupa, jadi tidak patut kalau kita takut mati dalam jihad.

 

حَذَرَ المَوتِ

kerana takutkan mati

Ada dua pendapat tentang kisah mereka ini. Ada yang mengatakan mereka ini lari kampung halaman mereka kerana takut penyakit taun yang menular di kampung tempat mereka tinggal. Maka mereka lari untuk menyelamatkan diri mereka kerana sudah ramai orang yang mati. Perbuatan mereka ini salah sebenarnya kerana mereka sepatutnya terus tinggal di kawasan tempat mereka. Kerana kalau mereka keluar, mereka akan menjangkiti orang lain pula. Ada hadith tentang perkara ini,

عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَتْ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي ‏ “‏ أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ يُصِيبُهُ إِلاَّ مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلاَّ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ ‏”‏‏.‏
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا isteri Nabi ﷺ, beliau berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang taun (wabak). Maka Rasulullah ﷺ mengkhabarkan kepadaku: “Ia adalah suatu azab yang Allah utus kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah telah menjadikannya rahmat bagi orang-orang mukmin. Tiadalah seseorang yang ditimpa taun kemudian dia tetap berada di negerinya dengan sabar, mengharapkan ganjaran Allah, serta menyakini bahawa tidak akan menimpanya melainkan apa yang telah ditentukan Allah baginya, melainkan baginya ganjaran syahid.”
(Sahih Bukhari No. 3474 dan Muslim No. 2219)

Dari sini kita belajar tentang pengawalan penyakit iaitu konsep Kuarantin. Ini kita semua tahu sebab kita telah melalui zaman Covid-19. Benarlah seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan itu menghadkan perjalanan kerana tidak mahu penyakit ini merebak. Kalau sudah kena di satu kawasan, jangan keluar dari tempat itu. Kena ada kesabaran dan keyakinan bahawa itulah yang terbaik. Kalaulah mati pun di tempat itu, seperti yang disebut di dalam hadith di atas, kematiannya adalah syahid.

Begitu juga jikalau sudah tahu ada wabak di sesuatu tempat, jangan masuk. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang lain,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَامِرٍ، أَنَّ عُمَرَ، خَرَجَ إِلَى الشَّأْمِ، فَلَمَّا كَانَ بِسَرْغَ بَلَغَهُ أَنَّ الْوَبَاءَ قَدْ وَقَعَ بِالشَّأْمِ، فَأَخْبَرَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ”‌‏
Daripada Abdullah bin ‘Amir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sedang dalam perjalanan ke Syam. Apabila sampai di Sargh, beliau mendengar berita bahawa wabak taun sedang merebak di Syam. Kemudian Abdurrahman bin Auf memberitahu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila kamu mendengar (berita) tentang taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila ia berlaku di suatu negeri sedang kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar darinya melarikan diri daripadanya.”
(HR. Bukhari No. 5730 dan Muslim No. 2218)

Intisari hukum daripada hadith-hadith ini:

    1. Larangan Memasuki Kawasan Wabak (الحجر على الدخول – al-hajr ‘ala ad-dukhul): Jika seseorang berada di luar kawasan yang dilanda wabak, dia dilarang untuk masuk ke dalamnya. Ini adalah tindakan pencegahan untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada penyakit dan mencegah penyebaran lebih lanjut.
    2. Larangan Keluar dari Kawasan Wabak (الحجر على الخروج – al-hajr ‘ala al-khuruj): Jika seseorang sudah berada di dalam kawasan yang dilanda wabah, dia dilarang untuk keluar dari kawasan tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan penyakit daripada merebak ke kawasan lain.

Konsep ini dikenali sebagai kuarantin (الحجر الصحي – al-hajr al-ṣiḥḥī) dalam fiqh Islam, dan telah diamalkan oleh umat Islam sejak dahulu kala sebagai langkah pencegahan wabak. Hikmahnya adalah untuk menjaga kesihatan awam, membatasi penyebaran penyakit, dan mengurangkan jumlah korban. Hadith-hadith ini menunjukkan betapa awal dan cermatnya ajaran Islam dalam menghadapi krisis kesihatan awam, jauh sebelum ilmu perubatan moden mengenal konsep kuarantin.

Ini juga mengandungi pengajaran kepada kita untuk berusaha untuk menyelamatkan diri kita dan tidak pergi ke tempat yang ada bahaya. Kita sebagai Muslim diajar untuk tawakal, akan tetapi kita kenalah mengambil langkah-langkah keselamatan dan menjaga keamanan diri kita. Sebagai contoh, kalau tahu sesuatu kawasan itu banyak gangsterism dan selalu sahaja berlaku rompakan, maka janganlah pergi.

Kisah yang lain mengatakan mereka ini telah diberikan dengan arahan untuk berjihad. Namun oleh kerana takut berjihad dek kerana takut mati, maka mereka melarikan diri bagi menyelamatkan jiwa mereka. Apabila arahan jihad telah dikeluarkan kepada mereka oleh Nabi mereka, mereka lari daripada berjihad mempertahankan tanah air mereka. Oleh kerana itu, mereka menjadi lemah dan telah dihalau dari Jerusalem dan telah dibawa ke Babylon dan dijadikan hamba abdi. Inilah bahayanya apabila cintakan dunia sangat sampaikan tidak mahu meninggalkan dunia walaupun dengan cara yang mulia. Sedangkan kita semua akan tetap mati akhirnya, tidak ada yang hidup selama-lamanya. Maka bukankah lebih baik jika diberi pilihan untuk mati dalam jihad, bukan?

Maka di sini mengandungi pengajaran bahawa seorang Muslim tidak boleh meninggalkan jihad kerana takutkan kematian. Ketakutan itu pasti ada, namun dia mestilah lawan perasaan itu. Dia kena sedar bahawa setiap orang akan mati dan tidak ada sesiapa yang dapat mengelak daripada kematian. Allah ‎ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Ali Imran: 156 tentang golongan munafik yang tidak menyertai jihad.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَقَالُواْ لِإِخۡوَٲنِهِمۡ إِذَا ضَرَبُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَوۡ كَانُواْ غُزًّ۬ى لَّوۡ كَانُواْ عِندَنَا مَا مَاتُواْ وَمَا قُتِلُواْ لِيَجۡعَلَ ٱللَّهُ ذَٲلِكَ حَسۡرَةً۬ فِى قُلُوبِہِمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحۡىِۦ وَيُمِيتُ‌ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬ (١٥٦)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang kafir yang berkata kepada saudara-saudara mereka apabila mereka (saudara-saudara itu) pergi berperang di muka bumi atau mereka menjadi orang-orang yang berperang: “Kalaulah mereka bersama-sama kami, tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh.” (Kata-kata yang demikian) menyebabkan Allah menjadikan yang demikian itu sebagai penyesalan dalam hati mereka. Dan Allahlah yang menghidupkan dan mematikan, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 78 juga,

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh

Maka takut kepada kematian itu biasa sahaja dan kita mungkin tidak dapat hendak elak. Namun begitu, jangan jadikan ketakutan itu sebagai perkara yang menghalang kita daripada menjalankan kewajipan jihad setelah mendapat arahan daripada Allah, Rasul dan Ulul Amri (pemimpin).

Sekali lagi diingatkan yang di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi tidak disebut kenapakah mereka lari dari kampung halaman mereka. Kita telah berikan dua pendapat daripada kitab-kitab tafsir yang mengatakan sama ada kerana wabak penyakit atau kerana takut mati di medan perang. Atau mungkin kerana sebab-sebab yang lain. Itu tidak penting kerana Allah ‎ﷻ tidak sebut. Yang Allah ‎ﷻ hendak beritahu adalah mereka ada cubaan untuk menghindar daripada kematian.

 

فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم

Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka.

Maka oleh kerana mereka takutkan mati sangat, Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka mati terus. Sama ada ia adalah lafaz daripada Allah ‎ﷻ sendiri ataupun Allah ‎ﷻ mengarahkan para malaikat untuk mematikan mereka. Sebenarnya Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut pun (seperti juga Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut kun fayakun untuk menjadikan sesuatu). Dalam tafsir ada disebut bahawa mereka dimatikan selama lapan hari dan memang mereka mati betul, bukan pengsan. Ini kerana mereka takut mati sangat, maka Allah ‎ﷻ matikan mereka terus.

Di sini mengajar kita bahawa yang mematikan adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Allah ‎ﷻ yang menghidupkan, maka Allah ‎ﷻ jua yang mampu mematikan dengan mudah sahaja. Sejauh mana pun kita lari untuk menyelamatkan diri kita daripada kematian, kematian tetap akan datang. Ia tidak boleh ditentukan oleh kita, melainkan masa dan caranya ditentukan oleh Allah ‎ﷻ sahaja. Mati tetap mati. Perhatikan firman Allah ‎ﷻ di dalam Jumuah: 8

قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم ۖ ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Kemudian Allah ‎ﷻ menghidupkan kembali setelah seminggu mereka mati. Sebenarnya itu pendapat sahaja kerana tidak ada dalil sahih tentang berapa lama mereka mati. Cuma tidaklah mereka mati dan terus dihidupkan kerana kalimah ثُمَّ digunakan di sini yang menunjukkan ada sengkang waktu yang agak lama. Di sini Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang mereka takut mati sangat itu kenapa? Sedangkan mati itu adalah hak Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh hidupkan dan Allah ‎ﷻ boleh matikan. Kamu tidak boleh lari daripada kematian.

Ada juga yang mengatakan bukan mereka dimatikan dari segi fizikal, tetapi hati mereka yang dimatikan sampai tidak mempunyai daya untuk melawan dan berjihad. Hanya keturunan selepas mereka sahaja yang kemudian berjihad. Namun begitu kita lebih suka kepada pendapat yang mengatakan memang  mereka mati sungguh.

 

إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ

Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia

Allah ‎ﷻ memiliki banyak kurniaan besar kepada manusia iaitu Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada manusia walaupun manusia sudah banyak berbuat salah. Sebagai contoh, boleh sahaja seandainya Allah‎ ﷻ mematikan mereka dan kemudian terus memasukkan mereka ke dalam neraka. Namun Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang  kepada mereka dan menghidupkan mereka kembali . Begitulah juga kita, entah berapa banyak peluang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Kita masih bernafas ini pun adalah kurniaan daripada Allah ‎ﷻ. Masih lagi Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk beribadat dan bertaubat.

Kurniaan kedua yang kita boleh fikirkan daripada ayat ini adalah pengajaran yang Allah ﷻ berikan kepada kita melalui kisah ini supaya menjadi tauladan bagi kita. Iaitu kita jangan takut sangat kepada mati kerana memang ia pasti berlaku. Kalau kita takut pun, ia tetap akan berlaku. Jadi buat apa untuk takut dua kali? Apabila ia terjadi nanti, maka ketika itu barulah kita takut. Untuk sekarang yang kita perlu lakukan adalah membuat persediaan bagi menghadapi kematian. Kalau takut dan takut, tetapi langsung tidak berbuat apa-apa, itu adalah takut yang sia-sia. Ada sebuah mutiara kata yang menarik:

“Worrying doesn’t take away tomorrow’s troubles, it takes away today’s peace.”

Sekarang perhatikan soalan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ tentang bilakah Kiamat dan perhatikan apa jawapan Nabi ﷺ terhadap soalan itu. Memang jawapan yang tepat dan mengajak kita berfikir dan memperbetulkan fahaman kita.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang?’ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ kembali bertanya: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’ 
(Sahih Muslim No. 4777)

Satu lagi kata-kata yang menarik,

“God grant me the serenity to accept the things I cannot change, the courage to change the things I can, and the wisdom to know the difference.”
Reinhold Niebuhr (The Serenity Prayer)

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Namun ramai manusia yang tidak bersyukur di atas peluang yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka. Mereka tidak mengambil peluang dengan kehidupan yang mereka ada sekarang. Mereka ambil ringan sahaja. Allah ‎ﷻ juga telah berfirman di dalam Yusuf: 38


Dan aku mengikuti agama bapa-bapaku: Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kami mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada seluruh manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Begitu juga di dalam Yunus: 60


Dan apakah dugaan orang-orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah pada hari kiamat? Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (melimpah) atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Juga di dalam Ghafir: 61


“Allahlah yang menjadikan untuk kamu malam untuk kamu berehat padanya, dan siang (menjadikan) terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim No. 5046)

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi. Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

Maka pengajaran syukur adalah untuk menjadikan diri kita menjadi insan yang baik dan beribadah. Ini kerana kita tidak akan dapat hendak mengira berapa nikmat Allah ‎ﷻ yang terlalu banyak untuk dikira. Jadi tidak perlu kira, tetapi ketahuilah yang ia sangat banyak dan kita kena tahu yang kita hendaklah beramal sebanyak mungkin. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nahl: 18


“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang.”


 

Baqarah Ayat 244: Kenapa pentingnya ada keberanian? Kerana Jihad memerlukannya.

وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And fight in the cause of Allah and know that Allah is Hearing and Knowing.

MALAY
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah; dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ

Dan berperanglah kamu pada jalan Allah

Sekarang Allah ‎ﷻ beri arahan berjihad. Umat Islam telah diwajibkan dengan urusan jihad (sampaikan ada yang mengatakan ia rukun – namun ia bukanlah rukun) kerana ia amat penting. Ya, zaman sekarang ia tidak berlaku akan tetapi kita kena tahu bahawa ia ada di dalam syariat Islam. Kalau kita pergi berjihad pun, kita kena ada niat untuk berjihad. Ini kerana ada hadith tentang hal ini, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ
Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan.
(Hadith riwayat Imam Muslim No. 158)

Kenapa ia dipanggil سَبيلِ اللَّهِ? Kerana ia adalah suruhan daripada Allah ﷻ. Keduanya kerana kalau melakukannya, ia adalah jalan yang membawa kepada keredhaan Allah ﷻ. Ini adalah berperang dalam jihad kemuncak, iaitu jihad perang yang ada kemungkinan boleh mati. Kita gunakan terma ‘jihad kemuncak’ untuk membezakan antara beberapa jenis jihad. Jihad kemuncak adalah jihad yang paling tinggi iaitu iaitu jihad perang yang ada kemungkinan mencabut nyawa kita. Inilah jihad yang berhadapan dengan mati. Ini hendak membezakan sebab jihad itu ada bermacam jenis – jihad melawan nafsu, jihad lisan dalam dakwah dan sebagainya. Kemuncak segala jihad itu adalah jihad perang. Dalil bahawa ia adalah kemuncak adalah hadith,

Diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

“Aku ada bersama Nabi ﷺ dalam suatu perjalanan. Aku pun berkata: “Wahai Nabi Allah, beritahukanlah kepadaku tentang suatu amalan yang dapat memasukkanku ke syurga dan menjauhkanku dari neraka.”

Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah bertanya tentang perkara yang besar, dan sesungguhnya ia adalah ringan bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Azza wa Jalla. Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah.”

Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah aku khabarkan kepadamu pintu-pintu kebaikan?” Aku berkata: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Puasa adalah perisai, sedekah memadamkan dosa seperti air memadamkan api, dan solat seorang lelaki di tengah malam.” Kemudian Baginda membaca ayat: “تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ” (Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. [Surah As-Sajadah: 16]).

Kemudian Baginda bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepadamu tentang kepala perkara, tiangnya dan kemuncak (bonggolnya)?” Aku berkata: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ” “Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan kemuncak (bonggol)nya adalah jihad.”

Kemudian Baginda bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepadamu tentang kendali semua itu?” Aku berkata: “Sudah tentu, wahai Nabi Allah.” Baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Jagalah ini.” Aku berkata: “Wahai Nabi Allah, adakah kami akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kami ucapkan?” Baginda bersabda: “Semoga ibumu kehilanganmu, wahai Mu’az! Adakah yang menjerumuskan manusia ke dalam neraka di atas wajah mereka atau di atas hidung mereka melainkan hasil ucapan lisan mereka?”

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dalam kitab Sunan At-Tirmizi, Kitab Iman, Bab Ma Jaa’a Fii Hurmahish Shalati, hadith no. 2616. At-Tirmidzi menyatakan hadith ini Hasan Sahih. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad dan Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah.

Namun begitu  perang ini ada syarat-syaratnya yang perlu diperhatikan oleh para mujahideen. Jangan ikut perlakuan orang-orang kafir yang melampau. Kita telah belajar antaranya seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 190

وَقَـٰتِلُواْ في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقَـٰتِلُونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

Ada hadith sahabat bertanya apakah maksud jihad yang sebenarnya kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana peperangan bukanlah maksud yang utama kerana peperangan adalah perkara biasa sahaja di mana orang kafir pun berperang juga. Maka apa bezanya antara peperangan mereka dan jihad orang Islam? Manusia ada yang berperang untuk mendapatkan harta, meluaskan tanah jajahan mereka ataupun kerana marahkan orang lain dan bukanlah mereka berperang untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ dalam akidah tauhid. Maka itu bukanlah jihad yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Jadi sahabat bertanya apakah maksud jihad di ‘Jalan Allah’ itu? Nabi ﷺ menjawab:

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا، فَهْوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Barangsiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimatullah – yakni agama Allah itu menjadi tinggi-maka orang sedemikian itulah yang disebut jihad fisabilillah”.
(Sahih Bukhari No. 7458)

Peperangan itu bukanlah perkara yang utama tetapi diizinkan kepada umat Islam apabila kita ini dizalimi. Bukannya kita terus sahaja pergi berperang dan membunuh orang-orang kafir. Sampai ada yang kata Islam berkembang kerana berperang dan memaksa manusia yang dijajah itu masuk Islam. Ramai yang bertanggapan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Kita hendak menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia dan kalau mereka mati sebelum mereka mendengar dakwah kita, bagaimana pula kita dianggap mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ?

Sebenarnya kita berjihad perang itu kerana hendak berdakwah. Kalau manusia benarkan kita berdakwah, maka tidak perlu berperang. Yang jadi masalah apabila dakwah Islam dihalang oleh kerajaan kafir. Selain dizalimi, kita juga dibenarkan untuk memerangi orang kafir jikalau mereka menghalang kita untuk menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia. Ini berkenaan dengan pemimpin negara yang tidak membenarkan dakwah Tauhid dibenarkan dalam negara mereka. Sudahlah dia tidak kenal Allah ‎ﷻ malah dia menghalang pula orang lain untuk kenal Allah ‎ﷻ dan Tauhid, maka mereka sebegitu tidak layak untuk hidup di dunia lagi. Kalau mereka begitu, barulah boleh kita menghantar tentera Islam ke sana untuk membebaskan rakyat negara itu. Akan tetapi sekiranya mereka tidak menghalang, maka umat Islam tidak dibenarkan untuk mula mencetuskan peperangan.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ tahu laungan hamba yang menyeru dan mengajak kepada jihad. Allah ‎ﷻ juga tahu laungan hamba yang hendak menghentikan jihad kerana pengecut jiwanya. Ada yang sanggup mengatakan jihad perang tidak ada dalam Islam. Itu adalah pendapat yang salah kerana itu sudah menidakkan satu perkara yang penting dalam agama Islam.

Allah ‎ﷻ tahu hati manusia sama ada mereka ikhlas dalam jihad atau tidak kerana itu ada kisah sahabat yang mati dalam jihad tetapi dia tidak mendapat syahid. Ini kerana dia berjihad bukan kerana agama. Allah ‎ﷻ tahu dalihan yang digunakan oleh manusia yang hendak mengelak daripada melakukan jihad. Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada dalam isi hatinya.

Apabila kita tahu Allah ‎ﷻ bersifat سَميعٌ عَليمٌ, maka ia memberi motivasi kepada kita untuk berdoa dan menyerahkan pengharapan kita kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana Allah ‎ﷻ sentiasa سَميعٌ mendengar doa kita dan عَليمٌ tahu apa yang kita perlukan. Jadi Dia akan beri apa yang kita patut dapat dan baik untuk kita. Bilakah kita amat memerlukan Allah ‎ﷻ? Tentunya ketika berjihad, bukan? Kerana kita waktu itu sedang menghadapi satu keadaan yang nyawa kita boleh melayang bila-bila masa. Maka waktu itulah perbanyakkan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Perhatikan doa yang dipanjatkan para nabi dan pengikut mereka yang berjuang di jalan Allah seperti yang dinaqal oleh Allah ‎ﷻ di dalam Ali Imran: 147:


“Tidak ada perkataan mereka selain ucapan: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami, dan teguhkanlah pendirian kami, serta tolonglah kami atas kaum yang kafir.”

Waktu berperang itulah kita menyerahkan urusan kita kepada Allah ‎ﷻ kerana hanya Dia sahaja yang boleh membantu kita. Begitulah yang diajar oleh Allah ‎ﷻ di dalam Ali Imran: 173


“(Iaitu) orang-orang (mukmin) yang ketika dikatakan kepada mereka: “Sesungguhnya manusia (musuh) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Jun 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 240 – 242 (Jaga kebajikan balu)

HUKUM ASAL IDDAH

Baqarah Ayat 240: Kembali kepada ayat-ayat Umur Munazimah tentang hal-hal perkahwinan.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ ۚ فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And those who are taken in death among you and leave wives behind – for their wives is a bequest: maintenance for one year without turning [them] out. But if they leave [of their own accord], then there is no blame upon you for what they do with themselves in an acceptable way. And Allah is Exalted in Might and Wise.

MALAY
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka daripada perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا

Dan orang-orang yang dimatikan di antara kamu dan mereka ada meninggalkan isteri-isteri, 

Digunakan kalimah يُتَوَفَّونَ di dalam bentuk mabni majhul (bentuk pasif). Ia mengingatkan kita yang Allah ‎ﷻ boleh mematikan kita bila-bila masa sahaja dan kita tidak ada kuasa ke atasnya. Bila-bila masa Allah ‎ﷻ boleh matikan kita, maka kenalah bersedia. Ayat ini adalah kepada suami yang mati dan ada meninggalkan isteri. Tentulah perkara ini biasa sangat terjadi maka Islam telah meletakkan saranan tentang apa yang perlu dilakukan dalam keadaan seperti itu. Islam tidak meninggalkan keadaan balu wanita itu dalam keadaan tergantung dan terkontang kanting.

Ayat ini telah dimansukhkan dengan Ayat 234 sebelum ini. Akan tetapi walaupun hukumnya telah dimansukhkan akan tetapi ayatnya masih dikekalkan. Ini adalah contoh nasakh dzimni di mana Allah ‎ﷻ tidak menyebutkan secara sarih (jelas) akan berlakunya nasakh. Akan tetapi terdapat hukum lain yang disyariatkan yang mana ia bercanggah dengan hukum sebelumnya tanpa adanya nas yang sarih menunjukkan akan mansukhnya hukum yang pertama dan tidak boleh untuk dihimpunkan di antara keduanya. Maka pensyariatan hukum yang terkemudian itu menjadi nasikh dzimni (terkandung) bagi hukum yang terdahulu. Pendapat yang mengatakan ayat 240 ini telah dimansukhkan oleh ayat 234 adalah kuat,

قَالَ ابْنُ الزُّبَيْرِ قُلْتُ لِعُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ { وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا } قَالَ قَدْ نَسَخَتْهَا الْآيَةُ الْأُخْرَى فَلِمَ تَكْتُبُهَا أَوْ تَدَعُهَا قَالَ يَا ابْنَ أَخِي لَا أُغَيِّرُ شَيْئًا مِنْهُ مِنْ مَكَانِهِ
Ibnu Zubair berkata; Aku bertanya kepada Utsman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengenai ayat; “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri (Al-Baqarah: 240)”. Beliau menjawab; Ayat itu telah dinasakh dengan ayat yang lain. Lalu aku bertanya; kenapa kamu menulisnya atau membiarkannya? Dia menjawab; Wahai anak saudaraku, aku tidak akan merubahnya sedikit pun dari tempatnya.
(Sahih Bukhari No. 4166)

Ayat 234 menunjukkan bahawa isteri-isteri yang kematian suami hendaklah mereka itu beriddah selama empat bulan sepuluh hari. Akan tetapi berdasarkan ayat 240 ini, dapatlah difahami bahawa iddah bagi wanita yang kematian suaminya adalah selama setahun penuh pada awal-awal Islam dahulu. Ini bagi pendapat yang mengatakan ada nasikh mansukh di sini.

Namun begitu ada pendapat juga yang mengatakan ia tidak dimansukhkan. Ia masih lagi terpakai. Iaitu yang wajib bagi isteri adalah menunggu selama 4 bulan 10 hari dan sunat kalau mereka menunggu selama setahun di rumah suami.

 

وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم

hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka

Suami itu digalakkan untuk berwasiat iaitu meninggalkan pesan kepada walinya supaya menjaga isterinya itu. Kalau sudah rasa ajal akan menjemput tidak lama lagi, maka patutlah sangat difikirkan keadaan isteri dan anak-anak. Tidak patut isterinya itu dibiarkan begitu sahaja. Maka seorang suami hendaklah memikirkan perkara ini: “Apa yang akan jadi dengan anak isteri aku kalau aku tiba-tiba tidak ada?” Maka hendaklah dia mengingatkan ahli keluarganya untuk menjaga anak isterinya dan biarkan mereka tinggal di rumah itu selama setahun sekurang-kurangnya.

Kalau suami itu tidak sempat kerana bukan semua sempat sakit dahulu, mungkin mati secara tiba-tiba , maka diingatkan di dalam ayat ini bahawa ada wasiat daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka. Jangan jadikan alasan arwah suami tidak cakap apa-apa pula kerana sudah ada ayat Al-Qur’an terpampang sangat jelas. Kamu kalau jahil, tanyalah kepada orang yang tahu. Orang yang tahu pula, ingatkanlah kepada ‘waris dari neraka’ yang tamak membolot sahaja harta arwah. Banyak kita dengar ada manusia yang tidak berhati perut yang hanya datang untuk mengambil ‘hak’ mereka katanya. Mereka ini tidak patut dibiarkan berleluasa kerana hak itu datang bersama tanggungjawab sebenarnya. Merekalah yang bertanggungjawab menjaga keluarga arwah kerana merekalah waris. Namun, kebiasaannya yang terjadi, mereka hanya nampak bahagian ‘ambil’ sahaja, mereka tidak nampak bahagian yang ‘kena beri’. Maka mereka ini mesti diingatkan oleh pihak berkuasa yang mereka bukan boleh sewenang-wenangnya datang mengambil kunci kereta dan rumah dan menghalau balu kepada si mati.

 

مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ

iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.

Disunatkan untuk menyediakan nafkah daripada harta yang ditinggalkannya sampai cukup setahun jikalau isterinya itu tidak berkahwin lain. Diwasiatkan atas dasar jasa baik dan kasih sayang terhadap isterinya itu. Isterinya itu memang boleh berkahwin lain tetapi jikalau mereka tidak, maka perlu diwasiatkan untuk penjagaan mereka. Ini kerana mungkin setelah habis iddah, isterinya tidak dipinang lagi.

Maka yang terbaik isterinya itu diwasiatkan (diberi peringatan kepada ahli waris) untuk dibiarkan tinggal di rumah yang dia tinggal bersama suaminya sebelum itu selama cukup setahun. Janganlah dihalau isteri itu keluar walaupun suaminya sudah tidak ada lagi. Oleh kerana suaminya tidak ada lagi, maka waris mestilah menjalankan tanggungjawab ini.

Penting untuk berwasiat kerana kalau tidak, entah apa yang akan terjadi kepada balunya itu. Entah nanti penerima waris terus mengambil sahaja harta peninggalan arwah dan dihalaunya balu itu dari rumah itu. Jadi hendaklah berwasiat sebaik-baiknya dan pastikan ada orang yang akan menjalankan wasiat itu. Malah kalau ada yang berhati baik, bukan sahaja setahun dibenarkan tinggalkan, malah dibenarkan tinggal terus memandangkan itulah rumah yang dia pernah hidup dengan arwah suaminya dahulu.

Asbabun Nuzul ayat: Diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahawaih dalam Tafsir-nya dari Muqatil bin Hayyan, bahawasanya seseorang daripada penduduk Thaif datang ke kota Madinah bersama anak-anak laki-laki dan perempuannya, dia juga membawa kedua orang tuanya serta isterinya. Kemudian dia meninggal di kota Madinah, maka khabar tersebut terdengar oleh Nabi ﷺ, maka baginda memberikan warisan kepada kedua orang tuanya dan anak-anaknya, akan tetapi dia tidak memberikan isterinya apa pun, hanya mereka diperintahkan untuk memberikan nafkah kepada isteri tersebut daripada harta yang ditinggalkan oleh sang suami selama setahun, maka turunlah ayat ini. 

 

فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ

Kemudian jika mereka keluar maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka daripada perkara yang patut 

Isteri itu boleh tinggal selama setahun di rumah itu, tetapi kalau isterinya itu keluar juga, maka tidaklah ada kesalahan kepada wali-wali arwah suaminya itu. Mungkin kerana telah dipinang orang, atau hendak kembali ke rumah ibu bapanya sendiri. Jadi wanita itu ada pilihan. Hukum kena tinggal selama setahun di rumah suami telah dimansukhkan dengan potongan ayat ini seperti yang disebut di dalam hadith.

عَنْ ابْنِ أَبِي نَجِيحٍ عَنْ مُجَاهِدٍ { وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا } قَالَ كَانَتْ هَذِهِ الْعِدَّةُ تَعْتَدُّ عِنْدَ أَهْلِ زَوْجِهَا وَاجِبٌ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا وَصِيَّةً لِأَزْوَاجِهِمْ مَتَاعًا إِلَى الْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنْفُسِهِنَّ مِنْ مَعْرُوفٍ } قَالَ جَعَلَ اللَّهُ لَهَا تَمَامَ السَّنَةِ سَبْعَةَ أَشْهُرٍ وَعِشْرِينَ لَيْلَةً وَصِيَّةً إِنْ شَاءَتْ سَكَنَتْ فِي وَصِيَّتِهَا وَإِنْ شَاءَتْ خَرَجَتْ وَهْوَ قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى { غَيْرَ إِخْرَاجٍ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ } فَالْعِدَّةُ كَمَا هِيَ وَاجِبٌ عَلَيْهَا زَعَمَ ذَلِكَ عَنْ مُجَاهِدٍ وَقَالَ عَطَاءٌ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ نَسَخَتْ هَذِهِ الْآيَةُ عِدَّتَهَا عِنْدَ أَهْلِهَا فَتَعْتَدُّ حَيْثُ شَاءَتْ وَهْوَ قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى { غَيْرَ إِخْرَاجٍ } قَالَ عَطَاءٌ إِنْ شَاءَتْ اعْتَدَّتْ عِنْدَ أَهْلِهِ وَسَكَنَتْ فِي وَصِيَّتِهَا وَإِنْ شَاءَتْ خَرَجَتْ لِقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى { فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ } قَالَ عَطَاءٌ ثُمَّ جَاءَ الْمِيرَاثُ فَنَسَخَ السُّكْنَى فَتَعْتَدُّ حَيْثُ شَاءَتْ وَلَا سُكْنَى لَهَا
Daripada Ibnu Abu Najih daripada Mujahid mengenai firman Allah ‎ﷻ: Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri (Al Baqarah: 234). Ayat ini menerangkan wajibnya iddah di rumah keluarganya. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan ayat; “Dan orang-orang yang akan mati di antara kami dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah membuat wasiat untuk isteri-isterinya iaitu nafkah sampai setahun tanpa mengeluarkannya dari rumah. Tetapi jika mereka keluar sendiri, maka tidak ada dosa bagimu mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka sendiri dalam hal-hal yang baik.” Mujahid berkata; Allah ‎ﷻ telah menjadikannya sebagai penyempurna dalam hitungan setahun iaitu tujuh bulan dan dua puluh malam sebagai wasiat. Apabila dia ingin, maka dia menempati sesuai wasiat tersebut. Namun jika dia ingin keluar, maka itu sudah menjadi kehendaknya. Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah ‎ﷻ: “Tetapi jika mereka keluar sendiri, maka tidak ada dosa bagimu“. Maka Iddah adalah perkara yang wajib. Perawi mengaku itu daripada Mujahid. Atha berkata; Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Ayat ini telah menghapus ‘iddah di rumah keluarganya sehingga ia beriddah di tempat yang dia kehendaki, iaitu firman Allah ‎ﷻ: ‘Tanpa keluar rumah.’ Atha berkata; ‘Jika dia berkehendak, maka dia beriddah di rumah keluarganya dan tinggal sesuai wasiatnya.’ Namun jika dia berkehendak, dia keluar darinya. Sebagaimana firman Allah ‎ﷻ: “Maka tidak ada dosa bagimu mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka sendiri.” (Al-Baqarah: 240), Atha berkata; kemudian turun ayat mirats (mengenai warisan) yang menghapus mengenai tempat tinggal, maka dia boleh beriddah sesuai kehendaknya tanpa harus tinggal di rumahnya.
(Sahih Bukhari No. 4167)

Namun kenalah pastikan yang apa yang dilakukan oleh wanita itu adalah perkara yang makruf (yang baik). Sebagai contoh, dia berkahwin lain, atau kerja tempat yang jauh atau pulang ke rumah ibubapa. Tidaklah boleh dibenarkan kalau ikut lelaki lain pula.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang membuat kesalahan dengan serta merta. Namun Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana, maka Allah ‎ﷻ menangguh hukuman itu dan ini memberi peluang kepada mereka yang berbuat salah untuk bertaubat dan membaiki kesalahan mereka.

Kesalahan apa yang dimaksudkan di sini? Iaitu kalau ada yang menghalau balu waris sendiri, itu adalah satu perbuatan yang tidak patut. Maka perbetulkan balik dengan membenarkan dia duduk di rumah itu. Jikalau ada mengambil hak dia, maka mestilah kembalikan.


 

MENYANTUNI ISTERI YANG DICERAI

Baqarah Ayat 241:

وَلِلمُطَلَّقٰتِ مَتٰعٌ بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

SAHIH INTERNATIONAL
And for divorced women is a provision according to what is acceptable – a duty upon the righteous.

MALAY
Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

 

وَلِلمُطَلَّقاتِ مَتاعٌ بِالمَعروفِ

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut,

Kepada wanita yang diceraikan wajib diberikan sedikit sebanyak hadiah kepada mereka. ‘Makruf’ itu bermaksud hadiah yang boleh mengurangkan sedikit kesedihan dan kemarahan kepada mereka. Ini kerana kalau seorang wanita diceraikan setelah sekian lama berkahwin, tentulah ada kesedihan dan serba sedikit rasa marah kerana ditinggalkan.

Sebelum ini kita telah perhatikan di dalam Baqarah: 236 bahawa isteri yang dicerai sebelum disetubuhi, hendaklah diberikan dengan mut’ah sebagai saguhati.

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتٰعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ
Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Ayat 241 ini menjelaskan lagi hal ini. Iaitu semua isteri yang diceraikan hendaklah diberi juga dengan mut’ah sebagai pengubat hati. Adapun hikmahnya ialah supaya perceraian jangan menimbulkan bisik-bisikan, umpat-umpatan. Juga ia menjadi tanda bahawa bekas suami adalah seorang yang halus perasaan, tidak membiarkan jandanya terlantar sesudah bercerai, sehinggalah dia mendapat suami lain. Tambahan pula bekas isteri itu berkemungkinan menjaga anak benihnya sendiri. Di dalam ayat ini ditegaskan benar-benar bahawa ini adalah kewajipan bagi orang yang bertaqwa. Kerana orang yang ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ itu halus perasaannya. Bukan orang yang patut dituduh hanya laksana kumbang menyeri bunga, kumbang pun terbang bunga pun layu.

Maksud ‘makruf’ itu juga, hendaklah mut’ah itu diberikan dengan cara yang baik. Oleh itu, ketika kita beri hadiah itu, kita berilah dengan cara baik dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan dan kemarahan kepada wanita itu pula. Ini kerana ada orang yang beri tetapi mereka tunjukkan yang mereka tidak suka semasa memberi hadiah itu.

Kita kenalah sedar tujuan kita memberi hadiah itu iaitu untuk mengurangkan kesedihannya. Jikalau kita memberi itu tetapi dalam masa yang sama menyebabkan dia sakit hati maka itu tidak menepati syari’at.

Mungkin inilah cara terbaik yang diajar oleh Islam apabila bercerai. Walaupun dicerai, tetapi isteri diberikan dengan mut’ah yang menyebabkan mereka senang hati dan juga redha. Dalam beberapa kitab sejarah seperti oleh al-Mas’udi dan Ibn Abi al-Hadid, disebut bahawa Saidina Hasan menikahi dan menceraikan hingga 70 orang wanita. Bahkan ada yang mengatakan ayahnya, Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memperingatkan kaum Kufah agar tidak menikahkan anak perempuan mereka dengan Hasan kerana beliau sering menceraikan isteri. Namun, kita perlu tambahkan di sini yang riwayat-riwayat ini dipertikaikan kesahihannya, kerana ia tidak disebut dalam sumber hadith yang sahih seperti al-Bukhari atau Muslim. Bahkan ia banyak bersandarkan riwayat ahli sejarah Syi’ah dan Mu’tazilah, yang kadang memuatkan unsur tokok tambah atau prejudis. Ramai ulama menyatakan bahawa Saidina Hasan memang berkahwin banyak kali, bercerai pun banyaklah juga, namun jumlah pastinya tidak diketahui secara sahih. Perkahwinan beliau juga tidak melanggar syariat, dan tidak terbukti secara sahih bahawa beliau menceraikan isteri dengan cara yang zalim atau tidak bertanggungjawab. Imam Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ dan beberapa ulama lain menyatakan bahawa menikahi dan menceraikan wanita bukanlah satu dosa jika dilakukan dengan adil dan bersebab syarie. Yang kita kena tambah di sini adalah semua isteri-isteri beliau yang diceraikan itu tidaklah marah kepada beliau kerana mereka diberikan dengan mut’ah yang banyak. Jadi walaupun diceraikan, mereka gembira.

 

حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

Ini adalah tanggungjawab kepada orang yang menjaga akidah dan taqwanya. Maka ulama’ berpendapat yang mut’ah ini adalah wajib. Akan tetapi, ramai dalam kalangan para suami yang menceraikan isterinya tidak menjalankan kewajipan ini mungkin kerana jahil tentang hukum ini. Ini tidak menghairankan kerana masyarakat Islam kita bukannya kenal ayat-ayat dalam Al-Qur’an lagi. Mungkin tidak pernah dengar pun ayat ini, jauh sekali untuk faham apatah lagi mengamalkannya. Ini amat menyedihkan kerana kalau kita baca ayat-ayat ini, kita nampak betapa indahnya Islam ini, walaupun bercerai, tetap dilakukan dengan cara yang amat baik, menjaga sungguh-sungguh hati sesama bekas pasangan itu.

Beberapa riwayat asbabun nuzul menyebutkan bahawa setelah turunnya ayat 236 yang mewajibkan mut’ah bagi wanita yang diceraikan sebelum dicampuri dan ditetapkan maharnya, ada seorang laki-laki yang berkata (dengan nada kurang senang atau meremehkan), “Jika aku ingin berbuat baik, aku akan melakukannya. Jika tidak, maka aku tidak akan melakukannya.” Sebagai respons terhadap sikap ini, Allah ‎ﷻ menurunkan ayat 241 ini untuk menegaskan bahawa pemberian mut’ah kepada wanita yang diceraikan adalah “حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ” (suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa). Ini menunjukkan bahawa ia bukan hanya sekadar kebaikan yang sifatnya pilihan, tetapi merupakan tuntutan taqwa dan keadilan.


 

Baqarah Ayat 242: Sekarang adalah penutup bagi rentetan ayat-ayat tentang hubungan suami isteri dan nikah cerai.

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Thus does Allah make clear to you His verses that you might use reason.

MALAY
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukum-Nya

Begitulah Allah ‎ﷻ mengajar kepada kita cara-cara untuk menjalani kehidupan kita supaya semuanya dapat hidup aman dan damai serta dapat menjaga hukum Allah ‎ﷻ di atas muka bumi ini. Segala hukum yang Allah ‎ﷻ ajar kita ini adalah untuk kebaikan kita sendiri juga sebenarnya. Maka amatlah rugi kalau kita tidak melakukannya. Atau kita ambil ringan mengenainya. Mungkin ada yang ambil ringan dengan mencari pendapat-pendapat yang ringan seperti tidak mewajibkannya. Maka akan ada yang kata: “Alahh, ia anjuran sahaja, bukannya wajib…”. Janganlah begitu.

Perhatikan firman Allah, يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم yang bermakna Allah ‎ﷻ telah menjelaskan hukumnya. Kalau ada yang tidak faham, itu hanya kerana tidak belajar sahaja dan ternyata memang ramai tidak belajar pun. Maka kerana itulah ramai isteri menjadi marah kerana hak-hak mereka terabai. Sedangkan jikalau diperhatikan dan diikuti cara-cara yang diajar di dalam Islam, maka sepatutnya tidak ada rasa tidak puas hati. Namun begitu, bagaimanalah perkara ini hendak sampai kepada masyarakat? Asatizah yang mengajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah ditahan-tahan daripada mengajar, yang bergendang berjoget pula yang disanjung dan dibenarkan. Yang ajar ajaran karut dibenarkan mengajar, yang mengajar dengan benar tidak diberikan tauliah kepada mereka walaupun telah diminta.

Perhatikan juga kalimah لَكُم (bagi kalian). Maknanya ayat-ayat ini semua adalah untuk semua umat Islam. Bukannya kepada orang tertentu sahaja. Ini kerana ada yang mengatakan kita takkan faham ayat-ayat Al-Qur’an kerana kita orang biasa sahaja. Ulama’ sahaja boleh faham, kata mereka. Ini adalah pendapat yang jahil dan menghadkan perkara yang tidak perlu dihadkan. Sedangkan Allah ‎ﷻ sudah beritahu yang ayat-ayat Al-Qur’an telah dijelaskan bagi kita semua dan malah 4 kali Allah ‎ﷻ ulang di dalam Surah Qamar ayat ini,

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Malangnya yang kata Al-Qur’an tidak boleh difahami orang awam adalah para asatizah sendiri. Itulah mereka yang tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Jadi oleh kerana mereka tidak belajar, maka mereka pun tidak mahu masyarakat belajar kerana kalau masyarakat jadi pandai, susahlah mereka hendak menggoreng masyarakat awam lagi. Mereka tahu masyarakat awam yang pandai ilmu wahyu, akan sedar yang golongan asatizah itu ramai yang jahil-jahil belaka. Pandai dan lembut lidah berbicara bagaikan tin kosong sahaja, walhal ilmu wahyu kosong di dada.

 

لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

mudah-mudahan kamu dapat memikirkannya

Kena guna akal kita yang waras untuk memahami segala perkara ini. Akal yang sihat dan belajar secara saksama, akan nampak kepentingan segala hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Apabila kita dapat memahami hikmah sesuatu hukum itu, maka kita akan mudah untuk melakukannya. Akal yang sihat akan suka belajar wahyu kerana wahyu ini mesra akal dan menjadikan pelajarnya cerdik-cerdik belaka, tidak mudah ditipu oleh ahli agama lagi.

Habis Ruku’ 31 daripada 40 surah ini. Ini adalah ringkasan ayat-ayat yang berkenaan hukum hakam perkahwinan yang kita telah belajar di dalam Surah Al-Baqarah ini.

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Keenam Surah Baqarah ini. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Keenam ini mengenai hukum hakam baru umat Islam baru bangun (ayat 178 – 242). Hukum hakam amat penting untuk menguruskan umat Islam yang baru naik ini (Umat Islam, umat Nabi Muhammad ﷺ). Ia adalah silang kepada Makro Kedua (B) sebelum ini. Di dalam Makro Kedua Allah ‎ﷻ mengutuk Bani Israil yang tidak taat kepada syariat dan hukum hakam yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka. Sekarang kita umat Islam yang baru bangun ini pula selepas mereka yang diberikan dengan hukum hakam.

Mari kita lihat kandungan Makro ini dengan lebih mendalam:

Penjelasan:

[B11]/[B11′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ mengajar hukum hakam berkenaan kemaslahatan umat Islam. Allah ‎ﷻ memberi hukum Qisas, kemudian tentang harta iaitu diberikan hukum Faraid dan Wasiat, kemudian diajar hukum munakahat (nikah & cerai) dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pernikahan itu.

[B12]/[B12′] – Bahagian ini bermula dengan hukum puasa yang panjang lebar. Disebut di dalam di dalam Bahagian [B12] bolehnya pasangan suami isteri bersama di malam hari Bulan Ramadhan. Di dalam [B12′] disebut pula hukum hakam persetubuhan antara suami isteri.

[B13]/[B13′] – Di dalam Bahagian [B13] Allah ‎ﷻ menegur tentang cara salah di dalam pengambilan harta (ambil dengan cara salah dan menggunakan rasuah); dan di dalam Bahagian [B13′] pula Allah ‎ﷻ mengajar bagaimanakah cara yang baik untuk menggunakan harta itu iaitu dengan infak harta kita yang lebih dari keperluan kita dan tidak salah kalau bercampur harta kita dengan harta anak yatim.

[B14]/[B14′] – Di dalam Bahagian ini Allah ‎ﷻ menjawab dua soalan. Soalan pertama tentang bulan dan kemudian ada soalan berkenaan arak dan judi.

[B15]/[B15′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ memberikan hukum hakam Jihad.

[B16]/[B16′] – Kedua-dua Bahagian ini mengandungi anjuran tentang infak.

[B17]/[B17′] – Di dalam Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang dua golongan yang rugi. Di dalam [B17] Allah ‎ﷻ menyentuh tentang golongan Munafik dan di dalam [B17′] Allah ‎ﷻ menyebut tentang golongan kafir yang berselisih tentang wahyu kerana kedegilan mereka.

[B18] – Di Bahagian tengah ini Allah ‎ﷻ mengajar untuk masuk Islam dengan sepenuhnya, iaitu taat kepada suruhan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di dalam bahagian ini terdapat banyak sekali hukum hakam yang mengandungi suruhan dan larangan, maka semuanya kita kena ikut.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 239 (Solat Berjalan)

Baqarah Ayat 239: Suruhan menjaga solat ini bukan sahaja semasa aman, tetapi semasa perang juga. Semasa kita berperang dengan musuh yang zahir, jangan kita lupa untuk berperang dengan musuh yang batin juga, iaitu syaitan. Maka dalam keadaan perang pun kita masih disyari’atkan untuk solat. Dalam saat genting, maka lebih lagi kita mesti menjaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ iaitu dengan menjaga solat kita. Kalau perang pun kena jaga solat, apatah lagi kalau dalam keadaan aman. Justeru, tidak ada alasan untuk meninggalkan solat.

Kalau dikaitkan dengan ayat sebelum ini tentang suruhan untuk khusyuk di dalam solat, mungkin ada yang menduga bahawa solat tidak wajib ketika dalam keadaan takut dan huru hara kerana waktu itu tentu susah untuk menjaga khusyuk. Untuk menghilangkan kekeliruan itu, maka ayat ini menjelaskan bahawa dalam keadaan takut pun kena solat juga.

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا ۖ فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And if you fear [an enemy, then pray] on foot or riding. But when you are secure, then remember Allah [in prayer], as He has taught you that which you did not [previously] know.

MALAY
Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

 

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan,

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut keutamaan qiyam. Di sini disebut pengecualian kepada qiyam itu di dalam keadaan yang mendesak. Kalau kamu bimbang disebabkan oleh peperangan yang berlaku, maka ada keringanan yang diberikan kepada manusia dalam mengerjakan solat. Solat masih tetap wajib dilakukan tetapi diringankan iaitu boleh dilakukan semasa berjalan dan juga di atas kenderaan. Jelaslah ketakutan tidaklah menggugurkan kewajipan solat, namun boleh meninggalkan beberapa rukun jika perlu. Asalkan tetap solat.

Kalimah رِجَالاً adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘dalam keadaan berjalan’. Ia daripada kata dasar sama ر ج ل yang bermaksud berjalan kaki, diikat kaki, menyusukan anak, rambut kerinting, menyikat rambut, turun dengan tali, berjalan dengan semangat, kaki, askar, pemburu, lelaki, lelaki yang ada waris. Lelaki dipanggil رَجُلٌ dan jamaknya رِجَالٌ di dalam bahasa Arab kerana manusia adalah makhluk Allah ‎ﷻ yang bergerak menggunakan kaki.

Jadi perhatikan di sini disebut yang boleh sahaja solat dalam keadaan berjalan. Mungkin pelik ilmu ini bagi orang kita kerana ramai tidak tahu (kerana jauh daripada wahyu Al-Qur’an). Mereka sangka tidak boleh berjalan langsung; atau kalau berjalan pun dua langkah sahaja. Sebab itu kita lihat ada orang kita yang hendak mengubah saf, jalan dua kali, henti, jalan dua kali, henti. Mereka mungkin tidak pernah mendengar hadith seperti hadith ini yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

“كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يُصَلِّي فِي مَسْجِدِهِ، فَجَاءَ رَجُلٌ وَرَآهُ يُصَلِّي، فَطَلَبَ مِنْهُ أَنْ يَفْتَحَ لَهُ الْبَابَ، فَفَتَحَ لَهُ النَّبِيُّ ﷺ.”
“Nabi ﷺ sedang solat di masjidnya, lalu seorang lelaki datang dan melihat baginda sedang solat. Lelaki itu meminta Nabi ﷺ supaya membuka pintu untuknya, lalu Nabi ﷺ pun membuka pintu itu.”
— (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Mungkin mereka tidak tahu hadith ini,

حَدَّثَنَا الأَزْرَقْ بْنُ قَيْسٍ . قال كُنَّا بِالأَهوَازِ نُقاتِلُ الحَروريَّةَ . فَبَينَا أَنَا على جُرُفِ نَهَرٍ إِذا رَجُلٌ يُصَلِّي . وإِذَا لِجَامَ دَابَّتِهِ بِيَدِهِ فَجَعَلَتِ الدَّبَّةُ تُنَازِعُهُ . وجعلَ يَتْبَعُهَا . قال شُعبةُ . هو أَبو بَرزَة الأَسلمِيُّ .فَجَعَلَ رجُلٌ من الحَوَارِجِ يَقُولُ اللهُمَّ افْعَلْ بهذا الشَيْحِ . فَلَمَّا انْصَرَفَ الشَّيْخُ إِنِّيْ سَمِعْتُ قَوْلَكُمْ . وَإِنِّي غَزَوْتُ مع رسول الله صلى الله عليه وسلم سِتَّ غَزَوَاتٍ أَوْ سَبْعَ َزَوَاتٍ وَثَمَانِيًا . وَشَهِدْتُ تَيْسِيْرُهُ . وَإِنِّي أَنْ كُنْتُ أَنْ أُرَاجِعَ مع دَبَّتِيْ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَدعَهَا تَرْجِعُ إلى مَأْلَفِهَا فَيَشُقَّ عَلَىَّ . رواه البخاري
Telah berkata al-Azraq bin Qais رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ katanya: “Abu Barzah Al-Aslami رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sedang berada di tepi sebatang sungai di Ahwaz (sebuah negeri di Iraq). Di sana beliau solat sambil memegang tali kudanya. Binatang itu bergerak-gerak mahu kembali ke tempat lain, maka Abu Barzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengundur mengikut gerakan kuda tersebut. Kebetulan seorang Khawarij berkata kepadanya : “Ya Allah! Celakalah orang ini, bagaimana dia solat?” Lalu sesudah selesai solat Abu Barzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Aku mendengar kata-kata kamu tadi, ketahuilah aku telah bersama Rasulullah ﷺ dalam beberapa peperangan sampai enam, tujuh atau lapan kali. Jadi aku tahu akan keringanan-keringanan yang diajarkan Baginda ﷺ. Maka mengundur mengikuti binatang tersebut adalah lebih mudah daripada membiarkannya terlepas kerana ia pasti akan lebih menyusahkan aku.” Ketika itu Abu Barzah ﷺ sedang solat dua rakaat.”
(Sahih Bukhari No. 1221)

Ada sejenis solat yang dipanggil Solat Khauf. Inilah solat yang dilakukan ketika di dalam perang. Solat ini boleh dilakukan sambil memegang senjata, malah tanpa mengadap ke arah kiblat pun kalau perlu. Cara untuk melakukannya, hendaklah dirujuk dalam bab Fiqah. Ada beberapa cara ia dilakukan, antaranya seperti disebut di dalam Ayat Nisa’: 102

وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ فَلتَقُم طائِفَةٌ مِّنهُم مَّعَكَ وَليَأخُذوا أَسلِحَتَهُم فَإِذا سَجَدوا فَليَكونوا مِن وَرائِكُم وَلتَأتِ طائِفَةٌ أُخرىٰ لَم يُصَلّوا فَليُصَلّوا مَعَكَ وَليَأخُذوا حِذرَهُم وَأَسلِحَتَهُم ۗ وَدَّ الَّذينَ كَفَروا لَو تَغفُلونَ عَن أَسلِحَتِكُم وَأَمتِعَتِكُم فَيَميلونَ عَلَيكُم مَّيلَةً وٰحِدَةً ۚ وَلا جُناحَ عَلَيكُم إِن كانَ بِكُم أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَو كُنتُم مَّرضىٰ أَن تَضَعوا أَسلِحَتَكُم ۖ وَخُذوا حِذرَكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا مُّهينًا
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sebahagian daripada mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula sebahagian yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjemaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

Selain dari itu, ada disebut seperti di dalam hadith ini,

كَانَ إِذَا سُئِلَ عَنْ صَلَاةِ الْخَوْفِ قَالَ يَتَقَدَّمُ الْإِمَامُ وَطَائِفَةٌ مِنْ النَّاسِ فَيُصَلِّي بِهِمْ الْإِمَامُ رَكْعَةً وَتَكُونُ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْعَدُوِّ لَمْ يُصَلُّوا فَإِذَا صَلَّى الَّذِينَ مَعَهُ رَكْعَةً اسْتَأْخَرُوا مَكَانَ الَّذِينَ لَمْ يُصَلُّوا وَلَا يُسَلِّمُونَ وَيَتَقَدَّمُ الَّذِينَ لَمْ يُصَلُّوا فَيُصَلُّونَ مَعَهُ رَكْعَةً ثُمَّ يَنْصَرِفُ الْإِمَامُ وَقَدْ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ فَيَقُومُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْ الطَّائِفَتَيْنِ فَيُصَلُّونَ لِأَنْفُسِهِمْ رَكْعَةً بَعْدَ أَنْ يَنْصَرِفَ الْإِمَامُ فَيَكُونُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْ الطَّائِفَتَيْنِ قَدْ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ فَإِنْ كَانَ خَوْفٌ هُوَ أَشَدَّ مِنْ ذَلِكَ صَلَّوْا رِجَالًا قِيَامًا عَلَى أَقْدَامِهِمْ أَوْ رُكْبَانًا مُسْتَقْبِلِي الْقِبْلَةِ أَوْ غَيْرَ مُسْتَقْبِلِيهَا قَالَ مَالِكٌ قَالَ نَافِعٌ لَا أُرَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ ذَكَرَ ذَلِكَ إِلَّا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Bahawa Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا apabila ditanya tentang solat khauf dia menjawab; “Seorang imam maju bersama sekelompok orang, lalu solat satu rakaat bersama mereka. Sedangkan sekelompok yang lain yang berada antara imam dengan musuh belum mengerjakan solat. Jika orang-orang yang solat bersama imam telah selesai, mereka mundur ke tempat orang-orang yang belum solat dan mereka belum salam. Kelompok yang belum solat maju dan solat bersama imam satu rakaat. Imam pergi dan dia telah solat dua rakaat. Maka semua daripada dua kelompok itu berdiri dan menyempurnakan solat mereka satu rakaat, satu rakaat, setelah perginya imam. Setiap kelompok itu telah menyempurnakan dua rakaat. Jika keadaan lebih menakutkan daripada itu, mereka solat dengan berjalan kaki atau dengan menunggangi tunggangan, baik menghadap qiblat atau tidak.” Malik berkata, Nafi’ berkata; “Saya tidak melihat Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menceritakannya melainkan daripada Rasulullah ﷺ.”
(Sahih Bukhari No. 4171)

Bukan sahaja ketakutan di dalam perang, malah jika dalam keadaan takut dalam hal lain pun boleh juga. Selain ketika perang, ia boleh dilakukan ketika ketakutan kepada gangguan musuh, bencana, atau situasi genting. Entah dikejar singa, mungkin kerana banjir atau apa-apa sahaja.

Maknanya solat boleh dilakukan di dalam berbagai keadaan. Semua keadaan kita boleh solat. Jadi kalau di dalam keadaan payah pun disuruh kita tetap menjaga solat, apatah lagi kalau dalam keadaan aman? Begitulah pentingnya solat kalau dibandingkan dengan ibadah-ibadah yang lain. Sebagai contoh kalau puasa, boleh ditinggalkan jikalau di dalam perjalanan; kalau Haji itu hanya untuk orang yang mampu sahaja. Namun perhatikan solat, tidak ada pelepasan baginya melainkan mesti dilakukan pada setiap waktunya, cuma cara melakukannya yang berubah-ubah mengikut keadaan. Begitulah solat tetap kena solat juga. Jadi amat sedih sekali masyarakat sekarang sudah tidak pandai untuk solat. Mereka hanya boleh solat di rumah dan dengan sejadah mereka sahaja agaknya. Sampaikan kalau membeli belah sahaja sudah dilupakan solat. Kalau melancong dan tidak ada surau seperti di Malaysia pun tidak boleh solat. Kalau sakit dan kena masuk wad, seolah dapat lesen besar tidak perlu solat! Siapa beri lesen pun tidak tahu lah. Ini orang yang mungkin solat di dalam keadaan biasa; bagaimana pula yang memang aman atau tidak, senang atau sudah, langsung buat tidak tahu apabila waktu solat sudah masuk! Kerana itu ada hadith,

“يُدْرَسُ الإِسْلاَمُ كَمَا يُدْرَسُ وَشْيُ الثَّوْبِ، حَتَّى لاَ يُدْرَى مَا صِيَامٌ، وَلاَ صَلاَةٌ، وَلاَ نُسُكٌ، وَلاَ صَدَقَةٌ…”
“Islam akan luntur sebagaimana luntur corak pada pakaian. Sehingga tidak diketahui lagi apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadah, dan apa itu sedekah…”
(Riwayat al-Darimi dalam Sunannya (1/79) — sanadnya hasan)

Jadi solat perlu dilakukan di dalam masanya. Kalau kita rasa tidak boleh, mungkin kerana kurangnya ilmu untuk memilih jenis solat yang boleh dilakukan. Ada yang mengerjakan Solat Hormat Waktu. Akan tetapi solat jenis ini tidak ada dalilnya. Kenapa perlu solat yang kemudian perlu diganti? Kalau solat itu sah, kenapa perlu diganti? Kalau tidak sah, kenapa solat pula? Cuma kita tidak nafikan  yang ini adalah pendapat Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ iaitu mereka yang tidak mampu bersuci langsung atau lain-lain perkara yang menjadi syarat sah solat, maka mereka tetap perlu menunaikan kewajipan solat pada waktu itu, dan solat itu sah dan tidak perlu diulangi. Kita tidaklah memperleceh atau mengejek solat hormat waktu. Ini kerana solat hormat waktu adalah pendapat yang memang kuat di sisi mazhab Syafie juga. Jika sesiapa yang memilih untuk ulang kembali solat itu bila dia mampu, maka itu lebih berhati-hati dan selamat. Cuma kita katakan, ada banyak cara untuk menjadikan solat itu sah dan tidak perlu diulang dan tidak perlu pun melakukan ‘solat Hormat Waktu’.

Bagaimana pula dengan solat yang sengaja ditinggalkan? Mungkin dia sakit atau membeli belah dan dia fikir, nanti aku gantilah. Bolehkah ganti solat ini? Atau, orang yang memang berada di zaman jahiliyah dia, sudah tua bangka pun tidak solat lagi, tiba-tiba sampai umur 50 tahun, baru rasa baligh dan hendak solat. Perlukah digantikan semua solat yang dia sengaja tinggalkan itu? Ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama’. Pendapat yang kuat adalah tidak ada ganti bagi solat itu. Kerana dalil untuk mengqada’ solat hanya terhad kepada lupa, tertidur, pengsan, gila. Maknanya bukan sengaja ditinggalkan. Ini seperti disebut di dalam hadith,

قال رسول الله ﷺ: “مَنْ نَسِيَ صَلَاةً، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ”
“Barangsiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia ingat. Tiada kaffarah (tebusan) baginya kecuali dengan mengerjakannya (qadha).”
(Riwayat Bukhari No. 597 dan Muslim No. 681)

Yang lebih mengarut adalah amalan turun temurun orang jahiliyah kita yang membayar fidyah solat dengan beras! Bukan sahaja mereka reka amalan ini, ditambah lagi kegilaan itu dengan helah upacara tolak-tarik beras itu! Maknanya sedekah beras, kemudian dipulangkan balik dan kemudian disedekah lagi beras yang sama! Memang bodoh sekali rupanya.

فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم

kemudian apabila kamu telah aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah, sebagaimana Allah telah ajar kamu

Keadaan yang menakutkan tentu tidak kekal lama. Maka dalam keadaan sudah aman, maka solatlah seperti biasa. Kalimah فَاذكُرُوا di dalam ayat ini bermaksud solat. Ini kerana zikir yang paling besar sekali adalah solat. Apabila dalam keadaan aman, kena ikut cara solat sebagaimana yang Allah ‎ﷻ ajar kita untuk solat dalam keadaan biasa. Solatlah dengan cara yang sempurna. Ingatlah bahawa solatlah ibadat terbaik. Maka jangan kita lepaskan peluang ini.

Dalam ayat ini disebutkan bahawa kita kena ingat Allah ‎ﷻ, maknanya ayat ini hendak memberitahu yang dalam solat itu, perkara yang paling penting kita kena lakukan adalah ingat kepada Allah ‎ﷻ. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Taha: 14

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Begitu juga ketika Allah ﷻ berbicara tentang solat di dalam Ankabut: 45, Allah ﷻ sambung dengan menyebut tentang ingat kepada Allah ﷻ,

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ
“Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Kitab, dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (zikrullah) itu lebih besar (darjatnya).”

Begitulah telah disebut di dalam hadith,

قال رسول الله ﷺ: “إذا قام أحدكم إلى الصلاة، فإنه يناجي ربه…”
“…فإن ذكر الله فيها، فهو خير له.”
“Apabila salah seorang kamu berdiri untuk solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhannya… maka zikrullah (ingat Allah) dalam solat itu adalah yang terbaik baginya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kerana itulah kena khusyuk dalam solat. Kalau tidak, hanya dijaga perbuatan solat sahaja tetapi hati tidak hadhir bersama. Maka ibadah solat ini bukan hanya perbuatan fizikal turun dan bangun sahaja akan tetapi ia melibatkan ibadah hati juga. Malah, pahala solat itu mengikut kadar khusyuk kita di dalam solat itu. Kalau separuh waktu sahaja kita khusyuk, maka separuh sahajalah pahalanya. Dalilnya,

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلَّا عُشْرُ صَلَاتِهِ، تُسْعُهَا، ثُمُنُهَا، سُبُعُهَا، سُدُسُهَا، خُمُسُهَا، رُبُعُهَا، ثُلُثُهَا، نِصْفُهَا
“Sesungguhnya seseorang itu selesai daripada solatnya, dan tidak dicatat baginya (pahala) kecuali sepersepuluhnya, atau sepersembilannya, atau seperdelapannya, atau sepertujuhnya, atau seperenamnya, atau seperlimanya, atau seperempatnya, atau sepertiganya, atau setengahnya.”
(Riwayat Abu Dawud (796), Ahmad, al-Nasa’i; dinilai sahih oleh al-Albani])

 

مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

apa yang kamu dulu tidak mengetahuinya.

Sebelum ini kita tidak tahu pun cara-cara untuk solat tetapi Allah ‎ﷻ telah ajarkan kita melalui Nabi-Nya. Begitu juga, kalau dulu tidak tahu berbagai jenis solat, sekarang sudah tahu. Kalau tidak tahu, belajarlah lagi. Janganlah hanya bergantung setakat ilmu solat yang belajar di sekolah rendah sahaja. Tiadalah diajar berbagai-bagai cara semasa di sekolah itu.

Kedua-dua ayat di atas adalah ayat Umur Muslihah. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ selang selikan antara ayat-ayat hubungan dengan masyarakat (Umur Munazimah) dengan ayat-ayat tentang hubungan dengan Allah ‎ﷻ (Umur Muslihah). Allah ‎ﷻ selang selikan kerana kedua-dua jenis ayat ini adalah amat berkaitan sekali.

Secara umum pula ayat ini mengajar kita yang kita ini asalnya jahil, tidak tahu apa-apa. Jadi tidak perlu hendak sombong kerana tidak ada sesiapa yang lahir-lahir sahaja sudah pandai. Kita belajar sedikit demi sedikit, dan pencapaian berdasarkan kepada kemampuan akal kita dan sumber yang kita dapat. Begitu juga di dalam manhaj Sunnah, kadangkala kita ini yang mula-mula sahaja yang kenal akan Sunnah. Namun bukanlah bermakna kita ini yang lebih pandai daripada orang lain pula. Bukan. Kadangkala kita yang mula belajar, tetapi ada orang yang belajar kemudian lebih pandai daripada kita. Jadi jangan kita sombong dan perasan kita pandai melangit walaupun kita yang mula kenal Sunnah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 17 Mei 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 238 (Jagalah Solat)

MENJAGA SOLAT

Baqarah Ayat 238: Kita masih lagi di dalam rentetan ayat-ayat tentang hubungan nikah kahwin. Akan tetapi tiba-tiba diselit ayat tentang solat pula. Belum habis lagi ayat tentang nikah cerai kerana akan disambung lagi selepas dua ayat tentang solat ini. Kenapa ada diselit tentang solat pula?

Seorang pujangga Perancis yang terkenal, iaitu Voltaire, ketika mula-mula membaca salinan Al-Qur’an, mengatakan bahawa mula-mula membaca Al-Qur’an itu kita hanya melihat susunan yang tidak teratur, kacau dan tidak dapat difahami. Namun kalau telah dibaca berulang dengan tenang, kita kian lama kian terpesona. Demikian kira-kira simpulan kesan Voltaire tentang Al-Qur’an. Bagaimana sebabnya beliau terkesan demikian? Kerana dilihatnya dalam Al-Qur’an itu sepintas lalu, nampaknya tidak teratur. Bagaimana tidak, sedang asyik-asyik membicarakan tentang hal iddah, talak, mut’ah, maaf-memaafkan mahar, sekarang tiba-tiba membicarakan mengenai solat pula. Akan tetapi setelah beliau membaca dengan tenang dan berulang, baru beliau faham dan baru terasa enaknya. Padahal yang dibacanya itu hanyalah terjemahan sahaja, bukan asli bahasa Arab dan setelah mengetahui maknanya barulah beliau dapat melepasi kekacauan dalam susunan Al-Qur’an setelah berkali-kali membacanya. Begitulah Al-Qur’an adalah bacaan untuk dirasakan dengan akal dan hati sekali. Bertambah dirasakan dan diresapkan, bertambah hilang kekacauan yang ada dalam fikiran ketika membacanya. Rupanya bukan Al-Qur’an yang kacau, tetapi fikiran sendirilah yang kacau sebelum mendapat kuncinya.

Dalam ayat-ayat sebelum ini kita telah banyak belajar tentang ayat-ayat Umur Munazimah iaitu tentang hubungan sesama manusia. Sekarang kita diingatkan di sini bahawa hubungan dengan manusia itu hanya boleh menjadi baik jikalau kita menjaga hal-hal Umur Muslihah iaitu hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin hubungan dengan manusia ini akan menjadi baik jikalau tidak dijaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Sebab itulah di antara ayat-ayat yang mengajar menjaga hubungan dengan manusia itu, diselitkan dengan ayat-ayat tentang menjaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ.

Begitu juga jikalau terjadi perceraian, tentu fikiran akan serabut, bukan? Maka dalam keadaan sebegitu, kepada siapa yang kita perlu mengadu? Sebaiknya mengadu kepada Allah ﷻ kerana ia lebih menenangkan dan percayalah hanya Allah ﷻ yang boleh menenangkan hati kita.

Menurut Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ, “Ketentuan-ketentuan yang diceritakan Allah ‎ﷻ sebelum ayat ini, semuanya disatukan oleh ibadah kepada Allah ‎ﷻ. Ibadah kepada-Nya dalam perkahwinan, ibadah dalam hubungan seks dan meneruskan keturunan, ibadah dalam talak dan perceraian, ibadah dalam masa iddah dan rujuk, ibadah dalam nafkah dan pemberian mut‘ah, ibadah dalam merujuk isteri atau menceraikan dengan baik, ibadah dalam membayar tebusan dan ganti rugi, ibadah dalam menyusukan dan menyapih, ibadah dalam setiap gerak dan langkah, serta setiap lintasan fikir atau bisikan hati. Kerana semua itu adalah ibadah, maka wajar jika solat dirangkaikan di sini, kemudian disusuli lagi dengan pembicaraan yang sama dengan sebelumnya, sehingga dapat difahami bahawa ketentuan-ketentuan yang lalu, adalah serupa dengan solat dari sisi ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Demikian Al-Qur’an, selalu mengaitkan segala aktiviti manusia dengan Allah ‎ﷻ walaupun sepintas kelihatan seperti aktiviti tersebut tidak berkaitan dengan ibadah.”

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ

SAHIH INTERNATIONAL
Maintain with care the [obligatory] prayers and [in particular] the middle prayer and stand before Allah , devoutly obedient.

MALAY
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

 

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ

Peliharalah kalian akan solat-solat

Hal-hal perkahwinan dan perceraian yang telah banyak disebut sebelum ini hanya boleh dijaga oleh mereka yang menjaga sembahyang sahaja. Kalaulah mereka itu bukan jenis yang menjaga solat, mereka tidak akan ikut pun hukum dan saranan Allah ‎ﷻ itu sebab mereka tidak berasa pentingnya arahan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Sedangkan hukum tentang ibadat pun mereka langgar, apatah lagi hukum tentang ‘adat’.

Sebagai manusia, tentulah perceraian adalah sesuatu yang menyedihkan di mana satu perhubungan rapat telah terputus. Namun Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan, kalau perkara itu terjadi, masih kita kena menjaga satu lagi hubungan: hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Semasa dalam solat itulah kita adukan segala kesedihan kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita meminta petunjuk daripada Allah ‎ﷻ bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi dan beri kekuatan untuk menghadapinya. Jagalah hubungan dengan Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ akan menjaga kamu seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي العَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُمَا قَالَ كُنْتُ: خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً فَقَالَ لِي: (( يَا غُلاَمُ! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
Daripada Abul ‘Abbas ‘Abdullah bin ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, ia berkata, “Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi ‎ﷻ, lalu baginda bersabda, ‘Wahai anak muda! Sesungguhnya aku akan mengajarkan beberapa kalimat kepadamu. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu.
(Jami’ Tirmidzi No. 2516. Hasan menurut Darussalam)

 

Jagalah hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dan lebih-lebih lagi hendaklah kita menjaga Salat Fardu. Peliharalah solat nescaya solat akan memelihara kamu sehingga kamu tidak terjerumus ke dalam dosa, dan akan menjadi bukti kesolehan kamu kelak di hari Kemudian, dan dengan demikian ia memelihara kamu daripada seksa Ilahi.

Kalimah حٰفِظوا itu di dalam bentuk saling mengingatkan. Mungkin ia bermaksud kita sesama manusia hendaklah saling ingat mengingatkan untuk solat. Ramai yang kita kena ingatkan seperti pasangan kita, anak-anak kita malah rakan sepejabat pun. Kadang manusia agak lalai tentang solat dan kita kena ingatkan. Mungkin juga ia bermaksud kena ingat Allah ‎ﷻ. Kalau kita jaga solat, Allah ‎ﷻ akan jaga kita.

Solat lima waktu itu telah dipilih khas oleh Allah ‎ﷻ untuk menjaga hubungan yang rapat dengan Allah ‎ﷻ. Memang telah disusun sebegitu dalam waktu-waktu tertentu supaya walaupun kita dalam keadaan sibuk dengan kehidupan di dunia, masih kita luangkan masa untuk bersama dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ telah susun waktu-waktu solat itu supaya ia merangkumi sepanjang hari. Oleh itu, walaupun kita solat sebanyak 17 raka’at, tidaklah boleh kita buat semua sekali dalam satu waktu. Kita mesti mengikuti waktu solat yang telah ditetapkan. Ini agar susunannya menjadi seolah-olah kita sentiasa dekat dengan Allah ‎ﷻ, di mana kita menjalani kehidupan seharian kita, dan tidak lama kemudian kita akan solat kembali. Sebagai contoh, apabila kita telah solat Subuh, kita telah menjaga hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dari waktu Subuh membawa ke Zuhur keberkatan itu dan apabila waktu Zuhur tiba dan kita solat, kita berhubung kembali dengan Allah ‎ﷻ. Keberkatan Solat Zuhur itu dibawa sampai ke Asar dan sampai waktu Asar, kita solat kembali. Kemudian seterusnya dengan solat-solat yang lain. Lepas Isyak, tidur dan bila bangun, Solat Subuh pula.

Kerap sekali Allah ﷻ sebut tentang solat di dalam Al-Qur’an kerana ia amat penting. Manakala perincian tentang solat ini ada dalam hadith dan sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Kita kena belajar bab solat ini supaya kita dapat mengerjakan solat sepertimana yang diajar oleh baginda.

Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan dia berkata, aku mendengar Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Sahih Muslim No. 116)

 

Malah, Solat pernah dikaitkan dengan iman seperti disebut di dalam Baqarah: 143. Oleh itu, jikalau tidak ada solat, maka tidaklah ada iman.

وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم
dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu

Tafsir: ayat di atas adalah ketika Allah ‎ﷻ membincangkan tentang kiblat dan solat. Tiba-tiba Allah ‎ﷻ sebut iman, bermakna solat itu adalah iman. Kerana itulah walaupun ulama’ khilaf akan hal ini, tetapi pendapat yang paling kuat adalah jikalau seseorang itu tidak solat, maka dia telah kufur.

Solat juga adalah ‘tiang agama’ seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

قال رسول الله ﷺ: “رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ، وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ”
“Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad.”
(Riwayat Tirmidzi No. 2616, dinilai hasan sahih oleh at-Tirmidzi)

Di dalam Mukminoon: 9 Allah ‎ﷻ juga telah menyebut tentang sifat orang Mukmin yang antaranya menjaga solat,

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
“Dan orang-orang yang memelihara solat-solat mereka.”

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Ini seperti disebut di dalam satu hadith yang masyhur,

قال رسول الله ﷺ: “أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِن صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِن فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ”
“Perkara pertama yang akan dihisab atas seorang hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalnya. Dan jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruh amalnya.”
(Riwayat at-Tirmidzi No. 413, dinilai hasan oleh al-Albani)

Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Jangan lupa yang kita ini adalah insan yang berdosa. Entah berapa banyak dosa yang menempek di belakang tubuh kita ini, kita pun tidak tahu. Dengan mendirikan solat, dosa-dosa itu akan gugur seperti janji Rasulullah ﷺ tentang hal ini,

حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ سَعِيدِ بْنِ الْعَاصِ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عُثْمَانَ فَدَعَا بِطَهُورٍ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلَاةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنْ الذُّنُوبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ
Ishaq bin Sa’id bin Amru bin Sa’id bin al-Ash telah menceritakan kepadaku bapaku daripada bapanya dia berkata, “Kami berada di sisi Utsman, lalu dia meminta air wudhu’ seraya berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seorang muslim didatangi solat fardlu, lalu dia memperbaguskan wudhu’nya dan khusyu’nya dan solatnya, melainkan itu menjadi penebus dosa-dosanya terdahulu, selama dia tidak melakukan dosa besar. Dan itu (berlaku) pada seluruh zaman’.”
(Sahih Muslim No. 335)

Ini disokong dengan hadith yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ قَالُوا لَا يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا قَالَ فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Bagaimana pendapat kalian seandainya ada sungai di depan pintu rumah salah seorang daripada kalian, lalu dia mandi lima kali setiap hari? Apakah kalian menganggap masih akan ada kotoran (daki) yang tersisa padanya?” Para sahabat menjawab, “Tidak akan ada yang tersisa sedikit pun kotoran padanya.” Lalu baginda bersabda: “Seperti itu pula dengan solat lima waktu, dengannya Allah akan menghapus semua kesalahan.”
(Sahih Bukhari No. 497)

Akan tetapi apakah maksud menjaga solat itu? Antaranya,

1. Menjaga waktunya kerana Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Nisa’: 103

إِنَّ الصَّلوٰةَ كانَت عَلَى المُؤمِنينَ كِتٰبًا مَّوقوتًا
Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

2. Menjaga syarat dan rukun seperti memastikan wudhu’ sah, tempat suci, dan semua rukun solat dilaksanakan dengan betul. Maka ini memerlukan pembelajaran bagaimana cara mengerjakan solat dengan cara yang Sunnah seperti yang telah diajar oleh Rasulullah ﷺ. Janganlah hanya bersandarkan setakat ilmu solat yang dipelajari semasa sekolah rendah itu. Kenalah naik-taraf ibadah solat kita. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
(Riwayat al-Bukhari No. 631)

Maka kerana itu kita kenalah belajar bagaimana cara Nabi ﷺ mengerjakan solat. Kerana itu ada banyak kitab dan kursus yang mengajar Sifat Solat Nabi.

3. Menjaga khusyuk iaitu dengan menghayati bacaan dan gerakan dengan hati yang fokus kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Mukminoon: 1-2

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢)
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2)

Bagaimana untuk mendapatkan khusyuk ini? Salah satu caranya adalah dengan Tahfim iaitu memahami apakah yang dibaca di dalam solat itu. Ini kerana kalau kita faham apa yang kita cakap, jadi bolehlah kita beri perhatian. Kalau kita hanya sebut semata, tetapi tidak diikat dengan hati, maka susah juga untuk mendapat khusyuk.

4. Konsisten dan tidak tinggal. Solat secara berterusan tanpa meninggalkannya, walau sibuk atau susah. Memang Allah ‎ﷻ uji ibadah ini dengan memberi kita kehidupan dunia yang kadang-kadang menguji antara solat dan kehidupan. Orang yang mementingkan solat sahaja yang dapat meneruskan solat di dalam masanya. Kerana itu kita kena tukar persepsi atau paradigma kita tentang solat. Jangan kita anggap ia sebagai sesuatu yang menyusahkan, seperti ‘beban’ yang terlepas setelah kita selesai solat. Sebaliknya kita kena anggap ia sebagai sesuatu yang menyeronokkan, yang menenangkan, yang kita tertunggu-tunggu tiba waktunya. Kerana itu Rasulullaah ﷺ pernah bersabda kepada Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ apabila telah masuk waktu,

يَا بِلَالُ ! أَرِحْنـــَا بِالصَّلَاة
“Wahai Bilal, istirehatkanlah kami dengan solat”
(Riwayat Imam Ahmad No. 23088 dan Abu Dawud no. 4985. Dinilai sahih oleh Syekh Al-Albani dalam Shahih Al Jami’ no. 7892).

Malah, ia sebagai tanda yang kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Bukankah terlalu banyak nikmat yang kita tidak henti-henti terima daripada Allah ‎ﷻ?

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا. bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim No. 5046)

5. Menjaga adab dan akhlak solat. Apabila kita menjaga solat, maka solat akan menjaga kita. Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka kerana itu Rasulullah ﷺ mengajar kita untuk mendidik anak-anak kita dengan solat semenjak usia muda lagi,

عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ
Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda  Rasulullah ﷺ: “Perintahlah anak-anak kalian mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.
(Sunan Abu Dawud No. 418) disahihkan oleh Albani)

 

وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ

lebih-lebih lagi Sembahyang Pertengahan

Dalam salat Fardu yang lima waktu itu, solat yang paling utama perlu dijaga adalah ‘solat pertengahan’. Semua solat kita kena jaga tetapi ada penekanan kepada solat ini. Kalimah وُسطَىٰ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘pertengahan’. Ia daripada kata dasar و س ط yang bermaksud tengah, di pertengahan, di antara, terbaik, bahagian terbaik daripada sesuatu, menjadi orang tengah, adil, yang terbaik dalam kalangan sesuatu.

Apakah pula dimaksudkan dengan solat pertengahan ini? Jumhur ulama’ mengatakan solat pertengahan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Solat Asar. Ada sampai 18 pendapat apakah yang dimaksudkan dengan Solat Pertengahan ini dan pendapat yang paling kuat adalah ia adalah waktu Asar. Ini adalah kerana Solat Asar duduknya di tengah-tengah antara siang dan malam. Solat Subuh dan Zuhur dikira solat dalam waktu siang manakala waktu Maghrib dan Isyak dikira solat waktu malam dan Asar duduknya di tengah-tengah. Sandaran dalil bagi pendapat ini adalah hadith berikut,

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَوْمَ الْخَنْدَقِ حَبَسُونَا عَنْ صَلَاةِ الْوُسْطَى حَتَّى غَابَتْ الشَّمْسُ مَلَأَ اللَّهُ قُبُورَهُمْ وَبُيُوتَهُمْ أَوْ أَجْوَافَهُمْ شَكَّ يَحْيَى نَارًا
Daripada Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda pada hari Perang Khandak: “Mereka telah menyibukkan kita daripada salot wusta (iaitu solat Asar), hingga matahari terbenam, semoga Allah memenuhi kuburan dan rumah mereka atau perut -Yahya merasa ragu- mereka dengan api.”
(Sahih Bukhari No. 4169)

Syarah: waktu yang mereka terluput pada ketika itu adalah Solat Asar. Ertinya, oleh kerana hebatnya pengepungan dan percubaan kaum musyrikin mengepung kota Madinah di dalam peperangan Ahzab (lihat Surah al-Ahzab), sehingga Rasulullah ﷺ dan kaum Muslimin yang tengah mempertahankan khandak (parit) di Madinah terganggu untuk mengerjakan Solat Asar. Sememangnya kejadian itu adalah pada waktu Asar. Walau bagaimana pun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Solat Pertengahan ini adalah Solat Subuh dan ini juga adalah salah satu pendapat Mazhab Syafi’iy.

Kenapa kena ada penekanan tentang Solat Asar? Kerana ia berada di tengah kesibukan harian — antara kerja dan rehat. Ramai yang mudah lalai waktu ini kerana banyak aktiviti lain yang mereka kira sebagai lebih menarik dan lebih penting. Mungkin juga kerana Asar adalah waktu pergantian malaikat siang dan malam yang membawa naik catatan amal kepada Allah ‎ﷻ. Maka kita kena pastikan yang kita solat ketika disaksikan oleh malaikat kerana malaikat itu nanti akan melaporkan apa yang kita buat kepada Allah ‎ﷻ.

قال رسول الله ﷺ: “يَجْتَمِعُ مَلَائِكَةُ اللَّيْلِ وَمَلَائِكَةُ النَّهَارِ فِي صَلَاةِ الفَجْرِ وَصَلَاةِ العَصْرِ…”
“…فَيَصْعَدُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ: كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي؟ فَيَقُولُونَ: تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ.”
“Malaikat malam dan siang berkumpul pada waktu solat Subuh dan Asar… lalu Allah bertanya kepada malaikat: ‘Bagaimana kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku?’ Maka malaikat menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka sedang bersolat, dan kami datang kepada mereka juga sedang bersolat.’”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kerana itulah terdapat hadith-hadith tentang Solat Asar ini yang menunjukkan kepentingannya, seperti,

قال رسول الله ﷺ: “مَن تَرَكَ صَلَاةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ”
“Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka gugurlah amalnya.”
(Riwayat al-Bukhari No. 553)

Sementara di dalam hadith lain,

قال رسول الله ﷺ: “مَن فاتَتْهُ صَلاةُ العَصْرِ، فَكأنَّما وُتِرَ أهْلَهُ ومالَهُ”
“Sesiapa yang luput (tertinggal) solat Asar, maka seolah-olah dia telah kehilangan ahli keluarga dan hartanya.”
(Riwayat al-Bukhari No. 552)

Perhatikan ini pula kelebihan kalau menjaga Solat Asar,

قال رسول الله ﷺ: “مَن صَلَّى البَرْدَيْنِ دَخَلَ الجَنَّةَ”
“Sesiapa yang menunaikan dua solat pada waktu sejuk (al-bardayn), dia akan masuk syurga.”
(Riwayat al-Bukhari No. 554 dan Muslim No. 635)

Syarah: dua solat sejuk yang dimaksudkan adalah Solat Subuh dan Asar. Kerana waktu Asar itu sudah tidak sepanas waktu Solat Zuhur.

Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan solat di dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah Solat Zuhur. Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit, pada suatu ketika Rasulullah SAW melaksanakan Salat Zuhur pada waktu tengah hari yang sangat panas. Salat ini dirasakan berat oleh para sahabat, dan ramai di antara mereka yang memilih untuk tidur siang atau sibuk dengan urusan perniagaan. Maka turunlah ayat ini sebagai peringatan dan perintah untuk memelihara semua salat, termasuk salat “wusthā” (salat pertengahan), yang dalam riwayat ini dan beberapa pandangan ulama merujuk kepada salat Zuhur.

 

وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ

dan berdirilah kalian semata-mata kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Kalimah قَانِتِينَ adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘orang-orang yang khusyuk’. Ia daripada kata dasar: ق ن ت yang bermaksud menjadi taat, patuh, berdiri lama dalam solat.  Dalam solat hendaklah khusyuk. Jadi dalam ayat ini, ada dua perkara yang Allah ‎ﷻ suruh jaga – jaga waktu solat dan jaga khusyuk dalam salat.

Bukan itu sahaja, hendaklah kamu berdiri solat semata-mata kerana Allah ‎ﷻ – maksudnya ikhlas. Dalam solat itu, jaga rukun, jaga syarat yang wajib, jaga adab dan jaga hati. Maknanya kena jaga semua. Kena jaga zahir dan batin.

Kalau hendak dikirakan, sepatutnya boleh dijaga semua perkara ini kerana bukan lama pun solat itu. Selalunya orang solat dalam masa lebih kurang sepuluh minit sahaja dan sepatutnya memang boleh dijaga. Namun realitinya menjaga solat itu memang payah sedikit sebab semasa hendak solatlah syaitan akan hebat menyerang dan mengganggu kita. Ini adalah kerana syaitan tidak mahu kita ingat kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, segala perkara ini perlu dilatih dalam solat-solat sunat. Semua zikir dalam solat perlu dilakukan di luar solat juga supaya kita biasa melakukannya.

Tafsiran kedua bagi kalimah قَانِتِينَ adalah ‘diam tidak berbicara’. Oleh itu ayat ini memansukhkan satu hukum. Di awal Islam, boleh bercakap di dalam solat. Jadi bila sudah masuk saf, siap boleh tanya kawan sudah makan ke belum. Ini seperti dibenarkan berbicara ketika tawaf di Ka’bah. Akan tetapi ia telah dimansukhkan dengan ayat ini. Dalil bagi isu ini disebut di dalam sebuah hadith,

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ أَبِي خَالِدٍ عَنْ الْحَارِثِ بْنِ شُبَيْلٍ عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ قَالَ كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِي الصَّلَاةِ يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِي حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ } فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ
Daripada Zaid bin Arqam dia berkata; “Dahulu kami berbincang-bincang ketika waktu solat. Seseorang daripada kami berbicara dengan temannya kerana ada keperluan, hingga akhirnya turunlah ayat: “Dan berdirilah untuk Allah dalam solatmu dengan khusyu”. Lalu kami diperintahkan untuk diam.’
(Sahih Bukhari No. 4170)

Di dalam ayat ini menyebut perbuatan qiyam (قوموا) berdiri ketika solat. Maka waktu berdiri itu juga penting dan utama, bukan hanya sujud sahaja. Mungkin ramai berhujah, bukankah ada hadith keutamaan sujud?

قال رسول الله ﷺ: “أقربُ ما يكونُ العبدُ من ربِّه وهو ساجدٌ، فأكثروا الدعاءَ”
“Saat paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah doa.”
(Riwayat Muslim No. 482)

Yang benar ketika sujud adalah kedudukan paling dekat seorang hamba dengan Allah ‎ﷻ, akan tetapi kelebihan qiyam adalah kerana pada waktu itu seseorang yang solat sedang membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Jadi dari segi perbuatan, sujud lebih utama; tetapi dari segi bacaan, qiyam lebih utama.

 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 3 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Surah Baqarah Ayat 236 – 237 (Bercerai sebelum Malam Pertama)

CERAI SEBELUM BERSETUBUH

Baqarah Ayat 236: Ini pula adalah keadaan jikalau seorang isteri diceraikan sebelum disetubuhi dan sebelum ditetapkan mahr berapa banyak yang akan dibayar.

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتٰعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL
There is no blame upon you if you divorce women you have not touched nor specified for them an obligation. But give them [a gift of] compensation – the wealthy according to his capability and the poor according to his capability – a provision according to what is acceptable, a duty upon the doers of good.

MALAY
Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

 

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ

Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka

Tidaklah salah kalau seorang suami menceraikan isterinya sebelum mereka melakukan hubungan kelamin. Cuma di dalam ayat ini digunakan bahasa yang sangat lembut iaitu لَم تَمَسّوهُنَّ (belum menyentuh mereka). Sebelum kita sudah lihat di dalam ayat 187 Allah ﷻ menggunakan kalimah بَـٰشِرُوهُنَّ untuk merujuk kepada jimak juga. Maka ini mengajar kita supaya gunakan bahasa kiasan selagi boleh. Maka tidaklah kita malu untuk bercakap di khalayak ramai, di hadapan kanak-kanak dan sebagainya.

Kenapa tidak jadi meneruskan perkahwinan itu? Berbagai sebab boleh terjadi. Mungkin perkahwinan itu perkahwinan yang dirancang oleh keluarga masing-masing dan apabila seorang lelaki melihat isterinya itu, dia tidak mahu meneruskan perkahwinan itu; atau perempuan itu yang tidak berkenan dengan suaminya; atau apa-apa sahaja sebab. Sebelum perkara yang tidak baik berlarutan, baiklah dibatalkan terus perkahwinan itu. Pasangan yang baru berkahwin itu hendaklah fikirkan masak-masak, kerana kalau diteruskan juga perkahwinan itu, mungkin keadaan menjadi lebih rumit nanti. Seandainya ini berlaku, maka jadilah wanita itu di dalam istilah bahasa kita, ‘Janda Berhias’.

Kadang-kadang perceraian dipandang buruk oleh masyarakat. Maka kerana itu ada pasangan yang cuba meneruskan juga perkahwinan walaupun hati mereka tidak setuju. Maka di sini Allah ﷻ memberitahu yang tidak salah kalau mereka tidak mahu meneruskan perkahwinan itu dan memilih untuk bercerai sebelum mereka mengadakan hubungan kelamin lagi. Kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah لا جُناحَ (tidak berdosa). Maka tidak perlu hiraukan kata-kata orang lain kerana bukan mereka yang kena hadap pasangan kamu itu nanti.

Kita telah belajar beberapa jenis iddah. Apakah pula iddah kalau wanita itu tidak disetubuhi oleh suaminya dan dicerai? Jawapannya ialah tidak ada iddah bagi wanita itu. Ini seperti disebut di dalam Ahzab: 49

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu mengahwini wanita mukminah kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, maka tidak ada iddah atas mereka yang kamu perlu perhitungkan. Maka berilah mereka mut’ah (pemberian) dan lepaskan mereka dengan cara yang baik.”

 

أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً

dan (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.

Perkataan أَو (selalunya bermaksud ‘atau’) tetapi dalam ayat ini dibaca dengan makna و (dan). Maknanya, isteri itu tidak disetubuhi DAN tidak ditetapkan kadar mahar untuknya. Kena ada kedua-dua syarat itu. Maksudnya mahar tidak diberikan dan tidak ditetapkan pun kadar mahar dalam akad nikah. Sebab kalau sudah ditetapkan kadar harganya, ia ada hukum lain yang akan disebut nanti di dalam ayat yang lain. Maknanya, kalau akad nikah itu tidak sebut berapa banyak yang akan diberi, akad itu sah.

Hukum: Bayaran mahar adalah ‘wajib’, namun tidaklah ‘rukun’. Kerana itu digunakan kalimah تَفرِضوا dan فَريضَةً yang bermaksud ‘fardhu’ atau wajib. Sekiranya tidak ditetapkan, nikah itu tetap sah tetapi hendaklah kemudiannya diberikan juga mahar itu. Selagi tidak diberi, maka suami itu berhutang dengan isterinya kerana mahar itu adalah hak isteri. Malah selagi mahar tidak diberikan, seorang isteri boleh menahan farajnya daripada suaminya. Haram bagi lelaki berniat untuk tidak membayar mahar itu.

أيُّما رَجُلٍ تَزَوَّجَ امرَأةً على ما قَلَّ مِنَ المَهرِ أو كَثُرَ ليسَ في نَفسِه أن يُؤَدِّيَ إليها حَقَّها، خَدَعَها، فماتَ ولم يُؤَدِّ إليها حَقَّها، لقيَ اللَّهَ يَومَ القيامةِ وهو زانٍ، وأيُّما رَجُلٍ استَدانَ دَينًا لا يُريدُ أن يُؤَدِّيَ إلى صاحِبِه حَقَّه، خَدَعه حتّى أخذ مالَه، فماتَ، ولم يَرُدَّ إليه دَينَه لقيَ اللَّهَ وهو سارِقٌ
Mana-mana lelaki yang berkahwin dengan seorang wanita dengan mahar yang sedikit atau banyak, tetapi dalam hatinya tidak berniat untuk menunaikan haknya, maka dia telah menipunya. Jika dia mati sebelum menunaikan haknya, maka dia akan menemui Allah pada hari kiamat dalam keadaan sebagai seorang penzina. Dan mana-mana lelaki yang berhutang dengan niat tidak mahu membayar kembali kepada tuannya, lalu dia menipunya dan mengambil hartanya, kemudian mati tanpa melunaskan hutangnya, maka dia akan menemui Allah sebagai seorang pencuri
(HR. at-Thabarani dalam Mu’jam as-Saghir no. 117, daripada Abu Maimun al-Kurdi ra)
Status: Sahih (Al-Albani)

Berkenaan mahar dan jimak malam pertama, ada 4 keadaan semua sekali. Ringkasannya seperti berikut:

1. Mahar tidak ditetapkan dan jimak tidak berlaku. Dalam kes ini mahar tidak wajib dibayar cuma suami perlu membayar mut’ah. Sekurang-kurang sepasang pakaian mengikut pendapat Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Saidina Hassan bin Ali pernah menceraikan wanita dalam kes sebegini dan beliau telah memberi mut’ah sebanyak 20 ribu dirham; Qadi Shurayh pernah membayar sebanyak 500 dirham.
2. Mahar telah ditetapkan dan jimak tidak berlaku. Maka lelaki dianjurkan untuk membayar separuh daripada mahar itu. Ini kita akan lihat di dalam ayat seterusnya nanti.
3. Mahar telah ditetapkan dan jimak telah berlaku. Dalam kes ini mahar itu kena dibayar penuh.
4. Mahar tidak ditetapkan tetapi jimak telah berlaku. Dalam kes ini mahr itu perlu dibayar mengikut apa yang dinamakan mahr al-mithl (mengikut kebiasaan keluarga itu).

 

وَمَتِّعوهُنَّ

hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka

Mut’ah berasal daripada kalimah al-Mata’ (المتاع). Kalimah مَتَـٰعًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘pemberian’. Ia daripada kata dasar م ت ع yang bermaksud digunakan, barang kegunaan, sesuatu yang berguna, keperluan, komoditi. Ia bermaksud sesuatu yang menyeronokkan dan dapat dimanfaati. Sementara mut’ah dalam bab ini ialah harta yang wajib diserahkan oleh suami kepada isterinya yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab penceraian atau dipisahkan.

Berikanlah hadiah kerana dia akan menjaga nama baik lelaki itu dan untuk menjaga hatinya juga. Ini bukanlah mahar tetapi pemberian saguhati kepada wanita itu. Sebab telah disebut sebelum ini, jika hendak beri mahar pun, tidak ditetapkan (tidak dijanjikan) berapa maharnya. Kiranya mut’ah ini sebagai penghibur hati. Tidaklah sia-sia sahaja dia melalui proses perkahwinan itu tetapi tidak mendapat apa-apa kerana tentu dia malu juga kerana satu kampung sudah tahu dia berkahwin tetapi tiba-tiba diceraikan pula.

 

عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ

atas suami yang senang menurut ukuran kemampuannya; 

Tidak ditetapkan berapakah kadar pemberian hadiah itu. Ikut sahaja kedudukan suami itu sama ada kaya atau miskin. Maksudnya, sekadar mana yang mampu. Kalau kaya, berilah banyak dan hadiah yang bernilai – mungkin sebiji kereta. Kalimah مُوسِعِ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘yang kaya’. Ia daripada kata dasar و س ع yang bermaksud mencukupi, mengambil, memahami, mendakap.

 

وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ

dan atas suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya,

Kalimah مُقتِرِ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘orang miskin’. Ia daripada kata dasar ق ت ر yang bermaksud kedekut, genggam, ada sedikit sahaja, hampir tidak cukup dengan keperluan, beri nafkah keperluan asas sahaja, habuk, murung, kegelapan. Kalau orang miskin, berilah apa sahaja yang dia mampu beri tetapi hendaklah beri sesuatu yang bernilai yang dapat menyentuh hati bekas isterinya itu.

 

مَتٰعًا بِالمَعروفِ

sebagai pemberian saguhati menurut yang patut,

Berikanlah mengikut apa yang selayaknya. Janganlah pula bekas isteri itu minta hadiah yang bukan-bukan. Berikanlah hadiah itu dengan baik dan relahati, bukannya secara marah-marah, seperti baling pula kepada wanita itu.

 

حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Ini adalah satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan bagi mereka yang ada hati yang baik. Cuma memang menjadi khilaf dalam kalangan ulama’ adakah mut’ah itu wajib atau sunat?

Yang kata ia sunat, melihat kepada kalimah المُحسِنينَ ini. Orang-orang muhsin adalah yang orang memberi lebih banyak daripada yang harus dia berikan; maknanya buat lebih daripada sepatutnya. Jadi ia adalah anjuran sahaja bagi pendapat ini.

Sedangkan yang mengatakan ia wajib, mereka melihat kepada kalimah حَقًّا ini yang boleh diterjemahkan kepada ‘ketentuan’ yang boleh diertikan sebagai wajib kerana tidak ada hak tanpa kewajipan.

Mut’ah dianjurkan untuk diberikan kepada perempuan yang berkeadaan berikut:

    1. Isteri yang diceraikan selepas persetubuhan.
    2. Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya tidak disebut semasa akad nikah. Ini seperti dalam ayat ini.
    3. Isteri yang diperintah berpisah dengan suaminya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh suami murtad atau melakukan li’an (اللعان). Perpisahan tersebut berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan, dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalam aqad nikah.

Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan, sedangkan mas kahwin telah disebut dalam akad nikah, maka dia tidak berhak mendapat mut’ah kerana telah mendapat setengah daripada mas kahwin dan dia belum memberi sesuatu pun kepada suaminya (belum bermalam pun lagi).


 

Baqarah Ayat 237: Sekarang dilihat pula bagaimana sekiranya mahar telah ditetapkan jumlahnya (sama ada telah diberi atau tidak). 

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً فَنِصفُ ما فَرَضتُم إِلّا أَن يَعفونَ أَو يَعفُوَ الَّذي بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ ۚ وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ ۚ وَلا تَنسَوُا الفَضلَ بَينَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And if you divorce them before you have touched them and you have already specified for them an obligation, then [give] half of what you specified – unless they forego the right or the one in whose hand is the marriage contract foregoes it. And to forego it is nearer to righteousness. And do not forget graciousness between you. Indeed Allah , of whatever you do, is Seeing.

MALAY
Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

 

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka,

Ini ada persamaan dengan ayat sebelum ini – pasangan itu sudah berkahwin tetapi tidak ada hubungan kelamin lagi. Diceraikan sebelum mereka jimak.

 

وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً

padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka,

Cuma beza dengan ayat sebelum ini, mahar telah ditetapkan oleh pihak lelaki. Lelaki itu telah berjanji untuk memberikan sekian-sekian banyak kepada isterinya itu. Selalunya di negara ini, mahar itu disebut semasa akad nikah.

 

فَنِصفُ ما فَرَضتُم

maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu,

Oleh kerana mahr telah ditetapkan, syari’at menetapkan bahawa bekas suami itu hendaklah memberikan separuh daripada kadar mahar yang telah dijanjikan. Kalau sudah janji hendak beri 10 ribu, maka berilah 5 ribu kepada bekas isterinya itu.

 

إِلّا أَن يَعفونَ

kecuali jika mereka memaafkannya

Kecuali jikalau pihak isteri (huruf ن di dalam kalimah يَعفونَ adalah nun niswah – feminine) kata tidak perlulah beri walau separuh pun iaitu pihak isteri mahu menjaga nama baik. Ini memang boleh. Mungkin dia kasihan kepada lelaki itu kerana telah bersusah payah untuk datangkan wang itu, tetapi perkahwinan tidak jadi pun, maka ambillah balik kesemua daripada mahar itu kembali (kalau sudah bayar). Atau kalau tidak bayar lagi, tidak perlu bayar separuh pun.

 

أَو يَعفُوَ الَّذي بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ

atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya

Pihak yang memegang ikatan nikah itu adalah lelaki itu. Dikatakan بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ kerana dialah yang melafazkan nikah dan dia juga yang melafazkan talak. Maka dia yang mengikat dan dia yang melepaskan ikatan nikah itu. Dia mungkin hendak menjaga nama baiknya, maka dia pun kata ambillah kesemua mahar yang telah dijanjikan itu. Dia boleh cari duit lagi, tetapi nama baik susah hendak dijaga. Ini juga adalah bagus. Tambahan pula kerana dia yang memutuskan perkahwinan itu.

Sedangkan di dalam mazhab Maliki, بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ adalah wali bagi perempuan itu. Mungkin kerana perempuan itu masih belum dewasa kerana mereka yang menentukan boleh menikah atau tidak dengan perempuan di bawah jagaan mereka. Yang mengatakan بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ merujuk kepada suami itu adalah di dalam mazhab Syafie dan Hanafi.

Kalau kedua-dua pihak sama-sama hendak memaafkan dan melepaskan hak mereka, bagaimana? Pihak yang mula-mula menawarkan yang patut diterima. Maka kena berlumba-lumba siapa yang hendak memaafkan dahulu. Bukankah Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 148

فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ
oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan

 

وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ

Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.

Kedua-dua pihak tidak jadi berkahwin, tetapi janganlah ada rasa tidak selesa atau marah sesama sendiri. Maafkanlah sesama sendiri dan itu adalah tanda ketaqwaan yang ada pada kedua-dua pihak itu. Terimalah kejadian itu sebagai takdir daripada Allah ‎ﷻ Maafkanlah apa kesalahan yang telah berlaku. Kita pun tidak pasti kenapa perkahwinan itu tidak menjadi. Namun terima sahaja takdir Allah ‎ﷻ itu.

Juga bermaksud, kalau salah satu pihak melepaskan hak untuk mendapat sebahagian daripada mahar itu, ini adalah sikap yang terpuji. Kenapa mendekati taqwa itu penting? Kerana Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Hujurat: 13

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa

 

وَلا تَنسَوُا الفَضلَ بَينَكُم

Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.

Berilah hadiah sesama sendiri sebagai tanda mereka masih lagi berbaik-baik supaya walau tidak jadi perkahwinan itu tetapi masih mesra lagi antara kedua-dua pihak. Kalimah الفَضلَ boleh kita ertikan sebagai ‘jasa’. Masing-masing ada jasa. Tentulah sebelum itu mereka baik sahaja, kalau tidak, takkanlah sampai boleh jadi menikah pula, bukan? Hubungan kekeluargaan jangan diputuskan. Bayangkan, bekas suami itu walaupun telah menceraikan isterinya itu tanpa menyentuhnya, akan tetapi ibu kepada bekas isterinya itu tetap menjadi mertuanya sampai bila-bila.

Maka jagalah hubungan dan adab sesama sendiri. Kalau pihak isteri kata tidak perlu bayar separuh, maka pihak lelaki itu berilah hadiah kepada pihak isteri itu. Kalau pihak suami berikan seluruh mahar yang dijanjikan itu, maka pihak isteri balaslah budi itu dengan memberikan sesuatu sebagai hadiah. Inilah juga yang dinamakan mut’ah.

Adapun ulama-ulama Salaf yang menghukum mut’ah wajib ialah Ali bin Abu Thalib dan Abdullah bin Umar رضي الله عنهم. Manakala daripada tabi’in ialah Hasan al Bishri, Said bin Jubair, Abu Qilabah, az-Zuhry, Qatadah, dan ad-Dhahhak رحمهم الله dan lain-lain.

Sahabat Nabi yang memaafkan mahar yang telah dibayarnya ialah Jubair bin Muth’im رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Beliau menikahi anak perempuan sahabat Rasulullah yang terkenal, iaitu Sa’ad bin Abu Waqqash رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, lalu diceraikannya sebelum disetubuhinya. Kemudian dibayarnya habis mahar semua ketika talak. Maka bertanyalah orang kepadanya tentang hal itu, lalu dijawabnya: “Beliau minta saja menikahi anaknya, maka payahlah buat saya menolaknya. Sekarang saya yang menceraikan anak beliau, maka sayalah yang merasa lebih patut memaafkan semuanya.”

 

إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

Allah ‎ﷻ melihat perbuatan hamba-Nya dan Allah ‎ﷻ menilai sama ada perbuatan itu baik atau tidak.

Lihatlah keindahan Islam di dalam mengajar manusia tentang perkara-perkara sebegini. Perkara-perkara sebegini tidak ada di dalam agama lain. Maka jikalau mereka tahu tentang perkara-perkara sebegini, iaitu jikalau kita sampaikan kepada mereka, tentulah mereka akan tertarik dengan keindahan agama Islam ini. Mungkin mereka akan tergerak hati untuk masuk Islam. Masalahnya umat Islam sendiri pun tidak tahu apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini, lalu bagaimana mereka hendak sampaikan keindahan ini kepada manusia lain?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 16 Mei 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah