Tafsir Surah Yusuf Ayat 38 – 40 (Dakwah Nabi Yusuf di penjara)

Ayat 38: Nabi Yusuf عليه السلام berdakwah kepada mereka berdua dengan memberitahu apakah agama yang benar.

وَاتَّبَعتُ مِلَّةَ آبائي إِبراهيمَ وَإِسحاقَ وَيَعقوبَ ۚ ما كانَ لَنا أَن نُشرِكَ بِاللهِ مِن شَيءٍ ۚ ذٰلِكَ مِن فَضلِ اللهِ عَلَينا وَعَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I have followed the religion of my fathers, Abraham, Isaac and Jacob. And it was not for us to associate anything with Allāh. That is from the favor of Allāh upon us and upon the people, but most of the people are not grateful.

(MALAY)

Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. Yang demikian itu adalah dari kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya); tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukuri (Nya).

 

وَاتَّبَعتُ مِلَّةَ آبائي إِبراهيمَ وَإِسحاقَ وَيَعقوبَ

Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub.

Baginda memberitahu yang baginda mengikut agama keturunan baginda sebelum itu, iaitu agama Islam. Baginda sebut:

Nabi Ya’qub عليه السلام – bapanya
Nabi Ishak عليه السلام – datuknya
Nabi Ibrahim عليه السلام – moyangnya

Jadi, Nabi Yusuf عليه السلام ada satu kelebihan yang tidak ada kelebihan ini pada Nabi-nabi yang lain, iaitu bapanya sampai ke moyangnya adalah Rasul. Jadi empat keturunan para Nabi dalam satu keluarga. Baginda meneruskan legasi keluarganya itu dengan dikurniakan oleh Allah ‎ﷻ menjadi Rasul juga dan menyampaikan dakwah.

Nabi Yusuf عليه السلام mengikut agama datuk neneknya. Maka tidaklah salah kalau kita hendak ikut ajaran dan agama datuk nenek kalau mereka itu benar. Maka kena periksa juga sama ada mereka itu benar ataupun tidak. Jangan pakai ikut sahaja kerana ramai yang pakai ikut sahaja amalan datuk nenek tanpa usul periksa.

 

ما كانَ لَنا أَن نُشرِكَ بِاللهِ مِن شَيءٍ

Tiadalah patut bagi kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah.

Nabi Yusuf عليه السلام terus memperkenalkan agama tauhid kepada rakan penjaranya itu. Itulah yang paling penting sekali – menceritakan tentang tauhid kepada manusia. Itulah dakwah yang dibawa oleh para Rasul yang dahulu lagi pun. Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang sebenar jadi tidak patut bagi kita untuk mempersekutukan-Nya.

Nasihat baginda ini juga bertepatan dengan setiap keadaan, termasuk di dalam penjara kerana asas kebaikan seseorang adalah baik dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana kalau berbuat baik dengan Allah ‎ﷻ, maka seseorang itu akan berbuat baik dengan orang lain. Tidak yakin dengan Allah ‎ﷻ adalah penyebab kepada jenayah kerana kalau seseorang itu tidak kisah dengan Allah ‎ﷻ, maka dia juga akan tidak kisah dengan manusia.

Kita sebagai pendakwah juga kena ingatkan manusia dengan tauhid dan juga dengan syirik. Kena ajak dan ajar manusia tentang tauhid dan jauhi syirik. Kadang-kadang kita selalu sebut tentang tauhid, tetapi tidak disebut pun tentang syirik. Bila tidak disebut, manusia tidak faham apakah syirik itu dan mereka tidak sangka yang mereka sedang melakukan syirik kerana mereka tidak tahu.

 

ذٰلِكَ مِن فَضلِ اللهِ عَلَينا

Yang demikian itu adalah dari kurnia Allah kepada kami 

Kurniaan pangkat kenabian itu diberikan kepada keluarga Nabi Yusuf عليه السلام sebagai kurniaan daripada Allah ‎ﷻ. Yang paling penting, mereka telah diberikan dengan ilmu tauhid dan itulah kelebihan utama yang Allah ‎ﷻ berikan kepada keluarga mereka.

Itu adalah kurniaan Allah ‎ﷻ yang amat besar kerana ramai yang tidak mengamalkan tauhid di dalam dunia ini. Alangkah beruntungnya kita yang dilahirkan dalam agama Islam, maka senang untuk kita kenal tauhid.

 

وَعَلَى النّاسِ

dan kepada manusia

Kurniaan dapat mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik bukan khas untuk keluarga mereka sahaja tetapi kepada manusia seluruhnya. Kalau belajar dan sanggup mengamalkannya, semua akan dapat kelebihan ini.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukuri 

Tetapi banyak manusia tidak mensyukuri nikmat tauhid itu. Apabila diajak, mereka tidak mahu dengar dan tidak mahu ikut.

Lihat ada permainan bahasa di sini: shirk dan shukr – lebih kurang sahaja bunyinya tetapi makna yang berlainan sekali.

Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام masih sebut shukr semasa baginda dalam penjara. Baginda tidak putus semangat walaupun sedang diuji oleh Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana dia sudah masuk dalam penjara pun masih lagi berdakwah, masih lagi beriman.

Begitulah bagi pada pendakwah juga. Ada pendakwah yang ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara kerana tidak ada tauliah mengajar (padahal mereka ada ilmu). Tetapi mereka terus berdakwah dalam penjara juga. Ramai banduan yang ikut beriman dengan mereka.


 

Ayat 39: Maka Nabi Yusuf ‎ﷻ mengajak mereka tolong fikirkanlah apa yang baginda telah sampaikan itu. Jadi ini adalah salah satu dari cara tabligh yang Allah ‎ﷻ ajarkan kepada kita.

يا صاحِبَيِ السِّجنِ أَأَربابٌ مُتَفَرِّقونَ خَيرٌ أَمِ اللهُ الواحِدُ القَهّارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O [my] two companions of prison, are separate lords better or Allāh, the One, the Prevailing?

(MALAY)

Hai kedua penghuni penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?

 

يا صاحِبَيِ السِّجنِ

Hai kedua sahabatku penghuni penjara, 

Ini panggilan baik daripada baginda terhadap kedua-dua mereka. Beginilah kita kalau dalam berdakwah, kena gunakan bahasa yang baik-baik. Kena cakap dengan lembut dengan orang yang kita hendak dakwah. Ini kerana manusia bukan sahaja melihat apa yang kita kata, tetapi mereka juga melihat perangai dan akhlak kita. Bagaimana cara kita panggil mereka pun penting juga.

 

أَأَربابٌ مُتَفَرِّقونَ خَيرٌ

manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itukah,

Nabi Yusuf عليه السلام ‎menggunakan perumpamaan dalam mengajar. Baginda suruh mereka fikir, tuhan yang ramai itu baikkah?

Mungkin yang dimaksudkan adalah tuhan (ilah) atau tuan kepada seseorang. Ini kerana kalau di Mesir itu, keluarga diraja pun dikenal sebagai rabb juga.

Baginda suruh mereka fikirkan: kalau ada ramai tuhan, atau ramai tuan, bukankah susah hidup? Perlu penuhi kehendak ramai orang/tuhan pula.

 

أَمِ اللهُ الواحِدُ القَهّارُ

ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?

Adakah tuhan yang banyak itu bagus atau Allah ‎ﷻ yang satu sahaja? Kalau ada tuhan banyak, apa yang akan jadi? Tentu bercelaru hidup kita kerana hendak penuhi kehendak semua tuhan pula.

Begitulah kalau kita lihat agama yang ada tuhan banyak seperti Hindu dan Yunani. Macam-macam perangai tuhan-tuhan mereka itu sampaikan berkelahi antara satu tuhan dengan tuhan yang lain. Beginikah sifat tuhan? Tentu tidak!

Kalau kita kata baginda maksudkan ‘tuan’ dalam bentuk manusia, mana yang lebih bagus? Ada satu tuan atau ramai tuan? Bayangkan kalau seorang hamba ada banyak tuan, dan masing-masing suruh dia buat kerja. Seorang suruh begini dan seorang lagi suruh begitu; pening jadinya hamba itu.

Maka, Nabi Yusuf عليه السلام hendak memberi perumpamaan – sembah dan taat kepada satu Tuhan sahaja iaitu Allah ‎ﷻlah yang lebih baik. Senang ikut satu arahan sahaja. Itulah ajaran tauhid.


 

Ayat 40: Dalil Aqli.

ما تَعبُدونَ مِن دونِهِ إِلّا أَسماءً سَمَّيتُموها أَنتُم وَآباؤُكُم ما أَنزَلَ اللهُ بِها مِن سُلطانٍ ۚ إِنِ الحُكمُ إِلّا ِلِله ۚ أَمَرَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You worship not besides Him except [mere] names you have named them,1 you and your fathers, for which Allāh has sent down no authority. Legislation is not but for Allāh. He has commanded that you worship not except Him. That is the correct religion, but most of the people do not know.

  • The false objects of worship which you have called “gods.”

(MALAY)

Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

 

ما تَعبُدونَ مِن دونِهِ إِلّا أَسماءً سَمَّيتُموها

Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu namakan sahaja

Sekarang baginda menegur agama mereka pula. Setelah mereka mula berbicara, mungkin  mereka menceritakan tentang agama mereka pula. Maka Nabi Yusuf عليه السلام memberitahu yang tuhan yang mereka sembah itu tidak ada, tetapi hanyalah rekaan manusia sahaja. Nama-nama tuhan mereka itu rekaan manusia sahaja.

Begitu jugalah dengan agama-agama selain Islam – mereka ada macam-macam jenis tuhan, tetapi itu semua rekaan sahaja. Ada tuhan perang, tuhan cinta, tuhan laut, tuhan itu dan ini. Itu semua karut sahaja.

 

أَنتُم وَآباؤُكُم

kamu dan nenek moyangmu

Bukan sahaja mereka yang reka, tetapi diambil dari pada rekaan datuk nenek mereka yang terdahulu. Umat kemudian pakai terima sahaja nama-nama rekaan itu. Mereka bubuh nama dengan sifat-sifat tuhan itu sekali. Ada tuhan yang jaga langit, tuhan jaga bumi, tuhan jaga angin dan macam-macam lagi.

Kemudian mereka meletakkan pula sifat-sifat mereka begitu dan begini – garang, bengis, lembut, ganas dan sebagainya. Itu semua rekaan sahaja. Selalunya diterima daripad ajaran datuk nenek zaman berzaman. Inilah kesilapan besar manusia dalam agama: selalu sahaja amalkan ajaran datuk nenek tanpa usul periksa.

 

ما أَنزَلَ اللهُ بِها مِن سُلطانٍ

Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. 

Semua itu tidak ada سُلطانٍ (dalil) dari Allah ‎ﷻ pun tentang perkara itu. Kalau agama yang benar, mestilah ada dalil, bukan ikut-ikutan sahaja. Tetapi memang kebanyakan manusia (termasuklah orang Islam) tidak mementingkan dalil.

 

إِنِ الحُكمُ إِلّا ِلِله ۚ

Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. 

Ingatlah yang keputusan itu milik Allah ‎ﷻ sahaja sepenuhnya. Kalau kamu tidak menyembah Dia sahaja, maka kamu akan dihadapkan kepada-Nya dan akan menerima balasan yang buruk. Kepada mereka yang mengamalkan syirik akan kekal dalam neraka kerana dosa syirik adalah dosa yang besar.

 

أَمَرَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ

Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia.

Dia telah mengarahkan semua hamba-Nya untuk sembah Dia sahaja. Kalau sembah ilah yang lain, itu adalah syirik dan Allah ‎ﷻ tidak akan maafkan.

 

ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ

Itulah agama yang lurus, 

Puja dan seru Allah ‎ﷻ sahaja, dengan tidak digabungkan dengan ilah yang lain itulah agama yang lurus.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak memahami tuntutan tauhid ini. Kerana tidak tahu, maka mereka reka agama sendiri. Jadi jangan ikut kebanyakan manusia di dunia ini. Maka kena usaha cari agama yang benar. Kena terus mencari dan mengkaji.

Bukan sahaja bukan Muslim kena cari agama yang benar, tetapi umat Islam pun kena juga mengkaji dan memastikan yang amalan mereka tidak ada syirik. Malangnya kita dapat lihat mereka yang Muslim pun kadangkala tidak faham apakah tauhid dan apakah syirik. Maka ramai yang mengamalkan amalan syirik tanpa sedar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s