Tafsir Surah an-Nur Ayat 54 – 55 (Allah beri kekuasaan kepada Muslim)

Ayat 54: Khulasah (keputusan) surah ini.

قُل أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيهِ ما حُمِّلَ وَعَلَيكُم مّا حُمِّلتُم ۖ وَإِن تُطيعوهُ تَهتَدوا ۚ وَما عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Obey Allāh and obey the Messenger; but if you turn away – then upon him is only that [duty] with which he has been charged, and upon you is that with which you have been charged. And if you obey him, you will be [rightly] guided. And there is not upon the Messenger except the [responsibility for] clear notification.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Taat kepada Allah dan taatlah kepada rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”.

 

قُل أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ

Katakanlah: “Taat kepada Allah dan taatlah kepada rasul;

Akhir sekali, yang paling penting adalah mesti taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ. Untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, kenalah tahu tafsir Al-Qur’an dan amalkan ajaran di dalam Al-Qur’an; untuk taat kepada Rasulullah ﷺ, kenalah belajar dan amalkan Sunnah. Maka kenalah cari kelas tafsir Al-Qur’an dan syarahan Hadith. Jangan baca sendiri sahaja kerana kalau baca sendiri tidak akan faham dan boleh menjadi salah faham.

 

فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيهِ ما حُمِّلَ

dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya,

Namun begitu amat ramai sekali yang berpaling dari kebenaran. Mereka tidak mahu belajar agama dan kerana tidak belajar, maka mereka tidak taat dengan apa yang perlu ditaati. Ini kerana mereka tidak tahu pun apa yang perlu ditaati (sebab tidak belajar).

Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu, jikalau kamu berpaling selepas diberi peringatan itu maka ketahuilah bahawa Rasulullah ﷺ hanya menjalankan tugas yang telah dibebankan ke atas dirinya. Baginda telah menjalankan tugas baginda dan tidak dipertanggungjawabkan sama ada umat baginda ikut ataupun tidak.

Baginda sudah menjalankan tugas, kamu pula bagaimana? Adakah kamu telah belajar? Adakah kamu telah sampaikan dakwah agama ini kepada manusia? Adakah kamu telah sampaikan tafsir Al-Qur’an kepada manusia lain?

 

وَعَلَيكُم مّا حُمِّلتُم

dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. 

Dan kamu juga sebagai umat Islam telah dibebankan dengan tanggungjawab ke atas dirimu. Jangan sangka kamu hidup untuk hidup dan mati begitu sahaja, tanpa ada tanggungjawab dan tugas di dunia ini. Kenalah tahu apa tanggungjawab kita itu: yang utama adalah menjadi Hamba kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَإِن تُطيعوهُ تَهتَدوا

Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. 

Kepentingan utama adalah taat kepada Rasulullah ﷺ, maka Allah ‎ﷻ menjanjikan akan diberikan hidayah. Kerana itulah kepentingan itu adalah tahu apakah jalan agama yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Kena belajar dan mendalami ilmu agama sepertimana yang diajar oleh baginda.

Malangnya masyarakat Melayu kita jauh dari budaya ilmu sudah sekian lama. Baru beberapa tahun sahaja  orang kita mulai memakai tudung menutup aurat (itu pun belum lengkap sempurna lagi). Ini kerana masih terdapat banyak kekeliruan lagi. Maka perjalanan masih jauh lagi untuk menyampaikan ilmu ini.

Namun begitu, alhamdulillah, kita boleh nampak semakin ramai yang sudah terbuka hati untuk tahu dan mengenali agama dengan lebih mendalam lagi.  In sha Allah nanti semakin ramai yang berilmu dan masyarakat pun dapat berubah ke arah masyarakat beragama.

 

وَما عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”.

Dan ingatlah yang tugas Nabi ﷺ bukanlah untuk menjaga amalan-amalan kamu kerana tugas baginda hanyalah untuk menyampaikan sahaja. Kalau kamu tidak ikut, tidak ada rugi kepada baginda.

Tugas baginda adalah menyampaikan agama dengan ‘terang’, dengan jelas. Segala yang baginda sampaikan sudah jelas kepada mereka yang belajar. Tidaklah baginda ajar perkara yang berpusing-pusing. Maka kalau kepala masing berpusing lagi, itu kerana tidak belajar dengan cukup lagi.

Teruskan belajar sampai hilang pening itu. Biasalah kalau mula belajar, macam-macam maklumat akan didapati dan kadangkala tidak dapat disusun dalam kepala. Bawalah bersabar dalam belajar.

Tetapi ketahuilah yang kalau anda berusaha, anda akan faham kerana ajaran agama Islam kita ini mudah dan senang dipelajari sebenarnya. Tidaklah ajarannya rahsia (orang tertentu sahaja boleh belajar), susah untuk faham (kena pelajar universiti sahaja boleh faham), kena belajar lama baru faham (tidaklah berpuluh tahun baru boleh faham agama) dan lain-lain lagi alasan. Ini kerana agama Islam ini adalah ajaran yang logik dan mudah diterima oleh akal. Islam ini ‘mesra-akal’.

Sebagaimana tugas Rasul ﷺ menyampaikan, begitu jugalah tugas ini dibebani kepada kita sekarang sebagai pendakwah. Kita kena sampaikan dan tugas kita menyampaikan sahaja; tidaklah kita bertanggungjawab kalau yang disampaikan itu diterima ataupun tidak. Cuma, kalau mereka terima lagi bagus kerana pahala kita pun akan bertambah.


 

Ayat 55: Ayat tabshir.

وَعَدَ اللهُ الَّذينَ آمَنوا مِنكُم وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَيَستَخلِفَنَّهُم فِي الأَرضِ كَمَا استَخلَفَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُم دينَهُمُ الَّذِي ارتَضىٰ لَهُم وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِن بَعدِ خَوفِهِم أَمنًا ۚ يَعبُدونَني لا يُشرِكونَ بي شَيئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعدَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has promised those who have believed among you and done righteous deeds that He will surely grant them succession [to authority] upon the earth just as He granted it to those before them and that He will surely establish for them [therein] their religion which He has preferred for them and that He will surely substitute for them, after their fear, security, [for] they worship Me, not associating anything with Me. But whoever disbelieves¹ after that – then those are the defiantly disobedient.

  • i.e., denies the favor of Allāh or does not live by His ordinance.

(MELAYU)

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentiasa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

وَعَدَ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh

Ini janji Allah ‎ﷻ kepada mereka yang taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ.

Kalimah مِنكُم (dari kalangan kamu) itu merujuk kepada para sahabat. Bagaimana pula dengan kita?

Kalau kita beramal seperti mereka, maka kita pun boleh termasuk seperti mereka juga. Oleh sebab itu kita kenalah belajar apakah yang diamalkan oleh mereka. Kalau tidak belajar, bagaimana untuk beramal seperti amalan para sahabat? Kenalah mengamalkan amalan soleh, iaitu amalan yang bukan amalan bidaah. Dan merekalah yang dinamakan golongan ‘salaf’.

Kita kena ingat yang para sahabat itu belajar dengan Rasulullah ﷺ sendiri, maka mereka lebih faham tentang agama dari kita. Maka apabila sesuatu amalan itu disampaikan kepada kita, kita kenalah periksa: adakah para sahabat buat begitu ataupun tidak? Kerana merekalah kayu ukuran kita sama ada sesuatu amalan itu boleh diamalkan ataupun tidak.

Malangnya, ramai yang tidak belajar dengan betul,  maka apa sahaja amalan yang sampai kepada mereka, laju sahaja diamalkan tanpa periksa. Hasilnya, terlalu banyak amalan-amalan bidaah dalam masyarakat kita. Dan ini amat menyedihkan.

 

لَيَستَخلِفَنَّهُم فِي الأَرضِ كَمَا استَخلَفَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, 

Ini adalah janji Allah ‎ﷻ: Bagi sesiapa yang taat, Allah ‎ﷻ menjanjikan yang mereka akan meninggalkan keturunan mereka yang akan berkuasa di atas muka bumi. Iaitu mereka akan menjadi khalifah kepada bangsa Arab dan juga bangsa a’jam (bukan Arab).

Beginilah yang telah terjadi kepada golongan sahabat sampailah ke zaman Sayidina Muawiyah. Maka Allah ‎ﷻ sudah menyempurnakan janji-Nya kepada golongan itu. Kita sudah nampak bagaimana janji Allah ‎ﷻ telah terbukti. Mereka pada waktu itu telah menguasai kebanyakan besar dari dunia. Negara Islam digeruni dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh musuh Islam.

Sesungguhnya sebelum Nabi ﷺ wafat, Allah ‎ﷻ telah menaklukkan bagi baginda Mekah, Khaibar, Bahrain, dan semua kawasan Jazirah Arabia serta negeri Yaman seluruhnya. Baginda ﷺ sempat memungut jizyah dari orang-orang Majusi Hajar dan juga dari para penduduk yang ada di pinggiran negeri Syam (yang berada di dekat negeri Arab).

Dan pada zaman Umar, kerajaan Islam telah semakin berkembang kerana usaha dakwah dan jihad yang dijalankan oleh beliau. Tanah Syria dan Mesir telah ditawan dan sebahagian besar dari kerajaan Parsi telah ditakluk. Dan pada zaman Khalifah Uthman, kerajaan Islam semakin berkembang lagi.

Ia menjadi tanda yang kekhalifahan 4 sahabat selepas kewafatan baginda itu memang diberkati. Kalaulah Allah tidak redha dengan kekhalifahan mereka (seperti yang didakwah oleh Syiah), maka tentulah negara Islam tidak aman.

Janji ini juga disampaikan kepada kita sekarang dalam ayat Al-Qur’an yang kita sedang baca ini. Memang kita bukan berkuasa sekarang, tetapi kalau kita taat dan amalkan Al-Qur’an seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki, maka kejayaan akan jadi milik umat Islam. Dan perkara ini pernah terjadi dahulu maka tidak mustahil ia boleh terjadi lagi. Allah ‎ﷻ sudah pernah memberikan kekuasaan dunia kepada umat Islam dan Allah ‎ﷻ boleh memberikannya lagi.

Tetapi bagaimana caranya? Sebagaimana umat Islam dahulu memerintah dunia kerana mereka berpegang dengan ajaran Al-Qur’an, maka kalau kita pun ingin menjadi seperti mereka, haruslah berpegang kembali kepada Al-Qur’an. Tetapi kalau tafsir Al-Qur’an pun tidak belajar, bagaimana untuk berpegang dengan Al-Qur’an?

Kalau setakat sepanduk sahaja digantung-gantung tetapi tidak belajar, memang tidak ada harapan. Kalau setakat baca sahaja Al-Qur’an tanpa difahami apa yang dibaca, pun tidak ada harapan.

 

وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُم دينَهُمُ الَّذِي ارتَضىٰ لَهُم

dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka,

Dan Allah ‎ﷻ berjanji akan memastikan yang agama Islam itu terus kuat. Begitulah Allah ‎ﷻ telah menjadikan Islam ini pernah menjadi agama rasmi dunia. Dan kalau kita juga berpegang kepada Al-Qur’an, ia akan kembali kuat.

Ayat ini diturunkan di Madinah tetapi waktu itu umat Islam belum lagi kuat kerana mereka masih lagi berperang dengan musuh-musuh Islam. Waktu itu Musyrikin Mekah masih lagi berusaha menyerang Madinah dan masih ada lagi puak-puak Yahudi di sekeliling umat Islam yang tidak boleh dipercayai dan dalam masa yang sama, ada puak-puak munafik yang tidak boleh dipercayai. Kalau lihat keliling waktu itu, seperti ayat ini tidak mungkin akan terjadi kerana Islam nampaknya bukanlah dalam kedudukan yang kuat lagi.

Akan tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan janji kepada mereka yang jikalau mereka terus taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ dan menjaga agama mereka, maka Allah ‎ﷻ akan memastikan keteguhan umat Islam di atas muka bumi.

Waktu itu, negara Islam masih lagi dalam bentuk telur yang belum menetas (peringkat awal) kerana ia belum stabil dan undang-undang Islam belum dijalankan dengan penuh lagi kerana ada perkara-perkara yang sedang berlaku dan hukuman hudud juga belum dijalankan lagi.

Sebagai contoh, jikalau ada tentera lari dan berpaling dari medan peperangan mereka sepatutnya dihukum bunuh tetapi ada puak-puak munafik yang lari daripada medan perang tetapi mereka tidak dibunuh waktu itu.

Undang-undang Islam hanya dapat dapat dilaksanakan sepenuhnya setelah Pembukaan Mekah dan waktu itulah negara Islam telah terbentuk dengan sepenuhnya. Tetapi janji kepada kestabilan ini telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ di dalam ayat ini. Kerana begitulah taqdir Allah ‎ﷻ pasti akan terjadi.

 

وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِن بَعدِ خَوفِهِم أَمنًا

dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentiasa.

Dan Allah ‎ﷻ akan mengubah sifat ketakutan yang ada pada mereka waktu itu kepada perasaan aman tenteram. Ini adalah kerana mereka belum lagi dapat berasa selamat kerana mereka boleh diserang oleh pihak-pihak yang lebih kuat daripada mereka bila-bila masa sahaja. Maka umat Islam waktu itu dalam keadaan takut dan dalam keadaan siap siaga sentiasa.

Kalau keadaan seperti itu, memang tidak aman. Sebagai contoh apabila mereka di dalam Perang Ahzab mereka amat takut pada waktu itu. Kerana waktu itu, ramai pihak bergabung menyerang Madinah. Umat Islam masih sedikit waktu itu dan yang datang menyerang amat ramai sekali. Tapi Allah ‎ﷻ akhirnya selamatkan mereka.

Jadi, ada ringkasnya tiga janji yang Allah ‎ﷻ berikan dalam ayat ini:

1. Umat Islam akan menjadi khalifah di atas muka bumi
2. Agama Islam akan terus kuat
3. Umat Islam akan menjadi aman sentiasa

 

يَعبُدونَني لا يُشرِكونَ بي شَيئًا

Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku.

Negara Islam yang stabil itu akan menyembah Allah ‎ﷻ sahaja dan tidak akan melakukan kesyirikan. Mereka itu (Muhajirin terutamanya) asalnya ketua syirik dunia, tetapi mereka sudah menjadi ketua umat tauhid.

Jadi dalam ayat ini Allah ‎ﷻ berjanji kepada para sahabat dan jikalau kita pun dapat mengikut seperti cara sahabat itu, maka kita pun akan mendapat janji yang sama. Tetapi kalau kita lihat masyarakat Islam sekarang, ramai tidak faham lagi apakah syirik itu dan kerana itu ramai yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari.

Mereka sangka mereka sudah berfahaman Tauhid, tetapi sebenarnya tidak. Maka bagaimana kita boleh mengharapkan Allah ‎ﷻ memberikan kemenangan dan ketenangan kepada kita, kalau perkara utama iaitu Tauhid pun tidak diamalkan lagi?

 

وَمَن كَفَرَ بَعدَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Dan kalau agama Islam telah stabil dan negara Islam telah ada dan kalau waktu itu ada lagi yang keluar daripada agama Islam maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik dan mereka akan dikenakan dengan hukuman bunuh. Dan kerana mereka terus fasik, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka walaupun nama mereka orang Islam.

Maka ayat ini ditujukan kepada golongan Munafik dan yang lemah iman. Mereka diingatkan yang janji ini untuk mukmin sejati. Kalau mereka tidak ubah sikap mereka dan mereka terus menjauhkan diri dari agama Islam, mereka tidak akan mendapat janji ini. Jangan sangka mereka berada di dalam negara Islam dan mereka mengaku Muslim, maka mereka boleh mendapat janji-janji ini.

Imam Baghawi mengatakan, potongan ayat ini telah terjadi apabila umat Islam ada yang membunuh Khalifah Uthman. Semenjak dari kejadian itu, kerajaan Islam telah menuju ke arah keruntuhan sedikit demi sedikit. Musibah demi musibah telah melanda umat Islam sehinggalah sekarang.

Kekuatan Islam bukanlah dari segi bilangan umatnya, tetapi dari kekuatan iman mereka. Kalau bilangannya ramai sahaja, tetapi iman yang lemah banyak seperti buih di lautan pun, Muslim tidak akan berjaya kerana Allah ‎ﷻ tidak akan memberikan bantuan-Nya kepada mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29  Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nur Ayat 49 – 53 (Sifat Munafik)

Ayat 49:

وَإِن يَكُن لَّهُمُ الحَقُّ يَأتوا إِلَيهِ مُذعِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if the right is theirs, they come to him in prompt obedience.

(MELAYU)

Tetapi jika keputusan itu untuk mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh.

 

وَإِن يَكُن لَّهُمُ الحَقُّ

Tetapi jika keputusan itu untuk mereka,

Bila mereka perlu kepada keputusan itu pula, kelam kabut mereka datang. Mereka datang kerana mereka nampak ada keuntungan kepada mereka. Ini kerana sifat mereka yang menginginkan keuntungan sahaja. Contohnya mereka ada isu dan mereka merasakan mereka akan menang kalau kes dibawa di hadapan Rasulullah ﷺ, maka mereka akan terus mendapatkan keputusan dari baginda.

Kalau zaman sekarang, waktu itulah mereka akan berjumpa dengan pihak berkuasa agama. Waktu itu, laju sahaja mereka datang. Maknanya mereka ini pergi kepada agama, hanya apabila ada keperluan sahaja.

Sebagai contoh, ramai dari kalangan orang Melayu yang tidak kisah pun tentang agama; tetapi bila ingin berkahwin, pandai pula mereka pergi ke Pejabat Kadi. Amalan agama tidak dibuat, tetapi apabila bercerai dan ingin mendapatkan bayaran nafkah dari bekas suami, rajin sahaja mereka mengadu ke pejabat agama.

 

يَأتوا إِلَيهِ مُذعِنينَ

mereka datang kepada rasul dengan patuh.

Allah ‎ﷻ memberitahu sifat munafik – apabila mereka merasakan mereka perlu kepada agama, waktu itu mereka datang dengan patuh serta merendah diri. Kalimah مُذعِنينَ bermaksud ‘sudah bersedia untuk taat’. Kalau ada keuntungan baru mereka mahu tunduk untuk taat.

Maka, janganlah kita jadi begini. Janganlah ambil agama apabila perlu sahaja. Kita haruslah menerima pakai agama ini dalam semua keadaan dan waktu. Jangan hanya apabila susah sahaja baru hendak mencari agama. Seperti kebanyakan orang kita, bila ada keluarga mati, barulah sibuk untuk mencari ‘orang masjid’ dan ‘orang surau’.


 

Ayat 50:

أَفي قُلوبِهِم مَّرَضٌ أَمِ ارتابوا أَم يَخافونَ أَن يَحيفَ اللهُ عَلَيهِم وَرَسولُهُ ۚ بَل أُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is there disease in their hearts? Or have they doubted? Or do they fear that Allāh will be unjust to them, or His Messenger? Rather, it is they who are the wrongdoers [i.e., the unjust].

(MELAYU)

Apakah dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu-ragu ataukah takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

أَفي قُلوبِهِم مَّرَضٌ

Apakah dalam hati mereka ada penyakit?

Adakah hati mereka mempunyai penyakit? Yang dimaksudkan adalah penyakit nifak. Mereka sebenarnya kufur tetapi mereka menyembunyikan kekufuran mereka itu.

Atau penyakit yang dimaksudkan itu adalah lemah iman. Ini kerana ada yang munafik tetapi tidak kufur, cuma mereka itu lemah iman kerana mereka tidak rapat dengan wahyu.

 

أَمِ ارتابوا

atau mereka ragu-ragu?

Atau adakah mereka ragu-ragu? Mereka ragu-ragu dengan agama Islam ini dan undang-undangnya. Mereka mempersoalkan apa yang disampaikan dalam wahyu – sama ada dari Al-Qur’an atau hadith. Mereka tidak percaya yang hukum dari Allah ‎ﷻ ini adalah benar dan untuk kebaikan mereka.

Ini adalah kerana mereka tidak mempelajari wahyu Al-Qur’an dan agama. Mereka orang yang jahil yang tidak tahu menahu tentang agama. Mereka melihat hukum agama ini sebagai pelik dan tidak adil pada pandangan mereka kerana mereka tidak tahu apakah penjelasan dari hukum yang telah diberikan itu.

 

أَم يَخافونَ أَن يَحيفَ اللهُ عَلَيهِم

ataukah takut kalau-kalau Allah berlaku zalim kepada mereka?

Kalimah يَحيفَ dari katadasar ح ي ف yang bermaksud tidak adil (zalim). Adakah mereka rasa yang Allah ‎ﷻ akan berlaku zalim dan tidak berpihak kepada mereka kerana kesalahan yang mereka telah lakukan dahulu?

Adakah mereka merasakan yang Allah ‎ﷻ akan mengurangkan pemberian kepada mereka? Adakah mereka menyangka buruk yang Allah ‎ﷻ dan Rasul tidak berlaku adil dalam hukum yang diberikan? Ini tidak patut sama sekali kerana hukum yang Allah ‎ﷻ berikan adalah amat adil dan hukum yang terbaik bagi kita semua.

Orang sekarang ada yang tidak percaya dengan hukum-hukum yang ada dalam Al-Qur’an. Ada sahaja hujah yang mereka berikan untuk merendahkan hukum-hukum dari Allah ‎ﷻ. Ini amat bahaya sekali kerana kalau mereka tidak percaya, maknanya mereka menolak Allah ‎ﷻ sendiri.

وَرَسولُهُ

dan rasul-Nya?

Dan adakah mereka tidak percaya kepada Rasulullah  ﷺ yang Allah ‎ﷻ sendiri telah pilih untuk menjadi Rasul-Nya?

Teruknya mereka itu, sampaikan ada keputusan dari baginda yang mereka persoalkan. Begitu juga dengan kebanyakan dari manusia yang mengaku Muslim. Apabila diberikan hadith-hadith yang sahih, mereka sangsi dengan hadith itu serta susah untuk terima.

بَل أُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Tidak. Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ berkata, Dia tidak zalim sama sekali. Mereka yang tidak yakin dengan Allah ‎ﷻ jadi begitu kerana merekalah yang melakukan kezaliman dan kesalahan sedangkan Allah ‎ﷻ tidak berat sebelah. Tidak mungkin Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya akan berat sebelah? Itu hanyalah perasaan mereka sahaja.

Habis Ruku’ 6 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.


 

Ayat 51: Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu pula, bagaimana sifat orang mukmin yang sebenar.

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The only statement of the [true] believers when they are called to Allāh and His Messenger to judge between them is that they say, “We hear and we obey.” And those are the successful.

(MELAYU)

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

 

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka

Ini adalah kata-kata yang keluar daripada mulut orang-orang yang beriman apabila mereka dipanggil untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ. Iaitu apabila ada kes dan Nabi ﷺ memanggil untuk melakukan penghakiman ke atas mereka. Mereka akan datang dengan rela, tanpa belah bahagi.

 

أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا

ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. 

Mereka akan menerima apa sahaja keputusan yang diberikan oleh Rasulullah ﷺ sama ada mereka di pihak yang menang atau di pihak yang kalah. Kerana mereka tahu yang baginda membuat keputusan berdasarkan wahyu Ilahi.

Kalau kepada kita sekarang, orang mukmin itu adalah orang yang menerima sahaja apa yang disampaikan oleh wahyu – baik dari segi akidah atau amalan. Mereka tidak membantah dan mereka tidak mempersoalkan.

Kalau kita ringkaskan:

  • Akidah – apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an.
  • Amalan – apa yang disampaikan dalam Sunnah.

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Merekalah orang yang berjaya dunia akhirat. Mereka akan mendapat pembalasan yang baik. Ini adalah kerana mereka bersedia untuk taat dan redha dengan apa yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya.

Ayat selepas ini Allah ‎ﷻ beri formula untuk berjaya.


 

Ayat 52: Ini adalah ayat yang amat indah tentang agama Islam. Allah ‎ﷻ memberikan formula bagaimana hendak berjaya di dunia dan akhirat.

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ وَيَخشَ اللهَ وَيَتَّقهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever obeys Allāh and His Messenger and fears Allāh and is conscious of Him – it is those who are the attainers.

(MELAYU)

Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.

 

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ

Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya

Arahan untuk menjalani kehidupan di dunia ini telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan diajar oleh Rasulullah ﷺ. Allah  ‎ﷻ telah menetapkan hukum dan Nabi ﷺ mengajar kita bagaimana memenuhi tanggungjawab hukum itu. Kerana kalau Nabi ﷺ tidak ajar cara beramal, maka kita tidak akan dapat tahu bagaimana untuk hidup di dunia ini.

 

وَيَخشَ اللهَ

dan takut kepada Allah

Mereka itu takut kerana kesalahan yang telah pernah dilakukan olehnya di masa yang lalu. Mereka tahu mereka orang yang berdosa dan mereka sedar yang dosa akan dibalas. Walaupun mereka telah bertaubat, tapi tidak pasti yang taubat mereka telah diterima.

Dan memang kena ada takut untuk berhadapan dengan Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ akan mempersoalkan apa yang amalan kita semasa di dunia. Kerana mereka tidak tahu sama ada mereka telah buat sebaik mungkin semasa di dunia.

 

وَيَتَّقهِ

dan bertakwa kepada-Nya, 

Kalimah يَتَّقهِ yattaqhi sebenarnya agak pelik kerana yang sepatutnya adalah yattaqeehi. Kalimah ini di dalam bentuk yang agak pelik kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi penekanan kepadanya. Iaitu kenalah bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah ‎ﷻ. Apabila ia dalam bentuk lain dari biasa, maka pembaca akan berikan perhatian. Ini kerana dalam bahasa Arab tidak ada bold untuk menunjukkan penekanan, maka ia ditunjukkan dengan cara yang halus.

Dan takwa dalam ayat ini bermaksud taqwa kepada Allah ‎ﷻ tentang perkara yang akan berlaku di masa hadapan; dan kerana itu ayat ini adalah lengkap dan merangkumi semua perkara. Terima sahaja apa yang Allah ‎ﷻ telah tentukan.

Jadi, ada 4 formula untuk berjaya:

1. Taat kepada Allah ‎ﷻ.
2. Taat kepada Rasul ﷺ.
3. Takut kepada Allah ‎ﷻ.
4. Taqwa kepada Allah ‎ﷻ.

 

فَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.

Merekalah yang berjaya dengan selamat dari neraka. Bila selamat dari neraka, tentunya tempat mereka di syurga.

Kalimah فائز bukan sahaja bermaksud berjaya, tetapi berjaya selamat dari bahaya. Mereka akan melalui neraka seperti semua orang dan mereka akan diselamatkan dari neraka itu. Dan ini akan menambah nikmat syurga kerana mereka sedar yang kalau mereka tidak selamat masuk syurga, tempat mereka tentunya dalam neraka.

Dan mereka telah nampak bagaimana rupa neraka itu dengan segala seksanya. Maka tentulah mereka benar-benar bersyukur kerana diselamatkan. Kalau kita terselamat dalam kemalangan jalan raya pun kita sudah bersyukur habis, bukan?


 

Ayat 53: Ini adalah teguran kepada munafik.

۞ وَأَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم لَئِن أَمَرتَهُم لَيَخرُجُنَّ ۖ قُل لّا تُقسِموا ۖ طاعَةٌ مَّعروفَةٌ ۚ إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they swear by Allāh their strongest oaths that if you ordered them, they would go forth [in Allāh’s cause]. Say, “Do not swear. [Such] obedience is known.¹ Indeed, Allāh is Acquainted with that which you do.”

  • i.e., the hypocrites’ pretense of obedience is known to be a lie.

(MELAYU)

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah sekuat-kuat sumpah, jika kamu suruh mereka berperang, pastilah mereka akan pergi. Katakanlah: “Janganlah kamu bersumpah, (kerana ketaatan yang diminta ialah) ketaatan yang sudah dikenal. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَأَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم لَئِن أَمَرتَهُم لَيَخرُجُنَّ

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah sekuat-kuat sumpah, jika kamu suruh mereka berperang, pastilah mereka akan pergi.

Ini adalah kata-kata orang munafik yang beriya-iya bersumpah yang jikalau Rasulullah ﷺ memberikan arahan untuk keluar berperang, maka mereka pasti akan keluar.

 

قُل لّا تُقسِموا

Katakanlah: “Janganlah kamu bersumpah,

Allah ‎ﷻ mengherdik kepada mereka: tidak perlulah mereka bersumpah sampai begitu sekali kerana buang masa sahaja. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu apa di dalam hati mereka. Mereka bukannya mahu berperang.

 

طاعَةٌ مَّعروفَةٌ

ketaatan yang sudah dikenal.

Ketaatan itu sepatutnya ditunjuk dengan sifat mereka. Tapi sifat mereka telah dikenali, mereka hanya cakap di mulut sahaja.

Maka janganlah mereka berikan alasan yang Nabi Muhammad ﷺ‎ tidak datang sendiri ke rumah mereka dan minta mereka datang menyertai peperangan kerana tidak mungkin seorang ketua negara pula yang datang ke rumah mereka satu persatu pula. Ini kerana mereka buat alasan: “tiada pun Nabi datang jumpa kami?”

Ini kerana arahan untuk berperang telah dikeluarkan secara umum dan semua umat Islam sepatutnya sudah tahu tentang perkara itu. Janganlah diberi alasan bodoh sebegini. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

{يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا}

Mereka akan bersumpah kepada kalian agar kalian redha. (At-Taubah: 96), hingga akhir ayat.

 

إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷺ beritahu yang Allah ﷺ tahu apa yang ada di dalam hati mereka dan Allah ﷺ tahu yang kata-kata mereka itu hanyalah alasan sahaja. Apa yang mereka sorokkan itu hanyalah menipu diri mereka sendiri sahaja. Allah tahu yang mereka itu adalah golongan munafik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nur Ayat 44 – 48 (Apabila Rasul panggil)

Ayat 44: Allah ‎ﷻ sambung tentang Qudrat-Nya.

يُقَلِّبُ اللهُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh alternates the night and the day. Indeed in that is a lesson for those who have vision.

(MELAYU)

Allah mempergantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan.

 

يُقَلِّبُ اللهُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

Allah mempergantikan malam dan siang.

Allah ‎ﷻ tukarkan malam dan siang; kadang-kadang siang dan kadang-kadang malam dan perkara ini berterusan sehinggalah sampai masa seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki.

Malam dan siang itu bukan terjadi sendiri secara automatik tetapi Allah ‎ﷻ yang tentukan. Dalilnya, nanti di akhirat, neraka akan sentiasa malam dan syurga akan sentiasa siang. Kita belajar sains yang malam terjadi kerana peredaran bumi yang berpusing. Tetapi pusingan bumi itu pun dari perbuatan Allah ‎ﷻ juga, bukan? Maka kena ingat yang Allah ‎ﷻ yang menjadikan siang dan malam itu.

Allah ajar kita ingat kepada pertukaran siang dan malam ini dengan membaca zikir pagi dan petang. Ianya adalah untuk mengingatkan kita yang Allahlah yang menjadikan siang dan malam itu.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan.

Terdapat pengajaran bagi mereka yang mempunyai basirah iaitu ‘mata hati’. Mereka yang mempunyai mata hati akan melihat dan memikirkan perkara-perkara  yang disebut sebelum ini tentang hujan, salji, kilat dan juga pertukaran siang dan malam. Mereka sedar yang Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa dan mempunyai Qudrat untuk melakukan apa sahaja. Dan oleh sebab itulah Allah ‎ﷻ sahaja yang layak disembah.


 

Ayat 45:

وَاللهُ خَلَقَ كُلَّ دابَّةٍ مِن مّاءٍ ۖ فَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ بَطنِهِ وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ رِجلَينِ وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ أَربَعٍ ۚ يَخلُقُ اللهُ ما يَشاءُ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has created every [living] creature from water. And of them are those that move on their bellies, and of them are those that walk on two legs, and of them are those that walk on four. Allāh creates what He wills. Indeed, Allāh is over all things competent.

(MELAYU)

Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

وَاللهُ خَلَقَ كُلَّ دابَّةٍ مِن مّاءٍ

Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air,

Allah ‎ﷻ menjadikan semua kehidupan yang ada di dalam alam ini daripada air. Setiap perkara hidup memerlukan air dan ada kandungan air di dalamnya.

Ini adalah satu maklumat saintifik yang hebat. Memang segala kehidupan ini dijadikan dari air. Oleh sebab itu kalau penjelajahan ke planet lain, NASA akan mencari sama ada di planet itu terdapat kesan air ataupun tidak. Ini kerana jika terdapat air, maknanya ada kehidupan di planet itu.

Dan Allah ‎ﷻ telah menyebut di dalam Qur’an tentang perkara ini, tetapi ketika Qur’an diturunkan, maklumat ini tidak ada pada zaman itu. Maka memanglah bukan Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Qur’an ini tetapi ia adalah wahyu dari Allah ‎ﷻ.

 

فَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ بَطنِهِ

maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya

Hebat sekali penciptaan makhluk oleh Allah ‎ﷻ yang Dia suruh kita lihat dan fikirkan. Kita sendiri boleh lihat pelbagai jenis binatang yang Allah ‎ﷻ ciptakan. Ada yang berjalan dengan perut sahaja tanpa kaki seperti ular. Memang ular tidak ada kaki tetapi lihatlah pergerakannya yang amat cepat itu.

 

وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ رِجلَينِ

dan sebahagian berjalan dengan dua kaki 

Ada makhluk yang berjalan dengan menggunakan dua kaki seperti manusia. Ya, manusia juga dikira sebagai ‘haiwan’, iaitu ‘haiwan yang berakal’. Selain dari itu, gorilla, ayam serta itik juga berjalan menggunakan dua kaki.

 

وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ أَربَعٍ

sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. 

Dan terdapat banyak binatang yang berjalan dengan menggunakan empat kaki seperti unta, lembu dan kambing. Semua ini boleh kita lihat setiap hari. Walaupun bilangan kaki tidak sama, tetapi semuanya boleh berjalan menuju tempat yang mereka hendak tujui. Allah ‎ﷻ sudah menciptakan makhluk itu dan memberikan alat untuk mereka mencari sumber kehidupan.

 

يَخلُقُ اللهُ ما يَشاءُ

Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, 

Allah ‎ﷻ boleh melakukan dan mencipta berjenis-jenis makhluk seperti yang Dia kehendaki. Tidak ada sesiapa yang suruh Allah ‎ﷻ cipta itu dan ini; Allah ‎ﷻ tidak memerlukan contoh untuk mereka ciptaan yang baru; Allah ‎ﷻ tidak terhalang untuk mencipta apa sahaja.

Kalau kita ingin mencipta sesuatu, ada kalanya kita memang tidak dapat membuatnya kerana teknologi kita mungkin terhad. Namun bagi Allah ‎ﷻ, tidak ada apa-apa yang dapat menghalang-Nya dari mencipta apa sahaja.

 

إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Kekuasaan Allah ‎ﷻ tiada batasan. Semua kehendak-Nya tercapai. Tiada siapa boleh menghalang kehendak Allah ‎ﷻ. Maka mestilah kita taat kepada Allah ‎ﷻ, sembah Allah ‎ﷻ dan seru Allah ‎ﷻ sahaja. Kerana tidak perlu kita hendak memujuk atau meminta kepada sesiapa selain Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak ada kuasa dan qudrat seperti Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 46: Ayat ini adalah pengulangan dalil.

لَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ مُّبَيِّنٰتٍ ۚ وَاللهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have certainly sent down distinct verses. And Allāh guides whom He wills to a straight path.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan. Dan Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.

 

لَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ مُّبَيِّنٰتٍ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan.

Semua yang Allah ‎ﷻ sebutkan di atas adalah menjadi tanda yang jelas kepada kebenaran Qur’an yang Allah  ‎ﷻ telah turunkan kepada kita. Allah ‎ﷻ telah memberikan tanda-tanda kebenaran dengan jelas dan kalau kita melihat dengan mata hati, kita akan yakin yang Qur’an inilah petunjuk yang sebenar.

Ia adalah jelas dan nyata kepada mereka yang mempunyai mata hati dan mereka yang rapat dengan wahyu. Yang tidak jelas hanyalah bagi mereka yang tidak belajar sahaja. Kerana itulah sangat penting untuk mula belajar tafsir Qur’an dan kemudian memikirkan tentang tanda dan ayat-ayat yang dibacakan kepada kita. Kalau tidak jelas, maka haruslah dikaji lagi dan lagi.

 

وَاللهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Dan Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.

Allah ‎ﷻ memutuskan siapa yang Dia kehendaki untuk diberikan hidayah. Orang yang dipilih akan ditarik sedikit demi sedikit ke arah kebenaran.

Juga boleh bermaksud, Allah ‎ﷻ memberikan hidayah kepada siapa yang hendakkan hidayah itu. Maknanya ia mengikut kehendak orang itu sendiri iaitu orang yang mempunyai inabah kepada kebenaran.

Maka ini mengajar kita yang bukanlah Allah ‎ﷻ memilih kasih. Allah ‎ﷻ berikan hidayah kepada mereka yang mahukan hidayah. Maka kenalah ada keinginan dalam diri kita kepada kebenaran. Bila keinginan itu sudah ada, Allah ‎ﷻ akan berikan hidayah itu kepada kita dan menarik kita ke arah kebenaran.


 

Ayat 47: Ayat syikayah. Sekarang kita masuk pula perbincangan tentang golongan munafik. Dari ayat ini sehingga ke ayat 57 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia menceritakan sifat golongan munafik ini dan dibezakan dengan sifat Mukmin.

وَيَقولونَ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِالرَّسولِ وَأَطَعنا ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ ۚ وَما أُولٰئِكَ بِالمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they [i.e., the hypocrites] say, “We have believed in Allāh and in the Messenger, and we obey”; then a party of them turns away after that. And those are not believers.

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan rasul, dan kami mentaati (keduanya)”. Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

 

وَيَقولونَ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِالرَّسولِ وَأَطَعنا

Dan mereka berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan rasul, dan kami mentaati 

Golongan munafik mengatakan yang mereka beriman dan taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ. Namun mereka hanya mengatakan dengan lidah sahaja, tidak dengan hati. Mereka datang kepada Nabi ﷺ dan berkata mereka beriman dan akan taat kalau Nabi ﷺ suruh.

Mereka datang kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda adalah ketua negara dan mereka mahukan diri mereka selamat dan dipandang sebagai orang Islam juga.

 

ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ

Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, 

Allah ‎ﷻ berkata sebahagian dari mereka tidak beriman. Kerana itu mereka berpaling dari taat kepada Allah ‎ﷻ dan RasulNya. Maknanya, mereka hanya bercakap dengan mulut sahaja tetapi tidak dengan hati mereka.

 

وَما أُولٰئِكَ بِالمُؤمِنينَ

sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ memberitahu yang mereka bukan seperti orang mukmin sebenar iaitu para sahabat. Mereka hanya beriman dengan mulut sahaja, tetapi hati mereka tidak. Kita tidak boleh baca apa yang ada di dalam hati manusia, namun Allah ‎ﷻ tahu semuanya tentang manusia termasuk dalam hati mereka. Maka Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beritahu kita yang orang munafik itu sebenarnya tidak beriman.


 

Ayat 48: Ini contoh perpalingan mereka sebagai bukti bahawa mereka itu bukanlah mukmin yang sebenar. Jadi kita kena bandingkan apa yang mereka lakukan dengan diri kita. Kita takut kalau-kalau kita pun ada sifat-sifat munafik itu.

Maknanya, kita belajar sifat-sifat munafik ini bukan untuk mengutuk mereka. Bukanlah kita gunakan untuk menuduh orang lain sebagai munafik. Kita sebenarnya hendak tahu kerana kita takut kita juga mempunyai sifat-sifat munafik. Jangan kita mengutuk orang munafik tetapi rupanya kita pun ada sifat mereka dan entah-entah kita pun dikira munafik di mata Allah ‎ﷻ. Nauzubillah.

وَإِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم إِذا فَريقٌ مِّنهُم مُّعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they are called to [the words of] Allāh and His Messenger to judge between them, at once a party of them turns aside [in refusal].

(MELAYU)

Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang.

 

وَإِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka,

Ini apabila mereka disuruh untuk datang untuk didengarkan arahan. Arahan yang diberikan kepada mereka adalah untuk berhukum dengan arahan Rasul ﷺ. Jika di zaman Nabi ﷺ, memang baginda yang memberikan penghakiman. Kalau ada apa-apa masalah dan pertelingkahan, Nabi ﷺlah yang akan menjadi hakim untuk memberi keputusan di kalangan para sahabat.

Walaupun pada zaman kita sekarang, Nabi ﷺ tidak lagi bersama kita, namun begitu, sunnah baginda tetap ada. Maka dalam ayat ini kita disuruh supaya mengikut sunnah Nabi ﷺ. Hukum kena ikut hadith yang sahih.

إِذا فَريقٌ مِّنهُم مُّعرِضونَ

tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang.

Apabila dipanggil, golongan munafik tidak datang. Mereka akan membuat pelbagai alasan untuk tidak menghadirkan diri. Ini maknanya mereka tidak taat kerana sepatutnya apabila Nabi ﷺ panggil, kenalah datang. Ini penting kerana ajakan kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ itu adalah untuk menegakkan agama Allah  ‎ﷻ. Ini bukanlah perkara main-main.

Maka ia adalah sunnah dalam perkara ini, apabila dipanggil oleh pemimpin, kita kenalah datang. Di dalam kitab Imam Tabrani disebutkan melalui hadis Rauh ibnu Ata dari Abu Maimunah, dari Al-Hasan, dari Samurah secara marfu’:

“مَنْ دُعي إِلَى سُلْطَانٍ فَلَمْ يُجِبْ، فَهُوَ ظَالِمٌ لَا حَقَّ لَهُ”

“Barang siapa yang dipanggil oleh sultan, lalu dia tidak memenuhinya, maka dia adalah orang yang zalim, tiada hak baginya.”

Kalau dipanggil oleh sultan pun kena datang, apatah lagi kalau yang memanggilnya adalah Rasul ﷺ ‎sendiri? Jadi apabila golongan munafik itu tidak datang, maknanya pengakuan mereka beriman dan berkata untuk mengikut arahan itu adalah tipu sahaja.

Bagaimana dengan kita pada zaman sekarang? Nabi ﷺ tentu tidak akan panggil kita. Namun begitu, seperti telah diberitahu, hadith dan sunnah baginda masih ada di kalangan kita. Itulah yang kita kena ikut. Maka ayat ini bermaksud, apabila manusia diajak untuk berhukum dengan wahyu dan dengan sunnah Nabi ﷺ, manusia mestilah taat. Dan kalau tidak taat, maka, itu adalah tandanya orang munafik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nur Ayat 41 – 43 (Perhatikan awan)

Ayat 41: Dari ayat ini sehingga ke ayat 46 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengajar kita untuk mengkaji sifat Allah sebagai cara mengenal Allah. Bukannya dengan mengamalkan zikir-zikir tarekat sufi yang tidak datang dari dalil yang sahih.

Allah mulakan perenggan ini dengan memberi ayat dalil aqli.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالطَّيرُ صٰفّٰتٍ ۖ كُلٌّ قَد عَلِمَ صَلاتَهُ وَتَسبيحَهُ ۗ وَاللهُ عَليمٌ بِما يَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh is exalted by whomever is within the heavens and the earth and [by] the birds with wings spread [in flight]? Each [of them] has known his [means of] prayer and exalting [Him], and Allāh is Knowing of what they do.

(MELAYU)

Tidaklah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Tidaklah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi

Semua makhluk di langit dan bumi bertasbih kepada Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak nampak kerana cara mereka bertasbih bukan sama seperti kita. Ini adalah perli Allah kepada kita: makhluk lain bertasbih, bagaimana pula dengan kamu wahai manusia?

Satu lagi maksud tasbih yang dibincangkan oleh ulama’: setiap makhluk seperti bulan, bintang, binatang, bumi masing-masing mempunyai tugas yang telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka tidak boleh menolak untuk tidak menjalankannya. Perbuatan mereka itulah yang dinamakan ‘tasbih’.

Maknanya tidaklah mereka bertasbih seperti kita. Maksudnya tasbih mereka adalah dengan taat kepada Allah ‎ﷻ. Tasbih mereka adalah dengan perbuatan, bukannya dengan perkataan.

 

وَالطَّيرُ صٰفّٰتٍ

dan (juga) burung yang mengembangkan sayapnya.

Juga burung pun bertasbih. Tentunya dengan caranya sendiri. Kalimah ‘tasbih’ asalnya dari kalimah yang bermaksud ‘berenang’ dan bukankah burung berenang di udara? Dan burung itu terbang (berenang di udara) dengan sentiasa mengembangkan sayapnya.

Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ sebut berenang di lautan, sekarang Allah ‎ﷻ sebut berenang di udara pula.

 

كُلٌّ قَد عَلِمَ صَلاتَهُ وَتَسبيحَهُ

Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, 

Makhluk selain manusia mempunyai cara solat dan tasbih mereka. Allah ‎ﷻ menyindir kita di dalam ayat ini: Kamu tahukah cara solat dan tasbih kamu, sebab binatang dan makhluk lain tahu cara mereka? Kalau kamu tidak tahu, maka kamu lebih teruk dari binatang.

 

وَاللهُ عَليمٌ بِما يَفعَلونَ

dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ Maha Tahu segala apa yang dilakukan oleh makhluk-Nya termasuk binatang. Tiada yang tersembunyi dari ilmu Allah ‎ﷻ.

Binatang tiada niat dan kerana itu kalimah فعل digunakan. Kalau perbuatan dengan niat, maka kalimah عمل yang digunakan.

Maka kerana kita manusia, amal kita mestilah dengan niat. Maka apabila kita berzikir, hendaklah ada hadhir hati. Kena tahu apa yang kita sebutkan. Kerana kalau tidak, ia tidak memberi kesan. Kerana zikir itu sebenarnya mengetuk hati kita, mengingatkan kita kepada kebesaran Allah. Kalau disebut-sebut tanpa didengar oleh hati kita, bagaimana pula ia memberi kesan?

Dan kenalah mengamalkan apa yang kita sebut. Maka janganlah mulut sahaja yang berzikir atau kita melakukan perbuatan solat tetapi hati kita tidak hadhir dalam solat itu. Itu merosakkan amal kita. Contohnya sebut Allahu Akbar, tetapi tidak membesarkan Allah  ‎ﷻ dalam kehidupan kita. Maka ramai yang berzikir tapi zikir mereka itu tidak memberi kesan kepada diri mereka sebenarnya.


 

Ayat 42: Ayat dalil aqli.

وَِللهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَإِلَى اللهِ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth, and to Allāh is the destination.

(MELAYU)

Dan kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan kepada Allah-lah kembali (semua makhluk).

 

وَِللهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi

Semua yang ada dalam alam ini adalah milik Allah ‎ﷻ. Termasuk kita ini pun adalah milik Allah ‎ﷻ. Maka kenalah kita taat dan ikut arahan Allah ‎ﷻ kerana kita ini milikNya. Kalau tidak mahu taat, maka carilah bumi dan langit lain untuk hidup.

 

وَإِلَى اللهِ المَصيرُ

dan kepada Allah-lah kembali (semua makhluk).

Kita semua akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ, maka kenalah ingat. Apa yang kita akan bawakan kepada Allah  ‎ﷻ nanti? Janganlah kita membawa dosa, tetapi kenalah kita membawa pahala yang banyak untuk dipersembahkan kepada-Nya.


 

Ayat 43: Allah ‎ﷻ memberikan contoh Qudrat-Nya.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يُزجي سَحابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَينَهُ ثُمَّ يَجعَلُهُ رُكامًا فَتَرَى الوَدقَ يَخرُجُ مِن خِلٰلِهِ وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّماءِ مِن جِبالٍ فيها مِن بَرَدٍ فَيُصيبُ بِهِ مَن يَشاءُ وَيَصرِفُهُ عَن مَّن يَشاءُ ۖ يَكادُ سَنا بَرقِهِ يَذهَبُ بِالأَبصٰرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh drives clouds? Then He brings them together; then He makes them into a mass, and you see the rain emerge from within it. And He sends down from the sky, mountains [of clouds] within which is hail, and He strikes with it whom He wills and averts it from whom He wills. The flash of its lightening almost takes away the eyesight.

(MELAYU)

Tidaklah kamu melihat bahawa Allah menggerakkan awan, kemudian mengumpulkannya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, (iaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) ais itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya dari siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يُزجي سَحابًا

Tidaklah kamu melihat bahawa Allah menggerakkan awan,

Allah ‎ﷻ menyuruh kita melihat kepada awan di atas kepala kita. Senang sahaja untuk kita melihatnya kerana ia sentiasa ada sahaja. Allah ‎ﷻ menyuruh kita melihat dan fikirkan bagaimana hebatnya awan-awan itu.

Awan itu memang bergerak tetapi tidaklah ia bergerak sendiri kerana Allah ‎ﷻ lah yang menggerakkan awan-awan itu. Allah menggerakkan awan itu ke tempat yang diperlukan.

 

ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَينَهُ

kemudian mengumpulkannya, 

Ada awan yang besar dan ada yang kecil. Allah ‎ﷻ menggabungkan awan yang kecil-kecil itu menjadi awan yang besar.

 

ثُمَّ يَجعَلُهُ رُكامًا

kemudian menjadikannya bertindih-tindih, 

Kemudian Allah ‎ﷻ menjadikan awan itu berlapis-lapis.

Zaman sekarang kita boleh lihat lebih lagi daripada para sahabat. Mereka hanya nampak awan yang rendah-rendah sahaja, mereka tidak tahu ada lagi awan yang terdapat di atas.

Kita tahu akan perkara ini apabila kita menaiki kapal terbang. Kita dapat tahu bahawa awan itu ada yang rendah dan ada yang tinggi dan kapal terbang boleh berada di antara awan-awan itu.

Jadi ini adalah salah satu dari tanda mukjizat Qur’an ini – tidak mungkin ia ditulis oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda pun tidak tahu tentang perkara ini.

 

فَتَرَى الوَدقَ يَخرُجُ مِن خِلٰلِهِ

maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya

Kemudian Allah ‎ﷻ mengeluarkan hujan yang ringan dari celah-celah awan yang tersusun itu.

Ini adalah proses bagaimana hujan terjadi. Ia adalah satu perkara yang hebat. Dan ia adalah satu lagi mukjizat Qur’an. Mana mungkin Nabi Muhammad reka Qur’an dan tahu proses hujan dijadikan? Jadi ia adalah satu dalil bahawa Qur’an ini memang dari Allah. Proses penurunan hujan ini boleh dibaca di https://www.miraclesofthequran.com/scientific_44.html.

 

وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّماءِ مِن جِبالٍ فيها مِن بَرَدٍ

dan Allah menurunkan dari langit, iaitu dari gunung-gunung, di dalamnya mengandungi ais ketul

Dan Allah ‎ﷻ juga menurunkan hujan batu (ais). Ia seperti turun dari gunung. Tetapi sebenarnya ia turun dari langit. Kalau air hujan, Allah ‎ﷻ kata turun dari awan, tetapi apabila disebut hujan batu (ais) ini, Allah ‎ﷻ berkata ia turun dari ‘langit’. Fenomena ini berlainan dari hujan biasa dan boleh dibaca di http://yesmuslim.blogspot.my/2017/11/ilmuwan-berhasil-mengungkap-misteri.html dan https://www.islam-guide.com/ch1-1-g.htm.

Maksud ‘gunung’ dalam ayat ini boleh ditafsirkan ‘seperti gunung’ kerana ais batu itu dalam bentuk meteor yang besar asalnya sebesar gunung. Tetapi apabila jatuh ke bumi ia pecah menjadi kecil.

 

فَيُصيبُ بِهِ مَن يَشاءُ

maka ditimpakan-Nya ais itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya 

Allah ‎ﷻ boleh mengenakan hujan batu itu kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Kalau ais yang keras terkena manusia, ia bagaikan peluru kerana jatuh dari tempat yang tinggi.

Selalu kita baca bagaimana hujan batu ini terkena kereta dan sebagainya. Dan kalau terkena kepada manusia, ada yang mati. Juga ia boleh merosakkan tanam-tanaman di bumi. Ini sebagai musibah kepada manusia.

 

وَيَصرِفُهُ عَن مَّن يَشاءُ

dan dipalingkan-Nya dari sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Dan Allah ‎ﷻ mengelakkannya dari sesiapa yang Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ selamatkan manusia dari terkena hujan batu itu, kadang-kadang terkena tepi sahaja. Allah  ‎ﷻ yang menentukan siapa yang kena ‘tembak’ dan siapa yang tidak.

 

يَكادُ سَنا بَرقِهِ يَذهَبُ بِالأَبصٰرِ

Kilauan kilat itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan.

Dan di antara awan-awan itu Allah ‎ﷻ mengadakan kilat yang menyambar. Kilat kadang-kadang amat kuat sangat sampaikan mata boleh berpinar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nur Ayat 37 – 40 (Perniagaan dan jual-beli)

Nur Ayat 37: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang memuji Allah ‎ﷻ di masjid. Dan sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu siapakah yang akan memuji-Nya dan menyeru Allah ‎ﷻ siang dan malam di masjid, rumah Allah ‎ﷻ itu?

رِجالٌ لّا تُلهيهِم تِجٰرَةٌ وَلا بَيعٌ عَن ذِكرِ اللهِ وَإِقامِ الصَّلَوٰةِ وَإيتاءِ الزَّكَوٰةِ ۙ يَخافونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فيهِ القُلوبُ وَالأَبصٰرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Are] men whom neither commerce nor sale distracts from the remembrance of Allāh and performance of prayer and giving of zakāh. They fear a Day in which the hearts and eyes will [fearfully] turn about –

(MELAYU)

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

 

رِجالٌ لّا تُلهيهِم تِجٰرَةٌ وَلا بَيعٌ عَن ذِكرِ اللهِ

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah,

Ini adalah sifat lelaki yang benar-benar menjadi tokoh dalam agama. Lelaki sebegini boleh diikuti sebagai contoh manusia yang beriman.  Terdapat banyak jenis manusia yang boleh dijadikan sebagai tokoh di dalam kehidupan dunia, tetapi sekarang Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita tokoh manusia yang boleh dijadikan ikutan kepada kita yang boleh membawa kepada kebaikan di akhirat. Kerana kita semua mesti melebihkan akhirat dari dunia.

Perniagaan mereka tidak melalaikan mereka dari agama Allah ‎ﷻ. Mereka juga menjalani kehidupan dunia, bekerja, berkeluarga dan juga berniaga, tetapi tidaklah kehidupan dunia itu melalaikan mereka dari menjalani ibadat kepada Allah ‎ﷻ.

Kalimah تُلهيهِم dari katadasar ل ه و yang bermaksud dilalaikan sampai lupa kepada sesuatu yang penting. Ini adalah jenis perkara seperti permainan, hiburan dan sebagainya yang bersifat keduniaan. Sampaikan lupa kepada akhirat.

Jual beli juga tidak melalaikan mereka. Tetapi timbul persoalan: Bukan samakah ‘perniagaan’ dan ‘jual beli’? Kalau sama, kenapa disebut secara berasingan pula? Bukankah jual beli itu sebahagian dari perniagaan?

Allah ‎ﷻ menyebutnya secara berasingan kerana perniagaan itu terdiri dari banyak perkara. Ada sibuk dengan perancangan, membayar cukai, sediakan barang jualan, kemaskan kedai dan macam-macam lagi. Itu semua termasuk dalam urusan perniagaan zaman sekarang dan malah banyak lagi kalau hendak disenaraikan.

Namun di dalam perniagaan yang paling penting adalah jual beli. Kadangkala boleh untuk tinggalkan kerja perniagaan yang lain-lain, tetapi kalau semasa kita hendak menutup kedai itu (untuk solat) ada pelanggan datang untuk membeli, memang susah menolaknya, bukan? Kerana itulah waktu ‘jual-beli’ itu dan ia paling penting kerana waktu jual beli itulah masa masuk duit.

Maka bagaimana kalau azan berbunyi pada waktu itu? Adakah anda sanggup untuk tetap juga menutup kedai waktu itu? Bagi orang yang boleh dicontohi, dia tidak akan kisah tentang siapa yang datang pun pada waktu itu kerana dia tetap akan tutup juga kedai itu. Tapi ramai yang tidak boleh dan sebab itu kebanyakan peniaga, kalau azan berkumandang pun mereka buat tidak kisah, tetap meneruskan perniagaan.

Mereka yang dipuji dalam ayat ini juga berniaga dan bekerja, tetapi mereka tetap ingat kepada Allah ‎ﷻ. Masa bekerja mereka ingat Allah ‎ﷻ dan apabila tiba waktu solat, mereka sanggup tinggalkan perniagaan dan jual beli sebentar.

Para sahabat sangat menjaga perkara ini. Terdapat kisah dua orang sahabat yang berniaga: seorang peruncit dan seorang lagi tukang besi. Peruncit itu kalau mendengar azan dan waktu itu beliau sedang menimbang sesuatu, beliau terus tinggalkan timbangannya itu, tidak dihabiskan pun; dan yang tukang besi itu kalau semasa diangkat tangannya untuk memukul besi dan waktu itu azan dikumandangkan, beliau terus berhenti dan tidak menghabiskan pun pukulannya.

Dalam ayat ini, disebut ‘lelaki’. Maka ayat ini memberi isyarat yang masjid itu hendaklah dimakmurkan oleh para lelaki. Lelaki memang wajib mendirikan solat berjemaah di masjid.

Adapun mengenai kaum wanita, maka solat mereka di dalam rumahnya lebih utama bagi mereka, kerana berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud رحمه الله melalui sahabat Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda:

“صَلَاةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا، وَصَلَاتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا”

Solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solatnya di dalam ruangan tamunya, dan solatnya di dalam kamarnya lebih utama daripada solatnya di dalam rumahnya.

Maka memang solat wanita itu lebih baik di rumah sahaja. Sampaikan ia lebih baik lagi dari solat di Masjid Nabawi bersama Nabi ﷺ!

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا هَارُونُ، أَخْبَرَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ، حَدَّثَنَا دَاوُدُ بْنُ قَيْسٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سُوَيد الْأَنْصَارِيِّ، عَنْ عَمَّتِهِ أُمِّ حُمَيْدٍ -امْرَأَةِ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ -أَنَّهَا جَاءَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُحِبُّ الصَّلَاةَ مَعَكَ قَالَ: “قَدْ عَلِمْتُ أَنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلَاةَ مَعِي، وَصَلَاتُكِ فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي حُجْرَتِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي حُجْرَتك خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي دَارِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِي”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Harun, telah menceritakan kepadaku Abdullah ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Daud ibnu Qais, dari Abdullah ibnu Suwaid Al-Ansari, dari bibinya (yaitu Ummu Humaid, isteri Abu Humaid As-Sa’idi), bahawa ia datang kepada Nabi ﷺ, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku suka mengerjakan solat bersamamu (iaitu berjemaah di masjid Rasulullah ﷺ).” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Aku telah mengetahui bahawa engkau menyukai solat bersamaku. Solat kamu di dalam rumahmu lebih baik daripada solatmu di dalam ruangan tamumu, dan solatmu di dalam ruangan tamumu lebih baik daripada solatmu di dalam perkarangan rumahmu, dan solatmu di dalam perkarangan rumahmu lebih baik daripada solatmu di dalam masjid kaummu, dan solatmu di dalam masjid kaummu lebih baik daripada solatmu di dalam masjidku.

Maka, kalaulah para jemaah wanita yang pergi mengerjakan Umrah atau Haji pun, mereka itu lebih baik solatnya di hotel sahaja. Cuma kita tidak boleh menghalang wanita untuk pergi mengerjakan solat di masjid. Kerana ada kelebihan masjid untuk menaikkan iman dan semangat mereka.

Maka bolehlah sekali sekala mereka pergi berjemaah di masjid. Tambahan pula kalau sudah sampai ke Tanah Suci, tentu teringin untuk ke sana juga, bukan? Ini seperti yang disebutkan di dalam kitab sahih melalui Abdullah ibnu Umar رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ”

Janganlah kalian mencegah hamba-hamba wanita Allah ‎ﷻ dari masjid-masjid Allah ‎ﷻ. 

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Mereka boleh pergi ke masjid, tetapi dengan syarat hendaknya mereka tidak mengganggu seseorang pun dari jemaah kaum lelaki yang ada dengan menampakkan perhiasannya atau menebarkan bau wangiannya. Ini kerana kalau mereka datang begitu, maka mereka sebenarnya akan menimbulkan fitnah sahaja.

Namun bagaimana dengan keadaan sekarang? Kita bimbang para wanita tidak menjaga akan perkara ini sampai menimbulkan masalah pula. Ingatlah apa kata Aisyah رضي الله عنها.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan pula dari Siti Aisyah رضي الله عنها yang telah mengatakan, “Seandainya Rasulullah ﷺ menjumpai masa timbulnya bid’ah yang dilakukan oleh kaum wanita (sekarang), tentulah baginda melarang mereka mendatangi masjid-masjid, sebagaimana kaum wanita Bani Israil dilarang (mendatangi tempat peribadatan mereka di masa lalu).”

Maka, janganlah selalu wanita ke masjid. Sekali sekala terasa ingin solat di masjid, atau kerana ada kelas pengajian, bolehlah. Namun jangan pula dijadikan kebiasaan bagi mereka. Termasuk kalau Solat Terawih dimana kita lihat ramai wanita berbondong-bondong ke masjid. Sebenarnya kalau mereka solat di rumah mereka, lebih afdhal dan lebih banyak pahala.

 

وَإِقامِ الصَّلَوٰةِ وَإيتاءِ الزَّكَوٰةِ

dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. 

Sifat kedua mereka, mereka istiqamah dalam mengerjakan ibadat kepada Allah ‎ﷻ. Dalam ayat ini disebut dua ibadat, namun tentulah bukan dua ini sahaja ibadat yang ada. Tapi disebut dua ibadat ini berulang-ulang kali dalam Qur’an kerana ia mewakili semua ibadah yang lain.

Solat – mewakili ‘ibadat’ tentang hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ. Habluminallah.

Zakat – mewakili ‘adat’ sesama hamba dan hamba. Habluminannas.

Mereka sedar bahawa pahala yang ada di sisi Allah ‎ﷻ lebih baik dan lebih bermanfaat bagi mereka dari­pada harta benda yang ada di tangan mereka; kerana harta benda yang ada pada mereka pasti habis, sedangkan pahala yang ada di sisi Allah ‎ﷻ kekal.

 

يَخافونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فيهِ القُلوبُ وَالأَبصٰرُ

Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

Mereka sentiasa takut kepada Hari Akhirat di mana semua hati akan takut berpusing pusing, ke sana sini. Waktu itu tidak keruan dibuatnya kerana takut sangat pada waktu itu, tidak tahu bagaimana nasib.

Dan mata juga tidak berapa hendak nampak pun lagi. Ini adalah kerana mata berpinar kerana ketakutan yang amat sangat. Macam-macam perkara yang menakutkan akan dilihat yang menyebabkan mata berpinar.

Maka, sifat mereka itu sentiasa takutkan hari akhirat nanti. Walaupun mereka sibuk dengan hal keduniaan (dengan keluarga, kerja dan sebagainya), hati mereka sentiasa ingat kepada Hari Kiamat. Kerana takutkan dengan Hari Kiamat, maka mereka menjaga amalan mereka. Mereka sentiasa berhati-hati dengan apa yang mereka lakukan.


 

Nur Ayat 38:

لِيَجزِيَهُمُ اللهُ أَحسَنَ ما عَمِلوا وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ ۗ وَاللهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Allāh may reward them [according to] the best of what they did and increase them from His bounty. And Allāh gives provision to whom He wills without account [i.e., limit].

(MELAYU)

(Mereka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah karunia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.

 

لِيَجزِيَهُمُ اللهُ أَحسَنَ ما عَمِلوا

supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan,

Allah ‎ﷻ akan balas mereka dengan kebaikan sebagai balasan bagi amalan baik yang mereka telah lakukan semasa di dunia.

Apabila digunakan أَحسَنَ dalam ayat ini, ia bermaksud Allah ‎ﷻ akan balas lebih baik lagi dari amalan pelakunya. Bayangkan amalan beberapa tahun sahaja tetapi Allah ‎ﷻ membalasnya dengan mengekalkan pelakunya di dalam syurga selama-lamanya. Balasan pula berkali ganda lebih baik dari amalan ibadat itu sendiri.

Juga boleh bermaksud Allah ‎ﷻ akan balas mengikut markah amalan pelakunya yang paling tinggi. Dalam kita beramal seperti solat, ada amalan yang biasa-biasa sahaja dan ada amalan yang kita khusyuk lebih lagi. Jadi ada solat yang markah rendah dan ada markah yang tinggi. Allah ‎ﷻ mempunyai rahmat yang besar, Dia akan balas segala solat kita ikut markah solat yang paling tinggi.

Atau, Allah balas ikut kadar pahala yang sesuai ikut amalan pelakunya. Katakanlah seseorang solat 50% sahaja dia khusyuk. Maka dia akan dapat pahala 50% sahaja.

 

وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ

dan supaya Allah menambah kurnia-Nya kepada mereka.

Kalimah وَيَزيدَهُم bermaksud Allah ‎ﷻ akan tambah lagi. Allah ‎ﷻ boleh bagi terlalu banyak, tidak terkira banyaknya.

Kalimah فضل pula bermaksud pemberian yang lebih dari sepatutnya. Kita memang tidak layak dapat balasan pahala yang banyak kerana amal kita tidak seberapa. Tapi Allah beri balasan yang amat banyak.

Sebelum ini telah disebut bagaimana ada manusia yang risaukan tentang perniagaan mereka sampaikan mengganggu amal mereka. Maka Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia beri balasan yang amat banyak kalau dibandingkan dengan keduniaan mereka. Jadi tidak rugi sebenarnya kalau lupakan perniagaan dan jual beli sebentar.

Maka jangan berkira sangatlah kalau ada rugi orang tidak dapat beli barang jualan kita. Balasan dari Allah ‎ﷻ memang lebih lagi bernilai. Memang balasan yang diberikan itu berbaloi.

 

وَاللهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.

Allah ‎ﷻ akan memberikan balasan sangat banyak sampai tidak boleh dikira. Tidak berhenti balasan yang Allah ‎ﷻ berikan itu. Jadi kalau kita tinggalkan perniagaan kerana hendak menunaikan solat dan kewajipan kita yang lain, jangan takut. Kerana Allah akan tetap beri rezeki. Kadangkala dari sumber yang tidak disangka-sangka.


 

Nur Ayat 39: Sebelum ini telah disebut orang beriman yang hati mereka bercahaya menerima hidayah dari Allah ‎ﷻ. Sekarang disebut pula jenis orang yang tidak beriman. Terdapat juga fitrah yang dimasukkan ke dalam hati mereka, tetapi mereka tidak menerima hidayah itu. Mereka ini tidak boleh dijadikan contoh dan mestilah dijauhi sifat ini.

وَالَّذينَ كَفَروا أَعمٰلُهُم كَسَرابٍ بِقيعَةٍ يَحسَبُهُ الظَّمئانُ ماءً حَتّىٰ إِذا جاءَهُ لَم يَجِدهُ شَيئًا وَوَجَدَ اللهَ عِندَهُ فَوَفّٰهُ حِسابَهُ ۗ وَاللهُ سَريعُ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieved – their deeds are like a mirage in a lowland which a thirsty one thinks is water until, when he comes to it, he finds it is nothing but finds Allāh before him, and He will pay him in full his due; and Allāh is swift in account.

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.

 

وَالَّذينَ كَفَروا أَعمٰلُهُم كَسَرابٍ بِقيعَةٍ

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar,

Orang kafir juga ada yang membuat amalan kebaikan. Jangan kita sangka orang Islam sahaja buat perkara baik dan mulia. Sebagai contoh, ada orang kafir yang suka menolong sana sini. Mereka banyak menderma, membuat kerja amal dan sebagainya. Malu apabila antara mereka yang buat lebih lagi dari orang Islam. Tidak ramai orang Islam yang menolong orang, namun orang bukan Islam pula yang banyak menolong masyarakat.

Maka memang ada orang kafir yang hatinya baik, banyak menolong orang yang susah, sampai kita terdetik dalam hati: “Orang baik macam ni, takkan Allah ‎ﷻ nak masukkan mereka dalam neraka dan kekal mereka di dalamnya?” Malah mungkin ada yang sampai menyangka: “Kalau begitu, macam Allah ‎ﷻ tidak adil pula.”

Allah ‎ﷻ jawab bahawa kalau tidak ada iman, segala amal kebaikan itu akan sia-sia sahaja. Imanlah yang menentukan sama ada amal kebaikan itu diterima di sisi Allah ‎ﷻ ataupun tidak.

Mereka itu baik dan melakukan kebaikan kerana mereka mempunyai cahaya roh dalam diri mereka. Kita telah katakan sebelum ini yang potensi roh itu amat besar. Cuma sayangnya roh mereka belum menemui cahaya wahyu. Maka kerana itu akidah mereka menolak ketetapan wahyu.

Allah ‎ﷻ membuat perumpamaan tentang amal mereka: nampak seperti air dari kejauhan. Dan pada waktu itu situasi di padang pasir pula. Tentunya orang yang berada di padang pasir itu sedang dalam kehausan dan amat memerlukan sumber air. Namun ia bukanlah air tetapi hanya kelipan waktu panas di padang pasir. Fenomena ini dinamakan ‘fatamorgana’.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ bermain dengan bahasa di dalam ayat ini. Kalimah سَرابٍ bukankah macam kalimah شرب yang bermaksud ‘minuman’ kerana ia sebenarnya bukanlah minuman. Apabila mereka nampak seperti air dari kejauhan maka kelam kabutlah mereka pergi ke tempat itu kerana mereka menyangka ia adalah air yang boleh diminum. Tetapi apabila mereka sampai mereka lihat itu bukanlah air rupanya. Maka amat hampalah mereka.

Fatamorgana memang banyak di padang pasir dan kerana itu orang Arab kenal benar. Maka Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan ini supaya mereka boleh faham betapa hampanya perasaan seseorang itu apabila nampak sesuatu yang diharapkan tetapi tidak ada. Selalu Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan dari kehidupan manusia supaya senang difahami.

 

يَحسَبُهُ الظَّمئانُ ماءً حَتّىٰ إِذا جاءَهُ لَم يَجِدهُ شَيئًا

yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.

Jadi ini adalah keadaan di akhirat kelak. Seperti kita telah sebutkan tadi, memang terdapat orang kafir yang telah melakukan kebaikan. Dan orang kafir yang mempunyai amalan kebaikan itu menyangka mereka akan dibalas dengan amalan baik mereka. Mereka pun bagaikan nampak seperti ada amalan mereka itu tetapi apabila pergi melihatnya betul-betul, ia adalah fatamorgana sahaja. Maknanya perbuatan baik mereka itu tidak ada nilai.

Mereka pergi ke tempat itu dengan susah payah kerana terlalu dahaga pada waktu itu. Bayangkan pula waktu itu keadaan amat panas kerana fatamorgana itu hanya kelihatan ketika cuaca panas. Namun hampa sahaja yang diperolehi dan memang rasa tertipu.

Begitulah orang kafir berusaha untuk mencari balasan kebaikan yang pernah mereka buat di dunia dahulu. Mereka memang sangka dan tahu yang mereka ada buat kebaikan dan mereka mencari-cari dengan susah payah kerana ingin menuntut pahalanya. Namun di akhirat nanti tidak ada balasan pahala pun untuk diri mereka. Hampa dan hampa sahaja.

 

وَوَجَدَ اللهَ عِندَهُ فَوَفّٰهُ حِسابَهُ

Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup

Yang ada adalah Allah ‎ﷻ. Mereka mesti mengadap Allah ‎ﷻ untuk dibicarakan tentang apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Juga yang dimaksudkan adalah ‘takdir Allah ‎ﷻ’ yang menunggu untuk mengazab mereka. Maka dia akan nampak azab yang dulu dia tidak percaya adanya azab itu. Sekarang sudah nampak benar-benar di hadapan mata.

Allah ‎ﷻ membalas dengan penuh apa yang sepatutnya untuk mereka. Kalau Allah ‎ﷻ cakap begitu, memang maksudnya nerakalah balasan untuk mereka. Ini kerana mereka memang patut mendapat neraka. Kalau dibandingkan dalam ayat sebelum ini, kepada mereka yang beriman, Allah ‎ﷻ akan berikan balasan tambahan yang berlebih-lebih. Tapi kepada orang kafir, mereka akan mendapat balasan yang patut. Iaitu tidaklah Allah tambah azab itu melainkan apa yang mereka patut dapat sahaja.

 

وَاللهُ سَريعُ الحِسابِ

dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.

Dan nanti apabila telah sampai masa untuk Allah menghisab perbuatan mereka di dunia, Dia akan cepat menghitung. Begitulah dikatakan bahawa apabila Allah telah buka mahkamah penghakiman di akhirat kelak, hanya mengambil masa selama setengah hari sahaja. Atau sekadar waktu tidur di tengahari sahaja (tidur qailullah).

Imam Al-Muzani rahimahullah berkata,

وَبَعْدَ البِلَى مَنْشُوْرُوْنَ وَيَوْمَ القِيَامَةِ إِلَى رَبِّهِمْ مَحْشُوْرُوْنَ وَلَدَى العَرْضِ عَلَيْهِ مُحَاسَبُوْنَ بِحَضْرَةِ الموَازِيْنِ وَنَشْرِ صُحُفِ الدَّوَاوِيْنَ وَنَسُوْهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ لَوْ كَانَ غَيْرُ اللهِ الحَاكِمَ بَيْنَ خَلْقِهِ لَكِنَّهُ اللهُ يَلِي الحُكْمَ بَيْنَهُمْ بِعَدْلِهِ بِمِقْدَارِ القَائِلَةِ فِي الدُّنْيَا “وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ”[الأنعام:٦٢] كَمَا بَدَأَهُ لَهُمْ مِنْ شَقَاوَةٍ وَسَعَادَةٍ يَوْمَئِذٍ يَعُوْدُوْنَ “فَرِيْقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَرِيْقٌ فِي السَّعِيْرِ” [الشورى:٧]

“Setelah hancur, manusia dibangkitkan. Dan pada hari kiamat, manusia dikumpulkan di hadapan Rabb-Nya. Di masa penampakan amal manusia dihisab. Dengan dihadirkannya timbangan-timbangan dan ditebarkannya lembaran-lembaran (catatan amal). Allah menghitung dengan teliti, sedangkan manusia melupakannya. Hal itu terjadi pada hari yang kadarnya di dunia adalah 50 ribu tahun. Kalaulah seandainya bukan Allah sebagai hakimnya nescaya tidak akan mampu, akan tetapi Allahlah yang menetapkan hukum di antara mereka secara adil. Sehingga lama waktunya (bagi orang beriman) adalah sekadar masa istirehat siang di dunia, dan Allah Yang Paling Cepat Perhitungan Hisabnya. Sebagaimana Allah memulai menciptakan mereka, ada yang sengsara atau bahagia, pada hari itu mereka dikembalikan. Sebahagian masuk syurga, sebahagian masuk neraka.”

Ini seperti firman Allah di dalam Baqarah:202

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.

Apabila Allah sebut hisabNya amat cepat, ia mempunyai tiga makna,

1. Hisab Allah sudah dekat, boleh datang bila-bila masa sahaja. Maka jangan lengah dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Dalilnya adalah Anbiya’:1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ

Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

2. Hisab sebelum mati. Allah boleh beri terus balasan semasa di dunia lagi dan kadangkala ia sangat cepat. Contohnya selepas kita baca Al-Qur’an dan selepas solat, kita terus rasa tenang. Dan kalau kita buat dosa, selepas buat dosa sahaja kita rasa bersalah, bukan? Kadang selepas kita buat dosa, Allah terus beli balasannya secara ‘cash’. Sebagai contoh, maka kita melihat aurat orang lain, kemudian Allah beri kepala kita terlanggar dinding.

3. Apabila Allah buat pengiraan hisab di akhirat, ia cepat sahaja. Menunggu di Mahsyar yang lama, sampai keresahan yang amat besar sampaikan makhluk akan pergi dari satu Rasul ke Rasul yang lain untuk minta Allah percepatkan hisab. Dan apabila Mahkamah Pengadilan dimulakan, ia akan selesai dalam masa setengah hari sahaja. Ada yang kata satu hari dan ada yang kata selama memerah susu sahaja. Bagaimana mungkin Allah lakukan audit yang sebegini?

Pernah Saidina Ali ditanya tentang hal ini. Beliau jawab sebagaimana Allah mampu untuk memberikan rezeki kepada semua makhlukNya tanpa tertinggal, maka begitu jugalah Allah mampu untuk membuat pengiraan hisab itu serentak. Kita sahaja yang tidak dapat bayangkan kerana ia adalah perkara ghaib dan akal kita tidak mampu mencapai pemahaman itu.


 

Nur Ayat 40: Ini pula adalah jenis orang ketiga. Sudahlah mereka kafir, mereka jahat pula. Kerana ada orang bukan Islam yang tidak jahat. Seperti di dalam ayat sebelum ini disebut tentang orang kafir yang membuat kebaikan.

Ayat ini pula adalah orang kafir yang jahat, busuk hatinya. Seperti Firaun.

أَو كَظُلُمٰتٍ في بَحرٍ لُّجِّيٍّ يَغشٰهُ مَوجٌ مِّن فَوقِهِ مَوجٌ مِّن فَوقِهِ سَحابٌ ۚ ظُلُمٰتٌ بَعضُها فَوقَ بَعضٍ إِذا أَخرَجَ يَدَهُ لَم يَكَد يَرىٰها ۗ وَمَن لَّم يَجعَلِ اللهُ لَهُ نورًا فَما لَهُ مِن نّورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or [they are] like darknesses within an unfathomable sea which is covered by waves, upon which are waves, over which are clouds – darknesses, some of them upon others. When one puts out his hand [therein], he can hardly see it. And he to whom Allāh has not granted light – for him there is no light.

(MELAYU)

Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.

 

أَو كَظُلُمٰتٍ في بَحرٍ لُّجِّيٍّ

Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam,

Allah ‎ﷻ menyuruh kita bayangkan kegelapan di lautan yang luas. Lautan itu sangat luas sampaikan tidak ada harapan untuk nampak daratan. Bayangkan seseorang berada di dalam kapal dan dia sudah lama mencari-cari tanah daratan tetapi tidak dijumpainya. Keadaan pula gelap di waktu itu.

Dan dia bukan berada di bahagian atas laut, tapi di dalam laut yang amat dalam itu. Tentunya tidak ada cahaya kalau di dalam laut dalam.

Perumpamaan ini adalah untuk orang kafir yang tidak mempunyai nur kerana dalaman mereka yang gelap. Ini berbeza dengan kafir yang mempunyai hati yang baik seperti dibincangkan di dalam Ayat Nur sebelum ini.

 

يَغشٰهُ مَوجٌ مِّن فَوقِهِ مَوجٌ

yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula),

Pada waktu itu juga, lautan turut bergelora dengan datangnya pukulan ombak. Bayangkan seseorang dalam lautan luas dan dalam dan ombak memukulnya. Tentu sahaja dia hampir lemas.

Dan kemudian datang ombak lagi. Dia memang sudah di dalam lautan dan datang pula ombak lagi ke atasnya. Jadi ini bukanlah laut yang biasa tetapi laut yang bergelombang. Maknanya, di dalam laut itu pun ada ombak juga, bukannya ombak di atas sahaja. Oleh kerana itu, kalau sesiapa terjatuh di dalamnya, memang amat tipis harapannya untuk selamat.

Ini adalah salah satu mukjizat Qur’an. Zaman sekarang sudah kita dapat tahu yang ombak laut bukan di atas laut sahaja, tetapi ada juga di dalam laut. Boleh baca di http://www.miracles-of-quran.com/internal_waves.htm untuk penerangan lebih lanjut tentang fenomena ini.

 

مِّن فَوقِهِ سَحابٌ

di atasnya (lagi) awan; 

Di atasnya terdapat awan gelap pula. Awan yang teramat gelap, maka tiada cahaya bulan dapat menembusinya. Allah ‎ﷻ inginkan kita membayangkan keadaan yang sangat gelap.

 

ظُلُمٰتٌ بَعضُها فَوقَ بَعضٍ

gelap gelita yang tindih-bertindih, 

Gelap atas gelap. Untuk orang mukmin, mereka mendapat ‘cahaya atas cahaya’. Tetapi mereka ini terbalik pula – gelap atas gelap. Sudahlah mereka tidak mendapat cahaya wahyu, dalam diri mereka potensi roh pun sudah tidak ada kerana telah lama digelapkan oleh dosa-dosa mereka. Seperti yang kita tahu, dosa akan menyebabkan hati menjadi gelap.

 

إِذا أَخرَجَ يَدَهُ لَم يَكَد يَرىٰها

apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, 

Allah ‎ﷻ memberikan perumpamaan betapa gelap sangat keadaan ketika itu. Sehinggakan kalau dia mengeluarkan tangannya pun dia tidak dapat melihatnya. Kalau kita sekarang keluarkan tangan kita di malam hari, masih nampak lagi, bukan? Ini adalah kerana masih ada cahaya lagi di sekeliling kita walaupun malam.

Tetapi apabila keadaan persekitaran terlalu gelap, tangan sendiri pun tidak akan nampak. Begitulah keadaan di lautan yang dalam. Cahaya tidak dapat tembus sampai ke dalam laut dan kerana itu langsung tidak ada cahaya. Ini juga satu mukjizat Qur’an. Bagaimana mungkin Nabi tahu tentang fenomena ini kerana tidak ada manusia zaman itu yang menyelam ke dasar laut lagi?

Ini memberi isyarat yang apabila seseorang berbuat jahat, dia tidak sangka pun yang perbuatannya itu salah. Tengok tangan sendiri pun tidak nampak bermaksud dia sendiri tidak nampak kesalahan yang dilakukannya. Ini adalah kerana tidak ada nur dari Allah ‎ﷻ maka dia pun tidak tahu sama ada amalan yang dilakukannya itu benar ataupun tidak. Mereka akan buat amalan yang tidak dipandu akal lagi tapi dipandu nafsu.

 

وَمَن لَّم يَجعَلِ اللهُ لَهُ نورًا فَما لَهُ مِن نّورٍ

barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.

Kalau Allah ‎ﷻ tidak memberikan cahaya kepada sesiapa, maka orang itu memang tidak akan mendapat cahaya. Tidak ada manusia yang mampu memberikan cahaya, hanya Allah ‎ﷻ sahaja, bukan?

Maka kalau tidak berbaik dengan Allah ‎ﷻ dengan merapatkan diri dengan Qur’an, maka tidak ada harapan untuk mendapat cahaya itu. Maka kenalah selalu berhubung dengan Qur’an kerana itulah cara untuk mendapatkan cahaya.

 

Habis Ruku’ 5 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Oktober 2023

Ringkasan Surah An-Nur


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani