Tafsir Surah Sad Ayat 51 – 61 (Kutuk mengutuk)

Ayat 51: Tabshir Ukhrawi. Allah menceritakan keadaan di dalam syurga untuk memberi semangat kepada kita untuk meraihnya.

مُتَّكِئينَ فيها يَدعونَ فيها بِفٰكِهَةٍ كَثيرَةٍ وَشَرابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Reclining within them, they will call therein for abundant fruit and drink.

(MELAYU)

di dalamnya mereka bertelekan (diatas dipan-dipan) sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu.

 

مُتَّكِئينَ فيها

di dalamnya mereka bertelekan

Selepas ahli syurga masuk ke dalam syurga, Allah menceritakan keadaan di dalamnya sebagai motivasi kepada pembaca Al-Qur’an. Di dalam syurga itu, penghuni syurga akan duduk berehat menikmati segala nikmat di dalam syurga itu. Waktu itu tidak ada kerja dan tidak ada ibadah lagi bagi mereka. Mereka duduk berehat sahaja. Duduk pun bersenggeng yang bermakna memang rehat sungguh.

 

يَدعونَ فيها بِفٰكِهَةٍ كَثيرَةٍ

sambil meminta di syurga itu dengan buah-buahan yang banyak

Dan di dalam syurga itu mereka akan meminta berbagai-bagai nikmat di dalam bentuk makanan dan minuman dan lain-lain dengan banyak sekali. Mereka akan makan dengan banyak kerana selera makan mereka adalah selera 1,000 orang. Mereka makan bukan kerana lapar tapi untuk menikmati kesedapan makanan itu sahaja.

Allah sebut ‘buah’ dalam ayat ini kerana buah adalah makan yang mereka paling suka kerana Tanah Arab tidak ada banyak buah. Jadi untuk menarik perhatian mereka, maka Allah beritahu tentang buah. Maka kita kena baca ayat ini dalam kaca mata mereka juga baru kita dapat faham.

 

وَشَرابٍ

dan minuman

Dan berbagai-bagai jenis minuman di dalam syurga itu. Di dunia, manusia suka berehat sambil minum berbagai jenis minuman. Ada yang minum teh tarik dan ada yang minum arak dan sebagainya. Segala minuman di dunia tidak dapat dibandingkan dengan minuman yang lebih lazat di syurga nanti.

Minuman itu pula tiada had dan dihidangkan oleh para pelayan istana di syurga. Tidak perlu nak pergi ambil sendiri.


 

Ayat 52:

۞ وَعِندَهُم قٰصِرٰتُ الطَّرفِ أَترابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And with them will be women limiting [their] glances¹ and of equal age.

  • To their mates alone.

(MELAYU)

Dan pada sisi mereka (ada bidadari-bidadari) yang tidak liar pandangannya dan sebaya umurnya.

 

وَعِندَهُم قٰصِرٰتُ الطَّرفِ

Dan pada sisi mereka (ada bidadari-bidadari) yang tidak liar pandangannya

Kehidupan yang bersenang lenang tentu tidak sehebat mana kalau dinikmati seorang sahaja. Maka penghuni syurga juga dapat memuaskan nafsu seks mereka kerana akan ada banyak bidadari yang akan melayan kehendak mereka.

Allah sebut salah satu sifat mereka adalah mereka menundukkan pandangan mata mereka, dalam keadaan malu-malu dengan tuannya. Ini macam pasangan pengantin yang malu-malu sahaja apabila mula bersama.

Pandangan bidadari itu hanya tertumpu kepada pasangan syurganya sahaja, tak tengok ke lain langsung. Kerana pada mereka, tuan syurga itulah yang paling hebat sekali. Tidaklah macam isteri kita sekarang, ada juga curi pandang tengok lelaki lain, bukan? Tapi kalau ada wanita yang dok pandang kita sahaja, tentulah kita amat suka, bukan? Kerana lelaki suka kepada perhatian wanita.

 

أَترابٌ

sebaya umurnya.

Mereka itu umurnya sebaya dengan tuan mereka. Atau bermaksud kesemua bidadari yang ramai-ramai itu sebaya sahaja umur mereka, tidak jadi tua-tua langsung.

Ataupun ia mungkin bukan berkenaan ‘umur’ tapi bermaksud ‘sama taraf’ dimana sesuai sekali dengan kehendak ahli syurga itu. Ini penting kerana kerana kadang-kadang di dunia ada orang yang tidak sama kedudukan ataupun tidak sama intelek mereka dengan pasangan mereka dan kadang-kadang itu juga membosankan. Manusia suka kepada pasangan yang setaraf dengan mereka dari segi fahaman dan akal supaya dapat menjadikan perbualan mereka menarik.

Begitulah pentingnya kedudukan yang sama taraf atau dipanggil ‘sekufu’. Di dunia ini kadangkala kedudukan yang tidak sama menyebabkan boleh terjadinya perceraian seperti yang terjadi antara Saidina Zaid dan Saidatina Zainab. Kisah mereka berdua ada disebut dalam Surah Ahzab. Oleh kerana Zaid adalah bekas hamba, maka Zainab tidak dapat menerimanya sebagai suami.

Dan kedudukan sama taraf antara bidadari dan penghuni syurga itu penting kerana bidadari itu akan duduk dengan mereka selama-lamanya dan mereka itu kenalah amat sesuai dengan penghuni syurga itu sampai tidak membosankan. Kerana kita pun selalu mendengar kisah bagaimana perkahwinan yang pada mulanya berseri-seri tetapi lama-kelamaan setelah lama, mereka menjadi bosan sesama sendiri. Begitulah bermula perkahwinan itu tidak menjadi harmoni lagi.


 

Ayat 53:

هٰذا ما توعَدونَ لِيَومِ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This is what you, [the righteous], are promised for the Day of Account.

(MELAYU)

Inilah apa yang dijanjikan kepadamu pada hari berhisab.

 

Dikatakan kepada penghuni syurga itu yang apa yang mereka sedang nikmati itu adalah perkara yang telah pernah dijanjikan semasa mereka hidup di dunia. Dan kerana mereka percaya dengan janji-janji Allah itu, maka mereka sanggup untuk taat kepada Allah dan mencari redhaNya. Hasilnya adalah nikmat syurga yang tidak terhingga.

Maka sekarang adakah kita hendak menjadi ahli syurga itu? Maka hendaklah kita belajar apakah kehendak Allah seperti yang disebut dalam wahyu dan kita terus amalkan apa yang Allah hendak kita lakukan. Janganlah degil dan berlaku zalim pula.


 

Ayat 54:

إِنَّ هٰذا لَرِزقُنا ما لَهُ مِن نَّفادٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this is Our provision; for it there is no depletion.

(MELAYU)

Sesungguhnya ini adalah benar-benar rezeki dari Kami yang tiada habis-habisnya.

 

إِنَّ هٰذا لَرِزقُنا

Sesungguhnya ini adalah benar-benar rezeki dari Kami

Allah mengingatkan mereka bahawa rezeki itu adalah balasan dari Allah kepada mereka di atas rahmatNya. Seperti kita selalu sebut, ahli syurga masuk syurga bukan kerana amal mereka tapi kerana rahmat Allah. Tapi untuk mendapat rahmat Allah, kenalah taat dan melakukan ibadah kepada Allah.

 

ما لَهُ مِن نَّفادٍ

yang tiada habis-habisnya.

Rezeki yang diberikan kepada mereka itu tidak ada berhenti sampai bila-bila; ia akan berterusan diberikan kepada penghuni syurga itu tanpa henti. Ahli syurga akan kekal dalam syurga dan tidak akan keluar. Dan bukan sahaja tidak keluar, nikmat dalam syurga itu tidak akan berhenti. Bukan sahaja ia tidak berhenti, malah ia akan menjadi semakin baik dan semakin baik lagi.


 

Ayat 55: Takhwif Ukhrawi.

هٰذا ۚ وَإِنَّ لِلطّٰغينَ لَشَرَّ مَئآبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This [is so]. But indeed, for the transgressors is an evil place of return –

(MELAYU)

Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang durhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk,

 

هٰذا

Beginilah

Inilah kelebihan rezeki diberikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kalau mahu dapat yang telah disebut sebelum ini, maka hendaklah beriman sempurna dan beramal dengan amalan yang soleh.

 

وَإِنَّ لِلطّٰغينَ لَشَرَّ مَئآبٍ

Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang durhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk,

Tetapi kepada orang-orang yang engkar, mereka akan mendapat balasan yang buruk. Sekarang Allah nak bandingkan pula dengan mereka yang zalim. Selepas Allah sebut tentang syurga, selalunya Allah akan sebut tentang neraka supaya kita dapat membezakan antara keduanya. Mereka yang derhaka akan dimasukkan ke dalam tempat kembalian yang buruk sekali.


 

Ayat 56:

جَهَنَّمَ يَصلَونَها فَبِئسَ المِهادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Hell, which they will [enter to] burn, and wretched is the resting place.

(MELAYU)

(iaitu) neraka Jahannam, yang mereka masuk ke dalamnya; maka amat buruklah Jahannam itu sebagai tempat tinggal.

 

جَهَنَّمَ يَصلَونَها

(iaitu) neraka Jahannam, yang mereka masuk ke dalamnya;

Tempat kembalian bagi mereka itu adalah neraka. Mereka akan masuk ke dalamnya, walaupun tentunya mereka tidak mahu. Dalam ayat lain disebut yang mereka akan dimasukkan, kerana tentu mereka tidak akan masuk dengan sukarela.

 

فَبِئسَ المِهادُ

maka amat buruklah sebagai tempat tinggal.

Kalau syurga adalah tempat kembalian yang paling baik, maka neraka akan tempat kembalian yang paling buruk. Sanggupkah kamu masuk ke dalam neraka yang buruk itu? Adakah berbaloi apa yang kamu lakukan di dunia ini – hanya kesenangan yang sementara tapi keburukan azab yang amat teruk di neraka nanti? Tentu tidak!


 

Ayat 57:

هٰذا فَليَذوقوهُ حَميمٌ وَغَسّاقٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This – so let them taste it – is scalding water and [foul] purulence

(MELAYU)

Inilah (azab neraka), biarlah mereka merasakannya, (minuman mereka) air yang sangat panas dan danur yang mengalir.

 

هٰذا

Inilah

Allah suruh kita bayangkan seolah-olah kita sedang berada di sana! Bayangkan supaya kita takut nak masuk neraka. Supaya kita tidak berani nak buat dosa.

 

فَليَذوقوهُ

biarlah mereka merasakannya, 

Biarkan ahli neraka itu merasakan segala azab dalam neraka itu. Kerana mereka memang layak untuk menerimanya kerana amalan dan fahaman mereka semasa di dunia dulu. Jangan sedih tentang mereka. Biarkan sahaja mereka.

 

حَميمٌ وَغَسّاقٌ

air yang sangat panas dan nanah yang mengalir.

Ahli neraka itu bukan sahaja kena seksa, tapi mereka juga sentiasa lapar dan dahaga dari mula masuk dan ia tidak akan hilang sampai bila-bila. Apabila mereka lapar dan tidak tahan sangat, maka mereka diberikan dengan buah Zaqqum.

Dan apabila mereka dahaga, mereka diberikan minuman air panas yang merosakkan wajah mereka. Kerana panas sangat air itu, apabila diletakkan dengan wajah mereka, maka akan terkiat bibir mereka kerana panas sangat air itu. Itu belum lagi dimasukkan ke dalam perut! Apabila dimasukkan ke dalam perut mereka maka hancurlah perut mereka.

Kalimah غَسّاقٌ dari katadasar غ س ق yang bermaksud gelap, air mata, air yang dituang, kesejukan yang amat sangat, nanah yang mengalir. Air itu bukan sahaja panas tapi ia diambil dari longkang. Iaitu kekotoran yang keluar daripada tubuh badan manusia seperti air mata, nanah, darah dan sebagainya. Tentu sekali ia amat menjijikkan. Tapi kerana tidak ada air lain dan mereka dahaga sangat, maka mereka terpaksa juga minum.

Kalimah غَسّاقٌ itu juga boleh bermaksud sesuatu yang sangat-sangat sejuk. Maknanya, bukanlah di neraka itu sentiasa panas sahaja kerana ada juga azab yang melibatkan kesejukan yang amat sangat. Bayangkan kalau kita kena tidur atas bongkah ais, teruk bukan?

Kalimah غَسّاقٌ juga boleh bermaksud sesuatu yang berbau amat busuk. Dan memang kalau kita lihat maksud pertama pun, sudah tentu ianya sesuatu yang amat buruk kerana ia dalam bentuk darah, nanah dan juga campuran air mata.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا حَسَنُ بْنُ مُوسَى حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعة حَدَّثَنَا دَرّاج عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “لَوْ أَنَّ دَلْوًا مِنْ غَسَّاق يُهَرَاقُ فِي الدُّنْيَا لأنتن أهل الدنيا”
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasan ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Lahi’ah, telah menceritakan kepada kami Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id r.a, dari Rasulullah Saw. yang telah bersabda: Seandainya setimba ghassaq ditumpahkan ke dunia, nescaya seluruh penduduk dunia berbau busuk kerananya.

 

Ayat 58:

وَءآخَرُ مِن شَكلِهِ أَزوٰجٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And other [punishments] of its type [in various] kinds.

(MELAYU)

Dan azab yang lain yang serupa itu berbagai macam.

 

Dan selain dari azab yang telah disebut di atas tadi, masih ada berbagai-bagai jenis minuman yang buruk yang akan diberikan kepada mereka. Berbagai jenis minuman buruk lagi yang tidak dapat dibayangkan. Itu semua bersifat شكل (sama sifat) iaitu sama buruk. Dan ianya sangat buruk sampaikan tidak dapat tidak diberitahu kerana akal kita tidak dapat membayangkannya.

Azab yang lain itu berbagai jenis. Maknanya ada banyak sangat azab yang akan dikenakan kepada ahli neraka itu. Tidak mahulah kita nak tengok dan merasai perkara ini langsung. Semoga kita diselamatkan.


 

Ayat 59:

هٰذا فَوجٌ مُّقتَحِمٌ مَّعَكُم ۖ لا مَرحَبًا بِهِم ۚ إِنَّهُم صالُو النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Its inhabitants will say], “This is a company bursting in with you. No welcome for them. Indeed, they will burn in the Fire.”

(MELAYU)

(Dikatakan kepada mereka): “Ini adalah suatu rombongan (pengikut-pengikutmu) yang masuk berdesak-desak bersama kamu (ke neraka)”. (Berkata pemimpin-pemimpin mereka yang durhaka): “Tiadalah ucapan selamat datang kepada mereka kerana sesungguhnya mereka akan masuk neraka”.

 

هٰذا فَوجٌ مُّقتَحِمٌ مَّعَكُم

“Ini adalah suatu rombongan yang masuk berdesak-desak bersama kamu”.

Dan mereka akan diberitahu bahawa akan ada ramai lagi yang akan menyertai mereka. Dan ini seperti memberitahu akan ada orang baru datang di penjara yang memang sudah penuh. Maka kena masuk berasak-asak. Nanti kita akan tahu dari ayat-ayat selepas ini yang mereka yang akan datang itu adalah pengikut-pengikut mereka semasa di dunia dulu.

Yang dimaksudkan itu akan مُّقتَحِمٌ (melompat berasak-asak) ke atas mereka yang telah ada. Ini adalah kerana mereka akan dilemparkan ke dalam neraka dan seolah-olah nampak seperti mereka melompat ke dalam neraka itu. Memang kena berasak-asak kerana tempat tidak ada. Syurga itu amat luas sedangkan neraka itu amat sempit. Bayangkan kita kalau masuk dalam bas yang penuh pun kita sudah tidak suka, apatah lagi dalam neraka nanti!

 

لا مَرحَبًا بِهِم

“Tiadalah ucapan selamat datang kepada mereka

Kalimah مَرحَبًا adalah ucapan selamat datang kepada orang yang baru datang. Mereka tidak akan mendapat ucapan selamat datang dari penghuni yang sudah duduk lama. Penghuni neraka yang sudah berada di dalamnya tidak suka dengan kedatangan ahli-ahli neraka yang baru dan kerana itu mereka tidak menyambutnya dengan baik.

Memang tiada ucapan selamat kepada sesama mereka, sebaliknya diganti dengan melaknat sahaja. Seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَعَنَتْ أُخْتَهَا}

Setiap suatu umat masuk (ke dalam neraka), dia mengutuk kawannya (yang menyesatkannya). (Al-A’raf: 38)

 

إِنَّهُم صالُو النّارِ

sesungguhnya mereka akan masuk neraka”.

Allah tetap akan masukkan mereka yang baru itu ke dalam neraka Walaupun penghuni neraka yang asal tidak suka dengan kedatangan ahli neraka yang baru, tapi bukan mereka yang menentukan. Allah tetap akan memasukkan mereka dan mengasakkan mereka ke dalam neraka yang sudah sempit itu.

Yang sudah lama duduk dalam neraka itu marah kerana dengan adanya tambahan penduduk, maka suhu neraka akan jadi semakin panas. Ini kerana bahan bakar neraka itu adalah penghuninya. Kalau kalau penghuninya bertambah, maka suhu pun tentu bertambah juga, bukan?


 

Ayat 60:

قالوا بَل أَنتُم لا مَرحَبًا بِكُم ۖ أَنتُم قَدَّمتُموهُ لَنا ۖ فَبِئسَ القَرارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “Nor you! No welcome for you. You, [our leaders], brought this upon us, and wretched is the settlement.”

(MELAYU)

Pengikut-pengikut mereka menjawab: “Sebenarnya kamulah. Tiada ucapan selamat datang bagimu, kerana kamulah yang menjerumuskan kami ke dalam azab, maka amat buruklah Jahannam itu sebagai tempat menetap”.

 

قالوا بَل أَنتُم لا مَرحَبًا بِكُم

(Pengikut-pengikut) mereka menjawab: “Sebenarnya kamulah. Tiada ucapan selamat datang bagimu,

Pendatang baru itu tidak disambut dengan baik oleh penghuni neraka yang lama. Pendatang baru pun begitu juga, tidak mesra dengan mereka yang sudah lama. Ini bukan ‘jejak kasih’ yang masing-masing suka berjumpa, tapi masing-masing benci membenci sesama sendiri.

 

أَنتُم قَدَّمتُموهُ لَنا

kamulah yang menjerumuskan kami ke dalam azab, 

Yang baru datang dan dimarahi itu kerana yang datang itu pula marah balik kepada penghuni neraka yang lama; sama-sama marah. Ini kerana mereka itulah yang menyebabkan pendatang yang baru masuk ini pun jadi sesat. Ini kerana mereka adalah tok nenek yang membawa ajaran ajaran sesat. Kalimah قَدَّمتُموهُ dari ق د م yang bermaksud mendahului.

Golongan yang awallah yang telah memulakan mengamalkan amalan yang salah. Mereka pun mengajar kepada anak cucu keturunan mereka. Yang anak cucu pun pakai ikut sahaja apa yang disampaikan itu kerana mereka sangka, kalau tok nenek sudah ajar, tentulah benar.

Salah faham inilah yang menyebabkan ramai yang tetap mempertahankan amalan syirik dan bidaah yang telah lama diamalkan. Kerana itu apabila golongan yang mahu kepada Sunnah di negara ini mengajak kembali kepada ajaran dari Al-Qur’an dan Sunnah, ramai yang marah kepada golongan Sunnah itu. Ini kerana mereka rasa amalan yang sudah lama diamalkan turun temurun itu takkan salah?

Mereka sanggup mempertahankan amalan tok nenek itu dengan berbagai-bagai cara. Mereka tidak sedar yang perbuatan mereka itu sama sahaja dengan perbuatan Musyrikin Mekah yang juga mempertahankan ajaran tok nenek mereka. Kerana itu apabila Nabi Muhammad bawa ajaran tauhid, mereka menentang Nabi Muhammad bersungguh-sungguh kerana mereka melihat perbuatan Nabi Muhammad itu menolak amalan tok nenek yang telah lama diamalkan.

Jadi, golongan yang baru masuk kemudian itu amat marah kepada golongan yang telah lama dalam neraka. Kerana mereka rasa mereka telah tertipu dengan amalan-amalan tok nenek mereka itu.

 

فَبِئسَ القَرارُ

maka amat buruklah Jahannam itu sebagai tempat menetap”.

Maka, kerana nak mempertahankan sangat amalan tok nenek yang salah (kalau ianya bertepatan dengan sunnah, tidak mengapa), maka tempat akhir mereka adalah di neraka.

Dan tentulah neraka itu bukanlah tempat yang baik. Azab yang hebat dan tidak akan berhenti walau sesaat pun. Tidak ada sesiapa yang sanggup dan rasa selesa di dalamnya.

Maka kenalah berfikir: nak duduk di syurga dengan segala kenikmatan atau duduk di neraka yang penuh azab? Kedua-duanya telah diceritakan. Kena fikirkan balik: adakah berbaloi nak mempertahankan amalan tok nenek sedangkan ia akan memasukkan kamu ke dalam neraka?


 

Ayat 61:

قالوا رَبَّنا مَن قَدَّمَ لَنا هٰذا فَزِدهُ عَذابًا ضِعفًا فِي النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “Our Lord, whoever brought this upon us – increase for him double punishment in the Fire.”

(MELAYU)

Mereka berkata (lagi): “Ya Tuhan kami; barang siapa yang menjerumuskan kami ke dalam azab ini maka tambahkanlah azab kepadanya dengan berlipat ganda di dalam neraka”.

 

قالوا رَبَّنا مَن قَدَّمَ لَنا هٰذا

Mereka berkata (lagi): “Ya Tuhan kami; barang siapa yang menjerumuskan kami ke dalam azab ini

Kalimah sebegini banyak sekali ada dalam Al-Qur’an. Golongan yang kemudian marah sangat dengan golongan yang terdahulu yang telah mengajar amalan-amalan yang salah. Mereka pun salah juga kerana amalkan amalan yang tidak benar tanpa periksa.

Tapi Allah nak tunjukkan bagaimana penyesalan mereka nanti di akhirat. Allah ceritakan kepada kita supaya kita tidak jadi macam ini. Janganlah taklid buta sahaja dengan mengamalkan amalan nusantara yang telah lama diamalkan seperti Majlis Tahlil, Doa Selamatan, Kenduri Arwah, Solat Hajat berjemaah dan lain-lain lagi amalan bidaah.

 

فَزِدهُ عَذابًا ضِعفًا فِي النّارِ

maka tambahkanlah azab kepadanya dengan berlipat ganda di dalam neraka”.

Golongan yang mengikut itu marah sangat kepada golongan yang awal, sampaikan mereka berdoa kepada Allah supaya diberikan azab yang berganda kepada orang-orang yang awal. Ini adalah kerana mereka itulah yang telah menyebabkan mereka yang kemudian itu terjerumus ke dalam neraka.

Jadi ini adalah cubaan nak balas dendam. Mereka memang tahu yang mereka pun kena masuk dalam neraka. Tapi mereka rasa, takkan sama azab mereka dan azab orang yang mengajar amalan salah itu? Maka mereka minta yang mengajar itu dikenakan dengan azab yang berganda. Baru nak puas sikit hati mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 43 – 50 (Ayyub memukul isterinya)

Ayat 43: Ini selepas Nabi Ayyub telah sembuh dari penyakit baginda.

وَوَهَبنا لَهُ أَهلَهُ وَمِثلَهُم مَّعَهُم رَحمَةً مِّنّا وَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We granted him his family and a like [number] with them as mercy from Us and a reminder for those of understanding.

(MELAYU)

Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.

 

وَوَهَبنا لَهُ أَهلَهُ

Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya

Allah mengembalikan keluarga baginda yang telah meninggalkan baginda kerana penyakit yang baginda hidapi. Riwayat memberitahu kita keluarga baginda meninggalkan baginda, kecuali isteri baginda.

Jadi dugaan yang baginda hadapi sangatlah berat. Bayangkan kalau sampai keluarga sendiri sudah tinggalkan kita, teruk sangatlah maknanya.

 

وَمِثلَهُم مَّعَهُم

dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka pula

Bukan sahaja keluarga asal baginda dikembalikan kepada baginda, tetapi baginda diberikan dengan keluarga tambahan yang bermaksud sama ada baginda mendapat anak lagi ataupun baginda berkahwin lagi dengan isteri yang lain dan mendapat keluarga yang lain.

 

رَحمَةً مِّنّا

sebagai rahmat dari Kami 

Semua itu Allah ingatkan adalah rahmat dariNya. Apa-apa sahaja kelebihan dan nikmat yang kita dapat adalah dari Allah. Maknanya, Nabi Ayyub dan Nabi-nabi yang lain pun dapat nikmat dari Allah juga, bukan dari mereka sendiri. Maka kenapa nak sembah dan seru kepada mereka pula? Maka hendaklah seru dan puja dan doa kepada Allah sahaja kerana sumber nikmat dari Allah.

 

وَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبٰبِ

dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.

Dari kisah Nabi Ayyub ini ada banyak pengajaran yang mendalam. Antaranya ia memberi pengajaran kepada kita bahawa kena doa kepada Allah apabila kita jatuh sakit. Kita terus sahaja doa kepada Allah dan jangan pergi jumpa bomoh pula. Jangan juga pergi kepada bomoh yang bertopengkan ustaz kerana ramai sekarang ada di mana-mana. Mereka guna gelaran ustaz untuk mengelabui mata mereka yang jahil sahaja.

Ada baiknya kalau kita belajar sendiri cara untuk ruqyah diri kita supaya tidak bergantung kepada orang lain. Ini adalah kerana kita minta ruqyah kepada orang lain, maka kita akan hilang kelebihan untuk masuk ke dalam syurga tanpa hisab.

Dan kita takut ditanya nanti di akhirat kenapa kita minta orang lain ruqyah? Kenapa tidak ruqyah sendiri? Adakah tidak percaya kepada janji Allah? Adakah kerana ada sangkaan doa orang lain lebih didengari oleh Allah? Adakah cara orang yang meruqyah itu ikut syariat? Jadi ini adalah soalan-soalan ‘maut’ yang ditanya kalau kita minta orang lain ruqyah kita. Maka seeloknya kena dielak.

Kisah Nabi Ayyub ini juga mengajar kita jangan putus harap kepada Allah. Kesenangan dan kesusahan adalah dua ujian dari Allah. Allah boleh ubah kesenangan jadi susah dan kesusahan jadi senang. Maka waktu senang jangan berlagak dan waktu susah, jangan sedih sangat. Jangan putus harap dan terus berdoa kepada Allah. Kita tidak tahu bila Allah akan angkat musibah itu dari kita. Bagi Nabi Ayyub, ia mengambil masa yang lama juga. Tidaklah baginda doa sahaja terus dimakbulkan doa baginda.


 

Ayat 44:

وَخُذ بِيَدِكَ ضِغثًا فَاضرِب بِّهِ وَلا تَحنَث ۗ إِنّا وَجَدنٰهُ صابِرًا ۚ نِّعمَ العَبدُ ۖ إِنَّهُ أَوّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We said], “And take in your hand a bunch [of grass] and strike with it and do not break your oath.”¹ Indeed, We found him patient, an excellent servant. Indeed, he was one repeatedly turning back [to Allāh].

  • At a point during his illness, Job became angry with his wife and swore that if he recovered, he would punish her with one hundred lashes. According to Allāh’s instruction, the oath was fulfilled by striking her once with one hundred blades of grass.

(MELAYU)

Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan-nya).

 

وَخُذ بِيَدِكَ ضِغثًا

Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput),

Di awal kisah Nabi Ayyub ini telah disebut baginda memohon pertolongan Allah dari gangguan syaitan. Dari tafsir ada disebut bagaimana syaitan telah mengajar isteri baginda untuk seru selain Allah dalam usaha nak menyembuhkan Nabi Ayyub.

Isteri baginda termakan nasihat itu kerana hendakkan Nabi Ayyub sembuh dan isterinya itu telah menceritakan kepada Nabi Ayyub untuk melakukan perkara yang dinasihati syaitan itu. Maka kerana nasihat isterinya itu, Nabi Ayyub sangat marah dan baginda bersumpah untuk merotan isterinya itu apabila baginda sihat.

Setelah Allah Swt. menyembuhkannya dan menjadikannya sihat seperti sediakala, maka tidaklah patut jika isterinya yang telah berjasa memberikan layanan dan kasih sayang serta kebaikan kepadanya dibalas dengan pukulan. Tapi, Nabi Ayyub sudah bersumpah, jadi bagaimana pula hendak diselesaikan? Maka kerana itu, Allah beri jalan keluar.

 

فَاضرِب بِّهِ وَلا تَحنَث

maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. 

Untuk memenuhi sumpah baginda itu, baginda disuruh oleh Allah untuk memegang rumput atau penyapu yang banyak lidi. Kena ada banyak lidi atau daun rumput itu sampai susah untuk dipegang dengan tangan. Allah suruh gunakan ramput itu untuk memukul isterinya itu kerana sebelum ini dia telah bersumpah untuk memukul isterinya 100 kali.

Allah beri jalan untuk untuk keluar dari sumpah itu iaitu dengan pakai rumput yang banyak dan pukul sekali sahaja. Maka baginda dikira telah ‘merotan’ isterinya itu sebanyak seratus kali.

Apabila isterinya itu kembali kepada baginda dan telah bertaubat, Allah beri jalan kepada baginda untuk menghukum isterinya itu di dunia ini supaya dia tidak dipersoalkan lagi di akhirat. Ini adalah salah satu lagi rahmat Allah kepada baginda dan isteri baginda itu.

Kepada orang awam, kadangkala mulut banyak sahaja bersumpah kosong kerana marah. Maka sumpah mereka itu bukanlah berdasarkan kepada keinginan sebenar tetapi cakap di mulut sahaja. Sumpah sebegitu tidaklah dipertanggungjawabkan dan kita pun tahu yang Nabi Ayyub bercakap nak merotan isterinya dulu sebagai marah sahaja dan tidaklah baginda benar-benar hendak buat begitu.

Kalau orang biasa, isu ini tidak timbul, akan tetapi kepada seorang Nabi, walaupun baginda berkata begitu tetapi sudah dipertanggungjawabkan kepada mereka. Ini adakah kerana tanggungjawab dan kedudukan mereka yang tinggi, maka standard untuk mereka pun tinggi juga.

Jangan pula jadikan ayat ini sebagai dalil untuk buat alasan tidak menjalankan hukum Allah pula. Ini adalah kes Nabi Ayyub dimana Allah hendak mengelakkan baginda dari melakukan kezaliman kepada isteri baginda. Sebagai contoh, ada yang buat helah untuk tidak bayar zakat harta dia. Oleh itu, sebelum cukup sahaja setahun, dia bagi ahli keluarga dan kawan dia ‘pinjam’ harta emas dia supaya tidak hukum haul.

Ini adalah cara yang salah dan hendak menipu Allah. Soalannya, bolehkah menipu Allah? Amat bodoh kalau ada yang cuba menipu Allah sebegitu rupa.

 

إِنّا وَجَدنٰهُ صابِرًا

Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. 

Kisah tentang Nabi Ayyub ini dan bagaimana baginda menghadapi penyakit baginda itu boleh menjadi pengajaran kepada kita yang kadangkala berpenyakit dan menghadapi masalah.

Kita bacalah kisah baginda ini kerana walaupun baginda mendapat sakit yang teruk, tetapi baginda tetap kembali kepada Allah dan meletakkan pengharapan kepada Allah.

Kita juga boleh lihat bagaimana Nabi Ayyub tidaklah mempersoalkan musibah yang Allah kenakan kepada baginda. Tapi ramai kalangan kita yang bila kena musibah sahaja sudah mula berkata: “kenapalah Allah kenakan aku dengan musibah ini?….” Belajarlah dengan Nabi Ayyub yang sabar menerima musibah dari Allah dan terus berdoa kepada Allah tanpa jemu.

 

نِّعمَ العَبدُ

Dialah sebaik-baik hamba. 

Baginda adalah hamba yang sangat baik dan patut menjadi tauladan bagi kita. Walaupun baginda dikenakan dengan musibah dan baginda telah berdoa, tidaklah baginda marah kepada Allah. Bayangkan baginda sakit selama 18 tahun (salah satu dari pendapat). Doa baginda tidaklah terus dimakbulkan, tapi baginda tetap bersabar.

 

إِنَّهُ أَوّابٌ

Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhan-nya).

Baginda sentiasa merujuk kepada Allah, kembali kepada Allah dan taat kepada Allah.


 

Ayat 45: Kisah seterusnya menyebut beberapa lagi para Nabi tapi dengan bentuk yang ringkas sahaja. Ayat 45 – 48 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia mengandungi kisah Nabi-nabi yang lain. Nabi Ibrahim, Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, Nabi lsmail, dan Nabi Ilyasa’, serta Nabi Zulkifli.

وَاذكُر عِبٰدَنا إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ وَيَعقوبَ أُولِي الأَيدي وَالأَبصٰرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember Our servants, Abraham, Isaac and Jacob – those of strength and [religious] vision.

(MELAYU)

Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishaq dan Ya’qub yang mempunyai kekuatan-kekuatan yang besar dan ilmu-ilmu yang tinggi.

 

وَاذكُر عِبٰدَنا إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ وَيَعقوبَ

Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishaq dan Ya’qub

Allah suruh Nabi Muhammad ingat dan menyampaikan kisah tentang tiga anak cucu iaitu Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ishaq, dan cucunya Nabi Ya’qub.

 

أُولِي الأَيدي

yang mempunyai kekuatan-kekuatan yang besar

Mereka mempunyai kekuatan yang besar juga seperti yang telah disebut dalam ayat 17 sebelum ini. ‘Kekuatan’ itu boleh menjadi macam-macam seperti kekuatan dalaman, kuat beribadah, kuat dalam ilmu dan sebagainya lagi. Mereka telah diberikan kelebihan itu oleh Allah taala.

 

وَالأَبصٰرِ

dan ilmu-ilmu yang tinggi.

Kalimah بصر bermaksud ‘melihat’. Tapi dalam konteks ayat ini bermaksud penglihatan dalaman iaitu dalam bentuk ilmu. Atau, kita boleh katakan sebagai ‘mata hati’. Dengan mata hati itu, mereka boleh melihat kebenaran.

Sebagai Nabi, mereka telah diberikan dengan ilmu ketuhanan dan ilmu keduniaan yang tinggi. Ini adalah kerana para Nabi kena ada sifat fatonah, iaitu kebijaksanaan.


 

Ayat 46:

إِنّا أَخلَصنٰهُم بِخالِصَةٍ ذِكرَى الدّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We chose them for an exclusive quality: remembrance of the home [of the Hereafter].

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat.

 

إِنّا أَخلَصنٰهُم بِخالِصَةٍ

Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan penyucian

Kalimah أَخلَصنٰهُم dari katadasar خ ل ص yang bermaksud suci, bersih. Dari katadasar yang sama juga maka jadilah kalimah ikhlas. Maknanya para Nabi yang telah disebut di atas itu telah dibersihkan dengan kebersihan yang istimewa khusus daripada Allah.

Kalimah خ ل ص juga bermaksud ‘pemilihan’. Maknanya mereka telah dipilih oleh Allah untuk menjadi para Nabi. Dan pemilihan itu adalah pemilihan yang istimewa. Pemilihan yang menjadi Nabi dan tentu ini adalah pemilihan yang amat istimewa sekali.

 

ذِكرَى الدّارِ

peringatan negeri akhirat

Mereka selalu ingat kepada akhirat dan juga mengingatkan manusia kepada hari akhirat dan kerana itu kita juga kena ikut sunnah mereka. Ingatkan manusia kepada akhirat kerana apabila manusia ingat kepada akhirat, maka ia akan menyebabkan manusia menjaga segala amalan mereka.

Allah menggunakan kalimah الدّارِ (kampung) dan ditafsirkan sebagai akhirat, iaitu kampung akhirat. Allah tidak sebut pun kalimah ‘akhirat’ di dalam ayat ini. Ini sebagai isyarat bahawa kampung yang sebenarnya adalah di akhirat. Dunia ini sementara sahaja, kita tidak akan kekal di dunia ini. Yang kekal adalah di akhirat. Maka kenalah bersedia lebih untuk akhirat.

Malah kena lebih lagi dari persediaan untuk dunia. Apabila kampung dunia bukan kampung yang sebenar, buat apa kita nak beriya-iya sangat dengan dunia yang tidak kekal ini? Macam rumah sewa kita, takkan kita nak renovate hebat-hebat? Bukan rumah kita pun.


 

Ayat 47:

وَإِنَّهُم عِندَنا لَمِنَ المُصطَفَينَ الأَخيارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed they are, to Us, among the chosen and outstanding.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang paling baik.

 

Nabi Ibrahim, Ishaq dan juga Ya’qub mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah.

Kalimah المُصطَفَينَ dari katadasar ص ف و yang antara lain bermaksud ‘suci’. Dan kemudian ia menjadi maksud ‘pilihan’ kerana memilih yang terbaik atau yang paling suci dari pilihan yang banyak. Maka Allah memilih mereka dan memberikan kedudukan yang istimewa kerana kelebihan mereka.

Allah memuji mereka dengan mengatakan mereka الأَخيارِ. Ia dari katadasar خ ي ر yang bermaksud ‘baik’. Jadi الأَخيارِ bermaksud yang terbaik. Pujian dari Allah adalah satu pujian yang amat hebat.


 

Ayat 48: Sekarang disebut tiga Nabi lagi.

وَاذكُر إِسمٰعيلَ وَاليَسَعَ وَذَا الكِفلِ ۖ وَكُلٌّ مِّنَ الأَخيارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember Ishmael, Elisha and Dhul-Kifl, and all are among the outstanding.

(MELAYU)

Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik.

 

وَاذكُر إِسمٰعيلَ وَاليَسَعَ وَذَا الكِفلِ

Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli.

Sekarang disebut tiga Nabi lagi dan kisah tiga Nabi ini tidak banyak diketahui oleh kita. Hanya sesekali sahaja nama mereka ini timbul. Dan mungkin Allah sengaja tidak memberitahu kepada kita supaya kita sendiri nanti boleh masuk ke dalam syurga dan bertanya kepada mereka sendiri tentang kisah mereka. Alangkah hebatnya nanti!

 

وَكُلٌّ مِّنَ الأَخيارِ

Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik.

Allah tidak menyebut panjang tentang mereka, tapi Allah terus memuji mereka dengan mengatakan mereka itu adalah insan-insan yang terbaik.


 

Ayat 49: Ayat 49 – 64 adalah Perenggan Makro Keenam dan menceritakan tentang balasan kepada orang yang bertaqwa dan orang yang derhaka. Balasan yang diberikan kepada mereka tidaklah sama.

هٰذا ذِكرٌ ۚ وَإِنَّ لِلمُتَّقينَ لَحُسنَ مَئآبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This is a reminder. And indeed, for the righteous is a good place of return –

(MELAYU)

Ini adalah kehormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik,

 

هٰذا ذِكرٌ

Ini adalah peringatan

Allah telah menceritakan tentang para Nabi itu sebagai peringatan bagi kita. Iaitu para Nabi itu juga diuji dan mereka pun lemah sebenarnya. Mereka tidak ada kuasa apa-apa pun melainkan apa sahaja yang Allah berikan kepada mereka.

Maka para Nabi itu tidak patut diseru dan dipuja. Mereka itu tetap hamba Allah juga. Malangnya ramai manusia yang salah faham tentang mereka telah memuja, melakukan ibadah kepada mereka, bertawasul kepada mereka dan sebagainya. Ramai manusia yang menjadikan para Nabi sebagai salah satu ilah selain Allah – sama ada mereka sedari atau tidak. Kalau jauh dari wahyu, begitulah yang terjadi, iaitu melakukan syirik tanpa disedari.

 

وَإِنَّ لِلمُتَّقينَ لَحُسنَ مَئآبٍ

Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik,

Bagi mereka yang bertaqwa dan menjauhi syirik, mereka akan mendapat ‘tempat yang baik’. Tempat yang baik itu adalah syurga di mana ahli syurga akan dapat berjumpa dengan para Rasul dan Nabi yang disebut-sebut di dalam Al-Qur’an dan hadis.

Bayangkan nanti, duduk di syurga bersama dengan para Nabi itu dan kita sendiri bertanya kepada mereka tentang pengalaman mereka dan ujian yang mereka hadapi semasa mereka di dunia.


 

Ayat 50: Ayat tabshir. Penerangan tentang syurga yang disebut dalam ayat sebelum ini.

جَنّٰتِ عَدنٍ مُّفَتَّحَةً لَّهُمُ الأَبوٰبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Gardens of perpetual residence, whose doors will be opened to them.

(MELAYU)

(iaitu) syurga ‘Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka,

 

جَنّٰتِ عَدنٍ

Syurga ‘Adn

Kalimah عَدنٍ bermaksud tempat tinggal yang tetap. Dari inilah orang Kristian gunakan kalimah Eden. Dan di dalam Al-Qur’an selalu digandingkan dengan kalimah جَنّٰتِ yang bermaksud taman atau syurga. Ia merujuk kepada sifat syurga yang menjadi tempat tinggal yang tetap bagi sesiapa  sahaja yang dapat memasukinya.

Sesiapa sahaja yang masuk ke dalam syurga, tidak akan keluar sampai bila-bila. Kalau masuk ke dalam neraka, ada kemungkinan boleh keluar dari neraka dan dapat masuk ke dalam syurga. Tapi kalau masuk ke dalam syurga, akan kekal terus di dalamnya, kekal abadi.

 

مُّفَتَّحَةً لَّهُمُ الأَبوٰبُ

yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka,

Pintu syurga sentiasa terbuka. Apabila rumah yang bersedia untuk menerima tetamu, maka pintu rumah itu telah siap-siap terbuka. Kalau pintu neraka pula sentiasa tertutup kerana untuk mengelakkan penghuninya keluar dan supaya habanya tidak keluar.

Dan Allah gunakan kalimah مُّفَتَّحَةً yang bermaksud bukan pintu syurga itu terbuka kecil tetapi terbuka dengan luas untuk menerima pendatangnya dan penghuninya. Ini adalah kerana kalimah yang digunakan di dalam bentuk mubalaghah.

Dan kalimah مُّفَتَّحَةً (dibuka) yang digunakan dalam bentuk pasif menunjukkan yang ianya ditahan supaya terbuka terus, supaya tidak tertutup. Maka yang dimaksudkan adalah para malaikat yang membuka dan menahan pintu syurga itu untuk dimasuki oleh penghuninya. Ini juga akan disebut dalam Zumar:73

وَسيقَ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم إِلَى الجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها وَفُتِحَت أَبوٰبُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها سَلٰمٌ عَلَيكُم طِبتُم فَادخُلوها خٰلِدينَ

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya”

Ini berbeza dengan pintu neraka yang sentiasa sahaja tertutup dan hanya dibuka apabila hendak memasukkan penghuninya dan akan ditutup supaya mereka tidak dapat lari.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 33 – 42 (Kisah Nabi Ayyub)

Ayat 33:

رُدّوها عَلَيَّ ۖ فَطَفِقَ مَسحًا بِالسّوقِ وَالأَعناقِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He said], “Return them to me,” and set about striking¹ [their] legs and necks.

  • With his sword as expiation. Some commentaries have also suggested the meaning of “stroking” with the hand.

(MELAYU)

“Bawalah kuda-kuda itu kembali kepadaku”. Lalu dia mengusap kaki dan leher kuda itu.

 

رُدّوها عَلَيَّ

“Bawalah kuda-kuda itu kembali kepadaku”.

Nabi Sulaiman suruh dibawa balik kuda-kuda itu kepada baginda selepas kuda-kuda itu berlari jauh. Oleh kerana kuda-kuda itu kuda yang hebat, cepat sahaja mereka hilang dari pandangan mata apabila berlari. Maka Nabi Sulaiman suruh dibawakan kembali kuda-kuda itu kepada baginda.

Ada juga tafsiran yang agak karut yang mengatakan bahawa dhomir ها dalam ayat ini merujuk kepada ‘matahari’. Nabi Sulaimana suruh malaikat bawa balik matahari kerana baginda telah terlambat solat supaya baginda dapat solat dalam waktu Asar juga.

 

فَطَفِقَ مَسحًا بِالسّوقِ وَالأَعناقِ

Lalu dia mengusap kaki dan leher kuda itu.

Kalimah طَفِقَ bermaksud tepuk dengan lembut atau gosok sebagai tanda sayang. Ayat sebelum ini telah menyebut Nabi Sulaiman telah menyesal kerana terleka dengan kuda-kuda itu. Maka kerana begitu baginda dikatakan telah memotong kaki dan leher kuda-kuda itu. Ini adalah salah satu terjemahan yang ada.

Benarkah begitu? Kita telah bentang sebelum ini bahawa berkemungkinan bukan itu yang terjadi. Baginda sayang kepada kuda-kuda itu kerana kuda-kuda itu digunakan untuk menjalankan kehendak Allah.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi Sulaiman mengusap-usap leher dan kaki kuda itu. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir. Ibnu Jarir mengatakan, tidaklah mungkin Nabi Sulaiman a.s. menyeksa haiwan dengan menyembelihnya, yang bererti dia telah memusnahkan sebahagian dari hartanya tanpa penyebab. Hanya kerana alasan harta tersebut menyebabkan dia lalai dari solatnya kerana keasyikan memandangnya, sedangkan kuda itu tidak mempunyai dosa.

Malangnya ada terjemahan yang mengambil dari sumber Isra’iliyyat yang mengatakan Nabi Sulaiman telah potong kaki dan leher kuda-kuda itu kerana kesal dengan sebab kuda-kuda itulah yang menyebabkan baginda terlewat Solat Asar. Kerana marah dan geram, maka dilepaskan kemarahannya kepada kuda-kuda itu. Sudah mati dipotong, maka kuda-kuda itu dikatakan diberikan sebagai makanan sedekah kepada rakyat. Tapi kalau nak bagi makan pun, kenapa bagi makan dengan kuda-kuda hebat tu pula?

Tapi adakah ini tafsiran yang baik? Bayangkan anda pergi ke Langkawi tengok pertunjukan kapal terbang dan anda terleka sampai tertinggal solat Asar. Adakah anda menyesal dan marahkan kapal terbang jet pejuang itu sehinggakan anda buat keputusan untuk hancurkan jet-jet pejuang itu? Adakah itu tindakan yang bijak? Bukankah jet-jet pejuang itu hak kerajaan?

Maka takkan patut seorang Nabi membunuh harta kerajaan pula iaitu kuda-kuda perang itu. Dikatakan ada 14 ekor kuda-kuda itu. Ada sampai kata 20 ribu ekor pun ada. Adakah patut buat begitu? Sedangkan kalimah مَسح bermaksud melalukan air dengan lembut maka tentu bukan bermaksud sesuatu yang keras seperti menyembelih.

Maka kerana itu kita lebih selesa untuk memilih pendapat yang mengatakan baginda mengusap kaki dan leher kuda-kuda itu.


 

Ayat 34: Sekarang kita akan belajar satu ujian yang dikenakan oleh Allah kepada Nabi Sulaiman. Maka ini adalah ujian Allah kerana Nabi Sulaiman lalai seperti yang telah disebutkan di awal kisah ini tadi. Untuk ingatkan kepada hamba supaya jangan kasih kepada sesuatu sampai lupa ingat kepada Allah.

Tapi kalau kita ambil pendapat yang tidaklah Nabi Sulaiman terlupa Allah, maka ini adalah ujian biasa dari Allah kepada hambaNya.

وَلَقَد فَتَنّا سُلَيمٰنَ وَأَلقَينا عَلىٰ كُرسِيِّهِ جَسَدًا ثُمَّ أَنابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly tried Solomon and placed on his throne a body;¹ then he returned.²

  • Said to be a devil or a lifeless body (one without capability), but Allāh alone knows.
  • To sovereignty and to Allāh in repentance.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman dan Kami jadikan (dia) tergeletak di atas kerusinya sebagai tubuh (yang lemah kerana sakit), kemudian dia bertaubat.

 

وَلَقَد فَتَنّا سُلَيمٰنَ

Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman

Allah hendak memberitahu bahawa para Nabi pun kena ujian, maka mereka tidak layak untuk dijadikan sebagai ilah dan dijadikan tempat pengharapan. Mereka juga manusia biasa yang tidak lepas dari ujian Allah.

 

وَأَلقَينا عَلىٰ كُرسِيِّهِ جَسَدًا

dan Kami jadikan (dia) tergeletak di atas kerusinya sebagai tubuh (yang lemah kerana sakit),

Maksudnya Nabi Sulaiman masih hidup lagi tapi tidak dapat bergerak. Baginda hanya lembik sahaja terduduk atas tahta baginda. Perkara ini pun sampai ada beberapa kisah yang berlainan.

1. Satu kisah mengatakan ini berkenaan keinginan Nabi Sulaiman untuk mendatangi semua isteri baginda sebanyak 90 orang pada satu malam. Dengan harapan supaya benih baginda malam itu akan dapat melahirkan pejuang agama. Niat baginda baik tapi tidak lahir satu pun anak-anak baginda dari para isteri baginda, kecuali satu sahaja dan itu pun tidak sempurna kerana cacat.

Ini adalah kerana baginda tidak sebut in Sha Allah (jikalau Allah kehendaki). Kerana baginda lupa nak kata begitulah yang menyebabkan Allah murka dan Allah tidak nyatakan kehendak Nabi Sulaiman itu. Tidak ada anak yang menjadi dan yang lahir itu pun cacat dan bayi cacat itulah yang diletakkan di atas tahta sebagai pengajaran.

Ini kisah dari riwayat Isra’iliyyat dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber. Walaupun hadis berkenaan perkara ini ada dalam Sahih Bukhari pun (tentang baginda hendak mendatangi semua isteri baginda), tapi tidaklah boleh dijadikan sebagai kaitan dengan kisah ini kerana tidak disebut dalam hadis itu pun yang jasad anak cacat itu diletakkan di atas tahta baginda.

2. Kisah kedua pula mengatakan yang Nabi Sulaiman ada seorang adik. Adiknya itu tidak setuju dengan baginda dan telah melawan kerajaan Nabi Sulaiman dan akhirnya dia kalah. Apabila dia kalah, jasadnya diletakkan di atas tahta baginda.

2. Kisah ketiga mengatakan yang Nabi Sulaiman ada anak yang dijaga rapi untuk selamat dari gangguan jin. Ini kerana jin tidak mahu Nabi Sulaiman ada keturunan yang boleh menguasai mereka lagi seperti yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman. Maka kerana itu golongan jin sentiasa mencari peluang untuk membunuh anak Nabi Sulaiman.

Maka baginda telah suruh seorang jin yang baik untuk menjaga anaknya itu tapi tidak di bumi tapi di awan. Ataupun, dikatakan Nabi Sulaiman sendiri sorok anaknya itu di awan kerana baginda boleh kawal angin. Tapi walaupun baginda telah berusaha segala upaya untuk menjaga anaknya itu, tapi akhirnya anak itu mati juga. Dan apabila mati, jasad anaknya itu diletakkan di atas tahta baginda. Allah buat begitu kerana kesalahan baginda tidak berharap kepada Allah tapi berharap kepada awan pula.

Kisah ini pun lemah juga. Kerana waktu itu baginda tidak menguasai angin lagi. Selepas ayat ini barulah baginda diberi kekuasaan menguasai angin.

3. Satu lagi kisah yang juga mengarut adalah bagaimana ‘tubuh’ yang dimaksudkan adalah syaitan. Cerita ringkasnya (tak perlu nak panjangkan cerita mengarut) Syaitan telah menyebabkan Nabi Sulaiman kehilangan cincinnya dan menyebabkan baginda kehilangan segala kekuasaannya kerana kuasa baginda ada pada cincin itu.

Waktu baginda merempat itu, syaitan itu telah menyerupai baginda dan duduk memerintah di atas tahta Nabi Sulaiman di mana tidak ada sesiapa pun tahu yang itu bukanlah Nabi Sulaiman.

Maka baginda jatuh miskin dan merempat sampailah baginda terjumpa cincin itu di dalam perut seekor ikan. Maka dapatlah kembali kerajaan dan kuasa baginda. Kisah ini amat mengarut kerana seolah-olah ada pula cincin hikmat pada Nabi Sulaiman. Kalau penjual cincin sukalah agaknya menyampaikan kisah ini.

4. Satu lagi pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Nabi Sulaiman sendiri di mana Allah takdirkan baginda tidak dapat bergerak dan melepek di atas takhta baginda sahaja.

Nabi Sulaiman waktu itu sangat berkuasa dengan banyak mukjizat dan ada banyak tentera tetapi Allah beri pengajaran kepada baginda dengan menjadikan baginda tidak berkuasa apa-apa kepada tubuh baginda sendiri. Dengan segala apa yang baginda ada, baginda tidak dapat nak mengembalikan kesihatan baginda. Baginda tetap tertakluk kepada kehendak Allah juga.

5. Satu lagi tafsir berkenaan ayat ini, tubuh itu merujuk kepada anak Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman teringin anaknya nanti yang akan mewarisi kerajaan baginda supaya legasi baginda berterusan dengan anaknya.

Tapi keinginan baginda itu tidak kesampaian kerana baginda sendiri melihat anaknya tidak layak untuk memerintah selepas baginda. Jadi meletakkan sahaja ‘jasad’ di tahta tapi bukan orang yang layak adalah satu kesalahan. Kerana keinginan baginda inilah yang baginda telah memohon ampun kepada Allah taala. Kerana baginda telah rasa bersalah kerana ada keinginan nafsu berkehendak anaknya yang mewarisi kerajaan baginda.

Dan kemudian baginda minta supaya kerajaan baginda yang hebat itu habis dengan baginda sahaja dan tidak diberikan kepada orang lain.

Memang selepas kematian baginda, anaknya itu dilantik sebagai raja walaupun Nabi Sulaiman sendiri tidak mewasiatkan anaknya itu yang akan memerintah selepas baginda. Walaupun anaknya naik menjadi raja, tapi kerana kelemahannya, kerajaan Bani Israil telah diserang dan akhirnya pecah belah.

Maknanya ayat ini mengajar kepada kita bahawa Nabi Sulaiman juga menerima ujian dari Allah, sepertimana Allah juga menguji hamba-hambaNya yang lain. Maka ia mengajar kita yang tidak patut jikalau ada manusia yang hendak mengambil berkat daripada baginda dan berdoa kepada baginda atau mengagung-agungkan baginda kerana baginda hanyalah hamba yang lemah sahaja.

 

ثُمَّ أَنابَ

kemudian dia bertaubat.

Kemudian Allah mengembalikan kesihatan baginda setelah sekian lama.

Maka ini mengajar kita tidak boleh bertawakal kepada Nabi Sulaiman seperti yang diamalkan oleh sesetengah pengamal perubatan Islam yang kononnya berdoa menggunakan nama Nabi Sulaiman seolah-olah baginda ada kelebihan; sedangkan baginda pun ada sakit juga dan berdoa hanya kepada Allah.

Walaupun jin-jin menjadi kuli kepada baginda, tidaklah baginda minta tolong kepada mereka untuk menyembuhkan baginda.

Maka oleh kerana jahil dengan wahyu, ramai dari orang kita yang menggunakan nama Nabi Sulaiman untuk kononnya menguasai jin padahal kelebihan itu hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman sahaja dan yang tertipu dengan amalan ini adalah kerana mereka diajar oleh jin sendiri. Ini adalah kerana amalan yang salah, maka jin dapat membisikkan ajaran dan amalan-amalan yang tidak benar.


 

Ayat 35: Ini setelah Nabi Sulaiman dipulihkan dari sakit baginda.

قالَ رَبِّ اغفِر لي وَهَب لي مُلكًا لّا يَنبَغي لِأَحَدٍ مِّن بَعدي ۖ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, forgive me and grant me a kingdom such as will not belong to anyone after me. Indeed, You are the Bestower.”

(MELAYU)

Dia berkata: “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi”.

 

قالَ رَبِّ اغفِر لي

Dia berkata: “Ya Tuhanku, ampunilah aku

Nabi Sulaiman telah sedar kesilapan yang baginda lakukan dan kerana itu baginda memohon ampun kepada Allah dan kemudian baginda minta diberikan dengan ujian yang lebih besar kerana baginda mahu membuktikan dirinya.

Ujian yang lebih besar? Ujian apakah itu?

 

وَهَب لي مُلكًا لّا يَنبَغي لِأَحَدٍ مِّن بَعدي

dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku,

Baginda hendak membuktikan bahawa kerajaan baginda tidak akan menyebabkan baginda terlalai lagi yang kerana itu baginda meminta kerajaan yang lebih besar. Kerana baginda nak buktikan yang kalau pun kerajaan baginda lagi besar pun, ia tidak akan menyebabkan baginda terlalai dari tanggungjawab baginda.

Baginda minta kerajaan yang sangat besar dan kerajaan seperti itu tidak patut diberikan kepada orang lain kerana mereka tidak akan mampu untuk menghadapinya. Antaranya baginda mempunyai tentera yang ramai dari kalangan manusia dan juga jin.

Maka baginda adalah satu-satunya manusia yang dapat menguasai jin. Baginda minta kelebihan ini diberikan kepada baginda tapi tidak diberikan kepada sesiapa selepas baginda. Nabi Muhammad menghormati doa Nabi Sulaiman ini sampaikan baginda pun tidak menangkap jin yang mengganggu baginda dalam solat seperti yang disebut dalam satu hadis:

قَالَ الْبُخَارِيُّ عِنْدَ تَفْسِيرِ هَذِهِ الْآيَةِ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا رَوْحٌ وَمُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زِيَادٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ تَفَلَّت عَلَيَّ الْبَارِحَةَ -أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا-لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ وَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصبحوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ: {رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لأحَدٍ مِنْ بَعْدِي}قَالَ رَوْحٌ: فَرَدَّهُ خَاسِئًا

Imam Bukhari sehubungan dengan tafsir ayat ini mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Rauh dan Muhammad ibnu Ja’far, dari Syu’bah, dari Muhammad ibnu Ziad, dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Sesungguhnya pernah ada Ifrit dari jin yang menampakkan dirinya kepadaku tadi malam —atau ungkapan yang semisal— untuk memutuskan solat yang sedang kukerjakan. Maka Allah Swt. memberikan kekuasaan kepadaku terhadapnya, dan aku berniat akan mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga pagi hari, lalu kalian semua dapat melihatnya. Tetapi aku teringat akan ucapan saudaraku Sulaiman a.s. yang telah mengatakan, “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang jua pun sesudahku.” ( Shad: 35).

Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad pun tidak mengawal jin itu. Baginda lepaskan sahaja jin itu dan tidak jadi mengikatnya ke tiang. Tapi ada bomoh dan ‘ustaz’ (yang sebenarnya bomoh juga) yang kononnya boleh arah jin, kawal jin, tangkap jin dalam botol, bunuh jin, penjara jin, masukkan jin dalam bas dan letak di hutan dan macam-macam lagi perkara karut yang mereka ceritakan. Adakah mereka lebih hebat dari Nabi Muhammad dan Nabi Sulaiman?

 

إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi”.

Baginda tahu yang Allah boleh sahaja berikan berapa besar kerajaan pun kerana Allah memang Maha Pemberi.


 

Ayat 36: Maka Allah berikan kelebihan-kelebihan yang hebat kepada Nabi Sulaiman.

فَسَخَّرنا لَهُ الرّيحَ تَجري بِأَمرِهِ رُخاءً حَيثُ أَصابَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We subjected to him the wind blowing by his command, gently, wherever he directed,

(MELAYU)

Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana saja yang dikehendakinya,

 

فَسَخَّرنا لَهُ الرّيحَ

Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin

Angin dari perkataan الرّيحَ yang digunakan bermaksud jenis angin yang kuat yang selalunya memusnahkan tempat dan digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menghancurkan umat-umat yang terdahulu. Ini seperti angin yang memusnahkan kaum Tsamud. Akan tetapi angin yang kuat itu Allah berikan berada di bawah kawalan Nabi Sulaiman.

Kelebihan ini tidak ada pada manusia yang lain dan kerana itu sampai sekarang kita takut dengan angin yang terlalu kuat kerana boleh merosakkan tanaman dan juga harta benda kita.

Hebat sungguh sampai baginda boleh kawal angin. Tiada sesiapa lagi yang boleh kawal angin sampai sekarang. Begitu juga sampai kiamat tidak ada sesiapa yang boleh mengawal jin kerana ini adalah mukjizat yang hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman sahaja. Jadi kalau ada yang kata mereka boleh kawal jin, maka itu adalah mereka yang tertipu. Mereka sahaja perasan mereka boleh kawal jin, bunuh jin dan sebagainya, tapi itu adalah penipuan jin sahaja.

Kalau ada juga yang kata mereka kawal jin, sebenarnya terbalik kerana sebenarnya jin yang kawal mereka kerana jin itu tidak datang kepada semua orang melainkan kepada orang-orang yang memujanya, yang takut kepadanya, yang beramal dengan amalan yang salah.

 

تَجري بِأَمرِهِ

bergerak mengikut arahannya

Kemajuan teknologi kita semakin bertambah dan kita boleh tahu kedatangan angin, dari arah mana, berapa lama akan bertiup; akan tetapi sehebat mana pun teknologi kita, kita tetap tidak boleh mengawal angin itu. Tapi Nabi Sulaiman diberikan kekuasaan untuk mengawal angin.

 

رُخاءً حَيثُ أَصابَ

yang berhembus dengan baik menurut ke mana saja yang dikehendakinya,

Kalimah رُخاءً dari katadasar ر خ و yang bermaksud lembut, berlepas. Angin itu laju di bahagian bawah dan kerana itu boleh bawa baginda ke mana-mana destinasi dengan cepat. Ia laju di bahagian bawah tapi lembut sahaja bahagian atas. Ini penting supaya Nabi Sulaiman tidak berasa sakit semasa duduk di atas angin itu.

Nabi Sulaiman diberi kelebihan dapat menjinakkan angin itu dan ini ada kaitan dengan kuda yang disebut sebelum ini dimana ada juga kuda yang ganas tapi boleh juga dijinakkan oleh Nabi Sulaiman. Maknanya Nabi Sulaiman diberi kelebihan untuk menjinakkan kuda dan juga angin. Baginda boleh arahkan angin itu ke mana sahaja yang baginda kehendaki.

Kalimah أَصابَ dari katadasar ص و ب yang bermaksud menuang, tepat kepada sasaran, kehendak. Kalimah musibah juga diambil dari katadasar ini kerana ia adalah tepat kena kepada orang yang Allah kehendaki.


 

Ayat 37: Bukan angin sahaja yang Nabi Sulaiman boleh kawal.

وَالشَّيٰطينَ كُلَّ بَنّاءٍ وَغَوّاصٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [also] the devils [of jinn] – every builder and diver

(MELAYU)

dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan semuanya ahli bangunan dan penyelam,

 

وَالشَّيٰطينَ

dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan

Syaitan adalah jin yang jahat iaitu jin yang kafir. Akan tetapi jin yang jahat itu pun salah satu kelebihan yang diberikan kepada Nabi Sulaiman dimana baginda boleh mengawal mereka.

Allahlah yang menundukkan mereka kepada Nabi Sulaiman kerana kalau ikut kehendak mereka sendiri, tentu tidak mahu taat kepada Nabi Sulaiman. Selalunya syaitan adalah musuh kepada para Nabi dan juga musuh kepada manusia tetapi Nabi Sulaiman dapat mengawal mereka dan mereka kena taat kepada Baginda.

Kalau mereka tidak tunduk dan taat kepada Nabi Sulaiman, maka mereka akan dibakar terus oleh Allah. Maka jin syaitan itu tidak ada pilihan lain melainkan taat sahaja kepada perintah Nabi Sulaiman.

 

كُلَّ بَنّاءٍ وَغَوّاصٍ

semuanya ahli bangunan dan penyelam,

Baginda boleh mengarahkan mereka untuk membuat binaan apa-apa bangunan yang bagi baginda mahu. Jadi para syaitan itu jadi kontraktor kepada baginda.

Dan baginda boleh mengarahkan mereka untuk menjadi para penyelam kepada baginda di mana mereka dapat mengeluarkan mutiara ataupun menangkap ikan ataupun apa-apa sahaja sumber dari laut yang baginda kehendaki.

Masa inilah manusia kenal jin dan belajar sihir dengan mereka. Inilah sahaja masa dimana ada interaksi antara manusia dan jin. Kerana waktu itu jin bersama dengan manusia adalah tentera kepada Nabi Sulaiman. Maka sekarang tidak ada lagi percampuran sebegitu. Maka kalau ada yang kata boleh bercakap dengan jin, berkawan dengan jin, gunakan jin sebagai khadam, maka ini adalah salah.

Jin juga bukan makhluk fizikal. Maka mereka tidak dapat nak angkat barang, curi barang dan bina apa-apa sahaja. Kecuali pada zaman Nabi Sulaiman ini sahaja. Zaman sekarang tidak ada lagi kelebihan ini.


 

Ayat 38:

وَءآخَرينَ مُقَرَّنينَ فِي الأَصفادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And others bound together in shackles.

(MELAYU)

dan syaitan yang lain yang terikat dalam belenggu.

 

Dan selain dari jin syaitan yang diberi tugasan oleh Nabi Sulaiman, yang lainnya diikat oleh baginda. Mereka diikat mungkin kerana mereka jahat sangat dan tidak mahu taat maka mereka kena dirantai.

Dan mereka juga dijadikan sebagai askar simpanan atau pekerja tambahan bagi baginda jika perlu ada tambahan pekerja. Waktu itu bolehlah baginda lepaskan untuk bekerja. Memang hina jadinya syaitan di tangan Nabi Sulaiman.


 

Ayat 39:

هٰذا عَطاؤُنا فَامنُن أَو أَمسِك بِغَيرِ حِسابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We said], “This is Our gift, so grant or withhold without account.”

(MELAYU)

Inilah anugerah Kami; maka berikanlah (kepada orang lain) atau tahanlah (untuk dirimu sendiri) dengan tiada pertanggungan jawab.

 

هٰذا عَطاؤُنا

Inilah anugerah Kami;

Kalimah عطاء bermaksud pemberian. Allah berfirman kepada Nabi Sulaiman mengingatkan baginda betapa besarnya kurnia yang telah diberikan kepada baginda. Hanya baginda sahaja yang dapat kelebihan ini.

 

فَامنُن أَو أَمسِك بِغَيرِ حِسابٍ

maka berikanlah (kepada orang lain) atau tahanlah (untuk dirimu sendiri) dengan tiada pertanggungan jawab.

Segala kelebihan yang diberikan kepada baginda itu hendaklah digunakan untuk kebaikan manusia dan rakyat baginda.

Atau baginda boleh simpan sahaja jin jin syaitan itu dengan tidak digunakan.

Allah berikan keputusan bagi Nabi Sulaiman sama ada untuk menggunakan syaitan itu ataupun untuk disimpan semuanya dalam keputusan Nabi Sulaiman. Dan ini menunjukkan yang Allah percaya kepada Nabi Sulaiman sampaikan baginda boleh buat keputusannya sendiri. Maknanya keputusan baginda tidak akan dihisab kerana ianya semua di atas tangan baginda.

Dan memang kelebihan-kelebihan yang diberikan kepada baginda ini digunakan untuk kebaikan oleh baginda. Bandingkan dengan manusia sekarang yang ada kelebihan teknologi untuk melakukan berbagai-bagai benda, tetapi kebanyakan manusia tidak menggunakannya untuk kebaikan melainkan digunakan untuk kehancuran.


 

Ayat 40:

وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ وَحُسنَ مَئآبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, for him is nearness to Us and a good place of return.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik.

 

وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ

Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat pada sisi Kami

Ini adalah pernyataan kedudukan Nabi Sulaiman yang tinggi dan rapat di sisi Allah.

 

وَحُسنَ مَئآبٍ

dan tempat kembali yang baik.

Dan nanti baginda apabila wafat akan dimasukkan terus ke dalam syurga.

Habis Ruku’ 3 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 41: Sekarang kita masuk ke dalam kisah Nabi yang ketiga. Ayat 41 – 44 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia adalah kisah Nabi Ayyub. Ia mengajar Tauhid Uluhiyyah yang ditunjukkan Nabi Ayyub. Baginda adalah seorang yang punya kesabaran tinggi.

وَاذكُر عَبدَنا أَيّوبَ إِذ نادىٰ رَبَّهُ أَنّي مَسَّنِيَ الشَّيطٰنُ بِنُصبٍ وَعَذابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember Our servant Job, when he called to his Lord, “Indeed, Satan has touched me with hardship and torment.”

(MELAYU)

Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhan-nya: “Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan siksaan”.

 

وَاذكُر عَبدَنا أَيّوبَ

Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub

Sekarang Allah membawa kisah Nabi Ayyub pula iaitu seorang Nabi yang terkenal kerana baginda telah diberikan dengan ujian penyakit.

 

إِذ نادىٰ رَبَّهُ

ketika dia menyeru Tuhan-nya: 

Apabila baginda sakit, maka baginda berserah kepada Allah dan memohon pertolongan dari Allah. Beginilah yang sepatutnya kita lakukan: mengadu kepada Allah. Bukannya mengadu kepada bomoh/dukun ataupun uskun (ustaz dukun).

 

أَنّي مَسَّنِيَ الشَّيطٰنُ بِنُصبٍ وَعَذابٍ

“Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan siksaan”.

Ayat ini memerlukan tafsir yang benar dan jikalau tidak, akan menyebabkan salah faham kerana seperti yang kita tahu kesakitan itu datang daripada Allah tetapi dalam ayat ini seolah-olah syaitan yang menyebabkan Nabi Ayyub sakit. Adakah begitu? Tentu tidak.

Apabila salah belajar atau salah baca, maka ramailah yang menggunakan ayat ini untuk dijadikan sebagai dalil yang penyakit dan sakit tubuh badan disebabkan oleh jin syaitan pula. Maka ramailah yang berubat dengan bomoh dan ustaz (bomoh yang bertopengkan ustaz) kononnya untuk mengeluarkan jin dari tubuh mereka yang telah menyebabkan penyakit mereka itu.

Kerana mereka kata, kalau sakit itu disebabkan oleh syaitan, maka kena keluarkan syaitan dari tubuh manusia. Maka banyaklah amalan-amalan karut yang diajar oleh perawat-perawat itu. Maka kerana jauh dari wahyu, maka manusia telah terkeliru. Semoga kita dapat jelaskan balik supaya lebih ramai akan faham tentang perkara ini.

Dalil Nabi Ayyub tidak pernah kata jin syaitan yang menyebabkan sakit baginda juga ada dalam Anbiya’:83

وَأَيّوبَ إِذ نادىٰ رَبَّهُ أَنّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرحَمُ الرّاحِمينَ

dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”.

Dalam ayat Surah Anbiya’ ini, Nabi Ayyub tidak kata syaitan yang menyebabkan baginda sakit.

Dikatakan bahawa Nabi Ayyub telah jatuh sakit teruk selama 18 tahun sampai ditinggalkan oleh keluarga dan kawan baginda. Tapi sakit itu bukanlah sampai baginda cacat. Cuma baginda tidak boleh bergerak sahaja. Dan tidaklah sampai tubuh baginda berulat seperti yang selalu kita dengar kisahnya.

Jadi kenapa Nabi Ayyub meminta pertolongan kepada Allah tentang syaitan kalau bukan syaitan yang menyebabkan baginda sakit? Maksud ayat ini adalah apabila seseorang itu sakit, maka syaitan akan datang dan membisikkan macam-macam perkara kepadanya termasuk membisikkan kepada mereka untuk mencari ubat-ubat dan amalan-amalan yang salah.

Sampaikan ada yang tertipu sampaikan mereka pakai tangkal dan sebagainya semata-mata untuk sihat semula. Ini tidak mustahil terjadi kerana apabila orang yang sakit, waktu itu mereka sanggup untuk mencuba macam-macam. Waktu itu sudah tidak fikir sangat halal dan haram, karut atau tidak.

Jadi waktu sakit itulah kesempatan diambil oleh syaitan untuk menipu manusia. Termasuk yang diganggu adalah Nabi Ayyub. Tapi syaitan tentu tidak berjaya untuk menjerumuskan Nabi Ayyub, tapi syaitan cuba menghasut isteri Nabi Ayub untuk menggunakan bermacam-macam cara yang menggunakan sihir ataupun cara yang salah untuk menyembuhkan penyakit baginda.

Tentunya isteri Nabi Ayyub mahu untuk mencuba perkara-perkara itu kerana dia sendiri sudah lama menjaga Nabi Ayub. Apabila ada yang mencadang buat itu dan ini, tentulah dia sanggup dan bersedia untuk mencubanya. Macam orang kita jugalah – apabila sakit dan disuruh buat apa-apa yang karut, mereka akan guna alasan: “ini usaha sahaja, apa salahnya…”

Atau memang baginda memohon pertolongan kepada Allah untuk beri kekuatan kepada baginda untuk menolak bisikan syaitan kepada baginda. Kerana kalau baginda termakan bisikan itu, baginda sendiri akan bersangka buruk dengan Allah. Contohnya, nanti dia akan terfikir, kenapakah Allah tak tolong baginda. Itu adalah bisikan dari syaitan supaya putus asa dengan Allah dan rasa buruk sangka dengan Allah.

Jadi lihatlah begitu hebatnya doa Nabi Ayub di dalam ayat ini dimana baginda tidak mengadu tentang kesakitan yang baginda alami kerana itu diberi oleh Allah. Tetapi yang baginda mohon pertolongan adalah supaya dihalau syaitan daripadanya kerana syaitan itu sedang mengganggu dia dan isterinya dengan menghasut untuk mengamalkan benda-benda yang tidak patut dalam agama. Atau menghasut supaya salah sangka dengan Allah dan putus asa dengan Allah.

Jadi kita diajar untuk berdoa dalam ayat ini kalau kita sakit. Inilah ruqyah sebenarnya kerana ruqyah itu adalah doa. Tapi ruqyah adalah doa permohan untuk sembuh.

Tapi kita kena ingat yang doa tidak semestinya menyebabkan kita segera sembuh. Ada manusia yang Allah uji dengan penyakit yang agak teruk dan lama supaya mereka terus dekat denganNya. Kerana kalau sudah terus sembuh, manusia itu akan terus lupa Allah. Selama dia di dalam kesusahan dan kesakitan, hatinya selalu berharap dan dekat dengan Allah. Bila sudah sembuh sahaja, takut dia terus lupa Allah seperti yang kita selalu lihat.


 

Ayat 42: Allah beri kesihatan kepada baginda dengan memberikan cara penyembuhan.

اركُض بِرِجلِكَ ۖ هٰذا مُغتَسَلٌ بارِدٌ وَشَرابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[So he was told], “Strike [the ground] with your foot; this is a [spring for a] cool bath and drink.”

(MELAYU)

(Allah berfirman): “Hantamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum”.

 

اركُض بِرِجلِكَ

(Allah berfirman): “Hentakkanlah kakimu;

Allah menyuruh Nabi Ayyub untuk berdiri dan menghentak tanah dengan kaki baginda. Kalimah ركظ bermaksud menghentak dengan kaki.

 

هٰذا مُغتَسَلٌ بارِدٌ

inilah air yang sejuk untuk mandi 

Apabila baginda hentakkan kaki baginda ke tanah, maka ada air keluar daripada tanah itu dan Allah beritahu gunakan air itu untuk dimandikan kerana air itu akan memberi kesihatan kepada baginda dengan izin Allah. Ini adalah kerana baginda waktu itu di dalam kepanasan. Juga kerana penyakit baginda itu adalah penyakit kulit dimana keadaan baginda sudah amat teruk. Atau, baginda lumpuh tidak dapat bergerak.

 

وَشَرابٌ

dan untuk minum”.

Bukan sahaja gunakan air itu untuk mandi tapi juga air itu hendaklah diminum. Maknanya ubat bagi sakit baginda itu tidak jauh pun, cuma Allah sahaja hendak beritahu.

Maka kita boleh gunakan dalil ini untuk kita ubat sendiri diri kita dengan menggunakan air. Kita sendiri baca bismillah pada air itu dan gunakan untuk mandi dan minum. Ini adalah kerana bukan air itu atau bismillah itu yang menyembuhkan, tapi Allah yang menyembuhkan. Allah cuma jadikan air itu sebagai asbab sahaja. Maka serahkan doa kita kepada Allah. Tak perlu nak pergi jumpa bomoh atau ustaz (yang sebenarnya bomoh).

Allah suruh baginda minum air itu kerana kesan penyakit kulit itu telah masuk ke dalam badan baginda ataupun mungkin penyakit itu asalnya daripada dalam badan, maka baginda juga perlu minum air itu yang akan menyembuhkan baginda dari dalam dengan izin Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 27 – 32 (Nabi Sulaiman dan kuda)

Ayat 27: Ayat dalil aqli. Allah suruh kita memikirkan kenapa Allah jadikan langit dan bumi ini.

وَما خَلَقنَا السَّماءَ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما بٰطِلًا ۚ ذٰلِكَ ظَنُّ الَّذينَ كَفَروا ۚ فَوَيلٌ لِّلَّذينَ كَفَروا مِنَ النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not create the heaven and the earth and that between them aimlessly. That is the assumption of those who disbelieve, so woe to those who disbelieve from the Fire.

(MELAYU)

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka.

 

وَما خَلَقنَا السَّماءَ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما بٰطِلًا

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bathil.

Batil adalah lawan kepada Haq (kebenaran). Dalam ertikata lain, tidaklah Allah jadikan langit dan bumi ini sia-sia, main-main tanpa tujuan. Penciptaan alam ini ada tujuan.

Maka kalau alam lain seperti matahari dan bulan ada tujuan, takkan kita manusia dijadikan tanpa tujuan? Kerana kita manusia lebih mulia dan hebat dari matahari dan bulan, maka takkan tidak ada tujuan hidup kita?

Maka kalau kita jalani kehidupan kita tanpa arah, tanpa panduan, tanpa mengetahui ke mana kita tujui, maka ini adalah amat salah sekali. Jadi, ingatlah yang tujuan kita hidup adalah untuk menghambakan diri kepada Allah. Kita sedang menuju kepada akhirat sama ada kita tahu atau tidak, suka atau tidak. Semuanya akan mati nanti.

Dan semasa kita di dalam perjalanan kita ini, panduan kita adalah Al-Qur’an yang kita sedang pelajari dan baca ini. Maka hendaklah kita mempelajari makna-makna dalam Al-Qur’an ini kerana kalau tidak faham, bagaimanakah kita nak jadikan ia sebagai panduan? Kerana nak jadikan sesuatu sebagai panduan, kenalah faham dulu panduan itu.

 

ذٰلِكَ ظَنُّ الَّذينَ كَفَروا

Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir,

Maka Allah tidaklah jadikan dunia dan langit ini sia-sia sahaja. Tapi ada juga manusia yang jahil yang sangka begitu. Allah beritahu yang mereka yang ada sangkaan bahawa dunia ini adalah sia-sia sahaja adalah sangkaan orang kafir sahaja.

Kerana itu dalam agama lain mengatakan bahawa tuhan bosan tidak ada apa nak buat, maka mereka jadikan alam ini sebagai permainan sahaja. Ini fahaman yang amat teruk sekali.

Mereka tidak tahu dan tidak mahu menerima bahawa tujuan hidup di dunia ini adalah untuk menguji dan mengumpul pahala untuk dipersembahkan di akhirat kelak dan kerana itu mereka tidak beramal dengan amalan yang sebenar. Mereka main-main sahaja di dunia sekarang. Mereka berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dunia sahaja kerana mereka sangka mereka hanya hidup di dunia sahaja.

Mereka tidak bersedia untuk akhirat kerana mereka tidak nampak adanya akhirat. Mereka nak bergembira sebanyak mungkin semasa mereka hidup di dunia ini.

 

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ كَفَروا مِنَ النّارِ

maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka.

Maka, kena salah faham dan salah pilihan orang kafir itu, mereka akan dibalas dengan dimasukkan ke dalam neraka. Kerana mereka menolak apa yang disampaikan oleh Allah melalui para NabiNya, maka tempat balasan bagi mereka adalah di neraka sahaja.


 

Ayat 28: Ayat zajrun. Adakah sama orang kafir dan orang beriman?

أَم نَجعَلُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ كَالمُفسِدينَ فِي الأَرضِ أَم نَجعَلُ المُتَّقينَ كَالفُجّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or should We treat those who believe and do righteous deeds like corrupters in the land? Or should We treat those who fear Allāh like the wicked?

(MELAYU)

Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Patutkah (pula) Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?

 

أَم نَجعَلُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ كَالمُفسِدينَ فِي الأَرضِ

Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? 

Nampak ringkas sahaja ayat ini. Tapi ia mengandungi maklumat yang amat mendalam.

Orang yang tahu bahawa dunia ini tidak dijadikan sia-sia malah ia adalah tempat ujian bagi kita semua, maka dia akan buat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka tahu tahu tujuan mereka dihidupkan di dunia ini.

Tapi malangnya ramai manusia yang tidak ada tujuan dalam hidup. Mereka hidup di dunia ini seolah-olah mereka tidak akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Mereka sangka Allah sengaja jadikan dunia ini dan ia akan hancur begitu sahaja dengan mereka sekali.

Oleh kerana pemahaman yang berbeza tentang kehidupan di dunia, maka amalan manusia juga tidak sama. Mereka yang pandai dan bijak akan beriman dan akan beramal dengan amalan yang soleh (amalan yang baik).

Tetapi orang yang tidak berharap dan yakin mereka menuju kepada akhirat, mereka tidak beriman dan mereka akan melakukan kerosakan di muka bumi ini. Sama ada ‘kerosakan’ itu dalam bentuk fizikal atau dalam bentuk keagamaan.

Maka Allah berikan soalan retorik: Takkan balasan kepada mereka yang berbuat kerosakan itu akan sama dengan orang mukmin yang taat dengan hukum halal dan haram?

Maka kalaulah tidak ada akhirat dan tidak ada pembalasan, maka sia-sialah sahaja kalau ada orang yang buat baik. Kerana mereka sudah buat baik, tapi sama sahaja balasan kepada mereka. Dan maka senanglah orang yang jahat atas dunia ini, bukan? Mereka sudah buat zalim tapi selamat sahaja. Jadi kalau begitu, tidak adillah Allah kalau begitu.

 

أَم نَجعَلُ المُتَّقينَ كَالفُجّارِ

Patutkah (pula) Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?

Orang yang bertaqwa adalah orang yang berhati-hati dalam menjalani kehidupannya di dunia ini. Dia sedar yang Allah sedang memerhatikan segala perbuatannya dan perbuatannya itu akan dinilai nanti. Maka dalam setiap perkara yang hendak dilakukan, dia akan menilai: “Allah suka aku buat perkara ini atau tidak? Hal ini haram atau halal?”

Sedangkan Faajir adalah orang yang tak tahan diri mereka langsung. Mereka ini terbalik dengan golongan muttaqeen. al-Fajir akan buat apa yang dia hendak buat tanpa memikirkan halal atau haram, sama ada dia akan masuk neraka atau masuk syurga dengan kesan perbuatannya itu. Dia akan ikut hawa nafsu dia sahaja.

Kenapa dia berani buat kesalahan sebegitu rupa? Kerana dia tidak yakin yang dia akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kalau tidak percaya kepada janji akhirat, maka semua manusia akan sama sahaja, buat apa yang mereka suka sahaja.

Tapi kerana takutkan hukuman di akhirat, ramai manusia tidak buat perkara yang haram kerana takut hukuman di akhirat. Maka ancaman di akhirat itu adalah kebaikan kerana ia menahan manusia dari melakukan kerosakan.


 

Ayat 29: Allah memberitahu yang orang yang baik akan ikut ajaran wahyu. Mereka akan sentiasa memikirkan tentang Al-Qur’an.

كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّروا ءآيٰتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[This is] a blessed Book which We have revealed to you, [O Muḥammad], that they might reflect upon its verses and that those of understanding would be reminded.

(MELAYU)

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

 

كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ مُبٰرَكٌ

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah 

Allah memberitahu kehebatan Al-Qur’an. Ia membawa banyak barakah di dalamnya untuk kita semua. ‘Barakah’ adalah sesuatu yang bawa kebaikan yang bertambah-tambah dan melimpah ruah.

Satu lagi sifat barakah adalah ia mengeluarkan kebaikan dari sesuatu yang ada potensi. Potensi itu sudah ada tapi cuma nak dibawa keluar sahaja. Sebagai contoh, pada biji benih ada potensi tapi perlukan air untuk menumbuhkan tanaman. Kerana itulah air adalah sesuatu yang ada barakah.

Al-Qur’an ini boleh buat begitu juga kepada pembacanya. Tapi bukan simpan di almari sahaja, dan bukan dibaca sekali sekala tanpa difahami.

 

لِّيَدَّبَّروا ءآيٰتِهِ

supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya

Bagaimana nak naikkan potensi manusia dengan Al-Qur’an? Iaitu dengan tadabbur Al-Quran. Kalimah ‘tadabbur’ adalah dari katadasar د ب ر yang bermaksud ‘belakang’. Apabila kita memeriksa sesuatu dengan mendalam, kita akan pergi sampai ke belakang. Macam kalau kita nak periksa rumah kalau kita nak beli rumah itu, kita akan lihat sampai ke belakang, bukan?

Maka maksud ‘tadabbur’ adalah berfikir dan menekuni tafsir ayat-ayat Al-Qur’an dengan cara mendalam. Kita baca ayat Al-Qur’an dengan tekun dan cuba untuk memahaminya lebih lagi dari sebelumnya.

Tapi, kenalah tahu yang tadabbur ini datang lepas belajar tafsir. Bukan boleh tadabbur sendiri tanpa belajar. Kena dapatkan ilmu asas tentang tafsir Al-Qur’an dengan belajar dengan guru yang sudah belajar. Maka kena belajar secara talaqqi dengan guru-guru. Maka tidak boleh belajar sendiri, malah amat bahaya kalau belajar sendiri kerana boleh salah faham.

Selepas tadabbur, apa pula? Hendaklah amalkan ilmu yang telah tahu.

 

وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ

dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

Mereka yang rapat dengan Al-Qur’an dan telah belajar dan telah tadabbur Al-Qur’an akan ambil pengajaran dari Al-Qur’an itu. Kerana ia mengandungi banyak ajaran untuk persediaan dunia dan akhirat. Tapi bukan semua boleh ambil pengajaran dari Al-Qur’an melainkan orang yang cerdik sahaja. Iaitu orang yang sedar tugas dia di dunia ini dan sedar ke mana arah tujuannya iaitu akhirat.

Dan yang paling cerdik sekali adalah mereka yang faham tentang Tauhid dan untuk faham tentang Tauhid kena belajar tafsir Al-Qur’an kerana kitab-kitab yang lain tidak banyak menceritakan tentang syirik melainkan Al-Qur’an. Malangnya ramai yang tidak faham tentang perkara ini dan mereka ambil pelajaran Tauhid dari sumber yang salah seperti mempelajari Sifat 20.

Yang boleh terima adalah mereka yang ulul albab sahaja. Bukan semua yang boleh terima walaupun telah disampaikan kepada mereka. Iaitu orang-orang yang berakal, al-albab adalah bentuk jamak dari lub yang ertinya akal. Jadi, orang yang tak mahu terima ajaran Al-Qur’an, maknanya mereka itu tidak ada akal. Otak mungkin ada, tapi akal tidak ada.


 

Ayat 30: Ayat dalil naqli kedua. Ayat 30 – 40 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia adalah kisah anak Nabi Dawud iaitu Nabi Sulaiman. Mereka berdua sentiasa taat.

Allah sebut tentang mereka berdua dalam surah ini kerana mereka ini selalu dipuja oleh manusia yang jahil wahyu dan kerana telah ada pengajaran dari guru-guru yang sesat. Sampaikan ada yang mahu Ilmu Keramat akan memuja kepada Nabi Sulaiman.

Malangnya di dalam masyarakat kita yang jauh daripada pengetahuan agama ini telah timbul kisah-kisah yang tidak benar tentang Nabi Sulaiman kerana kisah-kisah itu bukannya datang daripada sumber yang sahih dan mengandungi kisah-kisah yang karut. Maka kita kena bersihkan kisah-kisah itu.

وَوَهَبنا لِداوودَ سُلَيمٰنَ ۚ نِعمَ العَبدُ ۖ إِنَّهُ أَوّابٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to David We gave Solomon. An excellent servant, indeed he was one repeatedly turning back [to Allāh].

(MELAYU)

Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya),

 

وَوَهَبنا لِداوودَ سُلَيمٰنَ

Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman,

Semua anak adalah ‘hadiah’ kepada ibubapanya. Dan Nabi Sulaiman ini hadiah utama bagi Nabi Daud a.s. kerana anaknya ini bukan anak biasa tapi ada kelebihan.

Nabi Sulaiman mewarisi dari Nabi Daud, yakni dalam hal kenabian, kerana sesungguhnya pada waktu itu Nabi Daud mempunyai anak yang banyak selain Nabi Sulaiman. Sesungguhnya saat itu Nabi Daud mempunyai seratus orang isteri yang semuanya dari wanita merdeka. Tapi tidaklah semuanya jadi Nabi. Hanya Nabi Sulaiman sahaja yang mewarisi kenabian Nabi Daud.

 

نِعمَ العَبدُ

dia adalah sebaik-baik hamba. 

Nabi Sulaiman adalah seorang hamba yang sebaik-baiknya kerana taat di dalam agama walaupun baginda mempunyai kekayaan dan kekuasaan. Bayangkan baginda mempunyai kerajaan meliputi hampir satu dunia tetapi baginda tetap kuat beramal ibadat dan ini bermakna baginda sibuk di dalam dunia dan sibuk juga di dalam ibadat kepada Allah.

 

إِنَّهُ أَوّابٌ

Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya),

Nabi Sulaiman sangat banyak mengingati Allah dan sentiasa melakukan banyak ibadat. Baginda selalu kembali kepada Allah dan merujuk kepada Allah. Macam ayahnya selalu kembali kepada Allah.

Maka selepas ini Allah akan senaraikan kelebihan baginda.


 

Ayat 31: Nabi Sulaiman telah diuji juga oleh Allah. Maka baginda juga tertakluk kepada kehendak Allah. Maka tidaklah layak baginda dipuja dan dijadikan sebagai ilah oleh manusia yang ada fahaman syirik, kerana baginda pun kena uji juga.

إِذ عُرِضَ عَلَيهِ بِالعَشِيِّ الصّٰفِنٰتُ الجِيادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Mention] when there were exhibited before him in the afternoon the poised [standing] racehorses.

(MELAYU)

(ingatlah) ketika dipertunjukkan kepadanya kuda-kuda yang tenang di waktu berhenti dan cepat waktu berlari pada waktu petang

 

Salah satu di dalam pentadbiran Nabi Sulaiman adalah untuk memastikan tenteranya bersedia untuk berperang menegakkan agama. Dan waktu itu kekuatan tentera dilihat daripada kekuatan kudanya kerana mereka memerlukan kuda untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat di dalam peperangan.

Pada waktu itu masih tetap ada kerajaan-kerajaan yang kecil yang belum masuk Islam dan kerana itu Nabi Sulaiman menjalankan tugas jihad mengarahkan tentera baginda untuk pergi ke tempat-tempat itu untuk  sebar agama.

Dibawakan kepadanya بِالعَشِيِّ iaitu waktu antara Zuhur dan Maghrib. Waktu itu baginda sedang memeriksa perbarisan tentera kerajaan baginda.

Kalimah الصّافِناتُ dari kalimah ص ف ن yang bermaksud berdiri atas tiga kaki bagi kuda. Jadi ini adalah jenis kuda yang hebat kerana dapat berdiri di atas tiga kakinya dan melipat kakinya yang keempat. Ia menunjukkan persediaan untuk berperang. Kuda yang boleh buat begini adalah kuda jenis baka baik dan telah dilatih. Maknanya, ia adalah kuda yang kuat berlari. Ia adalah jenis kuda yang hebat yang patuh kepada tuan. Bersedia untuk menjalankan tugas yang diarahkan oleh tuannya.

Kalimah الجِيادُ dari kalimah ج و د yang bermaksud ‘baik’. Kerana itu kita pakai kalimah jayyid untuk mengatakan sesuatu itu baik. boleh diterjemahkan sebagai kuda elit. Iaitu kuda yang hebat kerana kuat dan telah dilatih.

Maknanya baginda ada tentera yang hebat kerana ada tentera yang hebat. Selalunya kuda jenis ini digunakan sebagai pertunjukan kerana ia boleh melakukan perkara yang kuda lain tidak boleh buat. Kalau pertunjukan, ada satu dua kuda sahaja yang boleh buat begitu, tapi baginda ada banyak. Jadi memang hebat kerajaan dan tentera baginda.

Jadi kalimat الصّٰفِنٰتُ الجِيادُ merujuk kepada kuda yang apabila dalam keadaan tenang, ia amat disiplin dan apabila digunakan dalam peperangan, ia akan bertindak cergas.

Jadi baginda dipertunjukkan dengan barisan kuda itu dan baginda amat suka dan baginda memeriksa kuda itu sampai baginda terlupa dan terluput untuk Solat Asar. Baginda suka dengan kuda-kuda itu kerana baginda juga seorang mujahideen, maka tentera baginda kena ada kuda dan kerana itu baginda suka.


 

Ayat 32:

فَقالَ إِنّي أَحبَبتُ حُبَّ الخَيرِ عَن ذِكرِ رَبّي حَتّىٰ تَوارَت بِالحِجابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he said, “Indeed, I gave preference to the love of good [things] over the remembrance of my Lord until it [i.e., the sun] disappeared into the curtain [of darkness].”

(MELAYU)

maka dia berkata: “Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda-kuda itu hilang dari pandangan”.

 

فَقالَ إِنّي أَحبَبتُ حُبَّ الخَيرِ عَن ذِكرِ رَبّي

maka dia berkata: “Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku

‘Barang yang baik’ yang dimaksudkan adalah kuda yang hebat-hebat itu yang sudah bersedia untuk berperang. Ini kerana orang dulu-dulu memang suka sangat dengan kuda-kuda. Kerana ia digunakan untuk untuk musafir dan untuk berperang.

Maka kerana ia digunakan untuk peperangan menegakkan agama, maka kalimah yang digunakan adalah الخَيرِ iaitu ‘kebaikan’.

Maka, dari ayat ini ada yang menafsirkan bahawa Nabi Sulaiman seronok sangat melihat dan memeriksa kuda-kuda itu sampaikan baginda terlalai dari mengerjakan solat. Ini adalah kerana kerana harf عَن digunakan dalam bentuk meninggalkan sesuatu. Dan ‘ingat Tuhan’ diterjemahkan sebagai ‘solat’.

Tidaklah salah kalau baginda suka kepada kuda-kuda itu tapi bila dibandingkan dengan ingat kepada Allah, itu sudah tidak baik. Sepatutnya kalau suka kepada kuda pun, tidaklah sampai terlalai mengerjakan kewajipan dalam agama.

Maka baginda amat menyesal di atas kejadian itu. Ulama Salaf dan ulama tafsir yang bukan hanya seorang telah menceritakan bahawa Nabi Sulaiman disibukkan oleh penampilan kuda-kuda itu hingga terlewatkan darinya Solat Asar.

Tetapi yang pasti Nabi Sulaiman tidak meninggalkannya dengan sengaja, melainkan lupa, seperti kesibukan yang pernah dialami oleh Nabi Saw. pada hari penggalian parit (semasa Perang Khandak) hingga Solat Asar terlewatkan olehnya dan baru mengerjakannya sesudah mentari tenggelam.

Tapi, satu pendapat yang lain, tidaklah ada kisah yang pasti yang mengatakan Nabi Sulaiman telah tertinggal Solat Asar itu. Iaitu Nabi Sulaiman hanya melebihkan kuda dari ingat kepada Allah. Iaitu baginda telah melebihkan dunia dari akhirat. Tapi ini pun tidak patut kerana takkanlah seorang Nabi melebihkan keduniaan dari akhirat. Adakah ini نِعمَ العَبدُ (sebaik-baik hamba)? Maka kerana itu ada lagi pendapat-pendapat yang lain tentang perkara ini.

Ada juga yang menerjemahkan huruf عَن itu dengan maksud ‘kerana’ atau ‘dengan sebab’. Nabi Sulaiman sayang sangat kepada kuda-kuda itu kerana ingat kepada Tuhan. Kerana Allah yang suruh baginda menyiapkan kelengkapan senjata itu. Kerana itulah baginda lakukan perkara itu, kerana taat kepada kehendak Allah. Inilah tafsir yang amat sesuai dengan kedudukan Nabi Sulaiman. Ini juga adalah tafsir yang cermat.

 

حَتّىٰ تَوارَت بِالحِجابِ

sampai ia hilang dari pandangan”.

Tidak disebutkan dengan jelas dalam ayat ini apakah yang hilang dari pandangan. Satu pendapat mengatakan yang dimaksudkan hilang dari pandangan itu ataupun menyorok adalah ‘matahari’. Walaupun tidak disebut kalimah ‘matahari’ tapi ulama mengatakan ianya adalah mafhum (yang difahami) kepada ‘matahari’ kerana qarinah (hubungan, gabungan, pertalian dengan perkara lain). Maka ia bermakna, Nabi Sulaiman sibuk sangat periksa kuda-kuda itu sampai matahari telah tenggelam sampai terluput Solat Asar.

Ataupun, juga yang mengatakan ia dinisbahkan kepada ‘kuda-kuda’ itu yang berlari sampai hilang dari pandangan mata. Ini adalah kerana telah disebut sebelum ini yang kuda-kuda itu adalah jenis kuda yang laju. Sekejap sahaja berlari terus hilang dari pandangan. Ini pendapat yang lebih kemas kerana sebelum ini memang disebut tentang kuda. Dan kalau kita kata ia dinisbahkan kepada ‘matahari’ tidak berapa kuat kerana sebelum ini tidak disebut pun matahari.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maulana Asri

Tafsir Surah Sad Ayat 24 – 26 (Kesilapan dalam menghukum)

Ayat 24: Sambungan kisah Nabi Daud yang ditanya hukum tentang dua orang yang berbalah tentang kambing.

قالَ لَقَد ظَلَمَكَ بِسُؤالِ نَعجَتِكَ إِلىٰ نِعاجِهِ ۖ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ الخُلَطاءِ لَيَبغي بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَقَليلٌ مّا هُم ۗ وَظَنَّ داوودُ أَنَّما فَتَنّٰهُ فَاستَغفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ راكِعًا وَأَنابَ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[David] said, “He has certainly wronged you in demanding your ewe [in addition] to his ewes. And indeed, many associates oppress one another, except for those who believe and do righteous deeds – and few are they.” And David became certain that We had tried him, and he asked forgiveness of his Lord¹ and fell down bowing [in prostration] and turned in repentance [to Allāh].

  • For his errors, such as fear and suspicion of the two men at the outset, any mistake in judgement he might have made, concealed feelings of partiality, etc.

(MELAYU)

Daud berkata: “Sesungguhnya dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambahkan kepada kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh; dan amat sedikitlah mereka ini”. Dan Daud mengetahui bahawa Kami mengujinya; maka dia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat.

 

قالَ لَقَد ظَلَمَكَ بِسُؤالِ نَعجَتِكَ إِلىٰ نِعاجِهِ

Daud berkata: “Sesungguhnya dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambahkan kepada kambingnya. 

Seperti yang kita telah tahu, ramai yang telah masuk ke dalam perkarangan peribadi Nabi Daud (banyak tafsiran yang mengatakan hanya dua orang sahaja). Oleh kerana ramai yang berkerumun kepada baginda, maka baginda sudah risau dan fikiran baginda tidak tenang sedangkan hakim kena tenang dalam membuat keputusan.

Walaupun mereka telah berkata jangan takut, tapi mungkin baginda masih lagi ada perasaan takut dalam hati baginda. Maka baginda buat keputusan dengan cepat supaya mereka keluar segera dan tinggalkan baginda.

Oleh kerana hendak membuat keputusan dengan cepat, maka Nabi Daud hanya mendengar hujah dari satu pihak sahaja iaitu pihak yang miskin (yang ada satu kambing sahaja) tetapi baginda tidak tanya kepada pihak yang satu lagi. Dan ini tidak sesuai dan menjadi satu kesalahan di dalam mahkamah kerana mahkamah kena dengar hujah kedua-dua belah pihak.

Jadi ini telah menyalahi syariat kerana baginda telah buat keputusan tergopoh-gopoh dan beginilah kita selalunya dengan manusia yang mengadu kepada kita, bukan? Bayangkan, jikalau ada orang yang lemah mengadu kepada kita dengan sesuatu perkara, selalunya kita akan rasa dia yang telah dizalimi. Kadangkala kita tidak tanya pun kepada pihak yang kedua.

Maka ingatlah yang untuk berlaku adil dalam sesuatu hal pun, sebelum buat keputusan, kenalah kita dengar apakah hujah dan cerita dari pihak yang satu lagi.

 

وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ الخُلَطاءِ لَيَبغي بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ

Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain,

Kalimah الخُلَطاءِ adalah manusia yang bercampur sesama sendiri dan sentiasa berusaha bersama dan berada bersama-sama seperti dalam keluarga. Maka Nabi Daud menggunakan hujah yang biasa terjadi – apabila sudah berkumpul ramai-ramai, ada sahaja yang mengambil kesempatan ke atas orang lain dan melakukan kezaliman kepada orang lain.

 

إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh; 

Dan kerana sifat kezaliman setengah manusia ke atas setengah manusia yang lain, maka kerana itu biasa terjadi salah faham antara mereka. Ini biasa terjadi kepada manusia kecuali yang benar-benar beriman. Iaitu mereka yang dapat jaga tingkah laku mereka dan dapat jaga hati mereka dari ikut nafsu.

 

وَقَليلٌ مّا هُم

dan amat sedikitlah mereka ini”. 

Tapi tentunya orang yang beriman dan beramal soleh dalam dunia ini tak ramai. Begitulah kita pun tahu yang majoriti dari manusia bukanlah yang baik. Yang baik itu tidak ramai dan jarang kita dengar. Yang ramainya adalah mereka yang mengambil kesempatan ke atas orang lain. Sebab itu kita terpesona dengan orang yang baik sangat, sebab jarang dapat tengok.

 

وَظَنَّ داوودُ أَنَّما فَتَنّٰهُ

Dan Daud mengetahui bahawa Kami mengujinya;

Jadi Nabi Daud sudah jatuhkan hukuman, orang yang banyak kambing itulah yang bersalah. Masalahnya baginda tidak dengar hujah dari pihak kedua itu pun dan baginda telah memberi keputusan dengan tergesa-gesa dan ini adalah satu kesalahan.

Setelah baginda buat keputusan itu, maka para malaikat itu melihat sesama sendiri sambil tersenyum dan selepas itu mereka terbang menghilangkan diri dan pada ketika itulah Nabi Daud sedar bahawa mereka itu sebenarnya adalah malaikat. Tahulah baginda yang mereka itu dihantar oleh Allah untuk menguji baginda tentang keputusan yang baginda lakukan.

Maka baginda tahu yang baginda telah gagal dalam ujian itu. Baginda telah membuat keputusan dengan cepat dan tergesa-gesa kerana baginda tidak selesa dengan mereka dan mahu mereka segera keluar. Tapi baginda tahu yang itu bukanlah alasan.

Ada banyak tafsir tentang ayat ini dan banyak sumber datangnya dari sumber Isra’iliyyat. Nabi Daud juga adalah Nabi mereka juga jadi mereka ada kisah tentang baginda. Tapi seperti yang kita tahu, Ahli Kitab ini telah banyak mengubah kitab wahyu mereka dan mereka juga ada menokok tambah dan reka maklumat dalam kisah para Nabi. Ada kisah yang sangat teruk tentang Nabi Daud dalam hal ini, yang memang tidak patut disebut-sebut.

Akan tetapi kita ceritakan di sini kerana ia ada dalam kitab tafsir juga. Maka kita kena tolak kisah-kisah sebegini. Kerana kalau kita tidak sebut, mungkin ada yang sangka: “kalau dah ada dalam kitab tafsir, tentu ia benar…”. Ini adalah fahaman yang salah. Tidak semua dalam kitab tafsir itu benar. Kita kena banyak membaca dan menilai untuk mengenal pasti mana yang benar dan mana yang tidak. Memang pembelajaran memerlukan usaha dan masa. Dan kena bersedia untuk mengubah pendapat kalau ada maklumat yang lebih sahih.

Dalam riwayat Isra’iliyyat, dikatakan Nabi Daud sudah ada 99 isteri tetapi pada suatu hari, baginda ternampak seorang wanita cantik sedang mandi baginda telah terpikat dan hendak mengahwini wanita itu. Akan tetapi masalahnya wanita itu adalah isteri orang. Maka kerana nakkan juga wanita itu, maka Nabi Daud telah menugaskan suami wanita itu di barisan hadapan yang akan menyebabkan dia akan mati (atau Nabi Daud memang mengarahkan seseorang untuk membunuh suami itu).

Dan akhirnya Nabi Daud berjaya mengahwini wanita itu. Dan kerana itulah Allah menguji baginda dengan kejadian dalam ayat ini sebagai teguran kepada baginda kerana telah melakukan kesalahan mengahwini wanita itu dengan cara yang salah. Sudah ada banyak isteri, tapi masih lagi nak isteri orang lain.

Lihatlah bagaimana teruknya kisah ini kerana ia menggambarkan Nabi Daud sebagai seorang kaki perempuan dan sanggup menyebabkan kematian seorang lelaki hanya supaya dia dapat mengahwini isteri lelaki itu. Tambahan pula wanita yang dimaksudkan itu adalah ibu kepada Nabi Sulaiman pula. Dan sebelum mereka bernikah, mereka telah melakukan zina! Jadi ahli kitab sebenarnya telah mengutuk dan menghina dua orang Nabi dalam masa yang sama!

Oleh kerana itulah kisah ini tidak patut diterima dan tidak layak dinisbahkan kepada seorang Nabi. Maka kalau anda terdengar kita ini, maka hendaklah kita menolaknya. Malangnya kisah ini memang jelas ada dalam Kitab Old Testament mereka dan ada juga termasuk dalam kitab tafsir kita. Jadi amat perlu diberitahu kepada umum tentang perkara ini.

Ada lagi tafsir lain berkenaan perkara ini. Ia masih lagi tentang wanita itu tapi agak lembut dari yang pertama. Tafsiran ini mengatakan, seorang Nabi memang maksum tapi tidaklah mereka bebas dari melakukan kesilapan. Macam Nabi Yunus pun pernah buat silap dengan meninggalkan kaumnya sebelum diarahkan oleh Allah. Ini kerana para Nabi pun kena bisikan syaitan juga tapi Allah beri kekuatan kepada para Nabi untuk melawan dan tidak ikut bisikan itu. Mereka dipelihara dari melakukan dosa.

Jadi, mungkin Nabi Daud sudah terlihat kepada wanita itu dan sudah ada lintasan dalam diri baginda tentang wanita itu dan kerana itu Allah hantar para malaikat sebagai teguran kepada baginda (dengan buat olok-olok kisah kambing itu). Maka kononnya baginda bersalah kerana baginda telah meminta isteri itu dari suaminya. Maka barulah baginda sedar yang itu adalah ujian dari Allah untuk menghalang baginda dari meneruskan niat baginda itu.

Allah bawakan kisah ini sebagai isyarat – bukan kambing yang dimaksudkan, tapi wanita. Walaupun permintaan untuk berkahwin dengan isteri orang lain dibenarkan pada waktu itu, tetapi kedudukan baginda akan menyebabkan keterpaksaan bagi orang biasa. Maka Allah tegur keinginan baginda itu. Kerana baginda sudah ada banyak isteri tapi masih lagi teringin kepada isteri yang lain.

Kisah ini juga tidak benar dan hendaklah ditolak.

Di awal kisah ini, Nabi Muhammad disuruh untuk bersabar dengan kata-kata penentang baginda. Dan kemudian Allah terus berikan kisah Nabi Daud kepada baginda. Dan salah satu sebabnya adalah untuk memujuk baginda kerana dalam kisah ini, terdapat sesuatu yang boleh meredakan kerunsingan hati baginda.

Iaitu Allah nak beritahu yang baginda dituduh ahli sihir dan penipu sahaja, sedangkan Nabi Daud kena tuduh lebih teruk lagi – baginda dituduh telah berzina dengan isteri orang! Jadi tuduhan yang dikenakan kepada baginda itu tidaklah berat mana, maka bersabarlah sahaja.

Dan Musyrikin Mekah diingatkan dengan kisah Nabi Daud ini. Kalau seorang Nabi dan hamba yang disayangi pun ditegur oleh Allah kerana kesilapan kecil sahaja, maka bagaimana kalau mereka pula yang menentang Rasulullah dan menolak kebenaran? Adakah mereka sangka mereka akan selamat?

 

فَاستَغفَرَ رَبَّهُ

maka dia meminta ampun kepada Tuhannya

Maka baginda minta ampun di atas kesilapan baginda di dalam menangani penghakiman itu. Baginda terus meminta ampun kepada Allah.

 

وَخَرَّ راكِعًا وَأَنابَ

lalu menyungkur sujud dan bertaubat.

Dan baginda terus jatuh atas lutut baginda dan terus melakukan sujud kepada Allah kerana meminta ampun. Walaupun literal kalimah yang digunakan adalah راكِعًا (ruku’) tapi ulama bersetuju mengatakan yang dimaksudkan adalah ‘sujud’ dalam ayat ini.

Ayat ini adalah Ayat Sajdah maka hendaklah kita sujud selepas kita membaca ayat ini sama ada di dalam solat ataupun di luar solat. Cuma ayat ini ada khilaf di kalangan ulama sama ada ianya sunat atau pun tidak. Kerana ia bukanlah arahan dari Allah untuk melakukan sujud tapi ianya hanya menceritakan perbuatan Nabi Daud yang melakukan sujud.

Jadi ada ulama yang mengatakan ianya tidak sunat. Molek sahaja untuk kita sujud kerana ada hadis tentang perkara ini:

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ صَالِحٍ حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي هِلَالٍ عَنْ عِيَاضِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي سَرْحٍ عن أبي سعيد الخدري رضياللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ “ص” فَلَمَّا بَلَغَ السَّجْدَةَ نَزَلَ فَسَجَدَ وَسَجَدَ النَّاسُ مَعَهُ، فَلَمَّا كَانَ يَوْمٌ آخَرُ قَرَأَهَا فَلَمَّا بَلَغَ السَّجْدَةَ تَشَزّن النَّاسُ لِلسُّجُودِ، فَقَالَ: “إِنَّمَا هِيَ تَوْبَةُ نَبِيٍّ وَلَكِنِّي رَأَيْتُكُمْ تَشَزّنْتُم”. فَنَزَلَ وَسَجَدَ وَسَجَدُوا.
Imam Abu Daud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Saleh, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris, dari Sa’id ibnu Abu Hilal dari Iyad ibnu Abdullah ibnu Sa’d ibnu Abu Sarh, dari Abu Sa’id r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. membaca surat Shad di atas mimbarnya. Ketika bacaan baginda sampai pada ayat sajdah, baginda turun dari mimbarnya dan sujud. Maka orang-orang pun ikut sujud bersamanya. Pada hari yang lain, baginda Saw. membacanya. Dan ketika sampai pada ayat sajdah, orang-orang bersiap-siap untuk melakukan sujud. Maka Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya sujud ini merupakan ungkapan taubat seorang nabi, tetapi aku melihat kalian bersiap-siap melakukannya. Maka baginda Saw. turun (dari mimbarnya) dan sujud. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud secara munfarid, dan sanadnya dengan syarat ada di dalam kitab sahih.

 

Ayat 25:

فَغَفَرنا لَهُ ذٰلِكَ ۖ وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ وَحُسنَ مَئابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We forgave him that; and indeed, for him is nearness to Us and a good place of return.

(MELAYU)

Maka Kami ampuni baginya kesalahannya itu. Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik.

 

فَغَفَرنا لَهُ ذٰلِكَ

Maka Kami ampuni baginya kesalahannya itu.

Allah ampunkan kesilapan yang Nabi Daud telah lakukan. Kesilapan baginda itu pun kerana baginda tergesa-gesa dalam membuat keputusan. Jadi ia bukanlah satu kesalahan yang besar. Memang para Nabi tidak melakukan dosa, cuma kesilapan strategik sahaja.

Jadi kita kena sedar yang apa yang Nabi Daud buat ni adalah kesilapan sahaja, kerana kejadian ini berlaku kerana suasana bukan di dalam suasana mahkamah dan baginda telah tersilap kerana emosi baginda terganggu. Selalunya apabila keputusan dibuat di luar mahkamah, manusia akan buat keputusan dengan tergesa-gesa.

Tambahan pula, apabila satu pihak memberitahu kisahnya, pihak yang satu lagi pun tidak berkata apa-apa. Ini tentu sudah menjadi satu pengakuan bahawa apa yang disampaikan oleh pihak yang satu lagi itu benar. Kerana kalau tidak benar, tentu dia sudah membantah. Jadi tidaklah salah besar apabila Nabi Daud membuat keputusan berdasarkan apa yang baginda telah dengar itu.

Dan lagi satu keadaan mereka datang kepada baginda pada waktu yang tidak sesuai maka baginda telah tergopoh-gapah di dalam membuat keputusan kerana baginda mahu mereka keluar dengan segera.

 

وَإِنَّ لَهُ عِندَنا لَزُلفىٰ

Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan dekat pada sisi Kami 

Baginda mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Dan untuk mendapat kedudukan dengan Allah adalah dengan iman. Walaupun dalam ayat sebelum ini menyebut tentang kesilapan yang baginda lakukan, tapi tidaklah kesilapan itu merendahkan kedudukan baginda. kedudukan baginda tetap tinggi di sini Allah.

Surah sebelum ini disebut harta dan anak tidak mendekatkan diri dengan Allah. Dan sekarang kita tahu yang untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah dengan iman.

 

وَحُسنَ مَئابٍ

dan tempat kembali yang baik.

Baginda telah mendapat tempat kembali yang baik iaitu baginda dimasukkan ke dalam syurga.

Nabi Daud telah dipuja oleh kaum baginda selepas kematian baginda kerana mereka melihat baginda mempunyai banyak kelebihan; dan ini adalah perbuatan yang syirik dan Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa tidak layak baginda dipuja dan diseru kerana baginda pun manusia dan ada buat kesilapan.


 

Ayat 26:

يٰداوودُ إِنّا جَعَلنٰكَ خَليفَةً فِي الأَرضِ فَاحكُم بَينَ النّاسِ بِالحَقِّ وَلا تَتَّبِعِ الهَوىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبيلِ اللهِ ۚ إِنَّ الَّذينَ يَضِلّونَ عَن سَبيلِ اللهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ بِما نَسوا يَومَ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We said], “O David, indeed We have made you a successor upon the earth, so judge between the people in truth and do not follow [your own] desire, as it will lead you astray from the way of Allāh.” Indeed, those who go astray from the way of Allāh will have a severe punishment for having forgotten the Day of Account.

(MELAYU)

Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.

 

يٰداوودُ إِنّا جَعَلنٰكَ خَليفَةً فِي الأَرضِ

Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi,

Ini adalah ayat peringatan kepada Nabi Daud. Ia juga adalah peringatan penting kepada mereka yang telah diberi dengan tanggungjawab di bumi. Apabila kita ada kedudukan untuk menghakimi manusia, maka kena jaga hukum Allah. Kita kena jaga syariat dalam segenap hal kehidupan, tapi yang terutama sekali kalau ada jawatan. Kerana apabila kita ada kedudukan, maka kesan perbuatan kita itu lebih besar.

 

فَاحكُم بَينَ النّاسِ بِالحَقِّ

maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil

Maka kita hendaklah ikut jalan Allah yang adil. Dan kita telah belajar yang dalam kita membuat keputusan, kita kena dengar dua-dua belah pihak. Jangan kita dengar satu pihak sahaja dan kita terus buat keputusan.

Dan lagi satu, makna adil itu adalah dengan mengikut wahyu.

 

وَلا تَتَّبِعِ الهَوىٰ

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu,

Jangan ikut nafsu kerana ada manusia yang berhukum dengan ikut nafsu mereka sahaja. Kalau ikut nafsu, maka keputusan yang dilakukan itu tentulah keputusan yang salah.

 

فَيُضِلَّكَ عَن سَبيلِ اللهِ

kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. 

Ikut nafsu adalah ikut perasaan. Dan ia telah terjadi kepada Nabi Daud dalam ujian kepada baginda itu. Allah ingatkan baginda supaya jangan lupa melakukan perkara yang benar. Bukanlah baginda tidak tahu yang baginda kena dengar kedua-dua belah pihak, tapi baginda terlupa. Maka kejadian yang menimpa baginda itu menjadi pengajaran pula kepada kita.

 

إِنَّ الَّذينَ يَضِلّونَ عَن سَبيلِ اللهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat,

Orang yang sesat dari jalan yang benar, tidak buat keputusan ikut hukum dan ikut nafsu sahaja, mereka akan dikenakan dengan azab seksa.

 

بِما نَسوا يَومَ الحِسابِ

kerana mereka melupakan hari perhitungan.

Maksud ‘lupa’ adalah ‘tidak hiraukan’. Bukannya benar-benar terlupa tapi mereka tidak endahkan sahaja kerana mereka telah ikut nafsu mereka.

Habis Ruku’ 2 dari 5 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi