Tafsir Surah Sad Ayat 62 – 70 (Perbalahan ahli neraka)

Ayat 62:

وَقالوا ما لَنا لا نَرىٰ رِجالًا كُنّا نَعُدُّهُم مِّنَ الأَشرارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will say, “Why do we not see men whom we used to count among the worst?¹

  • They are referring to the believers.

(MELAYU)

Dan (orang-orang durhaka) berkata: “Mengapa kami tidak melihat orang-orang yang dahulu (di dunia) kami kira sebagai orang-orang yang jahat (hina).

 

وَقالوا ما لَنا

Dan (orang-orang durhaka) berkata: “Mengapa kami

Ini adalah pernyataan penyesalan yang amat sangat. Maksudnya lebih kurang begini: “apa yang tak kena dengan kami?”.

 

لا نَرىٰ رِجالًا

tidak melihat orang-orang

Hal ini menceritakan keadaan orang-orang kafir di neraka, mereka merasa kehilangan banyak orang yang dahulunya mereka kira dalam keadaan sesat. Ramai yang mereka kenal tidak kelihatan, ke mana mereka?

 

كُنّا نَعُدُّهُم مِّنَ الأَشرارِ

yang dahulu (di dunia) kami kira sebagai orang-orang yang paling jahat (teruk)?

Yang mereka maksudkan sebenarnya adalah orang-orang mukmin, yang menurut dugaan mereka dinilai sesat. Untuk itu mereka mengatakan, “Mengapa kami tidak melihat mereka bersama kami di neraka ini?”

Menurut Mujahid, ini adalah ucapan Abu Jahal. Dia mengatakan, “Mengapa aku tidak melihat Bilal, Amar, Suhaib, dan si Fulan dan si Anu.”

Sebenarnya ini adalah tamsil belaka, kerana sesungguhnya semua orang kafir mengalami keadaan seperti ini; mereka mempunyai dugaan bahawa orang-orang mukmin masuk neraka. Setelah orang-orang kafir itu dimasukkan ke dalam neraka, maka mereka kehilangan orang-orang mukmin dan tidak melihatnya. Mereka hanya nampak kumpulan mereka sahaja.


 

Ayat 63:

أَتَّخَذنٰهُم سِخرِيًّا أَم زاغَت عَنهُمُ الأَبصٰرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is it [because] we took them in ridicule, or has [our] vision turned away from them?”

(MELAYU)

Apakah kami dahulu menjadikan mereka olok-olokan, ataukah kerana mata kami tidak melihat mereka?”

 

أَتَّخَذنٰهُم سِخرِيًّا

Apakah kerana kami dahulu menjadikan mereka olok-olokan,

Mereka tidak nampak golongan yang mereka kutuk semasa di dunia dulu. Bila sesuatu golongan dijadikan sebagai bahan kutukan dan cemuhan, maka apa-apa sahaja maklumat atau dakwah dari mereka tentulah tidak akan diambil perhatian lagi. Macam sekarang, kalau kita sampaikan dakwah atau nasihat, golongan bidaah akan kata: “jangan dengar kata-kata Wahabi sesat tu!”

Yang amat menghairankan sekali, kita bawa dalil Al-Qur’an dan hadis, tapi dikatakan sesat? Kalau bukan bawa dalil Al-Qur’an dan hadis, nak bawa dalil mana lagi? Takkan bawa dalil dari Al-Qur’an dan sunnah dikatakan sesat pula? Hairan, amat hairan.

Maka, golongan neraka itu sudah dapat agak, mungkin yang dicari itu tidak ada dalam neraka. Mereka sahaja yang sangka golongan itu dulu sesat, padahal mereka yang sesat sebenarnya.

 

أَم زاغَت عَنهُمُ الأَبصٰرُ

ataukah kerana mata kami tidak melihat mereka?”

Kenapa tak nampak golongan yang beriman itu? Adakah mereka ada dalam neraka tapi mereka tidak nampak? Sebenarnya memang golongan mukmin itu tidak berada di neraka kerana mereka berada di syurga yang tinggi.


 

Ayat 64:

إِنَّ ذٰلِكَ لَحَقٌّ تَخاصُمُ أَهلِ النّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, that is truth [i.e., reality] – the quarreling of the people of the Fire.

(MELAYU)

Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi, (iaitu) pertengkaran penghuni neraka.

 

إِنَّ ذٰلِكَ لَحَقٌّ

Sesungguhnya yang demikian itu pasti terjadi,

Allah menceritakan kepada kita apa yang akan terjadi di akhirat kelak sebagai pengajaran bagi kita. Allah sampaikan kejadian yang benar dalam Al-Qur’an. Ia pasti akan terjadi kerana Allah sudah tahu ia akan terjadi. Kerana ilmu Allah dan tidak tertakluk dengan ruang masa dan tempat. Ini kerana ada sahaja yang keliru: “eh macam mana Allah tahu sedangkan ia tidak berlaku lagi?”

Ingatlah bahawa kita sahaja yang tidak dapat tahu kerana kita tertakluk dalam ruang tempat dan masa. Tapi Allah tidak tertakluk dalam ruang itu. Allah tahu apa yang telah terjadi, sedang terjadi dan yang akan terjadi.

 

تَخاصُمُ أَهلِ النّارِ

pertengkaran penghuni neraka.

Begitulah akan terjadi pertengkaran yang banyak di antara ahli neraka. Ini adalah antara banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang menceritakan pertengkaran ahli neraka sesama mereka. Mereka akan menyesal dan akan berkata macam-macam dan menyalahkan diri sendiri dan orang lain.

Semua itu sia-sia sahaja kerana mereka sudah masuk dalam neraka dan tidak akan keluar kalau pun mereka menyesal macam mana pun. Mereka menyalahkan orang lain macam mana pun, tidak akan berjaya mengurangkan azab mereka apatah lagi mengeluarkan mereka dari neraka.

Bacalah dengan hati yang terbuka kerana Allah ceritakan kepada kita supaya kita tidak jadi seperti mereka. Kita kena belajar apakah kesalahan mereka supaya kita dapat baiki diri kita.

Habis Ruku’ 4 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 65: Yang terpenting dalam dakwah adalah dakwah tauhid. Maka sekarang Allah kembali menyebut dan mengajar tentang tauhid. Ayat 65 – 85 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan ia menekankan yang tugas Rasulullah adalah sebagai munzir dan nazir.

قُل إِنَّما أَنا مُنذِرٌ ۖ وَما مِن إِلٰهٍ إِلَّا اللهُ الوٰحِدُ القَهّارُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “I am only a warner, and there is not any deity except Allāh, the One, the Prevailing,

(MELAYU)

Katakanlah (ya Muhammad): “Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan, dan sekali-kali tidak ada ilah selain Allah Yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan.

 

قُل إِنَّما أَنا مُنذِرٌ ۖ

Katakanlah (ya Muhammad): “Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan,

Allah ajar kepada Nabi Muhammad dan kepada kita semua bahawa kita hanya boleh sampaikan sahaja peringatan dan ancaman. Kita tidak boleh hendak memaksa orang yang didakwah itu untuk terus terima. Kita cuma kena sampaikan sebaik mungkin. Selebihnya terserah kepada mereka dan terserah kepada Allah kerana Allah sahaja yang boleh beri hidayah.

 

وَما مِن إِلٰهٍ إِلَّا اللهُ

dan sekali-kali tidak ada ilah selain Allah

Dan Allah suruh sampaikan konsep tauhid kepada manusia. Tidak ada ilah selain Allah. Ilah adalah tempat sandaran dan tempat pengharapan makhluk. Hanya Allah sahaja tempat kita bergantung.

Maka jangan jadikan Nabi, wali dan malaikat sebagai ilah; jangan jadikan nafsu kita sebagai ilah; jangan jadikan politik sebagai ilah; jangan jadikan wang dan harta sebagai ilah; maknanya macam-macam boleh menjadi ilah kepada kita kalau kita kalau kita tidak jadikan hanya Allah sahaja sebagai ilah kita.

Maka kena tolak semua selain Allah sebagai ilah. Jangan lebihkan selain Allah. Jangan letak pengharapan lebih kepada selain Allah. Pengharapan kepada selain Allah itu dalam lingkungan asbab sahaja (sebagai contoh, berharap minta pinjaman wang kepada seseorang kerana memang dia boleh beri).

Kenapa Allah sahaja layak menjadi ilah?

 

الوٰحِدُ القَهّارُ

Yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan.

Hanya Allah sahaja satu-satunya ilah dan kemudian Allah beritahu kenapa Allah sahaja layak menjadi ilah. Ini adalah kerana Allah itu tunggal tidak berkongsi kerajaan langit dan bumi dengan sesiapa pun. Maka kalau nak lantik ilah selainnya, ilah itu pun kenalah ada kuasa yang sama macam Allah juga.

Dan Allah sahaja yang maha berkuasa dan dapat mengalahkan apa sahaja. Maka mana mungkin ada selain Allah yang layak duduk bersama dengan kedudukan Allah? Kalau ada ilah yang lain, maka ia tentu akan dikalahkan oleh Allah.

Maka kerana hanya Allah sahaja yang ada dua sifat ini, maka sembah dan seru hanya kepada Allah sahaja. Jangan buat amal ibadat kepada selain Allah. Atau seru kepada selain Allah seperti yang banyak dilakukan sekarang. Maka tinggalkanlah seruan kepada Nabi, wali dan malaikat. Seruan sebegitu adalah syirik.


 

Ayat 66: Allah senaraikan lagi sifatNya yang melayakkan Dia sahaja ilah yang tunggal.

رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُمَا العَزيزُ الغَفّٰرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Lord of the heavens and the earth and whatever is between them, the Exalted in Might, the Perpetual Forgiver.”

(MELAYU)

Rabb langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

 

رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Rabb langit-langit dan bumi

Kalimah ‘Rabb’ bermaksud yang mencipta kemudian memelihara dan menjaga. Maknanya selepas Allah cipta langit dan bumi, Allah tidaklah biarkan sahaja. Allah tetap mengurus alam ini. Setiap apa yang berlaku adalah dalam urusan Allah.

Maka apabila kita ada keperluan apa-apa sahaja, minta pertolongan kepada Allah sahaja. Jangan minta kepada Nabi, wali dan malaikat pula.

 

وَما بَينَهُمَا

dan apa yang ada di antara keduanya

Kita nampak langit dan bumi. Dan kita pun boleh agak siapa duduk di langit dan di bumi.

Tapi Allah sebut ada makhluk di antara langit dan bumi yang kita pun tidak tahu. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah. Yang pasti semuanya berada dalam pentadbiran Allah SWT.

 

العَزيزُ الغَفّٰرُ

Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Kemudian Allah menyebut dua lagi sifatNya. Semua sifat-sifat ini dimiliki oleh Allah SWT sahaja. Makhluk tidak ada sifat-sifat ini maka tidak layak makhluk menjadi ilah.

Allah bersifat العَزيزُ. Antara maksudnya Allah boleh azab dan musnahkan sesiapa sahaja yang menentang dan tidak taat kepadaNya.

Tapi Allah juga bersifat الغَفّٰرُ. Allah tidak terus musnahkan mereka yang engkar kerana Allah nak beri peluang kepada makhluk untuk bertaubat kepadaNya. Allah suka kalau kita minta ampun kepadaNya dan Allah untuk ampunkan semua dosa kita.

Tapi ianya terpulang kepada Allah sama ada akan ampunkan atau tidak. Ini adalah hak Allah.


 

Ayat 67:

قُل هُوَ نَبَأٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “It is great news

(MELAYU)

Katakanlah: “Berita itu adalah berita yang besar,

 

Berita dan maklumat yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini adalah berita-berita yang amat besar dan penting. Ianya bukan tentang dunia sahaja tapi ia menceritakan tentang kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak.

Jadi ia amat-amat penting. Bukan berita main-main. Takkan kita tidak mahu selamat di dunia dan akhirat?

Kalimah نَبَأٌ bermaksud berita penting yang perlu diambil perhatian dan tindakan. Ianya bukan berita biasa. Dan ini dibincangkan dalam Surah Naba’.


 

Ayat 68:

أَنتُم عَنهُ مُعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

From which you turn away.

(MELAYU)

yang kamu berpaling daripadanya.

 

Tapi walaupun berita dalam Al-Qur’an itu amat penting akan tetapi masih ramai yang berpaling dari menerimanya. Ramai yang buat tak kisah sahaja. Mereka tak teringin pun nak belajar tafsir Al-Quran.

Sudahlah tidak mahu belajar, apabila ada orang yang sudah belajar cuba sampaikan kepada mereka, mereka tolak pula kerana apa yang disampaikan dalam tafsir itu berlainan dengan apa yang mereka fahami.


 

Ayat 69: Musyrikin Mekah mengejek Nabi Muhammad dengan bertanya bilakah azab yang dijanjikan kepada mereka itu akan dikenakan? Allah ajar baginda bagaimana nak jawab kenapa mereka tak kena azab lagi. Hujah utamanya adalah baginda tidak tahu ilmu ghaib.

ما كانَ لِيَ مِن عِلمٍ بِالمَلَإِ الأَعلىٰ إِذ يَختَصِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I had no knowledge of the exalted assembly [of angels] when they were disputing [the creation of Adam].

(MELAYU)

Aku tiada mempunyai pengetahuan sedikit pun tentang al mala’ul a’la (malaikat) itu ketika mereka berbantah-bantahan.

 

ما كانَ لِيَ مِن عِلمٍ بِالمَلَإِ الأَعلىٰ

Aku tiada mempunyai pengetahuan sedikit pun tentang al mala’ul a’la (malaikat) itu

Nabi disuruh untuk memberitahu bahawa baginda tidak tahu ilmu langit. Baginda tidak tahu apakah kejadian yang melibatkan para malaikat yang tinggi itu. Iaitu mereka yang berada di kedudukan tinggi di langit. Ini adalah para malaikat yang besar dan tinggi kedudukan mereka.

 

إِذ يَختَصِمونَ

ketika mereka berbantah-bantahan.

Ini adalah tentang perdebatan para malaikat yang kehairanan kerana Allah hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Ini disebut dalam Baqarah:30 dan seterusnya.


 

Ayat 70:

إِن يوحىٰ إِلَيَّ إِلّا أَنَّما أَنا نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It has not been revealed to me except that I am a clear warner.”

(MELAYU)

Tidak diwahyukan kepadaku, melainkan bahawa sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang nyata”.

 

Baginda tidak ada ilmu ghaib melainkan apa yang diberitahu kepada baginda sahaja. Jadi ini menolak pendapat yang mengatakan para Nabi tahu ilmu ghaib. Itu adalah kata-kata orang sesat sahaja dan jauh dari ajaran wahyu.

Maka kalau baginda tidak tahu apa yang terjadi di langit, maka bagaimana baginda nak tahu tentang azab yang akan dikenakan kepada manusia? Baginda tidak jaga azab itu, baginda hanya sampaikan sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s