Tafsir Surah Baqarah Ayat 111 – 112 (Hal agama kena ada bukti)

SANGKAAN BANI ISRAIL DAN PENOLAKANNYA

Baqarah Ayat 111: Ini adalah sambungan kecaman terhadap fahaman sesat Ahli Kitab. Yahudi dan Nasrani mendakwa Islam itu sia-sia dan penganutnya tidak akan masuk syurga. Ini menyambung perasan mereka seperti yang disebut di dalam Baqarah:80 sebelum ini. Penyakit syok sendiri. Jadi ini adalah ayat jenis syikayah (rungutan Allah tentang kata-kata golongan kafir).

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ  تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ

Sahih International

And they say, “None will enter Paradise except one who is a Jew or a Christian.” That is [merely] their wishful thinking, Say, “Produce your proof, if you should be truthful.”

Malay

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

 

وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ

Dan mereka berkata: Tidak akan masuk syurga;

Kepada Ahli Kitab, Islam adalah agama yang sesat, jadi pada mereka Muslim tidak akan masuk syurga. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan orang Islam sebenarnya menyembah Tuhan Bulan. Pernah keluar dalam makalah dakwah mereka tentang “Moon God” ini. Malah sekarang, ada di kalangan mereka yang mengatakan kita menyembah syaitan. Apa-apa pun, pada mereka, orang Islam akan masuk neraka. Mereka tidak akan mengiktiraf agama Islam. Ini adalah sambungan sifat dengki mereka terhadap Islam dan umat Islam.

 

إِلَّا مَنْ كَانَ هُودً

melainkan sesiapa yang dari agama Yahudi

Bagi Yahudi, yang akan masuk syurga hanyalah orang yang beragama Yahudi sahaja. Perasan sungguh mereka.

 

أَوْ نَصَـٰرَىٰ‌ۗ

atau agama Nasrani;

Bagi Nasrani pula, tentu mereka kata yang akan masuk syurga hanya Nasara sahaja. Mereka kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga. Yahudi kata Yahudi sahaja yang masuk syurga. Nasrani pula kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga. Allah ringkaskan penggunaan bahasa supaya tidak panjang meleret. Kalau panjangnya: orang Yahudi kata Yahudi sahaja masuk syurga dan orang Nasrani kata orang Nasrani sahaja masuk syurga.

Atau ia juga boleh bermaksud mereka mengatakan yang akan masuk syurga hanyalah Yahudi atau Nasrani. Memang mereka tidak sebulu (Yahudi kata Nasrani tidak benar dan Nasrani pula kata Yahudi tidak benar) – ini kita akan belajar dalam ayat 113 nanti. Namun, apabila kedua-dua mereka menghadapi Islam, mereka boleh pula berkata yang masuk syurga adalah sama ada Yahudi atau Nasrani, tetapi Muslim tidak akan masuk syurga. Kerana dua-dua itu memusuhi umat Islam, jadi jangan beri syurga kepada mereka ini.

Ini cara mereka hendak melemahkan akidah orang Islam. Yahudi kata syurga itu hanya untuk Yahudi dan Nasara kata syurga itu hanya untuk Nasara. Mereka cakap begitu kerana hendak melemahkan umat Islam. Mereka beri macam-macam hujah dan dengan cara inilah, ramai umat Islam yang murtad. Mereka cakap dengan berbagai-bagai cara penipuan mereka dalam dakwah sampaikan ramai umat Islam tertipu dengan dakwah mereka. Terutama mereka yang tidak mendalami agama sendiri.

Tetapi, ada kalangan kita tidak berani hendak kata bahawa orang Yahudi dan Kristian itu akan masuk neraka sebab kita takut kita dikatakan jumud pula. Maka, macam-macam cara kita cuba beri sebagai dalil ada kebarangkalian mereka masuk syurga juga. Padahal, kepada ahli agama mereka, senang sahaja mereka mengatakan orang Islam akan masuk neraka. Ingatlah, agama yang hanya diredhai Allah ‎ﷻ adalah agama Islam. Kalau selain dari agama Islam, tidak akan masuk syurga. Maka tidak salah kalau kita kata mereka itu akan masuk neraka.

Maka salah kalau ada orang selain Muslim mati, kita katakan ‘Rest in Peace’; mereka takkan berehat dalam alam barzakh dan di akhirat. Mereka itu memang ahli neraka sampai bila-bila dan mereka tidak ada tenang dari semenjak mereka mati lagi. Cuma janganlah kita mengutuk atau mengejek mereka. Dalam ayat sebelum ini, kita disuruh supaya فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا dengan mereka. Iaitu untuk memaafkan mereka dan biarkan dahulu mereka. Begitulah akhlak kita yang sepatutnya dengan mereka dan dengan orang beragama lain. Jangan pandang serong terhadap mereka. Mereka tidak masuk Islam itu adalah kerana dakwah belum sampai kepada mereka. Atau mereka tidak didakwah dengan cara yang baik. Maka kerana itu mereka belum nampak keindahan Islam. Lebih-lebih lagi kalau mereka melihat perangai orang Islam yang buruk.

Memang banyak dari kalangan kita yang berperangai buruk dan ini tidak dapat dinafikan. Kadang-kadang perangai orang Islam tidak melambangkan agama Islam yang murni. Ini kerana kita tidak mengamalkan agama Islam dengan sebenarnya. Kita bukan sahaja memandang serong dengan orang bukan Islam, dengan orang Islam pun kita pandang serong. Maka orang bukan Islam kalau tengok Muslim, tidak akan menyangka Islam ini adalah agama yang baik.

Ingatlah bahawa orang bukan Islam ada yang masuk Kristian kerana kebaikan budi yang ditunjukkan oleh mubaligh Kristian. Mereka pandai mengambil hati orang yang bukan Islam. Mereka tidak perlu membawa mesej Injil, tetapi mereka membawa kebaikan budi mereka sahaja. Tetapi kita tidak dapat membawa mesej Al-Qur’an kepada mereka kerana telah ditutup nafsu mereka untuk terima Al-Qur’an kerana perangai kita yang tidak molek.

Mereka hanya boleh memurtadkan orang yang jahil dalam agama dan mereka yang mahukan dunia sahaja. Ini kerana ada manusia yang seperti semut hendakkan gula. Jangan kata non-Muslim, ramai orang Islam yang masuk Kristian kerana termakan budi dengan kebaikan orang-orang Kristian di gereja.

Oleh kerana mereka faham perangai manusia, mubaligh Kristian pun memberikan kenikmatan dunia kepada mereka. Mereka tambah dengan berkata agama mereka lebih mudah untuk masuk syurga. Mereka kata boleh terus masuk syurga sebab Nabi Isa عليه السلام sudah mengorbankan dirinya dibunuh di salib supaya segala dosa umat diampunkan. Oleh kerana dakyah sebegini, maka ramailah yang murtad dan masuk Kristian – duit dapat, agama pun mudah pula.

 

تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ

Itu adalah angan-angan kosong mereka;

Allah ‎ﷻ beritahu yang anggapan mereka itu adalah angan-angan kosong mereka sahaja. Tidak ada bukti yang mengatakan mereka pasti akan masuk syurga. Ia adalah khayalan mereka sahaja kerana dakwaan itu tidak berasas dan tidak ada dalil. Kalimah angan-angan ini kita telah lihat di dalam ayat 78 sebelum ini,

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Tahukah siapa lagi yang berangan-angan masuk syurga? Itulah orang Islam yang perasan akan masuk syurga hanya kerana mereka mengucap syahadah sahaja. Sedangkan amalan mereka tidak dijaga, iman dan akidah mereka entah ke mana. Allah bukan sebut angan-angan orang Yahudi sahaja tapi menyentuh sesiapa sahaja yang ada angan-angan tapi tidak beramal. Ada orang mengaku Islam tapi aurat tidak ditutup; ada mengaku Islam tapi tidak solat. Dan banyak lagi kekurangan yang ada di dalam masyarakat tapi mereka perasan akan masuk syurga!

 

قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ

Katakan (kepada mereka): bawa mari dalil bukti kamu sekiranya kamu benar;

Allah ‎ﷻ suruh kita cabar mereka untuk bawakan bukti yang mengatakan hanya mereka sahaja yang akan masuk syurga. Kalimah هَاتُوا adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘kamu bawalah ke mari‘. Ia dari kata dasar: ه ا ت yang bermaksud bawa keluar, keluarkan.

Kalimah بُرهَانَ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘bukti‘. Ia dari kata dasar: ب ر ه ن yang bermaksud bukti, dalil. Bukti yang dimaksudkan mestilah dari wahyu Allah. Bukannya dari angan-angan kosong, reka kepala sendiri, mimpi tok syeikh atau dari google. Allah cabar mereka kerana Allah tahu yang mereka tidak akan dapat berikan bukti.

Di sini Allah mengajar kita untuk meminta bukti iaitu dalil. Jangan terus tolak tapi beri peluang kepada orang yang tidak bersetuju dengan kita untuk mengeluarkan dalil mereka. Jangan terus gelar orang Wahabi sahaja, tapi kemukakanlah bukti. Peluang kena diberikan kerana entah mereka yang benar. Kita hendak nilai apakah hujah dan dalil mereka. Tapi malangnya orang yang menentang kebenaran tidak ada bukti selalunya. Jadi mereka akan gunakan labelan, kutukan, herdikan, kuasa untuk menolak kebenaran. Selalu bila kita dalil bukti dari orang yang suka meratib wahabi, wahabi ini, selalunya krik, krik, krik sahaja. Tapi Allah sudah ajar adab kita dalam berdakwah iaitu beri peluang kepada puak yang satu lagi untuk mengeluarkan bukti mereka. Jangan terus tolak.

Dalam hal bid’ah, hujah pelaku bid’ah yang paling bodoh adalah: mana dia dalil larangan buat ini dan itu? Mana dia dalil larangan Tahlilan, Yasinan? Mereka itu sangatlah bodoh. Bagaimana Rasulullah boleh melarang sesuatu yang tidak berlaku di hadapan baginda? Yang sebenarnya mereka yang kena bawa dalil adanya amalan itu, tapi kerana mereka amat jahil, mereka pula yang minta dalil larangan! Ini sudah terbalik! Kalau sesuatu itu pernah berlaku di hadapan baginda, sudah pasti baginda akan tegur. Seperti disebut di dalam satu hadis,

 أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Anas bin Malik radliallahu ‘anhu berkata; Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya tentang ibadah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan setelah diberitakan kepada mereka, sepertinya mereka merasa hal itu masih sedikit bagi mereka. Mereka berkata, “Ibadah kita tak ada apa-apanya dibanding Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bukankah baginda sudah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan juga yang akan datang?” Salah seorang dari mereka berkata, “Sungguh, aku akan salat malam selama-lamanya.” Kemudian yang lain berkata, “Kalau aku, maka sungguh, aku akan berpuasa Dahr (setahun penuh) dan aku tidak akan berbuka.” Dan yang lain lagi berkata, “Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan menikah selama-lamanya.” Kemudian datanglah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada mereka seraya bertanya: “Kalian berkata begini dan begitu. Ada pun aku, demi Allah, adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kalian, dan juga paling bertakwa. Aku berpuasa dan juga berbuka, aku salat dan juga tidur serta menikahi wanita. Barangsiapa yang benci sunnahku, maka bukanlah dari golonganku.”
(Sahih Bukhari – 4675)

Antara hujah jahil golongan bid’ah adalah: “takkan salah kot Yasinan, baca Qur’an kot, bukannya pergi karaoke!” Nah kita berikan hadis ini. Ketiga-tiga lelaki ini bukannya buat perkara maksiat pun, tapi mereka hendak solat berpanjangan, hendak puasa berpanjangan, hendak buat ibadah berterusan. Akan tetapi Nabi tetap larang mereka. Kenapa? Kerana mereka menambah-nambah dalam amalan agama yang Nabi tidak pernah ajar dan suruh.

Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa dalam hal agama, perlu bawa bukti dan dalil dari sumber yang boleh dipercayai. Tidak boleh memakai kata-kata manusia yang berangan-angan sahaja. Macam ada yang kata “Takkan Allah ‎ﷻ tak beri pahala perbuatan amalan ibadat kita ini, walaupun Nabi ﷺ tak pernah buat”. Itu juga adalah angan-angan kosong. Tidak ada langsung bukti dan dalil yang boleh dibawa. Mereka sendiri tahu bahawa sesuatu amalan bid’ah itu Nabi ﷺ tidak buat. Tetapi mereka berangan yang Tuhan akan menerima amalan itu dan memberikan pahala kepada mereka.

Maka kena ingat yang dalam hal agama, kena ada bukti. Jadi jangan kelam kabut kalau ada orang yang mempersoalkan tentang Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ sendiri sudah cabar mereka untuk buat sesuatu yang seperti Al-Qur’an. Maka jikalau mereka mencabar Al-Qur’an, itu adalah cabaran bagi kita untuk mempertahankan Al-Qur’an.

Kita pun kena tunjukkan bukti, bukan sedap hendak minta bukti dari orang lain sahaja. Untuk mengeluarkan bukti itu, kita tentu akan lebih mengkaji tentang Al-Qur’an dan akan mendapat lebih kepercayaan kepada Al-Qur’an akhirnya. Yang penting, kita kena jawab menggunakan ilmu, bukan emosi.

Jadi ayat ini amat penting untuk kita hafal dan faham kerana ayat ini mengajar bahawa kita perlu jawab dengan menggunakan hujah dan dalil sahih. Bukan dengan mengangkat suara dalam perdebatan. Kalau ada yang mengangkat suara, kita tahu bahawa mereka berbuat begitu kerana mereka tidak ada hujah. Jangan cakap sahaja, kena berikan bukti kalau betul kita benar.

Ayat ini juga menjadi dalil bagi amalan bertanya dalil kepada penceramah dan asatizah. Kita tahu sekarang ini banyak yang marah-marah kepada golongan yang bertanyakan dalil (sikit-sikit dalil, sikit-sikit dalil puak ni!). Kita katakan memang Al-Qur’an yang ajar kita minta dalil. Kerana dalam hal agama memang kena minta dalil pun. Terutama kalau para penceramah sebut tentang perkara yang pelik-pelik yang tidak masuk akal. Maka janganlah marah kalau pendengar dan pelajar minta dalil, kerana ini adalah sunnah. Kenapa perlu marah?

Tapi kita sedarlah yang marah itu kerana mereka sendiri tidak ada dalil. Mereka dulu diajar oleh ustaz mereka agaknya untuk jangan bertanya dalil (guna alsan bodoh: kalau tanya iman lemah!) kerana ustaz mereka itu pun tidak ada dalil. Maka berterusanlah kalangan penceramah di negara kita ini yang laju sahaja mulut bergebang tanpa dalil. Tapi malang bagi mereka kerana masyarakat kita sudah semakin pandai. Sudah pandai dan berani minta dalil dari penceramah. Sedikit sebanyak ini mengajar para penceramah untuk buat kerja sikit untuk pastikan apa yang mereka sampaikan itu ada dalil sandaran. Zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu di mana masyarakat sendang ditipu. Masyarakat sekarang sudah terbuka kepada sumber ilmu yang pelbagai.

Kalau para penceramah kata orang awam tidak perlu dalil, maka katakan bahawa orang awam bukannya orang bodoh lagi. Orang awam juga kena belajar. Kalau orang awam tidak perlu jadi pandai, maka kenapa ada majlis ilmu? Dan orang awam pun kena pastikan maklumat yang mereka dapat itu benar. Kalau dalam berita perdana pun kita akan cuba pastikan maklumat yang kita dapat itu benar, apatah lagi tentang agama yang menentukan halal haram dan pengakhiran di syurga atau neraka. Takkan kita pakai terima sahaja kata-kata manusia? Nak masuk ada dalil doa, nak makan pun ada dalil doanya, malah hendak berjimak pun ada dalil doanya. Maka takkan benda yang lebih penting seperti solat dan puasa tidak ada dalil bagi amalannya? Jadi mana dia dalil amalan sapu muka selepas solat? Maka dalil lafaz niat berpuasa seperti yang diajar sekarang?

Alhamdulillah sekarang masyarakat sudah berani bertanya dan budaya ini perlu disuburkan lagi. Memang ada usaha-usaha untuk mematikan sifat bertanya ini dan kita katakan yang ini adalah sifat yang amat buruk sekali. Jangan kita beri peluang lagi kepada penceramah yang tidak beri dalil dan marah apabila diminta dalil. Mereka itu tidak patut dibenarkan bercakap lagi kalau memarahi orang yang meminta dalil. Kalau mereka marah juga maka hafal ayat ini: هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ. 


 

Baqarah Ayat 112: Allah ‎ﷻ menjelaskan perkara yang sebenar tentang siapakah yang berhak masuk syurga.

بَلَىٰ مَن أَسلَمَ وَجهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَلَهُ ۥۤ أَجرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوفٌ عَلَيهِم وَلَا هُم يَحزَنُونَ

Sahih International

Yes [on the contrary], whoever submits his face in Islam to Allah while being a doer of good will have his reward with his Lord. And no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

Malay

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ

Bahkan yang sebenarnya sesiapa yang menyerahkan wajahnya kepada Allah;

Kalimah بَلَىٰ ditafsirkan sebagai ‘bah tidak’. Iaitu hendak menidakkan fahaman sesat Yahudi dan Nasrani yang telah disebut di atas. Yang sebetulnya, yang masuk syurga adalah mereka yang 100% serah diri untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, tidak kira golongan mana dan mereka itu mengharapkan redha Allah ‎ﷻ.

Memang perkataan ‘Islam’ itu maknanya ‘serah diri’. Maka kena serah diri sepenuhnya, bukan sedikit-sedikit. Sebagai contoh, katakanlah kita serahkan hadiah berbentuk kain kepada seseorang, tetapi kita kata: kita beri kain itu kepada orang itu, kecuali sehelai benang dari kain itu. Kalau kita buat begitu, ia tidak dikira sebagai ‘serah’ sebab kita tidak beri sepenuhnya. Maka, kita kenalah taat seluruhnya kepada Allah ‎ﷻ dengan mengikut semua hukum bukan setengah-setengah.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut ‘wajah’ tetapi yang dikehendaki sebenarnya semua anggota. Digunakan kalimah wajah kerana wajah adalah bahagian yang termulia dari jasmani manusia. Pada wajah terdapat mata, hidung, dan mulut dan lidah. Kegembiraan dan  kesedihan, amarah, rasa takut, dan sedih, bahkan semua emosi manusia kelihatan melalui wajah. Wajah adalah gambaran identiti manusia,  sekaligus menjadi lambang seluruh dirinya. Wajah adalah bahagian  termulia dari tubuh manusia yang orang nampak. Kalau yang termulia telah  diserahkan atau telah tunduk, maka yang lain pasti telah serta merta turut tunduk juga. Maka siapa yang menyerahkan wajahnya secara tulus kepada Allah,  dalam erti ikhlas beramal dan amal itu adalah amal yang baik, maka baginya ganjarannya di sisi Tuhan-nya.

Satu lagi tafsir bagi kalimah wajah ini adalah ٌوِجهَة iaitu tujuan hidup. Tujuan hidup kita mestikan kepada Allah, hendak mencari redha Allah. Maka kerana itulah kita kena belajar apakah yang Allah redha.

Ada pentafsir yang mengatakan bahawa أَسْلَمَ وَجْهَهُ bermaksud ‘sujud’ kerana kita sujud dengan wajah kita, bukan? Bani Israil juga sebenarnya ada juga sujud dalam ibadat mereka. Tetapi mereka telah meninggalkannya kerana mereka telah lama ubah agama mereka. Mungkin ada sedikit yang masih mengamalkannya tetapi sedikit sangat.

Ia juga merujuk kepada orang merendahkan egonya. Ini kerana selalunya apabila disebut ‘wajah’, ia merupakan imbalan kepada ego. Untuk menjadi manusia yang baik, kenalah rendahkan ego.

 

وَهُوَ مُحْسِنٌ

Dan dia dalam keadaan muhsin;

Iaitu menyerah diri dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maknanya, tiada syirik khofi (syirik yang tersembunyi). Kadang-kadang, seseorang itu beramal tetapi tidak ikhlas, kerana ada syirik di dalam hatinya. Contoh syirik hati itu adalah riak, ujub – berasa pandai, berasa diri cantik, sangka ibadat dia paling banyak dan sebagainya. Atau mereka takabbur dalam percakapan. Atau mereka ada perasaan hasad dengki, buruk sangka dan cemburu.

Semua itu adalah syirik yang tidak nampak dalam penglihatan kita. Itulah sebabnya ia disebut syirik khofi – iaitu syirik yang tersembunyi. Kenapa ia dipanggil syirik? Ini kerana kita mengharapkan pujian manusia padahal pujian yang kita patut harapkan hanya dari Allah ‎ﷻ sahaja.

Oleh itu Ihsan bermaksud melalukan sesuatu ibadat itu dengan mengetahui bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita. Apabila kita sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita dan segala perbuatan yang kita lakukan, maka ia akan menyebabkan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik dalam ibadatnya. Ia akan menyebabkan seseorang itu tidak akan melakukan perbuatan yang salah kerana dia sedar bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikannya.

Orang Muhsin ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Kebaikan mereka lebih banyak dari keburukan (kerana setiap manusia ada juga elemen keburukannya). Mereka itu berbuat baik dengan Allah malah bukan dengan Allah sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia.

Bagaimana pula berbaik dengan Allah ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”
(Hadith Riwayat Muslim (8))

Daripada hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.

    1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.
    2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.

Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu mesti adalah ihsan kepada Allah dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur).

Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan salat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah . Selepas itu disambung dengan ihsan kepada manusia.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Apakah pula nikmat yang akan ditambah kepada mereka itu? Ia tidak disebut di dalam ayat Surah A’raf ini akan tetapi ada disebut di dalam ayat-ayat yang lain. Antaranya lihat Yunus: 26

لِلَّذينَ أَحسَنُوا الحُسنىٰ وَزِيادَةٌ ۖ وَلا يَرهَقُ وُجوهَهُم قَتَرٌ وَلا ذِلَّةٌ ۚ أُولٰئِكَ أَصحابُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خالِدونَ
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Di dalam ayat Surah Yunus ini adalah terdapat kalimah زِيادَةٌ (tambahan) yang lebih kurang sama dengan kalimah سَنَزيدُ dalam ayat daripada Surah A’raf ini. Ada tafsiran daripada hadith yang mengatakan makna زِيادَةٌ itu adalah dapat melihat wajah Allah . Maknanya, sudah dapat masuk syurga sudah hebat, namun ada lagi yang lebih hebat apabila sudah masuk ke dalam syurga, iaitu melihat wajah Allah .

Perlu juga kita tambah di sini, amalan yang baik juga adalah amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Ini dengan melihat kepada konteks ayat ini. Di bahagian pertama telah disebut hadapkan wajah kepada Allah yang bermakna buat apa-apa kerana Allah (ikhlas). Kalau ikhlas barulah amalan diterima. Selain dari ikhlas, ada satu lagi syarat amalan itu diterima iaitu ikut sunnah Nabi. Kerana amalan yang diajar Nabilah yang ihsan (baik). Jikalau amalan itu adalah rekaan manusia, ia bukanlah amalan yang ihsan, tetapi amalan bid’ah. Oleh itu, walaupun kalau seseorang itu ikhlas seikhlas-ikhlasnya dalam melakukan ibadat, namun dalam masa yang sama dia melakukan ibadat yang bid’ah, ia masih tidak diterima kerana tidak mencukupi syarat.

Kerana itulah kita telah sebutkan di atas untuk bertanya dalil bagi apa-apa amalan dalam agama. Jangan pakai buat sahaja seperti yang telah diamalkan oleh masyarakat kita zaman berzaman. Itu bukan cara mukmin. Orang mukmin dan berilmu akan sentiasa mencari dalil bagi amalannya kerana hendak memastikan ia adalah amalan yang baik. Kalau amalan rekaan, ia belum tentu baik lagi. Kalau baik pada mata manusia belum tentu baik di mata Allah. Siapa kita yang memandai hendak mengatakan tidak mengapa beramal begini dan begitu kerana ia adalah yang hasanah? Atas alasan falasi inilah yang menyebabkan ramai tertipu sampai menyatakan sesuatu amalan itu bid’ah tapi bid’ah hasanah! Mereka ini memang keliru dengan ilwu wahyu. Sudah lama mereka tinggalkan ilmu wahyu kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadis yang sahih.

 

فَلَهُ ۥۤ أَجرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِ

kepadanyalah pahala dari sisi Tuhannya.

Mereka yang beramal dengan ikhlas dan beramal dari amalan yang soleh, akan mendapat balasan pahala. Pahala yang baik itu dari sisi Allah ‎ﷻ, dari pemberian Allah ‎ﷻ. Inilah kaedah Allah ‎ﷻ yang sebenarnya. Sesiapa sahaja yang beramal menepati syaratNya, akan diberi pahala dan dimasukkan ke dalam syurga. Bukannya Allah ‎ﷻ melihat bangsa seseorang itu, tetapi dari amalnya.

Dari pembacaan kita di atas, ada dua syarat untuk kita mendapat pahala dari sisi Allah ‎ﷻ: pertama, amalan itu mestilah ikhlas, dan keduanya ia adalah amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukan amalan bidaah. Kalau ia hanya ikhlas, tetapi bukan yang ihsan, ia tidak akan diterima.

Dan kalau ia adalah amalan ihsan, tetapi tidak ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Kena memenuhi dua-dua syarat itu. Seperti dalam hadith berikut:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut tertolak”
(Riwayat Muslim no. 1718)

Di dalam ayat ini digunakan kalimah tunggal iaitu وَجْهَهُ, وَهُوَ, فَلَهُ ۥۤ أَجرُهُ. Adakah seorang sahaja dapat masuk syurga? Tentulah tidak. Allah menekankan kalimah-kalimah ini di dalam bentuk tunggal untuk menekankan tentang amalan dan tindakan individu; setiap orang bertanggungjawab terhadap amalannya sendiri. Tidak orang masuk syurga kerana kumpulannya atau dibawa oleh orang lain. Masing-masing memperolehi ganjaran sesuai dengan amalannya. Nanti di dalam syurga ada ramai ahli syurga. Untuk mengelakkan kekeliruan, selepas ini disebut di dalam bentuk jamak pula.

Jadi inilah sifat orang yang layak masuk syurga. Di dalam ayat 81 sebelum ini telah disebut siapakah ahli neraka, jadi kita boleh buat perbandingan dan buat persediaan.

بَلىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَـٰطَت بِهِ خَطيئَتُهُ فَأُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Sekali lagi Allah gunakan kalimah عِندَ رَبِّهِ yang menekankan Dia yang akan beri pahala itu. Pemberian yang kita dapat bergantung kepada siapa yang memberi. Kalau Allah yang memberi, mestilah ia hebat sangat. 

 

وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan tidaklah takut ke atas mereka

Mereka tidak akan ada rasa takut; Atau bermaksud mereka tidak perlu takut pada hari akhirat kelak kerana mereka akan selamat. Dalam erti kata lain: tidak ada apa yang perlu ditakuti atas mereka.

Malah orang mukmin adalah orang yang tenang, tidak takut kepada selain Allah semasa di dunia lagi. Mereka tidak tahu dengan hantu, dengan jin, dengan manusia. Ini kerana mereka lebih takut dengan Allah. Takut yang biasa-biasa itu tidaklah mengapa seperti takut kepada singa. Ini tidak mengapa. Tapi kalau takut kepada manusia sampai tidak menyatakan kebenaran, ini bukanlah sifat orang mukmin.

Lihatlah bagaimana perubahan penggunaan ayat dalam ayat ini: Di bahagian pertama, Allah ‎ﷻ menggunakan penggunaan kata mufrad (singular): وَجْهَهُ (wajahnya), وَهُوَ (dia – seorang), فَلَهُ أَجْرُهُ (untuknya pahala – seorang juga), عِنْدَ رَبِّهِ (di sisi Tuhannya – seorang juga).

Tetapi di bahagian kedua, Allah ‎ﷻ mengubah penggunaan kata dalam bentuk jamak (plural): عَلَيْهِمْ (atas mereka), وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (mereka tidak akan bersedih). Ini menunjukkan bahawa kadang-kadang dalam kita hendak mengamalkan ajaran agama yang sebenar dan yang sunnah, kadang-kadang kita berseorangan dalam menjalankannya. Tetapi nanti di dalam syurga, akan ada ramai lagi yang bersama dengan mereka.

 

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidaklah mereka berdukacita;

Iaitu mereka tidak akan berdukacita apabila mereka masuk syurga nanti. Walaupun keluarga mereka tidak masuk syurga, mereka tidak akan berasa dukacita. Ini kerana Allah ‎ﷻ akan beri mereka lupa tentang ahli keluarga mereka yang tidak dapat masuk syurga. Sebab kalau mereka ingat, mereka akan berdukacita pula. Padahal syurga bukanlah tempat untuk berdukacita. Maka, Allah ‎ﷻ akan beri mereka lupa kepada ahli keluarga mereka yang tidak masuk syurga. Bukan mereka sendiri yang lupa, tetapi Allah ‎ﷻ yang menyebabkan mereka lupa. Dalilnya adalah kisah Nabi Ibrahim di akhirat kelak yang teringatkan bapanya,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَلْقَى إِبْرَاهِيمُ أَبَاهُ آزَرَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَعَلَى وَجْهِ آزَرَ قَتَرَةٌ وَغَبَرَةٌ فَيَقُولُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ لَا تَعْصِنِي فَيَقُولُ أَبُوهُ فَالْيَوْمَ لَا أَعْصِيكَ فَيَقُولُ إِبْرَاهِيمُ يَا رَبِّ إِنَّكَ وَعَدْتَنِي أَنْ لَا تُخْزِيَنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ فَأَيُّ خِزْيٍ أَخْزَى مِنْ أَبِي الْأَبْعَدِ فَيَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى إِنِّي حَرَّمْتُ الْجَنَّةَ عَلَى الْكَافِرِينَ ثُمَّ يُقَالُ يَا إِبْرَاهِيمُ مَا تَحْتَ رِجْلَيْكَ فَيَنْظُرُ فَإِذَا هُوَ بِذِيخٍ مُلْتَطِخٍ فَيُؤْخَذُ بِقَوَائِمِهِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ
Dari [Abu Hurairah radiallahuanhu ‘anhu] dari Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “Nabi Ibrahim Alaihissalam bertemu dengan ayahnya, Azar, pada hari qiyamat. Ketika itu wajah Azar ada debu hitam lalu Ibrahim berkata kepada bapanya: “Bukankah aku sudah katakan kepada ayah agar ayah tidak menentang aku?”. Bapanya berkata; “Hari ini aku tidak akan menentangmu.” Kemudian Ibrahim berkata; “Wahai Rabb, Engkau sudah berjanji kepadaku untuk tidak menghinakan aku pada hari berbangkit. Lalu kehinaan apalagi yang lebih hina dari pada keberadaan bapaku yang jauh (dariku)?”. Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya Aku mengharamkan syurga bagi orang-orang kafir”. Lalu dikatakan kepada Ibrahim; “Wahai Ibrahim, apa yang ada di kedua telapak kakimu?”. Maka Ibrahim melihatnya yang ternyata ada seekor anjing hutan yang kotor. Maka anjing itu diambil kakinya lalu dibuang ke neraka”.
Jami’ Tirmizi (3101). Status: Sahih

Ia juga bermaksud, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia yang mereka sayang ini. Dari segi bahasa, apabila dikatakan mereka tidak akan berdukacita, bermaksud akan ada manusia yang akan berdukacita nanti di akhirat nanti. Itu adalah orang-orang yang tidak mahu mengikut arahan Allah ‎ﷻ. Iaitu mereka yang tidak mengendahkan agama.

Dari ayat ini kita dapat tahu yang orang Mukmin itu tenang-tenang sahaja di dalam hidupnya tanpa ada rasa takut dan sedih. Jadi kalau dua emosi ini menghantui kita, maka kena periksa balik amalan kita. Mesti ada melanggar salah satu dari dua syarat yang disebut di dalam ayat ini iaitu ikhlas dalam ibadah dan amalan kena ikut sunnah. Jadi mungkin amalan kita belum ikhlas atau amalan kita itu tidak menepati sunnah, atau kedua-duanya sekali!

 

Habis Ruku’ 13 dari 40 surah ini

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 109 – 110 (Konspirasi orang kafir)

TETAPLAH DI ATAS JALAN YANG LURUS

Baqarah Ayat 109: Kalau sebelum ini telah disebut orang kafir tidak suka orang beriman, sekarang disebut yang lebih teruk dari itu; iaitu mengembalikan orang beriman kepada kekafiran. Kalau setakat tidak suka sahaja, ianya dalam bentuk pasif. Tapi kalau sudah berusaha menyesatkan umat Islam, maka ini adalah tindakan yang aktif dan ianya lebih teruk. Maka sekarang Allah terus membongkar isi hati kedengkian golongan Yahudi itu.

وَدَّ كَثيرٌ مِّن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ لَو يَرُدّونَكُم مِّن بَعدِ إِيمَـٰنِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

Many of the People of the Scripture wish they could turn you back to disbelief after you have believed, out of envy from themselves [even] after the truth has become clear to them. So pardon and overlook until Allah delivers His command. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ ٱلكِتَـٰبِ

Tersangat ingin banyak daripada ahli kitab itu

Allah ‎ﷻ menceritakan apakah keinginan dan rancangan golongan Yahudi itu terhadap orang Islam. Bukanlah semua kerana Allah sebut كَثِيرٌ, bukannya semua mereka. Dan ia juga bukanlah bermaksud majoriti (kebanyakan) kerana dari sepuluh helai kertas, kalau kita ambil tiga, itu sudah dikira banyak tapi tidaklah majoriti dari helaian kertas-kertas itu. Ramai yang menterjemahkan kalimah كَثِيرٌ sebagai ‘majoriti’ (kebanyakan) dan ini tidaklah kita katakan tepat. Akan tetapi apabila banyak dari kalangan mereka, maka kita kena perhatikan betul-betul perkara ini dan hendaklah kita berjaga-jaga.

 

لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِّنْ بَعْدِ إِيمَـٰنِكُم كُفَّارًا 

kalaulah sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kufur setelah kamu beriman;

Kalimah يَرُدُّونَ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ jamak yang bermaksud ‘mereka mengembalikan‘. Ia dari kata dasar ر د د yang bermaksud menghantar balik, patah ke belakang, menolak, enggan, mengembalikan, ambil balik, ulang. Kerana itu seorang muslim yang keluar Islam digelar sebagai murtad yang diambil dari katadasar ini.

Memang mereka suka kalau umat Islam kembali kafir kerana mereka tidak sukakan Islam. Akan tetapi kehendak mereka ini tidak berjaya kerana ada kalimah لَوْ di dalam ayat ini. Kerana ia memberi isyarat tentang sesuatu yang mustahil terjadi. Ini kerana apabila iman sudah ada, مِّنْ بَعْدِ إِيمَـٰنِكُم, seorang mukmin itu akan tetap di atas imannya dan tidak akan goyah. Jadi mereka tidak akan dapat memurtadkan keseluruhan umat Islam.

Akan tetapi mereka berjaya memurtadkan ramai dari kalangan umat Islam. Dan usaha pemurtadan ini sentiasa sahaja berjalan dari dahulu sampai sekarang, kita sahaja yang tidak perasan. Mereka melakukan berbagai-bagai cara. Kalau tidak dapat murtadkan terus secara zahir, mereka jauhkan umat Islam dari agama yang tidak jauh pun bezanya dengan murtad. Kerana kalau nama sahaja muslim, tapi tidak amalkan Islam dengan sebenarnya, apa guna lagi? Sampaikan ramai yang tidak solat, tidak kenal Al-Qur’an, malah tidak tahu pun agama Islam itu apakebendanya. Cara apa yang mereka guna? Mereka akan jauhkan umat Islam dari Al-Qur’an. Kerana kalau manusia kenal Al-Qur’an, maka mereka akan kuat dengan agama dan tidak senang ditipu. Jadi usaha menjauhkan manusia dari Al-Qur’an memang diguna zaman berzaman dengan cara yang halus seperti disebut di dalam Fussilat:26

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَسمَعوا لِهٰذَا القُرءآنِ وَالغَوا فيهِ لَعَلَّكُم تَغلِبونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (menghalang mereka dari baca Al-Qur’an)!”

Orang kafir itu menjauhkan umat manusia dari Al-Qur’an dengan memberi mereka dengan perkara-perkara yang melalaikan mereka. Ini boleh jadi dengan filem, muzik dan nyanyian, game, sukan dan macam-macam lagi. Kalau tidak kenal Al-Qur’an, maka banyak perkara lain yang akan nampak lebih menyenang dan melegakan. Jadi sekarang mana satu kegemaran masa lapang anda?

Ayat ini juga adalah kesinambungan daripada ayat sebelum ini tentang pertanyaan-pertanyaan golongan Yahudi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tujuan mereka tanya macam-macam kepada Nabi Muhammad ﷺ itu adalah untuk orang Islam murtad dan kembali kafir. Mereka jadikan banyak isu seperti kekalahan umat Islam di Perang Uhud contohnya, kenapa perubahan kiblat ke Mekah dan banyak lagi isu-isu yang mereka ketengahkan. Mereka hendak umat Islam menjadi sangsi dengan agama Islam. Ini akan terjadi kepada orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri. Mereka tidak mahu belajar agama, atau mereka ada belajar tetapi mencari benda yang memeningkan, macam belajar tarekat. Beginilah juga cara Syiah kacau orang Islam zaman sekarang. Yang keliru adalah mereka yang jahil dengan agama sendiri. Tambahan pula kalau memandai cari maklumat agama di internet tanpa panduan, maka banyaklah fahaman yang pelik-pelik sekarang ini.

Golongan Yahudi itu mengkaji hukum-hukum dalam Islam dengan niat untuk menghentam orang Islam dan agama Islam. Orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri senang menjadi sasaran orang Yahudi. Mereka tahu ada orang Islam yang jahil dengan agama sendiri dan senang untuk ditipu. Mereka akan persoal tentang hukum agama kepada orang Islam sebegitu sampai mereka tidak boleh jawab. 

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita, kenapa golongan Yahudi itu masuk dalam kelompok orang Islam. Tujuan mereka adalah untuk menimbulkan kesangsian terhadap orang Islam. Sebagai contoh, mereka akan persoalkan tentang hukum hudud. Mereka kata bagaimana hukum hudud boleh dikira sebagai hukum yang adil sampai memotong tangan orang yang mencuri? Tidakkah itu ekstrim?! Orang yang tidak tahu apakah hukum dan kepentingan hukum itu, mungkin ada yang termakan dengan persoalan-persoalan yang mereka timbulkan. Maka kita sebagai umat Islam kena perkuatkan ilmu kita dengan agama kita sendiri supaya jangan tertipu dan termakan dengan diayah mereka. Sebagai contoh dalam hal hudud, kita kena belajar apakah hudud itu dan apakah kepentingan dan kebaikan yang ada padanya, dibandingkan dengan hukuman undang-undang rekaan manusia.

 

حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم

kerana hasad dengki dari sisi diri mereka sendiri

Mereka hendakkan kita menjadi kafir juga macam mereka. Kenapa? Kerana dengki. Kalimah حَسَدًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘dengki’, ‘cemburu’. Ia dari kata dasar: ح س د yang bermaksud dengki, cemburu, dendam. Jadi hasad itu bermaksud dengki, tapi orang Melayu gabungkan sekali jadi ‘hasad dengki’ sedangkan kalau sebut salah satu sahaja sudah cukup. Dengki itu adalah perasaan yang buruk dalam diri apabila ada orang lebih baik dari kita.

Dan dengki itu datang dalam diri mereka sendiri yang bermakna kedengkian itu besar dan kuat. Mereka tidak mahu orang Islam maju kerana kalau Muslim maju, mereka dengan sendirinya akan mundur. Bayangkan kalau Islam tersebar menyeluruh segenap dunia ini. Bukankah dalam Al-Qur’an dan kitab-kitab Islam yang lain akan menyebut bagaimana Yahudi itu tidak boleh dipercayai? Teruklah mereka kalau begitu. Bayangkan perkara ini disebut dalam bahagian Surah Baqarah yang awal pula. Maknanya awal-awal lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu perangai mereka kepada pembaca Al-Qur’an. Maka, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan Islam kerana hendak menjaga pengaruh mereka dalam dunia ini.

Memang penyakit dengki ini adalah penyakit yang amat bahaya dan susah untuk dihilangkan. Dan mungkin kita sendiri tidak sedar yang kita ada sifat ini jikalau kita tidak berhati-hati. Ianya memakan diri kita dan akan merosakkan kita kalau ia ada pada kita. Sabda Nabi,

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.
Sunan Abi Dawud (4903)

Allah mengatakan di sini dengki itu مِّن عِندِ أَنفُسِهِم kerana perasaan hasad dengki itu ada dalam diri mereka, bukannya datang dari Allah. Kerana ada sahaja dengki yang dari Allah dan baik kalau ada seperti disebut di dalam satu hadis,

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.
Sahih al-Bukhari (73)

Tapi bukan itu yang berlaku dalam hati golongan Yahudi itu. Hati mereka busuk dengan kebencian kepada umat Islam dan agama Islam. Hati mereka sendiri yang ada masalah sebenarnya. Sekarang Allah ‎ﷻ telah membongkar perasaan mereka itu dan menjadi pengajaran kepada kita. Apa yang mereka dengki sangat? Kerana umat Islam dapat Al-Qur’an. Akan tetapi kita yang dapat Al-Qur’an ini buat tak tahu sahaja dengan Al-Qur’an ini. Memang kebanyakan dari kita tidak tahu diuntung.

 

مِّنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

selepas telah nyata bagi mereka kebenaran;

Iaitu setelah nyata kebenaran Al-Qur’an kepada mereka. Jadi mereka ini bukannya tidak tahu kebenaran, tapi mereka kenal sangat. Mereka ini bukanlah ‘kafir jahil’ tapi ‘kafir degil’. Mereka tahu Al-Qur’an itu adalah benar, tetapi kerana Al-Qur’an itu diturunkan kepada selain dari golongan mereka, maka mereka tidak berpuas hati dan dengki, maka mereka tidak boleh terima.

Mereka buat semua ini setelah jelas pada mereka yang mereka adalah golongan yang salah. Mereka sudah tahu kebenaran, tetapi tidak mahu ikut kerana hasad dalam diri mereka dan kerana kedegilan mereka. Jadi ini adalah peringatan kepada umat Islam, jangan berharap sangat untuk menginsafkan mereka kerana mereka ini bukannya tidak tahu, tapi degil.

 

فَاعْفُوا

Maka kamu maafkanlah;

Pernyataan Allah di atas yang amat tegas dan tidak berselubung itu, mungkin mengundang sebahagian kaum muslim untuk bertindak tidak baik, paling  tidak, boleh jadi ada yang berniat hendak membalas dendam. Iri hati dibalas dengan iri hati yang serupa. Mungkin juga ada yang ingin menganiaya atau mencerca mereka, atau terhadap agama mereka sebagaimana yang mereka  lakukan terhadap kaum muslim. Maka di sini Allah ‎ﷻ memberi nasihat supaya jangan begitu tapi Allah suruh kita maafkan mereka.

Kalimah اعفُوا adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘kamu maafkanlah‘. Ia dari kata dasar ع ف و yang bermaksud memaafkan, banyak, melepasi, melupakan, membesar, berganda, menghapuskan semua kesan, beri lebih dari yang sepatutnya. Dari kalimah inilah yang jadi kalimah ‘maaf’ di dalam bahasa kita. Maksudnya jangan pedulikan mereka kerana mereka itu bodoh. Lapangkanlah dada itu dan biarkan sahaja apa yang mereka hendak buat. Kata yang sama digunakan oleh Allah ‎ﷻ dalam kita bersikap kepada ahli keluarga kita. Sementara belum datang perintah Allah ‎ﷻ untuk memerangi mereka, biarkan sahaja mereka.

Cuma mungkin pelik bagi kebanyakan orang, kenapa kena maafkan kesalahan orang lain? Bukankah apa yang mereka lakukan itu salah? Inilah yang berlaku jikalau tidak faham makna maaf. Memaafkan bukanlah kita mengatakan perbuatan mereka itu benar, atau kita membebaskan mereka dari kesalahan. Tidak sama sekali. Salah tetap salah, akan tetapi kita hendak membebaskan diri kita dari orang yang melakukan kesalahan terhadap kita. Ini kerana kalau kita menyimpan dendam dan marah, yang sakit adalah kita. Maka kerana itu Allah hendak membebaskan umat Islam dari menanggung perasaan berat hati terhadap golongan kafir itu. Cuma memang ramai tidak faham istilah maaf ini. Kerana itulah ramai tidak dapat menerima pernyataan maaf Dato’ Seri Najib telah penglibatan beliau di dalam skandal 1MDB. Ramai sangka memaafkan itu bermaksud membebaskan beliau. Sebenarnya tidak pun. Kerana itu jawapan PMX benar. Beliau terima pernyataan maaf itu akan tetapi proses kehakiman kena terus berjalan seperti yang sepatutnya.

 

وَاصْفَحُوا

dan biarkanlah mereka;

Jangan terus hukum mereka lagi. Jangan buat apa-apa lagi terhadap mereka. Kalimah اصفَحُوا adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘biarkanlah’ atau ‘lupakanlah’. Ia dari kata dasar: ص ف ح yang bermaksud memaafkan, melupakan, mengelak, berpaling, menolak, menangguh. Berpalinglah dari mereka dan tidak payah tumpukan perhatian kepada mereka. Teruskan seperti biasa iaitu terus ajak mereka ke jalan Allah ‎ﷻ. Bukanlah lama mereka boleh lakukan kerja bodoh itu, lama kelamaan berhentilah mereka. Kalau kita layan mereka, lagi mereka akan suka kerana dapat mengganggu fikiran kita.

Ayat ini juga memuji iman para sahabat waktu itu. Allah boleh suruh mereka maafkan dan berpaling itu kerana memang para sahabat waktu itu ada kekuatan untuk melakukannya. Mereka dapat menahan diri mereka kerana kekuatan mental yang ada pada diri mereka. Kalau zaman sekarang, tak tahulah. Kerana umat Islam asyik melenting sahaja. Kalau ada kena jentik sikit, sudah melenting bagai orang gila.

 

حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

sehingga datang keputusan Allah;

Biarkan mereka sehingga datang keputusan yang lain daripada Allah ‎ﷻ. Iaitu apabila datang arahan perang jihad fisabilillah dengan mereka. Selagi belum dikeluarkan perintah jihad, maka kena teruskan urusan berdakwah kepada mereka dan bergaul dengan mereka, sambil jangan hiraukan kata-kata mereka itu.

Maka bukanlah berterusan kita biarkan mereka. Tunggu sehingga Allah ‎ﷻ datangkan undang-undang baru tentang perintah jihad. Di sini sudah ada isyarat yang Allah akan turunkan perintah untuk menangani masalah dengan golongan Yahudi dan Musyrikin itu tidak lama lagi. Surah Baqarah ini adalah surah yang mula-mula di Madinah dan waktu itu belum boleh berperang lagi. Jadi jangan bergaduh dengan puak-puak Yahudi itu sehinggalah datang masa yang sesuai. Dan perintah jihad datang selepas ayat ini seperti Tawbah:5

فَاقتُلُوا المُشرِكينَ حَيثُ وَجَدتُموهُم وَخُذوهُم وَاحصُروهُم وَاقعُدوا لَهُم كُلَّ مَرصَدٍ
maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah di tempat pengintaian.

Oleh itu, beri masa untuk bersabar. Sampai nyata yang Yahudi itu memang jenis tidak mengikut kitab mereka sendiri. Memang tidak perlu tunggu lama kerana Yahudi itu memang jenis akan menampakkan kesalahan mereka di khalayak ramai nanti. Nanti akan sampai masa apabila Allah turunkan ayat untuk menghalau orang Yahudi dari Madinah. Maka umat Islam diberitahu yang tidak bolehlah terus berperang dengan mereka. Tambahan pula di Mekah umat Islam sudah berbalah dengan puak Quraish. Jangan pula di Mekah berbalah dengan puak Yahudi. Nanti orang luar boleh kata yang Islam ini jenis berbalah sahaja.

Maka kena bersabar dan duduk dahulu setahun dengan aman di Madinah dan buat perjanjian dengan puak Yahudi itu. Tetapi akhirnya akan diketahui yang mereka itu akan pasti mungkir janji. Maka waktu itu nanti tidaklah Islam dipersalahkan kerana waktu itu semua orang sudah tahu perangai mereka. Kalau sekarang, kita kena tunggu sehingga umat Islam ada kekuatan semula. Sekarang kita amat lemah dan tidak dapat hendak buat apa-apa kepada golongan Yahudi ini. Kita lemah pun kerana kita jauh dari wahyu.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Jangan takut yang perasaan dengki mereka itu akan memudharatkan kita. Allah ‎ﷻ yang berkuasa atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ akan menjaga kita dari mereka. Walaupun mereka berniat tidak baik kepada umat Islam, tetapi mereka tidak dapat menghancurkan Islam. Maka kita kena serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ.

Allah memberi isyarat di sini akan sampai masa yang umat Islam akan membalas kejahatan yang telah dilakukan oleh golongan kafir itu. Mungkin ada kerisauan di hati para sahabat pada waktu itu kerana mereka sedar tentang kelemahan mereka. Akan tetapi di sini Allah menegaskan yang Dia yang berkuasa, Dia mampu buat apa sahaja. Termasuk memenangkan umat Islam. Jadi bergantunglah kepada Allah, serahkan urusan kepada Allah.

Allah boleh bantu umat Islam yang bertaqwa. Kemenangan demi kemenangan yang telah diberikan kepada para mujahideen di dalam jihad-jihad menentang tentera kufur adalah atas bantuan Allah walaupun mujahideen ketika itu tidak ramai dengan kelengkapan yang kurang; berhadapan pula dengan musuh yang maju seperti Parsi dan Rom. Perlu ditekankan adalah kemenangan itu diberikan kepada para mujahideen kerana mereka itu kumpulan yang bertaqwa. Dan tentulah antara syarat taqwa itu adalah berpegang dengan Al-Qur’an. Kalau sekarang memanglah kita lemah kerana Al-Qur’an telah lama ditinggalkan. Kerana itulah orang kafir jauhkan umat Islam dari Al-Qur’an. Kalau sekarang ini baca pun ramai merangkak lagi, apatah lagi untuk memahami ajaran Al-Qur’an itu sendiri. Tapi kita kenalah mulakan dari sekarang, belajar perlahan-lahan dan sampaikan kepada seramai mungkin. Semoga Allah mudahkan urusan umat Islam mengenal Al-Qur’an yang mulia ini.


 

Baqarah Ayat 110: Ayat ini adalah Jawab Syubhah kepada persoalan apakah yang perlu dilakukan terhadap tindakan golongan kafir di dalam ayat sebelum ini. Untuk meredam keinginan membalas dendam terhadap puak Yahudi itu, Allah memerintahkan umat Islam untuk fokus kepada ibadah. Ini kerana kalau kita disibukkan dengan benda yang berfaedah, tidaklah fikir sangat tentang apa yang bermain-main dalam kalbu. Begitulah juga keadaannya semasa para sahabat di Mekah dahulu. Semasa di Mekah, sahabat-sahabat Nabi ﷺ sentiasa meminta supaya mereka diberikan kebenaran untuk berjihad menentang Quraish yang menyeksa mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ jawab jangan lagi balas tindakan jahat mereka, sebaliknya dirikanlah salat dan keluarkanlah zakat.

Tetapi zakat dalam bentuk mengeluarkan harta, hanya difardhukan di Madinah. Oleh itu, ada pendapat yang mengatakan yang zakat di Mekah adalah zakat jiwa, iaitu sahabat disuruh membersihkan jiwa dari syirik kepada Allah ‎ﷻ. Apabila sampai di Madinah, zakat yang didirikan adalah zakat harta. Iaitu membersihkan harta dari sumber yang tidak bersih. Maka, apabila disebutkan zakat, kena tengok di manakah ayat itu diturunkan.

Ayat ini juga adalah jenis Umur Muslihah – أمور مصلحة iaitu tentang amalan-amalan yang perlu dilakukan untuk membaiki diri. Ini penting kerana dalam kita hendak mendidik dan dakwah kepada masyarakat dan orang kafir, kita kenalah baiki diri kita sendiri.

وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ  وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِّن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sahih International

And establish prayer and give zakah, and whatever good you put forward for yourselves – you will find it with Allah. Indeed, Allah of what you do, is Seeing.

Malay

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

 

وَأَقِيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ

Dan dirikanlah solat;

Semasa di Mekah, sahabat dirikan salat berjemaah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam رضي الله عنه. Mereka hanya boleh salat berjemaah di situ sahaja kerana mereka tidak boleh untuk pergi ke Kaabah kerana dihalang oleh Musyrikin Mekah. Tidak pasti bagaimana mereka salat pada waktu itu kerana belum lagi mendapat syariat salat ketika itu iaitu sebelum Nabi ﷺ isra’ mi’raj. Mereka mungkin salat memakai saki baki syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang ada lagi saki baki amalan syariat yang telah diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang masih lagi diamalkan di kalangan masyarakat Arab waktu itu. Kebanyakannya telah ditukar setelah sekian lama, tetapi ada lagi yang mereka amalkan lagi.

Antara maksud dirikan salat adalah: hubungan manusia dengan Allah ‎ﷻ hendaklah didirikan dan dijaga. Maka kena belajar betul-betul cara melakukan salat dengan betul dan ikut seperti sunnah yang Nabi telah ajar. Ini adalah perkara pertama yang akan ditanya di akhirat kelak, tapi malangnya ramai yang masih ada masalah lagi dengan ibadah yang utama ini.

Maka di sini menjadi pengajaran kepada kita bahawa ibadah solat ini penting untuk menjadi benteng dari dikafirkan oleh orang kafir. Selepas disebut tentang usaha orang kafir untuk mengembalikan umat Islam kepada kufur, sekarang Allah ingatkan untuk solat sebagai penguat diri dan rohani kita. Jaga solat setiap hari, dirikan solat berjemaah supaya kekuatan umat Islam terus utuh. Walaupun mereka belum mampu membalas kejahatan yang telah dilakukan oleh orang kafir itu, jangan sangka ibadah solat itu tidak penting. Kerana untuk mendapat pertolongan dengan Allah di dalam berhadapan dengan musuh kita, kita hendaklah kuatkan hubungan dengan Allah dan inilah pentingnya solat dijaga. Kalau solat pun masih lambat dan culas lagi, bagai melepaskan batuk di tangga sahaja, jangan haraplah kita boleh kalahkah musuh. Sebab itu kes Palestin berpuluh tahun kita tidak boleh buat apa-apa pun. Kalau buat bancian sekarang siapakah yang menjaga solatnya dengan sempurna, entah berapa peratus sahaja yang menjaganya.

Kekuatan umat Islam adalah pada solat. Kerana itulah di peringkat awal lagi Rasulullah diperintahkan untuk berhadapan dengan Musyrikin Mekah, perkara pertama yang baginda kena amalkan adalah mendirikan solat malam. Kerana itulah baginda dapat berhadapan dengan mereka walaupun tekanan kepada mereka amat kuat. Arahan itu terdapat di dalam Muzzammil:1-3

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
Wahai orang yang berselimut!

قُمِ اللَّيلَ إِلّا قَليلًا
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa

نِصفَهُ أَوِ انقُص مِنهُ قَليلًا
Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Jadi solat yang bagaimana yang kita kena jaga itu? Dalam hal ini kita kena ingat sabda Rasulullah,

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (631)

Kerana itu solat memerlukan ilmu, iaitu ilmu belajar bagaimana cara Nabi solat. Kerana itu ada kitab dan kursus Sifat Solat Nabi. Kerana kita mahu kembali kepada cara Nabi sendiri solat, bukannya yang ditambah-tambah dan direka-reka oleh manusia. Kita mungkin sangka solat kita sudah diterima, tapi bagaimana kita boleh yakin yang ia akan diterima kalau ada perkara yang ditokok tambah? Sebagai contoh, ditambah lafaz niat, ditambah sapu muka selepas solat dan lain-lain lagi. Semua ini sudah biasa masyarakat Melayu kita lakukan sampaikan ramai sangka itulah cara solat yang betul. Maka jangan lagi setakat pakai sahaja cara solat yang belajar masa di Sekolah Rendah dulu, tapi naiktaraflah cara solat anda. Teruskan belajar walaupun dalam perkara yang kita sangka kita sudah tahu seperti solat ini.

 

وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ

dan keluarkanlah zakat;

Sebelum ini disebut tentang sikap orang kafir terhadap kita dan pada peringkat permulaan, kita disuruh untuk memaafkan mereka dan bersikap sabar. Dalam bersabar dan tidak membalas kejahatan mereka terhadap kita, maka hendaklah kita melakukan ibadah. Kita hendaklah menguatkan dalaman kita dahulu. Kita kena isi kekuatan ruhaniyah kita sebelum diarahkan untuk berjihad. Kerana kalau berjihad tapi kekuatan ruhaniyah tidak ada, maka itu bahaya bagi kita.

Ini adalah mendirikan hubungan antara manusia. Kerana untuk berhadapan dengan musuh yang hendak memusnahkan Islam, memerlukan juga kekuatan masyarakat, komuniti dan perpaduan umat. Inilah yang tidak ada sekarang di kalangan umat Islam, maka kerana itu kita lemah. Tidak ada perpaduan di antara kita sebenarnya kerana bercakaran. Dan kekuatan masyarakat dididik di dalam ibadah zakat. Kerana ia mengajar yang kita adalah satu komuniti yang bantu membantu sesama sendiri. Yang lemah dibantu dan tidak disisihkan dari masyarakat.

Maka dari ini kita belajar yang kena seimbang antara hablu minallah dan hablu minannas. Maka kena belajar fiqh zakat, jangan langsung tidak apa itu zakat. Jangan sangka zakat itu zakat fitrah yang diberi semasa Ramadhan sahaja. Ramai masyarakat kita jahil tentang perkara itu. Jadi mereka culas dalam bab bayar zakat.

Salat dan zakat disebut dalam ayat ini sebagai contoh ibadah dan amalan yang besar. Tetapi bukanlah hanya dua perkara ini sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Ia disebut sebagai mewakili segala rukun Islam yang perlu dipenuhi. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru tahu keseluruhan agama. Jangan ambil sedikit-sedikit sahaja.

 

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِّنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu;

Yang ‘didahulukan’ adalah ibadat-ibadat yang kita hantar kepada Allah ‎ﷻ. Maksudnya: melakukan amal-amal yang soleh. Dan Allah gunakan kalimah مِّنْ خَيْرٍ di dalam bentuk nakirah (umum) yang merujuk kepada apa sahaja ibadah dan amalan baik. Maka jangan pandang rendah amal kebaikan yang mungkin dipandang remeh seperti senyum. Rasulullah telah bersabda,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ
Dari Abu Dzar dia berkata; Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadaku: “Janganlah kamu menganggap remeh sedikit pun terhadap kebaikan, walaupun kamu hanya bermanis muka kepada saudaramu (sesama muslim) ketika bertemu.”
Sahih Muslim (4760)

Al-Imam Ibnul Mubarak Rahimahullah berkata:

رُبَّ عَمَلٍ صَغِيرٍ تُعَظِّمُهُ النِّيَّةُ ، وَرُبَّ عَمَلٍ كَبِيرٍ تُصَغِّرُهُ النِّيَّةُ
“Berapa banyak amalan kecil, akan tetapi menjadi besar kerana niat pelakunya. Dan berapa banyak amalan besar, menjadi kecil kerana niat pelakunya”

Rasulullah juga pernah bersabda,

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
Dari [Adi bin Hatim] dari Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, beliau bersabda: “Selamatkanlah dari Neraka walaupun hanya dengan sebelah kurma. Jika tidak kalian dapatkan, maka dengan perkataan yang baik.”
Sahih Bukhari (1598)

Dari segi perkataan, تُقَدِّمُوا bermaksud ‘menghantar ke hadapan’. Amalan-amalan yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk pakai di akhirat kelak. Maka kita ‘hantar’ ia dahulu ke hadapan dan kita akan bertemu nanti dengan ibadah kita itu yang menanti  kita di sana. Malah Allah telah terlalu murah menggandakan segala amalan kebaikan kita menjadi sepuluh kali ganda sekurang-kurangnya seperti disebut di dalam An’am:160

مَن جَآءَ بِٱلحَسَنَةِ فَلَهُ ۥ عَشرُ أَمثَالِهَا‌ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجزَىٰٓ إِلَّا مِثلَهَا وَهُم لَا يُظلَمُونَ
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).

 

تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ

tentulah kamu akan mendapat balasan pahala dari Allah;

Allah ‎ﷻ akan simpan pahala kita dan akan membalas amalan kita itu dengan kebaikan. Ia tidak akan hilang. Bila kita di akhirat nanti, kita akan bertemu dengan amalan-amalan kita itu. Allah ﷻ akan balas berkali-kali ganda dari apa yang kita telah lakukan. Harta yang kita keluarkan zakat dan infak akan menunggu kita di akhirat. Ia akan menjadi harta kita yang sebenarnya. Kalau harta yang kita tinggalkan di dunia ini, ia akan menjadi hak milik orang lain. Akan tetapi harta yang kita infak di jalan Allah akan menjadi harta kita yang sebenar.

Maknanya kita akan bertemu pahala amalan-amalan kita sendiri. Bukannya pahala orang kirim pada kita. Maknanya kita kena bergantung kepada amalan kita, bukannya berharap pahala sedekah dari orang lain. Masyarakat kita sibuk bertanya bagaimana hendak sedekah pahala. Ini adalah kerana masih ada mentaliti subsidi dari zaman penjajah dulu. Sampai bab pahala pun orang kita masih lagi berharap subsidi dari orang lain seperti Majlis Tahlil, sedekah bacaan Al-Qur’an dan macam-macam lagi. Di dalam ayat ini, Allah menegaskan buatlah amalan itu sendiri, nanti kamu akan jumpa pahala amalan kamu itu.

Allah sebut pahala itu عِنْدَ اللَّهِ di sisiNya. Ini bermakna Allah yang akan membalas pahala itu. Hadiah yang kita dapat bergantung juga kepada siapa pemberinya. Kalau orang kaya beri, lain dengan orang biasa beri; bagaimana kalau raja yang beri? Tentulah hebat, bukan? Bagaimana pula Raja segala raja yang beri? Tentulah ia sesuatu yang amat-amat hebat. Tidak ada tandingan di dalam pemberian ini.

 

إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu lakukan, Maha Melihat;

Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apakah yang kita lakukan. Apabila Allah ﷻ lihat, maknanya Allah ﷻ akan balas segala perbuatan itu. Allah ‎ﷻ tahu sama ada perbuatan kita itu adalah ikhlas ataupun tidak. Sama ada harta yang kita keluarkan itu adalah haram ataupun tidak. Atau harta itu telah bercampur antara sumber yang halal dan haram. Allah ‎ﷻ lihat semuanya.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana orang Yahudi itu dengki dengan kita. Kalau seseorang dengki dengan seseorang, ada kemungkinan mereka akan berbuat sesuatu untuk menjatuhkan kita, untuk memudharatkan kita dan sebagainya. Memang ada kemungkinan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ juga sudah kata bahawa Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada orang Islam supaya tidak payah fikir banyak pasal Yahudi. Kita kena jaga hal kita. Memang mereka ada masalah tetapi kita kena jaga diri kita. Segala niat jahat mereka tidak akan terjadi tanpa kebenaran dari Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang apakah yang lebih penting daripada memikirkan tentang mereka. Jangan fikirkan tentang apa yang mereka akan buat terhadap kita. Itu semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Yang penting adalah kita kena terus beramal ibadat dan menjaga amal ibadat kita.

Mungkin ada yang kata, kalau umat Islam tidak jihad dan lawan mereka pada waktu itu, maka lemahlah kita. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah suruh umat Islam untuk tunggu sahaja. Sama juga dengan waktu sekarang. Memang ada hukum jihad, tetapi sebenarnya jihad kena ada syarat. Contohnya, kena ada Khalifah seluruh dunia untuk keluarkan arahan jihad. Lihatlah bagaimana sejarah peperangan Badr. Setelah tertegaknya Islam selama 15 tahun, sudah ada perkara yang boleh dicontohi, barulah dikeluarkan perintah jihad kepada umat Islam waktu itu. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang masa yang sesuai akan tiba. Sementara itu, ambil peluang untuk membuat amal yang boleh mendatangkan pahala.

Jadi ini termasuk juga apalah sikap kita terhadap teori konspirasi yang selalu kita terbaca di sana sini. Berbagai-bagai teori kita dengar. Tapi selalunya memang susah untuk dipercayai kerana tidak ada bukti-bukti. Baiklah, kalau pun ia benar ada, apa yang kita boleh lakukan? Tidak ada apa. Yang penting kita kena jaga ibadah kita, lakukan apa yang patut kita lakukan dan lebih dari itu, kita serah sahaja kepada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 108 (Tanya soalan yang tidak patut)

Baqarah Ayat 108: Sekarang diberi lagi teguran kepada golongan Yahudi kerana kurang ajarnya mereka. Atau ia juga boleh diambil sebagai teguran kepada para sahabat. Jadi ia bukan sahaja kepada Yahudi akan tetapi kepada orang beriman juga. Maka kita juga mendapat pengajaran dari ayat ini.

أَم تُريدونَ أَن تَسأَلوا رَسولَكُم كَما سُئِلَ موسىٰ مِن قَبلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ الكُفرَ بِٱلإِيمَـٰنِ فَقَد ضَلَّ سَوآءَ السَّبيلِ

Sahih International

Or do you intend to ask your Messenger as Moses was asked before? And whoever exchanges faith for disbelief has certainly strayed from the soundness of the way.

Malay

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus.

 

أَمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ

Adakah kamu hendak bertanya kepada Rasul kamu

Kurang ajarnya Yahudi itu kepada Nabi Muhammad seperti kurang ajarnya mereka kepada Nabi Musa dahulu. Mereka pernah meminta kepada Rasulullah untuk menurunkan keseluruhan Al-Qur’an kononnya sebagaimana Kitab Taurat telah diturunkan sekaligus. Ini kurang ajar namanya dan bukan sahaja mempersoalkan Nabi Muhammad, tapi mempersoalkan Allah sendiri!

Ini juga adalah teguran Allah ‎ﷻ kepada para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Kalimah تَسْأَلُوا boleh jadi menyoal atau meminta. Ada kalangan sahabat yang tanya soalan-soalan tentang perkara yang tidak berlaku. Hanya berkemungkinan sahaja ia berlaku. Mereka juga mungkin meminta kepada Rasulullah akan hal yang tidak patut. Antaranya mereka bertanya kepada baginda siapakah bapa mereka. Allah ‎ﷻ menegur perbuatan mereka ini kerana bertanya perkara yang sia-sia.

Kalau hendak kirakan kemungkinan, semua benda boleh menjadi kemungkinan. Dalam fiqh ini disebut iftiradi. Kalau hendak layan semua, jenuh untuk dijawab semua soalan-soalan itu. Perkara ini banyak ada terdapat di dalam kitab feqah. Semua perkara diperbincangkan sampai manusia menjadi pening. Sebagai contoh, adakah halal makan ikan duyung? Atau satu lagi: adakah terlepas kewajipan mandi mayat kalau mayat itu bangun sendiri dan memandikan dirinya? Bagaimana solat di bulan? Soalan-soalan sebegini tidak memberi keuntungan kerana ia tidak terjadi pun. Jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada mereka supaya tak payah tanya soalan-soalan begitu.

Isu membincangkan hukum-hakam fiqh pada perkara yang belum berlaku merupakan satu perbahasan yang panjang dalam kalangan ulama, dan ia diistilahkan sebagai al-fiqh al-iftiradhi الفقه الافتراضي atau al-fiqh al-taqdiri الفقه التقدير. Ringkasnya, ia merupakan usaha para ulama untuk mengandaikan situasi, keadaan atau perkara yang mungkin akan berlaku, lalu menetapkan hukum baginya.

Menurut Muhammad bin al-Hasan al-Hijawi, pengasas bagi manhaj fiqh iftiradhi ini ialah Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit. Beliau banyak memikirkan masalah-masalah taqdiriyyah dan menjangka terjadinya perkara-perkara tertentu serta hukum-hakamnya, sama ada melalui qiyas atau meletakkannya di bawah al-‘umum. Dikatakan bahawa permasalahan taqdiriyyah atau iftiradhiyyah yang beliau susun mencapai bilangan 60 ribu, dan ada yang menyatakan sehingga 300 ribu permasalahan fiqh.

Namun demikian, terdapat ayat-ayat Al-Qur’an serta hadith-hadith yang pada zahirnya melarang fiqh iftiradhi ini. Allah SWT telah berfirman di dalam Maidah:101:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.

Selain itu, Nabi SAW juga pernah melarang dari banyak bertanya tentang perkara-perkara yang belum diturunkan hukumnya dalam sabda Baginda SAW:

دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Cukuplah dengan apa yang telah aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah binasa kerana terlalu banyak soalan mereka dan perselisihan mereka dengan para Nabi mereka. Apabila aku larang suatu perkara, tinggalkanlah, dan apabila aku perintahkan suatu perkara, lakukanlah dengan semampu yang mungkin.”
Sahih al-Bukhari (7288)

Teguran Allah tentang bertanya ini bukanlah semua soalan. Memang boleh bertanya dan banyak sahaja soalan yang telah dijawab Rasulullah dan menjadi ilmu bagi kita di kemudian hari. Kalau soalan yang memang hendakkan penjelasan, maka ini sangat dibolehkan malah digalakkan. Yang ditegur adalah permintaan yang bukan pada tempatnya atau soalan yang sengaja hendak merendahkan Nabi Muhammad dan agama seperti yang dilakukan oleh Yahudi itu. Kalau soalan yang baik, Allah pun memang suruh kita bertanya seperti disebut di dalam Nahl:43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

Lihatlah sabda Nabi ﷺ dalam hal ini,

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Akan tetapi tanyalah dengan baik dan beradab. Jangan tanya sengaja hendak menimbulkan kekecohan, atau bertanya soalan kerana hendak menguji ustaz. Atau bertanya perkara yang tidak perlu. Kadangkala susah ustaz cari jawapan dan kemudian kita tanya balik kenapa hendak tahu, dia cuma jawab ‘saja nak tahu’. Maknanya soalan itu tidak ada pun kepentingan kepadanya. Kena sedar bahawa para ustaz kita bukannya ‘mesin jawab soalan’. Kadangkala apabila ditanya terus hendak jawapan waktu itu juga, seolah-olah para ustaz kaunter pertanyaan pula dan tidak ada kerja lain.

Masyarakat kita kena tahu bahawa bertanya bukanlah cara belajar sebenarnya. Semua kita kena bermula dengan belajar dahulu, kemudian baru bertanya apa-apa yang tidak faham. Barulah senang diperjelaskan apa yang tidak difahami sahaja, bukannya sampai ustaz itu kena jelaskan dari perkara asas. Maknanya maklumat asas kena diketahui dahulu, kena masuk kelas dahulu, kena buat pembacaan dahulu.

 

كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِنْ قَبْلُ

sepertimana telah ditanya Nabi Musa sebelum ini? 

Allah menegur umat Islam jangan ikut perangai buruk golongan Yahudi. Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang perbuatan orang Yahudi kepada Nabi yang mereka sanjung dahulu – Nabi Musa عليه السلام. Sedangkan Nabi Musa عليه السلام sendiri telah mereka sakiti dengan menanyakan soalan yang tidak patut. Antaranya mereka minta untuk melihat Allah dengan mata kepala mereka. Dan apabila disuruh sembelih lembu macam-macam mereka tanya. Mereka bertanya itu sebenarnya kerana mereka tidak mahu buat seperti mana yang disuruh. Bila disuruh buat sesuatu, mereka persoal: “Kenapa kena buat?” Sekarang mereka tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Perbuatan mereka ini sebenarnya menyakitkan hati Nabi Musa seperti disebut di dalam Saf:5

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?”

Rasulullah juga pernah disakiti hati baginda oleh umat baginda dan baginda memuji Nabi Musa seperti yang terdapat di dalam satu hadis,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ حُنَيْنٍ آثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا فِي الْقِسْمَةِ فَأَعْطَى الْأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ وَأَعْطَى عُيَيْنَةَ مِثْلَ ذَلِكَ وَأَعْطَى أُنَاسًا مِنْ أَشْرَافِ الْعَرَبِ وَآثَرَهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْقِسْمَةِ فَقَالَ رَجُلٌ وَاللَّهِ إِنَّ هَذِهِ لَقِسْمَةٌ مَا عُدِلَ فِيهَا وَمَا أُرِيدَ فِيهَا وَجْهُ اللَّهِ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالَ قَالَ فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ حَتَّى كَانَ كَالصِّرْفِ ثُمَّ قَالَ فَمَنْ يَعْدِلُ إِنْ لَمْ يَعْدِلْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ قَالَ قُلْتُ لَا جَرَمَ لَا أَرْفَعُ إِلَيْهِ بَعْدَهَا حَدِيثًا
Dari [Abdullah (Ibn Mas’ud)] dia berkata; Pada perang Hunain, Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ lebih berpihak kepada sebahagian orang dalam pembahagiannya (harta ghanimah). Baginda memberikan Al Aqra’ bin Habis sebanyak seratus ekor unta, dan memberikan Uyainah juga sebanyak itu. Lalu baginda membagikan kepada para pembesar Arab dan melebihkan bahagian mereka. Maka berkatalah seorang laki-laki, “Demi Allah, ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.” Maka aku (Ibn Mas’ud) pun berkata, “Demi Allah, aku benar-benar akan menyampaikannya kepada Rasulullah SAW.” Kemudian aku segera mendatangi baginda dan mengabarkan apa yang telah dikatakan orang itu, maka berubahlah raut wajah baginda hingga seperti cat merah. Setelah itu, baginda bersabda: “Kalau begitu, lantas siapa lagi yang akan berlaku adil, jika Allah dan Rasul-Nya (dikatakan) tidak berlaku adil?” Kemudian baginda bersabda lagi: “Semoga Allah merahmati Musa, sungguh, dia telah disakiti lebih dari ini lalu dia bersabar.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata; “Tidak ada dosa, jika setelahnya aku tidak lagi memberitakan sesuatu (yang membuatnya) marah.”
Sahih Bukhari (1759)

Sahabat-sahabat Nabi ﷺ juga ada tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang perkara yang karut atau tidak berfaedah. Antaranya mereka tanya siapakah bapa mereka yang sebenarnya. Ini kerana mereka tidak pasti jikalau ayah mereka adalah ayah mereka yang sebenarnya disebabkan ibu mereka telah mempunyai lebih dari satu pasangan (ini semasa zaman Jahiliyah dulu di mana ia adalah perkara biasa). Perkara tersebut merupakan perkara biasa ketika itu semasa zaman jahiliah ketika penzinaan masih berleluasa. Jadi itu adalah soalan yang tidak elok. Itu adalah antara soalan yang membuang masa sahaja. Tidaklah patut soalan sebegitu ditanya kepada Nabi kerana tujuan Nabi Muhammad ﷺ bukanlah untuk menjawab perkara-perkara sebegitu. Banyak lagi tugas Nabi ﷺ di muka bumi ini. Nabi ﷺ tidak mempunyai banyak masa kerana baginda menjadi Rasul selama 23 tahun sahaja dan dalam waktu yang singkat itu baginda kena menyampaikan segala maklumat penting tentang agama. Jadi apabila mereka bertanya soalan yang tidak patut, maka ia hanyalah membuang masa Nabi ﷺ sahaja.

أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَذَكَرَ السَّاعَةَ وَذَكَرَ أَنَّ بَيْنَ يَدَيْهَا أُمُورًا عِظَامًا ثُمَّ قَالَ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَسْأَلَ عَنْ شَيْءٍ فَلْيَسْأَلْ عَنْهُ فَوَاللَّهِ لَا تَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَخْبَرْتُكُمْ بِهِ مَا دُمْتُ فِي مَقَامِي هَذَا قَالَ أَنَسٌ فَأَكْثَرَ النَّاسُ الْبُكَاءَ وَأَكْثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي فَقَالَ أَنَسٌ فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ فَقَالَ أَيْنَ مَدْخَلِي يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ النَّارُ فَقَامَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ حُذَافَةَ فَقَالَ مَنْ أَبِي يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَبُوكَ حُذَافَةُ قَالَ ثُمَّ أَكْثَرَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي سَلُونِي فَبَرَكَ عُمَرُ عَلَى رُكْبَتَيْهِ فَقَالَ رَضِينَا بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَسُولًا قَالَ فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ قَالَ عُمَرُ ذَلِكَ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ عُرِضَتْ عَلَيَّ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ آنِفًا فِي عُرْضِ هَذَا الْحَائِطِ وَأَنَا أُصَلِّي فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ فِي الْخَيْرِ وَالشَّرِّ
Anas bin Malik radiallahuanhu berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berangkat ketika matahari telah miring, lalu baginda shalat zhuhur, selesai salam baginda berdiri di atas mimbar dan mengingatkan kiamat, baginda ceritakan bahawa menjelang kiamat terjadi peristiwa-peristiwa besar, kemudian berkata: “Siapa yang ingin bertanya sesuatu, silakan! Demi Allah, tidaklah kalian bertanya kepadaku tentang sesuatu, selain kuberitakan kepada kalian selama aku masih berada di tempatku ini.” Anas berkata, “Lantas orang-orang menangis teresak-esak dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyak bertanya: “Bertanyalah kalian kepadaku!” Anas melanjutkan, “Lantas ada seseorang berdiri menuju baginda dan bertanya, “Di manakah tempat tinggalku ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kamu di neraka.” Lantas Abdullah bin Khudzaifah berdiri dan bertanya, “Siapa ayahku ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ayahmu Hudzaifah.” Anas melanjutkan perkataannya, “Nabi memperbanyak bertanya: “Bertanyalah kalian kepadaku, bertanyalah kalian kepadaku.” Lantas Umar meletakkan kedua lututnya dan berkata, ‘Kami redha Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama, dan Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Rasul.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lantas terdiam ketika Umar mengucapkan yang demikian. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Demi Dzat yang diriku berada di tangan-Nya, tadi telah diperlihatkan kepadaku syurga dan neraka di balik tembok ini ketika aku salat, dan belum pernah kulihat kebaikan dan keburukan seperti hari ini.”
Sahih Bukhari (6750)

Penerangan: Rasulullah berterusan suruh mereka bertanya itu kerana baginda sudah marah. Seolah-olah macam kalau kita kata begini: “ha tanyalah lagi! tanyalah lagi!”. Saidina Umar yang perasan Nabi telah marah maka kerana itu beliau telah memujuk baginda dengan melutut di hadapan baginda.

Satu lagi tafsir, kerana kita masih lagi dalam bahagian Surah Baqarah yang berkenaan Bani Israil, maka pertanyaan ini ditujukan kepada mereka. Kalau begitu, ayat ini adalah tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan رَسُولَكُمْ – Rasul kamu – kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul mereka sekarang. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu juga merupakan rasul mereka. Mereka sepatutnya telah menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul mereka, tetapi mereka yang tidak terima.

Dalam ayat sebelum ini, mereka mempersoalkan tentang Allah ‎ﷻ memansukhkan Kitab-kitab mereka dan hukum-hukum dalam agama. Kali ini mereka mempersoalkan tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ pula. Begitu juga yang mereka telah buat kepada Nabi Musa عليه السلام dahulu. Mereka mempersoalkan arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Mereka kata arahan itu dari Nabi Musa عليه السلام, bukan dari Allah ‎ﷻ.

Islam memang menggalakkan manusia bertanya untuk mendalami agama. Tetapi soalan mereka ini bukan soalan yang hendak mendalami agama. Contohnya ada jenis soalan yang baik seperti: Bagaimana cara hendak bayar zakat? Itu adalah soalan yang baik.

Tetapi berbeza pula dengan soalan: Kenapa kita kena bayar zakat pula? Itu soalan yang mempersoalkan kesahihan sesuatu hukum. Maka beginilah soalan yang mereka telah berikan dahulu kepada Nabi Musa عليه السلام. Kita telah belajar bagaimana mereka bertanya dan bertanya lagi tentang arahan Allah ‎ﷻ untuk mereka menyembelih lembu betina itu. Mereka tanya untuk memperolokkan arahan yang telah diberikan kepada mereka.

 

وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِٱلإِيمَـٰنِ

Dan sesiapa yang ingin tukar iman kepada kufur;

Iaitu mereka yang mengambil kufur, dengan menolak iman. Iaitu permintaan seperti hendak melihat Allah adalah perbuatan kufur. Ini kerana beriman kepada Allah adalah perkara hati, bukannya kerana boleh melihat dengan mata. Kalau hanya percaya setelah melihat, maka itu bukan iman namanya.

Begitu juga kalau soalan mereka adalah untuk mempersoalkan kedudukan Nabi, itu adalah perbuatan kufur. Mereka kena faham, mempersoalkan Rasul adalah sama juga mempersoalkan Allah ‎ﷻ. Ini kerana arahan yang Rasul sampaikan adalah dari Allah ‎ﷻ – bukannya dari diri rasul itu. Maka sesiapa yang mempersoalkan Allah ‎ﷻ, itu adalah tindakan kufur. Itulah makna ayat ini – mereka telah menukar iman dengan kekufuran dengan bertanya soalan yang mempersoalkan Nabi Muhammad ﷺ.

Zaman sekarang, banyak manusia yang mempersoalkan Nabi. Mereka kononnya terima Allah ‎ﷻ, tetapi tidak terima Nabi. Sebab itu ada kumpulan-kumpulan yang anti-hadith. Padahal, mereka tidak belajar hadith-hadith Nabi ﷺ itu (mereka setakat baca sahaja dan buat konklusi sendiri sedangkan bahasa Arab pun mereka tidak tahu). Mereka terus sangka bahawa hadith-hadith itu semua tidak boleh pakai kerana ia adalah kata-kata manusia. Mereka sangsi terhadap kebenaran hadith-hadith itu kerana disampaikan dari manusia kepada manusia yang lain, maka pada mereka tentulah adalah kesilapan. Mereka buat konklusi itu kerana mereka tidak ilmu hadith dan bagaimana ahli hadith amat-amat menjaga kesahihan dan mereka memastikan hadith yang disampaikan itu ada sanadnya. Dan kita boleh periksa kesahihan hadith dengan sanadnya.

Jadi memang terdapat fahaman yang amat bahaya seperti mereka itu. Ini kerana pendapat sebeginilah yang menyebabkan manusia menjadi sesat. Bagaimana kita hendak menerima Al-Qur’an tetapi tidak menerima Hadith Nabi, padahal hadith Nabi itu memperjelaskan apa yang ada dalam Al-Qur’an? Kita tidak akan faham apakah yang Allah ‎ﷻ maksudkan dalam ayat-ayat-Nya tanpa penjelasan dari Nabi ﷺ. Kita juga tidak tahu bagaimana hendak mengamalkan suruhan dalam Al-Qur’an kalau tidak ditunjukkan caranya oleh Nabi ﷺ. Bagaimana pula mereka boleh berkata mereka terima Al-Qur’an tetapi tidak terima Nabi ﷺ, sedangkan Al-Qur’an itu juga telah disampaikan melalui mulut Nabi ﷺ? Ini semua terjadi kerana mereka tidak belajar Al-Qur’an dan tidak belajar ilmu hadith. Padahal, dua perkara itu adalah sumber rujukan utama kepada manusia. Namun lihatlah bagaimana umat Islam sendiri amat jauh daripada dua sumber ini. Mereka langsung tidak ambil peduli tentang ilmu tafsir Al-Qur’an dan ilmu Hadith. Yang mereka belajar dan pegang dengan kuat adalah ajaran dari guru-guru mereka dan dari kitab-kitab karangan manusia.

 

فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ السَّبِيلِ

sesungguhnya telah sesat mereka itu dari jalan yang benar.

Ini kerana mereka tolak Nabi, mereka telah sesat jauh dari kebenaran. Allah ‎ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka yang berterusan menolak Nabi. Kalau tidak mahu memberi telinga mendengar dakwah dari Nabi dan penyeru Tauhid, maka akan ada masalah dengan iman nanti. Mereka yang tidak menjaga mulut mereka dari bertanya soalan yang tidak perlu, maka mereka itu berada dalam kedudukan yang bahaya. Di dalam sebuah hadith telah disebutkan:

“أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرّم فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ”
Orang muslim yang paling besar dosanya ialah seseorang yang menanyakan sesuatu yang tidak diharamkan, lalu menjadi diharamkan kerana pertanyaannya itu.
(Sahih Bukhari No. 7289)

Maka jangan kita ikut jejak langkah golongan Yahudi yang banyak bertanya perkara yang tidak patut. Allah telah berfirman di dalam Maidah:102

قَد سَأَلَها قَومٌ مِّن قَبلِكُم ثُمَّ أَصبَحوا بِها كٰفِرينَ
Sesungguhnya telah ada segolongan manusia sebelum kamu menanyakan hal-hal yang serupa itu (kepada Nabi mereka), kemudian mereka kufur dengannya.

Para sahabat yang sudah memahami larangan bertanya itu telah mengambil pengajaran. Dan mereka menahan diri mereka dari bertanya kepada Nabi kalau tidak perlu. Mereka tunggu sahaja maklumat yang akan disampaikan oleh baginda. Tapi mereka suka kalau ada orang Badwi yang datang dari padang pasir bertanya kerana mereka dapat mendengar soalan dan jawapan dari Rasulullah,

عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ نُهِينَا فِي الْقُرْآنِ أَنْ نَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ فَكَانَ يُعْجِبُنَا أَنْ يَجِيءَ الرَّجُلُ الْعَاقِلُ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ فَيَسْأَلَهُ
Dari Tsabit dari Anas dia berkata; “Dalam Al Qur’an kami dilarang bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sesuatu. Sangat menakjubkan kami jika ada seorang yang berakal dari penduduk kampung hendak datang lalu bertanya kepada baginda.
Sunan An-Nasa’i No. 2064

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 106 – 107 (Nasikh dan Mansukh)

ARAHAN UNTUK TAAT KEPADA NABI

Baqarah Ayat 106: Apabila Yahudi ada peluang untuk mengkritik agama Islam, mereka akan kritik. Dengan ini mereka dapat menimbulkan kemusykilan dan keraguan di hati manusia sampaikan mereka takut untuk menerima kebenaran. Antara hujah yang mereka gunakan adalah tentang penukaran kiblat dari BaitulMaqdis ke Ka’bah. Sebab itulah penting untuk kita faham dan mahir agama kita sendiri supaya mereka tidak ada peluang untuk mengkritik agama kita. Jangan kita pula termakan dengan kritikan mereka.

Masalah timbul apabila kita sendiri tidak faham agama sendiri. Disebabkan ramai tidak faham agamalah, yang menyebabkan Syiah boleh mendapat pengaruh banyak dari kalangan orang Islam di negara ini. Apabila Syiah menyampaikan dakyah mereka kepada orang-orang kita yang tidak ada asas agama, senang untuk mereka masuk Syiah kerana mereka senang ditipu. Begitulah kalau tidak ada ilmu agama (manusia boleh tipu, syaitan pun senang tipu). Begitu juga, mudah orang kafir seperti Kristian menipu umat Islam yang jahil tentang agamanya.

Antara hujah yang mereka gunakan untuk menimbulkan sangsi kepada agama Islam adalah tentang nasikh mansukh. Dalam Al-Qur’an memang ada ayat yang telah dimansukhkan hukumnya. Tidak banyak ayat yang dimansukhkan dan ulama’ khilaf tentang bilangannya, malah ada yang berkata tidak ada ayat yang sebenarnya dimansukhkan (kerana ada penggunaannya juga pada waktu-waktu tertentu). Oleh itu, kita katakan dalam salah satu pendapat, hanya ada lima sahaja ayat Al-Qur’an yang telah dimansukhkan. Ia masih lagi dibaca tetapi hukumnya telah dimansukhkan.

Jadi Yahudi telah mengkritik perkara ini dengan mengatakan: “agama apakah ini? Sekejap begitu dan sekejap begini. Dahulu boleh dan sekarang tidak boleh?” Mereka kata, kalau benar Islam adalah agama Tuhan, tidak mungkin begini. Mereka telah mengambil kesempatan dalam perkara ini. Mereka memang tidak mahu menerima Al-Qur’an maka mereka sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Al-Qur’an. Mereka berhujah yang Tuhan pasti tidak akan mengubah sesuatu yang telah ditetapkanNya kerana Dia pasti tahu apa yang telah terjadi dan akan terjadi. Mereka juga berhujah kalaulah Allah mengubah hukum, ini bermakna dulunya Allah tidak tahu, asalnya diberi satu hukum dan kemudian melihat ia tidak sesuai, diubah pula. Maka Allah ‎ﷻ sendiri menjawab kritikan mereka di dalam ayat ini.

Oleh itu, ini adalah ayat berkenaan Nasikh dan Mansukh untuk menjawab tohmahan dari puak Yahudi yang hendak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam. Ada kitab tafsir yang kata ada beberapa ratus ayat Al-Qur’an telah dimansukhkan. Imam Suyuti رحمه الله pula dalam kitab tafsirnya Tafsir Jalalain, berkata ada hanya 20 sahaja ayat yang dimansukhkan. Syah Waliyullah رحمه الله pula kata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Maulana Husin Ali juga berkata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Dan 4 ayat tersebut walaupun dikatakan telah dimansukhkan, boleh lagi digunakan dalam sesetengah situasi dengan beberapa syarat. Maknanya, kalau sesuai pada keadaan tertentu, masih boleh digunakan ayat itu. Maknanya, secara efektifnya tidak ada ayat yang mansukh pun.

Contohnya ayat tentang wasiat. Ada ayat Al-Qur’an yang kata orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka. Seorang yang asalnya kafir, apabila telah masuk Islam, dan keluarganya masih kafir. Hukum dari ayat Al-Qur’an adalah, orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka dari orang Islam walaupun keluarga sendiri. Maknanya, kalau seorang ayah telah masuk Islam dan dia mati, anaknya tidak dapat mewarisi harta pusaka ayahnya yang telah masuk Islam itu. Tetapi dari ayat yang lain, ada juga mengatakan bahawa seseorang Muslim, dia masih boleh mewasiatkan sebanyak 1/3 dari hartanya kepada sesiapa yang dia hendak beri (asalkan bukan penerima pusaka). Jadi ada penggunaan ayat itu lagi di tempat-tempat yang tertentu.

Contohnya, walaupun ibu bapanya masih kafir, dia boleh wasiatkan lagi sebahagian dari hartanya. Syaratnya adalah, orang yang mati itu membuat wasiat itu semasa dia hidup. Ini juga boleh digunakan untuk orang yang memberi wasiat kepada orang yang bukan ahli keluarganya. Contohnya, seseorang boleh memberi wasiat kepada anak angkatnya, sebanyak 1/3 juga. Itu adalah hadnya. Maknanya, walaupun ada ayat yang mengatakan orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka, tetapi masih lagi boleh orang yang berwasiat kepada had 1/3 dari keseluruhan hartanya. Cuma, wasiat tidak boleh diberikan kepada penerima pusaka. Ia hanya dibolehkan beri kepada orang yang bukan penerima pusaka. Maknanya, tidak boleh memberi wasiat kepada anak-anaknya.

Jadi, ayat yang dikatakan telah dimansukhkan itu, masih boleh lagi dipakai jikalau kena dengan syaratnya. Bukan senang kita hendak kata bahawa ayat Allah ‎ﷻ telah dimansukhkan. Ini bukan ayat-ayat biasa, tapi ia adalah Kalam Allah ‎ﷻ. Maka ulama’ berhati-hati kalau mereka kata sesuatu ayat itu telah dimansukhkan. Tentunya ini memerlukan perbincangan khusus berkenaannya dan boleh dirujuk perbincangan ulama’ tentang perkara ini.

Salah satu perkara yang dimansukhkan adalah kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an diturunkan, iaitu Taurat, Injil dan Zabur. Apabila Al-Qur’an diturunkan, syariat di dalam kitab-kitab sebelumnya tidak terpakai lagi kerana semua umat manusia kena pakai syariat di dalam Al-Qur’an ini. Itulah yang Yahudi marah sebab kitab mereka yang dimansukhkan.

Ada juga pendapat yang mengatakan yang dimansukhkan di dalam ayat ini bukanlah ayat-ayat Al-Qur’an akan tetapi mukjizat. Ini kerana kalimah ءَايَةٍ juga boleh diterjemahkan untuk membawa maksud ‘mukjizat’. Maka mukjizat para Nabi yang dahulu itu telah digantikan dengan mukjizat Al-Qur’an yang kekal sampai sekarang.

Tidak ada masalah pun kalau Allah mansukhkan hukum-hukum syariat yang dahulu. Kerana yang lebih penting, akidah tidak berubah-ubah kerana ia tetap dahulu sampailah bila-bila pun.

ما نَنسَخ مِن ءَايَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِّنها أَو مِثلِها ۗ أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

We do not abrogate a verse or cause it to be forgotten except that We bring forth [one] better than it or similar to it. Do you not know that Allah is over all things competent?

Malay

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

 

مَا نَنْسَخْ مِنْ ءَايَةٍ

Tidaklah dimansukh dari mana-mana ayat;

Penggunaan kata مَا (tidak) digunakan sekali lagi dalam ayat ini. Penggunaan kata مَا digunakan apabila hendak menyanggah sesuatu pendapat (bukan hendak kata ‘tidak’ sahaja). Ia adalah hendak menjawab pertanyaan orang Yahudi yang mempersoalkan kenapa Kitab Taurat mereka dimansukhkan, padahal ia juga adalah Kalam Allah ‎ﷻ.

Kalimah نَنسَخ dari kata dasar ن س خ yang bermaksud hapus, musnah, batal, hilang, sorok, pindah, tukar, ganti, salin, buang. Bahasa Melayu pun menggunakan kalimah ‘mansuh’ dari kata dasar ini. Naskh adalah penjelasan berhentinya hukum syari’at dengan jalan syar’i yang datang setelahnya”. Mansukh pula ada perbuatan melakukan naskh itu. Sebagai contoh, hukum yang telah dimansukhkan adalah khamr. Asalnya ia boleh diminum seperti disebut di dalam Nahl:67

وَمِن ثَمَرٰتِ النَّخيلِ وَالأَعنٰبِ تَتَّخِذونَ مِنهُ سَكَرًا وَرِزقًا حَسَنًا ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَعقِلونَ

Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang memikirkan.

Dan disebut juga di dalam Baqarah:219

يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya

Kemudian hukum itu telah berubah menjadi haram hanya ketika hendak solat seperti disebut di dalam Nisa’:43

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنتُم سُكٰرىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.

Akhirnya pengharaman khamr menjadi sempurna di dalam ayat Maidah:90

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلٰمُ رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ فَاجتَنِبوهُ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.

Satu lagi tafsir bagi kalimah ءَايَةٍ adalah mukjizat. Ini kerana asal ءَايَةٍ adalah bermaksud ‘tanda’ dan mukjizat para Nabi menjadi tanda bagi status kenabian mereka. Kalau dipakai maksud ini, ia bermaksud Allah ganti mukjizat para Nabi yang dahulu dengan mukjizat Nabi Muhammad, iaitu Al-Qur’an. Tongkat Nabi Musa walaupun hebat sangat, tapi sekarang entah di mana, tiada siapa yang tahu. Nabi Isa walaupun hebat kisahnya menyembuhkan manusia dan malah menghidupkan orang yang mati, akan tetapi kejadian itu tidak dapat dilihat lagi. Akan tetapi mukjizat Al-Qur’an boleh dilihat di mana-mana sekarang, asalkan mahu mengkajinya.

 

أَوْ نُنْسِهَا

atau Kami menyebabkan ia dilupakan;

Iaitu dihilangkan dari hati Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu memang Allah hendak membatalkan ayat itu maka Allah menjadikan baginda lupa. Akan tetapi pendapat ini dikritik. Mereka lebih suka menggunakan qira’at نُنسِئُها yang bermaksud ‘Kami menangguhkan’.

Atau Allah ‎ﷻ hilangkan dari digunakan oleh manusia. Iaitu kitab-kitab dari Kalam Allah ‎ﷻ yang telah hilang ditelan zaman. Macam Kitab Taurat dan Injil, kita sampai sekarang tidak jumpa kitab yang asli lagi.

Kalau yang dimaksudkan adalah mukjizat, maka mukjizat para Nabi dahulu memang tidak dapat dilihat sekarang. Orang yang nampak kejadian itu pun sudah lama tiada.

Cuma memang ada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak dibaca lagi tapi hukumnya masih ada. Kata al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah (W. 463 H): Nasakh di dalam al-Quran terbahagi kepada tiga bahagian: Nasakh hukum dengan mengekalkan rasm (ayat Al-Qur’an), Nasakh rasm tanpa menasakhkan hukum, dan nasakh kedua-duanya iaitu hukum dan juga rasm. Pembahagiannya adalah seperti berikut:

1- Nasakh hukum dengan mengekalkan rasm (ayat Al-Qur’an)

Yang dimaksudkan dengan ini adalah, Allah S.W.T memansukhkan sesuatu hukum yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Dalam masa yang sama ayat yang menjelaskan akan hukum tersebut tidak dimansukhkan sekali akan tetapi ia masih kekal di dalam Al-Qur’an. Contohnya adalah seperti di dalam Baqarah:180.

 كُتِبَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ إِن تَرَكَ خَيۡرًا ٱلۡوَصِيَّةُ لِلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ
Diwajibkan ke atas kalian, apabila salah seorang di antara kalian kedatangan (tanda-tanda) maut, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa.

Daripada ayat di atas kita mendapati bahawa ia menunjukkan hukum wajibnya berwasiat kepada ibubapa dan juga kaum kerabat. Akan tetapi, hukum ini telah pun dimansukhkan apabila datangnya pensyariatan mirath. Kata al-Imam al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini: “Adalah wasiat itu difardhukan kepada kedua ibubapa dan juga kaum kerabat pada awal permulaan Islam ke atas sesiapa yang meninggal dunia serta meninggalkan harta. Kemudian ianya dimansukhkan dengan ayat mirath”.

Maka walaupun hukumnya telah mansukh, akan tetapi ayat tersebut ataupun rasmnya masih terdapat di dalam Al-Qur’an. Satu lagi contoh adalah pengurangan ratio mujahidin di dalam peperangan yang disebut dalam Anfal:65-66

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ المُؤمِنينَ عَلَى القِتالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُم عِشرونَ صٰبِرونَ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ

Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.

Di dalam ayat ini, ratio perang adalah 1:10 dan tentunya berat bagi umat Islam. Maka ia telah dimansukhkan dengan ayat seterusnya,

الئٰنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

 

2- Nasakh rasm (ayat) dengan mengekalkan hukum.

Contoh baginya adalah perihal ayat rejam. Pada asalnya, ia terdapat di dalam Al-Qur’an. Akan tetapi ayat tersebut telah dimansukhkan manakala hukumnya tetap kekal. Saidina Ibn Abbas R.anhuma meriwayatkan daripada Umar Ibn al-Khattab R.anhu beliau berkata: “Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengutuskan Muhammad S.A.W dan menurunkan ke atasnya al-Kitab. Di antara yang Allah turunkan ke atasnya adalah ayat rejam. Maka kami membacanya, memahaminya, serta menjaganya”. Kata beliau lagi:

أَلاَ وَإِنَّ الرَّجْمَ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى وَقَدْ أَحْصَنَ إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ
“Sesungguhnya rejam itu merupakan hak ke atas penzina muhson (yang sudah berkahwin) apabila telah tertegaknya bukti”.
Riwayat al-Bukhari (6829)

 

3- Nasakh rasm (ayat) berserta dengan hukum.

Contoh bagi nasakh kategori ini adalah berkenaan kadar bilangan susuan yang cukup untuk menjadikan seseorang sebagai mahram. Dalam sebuah hadis daripada A’isyah R.anha beliau berkata:

كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ  ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ
Di antara ayat yang diturunkan daripada Al-Qur’an adalah sepuluh kali susuan yang menjadikan mahram. Kemudian ia dinasakhkan kepada lima kali susuan yang diketahui.
Riwayat Muslim (1452)

 

نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَا

(melainkan) Kami datangkan yang lebih baik dari ayat yang telah dimansukhkan itu;

Yang telah dibatalkan dan dilupakan, akan diganti dengan yang lebih baik darinya. Allah ‎ﷻ hendak kata bahawa walaupun Kitab Taurat atau mana-mana kitab Kalam Allah ‎ﷻ telah dimansukhkan, tetapi Allah ‎ﷻ telah mendatangkan Al-Qur’an yang lebih baik dari Taurat dan Injil itu. Allah ‎ﷻ telah memberikan hukum yang baru yang lebih baik dari sebelumnya. Ia bukanlah bermaksud hukum syariat sebelum itu salah atau tidak sempurna atau buruk (seperti yang ditohmah oleh Yahudi). Akan tetapi ia mengikut kondisi masyarakat pada waktu itu. Pembatalan dan penggantian ini tidaklah mengurangi nilai yang lama. Cuma hukum yang baru ini lebih baik untuk umat yang baru, atau sekurang-kurangnya sama nilainya.

Ada hukum dalam Taurat yang tidak dipakai lagi dan diganti dengan hukum syariat yang lebih memudahkan. Contohnya seperti larangan kepada mereka untuk bekerja pada hari Sabtu. Pada hari Sabtu, mereka langsung tidak boleh membuat kerja apa-apa kerana hari Sabtu adalah hari untuk beribadat. Tidak ada larangan kepada kita seperti mereka itu. Yang kita ada hanyalah hari Jumaat sahaja. Itu pun bukan sepanjang hari kita dilarang dari bekerja. Kita disuruh pergi Salat Jumaat untuk beberapa waktu sahaja. Selepas itu, boleh sambung bekerja balik seperti biasa. Ini adalah lebih baik dari hukum yang telah diberikan kepada mereka dan ini adalah satu rahmat dari Allah ‎ﷻ. Nah, bukankah hukum syariat yang baru ini lebih baik dan menyenangkan? Maka sepatutnya orang Yahudi menghargai kemudahan yang Allah berikan ini.

Dalam kehidupan kita pun memang ada perubahan yang telah diduga akan berlaku. Sebagai contoh, seorang doktor memberi ubat dan suruh pesakit itu mengambil ubat itu sekali sehari. Akan tetapi doktor itu sudah tahu yang setelah seminggu, maka kesan ubat itu telah berlaku dan pesakit tidak perlu mengambilnya setiap hari lagi tapi hanya mengambilkan setiap dua hari sahaja. Maknanya dia sudah tahu, bukannya try and error. Maka begitu jugalah dengan Allah. Allah tahu penerimaan manusia dan telah tahu yang hukum itu akan diubah setelah sampai masanya. Jadi bukanlah Allah try and error pula.

Ayat ini juga menjadi hujah yang syariat Taurat tidak dipakai lagi. Walaupun untuk Bani Israil. Mereka sekarang kena pakai syariat di dalam Al-Qur’an. Agak pelik apabila ada di kalangan umat Islam yang kata puak Bani Israil boleh pakai syariat mereka lagi. Sedangkan syariat mereka telah hilang ditelan zaman. Kalau nak pakai syariat mereka, di manakah hendak dirujuk syariat mereka?

Kalau kita gunakan tafsiran ءَايَةٍ bermaksud mukjizat, maka mukjizat Al-Qur’an lebih hebat lagi dari mukjizat para Nabi dahulu. Kerana ia kekal zaman berzaman sehingga ke hari Kiamat. Kalau mukjizat Nabi Isa boleh menghidupkan orang yang mati dan menyembuhkan orang yang buta, maka Al-Qur’an dapat menghidupkan hati yang mati dan mata hati yang buta dari kebenaran. Tidakkah ini lebih hebat?

 

أَوْ مِثْلِهَا

atau (Kami berikan) yang sama;

Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri yang lebih baik pun, maka Allah ‎ﷻ tetap berikan yang sama kedudukannya. Sebagai contoh kita telah lihat Allah gantikan kalimah رَاعِنَا dengan kalimah انظُرنا di dalam ayat 104 sebelum ini. Maka tidak ada kerugian apa-apa bagi manusia. Kalau tidak dapat yang baik pun, tetap akan dapat yang sama kedudukan dengan syariat yang dahulu.

Seperti telah disebut sebelum ini, oleh kerana ayat ini, orang-orang Yahudi telah mengkritik Al-Qur’an. Mereka kata, walaupun mereka telah ubah kitab mereka, tetapi mereka kata ada juga ayat-ayat Al-Qur’an sendiri yang telah dimansukhkan. Jadi mereka hendak kata, tidak salahlah kalau mereka ubah kitab mereka, kerana Al-Qur’an pun ada juga perubahan.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu walaupun Kitab Taurat telah dimansukhkan, tetapi masih ada lagi hukum syariat dalam Taurat yang masih kekal. Bukan semuanya dihilangkan. Contohnya, hukum Qisas ada terdapat di dalam Taurat dan ada juga di dalam Al-Qur’an. Begitu juga dengan hukuman rejam sampai mati bagi lelaki dan wanita muhsan (yang sudah pernah bernikah secara halal). Maka tidak patut mereka membuat bising hendak mempersoalkan kenapa Kitab mereka dimansukhkan. Ada hukum-hukum yang masih lagi terpakai (setelah ditetapkan oleh Nabi Muhammad).

Apabila Kitab mereka telah dimansukhkan, maka hukum yang ada dalam Kitab itu tidak boleh dipakai mereka. Mereka sekarang sepatutnya menerima hukum baru yang ada dalam Al-Qur’an. Hukum-hukum itu lebih baik, maksudnya amalan lebih mudah dan dapat pahala lebih banyak.

Tetapi kenapa Allah ‎ﷻ memberikan hukum yang lain dahulu, kenapa tidak terus bagi hukuman yang akhirnya akan diberikan juga? Kenapa syariat tidak sama sahaja dari zaman Nabi Adam عليه السلام sampai sekarang? Ini kerana Allah ‎ﷻ melatih manusia dengan memberikan hukum syariat yang susah terlebih dahulu supaya ia sudah menjadi tabiat. Macam juga dalam latihan tentera. Masa latihan, gaji yang diberikan sedikit sahaja tetapi tugas yang diberikan amat berat, tidak ada masa rehat langsung (sama juga dengan doktor lepas pengajian). Bila sudah habis latihan, kerja yang diberikan kepada mereka lagi mudah dan gaji lebih mahal kalau dibandingkan dengan masa latihan dahulu. Jadi, dia sudah biasa dengan perkara yang susah. Oleh itu, kalau keadaan memerlukan dia dalam keadaan yang susah, dia sudah biasa. Dalam kehidupan, ini perkara biasa sahaja, jadi kenapa hendak hairan? Allah ‎ﷻ maha bijaksana dalam mengurus hambaNya. Segala yang Allah ‎ﷻ buat adalah sesuai dengan manusia.

Yang tidak baiknya ada kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa ayat-ayat Allah ‎ﷻ telah mansukh tetapi ia sebenarnya tidak mansukh. Senang-senang sahaja mereka kata ayat-ayat itu mansukh. Contohnya, ada yang kata ayat-ayat tentang perang telah dimansukhkan. Mereka telah memberi hujah-hujah yang batil sebagai menguatkan pandangan mereka. Yang mereka hendak kata ayat-ayat tentang perang itu telah mansukh adalah kerana mereka takut dengan propaganda orang kafir. Mereka tidak mahu orang kafir nampak Islam ini adalah satu agama yang keras. Jadi mereka kata arahan perang telah dimansukhkan kononnya. Padahal ia ada lagi sampai akhir zaman.

Satu lagi contoh adalah orang Islam yang marah sangat kepada orang kafir sampai mereka kata seluruh ayat-ayat Makkiah yang mengatakan tentang kesabaran dalam Islam telah dimansukhkan. Semasa di Mekah, para sahabat telah memohon kepada Nabi ﷺ supaya mereka dibenarkan untuk memerangi Musyrikin Mekah. Tetapi Allah ‎ﷻ telah menurunkan ayat-ayat menyuruh para sahabat bersabar kerana belum masanya untuk berperang. Puak-puak sesat yang marah sangat kepada orang kafir telah mengatakan bahawa ayat-ayat tentang kesabaran itu telah dimansukhkan – yang tinggal hanya ayat tentang memerangi mereka sahaja. Maka mereka kata tidak lain yang ada kecuali arahan perang kepada orang kafir sahaja. Kerana itu ada sampai berani bom diri sendiri kerana tertipu dengan hujah-hujah bathil sebegini.

Dua-dua contoh ini adalah bertolak dari dua sifat yang tidak patut dalam Islam – satu puak yang takut dengan orang kafir dan satu puak lagi yang marah sangat dengan orang kafir. Ini ada dua sifat ekstrem yang patut tidak ada dalam pemikiran orang kita. Mereka terlalu ekstrem sampai mereka sanggup mengatakan ada surah-surah yang telah dimansukhkan untuk mencapai tujuan mereka.

 

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Tidakkah engkau tahu bahawa Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh?

Ayat ini dari segi bahasa seperti ditujukan kepada Nabi Muhammad akan tetapi sebenarnya ia ditujukan kepada orang-orang Yahudi. Seperti yang kita tahu, Allah ‎ﷻ berkuasa penuh untuk melakukan segala kehendak-Nya. Kita hanya menerima sahaja. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan tujuan Allah ‎ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ tanya balik: tidakkah orang Yahudi (dan kita juga) tahu, bahawa Allah ‎ﷻlah yang Maha Berkuasa dalam segala hal? Dia boleh buat apa sahaja yang Dia hendak?

Adakah kita tak tahu atau kita buat-buat tidak tahu? Kalau Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa, Dia boleh buat apa yang Dia hendak, bukan kita boleh persoalkan. Jadi Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepada Bani Israil dan Nasrani bahawa syariat agama mereka telah dimansukhkan dan mereka kena pegang syariat yang terbaru sekarang, iaitu yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah keputusan dari Allah ﷻ. Jadi, kita sebagai hamba-Nya, kenalah ikut sahaja. Tidak perlu untuk dipersoalkan lagi. Kita tidak perlu tahu kenapa Allah ﷻ buat begitu. Akal kita tidak mampu untuk memahaminya dengan sempurna.


 

Baqarah Ayat 107: Allah ‎ﷻ hendak menempelak orang Yahudi dan Nasrani yang mempersoalkan tentang perbuatan Allah ‎ﷻ memansukhkan ayat-ayat dari Kitab mereka. Maka sekarang Allah menekankan siapa Dia dan kenapa Dia layak untuk mengubah apa-apa sahaja yang Dia hendak.

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Sahih International

Do you not know that to Allah belongs the dominion of the heavens and the earth and [that] you have not besides Allah any protector or any helper?

Malay

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

 

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالْأَرْضِ

Tidakkah kamu tahu bagi Allahlah milikNya segala kerajaan tujuh langit dan tujuh bumi?;

Tidak ada makhluk lain yang boleh mengatakan sesuatu ayat itu telah mansukh atau tidak melainkan hanya Allah ‎ﷻ sahaja. Ini adalah kerana kerajaan langit dan bumi hanya milik-Nya sahaja. Semua yang berada di langit dan bumi adalah dalam milik Allah ‎ﷻ.

Apabila Allah ‎ﷻ meletakkan perkataan لَهُ sebelum perkataan مُلْكُ, itu bermaksud ‘exclusivity’: bermakna *hanya* milik Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak berkongsi kerajaan-Nya dengan sesiapa pun. Allah ﷻ tidak berkongsi pemilikanNya dengan sesiapa pun.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ Maha Memiliki segala-galanya, maka terpulang kepada Allah ‎ﷻ untuk melakukan apa sahaja. Kalau Dia terhalang (ada perkara tidak boleh buat pula), bukan sifat Tuhanlah kalau begitu. Jadi, kalau Allah ‎ﷻ hendak memansukhkan sesuatu, itu adalah hak Allah ‎ﷻ. Bukan kita boleh persoalkan.

 

وَمَا لَكُمْ مِّنْ دُونِ اللَّهِ

Dan tidak ada lagi bagi kamu selain dari Allah;

Kalau kamu mempersoalkan juga hak Allah ‎ﷻ untuk memansukhkan apa-apa sahaja, buat apa-apa sahaja, ada balasan buruk untuk kamu di akhirat kelak. Kamu akan dikenakan dengan azab sengsara. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan menyelamatkan kamu dari azab Allah.

 

مِنْ وَلِيٍّ

sebagai wali;

Dan apabila Allah ‎ﷻ berikan balasan azab kepada kamu, tidak ada sesiapa yang boleh memberi perlindungan. ‘Wali’ iaitu bermaksud pelindung. Orang yang degil untuk menerima kebenaran akan dikenakan dengan azab akhirat dan tidak ada sesiapa yang boleh melindunginya.

Ini juga merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hendak masuk Islam, tetapi takut. Mereka takut mereka disakiti oleh masyarakat mereka. Mereka takut mereka disisihkan oleh masyarakat mereka kalau mereka tukar agama. Ini kerana yang masuk Islam bukanlah semua sekali masyarakat mereka (seperti Arab Madinah pada waktu itu). Yang ada masuk adalah sedikit demi sedikit sahaja.

Jadi pada mereka, sementara mereka dalam jumlah yang sedikit, mereka nampak mereka akan berada dalam keadaan yang payah. Maka Allah ‎ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa tidak ada yang dapat memberi perlindungan kepada mereka melainkan Allah ‎ﷻ. Mereka hendaklah bergantung kepada Allah ‎ﷻ sebagai pelindung. Jangan takut kepada orang lain. Allah ‎ﷻ akan melindungi mereka.

Maka ini juga peringatan kepada orang zaman sekarang yang masih takut-takut untuk masuk Islam. Mereka sudah nampak kebenaran Islam tetapi masih takut untuk mengucap syahadah. Ini adalah kerana mereka takut keluarga marah, dibuang kerja, kurang pendapatan, dan sebagainya.

Kalimah وَلِيٍّ bermaksud ‘sesiapa yang mahu memberi pertolongan’. Allah ‎ﷻ nak beritahu bahawa Dialah yang akan melindungi mereka. Adakah sesiapa lagi yang lebih baik dalam melindungi?

 

وَلَا نَصِيرٍ

atau yang boleh memberi pertolongan;

Kalau Allah ‎ﷻ berikan balasan azab kepada kamu yang mempersoalkan hak Allah ‎ﷻ, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu lagi. Selain dari Allah ‎ﷻ, tidak ada lagi yang boleh menolong. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa Allah ‎ﷻ akan menolong mereka kalau mereka masuk Islam. Allah ‎ﷻ pasti akan selamatkan mereka.

Maksud perkataan نَصِيرٍ adalah ‘yang sentiasa menolong’. Allah ‎ﷻ akan sentiasa membantu mereka yang masuk Islam. Serahkan segalanya kepada Allah ‎ﷻ. Kena letakkan tawakal yang tinggi kepada Allah ‎ﷻ. Maka apabila kita faham hal ini, maka tidaklah kita ralat untuk menyerahkan segala urusan kita kepada Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 105 (Kedengkian yang tidak habis-habis dari musuh)

Baqarah Ayat 105: Ini adalah ayat teguran dari Allah ‎ﷻ kepada para sahabat رضي الله عنهم.

مّا يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَلَا المُشرِكينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِّن خَيرٍ مِّن رَّبِّكُم ۗ وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Sahih International

Neither those who disbelieve from the People of the Scripture nor the polytheists wish that any good should be sent down to you from your Lord. But Allah selects for His mercy whom He wills, and Allah is the possessor of great bounty.

Malay

Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

 

مَّا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Amat tidak suka orang-orang kafir itu; 

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan apakah perasaan orang-orang Yahudi terhadap kejayaan umat Islam. Apakah yang sebenarnya yang mereka sorok di dalam hati mereka? Ini kerana umat Islam tidak tahu dan tidak boleh baca hati manusia, maka Allah yang beritahu kepada mereka.

Kenapakah Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَا (tidaklah) dalam ayat ini? Perkataan مَا adalah menidakkan sesuatu. Allah ‎ﷻ menidakkan anggapan orang-orang mukmin di Madinah. Kita kena tahu serba sedikit tentang sejarah mereka.

Arab Madinah telah lama berada di Madinah bersama dengan orang-orang Yahudi yang berada di Madinah. Mereka telah berkawan lama. Mereka menghormati orang-orang Yahudi itu yang telah lama mendapat kitab Taurat. Jadi mereka rasa bahawa apabila wahyu baru telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka sangka tentulah mudah untuk orang-orang Yahudi menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana bukankah mereka telah lama beragama dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah bersamaan dengan agama yang mereka pegang iaitu sama-sama agama dari langit?

Allah ‎ﷻ menidakkan pemahaman mereka yang sebegitu. Jika mereka berfikiran begitu, mereka adalah naif. Allah ‎ﷻ hendak beritahu, sebagaimana orang-orang Musyrik di Mekah dulu menentang Nabi ﷺ, begitu juga dengan sesetengah orang Yahudi di Madinah. Walaupun mungkin dahulu mereka berkawan baik, tetapi dengan perubahan pandangan agama, segala-galanya boleh berubah. Macam juga kita, dahulu kita sama-sama berkawan baik dengan orang. Tetapi apabila kita mengambil jalan sunnah dan belajar tafsir Al-Qur’an, ada orang yang sudah tidak mahu berkawan dengan kita lagi kerana kita sudah ‘macam lain’ pula kepada mereka. Mereka sudah memandang serong terhadap kita.

Berkawan baik dengan orang Yahudi tidak semestinya mereka kekal baik dengan kita. Pernah ada orang Palestin beritahu mereka apa terjadi semasa Yahudi datang beramai-ramai ke Palestin. Dahulu mereka ada jiran Yahudi di Palestin. Mereka memang berkawan baik, lawat melawati, anak-anak bermain bersama. Memang waktu itu duduk dengan aman. Tetapi apabila Palestin diambil alih oleh puak Yahudi, jiran dan kawan mereka daripada kalangan Yahudi itu menjadi orang asing pula seolah-olah tidak kenal dengan mereka. Orang-orang Yahudi itu boleh buat tidak kenal sahaja jiran mereka itu. Dengan selamba sahaja tanah yang asalnya milik orang Palestin mereka ambil begitu sahaja.

Lagi satu, digunakan kalimah ما untuk menidakkan dakwaan Yahudi pada zaman Nabi Muhammad itu. Mereka kata kononnya mereka suka apabila bangsa Arab dapat wahyu. Akan tetapi itu adalah kata-kata dari mulut mereka sahaja. Dalam hati mereka, mereka benci sebenarnya apabila wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad.

 

مِنْ أَهْلِ ٱلكِتَـٰبِ

yang terdiri dari Ahli Kitab;

Golongan pertama adalah Ahli Kitab – Yahudi dan Nasara, kerana mereka telah mendapat kitab wahyu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa ahli-ahli Kitab itu tidak seperti yang diharapkan oleh para sahabat yang beriman. Apa yang orang mukmin di Madinah sangkakan itu adalah tidak benar. Ini kerana ada golongan orang kafir dari kalangan orang Yahudi itu tidak suka jikalau ada kebaikan yang didapati oleh orang Islam. Ini adalah kerana sikap dengki yang ada pada mereka.

Bukan semua tidak suka. Sebahagian sahaja. Sebab itu Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘orang kafir dari ahli Kitab’. Perkataan ‘kafir’ dalam Al-Qur’an lain dari pemahaman biasa kita. Ia bermaksud mereka yang menolak Islam setelah memahaminya. Iaitu mereka tahu bahawa Islam itu benar, tetapi mereka tolak juga.

Dan mereka juga memerangi Islam dengan berbagai-bagai cara. Jadi ada beza antara “non-Muslim” dan “anti-Muslim”. Kebanyakan dari orang bukan Islam tidak mengganggu orang Islam pun. Seperti yang kita tahu, tidak semua orang bukan Islam yang memerangi Islam. Ada yang berbaik dengan Muslim dan tidak ada berniat buruk terhadap Muslim. Cuma mereka tidak masuk Islam kerana mereka belum lagi diberi hidayah. Mereka mungkin belum faham Islam. Mungkin juga mereka telah menerima Islam itu agama yang baik, tetapi belum terbuka lagi hati mereka untuk benar-benar masuk Islam. Mungkin mereka tidak nampak kelebihan Islam itu kerana kalau lihat kepada orang Islam pun, mereka tidak teringin hendak masuk Islam kerana buruknya perangai umat Islam. Maka orang-orang yang sebegini tidak dipanggil ‘kafir’ dalam Al-Qur’an. Cuma dalam penggunaan biasa, kita selalunya panggil mereka ‘kafir’. Sebaiknya, kita gunakan sahaja kalimah “non-Muslim” terhadap mereka.

Lihatlah dalam ayat ini tidak digunakan kalimat ما يود أهل الكتاب (tidaklah suka Ahli Kitab) akan tetapi ada ditambah kalimah الذين كفروا (orang-orang yang kafir) kerana Allah hendak menekankan yang mereka itu kufur, malah kufur dengan kitab-kitab wahyu mereka sendiri. Kerana kalau mereka benar-benar beriman dengan kitab wahyu mereka, memang telah disebut pun tentang Nabi Muhammad di dalamnya. Kalau mereka beriman, tentu mereka akan beriman dengan baginda.

 

وَلَا الْمُشْرِكِينَ

dan juga dari orang-orang Musyrikin;

Ini adalah golongan kafir yang kedua – yang musyrik seperti Musyrikin Mekah. Orang Musyrik memang tidak suka jika ada kebaikan diberikan kepada orang beriman. Mereka dari dahulu lagi tidak sukakan Nabi Muhammad ﷺ. Merekalah yang pertama menentang baginda apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul. Merekalah yang mula-mula menentang Nabi ﷺ tetapi kenapa ahli kitab disebut dahulu di dalam ayat ini?

Ahli Kitab disebut dahulu kerana mereka lebih penting hendak diberitahu di dalam situasi ini kerana ayat ini diturunkan semasa orang Islam berhadapan dengan orang Yahudi di Madinah. Orang Islam di Madinah memerlukan saranan yang lebih kuat untuk menyedarkan mereka dari pemahaman mereka yang salah tentang kawan-kawan mereka dari orang Yahudi itu. Ini kerana mereka sudah faham tentang tentangan dari orang Musyrikin Mekah tapi mereka sangka golongan Yahudi pasti akan senang terima Islam. Allah ‎ﷻ hendak memberikan peringatan kepada orang Islam di Madinah bahawa sebagaimana orang Musyrik telah menentang Islam, begitu juga orang Yahudi di Madinah.

Satu lagi, dipisahkan antara golongan Ahli Kitab dan Musyrikin walaupun kedua-duanya kafir, adalah kerana hukum hubungan kita dengan mereka berbeza. Sebagai contoh kita tidak boleh makan sembelihan Musyrikin akan tetapi kita boleh makan sembelihan Ahli Kitab. Kita tidak boleh menikahi orang Musyrik akan tetapi kita boleh menikahi wanita Ahli Kitab. Jadi oleh kerana kedudukan status mereka ada sedikit kelainan, maka kerana itu dipisahkan sebutan tentang mereka.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa akan sentiasa ada dua golongan ini yang akan sentiasa menentang Islam. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati dengan mereka. Jangan jadikan mereka wali kita atau pemimpin kita kerana sifat mereka yang tidak mesra terhadap Islam. Selepas ini diberitahu apakah yang mereka tidak suka.

Cuma mungkin timbul persoalan: Adakah semua orang kafir dan musyrikin ini memusuhi umat Islam? Tentulah tidak semua. Kita sudah lihat contohnya bapa saudara Nabi Abu Thalib yang dari awal sehingga ke akhir hayatnya membantu anak saudara Nabi Muhammad. Jadi takkan boleh kita katakan semua orang kafir itu menentang Islam. Kerana ada sahaja yang hatinya baik. Akan tetapi tetap jangan kita jadikan mereka sebagai pemimpin kita kerana tidak tahu apakah kesannya nanti kepada Islam.

 

أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِّن خَيرٍ مِّن رَّبِّكُم

bahawa didatangkan kepada kamu semua satu kebaikan apa pun dari Tuhan kamu;

Mereka tidak suka apabila orang Islam mendapat kebaikan kerana sifat dengki yang ada pada mereka. Ini adalah kerana rasa permusuhan yang tinggi dari kepada terhadap agama Islam. Apabila mereka tidak suka, mereka mencari berbagai-bagai jalan untuk melemahkan Islam. Mereka tidak suka Islam jadi kuat dan berpengaruh. Antaranya mereka cuba mencari kesalahan Nabi ﷺ. Mereka juga mencari-cari jalan bagaimana hendak menyebabkan orang Islam sangsi dengan Islam.

Mereka benci apabila Muslim mendapat kebaikan padahal kebaikan itu dari Allah ‎ﷻ semata-mata. Mereka tidak suka orang beriman mendapat kebaikan dari Allah ‎ﷻ. Apa-apa sahaja kebaikan, tidak kira walau apa jenis pun sama ada keduniaan atau akhirat. Sama ada dari segi wahyu, kemenangan dalam peperangan, pangkat kenabian, ilmu, iman, kesenangan, harta atau apa-apa sahaja. Ini adalah kerana kalimah yang digunakan adalah مِن خَيرٍ di dalam bentuk nakirah (umum) jadi ia bukan khusus; jadi ia bermaksud apa-apa sahaja kebaikan.

Pertamanya, mereka tidak suka Nabi Muhammad ﷺ yang mendapat wahyu – ini yang paling utama. Kita telah belajar sebelum ini yang orang-orang Yahudi tidak dapat menerima bahawa wahyu akhir zaman diturunkan kepada Bangsa Arab. Orang Arab Mekah yang musyrik pula, tidak dapat menerima Nabi Muhammad ﷺ diberikan wahyu. Pada mereka, ada lagi orang lain yang lebih layak dari kalangan orang terkenal di Tanah Arab. Kita akan belajar tentang ini dalam surah-surah yang lain.

Macam masyarakat kita juga, ada yang tidak suka kalau orang baik-baik dapat kebaikan. Kalau mereka tengok ada ustaz pakai kereta cantik sedikit, mereka akan mengata. Mereka tidak suka orang yang sebar agama mendapat kebaikan. Sama ada orang-orang agama itu mendapat kedudukan, harta atau sebagainya. Kalau pihak yang dituduh sebagai ‘Wahabi’ terkehadapan, ada golongan yang tak suka. Sebagai contoh, apabila pihak yang dituduh Wahabi ini yang di hadapan dalam membongkarkan kesesatan dan kezaliman GISB pada tahun 2024, pihak yang selalu menuduh-nuduh Wahabi ini senyap sahaja kerana tidak suka bukan mereka yang yang di hadapan dalam perkara ini. Mereka memang tidak suka golongan Sunnah dapat kebaikan seperti menang dalam debat, pandai kerana belajar lebih dari mereka, mendapat penghormatan dari negara-negara lain dan sebagainya. Jadi mereka akan selalu menunggu peluang untuk memburukkan kita.

Kerana Allah beritahu tentang sifat dengki golongan musyrikin dan Ahli Kitab itu? Supaya kita terus berhati-hati dengan mereka. Jangan tertipu dengan diayah mereka yang hendak merosakkan kita. Peliharalah baik-baik iman dan amal kita supaya tidak terpengaruh dengan mereka. Dan dianjurkan kita untuk berlindung dengan Allah dari kejahatan mereka seperti disebut di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ جَهْدِ الْبَلَاءِ وَدَرَكِ الشَّقَاءِ وَسُوءِ الْقَضَاءِ وَشَمَاتَةِ الْأَعْدَاءِ
Dari Abu Hurairah radiallahuanhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mintalah perlindungan kepada Allah dari cubaan yang menyulitkan, kesengsaraan yang menderitakan, takdir yang buruk dan diketawakan oleh musuh.”
Sahih Bukhari (6126)

Musuh memang suka kalau melihat kita susah, dan mereka akan mengambil peluang ketika kita lemah. Maka kerana itu kita kena minta perlindungan dari Allah. Kalau nampak ada orang yang macam tidak suka dengan kita, maka berdoalah kepada Allah. Ini macam orang yang mengamalkan bid’ah, amat tidak suka kalau orang golongan Ahli Sunnah pandai dalam agama dan mengalahkan mereka di dalam hujah. Padahal sepatutnya mereka pun belajarlah juga tafsir Al-Qur’an dan syarahan hadis, jangan terus duduk di dalam kebodohan. Akan tetapi tindakan mereka hanya mengutuk dan meratib wahabi, wahabi sahaja.

 

وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ

Sedangkan Allah akan memberikan pengkhususan dengan RahmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki;

Rahmat itu adalah dari Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa ia adalah hak Allah ‎ﷻ untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya secara khusus. Bukan tempat kita untuk mempersoalkan kepada siapakah yang Allah ‎ﷻ berikan rahmat-Nya itu. Ikut Allah ‎ﷻlah siapa yang Dia hendak beri kebaikan itu. Contohnya kedudukan Nabi itu dipilih oleh Allah sendiri seperti disebut di dalam An’am:124

وَإِذَا جَآءَتهُم ءَايَةٌ قَالُواْ لَن نُّؤمِنَ حَتَّىٰ نُؤتَىٰ مِثلَ مَآ أُوتِىَ رُسُلُ ٱللَّهِ‌ۘ ٱللَّهُ أَعلَمُ حَيثُ يَجعَلُ رِسَالَتَهُ ۥ‌ۗ

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Dia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu.

Kita telah tahu yang Ahli Kitab tidak suka pangkat Nabi diberikan kepada orang Arab. Begitu juga mereka tidak suka manusia dapat nikmat agama Islam itu. Sebagai contoh, kita tahu bahawa Bilal رضي الله عنه itu adalah seorang yang miskin. Begitu juga dengan Salman al Farisi dan Suhail رضي الله عنهما. Orang-orang musyrik tidak suka mereka ini mendapat rahmat apa-apa dari Allah ‎ﷻ. Tetapi Allah ‎ﷻ telah pilih mereka menjadi sahabat yang mulia. Itu semua adalah kehendak Allah ‎ﷻ. Kita tidak dapat mempersoalkannya langsung. Siapa kita untuk persoalkan keputusan Allah ‎ﷻ?

Memang dahulu Bani Israil telah mendapat begitu banyak kebaikan dari Allah ‎ﷻ. Mereka telah diberikan dengan kelebihan demi kelebihan – antaranya begitu ramai Nabi dan Rasul dari kalangan mereka. Mereka juga telah mendapat kekayaan dan kebaikan dalam kehidupan. Tetapi Allah ‎ﷻ boleh tidak memilih mereka lagi untuk memberi kebaikan. Siapakah mereka sebagai manusia hendak mempersoalkan Allah ‎ﷻ?

 

وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar sekali.

Allah ‎ﷻ ada banyak rahmat yang akan diberikan-Nya kepada manusia lain yang dipilih-Nya. Tunggu masa sahaja untuk Allah berikan kepada makhluk. Asal sahaja kita jaga rahmat yang Allah telah beri kepada kita dari segi agama, maka akan ditambahNya lagi rahmat itu dengan tidak terhitung.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang orang Yahudi marah kerana Nabi akhir zaman yang dibangkitkan bukan dari golongan mereka. Orang Musyirikin pun marah juga kerana yang diangkat menjadi Nabi itu bukan dari orang-orang yang mereka sangka patut menjadi Nabi.

Pelajaran dari ayat: Peringatan agar berwaspada terhadap orang-orang kafir dari kalangan Ahli Kitab atau orang-orang musyrik, kerana mereka adalah musuh yang dengki terhadap orang-orang mukmin. Maka tidak halal bagi seorang Muslim untuk merendahkan diri dan merasa tenang dengan ucapan dan perbuatan mereka, sebab mereka tidak pernah berhenti melakukan tipu daya kepada kaum muslimin.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah