Tafsir Surah Baqarah Ayat 183 (Puasa)

HUKUM PUASA

Baqarah Ayat 183: Ayat ini adalah tentang hubungan dengan Allah ‎ﷻ pula. Ayat-ayat sebelum ini sentiasa menyentuh tentang taqwa. Sekarang Allah ‎ﷻ memberikan jalan-jalan bagaimana cara untuk mencapai taqwa. Oleh itu ayat-ayat yang seterusnya ini adalah tentang puasa. Ia kembali menceritakan tentang pemeliharaan jiwa dengan mengerjakan puasa. Semua perkara tentang puasa dimasukkan di dalam kumpulan ayat yang berterusan ini. Kemudian tidak dimasukkan di mana-mana lagi. Ini adalah sesuatu yang aneh sebenarnya. Selalunya, hukum sesuatu perkara tidak dimasukkan oleh Allah ‎ﷻ sebegini. Selalunya hukum sesuatu perkara itu ada dalam satu surah, kemudian dimasukkan dalam surah yang lain. Maknanya ia berselerak dalam Al-Qur’an namun tidak begitu dengan hukum puasa ini. Semuanya ada dalam lima ayat ini sahaja.

Amalan puasa ini adalah untuk memperbaiki hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ. Kalau hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ baik, tentu hubungan hamba dan hamba yang lain akan menjadi baik juga. Kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ tidak baik, nescaya tidak akan dapat dijaga hubungan baik dengan makhluk yang lain.

Puasa adalah satu daripada arahan jenis Umur Muslihah. Apabila kita berpuasa, kita sanggup untuk tidak makan kerana ia adalah hukum daripada Allah ‎ﷻ. Kita sabar untuk tidak makan selama sebulan pada siang harinya, dari pagi hingga ke malam. Maka hasilnya, Allah ‎ﷻ memberi kekuatan untuk orang yang berpuasa untuk menjaga diri mereka daripada memakan daripada sumber yang haram. Inilah kebaikan puasa. Sebab itu ayat puasa ini diletakkan di celah-celah ayat-ayat tentang pengurusan harta. Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang wasiat. Pengurusan harta adalah amat penting kerana dengan sebab harta boleh menjadi punca manusia masuk neraka.

Selepas ayat puasa ini, ada pula ayat tentang larangan memakan harta sesama kita dengan cara bathil. Ini memberi isyarat kepada kita, bahawa harta tidak dapat dijaga dengan baik kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ dari segi puasa ini tidak betul. Ini kerana puasa mengajar kita taqwa iaitu takut dengan hukum Allah ‎ﷻ.

Doa juga makbul semasa puasa. Termasuk semasa kita melakukan puasa sunat. Maka ambillah kesempatan untuk berdoa semasa puasa. Yakinlah yang doa itu akan makbul. Oleh itu, dalam ayat-ayat puasa ini nanti, kita akan bertemu dengan ayat-ayat tentang doa.

Kita semua tentunya sudah faham dan mahir tentang puasa ini sebab semenjak kecil sudah mengamalkannya. Walau bagaimana pun, semua orang mempunyai tafsiran mereka sendiri tentang puasa. Kepada kanak-kanak, mereka faham puasa itu tidak boleh makan dan minum sahaja. Kepada orang dewasa, mungkin lain pula pemahaman mereka (lebih banyak faham). Tentulah tidak sama pemahaman seorang yang berilmu dan seorang yang jahil – ada yang puasa hanya kerana orang lain pun puasa juga. Maka, pemahaman tidak sama tentang apakah maksud ‘puasa’ itu. Maka, sekarang kita hendak melihat apakah maksud puasa yang dimaksudkan sendiri oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat Al-Qur’an. Tentunya kita hanya akan mendapat maklumat itu dengan membaca dan memahami ayat-ayat-Nya. Mari kita teruskan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Sahih International

O you who have believed, decreed upon you is fasting as it was decreed upon those before you that you may become righteous –

 

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Maka, ia ditujukan kepada kita juga yang mengaku beriman ini. Bayangkan yang Allah ‎ﷻ sedang bercakap terus dengan kita. Banyak ayat-ayat yang dimulai dengan kata-kata ini. Memang seeloknya, apabila kita membaca Al-Qur’an, kita qasadkan dalam hati kita yang Allah ‎ﷻ sedang bercakap-cakap dengan kita. Ini akan lebih menjadikan kita dapat menjiwai ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca.

Sahabat Nabi kita, salah seorang ahli tafsir yang terkenal Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah mengatakan, bahawa apabila sesuatu yang dimulai dengan panggilan kepada orang yang percaya, sebelum sampai ke akhirnya kita sudah tahu bahawa ayat ini akan mengandungi suatu perihal yang penting ataupun suatu larangan yang berat. Sebab Tuhan Yang Maha Tahu itu telah memperhitungkan terlebih dahulu bahawa yang bersedia menggalangkan bahu buat memikul perintah Allah ‎ﷻ itu hanya orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ sebut ‘mereka yang beriman’. Jadi, siapakah mereka yang beriman itu? Itulah mereka yang beriman dengan perkara-perkara yang patut diimani. Rukun iman adalah asas kepada perkara yang perlu diimani – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada malaikat, kepada Kitab dan seterusnya. Namun ada banyak lagi perkara yang perlu diimani. Itu kena belajar baru dapat tahu.

 

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

difardhukan ke atas kamu puasa

Ayat ini diturunkan pada bulan Sya’ban Tahun Kedua Hijrah. Iaitu sebelum bulan Ramadhan dan pada Ramadhan itulah terjadinya Perang Badr. Maknanya para sahabat Ahli Badr ketika berperang ketika bulan puasa.

Perkataan كُتِبَ asalnya diambil daripada kalimah ‘kitab’ yang bermaksud ‘buku’. Namun apabila diikuti dengan perkataan عَلَيْ, hingga menjadikan perkataan sebegini: كُتِبَ عَلَيْ, maka ia bermaksud ‘difardhukan’, atau ‘diwajibkan’. Kita boleh faham sebegini: apabila undang-undang itu telah dibukukan dan digazetkan, bermakna ia wajib diikuti. Yang dimaksudkan ada puasa dalam bulan Ramadhan. Puasa termasuk di dalam Rukun Islam seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ أَنَّ أَعْرَابِيًّا جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَائِرَ الرَّأْسِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي مَاذَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فَقَالَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا فَقَالَ أَخْبِرْنِي مَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ الصِّيَامِ فَقَالَ شَهْرَ رَمَضَانَ إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا فَقَالَ أَخْبِرْنِي بِمَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ الزَّكَاةِ فَقَالَ فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ قَالَ وَالَّذِي أَكْرَمَكَ لَا أَتَطَوَّعُ شَيْئًا وَلَا أَنْقُصُ مِمَّا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ شَيْئًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْلَحَ إِنْ صَدَقَ أَوْ دَخَلَ الْجَنَّةَ إِنْ صَدَقَ
Daripada Tholhah bin ‘Ubaidullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ; Ada seorang ‘Arab Badwi datang kepada Rasulullah ﷺ dalam keadaan kepalanya penuh debu lalu berkata; “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku apa yang telah Allah wajibkan buatku tentang solat?”. Maka baginda ﷺ menjawab: “Solat lima kali kecuali bila kamu mahu menambah dengan yang tathowwu’ (sunnat) “. Orang itu bertanya lagi: “Lalu khabarkan kepadaku apa yang telah Allah wajibkan buatku tentang shaum (puasa)?”. Maka baginda menjawab: “Shaum di bulan Ramadhan kecuali bila kamu mahu menambah dengan yang tathowwu’ (sunnat) “.”Dan shiyam (puasa) Ramadhan”. Orang itu bertanya lagi: “Lalu khabarkan kepadaku apa yang telah Allah wajibkan buatku tentang zakat?”. Berkata Tholhah bin ‘Ubaidullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Maka Rasulullah ﷺ menjelaskan kepada orang itu tentang syariat-syariat Islam. Kemudian orang itu berkata: “Demi Dzat yang telah memuliakan anda, aku tidak akan mengerjakan yang sunat sekalipun, namun aku pun tidak akan mengurangi satupun daripada apa yang telah Allah wajibkan buatku”. Maka Rasulullah ﷺ berkata: “Dia akan beruntung jika jujur menepatinya atau dia akan masuk syurga jika jujur menepatinya “.
(Sahih Bukhari No. 1758)

Sebelum itu para sahabat telah biasa berpuasa pada hari Asyura, jadi apabila telah adanya puasa Ramadhan ini, maka ia menjadi sunat sahaja.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ عَاشُورَاءُ يَصُومُهُ أَهْلُ الْجَاهِلِيَّةِ فَلَمَّا نَزَلَ رَمَضَانُ قَالَ مَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ لَمْ يَصُمْهُ
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata; “Dahulu hari Asyura’ adalah hari yang orang-orang jahilliyah berpuasa, tatkala turun bulan Ramadhan, baginda bersabda: “Barang siapa yang ingin berpuasa Asyura’ hendaklah dia berpuasa, dan bagi yang tidak ingin, silakan dia tinggalkan.”
(Sahih Bukhari No. 4141)

Kalimah الصِّيَامُ asalnya bermaksud ‘menahan diri daripada sesuatu’ iaitu yang nafsu mahu lakukan. Ini seperti makan, minum, bercakap, hubungan suami isteri dan banyak lagi. Kalau perkara itu bukan nafsu yang mahu – contohnya menahan diri daripada terjun bangunan contohnya, itu tidak dikira الصِّيَامُ kerana ia bukanlah sesuatu yang diingini oleh nafsu. Di dalam Al-Qur’an, penggunaan kalimah صوم bukan hanya bermaksud menahan diri daripada makan sahaja seperti disebut dalam Maryam: 26

إِنّي نَذَرتُ لِلرَّحمٰنِ صَومًا فَلَن أُكَلِّمَ اليَومَ إِنسِيًّا
Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dalam kalangan manusia pada hari ini”.

Di dalam ayat daripada Surah Maryam itu, ia bermakna menahan diri daripada berkata-kata iaitu kebiasaan yang kita lakukan. Cuma dari segi hukum syarak, yang dimaksudkan dalam ayat Surah Baqarah ini adalah: ‘menahan diri daripada makan, minum dan hubungan seks untuk beberapa waktu yang tertentu’.

Dalam Bulan Puasa, iman dapat melawan nafsu. Nafsu hendak makan dan hendak minum tentunya, tetapi kerana iman kita, kita dapat menahan diri kita daripada makan dan minum kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Sebenarnya, keseluruhan hidup kita adalah menahan nafsu kerana kalau kita ikut sahaja semua kehendak nafsu tanpa kekangan, maka hidup kita akan musnah. Macam-macam nafsu kita mahukan. Sentiasa sahaja kita hendak itu dan ini. Ada yang baik seperti makan dan minum, dan ada yang tidak baik seperti hendak menipu, hendak mencuri, hendak itu dan ini. Namun kita harus menahan nafsu kita daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Bukanlah kena tahan semua nafsu itu, kerana mana-mana keinginan nafsu yang dibolehkan oleh syarak, ia dibenarkan. Sebagai contoh, melakukan persetubuhan adalah haram tetapi dibenarkan apabila sudah menikah dengan isteri kita.

Oleh itu, keseluruhan hidup kita sebenarnya adalah puasa sebenarnya. Mungkin ramai tidak nampak perkara ini. Memang jalan ke syurga itu susah. Kena berterusan istiqamah dalam berperang dengan nafsu. Dalam bulan Ramadhan, kekuatan iman kita dilatih untuk menundukkan nafsu dengan bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita selalu berjaya menundukkan nafsu, maka iman kita semakin kuat dan nafsu kita akan semakin mudah untuk menurut iman.

Dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah ‘difardhukan ke atas kamu’. Tidak disebut siapakah yang memfardhukannya. Tentunya Allah ‎ﷻ yang memfardhukan puasa kepada kita. Namun tidak disebut dalam potongan ayat ini. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepada kita, ‘Siapakah pembuat ibadah puasa itu?’ Itulah cara penggunaan bahasa dalam ayat ini.

 

Kelebihan berpuasa

Apabila Allah ‎ﷻ memfardhukan puasa kepada kita, bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ perlukan kepada ibadat puasa kita itu. Tidak berubah sifat dan kedudukan Allah ‎ﷻ sama ada kita berpuasa atau tidak. Namun, puasa itu adalah satu kelebihan untuk kita sebenarnya. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”
(Sahih Bukhari No. 38 dan Muslim No. 760)

Terdapat banyak kelebihan dalam puasa itu. Dunia perubatan pun telah membuat kajian dan sepakat mengatakan bahawa terdapat kelebihan dalam bentuk kesihatan kepada mereka yang berpuasa. Kita menghabiskan kebanyakan daripada kehidupan kita dengan makan sepanjang hari. Proses penghadaman dalam badan kita sebenarnya memenatkan dan badan kita sebenarnya memerlukan rehat. Kita mendapat rehat itu ketika berpuasa. Namun begitu, janganlah pula kita niat berpuasa itu untuk kesihatan kerana kita puasa kerana ia adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan ibadat ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Cuma kita tahu, di sebalik segala suruhan Allah ‎ﷻ itu, ada kebaikannya sebagai bonus untuk kita. Sama ada kita dapat tahu kelebihan itu atau tidak sahaja. Kadang-kadang daripada kajian moden, kita dapat tahu apakah hikmah sesuatu amalan itu. Namun sebenarnya tidak penting sama ada kita tahu atau tidak. Yang penting, kita kena lakukan sahaja segala arahan daripada Allah ‎ﷻ. Yakinlah yang tentu sahaja ada kebaikan di dalamnya.

Apabila kita tidak makan dan minum, fikiran dan badan kita boleh fokus kepada perkara selain daripada menghadamkan makan. Ini kerana apabila makan, tenaga yang diperlukan untuk menghadamkan makanan akan banyak disalurkan kepada proses menghadam makanan. Apabila sudah tidak makan, maka fikiran dan badan boleh fokus tenaga kepada ibadat, kepada memikirkan perkara-perkara yang baik. Antaranya kita akan dapat solat dengan lebih khusyuk, membaca Al-Qur’an dengan lebih tenang, dan memikirkan makna yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Kemudian, amalan ini sepatutnya diteruskan lagi dalam bulan-bulan yang lain supaya kita tetap dapat manfaat ini.

Puasa ini adalah seperti sejenis ubat untuk kita. Sekiranya seorang pesakit datang kepada doktor, doktor akan berikan ubat kepada pesakit itu. Doktor itu akan memastikan yang dia akan beri ubat yang sesuai untuk pesakit itu. Kalau sakit yang dihadapi oleh pesakit itu berat, maka ubat yang diberikan adalah jenis yang kuat. Sebagai contoh, kalau sakit itu kanser, kadang-kadang doktor akan suruh pesakit kanser itu menjalani kemoterapi – satu jenis perubatan yang amat berat sampaikan mereka yang menjalaninya akan gugur habis rambutnya. Itu adalah kerana doktor hendak mematikan sel-sel kanser yang ada pada pesakit itu.

Pertamanya, kita kena terima bahawa kita memerlukan ubat iaitu ubat untuk iman dan roh kita. Kadang-kadang ubat yang kita kena makan adalah ubat yang kuat, ubat yang drastik. Memang, puasa adalah satu langkah yang drastik kalau kita fikirkan. Bayangkan kita terpaksa menahan makan dan minum sepanjang hari selama sebulan. Bagi orang bukan Muslim yang melihat kita, pasti mereka memang menggelengkan kepada dan mereka kata mereka tidak sanggup lakukan sebegini. Jadi, jangan kita sangka apa yang kita lakukan ini adalah perkara senang. Mungkin kita sudah biasa kerana kita sudah biasa puasa semenjak kecil lagi.

Kita dikenakan dengan ubat yang drastik ini adalah kerana iman kita mengalami gangguan yang amat teruk sampaikan kita memerlukan langkah perubatan yang ketara. Sebagai contoh, kalau seseorang itu sakit jantung, sampai jantungnya berhenti, doktor akan memberikan kejutan elektrik untuk menghidupkan jantungnya semula. Kadang-kadang ubat yang diberikan juga tidak sedap – amat pahit tetapi ia adalah baik untuk kita. Namun kita menelannya juga, kerana kita hendak sihat dan kita tahu yang ia memang ubat. Maka kita kena sedar dulu yang Puasa adalah ubat sebenarnya.

 

Persediaan Perang

Terdapat isyarat berperang juga dalam ayat ini kerana perkataan الصِّيَامُ itu membawa satu makna ‘peperangan’ juga kepada orang Arab. Ini kerana apabila mereka hendak berperang, ada yang menggunakan kuda. Namun kuda tidak tahan dahaga. Kuda tidak seperti unta yang boleh tahan tidak minum air untuk waktu yang panjang. Namun begitu, mereka tidak boleh membawa unta untuk berperang kerana unta pergerakannya perlahan. Maka, untuk mereka menggunakan kuda juga untuk peperangan, mereka hendaklah melatih kuda itu untuk menahan lapar dan dahaga. Oleh itu mereka akan menahan kuda daripada makan dan minum untuk beberapa lama sebagai persediaan perang. Aktiviti ini dinamakan الصِّيَامُ. Maka, apabila disebut الصِّيَامُ, orang-orang Arab akan terus teringat kepada peperangan.

Kenapa pembaca Al-Qur’an diingatkan kepada peperangan? Ini kerana para sahabat akan disuruh berperang nanti untuk mendapatkan kembali Tanah Haram dan Kaabah daripada orang kafir musyrik. Surah ini memang diturunkan tidak lama sebelum arahan berperang dikeluarkan.

 

كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ

sepertimana yang telah difardhukan kepada orang-orang sebelum kamu

Ini adalah hukum awal berpuasa. Kita diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas ahli Kitab sebelum itu. Sekarang kita dapat satu maklumat penting yang kita tidak akan dapat tahu sendiri: Ahli Kitab telah diwajibkan juga berpuasa ke atas mereka. Namun mereka telah menukar syariat yang telah diberikan kepada mereka. Orang Yahudi contohnya, telah menukar sebulan puasa kepada beberapa hari sahaja. Orang Kristian pula telah menukar puasa mereka ke bulan yang lain daripada bulan Ramadhan dan kemudiannya mereka telah menambah bilangan hari berpuasa itu. Kemudiannya, mereka pun tidak melakukan puasa juga akhirnya.

‘Orang-orang sebelum kamu’ juga termasuklah umat-umat dahulu, seperti umat Nabi Nuh عليه السلام dan umat-umat lain. Mereka juga diwajibkan puasa. Kita tidak pasti bagaimanakah cara puasa mereka – berapa lama, berapa hari, apakah mereka tidak boleh makan sahaja, tidak boleh minum sahaja – kita tidak pasti. Namun disebutkan puasa juga telah diwajibkan kepada mereka supaya kita tahu bahawa bukan umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diwajibkan puasa tetapi umat-umat terdahulu. Supaya senang hati kita, barulah kita tahu bahawa walaupun arahan yang diberikan kepada kita ini berat, tetapi kita tenangkan diri kerana umat-umat Islam dahulu pun sudah dikenakan arahan yang sama juga, bukan kita sahaja. Kalau kita tahu orang lain pun kena juga, maka kita dapat terima dengan mudah.

Sampai sekarang pun agama lain ada yang mengamalkan puasa, walaupun tidaklah sama seperti agama Islam. Antaranya:

– Puasa dalam Kristian. Waktu: Tempoh 40 hari sebelum Hari Paskah (Easter), dikenali sebagai Lent. Cara Berpuasa: Tidak ada aturan khusus untuk semua denominasi. Sebahagian umat Kristian, terutama Katolik, menghindari makanan tertentu seperti daging atau berpuasa penuh pada hari tertentu (misalnya, Ash Wednesday dan Good Friday).

– Puasa dalam Yahudi. Waktu: Terdapat hari-hari tertentu untuk berpuasa, seperti Yom Kippur (Hari Pendamaian) dan Tisha B’Av (memperingati kehancuran Bait Suci di Yerusalem). Cara Berpuasa: Umat Yahudi menahan diri daripada makan, minum, dan aktiviti tertentu selama 24 jam penuh pada hari-hari puasa wajib. Pada puasa minor (seperti Tzom Gedaliah), mereka berpuasa dari matahari terbit hingga terbenam.

– Puasa dalam Hindu (Upavasa) Waktu: Biasanya dilakukan pada hari-hari tertentu dalam kalender Hindu, seperti Ekadashi (hari ke-11 setiap bulan lunar), Navaratri, atau Mahashivratri. Cara Berpuasa: Tidak makan sepenuhnya atau hanya makan makanan tertentu (misalnya, buah-buahan, susu, atau makanan tanpa garam). Dalam beberapa tradisi, puasa boleh melibatkan pantang makanan seperti daging atau produk tertentu.

– Puasa dalam Buddha. Waktu: Tidak ada kewajipan berpuasa, tetapi para biksu dan biksuni sering berpuasa secara sukarela pada hari-hari tertentu, seperti Uposatha (hari suci dalam kalendar Buddha). Cara Berpuasa: Biasanya, mereka tidak makan setelah tengah hari hingga matahari terbit keesokan harinya. Praktik ini membantu memfokuskan diri pada kehidupan rohani.

– Puasa dalam Taoisme. Cara Berpuasa: Biasanya melibatkan pantang makanan berat, alkohol, dan keinginan duniawi. Praktik ini sering dikaitkan dengan meditasi dan latihan pernafasan.

Seandainya kita meneruskan analogi puasa itu sebagai ‘ubat’, kita juga mendapat manfaat dengan mengetahui bahawa ia telah diberikan kepada orang-orang yang terdahulu. Bayangkan seorang doktor menyuruh kita makan sejenis ubat. Ubat itu pula adalah ubat yang kuat. Tentulah kita akan tanya kepada doktor itu sama ada ia pernah digunakan sebelum ini. Adakah pernah diberi kepada orang lain? Adakah ia berkesan kepada orang itu? Maka, Allah ‎ﷻ telah beri kita ketenangan fikiran dengan menyatakan bahawa ibadah puasa ini juga pernah diberikan kepada orang-orang terdahulu dan mereka telah berjaya melakukannya. Mereka juga telah mendapat manfaat daripadanya iaitu sebelum mereka meninggalkan agama mereka dan tidak melakukan puasa lagi.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu mendapat taqwa

Sekarang kita dapat tahu daripada ayat ini bahawa tujuan puasa diwajibkan adalah untuk menjadikan kita orang yang bertaqwa. Namun, lihatlah kepada perkataan لَعَلَّكُمْ (mudah-mudahan, kamu) yang digunakan dalam ayat ini. Maksud ayat ini adalah ‘mudah-mudahan’. ‘Mudah-mudahan’ bermaksud sesuatu yang tidak pasti. Ia adalah satu harapan – harap-harap dengan menjalankan ibadah puasa ini, kita boleh mendapat ketaqwaan. Belum tentu dapat taqwa lagi.

Maka ayat ini bukanlah satu janji yang kalau berpuasa, akan dapat mencapai taqwa, tetapi ia adalah sebagai satu pengharapan, satu usaha. Satu pemberitahuan bahawa untuk mendapat taqwa, hendaklah berpuasa seperti yang disuruh oleh Allah ‎ﷻ. Ini memberi kita satu motivasi kepada kita untuk berpuasa.

Perkataan تَتَّقُونَ  (kamu bertaqwa) juga memberi isyarat dari segi bahasa bahawa ia adalah satu kebarangkalian kerana ia dalam fiil mudhari’ (present tense). Apabila digunakan fiil mudhari’, ia menunjukkan satu isyarat kebarangkalian. Kalau Al-Qur’an hendak menyatakan kepastian, fiil mardhi (past tense) akan digunakan.

Kenapakah ia sebagai satu kebarangkalian sahaja? Ini kerana berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak menghayati kepentingan puasa itu. Berapa ramai yang puasa tetapi mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja? Berapa ramai yang berpuasa daripada makan dan minum tetapi mereka masih lagi melakukan dosa-dosa yang ditegah? Mereka masih lagi berbalah, berbuat dosa dan sebagainya. Malah, ada yang berpuasa, tetapi mereka tidak solat pun. Adakah mereka yang sebegitu boleh mendapat taqwa? Tentulah tidak.

Namun, untuk mencapai taqwa, hendaklah menjalankan ibadah puasa itu dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kita berusaha untuk menghayatinya. Kalau tidak berpuasa, sudah tentu tidak akan mendapat tingkatan taqwa yang kita harap-harapkan. Kalau doktor suruh kita makan ubat, dan kita tidak makan ubat itu dengan betul, tentunya kita tidak mendapat manfaat. Katakanlah doktor suruh kita makan ubat selama dua minggu, tiap-tiap hari makan tiga kali tetapi kita tidak makan tiap-tiap hari, kita cuma makan ikut suka kita sahaja. Kemudian apabila kita datang jumpa doktor dan mengadu kata penyakit kita tidak sembuh, agak-agak apa doktor itu akan cakap? Tentu dia marah kita kerana tidak makan ubat mengikut sukatan dan arahan yang diberikan, bukan? Begitulah juga dengan puasa. Kita kenalah mengamalkannya dengan baik, dengan cara yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan kepada kita.

Ayat sebelum ini adalah tentang harta dan selepas ayat-ayat puasa ini, akan bertemu lagi ayat tentang sumber pendapatan. Maka, apabila disebut tentang taqwa, salah satu taqwa yang kita perlu ada adalah dalam pengurusan harta dan sumber pendapatan. Kalau kita melakukan puasa, kita akan bertaqwa, lebih-lebih lagi dalam hal pengurusan harta.

 

Maksud taqwa

Maksud taqwa itu adalah amat luas sekali. Ia boleh disimpulkan sebegini: kita menjaga diri kita daripada mengecewakan diri kita dan Allah ‎ﷻ. Kita menjaga hukum yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita sedar Allah ‎ﷻ sedang memandang kita dan menilai apakah yang kita lakukan.

Kita sentiasa memikirkan apakah yang Allah ‎ﷻ kehendaki dalam keadaan itu. Sebagai contoh, ada makanan yang diberikan kepada kita, maka kalau kita seorang yang bertaqwa, kita akan memikirkan apakah hukum memakan makanan itu. Tidaklah kita terus makan sahaja. Apabila berpuasa, kita akan merasa lapar. Tentu ada peperangan yang berlaku antara nafsu dan fizikal apabila kita berpuasa. Selalunya, apabila ada pertentangan antara fizikal dan nafsu, nafsu akan menang, bukan? Namun apabila kita berpuasa, iman yang akan menang daripada nafsu itu. Walaupun kita nampak makanan yang sedap-sedap dan air yang menyegarkan, iman kita akan menahan fizikal kita dan nafsu kita daripada makan.

Iman yang menang kali ini. Setiap hari kita akan menang dalam bulan Ramadhan. Apa yang akan terjadi kalau iman selalu menang? Iman akan jadi semakin kuat. Seperti juga kalau kita selalu menang dalam pertandingan sukan contohnya – ia akan memberi kekuatan dan keteguhan kepada semangat kita. Begitu jugalah apabila kita berpuasa. Maka kerana itulah Rasulullah ﷺ pernah mengatakan yang puasa itu sebagai perisai,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ; Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Puasa itu perisai, maka (orang yang melaksanakannya) janganlah berbuat kotor (rafats) dan jangan pula berbuat bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah ‘aku sedang berpuasa’ (baginda mengulang ucapannya dua kali). Dan demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala daripada harumnya minyak misk, kerana dia meninggalkan makanannya, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan yang serupa”.
(Sahih Bukhari No. 1761)

Puasa sebagai latihan

Maka, puasa itu adalah satu latihan kepada iman kita. Apabila kita berlatih, selalunya kita akan berlatih dalam suasana yang mudah. Sebagai contoh, kalau askar, mereka akan berlatih menembak di tempat menembak sahaja – tidaklah tempat tembak itu akan menembaknya semula. Ini dilakukan supaya mereka akan mendapat keyakinan dalam menembak setelah berlatih sekian lama. Begitu jugalah kalau kita berlatih dalam bulan puasa – syaitan yang membisikkan perkara buruk kepada kita diikat dalam bulan puasa. Allah ﷻ bantu dengan mengikat mereka supaya iman kita dapat selalu menang. Itulah rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada diri kita. Dalil syaitan diikat,

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila bulan Ramadhan datang, maka pintu-pintu langit dibuka sedangkan pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu”.
(Sahih Bukhari No. 1766)

Bayangkan – Allah ‎ﷻ beri kita 30 hari dalam setahun untuk melatih iman kita. Itu adalah satu peluang dan satu hadiah kepada kita. Kenapa syaitan diikat? Bayangkan kalau syaitan masih berkeliaran dan tidak diikat di bulan Ramadhan. Agaknya, kita tidak tahan puasa tiga hari pun. Sebab itu, kalau kita perhatikan, amat sukar untuk kita berpuasa di bulan lain selain di bulan Ramadhan. Sebaliknya amatlah mudah untuk berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Kerana itu ada hadith yang menyebut pintu syurga dibuka pada bulan Ramadhan memberi isyarat jalan-jalan ke syurga dimudahkan pada bulan Ramadhan,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila bulan Ramadhan datang, maka pintu-pintu syurga dibuka”.
(Sahih Bukhari No. 1765)

 

Peralihan dan Sambutan

Surah Baqarah ini ada berkait dengan Bani Israil. Banyak yang diperkatakan tentang mereka dalam surah ini dan kita pun telah membacanya dan membincangkannya dengan panjang lebar bermula daripada ayat 40 sampailah ayat 123.

Kita disuruh untuk melihat kepada umat Islam yang terdahulu sebelum kita. Ini kerana pada zaman mereka, merekalah umat Islam waktu itu. Mereka adalah umat pilihan pada waktu itu. Namun lihatlah bagaimana mereka telah menyalahgunakan kedudukan mereka dan telah tersalah langkah dalam kehidupan mereka. Maka mereka sudah tidak layak digelar Muslim lagi. Apabila mereka telah tidak layak lagi menjadi umat pilihan, kelebihan itu telah diambil daripada mereka dan diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Ia seperti ‘peralihan kuasa’. Namun kali ini, peralihan daripada satu umat kepada umat yang lain. Umat Nabi Muhammad ﷺlah sekarang yang memegang tampuk ‘Islam’, bukan lagi umat Bani Israil.

Apabila sesuatu kerajaan itu mengambil alih kuasa, maka mereka akan mengadakan sambutan dan mereka akan ada satu hari khas untuk mengingati peralihan kuasa itu. Seperti juga di Malaysia ini, kita menyambut ‘Hari Kemerdekaan’ kita. Lalu apakah sambutan kita apabila kita mengambil alih daripada Bani Israil? Allah ‎ﷻ telah beri kita Bulan Ramadhan sebagai bulan sambutan untuk kita meraikan peralihan tampuk umat Islam daripada Bani Israil kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, kita boleh lihat di sini, Ramadhan itu adalah bulan sambutan sebenarnya. Kalau Hari Merdeka, sehari sahaja perayaan. Namun Allah ‎ﷻ berikan kita sebulan penuh untuk meraikan peralihan ini kerana peralihan ini adalah satu perkara yang amat besar sekali. Ia layak diraikan selama sebulan. Maka jangan kita ambil mudah dengan Bulan Ramadhan ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 85 – 93 (Perjalanan Dzul-Qarnain)

PERJALANAN KE ARAH BARAT

Kahf Ayat 85:

فَأَتبَعَ سَبَبًا

Sahih International

So he followed a way

Malay

Lalu dia menurut satu jalan (yang menyampaikan maksudnya).

 

Kalimah سَبَبًا pada mulanya bererti tali, kemudian makna ini berkembang sehingga mencakup segala sesuatu yang dapat digunakan untuk meraih apa yang dikehendaki. Dengan menggunakan tali, timba diturunkan ke perigi untuk memperoleh air. Dengan tali juga seseorang dapat memanjat ke atas. Demikian seterusnya. Maka Dzul-Qarnain telah mengambil satu usaha atau satu jalan untuk mengembara di dunia ini.

Dzul-Qarnain adalah seorang raja yang menyebar agama dengan berjihad fi sabilillah dengan tenteranya. Bukanlah beliau hanya menakluk negara lain sahaja tetapi semua itu dalam rangka untuk menyebarkan agama yang sebenar. Beliau mengembangkan agama tauhid, bukannya hendak mengembangkan jajahan takluknya.

Beliau adalah antara individu yang dipilih oleh Allah ﷻ untuk memerintah dunia. Ada empat orang dalam sejarah, dua dalam kalangan orang Islam dan dua daripada golongan kafir. Yang Islam adalah Dzul-Qarnain dan Nabi Sulaiman ; manakala daripada golongan kafir adalah Namrud dan Bukhtanasar.

Oleh kerana kerajaannya besar, maka beliau perlu menjelajah keliling dunia untuk mengajar manusia beriman kepada Allah ﷻ. Maka kita akan baca sebentar lagi kisah perjalanan beliau.


 

Kahf Ayat 86: Ini adalah tempat pertama yang diceritakan dalam kisah ini. Ada tiga tempat semua sekali.

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ مَغرِبَ الشَّمسِ وَجَدَها تَغرُبُ في عَينٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَها قَومًا ۗ قُلنا يٰذَا القَرنَينِ إِمّا أَن تُعَذِّبَ وَإِمّا أَن تَتَّخِذَ فيهِم حُسنًا

Sahih International

Until, when he reached the setting of the sun, he found it [as if] setting in a spring of dark mud, and he found near it a people. Allah said, “O Dhul-Qarnayn, either you punish [them] or else adopt among them [a way of] goodness.”

Malay

Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.

 

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ

Sehingga dia sampai ke satu tempat tenggelamnya matahari;

Tempat itu tentunya terletak di sebelah barat kerana matahari tenggelam di sebelah barat. Tidak diceritakan di manakah tempatnya. Ada yang beri pendapat tetapi kerana tidak pasti, maka kita tidak masukkan ke dalam perbincangan ini. Kerana di mana tempatnya, tidak penting seperti yang kita telah pernah sebutkan. Apabila Allah ﷻ tidak ceritakan, ia bermaksud maklumat itu tidak penting.

Di sini bukanlah bermaksud yang memang matahari itu betul-betul ‘tenggelam’ di situ. Itu adalah mustahil. Inilah adalah peribahasa sahaja. Sepertimana kita kata negara Jepun adalah negara ‘matahari terbit.’ Bukanlah matahari betul-betul terbit dari negara Jepun pula.

Ini adalah penting kerana ada orientalis yang mengatakan Al-Qur’an memberikan fakta yang silap tentang sains dengan mengatakan matahari terbenam di tempat yang dikatakan Dzul-Qarnain telah sampai ini.

 

 وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ

Dan dia dapati tempat tenggelamnya matahari itu ke dalam laut yang berlumpur hitam; 

Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menafsirkan maksudnya adalah sesuatu yang berlumpur hitam; Manakala dikemukakan oleh Hasan al Basri رَحِمَهُ اللَّهُ bahawa Dzul-Qarnain mendapati ia terbenam di laut yang panas. Ada yang kata ia adalah di hujung Maghribi. Ini adalah kata bayangan sahaja, tentulah matahari tidak tenggelam ke dalam laut pula. Namun ia cuma nampak sebegitu sahaja melalui pandangan mata.

 

وَوَجَدَ عِنْدَهَا قَوْمًا

Dan dia jumpa satu kaum; 

Iaitu satu umat yang besar daripada jenis Bani Adam. Sekali lagi kita tidak tahu bangsa apakah mereka ini. Setelah Dzul-Qarnain masuk ke dalam negeri sebelah Barat itu dengan bala tenteranya yang besar dan penduduknya tidak mengadakan perlawanan, maka jatuhlah mereka ke dalam wilayah kekuasaannya dan kekuasaan itu telah diredhakan oleh Tuhan, sehingga Tuhan menyerahkan kepada pertimbangannya sendiri hukum apakah yang akan dilakukannya dalam negeri yang telah dikuasainya itu.

 

قُلْنَا يٰذَا الْقَرْنَيْنِ

Kami memberi ilham kepadanya: Wahai Dzul-Qarnain;

Oleh kerana beliau bukan seorang Nabi, maka kita boleh agak bahawa perantaraan Allah ﷻ adalah dengan beliau adalah melalui cara Allah ﷻ memberi ‘ilham’ kepadanya, dan bukan melalui wahyu. Atau, ada juga pendapat yang mengatakan ia disampaikan kepada beliau melalui seorang Nabi. Memang ada yang kata beliau adalah seorang Nabi tetapi pendapat ini agak lemah.

Maka kita berpegang sahaja yang beliau adalah seorang lelaki soleh kerana wahyu daripada Allah ﷻ tidaklah terus mengatakan orang itu adalah Nabi kerana di dalam Al-Qur’an juga ada disebut wahyu yang diberikan kepada ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan beliau bukanlah seorang Nabi. Lihat Qasas: 7

وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ
Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia,

Atau, ada juga pendapat yang mengatakan ilham itu diberikan melalui perantaraan malaikat. Atau, boleh jadi juga ada Nabi lain yang bersama dengan beliau. Ini kalau kita lihat contoh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menasihati raja. Raja itu sendiri bukan Nabi tetapi bersamanya ada seorang Nabi yang menasihatinya. Semua ini adalah kemungkinan: orang soleh, Nabi, ilham atau wahyu, atau ada Nabi bersama dengannya.

 

إِمَّا أَنْ تُعَذِّبَ

Sama ada kamu hendak menyeksa mereka;

Allah ﷻ memberi pilihan kepada Dzul-Qarnain. Ini adalah kerana beliau adalah seorang pemimpin yang adil dan boleh menentukan mana yang baik. Dzul-Qarnain telah diberi kekuasaan oleh Allah ﷻ untuk mengatur mereka dan menjalankan hukum kepada mereka. Ini kerana beliau telah berjaya menawan negara mereka dan selalunya terpulang kepada yang menawan untuk melakukan apa sahaja kepada yang ditawan. Sekiranya beliau mahu menghukum mereka kerana kesalahan mereka, maka bolehlah. Maknanya tidak dakwah, terus azab sahaja. Dari sini kita dapat tahu bahawa mereka ini adalah kaum yang kafir.

 

وَإِمَّا أَنْ تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا

atau kamu jadikan untuk mereka kebaikan;

Satu lagi pilihan, beliau boleh beri kebaikan kepada mereka, iaitu dakwah kepada mereka dan kalau mereka terima, beliau mestilah mengajar tentang agama kepada mereka. Maknanya dakwah dahulu. Kaum itu sudah mendapat ilmu tauhid sebelum itu tetapi mereka telah derhaka. Oleh itu, terpulang kepada Dzul-Qarnain sama ada hendak membunuh mereka atau tabligh dahulu kepada mereka. Keputusan di tangan beliau.

Atau, mereka tidak berperang dan tidak menerima dakwah Islam, akan tetapi mereka kenalah membayar jizyah kepada kerajaan Islam.


 

Kahf Ayat 87: Selepas mendapat mandat, apakah keputusan yang dipilih oleh Dzul-Qarnain?

قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوفَ نُعَذِّبُهُ ۥ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِۦ فَيُعَذِّبُهُ ۥ عَذَابًا نُّكرًا

Sahih International

He said, “As for one who wrongs, we will punish him. Then he will be returned to his Lord, and He will punish him with a terrible punishment.

Malay

Dia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.

 

قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوفَ نُعَذِّبُهُ

Dzul-Qarnain berkata: Adapun sesiapa yang zalim (ingkar dan buat syirik) , kelak kami akan menyeksanya

Maksud ‘zalim’ dalam ayat ini bermaksud berbuat syirik. Kaum itu telah mengamalkan syirik maka kerana itu Dzul-Qarnain telah tawan mereka. Iaitu zalim setelah diajar beriman dengan tauhid.

Kepada mereka yang telah berbuat syirik, maka beliau akan seksa mereka atau membunuh mereka. Ini adalah keputusan yang dipilih Dzul-Qarnain. Tentunya selepas dilakukan pemeriksaan kepada rakyat itu. Maka yang bersalah akan dihukum, akan diseksa dengan seksaan yang layak menurut hukum dunia.

Adakah salah beliau mengambil tindakan mengazab mereka? Tidak salah jikalau kita lihat contoh Perang Badr. Memang pilihan yang tepat sepatutnya adalah membunuh tentera Musyrikin Mekah itu kerana apabila dibiarkan, mereka akan datang menyerang umat Islam kembali dan mereka berterusan akan memusuhi umat Islam. Maka tidak salah kalau menghukum orang yang zalim. Yang salah adalah kalau mengazab orang yang adil.

 

ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِ

Kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya

Mereka yang dibunuh itu tidak hanya akan diseksa di dunia sahaja. Mereka juga kena mengadap Allah ﷻ di akhirat kelak. Semua manusia akan kembali mengadap Allah ﷻ dan akan diadili di akhirat kelak. Maka ini juga adalah pengajaran dan peringatan buat kita.

 

فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُّكْرًا

lalu dia akan diazab pula oleh Tuhannya dengan azab yang dahsyat.

Mereka juga akan diseksa di akhirat kelak kerana kesalahan syirik yang mereka lakukan. Sekiranya ada melakukan syirik, akan kekal dalam neraka selama-lamanya. Oleh kerana itu amat penting untuk kita tahu mana tauhid dan mana syirik. Untuk tahu, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Ramai kalangan manusia, termasuk umat Islam sendiri pun, tidak tahu tentang amalan syirik yang mereka lakukan. Ini adalah kerana umat Islam pun tidak belajar tentang tauhid dan lawannya iaitu syirik. Maka ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedar.

Persoalannya, adakah mereka selamat kerana tidak tahu? Tidak selamat! Kerana Allah ﷻ telah berikan wahyu dan pemberi peringatan kepada umat manusia. Maka tidak ada alasan tidak tahu. Ini adalah salah sendiri kerana tidak belajar.

Ayat ini juga mengajar kita, kalau melakukan kesalahan syirik, kemudian dihukum di dunia, tetap juga dikenakan azab di akhirat kelak. Ini berlainan dengan kesalahan selainnya seperti berzina. Kalau telah dihukum di dunia, maka akan selamat di akhirat.

Daripada jawapan yang ini pun ternyata bahawa Dzul-Qarnain ini ternyata seorang yang beragama. Tentu sahaja agamanya itu agama kesatuan turun-temurun yang telah dibawa oleh para Rasul dan Nabi, iaitu percaya bahawa di samping hukum dunia yang fana ini ada lagi hukum yang akan diterima dari sisi Allah ﷻ di akhirat.


 

Kahf Ayat 88:

وَأَمَّا مَن ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُ ۥ جَزَآءً ٱلحُسنَىٰ‌ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ ۥ مِن أَمرِنَا يُسرًا

Sahih International

But as for one who believes and does righteousness, he will have a reward of Paradise, and we will speak to him from our command with ease.”

Malay

Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.

 

وَأَمَّا مَنْ ءآمَنَ

Dan adapun orang-orang yang beriman

Iaitu kepada mereka yang mengamalkan fahaman dan ajaran tauhid. Setelah diberi dakwah agama kepada mereka, mereka sanggup untuk ikut. Akan tetapi ini bukan terjadi kepada semua manusia. Ramai manusia yang walaupun telah diajar ajaran Tauhid, tetap juga menentang kerana hati mereka telah condong kepada kesyirikan.

 

وَعَمِلَ صٰلِحًا

dan yang beramal soleh

Dan mereka bukan sahaja beriman, tapi mereka juga kena melakukan amal kebaikan. Kerana iman tanpa amal tidak berharga dan tidak diterima iman itu. Dan amal kebaikan itu mestilah mengikut syariat. Bukannya amalan rekaan seperti bid’ah yang banyak dilakukan manusia.

 

فَلَهُ ۥ جَزَآءً ٱلحُسنَىٰ‌ۖ

baginya balasan yang baik;

Kepada mereka yang beriman sempurna dan beramal dengan amalan yang soleh, maka Dzul-Qarnain akan berbuat baik dengan mereka. Mereka juga akan mendapat nikmat baik di akhirat kelak, iaitu Syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Maka ayat ini kena dibaca begini: jazaa anil husna.

 

وَسَنَقُولُ لَهُ ۥ مِن أَمرِنَا يُسرًا

Dan kami akan kata (ajar) dari ajaran agama ini dengan syariat yang mudah-mudah;

Maknanya Dzul-Qarnain akan ajar yang mudah-mudah sahaja kepada mereka sebab ini bukan kaum yang bertamadun sangat. Beri arahan-arahan lembut sahaja, bukan dengan cara keras. Ini bermakna, kalau orang kafir itu tidak mahu mendengar juga ajakan agama, maka mereka hendaklah dibunuh. Sebaliknya ji kalau mahu ikut, beliau akan beri ajaran kepada mereka.

Atau ia bermakna, Dzul-Qarnain akan memerintah mereka dengan lemah lembut. Bercakap dengan cara yang baik kepada mereka. Ini kerana mereka mahu taat dan tidak memberontak. Maknanya Dzul-Qarnain akan memerintah mereka dengan adil.

Yang berjasa hendaklah dihargai. Orang-orang yang beriman, hendaklah digalakkan dalam imannya, dan hendaklah penguasa menunjukkan sukacitanya jika rakyatnya berbuat amal yang soleh, atau usaha yang berfaedah, baik untuk dirinya ataupun untuk masyarakatnya. Di samping itu jika menjatuhkan suatu perintah hendaklah dengan perkataan yang mudah difahamkan oleh rakyat, jangan perintah yang membingungkan, apatah lagi perintah yang tidak akan dapat dipikul terlalu memberati.

Lihat susunan jawapan daripada Dzul-Qarnain ini. Bagi kafir, beliau menjanjikan balasan di dunia dahulu (فَسَوفَ نُعَذِّبُهُ) kemudian balasan di akhirat (يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِۦ فَيُعَذِّبُهُ ۥ عَذَابًا نُّكرًا). Ini adalah kerana mereka mementingkan dunia. Namun begitu bagi orang yang mahu beriman, dijanjikan balasan di akhirat dahulu (جَزَآءً ٱلحُسنَىٰ‌) barulah balasan dunia (مِن أَمرِنَا يُسرًا). Ini adalah kerana orang beriman mementingkan akhirat melebihi dunia. Memang akhirat lebih penting dan lebih baik seperti disebut di dalam Dhuha: 4

وَلَلأَخِرَةُ خَيرٌ لَّكَ مِنَ ٱلأُولَىٰ
Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (dunia).


 

PERJALANAN KE TIMUR

Kahf Ayat 89: Sekarang masuk ke babak kedua atau perjalanan kedua daripada cerita Dzul-Qarnain ini. Sebagaimana kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khidr ada tiga kisah kecil, maka begitu juga dengan kisah Dzul-Qarnain ini.

ثُمَّ أَتبَعَ سَبَبًا

Sahih International

Then he followed a way

Malay

Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

 

Setelah beliau telah menetapkan kerajaan dan pemerintahan yang adil di tempat yang pertama itu, beliau telah meneruskan perjalanannya. Iaitu beliau terus berjalan ke Timur pula. Kali ini di kawasan Asia.

Sepanjang perjalanan dari Barat tadi, beliau akan menyeru penduduk negeri-negeri yang dalam perjalanan itu untuk beriman kepada Allah ﷻ. Jika mereka ada yang menolak seruannya, mereka akan dikuasai dan dihalalkan harta mereka kepadanya dan digunakan untuk menyebarkan dakwah beliau.


 

Kahf Ayat 90:

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ مَطلِعَ الشَّمسِ وَجَدَها تَطلُعُ عَلىٰ قَومٍ لَّم نَجعَل لَّهُم مِّن دونِها سِترًا

Sahih International

Until, when he came to the rising of the sun, he found it rising on a people for whom We had not made against it any shield.

Malay

Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

 

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ

Apabila dia sampai ke tempat matahari terbit;

Ini adalah kawasan di benua timur, mungkin termasuklah negara China, Jepun dan lain-lain. Tidak dinyatakan dengan tepat di manakah negeri itu. Maka kita tidak perlu tahu dengan tepat. Al-Qur’an hanya beri isyarat sahaja.

Nyatalah bahawa negeri itu bukan lagi terletak di pinggir lautan, sebagai yang baginda dapati di Barat dahulu. Mungkin negeri sebelah Timur itu berlatar belakang padang pasir yang amat luas dan kering yang sudah sukar untuk ditempuh oleh manusia. Baginda terhenti hingga di situ; lalu ditakluknya pula negeri itu.

 

وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَلْ لَّهُمْ مِّنْ دُونِهَا سِتْرًا

dia dapati matahari terbit kepada satu kaum yang Kami tidak jadikan bagi mereka pelindung dari matahari;

Ini bermakna mereka itu adalah orang asli. Pakaian atau rumah pun tiada. Atau kalau ada rumah, rumah itu tidak ada atap untuk menutup mereka daripada panahan cahaya matahari yang terik. Maknanya mereka terdedah sahaja. Sebab itu jelaslah bahawa hawa udara negeri itu amat panas dan latar belakang negeri itu padang pasir. Sebab ketika matahari naik tidak ada suatu yang melindungi mereka seumpama gunung. Maka mungkin tempat ini di sebelah Timur Afrika. Mungkin juga penduduk di sana belum mengenal pakaian, sehingga tidak terlindung badan mereka daripada cahaya matahari.

Mereka itu adalah kaum yang belum ada tamadun. Mereka mungkin tinggal di dalam gua dan makanan mereka adalah apa yang mereka dapati (tidak ditanam). Oleh kerana negeri mereka tidak ada gunung untuk melindungi daripada sinar matahari, maka, apabila matahari terbit, mereka akan masuk ke dalam gua mereka.

Negeri itu pun ditakluknya juga, kemudian dijalankan hukum yang adil, yang bersalah melanggar perintah raja atau mengganggu keamanan masyarakat, atau tidak tunduk kepada yang berkuasa, akan dihukum dengan berat. Yang berjasa dan beriman, beramal soleh dan berbuat baik, mereka akan mendapat penghargaan yang setimpal, sebagaimana yang baginda jalankan peraturannya di negeri sebelah Barat tempat matahari terbenam ke laut yang kelam itu.


 

Kahf Ayat 91: Maka berfirmanlah Allah ﷻ tentang kebijaksanaan pemerintahan Dzul-Qarnain itu.

كَذٰلِكَ وَقَد أَحَطنا بِما لَدَيهِ خُبرًا

Sahih International

Thus. And We had encompassed [all] that he had in knowledge.

Malay

Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

 

Dzul-Qarnain juga mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak bukan hanya kekuasaan sahaja yang beliau ada. Ilmu itu diberi oleh Allah ﷻ kepada beliau. Apa sahaja yang Dzul-Qarnain itu tahu, adalah daripada Allah ﷻ.

Perkataan كَذَٰلِكَ yang digunakan mengisyaratkan, sepertimana Allah ﷻ telah mengajar beliau untuk memerintah kaum yang sebelum itu, begitu jugalah beliau diajar untuk memerintah kaum yang berada di negeri matahari terbit ini.


 

PERJALANAN KETIGA

Kahf Ayat 92: Sekarang perjalanan atau babak ketiga.

ثُمَّ أَتبَعَ سَبَبًا

Sahih International

Then he followed a way

Malay

kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

 

Seperti telah diberitahu, Dzul-Qarnain ini banyak mengembara dan kali ini beliau pergi ke utara pula. Tidak disebut perjalanan ke selatan kerana di selatan tidak ada penempatan.


 

Kahf Ayat 93: 

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ بَينَ السَّدَّينِ وَجَدَ مِن دونِهِما قَومًا لّا يَكادونَ يَفقَهونَ قَولًا

Sahih International

Until, when he reached [a pass] between two mountains, he found beside them a people who could hardly understand [his] speech.

Malay

Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

 

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ

Sehingga dia sampai pada satu kawasan yang berada di antara dua gunung;

Dia sampai ke satu tempat di antara dua gunung. Apabila perkataan سَّدَّ digunakan, ia bermaksud gunung yang ada air yang lalu di tepinya. Asalnya ia bermaksud penutup, penghalang atau dinding pemisah. Akan tetapi di sini ia membawa maksud gunung kerana gunung mempunyai sifat-sifat yang telah disebut tadi.

Di manakah letaknya tempat itu? ‘Atha’ al-Khurasani merawikan daripada Ibnu Abbas  رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa letaknya tempat itu adalah di antara Armenia dengan Adzerbijan. Di sana terdapat dua gunung berganding. Akan tetapi Al-Qur’an sendiri tidaklah menjelaskan di mana letaknya, hanya sifat tempat sahaja, sebagaimana tempat matahari terbenam dan matahari terbit sebelum ini. Memang seperti telah disebut sebelum ini, kedudukan spesifik tidak penting kerana yang penting adalah pengajaran.

 

وَجَدَ مِنْ دُونِهِمَا قَوْمًا

dan dia dapati di sebelah dua gunung itu satu kaum;

Ada kaum yang beliau jumpai di situ. Jelaslah dalam ayat ini bahawa di celah kedua gunung itu ada negeri, ada manusia yang tinggal di situ.

 

لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا

yang mereka hampir tidak memahami perkataan yang mereka pertuturkan;

Mereka susah difahami kerana mereka menggunakan bahasa yang pelik. Lain daripada bahasa bangsa lain kerana jauhnya kedudukan mereka daripada bangsa lain. Maknanya kehidupan mereka terasing daripada tamadun yang lain. Walau bagaimanapun, mereka berjaya berkomunikasi juga akhirnya – mungkin menggunakan bahasa isyarat. Mereka berjaya juga berkomunikasi kerana salah satu daripada kelebihan ilmu yang diberikan kepada Dzul-Qarnain adalah boleh memahami manusia lain walaupun berlainan bahasa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 81 – 84 (Kisah DzulQarnain)

Kahf Ayat 81:

فَأَرَدنآ أَن يُبدِلَهُما رَبُّهُما خَيرًا مِّنهُ زَكوٰةً وَأَقرَبَ رُحمًا

Sahih International

So we intended that their Lord should substitute for them one better than him in purity and nearer to mercy.

Malay

Oleh itu, kami berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

 

فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا

Maka kami berharap Tuhan mereka berdua akan mengganti anak yang lain untuk mereka berdua; 

Ada yang mengatakan bahawa semasa Khadr membunuh budak itu, ibunya sedang mengandung seorang anak lelaki lagi. Maka bukanlah mereka tidak ada anak langsung. Mereka akan mendapat anak yang lebih baik daripada anak yang dibunuh itu.

Kalau diperhatikan, kalimah فَأَرَدْنَا (kami berharap) dan juga sebelum ini disebut فَخَشِينَا (kami khuatir) adalah dalam bentuk jamak. Akan tetapi yang bercakap itu adalah Khadr sahaja. Maka siapakah ‘kami’ yang dimaksudkan? Mungkin yang dimaksudkan adalah beliau dan juga Allah ﷻ. Atau, ia bermaksud beliau berdoa kepada Allah ﷻ.

 

خَيْرًا مِّنْهُ زَكَوٰةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا

yang lebih suci dan lebih kasih dan sayang kepada ibubapanya;

Anak yang lebih baik dari segi agama dan tidak menyebabkan ibubapanya kufur. Ditunjukkan dalam ayat ini pengharapan Khadr tentang anak pengganti yang akan lahir itu. Iaitu yang mempunyai dua keistimewaan. Pertama kebaktian dan kesucian hidupnya dan ibadatnya kepada Tuhan dan hidup beriman yang menurun daripada kedua orang tuanya. Kedua ialah khidmatnya kepada orang tuanya, menghubungkan silaturrahmi dengan yang sepatutnya.

Menurut suatu tafsiran daripada Ibnu Juraij رَحِمَهُ اللَّهُ, ketika anak pertama itu dibunuh Khadr, ibunya sedang mengandung. Setelah anak itu lahir, ternyata dia menjadi seorang anak Muslim yang soleh. Ada riwayat yang menceritakan, mereka mendapat anak perempuan dan berkahwin dengan seorang Nabi dan anak mereka pun Nabi juga.


 

PENJELASAN TENTANG DINDING

Kahf Ayat 82: Tentang dinding pula.

وَأَمَّا ٱلجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَـٰمَينِ يَتِيمَينِ فِى ٱلمَدِينَةِ وَكَانَ تَحتَهُ ۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَستَخرِجَا كَنزَهُمَا رَحمَةً مِّن رَّبِّكَ‌ۚ وَمَا فَعَلتُهُ ۥ عَن أَمرِى‌ۚ ذٰلِكَ تَأوِيلُ مَا لَم تَسطِع عَّلَيهِ صَبرًا

Sahih International

And as for the wall, it belonged to two orphan boys in the city, and there was beneath it a treasure for them, and their father had been righteous. So your Lord intended that they reach maturity and extract their treasure, as a mercy from your Lord. And I did it not of my own accord. That is the interpretation of that about which you could not have patience.”

Malay

Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.

 

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلٰمَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ

Dan dinding itu adalah milik dua orang anak yatim di kota itu;

Dinding itu terletak di sempadan tanah kepunyaan dua anak yatim. Sebelum ini pun kita telah tahu bagaimana buruknya perangai penduduk kota itu. Mereka enggan memberi makan kepada orang musafir seperti Khadr dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka kita tahu mereka bukanlah orang yang baik-baik.

Pengajaran kepada kita yang kita boleh terus amalkan daripada kisah ini adalah anjuran membantu anak-anak yatim. Mereka itu sudah tidak ada bapa lagi, maka mereka amat memerlukan perlindungan dan bantuan. Begitulah kisah-kisah yang kita sedang baca sekarang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita supaya akhlak menjadi baik dan memberi kebaikan kepada diri kita dan orang lain. Bukannya setakat baca sahaja tanpa memberi apa-apa kesan.

Tujuan kita belajar bukannya untuk mendapat ilmu sahaja, akan tetapi untuk mendapat rahmat. Lihat kembali ayat 65 surah ini:

فَوَجَدا عَبدًا مِّن عِبادِنا ءآتَينٰهُ رَحمَةً مِّن عِندِنا وَعَلَّمنٰهُ مِن لَّدُنّا عِلمًا
Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.

Perhatikan Allah ﷻ sebut رَحمَةً dahulu sebelum sebut عِلمًا. Ini kerana rahmat itu yang terlebih penting. Ramai orang ada ilmu tetapi tidak ada rahmat pada mereka. Mereka belajar akan tetapi akhlak mereka tidak berubah pun.

Kalau kita perhatikan, pembelajaran Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Khadr ini adalah pembelajaran secara praktikal. Khadr mengajar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam perjalanan mereka. Bukannya belajar di dalam kelas, madrasah dan sebagainya. Kadangkala kalau setakat belajar di madrasah, pelajar yang lahir dari tempat sebegitu apabila tamat pengajian, mereka tidak tahu bagaimana hendak bergaul dengan masyarakat kerana selama ini mereka belajar semenjak kecil di dalam suasana yang baik dan selesa, tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan masyarakat yang tidak ada ilmu. Sudah tentu ini menjadi cabaran buat mereka. Mereka tidak ada ilmu praktikal akan hal itu.

Oleh itu tujuan belajar adalah untuk mendapat rahmat daripada Allah ﷻ dan kemudian sampaikan rahmat itu kepada masyarakat. Inilah dugaan dan balasan yang perlu seorang pelajar ilmu lakukan. Tidak ada gunanya memiliki ilmu yang banyak namun tidak memberi kebaikan kepada masyarakat.

 

وَكَانَ تَحتَهُ ۥ كَنزٌ لَّهُمَا

dan di bawah dinding itu ada tersimpan harta peninggalan untuk mereka berdua;

Harta itu adalah peninggalan daripada bapa mereka. Kalimah كَنزٌ adalah harta yang terpendam. Banyak pendapat yang mengatakan harta itu dalam bentuk emas dan perak. Ia akan menjadi harta mereka, tetapi bukan pada waktu itu. Kena tunggu bila mereka sudah besar nanti. Kalau dinding itu jatuh dan orang kampung itu menemui harta, tentu mereka akan terus ambil dan dua anak yatim itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka lemah. Maka Allah ﷻ mahu membiarkan mereka dewasa terlebih dahulu barulah mereka boleh mengambil harta itu.

Di sini kita dapat belajar bahawa tidak salah meninggalkan harta yang banyak untuk anak-anak. Asalkan harta itu didapati dengan cara yang halal dan zakat dibayar. Dalilnya adalah hadith Nabi ﷺ riwayat Saad bin Abi Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ
Daripada Saad bin Abi Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”.
(Riwayat Bukhari (2742))

وَكَانَ أَبُوهُمَا صٰلِحًا

dan bapa mereka berdua adalah seorang yang soleh;

Bapa mereka yang soleh yang meninggalkan harta itu kepada mereka di bawah dinding itu. Ini adalah sebagai dalil bagi mengatakan bahawa seorang yang soleh akan dipelihara keturunannya oleh Allah ﷻ. Penjagaan harta anak-anak mereka itu adalah kerana keimanan bapa mereka. Para mufassir mengatakan إن صلاح الآباء ينفع الأبناء (Sesungguhnya kesolehan bapa, dapat memberi manfaat kepada anak-anak).

Apabila seorang bapa sudah tiada, dia tidak dapat menjaga anaknya lagi, namun Allah ﷻlah yang akan menjaga anak-anaknya itu. Oleh itu, janganlah kita risau tentang anak-anak kita apabila kita sudah tiada lagi. Serahkan nasib mereka kepada Allah ﷻ.

Mengikut Tafsir Mazhari, di sini mengandungi pengajaran kepada manusia untuk bersikap baik kepada anak alim ulama. Melainkan jikalau mereka itu berperangai teruk.

Oleh kerana bapanya seorang yang soleh, ada juga pendapat yang mengatakan كَنزٌ yang disebut itu bukanlah harta emak dan perak, akan tetapi ilmu. Mungkin agaknya mereka sedikit alergik dengan kalimah كَنزٌ itu kerana di dalam ayat lain, ia digunakan dengan konotasi yang negatif seperti disebut di dalam Tawbah: 34

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ كَثيرًا مِّنَ الأَحبارِ وَالرُّهبانِ لَيَأكُلونَ أَموٰلَ النّاسِ بِالبٰطِلِ وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ ۗ وَالَّذينَ يَكنِزونَ الذَّهَبَ وَالفِضَّةَ وَلا يُنفِقونَها في سَبيلِ اللَّهِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar daripada orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih,

Akan tetapi celaan kepada mengumpul harta ini adalah jikalau harta itu tidak dizakatkan. Kita telah sebutkan di dalam hadith di atas bahawa tidak salah meninggalkan harta kepada anak-anak supaya anak-anak itu tidak mengemis.

 

فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا

Maka Tuhan kamu kehendaki apabila keduanya mencapai dewasa; 

‘Kehendak’ di sini disandarkan kepada Allah ﷻ. Ketika kisah perahu, kehendak itu disandarkan kepada diri Khadr. Berkenaan dengan budak itu, kehendak itu disandarkan kepada ‘kami’. Kali ini, kehendak itu disandarkan kepada Allah ﷻ pula. Allah ﷻ mahu mereka mencapai umur dewasa terlebih dahulu supaya mereka sendiri yang akan keluarkan harta peninggalan ayahnya itu.

Balaghah: Oleh itu, rangkaian ayat 79 hingga 82 dalam ini membongkar takwil bagi tiga peristiwa ajaib kepada Nabi Musa. Ia merupakan antara puncak keindahan uslub Iltifat (peralihan sandaran kata) yang paling luar biasa dalam Al-Qur’an. Jika kita amati, Khadr menukar sandaran “kehendak/keinginan” (Al-Iradah) bagi setiap kisah dengan menggunakan tiga kata ganti nama yang berbeza: “Aku” (orang pertama), “Kami” (orang pertama jamak), dan “Tuhanmu” (orang ketiga). Kenapa ada sampai tiga?

1. Di dalam Ayat 79 tentang pembocoran kapal itu, Khadr mengatakan dia yang bocorkan. Terdapat rahsia Balaghah di sini kerana tindakan membocorkan kapal secara zahirnya adalah satu perbuatan yang “cacat”, merosakkan, dan kelihatan buruk, walaupun niat tersiratnya adalah untuk menyelamatkan kapal tersebut daripada raja yang zalim. Demi menjaga adab yang tertinggi dengan Allah,  Khadr menyandarkan perbuatan “mencacatkan” itu kepada diri beliau sendiri (“Aku”). Di dalam sastera Islam, hal-hal yang kelihatan kurang elok secara zahir tidak sopan jika disandarkan secara langsung kepada Allah, sepadan dengan prinsip adab: “Kebaikan itu daripada Allah, dan keburukan itu daripada kelemahan diri kita.”

2. Di dalam Ayat 80 – 81, Khadr menggunakan istilah ‘kami’ pula yang merujuk kepada dirinya dan Allah. Kenapa? Rahsia Balaghahnya adalah kerana kisah ini melibatkan dua fasa tindakan: fasa pembunuhan anak tersebut (zahirnya nampak kejam) dan fasa penggantian dengan anak yang soleh (satu nikmat/rahmat yang besar daripada Allah). Di sini, Khadr menggunakan dhomir نا (Kami). Penggunaan “Kami” ini adalah satu bentuk perkongsian tanggungjawab:

Tindakan membunuh (yang melibatkan fizikal dan kekuatan makhluk) adalah bahagian Nabi Khidr atas perintah Allah.

Manakala tindakan menghidupkan dan mengurniakan anak baru yang soleh di dalam rahim ibu adalah kuasa mutlak Allah.

Kerana ayat ini menggabungkan antara unsur “kemudaratan zahir” (pembunuhan) dan “kebaikan batin” (rahmat penggantian), maka uslubnya diubah menjadi bentuk pertengahan iaitu “Kami”.

3. Di dalam Ayat 82 sekarang, Khadr menisbahkan kepada Allah secara mutlak (رَبُّكَ). Ini kerana usaha menegakkan dinding rumah ini adalah satu tindakan yang 100% mengandungi kebaikan, rahmat, dan pemeliharaan. Tiada sedikit pun unsur kecacatan fizikal atau kematian di dalamnya. Ia murni tentang menjaga harta anak yatim sehinggalah mereka dewasa. Kerana plot ini adalah kebaikan dan nikmat yang murni, Khadr beralih (iltifat) dengan melepaskan terus sandaran diri beliau, lalu menyerahkan kehendak itu secara total kepada pemilik asalnya: فَأَرَادَ رَبُّكَ (Maka Tuhanmu telah menghendaki).

Di awal kisah ini, kita telah belajar yang penduduk itu adalah penduduk yang teruk kerana mereka tidak mahu melayan dan memberi makan kepada ibnus sabil (orang musafir). Maka memang patutlah bapa mereka itu menyembunyikan harta untuk anaknya itu. Beliau yakin sekiranya diserahkan kepada mereka untuk menyimpan hartanya itu sehingga anak itu dewasa, sudah pasti mereka yang sakau dulu.

Sila perhatikan kalimah فَأَرَادَ رَبُّكَ di sini. Ingat kembali ketika merosakkan perahu, Khadr telah menisbahkan perbuatan tersebut hanya kepada beliau yang merosakkannya. Sekarang apabila disebut tentang membaiki dinding itu, beliau tidak menyebut itu jasanya, tetapi disebut Allah ﷻ pula. Ini adalah adab; iaitu perkara yang buruk tidak layak dinisbahkan kepada Allah ﷻ, akan tetapi perkara baik molek dinisbahkan kepada Allah ﷻ.

Kalimah أَشُدَّ bermaksud peringkat umur di mana seseorang itu boleh menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat umur itu adalah 25 tahun. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ia adalah umur 40 dengan menggunakan dalil daripada ayat Ahqaf: 15

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً
Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun

 

وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا

dan mereka akan mengeluarkan harta mereka berdua itu

Mereka akan diberikan harta itu apabila mereka telah dewasa kelak. Mereka sendiri yang akan korek dan keluarkan harta itu nanti. Ini kerana Allah ﷻ tahu kalau harta itu diberikan kepada mereka semasa mereka kecil, mereka tentu tidak dapat mempertahankannya daripada orang-orang jahat di kota yang akan cuba untuk merampasnya. Sebab itulah Allah ﷻ akan simpan harta itu sehingga mereka telah dewasa kelak.

 

رَحْمَةً مِّنْ رَّبِّكَ

sebagai satu rahmat dari Tuhan kamu.

Rahmat Allah ﷻ yang menyusun supaya mereka akan mendapat harta itu apabila mereka telah dewasa nanti.

Selesai tiga kisah dan penjelasan itu. Sekarang Khadr beri penjelasan secara keseluruhan.

 

وَمَا فَعَلتُهُ ۥ عَن أَمرِى‌ۚ

Dan tidaklah aku lakukan perkara ini daripada kehendak aku;

Khadr menjelaskan bahawa segala perbuatannya itu bukan kerana beliau sendiri yang mahu dan membuat keputusan sendiri. Namun ia merupakan arahan Allah ﷻ. Nampak seolah-olah beliau sendiri membuat keputusan, tetapi tidak. Semua itu adalah wahyu daripada Allah ﷻ. Maka, ia bukanlah perkara yang kita boleh belajar. Ia adalah pilihan daripada Tuhan. Maka berhentilah daripada berkeinginan untuk belajar Ilmu Ladunni ini kerana kita semua bukannya orang yang terpilih. Memang kita tidak akan dapat kerana ia adalah ilmu anugerah daripada Allah ﷻ. Bayangkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak dapat ilmu ini, maka kenapa hendak perasan kita boleh dapat pula?

Oleh itu jangan kita termasuk di dalam golongan tarekat sufi yang mencari-cari Khadr ini kononnya untuk mendapatkan ilmu Ladunni. Ramai sudah yang kata mereka dapat berjumpa Khadr ini dan mendapat ilmu daripadanya. Akan tetapi ini mengarut sahaja dan Ibn Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata yang mereka jumpa itu bukan Khadr tetapi jin.

Antara yang mengarut dalam hal ini adalah sesetengah golongan silat. Mereka ada mengajar zikir tertentu tepi pantai untuk mendapat ilmu daripada Khadr. Mereka tunggu ada yang beri salam. Tok guru ajar anak murid yang kalau diberi salam dari arah kanan, itu adalah Khadr manakala kalau dari arah kiri, itu adalah syaitan. Ini juga karut dan tentu yang beri salam adalah jin syaitan tidak kiralah dari arah kiri ataupun kanan.

 

ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَّلَيْهِ صَبْرًا

Demikianlah penjelasan yang kamu tak sanggup nak sabar ke atasnya;

Memanglah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak boleh bersabar kerana ia adalah perkara yang baginda tidak ada ilmu tentangnya. Namun yang sedihnya, ramai yang mencari ilmu ladunni ini. Itu semua kerana hendak membangga diri sahaja. Mereka berbangga benar dapat cakap mereka ada ilmu laduni. Padahal tidak ada riwayat mana-mana pun yang mengatakan ada manusia yang dapat ilmu ini dan ilmu ini adalah ilmu yang tidak perlu dipelajari malah tidak akan dapat dipelajari.

Ada yang memegang pendapat yang mengatakan bahawa Khadr masih hidup lagi sekarang. Namun tidak ada dalil yang sahih untuk membenarkannya. Dalil yang ada menunjukkan bahawa tidak ada manusia yang akan hidup lama. Tidak ada manusia yang boleh hidup sampai beribu-ribu tahun.

Kalaulah Khadr masih hidup pada zaman Nabi Muhammad ﷺ, tentulah beliau mesti berjumpa dengan Nabi Muhammad ﷺ untuk membantu baginda. Akan tetapi tidak ada mana-mana riwayat yang mengatakan demikian. Sepatutnya lebih utama untuk Khadr bertemu Nabi Muhammad ﷺ, bukannya bertemu dengan kita yang tidak ada apa-apa ini. Kalaulah beliau masih hidup pada waktu itu, sudah tentu Nabi Muhammad ﷺ tidak bersabda pada seperti hadith yang mengatakan bahawa tidak ada seorang pun yang masih hidup di bumi ini lebih dari seratus tahun sejak malam itu. Namun begitu, seandainya kita percaya kepada kisah Khadr ini, maknanya beliau telah hidup beribu tahun lamanya. Ada yang kata, daripada zaman sebelum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Maka ini tidak mungkin.

Sebenarnya syaitan telah menipu manusia dalam hal ini. Diajarnya Khadr masih hidup lagi supaya manusia membuat syirik dengan penipuan ini. Manusia yang terjerumus ke lembah kesyirikan kerana percaya Khadr masih hidup maka mereka akan bertawasul kepadanya atau terus minta kepada Khadr kononnya. Habis syirik belaka kerana berdoa kepada selain Allah ﷻ adalah salah satu daripada kesyirikan yang dilakukan manusia.

Ada tiga cerita kecil dalam kisah perjalanan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ayat ini: tentang perahu yang sengaja dirosakkan, tentang budak kecil dibunuh dan tentang dinding di kota. Ada pengajaran bagi setiap ayat-ayat itu:

1. Kisah perahu adalah tentang penjagaan ekonomi. Khadr menyelamatkan sumber pendapatan orang lain.
2. Kisah budak itu adalah tentang penjagaan hubungan kekeluargaan dan menjaga keimanan. Seandainya anak itu dibenarkan hidup, dia akan merosakkan iman kedua ibubapanya.
3. Kisah dinding itu adalah tentang penjagaan masyarakat. Bagaimana kita hendaklah menjaga keperluan orang yang tidak dapat menjaga diri mereka sendiri.

Dalam ketiga-tiga kisah itu, ada kesan dan akibat. Walaupun pada luarannya nampak keburukan, namun pada hakikatnya ada kebaikan untuk mereka di masa hadapan. Kita sahaja yang tidak tahu apakah sesuatu yang terjadi itu adalah untuk kebaikan kita atau tidak.

Maka kita hanya perlu redha sahaja dengan apa yang terjadi kepada kita kerana rancangan Allah ﷻ kadang-kadangnya akan nampak hanya apabila jauh di masa hadapan. Maka jangan sedih dengan apa yang berlaku kepada kita. Kena belajar untuk redha dan terima apa sahaja yang terjadi kepada kita. Tentu ada kebaikannya.

Kisah Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr ini juga mengajar tentang pencarian ilmu. Bagaimana hubungan antara guru, bagaimana mengajar dan sebagainya.

Kisah-kisah itu juga mengajar kita tentang akhlak dengan Allah ﷻ. Apabila kisah berkenaan perahu itu, Khadr kata ‘beliau’ yang berkehendak merosakkannya. Beliau tidak kata Allah ﷻ yang berkehendak. Akan tetapi apabila berkenaan dengan kisah dinding itu, beliau kata ‘Allah’ yang mengkehendaki. Walaupun pada dasarnya, semua itu terjadi dengan kehendak Allah ﷻ, namun beliau tidak menyebut Allah ﷻ yang berkehendak untuk merosakkan perahu itu kerana tidak layak Allah ﷻ berkehendak kepada sesuatu yang nampak buruk. Ini adalah adab dengan Allah ﷻ.

Walaupun ia nampak buruk, tetapi sebenarnya ia adalah perancangan Allah ﷻ untuk kebaikan. Dalam dunia ini, ada ‘realiti luaran’ dan ‘realiti dalaman’. Tentunya ada kebaikan dalam segala perbuatan Allah ﷻ. Kerana tidak faham perkara inilah, kadang-kadang manusia berkata sesuatu yang tidak berakhlak. Kadang-kadang kalau ada perkara buruk terjadi kepada mereka, mereka akan salahkan Allah ﷻ: “Kenapa Allah ambil nyawa anak aku?”, “Kenapa Allah tak sayang kepada aku?”. Dan macam-macam lagi.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Ini terjadi di mana ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Al-Qur’an. Ini seumpama penggunaan ‘shorthand’. Ada hazaf daripada fi’il dalam ayat di atas. Dibuang (hazaf) huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Akan tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sedikit sangat tidak seperti biasa. Namun begitu tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Lihat pada kalimah تَسْطِع dalam ayat ini. Ada hazaf dalam bentuk ikhtizal dalam ayat ini kerana kalau dibandingkan dengan ayat 78, kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk wazan yang penuh – تَسْتَطِع. Persoalan sekarang adalah kenapa ada perbezaan wazan yang digunakan sedangkan kedua-duanya tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak mampu sabar?

Jawapannya kerana dalam ayat 78 Khadr belum beritahu lagi apakah alasan atas segala perbuatannya yang menyebabkan kegelisahan pada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Nabi Musa  tentunya gelisah dan tidak senang duduk kerana baginda belum tahu lagi kenapakah Khadr melakukan segala perkara itu. Oleh kerana itu, ketidaksabarannya lebih tinggi lagi daripada keadaan dalam ayat ini.

Dalam ayat 82 ini pula, Khadr sudah beritahu kenapa beliau melakukan segala perkara itu dan kerana itu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah boleh bersabar sedikit. Keperluan untuk sabar sudah berkurang walaupun masih kena bersabar juga lagi, sebab mungkin ada yang baginda belum faham sepenuhnya lagi. Namun sudah kurang secara relatif kalau dibandingkan dengan keadaan dalam ayat 78.

Sekian Ruku’ 10 daripada 12 ruku’ dalam surah ini

Kalau kita perhatikan, ada persamaan antara kisah Pemuda Kahf dan Nabi Musa ini.


 

KISAH 4: DZULQARNAIN

Kahf Ayat 83: Sekarang kita masuk ke Ruku’ 11 daripada 12 ruku’ dalam surah ini. Ini adalah kisah keempat dalam Surah ini. Ia berkenaan dengan DzulQarnain. Mulai ayat ini sehingga ke ayat 102 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia adalah berkenaan ujian kepada orang yang berkuasa.

Sebelum ini telah disebut kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjalan atas sebab mencari ilmu, sekarang kita belajar kita perjalanan juga, tetapi atas sebab menjalankan jihad.

Beliau ini dikagumi dan ada yang teringin mahu menjadi hebat seperti dirinya, maka ada yang telah membuat perkara-perkara sihir. Ini adalah kesempatan yang diambil oleh syaitan sampaikan ada yang amalkan sihir untuk jadi sepertinya. Dulu terhad kepada Yahudi sahaja tetapi sekarang ada umat Islam yang buat juga kerana mereka jauh daripada wahyu.

Allah ﷻ mahu mengajar bahawa kelebihan yang ada pada DzulQarnain ini adalah pemberian daripada Allah ﷻ dan beliau mendapatnya kerana beliau taat kepada Allah ﷻ, bukan kerana sakti yang ada pada dirinya.

وَيَسأَلونَكَ عَن ذِي القَرنَينِ ۖ قُل سَأَتلو عَلَيكُم مِّنهُ ذِكرًا

Sahih International

And they ask you, [O Muhammad], about Dhul-Qarnayn. Say, “I will recite to you about him a report.”

Malay

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:

 

وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ ذِي الْقَرْنَيْنِ

Dan mereka bertanya kamu tentang DzulQarnain;

Ini adalah antara soalan yang ditanyakan oleh Musyrikin Mekah selepas mereka bertemu dengan Pendeta Yahudi untuk menguji Nabi ﷺ. Mereka pun tidak tahu kisah penuh dengan DzulQarnain kerana mereka bukan menjaga pun kitab mereka, ada banyak maklumat yang tidak benar ditambah di sana sini.

DzulQarnain merupakan seorang wali yang menjadi raja. Daripada sejarah, ada empat orang raja yang menguasai dunia. Dua yang baik dan dua yang jahat. Dua orang raja yang soleh dalam sejarah Islam: Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan DzulQarnain. Dua raja yang jahat adalah Namrud dan Nebuchadnezzar (Bukht Nassar).

‘Dzul Qarnain’ itu bermakna ‘mempunyai dua tanduk’. Maka ini bukanlah nama sebenar dalam IC beliau tetapi nama gelaran sahaja. Beliau dikatakan seorang raja yang memakai topi yang mempunyai dua tanduk. Kedengaran agak pelik pula manusia mempunyai tanduk, bukan? Maka ada pendapat mengatakan beliau mempunyai dua pusar rambut kerinting yang mungkin nampak seperti tanduk. Atau cara beliau menyikat rambutnya ada dua tocang. Ada juga yang kata kerana beliau ada tanda di kepalanya yang nampak seperti tanduk, tetapi bukan tanduk. Ada yang kata kerana beliau ada dua kesan kecederaan di kepalanya.

Manakala ada pula yang kata beliau diberikan gelaran itu kerana beliau sudah berhasil mencapai kekuasaan di dua kawasan: di timur dan barat, iaitu tempat matahari terbit dan tempat matahari terbenam. Ada juga yang mengatakan kerana beliau memakai topi perisai yang ada dua tanduk padanya.

Dalam sejarah manusia, susah untuk dipastikan dengan tepat siapakah DzulQarnain ini. Ini kerana banyak kisah-kisah yang berlegar tentangnya. Ada yang mengaitkannya dengan Alexander the Great dari Macedonia. Ada juga yang mengaitkannya dengan seorang raja yang bernama Cyrus yang memerintah di Persia. Negara Persia dahulu adalah Iran zaman sekarang. Oleh itu tidak perlu kita pening memikirkan siapa sebenarnya kerana Allah ‎ﷻ tidak beritahu kepada kita. Tugas kita hanyalah mengambil pengajaran daripada kisahnya sahaja.

Sejarah tentang DzulQarnain ini ada dalam sejarah Yahudi kerana dikatakan DzulQarnain adalah raja yang telah membebaskan kaum Yahudi yang pernah dihambakan oleh kaum yang lain. Maka mereka memandang tinggi kepada DzulQarnain ini. Sebab itulah, antara soalan yang mereka suruh Musyrikin Mekah tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah tentang beliau.

Selalu juga kita dengar nama Iskandar DzulQarnain, bukan? Ini kerana dalam sejarah ada individu yang bernama Sikandar (Alexander) yang banyak dikaitkan dengan DzulQarnain. Akan tetapi pendapat ini ditolak kerana Sikandar ini menyembah berhala sedangkan kita tahu melalui ayat-ayat yang kita akan baca nanti, DzulQarnain adalah seorang lelaki soleh.

Di dalam kitab tafsir banyak disebut pendapat tentang siapakah beliau ini. Kerana terlalu banyak dan tidak ada pendapat yang sepakat tentangnya, maka tidak kita bentangkan di sini.

 

قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُمْ مِّنْهُ ذِكْرًا

Katakanlah: Aku akan bacakan ke atas kamu (dari Al-Qur’an ini) sebagai satu peringatan buat kamu;

Nabi ﷺ akan membacakan sedikit kisah tentang DzulQarnain itu sebagai peringatan kepada manusia. Maknanya, akan diceritakan sedikit, bukan semua sekali. Hanya diceritakan kisah yang ada kepentingan keagamaan. Al-Qur’an ini bukanlah kitab sejarah untuk menceritakan semua yang terjadi zaman dahulu.

Sebab itu, tidak diberikan informasi yang mendalam tentang siapakah sebenarnya DzulQarnain ini. Kerana siapakah dia sebenarnya tidak penting. Yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil daripada kisahnya.

Yang kita dapat tahu, lelaki yang bernama DzulQarnain adalah seorang raja yang memerintah dengan adil. Beliau memerintah menggunakan syariat agama Islam. Tidak dapat dipastikan apakah status beliau yang sebenarnya. Adakah beliau seorang Nabi atau seorang manusia? Ini kerana ada ayat-ayat yang menunjukkan Allah ﷻ berfirman kepada beliau. Persoalannya, adakah dalam bentuk wahyu atau ilham sahaja? Itu tidak dapat dipastikan. Yang kita pegang adalah beliau adalah orang yang baik dan beragama Islam (Islam waktu itu).


 

Kahf Ayat 84: 

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ ۥ فِى ٱلأَرضِ وَءَاتَينَـٰهُ مِن كُلِّ شَىءٍ سَبَبًا

Sahih International

Indeed We established him upon the earth, and We gave him to everything a way.

Malay

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

 

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ

Sesungguhnya Kami telah menetapkan baginya di atas muka bumi ini;

Allah ﷻ telah menetapkannya untuk menjadi raja dan mempunyai kekuasaan. Kekuasaan yang teguh yang tidak dapat digugat oleh manusia lain. Kekuasaan itu bukan daripada kelebihan dirinya tetapi Allah ﷻ kata Dia yang tetapkan. Begitulah mana-mana raja pun Allah ﷻ yang letakkan mereka di tampuk pemerintahan. Sesiapa yang memiliki kekuasaan dan kerajaan pun kerana Allah ﷻ dan Allah ﷻ boleh sahaja memberi dan menariknya semula. Maka jangan hendak berlagak sangat dan rasa akan kekal memerintah.

Maka di sini kita dapat tahu yang DzulQarnain telah diberi kekuasaan di bumi ini. Kekuasaan yang diberikan kepadanya seperti berupa bala tentera, peralatan perang dan benteng yang kuat. Beliau menguasai timur dan barat dan banyak negeri yang tunduk kepadanya.

 

وَءآتَيْنٰهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا

dan Kami beri jalan kepadanya dari segala sesuatu akan jalannya (untuk menjayakan apa yang diperlukannya);

Kalimah سَبَبًا ini adalah adalah ‘sebab’ dan kita terjemahkan sebagai jalan untuk mudah faham. Allah ﷻ memberikan jalan dan kemudahan untuk beliau memerintah dengan mudah dan untuk mencapai hasratnya. Ini dengan diberikan kepadanya kekayaan, kekuatan, tentera dan sebagainya. Ia juga termasuk ilmu pengetahuan untuk mengetahui sesuatu perkara. Dengan segala ini, maka apa yang dirancang olehnya, beliau dapat laksanakan.

Maka yang kata, maksud ‘jalan’ di sini adalah ilmu pengetahuan. Ada pula yang kata beliau diberi ilmu untuk mengetahui banyak bahasa. Maka semua itu boleh sahaja dimasukkan dalam ‘jalan’ yang Allah ﷻ berikan kepadanya. Kelebihan itu semua daripada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Mei 2026

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 77 – 80 (Khadr beri penjelasan)

PERISTIWA DINDING

Kahf Ayat 77: Khadr masih memberi peluang lagi kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini adalah babak ketiga.

فَانطَلَقا حَتّىٰ إِذآ أَتَيآ أَهلَ قَريَةٍ استَطعَما أَهلَها فَأَبَوا أَن يُضَيِّفوهُما فَوَجَدا فيها جِدارًا يُريدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقامَهُ ۖ قالَ لَو شِئتَ لَاتَّخَذتَ عَلَيهِ أَجرًا

Sahih International

So they set out, until when they came to the people of a town, they asked its people for food, but they refused to offer them hospitality. And they found therein a wall about to collapse, so al-Khidh r restored it. [Moses] said, “If you wished, you could have taken for it a payment.”

Malay

Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”

 

فَانْطَلَقَا

Maka mereka berdua berangkat lagi;

Dengan perjanjian baru daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu (boleh tinggalkan baginda kalau tanya lagi), maka mereka berdua pun meneruskan perjalanan.

 

 حَتَّىٰ إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ

sehingga mereka sampai ke penduduk satu negeri;

Dikatakan bahawa nama negeri itu adalah Antokiah. Di situlah tempat terbunuhnya Nabi Yahya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan dua lagi rasul. Tempat ini juga ada disebut dalam kisah dalam Surah Yaasin. Akan tetapi ini tidaklah dipastikan dan kita tidak perlu hendak pastikan kerana kalau pastikan pun, hanya menambah satu tempat pelancongan sahaja. Seperti kita sedia maklum yang penting adalah pengajaran daripada kisah itu, bukannya di mana tempat itu.

Allah ‎ﷻ tidak kata dalam ayat ini bahawa mereka telah sampai ke kota itu, tapi mereka telah sampai kepada ‘ahli kota’ itu. Bermakna, kemungkinannya mereka berdua telah berjumpa dengan penduduk kota itu di luar kota itu.

Nota: potongan ayat ini dan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Maka kena baca: ahlal qaryatinis tat’ama.

 

اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا

Mereka meminta makanan kepada penduduk negeri itu;

Oleh kerana mereka musafir dan lapar, maka mereka memohon bantuan kepada penduduk di situ untuk memberi mereka makanan. Ini biasa sahaja dan selalunya penduduk setempat akan bantu kerana kalau mereka pergi ke tempat lain pun, mereka mengharapkan bantuan orang lain juga. Kerana itu dalam Islam, kalau ada musafir, penduduk setempat wajib bagi makan selama 3 hari sekurang-kurangnya.

Di sini kita boleh lihat penekanan tentang buruknya sikap penduduk negeri itu kerana Allah ﷻ secara khusus menyebut أَهْلَهَا (ahlinya) sedangkan di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an, Allah ﷻ hanya sebut قَرْيَةٍ (negeri) sedangkan yang dimaksudkan adalah penduduk negeri itu. Maknanya yang hendak ditekankan di dalam ayat ini adalah sikap penduduk negeri itu amat buruk.

Tambahan pula yang diminta di sini adalah makanan. Makanan adalah keperluan utama, bukannya sekunder. Mungkin kalau tidak diberi tempat tinggal, boleh diterima lagi. Akan tetapi keperluan makanan adalah keperluan utama. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr bukannya meminta tempat tinggal, tetapi minta makan.

 

فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا

Penduduk di situ enggan untuk melayan mereka sebagai tetamu;

Akan tetapi, penduduk negeri itu enggan untuk memberi makan kepada mereka berdua. Sepatutnya mereka sebagai tetamu dilayan dengan diberi makan, tetapi penduduk tempat itu tidak memenuhinya. Ini bermakna mereka ini orang yang berperangai buruk sekali, tidak ada adab. Sedangkan kita sebagai manusia diajar untuk melayani tetamu. Mana tahu, kita nanti pun akan mengembara dan memerlukan bantuan daripada orang tempat kita berhenti. Tentang hal ini, kita dapat belajar daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Dzariyaat: 24-27:

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ﴿٢٤﴾ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ﴿٢٦﴾ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ
Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

 

فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ

Mereka mendapati di kota itu satu dinding yang hampir nak roboh; 

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr tidak boleh berbuat apa kalau mereka tidak dibantu. Akan tetapi semasa mereka di situ, Khadr telah nampak sekeping dinding yang miring hampir roboh. Belum roboh lagi, tetapi kelihatan tidak lama lagi akan roboh. Dikatakan bahawa tinggi dinding itu adalah seratus hasta.

 

فَأَقَامَهُ

Lalu Khadr membetulkan dinding itu; 

Khadr menegakkan dinding itu dengan tangannya. Bagaimana caranya tidak disepakati. Beliau melakukannya secara percuma sahaja. Memang begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh orang mukmin. Orang mukmin tidak berharap upah daripada manusia dalam melakukan kebaikan, sebaliknya mereka berharap pahala daripada Allah ﷻ semata-mata. Malah, mereka tidak berharap kepada ucapan terima kasih pun seperti disebut di dalam Insan: 9

إِنَّما نُطعِمُكُم لِوَجهِ اللَّهِ لا نُريدُ مِنكُم جَزاءً وَلا شُكورًا
Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.

Sebaliknya orang kita ini lapar sangat kepada ucapan terima kasih daripada orang lain, bukan? Kalau kita bantu orang, dan tidak diberi ucapan terima kasih, selalunya kita akan kata: “Huh, malas aku nak tolong dia lagi, ucap terima kasih pun tidak!” Ini maknanya orang itu bukan mukmin lagilah.

Penduduk kota itu adalah orang yang teruk perangainya, sampaikan enggan membantu orang musafir yang meminta makanan kepada mereka. Akan tetapi Khadr mengajar kita, tidak salah kalau kita membantu orang yang buruk perangainya. Ini adalah tingkatan ihsan yang paling tinggi, iaitu berbuat baik walaupun kepada orang yang berbuat buruk kepada kita.

 

قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

Nabi Musa berkata: “Jika kamu mahu, kamu boleh mengambil upah daripadanya”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahan lagi dengan kelakuan Khadr itu. Sudahlah penduduk negeri itu tadi tidak memberi kita makan, sekarang Khadr betulkan pula dinding itu?” Pada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sepatutnya Khadr bolehlah meminta upah daripada mereka di atas kerja membaiki dinding itu.

Ataupun, meminta upah daripada tuan tembok itu kerana telah memperbetulkannya. Daripada upah yang diberi, bolehlah mereka beli makanan. Baginda mempersoalkan perbuatan Khadr yang berbuat baik kepada mereka dengan percuma sedangkan penduduk itu bersikap buruk sekali dengan tidak memberi makanan kepada mereka.

Seperti telah disebut, kali ini Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukannya menegur tetapi memberi cadangan. Lihatlah bagaimana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataannya. Baginda menyusun ayatnya supaya tidak menjadi bentuk pertanyaan. Baginda tidak berkata: “Kenapa kau buat begitu?” atau, “Kenapa tak minta upah?”. Baginda cuma berkata: “Patut kamu boleh minta upah ni….” Baginda buat begitu kerana larangan adalah jangan bertanya soalan. Namun cara ini masih juga tidak diterima oleh Khadr.


 

Kahf Ayat 78: 

قالَ هٰذا فِراقُ بَيني وَبَينِكَ ۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأويلِ ما لَم تَستَطِع عَّلَيهِ صَبرًا

Sahih International

[Al-Khidhr] said, “This is parting between me and you. I will inform you of the interpretation of that about which you could not have patience.

Malay

Dia berkata: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.

 

قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ

Khadr berkata: “Inilah waktu berpisahnya antara aku dan engkau”;

Sebelum ini pun, iaitu selepas Khadr membunuh budak itu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berjanji, sekiranya baginda bertanya lagi, Khadr boleh meninggalkannya. Maka sekarang Khadr telah mengambil keputusan yang perjalanan mereka bersama adalah setakat itu sahaja.

Khadr berkata yang sekarang adalah masa bagi mereka berpisah. Kisah mereka bermula dengan pertembungan dua lautan dan sekarang pemisahan mereka berdua pula. Ini memberi isyarat yang mereka juga adalah dua lautan ilmu. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai lautan ilmu syariat dan Khadr mempunyai lautan ilmu yang lain.

Apabila Khadr menyebut ‘aku’ dahulu, itu bermaksud beliau yang akan meninggalkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh terus tinggal di situ, tetapi beliau akan pergi.

 

سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ

“Aku akan ceritakan kepada kamu dengan huraian”;

Akan tetapi, seperti yang telah dijanjikan, Khadr akan memberi penjelasan tentang perbuatan yang telah dilakukannya sebelum itu yang kelihatan pelik dan bertentangan dengan syariat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sepatutnya kalaulah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar, memang Khadr akan ceritakan pun, tetapi lambat lagi dan entah berapa babak lagi akan berlaku antara mereka.

Di sini kita lihat kalimah تَأْوِيلِ. Mungkin ramai sudah biasa dengan istilah ta’wil ini. Ia adalah daripada kata آل – يأل – اولا yang pada mulanya bermaksud ‘kembali’. Kerana itulah ta’wil antara maksudnya adalah ‘tafsir’ kerana ia hendak kembali kepada maksud asal sesuatu ayat Al-Qur’an. Di dalam ayat ini, تَأْوِيلِ bermaksud makna dan penjelasan. Ia lebih kurang sama sahaja dengan maksud ‘tafsir’ kerana hendak memberi makna kepada sesuatu ayat, bukan?

 

مَا لَمْ تَسْتَطِعْ عَّلَيْهِ صَبْرًا

“apa yang kamu tak mampu bersabar untuk tahu”; 

Oleh kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dapat bersabar, maka setakat itu sahajalah persahabatan mereka. Kalaulah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat lagi bersabar, maka tentu banyak lagi kisah yang kita akan dapat tahu kerana perjalanan mereka berterusan dan akan ada banyak kisah lagi.

Maka sebelum Khadr meninggalkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, beliau menyebut apa masalah dan kekurangan yang ada pada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu tidak bersabar. Maka ini mengajar kita, masalah dalam pembelajaran yang utama adalah tidak sabar. Kalau kita tidak sabar, maka kita tidak akan mendapat ilmu. Kesabaran amat penting di dalam menuntut ilmu.


 

PENJELASAN TENTANG INSIDEN KAPAL

Kahf Ayat 79:

أَمَّا السَّفينَةُ فَكانَت لِمَسٰكينَ يَعمَلونَ فِي البَحرِ فَأَرَدتُّ أَن أَعيبَها وَكانَ وَراءَهُم مَّلِكٌ يَأخُذُ كُلَّ سَفينَةٍ غَصبًا

Sahih International

As for the ship, it belonged to poor people working at sea. So I intended to cause defect in it as there was after them a king who seized every [good] ship by force.

Malay

Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.

 

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسٰكِينَ

Khadr berkata: “Adapun perahu itu dimiliki oleh orang-orang miskin”

Khadr tahu dan kenal pemilik perahu yang mereka naiki itu. Ia adalah milik orang kampung yang miskin. Mereka itu terdiri daripada sepuluh orang adik beradik yang berkongsi sebuah perahu. Ini seperti yang diriwayatkan daripada Ka’b al-Ahbar. 5 daripada mereka cacat dan 5 orang lagi bekerja keras mencari rezeki untuk menyara keluarga mereka.

Melalui kisah ini kita dapat lihat betapa Allah ﷻ sayangkan orang miskin. Kerana itulah Allah ﷻ hantar Khadr untuk membantu mereka. Maka jangan risau sangat kalau kita miskin dan tidak ada apa-apa kerana Allah ﷻ masih sayangkan kita. Allah ﷻ sedikit pun tidak pandang harta yang ada pada kita.

Kenapa Allah ﷻ rahmati mereka? Ada pendapat yang mengatakan bantuan rahmah daripada Allah ﷻ ini kerana mereka ada usaha untuk mencari rezeki walaupun mereka miskin. Oleh itu jangan kita malas berusaha. Allah ﷻ pandang juga kepada usaha kita itu. Allah ﷻ boleh sahaja beri segalanya kepada kita kalau Dia mahu, tetapi Allah ﷻ suka melihat usaha yang kita lakukan. Usaha kita itu tidaklah memberi bekas melainkan Allah ﷻ beri bantuan kepada usaha kita itu.

Melalui ayat ini, kita dapat ambil pengajaran yang orang miskin bukanlah tidak ada apa-apa. Seperti orang miskin dalam ayat ini, mereka memiliki sebuah perahu. Cuma pendapatan mereka tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan mereka dengan penuh. Mungkin ada yang kata, kenapa tidak jual sahaja perahu itu? Atau, mereka kata perahu itu tentu lebih mahal daripada nisab zakat (kadar kena bayar zakat). Maka di sini kita belajar satu perkara. Mungkin orang miskin ada harta atau binatang ternak yang melebihi daripada nisab. Akan tetapi tidaklah perlu mereka menjualnya kerana perahu atau binatang ternak itu diperlukan untuk mereka mencari rezeki.

Selalu kita dengar tentang fakir dan miskin, bukan? Apakah bezanya? Ayat ini menjadi dalil bagi mazhab Syafie membezakan antara keduanya. Golongan fakir itu adalah mereka langsung tidak memiliki apa-apa sedangkan orang miskin masih lagi mempunyai sedikit harta. Orang miskin masih lagi mempunyai modal untuk mencari rezeki (seperti keluarga di dalam ayat ini) sedangkan yang fakir tidak mempunyai apa-apa.

 

يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ

yang bekerja di laut mengambil upah;

Mereka menggunakan perahu itu untuk mengambil upah mengangkut orang ke pulau dari darat. Ataupun mereka itu adalah nelayan yang menggunakan perahu atau kapal itu untuk menangkap ikan. Ada banyak interpretasi yang boleh diambil kerana tidak jelas disebutkan di dalam Al-Qur’an atau hadith. Perincian pekerjaan mereka tidak penting tetapi kita dapat tahu bahawa mereka amat memerlukan perahu itu untuk kehidupan mereka.

 

فَأَرَدْتُّ أَنْ أَعِيبَهَا

Aku sengaja ingin untuk merosakkannya

Kalimah أَعِيبَهَا daripada katadasar ع ي ب yang bermaksud rosak, buruk, ada kecacatan. Kita pun biasa menggunakan kalimah ini, iaitu ‘aib’. Khadr beritahu yang beliau memang sengaja merosakkan perahu itu agar perahu itu nampak aib. Walaupun beliau tahu yang perahu itu dimiliki oleh orang miskin yang memerlukannya untuk pendapatan harian. Namun ada sebab kenapa beliau membocorkannya. Kerosakan yang dilakukannya itu boleh diperbaiki lagi dengan mudah.

Lihat kalimah فَأَرَدْتُّ yang digunakan, iaitu dinisbahkan kepada dirinya sendiri (Khadr). Walaupun Allah ﷻ yang mengarahkannya melakukan perkara itu, tetapi perbuatan itu tidak dinisbahkan kepada Allah ﷻ. Ini merupakan adab kepada Allah ﷻ, iaitu kalau kata-kata yang melibatkan cacat dan juga rosak tidaklah layak dinisbahkan kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh lagi, lihat kata-kata Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Syuaraa’: 78-80

.الَّذي خَلَقَني فَهُوَ يَهدينِ. وَالَّذي هُوَ يُطعِمُني وَيَسقينِ. وَإِذا مَرِضتُ فَهُوَ يَشفينِ
(iaitu Tuhan) Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjuki aku, dan Tuhanku, Yang Dia memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku,

Kita pun tahu kalau kita sakit, siapa yang memberikan sakit itu? Tentulah Allah ﷻ, bukan? Namun lihatlah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila sebut tentang sakit, baginda tidak menisbahkannya kepada Allah ﷻ.

 

وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَّلِكٌ

kerana di belakang mereka ada seorang raja;

Khadr merosakkan perahu itu kerana beliau tahu ada raja zalim bersama dengan tenteranya yang akan datang tidak lama lagi. Raja itu mengambil dengan zalim kenderaan seperti perahu untuk mereka gunakan di dalam peperangan mereka. Mana-mana perahu yang mereka jumpa, mereka akan rampas dengan zalim (tak bayar harga yang diambil).

Apabila perkataan وَرَاءَ (belakang) digunakan sebelum perkataan مَلِكٌ, ia bermakna tentera-tentera raja itu ada berdekatan di belakang mereka, cuma mereka sahaja yang tidak nampak lagi. Mereka sudah dekat dan tidak lama lagi akan sampai.

Kalimah وَرَاءَ ini mestilah diterjemahkan mengikut konteks. Kadangkala ia bermaksud di hadapan dan kadangkala ia bermaksud di belakang. Di dalam ayat ini ia bermaksud di belakang, iaitu raja dan tentera belum sampai lagi kerana mereka di belakang.

 

يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

yang akan merampas setiap perahu yang elok;

Raja yang zalim itu dan tenteranya akan merampas perahu-perahu penduduk di situ untuk digunakan oleh tentera raja itu untuk menyerang negeri itu. Raja itu sedang mengumpul peralatan tentera dan mereka sedang mengutip peralatan perang. Tentunya mereka akan rampas dengan cara paksa (غَصْبًا) perahu-perahu yang elok sahaja. Apabila raja itu melihat perahu itu sudah rosak, tentu dia tidak mahu mengambilnya. Kerana kalau diambil, sudah jadi satu kerja pula untuk baiki perahu itu.

Maka selamatlah perahu itu daripada dirampas oleh raja itu. Manakala kerosakan yang dilakukan oleh Khadr itu pun hanyalah sedikit sahaja dan boleh diperbaiki dengan mudah. Orang-orang miskin itu boleh lagi menggunakan dan memanfaatkan perahu itu sebagai punca pendapatan mereka selepas itu. Selepas itu pendapatan mereka akan menjadi banyak kerana perahu-perahu orang lain telah diambil. Ini kerana tinggal perahu mereka sahaja yang beroperasi.

Pengajaran kepada kita di dalam kejadian ini adalah Khadr berlaku rahmah kepada orang miskin. Kita memang digalakkan untuk membantu orang fakir dan miskin. Mereka amat memerlukan bantuan dan dengan membantu mereka, maka kalau kita bantu, kita telah menjalankan anjuran agama.

Dalam ayat ini, tidaklah disebut yang ‘raja tidak akan mengambil perahu yang rosak’. Akan tetapi kita dapat faham kerana telah disebut bagaimana Khadr menebuk perahu itu untuk merosakkannya. Maka dari sini kita tahu ada sebab rupanya beliau merosakkan perahu itu. Walaupun tidak disebut secara jelas tetapi kita tahu kerana Allah ﷻ menggunakan kaedah ‘i’jaaz’ iaitu meringkaskan kalimah dalam Al-Qur’an namun maksudnya sampai. Ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an. Kita hanya dapat faham hanya melalui pengajian tafsir (bukan daripada terjemahan). Bukan semua perlu ditulis tapi ia dapat diketahui dari pembelajaran.

Satu lagi pengajaran, perkara yang akan berlaku itu hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Maka kerana itu kita kena yakin dengan qadha dan qadr Allah ﷻ. Kadangkala kita tidak tahu kenapa terjadi sesuatu perkara, tetapi kita kena terima sahaja. Oleh itu, kadangkala kita tidak tahu, musibah yang menimpa kita mungkin ada kebaikannya. Lihatlah cara Allah ﷻ membantu orang miskin di dalam kisah ini dengan memberi musibah yang kecil untuk mengelakkan musibah yang lebih besar. Kita sahaja yang tidak nampak pada waktu itu. Maka ingatlah yang mudarat yang kecil mungkin mengelakkan mudarat yang lebih besar. Kalau kita terkena musibah, entah Allah ﷻ sudah elakkan musibah yang lebih besar lagi. Ingin saya berkongsi sebuah kisah yang menarik ini,

Once upon a time, there was an old farmer who had worked his crops for many years.

One day his horse ran away. Upon hearing the news, his neighbors came to visit. “Such bad luck,” they said sympathetically, “You must be so sad.

We’ll see,” the farmer replied.

The next morning the horse returned, bringing with it two other wild horses.

How wonderful,” the neighbors exclaimed! “Not only did your horse return, but you received two more. What great fortune you have!

We’ll see,” answered the farmer.

The following day, his son tried to ride one of the untamed horses, was thrown, and broke his leg. The neighbors again came to offer their sympathy on his misfortune. “Now your son cannot help you with your farming,” they said. “What terrible luck you have!

We’ll see,” replied the old farmer.

The following week, military officials came to the village to conscript young men into the army. Seeing that the son’s leg was broken, they passed him by. The neighbors congratulated the farmer on how well things had turned out. “Such great news. You must be so happy!

The man smiled to himself and said once again.

We’ll see,”

(Terjemahan:)

Pada suatu masa dahulu, ada seorang petani tua yang telah mengusahakan tanamannya selama bertahun-tahun.

Pada suatu hari kudanya melarikan diri. Apabila mendengar berita itu, jirannya datang menziarahinya. “Malangnya,” kata mereka dengan simpati, “Kamu pasti sangat sedih.

Kita akan lihat nanti,” jawab petani itu.

Keesokan paginya kuda itu kembali, membawa bersamanya dua ekor kuda liar yang lain. “Alangkah indahnya,” seru jiran-jiran! “Bukan sahaja kuda anda kembali, tetapi anda menerima dua lagi. Alangkah besarnya rezeki kamu!

Kita lihat nanti,” jawab petani itu.

Keesokan harinya, anaknya cuba menunggang salah satu kuda liar itu, namun dia tercampak, dan patah kakinya. Jiran-jiran sekali lagi datang untuk mengucapkan simpati atas nasib malangnya itu. “Sekarang anak anda tidak dapat membantu anda dengan pertanian anda,” kata mereka. “Alangkah buruknya nasib kamu!”

Kita lihat nanti,” jawab petani tua itu.

Minggu berikutnya, pegawai tentera datang ke kampung untuk mengerah lelaki muda menyertai pasukan tentera. Melihat bahawa kaki anak lelaki itu patah, maka pegawai tentera itu tidak menghiraukannya dan mengecualikannya daripada menyertai pasukan tentera. Jiran-jiran mengucapkan tahniah kepada petani atas nasibnya yang baik itu. “Ini berita baik! Anda pasti sangat gembira!”

Lelaki itu tersenyum sendiri dan berkata sekali lagi:

Kita akan lihat nanti,


 

PENJELASAN INSIDEN DENGAN BUDAK

Kahf Ayat 80:

وَأَمَّا الغُلٰمُ فَكانَ أَبَواهُ مُؤمِنَينِ فَخَشينا أَن يُرهِقَهُما طُغيٰنًا وَكُفرًا

Sahih International

And as for the boy, his parents were believers, and we feared that he would overburden them by transgression and disbelief.

Malay

Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa dia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

 

وَأَمَّا الْغُلٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ

Adapun budak itu, kedua orang tuanya adalah orang mukmin;

Ini adalah kisah berkisar tentang budak yang dibunuhnya itu pula. Ibu bapa budak itu adalah orang mukmin sebenarnya. Mengikut kisahnya dalam riwayat, Khadr sudah tahu yang apabila budak itu besar nanti akan menjadi orang yang sombong dan sesat. Dari mana baginda tahu? Allah juga yang beritahu kepada beliau. Apabila anak itu besar, kedua ibu bapanya akan mengikut kehendaknya kerana terlalu sayangkannya. Sampai menyebabkan mereka akan mengabaikan agama. Ini bermakna dia akan mengheret kedua orang tuanya juga menjadi sesat. Kita selalu dengar ibubapa yang mencorakkan agama anak-anak seperti hadith yang masyhur ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ كَمَا تُنَاتَجُ الْإِبِلُ مِنْ بَهِيمَةٍ جَمْعَاءَ هَلْ تُحِسُّ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ الَّذِي يَمُوتُ وَهُوَ صَغِيرٌ قَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, namun kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani. Seperti unta yang dilahirkan daripada binatang ternak yang sempurna jasadnya, apakah ditemukan adanya cacat?” Mereka bertanya; “Wahai Rasulullah! Bagaimana tentang orang yang meninggal saat dia masih kecil?” Baginda menjawab: “Allah lebih tahu dengan apa yang mereka kerjakan.”
(Sahih Bukhari (507))

Jadi itu kita sudah biasa dengar, ibubapa mencorakkan anak dan malah boleh merosakkan anak itu. Tapi di dalam ayat ini ia berkenaan anak-anak juga boleh merosakkan ibubapanya. Sebagai contoh, kerana ikutkan kehendak anak yang bermacam-macam, seorang ayah bekerja di dalam bidang yang haram kerana senang dapat duit yang banyak. Memang anak isteri adalah ujian bagi semua kita seperti disebut di dalam Taghabun:15

إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ

Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu adalah cubaan

Allah ﷻ Maha Mengetahui perkara yang telah berlaku dan perkara yang akan berlaku. Maka dalam ilmu Allah ﷻ yang luas, Dia tahu yang anak itu ketika sampai ke umur dewasa, dia akan mati sebagai kafir walaupun lahir sebagai seorang Muslim. Maka lebih baik dimatikan semasa kecil lagi. Ini kerana kalau dia hidup sampai dewasa, bukan dia sahaja yang akan masuk neraka, tetapi ibubapanya juga. Ibubapanya merupakan orang mukmin, maka Allah ﷻ hendak selamatkan mereka.

Kalimah أَبَوَا bermaksud ‘dua bapa’ dari segi bahasa. Namun kita tahu yang Allah ﷻ maksudkan kedua ibu dan bapanya kerana tidak mungkin dia mempunyai dua orang bapa pula. Allah ﷻ menggunakan kaedah taghlib (mengalahkan) dalam penggunaan أَبَوَا ini untuk memudahkan. Oleh kerana kedudukan bapa lebih kuat daripada ibu, maka digunakan kalimah ‘bapa’ untuk merujuk kepada ibu juga. Ini adalah salah satu daripada keindahan bahasa Arab.

 

فَخَشِينَا أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيٰنًا وَكُفْرًا

lalu kami khuatir yang dia akan mendorong kedua orang tuanya derhaka kepada Tuhan dan kafir;

Al-Qur’an tidak menyebut yang anak itu kafir atau akan menjadi kafir. Akan tetapi kita dapat faham kerana telah disebut bahawa ibubapanya mukmin. Maka lawan kepada mukmin adalah kafir. Ini adalah menggunakan kaedah ‘i’jaaz’ juga.

Bagaimana ibubapa itu boleh menjadi kufur pula dengan sebab anak itu? Kerana mereka terlalu sayangkan anak mereka itu, sampaikan merosakkan anak itu di mana mereka akan menuruti segala kehendak anaknya itu walaupun kehendak yang berdosa.

Maka, itu adalah pengetahuan tentang masa hadapan yang telah diberikan kepada Khadr oleh Allah ﷻ. Beliau telah tahu bahawa jikalau budak itu menjadi dewasa, dia akan menyebabkan ibubapanya derhaka kepada Tuhan. Apakah dhomir kami kepada kalimah فَخَشِينَا (kami khuatir) itu? Ia boleh merujuk kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr atau ia merujuk kepada Khadr dan Allah ﷻ. Semasa menyebut tentang merosakkan perahu itu, Khadr nisbahkan kepada dirinya, tetapi sekarang apabila dalam perkara yang baik, beliau nisbahkan kepada Allah ﷻ pula.

Namun mungkin timbul persoalan pula, bagaimana pula Allah ﷻ boleh takut/khuatir? Bukankah Allah ﷻ tahu segala-galanya? Oleh itu, walaupun di dalam ayat ini digunakan kalimah فَخَشِينَا seolah-olah Allah ﷻ tidak tahu, tetapi ia semua di dalam pengetahuan Allah ﷻ. Ini kerana tidak tepat jikalau kita mengatakan Allah ﷻ takut pula.

Di dalam ayat ini yang digunakan adalah kalimah فَخَشِينَا iaitu takut atau khuatir yang asalnya adalah خَشيَةٌ. Ia tidak sama dengan takut jenis خَوفٌ. Sekiranya خَوفٌ yang digunakan, ia adalah takut tanpa ilmu sedangkan خَشيَةٌ adalah takut dengan ilmu.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengatakan bahawa budak itu adalah seorang yang bijak. Maka, ditakuti bukan dia sahaja yang akan sesat nanti, tetapi dengan kecerdikannya itu, dia akan menyebabkan ibubapanya pun akan sesat juga. Bijak tidak semestinya beriman. Kecerdikan juga boleh digunakan untuk kerosakan.

Maka, sebagai Muslim kita mestilah redha dengan ketetapan yang Allah ﷻ telah tentukan untuk kita. Mungkin kita tidak tahu kenapakah Allah ﷻ telah lakukan sesuatu, tetapi kita mesti redha kerana Allah ﷻ mempunyai perancangan-Nya. Sepertimana juga ibubapanya itu terselamat daripada kekufuran kerana anaknya sudah tiada lagi. Memang mereka tentu akan bersedih apabila anaknya itu mati, namun mereka mesti sedar bahawa itu adalah untuk kebaikan diri mereka juga.

Orang kafir ada menggunakan ayat ini untuk mengejek orang Islam. Mereka kata Islam mengajar umatnya untuk berbuat kerosakan dan membunuh. Padahal, ini bukanlah kali pertama arahan membunuh dikeluarkan. Sebelum ini, Yahudi dan Kristian tahu tentang bagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diarahkan oleh Allah ﷻ untuk membunuh anaknya Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mereka terima arahan itu daripada Allah ﷻ, tetapi apabila arahan yang sama dikeluarkan oleh Allah ﷻ kepada Khadr, mereka tidak terima pula. Itu adalah kerana mereka hanya hendak mengejek-ngejek agama Islam. Mereka bukannya mahu mencari kebenaran. Allah ﷻ sudah ajar kita dalam Surah Kahfi ini juga supaya tidak mengendahkan mereka, dan terus membacakan ayat-ayat Allah ﷻ kepada mereka.

Seperti yang kita tahu, Nabi-nabi Allah ﷻ telah diberikan dengan tugas yang berat-berat untuk mereka penuhi. Termasuklah dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga Khadr. Arahan membunuh itu hanya kepada mereka sahaja, bukan tertakluk kepada kita. Tidaklah kita membaca ayat-ayat itu dan kita kena ikut juga membunuh seperti itu juga. Orang otak mereng sahaja yang akan fikir begitu.

Kita kena faham bahawa ada arahan kepada para Nabi yang bukan untuk kita ikuti sebagai sunnah. Orang Islam (yang berakal waras) faham tentang kisah-kisah ini. Tidak pernah kita dengar ada ayah mana-mana yang membunuh anaknya dan mendakwa ia adalah sunnah daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau Khadr.

Akan tetapi kenapakah anak itu sampai mesti dibunuh? Tidakkah anak kecil itu dizalimi? Untuk memahami perkara ini fikiran kita kenalah ada anjakan paradigma (paradigm shift). Jangan lihat dimatikan sahaja sudah kita sangka itu adalah perbuatan zalim. Ini kerana Allah ﷻ tidak pernah zalim. Kita kena ingat yang anak itu dimatikan sebelum baligh. Maka dia tidak ada dosa. Apabila tidak ada dosa, dia terus masuk ke dalam syurga tanpa hisab, bukan? Maka sekarang adakah Allah ﷻ zalim? Bagaimana pula dengan anak-anak kecil lain yang mati sebelum dewasa? Bagaimana pula dengan janin-janin yang gugur? Mereka juga selamat dan tidak dizalimi. Maka ini mengajar kita, kalau anak-anak kita meninggal sewaktu kecil, atau anak dalam kandungan gugur, mereka sebenarnya terselamat daripada seksaan azab neraka kerana mereka tidak ada dosa sedikit pun. Kita yang membesar sampai ke tua ini yang belum tentu selamat lagi!

Namun begitu timbul juga persoalan: Tidakkah ada cara lain selain daripada dibunuh anak itu? Kita mungkin terkesan dengan perkataan ‘bunuh’ itu. Akan tetapi sebagai Muslim, kita kena pandai bandingkan. Adakah terdapat perkara lain yang lebih buruk daripada bunuh? Tentu ada, bukan? Lihat Baqarah: 191

وَالفِتنَةُ أَشَدُّ مِنَ القَتلِ
dan ‘syirik’ itu lebih dahsyat daripada pembunuhan;

Pertamanya ayat ini ramai yang salah faham kerana tidak belajar tafsir. Kalimah الفِتنَةُ ini bukanlah bermaksud fitnah mengadu domba yang kita gunakan di dalam bahasa Melayu kita. الفِتنَةُ di dalam ayat ini bermaksud kesyirikan. Allah ﷻ beritahu yang ia lebih buruk daripada perbuatan membunuh. Maka anak kecil itu sebenarnya telah diselamatkan oleh Allah ﷻ kerana diselamatkan daripada perbuatan syirik. Oleh itu, kalau kita dapat bandingkan dua perkara ini, maka tidaklah kita melihat pembunuhan anak kecil itu sebagai suatu perkara yang buruk.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sanggup membunuh anak kita? Tentu tidak, bukan? Akan tetapi kadangkala kita telah bunuh anak-anak kita. Bukannya bunuh fizikal, tetapi sebaliknya kita telah membunuh iman dan mental mereka. Ini berlaku apabila kita tidak memberikan didikan agama kepada mereka. Sampaikan mereka belajar perkara yang salah dan menyimpang, yang mengakibatkan iman mereka tergugat. Ya mereka hidup di dunia dengan sihat fizikalnya, tetapi bagaimanakah dengan nasib mereka di akhirat kelak?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Julai 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Kahfi Ayat 71 – 76 (Perjalanan dengan Khadr)

KEJADIAN DI KAPAL

Kahf Ayat 71: Kita masuk ke dalam Ruku’ ke 10 daripada 12 ruku’ dalam surah ini. Bermulalah kisah pertama Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr ini. Semua sekali ada tiga kisah kecil.

فَانطَلَقا حَتّىٰٓ إِذا رَكِبا فِي السَّفينَةِ خَرَقَها ۖ قالَ أَخَرَقتَها لِتُغرِقَ أَهلَها لَقَد جِئتَ شَيئًا إِمرًا

Sahih International

So they set out, until when they had embarked on the ship, al-Khidh r tore it open. [Moses] said, “Have you torn it open to drown its people? You have certainly done a grave thing.”

Malay

Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, dia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”.

 

فَانْطَلَقَا

Lalu kedua-duanya berangkat;

Selepas syarat diberikan dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersetuju, maka mereka pun berangkatlah dalam perjalanan mereka. Dalam perjalanan inilah nanti Khadr akan mengajar Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya, ilmu pengetahuan tidaklah perlu disampaikan dalam bilik kuliah sahaja, tetapi boleh disampaikan dengan banyak cara. Begitulah juga cara Nabi Muhammad ﷺ mengajar manusia. Banyak pelajaran yang para sahabat dapat adalah melalui pengalaman mereka dengan baginda.

Ini juga adalah jenis pengajaran yang paling ampuh dan berkesan. Iaitu pembelajaran jenis praktikal. Bukan hanya belajar di dalam kelas sahaja kerana kalau belajar dalam kelas, tetapi tidak dipraktikkan, kadangkala kita tidak nampak dan faham dengan jelas. Contohnya belajar cara-cara mengerjakan Haji dan Umrah. Tentu kita tidak akan faham sepenuhnya melainkan secara teori sahaja.

Tidak diceritakan tentang Yusha’ bin Nun kerana tidak penting kisah beliau lagi. Kalimah yang digunakan adalah فَانْطَلَقَا yang bermaksud perbuatan dua orang kerana ada penambahan huruf alif di hujung. Kalau mereka bertiga yang berjalan bersama, kalimah فَانْطَلَقَوا yang digunakan. Mungkin beliau ada sekali atau tidak, kita tidak tahu dan kita tidak perlu tahu pun kerana tidak penting. Namun melalui bahasa yang digunakan, menunjukkan mereka berdua sahaja yang bergerak, maka kita boleh anggap yang Yusha’ tidak terlibat selepas ini. Mungkin Yusha’ sudah mengundurkan diri kerana sudah ada pertemuan antara dua manusia yang besar ini sedangkan beliau hanya pembantu sahaja. Tugasnya sebelum ini pun untuk menemani Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehingga berjumpa Khadr sahaja.

 

حَتَّىٰ إِذَا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ

sehinggalah mereka berdua menaiki sebuah perahu;

Mereka bermusafir sehingga mereka sampai ke laut yang menyebabkan mereka dikehendaki menaiki sebuah perahu. Ia bukanlah sebuah kapal kerana ini adalah perahu penumpang yang berulang alik antara pulau. Akan tetapi di dalam Ankabut: 15, ada juga digunakan kalimah السَّفينَةِ sebagai kapal iaitu bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

فَأَنجَينٰهُ وَأَصحٰبَ السَّفينَةِ وَجَعَلنٰها آيَةً لِّلعٰلَمينَ
Maka Kami selamatkan Nuh dan penumpang-penumpang bahtera itu dan Kami jadikan peristiwa itu pelajaran bagi semua umat manusia.

Maka kena sesuaikan dengan keadaan, tambahan pula perahu yang dinaiki itu dimiliki oleh beberapa orang adik beradik yang miskin. Kalau orang miskin, takkan mereka ada kapal pula, bukan? Kerja mereka adalah mengangkut penumpang mungkin untuk menyeberangi sungai. Tuan perahu itu kenal Khadr sebab beliau biasa di situ. Sebab itu mereka tidak mengambil upah daripada Khadr.

 

خَرَقَهَا

dia telah melubangi perahu itu;

Daripada kalimah إِذَا yang digunakan di atas, ia menunjukkan keputusan untuk melubangi perahu itu bukanlah dibuat secara tiba-tiba, akan tetapi memang telah dirancang oleh Khadr. Beliau memang sudah tahu yang beliau akan melakukannya.

Tidak pasti sama ada baginda tebuk perahu itu atau cabut satu papan dari perahu itu. Tapi yang pasti, perbuatannya itu telah menyebabkan perahu itu tenggelam. Maknanya tujuannya adalah untuk merosakkan perahu itu supaya tidak berguna. Maka tentulah air akan masuk.

 

قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا

Nabi Musa berkata: “patutkah kamu melubangi perahu itu hingga menyebabkan tenggelam penumpang-penumpangnya?”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berpuas hati dengan perbuatan Khadr itu kerana nampaknya Khadr telah melanggar syariat dengan membuat khianat kepada orang lain. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri pun mengajar umatnya supaya jangan berbuat khianat kepada orang lain. Maka baginda tidak dapat menahan dirinya daripada terus bertanya kepada Khadr.

Bagaimana lah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak hairan, sedangkan kalau beliau terpaksa melubangkan perahu itu sekali pun, sepatutnya buatlah semasa perahu itu sudah dekat dengan pantai supaya penumpang-penumpang boleh menyelamatkan diri.

 

 

لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا

“Sesungguhnya kamu sudah melakukan satu perkara yang besar”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengatakan yang perbuatan Khadr itu perkara yang tidak patut dilakukan. Perkataan إِمْرًا merangkumi dua makna: tidak berakhlak dan tidak logik. Ia daripada katadasar أ م ر yang antara lain bermaksud arahan, kuasa, berpengalaman, banyak. Maksud dalam ayat ini adalah kesalahan yang besar.

Dalam syariat Kitab Taurat, tidak boleh buat begitu. Dalam syariat kita pun, tidak buat berbuat khianat kepada orang lain. Ia juga merupakan perbuatan yang tidak logik dilakukan kerana mereka pun masih berada dalam kapal tersebut, akibatnya tentulah menyusahkan mereka juga.

Yang menjadi pelik adalah kenapa tidak disebut kisah para penumpang marah kepada Khadr? Tidak disebut kerana mereka kenal Khadr dan mereka tahu apa yang beliau lakukan selalunya memang pelik tetapi ada kebaikan padanya. Lagipun bukannya kejadian itu di tengah air tetapi bila sudah hampir sampai di pelabuhan, maka tidak membahayakan bagi mereka kerana mereka dikehendaki berenang sedikit sahaja.

Walau bagaimanapun dalam Tafsir Jalalain disebut yang kejadian itu berlaku di tengah laut yang berombak besar. Namun Allah ‎ﷻ telah takdirkan air laut tidak masuk ke dalam kapal itu. Allahu a’lam apa yang sebenarnya berlaku.


 

Kahf Ayat 72: Teguran daripada Khadr kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah langgar syarat.

قالَ أَلَم أَقُل إِنَّكَ لَن تَستَطيعَ مَعِيَ صَبرًا

Sahih International

[Al-Khidhr] said, “Did I not say that with me you would never be able to have patience?”

Malay

Dia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”

 

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ

(Khadr) berkata: “Tidakkah aku telah katakan”

Khadr mengingatkan semula perjanjian mereka sebelum ini beliau mengingatkan apa yang baginda sudah tahu dari dulu lagi. Beliau sudah tahu yang memang ini yang akan terjadi (Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat bersabar).

 

إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

“Sesungguhnya kamu tidak akan mampu bersabar bersama aku”;

Khadr ingatkan kembali yang beliau sendiri pun sudah katakan yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat bersabar dalam tidak bertanya. Padahal beliau sudah ambil perjanjian daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan bertanya.

Ramai yang salah faham dengan ayat ini. Mereka menggunakan ayat ini untuk mengatakan seorang murid tidak boleh bertanya guru langsung atau mempersoalkan guru. Itu adalah pemahaman yang salah. Bagaimana mungkin kita dihalang daripada bertanya sedangkan kita tidak tahu, mak kenalah bertanya kepada guru kita. Oleh kerana itu ramai tidak berani minta dalil daripada guru walaupun amalan guru itu tidak ada dalil daripada syarak.

Yang Khadr tidak benarkan tanya itu kerana beliau telah meletakkan syarat awal-awal lagi supaya jangan bertanya sehingga beliau sendiri yang beritahu. Kadang-kadang guru kita pun suruh kita tanya di hujung kuliah sahaja sebab kalau tanya di pertengahan kelas akan mengganggu kelas. Itu pun adalah syarat yang boleh digunakan.

Akan tetapi tidaklah itu menidakkan kebaikan untuk bertanya kerana Nabi ﷺ pun pernah bersabda:

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Maka hendaklah bertanya kepada guru kalau kita tidak faham. Namun jangan tanya soalan yang tidak patut seperti “Siapa yang menjadikan Allah?”, “Kenapa solat Subuh dua rakaat?” dan soalan-soalan lain yang mempersoalkan hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Oleh itu ada soalan yang patut ditanya dan ada soalan yang tidak patut ditanya.

Selalunya guru yang menghalang anak murid bertanya adalah kerana mereka sendiri tidak boleh menjawab soalan anak murid itu. Selalunya yang ditanya adalah tentang: “Dari mana ustaz dapat amalan ini?”, “Dalilnya mana ya ustaz?” dan soalan-soalan seumpama itu. Kadangkala memang guru itu tidak ada dalil bagi amalan itu tetapi dia amalkan kerana gurunya pun buat begitu juga dulu.

Apabila guru sudah mengajar ajaran yang karut, maka kenalah anak murid bertanya. Namun kalau guru itu memang karut, mereka akan marah semula anak murid yang bertanya. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil. Kalau begitu, mereka telah menyalahgunakan ayat Al-Qur’an.


 

Kahf Ayat 73: Lalu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ insaf, minta keuzuran.

قالَ لا تُؤاخِذني بِما نَسيتُ وَلا تُرهِقني مِن أَمري عُسرًا

Sahih International

[Moses] said, “Do not blame me for what I forgot and do not cover me in my matter with difficulty.”

Malay

Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.

 

قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي

Nabi Musa berkata: “Janganlah kamu hukum aku”

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar kesilapan baginda. Maka baginda meminta maaf kerana keterlanjurannya. Baginda berharap Khadr tidak marah dan hukum baginda kerana kesalahan baginda itu.

 

بِمَا نَسِيتُ

“terhadap apa yang aku lupa”; 

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta maaf dan mengatakan baginda terlupa kepada perjanjian supaya jangan bertanya sehingga diberitahu.

Maka, kesalahan pertama yang dilakukan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah kerana baginda memang terlupa. Pengajaran di sini adalah seorang Nabi pun boleh lupa. Apatah lagi kita manusia biasa.

Ingat kembali apabila Yusha’ terlupa, Yusha’ menyalahkan syaitan. Namun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menyalahkan syaitan apabila baginda sendiri terlupa kerana baginda lebih matang.

Apa pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini? Pengajaran bagi kita adalah kalau salah, maka jangan malu meminta maaf. Dan ini amat payah dilakukan terutama sekali oleh orang yang ada ilmu. Mereka rasa malu hendak meminta maaf. Takut orang pandang rendah mereka kalau mereka mengaku salah. Sedangkan kalau merendahkan diri meminta maaf, orang lebih hormat lagi sebenarnya. Lihatlah sunnah Nabi Musa ini. Baginda seorang Nabi, ada ilmu, malah seorang Rasul yang tinggi kedudukannya. Akan tetapi tidaklah baginda segan meminta maaf.

Malangnya sekarang kita perhatikan ramai golongan agamawan yang laju sahaja menceritakan hal agama yang bukan diambil dari sumber yang sahih. Sekarang Alhamdulillah rakyat sudah semakin pandai dan ramai yang menegur kesalahan ustaz sebegitu. Tapi kalau kita perhatikan, ada yang melawan apabila ditegur. Sudahlah salah, tidak mengaku pula, kemudian marah pula orang yang menegur. Kemudian mereka koreklah sana dan sini untuk membenarkan kesalahan yang mereka telah lakukan itu. Ini amat memalukan sebenarnya.

 

وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا

“dan janganlah kamu bebani aku dalam urusanku perkara yang susah”;

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta Khadr jangan membuat perkara yang pelik-pelik sangat kerana baginda terbeban kalau begitu. Sebab kalau beliau membuat yang pelik, tentu baginda akan bertanya, dan kalau bertanya, nanti Khadr marah pula. Maknanya, janganlah menyusahkan dirinya dalam menuntut ilmu. Maknanya Nabi Musa  minta dikasihani.

Ketika mereka di atas perahu, ada seekor burung hinggap di perahu dan meminum air laut dengan mematuk air laut. Maka Khadr berkata kepada Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: “Jika ilmuku dan ilmumu dibandingkan dengan ilmu Allah, maka ilmu kita itu tidak lain hanyalah seperti air yang diambil oleh burung itu dengan paruhnya dari laut itu.”

Ini menceritakan bahawa perkara berkenaan dengan ilmu, kenalah pulangkan kembali kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ﷻlah yang Maha Mengetahui. Kalau Allah ﷻ tidak beri ilmu kepada kita, kita tidak akan tahu. Kalau Allah ﷻ tidak benarkan kita belajar, pun kita tidak akan dapat tahu. Maka nanti kita akan dapat tahu yang memang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditakdirkan oleh Allah ﷻ untuk tidak mendapat ilmu laduni ini.


 

INSIDEN DENGAN BUDAK

Kahf Ayat 74: Khadr telah memperkenankan permohonan maaf Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Lalu mereka meneruskan perjalanan mereka dan masuk ke dalam babak kedua dalam kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr ini. Mereka telah selamat walaupun perahu itu telah dilubangi kerana mungkin dasar air tidak begitu dalam.

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَـٰمًا فَقَتَلَهُ ۥ قَالَ أَقَتَلتَ نَفسًا زَكِيَّةَۢ بِغَيرِ نَفسٍ لَّقَد جِئتَ شَيـًٔا نُّكرًا

Sahih International

So they set out, until when they met a boy, al-Khidhr killed him. [Moses] said, “Have you killed a pure soul for other than [having killed] a soul? You have certainly done a deplorable thing.”

Malay

Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

 

فَانْطَلَقَا

Maka mereka berdua pun berangkat

Mereka meneruskan perjalanan. Pembelajaran Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Khadr diteruskan. Khadr maafkan kesilapan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana itu merupakan kesalahan kali yang pertama.

 

حَتَّىٰ إِذَا لَقِيَا غُلٰمًا

sehinggalah mereka bertemu seorang budak muda;

Kalimah غلام adalah budak kecil yang belum baligh. Ada yang kata umur budak itu adalah antara 8 dan 10 tahun. Maknanya dia belum baligh lagi. Atau, ia juga adalah digunakan untuk seorang remaja yang telah baligh. Budak itu sedang bermain-main dengan kawan-kawannya. Dia adalah budak yang paling bagus, tampan dan paling ceria di antara kawan-kawannya. Khadr telah memanggil budak itu.

 

فَقَتَلَهُ

maka Khadr bunuh budak itu;

Selepas budak itu datang kepadanya, Khadr telah membunuh budak itu! Ada yang mengatakan cara dibunuh itu adalah dengan dipatahkan tengkuknya. Atau dipulas kepala budak itu. Makanya beliau ada mukjizat sebab bagaikan mudah sahaja beliau melakukannya. Ada banyak lagi riwayat cara pembunuhan itu. Ada yang kata dipecahkan kepala budak itu ke batu; ada juga yang mengatakan dengan disembelih menggunakan pisau besar.

 

قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً

Nabi Musa berkata: “Patutkah kamu bunuh satu jiwa yang suci?”

Tentu sekali Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkejut dengan kejadian ini. Maka sekali lagi Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertanya kenapa Khadr buat begitu. Kali ini baginda tidak lupa tetapi baginda bertanya dengan penuh kesedaran. Nabi عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertanya kerana baginda sudah tidak tahan walaupun baginda sudah pernah berjanji tidak akan bertanya lagi. Baginda amat terperanjat sungguh kali ini kerana ini adalah perbuatan yang kiranya lebih teruk daripada kejadian membocorkan perahu.

Perkataan زَكِيَّةً bermaksud suci, tidak melakukan dosa. Ini kerana apabila budak belum baligh, maka dia tidak ada tanggungjawab syariat lagi dan kerana itu dia tidak berdosa. Atau, dia boleh jadi sudah baligh kerana kalimah غلام juga boleh digunakan untuk remaja. Namun apabila disebut زَكِيَّةً ia bermaksud remaja itu tidak berdosa kerana dia tidak berdosa yang menyebabkan dia boleh dibunuh. Boleh juga bermaksud seseorang yang bijak. Bermakna, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak budak itu adalah budak yang baik sahaja, maka kenapa perlu dibunuh?

 

بِغَيْرِ نَفْسٍ

“bukan kerana dia bunuh orang?”;

Seandainya seseorang itu telah membunuh orang lain, maka bolehlah kalau hendak membalas bunuhnya. Akan tetapi budak ini tidak ada membunuh orang. Memang sedang elok-elok sahaja bermain. Nampak daripada perawakan, tidak ada salahnya budak itu.

 

لَّقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُّكْرًا

“Kamu sudah buat satu perkara yang sangat mungkar”; 

Dari segi bahasa, نُكْرًا bermaksud satu perkara yang tidak pernah didengar orang. Daripada katadasar yang sama menjadi kalimah ‘mungkar’ iaitu perbuatan salah yang tidak dikenali sebagai perkara yang baik. Begitulah, tidak ada masyarakat yang boleh menerima pembunuhan seorang budak tanpa sebab, walaupun orang kafir sekali pun. Maka, ia boleh juga diertikan sebagai satu perbuatan yang munkar.

Teguran Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kali ini lebih keras daripada sebelumnya. Kalau sebelum ini Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata: لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا dan kalimah إِمْرًا itu tidak sekuat kalimah نُكْرًا. Tidaklah salah pertanyaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Baginda bertanya itu berdasarkan syariat yang baginda tahu, dan memang membunuh itu adalah salah kesalahan dosa yang besar. Akan tetapi Khadr menggunakan syariat yang lain dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula menggunakan syariat lain. Syariat diantara Nabi-nabi tidak sama pada waktu itu. Begitu juga dengan syariat Nabi Muhammad ﷺ yang sudah tidak sama dengan syariat-syariat Nabi-nabi yang sebelumnya.

Ada ajaran sesat yang menggunakan ayat ini sebagai dalil bagi mereka membenarkan guru sesat mereka berbuat dosa. Mereka kata guru mereka lain dengan orang biasa. Guru mereka macam Khadr boleh buat macam-macam kerana kononnya, guru mereka sudah sampai kepada tahap ‘ilmu ladunni’, boleh dapat ilmu terus daripada Allah ‎ﷻ. Maka kalau guru mereka berzina dengan wanita pun, mereka pertahankan: “Eh guru kita lain dengan orang lain, dia bukan berzina tu….”.

Padahal, itu adalah hanya khusus kepada syariat Khadr. Kita tidak boleh ikut syariat itu kerana kita semua kena ikut syariat Nabi Muhammad ﷺ. Tidak boleh kita berpegang kepada syariat lain lebih-lebih lagi dengan syariat Khadr. Selepas Nabi Muhammad ﷺ menjadi Nabi, syariat Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang sah. Syariat para Rasul yang sebelum Nabi Muhammad ﷺ terbatal.


 

Kahf Ayat 75: Sekali lagi Nabi Musa ditegur oleh Khadr. Ini sudah kali kedua.

۞ قالَ أَلَم أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَستَطيعَ مَعِيَ صَبرًا

Sahih International

[Al-Khidhr] said, “Did I not tell you that with me you would never be able to have patience?”

Malay

Dia menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”

 

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَّكَ

Khadr berkata: “Tidakkah aku telah katakan kepada kamu”

Khadr menjawab semula kata-kata Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Khadr mengingatkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang perjanjian mereka. Sepatutnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jangan bertanya tentang apa-apa.

Sebelum ini pun Khadr sudah cakap begitu, tetapi dalam ayat ini ada tambahan perkataan لَكَ. Ini menunjukkan Khadr pun sudah semakin marah dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana itu ada penekanan dalam ayat ini. Kalimah لَكَ juga bermaksud Khadr memaklumkan syarat itu terus kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, bukannya melalui perantaraan. Maka patutnya baginda ingatlah dan sedar. Sekiranya diberitahu melalui perantara orang tengah, mungkin adalah alasan sekiranya tidak tahu atau terlupa.

 

إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

“bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersama aku?”

Khadr mengulang katanya pada awal-awal lagi yang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan mampu bersabar. Nah sekarang memang telah terbukti. Sudah dua kali Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melanggar perjanjian. Maka kalau kali pertama itu masih boleh diterima lagi, namun untuk kali kedua ia sudah menjadi berat dan sudah boleh ditolak.


 

Kahf Ayat 76: Rayuan daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekali lagi.

قالَ إِن سَأَلتُكَ عَن شَيءٍ بَعدَها فَلا تُصٰحِبني ۖ قَد بَلَغتَ مِن لَّدُنّي عُذرًا

Sahih International

[Moses] said, “If I should ask you about anything after this, then do not keep me as a companion. You have obtained from me an excuse.”

Malay

Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan aku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.

 

قَالَ إِنْ سَأَلْتُكَ عَنْ شَيْءٍ بَعْدَهَا

Nabi Musa berkata: “Jika aku tanya kepada kamu sesuatu apapun selepas ini”; 

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan syarat kali ini. Baginda sudah dua kali melanggar perjanjian dan baginda sedar kesalahan baginda itu. Oleh itu kalaulah baginda bertanya lagi, maka ada tindakan yang Khadr boleh ambil.

Namun kali ini Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberi alasan lupa lagi. Ini menunjukkan baginda sendiri sudah berasa tidak selesa melihat perbuatan Khadr itu. Logiknya seorang Nabi pasti tidak selesa dan tidak dapat menerima perlanggaran syarak yang berlaku di hadapan matanya. Akan tetapi tidaklah baginda terus menarik diri sebaliknya baginda cuba lagi untuk bertahan.

 

فَلَا تُصٰحِبْنِي

“Maka jangan engkau memperbolehkan aku menyertaimu lagi”; 

Kalau baginda bertanya lagi, maka tidak perlulah Khadr bersahabat lagi dengan baginda. Maknanya Khadr berhak untuk menolak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mengikutinya dan belajar lagi dengannya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ rela dan redha dan tidak berkecil hati kalau Khadr buat keputusan itu kerana baginda sedar kesalahan yang telah dilakukannya.

 

قَدْ بَلَغْتَ مِنْ لَّدُنِّي عُذْرًا

“Sesungguhnya engkau sudah cukup alasan untuk berbuat begitu”;

Secara literal ayat ini bermaksud: telah sampai kepadamu dari sisiku keuzuran. Maknanya, sudah cukup alasan Khadr untuk meninggalkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mengajar kalau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih bertanya lagi selepas itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah