Tafsir Surah Zumar Ayat 57 – 62 (Penyesalan tidak terhingga)

Ayat 57: Ini pula adalah kata-kata penyelasan seorang yang telah cuai dalam agama, tetapi kali ini semasa dia di Mahsyar.

أَو تَقولَ لَو أَنَّ اللَهَ هَدٰني لَكُنتُ مِنَ المُتَّقينَ

Sahih International

Or [lest] it say, “If only Allah had guided me, I would have been among the righteous.”

 

Malay

“Atau berkata: `Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! ‘ –

أَوْ تَقُولَ لَوْ أَنَّ اللَهَ هَدٰنِي

Atau dia berkataKalaulah Allah beri hidayah kepada aku dulu.

Mereka hendak berkata yang mereka tidak mendapat hidayah pula. Padahal, Allah ‎ﷻ memberi petunjuk kepada mereka sudah banyak kali semasa mereka di dunia. Al-Qur’an itu sentiasa sahaja ada cuma mereka sahaja yang tidak mahu belajar walaupun sudah ada orang yang mengajak mereka belajar.

Dan memang Al-Qur’an ini banyak orang Islam buat tidak endah sahaja. Walaupun di masjid terdapat banyak Al-Qur’an, tidak ramai yang membaca Al-Qur’an. Yang selalu kita lihat, masyarakat kita lebih suka dan lebih banyak berzikir. Padahal, membaca Al-Qur’an adalah lebih afdhal dari berzikir.

Dan kalau mereka baca pun, walaupun mereka memang percaya bahawa Al-Qur’an itu dari Allah ‎ﷻ, tetapi masih tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an sampaikan mereka tidak faham apakah suruhan Allah ‎ﷻ dalam ayat-ayat yang mereka baca itu.

Itulah punca masalah kebanyakan manusia yang beragama Islam. Ramai tidak teringin pun untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak nampak kepentingan untuk memahami Al-Qur’an. Ini mungkin kerana pembelajaran tafsir Al-Qur’an memang tidak diterapkan dalam budaya ilmu di negara kita. Hanya sekarang baru kita nampak ia semakin bercambah.

Ingatlah bahawa ia adalah satu dosa besar kalau tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Iaitu kalau dia sengaja tidak mahu belajar. Sebagai contoh ada yang sudah tahu ada kelas tafsir, tetapi dia tidak mahu lagi pergi belajar. Macam-macam alasan akan diberikan untuk tidak pergi ke kelas pengajian.

Jadi, dalam ayat ini, orang itu menyalahkan Allah ‎ﷻ sebab tidak memberikan hidayah kepadanya. Dia berkata Allah ‎ﷻ yang telah takdirkan dia tidak menjadi orang beragama. Maknanya dia hendak menyalahkan Allah ‎ﷻ pula. Dia berkata begitu semasa di dunia dan semasa di akhirat dia akan cakap macam itu juga. Ini adalah hujah dari akal yang tidak waras, akal yang jahil.

لَكُنْتُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

tentu aku jadi orang yang bertaqwa,

Dia kata kalaulah dia diberikan petunjuk semasa di dunia, dia akan jadi macam orang lain yang alim. Dia berkata tentu dia akan menjadi orang bertaqwa. Padahal, kesalahan itu adalah dari dirinya sendiri.

Hidayah ada di mana-mana, mereka sahaja yang tidak mahu membuka hati mereka untuk menerimanya. Mereka yang menutup hati mereka dari menerima kebenaran. Alasan mereka ini tidak akan diterima langsung.


 

Ayat 58: Ini pula adalah selepas mereka dibicarakan, dan sudah sedia untuk masuk neraka. Lihatlah apa yang mereka akan katakan:

أَو تَقولَ حينَ تَرَى العَذابَ لَو أَنَّ لي كَرَّةً فَأَكونَ مِنَ المُحسِنينَ

Sahih International

Or [lest] it say when it sees the punishment, “If only I had another turn so I could be among the doers of good.”

 

Malay

“Atau berkata semasa dia melihat azab: `Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!”

أَوْ تَقُولَ حِينَ تَرَى الْعَذَابَ

Atau berkata satu jiwa ketika melihat azab neraka:

Lihatlah apa yang mereka akan katakan apabila mereka sudah melihat azab yang mereka akan dimasukkan. Waktu itu mereka tidak meminta ampun lagi kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak meminta ampun kerana mereka tahu bahawa tidak ada gunanya lagi kalau meminta ampun kerana sudah terlambat untuk minta ampun.

Tidak ada satu ayat Al-Qur’an atau hadis yang mengatakan yang orang yang sudah mati akan meminta ampun. Bila mati, inilah apa yang mereka mohon dari Allah ‎ﷻ:

لَوْ أَنَّ لِي كَرَّةً

Kalaulah aku boleh kembali semula.

Sekarang, apa yang dia pohon adalah kesempatan untuk pulang semula ke dunia. Sebab dia sudah menjadi alim, sudah tahu bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan memberikan keampunan kepada orang yang mati. Mereka sudah tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu benar, syurga dan neraka itu benar.

Mereka tahu bahawa ia sudah terlambat untuk meminta ampun. Mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan. Oleh itu, yang mereka minta waktu itu adalah ingin kembali ke dunia, sebab mereka ingin menjadi orang baik pula sekarang.

Mereka kata mereka ingin kembali ke dunia kerana hendak mengamalkan tauhid, mereka hendak mengamalkan amalan yang soleh, tidak mahu berbuat amalan bidaah lagi.

Mereka sudah beriman bersungguh-sungguh waktu itu kerana mereka sudah melihat kebenaran di hadapan mata mereka. Bayangkan mereka sudah nampak neraka! Tetapi waktu itu iman mereka sudah tidak berguna sama sekali.

فَأَكُونَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

tentulah aku akan jadi orang yang baik.

Dia berkata kalaulah dia dapat balik ke dunia tentulah dia akan berbuat amal mengikut sunnah. Tidak meninggalkan solat, tidak meninggalkan puasa, tidak membuat perkara syirik. Tidak menzalimi orang lain lagi. Mereka hendak menghabiskan masa dengan beribadat sahaja tanpa henti. Itulah harapan mereka pada waktu itu. Namun itu semua sudah terlambat.

Dan dalam ayat yang lain, Allah ‎ﷻ ada memberitahu kita, kalaulah mereka dikembalikan ke dunia pun, mereka akan membuat perkara salah yang sama:

{وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ}

Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakan­nya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka. (Al-An’am: 28)


 

Ayat 59: Apa Tuhan akan jawab? Allah ‎ﷻ tidak jawab semasa mereka berkata macam-macam semasa di dunia. Tetapi Allah ‎ﷻ hanya akan jawab di akhirat kelak.

بَلىٰ قَد جاءَتكَ ءآيٰتي فَكَذَّبتَ بِها وَاستَكبَرتَ وَكُنتَ مِنَ الكٰفِرينَ

Sahih International

But yes, there had come to you My verses, but you denied them and were arrogant, and you were among the disbelievers.

 

Malay

(Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firmanNya): “Bahkan telah pun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!”

بَلَىٰ قَدْ جَاءَتْكَ ءآيٰتِي

Bahkan sudah datang kepada kamu ayat-ayatKu,

Alasan mereka untuk kata mereka tidak mendapat hidayah dahulu ditolak dalam ayat ini. Sebenarnya hidayah telah sampai kepada mereka, mereka sahaja yang tidak mahu terima.

Amat senang sekali untuk kita mendengar Al-Qur’an itu. Di mana-mana ada orang baca. Di masjid, di TV, di suratkhabar, majalah, malah sekarang dalam phone kita pun sudah boleh dimuatkan dengan Al-Qur’an.

Senang sahaja untuk manusia mendapatkan maklumat Al-Qur’an. Kalau hendak belajar baca Al-Qur’an pun senang, hendak belajar tafsir kandungan Al-Qur’an pun senang juga. Tidak ada alasan lagi bagi manusia untuk mengatakan mereka tidak ada peluang untuk membaca Al-Qur’an. Tetapi takkan setakat baca sahaja, takkan tidak ada keinginan untuk tahu apakah yang tertulis dalam Al-Qur’an itu?

فَكَذَّبْتَ بِهَا

kamu dusta kepadanya

Kalau ada orang sampaikan maksud wahyu, kamu kata orang itu dusta; atau kamu dusta dengan tidak mahu untuk belajar. Jangan kata menolak, tidak mahu belajar pun sudah dikira berdusta dan menolak Al-Qur’an!

Yang lebih teruk adalah kalau mereka menolak. Mungkin mereka tidak perasan yang mereka menolak ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka berkata begini: “takkanlah begini, takkanlah begitu”. Mereka tolak dengan cara yang lembut tetapi ia tetap dikira sebagai dusta juga.

Mereka tidak mahu terima hujah dari Al-Qur’an, tetapi mereka sanggup terima hujah dari guru-guru mereka yang mengajar ajaran karut yang bukannya datang dari Al-Qur’an. Mereka tidaklah tolak ayat Al-Qur’an mentah-mentah kerana mereka terima ayat Al-Qur’an itu dari Allah ‎ﷻ, tetapi mereka kata pentafsiran yang diberi oleh guru tafsir itu yang salah.

Ingatlah bahawa ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah penapis bagi kita semua. Ianya untuk menapis sama ada amalan dan akidah kita selama ini adalah benar atau tidak. Maka kerana itu penting untuk belajar.

Ada ayat Al-Qur’an yang akan kena kepada diri kita sendiri, menegur amalan dan fahaman kita. Memang ayat-ayat Al-Qur’an itu akan menunjukkan mana-mana perbuatan kita dahulu yang salah.

Kalau ada amalan kita yang bertentangan dengan Al-Qur’an, apa yang perlu kita buat adalah minta ampun kepada Allah ﷻ sahaja. Terimalah yang amalan kita buat itu sudah salah dan minta Allah ‎ﷻ ampunkan.

Dan tinggalkan perbuatan salah yang kita telah buat itu. Itulah yang Allah ﷻ mahukan dari kita. Tidak perlu untuk cerita kepada orang lain kesalahan kita dahulu. Simpan untuk diri kita sendiri sahaja. Sebab Allah ﷻ pun tidak suka kita cerita kepada orang lain.

وَاسْتَكْبَرْتَ

dan kamu telah sombong 

Ini adalah sombong tidak mahu belajar. Mereka rasa mereka sudah pandai tentang hal agama. Sebab itu amat susah untuk dakwah tauhid kepada mereka yang sudah belajar agama seperti belajar di pondok-pondok dan universiti. Mereka rasa mereka sudah masak dan mahir dengan agama Islam.

Apabila kita bawa dalil dari wahyu yang bertentangan dengan fahaman mereka, mereka akan tolak kerana mereka tidak rasa mereka bersalah – mereka sombong. Mereka rasa tentulah mereka yang benar.

Sedangkan, walaupun kita telah belajar agama, kita hendaklah periksa sama ada pemahaman kita tentang agama itu benar atau tidak. Kerana banyak sekali ajaran-ajaran yang salah dalam dunia ini, jadi ada kemungkinan pembelajaran kita yang selama ini kita telah belajar itu, salah juga. Yang penting kena buka minda.

Dan mereka tetap sombong dengan fahaman mereka, kerana selepas diberitahu tentang ayat-ayat Al-Qur’an, mereka pergi periksa kepada guru yang mereka sudah biasa belajar. Padahal guru itu mungkin tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an.

Jadi, ustaz itu pun tidak tahu tentang ajaran-ajaran dalam Al-Qur’an. Mereka tidak belajar, tetapi mereka pula ada yang kata apa yang kita sampaikan tentang Al-Qur’an itu salah. Mereka tetap sombong dengan ilmu yang mereka ada.

وَكُنْتَ مِنَ الْكٰفِرِينَ

dan kamu ketika itu jadi seorang yang kafir.

Maknanya, tidak belajar tafsir itu boleh membawa kepada kufur sebenarnya. Memang ini adalah satu kata-kata yang berat untuk disebut. Tetapi begitulah hakikatnya. Kerana kalau tidak belajar, ditakuti ada lah fahaman kita yang tidak selari dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Realitinya sekarang, ustaz yang sekarang ini banyak mengajar agama di masjid-masjid dan di surau-surau pun tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an. Padahal dia mengajak orang lain kepada Islam. Maka kita pun tidak tahu apakah ajaran yang akan diberikan kepada masyarakat kalau dia sendiri pun belum tentu betul kerana dia tidak belajar tafsir Al-Qur’an lagi.

Mereka yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an ini dikatakan ‘kafir’ setelah diberi peluang untuk belajar berkali-kali. Kita tidak boleh terus mengatakan seseorang itu kafir. Sudahkah kita ajak dia belajar tafsir Al-Qur’an? Syaratnya jadi kafir ialah setelah diberi peluang berkali-kali. Iaitu setelah diajak berkali-kali masih tidak mahu belajar, maka barulah dia menjadi kafir. Dan dia pun menentang apa yang kita sampaikan. Kerana memang dia telah degil dengan ayat Allah ﷻ.

Jadi kalau kita memang tidak tegakkan hujah dengan dia, jangan pula senang hendak kata orang itu kafir. Jangan kita bermudah dalam mengkafirkan orang lain. Kerana itu kita hanya boleh kata: “ia boleh membawa kepada kufur”. Kita tidak tujukan kepada mana-mana individu tertentu kerana iman seseorang dalam ilmu Allah ﷻ sahaja dan kita tidak tahu.

Dan memang akan ada masalah kalau kita tidak belajar tafsir. Kalau sesiapa yang tidak belajar tafsir, dia tidak akan ada peluang untuk masuk syurga. Kerana dia jahil tentang tauhid dan hukum, dan syaitan akan ambil peluang itu untuk menyesatkan orang itu.

Syaitan akan membisikkan perkara-perkara dan fahaman yang salah, dan mereka terima bisikan syaitan itu kerana mereka tidak ada ‘penilai’ untuk menilai sama ada fahaman itu benar atau tidak.

Sedangkan, kalau mereka telah belajar tafsir Al-Qur’an, mereka akan tahu bahawa itu adalah fahaman yang salah. Kalau tidak belajar, maka syaitan akan tipu dia sampai dia masuk ke dalam neraka. Itulah bahayanya kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 60: Takhwif Ukhrawi.

وَيَومَ القِيٰمَةِ تَرَى الَّذينَ كَذَبوا عَلَى اللهِ وُجوهُهُم مُّسوَدَّةٌ ۚ أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِّلمُتَكَبِّرينَ

Sahih International

And on the Day of Resurrection you will see those who lied about Allah [with] their faces blackened. Is there not in Hell a residence for the arrogant?

 

Malay

Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) – muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?

وَيَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Dan pada hari kiamat itu,

Pada Hari Kiamat itu. Maksudnya mereka yang menolak wahyu akan dimasukkan ke dalam neraka akhirnya.

تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللهِ

engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah itu.

Iaitu mereka yang berdusta dengan wahyuNya kerana mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an dan tidak mahu belajar hadis NabiNya. Apakah yang dimaksudkan ‘berdusta terhadap Allah’?

Iaitu mereka yang apabila disampaikan wahyu kepada mereka, mereka tolak dan kata itu adalah dusta. Juga termasuk mereka yang mengajar fahaman atau amalan yang bukan dari Allah ﷻ dan Nabi ﷺ tetapi mereka dakwa ianya ada dalam Islam.

Ini termasuklah mereka yang mengatakan sesuatu amalan yang Nabi ﷺ tidak pernah ajar itu sebagai ‘Bidaah Hasanah‘. Padahal tidak ada Bidaah Hasanah dalam Islam. Semua perkara bidaah adalah sesat seperti hadis Nabi ﷺ. Ini termasuklah amalan Majlis Tahlil, Solat Hajat berjemaah, talqin, Sambutan Maulid Nabi dan sebagainya lagi.

وُجُوهُهُمْ مُّسْوَدَّةٌ

muka-muka mereka hitam pekat

Wajah mereka akan dalam kegelapan, sedangkan wajah mereka yang berpegang dengan sunnah akan berseri-seri bercahaya.

Ini adalah kerana perbuatan mereka di dunia dahulu, Allah ﷻ jadikan muka mereka hitam legam. Selalunya muka kitalah yang kita paling jaga, tetapi Allah ﷻ jadikan muka itu hitam pekat.  Semua orang boleh tengok semasa di Mahsyar nanti.

أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْمُتَكَبِّرِينَ

Tidakkah neraka jahanam itu tempat yang sesuai sekali kepada mereka yang sombong?

Nerakalah tempat yang sesuai dan layak bagi mereka atas perbuatan mereka dahulu semasa di dunia. Kerana mereka sombong untuk terima ajaran tauhid. Sombong untuk belajar Al-Qur’an dan tentang agama.

Apabila diajak untuk belajar tafsir Al-Qur’an, macam-macam alasan yang mereka akan berikan. Maka nerakalah tempat yang paling sesuai untuk mereka.


 

Ayat 61: Tabshir Ukhrawi. Ini pula adalah kepada orang yang hendak belajar agama Allah ﷻ. Mereka berusaha untuk belajar Al-Qur’an dan Hadis Nabi ﷺ yang sahih.

وَيُنَجِّي اللهُ الَّذينَ اتَّقَوا بِمَفازَتِهِم لا يَمَسُّهُمُ السّوءُ وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

And Allah will save those who feared Him by their attainment; no evil will touch them, nor will they grieve.

 

Malay

Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.

وَيُنَجِّي اللَهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا

Dan Allah akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa,

Iaitu mereka yang mengikut suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan laranganNya. Yang paling penting adalah mereka yang menjauhkan diri dari melakukan syirik kepada Allah ﷻ.

Surah az-Zumar ini adalah berkenaan syirik kepada Allah ﷻ. Oleh itu tema di dalam surah ini adalah berkenaan dengan syirik. Jadi makna ‘taqwa’ dalam ayat ini adalah menjaga diri dari melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Dan caranya dengan belajar.

Kepada mereka yang sebegitu, Allah ﷻ akan selamatkan mereka di akhirat kelak. Inilah yang penting sekali kita kehendaki kerana di situlah tempat yang kita amat-amat memerlukan pertolongan.

Dan dari Allah ﷻ sahaja yang kita boleh harapkan pertolongan itu. Tidak ada sesiapa yang boleh tolong walaupun Nabi, wali dan malaikat.

بِمَفَازَتِهِمْ

dengan tempat pelepasan kepada mereka.

Di akhirat nanti, kita akan menempuh beberapa tempat yang perlu dilalui. Iaitu kubur, Mahsyar, Titian Sirat, Neraka dan sebagainya. Di tempat-tempat ini, orang-orang bertaqwa akan dilepaskan daripada bahaya tempat-tempat itu. Berapa ramai lagi yang tidak akan selamat kerana mereka telah melakukan kesalahan-kesalahan yang entah berapa banyak? Maka beruntunglah mereka yang diselamatkan.

Apabila dia berada di dalam kubur, dia akan dilepaskan daripada azab kubur. Apabila dia berada di tempat kebangkitan, dia akan selamat lagi. Di Mahsyar, Nabi ﷺ akan siap sedia menanti mereka di situ. Nabi ﷺ akan panggil mereka untuk minum air daripada Telaga Kautsar.

Bila dia minum Air Telaga Kautsar itu, dia tidak akan dahaga sampai bila-bila. Kemudian itu baru pergi ke Mahsyar. Masa itu belum diberi syafaat lagi. Orang-orang yang dapat minum air Telaga Kautsar sahaja yang akan dapat syafaat. Apabila Nabi ﷺ menunggu di telaga itu, Nabi ﷺ akan nampak orang Islam yang cerah anggota-anggota wuduk mereka, maka mereka dipanggil oleh Nabi ﷺ untuk minum dari air Kauthar itu. Nabi ﷺ akan menggamit dan memanggil mereka kerana Nabi ﷺ sangka mereka adalah umatnya.

Tetapi malaikat yang menunggu bersama Nabi ﷺ akan beritahu Nabi ﷺ bahawa ada antara umat baginda yang buat apa yang Nabi ﷺ tidak ajar selepas kematian baginda. Itulah yang dinamakan bidaah dalam agama. Maka Nabi ﷺ akan halau mereka jauh-jauh. Ini sebelum masuk dibicarakan di Mahsyar lagi.

Ini adalah dalil yang mengatakan melakukan bidaah itu bukanlah sesuatu yang baik. Janganlah kita terkeliru dengan kata-kata terdapat dua jenis bidaah – bidaah Hasanah dan bidaah Mazmumah. Kena lihat penjelasan yang lebih tentang perkara itu.

Kemudian, semua manusia akan melalui Titian Sirat yang akan berada di atas Neraka. Maknanya, semasa melalui Sirat itu, kita sebenarnya sedang melalui neraka. Semua orang boleh tengok bagaimana keadaan azab di neraka itu. Ada yang dapat lalu dengan cepat dan ada yang dapat lalu juga, tetapi perlahan.

Dan malangnya nanti, ada yang akan ditarik sampai terjatuh. Tetapi orang-orang yang bertaqwa akan diselamatkan. Oleh itu, kemenangan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kemenangan selamat dari bahaya.

Itu adalah kemenangan yang amat besar sekali. Bayangkan kalau kita terselamat dari dilanggar bas, hampir terkena dan kita rasa amat bersyukur sekali dan waktu itu kita memang terasa lepas dari bahaya yang amat besar. Begitulah juga di akhirat kelak.

Kita sudah nampak azab yang boleh jadi kena kepada kita, tetapi kita dapat selamat dari bahaya itu. Jadi, kejayaan itu lebih bermakna. Sebab itulah Allah ﷻ akan melalukan kita dalam neraka, supaya kita akan lebih menghargai nikmat syurga yang diberikan kepada kita nanti.

Jadi di mana saja tempat yang ada azab, orang-orang mukmin akan terlepas daripada azab itu. Apabila dibicarakan, sekali lagi mereka akan terlepas. Waktu itu akan dibacakan segala perbuatan kita semasa di dunia itu. Siapa yang akan baca?

Kita sendiri akan baca buku amalan kita. Di mana kesalahan yang telah dimaafkan oleh Allah ﷻ, tidak akan dibaca. Ini adalah kerana ianya telah dimaafkan oleh Allah ﷻ.

Setiap dosa selagi tidak ditanya, maka maknanya kita akan selamat. Kita akan jumpa Tuhan sendiri-sendiri, seorang-demi seorang. Maka kita kena pasang niat hendak jumpa Tuhan bukan dengan cara Dia ﷻ dalam keadaan marah. Minta ampunlah setiap hari semoga Allah ﷻ mengampunkan segala dosa-dosa kita. Mintalah supaya Allah ﷻ ampun dosa kita supaya kita dapat jumpa dengan Dia ﷻ di syurga Firdaus nanti. Mintalah dan tinggalkanlah dosa-dosa yang kita buat selama ini.

Dan akhir sekali bagaimanakah Allah ﷻ akan menyelamatkan mereka? Dengan memasukkan mereka ke dalam syurga. Itulah kejayaan yang paling besar.

لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ

Dan tidak akan ditimpa sebarang kesusahan (azab)

Dia tidak akan merasa azab yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar. Tidak ada kesusahan langsung walaupun sedikit. Waktu itu beruntunglah mereka yang percaya dan berpegang kepada wahyu Allah ﷻ.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak akan berdukacita.

Allah ﷻ akan cabut segala perasaan dukacita mereka kerana syurga adalah tempat untuk menikmati segala kenikmatan. Jadi, kalau ada rasa sedih, teringat orang lain, teringat keluarga kita yang kita tinggalkan, harta kita tinggalkan dan apa-apa sahaja, itu tidak sesuai di dalam syurga kerana kita sudah tidak dapat menikmati nikmat syurga.

Jadi, walaupun anak beranak, adik beradik dia masuk neraka pun dia tidak akan berasa dukacita. Sebab dalam syurga tidak ada perasaan berduka cita. Maka oleh itu dicabut daripada hatinya perasaan dukacita itu. Tidak berasa kasihan belas lagi walaupun kepada mak ayah atau anak-anak kita sekalipun. Kerana Allah ﷻ akan tarik ingatan kita kepada mereka.

Kita sekarang di dunia memang berasa kasihan  kepada mereka. Tetapi Tuhan akan cabut perasaan itu apabila sudah masuk syurga nanti. Kalau tak, dia tidak boleh hendak merasai kelazatan dalam syurga. Dan syurga itu adalah tempat merasai nikmat sahaja.

Maka janganlah hendaknya kita masuk dalam neraka, sebab orang yang paling sayang kepada kita pun takkan ingat kepada kita lagi. Kalau mereka tidak ingat, mereka pun tidak akan berusaha hendak selamatkan kita.


 

Ayat 62: Dalil Aqli. Ayat ini adalah dalil kenapa kita perlu bertaqwa kepada Allah ﷻ dan beribadat kepada Dia ﷻ sahaja. Apabila Allah ﷻ beritahu berkenaan azab yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar, Dia ﷻ akan bawa dalil. Selalunya dalil yang diberikan oleh Allah ﷻ adalah dalil dalam penciptaan.

اللَهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيءٍ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Sahih International

Allah is the Creator of all things, and He is, over all things, Disposer of affairs.

Malay

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.

اللَهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ

Allahlah yang menciptakan segala sesuatu.

Alam ini dan segala apa yang ada di dalamnya adalah ciptaan Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang jadikan semua makhluk. Apabila Allah ﷻ yang menciptakan segala sesuatu, maka kepadaNya sahajalah kita sembah dan puja. Kenapa pula hendak sembah dan puja ilah yang lain pula? Sedangkan mereka semua itu tidak dapat mencipta satu apa pun.

Termasuklah juga jangan puja Nabi Muhammad ﷺ. Jangan kita anggap Nabi Muhammad ﷺ itu lebih dari seorang Nabi dan Rasul. Dia adalah manusia biasa, cuma dia ada kelebihan diberikan dengan wahyu. Memang kita hormat dan sayang baginda, tapi tidaklah sampai kita memuja baginda dan meminta perkara yang tidak patut dengan baginda.

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Dialah yang atas segala sesuatu itu Maha Menjaga.

Selepas Allah ﷻ mencipta dan menjadikan alam ini semua sekali, Allah ‎ﷻ jugalah yang menjaga perjalanan seluruh alam ini. Maknanya, Allah ‎ﷻ adalah pentadbir alam ini. Tidaklah Allah ﷻ mewakilkan kepada sesiapa pun untuk menjaganya.

Janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran karut yang ada dalam masyarakat kita yang mengatakan ada wali-wali yang jaga alam ini. Mereka kata ada 313 wali yang memerintah malaikat untuk menjaga alam. Mereka berikan pangkat kepada wali-wali itu. Sebagai contoh di Kelantan, ada yang kata Tok Kenali sekarang berada di salah satu bucu Kaabah. Inilah ajaran karut. Apa dia buat di situ pun kita tidak tahu.

Ada madrasah hafal Al-Qur’an di Kelantan yang mengajar anak muridnya untuk solat hajat dan minta kepada Tok Kenali supaya beri berkat supaya mereka mudah hafal Al-Qur’an. Sampai begitu sekali ajaran sesat yang diamalkan oleh umat Islam.

Itu orang yang hafal Al-Qur’an, apatah lagi kalau mereka yang jauh dari Al-Qur’an? Bukanlah kalau seseorang itu hafal Al-Qur’an, bermakna dia telah terselamat. Kerana ada yang hafal Al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham pun apa yang mereka hafalkan itu. Ini kalau mereka tidak tahu pun ajaran yang ada dalam Al-Qur’an itu. Tetapi mereka belajar hafal Al-Qur’an itu supaya mereka boleh ambil upah jadi imam solat Hajat, imam solat Terawih, meratib dan baca Al-Qur’an di kubur.

Maknanya, tujuan mereka adalah untuk mendapatkan duit dengan menggunakan agama. Mereka sendiri tidak sedar mereka menjual agama untuk mendapatkan neraka.

Kita perlu jaga ibadat kita dan kena tahu sama ada ibadat kita itu adalah ibadat yang kufur atau soleh. Sesiapa yang buat ibadat ikut cara Nabi ﷺ ajar, ibadat itu dipanggil ‘amal soleh’. Orang yang buat ibadat sebegitu, dipanggil ‘orang soleh’.

Bukanlah orang yang soleh itu orang yang bawa tasbih dan berzikir sentiasa. Kita kalau pandang sahaja orang bawa tasbih, kita sudah kata dia orang soleh tetapi itu tidak semestinya. Kalau dia bawa tasbih, belum tentu dia seorang yang soleh. Bukan itu kayu ukurannya. Orang soleh ini adalah sesiapa yang mengamalkan amal yang soleh.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Julai 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 53 – 56 (Syirik menghapuskan amalan kebaikan)

Ayat 53: Ayat 53 – 70 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi seruan Al-Qur’an kepada kita.  Orang yang berdosa jangan berputus asa, kembali kepada Allah ﷻ  yang Maha Pengampun dan Pengasihani. Jadikan Al-Qur’an sebagai panduan hidup.

Ayat 53 ini adalah ayat yang ditujukan bagi orang yang telah pernah berbuat amalan syirik. Atau orang yang pernah membuat dosa yang banyak sebelum ini. Ini adalah sebagai pengumuman dari Allah ‎ﷻ sebagai rahmat dan galakan kepada tauhid.

Ulama’ Tafsir menyebut yang ayat ini adalah ayat yang paling memberi harapan kepada manusia dalam Al-Qur’an. Kalau orang yang dalam kesedihan dan berputus asa dalam hidupnya, suruh dia baca ayat ini dan fahami maksud dia. (bukan buat zikir pula… orang Melayu bab reka zikir memang pandai).

Baca dengan faham dan selami maknanya. Kerana sekiranya baca berulang-ulang untuk dapatkan sesuatu, itu sudah termasuk sihir (sihir menggunakan ayat Al-Qur’an).

۞ قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Sahih International

Say, “O My servants who have transgressed against themselves [by sinning], do not despair of the mercy of Allah . Indeed, Allah forgives all sins. Indeed, it is He who is the Forgiving, the Merciful.”

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ

Katakanlah, wahai hambaKu sekalian yang telah melampaui batas kepada diri sendiri

‘Melampau batas’ dalam ayat ini adalah perbuatan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Perbuatan itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka. Kadang-kadang kita berbuat syirik kerana kita tidak tahu perbuatan itu adalah perbuatan yang syirik kerana kita tidak belajar ilmu wahyu.

Apabila jahil, ramai yang tidak tahu yang amalan mereka selama hari ini adalah amalan yang salah – sama ada bidaah atau syirik. Tetapi apabila mereka telah belajar, maka mereka takut dan rasa gelisah kerana perbuatan mereka dahulu, bukan?

Orang-orang yang buat syirik akan masuk neraka, dan kemudian akan kekal di dalamnya, kalau mereka tidak sempat bertaubat kepada Allah ‎ﷻ sebelum mereka mati. Salah faham dalam masyarakat Islam kita adalah, mereka sangka selama mereka Muslim, kalaupun mereka masuk neraka, mereka sangka mereka akan masuk syurga akhirnya.

Mereka tidak tahu bahawa kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah dosa syirik, mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila, walaupun nama mereka Islam dan mereka telah mengucap syahadah. Orang Islam yang masuk neraka dan selepas sekian lama dalam neraka dan dipindahkan ke syurga adalah mereka yang ada dosa, tetapi bukan dosa syirik.

Perkataan أَسْرَف juga bermaksud ‘berlebihan’. Ini adalah maksud yang lebih umum. Iaitu berlebihan sampai melampau. Mereka berlebih dalam tidur, buat maksiat, main game, berpolitik dan sebagainya. Sampaikan memberi kesan buruk kepada mereka. Ramai dari kalangan kita yang macam itu.

Mereka sangka apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan diri mereka tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk mereka dan telah memberi kesan kepada mereka. Sebab itulah perkataan yang digunakan adalah عَلَىٰ. Itu bermaksud perbuatan melampau mereka itu telah memberi kesan buruk kepada mereka. Sebagai contoh, kalau berlebihan dalam berpolitik, akan menyebabkan kita berbuat dosa dengan menjatuhkan orang lain dan sebagainya.

Dalam ayat ini tidak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah melampau. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia melampau. Jadi Allah ‎ﷻ biarkan dalam bentuk umum.

Juga bermaksud mereka yang telah ‘jatuh’. Mereka yang telah kena musibah dalam kehidupan mereka seperti hilang pekerjaan dan sebagainya. Mereka sampai ada yang telah berputus asa. Maka, kepada mereka ini juga, Allah ‎ﷻ hendak berikan harapan.

 

Balaghah: Hazfu wa zikru:

Bandingkan kalimah عِبَادِي yang digunakan dalam ayat ini dengan kalimah عِبَادِ yang digunakan dalam Zumar:10. Kedua-duanya membawa maksud ‘hambaKu’, tetapi ia dalam bentuk berlainan, bukan?

Dalam ayat ke 10, kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) kerana hamba yang dimaksudkan dalam ayat ke 10 itu adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia berterusan meningkatkan ketaqwaannya.

Mereka itu jenis yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian itu terus disebut ganjaran mereka. Sedangkan, kalimah yang digunakan dalam ayat 53 ini adalah عِبَادِي kerana hamba yang dimaksudkan dalam ayat ini hamba yang masih banyak melakukan maksiat.

Lihatlah dalam ayat ini, mereka memang sedang melakukan maksiat. Oleh itu, mereka tidak boleh berterusan dalam maksiat mereka itu, mereka kena ubah sikap mereka. Mereka disuruh jangan kekalkan apa yang sedang mereka lakukan. Mereka sekejap baik, sekejap tidak. Tidak boleh begitu, mereka haruslah baiki diri mereka supaya tetap istiqamah dalam iman dan dalam ibadah.

Dan ya mutakallim dizikrukan (disebut) digunakan kerana bilangan mereka lebih ramai kalau dibandingkan dengan orang yang istiqamah dalam iman dan ibadah. Inilah bahagian ilmu balaghah yang tidak akan dapat diketahui kalau tidak belajar ilmu balaghah.

 

لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ

jangan sekali-kali kamu putus asa dari rahmat Allah.

Ayat ini mengatakan bahawa kita masih lagi ada peluang untuk mendapat keampunan dari Allah ‎ﷻ. Maknanya, ada peluang untuk bertaubat lagi walaupun kita sudah berbuat dosa maksiat, walaupun kita sudah berbuat syirik. Walau bagaimana banyak pun dosa kita. Tuhan akan mengampunkan dosa kita walaupun kita telah berbuat syirik.

Syaratnya, kenalah memohon keampunan itu sendiri, tidak boleh orang lain mintakan kalau dosa itu adalah dosa syirik. Dan untuk meminta keampunan itu hendaklah dilakukan semasa hidup. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Kalau anak-anak isteri kita meminta keampunan untuk kita yang sudah berbuat syirik, itu tidak akan diterima. Kita kenalah meminta ampun sendiri.

Namun begitu, kalau dosa selain dosa yang syirik, walaupun kita sudah mati, ahli keluarga dan orang lain masih boleh meminta keampunan bagi pihak kita. Ini adalah kerana memang ada larangan dari Allah ‎ﷻ untuk meminta ampun kepada orang yang mati dalam syirik.

Ayat ini memberi kita harapan bahawa tidaklah Allah ‎ﷻ terus melupakan kita. Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada kita, walau berapa banyak dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ amat sayang kepada kita. Sifat rahmah Allah ‎ﷻ amatlah besar sekali. Ada orang sangka yang dosa mereka terlalu banyak sampai mereka kata Allah ‎ﷻ tidak akan ampunkan mereka.

Itu adalah sangkaan mereka sahaja, Allah ‎ﷻ tidak pernah berkata begitu, mereka sahaja yang memandai-mandai. Jangan kita ada sangkaan seperti itu langsung. Inilah juga bisikan dari syaitan untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tidak minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Syaitan bisikkan: “Dosa kamu dah banyak sangat, Allah takkan ampun dan pandang kamu dah…., baik kamu teruskan sahaja apa yang kamu telah lakukan itu”.

Oleh itu, sentiasalah kita meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Sebelum kita tidur setiap malam, mintalah ampun kepada Allah ‎ﷻ di atas segala dosa kita, termasuklah dosa syirik yang mungkin kita telah lakukan tanpa kita sedar. Kerana kita tidak tahu, entah-entah kita akan dimatikan malam itu dan roh kita tidak dikembalikan kepada tubuh kita lagi.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Rahmat-Nya dalam ayat ini. Oleh itu, para pemberi khutbah, penceramah pun, janganlah hanya menceritakan azab yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada kita kalau berbuat salah. Mereka kuat menceritakan tentang dosa manusia, sampai mereka lupa untuk cerita tentang rahmat Allah ‎ﷻ.

Sampaikan orang yang mendengar khutbah akan berasa yang mereka hanya layak untuk masuk neraka sahaja. Lama kelamaan manusia akan rasa mereka akan terus masuk neraka dan tidak ada harapan untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan rasa tidak ada gunanya lagi untuk berbuat baik kerana mereka sudah tidak ada harapan lagi untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan terus berbuat dosa.

Kepada mereka yang telah diberikan dengan ujian, jangan berputus asa dengan Allah ‎ﷻ. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ supaya kita dikeluarkan dari masalah itu. Putus asa bukanlah satu sifat yang baik. Ia adalah satu sifat yang buruk. Jangan sekali-kali berputus asa. Selagi belum mati, apa-apa masalah pun ada harapan untuk diselesaikan.

 

إِنَّ اللَهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

Sesungguhnya Allah sanggup mengampunkan dosa kamu semua sekali.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ itu sanggup mengampuni dosa kamu semua sekali kalau kamu meminta pengampunan dari-Nya. Tidak semestinya Allah ‎ﷻ wajib mengampuni dosa itu, tetapi Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan, kalau Dia mahu.

Ada muqaddar di sini, iaitu tidak diletakkan dalam ayat ini tetapi kena dijelaskan supaya faham ayat ini. Iaitu dengan syarat, kita kena meminta ampun. Kalau tidak minta ampun, maka tidak dapat pengampunan itu. Dan kitalah yang kena meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ sendiri. Kalau kita sudah mati, dan ahli keluarga memohon pengampunan kepada kita atas dosa syirik kita, tidak akan diterima.

Kalau dosa selain dosa syirik, Allah ‎ﷻ masih lagi boleh diterima, kalau Allah ‎ﷻ mahu. Kalau dosa selain dari dosa syirik, orang lain masih boleh mintakan ampun bagi pihak kita. Ini adalah kerana orang yang buat syirik itu kena sedar dan dia sudah buat syirik dan dia menyesal atas perbuatannya itu.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk mengampunkan semua sekali dosa kita, bukan hanya sedikit. Bukan dosa yang kecil sahaja, tetapi dosa yang besar sekalipun. Maka kalau Allah ‎ﷻ sudah berkata yang Dia sanggup untuk menerima taubat itu, maka mintalah ampun semasa hidup di dunia ini. Janganlah tunggu di akhirat kelak yang mana taubat tidak diterima lagi.

 

إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Belas Kasihan.

Kenapa Allah ‎ﷻ sanggup untuk memberi keampunan kepada kita? Kerana sesungguhnya Dia itu adalah Dzat yang amat pemberi pengampunan. Sifat asal Allah ‎ﷻ adalah Maha Pengampun. Dia boleh mengampunkan dan Dia boleh melupakan dosa yang kita buat. Sampaikan tidak ada lagi yang akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut.

Kita sebagai manusia, tidak boleh melupakan kesalahan orang lain kepada kita, walaupun kita sudah memaafkannya. Hati kita masih ingat lagi walaupun kita sudah memaafkannya dengan mulut dan kita pun telah cuba untuk maafkan orang itu dalam hati kita.

Namun, bagi Allah ‎ﷻ, bila Dia ampunkan, Dia tutup dosa itu. Dan dia tidak akan azab hamba-Nya itu dalam neraka atas kesalahan itu. Asalkan jangan degil untuk meminta ampun. Dia sanggup mengampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hamba-Nya.

Kita kena faham apakah makna الْغَفُورُ ini. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan banyak mana pun dosa makhluk itu. Allah ﷻ boleh tutup dosa itu. Namun begitu, tidaklah bermaksud Dia sentiasa memaafkan.

Kerana kalau kita rasa Allah ‎ﷻ akan sentiasa sahaja memaafkan kesalahan kita, bahayanya adalah: kita tidak risau untuk berbuat dosa pula kerana kita sangka Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja memaafkan. Bagaimana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita?

Jadi kita jangan senang hati sangat dan rasa boleh sahaja berbuat dosa, nanti minta ampun, dan Allah ‎ﷻ maafkanlah. Itu adalah salah faham seperti yang dihadapi oleh orang Kristian. Pada mereka, kalau mereka menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan, mereka akan diampunkan segala dosa mereka. Dan kalau mereka ada berbuat dosa, mereka pergi berjumpa paderi dan mengaku kesalahan mereka, maka mereka sudah selamat.

Dalam Islam tidak begitu. Kita memang kena meminta ampun dan berharap Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita, tetapi dalam masa yang sama, kita kenalah berhati-hati. Jangan kita salah gunakan ayat ini untuk beri tiket percuma untuk berbuat dosa pula. Kerana salah faham itulah ada kita dengar orang berkata: “takpelah… nanti dah tua nanti kita taubat lah…..”. Bagaimana kalau Allah ﷻ tidak terima taubat itu?


 

Ayat 54: Ini adalah syarat-syarat untuk mendapat pengampunan. Bukan hanya setakat minta ampun sahaja, tetapi kita kenalah perbaiki diri kita. Kembalilah melakukan amal kebaikan.

وَأَنيبوا إِلىٰ رَبِّكُم وَأَسلِموا لَهُ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ ثُمَّ لا تُنصَرونَ

Sahih International

And return [in repentance] to your Lord and submit to Him before the punishment comes upon you; then you will not be helped.

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ

Dan kembalilah kepada Tuhan kamu,

Apabila sudah bertaubat, hendaklah kita kembali kepada Allah ‎ﷻ iaitu dengan mentaati segala hukum-Nya. Solat jangan ditinggalkan lagi. Jangan berbuat jahat lagi. Itulah yang dipanggil ‘kembali kepada Allah ‎ﷻ’. Dosa yang telah dibuat, berhentilah dari membuatnya. Kalau dahulu berzina, berhenti dari berzina. Kalau dahulu minum arak, berhenti dari minum arak. Kalau dahulu tidak berpuasa, mula balik berpuasa.

Antara tanda kembali itu termasuklah belajar agama. Belajar untuk mengetahui manakah perbuatan kita yang salah. Jangan terus duduk dalam kejahilan dan terus melakukan kesalahan yang berulang-ulang.

Ayat ini juga bermaksud, apabila kita berbuat dosa, sebenarnya kita telah meninggalkan Allah ‎ﷻ. Kita tidak mengendahkan Allah ‎ﷻ dan segala peraturan yang telah ditetapkan. Maka, sebab itulah Allah ‎ﷻ suruh kita kembali kepada-Nya. Kalau kita tidak endahkan kawan kita, keluarga kita, ada kemungkinan mereka akan meninggalkan kita. Tetapi tidak begitu dengan Allah ‎ﷻ. Pintu rahmat Allah ‎ﷻ sentiasa terbuka untuk kita.

Dan yang paling penting, kena kembali kepada tauhid setelah mengetahui yang selama ini perbuatan kita adalah perbuatan syirik. Kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Tinggalkan perbuatan syirik yang pernah dilakukan dahulu kerana mungkin dahulu kita buat disebabkan oleh kejahilan agama. Sekarang sudah tahu, kenalah tinggalkan.

 

وَأَسْلِمُوا لَهُ

dan serah diri kepadaNya

‘Islam’ bermaksud serah diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Serah diri dalam akidah dan dalam amal. Kita hendaklah menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ. Terima semua yang terkandung dalam Al-Qur’an dan hadis.

Terima bulat-bulat tanpa soal. Jangan kita gunakan akal lagi untuk menolak syariat, jangan gunakan hujah yang batil lagi untuk menolak suruhan-suruhan Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, lakukan sahaja.

Malangnya, banyak ustaz-ustaz yang mengajar di merata-rata tempat, tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ. Mereka sendiri pun tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ hendak manusia buat. Tetapi mereka sudah mengajar manusia. Maka, apa yang mereka ajar itu tidak benar atau tidak lengkap.

Oleh itu kita yang mahu belajar agama, hendaklah memastikan bahawa guru yang mengajar itu telah belajar dari dua sumber agama yang utama: Al-Qur’an dan Hadis.

Dan yang paling penting jangan menggunakan akal dalam menafsir hukum Allah ‎ﷻ: ada orang yang berkata kalau makan babi boleh menyebabkan penyakit. Semua agama lain makan babi, tidak ada yang jadi gila pun. Ada yang berkata kerana dalam tubuh babi itu ada ulat yang tidak boleh dibunuh, kerana babi makan tahinya sendiri, kerana babi itu suka sondol binatang lain dan sebagainya.

Itu bukanlah jawapan yang tepat. Kita kenalah jawab begini: kita tidak makan kerana perintah Allah ‎ﷻ. Sebab kalau kita kata kita tidak boleh makan babi kerana ada ulat itu, katakanlah kalau ada cara untuk membunuh ulat itu dengan cara moden, adakah kita boleh memakan babi pula? Tentu tidak, kerana hukum itu tidak akan dimansuhkan sampai bila-bila. Kita kena terima semua sekali perintah Allah ‎ﷻ, jangan takwil-takwil.

Kerana kalau kita menggunakan akal kita untuk mencari sebab pengharaman sesuatu perkara, itu maknanya kita mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ. Jadi ada orang yang kata arak tidak haram, kalau minum tidak memabukkan. Babi pun boleh dimakan kerana zaman sekarang babi itu sudah bersih dan sebagainya. Itulah bahayanya. Allah ‎ﷻ tidak perlu menjelaskan sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan. Kita mesti taat bulat-bulat kepada Dia sahaja.

Namun dalam masa yang sama, kalau kita cuba mencari hikmah pengharaman itu, tidaklah salah. Kalau niat kita untuk memahami lagi hukum Allah ‎ﷻ, itu bolehlah. Ulama’ memang akan selalu mencari hikmah kenapa Allah ‎ﷻ letak hukum begitu dan begini. Tetapi itu sebagai usaha akal manusia sahaja, mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Tetapi berhati-hati jangan sampai kita mengubah hukum Allah ‎ﷻ pula. Kerana segala hujah atau kajian yang kita lakukan itu, mungkin benar dan mungkin salah.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ

sebelum datang azab akhirat kepada kamu.

Kenalah mengubah diri kita sebelum terlambat. Sebab kalau sudah berada di alam akhirat, kita tidak dapat diselamatkan lagi. Waktu itu sudah terlambat untuk memohon keampunan. Oleh itu, kita kena taubat segera, jangan tunggu-tunggu lagi. Tidak perlu tunggu ‘Solat Taubat’ pun kerana taubat itu boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa pun.

 

ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

kemudian kamu tidak diberi pertolongan

Apabila berada di Mahsyar, tidak ada peluang untuk mendapat pertolongan dari sesiapa pun, dari mana-mana arah pun. Pada waktu itu, tidak ada sesiapapun yang boleh menolong kita lagi.


 

Ayat 55: Dalil Wahyi. Ini ada syarat lagi yang perlu dipenuhi:

وَاتَّبِعوا أَحسَنَ ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ بَغتَةً وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

Sahih International

And follow the best of what was revealed to you from your Lord before the punishment comes upon you suddenly while you do not perceive,

 

Malay

“Dan turutlah – Al-Qur’an – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

 

وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Dan kamu ikuti sahajalah yang terbaik dari apa yang diwahyukan kepada kamu

Yang dimaksudkan yang terbaik adalah: Al-Qur’an dan Sunnah. Iaitu mengikut wahyu. Sama ada wahyu itu dari Al-Qur’an atau dari hadis Nabi ﷺ yang sahih. Iaitu kita ikut yang wajib dan yang sunat. Kalau ada amalan yang tidak sahih, jangan pula kita buat. Kerana agama ini tidak boleh direka-reka dan ditambah-tambah.

Dan yang terbaik dari wahyu itu semua adalah tentang Tauhid. Tauhid itu yang perlu dikemasi dahulu. Kena faham apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh itu, kena belajar tafsir 30 juzuk Al-Qur’an ini supaya faham apakah yang dimaksudkan dengan tauhid dan apakah syirik.

 

مِّنْ رَّبِّكُمْ

daripada Tuhan kamu

Dan kena pastikan bahawa dalil yang digunakan adalah dari Allah ‎ﷻ – sama ada dalam bentuk ayat Al-Qur’an atau dalam bentuk hadis Nabi ﷺ – wahyu yang disampaikan melalui lafaz Nabi Muhammad ﷺ.

Al-Qur’an dan hadis telah diberikan kepada kita untuk beramal. Yang terbaik dari Al-Qur’an dan hadis itu adalah dua perkara. Daripada lima hukum yang ada (iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram), dua sahaja yang kita buat akan dapat pahala. Iaitu yang wajib dan sunat.

Perkara yang hukumnya harus tidak perlu buat pun tidak mengapa. Sebab kalau buat pun, tidak dapat pahala. Kalau tidak buat pun, tidak berdosa. Jadi habis duit dan buang masa sahaja kalau buat. Kalau buat juga, itu untuk ihsan, iaitu kebaikan hidup di bumi. Apa yang dibuat, mestilah yang dihukumkan sunat. Yang wajib, memang kita tidak boleh tinggalkan. Tiga lagi hukum, kita tolak. Apa yang tidak sunat, tidak perlu buat.

Maka, janganlah kita mengikut pendapat guru-guru, ustaz-ustaz yang menggunakan akal sebagai hujjah untuk membenarkan amalan bidaah mereka. Contohnya, mereka yang mengatakan kebaikan dalam menyambut Majlis Maulid Nabi ﷺ, tetapi mereka tidak memberikan hujah dalil yang sahih, mereka menggunakan hujah akal sahaja.

Ambillah apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan dan amalkannya dalam kehidupan kita.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً

sebelum datang kepada kamu azab yang datang tiba-tiba (iaitu mati)

Ingatlah bahawa kita boleh mati pada bila-bila masa sahaja. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati. Waktu itu semuanya sudah terlambat. Maka jangan kita tangguh untuk berubah ke arah kebaikan. Entah sebentar lagi kita akan mati, kita pun tidak tahu. Maka kenalah kita bertaubat dan baiki diri kita dari sekarang.

 

وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

yang masa itu kamu tidak sedar.

Kita takut kita tidak sempat bertaubat pula nanti kalau kita tangguhkan. Celik-celik mata tengok-tengok sudah berada di dalam kubur. Maknanya, dia pun tidak sedar dia sudah mati.

Seperti orang yang kemalangan yang menyebabkan dia pengsan atau koma. Celik-celik mata tengok kipas sedang berpusing dalam hospital. Dia pun tidak sedar bilakah masanya dia telah dibawa ke hospital.

Maknanya, hendak mengikut Al-Qur’an ini hendaklah dilakukan sebelum kita mati. Kalau sudah mati, maka tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Jadi, kenalah belajar dari sekarang. Jangan ditangguh-tangguh lagi.

Walaupun begitu, telah diberitahu kepada kita bahawa ada perkara-perkara yang walaupun kita sudah mati, masih boleh mendapat pahala. Iaitu tiga perkara: Sedekah, ilmu berguna yang diajar kepada orang lain dan doa anak yang soleh.

Apakah itu sedekah jariah? Ia adalah sedekah dan infak yang kita berikan pada jalan agama. Sedekah jariah itu adalah apabila kita memberikan harta kita kepada agama. Dan ia berterusan. Sebagai contoh, kita sedekahkan duit untuk membina masjid dan masjid itu berterusan digunakan oleh manusia. Setiap kali ada orang yang menggunakan masjid itu, kita akan mendapat pahala.

Oleh kerana kita boleh berwasiat kepada selain dari keluarga kita, maka wasiatlah untuk infak sebahagian dari harta kita kepada agama. Iaitu sebanyak-banyaknya satu pertiga dari harta kita. Bukanlah kena bagi keseluruhan satu pertiga. Setakat mana kita hendak beri sahaja. Supaya pahala kita berterusan memberi saham pahala kepada kita.

Itu sahajalah harta yang kita boleh bawa balik ke akhirat. Sanak saudara kita yang telah kita berikan harta pusaka itu, belum tentu dia akan menderma harta yang kita pusakakan kepada mereka.

Ketahuilah bahawa sedekah itu adalah pencegahan dari api neraka. Manusia yang tidak mahu infak kepada agama ini adalah kerana bersifat munafik. Seperti yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an dan hadis.


 

Ayat 56: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah kata-kata orang yang sudah mati. Ini adalah contoh orang yang menyesal dengan apa yang dia telah lakukan semasa dia di dunia. Allah ﷻ ceritakan kepada kita supaya kita boleh ambil pengajaran. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang sebegini.

أَن تَقولَ نَفسٌ يٰحَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّٰخِرينَ

Sahih International

Lest a soul should say, “Oh [how great is] my regret over what I neglected in regard to Allah and that I was among the mockers.”

 

Malay

“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: `sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! –

أَنْ تَقُولَ نَفْسٌ

Supaya jangan seseorang berkata:

Ini adalah kata-kata penyesalan dari manusia yang cuai dalam amalan semasa di dunia. Ini orang yang mati mengejut dan tidak sempat untuk membuat persiapan.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ memberikan banyak peringatan kepada kita, supaya kita tidak cakap begini nanti.

يٰحَسْرَتَا

Alangkah besarnya penyesalanku,

Sekarang dia sedang menyesal sangat. Dia tahu yang dia telah membuat kesalahan yang besar. Dia sedang meraung dalam kesesalan.

عَلَىٰ مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللهِ

atas kecuaian aku tentang Allah.

Iaitu dia telah cuai dalam perkara ibadah. Iaitu cuai dalam belajar, cuai melakukan ibadat solat, puasa, haji, sedekah, walaupun dia memang ada niat untuk taat kepada Allah ‎ﷻ. Cuai itu antaranya tidak belajar cara sembahyang yang betul dan cara-cara melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Dalam perkara lain, dalam perkara dunia, dia tidak cuai – dia belajar dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk kolej dan universiti sampai ada yang ambil master dan Ph.D.

Namun semua itu adalah untuk perkara dunia, untuk hidup sementara sahaja di dunia. Sanggup dia mengeluarkan duit entah berapa banyak untuk mendapatkan ilmu dunia. Tetapi tentang hal akhirat, dia cuai untuk belajar. Padahal, bukan susah pun untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini.

Malangnya, ada guru-guru yang telah belajar agama di universiti sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, sama ada di madrasah ataupun di pondok, lama mereka belajar, tetapi mereka tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an. Mereka sangka mereka telah tahu tentang agama, tetapi sebenarnya mereka tidak terpimpin lagi.

Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang mengajar mereka agama, adakah mereka telah belajar tafsir Al-Qur’an dengan lengkap 30 juzuk? Ada kemungkinan besar mereka belum belajar lagi. Kita sahaja sangka mereka telah tahu tentang Al-Qur’an, tetapi mungkin tidak.

Maksud فِي جَنْبِ اللَّهِ (di sisi Allah) seolah-olah Allah ‎ﷻ ada di sebelahnya, tetapi dia buat tidak endah sahaja. Dia tidak belajar agama sampai dia kenal Allah ‎ﷻ dengan sepatutnya. Dan untuk mengenali Allah ‎ﷻ, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an kerana dalam Al-Qur’anlah Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Kemudian ditambah dengan belajar khusus fiqh Asma’ul Husna supaya kita lebih kenal Allah ﷻ.

وَإِنْ كُنْتُ لَمِنَ السّٰخِرِينَ

dan sesungguhnya aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh mempersenda-sendakan

Dia teringat kembali yang dia telah mempersendakan perkara agama dan ayat-ayat Al-Qur’an dan kerana itu dia telah masuk neraka dan menjadi seorang yang sangat rugi. السَّاخِرِ adalah orang yang tidak mengambil berat tentang tuntutan agama. Dia rugi kerana dia dahulu cuai semasa di dunia. Dia mengambil hal agama itu sebagai bahan jenaka sahaja.

Kita pun selalu lihat manusia seperti itu. Semua perkara adalah perkara lawak sahaja padanya. Dia tidak ambil peduli semua perkara. Sebagai contoh, apabila kita kata jangan buat perkara bidaah kerana Nabi ﷺ tidak pernah buat, mereka buat lawak: “Kalau macam itu, jangan pakai keretalah sebab Nabi tak pernah pakai kereta!”. Dan kata-kata lain yang mengejek-ngejek amalan sunnah.

Jangan kita menjadi manusia-manusia yang akan melahirkan penyesalan seperti itu di akhirat kelak. Hendaklah kita belajar tentang hal agama ini supaya kita tidak menyesal nanti. Dan hendaklah kita memastikan bahawa apa yang kita belajar itu adalah Al-Qur’an dan juga dari Hadis Nabi ﷺ yang sahih.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Fatihah Ayat 4 [Bahagian 2] (Allah ﷻ tetap akan balas)

Ini adalah sambungan daripada perbincangan Ayat 4 sebelum ini.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ menyebut dua sifat-Nya: ar-Rahman dan ar-rahim. Itu adalah sifat Allah ﷻ yang utama, iaitu Allah ﷻ menyebut tentang belas kasihan Allah ﷻ kepada makhluk-Nya. Kemudian selepas Allah ﷻ menyebut dua sifat-Nya itu, terus Allah ﷻ memperkenalkan sifat Diri-Nya yang maha berkuasa pada hari Kiamat nanti.

Memang Allah ﷻ bersifat belas kasihan, namun walaupun begitu, umat akan berada dalam ketakutan juga pada hari Kiamat itu. Kerana harus diingatkan, sifat Allah ﷻ bukan hanya belas kasihan sahaja, tetapi ada sifat-sifat Allah ﷻ lain yang keras. Hari Kiamat adalah satu kejadian yang amat menakutkan. Lebih-lebih lagi kepada orang kafir. Walaupun begitu, kepada orang mukmin pun akan berasa takut yang amat juga.

Ini kerana Hari Kiamat itu adalah dalam keadaan yang amat-amat menakutkan. Kita yang orang Islam ini pun belum tahu nasib kita bagaimana. Jangan kita berharap semata kepada sifat Rahman dan Rahim Allah ﷻ itu sampai kita berasa senang hati pula.

Dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ mengaitkan nama-Nya ar-Rahman, namun Dia masih juga menyebut bagaimana makhluk pada waktu hari kiamat akan tunduk diam dan khusyuk. Ini ada disebut dalam Taha: 108

يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ الدَّاعِيَ لَا عِوَجَ لَهُ وَخَشَعَتِ الْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا
Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru. Mereka dengan tidak dapat melencong daripada menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.

Akan tetapi kita jangan terkeliru, pada hari Kiamat itu, Allah ﷻ memang akan menunjukkan rahmah-Nya juga. Bukanlah tidak ada langsung sifat Rahman dan Rahim Allah. Seperti yang kita tahu, pada hari itu, hanya Dia sahaja berkuasa. Sifat rahmah-Nya masih ada di situ. Mungkin kita tidak berapa nampak di mana pertama, amalan baik manusia akan dibalas dengan banyak.

Bukan sahaja dibalas setiap satu kebaikan itu, malah akan ditambah lagi. Langsung tidak tertinggal mana-mana amalan baik yang telah dilakukan. Kalau Allah ﷻ tidak bersifat rahmah, tentu akan ada balasan yang tidak diberikan dengan penuh. Kalau begitu, tentulah Allah ﷻ tidak adil.

Manusia memang mahukan keadilan. Oleh itu, berita ini akan memberikan kelegaan kepada mereka yang baik dan berbuat amalan soleh. Mereka akan dibalas atas perbuatan mereka. Bukan sahaja mereka akan dibalas dengan perbuatan baik mereka, tetapi Allah ﷻ akan menambah balasan itu berkali-kali ganda lagi. Kerana percaya kepada balasan baik itulah yang manusia akan buat perkara baik semasa di dunia.

Dan hasilnya kalau manusia beriman dan beramal soleh, dunia akan menjadi aman  kerana manusia akan takut untuk berbuat kezaliman. Bayangkan kalau manusia tidak percaya tentang balasan akhirat, mereka akan berani buat apa sahaja mengikut nafsu mereka. Oleh itu, kebaikan itu bukanlah untuk orang itu sahaja, tetapi merangkumi kepada seluruh alam ini.

Pada hari Kiamat, tidak sama layanan Allah ﷻ untuk orang baik kalau dibandingkan dengan orang jahat. Orang baik akan mendapat layanan yang baik dan orang jahat akan mendapat layanan yang buruk. Oleh itu, hendaklah kita jangan buat sesuatu yang boleh memurkakan Allah ﷻ. Kita hendak Allah ﷻ bersifat Rahim dengan kita pada hari itu. Janganlah Allah ﷻ layan kita dengan kemurkaan seperti yang Allah ﷻ akan layan orang kafir nanti.

Allah ﷻ sebenarnya tidak memerlukan ibadat kita, maka kenapakah Allah ﷻ hendak balas kesalahan yang dilakukan oleh manusia? Untuk memahaminya, kita kena berikan perumpamaan kerajaan di dunia ini.

Bayangkan kalau satu-satu negara mempunyai seorang raja, dan raja itu telah meletakkan undang-undang yang perlu dipatuhi, bagaimana kalau ada rakyatnya yang melanggar undang-undang itu? Tentulah raja itu akan membalas orang itu dengan hukuman yang telah ditetapkan. Kalau raja itu tidak balas, ada tiga kemungkinan kenapa dia tidak balas:

    1. Raja itu tidak mampu untuk menjatuhkan hukuman kepada orang itu. Mungkin orang itu orang yang besar dan raja itu takut dengan orang itu. Atau raja itu tidak berkuasa penuh.
    2. Raja itu tidak tahu bahawa orang itu telah melanggar hukum. Mungkin dia melanggar hukum ketika waktu malam. Mungkin dia buat secara tersembunyi. Polis negeri itu pun tidak tahu. Atau dia melakukannya ketika tanpa saksi dan tidak ada yang melaporkannya.
    3. Raja itu suka dengan perbuatan orang itu yang melanggar hukum itu. Raja itu redha dengan perbuatan orang itu.

Maka, daripada perumpamaan ini, kita boleh boleh membuat kesimpulan: Kalau Allah ﷻ tidak membalas kejahatan manusia, kita boleh kata Allah ﷻ tidak balas itu kerana tiga perkara itu juga:

1. Allah ﷻ tidak mampu balas.
2. Atau Allah ﷻ tidak tahu perbuatan orang itu.
3. Atau Allah ﷻ suka dengan perbuatan orang itu.

Kita pun tahu, bahawa kesemua kemungkinan di atas adalah mustahil bagi Allah ﷻ. Allah ﷻ mampu untuk membalas, Allah ﷻ tidak takut langsung kepada sesiapa; Allah ﷻ maha tahu dengan perbuatan manusia, tidak kira di mana mereka melakukannya, bila mereka melakukannya; Allah ﷻ juga tidak redha dengan dosa yang dilakukan oleh makhluk-Nya itu kerana itu Dia sudah beri arahan dan ancaman bagi sesiapa yang tidak taat. Maka daripada ini, kita boleh tahu bahawa Allah ﷻ akan tetap membalas perbuatan dosa makhluk-Nya. Inilah keadilan namanya.

Oleh itu, apabila kita membaca ayat ini setiap hari, kita akan diingatkan bahawa setiap perbuatan kita ada kesannya. Ia boleh membawa kepada kesan baik kalau perbuatan kita itu baik dan ia boleh memberi kesan yang buruk kalau perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Kita akan tetap dikenakan balasan walau bagaimanapun.

Ingatlah bahawa kita tidak boleh terlepas daripada hukuman Allah ﷻ itu. Kita tidak boleh merasuah Allah ﷻ seperti kita boleh rasuah penjaga undang-undang di dunia ini. Allah ﷻ tidak memerlukan apa-apa daripada kita untuk kita berikan kepada-Nya. Segala apa yang kita ada pun daripada Allah ﷻ juga. Kita hanya bawa iman dan amal kita sahaja.

Memang Allah ﷻ bersifat Maha pengampun dan Maha pemaaf. Namun Allah ﷻ juga boleh membalas. Allah ﷻ adalah مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (Pemilik Hari Pembalasan). Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum. Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum dengan hebat sekali. Maka jangan kita berasa senang diri sahaja, seolah-olah kita pasti selamat. Janganlah kita melakukan dosa langsung kerana kita sangka hanya ingat kepada sifat Allah ﷻ yang maha pengampun.

Ini adalah kerana dalam kehidupan kita di dunia ini bukanlah untuk mengikut nafsu sahaja. Tidaklah hidup kita di dunia ini dijadikan sia-sia sahaja. Bukanlah saja-saja sahaja Allah ﷻ menjadikan kita. Seperti yang disebut dalam ayat Mukminoon: 115

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Allah ﷻ hendak melihat dan menilai apa yang kita lakukan dalam dunia ini. Allah ﷻ akan nilai sama ada perbuatan kita itu baik atau tidak. Ingatlah ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ dalam Surah Fatihah ini. Kena sentiasa bersedia untuk menghadapi hari itu. Kena beramal baik dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa. Kalau kita berdosa, cepat-cepat kita minta ampun.

Apabila kita gabungkan ayat ini dengan ayat pertama: ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ, ia akan mengingatkan kita supaya bukan hanya buat baik kepada diri kita sahaja dan kepada sesama manusia sahaja. Kita kena buat baik kepada seluruh alam. Ini kerana Allah ﷻ itu adalah rabb kepada ‘seluruh alam’. Semuanya dalam kerajaan Allah ﷻ.

Semua perbuatan kita akan dibawa ke hadapan Allah ﷻ sebagai saksi. Kalau kita ada buat salah dengan mkhluk lain seperti haiwan, maka haiwan itu akan dibawa sebagai saksi di atas perbuatan jahat kita itu. Kalau kita membuat salah kepada pokok, maka begitu juga ia akan menjadi saksi kita. Begitu juga kalau kita bertindak tidak baik dengan makhluk-makhluk yang lain. Maka, kita hendaklah sentiasa beringat.

Kita juga kena ingat bahawa balasan yang sebenarnya adalah di akhirat nanti. Bukan di dunia. Berapa banyak yang hidupnya susah semasa di dunia? Termasuk yang mengalami kesusahan itu adalah para Nabi. Walaupun mereka susah semasa di dunia, dengan segala dugaan yang hebat, tetapi mereka akan mendapat kebaikan yang banyak di akhirat kelak.

Ini kita kena sebut kerana ada fahaman yang kata kalau di dunia ini banyak nikmat, itu tanda mereka diberkati dan disayangi Tuhan. Itu adalah fahaman yang silap. Balasan sebenar adalah di akhirat nanti. Kalau kita mengalami kesusahan hidup di dunia, kita masih boleh berharap yang kita akan diberikan dengan balasan baik di akhirat kelak kalau kita beriman dan beramal soleh.

Ada kisah bagaimana orang yang paling malang hidupnya di dunia akan dicelupkan sekejap ke dalam syurga. Selepas dia diangkat semula, ditanya kepadanya, bagaimanakah kehidupannya di dunia dulu? Dia jawab dia tidak pernah kenal kesusahan. Dan seorang lelaki yang paling bernasib baik di dunia dicelupkan sekejap sahaja dalam neraka dan ditanyakan kepadanya tentang kehidupan di dunia dulu. Dia kata dia tidak pernah kenal kesenangan semasa di dunia dulu.

Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:
“‏ “‏ يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً
ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ
فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ ‌‏
وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ
فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ
فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤُسٌ قَطُّ وَلاَ رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ ‏”‌‏.
Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka. Kemudian dikatakan kepadanya: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan? Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau? Orang itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhanku.
Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga. Lalu ditanya kepada beliau: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesusahan? Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan.
(Sahih Muslim, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah wa an-Nar, no: 2807)

Ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini adalah satu ayat yang mempunyai makna targhib dan tarhib. Targhib adalah ayat-ayat yang menggalakkan kita untuk berbuat baik manakala tarhib adalah ayat-ayat yang menakutkan kita untuk berbuat jahat. Selalunya, satu-satu ayat itu ada elemen targhib sahaja atau tarhib sahaja. Jarang ada ayat yang ada dua-dua elemen.

Pada hari itu, Allah ﷻ akan mengadili orang beriman dengan ‘keadilan’ dan ‘rahmah’. Sebaliknya kepada kufur, hanya dengan ‘keadilan’ sahaja. Beza layanan Allah ﷻ kepada orang kafir dan orang Islam.

Akan tetapi ada juga orang beriman akan masuk neraka juga. Ini adalah kerana mereka beriman, tidak berbuat syirik, tetapi ada dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka akhirnya akan diselamatkan dari neraka. Maka sepatutnya neraka menakutkan kita dan kita sepatutnya berusaha untuk tidak memasukinya. Kita tidak mahu dengar, tidak mahu lihat, tidak mahu cium sedikit pun neraka itu. Kita minta dijauhkan sejauh-jauhnya dari neraka.

Ini menunjukkan pentingnya tidak syirik kepada Allah ﷻ kerana kalau ada syirik, maka tidak ada peluang masuk syurga. Allah ﷻ sudah kata bahawa Dia tidak akan maafkan perbuatan syirik.

Ayat ini juga memberi ketenangan kepada kita supaya tidak perlu risau kalau dizalimi di dunia ini oleh manusia lain. Ada orang yang berbuat zalim di dunia, tetapi mereka terlepas daripada hukuman di dunia. Kerana mereka ada kuasa dan pengaruh yang kuat contohnya. Namun mereka tidak sesekali akan terlepas di akhirat nanti.

Allah ﷻ akan membalas perbuatan zalim sesiapa sahaja kepada kita. Manusia selalu menyimpan marah dan dendam apabila mereka dizalimi. Seperti ada negara yang dijajah, beratus tahun mereka masih simpan dendam itu. Jangan kita risau – ingatlah bahawa Allah ﷻ akan balas. Tidak kira berapa banyak kesalahan mereka. Maka kalau kita dizalimi, tidak mendapat hak kita, ingatlah yang nanti kita akan dapat juga hak kita itu di akhirat.

Bukan itu sahaja, orang yang dizalimi itu pula boleh mendapat pahala pula kalau dia bersabar. Ini adalah satu sumber pahala yang banyak. Sebagai contoh, kalau ada orang yang mengata kita dan kalau kita sabar, kita akan mendapat pahala.

Tiada kepercayaan tentang adanya ‘umat pilihan’ dalam Islam. Ini kerana ada juga umat yang percaya mereka itu adalah ‘umat pilihan’. Seperti bangsa Yahudi, mereka sangka mereka adalah umat pilihan Allah ﷻ dan mereka tidak akan masuk neraka. Kalau masuk pun, kepercayaan mereka adalah mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka.

Bila mereka rasa begitu, mereka rasa mereka boleh membuat apa-apa sahaja. Mereka sangka mereka boleh terlepas daripada seksa Tuhan. Namun ingatlah, bahawa Allah ﷻ adalah Tuhan untuk semua makhluk dan Dia tidak pilih kasih dan tidak pilih bulu. Kita pun telah belajar apakah maksudnya apabila Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya sebagai رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ. Allah ﷻ adalah Tuhan kepada semua, sama ada yang Muslim atau yang kafir pun.

Jangan rasa kita orang istimewa dan akan terselamat dari neraka. Kalau kita ada rasa seperti itu, kita akan menjadi seperti lelaki dalam Kahfi: 36 yang berasa dia akan selamat.

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا
Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Lelaki itu sangka kerana dia telah mendapat banyak kebaikan di dunia, dia sangka dia insan yang istimewa. Dia sangka kalau di dunia dia sudah mendapat kelebihan, maka di akhirat dia pun akan mendapat kelebihan juga seperti di dunia. Maka, dia telah melakukan keburukan di dunia.

Begitu juga, penganut agama Kristian yang berasa mereka terus selamat bila terima Jesus. Hanya dengan ucap: “Aku terima Jesus”, mereka sangka mereka sudah selamat. Lalu, mereka ambil mudah tentang agama, tentang hubungan dengan makhluk lain dan hubungan dengan Tuhan.

Kita orang Islam pun jangan rasa selamat. Jangan kita sangka apabila kita sudah mengaku kita Muslim, sudah syahadah, sudah sembah Allah ﷻ, kita tidak akan masuk neraka. Jangan kita sangka kita boleh terlepas dengan kesalahan yang kita buat. Masalahnya, ada pemahaman dalam umat Islam kita, kalau masuk neraka pun sekejap sahaja, selepas diseksa sekejap, akhirnya akan masuk syurga juga akhirnya.

Kerana kita selalu diingatkan oleh ustaz-ustaz kita bahawa orang Islam akan masuk syurga juga akhirnya. Maka kesannya mereka seolah-olah tidak takut dengan azab Neraka itu. Mereka tidak takut itu kerana mereka tidak tahu tentang azab Neraka. Mereka sangka azab itu biasa-biasa sahaja. Mereka sangka mereka akan masuk sekejap sahaja. Begitulah ‘sekejap’ yang mereka sangka, entah berapa lama. Entah beratus, beribu, berjuta tahun pun kita tidak pasti.

Keseluruhannya, secara ringkas, dalam Surah Al-Fatihah ini Allah ﷻ menceritakan tentang Diri-Nya. Allah ﷻ menyebut Nama-Nya dan sifat-Nya untuk kita kenal Dia. Asma’ itu adalah kunci untuk kita kenal Allah ﷻ. Sebab itu salah satu pecahan dalam Ilmu Tauhid adalah Tauhid Asma’ wal Sifat. Apabila kita kenal Dia, barulah kita boleh beriman dengan sebenar. Malangnya kalau kita belajar tafsir Al-Qur’an, tidak banyak disebut penjelasan Asma’ Allah.

Dalam banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an, selalu di hujung-hujung ayat, akan disebutkan nama Allah ﷻ tetapi kebiasaannya, kita tidak perasan pun apakah ayat itu dan apakah yang hendak disampaikan. Padahal, ada banyak ajaran yang hendak disampaikan. Maka kenalah belajar khusus tentang fiqh Asma’ul Husna.

Allahu a’lam. Sambungan ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Fatihah Ayat 4 [Bahagian 1] (Raja sebenar raja)

Fatihah Ayat 4:

مٰلِكِ يَومِ الدّينِ

Sahih International

Sovereign of the Day of Recompense.

Malay

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

مٰلِكِ

Allah ﷻ suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”. Iaitu, katakanlah مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ. Apabila kita membaca ayat ini, kita mengaku bahawa Allah ﷻ maha menguasai hari pembalasan.

Kita boleh memiliki macam-macam benda seperti kereta, tanah dan sebagainya, akan tetapi kita tidak boleh memiliki masa. Namun Allah ﷻ boleh memiliki atau menguasai masa. Masa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hari Pembalasan, Hari Kiamat, Mahsyar itu. Yang kita semua akan menghadapinya.

Maka, ini adalah salah satu nama (asma’) Allah: ‘Yang Memiliki Hari Pembalasan‘.

Seperti yang kita mungkin tahu, terdapat Qiraat lain bagi ayat ini. Ada qiraat membacanya seperti yang kita tahu di Malaysia ini: مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (yang memiliki Hari Pembalasan) dan ada juga qiraat yang memendekkan ‘ma’: مَلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (Raja Hari Pembalasan). Ini adalah kerana Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an dalam beberapa qiraat.

Kedua-duanya apabila dikaji, menguatkan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kita seeloknya terima dua-dua bacaan itu. Walaupun terdapat perbincangan ulama’ tentang mana satukah bacaan yang lebih tepat tetapi kita tidak mahu pergi ke situ. Kita hendak menggunakan pembacaan kedua-duanya. Kerana, apabila kita mengambil maksud kedua-dua makna itu, ia memberikan pemahaman yang lebih lagi tentang maksud ayat ini.

Qiraat pertama: Maalik. Ia bermaksud ‘mempunyai’ atau kita kata: memiliki. Dan apabila kita ‘mempunyai’, memiliki sesuatu benda, kita boleh buat apa sahaja kita mahu dengan benda itu. Sebab ia adalah hak kita, bukan? Namun, kadangkala, kalau kita memiliki sesuatu pun, tidak semestinya kita boleh berbuat dengannya sesuka hati kita. Ada halangan dalam kita menggunakannya.

Contohnya, ada larangan undang-undang seperti kalau kita mahu mengubahsuai rumah kita, kita kena dapatkan permit. Atau kalau kita ada pistol, bukanlah kita boleh tembak sesuka hati kita. Kita juga tidak boleh mengarahkan benda yang kita miliki itu untuk buat apa yang kita hendak. Walaupun kita ada kereta dan kita boleh menggunakan kereta itu, tetapi ada masanya ia rosak dan kita tidak boleh menggunakannya lagi. Akan tetapi apabila dikatakan Allah ﷻ ‘memiliki’, maka maksudnya Allah ﷻ memiliki segalanya. Tidak sama pemilikan Allah ﷻ dengan manusia. Pemilikan Allah ﷻ itu adalah mutlak dan sepenuh kepunyaan-Nya semata.

Qiraat 2: Malik: bermaksud ‘raja’. Raja adalah seseorang yang berkuasa di sesuatu negeri itu dan apabila dia memerintahkan sesuatu perkara, rakyat di bawahnya mesti patuh. Namun begitu, untuk seorang manusia yang bergelar raja, ada sahaja cara untuk rakyatnya tidak mematuhi dan taat kepada perintahnya. Lihatlah sahaja di dunia ini, di negara-negara yang ada raja, ada sahaja cara yang mereka boleh elak daripada mengikut arahan dan undang-undang raja mereka dan raja itu tidaklah mampu mengetahui segala tindak tanduk rakyatnya itu. Namun sebaliknya dengan raja sebenar iaitu Allah ﷻ. Kita tidak boleh lari. Allah ﷻ tahu segalanya yang kita buat.

Mana satukah daripada qiraat itu yang lebih kuat? Bukanlah kita di sini hendak menolak mana-mana qiraat itu kerana kedua-dua sama kuat pada pandangan kita. Allah ﷻ adalah seorang raja yang mutlak dan Allah ﷻ juga memiliki.

Kalau kita rasa kita ada kuasa, ia masih tertakluk kepada Allah ﷻ. Kita bukan pemilik sebenar. Kita tidak mempunyai kuasa mutlak. Kita umpama penyewa rumah sahaja. Walaupun kita membayar sewa, kita tiada hak untuk sesuka hati berbuat apa sahaja ke atas rumah tersebut. Kalau kita ingin mengubahsuai rumah itu, kita mestilah meminta izin daripada tuan rumah terlebih dahulu.

Sebagai raja, memang ada undang-undang yang dikenakan olehnya. Begitu juga Allah ﷻ (Raja segala raja) juga telah memberikan undang-undang-Nya yang perlu kita patuhi. Oleh itu, kita yang duduk ‘menyewa’ di bumi Allah ﷻ ini hendaklah mematuhi dan taat undang-undang yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Sepertimana kalau kita duduk di mana-mana tempat, kenalah ikut undang-undang pemerintahnya.

Al-Malik adalah salah satu daripada nama Allah ﷻ. Segala penyebutan malik yang bermaksud ‘raja’ hanyalah secara kiasan sahaja. Kerana memang ada raja-raja di dunia ini. Nampak macam mereka ada kuasa juga, boleh buat undang-undang, boleh arah itu dan ini, namun kekuasaan mereka tidaklah mutlak sepertimana kekuasaan Allah ﷻ.

يَومِ

Maksud ‘يَوۡمِ‘ adalah satu jangkamasa. Secara literal, ia bermaksud ‘hari’. Namun sebenarnya, ia bukan hanya bermaksud ‘hari’. Dalam penggunaan biasa, selalunya ‘yaum’ ini bermaksud ‘satu hari’. Akan tetapi dalam penggunaan yang lebih luas, ia adalah lebih lagi. Ia merangkumi masa dari sesaat sehinggalah beribu tahun.

Apabila Allah ﷻ berkata bahawa Dia memiliki Hari Pembalasan, bukanlah ini menyatakan Dia hanya berkuasa pada hari itu sahaja. Jangan kita salah faham pula. Memang ada yang salah faham apabila membaca ayat ini. Allah ﷻ maha berkuasa pada waktu-waktu lain juga, termasuklah hari dunia sekarang. Kerana banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain, bahawa Allah ﷻ berkuasa ke atas keseluruhan alam sepanjang masa.

Akan tetapi pada ayat ini, diberikan penekanan kepada kekuasaan Allah ﷻ pada Hari Pembalasan ini, kerana pada waktu itu tidak ada seorang pun yang dapat mengatakan sesuatu apa pun dan tidak juga dapat berbicara kecuali dengan izin-Nya. Bermaksud, pada hari itu, amat jelas kepada semua makhluk bahawa yang maha berkuasa pada hari itu hanyalah Allah ﷻ sahaja. Tidak ada lagi sesiapa pun yang perasan mereka berkuasa. Semua akan tunduk kepada kuasa Allah ﷻ pada hari itu.

Hari pembalasan bererti hari perhitungan bagi semua makhluk. Mereka diberi balasan sesuai dengan amal perbuatan mereka semasa di dunia. Jika amalnya baik maka balasannya pun baik. Jika amalnya buruk, maka balasannya pun buruk kecuali bagi orang yang diampuni.

الدّينِ

Perkataan ‘ٱلدِّينِ‘ dalam ayat ini boleh menjadi banyak makna. Antara maknanya: agama, doa dan beberapa lagi. Di sini, kita tafsirkan sebagai ‘hari pembalasan’. Allah  ﷻ sahaja yang menguasai Hari Pembalasan – Hari Kiamat. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh berkuasa pada hari itu. Termasuk Nabi Muhammad ﷺ, walaupun untuk memberi syafaat.

Akan tetapi Allah ﷻ telah kata bahawasanya Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat dengan izin-Nya. Maknanya, Nabi ﷺ boleh memberikan syafaat dalam had yang ditentukan. Tidak boleh baginda hendak beri mengikut suka hati baginda. Kerana itulah baginda tidak boleh memberikan syafaat dan pertolongan kepada bapa saudaranya kesayangannya sendiri iaitu Abu Talib.

Ini adalah kerana hak syafaat bukan kepunyaan baginda. Hanya sesiapa yang Allah ﷻ beri izin sahaja yang boleh diberikan syafaat. Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Sesiapa yang syirik kepada Allah ﷻ, tidak akan ada peluang untuk mendapat syafaat.

Seperti yang kita telah sebut, ada banyak maksud bagi kalimah ٱلدِّينِ. Jangan sangka ada satu makna sahaja (seperti yang disalahfahami oleh sesetengah orang). Kerana tidak fahamlah, maka sesetengah yang menterjemahkan يَوۡمِ ٱلدِّينِ sebagai ‘Hari Agama’. Ini adalah kerana mereka tahu satu maksud sahaja. Sedangkan ia adalah satu perkataan yang menyeluruh. Merangkumi makna:

    • Kekuasaan.
    • Ketaatan.
    • Cara hidup.
    • Hukuman.

Maka apabila Allah ﷻ berkuasa penuh, Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Allah ﷻ boleh memberikan nikmat dan Allah ﷻ boleh sahaja menarik balik semula nikmat itu. Semuanya itu berlaku dengan hikmah-Nya dan ilmu-Nya. Kita sahaja yang tidak tahu mengapa Allah ﷻ melakukan satu-satu perkara itu kerana akal kita tidak sampai untuk memahaminya. Namun kita hendaklah tahu bahawa apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan adalah perkara yang baik. Mesti terdapat kebaikan di sebalik apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan.

Daripada makna مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah ﷻ setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, terbaik sekali jika kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ia akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita

Pada hari itu, kita amat memerlukan syafaat. Syafaat itu adalah ‘pertolongan’. Syafaat ini ada yang dapat semasa di Mahsyar dan ada yang dapat selepas mereka telah masuk ke dalam neraka. Namun, tentunya kita tidak mahu langsung masuk dalam neraka. Kita tidak mahu hanya diselamatkan selepas kita dimasukkan ke dalam neraka kerana amat dahsyatnya neraka itu. Kita tidak mahu dengar, lihat dan hidu apatah merasa azab sedikit pun neraka itu.

Walau bagaimanapun, sekiranya timbangan dosa kita melebihi pahala, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk ‘membersihkan’ dosa kita itu. Oleh itu, sebelum tidur tiap-tiap malam, kita minta Allah ﷻ ampunkan semua sekali dosa kita. Supaya kalau kita mati, harapnya dosa kita telah terampun semuanya sekali dan tidak perlu kita dimasukkan ke dalam neraka. Juga minta ampun sekali dosa ibubapa kita dan orang-orang Islam yang lain.

Dan ingatlah, untuk masuk syurga, kita memerlukan rahmat Allah ﷻ. Kita bukan masuk syurga disebabkan oleh banyaknya pahala kita. Ini kerana sememangnya tidak akan cukup amalan ibadat kita dibandingkan dengan segala nikmat yang kita telah dapat daripada Allah ﷻ (tak cukup tambang). Kita sebenarnya dapat masuk Syurga hanya kerana rahmat Allah ﷻ. Bukanlah kerana banyaknya pahala kita.

Kalau hanya berharap kepada pahala kita, memang tidak ada peluang kita untuk masuk Syurga. Maka, janganlah kita berbangga diri kalau kita rasa kita orang yang kuat ibadah. Jangan rasa itu kita sudah tentunya masuk syurga, kerana tidak pasti kita akan masuk syurga nanti di atas usaha amal ibadat kita itu. Kita sebenarnya buat amal ibadat itu kerana kita mengharapkan rahmat Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ redha dengan amalan kita dan akan memberikan rahmat-Nya kepada kita.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa Dia memiliki Hari ‘Deen’. Apakah ‘Hari Deen itu’? Deen boleh juga ditafsirkan sebagai apa-apa syariat yang disampaikan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ menyampaikan syariat melalui Nabi-nabi-Nya. Bukanlah Nabi-nabi itu mencipta syariat mereka sendiri.

Oleh itu, untuk tahu syariat kenalah belajar bermula dengan tafsir Al-Qur’an. Kerana itulah sumber yang utama dan yang terpenting. Sepatutnya kita semua belajar tafsir Al-Qur’an. Malangnya, bukan sahaja di antara manusia tidak mahu belajar, malah ada usaha untuk menghalang manusia untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Janganlah dihalang umat belajar tafsir Al-Qur’an. Sampai ada negeri di Malaysia ini yang pernah mengeluarkan pekeliling supaya tidak diajar tafsir Al-Qur’an.

Ini kerana mereka kata kalau belajar tafsir akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Mereka hanya membenarkan mengajar kitab jawi yang lama. Padahal itu semua adalah kitab karangan manusia. Memanglah akan ada pendapat yang berlainan apabila ada yang belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’an mengajar manusia perkara yang benar. Dan apa yang diamalkan masyarakat sekarang ini ada yang tidak benar dan tidak bertepatan dengan sunnah. Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan dapat bezakan mana yang benar dan mana yang salah.

Kekeliruan yang banyak sekarang adalah kerana jahil kepada apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Apabila yang sudah belajar dan tahu dan ada yang tidak tahu, maka tentulah akan ada perbezaan pendapat. Ini kerana yang sudah tahu akan cuba memberitahu kepada yang tidak tahu perkara yang sebenarnya.

Malangnya ada mereka yang jahil tidak dapat menerima dan masih berpegang kuat dengan amalan mereka yang salah. Dari situ akan berlaku perbezaan pendapat. Perkara itu tidak dapat dielakkan. Hanya apabila semua orang berpegang kepada satu sumber yang sahih sahaja, iaitu Al-Qur’an, barulah akan ada perpaduan dalam masyarakat.

Ayat ini menyentuh tentang Hari Kiamat tetapi tidak disebutkan dengan panjang lebar. Semua kita tahu secara kasar tentang apakah yang akan berlaku pada hari itu. Tafsir bagi ayat ini ada pada keseluruhan Juzu’ 30. Juz 30 itu banyak menceritakan tentang hari Kiamat itu nanti. Tentang bagaimanakah keadaannya, apa yang akan terjadi, siapa yang selamat dan siapa yang tidak dan banyak lagi.

Maka, ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini menyebut tentang hari itu, tetapi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lagi, kenalah dirujuk kepada ayat-ayat yang lain. Ayat-ayat dalam Surah Al-Fatihah ini adalah seperti ‘isi kandungan’ keseluruhan untuk sesebuah buku. Bukankah selalu dalam sesebuah buku, di helaian-helaian terawal, ditulis isi kandungan buku itu?

Daripada makna مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah ﷻ setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, terbaik sekali jika kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ia akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita.

Surah Al-Fatihah ini memang satu surah yang amat hebat. Nabi Muhammad ﷺ pernah menyampaikan sebuah hadith Qudsi berkenaan Surah Al-Fatihah di mana disebutkan bagaimana apabila kita membaca Surah Al-Fatihah ini, Allah ﷻ akan menjawab bacaan kita itu. Kita sudah membaca sehingga ayat ketiga Surah Al-Fatihah ini. Dalam hadith tersebut, Allah ﷻ mengatakan bahawa tiga ayat pertama ini adalah untuk Allah ﷻ.

Inilah hadith itu secara lengkap:

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ { الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ } قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي فَإِذَا قَالَ { إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ } قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ { اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } قَالَ هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ
Allah berfirman, ‘Aku telah membahagikan solat antara-Ku dan hamba-Ku kepada dua bahagian, dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta. Apabila hamba itu berkata, “Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.” Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku. “Ketika hamba itu berkata: “Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Allah berkata, “Hamba-Ku memuji-Ku.” Ketika hamba itu berkata: “pemilik hari kiamat.” Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.” Apabila hamba itu berkata,’ Hanya kepada-Mulah kami sembah dan hanya kepada-Mulah kami mohon bantuan.” Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hamba-Ku. Dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta’. Apabila hamba itu berkata, ‘Beri kami petunjuk jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai mahupun orang-orang yang tersesat. ” Tuhan berkata, ‘Ini untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia inginkan. “
(HR. Muslim No. 598)

 

Allah ﷻ menekankan yang Dia berkuasa pada Hari Pembalasan nanti. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ hanya sebut Dia berkuasa pada Hari Pembalasan sahaja dalam ayat ini? Adakah Allah ﷻ tidak berkuasa pada waktu dunia ini? Ini perlu dijelaskan kerana ada yang ada sangkaan sebegitu.

Dalam ayat pertama Allah ﷻ sudah bercakap tentang dunia. Dalam ayat ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ sudah disebut bahawa Allah ﷻ adalah Rabb alam ini. Itu sudah membawa maksud Allah ﷻ berkuasa penuh dalam alam ini juga. Maka ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini adalah penekanan kepada kekuasaan Allah ﷻ pada hari kiamat. Kenapa kena ada penekanan?

Dalam dunia ada manusia yang mempunyai sedikit kuasa. Mereka boleh memiliki sesuatu. Juga ada yang menjadi raja, presiden, pemimpin. Maknanya nampak yang mereka itu boleh ada kuasa. Bukan kuasa mutlak pun, tetapi pada kita, nampak seperti ada kuasa. Namun nanti mereka langsung tidak ada kuasa di Mahsyar nanti. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan ada kuasa.

Semua akan nampak dengan jelas bahawa mereka sebenarnya tidak ada kuasa langsung. Semua akan mengaku bahawa kuasa penuh hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Seperti disebut dalam Infithar: 17-19.

Penekanan hari kiamat ini adalah kerana pada waktu itu, *semua* makhluk akan menerima hakikat bahawa Allah ﷻ memang berkuasa penuh. Tidak ada yang berkecuali lagi. Kalau dalam dunia sekarang, ada yang tidak kenal Allah ﷻ, tidak terima Allah ﷻ sebagai Tuhan, sebagai pemilik yang hak alam ni, tetapi di akhirat nanti, mereka tidak ada pilihan lain lagi. Waktu itu memang jelas kekuasaan Allah ﷻ sejelas-jelasnya. Tidak ada yang boleh menolak lagi.

Waktu itu tidak ada lagi yang berkuasa. Sediikit pun tidak ada. Mungkin ada yang sangka ada yang boleh tolong mereka. Kalau agama lain, mereka sangka tuhan mereka seperti Buddha, Vishnu, Jesus akan tolong mereka mereka nanti apabila mereka sudah mati. Manakala ada antara penganut dalam agama Islam ini, yang sangka pujaan-pujaan mereka seperti Sheikh Abdul Qadir, Nabi itu dan ini, guru mereka yang mereka anggap wali dan sebagainya akan membantu mereka.

Itulah pemahaman syafaat bagi mereka. Mereka sangka mereka akan mendapat syafaat. Namun bagaimana mereka boleh menolong, sedangkan mereka yang diharap itu sendiri tidak ada kuasa waktu itu. Mereka juga kena duduk di hadapan Allah ﷻ dan dinilai perbuatan-perbuatan mereka. Mereka juga ada masalah mereka masing-masing. Mereka juga akan risaukan nasib mereka sendiri.

Tidak ada yang berkuasa pada hari itu melainkan Allah ﷻ sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran yang mengatakan kalau ikut ini, ikut orang itu akan selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita pada waktu itu melainkan amalan kita semasa di dunia sahaja.

Hari Kiamat adalah satu elemen yang amat penting dalam Islam. Sampaikan, banyak kali disebut dalam Al-Qur’an, selepas disebut tentang beriman kepada Allah ﷻ, kemudiannya terus disebut beriman kepada hari akhirat. Oleh itu, kita kena tahu apakah yang terjadi dalam hari kiamat. Banyak disebut tentang kejadian hari itu dalam Al-Qur’an.

Begitu juga ada banyak disebut dalam hadith. Terlalu panjang kalau hendak disebut di sini. Kena belajar tafsir tentang ayat-ayat berkenaan syurga dan neraka. Yang paling banyak ada dalam juzuk 30. Dan banyak diselitkan dalam surah-surah yang lain. Allah ﷻ akan sentiasa mengingatkan tentang hari Kiamat dalam semua surah.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian kedua.

Kemaskini: 10 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah ﷻ)

Ayat 3: Selepas Allah ﷻ mengatakan bahawa Diri-Nya adalah Tuan, maka sekarang Allah ﷻ menyebutkan dua sifat-Nya.

الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

(SAHIH INTERNATIONAL)
The Entirely Merciful, the Especially Merciful,

(MALAY)
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah yang suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah belajar yang Allah ﷻ adalah Tuhan sekalian alam. Allah ﷻ amat berkuasa untuk melakukan segala-galanya. Sekarang, kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, apakah sifat mereka yang berkuasa? Mereka ada yang sombong, kejam, ada yang menyalahgunakan kuasa, mereka bersifat keras dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi kelegaan kepada kita. Walaupun Allah ﷻ amat berkuasa, tetapi sifat Allah ﷻ itu adalah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kekuasaan yang Allah ﷻ tunjukkan adalah kekuasaan yang bersifat rahmah.

Allah ﷻ telah menjadikan alam semesta ini untuk menzahirkan rahmat-Nya. Terlalu banyak rahmah-Nya telah diberikan kepada kita. Tidak terkira banyaknya. Kalau kita hendak cuba kira pun tidak boleh, sebab sangat banyak.

Allah ﷻ mengingatkan perkara ini dalam Surah Al-Fatihah. Lebih banyak maklumat lagi disebut dalam Surah Ar-Rahman.

الرَّحْمَٰنِ

Tuhan yang mempunyai sifat Maha Pemurah;

Allah ﷻ kasih kepada semua makhluk. Termasuk manusia yang Islam ataupun kafir. Tidak kira bangsa apa. Allah ﷻ memberi rezeki kepada semua sekali. Kerana sayangnya Allah ﷻ terhadap makhluk-Nya.

Sifat pemurah ini adalah kepada semua makhluk semasa di dunia.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, ia adalah umpama kasih seorang ayah di mana Dia sanggup melihat anaknya menderita asalkan anaknya itu sedar kesalahannya dan menjadi baik. Contohnya, kalau anak itu ada membuat kesalahan sehingga dihukum penjara. Maka dia sanggup membiarkan anaknya itu merengkok dalam penjara untuk tempoh beberapa waktu supaya anaknya itu belajar erti penyesalan dan sedar kesalahannya. Semoga dia akan berubah menjadi baik selepas itu kerana takut dipenjara lagi dan tidak berani lagi untuk mengulang kesalahan yang sama.

Kata dasar Ar-Rahman dan juga Ar-Rahim diambil daripada kata dasar yang sama – rahmah. Maka kenapa dua nama ini diletakkan bersama dalam satu ayat? Kalau ia sama sahaja, maka tidak perlu diletakkan berasingan.

Ini menunjukkan, ada perbezaan antara dua nama itu. Begitulah konsep yang kita kena faham: kalau diletakkan bersebelahan dalam Al-Qur’an, maka tentu ada perbezaan antara keduanya. Dua-dua membawa maksud yang berbeza, walaupun ada persamaan. Kita kena faham makna dua-dua perkataan ini sebaik mungkin supaya kita dapat lebih mengenali Allah ﷻ.

Tentulah kita tidak akan dapat faham sepenuhnya, kerana akal kita terhad. Namun mari kita lihat apakah persamaan dan apakah perbezaan antara dua nama ini. Kerana apabila dua nama itu diletakkan bersebelahan, apa yang kita boleh faham adalah dua nama ini ada perbezaannya.

Makna ar-Rahman ada tiga kualiti:

1. Ia adalah sesuatu yang “extreme” (berlebihan, melampau). Oleh kerana ada pertambahan ‘an’ dihujung nama itu. Ini membawa maksud Allah ﷻ amat-amat pemurah, tidak dapat dibayangkan, tidak dapat dijelaskan lagi.

2. Dari segi nahu yang digunakan, kita dapat tahu bahawa Allah ﷻ sedang melakukan perbuatan ‘pemurah’ sekarang. Apakah maksudnya? Sebagai contoh, kita ada kawan, dia memang seorang pemurah. Namun tidak semestinya dia sedang memberi. Sebagai contoh, kalau dia tidur, dia bukanlah sedang memberi.  Tidaklah dia sentiasa dalam keadaan pemurah tetapi sifat itu memang ada pada dirinya.

Oleh itu, daripada makna ar-Rahman ini sahaja, kita dapat tahu bahawa sifat itu tidak ‘sentiasa’. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Mari kita lihat lagi kriteria yang seterusnya:

3. Dari segi nahu yang digunakan, kita boleh tahu bahawa sifat Rahman Allah ﷻ itu bermasa di mana ia tidak berterusan. Seperti juga perasaan yang kita ada seperti lapar, tidak semestinya kita sentiasa lapar. Apabila kita makan, kita tidak lagi lapar. Atau perasaan marah, tidak semestinya kita sentiasa marah, kalau kita tidur, kita tidak marah. Atau punca kemarahan itu telah hilang, maka kita tidak marah lagi.

Oleh itu, daripada makna ini, kita dapat faham bahawa Allah ﷻ tidak akan sentiasa jadi pemurah. Memang di dunia ini Allah ﷻ bersifat pemurah kepada semua makhluk, tetapi bagaimana di akhirat nanti? Adakah sifat itu berterusan? Mungkin ada sesuatu yang kita lakukan yang boleh menyebabkan Allah ﷻ tidak bersifat Rahmaan dengan kita iaitu apabila kita sengaja melanggar perintah-Nya. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya menakutkan kita.

Allah ﷻ memberikan rahmat dan pemberian-Nya kepada orang Muslim dan juga orang kafir. Walaupun orang kafir itu telah menolak Allah ﷻ tetapi Allah ﷻ masih memberi rahmat lagi kepada mereka. Namun lihatlah apa yang mereka balas kepada Allah ﷻ? Mereka tidak terima apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat. Mereka puja tuhan sembahan yang lain. Mereka kata macam-macam tentang Allah ﷻ.

Namun Allah ﷻ maha penyabar. Allah ﷻ tidaklah terus membalas perbuatan ingkar mereka semasa di dunia ini. Allah ﷻ biarkan sahaja. Allah ﷻ tetap beri makan, beri minum dan beri keperluan hidup kepada mereka.

Allah ﷻ mempunyai 100 rahmat dan Allah ﷻ hanya memberikan 1 sahaja kepada dunia yang dikongsi oleh semua makhluk. Dengan 1 rahmat itulah seorang ibu sayangkan anaknya, dengan rahmat itu jugalah kita kasihan dan sayang kepada insan dan makhluk yang lain.

Kita telah lihat kriteria yang kita boleh ambil daripada makna ar-Rahmaan sebelum ini. Apakah pula kriteria sifat ar-Rahim pula?

الرَّحِيمِ

Yang Maha Pengasih;

Sayang Allah ﷻ di akhirat nanti hanyalah khas untuk orang mukmin sahaja. Yang tidak beriman, Allah ﷻ akan murka kepada mereka. Allah ﷻ akan memasukkan orang beriman ke dalam syurga dan mereka akan tinggal di situ selama-lamanya. Tidak ada ibadat apa pun lagi yang kena buat. Mereka hanya duduk di dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja.

Pemurahnya Allah ﷻ, sampaikan ada makhluk yang masuk dalam syurga tanpa buat apa-apa ibadat pun. Seperti ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام ketika zaman Firaun. Apabila mereka akhirnya kalah dengan Nabi Musa عليه السلام dan beriman dengannya, mereka terus dibunuh oleh Firaun. Allah ﷻ terus memasukkan mereka ke dalam syurga. Tidak sempat pun mereka buat apa-apa ibadat. Ada juga sahabat yang telah mengucap dua kalimah syahadah, terus pergi berperang dan mati syahid, tanpa sempat solat walau satu waktu pun.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, sifat ar-Rahim ini boleh diumpamakan seumpama kasih seorang ibu. Dia tidak sanggup melihat anaknya menderita. Walaupun dia tahu anaknya jahat, sampai ditangkap polis dan dimasukkan penjara, tetapi dia akan merayu-rayu supaya anaknya dilepaskan. Ini berbeza dengan sifat Rahmaan yang sanggup melihat anaknya menderita supaya anaknya itu dapat belajar erti kesilapan.

Kita telah tahu kriteria sifat ar-Rahmaan dari segi bahasa. Bagaimana pula dengan ar-Rahim?

    1. Makna rahim membawa maksud ‘sentiasa’. Allah ﷻ sentiasa pemurah. Sifat itu berterusan. Ia tidak akan berhenti. Ia sentiasa ada.
    2. Sifat pemurah itu tidak semestinya terjadi sekarang. Sifat itu tetap ada, tetapi ia tidaklah berlaku sekarang. Sebagai contoh, seorang itu bersifat pemarah, tetapi tidaklah dia marah sekarang dalam keadaan biasa. Cuma sifat itu ada dalam dirinya.

Oleh itu, apabila dua-dua sifat Rahmaan dan Rahim ini digabungkan dalam satu ayat, Allah ﷻ hendak memberitahu sifat penyayang-Nya yang lengkap. Iaitu sifat sayang Allah ﷻ itu adalah teramat sangat (maksud sifat Rahmaan), dan sifat itu berterusan (maksud sifat Rahim), tetapi walaupun sifat itu akan sentiasa ada, ia tidak semestinya diberikan kepada kita sekarang (maksud sifat Rahim) dan mungkin akan ditarik balik mengikut kehendak-Nya (maksud sifat Rahim).

Ulama’ tafsir membincangkan apakah gabungan maksud sifat ar-Rahman dan ar-Rahim ini. Mereka mengatakan bahawa ayat ini hendak menceritakan tentang hubungan Allah ﷻ dan makhluk-Nya. Bayangkan betapa sayangnya Allah ﷻ kepada kita. Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, tetapi Allah ﷻ masih beri rahmat kepada kita.

Perkara yang Allah ﷻ tahu tentang kita itu, kalaulah emak ayah kita tahu, mereka tentu tidak mengaku kita anak mereka. Kalau suami atau isteri kita tahu, mereka akan ceraikan kita. Kalau kawan kita tahu semuanya tentang kita, mereka pun tidak mahu berkawan dengan kita lagi. Tetapi lihat, walaupun Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, namun Allah ﷻ masih lagi memberikan rahmat-Nya kepada kita.

Apabila dikatakan Allah ﷻ bersifat penuh rahmah, ada pula yang berkata: “Kalau begitu sifat rahmat Allah, kenapa ada “suffering” (kesengsaraan) dalam dunia?” Kita selalu dengar hujah yang macam ini, tetapi kita tidak tahu menjawabnya, bukan? Hujah sebegini sering disebut oleh orang kafir, tetapi malangnya orang Islam pun ada sebut juga. Apabila mereka ditimpa kemalangan dan musibah, mereka ada yang berkata: “Kenapa Allah turunkan bala ini kepada aku, adakah Allah tidak sayang kepada aku?” Maka mari kita cuba jelaskan.

Pertama, hujah-hujah yang mereka katakan itu hanya tentang dunia sahaja. Hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻ tidak zalim kepada makhluk-Nya. Dan kita kena terima yang kehidupan ini bukan hanya di dunia sahaja, mahu tidak mahu, kita semua akan menuju kepada kehidupan akhirat. Mungkin Allah ﷻ beri kesusahan kepada seseorang semasa dia di dunia, tetapi Allah ﷻ akan membalas dengan kebaikan apabila dia mati kelak.

Bagi seorang yang paling celaka, bernasib paling malang dalam dunia, dan ketika dia diberikan rahmat di akhirat kelak, dia menjadi tidak ingat langsung segala kesusahan, kecelakaan yang telah dialaminya semasa di dunia dulu. Semuanya hilang daripad ingatannya. Seolah-olah tidak ada langsung kesusahan dulu yang dialaminya. Maknanya, kesusahan di dunia ini tidak kekal. Tidak ada makna kesusahan di dunia itu apabila kita akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Yang kekal adalah kehidupan di akhirat. Kenikmatan di akhirat yang kita lebih perlukan.

Kita juga jangan melihat dunia dengan mata kasar sahaja. Apa yang kita rasakan sebagai musibah mungkin ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak tahu dan tidak nampak dengan akal kita yang cetek. Tidaklah sentiasa Allah ﷻ berikan nikmat sahaja tanpa sekali-sekala diberikan musibah kepada makhluk. Sekiranya seorang manusia hanya menerima nikmat sahaja, ia sebenarnya adalah tidak baik untuk dirinya.

Sebagai contoh, kalau ibubapa berikan segala ikut kehendak anaknya, itu pun tidak baik. Akhirnya dia tidak akan kenal erti kesusahan. Dia akan menjadi manusia yang tiada empati dan simpati kerana tidak dapat merasai kesusahan orang lain. Atau dia akan menjadi sombong, riak, tidak bersyukur dan sebagainya. Dia juga akan lupa bahawa apa yang dia sedang terima itu adalah nikmat.

Dia tidak perasan bahawa Allah ﷻ telah memberinya dengan kebaikan yang banyak. Kerana dia asyik dapat yang baik-baik sahaja. Kalau seorang anak itu hanya makan makanan yang sedap-sedap sahaja, apabila dia diberi makanan yang kurang sedap, mungkin dia marah dan tidak berpuas hati sambil mempersoalkan kenapa dia dapat makanan tidak sedap pula kerana dia sangka dia hanya layak mendapat makanan yang sedap sahaja.

Ini juga sebagaimana seperti orang sakit yang hanya dapat mengenali dan menghargai nikmat kesihatan. Ramai tidak sedar bahawa kesakitan pun rahmah daripada Allah ﷻ juga sebenarnya. Kerana kalau kita tidak merasa sakit, ia akan memudaratkan kita juga. Sebagai contoh ada sejenis kondisi dikenali sebagai CIPA – di mana seseorang itu mempunyai deria rasa yang tidak bertindak balas (kesakitan atau suhu). Dia tidak akan berasa sakit langsung. Kalau luka pun, dia tidak dapat rasa. Maka, dia tidak tahu pun tentang kesan benda-benda bahaya dan dapat memudaratkan dirinya. Disebabkan dia tidak rasa panas, dia mungkin meletakkan tangan dia pada api sampai terbakar rosak tangan dia. Atau, dia terpotong terus tangan dia kerana dia tidak rasa sakit apabila ia mula terhiris. Oleh itu, kita kena ingat, kesakitan itu menolong kita dalam kehidupan sebenarnya.

Kesusahan juga dapat mengingatkan kita untuk memperbetulkan perbuatan kita yang salah dan silap semasa di dunia. Ia akan mengingatkan kita kepada neraka yang lebih teruk. Kerana kesusahan dunia ini akan mengingatkan kita tentang kesusahan yang kekal abadi di akhirat kelak kalau kita tidak mengikut arahan Allah ﷻ. Kalau susah yang sedikit di dunia pun kita sudah tidak tahan, apatah lagi kalau di akhirat kelak?

Kalau kita sudah rasa susah sikit sahaja di dunia, maka kita kena betulkan apa-apa yang kita sedang buat supaya kita tidak susah di akhirat kelak. Kalau kita berpanas sekejap sahaja di tengahari sudah rimas, bagaimana pula kalau kita dimasukkan ke dalam neraka yang kepanasannya berjuta-juta darjah?

Untuk tahu itu, kenalah belajar tentang akhirat. Tentang Mahsyar, tentang syurga dan neraka. Kena tahu bagaimana kehidupan neraka itu adalah satu kehidupan yang amat amat seksa.

Musibah yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga dapat menghapuskan dosa kita yang banyak. Entah berapa banyak dosa yang kita lakukan sepanjang kita hidup ini. Sama ada kita sedar atau tidak, memang ada banyak dosa kita. Dengan musibah, Allah ﷻ akan hilangkan dosa itu daripada kita (asalkan kita redha). Oleh itu, jangan gelisah sangat kalau kita sakit. Kesakitan itu dapat menghapuskan dosa kita.

Tiada apa pun yang sia-sia dilakukan oleh Allah ﷻ. Semuanya mempunyai tujuan dan fungsinya walaupun dengan penciptaan syaitan. Ada gunanya juga syaitan ini. Kita beribadat kerana hendak melindungi diri kita daripada syaitan dengan itu kita dapat mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Iblis juga boleh dijadikan contoh sempadan yang tidak boleh diikuti. Jangan kita mencontohi segala kesalahan yang telah dia lakukan. Janganlah kita mengikuti segala sifat tercelanya seperti sombong, takkabur, suka memungkiri janji, penuh tipu daya serta suka menghasut.

Kalau tidak ada keburukan, kita tidak nampak keindahan. Kalau tidak ada gelap, kita tidak tahu tentang bezanya dengan cahaya. Kalau tidak ada malam, kita tidak tahu adanya siang.

Sifat rahman dan rahim ini juga mengajar kita supaya jangan kita putus harap dengan rahmat Allah ﷻ. Putus harap dengan Allah ﷻ adalah kufur. Allah ﷻ telah sebut perkara ini dalam Az-Zumar: 53. Tidak ada yang putus harap dengan rahmat Allah ﷻ melainkan orang kafir sahaja.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sifat rahmah Allah ﷻ ini juga mengajar kita bahawa kita pun kena bersifat rahmah dengan makhluk. Nabi ﷺ pernah bersabda: من لا يرحم لا يرحم (sesiapa yang tidak bersifat rahmah, tidak akan dirahmati). Maka, hendaklah kita bersifat baik dengan orang lain. Layan mereka dengan baik. Tegur mereka dengan baik. Jangan sombong dengan mereka. Jangan meninggi diri dengan mereka. Jangan marah tidak tentu pasal dan sebagainya.

852928508_943511660490793.jpg

Bagaimana pula dengan orang-orang yang bukan Islam? Adakah kita perlu bersifat rahmah juga kepada mereka? Perbincangan ulama’ panjang lebar dalam hal ini. Secara dasarnya, ada perbezaan antara layanan kita kepada orang Islam dan kepada orang bukan Islam.

Tentunya ada perbezaan kerana kita dan Muslim yang lain adalah bersaudara. Namun tidaklah ini sampai mengatakan kita boleh bertindak tidak baik dengan orang bukan Islam. Sepertimana juga Nabi Muhammad ﷺ itu adalah sebagai rahmat kepada ‘sekalian alam’, kita juga perlu bersifat demikian.

Yang paling penting adalah, kita mahukan mereka juga menerima Islam kerana Islam adalah rahmat yang paling besar. Kita hendaklah menyampaikan dakwah kepada mereka supaya mereka juga mendapat rahmat Islam seperti yang kita dapat. Bukankah kalau kita mendapat sesuatu kebaikan, kita juga mahu orang lain pun mendapat kebaikan yang sama juga?

Sebagai contoh, kita menemui sebuah restoran yang menghidangkan makanan yang sedap, bukankah kita juga mahu berkongsi restoran itu dengan orang lain? Kita beritahu mereka, kita ajak mereka makan sekali dan sebagainya, kerana kita suka sangat dengan makanan dan servis restoran itu. Rasa seakan mahu berkongsi satu dunia. Dengan sesiapa sahaja, tidak kira lah orang itu berlainan bangsa ataupun agama. Mahu orang lain mendapat nikmat dan keseronokan yang sama. Disebabkan itulah wujudnya pelbagai perkongsian reviu berleluasa di media sosial sekarang ini. Ini baru nikmat makanan. Apakah yang lebih baik lagi daripada nikmat iman dan Islam? Maka kenalah kita berbuat baik dengan mereka yang belum Islam ini, kerana kita hendak berdakwah kepada mereka.

Kunci untuk mendapat rahmah yang diberikan khas kepada mukmin adalah dengan mengikut arahan-Nya. Oleh itu, ayat 3 ini juga adalah dalil yang Allah ﷻ menurunkan syariat kepada kita. Jika Allah ﷻ berikan segalanya kepada kita, mana mungkin Allah ﷻ tidak berikan syariat untuk kita gunakan sebagai panduan hidup? Takkan apabila Allah ﷻ sudah jadikan kita, Dia biarkan kita begitu sahaja?

Maka hukum hakam yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga adalah rahmat sebenarnya. Dengannya, kita dapat menjalani kehidupan kita dengan baik dan aman sentosa. Kalau Allah ﷻ tidak beri hukum itu, kita akan hidup seperti binatang sahaja, buat apa yang kita mahu sahaja.

Kita sepatutnya bersyukur kerana kita mungkin sudah dapat menghargai sifat Allah ﷻ yang maha pengasih ini kerana kita telah dilahirkan sebagai Muslim dan kita telah diajar bahawa Allah ﷻ bersifat begitu. Kita juga hanya kenal satu Tuhan sahaja, iaitu Allah ﷻ. Kita tidak kenal tuhan-tuhan sembahan manusia yang lain.

Ini sebaliknya berlaku kepada mereka yang tidak kenal Allah ﷻ. Mereka percaya bahawa adanya tuhan-tuhan mereka yang bersikap pemarah. Kalau buat silap dengan tuhan mereka, tuhan mereka akan murka dan akan musnahkan mereka. Kalau kita baca, sudah macam budak-budak kecil pula tuhan mereka itu. Kalau budak kecil marah, bukankah mereka akan merampus dan baling barang ke sana sini?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo