Tafsir Surah Zukhruf Ayat 30 – 33 (Kaya dan pengaruh bukan kayu ukur)

Ayat 30: Ayat Syikayah (rungutan Allah)

وَلَمّا جاءَهُمُ الحَقُّ قالوا هٰذا سِحرٌ وَإِنّا بِهِ كٰفِرونَ

Sahih International

But when the truth came to them, they said, “This is magic, and indeed we are, concerning it, disbelievers.”

Malay

Dan ketika kebenaran (Al-Qur’an) itu disampaikan kepada mereka, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir, dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya”.

وَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ

Dan ketika kebenaran itu disampaikan kepada mereka,

Kebenaran wahyu yang disampaikan kepada manusia adalah jelas, tapi manusia ramai yang menolaknya. Begitulah Musyrikin Mekah kebanyakannya tidak menerima ajaran tauhid Nabi Muhammad. Malah ada yang menentang baginda dan menyeksa para sahabat yang beriman dengan baginda.

Apakah yang dikatakan oleh manusia yang engkar bila kebenaran telah sampai kepada mereka? Apa yang mereka buat?

 

قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ

berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir,

Maksudnya mereka hendak mengatakan bahawa Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi itu adalah ajaran sesat. Kenapa mereka kata Al-Qur’an sihir pula? Ini agak pelik sebenarnya.

Musyrikin Mekah tidak dapat menjelaskan apakah Al-Qur’an itu: kerana nak kata syair, ianya bukan syair, ianya juga bukan kata-kata biasa. Mereka sendiri terpegun dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi itu. Tapi mereka tak mahu juga hendak menerimanya kerana hati mereka telah tertutup.

Maka, mereka mengatakan bahawa apa yang dibaca oleh Nabi itu adalah sihir semata-mata. Kerana sihir pada mereka adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Itu sahaja dakwaan mereka walaupun itu adalah dakwaan yang lemah sekali.

Mereka kata begitu kerana mereka sudah tidak tahu nak beri label apa kepada Al-Qur’an itu. Mereka ada juga mengamalkan sihir dan pada mereka, sihir itu adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Jadi kerana mereka tak dapat nak jelaskan apakah Al-Qur’an itu, maka mereka katakan sahajalah yang ia adalah sihir. Janji mereka beri label yang buruk kepada Al-Qur’an.

Tambahan pula, mereka perasan yang kalau ada yang mendengar Al-Qur’an itu, ada kemungkinan besar orang yang mendengar bacaan Al-Qur’an itu akan masuk Islam. Maka, mereka kata yang mereka yang ikut Nabi Muhammad setelah mendengar bacaan Al-Qur’an, mereka itu telah terkena sihir, telah terpukau.

Pada mereka, Al-Qur’an itu tidak benar tapi masih juga ada orang yang ikut. Mereka hairan kenapa ada orang ikut Nabi Muhammad. Kerana kalau biasanya, orang akan ikut benda macam ni kalau ada imbuhan seperti harta. Tapi tidaklah Nabi Muhammad itu menawarkan harta kepada orang yang ikut baginda. Oleh kerana itulah mereka kata ini tidak lain dan tidak bukan, tentu sihir. Kalau tidak, kenapalah ramai yang macam terpukau? Maka tentu ia adalah ‘sihir’.

Zaman sekarang pun ramai yang sebegitu juga. Apabila disampaikan kepada mereka tafsir ayat-ayat Al-Qur’an, mereka ada yang kata itu adalah tafsir yang sesat, tafsir yang salah. Mereka kata ustaz yang mengajar Tafsir Al-Qur’an itu pakai jin dalam mengajar. Kalau pakai jin, bermakna mereka hendak mengatakan yang ajaran itu adalah ajaran sihir. Mereka kata kalau belajar dengan ustaz yang ajar tafsir itu, ramai yang akan ikut telunjuk ustaz itu.

Mereka gunakan hujah yang bodoh ini kerana mereka tidak dapat lagi berhujah melawannya dengan dalil lain. Mereka sendiri tidak belajar Tafsir Al-Qur’an, jadi mereka tidak dapat nak berikan hujah lain. Kita katakan kepada mereka, kalau apa yang kita tafsirkan ini salah, maka berilah tafsir yang benar, kalau ada. Mereka tidak dapat jawab kerana mereka sendiri tidak belajar.

 

وَإِنَّا بِهِ كٰفِرُونَ

dan sesungguhnya dengannya kami ingkari”.

Mereka tidak dapat nak lawan hujah yang diberikan dalam Al-Qur’an, tapi hati mereka tidak dapat menerimanya. Jadi, mereka tolak buta-buta sahaja.

Mereka tolak dengan tidak beri hujah. Ini menunjukkan sifat kedegilan yang tinggi. Kerana kalau salah, tunjuklah mana yang salah. Mereka tidak dapat nak tunjuk mana yang salah. Begitulah yang terjadi di kalangan masyarakat kita pun. Ada yang menolak tanpa beri hujah tapi tolak begitu sahaja.


 

Ayat 31: Sesudah mereka mengatakan yang bacaan Al-Qur’an itu sihir, mereka beri lagi hujah yang lain. Mereka tolak Al-Qur’an dengan beri hujah yang tidak munasabah. Salah satunya, mereka hina kedudukan Nabi Muhammad.

Ini adalah Ayat Syikayah (Rungutan Allah). Sekarang mereka hina Nabi Muhammad pula. Mereka kata Nabi Muhammad tak layak terima wahyu kerana baginda miskin dan tidak ada pengaruh walaupun mereka sudah pun kenal yang baginda itu seorang yang jujur.

Mereka berhujah dengan berkata sepatutnya wahyu itu kenalah diturunkan kepada orang yang sudah ada pengaruh, barulah cepat orang terima.

Begitulah Syaitan membisikkan kepada mereka untuk hina Nabi. Sebelum ini mereka telah hina Al-Qur’an, sekarang mereka hina penyampainya pula, iaitu Rasulullah. Ini semua adalah syaitan yang ajar. Syaitan bisikkan idea-idea untuk lawan Al-Qur’an ini  dan orang yang jahil akan terima sahaja bisikkan syaitan itu.

وَقالوا لَولا نُزِّلَ هٰذَا القُرءآنُ عَلىٰ رَجُلٍ مِّنَ القَريَتَينِ عَظيمٍ

Sahih International

And they said, “Why was this Qur’an not sent down upon a great man from [one of] the two cities?”

Malay

Dan mereka berkata: “kenapakah Al-Qur’an ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?”

وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ هَٰذَا الْقُرْءآنُ

Dan mereka berkata: “kenapa Al-Qur’an ini tidak diturunkan

Sekarang, mereka hendak mempersoalkan pilihan Allah pula. Seolah-olah mereka lebih pandai dari Allah pula. Lihatlah apa kata mereka.

Sebenarnya, hujah asal mereka adalah menolak kemungkinan manusia boleh menerima wahyu dan menjadi Nabi. Tapi Allah ingatkan dalam ayat-ayat yang lain, para Nabi dari dulu lagi pun memang dari kalangan manusia, jadi apa hairannya kalau manusia juga yang mendapat wahyu?

Oleh kerana itu, mereka ubah hujah. Baiklah, kalau manusia boleh dapat wahyu, tapi takkan beri kepada Muhammad pula? Kenapalah Muhammad pula yang dipilih, mereka kata.

 

عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ

kepada seorang yang hebat dari salah sebuah dua bandar itu?”

Mereka persoalkan pula, kenapa Allah tidak turunkan kepada dua orang yang ternama di dua bandar zaman itu? Dua bandar yang dimaksudkan adalah Mekah dan Taif. Mekah adalah bandar yang besar waktu itu kerana ada Kaabah padanya. Semua masyarakat Arab pergi ke Kaabah kerana hendak melawat berhala mereka yang diletakkan di sana.

Dan Taif pula adalah tempat peranginan orang-orang kaya Arab kerana ia mempunyai cuaca yang molek kalau dibandingkan dengan Mekah. Orang-orang kaya akan ada rumah peranginan mereka di sana. Sampai sekarang pun ia adalah tempat yang cantik.

Mungkin ada yang hairan, kenapa bukan ‘Mekah dan Madinah’? Kita kena ingat bahawa Madinah waktu itu bukan bandar yang besar lagi. Namanya pun adalah Yathrib pada waktu itu. Ianya hanya menjadi besar dan terkenal  hanya selepas Nabi Muhammad berhijrah ke sana. Waktu itu cuaca Yathrib pun tidak baik. Ramai yang pergi ke sana akan jatuh sakit kerana cuaca yang tidak baik.

Dari Taif, yang dimaksudkan adalah Urwah ibn Mas’ud As-Tsaqafi. Dan dari Kota Mekah pula, yang dimaksudkan adalah Walid al Mughirah ataupun Utbah ibn Rabi’ah (tidak dapat dipastikan siapakah yang dimaksudkan oleh Musyrikin Mekah kerana kedua-duanya terkenal dan berpengaruh). Mereka itu adalah orang-orang yang hebat dan berpengaruh pada pandangan masyarakat Arab pada waktu itu.

Pada mereka, sepatutnya wahyu yang diturunkan kepada manusia itu diberikan kepada salah seorang dari dua orang ini yang sudah ada pengaruh dalam masyarakat. Kerana cakap mereka pun sudah didengar oleh masyarakat waktu itu. Maka senanglah orang nak ikut suruhan wahyu itu, kata mereka.

Mereka kata begitu adalah kerana mereka hanya melihat kelebihan seseorang itu daripada segi kekayaan dan pengaruh sahaja. Ini adalah cara penilaian yang salah. Ini adalah penilaian dari orang yang cetek akalnya. Allah menegur mereka yang bersifat begini, bertepatan dengan tema surah ini yang menyentuh tentang salahfaham manusia tentang kebendaan dan kemewahan dunia.

Memang ramai yang ada masalah begini. Masyarakat kita pun selalunya mengagung-agungkan mereka yang ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Apa-apa sahaja yang mereka kata, kita lebih mudah untuk terima kalau dibandingkan dengan kata-kata mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh. Padahal, tanda kebenaran seseorang itu bukanlah dari segi keduniaan, tapi dari segi iman dan taqwa mereka.

Begitulah juga dengan Musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang Nabi Muhammad yang diberikan dengan wahyu kerana mereka rasa ada lagi orang lain yang lebih layak dari baginda. Mereka lihat Nabi itu adalah seorang yang tidak pandai membaca, tidak boleh bersyair, bapa pun tiada.

Baginda memang seorang yang miskin dan anak yatim piatu pula. Ini tidak dinafikan, tapi sebenarnya baginda jadi miskin itu pun sebab baginda banyak tolong orang. Ingatlah bahawa baginda telah berkahwin dengan Khadijah yang seorang jutawan. Tapi kenapa pula mereka berdua jadi miskin?

Ini adalah kerana baginda telah melihat kesesatan yang diamalkan dan kezaliman yang bermaharajalela dalam kaumnya itu dan baginda cuba berdakwah dengan mereka menggunakan harta benda mereka. Sebagai contoh, apabila ada yang bertawaf telanjang di Kaabah, baginda telah memberi mereka wang untuk membeli kain ihram. Baginda juga seorang yang amat dermawan dan sentiasa memberi pertolongan.

Tapi, tidaklah baginda dapat memberi hidayah kepada kaumnya itu dengan kemurahan hatinya, sehinggalah baginda mendapat wahyu dari Allah. Dengan wahyu itulah, baru baginda dapat mengubah keseluruhan Tanah Arab itu menjadi negara Muslim dan menegakkan kalimah tauhid.

Maknanya, berdakwah guna wang itu tidak akan berjaya. Berdakwah sebenarnya adalah dengan menggunakan Al-Qur’an. Al-Qur’anlah yang dapat mengubah hari manusia.

Oleh itu, Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad dengan mengatakan baginda itu hina sebab miskin. Tentulah apabila Nabi dengar kata-kata mereka ini, sedihlah hati baginda.

Sebenarnya kelebihan yang sebenarnya adalah dalam ketulusan dan kesucian hati seseorang itu. Nabi Muhammad itu memang terkenal dengan kebaikan hati baginda dan sifat amanah baginda sampaikan baginda dikenali dengan gelaran al-Amin (yang dipercayai). Masyarakat Arab Mekah waktu itu pun telah terima baginda sebagai seorang yang amanah.

Bagaimana pula kaitan ayat ini dengan zaman sekarang? Kita boleh lihat bagaimana manusia memandang status orang yang mengajar. Mereka hanya mahu belajar dengan orang yang terkenal dan berpengaruh. Pada mereka, sepatutnya yang mengajar tafsir dan ajar agama itu mestilah orang yang ‘nampak pandai’, sudah terkenal di seluruh negara. Sudah masuk TV, barulah dipercayai, kan?

Tapi, apabila yang mengajar itu nampak seperti orang biasa sahaja, kelas pun tak penuh orang datang, mereka sudah tolak dah (kerana mereka rasa tentu tidak terkenal).

Janganlah begitu, yang penting adalah kebenaran yang dibawa. Kalau seseorang itu terkenal pun, sudah masuk TV pun, tapi kalau ajarannya salah, takkan kita nak terima pula?


 

Ayat 32: Sebelum ini Musyrikin Mekah ada kata patutnya Allah beri wahyu itu kepada orang lain, bukan kepada Nabi Muhammad. Allah patahkan hujah mereka itu yang memandai-mandai hendak mengajar Allah.

أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَّعيشَتَهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَرَفَعنا بَعضَهُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعضُهُم بَعضًا سُخرِيًّا ۗ وَرَحمَتُ رَبِّكَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

Sahih International

Do they distribute the mercy of your Lord? It is We who have apportioned among them their livelihood in the life of this world and have raised some of them above others in degrees [of rank] that they may make use of one another for service. But the mercy of your Lord is better than whatever they accumulate.

Malay

(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ

Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu?

Merekakah yang layak nak tentukan siapa dapat apa? Mereka sangka mereka siapa? Sampai mereka sanggup mempersoalkan pemberian wahyu yang Allah tentukan itu? Begitu kurang ajar mereka seperti mereka mengatakan yang Allah telah silap pilih dalam memberi wahyu itu?

Yang dimaksudkan dengan رَحْمَتَ رَبِّ dalam ayat ini adalah wahyu Allah, iaitu Al-Qur’an. Mereka yang lebih tahu siapa yang patut dapat wahyu Al-Qur’an itu?

Beginilah juga kata-kata Syiah sekarang. Mereka kata Jibrail silap bagi wahyu kepada Nabi Muhammad. Mereka kata sepatutnya diberikan wahyu itu kepada Saidina Ali tapi semasa cari Ali, terbagi kepada Nabi Muhammad kerana disangka itulah Ali. Kalau mereka kata Jibrail silap, tentunya Allah pun silap juga dalam pemberian itu.

Malangnya, amat ramai yang telah terpesong dengan menganut agama Syiah yang sesat itu. Itu adalah kerana mereka tidak ada pelajaran agama dan kerana itu, mereka senang ditipu oleh penganut Syiah yang memang pandai memutar belitkan fakta dan hujah.

 

نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Kamilah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini,

Dalam kehidupan dunia, siapakah yang membahagi-bahagikan keperluan hidup manusia? Siapa yang beri? Tentulah Allah. Oleh itu, Allahlah yang menentukan dan membahagikan rezeki kepada manusia. Setengahnya Allah jadikan kaya raya dan setengahnya Allah taqdirkan jadi miskin dan menderita kesusahan.

Kenapa Allah yang berikan? Kerana manusia tidak ada hak dan kelayakan untuk melakukannya. Manusia tidak mampu nak beri rezeki kepada manusia lain. Manusia amat lemah.

Mana-mana sistem dunia yang cuba untuk menjadikan manusia sama rata dari segi kekayaan dan kedudukan dalam masyarakat tidak akan berjaya. Lihatlah sistem komunis yang cuba melakukan perkara ini. Mereka telah gagal dengan teruk sekali. Rosak habis negara yang mengamalkan sistem komunis.

Kalau manusia diberi peluang untuk membahagikan harta kepada manusia pun, mereka tidak akan mampu. Sebagai contoh, banyak persatuan yang cuba untuk membantu manusia lain. Adakah mereka mampu untuk menolong semua orang? Tentu tidak. Usaha manusia adalah terhad walaupun ada yang berniat baik.

Ada penekanan dalam ayat ini. Ini adalah ayat jumlah ismiah dan selalunya dari segi balaghah, jumlah ismiah digunakan untuk beri penekanan. Kalau kita terjemah ayat ini dengan tepat, ada pengulangan ‘Kami’ dalam ayat ini: نَحْنُ قَسَمْنَا [Kami, Kamilah yang membahagikan]. Inilah penekanan dari Allah.

Kaya dan miskin bukanlah bermakna Allah sayang atau benci kepada seseorang itu. Tidaklah kaya itu bermaksud bagus dan miskin itu bermaksud buruk. Miskin dan kaya kedua-duanya adalah dugaan daripada Allah.

Oleh itu, apabila Musyrikin Mekah mempersoalkan keputusan Allah untuk memberikan pangkat kenabian dan wahyu kepada seorang yang miskin, maka itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Allah tentulah pandai hendak membahagikan rahmatNya. Dan kekayaan manusia dan pengaruh manusia bukanlah tanda orang itu hebat dan benar. Sebagaimana Allah beri rezeki kepada manusia, maka begitulah juga Allah layak untuk memberikan wahyu kepada yang layak juga.

Tidak ada hinanya orang yang miskin. Kita boleh perhatikan bagaimana mereka yang dimuliakan oleh Allah, bukanlah mereka yang kaya-raya. Seperti para Nabi, mereka kebanyakannya hidup dalam kemiskinan. Adakah mereka itu hina? Tentu tidak kerana mereka itu amat mulia di mata Allah.

Maka rezeki kita Allah yang tentukan pembahagiannya. Oleh kerana keperluan kehidupan manusia hanya ditentukan oleh Allah, maka keputusan untuk memberikan pangkat kenabian dan menerima wahyu pun hanya boleh diberikan oleh Allah.

 

وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجٰتٍ

dan Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari darjat setengahnya yang lain;

Ada manusia yang tinggi darjatnya dan ada yang rendah. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang pandai dan ada yang bodoh. Ada yang cantik dan ada yang tidak berapa cantik. Itu adalah kerana Allah yang menentukan darjat setiap orang. Allah menentukan itu dalam hikmahNya. Jangan kita sekali-kali mempersoalkan keputusan Allah.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa jikalau kita hendak memberikan kesamarataan kepada seluruh rakyat, ianya tidak akan berjaya. Ahli-ahli politik cuba hendak menghapuskan kemiskinan dalam negara ini, tapi ianya tidak akan berjaya. Ini kerana Allah memang telah menetapkan yang akan ada orang yang kaya dan akan ada yang miskin. Ada yang duduk di atas dan ada yang duduk di bawah. Memang itulah sunnah alam ini yang Allah telah tetapkan.

Allah hendak menempelak Arab Mekah yang memandang kekayaan – seolah-olah Allah berkata: “Wahai Musyrikin Mekah, bukan beginikah keadaannya sekarang? Ada kuli dan ada tuan? Tapi tengok, tuan itu pun jadi kuli kepada orang lain pula. Sehebat mana pun dia, ada lagi yang lebih tinggi dari dia. Jadi kamu sangka ada yang paling tinggi itu adalah kamu?”

Allah yang jadikan kedudukan manusia berdarjat begitu. Kalau sesiapa yang kaya dan berpengaruh pun, ada lagi yang lebih kaya dan lebih berpengaruh dari dia. Yang jadi pemimpin di Mekah pun, mereka tetap duduk di bawah takluk Yaman juga. Mereka masih memerlukan bantuan makanan dari Yaman.

Kenapa Allah jadikan ada yang kaya dan ada yang miskin? Kenapa Allah tidak jadikan semua manusia kaya? Tidakkah senang begitu?

 

لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا

supaya sebahagian dari mereka mengambil khidmat dari setengahnya yang lain.

Kalimah سُخْرِيًّا dari katadasar س خ ر yang bermaksud ‘menguasai atas sesuatu’. Orang yang kaya dapat mengarahkan orang yang miskin untuk bekerja dengannya dan diarah untuk melakukan kerja. Dalam ertikata lain, menjadi ‘kuli’ mereka.

Kena ada orang yang miskin dalam dunia ini. Kerana yang miskinlah yang akan menjalankan kerja-kerja yang tidak mahu dilakukan oleh orang kaya. Bayangkan kalau semua orang dalam dunia ini kaya, siapakah yang akan sapu sampah di jalanan? Apa akan jadi kepada kekotoran di merata-rata tempat kalau tidak ada orang yang hendak bekerja sapu sampah? Orang yang kaya takkan mahu jadi tukang sapu sampah pula.

Dan disebaliknya pula, kena ada orang yang kaya dalam dunia ini untuk bagi kerja kepada orang miskin. Mereka itulah yang jadi majikan kepada orang miskin. Dengan bekerja dengan orang kaya, orang miskin akan dapat pendapatan dari pekerjaan itu untuk menyara kehidupan mereka.

 

وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

Dan rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.

Rahmat Allah kepada Nabi Muhammad adalah pangkat kenabian yang diberikan kepada baginda dan wahyu yang diterimanya. Itu adalah jauh lebih tinggi dan lebih bernilai daripada kekayaan dan kemewahan yang boleh dikumpulkan oleh manusia.

Lihatlah bagaimana orang-orang yang kaya dan yang berpengaruh pada zaman Jahiliah itu tidak ramai pun yang tahu tentang mereka. Kita dengar beberapa kerat sahaja kerana sejarah mereka ditelan zaman kerana tidak penting pun. Itu pun mereka diingati dengan nama dan panggilan yang buruk terhadap mereka. Mereka hanya mendapat kutukan sahaja.

Tetapi lihatlah bagaimana nama Nabi Muhammad itu harum dari dulu sampai bila-bila. Begitu juga dengan sahabat-sahabat baginda yang kebanyakannya miskin, tapi terkenal dan disebut-sebut sampai ke hari ini.


 

Ayat 33: Sebenarnya pangkat dan kedudukan dunia tidak ada nilai pada Allah. Bukan itu cara ukuran Allah dalam memilih RasulNya. Harta tidak ada harga pada Allah. Ianya cuma ada harga pada manusia sahaja.

وَلَولا أَن يَكونَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً لَّجَعَلنا لِمَن يَكفُرُ بِالرَّحمٰنِ لِبُيوتِهِم سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ وَمَعارِجَ عَلَيها يَظهَرونَ

Sahih International

And if it were not that the people would become one community [of disbelievers], We would have made for those who disbelieve in the Most Merciful – for their houses – ceilings and stairways of silver upon which to mount

Malay

Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),

وَلَوْلَا أَن يَكُونَ النَّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً

Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu

Oleh kerana harta tidak ada harga pada Allah, Allah boleh beri sahaja harta itu kepada manusia, walaupun mereka kafir. Kerana itu kita lihat walaupun ada yang menentang Allah dan melakukan syirik, tapi mereka kaya raya sahaja.

Boleh sahaja Allah bagi lebih banyak kepada mereka. Lagi banyak dari sekarang pun Allah boleh berikan. Tapi itu adalah bahaya kerana ia akan menyebabkan kekufuran semakin banyak. Allah tidak mahu seluruh umat manusia berada di dalam kekufuran. Allah tidak mahu semua manusia menjadi ‘satu’ dalam kekufuran.

Ini kerana kalau orang yang kafir menjadi kaya raya sangat, maka nanti ada orang yang sangka: “owh, bila amal syirik dapat banyak harta, bila zalim dapat banyak harta, bila tolak agama, dapat banyak harta.” Allah tidak mahu ada yang berperasaan begitu, maka Allah tidak jadikan mereka yang kafir dan musyrik itu kaya raya sangat. Allah tidak mahu manusia terikut-ikut dengan cara hidup orang kafir yang tidak mementingkan agama langsung.

Zaman sekarang pun sudah ada salah faham tentang perkara ini. Ada orang dari agama lain di negara ini yang kata: “jangan masuk Islam… nanti jadi miskin dan lemah. Tengok negara yang amalkan agama lain, mereka itu kaya raya… tapi tengok orang Melayu, mereka itu miskin dan lemah sahaja… “

 

لَّجَعَلْنَا لِمَن يَكْفُرُ بِالرَّحْمَٰنِ لِبُيُوتِهِمْ سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ

nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak,

Kalimah سُقُفًا adalah bumbung yang dilihat dari bahagian dalam. Maknanya kalau kita berada di dalam rumah itu kita memandang ke atas, kita akan nampak bumbung itu dibuat dari perak. Bumbung ini adalah satu bahagian binaan dalam rumah yang tidak dikisahkan sangat. Selalunya di bahagian luar yang manusia akan hias. Jadi, kalau bumbung dalaman pun sudah dijadikan dari perak, bagaimana pula dengan hiasan dalaman lain, luasan dan dinding, tentulah lagi hebat, bukan?

Maknanya, kalau Allah sudah beri sampai bumbung pun dari perak, maknanya orang itu memang kaya sangat. Tidaklah ada yang jadi macam itu. Kalau kita tengok orang kafir yang banyak harta dalam dunia ini, tidaklah sampai bumbung rumah pun sampai dibuat dari perak, bukan? Orang yang paling kaya sekarang adalah Bill Gates; adakah dia buat bumbung rumahnya dari perak? Tidak.

Allah boleh sahaja memberikan kekayaan yang melimpah-limpah kepada orang kafir. Iaitu kekayaan yang tidak dapat difikirkan oleh akal kita sekalipun. Kerana kekayaan dunia itu tidak bernilai langsung kepada Allah. Macam kita nak beri besi buruk kepada orang lain, kita tak kisah pun sebab besi buruk itu tidak ada nilai.

Tapi, kalau Allah beri kekayaan yang banyak sangat kepada orang kafir, maka orang-orang Islam pun apabila tengok orang kafir teramat kaya, maka mereka pun teringin pula nak jadi macam orang kafir itu. Dan mereka akan terikut-ikut dengan amalan-amalan orang kafir itu. Maka mereka akan terikut-ikut dengan cara hidup orang kafir itu sampaikan agama mereka pun tergugat juga.

Akhirnya semua sekali akan jadi ‘umat yang satu’ dalam kekufuran. Sekarang Allah beri kekayaan lebih sedikit sahaja pun, ada orang Islam yang sudah tergugat, bukan? Sudah mula ikut cara hidup orang kafir, sudah tiru cara hidup mereka yang hidup dalam kekufuran. Bayangkan kalau kekayaan mereka itu tidak ada had? Tentulah semua orang Islam nak jadi orang kafir juga. Allah sudah tahu sifat manusia, kerana Dia Maha Mengetahui mengenai hambaNya.

 

وَمَعَارِجَ عَلَيْهَا يَظْهَرُونَ

dan tangga-tangga yang mereka naik di atasnya

Kalimah مَعَارِجَ adalah tangga yang jenis panjang dan tinggi yang boleh membawa orang yang menaikinya ke tempat yang tinggi. Maknanya rumah itu bertingkat-tingkat dan kalau hendak naik ke atas kena guna tangga yang tinggi.

Allah boleh jadikan tangga itu pun sebagai perak juga. Tapi adakah Allah jadikan bumbung rumah mereka dan tangga rumah mereka dari perak? Tidak. Tidak ada manusia kafir mana-mana pun yang melakukan begitu.

Allah tak jadikan begitu kerana kalau orang kafir kaya sangat, orang beriman pun jadi kafir juga. Allah tak mahu jadikan itu sebagai ujian kepada orang Islam.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 23 – 29 (Ramai yang sangka sudah ikut Nabi)

Pantang larang ikut adat bukan ikut syariat
Pantang larang yang ditentukan generasi terdahulu lebih dipatuhi dan takut untuk dilanggar. Bacaan Quran dan salawat dijadikan selingan seolah-olah adat bersendikan agama.

Ayat 23: Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang Musyrikin Mekah itu hanya ikut amalan tok nenek mereka sahaja. Bukan mereka sahaja yang kata begitu, malah orang-orang kufur sebelum mereka pun berkata begitu juga, sama sahaja.

Dan orang sekarang pun termasuk kebanyakan dari masyarakat Melayu kita pun berkata perkara yang sama juga. Kerana akidah mereka sama sahaja, akidah kufur.

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّقتَدونَ

Sahih International

And similarly, We did not send before you any warner into a city except that its affluent said, “Indeed, we found our fathers upon a religion, and we are, in their footsteps, following.”

Malay

Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ

Dan demikianlah; Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran,

Allah ﷻ telah menghantar Rasul kepada setiap negeri dan tempat, untuk menyampaikan ajaran tauhid dan cara menjalankan kehidupan.

Kalau zaman sekarang, tidak ada Rasul lagi, maka yang menyampaikan ajaran tauhid kepada umat adalah penyebar-penyebar tauhid. Itulah guru-guru yang mengajar Tafsir Al-Qur’an dan juga Sunnah Nabi ﷺ. Mereka meluangkan masa dan tenaga untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan syirik.

Tetapi, setelah mereka datang dan menyampaikan, apa yang terjadi apabila penyebar tauhid itu sampai? Adakah manusia menerima mereka dengan tangan terbuka?

 

إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا ءآبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

Akan ada sahaja yang menentang ajakan tauhid itu. Selalunya yang berkata begitu adalah orang yang ada kedudukan dalam masyarakat. Mereka hidup mewah dalam dunia.

Mereka dapat hidup kaya kerana cara hidup yang diamalkan dalam masyarakat itu. Kalau agama ditegakkan, maka mereka akan hilang punca pendapatan mereka.

Maka mereka tidak suka kalau agama yang benar ditegakkan. Sebagai contoh, kalau semua amalan bidaah tidak dilakukan lagi oleh masyarakat, maka hilanglah pendapatan ustaz-ustaz, guru-guru dan tok imam dalam menjadi kepala Majlis Tahlil, Doa Selamat, Baca Talqin, Solat Hajat dan macam-macam lagi. Itulah sebabnya mereka marah benar kalau dikacau amalan-amalan itu.

Mereka akan kata yang mereka memegang pegangan agama yang telah lama ada dan diamalkan oleh masyarakat mereka. Sebagai contoh, mereka mengamalkan Majlis Tahlil dari dulu lagi. Kalau ditanya mereka belajar dengan siapa amalan itu, mereka akan kata dengan guru atau orang dulu-dulu. Apabila ditanya orang dulu belajar dengan siapa, mereka sudah tidak tahu.

Maknanya, hujungnya tidak tahu siapa yang mula-mula mengajar amalan bidaah itu. Maknanya, tidak tahu siapa yang mula-mula ‘reka’ amalan itu. Begitulah biasanya dengan amalan rekaan, susah hendak diperiksa siapakah pencipta asalnya.

Dan amalan Majlis Tahlil ini hanya diamalkan di daerah Nusantara kita ini sahaja – Malaysia, Indonesia dan Pattani. Kajian yang dilakukan setakat ini, hanya sampai kepada ajaran Wali Songo di Indonesia sahaja. Kemungkinan merekalah yang memulakannya. Tetapi itu pun belum pasti lagi.

Banyak amalan agama yang diamalkan oleh masyarakat kita sekarang, tidak tahu asal usulnya. Macam sekarang, semua orang memanggil nama Nabi ﷺ dengan panggilan Sayyidina. Tetapi tidak tahu siapakah yang mula-mula sekali menggunakan gelaran itu untuk Nabi ﷺ.

Yang pastinya, Nabi ﷺ tidak menggelarkan diri baginda begitu, dan para sahabat pun tidak menggelar baginda begitu, termasuklah isteri-isteri baginda. Maka ikut siapakah kita selama ini?

Padahal, mereka lagi sayang kepada baginda, lagi hormat kepada baginda. Nabi ﷺ pun tidak pernah suruh dipanggil begitu, sebaliknya, kalau dilihat kepada hadis yang ada, terdapat larangan dari baginda untuk menggelar baginda dengan gelaran ‘Sayyid’.

Abdullah bin al-Syikhir رضي الله عنه berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah ﷺ. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.”

Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!” 

Rasulullah menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Dan di dalam hadis yang lain:

Anas bin Malik  رضي الله عنه berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami!”

Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Aku Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Begitulah kalau kita tanya kepada mereka kenapa mereka melakukan amalan yang tidak ada dalil itu. Iaitu amalan-amalan bidaah. Mereka akan beri jawapan yang sama sahaja. Iaitu amalan mereka itu bukanlah baharu, tetapi telah lama diamalkan. Ianya telah lama diamalkan oleh tok nenek mereka. Jawapan mereka sama kerana fahaman dan akidah mereka pun memang sama.

 

وَإِنَّا عَلَىٰ ءآثٰرِهِم مُّقْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami atas jejak peninggalan mereka, kami ikuti”.

Mereka yang ada akidah syirik itu akan ikut amalan tok nenek mereka tanpa usul periksa lagi. Pada mereka, itulah cara mengamalkan agama yang betul. Walaupun mereka tidak boleh beri dalil untuk amalan mereka itu, mereka hendak ikut juga. Mereka rasa kalau telah lama diamalkan oleh tok nenek, oleh guru-guru dahulu, tentulah ia benar.

Tetapi lihatlah, dalam hal agama sahaja mereka ikut cara lama. Kalau hal kehidupan, tidak pula. Kalau hendak makan, mereka akan cari makanan jenis baharu. Hendak kenderaan, mereka akan pakai kenderaan yang hebat-hebat. Kerana mereka kata, ada cara yang lebih baik dari orang-orang dahulu. Kerana mereka akan kata, dari kajian sains, ada cara yang lebih baik. Tetapi kenapakah dalam amalan agama, mereka hendak pakai amalan tok nenek juga?


 

Ayat 24: Apakah Allah ﷻ suruh Rasulullah ﷺ berhujah terhadap dakwaan mereka yang hendak ikut apa yang diamalkan oleh orang-orang terdahulu itu? Beginilah yang Allah ﷻ ajar Nabi ﷺ bagaimana hendak menjawab kepada mereka dan kita pun kena ikut bagaimana Nabi ﷺ menjawab dan berhujah dengan mereka.

۞ قٰلَ أَوَلَو جِئتُكُم بِأَهدىٰ مِمّا وَجَدتُّم عَلَيهِ ءآباءَكُم ۖ قالوا إِنّا بِما أُرسِلتُم بِهِ كٰفِرونَ

Sahih International

[Each warner] said, “Even if I brought you better guidance than that [religion] upon which you found your fathers?” They said, “Indeed we, in that with which you were sent, are disbelievers.”

Malay

Rasul itu berkata: “Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu ugama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.

قٰلَ أَوَلَوْ جِئْتُكُم بِأَهْدَىٰ

Rasul itu berkata: “Walaupun aku membawa kepada kamu yang lebih jelas hidayah petunjuknya

Rasul itu berkata: “Masihkah nak ikut lagi mereka itu walaupun aku bawa wahyu dari Allah ﷻ yang lebih baik lagi?”

Kita pun kena kata begitu. Cakap kepada pengamal amalan syirik dan bidaah: Takkan hendak pakai lagi ajaran tok nenek kalau kita sudah bawa dalil dari Al-Qur’an ataupun bawa dalil yang sah dari hadis yang sahih? Masih kamu hendak ikut juga amalan tok nenek? Kenapa tidak pakai amalan sahih yang ada dalam nas?

Ayat ini bukanlah hendak mengatakan ajaran tok nenek itu ada pimpinan, dan ajaran Islam punya ‘lebih’ terpimpin. Kerana kalau baca begitu sahaja, boleh sampai ke situ maknanya, bukan? Tetapi tidaklah begitu.

Kalau faham macam itu, bahaya pula kerana seolah-olah mereka pun ada terpimpin, cuma kurang sahaja. Kita kena faham yang ayat ini sebagai cara berlembut hendak ajak sahaja. Ini cara dialog muzakarah yang Allah ﷻ ajar.

 

مِمَّا وَجَدتُّمْ عَلَيْهِ ءآبَاءَكُمْ

daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?”

Ajaran dari Al-Qur’an dan sunnah itu jauh lebih baik dari apa yang mereka amalkan. Ianya tidak sama dengan apa yang mereka belajar itu. Mereka sahaja yang sangka amalan yang mereka lakukan itu benar, tetapi kalau dibandingkan dengan ajaran Al-Qur’an dan sunnah, ianya amat berlawanan dengan apa yang mereka lakukan.

 

قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُم بِهِ كٰفِرُونَ

Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.

Setelah diberikan dengan dalil-dalil yang sah, akan ada juga yang masih engkar tidak mahu ikut. Mereka ada yang berkata: “Apa yang kamu katakan itu dah betul dah, tapi, yang guru aku ajar ini pun betul juga”.

Mereka yakin sangat yang guru-guru dan amalan tok nenek itu benar, sampaikan mereka tidak mahu juga hendak terima dalil yang diberikan. Hati mereka masih juga mahu menolak. Kedegilan mereka lebih kuat lagi. Padahal habis semua hujah sudah diberikan kepada mereka.

Allah ﷻ hendak memberitahu kita yang memang ada manusia yang jenis macam ini, jadi jangan terkejut kalau berjumpa dengan orang-orang yang macam ini. Kerana Al-Qur’an sudah awal-awal sebut. Mereka tolak sebab mereka degil sahaja.


 

Ayat 25: Ayat Takhwif Duniawi. Selepas mereka menolak apa yang dibawa oleh penyebar tauhid dan penyebar tauhid tinggalkan mereka, adakah mereka akan dibiarkan begitu sahaja oleh Allah ﷻ?

فَانتَقَمنا مِنهُم ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

Sahih International

So we took retribution from them; then see how was the end of the deniers.

Malay

Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.

فَانتَقَمْنَا مِنْهُمْ

Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan;

Allah ﷻ tidak akan melepaskan mereka begitu sahaja. Allah ﷻ akan beri azab kepada mereka kelak. Ada kaum yang Allah ﷻ kenakan azab di dunia lagi dan Allah ﷻ putuskan langsung baka-baka mereka sampai mereka tidak ada keturunan langsung.

 

فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan.

Allah ﷻ telah musnahkan kaum dan umat yang mendustakan kebenaran dahulu. Lihatlah sejarah apa yang terjadi kepada mereka. Ambillah pengajaran dari mereka. Jangan hanya membaca sahaja kisah mereka.

Maknanya, Allah ﷻ boleh balas keengkaran mereka semasa di dunia lagi, tidak payah tunggu di akhirat. Allah ﷻ jadikan mereka sebagai pengajaran kepada kita supaya jangan jadi seperti mereka. Telah banyak umat-umat yang telah dimusnahkan kerana telah engkar kepada Rasul-rasul mereka, seperti kaum Nabi Nuh, Luth, Aad, Tsamud dan banyak lagi.

Lihatlah sedikit bagaimana kesudahan buruk yang mereka alami. Kalau Allah ﷻ tidak musnahkan mereka dengan azab yang menghancurkan tubuh badan, Allah ﷻ boleh hina mereka semasa mereka di dunia lagi.


 

Ayat 26: Ayat 26 – 45 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia menegaskan kebenaran ajaran para Nabi.

Ayat 26 ini adalah Dalil Naqli Tafsili (kerana disebut nama Rasul). Sekarang kita masuk kepada Kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kerana Allah ﷻ hendak ajar bagaimanakah akidah para Nabi.

Kisah ini tentang bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام menghadapi kaumnya yang hanya ikut sahaja apa yang diamalkan oleh tok nenek mereka. Kisah ini mulanya diberikan kepada Musyrikin Mekah. Ini adalah kisah sebenar Nabi Ibrahim عليه السلام dan Allah ﷻ sampaikan kerana Musyrikin Mekah perasan mereka ikut ajaran agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi tidak sebenarnya.

Macam orang kita juga yang ramai perasan mereka sudah ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tidak sebenarnya. Musyrikin Mekah tidak ikut pun ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام padahal mereka dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Maka tidak boleh sangka baik dalam perkara ini. Walaupun mereka keturunan Nabi, tetapi kalau salah, tetap salah. Tidak kira keturunan sesiapa pun. Tidak kira sama ada mereka golongan ‘Habib’ pun. Manusia jahil sekarang ini apabila dengar nama Habib sahaja terus percaya sedangkan mereka itu bawa ajaran sesat.

Kita kena lihat benar-benar kisah Nabi Ibrahim عليه السلام ini dan ambil pengajaran darinya. Kisah ini adalah tentang akidah. Kerana pertembungan antara Nabi Muhammad ﷺ dan penduduk Mekah adalah tentang akidah.

Sebelum ini telah disebut Musyrikin Mekah hanya mengikut amalan tok nenek mereka. Maka sekarang Allah ﷻ menempelak mereka: kalau hendak ikut sangat tok nenek kamu, kenapa kamu tidak ikut tok kamu sendiri iaitu Nabi Ibrahim عليه السلتم? Lihatlah apa akidah baginda.

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ وَقَومِهِ إِنَّني بَراءٌ مِّمّا تَعبُدونَ

 Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham said to his father and his people, “Indeed, I am disassociated from that which you worship

Malay

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah –

وَإِذْ قَالَ إِبْرٰهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ

Dan (ingatkanlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya:

Nabi Ibrahim عليه السلام berkata di dalam ayat ini kepada bapa dan kaumnya selepas baginda dibakar. Kerana selepas baginda dinaikkan menjadi Nabi, baginda telah berdakwah kepada kaumnya. Begitu juga dengan kita – apabila telah mendapat hidayah, kita kena sebarkan kepada orang lain. Jangan simpan sahaja.

Apabila baginda berdakwah kepada kaumnya, baginda telah ditangkap dan telah dimasukkan ke dalam api. Kisah itu ada disebut dalam surah yang lain. Apakah kata baginda kepada mereka?

 

إِنَّنِي بَرَاءٌ مِّمَّا تَعْبُدُونَ

“Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah –

Apakah yang kaum baginda sembah? Itulah berhala-berhala yang ayahnya sendiri buat! Maka ini adalah tempelak yang tepat kena kepada batang hidung Musyrikin Mekah yang menyembah berhala.

Kata-kata Nabi Ibrahim ini ada persamaan dengan kalimah syahadah la ilaaha illa Allah – iaitu menolak fahaman yang salah. Iman kena dimulakan dengan menolak fahaman yang salah. Maka dalam ayat ini disebut Nabi Ibrahim menolak akidah sesat kaum baginda.

Kalimah بَرَاءٌ bermaksud kita isytihar yang kita tidak ada kena mengena dengan perkara yang kita tidak suka. Kita jauhkan diri kita sebab kita tidak setuju. Inilah yang dinamakan konsep wala’ wal bara’ – Cinta dan Benci. Iaitu kita tunjuk kita cinta kepada sesuatu yang baik dan benci kepada sesuatu yang tidak baik.

Tidaklah kita tengok sahaja dan tidak buat apa-apa. Kalau ada orang yang buat amalan bidaah seperti Solat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil, jangan kita ikut mereka pula. Kita kena tunjuk kita tidak suka.

Yang Nabi Ibrahim عليه السلام berlepas diri itu adalah kerana mereka menggunakan perantaraan dalam berdoa. Inilah penyebab kesesatan kepada manusia. Mereka mengaku bahawa Allah ﷻ adalah Tuhan tetapi mereka menggunakan perantaraan dalam doa. Itulah yang dinamakan Tawasul. Walaupun dalam masa yang sama, mereka percaya ada Tuhan yang Satu yang menjadikan alam ini. Semua agama yang kufur ada perantaraan dalam doa mereka. Termasuk Syiah yang memuja Ahlul Bayt untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ.

Bayangkan bapanya dan kaumnya semua sekali mengamalkan syirik. Tetapi baginda tidak ikut mereka walaupun baginda berseorangan sahaja. Bayangkan bagaimana baginda menolak ayah baginda dan kaumnya yang dia hidup dengan mereka dari kecil lagi. Maka tentu payah tetapi baginda sanggup lakukan. Maka kita jangan takut dengan kawan-kawan dan keluarga kita – kita kena berani menyatakan kebenaran.

Allah ﷻ hendak mengingatkan manusia, kalaulah kena ikut amalan tok nenek, tentu Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri sudah ikut amalan bapanya sendiri yang tentunya ikut amalan tok nenek mereka juga. Tetapi kerana amalan itu salah, maka baginda tidak ikut langsung. Maka kita pun kenalah begitu. Kenalah berani tolak amalan tok nenek yang salah.

Dalam ayat sebelum ini, disebut tentang mereka yang mengikut sahaja amalan orang lain. Memang menjadi satu masalah apabila orang ramai dalam kalangan masyarakat kita membuat perkara yang salah, tetapi kita hendak buat perkara yang benar. Kita hendak larang sudah jadi satu masalah sebab ramai sangat yang buat. Kita hendak lawan pun, kita seorang sahaja.

Maka, dalam keadaan begitu, kita disuruh mengikut sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام yang menggunakan akalnya untuk menilai manakah yang benar. Memanglah paling senang adalah kita ikut sahaja apa yang diamalkan oleh masyarakat yang ramai; tetapi tidak boleh begitu. Kita tidak boleh ikut mereka kalau mereka melakukan perkara yang salah.

Kalau kita tidak boleh halang dan lawan mereka, sekurangnya kita kena isytihar yang kita tidak ikut cara mereka dengan tidak menyertai majlis bidaah mereka. Kalau kita ikut juga, itu maknanya kita sudah iktiraf majlis mereka.

Ayat ini mengajar kita untuk berlepas diri dari mereka yang berbuat syirik. Kita kena beritahu mereka yang kita tidak setuju dengan cara mereka. Dan kita kena tinggalkan mereka. Jangan kita duduk-duduk dalam majlis mereka. Jangan kita ada kena mengena dengan majlis mereka. Kerana kalau kita masih lagi bersama dengan mereka, ditakuti kita akan terikut-ikut dengan mereka. Kalau masyarakat buat Majlis Tahlil, jangan ikut serta walaupun untuk makan sahaja.

Kenapa kita disuruh untuk ikut sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام ini dengan isytihar yang kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan? Kerana kalau kita tidak cakap dan senyap sahaja, nanti boleh dikira yang kita bersetuju dengan mereka. Macam kita sebahagian dari mereka pula. Oleh itu, kita kena pisahkan diri kita dari mereka. Dan nanti mereka sangka amalan mereka benar kerana kita pun ikut.

Dan untuk memisahkan diri kita dari mereka, kita kena isytiharkan. Tentunya ini memerlukan kekuatan iman. Kita tahu, bukan senang hendak bercakap perkara benar yang berlawanan dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat. Tetapi itulah agama – kena ada pengorbanan dan keberanian. Beranilah kerana benar.

Kita kena beritahu mana yang salah. Jangan kita senyap sahaja. Kalau kita senyap, macam kita setuju dengan kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Nanti orang jadikan kita sebagai jahil: “kau tengoklah, ustaz fulan tu pun senyap jer bila kita buat majlis ini…”.

Nabi Muhammad ﷺ juga telah isytiharkan perkara yang sama. Sebelum baginda berpindah ke Madinah, baginda telah isytihar yang baginda berlepas diri dari Musyrikin Mekah.

Tetapi, bilakah baginda berkata begitu? Selepas baginda berdakwah kepada mereka bertahun-tahun lamanya. Maknanya, kenalah dakwah dulu. Begitu jugalah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka bukan terus cakap kita tidak setuju dengan mereka. Hanya selepas mereka tolak ajakan dakwah kita berkali-kali, baharulah kita isytihar sebegitu.


 

Ayat 27: Apakah akidah Nabi Ibrahim عليه السلام?

إِلَّا الَّذي فَطَرَني فَإِنَّهُ سَيَهدينِ

Sahih International

Except for He who created me; and indeed, He guide me.”

Malay

“Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Dia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku”.

إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي

“Melainkan Tuhan yang menciptakan daku,

Ini sama dengan illa Allah (melainkan Allah) dalam syahadah kita. Selepas tolak akidah yang salah, maka kena ithbat (tetapkan) dengan akidah yang benar.

Maknanya Nabi Ibrahim عليه السلام tidak akan menyembah melainkan Tuhan yang bernama Allah ﷻ sahaja. Maknanya kaum Nabi Ibrahim عليه السلام itu ada juga yang menyembah Allah ﷻ. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga benda lain. Itulah sebabnya dalam ayat ini, ada perkataan إِلَّا – melainkan. Iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام tolak semua sembahan mereka, kecuali Allah ﷻ. Ini sama macam syahadah kita – kita tolak ilah yang lain, kecuali Allah ﷻ sahaja.

Maknanya, kaum Nabi Ibrahim عليه السلام macam Musyrikin Mekah juga – mereka sembah Allah ﷻ juga, tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah entiti yang lain. Macam kaum musyrikin kita juga, kenal Allah ﷻ, kenal Nabi Muhammad ﷺ, tetapi masih buat syirik juga. Mereka solat dan puasa, mengucap dua kalimah syahadah, tetapi masih lagi buat perkara khurafat, syirik dan bidaah. Kerana mereka tidak tahu apakah tauhid, apakah syirik dan apakah bidaah. Kenapa? Kerana tidak belajar.

Dalam ayat ini diberikan dalil dan hujah kenapa Nabi Ibrahim عليه السلام hanya sembah Allah ﷻ sahaja. Kerana Allah ﷻlah yang menjadikan baginda dan seluruh alam. Allah ﷻ sahaja yang menciptakan alam ini; adakah lagi entiti lain yang boleh mencipta alam ini?

 

فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ

sesungguhnya Dia memberi petunjuk kepadaku”.

Huruf س dalam lafaz سَيَهْدِينِ bukanlah bermaksud ‘akan’ seperti yang selalu kita faham. Tetapi ini adalah س tahkik – sebagai penguat. Nabi Ibrahim عليه السلام yakin yang Allah ﷻ akan memberi hidayah kepada baginda selepas itu. Hidayah yang dimaksudkan ada dua jenis: petunjuk dalam bentuk agama dan petunjuk dalam kehidupan.

Kerana selepas Nabi Ibrahim عليه السلام mengatakan yang baginda berlepas diri dari bapa dan kaumnya itu, tentulah baginda tidak boleh lagi tinggal di situ. Baginda pun sudah kena tangkap dan kena bakar dalam api yang besar. Takkan baginda akan selamat lagi kalau duduk dengan mereka, maka baginda perlu meninggalkan mereka.

Maka baginda berharap kepada Allah ﷻ untuk memberi petunjuk kepada baginda kepada tempat yang baginda perlu pergi selepas itu. Kerana baginda nanti akan pergi ke Jurusalem dari Iraq, satu perjalanan yang amat jauh sekali.

Kenapa baginda perlu meninggalkan mereka? Kerana kalau baginda tinggal lagi di situ, baginda dan anak-anak baginda akan ada masalah dengan tauhid. Mereka akan susah untuk hidup dalam iman untuk mengamalkan tauhid. Oleh itu, kadang-kadang kita kena tinggalkan tempat tinggal kita kalau ianya akan memberi mudharat kepada iman kita. Bumi Allah ﷻ ini luas dan ada banyak tempat lagi.

Lihatlah keyakinan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ﷻ. Lihatlah pengharapan baginda kepada Allah ﷻ yang tidak berbelah bagi. Kita pun kena berharap begitu juga. Kita serahkan diri kita kepada Allah ﷻ. Itulah yang dinamakan ‘tawakal’.


 

Ayat 28: Allah ﷻ puji Nabi Ibrahim عليه السلام, supaya kita tahu bahawa apa yang dilakukannya itu adalah benar dan sepatutnya menjadi ikutan kita.

وَجَعَلَها كَلِمَةً باقِيَةً في عَقِبِهِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Sahih International

And he made it a word remaining among his descendants that they might return [to it].

Malay

Dan Nabi Ibrahim عليه السلام menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali

وَجَعَلَهَا كَلِمَةً بَاقِيَةً فِي عَقِبِهِ

Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya,

Baginda pastikan untuk sampaikan kalimah tauhid itu kepada keturunan baginda melalui wasiat. Baginda ajar ahli keluarga baginda. Maka kita pun kena ikut juga.

Kalimah yang mana?: itulah kalimah La ilaaha illallah. Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyampaikan ajaran tauhid dan Kalimah Tauhid itu kepada keturunannya. Jadi, walaupun baginda telah tiada, Nabi Ibrahim عليه السلام terkenal sebagai ‘bapa’ kepada Nabi-nabi.

Ini telah disebut dalam Baqarah:132

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

Nabi Ibrahim عليه السلام telah mengajar tauhid kepada anaknya sebelum baginda mati, dan anaknya juga mengajar anaknya. Sepanjang hidup baginda, baginda mengajar tauhid kepada anak-anaknya, dan semasa hendak mati pun baginda ajar perkara yang sama. Baginda juga berdoa supaya mereka tetap dalam tauhid. Seperti yang disebut dalam Ibrahim:40.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Ini mengajar kita supaya mengikut sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام ini dengan mengajar tauhid kepada anak-anak kita. Kena sampaikan wasiat kepada mereka tentang agama. Jangan kita outsource pengajaran agama kepada orang lain sahaja. Kita sendiri kena ajar anak cucu kita.

Ada yang ajar dan beritahu kepada orang lain, tetapi keluarga sendiri, mereka tidak ajar. Sanggupkah kita tengok anak-anak kita hidup dalam kesesatan? Dan kadang-kadang usaha yang kita lakukan untuk menjaga iman kita adalah kita kena tinggalkan masyarakat kita yang telah teruk dalam tauhid. Supaya iman anak-anak dan keluarga kita terjaga. Kita disuruh ikut sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام dalam Mumtahanah:4

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik.

Oleh itu, kita kena belajar tentang apakah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام supaya kita boleh ikut sunnah baginda. Nabi Ibrahim عليه السلام berusaha untuk menjaga iman dan dalam masa yang sama, baginda banyak berdoa kepada Allah ﷻ. Maka, selalulah kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya memberi iman kepada kita dan anak-anak kita.

Dan ingatlah bahawa doa sahaja tidak cukup, kita kena juga berusaha mendidik anak-anak kita. Luangkan masa untuk mengajar agama kepada mereka. Kalau kita hendak anak kita menghafal Al-Qur’an contohnya, kita kena paksa mereka dari kecil lagi untuk sayang kepada Al-Qur’an. Kita kena jadikan Al-Qur’an itu menarik kepada mereka. Dari kecil lagi kita ajar mereka baca Al-Qur’an. Janganlah ajar mereka menyanyi pula – tetapi ajarlah mereka Al-Qur’an.

Secara ringkasnya, Allah ﷻ telah jadikan perjuangan tauhid berkekalan kepada zuriat baginda. Anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام berada di atas akidah tauhid belaka. Ini janji Allah ﷻ,  maka kalau kita hendak anak cucu kita pun dalam tauhid, kita kena sebar tauhid.

 

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali

Iaitu kembali kepada menyembah Allah ﷻ sahaja. Supaya walaupun mereka dikelilingi oleh kesyirikan yang dilakukan manusia, mereka tetap mengamalkan tauhid.

Macam juga kita sekarang, kalau dilihat di luar sana, macam-macam kesesatan dan kesyirikin yang dilakukan oleh manusia yang kafir dan juga orang Islam sendiri. Tetapi kita kena kuatkan semangat kita untuk tidak mensyirikkan Allah ﷻ. Kita jangan terkesan dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat.

Yang paling penting sekali adalah iman kita. Kita kena berusaha untuk menjaga iman kita dan iman anak-anak kita. Kita kena berhati-hati dalam menjaga anak-anak kita. Jangan kita hanya beri ilmu akademik sahaja kepada mereka. Kita kena juga menyuntik ilmu agama kepada mereka. Dan untuk mengajar mereka, kita sendiri kena tahu ilmu agama. Kalau kita sendiri pun tidak tahu, bagaimana?

Kenapakah kisah Nabi Ibrahim عليه السلام banyak disebut dalam Al-Qur’an? Kerana Musyrikin Mekah mengaku yang mereka adalah keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام dan mereka mengaku mengamalkan ajaran tinggalan baginda. Jadi Allah ﷻ ingatkan kepada mereka apakah akidah Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka kena bandingkan akidah mereka dan akidah baginda.

Lihatlah apakah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah. Asalnya Nabi Ibrahim عليه السلام telah meninggalkan ajaran tauhid kepada mereka, tetapi semasa Nabi Muhammad ﷺ dibangkitkan, terdapat sampai 360 berhala di Kaabah itu. Itu bukanlah salah Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda telah mengajar tauhid kepada keturunan baginda. Tetapi yang mereka lakukan itu adalah kerana hawa nafsu mereka sendiri.

Maka kalau kita tidak tegakkan ajaran tauhid dalam keluarga dan masyarakat kita, begitulah nanti yang akan terjadi dalam dunia ini nanti. Kalau kita tidak jalankan kerja kita menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia, entah apalah yang akan terjadi di masa hadapan. Hendak jadi macam Musyrikin Mekahkah sampai ada berhala di Kaabah?


 

Ayat 29: Apakah sebab kekufuran manusia berterusan? Persoalan yang timbul adalah kenapa Musyrikin Mekah tidak menerima akidah seperti Nabi Ibrahim عليه السلام? Allah ﷻ jawab dalam ayat ini.

Masalah yang sama juga dihadapi dengan kebanyakan manusia. Iaitu, bila mereka hidup senang, mereka senang lupa agama. Kerana mereka rasa bila hidup mereka senang atas dunia, Allah ﷻ sudah redha kepada mereka dan mereka tidak perlu memperbaiki diri mereka lagi.

Orang kafir tidak mahu masuk Islam pun kerana tengok orang Islam susah dalam bentuk keduniaan dan mereka tidak mahu susah kerana mereka mahu hidup senang sahaja. Mereka rasa seolah-olah kalau masuk Islam, hidup mereka akan susah.

Oleh itu, tidak terjadi apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام harapkan kepada keturunan baginda kerana Musyrikin Mekah meninggalkan ajaran Nabi Ibrahim itu. Mereka buat juga syirik dan jauh dari agama. Tetapi adakah Allah ﷻ jadikan mereka mati sampai tidak ada baka? Allah ﷻ tidak buat begitu kepada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام Bahkan Allah ﷻ beri nikmat kepada mereka.

بَل مَتَّعتُ هٰؤُلاءِ وَآباءَهُم حَتّىٰ جاءَهُمُ الحَقُّ وَرَسولٌ مُّبينٌ

Sahih International

However, I gave enjoyment to these [people of Makkah] and their fathers until there came to them the truth and a clear Messenger.

Malay

(Kebanyakan mereka tidak kembali kepada tauhid, dan Aku pula tidak segerakan azab mereka) bahkan Aku memberikan mereka dan datuk nenek mereka menikmati kesenangan hidup, sehingga datanglah kepada mereka kebenaran (Al-Quran), dan seorang Rasul yang menerangkan tauhid.

بَلْ مَتَّعْتُ هَٰؤُلَاءِ وَآبَاءَهُمْ

Bahkan Aku telah memberikan kesenangan hidup kepada mereka dan datuk nenek mereka

Inilah sebab mereka tetap kufur dan jadi musyrik. Kerana mereka dapat kesenangan dan apa yang mereka mahu. Mereka diberikan dengan kesenangan hidup dalam dunia. Mereka tidak terus dihukum walaupun mereka melakukan syirik.

Mereka terpedaya dengan kesenangan dunia kerana Allah ﷻ tetap beri mereka kesenangan sekali pun akidah mereka akidah syirik. Dan kerana itu mereka tidak berfikir hendak mencari kebenaran kerana hidup mereka sudah senang. Begitulah mereka yang selesa dalam hidup tidak terfikir hendak belajar agama. Mereka rasa mereka sudah selamat. Mereka rasa mereka tidak perlu apa-apa lagi.

Begitulah juga yang terjadi kepada masyarakat kita yang mengamalkan bidaah dalam agama. Mereka mendapat kesenangan dengan menjual agama. Sebagai contoh, ada yang ambil upah untuk mandikan kereta dengan doa-doa tertentu supaya kereta itu kononnya dapat berkat dan jauh dari sial.

Itulah yang diajar oleh guru-guru yang salah faham tentang agama. Ada ustaz yang menasihatkan orang yang baru beli kereta untuk beri ustaz atau tok imam pakai dulu kereta itu supaya kereta itu selamat/berkat. Itu adalah satu pengambilan berkat yang salah. Tidak ada berkat pada ustaz atau imam, atau siak masjid yang membolehkan kereta itu selamat dari terkena bala dan musibah. Itu bukanlah cara yang pernah diajar Nabi ﷺ untuk menjaga keselamatan. Bahkan ini adalah cara yang khurafat.

Ada juga yang mendapat upah dengan berbomoh. Mereka menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk mengubat orang dan menghalau jin. Mereka mengenakan bayaran yang tinggi. Maka, berleluasalah perniagaan ini sampaikan penuhlah pusat-pusat perubatan mereka. Ini termasuklah Darul Syifa’ yang terkenal itu. Mereka dikatakan boleh ‘scan’ berapa ekor jin dalam tubuh seseorang itu dan mereka boleh halau atau letak jin-jin itu di dalam botol. Mereka itu tidak lain dan tidak bukan adalah uskun sahaja (ustaz + dukun).

Padahal, kebolehan mengesan jin tidak ada pada Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Maka, bila mereka kata mereka boleh kesan jin, halau jin, masukkan jin ke dalam botol, mereka telah berkata bahawa mereka lebih hebat dari Rasulullah ﷺ. Memang mereka tidak kata begitu, tapi begitulah hakikatnya.

Padahal, mereka mengamalkan amalan yang salah terang-terangan. Antaranya, mereka amalkan Selawat Syifa’ yang ada unsur kesyirikan di dalamnya. Kalau setiap hari beramal dengan amalan yang syirik, apa lagi jadi dengan mereka?

Dan masyarakat ramai yang tertipu kerana apa yang dilakukan oleh pengamal-pengamal amalan sesat itu seumpama ‘menjadi’ (berjaya) – kalau dahulu macam kena rasuk, sekarang sudah jadi baik. Kalau dahulu sakit, sekarang sudah lega. Itu semua bukanlah dalil yang mengatakan amalan mereka benar. Tidak sama sekali. Ini telah disentuh dalam Surah Fussilat.

Ada juga yang mendapat kelebihan dengan mengamalkan ilmu keramat. Dengan ilmu keramat itu, mereka boleh dapat macam-macam – boleh jadi kebal, boleh jadi kuat, pandai bersilat dan sebagainya. Maka, mereka dipandang tinggi oleh orang ramai. Mereka ada ramai anak murid yang hendak jadi macam mereka juga.

Mereka dapat ilmu keramat itu pula dengan mengamalkan ajaran-ajaran yang salah, yang mereka sangka benar. Mereka sangka benar itu adalah kerana ianya telah lama diamalkan oleh orang-orang terdahulu.

Ada yang dapat kekayaan dengan mengajar agama. Mereka mengenakan upah yang tinggi untuk mengajar, padahal kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar. Mengajar agama sepatutnya percuma. Tetapi, kebanyakan dari guru-guru agama dalam negara ini sekarang telah mengenakan bayaran yang tinggi. Sampaikan ada yang boleh buat profit-sharing dengan masjid tempat diadakan kelas pengajian (bila ada ceramah mereka, ramai yang datang dan bagi sumbangan).

Maka, kerana hendak menarik ramai orang, mereka telah berjenaka dalam kuliah mereka. Sampai keras perut mereka yang datang. Orang yang datang itu pun terhibur sampai meleleh air mata kerana gelak. Daripada tengok ‘Mahajara Lawak’, lebih baik tengok kuliah agama, kata mereka.

Padahal, tidak boleh berjenaka di dalam kelas pengajian. Kerana apa yang diajar adalah hal agama dan hal agama adalah perkara serius. Mereka akan jawab yang tujuan mereka berjenaka itu adalah supaya ramai datang ke kelas pengajian dan ia adalah salah satu cara untuk menarik orang muda untuk datang ke kelas agama.

Tetapi, ketahuilah, apabila jenaka digunakan dan orang datang kerana jenaka, mereka tidak mendapat pengajaran dari kelas itu. Kalau ditanya mereka apakah yang mereka pelajari dari kelas berjenaka itu, mereka pun tidak tahu. Yang mereka ingat hanyalah lawak jenaka itu.

Ada juga yang ambil upah dalam amal ibadat – jadi imam Solat Hajat, jadi tekong Majlis Tahlil, Doa Selamat, jadi pembaca talqin, jadi imam dan makmum Solat Jenazah dan macam-macam lagi. Ketahuilah bahawa tidak boleh mengambil upah dalam amal ibadat. Jikalau ambil upah juga, maka amal ibadat itu terbatal.

Jadi, apabila mereka mendapat imbuhan dengan mengamalkan ajaran yang salah, mereka tetap berada dalam kesesatan. Mereka tidak mahu meninggalkan apa yang sedang mereka lakukan, kerana ianya memberi keuntungan kepada mereka.

Secara ringkasnya, mereka sesat kerana:

  1. Mereka dapat apa yang mereka hajatkan di dunia ini walaupun tidak amalkan agama yang sebenar.
  2. Keadaan dunia mereka tidak tergugat pun walaupun mereka tidak mengendahkan tentang agama. Kehidupan mereka tetap senang lenang.
  3. Mereka anggap kesenangan yang mereka miliki itu kerana Allah ﷻ redha kepada mereka. Mereka sangka kalau Allah ﷻ redha kepada mereka semasa mereka di dunia, maka Allah ﷻ tentu redha kepada mereka di akhirat nanti.

 

حَتَّىٰ جَاءَهُمُ الْحَقُّ

sehingga datanglah kepada mereka kebenaran

Kesesatan yang diamalkan mereka itu hanya dapat dihapuskan dengan ‘kebenaran’. Yang dimaksudkan dengan kebenaran itu adalah Al-Qur’an. Apabila Al-Qur’an diturunkan kepada Musyrikin Mekah, barulah mereka tahu tentang agama dan tentang kebenaran.

Ianya mengeluarkan mereka dari kegelapan syirik kepada cahaya keimanan. Ada antara mereka yang menerima kebenaran wahyu itu dan mereka mengamalkan tauhid dan menyebarkan tauhid itu ke seluruh dunia.

Begitu jugalah pada zaman sekarang, kesesatan hanya dapat dihapuskan dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an. Kalau kita belajar apakah maksud Al-Qur’an, iaitu dengan belajar Tafsir Al-Qur’an, barulah kita dapat menyelamatkan diri kita.

Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, ramailah dari kalangan manusia yang tidak tahu agama dan terus berada dalam kesesatan. Berapa ramai yang telah belajar Tafsir Al-Qur’an bersama kami yang baru tahu apakah maksud ‘tauhid’, apakah maksud ‘syirik’ dan lain-lain lagi tentang agama. Mereka mengaku yang selama ini mereka duduk dalam kesesatan.

Mereka sangka sebelum ini mereka telah beramal yang benar, telah selamat, tetapi setelah belajar, barulah mereka tahu apakah kebenaran itu. Waktu itu baru mereka menangis kerana menangisi masa lampau yang mereka telah buang kerana mengamalkan amalan yang salah dan sia-sia. Mereka baru sedar yang kalaulah mereka mati sebelum tahu tafsir Al-Qur’an, tentulah mereka akan masuk neraka.

 

وَرَسُولٌ مُّبِينٌ

dan seorang Rasul yang jelas nyata

Allah ﷻ telah memakbulkan doa Nabi Ibrahim عليه السلام dalam Baqarah:129 untuk membangkitkan Rasul dari kalangan keturunannya yang akan membacakan ayat-ayat Allah ﷻ.

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Bagaimanakah Nabi Muhammad ﷺ dikatakan sebagai مُّبِينٌ (jelas)? Kerana jelas nyata kerasulan baginda, tanpa syak lagi. Dan baginda menjelaskan agama Islam dengan menggunakan Al-Qur’an yang juga jelas nyata.

Zaman sekarang, selain dari belajar Tafsir Al-Qur’an, kita kena belajar Sunnah Nabi ﷺ. Kerana Nabi ﷺ sudah tidak ada dalam kalangan kita tetapi ajaran sunnah baginda telah tertulis dalam hadis-hadis yang sahih. Apa yang ditinggalkan kepada kita adalah Kitab-kitab hadis yang telah disusun oleh ulama-ulama hadis. Maka, kenalah belajar hadis.

Tetapi, kita kenalah pastikan yang hadis yang kita gunakan sebagai pegangan kita adalah hadis-hadis yang sahih. Malang sekali apabila ramai dari kalangan masyarakat kita yang belajar agama, tetapi mereka tidak belajar hadis yang sahih. Maka, mereka tetap berada dalam kesesatan.

Malangnya, yang selalu beredar dalam kalangan kita adalah hadis-hadis yang palsu ataupun lemah. Maka, mereka menggunakan hadis yang tidak benar. Mereka sangka mereka benar kerana pakai hadis, tetapi akibat tidak belajar, hanya baca sendiri sahaja, atau belajar dengan guru yang salah, mereka telah melakukan kesalahan dalam agama.

Itulah bahayanya kalau tidak belajar dengan betul. Inilah bahayanya kalau tersalah pilih guru.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 17 – 22 (Orang dahulu sudah lama amal…)

Zukhruf Ayat 17: Musyrikin Mekah kata Allah ﷻ ada ‘anak perempuan’. Bagaimana pula kalau mereka sendiri yang dapat anak perempuan? Allah ﷻ ceritakan sikap mereka dalam ayat ini.

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِما ضَرَبَ لِلرَّحمٰنِ مَثَلًا ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ

Sahih International

And when one of them is given good tidings of that which he attributes to the Most Merciful in comparison, his face becomes dark, and he suppresses grief.

Malay

Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka dengan (berita bahawa dia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu yang sejenis dengan Allah Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati.

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِمَا ضَرَبَ لِلرَّحْمَٰنِ مَثَلًا

apabila diberikan dengan berita gembira kepada salah seorang dari mereka dengan yang dijadikan mereka sebagai misal kepada Allah Yang Maha Pemurah,

Iaitu kalau salah seorang dari Musyrikin Mekah, diberikan dengan berita yang mereka mendapat anak perempuan. Kalimah بُشِّرَ bermaksud ‘diberikan dengan berita gembira’. Ia juga boleh digunakan sebagai kata-kata perli. Macam kalau Allah ﷻ kata: “berikan mereka dengan ‘berita gembira’ akan dimasukkan ke neraka”.

Tentulah masuk neraka bukanlah berita gembira. Dan Allah ﷻ tahu yang mereka tidak suka mendapat anak perempuan, maka ‘berita gembira’ yang dimaksudkan adalah sebagai satu perli sahaja. Perli itu begini: “Kamu berikan anak perempuan kepada Allah ﷻ, nah sekarang kamu pun dapat anak perempuan. Tahniah! Kamu dapat sama macam yang Tuhan ada!”

Yang mereka telah jadikan ‘misal’ kepada Allah ﷻ: Iaitu yang mereka kaitkan dengan Allah ﷻ. Yang dimaksudkan adalah ‘anak perempuan’. Tidak disebut ‘anak perempuan’ dalam ayat ini. Al-Qur’an menggunakan bahasa isyarat yang merujuk kepada ayat-ayat sebelumnya. Kerana sebelum ayat ini adalah ayat tentang mereka memberikan ‘bahagian-bahagian’ kepada Allah ﷻ. Mereka kata Allah ﷻ mengambil anak perempuan.

Jadi, ayat ini bermaksud: apabila mereka diberitahu yang mereka mendapat anak perempuan. Apa yang terjadi apabila mereka diberikan dengan berita itu?

 

ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا

mukanya menjadi gelap

Kalimah ظَلَّ dari ظ ل ل yang antara lain bermaksud ‘naungan’, juga bermaksud ‘berterusan’. Kalau sesuatu kawasan itu dinaungi dengan awan, maka ia menjadi gelap, bukan?

Maka ini isyarat kepada wajah Musyrikin Mekah yang dapat berita dia dapat anak perempuan. Mukanya sampai gelap dan keruh muka mereka apabila mendapat berita itu. Itu adalah tanda mereka sedih sangat. Dan berterusan perasaan itu tidak berhenti.

Bukan sahaja mereka sedih, tetapi mereka juga marah dan malu. Dan macam-macam perasaan lagi dalam hati mereka. Mereka memang tidak suka kalau dapat anak perempuan.

 

وَهُوَ كَظِيمٌ

sedang dia menahan perasaan dalam hati.

Mereka menahan kemarahan, kesedihan, malu dan bermacam perasaan mereka supaya orang tidak perasan yang mereka tidak suka dengan anak perempuan itu. Mereka tidak mahu orang tahu kerana itu akan menambahkan lagi malu mereka.

Lihatlah bagaimana marah dan tidak sukanya mereka apabila diberi berita yang mereka mendapat anak perempuan. Kerana mereka memang tidak mahu anak perempuan. Sampaikan ada yang apabila isteri mereka mengandung, mereka akan bawa isterinya itu ke kawasan pedalaman supaya jauh dari manusia lain. Mereka akan duduk dalam khemah dan suami itu akan siap-siap gali lubang. Kalau isterinya melahirkan anak perempuan, terus dimasukkan ke dalam lubang yang telah siap digali dan dikambus. Dan kalau anak lelaki, barulah dibawa balik dan ditunjukkan kepada kaumnya yang lain.

Ada yang sampai tidak balik ke rumah jika mereka mendapat berita yang isteri mereka telah melahirkan anak perempuan. Mereka akan menyorok daripada khalayak ramai kerana malu. Ini ada disebut di dalam ayat Nahl:57-59

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ الْبَنَاتِ سُبْحَانَهُ وَلَهُم مَّا يَشْتَهُونَ

Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Dia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati.

يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِن سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

Dalam hal ini, Golongan Syiah telah mentohmah Saidina Umar رضي الله عنه dengan mengatakan yang Umar telah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Pernah dengar, kan? Cerita ini tersebar dalam masyarakat kita dan semua orang seperti menerima bahawa ianya adalah benar.

Ketahuilah yang itu adalah tohmahan kepada Saidina Umar رضي الله عنه kerana tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan beliau ada membunuh anak perempuannya. Ketahuilah yang beliau dari bangsa Quraish dan bangsa Quraish tidak membunuh anak perempuan mereka. Hanya puak tertentu dari bangsa Arab sahaja yang melakukannya, bukan semua.

Dan kalaulah Umar رضي الله عنه membunuh anak perempuannya, bagaimana pula ada Hafsah رضي الله عنها yang berkahwin dengan Nabi Muhammad ﷺ? Kenapa tidak dibunuh juga? Jadi, berhentilah kita mengatakan yang Umar وضي الله عنه membunuh anak perempuannya. Kerana beliau sudah mati dan kalau kita fitnah dia, bagaimana kita hendak meminta maaf?

Janganlah tertipu dengan diayah yang dibawa oleh Syiah yang telah lama masuk dalam masyarakat kita. Mereka memang benci dengan Saidina Umar رضي الله عنه dan mereka sanggup reka cerita palsu untuk menipu manusia. Maka janganlah berterusan dalam kejahilan. Memang sejarah yang kita ada kena dibersihkan kerana banyak yang salah, dan ini adalah salah satu darinya.

Tidak suka mendapat anak perempuan itu bukan sahaja terjadi kepada Musyrikin Mekah, tetapi kepada orang pada zaman sekarang juga. Ada yang tidak suka kalau mereka mendapat anak perempuan. Mereka rasa anak perempuan itu tidak menguntungkan. Dalam hati mereka, mereka mahukan anak lelaki. Tetapi sebenarnya anak perempuan lebih mulia dari anak lelaki. Lihatlah dalam ayat Syura:49.

لِّلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Allah ﷻ sebut ‘anak perempuan’ dahulu sebelum sebut ‘anak lelaki’. Dari susunan itu, kita dapat isyarat bahawa Allah ﷻ mendahulukan dan memuliakan anak perempuan. Kerana kita faham bahawa susunan ayat-ayat Al-Qur’an bukanlah tidak sengaja tetapi membawa isyarat tertentu.

Ada hadis dari Nabi ﷺ yang menyebut kelebihan mereka yang menjaga anak perempuan.

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.” Seorang lelaki bertanya: “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?” Sabda baginda: “Juga untuk dua anak perempuan.” Seorang lelaki berkata, “atau untuk seorang wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Juga untuk seorang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Di dalam hadis yang lain:

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah رضي الله هنها, dari Rasulullah ﷺ baginda telah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu dia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Maka, beruntunglah mereka yang diberikan kurnia anak perempuan oleh Allah ﷻ! Tetapi jangan lupa syarat pula: kena jaga mereka dengan baik.


 

Zukhruf Ayat 18: Allah ﷻ membuka apakah rahsia sebenar di dalam hati mereka yang tidak suka dengan anak perempuan.

أَوَمَن يُنَشَّؤُا فِي الحِليَةِ وَهُوَ فِي الخِصامِ غَيرُ مُبينٍ

Sahih International

So is one brought up in ornaments while being during conflict unevident [attributed to Allah ]?

Malay

Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang dia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

أَوَمَن يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ

Patutkah yang dibesarkan dalam perhiasan,

Ayat ini menceritakan tentang anak perempuan. Mereka itu biasa diberikan dengan barang perhiasan dari kecil lagi, dari bayi lagi. Bayangkan, selalunya anak perempuan yang belum berjalan pun sudah dipakaikan dengan loket dan gelang.

Bandingkan dengan anak-anak lelaki zaman itu: mereka bergaul dengan unta, dengan binatang ternak, dengan pedang dan lain-lain lagi yang sesuai dengan anak lelaki. Dan memang masyarakat Arab waktu itu mementingkan kekuatan badan dan kebolehan berperang. Kalau anak-anak lelaki zaman sekarang, mereka main dengan kereta mainan, dengan pistol mainan dan lain-lain lagi yang menunjukkan sifat kelelakian mereka.

Bukanlah kita hendak mengatakan ini salah, cuma hendak memberitahu kebiasaan yang dilakukan oleh ibubapa kepada anak perempuan mereka dan apa yang dilakukan dalam kehidupan mereka. Hendak menceritakan sifat perempuan itu bagaimana – mereka adalah makhluk yang lemah yang perlu dilindungi oleh mereka yang kuat. Mereka banyaknya dihiasi bagi nampak cantik sahaja, duduk di rumah sahaja. Allah ﷻ telah jadikan mereka memang begitu. Mereka suka kepada perhiasan sahaja.

Ayat ini menjadi dalil bahawa tidak salah kalau hendak pakai perhiasan. Tetapi janganlah perhiasan itu diutamakan sangat. Pakai lebih kurang cukuplah. Jangan buang duit sangat hingga pakai gelang sampai ke bahu!

Allah ﷻ bertanya kepada Musyrikin Mekah: Inikah yang kamu kaitkan dengan Aku? Kamu kaitkan Aku dengan makhluk yang lemah? Kamu hendak kata yang malaikat-malaikat itu lemah macam perempuan?

 

وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ

dan sedang dia semasa berdebat tidak jelas?

Iaitu dalam berdebat untuk mendapatkan hak mereka dalam masyarakat. الْخِصَامِ adalah jenis perdebatan untuk mempertahankan diri. Memang begitu pun keadaan perempuan. Mereka tidak pandai berdebat dan kalau mereka berkata, tidaklah jelas macam lelaki. Mereka lebih kepada ikut perasaan. Keadaan di waktu itu pun mementingkan kekuatan badan dan kata-kata untuk mempertahankan diri. Begitu juga zaman sekarang.

Orang perempuan selalunya tidak pandai berdebat. Mereka susah untuk menegakkan hak mereka. Mereka banyak bergantung kepada orang lelaki yang menjadi wali mereka. Mereka juga tidak pandai menggunakan kekerasan dan senjata. Dan mereka juga selalunya tidak terlibat dalam peperangan kerana tubuh badan mereka yang lemah. Mereka selalunya hanya akan menggunakan senjata mereka yang paling ampuh: Tangisan.

Ini adalah sifat wanita secara umum. Bukanlah setiap wanita sebegitu. Tentu ada juga yang pandai berhujah dan dapat mempertahankan diri mereka. Tetapi itu adalah yang berlainan dari yang kebiasaan.

Allah ﷻ tanya balik kepada Musyrikin Mekah, adakah mereka seperti ini yang kamu kaitkan dengan Dia? Lihatlah betapa lemahnya orang-orang perempuan itu. Adakah patut mereka yang lemah di dalam masyarakat itu dikaitkan dengan Allah ﷻ? Tentulah tidak patut. Mereka sendiri pun tidak suka kalau mendapat anak perempuan.

Jadi ini adalah satu tafsir kepada ini. Allah ﷻ menyebut sifat-sifat yang ada pada perempuan itu.

Tafsir kedua kepada ayat ini: Ianya adalah kata-kata mereka yang telah diberikan dengan anak perempuan. Mereka menangisi nasib malang yang telah diberikan kepada mereka. Pada mereka, mereka telah diberikan dengan anak yang hanya hidup di dalam perhiasan sahaja.

Mereka kena menghabiskan harta mereka untuk menjaga anak-anak perempuan mereka itu. Dan apabila anak-anak perempuan itu dewasa, mereka begitu lemah sampaikan untuk mempertahankan diri mereka sendiri pun tidak boleh.

Maknanya pada mereka, anak-anak perempuan itu langsung tidak dapat membantu ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi kalau ada pertelingkahan/peperangan. Apabila anak itu sudah dewasa dan boleh berkahwin, mereka akan terus mengikut suami mereka. Bukannya berkhidmat untuk ibubapa yang telah membesarkan mereka tetapi telah pergi kepada keluarga lain pula dan berkhidmat kepada keluarga itu pula.

Itulah rungutan mereka yang tidak suka apabila mereka diberikan dengan perempuan. Ini adalah tafsiran kedua dan kedua-dua boleh dipakai.

kecil-kecil lagi sudah pakai barang kemas

 

Zukhruf Ayat 19: Allah ﷻ beri dalil menolak kata-kata Musyrikin Mekah itu.

وَجَعَلُوا المَلٰئِكَةَ الَّذينَ هُم عِبٰدُ الرَّحمٰنِ إِنٰثًا ۚ أَشَهِدوا خَلقَهُم ۚ سَتُكتَبُ شَهٰدَتُهُم وَيُسئَلونَ

Sahih International

And they have made the angels, who are servants of the Most Merciful, females. Did they witness their creation? Their testimony will be recorded, and they will be questioned.

Malay

Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).

وَجَعَلُوا الْمَلٰئِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبٰدُ الرَّحْمَٰنِ إِنٰثًا

Dan mereka pula menjadikan malaikat-malaikat itu – yang juga hamba-hamba Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan.

Itulah hakikat para malaikat – hamba Allah. Mereka bukanlah anak-anak perempuan Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak memerlukan anak. Kalau hendak kata mereka itu anak Allah ﷻ, kenalah bawa dalil. Tentu mereka tidak dapat membawa dalil kerana memang tidak ada. Kerana itu adalah hujah tipu sahaja. Allah ﷻ tidak mempunyai anak perempuan, dan tidak juga mempunyai anak lelaki.

Adakah patut mereka kata para malaikat itu perempuan? Kalau begitu, mereka kata malaikat-malaikat itu lemahlah. Sebab mereka sendiri pun ada berkata yang perempuan itu lemah – main dengan barang perhiasan sahaja dan tidak dapat mempertahankan diri mereka pun. Nampak sangat tidak kena perumpamaan yang mereka gunakan.

 

أَشَهِدُوا خَلْقَهُمْ

Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu?

Yang mereka pandai-pandai berkata malaikat itu anak perempuan, adakah mereka lihat sendiri yang Allah ﷻ menjadikan mereka sebagai anak perempuanNya? Adakah mereka sendiri nampak yang malaikat-malaikat itu berjantina perempuan? Atau mereka pandai-pandai sahaja mengatakan perkara yang tidak mereka tahu.

Macam orang-orang kita yang mengatakan satu-satu perkara dalam agama, manakah dalil mereka? Jangan pandai-pandai cakap sahaja. Kebanyakannya pandai cakap sahaja.

 

سَتُكْتَبُ شَهٰدَتُهُمْ

Akan dituliskan penyaksian mereka

Segala kata-kata mereka akan ditulis. Begitu juga dengan kata-kata kita, akan ditulis. Jadi, jangan kita berkata sebarangan. Amat ramai yang mulut mereka hanya pandai berkata-kata tanpa dalil. Mereka macam tidak tahu yang setiap patah perkataan mereka akan ditulis.

Bayangkan pula: siapakah yang akan menulis kata-kata mereka itu? Bukankah yang menulis itu adalah Malaikat Kaatibin yang sentiasa bersama dengan kita? Bolehkah anda bayangkan ironisnya perkara ini? Mereka kata malaikat-malaikat itu perempuan, sedangkan malaikat itulah yang jadi tukang tulis kepada kata-kata mereka.

 

وَيُسئَلُونَ

dan mereka akan ditanya kelak

Mereka akan dipersoal dengan kata-kata mereka serta akan menerima balasannya kalau apa yang mereka katakan itu adalah penipuan sahaja.

Siapakah pula yang akan bertanya kepada mereka? Bukankah yang bertanya itu juga nanti adalah malaikat juga? Kerana dalam ayat yang lain, Allah ﷻ berfirman yang Allah ﷻ tidak mahu berkata-kata dengan mereka. Dari dalam kubur lagi pun kita sudah ditanya oleh dua malaikat.

Ayat ini mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita katakan. Ingatlah bahawa apa sahaja yang kita katakan akan ditulis. Termasuk juga apa yang kita tulis – dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam mana-mana media sekali pun. Oleh itu, jikalau kita memperkatakan dan memberikan maklumat yang tidak benar, maka berhati-hatilah. Ianya akan menyusahkan kita nanti.

Beginilah juga kita kena mengajar dan menegur anak-anak kita yang berkata macam-macam. Kalau kita lihat mereka menipu, kita kena ingatkan kepada mereka: “Husna, ingatlah yang Allah ﷻ akan menulis apa yang Husna cakapkan ini. Dan nanti Allah ﷻ akan tanya Husna kenapa cakap begini, begitu? Berani ke Husna nak cakap depan Allah ﷻ nanti?”


 

Zukhruf Ayat 20: Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan dari Allah ﷻ). Marilah kita dengar apakah hujah Musyrikin Mekah itu untuk membenarkan perbuatan syirik mereka itu. Mereka kononnya berdalil, tetapi bukan dengan dalil yang sahih.

Yang akan disebutkan nanti adalah contoh dalil bukan jenis ilmu. Ia adalah contoh bukan dalil tetapi dikatakan sebagai ‘dalil’. Mereka keliru antara ‘kehendak’ dan ‘redha’ Allah ﷻ. ‘Kehendak’ dan ‘redha’ Allah ﷻ bukan perkara yang sama, tetapi mereka kata sama.

Kehendak Allah ﷻ berbentuk umum – apa-apa sahaja terjadi dalam alam ini adalah atas kehendak Allah ﷻ. Tetapi redha Allah ﷻ adalah khusus. Jadi hujah yang mereka berikan adalah bathil. Kita kena faham, kalau Allah ﷻ benarkan, tidak semestinya Allah ﷻ redha.

وَقالوا لَو شاءَ الرَّحمٰنُ ما عَبَدنٰهُم ۗ مّا لَهُم بِذٰلِكَ مِن عِلمٍ ۖ إِن هُم إِلّا يَخرُصونَ

Sahih International

And they said, “If the Most Merciful had willed, we would not have worshipped them.” They have of that no knowledge. They are not but falsifying.

Malay

Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah malaikat itu”. (Sebenarnya) mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun mengenai kata-kata mereka (yang demikian), mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

وَقَالُوا لَوْ شَاءَ الرَّحْمَٰنُ مَا عَبَدْنٰهُم

Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah mereka itu”.

Musyrikin akan memberi hujah mereka: Kalau bukan Allah ﷻ yang kehendaki, tidaklah kami puja malaikat, Nabi atau wali-wali selain Allah ﷻ itu.

Ini adalah satu alasan yang selalu digunakan oleh manusia yang engkar. Mereka kata apa yang mereka buat itu semuanya adalah atas kehendak Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak suka, tentunya perkara itu tidak terjadi. Maknanya, mereka menyalahkan Allah ﷻ pula. Mereka kata, mereka buat syirik itu kerana Allah ﷻ hendak mereka buat begitu.

Maknanya, mereka kata Allah ﷻ suka mereka buat syirik! Itulah salah faham manusia dan Allah ﷻ telah menyebut kata-kata mereka dalam al-An’am:107

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكُوا

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya;

Ramai yang menggunakan hujah ini dalam menghalalkan perbuatan mereka. Ada yang kata: “Kalau Allah ﷻ takdirkan, tentu aku akan solat”, “Kalau Allah ﷻ hendak aku jadi baik, tentu Dia dah jadikan aku orang baik”, “Aku jadi begini sebab Allah ﷻ takdirkan aku jadi begini lah…”. Dan macam-macam lagi hujah-hujah batil yang mereka berikan.

Mereka tidak faham dengan maksud taqdir Allah ﷻ. Mereka keliru dengan Qada’ dan Qadar. Mereka tidak faham apakah perbezaan antara apa yang Allah ﷻ suka, dan apa yang Allah ﷻ benarkan. Kalau Allah ﷻ benarkan sesuatu perkara yang salah terjadi, bukanlah ianya bermakna Allah ﷻ suka.

Allah ﷻ boleh sahaja membenarkan sesuatu perkara itu terjadi tetapi dalam keadaan Allah ﷻ murka. Kerana kalau manusia hendak sangat buat perkara mungkar, Allah ﷻ boleh benarkan. Tetapi akan dikenakan dengan balasan di akhirat kelak! Hanya perkara yang Allah ﷻ suruh kita buat sahaja yang boleh dikira Allah ﷻ suka dengan perbuatan itu.

Kerana perasaan beginilah yang menyebabkan orang kafir terus berada dalam kekafiran. Lihatlah penganut Hindu pada Hari Thaipusam mereka. Mereka akan menanggung Kavadi yang amat berat sambil dicucuk-cucuk tubuh mereka. Selepas dicabut Kavadi dari tubuh mereka, tubuh mereka tidak berdarah langsung dan tidak jadi apa-apa. Molek sahaja keadaan mereka – tidak ada luka, tidak ada sakit apa-apa.

Perjalanan majlis syirik mereka itu pun berjalan dengan lancar sahaja. Tidaklah ada guruh gempita, taufan pun tidak turun. Tidaklah terjadi macam dalam filem Hindustan, bila Dewa tidak suka, ribut sabung menyabung. Pada mereka, kalau Tuhan tidak menahan atau melarang perbuatan mereka yang sebegitu, tentulah pada mereka, itu menunjukkan yang Tuhan suka dengan perbuatan mereka itu.

Sudahlah perbuatan mereka itu tidak dihalang oleh Tuhan, ianya ‘menjadi’ pula. Iaitu tujuan mereka melakukan upacara Thaipusam dan Kavadi itu adalah untuk menambahkan rezeki mereka. Dan tahun itu, memang rezeki mereka semakin banyak pula! Tentulah mereka lebih yakin lagi bahawa Tuhan suka dengan apa yang mereka lakukan. Mereka kata, kalau Tuhan tidak suka, takkan Dia akan berikan apa yang mereka mahu.

Kaum Sufi ala Taipusam
Puak sufi di Rajastan. Pada bulan Rejab mereka melakukan perayaan ala Thaipusam. Kononnya hendak beribadat tetapi tidak ikut syariat.

Jadi, manusia ada yang menggunakan alasan apa yang mereka lakukan itu ‘menjadi’, maka ia tentulah benar. Orang kita pun banyak menggunakan hujah yang sama. Sebagai contoh, ada yang mengamalkan ilmu keramat seperti Ilmu Kebal, Ilmu Menghilangkan Diri, Menunduk Orang dan sebagainya.

Mereka mendapat kelebihan itu selepas mereka melakukan sesuatu amalan dan selalunya juga, selepas mereka berpantang dari makan sesuatu jenis makanan. Apabila apa yang mereka kehendaki itu menjadi, maka bertambah yakinlah mereka yang amalan mereka itu benar. Pada mereka, kalau menjadi, bermakna betullah amalan itu.

Ingatlah bahawa sesuatu amalan itu ‘menjadi’, bukanlah dalil bahawa apa yang mereka lakukan itu benar. Ini telah dijelaskan dalam Surah Fussilat.

Yang buat amalan yang salah seperti berqasidah di stadium pula berkata: “Kalau salah, takkan ramai yang datang. Stadium tidak runtuh pun! Allah ﷻ suka dengan apa yang kami lakukan, sebenarnya.” Itulah kejahilan mereka. Dan kejahilan mereka itu kerana tidak belajar. Begitulah manusia, apabila tidak belajar senang ditipu. Apabila ada yang kata mereka keturunan Nabi ﷺ, semua pakat percaya dan ikut sahaja.

 

مَّا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ

Mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentangnya

Mereka berkata-kata dan berhujah tanpa ilmu pengetahuan. Mereka tidak tahu tentang syirik. Mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, macam orang-orang kita juga. Mereka pandai berkata-kata sahaja, tetapi ianya keluar dari akal yang jahil.

Keduanya, mereka yang berkata tentang anak perempuan Allah ﷻ itu tidak ada langsung ilmu tentangnya. Mereka hanya mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh tok nenek dan guru-guru mereka. Mereka tidak ada ilmu. Mereka sendiri tidak mahu belajar.

 

إِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

mereka hanyalah orang-orang yang berdusta!

Apabila mereka tidak boleh bawa dalil tentang hal agama, maka mereka dikira sebagai berdusta. Apa yang mereka keluarkan sebagai hujah itu adalah tanggapan dan agakan sahaja. Ianya tidak lebih dari andaian sahaja. Mereka sahaja yang sangka hujah mereka betul.

Oleh itu, bagaimana pula dengan masyarakat kita yang mengatakan banyak perkara dalam hal agama, tetapi tidak boleh bawa dalil, melainkan mereka kata: “ada dalam kitab itu dan ini”, “ustaz itu kata itu dan ini”. Dan ramai juga yang menggunakan akal mereka sahaja – mereka agak-agak sahaja yang sesuatu perkara itu benar. Itu semua adalah hujah yang bathil dan tidak ada nilai. Itu semua adalah dusta!


 

Zukhruf Ayat 21: Allah ﷻ ajar lagi kita bagaimana berhujah dengan mereka. Iaitu minta dalil dari mereka.

أَم ءآتَينٰهُم كِتٰبًا مِّن قَبلِهِ فَهُم بِهِ مُستَمسِكونَ

Sahih International

Or have We given them a book before the Qur’an to which they are adhering?

Malay

Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-Qur’an ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

أَمْ آتَيْنٰهُمْ كِتٰبًا مِّن قَبْلِهِ

Atau pernahkah Kami memberikan mereka sebuah Kitab sebelum Al-Qur’an ini

Apakah dalil mereka yang membenarkan dakwaan mereka, apabila mereka kata Allah ﷻ suka dengan perbuatan syirik mereka itu? Atau tentang malaikat itu anak perempuan Allah ﷻ? Adakah mereka merujuk kepada kitab dari Allah ﷻ yang membenarkannya? Adakah?

Tentulah tidak ada. Bangsa Arab tidak pernah mendapat kitab. Kalau mereka ada kitab wahyu lain, bolehlah hendak buat kira dan bawa berbincang, tetapi tidak ada pun. Mereka itu pakai hujah akal mereka sahaja, tetapi malangnya ramai dari kalangan masyarakat kita pun pakai akal sahaja. Bila hendak berhujah dalam hal agama, mereka boleh pakai akal sahaja; sedangkan agama ini kita kena bawa dalil.

 

فَهُم بِهِ مُسْتَمْسِكُونَ

lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?

Mereka tidak ada Kalam Allah ﷻ langsung untuk membenarkan kata-kata mereka. Mereka cuma ikut kata guru mereka dan tok nenek mereka sahaja. Tidak ada kitab langsung yang boleh menyokong dakwaan mereka itu. Padahal kalau kitab-kitab dahulu seperti Taurat dan Injil melarang kepada perbuatan syirik.

Ini mengajar kita bahawa dalil yang sah adalah dari wahyu Allah ﷻ.


 

Zukhruf Ayat 22: Kalau mereka tidak ada dalil kepada perbuatan syirik mereka, maka apakah hujah mereka? Ini adalah dalihan mereka lagi untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana hujah ini juga dikeluarkan oleh orang kita juga.

Siram air tabur bunga talqin tahlil-picsay
Nabi ﷺ pernah pacak pelepah tamar sekali sahaja dan tiada sahabat jadikan itu sebagai amalan sunnah… Sebahagian besar masyarakat telah jadikan siram air mawar, tabur bunga, talqin dan tahlil sebagai amalan untuk dipertahankan sebagai sunnah tok nenek.

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ

Sahih International

Rather, they say, “Indeed, we found our fathers upon a religion, and we are in their footsteps [rightly] guided.”

Malay

(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا ءآبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ

Bahkan mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama,

Kalimah أُمَّةٍ boleh bermaksud banyak perkara dan dalam ayat ini bermaksud ‘agama’. Itulah pentingnya belajar tafsir untuk mengetahui penjelasan tentang kalimah-kalimah yang kita mungkin tersilap terjemah dan tafsir jikalau tidak tahu. Kalau kita tahu satu terjemahan sahaja, maka pening kita untuk sesuaikan dengan maksud ayat ini. Kalau kalimah أُمَّةٍ ini sampai ada 4 jenis maksud yang digunakan di dalam Al-Qur’an. Mari kita lihat satu persatu.

1. Sekumpulan dari manusia. Ini yang kita banyak gunakan di dalam Al-Qur’an. Ini apabila kita kata ‘umat manusia’. Ini seperti firman Allah di dalam Baqarah:134 & 141

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya;

2. Yang membawa maksud syariat, jalan agama atau manhaj di dalam agama. Ini seperti firman Allah di dalam Zukhruf:22 ini.

3. Seorang lelaki yang diikuti dalam semua hal. Contohnya firman Allah di dalam Nahl:120

إِنَّ إِبراهيمَ كانَ أُمَّةً

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan

Nabi Ibrahim seorang sahaja, jadi tidak patutlah kalau dikatakan baginda ‘sekumpulan manusia’. Maksudnya di sini adalah baginda menjadi contoh bagi manusia. Inilah juga maksud gelaran ‘Imam’ yang diberikan kepada orang yang menguasai banyak ilmu agama yang menjadi rujukan kita. Ini seperti Imam Syafie, Imam Bukhari dan sebagainya kerana mereka menjadi contoh. Kita juga diajar untuk berdoa semoga Allah menjadikan kita sebagai ‘imam’ di dalam Furqan:74

وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا

dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa

4. Tempoh dari masa. Ini juga digunakan di dalam Yusuf:45

وَقالَ الَّذي نَجا مِنهُما وَادَّكَرَ بَعدَ أُمَّةٍ أَنا أُنَبِّئُكُم بِتَأويلِهِ فَأَرسِلونِ

Dan berkatalah orang yang selamat diantara mereka berdua dan teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya: “Aku akan memberitahumu berkenaan ta’wil mimpi itu, maka utuslah aku”.

 

Kalau kita tanya kepada golongan yang melakukan syirik dan bidaah, kenapa mereka beramal dengan apa yang mereka amalkan, mereka akan kata kerana mereka ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka. Dan kalau ditanya kepada tok nenek mereka, tok nenek itu akan kata mereka pun ikut apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka pula. Mereka juga merujuk kepada guru-guru dan ustaz-ustaz mereka yang telah berlalu. Guru-guru itu telah mati tetapi ajaran salah mereka  masih ada lagi.

Hujah dari datuk nenek ada dua jenis: ada yang benar dan ada yang salah. Kalau yang benar dan disandarkan kepada dalil maka kita bolehlah hendak ikut. Tetapi kita kena ingat, bukan semua boleh diikuti. Kena ikut yang benar.

Dan macam mana kita hendak tahu mana yang betul atau salah? Kena bandingkan dengan Al-Qur’an dan hadis. Tetapi ramai yang tidak buat perbandingan pun, mereka pakai ikut sahaja. Ini kerana mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, jadi macam mana mereka hendak tahu mana salah dan benar?

Beginilah yang banyak terjadi kepada masyarakat kita. Mereka hanya mengikut sahaja. Mereka telah dilahirkan dalam suasana agama yang sebegitu, dan mereka tidak pernah mempersoalkan. Mereka tidak menggunakan akal mereka yang waras dan kritis. Mereka ikut buta sahaja.

Sebagai contoh, dari kecil lagi mereka telah melalui Majlis-majlis Tahlil, Doa Selamat dan Kenduri Arwah. Jadi, kerana mereka lahir dan membesar dalam suasana bidaah, mereka rasa bidaah itulah yang benar. Tetapi hendak bagi sedap sikit, mereka katalah itu ‘bidaah hasanah’. Yang kata begitu adalah mereka yang tidak faham tentang bidaah dan tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan bidaah hasanah.

 

وَإِنَّا عَلَىٰ ءآثٰرِهِم مُّهْتَدُونَ

dan sesungguhnya kami merasa mendapat petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

Mereka ikut apa yang diajar dan dibuat oleh orang-orang terdahulu dan mereka rasa apa yang mereka lakukan itu adalah betul. Mereka rasa jalan itu adalah jalan yang mendapat petunjuk. Mereka rasa kalau orang dahulu buat begitu, takkan salah apa yang mereka lakukan.

Mereka amat menghormati apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita tegur mereka, mereka akan marah dan mereka berkata: “Takkan kamu nak kata mereka yang dulu itu masuk neraka semuanya?” Atau mereka kata: “benda ini ulama dulu sudah lama bahas dah, kenapa nak ditimbulkan lagi?”.

Ingatlah bahawa dalil kita bukanlah amalan orang terdahulu tetapi dari Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau apa yang dilakukan oleh orang yang terdahulu itu tidak dapat disokong dengan dalil yang sahih, maka tinggalkanlah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. 

Kemaskini: 2 Ogos 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 11 – 16 (Tentang hujan dan Doa naik kenderaan)

Doa ketika hujan dan zikir lepas hujan
Doa dan zikir tentang hujan.

Ayat 11:

وَالَّذي نَزَّلَ مِنَ السَّماءِ ماءً بِقَدَرٍ فَأَنشَرنا بِهِ بَلدَةً مَّيتًا ۚ كَذٰلِكَ تُخرَجونَ

Sahih International

And who sends down rain from the sky in measured amounts, and We revive thereby a dead land – thus will you be brought forth –

Malay

Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu, lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).

وَالَّذِي نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ

Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan menurut sukatan,

Allah ﷻlah yang menurunkan hujan sebagai rahmat untuk kita. Dan Dia yang menentukan berapa banyak air hujan yang patut turun. Ada yang turun banyak, dan kadang-kadang turun sedikit sahaja. Semuanya dalam perintah Allah ﷻ. Dia menurunkan hujan mengikut keperluan tempat itu.

Pernahkah kita terfikir, kalau air hujan itu turun banyak, dari manakah datangnya air hujan yang banyak itu? Jika kita melihat awan, tidak nampak pun airnya. Tetapi apabila hujan turun,  tidak pula berhenti beberapa hari, sampai boleh banjir sesuatu kawasan itu. Akan tetapi, sumber air itu masih ada lagi. Allah ﷻ sahajalah yang Maha Mengetahui berapa banyak air yang ada di dalam awan.

Apabila kita melihat bagaimana turunnya air itu, maka tahulah kita bahawa semuanya itu mengikut ketetapan Allah ﷻ. Kita tidak dapat menentukannya. Air banyak lagi, tetapi Allah ﷻ tidak menurunkan semuanya. Allah ﷻ menurunkan hujan mengikut kadar keperluan makhluk sahaja. Kerana Allah ﷻ berikan air itu sebagai rahmat. Kalau ianya sebagai rahmat, ia tentunya memberikan kebaikan. Jadi, hendaklah kita bersyukur di atas nikmat itu.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah ﷻ menurunkan air hujan sedikit demi sedikit supaya ianya dapat dimanfaatkan oleh makhlukNya. Kalaulah Allah ﷻ menurunkan hujan banyak sekaligus, itu sudah tentu tidak bagus kerana akan menjadi banjir. Kita pun susah untuk hidup dan tanaman juga boleh mati.

Oleh kerana itu, Allah ﷻ menurunkan hujan sedikit demi sedikit sahaja. Umpamanya kita menyiram air untuk tanaman, kita beri air sedikit sahaja. Kalau kita beri banyak, tentulah pokok yang kita tanam itu akan mati. Maka begitu jugalah dengan dunia ini disirami air sedikit demi sedikit. Sesekali sahaja diberikan banyak air hujan sehingga banjir. Dan banjir itu tentunya adalah kerana keperluan tempat itu, kita sahaja tidak nampak rahmatnya.

Tetapi, itu tidak selalu berlaku dan kita juga kena terima bahawa itu ada kebaikan untuk tempat itu. Kalau ada tempat lain yang terkena banjir, maka bersyukurlah kerana di tempat kita tidak terkena banjir. Mungkin Allah ﷻ hendak membersihkan tempat itu dari wabak penyakit dan sebagainya. Kita serahkan hal ini kepada kebijaksanaan Allah ﷻ.

 

فَأَنشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتًا

lalu Kami hidupkan dengan air hujan itu negeri yang mati.

Allah ﷻ memberitahu di dalam ayat ini, dengan air hujan dari langit itulah yang menghidupkan kawasan yang tidak subur itu. Adakah ada Tuhan lain yang membuatnya? Tentulah tidak.

‘Mati’ itu bermaksud bumi itu kering tandus tanahnya sebab telah lama kemarau. Tidak ada tumbuhan yang dapat hidup kalau tidak ada air. Apabila tumbuhan tidak dapat hidup, haiwan dan manusia pun tidak dapat tinggal di situ. Apabila Allah ﷻ memberikan air hujan kepada tanah itu, tanah itu kembali subur dan tanaman pun dapat hidup subur. Barulah hidup kembali tanah itu. Binatang dan manusia pun kembali tinggal di situ.

 

كَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ

Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan

Begitulah juga kita dihidupkan semula dan dikeluarkan dari kubur. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita akan dihidupkan selepas kita mati. Sebagaimana Allah ﷻ boleh menghidupkan tanah yang mati, maka Allah ﷻ juga boleh menghidupkan kita selepas kita mati. Sebagaimana tumbuhan dikeluarkan dari tanah, begitu jugalah kita akan dikeluarkan dari tanah kubur kita nanti.

Dan kita kena yakin bahawa mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukannya. Kerana Qudrat yang sama sahaja untuk menghidupkan tanah yang tandus dan untuk menghidupkan manusia yang sudah mati.


 

Ayat 12: Allah ﷻ menceritakan lagi jasaNya.

وَالَّذي خَلَقَ الأَزوٰجَ كُلَّها وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الفُلكِ وَالأَنعٰمِ ما تَركَبونَ

Sahih International

And who created the species, all of them, and has made for you of ships and animals those which you mount.

 

Malay

Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Dia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya,

 

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوٰجَ كُلَّهَا

Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya;

Kalimah الْأَزْوَاجَ bermaksud ‘pasangan’. Allah ﷻ menciptakan makhluk dengan berpasangan dan berjenis-jenis. Kalau kepada binatang, ada jantan betina. Kepada tanaman, ada pasangannya atau lawannya. Begitu jugalah kita ada lelaki dan wanitanya. Yang tidak ada pasangan hanya Allah sahaja.

Perkara yang berlawanan pun termasuk dalam maksud ‘pasangan’ juga. Macam tangan kita, ada tangan kiri dan kanan. Dalam alam juga sentiasa ada pasangan. Malam dan siang; panas dan sejuk. Dan macam-macam lagi. Ini seperti yang disebut dalam ayat Yassin:36

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang tidak ada pasangan atau lawanNya.

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ

dan Dia mengadakan bagi kamu kapal-kapal

Allah ﷻ lah juga yang menjadikan alat pengangkutan untuk kita. Kapal adalah contoh pengangkutan di lautan untuk kita.

Allah ﷻ kata dalam ayat ini, Dia lah yang menjadikan kapal-kapal itu. Kenapa pula? Bukankah manusia yang merekacipta kapal itu? Tidak sebenarnya. Allah ﷻlah yang bertanggungjawab memberi ilham kepada manusia bagaimana membuat kapal. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah memberi ilham kepada Nabi Nuh عليه السلام untuk membuat kapal sebelum terjadinya Banjir Besar.

 

وَالْأَنْعٰمِ مَا تَرْكَبُونَ

dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya,

Sebelum ini disebut pengangkutan di lautan dan sekarang Allah ﷻ menceritakan dari rahmatNya, Dia telah memberikan pengangkutan di daratan juga untuk kita. Kapal mewakili kenderaan yang kita buat dan binatang mewakili kenderaan yang Allah ﷻ jadikan.

Dalam ayat ini tidak disebut pengangkutan di udara, tetapi ia juga termasuk di dalam jenis-jenis pengangkutan. Cuma Allah ﷻ tidak sebut kerana kalau disebut, terkejut pula masyarakat Arab waktu itu.


Doa naik kenderaan
Dalil Doa Naik Kenderaan daripada Quran dan Hadis.

Ayat 13: Kenapakah Allah ﷻ menjadikan alat pengangkutan untuk kita?

لِتَستَووا عَلىٰ ظُهورِهِ ثُمَّ تَذكُروا نِعمَةَ رَبِّكُم إِذَا استَوَيتُم عَلَيهِ وَتَقولوا سُبحٰنَ الَّذي سَخَّرَ لَنا هٰذا وَما كُنّا لَهُ مُقرِنينَ

Sahih International

That you may settle yourselves upon their backs and then remember the favor of your Lord when you have settled upon them and say. “Exalted is He who has subjected this to us, and we could not have [otherwise] subdued it.

Malay

Supaya kamu duduk tetap di atasnya;  kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya –

لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ

Supaya kamu duduk tetap di atasnya;

Kalimah تَسْتَوُوا dari katadasar س و ي yang bermaksud ‘naik dan duduk dengan tetap’. Iaitu kalau naik kuda, semasa naik itu kena panjat, dan kemudian kita betulkan kedudukan atas kuda itu. Apabila sudah selesa, sudah tetap, barulah dinamakan سوي.

Kalimah istiwa’ juga berasal daripada kata dasar yang sama. Dalam ayat ini bermaksud Allah ﷻ telah memberikan kita dapat duduk di dalam kenderaan kita dengan kukuh dan selesa. Kalau dulu, duduk atas kuda atau unta, tetapi zaman sekarang, ianya adalah kereta, motosikal, bas dan macam-macam lagi.

Allah ﷻlah yang telah menjadikan kita dapat menguasai binatang-binatang sebagai kenderaan itu. Bayangkan, seekor gajah besar tetapi seorang budak boleh duduk di atas dia dan kawal dia. Allah ﷻ yang buat begitu untuk memudahkan kita. Tetapi malangnya manusia tidak patuh pada Tuhan.

Kalau zaman sekarang, kita duduk di atas motor, di dalam kereta atau pengangkutan yang lain. Sama sahaja – Allah ﷻ juga yang berikan nikmat itu.

 

ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ

kemudian hendaklah kamu mengingati nikmat Tuhan kamu

Bila kita duduk di atas dan dalam kenderaan yang Allah ﷻ telah jadikan untuk kita, hendaklah waktu itu kita ingat yang itu adalah nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Tidak kira sama ada ianya basikal, motosikal, keretapi, kapal terbang atau apa-apa sahaja pengangkutan yang lain.

Dengan kenderaan itu dapat memudahkan kita untuk bergerak ke mana-mana. Kalau tidak, kita kena berjalan kaki sahaja dan itu amat memenatkan.

Maksudnya, Allah ﷻ jadikan segala kenderaan itu adalah supaya kita boleh mengingatiNya. Kita kena ingat yang Allah yang telah beri nikmat kenderaan itu kepada kita, tidak kira kenderaan apa pun. Dan bila sudah ingat itu, hendaklah kita bersyukur kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beri nikmat itu kepada kita. Dan hendaklah kita membacakan doa naik kenderaan yang kita akan sebutkan selepas ini.

 

إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ

apabila kamu duduk tetap di atasnya,

Ingatlah kepada nikmat Allah ﷻ ketika telah duduk di atas kenderaan itu. Jangan kita rasa bangga dengan alat pengangkutan yang kita ada. Memang dari dahulu lagi, kenderaan adalah suatu perkara yang boleh menyebabkan manusia berbangga dengan kedudukan mereka. Memang itu kenderaan kita, tetapi siapa yang beri?

Kalau dahulu, orang yang naik kuda lebih bangga dari yang naik keldai. Zaman sekarang, kalau naik BMW, lebih berbangga dari naik kereta Proton. Kalau naik motor Harley, lebih berbangga dari naik motor kapcai sahaja. Tetapi ingatlah siapa yang beri kepada kita. Bukan kita dapatkan sendiri tetapi Allah ﷻ yang beri kepada kita sebagai nikmat.

 

وَتَقُولُوا سُبْحٰنَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا

serta supaya kamu mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami,

Allah ﷻlah yang memudahkan kita untuk menjinakkan binatang yang dijadikan sebagai binatang tunggangan. سَخَّرَ bermaksud ‘meletakkan sesuatu di bawah kawalan’ kita. Seperti Allah ﷻ membenarkan kita mengawal kuda, unta, dan sebagainya.

Dan dalam zaman sekarang, kita mengawal kereta, motor dan sebagainya. Maka kita bukan sahaja disuruh untuk mempercayainya, tetapi kita juga disuruh untuk menyebutnya dengan lisan seperti yang diajar dalam ayat ini. Dengan membaca doa ini, maka kita menaiki kenderaan itu bukan perbuatan kosong sahaja, tetapi sudah dikira sebagai ‘ibadah’.

 

وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ

sedang kami tidak terdaya menguasainya –

Perkataan مُقْرِنِينَ dari kata dasar ق ر ن yang bermaksud ‘mengikat sesuatu bersama’, seperti mengikat dua unta bersama. Boleh juga bermaksud, ‘berkuasa ke atas sesuatu’, seperti kenderaan. Kerana bila kita boleh ikat sesuatu, maka kita sedang menguasainya, bukan?

Tetapi kita tidak ada kuasa penuh sebenarnya. Kalau kuda tidak bergerak, macam mana? Kalau kereta yang kita sedang naik itu breknya rosak, atau tayar pecah, apa yang kita boleh lakukan? Kita tidak ada daya upaya untuk menyelamatkan diri kita. Waktu itu, kita hanya bergantung kepada rahmatNya sahaja untuk menyelamatkan diri kita.

Hendak hidupkan kereta itu sendiri kita tidak ada daya upaya. Tidak pernahkah anda hendak pergi kerja pada pagi hari, pusing-pusing kunci kereta, tetapi ianya tidak hidup? Waktu itu, bagaimana?

Maksud ayat ini adalah Allah ﷻ hendak memberitahu yang kita tidak akan mampu untuk menguasai kenderaan itu kalau tanpa izin Allah ﷻ. Bayangkan, kuda dan unta itu sebenarnya lebih besar dan lebih kuat dari kita, bukan? Kalau bukan Allah ﷻ yang benarkan kita menguasainya, kita tidak akan mampu.

Jadi kena ingat dan bersyukur kepada Allah ﷻ semasa naik kenderaan itu. Ingatlah betapa besarnya nikmat yang Allah ﷻ telah berikan. Allah ﷻ telah mudahkan kita untuk berurusan dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Jangan kita berbangga sangat dengan kenderaan hebat dan mewah yang kita ada. Kerana Allah ﷻlah yang memberikannya kepada kita. Ingatlah juga bagaimana kemajuan kenderaan telah memudahkan kita. Kalau dahulu, kena jinakkan binatang baru boleh menaikinya. Ianya bukan laju sangat pun. Tetapi sekarang, dengan segala kemudahan yang ada, amat mudah untuk kita ke mana-mana. Entah apalah lagi nanti kenderaan di masa hadapan.


 

Ayat 14: Allah ﷻ bawa peringatan tentang kenderaan kerana hendak bawa kepada perjalanan ke akhirat. Jangan lupa yang kita menuju akhirat sebenarnya.

وَإِنّا إِلىٰ رَبِّنا لَمُنقَلِبونَ

Sahih International

And indeed we, to our Lord, will [surely] return.”

Malay

“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita akhirnya akan kembali menemui Allah ﷻ. Padahal, baru tadi bercakap tentang pengangkutan dan perjalanan. Apakah kaitannya?

Maksudnya, setiap perjalanan sepatutnya mengingatkan kita kepada perjalanan menemui Allah ﷻ. Kerana apabila kita dalam perjalanan, akhirnya kita mesti akan berhenti juga akhirnya, bukan? Sama ada kita sampai ke destinasi kita atau tidak. Samalah juga dengan perjalanan hidup ini, ianya akan berakhir juga. Kerana kehidupan kita ini juga adalah perjalanan yang besar sebenarnya.

Memang kena baca dan fahami doa ini. Kerana entah kita akan kemalangan dengan kenderaan itu dan mati semasa dalam kenderaan itu. Maka kenalah ada zikir kepada Allah dan jangan kita lupa tentang kematian yang bakal menjelang. Jadi ayat ini memang mengingatkan kita sangat kepada kematian.

Ayat 13 dan ayat 14 ini adalah sebahagian dari doa yang diajar oleh Nabi ﷺ apabila kita menaiki kenderaan ini. Sebagaimana yang tersebut dalam hadis:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ عَلِيِّ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ شَهِدْتُ عَلِيًّا أُتِيَ بِدَابَّةٍ لِيَرْكَبَهَا فَلَمَّا وَضَعَ رِجْلَهُ فِي الرِّكَابِ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا فَلَمَّا اسْتَوَى عَلَى ظَهْرِهَا قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثُمَّ قَالَ { سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ } ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ثَلَاثًا وَاللَّهُ أَكْبَرُ ثَلَاثًا سُبْحَانَكَ إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ثُمَّ ضَحِكَ قُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَنَعَ كَمَا صَنَعْتُ ثُمَّ ضَحِكَ فَقُلْتُ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ ضَحِكْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنَّ رَبَّكَ لَيَعْجَبُ مِنْ عَبْدِهِ إِذَا قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ غَيْرُكَ وَفِي الْبَاب عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah telah menceritakan kepada kami Abu Al Ahwash dari Abu Ishaq dari Ali bin Rabi’ah, dia berkata; aku menyaksikan Ali diberi haiwan untuk dia tunggangi, kemudian tatkala dia telah meletakkan kakinya di dalam sanggurdi, dia mengucapkan; BISMILLAAH tiga kali, dan ketika telah berada di atas punggungnya dia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH, kemudian dia mengucapkan; SUBHAANALLADZII SAKHKHARA LANAA HAADZAA WA MAA KUNNAA LAHUU MUQRINIIN, WA INNAA ILAA RABBINAA LAMUNQALIBUUN (Maha Suci Dzat yang telah menundukkan untuk kami haiwan ini, dan tidaklah kami dapat memaksakannya, dan kepada Tuhan kami niscaya kami akan kembali). Kemudian dia mengucapkan; Al HAMDULILLAAH tiga kali, WALLAAHU AKBAR tiga kali, SUBHAANAKA INNII QAD ZHALAMTU NAFSII FAGHFIR LII, FAINNAHU LAA YAGHFIRUDZ DZUNUUBA ILLAA ANTA (Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzhalimi diriku maka ampunilah aku. Kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali engkau). Kemudian dia tertawa. Aku katakan; kerana apakah engkau tertawa wahai Amirul mukminin? Dia berkata; aku melihat Rasulullah shallallahu wa’alaihi wa sallam melakukan seperti apa yang aku lakukan kemudian beliau tertawa dan aku katakakan; kerana apakah anda tertawa wahai Rasulullah? Beliau bersabda: “Sesungguhnya Tuhanmu sungguh merasa kagum kepada hambaNya apabila mengucapkan; ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, kerana  sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa selainMu. “Dalam bab ini terdapat riwayat dari Ibnu Umar radliallahu ‘anhuma. Abu Isa berkata; hadits ini adalah dari Sunan at-Tirmidzi dan dinilai hadits hasan shahih.

Doa ini adalah doa apabila kita menaiki kenderaan darat dan kenderaan lain (kerana tidak ada doa khusus untuk kenderaan lain maka pakai doa yang ini juga). Lebih spesifik lagi, apabila mula masukkan kaki ke dalam kereta, sebutlah bismillah. Dan apabila sudah duduk kemas dalam kereta maka sebutlah alhamdulillah dan diikuti dengan doa seterusnya yang diambil dari ayat Surah Zukhruf ini.

Berdoalah dengan yakin bahawa Allah sahaja yang boleh menyempurnakan hajat kita. Jangan kita ada perasaan yang Allah tidak dengar dan tidak makbulkan doa kita. Kalau kita berdoa, tetapi waktu itu sendiri kita sudah rasa yang Allah tidak akan makbulkan, doa itu tentunya tidak makbul.


 

Ayat 15: Ayat 15 – 25 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia mengandungi hujah bantahan syirik Sifat Dzat Allah.

Sebelum ini, apabila ditanya kepada Musyrikin Mekah, siapakah yang menjadikan alam ini, mereka akan menjawab: Allah . Tetapi apabila dalam hal ibadat dan dalam doa, mereka berkongsi pula doa kepada ilah yang lain: ada yang diberi kepada Allah dan ada yang diberikan kepada entiti yang lain; ada yang mereka hadapkan doa kepada selain dari Allah .

Ayat ini sampai ayat ke 25 adalah teguran kepada akidah Musyrikin Mekah. Nikmat Allah sudah beri dan kalau sudah pakai segala nikmat itu, maka sepatutnya kena taatlah kepada Allah .

Kalau taat, segala nikmat itu dikira sebagai percuma sahaja, tidak akan ditanya lagi. Kerana sudah dikira kita ‘bayar’ nikmat-nikmat itu dengan amalan dan iman kita. Tetapi kalau tidak taat, maka mereka akan kena tanya dengan segala nikmat yang mereka pakai itu. Waktu itu, macam mana hendak jawab?

وَجَعَلوا لَهُ مِن عِبادِهِ جُزءًا ۚ إِنَّ الإِنسٰنَ لَكَفورٌ مُّبينٌ

Sahih International

But they have attributed to Him from His servants a portion. Indeed, man is clearly ungrateful.

Malay

Dan mereka (yang musyrik mempersekutukan Allah dengan) menjadikan sebahagian dari hamba-hamba Allah sebagai anak bagiNya. Sesungguhnya manusia (yang demikian sesatnya) sangat tidak mengenang budi, lagi nyata kufurnya.

وَجَعَلُوا لَهُ مِنْ عِبَادِهِ جُزْءًا

Dan mereka menjadikan untuk Allah, dari hamba-hambaNya, bahagian-bahagian.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘bahagian’? Musyrikin Mekah mengatakan para malaikat itu adalah ‘sebahagian’ dari Allah ﷻ, iaitu mereka kata para malaikat itu adalah anak perempuan Allah . Kerana anak adalah ‘sebahagian’ dari ibubapanya. Sebagaimana Nabi ﷺ pernah bersabda yang Fatimah adalah sebahagian dari baginda.

Oleh kerana salah faham mereka, mereka puja malaikat. Mereka tahu tentang malaikat dari maklumat mulut ke mulut dari tok nenek mereka kerana mereka tidak ada maklumat jelas dari kitab wahyu.

Oleh kerana mereka tidak ada kitab dan ilmu yang benar, mereka ditipu syaitan untuk terima bahawa malaikat itu jantinanya perempuan dan mereka itu ‘anak Allah’ . Dan datangnya dari hubungan kelamin Allah dengan jin (ma sha Allah!). Dan berbagai-bagai sangkaan yang salah dan buruk. Itu semua adalah penipuan dari syaitan.

Atau, ia juga boleh juga bermaksud bahagian-bahagian sembahan korban yang diberikan. Musyrikin Mekah menetapkan ada bahagian untuk Allah dan ada bahagian lain untuk berhala-berhala. Ini sudah banyak disentuh dalam surah al-An’am.

Konteks ayat ini lebih menjurus kepada perbuatan Musyrikin melantik ‘bahagian’ kepada Allah . Iaitu mereka yang syirik itu menjadikan makhluk sebagai ‘wakil’ kepada Allah . Ada yang sampai menjadikan makhluk sebagai ‘Anak Tuhan’. Kalau Musyrikin Mekah, mereka menjadikan para malaikat sebagai anak perempuan Tuhan; Yahudi pula menjadikan Nabi Uzair عليه السلام sebagai Anak Tuhan. Penganut Kristian pula menjadikan Nabi Isa عليه السلام sebagai Anak Tuhan.

Ini adalah fahaman yang salah dan amat keliru sekali. Kalau ditanya kepada penganut Kristian yang pandai sikit, adakah benar-benar Nabi Isa عليه السلام itu ‘Anak Tuhan’, mereka akan menjawab, bukanlah baginda anak sebenar tetapi ‘Anak Angkat’.

‘Anak Angkat’ kita pun tahu, bukanlah anak sebenar. Ianya sebagai satu kedudukan yang rapat dengan seseorang sahaja. Kalau dikatakan seseorang itu anak angkat kepada seorang menteri, tentulah dia amat rapat dengan menteri itu dan dapat meminta macam-macam kepada menteri itu. Maka, masyarakat akan pergi kepada anak angkat itu kalau mereka ada hajat dengan menteri itu.

Jadi meminta pertolongan kepada ‘anak angkat’ Allah adalah syirik. Ini macam juga masyarakat Islam kita sekarang yang memuja Nabi Muhammad ﷺ hanya kerana hendakkan Syafaat daripada baginda. Atau untuk menyempurnakan hajat mereka. Kerana mereka anggap Nabi ﷺ itu rapat dengan Allah , maka tentulah Nabi ﷺ akan membantu mereka capai hajat mereka. Mereka anggap Nabi Muhammad ﷺ rapat dengan Allah , seolah-olah baginda ‘anak angkat’ kepada Allah pula.

Sebab itu kalau kita pergi ke Masjid Nabawi di Madinah, kita akan lihat ramai yang beratur untuk melihat kubur Nabi Muhammad ﷺ. Kita akan dapat lihat antaranya orang-orang Melayu akan banyak ada di situ. Mereka akan beri salam kepada baginda dan berkata lebih kurang begini: “Wahai Rasulullah, kita tak pernah berjumpa, tetapi kami sudah datang dari jauh ni. Janganlah lupa kami apabila beri Syafaat nanti. Kami datang dari jauh ni…”

Mereka bercakap dengan kubur Nabi ﷺ macamlah Nabi ﷺ hidup lagi. Dan ada yang baling kertas yang tertulis permintaan mereka kepada baginda. Kalaulah bukan kerana ada petugas yang menjaga di kubur baginda, tidak tahulah apa yang terjadi. Ini bukanlah cara Allah menyempurnakan hajat manusia. Ini adalah cara yang amat salah sekali yang tidak pernah diajar oleh Allah dan Nabi ﷺ sendiri. Oleh kerana itu kalau petugas di kubur Nabi ﷺ itu nampak ada orang tadah tangan, mereka akan halang.

Perbuatan meminta kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah perbuatan orang jahil. Dan mereka sampai jahil tentang Syafaat, sampaikan mereka sangka baginda boleh beri syafaat dengan kehendak baginda sendiri. Padahal dalam ayat-ayat lain telah menegaskan bahawa bukan Nabi ﷺ yang buat keputusan untuk menentukan penerima syafaat, tetapi Allah sahaja yang menentukan. Nabi ﷺ hanya ‘menyampaikan’ Syafaat sahaja. Ini banyak dibincangkan dalam perbahasan ayat-ayat yang lain.

Bila ditegur dengan penjaga Masjid Nabawi itu supaya mereka berdoa mengadap kiblat, bukan mengadap Nabi ﷺ, mereka kata penjaga masjid itu pula yang sesat. Sebab guru mereka sudah ajar macam itu. Guru mereka kata, jangan hiraukan penjaga-penjaga Masjid itu. Itu belum kira yang jamah pagar (grill) kubur Nabi ﷺ dan sapu ke muka. Sungguh jahil sekali mereka itu.

 

إِنَّ الْإِنسٰنَ لَكَفُورٌ مُّبِينٌ

Sesungguhnya manusia sangat nyata kufurnya.

Maka apa yang mereka lakukan adalah kufur yang amat jelas. Semuanya yang mereka ada, Allah yang beri, tetapi mereka sembah selain Allah juga, seru selain Allah juga.

Allah tidak pernah mengajar manusia untuk menggunakan ‘anak angkat’ atau mereka yang rapat dengan Allah untuk menyempurnakan hajat mereka. Tetapi mereka sahaja yang memandai-mandai menambah dalam hal agama.

Memang kecenderungan manusia menuju kepada kekafiran dan kesyirikan. Kalau dibiarkan sahaja manusia tanpa didikan dan teguran, kita pun tidak tahulah apa yang akan terjadi. Kerana itulah kita lihat banyak amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Melayu kita. Ini adalah kerana mereka jauh dari ajaran agama dan banyak ajaran sesat diajar oleh guru-guru yang salah pegangan agama mereka.


 

Ayat 16: Allah beri hujah menolak fahaman Musyrikin Mekah yang mengatakan para malaikat adalah anak perempuan Allah .

أَمِ اتَّخَذَ مِمّا يَخلُقُ بَناتٍ وَأَصفٰكُم بِالبَنينَ

Sahih International

Or has He taken, out of what He has created, daughters and chosen you for [having] sons?

Malay

Patutkah Tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuanNya, dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

أَمِ اتَّخَذَ مِمَّا يَخْلُقُ بَنَاتٍ

Patutkah Dia mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya menjadi anak-anak perempuanNya,

Adakah patut Musyrikin Mekah mengatakan yang Allah mengambil malaikat sebagai anak perempuanNya? Tidak pernah Allah berkata begitu. Ini hanyalah kerana kesesatan mereka sahaja. Mereka sahaja yang memandai-mandai setelah dibisikkan oleh syaitan untuk menyesatkan mereka. Mereka kata, anak perempuan Allah itu (para malaikat) lahir kerana Allah kahwin dengan jin. Ma sha Allah!

Teruk sekali fahaman mereka. Adakah patut Allah yang maha berkuasa menjadikan para malaikat sebagai anak perempuanNya sedangkan Dia yang menjadikan mereka? Memang tidak patut.

 

وَأَصْفٰكُم بِالْبَنِينَ

dan Dia mengutamakan kamu dengan anak-anak lelaki?

Takkan Allah mengambil anak perempuan dan berikan anak lelaki kepada Musyrikin Mekah? Itu adalah pembahagian yang tidak patut. Allah telah firmankan tentang perkara ini dalam Najm:21-22

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الْأُنثَىٰ

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?

تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰ

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

Dan Allah berfirman lagi dalam Nahl:62

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ الْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ الْحُسْنَىٰ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ النَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ

Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

Maksud ayat ini adalah: Mereka sendiri tidak suka kepada anak perempuan, tetapi mereka berikan pula anak perempuan untuk Allah . Ini amat tidak patut. Dan Allah berfirman lagi dalam Isra’:40

أَفَأَصفاكُم رَبُّكُم بِالبَنينَ وَاتَّخَذَ مِنَ المَلائِكَةِ إِناثًا ۚ إِنَّكُم لَتَقولونَ قَولًا عَظيمًا

maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.

Untuk diri mereka, mereka hendakkan anak lelaki. Tetapi untuk Allah , mereka beri anak perempuan pula. Padahal kepada mereka, anak perempuan itu tidak bagus sampaikan ada yang menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka.

Pada mereka, anak lelaki menguntungkan kerana boleh membantu dalam kehidupan mereka, sedangkan anak perempuan akan menghabiskan harta mereka kerana perlu dijaga. Sudahlah dijaga sampai besar, nanti selepas kahwin terus mengikuti dan berkhidmat dengan suaminya sahaja. Begitulah anggapan mereka.

Lihatlah bagaimana mereka memberikan apa yang mereka tidak suka kepada Allah . Mereka tidak menilai Allah dengan yang sepatutnya. Mereka tidak menghargai Allah dengan sebenarnya.

Mereka tidak suka anak perempuan, tetapi mereka beri anak perempuan kepada Allah . Tidaklah Allah memerlukan anak, walaupun anak lelaki. Tetapi Allah menceritakan bagaimana salahnya pemahaman Musyrikin Mekah itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 6 – 10 (Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah)

Ayat 6: 

وَكَم أَرسَلنا مِن نَّبِيٍّ فِي الأَوَّلينَ

Sahih International

And how many a prophet We sent among the former peoples,

Malay

Dan (ingatlah), berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

 

وَكَمْ أَرْسَلْنَا مِن نَّبِيٍّ فِي الْأَوَّلِينَ

Dan berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

Allah tetap memberikan peringatan kepada manusia. Selepas diberikan dengan kitab dariNya, diberikan pula para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia. Sudah banyak para Nabi dan Rasul yang diangkat oleh Allah di kalangan manusia supaya manusia mendapat peringatan dan ancaman dari mereka.

Begitulah sayang-Nya Allah kepada kita. Dia tidak turunkan wahyu sahaja, tetapi diberikan juga para Nabi untuk menjelaskan maksud wahyu itu. Begitulah juga dengan Al-Qur’an ini. Allah tidak turunkan Al-Qur’an sahaja, tetapi Allah angkat Nabi Muhammad ﷺ  sebagai Rasul untuk mengajar kita tentang Al-Qur’an.

Kerana kalau Nabi ﷺ  tidak mengajar kita, kita tidak faham pun apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an dan kita tidak tahu bagaimana hendak mengamalkannya. Maka baginda menjadi contoh bagi kita bagaimana nak mempraktikkan Al-Qur’an itu.

Zaman sekarang sudah tidak ada Nabi ﷺ lagi. Tetapi kita ada ulama-ulama penyebar tauhid yang menyampaikan ajaran yang sama. Carilah mereka yang dapat menyampaikan ajaran yang benar.

Hendaklah mencari guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ. Itulah ilmu yang perlu dipelajari mula-mula sekali. Sebelum belajar kitab-kitab lain, ilmu-ilmu agama yang lain, belajarlah dua perkara penting ini dahulu.


 

Ayat 7: Allah telah turunkan penyebar tauhid kepada manusia. Tetapi apa yang manusia lakukan kepada mereka?

وَما يَأتيهِم مِّن نَّبِيٍّ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

But there would not come to them a prophet except that they used to ridicule him.

Malay

Dan tidak ada seseorang Nabi pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

 

وَمَا يَأْتِيهِم مِّن نَّبِيٍّ

Dan tidak ada seseorang Nabi yang datang kepada mereka,

Apa yang selalu terjadi apabila seseorang Nabi datang berdakwah kepada kaumnya? Inilah apa yang terjadi kepada setiap Nabi.

 

إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

Ini adalah kebiasaan yang terjadi kepada para Rasul yang menyebar ajaran tauhid. Ini adalah kebiasaan orang yang tidak mahu menerima dakwah. Yang menerima adalah sedikit tapi majoriti akan menolak. Mereka akan mengejek dan mereka akan kata macam-macam dalam usaha mereka menolak kebenaran.

Begitulah juga yang terjadi kepada kita yang hendak menyebar ajaran tauhid di kalangan masyarakat kita yang sudah jauh dari tauhid. Mereka kata kita yang sesat. Mereka kata kita tipu. Mereka kata Allah tidak pernah kata begitu, tetapi kita sahaja yang memandai memperkatakan begitu.

Begitulah yang para Nabi terima. Dan inilah juga dugaan yang akan diterima oleh para pendakwah. Memang tidak boleh hendak ditolak lagi kerana Allah memang telah sediakan siap-siap orang-orang sebegini sebagai ujian untuk kita.

Mereka yang lemah imannya, akan gagal dalam cubaan ini. Kena kutuk, kena ejek sikit, sudah tidak berani berdakwah. Mereka takut dengan orang lain. Mereka takut dengan orang yang jahil!


 

Ayat 8: Setelah mereka menolak, apakah kesan kepada mereka?

فَأَهلَكنا أَشَدَّ مِنهُم بَطشًا وَمَضىٰ مَثَلُ الأَوَّلينَ

Sahih International

And We destroyed greater than them in [striking] power, and the example of the former peoples has preceded.

Malay

Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih kekuatannya (dan lebih kejam serangannya) daripada mereka; dan telah pun disebutkan (berulang-ulang di dalam Al-Qur’an) tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

 

فَأَهْلَكْنَا أَشَدَّ مِنْهُم بَطْشًا

Lalu Kami binasakan dengan kekerasan, orang-orang yang lebih hebat kekuatan serangan dari mereka;

Allah memberi peringatan kepada Musyrikin Mekah. Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa sebelum mereka, telah ada kaum lain yang lebih kuat dari mereka dan mereka itu telah dimusnahkan dengan teruk. Musyrikin Mekah sangka mereka kuat, tetapi yang lagi kuat dari mereka pun sudah dimusnahkan.

Musyrikin Mekah itu sangka mereka hebat tetapi mereka lemah sebenarnya. Mereka lupa yang mereka itu makanan pun mengharap dari tempat lain. Kerana tempat tinggal mereka itu gersang tidak ada apa-apa. Mereka dapat sumber pun kerana mereka ada keluar berniaga sahaja, kalau tidak, makanan pun mereka tidak ada.

Ada banyak jenis kekuatan, ada banyak peringkat. Ada yang kuat menahan serangan. Tetapi بَطْشًا bermaksud ‘serangan’. Iaitu kekuatan serangan yang boleh mencengkam dan memusnahkan. Bermaksud kaum itu amat kuat sampaikan boleh menyerang kaum yang lain. Tetapi mereka yang kuat begitu pun telah dimusnahkan juga.

 

وَمَضَىٰ مَثَلُ الْأَوَّلِينَ

dan telah pun disebutkan tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

Kisah-kisah umat terdahulu telah banyak disebut dalam Al-Qur’an dan dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang tahu kisah-kisah mereka kerana telah diceritakan zaman berzaman-zaman. Kita sendiri boleh periksa kebenaran kisah-kisah itu. Kerana kisah mereka ada disebut dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang telah mengkaji tamadun-tamadun dahulu.

Ramai kaji kehidupan mereka, apa mereka pakai, apa mereka makan, tetapi tidak ramai yang kaji apa akidah mereka dan sebab apa mereka dimusnahkan. Sebagai contoh, kita belajar dalam sejarah tamadun Inca, tetapi adakah kita tahu kenapakah mereka dimusnahkan? Bagaimana dengan Pompeii dan lain-lain lagi? Ini yang selalunya pengkaji tak tengok pun kerana agama bukanlah kepentingan bagi mereka.

Kisah-kisah umat dahulu dijadikan sebagai pengajaran kepada kita supaya kita beringat. Supaya kita jadikan mereka sebagai sempadan. Jangan kita buat seperti mereka kerana Allah boleh sahaja kenakan azab yang sama.

Jangan kita sangka kita terselamat. Ramai yang sangka apa yang terjadi kepada umat dahulu tidak akan terjadi kepada kita. Macam kita tengok orang kemalangan jalan raya. Kita rasa mereka sahaja yang kena. Kita lupa yang kita pun boleh kena kalau Allah sudah takdirkan. Ingatlah bahawa sejarah berulang kerana manusia tidak mengambil pengajaran. Mahukah kita kehancuran yang sama diberikan kepada kita?

Ayat ini adalah amaran kepada penduduk Mekah dan sekitarnya. Musyrikin Mekah tahu tentang kisah kaum-kaum terdahulu yang telah musnah seperti kaum Aad dan Tsamud. Termasuk juga kita, kena belajar tentang kesalahan yang dilakukan oleh kaum terdahulu.

Memang Allah turunkan Al-Qur’an kepada mereka walaupun mereka engkar, melampau dalam kehidupan mereka. Kemudian Allah beri para Nabi untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Tetapi kalau lama kelamaan mereka tetap engkar, tidak mahu mendengar nasihat, masih lagi mengamalkan syirik, mereka akan dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

Kita pun tidak tahu sama ada Allah akan terus memberikan peringatan kepada kita. Amalan syirik dan khurafat memang banyak diamalkan di negara dan dunia sekarang. Bukan sahaja diamalkan oleh orang kafir, orang Islam pun sekali.

Kalau Allah takdirkan azab diturunkan, ke mana lagi kita hendak selamatkan diri kita? Kalau kita tidak amalkan pun, kita pun akan terkena azab itu juga. Semoga kita diselamatkan oleh Allah .


 

Ayat 9: Ayat 9 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi dalil adanya akhirat. Ayat 9 ini adalah dalil aqli i’tirafi. Ada akidah Musyrikin Mekah yang benar. Ada beberapa perkara tauhid yang mereka sudah terima dan ada dalam fahaman mereka.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ خَلَقَهُنَّ العَزيزُ العَليمُ

Sahih International

And if you should ask them, “Who has created the heavens and the earth?” they would surely say, “They were created by the Exalted in Might, the Knowing.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

 

وَلَئِن سَأَلْتَهُم

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:

Nabi Muhammad ﷺ disuruh bertanya kepada Musyrikin Mekah untuk mengeluarkan apakah akidah mereka sebenarnya. Ini adalah salah satu cara berdakwah yang diajar oleh Allah. Iaitu menggunakan cara pertanyaan.

 

مَّنْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

“Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”

Alam yang begini indah dan hebat ini, siapakah penciptanya? Takkan ianya terjadi dengan sendiri pula? Kita juga boleh tanyakan soalan yang sama kepada orang ramai. Kepada orang kafir, kepada orang atheis, kepada orang Islam sekali pun.

 

لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Musyrikin Mekah pun akan mengaku bahawa Allah lah yang mencipta langit dan bumi. Mereka tidak berdolak dalik. Kerana mereka pun kenal Allah juga. Yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Mengetahui adalah hanya Allah sahaja. Walaupun tidak disebut dalam ayat ini yang mereka menyebut nama ‘Allah’, tetapi kita tahu bahawa yang mereka maksudkan adalah Allah . Kerana dalam ayat-ayat yang lain, jelas mereka menyebut nama Allah.

Mereka percaya bahawa Allah adalah Tuhan. Mereka tahu bahawa Allah adalah pencipta alam ini. Dari ini, kita tahu mereka ada apa yang dinamakan Tauhid Rububiyyah dalam diri mereka. Iaitu mereka terima bahawa Tuhan itu ada.

Dan Musyrikin Mekah memang terima bahawa Tuhan itu bernama Allah . Dan mereka tahu dan terima bahawa Allah lah sahaja yang boleh mencipta alam ini.

Ramai yang terkejut dengan kenyataan ini. Mereka kehairanan dengan muka yang keliru, berkata: “Apa, Musyrikin Mekah percaya kepada Allah?!” Mereka kata kita pula sesat kerana kata Musyrikin Mekah ada tauhid.

Ya, mereka memang ada sebahagian dari ilmu tauhid iaitu mereka percaya kepada Allah . Ini jelas dalam hadis-hadis dan pembelajaran Sirah. Dan yang paling jelas seperti disebut dalam Al-Qur’an dalam banyak ayat-ayat.

Yang tidak tahu adalah hanya kerana mereka tidak belajar sahaja. Dan tidak belajar tafsir Al-Qur’an kerana memang jelas dalam ayat ini memberitahu bahawa Musyrikin Mekah menerima akidah yang Allah lah yang mencipta alam ini. Maka, hendaklah mereka mempelajari Sirah untuk mengetahui bagaimanakah kepercayaan Musyrikin Mekah terhadap Allah .

Allah ﷻ hendak memberitahu mereka dalam ayat ini: Kalau mereka menerima Allah ﷻ yang menjadikan alam ini, maka hendaklah mereka sembah Dia sahaja. Jangan sembah yang lain.

Oleh itu, dalam pembelajaran Tauhid Tiga Serangkai (atau digelar juga Tauhid 3T) (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Asma’ wa Sifat), kita belajar bagaimana Musyrikin Mekah itu ada pemahaman Tauhid Rububiyyah. Tetapi yang mereka tidak ada, adalah apa yang dinamakan: Tauhid Uluhiyyah.

Inilah kepercayaan hanya Allah ﷻ sahaja yang wajib disembah, diibadati, dipuja, diharap – tidak ada yang lain lagi. Mereka tidak hanya menyembah Allah ﷻ. Mereka memang sembah dan berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi mereka juga sembah dan berdoa kepada selain dari Allah ﷻ.

Sebab itulah mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan mereka. Mereka merasakan yang berhala-berhala itu akan menyampaikan doa mereka kepada Allah . Mereka menjadikan berhala-berhala itu sebagai tawasul.

Kenapa ayat ini penting? Kerana begitu juga kepercayaan kebanyakan orang Islam yang jahil dengan wahyu. Orang kita mengaku yang Allah itu Tuhan, Dia yang menjadikan alam ini seluruhnya. Orang kita juga melakukan ibadat kepada Allah . Tetapi dalam masa yang sama, orang Islam kita sembah entiti yang lain, taat kepada yang lain, melakukan ibadat kepada yang selain Allah . Yang paling tidak perasan adalah mereka berdoa kepada selain Allah. Iaitu mereka menggunakan wasilah untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah. Maka, kalau itulah sifat Musyrikin Mekah, apa yang kita hendak panggil orang Islam sebegini? Musyrikin Malaysia? Musyrikin Indonesia?

Ingatlah bahawa mengatakan yang Allah itu Tuhan, tidak cukup lagi. Ianya perlu diikuti dengan amalan yang benar. Iaitu kita mestilah hanya melakukan ibadat kepadaNya sahaja. Hanya sembah Allah sahaja, hanya seru kepada Dia sahaja dalam doa. Inilah ajaran tauhid.

Inilah yang tidak dapat diterima oleh Musyrikin Mekah. Mereka marah dan menentang Nabi Muhammad ﷺ  apabila baginda memberitahu mereka bahawa yang layak disembah hanyalah Allah sahaja. Musyrikin Mekah terima bahawa Allah itu Tuhan tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga sembahan-sembahan yang lain sebagai ‘ilah’ mereka – Nabi, wali, malaikat dan jin.

Mereka menganggap Allah sebagai Tuhan Utama dan sembahan-sembahan lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ atau ilah. Apabila Nabi Muhammad ﷺ  datang dengan membawa ajaran la ilaha illallah, mereka tidak dapat terima, itu sebab mereka melawan baginda.

Mereka marah kerana mereka dilarang dari mengamalkan apa yang mereka sudah biasa amalkan. Mereka marah kerana Nabi Muhammad ﷺ  menidakkan ilah-ilah mereka yang lain.

Begitulah juga masyarakat kita yang jahil – mereka marah benar kalau kita kata tidak boleh seru Nabi, wali atau malaikat dalam doa. Kerana perbuatan itu menjadikan entiti-entiti itu sebagai ilah.


 

Ayat 10: Siapakah Allah ? Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa. Iaitu tambahan maklumat yang Musyrikin Mekah tidak tahu.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ مَهدًا وَجَعَلَ لَكُم فيها سُبُلًا لَّعَلَّكُم تَهتَدونَ

Sahih International

[The one] who has made for you the earth a bed and made for you upon it roads that you might be guided

Malay

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai buaian,

Kalimah مَهْدًا dari segi bahasa bermaksud ‘buaian’. Macam buaian untuk bayi yang bergerak perlahan-lahan, didodoi sampaikan bayi itu sedap sahaja sampai dia tertidur. Buaian itu memang bergerak, tetapi bayi itu tidak tahu. Dia lagi suka dengan pergerakan buaian yang sepoi-sepoi itu.

Maknanya, Allah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang sedap untuk didiami. Bumi ini memang sentiasa bergerak kalau kita belajar sains. Tetapi kita tidak rasa pun pergerakan yang laju itu. Kita rasa tenang sahaja. Padahal, ianya bergerak dengan kelajuan yang amat laju. Ini adalah kerana kita bergerak bersamanya.

Kesenangan hidup di bumi ini dijadikan oleh Allah untuk kita dari sifat RahmanNya. Semua keperluan kita untuk hidup, telah diberikan kepada kita. Apa-apa sahaja kebaikan dan kesenangan yang kita dapat, ingatlah yang ianya dari Allah .

 

وَجَعَلَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا

dan Dia telah mengadakan bagi kamu di bumi, jalan-jalan,

Allah yang membuat jalan sebenarnya. Kita sangka kita yang buat, tetapi rupanya Allah yang jadikan. Lihatlah bagaimana asal kejadian jalan-jalan itu. Asalnya jalan itu adalah dilalui oleh binatang-binatang sahaja, tetapi lama kelamaan diikuti oleh manusia dan kemudian dibesarkan.

Mulanya sebagai denai sahaja. Kemudian diperbesarkan kerana sudah ramai orang yang lalu. Kemudian dibuatkan jalan tanah merah. Lama kelamaan apabila sudah maju, dijadikan jalan tar. Kemudian naik taraf jadi jalanraya.

Akhir sekali, sampai jadi lebuhraya. Yang kita nampak, kita yang jadikan jalan itu, kita yang letak tar, korek tanah itu untuk dijadikan lebuhraya. Tapi ingatlah bahawa Allah yang memulakan jalan itu, dan kita jadikan jalan itu dengan ilham yang Dia berikan.

Juga bermaksud, Allah yang jadikan tanah bumi itu jadi sesuai untuk dibuat jalan. Dan kemudian Allah lah yang beri manusia itu dengan akal untuk buat jalan. Semakin maju manusia, semakin molek jalan. Kerana Allah juga yang beri akal kepada manusia supaya boleh buat yang lebih baik. Tujuannya supaya kita dapat sampai lagi cepat dan selamat.

 

لَّعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

Supaya kita boleh bergerak dan menuju ke destinasi tujuan kita. Ada banyak jalan-jalan untuk ke sesuatu tempat, maka kita kena pandai memilih jalan yang senang.

Bukan hanya jalan kepada destinasi sahaja, tetapi mencari jalan kepada Allah ﷻ. Kehidupan dunia ini untuk kita lihat dan fikirkan supaya kita dapat memikirkan tentang siapakah pencipta alam ini? Tentunya ada yang menciptakannya, bukan?

Ada masalah sedikit dengan pemahaman ayat ini. Pihak bidaah dan sesat menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan terdapat banyak jalan menuju kepada Allah . Mereka kata tujuan kita semua adalah untuk bertemu dengan Allah dan boleh dicapai dengan berbagai cara, dengan jalan zikir, dengan jalan lagu, dengan jalan syair, dengan jalan sains, jalan silat, jalan tarekat, jalan sufi dan macam-macam lagi.

Macam kalau hendak pergi ke KLCC, ada jalan melalui Bukit Bintang, dari Jalan Istana, dari Petaling Jaya dan sebagainya. Mereka kata, asalkan boleh sampai ke KLCC, apa salahnya? Mereka kata ilmu Allah ini luas, dan semua jalan-jalan itu benar belaka. Itulah masalahnya. Mereka tidak faham manakah jalan yang benar. Sedangkan Allah dan Nabi ﷺ telah memberitahu kepada kita banyak kali dalam Al-Qur’an dan hadis bahawa jalan dalam Islam adalah menerusi jalan wahyu – Al-Qur’an ataupun Hadis yang sahih.

Bukan tujuan sahaja telah diberitahu kepada, tapi jalan menuju kepada tujuan itu pun sudah diberikan. Maka bahaya kalau pakai jalan yang direka sendiri.  Kerana jalan-jalan lain tidak selamat. Kena ikut jalan yang lurus dan jalan yang lurus itu telah dilalui oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita hendak selamat, maka ikutlah jalan mereka – jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Kerana jalan-jalan yang lain tidak selamat.

Seperti sabda Nabi Muhammad ﷺ :

عَنْ عَبْدِ اللهِ قَالَ خَطَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلاَّ عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ ( وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ )

Dari Ibnu Mas’ud , Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam membuat garis dengan tangannya, seraya bersabda kepada kami, “Ini jalan Allah yang lurus.” Dan baginda membuat garis-garis banyak sekali di kanan kirinya, seraya bersabda, “Ini jalan-jalan yang tak satu pun terlepas dari pujukan syaitan untuk menyesatkan.”
Kemudian baginda membaca ayat 153 surat Al An’aam, “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus. Maka ikutilah dia. Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain.” [HR Ahmad no 4205, Nasa’i; SHAHIH]

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa jalan yang lurus hanya satu sahaja. Jalan-jalan yang lain jangan diikuti kerana ianya boleh menyesatkan kita. Jalan-jalan yang lain itu tidak selamat, walau bagaimana indahnya ia nampak kepada kita. Tetapi bahaya kerana ianya tidak menuju kepada Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani