Tafsir Surah al-Layl Ayat 8 – 14 (Mencari redha Allah)

Layl Ayat 8: Ayat 8 – 11 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu yang orang yang terlaknat itu mempunyai hubungan yang buruk dengan Tuhan dan juga dengan manusia. Mereka itu mementingkan diri dan mendustakan kebenaran.

Dalam ayat sebelum ini, disebut mereka yang memberi infak, bertaqwa dan membenarkan kebenaran, mereka itu akan dimudahkan oleh Allah ﷻ untuk masuk ke dalam syurga. Tetapi bagaimana pula kalau sebaliknya?

وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱستَغنَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for he who withholds and considers himself free of need

(MALAY)

Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup,

 

Ini adalah sesiapa sahaja yang bakhil (kedekut) dan merasa cukup tidak perlukan orang lain.

Kalimah بَخِلَ bermaksud seseorang yang kedekut dan menyimpan hartanya dan tidak mahu infak atau membelanjakannya kepada orang lain. Ini lawan kepada sifat ‘memberi’ dalam ayat sebelum ini. Apabila digunakan dalam bentuk kalimah بَخِلَ, ia bermaksud bukan sahaja dia seorang yang kedekut, tetapi dia ajak dan ajar orang lain pun jadi kedekut juga macam dia.

Kalau ada orang yang nak infak, nak derma dan sedekah, dia kata: “eh kenapa nak infak ni, ekonomi sekarang tengah teruk, tau? Kau kena simpan duit kau.” Dalam ayat yang lain telah diberitahu, perangai ini adalah kerana kalau orang lain sedekah dan dia tidak, maka malulah dia. Jadi dia akan ajak orang lain pun tidak sedekah dan infak juga, supaya tidaklah nampak dia seorang sahaja tidak infak. Kalau dia sendiri bakhil pun sudah buruk, tapi kalau ajak orang lain jadi bakhil juga, ini memang lagi teruk!

Kalimah استَغنىٰ adalah perasaan tidak memerlukan kepada sesiapa pun. Seolah-olah tidak perlukan pahala. Apakah yang menyebabkan seseorang itu boleh dapat sifat ini? Kerana asalnya dia bakhil.

Mereka yang macam ini amat teruk sekali kerana mereka ada banyak peluang untuk buat baik sebagai simpanan kepada akhirat. Akan tetapi bila dia tidak ambil peluang itu, maksudnya dia tidak kisah dan tidak yakin dengan balasan akhirat sebenarnya.

Kerana itulah mereka yang sanggup mengeluarkan infak ini adalah kerana mereka yang yakin bahawa infak mereka itu akan menyebabkan mereka dapat masuk ke dalam syurga – di mana infak mereka itu akan menunggu mereka di syurga kelak. Kerana itu kalimah sedekah dari صدق yang bermaksud ‘membenarkan’. Iaitu membenarkan janji Allah ﷻ tentang balasan baik kepada orang yang infak.

Oleh kerana dia bakhil, maka dia tidak memberi sedekah. Maka bila dia tidak memberi kepada orang lain, maka duit dia semakin terkumpul dan duit dia semakin jadi banyak. Apabila duit dia banyak maka dia rasa sombong dan dia rasa dia tak perlukan orang lain. Dia akan rasa begitu, tetapi itu perasaan dia sahaja.

Kalau mereka sudah jadi begitu, Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ pun tidak perlukan mereka. Maknanya, kalau mereka rasa mereka cukup, maka mereka tidak perlukan kedudukan baik di akhiratlah kan? Maka mereka tidak akan mendapat peluang itu. Allah ﷻ akan pastikan mereka itu masuk dalam neraka. Nanti lihatlah sama ada mereka rasa cukup atau tidak nanti.


 

Layl Ayat 9: Apa lagi sifat buruk mereka?

وَكَذَّبَ بِالحُسنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And denies the best [reward],

(MALAY)

serta mendustakan pahala terbaik,

 

Dan dia tidak membenarkan perkara kebaikan. Mereka tidak melihat bahawa amal yang baik akan membawa seseorang itu ke syurga. Sebab itu mereka tidak infak, kerana mereka tidak percaya bahawa infak itu akan membawa mereka ke syurga. Mereka juga tidak beramal dengan baik dan berperangai dengan baik. Mereka akan zalim dengan orang lain. Jadi hubungan mereka dengan Allah ﷻ buruk, dengan makhluk lain pun buruk juga.

Kadang-kadang orang Islam yang kaya pun akan membawa masalah juga. Ada di kalangan orang Islam yang menjadi kaya, tetapi mereka tidak menyokong agama, sebaliknya menyerang agama Islam pula. Sebelum itu mereka miskin, tapi apabila mereka kaya, mereka tidak menggunakan harta itu untuk infak.

Dan kerana tidak infak, harta mereka semakin bertambah banyak dan mereka jadi sombong dan bongkak. Kemudian mereka rasa agama Islam kena ikut kehendak dan fikiran mereka, bukannya mereka yang kena ikut kehendak agama. Maknanya sudah jadi terbalik pula. Mereka mulalah mengatakan yang kena ada ‘pembaharuan agama’ dan jenis-jenis kata sebegitu.

Mereka ini termasuk orang yang tidak membenarkan kebenaran yang telah tertegak. Kebenaran sudah ada, iaitu jalan yang lurus, tapi mereka tidak mahu membenarkan, malah mereka mahu menukarnya. Kita boleh lihat bagaimana orang yang miskin, yang tidak ada kuasa, tidak cakap perkara-perkara sebegini.


 

Layl Ayat 10: Mereka yang sebegitu, Allah ﷻ akan mudahkan jalannya untuk ke neraka. Maksudnya, senang sahaja mereka nak buat amalan ke neraka.

فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلعُسرَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will ease him toward difficulty.

(MALAY)

maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.

 

Kalimah عُسرىٰ bermaksud perkara yang paling susah. Ia juga bermaksud, Allah ﷻ akan menjadikan perbuatan dosa mudah bagi mereka. Susah nak buat amal kebaikan, tapi senang pula nak buat amal keburukan.

Mereka ini adalah orang yang tidak kisah tentang agama, mereka buat sesuka hati mereka. Inilah perkara yang kita takut sangat kalau terjadi kepada kita. Maknanya, Allah ﷻ mempermudahkan jalan orang yang sebegini untuk ke neraka. Senang sahaja mereka hendak buat dosa.

Kalau nak buat yang baik dan yang jahat, itu semua bergantung kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang taqdirkan apa yang akan berlaku. Tidak berlaku sesuatu tanpa izin Allah ﷻ. Oleh itu, kalau seseorang itu mahu kepada kebaikan, Allah ﷻ akan bantu; dan kalau orang itu sendiri yang mahu keburukan, Allah ﷻ akan dorong orang itu ke arah keburukan juga. Tapi ia bertitik tolak dari kehendak hati kita juga.

Kerana mereka sudah bakhil dan tidak merasa mereka istighna’ – maka Allah ﷻ akan dorong mereka untuk membelanjakan harta mereka ke arah perkara yang akan menjatuhkan atau menyusahkan mereka.

Sebagai contohnya, mereka membelanjakan wang yang banyak untuk memenuhi kehendak anak-anak mereka. Dari kecil sampai besar, mereka beri apa sahaja yang anak mereka hendak. Pelajaran agama tidak diberi, adab-adab seorang Muslim yang baik tidak diajar, maka jadilah anak-anak mereka sebagai penyebab kesusahan jiwa mereka nanti di masa tua mereka.

Kalau dalam negara kita, ia macam kisah ‘Anakku Sazali’ lakonan P. Ramlee kiranya. Perangai anak-anak itu kemudian boleh menyebabkan mereka dapat darah tinggi, sakit jantung jadinya. Anak sepatutnya menjadi penyejuk mata, tapi anak mereka buat sakit mata mereka sahaja. Ini adalah balasan dari Allah ﷻ untuk mereka kerana perangai mereka yang tidak membenarkan al-husna.

Oleh itu, jangan kita terpesona dengan kesenangan yang mereka ada, kerana kesenangan mereka itu akan menyebabkan kesusahan untuk mereka sebenarnya. Allah ﷻ beri mereka banyak duit dan anak kerana Allah ﷻ hendak seksa mereka kerana harta itu dan anak-anak mereka.

Selain dari itu, mereka senang sahaja nak buat dosa. Ianya sudah jadi sesuatu yang semulajadi untuk mereka. Sampaikan kalau kita tanya mereka, kenapa mereka buat dosa, mereka pun tidak tahu. Mereka jawab: “aku tak tahu”, “ini biasalah”, “memang kena buat begini” dan sebagainya.

Ini kerana mereka seolah-olah ketagih buat dosa. Mereka tidak dapat berhenti dari melakukannya. Itulah tanda mereka sudah teruk sangat. Kalau jadi begini, memang susah kerana hati dan nafs mereka sudah rosak. Mereka sudah dikawal oleh nafsu dan juga syaitan.


 

Layl Ayat 11: Sekarang timbul lagi tentang harta dan kekayaan. Ia tidak dapat membantu mereka langsung.

وَمَا يُغنِى عَنهُ مَالُهُ ۥۤ إِذَا تَرَدَّىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what will his wealth avail him when he falls?¹

  • i.e., when he dies or is destroyed. It can also mean when he falls into the Hellfire.

(MALAY)

Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa.

 

Kalau harta banyak pun, tidak berguna lagi hartanya apabila dia dimasukkan ke dalam neraka. Hartanya itu tidak akan dapat melepaskan dirinya apabila dia sudah dimasukkan ke dalam neraka. Hartanya yang dia banggakan, dia simpan dan kira hari-hari, tidak bernilai langsung.

Kalimah رَدّىٰ bermaksud membenamkan seseorang ke dalam longkang, lubang. Oleh itu, تَرَدّىٰ bermaksud terjatuh sendiri ke dalam longkang atau lubang. Ini isyarat kepada masuk dalam perbuatan dosa, masuk dalam kubur, masuk dalam neraka. Apabila sudah bermula waktu itu, harta tidak berguna lagi.

Harta yang banyak tidak bernilai. Sepatutnya dia memberi infak harta semasa di dunia. Tetapi tidak, dia simpan dan bakhil kerana dia hendakkan kemuliaan di dunia, sebab itu dia tidak infak. Namun hasilnya Allah ﷻ menghinanya dengan memasukkan dia ke dalam neraka.

Hartanya sudah tidak berguna apabila dia telah dimasukkan ke dalam neraka. Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana orang yang masuk neraka akan cuba hendak beri segala apa yang ada, tetapi tidak akan diterima kerana waktu itu bukan harta dunia yang akan dikira, tapi pahala.


 

Layl Ayat 12: Ayat 12 – 13 adalah Perenggan Makro Keempat. Allah ﷻ telah memberi petunjuk dan menyediakan pembalasan.

إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, [incumbent] upon Us is guidance.

(MALAY)

Sesungguhnya kewajipan Kamilah memberi petunjuk,

 

Sesungguhnya ke atas Allah ﷻ untuk memberi petunjuk. Maka kita kena sedar yang petunjuk yang sebenar adalah dari Allah ﷻ. Maka mahu, maka kena cari dan  minta dari Tuhan. Kerana hak Dia untuk meluluskan. Apabila digunakan kalimah عَلَينا dalam ayat ini, memberitahu bahawa hidayah itu hanya dari Allah ﷻ sahaja, tidak ada dari orang lain.

Allah ﷻ akan beri hidayah itu kepada mereka yang ada sifat inabah (condong dan mahu mencari kebenaran). Begitulah, kalau ada keinginan untuk jadi baik, Allah ﷻ akan beri jalan dan mudahkan untuk dia mendapat ilmu yang membawa ke syurga. Allah ﷻ akan tarik dia perlahan-lahan ke arah kebenaran dan jalan sunnah.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang berkuasa memberi petunjuk kepada manusia. Tidak kira kaya macam mana pun, tidak boleh dapat hidayah selain dari mendapatnya dari Allah ﷻ. Kenanglah bagaimana Allah ﷻ yang telah memberi petunjuk kepada Nabi. Begitu juga dengan kita. Sebelum kita lahir pun, Allah ﷻ sudah beri hidayah kepada kita iaitu Allah ﷻ telah masukkan fitrah dalam diri kita.

Dan apabila kita lahir, macam-macam cara Allah ﷻ beri petunjuk kepada kita – Allah ﷻ beri wahyu dalam bentuk kitab Al-Qur’an; Allah ﷻ beri Rasul, pendakwah dan penyebar tauhid yang menyampaikan ajaran kepada kita. Allah ﷻ juga mungkin berikan kawan yang dapat menasihati kita. Maka kita kena mengharap kepada petunjuk dari Allah ﷻ.

Dan ayat ini juga bermaksud petunjuk sahajalah yang boleh membawa kita menuju kepada Allah ﷻ. Juga bermaksud, petunjuk yang sebenar adalah yang boleh membawa kita kepada Allah ﷻ, mengenal Allah ﷻ. Kalau petunjuk itu setakat pandai menyanyi dan pandai menari macam yang diajar oleh puak Habib sekarang, lupakanlah. Itu pun petunjuk tetapi membawa kepada kesesatan.


 

Layl Ayat 13: 

وَإِنَّ لَنا لَلآخِرَةَ وَالأولىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, to Us belongs the Hereafter and the first [life].

(MALAY)

dan sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia.

 

Sesungguhnya Allah ﷻ sahajalah yang menguasai hari akhirat dan kehidupan yang awal. Maka Allah ﷻ berkuasa penuh.

Huruf ل dalam لَلآخِرَةَ adalah sebagai penekanan. Makna yang ditekankan sangat-sangat adalah Allah ﷻ memiliki hari akhirat dan kehidupan yang awal. Kenapa perlu penekanan itu? Kerana surah ini tentang kepunyaan dan menolak salah faham manusia yang menyangka mereka ada memiliki kuasa dan harta dalam dunia, maka mereka jadi sombong dan bongkak dan rasa tidak memerlukan sesiapa pun lagi.

Mereka bangga dan sombong, padahal mereka tidaklah mempunyai harta itu dengan mutlak. Allah ﷻ hendak ingatkan bahawa Allah ﷻ sahaja yang mempunyai segala harta dalam dunia ini. Jangan perasan yang harta itu kamu punya.

Allah ﷻ tidak sebut perkataan ‘الدنيا’ pun sebab hinanya dunia ini. Sebaliknya Allah ﷻ gunakan kalimah الأولىٰ (yang awal) dalam ayat ini. Sedangkan dalam ayat-ayat yang lain, ada sahaja Allah ﷻ gunakan kalimah ‘الدنيا’ itu, tapi kenapa tidak disebut dalam ayat ini? Kerana hinanya dunia yang mereka kejar-kejar itu. Mereka kejar benda yang tidak kekal dan tidak banyak pun.

Lagi satu, ayat ini hendak memberitahu segala yang ada adalah kepunyaan Allah ﷻ. Kalimah ‘الدنيا’ datang dari kalimah دنو yang bermaksud ‘rendah’. Bila Allah ﷻ hendak memberitahu kepunyaanNya, Dia tidak gunakan kalimah ‘dunya’ kerana dunia itu rendah dan tidak layak bagi Allah ﷻ. Oleh itu, Allah ﷻ menggunakan kalimah الأولىٰ kerana apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah الأولىٰ, ia merangkumi semua sekali, termasuk dunia.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut akhirat dulu, baru sebut الأولىٰ. Padahal, dari segi mana yang mula, tentulah الأولىٰ datang sebelum akhirat. Allah ﷻ mula cakap tentang akhirat dahulu sebab itu lagi penting dalam tema surah ini. Ini sama dengan stail surah ini yang mula sebut perkara yang kemudian dan tidak ikut susun kejadian.

Seperti yang kita telah sebut, surah ini tentang manusia yang leka mengejar dunia sampai lupakan persediaan untuk akhirat. Maka Allah ﷻ ingatkan tentang kepentingan akhirat dengan sebut tentang akhirat dulu. Walaupun dunia ini kamu sedang nampak depan mata, tetapi akhirat yang lebih penting.

Allah ﷻ hendak bagitahu bahawa Dialah yang sebenarnya kaya, hanya Dia yang ada dunia dan akhirat. Jadi kenapa nak bakhil tidak mahu infak? Bukan harta mereka pun tetapi Allah ﷻ yang punya dan Allah ﷻ yang telah berikan kepada mereka untuk mereka salurkan kepada orang lain.

Maknanya, kalau kita infak, sebenarnya kita infak dengan harta Allah ﷻ. Yang tidak infak itu adalah kerana mereka rasa mereka telah berusaha di dunia untuk mendapatkan harta itu, jadi itu mereka sangka harta itu adalah hak penuh mereka. Akan tetapi kalau dalam fikiran kita, kita sudah terima bahawa segala apa yang kita ada ini pun bukanlah hak kita, maka senanglah untuk infak.

Allah ﷻ juga hendak beritahu bahawa kerana Dia yang menguasai dunia dan akhirat, Dia boleh buat apa yang Dia hendak. apa-apa sahaja yang berlaku dalam dunia ini adalah atas kehendak Allah ﷻ. Malangnya, ada orang kata, apabila kalau ada perkara buruk berlaku, mereka kata: “mana Tuhan? macam mana Tuhan boleh benarkan ini berlaku?”

Allah ﷻ beritahu, Allah ﷻ tahu apa yang berlaku dan apa yang terjadi adalah dalam kehendak Allah ﷻ. Sama ada kita faham atau tidak kenapa ianya terjadi, ketahuilah bahawa Allah ﷻ pasti tahu apa yang telah terjadi itu. Maka kita kena redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Kena sedar yang Allah ﷻ itu Tuhan dan Dia berhak untuk buat apa-apa sahaja. Kerja kita adalah redha sahaja dengan ketentuan Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga hendak ingatkan bahawa kalau Dia punyai dua-dua akhirat dan dunia, maka mintalah kebaikan dua-dua sekali kepadaNya. Bukan minta dunia sahaja atau minta akhirat sahaja. Ada orang yang hanya minta kelebihan dunia sahaja. Ini kerana mereka tidak pandang akhirat itu penting.

Dan dalam masa yang sama, ada juga yang hanya minta kepada akhirat sahaja. Ini macam rahib Kristian yang menolak dunia (macam orang sufi juga). Itu pun tak sesuai juga kerana tidak ada keseimbangan antara kehendak fizikal dan kehendak nafs.

Oleh kerana itu, Allah ﷻ suruh kita minta dua-dua dan Allah ﷻ boleh beri kepada kita dua-dua sekali sekali. Kedua-duanya Dia yang miliki. Inilah yang Allah ﷻ ajar dalam ayat Al-Qur’an juga.


 

Layl Ayat 14: Ayat 14 – 21 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Allah ﷻ beritahu yang hasil kerja manusia tidak sama. Penyucian jiwa boleh diusahakan dengan sifat pemurah dan baik hati.

Ayat 14 ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Allah ﷻ nak suruh kita fikirkan, beringatlah apa yang akan jadi kalau sudah mati dan akhirat bermula nanti.

فَأَنذَرتُكُم نارًا تَلَظّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So I have warned you of a Fire which is blazing.

(MALAY)

Maka, Aku memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala.

 

Allah ﷻ sendiri yang beri peringatan dan ancaman. Maka jangan kamu pandang rendah dan buat tidak tahu sahaja tentang api neraka itu.

Kalimah تَلَظّىٰ adalah sifat api yang tetap membakar, berbunyi-bunyi dengan kuat. Kalau pada unggun api yang besar pun, kita boleh dengar bunyi api itu bukan? Maka ini hendak menakutkan kita.

Kalimah إنذَر bermaksud memberi amaran dengan saksama dan menakutkan. Iaitu apabila seseorang memberi nasihat dengan betul-betul. Kadang-kadang kita kena panggil seseorang yang hendak diberi nasihat duduk sekali dengan kita, dan kemudian kita terangkan kepadanya satu perkara apakah kesan dari perbuatannya yang salah itu. Iaitu beritahu dengan betul-betul dan berhemah. Supaya jangan mereka tidak cukup maklumat.

Allah ﷻ menggunakan fi’il madhi (past tense) dalam kalimah أَنذَر ini. Maknanya sudah diberitahu banyak kali sebelum ini. Ianya sesuatu yang pasti terjadi. Maka jangan menyesal. Kena beringat, kena jaga amalan kita, kena jaga akidah kita.

قَالَ مُسْلِمٌ: حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ، عَنِ الْأَعْمَشُ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا مَنْ لَهُ نَعْلَانِ وَشِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ يَغلي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ كَمَا يَغْلي المِرْجَل، مَا يَرَى أَنَّ أَحَدًا أَشَدَّ مِنْهُ عَذَابًا، وَإِنَّهُ لَأَهْوَنُهُمْ عَذَابًا”

Imam Muslim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Bakar ibnu Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah, dari Al-A’masy, dari Abu Ishaq, dari An-Nu’man ibnu Basyir yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. pernah bersabda: Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan seksanya ialah seseorang yang mengenakan dua terompah dan dua talinya dari api, yang kerananya dia mendidih sebagaimana panci berisi air mendidih. Seakan-akan bila dilihat tiada seorang pun yang lebih berat seksanya daripada dia, padahal sesungguhnya dia adalah ahli neraka yang paling ringan seksanya. [Sahih Muslim no. 314 dengan lafaz ini. Bukhari no. 6561 dan Ahmad no. 18413]

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 September 2023

Ringkasan Surah Layl


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fajr Ayat 22 – 30 (Jiwa yang tenang)

Ayat 22:

وَجاءَ رَبُّكَ وَالمَلَكُ صَفًّا صَفًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord has come¹ and the angels, rank upon rank,

  • To pass judgement. See footnote to 2:19.

(MALAY)

dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.

 

وَجاءَ رَبُّكَ

dan datanglah Tuhanmu; 

Dan Allah ﷻ akan datang. Datang ke mana?

Allah ﷻ akan datang ke Mahsyar yang akan mengadili semua makhluk yang patut diadili. Ini adalah sebagai dalil yang Allah ﷻ bertempat. Kerana bukankah Mahsyar itu adalah tempat? Memang ramai dari masyarakat Muslim kita yang berpegang dengan akidah: ‘Allah wujud tidak bertempat’. Mereka kata kerana Allah ﷻ tidak memerlukan tempat.

Kita katakan: memang Allah ﷻ tidak memerlukan tempat, tetapi Allah ﷻ ada datang ke tempat-tempat seperti Mahsyar dan di Syurga (untuk melawat ahli syurga). Maka Allah ﷻ ada menempati ruang dengan cara yang layak bagiNya. Kita tidak tahu bagaimana keadaanNya waktu itu. Tetapi dari ayat-ayat yang lain juga, Allah ﷻ memberitahu yang Dia di langit. Maka akidah ‘Allah wujud tidak bertempat’ itu dari mana?

 

وَالمَلَكُ صَفًّا صَفًّا

dan malaikat berbaris-baris.

Dan malaikat sudah siap menunggu di Mahsyar. Malaikat itu akan berbaris-baris seperti tentera sejauh mata memandang. Para malaikat عليهم السلام itu berbaris menunggu keputusan Tuhan.

Ada manusia yang banggakan barisan tentera mereka semasa di dunia. Tetapi nanti Allah ﷻ akan tunjukkan pula barisan malaikatNya nanti. Mereka yang korup itu telah tunjuk kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kekuatan tentera mereka untuk menzalimi rakyat mereka, negara lain dan sebagainya, maka nanti Allah ﷻ akan tunjuk kekuatan tenteraNya pula di Mahsyar. Waktu itu mereka yang sombong dan bongkak di dunia akan menikus sifatnya.


 

Ayat 23:

وَجِيءَ يَومَئِذٍ بِجَهَنَّمَ ۚ يَومَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الإِنسٰنُ وَأَنّىٰ لَهُ الذِّكرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And brought [within view], that Day, is Hell – that Day, man will remember, but how [i.e., what good] to him will be the remembrance?

(MALAY)

Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya.

 

وَجِيءَ يَومَئِذٍ بِجَهَنَّمَ

Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; 

Dan ditunjukkan kepada mereka neraka jahanam. Neraka akan ditarik dan dipertunjukkan kepada mereka di Mahsyar. Neraka yang amat berat itu akan ditarik dengan beribu-ribu malaikat dan ditarik dengan menggunakan rantai.

Imam Muslim ibnul Hajjaj رحمه الله telah mengatakan di dalam kitab sahihnya, bahawa:

حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ، حَدَّثَنَا أَبِي، عَنِ الْعَلَاءِ بْنِ خَالِدٍ الْكَاهِلِيِّ، عَنْ شَقِيقٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ مَسْعُودٍ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يُؤْتَى بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لَهَا سَبْعُونَ أَلْفَ زِمَامٍ، مَعَ كُلِّ زِمَامٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَك يَجُرُّونَهَا”.

Telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Hafs ibnu Ghiyas, telah menceritakan kepada kami ayahku, dari Abul Ala ibnu Khalid Al-Kahili, dari Syaqiq, dari Abdullah Ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Neraka Jahanam pada hari itu didatangkan dengan tujuh puluh ribu tali kekang yang masing-masing tali kekang dipegang oleh tujuh puluh ribu malaikat yang menariknya. [Sahih Muslim no. 5076]

 

يَومَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الإِنسانُ

dan pada hari itu ingatlah manusia, 

Dan pada hari itu manusia semua akan ingat segala apa yang telah mereka lakukan semasa mereka di dunia. Selama ini apa yang mereka diingatkan mereka tidak mahu terima tetapi apabila di Mahsyar nanti, mereka akan ingat semuanya.

Kalimah يَتَذَكَّرُ adalah dalam bentuk wazan yang penuh, maksudnya manusia akan ingat seluruhnya, dengan terperinci. Ini semua akan terjadi selepas mereka sudah nampak neraka. Waktu itu baru hendak insaf. Manusia memang selalu lupa kesalahan yang telah dilakukannya, tetapi nanti di akhirat mereka akan ingat semuanya sekali.

 

وَأَنّىٰ لَهُ الذِّكرىٰ

akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya.

Tetapi di Mahsyar nanti  tidak berguna lagi peringatan itu. Sudah terlambat sangat hendak buat apa-apa lagi. Kalau hanya ingat dan baru hendak beriman waktu itu, tidak dapat menyelamatkan mereka. Tidak berguna lagi walaupun iman mereka lebih hebat dari iman para Nabi عليهم السلام.


 

Ayat 24: Apabila mereka sudah teringat, apa yang mereka akan cakap?

يَقولُ يٰلَيتَني قَدَّمتُ لِحَياتي

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will say, “Oh, I wish I had sent ahead [some good] for my life.”¹

  • The everlasting life of the Hereafter.

(MALAY)

Dia mengatakan: “Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini”.

 

يَقولُ يا لَيتَني

Dia mengatakan: “Celakalah aku

Orang itu pasti akan berkata: “malangnya aku, apa yang aku dah buat ni? aku dah rosakkan diriku.”

Dia akan berkata begitu kerana dia akan menyesal dengan sesangatnya. Kerana dia sudah tahu yang dia akan mengalami masalah yang berat nanti. Dia tahu yang dia sudah celaka nasibnya. Tidak ada harapan untuk balik ke dunia untuk memperbaiki amalannya.

 

قَدَّمتُ لِحَياتي

Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini”

Dia juga alangkah baiknya kalau قَدَّمتُ (aku menyimpan dengan menghantar amal) untuk hidupku yang sebenarnya di akhirat. Ini adalah kerana hidup yang kekal adalah di akhirat nanti, bukannya di dunia ini. Mereka amat menyesal kerana dahulu mereka sibuk kumpul harta untuk dunia tetapi sekarang mereka sudah tahu yang kehidupan dunia tidak ada apa pun, tidak ada nilai langsung.

Begitulah sepatutnya kita menabung untuk kehidupan yang sebenarnya, iaitu di akhirat kelak. Iaitu mereka sepatutnya ‘menghantar’ amal baik mereka untuk menunggu mereka di akhirat kelak. Tetapi malangnya kebanyakan manusia sibuk mengumpul harta untuk dunia mereka sahaja.

Kalimah قَدَّمتُ bermaksud ‘menghantar ke hadapan’ kerana ianya seperti menghantar amal kita supaya menunggu kita di akhirat kelak. Mereka menyesal kerana tidak buat begitu tetapi tiada gunanya penyesalan di akhirat kelak.


 

Ayat 25: Takhwif Ukhrawi

فَيَومَئِذٍ لّا يُعَذِّبُ عَذابَهُ أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So on that Day, none will punish [as severely] as His punishment,

(MALAY)

Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyeksa seperti seksa-Nya.

 

Mereka yang melampau akan tetap dikenakan dengan azab. Dan azab itu amat pedih sekali. Pada hari itu, tiada yang mengazab seperti azab Allah ﷻ. Tidak terbayang oleh manusia akan azab yang akan dikenakan oleh Allah ﷻ kepada mereka yang ingkar kepadaNya.

Tidak sama seksaan Allah ﷻ dan seksaan manusia. Manusia pun ada seksa orang lain juga, tetapi tidak akan sama dengan apa yang Allah ﷻ akan lakukan. Seksaan yang Allah ﷻ berikan itu tidak ada bandingan dengan seksaan yang pernah mana-mana manusia lakukan.


 

Ayat 26: Dan mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana lagi.

وَلا يوثِقُ وَثاقَهُ أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And none will bind [as severely] as His binding [of the evildoers].

(MALAY)

dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya.

 

Allah ﷻ akan kepung dan tangkap mereka tidak boleh ke mana-mana lagi. Kemudian Allah ﷻ akan ikat mereka supaya mereka tidak dapat lari. Kalau di dunia seseorang manusia itu kena penjara atau kena seksa, masih ada lagi yang boleh lari menyelamatkan diri. Tetapi ini tidak akan berlaku di akhirat kelak.

Maka tiada sesiapa pun yang dapat mengikat seperti ikatanNya. وثِقُ bermaksud mengikat dengan ketat. Ikatan Allah ﷻ itu tidak ada bandingan dengan ikatan mana-mana manusia pun.


 

Ayat 27: Ayat 27 – 30 adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu jiwa yang tenang akan mendapat kedudukan istimewa di Akhirat.

Ada iltifat dalam ayat ini. Kalau sebelum ini telah disebut tentang orang berdosa. Sekarang akan disebut tentang mereka yang baik, yang taat kepada Allah ﷻ. Ini adalah ayat-ayat Tabshir Ukhrawi.

يٰأَيَّتُهَا النَّفسُ المُطمَئِنَّةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[To the righteous it will be said], “O reassured soul,

(MALAY)

Hai jiwa yang tenang.

 

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ﷻ bercakap tentang mereka yang berdosa dalam pihak yang ketiga, kerana Allah ﷻ murka kepada mereka, dan mereka seperti tidak ada harapan lagi untuk berubah. Tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ bercakap terus kepada ahli syurga.

Allah ﷻ panggil ahli-ahli syurga ini dengan gelaran ‘jiwa yang tenang’. Kerana mereka akan masuk ke syurga yang penuh ketenangan. Sudah tidak ada apa lagi yang mereka perlu risaukan. Mereka tidak ada kerja yang perlu dibuat lagi, tidak ada ahli keluarga yang perlu dijaga, tidak ada kerisauan atas mereka walau apa pun. Kerana di syurga nanti mereka akan hanya perlu menikmati segala kelazatan nikmat sahaja.

Ketahuilah bahawa ayat ini tentang kalimah Allah ﷻ yang hanya berlaku di akhirat kelak untuk memasukkan orang beriman ke dalam syurga. Di dunia memang tidak akan dapat ketenangan ini kerana akan ada sahaja perkara yang menyebabkan kita resah gelisah. Nikmat tenang yang sepenuhnya hanya di syurga sahaja.

Kerana ada sahaja benda dalam fikiran kita yang mengganggu ketenangan kita. Kalau sedang buat kerja, teringat kerja yang tak buat lagi, teringat perkara lain dan sebagainya. Kalau sedang rehat pun, teringat kerja yang tidak siap lagi, teringat tentang ahli keluarga, teringat tentang masalah-masalah lain.

Ayat ini ada kaitan dengan sumpah dalam empat ayat yang pertama, iaitu mereka yang menjaga keempat-empat perkara itu:

    • Fajr: merujuk kepada solat Subuh. Iaitu mereka yang menjaga solat Subuh kerana ramai yang gagal, bukan?
    • 10 hari: merujuk kepada 10 Dzulhijjah yang awal dan 10 Ramadhan yang akhir. Iaitu mereka yang mengambil peluang untuk beribadat pada hari-hari ini.
    • Genap dan ganjil: merujuk kepada solat yang ganjil rakaatnya dan yang genap rakaatnya.
    • Malam yang berlalu: merujuk kepada waktu akhir dari malam iaitu waktu sahur – untuk mengerjakan Qiyamullail dan waktu sahur itu juga adalah waktu untuk bersedia kalau berpuasa sunat.

Jadi semua ini adalah perkara-perkara utama dalam ibadah. Dan mereka yang dapat melakukan semuanya adalah mereka yang termasuk dalam golongan yang akan dapat kedudukan yang mulia di akhirat kelak – mereka akan mendapat ketenangan hati dan dimasukkan ke dalam syurga. Semoga kita tergolong ke dalam golongan itu.

Surah ini bermula dengan menceritakan tentang mereka yang berbuat jahat dan sekarang bertukar menceritakan tentang mereka yang tenang dan dapat masuk syurga.


 

Ayat 28: Apakah yang akan menyebabkan hati mereka puas dan tenang?

ارجِعي إِلىٰ رَبِّكِ راضِيَةً مَّرضِيَّةً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Return to your Lord, well-pleased and pleasing [to Him],

(MALAY)

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.

 

Hati mereka menjadi tenang kerana mereka kembali kepada Tuhan dengan keadaan mereka redha (berpuas hati) dengan Allah ﷻ dan Allah ﷻ pun redha dengan mereka. Iaitu kembali ke sisi-Nya, ke pahala-Nya, dan kepada apa yang telah disediakan oleh-Nya bagi hamba-hamba-Nya di dalam syurga-Nya.

Semasa di dunia lagi, mereka sudah kembali kepada Allah ﷻ. Iaitu dalam kehidupan mereka, mereka rujuk kepada kehendak Allah ﷻ. Dan kerana itu mereka jaga agama, jaga iman, jaga ibadah.

Tentunya ada banyak dugaan kalau kita hendak menjaga agama kita – tidak boleh buat perkara haram, kena jaga nafsu, kena makan dari harta yang halal, ada dugaan yang berbagai-bagai – dari keluarga, kawan, musuh, masyarakat; tetapi mereka jaga kerana kembali rujuk kepada Allah ﷻ dalam setiap hal dan kerana itu, mereka kembali kepada Allah ﷻ di akhirat kelak dalam keadaan Allah ﷻ redha kepada mereka.

Di dunia lagi mereka sudah redha dengan Allah ﷻ dan dengan agama Islam. Dan kerana itu, mereka menjalani kehidupan mereka untuk mencari keredhaan Allah ﷻ. Mereka tidak mencari redha manusia, tetapi mencari redha Allah ﷻ sahaja. Kalau kita dapat capai tahap mencari keredhaan Allah ﷻ sahaja, itu adalah kemanisan iman yang amat tinggi.

Mereka tidak perlu susah payah memuaskan hati manusia kerana hati manusia tidak akan puas dengan apa yang kita lakukan. Jadi hidup mereka hendak memenuhi kehendak Allah ﷻ sahaja. Sudah terdapat banyak kisah manusia yang dahulunya berdosa, menentang agama, hanya ikut hawa nafsu sahaja, mabuk sana dan sini tetapi apabila mereka jumpa agama, jumpa cara hidup yang islamik, mereka kata mereka telah jumpa satu perasaan yang mereka tidak pernah rasa.

Mereka rasa puas dengan agama Islam dan mereka tenang selesa dengan Islam kerana Allah ﷻ telah buka hati mereka. Dan ketenangan yang paling tinggi  dan sempurna adalah apabila kita akhirnya dapat bertemu dengan Allah ﷻ.

Kalimah راضِيَةً maksudnya mereka berpuas hati dengan apa yang Allah ﷻ telah lakukan kepada mereka. Bandingkan dengan orang-orang berdosa sebelum ini yang tidak puas hati dengan Allah ﷻ – mereka kata Allah ﷻ telah menghina mereka kerana telah mengurangkan rezeki mereka.

Dan kerana tidak puas hati, mereka memberontak menentang agama. Begitulah hati mereka yang tidak redha dengan Allah ﷻ. Tetapi mereka yang redha dengan Allah ﷻ, mereka terima sahaja apa yang Allah ﷻ kenakan kepada mereka. Mereka sedar yang mereka itu hamba dan Allah ﷻ itu Tuhan, maka mereka redha kerana hamba tidak boleh mempersoalkan apa yang dilakukan oleh Tuhannya.

Kalimah مَرضِيَّةً pula maksudnya Allah ﷻ redha dengan kita. Ini adalah pemberian yang amat besar sekali. Kerana kalau emak ayah kita redha kita menjadi anak mereka, puas hati dengan kita, pun kita sudah bangga dan senang hati, apatah lagi kalau Allah ﷻ yang redha dan puas hati dengan pencapaian kita. Ini pun sudah nikmat yang besar, tetapi ada lagi pemberian lain.


 

Ayat 29: Nikmat seterusnya

فَادخُلي في عِبٰدي

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And enter among My [righteous] servants

(MALAY)

Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku,

 

Mereka masuk kepada golongan yang soleh yang selalu didengar dan dibaca tentang mereka. Selalu kita dengar kisah tentang Abu Bakr, tentang Umar dan para sahabat رضي الله عنهم serta imam-imam رحمهم الله yang telah menjalankan kerja dalam agama sampaikan agama ini berkembang biak hingga tiba kepada kita.

Tentu kita teringin hendak jumpa Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Ibrahim عليه السلام, Abu Bakr, Umar رضي الله عنهما dan sebagainya. Dalam fikiran kita, bagaimana keadaan mereka itu, alangkah menariknya kalau dapat bertemu dengan mereka.

Balaghah: hazf wa zikru – Dalam ayat ini, Allah ﷻ menggunakan kalimah عِبادي (hambaKu) sedangkan ada dalam beberapa tempat yang lain (Zumar: 10,16,17 & Zukhruf:68), digunakan kalimah عِباد yang juga bermaksud ‘hambaKu’. Apakah perbezaan antara عِبادي dan عِباد? Kalau terjemah biasa, kedua-duanya bermaksud: hambaKu.

Apabila ada hazf pada ya mutakallim seperti yang digunakan dalam kalimah , ia membawa maksud dawam (دوام) yang bermaksud ‘tetap’ dan istimrar (terus menerus). Iaitu apabila hamba itu sudah istiqamah dalam ibadahnya.

Tetapi apabila zikru ya mutakalim, ia memberi isyarat tahawul (berhenti). Kenapa pula kalimah balaghah yang bermaksud tahawul pula yang digunakan dalam ayat ini? Ini adalah kerana apabila seseorang itu telah masuk ke dalam syurga, tidak ada lagi ibadah yang perlu dilakukan. Kerana syurga adalah tempat untuk menikmati dan memuaskan nafsu sahaja. Jadi, tidak perlu lagi istiqamah dalam ibadah apabila sudah masuk ke dalam syurga kerana memang tidak ada ibadah lagi di syurga.

Ini juga mengajar kita bagaimana di dunia kita kena hambakan diri dan melakukan ibadah kepada Allah ﷻ, selagi kita hidup. Ibadahlah dengan berterusan selagi hidup. Apabila sudah mati, barulah ibadah terputus.

Dalil yang kita kena mengerjakan amal ibadat selagi kita hidup adalah dalam Maryam:31 di mana Nabi Isa عليه السلام bersabda: وَأَوصاني بِالصَّلاةِ وَالزَّكاةِ ما دُمتُ حَيًّا (dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup).

Maknanya taklif (tanggungjawab) yang Allah ﷻ kenakan kepada kita tidaklah lama. Iaitu sementara hidup sahaja, bukan selama-lamanya. Begitulah Allah ﷻ maha pengasih dan maha penyayang. Ingatlah bahawa dunia ini adalah darul taklif (negeri tanggunjawab) dan darul ibadah (negeri buat ibadat).

Akhirat pula adalah darul jaza’ (negeri pembalasan). Jadi jangan berharap sangat untuk dapat balasan semasa di dunia. Kerana Allah ﷻ mungkin balas di dunia atau tidak, tetapi pasti balasan yang sepenuhnya akan diberikan di akhirat kelak, maka kena tunggu di akhirat.


 

Ayat 30: Dan mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

وَادخُلي جَنَّتي

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And enter My Paradise.”

(MALAY)

masuklah ke dalam syurga-Ku.

 

Allah ﷻ menjemput mereka untuk masuk ke dalam syurgaNya. Lihatlah, Allah ﷻ tidak kata: “masuklah ke dalam syurga”, tetapi Allah ﷻ cakap: “masuklah ke dalam syurgaKu”. Memang tidak sama antara dua kalimah itu. Dalam ayat ini bermakna Allah ﷻ berkata sendiri dengan ahli ahli syurga itu dan menjemput sendiri ahli syurga itu untuk masuk ke dalam syurga.

Allah ﷻ berfirman: syurgaKu. Dan ini memberi peringatan kepada kita, yang syurga ini Allah ﷻ buat khas untuk ahli syurga itu. Maknanya, Allah ﷻ yang sediakan apa yang ada di dalamnya, segala perhiasannya, segala nikmatnya dan tentulah itu hebat sekali kerana bukan makhluk lain yang buat, tetapi Allah ﷻlah arkiteknya.

Alangkah mulianya dijemput begitu. Allah ﷻ sebut dan kisahkan dalam ayat ini supaya kita terbayang-bayang dan mendapat motivasi untuk memperbaiki diri kita dan memperbanyakkan amalan kebaikan kita supaya kita pun mendapat kelebihan ini juga. Semoga kita termasuk golongan mereka yang dapat segala nikmat itu, ameen.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Balad

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Layl Ayat 5 – 7 (Semoga Allah mudahkan)

Layl Ayat 5: Ayat 5 – 7 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ﷻ memberitahu yang orang bertaqwa itu akan menjaga hubungan baik dengan Tuhan dan juga dengan manusia. Maka Allah ﷻ mengajar kita: daripada berbagai-bagai jenis amalan itu, apakah yang baik?

فَأَمّا مَن أَعطىٰ وَاتَّقىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As for he who gives and fears Allāh

(MALAY)

Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa,

 

Yang pertama disentuh adalah mereka yang sanggup memberikan harta mereka di jalan Allah ﷻ. Dan dalam masa yang sama, mereka bertaqwa iaitu mereka dapat jaga hati dari syirik dan riak. Asal ayat ini berkenaan Saidina Abu Bakr yang mengeluarkan infak untuk membebaskan para sahabat seperti Bilal atas nasihat Nabi. Abu Bakr bebaskan Bilal dengan satu kati emas.

Kalimah أَعطىٰ bermaksud ‘memberi dengan banyak’. Perkataan yang sama juga digunakan dalam Surah Al-Kautsar. Ini berbeza kalau perkataan yang digunakan: أتى. Kalau perkataan أتى digunakan, ianya hanya bermaksud memberi biasa sahaja.

Ada banyak lagi kalimah ‘memberi’ dalam bahasa Arab. أَعطىٰ adalah memberi kerana sesuatu tetapi beri lebih banyak dari apa yang sepatutnya. Tapi beri kepada siapa dan beri apa? Tidak disebut dalam ayat ini. Memang ada banyak ayat dalam Al-Qur’an yang tidak disebut dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan jelas. Jadi kita kena menggunakan akal kita dan berusaha untuk mencari maksud yang hendak disampaikan.

Allah ﷻ tidak perlu sebut dalam ayat ini kerana dalam ayat-ayat yang lepas sudah disebut tentang memberi seperti dalam surah Al-Balad. Lihatlah dari ayat فَكُّ رَقَبَةٍ sehingga ayat seterusnya.

Kalimah تَّقىٰ bermaksud menyelamatkan diri dari bahaya dan dari kesan bahaya itu. Iaitu menyelamatkan diri dari melakukan dosa kerana dosa itu akan memasukkan diri ke dalam api neraka jahannam. Kerana takut masuk dalam api neraka, maka kita menjaga diri kita dari melakukan dosa. Bukan kerana memberi atau beramal kerana riak.

Maka dalam segala perbuatan kita, kita hendaklah amat berhati-hati. Kita akan sedar tentang hukum sesuatu perkara itu (ini boleh buat ke tidak?) dan kita sedar yang segala gerak geri kita dan perbuatan kita sedang diperhatikan dan diambil kira oleh malaikat dan juga Allah ﷻ.

Taqwa selalu diterjemahkan sebagai ‘takut’ tapi taqwa sebenarnya tidak sama dengan perkataan khawf – takut. Takut memang sebahagian dari taqwa itu tapi taqwa bukan ‘takut’ sahaja. Maksud taqwa itu lebih luas lagi. Memang dalam Al-Qur’an banyak digunakan kalimah-kalimah tentang takut.

Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah seorang diri dan kita dengar suara hentakan yang kuat – ini adalah ‘takut’. Tetapi apabila kita mengambil pendekatan untuk mempertahankan diri – ini adalah ‘taqwa’. Maknanya, bukan takut sahaja, tapi kena ambil tindakan seterusnya. Kerana kita takut dengan neraka, takut murka Allah ﷻ, maka kita tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan Allah ﷻ murka. Itulah taqwa.

Selalunya, mereka yang memberi infak, derma, sedekah, tentulah merasa telah selamat. Akan tetapi dalam ayat ini, selepas Allah ﷻ sebut mereka telah memberi, mereka ‘taqwa’ pula lagi. Maknanya, orang yang memberi itu pun kena ada rasa risau juga dan berhati-hati walaupun setelah memberi. Ini adalah kerana entah-entah dia ada buat silap walaupun dalam memberi. Mungkin kerana dia beri benda yang tidak patut, tidak ikhlas dan apa-apa yang boleh merosakkan infaknya itu.

Dia juga kena ingat yang harta yang dia berikan itu adalah dari Allah ﷻ juga. Alangkah malunya kalau kita rasa yang harta yang kita ada sekarang ini adalah hak kita. Ini bahaya kerana apabila sudah rasa harta itu diri sendiri punya, mulalah kedekut tidak mahu infak kepada orang lain.

Oleh kerana itu ramai yang kedekut tidak mahu memberi kerana mereka rasa mereka telah mendapat harta itu dari hasil usaha mereka, padahal Allah ﷻ yang berikan kepada kita. Kalau Allah ﷻ tidak berikan, segala usaha mereka itu tidak akan membuahkan hasil pun.

Ada satu perkara yang kita hendak sentuh dalam tulisan ini. Ada satu trend di kalangan masyarakat termasuk dalam kalangan orang Islam juga tentang infak ini. Ramai yang mendapat harta mereka dengan cara yang haram dan tidak benar. Oleh kerana mereka memang ada fitrah mengenali perkara yang salah, maka mereka rasa tidak sedap hati kerana mereka sendiri rasa mereka telah buat satu kesalahan dalam mendapatkan harta itu.

Jadi untuk menyedapkan hati mereka, mereka telah menderma dengan banyak. Mungkin ada yang bagi derma yang banyak kepada masjid dan surau contohnya. Mungkin ada yang beri anak yatim makan; dan macam-macam lagi cara mereka. Mereka sangka, kalau mereka beri derma dengan banyak, dosa-dosa mereka itu akan dibersihkan. Ini bukanlah cara yang benar.

Pemberian infak dan derma itu tidaklah menyebabkan segala kesalahan mereka dimaafkan. Sebagai contoh, ada yang buka kedai jual arak yang jelas-jelas adalah perbuatan haram. Tapi mereka mahu menyedapkan hati mereka dengan beri sedekah kepada masjid. Begitu juga macam artis kita, kalau terasa banyak dosa, maka nak ‘cuci’ dosa, mereka pergi buat umrah.

Tetapi selepas itu sambung balik menyanyi dan berlakon. Maka kefahaman yang mereka ada adalah kefahaman yang salah. Kalau beginilah, mereka mungkin memberi, tetapi mereka tidak ada ‘taqwa’. Sedangkan kedua-duanya kena ada. Sekalipun banyak derma, tetapi tak jaga hukum hakam Allah ﷻ yang lain (kerana tidak ada taqwa), maka pemberian mereka itu tidak dapat menyelamatkan mereka.

Dua perkara yang kena ada adalah ‘bertaqwa’ dan ‘memberi sedekah’. Ayat ini terbalik sebab sepatutnya bila sudah ada ‘taqwa’ baru hati mahu bersedekah, bukan? Tapi ini salah satu dari cara Al-Qur’an menyampaikan pengajaran dalam surah ini. Allah ﷻ sebutkan konklusi dulu, kemudian baru disebut kerja yang dilakukan dahulu. Jadi, taqwa > infak.


 

Layl Ayat 6: Sebelum dapat taqwa, apa yang kena ada dulu? Kerana taqwa tidak terjadi dengan sendiri, kena ada sesuatu yang berlaku dahulu.

وَصَدَّقَ بِالحُسنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And believes in the best [reward],

(MALAY)

dan membenarkan adanya pahala yang terbaik,

 

Hendaklah manusia dari awal lagi membenarkan perkara-perkara yang baik. Iaitu membenarkan dengan kalimah iman.

Kalimah الحُسنىٰ ini adalah Allah ﷻ memberi khulasah tentang agama: kebaikan yang paling baik. Kalimah الحُسنىٰ adalah dalam bentuk isim mubalaghah. Asal makna الحُسنىٰ adalah kebaikan. Tapi ada tambahan ‘ال’, maka ianya bermaksud kebaikan tertentu yang telah ditetapkan – ia telah menjadi isim makrifah. Oleh itu, ia bukan maksud kebaikan yang umum (kalau dalam bentuk isim nakirah).

Maka apakah yang dimaksudkan? Ini kita kena cari kerana tidak disebutkan apakah ianya. Ini adalah kerana amat banyak sekali perkara baik. Allah ﷻ tidak tetapkan apakah perkara yang baik itu kerana banyak sekali perkara baik yang boleh dilakukan dan Allah ﷻ tidak menghadkan kepada sesuatu perkara sahaja.

Ada yang mengatakan yang dimaksudkan adalah beriman dengan adanya syurga Allah ﷻ. Iaitu menerima bahawa orang yang berbuat amal kebaikan, amalan itu akan menyampaikan dia ke syurga.

Ada juga yang kata ia bermaksud Kalimah Tayyibah (La illaha illAllah Muhammadun Rasool Allah – tidak ada ilah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah). Iaitu mereka yang membenarkan syahadah ini. Dan mungkin ada lagi pendapat-pendapat yang lain. Oleh itu, ada banyak pendapat tentang perkara ini dan kita menerima semuanya.

Apakah perkara penting yang ditekankan dalam surah ini? Yang ditekankan adalah tindakan – amalan. Ini telah disebut dalam ayat ke-4 (سَعى). Kalau percaya sahaja, tetapi tidak buat apa-apa, tidak beramal, pun tidak berguna juga. Oleh itu, iman itu bukan hanya cakap sahaja tetapi kena dibenarkan dengan tindakan kita.

Ini penting untuk disebut kerana ramai yang tahu tentang apa yang patut dilakukan, tetapi mereka tak buat pun. Oleh itu, apabila dikatakan seseorang itu تصَدَّقَ (membenarkan), itu bermaksud dia bersetuju yang itu adalah perkara yang baik, dan dia melakukannya. Kerana kalau dia setuju yang ianya adalah perkara baik, kenalah dia pun buat juga, barulah dikira sebagai تصَدَّقَ.

Sebagai contoh, kalau kita kata api itu panas, tapi kita pegang juga, maka itu bermaksud sama ada orang itu tidak percaya sebenarnya, atau dia gila atau bodoh.

Jadi, amalan apa yang telah disebutkan sebelum ini? Dalam ayat ke 5, telah disebut tentang أَعطىٰ [memberi]. Iaitu infak harta. Kemudian disebut tentang تَّقىٰ [menjaga diri]. Walaupun تَّقىٰ adalah elemen iman, tapi ia juga ada elemen amal, kerana apabila kita menjaga diri, kita kena lakukan sesuatu juga. Dan akhir sekali telah disebut تصَدَّقَ (membenarkan) dan ini mungkin jauh sikit dari amal kerana ianya adalah perbuatan hati.


 

Layl Ayat 7: Apakah balasan yang akan diberikan kepada mereka yang telah memberi dengan ikhlas, dan akidah mereka pun baik? Allah ﷻ akan mudahkan dia ke syurga. Allah ﷻ mudahkan dengan cara Allah beri taufik kepadanya.

فَسَنُيَسِّرُهُ لِليُسرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will ease him toward ease.

(MALAY)

maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.

 

Maka sesungguhnya Allah ﷻ akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘taufik’. Apabila Allah ﷻ beri taufik, akan senang seseorang itu untuk buat kebaikan yang akhirnya akan membawanya ke syurga. Begitulah sifat ahli syurga yang akan mudah sahaja buat perkara-perkara yang baik. Ini kerana tempat kita sudah ditentukan sama ada ahli syurga atau ahli neraka. Maka kalau kita mudah untuk buat amal kebaikan, maka itu tanda kita mungkin ahli syurga. Ini termasuk di dalam akidah qada’ qadar yang perlu diimani oleh seluruh umat Islam. Mungkin ada yang sukar untuk terima perkara ini kalau mereka memikirkan dengan minda sendiri tanpa berpandukan kepada pembelajaran wahyu yang benar. Sedangkan perkara ini telah pernah dijelaskan oleh Rasulullah sendiri berdasarkan pertanyaan dari sahabat,

عَنْ عَلِيٍّ عَلَيْهِ السَّلَام قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَمَقْعَدُهُ مِنْ النَّارِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَتَّكِلُ قَالَ لَا اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ ثُمَّ قَرَأَ { فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى إِلَى قَوْلِهِ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى }
Dari [Ali] dia berkata; Suatu ketika, kami duduk-duduk di sisi Nabi SAW, maka baginda pun bersabda: “Tidak ada seorang pun dari kalian, kecuali tempat duduknya dari syurga dan dari neraka telah ditulis.” Maka kami pun bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana bila kita sebaiknya hanya bertawakkal saja?” Baginda menjawab: “Tidak! Tetapi beramallah kalian, sebab setiap orang akan dimudahkah.” Kemudian baginda membacakan ayat: “FA`AMMAA MAN `A’THAA WAT TAQAA WA SHADDAQA BIL HUSNAA FASANUYASSIRUHU LILYUSRAA (Dan barangsiapa yang memberi, dan bertakwa serta membenarkan kebaikan)..” hingga firman-Nya, “FASANUYASSIRUHU LIL’USRAA.”(Layl:5-7)
Sahih Bukhari (4566)

Kalimah يُسرىٰ adalah dalam bentuk mubalaghah. Maksudnya Allah ﷻ akan beri jalan yang paling mudah. Orang itu akan mendapati dia senang sahaja untuk buat kebaikan. Dan nak buat dosa, susah pula. Bayangkan betapa hebatnya pemberian Allah ﷻ ini, bukan? Kerana kita selalunya buat baik susah dan buat jahat yang senang.

Kalimah يُسرىٰ berasal dari katadasar ي س ر yang bermaksud sesuatu yang senang dibuat. Maksudnya, Allah ﷻ memudahkan melakukan amalan yang akan membawanya kepada jalan menuju syurga. Ibn Abbas رضي الله عنه berkata: dimudahkan jalan kepadanya untuk buat kebaikan. Allah ﷻ yang akan memudahkan dengan dilapangkan dada, diberikan ilmu, diberikan taufik dan apa-apa yang diperlukan.

Sebagai contoh, kita tengok sesetengah orang susah nak solat. Tetapi bagi orang seperti Nabi ﷺ, itulah yang senang dilakukan baginda kerana itulah yang baginda suka sekali nak buat kerana baginda dapat bermunajat kepada Allah ﷻ. Perkara yang sama, tapi lain orang, lain semangatnya.

Begitulah kalau Allah ﷻ mudahkan untuk seseorang beribadat dan sebagainya, senanglah untuk dia masuk syurga nanti. Dan susah untuk dia buat kesalahan dalam kehidupan dia. Tetapi kita sekarang? Senang nak buat dosa, susah nak buat baik. Ma sha Allah!

Semoga kita pun mendapat kesenangan yang dijanjikan oleh Allah ﷻ dalam ayat ini juga. Tapi kenalah mulakan dengan proses yang telah disebut: memberi – taqwa – membenarkan.

Allah ﷻ berfirman yang Dia akan memudahkan. Maknanya, selagi bukan Allah ﷻ yang mudahkan, ia masih susah. Teringat doa memudahkan perkara.

الَّلهُمَّ لَا سَهْلَ إِلَّا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلًا. وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحُزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلًا
“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau buat mudah. Dan engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki, pasti akan menjadi mudah”
[HR Ibnu Hibban dalam sahihnya no. 93/255. Dinilai sahih oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth dalam tahqiq Sahih Ibnu Hibban]

Dalam perbuatan manusia pun, kalau sesuatu perkara yang kita sudah biasa lakukan, ia akan menjadi senang juga, bukan? Jadi senang sebab sudah biasa buat – alah bisa tegal biasa. Jadi, kita kena mulakan dan biasakan dahulu.

Sebagai contoh, mungkin mula-mula nak amalkan istiqamah Solat Tahajjud kerana kita rasa ia amat susah, tapi kalau sudah diselalukan, ianya lama kelamaan akan menjadi biasa sahaja. Jadi kita kena mulakan dengan buat ibadat sahaja. Begitu juga bangun subuh pada waktunya. Memang mulanya susah, tapi kalau sudah lama buat, ia akan jadi senang sahaja. Niat yang baik dan terus lakukan. Semoga Allah ﷻ akan mudahkan.

Fikiran kita pun kena jaga juga. Kalau dalam fikiran kita kata sesuatu perkara itu ‘susah’, memanglah ia akan terus menjadi susah. Tapi kalau kita sudah didik fikiran kita yang kita kena buat perkara itu, dan dalam fikiran kita, kita katakan yang ianya mudah, lama-lama ia akan jadi senang.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Mei 2025

Ringkasan Surah Layl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Usul 8: Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Turun Ayat Dan Surah

(8) Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Turun Ayat Dan Surah (فهم القرآن على صوء الترتيب النزولي)

Al-Qur’an boleh difahami dengan dua cara:
(i) Memahaminya berdasarkan tertib turun ayat-ayat dan surah-surah al-Qur’an.
(ii) Memahaminya berdasarkan tertib yang terdapat di dalam mushaf (al-Qur’an) yang ada di hadapan kita sckarang.

Memahami al-Qur’an berdasarkan tertib turun ayat-ayatnya merupakan usul kelapan bagi tafsir al-Qur’an yang baik. Untuk mengetahui tertib turun ayat-ayat al-Qur’an dan surah-surahnya, anda tidak dapat tidak mestilah mengetahui sebab-sebab turunnya (asbabun nuzul) terlebih dahulu. Dan ia dapai dipastikan apabila anda betul-betul mahir tentang sirah Nabi s.a.w. Semua peristiwa yang berlaku kepada Nabi s.a.w. semasa Baginda berada di Mekah perlu diketahui dan dipastikan kesahihannya. Dcemikian juga dengan peristiwa yang berlaku kepada Baginda s.a.w. semasa di Madinah.

Anda perlu sedar bahawa al-Qur’an baru turun ke dunia setelah nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi rasul ketika berumur 40 tahun. Al-Qur’an turun kepada Baginda secara beransur-ansur. la turun sejajar dengan perjalanan hidup Baginda. Oleh itu orang yang cuba memahami al-Qur’an tanpa pengetahuan tentang sirah (perjalanan hidup) Nabi s.a.w. bukan sahaja akan kecundang, malah akan tersasul jauh dari kebenaran. Bukan dia sahaja akan tersesat jalan, malah akan menyesatkan pula orang-orang lain.

Dengan berpandukan riwayat-riwayat sahih berhubung dengan sebab-sebab turun ayat-ayat atau surah-surah, akan mudahlah kepada anda memahami al-Qur’an.

(a) Surah-Surah Makkiyyah Dan Madaniyyah 

Para pelajar mestilah terlebih dahulu mengetahui dan memahami tentang tertib surah-surah Makkiyyah, kemudian tertib surah-surah Madaniyyah.

Apa yang dimaksudkan dengan surah-surah Makkiyyah ialah surah-surah yang  diturunkan kepada Nabi s.a.w. sebelum Baginda berhijrah ke Madinah. Sama ada ia diturunkan di Mekah atau di tempat-tempat lain. Dan yang dimaksudkan dengan surah-surah Madaniyyah pula ialah surah-surah yang diturunkan kcpada Baginda selepas berhijrah ke Madinah. Sama ada ia memang diturunkan di Madinah atau di luar Madinah. Surah yang paling akhir diturunkan dengan lengkap kepada Rasulullah s.a.w. ialah surah an-Nashr. la diturunkan kepada Nabi s.a.w. di Mina dalam peristiwa haji wadaa’ yang berlaku pada tahun ke sepuluh hijrah.

Satu perkara penting yang perlu sekali diketahui anda sekarang ialah riwayat Ibnu Dhurais yang dikaitkan dcngan Ibnu ‘Abbaas tentang tertib surah-surah sama sekali tidak boleh dipegang, kerana ia adalah munqathi’. Sanad riwayat yang dikemukakan oleh as-Suyuthi tentang tertib surah-surah juga bermasalah, ia juga tidak harus dijadikan pegangan.

(b) Bilangan Surah-Surah Makkiyyah Dan Madaniyyah

Surah-surah Makkiyyah ada 90 kesemuanya dan surah-surah Madaniyyah pula ada 24 kesemuanya. Sesetengah orang berpendapat, surah-surah ar-Ra’ad, ar-Rahman, ad-Dahr dan az-Zilzaal adalah surah-surah Madaniyyah. Sedangkan yang sebetulnya, keempat-empat surah itu adalah Makkiyyah. Untuk lebih jelas, surah-surah Makkiyyah dan surah-surah Madaniyyah itu dalam tertib nuzulnya perlulah dibahagikan pula kepada beberapa peringkat. Misalnya

(i) Peringkat permulaan,
(ii) Peringkat pertengahan, dan
(iii) Peringkat akhir.

Untuk memahami dan menentukan tertib turun surah-surah Makkiyyah agak sukar. Anda terpaksa menggunakan bukti-bukti luaran dan juga bukti-bukti dalaman dalam usaha menentukannya. Bukti luaran mungkin berdasarkan sesuatu peristiwa yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih. Bukti dalaman pula akan diperolehi dengan mengkaji isi kandungan surah berkenaan. Di dalamnya akan ada isyarat-isyarat yang menunjukkan ia termasuk dalam surah yang diturunkan pada peringkat-peringkat tertentu.

Peringkat-Peringkat Kehidupan Rasulullah S.A.W Semasa Di Mekah

Peringkat kehidupan Rasulullah s.a.w. semasa di Mekah dapat dibahagikan kcpada empat bahagian. Dalam empat bahagian itulah turun 90 surah kepada Baginda s.a.w. Di bawah ini dikemukakan carta menyatakan empat peringkat kehidupan Rasulullah s.a.w. semasa di Mekah.

Empat Peringkat Kehidupan Rasulullah S.A.W Semasa Di Mekah

Peringkat pertama Bermula dari baginda menjadi Nabi sehingga tahun ketiga kenabian. Dakwah Rasulullah di peringkat ini berlangsung secara sulit dan ia berterusan selama tiga tahun  Dalam masa ini 13 surah diturunkan kepada baginda.
Peringkat kedua Bermula dari tahun keempat hingga tahun kelima kenabian Ia berlangsung dalam masa dua tahun. Dalam masa ini dakwah mula disampaikan oleh Rasulullah kepad umum secara terbuka Dalam masa ini sebanyak 42 surah diturunkan kepada Nabi.
Peringkat ketiga  Bermula dari tahun keenam hingga tahun kesepuluh kenabian. Ia berlangsung dalam masa lima tahun. Dalam masa ini sebanyak 22 surah diturunkan kepada Rasulullah.
Peringkat keempat Bermula dari tahun kesebelas kenabian hingga ke tahun berhijrah ke Madinah. Ia berlangsung dalam masa tiga tahun Dalam masa ini sebanyak 13 surah diturunkan kepada Nabi.
Jumlah tahun adalah 13 tahun Jumlah kesemua sekali surah-surah Makkiyah ialah 90 surah. 

  1. Senarai surah-surah yang diturunkan di peringkat pertama Kenabian.

Wahyu pertama bermula dengan turunnya lima ayat daripada Surah al-Alaq. Turunnya ialah pada bulan Ramadhan. Dalam masa tiga tahun pertama itu turun sebanyak 13 surah (tidak semesti selengkapnya) kepada Rasulullah. Perinciannya dapat lihat dalam carta di bawah ini:

Surah 96: al-Alaq 5 ayat pertama Surah al-Alaq merupakan wahyu yang mula-mula sekali diturunkan kepada Nabi kita Muhammad SAW.
Surah 74: al-Muddaththir Selepas itu turun pula 5 ayat di permulaan Surah al-Muddaththir.
Surah 73: al-Muzzammil 8 ayat di permulaannya diturunkan.
Surah 1: Fatihah Ia mempunyai 7 ayat dan diturunkan lengkap sebagai satu surah.
Surah 93: ad-Dhuha Surah ini mengandungi 11 ayat. Ia diturunkan selengkapnya selepas tempoh senggang turun wahyu (فترت الوحي) untuk menghiburkan hati Nabi.
Surah 94: Alinsyirah Surah ini juga diturunkan selepas tempoh senggang turun wahyu (فترت الوحي) untuk menghiburkan hati Nabi.
Surah 81: at-Takwir Sebahagian besar kandungan surah ini menggambarkan keadaan dan suasana di hari kiamat. Manusia diberi peringatan tentangnya.
Surah 82: Alinfithar Surah ini juga menggambarkan perihal hari kiamat. Manusia diberi peringatan tentangnya.
Surah 97: al-Qadr Surah ii menyatakan kelebihan dan nilai wahyu Allah berupa al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.
Surah 99: az-Zizaal Ia menggambarkan perihal hari kiamat dan mengingatkan manusia tentangnya.
Surah 100: al-Aadiyaat Selain menceritakan tetnang kehidupan selepas kematian, surah ini juga menceritakan tentang beberapa sifat keji manusia
Surah 101: al-Qaari’ah Surah ini menceritakan tentang hari kiamat dan beberapa perkara yg akan nyata di hari itu.
Surah 103: al-Ashr Rahsia yang membuatkan seseorang manusia tidak kerugian dalam kehidupan dunia diberitahu oleh Allah melalui surah ini.

2. Senarai surah-surah yang diturunkan di peringkat kedua Kenabian.

Kira-kira 42 surah diturunkan di peringkat kedua ini. Di peringkat ini, Nabi telah berdakwah kepada umum secara terbuka. 23 surah daripadanya diturunkan selepas baginda memulakan dakwah kepada umum secara terbuka. Ia bermula pada tahun ke 4 Hijrah bersamaan 613 Masehi. 7 daripadanya diturunkan sebelum berlakunya hijrah para sahabat ke Habasyah. Dan 12 daripadanya pula diturunkan selepas hijrah mereka ke sana.

Perincian 23 surah yang diturunkan selepas baginda memulakan dakwah kepada umum secara terbuka dapat anda lihat di dalam carta berikut:

Surah 112: al-Ikhlas Melalui surah ini, Nabi diperintah supaya menyampaikan aqidah dan konsep توحد الذات (pengesaan Dzat Allah)
Surah 95: at-Tin Ia diturunkan di zaman/peringkat pendustaan oleh orang-orang kafir terhadap Nabi.
Surah 55: ar-Rahman Ia diturunkan di zaman/peringkat pendustaan oleh orang-orang kafir terhadap Nabi.
Surah 77: al-Mursalat Ia diturunkan di zaman/peringkat pendustaan oleh orang-orang kafir terhadap Nabi.
Surah 75: al-Qiyaamah Peringatan daripada Allah agar tidak diikuti pimpinan yang menolak kewujudan hari akhirat.
Surah 76: ad-Dahr atau al-Insaan Jalan yang benar (السبيل) telah pun diberikan oleh Allah kepada manusia (dan jin), maka mereka tidak patut lagi mengkufuriNya.
Surah 78: an-Naba’ Perbandingan keadaan golongan الطاغين atau golongan yang tidak percayakan hari akhirat dengan orang-orang yang bertaqwa (المتقين) di akhirat nanti.
Surah 79: an-Naazi’aat Perbandingan di antara orang-orang yang menjalani kehidupan dunia dengan penuh kesedaran dan keyakinan tentang akan adanya hari kiamat dan hari pembalasan dan orang-orang yang tidak mempercayainya di sampaing menjalani kehidupan dunia dengan melampau batas hukum Tuhan.
Surah 83: al-Mutaffifin Penyelewengan dalam pengurusan harta benda di kalangan masyarakat yang mengejek dan menghina perjuangan dakwah Nabi.
Surah 84: al-Insyiqaaq Ia diturunkan ketika masyarakat sedang mengejek dan menghina ajaran yg dikemukan oleh Rasulullah.
Surah 80: Abasa Tatasusila dakwah dalam masyarakat yang menghina dan mencemuhi ajaran Islam.
Surah 87: al-A’la Diturunkan ketika Nabi sibuk memberi peringatan kepada masyarakat tentang hari kemudian.
Surah 88: al-Ghasyiyah Surah ini juga diturunkan ketika Nabi sibuk memberi peringatan kepada masyarakat tentang hari kemudian.
Surah 102: at-Takaatsur Faham kebendaan yang sangat menebal di kalangan pimpinan Quraisy Mekah didedahkan. akibat buruk yang akan diterima mereka di hari kemudian juga dideahkan di dalam surah ini.
Surah 104: al-Humazah Akhlak buruk dan sifat bakhil pimpinan Quraisy.
Surah 105: al-Fiil Peringatan kepada kaum Quraisy, khususnya pimpinan mereka bahawa Ka’bah akan dijaga Allah.
Surah 106: Quraisy Perintah kepada pimpinan Quraisy agar menyembah empunya Rumah Allah.
Surah 107: al-Maa’un Pendedahan akibat yang akan menimpa pimpinan Quraisy kerana mendustakan hari akhirat.
Surah 108: al-Kautsar Ramalan kebinaan yang akan dialami pimpinan Quraisy.
Surah 109: al-Kaafirun Bicara terus terang dengan pimpinan Quraisy
Surah 111: al-Masad Ramalan kebinasaan yang akan dialami pemimpin tertinggi Quraisy dan isterinya
Surah 113: al-Falaq Perintah mengisytiharkan tauhid rububiyah kepada umum.
Surah 114: an-Naas Perintah mengisytikharkan tauhid uluhiyah dan kekuasaan mutlak adalah hak Allah semata-mata.

Peringatan:

Di peringkat Nabi SAW didustakan, turun Surah al-Falaq dan ayat-ayat yang berbaki daripada Surah al-Muddatstsir dan al-Muzzammil.

Surah-surah yang diturunkan sebelum sahabat berhijrah ke Habasyah

Selepas peringkat kedua tadi, bermulalah zaman penentangan kaum Quraisy terhadap Nabi. Ia menjadi semakin memuncak sehingga akhirnya mendorong sesetengah sahabat memilih untuk berhijrah ke Habasyah. Tujuh surah berikut diturunkan sebelum mereka berhijrah ke sana:

Surah 29: al-Ankabut Di dalamnya ada isyarat kepada hijrah ke Habasyah.
Surah 30: ar-Ruum Di dalamnya terhadap berita gembira bahawa orang-orang Islam akan mendapat kejayaan setelah diuji.
Surah 31: Luqmaan Larangan mengikut kedua ibu bapa dalam aqidah syirik mereka.
Surah 39: az-Zumar Di dalamnya juga terjadap isyarat kepada hijrah ke Habasyah.
Surah 18: al-Kahfi Adab-adab penyampaian agama kepada penganut-penganut agama Kristian di Habasyah.
Surah 19: Maryam Penyampaian aqidah tauhid kepada penganut-penganut agama Kristian dan penolakan terhadap ajaran tiga tuhan yang dibawa mereka.
Surah 20: Thaaha Seruan tauhid kepada penganut-penganut agama Kristian.

 

Hijrah Pertama dan Kedua ke Habasyah

Hijrah pertama ke Habasyah telah berlaku pada 5 Rajab tahun kenabian (selepas Rasulullah dilantaik menjadi Nabi dan Rasul), bersamaan dengan 614 Masehi. Pada kali ini seramai 12 orang laki-laki dan 4 orang muslimah telah berhijrah ke Habasyah di bawah pimpinan Sayyidina Uthman r.a.

Dalam hijrah kedua pula seramai 82 orang laki-laki dan muslim dan 18 orang muslimah telah berhijrah ke sana.

Surah-surah yang diturunkan selepas para sahabat berhijrah ke Habasyah

Selepas sekumpulan para sahabat berhijrah ke Habasyah, sejumlah 12 surah diturunkan kepada baginda. Di peringkat ini baginda dituduh dengan pelbagai tuduhan. Bukan sekadar itu sahaja, malah ajaran yang dibawa baginda juga didustakan. Carta di bawah ini menunjukkan senarai 12 surah berkenaan:

 

Surah 32: as-Sajdah Rasulullah dituduh sebagai pereka al-Quran dan penimbul fitnah.
Surah 56: al-Waqiah Surah ini diturunkan di zaman Nabi didustakan.
Surah 50: Qaaf Mengandungi perintah Allah kepada Rasulullah agar terus memberi peringatan walaupun didustakan.
Surah 51: ad-Dzaariyat Rasulullah dituduh sebagai gila dan tukang sihir.
Surah 52: at-Thuur Rasulullah dituduh dengan pelbagai tuduhan, seperti penyair, gila, tukang tenung dan mereka-reka sendiri al-Quran.
Surah 67: al-Mulk Nabi SAW dituduh sesat.
Surah 68: al-Qalam Rasulullah dituduh gilan dan dirasuk.
Surah 69: al-Haqqah Rasulullah dituduh penyair, gila dan telah mengada-ngadakan al-Quran.
Surah 70: al-Ma’arij Ancaman kebinaan terhadap pimpinan Quraisy yang begitu materialistik dan mata duitan.
Surah 71: Nuuh Etika dakwah dan ancaman kebinasaan kepada orang-orang yang engkar seperti telah berlaku kepada kaum Nabi Nuuh dahulu.
Surah 91: as-Syams Ia turun ketika Nabi didustakan. Akibat pendustaan, bangsa mana pun mungkin dimusnahkan seperti kaum Tsamud.
Surah 92: al-Lail Diturunkan di zaman pendustaan orang-orang kafir terhadap Nabi SAW.

 

Peringatan: 

Ayat-ayat terakhir di dalam Surah an-Najm juga turun di peringkat ini. Sementara beberapa ayat di permulaannya pula diturunkan pada tahun ke 12 kenabian sempena berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raaj.

 

3. Surah-surah yang diturunkan di antara tahun ke 6 dan ke 10 kenabian. 

Di peringkat ketiga kehidupan Rasulullah SAW di Mekah, sejumlah kira-kira 22 surah diturunkan kepada baginda. Mula-mula turun 9 surah pasca kemarau yang berlaku di Mekah. Kemudian turun pula 13 surah selepas umat Islam betul-betul ditindas dan dizalimi. Di permulaan peringkat ketiga ini Sayyidina Hamzah telah memeluk agama Islam. Tiga hari kemudian Sayyidina Umar pula memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhijjah tahun keenam kenabian bersamaan 615 Masehi.

Pada tahun ke 7 kenabian bersamaan 616 Masehi, telah berlaku kemarau yang dahsyat di Mekah. 9 surah yang diturunkan pasca kemarau yang berlaku pada tahun ke 7 kenabian itu adalah seperti berikut:

Surah 21: al-Anbiyaa Rasulullah dituduh sebagai penyair dan seorang yang dirasuk.
Surah 23: al-Mukminoon Dituduh gila
Surah 25: al-Furqaan Dituduh sebagai seorang yang terkena sihir dan seorang yang mengada-ngadakan Quran
Surah 26: asy-Syu’araa’ Rasulullah diragui dan dituduh gila.
Surah 27: an-Naml Diragui dan dituduh tukang sihir.
Surah 28: al-Qashash Nabi tidak berkuasa memberi hidayat kepada Abu Thalib.
Surah 44: ad-Dukhan Baginda dituduh gila dan diajar oleh orang lain.
Surah 45: al-Jaatsiyah Ancaman kepada pemimpin-pemimpin materialis dan ateis.
Surah 54: al-Qamar Diturunkan dizaman pendustaan orang-orang kafir terhadap Nabi.

Di peringkat ini juga Nabi dipulau dan diboikot oleh orang-0rang kafir Quraisy selama 3 tahun. Dalam masa 3 tahun itu Nabi dan keluarga serta pengikut-pengikut dibenarkan bebas hanya di kawasan Syi’bi Bani Haasyim atau Syi’bi Abi Thaalib sahaja. Peristiwa ini bermula pada bulan Muharram tahun ke 7 kenabian bersamaan 616 Masehi. Ia berterusan hingga ke bulan Muharram tahun ke 10 kenabian bersamaan 619 Masehi.

Surah-surah yang diturunkan ketika penindasan dan kekejaman penguasa-penguasa kafir Quraisy terhadap para sahabat berada di kemuncaknya

Di peringkat ini turun kepada Rasulullah kira-kira 11 surah. Nabi pada ketika itu bukan sahaja dituduh, malah ketegangan kadang-kadang sampai kepada pakatan jahat mereka untuk membunuh baginda. Di penghujung peringkat inilah turun kepada Rasulullah dua surah daripada surah-surah Hawaamim.

Surah 34: Saba’ Rasulullah dituduh sebagai tukang sihir, gila dan pereka Quran.
Surah 35: Faathir Pakatan jahat terhadap Rasulullah.
Surah 36: Yaasin Tuduhan sebagai penyair terhadap Rasulullah. Sifat jalaal Allah juga dinyatakan di dalamnya.
Surah 37: as-Shaffaat Rasulullah dituduh sebagai tukang sihir dan gila.
Surah 38: Shaad Rasulullah dituduh sebagai tukang sihir dan pendusta besar.
Surah 85: al-Buruj Ancaman kebinasaan kepada kaum kafir Quraisy kerana penindasan dan kekejaman mereka yang melampau ke atas umat Islam.
Surah 86: at-Thaariq Ia diturunkan di zaman berlakunya konspirasi, komplot dan pakatan jahat untuk membunuh Nabi SAW.
Surah 89: al-Fajr Firman Allah إِنَّ رَبَّكَ لَبِالمِرصادِ (Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi) merupakan ancaman kebinasaan daripada Allah kepada penguasa-penguasa Quraisy yang zalim.
Surah 90: al-Balad Kezaliman terhadap baginda sendiri sudah dianggap halal.
Surah 40: Haamiim al-Mu’min Ancaman kebinasaan seperti yang telah berlaku kepada Firaun.
Surah 41: Haamiim as-Sajdah Ancaman kebinasaan seperti yang telah berlaku kepada kaum Aad dan Tsamud.

Peringkat kehidupan Rasulullah ini berakhir dengan baginda dan para pengikut dibebaskan daripada kepungan di Syi’bi Bani Hasyim. Di peringkat itulah juga Abu Thaalib dan Khadijah meninggal dunia. Kemudiannya Rasulullah berkahwin dengan Saudah dan pergi pula ke Tha’if untuk berdakwah.

Perinciannya adalah seperti berikut:

(a) Abu Thaalib meninggal dunia pada bulan Rajab 10 tahun kenabian bersamaan 619 Masehi.

(b) Dua bulan selepas itu Sayyidatina Khadijah pula meninggal dunia iaitu pada bulan Ramadhan tahun ke 10 kenabian.

(c) Nabi berkahwin dengan Saudah pada bulan Syawwal tahun 10 kenabian bersamaan 619 Masehi.

(d) Pergi berdakwah ke Thaa’if pada tahun ke 10 kenabian bersamaan Jun 619 Masehi. Pada ketika itulah dipercayai turun surah al-Ahqaaf dan al-Jin kepada baginda SAW.

Surah 46: al-Ahqaaf al-Quran diperdengarkan kepada kumpulan jin.
Surah 72: al-Jin Selepas mendengar al-Quran kumpulan jin itu memeluk agama Islam dan menjadi pendakwah.

 

4. Surah-Surah Yang Diturunkan Pada Tiga Tahun Terakhir Kehidupan Rasulullah S.A.W. Di Mekah 

Beberapa peristiwa penting yang berlaku pada tahun-tahun berkenaan yang merupakan peringkat keempat kehidupan Rasulullah s.a.w. di Mekah:

(a) Berkahwin dengan ‘Aaisyah. la berlangsung pada bulan Syawwal tahun ke 11 kenabian bersamaan 620 Masehi. Bagaimanapun kehidupan sebagai suami isteri mereka baru bermula selepas hijrah ke Madinah.

(b) Enam orang daripada puak Khazraj datang dari Madinah ke Mekah lalu memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhiijah tahun 11 kenabian bersamaan 620 Masehi.

(c) Berlakunya peristiwa Israa’ Mi’raaj dan kefardhuan sembahyang lima waktu. Peristiwa Mi’raaj berlaku pada 27 Rajab tahun ke 12 kenabian bersamaan 621 Masehi. Selepas peristiwa Mi’raaj, sebahagian daripada Surah an-Najm diturunkan dan diturunkan juga Surah Bani Israil atau Surah al-Israa’.

(d) Berlakunya bai’ah ‘Aqabah pertama. 12 orang Anshaar datang dari Madinah ke Mekah lalu memeluk agama Islam. 10 orang daripada mereka adalah puak Khazraj dan 2 orang daripada puak Aus. Peristiwa ini berlaku pada butan Zulhijjah tahun 12 kenabian bersamaan 621 Masehi.

(e) Berlakunya bai’ah ‘Aqabah kedua. Pada kali ini seramai 72 orang Madinah datang kepada Nabi s.a.w. lalu memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhijjah tahun 13 kenabian bersamaan 622 Masehi.

Di peringkat keempat yang merupakan peringkat terakhir kehidupan Rasulullah s.a.w. di Mekah turun kira-kira 13 surah. Di bawah ini dikemukakan perinciannya:

Surah 10: Yunus Di zaman keraguan dan pelbagai tuduhan terhadap Nabi SAW seperti tukang sihir, pereka al-Quran dan sebagainya.
Surah 11: Huud Juga diturunkan di zaman keraguan dan pelbagai tuduhan terhadap Nabi.
Surah 12: Yusuf Perancangan sedang dibuat untuk menghalau Rasulullah dari bumi Mekah.
Surah 13: ar-Ra’d Pelbagai komplot dan pakatan jahat dirancang terhadap Rasulullah.
Surah 14: Ibrahim Pelbagai komplot dan pakatan jahat dirancang terhadap Rasulullah.
Surah 15: al-Hijr Diturunkan dalam suasana ejekan dan tuduhan-tuduhan liar terhadap Nabi.
Surah 16: an-Nahl Di dalamnya terdapat isyarat kepada hijrah ke Madinah.

Pada tahun ke 12 kenabian berlaku peristiwa Mi’raaj kepada Nabi. Pada tahun ini dipercayai turun 2 surah kepada baginda. Di dalamnya ada tersebut tentang peristiwa itu. Di dalam Surah Isra’ diajarkan kepada Nabi doa hijrah. Dalam perjalanan Rasulullah dari Mekah ke Palestin untuk Mi’raaj ke langit itu ditayangkan kepada Rasulullah, suasana di Madinah yang akan menjadi tempat penghijrahan baginda.

Dua surah berkenaan adalah:

Surah 17: Israa’ atau Bani Israil Selain tersebut apa yg berlaku pada malam Mi’raaj itu, terdapat juga isyarat tentang penubuhan negara Islam di Madinah.
Surah 53: an-Najm Peristiwa di malam Mi’raaj dikemukakan di permulaan surah ini.

 

Empat surah yang akan dikemukakan nanti dipercayai telah turun pada tahun ke 13 kenabian, beberapa ketika sebelum Nabi berhijrah ke Madinah:

 Surah 42: Haamim asy-Syura Penjelasan tentang kemasyarakatan Islam.
 Surah 43: Haamim az-Zukhruf  Penyempurnaan hujah terhadapan kaum kafir Quraisy dan amaran terakhir kepada mereka.
 Surah 6: al-An’am  Penyempurnaan hujah terhadapan kaum kafir Quraisy dan amaran terakhir kepada mereka.
 Surah 7: al-A’raaf Penyempurnaan hujah terhadapan kaum kafir Quraisy dan amaran terakhir kepada mereka.

 

Hijrah Ke Madinah

Pada 27 Safar tahun ke 14 kenabian, Rasulullah berhijrah ke Madinah bersama Abu Bakar.

24 surah telah diturunkan setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah. Carta di bawah ini menunjukkan tertib turun ayat-ayat dan surah-surah semasa Nabi berada di Madinah:

Nama Surah Zaman Turun Isi Kandungan Utama
1 Surah al-Jumu’ah: 3 ayat terakhirnya Pada 1 Hijrah: Sembahyang Jumaat pertama kali didirikan di Quba’ Khutbah Jumaat dan hukum hakam sembahyang Jumaat
2 Surah al-Hajj: ayat 25 – 78 Pada 1 Hijrah Kebenaran berperang demi mempertahankan diri.
3 Surah at-Taghabun Pada 1 Hijrah Pendahuluan ajaran jihad dan infaaq di jalan Allah.
4 Surah al-Baqarah Tahun ke 2 Hijrah. Sebelum Perang Badr Perubahan arah qiblat dan kepimpinan serta hukum-hukum syariat baharu.
5 Surah at-Thalaaq Tahun ke 2 Hijrah. Sebelum Perang Badr Penggunaan hukum Thalaaq dan azab yang menimpa umat yang lalu.
6 Surah Muhammad Tahun ke 2 Hijrah. Sebelum Perang Badr Etika perang dan galakan berinfaaq.
7 Surah al-Anfaal Tahun ke 3 Hijrah. Selepas Perang Badr. Etika perang dan hukum hakam harta rampasan perang.
8 Surah ash-Shaff Tahun ke 3 Hijrah. Selepas Perang Uhud. Kamu akan beroleh kemenangan jika kamu membela agama Allah.
9 Surah Aali Imraan Tahun ke 3 Hijrah Usaha-usaha untuk memenangkan agama Islam.
10 Surah al-Hasyr Bulan Rabi’ulawwal tahun ke 4 Hijrah Rawatan penyakit nifaaq dengan sifat-sifat Allah.
11 Surah an-Nisa’. Tahun ke 4 Hijrah Sistem masyarakat yang kukuh bermula daripada kekeluargaan hingga kepada kenegaraan.
12 Surah al-Hadid Tahun ke 4 Hijrah Tegaknya keadilan dan kesaksamaan.
13 Surah al-Ahzaab Di antara tahun ke 4 dan ke 5 Hijrah Hukum-hukum kekeluargaan, ketenteraan dan kemasyarakatan.
14 Surah al-Mujaadilah Tahun ke 5 Hijrah Hukum hakam zihaar dan lain-lain
15 Surah al-Munafiqun Tahun ke 6 Hijrah. Pada tahun ini juga berlaku perang dengan Bani al-Mushthaliq. Jangan jadi munafiq. Sebaliknya berbelanjalah di jalan Allah.
16 Surah an-Nuur Tahun ke 6 Hijrah Hukum hakam kekeluargaan dan kemasyarakatan.
17 Surah al-Fath Tahun ke 6 Hijrah. Sekembali dari Suluh Hudaibiyah Berita gembira akan menakluk Farsi dan Afrika.
18 Surah al-Jumu’ah dari ayat 1 hingga 8 Selepas penaklukan Khaibar pada bulan Muharram tahun ke 7 Hijrah Jawatan kerasulan dan penyucian jiwa.
19 Surah al-Maa’idah Tahun ke 7 Hijrah Undang-undang Islam dan sekularisma.
20 Surah at-Tahrim Tahun ke 8 Hijrah Kehidupan kekeluargaan dan peranan wanita.
21 Surah al-Mumtahanah Tahun ke 8 Hijrah Kewarganegaraan wanita dan peranannya dalam pengintipan.
22 Surah al-Hujuraat Tahun ke 9 Hijrah Hak-hak Allah, Rasul dan orang Islam.
23 Surah at-Taubah Pada bulan Rajab tahun ke 9. Sama ada sebelum atau selepas Perang Tabuk. Jihad dengan orang-orang musyrikin, Yahudi dan Nasara.
24 Surah al-Bayyinah Tahun ke 10 Hijrah Orang-orang yang tidak percaya kepada Nabi Muhammad sebagai Nabi terakhir adalah ahli neraka.
25 Surah an-Nashr Pada bulan Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah di Mina Pemberitahuan tentang kewafatan Nabi.

Rasulullah wafat pada bulan Rabi’ulawwal tahun ke 11 Hijrah.

Allahu a’lam. Sambung ke usul yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Asri

Sessi 2

Sessi 3

Sessi 4

Sessi 5

Sessi 6

Sessi 7

Sessi 8

Sessi 9

Sessi 10

Sessi 11

Sessi 12

Sessi 13

Sessi 14

 

Tafsir Surah al-A’la Ayat 9 – 19 (Tidak mati dan tidak hidup)

Ayat 9: Ayat 9 – 13 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ suruh Rasulullah ﷺ sampaikan kepada manusia ajaran peringatan Al-Qur’an.

Ayat 9 ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ.

فَذَكِّر إِن نَفَعَتِ الذِّكرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So remind, if the reminder should benefit;¹

  • i.e., wherever it will be heard and understood.

(MALAY)

oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanfaat,

 

Huruf فَ dalam فَذَكِّر dinamakan ‘fa fasihah’. Ianya adalah kalimah konklusi, iaitu selepas engkau sudah dengar beberapa ayat sebelum ini, maka berilah peringatan, ‘jikalau’ peringatan itu memberi manfaat. Jadi Nabi ﷺ disuruh memberi peringatan kepada manusia dengan berdakwah kepada mereka.

Kena ajak mereka untuk taat kepada Allah ﷻ. Jadi dalam surah ini ada dua arahan kepada Nabi ﷺ. Pertama, membersihkan nama Allah ﷻ dan kedua, memberi peringatan kepada manusia.

Kalau kita lihat kalimah فَذَكِّر (maka berilah peringatan), tidak ada objek di dalamnya. Ini bermaksud dalam setiap ketika kena ingatkan. Inilah khulasah (kesimpulan) kehidupan Nabi Muhammad ﷺ. Sama ada baginda sedang bertasbih kepada Allah ﷻ atau sedang memberi peringatan.

Kalimah إِن نَفَعَتِ الذِّكرىٰ (jika peringatan itu memberi manfaat) adalah satu kenyataan bersyarat. Maksudnya, berilah peringatan kalau peringatan itu akan dapat memberi manfaat, sama ada yang diberi peringatan atau kepada yang memberi peringatan. Ini adalah tafsir pertama.

Tafsiran yang kedua, kalimat إِن نَفَعَتِ الذِّكرىٰ boleh diterjemahkan (sesungguhnya peringatan itu akan memberi manfaat). Kerana sudah tentulah peringatan itu memberi manfaat. Dan Nabi ﷺ sudah tahu yang peringatan itu ada kebaikan, maka ayat ini adalah suruhan.

Maka, kita pun kenalah beri peringatan juga kepada manusia kerana bukan Nabi ﷺ sahaja yang disuruh untuk beri peringatan. Kita pun ada tanggungjawab dakwah, akan tetapi kadangkala kita takut orang tidak dengar peringatan dari kita. Kita rasa kalau kita dakwah, orang tidak dengar pun dakwah kita, jadi kita malas hendak beri nasihat, malas hendak dakwah.

Tetapi kita kena ingat yang penerimaan itu adalah kerja Tuhan, bukan kerja kita. Yang penting kita kena sampaikan sahaja tanpa kita risau sama ada mereka terima atau tidak. Kerana mungkin mereka tidak ikut sekarang tetapi mungkin mereka simpan dalam ingatan mereka apa yang kita nasihatkan itu. Kadang-kadang apa yang kita sampaikan mereka tidak terima, tetapi selepas itu ada orang lain lagi yang sampaikan perkara yang sama, maka mereka mula terfikir: “entah-entah betul kot apa yang mamat ni cakap dulu…”.

Maka, sampaikanlah peringatan itu, entah-entah ia akan memberi manfaat kepada mereka. Inilah yang kita kena lakukan dengan orang lain – cuma sampaikan sahaja. Sampaikan peringatan kepada keluarga, kepada kawan-kawan kita, kepada orang yang kita kenal pun.

Kena sampaikan sahaja, jangan fikir sama ada mereka akan terima atau tidak. Bila ada peluang sahaja, ingatkan sahaja. Kerana bukan kerja kita untuk fikir sama ada mereka akan terima atau tidak. Kita tersilap kalau buat keputusan mereka tidak terima padahal kita tidak tahu pun hati manusia. Mana kita tahu yang mereka tidak akan terima? Cuba fikir-fikirkan.

Kalimah الذِّكرىٰ adalah peringatan yang kuat kerana ianya dalam bentuk isim mubalagahah. Maknanya kita kena beri peringatan yang hebat juga. Kita kena pandai cari peluang, kena tahu ilmu komunikasi dan belajar bagaimana hendak berdakwah dengan efektif.

قال علي رضي الله عنه: ” حدثوا الناس بما يعرفون؛ أتريدون أن يُكَذَّب الله ورسوله؟ “

Ali رضي الله عنه telah berkata, “Berbicaralah kepada orang-orang lain sesuai dengan jangkauan pengetahuan mereka, mahukah kamu bila Allah dan Rasul-Nya didustakan?” [Sahih al-Bukhari; Kitab al-Ilmu no. 127]

Oleh itu, kita kena fikirkan cara yang terbaik untuk sampaikan kepada manusia. Ia juga bermaksud memang peringatan itu ada manfaat yang kuat. Kerana, sama ada orang terima atau tidak, ia sudah memberi manfaat kepada mereka yang memberi peringatan itu. Mungkin orang yang diberi peringatan tidak dapat manfaat, tetapi yang ‘beri’ peringatan itu yang dapat manfaat.

Sebab itulah Allah ﷻ suruh juga Nabi Musa عليه السلام beri peringatan kepada Firaun, walaupun Allah ﷻ tahu yang Firaun tidak akan terima, kerana ia ada manfaat kepada Nabi Musa عليه السلام. Iaitu kalau kita sampaikan, ilmu kita bertambah, iman kita bertambah, kita sudah dapat pahala sama ada mereka terima atau tidak, dan tentunya banyak lagi manfaat yang kita tidak tahu.

Ya, kita akan tetap dapat pahala sama ada orang yang diberi peringatan itu terima atau tidak. Kerana Allah ﷻ beri upah pahala atas dasar kita sampaikan sahaja, bukannya sama ada mereka terima atau tidak. Kalau dalam dunia, bos kita beri bonus kalau sesuatu rancangan berjaya sahaja, tetapi Allah ﷻ tidak begitu, buat kerja dakwah sahaja sudah dapat pahala.

Ayat ini diberi kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda rasa sedih kerana ramai yang tidak terima apa yang baginda sampaikan. Allah ﷻ hendak beritahu, jangan risau tentang perkara itu kerana tugas baginda hanya sampaikan sahaja. Jangan fikir tentang mereka itu, tetapi buat kerja sahaja.


 

Ayat 10: Maka, siapakah yang akan dapat faedah dari peringatan itu?

سَيَذَّكَّرُ مَن يَخشىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He who fears [Allāh] will be reminded.

(MALAY)

orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran,

 

Huruf سَ dalam سَيَذَّكَّرُ bermaksud ‘tidak lama lagi’. Maksudnya, terus beri peringatan, tidak lama lagi akan ada orang yang akan terima. Yang akan terima adalah orang yang ‘takut’. Apabila digunakan kalimah مَن, ia boleh jadi sesiapa sahaja. Ini tidak sama kalau digunakan kalimah الذى, yang bermaksud orang yang spesifik.

Kalimah يَخشىٰ bermaksud jenis takut kepada sesuatu yang lebih besar dari kita. Yang lebih dari kita adalah Allah ﷻ. Maksudnya takut kepada Allah ﷻ dan apa yang diancam olehNya. Dan sesiapa yang ada perasaan itu akan berusaha untuk ingat selalu. Mereka akan mula untuk mendengar ajaran yang diberikan dalam wahyu dan memang mereka akan takut kerana peringatan itu ada mengandungi ancaman yang menakutkan.

Oleh itu, orang yang akan terima peringatan adalah orang yang takut kepada Allah ﷻ dan hari akhirat. Mereka akan dapat terima kerana dalam hatinya sudah ada sedikit sebanyak perasaan takut dan mereka hendak menyelamatkan diri mereka.

Tetapi kita bukannya boleh tahu siapa yang ada rasa takut dalam dirinya. Bukan ada tanda pada dahinya untuk kita kenal pasti dari awal lagi siapa yang terbuka hatinya atau tidak. Maka kita kena teruskan dakwah sahaja. Jangan kita buat hukum terlalu awal: “malaslah aku nak dakwah kat dia ni… memang dia tidak akan terima punya….”

Ini adalah sikap yang buruk. Agama tidak akan berkembang kalau para pendakwah boleh pilih-pilih kepada siapa yang dia hendak dakwahkan. Maka kita dakwah sahaja kepada semua. Ini macam tebar jala hendak tangkap ikan, tebarkan sahaja seluas-luasnya, tengok berapa banyak yang kena.


 

Ayat 11: Tetapi ada ramai lagi yang tidak menerima.

وَيَتَجَنَّبُهَا الأَشقَى

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the wretched one will avoid it –

(MALAY)

dan orang-orang yang celaka akan menjauhinya.

 

Tetapi orang yang celaka akan menjauhinya. Mereka tidak mahu dengar dakwah dan peringatan yang diberikan sampai mereka sanggup lari. Pernah tak kita tengok orang yang nampak sahaja ustaz lalu, mereka akan lari? Mereka tidak mahu dengar nasihat dari orang dan rasa rimas.

Mereka yang jenis itu adalah orang yang paling malang, dan malang itu lawan kepada orang yang bertuah. Mereka itu malang sungguh kerana tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini selalunya berkawan dengan orang yang tidak baik, suka buang masa, buang kehidupan mereka, tidak ingat tentang masa hadapan lebih-lebih lagi tentang akhirat.

Mereka itu amat jauh dari kebenaran kerana mereka akan mengelak dari kebenaran dan nasihat yang baik. Jangan kata mereka hendak cari kelas untuk belajar agama, kalau ada orang datang beri nasihat pun mereka tidak mahu dengar, hendak pergi sahaja dari situ.


 

Ayat 12: Apa akan jadi kepada mereka?

الَّذي يَصلَى النّارَ الكُبرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He] who will [enter and] burn in the greatest Fire,

(MALAY)

(Iaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka).

 

Orang yang sebegitu akan masuk ke dalam neraka yang besar. يَصلَى bukan bermaksud ‘dimasukkan’ tetapi dia sendiri akan masuk. Ini adalah kerana tubuh badannya akan memasukkan diri sendiri ke dalam neraka kerana mereka akan taat kepada Allah ﷻ walaupun tuan badan tidak mahu masuk. Apabila Allah ﷻ suruh badan masuk, mereka akan masuk sendiri.

Inilah rancangan Allah ﷻ kepada mereka. Kerana mereka yang paling malang, mereka akan masuk ke dalam api yang paling besar. Kalimat النّارَ الكُبرىٰ tidak sama dengan api biasa. Allah ﷻ tekankan penggunaan pembakaran dalam neraka, padahal api bukanlah satu-satunya azab dalam neraka. Ini adalah kerana kalau api, orang akan takut terus, kerana kalau kena panas sikit pun macam kena api mancis pun, orang sudah menjerit kuat.


 

Ayat 13: Apakah keadaan mereka dalam neraka itu?

ثُمَّ لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Neither dying therein nor living.

(MALAY)

Kemudian dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.

 

Apabila digunakan kalimah ثُمَّ, itu bermaksud selepas lama mereka di dalamnya. Sesudah lama kena masuk dalam neraka, sudah lama kena azab, mereka tetap tidak mati-mati.

Di dalam neraka, ahli neraka tidak mati dan dia tidak hidup. Ini amat menghairankan padahal kalau kena api yang panas, tentu orang akan mati kalau dalam dunia. Tetapi Allah ﷻ tidak benarkan mereka mati kerana Allah ﷻ hendak terus seksa mereka selama-lamanya.

Kerana kalau mati, sudah tidak kena seksa lagi dan dikira mereka selamat. Maka mereka tidak dimatikan dan azab itu memang terus dikenakan kepada mereka sampaikan mereka akan minta untuk dimatikan terus kerana mereka tidak tahan lagi, tetapi Allah ﷻ tidak akan matikan mereka. Dan sesungguhnya Allah ﷻ telah memberitakan perihal ahli neraka melalui firman-Nya:

وَنادَوْا يَا مالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنا رَبُّكَ قالَ إِنَّكُمْ ماكِثُونَ

Mereka berseru, “Hai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh kami saja.” Dia menjawab, “Kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).” Az-Zukhruf: 77)

Mereka tidak akan mati kerana selepas akhirat, tidak akan ada kematian lagi. Mereka yang duduk dalam syurga akan kekal dalam syurga tidak mati-mati dan mereka yang duduk dalam neraka, juga akan kekal dalam neraka (kepada mereka yang kekal dalam neraka) tidak mati-mati. Padahal apa yang dikenakan kepada mereka, patutnya sudah mematikan mereka, tetapi mereka tidak mati mati.

Dan mereka itu pun tidaklah ‘hidup’ sebenarnya. Kenapa begitu pula? Kerana walaupun mereka hidup, tetapi itu bukanlah kehidupan yang sebenar, bukan? Hidup jenis tidak hidup. Allah ﷻ tidak biarkan mereka senang. Mereka tidak akan selesa seperti di dunia. Mereka memang hidup, tetapi tidak macam hidup pun. Tidak macam hidup di dunia.


 

Ayat 14: Ayat 14 – 15 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengajar zikir dan solat sebagai penyucian jiwa.

قَد أَفلَحَ مَن تَزَكّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He has certainly succeeded who purifies himself

(MALAY)

Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman),

 

Maka beruntunglah mereka yang menyucikan dirinya. Iaitu mereka yang telah berusaha menyucikan diri mereka. Mereka mungkin belum berjaya lagi tetapi mereka telah mula berusaha.

Sekali lagi, kalimah مَن bermaksud sesiapa sahaja. Iaitu sesiapa sahaja yang mahu buang yang buruk dan membersihkan hati mereka, terutama dari unsur-unsur syirik. Oleh itu, tazkiyah dalam ayat ini pertamanya adalah membersihkan diri dari akidah syirik.

Ramai dari kalangan orang kita tidak mementingkan perkara ini. Mereka belajar agama, tetapi mereka tidak faham tentang tauhid dan tentang syirik. Jadi, ramai yang tahu tentang amal ibadat tetapi dalam masa yang sama, mereka ada fahaman syirik dan masih buat amalan syirik. Ada yang pergi lagi berubat dengan bomoh, contohnya.

Dan ada yang buat amalan khurafat di kubur, minta dengan ahli kubur, bertawasul dalam berdoa dan macam-macam lagi. Ini semua terjadi kerana tidak mahir dalam hal tauhid dan syirik. Malangnya, ada pula guru agama yang mengajar amalan-amalan sesat ini.

Selepas dibersihkan hati dari fahaman syirik, kena juga membersihkan hati dari segala sifat mazmumah seperti dengki, irihati dan sebagainya. Ini memerlukan usaha yang bukan mudah. Bukannya boleh terus buang, tetapi kena canai hati itu sedikit demi sedikit. Kena latih jiwa kita dari pengalaman-pengalaman yang dilalui.

Kalimah أَفلَحَ dari perkataan فلَحَ yang bermaksud menuai. Dalam bahasa Arab, فلاح bermaksud petani. Orang Arab amat mementingkan pertanian kerana tempat mereka susah untuk bercucuk tanam. فلاح itu telah berusaha sepanjang tahun dan telah tiba masanya dia menuai keuntungan dari penat lelahnya selama setahun itu.

Itulah masa paling gembira untuk فلاح itu. Ini samalah seperti seorang mukmin yang telah berusaha dan tiba masanya dia mengambil untung dari usahanya yang taat selama ini. Jadi, أَفلَحَ adalah kejayaan seseorang setelah berusaha lama. Bukannya duduk goyang kaki. Maka dalam agama ini, kena ada usaha yang berterusan.


 

Ayat 15: Apakah yang mereka telah usaha?

وَذَكَرَ اسمَ رَبِّهِ فَصَلّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And mentions the name of his Lord and prays.

(MALAY)

dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia sembahyang.

 

Setelah mereka menyucikan diri mereka, mereka berzikir menyebut nama Tuhan. Mereka  mengingati nama Tuhannya dan melakukan solat. Ini adalah kerana mereka terima yang Allah ﷻ itu adalah rabb – Tuhan mereka dan mereka mahu untuk beribadat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah suruh buat begitu.

Mereka dengan rela dan senang hati melakukan solat kerana pertalian antara mereka dan Allah ﷻ amat rapat. Dalam solatlah mereka bermunajat kepada Allah ﷻ dan merayu kepadaNya. Mereka  mendapat kemanisan dalam solat dan kerana itu mereka tunggu-tunggu masa untuk solat. Kalau dapat perasaan ini, ia adalah perasaan yang amat menggembirakan.

Allah ﷻ kaitkan zikir dan solat dalam ayat ini. Kita kena cuba untuk khusyuk dalam solat. Allah ﷻ tahu apa yang kita fikirkan semasa solat. Ada kalangan kita yang khusyuk dan ada juga yang teringatkan benda lain semasa solat. Maka Allah ﷻ ingatkan dalam ini, semasa solat kena ingat Allah ﷻ. Waktu solat kena tinggalkan perkara dunia.

Salah satu caranya adalah kalau kita faham apakah yang kita sebut dalam solat kita. Selalunya kita tidak dapat khusyuk kerana kita pun tidak tahu apa yang kita baca dalam solat. Maka ia menjadi lafaz-lafaz yang tidak bermakna dan kerana itu fikiran kita akan lari ke tempat lain. Maka, kenalah belajar tafsir supaya apabila kita baca ayat-ayat Al-Qur’an dalam solat, kita boleh tadabbur ayat-ayat itu. Barulah senang hendak dapat khusyuk.

Dan kena belajar apakah maksud setiap lafaz kalimah yang kita sebut dalam solat itu. Supaya kalimah-kalimah itu ada makna bagi kita dan ia akan menambah khusyuk dalam solat. Kerana otak kita tidak boleh kosong; kalau kosong, itulah sebabnya otak akan cari perkara lain untuk difikirkan. Waktu itulah teringat kerja yang tidak siap, barang yang salah letak, rancangan melancong ke tempat lain dan macam-macam lagi.


 

Ayat 16: Apakah yang menyebabkan manusia tinggalkan usaha untuk berjaya? Seolah-olah mereka tidak mahu masuk syurga pula dan tidak takut neraka. Kepada mereka yang sebegitu, Allah ﷻ beri teguran yang keras dalam ayat ini.

Ayat 16 – 19 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu yang dunia tidak menjadi penghalang kepada mereka yang menyucikan jiwa mereka dan takut kepada Allah ﷻ.

بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But you prefer the worldly life,

(MALAY)

Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.

 

Ada iltifad dalam ayat ini, sekarang Allah ﷻ bercakap terus kepada manusia yang lalai dengan dunia. Oleh itu, ini adalah peringatan yang kuat kerana Allah ﷻ bercakap secara terus. Allah ﷻ beritahu terus yang mereka lebih mementingkan kehidupan di dunia.

Kalimah تُؤثِرونَ itu bermaksud apabila mereka membandingkan dua perkara dan membuat keputusan untuk memilih satu perkara yang mereka rasa lebih penting, lebih bagus. Oleh itu, ayat ini bermaksud, setelah manusia diberi pilihan antara syurga dan neraka, dunia dan akhirat, mereka pilih dunia.

Mereka buat keputusan untuk berjaya di dunia sahaja, meluangkan masa lebih di dunia, mementingkan dunia dari akhirat. Mereka tidak buat persiapan untuk akhirat. Secara dasarnya, mereka telah buat keputusan yang amat salah sekali.

Kalimah الدُّنيا dari perkataan دنو yang bermaksud dekat dan juga bermaksud rendah kualitinya. Apabila dikatakan dunia itu dekat, maksudnya kita boleh terus dapat apa yang kita hendak semasa dunia, kerana dunia itu sudah nampak depan mata, rasa macam boleh capai sahaja. Sedangkan akhirat itu nampak jauh sangat.

Jadi, walaupun telah berbagai imbuhan yang dijanjikan oleh Allah ﷻ kepada mereka yang berusaha beramal dan beriman, tetapi apa yang Allah ﷻ janjikan kepada kita itu nampak jauh kepada orang yang bukan mukmin. Mereka nampak yang di dunia ini lebih dekat, lebih mudah dicapai dan lebih jelas lagi.

Allah ﷻ menjanjikan mahligai dan istana di syurga tetapi rumah di syurga yang dijanjikan amatlah terasa jauh. Tidak nampak pun brosur dia, cuma cakap-cakap sahaja. Tetapi rumah yang di dunia amat dekat kita rasa, bukan? Jadi mereka yang tidak bijak, terus berusaha untuk dapatkan segala rumah dan harta di dunia, kerana mereka hendak dapat perkara dan kesenangan yang cepat, yang dekat.

Semua mereka hendak cepat. Padahal, dunia itu rendah, sedikit, dan sementara sahaja dan kalaulah mereka bersabar tidak ikut nafsu, mereka boleh dapat lebih lagi dan lebih kekal lagi. Maka kita kena lebihkan akhirat seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.

 


 

Ayat 17: Apa yang mereka lakukan itu adalah tidak menguntungkan, sedangkan akhirat itu lebih bernilai.

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

While the Hereafter is better and more enduring.

(MALAY)

Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

 

Allah ﷻ menegaskan bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari dunia yang kita lebihkan ini. Untuk lebih jelas, mari kita bandingkan: bayangkan kita diberi pilihan boleh dapat rumah yang kecil dan tidak berapa cantik tetapi yang pasti, rumah itu kita yang punya.

Dan pilihan kedua pula, dapat duduk dalam hotel lima bintang, tetapi duduk sekejap sahaja, selama seminggu. Dan kita boleh pilih satu sahaja, mana yang anda akan pilih? Kalau anda orang yang waras, mana yang anda pilih? Kalau anda waras, tentu anda akan pilih rumah yang kekal menjadi milik sendiri, bukan?

Tetapi memang manusia kebanyakannya mahukan pulangan yang segera. Allah ﷻ janjikan syurga tetapi bukan diberikan segera. Semua telah dijanjikan tetapi kita tidak dapat hendak lihat pun rumah di syurga itu. Sedangkan, bukankah kalau kita hendak beli barang, kita hendak tengok dulu, bukan? Takkan kita hendak bayar duit yang banyak pada sesuatu yang kita tidak lihat? Kalau kita keluarkan seluruh duit simpanan kita untuk beli rumah, dan kita beritahu keluarga kita, kita sudah beli rumah.

Mereka akan tanya, di manakah rumah itu? Kita kata kita tidak tahu, dan bukan boleh dapat rumah itu sekarang, tetapi bertahun-tahun dari sekarang. Agaknya, apa keluarga kita akan kata? Tentu mereka kata kita gila, bukan? Dan begitulah kita dengan syurga, memang kena berikan dan kena korbankan diri kita seluruhnya kerana kita kena serah diri kita semuanya kepada Allah ﷻ, bukan? Memang itulah maksud ‘muslim’ – menyerahkan seluruh diri kepada Allah ﷻ.

Dan kita hanya mempunyai kata-kata Allah ﷻ sebagai janjiNya. Dan kita tidak ada bukti apa-apa selain dari kita kena beriman dengan janji itu. Harganya adalah seluruh hidup kita, kita serahkan kepadaNya. Perkara ini memang nampak pelik, tetapi bagi orang mukmin, mereka sanggup buat begitu kerana mereka percaya kepada janji Allah ﷻ.

Yang tidak percaya adalah mereka yang tidak beriman sahaja, yang tidak yakin dengan janji Allah ﷻ. Oleh kerana itu tidak hairanlah kalau agama Islam ini kadangkala pelik kepada orang tidak percaya. Dan inilah ujian yang Allah ﷻ berikan. Kalau ianya mudah, tidaklah ia dipanggil ujian, bukan?

Dan apabila ujian itu berat, maka balasan kejayaan juga amatlah besar – bayangkan, buat ibadat sedikit sahaja, sedangkan kita akan dimasukkan ke dalam syurga selama-lamanya. Balasan itu bukannya kerana amal (kerana amal itu sedikit sangat) tetapi kerana iman yang tinggi.


 

Ayat 18: Janji tentang akhirat itu semua bukan benda baru.

إِنَّ هٰذا لَفِي الصُّحُفِ الأولىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this is in the former scriptures,

(MALAY)

Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu,

 

Perkara-perkara dan janji-janji yang telah disebutkan dalam Al-Qur’an ini juga ada di dalam suhuf-suhuf yang sebelum ini. Suhuf bermaksud lembaran-lembaran yang tidak sampai ke tahap kitab (kerana ia sedikit sahaja). Ianya mengandungi maklumat-maklumat agama dan hukum-hukum.

Di dalam suhuf-suhuf itu, telah ada tentang perkara menyucikan nama Rabb, pasal akhirat adalah lebih kekal daripada dunia, tentang tauhid, tentang syirik dan sebagainya. Jadi perkara-perkara pokok telah disebutkan dahulu lagi, jadi ia bukan perkara baru. Allah ﷻ hendak beritahu kita, wahyu sama ada dari dulu sampai sekarang, ada persamaannya.

Ayat ini semakna dengan firman-Nya yang terdapat di dalam surat An-Najm, iaitu:

أَمْ لَمْ يُنَبَّأْ بِما فِي صُحُفِ مُوسى وَإِبْراهِيمَ الَّذِي وَفَّى أَلَّا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرى وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسانِ إِلَّا مَا سَعى وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرى ثُمَّ يُجْزاهُ الْجَزاءَ الْأَوْفى وَأَنَّ إِلى رَبِّكَ الْمُنْتَهى

Ataukah belum diberitakan kepadanya apa yang ada dalam lembaran-lembaran Musa? Dan lembaran-lembaran Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji? (Iaitu) bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya). Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna, dan bahawasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu). (An-Najm: 36-42)


 

Ayat 19: 

صُحُفِ إِبراهيمَ وَموسىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The scriptures of Abraham and Moses.

(MALAY)

(iaitu) Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

 

Antara suhuf yang mengandungi perkara-perkara itu adalah Suhuf Nabi Ibrahim dan Suhuf Nabi Musa عليهما السلام. Kenapa Allah ﷻ sebut suhuf dua Nabi ini? Allah ﷻ sebut nama dua Rasul ini kerana Nabi Muhammad ﷺ sedang berdepan dengan dua golongan: kafir Quraish Mekah yang memandang tinggi Nabi Ibrahim عليه السلام dan juga golongan ahli kitab yang Rasul utama mereka adalah Nabi Musa عليه السلام(iaitu Yahudi dan Kristian).

Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa perkara-perkara ini telah diberitahu kepada kedua-dua Nabi عليهما السلام itu dan mereka telah sampaikan pun kepada umat mereka. Nabi Muhammad ﷺ bukannya bawa perkara yang baru tetapi telah disebut sebelum ini lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Ghasyiya.

Kemaskini: 27 November 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir