Tafsir Surah Yusuf Ayat 88 – 89 (Abang-abang ditegur)

NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MENDEDAHKAN IDENTITINYA

Yusuf Ayat 88: Ini keadaan ke 13. Diingatkan yang semua sekali ada 15 keadaan untuk menceritakan Dakwa surah ini.

فَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَيهِ قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهلَنَا ٱلضُّرُّ وَجِئنَا بِبِضَـٰعَةٍ مُّزجَٮٰةٍ فَأَوفِ لَنَا ٱلكَيلَ وَتَصَدَّق عَلَينَآ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَجزِى ٱلمُتَصَدِّقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when they entered upon him [i.e., Joseph], they said, “O ‘Azeez, adversity has touched us and our family, and we have come with goods poor in quality, but give us full measure and be charitable to us. Indeed, Allāh rewards the charitable.”

(MALAY)

Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf, mereka berkata: “Hai Al Aziz, kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga, maka sempurnakanlah sukatan untuk kami, dan bersedekahlah kepada kami, sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah”.

 

فَلَمّا دَخَلوا عَلَيهِ

Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf,

Selepas mendapat arahan daripada bapa mereka, kita tidak diberitahu apakah yang terjadi atau apakah tindakan balas anak-anaknya itu. Adakah mereka terima atau tidak? Adakah mereka setuju atau mereka melawan kata-kata bapa mereka itu? Ini tidak diberitahu. Tiba-tiba sekarang kita diberitahu anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu kembali ke Mesir semula. Jadi mungkin mereka terima dengan hati yang redha atau mereka rasa malas hendak melayan bapa mereka, lalu mereka ikut sahaja dan pergi ke Mesir.

Ini adalah kali ketiga mereka ke Mesir. Sekarang mereka sedang menghadap kembali Menteri Kewangan (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) kerana bapa mereka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan mereka mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dua anak yang lain itu.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ

mereka berkata: “Hai Al Aziz,

Mereka menyeru Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan panggilan yang memuliakan baginda. Ini kerana mereka hendak memujuk baginda sebagaimana yang diminta dan diajar oleh bapa mereka.

Maklumat menarik: Kenapa kadangkala kita perhatikan terdapat kalimah يَـٰٓأَيُّهَا seperti di dalam ayat ini dan terdapat hanya يا sahaja seperti sebelum ini يَـٰبَنِىَّ sahaja. Dua-dua adalah harf nida’ (kata panggilan). Namun begitu jikalau kalimah selepas itu ada ال maka barulah ia berbentuk يَـٰٓأَيُّهَا (atau bergantung kepada keadaan, يَـٰٓأَيُّتُهَا) dan jikalau tiada ال barulah ia berbentuk يا sahaja.

 

مَسَّنا وَأَهلَنَا الضُّرُّ

kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan

Kalimah مَسَّ bermaksud disentuh secara literal. Di sini ia bermaksud disentuh, diselubungi, seolah-olah dibanjiri atau karam di dalamnya, tidak boleh berbuat apa-apa. Kalimah الضُّرُّ merujuk kepada kesengsaraan kerana kemiskinan, kebuluran, peperangan dan sebagainya iaitu kesengsaraan yang berpunca daripada persekitaran kita. Kalau kita baca ayat sebelum ini tentang arahan bapa mereka, tentulah perkataan pertama yang kita akan dengar di sini adalah mereka merayu untuk bertemu dengan adik mereka, bukan? Itulah yang kita jangkakan kalau mereka anak yang taat menurut perintah bapa mereka. Mereka sepatutnya mengadu yang mereka telah pulang tanpa adik mereka bersama dan telah menyebabkan bapa mereka jatuh sakit dan sekarang bapa mereka merayu untuk mendapatkan maklumat tentang adik mereka itu. Namun bukan begitu yang berlaku. Sekarang kita baca mereka mengadu tentang nasib malang yang menimpa mereka. Mereka sibuk bercerita yang tidak ada makanan di tempat mereka (Kan’an) yang menyebabkan mereka terpaksa bermusafir untuk mendapatkan makanan di Mesir. Jauh sungguh perjalanan mereka itu untuk sampai ke sana. Jadi di manakah soalan tentang adik mereka? Ada dua pendapat tentang hal ini:

1. Walaupun mereka datang untuk mencari saudara mereka, namun mereka juga memerlukan bahan makanan juga. Mungkin mereka pun sudah mula bertanya tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin akan tetapi dalam masa yang sama mereka juga berada dalam kelaparan. Satu lagi pendapat adalah mereka cuba mendekati Al-Aziz itu. Mereka pun tentu tidak boleh terus meminta untuk dilepaskan Bunyamin maka mereka mula bercakap tentang makanan yang mereka perlukan. Macam kalau kita pergi berjumpa seseorang dengan suatu hajat yang penting, selalunya kita akan bersembang dulu hal-hal lain seperti rumah dia cantik, mana anaknya dan sebagainya sebagai pembuka bicara. Seandainya Al-Aziz kelihatan berlembut dengan mereka dan memberi apa yang mereka minta, barulah mereka akan minta sesuatu yang lebih berat pula.

2. Atau, ada pendapat yang mengatakan mereka datang itu bukanlah hendak mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin sangat, tetapi lebih mementingkan perut mereka yang kelaparan sahaja. Yang bapa mereka suruh itu mereka bukan ambil serius pun, sudah malas dilayan sebenarnya. Namun mereka tetap juga pergi kerana pada mereka, mereka boleh mendapatkan keperluan makanan, lagi pun bapa sudah mengarahakn mereka untuk pergi. Maka ini adalah salah satu pengajaran psikologi yang paling penting dalam kisah ini.

Terdapat perbezaan besar antara kehinaan yang disebabkan oleh keadaan luaran (seperti kemiskinan dan kelaparan) dengan kerendahan hati dalaman (penyesalan sebenar atas dosa yang telah dilakukan). Walaupun adik-beradik Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam kesusahan, terpaksa merayu, dan meminta sedekah (satu keadaan yang amat merendahkan maruah) hati mereka belum lagi benar-benar insaf. Mereka telah direndahkan oleh keadaan, tetapi watak mereka belum lagi dalam keadaan merendah diri. Ego mereka masih lagi tinggi. Buktinya? Mereka mengabaikan arahan jelas bapa mereka untuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mendapatkan maklumat tentang Bunyamin. Sebaliknya, apabila tiba di hadapan pemerintah Mesir, fokus utama mereka hanyalah keperluan material semata-mata: makanan. Ini menunjukkan bahawa keutamaan mereka tidak berubah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memerhatikan sahaja sikap abang-abangnya itu. Tentu baginda berkata-kat di dalam hatinya: ‘Takkan ayah suruh kalian datang hanya tentang makanan sahaja? Takkan ayah tidak suruh tanya tentang anaknya Bunyamin? Memang dulu apabila kalian minta dilepaskan Bunyamin, aku telah tolak, tapi takkan kalian tidak mahu merayu lagi?’

Ini mengajar kita bahawa status luaran tidak mencerminkan keadaan dalaman. Anda boleh menjadi seorang jutawan yang memiliki segala kesenangan tetapi masih dapat merendah diri, sebaliknya anda boleh juga tidak memiliki apa-apa untuk dibanggakan tetapi menjadi manusia paling angkuh di muka bumi ini. Abang-abang ini telah direndahkan oleh keadaan, tetapi itu tidak bermakna watak mereka boleh berubah menjadi rendah diri.

 

وَجِئنَا بِبِضَـٰعَةٍ مُّزجَٮٰةٍ

dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga, 

Apabila datang untuk mendapatkan makanan, mereka dikehendaki membawa barang gantian (mengikut sistem barter). Mereka memang datang dengan barangan, akan tetapi mereka mengaku barangan mereka مُزجاةٍ (barang murah tidak bernilai). Kalimah مُزجَٮٰةٍ berasal daripada kata dasar ز ج و yang bermaksud menggerakkan, mendesak, sesuatu yang kena tolak baru boleh gerak, dalam keadaan yang betul, mata wang yang tidak bernilai, bertindak dengan bersungguh-sungguh, mencapainya sesuatu tujuan, benda kecil yang mungkin ditolak (tidak diterima) kerana nilainya yang kecil itu, sedikit, lemah.

Ini kerana mereka memang dalam keadaan dan ekonomi sangat teruk sekarang kerana kekurangan makanan. Dalam riwayat ada mengatakan yang mereka hanya membawa barangan seperti selipar dan sebagainya, jenis barangan yang memang tidak ada harga. Untuk zaman sekarang, barangan sebegini untuk diberi kepada fakir miskin pun tidak lulus. Namun mereka membawanya juga sebab tidak ada barang lain langsung yang ada pada mereka kerana terlalu miskin pada waktu itu.

 

فَأَوفِ لَنَا الكَيلَ

maka sempurnakanlah sukatan untuk kami,

Walaupun mereka bawa barang yang tidak ada harga, tetapi mereka masih berharap semoga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ penuhkan barang untuk mereka kerana mereka amat memerlukan bantuan makanan dari Mesir. Kita telah sebutkan satu muatan adalah karung yang boleh dibawa oleh seekor unta. Mereka sedar yang tukaran yang mereka bawa itu tidak layak, tetapi mereka merayu juga agar dapat diberikan muatan yang penuh.

Setiap perkataan yang diucapkan oleh adik-beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada baginda setakat ini dipenuhi dengan ironi yang menusuk kalbu, yang tidak mereka sedari sama sekali. Kata-kata rayuan mereka secara tidak langsung melukiskan kembali kejahatan mereka pada masa lalu.

Panggilan ‘Al-Aziz’ (Yang Maha Berkuasa): Mereka memanggil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan gelaran ini, yang bermaksud seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang tidak dipersoalkan lagi. Ironinya, suatu ketika dahulu, merekalah yang bertindak sebagai ‘Al-Aziz’ ke atas Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka mempunyai kuasa penuh dengan pelbagai pilihan kezaliman terbentang di hadapan mereka dan mereka memilih untuk mencampakkannya ke dalam perigi tanpa sesiapa dapat menghalang. Dulu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak ada kuasa untuk menghalang mereka; Kini, keadaan telah berbalik. Baginda boleh melakukan apa-apa sahaja terhadap mereka. 

Mengadu Tentang ‘Kemudaratan’: Mereka mengadu, “Kemudaratan telah menimpa kami dan keluarga kami.” Namun, merekalah punca sebenar yang membawa kemudaratan dan kesedihan yang tidak terhingga kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan bapa mereka, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang telah menenggelamkan baginda di dalam lautan air mata selama berpuluh-puluh tahun. Menarik kalimah مَسَّ yang mereka gunakan yang bermaksud ditenggelami sedangkan merekalah dahulu yang menenggelamkan adik dan bapa mereka dalam kepayahan dan kesedihan. Malah adik mereka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mereka telah masukkan ke dalam telaga yang hampir ditenggelami! Mereka tidak sedar yang mereka sekarang bercakap dengan orang yang mereka telah menyebabkan kesengsaraan. Sekarang mereka mengadu tentang kesengsaraan mereka pula! 

Membawa Barangan Tidak Bernilai: Mereka membawa barangan dagangan yang berkualiti rendah, yang digambarkan sebagai sesuatu yang orang akan tolak ke tepi. Ini sangat ironis kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri pernah dianggap seperti barang dagangan yang tidak bernilai oleh mereka, lalu disingkirkan dan dijual dengan harga yang murah. Ingat lagi Ayat 20? وَشَرَوهُ بِثَمَنِۭ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدُودَةٍ (Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja). Sekarang mereka pula menawarkan barang yang tidak berharga. 

Meminta ‘Sukatan Penuh’: Permintaan mereka untuk “sukatan yang penuh” adalah seruan untuk keadilan dan layanan yang saksama. Betapa ironisnya permintaan ini datang dari mulut orang-orang yang telah melakukan ketidakadilan yang paling besar terhadap adik mereka sendiri. Meminta sukatan yang penuh ada analogi kepada meminta keadilan sebenarnya. Ironisnya mereka dahulu telah berlaku tidak adil yang keterlaluan kepada adiknya itu tetapi kali ini mereka meminta keadilan?

 

وَتَصَدَّق عَلَينا

dan bersedekahlah kepada kami,

Ini kerana mereka tahu yang benda yang mereka bawa sebagai ganti itu tidak berbaloi dengan apa yang mereka minta, maka mereka minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersedekahlah kepada mereka. Kena bagi dalam bentuk sedekah bukan dalam bentuk jual beli kerana pertukaran tidak layak.

Atau, tadi mereka meminta muatan yang penuh dengan tukaran yang tidak senilai, sekarang mereka minta lebih lagi sebagai sedekah daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini menimbulkan isu: Bukankah mereka itu keluarga Nabi maka bukankah mereka tidak boleh makan pemberian sedekah? Jadi ada dua kemungkinan:

1. Mereka bukan minta sedekah sebenarnya, tetapi mereka minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berikan juga takaran makanan kepada mereka sebagai balasan daripada pemberian mereka, walaupun tidak bernilai. Jadi sedekah ini sebenarnya adalah balasan, bukan sedekah semata.

2. Berkemungkinan juga syariat Nabi tidak boleh menerima sedekah itu bukan syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Apabila adik-beradik Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta sedekah ini, mereka menggunakan perkataan yang mempunyai kaitan etimologi yang sangat mendalam. Perkataan صَدَقَ (sedekah) berkongsi akar yang sama dengan صِدقٌ (kebenaran). Dalam bahasa Arab Klasik, صِدقٌ bukanlah sekadar kejujuran yang pasif. Ia asalnya adalah صَدقٌ yang merujuk kepada sesuatu yang lurus, kuat, dan tidak boleh dipatahkan, seperti lembing atau pedang yang sempurna. Ia adalah sesuatu yang bersifat menyerang, menghancurkan. Ia adalah analogi kepada sesuatu yang membedah kepalsuan, dan menghancurkan kebatilan tanpa ragu-ragu. Oleh kerana itulah kebenaran (صِدقٌ) digambarkan sebagai senjata yang dilancarkan untuk menghancurkan kepalsuan.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum ini pernah digelar sebagai ‘As-Siddiq’ (Yang Benar). Ini disebut di dalam Ayat 46: يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ (Yusuf, hai orang yang amat dipercayai) dan Ayat 51 أَنَا۠ رَاوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ وَإِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ (akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku), dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar). Kini, apabila adik-beradiknya datang meminta صَدَقَ (sedekah), secara tidak langsung dan tanpa mereka sedari, mereka juga seolah-olah meminta صِدقٌ (kebenaran) dan itulah yang bakal mereka terima – kebenaran yang akan meruntuhkan dunia pembohongan mereka. Permintaan mereka untuk belas kasihan material mengandungi permintaan tersembunyi untuk pendedahan kebenaran yang menyakitkan. Mereka sahaja tidak menyedarinya dan langsung tidak sangka. Dan ini akan berlaku tidak lama lagi yang kita akan baca. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendedahkan perkara sebenar iaitu kebenaran.

 

إِنَّ ٱللَّهَ يَجزِى ٱلمُتَصَدِّقِينَ

sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah”.

Mereka memberi motivasi untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersedekah kepada mereka dengan mengatakan yang Allah ‎ﷻ akan balas dengan kebaikan kepada orang yang bersedekah. Ini memang benar. Akan tetapi mereka tidak tahu pun yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah seorang Muslim, jadi kenapa cerita ganjaran sedekah pula kepada baginda? Sebenarnya ia juga tidak salah kerana ganjaran orang bersedekah ini akan dibalas juga kepada orang bukan Islam, tetapi hanya di dunia sahaja. Dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik :

“Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seorang mukmin walau dengan satu kebaikan pun; dia akan diberikan balasan dengannya di dunia, dan dia juga akan diberi ganjaran dengannya di akhirat. Adapun orang kafir, maka dia akan diberi makan (dibayar atau dibalas) dengan kebaikan yang diperbuatnya kerana Allah di dunia, sehinggalah apabila dia menuju akhirat, dia tidak mempunyai satu kebaikan pun untuk dibalas dengannya.”

(Sahih Muslim No. 2808)

Pandai pula mereka menggunakan nama Allah di sini. Padahal mereka dulu tidak balas dengan kebaikan pun kepada adik mereka. Adik mereka hendak hidup pun mereka halang; adik mereka hendak tinggal dengan bapa mereka pun mereka buang jauh entah ke mana. Sekarang pandai pula mereka berdakwah kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ! Begitulah ada orang yang menzalimi tetapi pandai menggunakan agama sebagai topeng mereka. Contohnya ada yang zalim kepada isteri tetapi pandai pula dia kata: “Bukan ke Nabi ajar isteri kena taat kepada suami?” Orang yang macam ini memang menjengkelkan apabila menggunakan agama untuk kepentingan diri mereka.


 

Yusuf Ayat 89: Sekarang tibalah masanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuka maklumat yang sebenarnya. Ini kerana baginda sedih dengan kata-kata adik beradiknya itu. Walaupun mereka itu ego masih tinggi, tetapi kesusahan yang mereka alami bukan melibatkan mereka sahaja, malah keluarga mereka juga terkesan seperti yang mereka telah cakap tadi.

قَالَ هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Do you know what you did with Joseph and his brother when you were ignorant?”

(MALAY)

Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”.

 

قالَ هَل عَلِمتُم مّا فَعَلتُم بِيوسُفَ وَأَخيهِ

Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya

Oleh kerana kesusahan yang dialami oleh keluarganya itu, baginda sekarang akan memberitahu perkara sebenar. Halangan untuk baginda membuka rahsia itu sudah tidak ada. Allah ‎ﷻ sudah membenarkan baginda memberitahu perkara yang sebenarnya. Baginda berasa sangat sedih dengan apa yang telah menimpa keluarganya di Kan’an maka sudah sampai masa untuk membantu mereka.

Ada juga riwayat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan sepucuk surat kepada Al-Aziz Mesir yang membuatkan baginda rasa terkesan dan sudah tiba masanya untuk baginda memperkenalkan diri baginda. Berdasarkan riwayat-riwayat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya atau sumber Isrā’īliyyāt (yang bukan merupakan dalil yang kuat dalam Islam), berikut adalah teks surat yang dikatakan dihantar oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda (Yusuf) masih dikenali sebagai Al-‘Aziz (pembesar) Mesir:

Daripada Ya’qub, Nabi Allah, anak kepada Ishaq, anak kepada Ibrahim, Kekasih Allah, kepada Al-‘Aziz (Pembesar) Mesir.

“Amma ba’du (Seterusnya):

“Kami adalah satu keluarga yang diuji dengan bala dan musibah. Dahulu, kami mempunyai anak yang paling kami cintai, yang telah pergi dan hilang daripada kami. Kesedihan atas kehilangannya telah membuatkan mata ayah menjadi buta, dan kami hanya bersabar mengharapkan kurniaan daripada Allah.

“Kini, engkau telah menahan salah seorang anakku, yang merupakan penghibur kami yang tinggal.

“Wahai Al-‘Aziz, ketahuilah, kami adalah kaum yang tidak pernah mencuri. Kami adalah keturunan para Nabi; kami tidak mungkin memakan hasil curian, dan kami tidak mungkin mencuri.

“Sungguh, kami adalah keluarga yang telah didatangi musibah secara bergilir-gilir.

“Kami merayu kepadamu, wahai Pembesar Mesir, atas nama Allah, Tuhan semesta alam, dan demi kemuliaan keturunan kami:

“Jika engkau melepaskan anak kami yang kedua ini, engkau telah melepaskan seorang ayah yang disayangi daripada kehinaan dan penderitaan.

“Kami memohon ihsan (belas kasihan) daripadamu, kerana sesungguhnya Allah membalas baik bagi orang-orang yang berlaku ihsan.

“Maka, lepaskanlah anak kami kepadanya, nescaya Allah akan melepaskan kesusahan yang menimpamu.”

Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanya kepada mereka: Adakah kamu tahu tentang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adiknya Bunyamin ini? Apakah yang kamu telah lakukan terhadap mereka? Kalimat هَل عَلِمتُم مّا فَعَلتُم agak pelik apabila ditanya kepada mereka, bukan? Tentulah mereka tahu kerana mereka yang buat, bukan? Kenapa ditanya lagi? Kerana apabila seseorang itu melakukan sesuatu ketika marah, benci dan dengki, mereka seolah-olah tidak tahu. Mereka tidak ‘sedar’ apa yang mereka lakukan. Mereka tidak sedar kesan kepada perbuatan mereka itu. Mereka sudah tidak fikir halal haram, Allah ‎ﷻ suka ataupun tidak. Macam kita jugalah, tahu sesuatu perkara itu berdosa, tetapi kita buat juga, bukan?

Kita sudah tahu apa yang mereka telah lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam kisah yang disebut dalam surah ini dari mula, tetapi bagaimana pula dengan Bunyamin? Memang tidak disebut kisah beliau dalam surah ini, tetapi tentulah dapat kita ambil kesimpulan melalui isyarat yang kita baca dalam ayat ini. Tentu mereka juga telah menyusahkan Bunyamin itu kerana beliau merupakan saudara kandung seibu dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sudah tentulah Bunyamin mengadu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sementara beliau tinggal bersama baginda.

Akhirnya, setelah puluhan tahun penantian, tiba saatnya kebenaran disingkapkan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat abang-abangnya telah hancur dari segi ekonomi, tetapi hati nurani mereka masih belum tersentuh. Mereka masih belum mengakui dosa mereka. Maka, inilah masanya untuk sebuah konfrontasi yang akan memulakan proses taubat mereka. Namun, dengarkanlah baik-baik kata-kata pertama yang keluar dari mulut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya…”.

Pada saat kemenangannya, Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menjadikan detik itu hanya tentang dirinya. Dengan memasukkan “saudaranya” (Bunyamin), baginda menunjukkan tahap empati yang luar biasa. Baginda mengiktiraf penderitaan Bunyamin juga dan tidak terlibat dalam “pertandingan trauma”—di mana seseorang cuba membuktikan penderitaannya lebih hebat. Padahal, penderitaan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jauh lebih teruk. Macam Bunyamin, abang-abangnya tidak cuba pun membunuhnya, bukan? Namun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengiyakan sahaja dugaan yang Bunyamin ceritakan itu. Selalu kalau kita ceritakan masalah kita, orang yang dengar itu akan cerita masalah dia yang lebih besar, bagaikan persaingan pula. Mereka akan kata, “Kau ingat kau je yang susah? Aku lagi susah tau! Aku kena itu, aku kena ini….!” Maksudnya mereka menidakkan aduan daripada orang yang mengadu itu seolah-olah ia tidak ada apa-apa. 

Inilah puncaknya, saat untuk menebus segala derita. Inilah waktunya untuk menuntut, “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan kepadaku?” Momen ini sepatutnya miliknya seorang. Namun tidak. Ini bukan hanya tentang dirinya semata; ini adalah tentang diri baginda dan saudaranya. Di sinilah kita melihat keagungan hati seorang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tidak melupakan penderitaan yang dialami oleh adiknya itu juga. Seolah-olah sama sahaja penderitaannya dan penderitaan adiknya itu, sedangkan kalau kita lihat, ia tidak sama. Mereka kononnya berjanji selepas membuang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka akan berubah menjadi baik, bukan? Ingat lagi mereka kata apa di dalam Ayat 9? وَتَكُونُواْ مِنۢ بَعدِهِۦ قَومًا صَـٰلِحِينَ (dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik).

Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut nama ‘Yusuf’ itu di hadapan mereka. Bayangkan perasaan mereka ketika itu! Ingat, mereka tidak pernah pun sebut namanya tetapi cuma sebut أَخٌ لَّهُ (saudaranya) sahaja di dalam Ayat 77 فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ‌ (maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu)

Yusuf adalah namanya sendiri (“Yusuf”) tetapi merujuk kepada Bunyamin sebagai “saudaranya”. Ini adalah sebuah sindiran yang tajam: Kezaliman mereka terhadap Bunyamin bukanlah kerana peribadi Bunyamin, tetapi semata-mata kerana hubungannya dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Setiap kali mereka melihat Bunyamin, mereka melihat bayangan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ

ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”.

Ingatkah lagi ketika itu kamu semua jahil? ‘Jahil’ maksudnya melakukan sesuatu mengikut perasaan, bukan mengikut akal. Apa sahaja nafsu dan emosi suruh buat, mereka buat; apa sahaja lalu dalam kepala, mereka cakap tanpa berfikir lagi. Ini kerana lawan kepada jahil adalah aqal, maksudnya apabila jahil, aqal sudah tidak berfungsi lagi. Mereka telah membenci Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin dahulu sampaikan mereka telah melakukan perkara yang tidak baik terhadap mereka berdua. Mereka pun tahu yang apa yang mereka lakukan itu salah kerana mereka bukan bodoh dan mereka pun anak seorang Nabi. Namun dek kerana terlalu mengikut perasaan, mereka sanggup melakukan perkara itu.

Maka di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata bukan dengan nada marah sebaliknya kata-kata yang mengandungi kemaafan. Ini kerana baginda sudah sedar yang ketika itu mereka jahil, tidak tahu apa-apa. Perbuatan ini seolah-olah terus sahaja mendatangkan alasan bagi mereka. Beginilah juga doa Nabi Muhammad ﷺ terhadap Penduduk Thaif setelah baginda dihalau dan disakiti oleh mereka,

“Bahkan, aku berharap Allah akan mengeluarkan daripada tulang sulbi mereka (keturunan mereka) orang yang akan menyembah Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun.” Kemudian, Baginda menambah dengan doa yang ringkas tetapi penuh makna:

“Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan bahasa lembut dengan mereka dan tidak memaki mereka kerana tujuan baginda adalah untuk berdakwah. Begitulah sekiranya berdakwah dengan menggunakan kata-kata makian, ternyata itu bukanlah dakwah yang baik.

Malah ada yang kata, kalimat إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ ini adalah Allah ‎ﷻ memberi isyarat yang abang-abang itu tidak bersalah mana. Iaitu seolah-olah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak mereka ketika itu sudah menjadi orang baik, cuma dahulu sahaja جَـٰهِلُونَ kerana kalimah إِذ itu isyarat kepada dahulu. Malah ada juga pendapat yang mengatakan abang-abang itu pun jadi Nabi juga. Majoriti ulama, terutamanya dalam kalangan ulama mutakhir (kontemporari) dan para penyelidik, berpendapat bahawa abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mencapai status kenabian. Akan tetapi terdapat sebahagian ulama klasik (terutama dalam kalangan salaf) yang berpendapat bahawa abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin telah mencapai status kenabian selepas kejadian itu, iaitu setelah mereka bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Pendapat itu kata ini tidak mustahil kerana mereka berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun begitu jika kita baca perangai mereka di dalam kisah ini, susah hendak terima pendapat ini. Maka pandangan yang lebih kuat dan lebih diterima umum dalam kalangan ulama berdasarkan penelitian terhadap kisah mereka dalam Al-Qur’an (Surah Yusuf) adalah bahawa mereka hanyalah orang-orang soleh yang bertaubat, bukan Nabi. Lagi pun, seandainya mereka sudah menjadi baik, mengapa pula Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ perlu mengenangkan kembali perangai mereka dahulu? Macam tidak kena pula. Maka mungkin yang lebih tepat adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ perhatikan mereka masih lagi tidak bertaubat, maka inilah masanya untuk menegur mereka seperti yang kita sedang baca di dalam ayat ini.

Jangan sangka apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan ini mudah ya. Memang baginda sudah dewasa dan baginda mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja. Akan tetapi bagi seseorang yang telah melalui trauma semasa kecil, trauma itu akan sentiasa menghantui dirinya. Begitulah yang berlaku kepada seseorang yang telah dewasa apabila berjumpa dengan orang yang telah menzalimi dirinya ketika kecil, dia biasanya akan mengalami tekanan perasaan yang amat tinggi. Tidak kisah lah sama ada yang menzaliminya itu mungkin sudah tua, sudah sakit malah nazak sekali pun, tetapi orang yang telah dizalimi itu tetap terkenang perasaannya yang dahulu. Kadang yang datang berjumpa itu kerana hanyalah untuk bertanya: “Aku hendak tahu kenapa dulu kau buat kat aku begitu?” Namun semasa bertanya itu, tangan dan kakinya tetap menggigil ketakutan dek kerana kesan trauma.

Soalan Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman daripada teks tafsir.

1. Apakah keadaan psikologi abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka menghadap baginda buat kali ketiga, dan bagaimanakah ia berbeza daripada kerendahan hati yang sebenar?

2. Apakah ironi di sebalik panggilan ‘Al-Aziz’ yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf terhadap baginda?

3. Jelaskan maksud kalimah مَسَّ (massa) yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf dan bagaimana ia secara ironis mencerminkan perbuatan mereka pada masa lalu.

4. Menurut tafsir, apakah kaitan etimologi antara perkataan صَدَقَ (sedekah) yang diminta oleh abang-abangnya dengan صِدقٌ (kebenaran) yang bakal didedahkan oleh Nabi Yusuf?

5. Mengapakah Nabi Yusuf memasukkan “dan saudaranya” (merujuk kepada Bunyamin) dalam soalannya, dan apakah sifat mulia yang ditunjukkannya melalui tindakan ini?

6. Apakah maksud جَـٰهِلُونَ (jahil) dalam konteks ayat 89, dan bagaimanakah ia berfungsi sebagai kata-kata kemaafan daripada Nabi Yusuf?

7. Teks tersebut menyebutkan dua pendapat mengenai fokus utama abang-abang Nabi Yusuf semasa tiba di Mesir. Huraikan kedua-dua pendapat tersebut.

8. Terangkan ironi yang terkandung dalam permintaan abang-abang Nabi Yusuf untuk “sukatan yang penuh” (فَأَوفِ لَنَا الكَيلَ).

9. Apakah pandangan majoriti ulama yang disebut dalam teks mengenai status kenabian abang-abang Nabi Yusuf?

10. Apakah maklumat menarik dari segi tatabahasa Arab yang dijelaskan dalam teks mengenai penggunaan يَـٰٓأَيُّهَا berbanding يا?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Al-Aziz
Gelaran yang memuliakan yang digunakan untuk merujuk kepada pemerintah atau menteri berkuasa di Mesir. Ia bermaksud seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang tidak dipersoalkan.
Dakwah
Usaha menyeru atau mengajak kepada kebaikan. Teks menyebut Nabi Yusuf menggunakan bahasa lembut kerana tujuan baginda adalah untuk berdakwah, bukan memaki hamun.
Harf nida’
Kata panggilan dalam tatabahasa Arab, seperti يا atau يَـٰٓأَيُّهَا.
Isrā’īliyyāt
Riwayat-riwayat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya atau bersumber daripada tradisi Yahudi dan Kristian, yang bukan merupakan dalil yang kuat dalam Islam.
Jahil (جَـٰهِلُونَ)
Keadaan melakukan sesuatu mengikut perasaan (nafsu dan emosi) dan bukan mengikut akal yang waras. Lawan kepada jahil adalah aqal (akal).
مَسَّ (Massa)
Secara literal bermaksud ‘disentuh’. Dalam konteks ayat, ia membawa maksud yang lebih mendalam iaitu disentuh, diselubungi, seolah-olah dibanjiri atau karam di dalam kesengsaraan.
مُزجَٮٰةٍ (Muzjāh)
Merujuk kepada barang-barang yang murah, tidak bernilai, atau berkualiti rendah. Ia juga boleh bermaksud mata wang yang tidak laku atau sesuatu yang mungkin ditolak kerana nilainya yang kecil.
صَدَقَ (Sadaqah)
Sedekah, derma, atau pemberian atas dasar belas kasihan.
صِدقٌ (Sidq)
Kebenaran. Perkataan ini berkongsi akar kata yang sama dengan sedekah dan asalnya merujuk kepada sesuatu yang lurus, kuat, dan menghancurkan kepalsuan.
الضُّرُّ (Ad-Dhurr)
Kesengsaraan yang datang dari persekitaran luaran, seperti kemiskinan, kebuluran, dan peperangan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 87 (Arahan Cari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 87: Kita telah belajar yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar dan bersangka baik dengan Allah ﷻ dan tidak putus asa. Akan tetapi seorang Mukmin bukan setakat itu sahaja tetapi hendaklah berusaha. Maka sekarang kita lihat usaha Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

يَـٰبَنِىَّ ٱذهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَاْيـَٔسُواْ مِن رَّوحِ ٱللَّهِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَا يَاْيـَٔسُ مِن رَّوحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلقَومُ ٱلكَـٰفِرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O my sons, go and find out about Joseph and his brother and despair not of relief from Allāh. Indeed, no one despairs of relief from Allāh except the disbelieving people.”

(MALAY)

Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”.

 

يَـٰبَنِىَّ ٱذهَبُواْ

Hai anak-anakku, pergilah kamu,

Sekarang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kembali semula bercakap dengan anak-anaknya kerana ada permintaan dan arahan daripada baginda. Walaupun anak-anaknya itu telah banyak melakukan kesalahan,  kita pun telah bincangkan pendapat yang mengatakan anak-anaknya itu memarahi bapa mereka itu. Namun Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap bapa mereka, bukan? Jadi baginda tidaklah sampai berterusan tidak bercakap dengan mereka. Baginda berpaling dan mengasingkan diri baginda sementara sahaja. Maka ini mengajar kita jangan lama-lama sangat marah kepada anak. Jangan terus tidak mengaku mereka anak kita lagi. Biasalah anak-anak buat salah kerana mereka bukanlah Nabi atau malaikat. Kadang mungkin kita yang tidak ajar dengan baik mereka sampaikan adab dan akhlak mereka pun tidak boleh dibanggakan.

Bercakaplah baik-baik dengan anak kita itu. Walaupun kita mungkin kena bercakap serius dengan mereka. Kadangkala kita kena panggil mereka duduk di hadapan kita dan kita beri nasihat atau arahan penting kepada mereka. Namun gunakan bahasa yang baik dengan mereka. Perhatikan baginda masih lagi bercakap dengan baik dengan mereka. Mana kita tahu? Perhatikan kalimah يَـٰبَنِىَّ (wahai anak-anakku) itu. Baginda tidak perlu cakap pun harf nida’ (panggilan) ini kerana kalau baginda terus cakap ٱذهَبُواْ kita pun tahu baginda bercakap kepada mereka, bukan jiran sebelah pun. Namun begitu bila kita mulakan dengan gelaran anakku, isteriku, orang kampungku dan sebagainya, itu adalah panggilan yang lembut dan mesra sebenarnya. Ia berbeza kalau kita panggil nama terus, itu tidak mesra. Sebaliknya jika dipanggil dengan pangkat mereka, hubungan mereka dengan kita, itu adalah panggilan mesra. Jadi kena ingat teknik komunikasi ini. Walaupun dengan keluarga rapat kita, anak-anak kita sekali pun, cakaplah dengan panggilan yang mesra. Lebih-lebih lagi tentang perkara serius.

Inilah tanggungjawab berat sebagai ibubapa. Kadangkala kita sudah memberikan didikan terbaik kepada mereka, namun tidaklah semestinya mereka akan menjadi orang yang baik. Dugaan bagi kita adalah melihat anak-anak kita menjadi teruk sangat sampaikan mereka kurang ajar dengan kita. Adakah kita biarkan begitu sahaja? Tentulah tidak. Kita masih lagi boleh marah mereka, hukum  mereka, malah boleh pukul mereka. Akan tetapi kita tidak boleh sisihkan mereka. Begitulah dengan ahli keluarga kita kena banyak bersabar dan jangan berputus harap dengan mereka kerana kita tidak tahu bila mereka tiba-tiba akan berubah. Mungkin entah ketika kita sudah di hujung usia, mereka datang melutut kepada kita kerana telah kurang ajar dan telah tinggalkan keluarga.

Sekarang bayangkan satu pertengkaran yang tegang. Anak-anak anda baru sahaja bersikap biadab dan telah melukakan hati anda. Selepas mengambil sedikit ruang, anda kembali untuk bercakap dengan mereka. Apakah perkataan pertama yang keluar daripada mulut anda? Bagi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, selepas pertengkaran hebat dengan anak-anaknya, baginda tidak kembali dengan sindiran atau kemarahan. Sebaliknya, baginda memulakan bicaranya dengan panggilan yang melucutkan segala ego: “Wahai anak-anakku” (يَـٰبَنِىَّ). Namun tidaklah kita tahu bila perbualan ini terjadi selepas insiden yang kita telah bincangkan di dalam Ayat 84 – 86. Mungkin hari selepasnya atau setelah beberapa ketika baginda mengambil masa untuk menenangkan diri.

Berapa ramai antara kita yang mampu melakukan hal yang sama dalam puncak kemarahan? Tindakan ini sangat luar biasa. Ia mengajar kita satu prinsip agung: Jangan sesekali biarkan perbuatan buruk orang lain mengubah siapa diri kita. Walaupun dilukai, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap memilih untuk menjadi seorang bapa yang penyayang. Ini bukanlah tentang menjadi lemah, tetapi tentang berpegang teguh pada prinsip. Menetapkan sempadan tidak sama dengan menyimpan dendam atau menahan nasihat yang baik.

Sekarang sudah sampai masa untuk pertemuan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka Allah ‎ﷻ telah memberi ilham atau wahyu kepada baginda untuk mengarahkan anak-anaknya untuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau dahulu belum sampai masanya lagi, maka kerana itu tidak ada arahan ini selama ini.

 

فَتَحَسَّسوا مِن يوسُفَ وَأَخيهِ

maka carilah bersungguh-sungguh berita tentang Yusuf dan saudaranya

Buat pertama kalinya selepas berpuluh tahun, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membangkitkan semula isu kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tidak menuduh, “Kamu tipu aku!” Sebaliknya, baginda dengan genius memasukkan nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam arahannya: “Kalian pergilah dan carilah petunjuk (فَتَحَسَّسوا) berkenaan Yusuf dan adiknya.” Perhatikan betapa geniusnya pendekatan ini. Dengan satu ayat, bgidna secara halus memberitahu mereka, “Selama ini, aku tidak pernah percaya pembohongan kamu.” Ia adalah satu konfrontasi, tetapi konfrontasi yang dibalut dengan kasih sayang.

Perkataan فَتَحَسَّسوا itu sendiri membawa dua makna yang mendalam: bukan sahaja mencari jejak fizikal, tetapi juga “Carilah dalam diri kamu kepekaan kalian terhadap Yusuf.” Baginda bukan sekadar memberi arahan, baginda sedang cuba membangunkan semula nurani dan empati mereka yang telah lama tertimbus. Di sinilah kita melihat satu ironi yang indah: Nabi Yaakub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang matanya telah buta kerana kesedihan, adalah satu-satunya insan di dalam rumah itu yang mampu “melihat” kebenaran. Penglihatannya mungkin telah tiada, tetapi mata hatinya (basirah) celik sepenuhnya. Pendekatan berhikmah inilah yang akhirnya memecahkan tembok pertahanan (defense mechanism) anak-anaknya, membuatkan mereka akur dan patuh.

Akan tetapi jangan kita sangka ia adalah sesuatu yang mudah juga bagi baginda. Bayangkan baginda hendak cakap perkara ini setelah ada konfrontasi antara mereka. Di mana baginda telah mengasingkan diri daripada mereka dan mereka telah memarahi baginda kerana masih lagi menyebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi apabila hendak cakap sekali lagi dan suruh mereka pergi pula mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan lihatkan keadaan Bunyamin, bukanlah mudah. Bayangkan kita pun kadang-kadang hendak menegur ahli keluarga kita, sahabat kita pun amat payah sebab kita tidak suka drama dan tidak suka konfrontasi dengan orang yang rapat dengan kita. Walaupun kita rasa ia patut diberitahu tetapi selalunya kita simpan sahaja. Mentaliti orang Melayu memang begitu, tidak suka meluahkan perasaan. Akan tetapi kita kena ubah, kena ketapkan gigi dan cakap sahaja. Saya cadangkan pembaca baca tentang The 5 Second Rule yang dimulakan oleh Mel Robbins. Ringkasnya, kalau ada perkara yang berat untuk kita lakukan, cuma kira 5-4-3-2-1 dan terus buat sahaja.

Jangan takut dengan konfrontasi. Asalkan kita bercakap dengan nada yang lembut dan tidak menuduh, boleh sahaja. Semasa bercakap, jangan ikut emosi. Sekiranya yang kita nasihati itu hendak mula berdrama, kita tenang-tenang sahaja. Janji kita sudah cakap. Kalau dia menangis pun tidak mengapa. Kerana yang penting kita kena sampaikan. Ada satu kata-kata daripada Maggie Smith yang bagus: “Speak your mind, even if your voice shakes.” Pepatah Melayu pun ada: “Lebih baik lidah tergelincir kerana berkata, daripada hati merana kerana berdiam diri.”

Kalau kita perhatikan di dalam kisah ini, apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka cari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka tidak pun kata: “Eh buat apa cari? Bukankah kami telah kata dia telah dimakan serigala dahulu, tak percaya ke?” Ini bermakna mereka terima. Begitulah yang berlaku apabila kita bercakap dengan ikhlas, in sha Allah ia akan masuk ke dalam hati orang yang kita sampaikan itu. Asal boleh sahaja bantu. Hati manusia di dalam tangan Allah seperti yang kita belajar dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, isteri Nabi ﷺ:

“Doa yang paling kerap dibaca oleh Nabi ﷺialah: (Wahai Dzat Yang Membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu).”

Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا pernah bertanya kepada baginda ﷺ, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau lebih sering berdoa dengan doa ini?” Baginda ﷺmenjawab:

“Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di antara dua jari daripada jari-jemari Allah. Siapa saja yang Dia kehendaki, Dia akan meneguhkannya (di atas keimanan), dan siapa saja yang Dia kehendaki, Dia akan menyesatkannya (memalingkannya).”

(Riwayat At-Tirmidzi No. 3522, dan disahihkan oleh Al-Albani)

Baginda mengarahkan anak-anaknya pergi dan mencari berita tentang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin. Memang mereka tahu Bunyamin ada di Mesir, tetapi mereka tidak tahu keadaan beliau di mana. Duduk di rumahkah atau di penjara? Adakah menjadi hamba diarah untuk membuat kerja atau duduk tunggu di dalam penjara sahaja? Bagaimana dengan makan dia, pakaian dia dan sebagainya? Adakah dia sihat atau sakit? Bolehkah kami bercakap dengannya? Itu yang perlu dicari maklumat tentang beliau. Kalau ada saudara mara kita dimasukkan ke dalam penjara pun, tentu kita akan pergi ke penjara dan bertanya keadaannya, bukan?

Lagi satu, kalau Bunyamin itu sudah tahu keberadaannya, tetapi bagaimana hendak mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula? Ada pendapat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah dapat mengaitkan Bunyamin dan keberadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka kalau dicari Bunyamin, pasti akan bertemu dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga akhirnya.

Bagaimanakah pula dengan anak ketiga? Kenapa tidak disuruh cari juga? Ini kerana dia tidak hilang dan ditahan dan keberadaan dia diketahui di Mesir pada ketika itu. Dia yang hendak tinggal di sana atas pilihan sendiri. Lagi pun dia adalah sebahagian daripada mereka yang mereka asyik berkata عُصبَةٌ yang bermaksud mereka itu geng, maka tidak perlu suruh cari pun mereka akan cari. Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut perkara ini kerana kita boleh fikirkan sendiri hal sebegini. Memang belajar tafsir memerlukan penggunaan akal yang kritis juga.

Kalimah تَحَسَّسوا daripada kata dasar ح س س yang bermaksud pancaindera. Sebab itu kita ada istilah (Hissi) untuk perkara yang kita boleh rasa dengan pancaindera dan (Ma’nawi) untuk perkara abstrak yang kita sedar bukan dengan pancaindera tetapi dengan akal sahaja. Oleh itu kalimah تَحَسَّسوا bermaksud menggunakan pancaindera dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan maklumat, sama ada berita atau barang, secara terang-terangan atau bersembunyi, untuk kebaikan atau untuk keburukan. Ini kita kena bandingkan dengan kalimah تَجَسَّسوا yang bunyinya hampir sama. Tajassus ini disebut di dalam Hujurat:12

وَلا تَجَسَّسوا وَلا يَغتَب بَّعضُكُم بَعضًا
Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah mengumpat satu sama lain.

Kalimah hanya digunakan apabila perbuatan itu menjadi mata-mata untuk mencari berita buruk sahaja. Kerana itu ia dilarang. Bezanya lagi adalah kalau ia dilakukan secara bersembunyi dan rahsia sedangkan kalau ia dilakukan secara terbuka.

Dahulu semasa berita tentang kematian Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disampaikan, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak suruh mereka cari pun tetapi sekarang baginda mengarahakan mereka untuk cari Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ serta mendapatkan berita tentangnya. Ke manakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka cari? Ke Mesir. Akan tetapi bukankah kalau di Mesir itu adalah tempat Bunyamin ditahan? Kenapakah dicari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di situ pula? Ini menjadi hujah yang mengatakan memang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih hidup! Ada pendapat yang mengatakan baginda sudah dapat mengagak yang Al-Aziz Mesir itu adalah Yusuf anaknya yang amat dirindui. Ini setelah mendengar sikap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika menerima dan melayan anak-anaknya yang lain. Ternyata Al-Aziz itu amat bermurah hati memulangkan harta mereka yang dimasukkan ke dalam karung anak-anaknya. Maka di situ telah terdetik di hati baginda, entah-entah itulah anakku!

Bagaimanakah agaknya reaksi anak-anaknya itu menerima arahan itu sedangkan mereka dahulu kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah mati dibaham serigala? Nampaknya mereka terpaksa menerima yang bapa mereka pun tahu yang mereka dahulu menipu. Mereka tidak pula berkata: “Eh bapa, kan kami dah cakap Yusuf mati dimakan serigala hari tu?!” Nampaknya mereka diam dan menerima sahaja ketika ini. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya bercakap dan memberi arahan kepada mereka kerana sekarang mereka sudah kelihatan sedih dan ikhlas. Nampak macam mereka memang benar-benar rasa bersalah kali ini.

Mari kita telusuri kisah itu semula. Ingat lagi Ayat 18 apabila mereka pulang dan menipuقَمِيصِهِۦ (Mereka datang membawa bajunya (yang berlumuran) dengan darah palsu)? Waktu itu lagi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya dan berkata:

Akan tetapi kenapa kali ini Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi dan baginda sebut Yusuf sebelum Bunyamin pula. Satu kemungkinan adalah baginda telah menerima wahyu yang baginda tidak perlu lagi menahan perasaan baginda dan menahan daripada membangkitkan isu itu. Tidak perlu lagi berlakon wayang dengan mereka, sekarang cakap sahaja yang engkau tidak percaya pun dengan lakonan mereka dahulu.

Atau, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri nampak dengan bacaan hati dan mindanya yang anak-anaknya itu sudah berubah sikit. Kali ini ketika kehilangan Bunyamin, jelas nampak mereka agak terkesan dengan kehilangan itu; malah mereka bersungguh-sungguh menyatakan yang mereka tidak menipu (kali ini) dan memberikan cadangan boleh bertanya kepada penduduk Mesir atau tanyakan kepada rombongan yang pergi balik dengan mereka. Jadi boleh nampak adalah kejujuran mereka pada kali ini. Baginda boleh faham kenapa mereka marah-marah jika nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut sebelum ini kerana itu adalah cara untuk mereka menyelamatkan diri mereka. Ini kerana mereka pun sebenarnya rasa bersalah dan cara mereka menutup rasa bersalah itu adalah dengan tidak sebut pun nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jikalau kita faham kenapa mereka tidak mahu nama itu disebut, dan ia hanyalah sebagai defense mechanism sahaja, maka tetaplah kita perlu menyebutnya juga. Ajak mereka bercakap secara serius tentang perkara ini. Akan tetapi bercakaplah dengan nada yang lembut dan penuh dengan kasih sayang. Begitulah kadang-kadang orang yang kelihatan kasar, macho atau pemarah sebenarnya mereka sengaja berbuat begitu sebagai cara untuk mereka melindungi diri mereka. Mereka tidak mampu menghadapi perbincangan yang serius, jadi mereka menunjukkan sikap sedemikian supaya orang tidak akan membangkitkan isu yang boleh menyebabkan mereka rasa terluka. Namun jikalau kita teruskan juga, lama kelamaan akhirnya mereka akan menurunkan perisai mereka itu.

Maka ini mengajar kita jangan berputus asa dengan manusia. Manusia bukan syaitan. Kalau syaitan memang tidak ada iman langsung, tidak ada fitrah baik langsung. Sebaliknya manusia ini jahat macam mana sekalipun, jauh tersesat, mereka masih memiliki roh baik dalam diri mereka. Lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim yang ada sedikit iman dan takut kepada Allah ‎ﷻ. Tugas kita hanyalah mengingatkan mereka sahaja. Mereka mungkin marahkan kita, tetapi biarlah mereka marah. Kita buat kerja kita sahaja.

 

وَلَا تَاْيـَٔسُواْ مِن رَّوحِ ٱللَّهِ‌

dan jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. 

Baginda mengingatkan mereka supaya jangan berputus harap daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Namun kenapa mereka dinasihatkan begini? Mereka OK sahaja dengan keadaan sekarang. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang entah yang patut dinasihati jangan berputus asa; Bunyamin yang sekarang ditahan pun patut mendapat nasihat ini: Abang mereka yang sedang bersendirian di Mesir pun patutnya diberikan nasihat ini. Kenapa mereka pula? Ini kerana mungkin setelah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin, mereka sudah berputus asa. Mereka tidak nampak mereka akan berjaya. Mereka dahulu berputus harap selepas tidak dapat berhujah dengan pemimpin Mesir (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai Menteri Kewangan), seperti disebut di dalam ayat 80,

فَلَمَّا ٱستَيـَٔسُواْ مِنهُ خَلَصُواْ نَجِيًّا‌
Maka tatkala mereka berputus asa daripada (keputusan) Yusuf mereka menyendiri sambil berunding dengan berbisik-bisik

Mereka tentu berkata mana lagi hendak dicari Yusuf itu sedangkan sudah berpuluh tahun kita tidak tahu apa sudah jadi dengan dirinya. Entah hidup entahkan tidak. Sudah menjadi cold case. Jadi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan mereka supaya jangan jadi begitu lagi. Mungkin mereka belum sempat cakap pun alasan mereka itu, namun Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang bapa yang bijak, sudah boleh mengagak apa yang mereka akan kata. Jadi baginda cakap terus awal-awal supaya mereka pergi jumpa Al-Aziz lagi dan meminta pertolongan daripadanya. Jangan cuba sekali dan gagal, kamu tidak mahu cuba lagi.

Itulah nasihat baginda kepada mereka. Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu selama ini hidup dalam penjara emosi yang penuh dengan rasa bersalah. Kemarahan mereka setiap kali nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut adalah tanda jiwa yang terseksa. Bukannya mereka tidak tahu yang mereka telah melakukan dosa yang besar, terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, terhadap bapa mereka juga. Mungkin mereka pun ada rasa dosa mereka ini tidak akan diampunkan oleh Allah ‎ﷻ. Jadi, apabila bapa mereka mengarahkan mereka untuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia bukan sekadar misi pencarian. Ia adalah sebuah jalan penebusan yang ditawarkan kepada mereka. Mereka kena ambil peluang ini dengan segera. Ingatlah firman Allah ‎ﷻ di dalam Zumar:53

۞ قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

Maka bagi kita yang ada banyak dosa pun, jangan sesekali berputus harap dengan pengampunan daripada Allah ‎ﷻ. Jangan tertipu dengan bisikan daripada syaitan. Syaitan akan bisikkan kepada orang berdosa: Dosa kamu banyak sangat dan Allah tidak akan ampunkan. Akan tetapi bagi orang yang belajar dan diberikan sedikit ilmu, mereka akan menemui dalil-dalil yang mengatakan Allah ‎ﷻ boleh sahaja mengampunkan dosa hamba-Nya, tidak kira berapa banyak dosa itu. Asalkan kita menyerah diri kepada-Nya. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin sudah perasan yang anak-anaknya ada menunjukkan rasa bersalah dalam diri mereka kerana kesalahan yang mereka telah lakukan itu. Perasan bersalah itu bagus, dan ia boleh jadi pemangkin untuk bertaubat. Yang bahaya kalau tidak ada rasa bersalah langsung! Maknanya belum tiba lagi kehendak untuk bertaubat itu.

Ini bahaya kalau tidak ada rasa bersalah langsung. Malangnya memang ada orang yang tidak ada perasaan sebegitu. Asalnya, kerana kali pertama dia buat salah, mesti dia akan rasa bersalah kerana ada fitrah dalam diri dia yang kenal dosa pahala. Akan tetapi semakin banyak dosa dia buat, semakin dia akan tutup perasaan bersalah itu. Sudah menjadi fitrah seorang manusia tidak sukakan ada rasa bersalah, jadi dia akan matikan perasaan itu sampailah hati dia benar-benar sudah mati! Jadi kita hendaklah perhatikan perkara ini supaya hati kita jangan menjadi lali dengan dosa.

Sebab itu dalam kita berdakwah, janganlah keterlaluan suka fokus kesalahan serta mengatakan orang itu berdosa, berdosa, berdosa sahaja. Tidak mustahil yang mendengarnya akan berkata: ‘Agama apa ni, bagi aku asyik rasa bersalah sahaja’. Oleh itu, kenalah pandai untuk menaikkan semangat dia. Orang kita kalau berdakwah kadangkala keterlaluan bercerita pasal neraka, sampai akhirnya orang menjadi benci pula hendak mendengarnya. Rasulullah ﷺ pun tidak sentiasa mengingatkan tentang neraka dan baginda memberi harapan kepada orang yang memang jelas-jelas berdosa pun. Sebagai contoh perhatikan kisah seorang sahabat ini, yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab :

“Sesungguhnya ada seorang lelaki pada zaman Nabi ﷺ yang bernama Abdullah, dan dia digelar Himar (Keldai). Dia adalah orang yang selalu membuat Rasulullah ﷺ ketawa. Dan Nabi ﷺ telah pun mengenakan hukuman sebat ke atasnya kerana (minum) arak. Pada suatu hari dia dibawa (kepada Nabi ﷺ kerana minum arak lagi), lalu Nabi ﷺ memerintahkan (agar dia dihukum), maka dia pun disebat. Maka seorang lelaki dalam kalangan kaum itu berkata: ‘Ya Allah, laknatlah dia! Betapa banyak kali dia dibawa (kerana kesalahan ini)!’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Janganlah kamu melaknatnya. Demi Allah, aku tidak mengetahui melainkan bahawa dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.'”

(Sahih Al-Bukhari No. 6780)

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu mereka mungkin berputus asa dengan Al-Aziz Mesir, dengan keupayaan mereka untuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingatkan mereka adalah janganlah berputus asa dengan ALLAH ‎ﷻ! Allah ‎ﷻ yang mencipta langit dan bumi, menjadikan siang dan malam itu boleh berbuat apa-apa sahaja. Ya, kamu memang tidak boleh berbuat apa-apa tetapi Allah sahaja boleh sahaja kerana Dia Tuhan! Kamu pun patut tahu kisah Moyang kamu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang apabila dimasukkan ke dalam api, Allah ﷻ jadikan api itu tidak panas tetapi selesa sahaja.

Sebab itulah, arahan itu disusuli dengan nasihat, “…dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah” (رَوحِ اللهِ). Nasihat ini bukanlah untuk dirinya, tetapi ditujukan terus kepada jiwa anak-anaknya yang dibebani dosa. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat rasa bersalah mereka sebagai bukti bahawa masih ada kebaikan yang hidup di dalam diri mereka. Baginda tidak memalukan mereka, sebaliknya, baginda beri mereka harapan: Tidak kira betapa besar kesilapan lalu, pintu taubat dan rahmat Allah ﷻ sentiasa terbuka untuk memulihkan dan menebus jiwa mereka. Jadi satu lagi nasihat kepada mereka adalah jangan berputus asa dengan rahmat Allah ﷻ yang boleh mengampunkan kesalahan mereka selama ini. 

Dalam ayat ini digunakan kalimah رَوحِ اللهِ untuk membawa maksud,

1. ‘Rahmat Allah ‎ﷻ’ – ia berasal daripada kalimah ر و ح yang bermaksud ‘angin’ kerana ia berkait dengan angin yang menyegarkan. Ya, ia adalah daripada kata dasar yang sama juga menjadi kalimah ‘roh’ yang kita biasa gunakan (kerana roh ditiup ke dalam jasad manusia). Allah ingatkan mereka supaya jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah .

2. Ada juga mengatakan رَوحِ itu bermaksud nafas kerana ia adalah salah satu daripada maksud ر و ح. Kesedihan selalu menyesakkan nafas dan kalau Allah beri penyelesaian, maka nafas akan kembali lega.

Perhatikan juga metafora pernafasan yang begitu puitis: Insan yang sama yang digambarkan sebagai كَظِيمٌ (tidak dapat bernafas kerana sebak) sebelum ini, kini menasihati anak-anaknya untuk tidak berputus asa daripada رَوحِ اللهِ yang antara lain bermaksud helaan nafas lega. Perkara yang dirasakan paling tersekat daripadanya (nafas lega) menjadi teras harapan yang dia tawarkan kepada orang lain.

3. Ada yang mengatakan رَوحِ sama dengan (istirehat) iaitu berehat dengan tenang. Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan mereka supaya jangan berputus asa daripada rahmat Allah yang boleh memberikan ketenangan dan rehat kepada kita. Kalau kita tidak ada rasa bersalah lagi, barulah hati akan menjadi tenang, bukan? Ada satu Peribahasa Inggeris, “There’s no pillow as soft as a clear conscience” (Tiada bantal selembut hati nurani yang bersih)

إِنَّهُ ۥ لَا يَاْيـَٔسُ مِن رَّوحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلقَومُ ٱلكَـٰفِرُونَ

Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”.

Baginda memberitahu anak-anaknya itu yang berputus harap daripada rahmat Allah ‎ﷻ adalah sifat orang-orang yang ingkar atau kafir sahaja. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menggunakan kalimat: “yang berputus asa dengan rahmat Allah adalah orang kafir” tetapi menggunakan susunan bahasa yang paling kuat kerana ada لَا dan إِلَّا. Kalimah dalam bahasa Arab yang menggunakan struktur  dan  dianggap paling kuat dan paling tegas (pasti) kerana ia mewujudkan satu teknik Balaghah yang dikenali sebagai Ḥaṣr (). Ḥaṣr bermaksud pembatasan atau penegasan eksklusif. Kerana itulah struktur ini digunakan di dalam Syahadah ().

Begitulah sebagaimana orang atheist (tidak percaya kepada Tuhan) sekarang, mereka tidak percaya yang Allah ‎ﷻ itu pemurah, memberi rahmat dan sebagainya kerana mereka lihat dunia ini dalam keadaan teruk. Oleh kerana banyak sengsara dan banyak ketidakadilan, mereka kata tentu tidak ada Tuhan atau Allah ‎ﷻ. Ini adalah fahaman yang salah kerana apa yang terjadi adalah sebagai ujian daripada Allah ‎ﷻ untuk makhluk-Nya, bukannya tanda yang Allah ‎ﷻ tidak ada.

Begitulah juga bagi seorang Muslim, seandainya dia berputus harap dengan Allah ﷻ, maka dia pun ada kekufuran dalam dirinya. Kenapa boleh jadi begini? Kerana hubungannya dengan Allah ﷻ sudah tidak ada. Mereka tidak percaya dengan Allah ﷻ kerana mereka tidak kenal Allah ﷻ. Mereka mungkin berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi mereka tidak berharap pun dengan doa itu. Ia juga mengajar kepada kita, selama ini berdoa, adakah sambil lewa sahaja? Adakah buat cukup syarat sahaja kita berdoa tanpa pengharapan? Saya teringat kisah yang dikaitkan dengan Tok Kenali berkenaan topik ini. Ringkasan kisahnya begini:

Sekumpulan orang atau pelajar mengadakan solat Istisqa’ (solat memohon hujan) kerana kawasan mereka mengalami kemarau panjang. Setelah selesai solat, kumpulan tersebut bertemu dengan Tok Kenali. Tok Kenali bertanya kepada mereka dengan nada sedikit hairan: “Berapa banyak payung kalian bawa?” Kumpulan itu kehairanan kerana mereka tidak membawa payung, kerana matlamat mereka adalah untuk memohon hujan, dan pada masa itu cuaca sangat panas dan kering. Tok Kenali kemudian menjelaskan (dengan maksud): Ibadah Istisqa’ adalah ibadah yang menunjukkan tawakal dan yakin sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Jika mereka benar-benar yakin bahawa Allah ﷻ akan mengabulkan doa mereka dan menurunkan hujan sejurus selepas solat, mengapa mereka tidak membawa payung sebagai persediaan? Ketiadaan payung menunjukkan kurangnya keyakinan yang bulat terhadap jawapan doa tersebut. Pesan utama daripada kisah ini ialah tentang kesempurnaan keyakinan dan tawakal kepada Allah ﷻ setelah kita melakukan usaha dan berdoa. Doa tanpa keyakinan penuh bahawa ia akan dimakbulkan adalah satu kekurangan dalam adab berdoa.

Oleh hal yang demikian janganlah kita sesekali berputus asa dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Datanglah apa masalah sekalipun, jangan kata tidak ada jalan penyelesaian kerana penyelesaian itu ada dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana kita sudah banyak dapat rahmat daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ yang sama jugalah yang boleh mengembalikan rahmat yang diambil-Nya seketika. Sama ada Allah ‎ﷻ hendak jadikan atau tidak sahaja; dan kalau tidak menjadi, itu adalah sebagai ujian daripada Allah ‎ﷻ.

Di sinilah kita tiba pada pelajaran yang paling mencabar minda dan emosi kita. Iaitu kesedihan dan harapan boleh wujud serentak. Al-Qur’an menggambarkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada pada saat paling gelap, sehingga baginda كَظِيمٌ kerana sebak menahan kesedihan yang amat sangat, seolah-olah tercekik dan tidak mampu bernafas. Namun, di saat puncak kesedihan inilah lahirnya kata-kata baginda yang paling penuh harapan. Di sini kita melihat satu paradoks yang indah: kesedihan yang mendalam dan harapan yang mutlak bukanlah dua perkara yang saling menafikan. Selalunya kalau orang itu bersedih, mesti ada bersamanya perasaan putus asa, bukan? Tapi tidak dengan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Baginda mengajar kita yang walaupun bersedih, kita masih lagi boleh memegang harapan. Prosesnya sangat mengagumkan. Seperti yang dianalisis dalam Ayat 86, قَالَ إِنَّمَآ أَشكُواْ بَثِّى وَحُزنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ (Aku hanya mengadukan kesusahan dan kesedihanku kepada Allah), Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil kesedihannya dan mempersembahkannya kepada Allah ‎ﷻ “sebagai sebuah khazanah berharga.” Sebagai balasan, Allah ‎ﷻ memberikannya “hadiah harapan.” Allah ‎ﷻ mengubah bebanan itu menjadi satu suntikan keyakinan yang diilhamkan dari langit. Allah ‎ﷻ boleh menganugerahkan perasaan sebegini sebagaimana Allah ‎ﷻ berikan sakinah kepada orang Mukmin seperti disebut di dalam Fath:4

هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ لِيَزدادوا إيمٰنًا مَّعَ إيمٰنِهِم
Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). 

Malah bukan pada diri baginda sahaja. Baginda sampaikan kepada orang di sekeliling baginda juga iaitu anak-anak baginda. Selalunya orang lain, kalau dia bersedih, dia hendak orang lain pun bersedih bersama dengannya sekali. Di sini baginda mengajar kita tentang optimis di dalam menghadapi kehidupan. Tidak ada ruginya menjadi orang optimis, sebaliknya kalau menjadi orang pesimis lah yang merugikan. Bak kata Winston Churchill:

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dengan jawapan pendek, kira-kira 2-3 ayat setiap satu, berdasarkan pemahaman daripada teks yang diberikan.

1. Apakah teknik komunikasi yang digunakan oleh Nabi Ya’qub a.s. apabila memulakan percakapannya dengan anak-anaknya, dan apakah pengajaran daripadanya?

2. Menurut tafsiran, apakah dua makna mendalam bagi perkataan فَتَحَسَّسوا yang digunakan oleh Nabi Ya’qub a.s.?

3. Apakah perbezaan utama antara kalimah تَحَسَّسَ dan تَجَسَّسَ seperti yang dijelaskan dalam teks?

4. Mengapakah Nabi Ya’qub a.s. tidak mengarahkan anak-anaknya untuk mencari anak ketiganya yang berada di Mesir?

5. Bagaimanakah tindakan anak-anak Nabi Ya’qub a.s. menunjukkan bahawa mereka secara tersirat mengakui pembohongan mereka tentang Nabi Yusuf dimakan serigala?

6. Apakah kaitan antara berputus asa daripada rahmat Allah dengan sifat kaum kafir, seperti yang dihuraikan dalam ayat ini?

7. Apakah tiga tafsiran bagi kalimah رَوحِ اللهِ (rahmat Allah) yang dikemukakan dalam sumber?

8. Apakah “paradoks yang indah” yang diajar oleh Nabi Ya’qub a.s. mengenai kesedihan dan harapan?

9. Apakah yang dimaksudkan dengan Ḥaṣr (حَصْرٌ) dan bagaimana ia digunakan dalam ayat ini untuk memberikan penekanan yang kuat?

10. Apakah pengajaran utama daripada kisah Tok Kenali dan solat Istisqa’ yang dikaitkan dengan topik keyakinan dalam berdoa?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
Basirah
Mata hati; keupayaan untuk “melihat” atau memahami kebenaran yang tidak dapat dilihat oleh mata fizikal.
Defense Mechanism
Mekanisme Pertahanan; cara psikologi seseorang melindungi diri daripada perasaan bersalah atau kesakitan emosi, seperti anak-anak Nabi Ya’qub yang menjadi marah apabila nama Nabi Yusuf disebut.
فَتَحَسَّسُوا (Fatahassasū)
Perintah untuk “mencari berita bersungguh-sungguh” menggunakan pancaindera secara terbuka. Ia juga membawa makna mendalam untuk mencari semula kepekaan dan empati dalam diri.
Ḥaṣr (حَصْرٌ)
Teknik retorik dalam bahasa Arab yang bermaksud pembatasan atau penegasan eksklusif, menggunakan struktur لَا … إِلَّا (tidak ada … melainkan) untuk memberikan penekanan yang paling kuat.
حِسِّيّ (Hissi)
Sesuatu yang boleh dirasai atau dikesan oleh pancaindera; bersifat fizikal atau konkrit.
Istisqa’
Solat sunat khusus yang dilakukan untuk memohon hujan semasa musim kemarau yang panjang.
كَظِيمٌ (Kaẓīm)
Keadaan menahan kesedihan yang amat sangat sehingga terasa tercekik, sebak, dan tidak mampu bernafas.
مَعْنَوِيّ (Ma’nawi)
Sesuatu yang bersifat abstrak, yang disedari bukan dengan pancaindera tetapi dengan akal.
رَوحِ ٱللَّهِ (Rawḥillāh)
Rahmat Allah, kelegaan, atau ketenangan daripada Allah. Ia berasal dari kata dasar yang bermaksud ‘angin’ atau ‘nafas’, melambangkan kesegaran dan kelegaan.
Sakinah
Ketenangan yang diturunkan oleh Allah ke dalam hati orang-orang yang beriman, yang menambahkan keimanan mereka.
تَجَسَّسوا (Tajassasū)
Perbuatan mengintip atau menjadi mata-mata untuk mencari keburukan atau aib orang lain, yang dilakukan secara rahsia dan dilarang dalam Islam.
يَـٰبَنِىَّ (Yā Baniyya)
“Wahai anak-anakku”; satu panggilan yang lembut dan mesra, menunjukkan kasih sayang yang mendalam.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ
“Wahai Dzat Yang Membolak-balikkan hati”; sebahagian daripada doa yang sering dibaca oleh Nabi Muhammad SAW untuk memohon ketetapan hati di atas agama-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 86 (Mengadu kepada siapa?)

Yusuf Ayat 86:

قَالَ إِنَّمَآ أَشكُواْ بَثِّى وَحُزنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “I only complain of my suffering and my grief to Allāh, and I know from Allāh that which you do not know.

(MALAY)

Ya’qub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya”.

 

قَالَ إِنَّمَآ أَشكُواْ بَثِّى وَحُزنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ

Ya’qub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesedihan (lama)ku dan kesedihan (baru)ku, 

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ balas kata-kata anaknya itu: baginda kata baginda bukan bercakap dengan mereka pun. Baginda hendak bersendirian dan mengadu kepada Allah ‎ﷻ sahaja, bukan kepada mereka. Baginda kata yang baginda hendak mengadu kepada Allah ‎ﷻ sahaja jadi jangan sibuk dengan baginda. Baginda mengadu kepada Allah ﷻ kerana kalau kepada manusia, tidak ada sesiapa yang boleh bantu.

Kalimah أَشكُواْ daripada kata dasar ش ك و yang bermaksud mengadu. Perbuatan ini dinamakan (As-Syakwā). Perkataan “mengadu” dalam bahasa Melayu mungkin membawa konotasi negatif. Kita bayangkan seseorang yang merengek-rengek, mungkin. Namun, bahasa Al-Qur’an membuka satu dimensi makna yang jauh lebih indah dan mendalam. Perkataan Arab yang digunakan ialah . Dari segi bahasa, ia bermaksud menyatakan kesakitan atau kekurangan sesuatu yang diperlukan. Bayangkan tangisan seorang bayi yang lapar. Ia bukan rungutan yang menjengkelkan, tetapi satu ekspresi fitrah akan keperluannya. Inilah iaitu satu pengakuan tentang kesakitan dan keperluan di hadapan Tuhan Yang Maha Mendengar. Allah ﷻ memang suka kalau kita bergantung kepada-Nya.

Ini pun mengajar kita cara berdoa kepada Allah ﷻ dengan cara beradab. Kerana kita biasa dengan Allah ﷻ kita minta itu dan ini, bukan? Tidaklah salah akan tetapi cara para Nabi berdoa adalah apabila mereka ada masalah, mereka ‘mengadu’ kepada Allah ﷻ, tanpa mendesak, tanpa menyoal keputusan Allah ﷻ dan menyalahkan takdir. Sepertimana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidaklah baginda kata: “Ya Allah, kenapalah Engkau bagi anak-anak gini kepadaku?”. Antaranya kita kenalah merendah diri dan mengaku kesalahan dan kelemahan diri kita. Perhatikan doa Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam perut ikan seperti disebut di dalam Anbiya’:87

فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ
maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.

Perhatikan juga kalimah pengaduan Rasulullah ﷺ setelah baginda ditolak oleh penduduk Taif. Baginda tidak marah, baginda tidak suruh Allah ‎ﷻ turunkan azab kepada mereka; malah baginda menyebut kelemahan diri baginda dan mengaku yang baginda tidak ada tempat lain untuk mengadu, perhatikan baginda menggunakan kalimah juga.

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan kelemahan kekuatanku, kekurangan daya upayaku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang daripada semua penyayang, Engkaulah Tuhan bagi orang-orang yang lemah dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang jauh yang menyerangku dengan wajah masam dan benci? Ataukah kepada musuh yang Engkau kuasakan urusanku ke atasnya? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (tidak bimbang). Tetapi keredhaan-Mu (keampunan-Mu) lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan Cahaya Wajah-Mu yang menyinari segala kegelapan, dan yang dengannya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, daripada Engkau menurunkan kemurkaan-Mu ke atasku atau menimpakan kemarahan-Mu kepadaku. Bagi-Mu keredhaan (ku pohon ampun) sehingga Engkau benar-benar meredainya, dan tiada daya serta tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan-Mu jua.”

Diriwayatkan oleh Imam At-Tabarani dalam kitab Al-Mu’jam Al-Kabīr (المعجم الكبير); Imam Ibnu Ishāq dalam Sīratu Ibn Ishāq (Sirah Nabi); Imam Al-Bayhaqi dalam kitabnya Dalā’il An-Nubūwwah (دلائل النبوة). Para ulama’ hadith kontemporari seperti Syaikh Al-Albani telah mensahihkan hadith ini dalam kitab beliau, Fiqh As-Sīrah (فقه السيرة), dengan merujuk kepada pelbagai jalur periwayatannya.

Akhir sekali kita tidak memaksa Allah ‎ﷻ untuk memberi apa yang kita hendak. Perhatikan doa Rasulullah: (Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (tidak bimbang). Maknanya baginda redha dengan apa yang terjadi asalkan Allah ﷻ tidak murka kepada baginda kerana itu yang paling penting.

Jadi adab di dalam doa bukannya mempersoalkan takdir Allah ﷻ. Contohnya kalau kemarau panjang, jangan tanya: “Wahai Allah, kenapalah Engkau menguji kami dengan kepanasan sebegini?” sebaliknya mengadu dengan kata tidak tahan dengan kepanasan itu. Lihatlah doa Nabi Ayyub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sangat berhalus di dalam Anbiya’:83

وَأَيّوبَ إِذ نادىٰ رَبَّهُ أَنّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ
dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika dia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa kesusahan dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”.

 

Kesedihan yang pelbagai

Sekarang kita lihat dua kalimah بَثّ dan حُزن yang kedua-duanya boleh diterjemahkan sebagai kesedihan. Akan tetapi apabila ianya disebut di dalam satu ayat, maka ia bermaksud mesti ada perbezaan di antara keduanya. Kita telah sebut tentang (apabila bergabung, ia berbeza) di dalam Ayat 84 sebelum ini. Jadi kita sekarang akan lihat apakah persamaan dan perbezaan antara keduanya.

Yang mula disebut adalah بَثّ, Kalimah بَثّ adalah daripada kata dasar ب ث ث yang bermaksud kesedihan yang berpanjangan. Ia asalnya bermaksud menyebarluaskan. Ini seperti digunakan di dalam Baqarah:164 فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ (lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis binatang). Ia merujuk kepada kesedihan yang terlalu besar dan tidak tertanggung seorang diri sampaikan seseorang yang sedih itu akan mengadu dan sebarkan kepada selain dirinya. Begitulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahan dengan kesedihan itu dan baginda perlu mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Malah kalimah بَثّ juga bermaksud jenis kesedihan yang memakan diri. Ia juga bermaksud jenis kesedihan yang bertebaran, menerawang ke sana sini. Maknanya ini adalah jenis kesedihan yang berat.

Manakala حُزن daripada kata dasar ح ز ن dan daripada kata dasar ini juga merujuk kepada tanah yang keras, kasar, atau tinggi (berbanding dengan tanah yang rata dan lembut). Ia adalah imagery kepada seseorang yang sudah melalui banyak dugaan sampai jadi keras dan kasar. Namun begitu kalimah حُزن adalah kalimah yang selalu digunakan untuk kesedihan. Kalau dibandingkan dengan بَثّ, kalimah حُزن pula adalah kesedihan yang baru. Lagi satu, kalau dibandingkan dengan بَثّ, kesedihan jenis حُزن masih lagi boleh ditanggung seorang diri kerana kita telah katakan yang ia adalah jenis kesedihan yang selalu disebut. Ia kesedihan yang kita boleh simpan lagi dalam diri kita, boleh layan seorang diri sahaja. Jadi apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kedua-dua istilah, ia bermakna yang baginda mengadu kesedihan yang lama (kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan kesedihan yang baru (kehilangan Bunyamin) hanya kepada Allah ‎ﷻ. Juga bermaksud baginda mengadu kesemua kesedihan yang baginda ada, kecil dan besar.

Mengagumkan apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak hanya menggunakan satu perkataan untuk kesedihannya. Baginda menggunakan dua perkataan yang berbeza ini: بَثّ dan حُزن. Satu lagi pendapat tentang perbezaan antara kedua kesedihan ini adalah:

• Huzn (حُزْن): Ini adalah kesedihan umum yang telah lama tersimpan di dalam hati.

• Bath (بَثّ): Ini adalah kesedihan yang jauh lebih spesifik dan berlapis. Ia mempunyai dua makna utama:

Pertama, kesedihan yang terlalu berat sehingga tidak dapat lagi ditahan dan akhirnya terluah keluar.

Kedua, ia juga merujuk kepada keresahan yang membuatkan fikiran bercelaru dan tidak keruan—seperti azab membayangkan senario terburuk yang mungkin menimpa orang yang kita sayangi.

Dengan berkata إِنَّمَآ أَشكُواْ بَثِّى وَحُزنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seolah-olah sedang berkata, “Aku membawa kepada Allah kesedihan yang lama (kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan kesedihan yang baru (kehilangan Bunyamin).” Sebelum ini telah disebut yang baginda menahan kesedihan baginda itu, bukan? Ayat 84: فَهُوَ كَظِيمٌ (dan dia adalah seorang yang menahan perasaannya) Namun sekarang baginda tidak dapat menahannya lagi dan ia telah terkeluar.

Ini bukan sekadar aduan; ia adalah satu perbualan yang sangat peribadi, intim, dan menyeluruh dengan Allah ‎ﷻ tentang setiap lapisan kesakitan yang baginda rasakan. “Aku mengambil kesakitan yang kurasakan dan kehilangan yang kurasakan, dan aku akan berbicara tentangnya dengan Allah… ini kedengaran jauh lebih indah daripada sekadar berkata ‘Aku mahu merungut kepada Allah’.” Dalam istilah yang kita lebih faham adalah baginda bermunajat kepada Allah ‎ﷻ.

 

Al-Qur’an sebagai cahaya yang menerangi

Di dalam surah ini kita banyak membincangkan bab psikologi dan sosial manusia. Di sini letaknya satu anjakan paradigma yang mampu mengubah cara kita mendekati masalah dalam dunia ini. Dalam dunia moden, kita sering melihat sesuatu daripada pelbagai “perspektif” seperti saintifik, psikologi, ekonomi, dan sebagainya. Katakan ada sesuatu isu, pakar sains akan memberi komen berdasarkan sains, pakar ekonomi akan memberi fakta ekonomi, pakar psikologi pula akan memberi pandangan dari sudut psikologi, sementara pakar politik pun akan sibuk memberi pandangannya juga (walaupun orang  malas nak dengar pandangan dia sebab bukan boleh pakai pun). Setiap perspektif ini, walaupun berguna, mempunyai had. Ia seperti melihat sebuah objek daripada satu sudut sahaja. Setiap orang ada kelebihan di dalam bidang masing-masing yang mereka boleh bantu, ingat lagi Ayat 76

وَفَوقَ ڪُلِّ ذِى عِلمٍ عَلِيمٌ
dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi lebih mengetahui

Kadangkala ahli agama pun ada memberi pandangannya juga, bukan? Dia mungkin sebut ayat Al-Qur’an sebagai hujahnya akan tetapi Al-Qur’an tidak hadir untuk menjadi satu lagi perspektif yang terhad untuk diletakkan di samping perspektif-perspektif yang lain. Ia bukanlah “perspektif agama” semata-mata. Sebaliknya, Allah ‎ﷻ menggambarkannya sebagai Nur (cahaya). Fungsi cahaya bukanlah untuk menawarkan satu sudut pandangan sahaja yang terhad. Fungsi cahaya adalah untuk menyinari keseluruhan realiti supaya semua sudut pandangan menjadi jelas. Apabila kita membawa firman Allah ‎ﷻ ke dalam perbincangan tentang masalah kita, kita bukan sekadar menambah “satu lagi pendapat.” Sebaliknya, kita sedang menyalakan lampu di dalam bilik yang gelap. Ia tidak membuang perspektif saintifik, psikologi atau yang lain-lain, tetapi ia menyinarinya, membolehkan kita melihat kebenaran dengan lebih jelas dan lengkap. Ini kerana Al-Qur’an adalah kitab wahyu yang lengkap dengan segala-galanya. Kita membawa cahaya yang membolehkan kita memahami masalah kita, sama ada masalah emosi, keluarga, atau kewangan. Ia akan dikupas dengan kejelasan yang tidak dapat diberikan oleh mana-mana perspektif manusia yang terhad. Memang ada orang yang lebih pandai daripada kita dalam sesuatu bidang, namun siapakah yang lebih tahu semua bidang? Tentulah Allah ‎ﷻ! 

 

Mengadu hanya kepada Allah ‎ﷻ? 

Di dalam ayat ini kita belajar sunnah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengadu hanya kepada Allah ‎ﷻ. Tidaklah baginda merengek-rengek kepada manusia. Merengek dengan kebanyakan manusia pun tiada guna. Ada satu riwayat yang masyhur datang daripada kisah Ummu Aiman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا yang menangis selepas kewafatan Rasulullah ﷺ, dan beliau telah dinasihati:

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ: لَمَّا قُبِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَتْ أُمُّ أَيْمَنَ لِأَنَسٍ: «مَنْ بَثَّ لَمْ يَصْبِرْ»
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Ketika Nabi ﷺ wafat, Ummu Aiman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata kepada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: “Sesiapa yang mendedahkan (keluhannya), maka dia tidak sabar.” (Sebahagian riwayat lain menyebut kata-kata ini diucapkan oleh Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kepada Ummu Aiman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, tetapi intipatinya adalah sama.)

(Riwayat Ibnu Majah, No. 1587; dan Ahmad, No. 27003)

Syarah: Ummu Aiman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, yang merupakan pengasuh Nabi ﷺ dan sangat menyayangi Baginda, sedang mengingatkan Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (yang juga sangat menyayangi Nabi ﷺ) bahawa kesedihan yang terlampau sehingga mendorong kepada luahan yang berlebihan atau meratap secara tidak terkawal adalah tanda kurangnya kesabaran atau kurangnya penyerahan diri kepada takdir Allah ‎ﷻ. Ini adalah nasihat untuk mengamalkan (menahan diri) dan Tawakkal (berserah diri) seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu mengadu kesedihan hanya kepada Allah ‎ﷻ, bukan meluahkannya secara berlebihan kepada manusia.

Maka ini mengajar kita supaya mengadu dengan Allah ﷻ. Yang ini banyak kita tidak buat sebaliknya kita banyak mengadu dengan manusia. Ini adalah kerana kita tidak berapa yakin dengan Allah ﷻ. Kita tidak  yakin Allah ﷻ mendengar keluhan hati kita kerana kita jauh daripada Allah ﷻ dan tidak kenal Allah ﷻ. Kita juga rasa manusia sahaja yang dapat membantu dengan lupa bahawa Allah ﷻ lebih layak membantu kita.

Akan tetapi jangan menolak terus pilihan untuk meminta bantuan daripada manusia. Seringkali, kita menyangka ayat ini adalah satu peraturan ketat yang melarang kita daripada berkongsi beban dengan orang lain. Kita diberitahu, “Cukup, serahkan segalanya kepada Allah,” seolah-olah meluahkan kesedihan kepada isteri, suami, atau kawan baik adalah satu perbuatan yang tercela dan yang kata begitu akan menyebut ayat ini sebagai dalil mereka. Ini adalah satu pemahaman yang kurang tepat.

Untuk membuktikannya, kita hanya perlu melihat kepada contoh terbaik, Nabi Muhammad ﷺ. Baginda lebih mengetahui ayat ini berbanding kita semua. Selepas Perjanjian Hudaibiyah yang sangat berat sebelah, Baginda memerintahkan para sahabat untuk menyembelih korban dan bercukur, kerana mereka telah tertahan dari meneruskan hajat mereka. Akan tetapi tiada seorang pun yang bergerak. Mereka terlalu kecewa dan terkejut dengan keputusan itu setelah mereka susah payah datang ke Mekah dari Madinah. Dalam keadaan yang sangat tertekan itu, adakah baginda hanya berdiam diri? Tidak. Baginda masuk ke dalam khemah dan meluahkan kekecewaan dan kesedihannya kepada isteri Baginda, Sayyidatina Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا. Maka tidak ada salahnya kalau kita mengadu kepada manusia terutama sekali kerana kita adalah makhluk yang secara fitrahnya memerlukan dan memberi kemesraan.

“…Maka Nabi ﷺ masuk menemui Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا lalu Baginda menceritakan kepadanya apa yang Baginda hadapi daripada sikap para sahabat. Maka Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata: ‘Wahai Nabi Allah, adakah engkau suka perkara itu (dilakukan oleh para sahabat)? Keluarlah, kemudian janganlah engkau berbicara dengan seorang pun dari mereka satu perkataan pun, sehingga engkau menyembelih korbanmu dan memanggil tukang cukurmu lalu dia mencukurmu.’ Maka Nabi ﷺ pun keluar dan tidak berbicara dengan seorang pun daripada mereka sehingga baginda melakukan perkara tersebut. Baginda menyembelih korban baginda dan memanggil tukang cukur baginda, lalu dia mencukur baginda. Apabila para sahabat melihat yang demikian itu, mereka pun bangun lalu menyembelih korban mereka. Sebahagian mereka mula mencukur sebahagian yang lain sehingga hampir-hampir mereka membunuh sesama sendiri kerana kesedihan (dan tekanan).”

(Petikan riwayat dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Syurūṭ, Bab Syarat dalam Jihad)

Sifat manusia memerlukan manusia yang lain juga. Kerana kita perlukan belaian kasih dan nasihat daripada manusia juga. Kalau kita tolak kehendak ini dan kata tidak dibenarkan mengadu kepada manusia, maka tentulah sukar untuk kita, bukan? Malah kita sudah perhatikan, para Nabi pun meminta nasihat dan pandangan daripada manusia juga kerana ini normal sahaja. Apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilantik sebagai Nabi, apakah permintaan pertama baginda? Allah ‎ﷻ mengulang kata-kata baginda di dalam Taha:29-31

وَٱجۡعَل لِّى وَزِيرًا مِّنۡ أَهۡلِى (٢٩) هَـٰرُونَ أَخِى (٣٠) ٱشۡدُدۡ بِهِۦۤ أَزۡرِى (٣١) وَأَشۡرِكۡهُ فِىٓ أَمۡرِى (٣٢)
Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong daripada keluargaku. (29) Iaitu Harun saudaraku; (30) Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, (31) Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, (32)

Allah ‎ﷻ memenuhi permintaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dan melantik juga Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi Nabi sebagai pembantu kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidaklah Allah ‎ﷻ kata: “Hai Musa, tidakkah Aku cukup bagimu?” Kerana memang manusia memerlukan manusia lain sebagai bantuan dan tempat mengadu.

Jadi, bilakah ayat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya mengadu kepada Allah ‎ﷻ sahaja ini terpakai? Kuncinya terletak pada konteks. Situasi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat berbeza. Baginda dikelilingi oleh anak-anak yang menjadi punca kesakitannya. Sokongan tidak wujud daripada mereka dan orang sekeliling baginda.

Begitu juga dengan Sayyidatina Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا semasa peristiwa fitnah (al-Ifk) iaitu ketika beliau dituduh telah berzina. Walaupun dikelilingi oleh insan-insan terbaik seperti Rasulullah ﷺ dan ibu bapanya sendiri, beliau merasa sangat terpinggir dan tidak difahami sehinggalah beliau berpaling daripada mereka dan menyerahkan urusannya terus kepada Allah ‎ﷻ. Tiada manusia ketika itu yang boleh membersihkan nama beliau walaupun mereka itu orang yang hebat sekali pun kerana manusia tidak tahu perkara ghaib. Maka ketika itulah Ibu Kita itu berpaling dan hanya mengadu kepada Allah ‎ﷻ sahaja! Kisah peristiwa ini panjang dan boleh dibaca di dalam Surah Nur. Yang menariknya, Saidatina Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menyebut petikan ayat daripada Surah Yusuf ini!

“Maka beliau (Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا) bertasyahhud (mengucapkan dua kalimah syahadah) kemudian berkata: ‘Adapun demi Allah, aku benar-benar tahu bahawa kamu telah mendengar cerita ini (tuduhan Ifk) sehingga ia menetap di dalam diri kamu dan kamu mempercayainya. Sekiranya aku katakan kepada kamu bahawa aku tidak melakukannya — padahal Allah tahu aku tidak melakukannya — kamu tidak akan mempercayai aku. Sekiranya aku mengakui sesuatu perkara — padahal Allah tahu aku tidak melakukannya — kamu pasti akan mempercayai aku. Demi Allah, aku tidak dapati perumpamaan untuk diriku dan kamu melainkan seperti apa yang dikatakan oleh bapa Yusuf (Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ):’

(Petikan riwayat Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghāzi, Bab Hadith al-Ifk)

Ini membawa kita kepada rumusannya. Ayat ini terpakai bukan apabila sistem sokongan anda “gagal”, tetapi apabila anda menyedari bahawa rintihan anda tidak akan dapat difahami oleh orang di sekeliling anda. Ia berlaku walaupun bersama insan yang terbaik, yang kerana keterbatasan manusiawi mereka, tidak mampu menyelami kedalaman kesakitan spesifik yang anda alami pada waktu itu. Ia adalah satu peringatan yang membebaskan: apabila semua pintu manusia terasa tertutup atau tidak mampu memahami, pintu Allah sentiasa terbuka luas untuk anda.

Dalam kes Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda sudah tahu yang anak-anaknya itu tidak akan dapat membantu pun. Mereka bukannya prihatin dengan kesedihan yang baginda alami. Kalau baginda mengadu kepada mereka pun, mereka akan balas dengan kata-kata yang menyakitkan hati baginda sahaja. Maka daripada mereka terus mendapat dosa, maka baginda mengelak daripada menyebabkan mereka terus di dalam dosa kerana baginda sayangkan mereka. Mengajar kita kalau ada sesuatu yang boleh menyebabkan orang kesayangan kita beroleh dosa, maka lebih baik kita elakkan daripada melakukan perkara itu.

Maka tidak ada salahnya kalau kita mengadu kepada orang yang kita percayai boleh membantu kita, memberi nasihat yang baik. Cuma kenalah pandai memilih siapa yang kita akan beritahu masalah kita. Ini kerana bukan semua orang boleh menjadi penasihat yang baik sebaliknya punahsihat sahaja. Kadanglah kita hendak minta nasihat tetapi dia marah kita balik!

 

وَأَعلَمُ مِنَ اللهِ ما لا تَعلَمونَ

dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Ada beberapa pendapat tentang apakah maksud Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam petikan ini.

1. Baginda mengadu dengan Allah ‎ﷻ, kerana seperti mereka tidak kisah pun melakukan dosa dan tidak takut dengan Allah ‎ﷻ. Selamba sahaja mereka melakukan dosa terhadap ahli keluarga mereka sendiri. Ini kerana baginda tahu Allah ‎ﷻ boleh membuat apa sahaja. Mereka tidak tahu sepertimana baginda tahu. Ini adalah kerana mereka tidak yakin dengan Allah ‎ﷻ. Mereka tidak ada hubungan sebegitu dengan Allah ﷻ kerana mereka sudah jauh daripada Allah ﷻ.

2. Ada juga pendapat yang mengatakan baginda telah diberitahu secara wahyu atau secara ilham yang anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu masih hidup. Ini tidaklah pelik kerana baginda sudah tahu akan mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda kecil, bukan? Ingat lagi kisah mimpi itu di awal surah? Lihat kembali ayat 4,

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ
(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu bahawa mimpi anaknya itu adalah tanda yang anaknya itu akan menjadi seorang Nabi dan mimpi seorang Nabi itu benar. Setakat hari itu, ta’bir mimpi itu belum lagi berlaku. Jadi baginda yakin yang mimpi itu akan terlaksana dan ini bermakna Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ belum lagi wafat. Inilah yang anak-anaknya itu tidak tahu.

Namun sekiranya baginda sudah tahu yang baginda akan bertemu dengan anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kenapa sedih sangat? Kerana menunggu itu juga menyakitkan. Macam Nabi Muhammad ﷺ pun ada dijanjikan dengan kejayaan akan tetapi sementara menunggu kejayaan itu, tidakkah baginda diuji berkali-kali selama banyak tahun?

3. Satu lagi perkara yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu adalah anaknya Bunyamin tidak akan mencuri. Ini kerana baginda kenal anak baginda. Jadi baginda tidak percaya apa yang mereka katakan.

4. Baginda kenal Allah ‎ﷻ dan ada hubungan dengan Allah ‎ﷻ yang anak-anaknya itu tidak ada. Di sinilah letaknya rahsia di sebalik Sabr Jamil (Kesabaran yang Indah) yang kita telah bincangkan ada pada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum ini. Tindakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah contoh Sabr Jamil yang paling agung. Baginda tidak hanya menahan kesakitan. Baginda secara aktif mengambil kesakitan yang paling buruk yang disebabkan oleh manusia dan mengubahnya menjadi satu perbualan yang paling indah dan intim dengan Allah ﷻ.

Dalam hidup, ada dua jenis tangisan utama. Pertama, tangisan emosi kerana dunia dan manusia, yang seringkali menyakitkan. Kedua, tangisan spiritual di hadapan Allah ﷻ, yang bagi seorang mukmin adalah antara detik yang paling indah dan menenangkan. Ini seperti ketika membaca Al-Qur’an, sedang solat, sedang melihat keajaiban ciptaan Allah ﷻ, kita kadang-kadang tersentuh dan mengalir air mata kita, bukan? Waktu itulah waktu yang kita rasa paling dekat dengan Allah ﷻ, bukan? Kadang kita sudah pernah dapat, tetapi amat sukar untuk mendapatkannya semula. Siapa yang pernah dapat akan faham perasaan ini kerana ia kena rasa baru boleh tahu. Apa yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah mengubah yang pertama menjadi yang kedua.

Kita kadangkala menangis kalau dapat mengadu kepada orang yang kita sayang. Bayangkan seorang kanak-kanak kecil yang jatuh di taman permainan. Dia menangis sendirian dalam kesakitan. Kemudian, ibunya datang dan memeluknya. Kanak-kanak itu menangis sekali lagi, tetapi kali ini, tangisannya bukan lagi tangisan kesunyian, tetapi tangisan kelegaan di dalam dakapan yang selamat dan penuh kasih sayang. Kita ada orang yang kalau kita meluahkan kepadanya, kita akan rasa lega. Kita tidak buat dengan semua orang benda ini. Hanya orang tertentu sahaja yang kita rasa selesa dan kita tahu dia prihatin terhadap kita.

Dalam kes Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, baginda rasa selesa mengadu dan menangis di hadapan Allah ‎ﷻ. Inilah intipati sebenar Sabr Jamil. Ia bukan sekadar menahan diri, tetapi secara aktif mengubah emosi negatif menjadi satu bentuk ibadah. Ia adalah tentang menyalurkan segala-galanya kepada Allah ‎ﷻ dan mencari keindahan (jamal) serta kemanisan dalam kesabaran itu sendiri. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengubah sesuatu yang buruk (perbuatan anak-anaknya itu) kepada sesuatu yang indah, cantik (mengadu dan menangis kepada Allah ﷻ).

Jadi itulah perkara yang anak-anaknya tidak tahu (وَأَعلَمُ مِنَ اللهِ ما لا تَعلَمونَ) kerana mereka tidak mengalami pengalaman itu. Baginda ada hubungan dengan Allah ﷻ yang mereka tidak ada. Semoga kita juga mendapat pengalaman itu. Semoga kita yakin yang kita ada Allah ﷻ yang kita boleh mengadu dan berharap. Ini penting terutama sekali kepada orang yang tidak ada sesiapa yang membantu dan menyokong mereka. Ramai begitu, bukan? Mereka tidak ada sesiapa yang mereka boleh harapkan dan mereka menanggung sendiri kepayahan hidup mereka sendirian. Semoga Allah ﷻ bantu kita semua.

 

Kuiz Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks sumber.

1. Apakah makna asal perkataan الشَّكْوَىٰ (As-Syakwā) dari segi bahasa dan bagaimana ia berbeza daripada konotasi negatif “mengadu” dalam Bahasa Melayu?

2. Huraikan perbezaan utama antara kesedihan yang digambarkan oleh kalimah بَثّ (Bath) dan حُزن (Huzn) seperti yang dialami oleh Nabi Ya’qub.

3. Bagaimanakah doa Nabi Yunus dan Rasulullah SAW selepas peristiwa Taif menjadi contoh adab berdoa yang diajar dalam tafsir ini?

4. Jelaskan fungsi Al-Qur’an sebagai Nur (cahaya) dalam konteks perbincangan masalah moden dari pelbagai perspektif seperti sains dan psikologi.

5. Mengapakah Nabi Muhammad SAW meluahkan kesedihannya kepada isterinya, Ummu Salamah R.A., selepas Perjanjian Hudaibiyah, walaupun ayat ini menekankan untuk mengadu hanya kepada Allah?

6. Dalam konteks apakah prinsip “mengadu hanya kepada Allah” yang ditunjukkan oleh Nabi Ya’qub benar-benar terpakai? Berikan contoh daripada kisah Sayyidatina Aisyah R.A.

7. Sebutkan dua kemungkinan tafsiran bagi kenyataan Nabi Ya’qub: “dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

8. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep Sabr Jamil (Kesabaran yang Indah) dan bagaimana Nabi Ya’qub menzahirkannya?

9. Apakah nasihat Ummu Aiman R.anha kepada Anas bin Malik R.A. selepas kewafatan Rasulullah SAW berkaitan kesabaran?

10. Bagaimanakah permohonan Nabi Musa A.S. untuk dibantu oleh saudaranya, Nabi Harun, menyokong hujah bahawa manusia secara fitrahnya memerlukan sokongan sesama manusia?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
الشَّكْوَىٰ (As-Syakwā)
Perbuatan mengadu yang bermaksud menyatakan kesakitan atau kekurangan sesuatu yang diperlukan. Ia adalah ekspresi fitrah tentang keperluan di hadapan Tuhan, bukan rungutan yang menjengkelkan.
بَثّ (Bath)
Kesedihan yang berpanjangan, sangat berat sehingga tidak dapat ditahan dan terluah keluar. Ia juga merujuk kepada keresahan yang membuat fikiran bercelaru. Merujuk kepada kesedihan lama Nabi Ya’qub.
حُزن (Huzn)
Kesedihan umum atau yang baru berlaku, yang masih boleh ditanggung dan disimpan di dalam diri. Merujuk kepada kesedihan baru Nabi Ya’qub atas kehilangan Bunyamin.
Sabr Jamil (صَبْرٌ جَمِيلٌ)
Kesabaran yang Indah. Ia bukan sekadar menahan diri, tetapi secara aktif mengubah kesakitan menjadi satu perbualan yang indah dan intim dengan Allah, serta menyalurkan emosi negatif menjadi ibadah.
Nur (نُور)
Cahaya. Konsep yang menggambarkan Al-Qur’an bukan sebagai satu “perspektif agama” yang terhad, tetapi sebagai cahaya yang menyinari keseluruhan realiti, membolehkan semua sudut pandangan (saintifik, psikologi, dll.) menjadi jelas.
كَظِيمٌ (Kazim)
Seseorang yang menahan perasaannya. Ini merujuk kepada keadaan Nabi Ya’qub sebelum baginda tidak lagi dapat menahan kesedihannya dan meluahkannya kepada Allah.
Al-Ifk (الإفك)
Peristiwa fitnah besar yang menimpa Sayyidatina Aisyah R.A., di mana beliau dituduh berbuat perkara yang tidak senonoh. Dalam peristiwa ini, beliau berpaling hanya kepada Allah setelah merasa tiada manusia yang dapat memahaminya.
Tawakkal
Berserah diri sepenuhnya kepada takdir Allah SWT. Konsep ini berkaitan dengan amalan menahan diri daripada meluahkan keluhan secara berlebihan kepada manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 85 (Anak memarahi bapa)

Yusuf Ayat 85: Apakah reaksi dari anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

قَالُواْ تَٱللَّهِ تَفتَؤُاْ تَذڪُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَو تَكُونَ مِنَ ٱلهَـٰلِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, you will not cease remembering Joseph until you become fatally ill or become of those who perish.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Demi Allah, senantiasa kamu mengingati Yusuf, sehingga kamu mengidapkan penyakit yang berat atau termasuk orang-orang yang binasa”.

 

قالوا تَاللهِ

Mereka berkata: “Demi Allah,

Kita semua pernah melaluinya. Berlakunya pertengkaran keluarga di mana emosi memuncak dan kata-kata yang tidak sepatutnya terkeluar dari mulut. Kadangkala, kata-kata yang diluahkan dalam keadaan marah ini meninggalkan parut yang lebih dalam daripada yang kita sangka. Namun, pernahkah anda terfikir bahawa satu pertengkaran keluarga yang berlaku ribuan tahun dahulu, yang dirakam dengan teliti di dalam Al-Qur’an, sebenarnya menyimpan pengajaran psikologi dan rohani yang luar biasa relevan untuk kita hari ini? Mari kita selami sebuah perbualan dalam Surah Yusuf yang mendedahkan apa yang tersembunyi di sebalik kemarahan manusia. Perbualan anak beranak yang dirakamkan dengan teliti dalam Surah Yusuf, di mana kata-kata yang diluahkan oleh anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada bapa mereka mendedahkan beberapa lapisan pengajaran psikologi dan rohani yang mendalam.

Isu besar perbincangan ini adalah kerana kalimah تَاللَّهِ ini. Kalimah تَاللَّهِ ini dikeluarkan oleh anak-anaknya apabila mereka lihat keadaan bapa mereka begitu. Kalimah ini menunjukkan yang mereka terkejut dan kehairanan sangat (kerana kalimah تَاللهِ yang digunakan, bukan وَللهِ) dengan apa yang dialami oleh bapa mereka itu. Pada mereka, tidak patut Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jadi begitu kerana sudah lama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu hilang tetapi kenapa masih teringat lagi?

Sebenarnya kata-kata mereka ini boleh dianggap sebagai menjerit kepada bapa mereka kerana ada penggunaan kalimah تَاللَّهِ ini. Ia bukan sumpah yang biasa iaitu  وَللهِ. Perbuatan sebegini tidak patut mereka lakukan terhadap bapa, tambahan lagi baginda adalah seorang Nabi! Begitulah kadang-kadang kita perhatikan ada anak-anak yang kurang ajar dengan bapa mereka kerana tidak dapat menahan emosi. Ini amat menyedihkan kerana ibubapa telah membesarkan kita dan jasa mereka kepada kita terlalu banyak! Walaupun kadangkala kita tidak dilahirkan oleh ibubapa yang baik pun, kita tetap kena bercakap baik dengan mereka ini telah diwajibkan oleh Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Isra’:23

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلوَٲلِدَينِ إِحسَـٰنًا‌ۚ إِمَّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ ٱلڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَو كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنہَرهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَولاً ڪَرِيمًا
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Dengan ibubapa ingatlah yang kita kena amat berhalus dan berlembut dengan mereka. Kita kena berbakti kepada mereka dan menjadikan hati mereka gembira sentiasa. Amatlah rugi sekiranya kita menjaga perkara ini seperti disebut di dalam hadith,

“Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: ‘Sungguh rugi (hina) orang itu, sungguh rugi orang itu, sungguh rugi orang itu!’ Ditanyakan: ‘Siapakah (yang rugi) wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Sesiapa yang mendapati kedua ibu bapanya pada usia tua—salah seorang atau kedua-duanya—kemudian dia tidak masuk Syurga (kerana tidak berbakti kepada mereka).'”

(Riwayat Muslim)

Amat menyedihkan sekali apabila anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tergamak berlaku kurang ajar terhadap bapa mereka. Sedangkan baginda seorang Nabi yang tentunya menjaga mereka dengan baik dan banyak memberi nasihat yang kita sudah baca di dalam Surah ini. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah contoh bapa terbaik yang kita boleh jadikan panduan kita. Perhatikan bagaimana baginda sampai ke hujung hayat mengingatkan anaknya kepada agama seperti disebut di dalam Baqarah:133

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي
(Demikianlah wasiat Nabi Ya’qub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Ya’qub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?”

Ini mengajar kita walaupun seorang bapa itu baik, anak-anaknya belum tentu lagi baik. Malah siapakah mereka ini? Adakah mereka Atheist? Kafir? Tidak! Mereka ini adalah Muslimin ketika itu dan Muslim pun tidak terlepas daripada melakukan kesalahan sebegini. Maka ini mengajar kita yang kita ini hendaklah sentiasa menjaga adab kita. Dengan mempelajari ayat ini, ia mengingatkan kita tentang akhlak kita dengan ibubapa kita. Jangan kita terikut-ikut dengan emosi. Janganlah pula disebabkan emosi, adab kita ke laut.

Walau bagaimanapun ada khilaf dalam hal ini. Ini adalah kerana kalimat yang mereka ucapkan itu juga boleh dibaca dengan nada yang lembut kerana mungkin mereka risaukan bapa mereka. Kalau kita perhatikan kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Ayat 87 nanti, nampak seolah-olah baginda baik sahaja dengan mereka. Ayat ini bermula: يَـٰبَنِىَّ ٱذهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ (Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya). Kalaulah mereka menjerit kepada baginda di dalam Ayat 85 ini, tentu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bercakap begitu. Baginda cakap begitu kerana nampak yang anak-anaknya prihatin terhadap kesihatan baginda dan boleh dibawa berbincang.

Oleh itu pada zahirnya, kata-kata abang-abang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada bapa mereka boleh dibaca sebagai luahan kebimbangan. Pandangan yang popular menafsirkannya seolah-olah mereka berkata, “Bapa, demi Allah, jika bapa terus-menerus mengingati Yusuf, bapa akan jatuh sakit teruk atau meninggal dunia.” Ia kedengaran seperti nasihat anak-anak yang prihatin, yang tidak sanggup melihat bapa mereka terus merana. Jadi di antara dua pendapat ini, yang manakah lebih kuat?

Akan tetapi apabila kita membaca balasan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada mereka di dalam Ayat 86 nanti, kita terasa pula yang baginda sedang membalas kata-kata mereka dengan menjelaskan kenapa baginda menyendiri dan bersedih dengan kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ayat 86 bermula: قَالَ إِنَّمَآ أَشكُواْ بَثِّى وَحُزنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ (Ya’qub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku). Iaitu setelah anak-anak mempersoalkan bapa mereka, baginda beri jawapan sebegitu. Ini memberi isyarat yang kata-kata mereka sebelum itu terhadap baginda adalah keras dan kerana itulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jawab sebegitu.

Oleh itu jika kita meneliti lebih dalam, satu tafsiran yang lebih jelas dan lebih selari dengan konteks keseluruhan kisah ini sudah muncul: ia adalah satu ledakan kemarahan. Setelah bertahun-tahun, rasa cemburu mereka terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak pernah padam kini kembali membuak-buak apabila bapa mereka menyebut namanya lagi. Tafsiran ini disokong kuat oleh penggunaan sumpah تَاللَّهِ (Demi Allah). Ia bukanlah sekadar sumpah biasa, tetapi satu bentuk sumpah yang jarang digunakan dalam Bahasa Arab yang menandakan emosi yang meluap-luap—seolah-olah gigi sedang diketap dan penumbuk digenggam erat. Kemarahan mereka terhadap cinta bapa mereka kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang masih utuh akhirnya meletus.

Satu contoh penggunaan تَاللهِ di dalam Al-Qur’an adalah kata-kata Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Anbiya’:57 iaitu sebelum baginda menghancurkan berhala kaum baginda. Maknanya baginda waktu itu sungguh-sungguh hendak melakukannya.

وَتَاللهِ لَأَكيدَنَّ أَصنٰمَكُم بَعدَ أَن تُوَلّوا مُدبِرينَ
Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan rancangan terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya.

Nota: perlu diingat yang mereka tidaklah secara verbal menggunakan kalimah تَاللهِ pula kerana mereka bukannya orang Arab. Sekarang Allah ‎ﷻ yang menterjemahkan kata-kata dan emosi mereka itu ke dalam Bahasa Arab untuk kita faham.

Terdapat satu ironi yang menusuk kalbu dalam ayat ini. Abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan serangan lisan mereka dengan nama Allah (تَاللَّهِ), tetapi hati mereka pada ketika itu dipenuhi dengan kemarahan, cemburu, dan kebencian. Zikir dan ingatan kepada Allah ﷻ sepatutnya menjadi penawar yang menenangkan hati. Ini Allah ﷻ telah beritahu dalam Ra’d:28

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Namun bagi mereka, ia menjadi alat untuk meluahkan kemarahan. Begitulah nama Allah kadangkala digunakan dengan cara yang salah. Ini adalah cerminan jelas tentang hubungan yang terputus antara lidah (ucapan) dan hati (iman). Seseorang itu boleh sahaja menyebut nama Allah, tetapi jika hatinya masih bergelora dengan perasaan negatif, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan cara dia mengingati Tuhannya. Bagi mereka, perasaan negatif yang dicetuskan oleh rasa bersalah telah mengatasi kebenaran rohani yang sepatutnya berakar dalam diri mereka.

Sebutan nama Allah itu hanya di bibir sahaja bagi mereka. Mereka tidak faham pun apa yang mereka katakan itu dan kerana itu ia tidak sampai ke hati mereka. Malah kita pun mungkin begitu juga. Ini terjadi jikalau kita pun tidak faham pun zikir yang kita lafazkan itu. Ramai yang pandai sebut sahaja berkali-kali. Sebagai contoh, Tasbih Subhanallah itu sebenarnya bermaksud menolak syirik, akan tetapi berapa ramai yang bertasbih tetapi di dalam masa yang sama buat benda syirik seperti meminta kepada selain Allah ﷻ?

Banyak perkara yang kita dapat belajar daripada kisah dalam Surah Yusuf ini. Malah bukan sahaja daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi daripada perbuatan buruk abang-abangnya itu juga, bukan? Bukankah Allah ﷻ telah beritahu dari awal-awal lagi yang banyak kita boleh daripada mereka? Lihat kembali Ayat 7,

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

Kita belajar daripada perbuatan buruk orang supaya kita tidak melakukan perkara yang sama. Kita belajar kenapa mereka jadi begitu supaya kita pun tidaklah terjerumus sama seperti mereka. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ sampaikan satu ayat penuh tentang kata-kata mereka ini supaya kita belajar sesuatu. Surah Yusuf ini adalah surah yang mengandungi penceritaan yang terbaik dan sekarang Allah ‎ﷻ telah memilih untuk memasukkan kata-kata mereka (dan tidak masuk banyak lagi hal lain) menunjukkan terdapat pengajaran penting di dalam ayat ini. Dalam kita membaca ayat ini, kita mungkin termasuk di dalam salah satu karektor  yang disebut: sama ada kita yang kena atau kita yang mengenakan kepada orang lain! Maka ada pengajaran yang boleh diambil untuk mengubah diri kita.

 

تَفتَؤُاْ تَذڪُرُ يُوسُفَ 

“tidak berhenti kamu mengingati Yusuf, 

Kalimah تَفتَأُ jarang digunakan. Ia daripada kata dasar ف ت ا dan hanya ada di dalam ayat ini sahaja. Ia bermaksud berhenti; lupa; pecah; tahan. Sepatutnya kalimat لا ditambah menjadi لا تَفتَؤُاْ akan tetapi diringkaskan menjadi تَفتَؤُاْ sahaja di sini. Penggunaan kalimah yang jarang digunakan menunjukkan mereka sangat terkejut yang bapa mereka masih tidak berhenti lagi daripada mengingati dan merindui anaknya Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu (Ha? tidak berhenti ingat lagi?) walaupun setelah sekian lama masa berlalu yang lama. Jadi kejutan mereka itu ditunjukkan di dalam ayat ini dengan penggunaan kalimah yang jarang digunakan.

Mereka nampaknya marah dengan bapa mereka kerana setelah sekian lama, masih lagi ingat (تَذڪُرُ) kepada anak kesayangannya itu. Maknanya usaha mereka dahulu supaya cinta bapa mereka tertumpah kepada mereka tidak menjadi. Ingat apa kata mereka dahulu di dalam Ayat 9?

ٱقتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ ٱطرَحُوهُ أَرضًا يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبِيكُم
Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tidak dikenal) supaya perhatian bapamu tertumpah kepadamu sahaja

Mereka ini salah faham dengan cinta. Mereka mahukan bapa mereka membahagikan sayang mereka kepada mereka sahaja. Seolah-olah mereka anggap cinta itu umpama kepingan pizza pula. Kalau diambil satu keping, sudah kurang pula. Sedangkan cinta itu tidak ada batasan. Boleh sahaja seseorang itu mencintai lebih daripada seorang.

 

حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا

sehingga engkau menghidap penyakit yang berat 

Kalimah حَرَضًا daripada kata dasar yang merujuk kepada keadaan yang hampir musnah, kerosakan, atau hampir mati akibat penyakit yang teruk, kesedihan, atau keletihan. Jadi حَرَضًا bermaksud sakit sampai hampir mati. Nak kata hidup, tidak; nak kata mati pun belum lagi. Atau ia jenis penyakit teruk yang boleh membawa kematian jika dibiarkan. Para ahli tafsir menjelaskan dalam konteks Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan makna yang berbeza-beza tetapi saling berkaitan:

    • Penyakit Parah: Keadaan sakit yang melampau sehingga merosakkan badan dan mendekatkan kepada kematian.
    • Kelemahan dan Keruntuhan: Kelemahan fizikal dan mental yang ekstrem akibat kesedihan yang tidak kunjung reda.
    • Kehancuran Akal: Ada juga yang menafsirkan ia sebagai kehancuran akal atau hilang kewarasan akibat tekanan emosi yang melampau (walaupun ini tafsiran minoriti, tetapi ia menunjukkan betapa parahnya keadaan yang dirujuk).

Maknanya ia adalah jenis penyakit yang berasal daripada mental dan emosi yang sudah lemah. Jadi anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata kepada baginda, ‘Kalau macam ini, bapa akan jadi sakit tenat nanti yang boleh membawa kepada mati’. Di dalam masa yang sama mereka hendak mengatakan kesalahan baginda yang terlalu sangat ikut emosi. Mereka marah pula bapa mereka. Sedangkan merekalah penyebab bapa mereka susah hati dan boleh sampai sakit itu, bukan? Namun lihatlah sikap mereka ini, bukannya hendak meredakan kesusahan bapa mereka itu, malah siap mereka marah lagi! Kadang-kadang kita lihat ada anak-anak yang bapa mereka jatuh sakit. Mereka bukannya menolong bapa mereka menghadapi kesakitan itu, tetapi sebaliknya mereka marah bapa mereka kerana buat itu dan ini!

Akan tetapi bukankah sebelum ini telah disebut yang baginda seorang yang sabar? Sakit dan keletihan fizikal yang dialami baginda () adalah kesan semulajadi yang ditanggung oleh tubuh kerana baginda terpaksa menekan kesedihan yang amat mendalam itu di dalam hati selama bertahun-tahun demi menjaga kesabaran dan tidak mengeluh. Kesimpulannya, kesedihan yang melampau sehingga menjejaskan kesihatan fizikal adalah bukti besarnya ujian yang ditanggung oleh baginda, dan bukan tanda kurangnya kesabaran. Sebaliknya, kemampuan baginda menanggung penderitaan sebegitu lama tanpa mengeluh kepada manusia adalah bukti kesabaran yang paling mulia (Ṣabrun Jamīl).

 

أَو تَكُونَ مِنَ ٱلهَـٰلِكِينَ

atau termasuk orang-orang yang binasa”.

Kalimah الهالِكينَ bermaksud mati dengan cara susah, dengan tragis. Mereka kata kalau berterusan, bapa akan mati kalau begini dan mati pun jenis yang teruk.

Adakah kita pelik kesedihan sampai boleh membawa mati? Apakah tidak kita baca bagaimana Nabi Muhammad ﷺ sendiri boleh rasa tertekan dan sedih sampai Allah ‎ﷻ kata baginda boleh mati kerananya seperti disebut di dalam Kahf:6?

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Begitulah kata-kata abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang seakan-akan marah benar dengan bapa mereka. Namun, kemarahan yang meluap-luap ini bukanlah sekadar luahan rasa jengkel. Secara psikologi, apa yang kita saksikan ialah satu contoh klasik mekanisme pertahanan diri. Kemarahan mereka adalah topeng yang menyembunyikan sesuatu yang jauh lebih dalam: rasa bersalah yang tidak tertanggung dan ketakutan untuk berhadapan dengannya. Mereka tidak sanggup menghadapi betapa dahsyatnya perbuatan kejam mereka terhadap Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ puluhan tahun dahulu kerana jika mereka berhenti seketika dan memikirkannya, mereka mungkin akan mengalami kehancuran jiwa. Ketakutan inilah yang menghalang mereka daripada bertaubat.

Apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut nama Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia seperti cermin yang memantulkan kembali dosa besar mereka. Daripada insaf, mereka memilih untuk ‘membalikkan skrip’. Mereka mengambil langkah menyerang bapa mereka, seolah-olah bapalah yang bersalah kerana membuat mereka berasa tidak selesa. Dinamika ini menukar status mereka daripada pelaku jenayah kepada mangsa keadaan. Ia umpama seorang pencuri yang ditangkap menjerit kepada polis, “Kenapa kamu tangkap saya?”. Dosa yang telah mereka lakukan seolah-olah terpadam, dan mereka telah meyakinkan diri bahawa kini merekalah mangsanya. Mereka menjadi mangsa hanya kerana nama Yusuf disebut.” Ini apa yang budak-budak sekarang pun pandai sebut: ‘play victim’. 

Salah satu pengajaran paling mengejutkan ialah hakikat bahawa Allah ‎ﷻ memilih untuk merakam perbualan peribadi yang penuh emosi ini di dalam Al-Qur’an, sebuah kitab suci yang akan dibaca sehingga Hari Kiamat. Fikirkan sejenak, ia hanyalah sebuah pertengkaran dalam sebuah rumah, tanpa saksi, tanpa kamera, tanpa sebarang rakaman. Namun, di sisi Allah ‎ﷻ, ia adalah sebuah peristiwa yang amat penting. Ini menunjukkan betapa beratnya timbangan kata-kata kita. Allah ‎ﷻ menganggap kata-kata kesat yang diluahkan kepada seorang bapa yang sedang bersedih itu sebagai satu jenayah yang perlu dijadikan pengajaran abadi untuk seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman. Perkara yang mungkin kita anggap remeh atau “biasalah hal dalam keluarga” boleh jadi merupakan satu kesalahan yang amat besar di sisi-Nya. Allah ‎ﷻ memutuskan yang ini adalah satu jenayah yang perlu disebut untuk menjadi pengajaran kepada kita semua. Ini mengajar kita bahawa kadangkala, kata-kata adalah jenayah yang sangat serius, yang berlaku tanpa sebarang hukuman di dunia. Pengajaran bahawa ada perkara yang kita sangka remeh, tetapi ia sama sekali tidak remeh. Maka ia mengajar kita supaya berhati-hati dengan apa yang keluar dari mulut kita ini. 

Pernah Rasulullah ﷺ mengajar Mu’adz bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Setelah baginda menerangkan rukun Islam, baginda bersabda:

Kemudian Nabi ﷺ bersabda, ‘Mahukah kujelaskan kepadamu tentang hal yang menjaga itu semua?’ Aku menjawab, ‘Mahu, wahai Rasulullah!’ Baginda ﷺ menjawab lalu memegang lidah baginda dan bersabda, ‘Jagalah ini (lisan)!’ Kutanyakan, ‘Wahai Nabi Allah, apakah kita akan diseksa dengan sebab perkataan kita?’ Nabi ﷺ menjawab, ‘Semoga ibumu kehilanganmu! (kalimat ini maksudnya adalah untuk memperhatikan ucapan selanjutnya). Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka.’”

[HR. Tirmidzi, no. 2616 dan Ibnu Majah, no. 3973. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan hadith ini hasan]

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan maklumat daripada teks tafsir yang diberikan.

1. Apakah kepentingan penggunaan kalimah تَاللَّهِ oleh anak-anak Nabi Ya’qub apabila bercakap dengan bapa mereka?

2. Nyatakan dua tafsiran yang berbeza mengenai nada dan niat di sebalik kata-kata anak-anak Nabi Ya’qub dalam ayat ini.

3. Menurut teks, tafsiran manakah yang lebih kuat—kemarahan atau kebimbangan—dan apakah bukti yang menyokongnya?

4. Terangkan konsep “mekanisme pertahanan diri” seperti yang diaplikasikan kepada abang-abang Nabi Yusuf dalam situasi ini.

5. Apakah pengajaran utama mengenai adab terhadap ibu bapa yang ditekankan dalam tafsir ini, dengan merujuk kepada Surah al-Isra’ ayat 23?

6. Apakah maksud perkataan حَرَضًا dan bagaimana ia menggambarkan keadaan Nabi Ya’qub?

7. Bagaimanakah teks tafsir ini menjelaskan percanggahan antara sebutan nama Allah di bibir abang-abang Yusuf dan keadaan hati mereka yang dipenuhi kemarahan?

8. Mengapakah Allah memilih untuk merakamkan perbualan keluarga yang peribadi ini di dalam Al-Qur’an, dan apakah pengajaran besar di sebaliknya?

9. Bagaimanakah penderitaan fizikal Nabi Ya’qub yang hampir membawa penyakit berat dilihat sebagai bukti kesabaran yang mulia (Ṣabrun Jamīl) dan bukan tanda kelemahan?

10. Apakah matlamat asal abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka membuangnya, dan bagaimana ingatan berterusan Nabi Ya’qub terhadap Yusuf menunjukkan kegagalan rancangan mereka?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
تَاللَّهِ
Bentuk sumpah dalam Bahasa Arab yang jarang digunakan dan menandakan emosi yang meluap-luap, seperti kejutan atau kemarahan yang amat sangat. Ia lebih kuat daripada sumpah biasa (وَللهِ).
تَفتَؤُاْ
Kalimah yang jarang digunakan bermaksud “berhenti”, “lupa”, atau “menahan”. Penggunaannya dalam ayat ini menunjukkan betapa terkejutnya anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana bapa mereka masih tidak berhenti mengingati Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
حَرَضًا
Satu keadaan yang hampir musnah, kerosakan, atau hampir mati akibat penyakit yang teruk, kesedihan, atau keletihan yang melampau. Ia merujuk kepada penyakit yang berpunca daripada tekanan mental dan emosi yang boleh membawa maut.
ٱلهَـٰلِكِينَ (الهالِكينَ)
Orang-orang yang binasa atau mati, khususnya dengan cara yang susah atau tragis.
Mekanisme Pertahanan Diri
Konsep psikologi di mana kemarahan seseorang menjadi topeng untuk menyembunyikan perasaan yang lebih dalam dan tidak tertanggung, seperti rasa bersalah dan ketakutan.
Play Victim
Satu keadaan di mana pelaku jenayah atau kesalahan memposisikan diri mereka sebagai mangsa untuk mengelak daripada rasa bersalah dan tanggungjawab atas perbuatan mereka.
Ṣabrun Jamīl
Kesabaran yang paling mulia. Ia merujuk kepada kemampuan seseorang untuk menanggung penderitaan yang amat besar untuk tempoh yang lama tanpa mengeluh kepada manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 84 (Kesedihan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 84:

 وَتَوَلَّىٰ عَنهُم وَقَالَ يَـٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ وَٱبيَضَّت عَينَاهُ مِنَ ٱلحُزنِ فَهُوَ كَظِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he turned away from them and said, “Oh, my sorrow over Joseph,” and his eyes became white¹ from grief, for he was [of that] a suppressor.²

  • i.e., he lost his sight.
  • He did not express the extent of his grief or his anger at what he suspected his sons had done but was patient, depending only upon Allāh for help.

(MALAY)

Dan Ya’qub berpaling daripada mereka (anak-anaknya) seraya berkata: “Aduhai duka citaku terhadap Yusuf”, dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan perasaannya (marah terhadap anak-anaknya).

 

وَتَوَلّىٰ عَنهُم

Dan Ya’qub berpaling daripada mereka

Baginda berpaling sebab malas hendak menhadap dan bercakap dengan mereka lagi. Merekalah punca kesedihan baginda ini. Baginda juga hendak menyendiri untuk bersedih sendirian dan mengadu kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ini mengajar sunnah iaitu kalau bersedih, kita bersedihlah sendiri. Tidak perlu pun ajak orang lain bersedih sekali dengan kita. Tidak salah kalau kita mengasingkan diri daripada orang yang menyakiti kita. Imam Razi رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi ke bilik lain dan meninggalkan anak-anaknya itu.

Apabila Allah ﷻ sebut perbuatan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpaling daripada mereka, maka tentu ada pengajaran kepada kita untuk kita fikirkan. Kepentingan mengasingkan diri daripada orang yang menyakiti kita, seperti yang ditunjukkan oleh tindakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah tindakan yang sangat penting untuk kesejahteraan emosi dan rohani. Berikut adalah kepentingan utama mengasingkan diri (berpaling) daripada sumber kesakitan:

 

1. Untuk Mengelola Kesedihan dan Emosi Negatif (Menenangkan Diri)

Mengasingkan diri memberi ruang bagi individu untuk memproses kesedihan () tanpa gangguan atau tekanan daripada pihak yang menyakiti. Ini adalah tindakan menahan emosi (), di mana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk tidak melampiaskan amarah atau kekecewaannya secara langsung kepada anak-anaknya. Mengasingkan diri mencegah peningkatan konflik.

 

2. Menjaga Martabat dan Kehormatan

Dengan berpaling, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjaga martabatnya sebagai seorang bapa dan Nabi. Ia menghindari pertengkaran yang tidak bermanfaat dengan anak-anaknya yang telah melakukan kesalahan besar. Ini menunjukkan bahawa kadangkala, menjauh adalah cara terbaik untuk memelihara kehormatan diri daripada terlibat dalam perdebatan sia-sia yang merosakkan. Dengan mereka bukannya boleh bawa berbincang.

 

3. Mencari Kekuatan daripada Allah ‎ﷻ

Tindakan berpaling dan mengasingkan diri sering kali digunakan sebagai kesempatan untuk bermunajat dan bersandar sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ (Tawakkal). Daripada mencari penyelesaian atau simpati daripada pihak yang menyakiti, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk mengarahkan fokus kesedihannya kepada Allah ﷻ, sebagaimana yang terungkap dalam ayat-ayat berikutnya (Ayat 86): قَالَ إِنَّمَآ أَشكُواْ بَثِّى وَحُزنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ (Sesungguhnya hanya kepada Allahlah aku adukan kesusahan dan kesedihanku).

 

4. Mencegah Kerosakan Hubungan Lebih Lanjut

Mengasingkan diri memberi waktu kepada kedua belah pihak untuk merenung dan menenangkan diri. Tindakan ini mencegah kata-kata atau tindakan yang mungkin diucapkan dalam keadaan emosi tinggi, yang akan memperburuk dan merosakkan hubungan keluarga secara kekal. Hubungan kekeluargaan (silaturrahim) perlu dijaga. Apa-apa pun terjadi, mereka tetap ahli keluarga. Sememangnya kebiasaan perbuatan ahli keluargalah yang lebih menyakitkan daripada perbuatan orang luar.

 

5. Ruang untuk Penyembuhan (Healing)

Dalam banyak keadaan, individu perlu menjauh daripada sumber trauma untuk memulakan proses penyembuhan psikologi dan emosi. Ini membolehkan mangsa memulihkan kekuatan dalaman dan mencari ketenangan sebelum berinteraksi semula, jika perlu.

Oleh itu secara ringkas, mengasingkan diri daripada sumber kesakitan bukan tanda kelemahan, melainkan tindakan hikmah, pengendalian diri, dan perlindungan rohani untuk mengelola emosi dan mengembalikan kekuatan diri dengan bersandar kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَقَالَ يَـٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ

seraya berkata: “Aduhai duka citaku terhadap Yusuf”, 

Bersabar bukanlah tidak ada perasaan. Yang tidak ada perasaan hanya lembu sahaja. Manusia yang normal dan tambahan pula orang yang prihatin dan berhati lembut akan mudah terasa. Di sini kita boleh lihat kesedihannya yang amat tinggi kerana kehilangan anak-anaknya sampaikan baginda mengucapkan betapa sedihnya baginda. Baginda menggunakan kalimah ini kerana lafaz istirja’ (inna lillahi wa inna ilahi Roojioon) tidak diberikan kepada baginda dan umat baginda (hanya kepada umat Islam sahaja). Oleh itu baginda duduk bersendirian dan menangis dan mengeluh lagi. Bagi kita, kalau ada musibah, maka hendaklah kita mengucapkan istirja’ seperti diajar dalam Baqarah:155-156

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرٰتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥) ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ (١٥٦)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (156)

Bagaimanakah cara ucapannya? Ini disebut di dalam sebuah hadith,

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, isteri Nabi Muhammad ﷺ, beliau berkata:

“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berikanlah aku pahala dalam musibahku ini, dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya,” … melainkan Allah akan memberinya pahala dalam musibahnya, dan akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.’ Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata, ‘Maka, ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku mengucapkan (doa) sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ. Maka, Allah menggantikannya untukku dengan yang lebih baik daripadanya: iaitu Rasulullah ﷺ.'”

(Riwayat Muslim, Kitab Al-Janā’iz, Bab Pahala Bagi Sesiapa yang Ditimpa Musibah)

Namun lihatlah yang baginda mengeluh tentang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (padahal Bunyamin yang telah ditangkap pada kali ini). Ini adalah kerana kehilangan Bunyamin telah mengingatkan baginda dengan trauma penderitaan lama (kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Kita dapat tahu yang baginda paling sayang adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebenarnya, Bunyamin hanyalah sebagai galang ganti sahaja setelah ketiadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Atau menurut Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ, bukanlah baginda tidak bersedih dengan kehilangan dua lagi anaknya itu, akan tetapi surah ini tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahajalah yang  disebut. Namun perhatikan frasa ini sangat indah sekali dari segi bahasa. Kalimah أَسَفَىٰ dan يُوسُفَ ada bunyi yang seakan sama. Ia mempunyai rima yang sama. Ini adalah salah satu kelebihan Al-Qur’an yang menyebabkan ia sangat indah dibaca. Bagi mereka yang bergelar penyajak, mereka akan cuba untuk menggubah sajak supaya berbunyi indah. Namun masalahnya kalau hendak mendapatkan bunyi indah, maksud tidak sesuai pula. Sebaliknya Al-Qur’an ini sudahlah bunyinya indah, malah maksudnya pun bertepatan! Di dalam ayat ini, apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyebabkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kesedihan dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri telah mengalami kesedihan yang banyak di awal hidup baginda.

Tambahan pula, walaupun Bunyamin dan abang tuanya itu tertinggal di Mesir, ia tidaklah sama dengan kesukaran dan dugaan yang telah dihadapi oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka baru sahaja terkena musibah sedangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikenakan musibah sejak kecil lagi, maknanya sudah lebih kurang 40 tahun dalam musibah. Mereka berdua terkena musibah ketika sudah dewasa sedangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika masih kecil lagi. Tambahan pula Bunyamin dan abangnya sudah tahu keberadaan mereka itu di Mesir dan boleh kalau hendak cari mereka, sedangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ entah di mana baginda berada.

Dari sudut psikologi pula, ini ada yang kita namakan sebagai “Trigger” yang bermaksud Pemicu atau Stimulus. Ia adalah apa sahaja (bunyi, bau, pandangan, tempat, perkataan, atau perasaan) yang secara tiba-tiba membangkitkan kembali ingatan, emosi, dan reaksi fizikal yang berkaitan dengan peristiwa traumatik yang dialami seseorang di masa lalu. Isu yang terjadi kepada Bunyamin dan abang tua itu telah menjadi pemicu yang mengingatkan kembali Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada peristiwa kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berlaku bertahun-tahun yang lalu. Sampaikan ia kembali segar kepada ingatan baginda dan kerana itulah baginda sebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bukanlah baginda tidak sedih dengan kehilangan Bunyamin dan abang lagi seorang itu pula.

Trigger bukanlah sekadar ‘mengingatkan’ seseorang. Apabila seseorang yang mengalami trauma (seperti Post-Traumatic Stress Disorder – PTSD) menghadapi trigger, sistem saraf mereka bereaksi seolah-olah peristiwa traumatik itu sedang berlaku semula pada masa sekarang. Ini disebut sebagai “Flashback” atau “Re-experiencing”. Bahagian otak yang menguruskan emosi (Amigdala) dan ingatan lama mengaktifkan respons kecemasan (respon lawan, lari, atau beku – fight, flight, or freeze) secara automatik, walaupun individu tersebut berada dalam keadaan selamat secara fizikal.

Ini menjelaskan apa yang terjadi kepada orang yang pernah mengalami trauma di masa lampau. Dia mungkin nampak normal sekarang, akan tetapi dia terbuka kepada memori peristiwa lama kalau trigger berlaku. Trigger ini boleh jadi pelbagai:

1. Sensori (Bau/Suara). Contohnya bau minyak wangi tertentu; Bunyi siren ambulans; Bunyi pintu dihempas kuat.

2. Visual (Penglihatan). Ini seperti melihat seseorang yang berpakaian sama seperti pelaku trauma; Melihat objek yang sama tempat kejadian.

3. Emosi Dalaman. Ini apabila orang yang ada trauma itu merasa diabaikan atau ditinggalkan; Merasa tidak berdaya; Perasaan bersalah yang mendalam.

4. Situasi/Tempat. Contohnya apabila mereka berada dalam keadaan sesak; Berada di tempat gelap; Kembali ke lokasi kejadian trauma.

5. Masa. Contohnya apabila datang ulang tahun peristiwa traumatik; Masa tertentu dalam sehari (contoh: senja).

Apabila kita tahu perkara ini, maka hendaklah kita melakukan sesuatu. Orang yang mengalami trauma jangan dibiarkan sahaja tanpa bantuan. Mereka hendaklah belajar memahami apa yang terjadi supaya mereka tidaklah rasa lemah sangat. Mereka kena tahu yang ini adalah perkara normal dalam diri manusia. Kena dapatkan bantuan pakar untuk menangani perkara ini kerana mungkin diri sendiri tidak cukup ilmu untuk menguruskannya. Ia bukanlah sesuatu yang kita perlu terus berada dalam hidup kita kerana kita hendaklah produktif dalam hidup ini dan tidak disabotaj oleh emosi keterlaluan kita.

Kalimah أَسَفىٰ (kesedihanku) digunakan apabila ada perasaan sedih dan marah sekali bercampur baur, dan rasa kelemahan kerana tidak dapat untuk mengubah apa yang telah berlaku. Sekiranya perkara itu masih lagi ada harap untuk boleh ubah lagi, digunakan kalimah غضب (marah). Nanti sebentar lagi kita akan bandingkan dengan الحُزنِ pula.

Cuba perhatikan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah أَسَفىٰ dan bukan أَسَفِى. Seandainya sesuatu itu kepunyaan kita, selalunya ditambah ي sebagai Yā’ al-Mutakallim (). Contohnya pen saya kita akan tulis كلامى. Akan tetapi kalimah أَسَفىٰ lain pula. Ini adalah kerana ia di dalam bentuk mubalaghah (bersangatan). Maknanya baginda sedih teramat sangat, bukan sedih biasa.

Perhatikan pula Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata يَـٰٓأَسَفَىٰ menggunakan harf nida’ (panggilan) kepada seseorang sedangkan kesedihan adalah abstrak dan bukannya orang atau lembaga. Akan tetapi apabila digunakan di dalam bentuk panggilan, seolah-olah kesedihan itu besar sangat sampai menjadi lembaga. Iaitu lembaga yang dulu datang ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hilang dahulu datang kembali menghantui baginda kembali.

Ada pendapat yang mengatakan kata dasar yang sama bagi kalimah أَسَفىٰ dan يوسُفَ iaitu ا س ف yang bermaksud rasa dukacita, kesedihan, atau penyesalan yang mendalam. Namun nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini asalnya daripada Bani Israil dalam bahasa Ibrani. Ini pun ada pandangan juga kerana ada dua kemungkinan kata dasar bagi nama baginda dalam bahasa Ibrani.

  • Akar 1: “Yāsef” (יָסַף)

    • Makna: Menambah, menambah lagi. (Inilah makna yang paling dominan).
    • Konteks: Rahmah (ibunda Yusuf) berkata, “Semoga Yahweh menambah bagiku seorang anak lelaki lagi.”
  • Akar 2: “Asaf” (אָסַף)

    • Makna: Mengambil kembali, menghilangkan, menarik.
    • Konteks: Rahmah juga berkata, “Allah telah menghilangkan (menarik kembali) dukacitaku.” Ini yang berkait dengan kesedihan.

Ini memang bertepatan kerana memang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini memang menyedihkan daripada permulaan dan ia diturunkan pada Tahun Kesedihan Nabi Muhammad ﷺ yang digelar ‘Ām al-Ḥuzn () kerana di dalam tahun itu baginda kehilangan Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dan Abu Thalib. Maka kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini diturunkan untuk menguatkan hati Nabi Muhammad ﷺ dengan menunjukkan bahawa Nabi-nabi terdahulu juga menghadapi ujian perpisahan, kesedihan, dan pengkhianatan, namun akhirnya diberikan kemenangan dan kegembiraan.

Di dalam ayat yang lepas, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memujuk diri baginda dengan mengatakan فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌ akan tetapi di dalam ayat ini, nampak baginda sangat bersedih. Mungkin ada yang nampak tidak kena pula, kerana mereka sangka tentulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan relaks dan tenang-tenang sahaja. Sebenarnya tidak ada percanggahan pun. Ini adalah kerana apabila baginda kata فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌, itu adalah untuk memenuhi keperluan spiritual baginda. Sebagai seorang yang beriman, baginda sudah terima hakikat apa yang terjadi itu dan baginda memang bersabar. Akan tetapi ia tidaklah menghalang seseorang itu daripada bersedih. Bersedih itu adalah keperluan emosi dan manusia memang dibekalkan dengan emosi dalam diri yang merasa kesedihan, marah dan sebagainya. Jangan kita menolak emosi yang ada dalam diri kita ini. Cuma kita hendaklah panda mempertimbangkannya serta mengawalnya supaya tidak keterlaluan sahaja. Ini memerlukan ilmu dan kematangan diri yang tinggi.

Namun begitu ramai yang tidak faham tentang perasaan manusia yang perlu untuk melayan kesedihannya. Kerana itu ramai yang apabila melihat orang lain duduk bersedih, mereka halang orang itu daripada bersedih. Mereka akan berkata: “Sudahlah tu, jangan bersedih lagi, tak elok….” Mereka kata begini kerana mereka tidak faham keperluan hati untuk melayan perasaan sedih itu buat sementara.

 

وَابيَضَّت عَيناهُ مِنَ الحُزنِ

dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan

Baginda kesedihan dan menangis dengan teruk sekali sampai matanya menjadi putih kerana sedih. Ini kerana baginda sudah terlalu tua dan banyak sangat menangis sampai air mata tidak ada ada lagi. Terdapat dua pandangan utama dalam kalangan ahli tafsir mengenai maksud “menjadi putih” (ابيضاض) pada mata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

 

1. Pandangan Majoriti (Hilang Penglihatan/Buta)

Pandangan yang paling masyhur dan diterima secara luas adalah bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kehilangan penglihatan atau menjadi buta akibat kesedihan yang amat mendalam dan berpanjangan atas kehilangan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. ‘Putih’ di sini ditafsirkan sebagai merujuk kepada penyakit mata yang menyebabkan kebutaan (seperti katarak yang teruk atau lapisan putih tebal), yang disebabkan oleh tangisan dan kesedihan yang berlebihan. Ini menunjukkan betapa besarnya ujian yang ditanggung oleh Baginda sehingga menjejaskan fungsi fizikal yang sangat penting.

 

2. Pandangan Minoriti (Penglihatan Kabur/Kurang Jelas)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak buta sepenuhnya, tetapi penglihatannya menjadi kabur atau sangat lemah. Oleh itu ‘putih’ di sini ditafsirkan sebagai warna putih pada iris mata yang menutupi kornea, menyebabkan penglihatan menjadi sangat terbatas, tetapi tidak hilang sepenuhnya. Ini lebih menekankan kepada kesan fizikal kesedihan yang kuat, di mana mata menjadi suram dan tidak bercahaya seperti biasa.

Namun bolehkah ini terjadi? Dari sudut perubatan (medikal), kesedihan yang amat sangat dan berpanjangan, terutamanya jika disertai dengan tekanan emosi yang melampau, secara tidak langsung boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau kerosakan mata yang teruk, walaupun ia bukan penyebab kebutaan yang paling umum. Kondisi ini boleh dijelaskan melalui beberapa mekanisme:

 

1. Kesan Tekanan Mata Akibat Tangisan Berlebihan

Tangisan yang berlebihan, terutamanya yang disertai dengan gosokan atau tekanan pada mata, boleh menyebabkan:

    • Pecah Salur Darah Kecil: Tangisan yang kuat dan berpanjangan boleh menyebabkan pecah salur darah kecil (kapilari) di kawasan mata atau konjunktiva, walaupun ini biasanya tidak menyebabkan kebutaan kekal.

    • Kehausan dan Iritasi: Mata menjadi kering dan iritasi, menjadikan kornea lebih terdedah kepada jangkitan atau luka, yang jika teruk boleh menjejaskan penglihatan.

 

2. Hubungan Psikologi dan Fisiologi (Stres dan Hormon)

Kesedihan yang mendalam dan berterusan menghasilkan stres kronik. Stres kronik boleh memicu tindak balas rantai dalam badan:

    • Peningkatan Hormon Stres: Peningkatan hormon seperti kortisol yang berterusan boleh menjejaskan aliran darah ke mata, termasuk saraf optik.

    • Vasokonstriksi: Stres boleh menyebabkan penyempitan salur darah (vasokonstriksi). Jika salur darah yang membekalkan nutrisi kepada saraf optik menyempit, ini boleh mengakibatkan kerosakan pada saraf tersebut.

 

3. Neuropati Optik Iskemik (Ischemic Optic Neuropathy)

Ini adalah keadaan di mana terdapat kekurangan aliran darah (iskemia) ke saraf optik. Walaupun jarang, tekanan darah yang sangat tinggi atau rendah yang disebabkan oleh tindak balas stres emosi yang melampau (seperti Broken Heart Syndrome atau Takotsubo Cardiomyopathy) boleh mencetuskan episod iskemia yang menjejaskan penglihatan secara tiba-tiba atau kekal.

 

4. Kebutaan Fungsional (Functional Blindness)

Dalam kes yang sangat jarang berlaku dan ekstrem, tekanan psikologi yang teruk (termasuk trauma dan kesedihan yang mendalam) boleh menyebabkan kebutaan psikogenik atau kebutaan fungsional. Dalam keadaan ini, mata dan saraf optik berfungsi secara normal dari segi fizikal, tetapi otak “menolak” untuk memproses maklumat visual sebagai tindak balas terhadap trauma atau tekanan psikologi yang tidak tertanggung.

 

Jadi penyebab kepada kebutaan ini adalah kerana tekanan perasaan yang tinggi. Apabila stres hilang, maka orang itu akan kembali sihat. Kerana itulah nanti apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan baju baginda, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun gembira kembali dan hilang stres, maka pandangan mata baginda pun kembali.

Ayat ini juga mengajar kita yang jika kita bersedih kerana kehilangan seseorang, tidaklah salah kalau menangis. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ pun menangis apabila anaknya Ibrahim meninggal,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ: دَخَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى أَبِي سَيْفٍ الْقَيْنِ، وَكَانَ ظِئْرًا لِإِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِبْرَاهِيمَ فَقَبَّلَهُ وَشَمَّهُ، ثُمَّ دَخَلْنَا عَلَيْهِ بَعْدَ ذَلِكَ وَإِبْرَاهِيمُ يَجُودُ بِنَفْسِهِ، فَجَعَلَتْ عَيْنَا رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تَذْرِفَانِ، فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ رضي الله عنه: وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَقَالَ: «يَا ابْنَ عَوْفٍ، إِنَّهَا رَحْمَةٌ»، ثُمَّ أَتْبَعَهَا بِأُخْرَى، فَقَالَ: «إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ، وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ، وَلَا نَقُولُ إِلَّا مَا يَرْضَى رَبُّنَا، وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يَا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ».
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Kami masuk bersama Rasulullah ﷺ menemui Abu Saif Al-Qayn (tukang besi), yang merupakan suami kepada pengasuh (ibu susuan) Ibrahim. Rasulullah ﷺ mengambil Ibrahim lalu mencium dan menghidunya. Kemudian kami masuk menemui Baginda sekali lagi setelah itu, di mana Ibrahim sedang menghadapi sakaratulmaut (yajūdu bi-nafsihī). Maka, kedua-dua mata Rasulullah ﷺ pun mengalirkan air mata (tażrifān). Lalu, Abdul Rahman bin Auf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepada Baginda: ‘Dan engkau juga (menangis), wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Wahai Ibnu Auf, sesungguhnya ia adalah rahmah (kasihan/belas kasihan).’ Kemudian, Baginda menangis lagi, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya mata itu menitiskan air mata, dan hati itu bersedih, tetapi kami tidak akan mengucapkan melainkan apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami, disebabkan perpisahan denganmu wahai Ibrahim, sungguh bersedih.'”

(Hadith Riwayat Al-Bukhari, No. 1303, dan Muslim, No. 2315)

Akan tetapi kesedihan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini sampai menangis lama dan teruk sampai buta, membuka ruang perbincangan. Bukankah itu dikira terlalu sedih dengan kehilangan anak sampai begitu sekali? Sedangkan baginda dipuji oleh Allah ‎ﷻ di dalam Sad:45-46

وَٱذۡكُرۡ عِبَـٰدَنَآ إِبۡرٰهِيمَ وَإِسۡحَـٰقَ وَيَعۡقُوبَ أُوْلِى ٱلۡأَيۡدِى وَٱلۡأَبۡصَـٰرِ (٤٥) إِنَّآ أَخۡلَصۡنَـٰهُم بِخَالِصَةٍ ذِڪۡرَى ٱلدَّارِ (٤٦)
Dan hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Ya’qub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya). (45) Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat. (46) 

Malik bin Dinar رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan maksud ayat daripada surah Sad di atas adalah Allah ‎ﷻ telah menghilangkan daripada hati para Nabi dengan cinta kepada dunia. Namun tidakkah terlalu sedih dengan kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu menunjukkan baginda terlalu terpesona dengan dunia sampaikan baginda telah menyakiti emosi dan tubuh badan baginda. Sedangkan Allah ‎ﷻ telah mengingatkan tentang fitnah dunia dan anak-anak dalam Taghabun:15

إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian

Di dalam Tafsir Mazhari telah menyentuh perkara ini dan memberikan penjelasan. Kecintaan kepada perkara yang di dunia yang melibatkan akhirat tidaklah salah. Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukan dicintai oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana kacak akan tetapi kerana dia juga seorang Nabi yang mempunyai akhlak yang baik. Jadi cinta kepada baginda dan perasaan kehilangan baginda itu adalah cinta kepada akhirat juga bagi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukannya dunia.

Malah kesedihan kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selama lebih kurang 40 tahun itu adalah ujian kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ya, Nabi juga diuji dan ini adalah ujian kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita telah sebutkan sebelum ini penjelasan kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberi maklumat tentang dirinya walaupun setelah ada kedudukan. Ini kerana berkemungkinan baginda dihalang oleh Allah ‎ﷻ melalui wahyu kerana Allah ‎ﷻ ada rancangan tentang hal ini. Selain dari itu baginda tahu yang baginda ada tugas yang penting dan tidak ada masa untuk menyelesaikan hal keluarga baginda lagi.

Kita baca sekarang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ punyalah sedih sampai buta, bukan? Namun tidak pula kita baca Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun buta juga, bukan? Tidakkah Nabi Yusuf sedih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Tentu baginda sedih tetapi tidaklah sampai buta. Ini mengajar kita yang sayang ibubapa kepada anak itu lebih lagi daripada sayang anak kepada ibubapa. Sebab itulah kita faham kenapa ibubapa sanggup melakukan segalanya kepada anak mereka walaupun sampai berkorban nyawa mereka sendiri.

Baik, sekarang kita hendak bincangkan tentang kalimah الحُزنِ kerana sebelum ini telah digunakan kalimah أَسَفىٰ dan kedua-duanya bermaksud kesedihan. Ada satu konsep penting dalam ilmu Balaghah (Retorika Bahasa Arab) dan Tafsir, yang sering dibincangkan dalam perbandingan kalimah-kalimah Al-Qur’an. Konsep ini boleh diterangkan sebagai: (apabila bergabung, ia berbeza). Istilah ini merujuk kepada fenomena di mana Al-Qur’an sering mengumpulkan (menggandingkan) dua atau lebih kalimah yang nampak serupa atau sinonim, tetapi apabila digandingkan di dalam satu ayat atau berdekatan, ia menunjukkan ada perbezaan makna sebenarnya. Ini menunjukkan bahawa setiap kalimah membawa nuansa makna yang unik dan berbeza. Ini adalah bidang ilmu Mutarādifāt () atau sinonim. Sebenarnya sinonim sempurna (Mutarādifāt Tāmma) jarang wujud. Sebaliknya, kalimah-kalimah yang nampak sama maksud sebenarnya membawa nuansa makna (nuances), intensiti, atau sudut pandangan yang berbeza. Ini adalah bukti keunikan bahasa Al-Qur’an yang menolak kewujudan sinonim sempurna.

Sebagai contoh, di dalam Tawbah:60 disebut orang miskin dan faqir sebagai dua daripada asnaf (penerima zakat).

إِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلفُقَراءِ وَالمَسٰكينِ
Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin,

Sebenarnya pada kita orang miskin itu sama sahaja dengan orang faqir. Akan tetapi apabila ia duduk bersekali di dalam satu ayat, takkan Allah ‎ﷻ ulang benda yang sama, bukan? Jadi tentu ada bezanya dan kita telah jelaskan di dalam tafsir ayat itu. Ada banyak contoh sebegini di dalam Al-Qur’an. Jadi apa pula beza antara  الحُزنِ dan أَسَفىٰ?

Kalau الحُزنِ itu adalah kesedihan yang biasa kita gunakan. Akan tetapi kalau أَسَفىٰ ini para ulama’ berbeza pendapat. Kita telah sebut di atas tadi yang أَسَفىٰ digunakan apabila ada perasaan sedih dan marah sekali bercampur baur, dan rasa kelemahan kerana tidak dapat untuk mengubah apa yang telah berlaku. Maknanya ia lebih teruk daripada الحُزنِ. Sebagai contoh, di dalam A’raf:150 Allah ‎ﷻ menggambarkan perasaan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila baginda pulang kepada kaum baginda dengan Kitab Taurat, baginda dapati mereka telah menyembah patung anak lembu buatan Samiri. Perasaan baginda ketika itu bercampur baur antara sedih, marah, putus asa dengan kaum baginda,

وَلَمّا رَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبٰنَ أَسِفًا
Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita

Begitu juga digambarkan perasaan Nabi Muhammad ﷺ di dalam Kahf:6 yang sedih dan putus asa (kerana rasa tidak boleh buat apa-apa) sampaikan boleh menyebabkan baginda memusnahkan diri baginda.

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Satu makna yang membawa kepada marah/murka adalah apabila Allah ‎ﷻ menggambarkan kemarahan-Nya di dalam Zukhruf:55

فَلَمّا ءآسَفونَا انتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقنٰهُم أَجمَعينَ
Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).

Akan tetapi ayat Zukhruf ini perlukan penjelasan. Kerana kalau kita katakan ia bermaksud sedih, tidak mungkin Allah ‎ﷻ bersedih pula dengan perbuatan derhaka hamba-Nya. Jadi Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjelaskan begini:

1. Mereka menyebabkan Allah ﷻ marah
2. Mereka menyebabkan orang beriman sedih dan kerana itu Allah ﷻ marah. Jadi ada elemen sedih juga kalau melibatkan Allah ﷻ. Akan tetapi bukan Allah ﷻ bersedih tetapi Allah ﷻ murka.

Kalimah أَسِفًا tidak banyak digunakan di dalam Al-Qur’an, hanya sebanyak 5 kali sahaja kerana ia adalah perasaan yang ekstrem. Sedangkan kalimah الحُزنِ digunakan sebanyak 42 kali kerana ia adalah kesedihan yang biasa. Jadi ulama’ mencampurkan tiga perasaan di dalam kalimah أَسِفًا:

1. Kesedihan yang tinggi dan ia kekal lama. Kerana itulah yang dialami oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
2. Kemarahan. Terutama kepada orang yang di bawah kita. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ marah kepada anak-anaknya.
3. Rasa tidak berdaya kerana di luar kemampuan kita. Baginda sedar sebagai manusia, baginda tidak boleh buat apa-apa untuk memastikan anaknya pulang ke pangkuannya.

 

فَهُوَ كَظيمٌ

dan dia menahan perasaannya

Baginda menahan perasaannya kerana tidak mahu nampak sangat dan baginda sudah cakap sabrun jameel (sabar yang indah). Kalimah كَظيمٌ digunakan apabila seseorang itu menahan perasaan yang sudah sampai ke hidung. Maknanya baginda telah tenggelam dalam perasaan marah dan sedih yang teramat sangat, namun baginda tahan juga. Maknanya baginda ada juga perasaan/emosi dan tidaklah baginda tidak ada semua itu kerana baginda tetap manusia walaupun seorang Nabi. Yang tidak ada perasaan itu bukan manusia tapi lembu. Sedangkan malaikat pun ada perasaan juga. Cuma bezanya antara orang beriman dan tidak adalah orang Mukmin itu boleh mengawal perasaannya.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menahan perasaannya sudah terlalu lama. Bukanlah baginda tiba-tiba sedih terus jadi buta. Baginda tahan perasaan sedih baginda itu sudah sekian lama dan tambahan trauma kehilangan Bunyamin ini telah menambah lagi dan sekarang menjadi semakin teruk. It’s the straw that broke the camel’s back. “The straw that broke the camel’s back” adalah sebuah peribahasa Inggeris yang bermaksud perkara kecil atau masalah terakhir yang, apabila ditambahkan kepada bebanan atau siri masalah yang sudah sedia ada, menyebabkan kegagalan, kejatuhan, atau batas kesabaran seseorang atau situasi tercapai. Peribahasa ini berasal daripada gambaran yang sangat literal dan visual: seekor unta telah sarat membawa beban yang berat, dan apabila sehelai jerami (yang sangat ringan) ditambahkan ke atas beban itu, ia menjadi terlalu berat sehingga tulang belakang unta itu patah atau ia rebah. Bukanlah jerami itu yang menyebabkan patah tulang belakang unta itu tetapi itu yang terakhir sekali menyebabkan kesan yang tinggi.

Kemarahan baginda itu memang tinggi sampaikan perasaan itu menyebabkan baginda sakit. Memang kalau emosi terganggu, sampai boleh menyebabkan kesan kepada fizikal (psikosomatik). Mungkinlah tidak sampai jadi buta atau hilang penglihatan. Ini kita dapat lihat pada zaman sekarang kerana ia memang banyak terjadi. Gangguan emosi boleh menyebabkan kesan kepada fizikal.

Maka menahan kemarahan dan malah menahan emosi ini adalah sunnah daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita ikut. Kerana emosi kita ini sepatutnya di bawah kawalan kita dan jangan biarkan ia menerawang sampai melakukan perkara yang negatif. Memang ada orang yang fiusnya pendek dan dia asyik ikut perasaan sahaja, dan ketahuilah yang ini adalah salah. Dia tidak boleh bagi alasan dia macam itu, sebaliknya dia kena berusaha untuk mengawal perasaannya. Rasulullah ﷺ telah memberi motivasi kepada kita untuk melakukannya,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ، دَعَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ مِنْ أَيِّ الْحُورِ شَاءَ»
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang menahan kemarahannya (kaẓama ghayẓan) sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (membalas), Allah ‎ﷻ akan memanggilnya di hadapan seluruh makhluk pada Hari Kiamat, sehinggalah Allah menyuruhnya memilih mana-mana bidadari yang dia kehendaki.”

(Hadith Riwayat At-Tirmidzi, No. 2021; Abu Dawud, No. 4777; Ibnu Majah, No. 4186) (Dihasankan oleh At-Tirmizi dan dinilai sahih oleh Al-Albani)

Apakah sunnah yang diajar kepada kita untuk ucapkan ketika datang marah? Ini ada disebut di dalam hadith,

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ رضي الله عنه قَالَ: اسْتَبَّ رَجُلَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، فَجَعَلَ أَحَدُهُمَا يَغْضَبُ وَيَحْمَرُّ وَجْهُهُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: «إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ، لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ».
Daripada Sulaiman bin Surad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Dua orang lelaki bertengkar di sisi Nabi ﷺ, lalu salah seorang daripada mereka menjadi marah dan wajahnya merah menyala. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah, sekiranya dia mengucapkannya, nescaya hilanglah kemarahan yang ada padanya. Sekiranya dia berkata: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (A’ūżu billāhi minasy-syaiṭānir-rajīm), nescaya hilanglah kemarahan yang ada padanya.'”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 3282, dan Muslim, No. 2610)

Selain ucapan, sunnah Nabi ﷺ juga mengajar tindakan fizikal untuk mengawal dan meredakan kemarahan, yang mana ia juga merupakan sebahagian daripada “ucapan” (iaitu tindakan yang menunjukkan kepatuhan kepada syarak):

1. Diam (الصمت – Aṣ-Ṣamt):

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ»
Daripada Abdullah bin Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam.”

(Hadith Riwayat Imam Ahmad, No. 2542, dan Abu Dawud, No. 4782 dalam riwayat yang berbeza) (Dikelaskan sebagai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahihul Jami’)

2. Mengubah Kedudukan:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ، فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِعْ»
Daripada Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu marah, sedangkan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Sekiranya kemarahan itu hilang darinya (maka itu baik). Jika tidak, maka hendaklah dia berbaring.”

(Hadith Riwayat Abu Dawud, No. 4782; dan Ahmad) (Disahihkan oleh Al-Albani)

3. Mengambil Wuduk:

عَنْ عَطِيَّةَ بْنِ عُرْوَةَ السَّعْدِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ، وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ، فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ»
Daripada Atiyyah bin Urwah As-Sa’di رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya kemarahan itu adalah daripada syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dipadamkan dengan air. Maka, apabila salah seorang daripada kamu marah, hendaklah dia berwudhu’.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud, No. 4784) (Dihasankan oleh At-Tirmizi dan dihasankan juga oleh Al-Albani)

Maka emosi marah dan sedih kena dikawal dan jangan dibiarkan sahaja berleluasa. Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ (seorang tabi’in terkemuka) pernah berkata:

“Tiada tegukan (atau telan) yang lebih mulia di sisi Allah Ta’ala daripada tegukan marah (ghayẓ) yang ditahan oleh seorang hamba, dan tegukan kesabaran (ṣabr) di atas musibah.”

Lihatlah Allah ‎ﷻ beri satu ayat penuh hanya tentang kesedihan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Ia mengajar kita bagaimana kita hendak menangani perasaan ini dan kita timbangkan dengan tindakan kita. Kita boleh sahaja rasa sedih dan marah, akan tetap jangan kita tenggelam dalam emosi itu berpanjangan.

 

 

Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan pemahaman daripada teks tafsir.

1. Apakah dua sebab utama Nabi Ya’qub berpaling (وَتَوَلَّىٰ عَنهُم) daripada anak-anaknya seperti yang dijelaskan dalam tafsir?

2. Jelaskan konsep psikologi “Trigger” (Pemicu) dan bagaimana ia berkaitan dengan tindakan Nabi Ya’qub menyebut nama Nabi Yusuf selepas kehilangan Bunyamin.

3. Mengapakah lafaz يَـٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ (“Aduhai duka citaku terhadap Yusuf”) dianggap lebih mendalam daripada kesedihan biasa, dan apakah kaitan linguistiknya dengan nama Yusuf?

4. Apakah dua pandangan utama ahli tafsir mengenai maksud frasa وَٱبيَضَّت عَينَاهُ (“dan kedua matanya menjadi putih”)?

5. Bagaimanakah teks tafsir menghubungkan kesedihan melampau dengan kehilangan penglihatan dari sudut perubatan moden?

6. Menurut tafsir, bagaimanakah tindakan Nabi Ya’qub yang sangat bersedih dapat diselaraskan dengan pernyataannya sebelum ini iaitu فَصَبرٌ جَمِيلٌ (“sabar yang indah”)?

7. Apakah perbezaan utama antara kalimah أَسَفىٰ (Asafā) dan الحُزنِ (al-Ḥuzn) berdasarkan konsep Iżā ijtimaa’ tafriq?

8. Apakah maksud kalimah كَظِيمٌ (Kaẓīm) dan bagaimana ia menggambarkan keadaan emosi Nabi Ya’qub pada ketika itu?

9. Nabi Muhammad ﷺ juga menangis apabila anaknya Ibrahim meninggal dunia. Apakah yang diajarkan oleh peristiwa ini mengenai ekspresi kesedihan dalam Islam?

10. Sebutkan tiga tindakan fizikal yang diajar oleh sunnah Nabi Muhammad ﷺ untuk mengawal kemarahan.

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
‘Ām al-Ḥuzn (عام الحزن)
Tahun Kesedihan, iaitu tahun di mana Nabi Muhammad ﷺ kehilangan isteri baginda, Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Thalib. Surah Yusuf diturunkan pada tahun ini untuk menguatkan hati Nabi ﷺ.
أَسَفَىٰ (Asafā)
Kesedihan yang amat sangat dan bercampur baur dengan kemarahan serta rasa tidak berdaya. Ia lebih ekstrem daripada al-Ḥuzn dan menunjukkan perasaan yang kekal lama.
الحُزنِ (al-Ḥuzn)
Kesedihan yang biasa, yang merujuk kepada perasaan duka secara umum.
فَصَبرٌ جَمِيلٌ (Faṣabrun jamīl)
Sabar yang indah. Ia merujuk kepada kesabaran yang memenuhi keperluan spiritual seorang mukmin dalam menerima takdir Allah ‎ﷻ tanpa menafikan kewujudan emosi kesedihan.
Flashback (Re-experiencing)
Satu keadaan di mana sistem saraf seseorang yang mengalami trauma bereaksi seolah-olah peristiwa traumatik itu sedang berlaku semula pada masa sekarang, biasanya dicetuskan oleh pemicu (trigger).
Iżā ijtimaa’ tafriq (إذا اجتماع تفريق)
Satu konsep dalam retorika Bahasa Arab yang menyatakan bahawa apabila dua kalimah yang kelihatan sinonim digandingkan, ia sebenarnya menunjukkan perbezaan makna yang unik antara keduanya.
Istirja’
Ucapan “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ” (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali) yang diucapkan oleh umat Islam apabila ditimpa musibah.
كَظِيمٌ (Kaẓīm)
Seseorang yang menahan perasaan (marah atau sedih) yang sudah sampai ke tahap maksimum atau meluap-luap, namun berjaya mengawalnya.
Kebutaan Fungsional
Juga dikenali sebagai kebutaan psikogenik; satu keadaan di mana mata dan saraf optik berfungsi secara fizikal, tetapi otak “menolak” untuk memproses maklumat visual akibat tekanan psikologi atau trauma yang melampau.
Mubalaghah (مبالغة)
Satu bentuk bahasa yang menunjukkan makna yang bersangatan atau melampau. Dalam konteks ini, kalimah أَسَفىٰ digunakan dalam bentuk ini untuk menunjukkan kesedihan yang teramat sangat.
Psikosomatik
Kesan fizikal yang timbul akibat gangguan emosi. Teks ini memberikan contoh bagaimana emosi yang terganggu boleh menyebabkan penyakit fizikal.
Sunnah
Ajaran, amalan, dan cara hidup Nabi Muhammad ﷺ atau para nabi terdahulu yang menjadi panduan. Contohnya, menahan emosi dan menyendiri ketika sedih adalah sunnah yang diajar oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Tawakkal
Bersandar dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ setelah berusaha. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk mengadu hanya kepada Allah ‎ﷻ, menunjukkan tawakkal yang tinggi.
Trigger (Pemicu/Stimulus)
Apa sahaja (bunyi, bau, pandangan, perkataan, dll.) yang membangkitkan kembali ingatan, emosi, dan reaksi fizikal yang berkaitan dengan peristiwa traumatik masa lalu.
Yā’ al-Mutakallim (ياء المتكلم)
Huruf ‘ي’ yang ditambah pada akhir kata nama dalam Bahasa Arab untuk menunjukkan kepemilikan orang pertama (“saya”). Ketiadaannya dalam kalimah أَسَفىٰ menunjukkan bentuk mubalaghah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)