Tafsir Surah Hud Ayat 60 – 61 (Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Tsamud)

Hud Ayat 60: Penutup kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً وَيَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا إِنَّ عادًا كَفَروا رَبَّهُم ۗ أَلا بُعدًا لِّعادٍ قَومِ هودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they were [therefore] followed in this world with a curse and [as well] on the Day of Resurrection. Unquestionably, ‘Aad denied their Lord; then away with ‘Aad, the people of Hūd.

(MALAY)

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini dan (begitu pula) di hari kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Ad itu kafir kepada Tuhan mereka. Ingatlah kebinasaanlah bagi kaum ‘Ad (iaitu) kaum Hud itu.

 

وَأُتبِعوا في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً

Dan mereka selalu diikuti dengan laknat di dunia ini 

Di dunia ini, mereka mendapat laknat daripada semua yang melaknat. Kisah mereka ini akan ada sampai ke Kiamat nanti dan sepanjang itu mereka mendapat laknat. Setiap kali kita baca kisah mereka dalam Al-Qur’an pun kita benci dan melaknat mereka.

Apakah maksud ‘laknat’? Laknat ertinya kutuk, doa atau kata-kata yang dapat mengakibatkan kesusahan atau bencana kepada seseorang. Laknat juga dapat diertikan sebagai perbuatan mencela, dan menghina. Dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ juga banyak menggunakan kata laknat pada setiap ayat yang menjelaskan mengenai azab atau hukuman. Oleh itu pengertian laknat hendaklah dilihat daripada dua sudut pandang bergantung kepada objek yang melakukannya.

Pertama, laknat yang dilihat dari sudut pandang Sang Pencipta akan memiliki erti sebagai tindakan yang menjauhkan daripada rahmat-Nya. Kemudian, laknat dari sudut pandang makhluk memiliki erti sebagai doa atau cacian terhadap orang-orang tertentu.

Di dalam ayat ini tidak disebut siapakah yang melaknat kerana ia disebut secara umum sahaja. Oleh itu ia boleh bermaksud Allah ﷻ yang melaknat mereka dan menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya, atau ia juga boleh bermaksud laknat (kutukan dan doa) daripada makhluk seperti para malaikat, orang beriman, dan juga makhluk lain seperti binatang dan juga bumi.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ

dan (begitu pula) di hari kiamat.

Laknat itu akan berterusan sampai ke Hari Kiamat. Laknat maksudnya jauh daripada rahmat Allah ﷻ. Maknanya, kalau tidak dapat rahmat daripada Allah ﷻ, maka tentunya tempat mereka adalah dalam Neraka.

 

أَلا إِنَّ عادًا كَفَروا رَبَّهُم

Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Ad itu kafir kepada Tuhan mereka. 

Telah pasti yang Kaum Aad itu telah kufur kepada Allah ﷻ dan kerana itu janganlah ikut jejak langkah mereka. Sebab itulah disebut kisah-kisah umat yang terdahulu supaya kita boleh mengambil iktibar daripada kesalahan yang mereka lakukan.

Kita boleh simpulkan di sini adalah segala kesalahan mereka itu adalah berkisar tentang menolak ayat-ayat Allah ﷻ dan juga ajaran para Rasul. Maka jikalau kita pun tidak mempelajari ayat-ayat Allah ﷻ untuk memahaminya (supaya kita dapat mentaatinya) dan kemudian kita tidak ikut ajaran Rasulullah ﷺ dan mengamalkan kehidupan ini seperti yang diajarnya (ajaran Sunnah), maka kita pun boleh termasuk golongan yang mendapat nasib seperti kisah-kisah kaum yang dilaknat sebelum ini.

Di sini hanya disebut mereka kufur kepada Tuhan akan tetapi jikalau kita pun tidak ikut ajaran Rasul, maka itu pun termasuk kufur kepada Allah ﷻ. Ini kerana para Rasul itu membawa ajaran Allah ﷻ untuk disampaikan kepada kita untuk kita amalkan.

 

أَلا بُعدًا لِّعادٍ قَومِ هودٍ

Menjauhlah bagi kaum ‘Ad (yaitu) kaum Huud itu.

Mereka jauh daripada rahmat Allah ﷻ, maka mereka tidak akan ada peluang untuk masuk ke dalam Syurga. Sekian kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Aad.


 

KISAH NABI SALEH عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 61: Sekarang kita masuk kepada Kisah Ketiga dalam surah ini. Daripada ayat ini sehingga ke ayat 68 adalah Perenggan Makro ke 4 berkenaan kisah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia membawa Dakwa yang sama: sembah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ.

۞ وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا ۚ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الأَرضِ وَاستَعمَرَكُم فيها فَاستَغفِروهُ ثُمَّ توبوا إِلَيهِ ۚ إِنَّ رَبّي قَريبٌ مُّجيبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Thamūd [We sent] their brother Ṣāliḥ. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. He has produced you from the earth and settled you in it, so ask forgiveness of Him and then repent to Him. Indeed, my Lord is near and responsive.”

(MALAY)

Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. Shaleh berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)”.

 

وَإِلىٰ ثَمودَ أَخاهُم صٰلِحًا

Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. 

Selepas hancurnya Kaum Aad, kaum yang bangkit selepas mereka adalah Kaum Tsamud. Mereka diberikan dengan Rasul dalam kalangan kerabat mereka sendiri, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka hidup sesudah kaum ‘Ad, lalu Allah ﷻ mengutus seorang rasul kepada mereka yang juga dalam kalangan mereka.

Baginda adalah daripada umat itu juga, saudara mereka juga, keturunan mereka juga. Baginda memang tinggal di situ dan mereka kenal baginda. Ini mengajar kita yang pendakwah terbaik datangnya daripada penduduk setempat. Baru senang mad’u hendak terima dakwah itu. Ini sepertimana dalam pilihanraya juga, calon selalunya datang dari tempat itu juga baru senang mendapat sambutan dan undian. Kalau bangsa lain yang datang, tentu ada penghalang sedikit sebanyak. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

Telah disebutkan juga bahawa Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah Nabi bangsa Arab yang pertama, dan beliaulah yang mula-mula bercakap dalam bahasa Arab, dan Rasul Arab yang kedua ialah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan yang penutup sekalian Rasul ialah Muhammad ﷺ orang Arab juga.

Mereka adalah orang-orang yang bertempat tinggal di kota-kota Hajar yang terletak di antara Tabuk dan Madinah. Tempat mereka itu dipanggil Mada’in Saleh dan sampai sekarang masih ada lagi. Kisah kaum ini disebut banyak di dalam Al-Qur’an kerana penerima Al-Qur’an yang pertama adalah Musyrikin Mekah. Mereka itu kenal dengan kedua-dua kaum ini kerana mereka telah melalui kawasan-kawasan mereka di dalam musafir perniagaan. Ini seperti disebut dalam Sajdah: 26

أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم
Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak daripada kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu?

Di musim sejuk mereka pergi ke bahagian selatan iaitu Yaman dan mereka akan melalui kawasan kaum Aad dan di musim sejuk mereka akan pergi ke bahagian utara iaitu Syams dan mereka boleh melihat peninggalan kaum Tsamud dan juga kaum Luth. Inilah musafir mereka yang Allah ﷻ sebut dalam Quraisy:2

إيلافِهِم رِحلَةَ الشِّتاءِ وَالصَّيفِ
(iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas.

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Shaleh berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia.

Lihatlah bagaimana mesej yang sama dibawa oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sama seperti mesej Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan juga Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Iaitu Dakwa Surah ini: sembahlah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ kerana tiada ilah selain Allah ﷻ. Sembahlah Allah ﷻ sahaja. Inilah Dakwa Pertama. Maka tauhid yang hendak ditekankan di dalam surah ini adalah Tauhid Ibadah atau kita panggil Tauhid Uluhiyyah. Inilah tujuan kita dijadikan seperti disebut dalam Dzariyat:56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Mana-mana Nabi akan berkata begini; iaitu hendaklah manusia menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain daripada Allah ﷻ. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun mesti sampaikan perkara terpenting ini juga. Kita kenalah ajar akidah kepada manusia kerana itu adalah perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula mesti dipelajari.

Oleh itu, hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan campur aduk ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah ﷻ. Tidak perlu puja Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Namun dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi ﷺ, maka itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain daripada Allah ﷻ.

Perbuatan itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

Maka kita lihat di dalam ayat ini memberitahu kita yang Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan dalam dakwah. Bukannya mengajak kepada persatuan, mazhab, fahaman, kumpulan, parti, individu tertentu seperti pemimpin, ulama’ dan sesiapa sahaja. Malangnya inilah yang kita lihat terjadi sekarang. Ramai bukannya ajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada perkara lain. Akibatnya setiap kumpulan akan berasa merekalah yang hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Mesej dakwah kita mestilah jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk melabel dan mengasingkan (pigeonholed) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “Dia kumpulan mana?”, “Apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah ajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl:125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

 

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الأَرضِ وَاستَعمَرَكُم فيها

Dia telah menciptakan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya,

Allah ﷻ mengingatkan nikmat yang telah diberikan kepada mereka: Allah ﷻ jadikan mereka daripada tanah yang tidak ada nilai tetapi kemudian Allah ﷻ beri mereka kuasa mentadbir di bumi. Kita tahu yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan terus daripada tanah. Akan tetapi kita sebagai anak cucunya juga dibina daripada elemen-elemen yang datang daripada tanah juga seperti zat dan vitamin. Ini kerana makanan kita datangnya daripada tanah, bukan? Maka boleh dikatakan juga kita manusia selain daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dijadikan daripada tanah.

Kalimah استَعمَرَ daripada katadasar ع م ر yang bermaksud untuk mendiami; tinggal; membaiki; pembaikan; membina; bercucuk tanam; menjadikan boleh dihuni; melakukan lawatan suci; populasi; kehidupan; umur; panjang umur; berusia; mendatangi satu-satu tempat. Kalimah عمر bermaksud mendiami sesuatu kawasan di bumi, membangun rumah dan mendudukinya untuk meningkatkan kualiti hidup. Inilah nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

Mereka hidup dalam tamadun yang lama, bertukar daripada satu keturunan ke keturunan yang lain. Tamadun mereka lama di bumi. Mereka mentadbir bumi dan sambil itu mereka mengambil manfaat daripada segala sumber yang ada pada bumi itu. Kisah mereka ini ada disebut dalam A’raf: 74

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ عادٍ وَبَوَّأَكُم فِي الأَرضِ تَتَّخِذونَ مِن سُهولِها قُصورًا وَتَنحِتونَ الجِبالَ بُيوتًا
“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu pengganti sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah.

Maka dari sini kita tahu yang nikmat yang telah diberikan kepada mereka amatlah banyak dan mereka mendapat kesenangan hidup di bumi. Allah ﷻ menjadikan tempat mereka itu subur dan amat sesuai untuk didiami maka kerana itulah tempat itu menjadi makmur yang bermaksud ramai orang tinggal di situ dan berkembang biak di situ. Cuma mereka hendaklah menghargai pemberian daripada Allah ﷻ itu dengan mentaati Allah ﷻ dan juga beribadah hanya kepadanya. Ini mengingatkan kita yang juga mendapat nikmat kesenangan di dunia ini supaya jangan lupa untuk taat kepada Allah ﷻ dan tidak menyembah selain daripada Allah ﷻ.

Banyak sekali bukti bertemu sampai sekarang, baik di dalam isyarat Al-Qur’an, ataupun hasil penyelidikan purbakala (ilmu arkeologi), bahawa tanah-tanah yang sekarang telah tandus, padang pasir Sahara, bertemu bekas-bekas kemakmuran zaman lampau. Inilah yang telah diingatkan oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kaumnya, agar mereka mensyukuri nikmat kemakmuran yang telah diberikan Tuhan kepada mereka.

Kita boleh lihat walaupun ada persamaan dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi ada penambahan hujah yang diberikan antara Rasul-rasul itu. Maka kita dapat tahu yang Allah ﷻ berhujah kepada manusia mengikut tingkat kedewasaan berfikir manusia. Kalau kita lihat hujah yang diberikan kepada kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia mudah sahaja – sembah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ tidak berhujah panjang dengan mereka.

Akan tetapi, apabila tiba dalam kisah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Aad, terdapat pertambahan hujah, memberi isyarat yang kaum Aad itu mempunyai daya fikir yang lebih tinggi daripada kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana Allah ﷻ mengingatkan mereka betapa mereka telah diberi nikmat kekuatan tubuh badan. Ini dapat dilihat dalam A’raf: 69.

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً
Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.

Sekarang, kepada Kaum Tsamud, Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh berhujah dengan mereka dengan lebih panjang lagi kerana mereka sudah semakin matang dalam hidup dan tamadun semakin maju. Maka mereka diingatkan yang mereka dijadikan daripada tanah dan mereka telah diberikan kelebihan memakmurkan bumi keturunan demi keturunan. Nanti kita akan lihat kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula nanti di mana hujah yang lebih kompleks akan diberikan.

Semuanya membawa kepada hujah-hujah yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini, wahyu terakhir Allah ﷻ yang tentunya penuh dengan hujah-hujah yang lebih canggih lagi kerana ia diberikan kepada kaum yang lebih moden dan maju fikirannya. Kerana itu Al-Qur’an ini amat sesuai zaman berzaman. Kalau sains semakin maju pun, Al-Qur’an tetap harmoni dengan fahaman sains moden.

 

فَاستَغفِروهُ ثُمَّ توبوا إِلَيهِ

kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya,

Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kepada umatnya (sama seperti Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), hendaklah mereka istighfar akan tetapi tidak disebut apakah dosa mereka. Akan tetapi daripada ayat-ayat yang lain kita dapat tahu yang dosa mereka adalah menyembah ilah selain Allah ﷻ. Ini adalah dosa yang paling besar. Segala amalan baik jika adalah musnah begitu sahaja jika ada mengamalkan syirik seperti disebutdi dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Tambahan pula dosa syirik itu adalah kezaliman yang paling besar seperti disebut di dalam Luqman:13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Maka mereka disuruh oleh Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk istighfar dan tinggalkan fahaman dan amalan syirik yang mereka telah lakukan selama ini. Mereka kena minta maaf daripada hati, disebut dengan lidah dan mereka pun mesti berhenti daripada fahaman syirik itu. Maka jangan sebut sahaja istighfar dengan mulut tetapi amalan salah masih dilakukan lagi.

Ini banyak dilakukan oleh masyarakat sekarang. Selalu sahaja istighfar, tetapi amalan syirik dan bid’ah masih lagi dilakukan. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja. Mereka sendiri pun tidak sangka yang mereka sedang melakukan amalan-amalan syirik kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Ini adalah amat malang sekali kerana penjelasan tentang tauhid dan syirik banyak disebut di dalam Al-Qur’an dan jikalau kita tidak mahir tafsir Al-Qur’an maka kita tidak akan tahu ada kesalahan-kesalahan syirik yang telah kita lakukan.

‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kepada kesalahan ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita tidak tahu lagi, tetapi kita minta ampun daripada kesalahan lalu yang telah dilakukan. Kena menyesal atas perbuatan dosa kita sebelum ini.

Di dalam ayat sebelum ini Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ajak kaumnya untuk beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Sekarang disuruh untuk meminta ampun atas kesalahan dosa mereka yang lalu. Ini adalah kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau ada banyak dosa, kita akan susah untuk melakukan ibadah. Ini kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
(Sunan Ibn Majah (4234))
Status: Hasan

Sekiranya ada dosa syirik lagi, maka amalan ibadah apa pun tidak berguna kerana tidak diberikan pahala kepada pelakunya. Maka kena minta ampun atas dosa syirik supaya pahala-pahala dapat dikumpul.

Setelah mereka istighfar, kemudian hendaklah mereka bertaubat. Mereka mesti menyesal kerana ada akidah syirik yang lama dan hendaklah mereka kembali kepada Allah ﷻ. Kembali dapatkan fahaman yang benar dan amalan yang benar kerana ‘taubat’ itu maksudnya ‘kembali’. Kembali amalkan Tauhid.

Kalau kita dapat bayangkan sedang memandu, tiba-tiba kita perasan yang kita berada atas salah jalan, maka kita ‘u-turn’ untuk kembali ikut jalan yang betul. Begitu jugalah dengan fahaman akidah. Kalau selepas kita belajar baru tahu yang fahaman yang kita ada selama hari ini adalah salah, maka tinggalkan fahaman itu dan ikutlah fahaman yang benar.

Sebelum ini telah disebut tentang istighfar dan dan sekarang tentang taubat pula. Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan buat lagi dosa yang kita telah buat. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu. Ini adalah kerana, daripada lafaz ‘taubat’ itu, ia membawa maksud ‘kembali’. Iaitu kembali ke pangkal jalan seperti telah disebut di atas. Maka dalam hal itu, kita kena ‘kembali’ ke jalan yang benar. Begitu jugalah dengan ‘taubat’. Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan

Selalu kita sangka ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Akan tetapi Allah ﷻ meletakkan kedua-duanya dalam ayat ini, yang bermaksud yang keduanya berbeza. Ini adalah salah satu daripada peraturan Al-Qur’an: jikalau Allah ﷻ letakkan dua perkataan itu sekali dalam satu ayat, bermaksud ia tidak sama. Tentu ada perbezaan antara keduanya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘istighfar’ dulu sebelum ‘taubat’. Maka, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu. Berapa kali kita kena bertaubat? Lakukanlah sebanyak mungkin, akan tetapi sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Ini kerana Ibnu Umar رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.
(Sahih Muslim No. 2702)


Kenapa pula Rasulullah ﷺ bertaubat sedangkan baginda tidak ada dosa? Kerana hendak menjadi contoh bagi kita kerana bukanlah baginda itu contoh bagi kita?

‘Istighfar’ itu adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak buat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah ﷻ. Maksud kembali ini adalah azam yang kuat untuk tidak melakukan lagi apa dosa yang kita telah buat. Maka istighfar adalah untuk dosa masa lalu dan taubat adalah azam untuk masa depan.

Jikalau kita istighfar sahaja tanpa ada niat untuk meninggalkan dosa itu, ia bukanlah istighfar yang benar dan tidak akan diterima. Tidak diterima kerana tidak cukup syaratnya. Itu istighfar main-main sahaja.

Satu lagi tafsiran yang diberikan tentang perbezaan antara istighfar dan taubat adalah istighfar itu adalah perbuatan mulut, dan taubat itu adalah perbuatan fizikal. Maksudnya selepas kita meminta ampun dengan Allah ﷻ (dengan mulut) maka hendaklah kita mengikutinya dengan badan kita. Iaitu hendaklah meninggalkan perbuatan salah yang telah dilakukan dahulu dan menggantikannya dengan mengamalkan amalan-amalan yang baik. Janganlah kita setakat menyesal dan tidak melakukan amalan salah lagi, tetapi tidak melakukan amal-amal yang baik pula. Kita hendaklah melakukan amal-amal yang baik sebagai ganti perbuatan salah yang kita lakukan dahulu semoga Allah ﷻ merahmati kita dengan perbuatan kita yang baik.

 

إِنَّ رَبّي قَريبٌ مُّجيبٌ

Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan

Mintalah kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ itu maha dekat untuk menyahut doa hamba. Apa sahaja doa kita kepada-Nya, sama ada untuk meminta ampun, atau apa sahaja keperluan, Allah ﷻ maha mendengar dan Allah ﷻ akan balas. Ini sama seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam ayat yang lain:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila dia berdoa kepada-Ku. (Al-Baqarah: 186)

Maka di sini kita belajar satu perkara yang penting tentang berdoa iaitu kita sepatutnya berdoa terus kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beritahu yang Dia dekat. Maka kita tidak perlu menggunakan perantaraan (wasilah) kerana Allah ﷻ maha dekat dan menjawab permintaan kita. Apabila Allah ﷻ sudah kata Dia dekat dengan kita, maka kenapa kita hendak menjauhkan diri kita daripada-Nya dengan meletakkan orang ketiga pula sebagai perantara? Ini adalah satu perbuatan yang merugikan.

Maka jikalau kita ada apa-apa permintaan kepada Allah ﷻ maka terus sahaja minta kepada Allah ﷻ dan tidak perlu kita minta kepada ustaz ataupun sesiapa untuk mendoakan bagi pihak kita. Memang ada pendapat yang mengatakan menjadikan orang soleh itu sebagai wasilah kita adalah harus, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sunnah, malah ia seperti tidak faham maksud ayat-ayat Allah ﷻ yang mengatakan Dia dekat.

Antara hujah yang digunakan oleh orang yang masih juga mahu menggunakan perantara di dalam berdoa adalah kerana mereka kata orang soleh itu tiada dosa, sedangkan mereka sendiri banyak dosa dan Allah ﷻ tidak terima doa-doa mereka kerana dosa mereka. Ya benar, dosa boleh menyebabkan doa ditolak. Akan tetapi bukanlah caranya dengan minta orang lain pula berdoa bagi pihak kita. Jikalau kita ada dosa dan hendak berdoa maka jalan penyelesaiannya Allah ﷻ telah ajar di dalam sambungan kepada ayat Baqarah: 186 di atas.

فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي
Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku

Jelas di sini kita belajar untuk doa kita dimakbulkan oleh Allah ﷻ maka hendaklah kita mengubah hidup kita dengan meminta ampun kepada Allah ﷻ, dan mula melakukan taat kepada Allah ﷻ. Bukannya kita terus hidup di dalam dosa dan jalan penyelesaiannya minta orang lain pula doa untuk kita. Perbuatan begini tidak bijak!

Perumpamaannya seperti seorang anak yang takut kepada ayahnya kerana ada kesalahan yang dia ada lakukan. Maka jikalau ada permintaan maka dia minta kepada emaknya untuk sampaikan. Akan tetapi sampai bila? Kerana anak itu tetap juga anak kepada ayah itu maka jalan yang sepatutnya dilakukan adalah dengan minta maaf kepada ayahnya, dan berbaik semula dengan ayahnya, dan mula ikut arahan daripada ayahnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 September 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Hud Ayat 60 – 61 (Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Kaum Tsamud)”

  1. Salam tuan. Maaf klu sy silap. Tp sy kira ada mismatch antara ayat ini dan terjemahannya:

    “إِنَّهُ مُصيبُها ما أَصابَهُم

    sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh;  ”

    Dan tafsir utk ayat ini juga tiada
     ۚ” إِنَّ مَوعِدَهُمُ الصُّبحُ “

    Like

Leave a reply to Alens Cancel reply