Tafsir Surah Sajdah Ayat 1 – 5 (Syafaat milik Allah)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Makkiah. Diturunkan di masa pertengahan masa Nabi Muhammad di Mekah. Ianya membahaskan tentang perkara tauhid dan kesilapan manusia tentang sifat-sifat Allah taala.

Termasuk juga dalam surah ini tentang cara pengurusan Allah taala. Allah mengajar manusia bagaimana cara mentadbir.

Sebenarnya, orang kafir pun ada yang percaya bahawa yang mencipta langit dan bumi ini adalah Allah. Cuma mereka tidaklah panggil Tuhan itu dengan nama Allah. Sebagai contoh, kalau kita tanya kepada orang Hindu, mereka tahu yang berhala yang mereka sembah itu bukan Tuhan. Mereka tahu ada ‘Tuhan yang satu’. Tapi mereka tak tahu namaNya. Yang mereka sembah patung itu adalah dewa yang mereka sangka akan menyampaikan hajat mereka kepada ‘Tuhan yang satu’ itu.

Begitu juga dengan agama-agama yang lain. Mereka juga tahu ada Tuhan sebenarnya yang mentadbir alam ini. Tapi mereka telah ditipu oleh Iblis untuk menyembah selain dari Allah. Kerana salah faham mereka itulah sebabnya mereka jadi kafir.

Surah Sajdah ini menolak pemahaman bahawa ada syafaat dari sesiapa selain Allah. Syafaat sebenarnya dari Allah. ‘Pemberi syafaat’ seperti Nabi Muhammad diberi penghormatan untuk ‘menyampaikan’ syafaat itu sahaja. Tapi keputusan siapakah yang akan mendapat syafaat itu bukan dari Nabi.

Kerana salah faham dengan hal syafaat ini jugalah yang menyebabkan masyarakat Islam pun jadi sesat. Mereka sangka, Nabi Muhammad boleh beri syafaat. Jadi, mereka minta syafaat kepada Nabi Muhammad sendiri. Padahal, Nabi bukan boleh menentukan siapakah yang boleh menerima syafaat. Nabi hanya ‘menyampaikan’ sahaja. Perbezaan ini yang susah untuk difahami oleh kebanyakan orang.

Surah ini adalah satu surah kegemaran Nabi Muhammad. Nabi selalu membacakan dalam rakaat pertama solat Subuh pada hari Jumaat. Dan pada rakaat kedua subuh pula, baginda akan membaca Surah Insan. Ini menunjukkan kepentingan surah ini kerana ianya dibaca pada hari yang mulia, iaitu Hari Jumaat.

Dan Nabi tidak tidur melainkan baginda akan membaca surah Sajdah dan Surah Mulk. Jadi, ini bermakna ada pengajaran yang penting dalam surah ini sampaikan Nabi mengamalkannya setiap hari.

Seeloknya surah ini dihafal supaya kita juga boleh mengamalkan sunnah Nabi membacanya pada subuh hari Jumaat dan membacanya setiap hari sebelum tidur. Ini adalah satu surah yang pendek. Jadi, mudah sahaja untuk dihafal. Jadikanlah ini sebagai satu projek yang mulia untuk diri anda.

Surah ini dinamakan Surah Sajdah kerana di dalamnya ada ayat tentang Sujud dan di dalamnya ada Ayat Sajdah di mana disunatkan untuk bersujud apabila kita membaca ayat itu.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro 1a. Allah memberitahu yang Al-Qur’an bukanlah rekaan manusia.

الم

Sahih International

Alif, Lam, Meem.

Malay

Alif, Laam Miim.

 

Ini dinamakan huruf-huruf muqatta’ah. Tidak diketahui apakah maknanya yang sebenar. Allah sahaja yang tahu. Ini kita telah sentuh dalam tafsir alif lam mim dalam Surah Baqarah.


 

Ayat 2:

تَنزيلُ الكِتٰبِ لا رَيبَ فيهِ مِن رَّبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

[This is] the revelation of the Book about which there is no doubt from the Lord of the worlds.

Malay

Diturunkan Al-Qur’an ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

تَنزِيلُ الْكِتٰبِ

Diturunkan Al-Qur’an ini,

Perkataan تَنزِيلُ yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat bahawa Al-Qur’an ini diturunkan berperingkat-peringkat dan tidak sekaligus. Penurunan Al-Qur’an ini kepada Nabi Muhammad secara beransur-ansur selama hampir 23 tahun.

Kalau dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain, semuanya telah diturunkan terus dengan lengkap seperti Injil dan Taurat. Seperti Kitab Taurat, diturunkan siap bertulis. Injil pula dikatakan terus dimasukkan ke dalam dada Nabi Isa a.s.

Kelebihan Al-Qur’an diturunkan berperingkat itu memberi peluang kepada para sahabat untuk benar-benar memahami dan mempraktikkan ayat-ayat Al-Qur’an itu sedikit demi sedikit.

Begitu juga kepada kita, kita dianjurkan untuk mempelajari ayat-ayat Al-Qur’an ini sedikit demi sedikit. Jangan kita terus nak habiskan belajar, sampaikan kita tidak memahami dengan benar-benar satu-satu ayat Al-Qur’an itu. Bersabarlah untuk memahaminya sedikit demi sedikit. Ianya akan memberikan lebih kefahaman yang mendalam.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

dengan tidak ada sebarang syak padanya,

Tidak ada keraguan dalam isi kandungnya. Tidak ada satu ayat pun yang meragukan. Yang ada ragu itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja.

Kita tidak perlu musykil dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an ini. Kalau buku dan kitab-kitab lain, ada kemungkinan ada yang tersalah ditulis kerana ianya ditulis oleh manusia. Tapi apabila kita menerima Al-Qur’an adalah ‘kalam Allah’, maka kita kena percaya dan terima bahawa tidak ada langsung kesalahan dalam Al-Qur’an.

Tambahan pula, Allah sendiri telah memberi jaminan bahawa Dia sendiri akan menjaga Al-Qur’an. Jadi, tidak ada yang boleh mengatakan bahawa ada kesalahan dalam Al-Qur’an ini. Berapa banyak cubaan untuk mengelirukan umat Islam dengan mengubah tulisan ayat Al-Qur’an itu dalam cetakan selama ini. Tapi ianya tidak berhasil kerana akan ada sahaja orang Islam yang dapat mengesannya dan memperbetulkan penulisan ayat Al-Qur’an itu.

 

مِن رَّبِّ الْعٰلَمِينَ

dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Al-Qur’an ini bukan dari sesiapa melainkan dari Allah, Tuhan sekalian alam. Tidak syak lagi ianya diturunkan oleh Allah. Jadi, Al-Qur’an ini adalah ‘kalam’ dari Allah. Bukan sihir, bukan puisi.

Maka, apabila ianya dari Allah, Tuhan kita, janganlah kita ambil mudah sahaja. Hendaklah kita mempelajarinya dengan sepenuhnya. Jangan kita buat tak endah sahaja. Jangan kita hanya tahu membaca sahaja tanpa memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Allah. Jangan kita letak sahaja di almari di rumah kita.

Tapi, Musyrikin Mekah tidak percaya yang Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah. Inilah yang disentuh dalam ayat seterusnya. Mereka kata Nabi Muhammad yang tulis Al-Qur’an itu. Mereka kata ianya adalah kisah-kisah dongeng dahulukala sahaja yang tidak ada kebenaran. Jadi, ayat ini menekankan bahawa Al-Qur’an itu adalah kalam Allah.


 

Ayat 3: Ayat Syikayah.

أَم يَقولونَ افتَرٰهُ ۚ بَل هُوَ الحَقُّ مِن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَومًا مّا أَتٰهُم مِّن نَّذيرٍ مِّن قَبلِكَ لَعَلَّهُم يَهتَدونَ

Sahih International

Or do they say, “He invented it”? Rather, it is the truth from your Lord, [O Muhammad], that you may warn a people to whom no warner has come before you [so] perhaps they will be guided.

Malay

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an menurut rekaannya”. (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Qur’an ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرٰهُ

Atau mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Qur’an”.

Ini adalah tuduhan puak Musyrikin Mekah. Mereka kata Al-Qur’an itu adalah hasil tulisan dari Nabi Muhammad sendiri. Kalimah أَمْ digunakan dalam ayat ini untuk menunjukkan ketakjuban yang bermaksud: “sanggup mereka kata begitu?”, “Berani mereka kata begitu?”

Begitu juga zaman sekarang, ramai pihak yang masih lagi mengatakan yang Al-Qur’an itu adalah tulisan dari Nabi Muhammad. Atau mereka kata ianya adalah cedokan dari kitab-kitab yang terdahulu. Pendek kata, mereka tidak mahu terima yang ianya adalah dari Allah.

Tuduhan Al-Qur’an itu dari tulisan Nabi Muhammad adalah amat lemah. Kerana mereka sendiri kenal baginda dan tahu bahawa baginda tidak pernah menipu. Bagindalah orang yang paling dipercayai di Mekah sampaikan baginda digelar al-Amin.

Mereka juga tahu gaya bahasa baginda dan mereka tahu yang Al-Qur’an ini bahasanya lain dari bahasa biasa yang baginda gunakan. Maka mana mungkin ianya dari baginda?

Mereka juga sudah perasan bagaimana bahasa yang digunakan di dalam Al-Qur’an itu adalah bahasa yang amat tinggi. Sampaikan ahli syair dan pujangga mereka yang paling hebat pun tidak dapat tiru. Maka ianya bukanlah bahasa manusia, tapi bahawa dari Tuhan.

Mereka juga tahu bahawa tiada apa tujuan keduniaan yang Nabi Muhammad mahukan dengan menyampaikan Al-Qur’an itu kepada mereka. Baginda tidak pernah minta upah, baginda tidak pernah minta kedudukan untuk jadi raja dan sebagainya.

 

بَلْ هُوَ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ

bahkan Al-Qur’an ialah perkara yang benar dari Tuhanmu,

Allah tekankan balik bahawa Al-Qur’an itu adalah dari Allah. Bukan dari manusia, bukan dari Jin, bukan dari Malaikat. Ianya dari Allah. Bukan rekaan Nabi Muhammad. Hujah yang mengatakan ia bukan dari Rasulullah sudah disebut.

Ianya pasti dari Allah kerana bahasa yang digunakan amat indah. Dan mereka sendiri boleh lihat kesan wahyu itu kepada manusia yang mendengarnya. Maka perkara sebegini tidak mungkin dari tulisan manusia. Melainkan ianya pasti dari Allah.

 

لِتُنذِرَ قَوْمًا

supaya engkau memberi amaran kepada kaum

Tujuan Al-Qur’an itu adalah untuk memberi ancaman. Ancaman itu diberikan kepada mereka yang tidak mahu terima isi kandung Al-Qur’an itu. Arahan yang pertama diberikan kepada Nabi dan sekarang kita yang baca Al-Qur’an ini, arahan itu sudah turun kepada kita. Nabi diarahkan untuk memberi peringatan kepada kaumnya, iaitu bangsa Arab.

Kita pun kena gunakan Al-Qur’an ini untuk beri ancaman kepada mereka yang engkar. Iaitu kepada masyarakat kita, sama ada Muslim atau tidak. Ingatlah bahawa Al-Qur’an ini bukan hanya untuk orang Islam sahaja, tapi untuk seluruh manusia.

Jadi, apakah yang kita telah buat untuk menyampaikan ayat Al-Qur’an ini kepada manusia sejagat? Adakah kita telah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an ini kepada kawan kita yang berbangsa India, yang Cina dan yang Asli?

 

مَّا أَتٰهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ

yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi amaran sebelummu,

Ancaman itu diberikan kepada mereka yang tidak pernah diberikan amaran sebelum itu. Iaitu yang pertama sekali adalah bangsa Arab. Kaum Arab sudah lama tidak mendapat Rasul, jadi mereka sudah lama tidak mendapat peringatan dan ancaman dari wahyu. Maka, mereka telah lama sesat. Mereka dulu ada dapat Nabi, seperti Nabi Shuaib, Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Tapi itu adalah lama dulu. Nabi Ibrahim 2,500 tahun sebelum mereka dan Nabi Shuaib 2,000 tahun sebelum mereka. Selepas itu tidak ada lagi Nabi di tanah Arab. Dibandingkan dengan Bani Israil yang banyak diturunkan Rasul dan Nabi dalam kalangan mereka. Jadi, tidaklah mereka tidak ada Nabi dan Rasul langsung, tapi kerana lama sangat, seolah-olah tidak ada.

Sama juga dengan orang kita. Kita adalah kaum yang tidak ada Nabi dan Rasul. Cuma kita ada pendakwah yang menyampaikan Al-Qur’an kepada kita. Oleh itu, jangan kita sangka bahawa Al-Qur’an itu hanya untuk bangsa Arab sahaja. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa Al-Qur’an ini adalah untuk semua manusia.

Masyarakat kita juga termasuk dalam kalangan mereka yang ‘tidak didatangi pemberi ancaman’ juga seperti bangsa Arab. Kerana walaupun masyarakat Islam kita telah lama mengenali Al-Qur’an, tapi mereka tidak pernah diberi ‘ancaman’ dengan ayat Al-Qur’an. Ada yang tak tahu pun apakah makna ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ada yang hanya tahu baca sahaja.

Itu pun nasib baik mereka baca. Masih banyak masyarakat Islam kita yang tak tahu baca Al-Qur’an pun. Tergagap apabila mereka membacanya. Kalau baca pun tidak tahu, apatah lagi untuk memahami apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an itu? Ini adalah kerana masyarakat Islam kita telah lama tidak mengendahkan ajaran Al-Qur’an. Semoga kita dapat mengubahnya dengan memberikan cara yang mudah untuk memahami Al-Qur’an ini.

Tujuan Al-Qur’an adalah untuk memberi ancaman. Dan ancaman yang paling penting adalah Hari Kiamat. Ianya adalah hari yang besar. Ianya adalah sesuatu yang amat menakutkan kita. Kita tidak pasti di manakah kita akan berada. Dalam kalangan orang beriman atau orang yang malang.

Mungkin timbul persoalan: bagaimana pula dengan masyarakat Arab yang mengamalkan amalan syirik itu kerana mereka sudah lama tidak dapat wahyu dari para Nabi? Tidakkah mereka itu dikatakan sebagai ‘ahlul fitrah’ di mana mereka tidak berdosa? Persoalan ini selalu dibincangkan. Antaranya ada yang mengatakan ibu dan bapa Rasulullah juga adalah ahlul fitrah maka mereka itu juga ahli syurga.

Untuk menjawabnya, kita kena tahu keadaan waktu itu. Bukanlah semua mereka itu mengamalkan syirik. Masih tetap ada yang tidak bersetuju dengan amalan syirik yang diamalkan oleh majoriti masyarakat Arab waktu itu. Maka tidaklah boleh kita kata semua orang amalkan syirik. Kerana masih ada lagi saki baki ajaran dari Nabi-nabi terdahulu. Dan ajaran dari Nabi-nabi terdahulu itu adalah ajaran tauhid, bukannya syirik.

Dan bukanlah langsung tidak ada ajaran tauhid. Ini kerana masih ada lagi para Nabi dari kalangan Bani Israil yang jangkamasa mereka tidaklah jauh dari mereka. Kita pun kenal Waraqah Naufal, iaitu bapa saudara Khadijah RA yang menganut fahaman tauhid. Maka mereka itu bagaimana? Jadi kalau ada yang mengamalkan syirik, itu adalah salah mereka sendiri kerana mereka salah pilih. Mereka ikut sahaja majoriti amalan masyarakat waktu itu.

 

لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ

mudah-mudahan mereka beroleh hidayah.

Semoga dengan peringatan wahyu yang diberikan kepada mereka, ada manusia yang akan terpimpin. Iaitu semoga mereka beribadat kepada Allah sahaja, berdoa kepada Allah sahaja. Supaya dengan menerima wahyu Al-Qur’an itu mereka sembah Allah sahaja – tidak sembah ilah-ilah yang lain.

Inilah tujuan Al-Qur’an ini diturunkan. Jadi, untuk mendapatkan hidayah ini memerlukan kita faham ajaran Al-Qur’an. Marilah kita meningkatkan usaha dan meluangkan masa mempelajari tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 4: Ayat 4 – 6 adalah Perenggan Makro 1b. Perenggan ini menegaskan yang Allah sebagai Pencipta dan Pelindung. Dia mengatur urusan langit dan bumi dari atas Arasy. Dia Maha Tahu, Perkasa dan Penyayang.

اللهُ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ ۖ ما لَكُم مِّن دونِهِ مِن وَلِيٍّ وَلا شَفيعٍ ۚ أَفَلا تَتَذَكَّرونَ

Sahih International

It is Allah who created the heavens and the earth and whatever is between them in six days; then He established Himself above the Throne. You have not besides Him any protector or any intercessor; so will you not be reminded?

Malay

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

 

اللهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Allahlah yang menciptakan langit dan bumi

Allah menyebut qudratNya yang telah mencipta alam ini yang kita duduk di dalamnya. Seolah-olah Allah nak perli: kalau tak mahu nak taat kepadaNya, maka carilah alam lain untuk diduduki.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya

Bukan sahaja langit dan bumi ini Allah cipta, tapi apa sahaja di antaranya. Apa sahaja makhluk yang ada di langit, bumi dan di antaranya. Banyak lagi makhluk ciptaan Allah yang kita tidak tahu.

Allah memperkenalkan DiriNya dalam ayat ini. Allah bukan calang-calang entiti. Dia adalah Tuhan yang menjadikan segala alam ini. Jadi, apabila Dia sudah turunkan Al-Qur’an, adakah kita nak buat biasa sahaja dengannya? Nak baca sahaja, dan kemudian letak di almari sahaja? Tidakkah kita mahu memahami apa yang Allah hendak sampaikan?

 

فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

dalam enam masa,

Allah telah mencipta alam ini dalam ‘enam masa’. Allah boleh sahaja ciptakan dunia ini dalam sekelip mata. Kerana Allah boleh mencipta dengan berkata ‘kun’ sahaja. Tapi, Allah nak tunjukkan kepada kita, kalau kita hendak melakukan sesuatu yang penting, kita kena ambil masa. Kita kena ada perancangan yang mantap.

Lihatlah bagaimana Allah merancang sesuatu. Perancangan Allah maha tinggi. Maka, begitulah juga untuk KalamNya. Takkan KalamNya sendiri Allah buat dengan cara biasa sahaja.

 

ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ

kemudian Dia bersemayam di atas Arasy;

Ini adalah salah satu contoh ayat Mustashabihat. Kita tidak faham apakah maknanya. Jangan kita mempersoalkan bagaimana Allah bersemayam di Arasy. Jangan kita tanya ‘bagaimana’ cara Allah bersemayam itu.

Ramai yang sesat disebabkan perbezaan fahaman tentang ayat ini. Ada yang sampai sanggup mengatakan Allah ‘ada di mana-mana’. Ada juga yang lagi teruk mengatakan Allah ‘wujud tanpa bertempat’. Itu semua adalah faham yang salah, yang menolak ayat-ayat Al-Qur’an.

Malangnya perkara ini digunakan sebagai hujah untuk mengkafirkan orang lain. Maka berpecahlah umat Islam negara ini hanya kerana kedudukan Allah di Arasy ini sahaja. Ini adalah perkelahian orang-orang bodoh sahaja.

Kita sebagai penerima sunnah, tidak mempersoalkan kedudukan Allah di Arasy. Kerana Allah sendiri yang kata begitu. Kita kena terima tanpa soal. Juga tanpa ada takwil apa-apa. Tidaklah kita boleh mengubah perkataan ‘istiwa’ itu dengan perkataan lain. Kerana Nabi tidak pernah menafsirkan ayat ini. Kita terima istiwa Allah itu sesuai dengan kehebatanNya.

Dalam bahasa Melayu tidak ada terjemahan perkataan اسْتَوَىٰ itu. Kalau bahasa biasa, ia bermaksud ‘duduk’. Jadi, yang paling dekat kita boleh katakan adalah menggunakan perkataan ‘semayam’. Itu sahaja yang boleh kita katakan. Bagaimana kedudukan Allah itu, tidak layak untuk kita mempersoalkan.

Ini adalah salah satu perkara yang akal kita tidak akan mampu untuk memahaminya. Kita kena terima bahawa tidak salah kalau kita tidak tahu mengenainya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

 

مَا لَكُم مِّن دُونِهِ مِن وَلِيٍّ

kamu tidak akan beroleh selain dari Allah, sebarang penolong

Ini adalah DAKWA SURAH ini.

Oleh kerana Dia sahaja yang menjadikan segala alam ini, maka hanya Dia sahaja yang boleh menolong dan melindungi kita. Kalau Allah tak tolong kita, tidak jadi pelindung kita, maka habislah kita. Kerana tidak ada lagi yang dapat menolong kita melainkan Allah sahaja.

Kalimah وَلِيٍّ bermaksud mereka yang boleh menolong kita, yang rapat dengan kita. Allahlah sahaja وَلِيٍّ kita. Kalau Allah bukan وَلِيٍّ kita, maka tidak ada peluang untuk kita untuk selamat.

 

وَلَا شَفِيعٍ

dan juga tidak ada pemberi syafaat

Tidak ada yang boleh beri syafaat melainkan Allah sahaja. Kekeliruan inilah yang menyebabkan berapa ramai yang sesat. Oleh kerana mereka sangka ada yang selain Allah boleh beri syafaat, maka mereka telah memuja-muja entiti lain yang mereka sangka boleh beri pertolongan kepada mereka. Padahal, dalam ayat ini, jelas menyatakan yang Allah sahaja yang boleh beri syafaat.

Mereka salah faham dengan hadis yang mengatakan Nabi akan memberi syafaat. Hendaklah kita faham bahawa Nabi Muhammad tidak boleh menentukan siapa yang boleh dapat syafaat itu. Baginda hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat kepada mereka yang layak.

Maka kalau kita tidak layak menerima syafaat, bagaimana hebat pun kita minta kepada baginda, bagaimana hebat pun kita puji dan puja baginda, baginda tidak dapat memberinya kepada kita. Syafaat hanya akan diberikan kepada mereka yang mengamalkan tauhid dan tidak melakukan syirik.

Kesesatan yang sedang berleluasa sekarang adalah bagaimana ada pihak yang mengajar manusia untuk meminta syafaat terus kepada Nabi. Ini adalah satu perbuatan yang syirik. Kerana Nabi telah wafat dan tidak mendengar seruan kita. Yang Maha Mendengar hanyalah Allah sahaja. Inilah yang diajar oleh Puak Habib yang sesat itu.

Kalau kita seru baginda dan minta syafaat kepada baginda, bermakna kita sedang menyatakan yang Nabi mendengar seruan kita itu. Padahal Nabi tidak ada bersama kita. Kita telah memberikan satu sifat Allah kepada Nabi Muhammad kalau kita buat begitu. Itu adalah satu perbuatan yang syirik.

Keduanya, kalau kita minta syafaat kepada baginda, ini juga syirik. Kerana memberikan satu kedudukan Allah kepada Nabi Muhammad. Ingatlah yang Allah sahaja pemberi syafaat. Nabi Muhammad dan selain dari baginda, hanya ‘penyampai’ syafaat sahaja.

Syafaat hanya akan diberikan kepada mereka yang tidak melakukan syirik sahaja. Kalau kita ada buat perkara syirik, tidak ada harapan langsung untuk mendapat syafaat. Lihatlah ironinya mereka yang meminta syafaat kepada Nabi. Mereka melakukan satu perkara yang menidakkan peluang mereka untuk mendapatkan syafaat itu langsung.

 

أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

oleh itu mengapa kamu tidak berfikir?

Apakah yang perlu kita fikirkan? Iaitu tidak ada lagi pertolongan melainkan dari Allah. Jadi, kenapa kita mengharap pertolongan dan وَلِيٍّ dari entiti lain? Ada yang mengharapkan syafaat dari orang lain. Ada yang minta syafaat dari Nabi Muhammad, dari mereka yang mereka anggap wali seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani dan sebagainya.

Jadi, kita kena betulkan iman kita untuk mengharap kepada Allah sahaja. Dengan sepenuh hati kita. Kita kena lebihkan Allah dalam setiap perkara. Kena lebihkan arahan Allah daripada arahan manusia. Kena taat hanya kepada Allah sahaja.

Kalau kita mengharapkan pertolongan dan syafaat dari Allah, maka hendaklah kita taat kepada Allah. Hendaklah kita merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apabila kita rapat dengan Allah, barulah semakin cerah harapan kita untuk mendapat syafaat itu.


 

Ayat 5:

يُدَبِّرُ الأَمرَ مِنَ السَّماءِ إِلَى الأَرضِ ثُمَّ يَعرُجُ إِلَيهِ في يَومٍ كانَ مِقدارُهُ أَلفَ سَنَةٍ مِّمّا تَعُدّونَ

Sahih International

He arranges [each] matter from the heaven to the earth; then it will ascend to Him in a Day, the extent of which is a thousand years of those which you count.

Malay

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Dia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang) seribu tahun bilangan menurut hitungan masa kamu yang biasa.

 

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ

Allah mentadbir dari langit ke bumi;

Allahlah yang mengurus alam ini dari langit. Allah tidak perlu turun ke bumi untuk mengurus alam ini. Allah mengurus segala urusan, satu persatu-satu. Allah buat keputusan itu di Arasy dan dijalankan di alam bawah. Allah mengurus dari langit sampai ke bumi. Dari perkataan يُدَبِّرُ ini kita gunakan juga dalam bahasa kita: Tadbir.

Maka, Allah bukan sahaja mencipta alam ini, tapi Allah juga seorang mudabbir (pentadbir). Perbuatan itu dipanggil ‘tadbir’. Ianya datang dari perkataan د ب ر dari kata dasar yang bermaksud ‘belakang’. Ayat ini bermaksud ‘memikirkan sesuatu sambil memikirkan tentang hujung sesuatu perkara’ – iaitu apa yang akan terjadi ‘belakang’ hari. Iaitu memikirkan apakah kesannya dari satu-satu perbuatan itu.

Kita kena bayangkan apa yang kita hendak sebelum kita mulakan. Seperti yang diajar oleh Stephen Covey dalam bukunya 7 Habits of Highly Effective Man – Begin with the end in mind. Mereka yang sebegitu akan tersusun apa yang mereka lakukan. Dan mereka akan dapat apa yang mereka usahakan dengan izin Allah.

Ini mengajar kita bagaimana merancang sesuatu perkara. Ada orang yang langsung tak fikirkan apakah kesan dari perbuatannya. Apabila mereka begitu, mereka tidak ada hala tujuan. Tidak ada tujuan yang hendak dicapai. Mereka tidak akan dapat mencapai apa-apa akhirnya.

Begitu hebat perancangan dan pentadbiran Allah. Dari langit sampai ke alam bumi boleh ditadbiri oleh Allah sendiri sahaja. Semuanya tidak akan berlaku tanpa pengetahuanNya. Semuanya telah dirancang oleh Allah. Tujuan kita hidup di dunia ini juga telah dirancang oleh Allah. Kita semua adalah dalam perancangan Allah.

Dalam kita mentadbir kehidupan kita, kita kena ingat ada perkara yang kita lakukan untuk dunia, dan ada juga untuk akhirat. Jangan kita terlupa tentang akhirat kita. Itulah penghujung yang pasti kita akan sampai. Tadi telah disebut bahawa tadbir itu memikirkan hujung sesuatu perkara. Maka hujung kehidupan kita adalah bermulanya akhirat, bukan?

Kebanyakan orang hanya memikirkan tentang hal dunia sahaja, tentang apa baju mereka nak pakai esok, tentang apa yang mereka hendak makan esok, tentang pekerjaan mereka yang tidak habis-habis dan sebagainya. Terlalu sibuk mereka dengan hal keduniaan. Tapi mereka lupa yang mereka sedang menuju kepada akhirat. Tentang hal dunia, sibuk mereka merancang, tapi tentang hal akhirat, mereka buat tak endah sahaja.

Kalimah الْأَمْرَ adalah apa sahaja keputusan yang melibatkan semua makhluk. Hujan, panas, sejuk, lahir, mati, segala-segalanya. Sebagai contoh, kalau kita rasa hari ini panas, kita kena ingat yang Allah yang jadikan hari ini hangat. Apabila hujan turun, hujan itu diturunkan oleh Allah. Apabila ada yang mati, yang hidup, semua itu adalah atas kehendak Allah. Apa-apa sahaja yang terjadi dalam alam ini, semuanya adalah dalam pentadbiran Allah.

 

ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ

kemudian diangkat naik kepadaNya dalam masa ‘sehari’,

Selepas الْأَمْرَ Allah dijalankan, ianya kemudian akan diangkat naik kepadaNya pada suatu hari – kerana perkataan يَوْمٍ bermaksud ‘sehari’. Malaikat membawa naik setiap hari dua kali – waktu subuh dan Asar. Ianya seperti satu laporan yang disampaikan kepada Allah oleh para Malaikat.

Mereka membawa ibadat-ibadat yang kita buat. Mereka menyampaikan semua sekali yang terjadi. Perumpamaannya adalah kalau kita beri arahan kepada pekerja kita untuk melakukan sesuatu kerja, selepas dia selesai melakukan kerja itu, tentu kita mahu dia melaporkan kepada kita tentang apa yang terjadi.

Bukan Allah tidak tahu apa yang kita buat. Kalau malaikat tak beritahu pun, Allah Maha Tahu. Tapi Allah nak tunjuk cara pengurusan. Ianya kena satu sistem yang lengkap: Rancang – jalankan rancangan – laporan.

Sistem ini menunjukkan kekuasaan dan kehebatan Allah. Allah sendiri yang uruskan alam ini. Bayangkan, kalau sesuatu projek itu besar, kita akan lantik konsultan yang pandai untuk merancang dan menjalankan kerja. Sekarang lihatlah bahawa Allah sendiri yang urus alam ini. Tentulah ini menunjukkan yang alam ini dan kita di dalamnya adalah penting kerana Allah sendiri yang menguruskan kita.

Kita tidak akan mampu hendak memikirkan apakah kerja yang Allah lakukan. Terlalu banyak perkara yang berlaku pada satu-satu masa.

Seperti yang kita telah sebut, terjemahan يَوْمٍ dalam bahasa asal adalah ‘sehari’. Tapi bukanlah sehari seperti yang kita faham. Lihat dalam bahagian ayat ini seterusnya:

 

كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ

yang kadar lamanya selama seribu tahun

Masa yang diambil untuk malaikat naik untuk menyampaikan laporan itu mengambil ‘satu hari’. Satu hari itu pada perkiraan yang sebenar adalah seribu tahun. Kerana, tentulah tidak sama ‘sehari’ kita dalam dunia dengan ‘sehari’ di tempat lain.

‘Sehari’ dalam perkiraan di bumi adalah satu pusingan bumi di atas paksinya. Tapi, bagaimana pula kalau kita berada di Planet Marikh? Tentu ‘sehari’ di sana tidak sama dengan ‘sehari’ kita di bumi, kerana Marikh akan mengambil masa yang lebih lama untuk berpusing di atas paksinya. Jadi, masa sehari adalah subjektif.

Maka, Allah memberikan kadar perkiraan yang dimaksudkan dengan ‘sehari’ itu. Iaitu kalau kita kira dengan ‘hari’ kita di dunia, ianya mengambil masa selama seribu tahun. Oleh itu, dari ayat ini, kita boleh buat perumpamaan bahasa, ‘sehari’ yang sebenarnya adalah ‘seribu tahun’ dalam perkiraan kita.

Oleh itu, malaikat yang naik ke langit untuk memberi laporan kepada Allah mengambil masa seribu tahun lamanya. Maknanya, kalau malaikat yang naik itu nak turun semula, kita sudah lama mati. Oleh itu, tidak dapat kita bayangkan pengurusan Allah taala. Dan tidak perlu kita fikirkan. Kerana akal fikiran kita tentu tidak dapat mencapai pemahaman yang sebenarnya.

Tapi menurut Mujahid, Qatadah, dan Ad-Dahhak mengatakan bahawa jarak yang ditempuh oleh malaikat yang turun ke bumi adalah lima ratus tahun. Begitu pula naiknya sama dengan perjalanan lima ratus tahun, tetapi malaikat dapat menempuhnya sekejap mata.

Kita pun bukannya nampak bagaimana malaikat itu menjalankan tugas mereka terhadap kita. Mereka datang dan pergi tanpa kita perasan mereka telah menjalankan tugas mereka. Tidaklah macam jururawat di hospital yang selalu sahaja mengacau kita semasa menjaga kita dalam wad. Mereka akan kejutkan kita dari tidur untuk ambil darah, ambil tekanan darah, bagi makan ubat dan sebagainya sampai menyebabkan kita pula susah nak berehat.

Tapi, Malaikat yang ditugaskan menjaga kita, kita langsung tak perasan mereka buat kerja. Senyap-senyap sahaja buat kerja dan selesai tanpa kita tahu pun. Maka kita bersyukur kepada Allah atas urusanNya yang maha hebat itu. Semuanya berjalan dengan sempurna.

Tidak disebut bahawa yang buat kerja ini dalam ayat ini adalah ‘malaikat’. Tapi kita dapat tahu dari Ma’arij:4.

تَعرُجُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ إِلَيهِ في يَومٍ كانَ مِقدارُهُ خَمسينَ أَلفَ سَنَةٍ

Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun.

Dari ayat Ma’arij ini kita dapat tahu bahawa malaikatlah yang melakukan segala perintah Allah itu. Tapi dalam ayat itu, disebut bahawa ‘sehari’ itu dalam kadar ‘lima puluh ribu tahun’ pula.

Kita tidak pasti kenapa ada beza waktu. Mungkin jarak untuk dibawakan maklumat itu tidak sama sentiasa. Ada masanya, mereka perlu pergi lebih jauh lagi yang masanya mengambil masa yang lebih lama. Allahu a’lam. Hanya Allah sahaja yang tahu apakah maksudnya. Kita hanya perlu beriman sahaja dengan apa yang disampaikan kepada kita.

Dengan kita tahu ayat ini, kita dapat memikirkan apakah yang Allah telah lakukan untuk kita. Supaya kita dapat bersyukur kepada Allah. Kerana alam ini dan segalanya dijadikan untuk kita. Kita adalah makhluk yang diberikan dengan berbagai-bagai kemudahan dalam alam ini dan ianya semuanya adalah untuk kita.

 

مِّمَّا تَعُدُّونَ

menurut hitungan masa kamu.

Hari kita dan hari pada Allah tidak sama. Maka, perkara yang mengambil seribu tahun untuk kita buat, malaikat boleh lakukan dalam masa sehari sahaja. Begitu cepatnya mereka menjalankan kerja.

Maka, ini mengajar kita supaya jangan buang masa. Kita kena lakukan kerja kita dengan sebaik mungkin. Semasa kita membaca ayat ini di malam hari sebelum tidur (seperti yang dilakukan oleh Nabi kita), maka kita sepatutnya bertanya kepada diri kita: apakah yang kita telah buat pada hari itu?

Selalunya ini dinamakan muhaasabah diri. Kita menghisab diri kita sendiri sebelum dihisab oleh Allah. Apakah agaknya laporan yang malaikat bawa kepada Allah? Tentu kita malu kalau perbuatan kita hanya membuang masa dan melakukan dosa sahaja.

Satu lagi maksud yang kita boleh ambil dari ayat ini: Musyrikin Mekah mengejek Nabi kerana azab yang dijanjikan tidak datang pun lagi. Mereka ejek: “mana dia azab itu?” Mereka kata: Patutnya mereka sudah lama kena azab kerana mereka telah bertahun-tahun menolak dan mengejek baginda. Tapi tak datang-datang lagi pun azab kepada mereka.

Maka Allah beritahu, mereka sangka masa itu seperti masa duniakah? Mereka sangka masa mereka adalah sama dengan masa Allahkah? Mereka tidak tahu yang pada mereka, mereka telah lama mengerjakan kezaliman, tapi pada Allah masa itu sekejap sahaja. Allah tetap akan kenakan mereka dengan azab, tapi tidaklah dalam masa yang mereka jangkakan. Kerana pengiraan masa mereka tidak sama dengan pengiraan masa Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Taimiyyah Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rahman Ayat 68 – 78 (Allah yang Maha Berkat)

Ayat 68:

فيهِما فاكِهَةٌ وَنَخلٌ وَرُمّانٌ

Sahih International

In both of them are fruit and palm trees and pomegranates.

Malay

Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,

فِيهِمَا فَاكِهَةٌ

Pada keduanya juga terdapat buah-buahan,

Allah menggunakan contoh buah-buahan kerana orang Arab amat suka kepada buahan. Mereka tinggal di kawasan padang pasir yang tidak banyak buah-buahan. Jadi, ianya adalah satu nikmat yang amat besar bagi mereka. Sampaikan kalau mereka makan buah-buahan, mereka akan tersenyum. Dan kerana itulah lafaz fakihah digunakan yang dari segi literal bermaksud ‘gembira’.

 

وَنَخْلٌ

serta pohon-pohon kurma

Contoh pohon kurma digunakan kerana bangsa Arab banyak makan kurma. Ianya adalah makan ruji bagi mereka.

 

وَرُمَّانٌ

dan delima,

Dalam syurga sebelum ini pun telah disebut ada buah juga. Tapi kali ini Allah spesifik menyebut dua jenis buahan. Disebut dua jenis buah ini kerana ianya adalah jenis buah yang biasa kepada masyarakat Arab. Ianya juga adalah buah kegemaran mereka.

Kenapakah disebut perkara yang spesifik kepada bangsa Arab pula? Kerana Al-Qur’an mula disampaikan kepada mereka. Kerana merekalah yang mula-mula beriman dengan Nabi. Merekalah yang mula-mula berkorban dalam Islam. Merekalah yang mula-mula berdakwah kepada Islam. Merekalah golongan yang ‘mula-mula’ – musaabiqoon. Ayat-ayat sebegini adalah sebagai penghormatan kepada mereka. Kerana disebut buah yang jadi kegemaran mereka.

Lihat bagaimana Allah angkat kedudukan mereka. Tapi golongan Syiah yang tak tahu Islam, telah mengatakan merekalah manusia paling jahat. Syiah kata ramai dari kalangan sahabat telah murtad selepas kewafatan Nabi.

Pernah orang Yahudi bertanya Nabi tentang buah-buahan dalam syurga:

قَالَ عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ عَبْدِ الْحَمِيدِ، حَدَّثَنَا حُصَيْنُ بْنُ عُمَرَ، حَدَّثَنَا مُخَارِقٌ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: جَاءَ أُنَاسٌ مِنَ الْيَهُودِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: يَا مُحَمَّدُ، أَفِي الْجَنَّةِ فَاكِهَةٌ؟ قَالَ: “نَعَمْ، فِيهَا فَاكِهَةٌ وَنَخْلٌ وَرُمَّانٌ”. قَالُوا: أَفَيَأْكَلُونَ كَمَا يَأْكُلُونَ فِي الدُّنْيَا؟ قَالَ: “نَعَمْ وَأَضْعَافٌ”. قَالُوا: فَيَقْضُونَ الْحَوَائِجَ؟ قَالَ: “لَا وَلَكِنَّهُمْ يَعْرَقُونَ وَيَرْشَحُونَ، فَيُذْهِبُ اللَّهُ مَا فِي بطونهم من أذى”

Abdu ibnu Humaid mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Abdul Hamid, telah menceritakan kepada kami Husain ibnu Umar, telah menceritakan kepada kami Mukhariq, dari Tariq ibnu Sahl, dari Syihab, dari Umar ibnul Khattab yang menceritakan bahawa pernah beberapa orang Yahudi datang kepada Rasulullah Saw., lalu mereka bertanya, “Hai Muhammad, apakah di dalam syurga terdapat buah-buahan?” Rasulullah Saw. menjawab: Ya. di dalam syurga terdapat buah-buahan, dan buah kurma serta buah delima. Mereka bertanya, “Apakah mereka (penghuni syurga) makan sebagaimana penduduk dunia makan?” Rasulullah Saw. menjawab: Ya. dan berkali-kali ganda banyaknya. Mereka bertanya, “Kalau begitu, mereka menunaikan hajatnya pula (buang air besar dan air kecil)?” Rasulullah Saw. menjawab: Tidak, tetapi mereka hanya berkeringat dan beringus, maka Allah melenyapkan gangguan yang ada pada perut mereka.


 

Ayat 69:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka nikmat dari Allah yang manakah yang kamu hendak dustakan? Tidak pernah berhenti nikmat yang Allah telah berikan. Kenapa kamu tidak menilainya dan menjadi taat kepada Allah? Supaya kamu boleh dapat menikmati semua yang disebut nikmat dalam surah ini.


 

Ayat 70: Dalam syurga jenis ini juga ada bidadari.

فيهِنَّ خَيراتٌ حِسانٌ

Sahih International

In them are good and beautiful women –

Malay

Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;

 

Perkataan خَيْرَاتٌ bermaksud ‘pilihan yang tepat’. Sifat-sifat bidadari itu adalah sepertimana yang kita mahukan. Tidak ada yang tidak kena dengan mereka – mereka sempurna.

Sedangkan dalam dunia, ada sahaja benda yang kita tak suka dengan pasangan kita, tapi kerana kita sayang kepada mereka, kita tahan sahaja. Nak cari yang sempurna pun memang tidak ada berjumpa. Tapi dengan bidadari itu, semuanya sempurna. Tidak ada yang kurang pada pandangan mata kita.

Allah tambah lagi dengan perkataan حِسَانٌ yang membawa maksud ‘cantik’ dan ‘baik’. Sudahlah baik, cantik pula. Ini berlainan dengan kebiasaan wanita di dunia. Susah dua sifat itu untuk ada bersama. Selalunya kalau seseorang itu cantik, dia tidak baik, tidak molek akhlaknya. Dan kalau dia seorang yang baik, tidak cantik pula. Ini kita katakan ‘kebiasaan’ sahaja. Bukanlah semua orang wanita macam itu.

Yang disebut dalam ayat ini adalah bidadari juga tapi lain dari bidadari yang sebelum ini. Bidadari untuk golongan musaabbiqoon ini lebih hebat lagi.


 

Ayat 71:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Adakah nikmat dan kuasa Allah yang kamu hendak tolak? Kalau kamu tolak, maka tidak ada harapan untuk masuk ke syurga yang Allah sebut-sebut ini.


 

Ayat 72: Sifat bidadari itu lagi.

حورٌ مَقصوراتٌ فِي الخِيامِ

Sahih International

Fair ones reserved in pavilions –

Malay

Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;

حُورٌ مَّقْصُورَاتٌ

Iaitu bidadari-bidadari yang bermata cantik, yang hanya tinggal tetap

Perkataan حُورٌ digunakan untuk ‘perempuan cantik yang mempunyai mata yang mempesonakan’. Warna putih matanya amat beza dengan warna hitam – contrast yang jelas.

Mata sebegini memang cantik. Dalam syurga sebelum ini, disebut bidadari itu merendahkan pandangan mata mereka kerana malu-malu. Rupanya mata mereka amat cantik sekali. Memukau dan mempesona.

Kalimah مَّقْصُورَاتٌ bermaksud bidadari itu ‘menahan diri mereka’. Ia dari katadasar ق ص ر yang bermaksud terhad, menahan diri dalam lingkungan, taat. Mereka sekarang sedang menunggu sahaja tuan mereka untuk masuk syurga dan bersama dengan mereka.

Mereka dijadikan khas untuk ahli syurga. Diri mereka hanya untuk tuan mereka sahaja. Tidak berkongsi dengan orang lain. Orang lain pun tak dapat tengok. Dalam dunia moden sekarang, isteri kita pun kena keluar bekerja juga, keluar ke tempat awam juga dan orang lain pun nampak mereka juga. Tapi, sekali-sekala seorang isteri itu kenalah buat sesuatu yang khas sahaja untuk suaminya sahaja.

Perempuan dalam Islam boleh bekerja bila perlu. Tapi hendaklah mereka menjaga diri mereka. Mereka kena jaga pakaian mereka, cara bergaul dengan orang lain, cara berkomunikasi dengan orang lain, cara bergerak dan lain-lain lagi.

Perempuan dalam Islam ada karektor-karektor yang perlu ada. Wanita kita bukan seperti wanita-wanita agama lain. Wanita Islam boleh berkomunikasi dengan orang lain, boleh berfikir, berpelajaran tapi dalam masa yang sama, boleh menjaga watak mereka. Kena pandai berada di tengah-tengah.

 

فِي الْخِيَامِ

di tempat tinggal masing-masing;

Ia memberi isyarat yang para bidadari itu tersimpan tidak dibuka oleh sesiapa lagi. Tidak dilihat oleh sesiapa.

Kalimah الْخِيَامِ bermaksud ‘khemah’. Ini adalah kegemaran bangsa Arab. Mereka suka tinggal dalam khemah. Kalau mereka mengembara, mereka akan gunakan khemah sebagai tempat tinggal mereka yang sementara. Dan kalau Arab Badwi, mereka memang tinggal dalam khemah pun.

Tapi khemah dalam syurga bukanlah khemah biasa. Ada hadis tentang perkara ini:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ الصَّمَدِ، حَدَّثَنَا أَبُو عِمْرَانَ الْجَوْنِيُّ، عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ قَيْسٍ، عَنْ أَبِيهِ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم قال: “إِنَّ فِي الْجَنَّةِ خَيْمَةً مِنْ لُؤْلُؤَةٍ مُجَوَّفَةٍ، عَرْضُهَا سِتُّونَ مِيلًا فِي كُلِّ زَاوِيَةٍ مِنْهَا أهلٌ مَا يَرون الْآخَرِينَ، يَطُوفُ عَلَيْهِمُ الْمُؤْمِنُونَ”.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Musanna. telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Abdussamad, telah menceritakan kepada kami Abu Imran Al-Juni, dari Abu Bakar ibnu Abdullah ibnu Qais, dari ayahnya, bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat khemah (rumah) yang terbuat dari mutiara yang dilubangi, besarnya sama dengan jarak enam puluh batu, pada tiap-tiap sudut khemah itu ada penghuninya (yakni para bidadari) yang satu sama lainnya tidak saling melihat, dan orang-orang mukmin berkeliling menggilir mereka.

Imam Bukhari telah meriwayatkannya pula melalui hadis Abu Imran dengan sanad yang sama, dan disebutkan bahawa luas khemah itu adalah tiga puluh batu.


 

Ayat 73:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Sudah banyak nikmat-nikmat yang Allah janjikan dalam syurga. Tidakkah kamu teringin untuk menerimanya? Maka kenalah beramal di dunia dengan amalan ahli syurga.


 

Ayat 74: Sifat bidadari itu lagi.

لَم يَطمِثهُنَّ إِنسٌ قَبلَهُم وَلا جانٌّ

Sahih International

Untouched before them by man or jinni –

Malay

(Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;

لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ

(Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia

Kita sebagai lelaki, memang suka kalau bakal isteri kita tidak disentuh oleh lelaki lain. Itulah sebabnya Allah sebut sebegini dalam ayat ini.

 

وَلَا جَانٌّ

dan tidak juga oleh jin;

Surah ini banyak menyebut tentang jin secara tidak langsung. Makna surah ini khitab kepada jin juga. Oleh itu, selepas disebut tentang manusia, maka disebut tentang jin pula. Kerana jin-jin juga akan masuk ke dalam syurga dan mereka akan diberi dengan bidadari dari kalangan mereka juga. Bidadari mereka juga tidak sentuh oleh jin-jin lain sebelum mereka.


 

Ayat 75:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Begitu banyak nikmat yang Allah janjikan, maka kena simpan niat untuk masuk syurga dan menikmati segala nikmat yang Allah janjikan itu.


 

Ayat 76: Keadaan ahli syurga di dalamnya.

مُتَّكِئينَ عَلىٰ رَفرَفٍ خُضرٍ وَعَبقَرِيٍّ حِسانٍ

Sahih International

Reclining on green cushions and beautiful fine carpets.

Malay

Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.

مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ رَفْرَفٍ خُضْرٍ

Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas bantal-bantal yang hijau warnanya

Sekali lagi disebut tentang duduk ‘bersenggeng’ dalam syurga. Kali ini disebut mereka bersenggeng atas barisan bantal-bantal yang berwarna hijau.

Ada keistimewaan yang diletakkan dalam warna hijau. Bangsa Arab dulu tidak ada banyak peluang untuk melihat kehijauan. Negara mereka padang pasir sahaja. Maka, warna hijau adalah menarik kepada mereka kerana melambangkan kehidupan, kemewahan, keselesaan.

 

وَعَبْقَرِيٍّ حِسَانٍ

serta permaidani-permaidani yang sangat indah.

Kalimah عَبْقَرِ asalnya bermaksud ‘tempat asal jin’ (negara jin) dalam bahasa Arab lama. Macam satu dunia lain kepada mereka. Mereka kagum dengan benda-benda yang pelik dan pada mereka itu seperti datang dari tempat jin. Apabila mereka pulang dari negara lain seperti Syams dan bawa balik barangan, seperti mereka bawa balik barang dari negara jin sebab lain dari apa yang mereka biasa.

Jadi, penggunaan عَبْقَرِ dalam ayat ini adalah sesuatu yang lain dari yang biasa. Begitulah nanti di syurga. Perhiasan dalam istana syurga itu tidak sama dengan istana yang lain. Allah gunakan kalimah ini kerana mereka faham maksud itu.

Yang pasti, ianya حِسَانٍ – cantik. Kerana benda yang asing tidak semestinya cantik, bukan? Tapi Allah memastikan bahawa walaupun ianya adalah asing, berlainan dengan yang biasa, tak biasa tengok, tapi ianya adalah amat cantik sekali.


 

Ayat 77:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Allah ulang kalimah ini di 31 tempat dalam surah ini. Allah ulang berkali-kali, supaya tidak ada hujah bagi manusia untuk menolak dan menafikan mana-mana nikmat dan kekuasaan Allah.

Kata kunci dalam surah ini adalah تُكَذِّبَانِ inilah. Allah hendak mengingatkan manusia tentang perkara ini – jangan mendustakan mana-mana nikmat dan kekuasaan Allah.


 

Ayat 78: Allah mengakhiri surah ini sepertimana ianya bermula. Surah ini bermula dengan nama Allah ar-Rahman dan diakhiri dengan nama ar-Rahman juga.

Ia mengajar kita untuk menerima akidah tauhid dalam hal berkat. Hanya Allah sahaja yang ada berkat dan berkuasa memberi berkat. Jangan kita memandai letak berkat pada tempat yang tidak tidak sepatutnya dan tidak ada dalil. Sebagai contoh, jangan kita kata seseorang guru itu ada berkat.

تَبارَكَ اسمُ رَبِّكَ ذِي الجَلالِ وَالإِكرامِ

Sahih International

Blessed is the name of your Lord, Owner of Majesty and Honor.

Malay

Maha berkat nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.

تَبَارَكَ اسْمُ رَبِّكَ

Maha berkat nama Tuhanmu

Nama Allah yang mana? ar-Rahman.

Kalimah تَبَارَكَ bermaksud ‘amat berkat’. Iaitu sesuatu kebaikan yang bertambah dan bertambah. Lebih dari yang diharapkan. Lebih lagi dari apa yang kita sangkakan. Sebagai contoh, apabila kita mengajar bahasa Arab kepada anak kita, bermula dengan huruf alif, ba, ta tapi dengannya juga boleh menyebabkan dia akhirnya menjadi seorang ulama’ besar.

Allah memberitahu yang Dia ada keberkatan. Allah yang mempunyai berkat dan Allahlah yang menentukan siapakah yang dapat berkat. Maka janganlah kita buat syirik dalam berkat dengan mengatakan ada makhluk pula yang boleh beri berkat seperti guru, ustaz, orang itu dan ini. Itu adalah syirik dalam berkat.

Allah memberitahu kepada kita bahawa ada namaNya yang mengandungi barakah. Iaitu ar-Rahman. Sebab itulah setiap kali kita memulakan perkara baik, kita mulakan dengan basmallah yang ada nama ar-Rahman di dalamnya. Kerana kita mengharapkan Allah akan memberikan barakah dalam usaha kita itu.

Kerana kalau Allah berikan barakah di dalamnya, usaha itu akan membuahkan hasil yang banyak. Lebih dari apa yang kita harapkan. Lebih dari apa yang kita boleh bayangkan.

Apabila kita memulakan sesuatu dengan basmallah, maka itu meletakkan satu perasaan optimistik dalam melakukan pekerjaan kita. Kerana kita menjadi yakin kerana Allah telah memberikan basmallah kepada kita. Itulah semangat yang perlu ada pada seorang Muslim. Kita kena yakin dengan Allah.

 

ذِي الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.

Dalam ayat ini disebut dua Sifat Allah: Jalal dan Ikram. Allah hendak memberitahu kita, kalau kita tidak mengikut segala arahan dari Allah, tidak bertindak sebagai hambaNya, maka kita akan bertemu dengan Sifat Jalal Allah, iaitu sifat Allah yang keras. Allah akan menghukum kita, beri kita azab yang tidak terkira.

Dan kalau kita menjadi hamba yang taat, kita akan bertemu dengan Sifat Allah al-Ikram – iaitu sifat yang memuliakan hambaNya yang telah menjalani kehidupan di dunia dengan baik dan Allah akan balas dengan baik juga. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang telah dijelaskan sifat-sifat syurga itu dalam ayat-ayat sebelum ini.

Di dalam kitab Sahih Muslim dan kitab keempat sunan telah disebutkan melalui hadis Abdullah ibnul Haris, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. apabila telah bersalam dari solatnya tidak segera duduk melainkan sesudah membaca doa berikut:

“اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ”

Ya Allah, Engkau Maha Sejahtera dan dari Engkaulah semua kesejahteraan, Mahasuci Engkau, wahai Tuhan Yang mempunyai kebesaran dan karunia.

Allahu a’lam. Habis tafsir Surah ar-Rahman ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Waaqiah.

 

Kemaskini: 30 April 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rahman Ayat 55 – 67 (Kenapa wanita tidak dapat bidadara?)

Ayat 55:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Segala nikmat yang disebut dalam surah ini akan diberikan kepada mereka yang menghargai nikmat Allah semasa di dunia. Maka jangan dustakan segala nikmat yang Allah telah berikan. Jangan sangka segala kelebihan yang kita ada ini kerana hak kita, melainkan ia adalah pemberian dari Allah.


 

Ayat 56: Sekarang disebut tentang bidadari pula. Ini pun diceritakan dalam Al-Qur’an. Inilah satu perkara yang selalu disebut-sebut oleh manusia (terutamanya lelaki). Kalau tak tahu pasal Al-Qur’an apa-apa pun, pasal bidadari semua orang tahu.

Allah beri pasangan untuk duduk sekali dalam syurga. Ini kerana kalau duduk berseorangan pun tidak menarik, bukan? Kerana kalau duduk seorang diri, seumpama duduk dalam penjara pula. Kerana manusia memerlukan pasangan.

Allah menceritakan tentang kenikmatan hubungan lelaki perempuan. Memang Allah jadikan kita hendakkan kepada pasangan yang berlainan jenis.

Tetapi pasangan itu mestilah pasangan yang halal. Kerana itu, dalam dunia sekarang, Islam amat memandang berat tentang hubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Islam menjaga supaya tidak berlaku penzinaan dan hubungan yang tidak sesuai. Kerana semua itu akan diberi di syurga nanti.

Kalau kita tahan nafsu kita semasa di dunia dari melakukan dosa zina, kita akan dapat semua itu malah berlebih-lebih lagi di syurga nanti. Apa yang kita akan dapat di syurga nanti akan berlebih-lebih lagi dari apa yang kita boleh dapat di dunia ini.

فيهِنَّ قٰصِرٰتُ الطَّرفِ لَم يَطمِثهُنَّ إِنسٌ قَبلَهُم وَلا جانٌّ

Sahih International

In them are women limiting [their] glances, untouched before them by man or jinni –

Malay

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;

فِيهِنَّ قٰصِرٰتُ الطَّرْفِ

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya terbatas,

قَاصِرَاتُ – pasangan yang merendahkan pandangan matanya

الطَّرْفِ – pandangan yang terbatas. Mereka hanya tengok kepada pasangannya sahaja. Mereka cinta kepada suaminya sahaja.

Bayangkan pertama kali bertemu dengan pasangan kita. Yang perempuan itu akan merendahkan pandangan mata mereka kerana malu-malu. Itu adalah satu keindahan sebenarnya.

Lelaki suka perempuan yang malu-malu sebenarnya. Masalahnya dengan pasangan kita, masa mula jumpa dan masa mula kahwin sahaja macam itu. Selepas itu, tidak ada lagi perasaan begitu. Tapi bidadari itu akan sentiasa sahaja macam itu.

Dan mereka pandang suaminya sahaja. Menurut suatu riwayat, seseorang dari bidadari-bidadari itu berkata kepada suaminya, “Demi Allah, aku belum pernah melihat sesuatu pun yang lebih indah dan lebih tampan selain dari engkau, dan tiada sesuatu pun di dalam syurga ini yang lebih kucintai selain dari engkau. Maka segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dirimu untukku dan menjadikan diriku untukmu.”

Lihatlah Allah sebut sifat mereka dahulu, bukannya sebut kecantikan mereka. Begitulah wanita kena ikut. Kecantikan itu bukan kita boleh usahakan kalau sudah dilahirkan tidak cantik. Dan ianya tidak kekal. Tapi sifat yang mulia, itu wanita boleh usahakan dan itulah yang lebih utama.

 

لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ

yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia

Bidadari itu tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun. Jangankan disentuh, dilihat pun tidak pernah melainkan oleh tuannya. Memang disimpan untuk dinikmati oleh tuannya, iaitu kita sebagai ahli syurga.

Kalimah يَطْمِثْهُنَّ bermaksud ‘sentuhan yang memecahkan dara’. Yang dimaksudkan adalah sentuhan dalam bentuk seksual. Lelaki suka perempuan yang belum pernah disentuh oleh orang lain. Kalau boleh, dia nak dia sahaja yang pernah nampak pasangannya dan dialah yang pertama ‘sentuh’.

 

وَلَا جَانٌّ

dan tidak juga oleh jin;

Yang bidadari untuk manusia, tidak pernah disentuh oleh manusia lain. Yang bidadari untuk jin, tidak pernah disentuh oleh jin lain.

Manusia akan dapat pasangan dari manusia juga dan jin dapat pasangan dari jin pula.

Artah ibnul Munzir mengatakan bahawa Damrah ibnu Habib pernah ditanya, “Apakah jin yang mukmin masuk syurga?” Maka dia menjawab.”Ya, dan bahkan mereka kahwin; bagi jin laki-laki ada isterinya dari jin perempuan, sebagaimana manusia laki-laki kahwin dengan manusia perempuan.” Damrah ibnu Habib melanjutkan, bahawa demikian itu disebutkan oleh firman-Nya: tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman: 56-57)

Ada soalan yang selalu ditanya, lebih-lebih lagi oleh wanita: Kenapa Allah sebut lelaki akan dapat bidadari, tapi tidak disebut tentang apa yang perempuan akan dapat? Ini adalah kerana apa yang lelaki mahu adalah jelas – perempuan. Dari dulu sampai sekarang, apa yang lelaki mahu adalah sama sahaja. Memang Allah telah tetapkan bahawa lelaki mempunyai keinginan kepada wanita.

Tapi apa yang perempuan mahu? Susah nak pastikan apa yang mereka hendak. Kerana macam-macam yang mereka hendak. Dan tidak tetap pula. Sekejap nak itu dan sekejap lagi nak benda lain pula. Kehendak mereka bergantung kepada keadaan dan kerana itu sentiasa berubah-ubah. Jadi, tak boleh nak tulis dalam Al-Qur’an.

Tapi ingatlah dan yakinlah bahawa mereka akan dapat apa sahaja yang mereka hendak. Tidak dapat nak dijelaskan apakah yang mereka akan dapat. Kerana apa yang mereka akan dapat itu tidak dapat diberitahu kepada kita kerana ianya hebat sangat.

Tidakkah nanti pasangan isteri itu akan cemburu kalau suaminya melayan bidadari yang ramai itu pula? Ulama’ kata mereka akan rasa puas hati bila sudah jadi ketua permaisuri kepada semua bidadari. Mereka akan dicabut rasa cemburu dari hati mereka. Mereka tidak kisah malah mereka akan jadi gembira apabila suaminya dilayani oleh bidadari-bidadari itu.


 

Ayat 57:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Amat banyak sekali nikmat yang telah disebut. Maka janganlah kita menidakkan segala nikmat-nikmat itu. Walaupun bunyi macam susah hendak dipercayai tapi Allah ada kuasa untuk mengadakannya.


 

Ayat 58: Sifat bidadari itu disebut lagi.

كَأَنَّهُنَّ الياقوتُ وَالمَرجانُ

Sahih International

As if they were rubies and coral.

Malay

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.

كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima

Yaqut adalah sejenis batu permata. Batu itu berwarna merah.

 

وَالْمَرْجَانُ

dan marjan.

Sejenis batu karang yang bersinar. Ada hadis tentang perkara ini:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَاتِمٍ، حَدَّثَنَا عُبِيدة بْنُ حُمَيْد، عَنْ عَطَاءِ بْنِ السَّائِبِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ الْأَوْدِيِّ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ الْمَرْأَةَ مِنْ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ ليُرى بَيَاضُ سَاقِهَا مِنْ وَرَاءِ سَبْعِينَ حُلَّةً مِنَ الْحَرِيرِ، حَتَّى يُرَى مُخُّهَا، وَذَلِكَ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: {كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ وَالْمَرْجَانُ} ، فَأَمَّا الْيَاقُوتُ فَإِنَّهُ حَجَرٌ لَوْ أَدْخَلْتَ فِيهِ سِلْكًا ثُمَّ اسْتَصْفَيْتَهُ لَرَأَيْتَهُ مِنْ وَرَائِهِ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Hatim, telah menceritakan kepada kami Ubaid ibnu Humaid, dari Ata ibnus Sa’ib, dari Amr ibnu Maimun Al-Audi, dari Abdullah ibnu Mas’ud, dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Sesungguhnya seorang wanita dari kalangan isteri ahli syurga benar-benar betisnya yang putih dapat terlihat dari balik tujuh puluh la­pis pakaian sutera (yang dikenakannya), hingga tulang sumsumnya dapat terlihat. Yang demikian itu disebutkan di dalam firman-Nya: Seakan-akan bidadari itu permata yaqut dan marjan. (Ar-Rahman: 58) Yaqut adalah batu permata yang seandainya engkau masukkan ke dalamnya seutas benang dan engkau bersihkan batu permata itu, nescaya engkau dapat melihat benang itu.

Allah samakan mereka dengan permata-permata itu kerana untuk mendapatkannya susah, kena cari dalam laut. Maknanya mereka itu amat istimewa.

Dan ianya sesuatu yang berkekalan, barang yang tidak rosak. Sikap mereka yang malu-malu itu berterusan. Kecantikan mereka juga berterusan tidak sama dengan isteri kita yang masa mula kita kahwin cantik, tapi lama kelamaan berubah kerana sama-sama akan jadi tua.

Allah sebut tentang perangai bidadari itu supaya perempuan di dunia dapat meniru mereka. Seelok-eloknya wanita di dunia cuba untuk meniru segala sifat-sifat bidadari itu. Bila baca sifat-sifat bidadari di syurga, cubalah untuk menirunya.

Ramai yang sangka bidadari itu pasangan yang paling cantik untuk lelaki ahli syurga. Maka mulalah wanita sekarang rasa cemburu. Mereka sangka suami mereka nanti akan melayan bidadari sahaja. Tapi ketahuilah yang isteri kita yang dari dunia ini lagi cantik dari bidadari-bidadari itu. Isteri kita sekarang ini, kalau dapat masuk sekali ke dalam syurga dengan kita, mereka akan dicantikkan lagi. Bukanlah sama keadaan fizikal kita sekarang dan di syurga nanti.

Takkan bidadari-bidadari itu lagi cantik dari manusia, sedangkan mereka dijadikan terus oleh Allah tanpa ada apa-apa dugaan di dunia. Sedangkan, wanita dunia telah melalui ujian-ujian yang Allah telah beri semasa di dunia, telah buat banyak ibadat kepada Allah, maka mereka layak untuk dapat kelebihan yang banyak semasa mereka di syurga.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَفَّانُ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، أَخْبَرَنَا يُونُسُ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِين، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لِلرَّجُلِ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ زَوْجَتَانِ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ، عَلَى كُلِّ وَاحِدَةٍ سَبْعُونَ حُلَّةً، يُرى مُخُّ سَاقِهَا مِنْ وَرَاءِ الثِّيَابِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Salamah, telah menceritakan kepada kami Anas, dari Muhammad ibnu Sirin, dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Bagi seorang lelaki ahli syurga ada dua orang isteri dari kalangan bidadari yang bermata jeli, yang masing-masing darinya mengenakan tujuh puluh perhiasan (pakaian); tulang sumsum betisnya kelihatan dari balik pakaian-pakaian (yang dikenakannya). Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini secara tunggal melalui jalur ini.


 

Ayat 59:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Semoga kita dapat membaca ayat-ayat ini dan dapat menghargai apakah yang Allah telah sediakan kepada ahli syurgaNya. Semuanya itu adalah kerana ketaatan mereka semasa di dunia.


 

Ayat 60: Ayat ini menjawab soalan: siapa yang dapat segala nikmat yang telah disebut di atas?

هَل جَزاءُ الإِحسٰنِ إِلَّا الإِحسٰنُ

Sahih International

Is the reward for good [anything] but good?

Malay

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?

هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسانِ

Bukankah balasan bagi amal yang baik,

Kita sudah buat amalan ibadat yang baik semasa di dunia dulu. Iaitu amalan ibadah yang sunnah, bukan yang bidaah.

Kita juga telah taat menahan nafsu kita dapat buat ikut kehendak nafsu itu yang haram. Kita telah berusaha untuk melawan syaitan dari melakukan dosa-dosa. Tentu ada balasan untuk amalan kita itu bukan?

 

إِلَّا الْإِحْسٰنُ

tidak lain melainkan balasan yang baik juga?

Maka untuk mendapatkan segala kenikmatan di dalam syurga itu, kita kena pastikan kita mati dalam ‘ihsan’. Kalimah ‘ihsan’ ini disebut banyak kali dalam Al-Qur’an. Maksudnya secara ringkas adalah menjadi orang yang baik.

Lawannya adalah ‘zalim’. Mereka yang ihsan bukan sahaja mahu diri mereka baik, tapi mereka juga mahu orang lain juga jadi baik. Maka mereka akan dakwah juga kepada orang lain. Untuk mengetahui sifat-sifat lain orang ihsan ini, maka kenalah belajar.

Allah akan balas kebaikan amal ibadat yang kita lakukan. Allah tidak sia-siakan amalan kita itu. Semuanya akan dibalas. Dan bukannya balasan yang sama, tapi akan dibalas dengan balasan yang berkali-kali ganda lebih lagi. Bayangkan, amalan kita buat bukan hebat mana pun, tapi Allah balas dengan syurga yang begitu punya hebat.

Dan amalan kita bukan lama pun kerana nyawa kita tidak lama, tapi Allah balas dengan syurga selama-lamanya, kekal abadi di dalamnya. Tidakkah ini balasan yang lebih dari yang sepatutnya?


 

Ayat 61:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka hargailah nikmat dan kuasa Allah terhadap kita. Orang yang tidak menghargai kelebihan-kelebihan dalam syurga itu sebenarnya tidak menghargai juga sifat-sifat Allah. Kalau sifat syurga pun mereka tidak percaya dan tidak hargai, bagaimana mereka nak hargai sifat Allah?

Maka ada orang yang ada fahaman yang salah tentang Allah kerana mereka tidak benar-benar belajar. Mereka anggap Allah itu Tuhan yang garang, nak masukkan hambaNya ke dalam neraka sahaja, menyusahkan kehidupan makhluk sahaja. Maka bagi mereka yang begitu, memang tempat mereka akan berada dalam neraka.


 

Ayat 62: Sekarang disebut syurga jenis lain pula. Ada dua pendapat yang diberikan oleh mufassir. Ada yang kata syurga ini adalah lebih tinggi lagi dari syurga sebelum ini dan ada yang kata syurga jenis ini adalah syurga yang lebih rendah. Allahu a’lam.

Ayat 62 – 78 adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir. Ia menyebut nikmat-nikmat tambahan yang akan diberikan oleh Allah.

وَمِن دونِهِما جَنَّتانِ

Sahih International

And apart from them both [in excellence] are two [other] gardens –

Malay

Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi;

 

Ini menjadi balasan bagi golongan peringkat yang lebih tinggi lagi; yang diberikan kepada golongan musaabbiqoon (golongan yang awal). Golongan ini ada disebut dalam Surah Waqiah.

Ulama tafsir kata, bukan dua syurga sahaja yang akan diberi tapi berjenis-jenis syurga akan diberikan.


 

Ayat 63:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Hargailah nikmat Allah. Jangan kita hanya pandai pakai dan makan nikmat yang Allah berikan, tapi tidak tahu menghargai Allah.


 

Ayat 64:

مُدهامَّتانِ

Sahih International

Dark green [in color].

Malay

Kedua-duanya menghijau subur tanamannya;

 

Mereka akan mendapat syurga yang penuh dengan kehijauan sampai cahaya pun susah nak masuk.

Dalam syurga pertama sebelum ini, telah disebut ada dahan-dahan dan pohon-pohon. Tapi syurga yang kita sedang baca ini lebih hebat lagi – lagi menghijau dan lagi banyak dedaunan dan buah-buahan sampai cahaya pun susah masuk. Maknanya ia lebih hebat dari syurga sebelumnya.

Itulah sebabnya perkataan مُدْهَامَّتَانِ digunakan. Ianya dari katadasar د ه م yang bermaksud ‘gelap’. Kerana apabila dedaunan pokok-pokok itu sudah banyak sangat, sampaikan cahaya matahari tidak masuk, suasana menjadi gelap, jadi redup. Kerana itu kadang-kadang kita masuk ke dalam hutan yang tebal, kita berada di dalam kawasan yang redup dan ianya amat menyamankan.


 

Ayat 65:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Nikmat yang disebut itu akan diberikan kepada hamba yang tahu menghargai nikmat Allah semasa di dunia.


 

Ayat 66:

فيهِما عَينانِ نَضّاخَتانِ

Sahih International

In both of them are two springs, spouting.

Malay

Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya:

 

Ini adalah jenis air pancut. Ia dari kata dasar ن ض خ yang bermaksud ‘memancut’. Dalam syurga sebelum ini ada juga air, tapi tidak disebut ia memancut. Jadi ada kelebihan lebih lagi dalam syurga yang dalam ayat ini. Kerana ianya untuk mereka yang lebih tinggi kedudukan dari ahli syurga sebelum ini.


 

Ayat 67:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Sudah disebut segala macam nikmat ini, takkan kita tidak teringin untuk memasukinya? Kalau tidak ada keinginan itu, maknanya memang tak pandai nak menghargai nikmat Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Surah Rahman Ayat 43 – 54 (Dua jenis syurga)

Ayat 43: Kalau tadi disebut tentang azab fizikal, sekarang disebut penghinaan rohani.

هٰذِهِ جَهَنَّمُ الَّتي يُكَذِّبُ بِهَا المُجرِمونَ

Sahih International

This is Hell, which the criminals deny.

Malay

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya”.

هَٰذِهِ جَهَنَّمُ

“Inilah neraka Jahannam

Ada muqaddar (ayat tambahan) dalam ayat ini, iaitu: “dikatakan kepada mereka.” Allah kata ‘inilah’ Neraka Jahannam. Ini bermaksud mereka sudah berada dalam neraka. Kata-kata ini diberikan kepada mereka di dalam neraka.

Atau mereka sudah dekat dan sudah nampak neraka di depan mata mereka. Tak boleh nak lari ke mana-mana lagi pada waktu itu. Memang mereka sudah nampak neraka itu dan mereka tahu yang mereka akan masuk.

Tak payah beritahu pun mereka sudah tahu. Tapi begitulah Allah nak sakitkan hati mereka lagi. Ada banyak kalimah-kalimah penghinaan dan menyakitkan hati akan dikenakan kepada mereka. Kerana nak bagi azab lagi kepada mereka.

 

الَّتِي يُكَذِّبُ بِهَا الْمُجْرِمُونَ

yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya”.

Apabila mereka mendustakannya, bermaksud mereka tidak percaya kepada adanya neraka dan mereka tidak beriman, maka mereka tidak melakukan ibadat. Boleh jadi mereka mendustakan dengan akidah (dengan hati sahaja), dengan kata-kata atau dari segi perbuatan (walaupun tidak lafazkan).

Mereka tak percaya dengan sepenuh hati yang neraka itu memang benar-benar ada dan kerana itu mereka akan dimasukkan ke dalamnya. Mereka menjalani kehidupan mereka di dunia seperti neraka itu tidak ada. Mereka buat selamba sahaja dalam kehidupan dunia. Mereka tidak buat persiapan untuk bekal akhirat.

Sama ada mereka percaya atau tidak, mereka suka atau tidak, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Ada orang yang kononnya bijak sangat, mereka kata takkan Tuhan nak hukum dan seksa makhluk ciptaanNya itu setelah susah-susah dicipta. Mereka kata Tuhan adalah amat penyayang dan tidak kononnya tidak akan seksa makhlukNya. Itu adalah fahaman cetek mereka sahaja.

Dan pada mereka, neraka dan syurga itu hanyalah sebagai memberi motivasi dan memberi takut kepada manusia sahaja untuk buat baik. Bukan benar-benar ada pun. Macam ibubapa takutkan budak-budak dengan hantu yang tidak ada supaya budak-budak itu dengar cakap.

Kepada mereka yang seperti ini, kita kata kepada mereka: “semoga kamu bergembira dalam neraka nanti”. Good luck in hell. Kalau mereka marah kita cakap macam itu dengan mereka, kata balik kepada mereka: “Kamu nak takut apa? Kamu sendiri kata neraka itu tidak ada, bukan?”

Atau mereka pandang kecil sahaja dosa yang mereka lakukan. Mereka tak rasa apa-apa dengan dosa syirik yang mereka lakukan. Dan mereka yang buat bidaah, tak tahu dan tak rasa pun mereka sedang buat dosa. Mereka sangka mereka telah beriman cukup.

Mereka sangka amalan bidaah yang mereka buat itu adalah baik. Mereka sangka amalan yang mereka buat itu adalah ‘bidaah hasanah’. Itu adalah kerana mereka tak faham dan salah faham apakah maksud ‘bidaah hasanah‘.

Tak faham itu kerana mereka tidak belajar ajaran sunnah. Oleh kerana mereka tak rasa mereka buat dosa, maka mereka tak pernah minta maaf atas dosa buat bidaah mereka itu. Apabila mereka tak minta ampun atas dosa mereka itu, mereka akan masuk dalam neraka.

Kerana itulah ulama’ kata, bidaah ini lagi teruk dari maksiat. Kerana orang yang buat maksiat, mereka tahu mereka bersalah dan sampai masanya, mungkin mereka akan bertaubat. Tapi kalau orang yang buat bidaah, mereka tak sangka yang mereka itu buat salah. Dan kerana itu mereka tidak akan minta maaf atas kesalahan dosa amalan bidaah mereka, kerana mereka tak sangka mereka buat dosa. Padahal, amalan bidaah itu adalah berdosa!

Surah Rahman ini diturunkan di Mekah. Pada waktu itu, amalan ibadat belum lagi diturunkan. Tiada solat, tiada haji, tiada pengharaman arak dan lain-lain lagi. Kerana itu semua hanya ada di Madinah nanti. Jadi apa yang masyarakat Arab kena tukar dan mereka tak mahu tukar?

Yang dimaksudkan adalah pertukaran dari segi ‘moral’. Mereka disuruh mengubah cara hidup mereka kepada kehidupan yang bermoral. Jangan buat zalim, jangan menindas manusia lain dan sebagainya.

Tapi mereka tak mahu terima. Mereka tidak mahu tukar cara kehidupan mereka. Ketahuilah, agama bukanlah hanya dalam bentuk buat amalan ibadat sahaja. Ada lagi benda lain yang penting juga. Iaitu kita kena jaga moral kita. Jangan kita jenis orang yang solat dan pergi Haji, tapi menipu orang macam makan nasi sahaja.


 

Ayat 44:

يَطوفونَ بَينَها وَبَينَ حَميمٍ ءآنٍ

Sahih International

They will go around between it and scalding water, heated [to the utmost degree].

Malay

Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!

يَطُوفُونَ بَيْنَهَا

Mereka berulang-ulang di antara api neraka

Perkataan يَطُوفُونَ bermaksud ‘berpusing-pusing’ macam ‘tawaf’ keliling Kaabah dan semasa melakukan Saie. Mereka ‘bertawaf’ dalam neraka. Maksudnya, mereka berpusing-pusing dalam neraka.

Kenapa mereka berpusing-pusing? Ke mana mereka pergi?

 

وَبَيْنَ حَمِيمٍ ءآنٍ

di antara air yang amat panasnya!

Mereka tawaf neraka dan berpusing-pusing antara air yang panas. Sifat air itu sangat panas. Ini adalah kepanasan tahap kemuncak. Ahli neraka itu sekejap kena rebus dengan air dan kejap kena panggang dengan api panas.

Mereka juga dikatakan berpusing-pusing ke sana sini dalam neraka kerana mereka mencari-cari air untuk minum kerana dahaga sangat. Mereka berlari ke arah air dan memang ada jumpa air, tapi air itu panas sangat, maka mereka cuba pergi ke tempat lain pula. Tak jumpa juga.

Maka mereka pusing lagi dan lagi. Berterusan mereka berpusing dalam neraka. Akhirnya air panas yang mereka tidak mahu itu akan dimasukkan ke dalam mulut mereka juga.

Entah berapa ribu darjah kepanasan air itu. Beribu malah entah berjuta darjah kepanasannya! Malah mungkin lebih lagi kerana dalam dunia sekarang ini pun boleh dijadikan air beribu darjah celcius dengan menggunakan konsep thermodynamics. Kerana tekanan dalam neraka yang amat tinggi (macam pressure cooker). Air itu dipanggil ‘superheated water’. Tentu teknologi Allah lebih hebat lagi. Perkataan آنٍ itu bermakna air itu panas sangat.

Allah kata suhu neraka itu 70 kali ganda lagi panas dari kepanasan matahari! Lebih kurang 4 ribu kali ganda dari air menggelegak sekarang. Dan neraka itu pula kedap udara. Kerana Nabi kata kalau bocor sahaja neraka sebesar jarum, tentu akan hancur alam ini kerana kepanasannya. Maka, kalau kedap udara, pressurized pula, tentu kepanasan bertambah-tambah lagi.

Maka takutlah dengan azab dan keadaan dalam neraka itu. Kita kena cuba bayangkan supaya kita ada rasa takut dengan neraka. Kalau kita tidak tahu langsung bagaimana keadaan neraka itu, kita tidak akan rasa takut dengan neraka itu. Cerita tentang neraka itu ada dalam banyak tempat disebut dalam Al-Qur’an. Memang banyak Allah cerita kerana Allah mahu kita takut dengan neraka itu.

Allah ceritakan tentang keburukan seksaan dalam neraka untuk menakutkan kita. Eloklah kita takut semasa kita di dunia lagi, supaya kita boleh ubah cara hidup kita. Kalau kita tidak faham tentang neraka, maka kita akan jadi macam Kristian yang boleh buat lawak tentang neraka dan mempersendakan neraka. Kerana agama mereka tidak menceritakan dengan jelas tentang neraka.

Dalam Islam, syurga dan neraka diterangkan dengan agak jelas. Bila kita belajar tentang neraka, nak tengok neraka pun kita tak lalu, sebab takut sangat.


 

Ayat 45:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, tidaklah kalimah آلَاءِ itu kena diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sahaja kerana ia boleh membawa maksud lain. Dan dalam ayat ini, tidak sesuai digunakan kalimah ‘nikmat’ kerana baru sahaja disebut tentang neraka – mana nikmatnya dalam neraka itu? Maka kenalah diterjemahkan dalam makna yang lain.

Dalam ayat ini kalimah ءآلَاءِ lebih sesuai kalau membawa maksud ‘kekuasaan’ Allah. Jangan kerana kita lihat Allah baik dan lembut dengan kita, kita tidak taat kepada Allah pula (macam orang yang ada ketua yang baik, mungkin mereka ambil kesempatan).

Jangan kita begitu dengan Allah kerana Allah maha berkuasa dan mampu untuk menyeksa kita kalau kita tidak taat. Ingatlah yang Allah boleh masukkan kita ke dalam neraka dan dikenakan dengan azab yang amat-amat teruk. Mudah sahaja bagi Allah untuk melakukannya.


 

Ayat 46: Sekarang kita masuk ke Bahagian Ketiga surah ini iaitu berita gembira yang diberikan kepada mereka yang ikut arahan Allah. Sekarang Allah mula hendak menceritakan tentang Syurga pula. Jadi selepas ini ayat-ayat tabshir pula.

Ayat 46 – 61 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia menceritakan akibat beramal soleh dan mengandungi dalil-dalil tentang balasan yang akan diberikan.

Bagaimana kita boleh agak kita dapat masuk syurga atau tidak? Neraca kita hanya Al-Qur’an kerana tidak ada neraca lain. Kalau Nabi ada, baginda boleh juga beritahu siapa yang akan jadi ahli syurga (kerana baginda boleh dapat wahyu).

Tapi sekarang, kita kena pakai Al-Qur’an untuk nilai diri kita. Maka bandingkan diri kita dengan sifat-sifat yang disebut dalam ayat-ayat ini nanti.

وَلِمَن خافَ مَقامَ رَبِّهِ جَنَّتانِ

Sahih International

But for he who has feared the position of his Lord are two gardens –

Malay

Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, –

وَلِمَنْ خَافَ

Dan kepada orang yang takut

Ini adalah alamat zahir ahli syurga. Dia takut kerana dia tahu tentang akhirat daripada wahyu. Sebelum ini kita ditakutkan dalam ayat-ayat tentang keadaan ngeri di Neraka. Memang itu yang Allah hendak kita rasa.

Dan kepada mereka yang takut dengan neraka, mereka akan mendapat kelebihan dengan diberikan dengan syurga yang kekal abadi. Tapi apakah yang mereka takuti itu?

 

مَقَامَ رَبِّهِ

berdiri di hadapan Tuhannya,

Orang itu takut berdiri di hadapan Tuhannya. Iaitu takut berdiri dalam mahkamah Allah. Orang beriman itu takut berjumpa Tuhan kerana takut ibadat mereka yang selama ini mereka lakukan, tidak diterima. Kerana kita tidak tahu sama ada sempurna atau tidak amal ibadat kita itu, cukup ikhlas atau tidak amalan kita. Kita tidak tahu sama ada amal ibadat kita diterima Allah atau tidak. Kerana belum tentu Allah terima.

Macam budak yang bersifat baik dalam sekolah. Kalau ada satu soalan sahaja mereka tak dapat jawab dengan sempurna, mereka sudah takut. Balik ke rumah, menangis-nangis dengan mak ayah dia. Padahal, yang tak dapat jawab itu satu dua soalan sahaja.

Tapi bandingkan dengan budak yang tak kisah sama ada lulus atau tidak, mereka tak rasa takut pun. Mereka tak risau pun. Lagi mereka suka sebab musim peperiksaan sudah habis sebab mereka sudah boleh mula bermain dengan kawan-kawan mereka.

Di akhirat nanti, segala apa yang kita lakukan di dunia akan dinilai semuanya ‘sekaligus’. Bayangkan, kalau dalam dunia, kita ada buat silap di tempat kerja. Mungkin kita kena panggil dengan pengurus syarikat untuk diberi penilaian atas satu kesalahan kita itu.

Atau kita ada buat kesalahan di rumah semasa kecil dahulu. Kena panggil dengan mak ayah sebab kesalahan itu. Tapi satu kesalahan sahaja. Itu pun bukan main takut lagi kan?

Tapi, bayangkan bila kita di hadapan Allah nanti, ‘semua’ perbuatan kita akan dinilai sekaligus. Dari kita kecil sampai kita mati. Adakah kita rasa selamat yang semua apa yang kita lakukan dulu semasa di dunia baik belaka?

Maka mereka yang ada perasaan takut ini akan menjalani kehidupan dunia dengan penuh berhati-hati. Mereka tidak buat semberono sahaja. Mereka akan belajar agama dan mengamalkannya. Mereka akan buat apa yang Allah hendak mereka buat. Dan mereka akan belajar apa yang Allah tidak suka dan mereka tinggalkannya.

 

جَنَّتَانِ

(disediakan baginya) dua jenis Syurga, –

Kenapa ada dua syurga? Satu pendapat mengatakan ada dua syurga kerana satu syurga untuk manusia dan satu lagi untuk jin. Kerana kita tidak sama dengan golongan jin. Keinginan kita dan keinginan jin tidak sama, jadi diberikan syurga yang berbeza untuk memenuhi kehendak yang berbeza. Itu adalah satu pendapat. Ini adalah dalil yang konkrit yang jin juga ada dimasukkan ke dalam syurga.

Satu lagi pendapat mengatakan setiap ahli syurga akan dapat dua syurga. Kerana dengan takut kepada Allah dan akhirat, seseorang itu akan melakukan amalan baik dan satu lagi akan meninggalkan perkara buruk. Jadi, ada dua perkara yang akan dilakukan hasil dari kita takut dulu. Maka, mereka pun akan dibalas dengan dua syurga untuk kedua-dua kesan itu.

Tapi, ada orang yang hanya buat salah satu sahaja. Mereka buat amalan ibadat, solat, puasa, haji dan sebagainya, tapi mereka tak mahu tinggalkan perangai buruk mereka. Masih lagi tindas orang, makan harta dengan cara salah, menipu dan sebagainya. Yang macam ini, tidak dapat masuk mana-mana syurga pun.

Atau ada orang yang hanya tinggalkan perkara buruk tapi malas nak buat amalan baik. Kerana mereka kata mereka sudah baik, tak buat amal ibadat pun sudah kira baik dan sudah selamat. Itu adalah salah faham yang ada dalam diri manusia. Tapi Allah hendak kita buat dua-dua sekali: Kena buat amal baik dan kena tinggalkan sifat buruk.


 

Ayat 47:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Ayat ini dibacakan ketika orang mukmin sedang memasuki syurga. Allah hendak memberitahu orang Islam waktu itu bahawa apa sahaja perkara buruk yang mereka terima di dunia dulu kerana mereka memegang Islam itu adalah satu nikmat juga.

Setiap kali kita buat kerja untuk agama, kita akan kena terima dugaan yang akan diberikan kepada kita. Itu adalah ujian dari Allah. Dan Allah akan balas kesusahan itu.


 

Ayat 48: Apa yang ada dalam kebun-kebun syurga itu?

ذَواتا أَفنانٍ

Sahih International

Having [spreading] branches.

Malay

(Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; –

 

ذَوَاتَا – dua-dua syurga itu mempunyai,

أَفْنَانٍ – dahan-dahan atau bermacam-macam yang lain. Jadi ini merujuk kepada pokok-pokok dalam syurga itu. Allah nak kita cuba bayangkan.

Maknanya kita boleh katakan, pokok itu ada buah dan ada daun. Kalau ada buah tapi tidak ada daun dan dahan, sudah tidak menarik dan kalau ada daun dan dahan sahaja dan tidak ada buah, tidak berguna sangat. Maknanya pokok itu ada kesedapan untuk dirasa dan keindahan untuk dilihat. Ada keduanya sekali. Macam makanan kalau dihias indah, lagi menambah kesedapannya, bukan?

Kalimah أَفْنَانٍ dari katadasar ف ن ن yang antara lain bermaksud ‘berjenis-jenis’ dan selalu digunakan untuk dahan pokok. Ata Al-Khurrasani dan sejumlah ulama’ mengatakan yang dimaksudkan dengan أَفْنَانٍ ialah dahan-dahan pohon, yang satu sama lainnya bersentuhan. Maknanya, memang dahan yang lebat.

Ada juga yang mengatakan ianya adalah pohon yang bermacam-macam warna. Ata mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah tiap-tiap dahan yang menghimpun berbagai macam jenis buah-buahan.

Ar-Rabi’ ibnu Anas mengatakan, dahan pokok-pokok itu mempunyai naungan yang luas. Semua pendapat di atas benar dan tidak bertentangan; hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui keadaan yang sebenar.

Banyak dahan-dahan dari pohon-pohon yang berbagai-bagai. Oleh itu, kita tahu yang banyak jenis pokok dalam syurga. Ahli syurga akan terpesona dengan melihatnya apabila masuk dalam syurga nanti, in sha Allah.

Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang dapat melihatnya, aameen. Semoga kita nanti dapat terpesona melihat kehijauan dan buah-buahan yang ada. Tentu kita rasa suka sangat apabila kita masuk ke dalamnya.


 

Ayat 49:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Wahai manusia dan jin, kalau kamu menolak segala nikmat-nikmat Allah yang disebut dalam Al-Qur’an, maka tolaklah. Akan ada manusia dan jin yang beriman dan mereka akan dapat segala nikmat-nikmat itu.

Wahai jin dan manusia, kalau kamu tidak percaya yang Allah ada kuasa untuk menjadikan syurga dan segala kenikmatan itu, maka janganlah percaya. Akan ada manusia dan jin yang percaya dan mereka akan masuk ke dalamnya.

Kalau kamu tidak percaya sekarang semasa kamu di dunia, nanti apabila kamu dimasukkan ke dalam neraka dan yang mukmin dimasukkan ke dalam syurga, waktu itu kamu rasa kamu akan percaya, tak?


 

Ayat 50:

فيهِما عَينانِ تَجرِيانِ

Sahih International

In both of them are two springs, flowing.

Malay

Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; –

 

Setiap satu syurga pula ada dua matair. Sudahlah ada dua syurga, setiap satu itu ada dua mataair pula. Yaitu yang mengalir jauh untuk mengairi pohon-pohon dan dahan-dahan dalam syurga hingga dapat membuahkan berbagai macam buah-buahan yang beraneka ragam. Amat indah sekali keadaan di dalamnya.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa salah satu dari kedua mata air itu disebut tasnim dan yang lainnya disebut salsabila.

Atiyyah mengatakan bahawa salah satunya adalah sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sedangkan yang lain adalah sungai khamr yang lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

Allah selalu menyebut tentang air di dalam Al-Qur’an kerana memang manusia suka kepada air. Di dunia ini pun, manusia memang suka dengan air terjun dan sumber air. Kita suka kalau dapat berkelah ke sungai-sungai di tempat peranginan bukan? Kita dapat bergembira di dalamnya.

Bergembira pula bukan berseorangan tapi dengan keluarga kita, dengan kawan-kawan rapat kita. Sebab kalau kita ke tempat cantik pun, tapi keluarga kita tidak ada, kawan kita tidak ada, kita pun tidak rasa gembira sangat. Kerana memang sifat semulajadi kita akan suka kalau kita menikmati satu-satu tempat itu kalau dengan orang-orang yang kita sayang.


 

Ayat 51:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka hargailah nikmat Allah semasa di dunia dan taat kepada Allah, maka kamu akan mendapat segala kelebihan di atas dan yang akan disebut lagi nanti.


 

Ayat 52:

فيهِما مِن كُلِّ فٰكِهَةٍ زَوجانِ

Sahih International

In both of them are of every fruit, two kinds.

Malay

Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan.

 

Sudahlah ada berbagai-bagai jenis buah-buahan di dalam syurga itu tapi setiap satu buah itu ada dua pula – setiap buah ada sepasang. Kerana setiap buah-buahan itu ada dua rasa. Dan setiap rasa itu adalah sedap.

Ada pendapat yang mengatakan sepasang itu bermaksud ada buah yang kita kenal semasa di dunia dan ada yang kita tidak kenal kerana hanya ada di syurga sahaja. Yakni dari segala macam buah-buahan yang telah mereka ketahui dan yang terbaik dari apa yang pernah mereka ketahui, serta kenikmatan lainnya yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, dan belum pernah terdetik dalam hati seorang manusia pun.

Ibrahim ibnul Hakam ibnu Aban telah meriwayatkan dari ayahnya, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa tiada suatu buah pun di dunia ini -baik yang berasa manis mahupun yang berasa pahit- melainkan buah itu terdapat pula di dalam syurga hingga buah hanzal (bertawali) yang sangat pahit rasanya.

Kalau di dunia, ada buah yang kita tak suka, tapi semua buah di syurga itu kita akan rasa sedap. Rasa buah itu pula akan jadi semakin sedap dan semakin sedap. Pertama kali kita makan, kita sudah rasa sedap. Tapi bila kita makan selepas itu, ianya akan jadi lebih sedap lagi dari sebelumnya.

Ini mustahil terjadi semasa di dunia. Mungkin kalau kita makan nasi ayam yang sedap, ada kemungkinan kita dapat makan nasi ayam yang lebih sedap lagi di tempat lain. Dan ada tempat lain yang lebih sedap lagi. Tapi lama kelamaan, kita sudah jumpa nasi ayam yang kita rasa paling sedap. Takkan ada yang lebih sedap lagi dari itu.

Tapi, di syurga nanti, tidak ada penghujung kepada kesedapan itu. Allah boleh tambah kesedapan itu tanpa penghujung. Buah-buahan itu akan semakin sedap dan semakin sedap tanpa penghujungnya. Maka, kita tidak akan rasa bosan dengan buah itu. Kalau di dunia, kalau sudah selalu makan durian, kita tentu sudah muak, bukan? Tapi tidak di syurga nanti.


 

Ayat 53:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka hargailah nikmat dan kuasa Allah. Berbagai-bagai nikmat Allah telah berikan semasa kita di dunia dan nanti akan ada banyak lagi nikmat di syurga.


 

Ayat 54: Makanan sudah ada, sekarang nak berehat pula.

مُتَّكِئينَ عَلىٰ فُرُشٍ بَطائِنُها مِن إِستَبرَقٍ ۚ وَجَنَى الجَنَّتَينِ دانٍ

Sahih International

[They are] reclining on beds whose linings are of silk brocade, and the fruit of the two gardens is hanging low.

Malay

Mereka berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.

مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ فُرُشٍ

Mereka berbaring di atas hamparan-hamparan,

Iaitu dipanggil ‘duduk bersenggeng’. Duduk dengan relaks. Hamparan itu diletakkan di luar, bukan dalam istana. Tidak ada masalah rosak tempat rehat itu kalau letak di luar pun. Kerana cuaca dalam syurga tidak sama dengan cuaca dalam dunia. Semuanya indah belaka.

Sesiapa yang masuk syurga tidak ada dahaga dan lapar lagi. Makan dan minum hanya kerana hendak rasa nikmat makan dan minum, bukan kerana lapar. Dan selera makan kita itu selera untuk seribu orang. Kita mampu makan dengan banyak walaupun kita tidak lapar. Kita makan kerana nak menikmati makanan itu.

 

بَطَائِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ

yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam;

Kalimah إِسْتَبْرَقٍ adalah kain sutera yang tebal, menurut Ikrimah, Ad-Dahhak, dan Qatadah. Abu Imran Al-Juni mengatakan bahawa إِسْتَبْرَقٍ adalah kain sutera yang dihias dengan benang emas, di sini ditonjolkan kemuliaan bahagian luarnya dengan menyebutkan kemuliaan bahagian dalamnya. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa bahagian dalamnya sahaja sudah sedemikian mewah dan indahnya, terlebih lagi bahagian luarnya.

Ini adalah tanda kemewahan yang Allah tunjukkan. Kalau kita pergi rumah orang lain kita akan suka nak periksa kualiti perabot rumah itu, bukan? Kerana kita terpesona dengan keindahan barangan. Allah nak cerita dalam ayat ini bahawa perabot dalam syurga lagi hebat.

Kalau kita pergi rumah orang lain, dengan secara senyap kita akan periksa apakah kualiti sesuatu perabot itu. Kita belek sana dan sini kalau tuan rumah tak nampak. Kalau boleh nak tengok bahagian dalam kusyen pun.

Di syurga, bahagian dalam kusyen itu pun dibuat dari sutera tebal yang bersulam – amat berkualiti dan indah sekali. Bayangkan, kalau bahagian dalam pun sudah cantik, bayangkan yang di luar. Di dunia, yang luar mungkin nampak cantik, tapi kualiti dalaman tidak begitu. Selalunya yang bahagian luar sahaja yang diberikan perhatian. Kadang-kadang kita tengok luar cantik, tapi dalam tak cantik, bukan? Tidak begitu di syurga nanti kerana luar dalam akan cantik.

 

وَجَنَى الْجَنَّتَيْنِ دَانٍ

dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (dan mudah) untuk dipetik.

Bila nak petik buah untuk dimakan, buah itu akan datang sendiri untuk senang dipetik. Buah-buah itu pula adalah buah yang sudah masak, sudah sedia untuk dimakan. Tinggal nak makan sahaja.

Maknanya, sambil duduk bersenggeng tu, kalau terasa nak makan buah, buah itu akan datang sendiri. Nak petik pun dimudahkan, tak payah bangun pun. Bila petik sahaja satu buah, keluar balik buah lain.

جَنَى – buah yang sudah masak

دَانٍ – dekat, atau datang mendekat. Buah-buahan itu akan bergerak ikut ahli syurga itu pergi ke mana. Supaya mudah ahli syurga itu hendak petik bila diperlukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rahman Ayat 31 – 42 (Apabila Kiamat bermula)

Rahman Ayat 31: Ini adalah Bahagian Kedua Surah Rahman. Sekarang sudah masuk ke bahagian takhwif (penakutan). Allah hendak menakutkan pembaca Al-Qur’an, iaitu kalau berani buat salah dan dosa, maka kena berani tanggung. 

Jadi ayat ini bermula dengan keadaan di waktu hisab amal di Mahsyar nanti. Allah nak kita bayangkan keadaan di sana nanti.

 

سَنَفرُغُ لَكُم أَيُّهَ الثَّقَلانِ

Sahih International

We will attend to you, O prominent beings.

Malay

Kami akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!

سَنَفْرُغُ لَكُمْ

Kami akan beri perhatian sepenuhnya kepada kamu

Maksud فرغ adalah ‘terluang’. Seperti seseorang yang ada masa untuk diluangkan. Maksud ayat ini adalah, Allah akan meluangkan masa untuk beri perhatian kepada kita. Jangan kita sangka Tuhan sibuk dengan perkara lain dalam menguruskan alam ini (seperti telah disebut dalam ayat sebelum ini), sampai Allah tidak boleh meluangkan masa untuk kita.

Lihatlah bagaimana tidak ada sesiapa pun yang boleh meluangkan masa sepenuhnya untuk kita. Kalau seorang guru tidak mampu, seorang ayah tidak mampu, seorang pemimpin pun tidak akan mampu. Semakin tinggi seseorang itu, semakin tidak ada masa untuk kita. Tapi Allah yang Maha Tinggi, sentiasa ada masa untuk kita. Kita sentiasa di dalam pengawasanNya.

Dan di akhirat nanti, kita akan berurusan sendiri dengan Allah. Kita akan ada session one-on-one dengan Allah nanti di akhirat kelak. Waktu itu kita akan dihadapkan dengan segala amalan kita yang kita telah lakukan semasa di dunia dan kita akan disoal tentang perbuatan kita itu.

 

أَيُّهَ الثَّقَلَانِ

wahai dua yang berat!

Kalimah الثَّقَلَانِ dari perkataan ث ق ل yang bermaksud ‘berat’. Mereka yang dimaksudkan adalah dua jenis makhluk yang jadi pemberat sahaja di atas muka bumi ini kerana mereka orang/jin tidak menjalankan tanggungjawab yang Allah telah tetapkan ke atas diri mereka. Mereka itu buat berat bumi sahaja, tidak berguna langsung.

Atau, ia bermaksud dua makhluk yang ‘diberatkan’ dengan tanggungjawab. Iaitu tanggungjawab syariat. Binatang, langit, gunung-ganang tidak ada tanggungjawab ini. Oleh itu mereka tidak dipersoalkan di akhirat kelak. Tapi manusia dan jin akan disoal tentang amalan dan perbuatan mereka semasa di dunia. Oleh itu, ingatlah bahawa segala perbuatan kita di dunia ini akan ditanya di hadapan Allah nanti.


 

Rahman Ayat 32:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini, kalimah ءآلَاءِ boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ atau sebagai ‘kuasa’.

Nanti apabila sampai masa apabila Allah akan menimbang segala perbuatan manusia semasa di bumi, Allah akan buat penghakiman atas segala kesalahan yang manusia telah lakukan. Allah berkuasa untuk melakukannya. Allah akan periksa satu persatu, manakah nikmat-nikmat Allah yang mereka salahgunakan semasa di dunia.

Tafsiran yang kedua, Allah hendak memberitahu jin dan manusia yang tidak yakin dengan kebangkitan semula: kamu sekarang tidak percaya dengan kuasa Allah untuk membangkitkan semula semua makhluk dan menjadikan hari kebangkitan.

Nanti kamu akan lihat nanti perkara yang aku tidak yakini itu akan berlaku betul-betul di hadapan kamu. Kamu tunggulah sahaja. Adakah kamu sangka Allah tidak berkuasa untuk menjadikan hari itu? Waktu itu, kamu rasa kamu akan percaya atau tidak?


 

Rahman Ayat 33: Akan dikatakan semasa hisab amal itu. Tidak ada sesiapa yang boleh lari. Memang semasa di dunia ada manusia yang cuba lari dan boleh lari dari keadilan Allah.

يٰمَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطٰنٍ

Sahih International

O company of jinn and mankind, if you are able to pass beyond the regions of the heavens and the earth, then pass. You will not pass except by authority [from Allah].

Malay

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!

يٰمَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ

Wahai sekalian golongan jin dan manusia!

Di sini, Allah menyebut jin sebelum manusia. Kenapa? Kadang-kadang, Allah akan sebut manusia dulu sebelum jin. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut jin dahulu. Ada sebab kenapa Allah buat begitu.

Kalimah الْإِنسِ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan الْإِنسِ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia. Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam A’raf:172, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,

Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

 

إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Kalau kamu ada kemampuan untuk menembus keluar dari penjuru-penjuru langit dan bumi

Kalimah تَنفُذوا dari kata dasar ن ف ذ yang bermaksud menembusi sesuatu, melepasi.

Kalimah أَقطارِ pula dari kata dasar ق ط ر yang bermaksud tepian. Maksud ayat ini, Allah cabar jin dan manusia untuk menembusi alam ini untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasanNya. Iaitu apabila Allah hendak buat keputusan terhadap kesalahan mereka semasa di dunia.

 

فَانفُذُوا

maka cubalah kamu menembus keluar.

Larilah cari tuhan lain sekiranya ada. Selamatkanlah diri kamu dari Allah kalau kamu mampu. Lari jauh-jauh, terbanglah jauh-jauh.

Siapa yang rasa mereka boleh buat begini? Yang rasa mereka boleh terbang melepasi sempadan-sempadan alam Allah? Tentunya Jin yang rasa mereka boleh buat begitu. Kerana mereka boleh terbang, manusia tidak boleh terbang. Sebab itulah Allah sebut jin dahulu sebelum menyebut manusia dalam ayat ini.

Kalau Allah beri cabaran begini, bermaksud apa? Bermaksud Allah sudah tahu yang manusia dan jin memang tidak boleh lari ke mana-mana. Tidak ada yang akan mampu.

 

لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطٰنٍ

Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan kekuasaan;

Kalau kamu ada Qudrat melampaui Qudrat Allah, bolehlah. Masakan dapat! Sedangkan para malaikat akan menjaga mereka dari melepaskan diri. Penjenayah di dunia mungkin boleh lari dari polis yang nak tangkap mereka, tapi manusia dan jin tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Ke mana lagi kita nak lari? Allah sebut dalam ayat lain:

{يَقُولُ الإنْسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ. كَلا لَا وَزَرَ. إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ}

Pada hari itu manusia berkata, “Ke manakah tempat lari?” Sekali-kali tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali. (Al-Qiyamah: 10-12)

Ayat ini menceritakan keadaan di Hari Akhirat nanti. Jin dan manusia tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Mereka tidak boleh lari dari hukuman Allah. Mereka memang kena hadap.


 

Rahman Ayat 34:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Kuasa Allah yang mana lagi kamu nak dustakan? Kamu tidak percaya kepada kuasa Allah yang akan dapat mengumpul kamu walau di mana sahaja kamu berada? Memang kalau kamu berfikiran begitu, kamu akan mengalami nasib yang amat buruk!


 

Rahman Ayat 35: Ini apabila telah bermula hukuman di akhirat. Ada balasan azab dan ada balasan rahmat. Ini adalah Takhwif ukhrawi. Sebelum ini telah disebut bahawa penghakiman akan ada dan makhluk tidak boleh lari. Sekarang mula beritahu apakah azab yang akan dikenakan kepada mereka yang gagal.

 

يُرسَلُ عَلَيكُما شُواظٌ مِّن نّارٍ وَنُحاسٌ فَلا تَنتَصِرانِ

Sahih International

There will be sent upon you a flame of fire and smoke, and you will not defend yourselves.

Malay

Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan asap tebal; dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);

يُرسَلُ عَلَيكُما شُواظٌ مِّن نّارٍ

Kamu berdua akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang

Akan dikenakan dengan api yang kuat. Kalimah شُواظٌ bermaksud nyalaan-nyalaan. Kalau nak bayangkan, ia macam welding di bengkel. Kalau kita lihat api welding itu, api di hadapan yang paling panas.

Ada juga pendapat yang mengatakan, ini kalau ada yang cuba lari dari penjuru langit dan bumi. Mereka akan dikenakan dengan api yang menjulang-julang. Iaitu macam meteor yang akan mengenai mereka.

 

وَنُحَاسٌ

dan asap tebal;

Kalau manusia atau jin cuba juga nak lari, mereka akan dikenakan dengan api dan asap tebal. Mereka memang tidak akan ada peluang untuk melarikan diri langsung.

Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah cairan tembaga. Akan dicurahkan ke atas mereka.

 

فَلَا تَنتَصِرَانِ

kamu tidak akan mampu menolong diri kamu;

Makhluk tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka dari Allah. Manusia dan jin juga tidak akan dapat membantu satu sama lain.

Kalau dalam filem, bila ada meteor yang hendak menimpa bumi, kononnya manusia boleh buat sesuatu untuk menyelamatkan diri mereka. Nanti, apabila Allah benar-benar hendak menjatuhkan meteor kepada manusia, manusia tidak boleh buat apa-apa.


 

Rahman Ayat 36:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Adakah kamu nak menidakkan kuasa Allah? Apakah kamu sangka Allah tidak berkuasa untuk melakukannya terhadap kamu?


 

Rahman Ayat 37: Allah menerangkan kejadian pada Hari Kiamat nanti. Iaitu suasana waktu hisab. Allah beri gambaran untuk menakutkan kita. Allah berikan maklumat ini untuk bagi manusia dan jin berfikir. Maka ayat 37 – 40 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia menceritakan suasana Hari Kiamat.

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّماءُ فَكانَت وَردَةً كَالدِّهانِ

Sahih International

And when the heaven is split open and becomes rose-colored like oil –

Malay

Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّمَاءُ

Ketika langit terbelah

Langit akan terbelah dan terbuka pada hari Kiamat itu kerana ramai sekali malaikat turun. Ini adalah pada hari ditiupkan Sangkakala iaitu pada Hari Kiamat nanti. Waktu itu tidak sempat nak buat apa lagi.

Manusia akan amat terkejut pada hari itu. Sampaikan seorang ibu yang sedang mengandung akan tergugur anaknya kerana amat takut dan terkejut. Yang sedang menyusukan anak pula, akan buang anak mereka kerana takut sangat, sampaikan anak mereka yang mereka sayangi pun mereka tidak hiraukan lagi.

 

فَكَانَتْ وَرْدَةً

lalu menjadilah ia berwarna merah,

Bayangkan apabila kita menyiat kulit binatang. Ianya akan berwarna merah darah. Waktu itu langit akan menjadi kemerahan. Warnanya adalah merah mawar. Ia dari kata dasar و ر د dan bila ditambah ة ia menjadi ‘bunga Ros’. Ia menggambarkan kemarahan Allah pada waktu itu.

 

كَالدِّهَانِ

berkilat seperti minyak;

Dan ia akan berkilat-kilat. Ini adalah kerana apabila makhluk melihat ke langit, mereka akan nampak langit itu terbakar dengan dahsyatnya. Atau, ia akan seperti minyak yang dipanaskan.


 

Rahman Ayat 38:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Kamu sekarang menidakkan kuasa Allah untuk menjadikan hari kiamat itu, bukan? Nanti kamu akan lihat sendiri yang ianya terjadi dengan sebenar. Maka waktu itu adalah kamu hendak dustakan lagi kuasa Allah?


 

Rahman Ayat 39: 

فَيَومَئِذٍ لّا يُسئَلُ عَن ذَنبِهِ إِنسٌ وَلا جانٌّ

Sahih International

Then on that Day none will be asked about his sin among men or jinn.

Malay

Pada masa itu tiada sesiapa pun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);

فَيَوْمَئِذٍ

Pada masa itu

Iaitu pada hari Mahsyar.

 

لَّا يُسْئَلُ عَن ذَنبِهِ

tiada sesiapa pun yang akan ditanya tentang dosanya

Kenapa pula tidak ditanya? Kita kena faham yang hari Akhirat dijelaskan dalam fasa-fasa di dalam Al-Qur’an ini. Tidaklah semua ayat menyatakan keseluruhan tentang Hari Kiamat. Satu ayat mungkin menerangkan satu fasa dan satu ayat lagi tentang fasa yang lain.

Ayat yang kita sedang baca ini berlaku dalam fasa awal Hari Kiamat. Pada hari itu, tidak perlu ditanya tentang dosa yang telah dilakukan manusia dan jin, kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya masing-masing; Macam penjenayah yang baru ditangkap dan dibawa ke balai polis, tidak ditanya pun kita sudah tahu mereka muka bersalah. Kerana kita boleh lihat dari air muka mereka.

Mujahid (salah seorang ulama’ tafsir) telah mengatakan sehubungan dengan ayat ini, bahawa para malaikat tidak menanyakan tentang orang-orang yang berdosa, melainkan para malaikat mengetahui mereka dengan sendirinya melalui tanda-tanda yang ada pada mereka.

Macam juga muka pelajar yang ambil keputusan peperiksaan mereka. Mereka sendiri sudah dapat agak apakah yang mereka akan dapat – sama ada baik atau buruk. Jelas di muka mereka. Sekali pandang sahaja kita boleh tahu siapa yang berjaya dan siapa yang tidak.

Mereka yang berdosa itu sudah tahu apa yang mereka buat semasa mereka di dunia. Maka, akan nampak jelas kekesalan dan kekhuatiran pada wajah mereka. Tambahan pula, Allah akan jadikan tanda pada muka mereka, apakah dosa utama yang mereka telah lakukan.

Selepas fasa ini, maka akan diteruskan dengan fasa seterusnya dimana mereka akan ditangkap dan akan ditanya dan dipersoalkan satu persatu tentang apakah yang mereka telah lakukan di dunia dulu. Seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{فَوَرَبِّكَ لَنَسْأَلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ . عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ}

Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu. (Al-Hijr: 92-93)

Allah tidak perlu tanya pun kerana Allah sudah tahu apa yang manusia telah buat. Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahawa Allah tidak menanyai mereka, “Apakah kamu telah melakukan anu dan anu?” Kerana Dia lebih mengetahui hal itu daripada mereka sendiri, melainkan Allah bertanya kepada mereka, “Mengapa kalian melakukan anu dan anu?” Ini merupakan pendapat yang kedua.

Satu lagi tafsiran: mereka tidak akan ditanya kerana tidak diberi peluang untuk mereka mempertahankan diri mereka. Kerana kalau tanya, bolehlah pula yang ditanya itu beri alasan. Tapi tidak, mereka tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka pada waktu itu. Ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{هَذَا يَوْمُ لَا يَنْطِقُونَ. وَلا يُؤْذَنُ لَهُمْ فَيَعْتَذِرُونَ}

Inilah hari, ketika mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu), dan tidak diizinkan kepada mereka mengemukakan alasan agar mereka dimaafkan. (Al-Mursalat: 35-36)

 

إِنسٌ وَلَا جَانٌّ

sama ada manusia atau jin,

Sekarang Allah sebut ‘manusia’ dulu pula sebelum disebut ‘jin’. Ada kalanya Allah akan menyusun dengan cara berlainan. Susunan itu mengikut keperluan dan mengikut keadaan.


 

Rahman Ayat 40:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka tidak menghargai nikmat Allah semasa mereka hidup di dunia dulu. Maka sekarang, rasailah azab yang akan menimpa mereka.


 

Rahman Ayat 41:

يُعرَفُ المُجرِمونَ بِسيمٰهُم فَيُؤخَذُ بِالنَّوٰصي وَالأَقدامِ

Sahih International

The criminals will be known by their marks, and they will be seized by the forelocks and the feet.

Malay

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

يُعرَفُ المُجرِمونَ بِسيمٰهُم

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dengan tanda-tandanya,

Macam kalau di dunia pun kita sudah dapat tahu siapa yang bersalah dari air mukanya. Dan pekerja sesuatu syarikat juga ada tanda dia pada baju uniform atau pada lanyard dia. Dan kalau banduan di penjara juga ada uniform dia dan tidak sama dengan warden penjara.

Maka, di neraka nanti mereka yang berdosa akan diberi tanda. Malaikat dan makhluk yang lain akan kenal mereka kerana muka mereka hitam dan mata mereka biru. Dengan bau yang busuk lagi. Dan tanda-tanda yang lain. Memang tidak boleh disorok lagi.

Jadi ini menjawab persoalan dalam ayat sebelum ini, kenapa di Mahsyar tidak ditanya apakah dosa orang yang berdosa itu – kerana telah ada tanda. Semua sudah tahu siapakah orang yang berdosa.

 

فَيُؤْخَذُ بِالنَّوٰصِي

lalu dipegang dari atas kepala

Semasa hendak dilemparkan ke dalam neraka, mereka akan dipegang di kepalanya dan akan dilemparkan ke dalam neraka.

Kalimah بِالنَّوٰصِي dari kata dasar ن ص ي yang bermaksud ubun-ubun kepala. Mereka akan dilempar ke dalam neraka dan mengambil masa 70 tahun lamanya baru sampai ke dasar neraka. Semasa jatuh, badannya dibakar sepanjang perjalanan ke dasar neraka itu. Seksa yang amat sangat!

 

وَالْأَقْدَامِ

dan kakinya;

Kepala dan kakinya akan diikat dan dia akan diheret dan dilemparkan ke dasar neraka. Mereka dilayan macam binatang, macam sampah. Al-A’masy telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa ubun-ubun seseorang dari mereka dipegang bersama kedua kakinya hingga patah sebagaimana kayu bakar dipatahkan di dalam pembakaran roti.

Kita boleh tafsir begini: Kadang malaikat akan pegang pesalah dan ahli neraka itu dengan kaki, kadang dengan kepala. Maknanya malaikat akan capai mana-mana dulu. Ini macam buang sampah, asal dapat pegang sahaja dan akan terus dihumban. Tidak perlu nak beriya-iya cara pegang kerana benda hina yang nak dibuang.

Tapi ada juga tafsiran kedua: satu malaikat pegang kepala dan satu malaikat lagi pegang kaki untuk dihumban. Ini adalah kerana walaupun mereka itu berdosa, tapi roh mereka itu mulia, maka malaikat pun hormatlah juga. Allahu a’lam.

Mereka dilayan macam ini kerana mereka dulu semasa di dunia macam binatang. Mereka nak lihat tanda-tanda kebenaran dengan mata baru mereka kononnya nak percaya. Mereka nak lihat Allah, mereka nak lihat malaikat, mereka nak lihat Al-Qur’an diturunkan dan sebagainya. Padahal, mereka itu adalah manusia, tidak memerlukan tanda-tanda yang boleh dilihat dengan mata pun sudah boleh faham.

Kerana telah disebutkan di awal surah ini yang manusia itu telah diberi dengan ‘bayan’, iaitu kebolehan untuk faham idea, tulisan dan kata-kata. Tidak perlu lihat dengan mata pun sudah boleh faham. Yang kena lihat dengan mata baru nak buat tindakan, adalah binatang sahaja. Kalau ada kebakaran hutan, bila nampak hutan itu betul-betul terbakar di hadapan mata mereka, baru mereka nak terima dan lari dari situ.

Tapi manusia sepatutnya dengan hanya diberitahu ada hutan yang terbakar di hadapan, mereka sudah boleh tinggalkan tempat itu. Jadi kalau manusia nak tengok tanda depan mata juga baru nak ikut, mereka telah meletakkan kedudukan mereka sama dengan binatang lah maknanya.

Oleh itu, manusia telah diberitahu dengan peringatan-peringatan dalam bentuk nasihat dan ayat-ayat Al-Qur’an. Sepatutnya penjelasan dalam Al-Qur’an ini sudah cukup. Tapi mereka degil, tidak mahu percaya. Hasilnya, mereka akan dilayan macam binatang. Itulah layanan yang layak untuk mereka terima.


 

Rahman Ayat 42:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka masihkah kamu tidak mahu menghargai nikmat-nikmat Allah ke atas kamu? Kalau sudah hargai itu, maka kenalah taat kepada Allah. Kalau tidak taat, maka kamu akan dimasukkan ke dalam neraka dan kamu akan mengalami segala perkara yang telah disebut di atas.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 September 2023

Ringkasan Surah Rahman


Rujukan:

Maulana Hadi

Syeikh Nasir Jangda

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi