Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 26 – 28 (ilah mereka tidak membantu)

Ayat 26: Sambungan kisah Kaum Aad dan Tsamud.

وَلَقَد مَكَّنّٰهُم فيما إِن مَّكَّنّٰكُم فيهِ وَجَعَلنا لَهُم سَمعًا وَأَبصٰرًا وَأَفئِدَةً فَما أَغنىٰ عَنهُم سَمعُهُم وَلا أَبصٰرُهُم وَلا أَفئِدَتُهُم مِّن شَيءٍ إِذ كانوا يَجحَدونَ بِئآيٰتِ اللهِ وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly established them in such as We have not established you, and We made for them hearing and vision and hearts [i.e., intellect]. But their hearing and vision and hearts availed them not from anything [of the punishment] when they were [continually] rejecting the signs of Allāh; and they were enveloped by what they used to ridicule.

MALAY

Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kamu menguasainya (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikit pun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian) mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

 

وَلَقَد مَكَّنّٰهُم فيما إِن مَّكَّنّٰكُم فيهِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka yang tidak Kami berikan kamu di dalamnya

Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia telah memberi kelebihan keduniaan kepada kaum Aad. Kalau kita lihat dalam sejarah, masih ada lagi kesan peninggalan mereka di dunia ini. Mereka hebat sungguh, sampaikan beribu tahun pun, masih ada lagi peninggalan mereka yang kita dapat lihat sampai hari ini.

Allah ﷻ membandingkan dengan apa yang ada pada Musyrikin Mekah yang menentang dan menolak dakwah Nabi Muhammad ﷺ. Penduduk Mekah itu tidak ada apa yang boleh dibandingkan dengan penduduk Aad itu. Namun, kenapalah mereka berlagak sangat?

Jadi, khitab ayat ini pertamanya kepada Musyrikin Mekah kerana mereka yang mula-mula dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Allah ﷻ mengingatkan yang mereka tidak punya apa-apa pun kalau dibandingkan dengan Kaum Aad itu. Jika mereka hendak makanan perlu dapatkan dari tempat lain sebab tempat mereka tidak banyak tanaman yang tumbuh.

Malangnya ramai manusia yang sombong untuk terima kebenaran kerana kedudukan mereka yang tinggi sedikit dalam dunia. Mereka rasa mereka sudah cukup segala serba serbi, jadi tidak perlukan orang lain lagi. Kalau yang datang memberi nasihat kepada mereka itu adalah dari kalangan orang bawahan, mereka susah hendak terima kerana berasa mereka lebih hebat dari orang itu.

Allah ﷻ hendak memberitahu, kehebatan keduniaan mereka tidak ada apa-apa nilainya kalau menolak kebenaran.

 

وَجَعَلنا لَهُم سَمعًا وَأَبصٰرًا وَأَفئِدَةً

dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati;

Mereka bukannya orang yang bodoh atau tidak cukup sifat, kerana segala pancaindera yang diperlukan untuk menerima kebenaran telah diberikan kepada mereka.

 

فَما أَغنىٰ عَنهُم سَمعُهُم وَلا أَبصٰرُهُم وَلا أَفئِدَتُهُم مِّن شَيءٍ

pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikit pun kepada mereka,

Namun, malangnya, mereka sahaja yang tidak mahu guna segala kemudahan pancaindera yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Mereka ada pancaindera tapi tidak digunakan untuk mendapatkan kebenaran.

Kalau kita zaman sekarang pun macam itu juga, akan mengalami nasib yang sama seperti Kaum Aad itu kalau kita turut sama macam mereka. Kalau tidak terima azab semasa di dunia, akan diberikan azab di akhirat kelak.

 

إِذ كانوا يَجحَدونَ بِئآيٰتِ اللهِ

ketika mereka sentiasa menentang ayat-ayat keterangan Allah;

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka menolak wahyu Allah ﷻ. Segala pancaindera dan kelebihan yang Allah ﷻ berikan tidak berguna kepada mereka apabila mereka membantah dan berhujah melawan wahyu dari Allah ﷻ.

Apabila mereka telah banyak melawan, Allah ﷻ tutup pancaindera mereka hingga tidak akan dapat terima hidayah lagi – ini yang dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati). Bila ini berlaku, mereka tidak akan ada peluang lagi untuk mendapat hidayah. Kerana mereka telah banyak kali menentang dan Allah telah buat keputusan untuk memusnahkan mereka.

 

وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Mereka ejek segala azab yang telah diancam kepada mereka kerana nampak Nabi dan pengikut Nabi itu orang yang lemah sahaja. Mereka rasa macam mana orang lemah hendak azab mereka? Sedangkan azab itu bukan dari Nabi dan orang Islam, tetapi dari Allah ﷻ.

Maka nanti di akhirat, mereka akan diliputi dengan azab yang dulu mereka olok-olokkan. Perkara yang mereka dulu ejek seperti buah Zaqqum dan sebagainya itu akan nyata di hadapan mereka.


 

Ayat 27: Ayat 27 & 28 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Allah memberitahu yang ilah selain Allah tidak berkuasa apa-apa. Mereka tidak dapat menolong langsung bahkan lenyap begitu saja.

Ayat 27 ini adalah Takhwif duniawi kepada Musyrikin Mekah. Diberikan bila mereka menentang Nabi Muhammad ﷺ. Apabila kaum terdahulu menentang Nabi-nabi mereka, Allah ﷻ musnahkan mereka. Semua pujaan-pujaan mereka yang mereka sembah, tidak dapat membantu mereka sedikit pun.

وَلَقَد أَهلَكنا ما حَولَكُم مِّنَ القُرىٰ وَصَرَّفنَا الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already destroyed what surrounds you of [those] cities, and We have diversified the signs [or verses] that perhaps they might return [from disbelief].

MALAY

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah menerangkan tanda-tanda (kekuasaan Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).

 

وَلَقَد أَهلَكنا ما حَولَكُم مِّنَ القُرىٰ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu

Yang dimaksudkan adalah daerah sekeliling Mekah seperti tempat tinggal Kaum Aad dan Tsamud. Kaum sebelum Nabi Muhammad ﷺ memang duduk sekeliling mereka sahaja. Maknanya Musyrikin Mekah kenal dan tahu sejarah kaum-kaum itu. Mereka juga ada bermusafir ke kawasan-kawasan itu dan melalui tempat-tempat itu dalam perjalanan mereka. Allah ﷻ  suruh mereka tengoklah balik dan ambillah pengajaran dari mereka.

Kaum Aad tinggal di Al-Ahqaf di Hadramaut, iaitu negeri Yaman. Kaum Tsamud tempat tinggal mereka terletak antara Mekah dan negeri Syam. Demikian pula penduduk Saba’ yang terletak di negeri Yaman.

Selain dari itu ada penduduk Kota Madyan yang tempat tinggal mereka berada di tengah jalan yang biasa dilalui oleh penduduk Mekah menuju ke Gazzah (Palestina). Juga kaum Nabi Luth yang tempat tinggal mereka telah diubah menjadi danau. Semuanya itu mereka (penduduk Mekah) biasa lalu kawasan itu juga.

 

وَصَرَّفنَا الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

dan Kami telah menerangkan tanda-tanda dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).

Maksudnya mereka telah diberitahu segala bukti dan dalil. Bukan dengan satu cara, tetapi dengan macam-macam cara. Allah ﷻ bagi banyak cara kerana kadang-kadang manusia boleh faham dengan kaedah ini, dan ada yang boleh faham dengan kaedah lain pula. Maka semua cara telah digunakan oleh Allah ﷻ untuk beri mereka faham.

Semuanya Allah ﷻ lakukan supaya manusia dapat faham. Sampaikan tidak ada alasan yang mereka kata tidak faham. Seorang yang mahu buka hatinya kepada kebenaran akan nampak kebenaran yang disampaikan.


 

Ayat 28: Ini adalah Dakwa/Maksud Surah ini. Jadi kena beri perhatian yang lebih kepada ayat ini. Allah ﷻ memberitahu yang pujaan mereka selain dari Allah ﷻ itu tidak akan membantu mereka.

فَلَولا نَصَرَهُمُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ قُربانًا ءآلِهَةً ۖ بَل ضَلّوا عَنهُم ۚ وَذٰلِكَ إِفكُهُم وَما كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then why did those they took besides Allāh as deities by which to approach [Him]¹ not aid them? But they had strayed [i.e., departed] from them. And that was their falsehood and what they were inventing.

  • According to their claim.

MALAY

Maka sepatutnya mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

 

فَلَولا نَصَرَهُمُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ قُربانًا ءآلِهَةً

Maka mengapa mereka tidak dibantu oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)?

Kenapa semasa Allah ﷻ membinasakan dan memberi azab dunia kepada mereka, ilah-ilah yang mereka sembah itu tidak tolong mereka pun?

Lihatlah apa yang terjadi kepada kaum Aad dan Tsamud itu – Allah ﷻ musnahkan mereka dan tidak ada sesiapa yang datang tolong mereka. Mana dia ilah-ilah mereka yang mereka puja dan seru itu? Sia-sialah sahaja mereka menghabiskan masa dan tenaga dengan beribadat kepada ilah-ilah itu apabila mereka tidak datang tolong.

Semasa di dunia, ramai manusia yang menyembah selain dari Allah ﷻ, bertawasul kepada selain dari Allah ﷻ, seru dan doa kepada selain dari Allah ﷻ. Mereka telah melakukan ibadat kepada ilah-ilah itu itu – lawat kubur, tawaf kubur, baca zikir dan ayat Al-Qur’an di kubur, minta tolong kepada ahli kubur, sedekah Fatihah, korbankan binatang, dan macam-macam lagi cara penyembahan yang tidak ada dalam agama.

Mereka melakukan semua itu kerana mengharapkan bantuan dari Nabi dan wali yang dalam kubur itu. Mereka sangka, kalau selalu berbuat baik kepada wali, Nabi dan juga malaikat itu, tentulah mereka akan beri pertolongan kepada mereka nanti di akhirat. Namun Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa mereka yang disembah itu tidak akan tolong pun mereka yang menyembah. Ilah yang mereka harapkan beri pertolongan itu tidak tolong mereka langsung, walau sedikit pun.

Lafaz قُربانًا dalam ayat ini hendak menceritakan bagaimana tujuan mereka buat ibadat dan sembahan seperti seruan kepada ilah-ilah itu adalah untuk ‘mendekatkan’ diri kepada Nabi, wali dan malaikat itu dan supaya mereka dapat dekat kepada Allah ﷻ. Ia dari kalimah ق ر ب yang bermaksud ‘dekat’ seperti kita gunakan untuk kawan kita yang rapat sebagai ‘rakan karib’.

Jadi banyaklah amalan syirik yang dilakukan oleh golongan musyrik untuk mendekatkan diri mereka dengan ilah-ilah selain Allah ﷻ itu. Inilah salah faham orang kita pun. Mereka salah sangka yang roh Nabi, wali malaikat akan selamatkan mereka di akhirat kelak. Maka ramai yang selalu lawat ke kubur ‘tok wali’ untuk berziarah dan buat ibadat. Dan ini banyak dipopularkan oleh kumpulan Habib yang datang dari Yemen ke negara kita sekarang.

 

ۖ بَل ضَلّوا عَنهُم

bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. 

Namun, tidak ada ilah (sama ada dalam bentuk Nabi, wali atau malaikat) yang datang kepada mereka di dunia atau di akhirat nanti untuk memberi pertolongan. Waktu itu mereka sangat memerlukan pertolongan tetapi tidak ada yang datang tolong. Jangan kata hendak tolong, hendak tunjuk muka pun tidak.

 

وَذٰلِكَ إِفكُهُم وَما كانوا يَفتَرونَ

Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Kepercayaan mereka yang kata ada ilah selain Allah ﷻ yang akan tolong itu adalah kepercayaan khayalan mereka sahaja. Tidak pernah ada dalam syarak tentang perkara ini. Mereka sahaja yang ada-adakan setelah dibisikkan oleh syaitan.

Maka masyarakat kita kena diajar kesalahan syirik yang dilakukan oleh mereka. Ramai yang tidak tahu bahaya syirik kerana jahil dengan wahyu. Ramai yang tidak tahu yang amalan mereka itu adalah amalan yang syirik. Mereka sangka telah membuat amalan yang baik, tetapi sebenarnya tidak.

Inilah bahayanya apabila ajaran tarekat dibiarkan berleluasa tanpa teguran dari kita. Begitu juga dengan ajaran dari Golongan Habib yang datang ke negara ini. Mereka bawa ajaran yang salah tetapi bertopengkan ajaran Islam. Merekalah yang mengajak masyarakat kita beramal di kuburan dan menyeru-nyeru roh-roh manusia yang telah mati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Jun 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 21 – 25 (Kaum Aad yang tinggal di Ahqaf)

Ayat 21: Sekarang masuk kepada kisah yang baru. Ayat 21 – 26 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia adalah tentang Nabi Hud dan Kaum Aad. Ia adalah kisah mereka menolak tauhid dan akhirnya dibinasakan dengan ribut kencang.

Ayat 21 ini adalah Dalil Naqli Tafsili dari kisah Nabi Hud عليه السلام dan juga mengandungi Takhwif Duniawi. Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada Musyrikin Mekah dan kita juga, apakah kesan kalau tidak ikut ajaran Rasul.

وَاذكُر أَخا عادٍ إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And mention, [O Muḥammad], the brother of ‘Aad,¹ when he warned his people in [the region of] al-Aḥqāf – and warners had already passed on before him and after him – [saying], “Do not worship except Allāh. Indeed, I fear for you the punishment of a terrible day.”²

  • i.e., the prophet Hūd.
  • Upon the earth. It could also refer to “a tremendous Day,” i.e., that of resurrection.

MALAY

Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”, – sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya – (dengan berkata): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)”.

 

وَاذكُر أَخا عادٍ

Dan ingatlah peristiwa saudara kaum Aad,

‘Saudara’ Kaum Aad yang dimaksudkan adalah Nabi Hud عليه السلام. Baginda adalah seorang Nabi dari kalangan bangsa Arab. Jadi Musyrikin Mekah memang kenal baginda. Kaum Aad ini adalah kaum yang ada selepas Banjir Besar Nabi Nuh.

Selepas Banjir itu, semua manusia yang ada adalah beriman belaka. Melalui merekalah keturunan manusia bercambah membiak. Akan tetapi lama-kelamaan, manusia kembali melakukan syirik. Jadi Kaum Aad ini adalah antara kaum yang awal menolak tauhid.

 

إِذ أَنذَرَ قَومَهُ بِالأَحقافِ

ketika dia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah “Al-Ahqaaf”,

Nama surah ini diambil dari ayat ini: ahqaf (bukit-bukit pasir). Kaum Aad tinggal di daerah Ahqaf. Ia terletak antara kawasan Yaman dan Hadramawt. Tempat itu dinamakan begitu kerana ada bukit-bukit pasir yang tinggi. Menurut Ikrimah, Al-Ahqaf ertinya bukit-bukit dan gua-gua.

Musyrikin Mekah memang kenal dengan peninggalan mereka kerana selalu melalui kawasan peninggalan kaum Aad itu dalam safar mereka.

 

وَقَد خَلَتِ النُّذُرُ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ

dan telah berlalu Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya

Terdapat banyak rasul-rasul yang telah menyampaikan dakwah dan akan ada lagi rasul-rasul lain. Ada Rasul yang sezaman dengan Nabi Hud عليه السلام dan ada yang datang pada zaman sebelum. Nanti akan ada Nabi lain yang akan datang sesudah baginda. Semua Nabi-nabi itu menyampaikan mesej tauhid yang sama.

Apakah mesej semua Nabi dan Rasul?

 

أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ

“Janganlah kamu menyembah melainkan Allah,

Mesej yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu sama sahaja pada dasarnya. Mereka mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah ﷻ sahaja dalam sembahan dan dalam seruan doa. Jangan taat kepada selain dari Allah ﷻ dan meminta kepada selain Allah ﷻ. Selain itu jangan amalkan tawasul yang salah dan jangan minta kepada Nabi, wali dan malaikat.

Maknanya, semua Nabi-nabi dalam dunia ini menyampaikan mesej yang sama. Itulah yang hendak disampaikan kepada Musyrikin Mekah dan manusia seluruhnya.

 

إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

sesungguhnya aku bimbang ke atas kamu akan beroleh azab hari yang besar

Ini adalah Jumlah ta’liliyah. Ia hendak memberitahu kenapa Nabi Hud عليه السلام sampaikan dakwah Tauhid itu?

Ini kerana baginda takut mereka kena azab dan baginda sayang kepada kaumnya itu kerana baginda dari kalangan mereka. Begitulah kita juga bagi peringatan kepada keluarga dan kawan-kawan kita kerana kita sayang kepada mereka.

Kita takut mereka dikenakan azab nanti kerana tidak tahu mereka ada melakukan perbuatan yang salah. Sebagai contoh, ramai yang tidak tahu amalan doa bertawasul kepada makhluk itu adalah syirik. Oleh kerana diajar oleh guru-guru yang salah, ramai yang melakukannya. Maka kitalah yang kena terangkan kepada mereka.


 

Ayat 22: Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak dan ditentang, begitu juga dengan Nabi Hud عليه السلام dulu. Ayat ini sebagai tasliah (pujukan) kepada Nabi, kerana Nabi Muhammad ﷺ telah ditolak oleh kaumnya.

Allah ﷻ hendak memujuk Nabi dengan memberitahu, bukan baginda sahaja yang kena tolak, tetapi Nabi Hud عليه السلام pun kena tolak juga. Bukan sahaja Nabi, malah kita para pendakwah juga akan ditolak.

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Have you come to delude us away from our gods? Then bring us what you promise us, if you should be of the truthful.”

MALAY

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

 

قالوا أَجِئتَنا لِتَأفِكَنا عَن ءآلِهَتِنا

Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah ilah-ilah kami?

Kaum Nabi Hud عليه السلام tidak dapat menerima ajaran tauhid yang disampaikan oleh Nabi Hud عليه السلام itu. Mereka marah kepada baginda dan menuduh baginda hendak memesongkan mereka dari ilah-ilah mereka (mereka ada banyak ilah selain Allah). Seperti yang kita telah sentuh dalam banyak tempat, ilah itu adalah tempat penyempurna hajat dan tempat manusia meletakkan harapan hati.

Ia hanya boleh diletakkan kepada Allah ﷻ sahaja tetapi kaum Aad itu sudah lama mengamalkan amalan syirik. Apabila perkara besar begitu dikatakan salah oleh Nabi Hud عليه السلام, tentulah mereka melenting.

Masyarakat memang takut kalau perkara yang telah lama mereka lakukan diganggu gugat dan dikatakan salah. Macam masyarakat kita sekarang juga, kalau ada yang kata amalan bidaah mereka seperti talqin, Doa Selamat, Solat Hajat, Majlis Tahlil dan yang seumpamanya dengannya itu adalah salah, melenting sungguh mereka.

Kita yang memberi nasihat kepada mereka pula yang dimarahi kerana dikatakan hendak menukar agama nenek moyang mereka. Mereka kata: “benda ni sudah lama orang kita dok amalkan, tiba-tiba kamu kata salah pulak? Ulama’ zaman berzaman sudah bahas dah, sekarang kau kata salah???!! Siapa kau!??”

 

فَأتِنا بِما تَعِدُنا

Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu

Mereka dengan beraninya telah mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk membawakan azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Nabi Hud عليه السلام telah berdakwah dan memberi amaran kepada mereka, kalau mereka tetap meneruskan melakukan syirik, mereka akan ditimpa oleh azab.

Akan tetapi mereka tetap tidak mahu mendengar nasihat baginda, malah telah berani mencabar Nabi Hud عليه السلام untuk bawakan azab itu dengan segera. Ini kerana mereka tidak percaya dengan azab itu.

 

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

Begitulah kurang ajarnya mereka. Mereka tidak percaya yang Nabi Hud عليه السلام itu adalah Nabi yang sebenar. Maka mereka cabar baginda tanpa usul periksa lagi, tanpa berfikir panjang. Mereka cabar supaya disegerakan azab yang dijanjikan itu.

Ini adalah permintaan yang amat bodoh sekali kerana sepatutnya kita minta elak dari musibah dan azab, tetapi mereka ini minta azab dipercepatkan pula. Tidakkah gila kalau minta perkara buruk? Memang jenis tidak sayang nyawa.


 

Ayat 23: Allah ﷻ ajar dalam ayat ini bahawa azab itu janji Allah ﷻ, bukan datang dari kehendak Nabi.

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Knowledge [of its time] is only with Allāh, and I convey to you that with which I was sent; but I see you [to be] a people behaving ignorantly.”

MALAY

Nabi Hud berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!”

 

قالَ إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ

(Nabi Hud) berkata: “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, 

Kuasa untuk menurunkan azab adalah dalam tangan Allah ﷻ; Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu bilakah ia akan dikenakan kepada mereka. Nabi Hud  عليه السلام hendak turunkan azab yang dijanjikan itu pun tidak boleh kerana bukan baginda yang jaga azab. Bukan baginda yang menentukan.

Atau, ia bermaksud ilmu sama ada mereka layak dikenakan dengan azab atau tidak hanya ada pada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu. Nabi Hud عليه السلام boleh sampaikan sahaja. Baginda hanya boleh beri ancaman sahaja.

Macam kita boleh sebut kriteria orang kafir begini dan begitu, tetapi kita tidak boleh label seseorang sebagai ‘kafir’ (perbuatan takfir). Kita tidak boleh kata: “kau kafir, pasti kena azab, pasti masuk neraka!”. Paling kuat kita boleh kata: “aku tengok engkau ni ada ciri-ciri orang kafir. Maka berhati-hatilah dan baikilah diri kamu.”

Kita tidak boleh kata seseorang itu akan dikenakan dengan azab atau seseorang itu pasti masuk neraka. Kena ingat yang kita tidak jaga neraka dan syurga. Malangnya ramai sangat yang ringan sahaja mulut mengkafirkan orang lain.

 

وَأُبَلِّغُكُم مّا أُرسِلتُ بِهِ

dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, 

Bukan baginda boleh tentukan siapa masuk neraka dan siapa kena azab, kerana baginda boleh beri peringatan dan ancaman sahaja. Kerana itulah tugas yang baginda diutuskan oleh Allah.

Dan baginda telah menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan ajaran wahyu. Maka, yang selain darinya terpulang kepada Allah ﷻ. Maka kita pun kenalah jalankan tugas kita menyampaikan ajaran wahyu kepada umat. Apa yang orang hendak kata, itu mulut mereka. Tugas kita sampaikan sahaja.

 

وَلٰكِنّي أَرٰكُم قَومًا تَجهَلونَ

tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil

Baginda kata mereka adalah kaum yang jahil atau ‘buat-buat jahil’. Buat-buat tidak faham dengan apa yang disampaikan. ‘Buat-buat bodoh’, kata orang kita.

Jahil itu adalah apabila ikut perasaan sahaja iaitu ikut kehendak nafsu sahaja, sudah tidak ikut akal. Ini kerana kadangkala akal boleh terima apa yang disampaikan, tetapi nafsu yang tidak boleh terima. Kerana nafsu telah menguasai akal mereka. Maka mereka yang menolak akan menolak dengan berbagai-bagai cara.

Sebagai contoh, Kaum Aad itu tahu yang azab itu bukan dari baginda tetapi mereka minta juga dari baginda. Mereka sengaja hendak menyakitkan hati baginda dengan berkata begitu. Konon-kononnya apabila baginda tidak dapat turunkan azab, maka mereka boleh berhujah: baginda tidak benarlah pada mereka.


 

Ayat 24: Takhwif Duniawi. Kaum Nabi Hud عليه السلام telah dikenakan dengan azab. Ini sebagai penguat kepada Maksud Surah ini – pujaan-pujan yang mereka sembah itu tidak dapat menolong mereka apabila mereka dikenakan dengan azab. Sama ada azab itu di dunia atau di akhirat kelak.

Salah satu rahmat Allah ﷻ yang kita mungkin tidak perasan adalah Allah ﷻ sudah tidak hancurkan umat setiap kali mereka menolak Nabi mereka. Sejak kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ sudah tidak buat begitu lagi. Malah semenjak Nabi Musa عليه السلام lagi sudah tidak ada azab yang menghancurkan kaum diberikan. Ini adalah kerana syariat perang sudah diberikan. Kerana Allah telah beri kebenaran untuk berperang kepada umat Islam untuk kenakan azab sendiri kepada musuh mereka.

Allah ﷻ tidak hancurkan manusia secara keseluruhan lagi kerana kalau Allah ﷻ buat macam dulu, lagi teruklah manusia zaman ini kena azab, kerana penentangan kita lagi teruk dari kaum-kaum terdahulu. Itulah sebabnya Nabi Muhammad ﷺ digelar sebagai ‘rahmat kepada sekalian alam’ – kerana selepas baginda, azab yang besar-besar sudah tiada – kita diberi peluang untuk bertaubat.

Dan kalau Allah ﷻ musnahkan ‘umat’ Nabi Muhammad ﷺ, maka tiada lagi manusia atas muka bumi, kerana semua kita adalah umat Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Sedangkan kalau dulu Allah ﷻ musnahkan satu kaum, ada lagi kaum lain. Waktu itu apabila Allah ﷻ musnahkan kaum Aad, ada lagi kaum lain yang akan dibangkitkan selepas mereka (atau sezaman dengan mereka).

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they saw it as a cloud approaching their valleys, they said, “This is a cloud bringing us rain!” Rather, it is that for which you were impatient:¹ a wind, within it a painful punishment,

  • When you challenged your prophet. See verse 22 of this sūrah.

MALAY

Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

 

فَلَمّا رَأَوهُ عارِضًا مُّستَقبِلَ أَودِيَتِهِم

Maka apabila mereka melihat (azab itu sebagai) awan yang menghala ke lembah-lembah mereka,

Oleh kerana kedegilan mereka, Allah ﷻ telah hentikan hujan untuk mereka. Jadi mereka sudah lama dalam kemarau. Mereka ada masalah kerana kekurangan makanan. Allah ﷻ jadikan begitu supaya mereka rasa rendah diri tidak sombong, supaya hilang ego mereka.

Ini kerana selalunya orang jadi sombong apabila mereka senang dan apabila mereka susah, baru teringat kepada Allah ﷻ. Sifat manusia, apabila sudah jatuh terduduk, barulah hati lembut untuk terima peringatan.

Sepatutnya bila kena musibah sebegitu, membuatkan mereka terfikir yang mungkin perkara itu terjadi akibat tidak beriman dan supaya mereka kenangkan dosa mereka dan kembali ke pangkal jalan.

Maka lamalah mereka tidak dapat hujan, maknanya sudah lama musim kemarau. Tiba-tiba satu hari mereka boleh nampak datangnya awan yang tebal menuju ke lembah tempat tinggal mereka. Mereka pun teruslah suka apabila nampak awan itu.

 

قالوا هٰذا عارِضٌ مُّمطِرُنا

mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!”

Mereka sudah melonjak kegembiraan, kerana mereka sangka itu adalah awan yang membawa hujan yang akan turun. Mereka tidak sangka yang ia adalah azab yang dibawa untuk mereka kerana ia datang dalam bentuk awan. Mereka memang gembira kerana mereka memang tunggu hujan pun.

Siti Aisyah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. apabila melihat mendung atau angin yang besar, maka terlihat ada perubahan pada roman muka beliau. Lalu Siti Aisyah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang merasa gembira bila mereka melihat awan kerana adanya harapan akan turun hujan. Tetapi aku amati apabila engkau melihatnya, ada perasaan kurang senang di wajahmu.” Maka Rasulullah ﷺ menjawab:

“يَا عَائِشَةُ، مَا يُؤَمِّنُنِي أَنْ يَكُونَ فِيهِ عَذَابٌ، قَدْ عُذِّبَ قَوْمٌ بِالرِّيحِ، وَقَدْ رَأَى قَوْمٌ الْعَذَابَ فَقَالُوا: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا”

Hai Aisyah, aku merasa khawatir bila di dalam awan itu terdapat azab, kerana ada suatu kaum yang telah diazab melalui angin yang besar (awan), kaum itu melihat kedatangan azab tersebut, lalu mereka mengatakan, ‘Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami.”

Dalam  hadis yang lain:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman, dari Sufyan, dari Al-Miqdam ibnu Syuraih, dan ayahnya, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ apabila melihat awan muncul di cakrawala langit dari arah mana pun, baginda meninggalkan pekerjaannya. Dan jika baginda berada di dalam salatnya, mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيهِ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari keburukan yang terkandung di dalam awan ini.

Dan jika ternyata awan itu hilang, maka baginda memuji kepada Allah ﷻ. Jika hujan turun, maka baginda membaca doa:

“اللَّهُمَّ، صَيِّبًا نَافِعًا”

Ya Allah, (jadikanlah hujan ini) hujan yang bermanfaat.

 

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan. Ini dalam bentuk hujan yang positif.

Dan kadangkala Allah menggunakan kalimah مطر bagi hujan yang negatif. Iaitu sesuatu yang tidak baik seperti dalam ayat ini.

 

ۚ بَل هُوَ مَا استَعجَلتُم بِهِ

“Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya,

Tetapi ia bukannya awan nikmat tetapi itulah dia azab yang dulu mereka minta disegerakan. Bukankah sebelum ini mereka telah cabar Nabi Hud untuk bawakan azab yang dijanjikan? Sekarang ia sudah datang, hendak cakap apa pula?

 

ۖ ريحٌ فيها عَذابٌ أَليمٌ

iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Ia adalah angin kencang yang ada azab di dalamnya. Di dalamnya bukan air hujan tetapi api.

Dalam surah lain ada disebut yang angin taufan itu melanda mereka selama tujuh malam lapan hari. Kalau sekarang kita tengok tornado serang sesuatu kawasan tiga minit pun kita boleh tengok kehancuran yang dilakukannya. Tambahan pula kalau berhari-hari, datang dengan api pula. Memang tidak dapat dibayangkan kemusnahan itu.


 

Ayat 25: Takhwif Duniawi.

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيءٍ بِأَمرِ رَبِّها فَأَصبَحوا لا يُرىٰ إِلّا مَسٰكِنُهُم ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Destroying everything by command of its Lord. And they became so that nothing was seen [of them] except their dwellings. Thus do We recompense the criminal people.

MALAY

“Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya”. (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

 

تُدَمِّرُ كُلَّ شَيءٍ بِأَمرِ رَبِّها

“Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya”.

Semua yang ditakdirkan hancur, musnah dengan arahan Tuhan. Terpulang kepada Allah  ﷻ bahagian mana yang Dia hendak hancurkan. Ini kerana tempat tinggal mereka tidak dihancurkan. Maknanya Allah ﷻ hendak hancurkan tubuh badan mereka sebenarnya.

 

فَأَصبَحوا لا يُرىٰ إِلّا مَسٰكِنُهُم

maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka.

Kelibat mereka tidak ada, tinggal tinggalan rumah sahaja. Tubuh badan mereka sedikit pun tidak ada lagi. Allah ﷻ tinggalkan tempat tinggal mereka sebagai peringatan kepada orang kemudian. Manusia kemudian boleh tengok kesan mereka itu dan mengingatkan kepada azab yang dikenakan kepada orang yang engkar dengan agama.

 

ۚ كَذٰلِكَ نَجزِي القَومَ المُجرِمينَ

Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

Begitulah Allah ﷻ beri contoh apa yang terjadi kepada kaum yang buat dosa. Bukanlah ia khusus kepada kaum Aad sahaja. Mereka dikenakan dengan azab sebegitu kerana mereka telah melakukan kesalahan yang berat dari segi akidah.

Namun ia boleh lagi dikenakan kepada kaum yang Allah ﷻ ingin balas semasa di dunia. Macam umat Nabi Muhammad ﷺ, Allah ﷻ tidak azab sampai habis keturunan kerana kalau diberi azab begitu, maka tidaklah ada tinggal lagi umat manusia kerana semua manusia sekarang adalah umat Nabi Muhammad ﷺ.

Maka azab yang dikenakan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ adalah sikit-sikit sahaja, hanya dikenakan kepada tempat-tempat tertentu. Tidaklah sampai habis semua keturunan terus seperti yang dilakukan kepada Kaum Aad ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Oktober 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 17 – 20 (Anak yang degil)

Ahqaf Ayat 17: Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan Allah tentang kata-kata manusia yang degil). Sebelum ini telah disebut contoh ibubapa dan anak yang baik. Sekarang diberikan contoh anak yang tidak baik pula. Ibubapanya mengamalkan tauhid tetapi anaknya tidak beriman dengan tauhid dan mengamalkan syirik.

Jadi ini adalah contoh seorang anak yang derhaka kepada ibubapanya. Kita juga tahu teruknya orang begini kerana tidak mengenang jasa ibubapa sendiri. Allah ﷻ hendak mengajar kita, kalau degil dengan ibubapa sudah teruk, maka degil dengan Allah ﷻ lagilah teruk kerana Allah ﷻ lebih banyak jasa-Nya kepada kita.

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But one who says to his parents, “Uff¹ to you; do you promise me that I will be brought forth [from the earth] when generations before me have already passed on [into oblivion]?” while they call to Allāh for help [and to their son], “Woe to you! Believe! Indeed, the promise of Allāh is truth.” But he says, “This is not but legends of the former peoples” –

  • An expression of distaste and irritation.

MALAY

Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): “Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua! Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu (masih lagi belum kembali)? ” Sambil mendengar kata-katanya itu – ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah (menyelamatkan anak mereka) serta berkata (kepada anaknya yang ingkar itu): “Selamatkanlah dirimu! Berimanlah (tentang hidup semula menerima balasan amal)! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”. Lalu dia menjawab (dengan angkuhnya): “Semuanya itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

 

وَالَّذي قالَ لِوٰلِدَيهِ أُفٍّ لَّكُما

Dan orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya: “Ah! Bosan kamu berdua!”

Kata-kata ini dikeluarkan oleh seorang anak kepada ibubapanya. Dia kata dia sungguh bosan dengan mereka kerana dia rasa serabut mendengar nasihat agama daripada mereka berdua. Asyik-asyik kena nasihat, kena tegur apabila dia buat salah. Apabila dia tidak suka, sampai keluar kata-kata kurang ajar itu.

Itu adalah kata permulaan bagi derhaka. Dengan kata-kata ini pun sudah dikira derhaka. Ibubapa bagi nasihat tetapi dia tidak mahu terima, dan marah pula kepada ibubapa yang beri nasihat itu. Sedangkan ibubapa itu memberi nasihat kerana dia telah buat kesalahan dalam agama. Memanglah patut ibubapa itu menasihatkan dia, tetapi dia pula yang tidak suka. Kalau ibubapa pun tidak boleh nasihat, siapa lagi yang boleh nasihat?

Nota: tidak pasti siapakah individu yang dimaksudkan dalam ayat ini. Tafsir Ibn Kathir ada meriwayatkan beberapa riwayat yang menyebut salah satu pendapat yang mengatakan bahawa individu yang dimaksudkan adalah anak Saidina Abu Bakar رضي الله عنه, tetapi Ibn Kathir menolak hujah itu kerana ia tidak kuat. Jadi, kita gunakanlah ayat ini sebagai makna yang umum, tidak tertakluk kepada mana-mana individu. Tidak perlu kita kaitkan kepada mana-mana individu.

 

أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ

Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, 

Ini anak yang tidak percaya kepada kebangkitan semula. Walaupun ibubapa dia mengingatkan dia kepada hari akhirat, dia tidak percaya dan tidak suka diperingatkan. Ini adalah jenis ibubapa yang baik, kerana mereka ingatkan anak tentang akhirat dan kepentingan agama. Inilah yang sepatutnya kita sebagai ibubapa kena lakukan. Jangan biarkan anak terus hanyut.

Ibubapa yang soleh tidak kisah hal lain, asalkan anak dia jadi baik dalam agama. Mereka tidak risaukan tentang kerja anaknya itu kerana mengharapkan anaknya akan menanggungnya bila sudah tua nanti; atau jenis ibubapa yang berbangga kalau anak mereka berjaya dalam kerjaya, kehidupan dan rupa kerana mereka hendak berbangga dengan anaknya itu.

Hanya yang mereka lebih pentingkan adalah agama anaknya itu. Biarlah tidak berjaya dalam kerjaya, asalkan berjaya dan faham dalam agama. Tentunya berlainan sekali dengan kebanyakan fahaman ibubapa di dunia ini yang mahukan anak berjaya dalam dunia supaya mereka pun boleh menumpang hidup senang.

 

وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي

padahal berbagai generasi sebelumku telah berlalu?

Anak itu pun memberi alasan kenapa dia tidak percaya dengan kebangkitan semula dan dia rasa pandai dengan hujahnya itu, tetapi dia bodoh sebenarnya. Dia kata orang sudah banyak yang lama mati, tetapi tidak ada pun yang hidup semula dan beritahu yang memang akhirat itu ada?

Ini adalah hujah yang bodoh kerana Allah ﷻ tidak pernah kata yang orang yang mati akan dihidupkan semula ‘dalam’ dunia ini, tetapi kehidupan semula itu adalah ‘selepas’ Hari Kiamat dan setelah alam bumi ini hancur.

 

وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ

ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah

Ibubapanya berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberi taufik untuk anak mereka. Mereka sudah tidak tahu hendak buat apa lagi dengan anak mereka itu. Sudah nasihat banyak kali, tetapi kalau sudah jenis anak tidak mahu mendengar nasihat, memang tidak boleh buat apa. Maka mereka berharap kepada Allah ﷻ sahaja.

Ini mengajar kita, kita tidak boleh hendak mengubah pendirian seseorang. Kadangkala kita sudah berhujah dan beri dalil banyak kali, tetapi orang yang didakwah tidak dengar juga. Maka waktu itu kita hanya berdoa kepada Allah ﷻ sahaja untuk membuka pintu hati mereka. Serahkan kepada Allah ﷻ sahaja.

Bukannya pergi jumpa bomoh atau Uskun (Ustaz Dukun) minta air penerang hati. Itu amat mengarut sekali dan saki baki fahaman Jahiliyah. Ia juga syirik kerana ada fahaman ada manusia boleh ubah hati manusia.

 

وَيلَكَ ءآمِن إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

“Bahaya kamu! Berimanlah! Sesungguhnya janji Allah tetap benar”.

Ibubapa itu tetap memberi nasihat kepada anaknya itu disamping memarahi anaknya. Ini memang kes yang ibubapa patut marah anak.

Maksud وَيلَكَ – ‘bahaya kamu’. Ibubapa mengingatkan anaknya itu berjaga-jaga dengan apa yang dia katakan. Kalau hendak selamat, berimanlah!

Maknanya, ibubapa itu suruh anaknya itu perbetul akidahnya dahulu. Bahaya kalau anaknya itu berterusan dengan akidah itu kerana Allah ﷻ sudah janji hendak azab dan kekalkan pengamal syirik dalam neraka selama-lamanya. Allah ﷻ pasti akan tunaikan janji-Nya itu.

 

فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Lalu dia menjawab: “Semuanya ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”

Anaknya itu masih tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh ibubapanya itu. Ini adalah alamat seorang ahli neraka. Dia kata semua yang diberitahu tentang agama itu adalah perkara dongeng orang dahulu kala sahaja.

Ini selalu terjadi kepada mereka yang rasa mereka pandai, terutama pandai dalam sains. Mereka kononnya mahu perkara-perkara yang dikatakan dalam agama itu kena ada bukti dalam sains, baru mereka nak percaya. Kalau tidak ada bukti, pada mereka itu kisah dongeng sahaja.

Mereka tidak kisahkan agama kerana hendak hidup ikut nafsu mereka sahaja. Ini kerana kalau kena terima agama, mereka rasa susah sebab kena kekang nafsu mereka. Mereka tidak mahu kekang nafsu kerana mereka hendak segalanya dengan segera. Mereka telah terikat dengan nikmat dunia yang segera.


 

Ahqaf Ayat 18: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah natijah kalau tidak ikut nasihat.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the ones upon whom the word [i.e., decree] has come into effect, [who will be] among nations which had passed on before them of jinn and men. Indeed, they [all] were losers.

MALAY

Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ

Mereka yang bersifat seperti itu telah tetap keputusan ke atas mereka (azab)

Telah tsabit (tetap) taqdir Allah ﷻ untuk penuhkan golongan seperti mereka dalam neraka. Anak jenis macam itu adalah salah seorang dari mereka yang akan masuk neraka. Allah ﷻ sudah membuat keputusan atas mereka. Mereka itu tunggu mati sahaja untuk dikenakan dengan azab.

 

في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِهِم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ

bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia;

Mereka bukan masuk sendirian sahaja ke dalam neraka. Mereka akan masuk neraka bersama dengan orang-orang yang terdahulu dari kalangan mereka yang juga telah ditakdirkan masuk neraka. Bukan mereka sahaja yang baru buat kerja tolak wahyu ini, tetapi sudah banyak lagi dari golongan terdahulu. Semuanya nanti boleh berjumpa dalam neraka dan berkenalan.

Bukan manusia sahaja yang tolak wahyu, ada kalangan jin juga termasuk  yang tolak wahyu. Sama-sama akan masuk neraka. Surah ini nanti akan sebut tentang jin dan sekarang sudah mula disebut tentang jin.

Kalimah الْإِنسِ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan الْإِنسِ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia. Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam A’raf:172, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,

Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

 

ۖ إِنَّهُم كانوا خٰسِرينَ

sesungguhnya mereka telah menjadi orang-orang yang rugi.

Sungguh rugi sekali mereka. Semua itu kerana kesalahan mereka juga, bukan kerana Allah ﷻ tidak memberi peluang kepada mereka. Mereka rugi kerana tidak ambil peluang semasa hidup di dunia dahulu. Mereka rugi sebenar-benar rugi. Sekarang di dunia mereka tidak nampak, tapi nanti akan jelas di akhirat kelak. Tapi waktu itu sudah terlambat.


 

Ahqaf Ayat 19: Ahli neraka dan syurga ada darjat mereka dalam neraka dan dalam syurga. Tidak sama kedudukan semua orang.

Kedudukan itu bergantung kepada tahap keburukan dan tahap kebaikan mereka. Semakin teruk, maka semakin rendah darjat mereka dalam neraka dan semakin baik dan banyak seseorang itu dalam amal, maka semakin tinggi kedudukannya dalam syurga.

وَلِكُلٍّ دَرَجٰتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم وَهُم لا يُظلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for all there are degrees [of reward and punishment] for what they have done, and [it is] so that He may fully compensate them for their deeds, and they will not be wronged.

MALAY

Dan bagi mereka masing-masing (dari puak jin dan manusia – yang berbuat baik dan yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan (ketetapan yang demikian ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang mereka tidak dirugikan (sedikit pun).

 

وَلِكُلٍّ دَرَجاتٌ مِّمّا عَمِلوا ۖ

Dan bagi mereka masing-masing berbagai peringkat yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, 

Ada yang duduk di tingkatan rendah dalam syurga. Ada yang duduk di tingkatan tinggi. Bergantung kepada amalan mereka dalam dunia dulu. Bagi yang beramal banyak, akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi.

Begitu juga dalam neraka, ada tingkatan juga. Keburukan yang manusia lakukan tidak sama; ada yang lagi teruk dari orang lain. Orang yang menyembah patung sekali, tidak sama dengan orang yang menyembah berhala sepanjang hidup dia. Maka yang paling teruk akan duduk di tingkatan yang paling rendah dan mereka mendapat azab yang paling teruk.

 

وَلِيُوَفِّيَهُم أَعمٰلَهُم

Agar Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka,

Mereka diberikan darjat dalam neraka dan syurga supaya Allah ﷻ balas dengan sempurna. Amalan yang baik dibalas dengan baik dengan sempurna dan yang jahat akan dibalas sempurna dengan keburukan yang layak bagi mereka. Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim. Segala balasan yang Allah ﷻ berikan adalah adil dan sempurna.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

mereka tidak dizalimi

Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim dalam memberi balasan. Tidak ada yang rugi kerana tidak dibalas amal kebaikan mereka. Tidak ada juga yang diberi balasan buruk pada perkara yang mereka tidak pernah buat. Kalau dibandingkan dengan mahkamah dunia, ada juga manusia yang salah dihukum – mereka tidak buat jenayah tetapi kena masuk penjara juga. Mahkamah Allah ﷻ tidak begitu.

Yang buat amal kebaikan, semuanya akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikit pun. Kalau kita buat kerja lebih di dunia, mungkin majikan kita tidak beri imbuhan lebih pun, kerana dia tidak tahu yang kita buat kerja lebih. Namun, Allah ﷻ maha tahu segalanya, jadi Dia akan balas tanpa tertinggal satu pun. Malah Allah ﷻ akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan oleh manusia.


 

Ahqaf Ayat 20: Takhwif Ukhrawi

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Day those who disbelieved are exposed to the Fire [it will be said], “You exhausted your pleasures during your worldly life and enjoyed them, so this Day you will be awarded the punishment of [extreme] humiliation because you were arrogant upon the earth without right and because you were defiantly disobedient.”

MALAY

Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): “Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”

 

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ

Dan hari orang-orang kafir didedahkan kepada api neraka

Allah ﷻ hendak menceritakan keadaan mereka yang kafir yang duduk dalam neraka. Mereka akan dipanggang dengan api neraka yang suhunya ribu juta darjah.

Sambil mereka dipanggang itu, mereka akan dihinakan dengan kata-kata para malaikat yang sedang menyeksa mereka.

 

أَذهَبتُم طَيِّبٰتِكُم في حَياتِكُمُ الدُّنيا وَاستَمتَعتُم بِها

“Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; 

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘dikatakan kepada mereka’. Semasa mereka sedang dipanggang itu, mereka diberi syarahan yang menyakitkan hati. Ini adalah takzib rohani – azab penyeksaan jiwa. Ini untuk menambah azab badan yang mereka sedang terima. Sudahlah tubuh mereka sedang diazab, jiwa mereka pun diseksa dengan kata-kata yang menyakitkan hati.

Diingatkan kembali kehidupan mereka di dunia yang menyebabkan mereka jadi sesat dan tidak bersedia untuk menghadapi akhirat – mereka dulu bersuka ria dalam dunia, menghabiskan masa dengan nikmat kehidupan sahaja. Dunia telah melalaikan mereka sampai mereka tidak sempat meluangkan masa untuk mencari kebenaran, tidak beramal dengan amal yang soleh.

Tentang dunia mereka hebat, tetapi tentang agama mereka ambil mudah sahaja. Mereka tidak kisah kalau mereka jahil tentang agama, asalkan kehidupan mereka senang lenang. Macam orang kita juga yang pakai ilmu agama yang mereka dapat di sekolah rendah sahaja. Tidak berubah dan bertambah ilmu agama sampailah mereka sudah dewasa dan sudah tua. Mereka tidak menaiktaraf ilmu agama mereka. Kerana itu bila ditegur, mereka melenting kerana mereka tidak pernah dengar tentang hukum hakam agama.

Ini juga celaan kepada manusia yang makan segala rezeki pemberian Allah ﷻ, tetapi tidak taat kepada-Nya. Sebenarnya segala nikmat yang kita gunakan ini adalah percuma kalau kita taat kepada Allah ﷻ tetapi kalau tidak taat, maka akan ditanya apakah yang mereka lakukan semasa di dunia. Hendak bayar macam mana segala oksigen yang kita sedut dan segala makanan yang kita sudah makan?

Ada satu lagi maksud ayat ini: segala perbuatan baik orang kafir itu telah Allah ﷻ balas semasa di dunia. Mereka pun ada buat baik juga, tetapi perbuatan baik itu Allah ﷻ telah balas di dunia lagi. Jadi mereka tidak dapat hendak tuntut perbuatan baik mereka itu di akhirat kerana mereka tidak ada pahala.

Kerana itulah kita lihat orang bukan Islam yang banyak menderma, mereka menjadi semakin kaya dan kaya. Allah telah balas derma dan segala kebaikan mereka di dunia lagi. Jadi tidak ada bahagian mereka di akhirat kelak.

 

فَاليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ

maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina

Kerana mereka lalai dari agama dan leka dengan dunia, sekarang mereka akan merasai azab yang menghinakan di neraka. Dulu mereka di dunia, hebat sekali – semua orang kenal, semua orang takut dan hormat kepada mereka, apa sahaja yang mereka hendak, mereka boleh dapat.

Kalau ada sesiapa yang mereka tidak setuju, siaplah orang itu kerana akan susah kehidupannya. Mereka hina orang yang di bawah mereka. Namun, terbalik sekali dengan nasib mereka di neraka – mereka jadi orang yang hina sehina-hinanya. Dulu semasa di dunia, mereka mungkin hina orang lain, tetapi di akhirat nanti mereka akan dihinakan sehina-hinanya.

 

بِما كُنتُم تَستَكبِرونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ

kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar,

Kerana apa mereka dihinakan dengan teruk sekali? Kerana mereka dulu sombong tidak mahu menerima kebenaran. Apabila kebenaran disampaikan kepada mereka, mereka sombong nak terima.

Mereka juga sombong hendak belajar, macam tidak penting sahaja pelajaran agama itu sampaikan mereka hendak luangkan masa pun tidak layak. Kita ajaklah banyak kali ajak datang kelas, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.

Mereka tolak kebenaran tanpa hak – tanpa beri dalil bukti pun kenapa mereka tidak terima. Mereka tolak mentah-mentah sahaja dan sombong pula untuk terima ajaran tauhid yang disampaikan kepada mereka. Mereka tolak orang yang beri nasihat kepada mereka dengan sombong. Mereka tolak itu kerana mereka degil sahaja, bukan sebab lain.

 

وَبِما كُنتُم تَفسُقونَ

dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”

Dari segi perbuatan mereka pula, mereka berbuat fasik – fasik maksudnya keluar dari taat. Sentiasa melakukan dosa dan menzahirkan dosa mereka itu. Tidak malu buat dosa dan tidak kisah orang nampak mereka buat dosa.

Apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat, mereka tidak mahu buat tetapi perbuatan dosa mereka selalu dan banyak pula dibuat. Inilah apabila tidak ada ilmu agama. Mereka sudah tidak kisah halal haram lagi. Semuanya mereka redah sahaja. Maka, kerana sebab-sebab inilah mereka dimasukkan ke dalam neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 September 2023

Ringkasan Surah Ahqaf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 15 – 16 (Doa bila umur capai 40 tahun)

Ayat 15: Ayat 15 – 20 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menyebut tentang anak yang menolak aqidah yang benar. Dan Allah memberitahu apakah akibat kepada mereka yang sombong untuk menerima kebenaran.

Ayat 15 ini adalah Ayat Targhib (ajakan) untuk kembali kepada Allah ﷻ. Ini adalah sifat-sifat mereka yang sudah berpegang kepada ajaran Tauhid. Mereka akan jadi orang yang baik dalam kehidupan di dunia.

Allah ﷻ mula dengan kenangkan jasa ibubapa kepada kita kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita. Maka kalau ibubapa yang telah berjasa pun kita kena ingat dan balas budi mereka, bagaimana dengan Allah ﷻ yang lebih banyak jasa kepada mereka? Maka kenalah taat kepada Allah ﷻ juga, bukan? Malah, kena lebih taat kepada Allah ﷻ lebih dari taat kepada ibubapa.

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ إِحسٰنًا ۖ حَمَلَتهُ أُمُّهُ كُرهًا وَوَضَعَتهُ كُرهًا ۖ وَحَملُهُ وَفِصٰلُهُ ثَلٰثونَ شَهرًا ۚ حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ وَأَصلِح لي في ذُرِّيَّتي ۖ إِنّي تُبتُ إِلَيكَ وَإِنّي مِنَ المُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have enjoined upon man, to his parents, good treatment. His mother carried him with hardship and gave birth to him with hardship, and his gestation and weaning [period] is thirty months. [He grows] until, when he reaches maturity and reaches [the age of] forty years, he says, “My Lord, enable me¹ to be grateful for Your favor which You have bestowed upon me and upon my parents and to work righteousness of which You will approve and make righteous for me my offspring. Indeed, I have repented to You, and indeed, I am of the Muslims.”

  • Literally, “gather within me the utmost strength and ability.”

MALAY

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

 

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ إِحسٰنًا

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;

Selepas Allah ﷻ mengajar tentang tauhid dan istiqamah dalam tauhid, Allah ﷻ mengajar kepada kita untuk berbuat baik kepada ibubapa. Ini kerana jasa mereka yang banyak kepada kita.

Selalu anjuran perbuatan baik kepada ibubapa ini ada selepas disebut tentang tauhid kepada Allah ﷻ. Lihatlah Allah ﷻ gunakan kalimah وَوَصَّينَا seperti ‘wasiat’ yang menggambarkan ia adalah arahan yang amat penting dan bukan arahan biasa sahaja. Kerana kalau kita kata ia adalah ‘wasiat’, ia adalah pesanan yang penting.

Itu menunjukkan betapa pentingnya perkara ini. Maknanya, ia jatuh nombor dua selepas tauhid kepada Allah ﷻ. Maka amat malang kalau anak-anak tidak menghargai ibubapa mereka. Malangnya ramai yang tidak baca ayat-ayat Al-Qur’an ini. Maka mereka tidak menilai ibubapa mereka dengan sepatutnya.

Kalimah إِحسٰنًا yang digunakan bermaksud ‘berbuat baik’. Maksudnya kita kena berbuat baik kepada ibubapa kita dalam percakapan, urusan, penjagaan dan sebagainya. Apa-apa sahaja urusan kita dengan mereka, hendaklah dijalankan dengan baik. Kita cuba sedaya upaya kita.

 

حَمَلَتهُ أُمُّهُ كُرهًا وَوَضَعَتهُ كُرهًا

ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. 

Allah ﷻ kemudian menyebut kenapa anak kena berbuat baik kepada ibubapa dia. Ini kerana ibu itu telah bersusah payah untuk menanggung anak itu dalam perutnya dan kemudian susah payah lagi apabila hendak melahirkan anaknya. Seorang lelaki tidak dapat membayangkan kepayahan yang dialami oleh ibu yang mengandung. Bukan sehari dua mereka kena menghadapi kesusahan mengandung itu tetapi selama 9 bulan. Kalau kita yang lelaki melihatnya juga sudah payah, apatah lagi mereka yang terpaksa melaluinya.

Kalimah كره bermaksud ‘susah’ dan juga ‘tidak suka’ (seperti makruh yang bermaksud Allah ﷻ tidak suka). Kalimah كُرُه seperti yang digunakan dalam ayat ini bermaksud kesusahan yang dialami kerana sesuatu perkara. Oleh kerana seorang ibu mahukan anak, maka dia sanggup bersusah payah dan sakit. Walaupun dia sebenarnya tidak suka dengan sakit itu. Namun, bandingkan dengan kalimah كَرُه dalam bentuk lagi pula. Ini adalah kepayahan kerana tekanan oleh orang lain. Tidak sama keadaannya.

Maka ibu yang sedang mengandung anak itu dalam keadaan susah dan tidak suka dengan kesusahan sewaktu mengandung itu. Sebenarnya mereka memang suka mengandung, tetapi tidak suka dengan sakit, mual, muntah dan segalanya itu. Kalau mengandung sahaja, tentulah mereka suka. Kalau boleh mereka mahu mengandung tanpa ada sakit-sakit itu. Namun, mereka sanggup terima kesusahan itu kerana hendakkan kita membesar dalam perutnya dan dia tidak sabar-sabar hendak tengok kita lahir.

Bukan sahaja mereka payah semasa mengandung, kesakitan yang amat sangat perlu dilalui semasa melahirkan bayi itu. Begitulah juga, mereka tidak suka dengan sakit bersalin itu. Mereka bukan tidak suka melahirkan, tetapi tidak suka dengan sakit hendak melahirkan itu. Sebelum melahirkan itu, mereka sudah tahu yang mereka akan sakit masa melahirkan – mungkin hampir sama dengan sakit hendak mati.

Namun, mereka sanggup menghadapinya kerana hendak melahirkan juga anak dalam kandungan itu dan dia hendak tengok anaknya yang dikandung selama 9 bulan itu. Kalau tidak sakit, tentu dia lagi suka. Kemudian selepas melahirkan pun, bukan terus baik kerana perlu mengambil masa untuk memulihkan kesihatan mereka.

Begitulah Allah ﷻ sebut tentang kepayahan seorang ibu dalam mengandung dan melahirkan anak. Itu menunjukkan betapa Allah ﷻ sayang kepada mereka dan menghargai susah payah itu. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi.

Ayat ini menyebut ibu apabila sebut tentang hamil (tidak sebut bapa) sebab dia yang paling sukar dalam hal mengandung dan bersalin ini. Namun, tentu ayah juga ada kesukaran kerana kalau seorang ibu itu jadi sukar, ayah juga secara tidak langsung akan turut sukar. Walaupun begitu tidak sama kesukaran seorang ayah dengan  seorang ibu kerana ibu lebih banyak berjasa. Maka kerana itulah kita kena lebihkan ibu daripada bapa dalam banyak hal.

 

وَحَملُهُ وَفِصٰلُهُ ثَلٰثونَ شَهرًا

Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

Selepas melahirkan anak itu, seorang ibu kena menjaga bayi itu untuk tempoh yang lama juga. Ini kerana seorang anak yang baru lahir, amat-amat memerlukan bantuan kehidupan dari ibunya. Mereka tidak dapat makan makanan yang biasa, tetapi banyak bergantung kepada susu ibunya.

Maka lihatlah bagaimana seorang ibu itu lalui semua ini. Sudahlah ibu itu susah mengandung selama 9 bulan, kemudian susah dan sakit semasa melahirkan anak itu pula. Tugas ibu tidak habis setakat itu sahaja kerana dia tetap kena menjaga dan menyusukan anak itu.

Susu ibunya itulah yang terbaik bagi seorang bayi. Oleh kerana itu, amat dititik beratkan oleh hospital kerajaan untuk seorang ibu menyusukan anaknya itu. Memang zaman sekarang, ada alternatif seperti susu tepung, susu formula dan sebagainya tetapi, susu ibu itu tetap paling baik.

Dikatakan ada perbezaan antara bayi yang disusukan ibu dengan bayi yang tidak disusukan oleh ibunya. Bayi yang disusui dengan ‘susu badan’ akan mempunyai tubuh badan yang lebih kuat dan lebih tahan dari kena penyakit.

Semua sekali tempoh itu dari masa mengandung sampai kepada habis menyusu (menyapih) mengambil masa lebih kurang 30 bulan seperti yang disebut dalam ayat ini. Ini ada masa yang terbaik untuk seorang ibu menyusukan anaknya itu. Maka cubalah untuk kita susui anak-anak kita dengan susu badan. Kalau tidak boleh, carilah juga ibu susuan yang boleh ganti beri susu kepada anak kita.

Dalam ayat-ayat lain, disebut penyusuan anak itu adalah selama 2 tahun (24 bulan) dan sekarang disebut 30 bulan kerana dicampur dengan masa mengandung sekali. Jadi, masa paling pendek untuk mengandung sampai melahirkan anak adalah selama 6 bulan (6 bulan + 24 bulan = 30 bulan).

Sebab itu kalau anak lahir selepas 6 bulan sahaja nikah, boleh dinasabkan kepada ayah. Dan dalam negara kita, kalau anak lahir kurang dari enam bulan selepas menikah, pejabat pendaftaran tidak akan benarkan untuk dibinkan kepada suami ibu wanita itu kerana sudah dikira ‘anak luar nikah’ (kecuali kalau di Negeri Perlis).

Zaman Khalifah Saidina Uthman رضي الله عنه ada wanita yang melahirkan anaknya hanya 6 bulan selepas menikah. Oleh kerana awal dari kebiasaan (9 bulan atau 7 bulan), maka suami dia musykil anak siapakah itu dan dia telah mengadu kepada Khalifah Uthman رضي الله عنه. Maka  Saidina Uthman رضي الله عنه sudah buat arahan untuk wanita itu direjam. Waktu itu, Saidina Ali رضي الله عنه yang tegur Khalifah Uthman dan ingatkan beliau tentang ayat ini.

Oleh kerana itu jangka mengandung yang minima adalah 6 bulan dan tidak ada keputusan tentang jangka maksima. Ini adalah kerana tiada dalil tentang perkara ini. Abu Hanifah رحم الله  mengatakan jangkamasa maksima adalah untuk mengandung adalah 2 tahun. Imam Malik رحم الله mengatakan boleh sampai 7 tahun. Sedangkan Imam Syafie رحم الله dan Imam Ahmad رحم الله  mengatakan sampai 4 tahun.

Jangka maksima untuk menyusu adalah dua tahun. Tidak ada jangka minima kerana ada ibu yang tidak keluarkan susu, dan ada bayi yang tidak suka minum susu berterusan.

Memang seorang bayi tidak akan lahir kalau usianya dalam perut kurang dari 6 bulan. Kajian sains mendapati bahawa kalau kurang dari 6 bulan, paru-paru bayi itu tidak terbentuk lagi dan tidak akan mampu untuk dia bernafas sendiri. Dan dia tidak akan hidup. Jadi kandungan ayat ini disokong oleh sains moden dan ini adalah salah satu lagi mukjizat Al-Qur’an yang kita boleh lihat sendiri.

 

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً

Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, 

Seorang anak itu kemudian melalui masa-masa tumbesaran mereka. Bermula dari bayi menjadi kanak-kanak, masuk sekolah dan remaja (umur baligh). Kemudian mereka terus membesar sampailah menjadi semakin dewasa.

  Sepanjang masa itu, hubungan mereka dengan ibubapa itu tidaklah putus. Walaupun semakin lama mereka sudah tidak bergantung kepada ibubapa, hubungan itu tidak akan putus.

Jadi peringkat yang dicapai oleh manusia selepas mereka disusui oleh ibu adalah ‘baligh’. Ini terjadi selepas mimpi basah atau ada yang menetapkan pada umur 15 tahun. Kemudian tahap seterusnya adalah 40 tahun.

Umur 40 tahun disebut secara khusus dalam ayat ini kerana ada kepentingan tertentu kerana ini dikira sebagai masa seseorang itu sudah matang. Allah ﷻ sahaja yang tahu secara tepatnya tetapi  kita dapat rasakan bahawa apabila umur seseorang itu sudah 40 tahun, dia sudah mencapai umur yang cukup matang.

Bila sampai waktu itu, mereka telah bekerjaya, telah mempunyai keluarga sendiri, ilmu juga sepatutnya sudah banyak, pengalaman hidup sudah lama. Maka mereka sepatutnya sudah matang dalam hidup dan sudah tahu manakah yang baik dan tidak, manakah ajaran agama yang benar dan tidak. Mereka sudah sepatutnya tahu bagaimana menghargai kehidupan dan segala nikmat Allah ﷻ. Jadi Al-Qur’an menyebut kepentingan umur 40 tahun ini.

Apabila sampai umur matang 40 tahun, seseorang itu sepatutnya telah kenal Allah ﷻ tetapi ada yang malang tidak kenal Allah  ﷻ lagi, hidup masih terombang ambing. Kalau dalam zaman moden inilah yang dipanggil ‘mid life crisis’. Waktu itu wang sudah mula banyak dan rasa banyak lagi benda tidak buat dan mulalah mereka mahu mencuba macam-macam.

Ada yang kahwin wanita muda, ada yang sudah mula ada girlfriend di tepi, beli kereta mahal, motor mahal dan macam-macam lagi perkara yang buang masa. Padahal dalam Islam, inilah masa untuk bersyukur kepada nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka dan mula memikirkan tentang kebaikan kepada anak-anak. Waktu inilah sepatutnya ilmu sudah banyak dan sampai masa untuk sampaikan ilmu kepada orang lain pula, bukannya hendak berpeleseran.

Umur 40 tahun juga dijadikan sebagai tanda aras kerana mereka itu sudah sampai kepada satu peringkat kehidupan yang lain. Waktu sudah umur 40 tahun, seseorang itu sudah ada anak isteri dan rumah sendiri. Mereka tentunya sudah bekerja dan ada tanggung jawab lain yang banyak. Maka waktu itu, tawajuh (fokus) kepada emak dan ayah sudah kurang sebab mereka sudah sibuk dengan hal-hal kehidupan yang lain.

Maka Allah ﷻ ingatkan mereka supaya jangan lupa kepada emak dan ayah. Walaupun sudah sibuk dan ada hal masing-masing, tetapi masih ada tanggungjawab kepada ibu dan bapa juga. Kalau boleh, mereka kena jaga mereka, atau paling-paling tidak, kena berdoa untuk mereka.

Selain itu kena selalu melawat mereka. Kalau jarang dapat melawat, maka kena hubungi mereka selalu. Bukan susah pun hendak angkat telefon dan bertanya khabar kerana mereka cuma hendak mendengar suara kita sahaja. Ibu bapa hendak tahu kita ambil tahu hal mereka sahaja.

Janganlah lupa tanggungjawab kita kepada mereka. Mereka sudah keluarkan banyak belanja untuk besarkan kita, maka hulurlah sedikit wang untuk mereka. Mereka kadangnya bukan perlu duit kita pun, tetapi mereka suka kalau dapat pemberian dari kita.

Namun, perkara ini banyak tidak diendahkan oleh anak-anak zaman sekarang kerana semua sibuk dengan hal masing-masing. Malah kalau ibubapa telefon, mereka tidak suka kerana berasa panggilan telefon ibubapa mengganggu semasa sedang bertugas. Ini amat-amat tidak patut dilakukan. Ini kurang ajar tahap tinggi!

 

قالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ

berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang engkau kurniakan kepadaku

Inilah doa yang patut dibaca oleh mereka yang telah masuk umur 40an. Mintalah taufik kepada Allah ﷻ untuk menggerakkan hati kita untuk mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Kalau hendak kira segala nikmat itu, memang tidak terkira sebenarnya. Umur pun sudah 40 tahun, entahlah berapa banyak nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.

Ayat ini mengajar kita, untuk menjadi orang bersyukur juga kena mendapat taufik dari Allah ﷻ, kena Allah ﷻ gerakkan hati kita untuk bersyukur. Kalau datang dari diri sendiri, mungkin tidak datang. Maka jangan lupa minta taufik dari Allah ﷻ.

Memang kita amat memerlukan taufik dari Allah ﷻ. Kita mungkin tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi untuk menggerakkan kita melakukannya, memerlukan pimpinan dan gerak dari Allah  ﷻjuga. Itulah maksud taufik. Ia berbeza dengan ‘hidayah’. Hidayah adalah petunjuk. Kadang-kadang kita sudah dapat petunjuk, sudah tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi kekuatan tidak ada. Kekuatan itulah ‘taufik’.

Perkara yang paling penting adalah bersyukur atas nikmat tauhid yang Allah ﷻ berikan. Bayangkan kalau Allah ﷻ tidak beri iman kepada kita, lahir dalam keluarga kafir tetapi tidak jumpa langsung jalan Islam; bagaimana kita kalau begitu?

 

وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ

dan kepada ibu bapaku, 

Bukan sahaja kita yang mendapat nikmat itu, tetapi ibubapa kita juga. Sebagai contoh, ibubapa kita telah dilahirkan dalam agama Islam dan kerana itu, sudah mudah untuk kita kenal agama Islam. Itu adalah nikmat yang amat-amat besar. Bayangkan kalau kita lahir dalam keluarga kafir?

 

وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ

dan supaya aku mengerjakan amal soleh yang Engkau redhainya;

Ini adalah permohonan supaya Allah ﷻ memberi taufik kepada kita untuk terus melakukan amal soleh. Dan kena pastikan ia adalah ‘amal soleh’. Apakah amal soleh itu?

Amal soleh adalah amal yang ada contoh dari Nabi dan para sahabat, bukan amal bidaah yang tidak ada contoh dalam sunnah. Amal Sunnahlah amal yang Allah ﷻ redhai, sedangkan amal bidaah, walau banyak mana pun, Allah ﷻ tidak redha.

Kita kena minta bantuan dari Allah ﷻ untuk beri taufik kerana kalau Allah ﷻ tidak beri, kita tidak mampu kerana kita insan yang lemah. Berapa banyak amalan kebaikan yang kita tahu, tetapi kita tidak lakukan kerana kita tidak ada daya? Tahu sesuatu perkara itu perlu dilakukan dan diamalkan bukanlah kepastian yang kita akan melakukannya. Untuk melakukannya, kita perlu taufik dari Allah ﷻ.

 

وَأَصلِح لي في ذُرِّيَّتي

dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.

Bukan sahaja kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk kebaikan diri kita dan ibubapa kita, tetapi kita doakan untuk keturunan kita juga. Ini penting supaya mereka pun akan doa untuk kita juga kerana anak-anak kita adalah ‘saham’ kita untuk dapat kebaikan di akhirat kelak. Maka kalau kita hendak mereka tolong kita, kenalah mereka jadi anak yang soleh dahulu.

Kalau mereka dapat darjat yang lebih tinggi di syurga, mereka boleh naikkan kita ke kedudukan mereka dan amal-amal kebaikan mereka akan menjadi pahala untuk kita juga. Ini kerana kita yang ajar mereka amalan-amalan itu. Maka walaupun kita telah tiada, tetapi amalan kebaikan anak kita akan terus mengalirkan pahala kepada kita. Maka inilah maksud ‘saham’ pahala untuk kita.

Maka jangan lupa kepada anak. Jangan lupa doakan mereka agar menjadi insan yang soleh dan berikan ilmu agama kepada mereka. Ini kerana kita mahu mereka juga berada atas iman dan taqwa agar dapat  bersama-sama di dalam syurga.

Begitulah harapan ibubapa kita kepada kita dahulu dan beginilah juga harapan kita kepada anak-anak kita. Ini kerana doa merekalah yang boleh menjadi asbab untuk Allah ﷻ menjadikan kebaikan untuk diri kita (doa anak-anak yang soleh).

Kita kena ajar mereka untuk jadi baik dan soleh kerana kita tidak boleh paksa mereka berbuat baik kepada kita. Perkara yang menyebabkan seorang anak itu berbuat baik kepada ibubapa dia adalah kerana arahan dari Allah ﷻ. Allah ﷻ yang telah tetapkan perkara ini dalam agama. Maka kalau mereka taat kepada agama, maka mereka akan automatik berbuat baik kepada ibubapa mereka. Kerana arahan taat kepada ibubapa sudah ada dalam Al-Qur’an dan Sunnah.

 

إِنّي تُبتُ إِلَيكَ

Sesungguhnya aku kembali bertaubat kepadamu, 

Kita juga hendaklah sentiasa bertaubat kepada Allah ﷻ kerana kita sebagai manusia, banyaklah kesalahan yang kita telah lakukan. Walaupun kita hendak melakukan kebaikan dan hendak taat kepada Allah ﷻ, tetapi selalunya kita akan terbabas. Maka selalulah kita bertaubat dan mengucapkan istighfar kepada Allah ﷻ. Selalulah amalkan istighfar setiap hari.

 

وَإِنّي مِنَ المُسلِمينَ

dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam

Dan kita kena mengaku kita seorang ‘Muslim’. Apakah maksudnya?

Seorang Muslim adalah seorang yang menyerahkan sepenuh dirinya kepada Allah 100%. Kita taat kepada kehendak Allah ﷻ yang disampaikan dalam Al-Qur’an dan sunnah. Inilah maksud ‘Muslim’. Maka apabila kita mengaku kita Muslim, sebenarnya kita mengaku kita akan taat kepada segala arahanNya.


 

Ayat 16: Ayat Tabshir Ukhrawi (Berita gembira di akhirat)

أُولٰئِكَ الَّذينَ نَتَقَبَّلُ عَنهُم أَحسَنَ ما عَمِلوا وَنَتَجاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِم في أَصحٰبِ الجَنَّةِ ۖ وَعدَ الصِّدقِ الَّذي كانوا يوعَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the ones from whom We will accept the best of what they did and overlook their misdeeds, [their being] among the companions of Paradise. [That is] the promise of truth which they had been promised.

MALAY

Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ نَتَقَبَّلُ عَنهُم أَحسَنَ ما عَمِلوا

Mereka ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan,

Allah ﷻ akan terima segala amalan mereka dan akan balas segala perbuatan baik mereka. Namun, Allah ﷻ akan beri gandaan mengikut kiraan amalan ‘terbaik’ mereka.

Sebagai contoh, kita telah melakukan seratus solat tetapi tidaklah semua solat kita itu markah penuh belaka. Ada yang kita lakukan secara sambil lewa sahaja. Allah ﷻ, dengan segala rahmat-Nya, akan kira semua seratus solat itu dengan mengikut kiraan markah yang paling tinggi sekali.

 

وَنَتَجاوَزُ عَن سَيِّئَاتِهِم

dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya;

Kesalahan yang banyak kita lakukan itu akan diampunkan semuanya. Kalimah وَنَتَجاوَزُ dari ج و ز yang bermaksud ‘abaikan’. Macam kita lalu satu kawasan tetapi kita tidak beri perhatian. Maka kalau Allah ﷻ kata Dia abaikan, maknanya Dia tidak hukum kita, tidak ambil kira. Memang ada kesalahan dan dosa kita, tetapi Allah ﷻ abaikan sahaja. Allah tak tanya pun.

Inilah yang kita harapkan sangat kerana kita dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa kita. Kalau tidak ada dosa, maknanya kita akan masuk syurga. Asalkan kita tidak melakukan dosa syirik.

 

في أَصحٰبِ الجَنَّةِ ۖ

dalam kumpulan ahli Syurga,

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini, kerana ayat ini nampak macam tidak lengkap sahaja. Maksudnya, mereka akan dimasukkan menjadi ahli syurga dengan mendapat segala nikmatnya. Mereka juga akan kekal di dalamnya kerana mereka digelar ‘ashabul jannah’ (sahabat syurga).

 

وَعدَ الصِّدقِ الَّذي كانوا يوعَدونَ

sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

Semua itu Allah ﷻ beri kerana Allah ﷻ telah berjanji akan memberikannya kepada mereka yang taat, dan Allah ﷻ tidak memungkiri janji-Nya.

Ayat-ayat yang Allah ﷻ berikan kepada kita di atas adalah satu contoh keluarga yang baik. Inilah tauladan yang kita kena ikut. Ibubapa yang mukmin, anak turut mukmin juga. Maka hendaklah kita berdoa semoga kita dimasukkan dalam kalangan mereka. Ameen.

Selepas ini Allah ﷻ akan beri contoh keluarga yang tidak baik pula. Maka dua-dua kita kena belajar. Satu kita kena ikut dan satu lagi kita kena tolak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 10 – 14 (Sistem kasta yang buruk)

Ayat 10: Zajrun dan juga Dalil Naqli Tafsili.

قُل أَرَءيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم ۖ إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Have you considered: if it [i.e., the Qur’ān] was from Allāh, and you disbelieved in it while a witness from the Children of Israel has testified to something similar¹ and believed while you were arrogant…?”² Indeed, Allāh does not guide the wrongdoing people.

  • Based upon information from the Torah.
  • The conclusion is estimated to be “…would you not then be the most unjust of people?” or “…in what condition would you then be?”

MALAY

Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu jika Al-Qur’an ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, padahal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Qur’an ini, lalu dia percayakan (Al-Qur’an ini dari Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)”.

 

قُل أَرَءيتُم

Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu

Sekarang Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ untuk berhujah dengan mereka supaya mereka fikir-fikirkan – supaya gunalah akal itu sedikit. Allah telah berikan akal, maka kenalah gunakan. Maka Nabi disuruh tanya kepada mereka supaya fikir.

 

إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ وَكَفَرتُم بِهِ

jika Al-Qur’an ini dari Allah dan kamu mengingkarinya,

Cuba kamu fikir, kalau benar Al-Qur’an ini benar dari Allah ﷻ, dan kamu engkar kepadanya, apakah akan jadi dengan kamu nanti? Tidak takutkah kamu menolak ayat-ayat dari Allah ﷻ? Apa kamu sangka kamu akan selamatkah?

Sekarang kamu tolak kerana kamu tidak percaya ia dari Allah. Tapi kalau benar dari Allah, macam mana?

 

وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ

padahal telah ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Qur’an ini,

Ini adalah Dalil Naqli: Dan telah bersaksi satu ulama’ Bani Israil yang muktabar, yang Al-Qur’an ini benar dari Allah ﷻ dan ia seperti yang ada dalam Taurat. Musyrikin Mekah kata Al-Qur’an itu adalah sihir, tetapi kalau begitu, kenapa ada ulama’ Bani Israil yang mengakui kebenaran Al-Qur’an itu?

Maksud ayat ini lebih kurang sama seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Syu’ara:197

Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Abdullah bin Salam. Namun, yang menolaknya mengatakan tidak mungkin kerana Abdullah bin Salam hanya masuk Islam di Madinah, bukan di Makkah dan ayat ini adalah ayat Makkiah.

Ataupun, mungkin yang dimaksudkan adalah apa yang akan terjadi di masa hadapan iaitu akan ada yang akan memberikan pengakuan tentang kebenaran Al-Qur’an. Ini akan berlaku di Madinah nanti. Allahu a’lam siapakah yang dimaksudkan.

Maka kalau ada di kalangan Bani Israil yang tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an maka itu adalah kerana degil sahaja. Ini kerana ulama’ mereka sendiri sudah mengakui kebenaran Al-Qur’an.

Apa pun, ayat ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ:

{إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا}

Sesungguhnya  orang-orang yang  diberi pengetahuan sebelumnya apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud dan mereka berkata, “Mahasuci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi.” (Al-Isra: 107-108)

Atau yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عليه السلام kerana Nabi Musa عليه السلام ada berkata bahawa akan lahir Nabi akhir zaman yang macam baginda. Ini ada terdapat dalam Old Testament. Memang Nabi Muhammad ﷺ banyak persamaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Maksudnya Nabi Musa عليه السلام memberitahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ.

 

فَئآمَنَ وَاستَكبَرتُم

lalu dia beriman, sedang kamu dengan sombong angkuh dari menerimanya?

Ini kerana ulama’ itu percaya dengan apa yang diturunkan dalam Al-Qur’an itu, maka dia telah beriman.

Namun, kamu sombong hendak menerima sedangkan kamu jahil. Orang alim pun kamu tidak mahu ikut? Sesat kamu itu kerana degil sahaja, bukan kerana lain. Semua bukti sudah ada tetapi kamu masih tidak mahu menerimanya.

 

إِنَّ اللَهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim

Kalau degil juga, tidak ada ubat. Allah ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka yang zalim degil tidak terima kebenaran. Ini kerana mereka telah degil menutup hati mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 11: Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan dari Allah). Allah merungut dan mengulang balik kata-kata penolakan dari penentang wahyu Al-Qur’an.

Latar belakang: Kebanyakan dari kalangan Musyrikin Mekah adalah orang kenamaan dan bangsawan. Sedangkan para sahabat hampir kesemuanya adalah orang bawahan sahaja. Apabila golongan yang rendah kedudukan yang ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, golongan bangsawan itu tidak pandang kepada ajaran Nabi ﷺ kerana mereka melihat kemuliaan dari segi kekayaan dunia sahaja.

Ini kerana pada mereka, kalau yang mengikuti baginda ﷺ adalah orang-orang yang miskin dan lemah, pada mereka itu bukanlah sesuatu yang bagus kerana mereka tidak menggunakan akal yang sihat. Begitulah juga kebanyakan manusia yang salah dalam menilai. Maka Allah ﷻ tegur pemahaman yang sebegini.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ ۚ وَإِذ لَم يَهتَدوا بِهِ فَسَيَقولونَ هٰذا إِفكٌ قَديمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieve say of those who believe, “If it had [truly] been good, they would not have preceded us to it.” And when they are not guided by it, they will say, “This is an ancient falsehood.”

MALAY

Dan (kerana sombong angkuhnya orang-orang kafir itu) mereka berkata tentang kepercayaan orang-orang yang beriman: “Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya (kerana kamilah yang sepatutnya menerima segala kebaikan)!” Dan setelah mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Qur’an itu, (mereka memusuhinya) lalu mereka mencacinya dengan berkata: “Al-Qur’an ini ialah rekaan dusta yang sudah lama”.

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا

Dan orang-orang kafir itu berkata tentang kepada orang-orang yang beriman: 

Ini adalah hujah Musyrikin Mekah yang kaya dan berpengaruh. Kali ini mereka berhujah dengan orang-orang yang beriman dari kalangan para sahabat. Kalangan sahabat itu adalah mereka yang miskin, tidak berpengaruh malah ada dari kalangan mereka yang hamba abdi.

Begitulah kalau zaman sekarang, jalan sunnah itu selalunya dipegang oleh golongan yang lemah, yang tiada ada kuasa apa-apa dalam kerajaan selalunya, golongan miskin dan juga tidak berpengaruh dalam masyarakat. Ustaz-ustaz Sunnah kita pun tidaklah dapat masuk dalam TV dan mendapat liputan yang meluas.

 

لَو كانَ خَيرًا مّا سَبَقونا إِلَيهِ

“Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya!”

Mereka kata sekiranya ajaran dari Al-Qur’an itu adalah benar dan baik, nescaya orang bawahan tidaklah yang dahulu terima sebelum mereka. Mereka kata, kalau ia ajaran yang benar, merekalah yang lebih awal terima, bukan golongan miskin itu.

Pada mereka, tidak mungkin golongan yang rendah mendahului mereka pula kerana mereka sangka mereka orang yang pandai dan bijak sedangkan golongan bawahan itu bodoh-bodoh sahaja pada pandangan mereka. Ini sama seperti yang disebut dalam ayat lain:

{وَكَذَلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لِيَقُولُوا أَهَؤُلاءِ مَنَّ اللهُ عَلَيْهِمْ مِنْ بَيْنِنَا}

Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang yang kaya) dengan sebagian lain (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata, “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah kepada mereka?” (Al-An’am: 53)

Mereka amalkan sikap kasta dalam masyarakat. Mereka rasa mereka lebih mulia dari orang kebanyakan dan orang bawahan. Mereka mempunyai sifat sombong dan rasa tinggi  diri. Dan ini adalah sikap yang amat bahaya. Ini kerana kalau ada sifat ini, hidayah susah hendak masuk. Hidayah tidak masuk ke dalam akal dan hati orang yang sombong.

Ingatlah yang hidayah itu bukanlah atas dasar siapa yang kaya atau ada pengaruh. Bukanlah kalau orang kaya berpegang kepada sesuatu perkara, itu menunjukkan yang perkara itu benar, tidak sama sekali. Itu bukanlah kayu ukur kepada kebenaran.

 

وَإِذ لَم يَهتَدوا بِهِ فَسَيَقولونَ هٰذا إِفكٌ قَديمٌ

Dan setelah mereka tidak beriman dengan Al-Qur’an itu, lalu mereka berkata: “Al-Qur’an ini ialah rekaan dusta yang sudah lama”.

Ini adalah idkhal ilahi (pencelahan Tuhan): Allah ﷻ beritahu awal-awal yang inilah yang mereka akan kata. Mereka pasti akan kata begitu kerana mereka tidak menerima kebenaran. Mereka kata Al-Qur’an itu adalah bohongan yang telah lama ada. Mereka kata sudah lama berlalu bohongan seperti itu yang diulang semula oleh Nabi Muhammad ﷺ  sahaja.

Dalam erti kata lain, mereka kata Nabi Muhammad ﷺ kutip dari ajaran-ajaran lama sahaja.


 

Ayat 12: Ayat 12 – 14 ini adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menganjurkan kita untuk istiqamah dengan aqidah yang sahih. Allah memberi jaminan tiada kebimbangan dan kesusahan ketika ajal kalau kita istiqamah dalam ajaran tauhid. Mereka yang istiqamah akan menjadi ahli syurga di Akhirat.

Ayat 12 ini mengandungi Dalil Naqli dari Taurat. Sekarang Allah ﷻ berhujah dengan menggunakan Kitab Taurat. Ini tidak ada masalah kerana Kitab Taurat itu Allah juga yang turunkan.

وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً ۚ وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ لِّسانًا عَرَبِيًّا لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And before it was the scripture of Moses to lead and as a mercy. And this is a confirming Book in an Arabic tongue to warn those who have wronged and as good tidings to the doers of good.

MALAY

(Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Qur’an ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Qur’an pula sebuah Kitab – yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), – diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

وَمِن قَبلِهِ كِتٰبُ موسىٰ إِمامًا وَرَحمَةً

Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat

Sebelum ini sudah ada kitab dari langit, iaitu Kitab Taurat. Kitab Taurat itu menjadi panduan hidup bagi Bani Israil dan kalau diamalkan, ia memberi rahmat kepada mereka yang mengamalkannya.

Digunakan kalimah إِمامًا untuk memberi analogi macam orang ikut imam dalam solat – bila imam rukuk, semua rukuk sekali iaitu makmum kena ikut. Maka begitulah juga dengan kitab wahyu, manusia kena ikut arahan yang ada dalam kitab wahyu itu.

 

وَهٰذا كِتٰبٌ مُّصَدِّقٌ

dan Kitab ini yang mengesahkan kebenaran

‘Kitab ini’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Al-Qur’an ini juga adalah kitab dari langit, yang membenarkan isi Kitab Taurat yang sebelum itu. Kandungan tauhid di dalam kitab Taurat dan Al-Qur’an itu sama sahaja iaitu untuk mengesakan Allah ﷻ.

 

لِّسانًا عَرَبِيًّا

dalam bahasa Arab

Cuma Al-Qur’an ini diturunkan dalam Bahasa Arab yang fasih. Ia bahasa yang amat tinggi yang dapat menjelaskan sesuatu perkara itu dengan jelas. Perkara yang panjang dapat dijelaskan dengan Bahasa Arab yang hebat. Maka memang bertepatan apabila Allah ﷻ turunkan kitab wahyu-Nya yang terakhir dalam Bahasa Arab.

Maka molek sangatlah kalau kita semua dapat belajar Bahasa Arab supaya kita dapat lebih memahami Al-Qur’an. Kalau kita ada kehendak untuk lebih memahami Al-Qur’an, maka kita akan cuba belajar bahasa Arab sedikit demi sedikit. Cuma jangan jadikan alasan tidak pandai Bahasa Arab untuk tidak belajar Tafsir. Bukanlah nak belajar Tafsir kena tahu Bahasa Arab dulu. Kalau begitu, entah bilalah pula hendak belajar?

 

لِّيُنذِرَ الَّذينَ ظَلَموا

untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim,

Kepada mereka yang kufur, Al-Qur’an itu memberi ancaman bahawa mereka akan mendapat mendapat azab yang buruk kerana kezaliman dan kekufuran mereka itu. Ancaman keras diberikan kepada mereka, maka hendaklah mereka ambil perhatian untuk membuat perubahan.

 

وَبُشرىٰ لِلمُحسِنينَ

dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Dan berita gembira pula diberikan kepada orang yang berhati baik iaitu mereka yang boleh ikut beriman dengan Al-Qur’an dan taat arahan Allah ﷻ dengan mudah. Ini adalah kerana hati mereka masih dalam fitrah.

Fitrah manusia adalah lahir untuk taat kepada arahan Allah ﷻ. Kita memang sudah kenal Allah ﷻ dari sebelum kita lahir lagi (semasa dalam Alam Ruh). Maka kalaulah manusia mendengar isi hati mereka, pasti akan nampak kebenaran Al-Qur’an itu. Ini kerana fitrah kejadian kita memang sudah kenal Allah ﷻ, sudah kenal kebenaran.

Begitu juga, kalau masyarakat kita mendengar kepada isi hati mereka, tentu akan nampak kebenaran tauhid yang dibawa oleh Al-Qur’an ini. Mereka tidak akan berbuat syirik dalam doa dan tidak akan mengamalkan tawasul yang dilarang.


 

Ayat 13: Ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira di akhirat). Ia adalah sebagai badal (penjelasan tambahan) kepada mereka yang dikatakan ‘muhsinin’ yang disebut dalam ayat sebelum ini. Siapakah mereka itu?

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ استَقٰموا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have said, “Our Lord is Allāh,” and then remained on a right course – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ

Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, 

Mereka yang muhsinin akan berkata dengan iktikad hati mereka yang Allah ﷻ lah Tuhan mereka. Mereka terima bahawa Allah ﷻ yang mencipta mereka dan mengurus alam ini. Mereka tidak berkata dengan mulut sahaja tetapi diimani dengan hati mereka juga. Ini kerana kalau setakat kata sahaja, orang munafik juga boleh berkata begitu.

 

ثُمَّ استَقٰموا

kemudian mereka tetap teguh

Selepas mereka berkata dengan mulut, mereka ikuti pula dengan amalan perbuatan dan tetap istiqamah dengan iman itu sampai mereka mati. Bukan cakap sehari dua sahaja, tetapi mereka akan tetap pegang sampai mati. Tidaklah mereka terkesan dengan amalan masyarakat luar yang mengamalkan amalan yang salah.

Kelebihan istiqamah dalam iman ini telah disebut dalam Fussilat:30.

Ini memang dugaan yang besar sebenarnya. Macam sekarang, susah untuk kita melihat golongan Muslim sendiri yang mengamalkan tauhid dalam berdoa. Ramai yang mengamalkan tawasul dalam doa. Mereka akan meminta-minta dan berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ.

Kita mungkin tidak mahu buat perkara itu, tetapi kalau kita ada masalah, selalunya kita akan digesa untuk buat perkara yang sama. Ada yang berkata: “kenapa tidak minta pertolongan kepada wali sekian dan sekian, supaya masalah kamu dapat selesai dengan segera?” Mereka pula ajar kita buat perkara yang syirik.

Orang yang istiqamah, akan tetap tidak berganjak dari iman mereka. Mana yang salah, mereka tidak akan lakukan walaupun ahli keluarga sendiri yang mendesak mereka.

 

فَلا خَوفٌ عَلَيهِم

maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Ini adalah tabshir (berita gembira) sebagai balasan bagi mereka yang istiqamah dalam tauhid: Mereka yang bersifat seperti itu, tidak perlu takut apa yang akan jadi, kerana mereka akan menuju kepada balasan yang baik – syurga.

Jadi kalimah خوف ini digunakan untuk perkara masa hadapan.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan kalimah حزن digunakan untuk perkara yang telah lalu. Maknanya, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.

Ini adalah kerana tentu ada kesedihan untuk kita meninggalkan dunia ini dengan segala harta dan anak pinak kita. Namun, kalau kita pergi ke tempat yang lebih baik dari segala hal, maka tidaklah perlu kita bersedih. Dunia yang fana ini, tinggalkanlah sahaja.


 

Ayat 14: Tabshir lagi.

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ خٰلِدينَ فيها جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the companions of Paradise, abiding eternally therein as reward for what they used to do.

MALAY

Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ

Merekalah ahli Syurga, 

Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga – tempat untuk menikmati segala kenikmatan yang tidak terbayang oleh akal fikiran. Jika hendak mengetahui bagaimana keadaan dalam syurga itu, kena masuk dahulu baru dapat tahu. Ini kerana tidak dapat digambarkan keindahan dan kehebatannya dengan kata-kata. Cuma diberi isyaratnya di dalam banyak ayat Al-Qur’an dan hadis.

Maka inilah balasan yang setimpal bagi mereka yang baik. Oleh kerana itu, tidaklah perlu takut dan bersedih meninggalkan dunia itu. Ini kerana yang menanti itu adalah syurga, tempat untuk bersenang lenang sahaja, tidak ada ketakutan dan kesusahan di dalamnya.

 

خٰلِدينَ فيها

tetap kekallah mereka di dalamnya,

Mereka akan kekal abadi di sana. Ini adalah nikmat yang amat besar kerana kalau kita tahu kita akan duduk sekejap sahaja, tentu nikmat itu akan berkurangan. Macam kita duduk hotel yang mahal dan selesa, tetapi kita tahu kita tidak akan duduk lama di situ, untuk beberapa hari sahaja.

Maka kalau kita tahu kita tidak lama, tentu akan mengurangkan kesenangan hati di dalam hotel itu. Maka kepada ahli syurga, mereka diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Maka ini menambah kenikmatan dalam syurga itu. Hati mereka akan terus jadi tenang.

 

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Allah ﷻ memberitahu mereka akan dibalas dengan syurga atas amalan kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia. Ini adalah balasan dari rahmat dari Allah ﷻ. Namun, bukankah kita pernah mendengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita? Bagaimana pula hendak difahamkan dengan ayat sebegini?

Kita tidak boleh mengatakan bahawa amalan kita layak untuk memasukkan ke dalam syurga kerana amalan kita itu, kerana kalau dikira-kira, tidaklah melayakkan kita masuk ke dalam syurga kerana amalan kita itu tidaklah bernilai sama dengan syurga yang amat hebat itu. Bayangkan kita beberapa tahun sahaja buat amal kebaikan tetapi akan tinggal di syurga selama-lamanya.

Jadi kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tetapi kerana pemberian rahmat dari Allah ﷻ. Ini mafhum dari hadis-hadis yang ada.

Namun, Allah ﷻ sebagai tuan punya syurga, dan juga tuan kita, Dia boleh berikan ketetapan atau syarat untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kalau Dia kata dengan amal kita semasa di dunia itu membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurga, itu adalah hak Dia untuk berkata begitu, kerana Dia yang tetapkan syarat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani