Tafsir Surah al-Maidah Ayat 90 – 92 (Larangan arak dan judi)

Maidah Ayat 90: Kalau sebelum ini telah disebut tentang larangan mengharamkan yang halal, sekarang disebut tentang perkara haram yang tidak boleh dilakukan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلٰمُ رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ فَاجتَنِبوهُ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, indeed, intoxicants, gambling, [sacrificing on] stone alters [to other than Allāh], and divining arrows are but defilement from the work of Satan, so avoid¹ it that you may be successful.

  • The prohibition understood from the word “avoid” is stronger than if Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) had merely said, “Abstain.” The former requires distancing oneself from anything remotely related to these practices.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar,

Ini adalah hukum pengharaman arak. Ramai yang sudah tahu bahawa ia sememangnya haram, tetapi masih ada lagi yang mencuba mengelak untuk lari daripada hukum ini. Pelbagai hujah yang mereka gunakan.

Antaranya mereka kata, kalau minum sedikit dan tidak memabukkan, maka ia tidak haram. Atau ada yang kata kalau tidak salat, tidak mengapa kalau mahu diminum arak itu. Dan berbagai-bagai lagi hujah yang pelik yang digunakan oleh manusia. Itu semua kerana tidak mahu taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Sedangkan dalam ayat ini, dengan jelas mengatakan yang arak itu haram. Tidak kira pada masa bila pun, ia adalah haram.

Dari segi bahasa, kalimah الخَمرُ daripada kalimah خمرُ yang bermaksud ‘penutup’. Jadi, dari sini kita boleh tahu sifat arak itu yang menutup minda dan akal manusia. Apabila diminum, boleh menyebabkan mabuk sehingga akal tidak tahu apa yang mereka buat dan apa yang dikatakan oleh mulut mereka.

Khamr asal sebenarnya bermaksud arak perahan anggur. Tetapi bukan itu sahaja yang termasuk dalam ayat ini. Apa sahaja yang memabukkan dikira haram, tidak kira daripada bahan apa ia diperbuat:

وَرَوَى مُسْلِمٌ عَنْ أَبِي الرَّبِيعِ، عَنْ حَمَّادِ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كُلُّ مُسكر خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ، وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَمَاتَ وَهُوَ يُدْمنها وَلَمْ يَتُبْ مِنْهَا لَمْ يَشْرَبْهَا فِي الْآخِرَةِ”.

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Rafi’, daripada Hammad ibnu Zaid, daripada Ayyub, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram. Dan barangsiapa minum khamr, lalu mati dalam keadaan masih kecanduan khamr dan belum bertaubat daripada perbuatannya itu, maka kelak di akhirat dia tidak dapat meminum khamr (di syurga).

(HR. Muslim No. 2003, daripada Ibnu Umar رضي الله عنه)

Terdapat banyak sekali keburukan daripada arak ini yang menyebabkan keluarga, masyarakat dan negara boleh menjadi porak peranda disebabkan olehnya. Allah ‎ﷻ tahu apakah yang buruk untuk diri kita, maka Allah‎ ﷻ telah mengharamkannya supaya kita tidak lagi terjerumus ke dalam masalah-masalah itu.

Dan kita perlu ingat, bahawa arak itu bukan sahaja diharamkan untuk diminum sahaja, tetapi ada banyak lagi kesalahan yang melibatkannya. Seperti yang disebut dalam hadith:

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: لعن رسُول الله صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرةً: عاصرها، ومعتصرها، وشاربها، وحاملها، والمحمولة إليه، وساقيها، وبائعها، وآكل ثمنها، والمشتري لها، والمشتراة له. أخرجه الترمذي وابن ماجه

“Rasulullah ﷺ melaknat tentang arak, sepuluh golongan:

(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkan untuknya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantarnya,
(6) yang menuangkannya,
(7) yang menjualnya,
(8) yang makan harganya,
(9) yang membelinya,
(10) yang minta dibelikannya.

(HR . Tirmidzi No. 1295, Ibnu Majah No. 3381, daripada Anas رضي الله عنه. Sahih lighairih menurut Syeikh Al-Albani dalam Talhrij Misykatul Masabih No. 2707. Hasan menurut Al-Wadi’ie dalam Sahih Musnad No. 59)

Maka, jangan kita terlibat langsung dengan arak. Sebab itulah dalam ayat ini, lafaz yang digunakan adalah فَاجتَنِبوهُ (maka jauhilah ia), bukan ‘jangan buat’. Bila dikatakan menjauhinya, maka jangan ada kena mengena langsung dengannya.

Perkara yang haram seperti arak juga tidak boleh diperniagakan:

حَدِيثٌ آخَرُ: قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَعْلَى، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ؛ أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ وَعْلَة قَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ عَنْ بَيْعِ الْخَمْرِ، فَقَالَ: كَانَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدِيقٌ مِنْ ثَقِيفٍ -أَوْ: مِنْ دَوْسٍ-فَلَقِيَهُ يَوْمَ الْفَتْحِ بِرَاوِيَةِ خَمْرٍ يُهْدِيهَا إِلَيْهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا فُلَانُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللَّهَ حَرَّمَهَا؟ ” فَأَقْبَلَ الرَّجُلُ عَلَى غُلَامِهِ فَقَالَ: اذْهَبْ فَبِعْهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا فُلَانُ، بِمَاذَا أَمَرْتَهُ؟ ” فَقَالَ: أَمَرْتُهُ أَنْ يَبِيعَهَا. قَالَ: “إِنَّ الَّذِي حَرَّمَ شُرْبَهَا حَرَّمَ بَيْعَهَا”. فَأَمَرَ بِهَا فَأُفْرِغَتْ فِي الْبَطْحَاءِ.

Hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad, telah menceritakan kepada kami Ya’la, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ishaq, dari Al-Qa’qa’ ibnu Hakim; Abdur Rahman ibnu Wa’lah mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibnu Abbas mengenai masalah menjual khamr. Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab bahawa dahulu Rasulullah ﷺ mempunyai seorang teman daripada Bani Saqif atau Bani Daus. Rasulullah ﷺ bersua dengannya pada hari kemenangan ke atas kota Mekah, pada waktu itu dia membawa sebalang khamr yang hendak dia hadiahkan kepada Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Fulan, tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah telah mengharamkannya?” Maka lelaki itu datang kepada pelayannya dan berkata kepadanya, “Pergilah, dan juallah khamr ini.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Fulan, apakah yang kamu perintahkan kepada pelayanmu?”Lelaki itu menjawab, “Saya perintahkan dia untuk menjualnya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya sesuatu yang diharamkan meminumnya diharamkan pula memperjual belikannya. Lalu Rasulullah ﷺ memerintahkan agar khamr itu ditumpahkan, kemudian ditumpahkan di Batha.

(HR. Ahmad No. 2824, disahihkan oleh Syeikh al-Arnauth dan Ahmad Syakir)

Nota: Mungkin timbul satu persoalan tentang bolehkan khamr digunakan sebagai ubat? Pendapat yang kuat mengatakan tidak boleh sama sekali kerana daripada hadith Nabi ﷺ sendiri, baginda mengatakan bahawa khamr itu bukanlah ubat, malah ia adalah penyakit.

Dan kalau ada yang mengatakan ia termasuk dalam perkara darurat, ketahuilah pengubatan bukanlah termasuk dalam perkara darurat. Boleh rujuk perbahasan itu di sini.

Arak diharamkan kerana ada banyak keburukan padanya. Akal yang sihat pun boleh faham perkara ini. Kerana itulah dalam tahun 1920-an, Kerajaan Amerika pernah mengharamkan arak (Prohibition Act). Akan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan mendapat tentangan yang kuat dalam masyarakat. Ini kerana mereka tidak ada iman.

Sedangkan masyarakat Arab jahiliyah pada masa dahulu pun biasa meminum arak. Namun Islam mengambil pendekatan mengharamkannya dengan cara berperingkat. Tidaklah terus diharamkan tetapi mendidik mereka untuk menolak sedikit demi sedikit.

Peringkat pertama: Arak itu ada kelebihan, tetapi keburukan lebih banyak. Ini disebut dalam Baqarah:219

Peringkat kedua: Tidak boleh minum arak apabila hendak salat. Ini disebut dalam Nisa’:43

Peringkat ketiga: Larangan terus di dalam ayat Maidah:90 ini.

وَالمَيسِرُ

dan berjudi

Apakah maksud judi? Ramai yang keliru dan banyak persoalan tentang perkara ini. Ia adalah satu perlumbaan untuk mendapatkan sesuatu yang menyebabkan kegembiraan bagi satu pihak dan kekecewaan kepada pihak yang lain pula. Maknanya terdapat pertaruhan dan mesti ada yang kalah dan ada yang menang. Satu pihak untung dan satu pihak rugi (zero sum game).

Ia juga boleh dikira hangus duit pertaruhan. Contohnya, ada masuk pertandingan memancing dan dikenakan letak duit dahulu. Itu dikira judi walaupun niatnya hanyalah sebagai permainan, buat untuk suka-suka sahaja. Ia dianggap sebagai judi kerana orang itu akan hilang wang pertaruhannya itu. Dan wang itulah pula yang dijadikan sebagai hadiah kemenangan nanti. Memang orang selalu orang letak nama ‘pertandingan’. Namun begitu, tidak kiralah nama apa yang diletakkan, tetapi kalau mengandungi unsur judi, maka ia dikira sebagai judilah juga.

Ini tidak sama dengan ‘cabutan bertuah’ kerana tidak ada kerugian pada mana-mana pihak. Ini adalah kerana pekedai yang mengeluarkan duit sendiri yang menawarkan hadiah kepada sesiapa yang mendapat hadiah cabutan bertuah itu. Orang yang menang itu pula tidak meletakkan sebarang duit pun sebagai pertaruhan. Oleh itu, ia tidak merugikan sesiapa, malah ada yang untung sahaja. .

وَالأَنصابُ

dan berhala

Perkara ketiga yang dilarang dalam ayat ini adalah penyembahan patung berhala atau benda-benda yang dipuja seperti gambar. Ramai manusia yang membuat gambar roh dan Nabi, dan pelbagai gambar atau patung untuk dijadikan sebagai tempat pemujaan.

Asalnya ia dijadikan sebagai peringatan kepada orang yang baik-baik, yang alim, yang warak semasa hidup mereka. Atau dijadikan sebagai peringatan kepada kejadian yang penting pada zaman dahulu. Namun lama kelamaan, ia telah bertukar sifat sehingga orang yang kemudian menjadikan makam bagi tempat itu dan menyembah atau memujanya.

Ini adalah kerana kejahilan manusia dan syaitan akan sentiasa meniupkan kesyirikan dalam hati manusia. Orang yang mula-mula buat patung, gambar atau tugu itu tidaklah menyembah sebagai ilah, tetapi keturunan yang datang kemudian yang menjadikan ia lebih lagi.

Inilah masalah jika manusia memang mempunyai akidah yang lemah. Mereka akan terpesona dengan sesuatu perkara itu dan mula menyembah atau menganggapnya istimewa.

Oleh kerana itu, kita tidak boleh menghormati sesuatu benda itu berlebihan. Sebagai contoh, patung kanak-kanak memang secara dasar memang dibenarkan, tetapi jangan kita hormati anak patung itu. Kita kenalah baling, pijak ia supaya tidak ada rasa kasih sayang berlebihan kepadanya.

Itulah sebabnya dilarang untuk menggantung gambar sesiapa pun di rumah atau di kedai kerana katakanlah kita menggantung gambar datuk kita, sebagai memperingati dia sahaja tetapi jika rumah kita terbakar, dan kita mendapati gambar datuk kita itu selamat sahaja, apa yang kita rasa? Maka, untuk keselamatan dan menjaga akidah, tidak perlulah digantung gambar di rumah kita. Kalau ada, silalah turunkan dan simpan dalam album sahaja (sebagai kenang-kenangan).

Jika akidah kita molek, tidaklah berasa apa-apa, tetapi kalau akidah ada masalah, tentu dia akan berkata gambar datuk itu ada keramat (atau datuk kita itu ada keramat). Begitu jugalah kalau digantung gambar-gambar pemimpin yang banyak dilakukan sekarang. Kalau tidak jadi apa-apa, memang selamatlah, tetapi katakanlah kalau ada kejadian pelik dan gambar orang itu ada di situ? Entah apalah nanti dikatakan orang.

Ada empat perkara yang diharamkan dalam ayat ini: arak, judi, berhala dan mengundi nasib. Dalam banyak-banyak ini, berhala itu jelas haram hukumnya, bukan? Allah ‎ﷻ meletakkannya sekali dengan tiga perkara yang lain itu untuk memberitahu: semua itu adalah perkara yang buruk dan berdosa. Semua itu dosa besar maka jangan diperkecilkan.

حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة ومحمد بن الصباح قالا حدثنا محمد بن سليمان بن الأصبهاني عن سهيل عن أبيه عن أبي هريرة قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مدمن الخمر كعابد وثن

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Muhammad bin As Shabah keduanya berkata; telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sulaiman bin Al Ashbahani dari Suhail dari Ayahnya dari Abu Hurairah dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Pecandu khamer seperti penyembah berhala.”

(Sunan Ibn Majah (3366))

Status: sahih

وَالأَزلٰمُ

dan mengundi nasib dengan panah,

Iaitu mencari untung nasib dengan mencampak benda-benda. Asal azlam ialah anak-anak panah (yang tidak diberi bulu keseimbangan dan tidak diberi hujung kerana ia bukan digunakan untuk memanah). Alat ini biasa golongan zaman dahulu digunakan untuk mengundi nasib. Mereka akan menggunakan anak panah itu sebagai cara untuk membuat keputusan pemilihan.

Mengundi nasib dengan anak panah ini berbeza dengan undian perjudian kerana itu telah disebut dalam bab maysir sebelum ini. Perhatikan kata mengundi ‘nasib’, jadi yang diundi itu adalah nasib, bukan menang atau kalah dalam berjudi.

Istilah itu merupakan terjemahan daripada kata bahasa Arab: AZLAM. Azlam adalah bentuk jamak daripada zulam atau zalam. Memang sering diterjemahkan dengan istilah mengundi nasib dengan anak panah. Tetapi yang terjadi sesungguhnya bukan bab perjudian, melainkan mengundi pilihan hidup dengan menggunakan anak panah.

Disebutkan bahawa ketika masa jahiliyyah, apabila seseorang dalam keadaan bingung atas pilihan-pilihan hidup, mereka bukannya melakukan salat istikharah seperti ajaran Rasulullah ﷺ, tetapi mendatangi para dukun untuk meminta nasihat. Lalu dukun akan melakukan pengundian dengan mengocok anak panah. Di tiap-tiap hujung anak panah itu dituliskan: Kerjakan – Jangan Kerjakan – Ulangi (kosong pada anak panah itu).

Anak panah dengan panjang yang sama itu dikumpulkan di dalam satu bekas. Lalu dikeluarkan salah satunya tanpa dilihat. Jika keluar tulisan ‘kerjakan’, maka perkara itu akan dikerjakan. Namun jika tertulis ‘jangan kerjakan’, maka perkara tersebut tidak akan dilakukan. Jika keluar yang tidak bertuliskan apa-apa, undian nasib tadi akan diulang.

Kira-kira kalau di masa kita ini mirip orang menghitung kad ‘ya’ atau ‘tidak’. Jadi tidak semestinya ditetapkan: “Nah! Perbuatan seperti inilah yang dikatakan dengan mengundi nasib dengan anak panah”.

Illat (penyebab) keharamannya adalah percaya kepada tahayul (khurafat) dengan meninggalkan pertimbangan akal yang sihat. Mereka hanya serahkan sahaja kepada nasib dan ini tidak bagus. Sedangkan Allah ‎ﷻ sudah berikan kita akal untuk menilai sesuatu perkara itu patut dilakukan ataupun tidak.

Akan tetapi, ada juga pengundian yang dibenarkan. Bukanlah semua haram. Katakanlah ada pembahagian harta seperti rumah kepada empat orang. Semua rumah itu sama sahaja, tetapi tidak tahu siapa akan mendapat rumah yang mana. Maka dalam hal ini boleh menggunakan cara pengundian.

رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ

adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan.

Semua perkara yang disebut di atas adalah perbuatan yang berdosa di sisi Allah ‎ﷻ. Ia tidak patut dilakukan oleh seorang yang beriman dan ada akal yang waras.

Itu semua adalah daripada ajaran syaitan. Mereka yang mengajar manusia untuk membuat semua perkara itu kerana mereka suruh manusia lawan Tuhan. Jika sudah mula buat, maka akan susah untuk keluar daripada perbuatan itu.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa rijsun ertinya perbuatan yang dimurkai (Allah ‎ﷻ) dan termasuk perbuatan syaitan. Menurut Sa’id ibnu Jubair, erti rijsun ialah dosa. Sedangkan menurut Zaid ibnu Aslam disebutkan bahawa makna rijsun ialah jahat, termasuk perbuatan syaitan. Kesimpulannya, ia adalah perbuatan berdosa dan hendaklah ditinggalkan.

فَاجتَنِبوهُ

Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu

Setelah kita tahu keburukan semua perkara itu, maka hendaklah kita jauhi dan jangan cebur diri. Jangan ada kena mengena langsung. Bukan sahaja kita tidak buat, malah jangan mendekati langsung kerana jika sudah buat, susah untuk meninggalkannya.

Itu semua perkara yang jelas haram maka tidak boleh menghalalkannya. Nama mungkin berubah dari masa ke semasa, tetapi hukum haram tetap haram. Sebagai contoh, ada yang letak nama arak dengan nama ‘tuak’ dan sebagainya; ada yang letak perjudian sebagai ‘sports toto’, cabutan bertuah, pertandingan memancing dan sebagainya, tetapi jika ia mengandungi unsur judi, ia masih juga dikategorikan sebagai judi dan tetap haram hukumnya.

لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

agar kamu mendapat kejayaan.

Moga-moga dengan kita meninggalkan langsung dan tidak mendekati perkara-perkara yang telah diharamkan itu, dapatlah kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Maknanya untuk berjaya dunia dan akhirat mestilah tinggalkan semua perkara di atas.


Maidah Ayat 91: Sebelum ini telah disebut bagaimana perbuatan yang diharamkan di atas adalah daripada perbuatan syaitan. Kita kena sedar yang syaitan tidak ada kebaikan yang mereka akan bawa kepada kita.

Tidak akan ada keberkatan pada benda yang mereka ajar dan tidak ada jaminan kebaikan di akhirat. Maka hendaklah kita menjauhkan diri kita sejauh-jauhnya. Maka kenalah tahu cara-cara syaitan menipu kita. Kena belajar ‘talbis Iblis’ (belitan Iblis).

إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلوةِ ۖ فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Satan only wants to cause between you animosity and hatred through intoxicants and gambling and to avert you from the remembrance of Allāh and from prayer. So will you not desist?

(MALAY)

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka adakah kamu hendak berhenti?

إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ

Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu 

Syaitan sangat ingin menjerumuskan manusia ke dalam perbalahan dan kebencian. Mereka menggunakan arak dan perjudian untuk mencapainya. Mereka lakukan itu kerana mereka tidak puas hati dengan umat manusia.

Maka mereka akan hasut manusia untuk berbalah dan benci sesama sendiri sampai boleh jadi perbunuhan. Jika dilihat daripada statistik, tempat yang ada dijual arak, akan ada masalah di tempat itu. Kalau dibandingkan sebelum ada penjualan arak dan selepas arak, memang ada bezanya.

فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ

lantaran khamar dan berjudi itu, 

Senjata yang mereka banyak gunakan adalah lebih-lebih lagi pada arak dan judi. Apabila manusia melibatkan diri dengan arak dan judi, manusia akan berkata sesuatu perkara yang boleh menyebabkan perkelahian. Ini kerana apabila minum arak sampai mabuk, akal yang sihat sudah tiada lagi waktu itu. Mulut akan lepas cakap sahaja dan ini bahaya dan boleh menyebabkan pergaduhan sehingga boleh mengakibatkan terjadinya pembunuhan.

Begitu juga dengan perjudian. Apabila berjudi, pasti akan ada seseorang yang akan mengalami kerugian, mungkin kehilangan harta serta duit yang banyak. Ini akan menyebabkan dia sanggup melakukan apa-apa sahaja yang akan merosakkan diri sendiri dan masyarakat. Ibn Qatadah رحمه الله mengatakan, orang Arab Jahiliyah jika berjudi, ada yang bertaruh dengan segala hartanya, termasuk anak isteri sekali.

Oleh itu, di sini jelas sekali menunjukkan arak dan judi akan menyebabkan terjadinya masyarakat yang ganas. Jika kerajaan yang pandai, mereka akan mengharamkan dua perkara ini. Namun apakan daya, hasil cukai daripada keduanya juga banyak.

وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلَوٰةِ

dan menghalangi kamu daripada mengingat Allah dan sembahyang; 

Bukan itu sahaja, perbuatan arak dan judi juga akan menghalang manusia daripada mengingati Allah ‎ﷻ. Apabila sudah meminum arak dan bermain judi, tidaklah mereka akan ingat kepada Allah ‎ﷻ lagi.

Lebih-lebih lagi syaitan hendak menjauhkan manusia daripada salat. Salat adalah perbuatan minimum mengingati Allah ‎ﷻ. Jika kita tidak ingat Allah ‎ﷻ sepanjang masa pun, tentu kita akan ingat Allah ‎ﷻ semasa salat, bukan? Tetapi kalau asyik sibuk minum arak dan main judi, tidaklah mereka itu akan salat.

Syaitan juga akan menghalang manusia daripada melakukan salat. Ini adalah antara pertama kali mereka akan menghasut manusia. Kita lihatlah agama terdahulu sebelum kita seperti Yahudi dan Nasara. Dua agama itu sebenarnya ada ibadah salat juga. Akan tetapi kita pun lihat mereka tidak salat sekarang.

Bagaimana dengan masyarakat Islam kita sendiri? Ramai yang salat, tetapi ramai juga yang tidak salat. Dan amat menyedihkan apabila mereka boleh selamba sahaja bila tidak salat. Langsung tidak mempunyai rasa malu atau bersalah. Orang yang di sekeliling mereka pun seolah-olah boleh terima kalau ada yang tidak salat. Ia sudah jadi perkara yang biasa sahaja. Adakah anda kenal dalam kalangan anda yang tidak salat? Rasa dapat agak, tentu sekali ada, bukan?

فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ

maka adakah kamu hendak berhenti?

Setelah diberitahu segala hujah-hujah itu, Allah ‎ﷻ tanya, adakah kamu mahu berhenti daripada arak dan judi? Ini soalan retorik sahaja, kerana memang kena berhenti pun. Allah ‎ﷻ telah memberikan amaran, kalau buat juga, maka akan menyebabkan perkara-perkara yang telah disebut tadi terjadi.

Sepatutnya kerajaan di negara Islam tidak ada dua perkara ini. Patutnya ia diharamkan sudah lama lagi. Kalau terdapat mereka yang daripada agama lain pun, mereka sepatutnya tidak dibenarkan minum arak dan berjudi. Perbuatan ini sebenarnya memang diharamkan dalam agama mereka juga.

Saya teringat satu perdebatan di Parlimen. Ada Ahli Parlimen Melayu yang mempertahankan arak dan judi. Hujahnya, ia budaya bagi orang yang bukan Islam, maka kenalah dibenarkan. Seorang Ahli Parlimen Non-Muslim bangun dan membalas: ia bukan budaya agama mereka, tetapi perbuatan orang jahat dalam kalangan mereka!


Maidah Ayat 92: Arak dan judi wajib ditinggalkan kerana ia adalah larangan Allah ‎ﷻ dan Rasul.

وَأَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ وَاحذَروا ۚ فَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And obey Allāh and obey the Messenger and beware. And if you turn away – then know that upon Our Messenger is only [the responsibility for] clear notification.

(MALAY)

Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-(Nya) dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

وَأَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul

Segala hukum yang telah disebut adalah daripada Allah ‎ﷻ yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Kena taat pada semua hukum yang melibatkan semua perkara dalam kehidupan.

وَاحذَروا

dan berhati-hatilah kamu semua

Hendaklah kita berwaspada dalam kehidupan supaya jangan ada perkara yang boleh bercanggah dengan hukum. Jangan derhaka kepada Allah ‎ﷻ dengan menolak hukum-Nya. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, ada hukum halal dan haramnya. Maka hendaklah kita belajar supaya kita tahu apakah hukum sesuatu perbuatan itu.

فَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ

Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

Tetapi jika berpaling juga daripada peringatan ini, kena tahulah yang tugas Rasul itu tidaklah memaksa sebaliknya tugas baginda adalah untuk menyampaikan sahaja sejelas mungkin.

Rasulullah ﷺ sudah menjalankan tugas baginda menyampaikan agama kepada manusia. Baginda tidak terkesan kalau kita tidak mengikut nasihat baginda. Yang terkesan adalah kita sendiri.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 85 – 89 (Larangan berpantang makanan)

Maidah Ayat 85: Ini adalah jenis ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira dengan pembalasan baik di akhirat).

فَأَثٰبَهُمُ اللهُ بِما قالوا جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So Allāh rewarded them for what they said¹ with gardens [in Paradise] beneath which rivers flow, wherein they abide eternally. And that is the reward of doers of good.

  • i.e., their admission and acceptance of the truth and commitment to Allāh’s religion (Islām).

(MALAY)

Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sedang mereka kekal di dalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan (yang ikhlas keimanannya).

 

فَأَثٰبَهُمُ اللهُ بِما قالوا

Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, 

Allah balas perkataan mereka kerana iktikad mereka pun begitu juga. Mereka bukan cakap sahaja, tapi mereka pegang dalam hati mereka apa yang mereka katakan. Dan mereka teruskan dengan masuk Islam dan beramal dengan kebaikan dan taat kepada hukum Allah. Maka Allah balas mereka dengan syurga.

 

جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, 

Allah masukkan ke dalam kebun-kebun syurga. Nikmat yang ada dalam syurga itu amat banyak sekali sampaikan tidak dapat dijelaskan. Allah cuma jelaskan yang ada sungai-sungai yang mengalir di dalam syurga itu untuk kegunaan ahli syurga.

Ini memberi isyarat kepada keindahan dan kenikmatan kerana orang-orang Arab itu amat sukakan kepada air kerana tempat mereka tidak banyak air. Jadi kalau ada sungai di tempat tinggal, itu memang nikmat besar sangat.

 

خٰلِدينَ فيها

sedang mereka kekal di dalamnya.

Kalau duduk di syurga itu sekejap sahaja, tidaklah nikmat sangat. Tapi Allah janji yang mereka akan kekal di dalam syurga itu. Dan memang sesiapa yang masuk syurga akan kekal di dalamnya. Tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.

 

وَذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan

Itu adalah balasan bagi mereka yang memiliki hati yang baik. Walaupun mereka baru kepada Islam, tapi mereka itu memang sudah orang yang baik. Orang yang baik sebelum masuk Islam, mereka akan terus kekal baik selepas masuk Islam.

Begitulah kalau golongan Kristian itu sudah kenal agama Islam dan wahyu dari Allah. Akan tetapi kalau kita tidak sampaikan kepada mereka wahyu Allah ini, lalu bagaimana mereka hendak tahu? Adakah kita sudah jalankan tugas kita untuk sampaikan dakwah kepada mereka?


 

Maidah Ayat 86: Ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat).

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieved and denied Our signs – they are the companions of Hellfire.

(MALAY)

Dan orang-orang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka.

 

وَالَّذينَ كَفَروا

Dan orang-orang kafir

Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang menerima kebenaran wahyu; bagaimana pula kalau mereka yang kufur – menutup kebenaran yang sudah sampai kepada mereka?

 

وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا

serta mendustakan ayat-ayat Kami,

Dan apabila sampai wahyu Allah kepada mereka, mereka kata itu semua dusta belaka, mereka tidak mahu terima. Apa yang akan dibalas kepada mereka?

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

mereka itulah penghuni neraka.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan apabila dikatakan mereka ashabun jaheem, itu maksudnya mereka akan kekal dalam neraka itu, tidak keluar sampai bila-bila.

Sekian Ruku’ 11 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 87: Ini ayat untuk nafi ‘syirik amali’ (perbuatan syirik), iaitu ada manusia yang mengharamkan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan. Dan ada yang halalkan perkara yang Allah‎ ﷻ telah haramkan.

Dan perkara yang selalu berlaku adalah dalam hal pemakanan. Kita kena ingat, mana makanan yang Allah sudah halalkan, tidak boleh diharamkan dengan berpantang. Kalau seseorang itu pernah berpantang, dia kena batalkan pantangnya itu dengan serta merta – wajib dia kena makan sebagai isyarat untuk batalkan pantangnya itu.

Perkara ini perlu disentuh kerana sebelum ini di dalam ayat 82, ada disebut tentang rahib. Dalam ayat itu seperti ada pujian terhadap mereka. Dan kita pun tahu kehidupan mereka ini pelik sedikit, iaitu mereka menolak nikmat dunia. Takut ada pula yang ikut cara hidup mereka yang salah itu. Maka disentuh dalam ayat ini tentang kesalahan menolak nikmat dunia dengan mengharamkan ke atas diri.

Mengharamkan makan jenis-jenis makanan juga ada dalam masyarakat kita. Ia hendaklah ditinggalkan. Contohnya, katakanlah sebelum ini, dia telah diberikan peringatan agar tidak memakan ikan kekacang dan buluh betong hanya kerana dia berketurunan Wan atau Nik (di Kelantan). Maka, dia haruslah membatalkan pantangnya itu dengan memakan ikan kekacang dan bulu betong.

Jadi ayat ini ada kena mengena dengan berpantang. Asalnya tentang pengharaman makanan oleh orang syirik tetapi kita pun tersangkut juga dalam hal ini. Ini kerana orang Melayu kita banyak yang berpantang atas sebab-sebab tertentu – kerana bersalin, kerana mengamalkan ilmu khas, kerana keturunan dan sebagainya. Itu semua adalah perbuatan haram dan salah satu daripada syirik amali.

Kita tidak boleh berpantang kalau tanpa sebab yang haq, melainkan jika doktor sendiri yang mengatakan tidak boleh makan atas sebab kesihatan. Maka, jangan lagi kita berpantang dan ajar masyarakat kita berpantang kerana itu amalan itu boleh menyebabkan syirik amali.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّبٰتِ ما أَحَلَّ اللهُ لَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not prohibit the good things which Allāh has made lawful to you and do not transgress. Indeed, Allāh does not like transgressors.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّبٰتِ ما أَحَلَّ اللهُ لَكُم

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita supaya jangan memandai-mandai mengharamkan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan kepada kita. Pengharaman telah diletakkan dalam nas Al-Qur’an dan Hadith dan jangan kita berlebihan pula daripada yang telah ditetapkan oleh nas.

Umumnya, sekurang-kurangnya ada tiga cara sesuatu perkara yang halal diharamkan oleh manusia:

1. Kepercayaan. Dia percaya sesuatu benda itu haram.
2. Dengan kata-kata iaitu apabila seseorang mengisytiharkan yang dia tidak akan makan sesuatu jenis makanan yang halal.
3. Secara praktikal. Dia tidak percaya pun makanan itu haram, dan dia tidak cakap apa-apa pun, tetapi dia tidak makan satu jenis makanan yang halal.

Dalam kes 1 itu, kalau dia percaya sesuatu itu haram sedangkan ia halal (setelah diperiksa dengan alim ulama’), maka ini adalah perbuatan kufur kerana menentang hukum Allah ‎ﷻ.

Dalam situasi ke 2, ia juga berdosa. Ini adalah sumpah yang salah dan perlu ditamatkan. Oleh kerana dia telah bersumpah, maka dia kena batalkan sumpah itu dengan membayar kiffarah.

Dalam situasi ke 3, ia bergantung. Jika dia rasa ia adalah sesuatu yang baik bagi agamanya, maka ia berdosa (dosa bid’ah) dan perlu ditinggalkan pantang itu kerana syarak tidak memerintahkannya tetapi dia memandai buat, jadi ini adalah ghuluw dalam hal agama. Ini seperti yang dilakukan oleh sesetengah golongan tarekat. Mungkin tok guru ada suruh jangan makan binatang bernyawa untuk naik maqam. Ini adalah perbuatan mengarut.

Namun begitu, jika kerana berpantang itu atas pilihan dirinya sendiri kerana dia tidak suka rasanya, atau kerana ia tidak baik bagi kesihatannya, maka ia tidak mengapa. Contohnya orang yang ada darah tinggi digalakkan supaya jangan memakan ‘binatang berkaki empat’.

Hukum asal, segala perkara dalam dunia ini adalah halal melainkan ada dalil untuk mengharamkannya. Nas hanya mengharamkan beberapa perkara sahaja. Selain daripada itu, hukum tentangnya adalah harus. Jadi, lebih banyak perkara yang halal daripada yang haram.

Malangnya, ada orang kita yang suka mengharamkan banyak perkara padahal tidak ada nas pun. Senang-senang sahaja mereka mengharamkan sedangkan ia halal. Ingatlah yang Islam bukanlah untuk mengharamkan sahaja. Itu bukanlah mentaliti Islam. Allah ‎ﷻ hendak memudahkan hidup kita di dunia dan ini dan perkara yang diharamkan adalah kerana ia mendatangkan keburukan kepada kita.

Ada yang hendak menolak nikmat dunia atas sebab hendak menjaga hati kononnya. Takut terpedaya dengan nikmat dunia. Namun ini adalah ghuluw. Nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah untuk kita nikmati. Kita boleh menikmati nikmat dunia Allah dan kemudian kita bersyukur. Syukur itu tinggi nilainya, ia lebih bernilai daripada nikmat yang sedang diterima itu. Allah ‎ﷻ suka kita menikmati pemberian-Nya dan kemudian bersyukur.

Yang mana Allah ‎ﷻ telah haramkan, maka haramlah untuk kita, dan mana yang tidak disebut, maka halallah untuk kita. Dan kalau ada perkara yang nampak samar-samar, maka terpulang kepada kita. Kita kena nilai dengan akal yang waras dan lihatlah kepada kebaikan dan keburukan perkara itu. Kalau setelah kita kaji ia  adalah buruk untuk kita, maka janganlah kita makan.

 

وَلا تَعتَدوا

dan janganlah kamu melampaui batas. 

Dan jangan melampau batas syariat dengan mengharamkan yang halal dan halalkan yang haram.

Daripada Masruq yang menceritakan, “Ketika kami sedang berada di rumah Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه, dihidangkan kepadanya air susu perahan. Lalu ada seorang lelaki (daripada para hadirin) yang menjauhi. Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata kepadanya, “Datanglah!” Lelaki itu berkata, ‘Sesungguhnya aku telah mengharamkan diriku meminumnya.’ Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata, ‘Datanglah dan minumlah, dan bayarlah kifarat sumpahmu,’ lalu Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه membacakan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kalian. (Al-Maidah: 87), hingga akhir ayat. Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim. Imam Hakim telah meriwayatkan atsar ini di dalam kitab Mustadraknya melalui jalur Ishaq ibnu Rahawaih, daripada Jarir, daripada Mansur dengan sanad yang sama. Kemudian Imam Hakim mengatakan bahwa atsar ini sahih dengan syarat Syaikhain (Bukhari dan Muslim), tetapi keduanya tidak mengetengahkannya.

Bukan dalam perkara makan sahaja kita tidak boleh melampau, tetapi dalam banyak perkara lain. Ini kita telah sentuh di dalam perbincangan surah ini tentang ‘ghuluw’.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan daripada Siti Aisyah رضي الله عنها bahawa pernah ada segolongan mereka dalam kalangan sahabat Rasulullah ﷺ bertanya kepada isteri-isteri Nabi ﷺ tentang amal perbuatan Nabi ﷺ yang bersifat peribadi. Maka sebahagian daripada para sahabat itu ada yang berkata, “Aku tidak akan makan daging.” Sebahagian yang lain mengatakan, “Aku tidak akan mengahwini wanita.” Dan sebahagian lagi mengatakan, “Aku tidak tidur di atas tilam.”Ketika hal itu sampai kepada Nabi ﷺ, maka baginda bersabda:

“مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَقُولُ أَحَدُهُمْ كَذَا وَكَذَا، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأَنَامُ وَأَقُومُ، وَآكُلُ اللَّحْمَ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي”.

Apakah gerangan yang dialami oleh kaum, seseorang daripada mereka mengatakan anu dan anu, tetapi aku puasa, berbuka, tidur, bangun, makan daging, dan berkahwin dengan wanita. Maka barang siapa yang tidak suka dengan sunnah (tuntunan)ku, maka dia bukan daripada golonganku. Sahih Muslim (1401)

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Allah ‎ﷻ tidak suka perbuatan yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Malangnya, ramai yang buat begitu. Dan apa yang selalu terjadi adalah dalam pemakaian ‘pantang’. Ini termasuk di dalam perkara yang melampau batas.

Selalunya selepas bersalin, bidan akan beritahu kepada wanita yang baru bersalin, beberapa jenis makanan yang pantang untuk dimakan. Dan kebanyakan orang kita akan ikut sahaja tanpa usul periksa. Ini juga termasuk dalam pengharaman kepada perkara yang halal.

Mereka kata ia bukanlah ‘haram’, tetapi ‘pantang’ sahaja. Namun itu cuma penggunaan terma yang berbeza, dari segi hakikatnya, ia tetap pengharaman kepada perkara yang halal. Dan ini termasuk dalam perkara yang melampau.

Jika pantang itu tidak dapat dijelaskan, tetapi hanya cuma mengikut kata-kata orang sahaja, maka ini memerlukan pemerhatian yang lebih. Mungkin ada yang alergik dengan sesuatu pemakanan itu, tetapi tidaklah semestinya semua orang alergik pula. Ini kerana lain badan, lain pula reaksi penerimaan sesuatu pemakanan itu. Kita tidak boleh pukul rata dengan menyenaraikan semua jenis makanan pantang itu sesuai untuk semua.

Contoh nasihat berpantang yang biasa diberikan ialah “Jangan makan telur/ayam/ikan nanti gatal dan luka bentan”. Jika hendak diikutkan, makanan yang disenaraikan itu adalah sumber protein. Maka jika mahu mengelakkan daripada memakan makanan tersebut adalah kurang logik malah mungkin melambatkan proses luka bersalin kerana badan wanita yang baru lepas bersalin amat memerlukan protein. Seperti juga terdapat larangan untuk ibu-ibu dalam pantang agar tidak minum air dengan kadar yang banyak sebab bimbang akan mengakibatkan urat saraf kembang. Ini juga adalah pantang larang yang tidak berasas kerana ketika dalam pantang lah badan wanita memerlukan air yang lebih terutama badan ibu perlu menghasilkan susu bagi keperluan bayi yang baru dilahirkan.

Jika pantang itu boleh dijelaskan dari sudut akal, maka ia boleh diterima. Mungkin melalui pemerhatian doktor atau pengalaman individu itu sendiri yang mengatakan ia tidak elok untuk kesihatan wanita yang baru bersalin, atau mungkin membawa kesan kepada bayi yang disusukan, maka bolehlah jika kita tidak memakannya. Apa-apa pun, yang penting haruslah menjaga pemakanan yang seimbang. Sedar mana yang baik dan tidak untuk badan kurniaan Allah ‎ﷻ ini. Jangan keterlaluan di dalam berpantang sehingga mengundang murka Allah ‎ﷻ pula nanti.


 

Maidah Ayat 88: Sebaliknya Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan kerana Allah ‎ﷻ telah menjadikannya untuk kegunaan kita. Maka ia adalah nikmat daripada Allah ‎ﷻ dan hendaklah kita gunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ sudah berikan kepada kita, bukan?

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ حَلٰلًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And eat of what Allāh has provided for you [which is] lawful and good. And fear Allāh, in whom you are believers.

(MALAY)

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

 

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ حَلٰلًا طَيِّبًا

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah rezekikan kepadamu,

Kita kena iktikad bahawa semua makanan adalah halal dan boleh dimakan kecuali kalau diharamkan dengan nas. Ia mencakupi apa sahaja yang Allah ‎ﷻ telah halalkan dan baik dari segi pemilikan. Maksudnya, kita memiliki makanan itu dengan cara baik, bukan barang curi. Dan keduanya, hendaklah disembelih dengan cara benar.

Ayat ini tidaklah memberitahu kepada kita yang kita mesti makan semua makanan yang halal, kerana mungkin juga kita tidak sukakan makanan itu. Kadang-kadang ada makanan halal tetapi tidak kena dengan tekak kita, maka kita tidak ada selera untuk memakannya. Mungkin kerana kita tidak biasa makan semenjak kecil lagi. Jika situasi begitu tidak mengapalah kalau kita tidak makan, cuma janganlah kita kata ia tidak boleh dimakan.

Satu lagi hukum yang kita kena tahu, kalau selama hari ini kita pernah berpantang atas sesuatu makanan, maka wajib kena makan walaupun sekali. Itu adalah untuk memutuskan pantang kita itu. Makan sedikit pun tidak mengapa.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa makanan yang halal adalah baik untuk kita. Dalam masa yang sama, ada makanan yang halal, tetapi tidak baik untuk kita iaitu jika kita ada penyakit, maka akan ada jenis-jenis makanan yang kita tidak boleh makan setelah dinasihati oleh doktor.

Ataupun, kalau kita makan makanan itu, terus kita sakit. Maka, tidak mengapalah kalau kita tidak mahu makan. Ia tetap halal, dan orang lain boleh makan makanan itu, cuma kita sahaja yang tidak boleh makan.

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

Bertaqwa itu bermaksud jaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada kita. Jangan tambah dan jangan kurang. Itu pun kalau kamu rasa kamu beriman kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan bahawa taqwa dan iman itu tidak sama.

Orang yang beriman, belum tentu lagi dia bertaqwa kerana iman itu setakat percaya sahaja, tetapi taqwa itu maksudnya dia taat sekali kepada hukum yang Allah‎ ﷻ telah tetapkan.


 

Maidah Ayat 89: Allah ‎ﷻ yang buat ketetapan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Dan kita sebagai hamba tidak ada hak untuk menukar ketetapan Allah ‎ﷻ kerana perbuatan menghalalkan dan mengharamkan adalah hak Allah ‎ﷻ. Jangan kita mengambil tugas Allah ‎ﷻ pula.

Dan kalau kita buat juga, kita telah kufur atas ‘syirik amali’ – kita telah mengamalkan sesuatu yang syirik – kita telah mengambil hak Allah ‎ﷻ, maksudnya kita telah mensyirikkan Allah ‎ﷻ.

Sebelum ini ayat tentang tidak boleh mengharamkan memakan perkara yang halal. Jadi, mungkin ada yang telah bersumpah untuk tidak makan sesuatu makanan. Atau dia telah bersumpah untuk tidak melakukan perkara yang harus. Jika kita telah bersumpah, maka kita mestilah menunaikan sumpah itu. Namun hanyalah dalam perkara yang harus sahaja.

Maknanya tidak boleh kita bersumpah untuk melakukan perkara yang haram. Dan kalau kita sumpah dan langgar sumpah itu, dikenakan membayar kaffarah. Kaffarah adalah denda yang kita bayar untuk menutup dosa. Istilah ini ramai yang agak keliru kerana terkeliru dengan ‘kifarah’.

Kifarah bererti balasan Allah  ﷻ ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan. Kaffarah dari sudut bahasa (al-Kafru) bermaksud ‘menutup’. Dinamakan kaffarah kerana ia menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah ‎ﷻ.

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ ۖ فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم أَو كِسوَتُهُم أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ ۚ ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم ۚ وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh will not impose blame upon you for what is meaningless¹ in your oaths, but He will impose blame upon you for [breaking] what you intended of oaths. So its expiation² is the feeding of ten needy people from the average of that which you feed your [own] families or clothing them or the freeing of a slave. But whoever cannot find [or afford it] – then a fast of three days [is required]. That is the expiation for oaths when you have sworn. But guard your oaths.³ Thus does Allāh make clear to you His verses [i.e., revealed law] that you may be grateful.

  • i.e., what is sworn to only out of habit of speech or what one utters carelessly without true intent.
  • i.e., that for a deliberate oath.
  • i.e., do not take oaths indiscriminately or swear to do that which is sinful, requiring expiation.

(MALAY)

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

 

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud

Allah ‎ﷻ tidak menghukum manusia dengan sumpahan yang tiada niat. Ada orang yang cakap sahaja di mulut tetapi dia tidak berniat dalam hati. Ini adalah kerana kebiasaan orang Arab yang suka bersumpah, tetapi mereka tidak berniat sangat. Itu hanya cakap-cakap kosong sahaja. Ini juga telah disebut dalam Baqarah:225.

Sebagai contoh, mereka kata begini: “Wallahi, aku takkan bercakap dengan kamu lagi”; “Wallahi aku akan bunuh kamu….”; “Wallahi, aku lapar sangat jadi aku nak makan semua atas meja ini…” dan sebagainya. Ia bergantung kepada niat. Mungkin dia cakap itu semasa dia marah dan tidak berfikir apa yang dia cakap.

Ini tidak sama dengan ‘sumpah palsu’. Sumpah palsu sebagai contoh dia telah melakukan sesuatu, tetapi dia bersumpah dia tidak melakukannya. Tidak ada kaffarah bagi hal ini. Dia kena bertaubat kerana menipu sedangkan dia tahu dia telah menipu.

Dan jika dia tersilap maklumat dan bersumpah atas maklumat itu, pun tidak ada kaffarah. Sebagai contoh, ada yang datang dan beritahu sesuatu kepadanya. Dia sangka ia benar dan dia bersumpah kata ada orang datang dan beritahu aku begini, begini. Kemudian baru dia tahu yang maklumat itu tidak benar. Ini juga tidak ada kaffarah.

 

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ

tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja,

Tetapi Allah‎ ﷻ akan menghukum di atas niat manusia yang sengaja. Yang dia cakap dengan mulut, dan dia tekad dalam hati untuk menjalankannya. Antaranya yang orang kita biasa lakukan adalah bernazar.

Nazar itu sebenarnya tidak baik, dan tidak perlu dilakukan kerana ia merupakan sifat kedekut dengan Allah ‎ﷻ (kalau Allah ‎ﷻ beri apa yang dia hendak, baru dia akan buat itu dan ini.) Akan tetapi, kalau dia sudah bernazar, maka dia mesti menunaikannya. Sudah menjadi wajib baginya.

Masalahnya, banyak terjadi apabila perkara yang dia minta itu Allah ‎ﷻ berikan. Waktu itu mulalah ada hal yang tidak dapat dilakukan. Masa berjanji dia sedap mulut sahaja, tetapi sekarang mulalah sibuk hendak ‘lari’ daripada membayar janji itu dahulu. Ada perkara yang memang dia tidak mampu buat.

Maka ini adalah jalan penyelesaian bagi nazarnya dahulu. Dia kena bayar kaffarah sumpahnya semasa bernazar dahulu.

 

فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ

maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, 

Mungkin selepas dia telah bersumpah, dia menyesal kerana berkata begitu. Maka dia hendak melanggar sumpahnya itu, tidak mahu meneruskannya lagi. Maka kalau melanggar sumpah, dia dikenakan membayar kaffarah sebagai denda. Salah satu cara adalah memberi makan sepuluh orang miskin. Ada pendapat yang mengatakan dua kali makan.

 

مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم

iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, 

Iaitu memberi makanan daripada jenis yang biasa diberi makan kepada keluarga sendiri. Kalau nasi, nasi lah, kalau roti, roti lah. Kalau biasa makan dengan lauk, kena beri dengan lauk sekali. Kalau biasa makan beras gred A, maka beri makan beras gred A lah juga. Dia boleh sediakan makanan itu, atau dia boleh memberi wang sebagai ganti kepada makanan itu.

 

أَو كِسوَتُهُم

atau memberi pakaian kepada mereka

Atau, bagi pakaian kepada mereka yang miskin, sepertimana pakaian yang diberi kepada keluarga sendiri. Walaupun tidak disebut sepertimana pakaian keluarga sendiri, tetapi ia boleh difahami. Berapa orang? Sepuluh orang juga.

Ada juga pendapat yang mengatakan pakaian yang cukup iaitu yang menutup seluruh badan dan kaki (maknanya sepasang pakaian).

 

أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ

atau memerdekakan seorang budak.

Atau dia boleh memerdekakan hamba. Kalau hamba, bukanlah sepuluh orang, tetapi seorang sahaja.

Tiga pilihan di atas itu adalah jika dia mempunyai harta. Maka bolehlah dipilih daripada salah satu pilihan di atas. Bagaimana kalau seorang yang hendak melanggar sumpahnya itu tidak mempunyai harta?

 

فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ

Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari.

Kalau tidak ada harta, gantinya adalah puasa tiga hari. Tetapi hendaklah cuba membayar dengan harta dahulu. Jika tidak boleh, barulah dengan berpuasa. Pendapat ulama’ seperti Imam Abu Hanifah رحمه الله mengatakan yang ia perlulah dilakukan berturutan.

 

ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم

Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah

Itulah empat jenis pilihan penebus kesalahan langgar sumpah. Kalimah حَلَفتُم (sumpah-sumpahmu) bermaksud apabila seseorang itu telah membuat komitmen di atas sumpahnya, iaitu dia benar-benar berniat atas sumpah itu, bukan cakap main-main.

 

وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم

Dan jagalah sumpahmu.

Jangan tinggalkan sumpah itu tanpa membayar kaffarah.

Yang sebaiknya, hendaklah jaga sumpah, jangan langgar. Kalau sudah bersumpah, mestilah menunaikannya. Ia bukanlah perkara main-main.

Dan lagi satu, dari awal lagi, jangan suka membuat sumpah yang akan menyusahkan diri sendiri juga nanti. Jangan kerana mulut, badan binasa. Mulut tu kena jagalah sikit. Kalau sudah kena bayar kaffarah itu, jangan marahlah sebab ia datang pun daripada kamu juga.

Jadi jangan senang hendak bernazar. Sebenarnya kita sepatutnya buat ibadah, kemudian baru kita berdoa. Bukannya nazar kalau diberikan sekian dan sekian, baru hendak buat ibadah.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur

Kita kena bersyukur kerana Allah ‎ﷻ sudah beri jalan untuk langgar dan untuk keluar daripada sumpah kita. Walaupun kena bayar kaffarah, tetapi itu lebih baik daripada kita tidak membuat apa-apa dan kemudian di akhirat nanti kita dihukum sebab melanggar sumpah kerana jika langgar sumpah, Allah ‎ﷻ akan murka. Sumpah bukan perkara yang boleh dibuat main.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 78 – 84 (Kristian rapat dengan Islam)

Maidah Ayat 78: Ini adalah ayat takhwif duniawi. Golongan Yahudi itu masih ada peluang untuk bertaubat,  tetapi jangan sampai Tuhan tarik balik. Mereka kena takut Allah ‎ﷻ melaknat mereka kerana kalau mereka dilaknat, Allah ‎ﷻ tidak beri taufiq terus sampai bila-bila. Jadi mereka kena segera bertaubat dan jangan tangguh lagi.

Perbuatan menangguhkan sesuatu yang baik itu dipanggil taswif. Ia diambil daripada kalimah سوف (akan). Selalu kita lihat, bagaimana ada orang yang sudah nampak kepentingan agama dan kebenaran sunnah, tetapi mereka tangguh untuk beramal, tangguh untuk belajar: “Nanti aku akan beramal…nanti aku akan belajar… nanti aku akan buat baik”.

Akhirnya tidak belajar-belajar langsung atau tidak buat sampai ke sudah. Ini adalah kerana syaitan akan membisikkan kepada mereka untuk melengahkan perbuatan baik itu. ‘Tangguh’ adalah satu senjata syaitan. Memang ramai manusia hendakkan kebenaran tetapi disibukkan dengan perkara lain oleh bisikan syaitan. Jadi akhirnya tidak patuh kepada Allah ‎ﷻ juga.

لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Cursed were those who disbelieved among the Children of Israel by the tongue of David and of Jesus, the son of Mary. That was because they disobeyed and [habitually] transgressed.

(MALAY)

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.

 

لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel

Telah dilaknat orang kafir dalam kalangan Bani Israel dahulu sejak lama dahulu. Ini adalah kerana banyak kesalahan yang mereka telah lakukan. Kita kena belajar apakah kesilapan mereka supaya kita jangan mengulangi.

 

عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ

dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. 

Laknat itu disebut sendiri daripada lidah Nabi Daud dan Nabi Isa عليهما السلام. Maknanya laknat mereka telah disebut semasa dua Nabi itu hidup lagi. Nabi Daud عليه السلام telah melaknat umat baginda pada waktu itu dan mereka telah menjadi babi. Dan Nabi Isa عليه السلام pun pernah melaknat umatnya dan mereka telah ditukar menjadi monyet.

 

ذٰلِكَ بِما عَصَوا

Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka

Kenapa mereka sampai dilaknat? Kerana mereka selalu derhaka. Perkara yang disuruh tidak dibuat. Mereka derhaka kepada arahan Allah ‎ﷻ.

 

وَّكانوا يَعتَدونَ

dan selalu melampaui batas.

Dan juga kerana mereka selalu melampaui batas – melanggari apa yang dilarang. Mereka buat perkara yang di luar daripada batasan syarak. Wahyu tidak sebut pun tentang sesuatu perkara itu, tetapi mereka lakukan juga.


 

Maidah Ayat 79: Sekarang disebut satu lagi kesalahan umat terdahulu. Ini penting supaya kita pun jangan mengabaikan satu tanggungjawab penting ini: amar ma’ruf nahi mungkar.

كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They used not to prevent one another from wrongdoing that they did. How wretched was that which they were doing.

(MALAY)

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.

 

كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ

Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat.

Ini adalah salah satu daripada kesan apabila mereka telah dilaknat. Mereka tidak saling mencegah mungkar yang dibuat dalam kalangan mereka. Sudah tiada siapa yang tegur sesiapa lagi. Mereka hanya melihat sahaja kesalahan yang dilakukan oleh orang lain yang dilakukan depan mata mereka. Mereka sudah tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar.

Ini adalah kerana mereka sendiri sudah tidak kisah tentang agama pun. Kalau masyarakat Islam kita pun jadi begini juga, maka kita akan jadi seperti Bani Israel juga.

Kemungkaran yang dimaksudkan adalah yang terbesar iaitu mungkar akidah.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ أَوَّلَ مَا دَخَلَ النَّقْصُ عَلَى بنيإِسْرَائِيلَ كَانَ الرَّجُلُ يَلْقَى الرَّجُلَ فَيَقُولُ: يَا هَذَا، اتَّقِ اللَّهَ وَدَعْ مَا تَصْنَعُ، فَإِنَّهُ لَا يَحِلُّ لَكَ. ثُمَّ يَلْقَاهُ مِنَ الْغَدِ فَلَا يَمْنَعُهُ ذَلِكَ أَنْ يَكُونَ أَكِيلَهُ وَشَرِيبَهُ وَقَعِيدَهُ، فَلَمَّا فَعَلُوا ذَلِكَ ضَرَبَ اللَّهُ قُلُوبَ بَعْضِهِمْ بِبَعْضٍ، ثُمَّ قَالَ: {لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَاسِقُونَ} ثُمَّ قَالَ: “كَلَّا وَاللَّهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ولتَنهون عَنِ الْمُنْكَرِ، ولتأخذُنَّ عَلَى يَدِ الظَّالِمِ، ولَتَأطرنَّه عَلَى الْحَقِّ أطْرا -أَوْ تَقْصُرْنَهُ عَلَى الْحَقِّ قَصْرًا”.

Dari Abdullah ibnu Mas’ud yang menceritakan bahwa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Sesungguhnya kekurangan yang mula-mula dialami oleh kaum Bani Israel ialah bilamana seorang lelaki bertemu dengan lelaki lain (dalam kalangan mereka), maka dia berkata kepadanya, “Hai kamu, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkanlah dosa yang kamu lakukan itu, sesungguhnya perbuatan itu tidak halal bagimu.” Kemudian bila dia menjumpainya pada keesokan harinya, maka hal tersebut tidak mencegahnya untuk menjadi teman makan, teman minum, dan teman duduknya. Setelah mereka melakukan hal tersebut, maka Allah memecah-belah hati mereka; sebahagian daripada mereka bertentangan dengan sebahagian yang lain. Kemudian Rasulullah ﷺ membacakan firman-Nya: Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israel melalui lisan Daud dan Isa putera Maryam. (Al-Maidah: 78) sampai dengan firman-Nya: orang-orang yang fasik. (Al-Maidah: 81) Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak, demi Allah, kamu harus amar ma’ruf dan nahi mungkar, dan kamu harus mencegah perbuatan orang yang zalim, memujuknya untuk mengikuti jalan yang benar atau kamu paksa dia untuk mengikuti jalan yang benar.

Imam Turmuzi mengatakan bahwa hadith ini hasan garib. 

 

لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ

Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.

Buruk sungguh perbuatan mereka itu. Mereka lihat sahaja kemungkaran yang dilakukan depan mata mereka. Malangnya begitulah juga yang terjadi sekarang. Kesyirikan berlaku di merata-rata tempat dan ramai buat tidak tahu sahaja seolah-oleh perkara itu normal sahaja.

Sebagai contoh, ramai bomoh yang membuat syirik, namun bagaikan tidak ada apa sahaja, entah-entah setiap kampung ada bomohnya. Ada tempat-tempat orang membuat syirik dengan selamba. Sebagai contohnya, Telaga Hang Tuah di Melaka yang dijadikan tempat meminta anak pula. Namun seolah-olah tidak ada apa-apa pun dilakukan oleh pegawai agama. Masih dibiarkan sahaja orang datang dan buat perkara onar di situ.

Manusia memang selalu dibisikkan oleh nafsu dan syaitan. Jika tidak ada orang yang menegur, memang akan ke lautlah mereka. Oleh itu, jangan kita lupa dan tinggalkan amar makruf nahi mungkar.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ”

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri disebutkan bahawa Rasulullah Sawﷺ pernah bersabda: Barangsiapa dalam kalangan kalian melihat perkara mungkar (dikerjakan), hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kekuasaan)nya. Jika dia tidak mampu, cegahlah dengan lisannya. Dan jika dia tidak mampu, hendaklah hatinya mengingkarinya; yang demikian itu merupakan iman yang paling lemah.

Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim.

 

Malangnya iman kita yang lemah telah melemahkan kita daripada memberi peringatan kepada manusia lain kerana kita takut. Nabi ﷺ telah bersabda tentang perkara ini:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ خَطِيبًا، فَكَانَ فِيمَا قَالَ: “أَلَّا لَا يَمْنَعْنَ رَجُلًا هَيْبَةُ النَّاسِ أَنْ يَقُولَ الْحَقَّ إِذَا عَلِمَهُ”. قَالَ: فَبَكَى أَبُو سَعِيدٍ وَقَالَ: قَدْ -وَاللَّهِ-رَأَيْنَا أَشْيَاءَ، فَهِبْنَا.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri, bahawa Rasulullah ﷺ berdiri melakukan khutbahnya, antara lain baginda ﷺ mengatakan: Ingatlah, jangan sekali-kali seorang lelaki merasa enggan kerana takut kepada manusia (orang lain) untuk mengatakan perkara yang hak jika dia mengetahuinya. Abu Nadrah melanjutkan kisahnya, “Setelah mengemukakan hadith ini Abu Sa’id menangis, lalu berkata, ‘Demi Allah, kami telah melihat banyak hal, tetapi kami takut (kepada orang lain)’.”

Kisah ini menjadi pengajaran bagi kita. Memang menegur perbuatan salah orang lain itu berat kerana manusia memang susah ditegur. Kalau kita yang menegur, entah kita pula yang dibentak dan dimarahi pula. Akan tetapi kita kena ingat bahawa inilah punca kemusnahan umat. Kalau tidak ada orang yang melakukannya, maka tidak lama lagi, akan rosaklah kita semua.

Maka mahu atau tidak, kitalah yang kena melakukannya. Jangan berharap kepada orang lain, kerana mereka mungkin takut. Maka, kitalah yang harus mengambil tanggungjawab ini. Biarlah orang kata apa pun, kita teruskan sahaja. Jangan harap mereka berterima kasih kepada kita, kerana itu tidak akan terjadi. Jangan terkejut kalau kita dimarahi kembali, kerana itu memang akan terjadi. Yang penting kita sudah menjalankan tanggungjawab kita. Nanti apabila ditanya sama ada kita telah jalankan, kita boleh jawab: “Ya, sudah. Ya Allah!”.


 

Maidah Ayat 80: Ini adalah kesan kalau amar makruf nahi mungkar tidak dijalankan. Ia akan menyebabkan kemungkaran itu semakin merebak.

تَرىٰ كَثيرًا مِّنهُم يَتَوَلَّونَ الَّذينَ كَفَروا ۚ لَبِئسَ ما قَدَّمَت لَهُم أَنفُسُهُم أَن سَخِطَ اللهُ عَلَيهِم وَفِي العَذابِ هُم خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You see many of them becoming allies of those who disbelieved [i.e., the polytheists]. How wretched is that which they have put forth for themselves in that Allāh has become angry with them, and in the punishment they will abide eternally.

(MALAY)

Kamu melihat kebanyakan dari mereka tolong-menolong dengan orang-orang yang kafir (musyrik). Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka, iaitu kemurkaan Allah kepada mereka; dan mereka akan kekal dalam seksaan.

 

تَرىٰ كَثيرًا مِّنهُم يَتَوَلَّونَ الَّذينَ كَفَروا

Kamu melihat kebanyakan daripada mereka tolong-menolong dengan orang-orang yang kafir

Kafir yang dimaksudkan adalah kafir musyrik. Golongan Yahudi itu ramai daripada mereka yang suka tolong menolong dengan orang musyrik dan suka bersahabat dengan mereka. Juga ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan munafik. Inilah bahaya kalau berkawan dengan orang yang berfahaman sesat: lama kelamaan kita terikut dengan pemahaman dan amalan mereka.

Ini juga kesan daripada laknat Allah ‎ﷻ. Mereka tahu yang apa yang dilakukan oleh musyrikin itu adalah salah tetapi mereka biarkan sahaja. Mereka lebih suka berkawan dengan Musyrikin Mekah daripada berkawan dengan Muslim yang sepatutnya lebih rapat dengan mereka dari segi akidah. Namun begitu, mereka sangat teruk sehinggakan mereka boleh kata yang orang musyrik itu lebih baik daripada orang Islam.

Begitulah juga kita lihat dalam masyarakat kita sekarang, puak-puak yang suka mengamalkan bid’ah itu, lebih suka kepada orang-orang yang syirik daripada berkawan dengan orang yang sunnah. Ada antara mereka yang sanggup berkata yang Syiah itu lebih baik lagi daripada ‘Wahabi’.

Padahal, sudah jelas yang Syiah itu sudah terkeluar dari Islam. Dan istilah ‘Wahabi’ itu pula tidak ada melainkan rekaan puak-puak yang jahil sahaja. Yang sebut Wahabi pun, kerana kejahilan. Mereka pun tidak tahu apa itu ‘wahabi’ tetapi mereka mengulang-ngulang sahaja apa yang orang lain kata. Namun oleh kerana bencikan puak Sunnah yang membuka kesalahan dan kesesatan mereka dalam beragama, mereka sanggup berkawan dengan puak yang sudah jelas sesatnya.

Ya, kesalahan kita hanya kerana menegur mereka dan membuka kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan dalam agama. Selama ini mereka senang sahaja mengajar dan amalkan perkara salah. Tetapi sekarang apabila kita beritahu yang amalan mereka itu salah, mereka terkesan. Mereka bertindak dengan memburukkan kita pula.

 

لَبِئسَ ما قَدَّمَت لَهُم أَنفُسُهُم

Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka, 

Sepatutnya kita kena hantar amalan yang baik supaya dapat menunggu kita di akhirat kelak, tetapi mereka menghantar amalan yang buruk. Segala amalan itu adalah sebagai saham kita dan sepatutnya kita hantarlah amalan yang baik.

 

أَن سَخِطَ اللهُ عَلَيهِم

kemurkaan Allah kepada mereka;

Kemurkaan Allah ‎ﷻ yang berterusan ke atas mereka disebabkan oleh perbuatan mereka itu.

 

وَفِي العَذابِ هُم خٰلِدونَ

dan mereka akan kekal dalam seksaan.

Mereka duduk dalam azab sahaja nanti. Mereka akan kekal dalam neraka dan akan diazab sampai bila-bila kalau mereka tidak ubah amalan dan perangai mereka. Kekal dalam neraka itu adalah kalau mengamalkan amalan yang syirik dan kufur.


 

Maidah Ayat 81: 

وَلَو كانوا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَالنَّبِيِّ وَما أُنزِلَ إِلَيهِ مَا اتَّخَذوهُم أَولِياءَ وَلٰكِنَّ كَثيرًا مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they had believed in Allāh and the Prophet and in what was revealed to him, they would not have taken them as allies; but many of them are defiantly disobedient.

(MALAY)

Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (Nabi), nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang musyrikin itu menjadi penolong-penolong, tapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang fasik.

 

وَلَو كانوا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَالنَّبِيِّ

Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi 

Jika mereka dapat beriman kembali kepada Allah ‎ﷻ dan ikut sunnah Nabi, tentu sifat mereka akan menjadi lain.

 

وَما أُنزِلَ إِلَيهِ

dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (Nabi),

Dan kalaulah mereka beriman kepada wahyu dalam Kitab Taurat yang diturunkan kepada para Nabi itu; kalau zaman mereka, kenalah mereka beriman dengan Kitab Taurat dan Injil dan kalau zaman sekarang, maka kena beriman kepada wahyu Al-Qur’an. Jangan tinggalkan pemahaman kepada Al-Qur’an ini. Kalau kita tinggalkan, maka kita akan jadi seperti umat terdahulu yang sesat daripada kebenaran.

 

مَا اتَّخَذوهُم أَولِياءَ

nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang musyrikin itu menjadi wali,

Jika mereka beriman dengan Allah ‎ﷻ, dengan Nabi dan dengan wahyu, nescaya orang beriman tidak akan menjadikan golongan kafir musyrik itu sebagai wali – sebagai teman rapat dan penolong. Kerana Allah ‎ﷻ, Nabi dan wahyu menentang syirik dan mereka tidak akan suka untuk berkawan rapat dengan golongan yang mengamalkan syirik.

 

وَلٰكِنَّ كَثيرًا مِّنهُم فٰسِقونَ

tetapi kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasik.

Namun malangnya ramai dalam kalangan mereka yang fasik dan tidak mengikut agama sendiri. Mereka itu fasik yang bermaksud keluar daripada taat kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak tahu apa yang mereka perlu taati; dan kalau mereka tahu pun, mereka tidak prihatin dan tidak ambil kisah dengan apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat.


 

Maidah Ayat 82: Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu tahap kedegilan Yahudi dan Musyrikin lebih kurang sama sahaja. Ini adalah kerana hubungan rapat mereka dan persamaan akidah di antara mereka. Semoga kita diselamatkan dari mereka.

۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَدٰوَةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا اليَهودَ وَالَّذينَ أَشرَكوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصٰرىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You will surely find the most intense of the people in animosity toward the believers [to be] the Jews and those who associate others with Allāh; and you will find the nearest of them in affection to the believers those who say, “We are Christians.” That is because among them are priests and monks and because they are not arrogant.

(MALAY)

Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.

 

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَدٰوَةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا اليَهودَ

Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi 

Kita boleh lihat bagaimana orang yang paling keras menentang orang beriman adalah golongan Yahudi. Sampai ke hari ini, kita boleh lihat bagaimana mereka itu menentang dan menjalankan usaha untuk memusnahkan Islam.

Ini adalah kerana Islam telah membuka rahsia kesesatan mereka dan tipu helah yang mereka telah lakukan zaman berzaman. Ini banyak disebut dalam surah Baqarah. Surah terawal dalam Al-Qur’an sudah menceritakan tentang kesesatan dan diayah palsu mereka. Bayangkan, surah yang awal sudah sebut tentang mereka.

Jadi kalau Islam berkembang dan semakin ramai yang masuk Islam, tentulah mereka susah lagi untuk mengawal dunia. Oleh itu, mereka akan tetap cuba menjatuhkan Islam. Dan cara yang mereka lakukan adalah pelbagai kerana usaha mereka memang kuat.

 

وَالَّذينَ أَشرَكو

dan orang-orang musyrik. 

Selain daripada Yahudi, yang amat memusuhi Islam adalah golongan kafir syirik. Mereka (musyrikin dan Yahudi) kadang-kadang bergabung dalam menentang Islam. Golongan musyrik amat berlawanan sekali dengan Islam.

Kalau zaman sekarang, kita boleh lihat bagaimana golongan Hindu amat membenci Islam. Kalau di negara yang mereka kuat, seperti India, mereka telah memusnahkan masjid-masjid dan juga menumpahkan darah umat Islam dengan banyak sekali. Dan apabila ada pertempuran antara Palestin dan Israel, kita boleh nampak ada sokongan kepada Yahudi itu daripada golongan ekstremis Hindu. Mereka sokong kerana kebencian mereka yang sama terhadap Muslim. Kerana itulah pegangan manusia: (Musuh kepada musuh aku adalah kawan aku).

 

وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصٰرىٰ

Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. 

Sebaliknya, orang yang paling mudah bersahabat, atau mudah kasih kepada orang beriman adalah mereka yang kata mereka itu Nasara (Kristian). Sebab itu pada zaman Nabi, orang Nasara lebih banyak masuk Islam berbanding golongan Yahudi.

Ini termasuklah Raja Najashi iaitu raja Habashah, tempat umat Islam telah melakukan hijrah yang pertama. Ini kerana mereka itu lebih mesra kepada orang Islam, mereka lebih mudah menerima dakwah. Terutama sekali mereka yang ada prihatin kepada agama, kerana mereka mencari kebenaran dan mereka boleh nampak kesalahan yang ada dalam agama Kristian.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ مِّنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا

Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, 

Ini juga adalah kerana mereka ada ciri-ciri yang boleh menjadi orang baik dan beriman. Bukanlah kesemua daripada mereka, tetapi ada dalam kalangan mereka, iaitu golongan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat mereka.

Dua golongan ini jenis yang tidak sombong untuk menerima kebenaran. Mereka prihatin kepada agama, dan mereka telah mencari-cari kebenaran dan kerana itu mereka boleh terima kebenaran apabila kebenaran itu sampai kepada mereka.

Lafaz قِسّيسينَ adalah golongan para pendeta mereka, iaitu juru khutbah dan ulama’ mereka; bentuk tunggalnya adalah qasisun dan qissun, adakalanya dijamakkan dalam bentuk qususun. Sedangkan kalimah رُهبانًا adalah bentuk jamak daripada rahib yang ertinya ‘ahli ibadah’, diambil daripada akar kata rahbah yang ertinya ‘takut’.

 

وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ

kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.

Mereka mengenangkan ajaran Nabi Isa عليه السلام mengajak kepada kelembutan. Maka mereka itu memang ramai yang berhati lembut.

Mereka juga jenis yang tidak mencari kedudukan dalam dunia. Yang mereka mahu adalah kebenaran. Kerana itu mereka tidak sombong untuk menerima kebenaran. Walaupun mereka terpaksa meninggalkan kedudukan mereka yang tinggi dalam agama mereka.

Sampai sekarang ada paderi dan ahli agama mereka yang meninggalkan Kristian dan masuk Islam. Dan daripada merekalah, kita dapat tahu banyak sumber-sumber kesesatan dan rahsia mereka.

Sebagai contoh, kita tahu pergerakan mereka untuk mengkristiankan umat Melayu di negara ini dengan menggunakan duit dan cara-cara dakwah mereka. Ini adalah kerana, mereka yang telah terlibat dalam usaha itu telah masuk Islam dan membuka rahsia itu. Maka kerana itu kita kena berhati-hati dengan gerakan ini. Caranya adalah dengan memberi ilmu yang benar kepada masyarakat kita kerana yang masuk agama Kristian itu kerana tertipu dengan diayah mubaligh mereka. Sedangkan agama Kristian itu bukannya ada kekuatan pun, tetapi orang jahil tetap boleh tertipu.

Allahu a’lam. AKHIR JUZ 6.


 

Maidah Ayat 83: Sambungan tentang sifat orang Nasara kepada Islam.

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they hear what has been revealed to the Messenger, you see their eyes overflowing with tears because of what they have recognized of the truth. They say, “Our Lord, we have believed, so register us among the witnesses.

(MALAY)

Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad s. a. w.).

 

وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ

Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul

Ada dalam kalangan Nasara yang berhati baik, prihatin kepada kebenaran. Mereka juga belajar tentang Kitab Injil mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang sekumpulan 30 orang dari Habashah yang datang mengadap Nabi ﷺ dan dibacakan Al-Qur’an kepada mereka. Dan apa terjadi apabila mereka mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka?

 

تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ

kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata

Apabila mereka dengar Al-Qur’an dibacakan kepada mereka dan mereka faham, kamu akan tengok mata mereka dicucuri air mata. Hati mereka telah tersentuh dan kesannya adalah mereka akan menangis.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi ‘mata’ dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi ‘mata air’.

 

مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ

disebabkan kebenaran yang telah mereka ketahui 

Ini berlaku apabila memahami makna yang ada dalam Al-Qur’an kerana mereka faham makna yang disampaikan kepada mereka. Mereka nampak kebenaran Al-Qur’an yang sama dengan apa yang mereka tahu daripada kitab mereka sendiri. Antaranya, mereka lihat sifat Nabi Muhammad ﷺ itu sama sahaja seperti yang disebut dalam kitab tentang kedatangan Nabi akhir zaman.

Oleh kerana itu, yang akan mendapat reaksi ini adalah mereka yang kenal agama sahaja dan yang berhati lembut dan mahu kepada kebenaran. Ini kerana mereka nampak kebenaran dalam ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Kalau orang biasa dan tidak kisah tentang kebenaran, mereka mungkin tidak nampak.

Allah ‎ﷻ menceritakan tentang air mata mereka kerana Allah ‎ﷻ menilai tinggi perasaan mereka itu dan titisan air mata mereka. Mereka menangis kerana tersentuh dengan kebenaran dan ini adalah harga air mata yang mahal. Sampaikan Allah ‎ﷻ memasukkan dalam Al-Qur’an tentang kejadian itu. Pernah Abu Bakr رضي الله عنه berkata tentang ayat ini: “Itulah yang kami biasa lakukan, sebelum hati kami menjadi keras!” (Ma sya Allah, ini amat menakutkan, kerana kita sendiri tidak menitis air mata apabila membaca ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Adakah kerana hati kita telah keras sampaikan tidak tersentuh dengan kebenaran?)

Daripada ayat ini, sepatutnya menggerakkan kita untuk menyampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ kepada mereka. Kerana mereka itu mempunyai hati yang lembut dan mudah untuk menerima kebenaran. Mereka sendiri bukannya orang jahat, malah mereka banyak menolong orang lain, tidak kira agama. Oleh itu, kena lakukan dakwah cara lembut kepada mereka.

 

يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi

Apabila hati mereka telah terbuka dan mata mereka telah mengalirkan air mata, maka lidah mereka pun berkata: “Kami juga telah beriman. Maka jadikanlah kami daripada golongan yang bersaksi atas keimanan.”

Sampai sekarang memang ada lagi jenis mereka yang sebegini. Semakin hari semakin ramai puak Kristian yang masuk Islam setelah mereka melihat kebenaran. Kita pun tahu daripada statistik yang menunjukkan negara barat semakin ramai penduduknya yang masuk Islam berduyun-duyun. Nanti tidak lama lagi mereka akan lebih ramai daripada kita, kerana orang kita tidak menjaga agama ini. Maka Allah ‎ﷻ akan tukarkan kepada orang lain.


 

Maidah Ayat 84: Ini kata-kata mereka lagi.

وَما لَنا لا نُؤمِنُ بِاللهِ وَما جاءَنا مِنَ الحَقِّ وَنَطمَعُ أَن يُدخِلَنا رَبُّنا مَعَ القَومِ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And why should we not believe in Allāh and what has come to us of the truth? And we aspire that our Lord will admit us [to Paradise] with the righteous people.”

(MALAY)

Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang soleh?”.

 

وَما لَنا لا نُؤمِنُ بِاللهِ

Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah?

Mereka kata takkanlah mereka tidak mahu beriman kepada Allah ‎ﷻ sedangkan Dia adalah Tuhan kepada semua alam ini? Jika mereka tidak beriman juga, maka bodohlah mereka.

 

وَما جاءَنا مِنَ الحَقِّ

dan kepada kebenaran yang datang kepada kami?

Dan mereka kata takkanlah mereka tidak beriman kepada kebenaran sedangkan kebenaran itu sudah datang pun kepada mereka. Benda yang benar di hadapan mata, tetapi kalau tidak mahu percaya lagi, maka itu adalah satu yang amat-amat bodoh.

Begitulah kalau kebenaran sudah masuk meresap ke dalam hati manusia. Mereka sanggup bertukar pendirian. Malangnya ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang apabila disampaikan dengan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai dalil dan ditambah dengan hadith pun, mereka sanggup tolak lagi.

 

وَنَطمَعُ أَن يُدخِلَنا رَبُّنا مَعَ القَومِ الصّٰلِحينَ

kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh

Mereka sangat ingin dimasukkan bersama golongan yang soleh kerana kalau soleh sahaja, baru boleh masuk syurga. Mereka juga mahu masuk syurga dan selamat bersama-sama orang yang selamat. Mereka mengharap sangat dan sebab itu digunakan lafaz طمَعُ yang bermaksud ‘tamak’ kerana mahu sangat kepada syurga.

Yang paling awal berkata begini adalah Najashi dan juga mereka yang beriman dari penduduk Habashah. Apabila ada beberapa sahabat yang telah berhijrah ke sana, mereka telah menyampaikan dakwah kepada puak Kristian di sana dan ada yang menerima Islam dengan rela.

Jadi ayat-ayat ini menunjukkan perbezaan ketara antara Yahudi dan Nasrani. Golongan Yahudi itu kufur, begitu juga golongan Nasrani. Akan tetapi kufur mereka tidak sama. Yahudi itu ‘kufur degil’ (tahu kebenaran tetapi tetap tolak); sedangkan Nasrani itu ‘kafir jahil’ (mereka tolak kebenaran kerana salah faham tentang agama). Maka apabila disampaikan ajaran yang benar kepada mereka, mereka boleh terima.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 73 – 77 (Nabi Isa dan ibunya pun makan)

Maidah Ayat 73: Sekarang kita baca ayat berkenaan akidah sesat golongan Nasrani lagi. Ini adalah golongan yang lain pula, iaitu yang memegang akidah Triniti (tiga oknum dalam satu).

لَّقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ ثالِثُ ثَلٰثَةٍ ۘ وَما مِن إِلٰهٍ إِلّا إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۚ وَإِن لَّم يَنتَهوا عَمّا يَقولونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have certainly disbelieved who say, “Allāh is the third of three.”¹ And there is no god except one God. And if they do not desist from what they are saying, there will surely afflict the disbelievers among them a painful punishment.

  • i.e., one part of three, referring to the Christian concept of trinity.

(MELAYU)

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga”, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih.

 

لَّقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ ثالِثُ ثَلٰثَةٍ

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang daripada yang tiga”, 

Ini adalah satu lagi fahaman Kristian. Mereka kata Allah ‎ﷻ adalah salah satu antara tiga. Ini adalah konsep Triniti yang banyak dipakai oleh puak Kristian dan ini mungkin fahaman mereka yang kita pun lebih biasa dengar. Mereka kata Tuhan itu ada tiga oknum: Tuhan Bapa, Nabi Isa dan Jibril.

Ada juga yang menggantikan Jibril dengan Maryam (perbezaan mazhab dalam Kristianisasi). Ini susah untuk dijelaskan dan orang Kristian pun tidak dapat menjelaskannya kerana mereka juga keliru. Kalau ditanya bagaimana ada tiga dalam satu… adakah satu… atau tiga? Mereka pun tidak dapat menjelaskannya.

Di dalam Kitab Bible mereka pun tidak ada disebut tentang Triniti ini. Jadi ia adalah rekaan sahaja. Apabila tidak dapat dijelaskan, akhirnya pengikut mereka disuruh percaya sahaja. Yang penting Allah ‎ﷻ tegaskan di sini yang ini pun fahaman kufur juga. Ini pengajaran bagi kita umat Islam juga: jangan reka fahaman-fahaman baru dalam agama yang tidak ada asasnya di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi. Jangan jadi seperti agama terdahulu yang diubah oleh ‘agamawan’ mereka sendiri.

 

وَما مِن إِلٰهٍ إِلّا إِلٰهٌ وٰحِدٌ

padahal sekali-kali tidak ada ilah selain dari ilah Yang Esa.

Inilah fahaman tauhid. Ilah itu hanya ada satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Ramai yang menjadikan selain Allah ‎ﷻ sebagai ‘ilah’ walaupun mereka tidaklah mengatakan ilah-ilah itu sebagai tuhan. Perbincangan ilah yang panjang ada terdapat dalam usul tafsir. Antara ilah yang diadakan selain daripada Allah ‎ﷻ adalah Nabi, wali dan malaikat.

Jadi dalam kes Nasrani ini, mereka mengambil Nabi (Nabi Isa عليه السلام) dan malaikat (Jibril عليه السلام yang dipanggil Ruh Kudus atau Holy Ghost) sebagai ilah mereka selain Tuhan (God the Father).

 

وَإِن لَّم يَنتَهوا عَمّا يَقولونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih.

Ini adalah takhwif ukhrawi (ancaman azab di akhirat) – kalau mereka tidak berhenti daripada fahaman mereka itu, mereka akan dikenakan azab yang pedih. Maka ayat-ayat sebegini perlu dijelaskan kepada puak Kristian sekarang supaya mereka boleh memikirkan kesalahan yang mereka telah lakukan dalam iktikad mereka. Kalau mereka teruskan juga, maka mereka yang akan mendapat nasib yang malang nanti.


 

Maidah Ayat 74: Ini adalah nasihat kepada mereka yang tidak taat sebelum ini: Setelah dengar segala hukum tentang akidah itu dan tentang manakah amalan yang salah, maka kalau ada kesalahan yang buat sebelum ini, maka taubatlah dan berhentilah daripada melakukannya. Itu yang Allah ‎ﷻ hendak daripada kita.

أَفَلا يَتوبونَ إِلَى اللَّهِ وَيَستَغفِرونَهُ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So will they not repent to Allāh and seek His forgiveness? And Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya?. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

أَفَلا يَتوبونَ إِلَى اللَّهِ

Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah

Tidakkah mereka ada peluang lagi untuk bertaubat kepada Allah ‎ﷻ? Taubat itu adalah menyesal daripada apa yang telah dilakukan dahulu dan berazam untuk tidak buat lagi. Peluang itu masih ada selagi masih hidup, maka mengapa tidak diambil peluang itu? Kenapa hendak menegakkan fahaman yang salah lagi?

Jangan jadi orang yang degil. Ada yang telah diberitahu dengan fahaman salah dengan diberikan dalil dan hujah daripada wahyu, tetapi masih hendak menegakkan fahaman salah mereka. Sepatutnya sikap hendaklah terbuka – kalau sudah diberikan dalil yang sahih, maka terimalah sahaja dan tinggalkan fahaman yang salah. Kenapa lagi hendak mempertahankannya?

 

وَيَستَغفِرونَهُ

dan memohon ampun kepada-Nya?

Mohonlah ampun kepada Allah ‎ﷻ supaya dihapuskan dosa itu selama-lamanya. Apabila Allah ‎ﷻ hapuskan dosa itu, dosa itu tidak ada sesiapa lagi yang tahu di akhirat kelak. Tidak kiralah sudah berapa lama amalan itu dipegang dan diamalkan, minta sahajalah ampun kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kerana sudah lama buat, rasa rugi pula untuk tinggalkan begitu sahaja. Maka walaupun seorang penganut Kristian sudah lama berpegang dengan akidah salahnya itu, hendaklah bersedia untuk bertaubat.

Maka kena bersedia untuk sentiasa minta ampun. Malangnya, dalam akidah penganut Kristian, mereka kata pengampunan itu hanya boleh dilakukan kalau menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan, atau salah satu daripada tiga tuhan dalam satu. Mereka kononnya kena minta ampun melalui Nabi Isa عليه السلام juga. Ini adalah fahaman yang salah. Sepatutnya kita terus meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ sahaja, bukan melalui perantaraan pun.

Kebanyakan manusia melakukan syirik kerana mereka tidak berurusan terus dengan Allah ‎ﷻ. Mereka masih juga lagi hendak menggunakan ‘wasilah’ (perantara) dalam urusan agama. Itulah sebabnya ramai yang sedekah duit kepada makam-makam tertentu, buat kenduri di kuburan tertentu dan bermacam lagi perkara syirik.

Dan apabila mereka melakukan perkara sebegitu, mereka rasa yang mereka telah selamat kerana mereka rasa mereka telah ada orang yang akan ‘jaga’ mereka. Ini adalah syirik sama sekali.

Dan kebanyakan manusia tidak mahu bertaubat dan menerima kebenaran. Pada mereka, kalau mereka terima, mereka kena ubah cara amalan mereka dan mereka tidak mahu. Mereka sudah biasa dengan apa yang mereka telah lakukan selama hari ini dan mereka tidak bersedia untuk mengubahnya.

Selalunya mereka mendapat amalan itu daripada datuk nenek mereka dan mereka tidak sanggup mengatakan amalan datuk nenek mereka dahulu itu salah. Jadi, mereka akan terus mengamalkannya. Atau mereka telah lama mendapat sesuatu amalan itu daripada guru mereka, jadi rasa rugi pula untuk ditinggalkan. Bahaya kalau ada sifat sebegini, iaitu sifat degil tidak sedar diri.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ suruh ambillah kesempatan untuk bertaubat selagi boleh. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ maha mengampuni. Dan Allah ‎ﷻ suka kalau hamba yang mengaku dan minta maaf kepada-Nya. Allah ‎ﷻ bersedia untuk memaafkan sesiapa sahaja.

Allah ‎ﷻ buka pintu rahmah-Nya dan menjemput semua untuk bertaubat kepada-Nya kalau ada berbuat salah. Dan kita memang ada kemungkinan telah melakukan kesalahan di masa yang lalu kerana dahulu kita tidak belajar, tidak jumpa guru yang boleh beri ajaran yang sunnah, yang datang daripada dalil yang sahih. Begitulah di negara kita ini dahulunya ajaran yang bukan sunnah yang banyak bercambah biak. Jadi tentu ada sahaja fahaman salah dalam kalangan masyarakat kita.


 

Maidah Ayat 75: Kalau Nabi Isa عليه السلام itu bukan tuhan, maka siapakah baginda? Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini.

مَا المَسيحُ ابنُ مَريَمَ إِلّا رَسولٌ قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ وَأُمُّهُ صِدّيقَةٌ ۖ كانا يَأكُلانِ الطَّعامَ ۗ انظُر كَيفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الآياتِ ثُمَّ انظُر أَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Messiah, son of Mary, was not but a messenger; [other] messengers have passed on before him. And his mother was a supporter of truth. They both used to eat food.¹ Look how We make clear to them the signs; then look how they are deluded.

  • They were in need of sustenance, proving that they were creations of Allāh, not divine beings.

(MALAY)

Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu).

 

مَا المَسيحُ ابنُ مَريَمَ إِلّا رَسولٌ

Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul 

Nabi Isa عليه السلام itu dia adalah seorang Rasul yang mulia. Taraf baginda bukanlah terlalu tinggi sehingga ke tahap tuhan dan bukan juga hina sebagai anak zina. Ini kerana ada juga yang merendahkan baginda dengan mengatakan baginda adalah anak zina.

 

قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ

sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul,

Sebelum baginda dahulu pun sudah ada rasul-rasul lain. Maka tidaklah pelik kerana baginda adalah salah seorang daripada Rasul sahaja. Baginda juga seorang hamba Allah‎ ﷻ juga dan bukan tuhan dan bukan anak tuhan. Ahli Kitab pun terima ada rasul-rasul yang lain seperti Nabi Musa عليه السلام dan sebagainya.

Rasul-rasul dahulu datang dan pergi. Ia bukanlah perkara yang pelik. Begitu juga, dengan Nabi Muhammad ﷺ, baginda juga wafat. Janganlah kerana sayang kepada Nabi Muhammad ﷺ, sampai tidak terima yang baginda pun mati juga. Yang kekal hanya Allah ‎ﷻ sahaja kerana itu adalah sifat Tuhan.

Termasuk tidak kekal hidup adalah Nabi Muhammad ﷺ. Ini penting disebut di sini kerana ada akidah sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ tidak mati – atau ada yang kata baginda dihidupkan kembali dan fahaman ini ada dalam kalangan kita (fahaman Hayati). Begitulah yang terjadi kepada puak Kristian – mereka terlalu sayangkan Nabi Isa عليه السلام sehingga mereka menaikkan taraf kedudukan baginda sebagai tuhan dan mereka sanggup kata baginda tidak mati.

Maka kena tolak fahaman itu kerana ketahuilah yang Nabi Muhammad ﷺ telah wafat. Dalilnya adalah baginda dikuburkan oleh para sahabat. Kalau belum wafat lagi, kenapa para sahabat kuburkan? Mereka pun tahu yang baginda telah wafat dan mereka telah menerima hakikat itu walaupun perit bagi mereka. Kenapa pula ada yang keluarkan akidah baru yang baginda masih hidup?

 

وَأُمُّهُ صِدّيقَةٌ

dan ibunya seorang yang sangat benar,

Dan ibu baginda, Maryam رضي الله عنها pula seorang yang benar dalam taat kepada Allah ‎ﷻ. Beliau taat setia kepada Allah ‎ﷻ dalam segala hal. Beliau beriman kepada Nabi Isa عليه السلام dan membenarkan kerasulan baginda.

Kedudukan Sadiqah adalah satu kedudukan yang di bawah daripada kedudukan Nabi. Jadi ayat ini menjadi dalil bahawa Maryam رضي الله عنها bukanlah seorang Nabi. Kerana itu telah disebut kedudukannya yang tertinggi yang layak baginya iaitu ‘siddiqah’. Ini juga menjadi perbincangan dalam kalangan umat kerana ada yang berpendapat beliau juga seorang Nabi namun ditolak dengan dalil dalam ayat ini.

Jadi, tidak seperti apa yang diduga oleh Ibnu Hazm رحمه الله dan lain-lainnya yang mengatakan bahawa ibu Nabi Ishaq (Sarah), ibu Nabi Musa, dan ibu Nabi Isa semuanya adalah nabi wanita. Ibnu Hazm رحمه الله mengatakan demikian dengan berdalilkan bahawa para malaikat berbicara dengan Sarah dan Maryam, seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ}

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, “Susukanlah dia.” (Al-Qashash: 7)

Kata beliau, pengertian lafaz wa auhaina ini menunjukkan darjat kenabian. Tetapi menurut pendapat jumhur ulama’, Allah ‎ﷻ belum pernah mengutus seorang nabi melainkan dalam kalangan kaum laki-laki. Allah ‎ﷻ berfirman:

{وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى}

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. (Yusuf: 109)

Syeikh Abul Hasan Al-Asy’ari رحمه الله telah meriwayatkan adanya kesepakatan para ulama’ akan ketetapan ini.

 

كانا يَأكُلانِ الطَّعامَ

kedua-duanya biasa memakan makanan. 

Mereka juga makan. Oleh itu, bagaimana mungkin menjadikan mereka sebagai tuhan, sedangkan keduanya biasa makan dulu. Disebut tentang makan, kerana kalau memerlukan makanan, itu menunjukkan mereka itu manusia. Senang sahaja dalil yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ, tidak perlu diberikan dalil yang banyak. Akal yang waras akan dapat terima perkara ini.

Kalau tidak makan pun tidaklah menjadi dalil yang entiti itu adalah Tuhan juga. Ini kerana para malaikat pun tidak makan; dan mereka bukanlah Tuhan juga. Tuhan ada Sifat-Nya dan segala makhluk tidak akan dapat mencapai sifat Tuhan.

 

انظُر كَيفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الآياتِ

Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda, 

Dengarlah dalil-dalil ini dan fikirkanlah dengan sejelasnya kerana Allah ‎ﷻ telah jelaskan kedudukan mereka dengan menggunakan bukti yang jelas dan mudah difahami. Buka pintu hati untuk menerima kebenaran. Jangan tolak terus benda-benda yang kita tidak biasa.

 

ثُمَّ انظُر أَنّىٰ يُؤفَكونَ

kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling

Namun begitu dengan segala bukti yang telah diberikan, bagaimana lagi mereka boleh terpesong? Begitulah perangai kebanyakan daripada manusia. Lihatlah dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita lihat mereka. Allah ‎ﷻ memberikan contoh bagaimana mereka itu masih lagi menolak walaupun diberikan dengan dalil jelas. Ini kerana ramai yang degil tetap hendak berpegang dengan akidah yang salah.

Dan lihatlah kembali bagaimana masyarakat Islam kita sendiri pun begitulah juga. Masih juga lagi berpegang dengan fahaman bid’ah dan syirik yang diamalkan oleh datuk nenek mereka dan apa yang mereka telah dapat daripada guru mereka. Apa yang telah terjadi kepada ahli kitab dahulu, terjadi juga kepada kebanyakan dalam masyarakat kita.


 

Maidah Ayat 76: Ini adalah tentang kekufuran manusia selain daripada kesalahan menduakan Allah ‎ﷻ. Ini kerana ada banyak lagi akidah yang kufur. Ada yang mempercayai selain Allah ‎ﷻ mempunyai kuasa yang boleh membantu mereka mendapatkan sesuatu atau mengelak daripada kemudaratan.

قُل أَتَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا نَفعًا ۚ وَاللَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Do you worship besides Allāh that which holds for you no [power of] harm or benefit while it is Allāh who is the Hearing, the Knowing?”

(MALAY)

Katakanlah: “Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudharat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?” Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

قُل أَتَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا نَفعًا

Katakanlah: “Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?”

Allah‎ ﷻ suruh tanya kepada mereka yang melakukan syirik: “Patutkah kamu seru dan puja selain daripada Allah?” Ini adalah dalam bentuk umum, bukan berkenaan Nabi Isa عليه السلام sahaja seperti dalam ayat-ayat sebelum ini kerana selain Nabi Isa عليه السلام, ada lagi selain Allah ‎ﷻ yang dipuja dan disembah. Selalunya ia adalah Nabi, wali dan malaikat.

Allah ‎ﷻ memberikan hujah, kenapa hendak disembah mereka sedangkan mereka tidak ada kuasa untuk memberikan bahaya atau faedah pun. Yang boleh memberi faedah dan memberi bahaya itu Allah ‎ﷻ sahaja, maka sembah Allah ‎ﷻlah sahaja.

Kita tahu yang selain Muslim banyak menyembah tuhan-tuhan rekaan mereka. Itu sudah biasa. Akan tetapi malangnya dalam kalangan umat Islam pun ada menyembah selain Allah ‎ﷻ. Dan ini banyak dilakukan sebenarnya. Ada yang reka fahaman sembah kubur dan meminta pertolongan dengan ahli kubur. Antaranya adalah golongan Brelvi di India dan juga golongan Habib yang asalnya dari Yaman dan fahaman sesat mereka telah diimport ke negara kita ini.

Bagaimana pula orang Islam boleh melakukan perkara terkutuk ini? Kerana  mereka jahil daripada wahyu dan tidak tahu apakah tauhid dan bagaimana membezakannya dengan syirik. Inilah  yang terjadi apabila Al-Qur’an hanya dibaca tanpa diketahui maknanya kerana pelajaran tafsir sudah asing dalam kalangan masyarakat kita.

 

وَاللَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Ini adalah dua sifat tentang Allah ‎ﷻ yang penting yang patut kita faham dan ingat. Allah ‎ﷻ beritahu hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Oleh kerana itu, tidaklah perlu untuk berharap kepada selain daripada Dia. Kerana yang selain daripada Allah ‎ﷻ tidak ada kelebihan itu.

Ini kerana kalau kita sembah atau berdoa kepada sesiapa, tentulah kita berharap dia dapat dengar apa yang kita katakan dan dia dapat menyelesaikan masalah kita dan memenuhi kehendak kita. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu, hanya Dia lah sahaja yang ada kelebihan ini. Kalau sembah ahli kubur contohnya seperti yang banyak dilakukan, mereka sudah mati dan tidak dapat mendengar. Kalau letupkan bom di kubur mereka pun mereka tidak mendengar.

Lagi satu keperluan kita dalam berdoa adalah meminta kepada yang kita tahu boleh menyelesaikan masalah kita. Tahu akan kepayahan kita, tahu kehendak kita dan tahu bagaimana hendak selesaikan. Sifat ini hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja. Selain Allah ‎ﷻ tidak ada kuasa ini. Termasuklah ahli kubur yang di dalam kubur itu.

Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ telah beritahu kepada kita dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an termasuk dalam ayat ini, untuk sembah dan seru Dia sahaja. Minta apa sahaja kepada-Nya dan jangan minta kepada yang lain. Dia telah buka pintu seluas-luasnya untuk kita menyeru dan berdoa kepada-Nya. Carilah jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ.

Namun bukanlah dengan jalan yang dilarang, tetapi melalui ibadat-ibadat yang sunnah. Selepas berbuat ibadat, maka berdoalah kepada-Nya. Ambillah peluang yang ada, selagi kita hidup ini kerana apabila sudah mati nanti, tidak boleh lagi mampu untuk membuat apa-apa.


 

Maidah Ayat 77: Ayat zajrun dan teguran yang amat penting dalam ayat ini: JANGAN GHULUW dalam agama.

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم غَيرَ الحَقِّ وَلا تَتَّبِعوا أَهواءَ قَومٍ قَد ضَلّوا مِن قَبلُ وَأَضَلّوا كَثيرًا وَضَلّوا عَن سَواءِ السَّبيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O People of the Scripture, do not exceed limits in your religion beyond the truth and do not follow the inclinations of a people who had gone astray before and misled many and have strayed from the soundness of the way.”

(MALAY)

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”.

 

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم غَيرَ الحَقِّ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. 

Ini adalah nasihat yang amat penting, termasuk kepada kita pun. Jangan melampau batas dalam agama. Sebagaimana golongan ahli kitab sebelum kita, mereka ada yang mengangkat Nabi Isa عليه السلام menjadi tuhan atau anak tuhan atau merendahkan Nabi Isa عليه السلام sebagai anak zina. Dan golongan Yahudi pula berlebihan dalam mengatakan Nabi Uzair عليه السلام itu juga anak tuhan.

Iaitu melampau dengan tidak haq, dengan tidak benar, reka perkara baru dalam agama tanpa dalil daripada wahyu. Ini telah terjadi pada zaman dahulu pada agama Yahudi dan Nasara, malangnya ia sudah termasuk ke dalam agama Islam pula. Ramai yang melampau dalam agama sehingga mengambil perkara yang tidak benar sebagai pegangan. Mereka menjadikan seolah-olah agama Islam ini tidak lengkap lagi, kerana itu perlu di’perbaiki’ dan ditambah sana dan sini.

Mereka melakukan perkara yang tidak ada dalam nas. Kita kena sedar yang kita kena berpegang dengan nas. Dalil adalah segala-galanya dalam agama. Yang sudah disampaikan kepada kita sudah cukup dan kerana itu tidak perlu buat lebih daripada yang sepatutnya. Kalau dibenarkan reka fahaman dalam agama tanpa disandarkan kepada dalil nas daripada wahyu, maka agama kita pun boleh berubah menjadi seperti Yahudi dan Nasrani.

Banyak sekali contoh yang boleh diberikan. Ada yang kata Nabi Muhammad ﷺ tidak wafat, ada yang minta tolong dengan baginda, puja baginda, ada yang kata baginda Tuhan (Allah), ada yang seru-seru baginda dalam qasidah dan selawat dan pelbagai lagi perkara ghuluw dalam agama. Ini adalah dari segi fahaman.

Ada juga yang reka amalan ghuluw pula. Kerana itu ada golongan yang berzikir sampai tidak tidur, ada yang melampau sehingga buang harta benda kerana kononnya mahu zuhud, ada yang mengkafirkan puak yang tidak sehaluan dengan mereka, ada yang reka salat yang tidak ada nas; banyak lagi perkara agama yang masyarakat kita melampau juga.

Semua ini timbul kerana jauh daripada ajaran wahyu. Wahyu tidak dipelajari maka mudah bagi syaitan untuk mengambil peluang membisikkan fahaman dan amalan baru. Akhirnya menjadi ghuluw dan tidak nampak kesudahannya. Kalau kita ada fahaman dan ilmu wahyu, maka senang untuk kita tolak fahaman-fahaman yang tidak ada asas dalam wahyu.

 

وَلا تَتَّبِعوا أَهواءَ قَومٍ قَد ضَلّوا مِن قَبلُ

Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya

Dan jangan ikut hawa nafsu kaum yang telah sesat sebelum ini. Bagi pihak ahli kitab, mereka ada golongan sebelum mereka yang telah melampau dalam agama, maka janganlah ikut lagi. Perbetulkanlah semula jalan agama, kembalilah kepada mentaati Allah dengan mentaati NabiNya yang akhir, Nabi Muhammad ﷺ. Pelajarilah wahyu Al-Qur’an dan wahyu Sunnah daripada hadith-hadith yang sahih.

Pegang hadith-hadith yang sahihlah sahaja. Tidak perlu untuk mempertahankan amalan daripada hadith yang dhaif, apatah lagi palsu. Kenapa perlu diamalkan amalan daripada hadith yang dhaif sedangkan ada banyak lagi amalan daripada hadith yang sahih. Apakah sudah selesai diamalkan amalan daripada hadith yang sahih? Jika diamalkan hadith sahih, sudah pasti dapat pahala. Jika diamalkan daripada hadith yang dhaif, adakah pasti mendapat pahala?

Jika hadith dhaif pun ada masalah, apatah lagi hadith palsu. Ia patut ditolak terus dengan satu nafas sahaja. Namun malangnya ada pula yang kata jika hadith palsu, tidak semestinya amalan itu palsu. Ini sudah kenapa, sampai hadith palsu pun hendak dipertahankan? Apa sudah habis amalan yang sahih sampai amalan palsu pun hendak dipertahankan?

Kalau yang jahil menganjurkan perkara ini, kita boleh faham. Tetapi kenapa ada agamawan jadi pendokong hadith palsu pula? Kenapa teruk sangat sampai jadi begini? Ini pun ghuluw juga.

Mengikut hawa nafsu adalah melakukan sesuatu tanpa dalil sahih. Ini boleh membawa kepada kesesatan. Dan kita pun tahu, ramai yang telah sesat sebelum kita. Antaranya puak Ahli Kitab itu. Kita kena pelajari apakah kesalahan dan kesilapan mereka supaya kita jangan jadi seperti mereka. Mereka banyak reka benda baru dalam agama, sampai jadi sesat dan jadi pelik agama itu, maka janganlah kita ikut mereka. Mereka reka perkara baru kerana mereka sudah jauh daripada wahyu, tidak hiraukan wahyu. Itulah punca asalnya.

Maka kena kembali belajar apakah yang dikatakan oleh wahyu (oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul). Kalau kita tidak ikut dalil yang ada dalam nas yang sahih, maka itu maksudnya kita telah menggunakan hawa nafsu kita dalam beragama. Kena rasa cukup dengan apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi telah sampaikan kepada kita. Kalau rasa tidak cukup sampai kena tambah dengan benda lain, ini sudah ada masalah dalam hati dan minda.

 

وَأَضَلّوا كَثيرًا

dan mereka telah menyesatkan ramai

Bukan sahaja agamawan Ahli Kitab itu telah sesat, mereka juga sangat banyak menyesatkan orang lain. Mereka selalu mengeluarkan diayah-diayah mereka yang menyesatkan manusia. Diayah Yahudi dan Nasrani itu semua dipanggil hawa nafsu kerana hendak menyesatkan orang lain.

Hingga ke hari ini mereka masih sesat lagi. Mereka tidak mahu melihat agama Islam berjaya. Ini telah dibincangkan dalam Surah Baqarah dengan panjang lebar kerana surah itu menceritakan tentang sifat mereka.

Mereka menyesatkan orang ramai kerana mereka dipandang sebagai agamawan. Dan kita pun tahu yang agamawan dipandang tinggi di dalam masyarakat. Sampai ke satu tahap agamawan tidak boleh ditegur. Seolah-olah mereka itu maksum pula. Padahal mereka juga manusia yang tidak sunyi daripada kesilapan.

Bahaya bagi orang yang dipandang sebagai agamawan ini adalah kerana mereka dikuti sahaja oleh orang awam yang jahil agama. Kerana mereka sangka kalau ‘orang agama’ buat, tentulah benar. Jadi hasilnya bukan satu orang sahaja yang sesat, tetapi ramai lagi yang menjadi sesat.

Namun yang menjadi sesat adalah mereka yang jahil ajaran wahyu sahaja kerana mereka itu orang mengikut sahaja sesiapa yang dipandang hebat. Mereka inilah yang senang tertipu dan memang ramai pun dalam masyarakat kita. Jadi tidak menghairankan kalau ada pentaksub dalam masyarakat.

 

وَضَلّوا عَن سَواءِ السَّبيلِ

dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”.

Mereka amat jauh dari jalan yang lurus. Ini yang bahaya sekali. Maka kalau kita mahukan jalan yang lurus, kena berhati-hati dengan penipuan daripada golongan agama dan jangan terpedaya dengan diayah mereka. Jangan tersalah pilih siapa yang kita ikut. Kita kena gunakan akal yang waras dan kritis.

Kena jadi pandai sedikitlah, jangan hanya terima sahaja. Jangan hanya dilihat kepada perawakan daripada jubah serban yang dipakai mereka. Itu hanya luaran sahaja dan tidak melambangkan benar atau tidaknya orang itu. Mungkin juga kerana perawakan golongan Habib yang berserban dan berjubah itulah yang menyebabkan ramai tertipu dengan mereka.

 

Sekian Ruku’ 10 dari 16 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 68 – 72 (Kesesatan Yahudi)

Maidah Ayat 68: Apabila diberitahu semua wahyu kita kena sebar dan sampaikan kepada manusia, bagaimana pula kalau kita sembunyikan? Bagaimana kalau tidak diamalkan? Maka ayat ini tentang mengamalkan ajaran wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Tidak dikira beragama kalau tidak menegakkan agama dengan sepenuhnya. Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasara, mereka bukan tidak sebar langsung ajaran agama mereka, tetapi mereka sebar sebahagian sahaja dan yang sebahagian lagi mereka sorok. Allah ‎ﷻ kata mereka tidak termasuk dalam apa-apa agama pun, kerana syarat beragama itu adalah kena sebar semua sekali.

Bagaimana kalau orang Islam pun buat begitu juga? Apakah tidak dikenakan dengan kriteria yang sama dengan mereka?

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لَستُم عَلىٰ شَيءٍ حَتّىٰ تُقيمُوا التَّورٰةَ وَالإِنجيلَ وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم ۗ وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم مّا أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا ۖ فَلا تَأسَ عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O People of the Scripture, you are [standing] on nothing until you uphold [the law of] the Torah, the Gospel, and what has been revealed to you from your Lord [i.e., the Qur’ān].” And that which has been revealed to you from your Lord will surely increase many of them in transgression and disbelief. So do not grieve over the disbelieving people.

(MALAY)

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil, dan Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu”. Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dari Tuhanmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan dari mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.

 

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لَستُم عَلىٰ شَيءٍ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun

Seperti yang kita tahu, golongan Ahli Kitab sudah dapat kitab wahyu sebelum kita lagi. Mereka telah lama ada agama dan mereka juga telah banyak dibangkitkan dengan para Nabi silih berganti. Tetapi mereka tidak dikira beragama sehinggalah mereka menegakkannya. Kalau dapat kitab wahyu sahaja, belumlah cukup lagi melainkan kalau ia diamalkan dan disebarkan.

 

حَتّىٰ تُقيمُوا التَّورٰةَ وَالإِنجيلَ

hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil,

Mereka tidak dikira berada di atas amalan agama atau akidah pun sehingga mereka dapat menegakkan hukum dalam Taurat dan Injil semua sekali. Ini bukan bermaksud tegak biasa sahaja, tetapi kena sempurnakan semua sekali apa sahaja tuntutan dalam amalan dan dalam iktikad.

Kalau mereka tidak menegakkan apa yang telah disuruh dalam kitab wahyu mereka, maka mereka tidak ada asas, tidak ada harga dan tidak layak pun untuk hidup. Begitulah maksudnya lebih kurang iaitu mereka itu hidup sahaja, tetapi tiada harga.

 

وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم

dan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu”. 

Jika tadi tentang Kitab Wahyu mereka, sekarang tentang Al-Qur’an pula. Apabila Al-Qur’an telah diturunkan, mereka juga kena tegakkan wahyu Allah ‎ﷻ yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam bentuk Al-Qur’an dan hadith Nabi. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an.

Jadi, bukanlah orang Yahudi kena menggunakan Taurat dan orang Kristian kena menggunakan Injil pula. Ini kerana dua kitab itu sudah mansukh. Mereka kena masuk Islam dan beramal dengan syariat Islam. Ini kena disebut kerana ada juga yang berfahaman, kitab Taurat dan Injil masih boleh dipakai lagi. Bila ditanya bagaimana hendak menggunakannya sebab kitab-kitab itu sudah diubah. Mereka jawab: “Itu mereka kena cari sendiri.”

Sudah jadi satu kerja pula untuk cari kitab asal mereka. Bukankah senang jika menggunakan sahaja kitab Al-Qur’an ini? Inilah jalannya kerana kalau kita mengamalkan syariat dan ajaran dalam Al-Qur’an, memang sudah diamalkan apa yang ada di dalam Taurat dan Injil. Ini kerana apa sahaja yang masih menjadi syariat di dalam Taurat dan Injil, sudah ada dalam Al-Qur’an. Maka kita amalkan tiga-tiga sekali iaitu Taurat, Injil dan juga Al-Qur’an.

Maka syariat mestilah diikuti. Ini juga ada nasihat kepada golongan sufi tarekat yang seperti tidak menghiraukan syariat lagi. Pada mereka, ada yang beranggapan sufi itu lebih tinggi daripada syariat dan kerana itu ada perkara yang dilakukan sudah tidak ikut syariat. Sebab itu bahaya kalau belajar tarekat tanpa ilmu syariat. Sentiasa sahaja ditipu.

Perbincangan dari segi bahasa: Bila disebut Taurat dan Injil, Allah ‎ﷻ menggunakan nama Kitab itu terus. Namun bila disebut tentang Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sebut secara kiasan: وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم. Kenapa tidak disebut terus nama Al-Qur’an seperti disebut Taurat dan Injil?

Ini kerana apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ bukan hanya Al-Qur’an, tetapi pemahaman wahyu yang lain. Sebab itu kita tidak menggunakan Al-Qur’an sahaja sebagai syariat. Kita kena juga belajar Sunnah daripada Rasulullah ﷺ. Ini kerana ia juga wahyu dan sebahagian daripada syariat. Kerana salah faham tentang hal inilah yang menyebabkan ada golongan Qur’aniyyun, Quranist, Anti-Hadith atau apa-apa sahaja nama yang mereka gunakan.

Mereka kononnya sangka Al-Qur’an sahaja sudah cukup. Tidak benar begitu kerana penjelasan tentang Al-Qur’an adalah daripada apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam bentuk Sunnah. Jadi jika ditolak Sunnah, maka itu sudah sesat dan menyesatkan. Nabi ﷺ sudah mengingatkan tentang golongan ini:

عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال ألا إني أوتيت الكتاب ومثله معه ألا يوشك رجل شبعان على أريكته يقول عليكم بهذا القرآن فما وجدتم فيه من حلال فأحلوه وما وجدتم فيه من حرام فحرموه ألا لا يحل لكم لحم الحمار الأهلي ولا كل ذي ناب من السبع ولا لقطة معاهد إلا أن يستغني عنها صاحبها ومن نزل بقوم فعليهم أن يقروه فإن لم يقروه فله أن يعقبهم بمثل قراه

Daripada Al Miqdam bin Ma’di Karib daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Ketahuilah, sesungguhnya aku diberi Al -Qur’an dan yang semisal bersamanya (As Sunnah). Ditakuti ada seorang laki-laki yang dalam keadaan kekenyangan duduk di atas kursinya berkata, “Hendaklah kalian berpegang teguh dengan Al-Qur’an! Apa yang kalian dapatkan dalam Al-Qur’an daripada perkara halal maka halalkanlah. Dan apa yang kalian dapatkan dalam Al-Qur’an daripada perkara haram maka haramkanlah. Ketahuilah! Tidak dihalalkan bagi kalian daging himar jinak, daging binatang buas yang bertaring dan barang temuan milik orang kafir mu’ahid (kafir dalam janji perlindungan penguasa Islam, dan barang temuan milik Muslim lebih utama) kecuali pemiliknya tidak memerlukannya. Dan barangsiapa singgah pada suatu kaum hendaklah mereka menyediakan tempat, jika tidak memberikan tempat hendaklah memberikan perlakukan sesuai dengan sikap jamuan mereka.”

(Sunan Abu Daud (3988)) Status Sahih.

Syarah: daripada hadith ini kita diajar yang Sunnah Nabi ﷺ pun perlu diambil kira. Jangan hanya rujuk Al-Qur’an sahaja kerana ada juga penerangan tentang syariat daripafa kata-kata Rasulullah ﷺ yang dipanggil hadith.

 

وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم مّا أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا

Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) daripada Tuhanmu akan menambah kederhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan daripada mereka;

Namun begiu, tidaklah akan bersurut kedegilan mereka. Malah akan bertambah kedegilan mereka dengan sebab turunnya wahyu itu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan menjadi semakin derhaka dan kufur.

Jika dahulu, mereka tolak wahyu dalam kitab mereka sahaja, sekarang, mereka tolak sekali wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ sekali. Sebab itu dikatakan bertambah kederhakaan mereka dan kekafiran mereka itu.

 

فَلا تَأسَ عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.

Ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Apabila mereka tolak apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ, tentu Nabi ﷺ sedih. Kita pun tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu seorang yang lembut hatinya dan amat prihatin kepada manusia.

Baginda terlalu amat menginginkan kebaikan untuk semua orang, jadi jika kebenaran itu ditolak oleh manusia, baginda amat sedih sekali. Sampaikan Allah ‎ﷻ kena nasihati baginda tentang perkara itu. Allah ‎ﷻ kata jangan sedih atas kaum yang kafir itu.

Itu adalah sunnatullah (ketetapan daripada Allah ‎ﷻ yang berlaku zaman berzaman) yang Allah‎ ﷻ telah tetapkan. Iaitu memang akan ada yang akan tolak kebenaran. Jangan hiraukan mereka, jangan risaukan tentang mereka. Jangan bersedih, tetapi jalankan tugas kamu, wahai Nabi.

Inilah juga pujukan dan nasihat kepada kita yang meneruskan kerja dakwah Nabi ﷺ ini. Memang akan ada yang menolak dan menentang. Maka jangan hiraukan sangat kata-kata penolakan daripada mereka. Itu perkara biasa sahaja. Kerana kalau kita sedih sangat, hendak buat kerja pun tidak boleh, bukan? Maka kita pun begitulah juga. Anggapkan seperti air sungai yang mengalir – biarkan berlalu. Memang telah disebut pun dalam Al-Qur’an  yang akan ada yang menentang, jadi kenapa hendak dihairankan sangat?


 

Maidah Ayat 69: Ini adalah jenis ayat tabshir (berita gembira). Juga mengingatkan kita bahawa agama Islam bukan untuk kaum tertentu sahaja, bukan untuk bangsa Arab atau untuk bangsa Ajam (non-Arab) sahaja. Semua bangsa terbuka untuk menerima agama Islam. Ayat ini ada persamaan dengan Baqarah:62

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَالصّٰبِئونَ وَالنَّصٰرىٰ مَن ءآمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have believed [in Prophet Muḥammad ()] and those [before him ()] who were Jews or Sabeans or Christians – those [among them] who believed in Allāh and the Last Day and did righteousness – no fear will there be concerning them, nor will they grieve.¹

  • See footnote to 2:62.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang beriman, orang-orang Yahudi, Shabi’in dan orang-orang Nasrani, siapa saja (diantara mereka) yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan beramal dengan amalan soleh, maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang beriman, 

Yang dimaksudkan ada orang-orang yang beriman dalam kalangan umat Nabi Muhammad ﷺ (Umat Islam).

Dan iman itu mestilah iman yang sebenar. Apakah iman sebenar itu? Itulah iman tanpa syirik. Ini kita kena tekankan, kerana ramai yang tidak faham. Ramai sebenarnya  yang ada iman, tahu apa yang mereka perlu imani. Akan tetapi satu perkara mereka lupa: tolak fahaman dan amalan syirik.

Ramai yang tidak mahir bab syirik kerana sebenarnya ia tidak ditekankan dalam pembelajaran di negara kita. Maka kerana itu kita boleh lihat ramai yang ada fahaman syirik kerana ia tidak banyak diajar. Perumpamaannya seperti diajar seseorang cara membawa kereta, tetapi tidak diajar kepadanya adanya jalan-jalan “no-entry”. Maka semua jalan akan dilanggarnya. Maka begitulah yang terjadi kalau tidak belajar dengan baik apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu.

 

وَالَّذينَ هادوا وَالصّٰبِئونَ وَالنَّصٰرىٰ

dan orang-orang Yahudi, Shabi’in dan orang-orang Nasrani,

Ada tiga golongan yang disebut dalam potongan ayat ini:

    1. Orang Yahudi,
    2. Golongan Sabi’in adalah mereka yang mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام,
    3. Nasara adalah mereka yang ikut ajaran Nabi Isa عليه السلام,

Nota: Ada lagi beberapa pendapat tentang siapakah Sabi’in ini:

Kaum Sabi-in ialah segolongan orang dalam kalangan umat Nasrani dan orang-orang Majusi yang tidak mempunyai agama. Demikianlah menurut Mujahid; dan daripada Mujahid disebutkan bahawa mereka adalah segolongan daripada orang-orang Yahudi dan orang-orang Majusi.

Sa’id ibnu Jubair mengatakan, mereka adalah segolongan orang daripada kaum Yahudi dan Nasrani. Menurut Al-Hasan dan Al-Hakam, mereka sama dengan orang-orang Majusi.

Menurut Qatadah, mereka adalah suatu kaum yang menyembah malaikat dan salat dengan menghadap ke arah selain kiblat serta membaca kitab Zabur. Maka ini mewakili satu lagi kitab wahyu, iaitu Zabur. Kerana telah disebut Taurat, Injil dan Al-Qur’an sebelum ini.

Wahb ibnu Munabbih mengatakan, mereka adalah suatu kaum yang mengenal Allah ‎ﷻ semata-mata, tetapi tidak mempunyai syariat yang mereka amalkan, dan mereka tidak melakukan suatu kekufuran pun.

Ibnu Wahb mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abuz Zanad, daripada ayahnya yang mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang tinggal di daerah yang berjiran dengan negeri Iraq, tepatnya di Kausa. Mereka beriman kepada semua nabi, puasa setiap tahunnya selama tiga puluh hari, dan mengerjakan salat menghadap ke negeri Yaman setiap harinya sebanyak lima kali. Pendapat yang lain mengatakan selain itu.

Allahu a’lam siapakah mereka ini. Mungkin ada lagi tetapi mereka itu tidak ramai jadi tidak dikenali sangat keadaan mereka dan akidah mereka.

 

مَن ءآمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat 

Islam tidak memandang daripada keturunan mana, asalkan mereka itu benar-benar beriman. Dalam ayat ini, disebut dua jenis iman, iaitu beriman kepada Allah ‎ﷻ dan hari akhirat. Bukanlah dua ini sahaja yang perlu diimani tetapi banyak lagi perkara yang perlu diimani berdasarkan daripada wahyu-wahyu yang lain. Namun disebut dua sahaja dalam ayat ini sebagai mewakili perkara-perkara yang lain. Takkan hendak disebut satu persatu pula, jadi panjang pula. Kenalah rujuk ayat-ayat yang lain.

Namun ramai yang ‘tebuk’ satu-satu ayat sahaja. Mereka tidak rujuk keseluruhan Al-Qur’an tetapi kelam kabut apabila melihat satu-satu ayat yang agak pelik bagi mereka (kerana tidak belajar). Kerana jahil tentang perkara ini, ramai juga yang menggunakan ayat ini untuk mengatakan lihatlah bagaimana tidak disebut kena beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini. Ini adalah satu kejahilan yang besar. Bagaimana dengan ayat-ayat yang lain, hendak letak di mana?

Maka diingatkan  yang ayat-ayat Al-Qur’an kenalah dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Walaupun tidak disebut tentang Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini, tetapi terdapat dalam banyak ayat-ayat lain. Kalau main pilih-pilih satu-satu ayat dan dijadikan dalil, itu amat jahil sekali. Sebab itu kena belajar seluruh Kitab Al-Qur’an ini, jangan ditinggal satu pun.

 

وَعَمِلَ صٰلِحًا

dan beramal dengan amalan soleh, 

Mereka bukan sahaja beriman, tetapi iman itu perlulah ditunjukkan dengan melakukan amal soleh. Dan kita telah sebut banyak kali dalam penulisan ini, amalan yang soleh adalah amalan yang mengikut sunnah. Jangan amalkan amalan dan fahaman bid’ah. Kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah itu.

Ini penting untuk menjaga kesucian agama kita. Agama lain (seperti Yahudi dan Nasrani) sudah banyak mengubah amalan-amalan yang diajar oleh Nabi-nabi mereka, dan umat Islam pun nampaknya ke arah begitulah juga. Itu adalah salah sama sekali. Kalau dibiarkan boleh menambah-nambah dalam agama, maka agama suci kita ini akan jadi seperti agama Yahudi dan Nasrani lah nanti. Tidakkah anda takut kalau itu terjadi?

 

فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Tidak kira keturunan mana, bangsa mana, sama sahaja, kalau beriman dan beramal soleh, tidak perlu takut untuk hadapi akhirat dan jangan sedih tinggalkan dunia.

Tidak perlu takut untuk hadapi akhirat kerana kehidupan yang baik sedang menunggu. Tidak perlu sedih kerana meninggalkan dunia kerana ada yang ada di hadapan dalam akhirat itu lebih baik daripada dunia.

Nota: Dalam ayat ini disebut tentang golongan Yahudi, Nasara dan Sabi’un yang beriman dan mereka mendapat nikmat daripada Allah ‎ﷻ. Itu bukanlah bermakna golongan itu ‘sekarang’ akan mendapat kedudukan yang sama. Mereka itu tidak lagi mendapat kedudukan itu apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah diutus menjadi Rasul. Apabila Nabi menjadi Rasulullah, hanya ada satu syariat sahaja.


 

Maidah Ayat 70: Ini adalah Ayat Zajrun (ayat teguran). Ia adalah teguran kepada Bani Israel tentang sikap mereka terhadap kitab mereka sendiri. Mereka ini teruk kerana mereka bukan menolak Al-Qur’an sahaja, tetapi kitab-kitab mereka sendiri pun mereka tolak juga.

لَقَد أَخَذنا ميثٰقَ بَني إِسرٰءيلَ وَأَرسَلنا إِلَيهِم رُسُلًا ۖ كُلَّما جاءَهُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُهُم فَريقًا كَذَّبوا وَفَريقًا يَقتُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We had already taken the covenant of the Children of Israel and had sent to them messengers. Whenever there came to them a messenger with what their souls did not desire, a party [of messengers] they denied, and another party they killed.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian dari Bani Israil, dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul. Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, (maka) sebahagian dari rasul-rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka bunuh.

 

لَقَد أَخَذنا ميثٰقَ بَني إِسرٰءيلَ

Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian daripada Bani Israel,

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia telah ambil perjanjian dengan Bani Israel itu dan mereka telah berjanji akan taat kepada wahyu yang disampaikan kepada mereka. Banyak disebut tentang perjanjian mereka dengan Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an. Maknanya, mereka bukanlah tidak tahu tentang kebenaran, tetapi mereka sengaja tolak dan buat-buat tidak tahu.

 

وَأَرسَلنا إِلَيهِم رُسُلًا

dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul.

Sebagai tahkik (penekanan) kepada perjanjian itu, Allah ‎ﷻ telah pilih dalam kalangan mereka, dan melantik rasul-rasul yang ramai, untuk tujuan menyempurnakan perjanjian itu. Mereka kena juga taat kepada Rasul-rasul itu. Maka, mereka ini memang telah diberi pimpinan yang lengkap sebenarnya.

 

كُلَّما جاءَهُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُهُم فَريقًا كَذَّبوا

Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, (maka) sebahagian daripada rasul-rasul itu mereka dustakan

Malangnya, setiap kali Rasul mereka datang membawa wahyu yang tidak sesuai dengan nafsu mereka, sebahagian rasul mereka dustakan begitu sahaja. Mereka tolak dan melawan Rasul-rasul itu.

Malangnya, begitulah juga yang dilakukan oleh masyarakat kita. Apabila ada penyebar tauhid yang datang dengan membawa maklumat wahyu yang berlainan daripada apa yang mereka faham, ramai juga yang tolak. Mereka tidak dapat menerima kebenaran yang disampaikan walaupun ia datang daripada wahyu. Mereka menggunakan juga ajaran yang telah lama mereka amalkan dan mereka dapat daripada guru-guru mereka.

 

وَفَريقًا يَقتُلونَ

dan sebahagian yang lain mereka bunuh.

Dan sebahagian lagi mereka bunuh. Atau mereka cuba bunuh. Kalau mereka tidak dapat bunuh pun, mereka ada juga cuba membunuh. Ini memang satu perbuatan yang amat teruk sekali. Mereka sanggup buat begitu kerana mereka amat teruk. Apabila mereka tidak dapat menahan para Rasul itu menyampaikan kebenaran, mereka buat keputusan untuk bunuh sahaja.

Sikap membunuh orang yang tidak disenangi sentiasa sahaja berlaku zaman berzaman sampailah sekarang. Ia adalah tindakan yang diambil oleh orang yang terlalu jahat yang hendak menutup suara kebenaran. Kadangkala ada ulama’ ditangkap dan dipenjarakan, dan ada juga yang dibunuh.


 

Maidah Ayat 71:

وَحَسِبوا أَلّا تَكونَ فِتنَةٌ فَعَموا وَصَمّوا ثُمَّ تابَ اللهُ عَلَيهِم ثُمَّ عَموا وَصَمّوا كَثيرٌ مِّنهُم ۚ وَاللهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they thought there would be no [resulting] punishment, so they became blind and deaf. Then Allāh turned to them in forgiveness; then [again] many of them became blind and deaf. And Allāh is Seeing of what they do.

(MALAY)

Dan mereka mengira bahawa tidak akan terjadi suatu bencana pun (terhadap mereka), maka (kerana itu) mereka menjadi buta dan pekak, kemudian Allah menerima taubat mereka, kemudian kebanyakan dari mereka buta dan tuli (lagi). Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

 

وَحَسِبوا أَلّا تَكونَ فِتنَةٌ فَعَموا وَصَمّوا

Dan mereka mengira bahawa tidak akan terjadi suatu bencana pun (terhadap mereka), maka (kerana itu) mereka menjadi buta dan pekak,

Walaupun perbuatan dosa mereka itu amat berat, sehinggakan ada yang sanggup membunuh Nabi-nabi mereka, tetapi mereka sangka tidak akan berlaku apa-apa fitnah ke atas mereka. Mereka sangka tidak ditimpa kesusahan pada mereka. Iaitu mereka sangka mereka tidak akan dikenakan azab. Ini kerana mereka perasan mereka itu kononnya bangsa pilihan dan kesayangan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ tidak terus mengenakan azab kepada mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ menangguhkannya. Lalu mereka lebih buta daripada kebenaran dan pekak kepada kebenaran – kerana tidak ada alamat-alamat yang mereka akan dihukum. Mereka rasa senang sahaja, sudah buat salah pun masih tidak jadi apa-apa kepada mereka.

 

ثُمَّ تابَ اللهُ عَلَيهِم

kemudian Allah menerima taubat mereka,

Kemudian Allah ‎ﷻ masih memberikan lagi peluang kepada mereka untuk bertaubat walaupun pada akhir zaman, boleh bertaubat dengan mengikut Nabi akhir zaman. Iaitu mereka kena mengikut ajaran dan syariat Nabi Muhammad ﷺ. Atas sifat rahmah Allah ‎ﷻ‎, Dia boleh ampunkan segala kesalahan mereka.

 

ثُمَّ عَموا وَصَمّوا كَثيرٌ مِّنهُم

kemudian kebanyakan daripada mereka buta dan tuli (lagi).

Walaupun peluang untuk bertaubat sudah dibuka kepada mereka, tetapi kebanyakan daripada mereka masih buta dan pekak kepada kebenaran – masih tidak mahu mengikut Nabi akhir zaman. Hanya ada sedikit sahaja yang mahu bertaubat dan menerima ajaran Islam. Ada itu memang ada, tetapi bukan yang majoriti.

 

وَاللهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ ingatkan mereka bahawa Allah ‎ﷻ nampak segala apa yang mereka lakukan. Maka janganlah mereka rasa mereka selamat. Jika mereka tidak dikenakan azab di dunia, jangan sangka mereka akan terselamat di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ menangguhkan azab di dunia sahaja, tetapi nanti akan diazab di akhirat kelak.


 

Maidah Ayat 72: Ini pula penerangan berkenaan akidah. Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang akidah sesat golongan Kristian. Dan Allah ‎ﷻ memberitahu apakah sebenarnya akidah Nabi Isa عليه السلام.

لَقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ هُوَ المَسيحُ ابنُ مَريَمَ ۖ وَقالَ المَسيحُ يٰبَني إِسرٰءيلَ اعبُدُوا اللهَ رَبّي وَرَبَّكُم ۖ إِنَّهُ مَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد حَرَّمَ اللهُ عَلَيهِ الجَنَّةَ وَمَأوٰهُ النّارُ ۖ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have certainly disbelieved who say, “Allāh is the Messiah, the son of Mary” while the Messiah has said, “O Children of Israel, worship Allāh, my Lord and your Lord.” Indeed, he who associates others with Allāh – Allāh has forbidden him Paradise, and his refuge is the Fire. And there are not for the wrongdoers any helpers.

(MALAY)

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam”, padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu”. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.

 

لَقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ هُوَ المَسيحُ ابنُ مَريَمَ

Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam”,

Telah jelas, kafirlah orang yang mengatakan begitu. Mereka kata Allah ‎ﷻ itu adalah dalam jelmaan Nabi Isa عليه السلام: ini adalah salah satu daripada fahaman sesat Kristian. Ini berbeza dengan konsep Triniti yang kita biasa dengar. Ini kerana mereka pun ada banyak mazhab. Mazhab yang disebut dalam ayat ini adalah mengatakan Allah‎ ﷻ menjelma menjadi Nabi Isa عليه السلام dan turun ke dunia.

Akidah sebegini bukanlah asing kerana memang sudah ada dalam sejarah agama zaman berzaman. Malah dalam kalangan umat Islam pun ada akidah sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sebenarnya adalah Allah ‎ﷻ. Memang Iblis syaitan menggunakan modal yang sama sahaja zaman berzaman. Salah satunya adalah dengan mengatakan Nabi itu adalah Tuhan. Jadi kalau jahil agama, memang senang ditipu.

 

وَقالَ المَسيحُ يٰبَني إِسرٰءيلَ اعبُدُوا اللهَ رَبّي وَرَبَّكُم

padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu”.

Mereka sembah dan iktikad mereka adalah Nabi Isa ‎عليه السلام itu adalah Allah ‎ﷻ, sedangkan ia amat berlawanan sekali dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Isa عليه السلام sendiri. Baginda sendiri berkata lain daripada apa fahaman sesat mereka.

Kalimah ‘al-Masih’ adalah gelaran untuk Nabi Isa عليه السلام.

Baginda sendiri menyuruh umatnya menyembah Allah ‎ﷻ sahaja dan memang baginda sendiri pun sembah Allah ‎ﷻ sahaja, tidak pernah suruh orang lain sembah baginda. Baginda dengan jelas mengaku yang Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan/Rabb.

 

إِنَّهُ مَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد حَرَّمَ اللهُ عَلَيهِ الجَنَّةَ

Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga,

Apa yang mereka lakukan itu kesyirikan yang besar kerana memberi sifat Allah ‎ﷻ kepada makhluk. Dan Nabi Isa عليه السلام telah memberi amaran kepada umatnya, sesiapa yang syirik kepada Allah ‎ﷻ, seru baginda atau sesiapa sahaja selain Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ telah mengharamkan syurga ke atas mereka.

 

وَمَأوٰهُ النّارُ

dan tempatnya ialah neraka, 

Dan tempat akhir mereka hanyalah neraka. Mereka tidak keluar darinya. Inilah bahaya kalau ada fahaman syirik: kekal dalam neraka dan tidak akan keluar-keluar darinya. Bukan sahaja kepada agama lain; kalau umat Islam sendiri ada fahaman syirik, mereka pun akan kekal dalam neraka.

 

وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.

‘Zalim’ dalam ayat ini bermaksud zalim dalam bentuk syirik. Mereka tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka. Malah, tidak akan ada pemberi syafaat untuk mereka. Kerana syafaat hanya layak bagi mereka mati tanpa melakukan syirik sahaja. Maka ini adalah amaran kepada mereka: jangan sangka akan ada yang akan selamatkan kamu kalau kamu membuat syirik. Nabi Isa عليه السلام yang kamu puja itu pun tidak akan tolong kamu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an