Tafsir Surah Quraish Ayat 1 (Nikmat kepada Puak Quraish)

Pengenalan:

Seperti yang kita sudah tahu, tanah Mekah itu dari segi tumbuhan tidak ada apa tapi Allah beri kelebihan kepada penduduk Mekah itu kerana mereka ada Ka’bah.

Ada beberapa kaitan antara surah ini dan surah sebelumnya, Surah Feel. Terutama sekali pada ayat terakhir surah ini: الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ [Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.] Ini adalah ayat utama surah ini. Allah telah memberi mereka: آمَنَهُم مِن خَوفٍ [keselamatan dari takut].

Keselamatan dari ketakutan ini telah disentuh dalam Surah Feel. Jadi ada perkaitan yang amat rapat antara dua surah ini. Sampaikan ada riwayat yang mengatakan bagaimana Saidina Umar membaca Surah Feel dan Quraish di dalam satu rakaat tanpa meletakkan bismillah antara keduanya. Ini adalah kerana walaupun dua surah itu memang surah yang berlainan, tapi ia amat rapat antara satu sama lain.

Pemberian dari Allah ada dua jenis utama:

    1. Menjauhkan dari bahaya, menyelesaikan masalah. Ini telah disentuh dalam Surah Feel.
    2. Memberi pemberian yang diperlukan oleh manusia. Dan inilah yang disentuh dalam Surah Quraish ini.

Apabila kita sedar dan menghargai pemberian-pemberian dari Allah dalam dua jenis di atas, kita akan jadi rela untuk menjadi hambaNya dan menunjukkan kesyukuran kita. Inilah juga yang kita lakukan dalam Surah Fatihah apabila kita sebut الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ – waktu itu kita mengucap syukur kepada Allah dan kita mengaku yang Allah itu adalah Rabb kita.

Ianya adalah tindakan yang semulajadi sahaja, tidak perlu dipaksa sebenarnya. Tapi ada manusia yang ada masalah dengan perkara ini kerana mereka tidak dapat terima yang mereka itu status hamba sahaja. Tapi Allah ingatkan kepada Quraish tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada mereka, maka Allah ingatkan mereka, kenalah menghambakan diri kepadaNya: فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ [Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah).]

Salah satu tempat yang Quraish pergi berniaga adalah di Yaman. Kalaulah Abrahah berjaya menghancurkan Ka’bah, tentulah Quraish sudah tidak dapat pergi ke sana lagi. Pertama kerana Ka’bah telah dimusnahkan dan kedua, tentu Abrahah tidak membenarkan mereka pergi ke sana lagi kerana dia tidak suka kepada Quraish Mekah.

Tetapi kerana Ka’bah masih tegak berdiri, Quraish bebas mengembara dalam rihlah perniagaan mereka kerana puak-puak Arab yang lain takut untuk menyerang mereka kerana mereka dihormati sebagai penjaga Ka’bah dan kerana mereka takut berhala-berhala mereka yang berada di Ka’bah itu akan diapa-apakan pula oleh Quraish. Kita telah bincangkan perkara ini di dalam Surah al-Feel.

Keselamatan dan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada Quraish ini adalah kerana doa Nabi Ibrahim a.s. seperti yang disebut dalam Baqarah:126

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”.

Dalam ayat ini, kedua-dua perkara utama itu telah diminta oleh Nabi Ibrahim a.s.

1. بَلَدًا آمِنًا (negeri yang aman)
2. وَارزُق أَهلَهُ (berilah rezeki kepada ahlinya)

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini dalam Surah Feel, dua-dua perkara ini diperlukan untuk satu-satu tamadun dan negara itu maju. Dan Allah telah sentuh tentang keselamatan dalam Surah Feel dan sekarang dalam Surah Quraish ini disentuh tentang rezeki.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada perenggan makro. Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah memberitahu yang Kaum Quraish dan usaha dagang mereka dihormati kerana kedudukan mereka sebagai penjaga Ka’bah. Mereka menumpukan usaha dagang kerana tidak punya tanah pertanian yang subur. Tetapi mereka terkenal juga dengan sikap tamak dan bakhil.

لِإيلافِ قُرَيشٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Quraysh: (The tribe of) Quraysh.

For the accustomed security of the Quraysh¹ –

  • i.e., the honor and reputation Allāh had given them as guardians of the Holy Ka‘bah, which allowed them to travel without fear of being harmed.

(MALAY)

Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,

 

Huruf ل bermaksud: ‘untuk’

Kalimah إيلافِ diambil dari katadasar أ ل ف yang bermaksud mempunyai hati yang lembut terhadap seseorang.  Dari katadasar yang sama, ada digunakan kalimah أَلَّفَ dalam Ali Imran:103

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم إِذ كُنتُم أَعداءً فَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِكُم فَأَصبَحتُم بِنِعمَتِهِ إِخوانًا

dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara;

Allah mempersatukan hati-hati mereka dengan memasukkan rasa kasih hati antara mereka. Ini adalah tentang Arab Madinah (Aus dan Khazraj)

yang akhirnya digelar sebagai golongan Ansar. Asalnya mereka itu bermusuhan akan tetapi apabila Allah memberikan kasih antara mereka, maka tidaklah ada permusuhan lagi dan mereka telah bersatu hati menyokong Rasulullah dalam perjuangan baginda.

Dalam surah Ali Imran itu, digunakan kalimah أَلَّفَ sedangkan di dalam Surah Quraish digunakan kalimah إيلافِ. Kalimah إيلافِ tidak sama dengan أَلَّفَ kerana أَلَّفَ mengambil masa yang lama sedangkan kalau إيلافِ, ianya berlaku serta merta. Tidaklah suku Aus dan Khazraj itu terus menyayangi antara satu sama lain sebaik sahaja mereka mengucap syahadah kerana mereka telah lama bermusuhan dan berperang. Tentunya mengambil masa untuk mereka berbaik.

Akan tetapi, untuk Quraish, mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk lembut hati mereka. Kerana apa yang Allah telah berikan kepada mereka itu amat banyak sekali. Antara yang sudah disebut dalam Surah Feel adalah mereka diselamatkan dari Tentera Abrahah. Itu adalah satu nikmat yang amat besar yang Allah berikan khusus kepada mereka.

Maka sebenarnya tidak ada alasan untuk mereka tidak kembali kepada Allah. Bayangkan kalau kita dapat sesuatu nikmat yang kita amat suka, kita akan terus bersyukur. Sampaikan kalau orang tidak kuat agama pun secara automatik akan berkata: “Thank God!”. Maka sepatutnya mereka tidak perlu masa yang lama pun untuk lembut hati taat kepada arahan Allah.

Sekarang kita kembali membincang tentang ل (untuk). Ulama’ bincang panjang tentang perkara ini. Ada perbezaan pendapat tentang apakah maksudnya kalimah ل ini.

1. Pendapat pertama mengaitkan ل ini terus dengan kisah dari Surah Al-Feel. Allah memusnahkan Tentera Abrahah itu itu sebagai nikmat untuk mereka yang tinggal berdekatan Ka’bah itu.

Sepatutnya segala apa yang Allah sebut dalam Surah Feel itu menjadikan hati puak Quraish itu jadi lembut. Kejadian itu sepatutnya menyebabkan mereka berusaha untuk mencari kebenaran, supaya mereka kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s.

2. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa Allah hendak menakjubkan Rasulullah; jadi ل dalam ayat ini adalah ‘lam ta’jub‘:

a. lihatlah bagaimana Allah masih lagi boleh melembutkan hati golongan Quraish itu walaupun mereka telah lama bergelumang dalam dosa syirik (dan dosa-dosa lain seperti bunuh anak perempuan dan banyak lagi). Allah masih lagi beri peluang kepada mereka.

Bayangkan teruk sekali mereka itu sampaikan mereka sanggup meletak berhala di sekeliling Ka’bah itu. Ini adalah kerana Sifat Rahmat Allah yang amat besar. Menakjubkan sekali Rahmat Allah itu – walaupun mereka sudah buat dosa-dosa yang teruk dan banyak, Allah masih lagi mahu melembutkan hati mereka.

b. juga bermaksud, amat menakjubkan sekali Quraish itu. Walaupun Allah sudah beri banyak nikmat kepada mereka, mereka masih lagi tidak kembali kepada agama tauhid yang benar. Memang manusia jenis apa mereka itu!?

3. Ada pula yang mengatakan, ayat ini tidak ada kaitan dengan surah sebelum ini. Mereka mengatakan ل dalam ayat ini adalah hendak memberitahu tujuan Allah memberikan nikmat-nikmat yang disebut dalam ayat ini kepada mereka adalah supaya mereka bersyukur kepada Allah.

Dan hati Quraish itu memang telah patut lembut terhadap Ka’bah itu. Nabi Ibrahim sudah berdoa kepada Allah supaya Allah lembutkan hati manusia terhadap Ka’bah itu. Ini disebut dalam Ibrahim:37

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلاةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِنَ الثَّمَراتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Nabi Ibrahim a.s. telah berdoa kepada Allah untuk menjadikan manusia lembut hati kepada Ka’bah dan mereka yang tinggal berdekatan dengannya. Dan kita pun tahu bagaimana orang Islam memang lembut hati mereka terhadap Ka’bah itu dan hormat kepada mereka yang tinggal di Mekah. Sentiasa sahaja kita simpan hasrat untuk ke sana dan sesiapa yang telah ke sana akan terus teringat-ingat kepadanya.

Kalau orang lain pun sudah lembut hati terhadap Ka’bah dan mereka yang tinggal berdekatannya dengannya, mereka yang menjaga Ka’bah itu sendiri sepatutnya lebih lagilah lembut terhadap Ka’bah itu. Mereka kenalah menjaganya dengan baik sekali. Dan kerana itulah Allah telah memudahkan hidup mereka, supaya mereka dapat beribadat kepada Allah dan menjaga Ka’bah dan tidak perlu risau sangat tentang mencari rezeki.

Dan Allah telah memudahkan sangat hidup mereka, sedangkan penduduk di tempat lain hidup dalam kesusahan, penduduk Mekah hidup dalam kesenangan. Ini adalah kerana Allah nak biarkan mereka hidup senang dan boleh tumpukan perhatian buat ibadat dan jaga Ka’bah sahaja.

Quraish itu walaupun tinggal di tempat yang tidak ada tumbuh-tumbuhan dan sumber ekonomi (minyak belum dijumpai lagi), tapi kehidupan mereka itu mewah sahaja. Kerana ramai yang datang berniaga ke Mekah kerana melawat Ka’bah. Dan mereka akan bawa berbagai jenis makanan dan buah-buahan.

Sampaikan penduduk Mekah itu walaupun mereka tidak pergi ke mana-mana pun, mereka tidak kebuluran. Tapi Quraish masih juga lagi menyibukkan diri mereka dengan perniagaan. Ini kerana ada orang yang sudah kaya pun masih lagi nak kaya lagi banyak dan mereka sibuk menggunakan harta mereka.

Begitulah manusia ini, ramai yang masih rasa tidak cukup dengan apa yang ada. Akan tetapi, ada juga orang yang sudah rasa cukup, mereka akan gunakan masa untuk buat ibadat. Sebagai contoh, ada orang yang boleh buat duit banyak, tapi mereka tidak sibuk mencari harta kerana mereka rasa cukup dengan apa yang mereka ada. Mereka tahu kalau mereka sibuk kejar harta, mereka akan kurang masa untuk beribadat kepada Allah. Maka mereka kerja setakat cukup sahaja, dan masa luang mereka gunakan untuk belajar, untuk beribadat dan untuk bersama dengan keluarga mereka.

Lihatlah, kalau seseorang itu banyak habiskan masa mencari duit, ketahuilah yang selalunya keluarga mereka yang jadi mangsa. Ini perkara yang kita biasa lihat. Mereka kata mereka nak luangkan masa dengan keluarga tapi mereka tak buat pun. Ini adalah kerana mereka sibuk nak cari duit. Anak-anak pun tidak rapat dengan mereka.

Dan lihatlah nanti bila sudah tua, anak-anak pun tidak mahu bercakap dengan mereka lagi. Kerana anak-anak tidak rapat dengan ayah mereka sejak dari kecil lagi. Waktu itulah mereka akan mengadu dengan orang lain (dengan ustaz) yang anak-anak mereka tidak hormatkan mereka. Padahal, masalah itu dimulai oleh mereka. Mereka yang jauhkan diri dari anak-anak. Maka jangan salahkan anak kalau begitu.

Oleh itu, Puak Quraish itu sebenarnya sudah cukup harta dan senang, segala keperluan mereka sudah ada disediakan oleh Allah. Mereka sepatutnya tidak menghabiskan masa mereka untuk menambah kekayaan dunia. Mereka sepatutnya meluangkan banyak masa mereka untuk melembutkan hati mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Kalimah قُرَيشٍ dari تقرّش yang bermaksud mengumpulkan orang dari banyak tempat. Ini berasal dari kisah seorang lelaki yang bernama al Muj’im yang mengumpulkan manusia yang duduk berpisah di padang pasir untuk tinggal di Mekah (ini disebut dalam Surah al Feel).

Pendapat yang kedua mengatakan قرش bermaksud binatang besar di laut seperti ikan paus atau sotong besar yang boleh merosakkan kapal di lautan. Apabila digunakan kalimah قُرَيشٍ, ianya adalah versi kecil dari binatang yang dimaksudkan itu. Sebagai contoh, hasan yang kecil dipanggil husain. Kalimah ini dikatakan untuk memberi isyarat kepada kedudukan puak Quraish yang kuat.

Itu adalah sebahagian dari pendapat-pendapat yang mengkaji dari manakah asalnya datangnya perkataan قُرَيشٍ itu. Allahu a’lam.

Ada kebenarannya kerana selepas Tentera Abrahah dimusnahkan kerana hendak menyerang Ka’bah, ianya menguatkan lagi kedudukan Quraish di mata orang Arab. Ia meneruskan kedudukan Quraish sebagai kuasa ekonomi di Tanah Arab dan meneruskan kedudukan mereka yang tinggi di mata orang Arab.

Orang Arab sekitar melihat peristiwa kebinasaan Abrahah dan tenteranya itu sebagai dalil bahawa Allah melindungi Quraish dan tempat mereka dari ancaman musuh. Kalau sebelum itu ada yang tidak berapa percaya dengan kedudukan Quraish, maka kejadian pada Tahun Gajah itu telah menjadi ‘dalil’ bagi mereka.

Dan sepatutnya dengan pertolongan Allah itu, sepatutnya menjadikan Quraish lembut hatinya terhadap Allah. Allah telah memuliakan mereka sebagai penjaga Ka’bah yang mulia itu. Mereka sepatutnya menjadi pemudah bagi manusia lain untuk menyembah Allah dengan cara yang betul. Tapi ini tidak mereka lakukan. Dan kerana itu Allah murka kepada mereka.

Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Allah menyebut tentang Quraish itu dalam kataganti ketiga (gha’ibah). Ini memberi isyarat yang Allah murka dengan mereka.

Ia juga adalah tindakan menjauhkan diri dari mereka (tab’eed) kerana mereka pun mendengar juga, tapi Allah tidak bercakap terus dengan mereka. Bayangkan kalau kita bercakap tentang seseorang yang ada di situ, tapi kita bercakap dengan orang lain, tak cakap pun dengan orang itu. Tentu kita sendiri sudah dapat rasa yang orang yang bercakap itu tidak suka, bukan? Begitulah, dalam ayat ini, Allah bercakap dengan Rasulullah, ‘tentang’ Quraish yang tentunya sedang mendengar, bukan?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

 

Tafsir Surah al-Feel Ayat 3 – 5 (Hujan Batu)

Ayat 3: Bukan sahaja usaha Tentera Abrahah itu sia-sia, malah mereka sendiri dihancurkan.

وَأَرسَلَ عَلَيهِم طَيرًا أَبابيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He sent against them birds in flocks,

(MALAY)

dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong,

 

Selepas Abdul Muthalib (datuk Rasulullah) berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan Ka’bah, dia nampak burung yang berbondong-bondong datang dari arah Yaman (yang menariknya, tentera Abrahah itu dari Yaman dan Allah hantar burung dari sana juga). Abdul Muthalib kata dia tidak pernah lihat burung jenis itu. Setiap burung bawa tiga batu, setiap satu pada kakinya dan satu lagi pada paruhnya.

Batu-batu pada burung-burung itu dilepaskan kepada tentera Abrahah itu dan apabila ia mengenai kepada mangsanya, ia menembusi tubuh orang itu dan keluar dari sebelah lain. Begitulah hebatnya balingan batu itu.

Burung-burung itu dikatakan bukan satu jenis sahaja tapi campuran berjenis-jenis spesis. Ada juga yang mengatakan burung-burung itu bukan datang dari satu arah sahaja tapi dari banyak arah dan bergabung di Mekah itu. Mereka datang dengan banyak sekali. Banyaknya mereka itu sampaikan mereka menutupi cahaya matahari dan bumi Mekah waktu itu jadi gelap.

Kisah yang sampai kepada keturunan zaman berzaman adalah banyak kerana orang Arab tidak ada TV, jadi pengisi masa lapang mereka adalah kisah-kisah sebegini, maka tentulah ada banyak kisah tentang kejadian ini yang disampaikan dari zaman berzaman.

Allah sampaikan kisah ini kepada kita kerana Allah mahu kita bayangkan bagaimana (كَيفَ) Allah lakukan terhadap mereka. Allah suruh kita fikirkan dan bayangkan bagaimana boleh terjadi perkara begitu kalau bukan kerana qudrat Allah? Ianya bukanlah perkara biasa kalau burung yang kecil itu dapat memusnahkan tentera bergajah yang besar itu.

Bukankah gajah-gajah itu besar dan kuat dan besar? Tapi untuk hancurkan mereka, Allah أَرسَلَ (utuskan/hantar) burung-burung yang kecil sahaja. Ini yang Allah suruh kita fikirkan. Iaitu Allah boleh buat apa sahaja yang dikehendakinya walaupun ianya berlawanan dengan logik akal kita.

Kenapa Allah gunakan kalimah عَلَيهِم (ke atas mereka) dan bukan إليهم (kepada mereka)?  Ini adalah salah satu dari ilmu balaghah yang sepatutnya kita ketahui. Kalau Allah gunakan kalimah على, Allah hendak menunjukkan kekuasaan Allah atas makhluk dan Allah boleh buat apa sahaja ke atas mereka. Kerana itulah kalau dalam ayat yang menyebut tentang musibah dan azab, Allah akan gunakan على dan bukan إلى.

Memang على dan إلى tidak sama dan kalau dalam bahasa Melayu, tak akan nampak perkara itu. Tetapi penggunaan yang berbeza ini banyak digunakan dalam Al-Qur’an dan ini adalah sebahagian dari balaghah. Oleh itu kena belajar baru tahu. Sebagaimana yang Allah gunakan dalam Mu’minoon:77

حَتّىٰ إِذا فَتَحنا عَلَيهِم بابًا ذا عَذابٍ شَديدٍ

Hingga apabila Kami bukakan atas mereka suatu pintu tempat azab yang amat sangat

Tambahan pula, Allah hendak memberi isyarat yang Allah berada di atas langit dan azab itu dariNya.

Akan tetapi, apabila perkara yang diberi itu adalah nikmat, Allah akan gunakan kalimah إلى sebagai contoh apabila Allah berikan Rasul kepada sesuatu kaum. Seperti yang Allah gunakan dalam Ghafir:24

إِلَى فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ

kepada Fir’aun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata: “(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta”.

Allah telah berikan nikmat wahyu dan Rasul kepada Firaun dan kuncu-kuncunya. Cuma mereka sahaja yang tidak mahu menerima nikmat itu.

Kalimah طَيرًا adalah dalam bentuk isim jamak. Ianya merujuk kepada segala jenis burung. Kalau digunakan kalimah طيور, ia bermaksud jamak juga, tapi satu jenis burung sahaja. Apabila ada tanwin pada kalimah طَيرًا, ia menambah lagi maksud bahawa ada banyak jenis burung.

Apabila digunakan kalimah أَبابيلَ, ia bermaksud burung-burung itu di dalam gerombolan yang besar. Mereka datang berbondong-bondong. Oleh itu, kalimah طَيرًا أَبابيلَ bermaksud burung-burung yang sangat banyak, berbagai jenis. Jadi bukannya ada satu jenis burung yang bernama ‘Abaabil’. Tidak ada spesis burung itu dalam dunia.

Dari apa yang kita telah belajar ini, kita dapat rasakan bagaimana surah ini adalah hadiah kepada Rasulullah. Allah telah berikan hadiah kepada baginda sebelum baginda dilahirkan lagi (Nabi lahir pada tahun gajah ini juga, tapi sebelum kejadian). Allah telah mempertahankan Kota Mekah itu, dan Allah mempertahankan Ka’bah itu dari kemusnahan.

Dan begitulah nanti Allah akan memenangkan baginda ke atas Mekah itu di mana baginda akan membersihkan Ka’bah dari berhala-berhala di sekelilingnya. Kita dapat tahu yang Allah lakukan perkara ini kerana Allah sebut dalam ayat pertama: كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ (bagaimana ‘Tuhanmu’ telah lakukan) di mana Allah kata Tuhan’mu’ merujuk kepada baginda.

Musyrikin Mekah itu mungkin sangka yang Allah selamatkan Ka’bah itu untuk mereka tapi tidaklah Allah buat begitu kerana mereka itu tidak layak untuk mendapat kehormatan itu kerana mereka mengamalkan syirik dan kezaliman. Allah sebenarnya menyelamatkan Mekah dan Ka’bah kerana Nabi Muhammad SAW. Allah hendak bangkitkan baginda dari tempat itu.


 

Ayat 4:

تَرميهِم بِحِجارَةٍ مِن سِجّيلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Striking them with stones of hard clay,

(MALAY)

yang melempari mereka dengan batu dari tanah yang terbakar,

 

Burung-burung itu melontarkan batu-batu kepada tentera bergajah Abrahah itu. Ini adalah cara yang Allah pilih pada kali ini untuk azab manusia yang engkar. Ada dalam waktu dan tempat lain, Allah gunakan cara yang lain, seperti dalam Ahzab:9, Allah hantar angin dan para malaikat untuk memusnahkan musuhNya.

جاءَتكُم جُنودٌ فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا وَجُنودًا لَم تَرَوها

ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya.

Kalimah تَرمي dalam تَرميهِم itu asalnya adalah dari katadasar ر م ي yang bermaksud ‘membaling’. Dalam ayat ini, kalimah تَرميهِم itu dalam bentuk present tense. Kalau Allah menggunakan kalimah present tense untuk kisah yang telah berlaku, ini menunjukkan perkara itu berlaku berulang-ulang.

Maksudnya, bukan sekali sahaja batu itu dibaling kepada mereka, tapi berkali-kali. Kalau kalimah past tense رمت yang digunakan, itu memberitahu kita yang burung itu balik sekali sahaja, tapi tidak dalam perkara ini. Mereka dihujani dengan batu-batu itu berkali-kali seperti hujan.

Kalimah تَرمي juga memberi makna yang batu itu dibaling kepada mereka dari jarak yang jauh, ini bukan baling yang biasa. Burung-burung itu melepaskan batu itu dari kedudukan yang tinggi jadi daya tarikan graviti telah meningkatkan kelajuan batu-batu itu. Batu-batu itu sampai menembusi tengkorak mereka dan keluar dari sebelah lain.

Juga ia juga bermaksud batu itu dibaling pada individu yang tertentu – tepat kena orang yang telah ditakdirkan akan kena dengan balingan batu itu. Ini sudah macam peluru berpandu yang tepat kena pada sasaran.

Mereka dibaling بِحِجارَةٍ (dengan batu). Tapi Allah tidak sebut ‘batu’ sahaja. Allah tambah: مِن سِجّيلٍ (dari Sijjeel).

Kalimah سِجّيلٍ asalnya dari bahasa Parsi yang dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Ianya merujuk kepada batu yang terjadi dari tanah yang terbentuk kerana basah, kemudian tanah itu dibakar dengan sinaran cahaya matahari. Asalnya dari tanah sahaja, tapi benda yang asalnya lemah tapi Allah jadikan boleh menghancurkan benda yang kuat dan besar.

Ada juga yang mengatakan سِجّيلٍ itu adalah batu dari neraka.

Ibn Abbas mengatakan, apabila batu itu kena pada badan tentera Abrahah itu, tubuh mereka akan membengkak terbakar dan membusuk. Ia menjadi wabak yang teruk dan inilah kali pertama wabak sampai ke Mekah. Mereka menjadi mayat yang reput dan busuk.

Dari kisah ini kita dapat bayangkan apa yang terjadi kepada mereka. Inilah yang Allah hendak beritahu kepada kita, kerana Allah telah sebut كَيفَ (bagaimana) dalam ayat 1 dan kerana itu Allah berikan penerangan yang agak panjang untuk menjelaskannya.


 

Ayat 5:

فَجَعَلَهُم كَعَصفٍ مَأكولٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He made them like eaten straw.¹

  • i.e., husks which have been chewed by cattle. This event took place in the year of the Prophet’s birth.

(MALAY)

lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan

 

Kalimah جَعَلَ dalam فَجَعَلَهُم itu bermaksud mengubah sesuatu dari satu bentuk ke satu bentuk. Sebagai contoh, mengubah pokok kayu menjadi meja. Pokok kayu itu memang sudah ada, cuma dijadikan dalam bentuk yang lain. Ini tidak sama dengan خلق yang bermaksud menjadikan sesuatu dari tidak ada ada kepada ada dan hanya Allah sahaja yang boleh melakukannya.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah memberitahu yang Dia telah menjadikan tentera bergajah yang sepatutnya kuat, tapi Allah jadikan sebagai lemah dan tidak bernilai langsung, tidak ada kekuatan langsung. Seperti daun-duan kering sahaja.

Allah gunakan huruf ك sebagai bandingan. Allah bandingkan mereka dengan suatu benda untuk menjelaskan kepada kita. Allah sebut dengan cara begini supaya kita dapat bayangkan kerana kita tidak ada di sana waktu itu. Allah bandingkan tentera itu dengan عَصفٍ yang bermaksud angin bertiup yang menghancurkan daun kering. Atau ia boleh bermaksud bilah-bilah dauh yang beterbangan di udara.

Kalimah مَأكولٍ pula bermaksud sesuatu yang dimakan. Apabila binatang ternak memakan daun-daun hijau, ada cebisan-cebisan daun itu yang jatuh. Cebisan yang jatuh itu dipanggil عَصفٍ مَأكولٍ dalam bahasa Arab.

Begitulah Allah berikan perumpamaan untuk mereka setelah mereka dikenakan dengan hujanan batu Sijjeel itu.

Ia juga bermaksud makanan yang hampir hendak dimakan oleh pemburunya. Sebagai contoh, seekor arnab yang hampir diterkam harimau. Arnab itu tidak boleh buat apa lagi waktu itu kerana ia telah terperangkap dan ia tidak dapat melawan harimau itu. Allah bandingkan lemahnya mereka itu seperti arnab yang hampir hendak dimakan oleh harimau. Allah hina mereka dengan kata-kata ini.

Kerana mereka sangka mereka itu kuat dan kerana itu mereka jadi sombong. Tapi kemudian Allah telah musnahkan mereka seperti daun yang dimakan binatang sahaja. Mereka tidak bernilai dan tidak ada kekuatan langsung. Dengan angin sahaja boleh meniup mereka ke sana dan ke mari. Padahal, asalnya mereka itu kononnya kuat.

Juga boleh bermaksud Allah beri perumpamaan mereka itu seperti daun yang dimakan oleh ulat. Ini adalah kerana tubuh mereka hancur setelah dihujani dengan batu-batu itu.

Begitulah Allah jelaskan kepada kita apa yang terjadi kepada Tentera Bergajah itu. Surah ini begitu indah sekali dan kebanyakan orang Islam sudah hafal pun surah ini. Tambahan pula ianya senang dihafal kerana hujung ayat-ayatnya berbunyi sama sahaja – الفيلِ, تَضليلٍ, أَبابيلَ, سِجّيلٍ. Kecuali pada ayat yang ke 5 yang berakhir dengan kalimah مَأكولٍ. Ini adalah kerana kisah apa yang terjadi kepada mereka sudah berakhir dan Allah ubah ritma kepada ritma yang lain.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Quraish.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Feel Ayat 2 (Rancangan Abrahah Gagal)

Ayat 2: Rancangan Abrahah dan tenteranya itu gagal, sia-sia sahaja.

أَلَم يَجعَل كَيدَهُم في تَضليلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did He not make their plan into waste?

(MALAY)

Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?

 

Ini adalah kali kedua kalimah أَلَم (tidakkah?) digunakan dalam surah ini. Seperti kita telah sebut sebelum ini, kalimah أَلَم ini adalah dalam bentuk soalan retorik. Maknanya Allah hendak mengingatkan jasa yang telah dilakukanNya.

Kalimah يَجعَل dalam bentuk present tense. Sedangkan kisah yang sedang dibincangkan ini telah berlaku lama dahulu. Jadi kenapa Allah gunakan present tense dalam ayat ini? Apabila present tense digunakan untuk perkara yang telah berlaku, ini memberi isyarat yang perkara itu akan terus berlaku zaman berzaman.

Maknanya, bukan Tentera Abrahah sahaja yang Allah sia-siakan usaha mereka, tapi Allah boleh buat lagi pada orang-orang lain selepasnya dan di masa hadapan. Kepada mereka yang hendak merosakkan syiar Allah SWT, Allah boleh sia-siakan usaha mereka. Walau bagaimana pun usaha mereka, tidak memberi kesan sama sekali kalau Allah tidak benarkan ia terjadi. Mereka akan buang masa sahaja.

Kalimah يَجعَل dari kalimah جعل (menjadikan). Ianya tidak sama dengan kalimah فَعَلَ yang digunakan dalam ayat 1. Apabila digunakan kalimah جعل, ia bermaksud mengambil sesuatu yang telah ada dan mengubahnya menjadi sesuatu yang lain.

Maknanya Allah biarkan mereka buat rancangan, buat persediaan, mungkin berlatih, kemudian ambil masa untuk bergerak dari Yaman ke Mekah, dan mula untuk ambil tindakan, tapi Allah ubah (جعل) rancangan mereka itu jadi benda lain – jadi sesuatu yang sia-sia sahaja tidak menjadi.

Allah tidak hancurkan rancangan mereka itu dari mula, tapi Allah biarkan mereka buang masa dalam usaha mereka. Allah main-mainkan mereka dan akhirnya malukan mereka di hujungnya.

Begitulah perumpamaan perbuatan Allah terhadap orang yang jahat. Allah biarkan sahaja mereka nak buat apa, seolah-olah mereka nampaknya boleh buat apa sahaja. Allah bagi mereka rasa macam mereka terbuka untuk buat apa yang mereka hendak buat.

Bayangkan seekor anjing yang diikat dengan rantai yang panjang. Pada mulanya tuannya ikat dengan rantai 1 meter sahaja. Tapi kalau ia adalah anjing yang ganas, asyik nak menarik rantai itu sahaja, maka tuannya akan ikat dengan rantai yang panjang sikit. Anjing itu pun sangka ia sudah merdeka dan ia berlari dengan laju ke arah tempat lain. Semasa ia lari dengan laju itulah rantai itu akan menegang dan menarik tengkuk anjing itu dengan kuat! Tentulah dia akan sakit, bukan?

Begitulah perumpamaan Allah kenakan kepada tentera Abrahah itu. Ini seperti yang Allah telah sebut dalam Baqarah:15

اللَّهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيانِهِم يَعمَهونَ

Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka.

Allah biarkan sahaja tentera Abrahah itu datang ke Mekah dan apabila sudah ada di depan Ka’bah, barulah mereka itu dimusnahkan. Bukanlah Allah tidak boleh musnahkan mereka dari mula lagi tapi Allah nak beri mereka buat perkara yang salah itu, dan nanti Allah akan seksa mereka dengan azab yang berat di akhirat kelak lagi.

Kalimah كَيدَ dalam كَيدَهُم (rancangan mereka) itu lebih kurang maknanya dengan kalimah مكر – (rancangan untuk mencederakan seseorang). Tapi bezanya, كَيدَ digunakan untuk rancangan yang rahsia, seperti rancangan perang yang tidak diberitahu kepada ramai orang dan dilakukan secara sembunyi supaya rahsia tidak pecah. Sedangkan kalau مكر digunakan, ia melibatkan penipuan dalam rancangan itu.

Akan tetapi, bagaimana pula كَيدَ dikatakan rancangan yang rahsia sedangkan apa yang tentera Abrahah itu lakukan jelas pada semua orang? Abrahah datang siang hari dan semua orang boleh tengok kedatangan mereka itu. Ada beberapa pendapat ulama’ tentang perkara ini:

1 – Dikatakan rahsia itu adalah niat dalam hati mereka – mereka sebenarnya benci sangat kepada penduduk Mekah sampaikan hendak memusnahkan Ka’bah yang mereka muliakan.

Beginilah juga perasaan orang kafir terhadap orang Islam dulu dan sekarang (bukan nak kata yang Musyrikin Mekah itu orang Islam, tapi sebagai perbandingan). Kadang-kadang orang kafir itu nampak baik sahaja di hadapan orang Islam tapi di belakang, mereka buat perancangan untuk memusnahkan kita. Sebab itulah Allah nasihatkan kita untuk berhati-hati seperti firmanNya dalam Ali Imran:118

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَتَّخِذوا بِطانَةً مِن دونِكُم لا يَألونَكُم خَبالًا وَدّوا ما عَنِتُّم قَد بَدَتِ البَغضاءُ مِن أَفواهِهِم وَما تُخفي صُدورُهُم أَكبَرُ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang, di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.

2 – Abrahah menyembunyikan niatnya dalam menyerang Mekah itu. Dia menggunakan semangat keagamaan untuk membangkitkan semangat rakyat dan tenteranya untuk menyerang.

Tapi sebenarnya, seperti kita telah jelaskan dalam pengenalan surah ini, tujuan sebenar Abrahah adalah kerana ekonomi. Dia hendak menaikkan kembali kekuatan ekonomi Yaman dan dia nampak caranya adalah dengan menjatuhkan kuasa ekonomi waktu itu, Mekah.

Dia cuma gunakan agama sahaja untuk mendapatkan sokongan dari rakyatnya. Memang dari dulu sampai sekarang manusia salahgunakan agama. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh kumpulan seperti ISIS yang menggunakan nama agama Islam untuk membunuh orang lain.

Dan begitulah juga dengan tentangan Quraish terhadap dakwah tauhid Nabi Muhammad SAW. Mereka dengan kerasnya menolak dan mengutuk ajaran baginda yang dikatakan baru, sesat dan sebagainya. Tapi kenapa agaknya baginda tidak dapat diterima?

Pemimpin Musyrikin Mekah bukan kisah dengan agama pun sebenarnya. Yang mereka kisah adalah harta dan pengaruh. Pada mereka, kalau ajaran tauhid ini dibenarkan, maka orang Arab sudah tidak datang lagi ke Ka’bah kerana semua berhala sudah tiada. Selama ini, ramai yang datang ke Mekah dan menguatkan ekonomi mereka adalah kerana mereka ada berhala masyarakat Arab dan mereka senang untuk berdagang ke tempat-tempat lain kerana kedudukan mereka sebagai penjaga Ka’bah itu.

Maknanya, sebab asal Rasulullah ditolak oleh mereka adalah kerana ekonomi dan kedudukan yang dikejar-kejar oleh pemuka Quraish itu.

Oleh itu, sebab rahsia dalam hati Abrahah adalah untuk merampas kuasa ekonomi dari Quraish Mekah dan beliau menggunakan agama Kristian sebagai pemangkin semangat rakyatnya. Dia kata orang Mekah itu adalah sesat dan mereka kena tawan Mekah dan musnahkan tempat ibadat orang Mekah itu.

Kalimah تَضليلٍ dari ضلال yang bermaksud ‘musnah’, ‘sia-sia’. Ianya sesuatu yang rosak sampai tidak boleh dipakai lagi.

Kalimah تَضليلٍ ini adalah dalam wazan تَفْعِيْل yang memberi isyarat pengulangan di dalamnya. Maknanya, bukan sekali sahaja Allah menjadikan rancangan orang kafir itu sia-sia, tapi banyak kali. Rancangan Abrahah juga berulang-ulang kali gagal.

– Abrahah bina al-Qullays supaya ramai orang datang ziarah, tapi tidak menjadi.
– Qullays itu telah diletakkan dengan najis oleh orang Mekah kerana marah sangat.
– Mereka bergerak ke Mekah untuk memusnahkan Ka’bah tapi rancangan mereka digagalkan.

Allah gunakan kalimah في (di dalam) dalam ayat ini. Allah tidak kata Dia jadikan rancangan mereka sia-sia, tapi Allah kata: ‘dalam’ kesiaan. Allah nak suruh kita bayangkan seolah-olah rancangan mereka itu macam sampah yang dibuang ke dalam tempat buang sampah. Allah gunakan kalimah في supaya kita dapat bayangkan dalam bentuk imageri.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Feel Ayat 1 (Balasan dari Allah)

Al-Feel Ayat 1: Surah ini diturunkan di Peringkat Kedua Kenabian. Ini selepas Nabi Muhammad disuruh untuk berdakwah secara terbuka. Jadi ia sekitar tahun 4 – 5 Kenabian.

Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu yang segala rancangan jahat terhadap Rasulullah akan gagal.

Dalam ayat 1 ini, Allah menceritakan bagaimana bahayanya Hubb Dunya (Penyakit Cinta Dunia). Ia boleh menyebabkan azab di dunia lagi.

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصحابِ الفيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Fīl: The Elephant.

Have you not considered, [O Muḥammad], how your Lord dealt with the companions of the elephant?¹

  • i.e., the army under the command of Abrahah al-Ashram which was accompanied by a huge elephant and came with the intention of destroying the Ka‘bah at Makkah.

(MALAY)

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?

 

Kalimat أَلَم تَرَ – “Tidakkah engkau melihat/memperhatikan?” Kalimah ini ditujukan kepada seorang, bukan ramai orang. Oleh itu, ulama tafsir berbahas siapakah yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini? Adakah ianya ditujukan kepada Rasulullah atau kepada orang lain? Ada dalil untuk kedua-duanya sekali.

1 – Kalau dikatakan untuk orang lain, boleh lihat pada ayat al-Isra’:23 di mana Allah berfirman:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau jangan menyembah selain Dia dan hendaklah engkau berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.

Di dalam ayat ini, khitabnya juga kepada seorang lelaki, akan tetapi kita pun tahu yang ibubapa Rasulullah sudah tiada semasa baginda menerima wahyu ini. Jadi, walaupun ianya menggunakan kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu), tapi ianya tidak ditujukan kepada Rasulullah secara khusus.

Dan kita pun tahu bahawa kejadian serangan Tentera Bergajah ini datang sebelum Nabi Muhammad lahir lagi, jadi baginda tentu tidak dapat melihat kejadian itu sendiri. Jadi, mungkin ayat ini diberikan kepada mereka yang memang pernah melihat kejadian itu dengan mata mereka sendiri kerana mereka sudah lahir waktu itu dan masih hidup semasa ayat ini diturunkan.

2 – Boleh juga dikatakan yang ayat ini ditujukan kepada Rasulullah. Memang baginda tidak melihat kejadian ini dengan mata baginda tapi Allah hanya memberi isyarat sahaja.

Maksudnya: tidakkah kamu mendengar? tidakkah kamu memikirkan tentang kejadian itu? Ini adalah kerana kisah ini tentu telah sampai kepada baginda. Kisah ini adalah kisah yang masyhur di kalangan bangsa Arab sampaikan mereka mengabadikannya sebagai ‘Tahun Gajah’.

Mereka tidak ada kalender seperti kita maka mereka akan menggunakan kejadian yang terkenal sebagai peringatan kepada sesuatu tahun itu. Jadi untuk mengingati kejadian tentera bergajah itu, tahun itu dikenali sebagai ‘Tahun Gajah’. Jadi, tentu Rasulullah sudah tahu tentang kejadian itu dan Allah mengingatkan baginda tentang kisah kejadian itu.

Boleh jadi juga, Allah hendak mengingatkan kepada Rasulullah – tidakkah kamu takjub dengan kejadian itu, bagaimana Allah telah bertindak kepada Tentera Bergajah itu? Ini adalah kerana apabila digunakan kalimah كَيفَ (bagaimana), ia adalah kalimah ta’jub. Peristiwa yang terjadi itu memang menakjubkan kerana bilangan tentera Abrahah itu amat besar malah lebih ramai lagi dari bilangan keseluruhan penduduk Mekah waktu itu.

Malah mereka ada gajah-gajah yang besar – tapi mereka telah dimusnahkan. Mereka bukan dibunuh oleh penduduk Mekah pun – oleh itu penduduk Mekah itu boleh dikatakan menang tanpa angkat senjata pun. Ini menunjukkan yang Allahlah yang mempertahankan keamanan di Kota Mekah itu. Allah tidak perlukan sesiapa pun untuk membantuNya untuk menghancurkan tentera Abrahah itu. Itu semua adalah atas Qadr Allah taala.

Apabila digunakan kalimah كَيفَ (bagaimana), ianya lebih kuat lagi kalau dibandingkan dengan kalimah ما (apa). Kerana kalau ditanya: ‘apa’ yang Allah telah lakukan, maka jawapan kepada soalan itu pendek sahaja. Tapi apabila كَيفَ (bagaimana) digunakan, ada lebih banyak maklumat lagi yang akan dimasukkan untuk menjawapnya.

Surah ini adalah ancaman kepada mana-mana pemimpin kejam, penindas dan diktator yang hidup dalam mana-mana zaman pun. Kalau mereka mahu menindas orang dan merampas negara mereka atau menghancurkan negara orang lain, mereka kena ingat yang mereka tidak berkuasa penuh. Mungkin mereka ada tentera yang ramai dan kekuatan teknologi ketenteraan yang tinggi, tapi tidak pasti lagi yang mereka akan menang. Dari zaman berzaman sudah begitu.

Oleh itu, surah ini terpakai sepanjang masa, bukan untuk kita belajar sejarah yang telah lalu sahaja. Ini dikuatkan lagi dengan kalimah تَرَ (melihat) yang digunakan dalam ayat ini. Ianya adalah dalam bentuk present tense, dan apabila present tense yang digunakan, ia memberi isyarat bahawa ianya berterusan. Bukan hanya berlaku pada zaman dahulu sahaja, tapi ia boleh berlaku pada zaman sekarang dan masa hadapan. Ini adalah sebahagian dari ilmu balaghah.

Penggunaan kalimah تَرَ juga amat sesuai digunakan dalam ayat ini, kerana ia boleh digunakan untuk melihat sesuatu yang ada depan mata dan juga boleh digunakan untuk sesuatu yang kita ‘faham’. Sebagai contoh, ada orang yang jelaskan sesuatu perkara dan dengar sahaja, kita kata “baik, saya dah nampak dah sekarang”, walaupun kita tidak nampak dengan mata kita tapi dengan akal kita.

Dan Rasulullah dan kita sendiri pun tidak dapat melihat peristiwa itu tapi kita dapat bayangkan dan kita dapat faham apakah yang terjadi. Dan kita boleh ambil pengajaran dari kisah itu.

Dan walaupun kalimah رَبُّكَ itu asalnya ditujukan kepada Rasulullah, tapi apabila Nabi Muhammad membacakan ayat ini kepada orang lain, ianya juga akan tertuju kepada mereka juga kerana kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu) itu akan diulang-ulang kepada setiap pendengar. Kalau kita bayangkan Allah sedang bercakap dengan kita melalui Al-Qur’an ini, maka kita akan baca رَبُّكَ (Tuhanmu) – iaitu merujuk kepada kita yang sedang membaca Al-Qur’an ini.

Memang Ka’bah dihormati zaman berzaman sebelum kedatangan Tentera Abrahah pun. Tapi dengan kejadian yang menakjubkan ini, ianya telah menambah rasa hormat manusia kepada Ka’bah. Kerana apa yang terjadi itu menjadi tanda bahawa Allah sendiri menjaga kehormatan dan kesucian Ka’bah. Maka kedudukan Penjaga Kaabah di Mekah itu semakin kukuh.

Oleh kerana itu, persoalan yang ditimbulkan kepada pendengar adalah: “engkau sudah lihat bagaimana Allah bertindak terhadap mereka yang hendak merosakkan rumahNya, lalu kenapa kamu tidak mahu beriman dengan Allah?” Orang kafir kena sedar yang kalau mereka menentang kehendak Allah, mereka akan dimusnahkan juga, sebagaimana Allah mampu untuk memusnahkan tentera bergajah itu, Allah tentu boleh memusnahkan mereka.

Oleh itu, Musyrikin Mekah diingatkan dalam surah ini, kalau mereka berbangga Allah telah menjaga Ka’bah maka mereka kenalah beriman dengan Nabi Muhammad kerana baginda adalah RasulNya. Kalau Allah memelihara RumahNya, tidakkah kamu boleh agak yang Allah akan menjaga RasulNya?

Kalimah أَلَم (tidakkah?) adalah dalam bentuk soalan. Apakah kelebihan kalimah ini dalam bentuk soalan? Ianya memberi penekanan kepada sesuatu perkara. Kadang-kadang kita tanya, bukanlah hendak tahu, tapi kerana hendak menekankan.

Sebagai contoh, kita tanya seseorang: “Bukan aku dah beritahu dulu?”. Kita bukan nak tanya tapi nak ingatkan dia balik bahawa kita dulu sudah pernah tolong dia. Ianya mengingatkan kepada mereka tentang jasa kita kepada mereka.

Jadi, bila Allah tanya dalam ayat ini, ianya kerana Allah hendak menekankan kejadian itu kepada pendengar Al-Qur’an ini. Allah hendak mengingatkan kepada golongan musyrikin, mereka kenalah ingat kepada segala jasa yang Allah telah berikan mereka; dan kalau mereka degil dan tidak mahu juga untuk taat, mereka mungkin akan dikenakan dengan azab yang telah dikenakan kepada tentera Abrahah.

Kita kena ingat juga yang soalan ini untuk Nabi Muhammad. Kepada baginda, Allah hendak mengingatkan baginda bagaimana Allah telah menyelamatkan Ka’bah itu. Dan Allah hendak memberitahu baginda yang Allah juga akan memelihara baginda. Sebagaimana Allah telah menjaga Ka’bah, Allah juga akan menjaga baginda.

Kalimah الفيلِ bermaksud ‘gajah’ dan ianya dalam bentuk mufrad (satu). Kenapa Allah gunakan mufrad sedangkan telah disebut yang gajah di dalam tentera itu adalah antara 9 ke 13 ekor? Kenapa Allah tidak gunakan kalimah أفيال (jamak untuk gajah)?

1 – Kerana tentera itu dikenali dengan seekor gajah yang paling terkenal iaitu yang bernama Mahmood. Jadi apabila dikatakan الفيلِ itu, ia merujuk kepada Mahmood.

2 – الفيلِ walaupun dalam bentuk mufrad, tapi ia juga boleh merujuk kepada isim jama’ (satu perkataan merujuk kepada semua).

Oleh itu, أَصحابِ الفيلِ bermaksud mereka yang berkaitan dengan gajah. Kalimah أَصحابِ daripada ص ح ب yang bermaksud sahabat. Mereka tidak dikatakan sebagai ارباب الفيل (tuan gajah) atau املاك الفيل (pemilik gajah) sebaliknya Allah gelar mereka أَصحابِ الفيلِ (sahabat gajah). Kenapa begitu agaknya?

Kalimah أَصحابِ digunakan untuk mengaitkan seseorang dengan satu golongan. Apabila Allah mengaitkan mereka dengan gajah, itu adalah isyarat Allah menghina mereka kerana mengaitkan mereka dengan binatang. Binatang tidak mempunyai akal dan kefahaman.

Selalunya kita dikatakan bersahabat dengan orang yang lebih tinggi dari kita. Sebab itu para sahabat Nabi digelar ‘sahabah’ kerana mereka di bawah Nabi dan dikaitkan dengan Nabi. Itu adalah satu penghormatan kepada mereka kerana dikaitkan dengan Rasulullah. Tapi bagaimana pula kalau dikaitkan dengan binatang seperti gajah, tidakkah itu menghinakan? Tentu sekali! Mereka ini seperti firman Allah dalam A’raf:179

لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ

mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.

Dan mereka memang lebih teruk dari gajah-gajah itu pun. Bukankah kita pernah dengar yang gajah itu tidak mahu bergerak ke arah Ka’bah? Apabila dihadapkan wajahnya ke arah Mekah, dia tidak mahu bergerak kerana gajah itu sendiri taat kepada Allah tidak sanggup untuk memusnahkan Rumah Allah.

 

Sambungan Sejarah:

Apabila Abrahah sampai berdekatan Makkah, dia telah berjumpa dengan Abdul Mu’tallib (datuk Rasulullah), dan Abdul Mu’tallib telah cuba untuk berbincang dengan Abrahah. Beliau telah menawarkan tanah Tahamah, dan akan diberikan 1/3 dari pulangan hasil dari Tahamah itu.

Tetapi Abrahah sombong tidak mahu menerima tawaran itu. Dia tidak mahu berdamai dan dia mahu menunjukkan kekuatan tenteranya. Akhirnya Abdul Mu’tallib cuma minta dikembalikan untanya sahaja kerana Abrahah telah merampas untanya yang berada di Mekah. Abdul Muttalib hanya minta, agar semua untanya yang telah dirampasnya dikembalikan kepadanya.

Mendengar permintaan itu, Abrahah menjadi hairan dan berkata: “Kami datang untuk meruntuhkan Ka’bah, kenapa engkau hanya membicarakan tentang dua ratus ekor unta saja, sedangkan agama dan Ka’bah yang engkau puja itu engkau lupakan?”

Abdul Muttalib menjawab: “Saya ini hanya tuannya unta-unta itu, adapun Ka’bah itu ada tuannya sendiri yang akan memeliharanya.”
“Kalau begitu engkau tidak akan menghalang saya?” tanya Abrahah pula. “Itu adalah urusan tuan dengan tuan Ka’bah itu sendiri,” jawab Abdul Muttalib pula.

Apabila tentera yang dihantar kalah di seberang, negara asalnya akan marah dan selalunya mereka akan menghantar tentera lagi untuk menyerang mereka yang membunuh tentera mereka, bukan? Akan tetapi, Abrahah tidak mati di Mekah. Beliau masih hidup lagi dan berjaya untuk pulang ke Yaman walaupun telah tercedera teruk.

Mereka mati kerana telah dihujani dengan Batu Sijjeel dan kulit Abrahah telah mengelupas dan kulitnya terbakar teruk dan dagingnya membusuk. Begitulah cara dia mati akhirnya. Jadi apabila dia pulang ke Yaman, rakyatnya melihat keadaannya dan tidak berani untuk balas dendam. Mereka takut kalau mereka sendiri jadi begitu.

Begitu hebat sekali Allah rancang supaya mereka tidak datang lagi ke Mekah. Kalau Abrahah mati di Mekah, mungkin orang Yaman dan orang Habashah akan hantar lagi tentera untuk menyerang Mekah untuk balas dendam.

Kejadian ini juga adalah salah satu dari isyarat kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Kerana ianya berlaku pada tahun kelahiran baginda. Kita pun tahu ada riwayat tentang irhas yang berlaku kepada Nabi. Irhas adalah perkara pelik yang berlaku kepada seorang Nabi sebelum baginda dilantik menjadi Nabi lagi. Sebagai contoh, ada riwayat bagaimana ada awan yang menaungi Nabi semasa baginda bermusafir dalam perniagaan.

Kalimah فَعَلَ bermaksud ‘telah melakukan’. Dalam bahasa Arab, ia mungkin membawa maksud:

1 – perbuatan.

2 – pergerakan

3 – sesuatu yang terjadi

Ia bermaksud sesuatu yang memang benar-benar terjadi. Kalimah عمل juga mungkin boleh digunakan tapi tidak digunakan dalam ayat ini. Kerana عمل adalah perbuatan yang dilakukan yang memerlukan usaha. Tapi apa sahaja perbuatan Allah amat mudah bagiNya dan tidak memerlukan usaha langsung. Maka Allah gunakan kalimah فعل sahaja dalam ayat ini. Ia memberi gambaran yang  mudah sahaja Allah lakukan apa yang Dia telah lakukan.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah رَبُّكَ (Tuhanmu). Dia tidak menggunakan NamaNya ‘Allah’. Nama Allah merujuk kepada Allah dengan segala Sifat-sifatNya. Tapi kalimah Rabb adalah salah satu dari Sifat Allah. Asal Rabb adalah ‘tuan’ dan apabila ada tuan, tentu ada hambanya. Allah gunakan kalimah Rabb dalam ayat ini untuk menekankan bahawa kita semua adalah hambaNya.

Dalam surah seterusnya nanti (Surah Quraish), Allah berfirman: فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ (Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah). Dalam ayat ini, Allah sekali lagi menggunakan kalimah ‘Rabb’. Allah mengatakan yang Dia adalah Tuhan kepada Ka’bah dan dalam Surah al-Feel ini Allah menggunakan kalimah رَبُّكَ di mana ك adalah dhomir kepada Nabi Muhammad SAW.

Allah hendak memberi isyarat, kalau Dia Tuhan kepada Ka’bah, Dia telah menyelamatkan Ka’bah dan Dia juga Tuhan kepada Nabi Muhammad, maka pasti Dia akan menyelamatkan baginda juga. Allah memberitahu yang Dia berpihak kepada baginda dan Dia akan memusnahkan mereka yang menghalang baginda sebagaimana Dia telah memusnahkan Tentera Bergajah itu.

Ini menjadi isyarat dan bukti yang Nabi Muhammad SAW dan Islam akan berjaya dan baginda akan membersihkan Ka’bah dari berhala yang di sekelilingnya waktu itu.

Dengan menggunakan kalimah رَبُّكَ juga memberi isyarat yang Allah amat murka dengan mereka yang memuja dan bertawasul kepada selain dariNya. Allah mengingatkan mereka bahawa Dia adalah Tuhan dan alangkah teruknya Musyrikin Mekah itu kerana sanggup menyembah dan bertawasul kepada selainNya, dan berdekatan dengan rumahNya! Jadi kalimah Rabb ini digunakan untuk menyangkal fahaman syirik Musyrikin Mekah itu.

Kita pun sudah tahu bahawa Musyrikin Mekah itu telah mengamalkan syirik yang jauh dari Islam. Mereka itu dari segi akidah lebih teruk dari Abrahah yang datang menyerang mereka. Tapi Allah musnahkan tentera Abrahah dan menyelamatkan negeri mereka. Kenapa Allah tidak musnahkan juga Musyrikin Mekah itu?

Ini adalah kerana Abrahah hendak memusnahkan Ka’bah maka Allah musnahkan mereka semasa dia dan tenteranya di dunia lagi. Tapi Musyrikin Mekah yang tidak taat kepada Allah itu, Allah akan musnahkan mereka di akhirat kelak. Kerana Ka’bah itu adalah hak manusia – Allah bina Ka’bah itu sebagai syiar agama Islam dan Tauhid adalah hak Allah. Apabila mereka hendak memusnahkan hak manusia, Allah musnahkan mereka di dunia dan Musyrikin Mekah yang memusnahkan hak Allah itu, Allah akan musnahkan mereka di akhirat nanti.

Tentera Bergajah Abrahah itu telah dihancurkan di satu tempat yang bernama Wadi Muhassir. Mereka hendak menyerang Ka’bah tapi tak sempat nak sampai ke Ka’bah. Ianya terletak di antara Mina dan Muzdalifah dan umat Islam yang mengerjakan Haji akan melalui kawasan ini dan disunatkan untuk mempercepatkan perjalanan supaya tidak berada lama di kawasan ini. Ini adalah kerana azab telah pernah turun di kawasan ini dan tidak digalakkan berada lama, kalau terpaksa lalu. Kalau boleh, jangan lalu pun.

Wadi Muhassir
Wadi Muhassir
wahi-muhassir
Peta kedudukan Wadi Muhassir

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah al-Feel: Latarbelakang Surah al-Feel

Sebelum kita masuk ke dalam tafsir Surah ini ayat demi ayat, ada baiknya kita mengetahui latarbelakang sejarah Tanah Arab. Kerana dengan mengetahuinya, kita akan faham kenapakah Abrahah datang untuk memusnahkan Ka’bah.

 

Sejarah Arab Mekah dan Yaman: 

Sejarah lama menyebut bagaimana Kerajaan Saba’ menguasai ekonomi antara Eropah dan Asia dan tempat-tempat lain. Ini adalah kerana mereka ada pelabuhan yang maju yang memberikan mereka kekuatan, kekayaan dan kuasa politik yang besar pada waktu mereka di kemuncak tamadun mereka.

Akan tetapi, telah berlaku satu banjir besar yang melanda mereka pada 450-451 SM yang menyebabkan tamadun mereka musnah. Jadi penduduk Yaman perlu mencari tempat baru untuk tinggal dan membina tamadun yang baru pula. Mereka telah merantau dan tinggal di tempat-tempat lain.

Antara tempat yang mereka pergi berhijrah adalah ke Yathrib (nama lama Madinah). Ini bermakna Suku ‘Aws and Khazraj asalnya adalah orang Yaman yang berpindah ke sana. Dan selain dari itu, ada orang dari Yaman yang bermastautin berdekatan dengan Telaga Zamzam selepas ianya dijumpai oleh Hajar dan Nabi Ismail a.s. Nabi Ismail telah membesar bersama mereka dan berkahwin dengan keturunan mereka.

Keturunan Nabi Ismail a.s. telah membiak di Hijaz. Ada seorang lelaki yang bernama Uthayb bin Kalaam/ digelar al Mujammi’ [lahir sekitar 400 SM] yang telah menggabung seluruh penduduk Hijaz dan menjadikan Makkah sebagai satu negeri. Dan akhirnya penduduk Makkah telah membesar. Beliau sendiri ada tiga anak. Yang paling terkenal diantara anak-anaknya itu adalah Abd al Manaf, dan Abd al Manaf ada 4 anak lelaki: Hashim, Mu’tallib, Abdul Shams and Nawfal.

Hashim lahir pada tahun 464 SM. Dan seperti kita telah sebut, itu adalah zaman selepas banjir besar yang melanda Yaman. Hashim telah nampak peluang untuk mereka mengambil alih kekuatan ekonomi yang dipegang oleh Yaman dulu. Jadi beliau telah mengadakan perhubungan ekonomi dengan negeri-negeri berhampiran.

Beliau telah pergi ke Sham (Syria) dan berjumpa dengan Raja Arab di Ghassan. Beliau juga telah menghantar adik beradiknya untuk mengadakan perhubungan ekonomi dengan negara-negara lain juga. Ini telah menjadikan Makkah sebagai pusat ekonomi pula. Ini dapat dilakukan kerana Makkah berada di tengah-tengah antara negara-negara yang bertamadun waktu itu.

Dan Makkah memang sudah terkenal kerana ada Ka’bah (Makkah sudah menjadi pusat agama pun waktu itu). Dan sekarang ia mula menjadi pusat ekonomi pula. Dan perkara ini disentuh di dalam Surah Quraysh tentang bagaimana mereka mengadakan perjalanan perniagaan ke tempat lain.

Hashim ada seorang anak bernama Abdul Mu’tallib (457 SM) – dan kita pun tahu yang salah seorang anaknya bernama Abdullah – bapa kepada Nabi Muhammad SAW.

Dalam masa yang sama, kerajaan yang paling besar waktu itu adalah Kerajaan Rom. 300 tahun selepas Nabi Isa diangkat, Rom menguasai Eropah, Asia Barat, Turki, Mesir, Habashah dan sebahagian dari Yaman. Pada satu waktu, Yaman telah memeluk agama Yahudi dan mereka telah menindas golongan Kristian di Yaman. Ada yang mengatakan inilah kisah yang disebut dalam Surah Burooj.

Melihat penindasan yang dilakukan itu, Habashah telah menghantar tentera ke Yaman dan menaklukinya. Seorang raja yang beragama Kristian telah dilantik tapi selepas itu telah berlaku perebutan kuasa.

Abrahah telah merampas kuasa dari Raja itu tapi beliau bijak kerana terus mengadakan hubungan rapat dengan Habashah. Beliau bijak dengan mengatakan bahawa tujuan beliau merampas kuasa adalah untuk kebaikan penduduk Yaman. Maka kedudukannya selamat.

Setelah mengambilalih kuasa, Abrahah mahu menguatkan semula kedudukan Yaman di mata dunia dan mengembalikan kekuatan dan kekayaan yang mereka pernah miliki sebelum kejadian banjir itu. Beliau mengingatkan bagaimana mereka dulu hebat, tapi kerana banjir, mereka telah jadi lemah dan kekuatan ekonomi telah diambilalih oleh Quraish Makkah.

Antara usaha yang cuba dilakukan oleh Abrahah adalah membina satu bangunan hebat yang dinamakan al Qullays – dengan tujuan sebagai Pusat Agama Kristian. Ia adalah satu gereja yang hebat. Ianya dibina dengan cantik dan Abrahah berharap supaya ianya lebih hebat lagi dari Ka’bah.

Keadaan Qullays sekarang
Keadaan Qullays sekarang

Tapi tentulah dia tidak berjaya. Kerana manusia bukan mudah untuk meninggalkan pegangan agama mereka. Abrahah berharap orang akan tinggalkan Ka’bah dan datang melawat Qullays, tapi tidak ada orang datang kerana orang masih lagi memandang Ka’bah sebagai suci.

Oleh kerana tidak puas hati, Abrahah telah menghantar surat ke Habashah mencadangkan supaya Kaabah dihancurkan. Bangsa Arab telah mengetahui niat Abrahah itu dan mereka telah pergi ke Qullays, bukan untuk melawat tapi nak menghina Qullays itu. Sampaikan ada orang Makkah yang telah buang air di Qullays untuk menghinanya.

Ini telah menyebabkan Abrahah sangat marah dan ini telah memberi peluang kepadanya untuk betul-betul menyerang Ka’bah. Sekarang dia sudah ada alasan kukuh. Jadi kita kena faham sejarah ini kerana kalau kita tidak faham perkara ini, kita sangka yang dia serang sebab agama, tapi sebenarnya sebab ekonomi asalnya.

Dia telah bertolak ke Makkah dengan tenteranya yang seramai antara 12,000 – 60,000  (tidak ada riwayat sahih dengan tepat berapakah bilangan tenteranya). Beliau pergi dengan tentera dari Yaman dan dari Habashah. Dan mereka pergi untuk menyerang Tanah Arab yang tidak mempunyai kekuatan tentera. Di dalam tenteranya itu adalah antara 9 – 13 ekor gajah. Gajah yang paling besar bernama Mahmood.

Dalam perjalanan mereka ke Mekah, mereka telah melalui Ta’if. Penduduk Ta’if telah berunding dengan Abrahah untuk membantu tenteranya itu supaya mereka tidak diserang. Kenapa pula Taif sanggup membantu tentera Abrahah sedangkan mereka tahu yang Abrahah dalam perjalanan menyerang Ka’bah yang suci itu?

Ini adalah kerana berhala mereka yang utama adalah Laat dan ianya berada di Taif. Ini berlainan dengan penduduk Tanah Arab yang lain yang meletak berhala mereka di Mekah (Ka’bah). Jadi Taif tidak takut kalau Ka’bah diserang kerana berhala mereka tidak akan dimusnahkan. Tidak ada suku lain yang membantu tentera Abrahah kerana mereka ada berhala mereka berdekatan Ka’bah.

Seorang lelaki yang bernama Abu Righal dari Taif itu telah diarahkan untuk membantu menjadi penunjuk arah kepada tentera Abrahah untuk sampai ke Mekah. Mereka perlukan penunjuk arah kerana jalan ke Mekah payah untuk dilalui oleh mereka yang tidak biasa. Akan tetapi, Abu Righal telah mati di tengah perjalanan. Kuburnya menjadi tempat yang dikutuk kerana mereka melihat beliau sebagai pembelot dan orang Arab meludah kuburnya itu.

Tentera Abrahah sampai ke Mekah dalam bulan Muharram Tahun Gajah itu. Kisah selanjutnya kita akan sebut dalam perbahasan Surah Al-Feel nanti.

Sekian. Allahu a’lam. Sambung ke ayat 1 Surah al-Feel.

Kemaskini: 26 September 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan