Tafsir Surah an-Nisa Ayat 122 – 124 (Fadhail Amal)

Ayat 122: Ini adalah ayat tabshir.

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ خٰلِدِينَ فِيهَا أَبَدًا وَعْدَ اللهِ حَقًّا وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللهِ قِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the ones who believe and do righteous deeds – We will admit them to gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide forever. [It is] the promise of Allāh, [which is] truth, and who is more truthful than Allāh in statement.

MALAY

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman

Iaitu orang yang beriman dengan sempurna yang juga membawa maksud mereka yang tidak melakukan syirik. Ini kerana kalau setakat beriman sahaja, ramai yang percaya dengan Allah ‎ﷻ , tetapi dalam masa yang sama, mereka masih juga percaya kepada ilah yang lain.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

serta beramal soleh,

Bukan hanya sekadar beriman, tetapi iman itu juga perlu ditunjukkan dengan beramal. Syarat beramal itu mestilah amal yang soleh. Amal soleh adalah amalan yang menepati sunnah, dan bukan bidaah. Walaupun banyak beramal, tetapi jika amalan itu amalan bidaah, ia tidak memberikan apa-apa kebaikan pun, malah akan mendatangkan akibat yang buruk kepada pengamalnya.

 

سَنُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ

Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga

Mereka yang beriman sempurna serta beramal soleh, akan dimasukkan ke dalam taman-taman syurga. Ini adalah nikmat yang amat mulia sekali. Syurga adalah tempat penuh dengan nikmat.

 

تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Syurga tidak dapat digambarkan sepenuhnya kerana ianya tidak ada persamaan dengan dunia langsung. Tetapi terdapat beberapa persamaan yang telah Allah ‎ﷻ  berikan, supaya kita mendapat sedikit bayangan bagaimanakah keindahan syurga itu.

Air adalah sesuatu yang menjadi nikmat kepada masyarakat Arab yang kekurangan air. Juga kepada bangsa lain, air adalah suatu yang hebat. Contohnya seperti di tempat-tempat peranginan, manusia gemar untuk berehat dan menghabiskan masa di tempat seperti tepi laut atau sungai dan air terjun kerana air memberi ketenangan kepada manusia.

Maka Allah ‎ﷻ mengatakan yang di dalam syurga itu nanti, terdapat beberapa sungai yang mengalir. Sungai itu pelbagai jenis dan di bawah kawalan kita. Kalau kita inginkan sungai itu bergerak mengikut laluan mana pun boleh.

Ayat ini juga boleh membawa maksud: Sungai-sungai itu ‘di bawah’ kawalan mereka. Maka mereka boleh mengarahkan ke mana sahaja laluan sungai itu seperti hendak lalu  di atas atau pusing mengikut dinding dan sebagainya.

 

خٰلِدِينَ فِي هَا أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya,

Jika sudah dapat tinggal di tempat yang amat baik, tetapi tidak kekal di situ, maka itu bukanlah nikmat yang sebenar. Apabila kita mengetahui yang kita akan meninggalkan tempat yang indah itu,  ia akan menyebabkan kita berasa sedih. Jadi, Allah ‎ﷻ  memberitahu bahawa penghuni syurga itu akan kekal di dalam syurga.

 

وَعْدَ اللهِ حَقًّا

janji Allah yang benar

Apa yang Allah  ‎ﷻ  katakan akan benar-benar terjadi. 

 

وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللهِ قِيلًا

Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

Tidak ada kata yang lebih boleh dipercayai selain daripada kata-kata Allah ‎ﷻ. Bandingkan dengan bisikan syaitan di dalam ayat-ayat sebelum ini yang menjanjikan benda yang tidak benar.

Realisasi syurga adalah pasti benar dan bukan harapan kosong sahaja. Sedangkan syaitan menjanjikan dengan harapan kosong, tetapi Allah ‎ﷻ menjanjikan sesuatu dengan kebenaran. Kalam Allah adalah kalam yang paling benar sekali. Nabi ﷺ selalu berkhutbah di dalam khutbahnya, dengan bersabda:

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كَلَامُ اللهِ، وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍصلى الله عليه وسلّم، وَشَرَّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ، وَكُلَّ ضَلَالَةٍ فِي النَّار

“Sesungguhnya perkataan yang paling benar itu ialah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”

[H.R. Muslim]


 

Ayat 123: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana syaitan menjanjikan balasan-balasan yang tidak ada dalil. Mereka akan membisikkan kepada manusia: “Kalau buat begitu, dapat begini”.

Di dalam syarak, kelebihan melakukan sesuatu amal dinamakan ‘fadhail amal’. Cuma kita perlu  ingat, fadhail amal itu hendaklah berdasarkan amal yang sahih. Bukannya berdasarkan angan-angan semata-mata. Saya jelaskan:

Seperti yang kita telah ketahui, ada hadis yang dhaif dan ada hadis yang sahih. Kalau tentang fadhail amal, memang boleh menggunakan hadis dhaif tetapi mesti ada sandaran dari hadis sahih tentang amalan itu.

Sebagai contoh, untuk mengatakan kelebihan Solat Istikharah, mestilah ada dalil dari hadis yang sahih tentang adanya Solat Istikharah itu. Kalau ada hadis sahih tentang amalan Solat Istikharah, tetapi hadis tentang fadhail amal Solat Istikharah itu dhaif, maka masih boleh diterima lagi. Sebaliknya,  jika tidak ada hadis sahih tentang amalannya, maka tidak boleh digunakan lagi hadis tentang fadhail amalnya itu.

Sebagai contoh, ramai orang kita mengamalkan Solat Hajat tetapi tidak ada dalil sahih tentang Solat Hajat. Maka, kalau ada hadis tentang kelebihan amal itu, maka ia tidak boleh digunakan.

Untuk memahami dengan lebih mendalam lagi, perlulah belajar ilmu hadis. Itu adalah satu bidang yang lain dan tidak mampu dimasukkan ke dalam penulisan ini. Hendaklah bertanya kepada mereka yang belajar hadis dan pakar di dalam bidang ini. Ini adalah kerana mereka telah belajar yang manakah hadis yang sahih dan manakah yang tidak. Selain dari belajar tafsir Quran, anda juga harus belajar hadis juga.

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It [i.e., Paradise] is not [obtained] by your wishful thinking nor by that of the People of the Scripture. Whoever does a wrong will be recompensed for it, and he will not find besides Allāh a protector or a helper.

MALAY

(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

 

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ

tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata,

Sememangnya manusia amat berminat untuk mengetahui apakah kelebihan di dalam amalan-amalan mereka. Barulah ada semangat untuk melakukannya. Di dalam ayat ini, Allah  ‎ﷻ  memberitahu yang kelebihan-kelebihan dari amalan bukanlah dari angan-angan kosong sahaja tetapi mestilah dari dalil yang kuat.

Agama bukanlah dari kelebihan-kelebihan yang direka sendiri oleh manusia atau khayalan guru. Contoh yang paling banyak kita lihat adalah di dalam ajaran Tarekat. Mereka paling banyak menyebut tentang kelebihan-kelebihan amal mereka. Ajaran-ajaran itu pula ada yang sampai kepada masyarakat umum dan mereka pun beramal juga berdasarkan dari dalil yang sebenarnya tidak wujud.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa, agama bukanlah dari angan-angan. Janganlah berangan yang kita akan mendapat kelebihan hanya kerana kedudukan kita, sebab kita orang Islam, sebab kita anak ulama’ atau apa-apa sahaja. Tetapi balasan kita adalah bergantung kepada amalan kita.

 

وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتٰبِ

dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab

Bukan juga dari kelebihan yang diajar oleh ahli kitab. Ajaran agama dari mereka tidak boleh digunakan kerana agama mereka telah diresapi dengan pelbagai ajaran yang salah.

Begitu juga, ayat ini hendak memberitahu golongan Ahli Kitab, janganlah mereka berangan yang mereka adalah insan terpilih oleh Tuhan kerana keturunan mereka dari Ahli Kitab dan dari para Nabi. Itu adalah angan-angan kosong sahaja.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Masruq: bahawa kaum Nashara saling menyombongkan diri dengan kaum Muslimin, dengan berkata: “Kami lebih mulia daripada kalian”. Kaum Muslimin berkata: “Kami lebih mulia daripada kalian”. Lalu Allah menurunkan ayat ini (An-Nisa ayat 123) yang menegaskan bahawa keutamaan itu tidaklah menurut angan-angan mereka, akan tetapi selaras dengan amalnya yang akan dibalas oleh Allah سبحانه و تعالى .

 

مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ

Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, 

Sesiapa yang melakukan dosa akan dibalas di akhirat kelak. Ibn Abbas berkata yang dimaksudkan itu adalah ‘dosa syirik’.

Para sahabat, apabila mendengar ayat ini, mereka ketakutan kerana mereka mengetahui yang mereka juga ada melakukan kesalahan. Kalau setiap kesalahan diberikan balasan, tentulah mereka semua akan dikenakan azab. Tetapi Allah ‎ﷻ membalas dengan mengatakan bahawa setiap musibah yang menimpa mereka, akan menghapuskan kesalahan mereka.

Telah diriwayatkan bahawa ketika ayat ini diturunkan, hal ini terasa berat di kalangan kebanyakan sahabat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْر، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَبِي زُهَيْرٍ قَالَ: أخْبرْتُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ الصَّلَاحُ بَعْدَ هذه الآية: {لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ} فَكُل سُوءٍ عَمِلْنَاهُ جُزِينَا بِهِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “غَفَر اللَّهُ لكَ يَا أَبَا بَكْرٍ، ألستَ تَمْرضُ؟ ألستَ تَنْصَب؟ أَلَسْتَ تَحْزَن؟ أَلَسْتَ تُصيبك اللَّأْوَاءُ ؟ ” قَالَ: بَلَى. قَالَ: “فهو ما تُجْزَوْنَ به”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Numair, telah menceritakan kepada kami Ismail, dari Abu Bakar ibnu Abu Zuhair yang menceritakan, “Aku mendapat berita bahwa Abu Bakar رضي الله عنه pernah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah keberuntungan itu sesudah ayat ini,’ yaitu: (Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-angan kalian yang kosong, dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barang siapa yang mengerjakan kejahatan, niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. (An-Nisa: 123) Sedangkan semua perbuatan buruk (jahat) yang kami lakukan, maka kami mendapat balasannya?” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Hai Abu Bakar, semoga Allah memberikan keampunan kepadamu, bukankah kamu pernah sakit, bukankah kamu pernah mengalami kepayahan, bukankah kamu pernah mengalami kesedihan, bukankah kamu pernah tertimpa musibah?” Abu Bakar menjawab, “Memang benar.” Nabi  ﷺ. bersabda, “Itu termasuk balasan yang ditimpakan kepadamu.”

 

وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

dan dia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

Kalau Allah  ‎ﷻ  sudah membalas perbuatan dosa itu dengan azab di akhirat, tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong atau memberi perlindungan.

Ayat ini semakna dengan ayat lain, iaitu firman-Nya:

{فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ}

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. (Az-Zalzalah: 7-8)


Ayat 124: Ini adalah targhib kepada Dakwa surah ini. Apabila Allah ‎ﷻ menolak kelebihan-kelebihan yang palsu, maka Dia memberitahu yang Dia hanya menerima amal yang soleh sahaja.

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصّٰلِحٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does righteous deeds, whether male or female, while being a believer – those will enter Paradise and will not be wronged, [even as much as] the speck on a date seed.

MALAY

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.

 

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصّٰلِحٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan,

Seperti yang kita selalu tekankan, amal soleh adalah amalan yang tsabit perbuatannya dari Sunnah Nabi ﷺ. Di dalam mana-mana kitab pun yang menyebut tentang sesuatu amal, hendaklah diberikan dalil yang sahih. Jikalau setakat menyebut sahaja amalan itu tanpa diberikan dalilnya, maka patut ditinggalkan sahaja.

Ada yang berpandangan salah dengan mengatakan jika kita mengamalkan sesuatu amalan dengan hati yang ikhlas, maka Allah ‎ﷻ akan menerimanya. Ini adalah fahaman yang salah. Kalau hendak dikatakan amalan ikhlas akan diterima, penganut agama lain pun beramal juga, mereka pun ikhlas juga, dan malah amalan mereka lebih baik daripada kita.

Sebagai contoh, paderi atau sami yang tinggal di gereja dan kuil dan beramal sepanjang hidup mereka. Jikalau mereka tidak ikhlas, tentu mereka tidak sanggup hendak melakukannya. Tetapi adakah amalan mereka itu diterima? Tentulah tidak, kerana ianya bukanlah dari ajaran agama.

 

وَهُوَ مُؤْمِنٌ

sedang ia beriman, 

Sesuatu amalan hanya diterima daripada mereka yang beriman sempurna, iaitu tidak melakukan syirik. Jika pengamal syirik membuat amal ibadat, walaupun amal ibadat itu menepati sunnah, dia tetap tidak diberikan pahala.

Sebagai contoh, solat sunat ada di dalam syarak. Tetapi kalau orang yang mengamalkannya ada fahaman syirik, maka dia tidak akan mendapat pahala dari amalan solat sunatnya itu.

Ia juga bermakna, amalan itu mestilah dilakukan dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu maksudnya mengharapkan pahala dari Allah ‎ﷻ sahaja, bukan kerana sebab lain seperti kerana dipaksa atau ada sifat ingin menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Oleh itu, ada dua syarat untuk amalan diterima: amal mestilah soleh, dan ikhlas dilakukan dengan iman yang sempurna.

Jadi, ini menunjukkan walaupun ahli agama lain ada membuat amal kebaikan, tetapi oleh kerana akidah mereka tidak benar, maka mereka tidak mendapat pahala dari Allah ‎ﷻ. Oleh sebab itulah kita amat mementingkan akidah.

 

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

maka mereka itu akan masuk Syurga, 

Balasan kepada mereka yang beriman dan melakukan amal soleh, Allah ‎ﷻ menjanjikan syurga untuk mereka.

 

وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.

Balasan kepada mereka tidak dikurangkan walau sedikitpun. Kalimah نَقِيرًا maksud asalnya adalah titik pada biji tamar. Titik itu tentunya sangat kecil, hendak tengok pun susah — maknanya, manusia tidak dianiaya sebanyak itu, ataupun tiada langsung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 117 – 121 (Talbis Iblis)

Ayat 117: Allah سبحانه و تعالى telah menyambung lagi penjelasan mengenai syirik. Syirik adalah yang lain dari dosa-dosa yang telah disebut sebelum ini. Sebarang kesalahan yang disebut sebelum ini tidak sama dengan dosa syirik. Maka,  penumpuan harus diberikan lebih lagi berkenaan perkara syirik ini.

Sedikit penjelasan tentang syirik. Ada jenis Syirik I’tiqadi – iaitu fahaman dalaman. Ia berbeza dengan Syirik Amali kerana seorang manusia mungkin tidak membuat amalan yang syirik, tapi dalam hatinya ada fahaman syirik. Ini adalah kerana Syirik I’tiqadi itu berada di dalam akal dan hati, di mana orang lain tidak mungkin akan nampak. Tapi ia tetap syirik walau dia tidak mengamalkan perbuatan yang syirik pun.

Mungkin orang yang mempunyai fahaman sedemikian pun tidak mengetahui yang ianya adalah syirik. Tapi itu bukanlah alasan untuk menyelamatkan dirinya, kerana pengetahuan tentang tauhid dan syirik adalah perkara yang setiap manusia mesti tahu dan fahami sebagai seorang hamba Allah.

Dan untuk mengetahui tentang maksud tauhid dan syirik, mestilah mempelajarinya dari kitab Allah, iaitu Qur’an. Itulah sebabnya kita mesti mempelajari tafsir Qur’an supaya boleh memahami apakah yang Allah hendak sampaikan kepada kita. Kita mesti belajar tentang tauhid dan syirik dari Qur’an.

Memang terdapat ulama yang membuat kaedah ringkasan Tauhid dari Qur’an. Tapi itu tidak memadai. Kita tetap kena dapatkan maklumat penuh dari tafsir Qur’an. Susunan itu seperti ‘nota ringkas’ sahaja. Macam di sekolah, kena belajar dulu buku teks asal sebelum baca nota ringkas, bukan?

Mereka yang melakukan ringkasan Tauhid itu juga berkata yang kita semua mesti belajar tafsir Qur’an. Tidak cukup dengan hanya membaca kaedah ulama sahaja. Kaedah itu untuk mereka yang telah benar-benar memahami Qur’an. Ianya hanya sebagai senarai untuk mengingatkan kita kembali kepada ayat-ayat serta dalil-dalil dari Qur’an.

Masalahnya dengan masyarakat kita, kebanyakan daripada mereka tidak mempelajari tafsir Qur’an. Mereka berkata tauhid mereka sudah benar sebab mereka telah mempelajarinya dari Kitab Tauhid. Kalau mempelajari tauhid dari kitab ulama sahaja memang tidak mencukupi. Ini mesti diambil berat kerana kalau kita mempunyai akidah syirik, dosa itu tidak akan diampuni sampai bila-bila.

Bila tidak akan diampuni, itu bermaksud tidak akan keluar dari neraka sampai bila-bila. Ini yang amat kita bimbangkan kalau terjadi kepada kita atau kepada orang yang rapat dengan kita.

Tauhid dan syirik adalah perkara di dalam hati yang orang tidak nampak. Kalau perkara luaran, orang lain boleh nampak, dan mereka boleh sahaja untuk menegurnya tapi kalau perkara di dalam hati sahaja, memang sesiapa pun tidak akan nampak. Maka mestilah  mempelajari tafsir Qur’an supaya boleh diperiksa kefahaman Qur’an dengan kefahaman kita.

Ingatlah bahawa amal ibadat yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai akidah syirik tidak akan diterima. Maknanya, walaupun mereka tidak meninggalkan solat dan puasa, dan sentiasa bersedekah sana sini, serta pelbagai lagi amalan kebaikan yang mereka lakukan, tetapi jika terdapat akidah syirik dalam diri, maka segala amal ibadat mereka itu tidak diterima lagi oleh Allah. Alangkah rugi dan penatnya, setelah berusaha membuat amal ibadat, tapi tidak ada nilai pahalanya langsung!

Seperti yang telah disebut, terdapat dua jenis akidah: samada i’tiqadi (iktikad) atau amali (perbuatan). Menyembah berhala, menghalalkan atau mengharamkan sesuatu tanpa dalil adalah termasuk dalam Syirik Amali kerana  sesuatu telah dilakukan. Perkara ini banyak yang berlaku, di mana terdapat ramai yang telah mengharamkan perbuatan yang halal serta menghalalkan perbuatan yang haram tanpa bukti.

Malangnya ramai yang tidak mengetahui atau menyedarinya kerana mereka tidak menggunakan lafaz ‘haram’ tetapi lafaz ‘tidak boleh’ atau ‘pantang’ yang digunakan. Bila menggunakan lafaz sedemikian, tidaklah kelihatan seolah-olah mereka telah mengeluarkan hukum dalam agama, walaupun sebenarnya mereka telah mengharamkan perbuatan yang halal tanpa mereka sedar.

Ini amatlah bahaya kerana kalau kita membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan Allah, kita sebenarnya telah menjadi ‘tuhan’ ketika itu. Sepatutnya hukuman menghalalkan dan mengharamkan adalah hak Allah semata-mata tapi kita telah memandai-mandai membuatnya sendiri, maka perbuatan itu adalah syirik yang amat besar sekali.

Ayat ini akan menghuraikan tentang syirik i’tiqadi, iaitu syirik yang ada dalam hati.

إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا إِنٰثًا وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطٰنًا مَّرِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They call upon instead of Him none but female [deities], and they [actually] call upon none but a rebellious Satan,

MALAY

Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;

 

إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا إِنٰثًا

Apa yang mereka seru yang lain dari Allah itu, hanyalah perempuan

Apa yang diseru Musyrikin Mekah selain Allah itu adalah ‘perempuan’. Iaitu mereka berkata malaikat adalah ‘anak-anak perempuan Allah’. Mereka beriktikad jika ingin menyelesaikan masalah dengan cepat, maka mestilah menyeru anak perempuan Allah, kerana Allah sayangkan anak perempuanNya.

Jadi mereka akan menyeru malaikat dan meminta pertolongan dari mereka supaya malaikat itu dapat menyampaikan kepada Allah. Inilah akidah syirik mereka. Ini memang ada disebut di dalam Qur’an.

Telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Salamah Al-Bahili, dari Abdul Aziz ibnu Muhammad, dari Hisyam (yakni Ibnu Urwah), dari ayahnya, dari Siti Aisyah sehubungan dengan firman-Nya: Yang mereka sembah selain Allah itu tidak lain hanyalah berhala. (An-Nisa: 117) Siti Aisyah mengatakan, yang dimaksud dengan inasan ialah berhala.

Musyrikin Mekah memang suka menisbahkan berhala mereka kepada jantina perempuan. Lat, Manat dan Uzza adalah berhala sembahan Musyrikin Mekah di dalam bentuk perempuan. Pandai-pandai sahaja mereka mereka-rekakan fahaman sedemikian sedangkan tidak ada dalil pun yang membenarkannya. Lafaz a-Aziz menjadi Uzza, lafa Ilah menjadi Lat. Dan berhala-berhala itu juga dibina dengan rupa yang menyerupai perempuan.

Ubay ibnu Ka’b mengatakan bahawa setiap berhala yang dibina itu mempunyai jin perempuannya, iaitu jin itu akan menduduki berhala tersebut.

أَخْبَرَنَا عَلِي بْنِ الْمُنْذِرِ قَالَ حَدَثَنَا بْن فُضَيْلٍ قَالَ حَدَثَنَا الْوَلِيْدُ بْنُ جميعٍ عَنْ أَبِي الطُفَيْلِ قَالَ : لمَاَّ فَتَحَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَّ مَكَّةَ بَعَثَ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيْدِ إِلَى نخَلْةَ ٍوَكَانَتْ بِهَا الْعُزَّى فَأَتَاهَا خَالِدٌ وَكَانَتْ عَلَى ثَلَاثِ سَمُرَاتٍ فَقَطَعَ السَّمُرَاتِ وَهَدَمَ الْبَيْتَ الَّذِي كَانَ عَلَيْهَا ثُمَّ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ تَصْنَعْ شَيْئًا فَرَجَعَ خَالِدٌ فَلَمَّا أَبْصَرَتْ بِهِ السدنة وَهُمْ حجبتها أَمْعَنُوْا فِي الْجَبَلِ وَهُمْ يَقُوْلُوْنَ يَا عُزَّى فَأَتَاهَا خَالِدٌ فَإِذَا هِيَ امْرَأَةٌ عُرْيَانَةٌ ناَشِرَةُ شَعْرِهَا تَحْتَفِنُ التُّرَابَ عَلَى رَأْسِهَا فَعَمَمَهَا بِالسَّيْفِ حَتَّى قَتَلَهَا ثُمَّ رَجَعَ إِلَى النَّبِيِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ تِلْكَ العُزَّى

Dari Abu Al-Thufail, beliau bercerita, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menaklukkan kota Mekah, beliau mengutus Khalid bin al Walid ke daerah Nakhlah, tempat keberadaan berhala ‘Uzza. Akhirnya Khalid mendatangi ‘Uzza, dan ternyata ‘Uzza adalah tiga buah pohon Samurah. Khalid pun lantas menebang ketiga buah pohon tersebut. Ketiga buah pohon tersebut terletak di dalam sebuah rumah. Khalid pun menghancurkan bangunan rumah tersebut. Setelah itu Khalid menghadap Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Komentar Nabi, ‘Kembalilah karena engkau belum berbuat apa-apa.’ Akhirnya kembali. Tatkala para juru kunci ‘Uzza melihat kedatangan Khalid, mereka menatap ke arah gunung yang ada di dekat lokasi sambil berteriak, “Wahai ‘Uzza. Wahai ‘Uzza.” Khalid akhirnya mendatangi puncak gunung, ternyata ‘Uzza itu berbentuk perempuan telanjang yang mengurai rambutnya. Dia ketika itu sedang menuangkan debu ke atas kepalanya dengan menggunakan kedua telapak tangannya. Khalid pun menyabetkan pedang ke arah jin perempuan ‘Uzza sehingga berhasil membunuhnya. Setelah itu Khalid kembali menemui Nabi dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Komentar Nabi, “Nah, itu baru ‘Uzza.” (HR. An-Nasa’I, Sunan Kubro no. 11547)

Ad-Dahhak mengatakan pula, bahawa lalu mereka menjadikannya sebagai sesembahan-sesembahan mereka, dan membuat patung-patung mereka dalam bentuk perempuan, lalu mereka menghiasinya dan memberinya kalung, kemudian mereka berkata, “Berhala-berhala ini mirip dengan anak-anak perempuan Allah yang kita sembah,” maksud mereka di sini adalah para malaikat.

Tafsir ini mirip dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّى

Maka apakah kalian patut (hai orang-orang musyrik) menganggap Lata dan Uzza (sebagai anak perempuan Allah)? (An-Najm: 19)

Oleh itu, fahaman Musyrikin Mekah adalah Allah mempunyai wakilNya. Begitulah juga akidah syirik kebanyakan manusia tentang wakil Allah. Masyarakat kita juga mempunyai  fahaman  sedemikian. Sebab itulah ramai dari kalangan kita yang menyeru Nabi, wali dan malaikat kerana mereka beriktikad yang mereka itu adalah ‘wakil Allah’.

Maka sama sahaja akidah mereka dengan Musyrikin Mekah. Tapi, oleh kerana mereka tidak belajar, mereka merasakan bahawa akidah mereka adalah benar, padahal tidak sama sekali.

 

وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطٰنًا مَّرِيدًا

mereka tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;

Yang mereka seru sebenarnya bukanlah malaikat kerana tiada dalil pun yang menyatakan bahawa malaikat itu adalah anak Allah. Fahaman itu datangnya dari bisikan syaitan. Oleh itu, yang mereka seru itu sebenarnya adalah syaitan. Ini sama seperti disebut dalam ayat lain:

بَلْ كانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ

bahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu. (Saba’: 41)

Memang manusia tidaklah menjadikan syaitan sebagai tuhan dan menyembah syaitan sebagaimana mereka menyembah tuhan. Tapi maksud mereka menjadikan syaitan sebagai tuhan adalah apabila mereka mengikut sahaja arahan dari syaitan.

Syaitan akan menyebabkan mereka berasa apa yang mereka buat itu benar. Mereka akan membuat bunyi -bunyian kepada berhala yang disembah itu. Oleh kerana ramai manusia yang jahil, mereka mudah mempercayai yang berhala itu mempunyai kuasa. Sedangkan kemungkinan besar bunyi tersebut datangnya dari  syaitan qarin yang berada bersama manusia itu.

Syaitan Qarin sememangnya berupaya menyebabkan manusia dapat mendengar bunyi-bunyi yang pelik, tapi mereka hanya boleh melakukannya terhadap manusia yang kufur akidah sahaja. Mereka jugalah yang menjelmakan diri mereka di dalam pelbagai rupa kepada manusia yang kufur itu. Sebab itu orang tertentu sahaja yang nampak. Orang yang tidak ada masalah, tidak nampak pun.

Begitulah yang terjadi dalam masyarakat kita yang jahil agama, lebih-lebih lagi mereka yang jahil Qur’an. Jika terdapat perkara yang pelik atau ajaib sedikit, mereka mula gelabah dan berasa kagum serta mudah untuk percaya.

Kemudian akan adalah guru sesat yang berkata ada wali itu, wali ini yang mendatangi mereka di dalam bentuk lelaki berjubah dan sebagainya menyampaikan ajaran baru. Ramai yang mempercayainya sehinggalah sekarang sedangkan yang datang itu adalah syaitan.

Kita telah berikan kisah Khalid al Walid yang membunuh jin perempuan yang duduk di dalam berhala tadi. Allah menzahirkannya untuk membuktikan kebenaran, bahawa memang apa yang dipuja itu adalah syaitan. Memang terdapat syaitan di dalam setiap patung yang dipuja, tapi ianya tidak jelas tetapi kali ini Allah telah  menzahirkannya supaya ia menjadi pengajaran buat kita.

Sifat syaitan disebut di dalam ayat ini bersifat مَّرِيدًا. Maksudnya ‘yang memberontak’. Mereka mengetahui yang perkara itu adalah salah tetapi mereka tetap ingin melakukannya juga. Itulah sifat Syaitan.

Mereka juga bersikap suka membuat kesalahan secara bersungguh-sungguh. Begitulah juga sikap segelintir dari kalangan orang kita. Walaupun telah  diberitahu mana yang salah dan mana yang syirik, tapi mereka masih juga ingin melakukannya. Ini adalah seolah-olah sifat syaitan telah memasuki diri mereka.


 

Ayat 118: Oleh kerana buruknya sifat syaitan itu, maka Allah melaknati mereka. Allah menceritakan perihal syaitan kepada kita di dalam ayat-ayat seterusnya supaya kita dapat mengenali mereka. Lihatlah janji-janji syaitan di dalam ayat-ayat ini.

لَّعَنَهُ اللَّهُ وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whom Allāh has cursed. For he had said, “I will surely take from among Your servants a specific portion.

MALAY

Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku);

 

لَّعَنَهُ اللَّهُ

Yang telah dilaknat oleh Allah, 

Allah melaknat syaitan. Mereka tidak mempunyai peluang untuk bertaubat dan menjadi baik. Jadi, kalau kita mengikuti syaitan, kita juga akan mengalami nasib yang sama.

 

وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu

Kemudian Allah membuka rahsia syaitan supaya kita mengetahuinya dan dapatlah kita mengambil sikap berhati-hati dengan tipu daya mereka. Syaitan berkata yang dia akan mengambil sebahagian dari kalangan hamba Allah. Sebahagian yang mana?

Itulah golongan yang jahil yang tidak memahami wahyu. Mereka yang telah ditetapkan untuk menjadi ahli neraka. Mereka yang tidak ada keinginan untuk mempelajari wahyu Allah dan kerana itu mereka jahil dan senang ditipu oleh syaitan.

Maksud مَّفْرُوضًا adalah ‘mereka yang telah ditetapkan’. Syaitan akan mengambil kebanyakan dari golongan manusia untuk tinggal bersamanya di dalam neraka. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan ini.

Dan dari hadis Nabi, sememangnya lebih ramai manusia yang memasuki neraka daripada syurga. Malah, hanya 1 dari 1,000 orang sahaja yang memasuki syurga. Seperti sabda Nabi:

“Allah berfirman: “Wahai Adam!” maka ia menjawab: “Labbaik wa sa’daik” kemudian Allah berfirman: “Keluarkanlah dari keturunanmu delegasi neraka!” maka Adam bertanya: “Ya Rabb, apakah itu delegasi neraka?” Allah berfirman: “Dari setiap 1000 orang 999 di neraka dan hanya 1 orang yang masuk surga.” Maka ketika itu para sahabat yang mendengar bergemuruh membicarakan hal tersebut. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah di antara kami yang menjadi satu orang tersebut?” Maka beliau bersabda: “Bergembiralah, kerana kalian berada di dalam dua umat, tidaklah umat tersebut berbaur dengan umat yang lain melainkan akan memperbanyaknya, yaitu Ya’juj dan Ma’juj. Pada lafaz yang lain: “Dan tidaklah posisi kalian di antara manusia melainkan seperti rambut putih di kulit sapi yang hitam, atau seperti rambut hitam di kulit sapi yang putih.” (HR. Bukhari dan Muslim)


 

Ayat 119: Allah menyambung lagi kata-kata syaitan:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعٰمِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللهِ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I will mislead them, and I will arouse in them [sinful] desires, and I will command them so they will slit the ears of cattle, and I will command them so they will change the creation of Allāh.” And whoever takes Satan as an ally instead of Allāh has certainly sustained a clear loss.

MALAY

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

 

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka

Syaitan akan menyesatkan bahagian manusia yang telah ditetapkan akan masuk ke neraka bersamanya kelak. Di dalam hadis, ada diriwayatkan bahawa 999 daripada 1,000 orang manusia akan masuk ke dalam neraka.

Sesat yang pertama adalah dari segi akidah. Sekiranya syaitan dapat menyesatkan manusia dari segi akidah, itu adalah pencapaian yang amat tinggi sekali. Kerana mereka yang sesat akidah, akan duduk di neraka selama-lamanya.

 

وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ

dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, 

Kemudian, syaitan akan membisikkan khayalan-khayalan, angan-angan untuk mendapatkan sesuatu kelebihan, pahala dan sebagainya. Inilah yang banyak terjadi kepada ahli tarekat. Mereka telah disesatkan dengan kepercayaan kononnya mereka akan mendapat kelebihan tertentu.

Padahal tiada pun amalan dan kelebihan yang dikatakan oleh guru mereka kerana mereka menggunakan hadis palsu yang bertentangan dengan wahyu. Hadis palsu itu adalah daripada bisikan syaitan. Mereka berpandukan hadis palsu itu kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan sejak awal lagi.

Maknanya, syaitan akan membisikkan khayalan kepada mereka bahawa mereka akan mendapat kelebihan-kelebihan istimewa. Pahala sebesar langit dan bumi, naik ke tingkatan maqam yang tinggi, dan bermacam-macam lagi. Ketahuilah, kelebihan-kelebihan yang dikatakan itu sebenarnya dibisikkan oleh syaitan, bukannya datang dari Allah.

Untuk mengenal mana yang benar, maka amat perlu membandingkan dengan wahyu samada ia dari Qur’an atau dari Hadis Nabi yang sahih. Tetapi malangnya, mereka yang belajar ilmu tarekat dan tasawuf itu, kebanyakannya tidak belajar wahyu pun, mereka hanya mendengar kata-kata guru mereka sahaja. Guru mereka pula mendapat ilmu dari mimpi dan khayalan semata-mata.

Untuk peringkat orang biasa, dia akan membisikkan dengan harapan yang berbagai seperti – mendapat itu dan ini, akan menjadi kaya, akan menjadi terkenal, dan bermacam-macam lagi. Dan untuk mendapatkan semua itu ada yang sanggup membuat dosa dan kezaliman kepada orang lain. Itu semua adalah dari bisikan syaitan. Syaitan sangat ingin kita membuat perkara yang salah.

Itulah jenis syirik i’tiqadi. Selepas ini akan membicarakan syirik amali pula. Ayat ini menceritakan kedua-dua bahagian syirik.

 

فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعٰمِ

dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka tebuk telinga binatang-binatang ternak,

Selepas mereka mengikut bisikan syaitan, manusia akan mengikut arahan syaitan dan meninggalkan wahyu dari Qur’an dan sunnah. Mereka membuat ilmu sendiri dan ini amat banyak terjadi.

Syaitan boleh memerintah manusia yang lemah akidah melalui bisikan. Syaitan sebenarnya susah hendak membisik masuk kepada manusia disebabkan manusia ada pengawal dari malaikat. Tetapi apabila manusia lalai leka dan sudah rosak akidah, malaikat akan meninggalkan manusia itu dan syaitan pun boleh masuk.

Syaitan akan menyuruh mereka menebuk lubang pada telinga binatang ternak. Ini merujuk kepada fahaman Musyrikin Mekah dahulu. Setelah akidah mereka rosak, mereka akan membuat amalan syirik pula. Ada binatang ternak mereka yang diserahkan kepada wakil Allah seperti Nabi, wali, jin dan malaikat. Haiwan-haiwan diberi gelaran bahirah, saibah, dan wasilah.

Mereka menebuk telinga binatang itu sebagai tanda ianya “sembahan” untuk wakil-wakil Allah. Supaya binatang itu tidak diganggu sampai mati. Binatang yang sebegitu tidak boleh dimakan sehingga ia mati sendiri. Maksudnya, sekiranya ada orang nampak binatang itu dengan telinga yang ditebuk, mereka tidak akan kacau haiwan itu.

Sama seperti di zaman sekarang, kita boleh lihat bagaimana agama Hindu memuliakan lembu. Sehingga mereka tidak kacau lembu yang berjalan berkeliaran. Mereka tidak menangkapnya dan mereka juga tidak makan dagingnya. Sehinggakan kalau lembu itu menghalang laluan keretapi pun, mereka akan membiarkan sahaja (keretapi yang kena berhenti dan menunggu lembu berlalu).

Maknanya, syaitan akan menyuruh manusia membuat perkara baharu di dalam agama. Di zaman sekarang kita boleh tengok ramai manusia yang jahil yang memakai logo capal, lambang capal, kopiah capal dan bermacam-macam lagi. Kononnya dengan memakai logo dan lambang capal itu, mereka akan mendapat berkat, akan mendapat kelebihan-kelebihan. Ini  adalah karut sekali.

 

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللهِ

dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”.

Dan syaitan akan menyuruh mereka sehingga mereka mengubahsuai agama Allah. Ibn Abbas mengatakan lafaz خَلْقَ اللهِ bermaksud ‘agama Allah’. Mereka mencipta amalan syirik dan bidaah dan mereka mendakwa itu adalah sebahagian dari agama, tanpa diberikan dalil.

Mereka juga menghalal dan mengharamkan makanan atau apa-apa sahaja, dengan itu mereka telah mengambil tugas Allah. Maka perbuatan pantang memantang adalah bahaya kerana ia mengharamkan makanan yang Allah telah halalkan.

Kalau diterjemah خَلْقَ اللهِ di dalam maksud biasa, ia mengenai mengubah kejadian yang Allah telah tetapkan. Contohnya di zaman sekarang, ramai lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki. Kerana mereka tidak setuju dengan apa yang Allah telah jadikan. Maka mereka telah mengubah-ngubah mana yang mereka tidak suka.

Begitu juga, ada yang memakai tattoo. Kulit yang elok-elok comel, mereka rosakkan dengan memakai tattoo dan sebagainya. Perempuan pula ada yang menukar rambut asal mereka, ada yang mencabut kening dan sebagainya.

Ada yang tidak suka dengan warna mata mereka dan memakai contact lense untuk warnakan mata mereka menjadi warna lain dan bermacam-macam lagi perubahan yang manusia jalankan kepada diri mereka. Kalau mereka cacat dan mahu dipulihkan semula seperti orang biasa, itu dibenarkan.

Menurut hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim (muttafaq alaih):

لعن الله الواشمات والموتشمات ، والمتنمصات ، والمتفلجات للحسن ، المغيرات خلق الله

Artinya: Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya, melakukan tatu di wajahnya (mutawasshimah), menghilangkan rambut dari wajahnya, menyambung giginya, demi kecantikan, mereka telah merubah ciptaan Allah.

Dan mengubah ciptaan Allah ini juga termasuk menukar sifat asal sesuatu perkara yang Allah telah jadikan. Sebagai contoh, perbuatan homoseksual termasuk dalam perkara ini kerana ianya bukanlah perlakuan seksual yang normal. Begitu juga kalau memandulkan wanita kerana wanita memang dilahirkan untuk melahirkan.

Begitu jugalah kalau mengkasi lelaki menjadi pondan. Juga kalau memaksa wanita melakukan kerja lelaki. Dan banyak lagi contoh-contoh yang boleh termasuk dalam perkara ini.

 

وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللهِ

Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, 

Iaitu mereka mengikut bisikan dan arahan dari syaitan itu.

 

فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.

Mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat nanti. Di dunia, mereka membuat perkara yang sia-sia dan di akhirat kelak, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 120:

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطٰنُ إِلَّا غُرُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He [i.e., Satan] promises them and arouses desire in them. But Satan does not promise them except delusion.

MALAY

Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.

 

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ

Syaitan menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; 

Syaitan menjanjikan bahawa ada kebaikan di dalam amalan yang salah. Mereka membisikkan janji-janji pahala yang banyak sekiranya mereka melakukan amalan-amalan syirik dan bidaah. Mereka mengajarkan akidah yang salah dan membisikkan ganjaran palsu.

Dan syaitan juga memberikan harapan palsu kepada manusia supaya hanya menumpukan kehidupan mereka dengan kejayaan dunia sahaja sehingga mereka langsung melupakan tentang akhirat. Mereka akan membiarkan manusia berangan, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jadi, manusia akan mengejar dan terus mengejar, segala impian hidup mereka tetapi akhirnya sia-sia. Oleh sebab itu ramai yang leka dengan pekerjaan dunia sehingga melupakan akhirat hanya semata-mata ingin mengejar janji syaitan itu.

Itulah bahayanya materialism. Iaitu mementingkan kebendaan —  sekarang manusia mementingkan pakaian yang dipakai, kereta yang cantik, rumah yang besar… dan sebagainya. Itu sahaja yang mereka fikirkan dan banggakan.

Tujuannya? Supaya manusia terikat dengan dunia dan melupakan akhirat. Kerana untuk mendapatkan segala keindahan dunia itu, memerlukan ruang masa yang banyak sehinggakan tidak ada masa lagi untuk belajar.

Kemudian mereka akan disibukkan pula untuk menjaga hartabenda. Dan apabila sudah menjadi kaya, terbukalah peluang untuk membuat dosa yang pelbagai jenis, kerana sudah mempunyai wang ringgit  serta peluang yang banyak. Pelbagai cara yang boleh digunakan oleh syaitan untuk menipu manusia.

Maka, kita haruslah berhati-hati. Bukanlah tidak boleh  untuk mencapai kejayaan dunia, tetapi janganlah sampai kejayaan dunia itu menyesatkan dan menjerumuskan kita ke dalam neraka.

 

وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطٰنُ إِلَّا غُرُورًا

dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.

Yang dijanjikan syaitan adalah penipuan semata-mata. Tujuan syaitan itu, hanyalah untuk melalaikan kita. Ghurur adalah penipuan yang berjaya dilakukan jikalau kita lalai. Maka, janganlah kita lalai. Dia mengajak kita mengikuti jalannya, tetapi nanti di akhirat dia akan berbahas pula mengatakan memang dia telah sengaja menipu kita dan mengapa pula kita mengikut dia?  Ini ada disebut di dalam Ibrahim:22.

Jika ingin mengetahui sama ada janji dari syaitan itu benar ataupun tidak, kita mesti membandingkannya dengan nas yang sahih. Sekiranya ada si fulan yang mengatakan amalan itu dan ini akan mendapat ganjaran begitu dan begini, mintakan dia agar memberikan dalil yang sahih. Jikalau dia tidak dapat memberikan dalilnya, maka ingatkanlah dia, supaya meninggalkan sahaja amalan tersebut. Amalkan amalan yang sudah pasti sahihnya.

Syaitan mahu manusia melupakan akhirat dan memberikan tumpuan hanya kepada dunia sahaja. Sama ada syaitan akan menipu manusia dengan berkata: “Takkan akhirat itu ada”; atau syaitan membisikkan kepada manusia yang “Akhirat itu tidak ada apa-apa, kamu pasti akan selamat”. Maka manusia akan terus hanyut lalai dan leka dengan kehidupan dunia.


 

Ayat 121:

أُولَٰئِكَ مَأْوىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The refuge of those will be Hell, and they will not find from it an escape.

MALAY

Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

 

أُولَٰئِكَ مَأْوىٰهُمْ جَهَنَّمُ

Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, 

Apabila terpedaya dengan bisikan dan janji syaitan, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam. Sememangnya itulah yang dikehendaki oleh syaitan.

 

وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا

dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak dapat menjumpai jalan untuk keluar dan juga tempat untuk berlindung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 114 – 116 (Apakah Syirik)

Ayat 114: Ini adalah sambungan dari kes kecurian yang dilakukan oleh satu puak Munafik yang telah diceritakan dalam ayat-ayat sebelum ini. Ayat yang sedang kita bincangkan ini menyentuh tentang perbincangan senyap-senyap mereka untuk melakukan pembohongan.

Sepatutnya mereka serahkan yang mencuri itu supaya boleh dijalankan hukum hudud dan perkara itu akan selesai. Tapi sebaliknya mereka hendak menipu.

Selalunya rancangan jahat akan dibuat malam hari. Tapi tidak semestinya hanya malam hari sahaja, kalau buat siang hari, tapi masih perbincangan yang jahat, itu pun salah juga. Bukanlah larangan total untuk mengadakan perbincangan rahsia. Kalau berbincang untuk buat kebaikan, itu dibenarkan, dan itu adalah elok. Maka sekarang disebut perbincangan rahsia yang baik pula.

۞ لّا خَيرَ في كَثيرٍ مِّن نَّجوىٰهُم إِلّا مَن أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَو مَعروفٍ أَو إِصلٰحٍ بَينَ النّاسِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللهِ فَسَوفَ نُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No good is there in much of their private conversation, except for those who enjoin charity or that which is right or conciliation between people. And whoever does that seeking means to the approval of Allāh – then We are going to give him a great reward.

MALAY

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.

 

لّا خَيرَ في كَثيرٍ مِّن نَّجوىٰهُم

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka,

Tidak ada kebaikan langsung dari kebanyakan perbincangan rahsia manusia. Lafaz نَجوا selalunya digunakan untuk perbincangan yang melibatkan tiga orang ke atas. Dan ianya adalah perbincangan yang rahsia sebab tak mahu orang tahu.

Dan selalunya yang dibincangkan adalah perkara yang tidak baik, dan adanya kutuk mengutuk dalam perbincangan itu. Dan kalau ada orang nampak kita bersembang dengan orang lain secara rahsia, tentu mereka akan rasa tidak selesa dan rasa macam kita bercakap tentang mereka pula.

Dalam ayat ini, Allah kata ‘kebanyakan’ dari perbincangan rahsia itu sahaja, bukan semuanya.

 

إِلّا مَن أَمَرَ بِصَدَقَةٍ

kecuali yang menyuruh bersedekah, 

Melainkan perbincangan tertutup yang berbincang untuk sedekah. Katakanlah ada kawan kita yang jatuh susah, kena musibah malapetaka dan sebagainya. Kita pun duduk pakat dengan kawan-kawan lain untuk kumpul duit untuk beri sumbangan kepadanya.

Dan memang perbincangan itu perbincangan rahsia kerana tidak mahu kawan yang kena musibah itu dengar. Kerana kita tidak mahu dia rasa malu.

 

أَو مَعروفٍ

atau berbuat kebaikan,

atau dengan tujuan untuk melakukan perkara baik yang lain yang dibenarkan oleh syarak. Inilah yang disebut amar ma’ruf nahi munkar.

Perkara ini disebut dalam bentuk yang umum sahaja sahaja dalam ayat ini. Tidak disebut apakah yang ‘makruf’ itu kerana ia boleh jadi macam-macam. Ianya sesuatu yang makruf (semua orang tahu) ianya untuk kebaikan. Kita pun tahu sendiri mana yang baik, mana yang tidak, melainkan kalau bodoh sangat sampai itu pun tak tahu nak bezakan.

Sebagai contoh, kita buat rancangan untuk senyap-senyap pergi kepada seseorang dan nasihat dia untuk solat. Benda macam ini mungkin elok kalau dilakukan secara rahsia kerana tidak mahu memalukan sesiapa. Kerana kalau dia tidak suka ditegur di khalayak ramai, bukan dia nak ikut apa yang kita kata, tapi dia akan marah kepada kita pula kerana memalukan dia.

 

أَو إِصلٰحٍ بَينَ النّاسِ

atau untuk mendamaikan di antara manusia. 

Atau nak mendamaikan mereka yang berbalah. Ada perbalahan yang terjadi antara dua puak, dua orang atau dua keluarga. Kita pun nak jadi orang tengah. Kita buat perbincangan rahsia dengan mereka, sebab tak mahu orang tahu. Ini pun dibolehkan juga.

Mendamaikan sesama manusia adalah perbuatan yang amat mulia sekali.

Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat? Jawab para sahabat: Bahkan (Ya). Sabda baginda: mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” – Riwayat Abu Daud.

Malah, kita dibenarkan untuk ‘menipu’ kalau dalam rangka untuk mendamaikan. Ia tidak dikira sebagai menipu. Dalilnya:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ، حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا صَالِحُ بْنُ كَيْسان، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمِ بْنِ عُبَيد اللَّهِ بْنِ شِهَابٍ: أَنَّ حُمَيْدَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ أَخْبَرَهُ، أن أمه أم كلثوم بنت عقبة أَخْبَرَتْهُ: أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي  يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ فَيَنْمِي خَيْرًا -أَوْ يَقُولُ خَيْرًا” وَقَالَتْ: لَمْ أَسْمَعْهُ يُرَخِّصُ فِي شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُهُ النَّاسُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: فِي الْحَرْبِ، وَالْإِصْلَاحِ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثِ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ، وَحَدِيثِ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا. قَالَ: وَكَانَتْ أُمُّ كُلْثُومٍ بِنْتُ عُقْبَةَ مِنَ الْمُهَاجِرَاتِ اللَّاتِي بَايَعْنَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ya’qub, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Saleh ibnu Kaisan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Muslim ibnu Ubaidillah ibnu Syihab, bahawa Humaid ibnu Abdur Rahman ibnu Auf pernah menceritakan kepadanya bahawa ibunya (yaitu Ummu Kalsum binti Uqbah) menceritakan kepadanya bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Bukanlah pendusta orang yang mengadakan perdamaian di antara manusia, lalu dia menyebarkan kebaikan atau mengatakan kebaikan. Ummu Kalsum binti Uqbah mengatakan, “Aku belum pernah mendengar beliau Saw. memberikan rukhsah (keringanan) terhadap apa yang diucapkan oleh manusia barang sedikit pun, kecuali dalam tiga perkara, yaitu dalam peperangan, mengadakan perdamaian di antara manusia, dan pembicaraan suami terhadap isterinya serta pembicaraan isteri terhadap suaminya.”
Imam Ahmad mengatakan bahawa Ummu Kalsum binti Uqbah termasuk salah seorang wanita yang berhijrah dan ikut berbaiat (berjanji setia) kepada Rasulullah Saw.

Dari ayat ini, kita boleh tahu yang tiga jenis perbincangan rahsia jenis tiga ini sahaja yang dapat pahala. Kalau selain dari itu, kebanyakannya hanya menyebabkan dosa sahaja.

Maka kena berhati-hati dalam perbincangan rahsia kita. Amat bahaya perbincangan rahsia kerana ia boleh menuju kearah keburukan. Biasalah bila dah ramai-ramai.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللهِ فَسَوفَ نُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا

Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.

Sesiapa yang berbuat tiga perkara itu untuk mencari redha Allah, pasti mendapat pahala besar. Jadi ini adalah syarat kenapa perkara itu dilakukan.

Maknanya, dia buat semua itu kerana ikhlas untuk Allah. Pahala besar kerana bukan senang nak buat perkara-perkara macam itu. Ada sahaja yang nak lawan tak mahu terima.


 

Ayat 115: Ayat takhwif ukhrawi dan tentang kewajipan mengikut sunnah dan para sahabat. Ayat ini menjadi dalil bagi ijma’.

Jadi orang Sunnah tidaklah menolak ijma’ seperti yang dituduh oleh mereka yang jahil. Memang ijma’ adalah salah satu dari sumber hukum dalam Islam selain Qur’an dan Sunnah.

وَمَن يُشاقِقِ الرَّسولَ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُ الهُدىٰ وَيَتَّبِع غَيرَ سَبيلِ المُؤمِنينَ نُوَلِّهِ ما تَوَلّىٰ وَنُصلِهِ جَهَنَّمَ ۖ وَساءَت مَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever opposes the Messenger after guidance has become clear to him and follows other than the way of the believers – We will give him what he has taken¹ and drive him into Hell, and evil it is as a destination.

  • i.e., make him responsible for his choice.

MALAY

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

وَمَن يُشاقِقِ الرَّسولَ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُ الهُدىٰ

Dan sesiapa yang menolak (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang munafik yang tidak suka dengan keputusan Nabi Muhammad ﷺ yang akhirnya menyebelahi Yahudi setelah terbukti dia yang bersalah. Maka dia telah melarikan diri ke pihak musuh di Mekah dan bergabung dengan musuh untuk menentang Islam di Madinah.

Tapi ayat ini juga berbentuk umum. Sesiapa sahaja yang menolak ajaran Sunnah Rasulullah ﷺ, setelah nyata kepadanya bahawa itulah jalan hidayat. Sesiapa sahaja, samada orang Islam atau tidak, orang yang berilmu atau tidak. Lafaz يُشاقِقِ bermaksud ‘berpecah’, macam parti politik yang selalu berpecah. Dalam ayat ini, mereka berpecah dari mengikuti Nabi dan kalau begitu, maksudnya mereka menolak.

Menentang itu boleh jadi dalam apa cara sekali pun. Mungkin ada tak suka dengan keputusan Nabi. Mungkin ada yang tidak suka Sunnah Nabi, tidak percaya kepada hadis, dan sebagainya.

Ajaran Nabi adalah ajaran yang kekal sepanjang zaman. Jadi jangan guna alasan yang zaman Nabi lain, zaman kita lain. Perkara ibadat tidak berubah, yang berubah adalah perkara yang terlibat dengan zaman (keadaan semasa – ini dinamakan ‘muamalah’).

Oleh itu, hal kehidupan kita seperti pakaian, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya, itu boleh ikut keadaan zaman semasa. Tapi hal ibadat, ianya tetap kekal sepanjang zaman dan tidak berubah. Solat zaman Nabi sama sahaja dengan solat zaman sekarang, tidak perlu diubah-ubah, tidak perlu ditambah-tambah.

Ada ramai yang jahil agama. Tapi ada yang setelah diberitahu kepada mereka kesalahan amalan dan fahaman mereka, mereka masih tolak juga, jadi tidak ada alasan lagi pada mereka. Mereka tidak boleh menggunakan alasan yang mereka tidak tahu, kerana mereka sudah tahu.

Ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat lain menunjukkan kewajipan ikut sunnah Nabi, bukan hanya ikut Qur’an sahaja. Jadi, pegangan golongan anti-hadis yang berhujah, hanya Qur’an sahaja yang patut dipegang adalah berlawanan dengan apa yang disebut oleh hadis ini. Maknanya, mereka pun tidak berpegang kepada Qur’an juga.

 

وَيَتَّبِع غَيرَ سَبيلِ المُؤمِنينَ

dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, 

Sesudah tolak jalan Rasul, dia ikut pula jalan yang bukan jalan orang mukmin. Dia buat cara yang lain dari cara orang lain yang mukmin.

Ayat inilah dalil untuk ijmak seperti kata Imam Syafie. Beliau mencari dalil bagi ijmak umat Islam dalam Qur’an dan beliau membaca keseluruhan Qur’an selama tiga hari (tiga kali setiap hari) untuk mencari dalilnya. Dan beliau yakin ayat ini adalah dalilnya dan apabila beliau mengutarakannya kepada ulama-ulama yang lain, mereka pun bersetuju.

Ijmak adalah satu sumber hukum dalam agama kerana orang mukmin tidak akan bersetuju semua sekali pada satu jalan yang salah. Ini seperti sabdar Rasulullah ﷺ:

Ertinya: “umatku tidak akan bersepakat untuk melakukan kesalahan.”
(HR. Abu Daud dan Tirmizi)

Yang paling penting, lafaz سَبيلِ المُؤمِنينَ adalah jalan para sahabat Nabi. Merekalah yang belajar sendiri dengan Nabi Muhammad ﷺ, mereka amat sayang kepada baginda dan kepada agama, mereka sanggup berkorban apa sahaja, mereka telah dipilih oleh Allah untuk menjadi pembantu Nabi menyebarkan agama, maka tentulah ilmu mereka tentang agama adalah yang terbaik sekali selepas Nabi.

Maka, jalan merekalah yang kita kena ikut. Jadi, amalan agama kita kenalah bandingkan dengan mereka. Adakah mereka buat Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Kenduri Arwah, adakah mereka menyambut Mawlid Nabi? Kalau mereka tak buat, tapi kita buat, kita ikut siapa sebenarnya?

Ramai yang mengaku mereka itu dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Tapi apabila kita lihat, amalan mereka bukannya amalan sunnah dan banyak yang amalan bidaah. Amat malu dan menggelikan hati apabila mereka mengaku yang mereka itu Ahli Sunnah wal Jamaah (siap buat kumpulan yang dinamakan Aswaja pula).

Mereka agaknya tidak tahu yang Ahli Sunnah wal Jamaah itu maksudnya mengikut dan berpegang pada hadis yang sahih dan jalan para sahabat.

 

نُوَلِّهِ ما تَوَلّىٰ

Kami akan memalingkannya ikut arah yang dia telah berpaling,

Kerana mereka telah berpaling dari jalan Nabi dan para sahabat, maka Allah terus palingkan mereka jauh dari agama yang benar. Kerana mereka yang hendak begitu. Jadi, mereka akan terus berada di jalan yang salah.

Allah beri mereka nampak amalan mereka sebagai molek sahaja. Sampaikan bidaah pun mereka beri nama ‘Bidaah Hasanah’, supaya nampak molek sahaja amalan yang salah itu.

Di dunia, Allah akan biarkan apa yang dia mahukan. Allah akan bagi ‘menjadi’ apa yang dia ingin lakukan. Sebagai contoh, ramai yang amalkan Selawat Syifa’ yang syirik itu. Dan mereka kata mereka berjaya menyembuhkan orang dengan Selawat itu. Allah bagi ‘menjadi’ amalan salah mereka itu. Kalau orang nak jadi sesat, Allah akan biarkan sahaja.

Kerana manusia ada free will. Jadi, nampak dia boleh sahaja amalkan apa yang dia hendak amalkan, tanpa ada balasan buruk dari Allah. Jadi mereka kata: “Kalau salah, takkan berjaya apa yang kami amalkan ini, takkan Allah benarkan”. Maka, teruslah mereka berada dalam kesesatan. Ingatlah, kalau Allah ‘benarkan’, tidaklah bermakna Allah ‘redha’.

 

وَنُصلِهِ جَهَنَّمَ

dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; 

Tapi ingat, di akhirat kelak dia akan dimasukkan ke neraka jahannam. Jangan dia sangka yang dia bebas nak buat apa sahaja semasa di dunia, bermakna dia bebas juga di akhirat.

 

وَساءَت مَصيرًا

dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Tidak ada tempat lagi yang lagi buruk dari neraka itu. Maka berhati-hatilah dengan apa pegangan kita. Jangan nak sedap mulut sahaja cakap begitu dan begini. Kena hati-hati kerana kalau silap langkah, akan masuk ke neraka. Tak takut neraka kah?

Habis Ruku’ ke 17 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 116: Telah selesai ayat-ayat urusan pentadbiran seperti terdapat di dalam ayat sebelum ini. Sekarang Allah kembali berbicara mengenai tajuk akidah pula.

Sebelum ini telah disebut pelbagai jenis hukum dan dosa-dosa. Ingatlah bahawa segala jenis dosa yang telah disebut itu akan diberikan keampunan di akhirat kelak hanya jika Allah yang menghendakinya. Ataupun Allah boleh sahaja memasukkan hambaNya ke dalam neraka, dan selepas melalui azab, mereka akan dikeluarkan dan seterusnya dimasukkan ke dalam syurga.

Tetapi terdapat jenis dosa yang tiada keampunan langsung dari Allah. Maknanya, tidak ada peluang untuk memasuki syurga langsung. Dosa tersebut adalah dosa syirik.

Amatlah rugi sekali, jika seseorang tidak memahami ilmu tauhid dan tidak menyedari bahawa amalan yang mereka amalkan itu mengandungi unsur syirik. Ini kerana mereka yang mengamalkan syirik akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Segala amalan yang dilakukan semasa masih mengamalkan syirik tidak akan mendapat pahala langsung. Amalan mereka itu menjadi sia-sia belaka.

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh does not forgive association with Him, but He forgives what is less than that for whom He wills. And he who associates others with Allāh has certainly gone far astray.

MALAY

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu

Allah menegaskan di dalam ayat ini yang Dia tidak akan mengampuni dosa syirik. Maka, amatlah bahaya kalau kita mempunyai fahaman syirik atau mengamalkan amalan syirik semasa kita hidup dan tidak sempat untuk bertaubat serta minta keampunan daripadaNya.

Maksud Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik adalah kalau kita tidak sempat untuk meminta keampunan dari Allah sebelum kita mati. Dosa syirik masih lagi boleh diampunkan, tetapi orang yang membuat dosa syirik itu haruslah meminta ampun secara khusus.

Tetapi untuk meminta ampun di atas dosa syirik, seseorang itu haruslah mengetahui yang dia telah melakukan syirik. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui apakah maksud tauhid dan maksud syirik yang sebenar-benarnya.

Kebanyakan dari mereka telah salah faham akan maksud sebenar dua perkara ini. Ini  berpunca daripada sikap mereka yang tidak mahu mempelajari tafsir Qur’an. Maka, mereka menyangkakan apa yang mereka buat adalah perkara yang betul, tanpa menyedari hakikat sebenarnya itu adalah perbuatan syirik.

Fahaman syirik adalah fahaman yang bahaya. Syirik adalah perkara di dalam akal kita, jadi manusia lain tidak mengetahui akidah sebenar kita sama ada syirik ataupun tidak. Kalau kita membuat kesalahan di dalam bab ibadat, orang lain boleh nampak dan kalau salah, bolehlah ditegur. Tetapi kalau perkara di dalam akal kita, bagaimana pula untuk menegurnya?

Jadi, setiap umat Islam mestilah mempelajari tafsir Qur’an dan bandingkan fahaman mereka dengan ajaran di dalam Qur’an. Mereka haruslah mengetahui apakah fahaman yang benar dan kemudian bandingkan, sama ada fahaman mereka selari atau tidak dengan Qur’an.

Selepas mempelajari apakah fahaman yang benar, dan kalau kita sebelum itu berfahaman syirik, maka bertaubatlah dan tinggalkan fahaman yang salah itu. Kembalilah kepada agama yang benar. Berdoalah kepada Allah untuk mengampuni dosa syirik kita sebelum itu. Mengakulah yang dulu kita tidak tahu, sekarang setelah belajar, barulah tahu.

Dosa syirik masih boleh diampunkan lagi, tapi dengan syarat, orang yang bersalah itu mestilah memohon keampunan sendiri; dan mesti meminta keampunan semasa dia masih hidup lagi. Kalau mati, maka sudah tidak ada harapan lagi untuknya — hukumannya akan kekal dalam neraka buat selama-lamanya.

Allah menyebutkan tentang syirik selepas menyebut tentang taat kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana ia mempunyai  kaitan rapat  di antara kedua-duanya. Taat kepada Nabi ﷺ adalah tanda taat kepada Allah kerana Nabi ﷺ menyampaikan arahan terus dari Allah. Tidak mentaati Nabi ﷺ, adalah sama seperti tidak mentaati Allah.

 

وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ

dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya

Dosa-dosa yang lain boleh sahaja Allah ampunkan, tetapi hanya  kepada orang yang dikehendakiNya sahaja. Maka harus difahami bahawa, tidaklah wajib bagi Allah untuk mengampunkan dosa sesiapa pun. Tapi kita hanya mampu untuk mengharapkan Rahmat Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa kita yang banyak itu.

Maka, hendaklah kita selalu memohon keampunan dari Allah. Dan elakkanlah diri kita daripada berterusan di dalam dosa. Jangan bersikap ringan dengan dosa. Jangan kata: “tidak mengapa, nanti aku akan minta ampun”. Ini kerana tidak belum pasti Allah akan ampunkan.

Maknanya, mereka yang melakukan syirik dan tidak meminta ampun ketika masih hidup, tidak akan diampunkan sampai bila-bila. Mereka akan kekal berada di dalam neraka buat selama-lamanya tanpa ada peluang untuk keluar dari neraka itu. Walau dia orang Islam sekali pun!

Persoalan yang ditimbulkan oleh manusia jahil adalah: kenapa kekal di dalam neraka sedangkan perbuatannya syiriknya itu adalah sekejap sahaja iaitu semasa dia hidup di dunia?

Jawapannya adalah kerana orang yang melakukan syirik itu berfahaman yang amalannya itu benar. Maka dia tentu akan melakukan berterusan perkara itu sampai bila-bila. Kalaulah dia hidup pun buat selama-lamanya, maka tentu dia akan berterusan melakukan amalan syirik tersebut.

Allah lebih mengetahui yang orang itu akan berterusan melakukan perbuatan syirik itu, maka Allah terus meletakkannya di dalam neraka buat selama-lamanya.

 

وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا

dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Allah memberitahu kita bahawa dosa syirik itu amatlah bahaya. Mereka yang mengamalkan syirik atau mempunyai fahaman syirik,  sebenarnya telah jauh dari kebenaran, jauh yang amat sangat. Apabila berjalan jauh sangat, maka amatlah susah untuk berpatah balik ke tempat yang asal.

Begitulah juga dengan syirik — mengamalkan syirik merupakan satu perbuatan yang amat merbahaya kerana ada yang tidak dapat kembali lagi disebabkan telah terlalu jauh dari kebenaran.

Ayat ini lebih kurang sama maksudnya dengan ayat 48 surah ini juga:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا

Cuma ada perbezaan di kalimat hujung keduanya. Mari kita lihat.

Ayat 48 berakhir dengan: وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا (Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.)

Ayat ini berakhir dengan: وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا بَعيدًا (Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.)

Ulama mufassir mengatakan ayat 48 itu ditujukan kepada golongan Yahudi. Mereka telah mengetahui apakah tauhid, siapakah Allah, siapakah Nabi Muhammad ﷺ, tapi mereka tetap juga meninggalkan tauhid dan mengamalkan ajaran syirik. Dan mereka mengaku yang itu adalah ajaran dari Taurat pula. Sebab itulah mereka dikatakan sebagai افتَرىٰ (mereka-reka) amalan baru.

Sedangkan ayat 116 ini pula ditujukan kepada golongan musyrikin seperti di Mekah itu yang tidak mempunyai kitab agama. Tetapi perbuatan syirik mereka itu jelas bersalahan dengan akal yang sihat dan kerana itu mereka dikatakan telah jauh tersesat. Sesat jauh dari akal yang sihat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 110 – 113 (Jangan tuduh orang lain)

Ayat 110: Ini adalah targhib (motivasi) kepada taubat. Allah suruh mereka yang telah melakukan kesalahan itu supaya bertaubat.

مَن يَعمَل سوءًا أَو يَظلِم نَفسَهُ ثُمَّ يَستَغفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does a wrong or wrongs himself but then seeks forgiveness of Allāh will find Allāh Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

مَن يَعمَل سوءًا

Dan sesiapa yang melakukan dosa besar

Lafaz سوءًا merujuk kepada perkara yang buruk, ianya memang buruk kepada orang kafir pun. Tak perlu jadi orang Islam pun sudah tahu ianya adalah perkara buruk.

 

أَو يَظلِم نَفسَهُ

atau menganiaya dirinya sendiri 

Iaitu membawa dosa kecil. Kerana dosa kecil ini walaupun bukan dosa besar tapi akan menyusahkan diri kita nanti. Kerana ia akan ditimbang dan akan menjadi berat di akhirat kelak.

 

ثُمَّ يَستَغفِرِ اللَّهَ

kemudian dia memohon ampun kepada Allah, 

Ada manusia yang selepas buat dosa besar atau kecil, dia sedar kesalahannya dan kemudian dia minta ampun. Iaitu dia minta ampun dengan penuh keikhlasan.

 

يَجِدِ اللَّهَ غَفورًا رَّحيمًا

nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah akan maafkan dosanya itu. Kerana Allah Maha Pengampun dan suka untuk mengampunkan dosa manusia. Tapi kenalah tahu syarat ampun diterima oleh Allah:

1. Rasa bersalah dan malu dengan kesalahan yang telah dilakukan
2. Terus meninggalkan dosa itu
3. Berazam untuk tidak melakukannya lagi di masa hadapan

Kecuali kalau dosa itu ada sangkut paut dengan manusia, maka kena pulangkan balik (kalau curi barang) dan minta maaf kepada orang yang terlibat.

Dan kalau ianya adalah berkenaan kesalahan Hudud, maka hukum Hudud kena dijalankan. Cuma negara kita sekarang tidak diamalkan hukum hudud maka syarat ini tidak terpakai.


 

Ayat 111:

وَمَن يَكسِب إِثمًا فَإِنَّما يَكسِبُهُ عَلىٰ نَفسِهِ ۚ وَكانَ اللَّهُ عَليمًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever earns [i.e., commits] a sin only earns it against himself. And Allāh is ever Knowing and Wise.

MALAY

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

وَمَن يَكسِب إِثمًا فَإِنَّما يَكسِبُهُ عَلىٰ نَفسِهِ

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya bala akan menimpa dirinya sendiri.

Dosa itu akan jadi musibah yang akan menimpa orang itu sendiri. Ia tidak melibatkan orang lain. Tidak boleh dia nak salahkan orang lain atau dia nak beri dosa itu kepada orang lain.

Ayat ini semakna dengan ayat yang lain, yaitu firman-Nya:

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرى

dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. (Al-An’am: 164)

 

وَكانَ اللَّهُ عَليمًا حَكيمًا

Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan. Maka Allah layak nak kenakan apa-apa hukuman kepada kita.

Dan Dia Maha Bijaksana dalam menghukum. Kadangkala Allah beri tangguh tanpa terus memberi azab kepada kita kerana Allah memberi peluang kepada kita untuk bertaubat.

Kalaulah Allah terus azab kita setelah kita melakukan dosa, maka tentu kita telah lama susah ditimpa azab bertimpa-timpa dari dulu lagi.


 

Ayat 112: 

وَمَن يَكسِب خَطيئَةً أَو إِثمًا ثُمَّ يَرمِ بِهِ بَريئًا فَقَدِ احتَمَلَ بُهتٰنًا وَإِثمًا مُّبينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But whoever earns an offense or a sin and then blames it on an innocent [person] has taken upon himself a slander and manifest sin.

MALAY

Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.

 

وَمَن يَكسِب خَطيئَةً أَو إِثمًا

Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa,

Sesiapa yang buat dosa kecil atau dosa besar. Lafaz خَطيئَةً boleh bermaksud kesilapan yang tidak sengaja dan إِثمًا adalah dosa yang sengaja dilakukan.

 

ثُمَّ يَرمِ بِهِ بَريئًا

kemudian dia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, 

Sudahlah buat dosa, tapi tuduh orang lain yang tidak bersalah pula. Kalau begitu, dia telah melakukan dosa yang berganda. Seperti yang dilakukan oleh Bani Ubairiq, ketika dia melemparkan tuduhan perbuatan jahatnya kepada orang lain yang dikenal saleh, yaitu Labid ibnu Sahl, sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis sebelum ini.

Atau kalau dia telah melakukan kesilapan, asalnya tidak berdosa; tetapi jikalau dia menyalahkan orang lain, maka itulah yang dosanya. Ada orang yang susah untuk mengaku buat kesalahan, maka mereka akan tuduh orang lain. Padahal asalnya kesalahan itu tidak besar mana pun.

Oleh itu, kita kena ajar anak kita supaya berani menanggung kesalahan yang dilakukan sendiri. Ada anak-anak yang tidak mengaku walaupun mereka telah melakukan kesilapan.

Kadang-kadang mereka menuduh orang lain kerana mereka takut mereka akan dimarahi oleh kita. Kita kena ajar mereka untuk tidak buat begitu. Kena ajar mereka untuk berani menerima tanggungjawab di atas kesalahan mereka.

 

فَقَدِ احتَمَلَ بُهتٰنًا

maka sesungguhnya dia telah memikul kesalahan berbuat dusta, 

Di akhirat nanti, dia akan pikul kesalahan besar itu. Dia akan pikul di belakangnya dan dia kena bawa kesalahan yang amat besar itu.

Di akhirat nanti, segala dosa kita akan menjelma menjadi sesuatu yang nampak dan ada beratnya. Sekarang sahaja yang kita tidak nampak, tapi ia akan menjelma di akhirat kelak.

 

وَإِثمًا مُّبينًا

dan melakukan dosa yang amat nyata.

Mereka telah melakukan dosa yang jelas, tapi mereka sahaja yang tidak perasan kerana mereka tidak kisah dan tidak hiraukan. Mereka tidak memikirkan bahawa mereka kena tanggung di akhirat kelak.

Habis Ruku’ ke 16 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 113: 

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكَ وَرَحمَتُهُ لَهَمَّت طّائِفَةٌ مِّنهُم أَن يُضِلّوكَ وَما يُضِلّونَ إِلّا أَنفُسَهُم ۖ وَما يَضُرّونَكَ مِن شَيءٍ ۚ وَأَنزَلَ اللَّهُ عَلَيكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَكَ ما لَم تَكُن تَعلَمُ ۚ وَكانَ فَضلُ اللهِ عَلَيكَ عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if it was not for the favor of Allāh upon you, [O Muḥammad], and His mercy, a group of them would have determined to mislead you. But they do not mislead except themselves, and they will not harm you at all. And Allāh has revealed to you the Book and wisdom and has taught you that which you did not know. And ever has the favor of Allāh upon you been great.

MALAY

Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasillah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar.

 

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكَ وَرَحمَتُهُ

Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), 

Kalau tidak kerana Allah, tentulah golongan munafik itu telah berjaya menyesatkan Nabi Muhammad ﷺ. Kalaulah Nabi buat keputusan yang menyalahi syariat, itu adalah kesalahan yang nyata.

 

لَهَمَّت طّائِفَةٌ مِّنهُم أَن يُضِلّوكَ

berkeinginan sungguh segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, 

Segolongan puak Munafik itu hendak menyebabkan Nabi membuat keputusan yang salah.

 

وَما يُضِلّونَ إِلّا أَنفُسَهُم

padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri;

Tapi keinginan mereka tidak berjaya. Mereka nak kenakan Nabi Muhammad ﷺ tapi mereka yang kena kesan yang buruk kepada diri mereka sendiri.

Ayat ini juga terpakai kepada para hakim. Mereka hanya boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah yang mereka terima. Jadi kalau mereka tersalah buat keputusan, mereka tidak berdosa. Yang berdosa adalah mereka yang menipu.

 

وَما يَضُرّونَكَ مِن شَيءٍ

dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; 

Mereka tidak dapat memudaratkan baginda kerana Allah taala jaga Nabi dari melakukan tindakan salah kerana Nabi adalah neraca wahyu.

Kalaulah baginda buat salah, nanti manusia yang datang kemudian akan jadikan itu sebagai contoh amalan pula. Maka kerana itu perbuatan baginda dipelihara.

 

وَأَنزَلَ اللَّهُ عَلَيكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ

dan Allah telah menurunkan kepadamu Kitab serta Hikmah

Kitab yang dimaksudkan adalah Qur’an dan Hikmah itu adalah kefahaman mendalam kepada Qur’an.

Maknanya Allah bukan sahaja wahyukan Qur’an kepada baginda tetapi Allah ilhamkan juga kepada baginda bagaimana mengamalkan Qur’an itu. Maka kerana itu ulamak mengatakan yang hadis juga adalah ‘wahyu’ tapi ia bukan dalam kata-kata Allah, tapi dengan lafaz Nabi Muhammad ﷺ.

Maka kalau kita nak amalkan Qur’an hendaklah kita ambil ajaran dari baginda ﷺ. Kerana itu kena belajar hadis dan Sunnah. Kerana kalau tidak, kita tidak tahu nak amalkan Qur’an bagaimana.

 

وَعَلَّمَكَ ما لَم تَكُن تَعلَمُ

dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. 

Banyak perkara yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu melainkan diturunkan wahyu kepada baginda. Termasuk kes yang terjadi pada waktu itu. Ini mengajar kita bahawa sumber ilmu baginda adalah dari Allah.

Ilmu Nabi Muhammad ﷺ hanyalah setakat yang Allah berikan kepada baginda sahaja. Jadi ini menolak fahaman manusia sesat yang kata Nabi Muhammad ﷺ tahu semua perkara ghaib. Ini adalah mustahil. Cuma kita boleh katakan yang ilmu yang diberikan kepada baginda itu lebih dari orang lain.

 

وَكانَ فَضلُ اللهِ عَلَيكَ عَظيمًا

Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar.

Allah mengingatkan baginda bahawa banyak sekali nikmat telah diberikan kepada baginda. Dan dari nikmat itu jugalah kita dapat agama ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 106 – 109 (Adil dalam menghukum)

Ayat 106: Dalam ayat 105 sebelum ini, telah disebut tentang satu kes kecurian yang dibawa kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah sambungan kepada kisah itu.

وَاستَغفِرِ اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ كانَ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And seek forgiveness of Allāh. Indeed, Allāh is ever Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَاستَغفِرِ اللَّهَ

Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah;

Apa yang Nabi ﷺ terlintas dalam hatinya untuk menghukum lelaki Yahudi itu, dan Allah beritahu yang keputusan baginda itu salah, maka baginda telah istighfar kepada Allah.

Sebenarnya, ia bukanlah dosa pun, kerana ianya hanya lintasan hati baginda sahaja. Baginda telah melakukan ijtihad dan melakukan ijtihad tidak salah. Tetapi kerana baginda seorang Nabi, tidak patut ada perkara sebegitu. Dan ijtihad baginda tidak sama seperti ijtihad ulama yang lain. Kalau ijtihad baginda salah, pasti Allah akan membetulkannya.

Maka, kalau kita jadi hakim, kalau kita ada terasa nak buat keputusan berdasarkan kepada emosi kita, maka kita kena minta ampun kepada Allah. Kedudukan seorang hakim adalah kedudukan yang tinggi, dan mereka kena menjaga emosi mereka juga terikut-ikut.

Sebagai contoh, katakanlah seorang hakim itu baru sahaja melalui proses perceraian yang teruk, isterinya telah ambil segala hartanya…dan katakanlah hari itu dia kena menghakim kes yang sama, bagaimana agaknya perasaan dia?

Tentulah ada sedikit sebanyak emosi marahnya kepada bekas isterinya itu akan membawa kepada keputusannya, bukan? Allah nak beritahu yang perkara itu tidak patut terjadi, dan kalau dia ada rasa sebegitu, kena cepat-cepat minta ampun.

Sebagai pemimpin, hakim atau orang yang berada di kedudukan yang tinggi yang memerlukan dia membuat keputusan, tentulah ada kesalahan yang dia akan buat. Kerana setiap manusia tidak sempurna.

Maka, setiap hari mungkin dia kena buat keputusan yang melibatkan orang lain. Kalau selepas dia buat keputusan dan kemudian dia tahu dia telah buat kesilapan semasa membuat keputusan itu, hendaklah dia meminta ampun kepada Allah.

 

إِنَّ اللَّهَ كانَ غَفورًا رَّحيمًا

sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Selepas Allah suruh minta ampun, Allah terus memberitahu yang Dia Maha Pengampun dan amat kasih kepada hambaNya. Maknanya Allah memberi harapan kepada manusia untuk meminta ampun kepadaNya. Maka mintalah ampun selalu kepada Allah.


 

Ayat 107:

وَلا تُجٰدِل عَنِ الَّذينَ يَختانونَ أَنفُسَهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ مَن كانَ خَوّانًا أَثيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not argue on behalf of those who deceive themselves. Indeed, Allāh loves not one who is a habitually sinful deceiver.

MALAY

Dan janganlah engkau membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.

 

وَلا تُجٰدِل عَنِ الَّذينَ يَختانونَ أَنفُسَهُم

Dan janganlah engkau membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri.

Golongan munafiq itu telah langgar hukum tapi mereka telah bersumpah yang mereka tidak bersalah. Sudahlah mencuri, tapi tidak mengaku dan tuduh orang lain pula. Allah melarang untuk membela orang sebegini. Walaupun mereka rapat dengan kita.

Allah kata mereka ‘mengkhianati diri mereka sendiri’ tapi bukanlah mereka khianat kepada orang lain? Memang begitu tapi Allah hendak memberitahu yang orang khianat kepada orang lain sebenarnya khianat kepada diri mereka sendiri.

Ini adalah kerana dia telah melanggar fitrah dirinya yang tidak suka khianat. Apabila dia telah langgar, maka dia sudah tidak ada ‘pengawal’ lagi yang mengawalnya dari buat dosa. Dalam bahasa Inggeris dipanggil conscience. Maka dia selepas itu tidak rasa takut untuk buat dosa. Dan selepas buat dosa, dia akan membahayakan dirinya sendiri dan menyebabkan dia boleh diazab.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ مَن كانَ خَوّانًا أَثيمًا

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.

Ini adalah tentang mereka yang selalu berkhianat dan berbuat dosa. Selalunya mereka yang menipu, mereka bukanlah menipu sekali sahaja, tapi mereka memang telah menjadikan kerja mereka menipu. Mereka sudah biasa sangat menipu sampai mereka sudah tidak rasa bersalah dah untuk menipu.

Allah tidak suka orang sebegitu dan Allah beritahu kita dalam ayat ini supaya kita jangan pertahankan mereka, jangan berhujah bagi pihak mereka.

Dalam kehidupan seharian pun, kita kena ingat perkara ini. Kita mungkin bukan hakim, tapi perkara ini boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Katakanlah, anak kita nakal di sekolah. Mungkin dia telah kena tangkap kerana menipu dalam peperiksaan. Kalau guru panggil kita untuk menceritakan kesalahan anak kita itu, janganlah kita mempertahankan anak kita dan salahkan guru itu pula. Walaupun dia anak kita, tapi kita kena adil.

Ini mengajar kita untuk letak emosi kita ke tepi, dan meneliti kedudukan sesuatu perkara itu dengan saksama. Setelah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengetahui keadaan sebenar, barulah kita buat keputusan untuk sokong siapa.


 

Ayat 108: 

يَستَخفونَ مِنَ النّاسِ وَلا يَستَخفونَ مِنَ اللهِ وَهُوَ مَعَهُم إِذ يُبَيِّتونَ ما لا يَرضىٰ مِنَ القَولِ ۚ وَكانَ اللَّهُ بِما يَعمَلونَ مُحيطًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They conceal [their evil intentions and deeds] from the people, but they cannot conceal [them] from Allāh, and He is with them [in His knowledge] when they spend the night in such as He does not accept of speech. And ever is Allāh, of what they do, encompassing.

MALAY

Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

 

يَستَخفونَ مِنَ النّاسِ وَلا يَستَخفونَ مِنَ اللهِ

Mereka menyembunyikan daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan daripada Allah.

Keluarga pencuri dalam asbabun nuzul ayat ini bersumpah mengatakan mereka tidak bersalah. Mereka sanggup menipu itu kerana mereka takut malu dengan manusia sahaja, kerana takut mereka dikatakan puak pencuri pula.

Memang manusia akan malu kalau mereka tidak dihormati dalam masyarakat. Sebab itulah kalau kita lihat mereka yang dibicarakan di mahkamah, mereka akan sorok muka mereka. Semua itu kerana malu.

Tapi dengan Allah mereka tidak takut pula. Ini adalah salah sama sekali.

Kadang-kadang mungkin ada kesalahan yang dilakukan oleh ahli keluarga kita. Kita pun tahu kesalahan itu. Tapi mungkin nafsu kita yang takut dicerca atau dipandang hina oleh masyarakat menyebabkan kita menyembunyikan kebenaran dan buat rancangan untuk menutup kebenaran.

Allah beritahu kita dalam ayat ini supaya jangan buat begitu. Jangan kerana malu dengan masyarakat, kita tutup kebenaran dari keluar.

 

وَهُوَ مَعَهُم إِذ يُبَيِّتونَ ما لا يَرضىٰ مِنَ القَولِ

Dan Dia ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancang pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. 

Mereka hendak menipu, sedangkan Allah tahu apa yang telah terjadi. Iaitu ketika mereka bermesyuarat malam hari, berpakat sesama mereka bagaimana mereka hendak berbohong depan Nabi, untuk mengatakan yang puak mereka tidak mencuri.

Allah tidak redha dengan perbuatan mereka itu kerana ianya adalah perbuatan yang amat-amat salah. Itu adalah pakatan jahat.

 

وَكانَ اللَّهُ بِما يَعمَلونَ مُحيطًا

Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

Mereka tidak boleh lepas dari Allah. Kerana ilmu Allah meliputi mereka. Mereka nak lari ke mana lagi?


 

Ayat 109:

هٰأَنتُم هٰؤُلاءِ جٰدَلتُم عَنهُم فِي الحَيوٰةِ الدُّنيا فَمَن يُجٰدِلُ اللَّهَ عَنهُم يَومَ القِيٰمَةِ أَم مَّن يَكونُ عَلَيهِم وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Here you are – those who argue on their behalf in [this] worldly life – but who will argue with Allāh for them on the Day of Resurrection, or who will [then] be their representative?

MALAY

Sedarlah! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)?

 

هٰأَنتُم هٰؤُلاءِ جٰدَلتُم عَنهُم فِي الحَيوٰةِ الدُّنيا

Beginilah keadaan kamu, kamu sangguh membela mereka semasa kehidupan dunia ini,

Kadang-kadang kita buat salah, mempertahankan orang yang bersalah kerana mereka rapat dengan kita. Ini adalah salah.

Kita tidak boleh nak mempertahankan orang lain yang bersalah walaupun mereka itu orang Islam, sahabat kita atau keluarga kita sekali pun.

 

فَمَن يُجٰدِلُ اللَّهَ عَنهُم يَومَ القِيٰمَةِ

maka siapakah yang akan membela depan Allah untuk selamatkan mereka itu pada hari kiamat kelak?

Di dunia bolehlah nak bantu mereka. Tapi bagaimana di akhirat kelak? Kalau Allah tanya mereka di akhirat nanti atas perbuatan mereka, ada yang berani nak bela? Tidak mungkin.

Depan Allah tidak ada sesiapa yang sanggup berhujah dengan Allah. Begitulah Allah perli mereka yang membantu orang yang bersalah.

 

أَم مَن يَكونُ عَلَيهِم وَكيلًا

Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka

Siapa yang boleh jaga mereka dari hukuman Allah? Tentu tidak ada. Maka tak perlu nak bantu orang bersalah dan kata mereka benar pula.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani