Tafsir Surah Qasas Ayat 78 – 80 (Bahaya materialisma)

Ayat 78: Sekarang disebut tentang salah faham Qarun. Bukannya dia hendak mendengar dan mengikut nasihat yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini, tapi lain pula yang dilakukannya.

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي ۚ أَوَلَم يَعلَم أَنَّ اللهَ قَد أَهلَكَ مِن قَبلِهِ مِنَ القُرونِ مَن هُوَ أَشَدُّ مِنهُ قُوَّةً وَأَكثَرُ جَمعًا ۚ وَلا يُسأَلُ عَن ذُنوبِهِمُ المُجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “I was only given it because of knowledge I have.” Did he not know that Allāh had destroyed before him of generations those who were greater than him in power and greater in accumulation [of wealth]? But the criminals, about their sins, will not be asked.¹

  • There will be no need to enumerate their sins separately, as their quantity is obvious and more than sufficient to warrant punishment in Hell.

(MELAYU)

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah ‎ sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.

 

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”.

Ini adalah jawapan Qarun kepada nasihat yang diberikan kepadanya: Pertama sekali dia telah berkata yang dia diberi dengan harta yang banyak; (yang memberi maksud ada seseorang yang memberikan kepadanya), tetapi siapa?

Maknanya, mungkin dia bermaksud yang memberikan itu memang Allah ‎ﷻ kerana dia pandai (dia juga bani Israil) maka dia tahu yang Allah ‎ﷻ telah memberikan harta yang banyak. Tapi masalahnya dia rasa dia istimewa dan kerana itu dia sangka dia layak diberikan dengan segala kekayaan itu oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah fahaman yang salah, kerana kesenangan dan rezeki yang banyak bukanlah tanda Allah ‎ﷻ sayang.

Maksudnya, dia masih lagi beranggapan Allah ‎ﷻ yang berikan harta itu kepadanya. Tetapi fahamannya kenapa Allah ‎ﷻ berikan harta itu kepadanya yang salah. Dia perasan Allah ‎ﷻ sayangkan dia dan merasa dia adalah istimewa, kerana itu dia layak menerima harta dan kekayaan itu.

Atau, dia rasa kerana dia yang pandai mencari harta dan menjaga harta, maka kerana itu dia kaya raya. Pengertiannya sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَإِذَا مَسَّ الإنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ}

Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami dia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.” (Az-Zumar: 49)

Atau dia mungkin bermaksud harta kekayaannya itu diberikan oleh Firaun yang telah memilihnya kerana kepandaiannya. Jadi dia tidak faham kenapa dia kena keluarkan zakat. Ini amat salah sama sekali kerana sepatutnya dia kata yang Allahﷻ sahajalah yang berikan harta itu kepadanya.

Bukan Qarun sahaja yang ada masalah ini tetapi ramai orang-orang yang kaya yang walaupun mereka kata yang Allahﷻ beri kekayaan itu kepada mereka, tetapi mereka merasakan yang mereka berhak mendapat kekayaan itu kerana kepandaian dan juga usaha mereka dan mereka tidak kata yang memang Allahﷻ yang menentukan harta itu untuk mereka sebagai barakah.

Mereka tetap mengatakan yang diri mereka juga yang istimewa. Ini adalah satu kebanggaan yang tidak patut ada di dalam hati seorang mukmin. Ini salah kerana menidakkan kehendak Allah ﷻ.

Oleh itu, perlulah kita kena ingat bahawa apa-apa sahaja kebaikan yang kita dapat di atas dunia ini adalah pemberian dari Allahﷻ dan memang ianya pemberian sepenuhnya dan bukan kerana kepandaian kita, kelebihan kita atau apa-apa sahaja yang ada pada diri kita.

Mungkin kita memang telah berusaha dan kemudian kita berjaya, tetapi kita kena ingat yang usaha kita itu bukanlah menentukan kejayaan ataupun pasti dan tentu mendapat balasan yang baik. Usaha kita itu tidak memberi bekas sebenarnya kalau Allah ﷻ tidak takdirkan kita dapat. Maka apa-apa sahaja yang kita dapat, kena pulangkan kembali yang Allah ﷻ yang telah berikan kepada kita. Bukan kerana diri kita dan kedudukan kita.

Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis (belitan Iblis). Dia membisikkan perasaan Ghurur dalam hati manusia. Ghurur adalah tipuan yang dikenakan kepada manusia. Manusia menyangka mereka hebat hingga lupa bahawa kehebatan dan apa sahaja yang mereka ada itu adalah daripada Allahﷻ.

Maka kita perlu menjaga hati kita dan menisbahkan apa sahaja yang kita ada daripada segi apa-apa sahaja kebaikan kepada Allahﷻ. Jangan sangka kita dapat segala yang kita ada itu kerana kelebihan kita.

 

أَوَلَم يَعلَم أَنَّ اللهَ قَد أَهلَكَ مِن قَبلِهِ مِنَ القُرونِ

Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya

Allahﷻ sangat marah kepada fahaman Qarun ini sehingga Allahﷻ mengingatkan bagaimana banyak kaum-kaum sebelumnya yang telah dimusnahkan. Tidakkah dia tahu? Sepatutnya dia tahu kerana dia seorang Muslim (tapi bukan Muslim yang baik).

 

مَن هُوَ أَشَدُّ مِنهُ قُوَّةً وَأَكثَرُ جَمعًا

yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? 

Allah‎ﷻ mengingatkan mereka yang telah dimusnahkan itu lebih kuat daripada Qarun dan lebih banyak harta dan kumpulan daripada Qarun tetapi mereka itu musnah juga kerana tidak ada apa-apa pun yang dapat menghalang kalau Allah ‎ﷻ sudah menetapkan yang seseorang itu akan dimusnahkan.

Mereka itu semua dimusnahkan kerana mereka engkar dengan Allah ‎ﷻ, kufur dan tidak mensyukuri nikmat yang Allah ‎ﷻ  berikan kepada mereka.

 

وَلا يُسأَلُ عَن ذُنوبِهِمُ المُجرِمونَ

Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.

Allah ‎ﷻ berkata orang-orang yang berdosa itu tidak perlu selidik dan buat soal-siasat pun tentang apa yang mereka lakukan semasa di dunia, kerana Allahﷻ memang sudah mengetahui segala perbuatan mereka semasa di dunia.

Atau, tidak payah bertanya kerana banyak sangat dosa mereka dan tidak terkira banyaknya, jadi tidak perlu sibuk nak tahu apa dosa mereka. Kerana memang Allah ﷻ dalam beri azab, memang mereka layak terima. Kerana mereka itu dikira seperti barang yang tidak berharga (tidak bernilai).


 

Ayat 79: Sekarang disebut kesalahan Qarun lagi. Kalau tadi disebut kata-kata Qarun, sekarang disebut tentang perbuatan dia pula. Kita akan tengok gaya hidup dia pula sebagai pengajaran bagi kita.

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he came out before his people in his adornment. Those who desired the worldly life said, “Oh, would that we had like what was given to Qārūn. Indeed, he is one of great fortune.”

(MELAYU)

Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

 

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ

Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. 

Qarun telah keluar menemui kaumnya dengan segala kemegahan dan memakai segala perhiasannya untuk menunjuk-nunjuk kepada mereka dengan kenderaan yang indah-indah dan juga pengikut-pengikut yang ramai serta dengan penuh kebanggaan dan kesombongan.

Ini tidak patut dilakukan kerana ia ada sifat sombong dan angkuh. Perbuatan tersebut telah menyebabkan orang lain tidak selesa atau menyebabkan orang lain mendapat fahaman yang salah. Kita lihat selepas ini bagaimana ada yang terpengaruh kerana melihat kekayaan Qarun itu.

 

قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا

Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: 

Maka berkatalah orang-orang yang lemah akalnya dan mereka yang mempunyai sifat materialistik. Mereka itu orang miskin tetapi mereka terpesona dengan kekayaan yang Qarun ada.

Jadi ini menunjukkan yang orang materialistik ini bukan semestinya orang kaya sahaja kerana orang-orang miskin juga ada sifat itu. Tetapi kerana mereka tidak mampu, mereka hanya mampu berangan-angan untuk menjadi kaya sahaja.  Namun, sifat materialistik mereka itu telah ada dalam diri mereka.

Apa kata mereka?

 

يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ

“Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun;

Mereka ini adalah orang-orang yang tidak ada harta dan miskin, dan mereka teringin kepada harta yang banyak. Oleh kerana itu, mereka terpesona dengan apa yang ada pada Qarun. Mereka berangan-angan kalaulah mereka dapat apa yang telah diberikan kepada Qarun itu.

Itu semua angan-angan sahaja dan banyak dilakukan oleh manusia kerana mereka hanya nampak dunia sahaja dan kayu ukur ‘kejayaan’ dalam fikiran mereka itu adalah ‘kaya’ dan ‘berpengaruh’.

Ini adalah salah faham kebanyakan manusia kerana itu bukanlah ukuran kejayaan yang sebenarnya. Oleh kerana salah faham ini, maka ramai manusia yang mahukan kebendaan (material) kerana mereka sangka itulah kejayaan dan itulah yang baik.

Perbuatan Qarun itu menyebabkan ada orang yang tidak mampu tetapi masih hendak bergaya dengan kereta mewah, telefon bimbit yang mewah dan lain-lain lagi, sehinggakan mereka terpaksa berhutang dan apabila berhutang, mereka akan lebih menyusahkan diri mereka.

 

إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ

sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Mereka teringin untuk jadi seperti Qarun kerana pada mereka Qarun itu bernasib baik sungguh. Maka mereka sudah mula berangan-angan dan mulalah memikirkan bagaimana hendak menjadi kaya seperti Qarun. Orang kita ada sejarah seperti ini iaitu Kisah Mat Jenin. Angan sahaja yang terlebih.


 

Ayat 80: Ini pula adalah golongan yang lain.

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ وَيلَكُم ثَوابُ اللهِ خَيرٌ لِّمَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا وَلا يُلَقّٰها إِلَّا الصّٰبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who had been given knowledge said, “Woe to you! The reward of Allāh is better for he who believes and does righteousness. And none are granted it except the patient.”

(MELAYU)

Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar”.

 

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ

Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu:

Ini pula adalah kata-kata balas daripada mereka yang beriman dan ada ilmu pengetahuan tentang agama dan tentang akhirat. Mereka tahu harta akhirat itu lebih banyak dan lebih kekal dan dunia bukanlah segala-galanya. Inilah fahaman yang kita kena ada tentang dunia.

Mereka pun melihat dunia juga tetapi mereka tidak terkesan dengan dunia kerana mereka lebih terkesan dengan wahyu. Oleh kerana itu, hati mereka lebih tertaut dengan akhirat daripada terpaut dengan dunia.

Apakah kata mereka kepada orang-orang yang materialistik itu?

 

وَيلَكُم ثَوابُ اللهِ خَيرٌ لِّمَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا

“Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh,

Mereka menegur orang-orang miskin yang teringin untuk menjadi seperti Qarun dan mendapat seperti apa yang ada pada Qarun itu. Mereka hendak beritahu bahawa fahaman golongan materialistik itu salah dan boleh menjerumuskan mereka ke dalam kecelakaan.

Orang berilmu itu mengingatkan kaum mereka yang balasan yang diberikan oleh Allah ﷻ itu lebih baik daripada apa yang ada pada Qarun itu. Inilah juga pengajaran bagi kita. Allahﷻ  mengingatkan kita tentang dunia dan kekurangan pada dunia. Dunia ini rendah, sedikit sangat dan tidak kekal dan kita sepatutnya lebih berharap adalah kepada pembalasan di akhirat.

Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadith sahih yang mengatakan:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ، وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ، وَلَا خطر عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ، وَاقْرَؤُوا إِنْ شِئْتُمْ: {فَلا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}

Allah Swt. berfirman, “Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh apa (pahala) yang belum pernah dilihat oleh mata, dan belum pernah didengar (kisahnya) oleh telinga serta belum pernah terdetik (keindahannya) di dalam hati seorang manusia pun.” Selanjutnya Nabi Saw. bersabda, “Bacalah oleh kalian firman Allah Swt. berikut jika kalian suka,” iaitu: Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. (As-Sajdah: 17)

 

وَلا يُلَقّٰها إِلَّا الصّٰبِرونَ

dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar”.

Balasan Allah ﷻ itu adalah kepada mereka yang sabar sahaja. Mereka yang bersabar, akan mendapat balasan di akhirat. Iaitu sabar dalam mengerjakan ketaatan. Semasa melakukan ketaatan kepada Allah ﷻ, teruskan bersabar. Memang banyak dugaan, kita tidak pernah kata ianya senang. Tapi teruskan bersabar.

Oleh itu, jangan mengharap jadi kaya di dunia tapi berharaplah kekayaan di syurga. Syurga itu lebih baik tetapi syurga itu ‘mahal’, maka perlu berusaha. Bukan boleh dapat dengan hanya goyang kaki sahaja, tetapi perlu berusaha setiap masa dan usaha itu memerlukan kesabaran.

Oleh itu, jangan harap apa yang orang lain ada. Jangan cemburu dan dengki dengan kekayaan dan kejayaan keduniaan yang ada pada orang lain. Ada orang dapat lebih dan ada yang dapat kurang. Itu semua adalah dalam ketentuan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan berapa banyak yang kita dapat. Ada yang Allah ﷻ uji dengan kekurangan dan ada yang Allah ﷻ uji dengan kelebihan. Kelebihan pun ujian juga.

Maka kena ada rasa cukup dengan apa yang ada. Ini dinamakan sifat qana’ah. Jangan asyik mendambakan benda yang kamu tidak ada kerana itu adalah kerja yang sia-sia.

Maka sabar itu juga bermaksud mereka yang tidak menginginkan duniawi dan hanya berharap kepada pahala Allah ﷻ di negeri akhirat. Oleh kerana itu, mereka sabar dalam kehidupan dunia mereka walaupun kehidupan dunia mereka itu susah. Mereka dapat bersabar kerana mereka tahu balasan di akhirat itu lebih baik.

Satu lagi tafsir tentang potongan ayat ini, ia bukanlah sambungan dari kata-kata orang berilmu itu, tetapi sambungan daripada kalam Allah ﷻ – jadi ini adalah jumlah mu’taridah. Maknanya, Allah ﷻ hendak memberitahu, pemahaman yang ada pada orang berilmu itu diberikan kepada mereka kerana kesabaran mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Oktober 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 75 – 77 (Kisah Qarun)

Ayat 75:

وَنَزَعنا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا فَقُلنا هاتوا بُرهٰنَكُم فَعَلِموا أَنَّ الحَقَّ ِلِلهِ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We will extract from every nation a witness and say, “Produce your proof,” and they will know that the truth belongs to Allāh, and lost from them is that which they used to invent.

(MELAYU)

Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi, lalu Kami berkata “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu”, maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan.

 

وَنَزَعنا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا

Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi,

Kalimah نزع bermaksud ‘tarik’. Makanya pada hari akhirat nanti Allah ﷻ akan tarik daripada setiap umat itu, saksi-saksi mereka. Saksi-saksi akan dibawakan ke hadapan mereka.

 

فَقُلنا هاتوا بُرهٰنَكُم

lalu Kami berkata “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu”, 

Dan akan diminta kepada mereka bukti-bukti daripada amalan-amalan mereka. Yang amalan yang mereka amalkan dulu semasa di dunia, atas dalil mana mereka pakai? Ayat wahyu mana yang membenarkan amalan itu? Kerana orang yang mengamalkan syirik itu kadangkala kata itu amalan itu adalah sebahagian dari agama.

Maknanya, agama ini memerlukan bukti dari setiap amalan kita. Jangan kita memandai-mandai buat amalan tanpa dalil.

Juga boleh bermaksud para rasul yang akan ditarik keluar dan kemudian mereka diminta beri bukti apa yang mereka ajar. Begitulah menurut Mujahid (ulama’ tafsir), yang dimaksudkan dengan saksi dalam ayat ini adalah rasul.

Maksudnya mereka akan memberikan bukti yang mereka telah menyampaikan ajaran yang benar semasa mereka bersama hidup dengan kaum mereka. Mereka sudah sampaikan tapi umat mereka yang degil tidak mahu terima.

Dan selepas para Rasul mereka telah mengaku yang mereka telah sampaikan ajaran tauhid, maka akan ditanya kembali kepada umat mereka untuk mengeluarkan bukti-bukti dari mereka pula. Akan ditanya kepada mereka yang melakukan syirik itu kenapa mereka tidak ikut ajaran para rasul mereka. Adakah mereka ada bukti lain yang menyebabkan mereka menolak ajakan dakwah Rasul mereka?

Kalau ada, keluarkan sekarang! Buktikan yang ada ilah-ilah lain selain Allah ﷻ; buktikan Allah ﷻ suruh adakan wasilah (perantara) untuk menyampaikan doa; buktikan boleh sembah selain Allah ﷻ; dan macam-macam lagi soalan-soalan akan ditanya.

 

فَعَلِموا أَنَّ الحَقَّ ِلِلهِ

maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah 

Waktu itu sedarlah mereka bahawa kebenaran itu ada pada Allah ﷻ. Kebenaran yang tauhid itu adalah hak Allah ﷻ. Iaitu ilah itu hanya Allah sahaja, tidak ada berkongsi dengan selainNya. Allah ﷻ sudah berikan hujah semasa di dunia lagi. Kerana waktu itu mereka memang tidak ada alasan lagi kenapa mereka buat amalan syirik mereka.

Semasa di dunia, bolehlah mereka beri bermacam-macam hujah bathil untuk membenarkan amalan mereka. Tetapi nanti di akhirat mereka tahu yang alasan mereka itu tidak laku lagi.

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan.

Apa-apa sahaja amalan rekaan yang mereka lakukan dan roh-roh sembahan mereka itu tidak dapat menyelamatkan mereka. Amat malang dan bahaya bagi mereka.

Mereka sangka dengan seru dan sedekah Al-Fatihah kepada Nabi ﷺ, wali dan malaikat itu, mereka akan dibantu di akhirat. Tapi itu adalah harapan sia-sia sahaja. Yang mereka harapkan beri bantuan dan syafaat kepada mereka tidak akan membantu.


 

Ayat 76: Ini adalah Ayat Takhwif duniawi. Kisah azab di dunia yang diberikan kepada umat terdahulu untuk menakutkan kita. Kita masuk kisah yang baru. Sekarang Allah ﷻ buka kisah baru iaitu Qarun dan bagaimana nanti dia dimusnahkan.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 82 adalah Perenggan Makro Kelapan. Semua orang rasanya pernah dengar serba sedikit kisah Qarun, bukan? Kisah Qarun dibawa sebagai peringatan bahawa buruk akibatnya kalau mengejar keduniaan dan melupakan akhirat. Allah boleh beri azab semasa di dunia lagi.

۞ إِنَّ قٰرونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ فَبَغىٰ عَلَيهِم ۖ وَءآتَينٰهُ مِنَ الكُنوزِ ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Qārūn was from the people of Moses, but he tyrannized them. And We gave him of treasures whose keys would burden a band of strong men; thereupon his people said to him, “Do not exult. Indeed, Allāh does not like the exultant.

(MELAYU)

Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

 

إِنَّ قٰرونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ

Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa,

Sekarang kita menghampiri kepada penutup surah ini dan Allah ﷻ kembali kepada kisah Bani Israil yang berkenaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Awal surah ini bermula dengan kisah Nabi Musa عليه السلام dan apabila menghampiri hujung surah ini, kembali kepada kisah berkenaan baginda.

Sekarang Allah ﷻ membuka kisah Qarun dan memberitahu kepada kita bahawa dia adalah salah seorang daripada Bani Israil. Mungkin ini maklumat baru bagi kebanyakan dari kita. Kerana kita semua tahu sedikit kisah Qarun tapi rupa-rupanya dia dari Bani Israil.

Walaupun dia dari Bani Israil tapi dia dikira sebagai musuh dalaman kepada Bani Israil.  Musuh ada dua jenis: luaran dan juga musuh dalaman. Musuh dalaman lebih bahaya lagi daripada musuh luaran kerana mereka itu di sekeliling kita dan tahu kelemahan kita.

Dan kita kadangkala tidak tahu yang mereka itu sebenarnya musuh kerana mereka menyembunyikan sifat benci mereka itu. Jadi kita tidak berhati-hati sangat dengan mereka.

Qarun bukan sahaja dari Bani Israil malah dia sebenarnya dikatakan sebagai sepupu kepada Nabi Musa عليه السلام. Maknanya dia ada sangkut paut juga dengan baginda. Ibnu Juraij mengatakan bahawa dia adalah Qarun ibnu Yas-hub ibnu Qahis, sedangkan Musa adalah Ibnu Imran ibnu Qahis. Tetapi kerana dia cinta dunia, maka dia menjadi orang munafik.

Qarun dijuluki Al-Munawwir kerana suaranya yang bagus ketika membaca kitab Taurat, tetapi dia adalah musuh Allah ﷻ lagi munafik, sebagaimana sikap munafiknya Samiri. Keserakahan dirinyalah yang menjerumuskannya ke dalam kebinasaan kerana hartanya yang terlalu banyak.

Dia tidak mahu keluarkan zakat maka dia terus berada di pihak Fir’aun. Kerana Fir’aun tidak minta keluarkan zakat. Maka dia telah menzalimi kaumnya itu kerana tidak mengeluarkan zakat. Sepatutnya dia keluarkan zakat itu diberikan kepada kaumnya yang miskin itu, tapi dia biarkan sahaja mereka duduk dalam kemiskinan. Maka, kalau kita tidak keluarkan zakat kepada masyarakat, maka kita sudah menzalimi orang yang berhak mendapatnya.

Ada lagi satu perkara yang mengejutkan. Maklumat ini mengejutkan kerana dia daripada Bani Israil tetapi dia seorang yang kaya-raya (bukan kaya sahaja) sedangkan kita tahu yang kaumnya itu adalah kaum hamba sahaja, jadi kenapa dia boleh jadi begitu? Kenapa dia boleh kaya-raya?

Ini kerana apabila Fir’aun melemahkan kaum Bani Israil dan memecahkan mereka ikut kumpulan-kumpulan dan kelas-kelas tertentu, maka Fir’aun memerlukan orang daripada bangsa itu yang menjadi mata-matanya dan balacinya. Dan orang yang dijadikan sebagai “balaci” (kuli) itu akan diberikan dengan segala bentuk kekayaan supaya tetap taat kepadanya.

Dan kita jangan lupa yang Bani Israil itu adalah golongan Muslim waktu itu dan walaupun mereka itu Muslim, tetapi macam zaman sekarang juga ada orang-orang Muslim yang rosak dan korup.

Dan masalahnya orang-orang yang korup moral ini menjadi sangat kaya dan orang-orang yang lemah akalnya akan melihat orang-orang kaya ini dan mereka bercita-cita untuk menjadi seperti mereka juga. Inilah bahayanya.

Maka Allah ﷻ bukan hendak menceritakan tentang seorang individu bernama Qarun sahaja, tetapi dia ini adalah satu jenis individu yang sentiasa ada di dalam setiap masyarakat. Maka kita kena tahu bahayanya orang-orang jenis ini supaya kita tidak terpengaruh dengan mereka.

Maka kena faham kisah Qarun ini dan kena sampaikan kepada orang  lain. Supaya kita dapat menyelamatkan ahli keluarga kita dan kawan-kawan kita dari terpengaruh dengan-orang orang seperti ini. Jangan sangka kisah ini tentang seorang lelaki bernama Qarun sahaja tetapi ada pengajaran penting di dalamnya yang relevan dengan kita. Kita pun boleh jadi Qarun zaman ini kalau kita tidak berhati-hati.

 

فَبَغىٰ عَلَيهِم

maka dia berlaku aniaya terhadap mereka, 

Walaupun Qarun itu daripada Bani Israil tetapi dia telah menjadi pembelot kepada mereka. Dia yang menjadi tali barut Fir’aun dan melaporkan tentang pergerakan dan aktiviti mereka. Ini macam kalau zaman Jepun dulu, dilantik tali barut-tali barut dari kalangan orang Melayu sendiri. Mereka itulah yang senang hidup mereka, bukan?

Dan seperti yang telah disebut, dia berlaku aniaya dengan kaumnya itu dengan tidak mengeluarkan zakat kepada mereka. Zakat itu gunanya membantu orang lain yang memerlukan, tapi bila dia tidak beri, maka dia telah berlaku zalim kepada kaumnya. Kerana ada yang perlu, tapi tak dapat dari dia. Kerana pada dia, zakat yang dikenakan itu cuma cukai yang tidak adil. Kerana dia kata, orang lain untuk dapat harta, kena cari sendiri lah.

Dan kerana menolak syariat zakat, maka ia telah merosak dirinya. Hatinya jadi kotor kerana tidak mencuci hartanya.

 

وَءآتَينٰهُ مِنَ الكُنوزِ

dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta

Allah ﷻ beritahu yang Dia-lah yang telah memberikan kekayaan yang besar kepada Qarun. Qarun sangka dia dapat harta daripada Fir’aun tetapi Allah ﷻ menekankan yang sebenarnya Dia-lah yang membenarkan perkara itu terjadi. Semua ini dalam perancangan Allah ﷻ. Allah ﷻ memang telah taqdirkan yang Qarun menjadi kaya-raya.

Zaman itu harta memang dalam bentuk benda seperti ketulan emas dan dia kenalah simpan hartanya itu di tempat yang selamat seperti gudang. Dan dia bukan hanya ada satu tempat simpan emas sahaja tetapi dia ada banyak (sebab itu digunakan kalimah الكُنوزِ – jamak bagi ٌكَنز – harta) yang menunjukkan dia ini sangat-sangat kaya. Jadi Qarun ini memang seorang yang sangat kaya kerana kunci gudang -gudang itu pun sudah berat. Kalau hendak beri zakat, memang tidak berkurang harta dia.

 

ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ

yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat.

Kalimah تَنوءُ bermaksud mengangkat sesuatu yang berat sampaikan hampir tidak boleh angkat kerana berat sangat. Siapa yang hampir tak boleh angkat? بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ (sekumpulan lelaki yang gagah). Orang gagah pun susah nak angkat kunci gudang Qarun itu.

Ini adalah kerana tempat simpan duit atau harta itu mestilah menggunakan pintu yang besar dan tebal dan kunci itu adalah penghalang seperti kayu yang besar yang susah untuk diangkat. Boleh dipanggil ‘palang’.

Jadi bukannya kunci macam zaman sekarang. Ramai yang sangka gudang dia banyak sangat sampaikan bila dikumpulkan segala kuncinya pun sudah berat. Maknanya ramai sangka yang kunci itu kecil-kecil macam zaman sekarang. Bukan begitu. Zaman itu mana ada kunci macam Solex sekarang.

Tapi zaman dulu kunci itu dalam bentuk palang pintu. Dan kalau barangnya mahal, tentu palangnya lagi berat. Maknanya Qarun perlu mengupah segolongan lelaki yang gagah-gagah hanya untuk mengangkat palang-palang dari gudangnya itu. Maknanya kalau bersungguh-sungguh dia buat gudang dan jaga keselamatan gudang itu bermakna harta yang disimpan di dalamnya adalah harta harta yang sangat berharga.

 

إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح

ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; 

Ada yang dari kaumnya menasihatinya supaya jangan gembira sangat atau dalam erti kata lain, jangan menunjuk-nunjuk kekayaannya itu. Mereka ini tidak terpengaruh dengan kekayaan Qarun (sebab nanti akan disebut ada yang terpengaruh). Ini kerana Qarun menunjuk-nunjuk kekayaan yang dia ada itu kepada semua orang dan berbangga dengan kekayaannya.

Menurut Syahr ibnu Hausyab, Qarun menjulurkan kainnya sepanjang satu jengkal kerana kesombongan dan keangkuhan terhadap kaumnya sendiri.

Dan sudah tentu dia tidak boleh menunjuk kekayaannya kepada bangsa Qibti kerana mereka melihatnya sebagai hamba, jadi dia menunjuk-nunjuk hartanya kepada Bani Israil sahaja. Maka ada yang sudah beri nasihat kepada dia.

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ

sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

Allah tidak suka kepada orang yang terlalu suka dengan harta yang dia ada dan menunjuk-nunjuk harta itu kepada manusia. Kalau zaman sekarang, sampai ada rancangan televisyen di mana orang-orang kaya seperti artis dan ahli sukan menunjukkan ‘istana’ atau villa yang mereka ada dengan segala kelengkapan dalam rumah mereka.

Ini tidak patut sama sekali. Kerana kebanyakan dari manusia tidak ada kekayaan begitu.


 

Ayat 77: Sambungan nasihat dari ahli kaum Qarun itu. Ini adalah antara ayat yang selalu disebut-sebut orang kita. Mari kita lihat apakah maksudnya.

وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا ۖ وَأَحسِن كَما أَحسَنَ اللهُ إِلَيكَ ۖ وَلا تَبغِ الفَسادَ فِي الأَرضِ ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But seek, through that which Allāh has given you, the home of the Hereafter; and [yet], do not forget your share of the world. And do good as Allāh has done good to you. And desire not corruption in the land. Indeed, Allāh does not like corrupters.”

(MELAYU)

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat,

Dan penasihat itu menasihati Qarun untuk mencari balasan akhirat. Dan tentunya waktu itu ia perlu dilakukan dengan membantu Nabi Musa عليه السلام  menjalankan dakwah baginda kerana tentu Nabi Musa memerlukan bantuan kewangan. Kena infak dan kena keluarkan zakat. Dengan harta memang boleh menghasilkan pahala.

Ini mengingatkan kepada kita yang orang-orang kaya ada kelebihan pada mereka di mana mereka dapat melakukan kebaikan yang banyak dengan infak harta mereka. Dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Qarun. Harta yang dia ada terlalu banyak sampaikan dia tidak boleh menghabiskannya semasa hidupnya, tetapi dia hanya simpan sahaja dan ditunjuk-tunjuk kepada orang sahaja.

Maka orang-orang kaya di atas dunia ini kena memikirkan lebih lagi tentang akhirat kerana mereka tidak perlu nak fikir tentang hal dunia sangat kerana mereka sudah kaya. Makan pakai mereka sudah cukup tak macam orang yang kais pagi makan pagi.

Oleh itu, apabila Allah ﷻ telah mudahkan kita dengan beri kekayaan sampai kita tidak perlu nak memikirkan tentang makanan dan tempat tinggal, maka tumpukanlah perhatian kepada akhirat pula. Kerana mereka sudah tidak payah nak sibuk-sibuk bekerja. Atau, mereka bekerja juga tapi ada masa yang banyak yang boleh diluangkan untuk agama.

Tapi malangnya kebanyakan daripada manusia apabila sudah kaya, maka mereka sibuk memikirkan bagaimana untuk menjadi lebih kaya lagi. Yang mereka sibukkan akal mereka adalah bagaimana hendak menambah kekayaan mereka lagi? Kalau sudah ada sejuta, bagaimana nak dapatkan dua juta, dan seterusnya.

Atau, mereka sibuk pula memikirkan bagaimana nak habiskan duit mereka. Sentiasa berfikir nak main di mana, nak melancong ke mana, nak beli apa. Ibadat dikesampingkan, sedekah jarang dilakukan. Ilmu tidak dicari tapi kenikmatan hidup yang mereka selalu pandang dan luangkan masa.

 

وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا

dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi 

Potongan ayat ini yang selalu disebut-sebut oleh mereka yang kata: “jangan tinggalkan dunia…. dunia pun penting juga…..” Adakah ayat ini menganjurkan kita mengaut keuntungan dunia?

Dan bukanlah bila kita kata kena lebihkan akhirat, kita katakan kena tinggalkan dunia terus sampai jadi rahib pula. Bukan tidak boleh ada kereta dan ada rumah yang besar, itu tidak ada masalah tetapi janganlah dunia ini yang difikir-fikirkan sentiasa. Maka janganlah langsung tidak endahkan tentang nikmat dunia, keperluan diri sendiri dan anak beranak.

Kepada Qarun, nasihat ini supaya jangan lupa gunakan harta untuk dapatkan akhirat. Kerana Qarun memang tak lupa dunia. Yang dia lupa adalah untuk dapatkan akhirat. Jadi ini kalau dikaitkan dengan ayat sebelum ini.

Dan ayat ini juga bermaksud jangan lupa tanggungjawab di dunia kepada ahli keluarga yang lain. Ini nasihat kepada orang lain yang bukan seperti Qarun. Apabila kita kaya, maka orang sudah mula memandang kita. Maka kita kena menjadi contoh yang baik kepada manusia. Jangan kita jadi contoh buruk pula.

Sebagai contoh, kalau kita kaya, maka orang teringin nak jadi kaya seperti kita. Tapi kalau kita dapatkan kekayaan kita dengan cara yang salah, ada kemungkinan orang tidak kisah baik atau buruk lagi, asalkan dapat jadi seperti kita. Jadi itu bermakna kita sudah jadi contoh buruk bagi manusia yang lain. Maka kita kena tunjukkan yang kita boleh hidup senang, tapi agama tidak dilupakan, tanggungjawab tidak dikesampingkan.

 

وَأَحسِن كَما أَحسَنَ اللهُ إِلَيكَ

dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, 

Penasihat itu kata Qarun kena beri contoh yang baik. Orang memang akan ikut kita kalau kita kaya atau terkenal, tapi biarlah mereka nak ikut kita jadi baik, bukan nak ikut kita sebab kita buat benda buruk.

Buat baiklah kerana Allah ﷻ telah berlaku baik kepada kita. Sebagaimana Allah ﷻ telah tolong kita dan beri banyak nikmat kepada kita, maka kenalah kita tolong orang lain pula. Allah ﷻ telah berikan kekayaan kepada kita, ingatlah yang bukan semua kekayaan itu milik kita, ianya ada hak bagi orang lain juga.

Maka buat baiklah di dunia, di akhirat nanti Allah ﷻ akan balas dengan kebaikan.

 

وَلا تَبغِ الفَسادَ فِي الأَرضِ

dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. 

Dan nasihat akhir sekali: Jangan buat kerosakan di muka bumi. Antara cara berbuat kerosakan itu adalah dengan tidak mengeluarkan zakat. Kerana ada bahagian orang lain dalam harta kita itu. Kalau kita tidak keluarkan, maka mereka tidak dapat bahagian mereka dan itu adalah kerosakan dan juga kezaliman.

Juga jangan gunakan harta itu untuk keburukan. Memang apabila sudah ada banyak harta dan duit, boleh buat banyak perkara seperti berjudi dan sebagainya tapi jangan lakukan. Kerosakan di dunia ini terjadi kerana orang-orang kayalah yang buat pusat-pusat maksiat, pusat-pusat judi, pusat pusat hiburan dan sebagainya kerana orang miskin tak buat benda ini.

Atau, kalau bukan orang kaya yang buat, tempat maksiat itu wujud kerana mereka. Segala benda yang merosakkan akhlak itu diadakan untuk memuaskan kehendak nafsu orang-orang yang kaya lah sebenarnya. Kerana orang miskin tidak ada duit nak belanja di tempat maksiat.

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

Allah ﷻ tidak suka dan Allah ﷻ akan balas keburukan itu. Allah ﷻ boleh balas sama ada semasa di akhirat atau Allah ﷻ boleh balas semasa di dunia lagi. Kita akan belajar bagaimana nanti Qarun dapat azab itu semasa di dunia lagi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Oktober 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 71 – 74 (Pertukaran malam dan siang)

Qasas Ayat 71: Ini adalah isyarat kepada dalil aqli iktirafi (Allah iktiraf akidah mereka). Sekarang Allah ﷻ beri senario dalam ayat ini dan suruh kita fikir-fikirkan.

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ اللَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ ۖ أَفَلا تَسمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Have you considered:¹ if Allāh should make for you the night continuous until the Day of Resurrection, what deity other than Allāh could bring you light? Then will you not hear?”

  • Meaning “Inform me if you really know.”

(MELAYU)

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? Maka apakah kamu tidak mendengar?”

 

قُل أَرَءيتُم

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan,

Allah ﷻ suruh manusia fikirkan keadaan ini dengan mata hati. Kalimah راء bermaksud ‘melihat’, tapi bukanlah melihat dengan mata, tapi dengan mata hati. Kerana itu kita gunakan kalimah ‘nampak’ untuk benda-benda seperti idea juga. Selepas kita sebutkan tentang sesuatu, kita tanya: “kau nampak tak?”, sedangkan itu bukan melihat dengan mata, tapi melihat dengan mata hati.

Allah ﷻ menyuruh manusia memikirkan  menggunakan mata hati. Gunakan akal dan hati untuk sampai kepada sesuatu keputusan.

 

إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ اللَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

jika Allah menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat,

Allah ﷻ suruh fikirkan: bagaimana kalau Allah ﷻ jadikan malam itu berterusan? Kalimah سَرمَدًا bermaksud sesuatu yang tidak berubah-ubah. Maksudnya siang tidak datang-datang dan hanya ada malam sahaja. Maknanya sampai Kiamat ada malam sahaja. Tentu susah untuk kita bekerja kerana cahaya tidak ada dan susah untuk kita nampak untuk bekerja.

 

مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ

siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu? 

Kalau Allah ﷻ buat begitu, maka adakah entiti lain yang dapat mendatangkan siang kembali? Ada ilah selain Allah-kah yang boleh datangkan balik siang itu? Tentu tidak ada, kerana tidak ada ilah selain Allah ﷻ.

Inilah bahagian isyarat kepada dalil iktirafi itu. Allah ﷻ iktiraf akidah Musyrikin Mekah yang sudah kenal Allah ﷻ sebagai ilah. Memang betul bab itu. Akan tetapi masalah mereka adalah mereka lantik pula ilah-ilah yang selain Allah ﷻ. Itulah yang masalah besarnya. Jadi sekarang Allah ﷻ suruh mereka fikir: ilah-ilah yang kamu lantik itu boleh buat siang kah?

 

أَفَلا تَسمَعونَ

Maka apakah kamu tidak mendengar?”

Jadi kenapa kamu tidak mahu mendengar? Kenapa kamu tidak mahu mendengar wahyu Al-Qur’an dan mendengar nasihat yang disampaikan?

Jadi kenapa kamu tidak sembah Allah  ﷻ sahaja dan berdoa terus kepada Allah ﷻ sahaja?


 

Qasas Ayat 72:

قُل أَرَءيتُم إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ النَّهارَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِلَيلٍ تَسكُنونَ فيهِ ۖ أَفَلا تُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Have you considered: if Allāh should make for you the day continuous until the Day of Resurrection, what deity other than Allāh could bring you a night in which you may rest? Then will you not see?”

(MELAYU)

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”

 

قُل أَرَءيتُم

Katakanlah: “adakah engkau fikirkan,

Sekali lagi Allah ﷻ ulang untuk kita gunakan akal sikit untuk berfikir.

 

إِن جَعَلَ اللهُ عَلَيكُمُ النَّهارَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus menerus sampai hari kiamat,

Sekarang Allah ﷻ suruh fikirkan bagaimana pula kalau  Dia jadikan siang itu berterusan sampai bila-bila? Ayat sebelum ini tentang malam, sekarang tentang siang pula. Bayangkan kalau sepanjang tahun sampai kiamat, hanya sianggggg sahaja, bagaimana?

Tentulah susah kita nak berehat. Allah ﷻ jadikan malam untuk kita merehatkan mata dan badan kita. Kerana kalau ada cahaya, susah untuk kita tidur. Ini adalah kerana badan kita memerlukan melatonin untuk tidur nyenyak dan kalau ada cahaya, melatonin tidak dapat dihasilkan.

Bayangkan negara yang ada ketika siang sahaja selama 6 bulan dan malam sahaja selama 6 bulan? Susah hidup mereka. Dan membahayakan kesihatan juga. Kerana badan kita memerlukan kegelapan untuk badan mengeluarkan hormon untuk menghalang penumbuhan sel. Yang kita takut adalah penumbuhan sel kanser. Sebab itu kena tidur dalam gelap. Salah satu punca yang dikenalpasti orang dapat barah adalah kerana tidur pasang lampu.

 

مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِلَيلٍ تَسكُنونَ فيهِ

siapakah ilah selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya?

Ini soalan  yang penting yang Allah ﷻ hendak kita fikirkan: Adakah ada ilah lain yang boleh mendatangkan malam?

Tentulah tidak ada. Jadi kalau tidak ada ilah lain, kenapa nak sembah, puja dan berharap kepada selain Allah ﷻ?

Dan Allah ﷻ ceritakan tentang kepentingan malam itu, yang dengan malam itu kita boleh mencari ketenangan dan berehat mencari tenaga kembali selepas kepenatan sepanjang hari. Sebab itu kita digalakkan untuk berehat di malam hari. Jangan sibuk nak ke sana sini dan melepak di kedai mamak sahaja. Sebab esok nak kena kerja, nak kena sekolah, nak ada hal lain.

Kalimah لِتَسْكُنُوا dari katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Jadi kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental. Maknanya Allah telah menjadikan malam untuk kita berehat dan berasa aman terutama sekali di dalam rumah kita. Memang malam itu masa untuk berehat. Tapi kalau siang sahaja tak datang datang malam, bagaimana hendak rehat?

Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang ‘sakinah’. Ia adalah masa yang tenang, yang kita boleh berehat di dalamnya. Sakinah inilah yang kita cari. Dan ada tiga elemen dalam sakinah dan satunya disebut dalam ayat ini. Dua lagi syarat sakinah disebut dalam ayat yang lain. Elemen sakinah:

1. Waktu itu mestilah malam.

2. Dengan keluarga sendiri.

3. Di rumah sendiri.

 

أَفَلا تُبصِرونَ

Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”

Maka mengapakah kamu tidak melihat dengan mata hati? Kenapa kamu tidak memerhatikan tanda-tanda pada alam ini? Pada pertukaran malam dan siang yang terjadi setiap hari itu sudah ada tanda yang Allah ﷻ ini ada.

Ada satu kuasa yang menjadikan siang dan malam itu terjadi. Malam dan siang tidak terjadi sendiri. Maka kita kena cari Siapakah yang menguasai siang dan malam itu. Jawapannya, tentulah Allah ﷻ yang menjadikan siang dan malam bertukar silih berganti.


 

Qasas Ayat 73: Ini adalah ayat isyarat kepada dalil aqli juga.

وَمِن رَّحمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ لِتَسكُنوا فيهِ وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And out of His mercy He made for you the night and the day that you may rest therein and [by day] seek from His bounty and [that] perhaps you will be grateful.

(MELAYU)

Dan dari rahmat-Nya, Dia ﷻ jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.

 

وَمِن رَّحمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ

Dan dari rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, 

Jadi ayat ini menceritakan tentang siang dan malam yang ditentukan oleh Allah ﷻ. Dan ia juga menceritakan tentang perubahan yang Allah ﷻ jadikan di dalam alam ini untuk kebaikan dan keperluan kita. Ada siang dan ada malam.

Siang dan malam itu tidaklah terjadi sendiri. Memang dari segi sains, kita tahu yang siang terjadi bila ada matahari dan malam itu ada apabila matahari di sebalik bahagian lain dari bumi. Tapi hendaklah kita ingat, peredaran bumi ini dan pergerakan matahari itu Allah ﷻ juga yang gerakkan. Jadi jangan kata yang malam dan siang terjadi sendiri.

 

لِتَسكُنوا فيهِ

supaya kamu beristirehat padanya (malam)

Kalau tidak ada perubahan sekejap siang dan sekejap malam, maka kehidupan kita akan menjadi susah. Ini kerana malam itu gelap, maka kita dapat merehatkan mata dan diri kita. Jikalau malam tiada maka kita akan kepenatan kerana tidak ada masa rehat.

Kalau anda perasan, tidur siang tidak sama dengan tidur malam. Ini kerana circadian clock kita memang tidak synchronize kalau tidur waktu siang. Maka ambil peluang untuk tidur di malam hari dan gunakan tidur itu dengan sebaiknya.

 

وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ

dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya

Allah ﷻ tidak sebut ‘siang’ di sini, tapi kita tahu ia tentang siang dengan melihat konteks ayat. Dan siang itu Allah ﷻ jadikan terang benderang supaya kita senang nampak untuk menjalankan kerja kita.

Jadi ringkasnya: siang untuk bekerja, malam untuk berehat. Memang kedua-duanya perlu dalam kehidupan kita. Dan Allah ﷻ beri keduanya kepada kita sebagai pemberian dari rahmat-Nya. Allah ﷻ berikan siang dan malam silih berganti kerana kasih sayang Allah ﷻ kepada kita.

Bukan sahaja alam ini memerlukan pertukaran dan perubahan tetapi kita sebagai manusia juga memerlukan perubahan di mana kita tidak boleh berterusan bekerja; atau pun berterusan melakukan dakwah sahaja. Mesti juga ada masa rehat untuk kita.

Maka kena ada tarik dan tolak di dalam kehidupan kita di mana bukan hanya bekerja untuk agama sahaja tetapi kena juga berkahwin dan berkeluarga; dan ada puasa dan ada waktu berbuka; dan ada solat dan ada waktu rehat.

 

وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.

Supaya dengan perubahan siang dan malam ini maka manusia boleh mencari kurniaan daripada Allah ﷻ dan dari kurniaan itu bersyukur kepada Allah ﷻ. Maknanya kita kena ingat rahmat Allah ﷻ itu dan bersyukur kepada Allah ﷻ. Kerana itulah kita diajar doa pagi dan petang untuk mengingatkan kita untuk berterima kasih kepada Allah ﷻ. Bila kali terakhir anda sebut: “Alhamdulillah… dah malam dah… boleh aku rehat dan tidur….”

Maknanya, segala apa yang terjadi dalam dunia ini adalah untuk kebaikan kita, dan kita kena bersyukur kepada Allah ﷻ. Maksudnya, Allah ﷻ beri rahmat supaya kita bersyukur. Dan kalau kita bersyukur, Allah ﷻ akan beri nikmat yang lain.

Tapi kita pun tahu tidak semua orang pandai bersyukur atas nikmat Allah ﷻ berikan kepada mereka. Memang syukur itu sendiri sudah satu nikmat yang besar. Pahala syukur itu lebih besar dari nikmat yang diberikan kepada kita. Maknanya, dapat bersyukur itu pun sebenarnya satu nikmat besar. Kerana bukan semua orang dapat nikmat itu, bukan?


 

Qasas Ayat 74: Sekarang diberikan ayat jenis Takhwif Ukhrawi (penakutan tentang azab di akhirat). Kalau tidak mahu memikirkan tentang agama dan tentang tauhid, bagaimana? Apakah natijah nanti di akhirat kelak?

وَيَومَ يُناديهِم فَيَقولُ أَينَ شُرَكائِيَ الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [warn of] the Day He will call them and say, “Where are My ‘partners’ which you used to claim?”

(MELAYU)

Dan (ingatlah) hari (di waktu) Allah menyeru mereka, seraya berkata: “Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang dahulu kamu katakan?”

 

وَيَومَ يُناديهِم

Dan (ingatlah) hari (di waktu) Allah menyeru mereka, 

Tadi Allah ﷻ suruh fikirkan bagaimana kalau tidak ada siang atau tiada malam? Sekarang Allah ﷻ suruh fikirkan keadaan di akhirat kelak. Bagaimana kalau Allah panggil orang-orang yang melakukan syirik itu?

 

فَيَقولُ أَينَ شُرَكائِيَ الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ

seraya berkata: “Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang dahulu kamu katakan?”

Allah ﷻ beritahu yang pada hari kiamat nanti, manusia yang melakukan syirik semasa di dunia akan ditanya: manakah roh-roh yang mereka syirikkan Allah ﷻ dengan mereka yang dulu? Mana dia roh-roh yang kamu semua puji dulu di dunia?

Dulu semasa mereka di dunia, mereka yakin sangat yang roh-roh itu dapat membantu mereka dunia dan akhirat. Mereka tidak ada dalil bagi sangkaah mereka itu, tapi mereka kata yang mereka puja itu dapat beri rezeki dan keselamatan kepada mereka semasa di dunia. Dan mereka kata di akhirat kelak, roh-roh itu yang jadi pembantu mereka dan pemberi syafaat kepada mereka.

Allah ﷻ kata: kalau kamu kata begitu, sekarang (semasa di akhirat) mana mereka? Kenapa tak datang tolong kamu seperti yang kamu katakan?

Allah ﷻ suruh mereka yang melakukan syirik itu fikirkan: betulkah mereka akan ditolong? Apa kamu yakin benar yang kamu akan dibantu oleh mereka?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Qasas


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 65 – 70 (Jangan persoal kerja Allah ﷻ)

Ayat 65: Sekarang ditanya tentang para Rasul pula?

وَيَومَ يُناديهِم فَيَقولُ ماذا أَجَبتُمُ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] the Day He will call them and say, “What did you answer the messengers?”

(MELAYU)

Dan (ingatlah) hari (di waktu) Allah menyeru mereka, seraya berkata: “Apakah jawapanmu kepada para rasul?”

 

وَيَومَ يُناديهِم

Dan (ingatkan) hari (di waktu) Allah menyeru mereka,

Dan apabila panggilan mereka kepada sembahan-sembahan mereka selain Allah ﷻ (seperti Nabi ﷺ, wali, malaikat dan lain-lain lagi) tidak dijawab, maka sekarang Allah ﷻ tanya kepada mereka. Allah ﷻ suruh kita bayangkan keadaan itu.

 

فَيَقولُ ماذا أَجَبتُمُ المُرسَلينَ

seraya berkata: “Apakah jawapanmu kepada para rasul?”

Soalan yang ditanya: apakah jawapan mereka kepada para rasul dan pendakwah-pendakwah yang telah menyampaikan ajaran tauhid kepada mereka? Dulu tentu sudah ada Rasul atau pendakwah tauhid datang mengajak mereka kepada tauhid, maka apakah jawapan mereka kepada ajakan-ajakan itu?

Tapi kalau mereka tidak mengendahkan apa yang diajar dan diajak oleh para Rasul dan pendakwah itu, tentu mereka tidak dapat menjawabnya. Hal ini seperti pertanyaan yang diajukan di dalam kubur, iaitu: “Siapakah Tuhanmu, siapakah nabi ikutan mu dan apakah agamamu?”

Adapun orang mukmin, dia akan menjawab dengan mengemukakan kesaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah ﷻ, dan Muhammad ﷺ adalah hamba dan rasul-Nya. Sedangkan orang kafir hanya mengatakan, “Ha, ha, saya tidak tahu.” Kerana itulah orang kafir tidak dapat menjawab pertanyaan itu kelak di hari kiamat selain dari diam sahaja; kerana sesungguhnya orang yang buta saat hidup di dunia, kelak di akhirat lebih buta dan lebih sesat jalannya.


 

Ayat 66: Kalau seseorang itu buta hati (tidak mahu terima kebenaran) semasa di dunia, maka dia akan dibutakan di akhirat kelak.

فَعَمِيَت عَلَيهِمُ الأَنباءُ يَومَئِذٍ فَهُم لا يَتَساءَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the information¹ will be unapparent to them that Day, so they will not [be able to] ask one another.

  • By which they might invent lies or excuses.

(MELAYU)

Maka gelaplah bagi mereka segala macam alasan pada hari itu, kerana itu mereka tidak saling tanya menanya.

 

فَعَمِيَت عَلَيهِمُ الأَنباءُ يَومَئِذٍ

Maka gelaplah bagi mereka segala macam alasan pada hari itu,

Berita tentang apa yang akan terjadi kepada mereka digelapkan kepada mereka sehingga mereka tidak tahu apa yang akan dikenakan kepada mereka. Dan mereka nanti akan amat terkejut apabila mereka melihatnya sendiri.

Maknanya, mereka cuma akan dengar bunyi neraka yang kuat dan mereka akan ketakutan yang amat sangat. Tapi mereka tak nampak lagi sekarang. Kemudian baru mereka akan nampak di akhirat kelak. Ini adalah satu tafsir.

Ini satu lagi tafsir. Mujahid mengatakan bahawa mereka tidak dapat mengemukakan alasan-alasan mereka, dan mereka tidak saling bertanya tentang keturunan. Kerana tidak ada alasan yang akan diterima pada waktu itu. Maknanya kalau mereka keturunan Nabi ﷺ atau ulama’ pun, mereka tidak akan diterima. Allahu a’lam.

Kalimah فَعَمِيَتْ boleh bermaksud alasan-alasan mereka tidak jelas, tidak kuat. Sebagai contohnya kalau kita kena tangkap, tentu kita akan bagi alasan, bukan? Allah hendak beritahu ahli neraka pun akan bagi alasan tapi alasan mereka tidak kuat, tidak dipandang pun. Ini kerana kalimah فَعَمِيَتْ dari kata dasar ع م ي dan salah satu maksudnya adalah ‘tidak jelas’ atau ‘kabur’.

Kata dasar ع م ي juga bermaksud buta. Iaitu mereka macam orang buta yang tentunya tidak dapat mencari jalan ke arah keselamatan.

 

فَهُم لا يَتَساءَلونَ

kerana itu mereka tidak saling tanya menanya.

Selalunya apabila kita dengar benda yang pelik-pelik, tentu kita akan bertanya-tanya kepada orang di sekeliling kita, bukan? Tapi di akhirat kelak keupayaan untuk bertanya kepada orang lain akan ditarik daripada mereka, sampai mereka tidak dapat bertanya-tanya lagi. Mereka akan terus berada dalam kebingungan.

Atau, mereka tidak akan ditanya tentang keturunan mereka seperti yang disebut di atas. Ini adalah kerana keturunan tidak penting. Keturunan atau siapa keluarga kita tidak akan dapat menyelamatkan kita. Kita hanya dapat bergantung kepada amal kita sahaja.

Atau, ia bermaksud mereka terkejut sangat dengan keadaan di akhirat sampaikan tak teringat nak tanya kepada orang lain apa alasan mereka nak beri untuk selamatkan diri mereka. Selalunya kita akan tanya kawan-kawan apa alasan nak selamatkan diri, bukan? Tapi tidak akan terjadi di akhirat kelak. Kawan-kawan pun tidak akan dapat selamatkan kita.


 

Ayat 67: Ayat tabshir. Sekarang Allah beri jalan keluar, bagaimana untuk menyelamatkan diri.

فَأَمّا مَن تابَ وَءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَعَسىٰ أَن يَكونَ مِنَ المُفلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for one who had repented, believed, and done righteousness, it is expected [i.e., promised by Allāh] that he will be among the successful.

(MELAYU)

Adapun orang yang bertaubat dan beriman, serta mengerjakan amal yang soleh, semoga dia termasuk orang-orang yang beruntung.

 

فَأَمّا مَن تابَ وَءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا

Adapun orang yang bertaubat dan beriman, serta mengerjakan amal yang soleh,

Dan kepada orang yang bertaubat, mereka itu seolah-olah baru masuk Islam kerana dibersihkan segala dosa mereka (kalau diterima taubat itu, kerana belum tentu Allah ﷻ akan terima). Terutama kena taubat adalah dari amalan dan fahaman syirik.

Dan selepas mereka bertaubat, mereka beriman dengan iman yang sebenarnya. Dan iman yang sebenar adalah iman tanpa syirik. Kalau setakat percaya kepada Allah ﷻ tapi dalam masa yang sama, mereka ada amalkan syirik seperti berdoa kepada selain Allah ﷻ, maka itu bukanlah iman yang sempurna. Nak tahu mana iman yang sempurna, kenalah mereka belajar tafsir dan akidah tauhid sampai faham.

Dan kemudian mereka memperbaiki agama mereka dengan melakukan amal-amal soleh. Selepas akidah jadi suci, amal akan jadi soleh. Tidaklah mereka cakap kosong sahaja, tapi mereka tunjukkan keimanan itu dengan amalan yang soleh. Dan seperti kita selalu sebutkan, amal yang soleh itu adalah amalan yang sunnah, bukannya amalan bid’ah. Ini pun menjadi isu dalam masyarakat kita kerana perbezaan pemahaman tentang apakah yang dimaksudkan dengan bidaah. Maka ini memerlukan pembelajaran khusus tentangnya.

Kena banyakkan amalan supaya pahala kita banyak dan dapat menampung dosa yang banyak kita telah lakukan. Memang amalan baik dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita telah lakukan.

 

فَعَسىٰ أَن يَكونَ مِنَ المُفلِحينَ

semoga dia termasuk orang-orang yang beruntung.

Maka mereka inilah yang ada kemungkinan untuk menjadi orang-orang yang beruntung. Kenapa dikatakan yang ‘mudah-mudahan’ ada kemungkinan mereka itu menjadi orang yang beruntung? Kenapa tidak dipastikan sahaja yang mereka itu orang-orang yang beruntung?

Ini kerana mereka memang telah bertaubat dan telah mula melakukan amal soleh, tetapi tidak pasti sama ada mereka akan istiqomah dan mati atas iman lagi. Maka kerana itu dikatakan ‘mudah-mudahan’ sahaja.

Dan kita juga telah sebutkan yang tidak pasti taubat mereka akan diterima. Kerana ia terpulang kepada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak mahu terima taubat itu, kita tidak boleh buat apa. Maka kena berhati-hati. Jangan buat dosa dan sangka: “nanti aku taubatlah nanti….” Ini amat bahaya. Bagaimana kalau Allah tidak terima taubat itu?

Macam kita sekarang yang sedang beriman dan mungkin sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an dan sudah jaga solat dan puasa kita, tidak semestinya kita pasti akan selamat kerana keselamatan kita dikira pada akhir hayat kita. Mungkin kita sekarang sedang banyak buat amal, tapi tidak semestinya kita tetap melakukannya di hujung hayat kita. Kerana masa kita hidup mungkin lama lagi dan kita mungkin boleh berubah.

Maka ini mengajar kita yang kita kena sentiasa berjaga-jaga dan mengawal perlakuan dan memastikan iman kita tetap tinggi walau apa pun yang terjadi. Iman itu kena dijaga kerana iman itu naik dan turun.

Kita juga kena berhati-hati dengan gangguan dari nafsu dan bisikan syaitan. Kerana dua benda itu selalunya akan cuba menarik kita ke lembah kehinaan.


 

Ayat 68: Ayat ini adalah isyarat kepada Dalil Aqli.  Ini kerana surah ini hanya mengandungi Dalil Naqli sahaja jadi tentang Dalil Aqli hanya sebagai isyarat sahaja.

Diingatkan yang Dakwa Surah ini adalah tentang keberanian untuk menyampaikan ajaran tauhid dan sanggup susah dalam menyampaikannya. Kalau sesuatu surah itu ada Dakwa Tauhid, maka akan diberikan dalil aqli dan naqli  tetapi kerana Dakwa surah ini bukan tauhid, maka diberi salah satu darinya sahaja. Jadi ayat ini bukanlah dalil aqli, tapi isyarat sahaja kepada Dalil Aqli sahaja.

وَرَبُّكَ يَخلُقُ ما يَشاءُ وَيَختارُ ۗ ما كانَ لَهُمُ الخِيَرَةُ ۚ سُبحٰنَ اللهِ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord creates what He wills and chooses; not for them was the choice. Exalted is Allāh and high above what they associate with Him.

(MELAYU)

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia).

 

وَرَبُّكَ يَخلُقُ ما يَشاءُ وَيَختارُ

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya.

Allah ﷻ berkuasa penuh untuk mencipta apa sahaja yang Dia kehendaki. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan apa yang Allah ﷻ cipta dan jadikan. Ada yang dicipta jadi manusia, ada yang dicipta jadi malaikat, dan ada yang jadi haiwan. Cuma kadangkala hati kita ini tidak boleh nak terima.

Sebagai contoh, mungkin kita lihat ramai manusia yang kufur dan melakukan kerosakan dan berapa banyak negara dan bandar yang kehidupan penduduknya penuh dengan keburukan, lalu hati kita bertanya: “kenapakah Allah ﷻ ciptakan begitu ramai manusia yang akhirnya mereka itu menentang Allah ﷻ dan melakukan kerosakan?” Ini tanda hati yang tidak redha dengan ketentuan Allah ﷻ.

Maka ayat ini mengingatkan kita yang bukan kerja kita untuk mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan kerana Allah ﷻ boleh buat apa saja yang Dia ﷻ kehendaki dan kita tidak tahu kenapa Allah ﷻ melakukan sedemikian. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ dan terima sahaja. Tidak perlu difikirkan kerja Allah ﷻ. Mungkin kita sangka sesuatu itu buruk pada mata kita tapi ada kebaikannya yang kita tidak tahu.

Termasuk pemilihan Allah adalah, Allah pilih siapa dari kalangan manusia yang jadi Rasul. Ini adalah hak Allah.

Dan kena ingat yang Allah ﷻ sahaja yang layak memilih siapakah yang dapat hidayah dan siapakah yang tidak mendapat hidayah. Janganlah kita berfikir: “kenapalah orang itu tidak dapat hidayah.. ? Kenapa Allah ﷻ tidak beri hidayah kepadanya….?”. Berhati-hatilah kerana soalan ini tidak perlu difikirkan dan tidak perlu ditanya. Bukan kerja kita untuk beri hidayah dan bukan kedudukan kita untuk persoal keputusan Allah ﷻ.

 

ما كانَ لَهُمُ الخِيَرَةُ

Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. 

Allah ﷻ ingatkan yang kuasa pilihan itu hanya ada pada Allah  ﷻ sahaja dan bukan pada manusia. Mungkin kita nampak kita boleh buat pilihan kita sendiri tetapi sebenarnya pilihan itu terletak di tangan Allah ﷻ.

Dalam hal isu pilihan, ada dua peringkat iaitu peringkat manusia dan peringkat Allah ﷻ. Memang kita pun ada kehendak juga (seperti hendak makan, hendak berpasangan dan sebagainya). Cuma dalam ayat ini Allah ﷻ menceritakan peringkat tertinggi sekali iaitu kehendak Allah ﷻ. Jangan gunakan ayat ini sebagai alasan yang orang-orang jadi kafir dan tidak beriman itu kerana ianya ‘sudah kehendak Allah’. Seolah-olah hendak menyalahkan Allah ﷻ pula atas kekufuran manusia pula. Tidak boleh begitu.

Allah ﷻ sebenarnya telah memilih keturunan Adam dari awal-awal lagi untuk menerima hidayah. Apabila Allah ﷻ pilih Nabi Adam bermaksud Allah ﷻ telah memilih juga keturunan baginda iaitu kesemua manusia. Oleh itu kita sebenarnya adalah makhluk terpilih. Kita terpilih untuk menjadi hamba dan khalifah-Nya di muka bumi. Inilah tugas kita.

Tetapi sebagaimana dalam kehidupan kita ada orang yang telah dipilih untuk melakukan kerja, tetapi mereka tidak melakukan kerja mereka seperti yang sepatutnya, maka begitulah juga manusia. Masa temuduga sudah mengaku semua boleh buat, tapi bila sudah dapat kerja, tidak dijalankan dengan baik.

Maka begitu juga dengan manusia, ada manusia yang tidak memenuhi tugas mereka sebagai hamba Allah ﷻ dan khalifah. Ini terjadi kepada manusia yang telah salahgunakan kelebihan dan peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Mereka memang telah terpilih tapi mereka yang tidak jalankan tugas mereka.

Jadi mereka juga ada kehendak, dan bila mereka salahgunakan kehendak mereka itu, maka mereka juga boleh dipersalahkan. Jangan cari alasan nak salah Allah ﷻ pula.

 

سُبحٰنَ اللهِ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia).

Allah ﷻ itu suci daripada fahaman-fahaman syirik yang dilakukan oleh manusia. Allah ﷻ suci dari sifat-sifat buruk yang segala sifat yang tidak sesuai denganNya.

Allah ﷻ juga Maha Tinggi dan tidak layak difikirkan seperti yang dilakukan oleh manusia yang melakukan syirik. Sebagai contoh ada yang sangka Allah ﷻ ada anak, Allah ﷻ perlukan perantaraan, Allah ﷻ perlukan pembantu dalam mentadbir alam ini, ada makhluk yang ada juga ilmu ghaib sama seperti Allah ﷻ, dan macam-macam lagi salah faham manusia terhadap Allah ﷻ.

Itu semua tidak layak bagi Allah ﷻ. Kita kena tolak semua sifat yang tidak sesuai dengan Allah ﷻ. Tidak ada yang setara Allah ﷻ dalam apa jua keadaan. Maka kita kena tinggikan Allah ﷻ dari makhluk. Jangan samakan makhluk dengan Allah ﷻ pula. Maka untuk tahu manakah yang boleh dan tidak, kena belajar; atau tanya kepada mereka yang tahu.


 

Ayat 69: Ayat ini juga adalah isyarat kepada Dalil Aqli.

وَرَبُّكَ يَعلَمُ ما تُكِنُّ صُدورُهُم وَما يُعلِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord knows what their breasts conceal and what they declare.

(MELAYU)

Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan (dalam) dada mereka dan apa yang mereka nyatakan.

 

Allah ﷻ tahu apa yang berada tertanam dalam di dalam lubuk dada manusia. Dan Allah ﷻ juga tahu apa yang mereka sebutkan di luar. Semuanya Allah ﷻ tahu dan tidak tersembunyi kepadaNya. Kata-kata mereka yang kononnya kata Nabi Muhammad tak layak, ada lagi yang lebih layak… itu Allah ﷻ tahu.

Kenapa Allah ﷻ sebut ‘dalam hati’ dan ‘luaran’? Bukankah kalau Allah ﷻ sudah tahu apa yang ada dalam hati manusia, maka tentu Allah ﷻ sudah tahu apa yang mereka sebutkan?

Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu ‘luar’ dan ‘dalam’ hati manusia kerana Allah ﷻ nak beritahu, kadangkala ada manusia cakap lain tapi dalam hatinya lain; maka Allah ﷻ nak beritahu, Allah ﷻ tahu apakah perbezaan itu.


 

Ayat 70:

وَهُوَ اللهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ لَهُ الحَمدُ فِي الأولىٰ وَالآخِرَةِ ۖ وَلَهُ الحُكمُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And He is Allāh; there is no deity except Him. To Him is [due all] praise in the first [life] and the Hereafter. And His is the [final] decision, and to Him you will be returned.

(MELAYU)

Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagi-Nya-lah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nya-lah segala penentuan dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.

 

وَهُوَ اللهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Dan Dialah Allah, tidak ada ilah melainkan Dia,

Allah ﷻ sahajalah yang layak untuk disembah dan juga untuk diseru dalam doa. Jangan jadikan ilah selain Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja yang layak sebagai ilah. Roh-roh Nabi, wali dan malaikat jangan sesekali dijadikan sebagai ‘ilah’.

Apakah ilah? Ilah itu adalah tempat sandaran hati. Tempat kita berharap untuk menyelesaikan masalah kita dan memberikan apa yang kita hendak. Kadangkala ada manusia yang menjadikan makhluk sebagai ilah. Mereka tidaklah menjadikan makhluk itu sebagai ‘tuhan’, tapi mereka tetap menjadikannya sebagai ilah. Mereka menyandarkan pengharapan mereka kepada makhluk, sedangkan mereka sepatutnya berharap kepada Allah ﷻ sahaja dalam hal sebegini.

Ini terjadi apabila ada manusia yang taat kepada selain Allah ﷻ; juga terjadi jikalau manusia berdoa kepada makhluk itu untuk dijadikan sebagai wasilah kepada Allah ﷻ. Mereka berharap yang Nabi, wali atau malaikat itu akan menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ.

 

لَهُ الحَمدُ فِي الأولىٰ وَالآخِرَةِ

bagi-Nya-lah segala puji di dunia dan di akhirat, 

Segala puji hanya khas milik Allah ﷻ dari mula hingga ke akhirnya. Iaitu dari mula dakwah Rasulullah ﷺ sampailah ke akhir hayat baginda di mana berhala-berhala telah dibersihkan dari Mekah.

Dan juga bermaksud dari mula kejadian dunia ini sehingga ke akhirnya nanti, segala pujaan yang khas itu tetap milik Allah ﷻ dan tidak pernah berubah. Arab Jahiliyah menggunakan kalimah الحمد juga kepada berhala mereka yang mereka sangka boleh menyelesaikan masalah mereka. Di sini Allah ﷻ beritahu yang الحمد itu hanya layak bagi Allah ﷻ sahaja.

 

وَلَهُ الحُكمُ

dan bagi-Nya-lah segala penentuan 

Milik Allahlah segala keputusan. Untuk beri, untuk selesaikan masalah, apa-apa sahaja keputusan sama ada untuk kebaikan hamba atau musibah bagi mereka, keputusannya pada Allah ﷻ.

Kalimah الحكم boleh jadi bermaksud ‘bijaksana’ dan boleh jadi ‘hukum’. Maka Allah ﷻ sahaja yang memiliki kebijaksanaan yang sempurna dan mempunyai kedudukan memberi hukuman kepada manusia.

Maknanya, Allah ﷻ yang tetapkan undang-undang dalam alam ini – dan kerana itu kita kena ikut hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan. Dan nanti kalau ada orang yang melanggar hukum-Nya, maka Allah-lah yang layak untuk menghukum manusia itu.

 

وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.

Dan ingatlah yang kehidupan kita di dunia ini tidak akan kekal dan akhirnya kita akan dikembalikan untuk mengadap Allah ﷻ. Lalu kita kena fikirkan bagaimana cara kita nak hadap Allah ﷻ nanti. Adakah kita hendak mengadap Allah ﷻ dalam Allah murka kepada kita? Atau kita mengadap Allah ﷻ dengan bawa dosa-dosa syirik? Tentulah itu tidak patut.

Kita tetap akan kena mengadap Allah ﷻ. Kalau di dunia lari dari Allah ﷻ, buat syirik dan tidak taat kepadaNya, tapi nanti di akhirat, tetap akan dibawa mengadap kepadaNya juga.

Maka kenalah kita belajar apakah yang Allah ﷻ kehendaki dari kita. Pertamanya, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadith supaya kita faham tentang agama ini. Kita kena bersungguh-sungguh belajar kerana takut kalau ada benda yang kita silap faham dan kerana itu kita melakukan dosa yang besar. Alangkah ruginya kalau begitu?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Februari 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 60 – 64 (Guru berlepas diri)

Ayat 60: Allah ﷻ ajar kita supaya tengok balik pemahaman kita tentang dunia ini. Jangan kita terlalu mementingkan dunia sangat.

وَما أوتيتُم مِّن شَيءٍ فَمَتٰعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَزينَتُها ۚ وَما عِندَ اللهِ خَيرٌ وَأَبقىٰ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whatever thing you [people] have been given –it is [only for] the enjoyment of worldly life and its adornment. And what is with Allāh is better and more lasting; so will you not use reason?

(MELAYU)

Dan apa saja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah kamu tidak memahaminya?

وَما أوتيتُم مِّن شَيءٍ فَمَتٰعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَزينَتُها

Dan apa saja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya;

Ketahuilah bahawa apa-apa sahaja nikmat yang kamu dapat semasa di dunia ini adalah kegunaan semasa dunia sahaja. Ianya adalah perkara yang kita gunakan sahaja seperti kita gunakan sudu untuk makan. Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang kita obses dengannya.

Tiga perkara utama adalah tiga ‘ta’: harta, tahta atau wanita. Juga termasuk sempurna tubuh badan, rupa paras dan kesihatan yang Allah berikan. Juga keturunan yang banyak dan macam-macam lagi. Semua ini adalah sebagai ujian.

Allah ﷻ hendak ingatkan kepada manusia, janganlah terikat dan terpesona sangat dengan dunia ini kerana ianya hanya sebagai kegunaan sementara kita hidup di atas dunia ini. Kalau kita dapat semua itu, ia adalah sebagai perhiasan. Dan ia akan ditinggalkan apabila kita mati nanti. Maka ia sepatutnya digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan nikmat yang berterusan di akhirat kelak sahaja. Gunakan dunia untuk dapatkan pahala untuk akhirat.

Janganlah lebihkan dunia sangat kerana ianya adalah perkara yang rendah sahaja dan ianya tidak kekal kerana dunia ini sendiri tidak kekal. Memang dunia ini cantik pada mata kita tetapi janganlah terlalu terpesona dengannya. Memang kita perlukan dunia, tapi tidaklah sampai melupakan akhirat.

Ini penting diingatkan berkali-kali kepada manusia kerana ramai yang tidak mementingkan akhirat kerana mereka lebih mementingkan dunia lagi. Ramai yang meninggalkan amalan untuk akhirat kerana lebih mementingkan amalan untuk dapatkan kesenangan di dunia. Jadi Allah ﷻ nak kita betulkan balik prioriti kita. Maka sekarang diingatkan apakah hakikat dunia itu.

وَما عِندَ اللهِ خَيرٌ وَأَبقىٰ

sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal.

Dunia ini tidak kekal tetapi akhirat yang dijanjikan oleh Allah ﷻ itu lebih baik dan lebih kekal. Yang Allah berikan di dunia itu tidak besar. Pemberi sendiri (Allah) yang kata ia tidak besar. Maka kenalah lebihkan akhirat kerana ia lebih kekal. Maka kita kena buat pilihan yang bijak dalam hal ini: nak yang akan hancur atau yang akan kekal?

Jadi ada dua perkara yang disentuh di dalam ayat ini tentang dunia: iaitu ia rendah dan keduanya, ia tidak kekal. Semua yang kita ada di dunia ini ada masa lupusnya; sama ada kita yang meninggalkannya atau ia akan rosak dan meninggalkan kita dahulu. Maka kita kena pandai dalam memilih mana satu yang lebih baik untuk kita. Hint: Kenalah lebihkan akhirat lebih dari dunia.

Kadang-kadang kita memang suka dengan kehidupan kita di dunia ini di mana mungkin kita sedang bersenang lenang dengan suami isteri kita, tetapi ketahuilah yang ianya tidak kekal lama dan tidak berterusan kerana kadang-kadang ada juga perkelahian.

أَفَلا تَعقِلونَ

Maka apakah kamu tidak memikirkan?

Maka kenapa kamu tidak memikirkan dan membandingkan antara dua perkara itu (dunia dan akhirat)? Bukankah kamu ada akal? (tidak seperti haiwan). Dengan berfikir inilah kamu akan nampak jalan. Kalau tidak menggunakan akal fikiran, maka minda akan jadi buntu.

Jadi kenapa masih lagi nak mementingkan perkara yang tidak kekal? Kenapa sayangkan sangat kepada dunia sampai kamu melupakan bahagian kamu di akhirat?

Maka tuntutan akal mendorong manusia mencari apakah yang lebih kekal? Itulah yang hanya boleh didapati di dalam janjiNya di dalam KitabNya. Ini yang kita kena perhatikan. Sebagai orang yang menggunakan akal yang waras, mestilah dia kena cari yang lebih baik dan lebih menguntungkan. Orang yang tidak akal, dia tidak akan cari.

Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“وَاللهِ مَا الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ، إِلَّا كَمَا يَغْمِس أَحَدُكُمْ إِصْبَعَهُ فِي الْيَمِّ، فَلْينظُر مَاذَا يَرْجِعُ إِلَيْهِ”

Demi Allah, tiadalah kehidupan di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat melainkan sebagaimana seseorang dari kalian mencelupkan jari telunjuknya ke laut, maka hendaknya dia perhatikan apakah yang dia peroleh darinya?


Ayat 61: Dari ayat ini sehingga ke ayat 75 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Ia mengandungi dalil-dalil tentang Tauhid. Dalam ayat ini Allah ﷻ menggunakan cara perbandingan untuk mengajar kita. Allah ﷻ suruh gunakan akal untuk fikirkan perbandingan ini. Jangan menyesal di akhirat nanti.

أَفَمَن وَعَدنٰهُ وَعدًا حَسَنًا فَهُوَ لٰقيهِ كَمَن مَّتَّعنٰهُ مَتٰعَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ثُمَّ هُوَ يَومَ القِيٰمَةِ مِنَ المُحضَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is he whom We have promised a good promise which he will meet [i.e., obtain] like he for whom We provided enjoyment of worldly life [but] then he is, on the Day of Resurrection, among those presented [for punishment in Hell]?

(MELAYU)

Maka apakah orang yang Kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik (syurga) lalu dia memperolehinya, sama dengan orang yang Kami berikan kepadanya kenikmatan hidup duniawi; kemudian dia pada hari kiamat termasuk orang-orang yang diseret (ke dalam neraka)?

أَفَمَن وَعَدنٰهُ وَعدًا حَسَنًا فَهُوَ لٰقيهِ

Maka apakah orang yang Kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik (syurga) lalu dia memperolehinya,

Allah ﷻ buat perbandingan seorang yang telah dijanjikan dengan kebaikan dan dia pasti akan menemui dan mendapat kebaikan itu. Cuma kena tunggu mati sahaja, mereka akan dapat janji itu. Itulah mereka yang dengar janji Allah ﷻ dalam wahyu dan mereka terima dan beramal dengan janji-janji itu.

Dan kerana itu mereka akan dapat balasan yang baik kerana amalan mereka yang benar. Dalam Al-Qur’an ini banyak yang Allah ﷻ janjikan kehebatan syurga tetapi bayangkan bagaimana gembiranya orang itu nanti apabila melihat ianya sudah di depan mata.

Kalau dapat hadiah di dunia ini pun kita sudah suka, bukan? Bagaimana pula kalau kita lihat sendiri syurga yang disebut-sebut dalam Al-Qur’an itu? Perkara yang kita baca-baca dalam Al-Qur’an dan hadith, kita dapat lihat di hadapan mata kita sendiri? Alangkah manisnya! Alangkah hebatnya!

كَمَن مَّتَّعنٰهُ مَتٰعَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا

sama dengan orang yang Kami berikan kepadanya kenikmatan hidup duniawi; 

Sekarang bandingan di sebaliknya pula (the opposite end). Adakah lelaki pertama itu tadi sama dengan seorang lelaki lain yang memang diberikan dengan kebaikan di dunia tetapi tidak mendapat bahagiannya di akhirat?  Kerana leka dengan dunia, mereka leka dengan dunia dan tidak menghiraukan akhirat.

Memang mereka mendapat kesenangan hidup di dunia tetapi adakah sama dengan kesenangan di akhirat kelak? Sedangkan dunia itu akan ditinggalkan bila-bila masa sahaja.

Tentulah tidak sama. Mereka yang malang itu hanya mendapat kesenangan di dunia sahaja dan tidak ada bahagian langsung di akhirat. Ini amat merugikan sekali. Kita sudah terangkan sebelum ini yang dunia tidak boleh hendak dibandingkan dengan akhirat kerana tidak sama.

ثُمَّ هُوَ يَومَ القِيٰمَةِ مِنَ المُحضَرينَ

kemudian dia pada hari kiamat termasuk orang-orang yang dihadirkan?

Dan bayangkan bagaimana susahnya mereka nanti apabila mereka مُحضَرينَ (dihadirkan) di akhirat kelak untuk diaudit segala apa yang mereka dapat dan segala apa yang mereka telah lakukan. Mereka akan diseret di neraka kelak untuk dibakar.

Kita pun semasa di dunia tidak suka kena audit kerana semua perkara akan dilihat. Kerana waktu itu akan diperiksa satu persatu (sama ada kecil atau besar). Ramai yang tidak suka dengan juruaudit semasa di dunia ini.

Tapi kalau kena audit di akhirat nanti, lagi teruk. Allah ﷻ akan ungkit balik segala apa kenikmatan yang kita dapat, dan apakah balasan kita dengan nikmat itu? Adakah kita bersyukur dengannya? Adakah kita menggunakannya untuk kebaikan? Dan macam-macam lagi soalan yang berat-berat yang akan ditanya.


Ayat 62: Dan yang lebih teruk lagi kalau ditanya tentang amalan syirik mereka semasa di dunia. Sekarang disebut nasib orang yang buat syirik. Maka ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Bila rosak akidah, maka ibadah pun rosak juga. Mereka mungkin solat dan bayar zakat, tapi ia akan ditolak segala amal itu. Maka tauhid adalah asas bagi amal, perlu sangat dijaga.

وَيَومَ يُناديهِم فَيَقولُ أَينَ شُرَكاءيَ الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [warn of] the Day He will call them and say, “Where are My ‘partners’ which you used to claim?”

(MELAYU)

Dan (ingatlah) hari (di waktu) Allah menyeru mereka, seraya berkata: “Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang dahulu kamu katakan?”

وَيَومَ يُناديهِم فَيَقولُ أَينَ شُرَكاءيَ

Dan (ingatlah) hari (di waktu) Allah menyeru mereka, seraya berkata: “Di manakah sekutu-sekutu-Ku 

Dan mereka yang buat syirik akan diseru dan dikumpulkan dan akan ditanya kepada mereka tentang roh-roh yang mereka puja dan seru semasa mereka di dunia dulu. Mana mereka sekarang? Mana dia wali yang kamu bagi salam dan sedekah Al-Fatihah itu? Mana dia Nabi ﷺ yang kamu minta syafaat darinya? Mana dia malaikat yang kamu kata boleh beri perlindungan kepada kamu itu?

الَّذينَ كُنتُم تَزعُمونَ

yang dahulu kamu katakan?”

Dulu kamu yakin sangat yang roh-roh yang kamu seru dan puja itu akan dapat menyelamatkan kamu, menyempurnakan hajat, menyelesaikan masalah, tapi di mana mereka sekarang? Kamu puja mereka kerana kamu sangka ada sesuatu di sebalik pujaan itu. Kalau tidak, tidak akan puja.

Kalimah زعم bermaksud keyakinan yang tidak ada dasar. Mereka pakai ikut sahaja apa yang dikatakan oleh guru mereka dan nafsu mereka tapi mereka tidak ada dalil. Mereka kata guru mereka ajar buat begini dan begitu untuk dapatkan pertolongan Nabi ﷺ, wali dan malaikat. Maka mereka pun ikutlah. Mereka tidak fikirkan lagi asalkan yang ajar mereka itu pakai serban dan pakai jubah.

Bila kita tegur, mereka marah kerana mereka kata: “takkan guru kami salah?”, “benda ada dalam kitab”, “mereka itu keturunan Nabi, takkan salah?”, “yang lawan benda ini hanya wahabi sahaja, kamu wahabi ya?” dan macam-macam lagi dalihan dan penolakan dari mereka.


Ayat 63: Sekarang diulangsiar kata-kata mereka yang telah menyesatkan orang lain. Mereka telah bersalah dan menyebabkan orang lain sesat kerana mereka. Inilah kata-kata mereka semasa di akhirat kelak:

قالَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ رَبَّنا هٰؤُلاءِ الَّذينَ أَغوَينا أَغوَينٰهُم كَما غَوَينا ۖ تَبَرَّأنا إِلَيكَ ۖ ما كانوا إِيّانا يَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those upon whom the word¹ will have come into effect will say, “Our Lord, these are the ones we led to error. We led them to error just as we were in error. We declare our disassociation [from them] to You. They did not used to worship [i.e., obey] us.”²

  • The decree for their punishment.
  • i.e., We did not compel them, and they did not obey us; instead, they obeyed their own desires and inclinations.

(MELAYU)

Berkatalah orang-orang yang telah tetap hukuman atas mereka; “Ya Tuhan kami, mereka inilah orang-orang yang kami sesatkan; kami telah menyesatkan mereka sebagaimana kami (sendiri) sesat, kami berlepas diri (dari mereka) kepada Engkau, mereka sekali-kali tidak menyembah kami”.

قالَ الَّذينَ حَقَّ عَلَيهِمُ القَولُ

Berkatalah orang-orang yang telah tetap hukuman atas mereka:

Ini adalah kata-kata mereka yang telah ditetapkan hukuman ke atas mereka, iaitu mereka yang Allah ﷻ telah tetapkan akan dikenakan dengan azab kerana kesyirikan mereka. Ini sebagai jawapan dalam ayat sebelum ini.

Dan mereka ini adalah orang-orang yang menjadi kepala kepada penyembahan syirik itu. Mereka yang jadi guru mengajar anak-anak murid mereka tentang tawassul, tentang seru sana sini, tentang pergi ke kubur wali dan Nabi ﷺ, dan banyak lagi amalan-amalan salah lagi sesat.

Atau ini kata-kata jin syaitan. Mereka juga akan dipanggil dan dipersoal tentang perbuatan mereka semasa di dunia. Jadi sama ada ini manusia yang jadi ketua ajaran sesat (yang mengajar) atau jin syaitan yang membisikkan ajaran sesat itu.

Jadi ini adalah suasana di mana yang disesatkan akan dikumpulkan bersama dengan mereka yang telah sesat. Maknanya, guru dan anak murid akan dikumpulkan di satu tempat; atau syaitan dan manusia akan dikumpulkan di satu tempat. Ini kiranya dalam kandang pesalah seperti di mahkamah. Masing-masing sudah tahu yang mereka bersalah. Tapi sekarang nak tuding jari nak salahkan orang lain.

رَبَّنا هٰؤُلاءِ الَّذينَ أَغوَينا

“Ya Tuhan kami, mereka inilah orang-orang yang kami sesatkan itu; 

Waktu itu mereka akan berkata dengan mengaku yang mereka telah menyesatkan manusia lain. Kerana mereka menjadi kepala masyarakat (atau ketua yang mengajar ajaran sesat) dan apabila orang awam melihat perbuatan yang mereka lakukan, orang awam telah ikut sama dan jadi sama-sama sesat.

Atau, kalau mereka itu golongan jin syaitan, merekalah yang dulu menyesatkan manusia.

Kadang-kadang yang diikuti itu adalah mereka yang bawa perawakan agama, pakai jubah dan pandai cakap bahasa Arab dan sebagainya. Maka orang awam yang jahil sangka, mereka itu tentulah orang yang benar. Kerana kadangkala orang kita hanya tengok pada perawakan sahaja. Sebab itu ramai yang senang kena tipu hidup-hidup.

Begitulah masalah dengan ‘orang awam’ yang tidak menggunakan intelek yang Allah ﷻ telah berikan. Mereka pakai terima dan ikut sahaja kata-kata manusia. Dalil tidak ada dan tidak diberi pun. Ini hanya kerana jahil sahaja dan kerana tidak tahu cara nak tentukan kebenaran. Ini amat bahaya sekali kerana ia boleh menyebabkan kesalahan dalam agama.

أَغوَينٰهُم كَما غَوَينا

kami telah menyesatkan mereka sebagaimana kami (sendiri) sesat, 

Guru-guru itu telah sesatkan pengikut mereka, sebagaimana mereka dulu pun sesat juga. Kerana mereka pun ikut kata guru-guru mereka juga. Begitulah kalau kita telusuri ajaran syirik dan bid’ah yang diamalkan oleh masyarakat kita, ianya tidak sampai kepada para sahabat pun (tentu sahaja tidak sampai kepada Nabi ﷺ).

Kalau kita tanya siapa ajar? Dia jawab: “guru saya… ” Kita tanya balik: “guru awak dapat dari siapa?”. Dia hanya boleh jawab: “dari guru dia….” dan seterusnya dan kemudian tidak tahu hujung pangkal siapa yang mula-mula ajar. Maknanya tak sampai pun ke tahap sahabat. Maknanya modal mereka mengajar itu tanpa dalil langsung.

Mereka yang telah disesatkan itu pun tidak pernah datang kepada guru-guru itu untuk bertanya atau mempersoalkan apa yang mereka lakukan itu. Ini adalah kerana mereka rasa tentulah apa yang guru-guru itu lakukan adalah perkara yang benar. Mereka menggunakan sangkaan sahaja.

Beginilah yang terjadi di dalam masyarakat yang hanya ikut sahaja apa yang dikatakan oleh para ustaz mereka tanpa mempersoalkan sama ada ianya ada dalil ataupun tidak. Semua ini adalah kerana kedudukan mereka yang tinggi di dalam masyarakat sampai tidak ada yang berani untuk mempersoalkan mereka. Dan kalau ditanya pun, mereka tahu yang mereka akan kena marah.

Janganlah takut untuk tanya dalil. Kalau guru itu marah kerana ditanyakan dalil, maka tinggalkan sahaja guru itu. Kerana kalau dia marah, maknanya dia sendiri tidak ada dalil. Kerana kalau dia ada dalil, tentu dari awal lagi dia telah beritahu, lebih-lebih lagi kalau diminta.

تَبَرَّأنا إِلَيكَ

kami berlepas diri (dari mereka) kepada Engkau, 

Para guru itu nak putuskan hubungan dengan mereka yang telah mereka sesatkan dan juga dengan mereka yang telah sesatkan mereka dulu. Maknanya nak pisahkan diri dari mereka yang ikut, dan juga dari guru yang mereka sendiri ikut.

Mereka nak berlepas diri kerana mereka tidak mahu bertanggungjawab lagi. Kerana mereka sudah kena tanggung dosa mereka sendiri, sekarang takkan nak tanggung dosa orang lain pula? Mereka kata mereka tidak paksa pun pengikut mereka ikut dulu. Mereka yang ikut sendiri tanpa paksaan. Yang mengajar itu ajak sahaja dengan beri kelebihan itu dan ini (yang tidak ada dalil).

Begitulah nanti syaitan akan berlepas diri dari pengikut mereka. Semasa di dunia, syaitan bisikkan perkara-perkara yang salah dan manusia ramai yang ikut. Syaitan berjanji macam-macam tapi dia pasti tidak akan tepati janjinya itu. Maka tinggallah manusia yang mengikut syaitan itu dengan tidak ada apa yang mereka boleh lakukan. Takkan mereka nak gunakan hujah: “Ya Allah, syaitan itu telah sesatkan aku, maka lepaskanlah aku….”.

Maaf, hujah ini tidak akan diterima. Kerana Allah ﷻ telah beri akal dan beri ajaran wahyu kepada manusia. Kalau sudah buat salah, itu adalah kerana kesalahan sendiri, tidak boleh salahkan orang lain.

ما كانوا إِيّانا يَعبُدونَ

mereka sekali-kali tidak menyembah kami”.

Guru-guru itu kata dulu pengikut mereka tidak sembah pun mereka. Maksudnya, mereka dulu semasa di dunia hanya sekadar boleh ajak sahaja. Mereka tidak ada puja mereka (guru) itu pun, tetapi mereka hanya puja nafsu mereka.

Begitulah, sayang mereka dengan guru mereka itu setakat di dunia sahaja. Tapi mereka akan jadi musuh di akhirat kelak. Ini sebagaimana kata Nabi Ibrahim عليه السلام berkata kepada kaumnya, seperti firman-Nya:

{إِنَّمَا اتَّخَذْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ثُمَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُ بَعْضُكُمْ بِبَعْضٍ وَيَلْعَنُ بَعْضُكُمْ بَعْضًا}

Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini, kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain). (Al-‘Ankabut:25), hingga akhir ayat.

Maka begitulah nanti manusia akan kecewa di akhirat kerana melakukan penyembahan yang salah. Maka semoga kita diselamatkan dari melalui perkara ini. Kenalah kita tolak amalan-amalan yang syirik. Tapi, nak tahu itu amalan syirik, kenalah belajar dulu. Nak tolak macam mana kalau tak tahu ia salah?

Tafsir yang lain: ini tentang yang dipuja tanpa mereka tahu menahu pun. Iaitu seperti Nabi Isa, Nabi Uzair, Maryam, Nabi Muhammad, wali itu dan ini, dan lain-lain. Pengikut-pengikut sesat itu guna nama mereka sahaja. Mereka tak pernah pun suruh pengikut puja mereka. Jadi mereka yang dipuja melepaskan diri mereka. Mereka tidak pernah ajar pun ajaran sesat kepada manusia.

Jadi yang memuja itu bukanlah puja malaikat, Nabi atau wali, tapi mereka sebenarnya puja jin.


Ayat 64:

وَقيلَ ادعوا شُرَكاءَكُم فَدَعَوهُم فَلَم يَستَجيبوا لَهُم وَرَأَوُا العَذابَ ۚ لَو أَنَّهُم كانوا يَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it will be said, “Invoke your ‘partners,’ ” and they will invoke them; but they will not respond to them, and they will see the punishment. If only they had followed guidance!

(MELAYU)

Dikatakan (kepada mereka) “Serulah olehmu sekutu-sekutu kamu”, lalu mereka menyerunya, maka sekutu-sekutu itu tidak memperkenankan (seruan) mereka, dan mereka melihat azab. (Mereka ketika itu berkeinginan) kiranya mereka dahulu menerima petunjuk.

وَقيلَ ادعوا شُرَكاءَكُم

Dikatakan (kepada mereka) “Serulah olehmu sekutu-sekutu kamu”,

Dikatakan kepada mereka yang berbuat syirik dulu (sama ada ketua atau pengikut). Dalam ayat sebelum ini telah ditanya kepada mereka, maka roh-roh sembahan mereka itu? Kenapa tidak ada di situ? Dan apabila tidak ada, maka sekarang mereka disuruh untuk panggil roh-roh sembahan mereka. Entah mungkin kalau dipanggil, mereka datang?

فَدَعَوهُم فَلَم يَستَجيبوا لَهُم

lalu mereka menyerunya, maka sekutu-sekutu itu tidak memperkenankan (seruan) mereka, 

Lalu yang menyembah itu akan memanggil-memanggil dan menyeru roh-roh sembahan mereka tetapi tidak ada yang akan menyahut panggilan mereka. Panggilan mereka sia-sia sahaja.

Sama sahaja seperti amalan dan sembahan mereka semasa di dunia. Semasa di dunia, mereka pergi ke kubur wali dan Nabi ﷺ, mereka beri salam kepada Nabi ﷺ, wali dan malaikat, mereka seru-seru Nabi ﷺ, wali dan malaikat dan macam-macam lagi amalan syirik yang tiada dalil.

Mereka luangkan masa yang banyak untuk melakukan perkara-perkara itu. Kalau yang beramal berjam-jam dan berhari-hari. Tapi ianya sia-sia sahaja. Kerana Nabi ﷺ, wali dan malaikat itu tidak terima pun seruan dan sedekah Al-Fatihah mereka itu. Buat kerja buang masa sahaja.

وَرَأَوُا العَذابَ

dan mereka melihat azab.

Dan sebaliknya mereka yang melakukan syirik itu akan melihat azab yang akan dikenakan kepada mereka. Akan ditunjukkan kepada mereka azab yang mereka akan masuk ke dalamnya. Tetap tidak datang Nabi ﷺ, wali dan malaikat sembahan mereka untuk menyelamatkan mereka pun.

لَو أَنَّهُم كانوا يَهتَدونَ

kiranya mereka dahulu menerima petunjuk.

Lihatlah betapa teruknya nanti azab yang akan dikenakan mereka. Waktu itu barulah mereka terasa, alangkah baiknya kalau dulu mereka menerima hidayah yang disampaikan kepada mereka. Kalau mereka mahu luangkan masa dan telinga untuk mendengar, tentulah mereka tidak akan kena azab begini.

Kalaulah dulu mereka terpimpin semasa mereka hidup di dunia tidaklah mereka menjadi begini di akhirat. Begitulah keadaan mereka yang menyayat hati. Sudah terlambat untuk melakukan apa-apa sahaja. Maka kena kenanglah perkara ini semasa di dunia lagi. Jangan tunggu di akhirat baru tahu. Jangan pakai dan amal sahaja amalan-amalan yang orang beritahu. Kena periksa dulu dan kena tanya kepada orang yang belajar wahyu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir