Tafsir Surah Ahzab Ayat 51 – 52 (Cara Nabi beristeri)

Ayat 51: Sekarang disebut satu lagi kebebasan yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda tidak terikat dengan peraturan menjaga giliran dengan isteri-isteri baginda.

Ini kerana baginda banyak melakukan kerja dakwah dan jikalau baginda terikat dengan jadual giliran isteri, maka ia akan mengganggu program baginda dalam berdakwah. Maka Nabi Muhammad ﷺ dibenarkan bebas untuk menentukan giliran. Peraturan ini tidak dibenarkan bagi orang lain yang beristeri lebih dari seorang.

۞ تُرجي مَن تَشاءُ مِنهُنَّ وَتُئوي إِلَيكَ مَن تَشاءُ ۖ وَمَنِ ابتَغَيتَ مِمَّن عَزَلتَ فَلا جُناحَ عَلَيكَ ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن تَقَرَّ أَعيُنُهُنَّ وَلا يَحزَنَّ وَيَرضَينَ بِما ءآتَيتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚ وَاللهُ يَعلَمُ ما في قُلوبِكُم ۚ وَكانَ اللهُ عَليمًا حَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You, [O Muḥammad], may put aside whom you will of them¹ or take to yourself whom you will. And any that you desire of those [wives] from whom you had [temporarily] separated – there is no blame upon you [in returning her]. That is more suitable that they should be content and not grieve and that they should be satisfied with what you have given them – all of them. And Allāh knows what is in your hearts. And ever is Allāh Knowing and Forbearing.

  • Those mentioned in the previous verse as being lawful to the Prophet (ṣ) or his wives to which he was married.

(MELAYU)

Kamu boleh menangguhkan menggauli siapa yang kamu kehendaki di antara mereka (isteri-isterimu) dan (boleh pula) menggauli siapa yang kamu kehendaki. Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu tinggalkan, maka tidak ada dosa bagimu. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk ketenangan hati mereka, dan mereka tidak merasa sedih, dan semuanya rela dengan apa yang telah kamu berikan kepada mereka. Dan Allah mengetahui apa yang (tersimpan) dalam hatimu. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.

 

تُرجي مَن تَشاءُ مِنهُنَّ

Kamu boleh menangguhkan menggauli siapa yang kamu kehendaki di antara mereka

Ini adalah hukum kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Baginda ada banyak isteri maka susah untuk baginda membahagikan masa yang sama kepada setiap para isteri baginda.

Kalimah تُرجي dari katadasar ر ج ي yang antara lain bermaksud ‘melengahkan sesuatu’. Kadangkala ada benda kita memang suka tetapi kita tangguhkan. Sebagai contoh, saya memang suka minum kopi tetapi oleh kerana ingin cepat ke tempat kerja, maka saya tangguhkan minum kopi sehingga dapat minum di tempat kerja sahaja.

Maknanya, ia sesuatu yang boleh dibuat tetapi kita tidak buat. Maknanya dalam ayat ini, ada isteri yang mungkin baginda hendak berjumpa dengannya tetapi baginda tangguh dan tidak berjumpa.

 

وَتُئوي إِلَيكَ مَن تَشاءُ

dan menggauli siapa yang engkau kehendaki.

Atau baginda boleh pilih untuk bersama dengan isterinya itu jika baginda suka. Ia dari katadasar أ و ي yang bermaksud melindungi, melayan. Jadi Allah beri kelonggaran untuk jumpa para isteri baginda mengikut masa baginda. Baginda tidak diberatkan dalam hal ini.

Akan tetapi, walaupun baginda diberikan dengan kelonggaran ini, tetapi para isteri baginda mengatakan yang baginda tetap menjaga aturan hari dengan para isteri baginda. Baginda selalunya berjumpa dengan semua isterinya setiap hari. Jarang baginda tidak berjumpa mereka. Tetapi baginda hanya berjumpa sahaja dan tidak adakan hubungan kelamin dengan mereka kecuali jikalau hari itu adalah hari mereka.

Maknanya, baginda tetap adil kepada mereka. Sebagai contoh, di hujung hayat baginda di mana baginda tidak mampu untuk bergerak sangat, baginda minta kebenaran dari para isteri baginda untuk tetap sahaja di rumah Aisyah رضي الله عنها. Hanya apabila baginda mendapat kebenaran mereka barulah baginda tetap sahaja di rumah Aisyah رضي الله عنها. Baginda sebenarnya tidak perlu minta kebenaran pun kerana telah diberikan kelonggaran, tapi begitulah lembutnya hati baginda.

 

وَمَنِ ابتَغَيتَ مِمَّن عَزَلتَ فَلا جُناحَ عَلَيكَ

Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu tinggalkan, maka tidak ada dosa bagimu.

Kalimah عَزَلتَ dari katadasar ع ز ل yang bermaksud letak di tepi, mengeluarkan. Maksudnya baginda boleh pergi berjumpa dengan isteri baginda yang telah lama baginda tidak bertemu. Jadi ini bukanlah bermaksud baginda telah menceraikan mereka dan mengambil balik mereka. Sebaliknya ia bermaksud kalau baginda sudah lama tidak bertemu dengan mana-mana isteri baginda itu.

Di antara sembilan isteri Rasulullah ﷺ yang dikenali melalui hadis-hadis yang sahih, baginda tidak pernah menceraikan sesiapa jua. Apa yang paling dekat ialah baginda pernah menceraikan Hafsah binti ‘Umar al-Khattab رضي الله عنها dengan talak satu, namun baginda merujuk kembali dengannya. Memandangkan ia hanya talak satu yang telah dirujuk semula, maka ia tidak dikira sebagai satu perceraian. Dalilnya ialah hadis berikut:

Daripada ‘Umar bin al-Khattab رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ pernah mentalak Hafsah رضي الله عنها lalu merujukinya kembali. [Sahih Sunan Abu Daud, no: 1943/2283]

Dalam sebuah riwayat lain, Qais bin Zaid رضي الله عنه menerangkan:

Rasulullah ﷺ menceraikan Hafsah binti ‘Umar رضي الله عنها, kemudian dua pakcik Hafsah رضي الله عنها dari silsilah Ibn Qudamah dan Utsman bin Madz’un masuk menemui Hafsah رضي الله عنها yang ketika itu sedang menangis. 

Hafsah رضي الله عنها berkata: “Demi Allah ‎ﷻ! Baginda menceraikan aku bukan kerana sesuatu aib”.

Kemudian Rasulullah ﷺ datang sementara Hafsah رضي الله عنها menyembunyikan diri. Baginda bersabda: “(Malaikat) Jibrail عليه السلام berkata kepadaku, rujuklah Hafsah رضي الله عنها kerana beliau banyak berpuasa dan bersolat malam, serta merupakan isterimu di syurga”. [Riwayat Ibn Sa’ad, al-Hakim dan al-Thabarani. Sanadnya sahih, kecuali mursal kerana Qais bin Zaid رضي الله عنه ialah seorang tabi’in. Namun ia memiliki beberapa penguat yang lain. Rujuk takhrijnya dalam Azwaji al-Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Dimasyqi, ms. 399-400]

Dari ayat ini, Allah ‎ﷻ memberikan kebebasan kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk mengurus masa baginda dengan isteri-isteri baginda. Kelebihan ini diberikan kepada baginda sahaja kerana tugas baginda yang besar di dalam menjalankan dakwah. Ini adalah supaya baginda tidak diberatkan dengan hal-hal di rumah.

Walaupun baginda mendapat kebebasan itu namun baginda tetap juga menjaga jadual baginda dengan isteri-isteri baginda.

Dan para isteri baginda sepatutnya tidak merasa terbeban dengan perkara ini kerana mereka telah diberikan peluang oleh Allah ‎ﷻ untuk mendampingi baginda dan berusaha bersama baginda untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Kelebihan yang mereka dapat itu tidak ada pada wanita-wanita lain. Maka mereka kena bersyukur.

 

ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن تَقَرَّ أَعيُنُهُنَّ

Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk ketenangan hati mereka, 

Kalau Nabi ﷺ datang bertemu dan bermalam dengan mereka, mereka akan suka dan tenang. Bagaimanakah dikatakan ayat ini (tentang Nabi ﷺ tidak perlu menjaga giliran) boleh menyebabkan mereka merasa gembira pula?

Maknanya mereka pasti akan merasa gembira dengan keputusan baginda itu, dan mereka akan merasa lebih berterima kasih kepada baginda atas perlakuan baginda yang adil itu kepada mereka. Mereka pasti merasa berhutang budi kepada baginda kerana baginda bergilir juga, padahal bergilir di antara mereka bukanlah merupakan suatu kewajipan bagi baginda.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

وَلا يَحزَنَّ وَيَرضَينَ بِما ءآتَيتَهُنَّ كُلُّهُنَّ

dan mereka tidak merasa sedih, dan semuanya rela dengan apa yang telah kamu berikan kepada mereka.

Memang ada baik jikalau baginda dapat berjumpa dengan isteri-isteri baginda yang telah lama baginda tidak temui supaya mereka tidak bersedih dan mereka redha dengan apa yang Nabi ﷺ telah berikan kepada mereka.

 

وَاللهُ يَعلَمُ ما في قُلوبِكُم

Dan Allah mengetahui apa yang (tersimpan) dalam hatimu.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada dalam hati manusia. Maka Allah ‎ﷻ tahu apa dalam hati baginda dan hati para isteri baginda. Ini bermaksud Allah ‎ﷻ tahu kecenderungan baginda kepada seseorang di antara mereka, bukan kepada semuanya, yang hal ini tidak dapat baginda elakkan.

Kerana perasaan tidak dapat dijaga, kadangkala ada salah satu isteri baginda yang baginda lebih sayang dari yang lainnya.  Walaupun begitu, baginda tetap adil kepada mereka.

Allah ‎ﷻ juga mengingatkan manusia yang Dia tahu apa yang bermain dalam hati mereka. Ayat-ayat yang kita telah sampaikan sebelum ini adalah hukum yang khusus untuk Rasulullah ﷺ sahaja. Mungkin ada yang rasa tidak patut Allah ‎ﷻ berikan kelebihan itu kepada baginda. Ini datang dari hati yang tidak redha dengan keputusan Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka untuk menjaga hati mereka.

Maknanya, ini adalah peringatan: jangan ada sangsi langsung dengan Nabi kita. Jangan kita rasa baginda ambil kesempatan, buat yang tidak patut-patut dalam hal rumahtangga.

 

وَكانَ اللهُ عَليمًا حَليمًا

Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun. 

Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu segala perkara.

Allah ‎ﷻ juga bersifat haleem kepada manusia. Maknanya Allah ‎ﷻ bersabar dengan kesalahan dan doa manusia. Tidaklah Allah ‎ﷻ terus menghukum hambaNya yang berdosa, kerana Allah ‎ﷻ sanggup tunggu hamba itu bertaubat.

Maka ayat ini hendak memberitahu para isteri baginda yang mereka kena terima ayat-ayat ini dengan redha. Jangan mereka merasa berat dengan hukum Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ tahu apa dalam hati mereka.

Dan ia juga menjadi peringatan kepada manusia. Jangan mereka ada sangka buruk terhadap Rasulullah ﷺ kerana itu adalah perkara yang salah. Allah ‎ﷻ tahu apa yang ada dalam hati manusia. Kalau sesiapa ada rasa sangsi dengan keadilan baginda, Allah ‎ﷻ tahu.


 

Ayat 52:

لّا يَحِلُّ لَكَ النِّساءُ مِن بَعدُ وَلا أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِن أَزوٰجٍ وَلَو أَعجَبَكَ حُسنُهُنَّ إِلّا ما مَلَكَت يَمينُكَ ۗ وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ رَّقيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not lawful to you, [O Muḥammad], are [any additional] women after [this], nor [is it] for you to exchange them for [other] wives, even if their beauty were to please you, except what your right hand possesses. And ever is Allāh, over all things, an Observer.

(MELAYU)

Tidak halal bagimu mengahwini perempuan-perempuan sesudah itu dan tidak boleh (pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali perempuan-perempuan (hamba sahaya) yang kamu miliki. Dan adalah Allah Maha Mengawasi segala sesuatu.

 

لّا يَحِلُّ لَكَ النِّساءُ مِن بَعدُ

Tidak halal bagimu mengahwini perempuan-perempuan sesudah itu

Walaupun Rasulullah ﷺ telah diberikan dengan beberapa kelonggaran dalam ayat sebelum ini, tetapi Nabi Muhammad ﷺ tidak dibenarkan lagi untuk menambah isteri baginda selepas itu.

Banyak ulama’ seperti Ibnu Abbas, Mujahid, Ad-Dahhak, Qatadah, Ibnu Zaid, Ibnu Jarir serta yang lainnya menyebutkan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan balasan Allah ‎ﷻ dan redha-Nya kepada isteri-isteri Nabi ﷺ kerana sikap mereka yang baik —iaitu lebih memilih Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya serta pahala akhirat, ketika mereka disuruh memilih oleh Rasulullah ﷺ, sebagaimana yang kisahnya telah disebutkan sebelum ini.

Maka, balasannya, Allah jamin madu mereka tidak bertambah. Ini kerana apabila baginda tambah isteri lain, sedikit sebanyak mereka akan terasa hati dan sedih juga.

Ibn Abbas رضي الله عنه mengatakan, sebagaimana para isteri baginda tidak boleh berkahwin lain selepas baginda wafat, maka baginda juga tidak boleh menambah isteri. Kiranya, adillah kalau begitu, bukan?

Satu lagi interpretasi ayat ini: Rasulullah ﷺ tidak boleh berkahwin dengan wanita-wanita yang di luar kriteria yang telah disebut sebelum ini. Maka, larangan kepada baginda adalah hanya tidak boleh bernikah dengan wanita bukan Muslim dan juga wanita yang tidak berhijrah bersama baginda.

 

وَلا أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِن أَزوٰجٍ

dan tidak boleh (pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain),

Bukan sahaja tidak boleh tambah, baginda juga tidak boleh ganti isteri baginda dengan isteri yang baru. Maknanya tidaklah boleh baginda ceraikan seorang isteri dan nikah dengan wanita yang baru. Sedangkan lelaki lain boleh berbuat begitu.

Ini adalah kerana para isteri baginda telah redha menjadi isteri baginda dan berjuang bersama baginda, maka janganlah baginda balas dengan menceraikan mereka pula.

 

وَلَو أَعجَبَكَ حُسنُهُنَّ

meskipun kecantikannya menarik hatimu 

Had ini telah ditetapkan kepada baginda walaupun mungkin ada wanita yang menyebabkan baginda tertarik hati. Ini bukanlah perkara yang pelik kerana Nabi Muhammad ﷺ juga adalah seorang lelaki normal dan tentulah baginda juga ada tertarik kepada wanita lain. Maka isteri baginda yang ada mestilah memuaskan hati baginda.

Maka kalau Nabi Muhammad ﷺ pun boleh tertarik dengan wanita lain maka apatah lagi kita. Maka ini bukan perkara pelik. Ini mengajar kita yang isteri kenalah pandai kemaskan diri. Bagilah suami suka dan tertarik dengan anda. Antaranya dengan jaga perangai dan jaga penampilan diri. Allah ‎ﷻ suka para isteri berbuat begini. Bukanlah berhias untuk lelaki lain tetapi hiasilah diri anda untuk suami.

Apabila para isteri tidak menjaga perkara ini, maka kerana itulah suami suka melihat kepada wanita lain. Maka jangan biarkan ini berlaku.

Dan begitu juga suami kenalah juga menjaga isteri dengan baik dan bagi mereka mencintai kita supaya mereka tidak tertarik dengan suami orang lain pula. Maka bukan para isteri sahaja kena berkemas diri tetapi suami pun juga.

 

إِلّا ما مَلَكَت يَمينُكَ

kecuali perempuan-perempuan (hamba sahaya) yang kamu miliki.

Had bilangan isteri tidak tertakluk kepada hamba sahaya. Maka baginda boleh tambah wanita dari kalangan hamba. Tidak ada had kepada bilangan mereka. Juga tiada had bagi kita jikalau perhambaan sudah dibenarkan semula.

Tetapi, jangan lupa yang ada hukum syariat tentang sistem perhambaan ini. Tidaklah boleh mengambil hamba sesuka hati dan kemudian menyusahkan mereka. Walaupun Islam membenarkan perhambaan, tetapi ia adalah tertakluk kepada undang-undang syariat. Cuma jarang kita dengar kerana sekarang ia tidak diamalkan. Tetapi ilmu ini kenalah juga diajar kerana entah-entah ia boleh terjadi lagi di masa hadapan.

 

وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ رَّقيبًا

Dan adalah Allah Maha Mengawasi segala sesuatu.

Kenalah berhati-hati dengan apa yang kita lakukan kerana Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan perlakuan kita. Allah ‎ﷻ yang telah memberikan hukuman ini, maka kita tidak layak untuk mempersoalkannya. Ingatlah yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan kita, jadi jangan kita mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ pula.

Habis Ruku’ 6 dari 9 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ahzab Ayat 50 (Pernikahan-pernikahan Rasulullah)

Ayat 50: Allah ‎ﷻ memberitahu siapakah golongan-golongan yang halal untuk dikahwini oleh Nabi. Ada empat golongan semuanya yang akan disebut.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنّا أَحلَلنا لَكَ أَزواجَكَ اللّاتي آتَيتَ أُجورَهُنَّ وَما مَلَكَت يَمينُكَ مِمّا أَفاءَ اللهُ عَلَيكَ وَبَنٰتِ عَمِّكَ وَبَنٰتِ عَمّٰتِكَ وَبَنٰتِ خالِكَ وَبَنٰتِ خٰلٰتِكَ اللّاتي هاجَرنَ مَعَكَ وَامرَأَةً مُّؤمِنَةً إِن وَّهَبَت نَفسَها لِلنَّبِيِّ إِن أَرادَ النَّبِيُّ أَن يَّستَنكِحَها خالِصَةً لَّكَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۗ قَد عَلِمنا ما فَرَضنا عَلَيهِم في أَزواجِهِم وَما مَلَكَت أَيمانُهُم لِكَيلا يَكونَ عَلَيكَ حَرَجٌ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, indeed We have made lawful to you your wives to whom you have given their due compensation¹ and those your right hand possesses from what Allāh has returned to you [of captives] and the daughters of your paternal uncles and the daughters of your paternal aunts and the daughters of your maternal uncles and the daughters of your maternal aunts who emigrated with you and a believing woman if she gives herself to the Prophet [and] if the Prophet wishes to marry her; [this is] only for you, excluding the [other] believers. We certainly know what We have made obligatory upon them concerning their wives and those their right hands possess, [but this is for you] in order that there will be upon you no discomfort [i.e., difficulty]. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

  • i.e., bridal gifts (mahr).

(MELAYU)

Hai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kahwinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu, dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapamu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengahwininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi,

Khitab ayat ini kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ pula (beralih dari khitab kepada para isteri baginda).

 

إِنّا أَحلَلنا لَكَ أَزواجَكَ اللّاتي آتَيتَ أُجورَهُنَّ

Sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kahwinnya

Semua pernikahan Nabi ﷺ halal dan baik. Iaitu yang baginda sudah beri mahr kepada mereka. Allah ‎ﷻ panggil mahr sebagai أجر yang boleh diterjemahkan kepada ‘upah’. Maksudnya upah harus diberikan kepada isteri sebagaimana upah diberikan kepada pekerja yang telah melakukan kerja.

Maka dari ayat ini, kita pun tahu yang Nabi ﷺ  juga memberikan mahr kepada isteri-isteri baginda. Dan baginda tidak pernah berhutang dalam mahr baginda. Mahr atau maskahwin yang diberikan oleh Nabi ﷺ kepada isteri-isterinya (yakni kepada tiap orang dari mereka) adalah sepuluh setengah uqiyah yang harganya ditaksir kurang lebih lima ratus dirham. Terkecuali Ummu Habibah binti Abu Sufyan رضي الله عنها, kerana mahrnya dibayarkan oleh Raja An-Najasyi sebanyak empat ratus dinar.

Kecuali juga Safiyyah binti Huyayyin رضي الله عنها, kerana Nabi ﷺ telah memilihnya di antara para tawanan wanita Khaibar, di mana kemudian baginda ﷺ memerdekakannya, dan menjadikan pemerdekaannya sebagai maskahwinnya. Demikian juga halnya dengan Juwairiyah bintil Haris Al-Mustaliqiyah رضي الله عنها, yakni dari Banil Mustaliq. Nabi ﷺ telah melunasi ansuran Kitabahnya terhadap Sabit ibnu Qais ibnu Syammas, lalu baginda  ﷺ menikahinya

Ayat ini sebagai jawapan dari mereka yang mengatakan Nabi ﷺ tidak mengikut undang-undang untuk lelaki boleh berkahwin hanya empat. Mereka kata begini kerana pada waktu itu, Nabi ﷺ sudah pun mempunyai 4 orang isteri:

  1. Saudah رضي الله عنها: dikahwini 3 tahun sebelum Hijrah
  2. Aisyah رضي الله عنها: juga dikahwini 3 tahun sebelum Hijrah tetapi hanya tinggal bersama baginda selepas Hijrah
  3. Hafsah رضي الله عنها: dikahwini pada 3 Hijrah
  4. Umm Salamah رضي الله عنها: dikahwini pada 4 Hijrah

Para isteri Nabi ﷺ yang lain boleh dilihat di sini. Maka ini memberitahu kita yang hukum ini khusus bagi baginda. Walaupun lelaki lain boleh menikahi wanita yang diberi mahr, tetapi tidaklah boleh lebih dari empat.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang Allah ‎ﷻ menghalalkan perkahwinan Nabi ﷺ dengan Zainab رضي الله عنها itu kerana ia adalah arahan dari Allah ‎ﷻ sendiri. Allah ‎ﷻ yang suruh maka Allah ‎ﷻ boleh memberikan pengecualian kepada baginda. Kerana Allah ‎ﷻ yang membuat hukum hanya boleh berkahwin sehingga 4 sahaja. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang membuat hukum, maka Dia boleh membuat pengecualian.

Jadi ini adalah golongan pertama yang boleh dinikahi baginda, iaitu mana-mana wanita yang diberikan mahr kepada mereka. Selain dari itu, ada tiga golongan wanita lagi yang boleh digauli oleh Rasulullah ﷺ:

 

وَما مَلَكَت يَمينُكَ مِمّا أَفاءَ اللهُ عَلَيكَ

dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu,

Ini pula bagi hamba yang didapati hasil peperangan (harta fai). Ini adalah kerana hamba boleh didapati hanya dari cara peperangan. Tetapi kalau selepas menjadi hamba, bolehlah juga untuk berkahwin dengan hamba yang dibeli. Tapi asal mereka menjadi hamba itu adalah kerana peperangan (bukan kerana tidak bayar hutang, dicolek atau sebab-sebab lain).

Hamba tidak perlu diberi mahr untuk mencampuri mereka. Nabi ﷺ juga ada mempunyai hamba, merujuk kepada Mariyah al Qibtiyah رضي الله عنها. Beliau berbangsa Qibti iaitu dari Mesir. Beliau telah diberikan sebagai hadiah oleh Raja Mesir, al-Muqawqis. Malah baginda mempunyai anak bernama Ibrahim dengan Mariyah tetapi anak tersebut meninggal muda ketika berumur lima tahun.

Selain dari itu, terdapat tiga lagi orang hamba yang baginda terima dan baginda telah bebaskan dan kemudian dinikahi. Dikatakan nama-nama mereka adalah:

  1. Raihanah رضي الله عنها. Hamba setelah Yahudi Bani Quraizah diserang dan kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan hamba.
  2. Juwairiyah رضي الله عنها. Hamba yang diambil dari serangan kepada Yahudi Bani Mustaliq.
  3. Safiyyah رضي الله عنها. Hamba yang diambil dari serangan kepada Yahudi Khaibar.

Ini adalah golongan kedua di mana Nabi ﷺ menerima  pemberian wanita sebagai hamba. Maka lelaki Muslim boleh berkahwin dengan hamba yang mereka dapat hasil dari harta rampasan perang juga. Tetapi wanita dari golongan hamba yang telah dijadikan isteri oleh Rasulullah ﷺ juga tidak halal bagi mukmin yang lain apabila baginda telah wafat (sama seperti isteri yang lain).

Cuma sekarang tidak ada lagi perhambaan. Hukum ini tidak dimansukhkan, cuma digantung sahaja. Maknanya ia boleh ada di masa hadapan kalau diperlukan.

 

وَبَنٰتِ عَمِّكَ وَبَنٰتِ عَمّٰتِكَ وَبَنٰتِ خالِكَ وَبَنٰتِ خٰلٰتِكَ اللّاتي هاجَرنَ مَعَكَ

dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapamu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu

Yang ketiga adalah golongan-golongan yang bersangkut paut dengan Nabi Muhammad ﷺ dari segi kekeluargaan. Iaitu anak pakcik dan makcik baginda. Maknanya mereka itu adalah sepupu. Cuma dalam bahasa Arab lebih kaya, disebut sepupu sebelah bapa dan sebelah ibu juga.

Saidatina Zainab رضي الله عنها adalah sepupu baginda. Iaitu baginda dibenarkan berkahwin dengan sepupu yang berhijrah bersama dengan baginda ke Madinah. Maksudnya mereka itu Mukmin kerana mereka berhijrah. Dan pada tahun 7 Hijrah juga, baginda menikahi seorang lagi sepupu baginda iaitu Umm Habibah رضي الله عنها.

Cuma ada syarat ke atas Nabi ﷺ, sepupu itu mestilah telah berhijrah. Kalau ada yang tidak berhijrah seperti Umm Hani’ (salah seorang sepupu baginda iaitu kakak Saidina Ali رضي الله عنه) tidak halal bagi baginda kerana dia tidak berhijrah. Umm Hani’ hanya masuk Islam setelah Pembukaan Mekah. Syarat ini tidak dikenakan kepada selain baginda.

Hukum pernikahan dengan sepupu ini berlainan dengan hukum dalam agama Yahudi dan Nasrani.

  • Dalam Yahudi, boleh menikahi anak saudara sedangkan ini dilarang dalam Islam.
  • Dalam Nasrani, tidak boleh menikahi wanita yang bersambung kekeluargaan 7 keturunan.

Agama Islam telah mengambil jalan pertengahan dari dua ekstrem itu. Maka ayat ini menjadi dalil membolehkan menikah dengan sepupu malah Nabi ﷺ telah bernikah dengan sepupu baginda sendiri. Namun ramai orang Melayu tidak tahu hukum ini. Mereka rasa pelik pula berkahwin dengan sepupu.

Dan kerana tidak faham akan perkara ini maka ada yang tidak menjaga aurat dan bermesraan dengan sepupu. Ramai yang bertepuk tampar dengan sepupu, naik motor berpeluk padahal mereka itu adalah ajnabi. Maka kenalah beritahu kepada anak-anak kita tentang perkara ini. Beritahu mereka yang sepupu bukanlah adik-beradik.

 

وَامرَأَةً مُّؤمِنَةً إِن وَّهَبَت نَفسَها لِلنَّبِيِّ إِن أَرادَ النَّبِيُّ أَن يَّستَنكِحَها

dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengahwininya,

Ada juga wanita Mukmin yang menawarkan diri mereka kepada baginda dan baginda boleh mengahwini mereka tanpa perlu memberi mahr. Namun hukum ini hanya terpakai untuk Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Maka baginda pernah menikahi Maimunah bint Harith رضي الله عنها kerana beliau menawarkan dirinya kepada baginda. Namun begitu, Nabi ﷺ tidak mahu menikahi Maimunah رضي الله عنها tanpa mahr, maka baginda berikan juga mahr kepada beliau.

Maka ada pendapat yang mengatakan Nabi ﷺ tidak pernah mengahwini wanita yang menyerahkan dirinya kepada baginda. Tetapi ini mungkin kerana seperti kes Maimunah رضي الله عنها ini, baginda serahkan juga mahr kepadanya.

Memang banyak juga keadaan di mana wanita menyerahkan diri mereka kepada baginda. Antara hadis berkenaan perkara ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَفَّانُ ، حَدَّثَنَا مَرْحُومٌ، سَمِعْتُ ثَابِتًا يَقُولُ: كُنْتُ مَعَ أَنَسٍ جَالِسًا وَعِنْدَهُ ابْنَةٌ لَهُ، فَقَالَ أَنَسٌ: جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، هَلْ لَكَ فِيَّ حَاجَةٌ؟ فَقَالَتِ ابْنَتُهُ: مَا كَانَ أَقَلَّ حَيَاءَهَا. فَقَالَ: “هِيَ خَيْرٌ مِنْكِ، رَغِبَتْ فِي النَّبِيِّ، فَعَرَضَتْ عَلَيْهِ نَفْسَهَا”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Marhum, beliau pernah mendengar Sabit mengatakan bahawa ketika beliau sedang duduk bersama sahabat Anas رضي الله عنه yang saat itu di hadapannya terdapat seorang puterinya. Kemudian Anas رضي الله عنه bercerita bahawa pernah ada seorang wanita datang kepada Nabi ﷺ, lalu berkata, “Wahai Nabi Allah, apakah engkau mempunyai suatu keperluan (kahwin)?” Anak perempuan wanita itu berkata, “Betapa tidak malunya ibu mengemukakan hal itu.” Nabi ﷺ bersabda: Ibumu lebih baik daripada kamu. Dia mencintai Nabinya, lalu dia menawarkan dirinya (untuk) dikahwini oleh Nabi ﷺ. Imam Bukhari mengetengahkannya secara tunggal melalui riwayat Marhum ibnu Abdul Aziz, dari Sabit Al-Bannani, dari Anas رضي الله عنه dengan lafaz yang semisal.

Maka untuk baginda, baginda boleh menikahi wanita yang menyerahkan diri kepadanya tanpa bayar mahr. Tetapi untuk orang lain, tidak boleh tolak untuk memberi mahr walaupun wanita itu tidak mahu dan tidak minta. Jangan guna dalil ini pula untuk tidak bayar mahr. Maka pasangan lelaki kenalah berikan sesuatu yang bernilai. Jangan pula berkahwin dengan percuma kerana ini tidak dibenarkan.

Maka dibenarkan kepada Nabi, itu pun kalau Nabi ﷺ mahukan wanita itu. Bukan semua wanita yang tawarkan diri mereka kepada baginda, baginda kena terima. Ayat ini bukanlah ayat suruhan kepada baginda pula. Yang Allah ‎ﷻ suruh menikah juga tanpa pilihan adalah Saidatina Zainab رضي الله عنها sahaja.

Memang pernah ada wanita yang menawarkan dirinya kepada baginda tetapi baginda tidak menyambutnya. Ini tersebut dalam satu hadis yang masyhur:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ، أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنْ أَبِي حَازِمٍ، عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَتْهُ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي قَدْ وَهَبت نَفْسِي لَكَ. فَقَامَتْ قِيَامًا طَوِيلًا فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَوّجنيها إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكَ بِهَا حَاجَةٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “هَلْ عِنْدَكَ مِنْ شَيْءٍ تُصدقها إِيَّاهُ”؟ فَقَالَ: مَا عِنْدِي إِلَّا إِزَارِي هَذَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنْ أَعْطَيْتَهَا إِزَارَكَ جلستَ لَا إِزَارَ لَكَ، فَالْتَمِسْ شَيْئًا”. فَقَالَ: لَا أَجِدُ شَيْئًا. فَقَالَ: “الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ” فَالْتَمَسَ فَلَمْ يَجِدْ شَيْئًا، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “هَلْ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْءٌ؟ ” قَالَ: نَعَمْ؛ سُورَةُ كَذَا، وَسُورَةُ كَذَا -لِسُوَرٍ يُسَمِّيهَا -فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq, telah menceritakan kepada kami Malik, dari Abu Hazim, dari Sahd ibnu Sa’d As-Sa’idi, bahawa Rasulullah ﷺ pernah kedatangan seorang wanita, lalu wanita itu berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku serahkan diriku kepadamu.” Maka Rasulullah ﷺ tidak menjawabnya dan wanita itu berdiri saja dalam waktu yang cukup lama. Lalu berdirilah seorang laki-laki dan berkata, “Wahai Rasulullah ﷺ, kahwinkanlah aku dengan dia jika engkau tidak berhajat kepadanya.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu memiliki sesuatu yang akan engkau berikan kepadanya sebagai maskahwinnya?” Lelaki itu menjawab, “Aku tidak memiliki selain dari kainku ini.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika kamu berikan kainmu kepadanya, bererti kamu tidak punya kain lagi jika duduk. Maka carilah yang lainnya.” Lelaki itu menjawab, “Saya tidak memiliki yang lainnya.” Rasulullah ﷺ bersabda: Carilah, sekalipun (maskahwin itu) berupa cincin besi. Lelaki itu mencari cincin besi, dan ternyata dia tidak memilikinya. Lalu Nabi ﷺ bertanya, “Apakah kamu hafal sesuatu dari Al-Qur’an?” Lelaki itu menjawab, “Ya, saya hafal surat anu —disebutkan beberapa surat—.” Maka Nabi ﷺ bersabda kepadanya: Aku nikahkan dia dengan kamu dengan maskahwin hafalan Al-Qur’anmu itu.

Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya melalui hadis Malik.

Nota: hadis ini bukanlah dalil untuk beri mas kahwin dengan hafal Al-Qur’an sahaja. Pertama, kita bukan sahabat, jadi jangan perasan; kedua, zaman itu semua sahabat miskin, sampai baju pun ada satu sahaja; ketiga, ada nilai tahu ayat Al-Qur’an zaman itu kerana ramai tidak tahu dan lelaki itu kena ajar isterinya dengan ayat-ayat yang dia hafal itu. Maka mahrnya adalah ‘mengajar’ isterinya itu, bukannya kerana hafal Al-Qur’an sahaja.

Nota: satu lagi syarat yang diletakkan kepada Rasulullah ﷺ adalah baginda hanya boleh mengahwini wanita Muslim. Sedangkan orang lelaki lain boleh juga mengahwini wanita Ahli Kitab. Ini kerana ada kalimat امرَأَةً مُّؤمِنَةً (wanita mukminah) dalam potongan ayat ini.

 

خالِصَةً لَّكَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. 

Hukum ini khas untuk Nabi ﷺ sahaja. Orang lain tidak boleh buat. Jangan jadikan hukum ini sebagai hukum umum pula. Hukum yang mana?

  • Menikahi wanita tanpa membayar mahr. Seandainya ada seorang wanita menyerahkan dirinya kepada seorang lelaki, maka wanita itu tidak halal baginya sebelum si lelaki itu memberikan sesuatu kepadanya sebagai maskahwinnya.
  • Kahwin melebihi dari 4 orang. Hanya Rasulullah ﷺ sahaja yang boleh berkahwin lebih dari 4 orang. Jadi walaupun ini adalah sah perbuatan Nabi ﷺ namun ia bukanlah ‘sunnah’ yang boleh diikuti. Maka, bukan semua perbuatan Nabi ﷺ adalah ‘sunnah’. Yang sunnah adalah perbuatan yang kita boleh ikut sahaja.
  • Tidak boleh mengahwini wanita ahli kitab.
  • Hanya boleh mengahwini wanita yang berhijrah ke Madinah sebelum pembukaan Mekah.

Jadi ini adalah salah satu dari hukum agama yang khusus untuk Nabi ﷺ sahaja. Memang ada hukum-hukum lain yang sebegitu. Sebagai contoh:

  • Solat tahajjud adalah sunat untuk orang Islam tetapi ia adalah wajib bagi baginda.
  • Baginda dan keluarga baginda tidak boleh menerima zakat dan sedekah.
  • Selepas kewafatan baginda, para isteri baginda haram dinikahi oleh lelaki lain.

 

قَد عَلِمنا ما فَرَضنا عَلَيهِم في أَزواجِهِم وَما مَلَكَت أَيمانُهُم

Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki

Hukum-hukum perkahwinan telah disebut dalam surah-surah lain seperti Surah an-Nisa dan hukum perceraian telah disebut dalam Surah Baqarah. Antara yang disebut dalam surah-surah itu adalah kewajipan memberi mahr. Maka kenalah dirujuk surah-surah tersebut untuk mengetahui hukum yang telah diberikan.

 

لِكَيلا يَكونَ عَلَيكَ حَرَجٌ

supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. 

Allah ‎ﷻ memberikan kelonggaran kepada Nabi ﷺ untuk tidak perlu memberikan mahr supaya Nabi ﷺ tidak susah. Tugas Nabi ﷺ adalah untuk menyebarkan agama dan juga mengajar hukum kepada manusia yang akan digunakan sampai kiamat. Maka tugas Nabi ﷺ amat berat dan kalau sibuk mencari mahr untuk kahwin akan menyusahkan baginda pula.

Dan memang patut baginda berkahwin ramai. Apabila Nabi Muhammad ﷺ mempunyai ramai isteri, maka hukum-hakam banyak dapat disebarkan kepada manusia kerana para isteri baginda akan menceritakan pengalaman mereka bersama baginda. Pengalaman mereka itu menjadi hukum yang dipakai oleh manusia sepanjang zaman.

Namun ada had juga untuk baginda. Walaupun Nabi ﷺ ada kelebihan berkahwin banyak dalam satu masa, tetapi setakat itu sahaja. Nanti kita akan bertemu dengan ayat yang Nabi ﷺ tidak boleh tambah lagi isteri baginda.

Bukan sahaja tidak boleh tambah, baginda tidak boleh menukar mana-mana isteri selepas turun ayat itu. Sedangkan umat baginda masih boleh menukar isteri mereka. Setelah menceraikan satu isteri, boleh berkahwin lagi. Maknanya mereka bercerai dan berkahwin dengan wanita lain.

Ini memang berlaku pada zaman itu sampaikan ada sahabat yang berkahwin ramai. Saidina Hasan رضي الله عنه contohnya, dikatakan banyak berkahwin. Anas bin Malik رحمه الله juga berkahwin banyak sampai ada anak seramai seratus lebih. Maknanya mereka menikah, cerai dan berkahwin lain. Tetapi tidaklah mereka itu terganggu dalam mentaati Allah ‎ﷻ walaupun mereka berkeadaan begitu.

Rasulullah SAW banyak mendoakan Anas bin Malik, dan salah satu doa Rasulullah yang dikhususkan kepada Anas bin Malik adalah : “Ya Allah berilah rezeki kepadanya berupa harta dan anak yang banyak, kemudian berkahi semua itu untuknya”. Dan sungguh Allah ﷻ telah mengabulkan doa Nabi Nya yang tercinta. Oleh kerana itu Anas bin Malik menjadi orang yang paling kaya dari kaum Ansar dan yang paling banyak anaknya, hingga dia melihat anak-anak dan cucunya lebih dari 100.

Allah ‎ﷻ tidak mahu memberati Rasulullah ﷺ. Ini jangan disalahtafsir pula. Kerana ada yang berkata, Nabi Muhammad ﷺ nafsunya kuat, maka kerana itu Allah ‎ﷻ membenarkan baginda berkahwin lebih. Ini adalah salah dan tidak benar (sangka buruk kepada Nabi ﷺ adalah buruk). Mana mungkin baginda sebegitu sedangkan baginda menikah dengan Khadijah رضي الله عنها dan tidak mempunyai isteri lain selama 25 tahun.

Dan kemudian baginda menikahi Saudah رضي الله عنها (seorang yang tua) dan tidak menikah dengan orang lain selama 4 tahun. Maka baginda bukanlah orang yang tidak dapat menjaga hawa nafsunya. Lihatlah para isteri baginda yang kebanyakkannya adalah janda. Tidak mungkin pula kita menuduh Nabi Muhammad ﷺ pada usia tuanya pula mahukan ramai isteri sedangkan masa muda baginda tidak begitu?

Semua pernikahan baginda bersebab. Kita telah sebutkan salah satu tujuannya adalah supaya baginda boleh melatih para isteri baginda untuk menjadi pendakwah kepada para wanita. Susah untuk baginda berkomunikasi secara rapat dengan para wanita yang lain, maka tugas itu diberikan kepada para isteri baginda.

Maka baginda kenalah ada ramai isteri. Merekalah yang mengajar para wanita. Kerana itu baginda mengahwini para isteri yang berlainan umur dan kedudukan. Supaya mereka boleh menyampaikan ajaran agama bersesuai an dengan masyarakat yang berlainan jenis dan kedudukan.

Begitu juga, perkahwinan baginda yang lain mempunyai kepentingan tertentu:

  • Pernikahan dengan Aisyah dan Hafsah رضي الله عنهما menguatkan hubungan baginda dengan Abu Bakr dan Umar رضي الله عنهما, dua orang sahabat yang penting.
  • Umm Salamah رضي الله عنها adalah dari bani Abu Jahal dan Khalid al Walid. Perkahwinan ini mendekatkan baginda dengan bani itu.
  • Umm Habibah رضي الله عنها adalah anak Abu Sufyan, musuh baginda pada waktu itu. Pernikahan ini telah menyebabkan Abu Sufyan lembut hati dengan baginda dan semenjak pernikahan itu, Abu Sufyan tidak lagi memerangi Nabi ﷺ walaupun belum lagi memeluk Islam.
  • Safiyyah, Juwairiah dan Raihanah رضي الله عنها pula adalah dari bangsa Bani Israil. Selepas pernikahan itu, bani itu tidak lagi bermusuh dengan baginda. Kerana dalam adat waktu itu apabila seorang wanita bernikah dengan seseorang, ia bukanlah perkahwinan dengan keluarga wanita itu sahaja, tetapi keseluruhan bani itu. Dan tidak molek kalau berperang dengan menantu.
  • Pernikahan dengan Zainab رضي الله عنها adalah untuk menghapuskan taboo tidak boleh berkahwin dengan janda anak angkat.

Untuk mencapai segala objektif di atas, maka halangan untuk menikah lebih dari 4 diangkat dari baginda.

Sebenarnya baginda zuhud dalam hal ini. Nabi Muhammad diberikan dengan kekuatan seks melebihi lelaki normal. Akan tetapi baginda hanya mengahwini 9 orang (atau 11 orang) isteri sahaja, sedangkan baginda mampu dari segi kekuatan fizikal untuk kahwin lebih lagi. Tapi baginda tidak lakukan.

 

وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Saya belum berjumpa tafsir kenapa Allah ‎ﷻ meletakkan kalimat ini di hujung ayat ini. Semoga Allah ‎ﷻ beri kefahaman ini nanti. Asmaul Husna yang diletak di hujung ayat Al-Qur’an membawa maksud tertentu yang berkait dengan ayat-ayat di dalamnya. Tetapi saya tidak tahu kenapa Allah ‎ﷻ menyentuh tentang sifat pengampun-Nya di dalam ayat ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Senarai Para Isteri Rasulullah

Berikut ini nama-nama  isteri Nabi Muhammad Rasulullah SAW menurut kronologi pernikahan mereka dengan Rasulullah SAW:

1⃣👉Khodijah binti Khuwailid RA. (556-619 M)

Status ketika menikah: Janda kerana ditinggal wafat oleh 2 suami terdahulu, yaitu Abi Haleh Al Tamimy dan Oteaq Almakzomy

Period menikah: Tahun 595M di Mekah ketika usia Rasulullah SAW 25 tahun.

Anak: Dari pernikahannya dengan Khadijah, Rasulullah SAW memiliki sejumlah anak laki-laki dan perempuan. Akan tetapi semua anak laki-laki beliau (Al-Qosim dan Abdullah) meninggal. Sedangkan yang anak-anak perempuan beliau adalah: Zainab, Ruqoyyah, Ummu Kultsum dan Fatimah.

Fakta penting: Khadijah RA adalah orang pertama yang mengakui kerasulan suaminya. Rasulullah SAW tidak menikah dengan wanita lain selama Khadijah masih hidup. Khadijah adalah isteri yang paling dicintai Rasulullah SAW.

2⃣👉Saudah binti Zam’a RA. (596 – 674 M)

Status ketika menikah: Janda dari Sakran bin ‘Amr bin Abdi Syams yang turut berhijrah ke Habsyah (Abyssinia, Ethiopia)

Period menikah: Tahun 631M ketika Saudah berusia 35 tahun.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Tujuan Rasulullah SAW menikahinya adalah untuk menyelamatkannya dari kekafiran akibat menjanda. Keluarga Saudah RA masih kafir dan pasti akan mempengaruhi kembali Saudah jika tidak diselamatkan.

3⃣👉Aisyah binti Abu Bakar RA. (614-678 M)

Status ketika menikah: Gadis. Umur Aisyah ketika itu adalah 16 tahun.

Period menikah: bulan Syawal tahun kesebelas dari kenabian, setahun setelah beliau menikahi Saudah atau dua tahun dan lima bulan sebelum Hijrah.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Rasulullah SAW tidak pernah menikahi seorang gadis selain Aisyah. Tujuan Rasulullah SAW menikahinya adalah untuk mendekatkan hubungan dengan keluarga Abu Bakr (yang merupakan sahabat utama Rasulullah SAW dan merupakan khalifah pertama setelah Rasulullah SAW meninggal).

4⃣👉Hafsah binti Umar bin Khatab RA.(607-antara 648 dan 665 M)

Status ketika menikah: Janda dari Khunais bin Hudzaifah yang gugur sebagai syahid dalam Perang Badr.

Period menikah: tidak lama setelah Perang Badr, tahun ke-3 Hijriyah

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Rasulullah SAW menikahinya untuk menghormati ayah Hafsah, yaitu Umar bin Khatab RA yang kelak menjadi khalifah kedua setelah Rasulullah SAW meninggal.

5⃣👉Zainab binti Khuzaimah RA. (595-626 M)

Status ketika menikah: Janda dari Abdullah bin Jahsi yang gugur sebagai syahid di Perang Uhud.

Period menikah: tahun ke-4 Hijriyah

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Zainab RA meninggal dunia 2-3 bulan setelah menikah dengan Rasulullah SAW.

6⃣👉Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah RA. (599–683 M)

Status ketika menikah:  Janda dari Abu Salamah dengan meninggalkan 2 anak laki-laki dan 2 anak perempuan.

Period menikah: bulan Syawal tahun ke-4 Hijriyah.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Rasulullah SAW menikahinya dengan tujuan menjaga keluarga dan anak-anak Ummu Salamah.

7⃣👉Zainab binti Jahsyi bin Royab RA.(588/561 – 641 M)

Status ketika menikah: Janda cerai dari Zaid bin Haritsah, anak angkat Rasulullah SAW.

Periode menikah:  bulan Dzulqaidah tahun ke-5 Hijriyah.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Zainab adalah puteri bibi Rasulullah SAW. dan Rasulullah SAW menikahinya atas perintah Allah SWT (QS: 33:37)

8⃣👉Juwairiyah binti Al-Harits RA. (605-670 M)

Status ketika menikah: Janda dari Masafeah Ibn Safuan.

Period menikah: bulan Sya’ban tahun ke-6 Hijriyah.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Juwairiyah RA adalah puteri dari al-Harits bin Dhirar, pemimpin Bani Mustalik yang pernah berkomplot untuk membunuh Rasulullah SAW, namun berhasil ditaklukkan.

Juwairiyah kemudian menjadi tawanan perang yang dimiliki oleh Tsabit bin Qais bin Syimas, kemudian ditebus oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW kemudian menikahinya untuk melunakkan hati sukunya kepada Islam.

9⃣👉Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan RA (591-665 M)

Status ketika menikah: Janda dari Ubaidillah bin Jahsy yang hijrah bersamanya ke Habsyah.

Period menikah: bulan Muharrom tahun ke-7 Hijriyah melalui khitbah melalui Raja Najasy.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: suami Ummu Habibah pertama (Ubaidillah) telah murtad dan menjadi nasrani dan meninggal di Habsyah. Ummu Habibbah tetap istiqomah terhadap agamanya. Alasan Rasulullah SAW menikahinya adalah untuk menghibur beliau dan memberikan pengganti yang lebih baik baginya. Selain itu sebagai penghargaan kepada mereka yang hijrah ke Habasyah kerana mereka sebelumnya telah mengalami siksaan dan tekanan yang berat di Mekkah.

1⃣0⃣👉Shofiyyah binti Huyay bin Akhtob RA. (628–672 M)

Status ketika menikah: Janda dari Kinanah, salah seorang tokoh Yahudi yang terbunuh dalam perang Khaibar.

Periode menikah: 628 M, tahun ke-7 Hijriyah.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Shafiyah adalah isteri Rasulullah SAW yang berlatarbelakang etnis Yahudi. Sukunya diserang kerana telah melanggar perjanjian yang sudah mereka sepakati dengan kaum Muslimin. Shafiyyah termasuk salah seorang tawanan ketika itu. Nabi berjanji menikahinya jika ia masuk Islam. Maka masuklah dia dalam Islam.

1⃣1⃣👉Maimunah binti Al- Harits RA. (602- 681 M)

Status ketika menikah: Janda dari Abd al-Rahman bin Abdil-Uzza.

Periode menikah: Dzulqaidah tahun ke-7 Hijriyah.

Anak: tidak ada.

Fakta penting: Rasulullah SAW menikahinya sebagai penghormatan bagi keluarganya yang telah saling tolong menolong dengannya. Maimunah sendirilah yang datang menemui Rasulullah SAW dan meminta agar menikahinya.

1⃣2⃣👉Mariah Al-Qibthiyah RA.

Status ketika menikah: Hamba sahaya Rasulullah SAW sebagai hadiah dari Muqauqis, seorang penguasa Mesir.

Period menikah: 3 tahun sebelum Rasulullah SAW wafat.

Anak: Ibrahim (meninggal dunia pada usia 18 bulan).

Demikianlah sekilas mengenai isteri-isteri Rasulullah SAW yang luar biasa. Jelaslah bahawa Rasulullah SAW memiliki alasan yang kuat dalam setiap pernikahannya. Semua dilandasi atas kecintaan pada Allah SWT dan umatnya. Semoga kita semua terbebas dari pikiran-pikiran buruk dan hasutan kaum kafir mengenai beliau.

 

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW 👉PUTERA:

1⃣Abdullah bin Muhammad

Putra beliau dari Khadijah, meninggal ketika masih kecil.

2⃣Ibrahim bin Muhammad (wafat 10 H)

Anak Nabi dari Mariah Qibtiah. Dia hanya hidup selama 18 bulan. Nabi menyaksikan ketika dia menghembuskan nafas yang terakhir sambil manitiskan air mata, baginda berkata “mata boleh manitiskan air, hati boleh bersedih, tapi kita tidak boleh mengucapkan kalimat yang tidak diredhai Allah”.

3⃣Qasim bin Muhammad

Putra baginda dari Khadijah yang meninggal ketika masih kecil.

👉PUTERI:

4⃣Fatimah binti Muhammad (wafat 11 H)

Putri bongsu Rasulullah SAW dari Khadijah yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW. Dia tergolong wanita Quraisy yang genius dan pintar bicara. Dia menikah dengan Ali bin Abu Thalib. Dari perkahwinan ini lahirlah Hasan, Husain, Ummi Kultsum dan Zainab. Dia meninggal 6 bulan setelah wafatnya Rasulullah. Dan dari Fatimah Az-Zahroh ini lahirlah keturunan Rasul sampai sekarang.

5⃣Ruqaiah binti Muhammad (wafat 2 H)

Putri Rasulullah SAW. dari Khadijah yang dipersunting oleh Utbah bin Abu Lahab sewaktu Jahiliah. Setelah munculnya Islam dan turunnya ayat yang berarti “Celakalah kedua tangan Abu Lahab dan dia juga akan celaka” (S. Al-Masad ayat 1) dia langsung dicerai oleh suaminya atas perintah Abu Lahab. Dia memeluk Islam bersama ibunya. Kemudian dia dinikahi oleh Usman bin Affan dan ikut bersama suaminya hijrah ke Abessina (habasyah), kemudian mereka kembali dan menetap di Madinah seterusnya meninggal di kota itu pula.

6⃣Ummi Kultsum binti Muhammad (wafat 9 H/639 M)

Putri Rasulullah dari Khadijah yang dipersunting oleh Utaibah bin Abu Lahab pada masa Jahiliah. Setelah turunnya ayat yang artinya: “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia juga akan binasa.” (S. Al-Masad ayat 1) ia dicerai oleh Utaibah atas perintah Abu Lahab. Sepeninggal kakaknya, Ruqaiyah, isteri pertama Usman dia dinikahi oleh Usman bin Affan. Dia ikut berhijrah ke Madinah.

7⃣Zainab binti Muhammad (wafat 8 H.)

Putri sulung Rasulullah yang dipersunting oleh Abul Ash bin Rabi’. Dia memeluk agama Islam dan ikut hijrah ke Madinah, sementara suaminya bertahan dalam agamanya di Mekah sampai dia tertawan dalam perang Badr. Di saat itu, Rasulullah meminta kepadanya untuk menceraikan Zainab, lalu diceraikannya. Setelah dia masuk Islam, Rasulullah SAW. mengahwinkan mereka kembali.

Tafsir Surah Ahzab Ayat 44 – 49 (Cerai sebelum setubuh)

Ayat 44:

تَحِيَّتُهُم يَومَ يَلقَونَهُ سَلٰمٌ ۚ وَأَعَدَّ لَهُم أَجرًا كَريمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their greeting the Day they meet Him will be, “Peace.” And He has prepared for them a noble reward.

(MELAYU)

Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah: Salam; dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.

 

تَحِيَّتُهُم يَومَ يَلقَونَهُ سَلٰمٌ

Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah: Salam;

Kalimah تَحِيَّتُ (seperti tahiyat awal dan akhir dalam solat) bermaksud salam penghormatan. Ia adalah dari kalimah ح ي ي yang bermaksud hidup/hayat. Ini kerana sebelum Islam, orang Arab apabila berjumpa sesama sendiri mereka akan sebut: ‘Hayyakallah’ (semoga Allah ‎ﷻ memanjangkan umurmu).

Tetapi selepas Islam, salam penghormatan ditukar kepada assalamualaikum tetapi kalimah تَحِيَّتُ masih tetap dipakai untuk merujuk kepada kalimah salam penghormatan itu.

Ayat ini memberitahu yang apabila manusia bertemu dengan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan beri salam dan ini juga disebut dalam Yaasin:58.

سَلامٌ قَولًا مِن رَبٍّ رَحيمٍ

(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.

Bayangkan Allah ‎ﷻ yang beri salam kepada kita?! Alangkah hebatnya! Maknanya Allah ‎ﷻ memuliakan ahli syurga dengan memberi salam terus kepada mereka.

Maka kenalah kita berusaha beramal dengan amal kebaikan yang banyak supaya kita dapat masuk syurga dan menerima salam dari Allah ‎ﷻ ini. Kerana Allah ‎ﷻ hanya jumpa dan beri salam kepada ahli syurga sahaja.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah malaikat yang akan beri salam itu. Ini telah disebut dalam Nahl:32

الَّذينَ تَتَوَفّاهُمُ المَلائِكَةُ طَيِّبينَ ۙ يَقولونَ سَلامٌ عَلَيكُمُ ادخُلُوا الجَنَّةَ بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan”.

Atau pun, ada pendapat yang mengatakan mereka mengucapkan salam sesama mereka, seperti yang disebut dalam Yunus:10

دَعواهُم فيها سُبحانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلامٌ

Do’a mereka di dalamnya ialah: “Subhanakallahumma”, dan salam penghormatan mereka ialah: “Salam”.

 

وَأَعَدَّ لَهُم أَجرًا كَريمًا

dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.

Mereka yang mukmin akan dimasukkan ke dalam syurga dan diberi balasan yang mulia kepada mereka. Yakni syurga dan segala makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, pasangan-pasangan, semua kelazatan, dan semua pemandangan yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga, serta belum pernah terbayang di hati seorang manusia pun. 


 

Ayat 45: Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut pula tugas Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu tugas penting yang diberikan kepada baginda. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu baginda yang kerja baginda itu penting.

Dan Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada pembaca Al-Qur’an bahawa Rasulullah di kalangan mereka itu bukan orang biasa. Ada kelebihan baginda yang disebut nanti: Shahid, mubashshir, nadhir, da’i ila Allah ‎dan siraj munir.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنّا أَرسَلنٰكَ شٰهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, indeed We have sent you as a witness and a bringer of good tidings and a warner

(MELAYU)

Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan,

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنّا أَرسَلنٰكَ شٰهِدًا

Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi,

Salah satu tugas baginda adalah menjadi ‘saksi’. Saksi apakah itu? Baginda akan menjadi saksi kepada apa yang manusia amalkan dengan Al-Qur’an dan ajaran baginda.

Maka kalau kita tidak tahu apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini dan tidak amalkan, jangan harap akan dapat syafaat dari baginda. Malah baginda akan jadi pendakwa kepada kita pula. Baginda akan dakwa kita tidak amalkan Al-Qur’an. Ini ada juga disebut dalam Nahl:89

وَيَومَ نَبعَثُ في كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا عَلَيهِم مِن أَنفُسِهِم ۖ وَجِئنا بِكَ شَهيدًا عَلىٰ هٰؤُلاءِ

(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia.

Jadi kena ingat bahawa ada yang jadi saksi baik kepada kita. Saksi ini akan mempertahankan kita. Sebagai contoh, dalam mahkamah ada saksi yang kata kita orang baik dan tidak akan mencuri. Jadi baginda akan menjadi saksi mempertahankan kita. Tetapi ini bagi mereka yang mengikut ajaran Al-Qur’an dan Sunnah.

Dan jangan lupa yang jadi saksi lawan. Iaitu yang menjadi saksi kepada pendakwaraya di mahkamah. Dialah yang berkata yang tertuduh itu memang orang jahat dan memang dialah yang telah mencuri. Maka Nabi menjadi saksi lawan kepada mereka yang tidak endahkan ajaran Al-Qur’an.

Tetapi bagaimana hendak mengamalkan Al-Qur’an kalau tidak faham Al-Qur’an? Bagaimana mungkin hendak faham Al-Qur’an kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an? Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an ini dan ajak kawan dan keluarga anda juga mempelajarinya.

Kalimah شٰهِدًا di dalam ayat ini juga boleh bermaksud ‘menyampaikan kebenaran’. Maka baginda diingatkan dalam ayat ini untuk sampaikan wahyu kepada manusia. Tidak boleh baginda simpan mana-mana wahyu Al-Qur’an. Baginda kena menjadi saksi di atas kebenaran perkara-perkara ghaib seperti syurga dan neraka, tentang dosa dan pahala, tentang malaikat, jin segala hukum hakam yang Allah ‎ﷻ sampaikan.

Yakni bagindalah yang menyaksikan keesaan Allah ‎ﷻ dan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah ‎ﷻ. Mereka juga sebagai saksi terhadap umat manusia tentang amal perbuatan mereka di hari kiamat kelak. Baginda yang terlebih dahulu mengetahui perkara ini dan kerana itu baginda kenalah menjadi saksi kepada orang lain.

Tetapi Rasulullah ﷺ sudah tiada maka siapakah yang akan sampaikan wahyu Al-Qur’an ini sekarang? Tidak lain dan tidak bukan adalah kita yang mengaku sebagai umat Islam. Kita yang kena sampaikan kepada manusia yang ramai itu. Perihalnya sama dengan pengertian yang terdapat di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا}

agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Al-Baqarah: 143)

Tetapi malangnya umat Islam pun ramai yang tidak tahu tafsir Al-Qur’an. Maka bagaimanakah hendak mengajak dan menyampaikan Al-Qur’an kepada orang lain?

Kalimah شٰهِدًا ke atas Nabi ﷺ juga bermaksud baginda kena menjadi contoh ikutan kepada umat. Baginda kena tunjukkan akhlak terbaik, iaitu akhlak Al-Qur’an. Kerana itu baginda kena berkahwin dengan Saidatina Zainab رضي الله عنها untuk menjadi contoh kepada umat bahawa boleh berkahwin dengan janda anak angkat.

Dan baginda hendaklah menjadi contoh sebagai bapa, suami, pemimpin, kawan dan lain-lain lagi. Ini kita dapat pelajari dari banyak hadis tentang cara kehidupan baginda. Maka kita belajar dengan Nabi bukan bab agama sahaja, malah bab kehidupan juga kerana baginda adalah contoh yang terbaik.

Ada pendapat yang salah mengatakan yang apabila Nabi Muhammad ﷺ dikatakan menjadi ‘saksi’, maknanya baginda sekarang sedang melihat segala amalan-amalan kita (walaupun baginda sudah wafat). Ini tidaklah benar, kerana Allah ‎ﷻ ada cara lain untuk merekod amalan kita, tidak perlu Nabi ﷺ tengok kita.

Antaranya Allah ‎ﷻ ada malaikat, Allah ‎ﷻ juga jadikan tubuh badan kita sebagai saksi. Yang menggunakan ayat ini sebagai dalil adalah kerana hendak menegakkan fahaman sesat yang Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi. Jangan termakan dengan fahaman itu.

Ini dijelaskan lagi dengan dalil dalam Maidah:117

وَكُنتُ عَلَيهِم شَهيدًا ما دُمتُ فيهِم ۖ فَلَمّا تَوَفَّيتَني كُنتَ أَنتَ الرَّقيبَ عَلَيهِم

dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka.

Ayat Maidah ini adalah jawapan Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ bersabda bahawa beginilah nanti yang baginda sendiri akan jawab di akhirat kelak. Kerana bila baginda wafat, baginda tidak nampak apa yang umat baginda lakukan. Maka bagaimana mungkin kita berkata yang baginda sedang memerhatikan kita dan menjadi saksi pula atas perbuatan kita?

 

وَمُبَشِّرًا

dan pembawa khabar gembira

Tugas baginda juga adalah untuk membawakan berita gembira kepada mereka yang telah menerima ajaran wahyu. Bukan sahaja mereka terima, malah mereka amalkan dan sampaikan juga kepada orang lain.

 

وَنَذيرًا

dan pemberi peringatan,

Tetapi kepada mereka yang tidak endahkan ajaran agama dan wahyu, maka baginda disuruh memberikan peringatan dan ancaman kepada mereka. Kena ancam mereka dengan ancaman azab neraka.

Nabi Muhammad ﷺ telah diberi dengan pangkat kenabian yang membolehkan baginda memberitahu manakah amalan yang dapat pahala dan membawa ke syurga dan mana amalan yang buruk dan boleh membawa ke neraka. Maka ini adalah kedudukan seorang Nabi. Maka kita sebagai manusia biasa, hanya boleh sampaikan apa yang Nabi telah sampaikan.

Maka kita tidak boleh reka amalan baru dan berkata amalan ini baik; dan tidak boleh kita pilih kelakuan manusia yang buruk dan kata ia pasti memasukkan orang itu ke dalam neraka. Maknanya, apa sahaja yang kita beritahu dalam hal agama ini, kenalah ada dalil.

Maka, ini menolak fahaman sesetengah manusia yang mengatakan walaupun sesuatu amalan itu Nabi tidak pernah buat dan suruh, namun oleh kerana ia ‘baik’, maka Allah ‎ﷻ suka dan akan berikan pahala. Maka orang yang suka dengan amalan-amalan bidaah kena sedar siapakah diri mereka. Jangan mereka ambil kerja Nabi pula.

Dan kita tidak boleh hendak menetapkan sesuatu perkara itu haram dan sesiapa sahaja sebagai ahli neraka, kerana kita tidak ada dalil dalam perkara ini. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu dan tugaskan Nabi untuk beritahu kepada kita.


 

Ayat 46:

وَداعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذنِهِ وَسِراجًا مُّنيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And one who invites to Allāh, by His permission, and an illuminating lamp.

(MELAYU)

dan untuk jadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi.

 

وَداعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذنِهِ

dan untuk jadi penyeru kepada Allah dengan izin-Nya

Inilah tugas utama Nabi ﷺ. Dan baginda telah menjalankan tugas baginda ini. Kerana itulah agama Islam yang mulia ini telah sampai kepada kita.

Kita lihat dalam ayat ini, kalimat إِلَى اللهِ (kepada Allah ‎ﷻ) yang digunakan. Maka ini mengajar kita, apabila sampaikan ajaran wahyu kepada manusia, maka ajak mereka terus kepada Allah ‎ﷻ. Ajak manusia kenal Allah ‎ﷻ dan ajak manusia memuliakan Allah ‎ﷻ. Ajak manusia sembah Allah sahaja dan doa kepadaNya terus. Maka ini bermaksud ajaran tauhid kerana kena kenal Allah ‎ﷻ dalam fahaman tauhid.

Maka untuk tahu tauhid, tidak dapat lari dari kena belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’anlah yang mengajar tauhid dengan lengkap. Tidak lengkap fahaman tauhid manusia kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Maka bukanlah kena belajar Sifat 20 untuk kenal Allah ‎ﷻ tetapi kena belajar tauhid dari tafsir Al-Qur’an.

Rasulullah ﷺ menyampaikan ajaran wahyu dan mengenalkan manusia kepada Allah ‎ﷻ adalah atas arahan Allah ‎ﷻ. Kalimah بِإِذنِهِ dalam ayat ini berbentuk ‘suruhan’ dan bukannya ‘izin’ seperti yang kita selalu fahami itu.

Ia juga bermakna, Nabi Muhammad ﷺ menyampaikan ajaran agama ini dengan taufik-Nya. Baginda tidak akan melakukannya bersendirian. Baginda dipandu oleh Allah  ‎ﷻ dan apa sahaja yang baginda sampaikan adalah benar.

 

وَسِراجًا مُّنيرًا

dan untuk jadi cahaya yang menerangi.

Nabi Muhammad ﷺ diibaratkan memberi cahaya kepada manusia. Kerana yang baginda sampaikan adalah Al-Qur’an yang ajaran di dalamnya menerangi. Dengan cahaya wahyu ini mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid.

Juga ia bermaksud kebenaran yang baginda sampaikan sangat jelas dan mudah difahami sama dengan kejelasan sinar mentari, tiada seorang pun yang mengengkarinya kecuali hanya orang yang mem­bangkang tidak mahu tunduk kepada kebenaran.

Juga hati baginda diibaratkan seperti cahaya kerana dengan ajaran baginda, dapat menerangi kegelapan syirik dan membawa manusia ke arah cahaya tauhid. Tetapi bukanlah ia bermaksud yang Nabi Muhammad itu dijadikan dari cahaya pula.

Jadi ini bukanlah jadi dalil yang Nabi Muhammad ﷺ itu Nur pula. Ada banyak ajaran sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu adalah ‘Nur Muhammad‘. Yang selalu mengajar ajaran ini di negara ini adalah golongan sufi dan tarekat. Rakyat negara ini yang tidak masuk tarekat pun seolah-olah menerima konsep Nur Muhammad ini. Tetapi ketahuilah yang itu adalah ajaran yang sesat. Malangnya terlalu banyak yang jahil perkara ini sampaikan zikir munajat Nur Muhammad pun sudah masuk dalam TV utama.


 

Ayat 47:

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ بِأَنَّ لَهُم مِّنَ اللهِ فَضلًا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And give good tidings to the believers that they will have from Allāh great bounty.

(MELAYU)

Dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang mukmin bahawa sesungguhnya bagi mereka kurnia yang besar dari Allah.

 

Maksud kalimah فَضلًا lain dengan kalimah ‘upah’ iaitu أجر. Kalimah فَضلًا adalah seperti bonus iaitu pemberian yang berlebihan dari yang sepatutnya. Ahli syurga akan diberikan dengan balasan yang mereka tidak layak dapat pun. Macam mana kita hendak dikatakan layak, sedangkan amal kita bukan banyak pun, tetapi dibalas dengan syurga yang amat-amat hebat. Beramal entah berapa tahun sahaja di dunia, tapi balasannya syurga yang kekal abadi.

Sebagai contoh, orang Islam boleh mendapat فَضلًا dengan melakukan selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Maka mereka yang diberi dengan فَضلًا akan mendapat balasan yang amat besar. Balasan itu berganda-ganda dan lebih dari amalan yang dilakukan. Mudah sahaja untuk selawat, bukan? Tapi pahalanya berganda-ganda.


 

Ayat 48:

وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ وَدَع أَذٰهُم وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not obey the disbelievers and the hypocrites but do not harm them, and rely upon Allāh. And sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.

 

وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ

Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, 

Jangan terkesan dengan kata-kata golongan kafir dan munafik itu. Mereka memang akan berkata macam-macam untuk menjatuhkan nama baik Nabi ﷺ dan agama Islam. Maka jangan ikut jejak langkah mereka dan termakan dengan kata-kata mereka. Gunakan akal dan iman anda supaya tidak percaya dengan kata-kata mereka.

Ini mengajar kita untuk berhati-hati dengan siapa kita bergaul dan ambil pendapat. Kita kena lengkapkan diri kita dengan ilmu wahyu supaya kita dapat menolak kata-kata orang yang jauh dari kebenaran.

 

وَدَع أَذٰهُم

janganlah kamu hiraukan gangguan mereka

Kalimah وَدَع maksudnya ‘tinggalkan, jangan hirau’. Biarkan sahaja apa yang mereka lakukan. Jangan kisah dengan usaha mereka ingin menyakiti Rasulullah dan umat Islam.

Memang Nabi ﷺ risau dengan apa yang mereka lakukan. Kerana Nabi ﷺ takut agama Islam akan tercalar kalau nama baik baginda pun dijatuhkan. Maka Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ dan umat Islam jangan terkesan dengan kata-kata orang kafir dan munafik itu.

Nanti akan ada isu yang lebih besar iaitu peristiwa ifk Aisyah رضي الله عنها. Iaitu mereka akan menuduh Aisyah رضي الله عنها berzina. Allah ‎ﷻ bagi peringatan awal dalam Surah Ahzab ini untuk sediakan Nabi ﷺ.

 

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ

dan bertawakkallah kepada Allah.

Tawakal maksudnya serah segala urusan kepada Allah ‎ﷻ. Kerana kita tidak mampu untuk buat banyak perkara. Maka kita buat setakat yang kita mampu dan selebihnya kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tahulah Allah ‎ﷻ menguruskannya kerana memang Allah‎ ﷻ mampu.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.

Kita kena ada perasaan puas dan cukup dengan Allah ‎ﷻ. Kena ada rasa selamat dengan Allah ‎ﷻ. Maka apabila kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ, jangan kita ada perasaan terkilan. Kalau kita minta tolong manusia, kita pun tidak boleh hendak berasa puas sebab manusia mungkin berjaya dan mungkin tidak. Tetapi apabila kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ, kita kena sedar yang kita sudah serahkan kepada Yang boleh menyelesaikan masalah kita.


 

Ayat 49: Dari ayat ini hingga ke ayat 59 adalah Perenggan Makro ke 9 surah ini. Ditambah lagi hukum kekeluargaan dan kemasyarakatan untuk kita amalkan. Sekarang kita lihat ayat hukum tentang perkahwinan. Di dalam ayat ini, ada tiga hukum yang disampaikan tentang perkahwinan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نَكَحتُمُ المُؤمِنٰتِ ثُمَّ طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ فَما لَكُم عَلَيهِنَّ مِن عِدَّةٍ تَعتَدّونَها ۖ فَمَتِّعوهُنَّ وَسَرِّحوهُنَّ سَراحًا جَميلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you marry believing women and then divorce them before you have touched them [i.e., consummated the marriage], then there is not for you any waiting period to count concerning them. So provide for them and give them a gracious release.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka ‘iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya. Maka berilah mereka mut’ah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Sekarang disampaikan ayat untuk semua orang mukmin pula. Surah ini banyak khitab (orang yang dihadap bicara) maka kita kena perhatikan kepada siapakah ia ditujukan.

 

إِذا نَكَحتُمُ المُؤمِنٰتِ ثُمَّ طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ

apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya

Ini adalah tentang perkahwinan yang tidak dilangsungkan dengan ‘malam pertama’. Mungkin selepas bernikah itu ada terjadi sesuatu perkara yang menyebabkan suami itu hendak menceraikan isterinya tanpa digauli. Jadi, tidak salah kalau hendak ceraikan isteri sebelum isteri itu digauli.

Kalimah تَمَسّوهُنَّ dari kalimah م س س yang bermaksud ‘sentuh’. Bukanlah sentuh biasa sahaja yang dimaksudkan dalam ayat ini, tetapi yang dimaksudkan ‘persetubuhan’. Al-Qur’an tidaklah menggunakan bahasa yang kasar dan lucah, tetapi menggunakan bahasa dalam bentuk isyarat yang beradab. Jadi kalau ayat-ayat Al-Qur’an dibaca di khalayak ramai pun tidak malu; kalau kanak-kanak kecil baca pun tidak malu.

Ini berbeza dengan Bible contohnya yang mengandungi kisah dan bahasa-bahasa yang lucah. Ada ayat-ayat dalam Bible yang kalau kita disuruh baca kepada budak-budak atau dibaca di khalayak ramai, kita pun tidak sanggup walaupun dibayar.

Dalam ayat ini digunakan kalimat ‘perempuan-perempuan beriman’. Akan tetapi, kita juga tahu bahawa lelaki mukmin juga boleh bernikah dengan wanita Ahli Kitab. Maka apabila Allah ‎ﷻ menyebut ‘perempuan-perempuan beriman’ dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak memberi isyarat bahawa perkahwinan yang baik adalah dengan wanita-wanita yang beriman.

Walaupun boleh untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab, namun itu tidaklah digalakkan sebenarnya. Malah Saidina Umar رضي الله عنه pernah menghalang perkahwinan dengan Ahli Kitab kerana ramai yang mencari wanita Ahli Kitab dan berkurangan lelaki bernikah dengan wanita Muslim. Maka larangan Saidina Umar itu tidak salah kerana ikut kepada keperluan.

 

فَما لَكُم عَلَيهِنَّ مِن عِدَّةٍ تَعتَدّونَها

maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka ‘iddah bagimu yang kamu diminta menyempurnakannya.

Maka dalam keadaan begitu, tidak ada iddah kepada wanita itu. Ini adalah kerana iddah itu untuk memastikan yang isteri itu bersih daripada ada anak dalam kandungan. Akan tetapi jikalau memang tidak ada perhubungan badan, maka tidaklah ada kemungkinan ada anak itu. Maka tidaklah perlu tunggu masa iddah. Wanita itu boleh sahaja terus berkahwin dengan lelaki lain secepat mungkin.

Akan tetapi, kalau suami itu tidak menggauli isterinya, tetapi dia mati sebelum itu, maka tetap ada iddah 4 bulan 10 hari itu. Tidak boleh pakai ayat ini sebagai dalil untuk berkata wanita itu boleh terus kahwin dengan orang lain.

Kalimah لَكُم (untuk kamu – lelaki) dalam ayat ini juga dibincangkan. Maknanya iddah itu adalah untuk kebaikan suami sebenarnya. Kerana dalam waktu iddah itu, seorang suami boleh lagi untuk mengambil balik isterinya. Mungkin selepas bercerai itu suami itu terkenangkan kembali isterinya, maka bolehlah dia berfikir dalam masa iddah itu. Kalau selepas bercerai sahaja, isteri itu terus berkahwin dengan orang lain, maka melepaslah suami itu. Cuma kalau terus cerai sebelum digauli, maka tidak ada iddah.

Bukan kepentingan suami sahaja dijaga kerana kepentingan anak juga dijaga. Kerana iddah itu adalah untuk memastikan yang tidak ada kandungan dalam perut si isteri. Kerana hak anak dalam perut itu juga kena dijaga. Kerana kalau ada anak, maka nasab anak itu kena diberikan kepada ayahnya. Anak itu layak untuk mendapat nasab yang benar kerana ia melibatkan perkara lain seperti wali, harta pusaka, nafkah dan sebagainya. Jadi, apabila tidak ada pergaulan tubuh (seks), maka tentulah tidak ada anak dan tidak perlu ada iddah.

Tetapi ada satu lagi hak yang kena dijaga iaitu hak Allah ‎ﷻ. Iddah adalah ketetapan dari Allah ‎ﷻ. Jadi walaupun ia adalah hak suami, maka suami tidaklah boleh untuk melepaskan tanpa iddah. Tidaklah boleh dia kata: “Tidak mengapa, aku lepaskan isteri aku ini tanpa iddah kerana aku memang tidak mahu kahwin balik dengan dia…”. Jadi walaupun suami itu telah melepaskan iddahnya, iddah itu tetap dijalankan juga kerana ia adalah hak Allah.

Kecuali dalam kes di mana tidak ada persetubuhan, maka tidak ada iddah seperti perkahwinan biasa. Dan Nabi Muhammad ﷺ mengahwini Zainab رضي الله عنه tanpa menunggu iddah selepas perceraiannya dengan Zaid رضي الله عنه kerana tidak ada persetubuhan di antara mereka berdua ketika di dalam perkahwinan.

 

فَمَتِّعوهُنَّ

Maka berilah mereka mut’ah

Selepas diceraikan isteri itu, wanita itu hendaklah diberikan hadiah untuk mengubat hati mereka. Kerana telah ada majlis pernikahan yang berlangsung dan dia pun mungkin sudah berharap untuk menjadi isteri kamu, tetapi kamu tinggalkan dia.

Bayangkan orang kampung semua sudah tahu pernikahan itu dan sedikit sebanyak tentu bekas isteri itu terkesan juga. Maka sekurang-kurangnya berilah sedikit hadiah sebagai penawar hati baginya. Jangan lepaskan begitu sahaja dan buat tidak tahu sahaja.

Kalau jumlah mahr telah ditetapkan, maka wajib kena beri separuh dari mahr itu seperti yang telah ditetapkan dalam Baqarah:237

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً فَنِصفُ ما فَرَضتُم

Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu

Akan tetapi, ada baiknya kalau diberikan lebih. Termasuk dengan beri terus hantaran-hantaran pernikahan yang selalunya diberikan kepada isteri. Janganlah ambil balik.

Dan kalau tidak ditetapkan jumlah mahr, maka berilah berdasarkan kedudukan suami itu. Ini telah disebut dalam Baqarah:236

لا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتاعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

Tidak ada kewajipan membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut. Yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan.

Nota: ini bukan bayaran mut’ah dalam Syiah itu. Bayaran Mut’ah dalam Syiah adalah upah kepada pelacur, bukan kepada isteri. Syiah adalah satu-satunya agama dalam dunia yang menghalalkan, malah menggalakkan pelacuran.

 

وَسَرِّحوهُنَّ سَراحًا جَميلًا

dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.

Kalau mahu bercerai, bercerailah dengan wanita itu dengan cara yang baik. Janganlah ada kata-kata kesat terhadap mereka. Jangan maki dan tuduh menuduh. Jangan pula cerita kepada orang lain apa-apa kekurangan dia yang menyebabkan anda ceraikan dia sebelum bersetubuh. Mungkin ada yang awak tidak suka dengannya, tetapi orang lain tidak kisah.

Maka jagalah nama baik orang. Berkatalah dengan kata-kata yang baik. Ingatlah yang perkataan kita boleh kekal sampai bila-bila lebih-lebih lagi zaman sekarang zaman media sosial. Maka kena tahan mulut dari berkata yang buruk.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan melalui Sahl ibnu Sa’d dan Abu Usaid رضي الله عنه yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ pernah mengahwini Umaimah binti Syurahbil, tetapi ketika baginda masuk ke kamarnya dan menghulurkan tangan kepadanya, kelihatan Umaimah tidak suka. Maka Rasulullah ﷺ keluar dan memerintahkan Abu Usaid رضي الله عنه untuk mengemaskan barang-barang Umaimah, lalu baginda memberinya sepasang pakaian sebagai mut’ahnya. Ali ibnu Abu Talhah رضي الله عنه mengatakan bahawa jika Nabi ﷺ telah menyebutkan mahar kepada Umaimah, maka bagi Umaimah separuh dari mahr tersebut sebagai pemberiannya. Dan jika baginda ﷺ masih belum menentukan mahrnya, maka Umaimah hanya mendapatkan mut’ah yang sesuai dengan kemampuan baginda ketika itu; dan itulah yang dinamakan melepaskan dengan cara yang sebaik-baiknya.

Ringkasnya, 3 hukum yang telah disebut dalam ayat ini:

1. Kalau tidak jimak dalam perkahwinan, maka tiada iddah.
2. Apabila menceraikan isteri, berikan mut’ah kepada isteri.
3. Apabila melepaskan isteri, lepaskan dengan cara baik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ahzab Ayat 38 – 43 (Kena suka dengan hukum Allah)

Ayat 38:

مّا كانَ عَلَى النَّبِيِّ مِن حَرَجٍ فيما فَرَضَ اللهُ لَهُ ۖ سُنَّةَ اللهِ فِي الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلُ ۚ وَكانَ أَمرُ اللهِ قَدَرًا مَّقدورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is not to be upon the Prophet any discomfort concerning that which Allāh has imposed upon him.¹ [This is] the established way of Allāh with those [prophets] who have passed on before. And ever is the command of Allāh a destiny decreed.

  • Or permitted to him.

(MELAYU)

Tidak ada suatu keberatan pun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. (Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. Dan adalah ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku,

 

مّا كانَ عَلَى النَّبِيِّ مِن حَرَجٍ فيما فَرَضَ اللهُ لَهُ

Tidak ada suatu keberatan pun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya.

Tidak ada apa-apa yang bahaya apabila Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ mengahwini Saidatina Zainab رضي الله عنها. Allah ‎ﷻlah yang menyuruh baginda berkahwin dengan Saidatina Zainab رضي الله عنها. Allah ‎ﷻ bukanlah berkata Dia ‘membenarkan’ Nabi ﷺ mengahwininya tetapi ia adalah ‘suruhan’ dari Allah ‎ﷻ. Jadi bukanlah baginda teringin hendakkan kepada Zainab رضي الله عنها.

Dan tidaklah Nabi Muhammad ﷺ rasa berat dengan arahan Allah ‎ﷻ itu. Tidak patut seorang Nabi ﷺ berasa berat dengan arahan Allah ‎ﷻ. Seorang Nabi sepatutnya kena redha dan terima sahaja arahan dari Allah ‎ﷻ dan bersedia untuk menjalankannya.

Macam kita yang sudah belajar wahyu Allah ‎ﷻ ini pun tidak patut untuk merasa berat dalam menjalankan perintah Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an ini. Kalau arahan dari Allah ‎ﷻ sahaja, maka kita kena jalankan dengan redha. Jangan kita ada rasa tertekan dan rasa terpaksa untuk menjalankan arahan Allah ‎ﷻ itu.

Ayat ini sebagai dalil bahawa bukanlah Nabi ﷺ minat asalnya kepada Zainab رضي الله عنها. Kerana ada tuduhan sebegitu, maka Allah ‎ﷻ mempertahankan nama baik baginda. Mana mungkin Nabi ﷺ mempunyai minat terhadap isteri orang lain pula. Tetapi bila sudah menjadi isteri baginda, tentulah baginda sayang.

 

سُنَّةَ اللهِ فِي الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلُ

(Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. 

Tidak boleh berasa berat dengan suruhan daripada Allah ‎ﷻ kerana itulah cara diberi arahan oleh Allah ‎ﷻ semenjak dari dahulu lagi. Dari dahulu lagi, apabila Allah ‎ﷻ telah berikan arahan, maka para Nabi dan Rasul akan menjalankannya.

Allah ‎ﷻ hendak menjadikan ini sebagai satu sunnah di dalam agama Islam. Iaitu tidak salah untuk mengahwini janda. Dan tidak salah untuk mengahwini janda kepada anak angkat sendiri.

Maka kena tolak stigma sebegini. Pelbagai stigma dalam masyarakat sebenarnya. Sebagai contoh, ada orang yang segan untuk berkahwin dengan janda kawan sendiri kerana mereka berasa rapat dengan kawan itu tetapi ingatlah yang Nabi Muhammad ﷺ juga rapat dengan Zaid رضي الله عنه.

Ini bukanlah kali pertama undang-undang ini diperkenalkan kepada manusia kerana zaman dahulu pun sudah ada. Maka ia adalah sunnatullah. Sunnatullah itu juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ tidak sekali-kali memerintahkan kepada para Nabi untuk melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka berdosa kerananya.

Ayat ini merupakan sanggahan terhadap sebahagian orang dari kalangan orang-orang munafik yang mengatakan martabat Nabi ﷺ menjadi kurang kerana mengahwini bekas isteri anak angkatnya.

Juga sudah dari dahulu lagi terdapat lelaki yang berkahwin lebih daripada satu dan ini biasa sahaja, termasuk kepada para Nabi pun. Maka ia bukanlah isu yang besar. Jangan kata Nabi ﷺ gila seks pula kerana berkahwin lebih dari satu.

 

وَكانَ أَمرُ اللهِ قَدَرًا مَّقدورًا

Dan adalah ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku,

Dan keputusan Allah ‎ﷻ adalah tetap. Takdir Allah tetap akan berjalan. Apabila Allah ‎ﷻ mahukan sesuatu maka semua makhluk kena lakukan dan tidak ada alasan untuk menolaknya.


 

Ayat 39: Telah disebut yang Para Nabi itu taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Dan siapakah golongan Nabi itu?

الَّذينَ يُبَلِّغونَ رِسٰلٰتِ اللهِ وَيَخشَونَهُ وَلا يَخشَونَ أَحَدًا إِلَّا اللهَ ۗ وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh praises] those who convey the messages of Allāh¹ and fear Him and do not fear anyone but Allāh. And sufficient is Allāh as Accountant.

  • i.e., the prophets (peace be upon them all) and after them, the followers of the final prophet, Muḥammad (ṣ), who honestly convey Allāh’s message to the people.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.

 

الَّذينَ يُبَلِّغونَ رِسٰلٰتِ اللهِ

(iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, 

Ada perubahan dalam topik ini secara tiba-tiba. Allah ‎ﷻ hendak menekankan siapakah golongan Nabi itu termasuk Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita kepada mereka supaya kita pandang mereka dengan pandangan yang benar. Jangan pandang rendah dengan Nabi.

Mereka menyampaikan ajaran Islam kepada manusia. Ini adalah tugas yang amat penting dan ini tidak dapat dilakukan jikalau ada masalah dalaman. Maka hal dalam keluarga hendaklah diselesaikan.

Maka kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ kena berkahwin dengan Sayyidah Zainab رضي الله عنها kerana ada pengajaran agama di dalamnya. Baginda kena sampaikan kepada umat. Dan setiap perbuatan baginda ada konotasi agama yang kita kena perhatikan.

Dan dengan ada ramai isteri, Nabi Muhammad ﷺ dapat menyampaikan pengajaran agama dengan lebih lagi. Ini adalah kerana mereka itu duduk tinggal dengan baginda di dalam rumah. Kalau di luar rumah, sahabat biasa nampak. Tetapi bagaimana dengan hal-hal dalam rumah?

Maka para isteri bagindalah yang menyampaikan kepada umat bagaimana sikap baginda di dalam rumah. Mereka sampaikan kepada kita dan kita dapat belajar apakah sunnah baginda di dalam rumah.

 

وَيَخشَونَهُ وَلا يَخشَونَ أَحَدًا إِلَّا اللهَ

dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah.

Para Nabi itu tidak takut kepada selain Allah ‎ﷻ. Mereka tidak takut dengan kata-kata penentangan manusia terhadap mereka dan segala perancangan manusia yang hendak menjatuhkan mereka. Mereka kena sampaikan ajaran wahyu dan tidak boleh takut dalam melakukannya. Jangan takut kata-kata manusia sampai sorok wahyu.

Maka ini pun mengajar kita pun kena berani sampaikan wahyu Al-Qur’an ini kepada manusia. Walaupun ramai yang marah dan melawan namun ia tetap kena dilakukan. Biarlah apa yang mereka hendak kata, kita sampaikan sahaja.

Kerana kita kena lebih takutkan Allah ‎ﷻ daripada takutkan manusia. Manusia tidak boleh berbuat apa-apa tanpa izin Allah ‎ﷻ tetapi Allah ‎ﷻ boleh memasukkan kita ke dalam neraka kalau kita tidak menjalankan tugas kita untuk menyampaikan wahyu.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْر، أَخْبَرَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ عَمْرِو بْنِ مُرَّة، عَنْ أَبِي البَخْتَري، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا يَحْقِرَنَّ أَحَدُكُمْ نَفْسَهُ أَنْ يَرَى أَمْرَ اللَّهِ فِيهِ مَقَالٌ ثُمَّ لَا يَقُولُهُ، فَيَقُولُ اللَّهُ: مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَقُولَ فِيهِ؟ فَيَقُولُ: رَبِّ، خَشِيتُ النَّاسَ. فَيَقُولُ: فَأَنَا أَحَقُّ أن يخشى “

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Amr ibnu Murrah, dari Abul Bukhturi, dari Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: jangan sekali-kali seseorang di antara kalian menghina dirinya sendiri bila dia melihat perintah Allah ‎ﷻ yang memerlukan pembelaannya, kemudian dia tidak membelanya. Maka Allah ‎ﷻ akan bertanya, “Apakah yang mencegahmu untuk tidak membelanya?” Lalu dia mengatakan, “Ya Tuhanku, aku takut kepada manusia.” Maka Allah ‎ﷻ akan berfirman, “Akulah seharusnya yang lebih ditakuti.”

Mungkin timbul persoalan: kenapa ayat ini kata para Nabi tidak takutkan manusia, tetapi dalam ayat 37 disebut Nabi ﷺ takut kepada kata-kata manusia? وَتُخفي في نَفسِكَ مَا اللَّهُ مُبديهِ وَتَخشَى النّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخشاهُ (sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah ‎ﷻ akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-‎ﷻlah yang lebih berhak untuk kamu takuti.)

Untuk menjawab persoalan ini kita kena faham yang memang Nabi ﷺ takut pada mulanya kerana baginda berasakan itu adalah pernikahan untuk dunia baginda. Tetapi selepas baginda tahu yang pernikahan itu ada misi agama, maka baginda tidak takut lagi.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.

Biarlah Allah ‎ﷻ yang menghitung kesalahan yang dilakukan oleh para penentang dan memberikan balasan kepada mereka. Kita tidak mampu untuk menghitung dan membalasnya sendiri. Maka tidak payah hendak hiraukan sangat kata-kata mereka dan serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 40:

مّا كانَ مُحَمَّدٌ أَبا أَحَدٍ مِّن رِّجالِكُم وَلٰكِن رَّسولَ اللهِ وَخاتَمَ النَّبِيّينَ ۗ وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Muḥammad is not the father of [any] one of your men, but [he is] the Messenger of Allāh and seal [i.e., last] of the prophets. And ever is Allāh, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

مّا كانَ مُحَمَّدٌ أَبا أَحَدٍ مِّن رِّجالِكُم

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu,

Nabi Muhammad ﷺ bukanlah bapa kepada Zaid رضي الله عنه; dan sebenarnya baginda juga tidak ada anak lelaki kerana semua anak-anak lelaki baginda mati dan kerana itu ayat ini amat tepat sekali. Kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah رجال yang bermaksud ‘lelaki’. Kerana Nabi ﷺ memang hanya mempunyai anak perempuan yang hidup.

Tetapi baginda juga pernah mempunyai anak lelaki, bukan? Namun begitu, semua anak lelakinya mati di usia yang kecil. Kerana itu kalimah رجال lebih tepat lagi bermaksud ‘lelaki dewasa’. Maka ayat ini menafikan Nabi Muhammad ﷺ itu ayah kepada lelaki yang dewasa kerana anak-anak lelaki baginda semuanya mati ketika kanak-kanak.

Maka tidak boleh menasabkan Zaid رضي الله عنه kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ayat ini tegas menidakkan perkara itu.

 

وَلٰكِن رَّسولَ اللهِ

tetapi dia adalah Rasulullah

Mungkin ada yang berhujah, walaupun Nabi Muhammad ﷺ bukan bapa sebenar kepada Zaid رضي الله عنه dan Zainab رضي الله عنها bukanlah menantunya, tetapi baginda tidaklah perlu untuk mengahwini Zainab رضي الله عنها. Kerana dengan perkahwinan itu telah menimbulkan prasangka yang tidak elok.

Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah dan memang tugas baginda untuk mengajar manusia dengan hukum. Dan juga tugas baginda untuk mematikan adat resam yang tidak patut. Maka kerana itu baginda kena tunjukkan sendiri bahawa boleh mengahwini janda anak angkat. Kerana apabila baginda sendiri yang berkahwin, maka itu adalah satu penegasan yang kuat. Maka senang untuk umat tukar adat resam kerana Rasulullah sendiri yang buat.

Tadi telah disebut yang baginda bukanlah bapa kandung kepada Zaid رضي الله عنه. Sebaliknya baginda adalah ‘Rasul Allah’ yang bermaksud baginda adalah ‘ayah’ kepada seluruh umat. Kerana kalau para isteri baginda adalah ibu kepada semua orang mukmin, maka secara automatik baginda adalah ‘bapa’. Namun bukanlah ayah biologi tetapi ayah dari segi agama.

Dan ini menolak kutukan puak Musyrikin yang mengatakan baginda ‘abtar’ iaitu tidak mempunyai anak lelaki yang meneruskan kerja baginda. Allah ‎ﷻ memberitahu yang anak dari segi agama yang lebih penting untuk meneruskan ajaran agama ini, bukannya anak biologi.

 

وَخاتَمَ النَّبِيّينَ

dan penutup nabi-nabi.

Tiada Nabi lagi selepas baginda. Ini jelas disebut dalam Al-Qur’an dan juga hadis Nabi ﷺ:

قَالَ [الْإِمَامُ] أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يُونُسُ بْنُ مُحَمَّدٍ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ عُبَيد الرَّاسِبِيُّ قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا الطُّفَيْلِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم: “لا نُبُوَّةَ بَعْدِي إِلَّا الْمُبَشِّرَاتِ”. قَالَ: قِيلَ: وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ -أَوْ قَالَ -الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Muhammad, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Zaid, telah menceritakan kepada kami Usman ibnu Ubaid Ar-Rasibi yang telah mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abut Tufail رضي الله عنه mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Tiada kenabian sesudahku, kecuali hanya mubasysyirat.” Ketika ditanyakan “Apakah mubasysyirat itu (berita-berita yang menggembirakan).” Rasulullah ﷺ menjawab, “Mimpi yang baik, ” atau, “Mimpi yang saleh.”

Maka kalau ada yang mengaku Nabi selepas itu, maka dia adalah pembohong besar. Dan memang banyak juga yang mengaku Nabi. Sampaikan orang Melayu pun ada yang teringin ingin menjadi Nabi juga. Alangkah jahilnya dan gila (yang lagi gila orang yang mengikut mereka). Yang mengaku Nabi itu memanglah sudah gila. Tetapi kenapa ada orang yang percaya? Itu yang menghairankan.

Tidak mungkin ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad ﷺ, sekalipun orang yang mengaku menjadi nabi atau rasul itu dapat mengeluarkan berbagai macam perkara yang bertentangan dengan hukum alam, atau mendatangkan berbagai macam sihir, silap mata, dan magis; maka semuanya itu adalah kesesatan belaka menurut orang-orang yang mempunyai akal.

Sebagaimana yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada Al-Aswad Al-Anasi dan Musailamah Al-Kazzab di Yamamah, iaitu berupa berbagai macam keadaan yang merosak dan kata-kata yang dingin, yang semuanya itu diketahui oleh setiap orang yang mempunyai akal sihat dan pandangan hati serta pengertian yang benar, bahawa keduanya pendusta lagi sesat; semoga Allah ‎ﷻ melaknat keduanya.

Jadi Nabi Muhammad ﷺ adalah pelengkap kepada rentetan segala Nabi dan Rasul dari dahulu lagi.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلِي وَمَثَلُ النَّبِيِّينَ [مِنْ قَبْلِي] كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى دَارًا فَأَتَمَّهَا إِلَّا لَبنَة وَاحِدَةً، فَجِئْتُ أَنَا فَأَتْمَمْتُ تِلْكَ اللَّبِنَةِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Abu Saleh, dari Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Perumpamaanku dan para nabi lainnya seperti seseorang yang membangun sebuah gedung, dia menyempurnakan bangunan­nya terkecuali suatu bahagian darinya. Maka aku datang, lalu menyempurnakan bahagian itu.

Maka agama sudah sempurna apabila Nabi Muhammad ﷺ telah menyampaikannya. Ini adalah satu penghormatan kepada baginda kerana bagindalah yang menyempurnakan agama Islam setelah diajar oleh para Nabi yang dahulu. Ini telah disebut dalam Maidah:3

اليَومَ أَكمَلتُ لَكُم دينَكُم وَأَتمَمتُ عَلَيكُم نِعمَتي وَرَضيتُ لَكُمُ الإِسلامَ دينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.

Ini dijelaskan lagi dalam hadis berikut,

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ – رضى الله عنه – أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « إِنَّ مَثَلِى وَمَثَلَ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِى كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى بَيْتًا فَأَحْسَنَهُ وَأَجْمَلَهُ ، إِلاَّ مَوْضِعَ لَبِنَةٍ مِنْ زَاوِيَةٍ ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَطُوفُونَ بِهِ وَيَعْجَبُونَ لَهُ ، وَيَقُولُونَ هَلاَّ وُضِعَتْ هَذِهِ اللَّبِنَةُ قَالَ فَأَنَا اللَّبِنَةُ ، وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ »

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda, “Perumpamaan aku dengan Nabi sebelumku ialah seperti seorang lelaki yang membangunkan sebuah bangunan kemudian dia memperindah dan mempercantik bangunan tersebut kecuali satu tempat batu bata di salah satu sudutnya. Orang-orang ketika itu mengitarinya, mereka kagum dan berkata, “Amboi, jika batu bata ini diletakkan, akulah batu bata itu dan aku adalah penutup para nabi.”

(HR. Bukhari, no. 3535 dan Muslim, no. 2286)

Maka agama Islam ini telah lengkap dan kalau ada yang reka perkara baru dalam agama, mereka sebenarnya telah menidakkan ayat ini. Mereka sangka boleh sahaja hendak membuat ajaran dan amalan baru, tetapi itu tidak patut kerana itu adalah kerja Nabi Muhammad ﷺ. Dan apabila baginda telah menyempurnakan agama ini, maka kerana itulah baginda adalah penutup segala Nabi.

Maka kalau ada yang mereka amalan bidaah, atau ada yang mengikut amalan bidaah yang direka oleh manusia, maka mereka itu tidak faham ayat ini. Mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan kerana itu mereka tidak faham agama dengan benar.

Kerana tidak ada lagi Nabi selepas baginda, maka kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ kena melalui peristiwa yang berat bagi baginda ini, kerana baginda kena meletakkan sunnah yang penting kepada masyarakat. Bagindalah yang kena mengajar manusia dan memberi contoh bahawa boleh mengahwini janda anak angkat. Baginda tidak boleh membiarkan sahaja perkara itu kerana tidak ada lagi Nabi selepas baginda yang akan memperbetulkannya.

Dan kerana baginda adalah Rasul terakhir, maka tugas baginda amat berat. Kerana itulah baginda amat prihatin dengan umat manusia. Kalau para Nabi dahulu, mereka tahu yang kalau ada penyelewengan dalam agama, maka akan ada Nabi lain yang akan membetulkannya. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ sedar yang selepas baginda tidak ada lagi Nabi lain. Maka baginda kena sampaikan ajaran yang lengkap dan ingatkan kepada manusia mana ajaran yang benar dan mana ajaran yang salah.

Maka kerana itu baginda mengingatkan berkali-kali untuk mengambil ajaran dari Al-Qur’an dan sunnah baginda. Maka kita umat baginda ini kenalah mahir dengan dua sumber ini. Dan kalau belajar, ambillah ajaran dari guru yang menggunakan dua sumber ini. Malangnya, banyak guru yang tidak mengikut dua sumber ini tetapi pakai ajaran dan kata-kata manusia sahaja. Kerana itu, ramai yang sesat dan mengamalkan amalan bidaah.

Kalau kita perhatikan permulaan ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut Nabi Muhammad ﷺ itu adalah ‘Rasul’ tetapi sekarang disebut baginda adalah ‘penutup para Nabi’. Kenapa tidak disebut penutup para Rasul?

Ini adalah kerana ada perbezaan antara Nabi dan Rasul. Nabi adalah manusia yang dilantik oleh Allah ‎ﷻ dan mendapat wahyu. Tetapi Rasul adalah Nabi yang membawa syariat baru. Maka, setiap Rasul adalah Nabi tetapi tidaklah setiap Nabi itu Rasul.

Maka, apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat ‘penutup para Nabi’ maka itu bermakna tiada ada Nabi selepas baginda dan tidak juga ada Rasul selepas baginda. Kalau Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat ‘penutup para Rasul’, maka nanti ada pula makhluk yang kata mereka itu bukan Rasul tetapi mereka itu Nabi. Maka Allah ‎ﷻ tutup hujah yang sebegitu.

Bagaimana pula dengan turunnya Nabi Isa عليه السلام di akhir zaman nanti? Ajaran sesat Qadiani berhujah yang tidak ada penutupan Nabi (kerana hendak mengatakan yang Qadiani itu pun Nabi juga) dengan mengatakan: bukankah Nabi Isa عليه السلام pun akan turun juga nanti?

Jawabnya: tidak akan dilantik Nabi yang baru. Macam Nabi Isa عليه السلام itu, baginda sudah dilantik dahulu lagi maka baginda bukanlah baru dilantik. Baginda hanya turun sahaja di akhir zaman.

Maka jangan percaya kalau ada yang mengaku mereka itu Nabi. Mereka itu jelas adalah penipu besar dan telah disebut dalam hadis dari Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلَاثِينَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ

Tidak akan terjadi hari kiamat hingga muncul para dajjal/para pendusta, yang berjumlah sekitar 30-an. Mereka semua mengaku sebagai utusan Allah (Rasulullah).”

(HR. Muslim, no. 157)

 

وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku dan apa yang dikatakan oleh manusia. Dan Allah ‎ﷻ sudah tahu bahawa untuk mengubah adat resam manusia, memerlukan contoh dari Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Allah ‎ﷻ telah takdirkan yang tidak ada Nabi selepas Nabi Muhammad ﷺ dan ini sahaja peluang yang ada untuk mengubah adat resam masyarakat waktu itu. Walaupun nanti ada pendakwah, tetapi sesiapa sahaja selain dari Nabi Muhammad ﷺ, tidak akan dapat mencapai efek yang dikehendaki.

Habis Ruku’ 5 dari 9 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 41: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 8 surah ini dari ayat ini sehingga ke ayat 48. Sekarang diberikan nasihat kepada Muslimin yang ikhlas.

Kaum muslimin diperintahkan untuk berzikir dan bertasbih. Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul dan kemudian disebut baginda adalah Nabi terakhir. Baginda adalah rahmat sekalian alam. Maka kita berzikir dan bertasbih sebagai tanda kesyukuran kerana Allah ‎ﷻ telah berikan nikmat yang besar ini.

Mereka juga disuruh untuk meneruskan usaha Rasulullah ﷺ dan sebarkan agama tauhid dengan taufiq dari Allah ‎ﷻ. Ingatlah ganjaran gembira di akhirat kelak. Jangan pedulikan celaan dan sendaan kaum munafik dan kafirin. Jadikan Allah ‎ﷻ sebagai wali dan tempat bergantung harapan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اذكُرُوا اللهَ ذِكرًا كَثيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, remember Allāh with much remembrance

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.

 

Wahai manusia, kamu kena ingat banyak-banyak kepada Allah ‎ﷻ dan jangan peduli dengan skandal yang macam-macam. Manusia memang akan bercakap macam-macam kerana memang manusia ramai dan ada banyak dari mereka yang hatinya tidak bersih. Memang tidak mampu untuk kita melayan mereka. Lebih baik kita zikir kepada Allah ‎ﷻ sahaja dari menyesakkan akal dan hati kita dengan dengar apa kata mereka.

Maka untuk elak dari memikirkan kata-kata mereka, maka kena sibukkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Banyakkan zikir dan ibadat. Jangan buang masa melayan perasaan dan melayan mereka. Buat ibadat dapat juga pahala, kalau layan mereka akan menyesakkan fikiran sahaja.

Malangnya manusia waktu itu sibuk bercakap-cakap tentang perkahwinan Nabi ﷺ dan Zainab رضي الله عنها yang baru berlangsung. Maka orang mukmin diajar jangan terkesan dengan suasana itu. Jangan melibatkan diri dengan cakap-cakap kosong yang boleh menyebabkan mereka mendapat dosa sahaja.

Hanya dalam bab zikir sahaja Allah ‎ﷻ suruh kita ‘banyakkan’ amalan itu. Kalau solat ada waktu tertentu dan rakaat tertentu; kalau puasa ada hari tertentu; kalau Haji pun ada bulan dan tempat tertentu, bukan? Tetapi apabila Allah ‎ﷻ sebut zikir, Allah ‎ﷻ tidak hadkan bilangan dan tempat. Kenapa?

Ini adalah kerana zikir ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tidak terhad kepada waktu dan tempat, malah tidak perlu untuk dalam keadaan suci pun. Kalau dalam hadas dan dalam junub pun, masih boleh berzikir (memang molek kalau dalam keadaan suci, tetapi ia bukan syarat).

Maka, sebenarnya tidak ada alasan kalau kita tidak berzikir, bukan? Maka kena memperbanyakkan zikir. Dan jangan lupa yang zikir itu ada banyak cara. Dalam bentuk baca Al-Qur’an, pengajian, bercakap tentang Allah ‎ﷻ dan bermacam cara lagi.


 

Ayat 42:

وَسَبِّحوهُ بُكرَةً وَأَصيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And exalt Him morning and afternoon.

(MELAYU)

Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

 

Sibukkan diri dengan zikir dan tasbih. Apabila dikatakan pagi dan petang, maksudnya sepanjang masa.

Banyakkan zikir dan tasbih kerana Allah ‎ﷻlah yang telah melimpahkan nikmat kepada manusia berupa berbagai macam nikmat dan beraneka ragam anugerah. Kerana dalam melaksanakan hal tersebut terdapat pahala yang berlimpah bagi mereka dan tempat kembali yang sangat baik.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن سعيد ، حدثني مولى بن عَيَّاشٍ عَنْ أَبِي بَحرية ، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَلَّا أُنْبِئَكُمْ بِخَيْرِ أعمالكم وأزكاها عند مليككم، وأرفعها في درجاتكم، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ والوَرق، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ، وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟ ” قَالُوا: وَمَا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “ذِكْرُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, dari Abdullah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepadaku maula ibnu Iyasy, dari Abu Bahriyyah, dari Abu Darda رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Mahukah aku ceritakan kepada kalian tentang amal perbuatan yang terbaik bagi kalian dan tersuci di sisi Tuhan kalian serta menghantarkan kalian kepada kedudukan yang tertinggi, dan lebih baik bagi kalian daripada menyedekahkan emas dan perak, serta lebih baik bagi kalian daripada kalian berperang melawan musuh kalian, lalu kalian tebas batang leher mereka dan mereka menebas batang leher kalian?” Mereka bertanya, ‘Wahai Rasulullah, amalan apakah itu?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Zikrullah (banyak menyebut nama Allah ‎ﷻ).”


 

Ayat 43:

هُوَ الَّذي يُصَلّي عَلَيكُم وَمَلىٰئِكَتُهُ لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۚ وَكانَ بِالمُؤمِنينَ رَحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who confers blessing upon you,¹ and His angels [ask Him to do so] that He may bring you out from darknesses into the light. And ever is He, to the believers, Merciful.

  • i.e., Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) cares for you and covers you with His mercy. An additional meaning is that He praises you in the presence of the angels.

(MELAYU)

Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohonkan ampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

 

هُوَ الَّذي يُصَلّي عَلَيكُم

Dialah yang memberi rahmat kepadamu

Allah ‎ﷻ memberi selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kepada manusia. Nama Nabi Muhammad ﷺ dinaikkan di serata dunia sampai sekarang. Dan dengannya juga manusia mendapat rahmat. Allah ‎ﷻ memberikan rahmat keimanan dan agama kepada manusia melalui Nabi Muhammad ﷺ.

Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ suruh kita berzikir dan bertasbih dan ayat ini menggalakkan kita untuk banyak berzikir. Dengan kata lain, dapat diertikan bahawa Allah  ‎ﷻ selalu ingat kepada kita, maka kita kenalah ingat pula kepada-Nya dengan banyak menyebut nama-Nya. Nabi  ﷺ pernah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ: مَنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، ومَنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ”

Allah ‎ﷻ berfirman, “Barang siapa yang menyebut-Ku di dalam dirinya, maka Aku menyebutnya pula dalam diri-Ku. Dan barang siapa yang menyebut-Ku dalam suatu kumpulan orang, maka Aku menyebutnya pula dalam suatu golongan yang lebih baik daripada golongannya.

Maka, kalau banyakkan berzikir seperti disuruh dalam ayat sebelum ini, maka Allah ‎ﷻ akan beri selawat kepada kita, iaitu beri nikmat kepada kita. Bukan sahaja Allah ‎ﷻ akan berselawat kepada kita, tetapi para malaikat juga. Maksud Allah ‎ﷻ selawat: Allah ‎ﷻ berikan rahmat; maksud malaikat selawat, mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk berikan rahmat kepada kita.

Maka jangan keliru pula dengan penggunaan kalimah ‘solah’ dan ‘selawat’ dalam Al-Qur’an. Secara umumnya, ada tiga penggunaan kalimah ‘solah’ yang berbeza:

Dari Allah ‎ﷻ: ia bermaksud pemberian rahmat;
Dari Malaikat: doa kepada Allah ‎ﷻ untuk ampunkan manusia;
Dari manusia: doa kepada Allah ‎ﷻ

 

وَمَلىٰئِكَتُهُ

dan malaikat-Nya

Para malaikat juga mendoakan kerahmatan untuk manusia. Dan ada para malaikat yang memang mendoakan orang mukmin sepertimana yang disebut dalam ayat lain:

{الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ}

(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan), “Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala. Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguh­nya Engkaulah Yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. (Al-Mu-min: 7-9)

 

لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya

Tujuannya untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik dan juga jahil. Kepada cahaya iman dan wahyu. Yakni berkat rahmat Allah ‎ﷻ kepada kalian, pujian-Nya terhadap kalian, dan doa malaikat bagi kalian, maka kalian dikeluarkan oleh Allah ‎ﷻ dari gelapnya kejahilan dan kesesatan menuju kepada terangnya hidayah dan keyakinan.

 

وَكانَ بِالمُؤمِنينَ رَحيمًا

Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

Dan kepada orang mukmin Allah ‎ﷻ akan bersifat Rahim kepada mereka. Maknanya Allah ‎ﷻ akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Inilah kelebihan orang mukmin. Mereka akan mendapat kesan sifat Rahman Allah dan juga sifat Raheem Allah. Sedangkan kalau bukan mukmin, mereka hanya dapat kesan dari sifat Rahman Allah sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani