Tafsir Surah Baqarah Ayat 197 (Larangan dan suruhan di dalam Haji)

Baqarah Ayat 197: Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang larangan-larangan dalam mengerjakan Haji.

الحَجُّ أَشهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدوا فَإِنَّ خَيرَ الزّادِ التَّقوىٰ ۚ وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

Sahih International

Hajj is [during] well-known months, so whoever has made Hajj obligatory upon himself therein [by entering the state of ihram], there is [to be for him] no sexual relations and no disobedience and no disputing during Hajj. And whatever good you do – Allah knows it. And take provisions, but indeed, the best provision is fear of Allah. And fear Me, O you of understanding.

Malay

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

 

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ‌

Haji itu adalah beberapa bulan yang sudah ditentukan;

Bulan-bulan Haji adalah Syawal, DzulQaedah dan sepuluh hari pertama Bulan Dzulhijjah (atau ada pendapat yang mengatakan keseluruhan bulan DzulHijjah). Ini bermakna, bermula 1 Syawal lagi, orang sudah boleh niat Ihram (elok kalau dia berniat Haji Tamattu’ kalau begitu). Sepertimana solat mempunyai waktu-waktunya, begitu juga Haji. Tidak boleh dilakukan di luar waktunya. Sekarang ini, ada pula ajaran sesat yang beri cadangan supaya bulan-bulan Haji itu dibuat pada bulan lain kononnya supaya tidak tertumpu pada satu waktu sahaja dan tidaklah sibuk sangat sampai menyebabkan kemalangan. Itu adalah cadangan yang mengarut. Kalau Haji dibuat di luar dari waktu yang telah ditetapkan, ia tidak akan diterima.

Apabila dikatakan ada tiga bulan Haji itu, maksudnya, ihram Haji hanya boleh dimulakan dalam tiga bulan ini sahaja.

Bulan-bulan Haji itu telah ditentukan sudah lama, sebelum Nabi Muhammad ﷺ dilahirkan lagi. Ini membenarkan bulan-bulan Haji yang telah diterima selama turun-temurun kerana ia adalah dari agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ tidak mengubah bulan-bulan Haji itu.

Kalimah مّعلُومَـٰتٌ‌ bermaksud yang telah maklum, telah diketahui. Ini kerana orang Arab sudah biasa dengan ibadah Haji. Kerana itu Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut seperti disebut bulan puasa adalah Ramadhan dan waktu-waktu solat juga disebut dengan terperinci di dalam hadis. Ini mengajar kita, kalau orang sudah tahu, tidak perlu sebut lagi.

Sebenarnya ibadah Haji itu paling lama pun 6 hari sahaja (itu pun kalau bermula dari 8 DzulHijjah) jadi kenapa sampai 3 bulan terus jadi bulan-bulan Haji? Ini kerana ibadah Haji ini adalah ibadah yang besar dan memerlukan persiapan seperti perjalanan ke sana.

 

فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ

Maka sesiapa yang memfardhukan dirinya untuk menunaikan haji,

Ini adalah apabila seseorang sudah berniat dan masuk ke dalam Ihram dengan melakukan syarat-syaratnya seperti niat dan memakai pakaian Ihram di miqat. Dia sudah menjadikan dirinya di dalam ibadah Haji. Maka sesiapa yang sudah buat begitu maka mereka hendaklah menjaga tiga perkara yang akan disebut selepas ini.

 

فَلَا رَفَثَ

maka janganlah dia mencampuri isterinya;

Tidak boleh bersama dengan isteri untuk mengadakan hubungan kelamin. Malah tidak boleh bercakap perkara yang boleh menaikkan nafsu pun. Tidak juga boleh buat perkara yang boleh membawa kepada hubungan kelamin seperti bercumbu, berpelukan atau bercakap-cakap tentangnya. Perkara ini mesti dijaga kerana pada musim Haji ramai perempuan yang datang dengan tidak menutup muka, datang pula dari pelbagai negara yang kita tidak biasa lihat dan semua datang dengan niat untuk buat ibadat jadi tidak sesuai buat atau cakap perkara yang berkenaan jimak.

Ini adalah perkara pertama yang mesti dijaga. Kena jaga pandangan dan hati kita. Jangan hendak tengok-tengok orang lebih sangat. Nanti tengok lama sangat perempuan bangsa lain, sudah terkesan pula nanti. Jangan begitu kerana di dalam ibadah Haji persetubuhan suami isteri tidak dibenarkan semenjak bermula berihram itu.

 

وَلَا فُسُوقَ

dan jangan buat perbuatan-perbuatan yang berdosa

Jangan langgar hukum atau menzalimi sesiapa; jangan buat perkara yang fasiq. Antaranya, jangan caci maki orang lain. Kamu datang untuk buat ibadat, maka kena jaga akhlak, tingkahlaku dan tatatertib. Datang dari jauh dan sudah habis banyak belanja, maka jangan merugikan diri sendiri dengan berbuat dosa.

Ibn Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menghadkan fasiq di dalam ayat ini bukan di dalam bentuk umum, akan tetapi hanya berkenaan larangan-larangan di dalam Ihram sahaja. Iaitu ada perkara-perkara yang tidaklah berdosa kalau dilakukan, cuma ia dilarang ketika di dalam Ihram iaitu,

    1. Hubungan badan suami isteri termasuk perkara-perkara yang membawa kepadanya.
    2. Berburu sama ada buru sendiri atau mengarahkan orang lain
    3. Memotong rambut dan kuku
    4. Menggunakan wangi-wangian
    5. Bagi lelaki, memakai pakaian berjahit
    6. Bagi lelaki juga, memakai penutup kepala dan muka. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik رحمهما الله juga berpendapat wanita juga dilarang daripada menutup muka di dalam Ihram.

Kalau diperhatikan diulang sekali lagi tentang perhubungan badan suami isteri walaupun telah disebut sebelum ini. Ini adalah penekanan kerana kalau dilakukan, ia menyebabkan Ihram itu terbatal. Sedangkan perbuatan-perbuatan yang lain boleh lagi dibayar dam dan Ihram tidak batal.

 

وَلَا جِدَالَ

dan jangan berbantah-bantah

Allah ‎ﷻ mengingatkan kerana semasa buat Haji, orang ramai sangat dan ada kemungkinan ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita. Jangan buat perkara yang boleh memecah belahkan umat sedangkan ibadah Haji adalah untuk menyatukan umat. Kena tenang-tenangkan diri dan bersabar.

Sebenarnya perbuatan فُسُوقَ dan جِدَالَ memang tidak bagus pun walaupun di luar ibadah Haji. Jadi kenapa Allah ﷻ sebut lagi di sini? Ia memberitahu kita walaupun perbuatan dosa itu tidak baik dilakukan bila-bila masa pun, ia menjadi lebih buruk kalau dilakukan di dalam melakukan ibadah Haji. Ini sebagaimana berzina itu memang dosa besar, tetapi kalau berzina di dalam masjid, bagaimana? Tentu lebih teruk, bukan?

Sebenarnya perbuatan جِدَالَ bukanlah haram dan berdosa secara mutlak kerana ada ketikanya ia dibolehkan seperti disebut di dalam Nahl: 125 وَجٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ (dan bantahlah mereka dengan cara yang baik) di dalam dakwah. Akan tetapi جِدَالَ yang buruk adalah apabila berdebat dan berbantah-bantah apabila hendak menegakkan kesalahan, berkelahi di dalam perkara yang kecil. Allah ﷻ ingatkan kerana ibadah Haji memerlukan kesabaran yang tinggi kerana waktu itu sangatlah ramai orang dan bertemu dengan orang-orang dari negara-negara lain (yang adab kebiasaan  mereka lain dengan kita) jadi suasana sangatlah tidak selesa dengan bersesak-sesak. Kes terambil selipar pun boleh berkelahi kalau dalam keadaan biasa. Maka Allah ﷻ ingatkan yang sekarang adalah masa yang amat memerlukan kesabaran dan tahan diri daripada membuat dosa dan daripada bertelagah sesama Muslim yang sedang menunaikan ibadah. Amatlah tidak patut di waktu mengagungkan Allah ﷻ, terjadi perkelahian pula, bawa perangai koboi di sana.

Kalau diperhatikan nahu tiga larangan ini, ia sebenarnya bukan di dalam bentuk larangan, tetapi di dalam bentuk nafi. Sebagai contoh, sepatutnya kalimah yang digunakan adalah فَلَا رَفَثْ (jangan berhubungan badan) dan bukannya فَلَا رَفَثَ (tiada perhubungan badan). Ini adalah di dalam perkhabaran dan memberitahu kita perkara-perkara ini sepatutnya tidak layak dilakukan ketika di dalam Ihram, maka ia secara tidak langsung bermaksud larangan.

 

فِي الْحَجِّ

dalam musim haji;

Memang tidak boleh membuat semua perkara itu. Kalau di luar Haji pun, ia dilarang dan tidak elok. Lalu ia menjadi lebih tidak elok kalau dilakukan pada waktu mengerjakan Haji kerana waktu itu adalah waktu untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Apa-apa sahaja yang boleh menghalang daripada khusyu’ kepada Allah ﷻ sudah sepatutnya dieelakkan. Kalau dilakukan juga, dosanya berkali-kali ganda. Oleh itu, kena jaga tiga perkara itu. Haji Mabrur yang selalu disebut-sebut orang adalah untuk mereka yang boleh jaga semua perkara yang telah disebut di atas. Apakah tanda seseorang itu mendapat Haji yang mabrur? Haji Mabrur adalah haji yang diterima oleh Allah ﷻ. Tanda orang yang telah mendapatnya adalah selepas dia menunaikan Haji itu terdapat perubahan yang ketara pada dirinya ke arah kebaikan. Tanda Haji yang tidak mabrur adalah tidak berubah kehidupan dia ke arah kebaikan selepas dia balik dari Haji.

Untuk mendapat Haji yang mabrur kena jaga hubungan baik dengan Allah ‎ﷻ dan manusia lain. Bukan senang hendak jaga sebab bila sudah berkumpul ramai pada satu tempat dan bertemu orang dari negara lain yang perangai tidak sama dengan kita, maka memang susah hendak menjaga mulut dan perasaan kita. Kita sudah biasa dengan orang Malaysia, orang Melayu, tetapi kita tidak biasa dengan bangsa lain. Tentunya perangai mereka tidak sama. Namun begitu memang mesti dijaga sebab rugi bila berhabis duit berpuluh ribu namun tidak mendapat Haji Mabrur.

Perhatikan bagaimana dalam menyebut tentang Haji, Allah ﷻ tidak sebut lagi tentang cara mengerjakan Haji itu tetapi ditekankan tentang akhlak. Kerana inilah yang penting. Perbuatan fizikal tawaf, saie dan sebagainya itu adalah tidak berharga sangat jikalau akhlak kita buruk dan memalukan. Sabda Nabi ﷺ,

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya”
(HR At-Tirmidzi No.1162)

Ibadah adalah latihan untuk dalam kita, untuk menjadi orang yang bersyukur, penyabar dan prihatin. Maka Allah ‎ﷻ sebut objektifnya dahulu kerana kalau tidak, manusia tidak faham perkara ini sebagaimana orang yang pergi kursus berbulan-bulan, tetapi tidak belajar bab akhlak dalam mengerjakan Haji. Ini kerana bab akhlak disebut di dalam Al-Qur’an sedangkan kursus mungkin hanya tentang perlakuan mengerjakan manasik Haji sahaja.

 

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu buat daripada perkara yang baik

Justeru untuk memudahkan kita berurusan di sana, maka dianjurkan buat kebaikan. Bukan sahaja jangan lakukan larangan-larangan itu sahaja, tetapi tukarlah kepada kebaikan. Menahan diri daripada kesalahan sahaja tidak cukup, tetapi buatlah kebaikan. Jadi Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk menghilangkan keburukan dengan memfokuskan kita untuk melakukan kebaikan, maka dengan automatik, tidak jadi hendak buat benda yang buruk-buruk itu.

Kalimah خَيْرٍ di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh merujuk kepada apa-apa sahaja kebaikan, bukan kebaikan tertentu sahaja. Apa sahaja yang membawa ke arah kebaikan, maka lakukanlah di sana nanti. Sebagai contoh, elok kita tolong orang lain daripada kita marah kepada orang lain. Sebab keadaan orang ramai dan keadaan tentunya tidak selesa. Maka kita tolong menolong untuk memudahkan orang lain. Sebagai contoh, kalau giliran kita untuk masuk tandas tetapi kita nampak ada orang lain yang lebih memerlukan, maka kita beri peluang kepada orang lain dahulu. Apabila kita sudah set minda kita untuk menolong orang, kita akan mendapat satu perasaan yang lain macam. Kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain dan bukan lagi mencari kesalahan orang lain.

Ini kerana kebaikan dan keburukan ada di mana-mana, tetapi persoalannya, di manakah fokus kita? Kalau kita fokus kepada kebaikan, kita akan mendapat kebaikan dan kalau kita fokus pada keburukan, kita akan nampak keburukan. Jadi ayat ini juga mengajar kita bahawa kita kena mengambil peluang keemasan semasa mengerjakan Haji itu untuk melakukan sebanyak-banyak mungkin ibadah yang lain seperti solat, zikir, baca Al-Qur’an dan kebaikan-kebaikan yang lain. Antaranya tolong menolong orang lain yang ramai ada di sana kerana bukan selalu dapat peluang untuk mengerjakan Haji itu. Mungkin kita hanya dapat melakukannya sekali seumur hidup sahaja. Namun begitu jangan dilupakan perbuatan خَيْرٍ yang kecil-kecil juga. Sebagai contoh kita pun tahu yang senyum itu sedekah. Maka di musim Haji itu, paling banyak pahala kita boleh dapat dengan senyum sahaja kerana di sana ramai orang, bukan? Anda tidak akan ada peluang lagi seperti itu di tempat kita kerana ada hari yang kita tidak jumpa pun orang dan boleh senyum kepada kucing sahaja.

Senyum itu sedekah

 

يَعْلَمْهُ اللَّهُ

nescaya Allah mengetahui

Yang penting kena ingat yang Allah ‎ﷻ mengetahui segala kebaikan yang kita lakukan dan Allah ‎ﷻ akan balas. Semoga dengan kebaikan yang kita lakukan itu, Allah ‎ﷻ akan memudahkan urusan kita mengerjakan Haji itu. Allah ‎ﷻ juga mengetahui kalau ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita tetapi kita tidak jadi marah. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Tidak perlu untuk diberitahu apa-apa kebaikan yang kita lakukan kerana Allah‎ ﷻ tahu. Tidak payah kita hendak beritahu orang lain. Jadi kalau kita tahu yang Allah ‎ﷻ tahu, maka kita tentulah akan lebih bersemangat untuk buat ibadah dan kebaikan kerana kita mengharap pahala daripada Allah ‎ﷻ, bukan?

 

وَتَزَوَّدُوا

Dan berbekallah;

Apabila kita hendak pergi mengerjakan Haji, maka kita kena siapkan bekal untuk buat Haji sebab kita akan bermusafir jauh maka kena siap sedia segala kelengkapan semasa dalam perjalanan dan semasa di sana. Kenapa ada suruhan ini? Kita kena bersiap dengan bekalan supaya jangan kita susahkan orang lain. Tidak boleh tumpang makan makanan orang, tumpang tempat tinggal orang dan sebagainya. زَوَّدُ bermaksud bawa bekalan yang lebih. Bukan cukup-cukup sahaja.

Janganlah zuhud sangat sampai kata: “Allah ‎akan cukupkan kelengkapan”, konon-konon tawakal sangat dan ada sahaja makanan untuk kita. Jangan begitu, itu adalah fahaman yang salah. Kita kena berusaha untuk melengkapkan kelengkapan kita, kemudian baru kita bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Itulah konsep tawakal yang sebenarnya – bersedia sedaya mungkin, kemudian baru serahkan kepada Allah ‎ﷻ.

 

فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah taqwa.

Taqwa dalam ayat ini adalah menjaga diri daripada meminta-minta kepada orang lain. Bukannya orang miskin tidak boleh pergi Haji cuma kena jaga jangan sampai menyusahkan orang lain. Kena fikirkan persediaan untuk mengerjakan Haji itu. Taqwa di sini diibaratkan sebagai bekal dan di dalam A’raf: 26 ia diibaratkan sebagai pakaian pula.

يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُوٰري سَوءٰتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik.

Menarik sekali apabila Allah ‎ﷻ buat perbandingan taqwa dengan pakaian kerana kita sentiasa memakai pakaian kita. Maknanya ia dekat dengan kita dan berada bersama kita. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sambung mengatakan yang pakaian taqwa itu lebih baik. Ini kerana pakaian kita mesti kita akan tanggalkan kerana hendak mandi dan sebagainya. Sedangkan pakaian taqwa kena sentiasa bersama dengan kita. Sementara pakaian harian kita itu apabila sudah lusuh kita tidak pakai dan buang sahaja. Akan tetapi pakaian taqwa tidak boleh dibuang-buang. Maka taqwa kena sentiasa bersama kita, di mana sahaja kita berada. Lihatlah pesanan Nabi ﷺ,

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحسنةَ تَمْحُهَا، وخَالقِ النَّاسَ بخُلُقٍ حَسَنٍ
“Taqwalah kepada Allah di mana kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.”
(Riwayat al-Tirmizi No. 1987 dan katanya hadith hasan)

 

وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

Dan bertaqwalah kamu kepada Aku wahai orang-orang yang berakal waras.

Taqwa itu bermaksud melakukan amal dengan menjaga hukum seperti yang diajar oleh Allah ‎ﷻ. Diingatkan sekali lagi di dalam Maidah: 27 yang Allah ﷻ beritahu kita yang Dia hanya terima amalan daripada orang bertaqwa sahaja.

إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ
Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertaqwa

Bermakna mereka yang berfikiran yang suci kerana sekarang sedang mengerjakan haji. Sepatutnya tidak boleh fikir tentang dunia sangat.

Perhatikan Allah ﷻ suruh Ulul-Albab yang bertaqwa, bukanlah kepada semua manusia. Padahal semua manusia kena bertaqwa tetapi Allah ﷻ tujukan kepada Ulul-Albab sahaja. Ini kerana  mereka sahaja yang boleh bertaqwa. Ulul-Albab adalah mereka yang berfikiran waras dan mempunyai ilmu pengetahuan. Orang-orang yang tidak bertaqwa dan banyak melakukan dosa itu adalah orang-orang yang bodoh, tidak kira berapa ijazah universiti mereka. Oleh itu, kita sebagai orang yang waras hendaklah sentiasa menambah ilmu pengetahuan kita di dalam hal agama (dan hendaklah diamalkan). Janganlah berterusan duduk dalam kejahilan.

Ibadat Haji adalah latihan kepada Hari Kebangkitan. Ia mengingatkan kita bahawa kita semua akan dibangkitkan beramai-ramai satu hari nanti. Kerana itu kita memakai ihram yang sudah seperti kain kafan. Kita semua akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Arafah. Maka, kita kena sucikan fikiran kita. Ingatkan kepada peristiwa yang akan berlaku itu. Tidak sama kalau kita memikirkan sahaja dan berada dalam suasana yang boleh mengingatkan kita. Semasa buat Haji, kita akan berada bersama dengan lautan manusia. Itu baru sekumpulan manusia sahaja. Bayangkan di Mahsyar nanti, semua makhluk akan berkumpul satu tempat, daripada makhluk yang mula-mula dicipta sampailah kepada makhluk yang akhir sekali mati. Memang tidak dapat dibayangkan pun, namun cubalah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 196 (Bab Haji dan Umrah)

BEBERAPA MANASIK HAJI

Baqarah Ayat 196: Sekarang kita masuk pada ayat-ayat berkenaan Haji. Sebelum ini kita telah belajar tentang jihad iaitu menyampaikan dakwah kepada orang luar Islam. Sekarang tentang Haji yang berkenaan jihad ke dalam diri dan jiwa kita. Ia juga adalah tempat perjumpaan umat Islam seluruh dunia dan mengukuhkan kesatuan dalaman di antara sesama Muslim. Kerana kita bukan hendak meluaskan dakwah Islam keluar sahaja, tetapi hendaklah kita memperkukuhkan barisan kita yang sedia ada juga.

Jihad juga diperlukan supaya orang kafir tidak memandang lemah umat Islam dan jangan sampai mereka menghalang umat Islam daripada mengerjakan ibadah Haji pula. Jadi begitulah antara kaitan antara jihad dan Haji.

Ayat yang kita sedang bincangkan ini disepakati ulama’ diturunkan pada tahun 6 Hijrah ketika terjadi Perjanjian Hudaibiyah. Akan tetapi tidaklah ia memberitahu tentang kewajipan Haji kerana ia hanya menekankan tentang kesempurnaan dalam mengerjakannya dan beberapa hukum yang berkaitan. Ada pun tentang pengwajibannya ada ulama’ berpendapat bahawa hukum Haji ini mula diwajibkan pada tahun ke 3 Hijrah, iaitu tahun Perang Uhud. Ada juga yang berpendapat ia diwajibkan dalam tahun 9 Hijrah mengikut ayat dalam Surah Ali `Imran.

وَأَتِمُّوا الحَجَّ وَالعُمرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِن أُحصِرتُم فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۖ وَلا تَحلِقوا رُءوسَكُم حَتّىٰ يَبلُغَ الهَديُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو بِهِ أَذًى مِّن رَّأسِهِ فَفِديَةٌ مِّن صِيامٍ أَو صَدَقَةٍ أَو نُسُكٍ ۚ فَإِذا أَمِنتُم فَمَن تَمَتَّعَ بِالعُمرَةِ إِلَى الحَجِّ فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۚ فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلَـٰثَةِ أَيّامٍ فِي الحَجِّ وَسَبعَةٍ إِذا رَجَعتُم ۗ تِلكَ عَشَرَةٌ كامِلَةٌ ۗ ذٰلِكَ لِمَن لَّم يَكُن أَهلُهُ حاضِرِي المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Sahih International

And complete the Hajj and ‘umrah for Allah . But if you are prevented, then [offer] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And do not shave your heads until the sacrificial animal has reached its place of slaughter. And whoever among you is ill or has an ailment of the head [making shaving necessary must offer] a ransom of fasting [three days] or charity or sacrifice. And when you are secure, then whoever performs ‘umrah [during the Hajj months] followed by Hajj [offers] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And whoever cannot find [or afford such an animal] – then a fast of three days during Hajj and of seven when you have returned [home]. Those are ten complete [days]. This is for those whose family is not in the area of al-Masjid al-Haram. And fear Allah and know that Allah is severe in penalty.

 

Malay

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).

 

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Dan hendaklah kamu sempurnakan haji dan umrah kerana Allah;

Apabila kita sudah keluar untuk mengerjakan Haji atau Umrah, kita mesti menyempurnakannya. Di sini bukanlah hendak mengatakan Umrah itu wajib pula kerana Umrah itu memang sepakat para ulama’ mengatakan ia adalah sunat, bukan wajib atau fardhu atau rukun seperti Haji. Ulama’ memberikan berbagai tafsiran bagi maksud ‘sempurnakan’ itu.

1. Iaitu kena bersihkan hati dalam melakukannya mestilah kerana Tauhid. Musyrikin Mekah sudah kenal dengan ibadah Haji akan tetapi kalau dahulu mereka sudah mencampur adukkan dengan amalan-amalan dan fahaman yang salah. Maka sekarang kena belajar syariat yang baru, yang suci dan tulen.

2. Mestilah dipenuhi segala tuntutan sampai habis di dalam manasik Haji itu. Macam kalau kita sudah solat yang empat rakaat, tidaklah boleh kita buat dua rakaat dan rasa malas hendak sambung, terus kita tinggalkan – ini adalah salah. Namun begitu, untuk solat sunat atau puasa sunat, pendapat jumhur adalah tidak perlu untuk disempurnakan. Sebaliknya berbeza bagi ibadah Haji dan Umrah; sekiranya sudah memulakannya dan sudah berihram, mak wajib disempurnakan. Kalau ada sebab tidak dapat disempurnakan, ada denda yang perlu dibayar/dilakukan. Jangan ‘buat derk’ sahaja balik ke Malaysia tanpa buat apa yang sepatutnya sedangkan dia di dalam Ihram lagi.

Begitulah juga dalam kita menuntut ilmu, kita kena habiskan. Jangan kita biasakan buat perkara separuh jalan – dalam hal ibadat dan dalam hal kehidupan kita, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan agama.

3. Sufyan as-Tsauri رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat bahawa menyempurnakan haji dan umrah ialah sempurnakan tujuan ke sana, jangan dicampurkan dengan tujuan lain. Jadi kalau menurut beliau janganlah naik haji atau umrah itu tersambil. Misalnya sedang bercuti pergi ke Eropah, lalu singgah ke Mekah, kerana kebetulan bertepatan dengan musim haji, sedangkan niat pertama bukan ke sana.

Ada pula yang tidak mengambil peluang untuk melakukan ibadat, walaupun ketika mengerjakan Haji mungkin kerana malas, kerana rasa susah, sampai ada yang tidak solat berjemaah di Masjidil Haram, tetapi solat di bilik sahaja. Ini amat rugi sekali. Sudah dapat peluang pergi ke sana, tetapi tidak diambil peluang sepenuhnya untuk beribadat dan mengaut pahala sebanyak mungkin. Mungkin mereka ada sebab lain agaknya. Kerana itu agaknya ramai dalam kalangan kita yang pergi Haji dan Umrah, mereka akan kemaskini status dalam Facebook mereka dan ambil gambar di hadapan Ka’bah dan masukkan dalam post mereka. Apa kena dengan mereka ini? Adakah mereka mahu memberitahu dan dipertontonkan ke seluruh alam bahawa mereka sedang buat ibadat? Ditakuti kalau-kalau timbul rasa hendak menunjuk-nunjuk pula dan akan menyebabkan pahala buat Haji dan Umrah itu akan hilang pula kerana riak. Seeloknya kita jangan lakukan. Memang bermasalah umat kita sekarang, semua hendak di post dan kemaskini dalam media sosial. Kenapa susah sangatkah hendak jadi orang yang simpan sahaja apa-apa yang kita buat? Adakah perlu diberitahu kepada semua orang?

4. Menurut Muqatil رَحِمَهُ اللَّهُ menyempurnakan haji dan umrah ialah bersihkan, jangan campurkan yang tidak patut bagi keduanya. Kena rujuk apakah sunnah dalam mengerjakan Haji dan Umrah. Tidak perlu terus amalkan apa yang diajar oleh para ustaz dan mutawwif. Kena pastikan yang ia ada sunnah di dalam ajaran Nabi ﷺ.

5. Kata setengah ulama lagi menyempurnakan haji dan umrah ialah supaya nafkah perbelanjaan untuknya daripada harta yang halal dan baik. Maka jangan gunakan harta yang haram atau daripada pendapatan yang haram untuk mengerjakan Haji.

6. Ayat ini juga mengingatkan kita bahawa Haji dan Umrah itu dijalankan ‘kerana Allah ‎ﷻ’. Dalam banyak-banyak ibadah yang disebut di dalam Al-Qur’an, ibadah Haji sahaja yang ditekankan kerana Allah ﷻ. Sedangkan semua ibadah memang kena dilakukan kerana Allah ﷻ, akan tetapi tidak ditekankan di dalam ayat lain. Ini kerana pada zaman Jahiliyah kaum musyrikin melaksanakannya untuk berbagai tujuan yang lain dan bukan kerana Allah ﷻ. Mungkin kerana hendak berdagang dan mungkin kerana hendak berkumpul. Justeru Allah ﷻ tekankan di sini. Bagi kita sekarang ini juga ada pengajarannya kerana janganlah pergi mengerjakannya kerana hendak mendapat status ‘Haji’ dan bukan kerana sebab-sebab yang lain. Ada yang pergi ke sana macam pergi bercuti sahaja. Amat rugi sekali kalau kita menghabiskan wang beribu ringgit untuk pergi mengerjakan Umrah dan Haji, tetapi sia-sia amalan itu kerana kita buat bukan kerana Allah ‎ﷻ. Maka perlu disempurnakan zahir dan batin. Dari segi zahir adalah segala manasiknya dan dari segi batin adalah keikhlasan hati di dalam mengerjakannya.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa mengerjakan Haji adalah salah satu daripada Rukun Islam. Ia wajib dilakukan kepada mereka yang berkemampuan untuk sampai ke sana dari segi kewangan atau fizikal. Ada pun tentang Umrah, ia bukan rukun. Akan tetapi ayat Baqarah: 196 ini bukanlah mewajibkan Haji lagi pada masa itu. Ayat yang pertama sekali mewajibkan Haji adalah di dalam Ali Imran: 97 dan ia diturunkan pada tahun 9 Hijrah. Pada tahun itulah kaum Muslimin di Madinah dan di seluruh tanah Arab naik Haji ke Makkah yang telah bersih daripada berhala, dan diangkatlah oleh Rasul ﷺ sahabatnya Saidina Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengepalai rombongan (Amirul-Haj) tahun itu. Tahun kesepuluh barulah Rasulullah ﷺ sendiri mengerjakan Haji, yang terkenal dengan gelaran Haji Wada’ (haji perpisahan). Sebab 82 hari sesudah itu, baginda pun wafat. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini diturunkan pada tahun 4 Hijrah.

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ
Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.

Perhatikan tidak disebut bulan apa Haji dikerjakan seperti bulan puasa disebut secara jelas bulan Ramadhan. Ini kerana bangsa Arab memang sudah biasa mengerjakan Haji semenjak dari zaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi.

Ayat ini adalah tentang Ibadah Haji dan ia adalah ayat jenis Umur Muslihah. Ia adalah satu ibadah yang boleh mengeratkan hubungan dengan hamba-hamba sesama Islam yang lain. Ini kerana Haji itu dilakukan setahun sekali dan ia boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam yang berada di bawah satu khalifah seluruh dunia. Umat Islam seluruh dunia sepatutnya di bawah seorang Khalifah sahaja, bukannya macam zaman sekarang, setiap negara ada ketua negaranya sendiri. Maka kerana itu manasik Haji adalah penting kerana ia adalah perkumpulan umat Islam sedunia. Supaya semua umat Islam dari segenap ceruk dunia akan datang ke satu tempat dan dapat duduk bersama. Dapat duduk bersama dengan Khalifah, dapat solat dengan beliau dan dapat mendengar apakah pesanan beliau kepada umat sedunia. Jadi haji ini bukan sahaja satu ibadat yang boleh memberikan pahala kepada kita tetapi ia juga boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim seluruh dunia. Jadi ada hubungan hamba dengan Allah ‎ﷻ dan hubungan hamba dengan hamba yang lain.

 

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ

Dan sekiranya kamu ditahan;

Ini adalah sekiranya orang yang hendak menunaikan Haji itu tidak boleh masuk ke Mekah. Pada waktu dahulu, pernah umat Islam dihalang oleh puak Quraisy. Kalau zaman sekarang, boleh jadi timbul pelbagai masalah – mungkin ada gangguan ketika dalam perjalanan, atau kita ditahan oleh puak musuh dan sebagainya. Jadi, apabila ada gangguan atau halangan untuk sampai ke Mekah, hendaklah berpatah balik walaupun sudah berniat Ihram. Allah ‎ﷻ memberikan jalan keluar dalam hal-hal sebegini kerana asalnya, apabila sudah berniat Haji dan ihram, mesti selesaikan.

Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan ayat ini diturunkan pada tahun ke 6 Hijrah, pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah, iaitu sewaktu Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم daripada menunaikan Umrah. Jadi ia adalah asbabun nuzul bagi ayat ini namun tidaklah terhad kepada waktu itu sahaja. Ayat ini terpakai juga untuk situasi-situasi lain pada bila-bila zaman.

 

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

maka wajiblah kamu sembelih korban yang mudah didapati;

Walaupun sudah kena berpatah balik ke kampung asal, tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Untuk bebas daripada pantang larang ihram, kena tahallul (cukur rambut) dan sembelih binatang korban apa yang mampu bagi kamu. Sembelih binatang korban itu adalah sebagai dam (denda). Itu kena dilakukan kalau sudah berniat Haji dan sudah memakai Ihram.

Ketika para sahabat ditahan daripada mengerjakan Umrah sehingga terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, sesiapa yang di antara mereka yang ada membawa binatang ternak hendaklah menyembelihnya. Bukan semua dalam kalangan mereka bawa binatang ternak. Bagi yang tidak bawa, maka tidak wajib bagi mereka mencarinya.

Dalam ayat ini, tidak disebut dengan jelas apakah binatang yang boleh disembelih. Allah ‎ﷻ hanya kata ‘yang mudah didapati’ sahaja. Iaitu daripada binatang ternak yang digunakan di dalam Qurban – unta, lembu, kambing atau biri-biri.

 

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ

Dan janganlah kamu cukur kepala-kepala kamu sehinggalah sampai binatang sembelihan itu ke tempat sembelih;

Ini adalah bagi mereka yang terpaksa cukur kepala mereka awal daripada yang sepatutnya. Cukur kepala atau Tahallul itu menandakan kita sudah selesai daripada pantang larang ihram. Tidak boleh cukur atau gunting rambut kalau dalam ihram. Namun oleh kerana tidak boleh meneruskan kerja Haji atau Umrah kerana terhalang, maka dibolehkan. Namun begitu cukur kepala itu hanya boleh dilakukan apabila binatang sudah sampai ke tempat sembelih.

Hingga binatang sembelihan itu sampai ke mana? Pendapat yang asal adalah hendaklah sampai ke Makkah dan pendapat dipegang teguh oleh mazhab Hanafi. Akan tetapi kalau tidak boleh, boleh sahaja sembelih di mana-mana sahaja kerana ketika umat Islam dihalang di Hudaibiyah, Rasulullah ﷺ dan para sahabat sembelih sahaja di Hudaibiyah. Inilah pendapat mazahib yang lain.

 

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا

Maka sesiapa di antara kamu sakit

Tahallul dengan mencukur rambut atau mengunting sebahagian rambut tidak boleh dilakukan selagi di dalam Ihram. Akan tetapi bagaimana kalau terpaksa kerana sebab-sebab yang terdesak? Mungkin ada yang terpaksa mencukur rambutnya awal kerana uzur.

 

أَوْ بِهِ أَذًى مِّنْ رَّأْسِهِ

atau terdapat sakit di kepalanya

Contohnya, kepalanya ada kutu atau apa-apa sahaja yang menyebabkan dia kena cukur rambut (tahallul) lebih awal daripada yang sepatutnya. Sebagaimana terdapat dalam hadith berikut:

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ وَقَمْلُهُ يَسْقُطُ عَلَى وَجْهِهِ فَقَالَ أَيُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ قَالَ نَعَمْ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَحْلِقَ وَهُوَ بِالْحُدَيْبِيَةِ لَمْ يُبَيِّنْ لَهُمْ أَنَّهُمْ يَحِلُّونَ بِهَا وَهُمْ عَلَى طَمَعٍ أَنْ يَدْخُلُوا مَكَّةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ الْفِدْيَةَ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُطْعِمَ فَرَقًا بَيْنَ سِتَّةِ مَسَاكِينَ أَوْ يُهْدِيَ شَاةً أَوْ يَصُومَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ
Daripada Ka’ab bin ‘Ujrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ melihat kutu berjatuhan di wajahnya. Baginda bertanya: “Barangkali kutu di kepala sangat mengganggumu?” Beliau menjawab: “Benar”. Baginda lalu memerintahkan Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ agar mencukur rambutnya. Saat itu baginda berada di Hudaibiyyah dan belum menjelaskan kepada mereka bahawa mereka harus bertahallul di sana, padahal mereka berhasrat dapat memasuki Makkah. Akhirnya Allah ‎ﷻ menurunkan ayat tentang fidyah. Selanjutnya Rasulullah ﷺ memerintahkan agar Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memberi makan sebanyak satu *faraq (tiga sa’) untuk enam orang miskin atau berkorban dengan seekor kambing atau puasa tiga hari.”
(Sahih Bukhari Hadith No. 3842)

*faraq = 10 kg

Jadi, ada dua sebab yang dibenarkan cukur rambut awal daripada yang sepatutnya – sakit atau gangguan pada kepala.

 

فَفِدْيَةٌ مِّنْ صِيَامٍ

hendaklah dia membayar fidyah dengan berpuasa,

Maka boleh cukur rambut terus dan ganti dengan bayar fidyah iaitu sama ada puasa tiga hari,

 

أَوْ صَدَقَةٍ

atau bersedekah;

Iaitu memberi makan enam orang fakir miskin. Ini diketahui daripada hadith di atas.

 

أَوْ نُسُكٍ

atau menyembelih binatang

Ataupun sembelih binatang korban – sekurang-kurangnya seekor biri-biri yang sudah cukup umur.

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا سَيْفٌ قَالَ حَدَّثَنِي مُجَاهِدٌ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ أَبِي لَيْلَى أَنَّ كَعْبَ بْنَ عُجْرَةَ حَدَّثَهُ قَالَ وَقَفَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحُدَيْبِيَةِ وَرَأْسِي يَتَهَافَتُ قَمْلًا فَقَالَ يُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ فَاحْلِقْ رَأْسَكَ أَوْ قَالَ احْلِقْ قَالَ فِيَّ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ } إِلَى آخِرِهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ أَوْ تَصَدَّقْ بِفَرَقٍ بَيْنَ سِتَّةٍ أَوْ انْسُكْ بِمَا تَيَسَّرَ
Telah menceritakan kepada kami Abu Nu’aim telah menceritakan kepada kami Sayf berkata, telah menceritakan kepada saya Mujahid berkata, aku mendengar ‘Abdurrahman bin Abu Laila bahawa Ka’ab bin ‘Ujrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Rasulullah ﷺ menghampiriku di Hudaibiyah ketika kepalaku dipenuhi kutu, baginda berkata: “Barangkali kamu terkena serangga (kutu di kepala)?” Aku jawab: “Benar, wahai Rasulullah”. Maka baginda berkata: “Cukurlah rambutmu”. Atau baginda berkata: “Ayat ini turun untukku” (QS Al Baqarah ayat 196 yang ertinya): (“….Maka barangsiapa daripada kalian yang sakit atau tertimpa sesuatu pada kepalanya…) hingga akhir ayat. Maka Nabi ﷺ berkata: “Laksanakanlah puasa tiga hari atau bersedekah sebanyak satu faraq (tiga sa’) terhadap enam orang atau berkorban dengan yang mudah buatmu”.
(Sahih Bukhari Hadith No. 1687)

Kalimah نُسُكٍ‌ ini boleh juga digunakan untuk mana-mana ibadah seperti yang disebut di dalam ayat An’am: 162

قُل إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam

Akan tetapi نُسُكٍ‌ di dalam ayat Baqarah: 196 ini khusus merujuk kepada ibadah sembelihan.

Ada tiga pilihan diberikan di dalam ayat ini, sama ada hendak berpuasa, beri makan atau sembelih binatang korban. Ia adalah pilihan, bukan susunan kena pilih yang pertama dalam senarai dahulu.

Dari sini kita dapat tahu yang ada kesalahan-kesalahan di dalam ibadah Haji yang boleh dibayar dengan denda dan ini berlainan dengan ibadah-ibadah yang lain. Cuma kalau ia adalah rukun, tetaplah tidak boleh dibayar.

 

فَإِذَا أَمِنْتُمْ

Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman;

Iaitu sudah boleh meneruskan buat Haji atau apabila kita pergi mengerjakan Haji itu, tidak ada masalah apa-apa yang menghalang kita daripada mengerjakannya. Mungkin halangan sudah hilang atau sakit telah sembuh. Kalau tidak ada halangan, maka teruskanlah mengerjakan Haji itu. Atau pergi pada waktu lain setelah halangan dan sakit tidak ada. Perbuatan Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang ditahan daripada mengerjakan Umrah pada tahun 6 Hijrah telah mengqada’ Umrah mereka pada tahun selepasnya.

 

فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ

maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan hingga masa Haji,

Makna تَمَتَّعَ adalah ‘menikmati sesuatu’. Sebelum Islam, orang Arab tidak melakukan Umrah dalam bulan Haji. Bulan Haji adalah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Manakala bulan Rejab adalah bulan untuk buat Umrah. Orang Arab pada waktu itu tidak membenarkan buat Umrah dalam bulan-bulan Haji. Sebab pada mereka, sudah ada waktu untuk buat Umrah iaitu bulan Rejab. Namun Islam datang dengan membenarkan kemudahan untuk melakukan Umrah dalam bulan Haji juga. Maknanya, ia adalah kemudahan yang Allah ‎ﷻ berikan.

Ayat ini menyebut tentang Haji Tamattu’ iaitu haji bersenang-senang. Ada tiga jenis Haji:

1. Tamattu‘ – buat umrah dahulu, tahallul dan tinggal di Makkah dan kemudian buat Haji. Sementara tunggu waktu Haji, boleh pakai baju biasa dan ini adalah kemudahan yang diberikan kepada mereka yang hendak mengerjakan haji. Tidaklah mereka lama di dalam Ihram.

2. Qiran – buat Umrah bersama dengan Haji iaitu satu perbuatan tetapi niatnya dua.

3. Ifrad – buat Haji dulu, kemudian buat Umrah.

Untuk Haji Ifrad tidak perlu dibayar dam tetapi untuk mengerjakan Haji Tamattu’ dan Haji Qiran perlu dibayar dam. Perbincangan tentang perbezaan dan cara-cara mengerjakan Haji ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam bidang fiqh.

Haji Tamattu’ bermaksud bersenang lenang ataupun berseronok semasa mengerjakan Haji iaitu dimulai dengan mengerjakan umrah dahulu dan kemudian Tahallul supaya boleh keluar daripada pantang larang Ihram dan menunggu masa Haji masuk. Bolehlah dia memakai baju biasa dan sebagainya. Itulah yang mudahnya. Bila sampai waktu Haji maka niat Haji dan kembali pakai Ihram untuk mengerjakan Haji pula. Jadi waktu antara Umrah dan Haji itu, seseorang itu boleh berseronok bersenang-senang sahaja. Maksud ‘berseronok’ itu adalah bebas daripada pantang larang Ihram. Haji Tamattu’ ini sahih dan sunnah seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أُنْزِلَتْ آيَةُ الْمُتْعَةِ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَفَعَلْنَاهَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُنْزَلْ قُرْآنٌ يُحَرِّمُهُ وَلَمْ يَنْهَ عَنْهَا حَتَّى مَاتَ قَالَ رَجُلٌ بِرَأْيِهِ مَا شَاءَ
Daripada Imran bin Hushain رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata; Ayat mut’ah (menggabungkan haji dan umrah) telah diturunkan di dalam kitabullah, maka kami pun melaksanakannya bersama Rasulullah ﷺ, dan Al-Qur’an tidak menurunkan ayat yang mengharamkannya, baginda pun tidak melarangnya hingga baginda wafat. Orang (yang menganggapnya haram) hanya berbicara apa yang dia kehendaki.
(Sahih Bukhari No. 4156)

 

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

hendaklah menyembelih dam yang mudah didapati.

Kena bayar dam kerana kebenaran melakukan Haji Tamattu’ ini sudah memudahkan orang yang mahu melakukan ibadat umrah. Ini kerana mereka tidak perlu pergi dua kali – sekali pergi umrah dan sekali pergi haji – boleh buat kedua-dua sekali untuk sekali pergi ke Makkah. Oleh kerana kemudahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu, Allah ‎ﷻ mensyaratkan untuk sembelih binatang ternak. Ia adalah sebagai tanda syukur kepada Allah ‎ﷻ. Ia bukanlah denda dan kerana itu tidak ada kalimah فِدْيَةٌ di sini seperti tentang cukur rambut di atas.

Sembelihan itu bolehlah mengikut kadar kemampuan seseorang dan bergantung jika barang yang hendak disembelih itu ada. Iaitu kena ada kemudahan duit dan kemudian binatang. Ini kerana kadangkala ada manusia yang mempunyai duit tetapi binatang tidak ada atau binatang ada tetapi duit pula yang tiada.

 

فَمَنْ لَّمْ يَجِدْ

Maka jika kamu tidak dapati binatang ternak;

Jikalau tiada duit untuk membeli sembelihan atau jikalau sembelihan pun tiada. Sudah dicari tetapi tidak berjumpa.

 

فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ

hendaklah berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji;

Iaitu berpuasa tiga hari itu di Mekah. Kalau kita fikir logik, mungkin kita rasa patutnya puasa di Makkah yang lagi lama. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan hamba-Nya. Ini kerana kalau kena puasa di Makkah lama, sudah kena lama pula duduk di situ.

 

وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ

dan tujuh hari lagi apabila balik;

Iaitu apabila pulang ke Malaysia. Iaitu balik ke rumah. Ini hanya kepada yang tidak tinggal di Makkah. Tidak ditetapkan bila kena buat. Ikut keselesaan kepada individu itu bila dia boleh buat puasa itu.

 

تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ

Itulah dia sepuluh hari yang lengkap;

Kena lengkapkan puasa sebanyak sepuluh hari ini. Jangan kurang daripada sepuluh hari itu.

Kenapa perlu disebut potongan ayat ini? Kalau 3 campur 7 bukankah sudah 10? Takkan Allah ‎ﷻ melakukan perkara yang sia-sia mengajar manusia mengira pula? Bukanlah begitu. Allah ‎ﷻ sebut untuk pastikan bahawa perlu puasa jumlah keseluruhan 10 hari. Bukanlah ada pilihan 3 hari atau 7 hari. Mungkin ada yang sangka ia adalah pilihan (kalau puasa di Mekah 3 hari sahaja dan kalau puasa di tanahair sendiri [atau dalam perjalanan pulang] ia adalah 7 hari) kerana harf و boleh juga diertikan sebagai ‘atau’.

Lagi satu, kalimah ‘tujuh’ di dalam bahasa Arab boleh membawa maksud ‘banyak’. Maka di sini Allah ‎ﷻ hadkan yang bukanlah ia bermaksud banyak tetapi memang betul-betul 7 hari sahaja.

 

ذَٰلِكَ لِمَنْ لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Yang demikian itu bagi mereka yang bukan ahli penduduk Mekah;

Kemudahan untuk melakukan Haji Tamattu’ itu hanya diberikan kepada orang luar dari Tanah Haram sahaja. Penghuni Tanah Haram tidak ada pilihan untuk buat Haji Tamattu’ atau Qiran, mereka kena buat Haji Ifrad. Mereka tidak perlu ambil peluang mengerjakan Umrah ketika kerja Haji kerana mereka tinggal dekat dengan Ka’bah dan boleh buat Umrah bila-bila masa. Malah mereka tidak perlu pergi ke miqat dan boleh memulakan Ihram di rumah sahaja. Tujuannya supaya mereka tidak menyesakkan Tanah Haram masa bulan Haji.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan bertaqwalah kalian kepada Allah;

Takut kepada Allah ‎ﷻ itu adalah dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Allah ‎ﷻ sudah ajar segala serbi manasik Haji, maka kenalah kita ikut. Kenalah belajar falsafah dan cara-cara mengerjakan Haji. Benda lain boleh belajar sampai masuk Universiti, takkan benda tentang agama tidak boleh hendak belajar dan dalami? Dan yang mampu ikut hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja. Kerana ada yang sudah tahu, tetapi kerana tidak bertaqwa, mereka tidak ikut. Maka ini mengajar kita maksud utama dalam ibadah Haji itu adalah untuk mendapatkan taqwa. Malah, sembelihan yang disebut-sebut sebelum ini bukanlah sampai kepada Allah ‎ﷻ melainkan isi hati taqwa itu yang sampai kepada Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Hajj: 37

لَن يَنالَ اللهَ لُحومُها وَلا دِماؤُها وَلٰكِن يَنالُهُ التَّقوىٰ مِنكُم
Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapai-Nya.

Di dalam Maidah: 27 Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia hanya terima amalan daripada orang bertaqwa sahaja.

إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ
Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertaqwa

Taqwa amat penting di dalam ibadah terutama sekali ibadah Haji kerana ia adalah satu ibadah yang mencabar. Hendak pergi ke sana pun satu hal, apabila di sana pula hal yang lain kerana ada banyak dugaan. Kita di tempat asing, cuaca lain dari cuaca tempat kita, orang pula ramai bersesak-sesak, maka akan menimbulkan kecamuk dalam diri kita sama ada fizikal dan mental. Maka yang dapat menanganinya dengan baik adalah orang yang ada taqwa. Mereka ini relaks sahaja dan tidak kecoh-kecoh.

 

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

dan ketahuilah sesungguhnya azab Allah itu sangat keras;

Perintah untuk mengetahui di sini setelah sebelumnya disebut tentang taqwa memberitahu kita yang taqwa dapat diperolehi dengan ilmu. Maka ini mengajar kita supaya memantapkan ilmu pengetahuan. Jangan malas belajar dan bertanya dengan orang yang tahu hal-hal agama. Belajarlah dan tanya sampai faham. Memang pada mulanya tidak faham namun lama kelamaan ilmu akan bertambah dan pemahaman akan semakin mantap.

Ingatlah yang azab Allah ‎ﷻ sangat keras kepada mereka yang melanggar hukum-Nya. Jadi, kena jaga hukum Haji yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita kerana Allah ‎ﷻ telah tetapkan hukumnya bagaimana. Tidak perlu hendak persoalkan kenapa kena melempar sampai 7 butir batu, kenapa kena pakaian pakaian ihram yang sebegitu rupanya, kena wuquf dan sebagainya. Semua itu telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ dan kalau ada kesalahan yang dilakukan, kena dibayar dendanya sama ada dengan wang atau dengan perbuatan. Kalau buat salah dalam Haji pun Allah ‎ﷻ sudah marah, bayangkan kalau orang meletakkan berhala di Ka’bah. Tentu Allah‎ ﷻ lagi murka.

Habis Ruku’ 24 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 195 (Infak untuk jihad)

Baqarah Ayat 195: Kita sudah membaca ayat tentang peperangan. Peperangan memerlukan sumber kewangan yang banyak. Belanjawan bagi setiap negara pun akan meluangkan bahagian yang banyak untuk tentera mereka. Begitu juga, Islam menganjurkan umatnya untuk mengeluarkan wang untuk menegakkan jihad fisabilillah.

Sekarang kita masuk ke bahagian kedua dalam usaha untuk menegakkan dakwah iaitu dengan infak. Ini adalah sambungan daripada Ayaatul Birr (ayat 177) tentang perkara baik yang perlu dilakukan. Sebelum ini kita sudah belajar tentang jihad. Jihad dan infak kedua-duanya adalah seumpama dua sayap yang diperlukan untuk menjalinkan kerja dakwah dan menegakkan kalimah Tauhid di dunia. Kalau sayap satu sahaja yang berfungsi, ia tidak akan memberi hasil apa-apa pun. Burung yang satu sayapnya rosak, tidak akan dapat terbang. Maka, infak dan jihad hendaklah berjalan seiringan.

وَأَنفِقوا في سَبيلِ اللَّهِ وَلا تُلقوا بِأَيديكُم إِلَى التَّهلُكَةِ ۛ وَأَحسِنوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Sahih International

And spend in the way of Allah and do not throw [yourselves] with your [own] hands into destruction [by refraining]. And do good; indeed, Allah loves the doers of good.

 

Malay

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

 

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Hendaklah kamu infak pada jalan Allah;

Iaitu dengan memberi sedekah untuk membantu pada jalan Allah ‎ﷻ. Ada tiga jenis sedekah:

Pertama, Zakat – ini wajib dikeluarkan.

Kedua, sedekah sunat – ini adalah sunat.

Ketiga, sedekah fi sabilillah – ini juga wajib. Iaitu sedekah kepada orang yang sebar dan orang yang keluar berjihad ke jalan Allah ‎ﷻ.

Orang kita kurang sangat sedekah kepada agama. Kalau kepada orang lain atau sebab-sebab lain, banyak juga. Akan tetapi jika dibandingkan dengan sedekah biasa itu dengan sedekah untuk membantu agama, amat kurang sekali. Kalau kita tanya kepada orang yang perniagaan mereka yang telah jatuh, mereka selalunya tidak bersedekah kepada jalan agama. Walhal mereka banyak sahaja bersedekah ke tempat lain.

Ada dua perkara yang utama berkenaan infak ini:

Pertama, ia adalah penyempurnaan kepada jihad kerana jihad tidak dapat dilakukan jikalau tidak mempunyai sumber kewangan. Ini kerana jihad memerlukan segala kelengkapan seperti kenderaan, peralatan senjata, alatan komunikasi, kos latihan, makan minum, dan sebagainya yang tentunya memerlukan sumber kewangan yang besar.

Makna infak adalah ‘belanja harta’. Namun yang dikehendaki kepada kita adalah untuk belanja kepada jihad fi sabilillah. Manusia memang akan mengeluarkan duit untuk infak, beli itu dan ini tetapi selalunya ia bukanlah untuk jihad fi sabilillah. Kalau infak yang Allah ‎ﷻ suruh adalah untuk jihad fi sabilillah, barulah ada nilai di sisi Allah ‎ﷻ kerana ada hubungan dalam menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Infak dalam ayat ini bukanlah infak untuk peperangan sahaja tetapi untuk jalan Allah ‎ﷻ yang lain. Walau bagaimanapun infak untuk perang adalah salah satu yang amat penting sekali.

Kedua, Allah ‎ﷻ akan balas infak fi sabilillah yang dilakukan oleh manusia. Allah ‎ﷻ akan membalas nilai infak fisabilillah itu dengan 10 kali ganda sekurang-kurangnya semasa di dunia lagi dan akan dibalas di akhirat nanti dengan balasan syurga. Jadi, ada dua perkara tentang infak ini iaitu ia bukan sahaja untuk menyempurnakan tuntutan jihad tetapi ia juga boleh meningkatkan rezeki untuk kita.

Sebagaimana jihad mempunyai syarat-syaratnya begitu juga dengan infak. Untuk membolehkan kita mendapat balasan daripada infak yang kita telah lakukan maka ada lapan syarat yang perlu dipenuhi yang akan disebutkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an selepas ini. Oleh itu, sekiranya hendakkan balasan daripada Allah ‎ﷻ seperti yang telah dijanjikan, maka kenalah syarat-syarat itu dipenuhi. Daripada lapan syarat itu ada empat yang kena ada dan empat yang tidak boleh ada. Semuanya ada disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Ternyata ia merupakan syarat-syarat yang besar kerana datang daripada Allah ‎ﷻ sendiri.

 

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Dan jangan kamu campakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam jurang kebinasaan;

Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dengan tidak infak pada jihad fi sabilillah. Infak itu adalah kesempurnaan dan jikalau tidak infak akan menyebabkan kebinasaan kepada diri kita. Bagaimana pula ia dikaitkan dengan jihad? Kerana kalau infak tidak dilakukan, maka jihad tidak dapat dijalankan. Lalu apabila jihad tidak dapat dijalankan, maka dakwah tidak berjalan dan manusia akan terus kekal dalam kesyirikan dan kekufuran. Maka itu akan merosakkan bukan sahaja kita akan malah seluruh umat manusia. Bayangkan entah berapa puluh ribu peperangan jihad telah dijalankan di masa lalu yang dilakukan oleh umat terdahulu sebelum kita. Oleh kerana usaha mereka itulah Islam dapat tersebar luas dan sampai kepada kita. Kalaulah tidak ada jihad pada masa itu, entah kita agama apa agaknya.

Apakah fungsi huruf ب pada kalimah بِأَيْدِيكُمْ? Kalau kalimah itu tanpa ب ia menjadi وَلَا تُلْقُوا أَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ (Dan jangan kamu campakkan tangan kamu sendiri ke dalam jurang kebinasaan). Jadi huruf ب di sini adalah jenis Ba’ Sababiyah (). Ia berfungsi untuk menunjukkan sebab atau alasan dari suatu tindakan atau hasil. Maka ia menjadi maksud begini: “janganlah kamu mencampakkan diri ke dalam kebinasaan disebabkan kamu yang kedekut untuk mengeluarkan infaq pada jalan Allah.” Begitulah memang manusia melakukan kerosakan kerana tangan sendiri dan banyak disebut di dalam Al-Qur’an seperti disebut di dalam Rum:41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذي عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Kita lihat banyak ayat ini ditampalkan di dinding-dinding dalam masjid. Selalunya dijadikan dalil untuk mengharamkan orang menghisap rokok. Ini kerana menghisap rokok itu membahayakan kesihatan dan dikira sebagai perbuatan itu menjerumuskan diri kepada kebinasaan dengan tangan sendiri. Itu adalah tafsiran yang kurang tepat. Sebab ayat ini bukan asalnya maksud begitu. Cuma bolehlah juga sekiranya mahu digunakan dalam bentuk umum.

Untuk memahami ayat ini, kita kena lihat apakah asbabun nuzul ayat ini. Ada seorang lelaki yang lambat masuk Islam . Selepas Nabi ﷺ tiada, baru dia memeluk Islam. Semasa dia kafir, dia selalu berperang melawan Islam. Namun selepas dia masuk Islam, dia ingin menebus kesalahannya dahulu dengan menyertai perang menentang orang kafir. Semasa menentang tentera Rom, dia lihat ramai orang Islam takut hendak melawan orang Rom kerana mereka nampak tentera Rom terlalu ramai. Dia kesal dengan sikap tentera Islam itu dan dia berpidato mengatakan semasa dia menentang orang Islam dahulu, dia rasa takut sangat dengan tentera Islam. Namun sekarang, orang Islam pula takut kepada orang kafir. Jadi dia terus masuk menyerang orang Rom seorang diri dan dia terbunuh. Ada sahabat melihat kejadian itu, maka beliau membacakan ayat yang kita sedang tafsir ini – bermaksud lelaki itu ‘menjerumuskan dirinya ke dalam kebinasaan’. Akan tetapi ada seorang sahabat Ansar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mendengar kata sahabat itu, mengatakan ayat itu berkenaan mereka (orang Ansar). Beliau berkata beliau lebih tahu maksud ayat itu kerana ia adalah tentang mereka (puak Ansar). Mereka dahulunya telah banyak membantu Islam semenjak Nabi ﷺ datang ke Madinah. Namun apabila Islam sudah semakin senang, mereka mengatakan bahawa sekarang sampailah masa untuk mereka membuat harta pula di mana mereka rasa mereka tidak perlu lagi memberi derma kepada Islam. Mereka berfikir sesama mereka sahaja tanpa merujuk kepada Nabi ﷺ. Padahal waktu itu Nabi ﷺ masih lagi mengarahkan para sahabat رضي الله عنهم untuk terus menerus melakukan jihad dan infak dan tidak pula diarahkan untuk mereka berhenti. Oleh kerana ada segelintir daripada para sahabat رضي الله عنهم yang sudah mempunyai fikiran yang lain daripada yang sepatutnya, maka Allah ‎ﷻ telah turunkan ayat ini sebagai teguran kepada mereka. Sandaran bagi pendapat ini adalah hadith,

عَنْ سُلَيْمَانَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا وَائِلٍ عَنْ حُذَيْفَةَ { وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ } قَالَ نَزَلَتْ فِي النَّفَقَةِ
Daripada Sulaiman dia berkata; Aku mendengar Abu Wa’il daripada Hudzaifah mengenai ayat; “Dan infakkanlah hartamu di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dengan tanganmu sendiri.” Ayat ini turun tentang memberi nafkah.
(Sahih Bukhari No. 4154)

Mereka hendaklah terus infak untuk jihad fi sabilillah dan jangan campakkan diri ke dalam kebinasaan dengan tidak melakukan infak. Maka, ayat ini diturunkan kerana kata-kata mereka yang hendak berhenti daripada memberi sedekah itu. Bermakna, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan adalah tidak menderma. Atau berhenti menderma di jalan Allah ‎ﷻ.

Walau bagaimana pun ayat ini juga boleh berbentuk umum dan boleh digunakan untuk perkara-perkara lain juga. Namun begitu asal turun ayat ini adalah seperti yang disebut di atas. Oleh itu tahulah kita, jikalau tidak infak di jalan Allah ‎ﷻ seperti mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Ini kerana harta yang tidak diinfakkan ke jalan Allah ‎ﷻ tidak akan menjadi subur dan akan disoal nanti oleh Allah ‎ﷻ ke mana kita salurkan.

Maka, jangan kita menjadi bakhil dengan tidak berderma di jalan Allah ‎ﷻ. Jangan belanjakan wang di tempat lain yang tidak berfaedah. Kalau kita tidak membelanjakan wang ke jalan Allah ‎ﷻ, tetapi belanja di tempat lain, maka itu menunjukkan kita lebih sayangkan dunia daripada akhirat. Apabila kita lebih sayangkan dunia, maka Allah ‎ﷻ tidak lagi bersama kita. Itulah puncanya nanti yang menyebabkan kebinasaan kita. Itulah makna ayat ini. Kebakhilan boleh menyebabkan kebinasaan kita.

 

وَأَحْسِنُوا

dan berbuat baiklah kalian;

Satu syarat untuk infak ini adalah ikhlas. Perkataan أَحْسِنُ dalam ayat ini bermaksud ikhlas kerana infak yang tidak ikhlas tidak akan diberi ganjaran oleh Allah ‎ﷻ. Jadi, ini adalah syarat pertama daripada lapan syarat yang telah disebut sebelum ini.

Berbuat baiklah dengan sentiasa infak kepada agama. Dalam hal infak harta, hendaklah kita cemerlang iaitu buat dengan lebih lagi malah lebih daripada yang sepatutnya. Inilah satu lagi maksud ‘ihsan’. Kalau kita sudah memasukkan elemen taqwa dan faham tentang kepentingan jihad fi sabilillah, maka kita akan senang untuk mengeluarkan harta kita di jalan Allah ‎ﷻ. Apa yang kita keluarkan daripada harta itu adalah sebahagian daripada kita. Harta kita adalah sebahagian daripada kita kerana kita telah meluangkan masa yang banyak untuk mendapatkan harta itu. Bermakna, kita kena belajar untuk memberikan sebahagian daripada diri kita. Jangan kita sangka yang wang itu hak kita sepenuhnya.

Ihsan diperlukan kerana kalau tidak ada elemen ini, manusia akan terhalang daripada mengeluarkan infak kerana sayang kepada harta. Nafsu akan kuat berpegang dengan harta dan syaitan akan sentiasa membisikkan yang menafkahkan harta akan membawa kepada kemiskinan dan kebinasaan. Kita telah belajar tadi bahawa kalau tidak infaklah yang menyebabkan kemusnahan. Maka kena ada ihsan di dalam diri untuk melawan bisikan syaitan.

‘Ihsan’ dalam bentuk yang umum adalah berbuat baik secara keseluruhan. Bukan hanya dalam bentuk sedekah sahaja tetapi dalam semua perkara. Allah‎ ﷻ ingatkan kita untuk berbuat baik. Oleh itu Ihsan bermaksud melakukan sesuatu ibadat itu dengan mengetahui bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita. Apabila kita sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita dan segala perbuatan yang kita lakukan, maka ia akan menyebabkan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik dalam ibadatnya. Ia akan menyebabkan seseorang itu tidak akan melakukan perbuatan yang salah kerana dia sedar bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikannya.

Orang Muhsin ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Kebaikan mereka lebih banyak daripada keburukan (kerana setiap manusia ada juga elemen keburukannya). Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada kedua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia. Bagaimana kita tahu apa yang baik bagi orang lain? Kalau kita suka dan tahu ia baik bagi kita, maka kita juga suka kalau orang lain mendapatnya juga. Ini seperti disebut di dalam satu hadith yang terkenal,

عَنْ أَنَسٍ {عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ}
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, sabda baginda: “Tidak beriman seseorang daripada kamu selagi dia tidak menyukai untuk saudaranya apa yang disukai untuk dirinya”.
(Sahih Bukhari No. 12)

Bagaimana pula berbaik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”

(Hadith Riwayat Muslim No. 8)

Hadith ini menjelaskan tentang Ihsan, iaitu tingkatan tertinggi dalam beribadah dan kedekatan dengan Allah ﷻ. Berikut adalah penjelasan maknanya:

Beribadah Seakan-akan Melihat Allah ﷻ (Tingkatan Tertinggi)

      • Beribadah dengan perasaan seakan-akan melihat Allah ﷻ bererti seseorang mencapai tingkat kesedaran penuh bahawa Allah Maha Hadir dan Maha Dekat.
      • Pada tingkat ini, seorang hamba memiliki rasa cinta, harap, dan takut kepada Allah ﷻ yang mendalam, sehingga dia menjaga kesempurnaan ibadahnya dengan penuh keikhlasan.

Kalaupun Tidak Melihat Allah ﷻ, Sedar bahawa Allah ﷻ Melihatmu (Tingkatan Kedua)

    • Jika seseorang belum mampu merasakan kehadiran Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya, maka dia harus sedar bahawa Allah ﷻ senantiasa melihat segala perbuatannya.
    • Kesedaran ini menguatkan rasa tanggung jawab dan kehati-hatian dalam setiap perbuatan, kerana Allah ﷻ mengetahui segalanya, baik yang tersembunyi mahupun yang nyata.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya Allah amat sayang kepada orang yang berbuat baik. 

Kena lihat balik makna ihsan. Daripada hadith, kita diberitahu bahawa konsep ihsan adalah kita berbuat sesuatu seperti kita melihat Allah ‎ﷻ. Kalau kita tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ, maka tahulah bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat kita.

wp-1578827637391.jpg

Maknanya, orang yang muhsin adalah orang yang sentiasa sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihatnya. Dalam ayat sebelum ini, telah diberitahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ dekat dengan kita. Maka kalau kita dapat memasukkan fahaman itu ke dalam diri kita, senang untuk kita infak di jalan Allah ‎ﷻ. Sebab kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ menulis apa yang kita infakkan itu di dalam kitab amalan kita.

Kita kena terapkan ihsan di dalam segenap elemen di dalam kehidupan kita. Kita telah sebutkan ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia. Bagaimana pula dengan binatang? Ini pun ada ihsannya seperti sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas setiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, berlaku ihsanlah dalam membunuh. Dan apabila kamu menyembelih, maka berlaku ihsanlah semasa menyembelih. Hendaklah seseorang itu menajamkan pisaunya, dan merehatkan haiwan sembelihannya.
(Riwayat Muslim No. 1995)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 November 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Al-Qur’an yang telah Didekatkan (Mohd Dzul Khairi)

Tafsir Surah Baqarah Ayat 193 – 194 (Bila berhenti jihad?)

MEMERANGI KEZALIMAN

Baqarah Ayat 193: Apabila Allah ‎ﷻ sudah suruh umat Islam berjihad, sampai bilakah jihad itu? Sebelum ini telah disebut kenapa jihad dimulakan dan sekarang disebut bilakah ia berhenti.

وَقَـٰتِلُوهُم حَتّىٰ لا تَكونَ فِتنَةٌ وَيَكونَ الدّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انتَهَوا فَلا عُدوٰنَ إِلّا عَلَى الظّالِمينَ

Sahih International

Fight them until there is no [more] fitnah and [until] worship is [acknowledged to be] for Allah. But if they cease, then there is to be no aggression except against the oppressors.

 

Malay

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.

 

وَقَـٰتِلُوهُم حَتّىٰ لا تَكونَ فِتنَةٌ

Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada lagi syirik;

Jangan berhenti memerangi musuh-musuh Islam. Sampai bila? Sampai tiada lagi fitnah di atas mukabumi ini. ‘Fitnah’ dalam ayat ini kita telah jelaskan bermaksud syirik dan jangan kita tafsir yang lain daripada itu. Kalau mereka melakukan kezaliman syirik dengan Allah ‎ﷻ, kita kena lawan mereka tanpa henti. Sehingga tidak ada lagi syirik atas muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Selagi syirik ada, selagi itu ada arahan jihad dalam dunia ini. Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam hadith berikut:

أمرْتُ أنْ أقاتلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، فَإِذَا قَالُوهَا عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ”
Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka mengatakan tidak ada Tuhan selain Allah; apabila mereka mahu mengucapkannya, bererti mereka memelihara darah dan harta bendanya daripadaku, kecuali kerana alasan yang haq, sedangkan perhitungan mereka (yang ada di dalam hati mereka) diserahkan kepada Allah.
(Sahih Bukhari No. 24)

Namun malangnya kebanyakan daripada kita pandang kecil sahaja amalan syirik itu. Berapa ramai orang yang mengaku Muslim tetapi mengamalkan syirik? Amat menyedihkan kita tengok mereka macam tidak ada apa-apa salah pada mereka. Contohnya, berapa ramai orang Islam yang berdoa kepada Nabi? Mereka tidak berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kepada Nabi. Adakah Nabi boleh menjawab doa? Tentulah tidak. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Maka, apabila mereka berdoa kepada Nabi, itu adalah perbuatan syirik.

Maka memerangi sehingga tidak ada fitnah ini adalah memerangi kesyirikan. Jangan disalahgunakan dalam urusan politaik pula. Kerana Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا telah mentafsirkan ayat ini ketika peperangan terjadi antara Saidina Uthman dan Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَتَاهُ رَجُلَانِ فِي فِتْنَةِ ابْنِ الزُّبَيْرِ فَقَالَا إِنَّ النَّاسَ صَنَعُوا وَأَنْتَ ابْنُ عُمَرَ وَصَاحِبُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَخْرُجَ فَقَالَ يَمْنَعُنِي أَنَّ اللَّهَ حَرَّمَ دَمَ أَخِي فَقَالَا أَلَمْ يَقُلْ اللَّهُ { وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ } فَقَالَ قَاتَلْنَا حَتَّى لَمْ تَكُنْ فِتْنَةٌ وَكَانَ الدِّينُ لِلَّهِ وَأَنْتُمْ تُرِيدُونَ أَنْ تُقَاتِلُوا حَتَّى تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِغَيْرِ اللَّهِ

وَزَادَ عُثْمَانُ بْنُ صَالِحٍ عَنْ ابْنِ وَهْبٍ قَالَ أَخْبَرَنِي فُلَانٌ وَحَيْوَةُ بْنُ شُرَيْحٍ عَنْ بَكْرِ بْنِ عَمْرٍو الْمَعَافِرِيِّ أَنَّ بُكَيْرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَهُ عَنْ نَافِعٍ أَنَّ رَجُلًا أَتَى ابْنَ عُمَرَ فَقَالَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ مَا حَمَلَكَ عَلَى أَنْ تَحُجَّ عَامًا وَتَعْتَمِرَ عَامًا وَتَتْرُكَ الْجِهَادَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَقَدْ عَلِمْتَ مَا رَغَّبَ اللَّهُ فِيهِ قَالَ يَا ابْنَ أَخِي بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ إِيمَانٍ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالصَّلَاةِ الْخَمْسِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَأَدَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ قَالَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَلَا تَسْمَعُ مَا ذَكَرَ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ } { قَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ } قَالَ فَعَلْنَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ الْإِسْلَامُ قَلِيلًا فَكَانَ الرَّجُلُ يُفْتَنُ فِي دِينِهِ إِمَّا قَتَلُوهُ وَإِمَّا يُعَذِّبُونَهُ حَتَّى كَثُرَ الْإِسْلَامُ فَلَمْ تَكُنْ فِتْنَةٌ قَالَ فَمَا قَوْلُكَ فِي عَلِيٍّ وَعُثْمَانَ قَالَ أَمَّا عُثْمَانُ فَكَأَنَّ اللَّهَ عَفَا عَنْهُ وَأَمَّا أَنْتُمْ فَكَرِهْتُمْ أَنْ تَعْفُوا عَنْهُ وَأَمَّا عَلِيٌّ فَابْنُ عَمِّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَخَتَنُهُ وَأَشَارَ بِيَدِهِ فَقَالَ هَذَا بَيْتُهُ حَيْثُ تَرَوْنَ

Dari Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa dua orang laki-laki mendatangi Ibnu Jubair mengadukan perihal fitnah yang menimpa Ibnu Jubair; keduanya berkata; sesungguhnya orang-orang telah berbuat sesuatu kepadanya, sedangkan kamu wahai Ibnu Umar sebagai sahabat Rasulullah ﷺ, apa yang menghalangimu tidak ikut campur dalam urusan ini? Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab; ‘Yang menghalangiku adalah kerana Allah telah mengharamkan darah saudara muslim. Lalu keduanya berkata; ‘Bukankah Allah telah berfirman: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah?” Maka Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab: “Kami telah berperang hingga fitnah itu tidak ada lagi dan din ini sudah menjadi milik Allah. Sedangkan kalian menginginkan peperangan hingga terjadi fitnah dan din ini menjadi milik bukan selain Allah.

‘Utsman bin Shalih menambahkan daripada Ibnu Wahhab dia berkata; Telah mengabarkan kepadaku Fulaan dan Haiwah bin Syuraih daripada Bakr bin ‘Amru Al Ma’afiri bahawa Bukair bin ‘Abdullah Telah menceritakan kepadanya daripada Nafi’ bahawa seseorang menemui Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا seraya berkata; ‘Wahai Abu ‘Abdur Rahman apa yang menghalangimu untuk berhaji dan berumrah pada tahun ini dan kamu meninggalkan jihad di jalan Allah padahal kamu tahu bahawa Allah sangat menganjurkan hal itu? Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab; ‘Wahai anak saudaraku, Islam ini dibangun atas lima dasar; Iman kepada Allah dan Rasul-Nya, solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, dan haji ke Baitullah. Laki-laki itu berkata; ‘Wahai Abu Abdurrahman, apakah kamu tidak mendengar apa yang disebutkan Allah di dalam kitabnya: “Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai kembali pada perintah Allah“. Juga firman Allah: “Perangilah mereka hingga tidak ada fitnah.” Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab; ‘kami telah melakukan hal itu pada masa Rasulullah ﷺ ketika Islam masih sedikit hingga seseorang daripada kami difitnah kerana agamanya, baik dengan dibunuh mahu pun diseksa sampai Islam semakin menyebar dan tidak ada lagi fitnah. Orang itu berkata lagi; ‘Bagaimana pendapatmu tentang Utsman dan Ali? Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab; ‘Adapun Utsman maka Allah telah memaafkannya sedangkan kalian telah membenci untuk memaafkannya. Sedangkan Ali dia adalah sepupu Rasulullah ﷺ dan menantunya. Lalu dia mengisyaratkan dengan tangannya seraya berkata; ‘Inilah rumahnya sebagaimana kamu lihat.’

(Sahih Bukhari No. 4153)

 

وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ

dan sehingga yang hanya ada agama Allah sahaja atas muka bumi;

Umat Islam diarahkan jihad sehingga hanya ada agama Islam sahaja di dunia ini. Kalimah الدِّينُ itu bermaksud ‘cara hidup’. Oleh itu, cara hidup yang dibenarkan ada hanyalah cara hidup yang Allah ‎ﷻ restu sahaja. Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 19

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam

Namun begitu sebelum kita serang orang kafir, kita kenalah terlebih dahulu tabligh mereka. Bukan terus serang mereka. Lihatlah bagaimana Nabi ﷺ berdakwah kepada orang kafir dahulu sebelum menyerang mereka. Sebelum jihad perang, kena mulakan dengan jihad mulut terlebih dahulu. Maka hendaklah kita berdakwah dengan saudara mara kita, sahabat handai kita dan orang di sekeliling kita. Kemudian kita kena luaskan dakwah kita sampai kepada orang kafir. Mungkin mereka tidak terima Islam kerana belum lagi ada orang yang dakwah kepada mereka.

Orang kita zaman dahulu pun ada berperang dengan orang kafir. Namun begitu umat Melayu dahulu mengamalkan amalan-amalan syirik dalam perang, maka mereka telah kalah. Allah ‎ﷻ telah berikan kekalahan kepada mereka. Kemudian mereka dihina selepas itu dengan dijadikan hamba dan sebagainya. Hasilnya, kita sebagai anak cucu mereka, telah dijajah selama beratus-ratus tahun. Itulah balasan Allah ‎ﷻ kepada mereka yang mengamalkan syirik.

Ingatlah bahawa kita memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ dalam berperang pada jalan Allah ‎ﷻ. Kita tidak boleh mengharap bantuan daripada orang kafir. Kita tidak boleh menerima bantuan daripada orang kafir juga. Pernah terjadi semasa zaman Nabi ﷺ, ada orang musyrik hendak menolong Nabi ﷺ berperang pun Nabi ﷺ tidak terima. Nabi ﷺ hanya terima kalau dia mengucap dua kalimah syahadah. Maka untuk mendapat pertolongan Allah ‎ﷻ, hendaklah kita mengamalkan tauhid. Ini sebagaimana dalam hadith Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah رضي الله عنها, katanya:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قِبَلَ بَدْرٍ فَلَمَّا كَانَ بِحَرَّةِ الْوَبَرَةِ أَدْرَكَهُ رَجُلٌ قَدْ كَانَ يُذْكَرُ مِنْهُ جُرْأَةٌ وَنَجْدَةٌ، فَفَرِحَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ حِينَ رَأَوْهُ. فَلَمَّا أَدْرَكَهُ قَالَ لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ: جِئْتُ لِأَتَّبِعَكَ وَأُصِيبَ مَعَكَ. قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: ‏تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ‏؟‏ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَارْجِعْ فَلَنْ أَسْتَعِينَ بِمُشْرِكٍ
“Rasulullah ﷺ pergi ke Badar, tatkala Baginda sampai di Harratul Wabarah, Baginda ditemui oleh seorang lelaki yang terkenal gagah berani. Maka para sahabat Rasulullah ﷺ merasa gembira ketika melihat kedatangannya. Lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah ﷺ: ‘Aku sengaja mengikuti kamu kerana hendak ikut berperang di pihak kamu dan bersama-sama denganmu.’ Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: ‘Apakah kamu sudah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Jika demikian, kembalilah kamu pulang, sebab kami tidak memerlukan pertolongan orang-orang musyrik’.”
(Riwayat Muslim No. 1817)

 

فَإِنِ انتَهَوا فَلا عُدوٰنَ إِلّا عَلَى الظّالِمينَ

Sekiranya mereka berhenti daripada membuat syirik, maka tidak ada lagi permusuhan melainkan dengan orang yang zalim;

Sama ada mereka telah berhenti daripada membuat syirik atau mereka sudah berhenti berperang dengan kita, dan telah mengadakan perjanjian damai dengan kita, maka berhentilah daripada memerangi mereka. Apabila sudah berada dalam satu agama, maka kita tidak ada lagi permusuhan. Atau apabila sudah ada perjanjian damai antara kita dan mereka, tidak ada lagi permusuhan. Melainkan kalau mereka melakukan kezaliman, maka kita kena berperang dengan mereka kembali kerana agama Islam amat mementingkan keamanan.

Perhatikan di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ tidak kata إِلَّا عَلَى الكافِرينَ melainkan Allah ‎ﷻ kata إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ. Ini adalah kerana kezaliman itu tidak semestinya datang daripada orang kafir sahaja; ia juga boleh datang daripada orang Muslim sekali pun, maka mereka pun tetap diperangi untuk menegakkan keadilan.


 

Baqarah Ayat 194: Ini adalah syarat perang lagi. Sebelum ini telah disebut tentang larangan berperang pada tempat (Masjidil Haram) dan sekarang tentang masa pula (bulan-bulan Haram).

Ayat ini juga menjawab para sahabat tentang berjihad. Kemusykilan pertama para sahabat yang pergi mengerjakan Umrah Qada’ tadi adalah tentang berperang di Tanah Haram. Kemusykilan kedua adalah berperang di bulan Haram iaitu DzulQaedah pada ketika mereka di Mekah ketika itu. Kalau mereka diserang oleh Musyrikin Mekah, bolehkah mereka berperang untuk mempertahankan diri? Persoalan itu dijawab di sini.

الشَّهرُ الحَرامُ بِالشَّهرِ الحَرامِ وَٱلحُرُمَـٰتُ قِصاصٌ ۚ فَمَنِ اعتَدىٰ عَلَيكُم فَاعتَدوا عَلَيهِ بِمِثلِ مَا اعتَدىٰ عَلَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

Sahih International

[Fighting in] the sacred month is for [aggression committed in] the sacred month, and for [all] violations is legal retribution. So whoever has assaulted you, then assault him in the same way that he has assaulted you. And fear Allah and know that Allah is with those who fear Him.

 

Malay

(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.

 

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ

Bulan Haram itu ialah dengan Bulan Haram;

Bulan Haram dihormati kerana telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ untuk dihormati. Kena berhenti perang sepanjang Bulan Haram itu. Ada empat bulan kesemuanya. Ia telah disepakati sebagai waktu rehat daripada berperang. Bila ada bulan-bulan ini yang dihormati, bolehlah hendak buat benda lain juga, takkan hendak berperang sepanjang tahun. Akan jadi susah kehidupan manusia kalau sepanjang tahun berperang.

Jadi, tidak boleh dicabuli kehormatan bulan-bulan itu. Haram berperang pada bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Tidak boleh mulakan perang dalam bulan-bulan itu. Itu adalah perjanjian dalam masyarakat Arab, kerana bulan-bulan itu adalah bulan-bulan untuk dijalankan ibadat haji dan umrah. Akan tetapi kalau kita diserang dalam bulan itu, maka kita boleh serang balik.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Umrah Rasulullah ‎ﷺ dan para sahabat pada bulan DzulQaedah tahun 6 Hijrah yang mereka ditahan daripada mengerjakan oleh Musyrikin Mekah. Dipendekkan cerita telah dimeterai Perjanjian Hudaibiyah antara lain meletakkan umat Islam boleh mengerjakan umrah tahun hadapannya. Oleh kerana mereka datang pada bulan DzulQaedah, maka tahun hadapan pun diganti dengan bulan DzulQaedah juga.

Maka pada tahun ke 7 Hijrah, Nabi ﷺ dan pengiringnya melakukan (Umratul Qadho itu, pengganti umrah yang tidak jadi. Pada waktu itulah turun ayat ini, memberi peringatan kepada kaum Muslimin bahawa ibadat umrah itu wajib dilakukan, tidak boleh mundur. Sebagai tentera Islam yang telah banyak pengalaman dengan kaum musyrikin itu, mereka tidak boleh melupakan, kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi kerana mereka tahu orang kafir memang tidak boleh dipercayai sangat. Kaum Muslimin tidak boleh melanggar peraturan dan melanggar janji-janji yang telah ditandatangani kedua belah pihak. Namun begitu, kemungkinan musuh melanggar janji ada sahaja. Kalau itu yang terjadi, tidaklah boleh kaum Muslimin berlengah lagi walaupun bulan yang mulia tahun yang lalu telah diganti dengan bulan yang mulia tahun ini, ada sahaja kemungkinan segala kemuliaan dan kesucian itu dirobek-robek oleh kaum musyrikin itu. Sekiranya ini terjadi maka ketahuilah yang segala kesucian dan kemuliaan itu ada qisasnya, gayung disambut, kata dijawab; kalau mereka melanggar terlebih dahulu, hendaklah tangkis dengan pelanggaran yang seimbang pula. Bagaimana yang mereka lakukan kepadamu, lakukan pula kepada mereka semacam itu.

 

وَٱلحُرُمَـٰتُ قِصَاصٌ

dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang.

Adab menjaga Bulan Haram ini ada batasan. Kalau Bulan Haram dicabuli oleh orang kafir maka boleh memerangi mereka dalam Bulan Haram itu. Sekiranya mereka serang kita dahulu dalam Bulan Haram, maka kita boleh lawan balas, tidaklah kita duduk diam sahaja. Maka ayat ini hendak memberitahu bahawa kalau mereka serang kita dalam bulan Haram, maka kita boleh balas balik menyerang mereka dalam Bulan Haram kerana mereka yang telah memulakannya dahulu.

Selain daripada bulan-bulan Haram itu, tempat-tempat suci agama mereka dan kita juga tidak boleh dicabuli. Itu juga termasuk di dalam ٱلحُرُمَـٰتُ. Kalimah ٱلحُرُمَـٰتُ ini telah masuk ke dalam bahasa Melayu menjadi ‘hormat’ iaitu sesuatu yang dimuliakan. Seperti Masjidil Haram dan juga kuil-kuil mereka. Tidak boleh kita menyerang tempat ibadat mereka kerana kalau kita buat juga, mereka akan menghina dan menyerang masjid kita pula nanti. Namun ayat ini hendak mengatakan kalau mereka menyerang kita di tempat suci itu, maka kita boleh menyerang balas.

Selain tempat, manusia juga dihormati atau dimuliakan. Kerana itu kalau kita dicederakan pada tangan kita contohnya, kita boleh balas balik dengan mencederakan orang yang mencederakan itu pada tangannya juga (tentulah melalui lunas undang-undang, bukan buat sendiri).

 

فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ

Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu

Katakanlah mereka yang serang kita dahulu. Ini adalah sebagaimana hukum Qisas yang kita telah belajar sebelum ini.

 

فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ

maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu;

Kalau mereka serang kita dahulu dalam Bulan Haram, maka kita dibenarkan untuk serang balas. Kita boleh balas balik seimbang dengan apa yang mereka telah lakukan. Jangan lebih-lebih pula.

Dalam membalas qisas terhadap orang yang melalukan pelampauan, ada ulama’ seperti Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ yang mengatakan kena dibalas dengan cara yang sama. Contohnya kalau pembunuhan dilakukan dengan hempap batu, maka dibunuh dengan hempap batu juga. Ini kerana ada kalimah بِمِثْلِ di dalam ayat ini. Namun begitu ada ulama’ lain seperti Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan yang sama itu adalah kesannya. Kalau dia menyebabkan kematian maka dia dibalas dengan dibunuh dengan cara pancung.

Kalimah اعْتَدُوا dari segi bahasa bermaksud melampaulah kalian. Namun umat Islam tidaklah patut melampau jadi kita terjemahkan sebagai membalas pencerobohan yang telah dilakukan terhadap kita.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kepada Allah:

Taqwalah kepada Allah ‎ﷻ dengan menjaga hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Takutlah kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kita pula yang memulakan perang dalam Bulan Haram itu. Jangan juga melampau dalam membalas pelampauan yang telah dilakukan terhadap kita. Yang boleh tahan diri adalah hanya mereka bertaqwa sahaja. Oleh itu walaupun kamu sedang berperang itu, kenalah sentiasa ingat kepada Allah ‎ﷻ. Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita kerana tujuan berperang juga adalah kerana Allah ‎ﷻ. Maka jangan cabuli ketetapan yang Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya telah tetapkan.

 

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

dan ketahuilah yang Allah bersama dengan orang-orang yang bertaqwa;

Kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ akan sentiasa bersama dengan orang bertaqwa. Allah bersama itu bermaksud Allah ﷻ akan memberi bimbingan dan anugerah-Nya. Banyak kali Allah ‎ﷻ berfirman yang Allah ‎ﷻ akan tolong orang-orang yang tolong agama. Kalau kita berperang dan kita bertaqwa, maka Allah ‎ﷻ akan beri bantuan kepada kita. Akan tetapi kalau kita sendiri tidak bertaqwa, melakukan syirik dan melakukan larangan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan membiarkan sahaja kita tanpa bantuan daripada-Nya. Kalau Allah ‎ﷻ tidak tolong kita, maka tidak ada harapanlah buat kita lagi.

Dalam bahasa Arab kalimah مع bukanlah bermaksud bersama duduk sebelah kita. Ini seperti ayat امسي ف اليلي والقمر معي (Aku berjalan di waktu malam dan bulan bersama aku). Ia bermaksud bulan seperti memerhatikan kita yang berjalan itu. Jadi apabila Allah مع ia bermaksud bersama dari segi ilmu dan sedang memerhatikan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 191 – 192 (Undang-undang perang)

Baqarah Ayat 191: Kemudian Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa ‘perang’ dan ‘bunuh’ itu adalah dua perkara berbeza. Dalam perang tidak semestinya ada pembunuhan. Perang itu apabila kita datang dengan kekuatan tentera untuk menghentikan orang degil yang tidak membenarkan dakwah Islam. Sekiranya mereka sudah terima, tidak boleh bunuh mereka.

وَاقتُلوهُم حَيثُ ثَقِفتُموهُم وَأَخرِجوهُم مِّن حَيثُ أَخرَجوكُم ۚ وَالفِتنَةُ أَشَدُّ مِنَ القَتلِ ۚ وَلا تُقَـٰتِلُوهُم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ حَتّىٰ يُقَـٰتِلُوكُم فيهِ ۖ فَإِن قَـٰتَلُوكُم فَاقتُلوهُم ۗ كَذٰلِكَ جَزاءُ ٱلكَـٰفِرِينَ

Sahih International

And kill them wherever you overtake them and expel them from wherever they have expelled you, and fitnah is worse than killing. And do not fight them at al-Masjid al- Haram until they fight you there. But if they fight you, then kill them. Such is the recompense of the disbelievers.

 

Malay

Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

 

وَاقتُلوهُم حَيثُ ثَقِفتُموهُم

Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu jumpa mereka

Perhatikan perbezaan kalimah قَـٰتِلُواْ di dalam ayat sebelum ini yang bermaksud ‘kalian perangilah’. Di dalam ayat ini pula adalah اقْتُلُوا yang bermaksud ‘kalian bunuhlah’. Ia daripada katadasar yang sama, jadi takut ada yang salah terjemah. Kalau dalam perang memang ada bunuh membunuh.

Kalau mereka degil juga, maka bolehlah bunuh mereka. Bunuhlah mereka sahaja di mana mereka dijumpai. Makna ‘di mana sahaja jumpa mereka’ adalah jumpa di medan peperangan. Bukanlah dengan tidak semena-mena diserang sahaja orang kafir di dunia ini pula. Apabila berjumpa mereka di medan perang, maka bunuhlah mereka. Jangan baca secara literal pula (memang ada yang baca secara literal kerana tidak belajar tafsir).

Asbabun Nuzul ayat ini adalah berkenaan kedatangan umat Islam ke Mekah untuk menunaikan Umrah Qada’ pada tahun 7 Hijrah. Kisahnya, pada tahun 6 Hijrah, umat Islam telah membuat keputusan untuk mengerjakan Umrah namun mereka telah ditahan oleh golongan Quraisy Mekah di Hudaibiyah. Dipendekkan cerita kita sudah tahu adanya PH (bukan Pakatan Harapan tetapi Perjanjian Hudaibiyah). Antara terma perjanjian tersebut adalah kebenaran untuk umat Islam mengerjakan Umrah pada tahun hadapannya (kerana itu dipanggil Umrah Qada’). Pada ketika itu, umat Islam yang hendak mengerjakan Umrah itu agak kerisauan, kalau-kalau mereka akan diserang apabila mereka mengerjakan Umrah nanti. Bolehkah mereka serang balas kerana mereka nanti berada di Tanah Haram? Maka Allah ﷻ beri kebenaran kepada mereka di sini untuk berperang seandainya mereka diserang.

Bahasa yang digunakan dalam ayat ini menghairankan sedikit. Kalau ditujukan kepada orang yang kuat dan ramai, maka ia mungkin lebih sesuai. Baru boleh kata: “Cari mereka dan bunuh mereka”. Namun realitinya, orang Islam sedikit sahaja sewaktu ayat ini diturunkan. Yang ramai adalah puak Musyrikin. Mereka yang lebih ramai dan lebih kuat serta kelengkapan perang mereka lebih hebat daripada tentera Islam Madinah. Para sahabat tidak ramai, banyak antara mereka tidak pernah berperang pun. Ini adalah kerana orang asal Madinah adalah golongan petani. Tentunya mereka tidak biasa berperang.

Kerana itu apabila diketahui bahawa tentera Musyrikin Mekah sudah dalam perjalanan ketika Perang Badr, Nabi ﷺ bertanya kepada para sahabat رضي الله عنهم sama ada mereka patut keluar berperang atau tidak? Sahabat-sahabat Muhajirin bangkit seperti Abu Bakr, Umar dan Uthman رضي الله عنهم terus mengatakan ya. Nabi ﷺ nampak suka dengan reaksi mereka tetapi baginda senyap sahaja tanpa berkata apa-apa. Barulah Puak Ansar tahu bahawa Nabi ﷺ tidak boleh menyuruh mereka berperang, tetapi mereka yang kena menawarkan diri mereka sendiri. Maka mereka berkata bahawa mereka tidak akan menjadi seperti Bangsa Yahudi dan Nabi Musa عليه السلام yang tidak mahu berperang dengan baginda. Mereka pun menawarkan diri untuk berperang bersama Nabi Muhammad ﷺ. Barulah peperangan Badr dilancarkan.

 

وَأَخرِجوهُم مِّن حَيثُ أَخرَجوكُم

dan kamu keluarkanlah mereka dari tempat mereka keluarkan kamu dulu;

Bukan sahaja umat Islam boleh berperang dan membunuh kafir Quraisy, mereka juga dibenarkan untuk mengeluarkan puak-puak itu dari daerah mereka di Mekah. Halau mereka ke hutan dan ambil alih tempat mereka. Jangan benarkan mereka duduk di kawasan tempat tinggal biasa. Biar mereka susah kerana mereka terus duduk dalam kufur. Mereka tidak layak hidup dengan selesa di dunia kerana kekufuran mereka itu. Dahulu kaum Muslim kena halau dari Mekah, sekarang orang kafir Mekah pula yang kena halau dari Mekah. Ini seperti hukum balas seperti yang kita telah belajar sebelum ini iaitu qisas.

Akan tetapi kenapa pula sampai halau mereka dari tanahair mereka? Bukankah itu sudah terlebih-lebih pula? Ini kerana mereka dulu pernah mengeluarkan umat Islam dari Mekah itu. Keduanya, memang mereka tidak layak pun hidup di bumi Allah ‎ﷻ ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Anbiya’: 105

وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ أَنَّ الأَرضَ يَرِثُها عِبادِيَ الصّٰلِحونَ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh.

Allah ‎ﷻ juga berfirman di dalam A’raf: 128

إِنَّ الأَرضَ لِلَّهِ يورِثُها مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ
sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya;

Allah ‎ﷻ menyebut ayat ini dalam bentuk yang nampak puak Muslim itu kuat sampai boleh menghalau orang Musyrik dari Mekah itu kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi semangat kepada mereka bahawa mereka akan memenangi peperangan itu. Apabila mereka baca ayat-ayat ini, orang Islam dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan membantu mereka memenangi perang itu kerana itu adalah janji Allah ‎ﷻ. Jadi, walaupun mereka lemah pada waktu itu, namun akhirnya mereka akan menjadi kuat dan akan berjaya kerana dalam ayat ini, ia menunjukkan bagaimana mereka akan menjadi kuat. Merekalah nanti yang akan membunuh puak-puak Musyrik itu dan akan mengeluarkan mereka dari Mekah.

Hukum Perang: Kalau mereka tidak mahu memeluk Islam juga selepas mereka kalah, mereka layak menjadi hamba abdi. Panglima perang yang boleh membuat keputusan sama ada hendak membunuh semua lelaki yang berperang itu atau tidak. Yang perempuan dan kanak-kanak tidak boleh dibunuh. Mereka hendaklah diambil sebagai hamba abdi.

Kita boleh bunuh mereka kerana mereka duduk di dunia Allah‎ ﷻ tetapi tidak mahu sembah Allah ‎ﷻ. Ini kerana tidak menyembah Allah ‎ﷻ dan menyembah tuhan yang lain adalah satu kesalahan yang amat besar. Mereka tidak layak hidup di dunia Allah ‎ﷻ ini. Bayangkan kalau di sesuatu negara, kita menentang raja negara itu, itu adalah kesalahan paling besar di negara itu, boleh dihukum bunuh. Sekarang, orang kafir tidak menyembah Tuhan sekalian alam, adakah itu boleh dibenarkan?

Kita kena lihat situasi itu begini, baru kita boleh faham kenapa kita kena bunuh puak-puak musyrik itu. Walau bagaimana pun, sekarang kita tidak boleh pergi bunuh orang kafir sesuka hati kita kerana telah ada perjanjian antara kita dan mereka untuk hidup aman. Nabi ﷺ dahulu pun ada juga membuat perjanjian damai dengan orang-orang kafir. Kaum kafir yang duduk di Malaysia, kita telah bersetuju untuk mereka duduk di negara ini. Oleh itu tidak boleh kita menyerang mereka selagi mereka duduk dengan aman di negara ini. Tidak boleh juga kita hendak menyerang puak-puak kafir di negara lain. Jadi, apabila ada usaha untuk panggil mereka sebagai ‘Kafir Harbi’, itu tidak benar kerana mereka bukan kafir yang diperangi. Salah faham begini amat bahaya sekali.

Tujuan jihad adalah untuk menghilangkan kesyirikan dalam hati manusia. Orang yang melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ, tidak layak untuk mereka berperang pada jalan Allah ‎ﷻ kerana merekalah yang sepatutnya diperangi. Ini termasuklah orang-orang yang mengamalkan ilmu kebal, pedang terbang, keris azimat dan sebagainya. Mereka pun mengamalkan syirik, lalu bagaimana hendak memerangi orang kafir? Malangnya banyak sekali daripada golongan datuk nenek kita dahulu mengamalkan ilmu-ilmu sebegitu dalam peperangan. Banyak dijumpai baju, pedang, perisai yang ada tulisan-tulisan yang pelbagai. Itu adalah amalan syirik, maka mereka adalah musyirikun sebenarnya. Mereka tidak layak menjadi tentera Islam. Padahal, Nabi ﷺ sendiri dan sahabat-sahabat tidak ada ilmu kebal. Nabi ﷺ hendak berperang pun pakai baju besi. Nabi ﷺ sendiri pernah cedera dalam peperangan.

 

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

dan ‘fitnah’ (syirik) itu lebih dahsyat daripada pembunuhan;

Ini adalah potongan yang menarik kerana ramai juga orang kita yang hafal ayat ini dan banyak disebut-sebut. Namun begitu selalunya ia disalahfahami kerana ramai yang sangka maksud fitnah di sini seperti fitnah di dalam bahasa Melayu. Jadi ramai yang gunakan potongan ayat ini untuk menjawab tuduhan ke atas mereka. Kalau mereka gunakan dengan cara begitu, tahulah kita yang mereka itu tidak belajar tafsir kerana salah cara penggunaan mereka itu.

Maka, apakah makna ‘fitnah’ dalam ayat ini? Fitnah yang dimaksudkan adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah ia bermakna menuduh atau mentohmah orang seperti yang kita selalu faham itu. Fitnah yang kita faham itu adalah dalam bahasa Melayu sahaja, bukan bahasa Arab. Kalimah الْفِتْنَةُ itu dari segi bahasa adalah ‘dugaan’ atau ‘ujian’. Ini pun perlu disesuaikan dengan konteks ayat. Di dalam ayat ini adalah tentang keadaan di mana mempersekutukan Allah ‎ﷻ lebih mudah daripada mengikuti perintah-Nya. Itulah ujian bagi manusia. Kalau zaman dahulu, puak Musyrikin Mekah telah menjadikan Ka’bah sebagai tempat sembahan berhala, memudahkan orang melakukan syirik. Ini tidak patut dibenarkan.

Yang dimaksudkan dengan ‘syirik itu lebih dahsyat’ adalah kerana orang yang syirik itu akan kekal duduk dalam neraka tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Kalau kita bunuh orang, orang itu mati sahaja dan mungkin dia masuk syurga. Sebaliknya untuk orang yang mengamalkan syirik, mereka akan terus masuk neraka apabila mereka mati. Jadi Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada orang Islam bahawa memang membunuh itu tidak elok, tetapi menyebabkan syirik tersebar lebih teruk lagi daripada itu. Kalau tidak memerangi mereka, fitnah/syirik akan terus berleluasa. Maka kita kena wujudkan suasana dunia di mana ajaran tauhid yang berleluasa, bukannya ajaran syirik. Ini seperti yang kita lihat kisah Khadr membunuh seorang budak untuk menyelamatkan ibubapanya daripada kesyirikan. Khadr menjelaskan kenapa budak itu dibunuhnya di dalam Kahf: 80

وَأَمَّا الغُلٰمُ فَكانَ أَبَواهُ مُؤمِنَينِ فَخَشينا أَن يُرهِقَهُما طُغيٰنًا وَكُفرًا
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa dia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

Cuma, sekarang umat Islam sedang lemah, maka jihad yang ada adalah jihad lisan sahaja di mana kita menyampaikan dakwah dengan cara penyampaian ilmu dan penerangan kepada manusia. Ini seperti usaha Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik serta ramai lagi yang berusaha menyampaikan ajaran yang benar.

Ayat ini mengajar kita kepentingan menjaga agama itu lebih lagi daripada menjaga nyawa. Memang dilarang kita membunuh nyawa malah yang lebih teruk lagi adalah membunuh akidah manusia. Ini kerana mati itu sudah pasti; akan tetapi kalau mati di dalam kufur, nasibnya amat buruk di akhirat kelak. Kerana itu kita sedih apabila anak-anak dibiarkan tanpa didikan agama. Kita lebih sibuk memberi mereka makanan dan pendidikan untuk dunia, tetapi lupa untuk menyediakan mereka dengan ilmu agama. Kalau kita dengar ibubapa membiarkan anak mereka mati kelaparan, memang kecoh satu Malaya. Akan tetapi berapa ribu yang membiarkan anak-anak mereka tidak ada didikan agama dan tidak ada sesiapa pun yang kecoh? Sedangkan di dalam Al-Qur’an tidak ada pun suruhan untuk beri anak-anak makan (sebab semua ibubapa sudah tahu kena beri anak makan) tetapi yang ada adalah untuk memberi didikan agama kepada mereka seperti ayat Tahrim: 6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;

 

وَلا تُقَـٰتِلُوهُم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ حَتّىٰ يُقَـٰتِلُوكُم فيهِ

Dan jangan kamu perangi mereka di Masjidil Haram sehinggalah mereka perangi kamu di dalamnya;

Ini satu lagi adab perang yang Allah ‎ﷻ ajar. Jangan perangi musuh di Tanah Haram kerana Allah ‎ﷻ telah jadikan Tanah Haram itu sebagai tempat yang aman dan mulia. Maka jangan kita cemari tempat itu yang Allah ‎ﷻ telah muliakan. Sejak dari zaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menjadi ikatan janji daripada seluruh bangsa Arab bahawa kesucian Masjidil Haram harus dipertahankan bersama golongan Arab. Tidak boleh ada perkelahian dan peperangan di dalamnya khususnya dan Tanah Haram pada umumnya. Orang Arab Jahiliyah pun menjaga perkara ini sampaikan kalau ada pembunuh ayah mereka dijumpai di Tanah Haram, mereka akan tundukkan wajah dan tidak mengambil tindakan apa-apa. Ini wajib dipegang teguh oleh kaum Muslimin juga dan kerana itu timbul kemusykilan kepada mereka bolehkah mereka berperang di kawasan Ka’bah. Di sini diberikan kebenaran kalau musuh yang ceroboh dahulu. Barulah kita boleh memerangi mereka di situ. Seandainya mereka masuk menyerang kita dalam Masjidil Haram, barulah boleh kita lawan mereka balik. Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَلَمْ يَحِلَّ لِي إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ، وَإِنَّهَا سَاعَتِي هَذِهِ، حَرَام بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، لَا يُعْضَد شَجَرُهُ، وَلَا يُخْتَلى خَلاه. فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ بِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُولُوا: إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ”
Sesungguhnya kota ini telah disucikan Allah ‎sejak Dia menciptakan langit dan bumi, maka ia tetap suci kerana disucikan Allah ‎sampai hari kiamat dan tidak pernah dihalalkan kecuali sesaat untukku di waktu siang hari, ia tetap suci kerana disucikan Allah ‎sampai hari kiamat; pepohonannya tidak boleh ditebang, rerumputannya tidak boleh dicabut. Jika ada seseorang membolehkan kerana alasan Rasulullah ﷺ pernah melakukan perang padanya, maka katakanlah oleh kalian bahawa sesungguhnya Allah ‎ﷻ hanya mengizinkan bagi Rasul-Nya dan Dia tidak mengizinkan bagi kalian.

Di dalam hadith ini kita diberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diberikan kebenaran untuk menyerang Mekah pada Tahun Pembukaan Mekah pada tahun 9 Hijrah.

Namun begitu, ayat ini diturunkan ketika umat Islam hendak mengerjakan Umrah Qada’ pada tahun 7 Hijrah. Pada masa itu umat Islam takut sekiranya mereka diserang oleh puak Quraisy, maka mereka risau jikalau mereka terpaksa berperang di Tanah Haram terutama sekali berdekatan Ka’bah. Maka Allah ﷻ memberitahu yang kalau mereka yang diserang, maka mereka boleh mempertahankan diri dan berperang di situ.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberi isyarat bahawa orang Islam akan menyerang Musyrikin Mekah sampai mereka terpaksa lari kepada Ka’bah. Begitulah, kalau sesuatu negara itu diserang, apabila mereka telah kalah, mereka mulanya akan lari ke ibu negara. Akhir sekali mereka akan berkumpul di istana Raja atau Presiden mereka. Bagi Musyrikin Mekah, mereka akan lari berlindung di Ka’bah. Ini menunjukkan bahawa orang musyrik akan kalah sampai mereka terpaksa buat begitu. Ini memberi semangat kepada orang Islam. Mereka nampak janji Allah ‎ﷻ yang mereka akan menang.

 

فَإِن قَـٰتَلُوكُم فَاقتُلوهُم

Dan jika mereka memerangi kamu maka bunuhlah mereka;

Kalau mereka menyerah diri, tidak melawan tidak mengapa akan tetapi sekiranya mereka menyerang kita, maka kita boleh bunuh mereka. Namun kita kena ingat, dalam kita bunuh mereka itu, kita tidak boleh seksa mereka. Ini seperti telah banyak disebut syarat-syarat sebelum ini. Kita kena terus bunuh mereka tanpa seksa mereka. Kalau hukum gantung pun sudah dikira menyeksa mereka kerana apabila kita gantung seseorang, dia tidak terus mati. Sebaliknya dia akan terseksa dalam masa yang lama. Kerana itu sebaik-baik hukuman bunuh adalah pancung kepala, kerana mereka akan terus mati dan tidak menyeksakan orang yang dibunuh itu. Itu adalah cara bunuh yang paling baik sekali kerana sakitnya sekejap sahaja. Kita sangkakan bahawa itu adalah pembunuhan yang paling dahsyat sebab darah menyembur dan badan akan menggeletar selepas bercerai dengan badan, tetapi itu adalah tindak balas badan sahaja. Sebenarnya, yang kena pancung itu akan terus mati dengan cepat dan tidak merasa sakit yang berpanjangan. Kemudian, setelah dibunuh, tidak boleh dikelar mayat orang kafir yang telah dibunuh itu.

 

كَذَٰلِكَ جَزَاءُ ٱلكَـٰفِرِينَ

Demikianlah balasan bagi orang kafir; 

Begitulah balasan yang sepatutnya diberikan kepada orang kafir. Tidak boleh dibiarkan mereka berleluasa kerana mereka menentang Islam, maka mereka layak diperlakukan sedemikian. Begitu pun, Rasulullah ﷺ memasuki Kota Mekah dengan aman dan telah memberikan peluang untuk penduduknya untuk menyelamatkan diri. Sabda Nabi ﷺ yang mengatakan:

مَنْ أَغْلَقَ بَابَهُ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِي سُفْيَانَ فَهُوَ آمِنٌ
Barang siapa yang menutup pintunya, maka dia aman; dan barang siapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram, maka dia aman; dan barang siapa yang memasuki rumah Abu Sufyan, maka dia aman.
(Sunan Abi Dawud No. 3022)
Status: Sahih (Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ)


 

Baqarah Ayat 192:

فَإِنِ انتَهَوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sahih International

And if they cease, then indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

 

Malay

Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

فَإِنِ انْتَهَوْا

Sekiranya mereka berhenti (berperang);

Sekiranya mereka berhenti perang, kita pun kena berhenti juga. Ini memerlukan disiplin untuk tidak terus membunuh. Amat senang untuk suruh tentera mulakan perang, tetapi hendak suruh mereka berhenti perang, itu amat susah. Sebab bila sudah mula perang, semangat sudah lain macam. Jadi kena ada kawalan diri supaya dapat menahan diri daripada terus membunuh dan membunuh.

Ini juga memberi isyarat bahawa kalau mereka berhenti, bermakna mereka telah menerima Islam. Atau setidak-tidaknya mereka bersetuju untuk tunduk kepada pemerintahan Islam dan membayar jizyah. Itu adalah berita gembira. Kalau mereka berhenti daripada kufur dan mahu masuk Islam, maka kita kena berhenti daripada memerangi mereka dan membunuh mereka. Ini tidak mustahil terjadi. Ini akan terjadi bila mereka nampak rugi kalau berperang dengan Muslim dan akan dapat untung kalau masuk Islam. Memang untung kalau masuk Islam kerana keadaan akan aman dan rakyat akan dapat keadilan. Selalunya yang mementang Islam adalah para pemimpin yang korup sahaja.

Maka ayat ini memberitahu kita yang Islam bukannya hendak membunuh orang kafir. Islam ingin menyelamatkan mereka dunia dan akhirat. Jadi salah kalau kata Islam berkembang dengan perang, Islam agama ganas yang hendak membunuh orang kafir, Islam memaksa orang masuk Islam dan sebagainya lagi.

 

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. 

Allah ‎ﷻ tidak sebut kalau mereka berhenti, umat Islam kena buat apa. Maka kemudian Allah ‎ﷻ kata Dia Maha Pengampun. Jadi kalau Allah ‎ﷻ pun boleh mengampunkan kesalahan dan kederhakaan manusia, maka umat Islam pun kenalah ikut juga. Hentikan serangan terhadap mereka. Ini kerana tujuan umat Islam menyerang musuh Islam adalah kerana hendak menyedarkan mereka. Sekiranya mereka sudah sedar dan sudah tidak menentang Islam lagi secara terang-terangan, maka hentikanlah serangan.

Lihatlah betapa pemaafnya Allah ‎ﷻ – walaupun dahulu mereka melakukan syirik, pernah menindas orang Islam dan pernah membunuh orang Islam, tetapi kalau mereka berhenti daripada menyerang dan bermusuh dengan orang Islam, Allah ‎ﷻ boleh maafkan lagi. Oleh kerana Allah‎ ﷻ pemaaf, maka orang Islam pun kena juga jadi pemaaf. Kalau orang kafir sudah berhenti dan mahu berdamai, maka kita pun kenalah maafkan mereka. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Anfal: 38

قُل لِّلَّذينَ كَفَروا إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم مّا قَد سَلَفَ وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ
Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: “Jika mereka berhenti (daripada kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu; dan jika mereka kembali lagi sesungguhnya telah berlaku (kepada mereka) sunnah (Allah terhadap) orang-orang dahulu”.

Allah ‎ﷻ tidak kata mereka selamat lagi kerana selamat atau tidak adalah atas amalan mereka. Namun kalau benar hamba-Nya taat dan mahu ikut Islam, Allah ‎ﷻ akan mengampunkan segala dosa-dosa mereka dahulu. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ adalah Maha Pengampun.

Maksud Allah ‎ﷻ itu Raheem adalah kalau Dia sudah maafkan, Allah ‎ﷻ tidak akan mengenakan azab terhadap hamba-Nya lagi di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah