Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah)

Ayat 3: Selepas Allah mengatakan bahawa DiriNya adalah Tuan, maka sekarang Allah menyebutkan dua sifatNya.

الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

Sahih International

The Entirely Merciful, the Especially Merciful,

 

Malay

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

Allah yang suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah belajar yang Allah adalah Tuhan sekalian alam. Allah amat berkuasa untuk melakukan segala-galanya. Sekarang, kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, apakah sifat mereka yang berkuasa? Mereka ada yang sombong, kejam, ada yang menyalahgunakan kuasa, mereka bersifat keras dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah memberi kelegaan kepada kita. Walaupun Allah amat berkuasa, tetapi sifat Allah itu adalah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kekuasaan yang Allah tunjukkan adalah kekuasaan yang bersifat rahmah.

Allah telah menjadikan alam semesta ini untuk menzahirkan rahmatNya. Sangat banyak rahmahNya telah diberikan kepada kita. Tidak terkira banyaknya. Kalau kita hendak cuba kira pun tidak boleh, sebab sangat banyak.

Allah ingatkan perkara ini dalam Surah Al-Fatihah. Lebih banyak maklumat lagi disebut dalam Surah ar-Rahman.

 

الرَّحْمَٰنِ

Tuhan yang mempunyai sifat Maha Pemurah;

Allah kasih kepada semua makhluk. Termasuk manusia yang Islam atau kafir. Tidak kira bangsa apa. Allah memberi rezeki kepada semua sekali. Kerana sayangnya Allah kepada makhlukNya.

Sifat pemurah ini adalah kepada semua makhluk semasa di dunia.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, ianya umpama kasih seorang ayah. Iaitu Dia sanggup untuk melihat anaknya menderita asalkan anaknya itu sedar kesalahannya dan menjadi baik. Contohnya, kalau anak itu ada membuat kesalahan sampai kena penjara, dia sanggup anaknya itu merengkok dalam penjara beberapa hari supaya anaknya itu belajar erti penyesalan dan sedar kesalahannya dan menjadi baik selepas itu. Supaya anak itu takut kena penjara lagi dan tidak berani lagi untuk membuat kesalahan.

Kata dasar Ar-Rahman dan juga Ar-Rahim diambil dari kata dasar yang sama – rahmah. Jadi kenapa dua nama ini diletakkan bersama dalam satu ayat? Kalau ianya sama sahaja, maka tidak perlu diletakkan berasingan.

Ini bermakna, ada perbezaan antara dua nama itu. Begitulah konsep yang kita kena faham: kalau diletakkan bersebelahan dalam Al-Qur’an, maka tentu ada perbezaan antara keduanya. Dua-dua membawa maksud yang berbeza, walaupun ada persamaan. Kita kena faham makna dua-dua perkataan ini sebaik mungkin supaya kita dapat lebih mengenali Allah.

Tentulah kita tidak akan dapat faham sepenuhnya, kerana akal kita terhad. Tetapi mari kita lihat apakah persamaan dan apakah perbezaan antara dua nama ini. Kerana apabila dua nama itu diletakkan bersebelahan, apa yang kita boleh faham adalah dua nama ini ada perbezaannya.

Makna ar-Rahman ada tiga kualiti:

1. Ia adalah sesuatu yang “extreme”. Oleh kerana ada pertambahan ‘an’ dihujung nama itu. Allah amat-amat pemurah, tidak dapat dibayangkan, tidak dapat dijelaskan lagi.

2. Dari nahu yang digunakan, kita dapat tahu bahawa Allah sedang melakukan perbuatan ‘pemurah’ sekarang. Apakah maksudnya? Sebagai contoh, kita ada kawan, dia memang seorang pemurah. Tapi tidak semestinya dia sedang memberi. Sebagai contoh, kalau dia tidur, dia bukanlah sedang memberi. Tapi sifat itu memang ada pada dirinya. Tapi tidaklah sentiasa dia dalam keadaan pemurah.

Oleh itu, kalau dari makna ar-Rahman ini sahaja, kita dapat tahu bahawa sifat itu tidak ‘sentiasa’. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Mari kita lihat lagi kriteria yang seterusnya:

3. Dari nahu yang digunakan, kita boleh tahu bahawa sifat Rahman Allah itu bermasa. Ianya tidak berterusan. Seperti juga perasaan yang kita ada seperti lapar, tidak semestinya kita sentiasa lapar. Apabila kita makan, kita tidak lagi lapar. Atau perasaan marah, tidak semestinya kita sentiasa marah, kalau kita tidur, kita tidak marah. Atau punca kemarahan itu telah hilang, kita tidak marah lagi.

Jadi, dari makna ini, kita dapat faham bahawa Allah tidak akan sentiasa jadi pemurah. Memang di dunia ini Allah bersifat pemurah kepada semua makhluk, tapi bagaimana di akhirat nanti? Adakah sifat itu berterusan? Mungkin ada sesuatu yang kita lakukan yang boleh menyebabkan Allah tidak bersifat Rahmaan dengan kita. Iaitu kalau kita tidak mengikut perintahNya. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya menakutkan kita.

Allah beri rahmat dan pemberianNya kepada orang Muslim dan juga orang kafir. Walaupun orang kafir itu telah tolak Allah. Tapi Allah masih beri rahmat lagi kepada mereka. Tapi lihatlah apa yang mereka balas kepada Allah? Mereka tidak terima apa yang Allah suruh mereka buat. Mereka puja tuhan sembahan yang lain. Mereka kata macam-macam tentang Allah.

Tapi Allah maha penyabar. Allah tidak terus beri balasan kepada mereka semasa di dunia ini. Allah biarkan sahaja. Allah tetap beri makan, beri minum dan beri keperluan hidup kepada mereka.

Allah ada 100 rahmat dan Allah berikan 1 sahaja kepada dunia yang dikongsi oleh semua makhluk. Dengan rahmat itulah seorang ibu sayang kepada anaknya, dengan rahmat itu jugalah kita kasihan dan sayang kepada insan dan makhluk yang lain.

Kita telah lihat kriteria yang kita boleh ambil dari makna ar-Rahmaan sebelum ini. Apakah pula kriteria sifat ar-Rahiim pula?

 

الرَّحِيمِ

Yang Maha Pengasih;

Sayang Allah di akhirat nanti, iaitu kepada orang mukmin sahaja. Yang tidak beriman, Allah akan marah dan murka kepada mereka. Allah akan masukkan orang beriman ke dalam syurga dan mereka akan duduk di situ selama-lamanya. Tidak ada ibadat apa pun lagi yang kena buat. Mereka hanya duduk di dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja.

Pemurahnya Allah, sampaikan ada makhluk yang masuk dalam syurga tanpa buat apa-apa ibadat pun. Seperti ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام dalam zaman Firaun. Apabila mereka akhirnya kalah dengan Nabi Musa عليه السلام dan beriman dengannya, mereka terus dibunuh oleh Firaun. Allah terus memasukkan mereka ke dalam syurga. Tidak sempat pun mereka buat apa-apa ibadat. Ada juga sahabat yang telah mengucap dua kalimah syahadah, terus pergi berperang dan mati syahid, tanpa sempat solat walau satu waktu pun.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, sifat ar-Raheem ini boleh diumpamakan seperti kasih seorang ibu. Dia tidak sanggup melihat anaknya menderita. Walaupun dia tahu anaknya jahat, sampai kena tangkap polis dan kena masuk penjara, tapi dia akan merayu-rayu supaya anaknya dilepaskan. Ini berbeza dengan sifat Rahmaan yang sanggup melihat anaknya menderita supaya anaknya itu dapat belajar erti kesilapan.

Jadi kita telah tahu kriteria sifat ar-Rahmaan dari segi bahasa. Bagaimana pula dengan ar-Rahiim?

    1. Makna raheem membawa maksud ‘sentiasa’. Allah sentiasa pemurah. Sifat itu berterusan. Ianya tidak akan berhenti. Ianya akan tetap ada.
    2. Sifat pemurah itu tidak semestinya terjadi sekarang. Sifat itu tetap ada, tapi ianya tidaklah berlaku sekarang. Sebagai contoh, seorang itu bersifat pemarah, tapi tidaklah dia marah sekarang. Cuma sifat itu ada dalam dirinya.

Oleh itu, apabila dua-dua sifat Rahmaan dan Raheem ini digabungkan dalam satu ayat, Allah hendak memberitahu sifat penyayangNya yang lengkap. Iaitu sifat sayang Allah itu adalah teramat sangat (maksud sifat Rahmaan), dan sifat itu berterusan (maksud sifat Raheem), tapi walaupun sifat itu akan sentiasa ada, ianya tidak semestinya diberikan kepada kita sekarang (maksud sifat Raheem) dan mungkin akan ditarik balik mengikut kehendakNya (maksud sifat Raheem).

Ulama’ tafsir membincangkan apakah gabungan maksud sifat ar-Rahman dan ar-Rahiim ini. Mereka mengatakan bahawa ayat ini hendak menceritakan tentang hubungan Allah dan makhlukNya. Bayangkan betapa sayangnya Allah kepada kita. Allah tahu segala-galanya tentang kita, tapi Allah masih beri rahmat kepada kita.

Perkara yang Allah tahu tentang kita itu, kalau emak ayah kita tahu, mereka tentu tidak mengaku kita anak mereka. Kalau suami atau isteri kita tahu, mereka akan ceraikan kita. Kalau kawan kita tahu semuanya tentang kita, mereka pun tidak mahu kawan dengan kita lagi. Tapi lihat, walaupun Allah tahu segala-galanya tentang kita, tapi Allah masih lagi beri rahmat kepada kita.

Walaupun Allah bersifat penuh rahmah, ada pula yang kata: “kalau begitu sifat rahmat Allah, kenapa ada suffering dalam dunia?” Kita selalu dengar hujah yang macam ini, tapi kita tidak tahu jawab, bukan? Hujah sebegini disebut oleh orang kafir, tapi malangnya orang Islam pun ada sebut juga. Apabila mereka ditimpa kemalangan dan musibah, mereka ada yang berkata: “Kenapa Allah turunkan bala ini kepada aku, adakah Allah tidak sayang kepada aku?” Maka mari kita cuba jelaskan.

Pertama, hujah-hujah yang mereka katakan itu hanya tentang dunia sahaja. Hendaklah kita yakin bahawa Allah tidak zalim kepada makhlukNya. Dan kita kena terima yang kehidupan ini bukan hanya di dunia sahaja, mahu tidak mahu, kita semua akan menuju kepada kehidupan akhirat. Mungkin Allah beri kesusahan kepada seseorang semasa dia di dunia, tapi Allah akan balas dengan kebaikan apabila dia mati kelak.

Kalau seorang yang paling celaka, bernasib paling malang dalam dunia, dan dia diberikan rahmat akhirat, dia tak ingat langsung pun kesusahan yang telah dialaminya semasa di dunia dulu. Semuanya hilang dari ingatannya. Macam tidak ada langsung kesusahan dulu yang dialaminya. Maknanya, kesusahan di dunia ini tidak kekal. Tidak ada makna kesusahan di dunia itu kalau kita akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Yang kekal adalah kehidupan di akhirat. Kenikmatan di akhirat yang kita lebih perlukan.

Kita juga jangan lihat dunia dengan mata kasar sahaja. Apa yang kita rasakan sebagai musibah mungkin ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak tahu dan tidak nampak dengan akal kita yang cetek. Tidaklah sentiasa Allah beri nikmat sahaja tanpa sekali-sekala diberikan musibah kepada makhluk. Kalau seorang manusia hanya menerima nikmat sahaja, ianya tidak baik untuknya.

Sebagai contoh, kalau ibubapa beri segala ikut kehendak anaknya, itu pun tidak baik. Akhirnya dia tidak akan kenal dengan kesusahan. Dia tidak dapat merasai kesusahan orang lain. Atau dia akan jadi sombong dan sebagainya. Dia juga akan lupa bahawa apa yang dia sedang terima itu adalah nikmat.

Dia tidak perasan bahawa Allah telah memberinya dengan kebaikan yang banyak. Kerana dia asyik dapat yang baik-baik sahaja. Kalau seorang anak itu hanya makan makanan yang sedap-sedap sahaja, apabila dia diberi makanan yang kurang sedap, mungkin dia marah, kenapa dia dapat makanan tak sedap kerana dia ingat dia sangka layak dapat makanan yang sedap sahaja. Hanya orang sakit sahaja yang akan kenal apakah itu nikmat kesihatan. Apabila kita sakit dan sihat, barulah kita menghargai nikmat kesihatan itu. Orang yang selalu senang sahaja dalam hidup dia, apabila susah menimpanya, dia jadi tidak keruan.

Kesakitan pun rahmah dari Allah juga sebenarnya. Kerana kalau kita tak rasa sakit, ianya akan merosakkan kita juga. Kita pun pernah baca bagaimana ada kanak-kanak yang tiada deria sakit. Kalau luka pun, mereka tidak dapat rasa. Jadi, dia tak tahu pun tentang benda-benda bahaya. Kalau dia tak rasa panas, dia mungkin letak tangan dia pada api sampai terbakar rosak tangan dia. Atau, dia terpotong terus tangan dia kerana dia tidak rasa sakit apabila ia mula terhiris. Oleh itu, kita kena ingat, kesakitan itu menolong kita dalam kehidupan sebenarnya.

Kesusahan juga dapat mengingatkan kita untuk memperbetulkan perbuatan kita yang salah dan silap semasa di dunia. Ianya akan mengingatkan kita kepada neraka yang lebih teruk. Kerana kesusahan dunia ini akan mengingatkan kita tentang kesusahan yang kekal abadi di akhirat kelak kalau kita tak ikut arahan Allah. Kalau susah yang sedikit di dunia pun kita sudah tak tahan, apatah lagi kalau di akhirat kelak.

Kalau kita sudah rasa susah sikit sahaja di dunia, maka kita kena betulkan apa-apa yang kita sedang buat supaya kita tidak susah di akhirat kelak. Kalau kita berpanas sekejap sahaja di tengahari sudah rimas, bagaimana pula kalau kita dimasukkan ke dalam neraka yang kepanasannya berjuta-juta darjah?

Untuk tahu itu, kenalah belajar tentang akhirat. Tentang Mahsyar, tentang syurga dan neraka. Kena tahu bagaimana kehidupan neraka itu adalah satu kehidupan yang amat amat tidak selesa. Amat terseksa kalau hidup di dalamnya. Kerana kalau kita tidak tahu, kita tidak tahu dengan apa yang akan terjadi di hari kiamat nanti.

Musibah yang Allah berikan kepada kita juga dapat menghapuskan dosa kita yang banyak. Entah berapa banyak dosa yang kita lakukan sepanjang kita hidup ini. Sama ada kita sedar atau tidak, memang ada banyak dosa kita. Dengan musibah, Allah akan hilangkan dosa itu dari kita (asalkan kita redha). Oleh itu, jangan gelisah sangat kalau kita sakit. Kesakitan itu dapat menghapuskan dosa kita.

Tiada apa pun yang sia-sia dilakukan oleh Allah. Semuanya mempunyai tujuan dan fungsinya walaupun dengan penciptaan syaitan. Ada gunanya juga syaitan ini. Kita beribadat kerana hendak melindungi diri kita daripada syaitan dengan itu kita dapat mendekatkan diri dengan Allah. Iblis juga boleh dijadikan contoh sempadan yang tidak boleh diikuti. Jangan kita mencontohi segala kesalahan yang telah dia lakukan. Janganlah kita mengikuti segala sifat tercelanya seperti sombong, takkabur, suka memungkiri janji, penuh tipu daya serta suka menghasut.

Kalau tidak ada keburukan, kita tak nampak keindahan. Kalau tidak ada gelap, kita tidak tahu tentang bezanya dengan cahaya. Kalau tidak ada malam, kita tidak tahu adanya siang.

Sifat rahman dan raheem ini juga mengajar kita supaya jangan kita putus harap dengan rahmat Allah. Putus harap dengan Allah adalah kufur. Allah telah sebut perkara ini dalam Surah az-Zumar (ayat 53). Tidak ada yang putus harap dengan rahmat Allah melainkan orang kafir sahaja.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sifat rahmah Allah ini juga mengajar kita bahawa kita pun kena bersifat rahmah dengan makhluk. Nabi pernah bersabda: من لا يرحم لا يرحم (sesiapa yang tidak bersifat rahmah, tidak akan dirahmati). Maka, hendaklah kita bersifat baik dengan orang lain. Layan mereka dengan baik. Tegur mereka dengan baik. Jangan sombong dengan mereka. Jangan tinggi diri dengan mereka. Jangan marah tak tentu pasal dan sebagainya.

852928508_943511660490793.jpg

Bagaimana pula dengan orang-orang yang bukan Islam? Adakah kita perlu bersifat rahmah juga kepada mereka? Perbincangan ulama’ panjang lebar dalam hal ini. Secara dasarnya, ada perbezaan antara layanan kita kepada orang Islam dan kepada orang bukan Islam.

Tentunya ada perbezaan kerana kita dan Muslim yang lain adalah bersaudara. Tapi tidaklah ini sampai mengatakan kita boleh bertindak tidak baik dengan orang bukan Islam. Sepertimana juga Nabi Muhammad itu adalah sebagai rahmat kepada ‘sekalian alam’, kita juga perlu bersifat demikian.

Yang paling penting adalah, kita mahukan mereka juga menerima Islam. Kerana Islam adalah rahmat yang paling besar. Kita hendaklah menyampaikan dakwah kepada mereka supaya mereka juga dapat rahmat Islam seperti yang kita dapat. Bukankah kalau kita mendapat sesuatu kebaikan, kita juga mahu orang lain pun mendapat kebaikan yang sama juga?

Sebagai contoh, kita jumpa satu restoran yang sedap, bukankah kita juga mahu berkongsi restoran itu dengan orang lain? Kita beritahu mereka, kita ajak mereka makan sekali dan sebagainya, kerana kita suka sangat dengan restoran itu. Maka, apakah yang lebih baik lagi dari iman dan Islam? Maka kenalah kita berbuat baik dengan mereka, kerana kita hendak berdakwah kepada mereka.

Kunci untuk mendapat rahmah yang diberikan khas kepada mukmin adalah dengan mengikut arahanNya. Jadi ayat 3 ini juga adalah dalil yang Allah menurunkan syariat kepada kita. Kalau Allah berikan segalanya kepada kita, kenapa Allah tidak berikan syariat untuk kita gunakan sebagai panduan hidup? Takkan apabila Allah sudah jadikan kita, Dia biarkan kita begitu sahaja?

Maka hukum hakam yang Allah berikan kepada kita juga adalah rahmat sebenarnya. Dengannya, kita dapat menjalani kehidupan kita dengan baik dan aman sentosa. Kalau Allah tidak beri hukum itu, kita akan hidup seperti binatang sahaja, buat apa yang kita mahu sahaja.

Kita mungkin tidak dapat menghargai sifat Allah yang maha pengasih ini. Kerana kita telah jadi Muslim dari kita lahir lagi dan kita telah diberitahu bahawa Allah bersifat begitu. Kita juga hanya kenal satu Tuhan sahaja, iaitu Allah. Kita tidak kenal tuhan-tuhan sembahan manusia yang lain.

Ada tuhan-tuhan mereka yang diajar kepada penganut mereka bagaimana tuhan mereka itu pemarah. Kalau buat silap dengan tuhan mereka, tuhan mereka akan murka dan akan musnahkan mereka. Kalau kita baca, sudah macam budak-budak kecil pula tuhan mereka. Kalau budak kecil marah, bukankah mereka akan merampus dan baling barang ke sana sini?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s