Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah ﷻ)

Ayat 3: Selepas Allah ﷻ mengatakan bahawa Diri-Nya adalah Tuan, maka sekarang Allah ﷻ menyebutkan dua sifat-Nya.

الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

(SAHIH INTERNATIONAL)
The Entirely Merciful, the Especially Merciful,

(MALAY)
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah yang suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah belajar yang Allah ﷻ adalah Tuhan sekalian alam. Allah ﷻ amat berkuasa untuk melakukan segala-galanya. Sekarang, kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, apakah sifat mereka yang berkuasa? Mereka ada yang sombong, kejam, ada yang menyalahgunakan kuasa, mereka bersifat keras dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi kelegaan kepada kita. Walaupun Allah ﷻ amat berkuasa, tetapi sifat Allah ﷻ itu adalah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kekuasaan yang Allah ﷻ tunjukkan adalah kekuasaan yang bersifat rahmah.

Allah ﷻ telah menjadikan alam semesta ini untuk menzahirkan rahmat-Nya. Terlalu banyak rahmah-Nya telah diberikan kepada kita. Tidak terkira banyaknya. Kalau kita hendak cuba kira pun tidak boleh, sebab sangat banyak.

Allah ﷻ mengingatkan perkara ini dalam Surah Al-Fatihah. Lebih banyak maklumat lagi disebut dalam Surah Ar-Rahman.

الرَّحْمَٰنِ

Tuhan yang mempunyai sifat Maha Pemurah;

Allah ﷻ kasih kepada semua makhluk. Termasuk manusia yang Islam ataupun kafir. Tidak kira bangsa apa. Allah ﷻ memberi rezeki kepada semua sekali. Kerana sayangnya Allah ﷻ terhadap makhluk-Nya.

Sifat pemurah ini adalah kepada semua makhluk semasa di dunia.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, ia adalah umpama kasih seorang ayah di mana Dia sanggup melihat anaknya menderita asalkan anaknya itu sedar kesalahannya dan menjadi baik. Contohnya, kalau anak itu ada membuat kesalahan sehingga dihukum penjara. Maka dia sanggup membiarkan anaknya itu merengkok dalam penjara untuk tempoh beberapa waktu supaya anaknya itu belajar erti penyesalan dan sedar kesalahannya. Semoga dia akan berubah menjadi baik selepas itu kerana takut dipenjara lagi dan tidak berani lagi untuk mengulang kesalahan yang sama.

Kata dasar Ar-Rahman dan juga Ar-Rahim diambil daripada kata dasar yang sama – rahmah. Maka kenapa dua nama ini diletakkan bersama dalam satu ayat? Kalau ia sama sahaja, maka tidak perlu diletakkan berasingan.

Ini menunjukkan, ada perbezaan antara dua nama itu. Begitulah konsep yang kita kena faham: kalau diletakkan bersebelahan dalam Al-Qur’an, maka tentu ada perbezaan antara keduanya. Dua-dua membawa maksud yang berbeza, walaupun ada persamaan. Kita kena faham makna dua-dua perkataan ini sebaik mungkin supaya kita dapat lebih mengenali Allah ﷻ.

Tentulah kita tidak akan dapat faham sepenuhnya, kerana akal kita terhad. Namun mari kita lihat apakah persamaan dan apakah perbezaan antara dua nama ini. Kerana apabila dua nama itu diletakkan bersebelahan, apa yang kita boleh faham adalah dua nama ini ada perbezaannya.

Makna ar-Rahman ada tiga kualiti:

1. Ia adalah sesuatu yang “extreme” (berlebihan, melampau). Oleh kerana ada pertambahan ‘an’ dihujung nama itu. Ini membawa maksud Allah ﷻ amat-amat pemurah, tidak dapat dibayangkan, tidak dapat dijelaskan lagi.

2. Dari segi nahu yang digunakan, kita dapat tahu bahawa Allah ﷻ sedang melakukan perbuatan ‘pemurah’ sekarang. Apakah maksudnya? Sebagai contoh, kita ada kawan, dia memang seorang pemurah. Namun tidak semestinya dia sedang memberi. Sebagai contoh, kalau dia tidur, dia bukanlah sedang memberi.  Tidaklah dia sentiasa dalam keadaan pemurah tetapi sifat itu memang ada pada dirinya.

Oleh itu, daripada makna ar-Rahman ini sahaja, kita dapat tahu bahawa sifat itu tidak ‘sentiasa’. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Mari kita lihat lagi kriteria yang seterusnya:

3. Dari segi nahu yang digunakan, kita boleh tahu bahawa sifat Rahman Allah ﷻ itu bermasa di mana ia tidak berterusan. Seperti juga perasaan yang kita ada seperti lapar, tidak semestinya kita sentiasa lapar. Apabila kita makan, kita tidak lagi lapar. Atau perasaan marah, tidak semestinya kita sentiasa marah, kalau kita tidur, kita tidak marah. Atau punca kemarahan itu telah hilang, maka kita tidak marah lagi.

Oleh itu, daripada makna ini, kita dapat faham bahawa Allah ﷻ tidak akan sentiasa jadi pemurah. Memang di dunia ini Allah ﷻ bersifat pemurah kepada semua makhluk, tetapi bagaimana di akhirat nanti? Adakah sifat itu berterusan? Mungkin ada sesuatu yang kita lakukan yang boleh menyebabkan Allah ﷻ tidak bersifat Rahmaan dengan kita iaitu apabila kita sengaja melanggar perintah-Nya. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya menakutkan kita.

Allah ﷻ memberikan rahmat dan pemberian-Nya kepada orang Muslim dan juga orang kafir. Walaupun orang kafir itu telah menolak Allah ﷻ tetapi Allah ﷻ masih memberi rahmat lagi kepada mereka. Namun lihatlah apa yang mereka balas kepada Allah ﷻ? Mereka tidak terima apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat. Mereka puja tuhan sembahan yang lain. Mereka kata macam-macam tentang Allah ﷻ.

Namun Allah ﷻ maha penyabar. Allah ﷻ tidaklah terus membalas perbuatan ingkar mereka semasa di dunia ini. Allah ﷻ biarkan sahaja. Allah ﷻ tetap beri makan, beri minum dan beri keperluan hidup kepada mereka.

Allah ﷻ mempunyai 100 rahmat dan Allah ﷻ hanya memberikan 1 sahaja kepada dunia yang dikongsi oleh semua makhluk. Dengan 1 rahmat itulah seorang ibu sayangkan anaknya, dengan rahmat itu jugalah kita kasihan dan sayang kepada insan dan makhluk yang lain.

Kita telah lihat kriteria yang kita boleh ambil daripada makna ar-Rahmaan sebelum ini. Apakah pula kriteria sifat ar-Rahim pula?

الرَّحِيمِ

Yang Maha Pengasih;

Sayang Allah ﷻ di akhirat nanti hanyalah khas untuk orang mukmin sahaja. Yang tidak beriman, Allah ﷻ akan murka kepada mereka. Allah ﷻ akan memasukkan orang beriman ke dalam syurga dan mereka akan tinggal di situ selama-lamanya. Tidak ada ibadat apa pun lagi yang kena buat. Mereka hanya duduk di dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja.

Pemurahnya Allah ﷻ, sampaikan ada makhluk yang masuk dalam syurga tanpa buat apa-apa ibadat pun. Seperti ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام ketika zaman Firaun. Apabila mereka akhirnya kalah dengan Nabi Musa عليه السلام dan beriman dengannya, mereka terus dibunuh oleh Firaun. Allah ﷻ terus memasukkan mereka ke dalam syurga. Tidak sempat pun mereka buat apa-apa ibadat. Ada juga sahabat yang telah mengucap dua kalimah syahadah, terus pergi berperang dan mati syahid, tanpa sempat solat walau satu waktu pun.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, sifat ar-Rahim ini boleh diumpamakan seumpama kasih seorang ibu. Dia tidak sanggup melihat anaknya menderita. Walaupun dia tahu anaknya jahat, sampai ditangkap polis dan dimasukkan penjara, tetapi dia akan merayu-rayu supaya anaknya dilepaskan. Ini berbeza dengan sifat Rahmaan yang sanggup melihat anaknya menderita supaya anaknya itu dapat belajar erti kesilapan.

Kita telah tahu kriteria sifat ar-Rahmaan dari segi bahasa. Bagaimana pula dengan ar-Rahim?

    1. Makna rahim membawa maksud ‘sentiasa’. Allah ﷻ sentiasa pemurah. Sifat itu berterusan. Ia tidak akan berhenti. Ia sentiasa ada.
    2. Sifat pemurah itu tidak semestinya terjadi sekarang. Sifat itu tetap ada, tetapi ia tidaklah berlaku sekarang. Sebagai contoh, seorang itu bersifat pemarah, tetapi tidaklah dia marah sekarang dalam keadaan biasa. Cuma sifat itu ada dalam dirinya.

Oleh itu, apabila dua-dua sifat Rahmaan dan Rahim ini digabungkan dalam satu ayat, Allah ﷻ hendak memberitahu sifat penyayang-Nya yang lengkap. Iaitu sifat sayang Allah ﷻ itu adalah teramat sangat (maksud sifat Rahmaan), dan sifat itu berterusan (maksud sifat Rahim), tetapi walaupun sifat itu akan sentiasa ada, ia tidak semestinya diberikan kepada kita sekarang (maksud sifat Rahim) dan mungkin akan ditarik balik mengikut kehendak-Nya (maksud sifat Rahim).

Ulama’ tafsir membincangkan apakah gabungan maksud sifat ar-Rahman dan ar-Rahim ini. Mereka mengatakan bahawa ayat ini hendak menceritakan tentang hubungan Allah ﷻ dan makhluk-Nya. Bayangkan betapa sayangnya Allah ﷻ kepada kita. Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, tetapi Allah ﷻ masih beri rahmat kepada kita.

Perkara yang Allah ﷻ tahu tentang kita itu, kalaulah emak ayah kita tahu, mereka tentu tidak mengaku kita anak mereka. Kalau suami atau isteri kita tahu, mereka akan ceraikan kita. Kalau kawan kita tahu semuanya tentang kita, mereka pun tidak mahu berkawan dengan kita lagi. Tetapi lihat, walaupun Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, namun Allah ﷻ masih lagi memberikan rahmat-Nya kepada kita.

Apabila dikatakan Allah ﷻ bersifat penuh rahmah, ada pula yang berkata: “Kalau begitu sifat rahmat Allah, kenapa ada “suffering” (kesengsaraan) dalam dunia?” Kita selalu dengar hujah yang macam ini, tetapi kita tidak tahu menjawabnya, bukan? Hujah sebegini sering disebut oleh orang kafir, tetapi malangnya orang Islam pun ada sebut juga. Apabila mereka ditimpa kemalangan dan musibah, mereka ada yang berkata: “Kenapa Allah turunkan bala ini kepada aku, adakah Allah tidak sayang kepada aku?” Maka mari kita cuba jelaskan.

Pertama, hujah-hujah yang mereka katakan itu hanya tentang dunia sahaja. Hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻ tidak zalim kepada makhluk-Nya. Dan kita kena terima yang kehidupan ini bukan hanya di dunia sahaja, mahu tidak mahu, kita semua akan menuju kepada kehidupan akhirat. Mungkin Allah ﷻ beri kesusahan kepada seseorang semasa dia di dunia, tetapi Allah ﷻ akan membalas dengan kebaikan apabila dia mati kelak.

Bagi seorang yang paling celaka, bernasib paling malang dalam dunia, dan ketika dia diberikan rahmat di akhirat kelak, dia menjadi tidak ingat langsung segala kesusahan, kecelakaan yang telah dialaminya semasa di dunia dulu. Semuanya hilang daripad ingatannya. Seolah-olah tidak ada langsung kesusahan dulu yang dialaminya. Maknanya, kesusahan di dunia ini tidak kekal. Tidak ada makna kesusahan di dunia itu apabila kita akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Yang kekal adalah kehidupan di akhirat. Kenikmatan di akhirat yang kita lebih perlukan.

Kita juga jangan melihat dunia dengan mata kasar sahaja. Apa yang kita rasakan sebagai musibah mungkin ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak tahu dan tidak nampak dengan akal kita yang cetek. Tidaklah sentiasa Allah ﷻ berikan nikmat sahaja tanpa sekali-sekala diberikan musibah kepada makhluk. Sekiranya seorang manusia hanya menerima nikmat sahaja, ia sebenarnya adalah tidak baik untuk dirinya.

Sebagai contoh, kalau ibubapa berikan segala ikut kehendak anaknya, itu pun tidak baik. Akhirnya dia tidak akan kenal erti kesusahan. Dia akan menjadi manusia yang tiada empati dan simpati kerana tidak dapat merasai kesusahan orang lain. Atau dia akan menjadi sombong, riak, tidak bersyukur dan sebagainya. Dia juga akan lupa bahawa apa yang dia sedang terima itu adalah nikmat.

Dia tidak perasan bahawa Allah ﷻ telah memberinya dengan kebaikan yang banyak. Kerana dia asyik dapat yang baik-baik sahaja. Kalau seorang anak itu hanya makan makanan yang sedap-sedap sahaja, apabila dia diberi makanan yang kurang sedap, mungkin dia marah dan tidak berpuas hati sambil mempersoalkan kenapa dia dapat makanan tidak sedap pula kerana dia sangka dia hanya layak mendapat makanan yang sedap sahaja.

Ini juga sebagaimana seperti orang sakit yang hanya dapat mengenali dan menghargai nikmat kesihatan. Ramai tidak sedar bahawa kesakitan pun rahmah daripada Allah ﷻ juga sebenarnya. Kerana kalau kita tidak merasa sakit, ia akan memudaratkan kita juga. Sebagai contoh ada sejenis kondisi dikenali sebagai CIPA – di mana seseorang itu mempunyai deria rasa yang tidak bertindak balas (kesakitan atau suhu). Dia tidak akan berasa sakit langsung. Kalau luka pun, dia tidak dapat rasa. Maka, dia tidak tahu pun tentang kesan benda-benda bahaya dan dapat memudaratkan dirinya. Disebabkan dia tidak rasa panas, dia mungkin meletakkan tangan dia pada api sampai terbakar rosak tangan dia. Atau, dia terpotong terus tangan dia kerana dia tidak rasa sakit apabila ia mula terhiris. Oleh itu, kita kena ingat, kesakitan itu menolong kita dalam kehidupan sebenarnya.

Kesusahan juga dapat mengingatkan kita untuk memperbetulkan perbuatan kita yang salah dan silap semasa di dunia. Ia akan mengingatkan kita kepada neraka yang lebih teruk. Kerana kesusahan dunia ini akan mengingatkan kita tentang kesusahan yang kekal abadi di akhirat kelak kalau kita tidak mengikut arahan Allah ﷻ. Kalau susah yang sedikit di dunia pun kita sudah tidak tahan, apatah lagi kalau di akhirat kelak?

Kalau kita sudah rasa susah sikit sahaja di dunia, maka kita kena betulkan apa-apa yang kita sedang buat supaya kita tidak susah di akhirat kelak. Kalau kita berpanas sekejap sahaja di tengahari sudah rimas, bagaimana pula kalau kita dimasukkan ke dalam neraka yang kepanasannya berjuta-juta darjah?

Untuk tahu itu, kenalah belajar tentang akhirat. Tentang Mahsyar, tentang syurga dan neraka. Kena tahu bagaimana kehidupan neraka itu adalah satu kehidupan yang amat amat seksa.

Musibah yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga dapat menghapuskan dosa kita yang banyak. Entah berapa banyak dosa yang kita lakukan sepanjang kita hidup ini. Sama ada kita sedar atau tidak, memang ada banyak dosa kita. Dengan musibah, Allah ﷻ akan hilangkan dosa itu daripada kita (asalkan kita redha). Oleh itu, jangan gelisah sangat kalau kita sakit. Kesakitan itu dapat menghapuskan dosa kita.

Tiada apa pun yang sia-sia dilakukan oleh Allah ﷻ. Semuanya mempunyai tujuan dan fungsinya walaupun dengan penciptaan syaitan. Ada gunanya juga syaitan ini. Kita beribadat kerana hendak melindungi diri kita daripada syaitan dengan itu kita dapat mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Iblis juga boleh dijadikan contoh sempadan yang tidak boleh diikuti. Jangan kita mencontohi segala kesalahan yang telah dia lakukan. Janganlah kita mengikuti segala sifat tercelanya seperti sombong, takkabur, suka memungkiri janji, penuh tipu daya serta suka menghasut.

Kalau tidak ada keburukan, kita tidak nampak keindahan. Kalau tidak ada gelap, kita tidak tahu tentang bezanya dengan cahaya. Kalau tidak ada malam, kita tidak tahu adanya siang.

Sifat rahman dan rahim ini juga mengajar kita supaya jangan kita putus harap dengan rahmat Allah ﷻ. Putus harap dengan Allah ﷻ adalah kufur. Allah ﷻ telah sebut perkara ini dalam Az-Zumar: 53. Tidak ada yang putus harap dengan rahmat Allah ﷻ melainkan orang kafir sahaja.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sifat rahmah Allah ﷻ ini juga mengajar kita bahawa kita pun kena bersifat rahmah dengan makhluk. Nabi ﷺ pernah bersabda: من لا يرحم لا يرحم (sesiapa yang tidak bersifat rahmah, tidak akan dirahmati). Maka, hendaklah kita bersifat baik dengan orang lain. Layan mereka dengan baik. Tegur mereka dengan baik. Jangan sombong dengan mereka. Jangan meninggi diri dengan mereka. Jangan marah tidak tentu pasal dan sebagainya.

852928508_943511660490793.jpg

Bagaimana pula dengan orang-orang yang bukan Islam? Adakah kita perlu bersifat rahmah juga kepada mereka? Perbincangan ulama’ panjang lebar dalam hal ini. Secara dasarnya, ada perbezaan antara layanan kita kepada orang Islam dan kepada orang bukan Islam.

Tentunya ada perbezaan kerana kita dan Muslim yang lain adalah bersaudara. Namun tidaklah ini sampai mengatakan kita boleh bertindak tidak baik dengan orang bukan Islam. Sepertimana juga Nabi Muhammad ﷺ itu adalah sebagai rahmat kepada ‘sekalian alam’, kita juga perlu bersifat demikian.

Yang paling penting adalah, kita mahukan mereka juga menerima Islam kerana Islam adalah rahmat yang paling besar. Kita hendaklah menyampaikan dakwah kepada mereka supaya mereka juga mendapat rahmat Islam seperti yang kita dapat. Bukankah kalau kita mendapat sesuatu kebaikan, kita juga mahu orang lain pun mendapat kebaikan yang sama juga?

Sebagai contoh, kita menemui sebuah restoran yang menghidangkan makanan yang sedap, bukankah kita juga mahu berkongsi restoran itu dengan orang lain? Kita beritahu mereka, kita ajak mereka makan sekali dan sebagainya, kerana kita suka sangat dengan makanan dan servis restoran itu. Rasa seakan mahu berkongsi satu dunia. Dengan sesiapa sahaja, tidak kira lah orang itu berlainan bangsa ataupun agama. Mahu orang lain mendapat nikmat dan keseronokan yang sama. Disebabkan itulah wujudnya pelbagai perkongsian reviu berleluasa di media sosial sekarang ini. Ini baru nikmat makanan. Apakah yang lebih baik lagi daripada nikmat iman dan Islam? Maka kenalah kita berbuat baik dengan mereka yang belum Islam ini, kerana kita hendak berdakwah kepada mereka.

Kunci untuk mendapat rahmah yang diberikan khas kepada mukmin adalah dengan mengikut arahan-Nya. Oleh itu, ayat 3 ini juga adalah dalil yang Allah ﷻ menurunkan syariat kepada kita. Jika Allah ﷻ berikan segalanya kepada kita, mana mungkin Allah ﷻ tidak berikan syariat untuk kita gunakan sebagai panduan hidup? Takkan apabila Allah ﷻ sudah jadikan kita, Dia biarkan kita begitu sahaja?

Maka hukum hakam yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga adalah rahmat sebenarnya. Dengannya, kita dapat menjalani kehidupan kita dengan baik dan aman sentosa. Kalau Allah ﷻ tidak beri hukum itu, kita akan hidup seperti binatang sahaja, buat apa yang kita mahu sahaja.

Kita sepatutnya bersyukur kerana kita mungkin sudah dapat menghargai sifat Allah ﷻ yang maha pengasih ini kerana kita telah dilahirkan sebagai Muslim dan kita telah diajar bahawa Allah ﷻ bersifat begitu. Kita juga hanya kenal satu Tuhan sahaja, iaitu Allah ﷻ. Kita tidak kenal tuhan-tuhan sembahan manusia yang lain.

Ini sebaliknya berlaku kepada mereka yang tidak kenal Allah ﷻ. Mereka percaya bahawa adanya tuhan-tuhan mereka yang bersikap pemarah. Kalau buat silap dengan tuhan mereka, tuhan mereka akan murka dan akan musnahkan mereka. Kalau kita baca, sudah macam budak-budak kecil pula tuhan mereka itu. Kalau budak kecil marah, bukankah mereka akan merampus dan baling barang ke sana sini?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Pengenalan kepada Usul Tafsir – Apakah maksud ‘Ibadat’?

PENGENALAN KEPADA TAFSIR

Sebelum memulakan pengajian Quran ini, kita kena tahu bahawa Quran ini adalah kalam Allah, perkataan Allah, maksudnya Allah bercakap-cakap dengan manusia. Pada awal Islam, ayat-ayat Quran ini bermaksud Allah bercakap dengan Nabi Muhammad. Apabila Nabi wafat, Quran tetap ada, tidak dimansuhkan ayat-ayat itu, maka kena faham bahawa ayat ini ditujukan kepada kita sekarang.

Kadangkala Allah berfirman dengan menggunakan kalimah “wahai manusia”, atau “wahai orang-orang beriman”, atau “wahai Nabi”, atau “wahai ahli kitab”. Semuanya itu adalah untuk kita.

Kadang-kadang ayat Quran berbentuk khusus untuk satu-satu kejadian iaitu apa yang dipanggil ’asbabun nuzul’. Tapi itu adalah sebagai pedoman, kita ambil sebagai umum. Oleh itu, kita kena ambil pemahaman Quran itu kita ambil umum ayat, bukan sebagai khusus ayat. Ada juga asbabun nuzul, tapi bukan maksudnya untuk menyempitkan pemahaman kita. Maksudnya, bukanlah ayat itu ditujukan untuk keadaan itu sahaja.

Sekiranya Allah bercerita tentang Firaun, bukanlah bermaksud ayat itu hanya untuk zaman Firaun sahaja, kerana zaman sekarang ini juga ada orang-orang yang berwatak seperti Firaun. Nabi SAW pernah bersabda, Firaun abad ini (zaman Nabi) adalah Abu Jahal. Oleh itu, abad kita sekarang ini pun ada juga orang yang berwatak seperti Firaun. Oleh itu, kita kena ingat, pemahaman Quran adalah berbentuk umum, walaupun dalam Quran, sesetengah ayat berbentuk khusus. Oleh yang demikian, janganlah kita menyempitkan pemahaman kita. Jangan mengatakan sesuatu hal itu hanya berkaitan kepada orang lain sahaja sedangkan ia sebenarnya adalah hal kita juga, walaupun kita merasakan seolah-olah ia tiada kena mengena dengan kita.

Allah SWT menurunkan ayat-ayat Quran sebanyak 30 juzuk ini kerana Dia mahu bercakap-cakap dengan kita. Allah SWT hendak membongkar segala kerosakan akidah dalam hati kita yang adakalanya tidak kita luah atau zahirkan. Berwaspadalah kerana seseorang itu boleh sesat walaupun dia duduk di dalam rumah tanpa perlu bercakap dengan sesiapa pun. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membongkar kesalahan dan kesyirikan yang telah atau sedang seseorang itu lakukan.  Ini tidak boleh kita pertikaikan kerana ia adalah kata-kata daripada Allah SWT.

Menurut Saidina Abu Bakr, tafsir keseluruhan al-Quran sebanyak 30 juzuk ini terkandung di dalam surah al-Fatihah dan dalam surah itu ada dakwa surah atau maksud surah iaitu iyyaka na’budu wa iyyaka nastain– maksudnya hanya kepada Kau sahaja kami beribadat, kami puja dan kami seru,  dan hanya kepada Kau sahaja kami minta pertolongan. Dan menurut Saidina Abu Bakr lagi, tafsir maksud iyyaka na’budu ada pada surah az-Zumar, iaitu tauhid fil ibadah atau tauhid dalam beribadat: TIDAK BOLEH kita puja sesuatu makhluk atau zat MELAINKAN Allah sahaja.

Ayat kedua, iyyaka nastain pula adalah tauhid fil istianah atau tauhid dalam berdoa. Maksudnya kena berdoa mengikut cara yang Allah perintahkan. Tafsir bagi potongan ayat ini ada pada Surah az-Zumar dan tujuh surah yang dimulakan dengan “ha mim”, iaitu:-

1. Surah al-Mukmin/Ghafir (Surah ke-40)

2. Surah as-Sajdah atau al-Fussilat (Surah ke-41)

3. Surah as-Shura (Surah ke-42)

4. Surah az-Zukhruf (Surah ke-43)

5. Surah ad-Dukhan (Surah ke-44)

6. Surah al-Jathiyah (Surah ke-45), dan

7. Surah al-Ahqaf (Surah ke-46)

Tauhid kita mestilah betul. Jika tidak, ibadat kita tidak akan diterima oleh Allah. Jadi ada 8 surah yang Allah SWT bawakan di dalam Quran khusus untuk menghuraikan perkara ini. Ringkasan bagi kelapan-lapan surah ini dalam surah Yunus dan surah Hud. Cara berdoa pula ada diterangkan di dalam surah Maryam.

Surah-surah ini adalah surah-surah yang diturunkan untuk menghuraikan segala kekeliruan manusia dalam berdoa. Sekiranya kekeliruan yang dihuraikan itu ada pada diri kita, hendaklah kita bertaubat dengan segera. Ianya juga adalah untuk mencungkil akidah yang salah tentang Allah SWT yang berada di dalam hati kita. Kalau apa yang dibaca dalam surah ini berbeza dengan apa yang ada dalam hati kita, maka bersegeralah bertaubat kepada Allah.

Ketahuilah bahawa 80% daripada surah-surah dalam al-Quran adalah untuk memperkenalkan kita kepada Allah. 20% lagi adalah perkara-perkara lain seperti hukum fekah, sejarah dan sebagainya. Sungguhpun ianya menceritakan tentang  perkara-perkara yang lain, ia sebenarnya bertujuan untuk memperkenalkan Allah juga.

Pembelajaran tafsir yang kita belajar ini adalah tafsir yang bersanad. Ianya adalah bersambung dari seorang guru sampai ke guru lain, hingga sampai kepada Nabi Muhammad sendiri. Kata Ibnu Abbas, dia belajar tafsir dengan Nabi, sebanyak 30 kali khatam. Ibnu Umar pun macam tu juga. Begitulah pentingnya belajar tafsir Quran ini. Jadi tidak patut jika kita mengaku kita berugama Islam, tapi tidak belajar tafsir untuk memahami apakah yang disampaikan oleh Quran. Apa yang kita akan jawap nanti, sekiranya Allah tanya kita, “Sudahkah kamu belajar ayat-ayat Aku?”.

Kitab-kitab hadith pula berperanan untuk menghuraikan perkara-perkara yang samar dalam Quran. Apa yang tidak ada dalam hadith dan tidak diamalkan oleh sahabat (orang yang sempat jumpa / hidup sezaman dengan Nabi SAW), tabien (golongan yang sempat jumpa / hidup sezaman dengan sahabat) dan tabi’ tabien (golongan selepasnya), adalah bukan daripada Islam.

 Nabi SAW pernah bersabda:-

 Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ at-tabiin)

Ringkasannya pula ada surah Fathir dan Sad. Ini adalah sebagai pengetahuan umum.. Dakwa surah az-Zumar adalah dalam ayat kedua (fa’budillaha mukhlisina lahuddeen). “Hendaklah kamu beribadah tulus ikhlas kepada Allah sahaja”. Deen di dalam ayat ini adalah bermaksud ibadat, bukan agama. Bila Tuhan bagi dakwa surah ini, dia bawa 7 dalil. 5 daripada wahyu dan 2 daripada cerita Nabi.

Apa itu ibadat?

Ibadat itu ialah apa sahaja perbuatan kita yang memuja dan menyembah sesuatu.

Contohnya solat. Solat adalah satu pemujaan seorang manusia kepada satu Dzat yang dia puja sebagai Tuhan. Pemujaan ini dilakukan dengan mengagungkanNya dan dalam masa yang sama, meletakkan dirinya sehina-hinanya berbanding Tuhan yang dipuja. Apabila sujud, kita akan meletakkan wajah kita yang mulia ini ke lantai sambil bertasbih memuji Allah. Dalam keadaan biasa, kita tidak akan buat perkara sebegini. Qiyam dan rukuk juga adalah satu ibadat. Perlakuan sujud, rukuk dan qiyam ini hanya boleh kita buat ketika menyembah Allah SWT. Jika ia dilakukan kepada sebarang zat selain Allah, maka syiriklah dia. Contohnya seperti penyembahan atau pemujaan yang dilakukan oleh agama-agama lain.

 

 USUL TAFSIR

Usul tafsir adalah ilmu-ilmu yang memudahkan kita untuk faham Quran.

Kita selalu dengar dan sebut: la ilaha illallah. “Tidak ada Tuhan melainkan Allah”. Perkataan ‘Ilah’ itu sendiri mempunyai makna lebih besar daripada ‘tuhan’ sahaja seperti yang kita selalu faham.

Dalam satu hadith diceritakan bagaimana pernah baginda memanggil kaumnya di Kaabah. Dia berkata: “Kalau aku beritahu kamu semua bahawa di belakang sana ada musuh hendak menyerang kita dari arah lembah bukit ini, adakah kamu percaya?” Mereka berkata: “ya, kami percaya sebab kami tidak pernah dengar kau berdusta.” Nabi sambung: “Ketahuilah aku telah dilantik sebagai Nabi dan Rasul kepada kamu.”

Itu kaumnya boleh terima lagi. Tapi bila Nabi suruh  mereka beriman dengan kalimah la ilaaha illallah, mereka tidak dapat terima. Sebab pemahaman mereka lebih lagi dari apa yang kita faham sekarang ini. Mereka tahu bahawa ‘ilah‘ bukan sahaja bermaksud ‘tuhan‘. Ia adalah tempat kita bergantung harap. Tempat kita berdoa, tempat kita beribadat. Itu juga bermakna tuhan. Dan mereka tidak dapat menerima dakwah Nabi bahawa mereka hanya boleh berdoa dan bergantung harap dengan satu tuhan sahaja. Sebab mereka ada sembahan-sembahan lain. Mereka tahu bahawa Allah itu Tuhan, tapi selain dari Allah, mereka ada sembahan-sembahan lain.

Contoh ilah:

Berhala orang-orang Hindu, Buddha, Kristian dan segala hantu-hantu yang disembah oleh orang asli. Seluruh dunia mempunyai tempat pujaan. Jadi ilah orang hindu adalah berhala. Ilah orang Kristian adalah Nabi Isa.

Untuk memahami makna ‘ilah’ itu, kalau ada kawan-kawan yang beragama lain, tanya mereka: adakah berhala itu tuhan mereka? Mereka akan jawab, bukan. Mereka boleh tukar-tukar berhala itu kalau berhala itu rosak. Jadi tanya balik kepada mereka: Apa yang kamu sembah itu? Mereka akan kata, mereka sembah apa yang berhala itu lambangkan, iaitu mereka sebenarnya sembah dewa yang ada dalam berhala itu. Ataupun roh yang ada dalam patung itu. Kita boleh kalau nak tanya kepada mereka tentang agama mereka, untuk kita faham apa yang kita belajar, tapi jangan ketawakan mereka.

Tanya lagi: bila kamu berdoa, kamu doa pada diakah? Tidak, kata mereka. Dewa itu akan bawa doa itu kepada tuhan yang satu. Yang nama tuhan itu mereka sudah lupa. Dalam Quran, dewa itu dipanggil malaikat-malaikat yang dipuja. Jadi mereka memuja dewa yang mereka sangkakan sebagai malaikat supaya membawa doa mereka kepada Tuhan.

Kenapa mereka tak berdoa sendiri, terus kepada tuhan? Mereka anggap mereka tak layak dan tuhan tidak akan terima doa mereka sebab mereka minum arak, berzina dan sebagainya. Maknanya mereka orang kotor, banyak dosa. Mereka sedar bahawa buat perkara-perkara itu adalah salah. Kalau masalah-masalah kecil, mereka boleh doa sendiri di rumah sahaja. Kalau masalah besar, mereka akan bawa permohonon ke kuil. Mereka akan jumpa sami untuk mendoakan untuk mereka. Macam mana proses minta doa itu? Pertama, sami akan ketuk loceng. Kenapa? Takut dewa itu tidur. Kalau dah sesat tu, macam-macamlah perkara karut yang mereka lakukan yang tak dapat diterima akal.

Jadi mereka sebenarnya nak berdoa kepada Tuhan yang satu. Maka, tok sami akan baca mentera dan doa itu akan dibawa ke dewa dan seterusnya dewa itu akan bawa kepada Tuhan. Lepas selesai upacara doa itu, mereka akan beri upah duit kat sami. Pada mereka, tok sami itu layak untuk berdoa kerana tok sami itu suci bersih dari dosa. Hanya tok sami sahaja yang boleh mandikan dan bagi makan kepada berhala-berhala itu.

Mari kita lihat agama Buddha pula: insan yang bernama Buddha itu sebenarnya adalah tok wali kepada mereka. Mereka pun tahu dia bukan tuhan. Patung tu juga mereka tahu bukan Tuhan. Ia pun sama saja dengan agama Hindu, sebagai lambang juga kepada tok wali mereka iaitu Buddha. Pun mereka tahu bahawa Tuhan hanya satu sahaja. Mereka cuma berdoa kepada Buddha untuk membawa doa kepada Tuhan yang satu. Dan mereka tidak berdoa sendiri sebab mereka pun banyak dosa. Sama sahaja cerita Buddha ini seperti agama Hindu.

Bagaimana dengan orang Cina? Tokong yang mereka sembah itu pun mereka tahu bukan Tuhan. Yang mereka sembah itu adalah roh yang berada dalam tokong itu, iaitu roh tok nenek mereka. Dalam ramai-ramai tok nenek mereka yang telah meninggal dulu, tentu ada yang baik dan dapat duduk dalam syurga, kata mereka. Jadi mereka minta tolong kepada tok nenek yang mereka sangka duduk dalam syurga. Mereka ibaratkan kerajaan Tuhan itu macam kerajaan di dunia. Di dunia, ibaratnya kita nak minta tolong kepada raja-raja atau menteri-menteri, wakil-wakil rakyat dan sebagainya. Tapi tentulah kita tak dapat nak jumpa menteri itu secara terus. Kita guna orang perantaraan. Jadi, pada mereka, mungkin tok nenek tu ibarat kerja sebagai tukang sapu sahaja di pejabat Perdana Menteri itu. Iaitu pangkat paling rendah. Mestilah ada tukang sapu dalam pejabat itu. Jadi mereka harap adalah tok nenek mereka yang dapat tinggal atau kerja dalam pejabat itu. Jadi, kalau dah kerja dalam pejabat PM, tentulah hari-hari ada peluang jumpa dengan PM. Jadi bolehlah hulurkan surat (permintaan / doa) daripada anak cucu mereka. Begitulah pendapat mereka. Sebab itu ada tanglong di kubur dan sebab itu mereka bakar duit untuk diberikan kepada tok nenek untuk dibelanjakan di syurga. Itu adalah fahaman karut.

Kristian pula berdoa melalui paderi. Paderi itu seorang yang tak kahwin-kahwin sampai mati. Dia menghambakan diri terus kepada tuhan. Adakah Jesus itu Tuhan? Tidak, pada pandangan mereka, dia adalah anak Tuhan sahaja. Bukan anak sebenar pun. Ianya macam anak angkat. Sebab pada mereka, anak angkat tentulah baik dengan ayah angkat dia. Jadi, mereka berdoa melalui paderi mereka, untuk disampaikan doa itu kepada anak angkat tuhan mereka, iaitu Jesus, untuk menyampaikan doa mereka kepada tuhan yang satu.

Jadi sama sahaja pemahaman agama Hindu, Buddha, Cina dan Kristian. Begitu juga, jika kita tanya kepada orang asli, pun sama juga. Iaitu orang asli minta melalui perantaraan untuk menyampaikan doa mereka. Perantaraan-perantaraan itulah yang dipanggil ‘ilah’. Tok sami adalah ilah. Untuk kristian, salib itu adalah ilah. Jesus itu adalah ilah. Siti Maryam itu adalah ilah. Mereka sebenarnya percaya kepada Allah yang satu juga. Pada mereka, sama sahaja kita ini dengan mereka, sebab mereka pun percaya kepada tuhan yang satu. Dan apabila kita tanya mereka kenapa sembah berhala, mereka pula kata kita pun sembah batu juga, iaitu Kaabah. Padahal, kita sembahyang mengadap Kaabah itu kerana kita diperintahkan supaya mengadap kiblat. Kiblat kita ialah Kaabah. Bukan disebabkan Tuhan kita berada di situ.

Selagi tak faham apa maksud ‘ilah’, kita akan kata ‘ilah’ itu adalah Tuhan dan itu adalah pemahaman yang sempit. Maksud ‘ilah’ sebenarnya adalah tempat pergantungan manusia. Tempat kita bergantung harap. Kita lihat contoh lain pula: katakanlah ada seorang manusia yang perniagaan dia sedang maju sekarang. Dulu ada masalah dengan perniagaan dia, mungkin perniagaan dia sudah jatuh teruk. Tapi semenjak dia beli sebentuk cincin hikmat, perniagaan dia maju. Maka cincin itu adalah ‘ilah’ kepadanya. Ataupun kepada orang lain, ‘ilah’nya adalah keris. Macam-macam boleh dijadikan sebagai ‘ilah’. Air penawar jampi tok guru contohnya. Semua itu adalah ‘ilah’ belaka. Jadi, kalau kita tidak faham apa maksud sebenar ‘ilah’, kita pun boleh terjerumus ke dalam lembah kekafiran.

Kita tidak boleh ada pergantungan selain daripada Tuhan yang satu. Ibadat hanya dilakukan kepada Allah sahaja. Jangan buat seperti orang kafir. Jangan kita syirik kepada Tuhan.

Mari kita lihat apa pula yang kita buat. Kadang-kadang kita pun menjadikan Nabi Muhammad SAW itu sebagai ‘ilah’ kita. Orang Kristian, apabila mereka menyeru kepada Nabi Isa, mereka akan kata: “O Jesus, please bless me”. “Wahai Nabi Isa, berilah berkat kepada saya”. Dia menjadi kafir disebabkan oleh kata-kata sebegitu. Kita pula, bila melawat kubur Nabi, kita pun minta beri berkat kepada Nabi juga. Adakah itu betul? Jangan sekali-kali minta berkat kepada selain dari Allah taala. Keberkatan hanya ada pada Allah, seperti Allah telah sebutkan di dalam Surah al-Mulk:1.

67:1

Maha berkat Allah, di TanganNya semua kerajaan. Dan Dialah yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 Maka ingat, orang kafir itu kita panggil kafir kerana cara berdoa mereka yang salah. Kerana ‘Ilah’ yang dipujanya yang salah. Maka janganlah kita jadi seperti mereka. Jika tidak, kita pun sebenarnya sama kafir dengan mereka.

Ada orang yang menjadikan sesuatu benda sebagai ‘ilah’. Contohnya cincin, azimat, atau orang yang mereka kahwini yang menyebabkan mereka rasa perniagaan menjadi untung selepas kahwin itu, atau ada yang kata rumah mereka kata beruntung kerana pintu rumah mengadap sesuatu tempat. Ini macam fahaman feng shui masyarakat cina. Jadi percaya kepada feng shui itu adalah syirik belaka. Sebab mereka percaya bahawa kalau letak barang-barang tertentu di tempat tertentu akan menyebabkan Allah perlu memberikan berkat kepada mereka. Ini adalah fahaman yang salah sekali.

Mereka kafir kerana berbuat syirik kepada Allah. Kalau kita berbuat syirik, kita pun boleh dipanggil M’usyrikin Malaysia’. Mereka sembahyang pada Allah, tapi pada masa yang sama, mereka juga minta kepada berhala ataupun kepada malaikat yang mereka sangkakan sebagai anak tuhan. Dan mereka tidak percaya kepada hari akhirat, sama seperti penganut Buddha yang tidak mempercayai hari kiamat. Mereka percaya bahawa mereka apabila mati, akan dilahirkan kembali. Dua-dua agama ini adalah agama Nabi Ibrahim yang telah diselewengkan. Sebab Nabi Ibrahim pernah sampai ke Burma. Jadi ada kemungkinan Nabi Ibrahim telah menyampaikan ajaran Islam ke sana. Jadi ingatlah bahawa satu-satu ibadat itu hanya diterima Allah kalau mengikut apa yang Nabi ajar. Kalau tidak, ibadat itu tidak boleh dinamakan ‘amal soleh’.

Contohnya kalau solat tak menghadap kiblat. Badan terpaling sikit sahaja pun tidak boleh. Tapi kalau tersilap dalam solat kita yang sikit-sikit itu, boleh ditampung dengan solat sunat. Solat sunat adalah untuk menampung mana yang carik dalam solat wajib kita.

Syarat yang lagi satu adalah seseorang itu kena beriman. Tidak boleh berbuat syirik. Banyak orang lupa tentang perkara ini. Sebabnya, kalau seseorang itu ada buat perbuatan syirik, semua amalan tidak akan diterima. Jadi kita kenalah belajar agama untuk tahu mana perkara yang salah dan mana perkara yang benar.

Apakah yang dimaksudkan dengan Syirik?

Ibadat itu boleh dibaratkan sebagai angin yang kita masukkan ke dalam belon. Amal soleh yang kita buat, kita tiup dalam belon itu. Belon itu lama kelamaan menjadi besar. Tetapi untuk memecahkan belon yang sudah besar itu, satu jarum sahaja sudah cukup. Dan segala ibadat yang kita telah kumpulkan itu, akan hancur semua sekali. Jadi, jarum adalah satu jenis syirik. Selain itu ada duri, pisau dan sebagainya boleh dikatakan jenis syirik yang lain. Habis semua sekali ibadat. Ibadat seorang Islam itu tidak akan diterima selagi dia melakukan syirik dan dia tidak bertaubat lagi dari syiriknya itu. Tapi kalau kita tidak belajar apakah perbuatan yang dikira sebagai syirik, kita akan terus malakukannya.

Ada yang mengatakan syirik selain dari menyembah sembahan lain adalah syirik kecil atau dipanggil syirik khafi. Itu adalah pendapat yang salah.

Tafsir Surah Taha Ayat 131 – 135 (Mereka tiada dalih lagi)

Ayat 131:

وَلا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزواجًا مِنهُم زَهرَةَ الحَياةِ الدُّنيا لِنَفتِنَهُم فيهِ ۚ وَرِزقُ رَبِّكَ خَيرٌ وَأَبقىٰ

Sahih International

And do not extend your eyes toward that by which We have given enjoyment to [some] categories of them, [its being but] the splendor of worldly life by which We test them. And the provision of your Lord is better and more enduring.

Malay

Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ

Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu

Jangan kita tengok dengan keinginan. Seperti kita mengharap sesuatu. Jangan meleleh air liur kita melihat kenikmatan yang Allah berikan kepada orang-orang kafir itu.

إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ

kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya;

Memang kalau kita lihat dalam dunia ini, orang kafir menikmati kehidupan yang lebih baik dari kita. Mereka lebih kaya, mereka lebih berkuasa. Kadang-kadang mereka dapati kelebihan itu dengan cara yang salah. Maka, kita jangan teringin sangat kepada apa yang Allah telah berikan kepada mereka.

Perkataan أَزْوَاجًا digunakan untuk merujuk kepada kumpulan orang kafir itu. Ianya adalah kumpulan yang memerlukan sesama sendiri untuk kekal berkuasa. Perkataan ini dari kata dasar yang sama digunakan untuk ‘pasangan’ – azwaj. Ini bermakna, kumpulan-kumpulan kafir itu tidak berdiri sendiri. Mereka bekerjasama untuk mendapatkan segala kekuasaan mereka itu.

Ayat ini juga teguran kepada Nabi Muhammad yang mengharapkan supaya orang-orang yang berkuasa di Mekah itu akan masuk Islam. Kerana baginda rasa kalau mereka masuk Islam, maka ianya akan memberi kekuatan kepada Islam. Akan ramai yang akan masuk Islam, dalam fikiran Nabi. Tapi itulah Allah suruh Nabi jangan harapkan.

زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini,

Perkataan yang digunakan adalah زَهْرَةَ, iaitu perkataan yang sama digunakan untuk ‘bunga’. Bunga memang cantik, tapi ia tidak kekal lama. Tidak berapa lama, ia akan layu dan hilang.

Begitulah juga keindahan dunia. Tidak kekal lama. Kadang-kadang perkara yang kita ingin-inginkan itu bukan boleh tahan lama pun. Tapi kalau kita ikut nafsu kita, kita memang teringin sangat. Allah isyaratkan dalam ayat ini bahawa semua itu tidak kekal lama.

لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ

untuk Kami menguji mereka padanya;

Segala kekayaan yang ada di dunia adalah sebagai ujian kepada kita. Ramai yang gagal dengan ujian kesenangan. Apabila mereka senang, mereka melupakan Allah. Kesusahan pun ujian juga, tapi selalunya dalam kesusahan, kita akan lebih banyak ingat kepada Allah. Tapi kalau kita dapat kekayaan dan kekuasaan, selalunya yang terjadi, kita akan banyak lupa Allah.

وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ

sedang limpah kurnia Tuhanmu lebih baik; 

Iaitu kurniaan Tuhan kepada kita di syurga nanti. Itu lebih baik dari apa yang mereka dapat di dunia ini.

وَأَبْقَىٰ

dan lebih kekal; 

Balasan di akhirat iaitu syurga lebih kekal dari apa yang kita boleh dapat dalam dunia ini. Apa yang kita ada dalam dunia ini akan hancur, akan hilang. Yang patut kita harapkan adalah balasan di akhirat nanti.


Ayat 132: Sekarang Allah mengajar Nabi bagaimana berurusan dengan keluarga pula. Ini adalah kerana institusi keluarga adalah penting. Ianya adalah sebahagian dari hal agama juga.

وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصطَبِر عَلَيها ۖ لا نَسأَلُكَ رِزقًا ۖ نَحنُ نَرزُقُكَ ۗ وَالعاقِبَةُ لِلتَّقوىٰ

Sahih International

And enjoin prayer upon your family [and people] and be steadfast therein. We ask you not for provision; We provide for you, and the [best] outcome is for [those of] righteousness.

Malay

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ

Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan sembahyang,

Dalam riwayat, pernah diceritakan bagaimana Nabi Muhammad akan pergi ke rumah Ali dan Fatimah untuk gerak mereka mengerjakan Solat Tahajjud. Dan Saidina Umar juga akan menggerakkan ahli keluarganya sambil membacakan ayat ini.

وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

Kalimah اصْطَبِرْ itu lebih kuat dari sabar. Sabar dalam solat dan sabar dalam mengajak ahli keluarga bersolat. Cara yang paling baik adalah dengan mengerjakan solat. Mereka akan lihat kita tekun mengerjakannya dan mereka akan bersemangat untuk ikut.

Ayat ini mengajar kita supaya jangan lupa keluarga kita dalam kita menjalankan ibadat. Terbaiknya kita melakukan ibadat itu bersama dengan keluarga. Jangan kita sahaja buat ibadat tapi kita lupakan ahli keluarga kita. Lihatlah bagaimana Allah mengajar kita menggabungkan ibadat dan meluangkan masa bersama dengan keluarga kita sekali.

لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا

Kami tidak meminta rezeki kepadamu,

Selalunya perkara yang menyebabkan kita kurangkan masa dengan keluarga adalah kerja. Kadang-kadang kita tidak buat ibadat dan tidak luangkan masa dengan keluarga kerana kita hendak mendapatkan sumber pendapatan untuk mereka.

Mencari nafkah adalah satu perbuatan yang baik, tapi jangan sampai melupakan tanggungjawab kita kepada Allah dan keluarga. Allah beritahu dalam ayat ini bahawa bukan kita yang memberi rezeki kepada ahli keluarga kita itu, tapi Allah.

نَّحْنُ نَرْزُقُكَ

(bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu.

Allah lah yang memberi rezeki kepada kita. Jangan kita lupa perkara ini. Kalau kita menjaga solat kita, Allah akan memberi rezeki kepada kita dari arah yang tidak disangka-sangka.

At-Tsauri menafsirkan ayat ini begini: Kami tidak membebanimu untuk mencari rezeki.

Nabi pernah bersabda: Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai pusat perhatiannya (tujuannya), maka Allah akan menceraikan urusannya dan menjadikan kemiskinannya ada di depan matanya. Tidak ada sesuatu pun dari dunia ini datang kepadanya kecuali apa yang telah ditetapkan baginya. Dan barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menyatukan urusannya dan melimpahkan kekayaanNya di dalam hatinya, lalu dunia datang kepadanya dalam keadaan hina.

وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Ini adalah nasihat untuk menjadi ketua keluarga. Ada kerja yang kita kena buat dalam hal agama. Kita kena ingatkan kepada anak-anak dan isteri kita. Kadang-kadang kita meletakkan lebih masa untuk kejayaan dunia, tapi kita lupakan hal akhirat. Kita terlalu mencari harta, sampai kita lupakan hak keluarga kita atas keluarga kita.

Berapa banyak yang di hujung hayatnya, menyesal kerana tidak meluangkan masa dengan keluarga. Lihatlah bagaimana Nabi dalam kesibukan menyampaikan agama, tapi baginda meluangkan masa dengan keluarga. Sahabat-sahabat tahu bilakah masa Nabi luangkan masa dengan keluarga mereka. Dan apabila ada sahabat-sahabat yang tidak faham, telah ditegur dalam Qur’an dalam surah Hujurat.

Maka hendaklah kita meletakkan Allah di hadapan kita. Hendaklah kita bertaqwa dengan menjaga hukum. Akibatnya adalah kesudahan yang baik.


Ayat 133: Allah menceritakan ucapan orang-orang kafir

وَقالوا لَولا يَأتينا بِآيَةٍ مِن رَبِّهِ ۚ أَوَلَم تَأتِهِم بَيِّنَةُ ما فِي الصُّحُفِ الأولىٰ

Sahih International

And they say, “Why does he not bring us a sign from his Lord?” Has there not come to them evidence of what was in the former scriptures?

Malay

Dan mereka yang kafir berkata: “Mengapa dia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?” Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-bagai keterangan dan khasnya Al-Qur’an yang menjadi kenyataan yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?

وَقَالُوا لَوْلَا يَأْتِينَا بِآيَةٍ مِّن رَّبِّهِ

Dan mereka yang kafir berkata: “Mengapa dia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?”

Mereka kononnya nak tengok tanda yang besar-besar baru mereka akan beriman. Itu adalah sebagai helah sahaja. Mereka hanya mencari alasan sahaja untuk tidak beriman dengan Islam. Kalau ada mukjizat dari Nabi pun, mereka tidak akan terima Islam.

Mereka pergi kepada Nabi Muhammad dan suruh baginda jadikan tanah gersang Mekah itu menjadi tanah yang subur. Bumi Mekah berbatu-batu, mereka kata kalau benar baginda Nabi, maka jadikan bumi itu menjadi tanah gambut dan bukan berbatu-batu lagi. Mereka juga minta dilalukan anak-anak sungai di bumi Mekah.

Tapi ingatlah bahawa Nabi tidak boleh keluarkan mukjizat tanpa pemberian Allah. Bukan Nabi yang tentukan apa yang boleh terjadi. Kalau Allah hendakkan terjadi, maka Allah boleh sahaja beri. Tapi Allah tak mahu beri begitu. Allah sudah tahu perangai mereka. Kalau diberikan pun, mereka tidak akan beriman.

أَوَلَمْ تَأْتِهِم بَيِّنَةُ مَا فِي الصُّحُفِ الْأُولَىٰ

Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-bagai keterangan yang menjadi kenyataan yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?

Ada dua pemahaman dalam ayat ini. Satu, sama sahaja apakah ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan apa yang ada dalam suhuf-suhuf dahulu. Suhuf-suhuf itu adalah apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi yang terdahulu. Begitu juga dengan kitab-kitab yang dahulu juga telah sampai kepada mereka kerana ada juga orang Yahudi dan Kristian di Mekah waktu itu.

Keduanya, dalam mereka kata mereka mahukan keterangan daripada Nabi, padahal kalau dulu pun sudah ada keterangan dari Allah, iaitu dalam suhuf-suhuf terdahulu, tapi mereka tidak juga mahu menerima. Jadi apa bezanya dengan kalau mereka hendakkan yang baru. Kalau dulu pun mereka tidak mahu beriman, kali ini pun mereka sama sahaja.


Ayat 134:

وَلَو أَنّا أَهلَكناهُم بِعَذابٍ مِن قَبلِهِ لَقالوا رَبَّنا لَولا أَرسَلتَ إِلَينا رَسولًا فَنَتَّبِعَ آياتِكَ مِن قَبلِ أَن نَذِلَّ وَنَخزىٰ

Sahih International

And if We had destroyed them with a punishment before him, they would have said, “Our Lord, why did You not send to us a messenger so we could have followed Your verses before we were humiliated and disgraced?”

Malay

Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa Al-Qur’an ini, tentulah mereka akan berkata pada hari kiamat: “Wahai Tuhan Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina (dengan azab di dunia), dan mendapat malu (dengan azab di akhirat)?”

وَلَو أَنّا أَهلَكناهُم بِعَذابٍ مِن قَبلِهِ

Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelumnya;

Allah beritahu kita apa yang akan jadi kalau mereka dimusnahkan sebelum datangnya Rasulullah membawa Al-Qur’an ini. Mereka akan beri alasan kepada Allah nanti di akhirat.

لَقَالُوا رَبَّنَا لَوْلَا أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولًا

tentulah mereka akan berkata (pada hari kiamat): “Wahai Tuhan Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul

Mereka akan tanya kenapa tak diberikan seorang Rasul kepada mereka? Kenapa matikan mereka sebelum mereka sempat ada peluang untuk beriman dengan seorang Rasul?

فَنَتَّبِعَ آيَاتِكَ

supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu;

Mereka akan kata yang kalaulah ada Rasul yang datang kepada mereka, mereka akan beriman dengan apa yang dibawanya. Kononnya, kalau ada Rasul yang diturunkan, mereka akan ikut.

مِن قَبْلِ أَن نَّذِلَّ

sebelum kami menjadi hina; 

Sebelum mereka dimalukan, dikalahkan.

وَنَخْزَىٰ

dan mendapat malu?; 

Bermaksud dimalukan di khalayak ramai, kerana mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Maksudnya, mereka kata kalaulah mereka diberikan dengan Rasul, mereka tentu akan beriman dengan Rasul itu dan tidaklah mereka jadi sesat dan dimalukan di akhirat.

Mereka akan cakap macam itu. Tapi semasa di dunia, dengan Nabi Muhammad di kalangan mereka, mereka tidak mahu dengar pun.

Maka, hujah dan alasan mereka sebegitu tidak akan laku lagi kerana Allah sudah bangkitkan Rasul dari kalangan mereka. Maka mereka sudah ada harapan lagi untuk menggunakan dalihan itu.


Ayat 135: Apakah yang perlu Nabi katakan? Apakah yang Allah suruh Nabi cakap kepada mereka?

قُل كُلٌّ مُتَرَبِّصٌ فَتَرَبَّصوا ۖ فَسَتَعلَمونَ مَن أَصحابُ الصِّراطِ السَّوِيِّ وَمَنِ اهتَدىٰ

Sahih International

Say, “Each [of us] is waiting; so wait. For you will know who are the companions of the sound path and who is guided.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk”.

قُلْ

Katakanlah (wahai Muhammad);

Apabila Allah suruh Nabi cakap, bermakna Allah marah kepada mereka sampai Allah tidak mahu bercakap terus dengan mereka.

كُلٌّ مُّتَرَبِّصٌ

“Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu;

Maksud تَرَبِّصٌ adalah menunggu sesuatu dengan mengharap akan ada kebaikan disebaliknya. Maksudnya, setiap orang akan menunggu keputusan. Yang baik dan jahat dua-dua sedang menunggu.

فَتَرَبَّصُوا

maka tunggulah kamu!

Tengoklah apa yang akan terjadi dengan kamu nanti.

فَسَتَعْلَمُونَ

Kemudian kamu akan mengetahui kelak;

Maksudnya, tidak lama lagi kamu akan mengetahui. Bila mati sahaja, kamu akan tahu bahawa apa yang telah diberitahu kepada kamu itu adalah kebenaran belaka.

Mereka sahaja yang perlu tahu. Ayat ini ditujukan kepada orang-orang kafir – ‘kamu semua nanti akan tahu’. Bukan ditujukan kepada orang-orang beriman. Kerana orang beriman sudah tahu dengan jelas manakah jalan yang benar. Ini adalah kerana orang beriman sudah tahu dari ayat-ayat Qur’an yang disampaikan kepada mereka.

مَنْ أَصْحَابُ الصِّرَاطِ السَّوِيِّ

siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang rata,

Jalan yang tiada bonggol. Jalan yang sama rata. Macam berjalan atas lebuhraya yang rata sahaja. Jalan macam itu adalah jalan yang elok. Walaupun waktu itu mereka sedang diseksa, tapi mereka sebenarnya adalah berada di atas jalan yang lurus.

وَمَنِ اهْتَدَىٰ

dan juga siapa yang mendapat petunjuk”.

Kelak mereka akan mengetahui juga manakah jalan yang benar. Sekarang mereka tidak mahu menerima, tapi kelak mereka akan tahu.

Apakah pertalian antara awal surah dan akhir surah ini? Di awal surah, Allah hendak memberi kesenangan kepada Nabi Muhammad dan para sahabat. Dan di akhir ayat, Allah menceritakan bahawa Qur’an ini adalah untuk memberikan ketenangan kepada Nabi dan para sahabat.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Taha ini. Sambung dengan surah seterusnya, Surah Anbiya’.

Kemaskini: 14 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 126 – 130 (Ayat Solat Lima Waktu)

Ayat 126: Allah jawab kenapa mereka dibutakan di akhirat walaupun semasa di dunia dulu mereka boleh melihat.

قالَ كَذٰلِكَ أَتَتكَ آياتُنا فَنَسيتَها ۖ وَكَذٰلِكَ اليَومَ تُنسىٰ

Sahih International

[ Allah ] will say, “Thus did Our signs come to you, and you forgot them; and thus will you this Day be forgotten.”

Malay

Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”.

قَالَ كَذَٰلِكَ

Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya!

Mereka telah dibutakan di akhirat kerana kesalahan mereka sendiri. Allah tidak zalim dalam hal ini. Mereka memang layak dibutakan. Kenapa?

أَتَتْكَ آيَاتُنَا

Telah diberikan ayat-ayat keterangan Kami kepadamu,

Dulu semasa mereka di dunia, mereka telah disampaikan wahyu Allah untuk mereka pelajari dan ikuti. Telah datang para Rasul atau pendakwah kepada mereka untuk mengajar kebenaran dalam agama.

فَنَسِيتَهَا

lalu engkau melupakan;

Tetapi mereka menolak dan melupakannya dengan tidak mahu belajar. Mereka buat tak tahu sahaja apabila wahyu disampaikan kepada mereka. Ini termasuk mereka yang diajak belajar tafsir Qur’an tapi mereka tidak mahu.

وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنسَىٰ

dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan”.

Kerana mereka lupa nak belajar wahyu, maka di akhirat nanti mereka akan dibiarkan tinggal dalam neraka. Allah akan ‘lupa’ nak beri rahmatNya kepada mereka. Itulah balasan yang layak bagi mereka.


Ayat 127:

وَكَذٰلِكَ نَجزي مَن أَسرَفَ وَلَم يُؤمِن بِآياتِ رَبِّهِ ۚ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبقىٰ

Sahih International

And thus do We recompense he who transgressed and did not believe in the signs of his Lord. And the punishment of the Hereafter is more severe and more enduring.

Malay

Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.

وَكَذَٰلِكَ

Dan demikianlah

Begitulah yang layak dikenakan kepada mereka.

نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ

Kami membalas orang yang melampaui batas;

Allah membalas dengan selayaknya kepada mereka yang berbuat syirik kepada Allah. Mereka telah melampau dalam hal tauhid dan dalam hal agama.

Termasuk mereka yang melampau, adalah mereka yang melampau dalam kehidupan dunia. Mereka yang terlalu banyak tidur, terlalu banyak bersukan, terlalu banyak main games, terlalu banyak menonton wayang dan sebagainya. Kita boleh buat perkara-perkara itu, tapi kenalah berpada-pada. Kalau ianya sampai melupakan agama dan melupakan persediaan untuk akhirat, maka itu sudah melampau.

وَلَمْ يُؤْمِن بِآيَاتِ رَبِّهِ

dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya;

Oleh kerana mereka melampau, mereka tidak menghiraukan ajaran dari wahyu. Mereka mungkin belajar agama, tapi tidak diambil dari wahyu (Qur’an dan juga sunnah).

وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَشَدُّ

dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat;

Maka mereka akan dikenakan dengan azab yang lebih berat. Tapi lebih berat dari apa? Tidak disebut dalam ayat ini dan dibiarkan tergantung sahaja. Ini sangat menakutkan. Maknanya ia lebih berat dari segala-galanya.

Penggunaan bahasa yang luas dalam ayat ini. Seperti juga Allahu akbar tidak disebut besar daripada apa. Maksudnya Allah lebih besar dari apa-apa sahaja. Maka kalau azab itu lebih berat, maka ia lebih berat dari apa-apa azab sahaja. Aduh, sangat menakutkan.

وَأَبْقَىٰ

dan lebih kekal;

Dan azab itu lebih kekal, tapi lebih kekal dari apa? Maksudnya lebih kekal dari kesusahan di dunia yang mereka telah alami. Apalah sangat kesusahan di dunia ini kalau nak dibandingkan dengan kesusahan di akhirat?

Adakah kesusahan dibuang kerja, sakit dan sebagainya boleh menjadi alasan untuk kita meninggalkan agama kita? Tidak sama sekali. Kehidupan di akhirat itu kekal maka ia kena dilebihkan. Jangan kita jual kehidupan di akhirat itu kerana hendak mendapatkan kesenangan di dunia. Ada orang takut nak amalkan agama dengan benar kerana takut mereka akan kerugian dari segi keduniaan. Itu adalah pilihan yang salah dan bodoh sama sekali.


Ayat 128:

أَفَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِنَ القُرونِ يَمشونَ في مَساكِنِهِم ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِأُولِي النُّهىٰ

Sahih International

Then, has it not become clear to them how many generations We destroyed before them as they walk among their dwellings? Indeed in that are signs for those of intelligence.

Malay

Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.

أَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ

Adakah tidak memberi hidayah lagi kepada mereka:

Adakah mereka tidak mahu nak ambil pengajaran? Pengajaran apa yang boleh diambil?

كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّنَ الْقُرُونِ

berapa banyak Kami telah binasakan dari kaum-kaum yang terdahulu daripada mereka;

Kebinasaan yang telah diberikan kepada umat-umat terdahulu yang engkar sepatutnya menjadi pengajaran bagi manusia yang datang kemudian. Ayat ini ditujukan kepada orang-orang kafir Mekah. Kerana mereka tahu tentang kaum-kaum yang telah dibinasakan sebelum mereka. Tapi mereka buat-buat lupa.

Sepatutnya kita mengambil pengajaran dari orang orang terdahulu. Manusia memang suka kepada sejarah. Itulah yang diajar kepada kita dari kecil lagi. Begitu juga anak-anak Arab waktu itu akan diajar generasi mereka dahulu. Jadi mereka tahu tentang kejadian yang telah menimpa kepada kaum-kaum yang terdahulu.

Aad dan Tsamud adalah dua kaum dari bangsa Arab. Arab Mekah memang kenal kaum-kaum itu kerana ada dalam sejarah mereka. Bukan kaum Arab sahaja yang mereka tahu, kerana mereka juga tahu tentang sejarah Nabi Nuh kerana ada dalam sejarah mereka. Tapi mereka tidak mengambil pengajaran dari itu semua.

يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ

sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? 

Bagaimana patut mereka tidak ambil pengajaran sedangkan mereka berjalan melalui kawasan-kawasan peninggalan orang-orang dahulu? Antaranya semasa mereka berniaga ke negara Syam.

Ataupun bermakna: mereka yang telah dimusnahkan itu sedang berjalan-jalan di tempat tinggal mereka ketika azab itu diturunkan dengan tiba-tiba. Kerana azab Allah boleh diturunkan pada bila-bila masa sahaja, termasuk semasa kita sedang enak-enak berjalan di perkarangan rumah kita. Ini juga ancaman kepada Musyrikin Mekah. Allah nak kata yang mereka boleh dikenakan dengan azab bila-bila masa sahaja kalau Allah mahu.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّأُولِي النُّهَىٰ

Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal fikiran; 

Orang yang mempunyai daya intelek yang tinggi akan mengambil pengajaran dari kisah-kisah umat terdahulu. Jadi, kalau mereka tidak dapat mengambil pengajaran, bermakna mereka tidaklah pandai seperti yang mereka sangkakan. Mereka sangka mereka kaum yang hebat dan terkenal, tapi rupanya mereka bodoh sahaja.


Ayat 129: 

وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَبِّكَ لَكانَ لِزامًا وَأَجَلٌ مُسَمًّى

Sahih International

And if not for a word that preceded from your Lord, punishment would have been an obligation [due immediately], and [if not for] a specified term [decreed].

Malay

Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad), dan satu tempoh yang ditentukan nescaya balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ

Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah dari Tuhanmu,

Kalimah كَلِمَةٌ itu bermaksud kalimah keputusan Allah. Iaitu satu keputusan Allah yang telah dibuatNya. Apakah keputusan itu? Itulah janji Allah untuk melambatkan azab. Sesiapa yang buat syirik dan bidaah, Allah akan hanya balas selepas mereka mati. Mereka tidak terus dibalas dengan azab semasa di dunia ini.

لَكَانَ لِزَامًا

nescaya azab mereka sudah semestinya berlaku.

Kalimah لِزَامًا bermaksud ‘mencengkam’. Melekat kepada sesuatu. Kalaulah tidak kerana janji Allah kepada DiriNya untuk tidak mengazab mereka, tentulah azab itu telah mencengkam mereka.

Allah nak kata bahawa mereka tidak dihukum terus walaupun mereka telah buat kesalahan besar iaitu kesalahan syirik. Kalau tidak kerana janji Allah untuk melengahkan hukuman, tentunya mereka yang berbuat dosa dan syirik itu akan teruk dikenakan azab di dunia ini lagi kerana amat jelek sekali perbuatan mereka itu.

Tapi Allah telah berjanji kepada DiriNya sendiri untuk tidak terus menghukum hambaNya. Sebab itu contohnya, orang Hindu yang menyembah berhala itu tidak terus kena panah petir. Begitu juga orang-orang Musyirikin Mekah yang sampai meletakkan berhala di Kaabah dan menyembah berhala-berhala itu. Tidak dikenakan azab kepada mereka walaupun mereka letak berhala di Kaabah sekalipun.

Sebab itu walaupun besar berhala orang Hindu letak di Batu Caves itu, tidak kena gegaran lagi di situ. Sebab itu mereka yang ambil air perigi Hang Tuah, Tasik Dayang Bunting dan berbagai-bagai lagi perkara syirik, Allah tidak jatuhkan sakit kepada mereka lagi. Allah akan biarkan dahulu mereka berbuat syirik. Biar mereka kumpul segala dosa-dosa syirik itu, nanti di akhirat nanti akan dibalas semuanya.

Ini ini juga adalah nikmat dari Allah. Allah tidak terus azab kerana beri peluang kepada manusia yang mengamalkan syirik itu untuk bertaubat. Mungkin mereka sekarang melakukan dosa besar, tapi kita tidak tahu apa yang akan terjadi di kemudian hari.

Maka Allah memang selalu menangguh-nangguh azab. Oleh itu, jangan kita jadikan hujah: “Aku buat begitu begini, tak jadi apa-apa pun? Kalau benda yang aku buat ini salah, tentulah Allah dah bagi tanda dah…” Itu adalah hujah orang yang tidak berilmu. Memang Allah akan biarkan. Kalau kamu hendak berbuat dosa, Allah akan benarkan kerana Allah telah beri pilihan kepada kita.

Tapi walaupun Allah tidak terus kenakan azab, tidaklah bermakna Allah redha dengan perbuatan mereka itu. Segala perbuatan itu akan dibalas nanti di akhirat. Waktu itu, penyesalan tidak berguna lagi.

وَأَجَلٌ مُّسَمًّى

dan satu tempoh yang ditentukan

Masa dan tempat untuk mereka akan dibalas sudah ditentukan. Kalau kita lihat mereka tidak kena apa-apa sekarang, jangan kisah. Sebab masa untuk mereka menerima hukuman telah ditentukan.

Ini adalah satu peringatan untuk kita. Biarpun mereka menentang Allah, bukan tugas kita nak hukum mereka. Biarkan kepada Allah. Tugas kita hanya menyampaikan ajaran kepada mereka. Kita hendaklah menyampaikan dakwah kepada mereka.

Kita hanya risaukan hal kita. Kita tak boleh kawal perbuatan orang lain. Tapi kita boleh jaga diri kita dan apa yang kita kena buat.


Ayat 130: Dari ayat ini sehingga ke hujung (ayat 135) adalah Perenggan Makro Ketujuh. Ia mengajak Nabi bersabar dalam dakwah. Begitu juga umat Islam diajar bersabar dengan tasbih, tahmid pada waktu malam dan siang juga memerintahkan ahli keluarga mendirikan solat.

فَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ قَبلَ طُلوعِ الشَّمسِ وَقَبلَ غُروبِها ۖ وَمِن آناءِ اللَّيلِ فَسَبِّح وَأَطرافَ النَّهارِ لَعَلَّكَ تَرضىٰ

Sahih International

So be patient over what they say and exalt [ Allah ] with praise of your Lord before the rising of the sun and before its setting; and during periods of the night [exalt Him] and at the ends of the day, that you may be satisfied.

Malay

Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).

فَاصْبِرْ

Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad)

Ini adalah ayat tasliah bagi Nabi Muhammad, para sahabat dan pejuang kebenaran. Walaupun ditolak dalam dakwah, tapi sabarlah.

Tapi ayat ini adalah ayat Makkiyyah. Waktu itu tidak dibenarkan lagi berperang dengan puak Musyrik. Apabila nanti di Madinah dan umat Islam sudah ada kerajaan dan kuat, maka waktu itu barulah boleh berperang dengan mereka.

Maka ayat-ayat sabar ini kenalah dibaca dengan konteks keadaan. Bukanlah sepanjang masa kita kena sabar dan biarkan sahaja manusia buat kerosakan di atas muka bumi. Sampai satu masa, kita tetap kena berjihad dengan mereka untuk menegakkan kebenaran.

عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ

akan apa yang mereka katakan;

Allah suruh Nabi Muhammad bersabar atas segala apa yang Musyrikin Mekah katakan kepada baginda. Begitu juga zaman sekarang, kepada pendakwah yang membawa jalan sunnah, macam-macam para penentang Sunnah akan kata kepada kita; ada yang kata kita puak Wahabi, kita sesat lah dan sebagainya. Ini kerana kita hendak ikut sunnah.

Allah tahu kata-kata mereka memang menyakitkan hati. Tapi Allah pujuk kita supaya bersabarlah walau apapun mereka katakan. Kita sabar kalau kita tahu ada benda yang lebih baik yang akan diberikan kepada kita. Kita tahu bahawa apa yang kita bawa ini adalah kebenaran. Dan kita akan mendapat balasan yang lebih baik. Sebab itu kita boleh bersabar dengan apa yang mereka katakan kerana walau bagaimana teruk pun apa yang mereka katakan, kita tahu Allah akan membalas kita atas usaha kita ini menyebarkan dakwah.

Allah nak beritahu kepada kita bahawa Dia tahu kita sakit hati dengan kata-kata mereka. Tapi Allah hendak kita bersabar.

وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ

dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu

Inilah yang dapat menenangkan kita. Apabila kita ingat kepada Allah, hati akan merasa tenang. Apabila kita solat, kita berpeluang berkata-kata dengan Allah untuk mengadu nasib kita, dan hati kita akan tenang.

Juga Allah suruh kita sibukkan diri dengan ibadat. Kerana kalau nak memikirkan dan mengulang-ngulang kata-kata mereka yang menyakitkan hati itu, ia tidak bawa ke mana, cuma menyakitkan hati sahaja. Sebaliknya jangan hiraukan mereka tapi sibukkan diri dengan buat ibadat.

قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ

sebelum matahari terbit

Ini merujuk kepada waktu subuh.

وَقَبْلَ غُرُوبِهَا

dan sebelum terbenamnya;

Sebelum terbenam matahari, iaitu waktu Asar.

وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ

dan beribadatlah pada sebahagian dari waktu malam;

Ayat ini bermaksud solat pada waktu malam. Merujuk kepada solat Maghrib, Isya’, juga tahajjud.

فَسَبِّحْ

maka bertasbihlah;

Dalam solat itu ada tasbih. Maka selalu dalam Qur’an apabila disebut tasbih, ia merujuk kepada solat.

وَأَطْرَافَ النَّهَارِ

dan pada sebelah-sebelah siang;

Yang dimaksudkan adalah pada waktu di tepi-tepi siang. Merujuk kepada waktu Zuhr dan juga Solat Dhuha.

Dalam ini disebutkan 8 waktu solat yang telah diberikan kepada baginda Nabi dan umatnya. Cuma yang diwajibkan kepada kita adalah 5 waktu sahaja. Jadi dalam ayat Qur’an ini dan ada pada ayat-ayat yang lain, telah disebut solat lima waktu itu. Jadi kalau ada hujah yang mengatakan solat lima waktu tidak ada dalam Qur’an, itu adalah dari mereka yang jahil sahaja. Maka sekarang kita sudah boleh jawab.

لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ

mudah-mudahan engkau reda;

Lakukanlah solat itu dengan banyak supaya engkau mendapat keredhaan Allah.

Atau boleh juga bermaksud supaya kamu merasa puas. Puas kerana dapat berhubungan dengan Allah. Waktu yang paling baik untuk kita mengadu dan berkata-kata dengan Allah adalah dengan solat. Kerana waktu itu kita sedang mengadap dan bermunajat kepada Allah. Adulah apa sahaja yang kita hendak adu.

Lihatlah bagaimana Allah memberikan solat kepada Nabi Muhammad untuk baginda bercakap-cakap dengan Allah. Solat itu bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan solat kita. Tapi kitalah yang memerlukan solat. Kerana itulah Nabi Muhammad sangat suka untuk solat. Itulah adalah waktu yang paling gembira kepada baginda. Sebagaimana juga waktu paling gembira kepada Nabi Musa adalah sewaktu baginda dapat bercakap-cakap dengan Allah.

Kita hendaklah mengambil peluang ini setiap kali kita bersolat. Ingatlah bahawa waktu itu kita sedang berhadapan dengan Allah dan berkata-kata dengan Allah. Kita tidak boleh bercakap-cakap dengan Allah sebagaimana Nabi Musa, tapi kita ada solat yang memberi peluang kepada kita.

Solat dan sabar. Itulah sahaja yang kita perlukan. Kita kena jadikan solat sebagai kebiasaan kepada kita dan anak-anak kita. Sebab itu Nabi sentiasa mengajar ahli keluarga baginda untuk mendirikan solat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 120 – 125 (Iblis tipu Nabi Adam dan Hawa)

Ayat 120:

فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ

Sahih International

Then Satan whispered to him; he said, “O Adam, shall I direct you to the tree of eternity and possession that will not deteriorate?”

Malay

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya;

Iaitu hasutan kepada Nabi Adam, bukan kepada Hawa.

Ada elemen pengulangan dalam perkataan وَسْوَسَ itu – was dan diulang sekali lagi was. Jadi, perkataan itu bermaksud, Iblis bukan sekali sahaja dia menghasut Nabi Adam, tapi banyak kali. Kerana Adam tahu itu Iblis dan tidak terus dengar cakap Iblis. Maka Iblis terus menerus cuba berbagai cara hendak menipu Nabi Adam.

Begitu juga, Iblis dan syaitan tidak akan berhenti menghasut kita semua. Mereka sentiasa datang dan datang lagi. Katakanlah kita laungkan azan, dia akan lari sekejap. Tapi apabila azan berhenti, syaitan akan datang kembali. Kalau kita tolak dia, dia mungkin tidak berjaya kali itu, tapi dia akan datang lagi. Memang kerja dia menghasut kita dan tidak ada kerja lain.

Zaman sekarang pun syaitan masih lagi membisikkan hasutan kepada manusia. Mereka yang mengamalkan zikir yang salah, yang selalunya mengandungi ayat-ayat tawasul di dalamnya, akan mendengar bisikan syaitan yang menyuruh mereka berbuat salah. Syaitan akan suruh mereka buat wirid ini, wirid itu, jumpa guru itu dan guru ini.

Merekalah yang mengajar amalan-amalan yang salah itu. Ada yang sampai datang kepada mereka dalam mimpi dalam rupa manusia alim. Syaitan akan datang memakai baju putih dan janggut panjang putih. Mereka akan kata kepada orang yang mengamalkan wirid yang salah itu bahawa mereka adalah ‘wali Allah’ dan datang untuk mengajar mereka.

Padahal, syaitan boleh merupa sesiapa sahaja kecuali Nabi Muhammad. Jangan kita tertipu dengan keadaan macam itu. Kalau mereka yang tidak ada ilmu yang mantap, mereka akan senang tertipu. Yang selalu tertipu adalah abid – ahli ibadat. Mereka hanya tekun melakukan ibadat, tapi tidak tekun dalam mencari dan mendapatkan ilmu pengetahuan agama yang benar. Maka mereka itu jenis senang ditipu oleh syaitan.

Ini adalah kerana mereka tidak teliti dalam mencari ilmu. Asalkan orang yang mereka jumpa sebagai guru itu merupai mereka yang alim, mereka terus terima tanpa usul periksa. Padahal, kadang-kadang ajaran yang dibawa oleh guru yang sesat itu bukanlah datang dari Qur’an dan Sunnah. Tapi mereka memang tidak tahu Qur’an dan sunnah, maka mereka tidak dapat tolak.

قَالَ يَا آدَمُ

dengan berkata: “Wahai Adam,

Kita akan belajar bagaimana cara Iblis menipu Nabi Adam. Maka kita boleh belajar salah satu cara dia. Ada banyak lagi cara dan itu dikupas dalam kitab Talbis Iblis.

هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ الْخُلْدِ

mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya;

Seperti yang kita telah tahu, Nabi Adam dan Hawa dilarang dari makan dari ‘pokok larangan’. Apabila Iblis tahu larangan itu telah diberikan kepada Nabi Adam, dia nampak ini adalah satu peluang untuk dia jatuhkan Nabi Adam.

Maka Iblis hasut Nabi Adam dengan kata kalau makan dari pokok itu, segala kebaikan yang Nabi Adam sedang dapati di syurga itu tidak akan berhenti. Dia katakan kepada Nabi Adam, dia (Iblis) kena halau dari syurga itu sebab tak makan pokok itulah. Jadi, dia syorkan kepada Nabi Adam untuk makan pokok itu kalau tak mahu jadi macam dia. Konon-kononnya dia nak tolong Nabi Adam dengan nasihat.

Lihatlah bahawa nama ‘Pokok Khuldi’ itu diberi oleh Iblis, bukanlah nama pokok itu yang sebenarnya. Kita tidak tahu apakah nama pokok itu sebab tidak pernah diberitahu kepada kita. Tidak perlu tahu kerana ia tidak penting. Oleh kerana nama itu dari Iblis maka tidak molek kalau kita panggil pokok itu sebagai Pokok Khuldi. Kerana kalau kita panggil pokok itu sebagai ‘Pokok Khuldi’, bermakna kita bersetuju dengan penipuan Iblis itu.

Satu persoalan yang mungkin timbul: Bagaimana Iblis tahu bahawa Nabi Adam dilarang dari makan pokok itu? Iblis tahu kerana Iblis dengar percakapan malaikat yang keluar masuk syurga. Malaikat memang ada yang masuk dalam syurga – mungkin untuk buat tugas mereka. Malaikat yang di luar akan tanya sesama mereka apakah perintah yang diberikan kepada Nabi Adam?

Jadi ada malaikat yang kata Nabi Adam dilarang menghampiri pokok itu. Apabila malaikat itu keluar dan berbicara dengan malaikat yang lain yang tidak masuk syurga, maka Iblis ada terdengar percakapan mereka.

Zaman sekarang, bukan sahaja Iblis sesatkan manusia dengan suruh buat benda yang dilarang, tapi ada juga yang mengharamkan benda yang halal. Itu pun hasil dari ajaran Iblis juga. Contohnya, kita mengharamkan makanan yang Allah sudah halal – iaitu apabila kita mengamalkan ‘pantang’ selepas bersalin; atau ada ilmu yang kata kalau nak dapat kelebihan itu dan ini, kena berpuasa dari makan makanan berdarah. Ada bermacam jenis penipuan dalam hal ini.

Itu adalah perbuatan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Padahal, yang boleh haramkan atau halalkan adalah Allah sahaja, bukannya manusia. Maka, apabila kita mengharamkan apa yang dihalalkan, kita telah mengambil kerja Allah. Tidakkah itu berdosa besar?

وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ

dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

Iblis kempen kepada Nabi Adam dengan mengatakan Allah tidak membenarkan Adam makan pokok itu kerana kalau makan, Nabi Adam akan jadi malaikat dan akan kekal di syurga. Kalau tak makan, dia akan diturunkan ke dunia.

Sebab itu, Iblis kata Allah sudah ajar Nabi Adam nama benda-benda di dunia sebab memang nak letak Nabi Adam di dunia. Jadi, elok Nabi Adam makan, kata Iblis. Kalau tak, Adam akan diturunkan ke dunia.

Ayat ini menunjukkan sifat manusia yang mahukan kebaikan yang berterusan selama-lamanya. Ini memang sudah ada dalam diri manusia dah. Tidak ada kesalahan dalam hal ini. Kita cuma nak kena bendung supaya berada dalam lingkungan Islam.

Iblis tahu sifat Nabi Adam (dan juga manusia) yang mahukan kekal dalam kenikmatan. Sedangkan tidak ada kepastian akan dapat kekal dalam apa-apa pun. Jadi Iblis telah menipu Nabi Adam dengan mengambil peluang di atas kelemahan manusia.

Tidak boleh kalau kita hendakkan kebaikan walaupun dalam agama tapi untuk mencapainya kita kena melanggar arahan Allah. Tapi syaitan pandai menipu. Oleh itu, kenalah kita berhati-hati dalam perjalanan hidup kita.


Ayat 121:

فَأَكَلا مِنها فَبَدَت لَهُما سَوآتُهُما وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ ۚ وَعَصىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوىٰ

Sahih International

And Adam and his wife ate of it, and their private parts became apparent to them, and they began to fasten over themselves from the leaves of Paradise. And Adam disobeyed his Lord and erred.

Malay

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

فَأَكَلَا مِنْهَا

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu;

Dari ayat ini, tahulah kita yang bukanlah Iblis kempen kepada Hawa dulu untuk makan pokok itu seperti yang banyak diceritakan dalam kisah-kisah yang tidak benar. Iaitu ada yang kata Hawa lah yang makan dahulu pokok itu dan kerana Hawa sudah makan, maka Nabi Adam pun makan.

Ini kisah bahaya sampaikan ada yang kata oleh kerana perempuanlah manusia kena tinggalkan syurga dan duduk di dunia. Itu adalah menjatuhkan maruah Siti Hawa dan kaum wanita keseluruhannya.

Dalam ayat ini, Allah mengatakan mereka berdua makan. Maka, ini bermakna mereka berdua dipersalahkan. Dalam memberi nasihat tentang Iblis dan berjaga-jaga darinya, Allah hanya bercakap dengan Nabi Adam sahaja. Kerana tanggungjawab Nabi Adam sebagai ketua rumah untuk bertanggungjawab menyampaikan ajaran agama kepada keluarganya.

Tapi, apabila ajaran telah diberikan, dan masih juga buat salah, maka tidak ada pelepasan dari tanggungjawab itu. Oleh itu, kerana Nabi Adam telah memberi ajaran dan juga peringatan kepada Hawa, maka apabila Hawa pun makan juga pokok itu, Hawa juga dipersalahkan. Mereka dua-dua salah dalam hal ini. Kerana mereka dua-dua sudah tahu tentang larangan itu.

فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا

lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing;

Apabila mereka berdua makan sahaja pokok itu, pakaian mereka terus tertanggal. Pakaianlah perkara pertama dari segala nikmat-nikmat yang ditanggalkan. Mereka sudah tahu bahawa mereka telah buat salah apabila pakaian mereka tertanggal.

Kalimah سَوْآ adalah sesuatu yang kita tak mahu orang lain tengok, termasuk aurat kita. Ia juga bermakna perkara yang huduh. Oleh itu, kita boleh lihat bagaimana Allah menyatakan aurat dengan sesuatu yang huduh.

Lihatlah penggunaan bahasa Qur’an. Allah tidak kata mereka ‘bogel’ atau bahasa-bahasa sebegitu. Penggunaan ayat-ayat dalam Qur’an adalah amat lembut dan berhemah sekali. Maka ayat Qur’an ini boleh dibaca di mana-mana sahaja, oleh sesiapa sahaja sama ada telah tua bangka atau seorang kanak-kanak. Kerana bahasanya tidak lucah dan kita tidak mahu hendak baca.

Kata-kata yang lucah itu sebenarnya tidak baik. Oleh kerana itu Qur’an akan menggunakan kata-kata yang baik untuk menceritakan maksud yang hendak disampaikan. Tapi kalau kita lihat kitab-kitab yang lain seperti Bible, ada tempat kita sendiri pun malu nak baca kerana teruk sangat. Ini adalah kerana itu adalah penambahan yang tidak ada dalam Injil yang asal.

وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ

dan mereka cepat-cepat menutup kemaluan mereka berdua dengan daun-daun dari Syurga;

Kalimah طَفِقَا digunakan untuk kata mereka ‘cepat-cepat buat’. Tanpa lengah lagi. Apabila telah dilucutkan dari pakaian mereka, mereka cepat-cepat tutup aurat mereka. Yang mereka boleh gunakan waktu itu hanyalah daun-daun dari pokok-pokok dalam syurga.

Maka kita dapat tahu dari ayat ini yang fitrah manusia memang akan menutup aurat. Sama ada lelaki mahupun perempuan. Kalau terdedah, kita akan cepat-cepat tutup. Lihatlah bagaimana Nabi Adam dan Hawa terus cepat-cepat menutup kemaluan mereka walaupun sebenarnya hanya ada mereka berdua sahaja dalam syurga.

Ini adalah kerana mereka terus rasa malu. Padahal mungkin bukan ada syariat tutup aurat pun waktu itu. Tapi mereka terus lakukannya kerana ianya adalah fitrah manusia untuk menutup aurat. Tapi malangnya kita sekarang dalam dunia yang sudah mula tidak kisah dengan aurat dengan sempurna. Itu maknanya manusia yang sebegitu sudah terputus dengan fitrah.

وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ

dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya;

Derhakanya itu adalah kerana lupa. Kerana niat dia adalah kerana dia hendak kekal dalam syurga dan terus dekat dengan Allah. Maka memang sebenarnya dia hendakkan kebaikan. Begitulah juga dengan masyarakat kita yang buat Majlis Tahlil, mereka sebenarnya hendak berbuat kebaikan.

Begitu juga mereka yang buat Majlis Maulid Nabi – mereka sebenarnya hendak memuliakan Nabi. Bukanlah mereka hendak berbuat jahat. Begitu juga dengan mereka yang beri sedekah kepada orang yang solat jenazah, itu pun nak buat baik juga. Tapi semua itu telah tersilap. Kalau hanya niat sahaja baik, tapi perbuatan itu tidak baik, ianya tidak akan diterima.

Dalam ayat ini, Allah sendiri yang sebut Nabi Adam telah derhaka. Sebab Allah yang cakap, maka bolehlah kita juga kata begitu. Tapi hati-hati kerana Nabi Adam adalah seorang Nabi. Tidak boleh kita nak memandai kata baginda sudah berdosa.

Allah pun sudah kata baginda terlupa. Dan lupa kalau dikirakan, bukanlah dosa. Tapi kerana tingkatan para Nabi lain dengan manusia biasa, maka itulah sebabnya dikatakan baginda telah derhaka. Begitu juga dengan Nabi-nabi yang lain. Mereka ada juga buat kesalahan. Tapi kesalahan yang mereka lakukan itu amat kecil sekali kalau dibandingkan dengan manusia biasa. Tapi mereka dikatakan telah melakukan kesalahan kerana tingkatan mereka lain dengan manusia lain.

Ada satu riwayat percakapan antara Nabi Musa dan Nabi Adam. Dalam riwayat itu, Nabi Musa telah menuduh Nabi Adam menyebabkan keturunan manusia terpaksa tinggal di dunia. Kita kena ingat bahawa para Nabi adalah adik beradik. Kalau kita dengan bercakap dengan adik beradik kita sendiri pun kita gunakan bahasa yang lain kalau kita dengan orang lain.

Nabi Adam menjawab bahawa Allah sudah takdirkan bahawa memang baginda akan buat macam tu. Ianya telah ditakdirkan oleh Allah bahawa Nabi Adam akan makan dari pohon larangan itu lima puluh ribu tahun sebelum ianya terjadi. Maka baginda tidak dapat dipersalahkan.

Kisah bagaimana Nabi Adam telah memakan pokok dari pohon larangan itu adalah untuk mengajar kita. Begitu juga dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Adam kepada Musa. Kalau kita lihat bahasa yang digunakan oleh Nabi Adam, nampak macam baginda menyalahkan taqdir pula.

Tapi alasan itu bukan untuk digunakan sebagai nak salahkan qadr kalau kita sudah buat salah. Tapi nak mengajar kita bahawa kita tidak boleh menegur mereka yang sudah buat salah. Kerana kita tidak tahu kenapakah mereka telah melakukan kesalahan itu. Kalau ada yang begitu (menyalahkan kita), maka baru boleh gunakan qadr sebagai alasan.

Lihatlah dalam ayat seterusnya, Adam tak gunakan alasan qadr.

فَغَوَىٰ

lalu dia telah tersalah jalan;

Kejadian Nabi Adam itu terjadi kerana kerana baginda tersilap dan terlupa. Begitulah juga dengan orang-orang yang buat amalan bidaah seperti Tahlil, Maulid, sedekah pahala kepada simati dan sebagainya. Semuanya itu tersalah jalan. Mereka sebenarnya inginkan kebaikan, tapi mereka tersalah. Maka kita tidak pertikaikan niat mereka kerana niat mereka memang baik.

Lihatlah bagaimana Islam tidak menghina langsung Hawa, ibu kita. Kalau dibandingkan dengan agama Kristian, mereka menyalahkan Siti Hawa dalam perkara memakan pohon larangan itu. Sampaikan mereka memberi nama Eve kepada Hawa untuk merujuk kepada ‘evil’ – kejahatan. Bermakna, mereka mengatakan bahawa Hawa adalah seorang yang jahat. Begitulah hinanya mereka meletakkan kedudukan Siti Hawa dalam agama mereka.

Saya nukilkan bahawa memang ada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama tentang takwilan kesilapan Adam dalam isu ini:

1. Sebahagian ulama menyebutkan bahawa Adam bertujuan baik apabila mahu menjadi malaikat dan kekal di mana dia berada pada waktu itu. Tetapi dia tersalah sehingga menyanggahi arahan Tuhannya. (Al-Qasimi, Mahasin al-Ta’wil, jil. 1, 293-294)

2. Sebahagian ulama yang lain beranggapan bahawa Adam memahami bahawa larangan Allah itu berbentuk makruh bukannya haram. (al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, jil. 1, hal. 306)

3. Sebahagian ulama mengatakan Adam terlupa larangan itu setelah digoda oleh Iblis. Ini pandangan yang dipilih oleh al-Qurtubi kerana ada ayat al-Qur’an menyebutkan baginda terlupa. Adam dihukum walaupun lupa kerana nabi-nabi sepatutnya lebih peka dan cermat. (al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, jil. 1, hal. 306)

4. Sebahagian ulama menganggap Adam tidak berdosa kerana terlupa tetapi lupa itu dinamakan maksiat dalam al-Qur’an kerana ia sesuatu yang perkara besar bagi seorang Nabi. (al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, jil. 1, hal. 142)

5. Walau bagaimanapun, terdapat juga ulama yang menganggap Adam tersalah dan berdosa dalam kisah ini. Tetapi mereka menganggap dosa ini adalah dosa kecil dan ia dilakukan oleh Adam sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. (al-Amidi, Abkar al-Afkar, jil. 4, hal. 150) Al-Syaukani menukilkan daripada Ibn Furak:

كانت المعصية من آدم قبل النبوة
Maksudnya: Maksiat daripada Adam itu adalah sebelum kenabian. (al-Syaukani, Fath al-Qadir, jil. 3, hal. 558)


Ayat 122:

ثُمَّ اجتَباهُ رَبُّهُ فَتابَ عَلَيهِ وَهَدىٰ

Sahih International

Then his Lord chose him and turned to him in forgiveness and guided [him].

Malay

Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.

ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ

Kemudian Tuhannya memilihnya,

Apabila perkataan ثُمَّ digunakan, ianya bermakna Allah memilih Nabi Adam setelah sekian lama. Bukanlah Allah terus memilihnya.

Perkataan اجْتَبَ ijtiba digunakan apabila kita memilih seseorang kerana kita melihat kita melihat sesuatu yang baik dalam diri seseorang itu. Kita tahu dia boleh melakukan tugas yang akan diberikan kepadanya.

Allah memilih Nabi Adam selepas Nabi Adam mendapat kalimah pengampunan dari Allah. Allah telah memilihnya untuk menerima kalimah itu. Allah telah mengajar Nabi Adam bagaimana memohon pengampunan dariNya dan dengan itu, Dia juga telah mengajar kita bagaimana cara memohon ampun.

Kisah ini terdapat dalam Surah Baqarah:37 dan A’raf:23. Dalam doa itu, Nabi Adam mengaku tentang kesalahan yang telah dilakukan dan Allah telah menerima taubat baginda. Memang Allah suka kalau kita mengaku kita berdosa dan telah berbuat salah.

Dalam permulaan doa itu, ada perkataan ‘Rabbana’ – Wahai Tuhan kami. Apabila sesuatu doa itu dimulai dengan kata ‘rabbana’, bermaksud kita mengaku segala nikmat Allah yang telah diberikan kepada kita selama ini. Terlalu banyak nikmat yang telah diberikan kepada kita, sampaikan tidak terkira kalau kita nak kira.

Apabila Allah kata Dia telah ‘memilihnya’, itu bermaksud Nabi Adam telah diterima sebagai Nabi. Bermakna, sebelum itu Nabi Adam bukan lagi seorang Nabi.

فَتَابَ عَلَيْهِ

lalu Allah menerima taubatnya;

Allah telah menerima taubat dari Nabi Adam selepas baginda diajar doa untuk mohon ampun seperti yang ada dalam ayat A’raf:23. Itu setelah beberapa tahun doa keampunannya tidak diterima. Apabila Nabi Adam dan Hawa turun ke dunia, memang mereka telah bertaubat tanpa henti, tapi doa pengampunan mereka tidak diterima lagi kerana tidak seperti cara yang Allah hendak.

Kenapa Allah hendak begitu? Kerana Dia lah Allah. Kenalah ikut apa yang Allah hendak. Maka, doa mereka tidak diterima sehinggalah Allah sendiri mengajar baginda cara doa taubat. Maka, oleh itu, kalau kita hendak bertaubat, hendaklah dengan cara yang betul.

Selalunya orang yang kena bala itu adalah kerana mereka telah buat dosa, maka hendaklah dia menggunakan doa Nabi Adam itu untuk memohon ampun kepada Allah dengan cara itu. Iaitu mengaku dosa yang telah dilakukan. Kena menyesal dengan perbuatan dosa yang telah dilakukan.

وَهَدَىٰ

serta diberi petunjuk.

Maksud ‘petunjuk’ di sini adalah, Allah mengajar Nabi Adam cara menjalani kehidupan bersyariat. Allah tidak membiarkan makhlukNya hidup tanpa panduan hidup. Dari Nabi Adam sampailah kepada Nabi Muhammad, telah diberikan syariat untuk diikuti oleh manusia.


Ayat 123: Ini yang terjadi sebelum ayat sebelum ini. Allah sebut dahulu bagaimana Dia telah memberi pengampunan. Sekarang Allah patah balik kepada kejadian penurunan Nabi Adam dan Hawa ke dunia. Qur’an tidak semestinya menceritakan dalam bentuk susunan kejadian sesuatu peristiwa itu.

قالَ اهبِطا مِنها جَميعًا ۖ بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِنّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدايَ فَلا يَضِلُّ وَلا يَشقىٰ

Sahih International

[ Allah ] said, “Descend from Paradise – all, [your descendants] being enemies to one another. And if there should come to you guidance from Me – then whoever follows My guidance will neither go astray [in the world] nor suffer [in the Hereafter].

Malay

Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا

Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama,

Allah mengarahkan dua orang untuk keluar dari syurga. Tapi siapakah yang dimaksudkan? Ada dua kemungkinan kepada siapakah kata-kata ini ditujukan:

  1. Kepada Nabi Adam dan Hawa, atau
  2. Kepada Nabi Adam dan Iblis.

Dalam surah-surah lain, seperti Baqarah:38, ada disebutkan “turunlah kamu semua”. Tapi kenapa dikatakan kamu semua? Disebut ‘semua’ itu kerana termasuk semua keturunan Nabi Adam.

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain;

Keturunan manusia akan bermusuh antara satu sama lain. Sebagai contoh, yang tidak mengikut tauhid akan memusuhi mereka yang mengikut tauhid. Bukan itu sahaja, manusia akan bermusuh dalam usaha nak makan, minuman, pakaian dan tempat berteduh – empat perkara yang disebut sebelum ini – malah lebih lagi. Manusia bermusuh dari permulaan masa sehinggalah sekarang dan sehingga ke akhirat.

Kalau dimaksudkan dalam dua orang itu adalah Nabi Adam dan iblis, memang kita sudah bermusuhan dan akan terus bermusuhan dengan mereka sampai bila-bila. Iblis memusuhi anak-anak keturunan Adam dan kita memusuhi syaitan kerana cuba menyesatkan kita.

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى

kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu;

Apabila terjadi perbalahan, ada kata ini betul, ada kata itu yang betul. Lalu manakah penentunya? Tentunya penentuan itu menggunakan petunjuk yang diberikan Allah melalui RasulNya. Inilah jalan penyelesaian untuk semua masalah. Petunjuk itu dalam Qur’an dan Sunnah Nabi. Maka kena belajar tafsir Qur’an dan syarah hadis.

Yang membawa hidayah itu adalah para Nabi dan Rasul. Dan apabila tiada lagi Nabi diturunkan seperti zaman sekarang, petunjuk itu dibawa oleh para pendakwah. Yang sampaikan mungkin manusia, tapi ianya dari Allah.

Dari ayat yang digunakan, penekanan petunjuk itu adalah dari Allah, bukan dari yang lain. Allah sebut dariNya kerana pentingnya memastikan hidayah itu dari Allah. Inilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam sekarang. Mereka tidak meneliti dari manakah datangnya petunjuk itu.

Mereka menerima sahaja apakah yang disampaikan kepada mereka tanpa memastikan sama ada ianya dari Qur’an atau dari hadis yang sahih. Kadang-kadang hujah yang diberikan adalah hujah akal sahaja, tapi kerana ianya sedap diterima akal, maka ramai yang menerimanya. Padahal, agama itu bersumberkan dalil yang sah, bukan hujah akal. Kalau dibenarkan hujah akal sahaja diterima, maka akan rosaklah agama.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa untuk melawan syaitan adalah dengan menggunakan Qur’an dan Sunnah.

فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ

maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu;

Apabila perkataan اتَّبَعَ digunakan, ia bermakna kita kena ikut dengan rapat. Kerana itu kita diajar, kena ittiba’ sunnah, bukan taklid. Apabila sesuatu pendapat itu disampaikan kepada kita, kita kena tahu dari sumber mana ia datang. Janganlah kalau dari ‘ustaz’ sahaja, kita terus terima tanpa usul periksa. Kerana rajin tanya: “Ustaz, boleh tahu ini dalil dari mana?”

فَلَا يَضِلُّ

nescaya dia tidak akan sesat; 

Oleh itu kalau tidak  mahu sesat, kenalah mengikut petunjuk Qur’an dan Sunnah. Ini sahaja jalan yang selamat.

وَلَا يَشْقَىٰ

dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.

Kita kena berusaha supaya kita selamat dunia dan akhirat. Terutama sekali di akhirat, supaya kita tidak dikenakan dengan azab neraka. Maka untuk selamat di akhirat, memang tidak boleh lari dari ikut Qur’an dan sunnah. Kalau jalan lain memang tidak akan selamat.


Ayat 124:

وَمَن أَعرَضَ عَن ذِكري فَإِنَّ لَهُ مَعيشَةً ضَنكًا وَنَحشُرُهُ يَومَ القِيامَةِ أَعمىٰ

Sahih International

And whoever turns away from My remembrance – indeed, he will have a depressed life, and We will gather him on the Day of Resurrection blind.”

Malay

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatanKu,

Petunjuk akan datang tapi kita buat bagaimana? Adakah kita mengikutinya? Itulah persoalan yang kita kena tanya kepada diri kita dan orang-orang lain. Petunjuk itu dalam bentuk Qur’an dan Sunnah. Bukan Qur’an sahaja tapi kena ditambah dengan pemahaman sunnah juga. Yang sedihnya, banyak tak terima petunjuk dari Qur’an dan Sunnah.

Mereka masih lagi mengambil ajaran yang datang bukan dari dua sumber itu. Mereka pakai kitab-kitab karangan manusia dan juga ajaran-ajaran dari guru dan ustaz mereka yang bukan diambil dari sumber yang sahih. Itulah yang dimaksudkan sebagai berpaling dari peringatan Allah.

فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا

maka sesungguhnya layak baginya kehidupan yang sempit,

Kalimah مَعِيشَةً digunakan dan tidak perkataan ‘hayat’ kerana hayat adalah kehidupan secara umum – sama ada manusia, binatang atau tumbuhan. Kalimah مَعِيشَةً hanya digunakan untuk makhluk yang hidup – manusia dan jin. Iaitu makhluk yang memerlukan makan minum dan sebagainya, dan mempunyai tanggungjawab syariat macam yang disebut dalam ayat 118.

Kalimah ضَنكًا bermaksud ‘sempit’. Ada yang menafsirkannya sebagai azab kubur. Iaitu keadaan dalam kubur itu akan jadi sempit. Ada juga yang menafsirkannya sebagai azab di neraka.

Atau boleh juga bermaksud kehidupan dunia yang sempit. Mereka itu sentiasa sahaja dalam kerisauan. Ada sahaja yang tak kena dengan kehidupan mereka, walaupun mereka kaya, contohnya. Kita kena ubah cara kita melihat kehidupan di dunia. Selalunya kita melihat kesenangan itu dalam bentuk kelebihan harta benda sahaja.

Kita sangka apabila seseorang itu kaya, berkuasa, kita sangka mereka senang. Dan kita tengok pula, selalunya orang-orang alim, yang mengajar agama, yang berdakwah, mereka pula hidup dalam kesusahan. Kita tidak tahu bahawa yang kaya sebenarnya tidak tenang dan yang kita lihat susah itu pula yang tenang sebenarnya. Mereka tenang kerana mereka sentiasa ingat kepada Allah. Mereka berharap kepada Allah dan rasa tenang dengan apa yang Allah telah berikan kepada mereka.

Kekayaan di dunia ini tidak bernilai apa-apa kalau kita meninggalkan peringatan Allah. Ianya hanya untuk dunia sahaja. Kita mati sahaja, harta itu sudah jadi milik orang lain. Perkataan-perkataan yang melibatkan harta dalam bahasa Arab menunjukkan harta itu tidak kekal.

Sebagai contoh, perkataan emas dalam bahasa Arab adalah ذهب zahb – iaitu ada mengena dengan makna ‘pergi’. Bermakna, emas yang kita sayang itu akan pergi jua akhirnya dari kita. Senang dapat dan senang ia pergi dari kita.

وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat

Kena ingat sentiasa yang kita akan dihimpun di Mahsyar kelak dan kita kena jawab atas segala perbuatan kita di dunia. Maka kena berhati-hati dengan apa yang kita amalkan.

أَعْمَىٰ

dalam keadaan buta;

Kenapa dia jadi buta di akhirat? Akan disebutkan dalam ayat seterusnya. Oleh kerana dia buta Qur’an dan wahyu semasa di dunia, maka dia akan buta di akhirat kelak. Semasa perbicaraan di Mahsyar nanti, akan dicelikkan sekejap untuk tengok azab yang akan diberikan kepada mereka.

Ikrimah mengatakan: dibutakan matanya dari segala sesuatu kecuali neraka jahannam.


Ayat 125:

قالَ رَبِّ لِمَ حَشَرتَني أَعمىٰ وَقَد كُنتُ بَصيرًا

Sahih International

He will say, “My Lord, why have you raised me blind while I was [once] seeing?”

Malay

Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

قَالَ رَبِّ

Dia berkata: “Wahai Tuhanku,

Ini adalah kata orang yang hairan kenapa dia dilahirkan dalam keadaan buta di akhirat.

لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ

mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta,

Berani dia bertanya soalan ini. Sedangkan Allah berhak nak buat apa-apa sahaja. Allah nukilkan kata-kata mereka sebagai pengajaran bagi kita.

وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا

padahal aku dahulu (semasa di dunia) boleh melihat?”; 

Nampaknya dia tidak puas hati. Dia kata semasa di dunia, dia boleh melihat, tapi kenapa kali ini dia tidak boleh melihat?

Allahu a’lam. Situasi ini akan disambung dalam ayat seterusnya:

Kemaskini: 4 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Dr. Rozaimie Ramli