Tafsir Surah Baqarah Ayat 220 (Pergaulan dengan anak yatim)

Baqarah Ayat 220:

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
To this world and the Hereafter. And they ask you about orphans. Say, “Improvement for them is best. And if you mix your affairs with theirs – they are your brothers. And Allah knows the corrupter from the amender. And if Allah had willed, He could have put you in difficulty. Indeed, Allah is Exalted in Might and Wise.

MALAY
Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mengenai di dunia dan di akhirat 

Ayat ini adalah sambungan terus daripada ayat yang sebelumnya. Jadi ada pendapat yang mengatakan sambungan ayat itu adalah daripada ayat 219 jadi begini كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡأَيَـٰتِ لَعَلَّڪُمۡ تَتَفَكَّرُونَ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ‌ۗ. Jadi kalau baca terus begini pun tidak salah. Kalau hendak berhenti pada ayat 219 pun boleh juga.

Allah ‎ﷻ telah menerangkan seluruh ayat-ayatnya tentang arak, judi dan infak kepada kita semoga kita boleh memikirkan keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat. Apakah kerugian kalau kita terlibat dengan arak dan keuntungan jikalau kita infak harta kita. Semua ini kena difikirkan secara mendalam. Jangan ikut perasaan dan nafsu kita sahaja. Hidup kita bukan di dunia sahaja, tetapi ingatlah yang kita semua akhirnya akan menuju kepada akhirat. Jangan kita untung di dunia tetapi rugi di akhirat nanti – itu adalah rugi yang serugi-ruginya.

Ayat ini juga mengingatkan kita untuk memikirkan tentang akhirat. Memang kita sudah selalu memikirkan tentang dunia. Sebagai contoh, apabila dapat gaji sahaja, kita sudah fikirkan ke manakah wang gaji itu akan dibelanjakan, berapa hendak beli makanan dan bayar tempat tinggal, hutang yang kita kena bayar, pakaian yang kita hendak beli, pelaburan yang kita boleh laburkan duit itu dan sebagainya. Itu memang selalu kita fikirkan.

Namun bagaimana pula dengan akhirat? Adakah dalam perkiraan penggunaan wang kita itu, kita memikirkan kepada siapakah yang kita boleh tolong? Berapa banyak kita boleh bagi sedekah? Adakah kita beri infak kepada mereka yang menjalankan kerja dakwah dan sebagainya? Itu semua adalah saham akhirat kita. Ia tidak akan merugikan kita.

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin­fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim No. 4689)

Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Dia akan pulangkan balik setiap sen yang kita infakkan itu dengan berlebihan berganda-ganda lagi. Itu adalah pelaburan yang paling menguntungkan sekali dan tidak ada lagi pelaburan yang lebih untung daripada itu. Kalau kita simpan duit di rumah atau di bank, ia boleh hilang – tetapi kalau kita simpan dengan Allah ‎ﷻ, ia tidak akan hilang dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Sudahlah tidak hilang, ia akan dilipat gandakan berkali-kali ganda.

 

وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ

dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai anak-anak yatim. 

Masalah ketiga adalah tentang anak yatim. Sekali lagi kita bertemu soalan daripada para sahabat رضي الله عنهم tentang agama. Begitulah mereka prihatin tentang ugama dan bertanya terus kepada Rasulullah ﷺ akan hal agama. Ini mengajar kita untuk mendapatkan dalil dalam hal agama, jangan buat pandai sendiri. Maka jangan malu bertanya minta dalil. Buat para ustaz pula janganlah lokek untuk memberitahu dalil. Kalau ada ustaz yang marah kalau kita minta dalil, maka ketahuilah, ustaz itu sendiri tidak ada dalil sebenarnya.

Anak yatim adalah kanak-kanak yang belum baligh dan kematian ayahnya. Kalau kematian emak tidaklah dipanggil anak yatim. Yang menjadi masalah besar adalah apabila ayahnya sudah mati kerana pelindung dan pencari rezeki bagi anak itu sudah tiada. Para sahabat رضي الله عنهم bukannya tidak tahu tentang siapa anak yatim, maka soalan ini adalah tentang permasalahan dalam urusan memelihara mereka. Rasa macam susah pula untuk menjaga mereka, maka kerana itulah timbul persoalan tentang mereka. Kerana susah menjaga mereka, ramai keluarga yang tidak mahu jaga dan mereka letakkan mereka di Rumah Anak Yatim sahaja. Sedangkan mereka ada sahaja keluarga sebelah bapa saudara mereka. Akan tetapi begitulah yang berlaku apabila ahli keluarga sendiri pun tidak mahu menyusahkan diri (dan mendapat pahala yang banyak) maka dibiarkan sahaja anak saudara mereka yang yatim itu. Ketahuilah yang kalau dihantar ke rumah Anak Yatim, maka wali telah melepaskan tanggungjawab. Sedangkan kalau ayah sudah meninggal, maka bapa saudaranya yang mengambil kedudukan ayah itu. Sepatutnya jangan ditinggalkan tanggungjawab tersebut.

Pertamanya, Islam memang menggalakkan umatnya menjaga anak yatim. Ini disebut dalam banyak ayat Al-Qur’an dan juga hadith-hadith sahih. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ
“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”.
(Riwayat Muslim No. 2983)

Ibn Majah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ عَالَ ثَلَاثَةً مِنْ الْأَيْتَامِ كَانَ كَمَنْ قَامَ لَيْلَهُ وَصَامَ نَهَارَهُ وَغَدَا وَرَاحَ شَاهِرًا سَيْفَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَكُنْتُ أَنَا وَهُوَ فِي الْجَنَّةِ أَخَوَيْنِ كَهَاتَيْنِ أُخْتَانِ وَأَلْصَقَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةَ وَالْوُسْطَى
Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما beliau berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mengurus tiga anak yatim maka dia ibarat orang yang melakukan qiyamul lail pada malam harinya, berpuasa pada siang harinya, berangkat pagi dan petang hari dengan pedang terhunus di jalan Allah ‎ﷻ, aku dan dia berada di syurga seperti dua saudara sebagaimana dua ini yang bersaudara.” Dan baginda menempelkan dua jarinya, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.”
(Hadith Ibnu Majah No. 3670) Status: Dhaif (Darussalam)

Kerana itulah kita kena fikirkan tentang dunia dan akhirat sekali. Kalau fikirkan tentang dunia sahaja, tidak ada untungnya membantu anak yatim kerana mereka tidak boleh membalas kebaikan yang kita lakukan. Akan tetapi kalau fikirkan keuntungan dunia, maka membantu anak yatim sangatlah besar ganjarannya. Imam At-Tirmidzi رحمه الله meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda :

مَنْ قَبَضَ يَتِيمًا مِنْ بَيْنِ الْمُسْلِمِينَ إِلَى طَعَامِهِ وَشَرَابِهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ الْبَتَّةَ إِلاَّ أَنْ يَعْمَلَ ذَنْبًا لاَ يُغْفَرُ لَهُ
Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum nescaya Allah ‎ﷻ akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.” 
(Riwayat al-Tirmidzi No. 1917)

Hadith-hadith ini menunjukkan akan ketentuan Allah ‎ﷻ memberikan pahala dan ganjaran kepada mereka yang secara ikhlas memelihara anak yatim. Baginda Nabi Muhammad ﷺ malah menerangkan bahawa si penjaga akan bersama-sama bagaikan saudara dengan baginda di syurga kelak, inilah antara ganjaran yang terbesar yang diinginkan umat Islam semuanya.

Sebaliknya jikalau kita berlaku buruk kepada anak yatim, maka menerima kutukan Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Ma’un: 1-2

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ
Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim,

قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ

Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”

Perhatikan Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ jawab soalan yang telah diutarakan di atas. Nabi selalunya menunggu wahyu daripada Allah ﷻ sebelum memberi jawapan. Baginda tidak memandai-mandai sendiri. Malangnya ramai pula dalam kalangan asatizah kita selalunya memandai-mandai dalam memberi jawapan untuk soalan agama tanpa merujuk kepada dalil wahyu.

Ayat ini ditujukan kepada para penjaga anak-anak yatim yang telah diamanahkan untuk menjaga mereka. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, kalau tujuan para penjaga untuk kebaikan anak-anak yatim itu, kesannya adalah baik. Banyak pahala boleh dijana jikalau kita menjaga anak yatim. ‘Islah’ itu juga maksudnya menjaga dengan tujuan untuk melakukan kebaikan dan mengurus dengan baik. Kalau mereka berniat membantu dan menjaga anak yatim itu untuk kebaikan, ia adalah amat bagus sekali. Maksudnya mendidik, bergaul, memelihara, serta mengembangkan harta mereka yang dilakukan dengan baik dan wajar, itulah sikap yang dituntut terhadap anak-anak yatim.

Kalau anak-anak yatim itu ada harta dan harta itu digunakan sebagai pelaburan yang menguntungkan, itu juga adalah kebaikan. Iaitu cari perniagaan atau pelaburan yang ‘berkemungkinan’ menguntungkan. Kalau dibiarkan harta itu duduk sahaja dalam bank, lama kelamaan boleh habis begitu sahaja harta itu kalau diambil sedikit demi sedikit. Maka bolehlah harta itu dijadikan modal untuk menambah harta itu. Supaya nanti apabila harta itu dikembalikan kepada anak yatim itu setelah dia dewasa, ia menjadi lebih banyak daripada asalnya.

Kita memang tahu yang keuntungan tidak dapat dipastikan, tetapi kita boleh agak manakah pelaburan yang selamat. Maka jangan labur dalam saham Bursa pula sebab itu ada kemungkinan akan rugi wang mereka. Juga janganlah melabur dalam skim Ponzi dan juga MLM. Kena nilai dengan akal yang waras. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Isra’: 34

فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa.

Penjaga boleh mengambil harta anak yatim itu dan melaburkannya di tempat yang bermanfaat. Sebagai contoh, boleh beli rumah dan sewakan dan lain-lain perniagaan yang selamat. Sebab kalau tidak dilaburkan pun, harta itu akan berkurangan sebab perlu dibayar zakat tiap-tiap tahun – lama-lama harta itu akan susut. Jadi memang elok kalau harta itu disuburkan dengan pelaburan supaya bertambah. Supaya apabila anak yatim itu sudah cukup umur, harta itu boleh diberikan kepadanya dan ia telah bertambah. Bolehlah dia gunakan untuk kegunaannya melangsungkan kehidupannya. Tidaklah dia kesusahan nanti apabila dia sudah dewasa.

Semua ini memerlukan hati yang ikhlas dan keinginan kepada kebaikan anak itu. Kalau tidak ada, susah hendak buat begini. Maka niat semenjak awal lagi kenalah benar dan suci ikhlas. Kalau tidak memang susah kerana menjaga anak yatim dan hartanya sekali memang memerlukan usaha yang banyak dan lama. Jikalau kita meluangkan masa untuk menjaga harta anak yatim itu, maka sudah tentu kita tidak ada masa untuk membuat kerja lain. Maka dalam keadaan itu, kita boleh mengambil gaji atau upah daripada wang itu sekadar yang patut. Kena jujur dalam perkara ini. Kena ingat yang semua ini akan ditanya oleh Allah ‎ﷻ.

Kalau kita memelihara anak yatim dan mereka ada harta, kita boleh ambil sedikit harta mereka kerana kita menjaga mereka. Akan tetapi jikalau kita orang kaya dan tidak memerlukan harta anak yatim itu, maka kita tidak perlu memakannya atau mengambilnya. Maka dalam keadaan begitu, kita simpan sahaja dan seeloknya dilaburkan ke tempat yang menguntungkan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 6

وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا ۚ وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف ۖ وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ
dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (daripada memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya.

Jagalah anak yatim itu dan beri pendidikan agama kepada mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh. Allah ‎ﷻ akan membalas segala susah payah kita itu. Memang menjaga anak-anak yatim bukan mudah kerana kita kena berhati-hati supaya kita tidak termakan harta mereka dengan cara salah atau terbuat kezaliman kepada mereka. Jadi jikalau kita lakukan semua itu untuk kebaikan anak itu maka insyaallah, Allah ‎ﷻ akan bantu kita untuk menjadikan kebaikan di dalamnya. Ganjaran yang dijanjikan amat-amat tinggi.

 

وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم

dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu

Kalimah تُخالِطوهُم daripada kata dasar: خ ل ط yang bermaksud bercampur gaul, diletakkan bersama dengan benda lain, keliru, bersetubuh, menembusi, menjangkiti, menjadi rapat, mengadakan perjanjian untuk bergabung, baik hati.

Kalimah إِخوٰنُ pula daripada kata dasar أ خ و yang bermaksud adik beradik lelaki, sama keturunan dengan seseorang, kawan, rakan, sepadan, rapat dengan seseorang, adik, kakak, abang, bersetuju dengan seseorang.

Jikalau makanan kita bercampur aduk dengan makanan mereka maka anggaplah mereka itu adik beradik kita bukan orang lain. Seharusnya saudara mara memang berkongsi barang dan kita menolong mereka. Janganlah sampai tidak makan bersama kerana takut termakan makanan mereka. Makanlah sekali bersama-sama, jangan takut. Tidak perlu sampai kena buat dua dapur yang berbeza. Janganlah sampai makan berlainan meja dan tempat kerana kalau makan pun berpisah-pisah, itu bukan saudara mara lagi dan merendahkan mereka pula. Namun walaupun boleh bercampur dengan makanan kita, janganlah salah guna pula harta anak yatim itu.

Kenapakah adanya ayat ini? Para sahabat رضي الله عنهم sudah tahu memang ada kelebihan menjaga anak yatim. Namun dalam masa yang sama, mereka tahu kita dilarang daripada memakan harta anak yatim. Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat yang lain iaitu Nisa’: 10:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

wp-1581746043230.jpg

Malah perkara yang sama diulang di dalam An’am:1 52

وَلَا تَقرَبُواْ مَالَ ٱليَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ حَتَّىٰ يَبلُغَ أَشُدَّهُ
Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh

Jadi, para sahabat رضي الله عنهم takut kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang mereka pelihara kerana sifat mereka yang amat menjaga hukum. Mereka tidak berani hendak melanggar larangan Allah ‎ﷻ. Lalu, mereka sudah mula terasa susah bagi mereka untuk memelihara anak yatim. Begitulah para sahabat رضي الله عنهم amat prihatin dengan dosa dan amat takut kalau terlanggar peraturan Allah ﷻ dan menyebabkan Allah ﷻ murka. Bukannya macam kita ini yang selamba sahaja membuat dosa.

Dalam satu sudut, mereka tahu ada banyak ganjaran dan kebaikan kalau menjaga anak yatim, namun dalam masa yang sama juga, mereka amat takut kalau mereka membuat dosa kalau termakan harta anak yatim itu. Sampaikan ada antara mereka yang membuat dua dapur – satu untuk ahli keluarga mereka dan satu lagi untuk anak-anak yatim itu. Jikalau anak yatim itu makan tidak habis, mereka tidak berani makan dan dibiarkan sahaja makanan itu membusuk dan ini tentunya sudah berlaku pembaziran. Alasan mereka tidak makan bersama adalah kerana takut termakan daripada bahagian anak-anak yatim itu. Itu sudah menyusahkan mereka. Begitulah asbabun nuzul ayat ini. Diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa’i, Al-Hakim, dan yang lain daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata,

“Ketika turun ayat, “Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik.” (Al-Isra’:34) dan “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.” (An-Nisa’: 10), maka beranjaklah orang-orang yang di sisinya ada (mempunyai) anak yatim, kemudian mereka memisahkan makanan mereka dengan makanan anak yatim, begitu juga minuman mereka, dan mereka melebihkan makanan anak yatim daripada makanan mereka dan mengurung mereka sehingga makanan tersebut dimakan atau makanan tersebut rosak, hingga hal tersebut melampaui batas, kemudian mereka menceritakan hal tersebut kepada Nabi ﷺ, maka turunlah ayat, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim.”

Itulah yang dikatakan ada dua hala itu (ada pro dan kontra). Bukannya para sahabat رضي الله عنهم tidak mahu menjaga anak yatim, tetapi mereka takut juga kalau-kalau mereka buat salah. Maka Allah ‎ﷻ membuat undang-undang untuk menguruskan perkara ini.

Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar umat Islam untuk melayan anak-anak yatim seperti saudara mara. Layanlah seperti melayan sanak saudara sendiri, dengan penuh kasih sayang dan bergaul mesra dengan mereka. Jangan layan mereka seperti orang asing.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ

dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan daripada orang yang hendak memperbaikinya.

Allah ‎ﷻ tahu isi hati dan niat mereka yang menjaga anak-anak yatim sama ada mereka mahukan kebaikan untuk anak yatim itu ataupun tidak. Maka kena ingat yang semua perbuatan kita akan ditanya oleh Allah ‎ﷻ dan ia akan bergantung kepada niat kita semasa melakukannya.

Ada penjaga anak yatim yang mengambil kesempatan daripada harta peninggalan milik anak-anak yatim. Mereka suka menjaga anak yatim kerana mereka boleh mengambil peluang untuk mengikis harta anak-anak yatim itu. Allah ﷻ mengancam mereka di dalam ayat ini yang Dia tahu perbuatan dan niat mereka. Sekiranya mereka memakan harta anak yatim dengan cara yang salah, mereka akan diazab di akhirat kelak.

Di dalam masa yang sama, kalau niat mereka baik untuk menjaga anak yatim dan kalau mereka termakan sedikit makanan dan hak anak-anak yatim itu, Allah ﷻ boleh maafkan.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم

Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu

Kalimah أَعنَتَ daripada kata dasar: ع ن ت yang bermaksud mendapat susah, kesukaran, kedukaan, dibebankan dengan banyak, melakukan jenayah, menghalang orang melakukan sesuatu, jadi rosak, menyebabkan seseorang rosak, memukul dengan teruk, menyebabkan kejelikan kepada orang lain, keliru.

Kalaulah Allah ‎ﷻ mahu, Allah ‎ﷻ boleh menyusahkan kita yang menjaga anak yatim itu, iaitu kita tetap juga kena menjaga anak yatim itu dalam kesusahan dan kepayahan. Sampai tidak boleh langsung makan harta anak yatim itu, kena makan asing, kena buat dapur berbeza dan sebagainya. Namun Allah ‎ﷻ tidak buat begitu kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan kemudahan di dalam urusan menjaga mereka. Supaya kita boleh mendapat pahala dan kelebihan menjaga anak yatim, tetapi tidaklah menyusahkan kita sangat.

Demikianlah ajaran daripada Allah ﷻ tentang beberapa hal daripada ayat 219 sebelum ini tentang arak, judi, infak dan sekarang tentang anak yatim pula. Nampak semua isu berbeza akan tetapi semuanya tentang hartabenda. Allah ﷻ suruh umat manusia berfikir di dalam memberikan hukum.

    • Allah ﷻ menegur tentang manusia yang boros dan suka membuang duit dengan meminum arak dan bermain judi. Kalau ada kebaikan pun, tidaklah lebih baik daripada keburukan yang banyak.
    • Kemudian Allah ﷻ mengajar bagaimana cara infak; jangan terlalu bersemangat sampaikan beri semua harta kepada orang lain sehingga tidak berbaki. Berikan sedekah setelah keperluan diri dan keluarga dipenuhi dan infaklah yang selebihnya.
    • Kemudian di dalam ayat ini tentang menjaga harta anak yatim yang di dalam jagaan. Yang penting adalah menjaga dengan baik, dengan niat yang murni, bukannya untuk mengambil harta anak yatim itu kerana dosanya amat berat.

 

إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Maksud عَزيزٌ adalah Allah ‎ﷻ boleh membalas segala dosa dan kesalahan kita sama ada di dunia atau di akhirat. Maksud عَزيزٌ adalah Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa-apa sahaja dan Dia tidak boleh dikalahkan dan tidak boleh dihalang. Maka takutlah kepada azab Allah ‎ﷻ kalau kita salahguna harta anak-anak yatim itu atau berlaku zalim terhadap mereka.

Maksud حَكيمٌ pula Allah ﷻ boleh mengampunkan kita kerana Dia Maha Bijaksana untuk menghukum. Sekiranya kita bersalah dalam hal menjaga harta anak yatim itu dan Allah ‎ﷻ tidak balas semasa di dunia, itu adalah kerana atas hikmah kebijaksanaan Allah ‎ﷻ, yang antaranya Allah ‎ﷻ mahu memberi peluang untuk kita memperbaiki keadaan itu dan bertaubat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Isu Allah tanpa bertempat 

HUJJAH ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT

Sesungguhnya telah tersebar dalam masyarakat kita suatu kata-kata yang dinisbahkan kepada Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu mengenai Allah wujud tanpa bertempat.

KATA MEREKA:

Imam Ali radhiallahu ‘anhu berkata:
كان ولا مكان، وهو الان على كان.
“Adalah Allah, tiada tempat bagi-Nya, dan Dia sekarang tetap seperti semula.”

Beliau juga berkata:
إن الله تعالى خلق العرش إظهارًا لقدرته لا مكانا لذاته.
”Sesungguhnya Allah – Maha Tinggi- menciptakan Arsy untuk menampakkan kekuasaan-Nya bukan sebagai tempat untuk Zat-Nya.”[ Al Farqu baina al Firaq:333]

Beliau juga berkata:
من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود.
”Sesiapa menganggap bahawa Tuhan kita terbatas (mahdûd) maka ia telah jahil (tidak mengenal) Tuhan Sang Pencipta.”[ Hilyatul Awliyâ’; Abu Nu’aim al Isfahani,1/73, ketika menyebut sejarah Ali ibn Abi Thalib ra.]

KITA JAWAB:
Ini merupakan pendustaan terhadap Ali Bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu. Hal ini dapat dilihat dari beberapa sudut:

Pertama:
Sesungguhnya athar ini dibawakan oleh orang-orang Syi’ah Rafidhah dalam buku-buku mereka tanpa ada sanad sama sekali. Antaranya dalam kitab mereka Al-Kaafi (karya Al-Kulaini). Al-Kulaini berkata:

وَ رُوِيَ أَنَّهُ سُئِلَ ( عليه السلام ) أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ سَمَاءً وَ أَرْضاً فَقَالَ ( عليه السلام ) أَيْنَ سُؤَالٌ عَنْ مَكَانٍ وَ كَانَ اللَّهُ وَ لَا مَكَانَ
Dan diriwayatkan bahawasanya Ali bin Abi Thalib ‘alaihis salam ditanya : Dimanakah Rabb kami sebelum menciptakan langit dan bumi?, maka Ali bin Abi Thalib ‘alaihis salaam berkata, “Mana pertanyaan tentang tempat?! padahal Allah dahulu tanpa ada tempat (Al-Kaafi 1/90 dalam بَابُ الْكَوْنِ وَ الْمَكَانِ)

Ternyata memang aqidah orang-orang Asyaa’irah adalah sama dengan aqidah orang-orang Syi’ah Rafidhah dalam masalah dimana Allah.

Kerana memang orang-orang Rafidhah beraqidah mu’tazilah, dan Asya’irah dalam masalah dimana Allah sepakat dengan Mu’tazilah (padahal Mu’tazilah adalah musuh Asya’irah)

Athar ini dibawakan oleh Al-Kulaini dengan tanpa sanad, bahkan dengan sighah “Diriwayatkan” yang menunjukan lemahnya riwayat ini.

Kedua :
Demikian juga yang dinukil dari kitab Al-Farqu bainal Firoq karya Abdul Qahir Al-Baghdadi adalah riwayat tanpa sanad sama sekali.

Abdul Qahir Al-Baghdadi berkata :
“Mereka telah bersepakat bahawasanya Allah tidak diliputi tempat dan tidak berlaku waktu baginya, berbeza dengan perkataan orang-orang yang menyangka bahawasanya Allah menyetuh ‘Arsy-Nya dari kalangan Hasyimiyyah dan Karraamiyyah. Amiirul Mukminin Ali –radhiallahu ‘anhu- berkata : Sesungguhnya Allah telah menciptakan Al-‘Arsy untuk menunjukan kekuasaan-Nya dan bukan untuk sebagai tempat yang meliputi zat-Nya. Beliau berkata juga : Allah dahulu (sendirian) tanpa ada tempat, dan Allah sekarang sebagaimana Dia dulu” (Al-Farqu baynal Firaq hal 33)

Para pembaca yang budiman, ternyata riwayat-riwayat dari Ali bin Abi Thalib yang dibawakan oleh Abdul Qahir Al-baghdadi tanpa ada sanad sama sekali. Dan hal ini tentunya diketahui oleh Asyairah, akan tetapi mereka tetap saja menampilkan riwayat-riwayat dusta dan tanpa sanad ini demi untuk mendukung aqidah mereka yang bathil.

Ketiga :
Selain riwayat-riwayat tersebut tanpa sanad ternyata Abdul Qahir Al-Baghdadi sama sekali tidak dikenal sebagai seorang Muhaddith, namun demikianlah Asyairah tetap sahaja nekat mengambil riwayat dari orang yang tidak dikenali sebagai Muhaddith.

Keempat :
Abdul Qahir Al-Baghadadi tentunya lebih rendah kedudukannya daripada kedudukan gurunya iaitu Abul Hasan Al-‘Asy’ari.

Kelima :
Kalau seandainya riwayat-riwayat di atas sahih maka tidak menunjukan bahawasanya Ali bin Abi Thalib mengingkari adanya Allah di atas langit. Paling tidak, dalam riwayat-riwayat di atas baginda –radhialllahu ‘anhu- hanyalah mengingkari bahawasanya Allah diliputi oleh tempat, dan pernyataan tersebut adalah pernyataan yang benar.

IKTIQAD KITA AHLUS SUNNAH:
Ahlus sunnah tidak mengatakan bahawa Allah berada di suatu tempat yang meliputi Allah, akan tetapi mengatakan bahawasanya Allah berada di atas, iaitu di arah atas.
Wallahu a’lam.

Disunting dari kajian Ustaz Firanda Andirja

Sedekah fatihah dan bacaan Qur’an

BACAAN AL-FATIHAH UNTUK KEDUA ORANG TUA (dan orang lain)

Oleh: Syaikh Shalih bin Fauzan Al-Fauzan

Membacakan surat Al-Fatihah untuk kedua orang tua yang telah meninggal atau yang lain merupakan perbuatan bid’ah karena tidak ada dasarnya dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Tidak ada dalil bahwasanya Al-Fatihah boleh dibacakan untuk orang yang meninggal atau arwah mereka, baik itu orang tuanya atau orang lain.

Sebaliknya, yang disyariatkan adalah mendo’akan bagi kedua orang tua dalam shalat dan sesudahnya, memohonkan ampunan dan maghfirah bagi keduanya dan sejenisnya yang termasuk doa yang bisa bermanfaat bagi yang sudah meninggal.
[Nur ‘Alad Darbi, Juz III, I’dad Fayis Musa Abu Syaikhah]

HUKUM MENGHADIAHKAN/ MENGIRIM PAHALA BACAAN AL QURAN MENURUT MAZHAB AL SYAFI’E

Oleh: Nasiruddin Abdul Aziz N.A.A
Firman Allah ta’ala :
وَأَن لّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاّ مَا سَعَى
“Dan bahawasannya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang diusahakannya” [ An-Najm : 39].

Ayat ini mengandungi pengertian : “Dan tidaklah seseorang yang berbuat itu dibalas melainkan dari perbuatannya itu sendiri”.

Hadith Abu Hurairah radhiyallaahu ’anhu bahawasannya Rasulullah shallallaahu ’alaihi wasallam bersabda :
إذا مات الإنسان انقطع عنه عمله إلا من ثلاثة إلا من صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
”Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali atas tiga hal : sedekah jaariyah, atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya” [HR. Muslim no. 1631].

An-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata:
وأما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعي أنه لا يصل ثوابها إلى الميت…….. ودليل الشافعي وموافقيه قول اللهِ تعالى : وَأَن لّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاّ مَا سَعَى. وقول النبي صلى الله عليه وسلم : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
”Adapun bacaan Al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat), maka yang masyhur dalam mazhab Syafi’i adalah bahawa perbuatan tersebut TIDAK AKAN SAMPAI pahalanya kepada mayat yang dikirimi…… Adapun dalil Imam Syafi’e dan para pengikutnya adalah firman Allah (yang ertinya) : ”Dan tidaklah seseorang itu memperoleh balasan kecuali dari yang ia usahakan” ( An-Najm : 39); dan juga sabda Nabi shallallaahu ’alaihi wasallam (yang ertinya) : ”Apabila anak Adam telah meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali atas tiga hal : sedekah jaariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya” [Syarh Sahih Muslim oleh An-Nawawi 1/90].

Al-Haithami dalam Al-Fatawaa Al-Kubra Al-Fiqhiyyah telah berkata :
الميت لا يقرأ عليه مبني على ما أطلقه المقدمون من أن القراءة لا تصله أي الميت لأن ثوابها للقارء. والثواب المرتب على عمل لا ينقل عن عامل ذلك العمل. قال اللهِ تعالى : وَأَن لّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاّ مَا سَعَى.
“Mayat, tidak boleh dibacakan apapun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama’ mutaqaddimiin (terdahulu); bahawa bacaan (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat) adalah tidak sampai kepadanya. Sebab pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedang pahala hasil amalan tidak boleh dipindahkan dari ’aamil (orang yang mengamalkan) perbuatan tersebut, berdasarkan firman Allah ta’ala (yang ertinya) :”Dan tidaklah seseorang itu memperoleh balasan kecuali dari yang ia usahakan” (An-Najm : 39) [Al-Fatawaa Al-Kubraa Al-Fiqhiyyah oleh Al-Haithami 2/9].

Ibnu Kathir dalam Tafsir-nya ketika menafsirkan Surat An-Najm ayat 39 berkata :
أي كما لا يحمل عليه وزر غيره, كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه, ومن هذه الاَية الكريمة استنبط الشافعي رحمه الله ومن اتبعه, أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى, لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه ولا أرشدهم إليه بنص ولا إيماء, ولم ينقل ذلك عن أحد من الصحابة رضي الله عنهم, ولو كان خيراً لسبقونا إليه, وباب القربات يقتصر فيه على النصوص ولا يتصرف فيه بأنواع الأقيسة والاَراء
”Yakni sebagaimana dosa seseorang tidak dapat menimpa kepada orang lain. Demikian juga manusia tidak memperoleh pahala melainkan dari hasil amalnya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini (ayat 39 An-Najm), Imam Asy-Syafi’e dan ulama-ulama lain yang mengikutinya mengambil kesimpulan bahawa bacaan yang pahalanya dikirimkan kepada mayat adalah tidak dapat sampai, kerana bukan dari hasil usahanya sendiri. Oleh itu, Rasulullah shallallaahu ’alaihi wasallam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk mengamalkannya (pengiriman pahala bacaan), dan tidak pernah memberikan bimbingan, baik dengan nash mahupun dengan isyarat. Dan tidak ada seorang sahabat pun yang pernah mengamalkan perbuatan tersebut. Kalaupun amalan seperti itu memang baik, tentu mereka lebih dahulu mengerjakannya, padahal amalan pendekatan diri kepada Allah tersebut hanya terbatas pada nash-nash (yang ada dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah) dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas dan pendapat-pendapat” [Tafsir Al-Qur’aanil-’Aziim li-Bni Kathiir].

Wallahu a’lam.

 

Ada sampai kepada kita beberapa hujah puak yang mengatakan amalan membaca Fatihah ini dianjurkan oleh golongan salaf. Kita serta di sini dan jawapan kepadanya.

Hujah:1

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلىٰ الله عليه وسلم يقول : «إذا مات أحدُكم فلا تحبسوه، وأَسْرِعوا به إلى قبره، وليُقْرَأْ عند رأسه بفاتحة الكتاب، وعند رجليه بخاتمة سـورة البقرة في قبره» .
Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu meninggal dunia, janganlah kamu menahannya (dari segera dikebumikan), percepatkanlah pengebumiannya, dan bacakanlah di bahagian kepalanya Surah Al-Fatihah, serta di bahagian kakinya penghujung Surah Al-Baqarah dalam kuburnya.” [Diriwayatkan oleh At-Tabarani dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, dengan sanad yang hasan sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari]

Jawapan:

Al-Imam Al-Subki rahimahullah menjelaskan:

وَاَمَّا مَا يَرْوِيْ عَنِ بْنِ عُمَرَ اَنَّهُ اُوْصِيَ بِقِرَاءَ ةِ الْفَاتِحَةِ وَخَوَاتِمَ الْبَقَرَةِ عَلَى قَبْرِهِ فَهُوَ اَثَرٌ شَاذٌ لَمْ يَصِحْ سَنَدُهُ وَلَمْ يُوَافِقهُ عَلَيْهِ اَحَدٌ مِنَ الصَّحَابَةِ.

“Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibn ‘Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan Al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah Al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah atsar yang Syadz (ganjil) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat.” (Takmilah Syarah Al-Muhazzab oleh Tajuddin As-Subki, 10/429 – dinukil dari Kitab Hukum Al-Qira’ah ‘Ala Al-Amwat oleh Muhammad bin Ahmad ‘Abdus Salam dengan Tahqiq Mahmud Mahdi Al-Istambuli)

Seorang ulama Mesir, Asy-Syaikh Muhammad bin Ahmad ‘Abdus Salam melalui tulisannya, beliau menyatakan:

أما ما يروى عن ابن عمر أنه أوصى بقراءة الفاتحة وخواتيم البقرة على قبره، فهو أثر شاذ لم يصح سنده، ولم يوافقه عليه أحد من الصحابة، وكذلك ما يروى من قراءة الفاتحة والصمدية والمعوذتين وألهاكم والكافرون وإهدائها لأهل المقابر فباطل لمخالفتها لأقوال النبي صلى الله عليه وآله وسلم وأفعال أصحابه.

“Adapun apa yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma yang menceritakan bahawa beliau (Ibnu ‘Umar) pernah berwasiat, sekiranya beliau telah meninggal dunia, supaya dibacakan Surah Al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah di atas kuburnya. (Bahawasanya) Atsar tersebut adalah Syazd (ganjil), sanadnya tidak sahih. Dan tidak seorang pun di antara para sahabat yang menyepakatinya.

Demikian juga dengan riwayat-riwayat tentang membaca Surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas, At-Takatsur, Al-Kafiruun, dan menghadiahkannya kepada ahli kubur adalah palsu. Ini adalah kerana ianya bertentangan dengan perkataan-perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan perbuatan para sahabatnya.” (Hukum Al-Qira’ah ‘ala Al-Amwat dengan Tahqiq Mahmud Mahdi Al-Istambuli, m/s. 25)

 

Hujah 2:

وعن أم عفيف النهدية رضي الله عنها أنَّها قالت: “بايعَنا رسولُ الله صلى الله عليه وآله وسلم حِينَ بَايَعَ النِّسَاءَ؛ فَأَخَذَ عَلَيْهِنَّ أَن لَا تُحَدِّثْنَ الرَّجُل إلا مَحْرَمًا، وأَمَرَنَا أن نقرأ على مَيِّتِنا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ”
Daripada Ummu ‘Afif Al-Nahdiyyah r.a., beliau berkata:
“Rasulullah ﷺ membai’at kami (kaum wanita) sebagaimana baginda membai’at para wanita yang lain. Baginda mengambil janji agar kami tidak bercakap dengan lelaki kecuali yang mahram, dan baginda memerintahkan kami supaya membaca Surah Al-Fatihah ke atas jenazah kami.”
[Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam “Al-Mu’jam Al-Kabir”, Ibn Mandah, dan Abu Nu’aim dalam “Ma’rifat Al-Sahabah”]

Jawapan:

Hadis ini adalah dhaif.

أمرنا رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ أن نقرأَ على الجنازةِ بفاتحةِ الكتابِ

الراوي : أم شريك | المحدث : ابن حجر العسقلاني | المصدر : التلخيص الحبير | الصفحة أو الرقم : 2/675 | خلاصة حكم المحدث : في إسناده ضعف يسير

Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat 3 – 7 (Golongan-golongan manusia)

Sifat Rahmah Allah Taala:

Seterusnya kita bincangkan tafsir bagi ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ.

Lafaz الرَّحْمَٰنِ bermaksud ‘Maha Pemurah’ dan ia bermaksud Allah itu Maha Pemurah yang bersangatan yang meliputi seluruh alam. Allah memberi nikmat dan keperluan kehidupan kepada semua makhluk-Nya. Tidak kira sama ada makhluk itu Muslim atau tidak, beriman atau tidak, Allah berikan nikmat.

Lafaz الرَّحِيمِ pula bermaksud ‘Maha Mengasihani’ yang hanya khusus untuk akhirat sahaja. Di akhirat nanti, Allah hanya bersifat belas kepada hamba-Nya yang taat sahaja. Ia tidak diberikan kepada mereka yang tidak beriman.

Setiap hari kita diingatkan dengan dua sifat ini. Jangan kita terleka dengan sifat rahman Allah ini dan sangka yang ia adalah sifat rahim dan sangka kita sudah selamat. Maksudnya, jangan kita sangka yang orang yang kaya raya itu tandanya Allah sayangkannya melebihi daripada orang lain. Walaupun diberikan segala kesenangan kepada seorang manusia itu, tidaklah ia menjadi tanda yang Allah redha dan sayang kepadanya.

Untuk lebih memahami apakah perbezaan antara dua sifat ini, ulama’ telah membanding dua sifat ini dengan sifat kasih sayang ibubapa. Kedua-dua ibu dan bapa sayang kepada anak mereka tetapi kasih sayang mereka adalah berlainan. Seorang ayah, walaupun dia sayang kepada anaknya, tetapi dia boleh/sanggup melihat anaknya susah. Kerana dia tahu yang kesusahan itu adalah demi kebaikan masa depan anaknya itu.

Akan etapi kasih seorang ibu tidak begitu. Dia terlalu sayangkan anaknya sampai dia tidak sanggup melihat anaknya menderita langsung. Sebagai contoh, kalau seorang ayah tahu yang anaknya susah di sekolah, dia biarkan sahaja. Sebaliknya bagi ibu itu, kalau boleh tidak mahu anaknya terus kesusahan di sekolahnya. Kedua-dua sifat ini kena ada dalam pentarbiahan seorang anak.

Kalau hanya ada kasih ayah sahaja, anak itu tentu akan susah dalam hidupnya di kemudian hari. Kalau ada kasih ibu sahaja, anak itu tentu menjadi terlalu manja dan mungkin tidak dapat berjaya dalam hidupnya kerana dia tidak belajar erti susah dalam hidupnya. Begitulah perumpamaan sifat Rahman Allah. Allah sanggup melihat hamba-Nya menderita dalam kehidupan dunia. Sebab itulah walaupun hamba-Nya itu amat disayangi-Nya, dia masih hidup susah di dunia ini.

Lihatlah kisah Nabi kita Muhammad, dari kecil sehingga dewasa hidupnya dalam kesusahan. Akan tetapi apabila di akhirat kelak sifat Rahim Allah seperti sifat sayang keibuan. Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang beriman mendapat sedikitpun kesusahan, oleh itu akan dimasukkan hamba itu ke dalam syurga yang penuh kenikmatan.

Allah yang Memiliki Hari Pembalasan:

Seterusnya, tafsir ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ. Maksudnya, Allah sahaja yang memiliki Hari Pembalasan. Kalimah ٱلدِّينِ dalam ayat ini bermaksud ‘Pembalasan’. Seperti yang kita sudah terangkan, lafaz ٱلدِّينِ ada 4 makna di dalam Al-Qur’an. Dan dalam ayat ini, ia bermaksud ‘Pembalasan’.

Allah mengingatkan kita tentang Hari Pembalasan dalam ayat ini. Sedangkan orang yang tidak percaya Allah pun percaya yang dia akan mati. Adakah sesiapa yang percaya dia akan hidup kekal? Tentu tidak. Ini adalah jawapan kepada mereka yang kononnya hanya percaya kepada benda yang mereka boleh nampak sahaja. Ingatkan mereka yang mereka akan mati juga akhirnya. Tanya mereka: Agaknya nanti bagaimana keadaan mereka selepas mereka mati nanti. Adakah mereka benar-benar yakin yang mereka akan selamat?

Kononnya mereka tidak percaya wujudnya Tuhan kerana mereka tidak nampak Tuhan. Tetapi akal pun kita tidak nampak, bukan? Adakah itu bermakna yang akal itu tidak ada? Maka walaupun kita tidak nampak akhirat, namun mati itu pasti dan pembalasan selepas itu lagi pasti. Pada hari itu, Allah akan membalas apa sahaja yang manusia telah lakukan semasa di dunia dulu. Yang baik dibalas baik dan yang buruk akan dibalas buruk.

Hanya Sembah dan Doa kepada Allah Sahaja:

Selepas kita kenal Allah dalam tiga ayat yang pertama ini, kita pun hendaklah Sembah Allah sahaja dan Doa kepada Allah sahaja. Inilah yang terdapat dalam ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ. Ayat ini kita telah tafsirkan sebelum ini.

Tunjukilah Kami Jalan Yang Lurus:

Ayat seterusnya adalah اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Kita minta pimpinan kepada Allah dan pimpinan yang kita mahukan adalah kepada jalan yang lurus. Akan tetapi apakah jenis hidayah yang kita harapkan daripada Allah?

Perkataan ‘hidayah’ ini ada dua makna dalam Al-Qur’an.

– tunjuk jalan, dan
– pimpin.

Namun, apakah bezanya antara kedua perkataan itu? Nampak seperti sama sahaja. Dari segi bahasa Arab, kalau ada huruf jar seperti إلى selepas sesuatu kalimah itu, maka maksudnya ‘tunjuk jalan’. Kalau tidak ada huruf jar, maka ia bermaksud ‘pimpin’. Apakah bezanya?

Kalau ‘tunjuk’, ia hanya sekadar tunjuk/beritahu jalan sahaja. Sebagai contoh, kita bawa kereta dan kerana destinasi tujuan kita tidak biasa pergi, kita minta seseorang beritahu kita bagaimana cara dan jalan ke tempat itu. Dia pun ajar kita bagaimana hendak ke sana. Ikut jalan apa, tanda apa kena lihat dan sebagainya. Kita pun bawa kereta berdasarkan petunjuk yang telah diberikan itu. Dalam hal ini, kita mungkin sampai dan kita mungkin sesat, bukan?

Namun kalau ‘pimpin’, maksudnya dia bawa kita sampai ke tempat yang dituju. Dia masuk sekali dalam kereta dan berada bersama kita sampailah kita sampai ke destinasi kita. Inilah yang kita lebih suka, bukan? Maka, dalam Surah Al-Fatihah ini, hidayah yang dimaksudkan adalah ‘pimpin’. Inilah yang kita harapkan daripada Allah. Kita minta Allah pandu kita sepanjang perjalanan.

Kenapa kita minta hidayah lagi sedangkan kita sudah beriman? Sebab kita bukan minta sekadar ditunjukkan jalan sahaja tetapi kita mahukan Allah pimpin kita sampai ke syurga. Ulama’ tafsir kata ‘pimpinan’ dalam ayat ini adalah seumpama pimpinan ayah kepada anak yang baru belajar berjalan. Tentunya ayah itu sentiasa menjaga anaknya itu, kalau nampak hampir rebah sahaja, ayahnya sudah pegang dan selamatkan dirikan.

Kita akan mendapat hidayah kalau dalam hati kita ada inabah. Maksudnya adalah ‘condong kepada kebenaran’. Orang yang ada inabah adalah mereka yang mahu kepada kebenaran. Ada keinginan dalam diri mereka untuk kenal Allah dan kenal agama. Mereka mahukan kebenaran walaupun kebenaran itu lain dengan apa yang mereka faham selama ini.

1. Sifat inabah adalah permulaan hidayah. Sebagai contoh, seseorang itu sudah mula ada keinginan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Maknanya dia mahu mengenali dan mendekati Allah.

2. Peringkat kedua, selepas di mula belajar, dia akan mula hidup dengan ikut syariat.

3. Peringkat ketiga, Allah akan uji dia. Ini terjadi apabila dia mula menyampaikan ajaran agama ini. Kalau dia duduk diam belajar, tidak menjadi apa-apa. Akan tetapi kalau mula dakwah, mula tabligh kepada orang lain, dia akan menghadapi tentangan dan ujian. Ujian itu sama ada dalam bentuk dalaman atau pun luaran. Kalau dalam bentuk dalaman, dia akan mula rasa malas dan sebagainya.

Kalau luaran, dia akan ditentang oleh kawan, keluarga, pemerintah dan sebagainya. Tujuan ujian ini adalah untuk melihat hamba itu ada kesungguhan atau tidak. Ini adalah perkara biasa kerana seperti kita tahu, para Nabi pun teruk diuji. Begitu juga dengan penyebar agama sepanjang zaman. Paling kurang kita akan dituduh sebagai ‘wahabi’.

4. Peringkat keempat akan diterima apabila seseorang itu tetap teguh dalam agamanya. Pertamanya, dugaan yang dihadapinya akan lebih besar lagi. Maka dia hendaklah memohon keteguhan hati daripada Allah.

Seterusnya, Allah akan berikan istiqamah ke dalam hatinya iaitu keyakinan yang sempurna. Ini dinamakan ‘Rabtul Qalbi’. Iaitu hati kita akan tetap berada dalam iman dan tidak akan goyah lagi. Selepas ini, tidak kira apa sahaja dugaan dan cubaan, dia akan tetap di atas iman. Inilah tahap yang kita mahu dan harap kita dapat capai.

Kedudukan yang tinggi ini, kita kena minta kepada Allah. Inilah yang kita minta kepada Allah dalam Surah Al-Fatihah ini. Allah tidak akan menghampakan harapan hamba-Nya yang meminta kepada-Nya.

Saidina Umar pernah berkata: kalau seseorang itu Allah telah beri taufik kepadanya untuk berdoa, maknanya Allah sudah hendak berikan apa yang dia minta itu. Kerana kalau Allah tidak mahu beri, Allah tidak campakkan pun perasaan untuk meminta.

Segalanya kita kena minta kepada Allah. Oleh itu, eloklah guna tempat dan masa yang doa senang dimakbulkan. Dan lebih molek lagi kalau kita berdoa dengan lafaz doa yang Nabi sendiri ajar. Kalau belum tahu, bolehlah guna doa dengan bahasa kita sendiri.

Apakah kaitan perkara ini dengan Surah Al-Fatihah? Sebenarnya dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ini, terdapat permintaan kita kepada Robtul Qalbi yang telah disebutkan. Kita akan diberikan dengan apa yang kita doakan. Kalau yang kita minta adalah Robtul Qalbi, maka itulah yang Allah akan berikan. Kalau kita tidak minta, Allah tidak berikan.

Namun bukankah kita melafazkan doa yang sama? Maka tentu kita sudah mendapat Robtul Qalbi itu kerana kita setiap hari doa, bukan? Kita kena faham yang orang mungkin menggunakan lafaz yang sama, tetapi permintaan mereka tidak sama.

Sebagai analogi, seorang anak kecil yang meminta duit, tentulah tidak sama jumlah wang yang dimintanya dengan seorang dewasa yang juga meminta duit. Anak kecil itu, mungkin menginginkan beberapa sen sahaja tetapi seorang dewasa mungkin mengharapkan beberapa ratus ringgit. Mereka kedua-dua ‘minta duit’, tetapi harapan mereka berbeza.

Maka yang diminta itu pun tahu apakah maksud yang meminta. Dan tentu Allah lebih tahu apa yang dalam hati kita.

Apakah maksud الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ? Ia adalah satu jalan rohani, bukannya jalan yang kita lihat sehari-hari di depan mata kita. Jalan lurus inilah yang wajib kita minta kepada Allah. Ia bermaksud jalan yang mengikut amalan yang soleh dan akidah yang betul. Inilah definisi jalan yang lurus seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Kita akan membincangkan perkara ini apabila kita sampai kepada ayat itu nanti.

Jalan Orang-orang Yang Telah Diberi Nikmat:

Ayat seterusnya adalah ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ  yang bermaksud jalan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah. Ada empat golongan yang dimaksudkan, seperti yang Allah sebut dalam Nisa:69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Dalam ayat ini, disebut empat golongan itu:

1 Para Nabi. Kita tidak ada ikhtiar untuk menjadi Nabi. Yang kita boleh jadi adalah ‘pengikut-pengikut Nabi’. Yang tiga lagi boleh untuk kita usahakan untuk mencapainya.

2. Siddiqeen. Pengikut setia para Nabi.

3. Syuhada. Golongan pejuang.

4. Orang-orang yang Soleh. Iaitu mereka yang mentaati Allah dengan tidak berbelah bagi.

Golongan-golongan yang Derhaka:

Kalimat غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ – Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan jalan mereka yang sesat. Ada 4 golongan ini yang dimaksudkan dalam Al-Qur’an.

Kalimat المَغضوبِ عَلَيهِم – Yang dimurkai adalah golongan Yahudi dan musyrikin. Ini adalah dua golongan yang amat susah untuk diperbetulkan kerana mereka degil sungguh. Mereka bukannya tidak tahu, tetapi degil dan degil itu tiada ubatnya melainkan dia sendiri yang sedar.

Kalimat الضّالّينَ  – Golongan yang sesat. Yang dimaksudkan adalah Nasara dan munafiqin. Ini adalah jenis golongan yang kufur jahil. Mereka tidak ada ilmu dan kerana itu senang ditipu.

Semua empat golongan ini dihuraikan dalam Al-Qur’an dengan panjang lebar di dalam banyak surah. Kita kena tahu ciri-ciri mereka supaya kita jangan jadi seperti mereka.  Takut-takut kita ada perangai mereka. Sebagai contoh, takut kita mengutuk bangsa Yahudi tetapi tidak perasan kita pun ada perangai mereka.

Surah Baqarah banyak menceritakan kesesatan bangsa Yahudi.

Surah Ali Imran pula banyak menyentuh kesesatan Nasara.

Surah An-Nisa pula banyak menceritakan tentang golongan munafikin.

Surah Al-Maidah pula ada campuran tentang kesesatan Yahudi, Nasara dan munafik.

Kemudian Surah Al-An’am dan Al-A’raf pula adalah tentang golongan musyrikin. Iaitu golongan yang mendakwa ikut Nabi, tetapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka itu musyrik (menduakan Allah atau salah satu sifat-sifat Allah).

Itulah semua surah-surah awal dalam Al-Qur’an yang menceritakan tentang kesesatan empat golongan yang telah diberi isyarat dalam ayat  غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ. Kita kena belajar dan periksa diri kita takut-takut ada sifat-sifat mereka ada dalam diri kita.

Sesat golongan الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِم dan الضَّالِّينَ tidaklah sama. Maknanya, ada empat golongan tetapi ada dua jenis kesesatan.

Yang dimurkai itu bukan kerana dia jahil atau cuai dalam belajar. Bahkan dia belajar tetapi dia degil. Telah sampai maklumat yang benar dan dia pun sudah faham tetapi dia degil untuk terima. Begitulah golongan Yahudi seperti yang telah disebut dalam hadith. Mereka tahu kebenaran tetapi menolaknya.

Sampai sekarang mereka belajar isi Al-Qur’an tetapi tujuannya hanyalah untuk menentang Islam. Dan begitulah juga Musyrikin Mekah. Mereka boleh faham Al-Qur’an kerana ia dalam bahasa mereka tetapi mereka tolak juga.

Golongan Sesat الضَّالِّينَ pula adalah mereka yang jahil dan cuai dalam belajar. Sepertimana golongan sufi dan tarekat yang kononnya mahu mendapat agama melalui cara pintas. Mereka tidak belajar dengan betul dan mereka hanya bermodalkan dengan amalan bid’ah mereka. Mereka mencari Tuhan dan hendak merapatkan diri dengan Tuhan tetapi dengan cara yang salah.

Begitulah golongan Nasara seperti yang disebut dalam hadith. Allah sudah ajar ciri-ciri Tuhan dan cara untuk mendekatkan diri dengan cara yang benar tetapi mereka mahu menggunakan cara sendiri – akhirnya mereka sesat.

Akan tetapi mereka ini lebih baik sedikit daripada golongan yang pertama. Sebab mereka mungkin boleh boleh diajak belajar dan bila mereka sudah faham, mereka boleh tinggalkan fahaman salah mereka dahulu. Kita hanya perlu mengajak mereka belajar sahaja dahulu.

Di akhir zaman nanti pun, golongan Nasara ini semuanya akan masuk Islam beramai-ramai. Tetapi golongan  Yahudi tetap berdegil. Akhir zaman nanti, mereka akan berada bersama pihak Dajjal.

Tentang sikap mereka terhadap Islam ini, Allah sebut dalam Maidah: 82

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik pun seperti itu juga. Mereka akan menentang jalan sunnah. Memang susah sangat untuk mereka terima sunnah. Ini adalah kerana sudah ada fahaman syirik dalam diri mereka.

Syirik ini memang susah keluar daripada manusia apabila sudah masuk. Kita yang sudah terima sunnah ini pun kenalah berhati-hati. Nabi telah ajar kita doa supaya kita diselamatkan daripada fahaman dan daripada melakukan syirik. Maknanya, walaupun kita sudah belajar, kita kena doa diselamatkan kerana kita bukan kebal.

Ketika zaman Nabi pernah para sahabat berhijrah ke Habshah, tempat orang Nasara. Ternyata mereka lembut dengan orang Islam dan raja mereka yang bernama (atau pangkat) Najashi sendiri masuk Islam.

Masyarakat kita pun macam itu jugalah kebanyakannya. Mereka menjadi sesat itu sebab malas belajar sahaja. Kita kena heret mereka datang belajar. Maknanya lagi, malas belajar ini adalah sifat Nasara, maka jangan malas belajar.

Dalam ayat di atas, disebut tentang قِسِّيسِينَ dalam agama Nasara itu, di mana mereka belajar juga, tetapi belajar kitab Injil. Iaitu kitab yang salah. Macam orang kita yang belajar juga, tetapi kitab yang salah mengakibatkan salah faham dalam agama. Macam-macam dan berjenis-jenis kitab mereka telah buka dan belajar, tetapi Tafsir Al-Qur’an dan Syarah Hadith mereka tidak sentuh lagi pun.

Soalan: kenapa tidak disebut munafiqin dalam golongan-golongan ini? Mereka juga dikira sebagai lembut sedikit kerana mereka boleh terima sedikit sebanyak agama Islam. Macam munafik zaman Nabi, mereka duduk dengan Nabi dan sahabat, bergaul bersama mereka, siap solat belakang Nabi.

Zahirnya mereka nampak seperti menerima Islam tetapi batinnya tidak Islam. Masih ada yang tidak cuci lagi dalam diri mereka. Akan tetapi, kerana mereka sanggup duduk dengan Rasulullah dan para sahabat yang mukmin, mereka lama kelamaan boleh terima juga terima Islam. Ini kerana mereka terus duduk bersama Nabi, terus dengar Al-Qur’an, maka lama-lama mereka masuk Islam juga akhirnya.

Sebab itu tidak disebut nama mereka satu persatu kerana mereka ada yang sudah berubah dan Allah tidak mahu memalukan mereka. Kalau dahulu mereka munafik, maka itu adalah dahulu dan Allah boleh ampunkan.

Allahu a’lam. Tammat sudah Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah ini. Boleh sambung baca tafsir yang ijmali tentang surah ini lagi di sini.

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat 1 – 2 (Pengenalan nama Al-Fatihah)

Pengenalan:

Walaupun Surah Al-Fatihah ini pendek sahaja, namun ia mewakili seluruh makna Al-Qur’an 30 juzuk (ringkasan). Sebab itu solat sah sekiranya dengan hanya membaca Surah Al-Fatihah sahaja dalam setiap rakaat. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami maksud Surah Al-Fatihah kerana dengan memahaminya, seolah-olah kita memahami ringkasan seluruh Al-Qur’an.

Kalau sesiapa baru masuk Islam, Surah Al-Fatihah adalah surah pertama yang mesti diajar kepada mereka supaya mereka dapat memahami kesimpulan Al-Qur’an. Dan tentunya supaya mereka boleh terus solat.

Semasa kita di dalam solat, kalau kita dapat faham maksud Surah Al-Fatihah, ia akan memberi kesan yang mantap dan mendalam dalam solat kita. Inilah salah satu cara untuk membolehkan kita khusyuk dalam solat. Kita boleh menjadi khusyuk kalau kita memahami apa kita lafazkan. Dan kita diingatkan tentang keseluruhan agama Islam dan ajaran Al-Qur’an di dalam solat kita itu.

Nama Surah Al-Fatihah

Ada banyak nama yang digunakan untuk Surah Al-Fatihah selain daripada ‘Al-Fatihah’ itu sendiri. Perkataan ‘Fatihah’ itu maksudnya ‘pembukaan’. Ia bermaksud ‘Pembukaan’ kepada Al-Qur’an. Ia juga memberi isyarat ‘penutup’. Maka ia adalah amat indah sekali, kerana ada maksud buka dan maksud tutup – dan itu maksudnya lengkap kerana ada buka dan ada tutup.

Sepertimana Surah Yusuf yang ada pembukaan dan penutupan di dalam awal surah itu. Kerana itulah ia adalah ahsanul qasas – sebaik-baik kisah. Nanti kita akan belajar bagaimana daripada mimpi yang ringkas di awal surah itu, sudah ada rumusan keseluruhan kisah baginda. Maka ia adalah kisah yang indah. Begitu juga dalam lafaz ‘Al-Fatihah’, sudah ada isyarat kepada penutup.

Seperti yang kita sebut, Surah Al-Fatihah ini ada banyak nama. Daripada banyak nama-nama Surah Al-Fatihah itu, kita akan bahaskan dua sahaja daripada nama-nama tersebut. Ia adalah dua nama Surah Al-Fatihah yang paling terkenal: Ummul Qur’an dan Taklimul Mas’alah.

1. Ummul Qur’an

Ia bermaksud ‘Induk Al-Qur’an’ atau ‘Ibu Al-Qur’an’. Oleh kerana Al-Fatihah itu adalah Induk Al-Qur’an, apabila kita sudah belajar makna Surah Al-Fatihah, maka kita telah telah belajar ringkasan seluruh Al-Qur’an.

Ini menunjukkan betapa pentingnya Surah Al-Fatihah ini. Perkara-perkara penting dalam keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an itu ada dalam Surah Al-Fatihah. Iaitu, semuanya telah disebut dalam Al-Fatihah dalam bentuk isyarat. Ia akan jelas kepada mereka yang belajar.

Untuk mula memahaminya, kita kena tahu yang ada 6 perkara besar yang dibahas dalam Al-Qur’an:

1. Tauhid
2. Risalah (kerasulan)
3. Akhirat
4. Ahkam (hukum dan undang-undang)
5. Keadaan orang yang taat
6. Keadaan orang yang derhaka

Apabila dikatakan Surah Al-Fatihah itu adalah Induk Al-Qur’an, maka keenam-enam perkara itu mesti ada dalam Surah Al-Fatihah.

1. Tentang Tauhid disentuh dalam tiga ayat pertama.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

2. Tentang Akhirat disentuh dalam ayat مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

3. Tentang Risalah (Kerasulan) disentuh dalam ayat
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ mengajar tentang melakukan ibadat kepada Allah dan ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ adalah tentang memohon untuk ditunjukkan cara beribadat kepada-Nya. Tanpa Nabi, kita tidak akan tahu cara buat ibadat.

4. Tentang Ahkam, iaitu tentang undang-undang dan cara hidup Islam, disentuh dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ. Oleh itu, ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ juga adalah tentang ahkam selain daripada tentang Risalah.

5. Keadaan mereka yang taat dan diberi nikmat disentuh dalam potongan ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

Ayat ini juga memberi isyarat kepada dua perkara: Orang yang taat dan juga merujuk kepada Risalah (Kerasulan). Kerana para Nabi dan para Rasul adalah antara mereka yang juga diberi nikmat kerana mereka telah taat.

6. Tentang keadaan orang yang derhaka, disebut dalam potongan ayat seterusnya غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Di atas adalah cara pembahagian yang pertama. Iaitu Al-Qur’an 30 juzuk dibahagikan kepada enam bahagian. Ada lagi cara pembahagian yang kedua.

Sebelum pergi lebih jauh, kita kena tahu bahawa semua ajaran kitab-kitab Samawi (langit) seperti Taurat dan Injil, ada dimasukkan dalam Al-Qur’an. Dihimpunkan semuanya sekali dalam Al-Qur’an.

Tetapi oleh kerana persamaan dalam semua ajaran Nabi-Nabi adalah dalam hal akidah, maka yang disebut hanyalah tentang akidah sahaja. Tentang syariat, tidak disebut kerana syariat Nabi-Nabi terdahulu telah dimansuhkan/tidak diamalkan lagi, maka tidak perlu disebut lagi. Selain daripada Hukum Aqidah, Hukum Akal juga dimasukkan kerana boleh digunakan sampai ke Hari Kiamat.

Oleh kerana kita umat Nabi Muhammad tahu perkara ini, maka kitalah nanti yang akan menjadi saksi di akhirat kelak untuk menyatakan persamaan yang ada dalam segala kitab-kitab itu. Kitalah nanti yang akan menjadi saksi kepada para Nabi-Nabi yang terdahulu yang mereka telah menyampaikan risalah mereka.

Bagaimana kita tahu? Kerana ia ada disebut dalam Al-Qur’an. Bagaimana kita tahu? Kerana kita belajar Tafsir Al-Qur’an dan kita boleh sampaikan dan kita boleh menjadi saksi. Namun kalau kita tidak belajar, bagaimana kita boleh menjadi saksi?

Baik, setelah dikumpulkan semua ajaran Kitab-kitab Samawi itu dalam Al-Qur’an, Al-Qur’an itu boleh dibahagikan pula kepada 4 bahagian dari sudut Tauhid atau dari sudut ketuhanan. Pembahagian ini hanya berkenaan tauhid atau tentang Allah sahaja kerana tujuan utama kita belajar wahyu adalah untuk kenal Allah. Ini penting kerana untuk taat kepada Allah, kita kenalah kenal Dia dulu.

Keempat-empat bahagian itu boleh dikatakan telah dibahagikan sama rata dalam Al-Qur’an. Dan kita boleh kenal pembahagian itu kerana semua bahagian itu dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’.

Ada empat surah yang dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’.

– al-Fatihah
– al-An’am
– al-Kahf
– Saba’

Kalau kita lihat secara kasar, kita akan nampak bagaimana pembahagian itu adalah sama rata. Setiap bahagian itu mewakili sifat-sifat khas Allah yang perlu diketahui oleh hamba. Tiga bahagian tentang kehidupan di dunia, dan satu bahagian tentang kehidupan di akhirat.

Kita akan lihat bagaimana Al-Qur’an 30 juzuk itu dibahagikan kepada empat bahagian dan bagaimana dalam Surah Al-Fatihah juga akan ada pembahagian sebegitu. Ini adalah kerana Surah Al-Fatihah adalah Ummul Qur’an yang mewakili keseluruhan Al-Qur’an.

Mari kita lihat Pembahagian tersebut di dalam Al-Qur’an 30 juzuk dahulu:

A. Bahagian Pertama adalah daripada Surah Al-Fatihah sampai kepada Surah Maidah.

Dalam bahagian ini, Allah banyak menceritakan tentang sifat Khaliqiah-Nya (Penciptaan-Nya). Allah hendak memberitahu kita bahawa Dia sahaja yang berkuasa dan Maha mencipta. Tiada lagi Dzat lain yang boleh mencipta. Oleh itu, hanya Allah sahaja yang layak kita minta pertolongan di dunia dan di akhirat. Sebab yang lain Allah tidak ada kuasa mencipta.

Itulah penekanan dalam bahagian pertama ini. Selain dari itu, memang ada perkara-perkara yang lain tetapi penekanan keseluruhan adalah Sifat Khaaliq Allah.

‘Mencipta’ itu bermaksud menjadikan sesuatu daripada ‘tidak ada’ kepada ada. Ini berbeza dengan menjadikan sesuatu daripada benda yang sudah ada. Sebagai contoh, kita mencipta kereta daripada  besi yang dijadikan oleh Allah. Dalam bahasa Arab digunakan perkataan ‘menyusun’ sahaja.

B. Bahagian Kedua adalah daripada Surah al-An’am sampai Surah al-Isra’ – kita boleh lihat bagaimana Surah al-An’am juga dimulakan dengan lafaz ‘alhamdulillah’ – Bahagian kedua ini menekankan sifat Rububiyyah Allah. Iaitu Sifat Allah yang Maha Memelihara ciptaan-Nya.

Allahlah sahaja yang menjaga makhluk-Nya daripada permulaan sehingga sampai ke tahap kesempurnaan. Dan kemudian Dia terus menjaga makhluk-Nya tanpa membiarkan mereka begitu sahaja. Tujuan bahagian ini adalah supaya kita tahu dan ingat yang Allahlah sahaja yang memelihara alam ini.

Selepas Dia cipta, Dia tidak biarkan begitu sahaja. Oleh itu, hanya kepada-Nya sahaja yang kita patut sembah dan tidak ada pujaan yang lain.

C. Bahagian Ketiga bermula daripada Surah al-Kahf sampai Surah al-Ahzab. Bahagian ini menekankan sifat Allah al-malikul wa tasarruf (memiliki dan mengurus sekalian hamba). Allah tidak berkongsi urusan pengurusan alam ini dengan sesiapa pun.

Hanya Allah sahaja yang mengurus alam ini dan Allah tidak memberikan tugas pengurusan ini kepada entiti yang lain. Maka, hanya Allah sahaja yang layak disembah kerana tidak ada yang mempunyai sifat yang sama.

Itulah tiga sifat tauhid yang pertama. Ketiga-tiga sifat ini ada hubungan dengan kehidupan di dunia.

D. Bahagian Keempat bermula daripada Surah Saba’ sampai ke hujung Al-Qur’an. Bahagian ini hendak menekankan yang Dialah sahaja Dzat yang memiliki kuasa syafaat pada Hari Pembalasan. Tidak ada kuasa lain yang boleh memberi syafaat melainkan dengan izin-Nya sahaja. Maka, kenalah minta syafaat kepada-Nya sahaja, jangan minta kepada yang lain.

Inilah satu Sifat yang berkaitan dengan kehidupan di akhirat. Ia mengingatkan kita bahawa sekiranya hubungan kita baik dengan Allah semasa di dunia, kita akan mendapat kehidupan yang baik di akhirat kelak.

Dan oleh kerana Surah Al-Fatihah adalah Ummul Qur’an,  ringkasan kepada seluruh Al-Qur’an, maka keempat-empat elemen ini ada dalam Surah Al-Fatihah. Mari kita lihat bagaimana:

A. Dalam Al-Fatihah, ayat pertama الْحَمْدُ لِلَّهِ mewakili bahagian pertama. Maksudnya Allahlah sahaja yang berhak dipuji. Perkataan الله dalam ayat ini membawa maksud ‘Pencipta’. Bagaimana pula?

Ini kerana ia dinisbahkan kepada pemahaman orang Arab Mekah. Apabila disebut nama الله, orang Mekah terus ingat kepada sifat Pencipta Allah. Ini adalah makruf kepada mereka (mereka memang sudah tahu). Mereka sudah tahu yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Tidak dipertikaikan fakta ini pada mereka.

Maksud ‘mencipta’ adalah bermaksud mengadakan sesuatu yang tidak ada langsung kepada menjadi ada. Ini khas kepada Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang boleh buat.

B. Bahagian kedua diwakili oleh ayat رَبِّ الْعَالَمِين. Rabb bermaksud ‘Tuhan yang mencipta dan memelihara’. Allahlah yang memelihara selepas Dia mencipta. Allah tidak membiarkan ciptaan-Nya itu begitu sahaja.

C. Bahagian ketiga diwakili oleh ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ. Ia mewakili sifat Allah yang memiliki, mengurus dan mentadbir. Allahlah sahaja yang menguruskan segala hajat dan keperluan hamba. Allah mengurus alam ini dengan sifat rahmah-Nya. Segala urusan apa pun, diurus oleh Allah, sama ada kecil atau besar.

D. Bahagian keempat diwakili oleh ayat مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ. Ayat ini tentang akhirat dan Allah dalam bahagian ini yang hanya Dia yang berkuasa penuh di Hari Kiamat nanti. Tidak ada boleh berkuasa atau memberi syafaat tanpa keizinan Allah. Waktu itu semua berharap syafaat dan syafaat itu hanya boleh diberikan oleh Allah.

Tiga ayat Al-Fatihah ini adalah induk kepada keseluruhan Al-Qur’an. Ia merangkumi empat bahagian daripada Al-Qur’an seperti yang telah kita sebutkan. Apabila kita sudah faham, maka setiap kali kita membaca ayat-ayat daripada Surah Al-Fatihah ini, kita akan teringat kepada Allah dan sifat Tauhid-Nya itu.

Kita akan teringat kepada bahagian-bahagian tauhid dalam Al-Qur’an yang diwakili itu. Itulah kepuasan seorang hamba. Seorang hamba sepatutnya selalu hendak belajar tentang Allah. Itulah ilmu yang sentiasa dirindui dan dia akan mahu belajar lagi dan lagi.

Mana pula Basmalah? Basmallah tidak terkecuali. Dalam Basmalah, ada rumusan tiga ayat selepasnya, yang mewakili empat bahagian Tauhid Allah. Tetapi, disebut dua sifat dan dihazafkan dua lagi sifat kerana sudah diketahui. Ini adalah salah satu daripada kaedah bahasa Arab. Menggunakan konsep ringkasan. Bagaimana?

– sebut الله tapi hazafkan رَبِّ الْعَالَمِينَ.
– sebut الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ tetapi hazafkan مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ.

Selain daripada itu, ulama’ tafsir ada juga taqdirkan (menjelaskan maksud) sebelum huruf ب dengan lafaz ‘aku mulai’ atau ‘aku baca’ kerana tidak boleh dalam bahasa Arab mula perkataan dengan huruf jar. Maknanya, tidaklah basmalah itu hanya ‘Dengan nama Allah’ sahaja, tetapi ia berbunyi: “Aku mulai dengan Nama Allah”. Ini adalah mengikut munasabah mereka (Yang mereka fikirkan sesuai). Maksudnya, ia adalah pendapat dan ijtihad mereka.

Selain itu, ada satu lagi cara di mana taqdir itu dinisbahkan kepada ayat Al-Qur’an. Ini lebih baik kerana kita ambil daripada pemahaman dalam ayat Al-Qur’an sendiri. Seperti yang kita telah belajar, dalam Al-Fatihah, ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ merupakan kesimpulan Surah Al-Fatihah. Maksudnya kita meminta taufik dan hidayah daripada Allah.

Maka taqdir yang digunakan: “Dengan nama Allah, aku minta bantuan supaya memberi taufik dan hidayah kepadaku.”

Surah-surah Hamim Tujuh dan Intipati Al-Qur’an

Setiap sesuatu ada intipatinya dan intipati bagi Al-Qur’an itu adalah ‘Ha mim Tujuh”. Ini merujuk kepada tujuh surah yang berturutan dalam Al-Qur’an yang semuanya dimulai dengan lafaz haa mim.

Dakwa dalam Surah-surah Hamim Tujuh adalah: ‘mengesakan Allah dalam doa’. Ia mengajar kita untuk memohon dan merayu hanya pada Allah dan tidak berdoa kepada selain-Nya.

Sebelum Surah-surah Hamim Tujuh itu, ada Surah az-Zumar (Surah ke 39). Surah az-Zumar ini seolah-olah sembah pembuka kepada Surah-surah Hamim Tujuh. Dakwa dalam Surah az-Zumar pula adalah ‘tauhid dalam ibadah’. Ia mengingatkan kita bahawa ibadah hanya boleh dilakukan kepada Allah.

Dan setelah kita melakukan ibadat, barulah kita berhak untuk merayu dan berdoa kepada Allah. Oleh itu, susunan dalam Al-Qur’an adalah Zumar (ibadat) dan kemudian Surah-surah Hamim Tujuh (doa).

Cantuman daripada dua perkara inilah khulasah (kesimpulan) kepada keseluruhan Al-Qur’an. Apakah khulasah itu? – Ibadah dan doa *hanya* kepada Allah. Kita akan belajar dengan panjang lebar nanti apabila kita masuk kepada pentafsiran surah-surah tersebut.

Dan wakil kepada khulasah Al-Qur’an ini adalah ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ yang juga adalah Dakwa bagi Surah Al-Fatihah. Apabila perkataan إِيَّاكَ diletakkan di permulaan ayat, ia menunjukkan elemen ‘khusus’ atau ‘eksklusif’. Maksudnya *hanya* Allah sahaja.

Kalau letak di belakang (na’budu iyyaka), ia menjadi tidak eksklusif lagi kerana dari segi bahasa, ia boleh bermakna yang kita mungkin boleh sembah yang lain juga. Namun bila ia diletakkan di hadapan, ada makna eksklusif di situ. Maksud eksklusif itu adalah menafikan yang lain. Ia membawa maksud tauhid dari sudut balaghah.

Hanya Allah sahaja yang layak kerana hanya Allah ada sifat-sifat yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Oleh itu, hanya lakukan ibadat kepada Allah sahaja. Itu adalah dalam hal agama, dan dalam hal dunia (muamalat), kita akan taat (ubudiah) kepada peraturan yang Allah tetapkan. Begitulah cara untuk hidup sebagai hamba yang taat.

Yang berkait rapat dengan ibadah adalah *doa*. Doa adalah ‘otak ibadah’. Ia adalah amat penting dalam ibadah jadi jangan lupa untuk berdoa. Dan daripada mafhum ayat Al-Qur’an, doa selepas melakukan ibadat tidak ditolak. Allah telah berfirman dalam Al-Qur’an Sharh:7:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

Amal soleh yang lain yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘berdoa’. Begitu juga, kita dalam lihat bagaimana Nabi Musa telah berdoa selepas baginda membantu anak-anak Nabi Syuaib. Ini mengajar kita untuk berdoa selepas melakukan kebaikan sama ada dalam bentuk ibadat ataupun kebaikan dalam bentuk yang lain.

Kalimat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ – dihuraikan dalam Surah az-Zumar. Ia menerangkan maksud ‘Tauhid fil ibaadah’ – Tauhid dalam Ibadah. Dakwa Surah Zumar terdapat pada ayat ke 3 surah itu.

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ إِنَّ اللهَ يَحكُمُ بَينَهُم في ما هُم فيهِ يَختَلِفونَ ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ كاذِبٌ كَفّارٌ
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).

Lafaz الدّينُ dalam ayat di atas bermaksud ‘ibadah’. Dalam Qur’an الدّينُ ada 4 makna:

A. Ibadat
B. Doa
C. Pembalasan. Pembalasan hari kiamat. Macam مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ.
D. Agama. Pegangan dan cara hidup. Kena ada dua-dua elemen barulah dipanggil deen.

Kalimat  إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ – dihuraikan dalam Surah Hamim Tujuh. Tauhid fi dua. Dakwa ketujuh tujuh surah ini terletak dalam ayat 14 Surah Ghafir.

Maka ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ dan إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ itu adalah mewakili tugas manusia untuk sembah dan doa hanya kepada Allah sahaja. Sebelum ini kita sudah belajar bagaimana tiga ayat sebelumnya mewakili empat bahagian tauhid. Setelah kenal Allah, maka hendaklah ibadat dan doa kepada Allah sahaja.

Saidina Abu Bakr pernah menyatakan yang rahsia Al-Qur’an terletak dalam Surah Al-Fatihah. Dan rahsia Surah Al-Fatihah itu terletak dalam ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ini.

Demikianlah huraian kenapa Surah Al-Fatihah dikenali sebagai Ummul Qur’an.

2. Nama kedua bagi Surah Al-Fatihah yang akan kita bentangkan adalah Taklimul mas’alah (mengajarkan cara meminta). Dalam Surah Al-Fatihah ini Allah mengajar kita cara meminta/berdoa kepada-Nya.

Allah ajar cara berdoa kepada-Nya supaya hamba tidak berdoa dengan cara lain. Kerana akal kita yang lemah tidak akan dapat mencapai cara untuk mengetahuinya sendiri. Seperimana kita orang kampung, tentu tidak tahu bahasa istana, bukan? Maka, daripada kita berdoa kepada-Nya tidak tentu hala, Allah ajar bagaimanakah cara untuk berdoa kepada-Nya dengan cara yang benar.

Maknanya ayat-ayat dalam Al-Qur’an ini adalah suruhan Allah kepada kita membaca sebagaimana yang diajar-Nya. Kita kena ‘taqdir’ (tambah) lafaz sebelum ayat-ayat dalam dalam Fatihah.

Quulu sebelum baca Basmalah
Quulu sebelum baca tiga ayat pertama
Quulu sebelum ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Quulu sebelum ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ hingga akhir surah.

Quulu bermaksud: “katakanlah”. Maknanya Allah suruh kita melafazkan ayat-ayat dalam Surah Al-Fatihah itu.

Allah mengajar kita untuk memuji-Nya sebelum berdoa kepad-Nya. Inilah maksud ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dan ayat-ayat seterusnya. Allah suruh kita puji Dia terlebih dahulu sebelum terus meminta apa yang kita hendak daripada Allah.

Dan pujian yang pertama adalah ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ. Selalunya diterjemahkan ‘segala puji kepada Allah’. Bagaimana timbul tambahan ‘segala puji’ itu? Ini adalah kerana ada penerangan dari segi bahasa.

Apabila ada ال di hadapan حمد itu,  dalam kaedah bahasa Arab, ia menjadikan satu bentuk “isim makrifah” atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai “definite article” di mana kalimah الْحَمْدُ itu menjadi ‘the praise’. Satu bentuk kata nama yang spesifik.

Maka, kalau diterjemah secara ‘direct transliteration’ kepada Bahasa Melayu – ia menjadi “pujian itu kepada Allah”. Namun begitu, terjemahan begini tidak berapa kemas dan tidak tepat, kerana ia tidak merangkumi maksud “definite article” yakni maksudnya itu belum spesifik atau khas lagi. Kena tambah perkataan lain untuk merangkumkan maknanya mengikut lafaz asalnya dalam Bahasa Arab.

Maka, terjemahan yg lebih tepat ada dua:

1. Segala puji itu bagi Allah, atau,

2. Pujian itu hanya tertentu bagi Allah sahaja.

Akan tetapi mungkin ada persoalan, takkan ‘segala’ puji bagi Allah sahaja, sedangkan kita pun ada puji yang lain. Kita pun ada puji orang lain yang baik-baik juga, bukan?

Oleh itu, ulama’ akan tafsir begini: walaupun kita puji selain Allah, segala puji itu pergi juga kepada Allah. Kerana kalau orang itu baik pun, Allah juga yang menjadikannya baik, bukan? Kalau cantik orang itu, kerana Allah yang menjadikannya cantik, bukan? Maknanya, panjang juga untuk kita menjelaskannya.

Satu cara lagi adalah kita menisbahkan pujian dalam الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ itu kepada sebab Al-Qur’an diturunkan. Al-Qur’an mula sekali diturunkan kepada Arab Mekah. Kita kena tahu yang orang Arab Mekah memang sudah sekian lama menggunakan lafaz الْحَمْدُ sebelum Islam lagi. Mereka tujukan pujian itu kepada ilah-ilah mereka.

Allah beritahu yang apa mereka lakukan itu amat salah. Kalimah الْحَمْدُ hanya layak ditujukan kepada Allah sahaja. Yang mereka beri pujian الْحَمْدُ kepada ilah-ilah mereka itu, sepatutnya hanya untuk Allah sahaja. Iaitu pujian yang ‘khusus’. Bukan ‘semua’ pujian, tetapi ‘pujian khusus’ yang layak diberikan kepada ilah sahaja.

Kita juga kena faham maksud lafaz رَبِّ. Ia bukan hanya bermaksud ‘Tuhan yang mencipta’ sahaja. Sebab Arab Mekah sudah terima yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Ia juga ada membawa maksud ‘memelihara’. Allah beritahu yang Dia sahaja yang memelihara. Sebagaimana Allah memelihara kita semenjak bayi lagi. Bayi itu dapat apa yang dia perlukan padahal kita tidak tahu pun apa bayi itu cakap. Walaupun nampak daripada zahir emak ayah yang pelihara, namun sebenarnya semuanya Allah yang pelihara.

Lafaz رَبِّ juga bermaksud yang membawa kepada tahap kesempurnaan sedikit demi sedikit. Inilah yang dinamakan ‘tarbiah’. Seperti kita ditarbiyah semenjak kecil sampai dewasa,  membesar sedikit demi sedikit. Tidaklah lahir sahaja terus dewasa.

Ada dua syarat untuk tarbiah menjadi sempurna dan layak dipanggil sebagai ‘tarbiah’:

1. Yang melakukan tarbiah itu dapat menyelamatkan daripada bahaya dan gangguan. Sepertimana kita bercucuk tanam, kita memasang pagar untuk memelihara tanaman itu untuk melindungi daripada perkara-perkara yang boleh membahayakan pokok itu.

2. Memasukkan benda yang perlu untuk kebaikan perkara yang ditarbiah itu. Seperti pokok yang kita tanam itu, kita kena meletakkan baja untuk bagi ia hidup lebih subur. Inilah yang dinamakan pengisian.

Oleh itu, tarbiah rohani manusia pun kena ada kedua-duanya. Kena bebaskan daripada perkara yang boleh merosakkan rohani manusia itu. Dan kena beri pengisian rohani.  Iaitu diisi dengan ilmu dan didikan.

Kita selalunya menjaga jasmani dengan makan makanan yang baik, menjaga kebersihan dan sebagainya. Akan tetapi yang lebih penting daripada jasmani adalah roh kita. Kerana rohlah yang menyebabkan jasmani kita bernilai. Kalau roh sudah tidak ada pada jasad, orang itu dianggap mati dan manusia lain akan menanam jasad itu dalam tanah.

Namun kita kena ingat yang roh kita ini pun ada rohnya juga. ‘Roh kepada roh’ kita adalah Al-Qur’an. Allah telah mengatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah ‘roh’ dalam ayat-ayat Al-Qur’an juga. Sebagaimana roh manusia yang menyebabkan jasmaninya bernilai, begitu juga roh Al-Qur’an inilah yang menyebabkan roh manusia bernilai. Kalau tidak ada Al-Qur’an dalam roh manusia itu, maka roh manusia itu tidak bernilai, layak masuk neraka sahaja. Oleh itulah jelaslah betapa pentingnya Al-Qur’an ini dan kerana itulah Allah turunkan Al-Qur’an ini kepada kita.

Lafaz seterusnya adalah lafaz الْعَالَمِينَ. Banyak pendapat telah diberikan oleh ulama’ tentang maksud lafaz ini. Kita bentangkan tiga daripadanya yang masyhur:

1. Ia diambil daripada perkataan علم yang bermaksud ‘alamat’ dari segi bahasa. Kerana semua makhluk adalah ‘alamat’ kepada Qudrat Allah. Dengan kita melihat kepada alamat itu, kita boleh melihat hebatnya Qudrat Allah dalam mencipta. Setiap kejadian alam ini mengingatkan kita kepada Allah.

2. Alam dalam bentuk yang jamak. علم adalah mufrad/singular dan الْعَالَمِينَ adalah dalam bentuk jamak/plural. Iaitu ia merujuk kepada semua yang dicipta dalam alam ini. Dan alam yang paling penting adalah manusia dan jin. Kerana dua makhluk inilah yang dipertanggungjawabkan dengan syariat.

Dan kerana semua yang lain yang dicipta adalah untuk manusia dan jin. Bumi langit dan lain-lainnya adalah dicipta untuk manusia dan jin.  Dunia ini adalah tempat untuk menguji manusia dan jin. Apabila ujian di dunia telah selesai dan Kiamat sudah berlaku, alam ini semuanya akan hancur berkecai dan tidak berguna lagi.

3. Akhir sekali, ada yang mentafsir maksud الْعَالَمِينَ sebagai ‘segala kaum’ di dunia ini. Allah telah memilih Nabi yang diutuskan untuk setiap kaum – setiap kaum ada nabinya masing-masing. Tetapi Nabi Muhammad diutuskan untuk segala kaum. Dan Al-Qur’an itu diturunkan bersama dengan Nabi Muhammad. Maka Al- Qur’an ini untuk segala kaum. Al-Qur’an ini sesuai untuk semua kaum. Dan sesuai untuk digunakan untuk semua zaman.

Itulah antara tiga tafsir bagi lafaz الْعَالَمِينَ. Telah selesai tafsir ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi