Tafsir Surah Baqarah Ayat 282 (Penulisan Hutang) Part 2

فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,

Kalau cari punya cari, tidak dapat dua orang saksi lelaki, maka bolehlah mengambil seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi. Maknanya, kena ada lelaki juga (sekurang-kurangnya seorang) dan saksi itu hendaklah yang boleh dipercayai oleh kedua belah pihak. Kalimah تَرضَونَ bermaksud kedua-dua pihak itu redha dengan hal itu dan orang yang menjadi saksi kerana mereka kenal para saksi itu sebagai orang yang boleh dipercayai.

Ini adalah salah satu daripada ayat kontroversi. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai hujah bahawa ini menunjukkan yang Islam itu tidak adil terhadap wanita. Mereka kata ayat ini kata dua wanita baru sama dengan satu lelaki dan ini merendahkan martabat wanita. Ini adalah kata-kata mereka yang tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat yang ini adalah hukum daripada Allah ‎ﷻ, jadi kena taat. Kalau Allah ‎ﷻ sudah kata kena mengambil dua orang wanita sebagai ganti seorang lelaki, ikut sahaja kerana tentu ada kebaikan di dalamnya. Kalau kita cuba hendak jelaskan, ia diberikan sebegini rupa kerana keadaan sosiologi masa itu. Perempuan selalunya tidak keluar rumah dan tidak selalu menjalankan transaksi perniagaan atau hutang, jadi mereka mungkin tidak mahir dengan proses ini. Jadi, elok kalau ada dua orang. Ayat ini pun tentang urusan berhutang dan transaksi perniagaan sahaja, bukannya hendak mengatakan yang wanita itu lebih rendah kedudukan daripada lelaki pula. Kena baca dan faham ayat dengan konteks ayat itu.

Ada juga yang mengatakan ayat ini hanyalah sebagai irsyadi (panduan) sahaja – iaitu sebagai panduan sahaja. Pendapat ini mengatakan perlu dilihat keadaan semasa. Kalau zaman sekarang, sudah tidak sama dengan zaman dahulu. Mungkin ada perempuan yang lebih mahir daripada lelaki dalam hal transaksi perniagaan, maka tidaklah perlu digunakan hukum ini dengan ketat. Maka kalau kedua-dua saksi itu pun perempuan juga pun boleh. Allahu a’lam.

 

أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ

supaya jika yang seorang wanita itu lupa daripada saksi-saksi yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Kenapa seorang saksi lelaki kena digandingkan dengan dua orang perempuan? Kenapa tidak cukup dengan seorang wanita sahaja? Kalau sekali baca, nampak macam tidak adil pula dan boleh dikatakan sebagai merendahkan kaum wanita, bukan? Pertama, dijelaskan oleh Allah ﷻ yang kalau seorang saksi perempuan lupa, seorang lagi boleh ingatkan yang seorang lagi kerana manusia itu sifatnya pelupa terutama kalau wanita. Kajian psikologi wanita juga semakin maju. Kita semakin tahu perbezaan antara wanita dan lelaki. Kalau wanita, mereka ada banyak perkara dalam fikiran mereka dan kerana itu tidak dapat hendak fokus. Sekiranya menjadi saksi, banyak perkara lain yang tidak terlibat pun mereka akan sebut sekali.

Ada yang mengatakan memang ada kekurangan dari segi akal wanita berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

كَانَتِ امْرَأَةٌ تَمُرُّ بِالْحُسَيْنِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «يَا نِسَاءَ الْمُؤْمِنِينَ، أُصْدُقْنَ وَاسْتَغْفِرْنَ، فَإِنِّي رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ». فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: لِمَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ، وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، مَا رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِينٍ أَذْهَبَ لِلُبِّ الرَّجُلِ الْحَازِمِ مِنْ إِحْدَاكُنَّ». قَالَتْ: وَمَا نُقْصَانُ عَقْلِنَا وَدِينِنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «أَمَّا نُقْصَانُ الْعَقْلِ فَشَهَادَةُ امْرَأَتَيْنِ كَشَهَادَةِ رَجُلٍ، فَتِلْكَ نُقْصَانُ الْعَقْلِ، وَأَمَّا نُقْصَانُ الدِّينِ فَيَمْكُثُ الْأَيَّامَ لَا تُصَلِّي فِيهَا، وَتَفْطُرُ فِي رَمَضَانَ، فَتِلْكَ نُقْصَانُ الدِّينِ».
Daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ keluar pada hari Idul Adha atau Idul Fitri menuju musolla (tempat solat). Lalu baginda melewati kaum wanita dan bersabda: ‘Wahai kaum wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyaklah istighfar kerana sesungguhnya aku melihat kalian adalah penghuni neraka yang paling banyak.’ Maka seorang wanita yang cerdas di antara mereka bertanya: ‘Mengapa demikian wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Kalian banyak melaknat (mengutuk) dan banyak kufur terhadap suami. Aku tidak melihat orang yang kurang akal dan agamanya yang lebih mampu mengalahkan laki-laki yang berakal yang tegas (bijaksana) daripada salah seorang di antara kalian.’ Wanita itu bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, apa maksud kekurangan akal dan agama kami?’ Baginda menjawab: ‘Adapun kekurangan akal adalah persaksian dua orang wanita sama dengan persaksian seorang lelaki. Maka itulah kekurangan akal. Dan adapun kekurangan agama adalah kalian berhari-hari tidak solat dan tidak puasa (ketika haid dan nifas). Maka itulah kekurangan agama.’
(Riwayat Al-Bukhari No. 304 dan Muslim No. 79 dengan sedikit perbezaan lafaz, namun makna sama).

Penjelasan tentang Kekurangan Akal (نقصان العقل):

  • Bukanlah bermaksud wanita itu bodoh atau kurang cerdas secara umum. Rasulullah ﷺ sendiri menjelaskan bahawa maksud kekurangan akal di sini adalah dalam konteks hukum persaksian, di mana dua orang saksi wanita diperlukan untuk menyamai seorang saksi lelaki dalam beberapa kes muamalat (transaksi).

  • Hikmahnya: Para ulama menjelaskan bahawa ini bukan merendahkan kecerdasan wanita, tetapi mengakui sifat dasar manusia. Wanita cenderung lebih dominan emosinya, dan dalam urusan persaksian yang memerlukan ketelitian dan keteguhan ingatan di bawah tekanan, emosi dapat mempengaruhi. Oleh itu, syariat memberikan ketentuan dua wanita sebagai bentuk dukungan dan penguat satu sama lain, agar jika salah seorang lupa, yang lain dapat mengingatkan. Ini adalah bentuk perlindungan dan keadilan, bukan penghinaan. Ramai wanita yang sangat cerdas, bahkan melebihi lelaki dalam pelbagai bidang.

  • Ia juga melihat kepada keadaan wanita yang sepatutnya lebih utama berkhidmat di rumah, menjaga rumah dan mendidik anak-anak. Mereka kebanyakannya tidak biasa bermuamalat di luar, maka pengetahuan mereka tentang hal itu tentulah kurang. Kalau bab memasak tentulah mereka lebih hebat daripada suami mereka. Jadi Islam telah membezakan tanggungjawab antara lelaki dan wanita dan kerana itu ditunjukkan di dalam ayat dan hadith ini.

 

وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا

Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Janganlah enggan menjadi saksi apabila dipanggil. Ini kerana tujuan kita dipanggil menjadi saksi adalah untuk memudahkan urusan orang lain. Susahlah hendak menegakkan suruhan Allah ‎ﷻ kalau ada yang tidak mahu beri kerjasama. Bagaimana dengan dua orang yang telah ada transaksi antara mereka dan terjadi hal yang memerlukan persaksian? Kalau semua saksi buat keras tidak mahu menjadi saksi, maka tentulah kes itu tidak dapat diselesaikan. Maka tolonglah orang lain, kali ini mungkin kita tolong orang, nanti ada masa kita memerlukan pertolongan orang juga.

Adakah para saksi yang diminta itu langsung tidak boleh menolak kalau diminta? Mereka dibolehkan menolak jikalau pada pandangan mereka, ada lagi yang lebih layak daripada mereka menjadi saksi.

 

وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Jangan penulis jemu hendak menulis. Jangan juga dua pihak yang bermuamalah enggan atau jemu untuk menulis perjanjian. Kalimah تَسـَٔمُوٓاْ adalah dalam bentuk fi’il mudharimajzum dan ia bermaksud ‘jemu’. Ia daripada kata dasar: س ا م yang bermaksud berpaling kerana tidak suka, menyampah, tidak sabar berkenaannya, penat, lelah. Kadang-kadang mungkin penulis itu sudah banyak kali kena tolong orang untuk tulis, si penulis mungkin sudah rasa malas hendak tulis. Maka, Allah ‎ﷻ beri peringatan dalam ayat ini.

Tulis surat hutang itu tidak kira sama ada tulis itu untuk jumlah yang sedikit atau banyak kerana mungkin sedikit pada kita, tetapi banyak nilainya kepada orang lain atau nampak sedikit sahaja sekarang, namun di kemudian hari, entah jadi perkara yang besar. Kalau sudah ada hitam putih ditulis, ini lebih memudahkan urusan. Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ yang صَغيرًا  sebelum disebut yang كَبيرًا kerana yang kecillah yang selalu tidak dihiraukan oleh manusia.

 

ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا

Menulis itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih kukuh sebagai keterangan, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

Yang disebut tadi adalah cara paling adil di sisi Allah ‎ﷻ untuk menjaga hubungan sesama manusia dalam hal hutang piutang. Jangan ada perbalahan nanti kerana semuanya telah tertulis. Ia boleh memastikan penyaksian yang lebih tepat apabila dibawa saksi. Kalau ada perbalahan, tentunya qadi memerlukan saksi yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar dan kalau ada dalam bentuk bertulis, lagilah mudah untuk diadili.

Lebih dekat untuk tidak ada keraguan dalam kalangan kita supaya tidak ada keraguan dalam urusan hutang dan tidak ada perbalahan. Ini kerana Islam mahu umatnya hidup dalam harmoni. Bab duit ini, orang sanggup bertumbuk malah berbunuhan kalau tidak puas hati. Bagaimana hendak dakwah kepada orang lain kalau hubungan sesama kita sendiri tidak selesai dan tidak boleh menjadi contoh?

 

إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Molek sekali dan dianjurkan sangat untuk menulis transaksi hutang melainkan jikalau transaksi itu adalah pembelian tunai. Ini adalah keadaan apabila seseorang beri duit dan seorang beri barang, pembeli terus dapat barang itu dan penjual terus dapat wang itu. Dalam transaksi seperti ini, tidak tulis pun tidak mengapa kerana transaksi telah selesai, kedua-dua pihak telah dapat apa yang mereka kehendaki. Kalau zaman sekarang sudah sangat mudah kerana pembelian selalunya ada resit sebagai rujukan pembelian kita. Ini sangat bagus kerana sudah ada rekod pembelian dan jualan. Kita yang membeli pun boleh buat kira-kira transaksi bulanan kita dan yang menjual pun boleh ada rekod jualan mereka.

Namun perhatikan apabila ada kalimat فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ bukanlah bermaksud jangan tulis, tetapi ia bermaksud lebih baik tulis, namun tidak tulis pun tidak berdosa/salah. Menulis terlebih bagus kerana seandainya timbul isu nanti, ada rujukan tentang pembelian itu. Contohnya ada yang mempersoalkan barang itu, atau mempersoalkan jumlah yang telah dibayar. Tentulah kalau ada resit itu sangat mudah.

Kita telah sebutkan bahawa ada ulama’ berpendapat menulis hutang bukanlah wajib tetapi sunat dan mereka berdalilkan kepada ayat 283 nanti sebagai hujah itu. Akan tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan sebenarnya menulis hutang itu adalah wajib dan mereka berhujah dengan potongan ayat فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ ini. Mereka kata, kalau di sini tidak wajib tulis (kerana transaksi tunai), maka kalau transaksi hutang itu wajiblah. Maka ini adalah perbezaan pandangan di kalangan ulama’. Biasa sahaja ulama’ berbeza pandangan namun perhatikan, perbezaan pandangan mereka diberikan dengan dalil dan hujah. Mereka tidak berbalah pun tetapi menghormati pendapat ulama’ lain kerana masing-masing ada hujan dan dalil. Akan tetapi bagaimana dengan umat Islam sekarang? Punyalah bodoh, bila berbeza pendapat mereka tidak bawa dalil. Entah maksud dalil pun mereka tidak tahu agaknya. Kemudian berkeras mengatakan mereka benar sampaikan menghina golongan lain yang berbeza pendapat dengan mereka. Inilah beza antara orang berilmu dan orang tidak ada ilmu.

 

وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.

Kena ada saksi kalau pembelian itu jenis jangka panjang atau pembelian yang besar-besar seperti beli rumah, kereta dan sebagainya. Terutama kalau ia adalah pembelian yang bayar sekarang dan barang akan hantar lambat lagi. Ini kerana penjual sudah dapat duit dia, tetapi pembeli belum lagi. Kalau tidak ada saksi, entah dia akan hantar barang atau tidak. Kalau bagi barang-barang yang besar dan mahal, ia adalah untuk memastikan kualiti barang yang diperniagakan itu menepati kehendak pembeli.

Kalau zaman sekarang, sudah ada resit bayaran, maka boleh sahaja gunakan yang itu. Memang zaman sekarang sudah ada sistem untuk memastikan transaksi sebegini terjaga. Namun bayangkan, 1,400 tahun dahulu pun Islam sudah mengajar tentang perkara ini. Ini menunjukkan Islam adalah agama yang maju ke hadapan kerana ia adalah daripada Allah ‎ﷻ yang memahami kehendak dan keperluan manusia, walaupun manusia itu tidak tahu lagi.

 

وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ

Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

Jangan bahayakan penulis, jangan pula marah mereka dan jangan susahkan mereka. Maka kalau ada kes, janganlah lama pula perbicaraan kena dipanggil mereka kerana mereka juga ada kerja dan hal lain. Sebagai contoh kalau sesuatu kes itu berlanjutan berbulan-bulan, tentu menyusahkan mereka. Ia juga bermaksud kenalah beri upah kepada mereka kalau ia melibatkan kerja yang berat dan sukar. Maka tidak salah kalau kita menggunakan khidmat guaman dan mereka menentukan bayaran tertentu.

Jangan bahayakan saksi, jangan marah mereka apabila mereka beritahu kebenaran dan juga dianjurkan untuk beri upah kepada mereka. Maka kenalah ada persetujuan dan tawar menawar dengan dengan penulis dan saksi sebelum transaksi dijalankan. Kena bincangkan berapa bayaran yang sesuai untuk mereka.

 

وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم

Dan kalau kamu melakukannya (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang kembali kepada kamu.

Kalau tidak buat apa yang diarahkan oleh Allah ‎ﷻ, maka dia dikira telah melanggar arahan Allah ‎ﷻ. Contohnya, kalau menyusahkan penulis dan saksi seperti mengugut mereka, maka kena jawab dengan Allah ‎ﷻ nanti.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;

Asas yang paling penting adalah ada taqwa dalam hati kita kerana kalau ada taqwa, senanglah hendak menjalankan hukum-hukum dan arahan Allah ‎ﷻ. Semua hukum dan cara telah diberi, tetapi kalau tidak ada taqwa, ia tidak akan dapat dijalankan pun.

 

وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

dan (ingatlah), Allah mengajar kamu;

Allah ‎ﷻ ajar kita cara-cara Umur Munazimah (ayat-ayat Al-Qur’an yang menjelaskan hukum-hukum syariat dan aturan-aturan kehidupan) ini supaya kita boleh hidup dengan aman harmoni dalam masyarakat. Dengan mengamalkan hukum hakam yang Allah ‎ﷻ telah berikan di dalam ayat-ayat ini, kita akan belajar banyak perkara. Dengan menjalankan perintah atau anjuran ini, maka ia tidak menyebabkan kerugian mana-mana pihak. Malangnya, kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak tahu pun ada saranan dan cara berhubungan yang hebat sebegini dalam agama Islam.

 

وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah ‎ﷻ yang paling alim telah ajar cara ini kepada kita, ikut sahajalah. Begitu juga di sini diingatkan yang Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan. Allah ‎ﷻ juga tahu ada yang akan menipu dalam transaksi mereka sesama manusia. Maka mereka kena ingat bahawa Allah ‎ﷻ sudah pesan bahawa Dia Maha Tahu dan Dia akan membalas kesalahan mereka itu. Dalam dunia mereka mungkin selamat dan dapat untung, tetapi di akhirat mereka akan kerugian yang amat sangat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 282 (Penulisan Hutang) Part 1

MENULIS DAN MENGADAKAN SAKSI APABILA BERHUTANG

Baqarah Ayat 282: Ini adalah ayat terpanjang dalam Al-Qur’an. Ia diberi nama Ayat Mudaayanah (Ayat Hutang Piutang). Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ berikan penerangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Ini menunjukkan kehebatan agama Islam di mana tentang urusan dunia pun Allah ﷻ ajar juga. Namun kenapa panjang sangat? Sedangkan majoriti ayat Al-Qur’an tentang akidah dan Tauhid, kemudian tentang hukum hakam dan banyak juga kisah-kisah dimasukkan. Akan tetapi tiba-tiba, ayat terpanjang tentang harta pula? Ini kerana Allah ﷻ hendak mengajar kita bagaimana menangani kehidupan di dunia sebab muamalat juga amat penting supaya hak-hak manusia terjaga. Allah ﷻ juga memberi isyarat bahawa hutang piutang ini bukanlah perkara yang kita boleh ambil mudah. Di dalam ayat 280 telah disebut tentang pinjaman maka sekarang diberikan perincian hukum tentangnya.

Kita sudah baca lebih kurang  13 ayat (ayat 261 sampai 274) di mana kita telah dituntun mempergunakan harta untuk jalan yang baik, bersedekah dan membantu orang yang patut dibantu dan membangun amal untuk maslahat umum. Kemudian kita telah belajar  7 ayat (ayat 275 sampai 281) tentang bahaya riba. Semua ayat-ayat itu adalah tentang harta dan kita diajar mana yang baik dan mana yang tidak baik dalam urusan harta. Di antara pertengahan antara infak dan riba, adalah suruhan dan larangan dalam perniagaan, pinjam meminjam sesama manusia. Itu adalah perkara yang halal tetapi perlulah ditangani dengan baik.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ ۚ وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ ۚ وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا ۚ فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ ۚ وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم ۖ فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ ۚ وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا ۚ وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ ۚ ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا ۖ إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها ۗ وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم ۚ وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ ۚ وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, when you contract a debt for a specified term, write it down. And let a scribe write [it] between you in justice. Let no scribe refuse to write as Allah has taught him. So let him write and let the one who has the obligation dictate. And let him fear Allah , his Lord, and not leave anything out of it. But if the one who has the obligation is of limited understanding or weak or unable to dictate himself, then let his guardian dictate in justice. And bring to witness two witnesses from among your men. And if there are not two men [available], then a man and two women from those whom you accept as witnesses – so that if one of the women errs, then the other can remind her. And let not the witnesses refuse when they are called upon. And do not be [too] weary to write it, whether it is small or large, for its [specified] term. That is more just in the sight of Allah and stronger as evidence and more likely to prevent doubt between you, except when it is an immediate transaction which you conduct among yourselves. For [then] there is no blame upon you if you do not write it. And take witnesses when you conclude a contract. Let no scribe be harmed or any witness. For if you do so, indeed, it is [grave] disobedience in you. And fear Allah . And Allah teaches you. And Allah is Knowing of all things.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dalam kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Orang yang beriman, kena pandang penting perkara ini. Ia mungkin nampak tidak penting atau tidak biasa diamalkan oleh kita selama ini, tetapi orang beriman akan jaga perkara yang akan disebut sebentar lagi. Apabila Allah ﷻ mulakan dengan seruan kepada orang-orang beriman, maka ia memberi isyarat adalah sesuatu yang penting akan diajar selepas ini. Diseru mereka yang beriman supaya orang yang hendak beriman kena dengar dan perhati betul-betul.

 

إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis

Ini adalah ayat Umur Munazimah tentang hutang. Kalimah تَدَايَن adalah dalam bentuk fi’il madhi (wazan 6 تفاعل) dan ia bermaksud ‘pinjam meminjam’. Atau bayaran yang ditangguhkan; barang sudah diambil tetapi tidak dibayar dengan penuh. Ia di dalam wazan تفاعل kerana tidaklah orang bermuamalah seorang diri. Kalimah تَدَايَن daripada kata dasar د ي ن yang bermaksud pinjaman, menguasai, undang-undang, cara melakukan sesuatu, bayaran. Ayat ini mengajar kita untuk menulis maklumat hutang sesama kita. Walaupun ia adalah sunat, tetapi kalau tidak ditulis, boleh terjadi pecah belah dalam masyarakat dan itu yang hendak dielakkan oleh agama.

Selepas Allah ﷻ sebut تَدَايَن yang bermaksud berhutang, kemudian Allah ﷻ tambah kalimah بِدَينٍ lagi yang bermaksud hutang. Ini adalah sebagai penegasan kerana kalimah تَدَايَن boleh sahaja digunakan untuk merujuk kepada urusan perbincangan. Jadi dengan menambah kalimah بِدَينٍ ia sebagai menegaskan yang ini adalah hukum tentang urusan harta yang melibatkan hutang.

Kalimah إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى memberi tunjuk ajar bahawa tempoh hutang itu hendaklah ditetapkan dengan jelas bilakah ia akan dibayar. Jangan samar-sama seperti ‘bila aku ada duit nanti’, ‘bila bulan mengambang’ dan sebagainya.

Kalau tidak ditulis, takut lupa (atau ada yang buat-buat lupa) dan terjadilah perbalahan apabila masa telah berlalu; atau yang berhutang telah mati sebelum sempat hutang dibayar dan waris patut membayarnya, tetapi kalau tidak ada maklumat, tentu waris pun berat hati hendak bayar. Kalau ini terjadi, tentu akan ada perbalahan dan tidak puas hati sesama manusia, bukan? Maka kenalah dijalankan saranan daripada Allah ﷻ ini untuk kebaikan semua. Ini kerana harta bukan boleh buat main-main.

Daripada ayat ini kita dapat peringatan betapa pentingnya hutang itu dijaga. Jangan kita ambil ringan dan buat lupa pula hutang yang kita telah pinjam daripada orang yang sudah rela hati berikan kepada kita. Orang yang beri pinjaman itu tentunya berkehendak hartanya kembali. Allah ‎ﷻ bantu orang yang memang ada niat hendak membayar hutang itu. Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah ﷻ akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah ‎ﷻ akan membinasakan dirinya.
(Hadith Riwayat al-Bukhari No. 2387)

Di sebaliknya pula, kalau memang tidak ada niat hendak membayarnya, maka amat bahaya bagi orang itu. Rasulullah ﷺ juga bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا
Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. (Hadith riwayat Ibn Majah No. 1969)

Maka bab hutang bukanlah perkara kecil yang boleh diremehkan. Kalau seseorang mati syahid tetapi ada hutang yang tidak dilangsaikan, dia tidak dapat masuk syurga terus, kena tunggu orang yang dia hutang itu di Mahsyar supaya dapat diselesaikan di situ. Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.
(Hadith riwayat Tirmidzi No. 1079)

Nabi ﷺ sampai tidak solatkan jenazah orang yang mati tetapi ada hutang sehingga diselesaikan hutang itu sebab orang itu ada masalah dengan Tuhan. Oleh itu, tolonglah tulis hutang piutang sesama kita. Ini berdasarkan daripada Salamah bin Akwa` رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa beliau berkata:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ
“Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah ﷺ, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah ﷺ: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disalatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda ﷺ bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu barulah Baginda mensolatkan jenazah itu.”
(Hadith riwayat al-Bukhari No. 2286)

Penjelasan kenapa Nabi ﷺ sampai tidak mahu solatkan jenazah itu sehinggalah ada cara hutang itu dibayar. Pertamanya, bukanlah jenazah itu tidak disolatkan, cuma Nabi ﷺ sahaja tidak menyertai solat jenazah itu. Para ulama menjelaskan beberapa hikmah di balik tindakan Nabi ﷺ pada awalnya tidak menyolatkan jenazah yang berhutang:

    1. Peringatan Keras tentang Bahaya Hutang: Ini adalah cara Nabi ﷺ untuk memberikan peringatan yang sangat tegas kepada umatnya tentang seriusnya masalah hutang. Hutang adalah amanah yang wajib ditunaikan dan boleh menghalang seseorang dari syurga jika tidak dilunaskan. Dengan tidak menyolatkan jenazah, Nabi ﷺ ingin menanamkan rasa takut dan tanggungjawab yang besar terhadap hutang.

    2. Mendorong Pelunasan Hutang: Tindakan Nabi ﷺ ini juga bertujuan untuk mendorong ahli waris atau orang-orang terdekat si mati untuk segera melunasi hutang-hutang si mati. Ini juga mendidik masyarakat untuk memiliki tanggungjawab sosial dan membantu sesama.
    3. Hutang Berkaitan dengan Hak Adami (Hak Manusia): Hutang adalah hak manusia yang terzalimi. Berbeza dengan hak Allah (seperti solat atau puasa yang ditinggalkan), hak manusia tidak boleh gugur begitu saja tanpa dimaafkan atau dilunaskan. Keadilan terhadap hak-hak manusia adalah sangat penting dalam Islam.

 

وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ

dan hendaklah penulis di antara kamu menulisnya dengan adil

Kalau kamu tidak boleh tulis, biar ditulis oleh penulis yang adil iaitu orang yang boleh dipercayai. Jangan menipu di dalam penulisan kerana ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kalau zaman dahulu penulis boleh memasukkan perkara yang tidak ada dalam perjanjian kerana ramai yang tidak tahu menulis dan membaca. Maka Allah ‎ﷻ ingatkan di sini supaya yang menjadi penulis itu mestilah adil.

Diletakkan keperluan ini kerana zaman dahulu ramai tidak tahu membaca dan menulis, jadi kena pergi minta tolong kepada orang lain. Namun di zaman sekarang pula, walaupun semua orang boleh dikatakan pandai menulis, tetapi perjanjian seperti ini kita boleh juga menggunakan khidmat peguam. Jadi, sama sahaja, masih lagi memerlukan orang lain untuk tuliskan maklumat perjanjian hutang itu.

Yang penting hendaklah ditulis dengan terperinci perkara yang penting seperti nama, jumlah dan masa perjanjian itu dilakukan dan bilakah bayaran itu akan dibuat. Kemudian kedua-dua pihak meletakkan tandatangan di surat perjanjian itu supaya dapat dipastikan bahawa ia adalah sahih.

 

وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ

dan janganlah penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarnya.

Jangan penulis yang boleh menulis itu enggan untuk menulis. Jangan dia rasa buang masa dia sahaja hendak kena tulis. Mungkin kerana dia rasa jumlah harta itu kecil sahaja, buat apa hendak ditulis? Janganlah begitu, apabila diminta untuk jadi penulis, hendaklah dia dengan rela hati, memenuhi hajat orang. Mungkin pada penulis perkara itu kecil sahaja tetapi entah ia besar di mata orang lain. Mungkin kecil pada ketika itu tetapi menjadi besar di kemudian hari apabila terjadi apa-apa kes nanti. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah ajar mereka boleh menulis, maka gunakanlah kebolehan menulis itu. Allah‎ ﷻ sudah beri satu nikmat boleh menulis kepada mereka, kenalah gunakan untuk kebaikan.

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Allah ‎ﷻ telah berikan dia dengan kebolehan menulis dan membaca, maka berkhidmatlah membantu masyarakat yang memerlukan. Ini juga mengajar kita, kalau kita ada kelebihan apa-apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka kita kena gunakan untuk kebaikan umum. Bukan dalam hal menulis sahaja. Mungkin ada yang pandai mengajar, bertukang, mengubat dan sebagainya, mereka kena jalankan apa yang mereka boleh buat. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ beri kelebihan dan kepandaian kepada kita itu, maka gunakanlah untuk kebaikan.

Lagi satu maksud yang kita boleh ambil daripada potongan ayat ini, hendaklah penulis itu menulis menurut hukum Allah ‎ﷻ. Bukan pakai tulis sahaja tetapi hendaklah tahu hukum hakam agama dan jangan langgar hukum Allah. Sebagai contoh, tidak boleh ada riba dalam peminjaman itu atau kalau ada unsur-unsur gharar atau zalim dalam perjanjian itu, kenalah penulis itu tegur. Maka, yang menulis itu pun kenalah orang yang tahu hukum agama juga.

 

فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ

Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu menyebut

Kalimah يُملِلِ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘merencanakan’, ‘mengimlak’, ‘dictate’, ‘menyebut secara lisan’. Ia daripada kata dasar م ل ل yang bermaksud membacakan supaya orang lain menulis (dictate), memeluk agama, kepercayaan. Jadi maksud imla’ bermaksud baca supaya boleh ditulis. Oleh kerana zaman dahulu bukan semua boleh menulis, maka orang yang tidak tahu menulis kena minta seseorang yang lain menulis.

Yang kena tulis adalah orang yang berhutang, bukan yang beri hutang supaya dia tahu tanggungjawab dia. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah عَلَيهِ dan bukan له kerana kalau له ia merujuk kepada orang yang ada hak itu, iaitu yang beri pinjam. Kenapa pula yang berhutang pula yang kena tulis? Bukankah orang yang beri duit itu yang patut lebih prihatin tentang penulis hutang itu? Kalau dalam bahasa orang barat, ia digelar IOU. Yang berhutang apabila dia sendiri yang menulis atau minta tuliskan, dia akan tahu dan ingat tanggungjawab dia. Dia tidak boleh hendak mengubah kata-katanya selepas itu.

Saya teringat apabila saya mengamalkan ayat ini. Ketika arwah isteri saya lama di hospital, saya terbeban dengan bil hospital  yang banyak. Ibu saudara kepada isteri saya menawarkan untuk membayarnya (jumlahnya 16 ribu ringgit seingat saya). Saya pun terus menulis di atas kertas jumlah hutang itu dan bilakah tarikh anggaran saya akan jelaskan. Saya serahkan kepadanya dan dia membaca seketika. Kemudian dia terus meminta kertas dan pen. Untuk menjawab IOU saya itu, dia menulis, “Saya xxxx telah menghalalkan hutang yang berjumlah sekian dan sekian.” Begitulah baiknya hati ibu saudara arwah isteri saya itu.

Kena dituliskan sekali bila boleh bayar. Baru mudah untuk dikira dan agak bila pemberi pinjam boleh mendapatkan semula duitnya itu. Kenalah ditetapkan tarikh, bukannya waktu yang tidak tetap seperti, ‘bila musim buah durian tiba’ kerana musim durian itu tidak pasti bila ia akan tiba. Kalau tidak ditetapkan tarikh, nanti penerima hutang boleh ambil kesempatan pula. Sedangkan mungkin yang beri hutang itu boleh beri sekejap sahaja kerana dia pun hendak menggunakan duit juga nanti.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا

Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.

Takutlah kepada Allah ‎ ﷻ semasa dituliskan perjanjian itu. Ini adalah peringatan kepada yang berhutang termasuk penulis itu kerana penulis itu kena tulis dengan tepat, jangan tulis lebih atau kurang pula. Kalimah يَبخَس adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘mengurangkan’. Ia daripada kata dasar: ب خ س yang bermaksud mengurangkan, bertindak dengan kejam (tidak adil).

Maka jangan tulis kurang atau lebih walau sedikit pun kerana kalau tulis sedikit, dari segi jumlah, masa pembayaran, cara pembayaran dan lain-lain. Ia merupakan satu penganiayaan terhadap pemberi hutang dan kalau tulis lebih, penganiayaan kepada penerima hutang pula. Jadi yang berhutang dan yang menulis kena tulis dengan terperinci dan boleh difahami, jangan guna bahasa pusing-pusing pula.

 

فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ

jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia tidak mampu menyebut, maka hendaklah disebut oleh walinya dengan adil benar;

Kalau ada antara tiga sebab di atas, kenalah ditulis oleh walinya, atau walinya yang membacakan kepada penulis. Sebagai contoh, mungkin penerima hutang itu adalah seorang anak yatim, maka penjaganyalah yang kena mengambil tanggungjawab.

‘Safih’ adalah orang yang tidak pandai mengurus hartanya sendiri, mungkin kerana akalnya kurang. Dalam hal orang seperti ini, mahkamah boleh memegang hartanya dan hanya beri belanja bila perlu sahaja. Ini adalah untuk menjaga maslahah dia juga, kerana kalau dibiarkan, akan ada yang ambil kesempatan atau dia sendiri akan belanja sampai habis hartanya itu.

Dha’if pula adalah anak kecil yang belum mumayyiz atau orang tua yang telah lemah ingatannya.

Yang tidak mampu adalah seperti mereka yang bisu, gagap dan sebagainya.

 

وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم

dan hendaklah kamu ambil dua orang saksi lelaki dalam kalangan kamu.

Untuk memastikan bahawa perjanjian itu akan dipenuhi, hendaklah dipanggil dua saksi lelaki kerana kalau kes itu terpaksa dihadapkan ke hadapan qadi, ada saksi yang boleh dipanggil untuk menjelaskan perkara sebenar. Di mahkamah, dokumen bertulis sahaja tidak cukup, malah hendaklah dibawa sekali dengan dua orang saksi. Maka kenalah ada saksi semasa transaksi itu dijalankan dan mereka melihat dengan mata mereka sendiri. Malah bukan setakat hadir melihat sahaja tetapi kena faham apa yang sedang terjadi.

Syarat saksi itu mestilah orang Muslim kerana kalimah yang digunakan di sini adalah مِن رِّجالِكُم yang bermaksud dalam kalangan umat Islam. Walaupun tidak disebut saksi kena adil, tetapi kerana telah disebut penulis dan wali kena adil, maka saksi pun begitulah juga sepatutnya. Kerana itulah kalimah yang digunakan adalah شَهيدَينِ dan bukan شاهدين (mana-mana saksi). Bila digunakan kalimah شَهيدَينِ ia bermaksud saksi yang khusus yang sudah dikenali kejujuran mereka dan bukan tangkap muat sahaja siapa yang ada. Jadi kena tahu latar belakang orang juga, jangan diambil orang yang sudah dikenali sebagai fasik atau kaki penipu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 279 – 281 (Memudahkan Urusan Hutang)

Baqarah Ayat 279:

فَإِن لَّم تَفعَلوا فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ ۖ وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And if you do not, then be informed of a war [against you] from Allah and His Messenger. But if you repent, you may have your principal – [thus] you do no wrong, nor are you wronged.

MALAY
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

 

فَإِن لَّم تَفعَلوا

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan

Kalau sudah tahu hukum haram riba, tetapi masih degil juga…maka dengarlah sekarang ancaman berat daripada Allah ‎ﷻ! Begitu keras sekali ultimatum daripada Allah ﷻ ini. Perhatikanlah dan ingatlah baik-baik.

 

فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya,

Kalimah إذَنُواْ adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘ketahuilah’. Ia daripada kata dasar أ ذ ن yang bermaksud bagi telinga untuk mendengar, suka, beri kebenaran, membenarkan, dimaklumkan, menasihati, pemberitahuan, telinga, keinginan. Kalimah azan adalah daripada kata dasar ini juga. Maka di sini Allah ‎ﷻ isytihar perang kepada mereka yang mengamalkan riba. Ini adalah satu pernyataan yang amat berat. Tidak ada dosa lain yang disebut sebegini. Mana ada dosa lain yang Allah ﷻ sebut begini (selain dosa kufur dan syirik). Maka sekarang bayangkan kita di pihak yang menentang Allah ﷻ, adakah akan selamat? Ini sudah macam ‘rocket launcher’ digunakan untuk bunuh lalat! Kenapa ganas sangat sampai Allah ﷻ isytihar perang? Ini adalah kerana teruk sangat perbuatan riba ini. Namun perlu diketahui bahawa riba tidaklah diharamkan secara tiba-tiba tetapi bertahap. Ini kerana riba sudah lama diamalkan di dalam masyarakat Arab, malah bapa saudara Rasulullah ﷻ, Saidina Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga ada menjalankan pinjaman bentuk riba. Maka apabila ia sudah sebati dengan masyarakat, Allah ‎ﷻ tidak terus haramkan, sama seperti pengharaman arak. Tahap pengharaman riba:

    • Tahap 1: Menegaskan bahawa riba tidak mendatangkan berkah (Rum:39).
    • Tahap 2: Menyamakan riba dengan tindakan orang Yahudi yang mengambil riba padahal dilarang (Nisa’:161).
    • Tahap 3: Mengharamkan riba yang berlipat ganda (Ali Imran:130).
    • Tahap 4 (Puncak): Mengharamkan semua bentuk riba dan mengancam pelakunya dengan peperangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya (Baqarah:275-281).

 

وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.

Walaupun sudah diharamkan riba, tetapi masih boleh ambil modal yang telah kita pinjamkan kepada orang lain. Mungkin asalnya kita sudah bagi pinjaman riba sebanyak 100 ringgit di mana orang itu kena bayar 150 ringgit. Maka dibolehkan ambil 100 sahaja kerana itulah hutang pokok – hutang asal. Namun begitu, perhatikan ada syarat di sini: kena taubat dahulu.

Ringkasan Rukun Taubat:

  • Untuk dosa kepada Allah ‎ﷻ:
    1. Menyesal
    2. Meninggalkan dosa
    3. Bertekad tidak mengulangi
  • Untuk dosa kepada manusia ada penambahan:

4. Memulihkan hak orang yang dizalimi

 

لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

kamu tidak patut berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak patut dizalimi oleh sesiapa.

Memberi pinjaman dan kemudian orang yang meminjam kena bayar lebih banyak daripada yang diberi adalah zalim. Islam tidak membenarkan kita zalim kepada orang lain. Yang memberi pinjam tidak dizalimi dalam hukum ini kerana masih boleh ambil modal. Bukanlah terus melupakan hutang yang diberikan kepada peminjam walaupun niat asal semasa memberi pinjam itu adalah pinjaman riba.


 

SANTUN DI DALAM MENAGIH HUTANG

Baqarah Ayat 280: Allah ‎ﷻ telah mengharamkan riba, akan tetapi dibenarkan qardh (pinjaman). Di dalam ayat ini diajar bersantun di dalam memberi hutang kerana kita sesama Muslim bantu membantu.

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And if someone is in hardship, then [let there be] postponement until [a time of] ease. But if you give [from your right as] charity, then it is better for you, if you only knew.

MALAY
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

 

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,

Kalau kita tidak sedekah terus pun, sekurang-kurangnya kita beri pinjaman (tanpa riba). Ini pun dikira bantu juga kerana kalau kita beri sedekah, orang itu mungkin tidak berusaha untuk membalasnya dan dia menjadi malas. Mungkin pada sesetengah orang, beri pinjam lebih baik daripada beri sedekah.

Kalau setelah memberi pinjaman itu, ada masanya orang yang meminjam itu tidak boleh bayar dalam masa yang telah dia berjanji akan bayar. Sama ada diberi pinjam dengan persetujuan riba atau tidak, kadang-kadang yang meminjam tidak dapat menepati janji untuk membayar pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Dia sudah berusaha hendak bayar, cuma tidak boleh sahaja. Dia mungkin dengan sendirinya datang kepada yang meminjamkan itu dan meminta tangguh. Maknanya tidaklah dia sidai dengan panggilan tidak berangkat, Whatsapp bluetick sahaja. Ini memang selalu terjadi, bukan? Semasa meminjam, berjanji itu dan ini tetapi bila duit sudah dapat, buat senyap sahaja. Sudahlah orang yang beri pinjam itu kena kejar dia setiap hari pula. Ada pepatah mengatakan: “Money lent to a friend must be retrieved from an enemy”. Ini adalah perbuatan yang buruk seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ”
“Penundaan (pembayaran hutang) oleh orang kaya (mampu) adalah kezaliman.”
(Sahih Bukhari No. 2289 dan Sahih Muslim No. 1564)

Penjelasan: Hadith ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang mampu tetapi menunda pembayaran hutang tanpa alasan yang syar’i adalah zalim. Kezaliman di sini bisa berupa menahan hak orang lain, menyebabkan kerugian, atau bahkan mempermainkan kepercayaan. Pelaku kezaliman akan mendapat balasan di akhirat.

Adakah di dalam Islam jalan penyelesaian bagi kes sebegini yang banyak terjadi? Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ وَعُقُوبَتَهُ”
“Penundaan (pembayaran hutang) oleh orang yang mampu menghalalkan kehormatan dan hukumannya.”
(Sunan Abu Daud no. 3596, An-Nasa’i No. 4689, Ibnu Majah No. 2427. Hadith ini dihasankan oleh Imam An-Nawawi dan disahihkan oleh Al-Albani)

Penjelasan:

  • “Menghalalkan kehormatannya” (يُحِلُّ عِرْضَهُ): Ertinya, orang yang berhutang dan mampu tetapi menunda-nunda pembayaran, halal bagi orang yang menghutangi untuk menyingkap aibnya (misalnya, menceritakan keburukannya atau perilaku tidak bertanggungjawabnya kepada orang lain agar berhati-hati dengannya), atau mengadukannya kepada pihak berkuasa. Ini bukan ghibah (menggunjing) yang dilarang kerana ada hak yang terzalimi.
  • “Menghalalkan hukumannya” (وَعُقُوبَتَهُ): Ertinya, pemerintah atau pihak berkuasa berhak memberikan hukuman kepada orang tersebut, seperti dipaksa membayar, dicegah untuk keluar negara, atau bahkan dipenjara hingga dia membayar hutangnya. Ini menunjukkan keseriusan masalah hutang yang ditunda-tunda oleh orang yang mampu.

Kalau orang yang mahu bayar hutangnya, Allah ‎ﷻ akan buka jalan untuk dia bayar. Lainlah kalau dia tidak mahu bayar langsung. Kalau dia mati tidak sempat bayar, sedangkan dalam hatinya dia hendak bayar, akan ada orang yang akan bayarkan  bagi pihak dia. Maka jangan bimbang kita tidak dapat duit itu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ.”
“Barangsiapa mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat akan melunasinya, maka Allah akan melunaskan untuknya. Dan barangsiapa mengambilnya dengan niat untuk merosaknya (tidak mahu melunasi), maka Allah akan menghancurkannya.”
(Sahih Bukhari no. 2387)

Penjelasan: Hadith ini menunjukkan bahawa niat yang tulus sangatlah penting. Jika seseorang berhutang dengan niat yang jujur untuk melunasinya tetapi kemudian terhalang oleh ketidakmampuan, Allah ‎ﷻ akan membantunya melunasi hutang tersebut, baik itu dengan memberinya rezeki untuk melunasi, atau dengan meringankan beban hutangnya di akhirat, atau bahkan mengampuninya. Ini adalah janji yang sangat besar daripada Allah ‎ﷻ bagi para penghutang yang jujur.

 

فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ

maka berilah tempoh sehingga dia mudah (membayarnya)

Kita beri pinjaman adalah untuk bantu kawan dan saudara kita. Maka teruskan bantu dia. Tengoklah keadaan dia mampu bayar atau tidak. Jangan dia tidak mampu bayar, kita paksa pula. Jangan juga suruh dia jual barang yang dia perlukan macam kereta atau motosikal dia. Dianjurkan untuk kita beri masa hingga dia boleh bayar. Inilah yang dinamakan Qardul Hasan seperti disebut di dalam Hadid:11

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ
Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.

Ini adalah satu perbuatan yang amat mulia. Orang beriman sahaja yang boleh buat begini. Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan baik ini dan dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُنْجِيَهُ اللَّهُ مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَلْيُنَفِّسْ عَنْ مُعْسِرٍ أَوْ يَضَعْ عَنْهُ”
“Barangsiapa ingin Allah menyelamatkannya dari kesusahan hari Kiamat, hendaklah dia memberi kelonggaran kepada orang yang kesulitan (berhutang) atau membebaskan hutangnya.”
(Sahih Muslim No. 1563)

Di dalam hadith yang lain, setiap hari penangguhan itu akan dikira sebagai sedekah. Ini diriwayatkan daripada Buraidah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ صَدَقَةٌ قَبْلَ أَنْ يَحِلَّ الدَّيْنُ، فَإِذَا حَلَّ الدَّيْنُ فَأَنْظَرَهُ فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ مِثْلَيْهِ صَدَقَةٌ.”
“Barangsiapa memberi tempoh kepada orang yang kesulitan (untuk membayar hutang), maka baginya setiap hari (sebelum hutang itu sampai tempoh) pahala sedekah. Dan apabila hutang itu telah jatuh tempoh, lalu dia masih memberinya tempoh, maka baginya setiap hari pahala sedekah dua kali ganda daripada jumlah hutangnya itu.”
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Ya’la, Ibnu Majah, Ath-Thabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam As-Silsilah Ash-Shahihah No. 86)

Ayat ini menggunakan frasa “فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ” yang bermaksud “berilah tangguh sampai dia berkelapangan”. Kata kerja imperatif (perintah) dalam konteks ini menunjukkan kewajiban bagi pemberi hutang untuk memberikan penangguhan jika penghutang benar-benar berada dalam kesulitan.

 

وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم

dan jika kamu sedekahkan hutang itu, adalah lebih baik untuk kamu, 

Dengan kita beri pinjam, tanpa ambil riba, kita sudah mendapat pahala kerana kita telah membantu orang dan kalau boleh, beri sedekah sahaja dan itu akan memberi pahala yang lebih besar kepada mereka yang memberi pinjam. Kalau orang itu termasuk salah seorang asnaf (al-Gharimin) maka boleh sahaja terus diniatkan sedekah itu sebagai zakat kita. Ini adalah lebih tinggi lagi daripada tinggalkan riba, kerana kalau riba, masih boleh lagi ambil pinjaman pokok, bukan? Kalau ini dengan pokok-pokok sekali diberikan. Kerana itu Allah ‎ﷻ kata ia خَيرٌ (lebih baik).

Ini adalah pengorbanan yang lebih besar lagi. Bayangkan situasi di mana yang meminjam datang kepada peminjam untuk meminta tangguh dan yang beri pinjam kata: tidak mengapa, dia beri sedekah sahaja. Bayangkan apa perasaan yang berhutang itu? Tentulah lega selega-leganya. Masyarakat bagaimanakah yang akan ada perkara begini? Tentunya masyarakat yang faham Al-Qur’an dan yakin benar dengan rezeki daripada Allah ‎ﷻ. Dia yakin balasan daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang infak. Maknanya, orang yang yakin dengan Al-Qur’an sahaja akan sanggup buat begini. Ini kerana nasihat ini diberikan dalam Al-Qur’an. Kalau masyarakat yang jahil Al-Qur’an, bagaimana hendak tahu tentang hal ini?

Ayat ini menambahkan “وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ” yang bermaksud “dan menyedekahkan (sebahagian atau seluruh hutang) itu lebih baik bagimu”. Ini adalah anjuran (sunnah) untuk membebaskan hutang jika mampu, namun perintah untuk menangguhkan tetap wajib.

 

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

kalau kamu mengetahui 

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenarnya nilai pahala itu, kita tidak akan melepaskan peluang untuk sedekahkan sahaja nilai harta yang telah dipinjam itu. Biarlah tidak dapat pulangan di dunia, tetapi dapat pulangan berganda di akhirat kelak. Terdapat balasan yang dijanjikan kepada orang sebegini.

1. Mendapat naungan di Mahsyar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ عَنْهُ، أَظَلَّهُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ.”
“Barangsiapa memberi tenggang waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunasi hutang atau bahkan membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.”
(Sahih Muslim No. 3006)

2. Dimudahkan Urusannya di Dunia dan Akhirat

Memudahkan kesulitan orang lain adalah kunci untuk mendapatkan kemudahan daripada Allah ‎ﷻ. Membebaskan hutang adalah salah satu cara terbaik untuk melakukannya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ 
“Barangsiapa yang meringankan satu kesulitan seorang mukmin di dunia, nescaya Allah akan meringankan salah satu kesulitannya di hari Kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan orang yang kesulitan (berhutang), nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya.”
(Sahih Muslim No. 2699)

3. Diampuni Dosa-dosa dan Dimasukkan ke Syurga

Terdapat kisah-kisah dalam hadith yang menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ mengampuni dosa seseorang dan memasukkannya ke syurga kerana kebaikannya dalam urusan hutang.

Diriwayatkan daripada Hudzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

أُتِيَ اللَّهُ بِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِهِ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَقَالَ لَهُ: مَاذَا عَمِلْتَ فِي الدُّنْيَا؟ قَالَ: كُنْتُ أُعَامِلُ النَّاسَ، فَكُنْتُ أُنْظِرُ الْمُعْسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُوسِرِ، فَقَالَ اللَّهُ: أَنَا أَحَقُّ بِذَلِكَ مِنْكَ، ادْخُلِ الْجَنَّةَ 
“Didatangkan seorang hamba daripada hamba-hamba Allah yang telah diberi-Nya harta. Maka Allah bertanya kepadanya: ‘Apa yang telah engkau lakukan di dunia?’ Dia menjawab: ‘Aku bermuamalah dengan manusia (berjual beli dan berhutang piutang), dan aku memberi tenggang waktu kepada orang yang kesulitan, serta aku membebaskan (melonggarkan) bagi orang yang mampu.’ Maka Allah berfirman: ‘Aku lebih berhak berbuat demikian darimu. Masuklah ke dalam syurga!'”
(Sahih Bukhari No. 2077 dan Muslim No. 1560, dengan sedikit perbezaan redaksi)

 

Sekarang berakhirlah sudah rentetan ayat-ayat tentang infak di dalam Surah Baqarah ini. Untuk memudahkan pembaca, saya sertakan senarai ayat-ayat itu dan ringkasannya di bentuk Peta Minda. Sila klik gambar untuk melihatnya dengan lebih besar.


 

PERINGATAN KEPADA HARI PEMBALASAN

Baqarah Ayat 281: Jumhur ulama’ kata ayat ini adalah ayat terakhir turun di dalam Al-Qur’an. 9 hari setelah ayat ini diturunkan maka Nabi ﷺ pun wafat. Ada juga pendapat yang mengatakan 81 hari selepas itu. Ada pula yang mengatakan 30 hari selepas itu. Ada yang kata seminggu, ada pula yang kata 3 minggu. Malah ada yang kata beberapa saat sebelum baginda wafat.

Allah ‎ﷻ sekarang tutup ayat-ayat tentang riba ini dengan mengingatkan tentang akhirat. Orang yang boleh ikut hukum hakam termasuk larangan Allah ‎ﷻ adalah orang yang yakin tentang adanya Hari Pembalasan. Kalau tidak takut, semuanya akan dilanggar.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And fear a Day when you will be returned to Allah . Then every soul will be compensated for what it earned, and they will not be treated unjustly.

MALAY
Dan peliharalah diri kamu daripada huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ

Dan peliharalah diri kamu daripada huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. 

Allah ‎ﷻ sentiasa menyuruh kita ingat kepada Hari Akhirat yang pasti tiba. Allah ‎ﷻ akan menyebut banyak perkara tentang hukum dan sekali sekala, akan diselang seli dengan peringatan kepada Hari Akhirat kerana segala hukum itu akan dapat dipatuhi dengan rela jikalau kita ingat yang Hari Kiamat akan datang.

Kena bayangkan apa terjadi pada hari itu yang tidak ada pengakhirannya (sebab itu namanya Akhirat, sebab tidak ada hari lain selepas itu). Waktu itu harta yang kamu sibukkan sampai hendak tindas orang susah dengan mengambil riba itu tidak berguna langsung. Baju kamu pakai pun tiga lapis kain kafan itu sahaja. Itu pun nanti hancur hilang dimakan tanah.

Yang dapat menyelamatkan kita adalah amal soleh kita, jadi buatlah sebanyak-banyaknya semasa hidup. Termasuk yang terpenting adalah infak kepada yang memerlukan. Cubalah jangan berbuat dosa terutama sekali dosa-dosa besar seperti mengamalkan riba. Tidak berbaloi langsung kalau kena azab disebabkan oleh riba yang bukan boleh dibawa pun harta itu ke akhirat. Sudahlah tidak boleh bawa, kena azab sebab dia pula!

 

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, 

Apabila Hari Kiamat itu datang, segala perbuatan kita akan dibalas, sama ada baik atau jahat. Semuanya akan ditimbang-timbang dan ditimbang pula dengan amat terperinci sekali. Terperinci macam mana? Disebut di dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: ‘Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!’ Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

Allah ﷻ juga berfirman di dalam Zalzalah:7-8

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
“Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”

Kalimah ثُمَّ bermaksud kemudian akan tetapi apabila ثُمَّ digunakan, ia bermaksud ada sengkang waktu yang lama di antaranya. Kita pun tahu bahawa apabila akhirat bermula, tidaklah terus diberikan balasan. Ini kerana lama kita menunggu di Mahsyar nanti. Al-Qur’an menyebutkan tempoh yang sangat panjang ini adalah selama 50 ribu tahun! Dalilnya adalah Ma’arij:4

تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Allah pada satu hari yang kadarnya adalah lima puluh ribu tahun.”

Para ulama tafsir umumnya menafsirkan ayat ini merujuk kepada tempoh Hari Kiamat, termasuk masa menunggu di Padang Mahsyar sebelum hisab (perhitungan amal) dimulai. Bayangkan, satu hari di akhirat sama dengan 50,000 tahun di dunia! Ini adalah tempoh yang sangat lama dan penuh penderitaan bagi kebanyakan manusia.

Perhatikan di sini Allah ﷻ berfirman: مّا كَسَبَت. Manusia hanya akan dibalas di atas perbuatannya sahaja sama ada dosa atau pahala. Jadi pahala sedekah sebenarnya tidak ada. Allah ﷻ berfirman di dalam Najm:38-41

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ
“Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan bahawasanya tiadalah bagi seseorang melainkan apa yang telah diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat). Kemudian dia akan dibalas dengan balasan yang paling sempurna.”

Maka bagaimana dengan amalan sedekah Fatihah dan buat Tahlilan yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita? Itu adalah bid’ah dan berlawanan dengan maksud ayat-ayat Al-Qur’an. Ia hanya kerana tidak mahir dengan wahyu dan ada mentaliti subsidi yang tidak habis dengan kematian. Orang kita asyik berharap dengan pemberian orang sahaja sampaikan pahala pun diharapkan daripada orang lain. Daripada hidup berharap subsidi, sudah mati pun masih berharap subsidi lagi. Sepatutnya kita bergantung kepada amalan kita dan ini mengajar kita untuk bersungguh-sungguh beramal. Maknanya jangan buang masa dengan kehidupan kita. Kehidupan kita bukannya lahir, makan minum, kencing berak, kerja dan berkeluarga sahaja tetapi hendaklah diingat apakah bekalan yang kita hendak bawa ke akhirat nanti. Jangan diharap hantaran pahala daripada orang yang hidup kerana ia tidak ada.

Namun bukankah ada pahala yang terus mengalir setelah kita mati? Ini kena diperhatikan kembali dalilnya. Kalau kita perhatikan, ia adalah hasil usaha kita semasa di dunia. Termasuklah doa anak yang soleh kerana bukankah anak yang menjadi soleh itu kerana usaha kita mendidiknya? Hadith yang dimaksudkan adalah daripada riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)

Namun bukankah ada pendapat yang mengatakan ia sampai? Ya memang ada tetapi ia bukan pendapat Imam Syafie. Orang kita sibuk kata berpegang dengan Mazhab Syafie tetapi tiba-tiba apabila hendak membenarkan amalan bid’ah mereka, pandai pula pakai pendapat mazhab lain. Imam Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ اللَّهُ dan Mazhab Hanbali secara umumnya memegang pandangan bahawa segala bentuk amal ketaatan yang dilakukan oleh orang hidup, sama ada ibadah badaniyah (seperti solat, puasa, bacaan Al-Quran) atau ibadah maliyah (seperti sedekah), dan pahalanya dihadiahkan kepada si mati, maka pahala tersebut akan sampai kepadanya, insya-Allah.

Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ menggunakan kaedah qiyas tentang sedekah pahala sedekah maliyah (harta). Kalau sedekah pahala sampai, maka ada kemungkinan sedekah amaliah pun sampai juga. Antara hadith yang menjadi sandaran adalah hadith riwayat Aisyah:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: “نَعَمْ
“Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (mengejut), dan aku rasa sekiranya dia sempat berbicara dia akan bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala sekiranya aku bersedekah atas namanya?’ Nabi ﷺ menjawab: ‘Ya.'”
(Sahih Bukhari No. 2760. Sahih Muslim: No. 1004)

Akan tetapi bukanlah semua ulama’ bersetuju dengan pandangan ini. Ini kerana kalau diperhatikan, hadith tentang pahala sampai kepada si mati itu adalah amalan yang melibatkan harta sahaja, bukannya sedekah amalan badan. Sedangkan Al-Qur’an telah ada pada zaman itu. Kalaulah ia boleh disedekahkan pahalanya untuk membantu si mati, kenapa Nabi Muhammad ﷺ tidak mengajarnya? Bukankah itu lebih mudah kalau benar ia boleh membantu mereka yang telah mati?

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak dizalimi. 

Allah ‎ﷻ tidak akan menzalimi hamba-Nya di mana segala perbuatan baik kita akan dibalas dan tidak ada tertinggal pun. Balasan itu pula berkali ganda daripada amal perbuatan baik kita itu. Kita pun tidak dizalimi dengan hal dosa kerana kita hanya akan dibalas dengan perbuatan dosa kita sahaja. Kalau kita tidak buat, tidak akan diazab langsung. Kalau dalam dunia, ada orang yang dihukum kerana salah bicara di mahkamah sampaikan yang tidak buat kesalahan pun ada yang dihukum. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan tersalah buat keputusan.

Pahala akan digandakan berganda-ganda sedangkan dosa pula hanya dibalas sama nilai dengan perbuatan salah kita sahaja, tidak ditambah. Malah, Allah ‎ﷻ berhak untuk memaafkan terus segala kesalahan kita itu. Maka di mana lagi ruang untuk kita cuba kata Allah ﷻ zalim?

 

Ayat-ayat tentang Riba ini boleh dijadikan Komposisi Cincin. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Ia adalah salah satu daripada cincin kecil di dalam cincin besar Surah Baqarah ini.

Penjelasan:

[A7.4]/[A7.4′] – Di dalam Bahagian [A7.4] Allah ‎ﷻ menjelaskan kenapa pelaku Riba itu melakukan Riba (kerana mereka sangka ia adalah perniagaan). Allah ‎ﷻ mengancam mereka yang melakukan Riba itu dengan dibangkitkan nanti seperti orang yang disampuk syaitan. Di dalam [A7.4′] Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang kebangkitan di akhirat kelak.

[A7.5]/[A7.5′] – Di dalam Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang Riba dan Sedekah dan perbezaan di antaranya.

[A7.6]/[A7.6′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ‎ﷻ menyebut tentang menjaga iman. Ada perkara yang kena buat dan ada perkara yang mesti ditinggalkan. Di dalam [A7.6] menyebut perkara yang perlu dibuat iaitu Solat dan Sedekah dan di dalam Bahagian [A7.6′] Allah ‎ﷻ menyebut perkara yang mesti ditinggalkan iaitu Riba.

Sekian Ruku’ 38 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 276 – 278 (Ancaman kepada Pengamal Riba)

Baqarah Ayat 276: Sekarang Allah ‎ﷻ buat perbezaan antara riba dan sedekah. Ayat 275 sebelum ini tentang kesan semasa di akhirat, sekarang ayat 276 ini menyebut kesannya sudah ada semasa di dunia lagi.

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُربِي الصَّدَقٰتِ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah destroys interest and gives increase for charities. And Allah does not like every sinning disbeliever.

MALAY
Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

 

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ

Allah memusnahkan riba 

Oleh sebab Allah ‎ﷻ telah mengharamkan riba maka ia mesti dimusnahkan habis-habisan kerana keburukan yang amat sangat. Ia amat menyusahkan manusia dan menyebabkan kemunduran ekonomi. Maka kita yang sudah ada ilmu ini hendaklah meninggalkan riba dan beritahu kepada semua orang tentang bahayanya.

Kalimah يَمحَقُ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘memusnahkan’. Ia daripada kata dasar: م ح ق yang bermaksud menjadikan sesuatu itu tidak berguna lagi, memusnahkan sesuatu, menghilangkan sesuatu sampai tiada kesan. Ia difahami oleh pakar-pakar bahasa dalam erti mengurangi sedikit demi sedikit hingga habis, sama halnya dengan sinar bulan setelah habis purnama, ia berkurang sedikit demi sedikit, sehingga lenyap daripada pandangan. Demikian juga dengan riba. Ia bukan seperti racun yang kita telan sahaja terus mati. Sebaliknya kemusnahan yang dilakukan oleh riba itu tidak terus jelas kelihatan. Akan tetapi sedikit demi sedikit.

Allah ‎ﷻ musnahkan harta yang terlibat dengan riba sama ada secara hissiah (fizikal) atau secara maknawi (rohaniah). Sebagai contoh, kesan riba adalah ekonomi dirosakkan sampailah sekarang kita ini perhatikan ekonomi kita ini langsung tidak stabil. Orang yang kaya hari ini boleh jatuh muflis esok hari kerana sistem riba. Atau bagi individu pula, walaupun dia banyak duit, tetapi dia terlibat dengan banyak musibah yang menyebabkan duitnya itu habis begitu sahaja. Sebagai contoh, dikenakan sakit sampai habis duit berubat; kemalangan dan tragedi yang sebagainya.

Dari segi maknawi, Allah‎ ﷻ musnahkan harta riba itu dengan tidak memberi berkat kepada harta yang diperoleh itu. Musnah habis apa sahaja keberkatan yang ada pada harta itu. Memang kalau diperhatikan, perniagaan berunsurkan riba memang nampak dari segi luaran amat menguntungkan, tetapi ia tidak ada keberkatan. Apabila tidak ada keberkatan, maka ia tidak berguna langsung. Duit ada banyak pun tetapi masih tidak cukup-cukup untuk menampung keperluan orang itu. Ia tidak memberi kebaikan malah akan menyusahkan kita. Memang ada hadith yang menunjukkan bahawa rezeki yang diperoleh melalui riba tidak akan diberkati.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “مَا أَحَدٌ أَكْثَرَ مِنَ الرِّبَا إِلاَّ كَانَ عَاقِبَةُ أَمْرِهِ إِلَى قِلَّةٍ”
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tidaklah seseorang itu memperbanyakkan (hartanya) daripada riba melainkan kesudahan urusannya adalah kepada sedikit (kehancuran/kebinasaan berkat).”
(Riwayat Ibnu Majah, Kitab At-Tijarat, No. Hadith: 2279. Disahihkan oleh Al-Albani.)

 

وَيُربِي الصَّدَقٰتِ

dan Dia pula mengembangkan sedekah-sedekah

Perhatikan kalimah ٱلرِّبَوٰاْ dan juga يُربِي di dalam ayat ini datang daripada kata dasar yang sama yang bermaksud bertambah, mengembang. Akan tetapi bagi ٱلرِّبَوٰاْ ia di dalam bentuk yang buruk sedangkan kalimah يُربِي bermaksud berkembang yang baik. Di sini Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang Dia mengembang dan menyuburkan sedekah. Ada banyak kebaikan sedekah dan kita telah sebutkan balasan Allah‎ ﷻ kepada mereka yang infak pada jalan Allah ‎ﷻ. Antaranya kita telah baca pahala sedekah itu digandakan sekurang-kurangnya 700 kali ganda.

Walaupun konsep sedekah itu adalah kita keluarkan duit dan beri begitu sahaja kepada orang, maka tentulah ia berkurang. Namun Allah ﷻ  kembangkan dengan cara yang kita nampak dan tidak nampak. Sebagai contoh sedekah mendekatkan hubungan antara yang memberi dengan yang diberi; dan yang diberi sedekah itu tentunya mendoakan si pemberi sedekah itu. Balasan daripada Allah ‎ﷻ dapat, hubungan dengan manusia pun baik juga. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Rum:39 tentang hal ini.

وَمَا آتَيْتُم مِّن رِّبًا لِّيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِندَ اللَّهِ ۖ وَمَا آتَيْتُم مِّن زَكَاةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ
“Dan apa sahaja riba yang kamu berikan untuk menambahkan harta manusia (agar bertambah pada harta orang lain), maka ia tidak akan bertambah di sisi Allah. Dan apa sahaja zakat yang kamu berikan dengan tujuan mencari keredaan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang melipatgandakan (pahala).”

Ayat Rum:39 ini membandingkan riba dengan sedekah, menjelaskan bahawa riba tidak akan menambah keberkatan di sisi Allah ﷻ, berbeza dengan sedekah. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Taghabun:17

إِن تُقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعِفْهُ لَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَاللَّهُ شَكُورٌ حَلِيمٌ
“Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik (dengan ikhlas), nescaya Allah akan melipatgandakan balasannya kepada kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan (kepada golongan yang berbuat baik), lagi Maha Penyabar

Allah ﷻ juga berfirman di dalam Saba’:39,

قُل إِنَّ رَبّي يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ وَيَقدِرُ لَهُ ۚ وَما أَنفَقتُم مِّن شَيءٍ فَهُوَ يُخلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda,

مَا تَصَدَّقَ أَحَدٌ بِصَدَقَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ وَلاَ يَقْبَلُ اللَّهُ إِلاَّ الطَّيِّبَ إِلاَّ أَخَذَهَا الرَّحْمَنُ بِيَمِينِهِ وَإِنْ كَانَتْ تَمْرَةً فَتَرْبُو فِي كَفِّ الرَّحْمَنِ حَتَّى تَكُونَ أَعْظَمَ مِنَ الْجَبَلِ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ أَوْ فَصِيلَهُ
“Tidak ada seorang pun yang bersedekah dengan satu sedekah daripada hasil usaha yang baik (halal) – dan Allah tidak menerima melainkan yang baik – melainkan Ar-Rahman (Allah) akan mengambilnya dengan Tangan Kanan-Nya, dan walaupun hanya sebiji kurma, ia akan tumbuh (disuburkan) di telapak tangan Ar-Rahman sehingga menjadi lebih besar daripada gunung, sebagaimana salah seorang daripada kamu membesarkan anak kudanya atau anak untanya.” (Riwayat Bukhari, No. Hadith: 1410; dan Muslim, No. Hadith: 1014)

Kita juga telah pernah sebut (dalam ayat-ayat tentang infak) bahawa rezeki orang bersedekah akan ditambah. Ini kerana dosa mereka diampunkan dan bila dosa tiada, rezeki bertambah. Allah ﷻ juga berikan kesihatan dan keselamatan kepada pemberi sedekah dan jauhkan dia daripada musibah (yang boleh mengurangkan hartanya). Malah diberikan keberkatan kepada harta itu; walaupun sedikit tetapi ia cukup dan malah berlebihan.

Dengan banyak bersedekah, orang miskin pun ada duit untuk digunakan untuk berbelanja maka ekonomi pun boleh berkembang. Maka jangan sangka penambahan yang Allah ﷻ berikan kepada pemberi sedekah itu di akhirat sahaja. Di dunia sahaja kita boleh lihat kesannya. Bukan sahaja dari segi fizikal tetapi dari segi rohani juga ada kebaikan. Orang yang suka bersedekah itu Allah ﷻ berikan ketenangan jiwa dan rasa kenikmatan yang lain daripada yang lain. Ia boleh dibuktikan dengan kajian sains. Apabila kita membantu orang lain, badan kita merembeskan beberapa hormon dan neurotransmiter yang dikaitkan dengan perasaan positif dan kesejahteraan. Fenomena ini sering disebut sebagai “helper’s high” (rasa gembira membantu).

Berikut adalah hormon-hormon utama yang dirembeskan:

1. Oksitosin

    • Dikenali sebagai: “Hormon cinta” atau “hormon ikatan”.

    • Peranan: Oksitosin memainkan peranan penting dalam membentuk ikatan sosial, kepercayaan, dan empati. Ia juga boleh menurunkan tekanan darah dan kadar kortisol (hormon stres).
    • Kesan: Apabila kita berinteraksi secara positif atau menunjukkan kebaikan, tahap oksitosin meningkat, menggalakkan perasaan hubungan dan kasih sayang.

2. Dopamin

    • Dikenali sebagai: Hormon feel-good “rasa-baik” atau “ganjaran”.

    • Peranan: Dopamin adalah neurotransmiter yang terlibat dalam sistem ganjaran otak. Ia bertanggungjawab untuk perasaan keseronokan, kepuasan, dan motivasi.
    • Kesan: Apabila kita melakukan perbuatan baik, otak kita mengeluarkan dopamin, memberikan kita perasaan gembira dan mendorong kita untuk mengulangi tingkah laku prososial ini. Ini menyumbang kepada “helper’s high”.

3. Serotonin

    • Peranan: Serotonin adalah neurotransmiter yang membantu mengawal mood, selera makan, tidur, dan ingatan.

    • Kesan: Tingkah laku pro-sosial dan belas kasihan boleh meningkatkan tahap serotonin, yang menyumbang kepada peningkatan mood, rasa tenang, dan kesejahteraan keseluruhan. Ia bertindak balas terhadap hormon stres seperti kortisol.

4. Endorfin

    • Peranan: Endorfin ialah opioid semula jadi badan yang berfungsi sebagai penghilang rasa sakit dan meningkatkan mood.

    • Kesan: Melakukan perbuatan baik atau melibatkan diri dalam tingkah laku altruistik boleh mencetuskan pembebasan endorfin, menghasilkan rasa euforia dan mengurangkan tekanan atau kesakitan fizikal. Ini juga merupakan komponen penting dalam “helper’s high”.

Secara ringkas, apabila kita membantu orang lain, otak kita mengalami “koktail” kimia yang positif. Gabungan oksitosin, dopamin, serotonin, dan endorfin ini bukan sahaja memberikan perasaan gembira dan kepuasan kepada kita, tetapi juga mengukuhkan ikatan sosial, mengurangkan stres, dan secara keseluruhan meningkatkan kesihatan mental dan fizikal kita. Ini adalah salah satu sebab mengapa kebaikan dan kemurahan hati sering dirasakan sebagai pengalaman yang sangat bermanfaat. Maka penambahan ini tidaklah nampak secara hissi. Tidaklah kita derma sahaja, nanti masuk dalam akaun bank kita duit entah datang dari mana, tidaklah begitu.

Lihatlah di dalam mengajar tentang riba, Allah ﷻ sebut tentang sedekah. Ini kerana kedua-duanya berlawanan. Kadangkala untuk faham sesuatu, kita kena lihat pada lawannya (contoh: hitam lawannya putih). Cara amalkan riba dan sedekah lain, kesannya juga lain, dan niat orang yang melakukannya juga berlainan sama sekali.

1. Sedekah itu memberi harta sendiri dan diberikan kepada orang lain; riba pula mengambil harta orang lain.

2. Niat orang yang memberi sedekah adalah semata-mata kerana mencari redha Allah ﷻ; yang beri pinjaman riba adalah kerana hendak menambah hartanya sahaja. Yang sedekah memberi dengan tidak mengharapkan balasan, yang mengamalkan riba mengharapkan imbuhan tambahan daripada pemberiannya itu.

3. Kesan sedekah adalah harta itu bertambah dan akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ; kesan riba adalah harta itu tidak berkat. Jadi orang yang hendak menambah hartanya sebenarnya kehilangan hartanya. Banyak macam mana sekalipun tidak akan puas dan cukup baginya. Malah kalau kita perhatikan perjalanan pasaran yang mengamalkan riba, kadangkala ada pasaran yang kerugian berjuta-juta dalam beberapa saat sahaja. Hilang begitu sahaja. Kalau perniagaan pun ada untung ruginya dan kadangkala ada syarikat ditutup. Akan tetapi tidaklah kerugian dalam masa yang singkat seperti pasaran riba ini.

4. Orang yang bersedekah akan mendapati pahala sedekah itu menunggunya di akhirat dengan banyak; orang yang mengamalkan riba akan jumpa dosanya sahaja nanti.

5. Kadangkala kita tertipu dengan melihat kepada golongan yang mengamalkan riba dan segala kemewahan yang mereka ada. Akan tetapi itu adalah pandangan mata yang dilihat pada fizikal sahaja. Namun bagaimana dengan dalaman mereka? Hati dan ketenangan mereka? Tidur mereka adakah nyenyak? Sedangkan orang yang bersedekah kita lihat mereka itu tenang-tenang sahaja walaupun kehidupan mereka tidaklah nampak mewah terlajak.

6. Orang yang kaya kerana riba dibenci oleh masyarakat. Mereka tahu yang orang-orang itu kaya kerana merampas dan menghisap darah orang lain. Sedangkan orang yang memberi sedekah disayangi dan dihormati.

 

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Allah‎ ﷻ tidak suka kepada mereka yang melanggar hukum yang telah ditetapkan. Kalau emak ayah kita pun tidak suka dengan kita akan menggelabahkan kita, apatah lagi kalau Allah ﷻ yang tidak suka! Maka ini adalah ancaman yang berat. Riba adalah satu dosa yang berat dan kalau ada yang tidak mahu ikut cakap, Allah ‎ﷻ amat marah dan murka. Kita pun sudah lihat hukuman Allah ‎ﷻ akan mengekalkan pelakunya kekal dalam neraka.

Di dalam ayat ini disebut dua sifat: كَفّارٍ أَثيمٍ. Kalimah كَفّارٍ itu merujuk kepada orang yang tidak menganggap riba sebagai haram; sedangkan أَثيمٍ itu adalah orang yang tahu riba itu haram, dia pun terima riba itu haram, akan tetapi dia tetap terlibat juga. Ini pun Allah ﷻ tidak suka.

Namun perhatikan kalimah yang digunakan adalah كَفّارٍ yang di dalam bentuk mubalaghah iaitu bersangatan, yang bermakna ia lebih teruk daripada كافر iaitu di dalam bentuk biasa. Ini kerana orang yang mengamalkan riba itu melakukan kekufuran berganda. Kekufuran berganda itu adalah pertama, kerana mereka mempersamakan riba dengan jual beli sambil menolak ketetapan Allah ﷻ; kedua, ketika mengamalkan riba; dan ketiga, ketika tidak mensyukuri nikmat kelebihan yang mereka miliki, bahkan menggunakannya untuk menindas dan menganiaya. Orang yang melakukannya selalu berbuat banyak dosa, kerana penganiayaan yang dilakukannya bukan hanya menimpa satu orang, tetapi menimpa banyak orang, bukan hanya anggota keluarga yang kepala keluarganya terpaksa melakukan transaksi riba, bahkan menimpa seluruh masyarakat. Bukankah keluarga adalah unit terkecil dari masyarakat, dan kumpulan keluarga adalah masyarakat luas?


 

MUKMIN YANG SEBENAR

Baqarah Ayat 277: Ini adalah ayat Tabshir (berita gembira). Setelah menyebut benda yang buruk, Allah ﷻ imbangkan dengan perkara yang baik pula supaya kita tahu mana yang kita patut pilih. Sebelum ini telah diberi ganjaran bagi mereka yang mengamalkan riba, sekarang disebut ganjaran bagi mereka yang berbuat kebaikan.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who believe and do righteous deeds and establish prayer and give zakah will have their reward with their Lord, and there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, 

Beriman itu maksudnya beriman dengan sempurna dan tidak melakukan syirik. Maka kena belajar apakah Tauhid dan akidah yang sebenarnya. Bukan itu sahaja, kena tahu perkara yang membatalkan Tauhid iaitu Syirik. Malangnya ramai orang kita pandang ringan perkara ini dan tidak belajar wahyu-wahyu tentang syirik. Jadi ramai yang mengamalkan amalan syirik dan ada fahaman syirik kerana mereka tidak tahu. Kita kena faham bahawa iman sahaja tidak cukup. Berapa ramai yang beriman, tetapi dia juga ada akidah dan amalan syirik dan kerana itu Allah ﷻ ada berfirman di dalam Yusuf:106

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِاللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ
“Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan-Nya (dengan yang lain).”

Iman tanpa amal tentulah tidak bermakna. Maka beramal soleh itu pula adalah melakukan amal ibadah yang ada contoh daripada Nabi ﷺ. Maka ini menolak amal ibadah rekaan seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Amalan yang bukan daripada contoh Nabi ﷺ dan para sahabatnya dinamakan bid’ah. Ramai juga tidak mahir dan ambil enteng sahaja perkara ini dan kerana itu kita lihat banyaknya amalan bid’ah yang diamalkan tanpa segan silu lagi di dalam masyarakat kita. Kita yang menegur ini pula yang kena marah. Mereka yang tidak faham, kita pula yang dipersalahkan.

 

وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ

dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,

Sebelum ini Allah ﷻ sebut ibadat secara umum sahaja (عَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ) dan sekarang Allah ﷻ sebut secara khusus. Allah ‎ﷻ menyebut dua jenis ibadah yang ada dua jenis hubungan iaitu hubungan dengan Allah ‎ﷻ (ibadat – hablu minallah) dan hubungan dengan makhluk (adat – hablu minannas). Solat adalah ibadat terbaik dan zakat adalah contoh terbaik daripada adat. Tentulah ada ibadah-ibadah lain yang kita kena jaga, tetapi Allah ﷻ berikan dua contoh ibadah utama ini yang mewakili ibadah-ibadah yang lain.

Masyarakat Islam yang mengamalkan solat berjemaah dan mengeluarkan zakat adalah masyarakat yang tidak mengamalkan riba. Sepatutnya dalam masyarakat Islam, yang kaya menolong yang miskin supaya tidak perlu sangat meminjam. Yang kaya sepatutnya suka untuk infak dan yang miskin tidak meminta-minta yang tidak perlu kerana mereka tahu yang Islam tidak suka umatnya meminta-minta kecuali kalau terdesak. Maka, mereka akan belajar redha dengan keadaan mereka.

 

لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Allah ‎ﷻ menjanjikan pahala kepada mereka yang sebegitu. Allah ‎ﷻ Maha Pemurah dan sanggup untuk beri balasan yang berganda-ganda asalkan mahu taat kepada-Nya.  Allah ‎ﷻ menjadikan pahala dari sisi-Nya. Kalimah أَجرُ asalnya bermaksud upah atau gaji. Kalau kita bekerja, tentu dapat gaji, bukan? Sebab itu kita bekerja kerana kita harapkan gaji. Kalau tidak, tidak ada sesiapa yang mahu bekerja. Gaji kita bekerja berlainan bergantung kepada kebolehan dan juga tempat kita bekerja. Kalau syarikat besar mungkin gajinya lebih besar dari syarikat yang kecil. Jadi kalau Allah ‎ﷻ kata ia dari Sisi-Nya, tentulah ia adalah amat besar sekali kerana tidak ada syarikat yang lebih besar daripada Allah ﷻ. Tidak dapat dibayangkan bagaimana banyaknya pahala itu.

Namun adakah kita percaya dengan janji Allah ﷻ ini? Kalau kita percaya, tentu kita lebih berharap dengan Allah ﷻ dan lebih banyak buat kerja Allah ﷻ kerana Allah ﷻ beri lebih, bukan? Akan tetapi lihatlah kita melebihkan kerja dunia yang gajinya tidaklah seberapa kalau dibandingkan dengan gaji yang Allah ﷻ tawarkan. Kalau kerja kita bersungguh-sungguh kerana harapkan gaji sedangkan solat kita cincai sahaja kerana hendak segera sambung kerja kita. Membaca ayat ini saya teringat ada kisah orang Malaysia bekerja dengan orang-orang Arab. Mereka itu seolah-olah kerjanya menunggu waktu solat sahaja. Apabila masuk waktu solat, mereka berpusu-pusa keluar pejabat untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Kerja mereka di pejabat pula yang menjadi kerja sekunder.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Orang yang telah melakukan beriman dan beramal dengan amalan yang benar-benar soleh tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana mereka ada bekal. Allah ‎ﷻ akan beri kesenangan kepada mereka di akhirat kelak. Di akhirat nanti pahala amalan baik mereka itu semua akan menunggu mereka.

Kalau di dunia pula, mereka tidak takut dengan apa-apa yang berlaku kerana mereka percaya bahawa Allah ‎ﷻ akan menjaga mereka dan cukupkan segala keperluan mereka.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Kalau kalimah خَوفٌ ia digunakan untuk masa hadapan, maka kalimah يَحزَنونَ untuk sesuatu yang telah berlaku. Orang yang beriman dan beramal soleh itu tidak takut tentang masa hadapan dan tidak bersedih dengan apa yang telah berlalu. Orang yang bersedih itu adalah mereka yang fikir tentang apa yang mereka tinggalkan seperti harta dan keluarga mereka. Namun mereka yang benar-benar mukmin tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka tuju itu di akhirat itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.


 

ANCAMAN KEPADA PENGAMAL RIBA

Baqarah Ayat 278: Setelah diberikan ganjaran yang baik bagi mereka yang taat, maka sekarang diulang kembali hukum larangan riba.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, fear Allah and give up what remains [due to you] of interest, if you should be believers.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Dengarlah wahai orang yang beriman. Allah ‎ﷻ ulang pengajaran tentang riba. Orang yang hendak beriman, mestilah mengikutnya. Di sini Allah ﷻ memanggil orang Islam dengan gelaran yang baik, mengingatkan mereka tentang iman. Begitulah jikalau ada suruhan dan larangan yang berat, Allah ﷻ akan mulakan dengan cara begini. Di dalam kes ini, ia telah meninggalkan riba yang tentunya berat bagi sesetengah orang.

 

اتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah

Selepas disebut wahai orang-orang beriman dan sebelum Allah ﷻ sebut apakah hukum yang hendak disampaikan, sekali lagi Allah ﷻ tambah dengan ajaran untuk bertaqwa. Namun bukankah orang beriman itu sudah bertaqwa? Belum tentu lagi dan kerana itu Allah ﷻ suruh orang beriman untuk bertaqwa. Dari segi bahasa, taqwa (تقوى) berasal daripada kata waqa – yaqi – wiqayah yang bererti menjaga diri, melindungi, atau memelihara diri. Antara lain ia bermaksud melaksanakan segala perintah Allah ﷻ dan menjauhi segala larangan-Nya, secara lahir dan batin, dalam keadaan sembunyi mahu pun terang-terangan. Tujuannya supaya kita kita memelihara diri kita daripada murka Allah ﷻ dan neraka.

Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ hendak menyuruh orang yang telah mengaku beriman untuk ikutlah dan jagalah segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Tanda orang bertaqwa adalah mereka akan memikirkan apakah hukum dalam sesuatu perkara itu dan akan taat kepada hukum itu. Jangan dipersoalkan ketentuan yang Allah ﷻ telah buat di dalam hukum hakam agama.

Jadi tidak sama iman dan taqwa. Namun tentulah ia berkait rapat kerana taqwa tidak akan ada tanpa iman. Anda boleh mengumpamakan iman seperti akar dan batang pokok. Ia adalah asas yang tidak terlihat atau struktur utamanya. Sedangkan taqwa adalah buah, daun, dan bunga yang tumbuh daripadanya. Tanpa akar dan batang (iman), pokok tidak akan hidup. Tanpa buah, daun, dan bunga (taqwa), pokok itu tidak sempurna atau tidak menghasilkan apa-apa. Jadi, sementara iman adalah percaya, taqwa adalah bertindak atas dasar kepercayaan itu dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Keduanya adalah elemen penting yang saling memerlukan untuk membentuk seorang Muslim yang sejati.

 

وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ

dan tinggalkanlah saki baki riba 

Jangan buat langsung riba itu dan tinggalkan terus. Kalau dulu ada mengamalkan riba, jangan buat lagi. Tinggalkan 100%. Kalau ada orang yang belum habis bayar hutang ribanya pun, tutup mata dan lupakan sahaja baki itu. Jangan terlibat langsung lagi dengan riba. Kalau ada buat pinjaman riba, maka kena berhenti dengan mencari jalan lunaskan kerana tidak boleh habiskan pinjaman bentuk riba itu. Antara cara adalah dengan membuat pinjaman Islamik supaya boleh selesaikan hutang riba itu. Memanglah susah dan kerana itu sepatutnya dari awal jangan buat pinjaman riba.

 

Asbabun Nuzul Ayat 278 Al-Baqarah

Ketika Nabi Muhammad ﷺ menakluk Mekah (Fathu Makkah) pada tahun ke-8 Hijriah, baginda mendeklarasikan pembatalan semua bentuk riba yang berlaku pada masa Jahiliah. Ini adalah sebahagian daripada khutbah baginda yang terkenal ketika Fathu Makkah. Beberapa riwayat, di antaranya daripada Ibnu Jarir Ath-Thabari dan Ibnu Katsir dalam tafsir mereka, menyebutkan bahawa ada dua kabilah yang terlibat dalam transaksi riba yang besar dan sisa hutangnya masih ada pada ketika itu:

    • Bani Tsaqif (dari Tha’if): Kabilah telah memberi pinjaman dalam bentuk riba yang besar kepada Bani Mughirah (dari Mekah).
    • Bani Mughirah: Mereka berhutang riba kepada Bani Tsaqif.

Setelah Fathu Makkah dan deklarasi Nabi ﷺ tentang pembatalan riba Jahiliah, Bani Tsaqif datang kepada gabenor Mekah yang dilantik Nabi ﷺ, iaitu Attab bin Asid. Mereka mengadukan perihal sisa piutang riba mereka yang belum dibayar oleh Bani Mughirah. Mereka bertanya apakah sisa riba tersebut masih boleh dipungut atau tidak. Attab bin Asid kemudian menulis surat kepada Rasulullah ﷺ untuk menanyakan hukumnya. Sebagai respons atas pertanyaan dan kondisi ini, Allah ﷺ menurunkan Surah Al-Baqarah ayat 278 ini.

Ayat ini dengan tegas memerintahkan kaum Muslimin untuk meninggalkan sisa-sisa riba yang masih ada dan belum dibayar, sebagai bukti keimanan mereka dan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Jika tidak, maka ayat berikutnya mengancam dengan peperangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya.

Ayat-ayat tentang riba ini diturunkan di hujung-hujung hayat Nabi ﷺ, maka perincian dalam hadith tidak banyak.

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه قَالَ: “ثَلاَثٌ لَوَدِدْتُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَمْ يُفَارِقْنَا حَتَّى يَعْهَدَ إِلَيْنَا فِيهِنَّ عَهْدًا: الْجَدُّ وَالْكَلاَلَةُ وَأَبْوَابٌ مِنَ الرِّبَا”
Daripada Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Ada tiga perkara yang aku sangat berharap Rasulullah ﷺ tidak meninggalkan kita sehingga Baginda telah memberikan penjelasan yang jelas kepada kita mengenainya: datuk (dalam pewarisan), al-kalalah (pewarisan tanpa bapa atau anak), dan beberapa bab daripada riba.”
(Riwayat Abu Dawud, Kitab Al-Fara’id, No. Hadith: 2883. Diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah, At-Tirmidzi, dan Al-Hakim dengan lafaz yang serupa atau berbeza sedikit)

Dalam riwayat lain yang lebih langsung menyebutkan tentang “terakhir turun”:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه قَالَ: “إِنَّ آخِرَ مَا نَزَلَ مِنَ الْقُرْآنِ آيَةُ الرِّبَا”
Daripada Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Sesungguhnya ayat yang terakhir turun daripada Al-Quran adalah ayat riba.”
(Riwayat Ibnu Majah, Kitab At-Tijarat, No. Hadith: 2276; dan Ahmad dalam Musnadnya, No. Hadith: 198. Diriwayatkan juga oleh Ad-Darimi)

Syarah: Keresahan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tentang “bab-bab daripada riba” yang tidak sempat diperjelaskan secara terperinci oleh Nabi ﷺ menunjukkan betapa kompleksnya isu riba dan pelbagai bentuknya yang mungkin timbul. Ini juga mencerminkan kesungguhan para sahabat dalam memahami dan melaksanakan setiap hukum Allah dengan sempurna. Para ulama memahami ini sebagai isyarat bahawa terdapat pelbagai jenis dan bentuk riba yang mungkin tidak sempat dihuraikan satu persatu oleh Nabi ﷺ, dan urusan ini diserahkan kepada ijtihad ulama di kemudian hari berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan. Pernyataan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ini juga menjadi landasan bagi ulama untuk terus berijtihad dalam memahami dan menerapkan hukum riba dalam konteks transaksi dan produk kewangan moden, selagi mana ia berlandaskan kepada prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan.

 

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Di hujung ayat ini, Allah ‎ﷻ ulang semula tentang iman yang telah disebut di permulaan ayat. Kalau kamu beriman, maka kamu akan ikut tanpa soal dan tanpa songeh. Kalau seseorang itu benar-benar beriman, dia sudah tidak hanya melihat kepada keuntungan harta dunia sahaja. Dia sudah mula fikirkan baik buruk di akhirat kelak. Harta kita boleh sahaja cari dengan cara yang halal, namun kalau tersalah langkah dan kekal dalam neraka, tidak ada gunanya kalau ada harta sepenuh bumi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 275 (Larangan Mengamalkan Riba)

PENGHARAMAN RIBA

Baqarah Ayat 275: Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ banyak menyebut tentang infak iaitu suruhan untuk menghimpun harta kita di akhirat, manakala di dalam ayat ini pula Allah ‎ﷻ menyebut tentang mereka yang menghimpun harta di dunia dengan cara haram. Inilah akibatnya apabila ditinggalkan infak. Sudahlah himpun harta kemudian tidak infak (itu pun sudah tidak molek), tetapi masih boleh lagi. Masalahnya sekarang mereka yang disebut dalam ayat ini, iaitu mereka yang menghimpun harta mereka itu dengan cara haram. Ini sangat berlawanan dengan infak yang telah banyak disentuh sebelum ini. Dalam infak mengandungi suruhan untuk membantu orang yang susah; di dalam amalan riba, orang yang susah disusahkan lagi.

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۗ  وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ  فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Those who consume interest cannot stand [on the Day of Resurrection] except as one stands who is being beaten by Satan into insanity. That is because they say, “Trade is [just] like interest.” But Allah has permitted trade and has forbidden interest. So whoever has received an admonition from his Lord and desists may have what is past, and his affair rests with Allah . But whoever returns to [dealing in interest or usury] – those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ‌

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba

Riba daripada kata dasar ر ب و yang bermaksud bertambah, transaksi riba, berlebihan, menjadi tinggi, bengkak, tercungap-cungap, memutuskan. Ini kerana dengan memberi riba telah menambah wang pemberi riba itu.

‘Makan’ dalam ayat ini maksudnya ambil riba kerana yang memberi hutang berlandaskan riba itu adalah untuk mereka makan sebenarnya, untuk menjaga perut mereka supaya kenyang sentiasa. Digunakan istilah ‘makan’ di sini adalah kerana seperti barang yang kita telah makan, kita tidak boleh beri balik. Ini berlainan kalau kita buat dosa mencuri yang kita boleh pulangkan balik barang yang kita telah curi itu.

Orang yang memberi pinjaman riba itu adalah orang yang sudah tidak kira kesusahan orang lain. Mereka ambil keuntungan atas kelemahan dan kesusahan manusia dengan cara melanggar syarak. Mereka buat duit menggunakan duit. Mereka beri pinjam kepada manusia dan minta bayaran yang lebih daripada modal yang diberi. Padahal mereka tahu yang orang yang meminjam dengan mereka itu kerana mereka di dalam kesusahan, tetapi mereka tidak kira itu semua. Yang mereka hanya fikirkan adalah keuntungan mereka sahaja. Mereka mendapat kekayaan dengan cara yang haram sedangkan banyak lagi cara halal yang lain.

Pada Zaman Jahiliyyah, jikalau orang yang meminjam tidak dapat membayar selepas waktu yang telah dijanjikan, hutang itu akan digandakan. Kalau tidak bayar juga selepas setahun, akan digandakan sekali lagi. Makanya, hutang yang asalnya sedikit akan menjadi berganda-ganda. Hutang itu sampaikan boleh jadi turun temurun, perlu dibayar oleh anak beranak yang meminjam jika mereka mati tidak sempat bayar semua hutang.

 

لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ

tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.

Ini adalah keadaan mereka yang mengambil riba apabila mereka dibangkitkan di akhirat kelak. Keadaan mereka itu seperti orang yang dirasuk hantu. Kalimah يَتَخَبَّطُ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘merasuk’. Ia daripada kata dasar: خ ب ط yang bermaksud memukul dengan kuat dan keras, mendakwa, menjadi keliru, bermusafir tanpa tujuan, bercakap dengan seseorang, menyentuh seseorang dengan tujuan menjadikannya gila, menjadi gelisah, kaku tidak bergerak-gerak.

Kalimah مَسِّ‌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘sentuhan’. Ia daripada kata dasar م س س yang bermaksud menyentuh dan merasa dengan tangan, memukul, mengenakan, sesuatu yang susah.

Jadi ini adalah gambaran orang yang mengamalkan riba dan memang mereka bangkit nanti tidak seperti manusia biasa. Balasan yang Allah ﷻ kenakan di akhirat adalah setimpal dengan perbuatan dosa semasa di dunia. Sebagai contoh, suami yang tidak berlaku adil kepada para isterinya akan dibangkitkan dengan bahu yang senget (memberi isyarat mereka tidak adil, senget, dengan para isterinya). Maka pengamal riba akan dibangkitkan bagaimana agaknya? Bagaimanakah kita boleh bayangkan keadaan ini? Ia boleh ditafsirkan dari beberapa sudut:

1. Bangkit dalam Keadaan Terhuyung-Hayang dan Gelisah

    • Hilang Keseimbangan: Pada Hari Kiamat, orang yang memakan riba akan dibangkitkan dalam keadaan tidak seimbang, terhuyung-hayang, dan mungkin sering jatuh bangun. Ini seperti orang yang diserang penyakit gila atau dirasuk syaitan yang menyebabkan pergerakan tidak terkawal dan tingkah laku yang tidak normal.
    • Akibat Kebiadapan Dunia: Keadaan ini adalah balasan atas tingkah laku mereka di dunia. Di dunia, mereka mengambil harta orang lain secara tidak adil dan bergerak tanpa peduli keseimbangan atau keadilan. Pada Hari Kiamat, mereka akan dibangkitkan dalam keadaan fizikal yang mencerminkan ketidakseimbangan jiwa mereka.

2. Bangkit dalam Keadaan Hina dan Cacat

    • Tanda Kekejian Dosa: Keadaan yang memalukan ini adalah tanda kehinaan yang kekal pada mereka kerana dosa riba. Mereka akan menjadi bahan tontonan dan ejekan di hadapan semua makhluk, menanggung akibat daripada perbuatan mereka yang keji.
    • Hukuman Fizikal: Sebahagian ulama menafsirkan bahawa ini juga boleh merujuk kepada hukuman fizikal di mana mereka akan dibangkitkan dengan ciri-ciri yang mengerikan dan tidak normal, menunjukkan betapa besar kemurkaan Allah ﷻ terhadap mereka.

3. Kekeliruan Akal dan Hilang Pertimbangan

    • Di Dunia Mereka Keliru: Al-Qur’an menyebutkan bahawa mereka berkata “jual beli itu sama dengan riba”. Ini menunjukkan kekeliruan akal dan hilang pertimbangan yang benar. Mereka gagal membezakan antara yang halal dan haram.
    • Balasan di Akhirat: Maka, pada Hari Kiamat, mereka dibangkitkan dalam keadaan akal yang kacau, tidak berfikir dengan jelas, dan hilang arah, sesuai dengan kekeliruan mereka di dunia.

Balasan ini adalah kerana kedegilan mereka. Sudah tidak dapat dinasihatkan lagi kerana mereka tidak dengar nasihat. Ini adalah isyarat bagaimana mereka itu ke sana dan ke sini sebab hendak kutip duit mereka daripada orang yang berhutang dengan mereka. Mereka menjadi bengis sebab hendak kutip hutang daripada orang yang berhutang. Tambahan pula kalau peminjam tidak boleh bayar, mereka akan jadi bengis kerana hendak merampas harta kepunyaan peminjam.

Mereka juga sentiasa mengira-ngira duit mereka, risau siapa tidak bayar lagi, siapa akan bayar lambat lagi… ada yang sudah mati tidak dapat bayar, ada yang lari, ada yang degil tidak mahu bayar…. kepala mereka asyik pusing memikirkan duit mereka sahaja. Jadi mereka ini tidak tenang dan kerana itu mereka akan dibangkitkan dengan rupa orang yang kekeliruan akal.

Bayangkan. Ini baru cara mereka dibangkitkan pun sudah menakutkan. Apatah lagi kalau keadaan mereka apabila dimasukkan ke dalam neraka!

Ayat ini menjadi dalil bahawa memang jin ada merasuk manusia. Ada juga orang Islam yang tidak percaya perkara sebegini kerana kononnya sudah moden sangat, tetapi mereka menolak itu kerana jahil agama. Memang ia berlaku dan banyak terjadi dalam masyarakat kita. Malangnya ramai menggunakan cara yang salah untuk mengubati pesakit dengan amalan-amalan yang salah. Namun ia adalah perbincangan yang panjang untuk dibincangkan di sini. Dalil bahawa memang ada kerasukan adalah sebuah kisah Nabi ﷺ menjampi seorang budak yang dirasuk syaitan. Hadith ini diriwayatkan oleh Ya’la bin Murrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

عَنْ يَعْلَى بْنِ مُرَّةَ قَالَ: (لَقَدْ رَأَيْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثَلَاثًا مَا رَآهَا أَحَدٌ قَبْلِي وَلَا يَرَاهَا أَحَدٌ بَعْدِي. لَقَدْ سِرْتُ مَعَهُ فِي سَفَرٍ فَمَرَرْنَا عَلَى امْرَأَةٍ مَعَهَا صَبِيٌّ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا بِهِ بَلَاءٌ، وَقَدْ ابْتُلِينَا بِهِ مُنْذُ سَبْعِ سِنِينَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: “أَدْنِيهِ إِلَيَّ”. فَأَدْنَتْهُ إِلَيْهِ، فَأَخَذَهُ فَقَالَ: “اخْرُجْ عَدُوَّ اللَّهِ، أَنَا رَسُولُ اللَّهِ” فَتَقَلَّصَ الْغُلَامُ، وَأَفَاقَ الْغُلَامُ، وَأَكَلَ أَكْلاً لَمْ يَأْكُلْهُ قَبْلَ ذَلِكَ … إلخ).
Daripada Ya’la bin Murrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Aku melihat tiga perkara daripada Rasulullah ﷺ yang belum pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelumku dan tidak akan dilihat oleh sesiapa pun selepasku (kemudian dia menyebutkan salah satunya): ‘Sungguh aku berjalan bersama Baginda dalam suatu perjalanan. Lalu kami melalui seorang wanita yang bersama seorang budak (lelaki) kecil. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini ditimpa musibah (penyakit/gangguan), dan kami telah diuji dengannya sejak tujuh tahun.” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Dekatkanlah dia kepadaku.” Maka wanita itu mendekatkannya kepada Baginda. Baginda lalu memegang budak itu dan bersabda: “Keluarlah, wahai musuh Allah! Aku adalah Rasulullah.” Maka budak itu mengecut (atau bergerak-gerak keras), dan budak itu pun sedar. Dia (budak itu) kemudian makan makanan yang belum pernah dia makan sebanyak itu sebelumnya (kerana gangguan yang dialaminya).”
(Hadith Riwayat Abu Dawud, Kitab At-Tibb, No. Hadith: 3887. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud.)

Di dunia ini, kalau hendak lihat mereka yang berperangai macam dirasuk syaitan, boleh lihat mereka yang bekerja di Bursa Saham. Kalau tengok masa penutup (“closing time”) bursa, mereka sudah macam orang gila atau seperti monyet yang kepanasan.

Namun adakah pemberi pinjaman riba sahaja yang bersalah? Ini kerana ada yang kata orang yang mengambil pinjaman riba itu tidak bersalah kerana mereka tidak ada pilihan lain. Di dalam hadith disebut semua yang terlibat dengan riba pun terpalit sama,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه قَالَ: “لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ” وَقَالَ: “هُمْ سَوَاءٌ”
Daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ melaknat pemakan riba, pemberi makan riba (yang memberi riba), penulisnya (yang mencatat transaksi riba), dan dua orang saksinya. Baginda bersabda: ‘Mereka semua sama (dalam dosa).'”
(Riwayat Muslim, Kitab Al-Musaqat, No. Hadith: 1598)

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌

Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”.

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka buat dua kesalahan: kesalahan pertama adalah memakan harta dengan cara riba. Kemudian yang kedua adalah kerana mereka beri alasan iaitu mereka berkata riba itu halal sama macam perniagaan biasa. Mereka berhujah kalau riba itu haram, maka perniagaan pun kena diharamkan jugalah! Ini adalah hujah mereka untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Ini adalah alasan mereka sahaja. Mereka kata mereka cuma menjalankan perniagaan sahaja kerana wang yang mereka beri pinjam itu, kalau mereka laburkan ke tempat lain, mereka akan dapat pulangan juga (kata mereka). Bermacam-macam lagi hujah bathil mereka untuk membenarkan amalan riba mereka itu. Teruk sekali fahaman mereka.

Padahal, tidak sama hutang riba dan perniagaan. Perniagaan adalah seorang pembeli memerlukan barang yang dibekalkan oleh penjual. Penjual membekalkan barang yang diperlukan dengan harga modal dicampur dengan untung usahanya menyediakan barang itu. Maka kedua-dua pihak akan mendapat keperluan masing-masing. Pembeli dapat barang yang diperlukan dan penjual dapat untung. Kalau dengan riba, apa yang tukang bayar itu dapat? Ada barang? Tidak ada, bukan?

Akan tetapi orang yang beramal dengan riba berhujah, wang mereka itu kalau mereka niagakan atau dilaburkan, pun akan mendapat duit juga. Jadi mereka kata tidaklah salah kalau mereka beri pinjam dan kemudian dapat pulangan. Ini pun tidak benar kerana kalau niaga, belum tentu dapat untung; dan kalau laburkan, belum tentu dapat pulangan. Sedangkan dalam beri pinjaman riba, pulangan sudah pasti.

Begitulah bila akal cetek yang tidak ada iman digunakan untuk membenarkan perkara yang salah. Allah ‎ﷻ sudah tegur pun mereka mempersoalkannya lagi. Mereka sangka mereka sudah hebat kerana beri analogi yang pada mereka sudah tepat. Namun jikalau dilihat pada penggunaan bahasa pun sudah terkeliru. Lihat mereka kata: “Perniagaan seperti riba”. Ini susunan yang salah. Sepatutnya mereka kata “Riba itu seperti perniagaan” barulah analogi yang betul. Kalau kita buat perumpamaan macam mana? Adakah kita kata Ahmad macam singa (kerana dia garang), atau kita kata singa macam Ahmad? Tentu tidak kena kalau begitu, bukan? Jadi penggunaan kata golongan ini amat salah. Atau mungkin pada mereka riba itu adalah asas kepada ekonomi sampaikan perniagaan pula disamakan dengannya?

 

وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Hujah membenarkan riba dengan akal itu adalah bathil kerana Allah ‎ﷻ dengan jelas telah mengharamkan riba. Allah ‎ﷻ tidak beri penjelasan apa itu riba dan apa itu perniagaan kerana Allah ‎ﷻ tidak perlu jelaskan. Segala hukum ditentukan oleh Allah ‎ﷻ dan kita sebagai manusia kenalah ikut. Kita pun sudah tahu bahawa apa sahaja yang Allah ‎ﷻ haramkan itu mestilah sesuatu yang memberi keburukan kepada manusia. Akal yang cetek mungkin hanya nampak satu arah sahaja dan kerana itu mereka tidak akan faham kerana mereka tidak gunakan akal dan rohani mereka sekali.

Walaupun Allah ‎ﷻ tidak jelaskan perbezaan antara riba dan perniagaan di sini, tetapi kita yang mempunyai akal yang rasional boleh menyelidik dan berfikir dengan mendalam bahawa riba itu menyusahkan manusia dan menyebabkan masalah ekonomi dunia. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin pula semakin miskin. Bayangkan pembelian rumah. Rumah yang boleh dibeli asalnya, menjadi mahal sangat sampai tidak mampu dibeli secara tunai. Rumah yang 20 tahun dahulu berharga 20 ribu, mungkin sekarang sudah berharga sejuta kerana telah dimasukkan dengan unsur riba. Ini adalah kerana pembeli pertama akan pinjam wang daripada bank yang mengenakan riba. Kemudian apabila dia hendak jual, tentu dia akan jual lebih mahal kerana hendak masukkan kos riba yang dia telah bayar, termasuk dengan keuntungan. Yang beli pula kena pinjam bank menggunakan riba juga. Kemudian dia pun akan jual dengan harga yang  lebih mahal lagi. Maka rumah yang menjadi keperluan asas manusia menjadi terlalu mahal sangat sampai susah untuk dibeli. Akhirnya mana orang hendak duduk? Kesannya kita boleh lihat ramainya gelandangan di dunia ini. Oleh kerana terpaksa juga ada rumah, maka ramailah yang hendak tak hendak, menggunakan  juga sistem riba. Itulah keburukan riba sampai merosakkan ekonomi dunia.

Kajian telah banyak dijalankan untuk menunjukkan bagaimana konsep riba itu adalah buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara malah dunia. Kalau dikaji kenapa ada orang yang hidup gelandangan, ekonomi negara runtuh sampai tidak ada pekerjaan dan matawang menjadi susut sampai tiada nilai… ia semua berpunca daripada riba. Lalu bagaimana cara menanganinya? Kitalah umat Islam yang kena sampaikan ajaran Allah ‎ﷻ tentang keburukan riba ini supaya manusia yang bukan Islam pun boleh tahu. Malah, ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana nampak keburukan riba dan melihat bagaimana agama Islam sahaja agama yang menentang riba.


  

Riba ini ada banyak jenis seperti yang disebut oleh Rasulullah ﷺ,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “الرِّبَا ثَلَاثَةٌ وَسَبْعُونَ بَابًا، أَيْسَرُهَا كَأَنْ يَنْكِحَ الرَّجُلُ أُمَّهُ، وَإِنَّ أَرْبَى الرِّبَا عِرْضُ الرَّجُلِ الْمُسْلِمِ”
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Riba itu mempunyai tujuh puluh tiga pintu (jenis), yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seorang lelaki menikahi ibunya sendiri. Dan sesungguhnya riba yang paling besar adalah (mencemarkan) kehormatan seorang Muslim.”
(Riwayat Ibnu Majah, Kitab At-Tijarat, No. Hadith: 2275. Hadith ini dikategorikan sahih oleh Al-Albani.)

Penjelasan: bagaimana pula dikatakan riba yang paling besar adalah (mencemarkan) kehormatan seorang Muslim? Sebenarnya yang dimaksudkan di sini adalah perbuatan ghibah dan besarnya dosa ghibah itu sampaikan dikaitkan dengan riba. Penggunaan istilah “riba” di sini adalah secara maknawi, bukan riba dalam pengertian ekonomi (tambahan yang haram dalam transaksi). Ia menggambarkan bahawa seperti riba ekonomi yang mengambil keuntungan secara tidak sah daripada harta orang lain, ghibah mengambil keuntungan (kepuasan diri, gosip, menjatuhkan) kehormatan orang lain secara tidak sah.

Pernyataan “yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seorang laki-laki menikahi ibunya” adalah untuk mengejutkan pendengar dan menekankan betapa dahsyatnya dosa riba (ekonomi), bahkan yang paling rendah sekalipun. Zina dengan ibu adalah salah satu dosa besar yang paling keji dan tidak terpuji.

Riba adalah salah satu tajuk yang dibincangkan di dalam Feqah iaitu Bab Muamalat. Ia telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh ilmuwan agama untuk memberi panduan kepada masyarakat. Antara yang menjadi panduan bagi mereka adalah hadith tentang jenis-jenis riba dalam pertukaran barangan ribawi.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ، يَدًا بِيَدٍ، فَمَنْ زَادَ أَوِ اسْتَزَادَ فَقَدْ أَرْبَى، الْآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ”
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, dan garam dengan garam, (hendaklah ditukar) sama dengan sama (timbangan/ukuran), dan hand to hand (secara tunai/serta-merta). Sesiapa yang menambah atau meminta tambahan, maka sungguh dia telah berbuat riba, baik yang mengambil mahupun yang memberi adalah sama (dalam dosa).”
(Riwayat Muslim, Kitab Al-Musaqat, No. Hadith: 1584)

Di dalam Ali Imran:130 ada disebut larangan awal tentang riba,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan riba dengan berlipat ganda, dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beruntung.” 

  • Konteks dan Penjelasan: Ayat ini turun di peringkat awal pengharaman riba. Ia menumpukan kepada bentuk riba yang jelas menindas, iaitu penggandaan hutang apabila tempoh pembayaran dilanjutkan. Ini adalah langkah awal dalam proses pengharaman riba secara total. Ia juga mengaitkan ketaatan dalam meninggalkan riba dengan ketaqwaan dan kejayaan. Ayat-ayat tentang riba di dalam Surah Baqarah ini adalah ayat-ayat terakhir yang sudah mengandungi larangan keras dan ancaman kepada pelaku riba.

Di dalam Nisa’:161 terdapat ayat yang mengecam Yahudi kerana mengambil riba, menunjukkan bahawa riba adalah larangan yang telah ada dalam syariat agama-agama terdahulu dan bukan hanya untuk umat Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sahaja yang meninggalkan arahan itu. Kalau kita pun tidak berjaga-jaga, kita pun boleh jadi seperti mereka kerana banyak kesalahan mereka yang kita telah ikut, bukan?

وَأَخْذِهِمُ الرِّبَا وَقَدْ نُهُوا عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
“Dan disebabkan mereka (kaum Yahudi) mengambil riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan juga kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil. Dan Kami telah sediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka azab yang pedih.”

Jadi riba ini telah ada dari zaman dahulu lagi. Termasuk pada zaman Jahiliyah. Riba pada zaman Jahiliyah merujuk kepada sistem pinjaman dengan penambahan bunga yang dikenakan atas penangguhan pembayaran hutang. Sistem ini melibatkan peningkatan jumlah hutang seiring dengan perpanjangan waktu pembayaran. Jika peminjam tidak dapat melunasi hutang pada waktu yang ditentukan, jumlah hutang akan bertambah, dan waktu pembayaran diperpanjang lagi, dan seterusnya. Jenis-jenis riba zaman Jahiliyah ada beberapa jenis:

  • Riba al-Nasi’ah:

    Riba ini terjadi ketika seseorang memberikan pinjaman dengan tempoh waktu tertentu. Jika peminjam tidak mampu membayar pada waktu yang ditentukan, harga pinjaman akan dinaikkan dan waktu pembayaran diperpanjangkan. Contoh Riba jenis ini: Seorang memberikan pinjaman 100 dirham dengan tempoh pembayaran dalam waktu satu tahun. Yang perlu dibayar adalah 100 dirham. Jika pada akhir tahun peminjam tidak mampu membayar, jumlah hutang akan menjadi 200 dirham dengan perpanjangan waktu pembayaran. Jika pada akhir tahun kedua peminjam belum mampu membayar, hutang akan menjadi 400 dirham, dan seterusnya. 

  • Riba al-Qardh:

Riba ini terjadi ketika seseorang meminjamkan wang dengan syarat pengembalian harus lebih banyak daripada jumlah yang dipinjamkan. Contoh Riba jenis ini: Seorang memberikan pinjaman 100 dirham dengan tempoh pembayaran dalam waktu satu tahun. Yang perlu dibayar adalah 120 dirham walaupun dibayar dalam masa setahun. Kalau terlajak bayaran, itu dikenakan pula dengan Riba al-Nasi’ah pula. Contoh lain: Aminah meminjamkan wang kepada Siti, dengan syarat Siti mesti menyediakan penginapan percuma untuk Aminah selama seminggu. Manfaat penginapan itu dianggap riba.

Nota: Bayaran yang menjadi lebih kerana dijadikan ansuran tidaklah termasuk sebagai riba. Contohnya, kalau beli tunai, harga RM1,000 tetapi kalau dibayar ansuran menjadi RM1,200 yang setiap bulan dibayar RM100.

Begitu juga, jikalau yang berhutang itu membayar lebih daripada yang dia pinjam, ini tidaklah dikira riba kalau ia tidak ditentukan dari awal. Sebagai contoh jikalau seseorang meminjam dan kerana dia hendak berbudi kepada orang yang telah membantunya meminjamkan ketika dia susah, dia bayar lebih. Ini bukan riba dan malah ia adalah baik sekali seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ يَتَقَاضَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَكْرًا، فَقَالَ: “أَعْطُوهُ”. فَقَالُوا: لَمْ نَجِدْ إِلَّا سِنًّا أَفْضَلَ مِنْ سِنِّهِ. قَالَ: “أَعْطُوهُ”. فَقَالَ الرَّجُلُ: أَوْفَيْتَنِي وَأَطَبْتَ، جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ خَيْرَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً”.
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Bahawasanya seorang laki-laki datang menagih Nabi ﷺ (tentang hutang) seekor unta muda (bakr). Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Berikanlah kepadanya.’ Lalu mereka (para sahabat) berkata: ‘Kami tidak menemukan (unta) kecuali yang lebih baik usianya (lebih tua dan lebih baik) daripada untanya.’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Berikanlah kepadanya!’ Orang itu berkata: ‘Engkau telah melunasi hutangku dan engkau telah memberikan kelebihan (kebaikan), semoga Allah membalas kebaikanmu.’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik dalam membayar hutang.'”
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya (Kitab al-Istiqradh, Bab Husn al-Qadha’) dan Imam Muslim dalam kitab Sahihnya (Kitab al-Musakaat, Bab Husn al-Qadha’).

  • Riba Fadhl (Riba Kelebihan/Perbezaan Kuantiti)

Riba Fadhl adalah kelebihan atau tambahan pada salah satu daripada dua barang ribawi yang sejenis yang ditukarkan, tanpa ada pertukaran nilai yang dibenarkan syarak. Syarat pertukaran barang ribawi yang sejenis:

    • Sama timbangan/ukuran (mitslan bi mitslin).
    • Serah terima serta-merta (yadan bi yadin).

Contoh:

    • Menukar 10 gram emas 999 dengan 12 gram emas 916. Walaupun kualiti berbeza, dalam pertukaran emas dengan emas, kuantiti mesti sama. Kelebihan 2 gram itu adalah riba fadhl.
    • Menukar 5 kg beras pulut dengan 6 kg beras biasa. Kuantiti mesti sama jika jenisnya sama (beras dengan beras). Kelebihan 1 kg itu adalah riba fadhl.

Terdapat enam jenis barang ribawi yang disebut secara spesifik:

    1. Emas (الذَّهَبُ)
    2. Perak (الْفِضَّةُ)
    3. Gandum (الْبُرُّ) – Sering juga diterjemahkan sebagai bijirin atau tepung gandum
    4. Barli (الشَّعِيرُ)
    5. Kurma (التَّمْرُ)
    6. Garam (الْمِلْحُ)

Maka tidak boleh dibuat trade-in dalam barangan ribawi. Cara untuk menyelesaikannya adalah dengan menjual dulu barang ribawi yang kita ada dan kemudian dengan duit yang kita dapat itu baru kita beli barangan ribawi yang lain. Panduan tersebut berdasarkan hadith  yang  diajar oleh Nabi  ﷺ dan disebut di dalam hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang berkata

جَاءَ بِلاَلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَمْرٍ بَرْنِيٍّ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : «مِنْ أَيْنَ هَذَا؟»، قَالَ بِلاَلٌ: كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَدِيٌّ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ، لِنُطْعِمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا عَيْنُ الرِّبَا، لاَ تَفْعَلْ، وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ فَبِعِ التَّمْرَ بِبَيْعٍ آخَرَ، ثُمَّ اشْتَرِهِ
“Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang kepada Nabi ﷺ dengan membawa tamar barni, lalu Nabi ﷺ bertanya kepadanya: “Dari manakah tamar ini ?”. Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab : “Kami mempunyai tamar yang buruk, lalu kami menjualnya (menukarkannya) dua gantang dengan satu gantang tamar barni, agar kami dapat memberi makan kepada Nabi ﷺ”. Lalu Nabi ﷺ bersabda pada saat itu: “Aduh, aduh, itulah riba, itulah riba. janganlah engkau melakukan ini, akan tetapi jika engkau ingin membeli (kurma yang terbaik) maka juallah kurmamu dengan jualan yang lain, kemudian belilah kurma yang terbaik dengan hasil jualanmu itu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pentingnya memahami riba Jahiliyah: Memahami riba Jahiliyah membantu umat Islam untuk menghindari praktik-praktik yang dilarang dalam Islam. Islam melarang segala bentuk riba, baik dalam bentuk pinjaman mahu pun jual beli, kerana dianggap merugikan dan tidak adil. Memberi pinjaman ini sebenarnya adalah untuk menolong sesama manusia, bukannya untuk buat untung. Ada juga yang tidak faham tentang hal ini sampaikan dengan terang-terang mereka mengamalkan riba sesama sendiri. 

Jenis-jenis riba di atas memang telah ada pada zaman itu. Namun ia tidak terhad pada dua jenis ini sahaja. Zaman sekarang ada banyak lagi jenis-jenis riba yang timbul. Ini kerana hukum umum sudah ada jadi ia perlu difikirkan oleh para mujtahid apakah yang riba-riba baru yang timbul. Ini kerana zaman semakin moden dan banyak transaksi-transaksi baru yang tidak ada pada zaman dahulu. Beginilah hebatnya agama Islam kerana bab ekonomi pun ada disentuh. Kalau agama lain, tidak ada disentuh. Kalau macam Yahudi memang ada, tetapi telah disenyapkan oleh ahli agama mereka. Mereka ubah pula kata kalau sesama mereka tidak boleh ada riba, tetapi kalau dengan selain Yahudi, mereka boleh kenakan riba.

 

فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan daripada Tuhannya lalu dia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya,

Allah ‎ﷻ yang menjelaskan hukum riba ini dan kerana itu disebut مِن رَّبِّهِ. Kalau peringatan daripada Tuhan, sepatutnya kita kena prihatin dan ikut sahaja tanpa soal. Namun orang yang degil, ada sahaja helah dan hujah mereka.

Di sini diberikan hukum kepada orang yang dahulunya mengamalkan riba. Mereka dibolehkan untuk mengambil modal/pokok yang telah diberikan dahulu. Ini kerana semasa ayat ini turun, ada sahabat yang mengamalkan riba. Islam tidaklah terus tinggalkan transaksi itu sampai dia kerugian pula. Begitulah hukum hakam Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan. Masih boleh ambil balik wang dia. Namun hanya ambil yang pokok sahaja. Maksudnya, kalau dia beri pinjam seratus riyal dan peminjam kena bayar 150 riyal, dia boleh ambil balik seratus riyal itu sahaja. Bunga dia tidak boleh ambil.

Satu lagi maksud ayat ini, ‘baginya apa yang lepas’. Maksudnya yang sudah itu, sudahlah. Mungkin dahulu dia tidak belajar agama, maka dia tidak tahu apa itu riba dan apakah yang termasuk riba. Berhenti sahaja daripada memberi pinjaman dengan cara riba, tetapi tidaklah perlu diganti balik kepada penghutang yang sudah banyak kamu makan harta mereka. Sekiranya kamu ada rumah yang dibuat daripada hasil riba, tidak perlulah dirobohkan rumah itu.

Zaman sekarang, macam tidak boleh lagi untuk mengelak daripada terlibat dengan riba. Di mana-mana sahaja ada riba. Untuk beli rumah, beli kereta dan sebagainya. Yang lebih malang, anak-anak kita masuk universiti pun kena buat pinjaman yang ada riba juga. Bila keluar universiti, kerja belum tentu dapat lagi, tetapi sudah mula kena bayar bunga riba. Maka untuk menjaga daripada terlibat dengan riba ini memerlukan semangat juang yang amat tinggi. Kena sedar yang riba itu memang bahaya dan kalau sedar bahayanya riba, barulah semangat kuat untuk melawan daripada terlibat dengan riba.

Kalau zaman dahulu, memang susah kerana sistem perbankan hanya ada jenis konvensional sahaja yang mengamalkan riba. Akan tetapi kita sekarang ada Sistem Perbankan Islam. Perbezaan utama antara Conventional Loan dan Islamic Financing ialah:

1) Conventional loan terikat dengan waktu. Lagi lama pinjaman, lagi tinggi jumlah bayaran. Sedangkan Islamic loan tidak terikat dengan waktu. Bank beri pembiayaan dengan jumlah yang jelas dari waktu aqad. Kalau boleh bayar awal, akan dapat rebate dan pengurangan.

2) Conventional loan ada compounding interest. Islamic financing tidak dan jumlah bayaran adalah tetap. Contoh bagi Conventional loan: Pinjaman asal sebanyak 100k tetapi dalam masa 7 tahun jadi 120k. Kalau dibayar penuh secara awal pun tetap sama. Sedangkan bagi Islamic financing: Aqad pada 120k dan jumlah maksima tetap 120k sahaja. 

Walaupun ada yang tidak terima juga Sistem Perbankan Islam ini dan pada mereka ia adalah ‘backdoor Riba’, akan tetapi ini sahaja pilihan yang kita ada buat masa ini. Kalau tidak buat pinjaman pun boleh sahaja; boleh sewa sahaja rumah untuk tinggal dan gunakan pengangkutan awam atau boleh simpan duit sedikit demi sedikit untuk beli kenderaan secara tunai.

 

وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ

dan perkaranya terserahlah kepada Allah. 

Terpulanglah kepada Allah ‎ﷻ sama ada akan mengampunkan orang itu atau tidak. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ semoga Allah ‎ﷻ ampunkan. Asalkan kita mahu berubah dan bertaubat di atas kesalahan yang lama. Allah ﷻ tidak terus kata yang taubat mereka diterima kerana taubat adalah antara Allah ﷻ dan hamba itu. Kalau hamba itu ikhlas dan berazam tidak akan sentuh riba lagi, Allah ﷻ boleh sahaja ampunkan.

Yang penting kita bertaubat dan tinggalkan amalan yang Allah ﷻ haramkan. Sama juga seperti perbuatan syirik sembah berhala yang kamu lakukan dahulu, minta ampun sahaja. Benda yang sudah dibuat jangan dikenang lagi kerana perkara yang dilakukan dahulu adalah kerana jahil. Sekarang Allah ‎ﷻ sudah beri ilmu, maka taat dan ikutlah ia.

Atau ayat ini bermaksud memberi ketenangan kepada orang yang dahulunya mempraktikkan riba dalam perniagaannya. Sekarang apabila telah diharamkan, maka takutlah dia nanti bagaimana dia hendak hidup. Maka di sini Allah ﷻ kata serahkan urusan kepada-Nya. Bumi Allah ﷻ ini luas dan Allah ﷻ yang memberi rezeki. Kalau taat kepada Allah ﷻ, maka akan ada rezekinya. Ini memerlukan keimanan dan keyakinan kepada Allah ﷻ.

 

وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, 

Ini adalah orang yang degil, liat untuk ikut syariat dan hukum daripada Allah ‎ﷻ. Kalau masih berdegil juga, syariat telah diberikan tetapi masih tidak mahu ikut juga, maka tempat yang layak baginya adalah neraka.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Bukan tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi selama-lamanya, tidak ada harapan untuk diampunkan. Ini adalah amaran yang amat berat sekali. Oleh kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat, maka hukumannya pun berat.

Malangnya, orang kita tidak berapa ambil kisah tentang riba kerana ia sudah diamalkan merata-rata. Ini sama seperti amalan bid’ah yang sudah turun temurun diamalkan dalam masyarakat. Kita rasa ia biasa sahaja kerana ia sudah lama diamalkan dan ramai pula yang terlibat, maka ramai dalam kalangan orang kita yang anggap ia perkara biasa sahaja.

Namun bukankah yang kekal dalam neraka adalah orang kafir dan musyrik sahaja? Kenapa diletakkan kekal di sini? Ulama’ khilaf dalam hal ini.

1. Ada yang kata yang kekal dalam neraka itu bagi mereka yang menghalalkan riba sahaja. Mereka kekal dalam neraka kerana menolak hukum Allah. Akan tetapi kalau dia tahu dan terima riba itu haram dan dia buat juga, makanya dia berdosa besar, tetapi tidaklah sampai kekal dalam neraka.

2. Namun ada juga sebahagian ulama’ lain kata kalau dia terima riba itu haram dan dia amalkan pun, dia akan kekal dalam neraka. Allahu akbar!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah