Tafsir Surah Tawbah Ayat 111 – 112 (Kelebihan Mati Syahid)

PERNIAGAAN YANG TERBAIK

Tawbah Ayat 111: Sekarang Allah berikan perumpamaan orang yang baik-baik pula

۞ إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh has purchased from the believers their lives and their properties [in exchange] for that they will have Paradise. They fight in the cause of Allāh, so they kill and are killed. [It is] a true promise [binding] upon Him in the Torah and the Gospel and the Qur’ān. And who is truer to his covenant than Allāh? So rejoice in your transaction which you have contracted. And it is that which is the great attainment.

(MALAY)

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

 

إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka

Allah ﷻ memberitahu yang orang yang berjihad telah diberi kefahaman bahawa usaha mereka akan dikira sebagai pahala. Mereka sanggup berjihad kerana mereka sudah memahami tentang agama. Mereka sanggup mengorbankan diri mereka dan wang ringgit mereka untuk agama Allah ﷻ. Mereka sanggup untuk berjihad menegakkan agama Allah ﷻ.

Allah ﷻ gunakan perumpamaan jual beli kerana manusia suka berjual beli. Sekarang bayangkan jual beli ini jenis yang bagaimana?

Siapakah pembelinya? Allah ﷻ
Siapakah penjualnya? Orang Mukmin

Apakah matawang yang digunakan? Jiwa dan harta orang Mukmin itu.
Apa yang dibeli? Syurga dan segala nikmat di dalamnya.

Dalam kita berjual beli kita sudah tentu kita mahukan keuntungan, bukan? Maka adakah golongan Mukmin itu beruntung dalam jual beli ini, atau rugi? Tentu sekali untung! Ini adalah jual beli yang sangat-sangat menguntungkan. Bayangkan jiwa dan harta itu pun asalnya adalah milik Allah ﷻ, dan sekarang Allah ﷻ suruh beri barang yang milik-Nya untuk ditukarganti dengan syurga yang amat hebat, jauh lebih berharga daripada jiwa dan harta orang Mukmin itu.

 

بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

dengan memberikan syurga untuk mereka.

Modal para mukmin itu adalah diri dan harta mereka. Allah ﷻ bayar dengan syurga untuk mereka. Allah ﷻ memberi perumpamaan dalam ayat ini: Orang mukmin sebagai penjual dan Allah ﷻ sebagai pembeli. Allah ﷻ beri perumpamaan transaksi jual beli, kerana manusia faham sangat dengan perumpamaan ini. Kalau mukmin sebenar, mesti dia akan beri diri dia untuk agama, dan harta dia untuk agama.

Balaghah: Selalunya, dalam kebanyakan ayat-ayat yang lain tentang jihad, disebut ‘harta’ dahulu baru disebut ‘diri’ tetapi dalam ayat ini, disebut diri terlebih dahulu, barulah harta. Kenapa susunan yang berlainan kali ini?

Didahulukan disebut ‘diri’ kerana bukan semua orang ada harta untuk diberikan untuk berjihad. Akan tetapi, semua orang ada diri mereka. Untuk memperbaiki diri sendiri, kena mulakan dengan diri sendiri dahulu. Sedangkan dalam ayat-ayat jihad yang lain, dimulakan dengan harta, kerana perang memerlukan harta.

Janji Allah ﷻ itu pasti tetapi ramai yang tidak percaya kepada janji ini. Ini adalah kerana jual beli dengan Allah ﷻ ini bukanlah secara tunai namun dalam bentuk ‘hutang’. Kita kena beri dahulu diri dan harta kita, tetapi Allah ﷻ akan bayar dalam bentuk hutang. Di akhirat nanti baru dibayar dengan syurga. Sedangkan manusia kebanyakannya suka untuk mendapat tunai terus, bukan?

Bayangkan, kalau kita hendak membeli rumah, tentu kita mahu melihat rumah itu dulu, bukan? Kita pun sudah keluarkan duit yang banyak. Namun rumah yang Allah ﷻ janjikan di syurga ini tidak dapat dilihat dahulu. Inilah nilai iman. Mesti beriman, baru boleh terima perjanjian transaksi ini.

Akan tetapi begitulah ujian daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ mahu menguji iman hamba-Nya sama ada boleh percaya atau tidak dengan janji-janji-Nya. Pulangan apabila percaya dengan janji itu adalah syurga – nikmat yang berkekalan sampai bila-bila.

 

يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ

Mereka berperang pada jalan Allah; 

Mereka yang percaya sungguh-sungguh itu sanggup berperang di jalan Allah ﷻ. Allah ﷻ tekankan berperang itu mesti kerana jalan Allah ﷻ. Ini kerana ramai yang berperang bukannya kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak mendapatkan kuasa atau tanah jajahan. Itu tidak termasuk.

Allah ﷻ namakan jalan itu jalan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang suruh dan tentukan dan jalan itu akan membawa kepada Allah ﷻ.

 

فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ

lalu mereka membunuh atau terbunuh.

Apabila terlibat dalam peperangan, kadang-kadang mereka membunuh musuh Allah ﷻ dan kadang-kadang terbunuh oleh musuh Allah ﷻ. Itu adalah ujian yang perlu dilalui. Kalau mereka membunuh dan menang, mereka mendapat pahala dan harta ghanimah; dan kalau mereka terbunuh, mereka akan terus dapat masuk ke dalam syurga. Dalam hadith disebutkan:

أَبَا هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ انْتَدَبَ اللَّهُ لِمَنْ خَرَجَ فِي سَبِيلِهِ لَا يُخْرِجُهُ إِلَّا إِيمَانٌ بِي وَتَصْدِيقٌ بِرُسُلِي أَنْ أُرْجِعَهُ بِمَا نَالَ مِنْ أَجْرٍ أَوْ غَنِيمَةٍ أَوْ أُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَلَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي مَا قَعَدْتُ خَلْفَ سَرِيَّةٍ وَلَوَدِدْتُ أَنِّي أُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ
Abu Hurairah  رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Allah menjamin orang yang keluar (berperang) di jalan-Nya, tidak ada yang mendorongnya keluar kecuali kerana iman kepada-Ku dan membenarkan para rasul-Ku untuk mengembalikannya dengan memperoleh pahala atau ghanimah atau memasukkannya ke syurga. Kalau seandainya tidak memberatkan umatku tentu aku tidak akan duduk tinggal diam di belakang sariyyah (pasukan khusus) dan tentu aku ingin sekali bila aku terbunuh di jalan Allah lalu aku dihidupkan lagi kemudian terbunuh lagi lalu aku dihidupkan kembali kemudian terbunuh lagi”.
(Sahih Bukhari (35))

 

وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ

janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. 

Janji Allah ﷻ ini bukan baru sahaja diberikan, tetapi telah ada dalam Taurat, dalam Injil dan sekarang dalam Al-Qur’an. Juga telah disebut tentang sifat sanggup berjihad ini dalam kitab-kitab dulu – iaitu mereka yang beriman akan mengorbankan diri mereka dan harta mereka.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang syariat Jihad ini sudah ada diberikan kepada umat-umat terdahulu. Oleh itu bukanlah umat Nabi Muhammad ﷺ yang pertama sekali diarahkan menjalankan jihad. Kalau kita yang pertama, tentu rasa berat, bukan? Kerana itu dari segi psikologi kalau kita tahu kita bukan yang pertama, maka beban itu tidak terasa berat. Lihat bagaimana Allah ﷻ juga telah memberitahu yang syariat Puasa juga telah diamalkan oleh umat terdahulu dan ini disebut  dalam Baqarah: 183

كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم
Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,

Allah ﷻ beritahu umat-umat terdahulu pun kena berpuasa juga, maka jangan rasa berat sangat. Begitu jugalah dengan jihad ini. Maknanya sama sahaja yang disampaikan dalam ketiga-tiga agama ini kerana ketiga-tiga agama ini dari langit, agama yang ada kitab. Tidak sama kalau dibandingkan dengan agama lain seperti Buddha, Hindu dan sebagainya yang tidak ada apa. Oleh itulah mereka yang menganut agama-agama itu telah ketinggalan.

Akhirnya nanti, mereka sendiri akan terasa malu dengan agama mereka yang tidak ada asas langsung. Itulah sebabnya, lama-lama mereka akan masuk agama yang ada kitab: sama ada Islam atau Kristian kerana Yahudi tidak membenarkan orang luar masuk agamanya. Sebab itu dalam riwayat telah diberitahu yang akhir zaman nanti, kita akan perang dengan dua golongan ini sahaja.

 

وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ

Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?

Jikalau Allah ﷻ telah berjanji, yakinlah kita yang Allah ﷻ pasti akan penuhi janji itu. Tidak ada janji yang lebih kuat daripada janji Allah ﷻ. Manusia yang berjanji, belum tentu dia dapat penuhi.

Allah ﷻ banyak memberitahu tentang kelebihan jihad juga banyak menjanjikan balasan yang akan diberikan kepada orang yang berjihad. Antaranya di dalam Ali Imran: 169

وَلا تَحسَبَنَّ الَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَل أَحياءٌ عِندَ رَبِّهِم يُرزَقونَ
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

فَرِحينَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَيَستَبشِرونَ بِالَّذينَ لَم يَلحَقوا بِهِم مِّن خَلفِهِم أَلّا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

۞ يَستَبشِرونَ بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُؤمِنينَ
Mereka bergembira dengan balasan nikmat daripada Allah dan limpah kurnia-Nya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

 

فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ

maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu,

Sesiapa yang menepati janji kepada Allah ﷻ – menukar diri dan harta mereka dengan syurga Allah ﷻ, bergembiralah kamu dengan penjualan kamu. Allah ﷻ bercakap terus dengan mereka (kataganti nama kedua) sebagai taqrib – mendekatkan diri dengan mereka.

 

وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

dan itulah kemenangan yang besar.

Kalau kita berjaya mendapat apa yang dijanjikan oleh Allah ﷻ itu, itulah kejayaan yang amat besar sekali. Kalau kita mendapat kelebihan Mati Syahid alangkah hebatnya! Rasulullah telah menyebut kelebihan mati syahid antaranya,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَيَأْمَنُ مِنْ الْفَزَعِ الْأَكْبَرِ وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ الْيَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنْ الْحُورِ الْعِينِ وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ
Rasulullah ﷺ bersabda: Orang yang mati syahid di sisi Allah mempunyai enam keutamaan, dosanya akan diampuni sejak awal kematiannya, diperlihatkan tempat duduknya di syurga, dijaga daripada seksa kubur, diberi keamanan daripada ketakutan yang besar saat dibangkitkan dari kubur, diberi mahkota kemuliaan yang satu permata daripadanya lebih baik daripada dunia seisinya, dinikahkan dengan tujuh puluh dua bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada tujuh puluh orang daripada keluarganya,”
(Jami’ At-Tirmidzi No. 1586)
Status: Hasan

Mungkin ramai di antara kita takut dengan kesakitan mati. Nah, telah thabit di dalam hadith menyatakan orang yang mati syahid tidak merasai kesakitan sakit dibunuh. Antara hadith tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmidzi, al-Nasa’ie, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Baihaqi daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ مَسِّ الْقَتْلِ، إِلَّا كَمَا يَجِدُ أَحَدُكُمْ مَسِّ الْقَرْصَةِ
“Seorang yang mati syahid tidak mendapati rasa sakit dibunuh melainkan sepertimana seseorang daripada kamu merasai rasa qarsah.”
(Hadith ini dinilai Sahih oleh al-Tirmidzi (1591), al-Suyuthi, Ahmad Syakir dan al-Albani)

Qarsah ialah rasa dicubit berdasarkan pengertian yang diberikan di dalam al-Qamus al-Muhith yang menyebut: أخْذُكَ لَحْمَ الإِنْسَانِ بإصْبعَيْكَ حتى تُؤْلِمَهُ yang bermaksud: ”Kamu mengambil daging seseorang dengan dua jari kamu sehingga menyakitkannya.” Ada juga ulama’ yang mengatakan ia seperti gigitan semut.

Ibn Hibban di dalam kitabnya menyenaraikan hadith ini di bawah tajuk: ذِكْرُ وَصْفِ مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ أَلَمِ الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا “Sebutan sifat apa yang diperolehi oleh seseorang syahid daripada kesakitan terbunuh di jalan Allah Jalla wa ‘Ala”. Perletakan bab oleh Ibn Hibban ini menunjukkan keistimewaan ini diperolehi oleh mereka yang syahid terbunuh di dalam jihad fisabilillah sahaja, tidak merangkumi semua jenis mati syahid.

Begitu tingginya kelebihan mati syahid sehingga orang yang telah mati dan masuk syurga pun ingin kembali ke dunia dan mati sebagai orang yang mati syahid. Ini disebut di dalam hadith riwayat Muslim,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ نَفْسٍ تَمُوتُ لَهَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ يَسُرُّهَا أَنَّهَا تَرْجِعُ إِلَى الدُّنْيَا وَلَا أَنَّ لَهَا الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا إِلَّا الشَّهِيدُ فَإِنَّهُ يَتَمَنَّى أَنْ يَرْجِعَ فَيُقْتَلَ فِي الدُّنْيَا لِمَا يَرَى مِنْ فَضْلِ الشَّهَادَةِ
Daripada [Anas bin Malik] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tidak seorang pun yang meninggal dunia, dan di sisi Allah dia memiliki kebaikan yang membuatnya bahagia, lalu dia ingin kembali ke dunia selain orang yang mati syahid. Sesungguhnya dia berangan-anagn untuk kembali (ke dunia) kemudian terbunuh lagi di dunia kerana dia melihat keutamaan mati syahid.”
(Sahih Muslim (3488))

Manakan tidak, segala dosa-dosanya akan diampunkan (kecuali hutang). Ini bermakna mati syahid adalah jalan pintas ke syurga. Apabila tiada dosa, maka tidak lain tempat seseorang itu adalah di syurga. Ini berdasarkan sebuah hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ يَزِيدَ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحُبُلِيِّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ
Daripada [Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Seorang yang mati syahid akan diampuni segala dosa-dosanya kecuali hutang.”
(Sahih Muslim (3498))

Aduh alangkah ruginya kita kalau tidak dapat mati syahid setelah kita tahu segala kelebihan-kelebihan ini. Namun bagaimana dengan kita yang tidak ada perang jihad sekarang? Tidakkah ada kemungkinan bagi kita? Kita kena berniat untuk melakukan jihad (jika ditakdirkan ada semasa hidup kita) dan hendaklah bersungguh-sungguh berniat dan berdoa untuk mati syahid. Rasulullah ﷺ telah menjanjikan pahala mati syahid bagi orang yang sebegini. Alangkah adilnya agama Islam ini! Dalilnya adalah hadith di bawah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ طَلَبَ الشَّهَادَةَ صَادِقًا أُعْطِيَهَا وَلَوْ لَمْ تُصِبْهُ
Daripada [Anas bin Malik] dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa memohon syahadah (mati dalam keadaan syahid) dengan sungguh-sungguh, maka sungguh dia akan diberi pahala seperti pahala mati syahid meskipun dia tidak mati syahid.”
(Sahih Muslim (3531))

Semoga kita dapat mati syahid walaupun kita mati di atas katil kita seperti disebut di dalam hadith di bawah, aameen.

أَنَّ سَهْلَ بْنَ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ حَدَّثَهُ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ
[Sahl bin Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif] telah menceritakan daripada [ayahnya] dari [datuknya], bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Barangsiapa mengharapkan mati syahid dengan sungguh-sungguh, maka Allah akan mengangkatnya sampai ke darjat para syuhada’ meski dia meninggal dunia di atas tempat tidur.”
(Sahih Muslim (3532))


 

Tawbah Ayat 112: Ini adalah jumlah musta’nifah iaitu topik yang lain. Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang menjalankan jihad. Bagaimana pula dengan orang lain? Adakah mereka mempunyai peluang termasuk sebagai Mukmineen? Sekarang Allah ﷻ beritahu golongan yang selain daripada mereka yang boleh juga masuk syurga. Ini juga adalah ayat Tabshir.

التّىٰئِبونَ العٰبِدونَ الحٰمِدونَ السّىٰئِحونَ الرّٰكِعونَ السّٰجِدونَ الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ وَالحٰفِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Such believers are] the repentant, the worshippers, the praisers [of Allāh], the travelers [for His cause], those who bow and prostrate [in prayer], those who enjoin what is right and forbid what is wrong, and those who observe the limits [set by] Allāh. And give good tidings to the believers.

(MALAY)

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang mengembara, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

 

التّىٰئِبونَ

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat,

Golongan mukmin yang disebut dalam ayat sebelum ini, mereka selalu bertaubat. Kalimah التّىٰئِبونَ di dalam bentuk isim fa’il (pelaku) maknanya mereka ini memang sentiasa bertaubat. Maka tukang masak tidak sama dengan orang yang sedang memasak. Kalau sedang memasak, mungkin sekali sekala sahaja dia memasak. Namun seorang tukang masak, tentulah sentiasa memasak, bukan?

Ini adalah salah satu daripada sifat orang Mukmin kerana mereka sedar yang mereka banyak melakukan dosa, maka mereka sentiasa meminta ampun kepada Allah ﷻ. Oleh itu, pertama sekali kena sedar yang kita ini sebagai manusia tidak sunyi daripada melakukan dosa.

Taubat ini tidak perlu sampai melakukan Solat Taubat kerana ada yang sangka kena buat Solat Taubat pula. Sampaikan ada pula yang ajar kena solat taubat setiap hari. Ini tidak benar dan hanya rekaan semata-mata. Sebenarnya taubat boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu solat. Namun memanglah lebih baik kalau dilakukan dengan solat sunat dahulu. Maka kalau ada dosa besar, maka eloklah disertakan dengan solat sunat dahulu.

Salah satu syarat taubat adalah meninggalkan kesalahan yang kita telah buat sebelum itu. Kenalah menyesal dengan perbuatan kita yang salah itu dan tinggalkan terus. Kita kena tahu, kita kena tinggalkan terus perkara yang salah, bukan sedikit demi sedikit; kalau perbuatan baik, kita boleh buat sedikit demi sedikit, tetapi untuk perbuatan yang salah, apabila kita tahu yang ia adalah salah, kita mesti tinggalkan terus.

 

العٰبِدونَ

mereka yang beribadat,

Orang Mukmin juga rajin beribadat. Sekali lagi kalimah ini di dalam isim fa’il. Mereka tidaklah hanya kata mereka beriman sahaja tetapi mereka tunjukkan dengan amalan mereka. Mereka juga beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Bukanlah mereka mengaku beriman tetapi tidak memperbanyakkan ibadat kepada Allah ﷻ.

Sebelum ini disebut tentang bertaubat kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau kita banyak dosa, maka badan malas sahaja untuk melakukan ibadah, bukan? Maka kena selalu banyakkan taubat untuk perbanyakkan ibadah.

Ibadat hendaklah dilakukan berterusan. Mulakan dengan amalan yang mudah tetapi istiqamah (berterusan) dalam melakukannya. Kemudian tambah dengan ibadah-ibadah lain. Yang penting adalah istiqamah. Jangan kita rajin buat amalan yang banyak, tetapi tidak tetap dan sementara sahaja.

Ibadah ada banyak jenis ibadah – ada ibadah yang khusus seperti solat, zakat, haji dan puasa. Ada juga ibadah umum seperti menolong orang, berbuat baik kepada orang lain, dan macam-macam lagi. Ada ibadah yang dilakukan dengan tangan kita, ada yang dengan mulut kita dan ada juga dengan hati kita. Segala jenis ibadah kita kena buat. Kita buat sebaik yang mungkin.

Di antara definisi terbaik dan terlengkap ibadah adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله:

Beliau رحمه الله mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) mahupun yang nampak (lahir). Maka solat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang daripada yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafik, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan doa, berzikir, membaca Al-Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bahagian daripada ibadah.
Begitu pula rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut daripada seksa-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian daripaa ibadah kepada Allah.” (Kitab Al ‘Ubudiyah).

 

الحٰمِدونَ

mereka yang memuji, 

Salah satu ibadat adalah berzikir dengan mulut dan juga dengan hati. Mereka sentiasa memuji Allah ﷻ dan hanya memuja Allah ﷻ. Mereka tidak memuji dan memuja ilah-ilah yang lain. Mereka sedar yang mereka dapat melakukan taubat dan ibadah hanya kerana taufik daripada Allah ﷻ. Sekiranya Allah ﷻ tidak gerakkan, mereka pun tidak dapat buat. Maka mereka dengan ikhlas memuji Allah ﷻ.

Mereka tidaklah beri pujian yang khas ini kepada sesiapa selain Allah ﷻ. Tidaklah kita disuruh memuji Rasulullah ﷺ dengan berlebihan. Kepada Rasulullah ﷺ kita disuruh selawat sahaja. Maka tidaklah perlu buat majlis puji Rasul dan Qasidah pula seperti yang dianjurkan oleh golongan Habib yang sesat itu.

Malangnya ramai dalam kalangan orang Melayu yang memuja Nabi ﷺ dengan berlebihan, terutama sekali selepas datangnya puak-puak Habib yang membawa ajaran yang sesat. Ramai yang tertipu dengan perawakan Habib-habib yang sopan santun serta kemas berpakaian seperti orang alim dan ‘dikatakan’ keturunan Rasulullah ﷺ.

Kita senang mengucapkan tahmid jikalau kita dapat sesuatu yang kita suka atau kita dalam suasana senang. Akan tetapi bagaimana kalau kita dikenakan dengan sesuatu musibah? Sepatutnya kita masih mampu mengucapkan tahmid lagi kerana dalam Allah ﷻ memberi musibah kepada kita, Allah ﷻ masih lagi terpuji. Ada disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Daripada [‘Aisyah] beliau berkata; “Apabila Rasulullah ﷺ melihat sesuatu yang baginda senangi, baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah ﷻ yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna,” dan apabila melihat sesuatu yang dibenci, baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah ﷻ atas setiap keadaan.”
(Sunan Ibn Majah (3803))
Status: Sahih

 

السّىٰئِحونَ

mereka yang mengembara,

Mereka juga tidak duduk sahaja tetapi mereka juga keluar untuk berjihad, mencari ilmu dan berdakwah. Ini memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana keluar berjihad bukannya senang. Ia bukan sahaja keluar berjihad, tetapi berhijrah kerana hendak menjaga agama.

Ada juga yang mengatakan kalimah السّىٰئِحونَ bermaksud mereka yang sentiasa menunaikan puasa kerana Allah ﷻ. Di antara amal yang paling utama ialah berpuasa, iaitu meninggalkan kelazatan makan dan minum serta bersetubuh. Mereka sanggup meninggalkan nikmat nafsu yang biasa mereka lakukan (dan halal) semata-mata kerana Allah ﷻ. Hujah ini berdasarkan hadith:

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّائِحِينَ فَقَالَ: “هُمُ الصَّائِمُونَ”
Nabi ﷺ pernah ditanya mengenai makna as-saihun. Maka baginda menjawab: Mereka adalah orang-orang yang berpuasa.

Akan tetapi hadith ini disebut oleh Syeikh Mashhur bin Ḥasan Al Salman رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab himpunan hadith-hadith lemah dan palsu. Akan tetapi ada yang mengatakan hadith ini berpredikat mursal lagi jayyid. Pendapat ini adalah pendapat yang paling sahih dan paling terkenal.

Itu adalah pendapat yang mengatakan lafaz siyahah bermaksud ‘puasa’. Ada riwayat lain, seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitab Sunan-nya melalui hadith Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa ada seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah saya untuk ber-siyahah.” Maka Nabi ﷺ menjawab melalui sabdanya:

“سِيَاحَةُ أُمَّتَيِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”
Siyahah umatku adalah berjihad di jalan Allah.
(Sunan Abi Dawud No. 2486)
Status: Hasan

Kedua-dua perbuatan mengembara dan berpuasa itu menguji kesabaran. Kedua-duanya meninggalkan kesenangan hidup untuk sementara waktu. Terutama sekali mengembara untuk berjihad. Akan tetapi berjihad telah disebut di dalam ayat-ayat lain sebelum ini. Maka ini menyebut tentang mengembara untuk perkara-perkara lain untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ.

 

الرّٰكِعونَ السّٰجِدونَ

mereka yang ruku’, mereka yang sujud,

Mereka sentiasa rukuk dan sujud kerana Allah ﷻ. Rukuk dan sujud ini adalah bahagian terpenting di dalam solat, maka apa yang dimaksudkan dengan potongan ayat ini adalah ‘solat’. Maksudnya, orang-orang mukmin menjaga solat mereka. Namun bukanlah Solat Fardhu yang dimaksudkan, kerana itu memang sudah menjadi fardhu/wajib. Maka yang dimaksudkan mereka banyak lakukan adalah solat-solat Sunat.

Di dalam masa yang sama pun mereka mestilah menjaga Solat Fardhu. Iaitu mereka jaga waktu solat, tidak tinggal solat dan mereka jaga solat mereka supaya menjadi baik. Mereka perbaiki solat mereka ikut Sunnah dan mereka cuba untuk khusyuk dalam solat mereka. Maka kita kenalah belajar cara solat yang Sunnah dan menjaga amalan solat kita supaya dapat khusyuk dan jadi terbaik yang kita mampu lakukan. Cubalah untuk baiki solat kita dari masa ke semasa.

 

الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ

yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar

Mereka sentiasa menjalankan amar makruf nahi munkar. Iaitu mereka akan mengajak manusia melakukan kebaikan dalam agama dan melarang mereka yang melakukan keburukan. Ringkasnya mereka mengajak manusia ikut syariat. Mereka akan mengajak dan menegur orang. Tidaklah mereka melihat sahaja. Tidaklah mereka mendiamkan diri sahaja jika melihat kemungkaran berlaku.

Mereka ini sekarang menjalankan kerja dakwah mengajak manusia kepada sunnah. Sekiranya mereka lihat ada yang melakukan kesalahan, perkara syirik, perkara bid’ah dan perkara yang zalim, mereka akan tegur. Sama ada orang ikut atau tidak, itu terpulang kepada mereka yang diajak dan ditegur. Namun yang penting kita telah menjalankan usaha kita untuk menegur.

Ini penting disebut di sini kerana ada orang yang rasa takut untuk menegur kerana takut disindir atau dimarahi atau dia rasa buang masa sahaja tegur kerana merasakan orang tidak ikut pun. Ingatlah, yang kita mampu lakukan adalah mengajak dan menegur sahaja. Sama ada mereka ikut atau tidak adalah di tangan Allah ﷻ. Kita kena sedar yang jika mereka tidak ikut pun, kita sudah pasti dapat pahala dakwah.

Di sini hanya disebut mereka yang melakukan amar ma’ruf nahi munkar sahaja. Bagaimana pula dengan amalan mereka sendiri? Kalau mereka sudah mengajak orang, tentulah mereka sendiri sudah tahu mana yang ma’ruf dan mana yang mungkar, dan tentu sekali mereka telah amalkan apa yang mereka dakwahkan. Ini kerana mereka sedar mereka akan ada masalah kalau setakat mengajak sahaja tetapi diri sendiri tidak amalkan pula. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Saff: 2-3

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقولوا ما لا تَفعَلونَ
Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

 

وَالحٰفِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ

dan yang memelihara hukum-hukum Allah.

Mereka juga sentiasa menjaga sempadan syariat Allah ﷻ. Mereka tidak melakukan lebih daripada yang dibenarkan. Mereka jaga hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan. Hudud bukanlah Hukuman Hudud seperti yang kita biasa dengar itu tapi ia termasuk semua sekali had-had yang Allah telah tetapkan. Dan tentunya termasuk Hukum Hudud juga.

Dari segi balaghah, kita boleh lihat ada perbezaan dalam potongan ayat ini. Kalau kita perhatikan, potongan ayat ini dimulakan dengan huruf و iaitu dalam وَالحافِظونَ, sedangkan dalam potongan yang lain-lain tidak, cuma ada ال sahaja iaitu dalam التّائِبونَ العابِدونَ dan seterusnya. Kenapa begitu? Tentu ada sebabnya, bukan?

Ini adalah kerana segala yang disebut sebelum ini, iaitu bertaubat, beribadat, memuji Allah ﷻ, mengembara, ruku’ dan sujud, amar makruf nahi mungkar, semua itu berjalan sepanjang masa, sepanjang zaman, kena digerakkan. Namun untuk menegakkan hukum hudud, bukan tetap boleh dijalankan setiap masa. Ini memerlukan kuasa kerajaan.

Ini sepertimana Rasulullah ﷺ hanya dapat menjalankan hukum hudud hanya apabila mendapat kuasa kerajaan di Madinah. Seperti kita zaman sekarang, tidak dapat mengamalkan hukum Hudud lagi kerana pemerintahan bukan di tangan orang Islam sepenuhnya. Oleh itu, lafaz وَالحافِظونَ ada mengandungi huruf و kerana hendak membezakan antara perbuatan menjaga hukum hudud dengan perkara-perkara yang lain.

Kesimpulannya, itulah antara sifat-sifat orang-orang Mukmin yang disebut dalam ayat ini yang kita patut hayati dan amalkan. Allah ﷻ beritahu sifat mereka satu persatu supaya jelas kepada semua orang. Ini penting, kerana orang munafik pun mengaku mereka mukmin tetapi kata-kata seseorang itu boleh dinilai dengan perbuatan mereka. Kalau setakat cakap sahaja di mulut namun tidak ditunjukkan dengan perbuatan, tidaklah dikira.

 

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

Inilah tabshir. Allah ﷻ sendiri beri berita gembira ini kepada orang mukmin. Mereka juga boleh dapat syurga. Alangkah beruntungnya! Alangkah seronoknya! Maka tidakkah kita mahu menjadi orang Mukmin? Maka kenalah ia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 108 – 110 (Masjid Dhirar)

Tawbah Ayat 108:

لا تَقُم فيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقوىٰ مِن أَوَّلِ يَومٍ أَحَقُّ أَن تَقومَ فيهِ ۚ فيهِ رِجالٌ يُحِبّونَ أَن يَتَطَهَّروا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُطَّهِّرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not stand [for prayer] within it – ever. A mosque founded on righteousness from the first day¹ is more worthy for you to stand in. Within it are men who love to purify themselves; and Allāh loves those who purify themselves.

  • This description is of the Qubā’ mosque.

(MALAY)

Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

 

لا تَقُم فيهِ أَبَدًا

Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya.

Semasa dalam perjalanan pulang dari Tabuk, Allah ﷻ telah beri wahyu kepada Nabi ﷺ tentang Masjid Dhirar itu. Allah ﷻ telah memberi larangan kepada Nabi ﷺ dan para sahabat, jangan pergi ke masjid itu sampai bila-bila. Sebab itulah masjid itu mesti dihancurkan. Kerana kalau Nabi ﷺ pergi solat di masjid itu, nanti orang akan sangka yang masjid itu adalah masjid yang benar pula. Maka Nabi ﷺ tidak boleh solat di situ.

Ketika Nabi ﷺ dalam perjalanan pulang dari Tabuk, beberapa hari sebelum tiba di Madinah, Allah ﷻ telah menurunkan ayat 107-110 Surah Tawbah ini yang mendedahkan pergerakan jahat orang munafik di Masjid Dhirar. Ketika Nabi ﷺ singgah di Dzu Awan, baginda berhasrat untuk singgah di masjid munafik tersebut untuk solat di sana (seperti janji baginda sebelum berangkat ke Tabuk), lalu Allah ﷻ melarangnya dan mendedahkan rancangan jahat mereka terhadap Islam. Maka tahulah umat Islam tentang kedudukan sebenar masjid yang selama ini didakwa dibina untuk memudahkan orang-orang tua, orang lemah dan orang sakit bersolat, walhal sebenarnya mereka merancang untuk menyaingi Masjid Quba’.

Dengan larangan Allah ﷻ tersebut, maka Rasulullah ﷺ tidak ragu-ragu lagi bahawa masjid tersebut adalah pusat gerakan menentang Islam. Lalu baginda memerintahkan supaya ia dibakar segera. Nabi ﷺ telah mengutuskan Malik bin Dukhsyum رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Ma’an bin Adi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Amir as-Sakan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Wahsyi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (ya, beliau adalah orang yang sama yang membunuh Saidina Hamzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) untuk membakar masjid tersebut. Arahan dibuat selepas Baginda tiba di Madinah pada 26 Ramadan 9H, iaitu ketika Madinah sibuk dikunjungi oleh kabilah-kabilah Arab yang mahu memeluk Islam.

Pada 29 Ramadan 9H, Malik Dukhsyum رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah membawa pelepah tamar dan api dari rumahnya, lalu membakar masjid tersebut, sehingga ia bertukar menjadi tempat pembuangan sampah. Dengan musnahnya masjid ini, maka gerakan munafik pun menjadi lemah, dan Abu Amir ar-Rahib melarikan diri dan mati di Istana Rom.

Mungkin ada yang berhujah kenapa Rasulullah ﷺ mengarahkan masjid itu diruntuhkan sedangkan Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah: 114

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?

Kita kena faham bahawa masjid itu bukanlah masjid yang sebenar tetapi hanya sebagai markas untuk menyerang Madinah dan umat Islam sahaja. Itulah tujuan asal penubuhannya. Telah disebut yang ia dibina untuk memecahbelahkan umat Islam terutama sekali penduduk yang duduk berdekatan Masjid Quba’ itu. Maka tidak salah apabila ia diarahkan oleh Nabi ﷺ untuk memusnahkannya kerana adakalanya merosakkan sesuatu itu perlu untuk mengelak kerosakan yang lebih besar seperti yang dilakukan oleh Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Kahf: 79

أَمَّا السَّفينَةُ فَكانَت لِمَسٰكينَ يَعمَلونَ فِي البَحرِ فَأَرَدتُّ أَن أَعيبَها وَكانَ وَراءَهُم مَّلِكٌ يَأخُذُ كُلَّ سَفينَةٍ غَصبًا

Adapun perahu itu dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.

Ulama’ ada mengambil dalil daripada ayat ini, jikalau ada masjid baru yang dibuka untuk menyaingi masjid yang telah ada, maka masjid baru itu hendaklah dimusnahkan. Pengecualian adalah jikalau masjid lama tidak boleh menampung jemaah, barulah boleh dibina masjid yang baru.

Namun bagaimana kalau solat di masjid yang berkenaan atau yang sepertinya? Tetap masih sah solat itu dan mendapat pahala solat.

 

لَّمَسجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقوىٰ مِن أَوَّلِ يَومٍ أَحَقُّ أَن تَقومَ فيهِ

Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. 

Kemudian Allah ﷻ beritahu kelebihan Masjid Quba’. Allah ﷻ tidak sebut nama masjid itu tetapi ciri-cirinya ada pada masjid itu. Ia adalah masjid yang mula sekali dibina semasa Nabi ﷺ tiba di Madinah. Ia adalah masjid hebat yang dibina atas dasar taqwa. Pada masa mula bina lagi ia sudah dibina atas dasar taqwa. Bukan seperti Masjid Dhirar, asasnya lagi sudah bertujuan untuk melawan Islam.

Masjid Quba sekarang

Masjid Quba’ itu yang lebih layak untuk baginda dan orang Mukmin tunaikan solat di dalamnya. Sampai sekarang, sudah menjadi sunnah kalau kita solat di masjid Quba’. Rasulullah ﷺ selalu pergi ke sana berdasarkan hadith yang kita terima,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبًا وَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَفْعَلُهُ
Daripada [Ibnu’Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata: “Rasulullah ﷺ selalu mengunjungi masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu, baik dengan berkenderaan ataupun berjalan kaki”. Dan Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا juga melakukannya seperti itu.
(Sahih Bukhari (1118))

Kalau kita mengerjakan Umrah dan singgah ke Madinah, jangan lupa untuk pergi solat ke sana. Ada kelebihan tertentu kalau solat di sana. Sekiranya siap berwudhu’ dan pergi solat ke sana, sekali solat sudah dikira sekali Umrah. Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءَ، فَصَلَّى فِيهِ صَلَاةً، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ
Barangsiapa bersuci di rumahnya kemudian datang ke Masjid Quba’, kemudian dia mendirikan salat di sana, maka dia mendapat pahala seperti pahala mengerjakan Umrah
(Sunan Ibnu Majah No. 1412)
Status: Hasan

Perhatikan hadith di atas ini. Kena ada syarat iaitu kena ambil wudhu’ di rumah/hotel dahulu. Maka kalau anda di Madinah maka jangan lepaskan peluang untuk mengerjakan solat di sana. Cuma pahala mengerjakan solat fardhu juga tinggi di Masjid Nabawi, maka dianjurkan untuk solat sunat sahaja di Masjid Quba’. Apabila solat fardhu, terus kembali ke Masjid Nabawi.

Selain daripada Masjid Quba’, Masjid Nabawi juga termasuk di dalam kriteria masjid yang dibina atas dasar taqwa. Ini kerana masjid itu dibina oleh Rasulullah ﷺ maka adakah sesiapa yang lebih taqwa daripada baginda?

Maka di sini kita belajar bahawa pembinaan masjid itu mesti kerana dasar taqwa, bukannya kerana hendak menunjuk-nunjuk ini masjid terbesar, ini masjid tercantik, ini masjid dibuat dari bahan ini dan itu, ini sahaja masjid di atas air dan lain-lain lagi. Walaupun sebuah masjid itu yang dibina daripada pelepah kurma namun ia dibina berasaskan taqwa, maka ia sudah cukup bermakna.

Ia juga menjadi motivasi kepada kita untuk mengerjakan solat di masjid. Kerana itulah solat berjemaah di masjid itu digandakan pahalanya. Ia menjadi tempat di mana manusia berkumpul dan melakukan ibadah bersama-sama. Malah ia boleh menjadi lebih lagi dari tempat solat tetapi menjadi tempat percambahan ilmu, tempat komuniti berkumpul dan sebagainya. Maka masjid perlu diimarahkan supaya menjadi tempat yang mesra kepada manusia. Sebab itu kadangkala kita pergi ke sesuatu masjid kita rasa tenang dan kadangkala di masjid lain, kita tidak rasa ada apa-apa di situ.

 

فيهِ رِجالٌ يُحِبّونَ أَن يَتَطَهَّروا

Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri.

Allah ﷻ beritahu di dalamnya ada golongan lelaki Islam yang hebat, yang suka kepada kebersihan. Iaitu mereka yang tinggal di kawasan itu. Dalam riwayat hadith, apabila turun ayat ini, Nabi ﷺ tanya kenapa Allah ﷻ memuji mereka begitu? Mereka rupanya istinjak dengan batu dan air. Kebanyakan orang lain waktu itu hanya dengan batu sahaja. Akan tetapi mereka himpunkan yang terbaik – guna batu kemudian guna air. Kerana apabila guna batu, ia akan menipiskan najis dan memudahkan apabila digunakan air kemudiannya.

Maka itu adalah cara paling afdhal dalam kitab feqah pun, mula gunakan batu dulu untuk nipiskan najis itu dan kemudian guna air untuk benar-benar bersih. Ini dilakukan kerana mereka telah berkawan dengan puak Yahudi dan puak Yahudi kata istinjak menggunakan air dan mereka amalkan.

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَعْنِي: قُبَاءَ ، فَقَالَ: “إِنَّ اللَّهَ ، عَزَّ وَجَلَّ ، قَدْ أَثْنَى عَلَيْكُمْ فِي الطَّهُورِ خَيْرًا ، أَفَلَا تُخْبِرُونِي ؟ “. يَعْنِي: قَوْلَهُ تَعَالَى: {فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ} فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نَجِدُهُ مَكْتُوبًا عَلَيْنَا فِي التَّوْرَاةِ: الاستنجاءُ بِالْمَاءِ.

Daripada Muhammad ibnu Abdullah ibnu Salam yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ tiba di Quba, lalu bersabda: Sesungguhnya Allah telah memuji kalian dalam hal bersuci dengan pujian yang baik, maka ceritakanlah kepadaku. Yang dimaksudkan oleh Nabi ﷺ adalah firman Allah: Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri. (Tawbah: 108) Maka mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami menjumpainya telah tercatat di dalam kitab Taurat sebagai suatu kewajipan, bahawa bersuci setelah buang air adalah menggunakan air.”
(Musnad Ahmad (22714))

Selain daripada membersihkan diri mereka, tentunya yang lebih penting adalah membersihkan hati daripada dosa. Ini juga yang mereka telah lakukan.

 

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُطَّهِّرينَ

Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

Allah ﷻ suka golongan seperti itu, iaitu mereka yang membersihkan diri mereka dari segi rohani dan juga fizikal. Oleh itu kita dapat yakini bahawa Islam adalah agama yang praktikal, yang mengajar umatnya menjaga kebersihan. Tidak ada dalam agama lain yang mengajar perkara ini. Kalau sekarang orang Barat jaga kebersihan, ini adalah kerana mereka telah maju, bukannya kerana agama mereka mengajar untuk jaga kebersihan.


 

Tawbah Ayat 109: Allah ﷻ buat perbandingan dua masjid itu:

أَفَمَن أَسَّسَ بُنيٰنَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوٰنٍ خَيرٌ أَم مَن أَسَّسَ بُنيٰنَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is one who laid the foundation of his building on righteousness [with fear] from Allāh and [seeking] His approval better or one who laid the foundation of his building on the edge of a bank about to collapse, so it collapsed with him into the fire of Hell? And Allāh does not guide the wrongdoing people.

(MALAY)

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

 

أَفَمَن أَسَّسَ بُنيٰنَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوٰنٍ خَيرٌ

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, 

Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Quba’ (juga Masjid Nabawi). Iaitu yang dibina atas dasar taqwa dan menegakkan agama Allah ﷻ. Ia dibina ikhlas kerana Allah ﷻ, untuk mencari keredhaan-Nya.

 

أَم مَن أَسَّسَ بُنيٰنَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ

ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang hampir runtuh,

Sekarang bandingkan dengan masjid yang dibina kerana hendak menjatuhkan Islam dan menegakkan kekufuran seperti Masjid Dhirar itu? Apabila dibina sahaja masjid itu, memang tunggu masa sahaja untuk runtuh dan masuk neraka. جُرُفٍ هارٍ bermaksud jurang yang tidak stabil, tunggu masa sahaja untuk jatuh.

Ada muqaddar dalam ayat ini (tidak dilafazkan dalam ayat dan perlu ditambah untuk penjelasan). Maksud penuh ayat ini, Allah ﷻ hendak beritahu, apakah binaan orang yang asas binaannya atas sifat taqwa dan redha Allah ﷻ, adakah itu lebih baik atau binaan yang tidak dibina atas dasar taqwa dan untuk mencari redha Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak sebut yang Masjid Dhirar itu dibina atas dasar yang bukan taqwa dan mencari redha. Allah ﷻ tidak perlu sebut kerana kita boleh andaikan sendiri (itulah sebabnya kena ditaqdirkan). Cuma Allah ﷻ telah sebut hakikatnya iaitu orang itu membina masjidnya atas tepi jurang yang condong, yang akan jatuh dan rebah bila-bila masa. Kalau hendak bina rumah di tempat macam itu pun kita tidak berani, bukan?

 

فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ

lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam?

Oleh kerana asas binaannya pun sudah di tepi jurang, lalu binaan itu akan jatuh. Bukan sahaja binaan itu jatuh tetapi ia juga menjatuhkan orang yang membinanya itu. Pembinanya akan mati kerananya dan apabila dia mati sahaja, akan terus masuk ke dalam neraka jahannam. Maka di sini Allah ﷻ memberitahu kesannya. Bangunan itu bukan runtuh ke tanah sahaja tetapi terus ke neraka!

Seorang sahabat bernama Khalaf ibnu Yasin Al-Kufi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan bahawa beliau telah melihat masjid orang-orang munafik yang disebutkan oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an itu di dalamnya terdapat sebuah liang yang mengeluarkan asap. Di zaman sekarang tempat itu menjadi tempat pembuangan sampah. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ. Tidak ada orang yang mahu membina binaan apa-apa lagi di situ.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Puak munafik itu tidak akan mendapat hidayah daripada Allah ﷻ kerana mereka itu zalim. Walaupun ayat ini tentang golongan Munafik tetapi di sini disebut mereka itu zalim. Maknanya mereka bukan sahaja munafik, tet api zalim juga.

Mereka tidak mahu menerima Islam dan kerana itu mereka tidak diberi hidayah oleh Allah ﷻ. Maka di sini kita tahu punca tidak mendapat petunjuk daripada Allah ﷻ adalah kerana kezaliman yang dilakukan. Oleh itu untuk mendapat hidayah, kena tinggalkan kezaliman. Kezaliman itu ada tiga, sama ada kepada Allah ﷻ, diri sendiri, atau orang lain. Semua kena ditinggalkan untuk selamat dunia dan akhirat.

Maka kalau ada orang yang sudah lama belajar tetapi tidak faham-faham, tidak berubah ke arah kebaikan, maka dia kena periksa dirinya. Kerana mungkin dia masih melakukan kezaliman lagi.


 

Tawbah Ayat 110: 

لا يَزالُ بُنيٰنُهُمُ الَّذي بَنَوا ريبَةً في قُلوبِهِم إِلّا أَن تَقَطَّعَ قُلوبُهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their building which they built will not cease to be a [cause of] skepticism in their hearts until their hearts are cut [i.e., stopped]. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, sehingga bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

لا يَزالُ بُنيٰنُهُمُ الَّذي بَنَوا ريبَةً في قُلوبِهِم

Binaan yang mereka dirikan itu tidak berhenti menjadi punca keraguan dalam hati mereka,

Sentiasalah binaan itu mendatangkan keraguan dalam hati mereka terhadap kebenaran Islam. Sebagaimana para penyembah anak lembu di masa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, hati mereka dijadikan senang dengan penyembahan mereka terhadap anak lembu itu. Begitulah mereka dengan Masjid Dhirar itu, ia semakin menjauhkan mereka daripada kebenaran agama.

Apabila bina masjid, sepatutnya masjid itu dapat mendekatkan manusia kepada Tuhan, tetapi masjid mereka menyebabkan mereka jauh lagi daripada agama. Ini adalah kerana mereka berbincang di dalamnya bagaimana untuk meruntuhkan agama. Bukannya mereka gunakan untuk mengaji agama dalam masjid pun.

 

إِلّا أَن تَقَطَّعَ قُلوبُهُم

sehingga hati mereka itu telah hancur. 

Hati mereka dipotong-potong sehingga hancur lumat sampailah mereka mati. Bukan potong sekali sahaja (قَطَّعَ) tetapi kalimah yang digunakan adalah تَقَطَّعَ. Apabila ada penambahan huruf, maka maknanya pun ditambah. Kalau قَطَّعَ ia bermaksud potong sekali sahaja, tetapi apabila تَقَطَّعَ digunakan, ia bermaksud potong berkali-kali.

Perbuatan mereka itu menjadi punca keraguan kepada mereka sehinggalah hancur lumat hati mereka, iaitu apabila dicabut iman daripada hati mereka terus. Iaitu apabila hati telah dikunci mati (Khatmul Qalbi). Ini apabila nifak tidak dapat dikeluarkan terus daripada hati mereka. Seolah-olah kalau satu bahagian badan kita telah dijangkiti penyakit sehingga memerlukan anggota badan itu dipotong.

Begitulah perumpamaan kepada sifat nifak mereka itu. Maka ia menjadi punca keraguan kepada mereka dan seksaan mental kepada mereka sampailah masa mereka mati nanti. Ini kerana awal sifat kufur bermula dengan ragu-ragu. Iaitu ragu-ragu dengan agama dan kebenaran. Biasa sahaja manusia didatangi oleh keraguan, akan tetapi ia tidak boleh dibiarkan. Ia perlu diselesaikan dengan mendapatkan penjelasan supaya jelas benar mana yang benar.

Oleh itu kalau ada orang yang ragu-ragu, maka mereka kena bertanya kepada orang yang tahu. Kena dapatkan maklumat yang benar. Jangan terus berada di dalam keraguan. Sebagai contoh, sekarang sudah banyak ilmu Sunnah disampaikan kepada masyarakat, bukan? Ramai yang ragu-ragu kerana tidak pernah dengar ajaran wahyu dan Sunnah ini. Maka mereka sepatutnya kena dapatkan penjelasan.

Kalau dibiarkan sahaja, maka keraguan itu akan menjadi kekufuran peringkat kedua pula. Iaitu mereka mula menolak. Ini sudah di peringkat bahaya kerana lama-kelamaan kalau tidak ditangani dia akan terus kufur dan mula menolak. Apabila menolak dan menentang, maka akhirnya sampai ke peringkat empat kekufuran, iaitu hati telah ditutup daripada menerima kebenaran.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha mengetahui keadaan dan hati mereka; dan Allah ﷻ maha tahu dan bijaksana bagaimana menguruskan hal mereka. Apa-apa sahaja tindakan yang Allah ﷻ kenakan kepada mereka, adalah atas dasar hikmah. Allah ﷻ tahu bagaimana menghukum mereka.

Kerana Allah ﷻ bijaksanalah juga Allah ﷻ telah menjadikan binaan itu hancur, malah ada pendapat yang mengatakan ia dibakar. Tidaklah Allah ﷻ kekalkan binaan itu dan kemudian serahkan kepada orang Mukmin. Mungkin ada yang kata tidak patut musnahkan binaan yang tidak bersalah itu. Yang bersalahnya adalah manusia, bukannya binaan. Akan tetapi Allah ﷻ lakukan begitu kerana kalau dibiarkan, ia tidak memberi pengajaran kepada umat. Allah ﷻ suruh musnahkan supaya tidak tinggalkan kesan langsung dan supaya manusia nampak betapa beratkan perbuatan mereka itu supaya menjadi pengajaran.

Sekian Ruku’ 13 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung dengan ayat seterusnya

Kemaskini: 19 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 104 – 107 (Golongan Mukmin menjadi saksi amalan Muslim yang lain)

Tawbah Ayat 104: Ayat ini adalah targhib (ajakan) untuk melakukan taubat.

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَأخُذُ الصَّدَقٰتِ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not know that it is Allah who accepts repentance from His servants and receives charities and that it is Allah who is the Accepting of repentance, the Merciful?

(MALAY)

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

 

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya

Kita kena tahu yang Allah ﷻ sanggup untuk menerima taubat kita asalkan kita meminta ampun kepada Allah ﷻ dengan ikhlas. Kita yang kena bertaubat sendiri dan bukan suruh orang lain yang doakan. Jangan jadi seperti puak Kristian yang mengadu kepada paderi mereka untuk ampunkan dosa mereka. Kalau umat Islam pun jadi begitu tentu telah sesat sungguh. Kita yang ada Al-Qur’an ini janganlah jadi bodoh macam mereka. Dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu yang taubat itu untuk orang yang bersalah dan Allah ﷻ sahaja yang boleh ampunkan dosa hamba.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang doa daripada Rasulullah ﷺ dan kemudian sekarang disebut tentang doa untuk meminta ampun. Allah ﷻ beritahu yang Dia menerima taubat hamba-Nya. Maknanya, hamba itu yang mesti berdoa sendiri. Jangan berharap kepada doa dan syafaat daripada Rasulullah ﷺ, tetapi kenalah doa sendiri untuk meminta ampun.

Jangan tunggu di akhirat semata-mata nanti untuk mendapat syafaat Nabi ﷻ, tetapi mohonlah ampun kepada Allah ﷻ semasa di dunia lagi supaya di dunia lagi sudah bersih kita daripada dosa. Kenapa mahu mengharapkan syafaat kerana syafaat Nabi ﷻ itu diberikan kepada mereka yang telah masuk ke dalam neraka. Adakah kita mahu masuk ke dalam neraka dahulu?

Allah ﷻ beri soalan retorik: tidakkah mereka tahu bahawasanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menerima taubat daripada sekalian hamba? Perkara inilah yang perlu ditekankan iaitu: tiada yang lain dapat menerima taubat selain Allah ﷻ. Tidak kira sama ada Nabi Isa عليه السلام, paderi, tok guru, sesiapa sahaja pun, tidak boleh mengampunkan dosa orang. Yang buat salah itulah yang mesti bertaubat sendiri.

Kita pun tahu yang kita semua adalah pendosa, tidak sunyi daripada membuat dosa, maka kenalah selalu minta ampun, istighfar.

Soalan yang selalu ditanya adalah: bagaimana kita dapat tahu yang taubat kita diterima oleh Allah ﷻ? Jawapannya kita tidak tahu kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Oleh kerana itulah kita kena selalu bertaubat kerana kita tidak pasti sama ada dosa kita telah diampunkan atau tidak. Maka kita tiada jalan lain hanya perlu berkali-kali meminta ampun.

Cuma bolehlah kita katakan tanda orang yang telah diterima taubat itu adalah dia akan berubah sikapnya daripada buruk kepada lebih baik. Kalau dulu tidak solat, sekarang sudah solat. Kalau dulu selalu buat dosa, sekarang tidak lagi.

 

وَيَأخُذُ الصَّدَقٰتِ

dan menerima sedekah 

Allah ﷻ akan menerima sedekah dan memberi balasan dengan pahala yang amat banyak. Kalau kita infak harta kita kepada jalan Allah ﷻ, Allah ﷻ akan terima dan Allah ﷻ akan balas dengan balasan pahala yang banyak.

وقال الثوري والأعمش كلاهما ، عن عبد الله بن السائب ، عن عبد الله بن أبي قتادة قال : قال عبد الله بن مسعود ، رضي الله عنه : إن الصدقة تقع في يد الله عز وجل قبل أن تقع في يد السائل . ثم قرأ هذه الآية : ( ألم يعلموا أن الله هو يقبل التوبة عن عباده ويأخذ الصدقات )
As-Sauri dan Al-A’masy telah meriwayatkan daripada Abdullah ibnus Saib, daripada Abdullah ibnu Abu Qatadah yang mengatakan bahawa Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه pernah berkata, “Sesungguhnya sedekah itu diterima di tangan Allah ﷻ sebelum sedekah itu diterima oleh tangan peminta.” Kemudian Ibnu Mas’ud رضي الله عنه membacakan firman-Nya: Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan menerima zakat. (At-Tawbah: 104)
Dinukilkan oleh Ibn Kathir di dalam kitabnya.

 

وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

Allah ﷻ suka menerima taubat daripada mereka yang bertaubat. Kita kena sedar tentang perkara ini dan semoga kita selalu bertaubat kepada Allah ﷻ. Berharaplah yang Allah ﷻ akan terima taubat kita kerana mereka yang diterima taubat tidak diazab lagi di akhirat.

Selepas Allah ﷻ sebut Dia التَّوّابُ, Allah ﷻ terus sebut yang Dia juga الرَّحيمُ. Ini bermakna yang selepas Allah ﷻ mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya itu, Dia akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya. Dia akan kasih kembali kepada hamba yang telah bertaubat itu. Ini adalah seumpama orang yang buat salah kepada kita kemudian minta maaf, kita bagi hadiah pula kepadanya. Tentulah ini tidak berlaku, bukan? Namun begitulah Allah ﷻ amat pemurah kepada hamba-Nya.

Ini kerana Allah ﷻ hendak memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Hendaklah segera bertaubat supaya segera dapat semula belas kasihan daripada Allah ﷻ.


 

PELUANG KEDUA

Tawbah Ayat 105: Sekarang Allah ﷻ suruh kita jaga amalan kita.

وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Do [as you will], for Allāh will see your deeds, and [so will] His Messenger and the believers. And you will be returned to the Knower of the unseen and the witnessed, and He will inform you of what you used to do.”

(MALAY)

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

 

وَقُلِ اعمَلوا

Dan katakanlah: “Beramallah kamu,

Kamu semua buatlah amalan atas dunia ini. ‘Amal’ itu maksudnya amal-amal yang baik. Maka buatlah amalan kebaikan mulai sekarang. Terutama mereka yang tidak pergi ke Tabuk itu. Buatlah amal dengan bersungguh-sungguh.

Maka kita pun kenalah beramal dengan amal kebaikan. Ini kerana kita dinilai melalui amal kita, bukannya daripada niat sahaja, bukannya daripada ilmu kita sahaja. Berapa ramai yang ada ilmu, tetapi tidak beramal? Ilmu mereka sedikit pun tidak bermanfaat buat mereka kalau begitu. Pepatah Arab ada mengatakan:

الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَر
“Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.”

فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم

maka Allah akan melihat amalmu itu,

Allah ﷻ akan melihat amalan kamu untuk dihukum nanti sama ada diterima atau tidak, bagus atau tidak. Maknanya Allah ﷻ menjadi saksi bagi amalan kita. Maka ini adalah motivasi bagi kita untuk beramal. Kalau ada orang yang kita sayang dan hormat mengatakan yang dia akan memerhatikan perbuatan kita, adakah kita buat amal itu dengan baik atau cincai-cincai sahaja? Tentu kita buat sehabis baik, bukan? Maka sekarang Allah ﷻ ingatkan kita yang Dia sedang memerhatikan amal kita.

Kalau kita beramal dengan iktikad yang kuat bahawa Allah ﷻ sedang memerhatikan kita, maka kita boleh mencapai maqam ihsan. Ini berdasarkan hadith yang masyhur (Hadith Jibril) tentang hal ini. Potongan hadith itu adalah seperti berikut:

قَالَ : فَأَخْبِرْنِيْ عَنِ الإِحْسَانِ, قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Dia (Jibril) bertanya lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”.
Nabi ﷺ menjawab,”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.”
(Sahih Muslim (8))

 

وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ

Rasul-Nya serta orang-orang mukmin

Rasul ﷺ juga akan melihat amalan kamu. Baginda akan lihat untuk menilai sama ada itu amalan mukmin atau tidak. Ini adalah ketika baginda hidup. Sekarang baginda sudah tiada lagi di dunia, bukanlah kerja baginda memerhatikan pula amalan kita.

Para mukmin lain pun akan lihat. Mereka akan lihat untuk tahu adakah ada alamat mukmin pada kamu atau tidak. Maka ini mengajar kita yang manusia lain juga menilai perbuatan kita dan menjadi saksi ke atas kita nanti. Ini berdasarkan sebuah hadith,

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ صُهَيْبٍ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ مَرُّوا بِجَنَازَةٍ فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا خَيْرًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَبَتْ ثُمَّ مَرُّوا بِأُخْرَى فَأَثْنَوْا عَلَيْهَا شَرًّا فَقَالَ وَجَبَتْ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مَا وَجَبَتْ قَالَ هَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا فَوَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَهَذَا أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا فَوَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ
[‘Abdul ‘Aziz bin Shuhaib] berkata; aku mendengar [Anas bin Malik رضي الله عنه] berkata,: “Mereka (para sahabat) pernah melewati satu jenazah lalu mereka menyanjungnya dengan kebaikan. Maka Nabi ﷺ bersabda: “Pasti baginya”. Kemudian mereka melewati jenazah yang lain lalu mereka menyebutnya dengan keburukan, maka baginda pun bersabda: “Pasti baginya”. Maka kemudian ‘Umar bin Al Khathab رضي الله عنه bertanya: “Apa yang dimaksud pasti baginya?”. Baginda menjawab: “Jenazah pertama kalian sanjung dengan kebaikan, maka pasti baginya masuk syurga sedang jenazah kedua kalian menyebutnya dengan keburukan, bererti dia masuk neraka kerana kalian adalah saksi-saksi Allah di muka bumi”.
(Sahih Bukhari (1278))

Daripada hadith ini mengajar kita ada nilainya juga persaksian orang ramai di sekeliling kita tetapi tentulah orang-orang yang baik juga.

 

وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata,

Akhirnya kamu akan dihadapkan kepada Allah ﷻ yang tahu perkara ghaib dan yang nyata. Kemudian akan diceritakan semula segala amalan kita, kecil dan besar untuk diberi markah dan dibalas sama ada dengan syurga atau neraka.

Di sini disebut الغَيبِ dan الشَّهٰدَةِ. Allah ﷻ sebut الغَيبِ dahulu kerana itulah yang membezakan antara Allah ﷻ dan makhluk. Ini kerana kalau الشَّهٰدَةِ itu, kita manusia pun boleh nampak kerana ia adalah sesuatu yang nyata. Namun dalam boleh tahu itu pun, masih lagi terbatas. Contohnya kalau tiga orang sedang bercakap serentak di hadapan kita pun kita tidak dapat menangkap apa yang mereka akan cakap.

Antara perkara ghaib yang Allah ﷻ nampak adalah niat kita semasa melakukan amalan-amalan itu. Kalau amalan baik, malah amalan yang sunnah, akan tetapi jikalau tidak ikhlas, ia pun tidak dikira juga.

 

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

Segala amalan-amalan ini akan dipersembahkan kepada kita semula dan akan dinilai. Allah ﷻ menggunakan kalimah فَيُنَبِّئُكُم yang berasal daripada kalimah نبأ yang bermaksud berita besar. Ini adalah kerana apabila amalan kita itu adalah hal penting dan besar yang akan menentukan kedudukan kita di syurga atau di neraka kelak. Maka ini mengajar kita supaya cakna sungguh dengan amalan perbuatan kita supaya ia diterima oleh Allah ﷻ.


 

TIGA ORANG YANG TERTINGGAL DI BELAKANG

Tawbah Ayat 106: Ini adalah kumpulan Mukmin yang dipulau selama 50 hari kerana tidak menyertai Perang Tabuk.

وَءآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others deferred until the command of Allāh – whether He will punish them or whether He will forgive them. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَءآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; 

Ada pula golongan mukmin yang ketiga yang dilambatkan sedikit pengampunan kepada mereka. Kumpulan ini berbeza daripada kumpulan Abu Lubabah رضي الله عنه yang cepat diterima taubat mereka. Abu Lubabah رضي الله عنه dan lain-lain terus mengikat dirinya di tiang masjid itu, akhirnya mereka telah diampunkan dan tidak lama kemudian Rasulullah ﷺ terus membuka tali mereka. Ini adalah kerana mereka secara spontan telah memberitahu dan mengaku kesalahan mereka. Namun sekarang kita belajar tentang satu lagi kumpulan yang tidak melakukan apa seperti kumpulan Abu Lubabah رضي الله عنه itu (awal-awal lagi iktiraf kesalahan mereka).

Ada tiga lagi sahabat yang tidak pergi jihad – salah seorangnya adalah Kaab bin Malik رضي الله عنه. Pengampunan kepada beliau ditangguhkan sehingga keputusan Allah ﷻ diterima. Selama 50 hari pengampunannya ditangguh. Sepanjang waktu itu, beliau dipulau oleh umat Islam yang lain. Kalau beri salam pun mereka tidak boleh dijawab. Sampaikan mereka rasa bagaikan seperti duduk negeri lain.

Waktu itu memang mereka sedih sangat. Sehinggakan kalau mereka tegur Nabi ﷺ dan beri salam, Nabi ﷺ tidak layan, tidak jawab pun salam mereka. Mereka cuma boleh jeling sahaja kepada Nabi ﷺ dan nampak Nabi ﷺ juga mengerling kepada mereka. Mereka dipulaukan kerana tidak seperjuangan dengan umat Mukmin yang lain.

Pemulauan itu kerana Allah ﷻ hendak mengajar orang lain, jihad dan infak ini bukan perkara biasa, kalau tidak pergi apabila diwajibkan, akan ada kesannya nanti. Mereka terus dipulau sampaikan ada orang Kristian ajak mereka masuk agama Kristian dan ikut mereka (kerana mereka kata umat Islam sudah tinggalkan mereka). Memang Allah ﷻ menangguhkan taubat mereka tetapi Allah ﷻ menerima juga akhirnya taubat mereka kerana mereka jujur. Tentunya mereka tidak meninggalkan agama Islam.

Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Ad-Dahhak, رضي الله عنهم dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang mengatakan bahawa mereka adalah tiga orang yang tidak ikut berperang. Dengan kata lain, mereka ditangguhkan daripada diterima taubat. Mereka adalah Mararah ibnur Rabi’, Ka’b ibnu Malik, dan Hilal ibnu Umayyah رضي الله عنهم. Mereka duduk —tidak ikut berperang dalam Perang Tabuk— bersama orang-orang lainnya yang duduk kerana malas dan cenderung kepada kehidupan yang tenang, santai, dan bermalas-malasan di bawah naungan pohon-pohon kurma yang berbuah.

 

إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم

sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka.

Sama ada Allah ﷻ akan seksa mereka kerana tidak sertai jihad atau tidak. Mereka dikenakan dengan balasan itu kerana tidak sertai Perang Tabuk sahaja, sedangkan perang-perang sebelum ini, mereka telah sertai. Maknanya bukanlah mereka itu jenis tidak pergi berjihad langsung. Ternyata mereka ini bukanlah munafik.

Kemungkinan juga Allah ﷻ terima taubat mereka kerana mereka ikhlas. Memang mereka telah bersalah tetapi mungkin Allah ﷻ terima taubat mereka kerana mereka telah mengaku sungguh-sungguh. Akan tetapi, rahmat Allah ﷻ mengalahkan murka-Nya. Kisah mereka ini akan disambung di dalam ayat lain nanti di surah ini.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Ilmu Allah ﷻ luas dan Allah ﷻ maha bijaksana, tahu mengurus hamba-Nya. Allah ﷻ tahu hati-hati hamba-Nya. Keputusan yang Allah ﷻ lakukan amat bijak. Oleh itu akhirnya Allah ﷻ terima taubat mereka kerana Allah ﷻ tahu apa yang di dalam hati mereka.


 

MASJID YANG MEMBAWA KEROSAKAN

Tawbah Ayat 107: Sekarang kita masuk kisah Masjid Dhirar bermula ayat ini sampai ke ayat 110.

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ وَإِرصادًا لِّمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ ۚ وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] those [hypocrites] who took for themselves a mosque for causing harm and disbelief and division among the believers and as a station for whoever had warred against Allāh and His Messenger before. And they will surely swear, “We intended only the best.” And Allāh testifies that indeed they are liars.

(MALAY)

Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta tempat kumpul orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).

 

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا

Dan ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan dan kekafiran

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini, bahawa dalam golongan munafik itu ada yang tinggal dan duduk tidak sertai jihad dan dalam masa yang sama, membuat perancangan untuk menghancurkan Islam. Sudahlah mereka tidak sertai jihad sokong Islam, mereka duduk di Madinah buat rancangan jahat untuk jatuhkan Islam pula dari dalam. Amat teruk sekali perangai mereka ini.

Mereka itu dulu adalah ketua-ketua puak di Madinah, dan bila Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka telah dipinggirkan dan mereka terasa hati dan sakit hati. Padahal orang bukan sokong Nabi ﷺ kerana baginda itu baru, tetapi kerana baginda memang Nabi ﷺ dan selayaknya baginda diangkat menjadi pemimpin. Yang mereka inginkan adalah pangkat dan kemasyhuran sahaja.

Mereka bukannya beriman, hanya mengaku Islam kerana semua golongan masyarakat sekeliling mereka telah masuk Islam, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengekalkan hubungan rapat dengan puak Nasara.

Masjid yang dinamakan oleh Al-Quran sebagai Masjid Dhirar ini telah menjadi simbol pergerakan golongan Munafik di Madinah. Maksud ‘dhirar’ adalah ‘menyebabkan bahaya’. Ia berasal daripada katadasar ض ر ر yang bermaksud memberi bahaya, menyakiti, mengenakan, menyusahkan, mengganggu, kesengsaraan, kebuluran, kemiskinan, kerugian, memaksa.

Kalimah ضِرَارٌ dan ضَرَرٌ dua-dua membawa maksud ‘menyebabkan bahaya’. Cuma kalau ia bermaksud yang bawa bahaya itu dapat faedah; tetapi jikalau ضِرَارٌ digunakan ia bermaksud yang membawa bahaya itu tidak mendapat faedah pun daripada usahanya. Maka begitulah nasib masjid ini nanti.

Golongan Munafik itu bertujuan memecah-belahkan umat Islam, melemahkan kekuatan Islam dan menentang Allah ﷻ dan Rasul-Nya dari masjid tersebut. Pendiri masjid ini ialah Abu Amir ar-Rahib, seorang pembesar Khazraj yang beragama Nasrani. Dia tidak pernah memeluk Islam, bahkan terlibat bersama Musyrikin Mekah dalam Perang Badar (2H), Perang Uhud (3H) dan Perang Khandak (5H) untuk memerangi Islam. Namun begitu, sebaliknya anaknya yang bernama Hanzalah رضي الله عنه adalah seorang sahabat yang hebat.

Abu Amir ini adalah seorang yang alim dalam Bible. Dia amat sakit hati terhadap Islam. Apabila Nabi Muhammad ﷺ sampai ke Madinah, dia telah berpindah ke Mekah. Ada kalangan para sahabat yang dulu sebelum masuk Islam telah memeluk agama Nasara dan dia telah kempen kepada mereka untuk kembali kepada Nasara.

Apabila Islam semakin berkembang, dia telah pergi Syria. Namun dia masih menjalinkan hubungan dengan sesetengah puak munafik yang berada di Madinah. Dialah yang membuat perancangan dengan puak munafik untuk membina masjid itu. Dialah juga yang menjadikan puak munafik itu sebagai mata-mata gelap yang melaporkan apa yang terjadi di Madinah dan dalam Islam. Oleh itu, mereka membina masjid hanya untuk membahayakan Islam dan menguatkan kekufuran. Masjid itu tidak jauh pun dari Masjid Quba’.

Abu Amir ar-Rahib mengajarkan orang Madinah tentang Nasrani dan mempengaruhi mereka untuk menentang Islam. Oleh kerana gerakannya gagal, dia akhirnya menerobos masuk dalam kalangan orang Islam untuk mengkhianati Islam dari dalam.

Puak Nasara itulah yang mengajar golongan Munafik bagaimana untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka ajar supaya golongan munafikin itu mendirikan tempat berkumpul dulu, tempat untuk puak Nasara boleh menghantar mata-mata gelap bagi mengintip pergerakan puak Muslim. Bila sudah ada pos itu, mereka boleh buatlah buat mesyuarat di situ, senang membuat perancangan bagi menjatuhkan Islam. Jikalau buat di tempat lain yang bukan masjid, nanti timbul persoalan pula kerana di zaman itu tempat berkumpul adalah di masjid.

Oleh itu puak munafik telah mendirikan masjid dan mengajak Nabi ﷺ rasmikan. Waktu itu Nabi ﷺ sedang sibuk sebab sedang membuat persediaan untuk Perang Tabuk dan baginda kata, nanti balik barulah dirasmikan. Namun begitu, semasa dalam perjalanan pulang itulah Allah ﷻ mengwahyukan kepada baginda agar jangan pergi ke masjid itu untuk merasmikannya. Baginda juga diberitahu supaya jangan solat di masjid itu kerana masjid itu telah dibina untuk merosakkan Islam.

Oleh kerana itu, hendaklah diruntuhkan masjid itu dan kerana itu Nabi ﷺ mengarahkan sahabat untuk merobohkan masjid itu. Munafik yang terlibat dalam pembinaan masjid itu, terus lari meninggalkan Madinah kerana rahsia mereka telah terbongkar. Masjid itu dinamakan sebagai ‘Masjid Dhirar’ kerana ada orang hendak gunakan masjid untuk musnahkan Islam.

 

وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ

dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin

Tujuan mereka membina Masjid Dhirar itu adalah untuk memecahbelahkan umat Islam. Ini kerana apabila ada dua masjid, maka umat akan berpecah, ada pergi solat di sini dan di sana. Ini tidak patut terjadi kerana sepatutnya solat berjemaah di sebuah masjid sahaja. Yang mereka hendak saingi adalah Masjid Quba’ yang berdekatan dengannya.

Sebagaimana yang telah didedahkan oleh Al-Qur’an bahawa Masjid Dhirar yang didirikan oleh golongan munafik adalah penzahiran sikap mereka yang selama ini memerangi Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Masjid ini dijadikan markas/pos untuk memecah-belahkan umat Islam, mengembangkan kekafiran, mendatangkan kemudharatan kepada Islam dan menjadi tempat berkumpul musuh-musuh Allah ﷻ. Mereka membentuk pergerakan anti-Islam atas nama masjid dan cuba memperalatkan Nabi ﷺ supaya bersolat di masjid mereka sebagai pengiktirafan, sekali gus mengelirukan orang Mukmin terhadap pergerakan jahat mereka.

 

وَإِرصادًا لِّمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ

serta tempat kumpul orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. 

Masjid itu dibina untuk dijadikan tempat pengintipan, sebagai pos, sebagai markas bagi orang kafir Nasara yang memerangi Allah ﷻ dan Rasul sebelum ini pun lagi. Ini kerana Abu Amir ini memang memusuhi Rasulullah ﷺ dan Islam sejak dari awal. Abu Amir lah yang telah pergi ke Mekah dan mengajak Musyrikin Mekah untuk menyerang Madinah sehingga terjadinya Perang Uhud. Dialah juga yang telah mengadakan pakatan sulit dengan Kaisar Rom, Heraclius untuk memerangi Islam.

Masjid Dhirar itu dijadikan sebagai tempat mengintip dan sebagai tempat serang hendap. Maka sebenarnya ia bukanlah masjid pun, tetapi markas sahaja yang dikelabui sebagai ‘masjid’. Tujuan mereka dirikan adalah supaya nanti apabila musuh datang dari luar, sudah ada tempat mereka hendak mendarat dan tempat mereka buat serangan hendap nanti.

 

وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ

Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan”.

Mereka bersumpah dengan nama Allah ﷻ, tidak ada tujuan lain mereka bina masjid itu tetapi untuk kebaikan Islam. Memang kalau bahagian sumpah memang mereka pandai, sikit-sikit sumpah dengan nama Allah ﷻ. Mereka bersumpah itu supaya orang percaya dengan helah mereka itu.

 

وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta

Nabi ﷺ dan para mukmin lain tidak tahu apakah dalam hati mereka. Tambahan pula mereka telah bersumpah dengan nama Allah ﷻ. Akan tetapi Allah ﷻ sendiri beritahu yang mereka itu menipu sahaja. Sekarang Allah ﷻ telah pecahkan tembelang mereka. Cukup Allah ﷻ menjadi saksi bahawa mereka itu bohong belaka. Kalau Allah ﷻ sudah beritahu, hendak cakap apa lagi?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 102 – 103 (Kelebihan mengakui dosa)

MEREKA YANG DIMAAFKAN

Tawbah Ayat 102: Allah ﷻ menjelaskan keadaan orang-orang munafik yang tidak ikut berperang kerana tidak suka berjihad, dan mendustakan serta meragukannya, kemudian Allah ﷻ terangkan tentang keadaan orang-orang yang berdosa, iaitu mereka yang tidak ikut berjihad kerana malas dan cenderung kepada keadaan yang santai, padahal mereka beriman dan membenarkan perkara yang hak.

Berkenaan jihad, umat Islam di zaman Rasulullah ﷺ itu terbahagi kepada beberapa golongan. Kita boleh simpulkan sebegini:

1. Ada yang terus berjihad tanpa soal. Ini adalah golongan terbaik.

2. Ada yang teragak-agak pada mulanya, tetapi kemudian menyertai jihad itu. Ini ada disebutkan di dalam ayat 117 nanti.

3. Ada yang memang tidak mampu untuk menyertainya dan mereka ini telah disebut di dalam ayat 91 sebelum ini.

4. Mereka yang tidak pergi kerana tidak ada alasan tetapi kerana malas. Ini disebut di dalam ayat ini (102) dan di dalam ayat 106 dan 118 nanti.

5. Golongan munafik yang tidak menyertai jihad kerana degil dan tidak taat. Mereka ini telah disebut di dalam banyak ayat sebelum ini.

وَءآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم خَلَطوا عَمَلًا صٰلِحًا وَءآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others who have acknowledged their sins. They had mixed [i.e., polluted] a righteous deed with another that was bad.¹ Perhaps Allāh will turn to them in forgiveness. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • This refers to their having previously taken part in jihād but having abstained on the occasion of Tabūk.

(MALAY)

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

 

وَءآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka,

Golongan mukmin juga ada dua golongan: ada orang mukmin yang pernah buat silap. Ini adalah perkara biasa kerana semua manusia ada membuat kesalahan. Ini adalah kerana kita bukan maksum. Namun, golongan mukmin yang membuat kesilapan yang terbaik adalah sahabat Nabi ﷺ kerana apabila mereka melakukan kesalahan, mereka terus minta maaf.

Mereka mengaku yang mereka ada membuat salah dan terus meminta ampun. Ada sahabat yang bernama Abu Lubabah رضي الله عنه yang tidak pergi berjihad di Tabuk, tetapi apabila para sahabat pulang dari Tabuk, beliau memasuki masjid dan terus menambatkan dirinya ke tiang. Beliau berkata jikalau Allah ﷻ tidak mengampuninya, beliau akan tetap di situ biarlah sehingga mati kering pun. Beliau telah berdoa kepada Allah ﷻ dengan mengaku yang beliau telah berbuat salah. Akhirnya Allah ﷻ telah maafkan.

Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Apabila kita berbuat dosa, mengaku dosa itu dan minta ampun. Ini kita akan selalu lakukan kerana kita memang makhluk yang sentiasa melakukan dosa.

Rasulullah ﷺ telah bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan

خَلَطوا عَمَلًا صٰلِحًا وَءآخَرَ سَيِّئًا

mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk.

Mereka ini walaupun mereka telah membuat kesalahan kerana tidak pergi berjihad ke Tabuk, tetapi mereka itu bukanlah munafik. Mereka cuma malas, lalai dan leka sahaja. Mereka telah mencampurkan amalan baik dan ada yang tidak baik. Mereka solat dan juga melakukan ibadah-ibadah yang lain. Yang dimaksudkan amalan tidak baik dalam ayat ini adalah tidak pergi Perang Tabuk. Mereka ini tidak memberi alasan tetapi terus sahaja mengaku salah.

Ibnu Abbas رضي الله عنهما telah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: dan (ada pula) orang-orang lain. (At-Tawbah: 102) Menurutnya ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Lubabah رضي الله عنه dan sejumlah orang dalam kalangan teman-temannya yang tidak ikut berperang dengan Rasulullah ﷺ dalam Perang Tabuk.

Menurut sebahagian ulama’, mereka terdiri daripada Abu Lubabah رضي الله عنه dan lima orang temannya. Sedangkan pendapat yang lainnya lagi mengatakan tujuh orang bersama Abu Lubabah رضي الله عنه, dan menurut yang lainnya lagi adalah sembilan orang bersama Abu Lubabah رضي الله عنه. Maka kita boleh katakan lebih kurang sepuluh orang yang sebegini.

Ketika Rasulullah ﷺ kembali daripada perangnya, mereka mengikat diri ke tiang-tiang masjid dan bersumpah bahawa tidak boleh ada orang yang melepaskan mereka kecuali Rasulullah ﷺ sendiri. Ketika Allah ﷻ menurunkan ayat ini, iaitu firman-Nya: Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka. (At-Tawbah:102) Maka Rasulullah ﷺ melepaskan ikatan mereka dan memaafkan mereka.

Maksudnya, mereka mengakui dosa-dosa yang mereka lakukan terhadap Tuhan, tetapi mereka mempunyai amal perbuatan lain yang soleh. Mereka telah mencampurbaurkan amal yang baik dan yang buruk. Mereka adalah orang-orang yang masih berada di bawah pemaafan dan pengampunan Allah ﷻ. Peperangan lain mereka telah pergi, cuma Perang Tabuk ini sahaja mereka culas. Contohnya Abu Lubabah رضي الله عنه memang telah menyertai Perang Badr seperti disebut dalam Musnad Ahmad,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ كُنَّا يَوْمَ بَدْرٍ كُلُّ ثَلَاثَةٍ عَلَى بَعِيرٍ كَانَ أَبُو لُبَابَةَ وَعَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ زَمِيلَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَكَانَتْ عُقْبَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَقَالَا نَحْنُ نَمْشِي عَنْكَ فَقَالَ مَا أَنْتُمَا بِأَقْوَى مِنِّي وَلَا أَنَا بِأَغْنَى عَنْ الْأَجْرِ مِنْكُمَا
Daripada [Abdullah bin Mas’ud] beliau berkata; Ketika perang Badar setiap tiga orang daripada kami menaiki satu ekor unta. Ketika itu Abu Lubabah dan Ali bin Abi Thalib رضي الله عنهما dibonceng Rasulullah ﷺ, beliau berkata; Bergantian bersama Rasulullah ﷺ. Dia berkata; Mereka berdua berkata; Biarkan kami berjalan menggantikan engkau. Lalu baginda bersabda: “Kalian tidaklah lebih kuat daripada aku dan aku tidak memerlukan balasan daripada kalian.”
(Musnad Ahmad (3706))

Ayat ini sekalipun diturunkan berkenaan dengan orang-orang tertentu, tetapi pengertiannya umum mencakup seluruh orang yang berbuat dosa lagi bergelumang dalam kesalahannya, serta mencampurbaurkan amal baik dan amal buruknya, hingga diri mereka tercemari oleh dosa-dosa.

Begitulah kita, bukan? Solat pun ya, pergi karaoke pun ya juga. Kerana kita masih lagi dalam proses untuk memperbaiki diri. Yang penting kita iktiraf kesalahan dosa kita dan kemudian membaiki diri kita. Cara yang terbaik untuk meminta ampun kepada Allah ﷻ adalah dengan melakukan amal kebaikan untuk menampung dosa yang kita telah lakukan. Ini seperti yang Allah ﷻ telah berfirman di dalam Hud: 114

إِنَّ الحَسَناتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk

Ini dikuatkan lagi dengan hadith di bawah:

Daripada Abu Zar al-Ghiffari dan Mu’az bin Jabal رضي الله عنهما berkata, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا
“Sertakanlah setiap dosa (dosa kecil) yang kamu lakukan dengan kebaikan (amal soleh) yang mana kebaikan itu akan menghapuskan dosa tersebut.”
(Riwayat al-Tirmizi (1987))
Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan sahih

Di dalam hadith yang lain,

Daripada Abu Bakar al-Siddiq رضي الله عنه berkata, dia mendengar Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا، فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ، إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ، ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ: {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ} [آل عمران: 135] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ
“Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba Allah) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wudhunya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan Allah ﷻ akan mengampunkan dosanya. Setelah itu, Nabi ﷺ membaca ayat 135 daripada surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah.” sehingga ke akhir ayat tersebut.”
(Riwayat Abu Daud (1521))
Status: Sahih

Namun janganlah pula salah caranya. Janganlah buat rancangan sebegini: “Aku buat dosa ni dulu, nanti aku solat taubatlah lepas tu!” Ini salah sama sekali kerana niat pun sudah buruk.

Ayat yang menjadi berita baik bagi kita adalah Ali Imran: 135 seperti yang disebut oleh Rasulullah di dalam hadith di atas:

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Daripada ayat Ali Imran ini kita dapat tahu cara untuk mendapatkan pengampunan daripada Allah ﷻ. Pertama, kena ذَكَرُوا اللَّهَ (ingat kepada Allah ﷻ) iaitu ingat kembali bahawa kita telah melakukan kesalahan. Kita hendaklah minta ampun kepada Allah ﷻ dengan segera.

Kemudian hendaklah terus berhenti daripada melakukan dosa itu dan hendaklah ada azam untuk tidak melakukannya lagi. Itulah maksud لَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا (tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu).

Namun bagaimana kalau kita ulang semula dosa yang sama? Ini ada terjadi juga, bukan? Di sinilah kita boleh saksikan rahmat Allah ﷻ. Allah ﷻ kata لَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا (tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu) dan bukanlah ‘tidak ulang’. Kalau Allah ﷻ gunakan kalimah ‘ulang’, maka teruklah kita. Yang penting semasa kita bertaubat itu memang kita benar-benar menyesal dan berazam tidak mahu melakukannya. Akan tetapi kita manusia yang lemah, kadangkala kita gagal dan melakukan lagi dosa yang sama. Ini pun Allah ﷻ masih boleh ampun seperti disebut di dalam hadith berikut:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ
Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diriku.” Lalu Allah ﷻ menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhanku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah ﷻ menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhanku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah ﷻ menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.
(Riwayat Bukhari (7507))

Maka jangan sesekali ada putus asa dengan rahmat daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh sahaja ampunkan dosa hamba-hamba-Nya asalkan mereka ikhlas bertaubat. Allah ﷻ berfirman di dalam Zumar: 53

۞ قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم

Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. 

Allah ﷻ berfirman, mudah-mudahan Allah ﷻ akan terima taubat mereka. Maknanya, ada harapan untuk mereka diampunkan. Memang mereka akhirnya telah diampunkan kerana keikhlasan mereka.

Ini kerana makna kalimah عَسَى itu asalnya adalah ‘mudah-mudahan’. Kalau untuk manusia, ia mudah-mudahan, akan tetapi apabila ia disandarkan kepada Allah ﷻ, maka ia bermaksud ‘pasti’. Kerana itulah Rasulullah ﷺ telah mengarahkan supaya mereka dibebaskan daripada hukuman yang mereka sendiri kenakan ke atas diri mereka

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Allah ﷻ sanggup menerima permintaan ampun mereka kerana Dia memang bersifat Maha Pengampun dan amat sayangkan hamba-Nya. Allah ﷻ sayang terutama kepada mereka yang mengaku kesalahan yang telah dilakukan.

Selepas Allah ﷻ sebut Dia غَفورٌ, Allah ﷻ terus sebut yang Dia juga رَّحيمٌ. Ini bermakna yang selepas Allah ﷻ mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya itu, Dia akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya. Dia akan kasih kembali kepada hamba yang telah bertaubat itu. Ini seumpama orang yang buat salah kepada kita kemudian minta maaf, kita bagi hadiah pula kepadanya. Tentulah ini tidak berlaku, bukan? Namun begitulah Allah ﷻ amat pemurah kepada hamba-Nya.

Ini kerana Allah ﷻ hendak memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Hendaklah segera bertaubat agar segera mendapat kembali belas kasihan daripada Allah ‎ﷻ.


 

Tawbah Ayat 103: Sebelum ini telah ada disebut tentang hukum zakat. Sekarang disebut hikmah zakat pula.

خُذ مِن أَموٰلِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها وَصَلِّ عَلَيهِم ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُم ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take, [O Muḥammad], from their wealth a charity by which you purify them and cause them increase, and invoke [Allāh’s blessings] upon them. Indeed, your invocations are reassurance for them. And Allāh is Hearing and Knowing.

(MALAY)

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

خُذ مِن أَموٰلِهِم صَدَقَةً

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka,

Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan mengambil harta zakat daripada mereka yang layak untuk mengeluarkan zakat. Bukanlah semua harta, hanya sebahagian sahaja kerana kalimat yang digunakan adalah خُذ مِن أَموٰلِهِم bukannya خُذ أَموٰلِهِم. Dalam hal ini, jangan susahkan sesiapa. Maksudnya, orang yang keluarkan zakat tidak perlu pergi untuk menghulurkan zakat dan orang yang sepatutnya menerima zakat, tidak perlu pergi untuk meminta zakat.

Oleh itu, mestilah dilantik orang yang tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin. Dengan cara begini, orang itu tahu dengan siapa yang dia patut ambil zakat dan siapa yang dia patut agihkan bahagian zakat itu. Inilah cara zaman Nabi dan sahabat.

Tugas ini perlu diteruskan oleh khalifah atau pemerintah Islam. Pemerintah hendaklah melantik amil untuk selidik kemudian mengambil zakat daripada orang kaya lalu diagihkan kepada kepada orang miskin. Oleh itu, orang kaya tidak perlu bersusah payah untuk keluar menguruskan harta zakat mereka manakala orang miskin juga tidak perlu keluar untuk mendapatkan hak bahagian zakat mereka. Semuanya diuruskan oleh amil yang dilantik.

Agak malang sekali, di zaman sekarang sahaja tidak ada amalan ini disebabkan ilmu dalaman masing-masing yang lemah. Orang kita termasuk yang menguruskan zakat cetek ilmu tentang perkara ini.

Allah ‎ﷻ memerintahkan Rasul-Nya untuk mengambil zakat daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka melalui zakat itu. Pengertian ayat ini umum, sekalipun sebahagian ulama mengembalikan dhomir yang terdapat pada lafaz amwalihim kepada orang-orang yang mengakui dosa-dosa mereka dan yang mencampurbaurkan amal soleh dengan amal buruknya.

Maka literal ayat ini Nabi ﷺ yang mengambil bahagian zakat itu daripada orang kaya. Kerana itulah ada sebahagian orang yang enggan membayar zakat dalam kalangan orang-orang Arab Badwi (selepas kewafatan baginda) kerana mereka kata, pembayaran zakat bukanlah kepada imam, dan hanya khusus bagi Rasulullah ﷺ. Mereka berhujah dengan firman Allah ‎ﷻ yang mengatakan:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka. (At-Taubah: 103),

Mereka kata kalimah خُذْ itu hanya dikhususkan kepada Rasulullah ﷺ sahaja, maka apabila Rasulullah ﷺ sudah tiada, mereka kata tidak perlu bayar zakat lagi kepada khalifah. Pemahaman dan takwil yang salah ini dijawab dengan tegas oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه dan sahabat lainnya dengan memerangi mereka, hingga mereka mahu membayar zakat kepada khalifah.

Hujah mereka itu bahaya kerana kalau mereka berdalilkan kepada ayat ini, maka bagaimana pula dengan solat? Adakah nanti mereka kata solat itu hanya pada waktu Rasulullah ﷺ masih hidup sahaja kerana ada ayat yang dikhitab kepada baginda sahaja? Lihat Isra’: 78

أَقِمِ الصَّلاةَ لِدُلوكِ الشَّمسِ إِلىٰ غَسَقِ اللَّيلِ وَقُرآنَ الفَجرِ
Dirikanlah solat daripada sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh.

 

تُطَهِّرُهُم

dengan zakat itu kamu membersihkan

Ini adalah hikmah yang pertama untuk mengeluarkan zakat. Zakat itu untuk membersihkan mereka dalam kehidupan harta iaitu membersihkan harta daripada perkara-perkara gharar (syak atau keraguan ia didapati dengan cara halal atau tidak). Ini kerana jika tidak diambil zakat itu, harta itu tercemar dan akan menyebabkan susah pula nanti di akhirat.

Sebagai contoh, katakanlah kita berniaga makanan dan minuman. Kadang-kadang kita terbuat silap, buat air minuman tetapi terlupa pula untuk meletakkan gula. Maka pelanggan itu tidak jadi minum tetapi dia bayar juga harga minuman itu. Maka perkara itu sudah termasuk dalam harta yang gharar; ataupun kita kerja makan gaji yang dibayar mengikut tempoh masa bekerja, tetapi ada masa kita tidak bekerja ketika waktu bekerja itu; mungkin bersembang atau sibuk dengan perkara lain yang bukan perkara kerja, namun kita tetap dibayar gaji penuh. Maka harta sebegini perlulah dibersihkan.

 

وَتُزَكّيهِم بِها

dan menyucikan mereka

Ini adalah hikmah zakat yang kedua. Dengan pemberian zakat itu, dapat menyucikan hati mereka daripada sifat-sifat yang tidak baik seperti tiada kasihan belas kepada orang; zalim (kerana simpan harta yang hak orang miskin) dan sebagainya;

Maka kena beritahu kepada manusia kepentingan zakat itu kerana ia dapat membersihkan harta kita serta membersihkan hati kita juga. Inilah hikmah sebagai motivasi kepada mereka yang layak mengeluarkan zakat. Allah ﷻ juga berfirman di dalam Layl: 17-19 tentang hal ini dengan memberi berita gembira kepada mereka,

وَسَيُجَنَّبُهَا الأَتقَى
Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling taqwa dari neraka itu,

الَّذي يُؤتي مالَهُ يَتَزَكّىٰ
yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya,

وَمَا لِأَحَدٍ عِندَهُ ۥ مِن نِّعمَةٍ تُجزَىٰٓ
padahal tidak ada seseorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya,

Dari sini kita dapat tahu yang Zakat bukanlah cukai yang diberikan kepada kerajaan tetapi ia adalah ibadah. Kerana itu Allah ‎ﷻ berikan ganjaran penyucian harta dan pembersihan jiwa. Tujuannya bukanlah untuk urusan pentadbiran kerajaan akan sebaliknya untuk kebaikan pemberi Zakat itu sendiri.

Seperti kita tahu Zakat ini memberi juga kebaikan kepada orang yang menerimanya. Namun tidak disebut di dalam ayat ini. Maka yang hendak ditekankan adalah kelebihan kepada pemberi Zakat. Kebaikan kepada penerima Zakat itu boleh dikatakan sebagai bonus (tambahan). Oleh itu, kalaulah tidak ada penerima Zakat (mungkin kerana semua kaya raya) akan tetapi ibadah Zakat tetap ada.

 

وَصَلِّ عَلَيهِم

dan doalah untuk mereka. 

Ini adalah hikmah yang ketiga. Orang yang mengeluarkan zakat akan mendapat doa daripada Rasulullah ﷺ iaitu doa pengampunan rahmat buat mereka. Oleh itu apabila ambil zakat daripada pengeluar zakat, doakanlah untuk mereka.

Imam Muslim رحمه الله di dalam kitab Sahih-nya telah meriwayatkan melalui Abdullah ibnu Abu Aufa رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ apabila menerima zakat daripada suatu kaum, maka baginda berdoa untuk mereka. Lalu datanglah ayahku (perawi) dengan membawa zakatnya, maka Rasulullah ﷺ berdoa:

“اللَّهُمَّ صَل عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى”
Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada keluarga Abu Aufa.
(Sahih Muslim (1078))

Di dalam hadith ini, Rasulullah ﷺ menggunakan kalimah صَل yang bermaksud doa meminta pengampunan dan rahmat. Memang asal kalimah itu bermaksud doa. Namun kemudian kalimah ini telah menjadi istilah syarak yang menjadi solat. Maka ulama’ mengatakan tidak boleh bagi kita untuk mengucapkan kalimah صَل ini lagi. Hanya Rasulullah ﷺ sahaja yang boleh mengucapkannya.

 

إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُم

Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.

Doa itu penting kerana doa baginda itu mententeramkan hati mereka. Ini adalah kerana mereka tahu yang doa Nabi ﷺ memang makbul. Kalimah سَكنٌ daripada katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Maka kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Untuk zaman sekarang, Nabi ﷺ tidak doakan untuk pemberi zakat lagi. Namun begitu masih lagi pemberi zakat menerima doa mereka yang menerima zakat itu. Orang yang menerima zakat pun kena buat begitu juga: doakan kelebihan kepada orang yang beri zakat. Janganlah hanya terima sahaja dan makan sahaja harta itu. Ingatlah kepada orang yang memberikan. Maka ini mengajar kita untuk mendoakan buat orang yang telah memberi kepada kita. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,
لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ
“Tidak dikatakan bersyukur kepada Allah ﷻ bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia.”
(Sunan Abu Daud, No. 4811 dan Tirmidzi, No. 1954)
Syeikh Al-Albani رحمه الله mengatakan bahawa hadith ini sahih

Antara doa yang kita boleh ucapkan ketika menerima pemberian orang adalah seperti berikut,

بَارَكَ اللهُ لَكَ فِيْ أَهْلِكَ وَمَالِك
“Semoga Allah ﷻ memberkahimu dalam keluarga dan hartamu.”
(Sahih Bukhari No. 1856)

Atau apa-apa doa di dalam Bahasa Melayu pun boleh. Asalkan ia datang daripada hati yang ikhlas. Cuma janganlah ‘paksa’ orang mendoakan kita seperti buat Majlis Doa Selamat dan sebagainya. Tidak perlu mintakan orang doakan kita, biarkan sahaja mereka hendak doa atau tidak. Antara cara orang kita ‘paksa’ orang lain mendoakan mereka adalah dengan membuat majlis kenduri untuk pergi Umrah atau Haji supaya orang lain mendoakan mereka selamat pergi dan selamat balik. Ini sebenarnya tidak patut dilakukan.

Daripada ayat ini ada ulama’ yang mengatakan para pemimpin wajib untuk mendoakan bagi pemberi Zakat itu sebagai cara yang benar mengikut Sunnah Rasulullah ini. Akan tetapi ada juga yang mengatakan ia sunat sahaja.

Kesimpulannya, daripada hikmah-hikmah yang Allah ﷻ sebutkan tentang zakat ini, maka ia mengajar kita bahawa pengeluaran zakat itu sebenarnya adalah kebaikan untuk diri kita sendiri sebenarnya. Memang secara zahirnya golongan Asnaf itu yang jelas mendapat manfaat namun jangan fikir mereka sahaja mendapat manfaat, sebaliknya kita yang memberi ini yang lebih banyak mendapat manfaat. Maka kita sebenarnya kena berterima kasih kepada mereka kerana memberi peluang kepada kita untuk mendapat segala kelebihan-kelebihan seperti yang telah disebut.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ﷻ maha mendengar rintihan hati manusia yang memerlukan; Allah ‎ﷻ maha mendengar doa hamba-Nya; dan Allah ﷻ maha mengetahui apa yang diperlukan oleh hamba-Nya.

Ada pendapat yang mengatakan asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Abu Lubabah رضي الله عنه juga. Ini adalah kerana beliau ingin memberikan keseluruhan hartanya selepas diampunkan oleh Allah ﷻ di dalam ayat sebelumnya. Akan tetapi Rasulullah ﷺ tidak mahu menerimanya melainkan sepertiga sahaja. Ini seperti disebut di dalam Musnad Ahmad,

أَخْبَرَنِي ابْنُ شِهَابٍ أَنَّ الْحُسَيْنَ بْنَ السَّائِبِ بْنِ أَبِي لُبَابَةَ أَخْبَرَ أَنَّ أَبَا لُبَابَةَ بْنَ عَبْدِ الْمُنْذِرِ لَمَّا تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ مِنْ تَوْبَتِي أَنْ أَهْجُرَ دَارَ قَوْمِي وَأُسَاكِنَكَ وَإِنِّي أَنْخَلِعُ مِنْ مَالِي صَدَقَةً لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجْزِئُ عَنْكَ الثُّلُثُ
[Ibnu Syihab] [Al Husain bin As Sa’ib bin Abu Lubabah] mengabarkan [Abu Lubabah bin Abdul Mundzir] ketika Allah ﷻ menerima taubatnya. Baliau berkata; “Wahai Rasulullah, sebagai kesan taubatku, aku akan menghindari rumah kaumku dan aku akan tinggal bersama engkau, aku akan melepaskan hartaku sebagai sedekah kepada Allah dan rasul-Nya.” Rasulullah ﷺ bersabda: “Cukuplah bagimu sepertiganya.”
(Musnad Ahmad (15190))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 100 – 101 (Balasan kepada munafik)

GOLONGAN TERAWAL

Tawbah Ayat 100: Sebelum ini disebut tentang Arab Badwi yang bagus dan baik. Sekarang ini disebut pula golongan baik secara umum pula.

وَالسّٰبِقونَ الأَوَّلونَ مِنَ المُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسٰنٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ وَأَعَدَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري تَحتَهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the first forerunners [in the faith] among the Muhajireen¹ and the Ansar² and those who followed them with good conduct – Allah is pleased with them and they are pleased with Him, and He has prepared for them gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide forever. That is the great attainment.

  • Those who emigrated from Makkah and settled in Madīnah for the cause of Islam.
  • The inhabitants of Madinah who had accepted Islam and assisted the Prophet (s) and other emigrants upon their arrival there.

(MALAY)

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.

 

وَالسّٰبِقونَ الأَوَّلونَ مِنَ المُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar

Sekarang Allah ﷻ memperkatakan tentang orang Mukmin pula. Mereka ada tiga golongan.

Ada yang paling hebat yang tidak dipertikaikan lagi, iaitu golongan yang mula-mula menjadi anak murid Nabi (السّابِقونَ). Golongan pertama adalah dari Mekah dan golongan kedua adalah dari Madinah. Merekalah yang mula-mula masuk Islam dalam kalangan Muhajirin dan mula-mula masuk Islam daripada Ansar. Waktu itu orang lain tidak masuk Islam lagi, merekalah yang mula-mula masuk. Mereka itu betul-betul hendak mendekatkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Mereka itu yang mula belajar Al-Qur’an, tauhid, beriman dengan Nabi, sebelum orang lain lagi.

Allah ﷻ tidak sebut ‘orang Mekah’ dan ‘orang Madinah’ sebaliknya menggunakan gelaran Muhajirin dan Ansar. Ini adalah kerana kelebihan mereka itu bukan terletak pada tempat asal mereka. Memang bukan tempat yang penting, tetapi hebatnya mereka adalah kerana sifat mereka. Kerana sifat mereka itulah yang meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah ‎ﷻ.

Satu pihak (iaitu Muhajirin) mereka sanggup berhijrah ke Madinah demi menjaga agama mereka dan satu pihak pula (Ansar) sanggup menerima dan membantu golongan yang berhijrah itu. Mereka tegakkan tauhid supaya orang lain pun kenal Allah ﷻ juga. Mereka adalah orang yang terawal dalam kalangan masyarakat mereka. Mereka mengambil langkah untuk beriman dan tidak takut dengan kesan daripada tindakan mereka itu.

Maka kalau ikut susunan ini, 3 golongan ini mengikut keutamaan mereka adalah:

1. Muhajirin
2. Ansar
3. Yang selain mereka dan mengikuti mereka

Tafsiran yang kedua mengatakan dalam kalangan Muhajirin dan Ansar ini ada yang tergolong sebagai السّٰبِقونَ (yang mendahului). Maka mereka inilah golongan yang pertama. Golongan kedua pula adalah yang selain mereka daripada Muhajirin dan Ansar juga. Maka kalau ikut susunan ini, begini pula:

1. Muhajirin dan Ansar yang السّٰبِقونَ
2. Muhajirin dan Ansar yang selebihnya
3. Yang selain mereka dan mengikuti mereka

Lalu siapakah pula yang digolongkan sebagai السّٰبِقونَ itu? Para pentafsir memberikan berbagai-bagai pilihan. Antaranya:

1. Yang solat kepada dua qiblat. Maka mereka ini yang Muslim sebelum pertukaran qiblat dari MasjidilAqsa ke Ka’bah. Ini adalah pendapat Sa’id al-Musayyab dan Qatadah
2. Mereka yang menyertai Perang Badar. Ini adalah pendapat Ata’ ibn Abi Rabah
3. Mereka yang mengangkat Sumpah Bai’atur Ridwan (di Hudaybiyah). Ini adalah pendapat Sha’bi.

Tafsiran lain membahagikan kepada dua golongan sahaja:

1. Yang terawal dalam kalangan Muhajirin dan Ansar. Ini adalah kerana mereka itu golongan sahabat. Iman dan amal mereka melebihi golongan Muslim yang lain selama-lamanya yang tidak akan dapat ditandingi.
2. Yang selain mereka dan mengikuti mereka. Ini adalah golongan Muslim yang akan ada sehinggalah ke hari Kiamat.

Ada yang menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan semua para sahabat itu adalah ahli syurga, walaupun mereka ada melakukan dosa. Ini kerana selepas ini akan disebut رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم. Ini dikuatkan lagi dengan ayat daripada Hadid: 10

لا يَستَوي مِّنكُم مَّن أَنفَقَ مِن قَبلِ الفَتحِ وَقٰتَلَ ۚ أُولٰئِكَ أَعظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذينَ أَنفَقوا مِن بَعدُ وَقٰتَلوا ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللهُ الحُسنىٰ
Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik.

Oleh itu, kena faham yang kedudukan sahabat ini bukan biasa-biasa. Beringatlah agar kita jangan celupar mulut dengan menghina mereka.

Apa pun yang terhebat adalah السّٰبِقونَ itu. Merekalah yang mula-mula menjadi contoh. Kita juga kadang-kadang boleh berada dalam pihak ini juga kerana kadang-kadang dalam kampung kita, dalam keluarga kita, kitalah yang mula-mula sekali mengambil jalan Sunnah. Orang lain pandang serong sahaja tetapi kita yang buka hati kita untuk menerima jalan sunnah ini.

Ada yang kata kita sesat, ada yang kata kita Wahabi. Sebaliknya kita tidak kisah sangat, walaupun sakit hati juga. Namun kita tetap dengan pendirian kita berpegang kepada Tauhid dan Sunnah, tidak kira apa orang kata. Memang golongan yang awal akan menerima tekanan dan ujian yang berat seperti golongan Muhajirin yang berasal di Mekah itu.

 

وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسٰنٍ

dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik,

Golongan yang ketiga adalah golongan yang mengikuti dua golongan yang telah disebut tadi. Manakala kita ini pula sudah tidak ada peluang lagi untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah dan tidak berpeluang menjadi mereka yang membantu golongan Muhajirin itu. Itu adalah kelebihan mereka yang tidak akan ada lagi.

Akan tetapi, kita masih lagi boleh termasuk dalam golongan yang ketiga ini. Kita boleh menjadi golongan yang ikut mereka kerana masa telah berlalu. Para sahabat yang awal sudah menjadi tokoh yang kita patut ikuti. Mereka telah menyempurnakan janji Allah ‎ﷻ. Untuk zaman kita ini ada yang ikut dan ada yang tidak.

Syarat untuk menjadi golongan ini adalah dengan mengikut kehendak iman dan mengikut cara sahabat dengan tepat dan ikhlas (بِإِحسانٍ). Iaitu kita belajar bagaimana mereka mengamalkan agama dan kita ikuti, janganlah ditambah-tambah pula.

Malangnya, masyarakat kita banyak yang suka menambah-tambah. Macam tidak cukup pula amalan para sahabat itu, sampai rajin sangat buat yang baru. Itulah amalan-amalan bid’ah yang masih bertambah dan berevolusi dari masa ke semasa, sebab masyarakat kita ‘terlebih pandai’ dalam membuat rekaan hal agama. Mereka yang mengamalkan bid’ah ini tidak termasuk dalam golongan ketiga ini. Maka kalau hendak beramal, kena selidik dahulu, golongan sahabat ada buat atau tidak? Kalau tidak buat, maka tinggalkan. Senang sahaja tetapi orang jahil susah untuk terima hujah ini.

 

رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ

Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah

Allah ﷻ beritahu yang Dia redha kepada ketiga-tiga golongan ini. Dari sinilah kita selalu dengar apabila disebut sahaja nama sahabat, maka akan ditambah dengan kalimah رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم. Kita pun boleh juga mendapat redha Allah ﷻ dan menjadi golongan ketiga yang disebut ini. Namun kalau mahu menjadi golongan ketiga, kenalah ikut cara golongan yang dua itu, barulah Allah ﷻ redha. Kena ikut mereka dengan tepat dan ikhlas sebagai syarat.

Kita ikut cara mereka kerana mereka sendiri mengikut Nabi ﷺ. Ini adalah kerana mereka yang tahu bagaimana mahu mengikut Nabi ﷺ, kerana mereka duduk dengan Nabi ﷺ dan belajar terus dengan baginda. Oleh itu, kalau sahabat Nabi ﷺ tidak membuat sesuatu amalan ibadat, kita jangan buat.

Mengikuti cara sahabat yang terawal adalah cara paling mudah untuk tahu bagaimana hendak amal agama. Ingatlah sabda Nabi ﷺ yang kata golongan umat Islam akan terpecah kepada 73 kumpulan. Kita kena berhati-hati supaya kita termasuk dalam golongan ‘firqah najiah’ (golongan yang selamat). Bila sahabat mendengar sabda Nabi ﷺ itu, sahabat tanya siapakah ‘firqah najiah’ itu.

Lihatlah sahabat waktu itu tidak bertanya siapa yang tidak selamat, siapa golongan yang 72 lagi itu. Mereka tanya yang siapa yang selamat sahaja, sebab tidak perlu tahu pun golongan sesat pun, hanya membuang masa sahaja. Golongan sesat itu jangan buat sahaja dan tidak perlu dicari siapa mereka. Lihatlah bagaimana sahabat itu bijak, tidak gemar bertanya benda yang tidak patut. Sebaliknya orang kita, hendak tahu sangat siapakah golongan 72 itu, tidak berkesudahan kajian demi kajian pula dibuat semenjak dahulu sampai sekarang.

Nabi ﷺ menjawab: mereka yang selamat itu adalah yang mengikut baginda dan ikut sahabat baginda. Itulah yang digelar: ahli sunnah wal jamaah. Kalimah ‘jamaah’ itu maksudnya ‘sahabat Nabi’. Akan tetapi, ramai yang silap faham tentang gelaran ini. Mereka sangka mereka Ahli Sunnah wal Jamaah namun mereka tidak amal pun amalan para sahabat, malah mereka banyak tambah.

Mereka pun buatlah nama golongan baru – ASWAJA. Ramai pula kata mereka aswaja tetapi amalan mereka punah. Yang kata mereka aswaja itu adalah dengan lidah mereka sahaja. Sesiapa pun boleh mengaku sedangkan mereka itu ahli bid’ah. Amalan mereka bukan amalan sunnah dan bukan mengikut amalan para sahabat.

Kita ikut Nabi ﷺ atas dasar syariat dan sahabat itu kita ikut atas dasar mencari cara yang benar untuk ikut syariat. Kita cuba ikuti yang setepat mungkin. Oleh kerana itu sekiranya ada perkara yang di antara para sahabat selisihkan, kita tidak ikut kerana itu tanda yang itu adalah amalan yang tidak dipersetujui. Kita cuba tidak ikut kecuali ia menepati dalil.

Akan tetapi dalam mazhab, mereka ikut sesetengah pendapat sahaja. Ini kerana sahabat pun ada khilaf antara mereka. Namun ini masih lagi dipanggil ikhtilaf mahmud (perselisihan terpuji) dan masih boleh diikuti lagi. Bandingkan dengan ‘ikhtilaf mazmum’ (selisih yang keji) adalah khilaf yang datang bukan daripada sahabat Nabi ﷺ.

Contoh ikhtilaf mahmud: isu sentuh perempuan, sama ada batal wuduk atau tidak. Yang kata batal wuduk adalah pendapat Abdullah Mas’ud رضي الله عنه. Sedangkan Mazhab Hanafi berpendapat tidak batal kerana mereka memegang pendapat Abdullah ibn Abbas رضي الله عنهما. Kalau perbezaan sebegini dikira tidak ada masalah kerana perselisihan pendapat antara sahabat. Maka boleh pilih salah satu daripada pendapat itu.

Akan tetapi sekiranya tiada langsung pendapat daripada sahabat, maka ia dipanggil sebagai ikhtilaf mazmum. Banyak amalan bid’ah sekarang tidak ada punca daripada para sahabat. Ini adalah masalah yang besar dalam kalangan masyarakat kita. Puncanya adalah kerana tidak mempelajari agama dengan benar.

Bila tidak belajar, mereka akan membuat kesalahan besar, sampaikan ada yang mendakwa Imam Syafie رحمه الله sebut begini dan begitu, namun sebenarnya beliau tidak sebut pun. Dakwaan sebegini merupakan satu kezaliman. Ramai sangat yang jahil sampaikan benda yang bukan daripada agama tetapi mereka kata ia adalah daripada agama. Mereka telah berbohong atas agama dan perbohongan begini amat membahayakan sekali.

Nabi ﷺ pernah berkata yang akan di ada akhir zaman nanti, orang Islam yang mencela sahabat. Namun adakah yang mencela sahabat? Memang ada, iaitu golongan Syiah. Mereka itu memang sudah jelas sesat, tetapi bukan mereka yang dimaksudkan. Malah ada orang Islam yang bukan Syiah yang bermudah sahaja menolak apa yang sahabat lakukan dan fahami. Apabila mereka tidak ikut amalan para sahabat, itu seolah-olah mereka mahu berkata amalan sahabat tidak benar dan secara tidak langsung, mereka telah mencela sahabat.

Ini terjadi apabila mereka mengamalkan amalan yang lain daripada amalan sahabat dan bila kita tegur, kita kata mereka mencela sahabat, mereka kata mereka tidak cela sahabat pun. Sebaliknya apabila mereka mencela golongan yang mahu mengikut sahabat, iaitu golongan yang mahu mengikut sunnah, mereka sebenarnya telah mencela sahabat! Kita yang hendak mengikut sunnah ini dilemparkan dengan pelbagai gelaran, puak sesat lah, puak Wahabi lah dan bermacam-macam lagi.

Oleh itu, jangan lagi buat perkara yang Nabi ﷺ dan sahabat tidak ajar – ini dinamakan Sunnah Tarku – iaitu tinggalkan apa yang tidak dilakukan oleh golongan sahabat. Jangan jadi golongan ahli bid’ah: mereka tidak tinggalkan, tetapi mereka buat benda yang tidak ada dalam Sunnah.

Oleh itu ayat ini tentang saranan kepada kita untuk mengikut sahabat. Kita akan mendapat redha Allah ﷻ kalau kita boleh ikut.

Namun bagaimana dengan banyaknya pendapat sekarang ini? Ada yang kata ini haram tetapi ada juga yang kata ini halal. Imam Syaukani رحمه الله kata taklid (ikut sahaja) tidak boleh dalam agama. Maknanya, kena tahu dalil dalam apa perkara agama pun. Taklid adalah haram pada pendapat beliau. Kerana itu kita tidak boleh membuat hukum sendiri, kerana kalau hendak membuat hukum sendiri, kena tahu usul feqah.

Sudah pasti kita tidak tahu usul feqah kerana ia adalah ilmu paling rumit dalam dunia. Maka jangan memandai mengatakan sesuatu perkara itu mendapat pahala kalau buat, kalau tidak ada imam yang kata memang ia ada dalam agama. Jangan kita ikut hawa nafsu. Lalu kita seolah-olah taklid juga kepada pendapat orang lain, bukan?

Maknanya, kita kena tahu apakah dalil yang mereka ambil sebagai hujah mereka. Jangan taklid buta sahaja, tetapi kena tahu apakah dalil yang mereka gunakan untuk sampai kepada satu-satu keputusan. Itulah jalan dan cara yang selamat. Untuk menjadi sehingga ke peringkat ini, kenalah belajar sampai boleh menjadi ustaz. Namun begitu bukanlah belajar untuk menjadi ustaz, tetapi belajar sampai boleh menjadi ustaz. Maksudnya, belajar sampai boleh faham agama.

Jangan terus terima pendapat orang lain sahaja tanpa periksa apakah hujah yang digunakan. Maknanya, kena luangkan masa untuk belajar. Kita kena ingat bahawa orang jahil tidak akan masuk syurga. Janganlah rasa selesa sahaja sebagai ‘orang awam’. Sebab itu kena belajar sampai kita jelas tentang agama. Kalau kita tidak belajar, tentu syaitan akan ambil peluang untuk menipu kita dalam hal agama.

Sedarlah, sekiranya hadith Nabi itu tidak ada campur tangan sahabat yang mengamalkan atau tidak mengamalkan, kita tidak akan tahu. Allah ﷻ kekalkan cara amalan mereka dalam kitab-kitab yang kita boleh jadikan sebagai ikutan kita dan sebagai neraca kehidupan kita. Sama ada boleh buat atau tidak sahaja setelah kita tahu. Kemudian setelah kita belajar, banyaklah yang sudah tahu, tetapi masih ada lagi yang tidak boleh hendak buat lagi, kerana mungkin tidak mampu, atau keadaan tidak mengizinkan.

Maka kita kena berdoa kepada Allah ﷻ untuk beri taufik kepada kita supaya diberikan kekuatan kepada kita untuk membuat amal yang baik. Minta ampun siap-siap kalau tidak mampu buat lagi. Inilah sahaja harapan kita. Kalau sudah buat begini, barulah boleh ada harapan, tidaklah berharap masuk syurga dengan harapan kosong sahaja.

Jangan kita termasuk jenis orang yang hendak masuk syurga, tetapi tidak berbuat apa-apa pun lagi. Syurga Allah ﷻ itu mahal dan kerana itu mesti ada usaha. Kalau sudah berusaha, barulah bagus, daripada setakat kata ‘tidak tahu’ dan tidak buat apa-apa pun. Jangan baru hendak minta ampun semasa di akhirat nanti, kerana Allah ﷻ sudah siap-siap beritahu yang tidak akan dimaafkan dan tidak akan dikembalikan ke dunia untuk buat sekali lagi.

Satu lagi syarat adalah mereka redha dengan Allah ﷻ. Pertamanya mereka redha Allah ﷻ sebagai Tuhan mereka. Kemudian mereka redha apa yang Allah ﷻ mahu buat dengan mereka. Mereka tidak mengeluh kerana mereka tahu Allah ﷻ itu Tuhan dan kita ini hamba-Nya sahaja. Kalau hamba, kena redha sahaja dengan apa yang tuan hendak buat kepada hambanya. Kita telah pernah sebutkan sebelum ini kata-kata Imam Syafie رحمه الله yang mengatakan untuk mendapat redha Allah ﷻ, pertamanya kita sendiri kena redha dengan ketentuan daripada Allah ﷻ.

 

وَأَعَدَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري تَحتَهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya.

Natijahnya, bagi mereka yang ada fahaman begitu, Allah ﷻ akan sediakan syurga untuk mereka. Syurga sudah siap menunggu mereka. Dalam syurga itu ada sungai-sungai memberi isyarat betapa hebatnya syurga itu. Sesiapa yang masuk syurga, akan kekal di dalamnya selama-lamanya, kerana itulah nikmat yang sebenar. Kalau masuk sekejap sahaja, tidaklah dikira sebagai nikmat sebenar.

Kita telah banyak kali sebutkan kenapa Allah ‎ﷻ gunakan sungai sebagai pembakar semangat umat Islam. Kita juga telah sebut berbagai jenis sungai yang Allah ﷻ berikan di syurga. Kita juga telah banyak kali sebutkan apakah maksud ‘di bawah’ itu.

Balaghah: Kenapa di dalam ayat ini Allah ﷻ tidak letakkan harf مِن berbanding dengan ayat-ayat lain yang serupa dengannya?

Ayat ini satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang tiada مِن (daripada) di dalam frasa جنات تجري تحتها الأنهار. Dengan ketiadaan harf من boleh dikatakan sungai-sungai yang mengalir di bawah jannah tersebut TIDAK BERASAL dari jannah tersebut. Ini bermaksud peringkat jannah tersebut adalah satu lapisan bawah daripada ayat-yang yang menyebut,

جنات تجري من تحتها الأنهار

Bandingkan dengan ayat-ayat yang lain seperti dalam Yunus: 9

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ يَهۡدِيهِمۡ رَبُّهُم بِإِيمَٰنِهِمۡۖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَٰرُ فِي جَنَّٰتِ ٱلنَّعِيمِ

Ayat daripada Surah Tawbah ini menyebut golongan sabiqun (golongan yang awal dalam Islam) seperti Muhajirin dan Ansar dan ia tidak termasuk golongan para anbiya’ dan rasul.

Manakala ayat-ayat yang lain seperti Surah Yunus di atas, golongan ahli jannah tersebut termasuk juga para Nabi dan Rasul. Kedudukan mereka lebih tinggi, maka adalah sesuai ayat tersebut ada huruf مِن kerana maqam jannah para nabi dan rasul adalah lebih tinggi. Dari sini kita boleh lihat yang Al-Qur’an sangat tepat penggunaan kalimahnya walaupun hanya berbeza satu kalimah sahaja, ini membuktikan ia bukan Kalam manusia tetapi Kalamullah yang agung.

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah kemenangan yang besar.

Barulah dikira sebagai kemenangan kalau dapat memasuki syurga kerana mereka yang dapat masuk syurga adalah mereka yang terlepas daripada neraka. Terlepas dari neraka adalah nikmat dan kejayaan yang teramat-amat besar.


 

MUNAFIK YANG BERDEKATAN

Tawbah Ayat 101: Sekarang kembali memperkatakan tentang golongan Munafik

وَمِمَّن حَولَكُم مِّنَ الأَعرابِ مُنٰفِقونَ ۖ وَمِن أَهلِ المَدينَةِ ۖ مَرَدوا عَلَى النِّفاقِ لا تَعلَمُهُم ۖ نَحنُ نَعلَمُهُم ۚ سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَينِ ثُمَّ يُرَدّونَ إِلىٰ عَذابٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among those around you of the bedouins are hypocrites, and [also] from the people of Madīnah. They have become accustomed to hypocrisy. You, [O Muḥammad], do not know them, [but] We know them. We will punish them twice [in this world]; then they will be returned to a great punishment.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; dan (juga) di antara penduduk Madinah. Mereka keterlaluan dalam kemunafikannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami seksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.

 

وَمِمَّن حَولَكُم مِّنَ الأَعرابِ مُنٰفِقونَ

Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; 

Sebelum ini telah disebut tiga golongan yang baik: Muhajirin, Ansar dan mereka yang mengikuti mereka. Dalam ayat ini pula, Allah ﷻ memberitahu yang ada pula yang berlawanan dengan golongan sebelum ini. Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat membaca hati manusia, maka Allah ﷻ beritahu baginda tentang perkara ini. Ini golongan yang mulut mereka sahaja yang kata mereka beriman, tetapi dalam mereka, mereka tidak beriman sebenarnya. Inilah golongan munafik.

Mereka itu ada dalam kalangan orang Arab Badwi itu kerana kalimah yang digunakan adalah الأَعرابِ. Mereka mengaku dengan lidah yang mereka beriman, namun mereka sebenarnya munafik. Ini adalah mereka yang duduk luar kota Madinah di padang pasir dan mereka duduk di dalam khemah sahaja. Mereka mengaku masuk Islam kerana mereka takut mereka diserang oleh puak Muslim. Maknanya mereka terpaksa masuk Islam.

Apabila digunakan kalimah حول (sekeliling) itu ia bermakna yang ramai sekali musuh Nabi ﷺ. Ramai sangka apabila baginda sudah menetap di Madinah, hidup baginda sudah senang. Akan tetapi bukan begitu, kerana sebaliknya musuh baginda bertambah ramai. Kalau dahulu dengan golongan Musyrikin Mekah sahaja. Apabila berada di Madinah, ada puak Yahudi, puak Munafik dan baginda masih kena berhadapan dengan serangan daripada Musyrikin Mekah lagi.

 

وَمِن أَهلِ المَدينَةِ

dan (juga) di antara penduduk Madinah.

Bukan sahaja ada munafik dalam kalangan Arab Badwi, tetapi ada juga golongan munafik yang tinggal dalam Kota Madinah. Mereka pun ada yang keras dengan kemunafikan. Mereka itu duduk sekitar dan berdekatan dengan Nabi ﷺ, solat berjemaah bersama baginda, tetapi mereka pun boleh keras dalam kemunafikan juga. Ini lebih teruk lagi kerana kalau duduk luar itu lain, duduk dengan Nabi ﷺ lain pula.

 

مَرَدوا عَلَى النِّفاقِ

Mereka tegar di atas kemunafikan. 

Kalimah مَرَدوا itu berasal daripada katadasar م ر د yang bermaksud membasahkan sesuatu untuk melembutkannya, menjadi biasa dengan sesuatu, lembam (malas), kurang ajar, berterusan di dalam sifat, lancang, bangga keterlaluan, degil dan melawan.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang mereka itu bersungguh-sungguh dalam sifat nifak mereka. Degil sungguh, keras kepala. Walaupun mereka duduk bersama Nabi ﷺ, duduk dalam majlis Nabi, dengar ajaran daripada Nabi ﷺ, malah solat berjemaah bersama baginda, tetapi mereka tetap tidak lembut hati mereka, tetap keras dalam sifat nifak.

 

لا تَعلَمُهُم ۖ نَحنُ نَعلَمُهُم

Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. 

Nabi Muhammad ﷺ tidak kenal mereka, tetapi Allah ﷻ kenal mereka. Sebab itu Allah ﷻ kena beritahu baginda. Bayangkan zaman Nabi pun ada yang kafir duduk dalam majlis Nabi. Tentulah pada zaman kita, terdapat lebih ramai lagi. Kita kena baca dan bandingkan dengan zaman sekarang, kerana Al-Qur’an bukan menceritakan untuk keadaan di waktu dahulu sahaja tetapi hendaklah kita aplikasikan dalam zaman sekarang. Maka, kalau ada munafik zaman Nabi, tentu ada munafik pada zaman ini.

Ini juga menunjukkan yang Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat baca hati manusia, kerana itu baginda tidak tahu siapakah yang munafik. Maka amat malang kalau ada orang yang menuduh orang lain sebagai munafik. Sifat munafik ini adalah perkara dalam hati, maka kita sebagai manusia tidak tahu. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak tahu, takkanlah kita orang biasa ini pula boleh tahu. Maka berhentilah daripada senang sahaja menuduh orang lain munafik.

 

سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَينِ

Nanti mereka akan Kami seksa dua kali

Allah ‎ﷻ akan azab mereka berkali-kali, sekurang-kurangnya dua kali. Ini adalah azab di dunia kerana azab Akhirat disebut selepas ini. Kenapa mereka diazab sehingga dua kali? Kes pertama kerana mereka kafir dan kes kedua kerana mereka berbohong mengaku orang Islam. Atau, kerana mereka itu bersifat nifak dan kemudian berterusan tegar pula di dalam sifat itu.

Ini adalah tentang azab di dunia lagi. Maksudnya azab dalam bentuk psikologi dan emosi. Kerana itu mereka tidak tenang duduk dalam dunia. Kelam kabut dan takut sahaja kalau-kalau rahsia mereka terbongkar. Mereka takut kalau orang tahu apa yang ada dalam hati mereka maka kerana itu mereka cemas sahaja sepanjang masa. Ini bukanlah cara hidup yang selesa.

Lagi satu hukuman ke atas mereka adalah mereka kena ikut amalan golongan Mukmin seperti solat dan puasa walaupun di dalam hati mereka tidak suka. Melakukan sesuatu kerana terpaksa pun adalah sebuah seksaan juga, bukan?

Berikut beberapa pendapat mengenai seksaan dua kali yang dimaksudkan itu:

Menurut Ibnu Juraij رَحِمَهُ اللَّهُ, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah azab dunia dan azab kubur, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang lebih besar, iaitu neraka. Menurut Al-Hasan Al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ juga yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah azab di dunia dan azab kubur. Jadi ayat ini adalah antara dalil adanya azab kubur.

Muhammad ibnu Ishaq رحمه الله mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Nanti mereka akan Kami seksa dua kali. (At-Tawbah: 101) Menurut berita yang sampai kepadanya, makna yang dimaksudkan ialah mereka melihat kemajuan Islam yang sangat pesat yang di luar dugaan mereka, sehingga mengakibatkan mereka geram dan terbakar oleh dendamnya. Kemudian azab yang akan mereka alami di dalam kubur bila mereka telah memasukinya, lalu azab yang besar di dalam neraka yang menjadi tempat tinggal mereka kelak di hari kemudian, mereka kekal di dalamnya.

Sa’id رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan daripada Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ sehubungan dengan makna firman-Nya: Nanti mereka akan Kami seksa dua kali. (At-Tawbah: 101) Iaitu azab di dunia dan azab di alam kubur. kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar. (At-Tawbah: 101); Telah diriwayatkan kepada kami bahawa Nabi ﷺ telah membisikkan kepada Huzaifah perihal dua belas orang lelaki dalam kalangan orang-orang munafik. Lalu Nabi ﷺ mengatakan bahawa enam orang di antara mereka telah cukup diseksa oleh Dabilah, iaitu pelita daripada api neraka Jahanam yang menyambar belikat salah seorang daripada mereka hingga tembus sampai ke dadanya, sedangkan yang enam lainnya telah mendapat sebahagian seksa dalam kematiannya.

 

ثُمَّ يُرَدّونَ إِلىٰ عَذابٍ عَظيمٍ

kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.

Kemudian mereka akan dikembalikan ke akhirat dan akan dihumban ke dalam neraka. Dalam neraka, seksaan tidak akan berhenti dan berkurangan. Seksaan di akhirat lebih hebat lagi dan memang layak dikenakan kepada mereka. Tidak ada azab yang lebih besar daripada azab di Akhirat iaitu Neraka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an