Tafsir Surah Yusuf Ayat 70 – 75 (Helah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan piala)

Yusuf Ayat 70: Rentetan bagaimana helah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapatkan Bunyamin duduk dengannya. Ini adalah untuk menyelamatkan adiknya itu daripada terus dizalimi.

فَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِم جَعَلَ ٱلسِّقَايَةَ فِى رَحلِ أَخِيهِ ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا ٱلعِيرُ إِنَّكُم لَسَـٰرِقُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when he had furnished them with their supplies, he put the [gold measuring] bowl into the bag of his brother. Then an announcer called out, “O caravan, indeed you are thieves.”

(MALAY)

Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka, Yusuf memasukkan piala (tempat minum) ke dalam karung saudaranya. Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: “Hai kafilah, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang mencuri”.

 

فَلَمّا جَهَّزَهُم بِجَهازِهِم

Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka,

Setelah urusan mereka nampak selesai dan barangan makanan pun mula dimasukkan ke dalam bekas mereka. Ini adalah kejadian semasa memasukkan barang makanan ke atas unta mereka. Tujuan mereka datang adalah untuk mendapatkan bahan makanan.

 

جَعَلَ السِّقايَةَ في رَحلِ أَخيهِ

Yusuf memasukkan piala (tempat minum) ke dalam karung saudaranya (Bunyamin). 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri memasukkan sesuatu ke dalam karung Bunyamin. Di dalam ayat 62, baginda suruh hambanya yang memasukkan, tetapi kali ini baginda sendiri yang memasukkan. Ini adalah kerana ini adalah langkah atau tindakan  yang amat rahsia dan baginda tidak mahu ia terbongkar. Lagi pun, baginda sahaja yang boleh melakukannya kerana piala itu milik kerajaan dan orang sembarangan tidak dibenarkan mengambil barang itu.

Kalimah السِّقايَةَ adalah gelas tetapi bukan gelas yang biasa. Ia daripada kata dasar س ق ي yang bermaksud kepada air; beri minum; mengairi. Ia dipanggil “goblet” – dan ia adalah mahal. Ini jenis bekas minuman yang digunakan oleh orang yang kaya dan berkedudukan tinggi dan sekiranya kita menggunakan gelas ini, bukan kita yang menuangnya sendiri air itu tetapi ada orang lain yang tuangkan. Bekas السِّقايَةَ raja ini ada yang kata diperbuat daripada emas dan ada yang kata ia dibuat daripada batu mahal seperti zamrud.

Ada juga yang mengatakan yang dimasukkan itu adalah penyukat Raja. Iaitu sukatan yang digunakan untuk menilai berapa banyak gandum yang diberikan kepada mereka yang memerlukannya. Jadi sama ada ia digunakan oleh raja sendiri atau raja telah menetapkan piala itu digunakan sebagai alat penyukat. Apa-apa pun, ia dikaitkan dengan Raja Mesir dan ia adalah barangan yang berharga.

Kalimah yang Allah ‎ﷻ gunakan adalah السِّقايَةَ dengan ال yang bermakna ‘piala itu’, bukannya mana-mana piala. Tiba-tiba sahaja Allah ‎ﷻ berkata tentang piala. Untuk orang yang pertama kali membaca ayat ini tentu tertanya-tanya tentang apakah piala itu dan apakah ceritanya. Begitulah Allah ‎ﷻ menarik perhatian pembaca Al-Qur’an untuk mengajak manusia berfikir. Itulah pentingnya menggunakan pemikiran yang kritis apabila membaca Al-Qur’an. Kerana itu penggunaan akal penting dalam Islam dan dalam mengenal agama Islam.

Dari segi zahirnya, nampak seolah-olah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang mengkhianati Bunyamin pula. Namun kita kena faham yang apa yang baginda lakukan itu adalah suruhan daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Ada rancangan yang Allah ‎ﷻ hendak jalankan. Lagi pun baginda telah berbincang dengan Bunyamin tentang hal ini. Bunyamin sendiri mungkin sudah minta supaya beliau tidak dibiarkan lagi dengan abang-abangnya itu, maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata ini sahaja cara yang membolehkan Bunyamin terus tinggal di Mesir bersama baginda.

 

ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا ٱلعِيرُ

Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: “Hai kafilah, 

Selepas memasukkan gelas (atau penyukat itu), Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎telah sengaja membuat kecoh  bertanyakan di manakah penyukat Raja itu. Atau, ada pegawai yang perasan piala itu tidak ada lagi dan dia pun tidak tahu perancangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Maka berteriaklah pegawai kerajaan Mesir memanggil dan hendak menahan mereka.

Kalimah ٱلعِيرُ daripada kata dasar ع ي ر yang bermaksud mengembara, berjalan maju mundur, caravan atau kafilah, kafilah unta yang membawa bekalan jagung. Memang pada zaman itu unta banyak digunakan sebagai kenderaan untuk pengangkutan. Unta memiliki berbagai kelebihan yang membuatnya sangat sesuai sehingga digelar ‘kapal padang pasir’. Kelebihan-kelebihan ini merupakan adaptasi luar biasa terhadap lingkungan gurun yang ekstrem:

1. Kemampuan Bertahan Hidup Tanpa Air (dan Makanan) dalam Waktu Lama:

    • Penyimpanan Air: Unta tidak menyimpan air di pundaknya (pundak itu untuk menyimpan lemak), tetapi mereka memiliki mekanisme tubuh yang sangat efisien untuk menyimpan air. Mereka dapat minum air dalam jumlah besar (hingga 100-150 liter) dalam sekali minum dan dapat bertahan tanpa air selama berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan jika ada cukup tumbuhan yang lembap.
    • Toleransi Dehidrasi: Unta dapat kehilangan hingga 25% berat tubuhnya kerana dehidrasi tanpa mengalami gangguan fungsi tubuh yang serius, jauh lebih tinggi dibandingkan haiwan lain (manusia hanya dapat tahan kalau hilang air sekitar 10-12%).
    • Metabolisme Air: Metabolisme unta sangat efisien dalam menghasilkan air daripada oksidasi lemak di pundaknya.
    • Ketahanan Tanpa Makanan: Unta dapat bertahan hidup berminggu-minggu tanpa makanan, dengan memakan lemak di pundaknya.

2. Adaptasi untuk Gurun Pasir:

    • Kaki Lebar dan Kusyen: Kaki mereka lebar dengan bantalan empuk yang memungkinkan mereka berjalan di pasir lembut tanpa tenggelam, seperti memakai sepatu salji.
    • Bulu Tebal dan Warna Cerah: Bulu tebal melindungi mereka dari panas matahari yang menyengat di siang hari dan dinginnya gurun di malam hari. Warna bulunya yang cerah juga memantulkan panas jadi mereka kurang kepanasan.
    • Hidung dan Bulu Mata Khusus: Lubang hidung unta dapat ditutup rapat untuk mencegah pasir masuk. Mereka juga memiliki dua baris bulu mata yang sangat panjang dan tebal untuk melindungi mata dari pasir dan angin.
    • Pundak: Pundaknya menyimpan simpanan lemak yang boleh ditukar menjadi tenaga dan air ketika makanan dan air kurang.

3. Regulasi Suhu Tubuh yang Unik:

Unta dapat membiarkan suhu tubuh dalamannya berubah hingga beberapa darjah Celsius (dari sekitar 34°C di pagi hari hingga 41°C di siang hari). Ini mengurangi keperluan untuk berpeluh untuk mendinginkan diri, sehingga dapat mengurangkan keperluan air.

4. Kemampuan Memakan Tanaman Gurun:

Mulut dan bibir unta yang kuat dan tebal membolehkan mereka memakan tanaman gurun yang berduri atau berserat keras yang tidak dapat dimakan oleh haiwan lain.

5. Penglihatan dan Penciuman:

Memiliki penglihatan dan penciuman yang baik untuk menemukan sumber air dan makanan di hamparan gurun yang luas.

Disebabkan semua kelebihan adaptasi ini, maka unta telah menjadi alat pengangkutan, sumber makanan (daging dan susu), dan tenaga kerja yang tidak tergantikan bagi peradaban di padang pasir selama ribuan tahun. Sampaikan Allah ‎ﷻ sebut dan suruh kita melihat dan mengkaji unta itu kerana betapa hebatnya ia. Lihat Ghasyiyah:17

“أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ”
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?”

Maka unta itu sangatlah sesuai sebagai binatang pengangkutan. Unta ini mempunyai kaki yang kuat. Kita boleh sahaja mengarahkan ia turun tunduk agar mudah untuk kita meletakkan barang dagangan di atasnya. Kemudian setelah selesai, unta itu boleh bangun berdiri semula. Berbeza dengan lembu atau kambing, walaupun kita arahkan mereka duduk dan kemudian letak barang di atas mereka, mereka tidak akan mampu melakukannya kerana kaki mereka tidak kuat. Ini pun sebuah nikmat jika kita perhatikan.

Kalimah ثُمَّ digunakan memberi isyarat tidaklah mereka telah dipanggil melainkan telah berlalu sekian waktu. Waktu itu adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah meninggalkan tempat itu tetapi masih lagi boleh dipanggil.

 

إِنَّكُم لَسَـٰرِقُونَ

sesungguhnya kamu adalah sesungguhnya orang-orang yang mencuri”.

Pegawai negara itu terus menuduh mereka sebagai golongan pencuri.


 

Yusuf Ayat 71:

قَالُواْ وَأَقبَلُواْ عَلَيهِم مَّاذَا تَفقِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said while approaching them, “What is it you are missing?”

(MALAY)

Mereka menjawab, sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu: “Barang apakah yang hilang dari pada kamu?”

 

قالوا وَأَقبَلوا عَلَيهِم

Mereka menjawab, sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu: 

Adik beradik itu terasa sungguh apabila dikatakan mereka pencuri. Kalimah أَقبَلوا memberi isyarat yang mereka mengadap tukang seru itu dengan sikap yang marah. Jika benar mereka pencuri tentu mereka yang lari dahulu tetapi tidak kerana mereka tidak mencuri. Mereka datang dengan baik dan hendak pergi dengan baik. Maka mereka pun berpatah balik dengan nada marah juga. Marah kerana dituduh. Maka, mereka dengan berani terus menghadap penyeru itu.

 

مّاذا تَفقِدونَ

“Barang apakah yang hilang daripada kamu?”

Mereka tanya apakah barang yang hilang itu? Mereka memang yakin benar yang mereka tidak mengambil apa-apa pun jadi mereka berani hendak tanya lebih.


 

Yusuf Ayat 72:

قَالُواْ نَفقِدُ صُوَاعَ ٱلمَلِكِ وَلِمَن جَآءَ بِهِۦ حِملُ بَعِيرٍ وَأَنَا۟ بِهِۦ زَعِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We are missing the measure of the king. And for he who produces it is [the reward of] a camel’s load, and I am responsible for it.”

(MALAY)

Penyeru-penyeru itu berkata: “Kami kehilangan piala raja, dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan (seberat) beban unta, dan aku menjamin terhadapnya”.

 

قالوا نَفقِدُ صُواعَ المَلِكِ

Penyeru-penyeru itu berkata: “Kami kehilangan piala raja,

Sekarang digunakan kalimah قالوا (mereka berkata) sedangkan sebelum ini seorang sahaja مُؤَذِّنٌ. Ini bermakna keadaan sudah kecoh dan sudah ramai pegawai kerajaan datang melihat perkara itu. Digunakan قالوا walaupun seorang sahaja bercakap kerana seorang itu mewakili semua pegawai.

Kali ini digunakan kalimah صُواعَ pula sedangkan sebelum ini digunakan istilah السِّقايَةَ. Kalimah صُواعَ daripada kata dasar ص و ع dan ia bermaksud alat untuk mengukur, menimbang. Ia dikatakan milik raja jadi ia bukanlah piala kepunyaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun. Atau, mungkin ia digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda mewakili raja. Kiranya ia adalah milik kerajaan. Yang pasti, ia memang sesuatu yang amat bernilai.

 

وَلِمَن جَآءَ بِهِۦ حِملُ بَعِيرٍ

dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan (seberat) beban unta,

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membuat pengumuman: kepada sesiapa yang boleh memulangkan (menjumpai) gelas diraja itu, dia akan memperolehi muatan tambahan seberat satu beban unta.

Ayat ini menjadi dalil (dasar hukum) atas kebolehan (disyariatkan) memberikan imbalan atau hadiah (upah) kepada orang yang berhasil menemukan barang yang hilang atau melakukan suatu pekerjaan tertentu, yang disebut dalam fiqh sebagai Al-Ju’alah (sayembara atau janji upah). Al-Ju’alah adalah janji upah yang tidak terikat dengan pihak tertentu (siapa saja boleh mengerjakannya) dan tidak pula terikat dengan waktu yang pasti. Dalam kisah Bunyamin ini, sesiapa pun yang membawa kembali piala raja akan diberikan hadiah satu beban unta bahan makanan. Kebolehan Al-Ju’alah ini berbeza dengan akad sewa/upah (Ijarah) yang memerlukan kejelasan pekerja dan jangka waktu. Antara contoh lain, Al-Ju’alah boleh diberikan kepada sesiapa yang boleh beri maklumat sampai penjenayah ditangkap.

Frasa حِمْلُ بَعِير (beban unta) menunjukkan bahawa imbalan yang dijanjikan harus jelas dan diketahui jenis serta ukurannya, meskipun tidak terperinci secara sangat spesifik, kerana beban unta adalah takaran yang umum dikenal pada masa itu. Dalam fiqh, ini adalah syarat sahnya Al-Ju’alah; hadiah yang dijanjikan tidak boleh mengandung ghaharar (ketidakjelasan) yang berlebihan.

 

وَأَنَا۟ بِهِۦ زَعِيمٌ

dan aku menjamin terhadapnya”.

Siapakah yang memberi jaminan ini? Adakah pegawai kerajaan atau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kalau pegawai itu mungkin tidak sesuai kerana dia bukannya pemimpin dan tidak layak memberi jaminan sebegini. Jadi mungkin yang berkata dan memberi jaminan ini adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata baginda memberi jaminan akan memberikan balasan muatan seekor unta itu kepada sesiapa yang boleh mengembalikan gelas diraja itu.

Kalimah za’im (ضامن/penjamin) dalam konteks ini menunjukkan bahawa orang yang mengucapkan janji itu bertindak sebagai penjamin (kafil) atas hadiah tersebut. Ini menjadi dalil bagi disyariatkannya Akad Jaminan (Al-Kafalah) dalam Islam, di mana satu pihak menjamin untuk menunaikan kewajipan pihak lain (dalam hal ini, kewajipan memberikan upah/hadiah). Begitu juga penjamin boleh ada di dalam urusan hutang. Contohnya seorang hendak berhutang dan pemberi hutang (pemiutang) tidak akan beri melainkan ada orang yang akan menjadi penjaminnya. Pemiutang boleh mengambil bayaran hutang daripada penjamin itu jikalau penghutang tidak dapat membayarnya. Kemudian penjamin itu hendaklah memastikan bayaran daripada penghutang nanti.

Akan tetapi kenapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi jaminan ini? Kerana kalau ada orang yang mencuri barang dan kita mahukannya kembali, kita boleh menawarkan hadiah untuk sesiapa yang dapat mengembalikannya. Akan tetapi kalau pencuri sebenar, tentu dia takut untuk memulangkan, takut ditangkap. Jadi jaminan ini penting kerana ia memberi rasa selamat bagi pencuri iaitu dia tidak ditangkap, malah dapat hadiah pula. Bagi tuan empunya barang pula, yang dia mahukan adalah barangnya dipulangkan sahaja kerana ia mungkin amat penting baginya dan tidak kisah kalau yang memulangkannya adalah pencuri pun. Sebagai contoh kalau dompet kita hilang, ada yang iklankan: ‘Ambillah wang di dalam dompet itu asalkan pulangkan barang yang lain’.

Namun begitu kita yang sedang belajar ayat ini tentu sudah tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang meletakkan piala itu di dalam karung adiknya itu. Jadi kenapa sampai kena buat tawaran sebegitu pula? Ini adalah sebagai helah dan rancangan daripada baginda sahaja dan untuk menjayakannya, perlu dijadikan seolah-olah ia benar-benar berlaku. Perbuatan helah ini dibenarkan kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang memberi wahyu dan arahan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini seumpama kebenaran menggunakan helah di dalam perang seperti sabda Nabi ﷺ,

“Perang itu adalah tipu daya (helah).”

Hadith ini adalah Sahih dan diriwayatkan dalam kitab-kitab hadith utama: Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan Abu Dawud


 

Yusuf Ayat 73:

قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد عَلِمتُم مَّا جِئنَا لِنُفسِدَ فِى ٱلأَرضِ وَمَا كُنَّا سَـٰرِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, you have certainly known that we did not come to cause corruption in the land, and we have not been thieves.”

(MALAY)

Saudara-saudara Yusuf menjawab “Demi Allah sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakan di negeri (ini) dan kami bukanlah para pencuri”.

 

قالوا تَاللهِ

Saudara-saudara Yusuf menjawab “Demi Allah

Kalimah تَاللهِ adalah lafaz sumpah. Namun biasanya kalimah ِوالله yang digunakan untuk sumpah. Kalimah تَاللهِ digunakan apabila orang yang mengatakannya itu dalam keadaan terkejut dan kerana itu ia lebih kuat daripada  ِوالله. Sedangkan kalimah والله adalah kalimah sumpah sebagai penekanan untuk semua keadaan. Namun apabila guna تَاللهِ, ia lebih kuat lagi.

 

لَقَد عَلِمتُم مَّا جِئنَا لِنُفسِدَ فِى ٱلأَرضِ

sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakan di negeri (ini) 

Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhujah untuk mempertahankan diri mereka. Mereka kata orang Mesir itu pun tahu yang mereka datang bukan hendak berbuat masalah dan hendak mencuri. Bukan mereka orang berbuat kerosakan di atas muka bumi dengan melanggar syariat, iaitu mencuri. Ketika mereka datang, mereka telah diperiksa dan telah disoal siasat, malah mereka kali ini datang dengan adik mereka yang 11 sebagai bukti yang mereka memang jujur. Jadi kedudukan mereka sudah diketahui oleh pegawai-pegawai di Mesir itu.

 

وَمَا كُنَّا سَـٰرِقِينَ

dan kami bukanlah para pencuri”.

Mereka menekankan yang mereka bukanlah golongan pencuri pun. Mereka orang terhormat, anak seorang Nabi pula. Malah bukan ini kali pertama mereka datang ke Mesir. Pada tahun lepas pun mereka sudah datang dan mereka telah bercakap-cakap dengan Menteri Kewangan sendiri – tidak mungkin mereka hendak mencari pasal pula. Selama ini mereka datang ke Mesir, tidak ada masalah pun.


 

Yusuf Ayat 74:

قَالُواْ فَمَا جَزٓؤُهُ ۥۤ إِن كُنتُم ڪَـٰذِبِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They [the accusers] said, “Then what would be its recompense¹ if you should be liars?”

  • The punishment for theft.

(MALAY)

Mereka berkata: “Tetapi apa balasannya jikalau kamu betul-betul pendusta? “

 

Oleh kerana mereka mempertahankan diri mereka, maka ditanya kembali kepada mereka: Kalau kamu tipu, apa agaknya balasan untuk kamu?

Maksudnya mereka bertanyakan apakah hukuman yang dikenakan di tempat asal mereka, kerana mereka datang dari Kan’an. Kalau benar mereka mencuri, apakah hukuman yang dikenakan di sana?


 

Yusuf Ayat 75:

قَالُواْ جَزٓؤُهُ ۥ مَن وُجِدَ فِى رَحلِهِۦ فَهُوَ جَزٓؤُهُ ۥ‌ۚ كَذٰلِكَ نَجزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[The brothers] said, “Its recompense is that he in whose bag it is found – he [himself] will be its recompense.¹ Thus do we recompense the wrongdoers.”

  • According to their law, a convicted thief was made a slave of the one from whom he had stolen.

(MALAY)

Mereka menjawab: “Balasannya, ialah pada siapa diketemukan (barang yang hilang) dalam karungnya, maka dia sendirilah balasannya (tebusannya)”. Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang zalim.

 

قَالُواْ جَزٓؤُهُ ۥ مَن وُجِدَ فِى رَحلِهِۦ فَهُوَ جَزٓؤُهُ ۥ‌

Mereka menjawab: “Balasannya, ialah pada siapa diketemukan (barang yang hilang) dalam karungnya, maka dia sendirilah balasannya (tebusannya)”. 

Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu beritahu undang-undang mereka di Kan’an iaitu syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekiranya seseorang itu didapati mencuri dan ditangkap, orang yang mencuri itu akan menjadi hamba kepada siapa yang dicuri. Yang mencuri itulah yang menjadi balasan kepada kesalahan itu di mana dia akan dijadikan hamba. Mereka dikehendaki menjadi hamba tuan punya barang dicuri itu selama setahun.

Undang-undang Mesir tidak begitu. Begitulah yang dikehendaki oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana tindakannya itu adalah supaya Bunyamin dapat tinggal di Mesir bersama dengannya.

 

كَذٰلِكَ نَجزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang zalim.

Begitulah cara syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap orang zalim di Kan’an dan abang-abang itu dengan beraninya memberikan keputusan itu kerana memang mereka tidak mencuri pun. Orang yang tidak mencuri memang tidak takut apa-apa.

Namun kenapa disebut itu balasan bagi ٱلظَّـٰلِمِينَ (orang-orang zalim) dan bukan سَـٰرِقِينَ (pencuri-pencuri)? Bukankah ini hukuman kepada pencuri? Kerana orang zalim adalah apabila meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Apabila mencuri, kita mengambil hak orang yang tidak sepatutnya kita ambil. Maka Kalimah zalim juga boleh terpakai kepada pencuri kerana mengambil hak orang dan bukan diletakkan pada tuan punya hak itu.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah tujuan utama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meletakkan piala ke dalam karung Bunyamin?

2. Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang meletakkan piala tersebut dan tidak menyuruh hambanya seperti sebelumnya?

3. Apakah dua nama yang digunakan untuk piala raja dalam ayat-ayat ini dan apakah maksudnya?

4. Apakah ganjaran yang ditawarkan kepada sesiapa yang dapat mengembalikan piala raja, dan apakah prinsip fiqh yang berkaitan dengannya?

5. Siapakah yang memberikan jaminan untuk ganjaran tersebut dan apakah konsep fiqh yang berkaitan dengan jaminan itu?

6. Bagaimanakah reaksi abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila mereka dituduh sebagai pencuri?

7. Apakah hujah yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mempertahankan diri mereka?

8. Apakah perbezaan lafaz sumpah تَاللهِ berbanding dengan واللهِ seperti yang dijelaskan dalam tafsir?

9. Apakah hukuman bagi pencuri menurut syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seperti yang diterangkan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

10. Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ perlu bertanya kepada abang-abangnya tentang hukuman bagi pencuri menurut undang-undang mereka dan tidak menggunakan undang-undang Mesir?

 

Glosari Istilah Utama
Istilah
Definisi
السِّقايَةَ (As-Siqayah)
Gelas atau piala minuman yang mahal, seperti ‘goblet’, yang digunakan oleh golongan kaya dan berkedudukan tinggi. Diperbuat daripada bahan berharga seperti emas atau zamrud dan dikaitkan dengan Raja Mesir.
صُواعَ ٱلمَلِكِ (Suwa’ al-Malik)
Piala Raja, juga difahami sebagai alat untuk mengukur atau menimbang, seperti sukatan yang digunakan untuk menilai jumlah gandum yang diberikan. Ia adalah milik kerajaan.
Al-Ju’alah (الجُعَالَة)
Satu konsep dalam fiqh yang merujuk kepada janji upah/hadiah kepada sesiapa sahaja (pihak tidak terikat) yang berjaya menemukan barang hilang atau melakukan suatu pekerjaan. Hadiah yang dijanjikan mestilah jelas.
Al-Kafalah (الكَفَالَة)
Akad Jaminan dalam Islam, di mana satu pihak (penjamin) menjamin untuk menunaikan kewajipan pihak lain. Dalam konteks ini, jaminan untuk memberikan hadiah yang dijanjikan.
ٱلعِيرُ (Al-‘Iir)
Merujuk kepada kafilah atau karavan, terutamanya kafilah unta yang membawa bekalan seperti gandum dan jagung.
حِملُ بَعِيرٍ (Himlu Ba’ir)
Beban unta. Ia merujuk kepada ganjaran bahan makanan seberat satu muatan unta, satu takaran yang umum dan difahami pada zaman itu.
زَعِيمٌ (Za’im)
Penjamin (kafil). Seseorang yang memberi jaminan dan bertanggungjawab atas sesuatu, dalam konteks ini, menjamin pemberian hadiah.
تَاللهِ (Tallahi)
Lafaz sumpah dalam keadaan terkejut. Ia dianggap lebih kuat daripada lafaz sumpah yang biasa digunakan, واللهِ (Wallahi).
الحَرْبُ خَدْعَةٌ (Al-harbu khad’ah)
“Perang itu adalah tipu daya (helah).” Sebaris hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, dan Abu Dawud, yang membenarkan penggunaan helah dalam peperangan.
Syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Undang-undang atau peraturan yang diikuti oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ anak-anaknya di Kan’an. Dalam konteks ini, hukuman bagi pencuri adalah dengan menjadikan pesalah sebagai hamba kepada mangsa selama setahun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 68 – 69 (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selamatkan Bunyamin)

Yusuf Ayat 68:  Rancangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berjaya.

وَلَمَّا دَخَلُواْ مِن حَيثُ أَمَرَهُم أَبُوهُم مَّا ڪَانَ يُغنِى عَنهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىءٍ إِلَّا حَاجَةً فِى نَفسِ يَعقُوبَ قَضَٮٰهَا‌ۚ وَإِنَّهُ ۥ لَذُو عِلمٍ لِّمَا عَلَّمنَـٰهُ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they entered from where their father had ordered them, it did not avail them against Allāh at all except [it was] a need [i.e., concern] within the soul of Jacob, which he satisfied. And indeed, he was a possessor of knowledge because of what We had taught him, but most of the people do not know.

(MALAY)

Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkan bapa mereka, maka (cara yang mereka lakukan itu) tiadalah melepaskan mereka sedikit pun daripada takdir Allah, akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Ya’qub yang telah ditetapkannya. Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan, kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. Akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

 

وَلَمّا دَخَلوا مِن حَيثُ أَمَرَهُم أَبوهُم

Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkan bapa mereka,

Ini adalah apabila mereka telah sampai ke Mesir dan mereka telah masuk ke Kota Mesir ikut nasihat bapa mereka. Mereka taat pula kepada bapa mereka kali ini kerana mereka pun nampak rancangan bapa mereka itu memang bagus dan masuk akal untuk keselamatan mereka. Mereka berpecah dan memasuki pintu yang berlainan. Ada pendapat yang mengatakan mereka masuk melalui empat pintu kota.

 

ما كانَ يُغني عَنهُم مِّنَ اللهِ مِن شَيءٍ

maka (cara yang mereka lakukan itu) tiadalah melepaskan mereka sedikit pun daripada takdir Allah,

Allah ‎ﷻ tekankan yang perbuatan mereka itu tidaklah menyelamatkan mereka kalau Allah ‎ﷻ tidak iradah (berkemahuan) yang mereka akan selamat dengan cara itu. Nanti kita dapat Bunyamin tidak dapat pulang dan seorang lagi abangnya tidak mahu pulang juga. Jadi musibah tetap terkena juga kepada mereka. Jikalau kita terima pendapat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berharap supaya mereka bertemu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia tidak berlaku.

 

إِلَّا حَاجَةً فِى نَفسِ يَعقُوبَ قَضَٮٰهَا‌

akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Ya’qub yang telah dipenuhinya.

Namun ia adalah kehendak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.‎ Itu adalah hajat dan cadangan daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mahukan anak-anaknya selamat. Atau sebagai usaha untuk bertemu semula dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana manusia akan berasa puas hati kalau mereka telah melakukan segala yang mereka mampu. Manusia memang ada kehendak dalam diri mereka untuk memuaskan emosi mereka. Jadi langkah yang dianjurkan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah keperluan memenuhi kehendak emosi baginda dan ini tidaklah salah kerana apabila Allah ‎ﷻ sebut di dalam ayat ini, ia memberi isyarat yang ia tidak salah. Begitulah seorang Nabi pun ada kehendak ini, apatah lagi kita.

Dalam diri manusia, kita boleh katakan ada tiga kehendak:

1. Fizikal. Seperti makan, minum, seks dan sebagainya. Manusia dan binatang ada kehendak ini.
2. Spiritual. Kepercayaan kepada Tuhan, keimanan, ketenangan menyerahkan nasib kita kepada Tuhan.
3. Emosi. Keperluan kepada cinta, kasih, keluarga dan sebagainya.

Ketiga-tiga kehendak ini boleh dipenuhi dan dikejar oleh manusia dengan cara yang dibenarkan. Jangan kita menidakkan kehendak salah satu daripadanya kerana kita tidak akan lengkap jika tidak dapat memenuhi kehendak ini. Tidak ada satu pun daripada kehendak ini yang boleh kita tolak.

Jadi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memenuhi kehendak emosinya untuk memastikan keselamatan anak-anaknya dengan memberi nasihat supaya mereka jangan masuk beramai-ramai melalui satu pintu. Namun begitu, nanti Allah ‎ﷻ sudah taqdirkan Bunyamin akan ditahan juga. Manakala seorang lagi anaknya tidak mahu kembali ke Kan’an. Maka kehendak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya kesemua anaknya kembali, tidak berjaya. Malah kehendaknya supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diketemui juga tidak kesampaian. Walau bagaimanapun baginda berpuas hati kerana rancangan baginda telah dijalankan dan itulah sahaja yang baginda mampu lakukan.

 

وَإِنَّهُ ۥ لَذُو عِلمٍ لِّمَا عَلَّمنَـٰهُ

Dan sesungguhnya dia mempunyai ilmu, kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. 

Allah ‎ﷻ tekankan yang ia bukanlah cakap dan idea kosong Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Ia adalah cadangan yang bernas kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang bijak, tambahan pula baginda adalah seorang Nabi. Apa yang baginda beritahu dan nasihat itu adalah benar kerana Allah ‎ﷻ yang ajar baginda. Ia bukan pengetahuan ilmu ghaib, kerana baginda tidak ada ilmu ghaib, tetapi ia adalah ilmu wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan kepada baginda.

Ia juga mengajar satu ilmu kepada kita ia tidak salah untuk kita mengambil langkah keselamatan semampu kita. Ini kerana dunia ini adalah hukum asbab (cause and effect) yang selagi kita hidup di dunia, kita kenalah ikut hukum itu. Maknanya tidaklah kita memandu secara laju di jalanan dan berharap Allah ‎ﷻ sahaja selamatkan kita. Itu bodoh namanya dan hanya dilakukan oleh orang yang jahil tiada ilmu.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

Akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

Namun kebanyakan manusia tidak tahu tentang perkara ini. Manusia ada yang keliru kerana ada yang kata baginda tahu perkara ghaib, sebab itu baginda bagi nasihat begitu. Ini adalah salah kerana baginda hanya tahu daripada ilmu yang Allah ‎ﷻ beritahu sahaja. Para Nabi, termasuklah Nabi Muhammad ﷺ tidak ada ilmu ghaib.

Ada juga yang salah faham dengan rancangan Nabi Ya’qub  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dengan mengatakan tidak patut seorang Nabi tidak yakin dengan ketentuan Allah ﷻ sampai membuat rancangan sebegitu. Maka di sini Allah ﷻ beritahu yang tidak salah menggunakan ilmu yang ada untuk berusaha mengelak daripada mara bahaya. Itu bukanlah kesalahan bagi sesiapa pun termasuklah seorang Nabi.

Maka ini mengajar kita bagaimana kita kenalah berusaha dan tidak hanya menyerah kepada takdir sahaja tanpa usaha. Kita boleh belajar juga daripada Kisah Khalifah Umar dan Wabak Taun Amwas. Pada tahun ke-18 Hijriyah (sekitar 639 M), Khalifah Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sedang dalam perjalanan menuju Syam (Syria) untuk urusan kenegaraan. Ketika sampai di daerah bernama Sargh (di perbatasan Syam), beliau disambut oleh para panglima tenteranya, termasuk Abu Ubaidah bin Jarrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan para sahabat senior lainnya. Mereka memberitahu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Wabak Taun (sejenis wabak penyakit yang mematikan) telah merebak dengan dahsyat di Syam, khususnya di daerah Amwas. Mendengar berita ini, Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengumpulkan para sahabat terkemuka di tempat itu untuk bermusyawarah:

  • Kelompok pertama (Muhajirin): Ada yang berpendapat agar Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meneruskan perjalanan kerana telah berniat (bertekad) untuk suatu urusan.
  • Kelompok kedua (Ansar): Ada yang berpendapat agar Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kembali, demi menjaga keselamatan para sahabat dan kaum Muslimin yang bersamanya.
  • Kelompok ketiga (Quraisy Senior): Mereka sepakat agar Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kembali dan tidak memasuki kawasan wabak.

Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ cenderung untuk kembali, namun Abu Ubaidah bin Jarrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, komandan tertinggi tentera di Syam, keberatan dan bertanya: “Adakah engkau lari daripada takdir (Qada’) Allah, wahai Amirul Mukminin (Umar)?” Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab dengan ungkapan yang masyhur dan mendalam: “Wahai Abu Ubaidah, andai kata yang mengucapkan perkataan ini orang lain, aku akan menegurnya! Ya, kami lari daripada takdir Allah menuju takdir Allah yang lain.” Kemudian Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memberikan perumpamaan yang sangat logik: “Bagaimana pendapatmu jika kamu memiliki seekor unta, lalu ia turun ke sebuah lembah yang memiliki dua sisi: satu sisi subur dan satu sisi tandus? Jika kamu menggembalakannya di sisi yang subur, bukankah kamu melakukannya dengan takdir Allah? Dan jika kamu menggembalakannya di sisi yang tandus, bukankah kamu juga melakukannya dengan takdir Allah?”

Ketika perdebatan masih berlangsung, datanglah Abdurrahman bin Auf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang baru menyelesaikan suatu urusan. Beliau berkata: “Aku mengetahui sesuatu tentang hal ini daripada Rasulullah ﷺ. Aku mendengar beliau bersabda: ‘Jika kamu mendengar wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan jika wabak itu berjangkit di suatu negeri sedangkan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar darinya untuk melarikan diri.'” (Matan hadith ini diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari No. 5729 dan Sahih Muslim No. 2219).

Pengajaran besar di sini adalah jika kita telah melakukan sesuatu usaha, kemudian ia tidak berjaya, maka redhalah sahaja dengan apa yang berlaku. Jangan kita menimbang-nimbang pula kalau buat begini dan begitu. Rasulullah ﷺ sudah menegur perkara ini seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Apabila sesuatu menimpamu, maka janganlah engkau katakan: ‘Seandainya aku lakukan demikian dan demikian, nescaya akan begini dan begitu.’ Akan tetapi, katakanlah: ‘Ini sudah takdir Allah, dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi.’ Kerana sesungguhnya kata ‘seandainya (kalau)’ itu membuka (pintu) amalan syaitan.”

(Sahih Muslim No. 2664)

Satu pengajaran lagi yang kita kena ingat adalah segala usaha yang kita lakukan, tidaklah semestinya akan memberi hasil. Maka jangan berputus asa seandainya kita telah berusaha tetapi gagal. Contohnya adalah seperti ada yang diganggu syaitan juga walaupun telah baca ayat Kursi. Jangan kata: “Kenapa aku kena ganggu lagi sedangkan aku sudah baca ayat Kursi?” Ini adalah kata-kata yang salah kerana nampak sangat dia hanya bergantung kepada usaha sahaja dan lupa bahawa segala ketentuan adalah daripada Allah ‎ﷻ.

Habis Ruku’ 8 daripada 12 ruku’ surah ini.


 

PIALA DIRAJA

Yusuf Ayat 69: Sekarang masuk ke dalam Keadaan ke 11, iaitu pertemuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan adiknya Bunyamin.

وَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَخَاهُ‌ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَنَا۟ أَخُوكَ فَلَا تَبتَٮِٕس بِمَا ڪَانُواْ يَعمَلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they entered upon Joseph, he took his brother to himself; he said, “Indeed, I am your brother, so do not despair over what they used to do [to me].”

(MALAY)

Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf. Yusuf membawa saudaranya (Bunyamin) ke tempatnya, Yusuf berkata: “Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu, maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.

 

وَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَخَاهُ‌

Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf. Yusuf membawa saudaranya (Bunyamin) ke tempatnya, 

Pada ekspedisi kali ini, Bunyamin saudara kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada sekali. Nama beliau tidak disebut di dalam Al-Qur’an tetapi kitab tafsir mengatakan namanya Bunyamin, atau Binyamin dan di dalam tradisi Yahudi dan Nasrani dipanggil Benjamin. Ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibuang oleh abang-abangnya, Bunyamin ketika itu masih kecil dan tidak terlibat dengan rancangan itu.

Jadi ini adalah pertemuan jejak kasih yang menyayat hati kerana mereka berdua rapat ketika kecil dan abangnya itu telah dikeluarkan dari rumah itu. Sekarang apabila abang-abang itu sampai bersama Bunyamin dan mengadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendekati adik kesayangannya itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menempatkan mereka setiap bilik dua orang. Maka Bunyamin hanya tinggal seorang sahaja di bilik dan dapatlah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertemu secara rahsia dengan Bunyamin kerana baginda hendak selamatkan adiknya itu. Ayat ini menggambarkan momen penuh emosi dan kasih sayang seorang Nabi terhadap saudara kandungnya.

Kalimah آوىٰ bermaksud menyelamatkan daripada bahaya. Kata kerja “آوَىٰ” membawa makna mencari perlindungan atau menempatkan seseorang dengan penuh kasih. Manakala orang yang diselamatkan itu lemah dan kerana itu perlu diselamatkan. Kalimah آوىٰ juga boleh bermaksud memeluk. Kenapa dikatakan Bunyamin ‘diselamatkan’? Kerana abang-abangnya yang lain pun telah berlaku tidak baik dengan Bunyamin. Setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada, maka Bunyaminlah pula yang menjadi mangsa. Kalau kita perhatikan ayat-ayat yang menyentuh beliau sebelum ini, nampak yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat risau membenarkan beliau dibawa bersama. Ini kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap sayang dan menjaga keselamatan Bunyamin kalau dibandingkan dengan mereka. Maka tentu mereka tidak suka kepada Bunyamin juga kerana bapanya itu nampak terlalu sayang kepadanya.

 

قَالَ إِنِّىٓ أَنَا۟ أَخُوكَ

Yusuf berkata: “Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu,

Setelah dapat bersendirian dengan Bunyamin, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendedahkan siapa diri baginda yang sebenarnya. Dialah Yusuf abang yang telah lama dipisahkan daripada keluarga mereka selama ini. Ada penekanan apabila digunakan kalimah إِنّي kerana hendak menekankan yang baginda adalah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, saudara kandungnya kerana tentu Bunyamin pun susah hendak percaya. Sudahlah ada إِنّي, ditambah pula dengan kalimah أَنَا۟ sebagai pengulangan, sedangkan kalimah إِنّي sudah bermaksud ‘sesungguhnya aku’. Ini tentunya satu berita yang sangat menggembirakan Bunyamin kerana selama ini beliau kesedihan kerana telah kehilangan abang tersayang.

 

فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَعمَلونَ

maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.

Setelah mereka berdua sahaja, senanglah untuk mereka bertanya khabar menceritakan apakah yang terjadi selama mereka tidak berjumpa sekian lama itu. Maka Bunyamin tentulah menyampaikan cerita bagaimana beliau selalu dibuli oleh abang-abangnya sama seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu. Cuma apa yang terjadi kepada Bunyamin tidaklah seteruk seperti yang dikenakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidaklah Bunyamin sampai dibuang ke dalam telaga. Antara sebab Bunyamin dibuli adalah kerana abang-abang mereka iri kepadanya yang sentiasa dikasihi dan dilindungi oleh bapa mereka. Mereka dahulu sampai buang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga kerana baginda amat disayangi oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun setelah kehilangan Yusuf, Bunyamin pula yang menjadi kesayangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukannya mereka. Begitulah kalau ada anak emas, selalunya adik beradik lain akan dengki, bukan?

Maka sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menenangkan adik kesayangannya itu. Kalimah تَبتَئِس daripada kata dasar ب ا س yang bermaksud menjadi sengsara; melarat; kejahatan yang buruk; pembalasan; hukuman; bahaya; konflik; kesusahan; keganasan; peperangan; kuasa besar; kemiskinan; miskin; kesedihan; kuat; ngeri. Jadi sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menenangkan adiknya.

Cuma kalau kita perhatikan susunan ayat ini, sebaik sahaja Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memperkenalkan diri baginda (إِنِّىٓ أَنَا۟ أَخُوكَ), terus sahaja baginda menenangkan Bunyamin. Bagaimana baginda tahu? Ada beberapa pendapat: 

1. Walaupun Bunyamin tidak cakap, baginda sudah dapat agak. Bukankah baginda diberi kelebihan membaca suasana dan kata-kata manusia? Di dalam ayat 58 telah disebut وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيهِ فَعَرَفَهُم dan kalimah فَعَرَفَهُم itu antara tafsirnya adalah baginda melihat abang-abangnya itu masih sama seperti dahulu sahaja iaitu kaki buli. Bagaimana baginda ‘baca’ mereka? Melalui bahasa badan (body language) mereka. Kita pun ada kebolehan ini daripada pengalaman kita melihat orang; cuma kita kena pandang dengan lebih sedikit.

2. Mungkin Bunyamin sendiri telah menceritakan tentang pengalaman hidupnya, tentang abangnya yang telah hilang, sekarang abang-abangnya telah membulinya dengan buat begitu dan begini. Namun jikalau inilah yang terjadi, mungkin agak pelik kerana ia bermakna Bunyamin menceritakan hal keluarganya kepada orang asing pula.

3. Mungkin setelah mereka bercakap lama dan Bunyamin rasa tenang dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, barulah beliau menceritakan hal keadaan dan masalah  yang dihadapinya.

4. Mungkin sebaik sahaja mereka duduk bersama, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memperkenalkan dirinya dan terus menenangkan adiknya itu.

Jadi ini menyentuh isu buli yang banyak berlaku semenjak dahulu sehingga sekarang. Buli adalah fenomena kompleks yang tidak terjadi hanya kerana satu faktor, tetapi merupakan hasil interaksi pelbagai faktor daripada individu, keluarga, sekolah, dan lingkungan sosial secara umum. Ia boleh terjadi di mana-mana sama ada di sekolah atau di rumah. Jangan kita sangka di rumah dalam kalangan ahli keluarga kita pasti selamat kerana ada sahaja individu malang yang dibuli di rumah. Malah sekarang, jikalau duduk di rumah seorang diri pun boleh dibuli kerana sekarang ada kes buli siber pula di mana manusia membuli di alam maya sahaja.

Yang sedihnya, kesan buli terhadap mangsa adalah mendalam dan meluas, sering meninggalkan parut fizikal, emosi, dan psikologi yang berkekalan lama walaupun setelah insiden buli itu berakhir. Mangsa sering merasa sedih berpanjangan, putus asa, dan kehilangan minat terhadap aktiviti yang dahulunya digemari. Mangsa hidup dalam ketakutan yang berterusan, sentiasa bimbang akan serangan atau ancaman seterusnya. Ini boleh menyebabkan serangan panik. Buli yang teruk dan berpanjangan, terutamanya buli fizikal atau siber, boleh menyebabkan gejala PTSD, termasuk flashback dan mimpi buruk. Malah ada banyak lagi kesan dan yang paling teruk adalah perasaan cenderung bunuh diri. Ini adalah risiko terbesar. Perasaan terasing, putus asa, dan kekurangan nilai diri yang berpunca daripada buli yang kronik adalah faktor risiko yang kuat untuk menyebabkan cubaan bunuh diri.

Maka dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi tasliah (pujukan) kepada adiknya itu. Baginda menasihatkan Bunyamin supaya jangan bersedih dengan apa yang mereka telah lakukan terhadapnya. Bersabarlah sebab itu ujian sementara sahaja. Baginda mengingatkan adiknya itu dan kita juga, begitulah kalau hidup di dunia ini tidak akan terlepas daripada ujian.

Ini mengajar kita yang kita mestilah membantu mangsa buli dan selamatkan mereka. Kita kena perhatikan tanda-tanda seseorang itu mungkin dibuli dan bertindak dengan menyelamatkan mereka. Ini kerana kejadian buli selalunya dirahsiakan oleh pembuli dan mangsa buli sekali. Maka kita kenalah perhati dengan lebih mendalam sedikit. Membantu mangsa buli memerlukan pendekatan yang sensitif, empati, dan strategik. Peranan kita, sama ada sebagai keluarga, rakan, ibu bapa, guru, atau orang asing, adalah untuk memberi sokongan dan memastikan keselamatan mereka. Berikan ruang kepada mangsa untuk menceritakan pengalaman mereka tanpa mengganggu, meremehkan, atau menyalahkan mereka. Elakkan frasa seperti “Kenapa kamu tak melawan?” atau “Mungkin kamu yang salah faham.” Akui bahawa apa yang mereka lalui adalah serius dan menyakitkan. Contohnya: “Saya faham kamu pasti rasa takut dan sedih. Apa yang berlaku bukan salah kamu.” Akhir sekali, ingatkan mangsa tentang kelebihan dan nilai diri mereka. Buli sering meruntuhkan harga diri; bantu mereka membina semula keyakinan diri mereka.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini turun di Mekah ketika Nabi ﷺ menghadapi tekanan, penghinaan, pemboikotan dan pengkhianatan kaum Quraisy. Jadi ia adalah tasliah kepada baginda juga. Ayat ini menyediakan hiburan untuk baginda bahawa:

    • Pengkhianatan ahli keluarga boleh berlaku pada para nabi, bukan hanya pada baginda ﷺ.
    • Kebenaran akan muncul pada waktunya.
    • Bantuan Allah ‎ﷻ datang dalam cara yang tidak dijangka.

Pengajaran kepada kita adalah kes buli ini boleh berlaku di mana-mana sahaja. Bayangkan di dalam rumah seorang Nabi pun ia boleh berlaku. Jangan kita sangka kalau nampak luaran itu baik sahaja, bermakna suasana tenang sahaja. Masalahnya kes buli ini selalunya dirahsiakan. Kita pun tahu di sekolah pun kes buli dirahsiakan kerana tidak mahu nama sekolah menjadi buruk. Maka begitu jugalah kes buli di rumah kerana kononnya hendak menjaga nama baik keluarga di mata masyarakat.

Di sini kita belajar yang kes sebegini tidak boleh dipendamkan. Kita sekarang melihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menenangkan adiknya. Tidaklah baginda berkhutbah supaya adiknya bersabar, jangan burukkan nama keluarga, jangan ghibah orang lain. Baginda terima yang buli telah berlaku dan baginda akan mengambil tindakan. Perkara sebegini tidak sepatutnya disenyapkan dan jangan pula ada yang kata ia ghibah jadi orang yang dibuli tidak boleh menceritakan kepada orang lain. Ini adalah pandangan yang salah dan datang daripada orang yang tidak faham apa maksud ghibah. Sebenarnya kalau ada orang yang dizalimi, dia boleh beritahu kepada orang lain supaya dia dapat diselamatkan daripada kezaliman itu.

Selain itu, janganlah hendak dijaga sangat nama baik keluarga. Ini masalah yang besar yang menyebabkan buli terus berlaku. Oleh kerana banyak anak yang dibuli, diseksa oleh ahli keluarga lain, mereka akan disenyapkan. Sebagai contoh, kalau seorang bapa meliwat anaknya, dan diberitahu kepada si ibu, ibu itu akan suruh anaknya itu senyap sahaja. Malah kadangkala anak itu pula yang dipersalahkan!

Begitu juga bagi orang yang diberitahu tentang masalah ini, maka kenalah lakukan apa yang perlu untuk selamatkan orang itu. Mungkin kita boleh laporkan kepada pihak berwajib, mungkin kita ambil orang yang sedang dibuli itu untuk selamatkan dia. Apa-apa sahaja tindakan yang segera. Bukannya bagi nasihat ‘agama’ pula kepada orang itu suruh dia bersabar sahaja, ingat Allah, ingat akhirat. Ya, itu memang nasihat yang baik, tetapi yang lebih diperlukan sekarang adalah terus menyelamatkan orang yang dibuli dan dizalimi itu. Selagi kita tangguhkan maka selama itulah lagi orang itu terseksa. Amat malang sekali kadangkala jika lambat bertindak boleh mengakibatkan ada nyawa yang melayang!

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan maklumat daripada teks tafsir yang disediakan.

1. Apakah nasihat yang diberikan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak-anaknya sebelum mereka memasuki Mesir, dan apakah alasan di sebalik nasihat tersebut?

2. Adakah rancangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjaya menghalang takdir Allah ‎ﷻ? Jelaskan jawapan anda.

3. Menurut teks, apakah “keinginan pada diri Ya’qub” (حَاجَةً فِى نَفسِ يَعقُوبَ) yang telah dipenuhinya melalui rancangannya itu?

4. Teks tersebut menyatakan bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang “mempunyai ilmu” (لَذُو عِلمٍ). Adakah ini bermaksud baginda mengetahui ilmu ghaib?

5. Apakah pengajaran utama daripada kisah Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Wabak Taun Amwas yang berkaitan dengan konsep takdir dan usaha?

6. Bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatur pertemuan secara rahsia dengan adiknya, Bunyamin, setelah mereka tiba di Mesir?

7. Apakah maksud kalimah آوىٰ (aawaa) dan mengapa ia digunakan untuk menggambarkan tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap Bunyamin?

8. Apakah nasihat pertama yang diberikan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Bunyamin sejurus selepas mendedahkan identitinya?

9. Menurut tafsir, mengapakah abang-abang yang lain tidak menyukai Bunyamin, sama seperti mereka tidak menyukai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu?

10. Apakah pendirian teks mengenai tindakan menceritakan kezaliman atau buli yang dialami kepada orang lain? Adakah ia dianggap sebagai ghibah yang dilarang?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Menurut Konteks Sumber
Iradah
Berkemahuan. Teks menggunakannya dalam konteks kehendak atau kemahuan Allah ‎ﷻ.
Takdir
Ketentuan Allah ﷻ. Dinyatakan bahawa usaha manusia tidak dapat melepaskan diri daripada takdir Allah ﷻ, tetapi usaha itu sendiri adalah sebahagian daripada takdir.
Hukum Asbab
Hukum sebab dan akibat (cause and effect). Teks menyatakan bahawa selagi manusia hidup di dunia, mereka perlu mengikuti hukum ini, seperti mengambil langkah keselamatan.
Ilmu Ghaib
Pengetahuan tentang perkara yang tersembunyi atau masa depan. Teks menekankan bahawa para Nabi, termasuk Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ, tidak memiliki ilmu ini.
Tasliah
Pujukan, hiburan, atau ketenangan. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut sebagai tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ dan juga kepada adiknya, Bunyamin.
Ghibah
Mengumpat. Teks menjelaskan bahawa memberitahu kezaliman yang dialami kepada orang lain untuk mendapatkan bantuan bukanlah ghibah yang dilarang.
آوىٰ (Aawaa)
Kata kerja yang bermaksud menyelamatkan daripada bahaya, mencari perlindungan, menempatkan seseorang dengan penuh kasih, atau memeluk. Ia digunakan untuk tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang melindungi Bunyamin.
تَبتَئِس (Tabta’is)
Berasal daripada kata dasar yang membawa makna menjadi sengsara, melarat, sedih, atau berdukacita. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan ini untuk menasihati Bunyamin agar tidak bersedih.
إِنّي (Inni)
Kalimah yang membawa maksud “sesungguhnya aku”. Penggunaannya oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama kalimah أَنَا۟ (ana’) bertujuan untuk memberi penekanan yang kuat ketika memperkenalkan dirinya kepada Bunyamin.
Anak Emas
Istilah yang digunakan untuk menggambarkan anak yang paling disayangi oleh ibu bapa, yang sering kali menyebabkan kecemburuan dalam kalangan adik-beradik lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 66 – 67 (Rancangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

KEBIJAKSANAAN NABI YA’QUB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 66: Selepas hujah itu, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengalah juga. Baginda sedar yang baginda tidak boleh menghalang mereka untuk pergi dan membawa Bunyamin bersama mereka. Akan tetapi baginda meletak syarat kali ini. Baginda tidak melepaskan mereka begitu sahaja kali ini.

قَالَ لَن أُرسِلَهُ ۥ مَعَڪُم حَتَّىٰ تُؤتُونِ مَوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأتُنَّنِى بِهِۦۤ إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُم ۖ  فَلَمَّآ ءَاتَوهُ مَوثِقَهُم قَالَ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Jacob] said, “Never will I send him with you until you give me a promise [i.e., oath] by Allāh that you will bring him [back] to me, unless you should be surrounded [i.e., overcome by enemies].” And when they had given their promise, he said, “Allāh, over what we say, is Witness.”

(MALAY)

Ya’qub berkata: “Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama-sama kamu, sebelum kamu memberikan kepadaku janji yang teguh atas nama Allah, bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali, kecuali jika kamu dikepung musuh”. Tatkala mereka memberikan janji mereka, maka Ya’qub berkata: “Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini)”.

 

قَالَ لَن أُرسِلَهُ ۥ مَعَڪُم

Ya’qub berkata: “Aku sekali-kali tidak akan menghantarnya (pergi) bersama-sama kamu, 

Memang asalnya baginda tidak mahu melepaskan Bunyamin dengan mereka. Memang hati baginda sudah mulai lembut tetapi baginda tidak mengalah dengan mudah. Baginda meletakkan syarat ke atas mereka kalau hendak bawa juga Bunyamin sekali. Dahulu ketika mereka hendak membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak suruh pun mereka berjanji begini; namun kali ini kerana apa yang berlaku dahulu, maka baginda mesti berkeras sedikit dengan mereka.

 

حَتَّىٰ تُؤتُونِ مَوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأتُنَّنِى بِهِۦۤ

sehinggalah kamu memberikan kepadaku janji yang teguh daripada Allah, bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali,

Baginda tidak akan mengalah, sehinggalah mereka bersumpah dengan nama Allah. Maka, kalau mereka tidak bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ, baginda tidak akan melepaskan Bunyamin bersama mereka. Semoga mereka masih ada iman takut dengan Allah ﷻ kerana perjanjian mereka itu melibatkan Allah (مَوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ). Mereka mesti berjanji akan bawa pulang Bunyamin dan ada penegasan di dalam kalimah لَتَأتُنَّنِى itu.

Kalimah مَوثِقًا itu adalah perjanjian yang lagi kuat daripada ميثاقِ. Apabila digunakan kalimah مَوثِقًا, itu bermaksud kedua-dua belah pihak sedar tentang kepentingannya. Apabila berjanji dengan cara ini, ia mengandungi kalimah tersirat iaitu kalau aku berbohong atau memungkirinya, aku bersedia dikutuk oleh Allah ﷻ atau dihukum oleh-Nya. Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak anak-anaknya itu berpegang dengan janji mereka kerana takut kepada Allah ﷻ.

 

إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُم

kecuali jika kalian dikepung”. 

Mereka mesti bersumpah yang mereka akan membawa pulang Bunyamin dalam apa keadaan pun. Akan tetapi kemudian Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar yang manusia tidak menentukan taqdir. Maka baginda menambah pengecualian: kecualilah kalau mereka dikepung oleh musuh. Ini tidak mustahil kerana ketika itu adalah zaman susah untuk mencari makan. Tentu ada kafilah yang diserang dan dirompak kerana waktu itu mereka membawa barang makanan. Jadi, apabila rombongan adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎itu ke Mesir, entah mereka dirompak di dalam perjalanan, dan memang itu ada kemungkinan boleh berlaku.

Maka ayat ini mengajar kita yang kita tidak boleh memaksa orang lain berjanji atas perkara yang mereka tidak mampu menjaganya.

 

فَلَمَّآ ءَاتَوهُ مَوثِقَهُم قَالَ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ

Tatkala mereka memberikan janji mereka, maka Ya’qub berkata: “Allah adalah wakil terhadap apa yang kita ucapkan (ini)”.

Anak-anaknya itu bersetuju untuk bersumpah yang mereka akan mengembalikan Bunyamin ke pangkuan bapa mereka. Semoga dengan bersumpah itu, takutlah isi hati mereka untuk menipu lagi kali ini. Ini kerana manusia jikalau ada sekelumit iman di dalam hati mereka, akan takut setelah bersumpah dengan nama Allah.

Selepas mereka bersumpah, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beritahu mereka yang Allah ‎ﷻ menjadi wakil terhadap sumpah mereka itu. Ada dua makna yang kita boleh ambil:

1. Ini bermakna mereka hendaklah bertawakal kepada Allah ﷻ untuk memelihara keselamatan mereka. Akan tetapi apabila kita bertawakal, kita kenalah berusaha dan menggunakan segala kemampuan kita. Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan hasilnya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”

(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmidzi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.

(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

2. Apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut Allah ﷻ adalah wakil terhadap janji mereka itu, maka baginda hendak mengingatkan mereka yang sekiranya mereka memungkiri janji dengan sengaja, maka Allah ﷻ yang akan mengadili mereka. Allah ﷻ yang akan menghukum mereka kalau mereka menipu, bukannya baginda. Ini kerana ketika mereka menipu tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu pun, baginda tidak boleh berbuat apa-apa.


 

Yusuf Ayat 67: Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bersetuju untuk melepaskan Bunyamin untuk mengikut abang-abangnya ke Mesir tetapi baginda tidak melepaskannya begitu sahaja – baginda beri nasihat kepada mereka bagaimana untuk menjaga diri mereka. Ini adalah sebagai ikhtiar supaya mereka selamat.

وَقَالَ يَـٰبَنِىَّ لَا تَدخُلُواْ مِنۢ بَابٍ وٰحِدٍ وَٱدخُلُواْ مِن أَبوٰبٍ مُّتَفَرِّقَةٍۖ وَمَآ أُغنِى عَنكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىءٍ‌ۖ إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌ۖ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ‌ۖ وَعَلَيهِ فلۡيَتَوَكَّلِ ٱلمُتَوَڪِّلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he said, “O my sons, do not enter from one gate but enter from different gates; and I cannot avail you against [the decree of] Allāh at all. The decision is only for Allāh; upon Him I have relied, and upon Him let those who would rely [indeed] rely.”

(MALAY)

Dan Ya’qub berkata: “Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, tetapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikit pun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri”.

 

وَقَالَ يَـٰبَنِىَّ لَا تَدخُلُواْ مِنۢ بَابٍ وٰحِدٍ

Dan Ya’qub berkata: “Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, 

Baginda menasihatkan mereka kerana baginda takut kalau apa-apa terjadi kepada mereka. Baginda nasihatkan mereka supaya jangan masuk dari satu pintu yang sama. Zaman dahulu kota selalunya di dalam kawasan yang ada kepungan dan ada pintu gerbang untuk menjaga keselamatan.

Baginda menasihati mereka supaya jangan memasuki pintu kota itu dalam kumpulan mereka yang sebelas orang itu sekaligus. Ini kerana takut nanti ada orang nampak mereka ramai, tentu barang yang mereka dapat daripada kerajaan Mesir pun banyak juga. Takut nanti ada pula yang hendak merompak mereka.

Ataupun takut mereka dipandang serong ada niat yang lain kerana mereka kumpulan yang ramai, takut nanti ada yang sangka mereka ada pakatan yang tidak elok pula terhadap kerajaan Mesir. Tambahan pula mereka orang luar, maka tentu ada prejudis terhadap mereka. Sebelum ini mereka telah pernah datang dan pada kali ini datang lagi, tentulah akan menarik perhatian. Takut ada yang berniat jahat pula terhadap mereka nanti.

Kemudian menurut Ibnu Abbas, Muhammad ibnu Ka’b, Mujahid, Ad-Dahhak, Qatadah, As-Saddi, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang, hal itu untuk menghindari ‘ain (pandangan jahat). Demikian itu kerana mereka adalah kerana,

1. Mereka berpenampilan bagus dan mempunyai rupa yang tampan serta kelihatan berwibawa. Ini kerana mereka itu anak seorang Nabi. Ini disebut di dalam Tafsir Tabari.
2. Tambahan pula mereka adik beradik yang ramai sampai 11 orang (daripada seorang bapa) dan ketika itu anak yang ramai menjadi kedengkian bagi orang lain kerana ia adalah nikmat yang amat besar. Ini juga disebut di dalam Tafsir Tabari.
3. Kali pertama mereka datang dahulu mereka telah dilayan dengan baik oleh Al-Aziz (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) jadi kali ini apabila mereka masuk, mereka akan dikenali sebagai orang yang rapat dengan Al-Aziz.

Oleh kerana sebab-sebab di atas, maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berasa khuatir bila mereka tertimpa ‘ain disebabkan pandangan mata orang-orang kerana sesungguhnya ‘ain itu adalah benar, ia sampai dapat ‘menjatuhkan penunggang kuda dari kudanya’ kerana betapa teruknya ia. Penyakit ‘Ain (pandangan mata jahat/hasad) adalah perkara yang benar dan nyata dalam Islam, malah ada disentuh di dalam Qalam:51

وَإِن يَكادُ الَّذينَ كَفَروا لَيُزلِقونَكَ بِأَبصٰرِهِم لَمّا سَمِعُوا الذِّكرَ وَيَقولونَ إِنَّهُ لَمَجنونٌ
Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka, tatkala mereka mendengar Al-Qur’an dan mereka berkata: “Sesungguhnya dia (Muhammad) benar-benar orang yang gila”.

Juga disebutkan secara jelas dalam beberapa hadith sahih Rasulullah ﷺ.

“‘Ain itu benar-benar ada (haq). Seandainya ada sesuatu yang dapat mendahului takdir, nescaya ‘ainlah yang dapat mendahuluinya. Maka, apabila kalian diminta mandi (untuk penyembuhan), mandilah.”

(Riwayat Muslim No. 2188, daripada Ibnu Abbas R.Anhuma)

Bahkan penyakit ini dapat menyebabkan kematian seperti diberitahu oleh Rasulullah ﷺ,

“Kebanyakan mereka yang meninggal dunia dalam kalangan umatku setelah Qada’ Allah dan Qadar-Nya adalah disebabkan oleh penyakit ‘Ain.”

(Al-Mu‘jam al-Kabir (At-Tabarani) No. 11798)

Di zaman Nabi ﷺ telah pernah terjadi perkara ini.

Daripada Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, dia berkata, “Amir bin Rabi’ah pernah melihat Sahl bin Hunaif sedang mandi. Dia berkata, ‘Aku belum pernah melihat kulit yang seindah kulit orang yang dipingit (perawan).’ Tidak lama setelah itu, Sahl terjatuh dan pengsan.” Kemudian hal itu disampaikan kepada Rasulullah ﷺ. Baginda pun bersabda:

أَتَّهُمْتُوا لَهُ فَلَهُ؟! عَلَامَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ؟! أَلَا بَرَّكْتَ؟! إِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ، اغْتَسِلْ لَهُ
“Apakah kalian menuduh seseorang (telah menyihirnya)? Mengapa salah seorang daripada kalian hendak membunuh saudaranya? Kenapa kalian tidak mendoakan keberkahan? Sesungguhnya ‘Ain itu haq (benar). Mandilah untuknya!”

Lalu Amir bin Rabi’ah pun mandi, kemudian diambilkan air wudhunya dalam sebuah bejana. Air itu lalu dituangkan ke tubuh Sahl. Maka Sahl pun bangkit dan sembuh.

(Sahih Muslim No. 2188)

Hadith ini mengandungi pengajaran yang amat penting. Iaitu ain itu memang benar, ia memang bahaya dan ia juga boleh dikenakan oleh orang yang tidak dengki pun, tetapi takjub dengan orang yang dilihatnya. Perhatikan di dalam hadith ini Nabi ﷺ menegur kenapa tidak mendoakan keberkatan bagi orang yang dipandang itu? Oleh itu ketika melihat sesuatu yang indah, menakjubkan, atau mengagumkan pada orang lain (baik itu anak, harta, kesihatan, atau penampilan), segera ucapkan:

  • “بَارَكَ اللهُ فِيكَ” (Semoga Allah memberkahinya)
  • “بَارَكَ اللهُ لَكُم” (Semoga Allah memberkahi kalian)
  • “بَارَكَ اللهُ لَهَا” (Semoga Allah memberkahinya, jika yang dipuji adalah perempuan)

Atau doa yang lebih lengkap:

  • “مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ” (Apa yang dikehendaki Allah, maka itulah yang terjadi. Tidak ada kekuatan kecuali dengan [pertolongan] Allah.)

Dalam masa yang sama, kita cuba elak perkara ini berlaku dengan tidak mempamerkan kesenangan yang kita ada. Tidak perlu hendak post gambar keluarga kita di media sosial kerana mungkin ada orang yang dengki, mungkin ada orang yang kagum dan kedua-dua ini boleh menyebabkan ain.

Seandainya kita rasa kita telah terkena ain, maka kita boleh meruqyah diri kita sendiri dengan membaca Surah Al-Falaq dan An-Nas. Sebenarnya kita tidak perlukan orang lain pun untuk meruqyah diri kita. Kita semua sepatutnya boleh membaca Al-Qur’an sendiri dan berdoa sendiri kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana kalau kita sendiri yang berdoa, ia lebih ikhlas. Tidak perlu kita mencari uskun (ustaz dukun) untuk membacakan ayat-ayat atau menjampi kita.

Kembali kepada kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, untuk mengelakkan anak-anaknya daripada terkena pandangan ain, maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati mereka mengelak daripada dipandang oleh orang ramai. Takut ada yang terpesona dan kagum pula dengan perawakan mereka. Mungkin ada juga yang dengki dengan mereka kerana mereka itu ramai dan tentu dapat bekalan makanan yang banyak. Sekiranya mereka masuk beramai-ramai, tentu akan menarik perhatian. Maka mereka perlu berpecah dan masuk berdua atau bertiga sahaja supaya jangan menarik perhatian orang ramai.

Ada juga pendapat yang mengatakan, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ takut raja (yang lebih tinggi daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) Mesir rasa terancam dengan ramainya mereka datang masuk ke dalam negeri Mesir. Cuma pendapat ini rasanya tidaklah kuat.

Kenapa kali ini Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beri nasihat kepada mereka? Kali pertama mereka datang ke Mesir, tidak disebut nasihat ini daripada baginda. Ini mungkin kerana pertama kali dahulu, mereka itu tidak dikenali. Akan tetapi setelah mereka berjumpa dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di pertemuan pertama, mungkin ramai yang dengki dengan mereka. Mungkin juga kerana kali ini Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih prihatin kerana ada Bunyamin anak kesayangannya sekali.

 

وَٱدخُلُواْ مِن أَبوٰبٍ مُّتَفَرِّقَةٍ

tapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; 

Baginda nasihatkan mereka untuk masuk dari pintu yang berlainan – berasingan supaya tidak nampak mereka sebagai kumpulan yang besar. Ini supaya ketika mereka masuk itu, orang pun tidak sedar dan tidak tengok sangat. Buat macam biasa sahaja. Ini adalah nasihat baginda sebagai usaha untuk menyelamatkan mereka. Sebagai seorang Nabi yang bijak, maka tentulah baginda merancang juga. Bagaimanapun kita akan lihat nanti yang rancangan baginda tidak berjaya kerana taqdir adalah dalam tangan Allah ‎ﷻ.

Pendapat yang memasukkan isu ain (pandangan jahat) itu ada terdapat di dalam tafsir klasik. Akan tetapi ada yang mengkritik pendapat itu seperti Dr. Akram Nadvi حَفِظَهُ اللهُ. Kritikan yang diberikan:

1. Kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberikan nasihat tersebut pada kali pertama mereka ke Mesir kalau baginda takut dengan ain? Az-Zamakhsyari ada memberikan hujahnya, iaitu kerana kali pertama mereka tidak terkenal lagi. Namun begitu, mengikut kata Dr. Akram حَفِظَهُ اللهُ, mereka ketika itu sudah berketrampilan menarik juga, bukan kali kedua ini sahaja.
2. Kalau kali pertama mereka pergi dan pulang ke Kan’an tidak ada masalah, maka sepatutnya isu ain tidak timbul.
3. Bagaimana masuk dari pintu kota yang berbeza akan membantu mereka sedangkan nanti mereka akan berkumpul juga nanti di istana apabila bertemu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana nanti mereka akan berkumpul juga nanti, bukan?
4. Kenapa tidak ada isu ain ketika mereka sedang musafir di perjalanan? Kerana orang nampak mereka bukannya di pintu gerbang kota sahaja tetapi di mana-mana sahaja, bukan?
5. Mereka adalah anak-anak seorang Nabi. Tidakkah di dalam syariat mereka ayat-ayat jampi yang boleh diajar oleh baginda untuk dibaca sebagai pelindung kepada mereka? Macam kita sekarang ada Surah Al-Falaq, takkan mereka tidak ada yang seumpamanya?
6. Nanti akan diberitahu oleh Allah ‎ﷻ bahawa rancangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidak berjaya. Kalau yang baginda takuti adalah ain, adakah mereka terkena ain? Tapi ia tidak disebut begitu.

Jadi apakah pendapat yang ditawarkan oleh Dr. Akram حَفِظَهُ اللهُ? Beliau mengatakan, apabila anak-anaknya pulang setelah ekspedisi kali pertama, baginda dapat tahu bahawa Mesir menjadi tempat tumpuan bagi manusia dari merata tempat untuk mendapatkan makanan. Maka mungkin baginda rasa yang anaknya Yusuf juga pergi ke Mesir kerana kelaparan. Jadi baginda mahu mereka masuk dari pintu kota yang berbeza kerana berharap mereka dapat berjumpa dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Masuk dari pintu-pintu yang berbeza menambah kemungkinan mereka berjumpa dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau sekurang-kurangnya berjumpa orang yang pernah berjumpa dengannya. Akan tetapi tidaklah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan jelas kepada anak-anaknya untuk mencari Yusuf. Ini kerana walaupun beberapa tahun telah berlalu, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih lagi berharap anaknya Yusuf masih hidup walaupun entah di mana. Baginda tidaklah suruh anaknya mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana tentu anaknya tidak suka dan akan kata baginda gila pula. Jadi baginda berharap mereka jumpa dengan cara tidak sengaja dan kali ini ada Bunyamin yang akan memberitahu kepada baginda kalau benar mereka jumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun timbul persoalan pula, bolehkah kita menerima pendapat tafsir yang berlainan malah berlawanan dengan pandangan para sahabat dan tabein? Sedangkan mereka itu orang yang lebih awal daripada kita? Isu ini menjadi perdebatan di dalam Ulumul Qur’an. Ramai yang tidak bersetuju kerana seolah-olah kurang ajar pula dengan golongan yang awal. Akan tetapi di dalam masa yang sama, kita disuruh oleh Allah ‎ﷻ menggunakan akal. Maka tafsir bi al-ra’y (tafsir menggunakan akal tidaklah terus tertolak).

Sekiranya tafsiran itu daripada Nabi ﷺ sendiri, maka ia tentulah sangat kuat. Namun kalau kita perhatikan, tidak banyak tafsiran diberikan oleh Rasulullah ﷺ sendiri. Majoriti Al-Qur’an ditafsirkan oleh Rasulullah ﷺ melalui praktik, implementasi hukum, dan penjelasan makna yang diperlukan sahaja. Nabi ﷺ sangat berhati-hati agar penafsiran baginda tidak membatasi makna Al-Qur’an yang luas dan multidimensional (dapat ditafsirkan pada banyak zaman dan keadaan). Jika Nabi ﷺ menafsirkan setiap ayat secara terperinci, dikhuwatirkan umat setelahnya akan berpegang pada satu tafsiran sahaja dan menutup ruang untuk ijtihād (pemikiran) dan penemuan makna baru yang sesuai dengan kaedah syariat dan konteks zaman.

Pendapat para Sahabat Nabi ﷺ memiliki kedudukan yang sangat tinggi dalam hierarki sumber tafsir, berada tepat di bawah Al-Qur’an dan Sunnah Nabi ﷺ. Tafsiran mereka menjadi wajib untuk dipegang apabila tafsir para sahabat:

  • Berkaitan dengan Asbāb al-Nuzūl (sebab turunnya ayat), yang tidak mungkin diketahui melalui ijtihad. Mereka ada ketika ayat itu diturunkan, jadi mereka lebih tahu tentang hal itu.
  • Merupakan penjelasan terhadap ayat yang tidak dapat difikirkan oleh akal (seperti perkara ghaib). Mereka tentunya meneka-neka melainkan maklumat itu mereka perolehi daripada Nabi ﷺ sendiri.
  • Tafsiran itu disepakati oleh para Sahabat dan tidak ada perbezaan pendapat di antara mereka.

Hukum: Tafsir dalam kategori ini dihukumi wajib diterima dan memiliki kekuatan seperti hadith marfū’ (disandarkan langsung kepada Nabi ﷺ). Oleh kerana itu, tafsir baru yang jelas-jelas bertentangan dengan tafsir jenis ini dihukumi tertolak (tidak sah) dan merupakan penafsiran yang tidak berlandaskan ilmu (tafsir bi al-ra’y al-madhmūm).

Bagaimana pula dengan tafsir golongan Tabi’in? Tabi’in adalah generasi yang berguru langsung kepada para Sahabat. Tafsir mereka juga memiliki kehormatan tinggi, tetapi kedudukannya di bawah tafsir Sahabat. Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum tafsir Tabi’in:

Majoriti berpendapat Tafsir Tabi’in tidak dijadikan hujjah (dalil yang mengikat) secara mutlak. Jika tafsir Tabi’in bertentangan dengan tafsir Sahabat atau terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan Tabi’in sendiri, maka tafsir baru yang bertentangan dengannya tidak serta merta tertolak, asalkan tafsir baru itu didasarkan pada ijtihad yang benar, kaedah bahasa Arab yang sahih, serta tidak bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Tambahan pula golongan Tabi’in juga ada menggunakan pendapat mereka sendiri dalam mentafsirkan makna sesuatu ayat dan kalau ia pendapat mereka, maka mendatangkan pendapat baru tidaklah salah.

Persoalan ini menjadi perbincangan panjang lebar dalam kalangan ahli Al-Qur’an zaman sekarang yang dahagakan maklumat tambahan di dalam Al-Qur’an. Boleh rujuk perbincangan di sini.

 

وَمَآ أُغنِى عَنكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىءٍ‌

namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu sedikit pun daripada (takdir) Allah.

Walaupun baginda nasihat mereka untuk buat begitu, namun baginda akui yang baginda tidak dapat mampu untuk memastikan yang mereka akan selamat. Itu semua dalam taqdir Allah ‎ﷻ. Akan tetapi sebagai manusia, kita kena berusaha untuk menyelamatkan diri kita. Namun begitu, akidah kita adalah walau usaha bagaimana cantik pun, tidak dapat berlindung daripada taqdir Allah ‎ﷻ jikalau Allah ‎ﷻ menentukan yang sebaliknya. Kita ini lemah dan tidak mampu untuk mengubah kehendak Allah ‎ﷻ walaupun sedikit. Ayat ini mengajar kita, ikhtiar kena ada, tetapi tetap kena yakin dan bergantung harap dengan Allah ‎ﷻ.

Jadi kita tidak akan pernah terselamat daripada takdir Allah ﷻ; dan tidak ada apa-apa pun yang akan menyelamatkan kita melainkan Allah ﷻ sahaja. Ini menolak amalan manusia yang menggunakan tangkal, gelang, cincin, batu dan apa-apa sahaja benda yang kononnya boleh menjaga kita. Ini adalah karut sama sekali dan lebih karut apabila ada orang Muslim juga melakukan. Antara perkara karut yang Muslim lakukan adalah dengan meletak mushaf Al-Qur’an (bawah bantal, dalam kereta dan sebagainya); bukan untuk dibaca, tetapi untuk perlindungan.

Begitulah ramai yang tidak faham bahawa Allah ﷻ sahaja yang memberi perlindungan kepada kita. Ramai yang berharap kepada makhluk tetapi lupa untuk berserah dan mengadu kepada Allah ﷻ.

 

إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِ‌

Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; 

Segala ketentuan qada’ dan qadar adalah di tangan Allah ﷻ. Kita hanya boleh berusaha dan redha dengan apa yang Allah ﷻ telah tentukan. Ia tidak salah kerana ia termasuk di dalam lingkungan asbab (cause and effect) di dalam kehidupan dunia. Maka kita buat apa yang kita mampu. Contohnya kita bersukan untuk menjaga kesihatan selain daripada menjaga pemakanan yang sihat-sihat; kita pandu kereta dengan berhati-hati. Memang kalau makan sihat pun, tetapi boleh jatuh sakit dan walaupun kita berhati-hati dalam memandu, mungkin boleh dilanggar dan kemalangan juga. Akan tetapi ketentuan daripada Allah ﷻ itu bukanlah hujah untuk kita tidak melakukan apa-apa. Sebagai contoh pada zaman covid dulu, kita berusaha dengan memakai pelitup muka untuk mengelak daripada jangkitan manakala solat berjemaah di masjid hanya dibenarkan dengan solat jarak. Ini semua adalah usaha kita. Bukannya kita serah sahaja kepada Allah ﷻ dengan berkata: “Tutup mulut atau tidak, solat jarak atau tidak, kalau Allah hendak kenakan kita dengan Covid, tetap juga kena!” Ini adalah kata-kata orang yang tidak faham wahyu Allah ﷻ.

Untuk berjaya dalam hidup, kita kena berusaha tetapi usaha yang banyak tidaklah bermaksud kita pasti akan berjaya. Ia bergantung kepada kehendak Allah ﷻ juga. Ada orang yang tidak berusaha sangat pun, tetapi kaya raya terlajak. Ini kerana rezeki itu di tangan Allah ﷻ. Namun apa yang penting, kita kenalah berusaha kerana Allah ﷻ hendak melihat usaha kita. Jikalau kita berjaya setelah berusaha, janganlah pula kita sangka kejayaan kita itu kerana usaha kita itu. Kejayaan itu tetap ditentukan oleh Allah ﷻ.

 

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ

kepada-Nya-lah aku bertawakkal 

Baginda bertawakal kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Apabila kalimah عَلَيهِ diawalkan (taqdim) maka ia bermaksud eksklusif iaitu *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja baginda bertawakal. Baginda berharap kepada Allah ‎ﷻ dan kalau apa-apa terjadi, baginda redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ tentukan. Begitulah maksud tawakal – usaha dan harap, tetapi kalau Allah ‎ﷻ tetapkan terjadi perkara yang lain, kena redha dengan ketetapan Allah ‎ﷻ itu.

 

وَعَلَيهِ فَليَتَوَكَّلِ المُتَوَكِّلونَ

dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri”.

Baginda mengajar anak-anaknya dan kita juga, kita kena tawakal kepada Allah ‎ﷻ. Kalau hendak tawakal, maka tawakal kepada Allah ‎ﷻlah sahaja. Jangan tawakal kepada makhluk dan usaha kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang menguruskan segalanya. Akan tetapi kena ingat bahawa tawakal itu bukanlah duduk tunggu sahaja ketentuan daripada Allah ﷻ. Mestilah kita berusaha juga. Lihat hadith tentang tawakal burung yang keluar mencari rezeki,

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ إِنَّهُ سَمِعَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
[Umar Bin Al Khaththab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] menerangkan bahawa dia mendengar Nabiyullah ﷺ bersabda: “Jika kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakkal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana Dia telah memberikan rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dalam keadaan kosong dan kembali dalam keadaan kenyang.”

(Sunan Ibn Majah (200)) Status: Hasan

 

Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dengan jawapan ringkas (2-3 ayat) berdasarkan pemahaman daripada teks yang diberikan.

1. Apakah syarat utama yang ditetapkan oleh Nabi Ya’qub a.s. sebelum melepaskan Bunyamin pergi bersama abang-abangnya?

2. Apakah perbezaan dan kepentingan kalimah مَوثِقًا (mauthiqan) yang digunakan oleh Nabi Ya’qub a.s. dalam sumpahnya?

3. Apakah pengecualian yang disertakan oleh Nabi Ya’qub a.s. dalam perjanjian tersebut, dan apakah pengajaran di sebaliknya?

4. Nabi Ya’qub a.s. berkata, “Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan”. Apakah dua makna yang boleh difahami daripada kenyataan ini?

5. Apakah nasihat strategik yang diberikan oleh Nabi Ya’qub a.s. kepada anak-anaknya sebelum mereka memasuki kota Mesir?

6. Apakah tujuan utama di sebalik nasihat Nabi Ya’qub a.s. agar anak-anaknya masuk dari pintu yang berlainan?

7. Bagaimanakah Nabi Ya’qub a.s. mengimbangi antara ikhtiar (usaha) dan tawakal (berserah kepada Allah) dalam nasihatnya?

8. Adakah rancangan Nabi Ya’qub a.s. untuk menyuruh anak-anaknya masuk melalui pintu berasingan berjaya menghalang takdir Allah?

9. Bagaimanakah tindakan Nabi Ya’qub a.s. memberi nasihat dilihat sebagai memenuhi “keperluan emosi” seorang bapa?

10. Apakah pengajaran utama yang boleh diambil daripada kisah Khalifah Umar yang memilih untuk tidak memasuki kawasan wabak, dan bagaimana ia berkaitan dengan tindakan Nabi Ya’qub a.s.?

Glosari Istilah Penting
Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
‘Ain
Pandangan mata jahat atau hasad yang benar dan nyata. Ia boleh berpunca daripada rasa dengki atau rasa kagum yang melampau, dan boleh menyebabkan kemudaratan, penyakit, malah kematian, seperti yang dijelaskan dalam hadith.
Asbab
Prinsip sebab dan akibat (cause and effect) dalam kehidupan dunia. Islam mengajar untuk mengambil asbab, iaitu melakukan usaha dan tindakan yang sewajarnya untuk mencapai sesuatu, seperti menjaga kesihatan atau memandu dengan cermat.
Ikhtiar
Usaha, perancangan, atau tindakan proaktif yang diambil oleh manusia untuk mencapai sesuatu matlamat atau mengelakkan musibah. Nasihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak-anaknya adalah satu bentuk ikhtiar.
Mauthiqan (مَوثِقًا)
Perjanjian atau sumpah yang sangat teguh dan kuat, lebih mengikat daripada istilah ميثاقِ. Ia mengandungi pengakuan tersirat bahawa pelanggar janji bersedia menerima kutukan atau hukuman daripada Allah ‎ﷻ.
Qada’ dan Qadar
Ketetapan dan takdir Allah ‎ﷻ yang mutlak. Manusia hanya boleh berusaha dan merancang, tetapi keputusan dan hasil akhir adalah sepenuhnya di tangan Allah ‎ﷻ.
Taqdim
Dalam konteks tatabahasa Arab, taqdim bermaksud mendahulukan satu perkataan dalam ayat untuk memberikan penekanan makna eksklusif. Contohnya, عَلَيهِ تَوَكَّلتُ (kepada-Nya-lah aku bertawakal) bermaksud tawakal itu hanya ditujukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.
Tawakal
Konsep berserah diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Ia merangkumi tiga elemen utama: 1) Berusaha sedaya upaya, 2) Berharap kepada Allah ‎ﷻ untuk hasil yang terbaik, dan 3) Redha dengan apa jua ketetapan Allah ‎ﷻ selepas berusaha.
Wakil (وَكِيلٌ)
Pemelihara, saksi, atau pengurus. Dalam konteks ayat 66, Allah ‎ﷻ menjadi wakil atau saksi atas perjanjian tersebut, yang bermakna Allah ‎ﷻ akan memelihara janji itu dan mengadili sesiapa yang memungkirinya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 61 – 65 (Memujuk untuk membawa Bunyamin)

Yusuf Ayat 61:

قَالُواْ سَنُرٰوِدُ عَنهُ أَبَاهُ وَإِنَّا لَفَـٰعِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We will attempt to dissuade his father from [keeping] him, and indeed, we will do [it].”

(MALAY)

Mereka berkata: “Kami akan memujuk bapanya untuk membawanya (ke mari) dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya”.

 

قَالُواْ سَنُرٰوِدُ عَنهُ أَبَاهُ

Mereka berkata: “Kami akan memujuk bapanya berkenaannya

Kalimah سَنُراوِدُ bermaksud: Kami akan mengubah pendirian seseorang. Ia daripada kata dasar yang sama dengan kalimah رٰوَدَتۡ dalam ayat 23, 25, 32, 51; kalimah تُرَٲوِدُ dalam ayat 30. Ia bermaksud memujuk atau mengambil sesuatu yang berharga daripada seseorang. Kalau dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, isteri Al-Aziz hendak mengambil maruah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dalam kes adik beradik ini, mereka hendak mengambil anak kesayangannya. Tentulah ia sukar dilakukan.

Namun di sini mereka sebut yang mereka akan cuba mengubah pendirian bapa mereka (Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Kenapa mereka beriya pula? Kerana sekarang melibatkan barang yang mereka perlukan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tentulah mereka akan buat sedaya upaya mereka. Daripada kata-kata mereka ini kita dapat agak yang ini bukanlah senang kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berkeras tidak membenarkan Bunyamin dibawa mereka ke mana-mana.

 

وَإِنَّا لَفَـٰعِلُونَ

dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya”.

Mereka berjanji akan bersungguh-sungguh untuk melakukannya. Mereka kata mereka akan bersungguh-sungguh untuk membawa Bunyamin datang pada tahun hadapan. Mereka bersungguh-sungguh akan memujuk ayah mereka nanti. Jawapan daripada abang-abang ini memberi isyarat yang permintaan mereka itu akan sukar diterima oleh bapa mereka. Mereka pun tahu ia sukar kerana mereka tahu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat sayangkan Bunyamin. Namun ada mereka kisah? Mereka sudah tidak kisah. Mereka sudah pernah buat pun dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu, sekarang apalah sangat? Mereka mengaku yang mereka hendak dapatkan kasih sayang daripada bapa mereka, tetapi lihatlah mereka tidak kisah pun bapa mereka sedih ataupun tidak.

Mungkin timbul persoalan di sini: kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus sahaja beritahu mereka yang baginda adalah Yusuf yang mereka telah tinggalkan? Dalam soaljawab baginda dengan abang-abang baginda, tentu baginda telah dapat tahu yang bapa mereka sangat sedih dengan kehilangan baginda dan sampai telah buta matanya kerana terlalu banyak menangis. Kenapakah tidak terus beritahu sahaja yang baginda ada dan selamat sekarang? Bukan sekarang sahaja, malah ketika baginda duduk berkhidmat di rumah Al-Aziz pun baginda sudah boleh beritahu, tambahan pula sekarang baginda sudah mempunyai kedudukan dan mampu sangat untuk menyampaikan berita kepada bapa mereka. Kenapa baginda suruh dibawa pula adiknya Bunyamin sedangkan baginda tahu itulah anak kesayangan bapanya selepas diri baginda sendiri? Tidakkah baginda tahu yang kalau Bunyamin pun dipisahkan daripada baginda, itu akan lebih menyedihkan lagi hati bapa baginda Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

Menurut pendapat Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, satu penjelasan sahaja yang ada, iaitu Allah ‎ﷻ telah menghalang baginda daripada memberitahu hal itu melalui wahyu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini mungkin sebagai ujian kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Dia akan memberinya musibah (ujian).”

(Riwayat al-Bukhari No. 5645)

Allah ﷻ hendak memberikan pahala tambahan kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana,

“Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya ujian. Dan sesungguhnya Allah, apabila Dia mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha (terhadap ujian itu), maka baginya keredhaan Allah. Dan barangsiapa yang berkeluh-kesah (marah/tidak suka), maka baginya kemurkaan Allah.”

(Riwayat al-Tirmidzi No. 2396 dan Ibnu Majah No. 4031)

Tambahan pula Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang Nabi dan seorang Nabi memang diberikan ujian yang berganda, seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah ﷺ,

“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang-orang yang seumpama mereka, kemudian orang-orang yang seumpama mereka. Seseorang akan diuji mengikut kadar (kekuatan) agamanya.”

(Riwayat al-Tirmidzi No. 2398 dan Ahmad No. 1481)

Lagi satu, kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak boleh melayan perasaannya dan kembali ke rumah bapanya kerana baginda mempunyai tugas yang lebih besar untuk menyelamatkan manusia. Sekiranya baginda pulang ke kampung sebulan dua, kemudian ada sesuatu terjadi, bagaimana? Baginda terpaksa mementingkan kepentingan orang ramai melebihi kepentingan diri sendiri dan keluarga baginda.


 

Yusuf Ayat 62:

وَقَالَ لِفِتيَـٰنِهِ ٱجعَلُواْ بِضَـٰعَتَهُم فِى رِحَالِهِم لَعَلَّهُم يَعرِفُونَهَآ إِذَا ٱنقَلَبُوٓاْ إِلَىٰٓ أَهلِهِم لَعَلَّهُم يَرجِعُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [Joseph] said to his servants, “Put their merchandise¹ into their saddlebags so they might recognize it when they have gone back to their people that perhaps they will [again] return.”

  • The goods which they had brought to trade for food supplies.

(MALAY)

Yusuf berkata kepada pembantu-pembantunya: “Masukkanlah barang-barang (penukar kepunyaan mereka) ke dalam karung-karung mereka, supaya mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarganya, mudah-mudahan mereka kembali lagi”.

 

وَقَالَ لِفِتيَـٰنِهِ ٱجعَلُواْ بِضَـٰعَتَهُم فِى رِحَالِهِم

Yusuf berkata kepada pembantu-pembantunya: “Masukkanlah barang-barang mereka ke dalam karung-karung mereka, 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan agar dimasukkan semula barang yang mereka bawa sebagai ganti kepada makanan dari Mesir itu. Orang yang datang untuk meminta bantuan makanan dari Mesir, mestilah datang dengan membawa galang gantinya, sama ada dalam bentuk wang atau barangan. Berkemungkinan mereka menggunakan sistem barter pada ketika. Abang-abang baginda pun ada membawa barang-barang itu dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyuruh pembantunya memasukkan semula ke dalam beg kantung mereka.

Kalimah رِحَالِ merujuk kepada karung barang yang diletakkan di atas unta.

Apabila digunakan بِضَـٰعَتَهُم ia bermaksud dimasukkan semula barang yang mereka sendiri bawa. Maknanya ketika mereka sampai, mereka telah menyerahkan barang barter mereka itu, kemudian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyuruh pembantu-pembantunya memasukkan barang yang sama. Ini supaya mereka kenal itu adalah barang mereka sendiri.

 

لَعَلَّهُم يَعرِفُونَهَآ إِذَا ٱنقَلَبُوٓاْ إِلَىٰٓ أَهلِهِم

supaya mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarganya, 

Tujuan baginda adalah supaya mereka balik nanti, mereka tahu yang itu adalah pemberian daripada baginda. Sebenarnya baginda sebagai pemerintah, tidak perlu pun jelaskan kepada pekerja/hamba tentang perbuatan mereka, namun di sini kita lihat Nabi  Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjelaskan kenapa baginda berbuat begitu. Mungkin baginda tidak mahu orang bawahan baginda salah faham, nanti dicanang kepada orang lain pula dan menjatuhkan reputasi baginda. Baginda juga mengajar mereka supaya jangan khianat dalam hal sebegini. Jadi baginda sedang mengajar akhlak kepada orang bawahan baginda supaya tidak salahguna kuasa.

Namun bukankah baginda juga telah khianat dengan harta kerajaan? Kita kena faham yang ini bukan khianat harta kerajaan Mesir. Berkemungkinan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membayar kembali apa yang diberikan itu kepada kerajaan Mesir dengan baginda menggantikan dengan gaji baginda. Atau, memang itu adalah pemberian percuma yang kerajaan berikan kepada orang-orang yang sangat memerlukan.

 

لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

mudah-mudahan mereka kembali lagi”.

Tujuan baginda buat begitu adalah untuk menunjukkan yang baginda baik dan pemurah supaya mereka senang hati untuk datang ke Mesir lagi tahun hadapan bagi mengenangkan jasa baginda.

Tujuan keduanya, supaya mereka ada barang pertukaran untuk datang tahun hadapan. Ini kerana mereka sendiri tidak ada banyak harta, dan kalau baginda ambil juga harta yang mereka bawa itu, nanti tahun hadapan mereka tidak ada barangan untuk diganti dengan gandum lagi. Baginda tidak mahu itu menjadi alasan mereka tidak datang kerana baginda memang mahukan mereka datang.

Ketiganya, mungkin akan menyebabkan mereka rasa bersalah kerana mungkin ada kesilapan yang menyebabkan mereka perlu kembali untuk mengembalikan bayaran mereka itu yang mungkin telah tersalah dimasukkan.


 

ADIK BERADIK KEMBALI PULANG KE KAMPUNG

Yusuf Ayat 63:

فَلَمَّا رَجَعُوٓاْ إِلَىٰٓ أَبِيهِم قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مُنِعَ مِنَّا ٱلكَيلُ فَأَرسِل مَعَنَآ أَخَانَا نَڪتَل وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when they returned to their father, they said, “O our father, [further] measure has been denied to us, so send with us our brother [that] we will be given measure. And indeed, we will be his guardians.”

(MALAY)

Maka tatkala mereka telah kembali kepada bapa mereka (Ya’qub) mereka berkata: “Wahai bapa kami, kami tidak akan mendapat sukatan (gandum) lagi, (jika tidak membawa saudara kami), sebab itu biarkanlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan, dan sesungguhnya kami benar-benar akan menjaganya”.

 

فَلَمَّا رَجَعُوٓاْ إِلَىٰٓ أَبِيهِم

Maka tatkala mereka telah kembali kepada bapa mereka

Ini setelah perjalanan mereka sampai dari Mesir ke Kan’an dan mereka telah menghadap bapa mereka. Sekarang kita akan lihat bagaimana cara mereka untuk memujuk baginda bagi melepaskan Bunyamin.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مُنِعَ مِنَّا ٱلكَيلُ

mereka berkata: “Wahai bapa kami, telah ditahan sukatan kepada kami. 

Mereka beritahu bapa mereka apa yang telah diberitahu kepada mereka oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menteri kewangan Mesir semasa mereka berada di sana untuk mendapatkan muatan gandum. Kalimah مُنِعَ bermaksud telah ditahan. Ia boleh membawa dua maksud:

1. Mereka telah ditahan daripada mendapat bahagian ke 11 iaitu bahagian Bunyamin kerana Bunyamin tidak datang.

2. Atau ia bermaksud mereka ditahan untuk mendapat bahagian lagi kalau tidak bawa Bunyamin selepas ini.

Oleh itu mereka beritahu Nabi Ya’qub  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tahun hadapan mereka kena juga bawa Bunyamin, kalau tidak mereka tidak akan mendapat bahagian muatan gandum lagi.

Bukanlah ini sahaja mereka cakap kepada bapa mereka. Tentulah setelah mereka beritahu pengalaman mereka di sana dan pertemuan mereka dengan Al-Aziz Mesir itu. Akan tetapi Al-Qur’an hanya menyebut tentang isu ini kerana inilah isu yang penting.

 

فَأَرسِل مَعَنَآ أَخَانَا نَڪتَل

sebab itu hantarlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan,

Maka mereka berharap sangat yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan melepaskan Bunyamin untuk pergi bersama dengan mereka pada tahun hadapan. Tujuannya satu sahaja, supaya mereka tetap mendapat bahagian makanan lagi dan kali ini dengan lebih banyak lagi.

 

وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ

dan sesungguhnya kami benar benar akan menjaganya”.

Kali ini mereka berjanji lagi macam mereka berjanji tentang penjagaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu. Ingat kembali ayat 12 dahulu apabila mereka hendak bawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

أَرسِلهُ مَعَنَا غَدًا يَرتَع وَيَلعَب وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ
Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) makan-makan dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.

Jadi mereka menggunakan helah dan janji sama seperti sebelum itu. Mereka dulu sudah berjaya menipu bapa mereka dengan cara itu, kali ini mereka menggunakan kata-kata yang sama. Namun bezanya, kali ini memang janji mereka yang sebenar. Tidaklah macam dahulu janji tipu sahaja konon mereka berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi sebenarnya mereka telah berniat untuk meninggalkan baginda di dalam telaga supaya diambil orang. Kali ini janji mereka jujur kerana mereka berkepentingan untuk mendapatkan makanan pada waktu itu.


 

Yusuf Ayat 64: Ini adalah jawapan balas daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

قَالَ هَل ءَامَنُكُم عَلَيهِ إِلَّا ڪَمَآ أَمِنتُكُم عَلَىٰٓ أَخِيهِ مِن قَبلُ‌ۖ فَٱللَّهُ خَيرٌ حَـٰفِظًا‌ۖ وَهُوَ أَرحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Should I entrust you with him except [under coercion] as I entrusted you with his brother before? But Allāh is the best guardian, and He is the most merciful of the merciful.”

(MALAY)

Berkata Ya’qub: “Bagaimana aku akan mempercayakannya (Bunyamin) kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”. Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.

 

قَالَ هَل ءَامَنُكُم عَلَيهِ إِلَّا ڪَمَآ أَمِنتُكُم عَلَىٰٓ أَخِيهِ مِن قَبلُ‌ۖ

Berkata Ya’qub: “Adakah aku akan mempercayakannya kepadamu seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, bagaimanalah baginda hendak percayakan mereka lagi? Seolah baginda berkata: “Adakah kamu ini hendak aku berikan Bunyamin macam dulu aku telah berikan Yusuf kepada kalian? Adakah kalian sangka aku akan percaya kalian lagi?” Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percayakan mereka kerana takut jadi seperti dahulu. Baginda katakan baginda takut akan terjadi lagi seperti yang mereka lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu. Waktu itu mereka beriya-iya berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ namun kemudian mereka kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dimakan serigala. Jadi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak salah jika berpegangan begitu kerana anak-anaknya itu dahulu sudah ada rekod buruk. Mereka memang anak-anak yang tidak boleh dipercayai. Kalau orang sudah buat salah dengan kita dan ada rekod buruk, maka kita kenalah berhati-hati. Rasulullah ﷺ telah mengajar kita di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“Tidak selayaknya seorang mukmin itu disengat (dipatuk) sebanyak dua kali daripada satu lubang (sarang) yang sama.”

(Sahih Bukhari No. 6133 dan Sahih Muslim No. 2998)

Walaupun kali ini anak-anaknya itu memang ikhlas untuk menjaga Bunyamin, namun baginda tidak tahu kerana baginda tidak tahu hati mereka. Baginda tidak tahu perkara ghaib. Ini adalah akidah pegangan kita – iaitu para Nabi tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang disampaikan kepada mereka sahaja. Malangnya, ada kalangan orang Islam sendiri yang salah faham perkara ini – mereka sangka para Nabi itu tahu perkara ghaib. Ini semua berpunca daripada tidak belajar sahaja kerana banyak sangat dalil dalam Al-Qur’an tentang perkara ini. Yang lebih teruk lagi, mereka sangka ada manusia yang bukan Nabi pun tahu perkara ghaib. Kerana itulah ada yang takut dengan orang alim, guru mereka dan sesetengah manusia. Mereka sangka yang orang-orang itu tahu isi hati mereka, tahu apa yang mereka telah buat. Maka ini adalah syirik kerana percaya ada makhluk yang memiliki kuasa Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kita yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu perkara ghaib walaupun baginda seorang Nabi. Baginda tidak tahu perancangan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah sebenarnya untuk menjaga Bunyamin.

Perhatikan di sini Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan istilah أَخِيهِ (saudara Bunyamin) dan bukan أَخِيكُم (saudara kalian). Ini ada dua kemungkinan. Mungkin kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin daripada ibu yang sama, atau kerana abang-abangnya itu pun tidak pernah menganggap atau melayan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti adik mereka sendiri.

Dari sini kita dapat melihat bagaimana besarnya jiwa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tahu apa yang anak-anaknya itu telah lakukan terhadap adik mereka. Namun tidaklah baginda buang mereka dan tidak mengaku anak-anak lagi. Walaupun nampak baginda marah di sini, tetapi baginda tidaklah buang mereka terus dari sisi baginda. Ini mengajar kita yang anak-anak kita tetap anak-anak kita. Mereka mungkin melakukan kesilapan, namun kita jangan sampai buang mereka. Selagi ada nyawa dan peluang, maka hendaklah kita terus mendidik mereka dan mengajar mereka cara kehidupan yang benar. Kalau kita buang mereka, berkemungkinan besar mereka akan menjadi lebih teruk lagi.

Namun ia juga mengajar kita yang seorang bapa boleh memarahi anak-anak mereka. Lihatlah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tegur dan perli mereka sebagai pengajaran kepada mereka.

 

فَٱللَّهُ خَيرٌ حَـٰفِظًا‌

Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga

Baginda memberitahu mereka yang Allah ‎ﷻ yang paling baik menjaga. Mereka kata mereka akan jaga Bunyamin tetapi baginda tidak percayakan mereka kerana mereka tidak akan mampu. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu menjaganya: Bukan baginda yang jaga; dan bukan juga mereka yang menjaga. Kalau mereka kata mereka hendak jaga pun, tetapi itu bukanlah dalam tangan mereka. Mereka boleh berharap sahaja, namun ketentuan di tangan Allah ‎ﷻ. Di sini baginda mengajar kita untuk berharap kepada Allah ﷻ dan meletakkan diri kita di tangan Allah ﷻ.

Ia juga mengajar tauhid kepada kita iaitu hanya Allah ﷻ sahaja yang sebenarnya boleh memelihara kita. Kalau tidak ada penjaga pun tetapi kalau Allah ﷻ menjaga, akan selamat juga seperti disebut kisah dua anak yatim di dalam Kahf:82

وَأَمَّا ٱلجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَـٰمَينِ يَتِيمَينِ فِى ٱلمَدِينَةِ وَكَانَ تَحتَهُ ۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَستَخرِجَا كَنزَهُمَا رَحمَةً مِّن رَّبِّكَ‌ۚ
Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat daripada Tuhanmu (kepada mereka). 

Ada pendapat yang mengatakan frasa ini memberi indikasi yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seolah-olah telah membenarkan abang-abangnya itu membawa Bunyamin. Namun begitu pendapat yang lebih kuat adalah tidak, kerana kebenaran hanya diberikan kemudian. Sekarang masih lagi baginda tidak membenarkan Bunyamin dibawa.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata begini kerana hendak mengingatkan yang tidak ada sesiapa yang boleh menentukan keselamatan sesiapa pun. Dahulu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baginda telah amanahkan kepada mereka, tetapi kemudian hilang entah ke mana. Kali ini pun kalau mereka bawa Bunyamin, mereka tidak akan dapat memastikan yang beliau akan selamat.

 

وَهُوَ أَرحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.

Ingatlah yang Allah ﷻ amat sayang kepada makhluk-Nya. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tersedar yang baginda telah marah kepada anak-anaknya, jadi baginda doa untuk menenangkan dirinya. Baginda ingatkan diri baginda yang Allah ‎ﷻ yang penyayang. Ini mengajar kita, kalau apabila sudah marah pun kena ingat kepada Allah ‎ﷻ. Dengan kata-kata daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, baginda telah menolak permintaan anak-anaknya itu dengan lembut. Mungkin juga baginda sedang memikirkan apakah yang baginda perlu lakukan.


 

Yusuf Ayat 65:

وَلَمَّا فَتَحُواْ مَتَـٰعَهُم وَجَدُواْ بِضَـٰعَتَهُم رُدَّت إِلَيْهِم ۖ  قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مَا نَبغِى‌ۖ هَـٰذِهِۦ بِضَـٰعَتُنَا رُدَّت إِلَينَا‌ۖ وَنَمِيرُ أَهلَنَا وَنَحفَظُ أَخَانَا وَنَزدَادُ كَيلَ بَعِيرٍ ۖ  ذَٰلِكَ ڪَيلٌ يَسِيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they opened their baggage, they found their merchandise returned to them. They said, “O our father, what [more] could we desire? This is our merchandise returned to us. And we will obtain supplies [i.e., food] for our family and protect our brother and obtain an increase of a camel’s load; that is an easy measurement.”¹

  • For them. Or one obtained by us with ease.

(MALAY)

Tatkala mereka membuka barang-barangnya, mereka menemukan kembali barang-barang (penukaran) mereka, dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata: “Wahai bapa kami apa lagi yang kita inginkan. Ini barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami, dan kami akan dapat memelihara saudara kami, dan kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta. Itu adalah sukatan yang mudah (bagi raja Mesir)”.

 

وَلَمَّا فَتَحُواْ مَتَـٰعَهُم وَجَدُواْ بِضَـٰعَتَهُم رُدَّت إِلَيْهِم

Tatkala mereka membuka barang-barang mereka, mereka menemukan kembali barang-barang (penukaran) mereka, dikembalikan kepada mereka.

Setelah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak membenarkan Bunyamin dibawa, tidak disebut apakah penerimaan abang-abang itu. Mereka pun nampak mereka tidak ada hujah lagi untuk memujuk bapa mereka itu. Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan supaya dimasukkan kembali barang pertukaran mereka ke dalam karung-karung mereka. Sekarang disebut apabila mereka membuka karung-karung mereka, maka mereka nampaklah barang yang mereka telah serahkan kepada kerajaan Mesir sebagai ganti gandum dahulu. Lalu, mereka sedarlah yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengembalikan kepada mereka. Maka sekarang mereka memujuk kembali dengan membawa hujah yang lain pula.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مَا نَبغِى‌

Mereka berkata: “Wahai bapa kami apa lagi yang kita inginkan?

Mereka sudah mendapat hujah baru untuk dibawa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membenarkan mereka membawa Bunyamin. Mereka kata apa lagi yang kita inginkan? Apa lagi yang perlu dicari keputusan untuk membenarkan kami membawa Bunyamin ke Mesir? Lihatlah di sini dipulangkan kembali barang kita disebabkan oleh kemurahan Menteri Mesir itu.

Ia juga boleh bermaksud mereka tidak perlu lagi hendak mencari barang gantian untuk pergi lagi ke Mesir untuk membeli makanan kerana mereka sekarang sudah mendapat duit mereka kembali.

Atau, kalau kita gunakan istilah نَبغِى‌ ini sebagai ‘kami melampau’, ia bermaksud mereka tidak akan melampau lagi. Mereka tidak akan buat seperti apa yang mereka telah lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

هَـٰذِهِۦ بِضَـٰعَتُنَا رُدَّت إِلَينَا‌

Ini barang-barang kita dikembalikan kepada kita,

Lihatlah barang-barang yang kita bawa sebagai tukaran makanan telah dikembalikan kepada kita. Baik sungguh Menteri Mesir itu. Dengan adanya harta kita ini, bolehlah kita pergi semula ke Mesir menggunakannya kembali untuk membeli makanan lagi.

Di sini mengandungi satu hukum iaitu sekiranya kita terima balik barang kita yang sepatutnya telah diberikan kepada orang, tetapi kita dengan sangkaan yang kuat percaya yang sebenarnya ia telah dikembalikan kepada kita, maka kita boleh mengambilnya. Kalau tidak ada sangkaan yang kuat, maka kita tidak boleh ambil.

Tafsiran yang lain adalah mereka menggunakan harta yang dikembalikan itu sebagai hujah: Ini mungkin ada kesilapan, sepatutnya ia telah diambil sebagai bayaran bagi makanan kita, tetapi mungkin telah tersalah letak. Maka kita sebagai orang yang baik, kena pergi ke sana untuk kembalikan semula bayaran ini.

 

وَنَميرُ أَهلَنا

dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami,

Kalimah daripada kata dasar م ي ر yang bermaksud membekalkan makanan atau bekalan; menyampaikan simpanan (makanan) kepada keluarga seseorang; kedai; peruntukan; gandum; jagung. Kalau mereka dapat pergi ke Mesir dan mendapat makanan tambahan, mereka boleh memberi makanan kepada anak isteri mereka. Kalimah ميرة bermaksud makanan yang dibawa dari satu tempat ke satu tempat lain, atau makanan yang disimpan untuk masa hadapan.

 

وَنَحفَظُ أَخانا

dan kami akan dapat memelihara saudara kami,

Mereka berjanji sekali lagi untuk menjaga Bunyamin sekiranya dibenarkan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk dibawa ke Mesir tahun hadapan.

 

وَنَزدادُ كَيلَ بَعيرٍ

dan kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta. 

Mereka ingatkan bapa mereka yang jikalau mereka membawa seorang lagi ahli keluarga mereka, mereka akan mendapat lebih daripada muatan 10 unta sahaja. Kali ini mereka akan mendapat muatan 11 ekor unta pula.

 

ذٰلِكَ كَيلٌ يَسيرٌ

Itu adalah sukatan yang mudah

Kalau Bunyamin datang, mereka akan mendapat muatan tambahan seekor dengan mudah sahaja. Ini kerana mudah sahaja ia akan diberikan oleh penguasa Mesir yang baik hati itu kerana mereka ada banyak makanan lebihan. Mudah sahaja untuk Menteri Mesir itu memberi muatan tambahan untuk mereka – asalkan mereka bawa Bunyamin kali ini.

Tafsir lain: sekarang yang kita dapat adalah sedikit sahaja, dapat tahan setahun sahaja. Maka mereka kena dapatkan lebih lagi pada tahun hadapan. Ia akan memudahkan kehidupan mereka nanti.

Ia juga boleh bermaksud mereka hendak cakap yang sukatan muatan makanan yang baru dapat itu sedikit sahaja dan sekejap sahaja akan habis. Maka mereka kena pergi lagi tidak lama lagi kerana mereka memerlukan makanan.

Begitulah hujah abang-abang itu hendak membawa juga Bunyamin bersama mereka dalam perjalanan seterusnya nanti. Padahal bapa mereka telah sebut tentang anaknya yang seorang lagi (Yusuf) tetapi itu mereka buat derk sahaja, seolah tidak dengar. Yang mereka lebih pentingkan adalah perut mereka. Maknanya mereka tidak kisah dengan perasaan bapa mereka itu. Yang mereka pentingkan adalah mereka telah menjalankan tugas untuk mendapatkan makanan untuk keluarga mereka. Mereka sangka itu sudah cukup baik. Sedangkan kita di dalam kehidupan berkeluarga, bukannya kita hanya perlu beri makanan sahaja; kita juga perlu jaga hati ahli keluarga kita.

 

Kuiz Soalan Jawapan Ringkas

Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks tafsir.

1. Apakah maksud kalimah سَنُرٰوِدُ seperti yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf, dan apakah kepentingannya dalam konteks ini?

2. Menurut pendapat Qurtubi yang dipetik dalam teks, apakah sebab utama Nabi Yusuf tidak terus mendedahkan identitinya kepada abang-abangnya?

3. Apakah arahan khusus yang diberikan oleh Nabi Yusuf kepada para pembantunya mengenai barang-barang (بِضَـٰعَتَهُم) milik abang-abangnya?

4. Jelaskan sekurang-kurangnya dua daripada tiga tujuan Nabi Yusuf mengembalikan barang-barang abang-abangnya tanpa pengetahuan mereka.

5. Apakah maksud sebenar kenyataan abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka berkata kepada ayah mereka, مُنِعَ مِنَّا ٱلكَيلُ (telah ditahan sukatan kepada kami)?

6. Bagaimanakah Nabi Ya’qub menggunakan pengalaman lalunya dengan Nabi Yusuf untuk menjawab permintaan anak-anaknya untuk membawa Bunyamin?

7. Apakah pengajaran akidah penting yang dapat diambil daripada reaksi Nabi Ya’qub yang tidak mengetahui rancangan sebenar Nabi Yusuf?

8. Dalam jawapannya, Nabi Ya’qub berkata, فَٱللَّهُ خَيرٌ حَـٰفِظًا (Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga). Apakah pelajaran tauhid yang diajarkan melalui kenyataan ini?

9. Bagaimanakah penemuan barang-barang mereka yang dikembalikan telah mengubah hujah abang-abang Nabi Yusuf dalam memujuk ayah mereka?

10. Apakah tiga hujah baharu yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf untuk meyakinkan Nabi Ya’qub selepas mereka menemui semula barang-barang mereka?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 58 – 60 (Abang-abang datang ke Mesir)

ADIK BERADIK NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MELAWAT MESIR

Yusuf Ayat 58: Ini adalah Keadaan yang ke 10 iaitu pertemuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan saudara-saudaranya. Ini adalah babak yang terpanjang sekali walaupun dari segi masa, ia tidaklah lama. Akan tetapi kerana ia adalah amat penting kerana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hampir ke penghujungnya.

Ini adalah zaman kemarau ketika 7 tahun kedua. Apabila keadaan kemarau, bukan di Mesir sahaja terkesan malah di kawasan sekitar juga seperti Suria dan Kana’an (sekarang disebut Palestin). Orang-orang yang susah dari merata tempat telah datang ke negara Mesir untuk minta tolong. Ini kerana selama 7 tahun yang pertama, Mesir telah mengumpul bahan makanan untuk menghadapi zaman kemarau. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menguruskan proses itu dan baginda bukan simpan untuk rakyat Mesir sahaja tetapi melebihi daripada keperluan mereka.

Ini adalah langkah yang amat bijak kerana mereka boleh menjual bahan makanan kepada orang lain. Ini kerana tentu orang lain akan mencari makanan pada waktu itu disebabkan kebanyakan mereka keputusan bekalan makanan. Dengan itu, negara Mesir akan mendapat keuntungan banyak dengan menjualnya kepada yang memerlukan. Ramai yang akan datang untuk berjual beli dengan Mesir nanti. Kita dapat lihat bagaimana bijak sungguh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dapat bersedia untuk masa hadapan.

Sedikit nota sebelum kita sambung kisah ini. Sebenarnya di dalam Al-Qur’an sedikit sahaja yang disebut. Di dalam hadith juga tidak banyak perincian tentang apakah yang terjadi. Jadi banyak melalui tafsir adalah andaian daripada para ulama’ yang mengisi tempat kosong untuk menjadikan penceritaan masuk akal dan menjawab persoalan yang mungkin timbul bagi pembaca dan pengkaji Al-Qur’an. Oleh kerana ia adalah pendapat, jadi banyak perbezaan pandangan dan andaian. Ini adalah biasa apabila kita belajar tafsir dan mendalami sesuatu tafsiran ayat. Kalau kita tidak terima perkara ini, konon hanya mahu menggunakan semata-mata ayat Al-Qur’an dan hadith sahih sahaja, maka kita akan kebuntuan kerana dua sumber utama ini tidak ada menyebut banyak perkara. Ini tidaklah satu kesalahan kerana memang Allah ‎ﷻ suruh kita menggunakan akal kita, bukan? Asalkan sahaja ia berpandukan kepada sumber primer yang sahih. Namun begitu bukanlah kita memandai-mandai pula mengadakan pandangan sendiri melainkan kita hanya mengambil daripada kata-kata ulama’ sahaja kerana kita tidak layak untuk membuat andaian. Cuma semakin banyak kita mengkaji, kita akan terbuka kepada beberapa pandangan yang berbeza.

وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيهِ فَعَرَفَهُم وَهُم لَهُ ۥ مُنكِرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the brothers of Joseph came [seeking food], and they entered upon him; and he recognized them, but he was to them unknown.¹

  • Due to the change in his appearance over the years.

(MALAY)

Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir} lalu mereka masuk ke (tempat)nya. Maka Yusuf mengenal mereka, sedang mereka tidak kenal (lagi) kepadanya.

 

وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيهِ

Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir} lalu mereka masuk ke (tempat)nya. 

Perhatikan kalimah و di dalam وَجَآءَ yang bermaksud ‘dan’. Kalau di dalam penulisan bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris, permulaan sesuatu ayat tidak boleh dimulakan dengan ‘dan’. Namun begitu Al-Qur’an tidak mengikut sistem ini. Apabila ada و maka ia memberi isyarat yang ia bersambung daripada kisah yang lalu tetapi setelah sekian lama masa berlalu. Ini kerana Al-Qur’an bukanlah novel yang menyebut semua perkara satu persatu. Jadi sebelum ini telah disebut tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta dijadikan Menteri Kewangan dan selepas itu tentulah baginda telah berada di kedudukan tersebut. Sebelum ini telah disebut tentang 7 tahun yang subur dan kemudian 7 tahun kemarau, maka sekarang telah berlalu 7 tahun yang subur itu dan kita sekarang di dalam zaman kemarau di Mesir.

Namun begitu bukan sahaja Mesir yang mengalami kemarau itu malah di tempat-tempat lain juga. Oleh kerana negara tempat tinggal keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Kana’an juga kemarau, mereka juga mengalami bahaya kebuluran. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mempunyai cara lain selain mengarahkan anak-anaknya untuk pergi ke Mesir kerana mereka telah mendengar yang Mesir sahaja yang memiliki makanan lebih. Mereka juga telah mendengar yang Al-Aziz Mesir itu menjual bahan makanan dengan harta yang adil. Baginda tidak mengambil peluang dengan menjual dengan harga yang tinggi. Biasanya jika ada kekurangan barangan, selalu akan ada orang yang menjual dengan harga melampau. Bayangkan semasa PKP dahulu, roti Gardenia tidak banyak, maka ada yang telah mengambil peluang dengan menjualnya dengan harga yang mahal. Ini kerana ada barang yang orang mahu dan perlu, tetapi barang itu tidak banyak. Sebaliknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak begitu. Baginda memang menjual bahan makanan, namun tidaklah baginda menjual dengan harga yang tidak masuk akal. Ini kita boleh lihat nanti disebut,

أَلا تَرَونَ أَنّي أوفِي الكَيلَ
tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan

Maknanya baginda menjual dengan harga yang patut dan tidaklah baginda mengurangkan takaran. Ini memberi satu hukum kepada kita semua. Menjual barang keperluan asas (seperti beras, gula, minyak masak, atau ubatan) dengan harga yang sangat tinggi semasa orang ramai berada dalam keadaan terdesak adalah dilarang keras dalam Islam, walaupun ia bukan dikategorikan sebagai riba. Larangan ini bersandar pada prinsip keadilan dan menolak kemudaratan (mudarat) dalam muamalah. Secara asalnya, Islam memberi kebebasan kepada peniaga untuk menentukan harga. Ini disokong oleh hadith Nabi ﷺ yang menolak permohonan untuk menetapkan harga (Tas’ir) pada zaman baginda kerana Allah-lah Sang Penetap Harga (Al-Musa’ir). Walau bagaimanapun, ulama Fiqh (Hanafi, Syafie dan lain-lain) berpendapat bahawa pengecualian harus diberikan dalam keadaan tertentu untuk melindungi kepentingan awam (Maslahah Ammah). Ini untuk mengelakkan peniaga daripada menjual dengan keuntungan yang melampaui batas kewajaran (Ghabn Fahisy) dan menzalimi pembeli yang terdesak. Ini bagi memastikan barangan keperluan asas sampai kepada masyarakat dengan harga yang munasabah.

Walaupun tiada had peratusan keuntungan yang jelas, dalam keadaan darurat atau krisis, peniaga wajib berpegang kepada etika perniagaan Islam yang mengutamakan keberkatan dan keadilan:

  • Moderasi: Keuntungan hendaklah pada kadar yang sederhana, bukan bertujuan memeras ugut pembeli yang terdesak.
  • Tiada Eksploitasi: Mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda adalah suatu dosa besar (khāṭi’).
  • Prinsip Ihsan: Islam menggalakkan sikap berbuat baik (ihsan) dan memberi kemudahan (samahah) dalam jual beli. Peniaga yang menjual dengan harga yang lebih berpatutan semasa krisis adalah lebih diredhai Allah ‎ﷻ.

Selain daripada harga patut yang diberikan oleh kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dapat tahu yang bahan makanan hanya diberikan kepada orang yang datang sahaja. Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan semua abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk pergi ke Mesir. Maka abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun datang juga ke Mesir tetapi mereka tidak pergi bersama Bunyamin kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mengizinkannya pergi sekali dengan abang-abangnya. Ini kerana dahulu mereka sudah berbuat salah dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda tidak mahu terjadi perkara yang sama dengan anaknya Bunyamin ini. Maka, seramai 10 orang daripada abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah datang ke Mesir.

Kalimah جَآءَ (telah datang) digunakan di sini sedangkan ada lagi kalimah lagi bagi datang seperti إتى. Akan tetapi kalimah جَآءَ ada sedikit berat dan besar yang memberi isyarat yang mereka itu datang dari jauh dan dalam keadaan yang sukar. Ini kerana zaman itu cukup susah yang menyebabkan ramai orang jadi tidak betul dan sanggup merompak dan merampas harta orang lain. Jadi perjalanan  mereka bukanlah perjalanan datang melancong melainkan mereka terpaksa merentas perjalanan jauh yang merbahaya.

Mereka juga kena datang dengan barang tukaran yang mereka ada untuk mendapatkan makanan. Mesir telah membantu dengan menjual keperluan makanan kepada mereka. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membuat peraturan iaitu, untuk setiap orang yang datang, diberikan sebanyak makanan yang boleh dibawa oleh seekor unta, maknanya satu muatan unta. Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, beratnya adalah sebanyak satu wasaq. Dianggarkan sekitar 130 hingga 180 kilogram. Itu adalah untuk bekalan untuk setahun sahaja, tidak boleh datang untuk ambil lebih daripada itu. Jadi kena datang sendiri untuk mengambil gandum itu, tidak boleh kirim melalui orang lain. Tidak dibenarkan beli banyak-banyak lebih daripada kadar untuk seorang.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekarang adalah Menteri yang besar yang menguruskan bahan makanan negara termasuk penjualan kepada kawasan sekeliling. Selalunya orang biasa tidak terus dapat bertemu dengan seorang menteri. Jadi abang-abang baginda ini tidaklah datang terus jumpa baginda. Kerana itu perhatikan susunan kalimat dalam ayat ini. Mula disebut mereka datang sahaja (وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ) dan kemudian baru disebut mereka berjumpa dengan baginda (فَدَخَلُواْ عَلَيهِ). Jadi ada proses. Kenapa mereka dapat bertemu mata dengan baginda?

Ini kerana walaupun mereka tidak membawa Bunyamin, tetapi mereka cuba jugalah untuk minta bahagian untuk Bunyamin dan bapa mereka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka kata yang mereka mempunyai seorang lagi adik tetapi tidak dapat datang dan bapa mereka pula sudah tua dan tidak mampu untuk melalui perjalanan yang jauh. Apabila mereka meminta lebih daripada peraturan yang telah ditetapkan, maka mereka mestilah menghadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana hanya baginda yang dapat memberikan kelonggaran itu.

Atau, ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang menguruskan pemberian bahan makanan itu sampaikan semua orang perlu mengadap baginda. Begitulah cermatnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menjaga harta negara. Ini kerana sekiranya tidak dijaga dengan benar, entah ada pegawai yang mengambil peluang untuk menjual dengan mahal atau tidak memberikan takaran yang jujur. Oleh kerana baginda sendiri yang mengagihkan, maka semua yang datang ke Mesir akan bertemu baginda. Ini sama seperti kisah Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang begitu cermat memeriksa bala tenteranya sampai apabila ada seekor burung sahaja tidak ada, baginda terus tahu dan bertanya seperti disebut di dalam Naml:20

وَتَفَقَّدَ الطَّيرَ فَقالَ ما لِيَ لا أَرَى الهُدهُدَ أَم كانَ مِنَ الغائِبينَ
Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir?

Maka ini mengajar kita dalam menjalankan tugas, tanggungjawab dan kerja kita. Sekiranya menjadi seorang pengurus, jangan terlalu percaya dan serahkan 100% urusan kepada orang bawahan kita sahaja, tetapi hendaklah kita juga terlibat dalam memerhatikan dan mengurus supaya tidak ada salahlaku dan salah ta’bir urus. Sebagai contoh kita boleh perhatikan entah berapa banyak restoran yang diuruskan oleh orang bawahan sahaja lama-lama bungkus senyap begitu sahaja. Ini kerana tuan punya tidak memerhatikan langsung pun bagaimana orang bawahan dia menguruskan restoran itu. Jadi kita boleh aplikasikan konsep ini ke dalam segenap kehidupan kita, bukan?

Melalui perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, ulama’ telah datang dengan fatwa yang mengatakan seandainya bekalan makanan negara terhad, maka kerajaan boleh mengambil alih urusan bahan makanan dan memberikan kepada yang memerlukan dengan mengikut had yang perlu sahaja.

 

فَعَرَفَهُم 

Maka Yusuf mengenal mereka, 

Semasa mereka masuk menemui baginda, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus mengenali mereka. Ini kerana semasa mereka membesar bersama, mereka dahulu sudah besar maka tidak banyak beza bentuk fizikal antara mereka dahulu dan sekarang. Lagi pun mereka datang dari Kan’an dan mereka datang seramai 10 orang. Maka tentulah baginda akan menemuramah mereka datang dari mana dan siapa keluarga mereka dan sebagainya.

Naun bagaimana mereka boleh berjumpa baginda pula? Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menjalankan satu sistem di mana pembeli yang datang mesti diperiksa dan ditemuduga untuk mengetahui tujuan mereka. Ini kerana sekarang barang makanan tidak banyak, takut ada yang menggunakan kesempatan dengan membeli banyak kemudian menjualnya pula dengan harga yang tinggi. Baginda tidak mahu ini terjadi kerana baginda tidak mahu menyusahkan rakyat.

Ayat ini sebenarnya merupakan ayat yang amat sedih sekali. Sekiranya dibaca secara fakta sahaja, memang tidak nampak. Namun bagaimana kalau kita cuba selami lubuk hati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Apakah perasaan baginda apabila melihat kembali abang-abangnya itu? Yang dahulu semasa baginda kecil, mereka telah membuli baginda, mereka hina baginda, mereka pulau baginda, mereka akhirnya telah memecat baju baginda dan meninggalkan baginda di dalam telaga? Mereka telah memisahkan baginda daripada orang yang baginda paling sayangi iaitu bapa dan adiknya sendiri. Seandainya kita baca kisah-kisah buli di sekolah, kita akan terasa sedih sangat, bukan? Kita terbayang bagaimanalah budak-budak itu menahan perasaan mereka tanpa ada orang yang membantu mereka ketika itu. Sampai ada yang cedera fizikal dan mental malah sampai ada yang kehilangan nyawa! Jadi ini adalah kisah buli.

Pengalaman buli meninggalkan kesan dalam diri manusia. Kehidupan mereka tidak normal lagi. Mereka akan sentiasa trauma dan teringat kepada pengalaman mereka itu dan sekiranya ada perkara yang mencetuskan mereka kepada peristiwa itu, mereka mudah sesak nafas dan terus mendapat serangan panik. Ini adalah sebahagian daripada simptom Gangguan Stres Selepas Trauma (Post-Traumatic Stress Disorder – PTSD). Jadi adakah anda rasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kebal daripada simptom ini? Tentu tidak! Baginda pun tentu akan teringat akan tetapi baginda terpaksa menahan perasaan baginda dan berlagak seperti biasa sahaja. Ini kerana baginda mempunyai tugas yang lebih penting daripada melayan perasaan baginda. Begitulah ada yang menjadi berjaya dalam kehidupan mereka walaupun setelah dibuli teruk di sekolah atau ketika kecil, sebaliknya ada juga yang tidak dapat keluar daripada kepompong trauma itu. Mereka terus mengalami kemurungan dan dibawa sampai ke usia tua. Mereka tidak dapat berfungsi dengan baik. Kerana itu kita berharap sangat supaya sesuatu dapat dilakukan supaya gejala buli dapat dihapuskan terus. Jangan diberi peluang kepada pembuli terus bebas dan mesti ada proses yang adil untuk terus selamatkan mangsa buli supaya mereka tidak terus diganggu.

Maka kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus memperkenalkan diri baginda kerana baginda hendak selamatkan adiknya itu. Nanti selepas ini kita akan lihat perancangan baginda untuk membawa adiknya itu.

Lagi pun baginda tidak boleh ada serangan panik kerana baginda mempunyai tugas yang amat penting untuk menyelamatkan umat manusia. Seandainya baginda rebah dan hanyut dalam emosi, akibatnya seluruh negara akan rebah juga.

Kalimah فَعَرَفَهُم yang pertama bermaksud baginda kenal fizikal mereka. Akan tetapi satu lagi perkara yang baginda boleh nampak dan kenal adalah mereka itu tidaklah ada rasa bersalah dengan apa yang mereka telah lakukan dahulu. Kita pun telah diberitahu yang baginda boleh membaca mimpi, kata-kata dan situasi. Jadi baginda kenal mereka tidak ada rasa bersalah pun, sama sahaja macam dahulu. Langsung tidak ada nampak rasa penyesalan.

 

وَهُم لَهُ ۥ مُنكِرُونَ

sedang mereka tidak kenal kepadanya.

Mereka langsung tidak kenal baginda. Kalimah مُنكِرُونَ daripada kalimah إنكار yang asalnya bermaksud sesuatu yang tidak dikenali. Kalimah munkar yang kita biasa gunakan adalah sesuatu perbuatan yang tidak dikenali sebagai baik. Mereka tidak kenal baginda kerana baginda sudah membesar. Dahulu baginda kecil sahaja dan perbezaan itu ketara. Mengikut Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, semasa mereka meninggalkan baginda di dalam telaga, ketika itu baginda berumur 7 tahun dan peristiwa itu sudah 40 tahun berlalu. Allah ‎ﷻ pun telah mewahyukan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang abang-abangnya itu tidak akan sedar seperti disebut dalam ayat 15,

وَأَوحَينَآ إِلَيهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمرِهِم هَـٰذَا وَهُم لَا يَشعُرُونَ
dan Kami wahyukan kepada Yusuf: “Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini, sedang mereka tiada menyedari”.

Begitulah mereka tidak sangka itu adalah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana sifat baginda pun sudah amat jauh berbeza – dahulu baginda seorang pemalu tetapi sekarang sudah lain, sudah menjadi menteri. Mereka pun tidaklah sangka yang menteri yang mereka sedang hadap itu adalah adik mereka Yusuf. Mereka tidak terfikir langsung yang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi menteri kerana apabila mereka tinggalkan baginda di dalam telaga dan diambil orang, mungkin mereka sangka baginda membesar menjadi orang biasa sahaja. Tambahan pula nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah disebut kerana selalunya orang besar ketika itu disebut pangkat sahaja seperti Al-Aziz.

Pengajaran kepada kita adalah kadang-kadang kita tidak rasa yang kita ada membuat salah dengan orang. Kita mungkin pernah menyakiti orang lain, buli orang lain, tetapi kita tidak ingat pun perbuatan kita itu. Maka kita kena ingat kembali apa kata-kata kita, perbuatan kita kepada orang lain. Ia mengingatkan kepada kita yang segala perbuatan dan percakapan kita boleh memberi kesan kepada orang lain sama ada secara negatif ataupun positif. Jadi kenalah sentiasa menjaga kata-kata dan perbuatan kita kepada orang lain.


 

Yusuf Ayat 59:

وَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِم قَالَ ٱئتُونِى بِأَخٍ لَّكُم مِّن أَبِيكُم ۚ أَلَا تَرَونَ أَنِّىٓ أُوفِى ٱلكَيلَ وَأَنَا۟ خَيرُ ٱلمُنزِلِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he had furnished them with their supplies, he said, “Bring me a brother of yours from your father.¹ Do you not see that I give full measure and that I am the best of accommodators?

  • i.e., Benjamin, who had been kept at home by his father Jacob.

(MALAY)

Dan tatkala Yusuf menyiapkan untuk mereka bahan makanannya, dia berkata: “Bawalah kepadaku saudaramu yang sebapa dengan kamu (Bunyamin), tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan dan aku adalah sebaik-baik penerima tamu?

 

وَلَمّا جَهَّزَهُم بِجَهازِهِم

Dan tatkala Yusuf menyiapkan untuk mereka bahan makanan mereka,

Kalimah جَهَّزَهُم dan بِجَهَازِهِم adalah daripada kata dasar ج ه ز yang bermaksud untuk memberi; barang keperluan; menyediakan; melengkapkan; kuburkan (orang mati). Apabila digunakan kalimah جَهَّزَهُم (mengisi untuk mereka) dalam bentuk mubalaghah (kerana ada syaddah), ini bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengisi isian mereka lebih daripada yang sepatutnya. Ini adalah kerana mereka meminta lebih daripada 10 muatan unta (kerana mereka datang 10 orang adik beradik sahaja). Mereka minta juga untuk bahagian Bunyamin dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana permintaan mereka itu, maka ada perbincangan di antara mereka dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana baginda bertanyakan tentang keluarga mereka. Mereka beritahulah tentang adik mereka Bunyamin yang tidak dapat datang kerana bapa mereka tidak mengizinkannya untuk datang.

 

قَالَ ٱئتُونِى بِأَخٍ لَّكُم مِّن أَبِيكُم

dia berkata: “Bawalah kepadaku saudaramu yang sebapa dengan kamu

Baginda berpesan kepada mereka untuk membawa adik mereka itu (Bunyamin) pada tahun hadapan (boleh ambil bekalan setahun sekali sahaja). Ini kerana apabila mereka meminta muatan yang lebih daripada 10 muatan unta untuk bahagian adik mereka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak benarkan. Ini kerana mereka kenalah mengikut syarat yang telah ditetapkan. Kalau semua minta lebih dan baginda beri, susahlah nanti. Maka baginda kata, kalau hendak lebih, nanti tahun hadapan bawalah adik kamu sekali yang kamu kata ada di kampung kamu itu.

Sebenarnya baginda teringin sangat hendak bertemu dengan Bunyamin kerana beliau adalah adik seibu sebapa dengannya. Kerana itulah digunakan kalimat أَخٍ لَكُم مِن أَبيكُم (saudaramu daripada bapamu) kerana 10 abangnya itu adalah saudara berlainan ibu tetapi sebapa (Nabi Ya’qub عليه السلام). Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu? Mungkin ketika baginda menemuduga mereka, mereka telah menceritakan serba sedikit sejarah tentang keluarga mereka.

Atau, kalimat أَخٍ لَّكُم مِّن أَبِيكُم mungkin bermaksud anak yang disayangi dan dijaga sangat oleh bapanya sampai tidak dibenarkan mengembara untuk mencari makanan.

 

أَلا تَرَونَ أَنّي أوفِي الكَيلَ

tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan

Baginda memberikan motivasi untuk mereka membawa Bunyamin tahun hadapan. Baginda mengingatkan mereka betapa baginda telah memberikan sukatan yang lebih untuk mereka seperti yang mereka minta. Baginda juga mengenakan bayaran yang patut kepada mereka dan tidak menaikkan harga makanan seperti tempat-tempat lain yang mengambil kesempatan di atas kesusahan manusia.

Jadi ini adalah jaminan keadilan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang meyakinkan mereka bahawa baginda adalah seorang yang jujur dan tidak curang dalam urusan timbangan dan sukatan. Ini bermaksud mereka tidak perlu risau tentang hak mereka akan dikurangi atau dicurangi.

 

وَأَنَا۟ خَيرُ ٱلمُنزِلِينَ

dan aku adalah sebaik-baik penerima tamu?

Baginda mengingatkan mereka bagaimana baginda telah melayan mereka dengan baik sebagai tetamu. Maka jangan takutlah dengan baginda. Ini mengajar bagaimana kerajaan patut melayan orang lain dari luar. Jangan dipandang serong kepada mereka dan jangan tidak dibantu. Sekarang kita boleh perhatikan ada negara yang tidak membenarkan orang susah dari negara lain datang ke negara mereka. Mereka akan menahan mereka di perbatasan dan menghantar mereka pulang ke negara asal. Apa yang kita pelajari daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah untuk membantu manusia yang memerlukan bantuan walaupun mereka dari negara lain. Ini kerana sifat kemanusiaan mesti lebih tinggi daripada keperluan untuk menjaga kebaikan negara.


 

Yusuf Ayat 60: Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada beri ancaman kepada mereka.

فَإِن لَّم تَأتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيلَ لَكُم عِندِى وَلَا تَقرَبُونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if you do not bring him to me, no measure will there be [hereafter] for you from me, nor will you approach me.”

(MALAY)

Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapat sukatan lagi dari padaku dan jangan kamu mendekatiku”.

 

فَإِن لَّم تَأتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيلَ لَكُم عِندِى

Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapat sukatan lagi daripadaku

Walaupun baginda berbuat baik kepada mereka dan nampak telah banyak membantu mereka, namun jangan diambil kesempatan daripada kemurahan hati baginda. Kerana itu baginda juga memberi amaran, jikalau tidak dibawa Bunyamin pada tahun hadapan, maka tahun hadapan tidak perlu datanglah kalau begitu. Ini kerana kalau mereka tidak dapat bawa Bunyamin, itu tanda mereka menipu baginda kerana mereka kata mereka mempunyai seorang lagi adik, tetapi tidak bawa pun. Mereka bolehlah cari tempat lain untuk membeli bahan makanan, dan ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak halang. Namun kalau di tempat lain, entah berapalah harga yang mereka perlu bayar kerana tentu tempat lain menaikkan harga makanan dengan harga yang melambung tinggi.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata baginda sudah memberikan bahagian Bunyamin kepada mereka walaupun beliau tidak ada bersama hanya dengan berdasarkan daripada kata-kata mereka sahaja. Namun begitu mereka kena bawa Bunyamin pada tahun hadapan untuk membuktikan memang Bunyamin ini wujud kerana dan kalau tidak bawa, maknanya memang Bunyamin itu tidak wujud dan mereka hanya menipu sahaja untuk mendapatkan muatan lebih.

Ini adalah helah daripada baginda kerana baginda memang teringin sangat untuk bertemu adiknya itu. Sudah tentu baginda amat merindui adik kesayangannya itu yang telah terpisah sekian lama . Maknanya, di sini motivasi baginda bagi, ancaman pun baginda bagi juga.

 

وَلا تَقرَبونِ

dan jangan kamu mendekatiku”.

Sekiranya mereka tidak dapat membawa Bunyamin pada tahun hadapan, maka mereka jangan datang ke Mesir untuk berjumpa baginda lagi. Ini kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan melayan mereka seramah dan sebaik ini lagi. Ini kalau kita ambil kalimah لا di sini sebagai la nahi. Maknanya, mereka terpaksa pergi mencari makanan di tempat lain kerana baginda tidak akan menolong mereka lagi. Namun tentulah tidak ada tempat lain untuk mereka cari makanan.

Kalimah لا itu juga boleh diterjemahkan sebagai la nahi iaitu mereka tidak akan dapat mendekati baginda lagi. Mereka akan ditahan daripada bertemu dan bercakap-cakap dengan baginda lagi.

Ancaman baginda ini lain macam sebenarnya. Ia adalah salah satu bentuk hukuman yang padu. Ini kerana kadangkala kita menghukum orang lain yang membuat salah bukanlah dengan menyakiti mereka sebalinya dengan menjauhkan diri daripada mereka. Ini adalah hukuman apabila orang itu memerlukan kita. Sebagai contoh, kalau ada orang yang menipu kita, kita tidaklah memukulnya secara fizikal tetapi hubungan kita dengan dia sudah tidak ada lagi kerana kita tidak percayakan mereka lagi. Hukuman emosi sebegini adalah lebih perit bagi sesetengah orang, bukan?

Ini adalah ancaman kepada abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka sedar yang mereka memerlukan makanan dari Mesir dan ini bermakna mereka perlu menjaga hubungan mereka dengan pemerintah Mesir ketika itu iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka perlu terus dekat dengan baginda. Tidakkah ini ironis? Dahulu ketika baginda kecil, mereka tidak sabar-sabar hendak menjauhkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mereka sampai mereka sanggup buang dan jual baginda. Sebaliknhya sekarang mereka sedar yang mereka akan menjadi sangat susah sekiranya baginda tidak mahu mendekati mereka lagi. Begitulah Allah ‎ﷻ telah terbalikkan apa yang mereka telah lakukan sebagai pengajaran kepada mereka. Lihatlah adik yang kamu paling benci dahulu sekarang adalah orang yang kalian amat perlukan!

 

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks.

1. Apakah konteks sejarah dan geografi yang menyebabkan abang-abang Nabi Yusuf datang ke Mesir?

2. Bagaimanakah Nabi Yusuf menguruskan sumber makanan Mesir, dan apakah kebijaksanaan di sebalik strategi tersebut?

3. Apakah prinsip etika perniagaan Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf dalam menjual bahan makanan semasa krisis?

4. Mengapakah Nabi Yusuf dapat mengenali abang-abangnya, manakala mereka tidak mengenalinya?

5. Menurut tafsir, apakah dua kemungkinan sebab abang-abang Nabi Yusuf dapat berjumpa terus dengan baginda yang merupakan seorang menteri?

6. Bagaimanakah tafsir ini menghubungkan pengalaman Nabi Yusuf dengan Gangguan Stres Selepas Trauma (PTSD) dan apakah pengajaran yang boleh diambil?

7. Apakah peraturan yang ditetapkan oleh Nabi Yusuf mengenai pengagihan bahan makanan kepada setiap individu yang datang?

8. Apakah permintaan, jaminan, dan ancaman yang diberikan oleh Nabi Yusuf kepada abang-abangnya dalam ayat 59 dan 60?

9. Bagaimanakah penggunaan kalimah جَآءَ (telah datang) dalam ayat 58 memberikan gambaran tentang perjalanan abang-abang Nabi Yusuf?

10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada tindakan Nabi Yusuf memeriksa sendiri urusan pengagihan makanan?

Glosari Istilah Utama
Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
Al-Aziz
Pangkat atau gelaran bagi menteri besar di Mesir pada zaman itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memegang jawatan ini.
Ghabn Fahisy
Keuntungan yang melampaui batas kewajaran, terutamanya dengan mengambil kesempatan daripada pembeli yang terdesak.
Ihsan
Sikap berbuat baik dan memberi kemudahan dalam urusan, khususnya dalam jual beli.
جَآءَ (Ja’a)
Kata kerja bahasa Arab yang bermaksud ‘telah datang’, yang membawa konotasi perjalanan yang sukar dan dari jarak yang jauh.
جَهَّزَهُم (Jahhazahum)
Kata kerja bahasa Arab dalam bentuk mubalaghah (penekanan), bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengisi bekalan mereka lebih daripada yang sepatutnya.
Kana’an
Kawasan tempat tinggal keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak-anaknya, yang kini dikenali sebagai Palestin.
Keadaan yang ke 10
Merujuk kepada fasa kesepuluh dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam surah ini, iaitu fasa pertemuan semula dengan saudara-saudaranya.
Maslahah Ammah
Kepentingan awam atau kebaikan bersama. Ia menjadi asas bagi ulama untuk membenarkan campur tangan kerajaan dalam penetapan harga dalam keadaan tertentu.
مُنكِرُونَ (Munkirun)
Perkataan Arab yang bermaksud sesuatu yang tidak dikenali. Dalam konteks ayat, ia merujuk kepada keadaan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak mengenalinya.
PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder)
Gangguan Stres Selepas Trauma. Tafsir ini menggunakannya sebagai analogi untuk menggambarkan kesan psikologi yang mendalam akibat pengalaman dibuli yang seperti dialami oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Tas’ir
Penetapan harga oleh pemerintah. Walaupun pada asalnya ditolak oleh Nabi Muhammad ﷺ, ulama Fiqh membenarkannya dalam keadaan tertentu untuk melindungi kepentingan awam.
Wasaq
Satu unit sukatan berat. Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, ia dianggarkan sekitar 130 hingga 180 kilogram, iaitu jumlah makanan yang diberikan kepada setiap orang untuk bekalan setahun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)