Tafsir Surah Yusuf Ayat 34 – 35 (Allah ‎ﷻ menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 34: Masih lagi dalam keadaan ke 6 di mana baginda dipenjarakan kerana mendapat godaan daripada wanita-wanita yang banyak dan baginda tidak mahu ikut kehendak mereka.

فَٱستَجَابَ لَهُ ۥ رَبُّهُ ۥ فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلعَلِيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So his Lord responded to him and averted from him their plan. Indeed, He is the Hearing, the Knowing.

(MALAY)

Maka Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

فَٱستَجَابَ لَهُ ۥ رَبُّهُ ۥ

Maka Tuhannya memperkenankan doanya

Allah ‎ﷻ makbulkan doa baginda dan Allah ﷻ beritahu yang Dia makbulkan. Padahal boleh sahaja Allah ﷻ terus kata فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ‌. Kalau Allah ﷻ kata begini pun kita akan automatik faham yang Allah ﷻ telah makbulkan. Namun Allah ﷻ tekankan yang Dia hendak perkenankan doa baginda. Allah ﷻ sebut لَهُ yang bermaksud memang ia adalah perkenanan khas kepada baginda. Allah ﷻ menambah kalimah رَبُّهُ kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berserah diri kepada-Nya sebagai Tuhan. Maka sekarang Tuhan perkenankan permintaannya.

Maka bagaimana kita hendak dapat pemakbulan doa seperti yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat ini? Perhatikan firman Allah ﷻ di dalam Baqarah:183

أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul

Jadi Allah ﷻ letak syarat untuk memperkenankan doa manusia: hendaklah dia kena ikut dan taat dulu suruhan dan larangan Allah ﷻ. Bagaimana pula Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memenuhi syarat ini? Baginda telah menjaga nafsunya, menyerahkan dirinya kepada Allah ﷻ dan berusaha untuk lari daripada dugaan yang datang kepadanya itu. Maka kerana baginda telah membuat apa yang baginda patut buat, maka Allah ﷻ membalas dengan memperkenankan doa baginda.

Doa baginda adalah: Dia lebih suka masuk penjara, maka Allah ‎ﷻ memasukkan baginda ke dalam penjara. Dimasukkan ke dalam penjara bukanlah sesuatu yang hina bagi seorang Mukmin. Di dalam penjara juga baginda boleh berdakwah nanti. Malah dalam sejarah ulama’ Islam, banyak sahaja mereka dipenjarakan dan mereka berjaya berkhidmat di dalam penjara pula.

Sebagai contoh, kisah Sayyid Qutb. Pada masa kepemimpinan Presiden Gamal Abdel Nasser, Ikhwanul Muslimin dianggap sebagai ancaman politik, yang menyebabkan penangkapan besar-besaran  terhadap para anggotanya. Sayyid Qutb ditangkap pada tahun 1954 dan dipenjara selama lebih dari 10 tahun. Masa-masa di penjara menjadi produktif bagi Sayyid Qutb untuk melengkapkan karya terbesarnya, iaitu kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an). Beliau sudah memulai projek ini sebelum ditangkap, namun di dalam penjara beliau boleh lebih fokus dan memperdalam pemikirannya. Penulisan ini adalah hasil daripada keteguhan hati, ketekunan, dan tekad yang kuat daripada Sayyid Qutb. Dengan hanya bermodalkan pena, kertas, dan mungkin beberapa buku yang diseludupkan, beliau menulis setiap bab daripada tafsir tersebut. Setelah ditulis, naskah-naskah ini diseludupkan keluar dari penjara oleh orang-orang yang setia kepadanya, dan kemudian diterbitkan. Banyak yang menganggap Fi Zilal al-Qur’an sebagai salah satu karya tafsir Al-Qur’an moden yang paling signifikan. Karya ini tidak hanya membahas makna harfiah ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi juga menggali isu-isu moral, sosial, dan politik yang relevan dengan kondisi umat Islam saat itu. Melalui tafsir ini, Sayyid Qutb ingin menunjukkan bahawa Al-Qur’an adalah pedoman hidup yang utuh dan komprehensif.

Selain itu Buya Hamka juga menulis kitab tafsirnya, Tafsir Al-Azhar, di dalam penjara. Ia adalah salah satu cerita yang paling monumental dan memberi inspirasi dalam sejarah Islam di Indonesia. Ini adalah kisah tentang bagaimana musibah boleh berubah menjadi sebuah anugerah. Pada tarikh 27 Januari 1964, Buya Hamka ditangkap oleh pemerintah Orde Lama. Beliau dituduh melakukan rancangan subversif terhadap negara. Penahanan ini berlangsung selama lebih kurang 2 tahun 4 bulan, tanpa melalui proses pengadilan yang jelas. Kondisi penjara saat itu sangat berat, penuh dengan tekanan politik dan fizikal. Meskipun menghadapi cubaan berat, Buya Hamka menjadikan waktu di dalam penjara sebagai kesempatan untuk menyelesaikan salah satu projek terbesarnya yang tertunda, iaitu Tafsir Al-Azhar. Projek ini sebenarnya sudah beliau mulai sejak tahun 1959 melalui ceramah dan kuliah Subuh di Masjid Agung Al-Azhar, Jakarta. Namun, kesibukannya sebagai ulama, penulis, dan politikus membuatkan penulisan tersebut berjalan lambat. Di dalam penjara, Buya Hamka baru ada waktu dan fokus yang luar biasa. Beliau sering kali mengatakan bahawa jika tidak dipenjara, beliau mungkin tidak akan memiliki waktu yang cukup untuk menyelesaikan karya sebesar ini. Beliau menghadapi penderitaan fizikal dan mental, bahkan sempat hampir gila. Namun, beliau menjadikan Al-Qur’an sebagai penawar dan pelindung.

Dan tidaklah penjara itu menghina Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tidaklah ia mematahkan semangat baginda. Perhatikan surah ini adalah tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keseluruhannya. Akan tetapi kata-kata baginda paling banyak Allah ‎ﷻ nukil ketika baginda di dalam penjara! Di tempat lain, pendek-pendek sahaja. Maka, kata-kata baginda itu menjadi pengajaran kepada kita dan berbilion manusia zaman berzaman membaca kata-kata baginda ketika di dalam penjara inilah. Jadi ini mengajar kita yang kadang-kadang kita mengalami kesusahan, akan tetapi ia menjadi pengajaran dan memberi manfaat kepada orang lain. Begitulah juga contoh yang lain adalah tuduhan zina yang dikenakan kepada Saidatina A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا. Tuduhan itu perit bagi beliau, akan tetapi kisah beliau dibaca sampai sekarang dan menjadi pengajaran kepada semua yang mahu mengambil pengajaran. ِAntara pengajarannya adalah, bukan semua banduan itu bersalah. Ada yang telah dizalimi sampai mereka dimasukkan ke dalam penjara oleh orang yang zalim.

Pentakwilan mimpi dua orang banduan ini nampak macam tidak ada apa sangat. Akan tetapi ia tidak berakhir di sini sahaja. Ia adalah permulaan kepada rentetan insiden yang akhirnya membawa mimpi raja dan akhirnya menyelamatkan ribuan rakyat Mesir dan penduduk sekitar daripada kebuluran. Maka ini mengajar kita untuk memberi manfaat kepada manusia. Kadangkala ia tidak memberi manfaat kepada kita sangat, sebaliknya kepada orang lain. Kerana itu Nabi ﷺ mengajar kita untuk menanam pokok buahan,

“مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ”
“Tidaklah seorang Muslim menanam satu pohon atau bercucuk tanam satu tanaman, lalu tanaman itu dimakan oleh burung, atau manusia, atau binatang, melainkan dia akan mendapatkan pahala sedekah.”

(Riwayat Al-Bukhari, No. 2320 dan Muslim, No. 1553)

Ternyata ia mengajar kita untuk mencari peluang untuk melakukan sesuatu yang dapat digunakan oleh orang ramai malah binatang seperti pokok buahan itu. Yang pahalanya dapat mengalir walaupun kita telah tiada. Maka kerana itulah diharapkan penulisan ini menjadi pahala yang terus mengalir buat sesiapa sahaja yang terlibat dengannya.

 

فَصَرَفَ عَنهُ كَيدَهُنَّ

dan Dia menghindarkan Yusuf daripada tipu daya mereka.

Maka Allah ‎ﷻ menghindarkan baginda daripada tipu daya mereka. Baginda diselamatkan daripada godaan para wanita itu. Iaitu dengan cara memasukkan baginda ke dalam penjara. Begitulah cara Allah ‎ﷻ selamatkan baginda daripada mereka setelah sebelum ini Allah ‎ﷻ telah selamatkan baginda daripada isteri Al-Aziz itu seperti disebut dalam ayat 24

لَولَآ أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِۦ‌ۚ ڪَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلفَحشَآءَ‌ۚ
andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian

Allah ‎ﷻ beritahu yang rancangan mereka dihindarkan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun bukankah dimasukkan ke dalam penjara itu adalah rancangan mereka? Isteri Al-Aziz hendak memasukkan baginda ke dalam penjara, Al-Aziz dan para penasihat juga hendak memasukkan baginda ke dalam penjara. Jadi bagaimana rancangan mereka dihindarkan daripada baginda pula? Jadi ini mengajar kita kadangkala rancangan musuh atau orang jahat itu nampak seperti berjaya, akan tetapi rancangan Allah ‎ﷻ lebih besar lagi daripada rancangan mereka. Mereka mungkin nampak rancangan mereka berjaya tetapi itu semua adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak nampak kesannya kerana kita tidak ada ilmu ghaib dan kita tidak tahu apa yang Allah ‎ﷻ rancang.

 

إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلعَلِيمُ

Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa Dia Maha Mendengar doa kita. Maka kerana itulah hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak kita berdoa kepada-Nya kerana Allah ‎ﷻsahaja yang sentiasa mendengar doa kita. Selain daripada Allah ‎ﷻ tidak ada kuasa ini. Allah ‎ﷻ bukan sahaja mendengar suara kita yang zahir, tetapi Allah ‎ﷻ mendengar isi hati kita sekali. Jadi walaupun tidak terlafaz dengar kalimah, Allah ‎ﷻ tetap tahu apa yang berlegar di dalam hati kita. Allah ‎ﷻ boleh dengar terus apa yang kita minta walau di mana pun kita berada. Maka berdoalah kepada Allah ‎ﷻ SAHAJA. Jangan minta kepada selain Allah ‎ﷻ kerana selain Allah ‎ﷻ tidak ada kemampuan mendengar permintaan kita. Jadi buat apa minta kepada yang tidak boleh dengar?

Kerana itu satu perbuatan yang salah dan membawa kepada syirik apabila minta kepada selain Allah ‎ﷻ seperti yang dilakukan oleh manusia termasuk umat Islam sekali pun. Kalau orang kafir kita faham kenapa merata mereka minta, namun yang menjadi masalahnya orang Islam pun tidak boleh terima perkara asas ini. Maka ada yang meminta kepada Nabi, wali, malaikat. Malah ada yang kata boleh minta kepada pokok (asalkan tahu yang Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menunaikan). Apa punya bodoh punya pendapat, kalau Allah ‎ﷻ juga yang menunaikan, minta kepada Allah ‎ﷻ sahajalah. Buat apa menjatuhkan maruah diri dengan meminta kepada pokok yang tidak boleh membuat apa-apa?

Kesesatan manusia yang utama adalah dalam bab doa. Kalau tidak ada asas yang kukuh kepada wahyu, maka manusia akan tersalah tempat meminta. Oleh kerana itulah Allah ‎ﷻ ajar banyak tentang hal doa di dalam Al-Qur’an di berbagai surah, dan Nabi ﷺ banyak mengajar tentang doa dan cara-cara berdoa. Tidak ada di dalam ajaran Nabi ﷺ itu menganjurkan kita bertawasul kepada makhluk. Allah ﷻ dan Nabi ﷺ ajar terus berdoa kepada Allah ﷻ sahaja berkali-kali disebut di dalam wahyu. Namun begitulah manusia yang sudah jauh daripada wahyu, maka syaitan telah mengambil peluang itu dengan memberi ilham untuk manusia menyampaikan doa kepada makhluk supaya sampaikan kepada Allah ﷻ. Kononnya itu cara terbaik untuk berdoa, tetapi mereka lupa yang itu adalah cara rekaan sahaja. Ini kerana syaitan hendak kita melakukan hal yang syirik.

Maka begitulah amalan para Nabi yang sentiasa berdoa terus kepada Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ sahajalah yang boleh mendengar permintaan kita. Sifat kedua yang penting kenapa kita hanya mesti berdoa kepada Allah ﷻ adalah kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu permintaan kita. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui segala apa yang terjadi, maka Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan. Kita tidak beritahu Allah ﷻ pun Dia tahu apa yang terjadi dan duduk sesuatu perkara itu. Jadi tidak perlu cerita banyak kepada Allah ﷻ apa yang terjadi kerana Allah ﷻ sudah tahu; berbeza dengan kita mengadu kepada manusia, panjang pula cerita kita perlu terangkan.

Yang kedua, Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan. Semua di dalam perancangan Allah ﷻ dan kerana itu Dia tahu apa yang terbaik bagi kita. Kita mungkin ada kehendak kita sendiri supaya sesuatu perkara itu diselesaikan ikut kehendak kita, tetapi kita tidak tahu sama ada ia baik atau tidak. Allah ﷻ juga tahu bagaimana hendak selesaikan sesuatu perkara kerana semuanya di dalam takdir Allah. Maka mintalah kepada Allah ﷻ sahaja kerana Dia sahaja yang tahu yang terbaik buat kita.

Maka kalau kita faham dua sifat Allah ini, maka kita akan minta kepada Allah ﷻ sahaja. Yang ajar meminta kepada selain Allah ﷻ itu adalah kerana mereka tidak tahu ayat ini dan ajaran Allah ﷻ tentang doa. Walaupun mereka itu gelarannya ustaz dan terkenal tidak kira di mana. Kalau dia ajar doa kena minta kepada selain Allah ﷻ, maka dia sudah jahil bab ini. Kita tahu sekarang terlalu ramai ‘ustaz’ yang mengajar begini dan kita jangan ikut. Bukan semua ustaz pandai bab wahyu. Mereka banyaknya belajar dengan guru mereka sahaja dan guru mereka pun sudah tersalah dalam hal ini. Kita sahaja sangka semua ustaz pandai hal agama, tetapi sebenarnya tidak. Ustaz yang tidak pandai, kita tidak perlu ikut. Kita hanya ikut ustaz yang ajar ikut ajaran wahyu sahaja. Kalau ustaz itu sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak ikut pun tidak mengapa. Kerana itu belajar agama adalah kewajipan bagi semua umat manusia, bukan ustaz sahaja. Kerana kalau kita ikut sahaja, belum tentu orang yang kita ikut itu benar. Maka kena ada asas di dalam ilmu agama.

Sekian habis kisah dugaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghadapi golongan wanita elit yang cuba hendak menggoda baginda.


 

Yusuf Ayat 35:

ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّنۢ بَعدِ مَا رَأَوُاْ ٱلأَيَـٰتِ لَيَسجُنُنَّهُ ۥ حَتَّىٰ حِينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then it appeared to them after they had seen the signs¹ that he [i.e., al-‘Azeez] should surely imprison him for a time.²

  • Proofs of his innocence.
  • Until the scandal be forgotten.

(MALAY)

Kemudian timbul fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

 

ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّنۢ بَعدِ مَا رَأَوُاْ ٱلأَيَـٰتِ

Kemudian telah zahir kepada mereka setelah melihat tanda-tanda

Dalam ayat ini sekarang digunakan لَهُم (kepada mereka – merujuk kepada semua yang di situ sama ada lelaki atau perempuan) pula. Ini bermaksud sekarang perancangan ini telah melibatkan orang lain selain daripada wanita-wanita itu. Ini adalah kerana perempuan-perempuan itu masing-masing mempunyai suami yang menjadi pemimpin negari Mesir. Suami mereka sudah tahu apa yang terjadi dan mereka kena fikirkan jalan bagaimana untuk selesaikan masalah yang telah timbul ini daripada menjadi semakin melarat. Isteri-isteri mereka sudah terpikat dengan seorang lelaki tampan dan baik. Sudah kecoh berita yang sekarang mereka telah angau dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kes ini sudah melibatkan Raja Muda Al-Aziz itu dan ini bukan lagi masalah rumahtangga mereka malah kerajaan kerana dia mewakili kerajaan. Malah isteri-isteri menteri yang lain pun sudah terlibat dan mulut manusia takkan dapat ditutup lama. Kalau dibiarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bebas, entah apa yang akan terjadi. Kalau dibuang daerah, nanti hal yang sama akan terjadi juga nanti dan kes baru akan melibatkan kes di Mesir itu. Jadi ayat ini menceritakan kata-kata mereka selepas mereka bermesyuarat sesama mereka.

Setelah mereka bincang-bincangkan, maka telah zahir kepada mereka akan besarnya isu ini. Ini setelah melihat ٱلأَيَـٰتِ (tanda-tanda). Akan tetapi apakah ٱلأَيَـٰتِ itu? Pertamanya kisah tentang para wanita itu telah memotong jari-jari mereka dan kisah itu telah semakin merebak dalam kalangan para pembantu mereka.

Kedua, telah jelas kepada mereka tanda kebenaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak bersalah. Mereka telah lihat bukti yang ada, penjelasan daripada orang yang ada di tempat kejadian, maka telah jelas bagi mereka yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah, sebaliknya wanita-wanita gatal itu. Isu yang besar bukannya siapa yang tidak bersalah tetapi kalau baginda tidak bersalah, maka akan jelaslah bahawa yang bersalah adalah isteri-isteri gatal mereka. Namun mereka tidak mahu perkara ini tersebar kerana akan mengaibkan mereka dan akan terjejaslah status mereka, maka sudah jelas bagi mereka yang mereka mesti menutup kisah ini.

Maka yang ketiga adalah sudah jelas yang isu ini boleh menyebabkan besar kesannya kepada mereka dan negara. Biasalah kalau ada skandal dalam kalangan para pemimpin, maka rakyat sudah tidak percaya lagi dengan mereka. Maka mereka kena buat penutupan kes daripada tersebar.

Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:

1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum:41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah:55

وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”

Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’.

Oleh itu lihat contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,

لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ
Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;

3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am:28

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ
bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:22

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما
Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya

Satu lagi contoh adalah ayat Yusuf:35 yang kita lihat sekarang

ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ
Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah:107

فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا
Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,

5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah:256

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Satu lagi contoh adalah di dalam An’am:55

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ
dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf:51

قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ
Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),

7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf:143

فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا
Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur

8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf:163

إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا
ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;

 

لَيَسجُنُنَّهُ ۥ حَتَّىٰ حِينٍ

bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.

Setelah mereka bermesyuarat, mereka rasa patut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimasukkan ke dalam penjara buat sementara waktu. Sekali lagi digunakan kalimah لَيَسجُنُنَّهُ di dalam bentuk yang paling kuat sekali sebagai penekanan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mesti dipenjarakan, tidak boleh tidak. Ia juga adalah kalimah yang digunakan oleh isteri Al-Aziz sebelum ini, bukan? Maka ini memberi isyarat yang mastermind di dalam kisah kemasukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara adalah isterinya itulah. Kalau tidak dipenjarakan, mungkin baginda dibunuh. Biar baginda tidak dapat bercakap dengan orang lain. Biar reda kisah baginda apabila baginda tidak kelihatan lagi di khalayak atau dalam kalangan manusia yang ramai. Mereka rasa ini cara terbaik, bagi isteri-isteri mereka dapat melupakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mereka nanti akan memasukkan baginda ke dalam penjara tanpa melalui proses kehakiman kerana hendak senyapkan isu itu (dan tidak ada alasan kukuh sebenarnya untuk memasukkan baginda). Kalau ada proses perbicaraan, tentu akan terbongkar segala cerita, bukan? Semua ini mereka lakukan untuk menyelamatkan keadaan yang sudah nampak tidak terkawal. Ini kerana kalau baginda masih duduk di dalam rumah, akan ada masalah yang lebih besar pula nanti.

Lagi satu, apabila Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimasukkan ke dalam penjara, masyarakat Mesir yang sudah dengar desas desus kisah itu pun akan sangka yang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bersalah, bukan wanita-wanita itu. Maknanya, mereka sanggup menyusahkan orang lain semata-mata kerana hendak menjaga maruah mereka. Kerana itulah nanti, apabila Raja hendak mengeluarkan baginda dari penjara, baginda tidak mahu dikeluarkan selagi namanya tidak dibersihkan. Baginda tidak mahu nanti masih ada rakyat yang sangka baginda yang bersalah.

Asalnya, apabila disebut حَتَّىٰ حِينٍ, ia bermaksud mereka memang hendak memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk sementara waktu sahaja. Mungkin Al-Aziz masih sayang lagi dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan hendak menggunakan baginda untuk kepentingan dirinya. Maka tidaklah dia setuju kalau dibiarkan sahaja Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus di dalam penjara. Sudah reda kekecohan ini, nanti keluarkanlah balik. Akan tetapi selepas sudah masuk penjara, mereka sudah lupa kepada baginda kerana bukan penting pun baginda bagi mereka. Entah berapa lama tidak diketahui kerana tidak disebut dalam nas. Di dalam kalimah حَتَّىٰ حِينٍ juga tidak disebut berapa lama jangkamasa itu.

Habis Ruku’ 4 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Soalan Ulang Kaji (10 Soalan Pendek)

  1. Bagaimanakah Allah ﷻ memperkenankan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan menghindarkannya daripada tipu daya wanita-wanita yang menggodanya seperti yang dinyatakan dalam Ayat 34?
  2. Apakah syarat yang Allah ﷻ letakkan untuk memperkenankan doa manusia, seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah:183? Bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memenuhi syarat ini?
  3. Berikan dua contoh ulama Islam yang memanfaatkan masa di penjara untuk menghasilkan karya penting, seperti yang disebutkan dalam tafsir.
  4. Mengapakah dimasukkan ke dalam penjara bukan suatu kehinaan bagi seorang Mukmin menurut tafsir ini?
  5. Apakah pengajaran utama yang dapat diambil daripada pengalaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di penjara, terutamanya mengenai kesusahan yang memberi manfaat kepada orang lain?
  6. Terangkan mengapa pemenjaraan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ oleh golongan atasan Mesir, meskipun nampak seperti kejayaan rancangan musuh, sebenarnya adalah sebahagian daripada rancangan Allah ﷻ yang lebih besar.
  7. Mengapakah Allah ﷻ menekankan sifat-Nya sebagai “Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” dalam konteks doa?
  8. Nyatakan dua sifat utama Allah ﷻ yang menjadi sebab mengapa umat Islam seharusnya hanya berdoa kepada-Nya dan bukannya kepada selain-Nya.
  9. Apakah “tanda-tanda” (ٱلأَيَـٰتِ) yang dilihat oleh para pemimpin Mesir sehingga mereka memutuskan untuk memenjarakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Mengapakah para pemimpin Mesir memutuskan untuk memenjarakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanpa melalui proses kehakiman?

Glosari Istilah Penting

  • Fahaman Sunnah dan Salafussoleh: Kefahaman Islam yang berdasarkan ajaran Nabi Muhammad ﷺ dan praktik generasi awal Muslim yang soleh.
  • Fi Zilal al-Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an): Kitab tafsir terkenal yang ditulis oleh Sayyid Qutb.
  • Ghaib: Perkara yang tersembunyi, tidak dapat dilihat atau diketahui oleh manusia melainkan dengan izin Allah ﷻ. Manusia tidak mempunyai ilmu ghaib untuk mengetahui perancangan Allah ﷻ.
  • Harfiah: Makna literal atau makna sebenar perkataan.
  • Ikhwanul Muslimin: Sebuah organisasi pergerakan Islam yang diasaskan di Mesir.
  • Jahil: Bodoh, tidak tahu, atau kurang ilmu terutamanya dalam hal agama.
  • Mukmin: Orang yang beriman kepada Allah ﷻ.
  • Nafs (Nafsu): Diri, jiwa, atau keinginan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjaga nafsunya daripada godaan.
  • Nas: Teks asal daripada Al-Qur’an atau Hadith.
  • Orde Lama: Tempoh pemerintahan Presiden Sukarno di Indonesia.
  • Ruku’: Pembahagian dalam surah-surah Al-Qur’an yang biasanya terdiri daripada beberapa ayat, menandakan satu unit tema.
  • Saidatina A’isyah: Isteri Nabi Muhammad ﷺ yang pernah difitnah melakukan zina. Kisahnya menjadi pengajaran.
  • Tafsir Al-Azhar: Kitab tafsir Al-Qur’an yang ditulis oleh Buya Hamka. Ia adalah salah rujukan blog ini.
  • Tawasul: Perbuatan mendekatkan diri kepada Allah ﷻ melalui perantaraan makhluk.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 34 – 35 (Allah ‎ﷻ menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)”

  1. Kunci Jawapan Soalan Ulang Kaji

    1. Allah (ﷻ) memperkenankan doa Nabi Yusuf (عليه السلام) dengan cara memasukkannya ke dalam penjara. Ini adalah kaedah Allah menyelamatkan baginda dari godaan para wanita tersebut setelah sebelumnya Allah menyelamatkan baginda dari isteri Al-Aziz.
    2. Syarat untuk memperkenankan doa manusia adalah hendaklah dia mengikut dan mentaati suruhan dan larangan Allah. Nabi Yusuf memenuhi syarat ini dengan menjaga nafsunya, menyerahkan diri kepada Allah, dan berusaha lari dari dugaan yang datang kepadanya.
    3. Dua contoh ulama Islam ialah Sayyid Qutb yang menulis Fi Zilal al-Qur’an di penjara, dan Buya Hamka yang menulis Tafsir Al-Azhar juga di penjara.
    4. Dimasukkan ke dalam penjara bukanlah sesuatu yang hina bagi seorang Mukmin kerana ia boleh menjadi peluang untuk berdakwah atau menghasilkan karya bermanfaat, dan kadang-kadang ia adalah cara Allah menyelamatkan hamba-Nya dari keburukan yang lebih besar.
    5. Pengajaran utama adalah bahawa kesusahan yang dialami seseorang kadang-kadang menjadi pengajaran dan memberi manfaat kepada orang lain. Kata-kata Nabi Yusuf di penjara menjadi pengajaran kepada jutaan manusia, menunjukkan bahawa musibah boleh menjadi anugerah.
    6. Pemenjaraan Nabi Yusuf nampak seperti rancangan musuh berjaya, tetapi ia adalah sebahagian daripada perancangan Allah yang lebih besar yang akhirnya membawa kepada peristiwa seperti pentakwilan mimpi raja dan menyelamatkan ribuan rakyat Mesir dari kebuluran. Kita tidak nampak kesannya kerana tidak ada ilmu ghaib.
    7. Allah (ﷻ) menekankan sifat-Nya sebagai “Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” untuk mengingatkan kita bahawa hanya Dia yang layak untuk kita berdoa kepada-Nya. Allah mendengar doa kita yang zahir dan isi hati kita, serta mengetahui apa yang terbaik untuk kita, walaupun kita tidak menyatakannya secara terperinci.
    8. Dua sifat utama Allah (ﷻ) ialah Dia Maha Mendengar (sentiasa mendengar doa kita di mana pun kita berada, termasuk isi hati) dan Dia Maha Mengetahui (mengetahui segala yang terjadi dan apa yang kita perlukan serta bagaimana untuk menyelesaikannya dengan cara yang terbaik).
    9. “Tanda-tanda” (ٱلأَيَـٰتِ) tersebut termasuklah kisah wanita-wanita memotong jari mereka yang telah tersebar, bukti jelas tentang tidak bersalahnya Nabi Yusuf, dan kesedaran bahawa isu ini boleh memberi kesan besar kepada maruah dan kedudukan mereka serta negara jika tidak ditangani.
    10. Para pemimpin Mesir memutuskan untuk memenjarakan Nabi Yusuf tanpa melalui proses kehakiman kerana mereka ingin menyenyapkan isu skandal tersebut dan menjaga maruah mereka. Jika ada perbicaraan, kebenaran tentang kesalahan isteri-isteri mereka akan terbongkar.

    Like

Leave a comment