BALASAN KEPADA ORANG MUKMIN
Tawbah Ayat 71: Sebelum ini telah disebut tentang maksud hidup orang kafir dan orang munafik. Sekarang dibawakan pula maksud hidup orang beriman pula. Ini adalah ayat tabshir (berita gembira).
وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ وَيُطيعونَ اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The believing men and believing women are allies of one another. They enjoin what is right and forbid what is wrong and establish prayer and give zakāh and obey Allāh and His Messenger. Those – Allāh will have mercy upon them. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.
(MALAY)
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi wali (penjaga dan pelindung) bagi sebahagian yang lain.
Orang mukmin menjadi pembantu agama kepada sesetengah mukmin yang lain. Mereka tolong menolong dalam urusan agama. Inilah yang kita kena lakukan. Kena tengoklah apa yang kita boleh bantu sesama kita dalam menegakkan agama ini. Kena jalankan kerja dakwah bersama-sama kerana kerja dakwah ini akan lebih senang dan lebih berjaya kalau kita bekerjasama. Ini seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadith sahih, iaitu:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ، يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا ”. وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ.
Sesungguhnya seorang mukmin bagi orang mukmin lain sama dengan bangunan, sebahagian daripadanya mengikat sebahagian yang lain. Lalu baginda merangkumkan jari-jemari kedua telapak tangannya.
(Sahih Bukhari (481))
Kalimah أَولِياءُ juga adalah lawan kepada permusuhan, iaitu berkasih sayang. Maka umat Islam sepatutnya berkasih sayang sesama sendiri. Maka sebarkan kasih sayang sesama kita. Rasulullah ﷺ bersabda,
مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ
“Barangsiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi.”
(Sahih Bukhari No. 328)
Begitulah Rasulullah ﷺ mengajarkan kepada umatnya untuk menyayangi siapapun yang ada di muka bumi. Sebagaimana sabda baginda,
ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
“Sayangilah siapa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh siapa saja yang ada di langit”
(Jami’ Tirmidzi (1924))
Status: Hasan
Di dalam hadith yang lain,
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوادِهِمْ، وتَراحُمِهِمْ ، وتَعَاطْفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذا اشْتَكَى مِنهُ عُضْقَ تَداعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ والحُمّى
“Perumpamaan sesama kaum mukminin dalam menjaga hubungan kasih sayang dan kebersamaan seperti satu tubuh, jika satu anggota merasakan sakit, maka akan membuat seluruh tubuhnya terjaga dan merasakan demam.”
(Sahih Muslim No. 2586)
Dalam Hujurat:10 juga Allah ﷻ telah menjelaskan hubungan sesama kita,
إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik
Ternyata sesama Mukmin adalah bersaudara dan أَولِياءُ sesama sendiri. Kalau dibandingkan dengan kalimat yang digunakan di dalam ayat 67 apabila disebut tentang hubungan golongan munafik sesama mereka, tidak ada kalimah أَولِياءُ langsung (المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ بَعضُهُم مِّن بَعضٍ). Ini kerana antara mereka tidak ada kasih sayang sesama mereka sebenarnya. Masing-masing hendak melepaskan diri sendiri dan mencari keuntungan diri sendiri sahaja. Semuanya hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Hubungan yang berlandaskan keduniaan tidak akan kekal lama kerana itu mereka sebenarnya bermusuhan seperti yang Allah ﷻ sebut tentang golongan Munafik di dalam Hashr: 14
بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ ۚ تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ
Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.
Ternyata kasih sesama Mukmin itu akan kekal lama membawa ke syurga kerana ia timbul kerana Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ sendiri yang akan timbulkan perasaan kasih sayang itu seperti disebut di dalam Maryam: 96
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.
Namun malang sekali kerana ini tidak terjadi sekarang, bukan? Ini adalah kerana kita jauh daripada wahyu, tidak beriman seperti yang sepatutnya dan tidak menjaga amal soleh. Maka lihatlah kita bercakaran sesama sendiri dan saling jatuh menjatuhkan sesama Muslim. Sepatutnya kita kena ubah dari sekarang. Pandanglah saudara seIslam kita dengan pandangan rahmah dari sekarang. Jangan dilayan jikalau ada bibit-bibit permusuhan antara kita. Syaitan pasti akan menimbulkan kebencian antara kita, tetapi jangan dilayan perasaan itu.
يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ
Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar,
Mereka yang beriman sebenar akan melakukan amar makruf nahi mungkar. Mereka sentiasa melakukannya kerana kalimah يَأمُرونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’. Bukan sahaja mengajak ke arah kebaikan tetapi kalau ada perkara yang tidak betul, mereka akan halang dan larang. Ini juga sentiasa orang Mukmin lakukan kerana kalimah يَنهَونَ di dalam fi’il mudhari’. Ini berlawanan dengan apa yang munafik lakukan – mereka larang membuat makruf dan suruh buat munkar.
Kita kena lakukan amar makruf nahi munkar ini. Ramai yang tahu mana yang salah, tetapi mereka tidak berani hendak tegur orang lain. Tidak tahulah apa masalah mereka yang sebenar, tetapi kena berhentilah daripada tidak buat apa-apa kerana kalau kita diamkan sahaja, orang tidak tahu apa yang mereka lakukan itu salah. Manusia memang memerlukan nasihat daripada orang lain. Ini kerana syaitan memang sudah ‘nasihat’ mereka, maka kita kenalah juga lawan nasihat daripada syaitan itu dengan beri nasihat yang baik pula.
Ini adalah tugas kita sebagai umat Islam (walaupun ramai yang tidak melakukannya) seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Ali Imran: 110
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)
Apa pula masalah jika kita tidak melakukannya? Memang masalah besar kerana ia pernah terjadi kepada umat yang terdahulu seperti Yahudi dan kita pun tahu yang mereka telah dilaknat oleh Allah ﷻ seperti disebut dalam Maidah: 78-79
لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ
Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas.
كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ
Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.
Kalau manusia melampau maka ada kemungkinan Allah ﷻ akan kenakan dengan azab. Sekiranya azab Allah ﷻ turun, ia boleh sahaja secara menyeluruh sampaikan ia akan mengenai juga kepada kita walaupun kita tidak melakukan dosa. Ini seperti disebut dalam Anfal: 25
وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.
Cuma kita faham yang ramai takut menegur orang yang melakukan kesalahan kerana takut dicela dan dicemuh. Namun ini bukanlah sikap yang bagus sebenarnya. Kita sepatutnya kena lebih takut takut dengan Allah ﷻ, bukannya takut dengan manusia. Kalau kita tidak melakukannya, ditakuti kita digantikan dengan golongan lain yang tidak takut tentang hal ini seperti disebut dalam Maidah: 54
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ وَلا يَخافونَ لَومَةَ لائِمٍ
Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.
Ayat ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith di mana Allah ﷻ berjanji melalui lisan Rasulullah ﷺ yang orang yang tidak mencegah kemungkaran akan dikenakan dengan azab sebelum dia mati,
قَالَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ رَجُلٍ يَكُونُ فِي قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا عَلَيْهِ فَلَا يُغَيِّرُوا إِلَّا أَصَابَهُمْ اللَّهُ بِعَذَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَمُوتُوا
Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seorang laki-laki berada pada sebuah kaum yang di dalamnya dilakukan suatu kemaksiatan, sedangkan mereka mampu mengubah kemaksiatan tersebut lalu tidak melakukannya, maka Allah ﷻ akan menimpakan seksa kepada mereka sebelum mereka meninggal.”
(Sunan Abu Dawud (3776))
Status: Hasan
Malah, Rasulullah ﷺ telah bersabda yang jikalau kita tidak melakukan tugas yang besar dan penting ini, azab yang Allah ﷻ kenakan kepada kita tidak diangkat kerana Dia tidak akan memakbulkan doa kita. Ini amat menakutkan sekali!
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
Daripada [Hudzaifah bin Al Yaman رضي الله عنه] daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, hendaknya kalian beramar ma’ruf dan nahi munkar atau jika tidak nescaya Allah ﷻ akan mengirimkan seksa-Nya dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian memohon kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan.”
(Sunan Tirmizi (2095))
Status: Hasan
Ya kita faham yang kadangkala kita tidak berada di kedudukan yang kuat untuk mencegah sesuatu kemungkaran itu. Akan tetapi kita tetap kena melakukan sesuatu. Paling kurang kita tidak setuju dengan hati kita (dan ini adalah pada tahap iman paling lemah). Ini seperti disebut dalam hadith yang masyhur,
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Rasulullah ﷺ, bersabda: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.”
(Sahih Muslim (70))
Tetapi ingat! Jangan kita hanya pandai menegur sahaja tetapi diri kita sendiri melakukan kemungkaran pula. Ada azab khusus yang disediakan oleh Allah ﷻ terhadap orang-orang yang sebegini,
رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُولُونَ أَيْ فُلَانُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Pada hari qiyamat akan dihadirkan seseorang yang kemudian dia dilempar ke dalam neraka, isi perutnya keluar dan terburai hingga dia berputar-putar bagaikan seekor keldai yang berputar-putar menarik mesin gilingnya. Maka penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; “Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat ma’ruf dan melarang kami berbuat munkar?”. Orang itu berkata; “Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat ma’ruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun malah aku mengerjakannya”.
(Sahih Bukhari (3027))
وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ
dan mendirikan solat, dan menunaikan zakat
Mereka sendiri melakukan amal ibadat seperti yang Allah ﷻ suruh. Mereka tidaklah suruh orang lain sahaja yang buat, tetapi mereka sendiri pun banyak melakukan amal ibadat itu. Solat dan zakat diberikan sebagai contoh ibadah yang utama. Kedua-duanya perlulah dilakukan dengan sempurna.
Maknanya, bukanlah kena kerjakan dua ibadah ini sahaja. Cuma diringkaskan dengan diberikan contoh dua amal ibadat yang paling utama – solat dan zakat. Solat adalah wakil kepada amal ibadat perhubungan dengan Allah ﷻ manakala zakat adalah contoh amal ibadat antara manusia.
Kalau kita lihat susunan ayat ini, disebut amar makruf nahi mungkar dahulu baru disebut solat. Bukankah solat itu ibadah yang paling utama? Ya benar tetapi Allah ﷻ sebut tujuan dahulu kemudian disebut caranya. Tujuan kita adalah amar makruf nahi munkar dan caranya adalah dengan solat kerana solat itu mencegah kemungkaran, bukan? Seperti disebut di dalam Ankabut: 45
إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.
Ayat Ankabut: 45 ini amat menakutkan! Kerana kalau kita solat tetapi masih lagi melakukan kemungkaran, ini bermakna ada masalah dengan solat kita. Entah apa yang kita lakukan di dalam solat kita sampaikan ia tidak memberi kesan yang sepatutnya.
وَيُطيعونَ اللَّهَ وَرَسولَهُ
dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya.
Mereka taat suruhan Allah ﷻ dan suruhan Rasulullah. Namun begitu sebelum hendak taat, kenalah tahu apa yang perlu ditaati. Janganlah kita mengaku kita taat, tetapi apa yang perlu ditaati pun tidak tahu. Maka, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah untuk tahu apa yang perlu ditaati. Untuk taat Allah ﷻ, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan untuk taat kepada Rasul, kena belajar hadith.
أُولٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ اللَّهُ
Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;
Mereka pasti Allah ﷻ akan beri rahmat. Antara rahmat yang Allah ﷻ akan berikan adalah syurga, dengan segala nikmat di dalamnya. Ini kerana kita tidak dapat masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah ﷻ, bukan? Ini jelas daripada sebuah hadith,
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رضي الله عنه] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))
Kesimpulannya ayat ini mengajar kita bagaimana untuk mendapat rahmat Allah ﷻ:
1. Berkasih sayang dan bantu membantu sesama Mukmin
2. Mengajak kepada perkara ma’ruf
3. Mencegah manusia daripada kemungkaran
4. Mendirikan Solat
5. Mengeluarkan Zakat
6. Taat kepada Allah ﷻ
7. Taat kepada Rasul
إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ boleh melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki kerana Dia lah Tuhan kita. Allah ﷻ juga Maha Bijaksana, maka apa-apa sahaja ketentuan daripada-Nya, adalah molek-molek belaka.
Tawbah Ayat 72: Allah ﷻ menjelaskan apakah maksud ‘rahmat’ yang disebut dalam ayat sebelum ini tadi.
وَعَدَ اللَّهُ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ ۚ وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ أَكبَرُ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has promised the believing men and believing women gardens beneath which rivers flow, wherein they abide eternally, and pleasant dwellings in gardens of perpetual residence; but approval from Allāh is greater. It is that which is the great attainment.
(MALAY)
Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di Syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah kejayaan yang besar.
وَعَدَ اللَّهُ المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ
Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan,
Rahmat Allah ﷻ adalah janji Dia yang pasti akan ditunaikan kepada orang yang sanggup melakukan seperti disebut di dalam ayat sebelum ini. Janji Allah ﷻ tidak sama seperti janji manusia. Kalau janji manusia, belum tentu dia boleh tepati lagi, kerana dia pun mungkin tidak mampu hendak berikan walaupun dia memang hendak beri. Namun kalau Allah ﷻ yang berjanji, pasti akan ditepati.
جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai,
Allah ﷻ menjanjikan syurga untuk Mukminin. Ini adalah nikmat jasmani. Disebut ada sungai-sungai di bawah syurga-syurga itu kerana air adalah sesuatu yang dipandang tinggi oleh manusia, terutama bangsa Arab kerana mereka kekurangan air. Malah kawasan penempatan yang ada air adalah penempatan yang paling mahal sekali. Orang kita pun amat suka kalau dapat bercuti dan berkelah atau istilah popular masakini ber’healing’ berdekatan air seperti laut, sungai atau air terjun.
Maka Allah ﷻ menarik perhatian manusia sebagai motivasi dengan mengatakan di syurga itu mengalir sungai-sungai. Di dalam ayat yang lain Allah ﷻ menyebut jenis-jenis sungai yang ada di syurga. Lihat Muhammad: 15
مَّثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ ۖ فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa yang di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring;
Bayangan sebegini pun sudah cukup hebat tidak terbayang oleh pancaindera kita. Namun apakah maksud sungai itu di bawah? Ia boleh bermaksud sungai di bawah rumah, di bawah pokok-pokok di syurga dan satu lagi yang menarik, ia mungkin di bawah perintah dan kehendak penghuni syurga itu. Ahli syurga dapat mengawal sungai-sungai itu contohnya mengalir ke arah mana, di bawah atau di atas rumah, dan sebagainya. Dalilnya adalah Insan: 6
عَينًا يَشرَبُ بِها عِبادُ اللَّهِ يُفَجِّرونَها تَفجيرًا
(iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya.
خٰلِدينَ فيها
kekal mereka di dalamnya,
Kalau tinggal di tempat yang baik pun, namun kalau seketika sahaja, tentulah bukan nikmat yang sebenar apabila kita tahu nikmat itu ada had masa. Ini kerana kalau kita tahu yang kita akhirnya akan kena tinggalkan tempat itu, kita tidak dapat menikmatinya dengan sempurna.
Katakanlah kita tinggal di sebuah hotel yang paling mahal di dunia sekalipun, kita sebenarnya tahu dalam hati kita yang kita akan kena tinggalkan bilik hotel itu juga nanti akhirnya. Sebaliknya sesiapa yang masuk syurga nanti, akan kekal di dalamnya, selama-lamanya. Mereka tidak akan keluar darinya sampai bila-bila. Maka legalah mereka yang telah dapat memasukinya. Mereka tidak akan mahu keluar dari syurga itu seperti disebut dalam Kahf: 108
خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
Begitulah sifat manusia semenjak azali lagi mahu kekal di sesuatu tempat yang dia suka. Oleh kerana mahu kekal di dalam syurgalah yang menjadi punca Nabi Adam عليه السلام tertipu dengan iblis. Iblis menipu dengan mengatakan kalau baginda mahu kekal di dalam syurga, baginda kena makan buah/pokok larangan (bukanlah namanya Khuldi kerana itu adalah nama yang iblis beri). Namun itu dahulu. Nanti tidak ada pohon larangan di syurga dan penghuni syurga tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila. Tidak akan ada lagi perkara yang menyebabkan ahli syurga dikeluarkan dari syurga.
وَمَسٰكِنَ طَيِّبَةً في جَنّٰتِ عَدنٍ
dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di Syurga ‘Adn.
Di dalam syurga itu, penghuni syurga akan mendapat rumah dan istana yang indah-indah belaka. Tiada tandingannya semasa di dunia. Apa-apa tempat tinggal dalam dunia, tidak kira sebesar mana, secanggih mana pun, tentu sekali akan ada sesuatu yang kita tidak puas hati. Akan tetapi dalam syurga nanti, semua kita akan berpuas hati teramat.
Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِنَّ لِلْمُؤْمِنِ فِي الْجَنَّةِ لَخَيْمَة مِنْ لُؤْلُؤَةٍ وَاحِدَةٍ مُجَوَّفة، طُولُهَا سِتُّونَ مِيلًا فِي السَّمَاءِ، لِلْمُؤْمِنِ فِيهَا أَهْلُونَ يَطُوفُ عَلَيْهِمْ، لَا يَرَى بَعْضُهُمْ بَعْضًا”
Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah khemah untuk orang mukmin yang terbuat daripada sebuah mutiara yang berlubang, panjangnya enam puluh batu, iaitu di langit. Bagi orang mukmin di dalam khemah itu terdapat banyak isteri yang dia berkeliling menggilir mereka, sebahagian daripada mereka tidak melihat sebahagian yang lain.
(Sahih Bukhari (3243) dan Muslim (2838))
Maknanya di dalam syurga nanti tidak ada kerja, tidak ada ibadah lagi yang perlu dilakukan. Ia adalah tempat untuk memuaskan nafsu sahaja. Inilah balasan yang kekal abadi bagi mereka yang sanggup bersusah payah semasa hidup di dunia.
وَرِضوٰنٌ مِّنَ اللَّهِ أَكبَرُ
Dan keredhaan Allah adalah lebih besar;
Sebelum ini disebut nikmat jasmani. Sekarang disebut nikmat rohani pula. Nikmat rohani yang paling besar adalah redha Allah ﷻ. Redha Allah ﷻ itu lebih besar daripada nikmat jasmani. Maksudnya Allah ﷻ redha kita menjadi hamba-Nya. Sekiranya emak dan ayah kita senang dengan kita menjadi anak mereka, mereka berbangga dengan kita, itu pun kita sudah seronok. Apatah lagi kalau Allah ﷻ yang menjadikan kita pun redha dengan kita, tentulah lebih-lebih lagi kita berbahagia, bukan?
Nikmat rohani ini أَكبَرُ (lebih besar) daripada nikmat jasmani. Berapa ramai orang yang duduk di rumah yang indah, dipenuhi dengan segala kelengkapan mewah sekalipun namun hati mereka tidak tenteram? Manakala berapa ramai yang duduk dalam serba kemiskinan tetapi hati mereka tenang? Mana lagi kita sukai, hati yang tenang atau kekayaan? Tentulah ketenangan. Ini menunjukkan bahawa nikmat rohani itu lebih besar dan lebih terkesan lagi kepada kita.
Imam Malik رحمه الله telah meriwayatkan daripada Zaid ibnu Aslam, daripada Ata ibnu Yasar, daripada Abu Sa’id Al-Khudri, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِنَّ اللَّهَ، عَزَّ وَجَلَّ، يَقُولُ لِأَهْلِ الْجَنَّةِ: يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، فَيَقُولُونَ: لَبَّيْكَ يَا رَبَّنَا وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ فِي يَدِكَ. فَيَقُولُ: هَلْ رَضِيتُمْ؟ فَيَقُولُونَ: وَمَا لَنَا لَا نَرْضَى يَا رَبِّ، وَقَدْ أَعْطَيْتَنَا مَا لَمْ تُعط أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ. فَيَقُولُ: أَلَا أُعْطِيكُمْ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ؟ فَيَقُولُونَ: يَا رَبِّ، وَأَيُّ شَيْءٍ أَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ؟ فَيَقُولُ: أُحِلُّ عَلَيْكُمْ رِضْوَانِي فَلَا أَسْخَطُ عَلَيْكُمْ بَعْدَهُ أَبَدًا”
Sesungguhnya Allah ﷻ berfirman kepada penghuni syurga, “Hai para penghuni syurga.” Maka mereka menjawab, “Labbaik, wahai Tuhan kami, kami terima seruan-Mu dengan penuh kebahagiaan, dan semua kebaikan berada di tangan kekuasaan-Mu.” Allah ﷻ berfirman, “Apakah kalian telah puas?” Mereka menjawab, “Mengapa kami tidak puas, wahai Tuhan kami, sedangkan Engkau telah memberi kami segala sesuatu yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun daripada makhluk-Mu?” Allah ﷻ berfirman, “Mahukah Aku berikan kepada kalian yang lebih afdal daripada semuanya itu? ” Mereka menjawab, “Wahai Tuhan kami, adakah sesuatu yang lebih utama daripada semua ini?” Allah ﷻ berfirman. ‘Aku halalkan bagi kalian redha-Ku, maka Aku tidak akan murka lagi kepada kalian sesudahnya untuk selama-lamanya.”
(Sahih Bukhari (6549) dan Muslim (2829))
ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
itu adalah kejayaan yang agung.
Kejayaan dapat masuk syurga dan mendapat keredhaan Allah ﷻ adalah kejayaan yang amat besar sekali. Lafaz yang digunakan untuk ‘kejayaan’ dalam ayat ini adalah الفَوزُ. Lafaz الفَوزُ bermaksud kejayaan yang didapati setelah terlepas daripada sesuatu yang kita tidak suka.
Kalimah ini amat tepat sekali untuk ayat ini kerana mereka yang masuk syurga sebenarnya telah terlepas daripada memasuki neraka. Kita kena ingat bahawa setiap manusia akan melalui Titian Sirat dan titian ini direntas melalui neraka. Mereka yang menjadi ahli neraka akan ditarik jatuh ke dalam neraka. Namun bagi mereka yang selamat dan dapat masuk ke syurga, mereka telah melihat apa yang mereka telah lalui. Oleh itu, mereka akan lebih berasa bersyukur daripada terus sahaja masuk ke dalam neraka. Nikmat syurga itu menjadi lebih bermakna kerana kita sedar yang kalau tidak masuk ke syurga, tentu kita akan masuk ke dalam neraka!
Habis Ruku’ 9 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 8 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan




