Ayat 62: Ayat ini berkenaan wali yang akan memberitahu kita tentang sifat-sifat wali Allah.
أَلا إِنَّ أَولِياءَ اللَّهِ لا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Unquestionably, [for] the allies of Allah there will be no fear concerning them, nor will they grieve
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah,
‘Wali’ pada kita adalah seseorang yang rapat dengan kita. Yang berkawan rapat dengan kita, yang tahu segala-galanya tentang kita. Sepertimana wali untuk pernikahan adalah bapa atau ahli keluarga yang rapat dengan pengantin perempuan itu. Maka, ‘Wali Allah’ adalah mereka yang rapat dengan Allah.
Mereka bukan sahaja rapat dengan Allah, mereka juga rapat sesama orang Islam kerana Allah. Maknanya mereka berkawan kerana Allah. Mereka berkawan bukan kerana kebendaan tapi kerana Allah.
Dalam satu hadis: Golongan inilah yang cuba dijelaskan oleh Rasulullah kepada Saidina Umar Ibnu Al Khattab RA dalam dialog mereka:
Rasul: Para Nabi dan para syuhada akan cemburu kepada segolongan hamba Allah kelak di akhirat kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah, padahal mereka bukan para Nabi.
Umar : Siapakah mereka wahai Rasul?
Rasul: Mereka ialah satu kaum yang saling mengasihi sesama mereka semata-mata kerana Allah, bukan kerana hubungan silaturrahim atau kerana harta. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka bercahaya, mereka di atas mimbar yang bercahaya. Mereka tidak takut dikala manusia lain merasa takut, dan mereka tidak sedih dikala manusia lain merasa sedih. Lalu Rasul pun membaca ayat 62-63 dari surah Yunus:
Maksudnya: Ingatlah, sesungguhnya Wali Wali Allah itu tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. (Yunus: 62-63)
Bagaimana mereka boleh rapat dengan Allah? Kerana mereka kenal dengan wahyu Qur’an. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah banyak disebut tentang Qur’an dan kepentingan membaca dan mempelajarinya. Dengan belajar tafsir Qur’an, memahami, mengamalkan ajarannya dan menyampaikannya kepada masyarakat dengan mengajar, mereka menjadi Wali Allah.
لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ
tidak ada ketakutan terhadap mereka,
Mereka tidak akan takut apabila mereka mati. Mereka juga tidak takut di Hari Mahsyar dan akhirat. Kerana Allah akan menyelamatkan mereka. Semasa di dunia, kita ada banyak perasaan takut yang tidak akan habis. Sebagai contoh, takut lapar, takut sakit, takut hilang harta dan sebagainya. Tapi para Wali Allah tidak akan ada langsung rasa takut pada hari yang orang lain amat takut.
وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Mereka tidak akan merasa dukacita kerana semasa mereka hidup di dunia, mereka tidak mengumpul harta, tetapi mengumpul amalan kebaikan. Oleh kerana itu, Allah akan memberi segala nikmat kepada mereka sampaikan tidak ada lagi rasa sedih pada mereka.
Kenapa manusia bersedih? Kerana ada perkara yang mereka rasa kurang, ada benda yang mereka tiada, hilang dan sebagainya. Di akhirat kelak, Allah akan balas kepada mereka dengan yang lebih baik lagi, sampaikan tidak ada kesedihan lagi kerana kehilangan apa-apa.
Kalau ada benda yang mereka tinggalkan, kesedihan mereka itu ditutupi dengan kegembiraan menerima nikmat yang Allah berikan. Mereka sudah tidak ingat kekurangan mereka semasa di dunia. Mereka akan hanya ada perasaan gembira sahaja.
Ayat 63: Ayat ini memberikan definisi ‘Wali Allah’. Allah sendiri beritahu kita dalam Qur’an apakah sifat Wali Allah itu. Ini juga adalah sifat-sifat yang kita perlu ada dan kita perlu usaha untuk mencapainya. Dan jikalau kita mempunyai sifat-sifat ini, maka kita pun boleh mencapai taraf Wali Allah.
Maknanya, sesiapa sahaja boleh menjadi Wali Allah jikalau mereka memiliki sifat-sifat ini. Bukanlah wali itu mempunyai sifat yang luar biasa sebagaimana anggapan manusia sekarang. Padahal, Allah isyarat dalam ayat ini, semua orang boleh jadi wali Allah.
Manusia sahaja yang letakkan sifat-sifat yang mustahil pada wali itu kemudian mereka sanjung wali-wali itu. Ini selalu dilakukan oleh golongan tarekat sufi kerana kejahilan mereka. Kemudian mereka jadikan wali-wali itu sebagai pemberi Syafaat kepada mereka; mereka puja, sembah dan buat ibadat kepada wali-wali itu sebagai wasilah mereka dalam amalan tawasul mereka.
الَّذينَ آمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ
Those who believed and were fearing Allah
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
الَّذِينَ آمَنُوا
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman
Iaitu mereka yang beriman sempurna. Akidah mereka sempurna. Mereka tidak melakukan syirik. Mereka juga tidak mengamalkan bidaah. Dari segi akhlak pula, mereka tidak melakukan maksiat.
Kita kenalah beriman sempurna. Dan maknanya, ia bukan setakat beriman sahaja. Kerana ada manusia yang beriman dengan Allah, beriman dengan Nabi dan sebagainya. Tapi malangnya dalam masa yang sama, mereka ada juga ada beriman dengan perkara lain. Mereka beriman bahawa ada entiti-entiti lain yang mempunyai sifat Allah. Itulah syirik – meletakkan sesuatu yang sama taraf dengan Allah dari segi sifatNya.
Berbagai-bagai jenis syirik yang dilakukan manusia. Sebagai contoh, Allah sahaja yang boleh memberi dan menentukan siapakah yang boleh menerima syafaat. Tapi ada yang sangka, Nabi Muhammad pun ada kuasa untuk menentukan siapakah yang boleh menerima Syafaat. Itu sudah salah.
Untuk mengetahui akidah yang sempurna, kenalah belajar dan faham tafsir Qur’an. Kerana hal-hal akidah diberitahu dalam Qur’an. Bukannya belajar akidah melalui Sifat 20.
وَكَانُوا يَتَّقُونَ
serta mereka pula bertaqwa.
Taqwa bermaksud menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan periksa sama ada amalan itu Allah suka ataupun tidak. Mereka akan berhati-hati dalam setiap perbuatan mereka. Mereka buat itu semua kerana mereka takut dengan Allah.
Itulah dua sifat terpenting seorang Wali Allah, iaitu mereka mengajar orang lain. Orang alim juga sepatutnya mengajar. Mereka bukan hanya menyelamatkan dirinya sahaja, tapi mereka juga menyampaikan ajaran Islam yang benar kepada masyarakat. Kerana itulah suruhan dari Allah dan mereka taat kepada Allah. Mereka takut kalau mereka tidak sampaikan ajaran Allah, mereka akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Kalau seorang alim itu tidak mengajar, bukanlah dia seorang wali.
Dari ayat ini, tahulah kita bahawa bukannya Wali Allah itu seorang yang asyik mengusung tasbih sahaja. Bukanlah mereka itu jenis orang yang berzikir tak henti-henti seorang diri. Bukanlah mereka dengan pakaian tidak terurus dan compang camping, kuku panjang dan sebagainya. Malangnya ada yang percaya sebegitu. Orang gila pun mereka anggap wali. Mereka akan berkata: “Ingat-ingat sikit, entah-entah kalangan kita ini ada wali Allah…” Ini adalah kata-kata yang karut dari orang yang jahil sahaja.
Dari kata-kata tidak berdalil itulah lahir sangkaan-sangkaan yang tidak bertempat. Sampai ada yang kata Tok Kenali yang sudah lama mati itu, sekarang sedang duduk di salah satu bucu Kaabah. Memang tak masuk akal. Kenapalah nak letak Tok Kenali di situ? Inilah hasil dari kejahilan masyarakat kita yang dijahilkan oleh guru-guru yang jahil juga.
Bukan setakat wali sahaja, ada yang sampai kata, kena beringat takut-takut ada di kalangan manusia yang ramai-ramai ini, Nabi Muhammad ada di kalangan kita. Ma sha Allah! Kalau kita tidak beri pengajaran agama yang benar di kalangan masyarakat kita, akan adalah fahaman karut-karut sebegini.
Ayat 64: Apakah yang wali-wali Allah itu akan dapat?
لَهُمُ البُشرىٰ فِي الحَياةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ ۚ لا تَبديلَ لِكَلِماتِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
For them are good tidings in the worldly life and in the Hereafter. No change is there in the words of Allah. That is what is the great attainment.
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar.
لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
Untuk mereka sahajalah berita yang menggembirakan di dalam kehidupan dunia
Apakah maksud الْبُشْرَىٰ itu? Ada yang kata ianya adalah mimpi yang baik-baik. Mimpi itu akan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Ianya akan memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan apa yang telah usahakan. Tapi kita kena berhati-hati dengan mimpi yang kita dapat itu. Kerana ada yang ditipu dalam mimpi.
Ada yang mengatakan ianya adalah kemasyhuran seseorang itu. Iaitu masyhur kerana kebaikan yang telah dilakukannya, kerana penjenayah pun mahsyur juga tapi kerana keburukan. Sebagai contoh, Imam Bukhari telah menulis kitab sahihnya dan lihatlah bagaimana masyhur sekali kitab itu dan dengan baginda sekali.
Ianya dikaji dan dibaca oleh manusia serata dunia. Bila sebut Sahih Bukhari sahaja, semua akan terima hadis di dalamnya sebagai sahih belaka. Nama ‘Bukhari’ pun terkenal di mana-mana. Ibubapa menamakan anak mereka dengan nama Bukhari. (Walaupun sebenarnya itu kurang tepat kerana Bukhari adalah nama tempat kelahiran beliau, bukannya namanya yang sebenar).
Ada yang mengatakan bahawa ianya adalah bantuan dari Allah. Dalam usahanya untuk melakukan amalan yang baik, Allah mudahkan. Sebagai contoh, Allah akan memudahkan wali itu untuk kelas pengajian, contohnya.
Ada yang mengatakan mereka akan mendapat kefahaman dan ilmu agama yang luar biasa.
Ada juga mengatakan mereka mendapat berita baik tentang nasib mereka. Sebagai contoh, ada sahabat yang diberikan dengan berita gembira yang mereka akan menjadi ahli syurga semasa mereka di dunia lagi. Semasa mereka hidup lagi mereka sudah mendapat berita baik itu.
Apabila malaikat mengambil nyawa mereka di hujung hayat, malaikat akan memberikan berita gembira yang mereka akan dimasukkan ke syurga. Seperti firman Allah dalam Fussilat:30
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka: “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
Begitu juga Allah telah berfirman dalam Nahl:32
الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.
Berdoalah sekarang supaya Allah memasukkan kita ke dalam golongan ini.
وَفِي الْآخِرَةِ
dan di akhirat;
Mereka pun akan mendapat berita gembira di akhirat kelak. Mereka diberikan dengan segala nikmat yang mereka sendiri tidak sangka.
لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ
tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah
Kalimah-kalimah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah janji-janji Allah. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah janji-janji Allah itu.
Kalimah Allah itu juga boleh bermaksud Qur’an. Kita juga tidak dapat mengubah ayat-ayat Allah. Ayat-ayat Qur’an ini dipelihara dan tidak akan berubah sampai bila-bila.
ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
yang demikian itulah kejayaan yang besar.
Kejayaan yang dimaksudkan adalah mendapat berita gembira dari Allah. Dan kerana terselamat dari neraka yang amat menakutkan.
Ayat 65: Ayat tasliah.
وَلا يَحزُنكَ قَولُهُم ۘ إِنَّ العِزَّةَ لِلَّهِ جَميعًا ۚ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
And let not their speech grieve you. Indeed, honor [due to power] belongs to Allah entirely. He is the Hearing, the Knowing.
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
وَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu;
Janganlah kita merasa dukacita dengan kata-kata hina manusia kepada kita yang sebar tauhid. Ingatlah bahawa Nabi Muhammad pun telah ditolak dan dihina oleh kaumnya. Begitu juga dengan kita yang menyebar tauhid ini. Mereka kata kita sesat, kita wahabi dan sebagainya. Memang pedih rasa hati kita. Tapi Allah kata, jangan berdukacita dengan kata-kata mereka.
إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
kerana sesungguhnya segala kemuliaan itu milik Allah seluruhnya;
Mereka yang menentang itu hendak menghina kita tapi ingatlah yang kemuliaan yang sebenarnya milik Allah. Apabila kita dihina dan dikeji, mungkin kita akan ada rasa hina, kita rasa kita tidak dihormati. Apa Allah kata dalam ayat ini? Kekuasaan dan kemuliaan itu memang milik Allah pun. Sepenuhnya milik Allah dan bukannya pada tangan manusia dan bukan juga milik kita. Jangan kita rasa yang kita hilang sesuatu apabila orang hina kita.
هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
Allah Maha mendengar apa yang orang engkar itu kata kepada kita dan Allah tahu apa perasaan kita.
Kalau Nabi Muhammad pun kena hina dan kena caci apatah lagi kita yang hendak menyebarkan dakwah ini.
Ayat 66:
أَلا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّماواتِ وَمَن فِي الأَرضِ ۗ وَما يَتَّبِعُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ شُرَكاءَ ۚ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِن هُم إِلّا يَخرُصونَ
Unquestionably, to Allah belongs whoever is in the heavens and whoever is on the earth. And those who invoke other than Allah do not [actually] follow [His] “partners.” They follow not except assumption, and they are not but falsifying
Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.
أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَن فِي السَّمَاوَاتِ
Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit
Allah memiliki sesiapa sahaja yang ada di langit. Kita pun tidak tahu apakah makhluk yang hidup di langit itu melainkan malaikat. Tapi tentunya ada lagi makhluk-makhluk lain yang akal kita tidak dapat capai.
وَمَن فِي الْأَرْضِ
dan yang ada di bumi
Allah juga memiliki sesiapa saja yang ada di bumi. Begitu banyaknya makhluk yang hidup di bumi, saintis pun belum sempat nak katelogkan lagi. Dan ada spesis yang menjelma yang dulu tidak ada. Maka amatlah banyak makhluk di bumi dan semuanya milik Allah belaka, termasuklah kita.
وَمَا يَتَّبِعُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ شُرَكَاءَ
dan mereka yang menyembah sesuatu yang selain Allah sebagai sekutuNya,
Orang-orang yang musyrik akan menyembah ilah-ilah selain Allah yang mereka anggap sebagai ‘sekutu-sekutu’ Allah. Tetapi tidaklah sembahan-sembahan mereka itu sama taraf ataupun sekutu kepada Allah sebenarnya. Itu hanyalah anggapan mereka sahaja. Apa yang mereka sembah itu sebenarnya tidak ada.
إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ
mereka tidak menurut yang mereka sembah itu melainkan mereka hanya menurut sangkaan semata-mata,
Mereka sahaja yang anggap ada entiti lain yang mempunyai kuasa yang sama seperti Allah. Tetapi entiti yang mereka sembah itu tidak wujud seperti berhala-berhala itu. Ataupun entiti yang mereka sembah sebagai tuhan itu tidaklah sama kedudukan dengan Allah dan tidak layak menjadi sekutu kepada Allah. Allah tidak ada sekutu. Allah tidak memerlukan sekutu dalam mentadbir alam ini.
وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.
Mereka hanya agak-agak saja tanpa mempunyai dalil bukti. Perkataan يَخْرُصُونَ dari katadasar خ ر ص iaitu perbuatan mengira-ngira buah kurma untuk dijual. Sebelum pokok itu berbuah, mereka sudah anggarkan berapa banyak buah yang pokok itu akan keluarkan. Mereka yang melakukan begitu hanya kira dengan agak-agak sahaja.
Itu dalam mengira buah pada pokok. Tapi ingatlah yang dalam agama tidak boleh agak-agak begitu, tapi hujah agama memerlukan dalil dan bukti yang sahih.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 Mac 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair