KEHEBATAN AL-QUR’AN
Yunus Ayat 57: Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kita akan dibawa untuk bertemu dengan Allah ﷻ akhirnya. Lalu apakah cara untuk kita selamat di akhirat nanti? Tentulah dengan menjadikan panduan Al-Qur’an sebagai pemandu hidup kita.
Maka ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada mempelajari dan mengamalkan Al-Qur’an. Kita akan selamat kalau kita berpegang dengan ajaran Al-Qur’an. Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ menyebut bahawa Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi isyarat bahawa Dia juga menghidupkan hati yang mati dengan Al-Qur’an.
يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
O mankind, there has to come to you instruction from your Lord and healing for what is in the breasts and guidance and mercy for the believers.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
يٰأَيُّهَا النَّاسُ
Wahai umat manusia!
Al-Qur’an sekarang sedang bercakap kepada semua manusia. Kerana Al-Qur’an ini bukan untuk orang Islam sahaja tetapi kepada semua manusia. Semua manusia patut baca dan faham mesej Al-Qur’an ini. Soalannya sekarang: Apakah yang kita telah lakukan untuk membawa mesej Al-Qur’an ini kepada manusia sejagat?
Al-Qur’an ini dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh manusia sejagat. Malangnya, orang bukan Islam sudah mendapat maklumat yang salah daripada media massa. Sampaikan ada yang marah dengan Al-Qur’an sehingga mahu membakarnya! Kitalah yang mesti menjalankan tugas kita memperkenalkan mesej Al-Qur’an yang sebenar kepada mereka.
Al-Qur’an ditujukan kepada semua manusia, bukan umat Islam, bukan orang tertentu sahaja. Semua orang boleh mendapat apa yang dijanjikan di dalam ayat ini asalkan mereka mahu. Maka salahlah fahaman sesetengah umat Islam yang mengatakan Al-Qur’an ini hanya layak bagi orang tertentu sahaja, susah difahami, boleh menjadi sesat kalau belajar, dan sebagainya. Itu semua adalah hujah daripada syaitan kerana syaitan yang tidak mahu kita belajar tafsir Al-Qur’an! Dah kenapa mereka ini tolong jadi jurucakap bagi syaitan pula?
قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ
Sesungguhnya telah datang kepada kamu nasihat dari Tuhan kamu,
Kalimah مَّوْعِظَةٌ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Allah ﷻ tidak sebut Al-Qur’an di dalam ayat ini kerana Allah ﷻ hendak memberitahu kita sifat Al-Qur’an iaitu ia bersifat مَّوْعِظَةٌ. Kalimah مَّوْعِظَةٌ berasal daripada katadasar و ع ظ yang bermaksud menegur seseorang, menasihati; memberi peringatan tentang kebaikan, kebenaran; mengingatkan seseorang; mengingatkan orang lain untuk meninggalkan syirik dan dosa-dosa yang lain.
Al-Qur’an sememangnya mengandungi nasihat yang amat besar. مَّوْعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang menjadikan hati lembut dan terbuka untuk menerima. Apabila hati sudah menjadi lembut, maka senang untuk diajak kepada Allah ﷻ dan taat kepada-Nya. Kesan ajakan keduniaan akan berkurangan. Hati mula ingat kepada Akhirat. Oleh itu jika hati keras, hendaklah selalu membaca Al-Qur’an supaya dapat melembutkan hati itu. Akan tetapi kenalah faham apa yang dibaca barulah ia menjadi nasihat kepada kita. Jika dibaca sahaja tanpa memahami apa yang dibaca, bagaimanakah ia mampu menjadi nasihat, bukan?
Al-Qur’an mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan. Mesti ada kedua-dua elemen itu – ajak kepada kebaikan dan larang kepada keburukan. Kita beri nasihat itu kerana kita memang mahukan seseorang itu beringat serta berhati-hati.
Nasihat itu juga hendaklah dilakukan dengan ikhlas serta efektif. Ayat-ayat Al-Qur’an itu kalau diteliti dan dipelajari tafsirnya dapat memberi nasihat kepada pembacanya dengan berbagai cara. Oleh kerana itu ia merupakan nasihat yang mampu memberi kesan. Bukan jenis nasihat yang mudah dilupakan selepas itu. Ia memberi kesan yang amat dalam menusuk ke dalam hati sanubari. Nasihat itu juga hendaklah diberikan kena tepat pada masanya. Nasihat itu diulang-ulang sehingga masuk ke dalam akal.
Itulah sifat-sifat Al-Qur’an dalam memberi nasihat. Al-Qur’an mengandungi semua kelebihan itu malah lebih lagi. Kita pun kena ingat yang ayat Al-Qur’an adalah Kalam Allah ﷻ, maka ia bukanlah nasihat yang biasa-biasa tentunya. Allah ﷻ yang menjadikan kita, maka Allah ﷻ tahu bagaimana cara untuk mengetuk hati kita. Kerana itu, kita sepatutnya menggunakan Al-Qur’an sebagai pemberi nasihat utama kepada manusia. Kita sepatutnya menggunakan Al-Qur’an itu sebagai pemberi nasihat, bukannya menggunakan elemen yang lain seperti nasyid, qasidah, tulisan khat dan sebagainya.
Nasihat itu datang daripada siapa? مِن رَّبِّكُمْ (daripada Allah ﷻ Tuhan kamu). Bukannya daripada manusia biasa. Oleh itu, ia sepatutnya diterima dengan senang hati oleh kita. Kita kena ambil perhatian dengan nasihat yang diberikan. Kita kena baca Al-Qur’an itu sambil merasakan bahawa Allah ﷻ sedang memberi nasihat terus kepada kita.
Di sini juga, Allah ﷻ menekankan sifat Rabb-Nya dengan penggunaan مِن رَّبِّكُمْ dan bukan مِنَ اللهِ. Ini kerana Rabb adalah sifat yang mendidik makhluk. Itulah maksud ‘tarbiyyah’ yang selalu juga kita gunakan. Oleh kerana Allah ﷻ yang mencipta kita, maka Allah ﷻ juga yang mendidik kita. Maka kita kena agungkan Allah ﷻ dan apabila kita baca Al-Qur’an, kita kena ingat perkara ini (iaitu Allah ﷻ sedang mendidik kita). Mestilah diberi perhatian seperti yang dilakukan oleh jin yang disebut dalam Ahqaf:29
وَإِذ صَرَفنا إِلَيكَ نَفَرًا مِّنَ الجِنِّ يَستَمِعونَ القُرءآنَ فَلَمّا حَضَروهُ قالوا أَنصِتوا
Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur’an; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!”
Lihatlah bagaimana penghormatan para jin itu menghormati pembacaan Al-Qur’an. Mereka senyap supaya dapat mendengar bacaan Al-Qur’an. Kita pun seharusnya mengikut cara jin ini sebagaimana Allah ﷻ mengajar kita dalam A’raf:204 tentang hal ini,
وَإِذا قُرِئَ القُرآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Dan apabila Al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ
dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada kamu,
Kalimah شِفَاءٌ bermaksud sesuatu yang menghilangkan penyakit. Dalam ayat ini dijelaskan bahawa Al-Qur’an adalah penawar bagi penyakit-penyakit hati. Apa yang ada dalam dada? Hati (lebih tepat ia adalah jantung tetapi orang kita sudah biasa menggunakan istilah hati). Masalah penyakit apa yang ada dalam hati? Pelbagai masalah penyakit dan yang paling teruk adalah akidah yang rosak.
Untuk menerima Al-Qur’an, hati kita mestilah terbuka untuk menerima Al-Qur’an. Kerana itulah disebut hati dan bukannya anggota lain kerana hati itulah yang paling penting seperti disebut dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim:
أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ . أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”
Apabila ayat ini menyebut فِي الصُّدُورِ (dalam dada) dan tidak spesifik menyebut قَلبٌ (hati), ia merangkumi lebih lagi daripada hati sahaja. Ia merangkumi apa sahaja yang ada di dalam dada, termasuk was-was dari syaitan. Ini bermaksud, Al-Qur’an bukan sahaja penawar kepada penyakit hati, ia juga adalah sebagai penawar kepada bisikan syaitan juga.
Dalam hati ada banyak penyakit, banyak masalah. Al-Qur’an adalah penawar kepada apa sahaja penyakit dalam hati. Sebagai contoh, cemburu, syirik, mementingkan diri sendiri, riak, malas, sombong, sangsi kepada Allah ﷻ dan agama, cinta kepada dunia, kesedihan, kemurungan, ujub, marah, bakhil, syahwat, tekanan perasaan dan macam-macam lagi. Semua penyakit itu memburukkan keadaan kita. Penyakit yang amat berbahaya yang boleh mengakibatkan kita susah di dunia dan akhirat.
Persoalannya apakah punca utama bagi kesemua penyakit hati ini? Ia bermula daripada kejahilan. Sebagai contoh, kerana jahil tentang Allah ﷻlah manusia membuat syirik, kerana jahil tentang qada’ dan qadarlah yang menyebabkan kemurungan, kerana jahil tentang kedudukan dirilah yang menyebabkan manusia menjadi sombong dan sebagainya. Maka ubat bagi kejahilan adalah belajar dan bertanya, kerana Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda:
فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kebodohan adalah bertanya
(Sunan Abu Daud 336. Disahihkan oleh al-Albani)
Al-Qur’an adalah penawar kepada semua penyakit hati itu. Malang sekali apabila terdapat golongan-golongan yang sesat yang kononnya kuat agama telah mengajar bahawa Selawat Syifa’ itulah penawar kepada penyakit hati. Ini termasuklah pengamal perubatan Islam yang mengamalkan selawat ini dan seumpamanya, golongan Tarekat dan seumpamanya dan sekolah-sekolah pondok dan seumpamanya.
Mereka telah rosakkan agama dengan mengajar selawat yang berbau syirik ini sampaikan selawat ini diamalkan di masjid, dibaca ramai-ramai selepas solat, diajar kepada semua masyarakat kerana sudah masuk dalam TV dan media massa.
Ada berbagai ruang lagi Al-Qur’an ini boleh menjadi penawar. Antaranya:
1. Penyakit mental seperti masalah berfikir, malas, susah membuat keputusan dan sebagainya. Lihat contoh Allah ﷻ mengajar manusia di dalam Baqarah:44
۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
2. Penyakit spiritual seperti yang telah disebut tadi adalah tentang syirik. Selain dari itu ada penyakit hati seperti nifaq, fasik dan kufur. Ini banyak disebut di dalam Al-Qur’an sebagai pengajaran kepada kita untuk membasminya. Antaranya,
إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. Nisa’:48
وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka (golongan munafik): “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Baqarah:13
وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنعِقُ بِمَا لَا يَسمَعُ إِلَّا دُعَآءً وَنِدَآءً صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَعقِلُونَ
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya. Baqarah:171
3. Penyakit moral yang teruk. Contohnya Allah ﷻ mengajar kita meneladani akhlak Rasulullah,
لَّقَد كانَ لَكُم في رَسولِ اللهِ أُسوَةٌ حَسَنَةٌ
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu. Ahzab:21
وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍ
Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung. Qalam:4
4. Bagaimana pula dengan penyakit fizikal? Berkenaan hal ini memerlukan penelitian kerana ditakuti kita menjadikan Al-Qur’an ini sebagai kitab perubatan pula sedangkan ia adalah kitab pedoman hidup. Malangnya ramai uskun (ustaz dukun) menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat penyembuh. Digunakan ayat sekian untuk penyakit sekian dan ayat itu untuk penyakit itu sedangkan tidak ada dalil sandaran baginya.
Mungkin kerana penyalahgunaan Al-Qur’an sebeginilah Hasan al-Basri pernah berkata, “Allah ﷻ; menjadikan ubat terhadap penyakit-penyakit hati, dan tidak menjadikannya ubat untuk penyakit jasmani”. Jelas di sini memang ada pendapat yang tidak bersetuju ayat-ayat Al-Qur’an itu sebagai penawar fizikal. Kecuali penyakit fizikal yang bersifat psikosomatik (sakit fizikal yang timbul atau dipengaruhi oleh fikiran atau emosi).
Saya berpendapat ada beberapa ayat Al-Qur’an yang digunakan sebagai penawar sakit fizikal. Bukanlah semua dan setiap ayat itu mesti ada dalil sandarannya. Di dalam Yunus:57 ini Al-Qur’an disebut secara umum sebagai syifa’, akan tetapi di dalam Isra’:82 menyebut sebahagian (bukan semua) Al-Qur’an menjadi syifa’.
وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ
Dan Kami turunkan sebahagian dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman
Sebagai contoh, memang ada dalil bahawa Surah Al-Fatihah adalah syifa’. Ini disebut di dalam hadith riwayat Abu Sa’id al-Khudri رضي الله عنه:
انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الْحَيِّ فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لَا يَنْفَعُهُ شَيْءٌ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلَاءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ فَأَتَوْهُمْ فَقَالُوا يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لَا يَنْفَعُهُ فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ فَقَالَ بَعْضُهُمْ نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْقِي وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدْ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضَيِّفُونَا فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلًا فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنْ الْغَنَمِ فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ قَالَ فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمْ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ فَقَالَ بَعْضُهُمْ اقْسِمُوا فَقَالَ الَّذِي رَقَى لَا تَفْعَلُوا حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ فَقَالَ وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟ ثُمَّ قَالَ: قَدْ أَصَبْتُمْ اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Suatu hari sekelompok sahabat Nabi ﷺ melakukan perjalanan jauh. Di tengah perjalanan mereka singgah di sebuah kampung kabilah Arab. Mereka bertamu, namun penduduk kampung enggan untuk menjamu. Tiba-tiba ketua kampung tersebut telah disengat oleh seekor haiwan berbisa. Penduduk kampung berusaha untuk mengubati dengan segala cara, namun tidak berhasil. Ada di antara mereka yang usul, ‘Andaikan kalian mendatangi sekelompok orang yang baru tiba, siapa tahu ada di antara mereka yang memiliki sesuatu.’ Mereka pun mendatangi para sahabat Nabi ﷺ seraya berkata, ‘Wahai tuan-tuan sekalian, pembesar kami telah disengat oleh haiwan berbisa, dan kami telah berusaha dengan segala cara untuk mengubatinya namun sama sekali tidak berhasil. Apakah ada di antara kalian yang memiliki sesuatu?’ Sebahagian sahabat menjawab, ‘Ya, demi Allah saya mampu mengubati. Namun, kami telah bertamu tetapi kalian enggan menjamu kami. Saya tidak akan mengubatinya kecuali setelah kalian berjanji akan memberi upah.’ Mereka pun bersepakat untuk memberi segerombolan kambing.
Lalu, sahabat tadi menghembus nafas berserta sedikit ludah dari mulutnya dan membaca Alhamdulillahirabbil’alamin. Detik itu juga si ketua kampung bangkit dan mampu berjalan, seolah tidak terkena apapun.
Mereka pun memenuhi janjinya untuk memberi upah. Sebahagian sahabat berkata, ‘Bahagikanlah.’ Orang yang meruqyah menjawab, ‘Jangan lakukan kecuali setelah kita mendatangi Rasulullah ﷺ dan menceritakan kejadian ini. Lalu kita lihat apa yang diputuskan Rasul ﷺ.’
Sesampainya di hadapan Rasul ﷺ mereka bercerita. Baginda pun bersabda, ‘Dari manakah engkau mengetahui bahawa Surah al-Fatihah adalah ruqyah? Apa yang kalian lakukan benar, bahagikan (kambing tersebut) dan beri aku satu bahagian.’ Sambil baginda tersenyum.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah percaya bahawa Surah al-Fatihah merupakan ubat bagi segala penyakit hati dan badan. Beliau menceritakan pengalamannya di dalam kitab Daa wa dawa’. Pada suatu hari ketika berada di Makkah, beliau ditimpa penyakit tetapi tidak menjumpai tabib (doktor) atau ubat yang boleh merawatnya. Lalu beliau cuba mengubati penyakitnya dengan membacakan Surah al-Fatihah pada air zam-zam lalu meminumnya. Kemudian beliau mendapati air itu memberikan kesan yang menakjubkan. Selepas pengalaman itu beliau cuba menjadikan bacaan Surah al-Fatihah sebagai ruqyah bagi penyakit yang dialaminya.
Muawwizatain (Surah An-Nas dan Al-Falaq) juga ada dalilnya,
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَنْفُثُ عَلَى نَفْسِهِ فِي الْمَرَضِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ فَلَمَّا ثَقُلَ كُنْتُ أَنْفِثُ عَلَيْهِ بِهِنَّ وَأَمْسَحُ بِيَدِ نَفْسِهِ لِبَرَكَتِهَا فَسَأَلْتُ الزُّهْرِيَّ كَيْفَ يَنْفِثُ قَالَ كَانَ يَنْفِثُ عَلَى يَدَيْهِ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا وَجْهَهُ
Daripada ‘Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bahawa Nabi ﷺ selalu meniupkan diri baginda sendiri dengan Mu’awwidzat (surah pelindung) dalam sakit yang membawa wafatnya, dan tatkala sakit baginda semakin parah, sayalah yang meniup dengan surah pelindung tersebut dan saya mengusapnya dengan tangan baginda sendiri kerana berharap untuk mendapat berkahnya.” Aku (perawi) bertanya kepada Az Zuhri (perawi); “Bagaimana cara meniupnya?” dia menjawab; “Baginda meniup kedua tangannya, kemudian baginda mengusapkan ke wajah dengan kedua tangannya.”
(Sahih Bukhari (5294))
Oleh sebab itu hanya ayat-ayat yang berdalil sahaja yang boleh digunakan untuk mengubati penyakit fizikal. Memang tidak banyak ayat kerana Al-Qur’an lebih mementingkan penyakit hati lagi daripada penyakit fizikal. Penyakit fizikal boleh diubati dengan mencari penawar fizikal seperti ubatan, jaga pemakanan serta jaga kesihatan dengan bersenam dan sebagainya.
وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
dan juga menjadi hidayah petunjuk, serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Seperti kita pernah sebut sebelum ini, Al-Qur’an ini adalah untuk setiap manusia. Akan tetapi yang boleh mengambil manfaat daripadanya hanyalah orang-orang yang beriman sahaja. Ia menjadi petunjuk kepada kehidupan dan apabila ia dijadikan panduan, maka manusia itu akan mendapat rahmat.
Al-Qur’an adalah sebagai hidayah petunjuk kepada kita. Apabila kita sudah menerima Al-Qur’an dalam hati kita, barulah kita akan senang untuk menerima petunjuk dalam Al-Qur’an itu. Barulah senang untuk kita menerima hukum-hukum yang Allah ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an. Kita tidak berasa berat untuk taat kepada arahan hukum dalam Al-Qur’an.
Apabila kita sudah menerima hidayah daripada Allah ﷻ, barulah kita akan berasa tenang, rasa betapa manisnya iman. Hendak beribadat pun terasa ringan. Itu bermakna kita sudah mendapat رَحْمَةٌ (rahmat) daripada Allah ﷻ.
Selain daripada orang-orang yang beriman, mereka yang lain tidak akan mendapat manfaat daripada Al-Qur’an ini. Dalam Isra’:82 juga telah disebut:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Dalam Fussilat:44 juga Allah ﷻ telah berfirman:
قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولَٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍ بَعِيدٍ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Qur’an itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Qur’an itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh”.
Juga Allah ﷻ telah berfirman bahawa hanya orang bertaqwa sahaja yang akan mendapat penerangan daripada Al-Qur’an dalam Ali Imran:138
هَٰذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ
(Al-Qur’an) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Hebat sekali apa yang manfaat yang kita akan dapat kalau berkawan dengan Al-Qur’an. Pernah ada sahabat datang kepada Nabi ﷺ dan mengadu bahawa hatinya tidak tenang. Nabi ﷺ telah menyuruh sahabat itu membaca Al-Qur’an. Jelas bahawa Al-Qur’an itu dapat menenangkan hati.
Oleh itu sekiranya hati kita berasa tidak tenang dan berasa resah gelisah, maka hendaklah kita memperbanyakkan membaca Al-Qur’an. Janganlah dibiarkan sahaja jika kita mempunyai masalah dengan hati kita. Kita sebagai manusia yang bertanggungjawab untuk mencari penawar kepada hati kita itu kerana jika dibiarkan begitu sahaja, ia boleh merebak dan menjadi lebih teruk. Ia boleh sampai kepada tahap yang paling parah, sehingga mungkin boleh timbul rasa putus asa serta tiada harapan yang boleh menjurus ke arah rasa ingin bunuh diri pula. Allah ﷻlah yang telah menjadikan hati kita dan Allah ﷻlah juga yang mengajar kita bagaimana caranya untuk merawat hati kita.
Sebagaimana setiap penyakit memerlukan ubat yang sesuai, maka hendaklah kita menggunakan penawar kepada penyakit hati yang sesuai. Bukan itu saja. Sebagaimana ubat untuk penyakit kita yang lain, ubat itu hendaklah dimakan dan digunakan dengan cara yang betul. Katakanlah kita membeli ubat dan kita hanya meletaknya sahaja di atas meja, atau kita hanya bercakap dan membaca sahaja tentang ubat itu, adakah kita akan sembuh?
Tentulah tidak kerana ubat itu perlu dimakan atau disapukan pada badan kita dengan menggunakan cara yang betul. Kita juga perlu selalu menggunakan ubat itu dan bukan hanya makan sekali dua sahaja dan berharap penyakit kita akan sembuh. Ada ubat yang perlu dimakan setiap hari sepanjang hidup kita seperti ubat penyakit hipertensi ataupun diabetes
Begitulah juga dengan Al-Qur’an ini. Bukan kita lihat sahaja Al-Qur’an itu. Bukan kita gantung Al-Qur’an itu di dinding atau diletakkan di bawah bantal. Bukan kita susun sahaja di dalam almari. Kita kenalah baca setiap ayat di dalam Al-Qur’an itu dan kita perlu memahami apa yang kita baca. Kita juga mesti selalu membaca Al-Qur’an itu, bukan sebulan sekali dan bukan setahun sekali semasa Ramadhan sahaja. Kita mesti baca dan mengkaji Al-Qur’an itu setiap hari.
Bagaimana Al-Qur’an itu boleh menjadi penawar kepada hati manusia? Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an itu adalah Kalam Allah ﷻ. Ia adalah seolah-olah Allah ﷻ berkata-kata dengan kita. Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan dan Allah ﷻ telah beri jawapan kepada segala masalah kita di dalam Al-Qur’an.
Sebagai contoh, sekiranya kita berasa sangsi sama ada Allah ﷻ melihat kita ataupun tidak, Al-Qur’an akan memberitahu kita yang Dia sedang melihat kita; jikalau kita berasa lemah dan sedih dengan musibah yang menimpa kita, Al-Qur’an akan memberitahu yang musibah itu adalah sebagai ujian untuk kita.
Jika kita berasa tidak suka kepada sesuatu yang menimpa kita, Al-Qur’an akan memberitahu kita bahawa ada perkara yang kita tidak suka, tetapi ia adalah baik untuk kita; jika kita marah, Al-Qur’an akan ajar kita untuk bersabar. Malah bermacam-macam lagi nasihat yang kita akan dapat daripada pembacaan dan pemahaman Al-Qur’an.
Dengan membaca Al-Qur’an dan memahaminya, hati kita akan menjadi tenang seperti firman Allah ﷻ dalam Rad: 28
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingat Allah”. Ketahuilah dengan “mengingat Allah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Di manakah terdapatnya zikir kepada Allah ﷻ itu? Ia terdapat di dalam Al-Qur’an. Cara terbaik untuk mengingati Allah ﷻ adalah dengan membaca Al-Qur’an.
Ada orang yang kita nampak secara luarannya adalah kaya dan cukup segala-galanya dari segi material dan keperluan hidup ini namun hati mereka tidak tenang dan tenteram kerana hati mereka tidak merasa puas. Mereka menggunakan duit mereka untuk beli macam-macam, pergi melancong ke merata tempat, tetapi hati mereka masih tidak puas. Ini kerana apa yang mereka lakukan itu bukanlah penawar sebenar kepada hati mereka tetapi hanyalah sekadar ‘distractions’ (mengalihkan perhatian) daripada masalah sebenar iaitu hati yang tidak tenteram.
Penawarnya ada di dalam Al-Qur’an. Mereka yang tidak menemui penawar di dalam Al-Qur’an itu adalah bagaikan seorang kanak-kanak yang kelaparan, namun ibunya tidak memberinya makan tetapi hanya dipeluk-peluknya sahaja anaknya itu. Penawar kepada tangisan kanak-kanak itu adalah diberi makanan dan bukannya dialihkan perhatiannya dengan hanya memeluknya sahaja. Begitulah juga hati yang tidak tenteram ini yang kelaparan memerlukan ‘makanan’ daripada Al-Qur’an itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 12 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
SYIFA DALAM PERSPEKTIF AL-QUR’AN



