Yaasin Ayat 58: Sebelum ini telah disebut nikmat-nikmat di dalam bentuk jasmani (fizikal). Sekarang diberikan pula nikmat rohani dan ini lebih hebat lagi.
سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[And] “Peace,” a word from a Merciful Lord.
(MELAYU)
(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.
سَلٰمٌ
“Salam”,
Tengah sibuk dengan melayan segala kenikmatan itu, tiba-tiba Tuhan akan memberi Salam. Kalimah سَلٰمٌ terambil daripada akar kata سَلِمَ yang maknanya berkisar pada keselamatan dan keterhindaran daripada segala yang tercela.
Maknanya Allah ﷻ datang dan beri salam kepada penghuni syurga itu. Bila dengar ucapan salam daripada Allah ﷻ itu, kepala penghuni syurga akan terangkat naik melihat wajah Allah ﷻ, sampai lupa segala kenikmatan yang dia baru dapat, semua lupa terpaku melihat keindahan wajah Allah ﷻ tidak tahu berapa lama – sehari, seminggu, setahun, seribu tahun atau sejuta tahun, kita tidak tahu. Sebab seronok sangat tengok Allah ﷻ. Waktu itu sampai tinggal semua nikmat yang lain. Sehingga Allah ﷻ menutup hijab barulah ahli syurga itu tersedar kembali.
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “بَيْنَا أَهْلُ الْجَنَّةِ فِي نَعِيمِهِمْ، إِذْ سطع لهم نور، فرفعوا رؤوسهم، فَإِذَا الرَّبُّ تَعَالَى قَدْ أَشْرَفَ عَلَيْهِمْ مِنْ فَوْقِهِمْ، فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ. فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {سَلامٌ قَوْلا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ} . قَالَ: “فَيَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَيَنْظُرُونَ إِلَيْهِ، فَلَا يَلْتَفِتُونَ إِلَى شَيْءٍ مِنَ النَّعِيمِ مَا دَامُوا يَنْظُرُونَ إِلَيْهِ، حَتَّى يَحْتَجِبَ عَنْهُمْ، وَيَبْقَى نُورُهُ وَبِرْكَتُهُ عليهم وفي ديارهم”
Daripada Jabir ibnu Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda, bahawa ketika ahli syurga sedang bergelimang di dalam kenikmatannya, tiba-tiba muncullah cahaya pada mereka, lalu mereka mengangkat kepalanya memandang ke arah cahaya itu, dan ternyata Tuhan Yang Maha Agung menengok mereka dari atas mereka, lalu berfirman, “Selamat kepada kalian semua, hai penduduk syurga.” Yang demikian itulah yang dimaksudkan oleh firman-Nya: (Kepada mereka dikatakan), “Salam, ” sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang. (Yaasin: 58) Maka Allah memandang kepada mereka, dan mereka memandang kepada-Nya. Mereka tidak mengalihkan pandangannya kepada sesuatu pun selama mereka memandang kepada Allah kerana nikmatnya yang tidak terperi, hingga Allah menutup diri daripada mereka dengan hijab-Nya dan yang tertinggal adalah cahaya dan berkah-Nya yang melimpah atas mereka di rumah-rumah mereka. (Hadith Riwayat Ibn Hibban, dalam Sahih Ibn Hibban, hadith no. 7402 (edisi al-Ihsan), dalam bab kelebihan ahli syurga)
Maka berniatlah setiap hari untuk berjumpa dengan Allah ﷻ. Tidaklah lengkap sekiranya seorang hamba yang berdoa meminta untuk memasuki syurga namun tidak pernah meminta untuk berjumpa Allah ﷻ yang telah menjadikannya. Nikmat melihat Allah ﷻ adalah sebuah nikmat terbesar dapat dicapai oleh seorang hamba.
Kalimah salam ini bukan sahaja didapati daripada Allah ﷻ akan tetapi ia adalah ucapan sesama ahli syurga seperti disebut di dalam Yunus:` 10
دَعوىٰهُم فيها سُبحٰنَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ
Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau daripada segala kekurangan wahai Tuhan!’ Dan ucapan penghormatan mereka ialah: ‘Selamat sejahtera!’
Juga daripada para malaikat seperti disebut dalam Ra’d: 23-24
جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ يَدۡخُلُونَہَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَآٮِٕہِمۡ وَأَزۡوٰجِهِمۡ وَذُرِّيَّـٰتِہِمۡۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يَدۡخُلُونَ عَلَيۡہِم مِّن كُلِّ بَابٍ (٢٣) سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ (٢٤)
Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh daripada ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (23) (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (24)
Akan tetapi perhatikan kalimah salam ini adalah سَلٰمٌ dan bukanlah seperti yang kita biasa gunakan sekarang iaitu السلام عليكم. Ini adalah kerana dalam kalimah السلام itu ada mengandungi doa supaya diberikan keselamatan kepada yang diberikan salam itu. Akan tetapi penghuni syurga sudah selamat jadi tidak perlu didoakan begitu lagi.
Tentunya ucapan salam daripada Allah ﷻ lebih hebat. Namun kita sebenarnya tidak tahu bagaimanakah cara salam itu diberikan kerana kalimah سَلٰمٌ di dalam bentuk nakirah. Kalau السلام adalah dalam bentuk makrifah, maka ia adalah sesuatu yang dikenali atau spesifik. Jadi kalimah سَلٰمٌ daripada Allah ﷻ itu adalah di dalam bentuk yang misteri dan kita hanya dapat tahu kalau kita dapat memasuki syurga nanti, aameen. Yang jelas adalah jika Allah ﷻ yang telah mengucapkan sesuatu, maka itu adalah ketetapan-Nya yang pasti terlaksana. Ketika itu tidak satu pun yang dapat membatalkan atau menghalangi-Nya. Jika demikian, penghuni syurga akan merasakan kedamaian dan kesejahteraan abadi dan agung kerana kedamaian dan kesejahteraan itu telah merupakan ucapan yang bersumber daripada Tuhan Yang Maha Kekal lagi Maha Agung.
قَوْلًا مِّنْ رَّبٍّ رَّحِيمٍ
Perkataan yang mulia daripada Tuhan pencipta pemelihara yang amat sayang
Tanwin pada kalimah سَلٰمٌ tadi dan sekarang kalimah itu datang daripada رَبٍّ memberi maklumat yang ia adalah sesuatu yang agung. Itulah kalimah yang mulia daripada Allah yang Maha Mulia untuk makhluk yang memasuki syurga. Ini maknanya, Allah ﷻ juga bertempat, bukan? Kerana bukankah Allah ﷻ datang ke dalam syurga? Bukankah syurga itu adalah satu tempat? Maka kenapakah ada yang menolak Allah ﷻ boleh bertempat?
Masuk syurga dengan rahmat
Kalimah رَحِيمٍ di dalam ayat ini mengingatkan yang ahli syurga itu hanya dapat masuk ke dalam syurga hanya kerana rahmat Allah ﷻ sahaja, bukannya kerana amalan mereka kerana amalan manusia tidak cukup tambang untuk bayar tiket ke syurga. Akan tetapi dengan rahmat Allah ﷻ, Allah ﷻ memasukkan juga kerana hamba itu telah berusaha. Perhatikan hadith yang terkenal ini,
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim No. 5042)
Adakah hadith ini mengajar kita untuk tidak beramal? Jadi kena jelaskan sedikit takut yang salah faham pula. Memang amalan kita tidak layak memasukkan kita ke dalam syurga tetapi amalan juga memasukkan kita ke dalam syurga juga. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam A’raf: 43
وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
Begitu juga di dalam Baqarah: 25
وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
Maka bagaimana kita hendak menjamakkan dua wahyu yang seperti bertentangan ini? Ia tidak bertentangan sebenarnya kalau kita belajar. Jangan ambil secara literal sahaja. Memang kita masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ tetapi bagaimana hendak mendapat rahmat Allah ﷻ? Adakah dengan berharap kosong dan goyang kaki sahaja? Tentu tidak! Rahmat Allah ﷻ diberikan kepada orang yang beramal dengan amalan yang baik. Rujuk A’raf: 56
إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
Di dalam ayat ini disebut orang yang muhsin. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia.
Bagaimana pula berbaik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”
(Hadith Riwayat Muslim No. 8)
Daripada hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.
1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah ﷻ melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.
2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah ﷻ serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah ﷻ secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.
Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu mesti adalah ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19
إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.
كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.
وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur).
Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah ﷻ di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah ﷻ. Selepas itu disambung lagi dengan ihsan kepada manusia.
وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.
Malah bukan itu sahaja, kita kena ingat yang untuk membuat amal soleh pun memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ juga. Hanya dengan rahmat Allah ﷻ barulah seseorang itu dapat mengerjakan amal soleh dan dengan itu dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Dalam erti kata lain, seseorang itu memerlukan kedua-duanya, rahmat Allah ﷻ dan amal soleh untuk masuk syurga.
Rahmat Allah ﷻ bererti hidayah, bimbingan dan pemeliharaannya sehingga dengan itu seseorang akan beramal soleh dengan apa yang benar secara ikhlas. Tanpa rahmat Allah ﷻ, mungkin sahaja seseorang itu beramal tetapi ia adalah satu bid‘ah atau dengan sifat riya’ yang menyebabkan amalan tersebut tidak diterima Allah ﷻ. Oleh itu janganlah berbesar diri atau angkuh seandainya tergolong dalam orang-orang yang selalu mengerjakan amal soleh. Kedudukan dalam golongan ini hanyalah kerana rahmat Allah ﷻ. Oleh itu hendaklah mensyukurinya dengan cara yang sebenar-benarnya kerana Allah ﷻ berhak untuk menarik balik rahmat-Nya pada bila-bila masa sahaja.
Jikalau Allah ﷻ mahu, Dia boleh masukkan sesiapa sahaja yang Dia mahu ke dalam syurga. Ini adalah hak Allah ﷻ. Perumpamaannya begini: ada seorang pekerja yang rajin dan baik dan disayangi oleh tuannya. Tuannya menawar pekerjanya itu untuk membeli sebidang tanahnya dengan harga yang sedikit. Kalau diikutkan gaji pekerja itu tidak akan mampu untuk membeli tanah namun dek kerana rahmat kasih sayang daripada tuannya itu, tuan itu jual juga tanah itu dengan harga yang murah tidak masuk akal. Maknanya ia bukanlah harga sebenarnya tanah itu.
Begitulah penjelasan Allah ﷻ tentang Syurga di dalam surah ini. Ada banyak lagi ayat-ayat tentang syurga dan segala nikmatnya yang disebut di dalam surah-surah yang lain. Akan tetapi di dalam surah ini sudah habith di sini kerana Allah ﷻ telah sebut nikmat yang paling besar di dalam syurga iaitu bertemu dengan-Nya dan mendapat ucapan salam daripada-Nya. Mahu sambung apa lagi dan apa lagi yang lebih hebat? Tentu tidak ada, maka Allah ﷻ tamatkan kisah nikmat itu di sini sahaja.
Nota: kita sudah kongsikan tafsir ayat ini yang mengandungi pengajaran yang amat penting. Akan tetapi ada juga pak lebai yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini dengan berbagai cara untuk memakbulkan doa. Ada yang membaca ayat ini dengan bilangan Tertentu. Yang paling popular adalah membacanya sebanyak 7 kali atau 11 kali atau 313 kali (sering dikaitkan dengan bilangan ahli Badar) atau 1000 kali atau 16 kali (ada yang menyebut 16 kali apabila membaca Yasin sebagai penarik rezeki) setelah solat fardhu atau solat sunat seperti solat Hajat. Dahulukala saya pun terlibat apabila sampai kepada ayat ini, dibaca 3 kali (saya pun tidak tahu kenapa). Ada yang semasa mengulang ayat itu, hati dan niat difokuskan kepada hajat yang ingin dipohon. Kadang-kadang, mereka akan berhenti sebentar selepas mengulang ayat itu untuk berdoa secara khusus sebelum meneruskan bacaan Surah Yasin atau berzikir. Ada juga amalan yang menggabungkan ayat ini dengan “Ayat 7 Salam” lain yang terdapat dalam Al-Quran (iaitu ayat-ayat yang mengandungi perkataan “Salam” di dalamnya).
Ketahuilah bahawa cara-cara ini semua adalah rekaan dan termasuk dalam perkara bid’ah. Kita telah pelajari tafsir ayat ini dan ia tidak ada kena mengena dengan pemakbulan doa. Ia hanya diajar oleh pak lebai yang tidak tahu tafsir Al-Qur’an jadi pada mereka, ayat-ayat Al-Qur’an ini hanya dijadikan sebagai azimat sahaja.
BALASAN KEPADA GOLONGAN KAFIR
Yaasin Ayat 59: Takhwif ukhrawi. Ia adalah ayat penakutan daripada Allah ﷻ kepada orang orang yang ingkar, tentang apa yang akan terjadi di akhirat kelak. Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ menceritakan bagaimana Allah ﷻ akan berjumpa dengan penghuni Syurga dan memberi salam kepada mereka. Sekarang kita beralih pula kepada nasib penghuni Neraka.
وَامتٰزُوا اليَومَ أَيُّهَا المُجرِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Then He will say], “But stand apart today, you criminals.1
- i.e., remove yourself from the ranks of the believers to be distinguished from them.
(MELAYU)
Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir): “Berpisahlah kamu (daripada orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat.
وَامْتٰزُوا الْيَوْمَ
Berpisahlah kamu hari ini;
Iaitu berpisah daripada golongan orang yang beriman. Ini adalah tayangan tentang kejadian pada hari akhirat nanti. Yang berkata itu sama ada Allah ﷻ atau malaikat. Namun tidaklah semestinya mereka bergerak ke tempat yang lain dengan kaki mereka. Boleh sahaja Allah ﷻ terus pisahkan mereka. Seperti Allah ﷻ tidak perlu pun untuk berkata ‘kun’ barulah sesuatu itu terjadi. Allah ﷻ sebut di sini untuk memberitahu bahawa mereka akan dipisahkan.
Perkataan امْتَازُوا diambil daripada kata dasar ‘imtiyaz’ yang bermaksud memisahkan sesuatu daripada benda yang banyak. Contohnya kita mencari sekam dalam beras dan memisahkan antara beras yang elok dengan beras yang tidak elok. Ia daripada kata dasar م ز ي yang bermaksud mengesan; membezakan; diskriminasi; memisahkan; asingkan sesuatu; membezakan antara sesuatu. Daripada kalimah ini kita selalu gunakan istilah mumayyiz مُمَيِّز yang merujuk kepada kanak-kanak yang telah mencapai tahap kemampuan untuk membezakan perkara baik dan buruk, atau memahami arahan dan larangan dengan akalnya.
Sekarang disebut pengasingan antara orang baik dan orang buruk. Keadaan waktu itu tentulah dalam keadaan huru hara kerana makhluk terlalu ramai, bermula daripada yang mula-mula diciptakan dan yang terakhir sekali dicipta akan ada lagi. Allah ﷻ pisahkan kerana semua keluar sekali. Allah ﷻ beri perumpamaan keadaan itu di dalam Qamar: 7
يَخرُجونَ مِنَ الأَجداثِ كَأَنَّهُم جَرادٌ مُّنتَشِرٌ
mereka keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.
Dalam dunia, manusia bercampur-campur menjalani kehidupan sehari-hari. Kalau kita lihat semua orang, kita tidak dapat pastikan sama ada mereka beriman atau tidak. Begitulah manusia, berjenis-jenis perangai dan akidah mereka. Ada antara mereka yang beriman sungguh dan ada antara mereka yang ada masalah pada akidah mereka. Ada yang berhati baik dan ada yang berhati busuk. Namun begitu mereka dapat duduk sekali. Disebabkan ia adalah perbuatan hati, maka kita tidak dapat memastikan dengan hanya memandang mereka kerana kita tidak dapat membaca apa yang dalam hati manusia, bukan? Maka ayat ini menceritakan tentang apakah yang akan terjadi kepada mereka di akhirat kelak. Di dunia, mungkin mereka duduk sekali bercampur gaul dengan kita, tetapi di akhirat nanti kita akan terpisah (semoga kita dalam golongan yang baik). Begitulah Allah ﷻ akan memuliakan sebahagian dan menghina sebahagian lain seperti disebut di dalam Waqiah: 3
خافِضَةٌ رّافِعَةٌ
Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
Ayat ini mengajar kita keutamaan dalam hidup ini. Adakah kita mengejar kedudukan tinggi di dunia, atau di akhirat? Kalau tujuan kita hendak hebat di dunia sehingga disanjung orang, maka itu adalah pilihan yang bodoh. Sebaliknya kita kena berusaha untuk meninggikan kedudukan kita di akhirat kelak. Dunia ini tidak ada apa sebenarnya. Kalau orang sanjung hari ini, entah esok dia pijak-pijak kita. Sanjungan manusia tidak ada nilai, jadi kenapa dikejar?
Sekali lagi Allah ﷻ menggunakan perkataan الْيَوْمَ (hari ini). Allah ﷻ menggunakan perkataan ini untuk mengajak kita membayangkan keadaan di Mahsyar nanti. Kita semua beramai-ramai akan berada di sana. Kita tidak pasti bagaimana nasib kita. Bayangkan dalam ramai-ramai itu, kita antara orang yang disuruh untuk memisahkan diri kita daripada orang yang beriman, bagaimana? Alangkah ruginya waktu itu. Tidak ada penyesalan yang lebih besar daripada penyesalan pada waktu itu.
Perumpamaan di dunia adalah seperti suasana dalam kelas di sekolah. Ada budak-budak yang nakal tidak mahu mendengar kata, cikgu suruh dia berdiri di hujung bilik atau duduk luar kelas supaya tidak menganggu pelajar lain dan sebagai hukuman. Ini kerana cikgu tu menyampah untuk tengok muka budak nakal itu. Atau bayangkan dalam anak-anak yang ramai, ada anak yang emak ayah itu menyesal lahirkan dia dulu. Jadi bila ada pun, emak ayah tidak ingin bercakap pun dengannya, sedangkan boleh pula mesra dengan anak lain yang mendengar kata. Maka begitulah nanti Allah ﷻ hina orang-orang yang berdosa, dipisahkan daripada kelompok orang beriman dan Allah ﷻ tidak bercakap dengan orang yang berdosa itu. Ini sebagaimana firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 174
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ وَيَشتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلاًۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأكُلُونَ فِى بُطُونِهِم إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِم وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Allah ﷻ tambah lagi di dalam Ali Imran: 77
إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ
wahai orang yang banyak berdosa,
Sekarang disebut kenapa mereka dipisahkan. Mereka dipisahkan daripada orang baik kerana mereka orang yang berdosa banyak. Jadi perbuatan mereka itu yang menyebabkan mereka dihina sebegitu. Mereka itu semasa hidup di dunia dulu mengikut hawa nafsu sahaja dan tidak mahu ikut wahyu.
Perhatikan Allah ﷻ tidak sebut الكافِرون tetapi الْمُجْرِمُونَ. Ini adalah kerana ia bukan hanya ditujukan tentang orang kafir sahaja. Ia boleh sahaja terjadi kepada orang yang Muslim yang banyak dosa. Semoga kita diselamatkan daripada situasi ini. Maknanya kita pun belum tentu selamat lagi walaupun kita Muslim. Orang Islam apabila di Mahsyar itu akan duduk sekali beramai-ramai. Yang kafir tidak masuk mahkamah pun. Mereka terus masuk neraka tidak keluar-keluar lagi. Jadi yang dipisahkan hanya orang beriman, iaitu orang-orang tidak melakukan syirik tetapi mereka ada dosa. Sama ada dosa kecil atau besar. Maknanya Tauhid dia sudah betul. Oleh kerana tauhidnya baik, maka dia akan dimasukkan dalam kumpulan orang Islam dulu. Namun kemudian mereka akan dipisahkan. Kerana orang-orang Islam akan terbahagi kepada tiga golongan:
-
- Muqarrabin, yang rapat dengan Allah ﷻ.
- Mukmin (yang menerima buku amalan pada tangan kanan)
- Muslim yang berdosa banyak.
Yang golongan ketiga yang banyak dosa itu akan dimasukkan ke dalam neraka terlebih dahulu untuk dibersihkan dosa-dosa mereka dengan dikenakan dengan azab entah berapa ribu tahun. Ketiga-tiga jenis ini akan mendapat syafaat daripada Nabi ﷺ. Memang ada syafaat di akhirat kelak, maka kita kena tahu apakah jenis-jenis syafaat itu. Ini penting kerana surah ini berkenaan dengan syafaat, bukan?
Pertama, semua makhluk akan mendapat syafaat daripada Rasulullah ﷺ (Syafaat Uzma) supaya perbicaraan dipercepatkan. Ini adalah kerana sudah lama sungguh masa menunggu di Mahsyar sampaikan kelam kabut manusia pergi dari satu Nabi ke satu Nabi meminta para Nabi itu berdoa supaya dipercepatkan perbicaraan. Maka akhirnya akan sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ yang akan berdoa supaya perbicaraan dipercepatkan.
Kemudian, yang berdosa pun akan mendapat syafaat daripada Nabi ﷺ jikalau dosanya tidak banyak. Tuhan akan beri kebenaran kepada Nabi ﷺ untuk memberi syafaat itu sebelum mereka masuk neraka. Jadi mereka ini akan diselamatkan daripada memasuki neraka dengan syafaat.
Yang ketiga, sekiranya dosanya banyak, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dulu untuk menerima azab. Setelah sekian lama, Nabi Muhammad ﷺ akan dibenarkan untuk mengeluarkan mereka. Masalahnya, kita tidak tahu berapa lama akan berada dalam neraka. Mungkin beratus tahun, mungkin beribu atau berjuta tahun. Maka janganlah kita sangka kita sebagai orang Islam akan tinggal sekejap sahaja dalam neraka. Takutlah kepada neraka itu. Kita sepatutnya tidak mahu lihat, dengar, waima cium bau neraka sedikit pun. Kita mahu terus masuk ke dalam syurga.
Ada satu lagi golongan yang disebut di dalam Surah al-A’raf. Ini adalah golongan yang tidak masuk syurga dan tidak masuk neraka (pada permulaan). Ini telah diterangkan dalam surah al-A’raf. Ringkasnya, akhir sekali mereka akan dimasukkan ke dalam syurga juga.
Namun yang kita mahu ingatkan adalah, orang Muslim yang mempunyai banyak dosa, akan masuk neraka dulu. Yang masuk neraka akan dapat dua kali syafaat. Iaitu mula-mula akan diberikan kepada yang sedikit dosanya. Kemudian syafaat diberikan kepada mereka yang banyak dosa. Maka kita mestilah memasang azam tidak mahu walaupun sesaat masuk neraka. Jangan biarkan diri kita masuk neraka.
Dalam masa yang sama, kita minta juga untuk memasuki syurga Tuhan. Minta betul-betul dengan Dia. Jangan kita putus harap dengan Allah ﷻ. Jangan kita rasa kita tidak layak untuk masuk dalam syurga. Itu pun adalah satu pemahaman yang salah. Ingatlah yang walaupun kita banyak dosa, tetapi Allah ﷻ boleh mengampuni dosa sesiapa sahaja yang minta ampun kepada-Nya.
Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang Allah ﷻ akan membahagikan orang Islam yang banyak dosa dan mengasingkan daripada orang mukmin yang tiada dosa (mungkin mereka ada juga dosa, tetapi mereka telah minta ampun semasa di dunia lagi). Mereka yang banyak dosa itu dipanggil الْمُجْرِمُونَ. Akan dikira amalannya, amanahnya sama ada dia jaga atau tidak, hutangnya dan segalanya, mungkin 30 ribu tahun kena masuk neraka, sebagai contoh. Kita pun tidak tahu perkiraan Allah ﷻ bagaimana. Nabi Muhammad ﷺ akan sujud di Arasy dan minta syafaat untuk kali kedua. Orang itu sudah menjadi arang kerana telah dibakar dalam neraka. Macam nampak sudah mati, tetapi tidak mati lagi. Apabila dia sampai ke syurga, ahli syurga akan menyiram ahli neraka itu dengan air dari syurga. Barulah boleh tumbuh semula badannya. Akan tetapi sudah hitam mukanya. Oleh kerana mereka telah pernah masuk dalam neraka, mereka ini digelar sebagai Golongan Jahannamiyyun. Selepas masuk syurga, dia akan isytihar dirinya lepas dari neraka pada orang ramai dengan rasa bangga. Dia berbangga kerana dia telah berjaya melepasi neraka.
Selepas itu dalam masa yang lama lagi barulah ada lagi saki baki umat Islam yang mempunyai saki baki iman sebesar zarah yang akan dikeluarkan dari neraka. Ini kerana Nabi ﷺ akan memohon syafaat daripada Allah ﷻ lagi untuk mengeluarkan mereka.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah memberikan peringatan kepada kita. Allah ﷻ telah memberi berbagai-bagai peringatan kepada kita. Tidaklah Allah ﷻ terus memasukkan kita ke dalam neraka. Allah ﷻ tidak zalim kerana walaupun Allah ﷻ beri azab, tetapi Allah ﷻ telah beri peringatan dengan banyak sekali. Dia telah memberikan Rasul, Kitab Al-Qur’an dan guru-guru untuk mengajar kepada kita tentang agama.
Dalam masa yang sama, kita telah diberikan dengan akal dan pancaindera untuk kenal agama. Maka gunakanlah kelebihan itu dengan baik. Oleh kerana kita telah diberikan dengan berbagai alat itu, maka jikalau kita termasuk dalam golongan orang yang berdosa nanti, bukanlah salah Allah ﷻ. Ia adalah salah kita sendiri yang tidak mengambil peringatan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
