Tafsir Surah Yaasin Ayat 34 – 35 (Lihatlah Nikmat Makanan)

Yaasin Ayat 34: Sambungan daripada ayat sebelum ini. Daripada biji benih, ia bercambah menjadi bermacam-macam tanaman.

وَجَعَلنا فيها جَنّٰتٍ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ وَّفَجَّرنا فيها مِنَ العُيونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We placed therein gardens of palm trees and grapevines and caused to burst forth therefrom some springs –

(MELAYU)

Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air,

 

وَجَعَلنا فيها جَنّٰتٍ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ

Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun daripada jenis kurma dan anggur

Tanah yang sebelum itu gersang tetapi sudah subur setelah Allah ‎ﷻ turunkan hujan; apabila sudah subur, ia boleh menumbuhkan berbagai-bagai jenis tanaman apabila dijadikan kebun-kebun. Allah ‎ﷻ banyak sebut tentang kebun dan taman di dalam Al-Qur’an kerana taman dan kebun adalah simbol keindahan, ketenteraman, dan kenikmatan. Dalam budaya Arab dan banyak budaya lain, taman dan kebun melambangkan tempat yang sejuk, nyaman, dan penuh kehidupan. Manusia secara naluriah tertarik pada keindahan alam. Taman yang hijau, penuh bunga, dan pohonan memberikan suasana tenang, nyaman, dan damai. Ini boleh meredakan stres dan meningkatkan kesejahteraan mental.

Teori biophilia mengatakan manusia mempunyai kecenderungan alami untuk terhubung dengan alam dan makhluk hidup. Warna taman dan kebun pun hijau dan warna hijau memang sering disebut-sebut sebagai warna yang baik untuk mata. Warna hijau berada di tengah-tengah spektrum cahaya sekitar 495–570 nanometer. Oleh kerana posisi ini, mata manusia lebih mudah dan nyaman menangkap warna hijau kalau dibandingkan dengan warna lain yang ekstrem seperti merah atau biru. Mata manusia memiliki tiga jenis sel kerucut (cone cells) yang sensitif pada warna merah, hijau, dan biru. Dari ketiganya, sel yang sensitif terhadap warna hijau paling banyak dan paling efektif dalam memproses cahaya. Melihat warna hijau dapat memberikan efek menenangkan dan mengurangi ketegangan otot mata. Ini sebabnya pemandangan hijau seperti taman, rumput, dan daun membuat mata merasa rileks.

Pemandangan hijau daripada tanaman dapat menyegarkan mata

Allah ‎ﷻ beri contoh tamar dan anggur dalam ayat ini kerana itu adalah tanaman yang biasa dikenali di tanah Arab. Kalau Allah ‎ﷻ sebut rambutan, tentulah susah untuk terangkan tentang rambutan pula kepada mereka. Namun kenapa kurma dan anggur?

Kurma – adalah sumber makanan bangsa Arab yang utama.

Anggur – adalah contoh makanan yang mewah.

Maknanya, Allah ‎ﷻ bukan sahaja menumbuhkan tanaman sebagai sumber tanaman tapi juga makanan yang mewah kepada manusia. Kurma adalah makan ruji bagi orang Arab pada waktu itu kerana ia bukan sahaja buah akan tetapi ia merupakan makanan yang boleh mengenyangkan dan mengandungi zat yang banyak. Kurma mengandungi karbohidrat, serat, vitamin (seperti B6, K), dan bahan galian seperti kalium, magnesium, dan zat besi. Ia boleh memberi tenaga segera kerana kandungan gula semula jadi yang tinggi (glukosa, fruktosa). Oleh itu kurma adalah sumber tenaga cepat yang bagus untuk mengembalikan stamina, terutama selepas berpuasa. Nabi Muhammad ﷺ sendiri menggalakkan makan kurma untuk tenaga.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةٍ لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ.”
“Barangsiapa yang memulai paginya dengan memakan tujuh butir kurma ajwa, maka pada hari itu tidak akan membahayakannya racun mahupun sihir.”
(Riwayat Bukhari no. 5440, Muslim no. 2049)

Anggur juga sering disebut di dalam Al-Qur’an. Walaupun Al-Qur’an bukan kitab sains, fakta kesihatan moden membuktikan anggur kaya dengan antioksidan, terutamanya resveratrol yang baik untuk jantung. Ia juga mengandungi vitamin C, K, dan serat yang baik untuk pencernaan dan imun. Air anggur juga bermanfaat sebagai penambah tenaga. Dalam kisah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, buah anggur disebut dalam konteks kurniaan rezeki dan pertanian. Ia menggambarkan hasil bumi yang subur dan kehidupan yang makmur. Anggur disebut dalam al-Qur’an sebagai lambang nikmat Allah ‎ﷻ di dunia dan akhirat, mengingatkan manusia akan keindahan ciptaan-Nya, dan mendorong kita untuk bersyukur dan mengambil manfaat daripadanya.

Kebun anggur yang subur merupakan nikmat Allah kepada manusia

Kurma dan anggur selalu disebutkan bergandingan kerana ada persamaan antara keduanya. Kedua-duanya boleh dimakan dalam keadaan basah dan kering. Kedua-duanya boleh dimakan tanpa perlu proses, tanpa perlu kopek pun kulit seperti pisang dan durian. Boleh petik dan terus makan sahaja. Tambahan pula kedua-dua buahan ini senang dipetik kerana pokoknya rendah sahaja. Macam kurma itu ada tiga peringkat (بَلَح – masih mentah dan belum manis, رُطَب – Kurma mulai lembut, basah, dan sangat manis dan تَمْر – telah kering secara semula jadi, menjadi lebih kecil dan gelap). Tiga-tiga peringkat ini boleh dimakan dengan khasiat yang tersendiri. Memang banyaklah kalau hendak cerita tentang kurma ini tetapi takut orang kata jadi promoter untuk Yusuf Taiyob pula.

Terdapat peningkatan daripada ‘bijian’ dalam ayat sebelum ini kepada ‘buahan’ dalam ayat ini. Apabila seseorang itu terus di atas jalan tauhid, maka dia akan bertambah baik, imannya akan bertambah dan memberi manfaat kepada orang-orang di sekelilingnya. Kerana dia boleh berdakwah kepada orang lain dan menyampaikan ilmu dengan memberi peringatan atau mengajar. Kalau sebelum ini, ia hanya dalam bentuk bijian sahaja, tetapi sekarang dalam bentuk buah tamar dan anggur. Nabi ﷺ telah bersabda tentang hal ini,

وعن أبي موسى رضي الله عنه قال‏:‏ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏:‏ ‏ “‏مَثَلُ مَا بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ مِنَ الهُدَى وَالعِلْمِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا طَائِفَةٌ طَيِّبَةٌ قَبِلَتِ الماءَ فَأَنْبَتَتِ الكَلَأَ، وَالعُشْبَ الكَثِيرَ وكان مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الماءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا مِنْهَا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَ طَائِفَةً مِنْهَا أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذٰلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ في دِينِ اللهِ وَنَفَعَهُ ما بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذٰلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الذي أُرْسِلْتُ بِهِ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏
Daripada Abu Musa (Al-Asy’ari) رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata, Nabi ﷺ bersabda, “Perumpamaan apa yang aku diutus oleh Allah dengannya daripada hidayah dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi (tanah), maka ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. Ada pula daripadanya tanah yang gersang yang menyimpan (menampung) air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula mampu menumbuhkan tumbuhan. Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat daripada apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya (tidak menghiraukannya), dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.”
(Sahih Bukhari No. 4232)

Maka jangan kita malas dan lalai untuk menambah ilmu pengetahuan kerana ia sangat penting bagi kita dan agama kita. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ: “مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ، حَتَّى الْحِيتَانُ فِي الْمَاءِ، وَفَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، وَإِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.”
“Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat meletakkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya seluruh makhluk memohon ampunan untuk orang yang berilmu, bahkan ikan-ikan di lautan. Keutamaan seorang yang berilmu atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris para nabi. Dan para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, melainkan ilmu. Maka barang siapa yang mengambil warisan itu, sungguh dia telah mengambil bahagian yang banyak.”
(Sunan Abu Dawud, no. 3641). Dihasankan oleh al-Albani

Maka carilah ilmu dan sampaikanlah kepada orang lain. Jangan kita simpan sendiri. Cari peluang untuk mengajar; tidak semestinya kena buka madrasah atau kelas yang ramai pelajar. Kalau ajar kepada keluarga sendiri pun sudah bagus. Kerana ilmu yang bermanfaat akan menjadi pahala bagi kita yang berterusan. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَبَلَّغَهُ، فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أَوْعَى لَهُ مِنْ سَامِعٍ.”
“Semoga Allah memberikan kecerahan (keindahan wajah) kepada seseorang yang mendengar hadithku, lalu dia menyampaikannya. Boleh jadi orang yang disampaikan itu lebih memahami (isi hadith) daripada orang yang mendengarnya langsung.”
(Jami’ Tirmidzi No. 2657) – Hadith hasan sahih

 

وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ

dan kami pancarkan di bumi itu mata-mata air;

 

Mata-mata air itu akan bercampur dan menjadi sungai kecil dan sungai-sungai kecil itu akan bercampur menjadi sungai-besar besar. Air sungai itu amat bermanfaat kepada manusia. Kerana ia dapat mengairi banyak tanah dan tanaman. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Anbiya’: 30

وَجَعَلنا مِنَ الماءِ كُلَّ شَيءٍ حَيٍّ
Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup

Hujan adalah air yang turun dari atas, mata air pula adalah air yang naik dari bawah. Allah ‎ﷻ beri air dari atas dan dari bawah. Itulah nikmat Allah ‎ﷻ yang berikan kepada makhluk-Nya.

Air juga adalah isyarat kepada ‘ilmu’. Kerana Nabi ﷺ selalu memberi perbandingan ilmu dengan air. Bermakna, orang yang tetap dalam jalan tauhid akan mula mengajar orang lain. Ini adalah satu manfaat yang besar sekali. Kerana mata air adalah air yang melimpah-limpah dari dalam tanah, ia melimpah kepada orang lain pula.

Airlah yang menghidupkan kembali tanah yang mati. Ilmu juga yang dapat menghidupkan kembali masyarakat yang telah mati hatinya. Oleh kerana itu, masyarakat kenalah meluangkan masa untuk mendalami ilmu. Janganlah ilmu agama ini hanya menjadi mainan orang agama sahaja.

Semua manusia kena ada ilmu kerana Allah ‎ﷻ telah berikan akal yang sihat dan pancaindera kepada semua manusia. Maka tidak ada alasan kalau tidak tahu ilmu agama. Jikalau ada yang kata mereka tidak tahu tentang ilmu tauhid, maka yang bersalah bukanlah Allah ‎ﷻ, tetapi manusia itu. Mereka buat tidak tahu sahaja tentang ilmu. Sedangkan Allah ‎ﷻ telah beri segala kelengkapan kepada manusia untuk mendapat ilmu.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

Perhatikan Allah ‎ﷻ menggunakan bayangan tentang taman, tumbuh-tumbuhan, mata air. Di mana lagi Allah ‎ﷻ menyebut tentang benda-benda ini? Bukankah di dalam syurga? Akal kita memang tidak dapat membayangkan secara tepat bagaimana keadaan dan rupa syurga itu. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Sajdah: 17

فَلا تَعلَمُ نَفسٌ مّا أُخفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعيُنٍ جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Juga disebut di dalam Waqiah: 27-33 sebagai gambaran keadaan di dalam syurga,

وَأَصۡحَـٰبُ ٱلۡيَمِينِ مَآ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡيَمِينِ (٢٧) فِى سِدۡرٍ۬ مَّخۡضُودٍ۬ (٢٨) وَطَلۡحٍ۬ مَّنضُودٍ۬ (٢٩) وَظِلٍّ۬ مَّمۡدُودٍ۬ (٣٠) وَمَآءٍ۬ مَّسۡكُوبٍ۬ (٣١) وَفَـٰكِهَةٍ۬ كَثِيرَةٍ۬ (٣٢) لَّا مَقۡطُوعَةٍ۬ وَلَا مَمۡنُوعَةٍ۬ (٣٣)
Dan puak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu (27)
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (28) Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, (29) Dan naungan yang tetap terbentang, (30) Dan air yang sentiasa mengalir, (31) Serta buah-buahan yang banyak, (32) Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya, (33)

Rasulullah ﷺ pun telah bersabda,

قال اللهُ تعالى: “أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ، مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ.”
“Allah Ta’ala berfirman: Aku telah sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh, (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia.”
Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’ul-Khalq (Permulaan Penciptaan), no. 3244, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 282

Akan tetapi Allah ‎ﷻ banyak membuat perbandingan tentang apa yang ada di dalam syurga; bukan semuanya, tetapi sekadar cukup untuk kita menggambarkan nikmatnya kehidupan di dalam syurga itu. Kerana kalau kita tidak tahu langsung, bagaimana kita boleh mendapat motivasi untuk ke syurga? Oleh kerana di dalam syurga ada pokok, maka kita dapat lihat pokok-pokok di dunia; di dalam syurga ada mata air, di dunia juga ada mata air; di dalam syurga ada sungai, kita pun tahu sungai di dunia; di dunia kita senang dengan pasangan kita, maka di syurga diberitahu akan ada pelayan dan bidadari. Maka dapatlah otak kita ini teringin untuk berusaha masuk ke dalam syurga.


 

Yaasin Ayat 35: Ayat sebelum ini tentang kebun dan tanaman yang dibiakkan. Sekarang kita diberitahu kenapa Allah ‎ﷻ menjadikan semua itu.

لِيَأكُلوا مِن ثَمَرِهِ وَما عَمِلَتهُ أَيديهِم ۖ أَفَلا يَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That they may eat of His fruit.1 And their hands have not produced it,2 so will they not be grateful?

  • i.e., that which Allah has produced for them.
  • An alternative meaning is “And [eat from] what their hands have produced [i.e., planted and harvested].” Both are grammatically correct.

(MELAYU)

supaya mereka dapat makan daripada buahnya, dan daripada apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?

 

لِيَأْكُلُوا مِن ثَمَرِهِ

Supaya mereka dapat makan daripada berbagai jenis buahnya,

Allah ‎ﷻ menceritakan rezeki yang diberikan-Nya daripada berbagai jenis dalam ayat sebelum ini. Dan sekarang Allah ‎ﷻ beritahu yang ia adalah untuk memberi makan kepada manusia. Makanan adalah keperluan utama manusia dalam hidup dan Allah ‎ﷻ telah berikan keperluan itu. Maka kenanglah jasa yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita ini. Kerana itulah Allah ‎ﷻ mengingatkan kita supaya perhatikan makanan yang kita hadam setiap hari itu. Jangan kita makan ngap-ngap sahaja tetapi tidak memikirkan dari mana ia datang. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Abasa: 24-32

فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَـٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦۤ (٢٤) أَنَّا صَبَبۡنَا ٱلۡمَآءَ صَبًّ۬ا (٢٥) ثُمَّ شَقَقۡنَا ٱلۡأَرۡضَ شَقًّ۬ا (٢٦) فَأَنۢبَتۡنَا فِيہَا حَبًّ۬ا (٢٧) وَعِنَبً۬ا وَقَضۡبً۬ا (٢٨) وَزَيۡتُونً۬ا وَنَخۡلاً۬ (٢٩) وَحَدَآٮِٕقَ غُلۡبً۬ا (٣٠) وَفَـٰكِهَةً۬ وَأَبًّ۬ا (٣١) مَّتَـٰعً۬ا لَّكُمۡ وَلِأَنۡعَـٰمِكُمۡ (٣٢)
maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya): (24) Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. (25) Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; (26) Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran, (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, (29) Dan taman-taman yang menghijau subur, (30) Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (32)

Janganlah kita jadi seperti orang kafir yang makan dan makan sahaja tanpa memikirkan tentang Allah ‎ﷻ dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Mereka makan sedap sahaja setiap hari tetapi tidak pun mahu beriman. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Muhammad: 12

وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ
“Dan orang-orang kafir itu menikmati kesenangan dunia dan mereka makan seperti makannya binatang ternak, dan neraka menjadi tempat tinggal mereka.”

Ada juga pendapat yang mengatakan dhomir (kata ganti) ه di dalam ثَمَرِهِ merujuk kepada air kerana di dalam ayat ini sebelum ini disebut tentang air, وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ. Jadi yang dimaksudkan adalah الْعُيُونِ (mata air). Di dalam Al-Qur’an banyak menyebut air. Ia bukan sahaja bermaksud air hujan atau air lain sahaja, akan tetapi ada juga air yang menjadi perumpamaan kepada wahyu Al-Qur’an. Ini seperti disebut di dalam Ra’d: 17

أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَسالَت أَودِيَةٌ بِقَدَرِها
Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya

Kerana itu disebut antaranya sifat air yang menyucikan, kerana Al-Qur’an juga dapat menyuci akidah, jiwa dan akal. Ini seperti disebut di dalam ayat seperti Anfal: 11

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ
“Dan Dia menurunkan atasmu air dari langit untuk menyucikan kamu dengannya…”

 

وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ

dan apa sahaja yang mereka usahakan daripada tangan mereka;

Kalimah ما ada banyak penggunaannya (lebih daripada sepuluh) tetapi kita boleh gunakan dua daripadanya. Kita boleh tafsirkan sama ada sebagai مَا مَوْصُولَة yang berfungsi sebagai kata hubung seperti ‘yang’ atau مَا نَافِيَة untuk menidakkan sesuatu.

1. Kalau kita tafsirkan sebagai مَا مَوْصُولَة maka ayat ini merujuk kepada manusia yang menanam pokok. Iaitu mereka boleh ambil hasil daripada usaha tangan mereka. Ada pokok yang kita tanam dan ada pokok yang bukan kita tanam tetapi tumbuh sendiri. Itu jenis macam rumput dan sebagainya. Kita tidak kisah pun rumput itu tetapi rumput itulah yang dimakan oleh lembu, dan lembu itu pula kita makan. Namun memang ada yang memerlukan usaha kita menanam seperti padi, gandum, jagung dan segala macam tumbuhan sebagai tanaman.

Maka Allah ‎ﷻ beri kredit juga kepada kita kerana terdapat unsur usaha juga. Begitulah Allah ‎ﷻ iktiraf usaha manusia di mana kita mendapat hasil daripada usaha kita seperti disebut di dalam Baqarah: 202

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan

Namun begitu semuanya yang tumbuh itu asalnya daripada air yang satu jenis sahaja dan Allah ‎ﷻ yang beri air itu. Daripada air yang satu jenis itu sahaja dapat tumbuh berbagai jenis tanaman. Itulah yang hebatnya air ciptaan Allah ‎ﷻ! Kalau kita cipta minyak untuk kereta, bukan boleh satu jenis minyak digunakan untuk semua jenis kereta dan semua keperluan kereta itu. Kena ada minyak untuk enjin, minyak lain untuk brek dan sebagainya. Namun lihatlah, Allah ‎ﷻ mencipta satu jenis air sahaja, semua tanaman menggunakan air yang sama. Keluar pula menjadi pokok yang berjenis-jenis rupa dan rasa.

Juga bermaksud setelah kita petik buah-buahan itu, ada yang kita proses dengan tangan kita. Sebagai contoh, daripada anggur itu, diperah dan dijadikan minuman yang sedap. Ataupun kurma direndam menjadi nabiz. Atau kalau makanan yang lain, kita bukan boleh terus makan seperti kurma dan anggur. Tiada orang makan jagung mentah, bukan? Atau pisang, boleh dimakan terus tetapi kalau hendak buat goreng pisang, kena ada proses juga.

2. Namun ingatlah yang semua itu tidak akan terjadi tanpa rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Semua itu tidak terjadi hanya semata-mata dengan usaha kemampuan dan kekuatan manusia sahaja. Oleh itu, perkataan مَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ itu boleh juga bermakna, ‘yang bukan diusahakan oleh tangan-tangan mereka’. Kerana perkataan مَا itu juga bermakna ‘bukan’. Walaupun kita sangka bahawa kitalah yang menanam pokok-pokok itu, tetapi kalau bukan Allah ‎ﷻ yang membenarkan ia tumbuh, maka ia tidak mungkin akan tumbuh. Lihatlah firman Allah ‎ﷻ di dalam Waqiah: 63-64

أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَحۡرُثُونَ (٦٣) ءَأَنتُمۡ تَزۡرَعُونَهُ ۥۤ أَمۡ نَحۡنُ ٱلزَّٲرِعُونَ (٦٤)
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam? (63) Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya? (64)

Begitu juga apabila kita menyebut tentang air yang menyebabkan tumbuh-tumbuhan itu subur, bukan kita yang buat air itu dengan tangan kita, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menjadikan air dan menurunkan air. Ini sebagaimana firman Allah ‎ﷻ di dalam Zumar: 21

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَسَلَكَهُۥ يَنَـٰبِيعَ فِى ٱلْأَرْضِ…
“Tidakkah kamu perhatikan bahwa Allah menurunkan air dari langit, lalu Dia mengalirkannya ke dalam sumber-sumber di bumi…”

 

أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Kenapakah mereka tidak bersyukur?

Kenapakah mereka tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ yang menurunkan hujan dan dengannya menumbuhkan berbagai-bagai jenis tanaman dan menjadikan kita boleh hidup? Dan dengannya kita buat minuman seperti air anggur dan air nabiz itu dan juga terhasilnya berbagai jenis makanan dan minuman lagi?

Seperti kita telah katakan, bukanlah Allah ‎ﷻ hendak sebut tentang tanaman sahaja, akan tetapi sesuatu yang spiritual, iaitu wahyu Allah yang telah diberikan kepada manusia sebagai panduan hidup. Tidakkah kita mahu bersyukur atas nikmat ini juga? Kerana kalau tidak diberikan dengan panduan, entah apa jadinya kita. Maka apabila dapat nikmat, sepatutnya kita gunakan, bukan? Maka sudah dapat nikmat pemberian wahyu ini, kenapa tidak kita mempelajari tafsirnya?

Kenapa kita tidak taat kepada Allah ‎ﷻ? Kenapa kita tidak mahu mensyukuri segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan? Ucapan ‘Alhamdulillah‘ yang kita ucapkan itu adalah lafaz yang akhir yang kita ucapkan. Awalnya kena taat setelah diberi kita segalanya maka hendaklah beribadah kepada-Nya untuk menzahirkan kesyukuran kita, kemudian disempurnakan dengan lafaz alhamdulillah. Maka bersyukur itu bukan hanya cukup dengan mengucapkan Alhamdulillah sahaja tetapi ditunjuk dengan perbuatan kita. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali. Ayat tentang bersyukur juga telah disebut di dalam Fatir: 12

وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.

Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

Oleh itu, ringkasannya, ada tiga cara atau peringkat yang kita kena bersyukur. Ketiga-tiganya kena ada:

1. Syukur dengan HATI (قَلْب)

Iaitu menyedari dan mengakui dalam hati bahawa semua nikmat berasal daripada Allah ‎ﷻ. Contoh: Merasa cukup dan redha dengan rezeki. Kemudian tidak sombong atau merasa nikmat itu hasil usaha sendiri. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nahl: 53

وَما بِكُم مِّن نِّعمَةٍ فَمِنَ اللهِ
Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allah-lah (datangnya),

Jangan kita sangka apa yang kita dapat adalah daripada hasil usaha kita semata-mata. Memang usaha kita dipandang oleh Allah ‎ﷻ, akan tetapi kena sedar yang Allah ‎ﷻ yang jadikan usaha itu berjaya. Allah ‎ﷻ hendak lihat usaha kita sahaja. Sebagai contoh, kalau kita kaya dan berjaya itu semestinya daripada Allah ‎ﷻ. Kerana kalau hendak dikira usaha, ramai sahaja yang berusaha lebih tetapi tidak berjaya juga, bukan? Allah ‎ﷻ telah ingatkan kita sifat kufur ini di dalam Qasas: 78

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي
Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”.

Lihatlah bagaimana sombongnya Qarun yang hanya meletakkan kepandaian dirinya sahaja ke atas kejayaannya. Di mana Qarun sekarang? Dalam perkara kecil pun kita kena ingat kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh kita dapat bangun awal, kita kena sedar yang Allah ‎ﷻ yang gerakkan kita waktu bangun itu. Memang kita telah usaha dengan mengunci jam dan sebagainya, tetapi jangan kita mendabik dada dengan mengatakan: aku memang senang bangun pagi. Kita lihat satu lagi karektor sombong yang Allah ‎ﷻ kenalkan di dalam Zukhruf: 51

وَنادىٰ فِرعَونُ في قَومِهِ قالَ يٰقَومِ أَلَيسَ لي مُلكُ مِصرَ وَهٰذِهِ الأَنهٰرُ تَجري مِن تَحتي ۖ أَفَلا تُبصِرونَ
Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?

Maka ingat sungguh-sungguh, jangan kita ikut ‘sunnah’ Qarun dan Firaun ini kerana tidak selamat hidup kita dunia dan akhirat kalau kita lupa akan hal ini.

 

2. Syukur dengan LISAN (لِسَان)

Iaitu dengan menyebut dan memuji Allah ‎ﷻ atas nikmat-Nya. Contoh: Mengucap “Alhamdulillah” atas segala nikmat dan kena selalu berzikir dan memuji nama Allah.

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ اللَّهَ لَيَرْضَى عَنِ الْعَبْدِ أَنْ يَأْكُلَ الْأَكْلَةَ، فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا، أَوْ يَشْرَبَ الشَّرْبَةَ، فَيَحْمَدَهُ عَلَيْهَا
“Sesungguhnya Allah reda terhadap seorang hamba yang apabila dia makan sesuatu, dia memuji-Nya (dengan bersyukur); dan apabila dia minum sesuatu, dia memuji-Nya.”
(Sahih Muslim, No. 2734)

Kerana itulah Allah ‎ﷻ ajar kita di dalam Dhuha: 11

وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.

 

3. Syukur dengan ANGGOTA BADAN (جَوَارِح)

Iaitu dengan menggunakan nikmat untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, bukan untuk maksiat. Contoh: Gunakan mata untuk melihat kebaikan; Gunakan harta untuk membantu orang lain; Gunakan kekuatan untuk menolong, bukan menzalimi. Dan kita telah sebut kita kenalah taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dan jangan melawan larangan  yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalil kena beramal adalah seperti firman di dalam Saba’: 13

اعمَلوا ءآلَ داوودَ شُكرًا
“Beramallah wahai keluarga Daud untuk bersyukur kepada Allah.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment