Tafsir Surah Mukminoon Ayat 43 – 49 (Semua umat ada ajalnya)

Ayat 43: Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ memberitahu bahawa banyak kaum dibangkitkan satu persatu selepas habis satu umat. Apabila Allah ﷻ musnahkan satu umat, Allah ﷻ akan menggantikan dengan umat yang lain pula.

ما تَسبِقُ مِن أُمَّةٍ أَجَلَها وَما يَستَئخِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No nation will precede its time [of termination], nor will they remain [thereafter].

(MELAYU)

Tidak (dapat) sesuatu umat pun mendahului ajalnya, dan tidak (dapat pula) mereka terlambat (dari ajalnya itu).

 

Semua kemusnahan umat itu mengikut ajal mereka yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Tidaklah ianya diawalkan dari masa yang sepatutnya dan tiadalah dilambatkan.

Maklumat ini amat menakutkan. Maksudnya bukan manusia sahaja ada ajal tetapi begitu juga umat pun ada ajal juga! Maka bilakah agaknya ajal umat Nabi Muhammad ﷺ ini? Oleh kerana kita adalah umat yang terakhir, maka kehancuran kita nanti adalah dengan Kiamat. Maka ayat ini mengingatkan kita kepada ajal umat Nabi Muhammad ﷺ juga, iaitu Kiamat.


 

Ayat 44: Dalil Naqli ke-tiga.

ثُمَّ أَرسَلنا رُسُلَنا تَترىٰ ۖ كُلَّ ما جاءَ أُمَّةً رَّسولُها كَذَّبوهُ ۚ فَأَتبَعنا بَعضَهُم بَعضًا وَجَعَلنٰهُم أَحاديثَ ۚ فَبُعدًا لِّقَومٍ لّا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent Our messengers in succession. Every time there came to a nation its messenger, they denied him, so We made them follow one another [to destruction], and We made them narrations.¹ So away with a people who do not believe.

  • i.e., history or lessons for mankind.

(MELAYU)

Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) rasul-rasul Kami berturut-turut. Tiap-tiap seorang rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, maka Kami perikutkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Dan Kami jadikan mereka buah tutur (manusia), maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang tidak beriman.

 

ثُمَّ أَرسَلنا رُسُلَنا تَترىٰ

Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) rasul-rasul Kami berturut-turut.

Rasul tetap dihantar kepada umat manusia secara berterusan. تَترىٰ bermaksud tidak ada berhenti. Selepas habis satu kaum dan Rasul, maka dibangkitkan Rasul yang lain pula. Paling lama adalah antara Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ iaitu selama lebih kurang 600 tahun.

Hal ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ}

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah taghut itu, “maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesalan baginya. (An-Nahl: 36)

 

كُلَّ ما جاءَ أُمَّةً رَّسولُها كَذَّبوهُ

Tiap-tiap seorang rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, 

Akan tetapi menjadi kebiasaan, setiap kali para Rasul itu diutuskan kepada kaumnya, mereka itu akan didustakan (umat manusia kata para Rasul itu berdusta). Kaum mereka tidak percaya kepada Rasul itu dan mereka menuduh Rasul itu berdusta. Seperti juga yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{يَا حَسْرَةً عَلَى الْعِبَادِ مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ رَسُولٍ إِلا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ}

Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada datang seorang rasul pun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya. (Yaasin: 30)

 

فَأَتبَعنا بَعضَهُم بَعضًا

maka Kami perikutkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. 

Dan apabila Rasul itu sudah wafat maka akan dibangkitkan dengan Rasul yang lain.

Atau, selepas kaum itu dimusnahkan, mereka akan diikuti dengan kaum yang lain.

 

وَجَعَلنٰهُم أَحاديثَ

Dan Kami jadikan mereka buah tutur 

Mereka akan menjadi kisah yang disebut-sebut manusia. Tidak ada rekod di dalam sejarah tetapi ada yang disebut-sebut oleh manusia selepas mereka. Seolah-olah orang berkata: “Macam pernah dengar ada orang yang duduk di sini dahulu tetapi entah siapakah mereka.”

Kisah dengan pasti tidak diketahui kerana kaum dahulu tidak menulis sejarah mereka dengan terperinci macam sekarang. Yang ada hanyalah kisah dari mulut ke mulut. Iaitu sebagai cerita dan kisah bagi manusia (sesudah mereka). Semakna dengan firman-Nya:

{فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ}

maka Kami jadikan mereka buah tutur dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya. (Saba: 19)

Jadi Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada orang Mekah jangan sangka mereka yang pertama menolak Rasul. Dari dahulu lagi sudah banyak umat yang menolak Rasul mereka dan mereka itu dimusnahkan kerana kedegilan mereka. Nanti Musyrikin Mekah pun akan dimusnahkan dan menjadi buah tutur manusia juga sampai bila-bila. Lihatlah sampai sekarang kita membincangkan hal mereka untuk diambil pengajaran.

 

فَبُعدًا لِّقَومٍ لّا يُؤمِنونَ

maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang tidak beriman.

Dan mereka yang menolak Rasul itu telah menerima kehancuran dari Allah ﷻ. Maka kamu kena beringatlah. Kalau kamu pun hendak menolak juga, tidaklah cerah masa depan kamu.

Maka kita ini kenalah belajar tentang kisah umat-umat terdahulu dan ambillah tauladan dari apa yang telah dikenakan kepada mereka. Janganlah menolak ajaran Nabi Muhammad ﷺ ini dengan mudah-mudah. Janganlah kamu perasan yang kamu hebat kerana kaum dahulu yang lebih hebat dari kamu pun pernah dihancurkan juga.


 

Ayat 45: Dari ayat ini sehingga ke ayat 69 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi kisah Firaun dan bala tenteranya.

Ayat ini mengandungi Dalil Naqli ke-empat. Sekarang masuk kisah Nabi Musa عليه السلام pula. Memang kisah Nabi Musa عليه السلام banyak di dalam Qur’an. Ini kerana banyak pengajaran dalam kisah baginda yang berkaitan dengan perjuangan Nabi Muhammad ﷺ.

Ujian yang dihadapi oleh Nabi Muhammad ﷺ  banyak persamaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Maka Allah ﷻ jadikan kisah Nabi Musa عليه السلام sebagai contoh kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat.

ثُمَّ أَرسَلنا موسىٰ وَأَخاهُ هٰرونَ بِئايٰتِنا وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent Moses and his brother Aaron with Our signs and a clear authority

(MELAYU)

Kemudian Kami utus Musa dan saudaranya Harun dengan membawa tanda-tanda (Kebesaran) Kami, dan bukti yang nyata,

 

Nabi Musa عليه السلام telah diutus bersama dengan abangnya Nabi Harun عليه السلام.

Mereka diutus bukan dengan membawa tangan kosong sahaja tetapi mereka dibekalkan dengan tanda-tanda yang bermaksud dalil-dalil dari Allah ﷻ.

Dan mereka juga diberikan mukjizat untuk membuktikan kerasulan mereka. Sepatutnya umat beriman kepada mereka sebagaimana bangsa Arab juga patut beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ setelah baginda membawa dalil dan mukjizat.


 

Ayat 46:

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلِإيهِ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا عالينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Pharaoh and his establishment, but they were arrogant and were a haughty people.

(MELAYU)

kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya, maka mereka ini takbur dan mereka adalah orang-orang yang sombong.

 

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلِإيهِ

kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya,

Baginda diutus kepada Firaun dan para pembesar kerajaan Mesir. Masih disebut pemuka atau pembesar masyarakat lagi seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Ini kerana mereka inilah yang ada masalah dan perlu diperbetulkan dahulu. Mereka yang selalunya menentang kebenaran jadi mereka yang perlu diperbaiki dahulu. Dan jikalau mereka telah menerima agama, maka pengikut mereka pun ramai-ramai akan masuk.

Bukanlah Nabi Musa عليه السلام diutus kepada mereka sahaja tetapi kepada bangsa Qibti keseluruhannya dan juga kepada Bani Israil. Tetapi Allah ﷻ menyebut ‘ketua penjahat’ dahulu sebagai mewakili mereka yang lain.

 

فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا عالينَ

maka mereka ini takbur dan mereka adalah orang-orang yang sombong.

Mereka berasa mereka tinggi diri kerana mereka ada kedudukan di dalam masyarakat. Mereka hendak orang hormati mereka dan rendahkan diri di hadapan mereka. Oleh kerana itu mereka sombong untuk menerima kebenaran. Begitulah orang yang sombong takbur memang susah hendak menerima kebenaran.


 

Ayat 47: Lihatlah bagaimana hujah mereka pula untuk menolak Rasul mereka ini.

فَقالوا أَنُؤمِنُ لِبَشَرَينِ مِثلِنا وَقَومُهُما لَنا عٰبِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Should we believe two men like ourselves while their people are for us in servitude?”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?”

 

فَقالوا أَنُؤمِنُ لِبَشَرَينِ مِثلِنا

Dan mereka berkata: “Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita

Mereka lihat Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu tidak hebat pun, sama macam mereka sahaja. Malah kedudukan kedua mereka itu dilihat lebih rendah di dalam masyarakat. Jadi memanglah Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu cuma manusia biasa sahaja. Sama-sama manusia, maka kenapa mesti kena ikut pula? Ini kerana mereka itu utusan Allah.

 

وَقَومُهُما لَنا عٰبِدونَ

padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?”

Dan kaum kedua Nabi itu (Bani Israil) adalah hamba pula kepada bangsa Qibti. Maknanya kedudukan mereka itu adalah kedudukan yang sangat rendah. Firaun berhujah: “Takkan hendak percaya kepada orang yang lemah dan rendah? Takkan mereka ada benda yang lebih baik daripada kita? Kaum mereka bukankah hamba kita?”

Begitulah sombongnya Firaun dan pemuka-pemuka Mesir. Mereka melihat kedudukan manusia itu dari sudut keduniaan sahaja. Kalau tiada kelebihan keduniaan, memang mereka tidak pandang.


 

Ayat 48:

فَكَذَّبوهُما فَكانوا مِنَ المُهلَكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they denied them and were of those destroyed.

(MELAYU)

Maka (tetaplah) mereka mendustakan keduanya, sebab itu mereka adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan.

 

فَكَذَّبوهُما

Maka (tetaplah) mereka mendustakan keduanya,

Jadi mereka mendustakan kedua Nabi itu. Maksudnya mereka berkata apa yang disampaikan oleh mereka berdua adalah dusta sahaja. Maknanya mereka hendak berkata Nabi Musa dan Harun عليهما السلام adalah penipu sahaja, bukannya Rasul.

 

فَكانوا مِنَ المُهلَكينَ

sebab itu mereka adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan.

Kalimah هلك bermaksud mati dengan cara seksa, secara teruk. Kerana kedegilan mereka dan kuatnya mereka menentang para Rasul itu, maka mereka bukan sahaja dimatikan, bahkan dimatikan dengan teruk. Kita pun tahu bagaimana para penentang Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu dimatikan dengan teruk di dalam Laut Merah.

Maka ini adalah ancaman kepada umat manusia terutama kepada Musyrikin Mekah waktu itu, jikalau mereka menentang Rasul mereka, Allah ﷻ boleh mengazab mereka dengan diberikan kematian dengan cara yang amat teruk. Semua orang akan mati, tetapi kalau mati dalam keadaan teruk, itu adalah azab.


 

Ayat 49:

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ لَعَلَّهُم يَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly gave Moses the Scripture that perhaps they¹ would be guided.

  • The Children of Israel.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami berikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa, agar mereka (Bani Israil) mendapat petunjuk.

 

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa,

Maka amat teruk sekali penolakan yang telah diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu. Maka akhirnya Nabi Musa عليه السلام telah membawa lari Bani Israil keluar dari Mesir dengan menyeberangi lautan.

Selepas mereka dapat menyeberangi lautan itu, maka Nabi Musa عليه السلام telah diberikan dengan Kitab Taurat yang baginda terima di Bukit Thursina. Ini adalah satu kelebihan besar yang telah diberikan kepada umat Bani Israil.

 

لَعَلَّهُم يَهتَدونَ

agar mereka (Bani Israil) mendapat petunjuk.

Semoga dengan Kitab Taurat itu boleh memberi hidayah kepada Bani Israil. Ianya mengandungi banyak ajaran untuk Bani Israil.

Sesudah Allah ﷻ menurunkan kitab Taurat, Allah ﷻ tidak lagi membinasa­kan suatu umat dengan pembinasaan yang menyeluruh, tetapi Allah ﷻ memerintahkan kepada orang-orang yang beriman untuk memerangi orang-orang kafir. Seperti yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِنْ بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الأولَى بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ}

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat. (Al-Qashash: 43)

Maknanya, pemusnahan besar-besaran sesuatu kaum sampai tidak ada baka adalah sebelum Kitab Taurat diturunkan. Selepas itu cara pemusnahan manusia berlainan pula. Mereka tetap kena azab, tetapi tidaklah kena tempikan, kena banjir, kena lemas dalam lautan dan sebagainya.

Kerana itu tidaklah Bani Israil itu dihancurkan sepenuhnya oleh Allah ﷻ. Kerana itu sampai sekarang mereka ada lagi walaupun mereka itu teruk sangat perangainya. Degil macam mana pun, tidaklah mereka dimusnahkan terus.

Tetapi mereka tetap ada azab yang dikenakan kepada mereka. Seperti yang disebut di dalam Surah Isra’ bagaimana telah digerakkan oleh kuasa besar untuk menundukkan dan melemahkan mereka sebanyak dua kali di dalam sejarah. Kerana itu mereka telah berpecah belah dan bangsa mereka duduk merata-rata di atas dunia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 34 – 42 (Hujah penentang)

Ayat 34: Sambungan hujah penolakan para pemimpin kufur kepada Rasul.

وَلَئِن أَطَعتُم بَشَرًا مِّثلَكُم إِنَّكُم إِذًا لَّخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you should obey a man like yourselves, indeed, you would then be losers.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu sekalian mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya bila demikian, kamu benar-benar (menjadi) orang-orang yang merugi.

 

وَلَئِن أَطَعتُم بَشَرًا مِّثلَكُم

Dan sesungguhnya jika kamu sekalian mentaati manusia yang seperti kamu,

Mungkin ada yang mahu mengikuti para Rasul itu. Maka para penentang itu akan mengutuk dan mengejek mereka yang mengikut ajaran tauhid para Rasul. Mereka hendak melemahkan semangat mereka yang hendak ikut kebenaran.

 

إِنَّكُم إِذًا لَّخٰسِرونَ

nescaya bila demikian, kamu benar-benar (menjadi) orang-orang yang merugi.

Mereka kata, kalau masyarakat mengikut para Rasul itu, yang ikut itu akan menjadi rugi. Sebenarnya mereka hendak berkata rakyat tidak pandai dalam memilih. Mereka hendak kata yang merekalah yang pandai dan yang patut membuat keputusan. Jadi mereka sudah buat keputusan yang para Rasul itu tidak perlu diikuti.

Begitulah para pemimpin apabila mereka bercakap sekarang. Pada mereka, merekalah yang pandai. Mereka kononnya hendak buat keputusan untuk masyarakat dan masyarakat kena ikut pandangan dan keputusan mereka.

Maka ramailah yang menolak janji para Rasul itu. Mereka kata, agama adalah candu manusia, beri harapan palsu sahaja kepada manusia yang jahil. Mereka kata agama itu memberi harapan kosong sahaja kepada mereka yang tidak ada harapan dalam hidup. Mereka kata rugi kalau ikut agama, kerana macam-macam tidak boleh buat, terkekang hidup mereka nanti.

Mereka ada juga gunakan agama untuk kepentingan mereka. Sebab itu kadang-kadang golongan kaya ini akan panggil juga orang agama untuk memberi ceramah agama. Kononnya ceramah itu hanyalah untuk orang miskin sahaja untuk beri kepuasan kepada orang miskin itu. Kerana pada mereka, kalau orang mengikut agama, maka orang itu akan menjadi pekerja yang bagus, pengikut yang mendengar kata dan arahan.

Jadi ada sebab kenapa mereka nak orang ikut agama. Tetapi mereka sendiri berasa agama itu untuk orang lemah sahaja. Iaitu untuk mereka yang tidak berapa pandai.

Akan tetapi untuk diri mereka, kalau mengikut agama akan menjadi rugi. Macam-macam perkara tidak boleh dibuat kalau kena mengikut lunas agama. Pada mereka kejayaan dunia tidak dapat dicapai kalau taat kepada agama. Kerana agama ini selalunya ini tak boleh, itu tak boleh.


 

Ayat 35: Mereka mengejek ajaran Rasul.

أَيَعِدُكُم أَنَّكُم إِذا مِتُّم وَكُنتُم تُرابًا وَعِظٰمًا أَنَّكُم مُّخرَجونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Does he promise you that when you have died and become dust and bones that you will be brought forth [once more]?

(MELAYU)

Apakah dia menjanjikan kepada kamu sekalian, bahawa bila kamu telah mati dan telah menjadi tanah dan tulang belulang, kamu sesungguhnya akan dikeluarkan (dari kuburmu)?

 

Mereka berhujah, ajaran para Rasul itu tidak masuk akal. Mereka kata takkanlah kalau sudah mati dan tubuh pun sudah menjadi hancur, takkan mereka akan dihidupkan balik? Pada mereka ia pelik sangat dan mustahil akan berlaku.

Maka mereka sekarang disebut kerana mereka menolak konsep kebangkitan semula di akhirat. Ini adalah kerana salah satu ajaran utama dalam agama Islam adalah Hari Akhirat. Ada tiga perkara utama dalam agama yang kena disampaikan kepada manusia: Tauhid – Risalah – Akhirat. Ilmu agama akan berkisar antara tiga perkara utama ini sebenarnya.


 

Ayat 36:

۞ هَيهاتَ هَيهاتَ لِما توعَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How far, how far, is that which you are promised.¹

  • i.e., how distant and improbable it is.

(MELAYU)

jauh, jauh sekali (dari kebenaran) apa yang diancamkan kepada kamu itu,

 

Puak penentang itu berkata, jauh sangat apa yang diajar oleh Rasul itu – jauh dari penerimaan akal – susah hendak diterima. Mereka tidak dapat terima kalau ada yang berkata “akan lahir semula setelah mati dan menjadi tulang belulang”.

Kalimah هَيهاتَ هَيهاتَ ini digunakan dalam bahasa Arab apabila mengejek seseorang. Ia memberi indikasi yang sesuatu itu tidak akan terjadi. Mereka hendak berkata kepada mereka yang beriman: “Bodohnya kamu kerana boleh percaya benda macam ini.”


 

Ayat 37: Mereka menyambung hujah mereka lagi untuk menentang para Rasul.

إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا نَموتُ وَنَحيا وَما نَحنُ بِمَبعوثينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It [i.e., life] is not but our worldly life – we die and live, but we will not be resurrected.

(MELAYU)

kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi,

 

إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا نَموتُ وَنَحيا

kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup

Mereka memberi hujah mengikut logik akal mereka: Kita ada kehidupan di dunia ini sahaja. Kita akan hidup dan akan mati begitu sahaja. Mana ada hidup balik…

 

وَما نَحنُ بِمَبعوثينَ

dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi,

Bila sudah mati, maka matilah. Tidak akan dihidupkan semula nanti. Mereka hendak kata, karut sungguh dakwaan para Rasul itu.


 

Ayat 38: Kemudian mereka sambung dengan mengutuk Rasul pula.

إِن هُوَ إِلّا رَجُلٌ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا وَما نَحنُ لَهُ بِمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is not but a man who has invented a lie about Allāh, and we will not believe him.”

(MELAYU)

Dia tidak lain hanyalah seorang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, dan kami sekali-kali tidak akan beriman kepadanya”.

 

إِن هُوَ إِلّا رَجُلٌ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Dia tidak lain hanyalah seorang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah,

Sebelum ini mereka berkata Rasul itu hanyalah manusia biasa sahaja. Sekarang mereka kata Rasul itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah penipu. Mereka kata apa yang disampaikan oleh Rasul itu adalah rekaan semata-mata.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ (bertemu dua sukun) dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

وَما نَحنُ لَهُ بِمُؤمِنينَ

dan kami sekali-kali tidak akan beriman kepadanya”.

Dan mereka akhiri hujah dan tohmahan mereka dengan mengatakan mereka tidak akan percaya dengan penipu, maka mereka tidak akan beriman dengan para Rasul itu. Maknanya, mereka telah tutup hati mereka sendiri dari beriman. Mereka tidak beri peluang kepada diri mereka untuk terima dulu. Awal-awal lagi mereka telah tolak.

Begitulah orang yang menolak ajaran Sunnah. Mereka dari awal lagi tidak mahu dengar dan tolak siap-siap. Mereka tidak mahu nak dengar pun dulu. Maka kerana itu ramai yang tolak ajaran Sunnah dan ini amat malang sekali.


 

Ayat 39: Maka setelah Rasul itu ‘ditolak’ dan mereka nampak tidak ada harapan lagi untuk mereka beriman, maka para Rasul itu telah berdoa meminta pertolongan kepada Allah ﷻ.

قالَ رَبِّ انصُرني بِما كَذَّبونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, support me because they have denied me.”

(MELAYU)

Rasul itu berdoa: “Ya Tuhanku, tolonglah aku kerana mereka mendustakanku”

 

Para Rasul akhir sekali berdoa kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana doa sahaja senjata mereka dan senjata kita juga. Maka janganlah kita leka dari berdoa kepada Allah ﷻ. Kalau ada apa-apa masalah maka berdoalah kepada Allah ﷻ. Serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ. Letakkan pengharapan kepada Allah ﷻ. Biasakan berdoa dalam perkara besar mahu pun kecil.


 

Ayat 40: Apabila Rasul berdoa, maka Allah ﷻ akan makbulkan.

قالَ عَمّا قَليلٍ لَّيُصبِحُنَّ نٰدِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “After a little, they will surely become regretful.”

(MELAYU)

Allah berfirman: “Dalam sedikit waktu lagi pasti mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal”.

 

Tidak lama lagi mereka akan menyesal di atas kata-kata mereka yang menolak kebenaran dari Rasul mereka. Mereka akan dikenakan azab. Apabila mereka nampak azab itu, mereka akan menyesal dengan amat teruk sekali.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ memakbulkan doa Rasul. Allah ﷻ hendak mengingatkan Musyrikin Mekah yang Nabi Muhammad ﷺ pun boleh berdoa begitu juga. Kalaulah baginda berdoa untuk kehancuran mereka yang menentang, bagaimana mereka nanti? Maka mereka patutlah beringat. Tidak takutkah mereka jika menjadi seperti kaum-kaum yang terdahulu itu?


 

Ayat 41: Apakah balasan yang dikenakan kepada mereka? Ini adalah ayat Takhwif Duniawi.

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ بِالحَقِّ فَجَعَلنٰهُم غُثاءً ۚ فَبُعدًا لِّلقَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the shriek¹ seized them in truth,² and We made them as [plant] stubble. Then away with the wrongdoing people.

  • See footnote to 11:67.
  • i.e., by right or in justice.

(MELAYU)

Maka dimusnahkanlah mereka oleh suara yang mengguntur dengan hak dan Kami jadikan mereka (sebagai) sampah banjir, maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu.

 

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ بِالحَقِّ

Maka dimusnahkanlah mereka oleh suara yang mengguntur dengan haq

Kalimah الصَّيحَةُ bermaksud ‘tempikan’. Tempikan itu menyebabkan kematian mereka. Apabila ditempikkan sahaja kepada mereka, maka mereka telah mati bergelimpangan. Kerana suara itu amat kuat dan kita tidak dapat nak bayangkan. Tempikan itu boleh menyebabkan kepala pecah dan mereka terus mati.

Tempikan itu datang dengan bersebab, iaitu kerana kesalahan mereka sendiri. Bukanlah Allah ﷻ sengaja hendak mematikan mereka. Itulah maksudnya Allah ﷻ mematikan mereka kerana haq.

 

فَجَعَلنٰهُم غُثاءً

dan Kami jadikan mereka (sebagai) sampah banjir

Kalimah غُثاءً dari katadasar غ ث و yang bermaksud sampah, rumput-rumput yang hancur dibawa air. Mereka itu menjadi seperti buih di lautan sahaja atau seperti sampah yang dilalukan air semasa banjir. Ini memberi isyarat yang mereka itu tiada berharga.

 

فَبُعدًا لِّلقَومِ الظّٰلِمينَ

maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim itu.

Kerana tiada bernilai, maka biarkanlah sahaja mereka itu. Kalimah فَبُعدًا bermaksud ‘nyahlah’, ‘pergilah’. Ia dari kalimah بعد yang bermaksud ‘jauh’. Begitulah nasib yang layak bagi mereka.


 

Ayat 42: Apa terjadi selepas mereka dihancurkan?

ثُمَّ أَنشَأنا مِن بَعدِهِم قُرونًا ءآخَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We produced after them other generations.

(MELAYU)

Kemudian Kami bangkitkan sesudah mereka umat-umat yang lain.

 

Selepas itu akan bangkit pula kaum lain. Allah boleh sahaja musnahkan satu kaum dan bangkitkan kaum lain di tempat mereka. Ini menunjukkan yang perkara ini akan berulang-ulang. Apabila Allah ﷻ mematikan sesuatu kaum itu, senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk membangkitkan kaum yang lain. Dan kaum itu pun ada kisah mereka pula.

Umat Nabi Muhammad sahaja yang tidak akan kaum lain dibangkitkan selepas kita. Kerana apabila kita dimusnahkan nanti, itu adalah kemusnahan Kiamat dan selepas itu adalah Mahsyar dan akhirat telah bermula bagi kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 28 – 33 (Penurunan yang berkat)

Ayat 28: Sambungan kisah bahtera Nabi Nuh عليه السلام. Ini adalah setelah mereka mula berlayar di dalam bahtera itu.

فَإِذَا استَوَيتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى الفُلكِ فَقُلِ الحَمدُ ِللهِ الَّذي نَجّٰنا مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you have boarded the ship, you and those with you, then say, ‘Praise to Allāh who has saved us from the wrongdoing people.’

(MELAYU)

Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu, maka ucapkanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami dari orang-orang yang zalim”.

 

فَإِذَا استَوَيتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى الفُلكِ

Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu,

Apabila mereka telah boleh ‘duduk teguh’ di dalam kapal itu. Itulah maksud istiwa. Ini adalah apabila keadaan sudah lega, semua sudah selamat dari banjir besar itu. Ini adalah doa yang Allah ajar apabila Nabi Nuh عليه السلام dan sesiapa di dalam bahtera itu telah selamat dari banjir dan hujan lebat.

 

فَقُلِ الحَمدُ ِللهِ الَّذي نَجّٰنا مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

maka ucapkanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami dari orang-orang yang zalim”.

Apabila sudah selamat, maka kena puji Allah ﷻ kerana telah diselamatkan dari musibah. Maka Allah ﷻ mengajar supaya baca zikir ini.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa Dia yang menyelamatkan mereka, bukan kapal itu. Begitulah setiap zikir yang kita ucapkan sebenarnya hendak mengingatkan kita kepada Allah ﷻ. Maka untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian kita, kita kena memuji Allah ﷻ bila naik kenderaan kita sebelum ke mana-mana. Ingat, kita kena memuji Allah  ﷻ dan bukan memuji kereta.

Begitulah kelebihan zikir masnoon (yang sunnah dari Nabi) yang diajar oleh Nabi ‎ﷺ. Ianya adalah zikir untuk sepanjang masa dalam setiap keadaan sepanjang hari. Nabi ‎ﷺ mengajar zikir-zikir itu untuk ingatkan manusia kepada Allah.

Zikir itu selalunya dibaca pada masa-masa yang manusia selalu lalai. Maka kalau kita amalkan, kita akan kembali ingat kepada Allah ﷻ. Antara kitab yang bagus dalam bab ini adalah Kitab Hisnul Muslim yang senang sahaja untuk didapati.

Maka Nabi Nuh عليه السلام dan sahabatnya telah memuji Allah ﷻ yang selamatkan mereka dari orang zalim dan dari banjir besar. Masa mereka membuat kapal itu, mereka telah dikutuk dengan hebat sekali. Ini kerana mereka membuat kapal itu di bukit dan di tanah yang kering. Dan mereka bangsa yang tidak pernah membuat kapal dan tidak ada keperluan untuk merentas laut. Walaupun mereka kena kutuk, tetapi Nabi Nuh عليه السلام tetap juga membuatnya.


 

Ayat 29: Ini pula doa apabila hendak turun setelah mereka sekian lama belayar di dalam kapal dan banjir pun sudah surut.

وَقُل رَّبِّ أَنزِلني مُنزَلًا مُّبارَكًا وَأَنتَ خَيرُ المُنزِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, ‘My Lord, let me land at a blessed landing place, and You are the best to accommodate [us].’ “

(MELAYU)

Dan berdoalah: Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat”.

 

وَقُل رَّبِّ أَنزِلني مُنزَلًا مُّبارَكًا

Dan berdoalah: Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati,

Allah mengajar mereka: Doalah supaya Allah ﷻ memberi tempat mendarat yang berkah. Allah mengajar untuk meminta berkah dari Allah ﷻ kerana semua berkat itu hanya dari Allah ﷻ. Mereka disuruh untuk meminta tempat turun yang baik dan yang memberi kebaikan yang bertambah-tambah (berkat). Supaya di dunia mereka dapat bahagia dan kebaikan itu dapat membawa mereka sampai ke syurga.

Kita juga boleh membaca doa ini apabila sampai di tempat tinggal baru. Mungkin kita berpindah ke tempat yang baru, maka doalah dengan doa yang Allah  ﷻ ajar ini.

 

وَأَنتَ خَيرُ المُنزِلينَ

dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat”.

Dulu Nabi Adam عليه السلام telah turun dari syurga ke dunia. Sekarang Nabi Nuh pula turun ke tanah yang baru.

Dan memang Nabi Nuh عليه السلام digelar ‘Adam Kedua’ kerana keturunan manusia bermula untuk kali kedua dengannya. Dikatakan bahawa keturunan manusia bersambung dengan baginda sahaja kerana sahabat yang lain tidak ada zuriat melainkan Nabi Nuh عليه السلام sahaja. Maka keturunan kita ini semuanya bersambung dengan Nabi Nuh عليه السلام.

Keturunan manusia pertama kali turun dari syurga ke dunia dan kali ini diturunkan keturunan manusia dari kapal pula. Waktu itu air semakin surut maka Nabi Nuh عليه السلام diajar untuk berdoa supaya diturunkan mereka dengan cara yang baik dan diturunkan ke tempat yang baik iaitu tempat yang ada berkah.

Tambahan pula waktu itu hanya ada kawasan pergunungan sahaja (tempat lain masih diliputi dengan air yang sedang menyurut) yang mereka boleh mendarat dan jika tidak diturunkan di tempat yang sesuai, ia akan menyusahkan mereka. Nanti susah pula mencari kehidupan kalau tempat tidak sesuai.

Ada pendapat yang mengatakan nama tempat mereka mendarat itu adalah Bukit Judi. Sampai sekarang tempat itu dicari-cari dan para pengkaji ada sahaja teori tentang hal ini. Tapi kita tidak mahu nak bincangkan di sini kerana tidak ada kepastian.

Antara tempat yang dikatakan kesan Bahtera Nabi Nuh

 

Ayat 30:

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ وَإِن كُنّا لَمُبتَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that are signs, and indeed, We are ever testing [Our servants].

(MELAYU)

Sesungguhnya pada (kejadian) itu benar-benar terdapat beberapa tanda (kebesaran Allah), dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi ujian.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ

Sesungguhnya pada (kejadian) itu benar-benar terdapat beberapa tanda

Segala kejadian yang Allah ﷻ jadikan, segala takhwif duniawi yang Allah ﷻ ceritakan kepada kita dalam Qur’an ini adalah tanda-tanda yang Allah ﷻ berikan kepada kita untuk beringat. Kita diingatkan supaya janganlah mengamalkan syirik dan hendaklah mengikut ajaran Rasul. Balasan jika tidak mengikut ajaran Rasul adalah amat bahaya.

 

وَإِن كُنّا لَمُبتَلينَ

dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi ujian.

Allah ﷻ memang memberikan ujian-ujian  yang besar-besar terutama kepada para Nabi dan RasulNya. Bayangkan Nabi Nuh عليه السلام itu sudah diuji berdakwah kepada kaumnya terus menerus selama 950 tahun dan kemudiannya diuji dengan arahan membina kapal, kemudian menghadapi banjir dan sekarang untuk mendarat pun masih ada ujian lagi.

Begitu jugalah dengan kita sebagai Muslim dan lebih-lebih lagi sebagai pendakwah, memang kena sabar menerima ujian. Maka Allah ﷻ beritahu yang para pendakwah memang akan kena ujian, maka janganlah berputus asa apabila diuji.

Jangan patah semangat. Terima sahaja ujian itu. Tapi ingatlah yang balasannya amat tinggi. Bila kita sedar perkara ini maka tidaklah kita rasa lelah sangat dengan ujian yang diberikan.


 

Ayat 31: 

ثُمَّ أَنشَأنا مِن بَعدِهِم قَرنًا ءآخَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We produced after them a generation of others.

(MELAYU)

Kemudian, Kami jadikan sesudah mereka umat yang lain.

 

Setelah umat Nabi Nuh عليه السلام dibinasakan (yang tidak ada di atas kapal), maka yang tinggal adalah Nabi Nuh عليه السلام, sahabat yang bersama baginda dan keturunannya. Mereka waktu itu memang mengamalkan tauhid kerana masih segar lagi kisah penghancuran umat kalau menentang ajaran Allah ﷻ.

Tetapi lama kelamaan manusia telah kembali terpesong setelah lama tiada Rasul yang mengingatkan mereka. Maka selepas ini Allah ﷻ menceritakan tentang salah satu kaum yang mengamalkan syirik iaitu Kaum Aad.


 

Ayat 32: Dalil Naqli yang kedua. Iaitu kisah Nabi Hud dan Kaum Aad pula. Dari ayat ini sehingga ke ayat 44 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi pengajaran dari kebinasaan Kaum Aad, Tsamud dan Luth.

فَأَرسَلنا فيهِم رَسولًا مِّنهُم أَنِ اعبُدُوا اللهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We sent among them a messenger¹ from themselves, [saying], “Worship Allāh; you have no deity other than Him; then will you not fear Him?”

  • Prophet Hūd, who was sent to the tribe of ‘Aad.

(MELAYU)

Lalu Kami utus kepada mereka, seorang rasul dari kalangan mereka sendiri (yang berkata): “Sembahlah Allah oleh kamu sekalian, sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya).

 

فَأَرسَلنا فيهِم رَسولًا مِّنهُم

Lalu Kami utus kepada mereka, seorang rasul dari kalangan mereka sendiri

Tidak ada disebutkan nama Rasul selepas Nabi Nuh عليه السلام ini dan ini kerana Allah ﷻ hendak memberi isyarat bahawa perkara ini berulang-ulang dan bukan satu Rasul sahaja yang diutus kepada manusia. Sebab kalau disebut nama secara spesifik, maka itu sudah hadkan kisah ini kepada kaum itu sahaja.

Tetapi berkemungkinan besar yang dimaksudkan adalah Kaum Aad dan Rasul mereka adalah Nabi Hud عليه السلام. Baginda dibangkitkan dari kalangan kaum itu sendiri.

 

أَنِ اعبُدُوا اللهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

(yang berkata): “Sembahlah Allah oleh kamu sekalian, sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. 

Sama sahaja dakwah baginda kalau dibandingkan dengan para Rasul yang lain. Berkali-kali ayat sebegini disebut di dalam Qur’an. Dan begitu jugalah yang disebut oleh Nabi Muhammad ‎ﷺ. Dan begitulah yang kita kena sampaikan kepada manusia sebagai seorang pendakwah Muslim.

Memang banyak ajaran dan pesanan dari para Rasul tetapi yang paling utama adalah ajakan kepada umat untuk menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja. Ini kerana tidak ada ilah lain selain Allah. Maka kena sembah Allah ﷻ sahaja dan berdoa kepada Allah ﷻ  sahaja.

 

أَفَلا تَتَّقونَ

Maka mengapa kamu tidak bertakwa

Maka oleh kerana ilah itu hanya Allah ﷻ sahaja, maka kenapakah ramai manusia tidak mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah ﷻ sahaja? Ini termasuklah kaum Aad.

Rasul yang disebut dalam ayat-ayat ini bukan sahaja menyeru umat baginda untuk beriman, tetapi  baginda juga mengajak mereka bertaqwa. Dan maksud taqwa itu adalah menjaga hukum Allah ﷻ dalam setiap masa. Maka ini merangkumi banyak perkara.

Antaranya untuk taat kepada hukum Allah ﷻ, maka kenalah tahu apakah arahan dan kehendak Allah ﷻ. Dan perkara ini hanya boleh diketahui dengan belajar wahyu. Maka kerana itulah kita tekankan kepentingan untuk belajar tafsir Qur’an ini.

Dan kemudian kena ditambah dengan belajar hadis supaya dapat tahu syariat. Ilmu agama ini bukanlah boleh duduk diam sahaja dan jadi pandai. Ia memerlukan usaha dan masa.


 

Ayat 33: 

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ الَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِلِقاءِ الآخِرَةِ وَأَترَفنٰهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يَأكُلُ مِمّا تَأكُلونَ مِنهُ وَيَشرَبُ مِمّا تَشرَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the eminent among his people who disbelieved and denied the meeting of the Hereafter while We had given them luxury in the worldly life said, “This is not but a man like yourselves. He eats of that from which you eat and drinks of what you drink.

(MELAYU)

Dan berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan akan menemui hari akhirat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan di dunia: “(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.

 

وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ

Dan berkatalah pemuka-pemuka antara kaumnya

Pemuka dan pemimpin masyarakat juga yang selalunya akan menentang pembaharuan yang menggugat kedudukan mereka. Begitulah juga dengan Kaum Aad itu. Dan sudah berkali-kali pemuka-pemuka kaum yang menentang Rasul mereka disebut dalam Qur’an.

Perkara ini terjadi zaman berzaman dan bukan hanya kaum selepas Nabi Nuh عليه السلام itu sahaja. Zaman Nabi Muhammad ﷻ begitulah terjadi dan zaman sekarang pun begitulah juga.

 

الَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِلِقاءِ الآخِرَةِ

yang kafir dan mendustakan akan menemui hari akhirat

Salah satu sifat mereka yang menentang itu adalah selalunya mereka itu adalah orang-orang yang Allah ﷻ telah berikan kemewahan dan kedudukan dalam masyarakat kepada mereka. Selalunya apabila Allah ﷻ sudah berikan kekayaan, orang itu akan kurang berfikir tentang agama kerana sudah rasa selesa dan rasa cukup dengan kehidupan mereka.

Kalau orang yang hidupnya susah, mereka sudah rasa susah di dunia maka mereka memikirkan cara bagaimana mereka nak senang di akhirat pula. Mereka fikir: “Kalau susah di dunia janganlah pula susah di akhirat juga”. Maka orang yang susah hidupnya, selalunya senang hendak diajak kepada agama. Tetapi orang yang kaya selalunya susah.

Kerana itu para pemimpin selalunya adalah mereka yang kaya raya juga dan mereka itu menjadi pemimpin kerana hendak menjadi kaya ataupun mereka yang telah kaya dan menjadi pemimpin kerana hendak menjaga kekayaan dan kepentingan mereka. Mereka itu kerana kaya raya, tidak dapat merasa masalah orang-orang miskin dan kerana itu kedudukan mereka itu mereka gunakan untuk menjaga kepentingan orang-orang kaya sahaja.

Begitulah yang terjadi zaman berzaman di dalam dunia ini. Bezakan dengan cara pemerintahan Islam di mana apabila Sayidina Umar رضي الله عنه melantik para pemimpin,  beliau akan mengadakan audit harta-benda mereka sebelum mereka menjadi pemimpin. Dan kemudian setelah mereka tidak menjadi pemimpin akan diaudit sekali lagi harta-benda mereka kerana hendak memastikan mereka tidak mengambil peluang untuk menjadi kaya dengan kedudukan mereka.

Ini kerana Sayidina Umar hendak memastikan mereka ada sama sahaja harta dan tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menambah harta. Kerana mereka duduk di kedudukan mereka adalah kerana mereka berkhidmat untuk manusia, bukannya untuk menambah kekayaan dan harta.

 

ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم

“(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu,

Ini adalah propaganda yang dikeluarkan oleh golongan yang kaya dan berkuasa itu. Beginilah cara pemuka masyarakat yang kufur itu menentang para Rasul. Mereka kata Rasul itu adalah manusia biasa sahaja, tidak lebih dari mereka. Ada kulit sama macam manusia sahaja, maka tidaklah perlu diikuti.

 

يَأكُلُ مِمّا تَأكُلونَ مِنهُ وَيَشرَبُ مِمّا تَشرَبونَ

dia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.

Mereka berhujah yang Rasul itu makan sama macam manusia biasa juga. Minum pun macam manusia sahaja. Maka kenapa mereka jadi Rasul pula? Kalau benar mereka Rasul, takkan sama sahaja dengan kita? Kalau benar mereka itu Rasul, patut kenalah lain dari kita, bukan?

Jadi begitulah manusia yang menentang kebenaran apabila disampaikan kepada mereka dan mereka tidak boleh terima. Mereka akan melihat kepada siapa yang menyampaikan, bukan lihat pada mesej yang dibawa.

Kalau zaman sekarang, mereka akan melihat kepada pendakwah dan kutuk pendakwah itu kerana para pendakwah itu manusia biasa-biasa sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 24 – 27 (Pembinaan bahtera)

Ayat 24: Setelah Nabi Nuh عليه السلام berdakwah kepada kaumnya, lihatlah apakah balasan dari kaumnya itu:

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the eminent among those who disbelieved from his people said, “This is not but a man like yourselves who wishes to take precedence over you; and if Allāh had willed [to send a messenger], He would have sent down angels. We have not heard of this among our forefathers.

(MELAYU)

Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. Dan kalau Allah ﷻ menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.

 

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ

Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab:

Kalimah mala’ asalnya bermaksud ‘memenuhi’. Digunakan untuk pemuka-pemuka kaum kerana mereka ‘memenuhi’ majlis raja. Selalu ada tempat perkumpulan mereka, bukan? Maka dialog ini terjadi di tempat perhimpunan pemimpin masyarakat itu.

Ini jenis pemimpin yang kufur. Kerana ada sahaja yang tidak kufur. Mereka menentang apa yang disampaikan oleh Nabi Nuh عليه السلام itu. Mari kita lihat apakah kata mereka:

 

ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم

“Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, 

Sekarang mereka mengeluarkan pendapat dan hujah mereka. Mereka kata tidak payah hendak ikut Nabi Nuh عليه السلام kerana Nabi Nuh عليه السلام itu  manusia biasa sahaja. Mereka berhujah: macam mana dia boleh mengaku terima wahyu sedangkan kamu tidak terima pula?

Perkara yang sama juga dikatakan kepada Nabi Muhammad dan kerana itu disebut apa yang terjadi kepada Nabi Nuh ini sebagai pujukan kepada baginda. Allah nak beritahu, Nabi Nuh pun kena tohmahan yang sama.

 

يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم

yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. 

Mereka menuduh Nabi ‎Nuh عليه السلام hendak melebihkan dirinya ke atas mereka semua sahaja. Iaitu dengan berkata “dia betul dan mereka sesat”. Nabi Nuh dituduh hendak melebihkan dirinya ke atas umat masyarakat. Mereka kata kerana itu Nabi Nuh buat seolah-olah Nabi Nuh عليه السلام lebih baik daripada mereka.

 

وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً

Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus malaikat.

Mereka berhujah lagi, takkan hendak ikut cakap manusia pula. Kalau Allah ﷻ hendak sampaikan apa-apa, sepatutnya Allah ﷻ akan turunkan malaikat sahaja, tak perlu turunkan manusia.

Inilah juga hujah yang digunakan oleh Musyrikin Mekah. Mereka kata Nabi Muhammad ﷺ itu manusia sahaja dan kenapa Allah ﷻ tidak turunkan malaikat sahaja?

Maka dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ – bukan umat baginda sahaja yang menuduh dan berhujah begitu, tetapi bermula seawal-awal umat Nabi Nuh  عليه السلام lagi sudah ada tuduhan dan hujah bodoh yang sama. Ini kerana umat Nabi Nuh عليه السلام ini adalah umat yang awal. Maknanya dari awal sejarah manusia lagi sudah menggunakan hujah begitu. Maka janganlah Nabi terasa sangat kalau baginda kena tuduh sebegitu kerana memang zaman berzaman akan ada manusia bodoh yang akan kata begitu.

Kita juga kena sedar yang manusia yang menentang akan menggunakan berbagai-bagai hujah. Kadangkala hujah mereka itu memang tidak masuk akal. Tapi sekarang kita sudah faham kenapa. Mereka terdesak sampaikan mereka akan keluarkan berbagai hujah yang bodoh-bodoh pun ada.

 

مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ

Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.

Hujah mereka yang seterusnya adalah dengan mengatakan yang Nabi Nuh عليه السلام ini membuat benda bid’ah (benda baru). Kerana mereka dahulu tidak ada pun diberitahu oleh tok nenek mereka ajaran yang sebegitu.

Maka ini membuka pemahaman kepada kita: memang manusia dari dahulu lagi akan membandingkan amalan semasa dengan ajaran tok nenek. Mereka selalunya akan pakai sahaja ajaran tok nenek tanpa peduli sama ada benar atau tidak. Pada mereka, kalau ianya sudah lama diamalkan, tentulah ianya benar. Kerana itulah banyak ajaran pelik-pelik di negara kita. Apabila ditanya dari mana datangnya, mereka akan menjawab ia ‘sudah lama diamalkan’.

Dan kalau kita bawa pula ajaran sunnah, yang mereka tidak tahu (kerana tidak belajar), maka mereka akan berasa pelik pula dengan kita dan mereka kata kita pula yang bawa ajaran baru. Sebagai contoh, ada orang hairan dengan cara angkat takbiratulihram setakat bahu sahaja. Mereka kata itu cara takbir Wahabi. Padahal ianya ada di dalam kitab-kitab hadis. Tetapi kerana mereka tidak belajar hadis, mereka kata ianya ajaran salah pula.

Kalau masyarakat awam yang kata, kita faham juga. Tetapi apabila yang menegur perkara ini adalah mereka yang bertanggungjawab memberikan tauliah mengajar di negeri, maka kita hairan dengan tahap ilmu mereka. Bayangkan kalau yang diberi tauliah pun berfahaman begitu, bagaimana pula dengan mereka yang tidak diberi tauliah? Bagaimana pula dengan masyarakat awam yang belajar dengan mereka?


 

Ayat 25: Lagi tuduhan dari golongan penentang.

إِن هُوَ إِلّا رَجُلٌ بِهِ جِنَّةٌ فَتَرَبَّصوا بِهِ حَتّىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is not but a man possessed with madness, so wait concerning him for a time.”

(MELAYU)

Dia tidak lain hanyalah seorang laki-laki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu”.

 

إِن هُوَ إِلّا رَجُلٌ بِهِ جِنَّةٌ

Dia tidak lain hanyalah seorang laki-laki yang berpenyakit gila, 

Mereka berhujah pula dengan hujah yang karut. Apabila mereka tidak dapat menolak hujah Nabi Nuh عليه السلام secara ilmiah, maka mereka menuduh yang baginda kena sampuk jin agaknya sehingga menjadi gila. Gila sampai mengaku Tuhan ﷻ bercakap dengannya.

Atau mereka berkata baginda عليه السلام gila kerana menyebut benda yang sama sahaja tidak berhenti-henti. Kalau duduk dekat dengan baginda عليه السلام akan disebut benda yang sama sahaja setiap kali. Sentiasa sahaja menceritakan tentang tauhid. Macam tiada benda lain hendak diperkatakan lagi. Kalau orang gila, kita tengok dia akan bercakap benda yang sama sahaja berulang-ulang, bukan?

Memanglah Nabi Nuh عليه السلام bercakap benda yang sama sahaja iaitu ajaran dari wahyu kerana ianya adalah perkara yang amat penting. Kerana perkara penting memang perlu diulang-ulang sampai melekat dalam hati dan akal.

Macam juga dengan kita yang sudah sayang kepada ilmu tafsir Qur’an ini, kita akan sentiasa bercakap tentangnya. Sampaikan ada yang sudah bosan mendengarnya. Tapi begitulah dengan para sahabat, mereka tidak habis-habis akan bercakap tentang Qur’an dan Qur’an.

 

فَتَرَبَّصوا بِهِ حَتّىٰ حينٍ

maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu”. 

Akhirnya mereka hendak membiarkan sahaja dakwah Nabi Nuh عليه السلام itu. Jangan dilayan dia. Mereka fikir, nanti lama-lama dia akan mati dan hilanglah apa yang diperkatakan oleh baginda itu. Mereka beritahu kepada pengikut mereka: perkara ini sekejap sahaja, maka janganlah masuk Islam.

Maksudnya, mereka nak kata ini adalah ajaran rekaan Nabi Nuh عليه السلام sahaja dan ia akan mati dengan matinya baginda عليه السلام. Sedangkan ini bukanlah ajaran baginda عليه السلام tetapi datang daripada Allah ﷻ. Kalau Nabi Nuh عليه السلام mati sekalipun, agama ini tidak akan mati kerana Allah ﷻ tidak mati-mati.

Inilah juga hujah yang digunakan kepada Nabi Muhammad ﷻ semasa di Mekah. Musyrikin Mekah kata nanti Muhammad mati, maka akan matilah sekali ajaran yang Muhammad bawa.


 

Ayat 26: Setelah 950 tahun berdakwah dan baginda telah diberitahu oleh Allah yang tidak akan ada lagi orang yang akan beriman, maka Nabi Nuh عليه السلام telah berdoa kepada Allah untuk membantu baginda.

قالَ رَبِّ انصُرني بِما كَذَّبونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Noah] said, “My Lord, support me because they have denied me.”

(MELAYU)

Nuh berdoa: “Ya Tuhanku, tolonglah aku, kerana mereka mendustakan aku”.

 

Dalam ayat yang lain disebut doa baginda عليه السلام ini:

{فَدَعَا رَبَّهُ أَنِّي مَغْلُوبٌ فَانْتَصِرْ}

Maka dia mengadu kepada Tuhannya, bahawasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan. Oleh sebab itu, menangkanlah (aku). (Al-Qamar: 10)

Maka Nabi Nuh عليه السلام berdoa dan ini setelah baginda عليه السلام diserang di khalayak ramai. Maka baginda عليه السلام berdoa supaya umatnya itu diazab dengan azab yang mereka sendiri dustakan. Mereka tidak percaya yang mereka boleh dikenakan dengan azab, maka baginda عليه السلام meminta supaya mereka dikenakan dengan azab.

Maka kalau kita diserang dalam media, di khalayak ramai, maka doa sahaja kepada Allah ﷻ. Dan kemudian serahkan kepada Allah ﷻ bagaimana Dia hendak buat.


 

Ayat 27:

فَأَوحَينا إِلَيهِ أَنِ اصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا فَإِذا جاءَ أَمرُنا وَفارَ التَّنّورُ ۙ فَاسلُك فيها مِن كُلٍّ زَوجَينِ اثنَينِ وَأَهلَكَ إِلّا مَن سَبَقَ عَلَيهِ القَولُ مِنهُم ۖ وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا ۖ إِنَّهُم مُّغرَقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We inspired to him, “Construct the ship under Our observation and Our inspiration, and when Our command comes and the oven overflows,¹ put into it [i.e., the ship] from each [creature] two mates and your family, except those for whom the decree [of destruction] has proceeded. And do not address Me concerning those who have wronged; indeed, they are to be drowned.

(MELAYU)

Lalu Kami wahyukan kepadanya: “Buatlah bahtera di bawah penilikan dan petunjuk Kami, maka apabila perintah Kami telah datang dan tanur telah memancarkan air, maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang dari tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu, kecuali orang yang telah lebih dahulu ditetapkan (akan ditimpa azab) di antara mereka. Dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim, kerana sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.

 

فَأَوحَينا إِلَيهِ أَنِ اصنَعِ الفُلكَ بِأَعيُنِنا وَوَحيِنا

Lalu Kami wahyukan kepadanya: “Buatlah bahtera di bawah penilikan dan petunjuk Kami, 

Maka Allah ﷻ menyuruh baginda membina bahtera. Tetapi bukanlah baginda keseorangan kerana Allah ﷻ mengajar bagaimana cara hendak membuat kapal. Allah ﷻ juga akan mengawasi pembuatan bahtera itu. Dan Allah ﷻ memberi ilham kepada baginda macam mana hendak membuatnya kerana Nabi Nuh عليه السلام tentu tidak dapat membuatnya sendiri.

Memang susah kalau hendak membuat kapal apatah lagi kalau tidak pernah melihatnya. Kerana sebelum itu tidak pernah ada kapal di mana-mana pun. Jadi bahtera Nabi Nuh itu adalah kapal pertama di dalam sejarah. Maka kalau Allah ﷻ tidak membantu dan memberi ilham, maka kapal itu tidak akan siap atau rosaklah kapal itu nanti kerana tidak tahan.

Tambahan pula ia akan berlayar di lautan yang luas kerana bumi keseluruhan akan banjir. Tiada tempat yang boleh mendarat waktu itu, maka kena kapal yang kuat dan tahan.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

فَإِذا جاءَ أَمرُنا وَفارَ التَّنّورُ

maka apabila perintah Kami telah datang dan tanur telah memancarkan air, 

Ini adalah apabila keputusan dari Allah ﷻ sudah sampai untuk membanjirkan dunia. Apabila التَّنّورُ (dapur) telah menggelegak dan air membuak keluar. Dapur yang dimaksudkan adalah tempat membakar roti (boleh lihat bagaimana Mamak membuat Roti Nan).

Cuma dapur umat Nabi Nuh  عليه السلام itu dibuat di dalam tanah. Dan apabila air sudah naik ke daratan, akan nampak dapur itu mengeluarkan air. Maknanya air sudah tinggi sampai sudah meresap dari dalam tanah dan sudah mula keluar.

 

Dapur masak roti

Juga ianya adalah perumpamaan yang digunakan apabila seseorang marah sangat macam air yang menggelegak. Seolah-olah kalau periuk ditutup dengan tudung pun akan keluar juga air yang menggelegak. Maka ini juga adalah isyarat yang Allah ﷻ telah marah kepada kaum Nabi Nuh  عليه السلام itu.

Ini kerana sudah lama Nabi Nuh  عليه السلام berdakwah kepada mereka tetapi mereka tetap menentang. Sudah cukup masa yang diberikan kepada mereka. Jadi sekarang tibalah masa untuk menghancurkan mereka pula.

Juga sebagai isyarat kepada masa yang Nabi Nuh  عليه السلام kena tengok. Kerana tempat tinggal mereka itu seperti dapur. Apabila air laut atau air dari bumi sudah naik dan sampai air masuk ke dalam dapur, maka masa untuk menaiki kapal sudah sampai. Jika tunggu lama lagi akan terlalu lambat kerana banjir sudah bermula.

 

فَاسلُك فيها مِن كُلٍّ زَوجَينِ اثنَينِ وَأَهلَكَ

maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang dari tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu, 

Maka masukkanlah siapa yang sepatutnya selamat ke dalamnya. Maksudnya kapal itu besar kerana tak pakai kalimah ‘atasnya’ tetapi digunakan ‘dalamnya’. Maknanya ada kawasan luas di dalam kapal itu. Ada bahagian-bahagian tertentu. Ada untuk manusia dan ada untuk binatang.

Dalam riwayat ada disebut baginda masukkan binatang dahulu. Ini adalah kerana pasangan binatang itu perlu kerana nanti akan dibiakkan. Kalau semua binatang mati dan tidak ada baka, nanti mereka nak makan apa?

 

إِلّا مَن سَبَقَ عَلَيهِ القَولُ مِنهُم

kecuali orang yang telah lebih dahulu ditetapkan di antara mereka. 

Tetapi ada dari ahli keluarga baginda sendiri yang tidak dibenarkan masuk. Kerana mereka telah ditetapkan akan menerima azab. Kerana mereka telah menentang ajaran Nabi Nuh عليه السلام. Yang kita tahu adalah isteri dan anak kandung baginda sendiri.

 

وَلا تُخٰطِبني فِي الَّذينَ ظَلَموا

Dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim,

Allah beritahu Nabi Nuh عليه السلام supaya jangan hendak bercakap tentang mereka yang akan dimusnahkan. Baginda tidak dibenarkan bertanya pun kenapa mereka tidak diselamatkan. Mereka telah ditetapkan akan dilemaskan. Tiada pintu taubat untuk mereka lagi.

Allah ﷻ menyebut tentang perkara ini kerana Nabi Nuh عليه السلام meminta untuk memasukkan anaknya ke dalam kapal. Ini kerana apabila hujan sudah lebat, timbullah kesedihan dan kesayangan di hati Nabi Nuh عليه السلام terhadap anaknya itu. Tetapi Allah ﷻ tidak membenarkan orang yang kafir untuk masuk.

 

إِنَّهُم مُّغرَقونَ

kerana sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.

Telah ditetapkan yang mereka akan dilemaskan di dalam banjir besar itu. Kalau Allah ﷻ  telah menetapkan, maka ianya pasti akan berlaku. Tidak ada patah balik lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 18 – 23 (Kelebihan Zaitun)

Ayat 18: Dalil aqli. Allah ﷻ menyuruh kita melihat alam ini.

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً بِقَدَرٍ فَأَسكَنّٰهُ فِي الأَرضِ ۖ وَإِنّا عَلىٰ ذَهابٍ بِهِ لَقٰدِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have sent down rain from the sky in a measured amount and settled it in the earth. And indeed, We are Able to take it away.

(MELAYU)

Dan Kami turunkan air dari langit menurut ukuran; lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.

 

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً بِقَدَرٍ

Dan Kami turunkan air dari langit menurut ukuran;

Allah ﷻ yang menurunkan air ke bumi dengan kadar yang tertentu – iaitu Allah ﷻ yang menentukan tanah mana layak mendapat banyak mana air dan semua ini Allah ﷻ kira dengan tepat sekali. Allah ﷻ akan memberi mengikut keperluan.

Ini penting kerana air kalau mengikut kadar, memang berguna; tapi kalau ia terlalu banyak, maka ia boleh menyebabkan kematian seperti banjir dan lemas.

Maka mana-mana tempat yang mendapat banyak atau sedikit air, tidak layak untuk kita persoalkan. Kita sahaja yang tidak nampak keperluan air di tempat itu. Allah ﷻ akan menentukan dengan tepat, tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.

Ada kaitan bahasa di dalam ayat ini dengan ayat-ayat tentang kejadian manusia sebelum ini. Sebelum ini telah disebut tentang air juga, iaitu ‘air mani’.  Titisan air mani menghamilkan seorang ibu dan sekarang disebut titisan air hujan ‘menghamilkan’ tanah.

 

فَأَسكَنّٰهُ فِي الأَرضِ

lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi,

Air yang datang dari titisan hujan itu Allah ﷻ kumpulkan menjadi mata air, sungai, laut dan juga tasik. Dengan dikumpulkan air itu di dalam bentuk takungan, ia dapat digunakan dengan lebih banyak lagi oleh manusia. Kerana sekiranya air hujan tidak ditakung, maka ia akan habis begitu sahaja. Memang tanah dan tumbuhan dapat menggunakannya tetapi binatang dan manusia susah pula hendak minum, bukan?

Maka apabila kita melihat takungan air seperti tasik dan mata air itu, maka teringatlah kita kepada ayat ini. Sedarlah kita bahawa Allah ﷻ yang mentakdirkan air itu bertakung di situ untuk kegunaan dan kemudahan kita. Kerana jika tidak, tentu susah kita hendak mengorek tanah mencari air. Atau kita kena sentiasa menadah air hujan pula. Ini tentunya amat menyusahkan.

Jadi Allah ﷻ bukan sahaja menurunkan air dengan melalui prosesnya tetapi Allah ﷻ juga menguruskan penyimpanan air dalam tanah. Dengan cara itu, kita sebagai makhluk dapat memanfaatkan penggunaan air itu.

Salah satu cara adalah Allah ﷻ menyimpan bekalan air itu sebagai salji di kutub utara dan selatan dan apabila perlu, akan dicairkan dan dialirkan ke tempat yang memerlukannya. Atau Allah ﷻ meletakkan di kawasan pergunungan yang akan dicairkan apabila diperlukan.

 

وَإِنّا عَلىٰ ذَهابٍ بِهِ لَقٰدِرونَ

dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.

Allah ﷻ yang menurunkan air itu dan mengumpulkannya di bumi. Kerana itu Allah ﷻ  mampu untuk menghilangkannya juga. Dan kerana itu ada kawasan-kawasan di bumi yang menjadi gersang tanpa air. Ini disebabkan kerana air tidak ditakung.

Atau sudah ada perigi, tasik dan mata air tetapi ianya Allah ﷻ keringkan. Ini terjadi ketika musim kemarau. Waktu itu terasalah susahnya hidup tanpa air. Waktu itu barulah sedar pada nikmat air. Maka bersyukurlah kepada Allah ﷻ kerana Dia mengumpulkan air supaya tidak masuk terus ke dalam tanah.

Allah ﷻ berbuat begitu kerana hendak memberi manusia bersyukur boleh menggunakan air. Dan ingatlah jika Allah ﷻ mahu, Allah ﷻ boleh sahaja menghilangkan air itu langsung tidak ada walau setitik pun. Maka kerana itu kita kena sedar yang hidup kita memang bergantung kepada Allah ﷻ.

Maka kalau tidak ada air kerana kemarau dan sebagainya maka hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ meminta air itu. Tidaklah patut kalau berdoa kepada selain Allah ﷻ kerana mereka tidak mampu hendak mendatangkan air.


 

Ayat 19: Allah ﷻ bukan sahaja menurunkan air tetapi Allah ﷻ juga yang menumbuhkan tanaman dengan adanya air itu.

فَأَنشَأنا لَكُم بِهِ جَنّٰتٍ مِن نَّخيلٍ وَأَعنٰبٍ لَّكُم فيها فَوٰكِهُ كَثيرَةٌ وَمِنها تَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We brought forth for you thereby gardens of palm trees and grapevines in which for you are abundant fruits and from which you eat.

(MELAYU)

Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur; di dalam kebun-kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian dari buah-buahan itu kamu makan,

 

فَأَنشَأنا لَكُم بِهِ جَنّٰتٍ مِن نَّخيلٍ وَأَعنٰبٍ لَّكُم

Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur;

Dengan air itu Allah ﷻ naikkan untuk kegunaan manusia, taman-taman dan kebun-kebun. Allah ﷻ menyebut makanan yang biasa bagi bangsa Arab iaitu kurma dan anggur. Kurma adalah makanan biasa sebagai makanan ruji mereka dan anggur pula adalah makanan mewah.

Kedua ini adalah contoh sahaja kerana tentunya ada banyak lagi tanaman lain yang Allah ﷻ tumbuhkan. Tetapi tentulah Allah ﷻ tidak menyebutkan semua jenis makanan dan tumbuhan kerana nanti pelik pula orang Arab.

 

فيها فَوٰكِهُ كَثيرَةٌ وَمِنها تَأكُلونَ

di dalam kebun-kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian dari buah-buahan itu kamu makan,

Dan dari kebun-kebun itu Allah ﷻ menjadikan buah-buahan untuk manusia. Dan kalimah فَوٰكِهُ yang digunakan adalah dari kalimah yang bermaksud ‘tersenyum’ kerana apabila manusia memakan buah-buahan itu, ianya sangat sedap sampaikan mereka tersenyum. Maka Allah ﷻ mengingatkan yang nikmat buahan itu adalah dari Allah ﷻ.

Ada banyak jenis buah-buahan di dalam dunia ini dan ada antaranya yang puak Arab itu dapat makan walaupun tempat mereka susah hendak tumbuh tanaman. Ini kerana segala buah-buahan itu dibawa ke sana dari tempat-tempat yang jauh. Itu pun nikmat dari Allah ﷻ juga.

Pada tanaman itu, ada yang dimakan oleh haiwan dan ada yang dimakan oleh kita. Walaupun binatang yang makan tetapi ia untuk kebaikan kita juga kerana kita pun akan makan sebahagian dari binatang-binatang itu.


 

Ayat 20: Allah ﷻ menyebut pula satu tumbuhan yang istimewa.

وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ تَنبُتُ بِالدُّهنِ وَصِبغٍ لِّلآكِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We brought forth] a tree issuing from Mount Sinai which produces oil and food [i.e., olives] for those who eat.

(MELAYU)

dan pohon kayu keluar dari Thursina (pohon zaitun), yang menghasilkan minyak, dan lauk-pauk bagi orang-orang yang makan.

 

وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ

dan pohon kayu keluar dari Thursina,

Ada muqaddar dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia juga lah yang menumbuhkan tanaman ini. Yang Allah ﷻ sebutkan di dalam ayat ini adalah pokok Zaitun. Dan nanti di dalam surah selepas ini (Surah Nur) akan disebut tentang kelebihan minyak zaitun. Buat masa ini Allah ﷻ cuma perkenalkan dahulu.

Bukit Thursina letaknya di Palestin. Kerana itu kita tahu yang buah yang dimaksudkan adalah buah Zaitun kerana tempat itu terkenal dengan buah Zaitun. Ada pendapat yang mengatakan pokok Zaitun adalah pokok yang pertama sekali tumbuh di Bukit Thursina selepas kejadian Banjir Besar Nabi Nuh عليه السلام.

 

تَنبُتُ بِالدُّهنِ

yang menghasilkan minyak, 

Dan pasti yang ianya adalah buah Zaitun kerana tumbuhan ini yang ada mengeluarkan minyak. Ianya adalah minyak makanan yang amat hebat. Antaranya, ia adalah minyak yang tiada kolesterol. Malah kalau hendak membuang kolesterol di dalam badan pun, elok amalkan makan minyak Zaitun dalam keadaan perut kosong.

Selain dari itu ia boleh menjadi kegunaan bermacam-macam. Sebagai contoh, ia juga boleh digunakan sebagai minyak rambut dan macam-macam lagi. Dan kerana kelebihan yang banyak itulah Allah ﷻ menyebut secara khusus. Masyarakat Arab memang menggunakan minyak Zaitun  di dalam kehidupan mereka maka Allah ﷻ hendak menyuruh mereka ingat nikmat besar yang telah diberikan kepada mereka.

 

وَصِبغٍ لِّلآكِلينَ

dan lauk-pauk bagi orang-orang yang makan.

Dari kalimah صِ ب غٍ yang bermaksud warna.  Dan cara mewarnakan adalah dengan mencelup. Maka ia juga digunakan untuk baju yang telah diwarnakan dengan mencelupnya di dalam “dye”.

Juga digunakan sebagai isyarat kepada roti yang dicelup ke dalam kuah. Dalam ayat ini ia memberi isyarat kepada minyak Zaitun kerana roti dicelup ke dalam minyak zaitun sebagai cicah.  Ia menjadi nikmat yang hebat. Nabi ﷺ pernah bersabda tentang Zaitun:

حَدَّثَنَا وَكِيع، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عِيسَى، عَنْ عَطَاءٍ الشَّامِيِّ، عَنْ أَبِي أسَيْد -وَاسْمُهُ مَالِكُ بْنُ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيُّ الْأَنْصَارِيِّ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كُلُوا الزَّيْتَ وَادَّهِنُوا بِهِ؛ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ”

telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Isa, dari Ata Asy-Syami dari Abu Usaid yang nama aslinya Malik ibnu Rabi’ah As-Sa’idi Al-Ansari رضي الله عنه yang mengatakan bahawa  Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Makanlah minyak zaitun dan jadikanlah sebagai minyak, kerana sesungguhnya buah zaitun itu berasal dari pohon yang diberkati.

Cicah roti dengan minyak zaitun

 

Ayat 21: Dalil aqli lagi. Sekarang Allah ﷻ menyuruh kita melihat kepada binatang pula.

وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعٰمِ لَعِبرَةً ۖ نُّسقيكُم مِّمّا في بُطونِها وَلَكُم فيها مَنٰفِعُ كَثيرَةٌ وَمِنها تَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, for you in livestock is a lesson. We give you drink from that which is in their bellies, and for you in them are numerous benefits, and from them you eat.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak, benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu, Kami memberi minum kamu dari air susu yang ada dalam perutnya, dan (juga) pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, dan sebahagian daripadanya kamu makan,

 

وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعٰمِ لَعِبرَةً

Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak, benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu,

Kejadian dan nikmat binatang ternak menjadi pengajaran kepada kita. Kalimah عِبرَةً bermaksud sesuatu nasihat yang menyentuh kita sampai boleh menyebabkan menangis. Maka kita kena ambil pengajaran dari mereka.

 

نُّسقيكُم مِّمّا في بُطونِها

Kami memberi minum kamu dari air susu yang ada dalam perutnya, 

Yang dimaksudkan adalah susu dari perut binatang yang mengeluarkan susu seperti lembu, kambing dan sebagainya. Macam mana boleh keluar susu putih  di antara proses darah dan tahi yang ada di dalam perut binatang itu? Kalau kita sembelih lembu cari susu itu tidak akan jumpa.

Hebatnya penciptaan Allah ﷻ. Semua ini diberikan kepada kita untuk kita nikmati.

 

وَلَكُم فيها مَنٰفِعُ كَثيرَةٌ

dan (juga) pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, 

Ada banyak faedah lain lagi daripada binatang itu dan bukan susu sahaja. Kulit lembu sebagai contoh boleh dijadikan sebagai khemah. Dan banyak lagi kegunaan binatang yang berjenis-jenis itu sampaikan tidak mampu kita hendak menulisnya. Semuanya adalah dari nikmat Allah ﷻ kepada kita.

 

وَمِنها تَأكُلونَ

dan sebahagian daripadanya kamu makan,

Ada binatang yang boleh dimakan juga. Dan ada yang tidak boleh dimakan.

Daging adalah sumber protein yang amat bagus. Kerana itulah penternakan binatang adalah satu pekerjaan yang amat baik kerana manusia memerlukan sumber protein ini untuk kehidupan.

Dan setiap Nabi ‎ pernah menjadi penggembala untuk melatih mereka ‘menggembala’ umat mereka.


 

Ayat 22:

وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And upon them and on ships you are carried.

(MELAYU)

dan di atas punggung binatang-binatang ternak itu dan (juga) di atas perahu-perahu kamu diangkut.

 

Dan Allah ﷻ menundukkan binatang-binatang itu sehingga kita boleh naik ke atas belakangnya. Ini boleh dilihat kepada binatang seperti kuda dan unta. Binatang itu dijadikan kenderaan untuk membolehkan manusia bergerak dan mengembara ke tempat yang jauh.

Dan dengannya dapat membawa barangan yang berat yang manusia tidak mampu hendak mengangkatnya sendiri.  Sebagaimana Allah ﷻ menyebut di dalam ayat lain:

{وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَى بَلَدٍ لَمْ تَكُونُوا بَالِغِيهِ إِلا بِشِقِّ الأنْفُسِ إِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ}

Dan ia memikul beban-beban kalian ke suatu negeri yang kalian tidak sanggup sampai kepadanya, melainkan dengan kesukaran-kesukaran (yang memayahkan) diri. Sesungguhnya Tuhan kalian benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, (An-Nahl: 7)

Dan hebatnya kenderaan yang Allah ﷻ jadikan, boleh dimakan. Kalau kenderaan yang kita buat tidak boleh dimakan, contohnya kereta tidak boleh dimakan. Tetapi alat pengangkutan yang Allah ﷻ jadikan, boleh dimakan.

Dan firman Allah ﷻ yang mengatakan:

{أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَامًا فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ. وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ. وَلَهُمْ فِيهَا مَنَافِعُ وَمَشَارِبُ أَفَلا يَشْكُرُونَ}

Dan apakah mereka tidak melihat bahawa  sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternak untuk mereka, iaitu sebahagian dari apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya? Dan Kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka, maka sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebahagiannya mereka makan. Dan mereka memperolehi padanya manfaat-manfaat dan minuman. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur. (Yasin: 71-73)

Kalau kuda dan unta dijadikan kenderaan di daratan, di lautan pula Allah ﷻ jadikan bahtera dan kapal sebagai kenderaan.


 

Ayat 23: Dari ayat ini sehingga ke ayat 31 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi pengajaran dari kebinasaan Kaum Nabi Nuh.

Ayat ini mengandungi Dalil Naqli yang pertama dalam surah ini. Selepas disentuh tentang kenderaan bahtera di lautan, Allah ﷻ kenangkan kisah Nabi Nuh عليه السلام kepada kita pula. Kerana bahtera itu amat rapat dengan kisah baginda عليه السلام.

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly sent Noah to his people, and he said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him; then will you not fear Him?”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh عليه السلام kepada kaumnya, lalu dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah oleh kamu Allah ﷻ, (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”

 

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya,

Selepas disebut tentang pengangkutan kapal, sekarang disebut pula tentang Nabi Nuh عليه السلام kerana akan disebut nanti yang baginda akan menaiki kapal. Baginda عليه السلام diutus kepada kaumnya. Lama baginda عليه السلام  berdakwah kepada kaumnya dan ini banyak disebut dalam Surah Nuh.

 

فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللهَ

lalu dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah,

Nabi Nuh عليه السلام mengajar tentang tauhid kepada kaum baginda. Inilah perkara yang paling penting diajar oleh baginda. Memang ada banyak lagi perkara lain yang diajar oleh baginda tetapi Allah  ﷻ menekankan perkara yang paling penting.

Peringatan ini adalah untuk kita juga. Tadi telah disebut tentang segala benda yang Allah ﷻ telah buat untuk kita. Maka kalau Allah ﷻ sahaja yang membuat semua perkara itu, kenapa tidak menyembah dan menyeru hanya kepada Dia sahaja?

 

ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

sekali-kali tidak ada ilah bagimu selain Dia. 

Nabi Nuh عليه السلام mengajar sebagaimana yang diajar oleh para Nabi dan Rasul yang lain. Yang paling utama: Tidak ada ilah selain Allah ﷻ.

Ilah adalah tempat sandaran hati, tempat kita berdoa dan mengharapkan bantuan. Ini hanya boleh diharapkan kepada Allah ﷻ sahaja. Kena faham apakah maksud ilah baru tauhid kita akan kemas.

 

أَفَلا تَتَّقونَ

Maka mengapa kamu tidak bertakwa?”

Maka kenapakah tidak taqwa kepada Allah ﷻ sahaja? Kenapa tidak berharap kepada Allah ﷻ sahaja? Kenapa kamu tidak takut kepada Allah ﷻ? Adakah kamu rasa selamat?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani