Tafsir Surah Mukminoon Ayat 18 – 23 (Kelebihan Zaitun)

Ayat 18: Dalil aqli. Allah ﷻ menyuruh kita melihat alam ini.

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً بِقَدَرٍ فَأَسكَنّٰهُ فِي الأَرضِ ۖ وَإِنّا عَلىٰ ذَهابٍ بِهِ لَقٰدِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have sent down rain from the sky in a measured amount and settled it in the earth. And indeed, We are Able to take it away.

(MELAYU)

Dan Kami turunkan air dari langit menurut ukuran; lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.

 

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً بِقَدَرٍ

Dan Kami turunkan air dari langit menurut ukuran;

Allah ﷻ yang menurunkan air ke bumi dengan kadar yang tertentu – iaitu Allah ﷻ yang menentukan tanah mana layak mendapat banyak mana air dan semua ini Allah ﷻ kira dengan tepat sekali. Allah ﷻ akan memberi mengikut keperluan.

Ini penting kerana air kalau mengikut kadar, memang berguna; tapi kalau ia terlalu banyak, maka ia boleh menyebabkan kematian seperti banjir dan lemas.

Maka mana-mana tempat yang mendapat banyak atau sedikit air, tidak layak untuk kita persoalkan. Kita sahaja yang tidak nampak keperluan air di tempat itu. Allah ﷻ akan menentukan dengan tepat, tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.

Ada kaitan bahasa di dalam ayat ini dengan ayat-ayat tentang kejadian manusia sebelum ini. Sebelum ini telah disebut tentang air juga, iaitu ‘air mani’.  Titisan air mani menghamilkan seorang ibu dan sekarang disebut titisan air hujan ‘menghamilkan’ tanah.

 

فَأَسكَنّٰهُ فِي الأَرضِ

lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi,

Air yang datang dari titisan hujan itu Allah ﷻ kumpulkan menjadi mata air, sungai, laut dan juga tasik. Dengan dikumpulkan air itu di dalam bentuk takungan, ia dapat digunakan dengan lebih banyak lagi oleh manusia. Kerana sekiranya air hujan tidak ditakung, maka ia akan habis begitu sahaja. Memang tanah dan tumbuhan dapat menggunakannya tetapi binatang dan manusia susah pula hendak minum, bukan?

Maka apabila kita melihat takungan air seperti tasik dan mata air itu, maka teringatlah kita kepada ayat ini. Sedarlah kita bahawa Allah ﷻ yang mentakdirkan air itu bertakung di situ untuk kegunaan dan kemudahan kita. Kerana jika tidak, tentu susah kita hendak mengorek tanah mencari air. Atau kita kena sentiasa menadah air hujan pula. Ini tentunya amat menyusahkan.

Jadi Allah ﷻ bukan sahaja menurunkan air dengan melalui prosesnya tetapi Allah ﷻ juga menguruskan penyimpanan air dalam tanah. Dengan cara itu, kita sebagai makhluk dapat memanfaatkan penggunaan air itu.

Salah satu cara adalah Allah ﷻ menyimpan bekalan air itu sebagai salji di kutub utara dan selatan dan apabila perlu, akan dicairkan dan dialirkan ke tempat yang memerlukannya. Atau Allah ﷻ meletakkan di kawasan pergunungan yang akan dicairkan apabila diperlukan.

 

وَإِنّا عَلىٰ ذَهابٍ بِهِ لَقٰدِرونَ

dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.

Allah ﷻ yang menurunkan air itu dan mengumpulkannya di bumi. Kerana itu Allah ﷻ  mampu untuk menghilangkannya juga. Dan kerana itu ada kawasan-kawasan di bumi yang menjadi gersang tanpa air. Ini disebabkan kerana air tidak ditakung.

Atau sudah ada perigi, tasik dan mata air tetapi ianya Allah ﷻ keringkan. Ini terjadi ketika musim kemarau. Waktu itu terasalah susahnya hidup tanpa air. Waktu itu barulah sedar pada nikmat air. Maka bersyukurlah kepada Allah ﷻ kerana Dia mengumpulkan air supaya tidak masuk terus ke dalam tanah.

Allah ﷻ berbuat begitu kerana hendak memberi manusia bersyukur boleh menggunakan air. Dan ingatlah jika Allah ﷻ mahu, Allah ﷻ boleh sahaja menghilangkan air itu langsung tidak ada walau setitik pun. Maka kerana itu kita kena sedar yang hidup kita memang bergantung kepada Allah ﷻ.

Maka kalau tidak ada air kerana kemarau dan sebagainya maka hendaklah berdoa kepada Allah ﷻ meminta air itu. Tidaklah patut kalau berdoa kepada selain Allah ﷻ kerana mereka tidak mampu hendak mendatangkan air.


 

Ayat 19: Allah ﷻ bukan sahaja menurunkan air tetapi Allah ﷻ juga yang menumbuhkan tanaman dengan adanya air itu.

فَأَنشَأنا لَكُم بِهِ جَنّٰتٍ مِن نَّخيلٍ وَأَعنٰبٍ لَّكُم فيها فَوٰكِهُ كَثيرَةٌ وَمِنها تَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We brought forth for you thereby gardens of palm trees and grapevines in which for you are abundant fruits and from which you eat.

(MELAYU)

Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur; di dalam kebun-kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian dari buah-buahan itu kamu makan,

 

فَأَنشَأنا لَكُم بِهِ جَنّٰتٍ مِن نَّخيلٍ وَأَعنٰبٍ لَّكُم

Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur;

Dengan air itu Allah ﷻ naikkan untuk kegunaan manusia, taman-taman dan kebun-kebun. Allah ﷻ menyebut makanan yang biasa bagi bangsa Arab iaitu kurma dan anggur. Kurma adalah makanan biasa sebagai makanan ruji mereka dan anggur pula adalah makanan mewah.

Kedua ini adalah contoh sahaja kerana tentunya ada banyak lagi tanaman lain yang Allah ﷻ tumbuhkan. Tetapi tentulah Allah ﷻ tidak menyebutkan semua jenis makanan dan tumbuhan kerana nanti pelik pula orang Arab.

 

فيها فَوٰكِهُ كَثيرَةٌ وَمِنها تَأكُلونَ

di dalam kebun-kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian dari buah-buahan itu kamu makan,

Dan dari kebun-kebun itu Allah ﷻ menjadikan buah-buahan untuk manusia. Dan kalimah فَوٰكِهُ yang digunakan adalah dari kalimah yang bermaksud ‘tersenyum’ kerana apabila manusia memakan buah-buahan itu, ianya sangat sedap sampaikan mereka tersenyum. Maka Allah ﷻ mengingatkan yang nikmat buahan itu adalah dari Allah ﷻ.

Ada banyak jenis buah-buahan di dalam dunia ini dan ada antaranya yang puak Arab itu dapat makan walaupun tempat mereka susah hendak tumbuh tanaman. Ini kerana segala buah-buahan itu dibawa ke sana dari tempat-tempat yang jauh. Itu pun nikmat dari Allah ﷻ juga.

Pada tanaman itu, ada yang dimakan oleh haiwan dan ada yang dimakan oleh kita. Walaupun binatang yang makan tetapi ia untuk kebaikan kita juga kerana kita pun akan makan sebahagian dari binatang-binatang itu.


 

Ayat 20: Allah ﷻ menyebut pula satu tumbuhan yang istimewa.

وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ تَنبُتُ بِالدُّهنِ وَصِبغٍ لِّلآكِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We brought forth] a tree issuing from Mount Sinai which produces oil and food [i.e., olives] for those who eat.

(MELAYU)

dan pohon kayu keluar dari Thursina (pohon zaitun), yang menghasilkan minyak, dan lauk-pauk bagi orang-orang yang makan.

 

وَشَجَرَةً تَخرُجُ مِن طورِ سَيناءَ

dan pohon kayu keluar dari Thursina,

Ada muqaddar dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia juga lah yang menumbuhkan tanaman ini. Yang Allah ﷻ sebutkan di dalam ayat ini adalah pokok Zaitun. Dan nanti di dalam surah selepas ini (Surah Nur) akan disebut tentang kelebihan minyak zaitun. Buat masa ini Allah ﷻ cuma perkenalkan dahulu.

Bukit Thursina letaknya di Palestin. Kerana itu kita tahu yang buah yang dimaksudkan adalah buah Zaitun kerana tempat itu terkenal dengan buah Zaitun. Ada pendapat yang mengatakan pokok Zaitun adalah pokok yang pertama sekali tumbuh di Bukit Thursina selepas kejadian Banjir Besar Nabi Nuh عليه السلام.

 

تَنبُتُ بِالدُّهنِ

yang menghasilkan minyak, 

Dan pasti yang ianya adalah buah Zaitun kerana tumbuhan ini yang ada mengeluarkan minyak. Ianya adalah minyak makanan yang amat hebat. Antaranya, ia adalah minyak yang tiada kolesterol. Malah kalau hendak membuang kolesterol di dalam badan pun, elok amalkan makan minyak Zaitun dalam keadaan perut kosong.

Selain dari itu ia boleh menjadi kegunaan bermacam-macam. Sebagai contoh, ia juga boleh digunakan sebagai minyak rambut dan macam-macam lagi. Dan kerana kelebihan yang banyak itulah Allah ﷻ menyebut secara khusus. Masyarakat Arab memang menggunakan minyak Zaitun  di dalam kehidupan mereka maka Allah ﷻ hendak menyuruh mereka ingat nikmat besar yang telah diberikan kepada mereka.

 

وَصِبغٍ لِّلآكِلينَ

dan lauk-pauk bagi orang-orang yang makan.

Dari kalimah صِ ب غٍ yang bermaksud warna.  Dan cara mewarnakan adalah dengan mencelup. Maka ia juga digunakan untuk baju yang telah diwarnakan dengan mencelupnya di dalam “dye”.

Juga digunakan sebagai isyarat kepada roti yang dicelup ke dalam kuah. Dalam ayat ini ia memberi isyarat kepada minyak Zaitun kerana roti dicelup ke dalam minyak zaitun sebagai cicah.  Ia menjadi nikmat yang hebat. Nabi ﷺ pernah bersabda tentang Zaitun:

حَدَّثَنَا وَكِيع، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عِيسَى، عَنْ عَطَاءٍ الشَّامِيِّ، عَنْ أَبِي أسَيْد -وَاسْمُهُ مَالِكُ بْنُ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيُّ الْأَنْصَارِيِّ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كُلُوا الزَّيْتَ وَادَّهِنُوا بِهِ؛ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ”

telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Isa, dari Ata Asy-Syami dari Abu Usaid yang nama aslinya Malik ibnu Rabi’ah As-Sa’idi Al-Ansari رضي الله عنه yang mengatakan bahawa  Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Makanlah minyak zaitun dan jadikanlah sebagai minyak, kerana sesungguhnya buah zaitun itu berasal dari pohon yang diberkati.

Cicah roti dengan minyak zaitun

 

Ayat 21: Dalil aqli lagi. Sekarang Allah ﷻ menyuruh kita melihat kepada binatang pula.

وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعٰمِ لَعِبرَةً ۖ نُّسقيكُم مِّمّا في بُطونِها وَلَكُم فيها مَنٰفِعُ كَثيرَةٌ وَمِنها تَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, for you in livestock is a lesson. We give you drink from that which is in their bellies, and for you in them are numerous benefits, and from them you eat.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak, benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu, Kami memberi minum kamu dari air susu yang ada dalam perutnya, dan (juga) pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, dan sebahagian daripadanya kamu makan,

 

وَإِنَّ لَكُم فِي الأَنعٰمِ لَعِبرَةً

Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak, benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu,

Kejadian dan nikmat binatang ternak menjadi pengajaran kepada kita. Kalimah عِبرَةً bermaksud sesuatu nasihat yang menyentuh kita sampai boleh menyebabkan menangis. Maka kita kena ambil pengajaran dari mereka.

 

نُّسقيكُم مِّمّا في بُطونِها

Kami memberi minum kamu dari air susu yang ada dalam perutnya, 

Yang dimaksudkan adalah susu dari perut binatang yang mengeluarkan susu seperti lembu, kambing dan sebagainya. Macam mana boleh keluar susu putih  di antara proses darah dan tahi yang ada di dalam perut binatang itu? Kalau kita sembelih lembu cari susu itu tidak akan jumpa.

Hebatnya penciptaan Allah ﷻ. Semua ini diberikan kepada kita untuk kita nikmati.

 

وَلَكُم فيها مَنٰفِعُ كَثيرَةٌ

dan (juga) pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, 

Ada banyak faedah lain lagi daripada binatang itu dan bukan susu sahaja. Kulit lembu sebagai contoh boleh dijadikan sebagai khemah. Dan banyak lagi kegunaan binatang yang berjenis-jenis itu sampaikan tidak mampu kita hendak menulisnya. Semuanya adalah dari nikmat Allah ﷻ kepada kita.

 

وَمِنها تَأكُلونَ

dan sebahagian daripadanya kamu makan,

Ada binatang yang boleh dimakan juga. Dan ada yang tidak boleh dimakan.

Daging adalah sumber protein yang amat bagus. Kerana itulah penternakan binatang adalah satu pekerjaan yang amat baik kerana manusia memerlukan sumber protein ini untuk kehidupan.

Dan setiap Nabi ‎ pernah menjadi penggembala untuk melatih mereka ‘menggembala’ umat mereka.


 

Ayat 22:

وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And upon them and on ships you are carried.

(MELAYU)

dan di atas punggung binatang-binatang ternak itu dan (juga) di atas perahu-perahu kamu diangkut.

 

Dan Allah ﷻ menundukkan binatang-binatang itu sehingga kita boleh naik ke atas belakangnya. Ini boleh dilihat kepada binatang seperti kuda dan unta. Binatang itu dijadikan kenderaan untuk membolehkan manusia bergerak dan mengembara ke tempat yang jauh.

Dan dengannya dapat membawa barangan yang berat yang manusia tidak mampu hendak mengangkatnya sendiri.  Sebagaimana Allah ﷻ menyebut di dalam ayat lain:

{وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَى بَلَدٍ لَمْ تَكُونُوا بَالِغِيهِ إِلا بِشِقِّ الأنْفُسِ إِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ}

Dan ia memikul beban-beban kalian ke suatu negeri yang kalian tidak sanggup sampai kepadanya, melainkan dengan kesukaran-kesukaran (yang memayahkan) diri. Sesungguhnya Tuhan kalian benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, (An-Nahl: 7)

Dan hebatnya kenderaan yang Allah ﷻ jadikan, boleh dimakan. Kalau kenderaan yang kita buat tidak boleh dimakan, contohnya kereta tidak boleh dimakan. Tetapi alat pengangkutan yang Allah ﷻ jadikan, boleh dimakan.

Dan firman Allah ﷻ yang mengatakan:

{أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَامًا فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ. وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ. وَلَهُمْ فِيهَا مَنَافِعُ وَمَشَارِبُ أَفَلا يَشْكُرُونَ}

Dan apakah mereka tidak melihat bahawa  sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternak untuk mereka, iaitu sebahagian dari apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya? Dan Kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka, maka sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebahagiannya mereka makan. Dan mereka memperolehi padanya manfaat-manfaat dan minuman. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur. (Yasin: 71-73)

Kalau kuda dan unta dijadikan kenderaan di daratan, di lautan pula Allah ﷻ jadikan bahtera dan kapal sebagai kenderaan.


 

Ayat 23: Dari ayat ini sehingga ke ayat 31 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi pengajaran dari kebinasaan Kaum Nabi Nuh.

Ayat ini mengandungi Dalil Naqli yang pertama dalam surah ini. Selepas disentuh tentang kenderaan bahtera di lautan, Allah ﷻ kenangkan kisah Nabi Nuh عليه السلام kepada kita pula. Kerana bahtera itu amat rapat dengan kisah baginda عليه السلام.

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly sent Noah to his people, and he said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him; then will you not fear Him?”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh عليه السلام kepada kaumnya, lalu dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah oleh kamu Allah ﷻ, (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”

 

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya,

Selepas disebut tentang pengangkutan kapal, sekarang disebut pula tentang Nabi Nuh عليه السلام kerana akan disebut nanti yang baginda akan menaiki kapal. Baginda عليه السلام diutus kepada kaumnya. Lama baginda عليه السلام  berdakwah kepada kaumnya dan ini banyak disebut dalam Surah Nuh.

 

فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللهَ

lalu dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah,

Nabi Nuh عليه السلام mengajar tentang tauhid kepada kaum baginda. Inilah perkara yang paling penting diajar oleh baginda. Memang ada banyak lagi perkara lain yang diajar oleh baginda tetapi Allah  ﷻ menekankan perkara yang paling penting.

Peringatan ini adalah untuk kita juga. Tadi telah disebut tentang segala benda yang Allah ﷻ telah buat untuk kita. Maka kalau Allah ﷻ sahaja yang membuat semua perkara itu, kenapa tidak menyembah dan menyeru hanya kepada Dia sahaja?

 

ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

sekali-kali tidak ada ilah bagimu selain Dia. 

Nabi Nuh عليه السلام mengajar sebagaimana yang diajar oleh para Nabi dan Rasul yang lain. Yang paling utama: Tidak ada ilah selain Allah ﷻ.

Ilah adalah tempat sandaran hati, tempat kita berdoa dan mengharapkan bantuan. Ini hanya boleh diharapkan kepada Allah ﷻ sahaja. Kena faham apakah maksud ilah baru tauhid kita akan kemas.

 

أَفَلا تَتَّقونَ

Maka mengapa kamu tidak bertakwa?”

Maka kenapakah tidak taqwa kepada Allah ﷻ sahaja? Kenapa tidak berharap kepada Allah ﷻ sahaja? Kenapa kamu tidak takut kepada Allah ﷻ? Adakah kamu rasa selamat?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 12 – 17 (Proses penciptaan manusia)

Ayat 12: Dari ayat ini sehingga ke ayat 22 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi dalil-dalil Tauhid.

Ayat 12 ini mengandungi Dalil Aqli yang pertama. Allah ﷻ menceritakan kejadian manusia. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah dianjurkan untuk berbuat baik dan taat kepada Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang kehebatanNya dan tentang proses kejadian manusia. Kalau Allah ﷻ yang menjadikan kita, maka tentulah kita kena taat kepadaNya. Kenapa lagi hendak berdegil?

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن سُلٰلَةٍ مِّن طينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And certainly did We create man from an extract of clay.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah.

 

Kalimah سُلالَةٍ berasal dari kata dasar س ل ل yang boleh digunakan untuk perbuatan menarik pedang dari sarungnya. Iaitu mengambil sesuatu dari sumber asal; dan juga digunakan seperti kita memerah buah-buahan. Jadi ia bermaksud pati buah-buahan itu.

Kalimah طينٍ pula bermaksud tanah yang basah, atau tanah liat. Jadi ayat ini bermaksud manusia diambil dari bahagian tanah yang baik. Ia bermaksud kejadian Nabi Adam عليه السلام yang diambil dari berbagai jenis tanah dari dunia.

Oleh kerana asal bapa kita berasal dari tanah, maka sifat manusia pun ada dari sifat-sifat tanah juga. Ada yang keras dan ada yang lembut. Maka kalau ada sifat dari yang tanah keras, maka sifat manusia itu pun ada yang keras sedikit. Jadi ini biasa sahaja.

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا عَوْف، حَدَّثَنَا قَسَامة بْنُ زُهَيْر، عَنْ أَبِي مُوسَى، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ آدَمَ مِنْ قَبْضَةٍ قَبَضَهَا مِنْ جَمِيعِ الْأَرْضِ، فَجَاءَ بَنُو آدَمَ عَلَى قَدْر الْأَرْضِ، جَاءَ مِنْهُمُ الْأَحْمَرُ وَالْأَسْوَدُ وَالْأَبْيَضُ، وَبَيْنَ ذَلِكَ، وَالْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ، وَبَيْنَ ذَلِكَ”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Auf, telah menceritakan kepada kami Usamah ibnu Zuhair, dari Abu Musa, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda: Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari segenggam tanah yang diambil dari seluruh bumi, maka Bani Adam muncul sesuai dengan tabiat tanah; di antara mereka ada yang berkulit merah, ada yang berkulit putih, ada yang berkulit hitam, serta ada yang campuran di antara warna-warna tersebut; dan ada yang buruk ada yang baik, ada pula yang campuran di antara baik dan buruk.

Abu Daud dan Turmuzi telah meriwayatkannya melalui berbagai jalur dari Auf Al-A’rabi dengan lafaz yang semisal dan sanad yang sama. Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih.

Dan kita sebagai manusia yang dijadikan dari tanah, maka sumber makanan kita pun dari tanah juga. Kerana itu makanan kita diambil dari pokok-pokok yang tumbuhnya di tanah.


 

Ayat 13: Nabi Adam عليه السلام dijadikan dari tanah, dan kita pula keturunannya dijadikan dari air mani. Tidaklah kita dijadikan dari tanah juga. Cuma kita ada kesan-kesan dari tanah juga.

ثُمَّ جَعَلنٰهُ نُطفَةً في قَرارٍ مَّكينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We placed him as a sperm-drop¹ in a firm lodging [i.e., the womb].

  • Or “as a zygote.”

(MELAYU)

Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim).

 

Ini berkenaan zuriat keturunan Nabi Adam عليه السلام seterusnya. Kita tidaklah dijadikan dari tanah seperti baginda tetapi kita dijadikan dari air mani. Lebih tepat lagi kita dijadikan dari sperma yang ada di dalam air mani itu.

Ini sama halnya dengan apa yang terdapat di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَبَدَأَ خَلْقَ الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ * ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلالَةٍ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ}

dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). (As-Sajdah: 7-8)

Tetapi kita masih lagi ada kesan-kesan dari tanah juga. Sebab itulah kita mengikut sifat bapa dan ibu kita juga, dimana sifat mereka akan membawa kepada anak. Jadi kita masih lagi ada kesan kejadian Nabi Adam عليه السلام. Antaranya, Nabi Adam itu pelupa dan kita anak cucunya pun begitu juga.

Sekarang Allah ﷻ menceritakan bagaimana titisan air mani (iaitu sperma) itu diletakkan di dalam rahim ibu yang kukuh. Dan memang rahim ibu itu amat hebat kerana dapat menjaga pembesaran seorang manusia selama 9 bulan. Sudahlah begitu, kadang-kadang lebih dari satu anak ada di dalamnya dan berkali-kali boleh melahirkan anak.

Maka kerana itu Allah ﷻ memberitahu yang Dia menjadikan rahim ibu itu sebagai sesuatu yang kukuh dan hebat. Sama dengan yang disebutkan oleh firman-Nya:

{أَلَمْ نَخْلُقْكُمْ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ. فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَكِينٍ}

Bukankah Kami menciptakan kalian dari air yang hina, kemudian Kami letakkan dia dalam tempat yang kukuh (rahim). (Al-Mursalat: 20-21)

Kukuh tidak kukuh rahim itu, bayangkan bagaimana walaupun pada permulaan kehamilan itu seorang ibu tidak tahu yang dia telah hamil, dan dia telah bergerak ke sana dan ke sini tetapi proses kejadian anak itu di dalam rahimnya itu telah bermula dan janin itu tetap kukuh di dalam rahimnya.

Rahim itu teguh dengan penjagaan Allah ﷻ. Kalau bukan Allah ﷻ yang mentakdirkan dia selamat, takkan dia selamat. Semua ini dalam rahmat Allah ﷻ. Maka hendaklah kita bersyukur di atas segala rahmat Allah ﷻ ke atas diri kita.


 

Ayat 14: Allah ﷻ menyambung menceritakan kejadian manusia di dalam rahim ibunya.

ثُمَّ خَلَقنَا النُّطفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقنَا العَلَقَةَ مُضغَةً فَخَلَقنَا المُضغَةَ عِظٰمًا فَكَسَونَا العِظامَ لَحمًا ثُمَّ أَنشَأنٰهُ خَلقًا آخَرَ ۚ فَتَبارَكَ اللهُ أَحسَنُ الخٰلِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We made the sperm-drop into a clinging clot, and We made the clot into a lump [of flesh], and We made [from] the lump, bones, and We covered the bones with flesh; then We developed him into another creation. So blessed is Allāh, the best of creators.¹

  • i.e., the most skillful and only true Creator.

(MELAYU)

Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Berkat Allah, Pencipta Yang Paling Baik.

 

ثُمَّ خَلَقنَا النُّطفَةَ عَلَقَةً

Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah,

Kalimah عَلَقَةً adalah sesuatu yang tergantung dan begitulah yang terjadi pada zigot di dalam tubuh ibu. Iaitu dalam proses kejadian manusia, ia menjadi bentuk seperti lintah yang melekat di dinding rahim ibunya.

proses kejadian manusia dalam Qur’an

Kalau dulu para pentafsir menyangka bahawa kalimah عَلَقَةً ini bermaksud ‘gumpalan darah’ tetapi ini tidak tepat kerana kalimah itu bermaksud sesuatu yang tergantung, dan hanya apabila kita dapat melihat apa yang terjadi di dalam rahim ibu baharu kita tahu bahawa memang ianya tergantung. Ianya seperti lintah yang melekat kepada tubuh manusia.

Bentuk zigot yang seperti lintah

 

فَخَلَقنَا العَلَقَةَ مُضغَةً

lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, 

Kalimah مُضغَةً adalah sesuatu yang digigit. Kerana itu  kalau kita lihat “chewing gum” kita boleh melihat kesan digigit. Begitulah rupa gumpalan daging janin itu.

bentuk mudghah

Kalau diperhatikan dengan teliti, proses kejadian manusia ini tidak menggunakan kalimah yang sama. Ada kalanya menggunakan kalimah ثُمَّ dan kemudian ada yang menggunakan huruf ف seperti dalam potongan ayat ini.

Dari segi bahasa Arab, kalau ثُمَّ, ia menandakan yang proses itu mengambil masa yang lama dan kalau pakai huruf ف ia menandakan proses yang cepat, iaitu berterusan dari satu proses ke proses yang seterusnya. Inilah satu lagi ketepatan bahasa yang digunakan di dalam Qur’an.

Jadi dari سُلٰلَةٍ مِّن طينٍ (tanah) menjadi ثُمَّ جَعَلنٰهُ نُطفَةً (sperma) menggunakan kalimah ثُمَّ kerana proses menjadikan sperma mengambil masa. Makanan yang kita makan dari sumber tanah akan diproses di dalam tubuh kita dan antara elemen yang diproses adalah air mani atau sperma.

Kemudian proses menjadi zigot dari sperma yang bercantum dengan telur ibu juga mengambil masa dan kerana itu kalimah ثُمَّ digunakan sekali lagi. Ini disebut di dalam kalimat ثُمَّ خَلَقنَا النُّطفَةَ عَلَقَةً.

 

فَخَلَقنَا المُضغَةَ عِظٰمًا

dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang,

Huruf ف digunakan dalam ayat ini menunjukkan prosesnya lebih cepat. Dari daging itu mula dibentuk tulang belulang dan tulang yang awal itu dinamakan “cartilege”.

 

فَكَسَونَا العِظامَ لَحمًا

lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. 

Kalimah ك س و bermaksud memakaikan baju. Maknanya, kemudian tulang itu dipakaikan dengan daging-daging dan otot-otot.

 

ثُمَّ أَنشَأنٰهُ خَلقًا آخَرَ

Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang lain.

Kalimah ثُمَّ menunjukkan masa kejadian atau proses yang lama. Dan kemudian huruf ف digunakan apabila proses itu cepat atau berterusan sahaja. Dan setiap darinya adalah 40 hari. Maknanya masa peralihan dari satu kejadian ke satu kejadian yang lain itu mengambil masa 40 hari. Dan kerana pemasukan roh ke dalam tubuh manusia itu adalah proses yang lama, maka kalimah ثُمَّ digunakan sekali lagi di dalam potongan ayat ini.

Roh yang dimasukkan ke dalam tubuh manusia ini bukanlah baru dijadikan tetapi roh kita sudah lama ada sebelum tubuh kita dijadikan lagi. Cuma hendak dimasukkan sahaja ke dalam tubuh badan kita yang fizikal.

Kalau kita hendak ringkaskan kejadian manusia di dalam perut ibunya, kita boleh senaraikan 7 peringkat dari ayat ini:

1. سُلٰلَةٍ مِّن طينٍ (tanah)
2. نُطفَةً (sperma)
3. عَلَقَةً (zigot)
4. المُضغَةَ (gumpalan daging)
5. العِظامَ (tulang)
6. فَكَسَونَا العِظامَ لَحمًا (tulang dibalut dengan daging)
7. Roh ditiupkan ke dalam janin menjadi makhluk lain.

Dan ‘makhluk yang lain’ ini bermaksud apabila roh ditiupkan, maka janin itu menjadi sesuatu yang baharu. Ia sudah menjadi makhluk yang baharu dan kerana itu digunakan kalimah أَنشَأناهُ kerana ia menjadi sesuatu yang lain.

Ia lain kerana sekarang roh sudah dimasukkan. Sebelum ini, ia hanya dalam bentuk fizikal sahaja yang tidak bernyawa. Apabila roh telah ditiupkan, maka ia dapat bergerak hidup dan menjadi makhluk lain yang mempunyai pendengaran, penglihatan, perasaan, gerak, dan getaran.

Kalimah أَنشَأ bermaksud ‘dinaikkan’. Maknanya ia mendapat kedudukan yang tinggi kalau dibandingkan dari sebelumnya kerana ia sekarang sudah ada roh. Ini terjadi selepas empat bulan persenyawaan di dalam rahim ibu.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan di dalam kitab musnadnya:

حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ مَسْعُودٍ-قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ: “إِنَّ أَحَدَكُمْ ليُجمع خَلقُه فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسِلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَهَلْ هُوَ شَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ، إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيُخْتَمُ لَهُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلَهَا، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيُخْتَمُ لَهُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا”.

Telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Zaid ibnu Wahb, dari Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه yang mengatakan bahwa Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepada kami: Sesungguhnya seseorang di antara kalian benar-benar dihimpun­kan penciptaannya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari (dalam bentuk nutfah), kemudian berupa ‘alaqah dalam masa yang sama, kemudian dalam bentuk segumpal daging dalam masa yang sama, kemudian diutus seorang malaikat kepadanya, maka malaikat itu meniupkan roh ke dalam tubuhnya dan diperintahkan untuk mencatat empat kalimat (perintah), iaitu tentang rezekinya, ajalnya, dan amal perbuatannya, serta apakah dia termasuk orang yang celaka atau orang yang bahagia. Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain Dia, sesungguhnya seseorang di antara kalian benar-benar mengerjakan amal perbuatan ahli syurga sehingga tiada jarak antara dia dan syurga selain hanya satu hasta, tetapi suratan takdir telah mendahuluinya (bahawa dia termasuk ahli neraka), maka pada akhirnya dia mengerjakan perbuatan ahli neraka dan dimasukkanlah dia ke dalamnya. Dan sesungguhnya seseorang di antara kalian benar-benar mengerjakan amal perbuatan ahli neraka, sehingga tiada jarak antara dia dan neraka selain satu hasta, tetapi suratan takdir telah men­dahuluinya (bahawa dia termasuk ahli surga), maka pada akhirnya dia mengamalkan perbuatan ahli syurga dan dimasukkanlah dia ke dalamnya.

 

فَتَبارَكَ اللهُ أَحسَنُ الخٰلِقينَ

Maka Maha Berkat Allah, Pencipta yang paling baik.

Allah ﷻ menyebut barakah kerana roh itu adalah berkat dariNya. Barakah bermaksud bertambah-tambah kebaikan. Kerana dengan adanya roh menyebabkan ada berkat maka ia akan mengeluarkan kebaikan yang banyak.

Allah ﷻ memuji diriNya sendiri dalam ayat ini. Kerana Allah ﷻ hendak mengingatkan yang Dialah yang menjadikan makhluk itu, bukannya ia terjadi sendiri. Maka Dia yang layak dipuji, bukan manusia itu.

Kalimah خ ل ق bermaksud menjadikan sesuatu dari tiada kepada ada. Dan ia selalunya digunakan untuk Allah kerana Allah lah yang mencipta alam ini, mencipta manusia dan segala-galanya dari tiada apa kepada ada. Tetapi manusia ada juga mencipta. Tapi manusia mencipta dari benda yang sudah ada. Sebagai contoh, kita cipta kereta dari besi yang Allah jadikan.

Dan kerana itu Allah beritahu dalam ayat ini yang Dialah yang sebaik-baik pencipta. Tidak sama jika hendak dibandingkan antara ciptaan Allah dan ciptaan manusia.

Ada kisah menarik tentang ayat ini. Semasa Nabi Muhammad ﷺ membacakan ayat ini, iaitu tentang proses kejadian manusia, Sayidina Umar رضي الله عنه yang mendengar ayat ini sebelum baginda habis membacakan, Umar رضي الله عنه terus menyebut: فَتَبارَكَ اللهُ أَحسَنُ الخٰلِقينَ. Dan Rasulullah ﷺ bersabda: begitulah sambungan seterusnya, wahai Umar!

Ibnu Abu Hatim رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Habib, telah menceritakan kepada kami Abu Daud, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Salamah, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Zaid, dari Anas yang mengatakan bahawa Umar ibnul Khattab pernah mengatakan, “Aku bersesuaian dengan Tuhanku dalam empat perkara. Ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman-Nya: ‘Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah’ (Al Mu’minun: 12), hingga akhir ayat. Maka aku berkata, ‘Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.’ Lalu turunlah firman selanjutnya, yaitu: ‘Maka Mahasucilah Allah, Pencipta yang paling baik’. (Al Mu’minun: 14)

Maka ini menunjukkan kehebatan Sayidina Umar رضي الله عنه. Maka amat hinalah agama Syiah yang mengutuk dan mengkafirkan Saidina Umar رضي الله عنه. Dan amat hinalah mereka yang masuk ke dalam agama ini dan mempertahankan agama Syiah. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kejahilan tentang agama dan kejahilan tentang kesesatan Syiah sahaja.

Kita memang disuruh berbaik dengan semua orang, tetapi tidaklah sampai kita menghalalkan apa yang mereka dakwa. Apabila mereka menghina agama, maka kita kena lawan mereka. Iaitu dengan membongkar kesalahan dan kenistaan mereka di media. Dan begitulah yang kita sedang lakukan supaya manusia tidak tertipu dengan diayah mereka.


 

Ayat 15: Perjalanan hidup manusia.

ثُمَّ إِنَّكُم بَعدَ ذٰلِكَ لَمَيِّتونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, after that you are to die.

(MELAYU)

Kemudian sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati.

 

Sekarang dipendekkan kisah hidup manusia. Tidak disebut apa yang terjadi setelah dilahirkan. Sekarang terus sebut tentang kematian pula. Setelah lahir ke dunia, maka kita akan menjalani kehidupan yang singkat selama hidup di dunia ini selagi belum sampai ajal. Akhirnya kita akan mati kerana dijadikan setiap manusia itu pasti akan mati.

Maka ayat ini mengingatkan kita tentang kematian yang pasti menjelma. Kita tidak tahu bila, cuma ia pasti akan berlaku. Maka kenalah kita beringat sentiasa. Kehidupan di dunia tidak kekal maka kenalah kita berusaha semasa masih hidup ini untuk beramal.


 

Ayat 16: Apa akan berlaku setelah mati.

ثُمَّ إِنَّكُم يَومَ القِيٰمَةِ تُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed you, on the Day of Resurrection, will be resurrected.

(MELAYU)

Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.

 

Setelah mati, manusia akan hidup di alam kubur beberapa lama. Dan apabila hari kiamat telah berlaku maka manusia akan dihidupkan kembali. Jadi kita kena beringat kerana kita tidak kekal mati. Nanti akan sampai satu masa yang kita semua akan dihidupkan kembali.

Segala perbuatan kita semasa di dunia akan dipertanggungjawabkan. Kita bukan mati habis begitu sahaja tetapi kita akan dihidupkan kembali untuk menjawab segala amalan kita. Apa kita nak jawab kalau amalan dan akidah kita tidak seperti yang Allah telah ajar?


 

Ayat 17: Ayat dalil aqli yang kedua untuk menguatkan hujah kenapa mesti taat kepada Allah ﷻ. Kenapa mesti menyembah dan berdoa hanya kepada Allah ﷻ sahaja? Kalau ayat sebelum ini menyebut tentang penciptaan manusia, sekarang Allah ﷻ menyebut tentang penciptaan langit pula.

وَلَقَد خَلَقنا فَوقَكُم سَبعَ طَرائِقَ وَما كُنّا عَنِ الخَلقِ غٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have created above you seven layered heavens, and never have We been of [Our] creation unaware.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan di atas kamu tujuh buah jalan (tujuh langit); dan Kami tidaklah lengah terhadap ciptaan (Kami).

 

وَلَقَد خَلَقنا فَوقَكُم سَبعَ طَرائِقَ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan di atas kamu tujuh jalan

‘Tujuh jalan’ yang dimaksudkan adalah tujuh langit. Ia masih ada kaitan dengan roh dalam ayat-ayat sebelum ini kerana apabila roh telah dimatikan, maka ia akan melalui tujuh lapisan langit itu.

Kita tidak tahu ada tujuh langit kalau maklumat ini tidak diberitahu kepada kita. Ini termasuk maklumat ilmu ghaib yang akal kita tidak mungkin akan dapat mengetahuinya sendiri. Di dalam ayat yang lain memang disebut tujuh lapis langit:

{أَلَمْ تَرَوْا كَيْفَ خَلَقَ اللَّهُ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا}

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah ﷻ telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat? (Nuh: 15)

Disebut tentang penciptaan langit selepas penciptaan manusia kerana penciptaan langit selalu dikaitkan dengan penciptaan manusia. Allah ﷻ hendak menekankan bahawa penciptaan manusia itu lebih mudah dari penciptaan langit. Kalau langit yang lagi hebat itu pun Allah boleh buat, maka takkanlah Allah tidak mampu hendak menjadikan manusia, kemudian mematikan dan kemudian menjadikannya semula.

Maka kerana itu Allah ﷻ akan menyentuh tentang penciptaan langit selepas penciptaan manusia. Dalam ayat yang lain Allah ﷻ telah berfirman:

{لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ}

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia. (Al-Mu’min: 57)

Hal yang sama disebutkan pula dalam permulaan Surah As-Sajdah yang dibaca oleh Rasulullah ﷺ pada pagi hari Jumaat, yang pada permulaannya disebutkan penciptaan langit dan bumi. Kemudian dijelaskan tentang penciptaan manusia yang berasal dari saripati yang berasal dari tanah liat, sebagaimana disebutkan pula di dalam surah As-Sajdah itu tentang hari berbangkit dan masalah-masalah penting lainnya.

 

وَما كُنّا عَنِ الخَلقِ غٰفِلينَ

dan Kami tidaklah lengah terhadap ciptaan

Setiap apa yang Allah ﷻ jadikan itu, Dia sentiasa memerhatikan dan memantau. Yakni Allah ﷻ mengetahui segala sesuatu yang masuk ke dalam bumi dan yang keluar darinya, dan mengetahui apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke atasnya.

Tidaklah Allah ﷻ jadikan kita dan kemudian membiarkan sahaja kita tanpa diberikan rezeki kepada kita. Allah ﷻ telah menjadikan kita dan Allah ﷻ jadikan sekali sumber rezeki buat kita. Jadi segala rezeki yang kita dapat ini adalah dari Allah ﷻ.

Dia selalu bersama kita (dari segi ilmu) di mana pun kita berada, dan Allah ﷻ Maha Mengetahui semua yang kita kerjakan. Dia Yang Maha Suci, tiada terhalang dari pengetahuan-Nya tingginya langit dan tebalnya bumi, juga besarnya gunung, melainkan Dia mengetahui semua yang terdapat di dalamnya. Tiada suatu laut pun, melainkan Dia mengetahui segala sesuatu yang ada di dasarnya.

Dia mengetahui semua bilangan makhluk yang ada di gunung-ganang, di lereng-lereng, di padang-padang pasir, di lautan samudera, di hutan belantara, dan di rimba raya.

{وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلا يَعْلَمُهَا وَلا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الأرْضِ وَلا رَطْبٍ وَلا يَابِسٍ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ}

dan tiada sehelai daun pun yang gugur, melainkan Dia me­ngetahuinya (pula); dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz) (Al-An’am: 59)

Allah tahu apa sahaja yang kita lakukan kerana Allah tidak lengah dari perbuatan kita. Maka setelah mati kita akan ditanya dan dipertanggungjawabkan dengan segala amalan kita. Allah ﷻ akan tanya kerana mahkamah pengadilan akan dilakukan.

Tetapi sebenarnya Allah ﷻ tidak perlu untuk bertanya pun kerana Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Allah tidak pernah tidak tahu apa yang kita lakukan. Cuma sebagai menzahirkan keadilan, mahkamah pengadilan akan diadakan. Manusia akan diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka dan berhujah untuk mempertahankan diri.

Tetapi kalau di dalam mahkamah dunia bolehlah jika hendak menipu dan memberi alasan, tetapi di mahkamah Allah ﷻ tidak boleh begitu, kerana Allah ﷻ tahu segalanya. Maka kita lihat di dalam Qur’an disebut percubaan manusia untuk menipu mahkamah Allah tetapi tidak dibenarkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Mukminoon Ayat 1 – 11 (Sifat-sifat orang mukmin)

Pengenalan:

Dalam surah Al-Hajj sebelum ini, di penghujungnya telah disebut tentang orang mukmin dan sifatnya; dan sekarang surah ini menyambung topik itu dengan menceritakan lagi sifat-sifat orang mukmin.

Di dalam Surah Al-Hajj, telah dijelaskan beberapa kesesatan orang-orang kafir adalah kerana melakukan syirik tasarruf dan syirik amalan. Di dalam Surah Mukminoon ini pula akan dinyatakan banyak kerosakan akidah yang lain.

Di dalam Surah Al-Hajj telah diterangkan keadaan di akhirat, manakala pada awal Surah Mukminoon ini akan diterangkan bagaimana hendak menyelamatkan diri dari azab itu. Dan cara itu melibatkan Amalan Tiga Serangkai – Beramal baik – menjauhi syirik – tidak berlaku zalim.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang kedudukan hamba dengan Allah ﷻ bergantung kepada ilmunya tentang wahyu. Jika tidak mengetahui wahyu, maka seorang hamba itu akan menjadi rosak akidah dan amalnya. Maka janganlah diabaikan ilmu wahyu ini.

Dakwa Surah ini terdapat pada ayat 63 yang akan diterangkan nanti.

Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian Pertama: Dari Ayat 1 – 77. Ia mengandungi Dakwa Surah iaitu ayat 63. Amalan manusia menjadi rosak kerana jauh dari ilmu wahyu. Semakin rapat seseorang itu dengan ilmu wahyu maka semakin berkuranglah kerosakannya.

Kerana itulah sahabat Nabi tadabbur Qur’an khatam seminggu sekali. Mereka membacanya satu persatu dan berusaha untuk fahami apa yang mereka baca itu. Mereka tidak membacanya dengan laju hanya kerana hendak khatam sahaja. Sebaliknya mereka membacanya kerana hendak mengambil pengajaran.

Di atas sebab itulah kita mementingkan pengajaran tafsir Qur’an ini. Para sahabat tidak mengajar anak-anak mereka dengan hadis atau ilmu lain tanpa selesai belajar tafsir Qur’an. Ini penting kerana manusia perlu dikemaskan pegangan tauhidnya terlebih dahulu.

Maka kita perlulah memulihkan masyarakat yang telah rosak akidah dengan cara yang sama. Memang masyarakat kita ada masalah dengan akidah, maka dengan itu mereka sepatutnya belajar agama dan yang paling utama adalah belajar tafsir Qur’an.

Qur’an itu hebat kerana ianya adalah mukjizat yang berkekalan. Di dalam bahasa Arab ia dipanggil Mukjizah Khoolidah. Hati manusia akan mudah tersentuh sekiranya mereka faham apa yang mereka baca di dalam Qur’an ini.

Allah ﷻ sudah memudahkan Qur’an untuk dipelajari tetapi syaitan akan membisikkan bahawa orang awam tidak boleh mempelajari tafsir Qur’an ini. Jadi, tidak hairanlah jika ada yang berkata “kalau hendak belajar ilmu tafsir kena ada 15 Ilmu Alat, kena tahu bahasa Arab, kena tahu membaca Qur’an dahulu” dan bermacam-macam lagi.

Kalau semua ini “kena ada”, bilakah pula hendak belajar tafsir? Maka akhirnya, tidak belajarlah jawabnya. Apabila tidak belajar, maka gembiralah syaitan kerana senang hendak menipu mereka yang jahil disebabkan mereka tidak tahu. Senanglah syaitan hendak menyesatkan manusia apabila ramai manusia yang jahil.

Bahagian kedua: Dari Ayat 78 – akhir. Mengandungi perbincangan tentang larangan kepada Syirik Amali.

Ada ‘amalan tiga serangkai’ yang disebut di dalam bahagian ini. Sila rujuk pengisian tentang Istilah untuk memahami apakah ‘amalan tiga serangkai’ itu. Ringkasnya:

  1. Beramal baik. Iaitu disebut tentang khusyuk di dalam solat. Ini terdapat  di dalam ayat 2.
  2. Menjauhi syirik. Ini disebut di dalam ayat 3-4.
  3. Menjauhi kezaliman. Iaitu dengan meninggalkan penzinaan kerana itu adalah amalan zalim. Ini disebut di dalam ayat 5-8.

Kaitan dengan surah-surah yang berdekatan:

Di dalam Surah Anbiya (surah ke 21), telah disebutkan bahawa orang kafir tidak mempedulikan Qur’an kerana mereka sibuk dengan urusan dunia.

Dalam Surah Mukminoon nanti akan disebut bahawa orang mukmin berpaling dari dunia kerana khusyuk dengan Qur’an. Bukan mereka tidak tahu dan tidak kisah tentang dunia, tetapi dunia tidak dilebihkan dari akhirat.

Mereka cuma menggunakan  dunia sekadar untuk keperluan sahaja. Mereka juga menggunakan dunia ini mengikut cara yang Allah ﷻ telah ajar. Mereka tidak menyalahgunakan dunia dan mereka juga mengikut hukum Allah ﷻ di dalam memakai dunia.

Mereka faham bahawa dunia ini digunakan hanya sebagai batu loncatan supaya mereka mendapat kebaikan di akhirat kelak. Mereka menjadikan dunia ini sebagai tempat membuat kebaikan dan tempat mengumpul pahala.


Ringkasan surah ini dari Daurah Maulana Asri:

023: Surah AL-MUKMINUN
🔸Tertib dlm Mushaf: 23
🔹Tertib diturunkan: 74
🔸Surah Makkiyah, peringkat 3.
🔹Tahun 6-10 di Makkah, diturunkan bersamaan Surah Furqan. Zaman kemarau.
🔸Bilangan Ayat: 118
🔹Bilangan Ruku’: 6
🔸Bilangan Perenggan: 8

P1⃣: [23:1-11] SIFAT AHLI SYURGA
P2⃣: [23:12-22] DALIL TAUHID
P3⃣: [23:23-31] BINASANYA KAUM NUH
P4⃣: [23:32-44] BINASANYA KAUM AAD, TSAMUD, LUT
P5⃣: [23:45-69] FIRAUN DAN BALA TENTERANYA
P6⃣: [23:70-77] JAWAPAN KEPADA PENENTANG RASULULLAH SAW
P7⃣: [23:78-92] DALIL TAUHID DAN HARI AKHIRAT
P8⃣: [23:93-118] ADAB ETIKA TABLIGH

MESEJ UTAMA
Orang yang berjaya masuk syurga ialah mereka yang:
1⃣ menerima seruan tauhid,
2⃣ mengikut teladan ibadat Nabi,
3⃣ membuat persiapan serta bekalan untuk hari Akhirat

🔁 HUBUNGKAIT ANTARA SURAH 📒 AL-MUKMINUN DENGAN  📗AL-HAJJ

1⃣ PROSES KEJADIAN MANUSIA
(Dalil Aqli Anfusi)
📗 HAJJ: Dalam ayat 5 diterangkan kejadian manusia daripada air mani di dalam kandungan ibu hingga dilahirkan ke dunia.
📒 AL-MUKMINUN: Diulangi lagi dalam ayat 12-15.

2⃣ AIR DARI LANGIT
(Dalil Aqli Afaqi)
📗 HAJJ: Dalam ayat 5 disebut turunnya air yang membasahi bumi yang kering yang menumbuhkan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan.
📒 AL-MUKMINUN: Ditambahi lagi penjelasannya dengan penyebutan kurma, anggur, pokok zaitun sebagai contoh dalam ayat 17-20.

3⃣ PERINGATAN SUPAYA  MENJADI UMAT YANG BERIMAN SEBELUM DIBINASAKAN.
📗 HAJJ: Turunnya ayat umat Islam diizinkan berperang membalas kezaliman ke atas mereka.
📒 AL-MUKMINUN: Kafir Makkah diingatkan jika mereka tunduk dan menerima seruan Rasulullah mereka akan selamat daripada kebinasaan.

4⃣ KAUM-KAUM YANG DIBINASAKAN.
(Dalil Tarikhi) Kisah-kisah kaum yang binasa yang disebut dalam al-Hajj dijelaskan lagi dalam Surah Mukminun.

5⃣ KHABAR GEMBIRA KEPADA MEREKA YANG PATUH DAN BERBUAT BAIK.
📗 HAJJ: Menyebut orang yang patuh kepada Allah dan berbuat baik akan mendapat balasan syurga.
📒 AL-MUKMINUN: menjelaskan dengan lebih banyak amalan-amalan untuk layak menjadi ahli syurga.

🦋 CIRI-CIRI ORANG MUKMIN
(JUGA TANDA-TANDA AHLI SYURGA)
yang disebut dalam Surah 023: al-Mukminun

1⃣ Orang yang khusyu’ dalam solat [2]
2⃣ Orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada bermanfaat [3]
3⃣ Orang yang menunaikan zakat [4]
4⃣ Orang yang menjaga kemaluannya [5]
5⃣ Orang yang memelihara amanat dan janjinya [8]
6⃣ Orang yang memelihara solat [9]
7⃣ Orang yang berhati-hati kerana gerun akan Tuhan mereka [57]
8⃣ Orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka [58]
9⃣ Orang yang tidak mempersekutukan Tuhan mereka [59]
🔟 Orang yang memberi, atau beramal dengan hati yang bimbang jika amalan ditolak [60]
[11] Mereka yang bersegera melakukan kebaikan [61]


 

Ayat 1: Surah ini boleh dipecahkan kepada 8 Perenggan Makro dan ayat ini sehingga ke ayat 11 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menyebut sifat-sifat ahli syurga.

قَد أَفلَحَ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Mu’minūn: The Believers.

Certainly will the believers have succeeded:

(MELAYU)

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

 

Allah ﷻ memberitahu di dalam ayat ini bahawa orang-orang mukmin itu telah berjaya walaupun mereka belum lagi dimasukkan ke dalam syurga. Ini kerana kita mungkin menganggap “kejayaan” itu adalah setelah berjaya memasuki syurga. Tetapi orang mukmin semasa di dunia lagi sudah pun berjaya. Cuma mereka sahaja yang mungkin tidak perasan. Inilah keberuntungan yang amat tinggi.

Kalimah فلح ini juga terdapat dalam azan dimana kita semua diajak kepada kejayaan. Kalimah أفلح digunakan juga untuk para petani apabila mereka menuai hasil tanaman mereka; yang memberi maksud bahawa orang-orang mukmin ini berjaya setelah mereka berusaha. Sebagaimana para petani yang telah berusaha di sepanjang tahun dan apabila tiba masanya, mereka akan menuai hasil tanaman mereka.

Bekerja sebagai petani tentulah susah, kerana mereka terpaksa bekerja sepanjang tahun tetapi hasil tanamannya hanya dapat dituai sekali sahaja di dalam setahun. Dan begitu jugalah perumpamaan kepada orang Mukmin, iaitu mereka hendaklah bersungguh-sungguh di dalam beramal serta menjaga diri mereka dan mereka akan mendapat keuntungannya hanya di penghujung. Iaitu di akhirat nanti.

Kalimah أفلح itu juga digunakan untuk memberi gambaran bahawa mereka itu bahagia di dunia dan juga bahagia di akhirat. Mereka tidak pernah kecewa dan berputus asa semasa mereka hidup di dunia sehinggalah mereka bertemu dengan Allah ﷻ di akhirat.

Ia juga bermakna, berjaya mendapat apa sahaja yang dikehendaki dan dijauhkan dari keburukan. Tetapi tentulah semasa di dunia tidak akan dapat perkara ini kerana tidak ada sesiapa pun yang bebas dari keburukan atau musibah semasa di dunia. Maka أفلح yang dimaksudkan adalah kejayaan di akhirat kelak. Tetapi tidaklah kita langsung tidak mendapat فلح di dunia ini. Ada kejayaan yang akan didapati oleh mereka yang hidup di dunia juga.

Tetapi penentuan siapa yang dapat kesenangan atau tidak di dunia ini adalah ketetapan dari Allah. Ada orang yang mukmin termasuklah para Nabi sendiri yang mendapat ujian demi ujian; dan ada pula orang yang amat jahat dan zalim tetapi mereka mendapat kesenangan di dunia pula. Ini semua adalah dalam qadar Allah.

Di dalam ayat ini, digunakan kalimah المُؤمِنونَ sedangkan banyak  di dalam ayat-ayat yang lain, menggunakan kalimat الَّذِينَ آمَنُواْ. Kalau kita lihat dari  sudut terjemahannya, kedua-duanya diterjemahkan sebagai ‘orang-orang beriman’. Tetapi tentulah ada perbezaannya, bukan?

Dari segi bahasa, kalimah المُؤمِنونَ adalah dalam bentuk isim fa’il (kata nama pembuat). Sedangkan maksud الَّذِينَ آمَنُواْ (orang-orang yang beriman) itu di dalam bentuk kata kerja dan ia tidak sekuat jika digunakan di dalam bentuk kata nama. Umpamanya ‘orang yang sedang memasak’ dan ‘tukang masak’ – tidak sama bukan? Tukang masak tentunya lagi banyak memasak kerana itu memang kerja dia.

Oleh itu di dalam ayat ini, apabila digunakan perkataan “orang beriman” itu dalam bentuk kata nama, ia bermaksud bahawa iman mereka itu telah stabil dan mantap. Oleh itu apabila Allah ﷻ memuji orang-orang beriman seperti yang digunakan di dalam surah ini, Allah ﷻ, menggunakan format kata nama المُؤمِنونَ. Allah puji orang beriman yang sudah mantap imannya.

Sedangkan kepada الَّذِينَ آمَنُواْ (orang-orang beriman) digunakan di dalam bentuk kata kerja, bermaksud mereka itu kadang imannya naik dan terkadang imannya jatuh kerana masih lagi di dalam keadaan tidak stabil.

Bayangkan orang-orang itu seperti berada di dalam lautan yang bergelora yang kadang-kadang mereka tenggelam di dalamnya dan kadang-kadang mereka dapat mencungap ke atas. Tetapi sebaliknya orang-orang mukmin itu, keadaan mereka telah stabil seolah-olah mereka berada di atas kapal yang walaupun laut itu bergelora, mereka telah pun selamat.

Di dalam surah ini nanti akan diberitahu ciri-ciri orang mukmin. Akan tetapi senarai itu bukanlah untuk kita menilai sama ada seseorang itu munafik, Muslim ataupun mukmin, kerana itu bukanlah tugas kita; tetapi dengan mengetahui ciri-ciri mereka itu, kita boleh menilai diri kita sendiri, bukanlah untuk menilai orang lain.

Sebenarnya, kita hendak membandingkan ciri-ciri itu dengan diri kita sendiri.


 

Ayat 2: Ini adalah ciri yang pertama. Allah ﷻ memberitahu sifat-sifat orang mukmin itu. Kita mestilah mengambil  kriteria ini dari Allah ﷻ sendiri kerana perkara ini bukan boleh dicakap sahaja, tetapi hendaklah mengikut kriteria yang Allah ﷻ telah letakkan.

Kriteria ini bukan kita yang membuatnya sendiri, tetapi dari  penentuan Allah ﷻ. Yang pertama sekali adalah tentang solat. Hendaklah khusyuk di dalam solat.

الَّذينَ هُم في صَلاتِهِم خٰشِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They who are during their prayer humbly submissive

(MELAYU)

(yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

 

Yang pertama sekali sifat yang mesti ada pada diri seorang mukmin adalah khusyuk di dalam solat mereka. Maksudnya tawajjuh (fokus) hati di dalam solat kepada Allah ﷻ kerana berasa takut dan mengagungkan Allah ﷻ. Perasaan takut yang didasari oleh rasa penghormatan (respect) yang tinggi berserta gementar (fear) dan kagum (wonder) kepada Allah ﷻ.

Ini kerana mereka mengenali sifat Jalaliah dan Jamaliah (sifat keras dan lembut) Allah ﷻ. Kita takut kepada Allah ﷻ kerana sifat jalaliahNya dan kita mengagungkan Allah ﷻ kerana sifat jamaliahNya. Perlu ada kefahaman pada kedua-dua jenis sifat ini.

Jadi apabila ada kedua-dua perasaan ini di dalam hati seorang hamba di dalam solatnya, maka solatnya itu akan menjadi khusyuk. Bukan sahaja hatinya khusyuk, tetapi tubuhnya juga khusyuk tidak bergerak-gerak pegang sana dan sini.

Mengikut Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika Nabi ﷺ ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika sedang bersolat maka Baginda ﷺ bersabda: “Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.”

Khusyuk di dalam solat itu tiada lain hanyalah dapat dilakukan oleh orang yang memusatkan hatinya kepada solatnya, lebih mementingkan solat serta menyibukkan diri dengannya, dan melupakan segala hal yang selainnya. Dia tidak membenarkan fikiran lain selain solat itu mengisi akalnya.

Dalam keadaan seperti ini barulah seseorang itu dapat merasakan ketenangan dan kenikmatan di dalam solatnya, seperti yang dikatakan oleh Nabi ﷺ di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Nasai melalui sahabat Anas dari Nabi ﷺ yang telah bersabda:

“حُبِّبَ إليَّ الطِّيب وَالنِّسَاءُ، وَجُعِلَتْ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ”

Aku dijadikan senang kepada wangian, wanita, dan dijadikan kesenangan hatiku bila dalam solat.

Oleh itu, ciri-ciri pertama orang mukmin ialah mereka itu sentiasa khusyuk di dalam solat mereka kerana kalimah خاشِعونَ yang digunakan adalah di dalam bentuk kata nama yang memberi maksud “sesuatu yang tetap”. Maknanya bukan sekali sekala sahaja mereka dapat melakukan solat dengan khusyuk. Mereka telah faham apakah solat itu dan kehendak di dalam solat itu, jadi mereka sentiasa dapat menjiwai khusyuk.

Jadi solat adalah perkara yang amat penting dan kerana itu Allah ﷻ meletakkan kriteria ini sebagai ciri yang pertama bagi sifat-sifat seorang mukmin. Dan diberitahu bahawa sifat mereka adalah khusyuk di dalam solat mereka.

Maka banyaklah perbincangan tentang bagaimana hendak mendapatkan khusyuk di dalam solat ini dan kita perlu merujuk dan mencari maklumat-maklumat itu supaya kita boleh mencapai khusyuk di dalam solat.

Yang pertama, hendaklah ada rasa cinta dengan solat. Begitulah sifat Rasulullah ‎ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا مِسْعَر، عَنْ عَمْرِو بْنِ مُرَّة، عَنْ سَالِمِ بْنِ أبي الجَعْد، عَنْ رَجُلٍ مِنْ أسلَم، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “يَا بِلَالُ، أَرِحْنَا بِالصَّلَاةِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Mis’ar dari Amr ibnu Murrah, dari Salim ibnu Abul Ja’d, dari seorang lelaki dari Bani Aslam, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Hai Bilal, hiburlah kami dengan solat.

Apabila sudah dapat merasa kepentingan solat itu, maka akan terasa lah kemanisan solat itu dan dari itu akan dapatlah kekhusyukkan di dalam solat.

Jadi apakah maksud ‘khusyuk’ itu? Ia bermaksud ketakutan yang sampai menyebabkan tubuh badan menjadi kaku tidak bergerak. Bukankah apabila kita berasa sangat takut, pergerakan kita seakan terkunci sehingga kita tidak dapat bergerak lagi?

Sebagai contoh, kita terkejut dengan kedatangan lori yang tiba-tiba hendak melanggar kita. Sepatutnya kita lari, bukan? Tetapi oleh kerana terlalu takut, langkah kita menjadi kaku, bukan? Ini biasa terjadi kerana perasaan di dalam hati boleh terlahir pada tindakan fizikal kita.

Solat adalah waktu dimana kita sedang mengadap Allah ﷻ, kita mengadu nasib kita dan apa yang kita sedang hadapi; dan pada waktu itu juga Allah ﷻ sedang memberi nasihat kepada kita dan nasihat itu adalah nasihat yang amat besar sampaikan kadang-kadang apabila ia menyentuh hati kita, maka boleh menyebabkan kita menangis.

Kalau dapat merasai perasaan begini, maka tentulah amat indah sekali, bukan? Itu bermaksud kita telah mendapat kesan dari solat kita.

Dan kesan solat itu sepatutnya dibawa sampai keluar solat kerana kita baru sahaja mendapat nasihat daripada Allah ﷻ dan hendaklah kita menyimpan nasihat itu dan mengamalkannya. Tetapi kadang-kadang setelah beberapa jam, mungkin kita terlupa, bukan? Mulalah kita terkesan dengan hal-hal keduniaan pula.

Maka kerana itu kita mesti  solat lagi untuk mengingatkan kita, seterusnya dan seterusnya berulang-ulang sepanjang hari dan setiap hari. Kerana itu solat telah disusun dalam lima waktu itu supaya kita mendapat peringatan sepanjang hari. Semua itu adalah peringatan dari Allah ﷻ kepada kita.


 

Ayat 3: Jadi ciri pertama adalah khusyuk di dalam solat. Tetapi bagaimana hendak mendapat khusyuk itu? Allah ﷻ mengajar caranya di dalam ayat yang seterusnya. Ini adalah ciri kedua orang mukmin, iaitu meninggalkan perkara lagha.

وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who turn away from ill speech

(MELAYU)

dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

 

Ciri yang seterusnya, orang mukmin itu berpaling dengan tidak campur tangan di dalam perkara-perkara yang melalaikan. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang solat. Tetapi, kita pun tahu yang apabila di dalam solat dan selepas takbir sahaja, tiba-tiba datang bermacam ingatan tentang perkara-perkara dunia ke dalam akal kita.

Maka orang-orang yang khusyuk di dalam solat akan عرض (berpaling) dan tidak menghiraukan fikiran-fikiran yang mengganggu itu. Ini kalau kita cerita tentang solat.

Kalimah اللَّغوِ (lagha) adalah aktiviti yang tidak memberi manfaat sama ada di dalam hal keduniaan dan juga hal akhirat. Ia tidaklah sesuatu yang membahayakan dengan jelas, tetapi ia membuang masa. Ini biasa dilakukan oleh orang kita di mana selalunya kita akan bersembang dan melepak tanpa ada tujuan apa-apa dan membuang masa sahaja sampai tidak sedar masa telah berlalu.

Tambahan pula sekarang ini banyak aplikasi media sosial yang menyebabkan orang meluangkan masa yang terlalu lama sehingga membuat benda-benda yang tidak berfaedah. Apabila membuat perkara yang lagha, memang akan ketinggalan dari melakukan perkara yang berfaedah.

Jadi orang-orang yang mukmin itu mereka bukan sahaja tidak melakukan perkara yang اللَّغوِ tetapi mereka akan meninggalkan orang-orang yang mereka rasa boleh menyebabkan mereka menjadi lagha, supaya mereka tidak tertarik kepada perbuatan itu.

Kerana kalau bergaul dengan mereka yang tidak ada arah tujuan, lama-kelamaan akan terpengaruh jua dengan mereka akhirnya. Ini seperti yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا}

dan apabila mereka bersua dengan (orang-orang) yang mengerja­kan perbuatan-perbuatan yang tidak berguna, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya. (Al-Furqan: 72)

Orang-orang yang tidak bersifat mukmin akan mengisi masa lapang mereka dengan permainan, bercakap kosong dan sebagainya sedangkan orang-orang mukmin itu akan menggunakan masa lapang mereka untuk berzikir dan membaca serta mentadabbur Qur’an sebagai contohnya.

Tetapi pada zaman sekarang, sangat senang untuk membuat perkara yang lagha. Hiburan di dalam dunia hari ini sangat banyak dan mudah didapati, hanya terletak di hujung jari sahaja, termasuklah di dalam telefon bimbit. Telefon sekarang boleh menyimpan bermacam-macam aplikasi.

Maka orang yang bijak akan mengurangkan aplikasi-aplikasi yang boleh membuang masa dan tidak memberi faedah; dan mereka juga akan membuang lagu-lagu yang ada di dalam telefon mereka kerana kalau kita mendengar lagu-lagu itu, ia menyebabkan kita akan menumpukan perhatian kepada lagu itu, dan fikiran kita akan menjadi leka.

Sifat yang kedua ini bermula dengan menjaga khusyuk di dalam solat. Apabila kita sudah mendapat kesan dari solat itu, kita sudah tidak mahu untuk terlibat lagi dengan perkara-perkara yang membuang masa dalam dunia luar pun (luar solat).

Dan dalam masa yang sama, apabila kita membebaskan diri kita dari perkara lagha, maka kita akan senang hendak menumpukan perhatian di dalam solat. Jadi ianya amat saling berkait.


 

Ayat 4: Ini adalah kriteria ketiga orang mukmin. Mereka melakukan ‘zakat‘.

وَالَّذينَ هُم لِلزَّكوٰةِ فٰعِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who are observant of zakāh

(MELAYU)

dan orang-orang yang menunaikan zakat,

 

Zakat itu bermaksud ‘tazkiyatun nafs’. Iaitu mereka membersihkan hati mereka daripada sifat-sifat dalaman yang buruk termasuklah membersihkan diri dari sifat-sifat syirik.

Ayat ini bukan bermaksud mengeluarkan zakat seperti yang kita fahami itu, tetapi ia bermaksud membersihkan diri dalaman. Kalau kita lihat ayat-ayat Qur’an berkenaan zakat, kalimat yang digunakan adalah وَآتُوا الزَّكاةَ yang membawa maksud ‘pembayaran’ akan tetapi di dalam ayat ini yang digunakan adalah لِلزَّكوٰةِ فٰعِلونَ iaitu dalam bentuk perlakuan. Oleh itu ulama mengatakan yang dimaksudkan adalah orang mukmin itu sibuk dalam membersihkan hati mereka.

Ini sama pengertiannya dengan apa yang terdapat dalam firman-Nya:

{قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا. وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا}

sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (Asy-Syams: 9-10)

Maksudnya, mereka berusaha untuk memperbaiki diri mereka dari semasa ke semasa kerana mungkin dia ada masalah sikap dan pergaulan, seperti mudah marah atau masalah kuat makan, tidak suka kepada seseorang dan sebagainya.

Mungkin juga dia seorang yang mulutnya bercakap lepas sahaja tanpa berfikir, atau dia tidak dapat melupakan perkara-perkara yang remeh temeh atau asyik memikirkan benda yang membuang masa sahaja (perkara yang lagha seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini).

Mungkin juga dia seorang yang tidak menghormati orang tua, atau mungkin tidak menghargai pengorbanan orang lain terhadap dirinya. Mungkin dia seorang yang hanya memikirkan dan mementingkan dirinya sendiri atau dia seorang yang suka melihat filem-filem yang tidak sopan.

Ada banyak sikap buruk perosak hati dan amalan syirik perosak akidah yang selalu menjadi musuh manusia. Maka seorang mukmin mesti berfikir tentang hal-hal ini dengan melihat ke dalam dirinya sambil menyenaraikan sikap buruk dan amalan syirik yang tidak patut ada di dalam dirinya, dan dia tahu Allah ﷻ juga tidak suka pada perkara begitu  lantas dia melakukan usaha memperbaikinya satu persatu.

Jika dia ada banyak sikap yang buruk dan amalan yang syirik, maka dia kena menghapuskannya satu persatu. Dan perkara ini memang akan mengambil masa terutamanya jika dia ada banyak masalah tersebut.

Akan tetapi, dia tidak akan dapat khusyuk selagi dia masih mempunyai hati yang lagha. Ini kerana seseorang itu perlu membersihkan hatinya secara dalaman dan juga luaran semasa berhubung dengan Allah ﷻ.

Apabila hatinya sudah bersih dan meninggalkan perkara-perkara lagha, maka dia sudah ada hubungan yang rapat dengan Allah ﷻ. Ketiga-tiga perkara ini amat berkait rapat.

Ini kerana sekiranya dia masih melakukan perkara-perkara lagha, maka dia tidak akan nampak sikap buruk dan amalan syirik yang ada di dalam dirinya. Dan dia tidak akan mengambil peduli dengan keburukan tersebut.

Mari kita senaraikan semula dan lihat bagaimana ketiga-tiga kriteria ini saling berkait:

  1. Bersihkan diri dari sikap yang buruk dan amalan yang syirik kepada Allah ﷻ.
  2. Apabila itu sudah berjaya, maka jauhkan diri dari perkara-perkara yang lagha.
  3. Apabila sudah bersihkan diri dari perkara yang lagha, maka senang untuk khusyuk di dalam solat.

Jadi seorang mukmin itu, akan mula ada sifat warak di dalam dirinya. Dia sentiasa memperbaiki dirinya dan dia akan lebih sensitif dengan persekitarannya – contohnya dia mula tidak melihat filem-filem yang ada pembukaan aurat di dalamnya.

Maka lama kelamaan, semakin dia memperbaiki dirinya dia akan terus meninggalkan filem-filem itu kerana dia tahu dan sedar bahawa itu semua adalah perkara lagha sahaja. Tidak ada kepentingan dan faedah pun jika dia menonton filem-filem sebegitu.

Dan apabila dia berjalan, dia mula menundukkan pandangannya dan tidak melihat sekelilingnya pula. Jadi dia sudah menjadi orang yang lain daripada orang biasa. Matanya tidak melilau melihat orang sahaja terutama yang bukan mahram.

Maksud yang kita hendak beritahu di sini ialah: kayu ukur seseorang itu berubah dari semasa ke semasa. Kerana ada perkara-perkara yang kita sebut tadi, pada sesetengah orang, tidak menjadi masalah pun (seperti melihat filem) tetapi kepada orang lain yang mempunyai kayu ukur yang lebih sensitif, perkara seperti itu pun menjadi masalah untuk mereka dan mereka akan berusaha meninggalkannya.

Sebagai contoh, ada orang yang tidak kisah pun menonton wayang, tetapi pada sesetengah orang lain, menonton wayang pun mereka tidak lakukan. Kenapa begitu? Kerana kayu ukur mereka berlainan. Orang yang warak akan meninggalkan perkara-perkara sebegitu.

Kalimah فٰعِلونَ (mereka pelaku) yang digunakan juga di dalam bentuk kata nama (isim) yang menunjukkan mereka itu sentiasa di dalam proses memperbaiki diri mereka. Tidaklah mereka berasa yang mereka itu sudah selamat, tetapi mereka akan terus memperbaiki dan memperbaiki lagi diri mereka.

Selagi mereka masih hidup, mereka akan sentiasa memperbaiki diri mereka sehingga mencapai tahap yang menuju kesempurnaan. Tentulah ini suatu yang sukar untuk dicapai, tetapi mereka akan terus melakukannya.

Dan tidak ada orang yang boleh melakukan perkara ini untuk diri kita melainkan diri kita sendirilah yang mesti berusaha bersungguh-sungguh – kerana kalau orang lain hendak mencuba membaiki diri kita pun tidak boleh. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk membaiki kita, tetapi kitalah yang kena membaikinya sendiri. Maka mesti ada keinginan dalaman dahulu.

Kita katakan tadi yang ‘zakat’ di dalam ayat ini bukanlah zakat harta. Kerana ayat ini turunnya di Mekah dan kewajipan zakat belum ada lagi di Mekah. Walaupun begitu ada juga pendapat yang mengatakan memang zakat sudah bermula pada zaman di Mekah lagi, iaitu memberi pertolongan dan harta kepada orang yang memerlukan.

Cuma waktu itu belum ada nisab lagi. Oleh itu zakat yang dimaksudkan adalah apa sahaja yang lebih dari keperluan hari itu dan perlu diberikan kepada orang lain.

Hanya apabila di Madinah sahaja, barulah zakat telah ditetapkan ada nisabnya. Maksud nisab adalah ukuran tertentu. Sebagai contoh, apabila wang sudah melebihi dari RM11,000 (kadar nisab berubah dari tahun ke tahun, maka kena periksa kadar semasa), barulah kena mengeluarkan zakat harta.

Satu lagi pendapat mengatakan, zakat juga boleh bermaksud sebagai isyarat memberi pertolongan kepada orang lain di dalam setiap keadaan. Sebanyak mana yang mereka boleh membantu, sebanyak itulah pula seorang mukmin itu akan dibantu dan begitulah amalan para sahabat semasa mereka di Mekah. Kalau ada harta yang lebih dari keperluan, mereka akan menghulurkan bantuan.

Maka dengan itu kita menggunakan orang lain untuk mendapatkan pahala kepada kita. Kerana apabila kita menolong orang lain, ia bukan sahaja merapatkan hubungan dengan mereka tetapi juga menambahkan pahala kepada kita.


 

Ayat 5: Seterusnya kriteria orang mukmin yang keempat adalah tidak ada sikap zalim. Iaitu menjaga kemaluan mereka dari perkara haram.

وَالَّذينَ هُم لِفُروجِهِم حٰفِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who guard their private parts

(MELAYU)

dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

 

Kenapa kita mengatakan sifat ini adalah tidak berlaku zalim? Kerana liwat dan zina adalah satu kezaliman. Apabila manusia berzina, itu adalah satu kezaliman kerana hasil daripada penzinaan itu akan menyebabkan timbul berbagai-bagai masalah di dalam masyarakat.

Sebagai contoh, jika keluar anak-anak dari hasil zina itu maka anak-anak itu akan terbiar dan tidak terjaga kerana masing-masing ibu dan bapa berkemungkinan tidak mengaku sebagai anaknya sendiri. Maka anak-anak itu telah dizalimi.

Jadi mungkin sebelum ini kita tidak nampak bagaimana perbuatan zina itu boleh menjadi kezaliman kepada orang lain, bukan? Tetapi sekarang kita sudah faham.

Kriteria kali ini menyentuh dosa bersifat kemaluan. Ada banyak sekali dosa di dalam dunia ini yang manusia lakukan. Tetapi Allah ﷻ sentiasa menyebut dengan khusus dosa-dosa yang berkenaan dengan kemaluan. Ini disebut dalam kalimah faahishah. Kenapa ada disebut khusus tentang perkara ini?

Allah ﷻ menyebut secara khusus kerana masalah ini memang berterusan dari dahulu lagi sehinggalah sampai bila-bila dan kerana ia susah untuk dijaga serta perlu diberi perhatian yang lebih. Kerana itu,  Allah ﷻ  menyebutnya secara khusus.

Ia adalah perkara yang amat senang berlaku dan perkara yang susah untuk ditahan kerana setiap manusia ada nafsu syahwat dan ada orang yang tidak dapat menahan nafsunya terutamanya orang-orang muda yang hormon mereka sedang naik. Kita mungkin tidak membunuh orang dan tidak mencuri harta orang lain, tetapi kalau bab nafsu syahwat, memang susah hendak dijaga.

Sudahlah masalah menjaga kemaluan ini susah dari dahulu lagi, malangnya sekarang masalah itu dibesarkan lagi kerana kita hidup pada zaman yang semuanya mudah untuk didapati. Sampaikan kanak-kanak kecil pun sudah didedahkan dengan perkara ini. Lihatlah apa yang ada di dalam media massa sekarang ini.

Perlakuan artis yang tidak senonoh senang sahaja terpampang di dada akhbar dan televisyen. Sangat senang anak-anak kita terpengaruh dengan mereka. Apabila ianya sudah banyak di dalam media massa, sehingga masyarakat akan menjadi lali dengan perkara ini, mereka tidak lagi berasa bersalah jikalau melakukannya. Kanak-kanak pun membesar dengan melihat perkara begini sebagai bukan masalah besar kepada mereka. Seolah-olah tidak berdosa menjadi penyanyi dan membuka aurat di khalayak ramai.

Maka mereka yang mahu menjadi orang mukmin mesti menjaga perkara ini betul-betul kerana ianya memang sesuatu yang amat membahayakan dan sukar untuk dikawal. Kita kena cuba mengadakan suasana masyarakat yang menjaga perkara-perkara ini dari berleluasa. Kita kena memberitahu mereka bahawa perkara ini berbahaya.

Sebenarnya kita tidak boleh membiarkan lelaki dan perempuan bermesraan duduk bersama-sama tanpa ada kawalan kerana itu akan menyebabkan kita sudah tidak berasa sensitif lagi apabila ada perempuan ataupun lelaki ajnabi di sekeliling kita. Ini dinamakan ikhtilat. Apabila sudah lali, maka senanglah syaitan memasukkan jarumnya ke dalam hati lelaki dan wanita itu untuk melakukan maksiat.

Akhirnya mereka berzina dan keluarlah anak zina. Apabila keluar anak zina, maka anak itu akan dizalimi kerana pasangan lelaki dan wanita itu malu untuk menjaga anak tersebut. Maka agama Islam sudah mencegah perkara ini dari berlaku awal-awal lagi. Banyak ayat-ayat Qur’an (seperti surah Nisa’, Nur dan Ahzab) dan hadis tentang perkara ini. Malangnya ramai yang tidak mahu ambil tahu.


 

Ayat 6: Kita disuruh menjaga kemaluan kita tetapi bukanlah Islam menyuruh menahan terus nafsu seks kita. Kerana ini adalah fitrah manusia dan ianya perlu dilepaskan. Tetapi kenalah dilakukan pada tempat yang halal.

إِلّا عَلىٰ أَزوٰجِهِم أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم فَإِنَّهُم غَيرُ مَلومينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except from their wives or those their right hands possess,¹ for indeed, they will not be blamed –

  • Female slaves or captives under their ownership.

(MELAYU)

kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

 

إِلّا عَلىٰ أَزوٰجِهِم

kecuali terhadap isteri-isteri mereka

Kita boleh memenuhi kehendak nafsu kita kepada isteri-isteri kita. Iaitu melalui perkahwinan yang sah. Apabila ia sah, maka anak yang lahir dari perkahwinan itu akan diiktiraf dan mereka akan dijaga.

Islam adalah agama yang praktikal. Memang setiap insan ada kehendak kepada hubungan lelaki dan wanita. Kita bukanlah seperti agama sesat yang menghalang ahli agama dari berkahwin seperti agama Kristian, Buddha dan Hindu itu. Agama-agama itu telah menolak fitrah semulajadi manusia.

Memang tidak patut apabila ahli-ahli agama mereka seperti paderi dan sami dihalang dari berkahwin. Siapa yang suruh? Apabila itu berlaku, maka memang ada masalah. Kerana itu kita selalu mendengar kes paderi meliwat budak lelaki di gereja dan sebagainya. Begitulah yang terjadi jikalau kehendak normal ditahan.

Dan Islam juga tidaklah seperti agama Syiah (kerana mereka bukan Islam pun) yang membenarkan nikah mutaah. Ini pun bahaya juga kerana ianya adalah penzinaan dan pelacuran sebenarnya. Jadi Syiah adalah satu-satunya agama di dalam dunia yang membenarkan, malah menggalakkan penzinaan.

Maka kenalah kita jelaskan kepada masyarakat tentang Syiah ini. Kena faham agama dan kena tahu betapa sesatnya mereka itu. Kerana kalau jahil agama, kemudian diberitahu pula yang Syiah membenarkan Nikah Mutaah, maka ramailah yang akan tertarik. Padahal ianya adalah perkara yang haram dilakukan dan melibatkan penzaliman kepada wanita dan kanak-kanak yang lahir hasil dari pernikahan mutaah itu.

 

أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم

atau hamba yang mereka miliki;

Selain dari isteri, halal untuk kita mengadakan seks dengan hamba perempuan. Memang di dalam Islam membenarkan hubungan seks dengan hamba dan mungkin ini menyebabkan ada golongan yang sengaja mencari masalah dengan Islam untuk mereka mengkritik Islam. Ini kerana mereka tidak faham bagaimanakah perkara ini boleh dibenarkan di dalam Islam.

Kita kena ingat yang surah ini diturunkan semasa zaman perhambaan masih lagi berleluasa di mana wanita-wanita hamba itu dikira sebagai harta benda dan boleh diperlakukan mengikut kehendak tuannya (tentunya dengan syarat-syaratnya). Maka dalam keadaan itu, memang menjadi kebiasaan seorang tuan untuk menggunakan hambanya sebagaimana dia menggunakan isterinya juga.

Ini tidak menjadi haram kerana hamba perempuan itu menjadi hak tuannya dan menjadi tanggungjawab tuannya juga. Ada persamaan juga dengan perkahwinan kerana di dalam perkahwinan, apabila seorang lelaki itu menikahi seorang wanita maka terjadilah proses pertukaran tanggungjawab daripada wali wanita itu kepada suaminya. Dan Islam walaupun membenarkan perhambaan, tetapi amat menjaga perkara ini supaya tidak terjadi kezaliman kepada hamba-hamba itu.

Tetapi di dalam Islam, perhambaan ini tidak berterusan kerana memang Islam hendak menghapuskan institusi perhambaan ini. Kerana itulah digalakkan untuk pemilik-pemilik hamba untuk membebaskan hamba-hamba mereka sehinggalah sekarang ini tidak ada lagi perhambaan di dalam Islam. Tapi ia hukum ‘tergantung’ di mana ia masih lagi boleh dijalankan kalau perlu. Maknanya, bukanlah hukum perhambaan ini terus mansukh.

Jikalau anak yang lahir hasil dari perhubungan hamba dan tuannya, maka anak itu dikira sebagai merdeka dan bukanlah hamba. Dan wanita itu tidak boleh dijual lagi dan apabila tuannya mati, wanita itu terus merdeka. Ini tidak ada di dalam mana-mana agama kerana penindasan hamba berlaku dengan berleluasa di dalam agama lain.

Kita kena ingat bahawa bukanlah Islam yang memulakan sistem hamba, tetapi agama Islam menguruskan hamba itu dengan baik. Ada hak-hak hamba yang diberikan kepada mereka. Dan diberikan ganjaran yang amat besar kepada mereka yang membebaskan hamba. Banyak kesalahan yang mewajibkan pembebasan hamba seperti kalau terbunuh seseorang, melakukan hubungan seks di siang hari di bulan Ramadhan dan lain-lain lagi – kesannya semakin banyak hamba yang dibebaskan.

Dan memang kalau kita melihat dari kalimah yang digunakan juga menunjukkan yang perhambaan itu tidak kekal kerana kalimah isteri itu أَزوٰجِهِم dalam bentuk kata-nama sedangkan kalimah ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم itu dalam bentuk kata-kerja yang memberi isyarat yang ianya tidak kekal.

 

فَإِنَّهُم غَيرُ مَلومينَ

maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

Mendatangi isteri yang telah dinikahi secara sah bukanlah satu kezaliman dan bukan pula satu perkara yang tercela, malahan ia boleh merapatkan hubungan antara suami dan isteri itu. Allah ﷻ akan memberi keberkatan kepada suami isteri itu kerana mereka melakukan perbuatan yang diredhai oleh Allah ﷻ. Bayangkan, buat seks dengan pasangan halal akan dapat pahala.

Begitu juga mengadakan hubungan seks dengan hamba juga tidak salah, asalkan dilakukan dalam proses yang benar dan tidak zalim kepada hamba itu. Maka seks selain dari dua perkara ini dilarang sama sekali.

Oleh kerana itu, Imam Syafie dan orang-orang yang sependapat dengannya telah mengambil ayat ini sebagai dalil bagi mengatakan bahawa mastubasi (onani) itu haram. Kerana perbuatan mastubasi itu di luar kedua perkara yang telah tersebut di atas.


 

Ayat 7: Kutukan kepada mereka yang melampau dari yang sepatutnya.

فَمَنِ ابتَغىٰ وَراءَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ العادونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But whoever seeks beyond that, then those are the transgressors –

(MELAYU)

Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

 

Kalimah ابتَغىٰ bermaksud ‘melampau’. Iaitu keluar dari hukum Allah ﷻ dalam hal perhubungan suami isteri. Mereka memang berusaha untuk mencari lelaki dan wanita yang lain walaupun mereka sudah ada isteri dan suami.

Mereka sampai sanggup mencari seks luar sedangkan mereka sudah ada pasangan masing-masing adalah kerana mereka tidak menilai keindahan perkahwinannya sendiri. Mereka juga mungkin telah terpesona dengan gambar-gambar dan video di media. Ini terkait dengan hal lagha yang kita telah bincangkan sebelum ini (melihat filem-filem yang tidak senonoh). Itulah masalah kepada kebanyakan pasangan: sudah ada suami atau isteri pun, tetapi masih terliur dengan penampilan orang lain.

Ini memang masalah yang besar dan kita tidak boleh kecilkan kerana ramai yang melakukannya dan kita boleh lihat bagaimana berita-berita ini sudah tersebar di dalam suratkhabar dan di internet. Kita selalu mendengar ramai yang menjadi habuan di luar sana. Gambar-gambar dan video yang mengandungi elemen pornografi ini terlalu banyak di internet dan mudah sahaja untuk dicapai oleh manusia walaupun kanak-kanak.

Ini kerana mereka telah melihat standard yang ada di dalam media itu amat tinggi, sehinggakan apa yang ada pada pasangan mereka sudah tidak cukup – padahal sama sahaja. Apa yang pasangan mereka ada, sama sahaja dengan apa yang ada pada pelakon filem atau artis itu (cuma artis lebih pandai pakai mekap sahaja).

Mereka itu telah melampaui batas. Mereka telah melampaui batas syariat apabila melakukan perkara terkutuk seperti pernikahan mutaah, liwat, hubungan dengan pelacur dan sebagainya.

Oleh itu, kriteria ke-empat orang mukmin ini adalah untuk mengajar kita menjaga kemaluan kita dari melakukan perkara yang salah. Ini amat penting sekali dan kalau tidak diambil berat, maka masyarakat akan menjadi rosak.

Lihat bagaimana ciri-ciri lain mengandungi satu ayat sahaja tetapi tentang menjaga kemaluan ini Allah ﷻ sebutkan sampai tiga ayat sekali gus; ini menunjukkan betapa pentingnya ia dan kerana itu kita kena memberi perhatian yang lebih kepadanya.


 

Ayat 8: Kriteria kelima dan keenam sifat orang mukmin dalam satu ayat ini. Ini pula sifat menjaga amalan dalam hal muamalah. Orang mukmin akan memenuhi amanah (ciri kelima) dan memenuhi janji mereka (ciri keenam). Kalau tidak menjaganya, dikira sebagai zalim.

وَالَّذينَ هُم لِأَمٰنٰتِهِم وَعَهدِهِم راعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who are to their trusts and their promises attentive

(MELAYU)

Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

 

Dalam ayat sebelum ini telah disebut berkenaan hal peribadi dan sekarang ini sudah melibatkan perhubungan dengan orang lain. Sekarang disebut tentang amanah pula.

Orang-orang mukmin itu akan menjaga amanah yang telah diberikan kepada mereka dan mereka memenuhi janji yang telah mereka lakukan.  Dan sikap mereka terhadap amanah dan janji itu adalah seperti seorang penggembala. Maknanya mereka menjaga betul-betul sebagaimana penggembala kambing akan menjaga kambing jagaannya itu.

Ada kaitan di antara ciri ini dengan ciri yang sebelumnya, kerana apabila seseorang itu boleh menjaga hubungan dan janjinya kepada pasangannya (dengan tidak melakukan zina) maka barulah dia boleh menjaga amanah dan janjinya kepada orang lain. Kerana jika mereka sudah tidak ada malu untuk melakukan perkara-perkara yang memalukan, maka itu bermakna mereka sudah tidak ada maruah lagi dan mereka tidak akan ada masalah untuk pecah amanah dan memungkiri janji yang telah mereka meterai.

Amanah diambil daripada perkataan ‘aman’ kerana seseorang berasa aman untuk meninggalkan barangnya kepada orang yang lain yang dipercayainya. Kerana itulah Rasulullah ﷺ dikenali sebagai Al-Amin sebelum menjadi Nabi lagi. Penduduk Mekah senang hati (aman) menitipkan barangan berharga mereka di bawah jagaan baginda kerana mereka melihat baginda sebagai seorang yang boleh dipercayai dan amat menjaga amanah.

Banyak perkara yang boleh termasuk di dalam ayat ini. Kerana itulah kalimah  لِأَمٰنٰتِهِم ini dalam bentuk jamak (plural). Sebagai contoh, apabila ibu bapa telah menghantar kita belajar di universiti maka kita mesti penuhi janji untuk belajar; kalau ada kerja yang diberikan kepada kita oleh majikan kita, maka kenalah kita laksanakan dengan baik; kalau ada orang yang menyerahkan barang kepada kita untuk dijaga, maka hendaklah kita menjaganya baik-baik; kalau ada orang yang memberitahu rahsia kepada kita, maka hendaklah kita simpan rahsia itu; kalau kita telah dilantik menjadi pemimpin masyarakat, maka kenalah kita jalankan amanah itu dengan semampu kita; dan banyak lagi.

Apabila orang mukmin itu diberi kepercayaan, dia tidak akan khianat; bahkan dia akan menunaikan amanat itu kepada pemiliknya. Apabila mereka berjanji atau mengadakan transaksi, maka mereka menunaikannya dengan benar. Ini berlawanan dengan sikap orang-orang munafik yang dikatakan oleh Rasulullah ﷺ dimana mereka mempunyai ciri khas berikut, sebagaimana sabdanya:

“آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّث كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذا اؤتمن خَانَ”.

Pertanda orang munafik ada tiga, iaitu: Apabila berbicara, dusta; apabila berjanji, engkar; dan apabila dipercaya, khianat.

Ciri ke-enam adalah memenuhi janji. Ini adalah apabila ada perjanjian khusus diantara sekurang-kurangnya dua pihak. Orang beriman akan memastikan mereka menunaikan perjanjian itu. Kerana itu ada kalimat: “manusia dipegang pada janjinya.” Ini adalah kerana janji itu amat penting dalam kehidupan kita. Kita sebagai manusia (sama ada Muslim atau tidak) memang tidak suka kalau ada orang lain yang memungkiri janji.

Orang Mukmin akan pegang sungguh janji mereka. Mereka tidak ambil mudah. Apabila mereka berjanji, mereka akan ingat janji itu dan mereka akan tunaikan semampu mereka.

Janji juga termasuklah jikalau satu pihak sahaja berjanji untuk melakukan sesuatu. Dia yang berjanji secara sukarela. Tetapi apabila dia telah berjanji, maka dia kenalah menepatinya.


 

Ayat 9: Sekarang kita masuk ke dalam perbincangan kriteria ke-tujuh. Sekarang Allah ﷻ kembali mengatakan tentang solat. Ia mengajar kita amalan untuk mendapat khusyuk di dalam solat. Orang beriman akan menjaga solatnya.

وَالَّذينَ هُم عَلىٰ صَلَوٰتِهِم يُحافِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they who carefully maintain their prayers –

(MELAYU)

dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.

 

Semua kita berharap supaya mendapat khusyuk di dalam solat. Dan khusyuk dalam sembahyang itu boleh didapati dengan banyak melakukan sembahyang. Sebagaimana kita hendak mendapatkan kemahiran di dalam sesuatu perkara, maka perlulah kita selalu melakukan perkara itu. Sebagai contoh, ahli sukan akan sentiasa berlatih, bukan?

Jadi orang yang hendak mahir di dalam solat hendaklah selalu solat – iaitu mereka bukan sahaja mengerjakan solat fardhu tetapi mereka menjaga solat itu dengan ditambah solat-solat sunat. Ini mengajar kita yang solat fardhu tidak akan sempurna tanpa adanya solat sunat. Kerana tentu kita ada melakukan kesilapan dan kekurangan di dalam solat fardhu kita, bukan? Maka kekurangan di dalam solat fardhu itu ditampung dengan melakukan solat-solat sunat.

Bagi lelaki, maksud ‘menjaga’ solat fardhu itu adalah dengan mengerjakan solat berjemaah. Jika tidak solat berjemaah maka lelaki itu tidak dikira sebagai menjaga solat fardhu. Dan solat berjemaah ini perlu dilakukan di masjid, bukannya di rumah dengan keluarga atau di pejabat bersama rakan-rakan sepejabat.

Solat sunat yang perlu dijaga ada empat:

  1. Solat Witr (Solat Ganjil). Ini adalah solat sunat yang utama. Ia dilakukan di malam hari dan pahalanya melebihi solat tahajud.
  2. Solat Tahajud adalah solat yang dilakukan setelah tidur. Selalunya dilakukan di dalam sepertiga malam terakhir (lebih kurang dalam tiga jam sebelum waktu Subuh).
  3. Solat Dhuha
  4. Solat-solat Rawatib. Iaitu solat yang mengiringi solat-solat fardhu.

Dan ada juga solat-solat sunat yang tidak tetap tetapi dilakukan apabila ada keperluan. Sebagai contoh, antara solat sunat yang utama:

  1. Solat Istikharah. Dilakukan apabila kita memerlukan bantuan Allah ﷻ di dalam membuat keputusan.
  2. Solat Hajat. Solat yang dilakukan jikalau kita ada keperluan dan kehendak kepada Allah ﷻ. Maka eloklah kita solat sunat dua rakaat dan selepas solat, kita nyatakan keinginan kita. Tetapi ingat, solat ini bukanlah dilakukan secara berjemaah tetapi dilakukan secara sendirian sahaja.
  3. Solat Taubat. Solat yang dilakukan jikalau kita telah melakukan banyak kesalahan dan kita hendak bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah ﷻ.

Nota: Solat-solat ini adalah sebagai muqaddimah (permulaan) kepada niat kita untuk sesuatu. Kita melakukannya sebagai tambahan sahaja kerana niat-niat itu boleh dilakukan tanpa solat sebenarnya. Konsep ini yang ramai susah hendak faham, maka kita cuba jelaskan.

Sebagai contoh, kalau ada hajat atau keperluan, kita boleh terus berdoa kepada Allah ﷻ‎; kalau ada dosa, boleh terus bertaubat kepada Allah ﷻ‎. Maknanya, tidak perlu solat pun kita sudah boleh berdoa dan bertaubat kepada Allah ﷻ‎. Akan tetapi ianya lebih baik jika dapat dilakukan selepas solat sunat. Kerana doa itu lebih makbul setelah melakukan amal kebaikan dan amal kebaikan yang paling baik adalah solat.

Nama-nama solat sunat yang disebut di atas tidaklah diberikan oleh Nabi ﷺ, tetapi ianya diberikan oleh para ulama sahaja sebagai pengenalan. Jadi solat-solat ini sebenarnya adalah solat sunat biasa sahaja. Tidak ada kaifiat tertentu untuk melakukannya kerana ia solat sunat biasa sahaja.

Tetapi biasalah, selalunya ahli agama akan mengambil peluang untuk menambah perkara-perkara yang tidak patut. Mereka mulalah reka kaifiat sendiri (niat macam mana, raka’at pertama baca apa dan raka’at kedua baca apa, kemudian ditambah dengan amalan-amalan bid’ah yang lain). Jadi kalau tidak belajar tentang solat melalui jalan sunnah, memang akan ditipu oleh ustaz-ustaz yang ahli bid’ah. Maka hendaklah berhati-hati.

Dan kemudian ada solat-solat sunat yang jarang dilakukan, seperti Solat Hari Raya, Solat Gerhana, Solat Jenazah dan sebagainya. Ruang di sini bukanlah untuk mengajar dengan terperinci tentang solat-solat ini. Maka perlulah ada usaha sendiri untuk belajar dan bertanya kepada mereka yang tahu dan mengamalkan sunnah.

Yang penting, jangan bertanya kepada ustaz yang bukan sunnah kerana mereka akan mengajar perkara yang salah dan ada banyak perkara tambahan sehingga menyusahkan kita sendiri.

Maka orang mukmin adalah mereka yang dapat menjaga solat-solat sunat ini dan kerana itu mereka berjaya  khusyuk di dalam solat mereka. Mereka akan mendapat khusyuk di dalam solat kerana mereka banyak melakukan latihan solat. Allah ﷻ akan memberi keberkatan dan taufik kepada mereka kerana mereka banyak mengerjakan amalan-amalan sunat.

Solat di dalam ayat ini sudah menjadi bentuk jamak (صَلَوٰتِ) kerana ia merangkumi bukan sahaja solat fardhu tetapi solat-solat sunat yang lain juga. Kerana ada solat-solat sunat yang statusnya solat sunat muakkad yang perlu kita jaga.

Orang Mukmin akan menjaga solat fardhu yang diwajibkan ke atas manusia itu dan menambah lagi dengan solat-solat sunat kerana solat-solat fardhu itu mungkin ada kekurangan, maka kekurangan itu ditampung oleh solat-solat sunat itu.

Kalimah يُحافِظونَ ini bukan di dalam bentuk kata nama pula kerana solat-solat sunat ini susah untuk dijaga dengan sempurna kerana mungkin kadangkala ada yang tertinggal. Akan tetapi orang mukmin akan sentiasa cuba untuk memenuhinya.

Satu lagi tafsir ayat ini bermaksud mengerjakan solat secara rutin tepat pada waktunya masing-masing. Seperti yang dikatakan oleh sahabat Ibnu Mas’ud رضي الله عنه ketika dia bertanya kepada Rasulullah ﷺ :

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ؟ قَالَ: “الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: “بِرُّ الْوَالِدَيْنِ”. قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”.

Aku pernah bertanya; “Wahai Rasulullah amal apakah yang paling disukai oleh Allah?” Rasulullah ﷺ. menjawab, “Mengerjakan solat di dalam waktunya.” Saya bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda jawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.” Saya bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda jawab, “Berjihad pada jalan Allah.” Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahihnya masing-masing.

Maka itulah sifat dan kriteria orang mukmin dan hendaklah kita cuba untuk mengamalkannya. Ianya amat mulia dan begitulah juga sifat Rasulullah ﷺ. Bukankah kita disuruh untuk mengikut cara baginda ﷺ?

قَالَ النَّسَائِيُّ فِي تَفْسِيرِهِ: أَنْبَأَنَا قُتَيْبَةَ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا جَعْفَرٌ، عَنْ أَبِي عِمْرَانَ عَنْ يَزِيدَ بْنِ بابَنُوس قَالَ: قُلْنَا لِعَائِشَةَ: يَا أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، كَيْفَ كَانَ خُلُق رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَتِ: كَانَ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ، فَقَرَأَتْ: {قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ} حَتَّى انتَهَتْ إِلَى: {وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ} ، قَالَتْ: هَكَذَا كَانَ خُلُق رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Imam Nasai mengatakan di dalam kitab tafsirnya, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Ja’far, dari Abu Imran, dari Yazid ibnu Babanus yang mengatakan, “Kami pernah bertanya kepada Siti Aisyah Ummul Mu’minin, ‘Bagaimanakah akhlak Rasulullah ﷺ?” Aisyah رضي الله عنها menjawab: Akhlak Rasulullah ﷺ. adalah Al-Qur’an. Kemudian Aisyah رضي الله عنها membaca firman-Nya: Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Al Mu’minun: 1) sampai kepada firman-Nya: dan orang-orang yang memelihara solatnya. (Al Mu’minun: 9) Kemudian Aisyah رضي الله عنها berkata, “Demikianlah akhlak Rasulullah ﷺ.”


 

Ayat 10: Ini adalah natijah kepada mereka yang dapat menjaga semua perkara-perkara di atas.

أُولٰئِكَ هُمُ الوٰرِثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the inheritors

(MELAYU)

Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

 

Kita telah menyebutkan satu persatu sifat orang mukmin itu. Mari kita senaraikan:

1. Khusyuk di dalam solat
2. Meninggalkan perkara lagha
3. Melakukan zakah (tazkiatun nafs)
4. Menjaga kemaluan dari perkara haram
5. Memenuhi amanah
6. Memenuhi janji
7. Menjaga solat

Kalau kita lihat senarai di atas, ia dimulai dengan ‘solat’ dan diakhiri dengan ‘solat’ juga. Ini memberi isyarat yang kalau kita menjaga solat kita, sifat-sifat yang lain itu juga akan datang.

Mereka yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebut di atas lah yang layak digelar sebagai mukminoon. Dan merekalah yang akan ‘mewarisi’; tetapi mewarisi apa? Allah ﷻ tidak sebut di dalam ayat ini dan menjadikan ianya sebagai satu persoalan. Mereka yang membaca setakat ini akan tertanya-tanya di dalam fikirannya: mewarisi apa? Inilah kesan yang timbul (tertanya-tanya hendak tahu).

Apabila dikatakan ‘mewarisi’, maknanya ia akan menjadi hak mereka. Akan kekal dapat, macam kalau kita dapat warisi harta dari peninggalan ayah kita – ia akan menjadi hak kita. Kalau diberi perumpamaan tanah, ia bermaksud orang yang mewarisi itu dapat geran, dan bukan setakat menyewa sahaja. Dia boleh membuat apa sahaja yang dia kehendaki dengan barang yang telah diwarisinya itu.


 

Ayat 11: Setelah Allah ﷻ menimbulkan persoalan untuk menarik minat pembaca Qur’an, maka Allah ﷻ menjawab di dalam ayat ini. Allah ﷻ memberitahu bahawa orang mukmin itu sudah cukup syarat untuk dimasukkan ke dalam Syurga tingkatan Firdaus.

الَّذينَ يَرِثونَ الفِردَوسَ هُم فيها خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who will inherit al-Firdaus.¹ They will abide therein eternally.

  • The highest part of Paradise.

(MELAYU)

(yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

 

الَّذينَ يَرِثونَ الفِردَوسَ

(yakni) orang-orang yang akan mewarisi syurga Firdaus.

Persoalan yang ditimbulkan di dalam ayat sebelum ini dijawab di dalam ayat ini: iaitu yang diwarisi adalah Syurga Firdaus. Kalimah ‘Firdaus’ ini berasal dari Parsi yang bermaksud ‘taman yang hijau’ dan dari perkataan ini juga telah dijadikan perkataan di dalam Bahasa Inggeris iaitu ‘paradise’.

Firdaus adalah tingkatan tertinggi di dalam syurga. Syurga itu sebenarnya ada satu sahaja, tetapi ada banyak tingkatan – dan tingkatan yang paling tinggi adalah Tingkatan Firdaus.

Maka hendaklah kita berharap kepada Tingkatan Firdaus ini. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ الْجَنَّةَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَعْلَى الْجَنَّةِ وَأَوْسَطُ الْجَنَّةِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ”

Apabila kalian meminta syurga kepada Allah, maka mintalah kepada-Nya syurga Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus itu adalah syurga yang tertinggi dan paling pertengahan, darinya bersumberkan semua sungai syurga, dan di atasnya terdapat ‘Arasy (singgasana) Tuhan Yang Maha Pemurah.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

Mereka kekal di dalamnya.

Sesiapa yang dapat masuk ke dalam syurga akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Ini adalah nikmat yang amat besar. Kerana sekiranya mendapat nikmat sebesar mana pun tetapi sekiranya tidak kekal, itu akan mengurangkan kehebatan nikmat itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Hajj Ayat 77 – 78 (Nama kamu adalah Muslim)

Ayat 77: Ayat 77 dan 78 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia berkenaan ibadat, jihad dan dakwah.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا اركَعوا وَاسجُدوا وَاعبُدوا رَبَّكُم وَافعَلُوا الخَيرَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, bow and prostrate and worship your Lord and do good – that you may succeed.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.

 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا

Hai orang-orang yang beriman,

Maka jikalau kebanyakan daripada manusia tidak menghargai Allah maka sekarang Allah bercakap kepada orang-orang yang beriman dan mengajar kepada mereka bagaimana cara-caranya untuk menghargai Allah.

 

اركَعوا وَاسجُدوا

ruku’lah kamu, sujudlah kamu, 

Sekarang Allah mengajar manusia untuk rukuk dan sujud di dalam solat kerana dua perbuatan ini adalah untuk merendahkan diri kepada Allah. Dan juga untuk menunjukkan bahawa kita penat dan hanya kepada Allah sahaja kita bergantung. Kerana itu kita boleh lihat dalam rancangan sukan, apabila mereka penat mereka akan rukuk dan kalau penat lagi mereka akan sujud ke tanah.

 

وَاعبُدوا رَبَّكُم

dan hambakan diri kepada Tuhanmu

Dan kemudian Allah mengajar manusia untuk menghambakan diri kepadaNya dan ini bukan tentang ibadah – kerana rukuk dan sujud sudah berkenaan ibadah tetapi اعبُدوا ini berkenaan hal luar ibadah. Kita kena rasa yang kita ini adalah hamba kepada Allah dan kena terima kedudukan kita itu. Kerana jikalau kita terima yang kita ini adalah hamba Allah dan taat kepadaNya dalam segala hal, maka hidup kita akan jadi tenang.

Kerana jikalau kita tidak menghambakan diri kepada Allah, maka kita tentu menghambakan diri kepada benda lain selain Allah. Sebagai contoh kepada masyarakat, kepada kawan-kawan kita, kepada keluarga kita, kepada wang, kepada kerja dan sebagainya. Maka kena pilih, kita nak kena jadi hamba kepada siapa sebenarnya?

 

وَافعَلُوا الخَيرَ

dan perbuatlah kebajikan, 

Dan selepas Allah menceritakan ibadat kepadaNya dan menghambakan diri kepadaNya, sekarang kita tahu yang salah satu daripada pernyataan perhambaan kepada Allah adalah dengan melakukan kebaikan kepada makhluk-makhluk yang lain.

Orang yang benar-benar menghambakan diri kepada Allah akan mula prihatin kepada orang-orang lain yang di sekelilingnya dan dia mula menolong orang-orang itu. Dia akan sentiasa melakukan kebaikan apabila ada peluang. Kerana dia tahu yang Allah suka kebaikan yang dilakukan oleh kita.

 

لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

supaya kamu mendapat kemenangan.

Kalau kita lakukan semua perkara di atas, maka ada harapan yang kita akan beroleh kejayaan. Dan inilah kejayaan sebenarnya. Iaitu kejayaan setelah berusaha. Itulah yang digunakan kalimah مفلح iaitu dari katadasar ف ل ح. Maknanya, kejayaan itu diperolehi bukan dengan goyang kaki tapi dengan hasil usaha.

Nota: ayat ini adalah Ayat Sajdah, maka disunatkan untuk sujud selepas baca ayat ini. Ada kelebihan pada Surah Hajj ini kerana ia ada dua Ayat Sajdah di dalamnya. Surah lain kalau ada pun hanya satu sahaja. Telah disebutkan hadis Uqbah ibnu Amir, dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

“فُضلت سُورَةُ الْحَجِّ بِسَجْدَتَيْنِ، فَمَنْ لَمْ يَسْجُدْهُمَا فَلَا يَقْرَأْهُمَا”.

Surat Al-Hajj mempunyai kelebihan dengan dua sajdahnya. Maka barang siapa yang tidak melakukan sujud pada keduanya, janganlah membacanya.


 

Ayat 78:

وَجٰهِدوا فِي اللهِ حَقَّ جِهادِهِ ۚ هُوَ اجتَبٰكُم وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا لِيَكونَ الرَّسولُ شَهيدًا عَلَيكُم وَتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ ۚ فَأَقيمُوا الصَّلوٰةَ وَآتُوا الزَّكوٰةَ وَاعتَصِموا بِاللهِ هُوَ مَولٰكُم ۖ فَنِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And strive for Allāh with the striving due to Him. He has chosen you and has not placed upon you in the religion any difficulty. [It is] the religion of your father, Abraham. He [i.e., Allāh] named you “Muslims” before [in former scriptures] and in this [revelation] that the Messenger may be a witness over you and you may be witnesses over the people. So establish prayer and give zakāh and hold fast to Allāh. He is your protector; and excellent is the protector, and excellent is the helper.

(MELAYU)

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

 

وَجٰهِدوا فِي اللهِ حَقَّ جِهادِهِ

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.

Yakni dengan harta benda, lisan, dan jiwa kalian. Kerahkan segala tenaga yang kita ada. Ayat ini adalah ayat penghujung surah dan ia juga adalah ayat klimaks. Dan memang surah ini ada menyebut tentang keizinan untuk berperang, maka ayat akhir ini tentang jihad.

Dalam ayat ini Allah tidak mengatakan jihad ‘di jalan (sabil) Allah’ tapi disebut ‘فِي اللهِ untuk Allah’ kerana hendak menekankan hubungan yang rapat dengan Allah. Maka kenalah berjihad dengan sungguh-sungguh.

Adakah kita mampu untuk menghargai Allah seperti yang Allah layak dihargai? Jawapannya, tentu tidak kerana walaupun kita meluangkan setiap saat sepanjang hidup pun dengan mengerjakan ibadat, kita tidak akan mampu melakukannya. Maka maksud ayat ini adalah kita kena melakukan sebaik mungkin dan kita kena berusaha bersungguh-sungguh melakukan lebih dari keadaan biasa. Kena ada usaha lebih sikit.

 

هُوَ اجتَبٰكُم

Dia telah memilih kamu

Ingatlah yang kita semua ini telah dipilih oleh Allah. Kita dijadikan sebagai umat terakhir, diberikan dengan Nabi Muhammad sebagai penutup Nabi dan Rasul dan Nabi yang paling mulia. Walaupun kita ini makhluk yang lemah dan tidak mampu memenuhi keperluan untuk menghargai Allah seperti yang sepatutnya, tetapi Allah beritahu kita di dalam ayat ini yang Dia telah memilih kita.

Maka ingatlah yang Allah telah memilih kita dan meletakkan kita di atas jalan agama yang benar itu untuk menegakkan agama Islam di atas muka bumi ini. Maka apabila kita telah menjadi seorang Muslim dan dilahirkan di dalam agama Islam dan diberi pemahaman agama Islam ini, maka kita kena ingat yang itu adalah satu pemilihan Allah terhadap diri kita.

Jadi ini bukan main-main. Pemilihan ini datang dengan tanggungjawab. Jadi nanti kita akan ditanya: tanggungjawab telah diberi, apa yang kamu telah lakukan untuk memenuhi tanggungjawab itu?

Tetapi biasalah, kadangkala dalam kehidupan kita ini ada orang yang telah dilantik untuk melakukan sesuatu dan dia memang ada keupayaan untuk melakukan kerja itu ataupun tugas itu tetapi akhirnya dia tidak melakukannya. Maknanya dia tidak memenuhi tanggungjawabnya. Dan begitulah juga ada antara kita yang telah diletakkan di dalam agama Islam tetapi tidak menjalankan kerja dakwah dan ini amat membahayakan sekali.

Kerana sebagai seorang Muslim, dia kena jalankan apa yang dia boleh buat. Tidaklah dia kena mengajar kalau dia tidak mampu. Jadi setiap orang kena tengok apakah kelebihan dan kemampuan mereka dan mereka kena penuhi kemampuan mereka itu. Mungkin mereka boleh bantu dengan membina pusat pengajian, mungkin buat poster, mungkin memasak, mungkin bagi sumbangan kewangan dan macam-macam lagi cara.

Dan kalau mereka tidak jalankan, mereka akan ditanya nanti di akhirat. Itulah maksud kita apabila kita katakan merbahaya. Kerana akan ditanya dan kalau tidak dapat jawab, bagaimana?

 

وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ

dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.

Dan mungkin ada orang yang rasa tugas yang telah diberikan kepada mereka itu amat berat dan mereka rasa mereka tidak mampu melakukannya; maka Allah memberitahu di dalam ayat ini bahawa tugas yang diberikan kepada kita itu bukanlah berat; dan bukanlah Allah beri tugas ini kerana Allah hendak menyusahkan kita. Syaitan sahaja yang bagi tanggungjawab itu nampak susah. Kerana syaitan tak suka kalau kita berkhidmat menyebarkan agama.

Yakni Allah tidak membebankan kepada kita apa-apa yang tidak mampu kita kerjakan; Dia pun tidak mengharuskan sesuatu yang sangat berat bagi kita, melainkan Allah menjadikan bagi kita jalan keluar yang memudahkan.

Allah beritahu yang Dia telah pilih kita (ijtiba’). Mari kita lihat apakah maksudnya.  Untuk lebih faham, kita kena tengok apakah kalimah yang digunakan. Ada lagi kalimah lain yang bermaksud ‘pilih’.

Istifa’ adalah pemilihan yang dilakukan oleh Allah kerana Allah hendak memilih begitu dan Allah tidak perlu menjelaskannya. Ini macam kita suka makan limau dan tidak suka oren – ikut kitalah kita nak suka apa-apa pun dan tidak suka apa-apa pun. Allah gunakan kalimah ini apabila Allah memilih para rasul. Kerana Allah yang hendak pilih begitu.

Ijtiba’ pula adalah jenis pemilihan yang dilakukan kerana orang yang dipilih itu layak dan ada kemampuan untuk melakukan kerja yang dipilih itu. Allah gunakan kalimah ini apabila memilih kita sebagai Muslim (seperti yang digunakan dalam ayat ini). Yang dipilih itu pun tidak nampak apa kelebihan dia dipilih kerana dia tidak ada ilmu.

Oleh itu jangan kita persoalkan pemilihan Allah yang menjadikan kita sebagai Muslim dan sebagai orang yang diberikan dengan tanggungjawab untuk menegakkan agamanya kerana ada sebab yang Allah pilih kita dan kita memang ada kualiti untuk melakukannya.

Mungkin kita sahaja yang tidak tahu kemampuan kita. Tapi apabila Allah dah pilih, tentulah ia benar. Kerana ilmu Allah sempurna dan Allah tahu apa yang Allah lakukan. Allah tahu siapa yang Dia pilih, bukan?

Jadi mungkin ada yang merasakan agama ini susah; jadi kerana ada yang memikirkan begitu, maka Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa agama ini tidak menyusahkan. Kalau ada perasaan begitu dalam diri kita, maka kena buangkan jauh-jauh.

Dalam hal ibadat pun, banyak yang Allah telah mudahkan. Maka jangan kita kata ibadat itu susah pula. Kalau tidak mampu solat berdiri, boleh solat duduk atau berbaring. Kalau dalam perjalanan, boleh solat ringkas, kalau dalam perang, boleh solat khauf; dan macam-macam lagi kesenangan yang Allah telah jadikan untuk kita. Kalau dibandingkan dengan syariat umat-umat terdahulu, syariat kita lebih mudah sebenarnya. Kerana itulah Nabi Saw. pernah bersabda:

“بُعِثْتُ بالحنِيفيَّة السَّمحة”

Aku diutus dengan membawa agama Islam yang hanif lagi penuh toleransi.

Rasulullah Saw. bersabda kepada Mu’az dan Abu Musa, ketika baginda mengutus keduanya menjadi amir di negeri Yaman:

“بَشِّرا ولا تُنَفِّرَا، ويَسِّرا وَلَا تُعسِّرَا”

Sampaikanlah berita gembira dan janganlah kamu berdua membuat mereka lari (darimu); dan bersikap mudahlah kamu berdua, janganlah kamu berdua bersikap mempersulit.

Oleh kerana itu kita amat hairan apabila ada ustaz-ustaz dan ‘pemuka agama’ di negara ini yang mengajar perkara yang menyusahkan umat. Diajar cara solat yang susah, cara wudhuk yang susah, cara thoharah yang susah (sampai kena korek lubang dubur bila nak istnja’) dan macam-macam lagi. Sedangkan perkara itu tidak ada dalam agama.

Kita hairan mereka ambil di mana? Kesannya amat buruk sekali – manusia salah sangka yang agama ini kena bersusah-susah dan sampaikan ada yang susah hidup mereka. Sampai ada yang jadi penyakit was-was (dipanggil juga sebagai OCD). Itu bukan dari syarak Islam.

Wahai ustaz-ustaz, belajarlah sunnah, jangan pakai sahaja kitab yang kuning, kitab biru atau hijau. Ambillah agama dari wahyu – Qur’an dan hadis yang sahih. Jangan kamu susahkan masyarakat. Kalau kamu nak susahkan diri kamu sendiri, silakan; tapi jangan susahkan orang lain.

 

مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ

(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. 

Kita adalah sebahagian daripada millah Nabi Ibrahim. Tapi bukankah baginda terpaksa melalui berbagai-bagai ujian yang berat seperti kena dilempar dalam api, berdakwah kepada raja yang zalim, kena tinggal kampung halamannya dan ayahnya, kena tinggalkan anak dan isterinya di padang pasir yang tandus, dan kena sembelih anaknya sendiri?

Bukankah sebentar tadi Allah berfirman yang agama ini tidak menyusahkan dan kemudian Allah terus bercakap tentang Nabi Ibrahim yang kita pun tahu baginda telah diuji dengan berbagai-bagai kesukaran yang amat sangat? Kenapa pula begini?

Maka kita kena baca ayat ini sebagai satu pengharapan kerana kita telah belajar bagaimana walaupun Nabi Ibrahim itu telah diberikan dengan berbagai ujian yang besar-besar, tetapi baginda dapat melakukannya dengan bantuan Allah; maka kita kena ingat dan kena sedar bahawa Allah akan bantu kita di dalam menjalankan tugas kita untuk menegakkan agamaNya ini.

Dan Allah telah beritahu kita di dalam ayat yang lain yang sesiapa yang membantu agamaNya maka Allah akan membantu orang itu. Maka jadikan ayat ini sebagai berita gembira, bukannya berita menakutkan.

 

هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا

Dia telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini,

Nabi Ibrahim telah menamakan pengikutnya sebagai Muslim; dan ada juga orang yang mengatakan bahawa yang menamakan kita sebagai Muslim adalah Allah sendiri dan kedua-dua pendapat ini boleh dipakai.

Oleh itu, kita tidak berapa bersetuju apabila ada nama-nama kumpulan diberikan kepada puak-puak tertentu. Ada yang Salafi, Aswaja, Tabligh, Tarekat, Hizbut Tahrir dan macam-macam lagi. Sepatutnya pemisahan kepada kumpulan-kumpulan ini tidak patut. Bahayanya kerana puak-puak itu akan sangka yang merekalah yang terbaik.

Ini adalah kebiasaan manusia – bila sudah ada kumpulan, mulalah mereka rasa kumpulan mereka yang lebih baik dari kumpulan itu dan ini. Maka, kita kena kembali kepada ayat ini – ketahuilah yang nama kumpulan besar kita adalah ‘Muslim’. Kerana ini nama yang Allah telah berikan. Jadi kalau ada orang tanya: “Awak kumpulan mana?”, jawablah “Saya Muslim” dan sebut ayat Hajj:78 ini.

Dan kita telah belajar bagaimana Nabi Ibrahim itu telah menyerahkan sepenuh dirinya kepada Allah. Itulah maksud ‘Muslim’, iaitu menyerahkan sepenuhnya diri kita kepada Allah dan agama. Kalau tidak faham maksud Muslim ini, maka amat malanglah mereka yang mengaku sahaja sebagai Muslim. Nama mereka sahaja nama Muslim, tapi perangai mereka amat jauh dari kehendak agama Islam.

Mereka ini termasuklah orang yang tidak hiraukan tentang agama. Mereka tak kisah pun mereka jahil tentang agama. Semua benda mereka tak tahu, tapi selamba sahaja mereka buat tidak tahu. Patutnya bila tak tahu, kenalah cari guru untuk belajar, bukan? Benda lain belajar bersungguh, kalau suratkhabar dari mula sampai habis dibaca. Tapi pelajaran agama bila lagi nak dibaca?

 

لِيَكونَ الرَّسولُ شَهيدًا عَلَيكُم

supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu

Dan oleh kerana kita telah menjadi orang Islam dan ada tanggungjawab yang kita perlu lakukan, maka sekarang Allah memberitahu yang di hari akhirat nanti Allah akan angkat Nabi Muhammad sebagai saksi ke atas kita; dan Allah akan bertanya kepada Nabi Muhammad sama ada kita telah melakukan tugas itu ataupun tidak.

Kerana itu kalimah عَلَيكُم (ke atas kamu) yang digunakan. Ia memberi isyarat tanggungjawab apabila kalimah على (ke atas) digunakan. Nabi Muhammad terpaksa memberitahu yang benar walaupun kita ini adalah umatnya kerana kalau kita tidak melakukan tugas kita, maka Nabi Muhammad tidak akan dapat membantu kita.

Kerana Nabi Muhammad telah melakukan tugas baginda untuk menyampaikan agama ini dan sekarang tugas kita untuk melakukan perkara yang sama. Maka kena fikirkan bagaimana cara kita nak sampaikan agama ini kepada manusia.

 

وَتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ

dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia,

Dan kita pula menjadi saksi ke atas manusia-manusia yang lain iaitu mereka mereka yang kita telah beri dakwah kepada mereka. Dan kita kena lakukan ini supaya kita boleh berkata di hadapan Allah Ta’ala yang kita telah melakukan tugas kita cuma mereka sahaja yang tidak mahu menerimanya.

Atau kalimah syahid (jamak: syuhada’) boleh juga bermaksud ‘dakwah’. Nabi sampaikan kepada kita dan kita kena sampaikan kepada manusia lain. Maka memang tidak terlepas dari tanggungjawab menjalankan dakwah ini. Ramai yang sangka dakwah ini bukan tugas semua Muslim – mereka rasa orang tertentu sahaja yang kena menjalankan dakwah. Tapi kalau kita faham ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat yang lain, kita akan jelas bahawa dakwah ini memang tugas semua orang.

 

فَأَقيمُوا الصَّلوٰةَ وَآتُوا الزَّكوٰةَ

maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat

Dan sekarang kita telah sedar bagaimana susahnya tugas yang telah diletakkan di atas bahu kita ini dan mungkin sekarang kita tertanya-tanya: bagaimanakah kita akan dapat melakukannya? Di manakah kita dapat mencari kekuatan untuk menjalankan tugas yang Allah telah berikan ini?

Maka Allah beritahu di hujung surah ini bahawa kekuatan itu dapat dicari dengan mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat. Ianya adalah wakil kepada ibadat dan adat. Maknanya kita kena cari kekuatan dengan mengerjakan ibadah. Apabila kita jaga ibadah kita, maka Allah akan beri kekuatan kepada kita.

Kerana itulah Nabi Muhammad disuruh untuk mengerjakan solat malam. Padahal siangnya baginda mengerjakan dakwah sehari suntuk. Malamnya pula Allah suruh solat malam pula lagi. Kenapa? Kerana dengan mengerjakan solat malam itu, baginda akan mendapat kekuatan rohani untuk meneruskan dakwah di siang hari.

 

وَاعتَصِموا بِاللهِ

dan berpeganglah kamu kepada Allah. 

Dalam ayat ini Allah suruh berpegang denganNya dan selalunya dalam ayat yang kita biasa baca, Allah suruh berpegang dengan ‘tali Allah’. Maksud ‘tali Allah’ itu adalah Qur’an dan memang kita kena selalu baca Qur’an; tetapi berpegang ‘dengan Allah’ adalah dengan merapatkan diri dengan Allah. Kita kena cari jalan untuk merapatkan diri dengan Allah.

 

هُوَ مَولٰكُم

Dia adalah Pelindungmu,

Kita kena merapatkan diri dengan Allah dan berhubungan denganNya kerana kita memerlukan perlindungan dariNya kerana kita amat lemah. Allah adalah sebaik baik pelindung dan tidak ada pelindung yang lebih baik dari Allah. Maka kenalah kita berharap kepada Allah sahaja. Jangan nak seru Nabi, wali dan malaikat pula seperti yang dilakukan oleh ramai orang.

 

فَنِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ

maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Kena merapatkan diri dengan Allah kerana Dialah Pelindung yang terbaik. Dan kerana Dia juga yang terbaik yang boleh beri pertolongan kepada kita.

Kalimah نصر adalah pemberian pertolongan yang besar. Dalam keadaan yang kita terdesak dan memerlukan bantuan, yang boleh membantu kita hanyalah Allah sahaja. Maka hendaklah kita belajar bagaimana berdoa kepada Allah dan berharap kepadaNya dalam segenap kehidupan kita.

Allahu a’lam. Sekian tamat tafsir Surah Hajj. Ini juga AKHIR JUZ 17. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Mukminoon.

Kemaskini: 22 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Hajj Ayat 73 – 76 (Lalat vs. tuhan)

Hajj Ayat 73: 

يا أَيُّهَا النّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاستَمِعوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ لَن يَخلُقوا ذُبابًا وَلَوِ اجتَمَعوا لَهُ ۖ وَإِن يَسلُبهُمُ الذُّبابُ شَيئًا لّا يَستَنقِذوهُ مِنهُ ۚ ضَعُفَ الطّالِبُ وَالمَطلوبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O people, an example is presented, so listen to it. Indeed, those you invoke besides Allāh will never create [as much as] a fly, even if they gathered together for it [i.e., that purpose]. And if the fly should steal from them a [tiny] thing, they could not recover it from him. Weak are the pursuer and pursued.¹

  • A comparison is made here to the worshipper of a false deity and that which he worships.

(MELAYU)

Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.

 

يا أَيُّهَا النّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاستَمِعوا لَهُ

Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. 

Ayat ini adalah khitab untuk sekalian manusia. Allah ajak semua manusia untuk beriman dan mengamalkan tauhid. Allah ajak hamba ikut Dia dan Allah ajak kembali melalui perantaraan Nabi Dia. Maka Allah beri perumpamaan yang mereka senang faham.

Perumpamaan tentang kepentingan tauhid telah ada diberi dalam banyak ayat-ayat dalam Qur’an ini. Allah telah jelaskan tentang DiriNya, tentang tauhid, tentang iman. Allah berikan maklumat tentang DiriNya dalam Qur’an kerana Allah nak kenalkan DiriNya. Berkali-kali ayat tentang tauhid dalam Qur’an ini.

Tapi malangnya ramai masih tidak mahu terima. Kalau ada kecenderungan kepada syirik, memang susah betul nak terima. Macam-macam cara mereka nak tolak ajaran tauhid itu. Kadang-kadang sebab pakaian orang yang mengajak itu pun mereka boleh jadikan alasan nak tolak (mereka nak orang yang berjubah dan berjanggut panjang sahaja, contohnya). Mereka tak tengok hujah lagi tapi cuma lihat penampilan diri sahaja. Ini adalah sesuatu yang amat cetek sekali.

Maka Allah ingatkan yang sudah banyak diberi perumpamaan dalam Qur’an ini, maka dengarlah dan fahamlah. Kemudian amalkanlah kerana ia bukan susah pun.

Kenapakah perumpamaan menggunakan kalimah ضُرِبَ (pukul)? Kerana hendak memberi penekanan kerana apabila ada pukulan, orang akan berikan perhatian. Ini adalah kerana perkara yang hendak disampaikan adalah penting dan berat, maka kena ada penekanan sikit.

 

إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ لَن يَخلُقوا ذُبابًا وَلَوِ اجتَمَعوا لَهُ

Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. 

‘Selain Allah’ itu boleh jadi macam-macam. Selalunya manusia faham kalau kita sebut ‘berhala’ tapi ada juga benda yang lain seperti idea, falsafah, wang, diri dan sebagainya. Kalau kita hanya sangka syirik itu adalah berhala sahaja, maka itu adalah salah. Maka kalau begitu, senanglah hati pengamal syirik kerana mereka sangka mereka tidak sembah berhala, tidak sembah patung.

Padahal sebenarnya mereka ada mengamalkan syirik juga, tapi mereka tidak sedar. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Fahaman mereka tentang syirik itu amat lemah. Mereka sangka sembah patung sahaja baru jadi syirik.

Ada juga yang mengaku sebagai tuhan, seperti Firaun. Begitu juga, ada yang berlagak seperti tuhan, seperti para diktator (sebagai contoh, lihat presiden Korea Utara itu).

Untuk beri faham lagi kepada manusia tentang syirik, Allah beri lagi perumpamaan dan cara berfikir yang logik dalam ayat ini. Mereka yang disembah selain Allah itu tak boleh nak cipta lalat pun. Kenapa sebut lalat? Kerana ia adalah makhluk yang kecil sahaja dan Allah boleh gunakan makhluk yang kecil pun sebagai perbandingan untuk beri kita faham.

Memang kita pun tahu yang selain Allah tidak boleh nak cipta apa-apa pun. Kalau mereka berkumpul semua sekali pun mereka tak boleh buat lalat pun, apatah lagi benda yang lebih besar. Maka satu benda nak buat pun tidak boleh.

Jadi kalau sesuatu itu tidak boleh mencipta, maka ianya tidak layak dijadikan sebagai ilah, sebagai tempat sembahan. Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan cabaran dalam hadis.

Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkan hadis ini melalui jalur Imarah, dari Abu Zar’ah, dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

“وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي؟ فَلْيَخْلُقُوا ذَرَّةً، فَلْيَخْلُقُوا شُعَيْرَةً”

Allah Swt. berfirman, “Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang sengaja menciptakan (sesuatu) seperti ciptaan-Ku, maka hendaklah mereka menciptakan semut kecil (jika mampu), dan hendaklah mereka menciptakan sebiji gandum.

 

وَإِن يَسلُبهُمُ الذُّبابُ شَيئًا لّا يَستَنقِذوهُ مِنهُ

Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu.

Dan kalau lalat itu ambil apa-apa pun daripada berhala-berhala itu, berhala itu tidak boleh buat apa-apa pun. Sekarang bayangkan limau atau epal atau susu yang diletakkan di hadapan berhala mereka. Selalu bukan kita tengok agama lain letak bahan makanan depan sembahan mereka?

Mereka susah payahlah letak bahan makanan itu untuk tuhan mereka, tapi ianya senang dimakan oleh lalat lalat sahaja. Lalat boleh datang dan hinggap kepada makanan itu, dan berhala itu tidak buat apa-apa pun. Kadang-kadang budak nakal yang ambil susu dan buah-buahan itu.

Maka amat lemah sekali lalat itu, sedangkan kalau orang yang menyembah berhala itu ketika mereka sedang makan, dan ada lalat kacau makanan mereka pun, mereka akan halau juga, bukan? Maka mengapa mereka bodoh sangat sampai menyembah berhala yang tidak boleh buat apa-apa itu? Kalau mereka sedang makan dan lalat datang, mereka akan halau lalat itu, maka sepatutnya mereka teringat yang tuhan sembahan mereka tak dapat nak halau pun lalat itu.

Maka mereka sendiri sebenarnya lebih hebat dan layak disembah kalau dibandingkan dengan sembahan mereka itu. Maka Allah berikan lalat sebagai satu hujah yang amat besar dan hebat (walaupun ia amat kecil). Ianya adalah perumpamaan yang memalukan dan memperbodohkan agama-agama lain yang sembah selain Allah. Kalau zaman sekarang, kita boleh lihat agama Hindu dan agama Buddha yang buat kerja bodoh ini.

Jadi pertamanya mereka tidak dapat nak halang lalat dari hinggap dan curi makanan. Dan kalau lalat telah mengambil makanan, yang disembah itu pun tidak dapat nak ambil balik pun makanan yang tadi dicuri oleh lalat itu walaupun telah diarah beribu tentera untuk menangkap lalat itu.

Jadi kalau lalat curi makanan Firaun atau Presiden Korea Utara itu, tentera mereka tidak dapat nak ambil balik pun makanan itu. Nak kejar lalat macam mana? Entah sudah lari ke mana tidak diketahui lagi.

Lagi pun ada satu penemuan zoologi moden yang memberitahu kita apa-apa yang lalat itu makan tidak boleh diambil lagi kerana sudah jadi benda lain. Lalat tidak boleh makan pepejal sebenarnya. Jadi apa-apa sahaja yang lalat akan makan, ia akan rembeskan enzim supaya pepejal itu jadi cecair, barulah disedut. Jadi bahan makanan itu sudah jadi benda lain. Ini adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an yang menerangkan tentang alam ini yang tidak diketahui pun 1,400 tahun dahulu. Ini kerana Al-Qur’an ini dari Allah.

Insect. Fly. Black body. Head. Six legs. Transparent wings.,AMAZING CREATURES

 

ضَعُفَ الطّالِبُ وَالمَطلوبُ

Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.

Kalimah طلب bermaksud ‘meminta’ kerana penyembah berhala itu meminta kepada berhala mereka sesuatu. Allah memberitahu bahawa mereka yang meminta dan tempat permintaan mereka itu sama ada berhala atau tuhan-tuhan palsu itu adalah lemah dari asalnya dan tidak dapat berbuat apa-apa pun sebenarnya. Yang menyembah itu lemah dan yang disembah itu pun lemah juga.

Dan ini bukan hanya berkenaan agama sahaja tetapi di dalam kehidupan seharian kita pun, kerana kita ini makhluk yang sentiasa mahukan sesuatu dan Allah memberitahu kerana kita mahukan sesuatu, itu menunjukkan kita ada kelemahan dan apa yang kita mahukan itu juga adalah lemah juga. Yang tidak memerlukan apa-apa hanyalah Allah sahaja.

Sebagai contoh, kalau seorang lelaki mahu mengahwini seorang wanita yang didambakannya dan mungkin wanita itu telah bersetuju untuk berkahwin dengannya. Tetapi bayangkan jika sudah dekat tarikh perkahwinan, wanita itu ubah fikiran ataupun wanita itu mati. Lalu apa yang terjadi kepada lelaki itu? Bukankah dia akan patah hatinya? Dia tidak dapat buat apa-apa pun. Begitulah perumpamaan kelemahan manusia.

Kita makhluk yang lembah yang tidak ada daya upaya untuk menentang kehendak Allah. Sebagai contoh, kita tidak dapat menjaga keselamatan anak-anak kita pun. Bayangkan, segala usaha kita lakukan supaya anak kita selamat, tetapi kadang-kadang kita memang tidak dapat lakukan apa-apa jika Allah telah takdirkan yang anak kita itu akan cedera atau mati.

Memang kita lemah dan apabila sesuatu takdir berlaku dan tidak mengikut kehendak kita, setiap kali juga kita kena mengaku yang kita lemah dari mengubah takdir. Yang tidak lemah hanya Allah.

Maka dalam ayat ini Allah menyentuh tentang psikologi manusia. Manusia memang sentiasa mahukan sesuatu. Dan kalau mereka tidak dapat atau mereka kehilangan sesuatu yang mereka perlukan, kejadian itu akan merosakkan diri mereka dan mematahkan semangat mereka.

Jadi, Allah sudah berikan perbandingan yang mudah untuk difahami. Tapi kenapa manusia ramai tidak faham? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana degil dan keras kepada sahaja.


 

Hajj Ayat 74:

ما قَدَرُوا اللهَ حَقَّ قَدرِهِ ۗ إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزيزٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have not appraised Allāh with true appraisal.¹ Indeed, Allāh is Powerful and Exalted in Might.

  • They have not assessed Him with the assessment due to Him, meaning that they did not take into account His perfect attributes.

(MELAYU)

Mereka tidak menghargai Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 

ما قَدَرُوا اللهَ حَقَّ قَدرِهِ

Mereka tidak menghargai Allah dengan sebenar-benarnya

Mereka tidak menghargai Allah seperti yang sepatutnya kerana mereka mengejar berbagai-bagai perkara yang ada dalam dunia ini tetapi mereka tidak mengejar Allah. Dan mereka tidak mengejar untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Mereka letak Allah nombor berapa pun tak tahu. Ianya tidak penting kepada mereka. Sepertimana juga umat Islam yang belajar berbagai-bagai perkara tentang keduniaan tapi tidak belajar tentang agama lagi. Dan orang agama pula, kitab-kitab karangan manusia sudah banyak belajar, tapi tafsir Qur’an 30 juzuk belum habis belajar lagi.

Mereka tidak meletakkan Allah pada tempatNya. Kedudukan Allah amat tinggi, tapi mereka sanggup kata ada makhluk yang ada kuasa Allah. Mereka telah merendahkan kedudukan Allah sebenarnya kalau begitu.

Sebagai contoh, mereka kata ada makhluk yang boleh mendengar permintaan kita. Ini sudah syirik kerana sifat maha mendengar hanya ada pada Allah sahaja. Mana mungkin yang jauh dari kita, terutama yang sudah mati boleh mendengar permintaan kita?

 

إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزيزٌ

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Dalam ayat sebelum ini Allah memberitahu mereka yang mengejar sesuatu itu, mereka sebenarnya mengejar sesuatu yang lemah; tetapi kalau kita mengejar Allah yang tidak lemah, itu akan menjadikan kita kuat. Kerana harapan kita diletakkan kepada Allah dan kita waktu itu sedang mendekatkan diri kita dengan Allah.


 

Hajj Ayat 75:

اللهُ يَصطَفي مِنَ المَلٰئِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ النّاسِ ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh chooses from the angels messengers and from the people. Indeed, Allāh is Hearing and Seeing.

(MELAYU)

Allah memilih utusan-utusan-(Nya) dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

اللهُ يَصطَفي مِنَ المَلٰئِكَةِ رُسُلًا

Allah memilih utusan-utusan-(Nya) dari malaikat

Oleh kerana kebanyakan manusia mengejar-ngejar dan mencari perkara yang lemah, maka hanya Allah sahaja yang tidak lemah. Dan Allah buat keputusan sendiri dalam membuat pilihan memilih dari kalangan malaikat untuk menjadi rasul dari banyak-banyak malaikat; dan Allah sendiri yang memilih tanpa ada cadangan dari mana-mana pun, siapakah dari ramai-ramai malaikat itu yang dipilih menjadi rasul.

Perkara ini adalah hak Allah dan tidak diletakkan pada bahu manusia. Manusia lemah dan tidak akan mampu untuk melakukan perkara ini. Kuasa pemilihan pada Allah.

 

وَمِنَ النّاسِ

dan dari manusia;

Rasul ada yang dari kalangan malaikat dan ada yang dari kalangan manusia juga. Allah sahaja yang layak memilih kerana ilmu Allah sempurna dan Dia sahaja tahu siapakah yang layak untuk memikul tugas Rasul yang berat itu. Jadi jangan kita persoalkan pilihan Allah itu. Ini sama dengan pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya:

{اللهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ}

Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan. (Al-An’am: 124)

Allah tegur Musyrikin Mekah yang mempersoalkan kenapa Nabi Muhammad yang dipilih mendapat wahyu dan bukan mereka? Apa mereka sangka mereka lebih pandai dari Allah dalam buat keputusan kah?

 

إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Allah mendengar keinginan manusia dan Allah tahu apa yang manusia perlukan; maka Allah telah memberikan wahyu kepada manusia yang disampaikan melalui RasulNya. Wahyu yang diberikan kepada kita amat diperlukan untuk kehidupan kita semasa di dunia ini kerana ia membawa seseorang itu ke syurga.

Tanpa wahyu, akal kita tidak akan mampu untuk mencapai keputusan yang tepat. Kita tentu tidak tahu menjalankan hukum di dunia ini. Maka wahyu Allah banyak mengajar kita apa yang kita perlu lakukan. Tapi kenalah belajar ayat-ayat umur munazimah dalam Qur’an ini.


 

Hajj Ayat 76: Allah beritahu yang Dia Maha Mendengar dan Melihat. Apakah ketinggian ilmu Allah itu?

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم ۗ وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He knows what is [presently] before them and what will be after them.¹ And to Allāh will be returned [all] matters.

(MELAYU)

Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka. Dan hanya kepada Allah dikembalikan semua urusan.

 

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم

Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka.

Yang dimaksudkan ‘di hadapan’ itu adalah Qur’an dan Nabi Muhammad yang menyampaikan ajaran agama; dan Allah tahu yang ‘di belakang’ mereka itu iaitu sejarah-sejarah dan segala perbuatan-perbuatan manusia.

Juga bermaksud Allah tahu apa yang manusia sedang lakukan dan apa yang telah dilakukan oleh kita.

Perkara ini penting untuk kita ketahui dan ingat sentiasa kerana jikalau kita tidak memandang perkara ini penting, maka kita tidak takut untuk melakukan dosa kerana kita tidak sedar bahawa Allah sedang melihat kepada kita. Sedangkan kalau kita tahu yang segala tindakan kita sedang diperhatikan oleh CCTV tentu kita takut untuk melakukan kesalahan.

 

وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

Dan hanya kepada Allah dikembalikan semua urusan.

Semua urusan di dalam tangan Allah. Allah yang menentukan apa yang akan terjadi. Allah yang menguruskan segala perkara dalam alam ini. Maka hendaklah kita berserah kepada Allah, menghambakan diri kepada Allah sahaja, sembah Allah sahaja dan berdoa kepada Allah sahaja. Inilah tauhid dalam doa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Julai 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain