Tafsir Surah Mukminoon Ayat 43 – 49 (Semua umat ada ajalnya)

Ayat 43: Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ memberitahu bahawa banyak kaum dibangkitkan satu persatu selepas habis satu umat. Apabila Allah ﷻ musnahkan satu umat, Allah ﷻ akan menggantikan dengan umat yang lain pula.

ما تَسبِقُ مِن أُمَّةٍ أَجَلَها وَما يَستَئخِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No nation will precede its time [of termination], nor will they remain [thereafter].

(MELAYU)

Tidak (dapat) sesuatu umat pun mendahului ajalnya, dan tidak (dapat pula) mereka terlambat (dari ajalnya itu).

 

Semua kemusnahan umat itu mengikut ajal mereka yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Tidaklah ianya diawalkan dari masa yang sepatutnya dan tiadalah dilambatkan.

Maklumat ini amat menakutkan. Maksudnya bukan manusia sahaja ada ajal tetapi begitu juga umat pun ada ajal juga! Maka bilakah agaknya ajal umat Nabi Muhammad ﷺ ini? Oleh kerana kita adalah umat yang terakhir, maka kehancuran kita nanti adalah dengan Kiamat. Maka ayat ini mengingatkan kita kepada ajal umat Nabi Muhammad ﷺ juga.


 

Ayat 44: Dalil Naqli ke-tiga.

ثُمَّ أَرسَلنا رُسُلَنا تَترىٰ ۖ كُلَّ ما جاءَ أُمَّةً رَّسولُها كَذَّبوهُ ۚ فَأَتبَعنا بَعضَهُم بَعضًا وَجَعَلنٰهُم أَحاديثَ ۚ فَبُعدًا لِّقَومٍ لّا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent Our messengers in succession. Every time there came to a nation its messenger, they denied him, so We made them follow one another [to destruction], and We made them narrations.¹ So away with a people who do not believe.

  • i.e., history or lessons for mankind.

(MELAYU)

Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) rasul-rasul Kami berturut-turut. Tiap-tiap seorang rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, maka Kami perikutkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. Dan Kami jadikan mereka buah tutur (manusia), maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang tidak beriman.

 

ثُمَّ أَرسَلنا رُسُلَنا تَترىٰ

Kemudian Kami utus (kepada umat-umat itu) rasul-rasul Kami berturut-turut.

Rasul tetap dihantar kepada umat manusia secara berterusan. تَترىٰ bermaksud tidak ada berhenti. Paling lama adalah antara Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad عليه السلام iaitu selama lebih kurang 600 tahun.

Hal ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ}

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah taghut itu, ” maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesalan baginya. (An-Nahl: 36)

 

كُلَّ ما جاءَ أُمَّةً رَّسولُها كَذَّبوهُ

Tiap-tiap seorang rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, 

Akan tetapi menjadi kebiasaan, setiap kali para Rasul itu diutuskan kepada kaumnya, mereka itu akan didustakan (umat manusia kata para Rasul itu berdusta). Kaum mereka tidak percaya kepada Rasul itu dan mereka menuduh Rasul itu berdusta. Seperti juga yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{يَا حَسْرَةً عَلَى الْعِبَادِ مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ رَسُولٍ إِلا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ}

Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada datang seorang rasul pun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya. (Yaasin: 30)

 

فَأَتبَعنا بَعضَهُم بَعضًا

maka Kami perikutkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain. 

Dan apabila Rasul itu sudah wafat maka akan dibangkitkan dengan Rasul yang lain.

Atau, selepas kaum itu dimusnahkan, mereka akan diikuti dengan kaum yang lain.

 

وَجَعَلنٰهُم أَحاديثَ

Dan Kami jadikan mereka buah tutur 

Mereka akan menjadi kisah yang disebut-sebut manusia. Tidak ada rekod di dalam sejarah tetapi ada yang disebut-sebut oleh manusia selepas mereka. Macam pernah dengar ada orang yang duduk di sini dahulu tetapi entah siapakah mereka.

Kisah dengan pasti tidak diketahui kerana kaum dahulu tidak menulis sejarah mereka dengan terperinci macam sekarang. Yang ada hanyalah kisah dari mulut ke mulut. Iaitu sebagai cerita dan kisah bagi manusia (sesudah mereka). Semakna dengan firman-Nya:

{فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ}

maka Kami jadikan mereka buah tutur dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya. (Saba: 19)

Jadi Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada orang Mekah jangan sangka mereka yang pertama menolak Rasul. Dari dahulu lagi sudah banyak umat yang menolak Rasul mereka. Nanti mereka pun akan dimusnahkan dan menjadi buah tutur manusia juga sampai bila-bila.

 

فَبُعدًا لِّقَومٍ لّا يُؤمِنونَ

maka kebinasaanlah bagi orang-orang yang tidak beriman.

Dan mereka yang menolak Rasul itu telah menerima kehancuran dari Allah ﷻ. Maka kamu kena beringatlah. Kalau kamu pun hendak menolak juga, tidaklah cerah masa depan kamu.

Maka kita ini kenalah belajar tentang kisah mereka dan ambillah tauladan dari apa yang telah dikenakan kepada umat terdahulu. Janganlah menolak ajaran Nabi Muhammad ﷺ ini dengan mudah-mudah. Janganlah kamu perasan yang kamu hebat kerana kaum dahulu yang lebih hebat dari kamu pun pernah dihancurkan juga.


 

Ayat 45: Dalil Naqli ke-empat. Sekarang masuk kisah Nabi Musa عليه السلام pula. Memang kisah Nabi Musa عليه السلام banyak di dalam Qur’an. Ini kerana banyak pengajaran dalam kisah baginda yang berkaitan dengan perjuangan Nabi Muhammad ﷺ.

Ujian yang dihadapi oleh Nabi Muhammad ﷺ  banyak persamaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Maka Allah ﷻ jadikan kisah Nabi Musa عليه السلام sebagai contoh kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat.

ثُمَّ أَرسَلنا موسىٰ وَأَخاهُ هٰرونَ بِئايٰتِنا وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent Moses and his brother Aaron with Our signs and a clear authority

(MELAYU)

Kemudian Kami utus Musa dan saudaranya Harun dengan membawa tanda-tanda (Kebesaran) Kami, dan bukti yang nyata,

 

Nabi Musa عليه السلام telah diutus bersama dengan abangnya Nabi Harun عليه السلام.

Mereka diutus bukan dengan membawa tangan kosong sahaja tetapi mereka dibekalkan dengan tanda-tanda yang bermaksud dalil-dalil dari Allah ﷻ.

Dan mereka juga diberikan mukjizat untuk membuktikan kerasulan mereka. Sepatutnya umat beriman kepada mereka sebagaimana bangsa Arab juga patut beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ setelah baginda membawa dalil dan mukjizat.


 

Ayat 46:

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلِإيهِ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا عالينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Pharaoh and his establishment, but they were arrogant and were a haughty people.

(MELAYU)

kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya, maka mereka ini takbur dan mereka adalah orang-orang yang sombong.

 

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلِإيهِ

kepada Firaun dan pembesar-pembesar kaumnya,

Baginda diutus kepada Firaun dan para pembesar kerajaan Mesir. Masih disebut pemuka atau pembesar masyarakat lagi seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Ini kerana mereka inilah yang ada masalah dan perlu diperbetulkan dahulu. Mereka yang selalunya menentang jadi mereka yang perlu diperbaiki dahulu. Dan jikalau mereka telah menerima agama, maka pengikut mereka pun ramai-ramai akan masuk.

Bukanlah Nabi Musa عليه السلام diutus kepada mereka sahaja tetapi kepada bangsa Qibti keseluruhannya dan juga kepada Bani Israil. Tetapi Allah ﷻ menyebut ‘ketua penjahat’ dahulu sebagai mewakili mereka yang lain.

 

فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا عالينَ

maka mereka ini takbur dan mereka adalah orang-orang yang sombong.

Mereka berasa mereka tinggi diri kerana mereka ada kedudukan di dalam masyarakat. Mereka hendak orang hormati mereka dan rendahkan diri di hadapan mereka. Oleh kerana itu mereka sombong untuk menerima kebenaran. Begitulah orang yang sombong takbur memang susah hendak menerima kebenaran.


 

Ayat 47: Lihatlah bagaimana hujah mereka pula untuk menolak Rasul mereka ini.

فَقالوا أَنُؤمِنُ لِبَشَرَينِ مِثلِنا وَقَومُهُما لَنا عٰبِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Should we believe two men like ourselves while their people are for us in servitude?”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?”

 

فَقالوا أَنُؤمِنُ لِبَشَرَينِ مِثلِنا

Dan mereka berkata: “Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita

Mereka lihat Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu tidak hebat pun, sama macam mereka sahaja. Malah kedudukan kedua mereka itu dilihat lebih rendah di dalam masyarakat. Jadi memanglah Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu cuma manusia biasa sahaja. Sama-sama manusia, maka kenapa mesti kena ikut pula?

 

وَقَومُهُما لَنا عٰبِدونَ

padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?”

Dan kaum kedua Nabi itu (Bani Israil) adalah hamba pula kepada bangsa Qibti. Maknanya kedudukan mereka itu adalah kedudukan yang sangat rendah. Firaun berhujah: Takkan hendak percaya kepada orang yang lemah dan rendah? Takkan mereka ada benda yang lebih baik daripada kita?

Begitulah sombongnya Firaun dan pemuka-pemuka Mesir. Mereka melihat kedudukan manusia itu dari segi keduniaan sahaja. Kalau tiada kelebihan keduniaan, memang mereka tidak pandang.


 

Ayat 48:

فَكَذَّبوهُما فَكانوا مِنَ المُهلَكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they denied them and were of those destroyed.

(MELAYU)

Maka (tetaplah) mereka mendustakan keduanya, sebab itu mereka adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan.

 

فَكَذَّبوهُما

Maka (tetaplah) mereka mendustakan keduanya,

Jadi mereka mendustakan kedua Nabi itu. Maksudnya mereka berkata apa yang disampaikan oleh mereka berdua adalah dusta sahaja. Maknanya mereka hendak berkata Nabi Musa dan Harun عليهما السلام adalah penipu sahaja, bukannya Rasul.

 

فَكانوا مِنَ المُهلَكينَ

sebab itu mereka adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan.

Kalimah هلك bermaksud mati dengan cara seksa, secara teruk. Kerana kedegilan mereka dan kuatnya mereka menentang para Rasul itu, maka mereka bukan sahaja dimatikan, bahkan dimatikan dengan teruk. Kita pun tahu bagaimana para penentang Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu dimatikan dengan teruk di dalam Laut Merah.

Maka ini adalah ancaman kepada umat manusia terutama kepada Musyrikin Mekah waktu itu, jikalau mereka menentang Rasul mereka, Allah ﷻ boleh mengazab mereka dengan diberikan kematian dengan cara yang amat teruk. Semua orang akan mati, tetapi kalau mati dalam keadaan teruk, itu adalah azab.


 

Ayat 49:

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ لَعَلَّهُم يَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly gave Moses the Scripture that perhaps they¹ would be guided.

  • The Children of Israel.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami berikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa, agar mereka (Bani Israil) mendapat petunjuk.

 

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa,

Maka amat teruk sekali penolakan yang telah diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام itu. Maka akhirnya Nabi Musa عليه السلام telah membawa lari Bani Israil keluar dari Mesir dengan menyeberangi lautan.

Selepas mereka dapat menyeberangi lautan itu, maka Nabi Musa عليه السلام telah diberikan dengan Kitab Taurat yang baginda terima di Bukit Thursina. Ini adalah satu kelebihan besar yang telah diberikan kepada umat Bani Israil.

 

لَعَلَّهُم يَهتَدونَ

agar mereka (Bani Israil) mendapat petunjuk.

Semoga dengan Kitab Taurat itu boleh memberi hidayah kepada Bani Israil. Ianya mengandungi banyak ajaran untuk Bani Israil.

Sesudah Allah ﷻ menurunkan kitab Taurat, Allah ﷻ tidak lagi membinasa­kan suatu umat dengan pembinasaan yang menyeluruh, tetapi Allah ﷻ memerintahkan kepada orang-orang yang beriman untuk memerangi orang-orang kafir. Seperti yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِنْ بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الأولَى بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ}

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat. (Al-Qashash: 43)

Maknanya, pemusnahan besar-besaran sesuatu kaum sampai tidak ada baka adalah sebelum Kitab Taurat diturunkan. Selepas itu cara pemusnahan manusia berlainan pula. Mereka tetap kena azab, tetapi tidaklah kena tempikan, kena banjir, kena lemas dalam lautan dan sebagainya.

Kerana itu tidaklah Bani Israil itu dihancurkan sepenuhnya oleh Allah ﷻ. Kerana itu sampai sekarang mereka ada lagi walaupun mereka itu teruk sangat perangainya. Degil macam mana pun, tidaklah mereka dimusnahkan terus.

Tetapi mereka tetap ada azab yang dikenakan kepada mereka. Seperti yang disebut di dalam Surah Isra’ bagaimana telah digerakkan oleh kuasa besar untuk menundukkan dan melemahkan mereka sebanyak dua kali di dalam sejarah. Kerana itu mereka telah berpecah belah dan bangsa mereka duduk merata-rata di atas dunia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 September 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s