Tafsir Surah Fatir Ayat 1 – 3 (Malaikat ada sayap)

Pengenalan:

Nama Surah ini diambil dari salah satu daripada nama Allah (al-Fatir). Ia dari ف ط ر yang bermaksud menjadikan sesuatu dan kemudian membentuknya menjadi cantik dan sempurna.

Surah ini tentang Tauhid dalam doa dan ibadat. Surah ini menekankan yang Allah sahaja layak diseru dan dipuja. Kalau dibandingkan dengan Surah Saba’, ia tentang tauhid dalam syafaat.


Ayat 1: Ini adalah ayat Dakwa Surah ini. Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro dan 1 – 18 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi seruan aqidah tentang tauhid, kerasulan dan Hari Akhirat. Inilah tiga perkara utama yang disentuh dalam Al-Qur’an.

الحَمدُ ِللهِ فاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ جاعِلِ المَلائِكَةِ رُسُلًا أُولي أَجنِحَةٍ مَّثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُباعَ ۚ يَزيدُ فِي الخَلقِ ما يَشاءُ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Fāṭir: The Creator, Originator (of creation), or He who brings (it) into existence from nothing. Also called al-Malā’ikah (The Angels).

[All] praise is [due] to Allāh, Creator of the heavens and the earth, [who] made the angels messengers having wings, two or three or four. He increases in creation what He wills. Indeed, Allāh is over all things competent.

(MELAYU)

Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

الحَمدُ ِللهِ فاطِرِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi,

Pujian khas hanya bagi Allah. Musyrikin Mekah juga gunakan kalimah الحمد untuk Allah akan tetapi dalam masa yang sama, mereka juga gunakan kalimah ini ditujukan kepada berhala yang mereka puja. Ini tidak betul dan perbuatan syirik. Maka Allah betulkan fahaman salah mereka itu dalam ayat ini.

Dalam ayat ini ada Dalil Aqli berkenaan hal ini: Kenapa pujian khas itu hanya kepada Allah sahaja? Kerana Allah yang menjadikan langit dan bumi.

Allah yang cipta langit dan bumi. Maka kerana itu Dia sahaja yang layak dipuja dan disembah. Musyrikin Mekah juga tahu yang Allah sahaja yang mencipta alam ini tetapi Allah tegur mereka. Kenapa sembah dan puja selain Allah kalau begitu? Memang tidak kena dengan fahaman mereka.

Bab penciptaan alam mereka sudah betul kerana mereka terima yang Allah yang mencipta alam. Tapi berlawanan pula dengan amalan mereka. Amalan mereka tidak menunjukkan pemahaman mereka itu. Sepatutnya kalau sudah terima Allah yang mencipta alam ini, maka sembah Allahlah sahaja, tapi mereka tidak begitu.

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan dari Ibrahin ibnu Muhajir, dari Mujahid, dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahawa dia masih belum mengerti makna Fathirus samawati wal ardi sebelum ada dua orang Badwi yang datang kepadanya mempersengketakan sebuah sumur. Maka salah seorangnya berkata kepada yang lain (seterunya), “Akulah yang mulai membuatnya,” dengan ungkapan ‘ana fatartuha.’

 

جاعِلِ المَلائِكَةِ رُسُلًا

Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan 

Dan bukan sahaja Allah jadikan alam, tapi termasuk juga segala di dalamnya. Maka Allah beritahu yang Dia juga yang jadikan malaikat. Tugas malaikat adalah sebagai ‘Rasul’ Allah. Maka bukan para Nabi dari kalangan manusia sahaja yang jadi Rasul, tapi para malaikat juga.

Sama ada mereka menjadi Rasul untuk menyampaikan wahyu kepada Allah, atau menjadi utusan Allah menjalankan arahanNya di dalam alam ini. Allah tidak perlu malaikat untuk menjalankan urusan dalam alam ini tapi Allah hendak menunjukkan kekuasaanNya.

Malaikat adalah salah dari pujaan Musyrikin Mekah. Allah sebut yang Dia yang jadikan mereka. Maka kenapa mereka nak puja malaikat sedangkan malaikat itu pun Allah yang jadikan? Kalau mereka dijadikan juga, maka tidak patut mereka disembah dan dipuja. Mereka tidak ada kuasa untuk membuat keputusan mereka sendiri.

Dan mereka tidak ada kuasa apa-apa pun melainkan apa yang Allah berikan tugas kepada mereka. Mereka memang melakukan sesuatu, tapi semua itu sebagai menjalankan arahan Allah sahaja, tidak lebih dari itu. Mereka tidak buat keputusan sendiri melainkan tertakluk dengan kehendak Allah sahaja.

Ada banyak jenis malaikat. Setiap malaikat ada tugas masing-masing. Semua berkhidmat kepada Allah dan taat kepada Allah. Mereka hanya jalankan arahan Allah sahaja.

 

أُولي أَجنِحَةٍ مَّثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُباعَ

yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat.

Dari ayat ini kita tahu yang malaikat adalah makhluk yang Allah jadikan bersayap. Allah yang tentukan bilangan sayap mereka. Kita tidak tahu bagaimana rupa sayap mereka itu, jadi tidak dapat kita bayangkan. Jangan kita terikut-ikut pula dengan fahaman manusia yang ada melukis malaikat dengan sayap yang kecil di belakang mereka. Ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana kita tidak pernah nampak malaikat.

Kemungkinan bilangan sayap itu diberikan ikut keperluan mereka dalam menjalankan tugas mereka. Ada yang kena terbang jauh dan Allah beri sayap lebih. Walaupun disebut dua, tiga atau empat sahaja sayap dalam ayat ini, tapi kita dapat tahu dari hadis yang ada malaikat yang ada lebih dari itu.

Sebagai contoh, Malaikat Jibrail ada sampai 600 sayap. Dan satu sayapnya itu menutupi ufuk langit. Maka bagaimanalah kita nak bayangkan? Kalau satu, dua tiga sayap masih boleh bayangkan lagi, tapi bagaimana Allah susun sampai 600 sayap? Jadi tidak perlu dibayangkan. Kita cuma terima sahaja yang penciptaan Allah itu amat hebat sampaikan kita tidak dapat nak bayangkan.

 

يَزيدُ فِي الخَلقِ ما يَشاءُ

Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya.

Allah boleh tambah apa yang Dia hendak. Allah boleh tambah bilangan sayap malaikat itu ikut kehendak Dia. Atau dalam mana-mana penciptaan pun. Dia yang tetapkan.

 

إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah boleh tetapkan dan buat apa sahaja kerana Dia maha berkuasa. Maka memang patut hanya Dia sahaja disembah dan dipuja.


 

Ayat 2: Dalil aqli.

مّا يَفتَحِ اللهُ لِلنّاسِ مِن رَّحمَةٍ فَلا مُمسِكَ لَها ۖ وَما يُمسِك فَلا مُرسِلَ لَهُ مِن بَعدِهِ ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whatever Allāh grants to people of mercy – none can withhold it; and whatever He withholds – none can release it thereafter. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorang pun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

مّا يَفتَحِ اللهُ لِلنّاسِ مِن رَّحمَةٍ فَلا مُمسِكَ لَها

Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya;

Kuasa Allah juga tidak dapat dihalang. Kalau Allah buat keputusan untuk beri rahmat ataupun kelebihan kepada seseorang maka tidak akan ada sesiapa yang boleh menahannya. Walaupun satu dunia cuba menahannya.

Dan Allah menekankan di sini dan banyak lagi ayat yang segala nikmat itu ‘dari’ Allah, bukan dari selain Allah. Maka kalau mereka sangka yang ada malaikat yang boleh beri mereka sesuatu, maka itu adalah salah faham yang jauh dari kebenaran. Mereka telah tertipu sangat kalau berfikiran begitu. Maka kalau ada yang puja malaikat kerana hendak rezeki, anak dan sebagainya, itu adalah syirik.

Malangnya ramai dari kalangan manusia yang meminta kepada selain dari Allah. Mereka bina kuil untuk memuja selain Allah. Mereka minta kepada sembahan-sembahan mereka itu yang tidak ada kuasa. Mereka telah minta kepada tempat yang salah. Mereka telah melakukan sesuatu yang amat memalukan.

 

وَما يُمسِك فَلا مُرسِلَ لَهُ مِن بَعدِهِ

dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorang pun yang sanggup melepaskannya sesudah itu.

Dan sebaliknya jikalau Allah menahan rahmatNya daripada sampai kepada seseorang maka tidak ada sesiapa pun yang boleh memaksa supaya rahmat itu disampaikan juga.

Ada mufassir mengatakan ayat ini berkenaan dengan wahyu. Maksudnya apabila Allah buat keputusan untuk menurunkan wahyu maka tidak ada sesiapa yang boleh menahannya. Dan apabila Allah telah tutup penurunan wahyu maka tidak ada siapa yang dapat mengeluarkannya lagi.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Tidak ada sesiapa yang boleh paksa dan halang Allah kerana Dia bersifat al-Aziz. Ia bermaksud Allah maha gagah perkasa dan tidak dapat dikalahkan dari melakukan kehendakNya.

Dan Allah juga bersifat al-hakeem. Allah maha bijaksana dan Allah tahu bagaimana nak turunkan rahmat. Dan Allah tahu siapa yang patut dapat rahmat dan siapa yang tidak patut. Bukan kerja kita nak persoalkan ketetapan Allah. Kita tidak dapat tahu apakah kebaikan pada perbuatan Allah itu kerana kita tidak bijaksana.


 

Ayat 3: Targhib kepada tauhid.

يٰأَيُّهَا النّاسُ اذكُروا نِعمَتَ اللهِ عَلَيكُم ۚ هَل مِن خٰلِقٍ غَيرُ اللهِ يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, remember the favor of Allāh upon you. Is there any creator other than Allāh who provides for you from the heaven and earth? There is no deity except Him, so how are you deluded?

(MELAYU)

Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada ilah selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling?

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ اذكُروا نِعمَتَ اللهِ عَلَيكُم

Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. 

Dalam ayat tadi Allah sudah sebut tentang nikmat. Kita kena ingat yang nikmat semua datang dari Allah. Amat banyak nikmat Allah kepada kita sama ada dari segi kehidupan atau dari segi keagamaan. Takkan mampu kita nak mengiranya.

Maka kena seru Allah sahaja. Tinggalkan seru kepada selain Allah kerana selain Allah tidak ada memberikan nikmat apa pun.

 

هَل مِن خالِقٍ غَيرُ اللهِ يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ

Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? 

Allah tanya sebagai retorik sahaja. Kerana memang tiada kuasa lain yang boleh mencipta seperti telah disebut di awal tadi. Maka begitulah juga tiada yang boleh beri rezeki. Allah tanya sebagai soalan retorik sahaja. Adakah selain Allah yang boleh beri rezeki? Tentulah tidak ada. Kalau duduk fikirkan pun kita akan terima perkara ini.

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Tidak ada ilah selain Dia; 

Maka kerana tidak ada pencipta lain dan tidak ada pemberi rezeki lain, maka tiada ilah selain Allah. Ilah itu banyak maksudnya. Antaranya ia bermaksud tempat pengharapan kita. Hanya Allah sahaja tempat bergantung kerana Dia sahaja yang boleh beri rezeki.

Maksud ilah juga adalah ‘Tuhan yang layak disembah dan diseru’. Maka kalau Allah sahaja sahaja yang boleh berikan rezeki, maka sembah dan seru Allahlah sahaja. Jangan sembah dan seru selain Allah.

 

فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

maka mengapakah kamu berpaling?

Apa yang kita baru baca tadi adalah perkara asas sahaja dan senang difahami, bukan? Tapi anehnya ramai yang tidak faham. Maka Allah beri lagi soalan retorik: Macam mana lagi kamu boleh terpesong dari akidah tauhid? Macam mana kamu boleh sembah dan seru selain Allah? Macam mana kamu boleh tidak faham hujah yang mudah ini?

Masyarakat kita ramai yang mengaku beragama Islam tapi ramai juga yang ada fahaman syirik. Mereka sangka mereka berpegang kepada amalan tauhid tapi tidak sebenarnya. Ini adalah kerana mereka tidak belajar wahyu. Mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an melainkan agak-agak sahaja. Maka jawapan kenapa manusia terpesong adalah kerana jahil wahyu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saba’ Ayat 49 – 54 (Haq akan mengalahkan batil)

Ayat 49: Kelebihan kebenaran kalau dibandingkan dengan kebatilan.

قُل جاءَ الحَقُّ وَما يُبدِئُ البٰطِلُ وَما يُعيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “The truth has come, and falsehood can neither begin [anything] nor repeat [it].”¹

  • This expression alludes to complete inability, meaning that falsehood was abolished.

(MELAYU)

Katakanlah: “Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan memulai dan tidak (pula) akan mengulangi”.

 

قُل جاءَ الحَقُّ

Katakanlah: “Kebenaran telah datang

Beritahulah bahawa kebenaran wahyu sudah datang dan dibawa oleh Nabi Muhammad. Iaitu Al-Qur’an yang disampaikan oleh baginda.

 

وَما يُبدِئُ البٰطِلُ وَما يُعيدُ

dan yang batil itu tidak akan memulai dan tidak (pula) akan mengulangi”.

Penipuan tidak pernah memulakan sesuatu. Yang memulakan sesuatu adalah kebenaran dan kemudian penipuan yang merosakkannya. Maknanya kebatilan datang selepas adanya kebenaran.

Kebatilan tidak akan kekal apabila adanya kebenaran. Apabila kebenaran ada, maka kebatilan akan lari dan senyap. Maka pastilah kebatilan itu akan pudar, surut dan menghilang. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{بَلْ نَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَى الْبَاطِلِ فَيَدْمَغُهُ [فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ ] }

Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap. (Al-Anbiya: 18)

Ketika Rasulullah Saw. memasuki Masjidil Haram pada hari jatuhnya kota Mekah, dan beliau melihat banyak berhala yang dipasang di sekeliling Ka’bah, lalu baginda mendorong sebahagian dari berhala itu dengan busurnya seraya membaca firman-Nya:

{وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا}

Dan katakanlah, “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap.” Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (Al-Isra: 81)

Dan kehidupan tidak akan berulang semula apabila telah berlakunya kiamat. Maka memang kebatilan tidak akan memulakan kehidupan ini semula. Qatadah dan As-Saddi menduga bahwa makna yang dimaksudkan dengan batil dalam ayat ini adalah iblis. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa iblis itu tidak dapat menciptakan satu orang pun dan tidak dapat menghidupkannya kembali, serta tidak akan mampu melakukan semuanya itu.


 

Ayat 50: Allah ajar lagi cara untuk berhujah faham dakwah. Ini kepada mereka yang menentang apabila wahyu disampaikan kepada mereka.

قُل إِن ضَلَلتُ فَإِنَّما أَضِلُّ عَلىٰ نَفسي ۖ وَإِنِ اهتَدَيتُ فَبِما يوحي إِلَيَّ رَبّي ۚ إِنَّهُ سَميعٌ قَريبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “If I should err, I would only err against myself. But if I am guided, it is by what my Lord reveals to me. Indeed, He is Hearing and near.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Jika aku sesat maka sesungguhnya aku sesat atas kemudharatan diriku sendiri; dan jika aku mendapat petunjuk maka itu adalah disebabkan apa yang diwahyukan Tuhanku kepadaku. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat”.

 

قُل إِن ضَلَلتُ فَإِنَّما أَضِلُّ عَلىٰ نَفسي

Katakanlah: “Jika aku sesat maka sesungguhnya aku sesat atas kemudharatan diriku sendiri;

Suruh mereka fikirkan masak-masak. Kalaulah baginda sesat dan membawa ajaran yang salah, maka baginda sahaja yang akan menerima kesesatan itu dan menerima kesannya.

Tapi bagaimana pula  kalau apa yang baginda sampaikan itu memang benar? Macam mana dengan mereka yang menolak baginda dan tidak mahu menerimanya?

Nota: ayat ini bukanlah hujah untuk mengatakan yang Nabi Muhammad pernah sesat. Ini adalah tafsir dan pemahaman yang salah.

 

وَإِنِ اهتَدَيتُ فَبِما يوحي إِلَيَّ رَبّي

dan jika aku mendapat petunjuk maka itu adalah disebabkan apa yang diwahyukan Tuhanku kepadaku.

Dan baginda tidak mengatakan yang kebenaran itu daripada baginda tetapi ianya datang daripada Allah yang sentiasa memerhatikan apa yang dilakukan oleh kita semua.

 

إِنَّهُ سَميعٌ قَريبٌ

Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat”.

Allah tahu segala apa yang makhluk-Nya lakukan. Ini adalah kerana Allah dekat dari segi ilmu. Bukanlah Allah dekat dari segi fizikal pula. Allah tidak berada di mana-mana seperti akidah golongan sesat.

Sehubungan dengan hal ini Imam Nasai telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Musa r.a. yang terdapat di dalam kitab Sahihain pula, disebutkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda (kepada para sahabatnya yang berzikir terlalu keras):

“إِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا، إِنَّمَا تَدْعُونَ سميعا قريبا مجيبا”.

Sesungguhnya kalian berseru (berdoa) bukan kepada Tuhan yang tuli dan bukan pula kepada Tuhan yang ghaib, sesungguhnya kalian sedang berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar, Maha dekat, lagi Maha Memperkenankan (doa).


 

Ayat 51:

وَلَو تَرىٰ إِذ فَزِعوا فَلا فَوتَ وَأُخِذوا مِن مَّكانٍ قَريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you could see¹ when they are terrified but there is no escape, and they will be seized from a place nearby.

  • i.e., have a glimpse of the Hereafter.

(MELAYU)

Dan (alangkah hebatnya) jikalau kamu melihat ketika mereka (orang-orang kafir) terperanjat ketakutan (pada hari kiamat); maka mereka tidak dapat melepaskan diri dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat (untuk dibawa ke neraka),

 

وَلَو تَرىٰ إِذ فَزِعوا

Dan (alangkah hebatnya) jikalau kamu melihat ketika mereka (orang-orang kafir) terperanjat ketakutan (pada hari kiamat);

Kalaulah kamu boleh tengok keadaan mereka yang menentang itu, apabila mereka berada di dalam ketakutan yang amat sangat sampai mereka tidak boleh berfikir. Ini apabila mereka sudah melihat azab neraka di hadapan mereka.

 

فَلا فَوتَ

maka mereka tidak dapat melepaskan diri

Mereka amat takut pada waktu itu tetapi tidak ada tempat untuk berlindung dan tidak ada tempat untuk melarikan diri lagi. Mereka sudah nampak yang mereka tidak boleh lari dan mereka tahu yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Maka tentu sekali mereka amat takut, bukan?

 

وَأُخِذوا مِن مَّكانٍ قَريبٍ

dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat

Yang akan menangkap mereka itu adalah para malaikat. Mudah sahaja bagi para malaikat untuk menangkap mereka kerana mereka itu dekat sahaja yang senang untuk dicapai untuk ditangkap dan dihumbankan ke dalam azab neraka. Kalau cuba melarikan diri, maka akan ditangkap oleh malaikat dengan mudah sahaja. Tidak ada yang jauh dari para malaikat itu kerana Allah telah beri kekuatan dan kekuasaan kepada mereka untuk menjalankan tugas mereka.


 

Ayat 52:

وَقالوا ءآمَنّا بِهِ وَأَنّىٰ لَهُمُ التَّناوُشُ مِن مَّكانٍ بَعيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will [then] say, “We believe in it!” But how for them will be the taking¹ [of faith] from a place far away?²

  • Literally, “taking of something within easy reach,” in other words, “How can they expect to obtain faith at this point?”
  • i.e., their former life on earth, wherein they had every opportunity but which is now gone, never to return.

(MELAYU)

dan (di waktu itu) mereka berkata: “Kami beriman kepada Allah”, bagaimanakah mereka dapat mencapai (keimanan) dari tempat yang jauh itu.

 

وَقالوا ءآمَنّا بِهِ

dan (di waktu itu) mereka berkata: “Kami beriman kepada Allah”,

Apabila mereka sudah melihat azab memang benar dan hari akhirat itu sudah benar-benar berlaku depan mata mereka, maka waktu itu barulah mereka hendak beriman. Iman mereka waktu itu memang ikhlas sungguh dan kuat sungguh.

Kalau sudah nampak azab, memang semua akan beriman. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ}

Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (As-Sajdah: 12)

 

وَأَنّىٰ لَهُمُ التَّناوُشُ مِن مَّكانٍ بَعيدٍ

bagaimanakah mereka dapat mencapai (keimanan) dari tempat yang jauh itu.

Tanawush bermaksud hendak mencapai sesuatu yang jauh. Waktu itu iman mereka sudah tidak bernilai lagi. Iman yang tidak laku lagi. Kalau sudah nampak azab baru nak beriman, maka ia tidak diterima lagi.

Sepatutnya mereka kena beriman semasa mereka hidup di dunia tetapi waktu itu mereka sudah ada di akhirat dan dunia dan akhirat itu adalah tempat yang amat jauh. Iman itu sudah tidak dapat dipakai lagi kerana amat jauh sangat.

Ertinya, mana mungkin mereka dapat beriman, sedangkan mereka telah dijauhkan dari tempat yang padanya iman dapat diterima dari mereka; dan kini mereka telah berada di kampung akhirat, iaitu negeri pembalasan, bukan lagi negeri ujian.

Seandainya mereka dahulu sewaktu di dunia beriman, tentulah hal itu bermanfaat bagi mereka. Tetapi sesudah mereka berada di negeri akhirat, maka tiada jalan lagi bagi mereka untuk dapat diterima imannya, sebagaimana halnya tiada jalan untuk meraih sesuatu yang dijangkau dari tempat yang jauh di luar jangkauannya.


 

Ayat 53:

وَقَد كَفَروا بِهِ مِن قَبلُ ۖ وَيَقذِفونَ بِالغَيبِ مِن مَّكانٍ بَعيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they had already disbelieved in it before and would assault¹ the unseen from a place far away.²

  • Verbally, by conjecture and denial.
  • i.e., a position far from truth.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya mereka telah mengingkari Allah sebelum itu; dan mereka menduga-duga tentang yang ghaib dari tempat yang jauh.

 

وَقَد كَفَروا بِهِ مِن قَبلُ

Dan sesungguhnya mereka telah mengingkari Allah sebelum itu;

Semasa mereka di dunia, mereka telah membaling ke arah yang lain; iaitu ke arah perkara-perkara ghaib. Maksudnya mereka mengutuk dan buat lawak tentang perkara-perkara itu. Apabila diceritakan tentang perkara ghaib, mereka tidak mahu terima.

 

وَيَقذِفونَ بِالغَيبِ مِن مَّكانٍ بَعيدٍ

dan mereka menduga-duga tentang yang ghaib dari tempat yang jauh.

Mereka lakukan perbuatan mereka itu semasa mereka di dunia. Ia dikira sebagai tempat yang jauh kerana ayat ini tentang keadaan di akhirat. Dunia itu sudah lama hancur dan sekarang adalah dunia yang lain. Maka kerana itu dikira ianya ‘jauh’.

Waktu mereka di dunia mereka hanya menduga-duga sahaja tentang perkara ghaib. Mereka kata begitu dan begini, macamlah mereka tahu sedangkan mereka tak nampak pun perkara-perkara ghaib itu. Ini seperti disebut dalam surah yang lain:

{رَجْمًا بِالْغَيْبِ}

sebagai tekaan terhadap barang yang ghaib. (Al-Kahfi: 22)

Qatadah dan Mujahid mengatakan bahawa mereka mengira tidak ada hari berbangkit, tidak ada syurga, dan tidak ada pula neraka.


 

Ayat 54:

وَحيلَ بَينَهُم وَبَينَ ما يَشتَهونَ كَما فُعِلَ بِأَشياعِهِم مِّن قَبلُ ۚ إِنَّهُم كانوا في شَكٍّ مُّريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And prevention will be placed between them and what they desire,¹ as was done with their kind before. Indeed, they were in disquieting doubt [i.e., denial].

  • Meaning the attainment of faith and its benefits or entrance into Paradise.

(MELAYU)

Dan dihalangi antara mereka dengan apa yang mereka ingini sebagaimana yang dilakukan terhadap orang-orang yang serupa dengan mereka pada masa dahulu. Sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) dalam keraguan yang mendalam.

 

وَحيلَ بَينَهُم وَبَينَ ما يَشتَهونَ

Dan dihalangi antara mereka dengan apa yang mereka ingini 

Akan ada penghalang di antara kehidupan baru dan kehidupan lama di dunia dahulu. Tidak ada amalan yang mereka boleh lakukan lagi untuk mendapatkan pahala lagi. Iaitu dihalang mereka untuk diterima taubat mereka. Kalau mereka mahu bertaubat pun ianya sudah dihalang.

Al-Hasan Al-Basri Ad-Dahhak, dan lain-lainnya mengatakan bahwa yang dimaksudkan ialah iman.

Mujahid mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan dihalangi antara mereka dengan apa yang mereka ingini. (Saba: 54) Yakni dari dunia ini berupa harta benda, perhiasan duniawi, dan keluarga (anak-anak).

Dan ada penghalang di antara mereka dan apa sahaja yang mereka kehendaki sangat. Iaitu keselamatan di syurga. Mereka berharap sangat supaya mereka dimasukkan ke dalam syurga, tapi mereka telah dihalang dari syurga.

 

كَما فُعِلَ بِأَشياعِهِم مِّن قَبلُ

sebagaimana yang dilakukan terhadap orang-orang yang serupa dengan mereka pada masa dahulu.

Sama seperti yang akan dikenakan kepada orang-orang yang sejenis dengan mereka. Mereka itu juga akan mengalami nasib yang sama.

 

إِنَّهُم كانوا في شَكٍّ مُّريبٍ

Sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) dalam keraguan yang mendalam.

Mereka ragu-ragu dengan wahyu yang Allah berikan. Bila ragu, sepatutnya mereka lakukan sesuatu untuk mendapatkan kepastian, tetapi mereka tidak lakukan. Kerana ragu-ragu pada peringkat awal adalah biasa sahaja tapi kenalah dapatkan kepastian.

Qatadah pernah mengatakan, “Janganlah kamu ragu dan bimbang. Kerana sesungguhnya orang yang mati dalam keadaan bimbang dan ragu, maka ia dibangkitkan dalam keadaan seperti waktu ia mati. Dan barang siapa yang mati dalam keadaan yakin, maka ia akan dibangkitkan dalam keadaan yakin pula.

Mereka itu bukan sahaja ragu-ragu terhadap agama Islam tetapi mereka juga menyebabkan orang lain juga ragu-ragu dengan kata-kata mereka. Kerana mereka tidak simpan perasaan ragu mereka itu di dalam hati mereka sahaja tetapi mereka menceritakan kepada orang lain juga. Jadi ini telah menyebabkan orang lain pun termakan dengan kata-kata mereka. Kerana mungkin mereka pandai bercakap dan menyebabkan ramai yang ragu-ragu sekali dengan mereka.

Ini kerana mereka akan menimbulkan persoalan yang mereka tidak tahu jawapanya kerana mereka jahil. Dan apabila mereka sampaikan persoalan itu kepada orang lain, mereka yang dengar ipu pun jadi ragu-ragu sekali.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Saba’ ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Fatir.

Tarikh: 4 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saba’ Ayat 44 – 48 (Nabi tidak minta upah dalam dakwah)

Ayat 44:

وَما ءآتَينٰهُم مِّن كُتُبٍ يَدرُسونَها ۖ وَما أَرسَلنا إِلَيهِم قَبلَكَ مِن نَّذيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had not given them any scriptures which they could study, and We had not sent to them before you, [O Muḥammad], any warner.

(MELAYU)

Dan Kami tidak pernah memberikan kepada mereka kitab-kitab yang mereka baca dan sekali-kali tidak pernah (pula) mengutus kepada mereka sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun.

 

وَما ءآتَينٰهُم مِّن كُتُبٍ يَدرُسونَها

Dan Kami tidak pernah memberikan kepada mereka kitab-kitab yang mereka baca

Al-Qur’an adalah nikmat kerohanian pertama kepada orang Mekah. Mereka dahulunya tidak ada kitab wahyu. Maka ilmu agama mereka banyak yang salah kerana pakai ikut ajaran tok nenek sahaja. Maka kerana itu mereka telah melakukan syirik kepada Allah dan mereka telah digelar ‘Musyrikin Mekah’. Maka sepatutnya mereka bersyukur dengan nikmat diberikan dengan Al-Qur’an kepada Nabi dari kalangan mereka dan dalam bahasa mereka pula.

Dan sebelum itu mereka selalu mengharapkannya dan mereka mengatakan, “Seandainya datang kepada kami seorang pemberi peringatan atau diturunkan kepada kami sebuah kitab, tentulah kami menjadi orang-orang yang lebih mendapat petunjuk daripada selain kami.” Tetapi setelah Allah menganugerahkan hal itu yang mereka harapkan, ternyata mereka mendustakannya, mengengkarinya, dan menentangnya.

Macam orang kita pula, lama sudah dapat Al-Qur’an ini tapi tak juga dipelajari. Maka kerana itulah juga banyak amalan syirik dalam agama.

 

وَما أَرسَلنا إِلَيهِم قَبلَكَ مِن نَّذيرٍ

dan sekali-kali Kami tidak pernah mengutus kepada mereka sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun.

Satu lagi nikmat besar kepada mereka adalah diberikan Nabi Muhammad sebagai rasul untuk mereka. Rasul mereka yang terakhir adalah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dan jarak masa mereka berdua amat lama maka seolah-olah mereka tidak ada Rasul dahulu.

Maknanya, mereka tolak Nabi Muhammad dan ajaran tauhid itu bukan berasaskan ilmu. Kalau mereka ada sumber wahyu yang lain, bolehlah mereka nak tolak dan bawakan ajaran wahyu yang menolak ajaran Nabi Muhammad itu. Tapi tentu tidak ada kerana sebelum itu mereka tidak ada kitab wahyu dan Rasul pun.

Besar sangat nikmat yang Allah berikan kepada mereka ini. Sudahlah Rasulullah, Nabi Akhir Zaman pula. Tetapi malangnya mereka tolak baginda dengan melakukan berbagai-bagai tuduhan. Ada nikmat besar tapi tidak dihargai.

Sama macam orang kita juga. Ada pendakwah dan guru datang mengajar, tapi dihina dan dikutuk. Malah ada yang tangkap masuk penjara pun ada. Perangai sudah macam Musyrikin Mekah.

Memang tidak dinafikan masyarakat kita jauh dari wahyu. Ini adalah kerana pengajaran tafsir Al-Qur’an tidak banyak dilakukan di negara kita kecuali semenjak dua menjak ini. Maknanya baru lagi. Jadi boleh dikatakan kita ini sudah lama tidak ada pemberi peringatan seperti yang disebut dalam ayat ini.


 

Ayat 45: Takhwif duniawi.

وَكَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم وَما بَلَغوا مِعشارَ ما ءآتَينٰهُم فَكَذَّبوا رُسُلي ۖ فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those before them denied, and they [i.e., the people of Makkah] have not attained a tenth of what We had given them. But they [i.e., the former peoples] denied My messengers, so how [terrible] was My reproach.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan sedang orang-orang kafir Mekah itu belum sampai menerima sepersepuluh dari apa yang telah Kami berikan kepada orang-orang dahulu itu lalu mereka mendustakan rasul-rasul-Ku. Maka alangkah hebatnya akibat kemurkaan-Ku.

 

وَكَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Dan orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan

Allah memberitahu bahawa sebelum Musyrikin Mekah itu menolak kebenaran dari Rasul mereka, sudah ada kaum-kaum yang menolak kebenaran juga. Mereka bukanlah golongan yang pertama.

 

وَما بَلَغوا مِعشارَ ما ءآتَينٰهُم

sedang orang-orang kafir Mekah itu belum sampai menerima sepersepuluh dari apa yang telah Kami berikan kepada orang-orang dahulu itu

Padahal apa yang Musyrikin Mekah itu ada tidak sampai satu persepuluh pun dari orang-orang yang dahulu tetapi mereka berlagak sombong dan menolak kebenaran. Orang dahulu ada tanah yang subuh, kekayaan yang melimpah ruah, rumah yang hebat-hebat. Tapi orang Mekah itu duduk dalam rumah tanah liat sahaja atau khemah kulit binatang sahaja, tanaman tidak ada kerana tanah mereka tandus sahaja.

Tapi itu pun masih berlagak lagi. Kalau tidaklah kerana ada Kaabah di Mekah itu, memang mereka tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan langsung. Maka dalam ayat ini, Allah perli mereka kerana berlagak tanpa sebab.

 

فَكَذَّبوا رُسُلي

lalu mereka mendustakan rasul-rasul-Ku.

Umat-umat terdahulu telah dapat banyak nikmat tapi mereka telah menolak rasul-rasul mereka seperti yang dilakukan oleh penduduk Mekah ini.

 

فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

Maka alangkah hebatnya akibat kemurkaan-Ku.

Maka balasan bagi mereka adalah azab yang نَكيرِ. Kalimah نَكيرِ adalah jenis kehancuran yang teruk sangat sampai tidak dapat hendak digambarkan. Jenis azab yang tidak dapat nak dikenali. Kalau nak cerita pun tidak boleh nak diceritakan.

Maka walaupun mereka itu hebat, Allah telah beri segala kesenangan kepada mereka (lebih lagi dari orang Mekah itu), mereka tetap dimusnahkan. Maka kalau orang Mekah nak berlagak, sepatutnya senang sahaja Allah nak musnah mereka.


 

Ayat 46: Targhib kepada tauhid. Allah ajar cara untuk berfikir. Allah juga mengajar cara berdakwah kepada kita.

۞ قُل إِنَّما أَعِظُكُم بِوٰحِدَةٍ ۖ أَن تَقوموا ِللهِ مَثنىٰ وَفُرٰدىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّروا ۚ ما بِصاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ لَّكُم بَينَ يَدَي عَذابٍ شَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “I only advise you of one [thing] – that you stand for Allāh, [seeking truth] in pairs and individually, and then give thought.” There is not in your companion any madness. He is only a warner to you before a severe punishment.

(MELAYU)

Katakanlah: “Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu satu hal saja, iaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kamu fikirkan (tentang Muhammad) tidak ada penyakit gila sedikit pun pada kawanmu itu. Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras.

 

قُل إِنَّما أَعِظُكُم بِوٰحِدَةٍ

Katakanlah: “Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu satu hal saja,

Allah ajar Nabi Muhammad bagaimana nak dakwah kepada Musyrikin Mekah. Bila berdakwah kepada mereka dan mereka menolak, suruh mereka fikirkan satu perkara sahaja.

 

أَن تَقوموا ِللهِ مَثنىٰ وَفُرٰدىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّروا

iaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kamu fikirkan

Allah sedang mengajar satu perkara penting iaitu tentang ‘mentaliti kumpulan’. Iaitu bahaya pemikiran berkumpulan. Kalau kita di dalam satu kumpulan dan kumpulan itu sudah ada satu pegangan, maka selalunya kita akan termakan dengan pendapat kumpulan itu.

Benda itu tidak benar pun tetapi kerana sudah ramai yang bercakap dan berpegang begitu, maka kita rasa kita ‘terpaksa’ terima dan kita ikut sahaja arah mereka. Kerana kita takut nak melawan arus kerana takut akan dipandang serong pula.

Sebagai contoh, katakanlah ada seseorang yang bawa cerita tentang seorang penceramah yang kata begitu dan begini. Orang yang bercerita itu tidak setuju dengan penceramah itu dan dia memberi komen dan hujah dia untuk tidak menyokong penceramah itu. Jadi dia akan bercerita mengikut fahamannya sendiri.

Kemudian, selalunya akan ada orang lain yang tambah pula hujah dia untuk menyokong orang pertama tadi. Akhirnya ia telah menjadi satu pandangan kumpulan yang penceramah itu telah buat satu kesilapan besar dalam ceramah dia. Maka apabila kita berjumpa dengan mereka waktu mereka sedang memperkatakan perkara itu, tentu susah untuk kita menolak pendapat mereka itu maka kita selalunya akan ikut sahaja.

Maka begitulah jikalau mentaliti kumpulan telah bercambah dan kuat, maka susah untuk kita gunakan akal kita lagi. Semua sudah malas nak guna akal.

Maka Allah ajar satu perkara penting dalam ayat ini apabila Allah suruh mereka tinggalkan group mentaliti itu dan berserah diri kepada Allah berseorangan atau paling banyak pun berdua sahaja. Bebaskan diri dari pemikiran kumpulan dan duduk berfikir berseorangan. Waktu itu berdoalah kepada Allah untuk tunjukkan mana yang benar.

Tinggalkan segala prejudis yang ada sebelum itu. Gunakan akal yang sihat yang tidak terikat dengan mana-mana pendapat. Ingat balik yang Nabi Muhammad itu siapa di kalangan mereka? Dulu mereka gelar baginda al-Amin kerana baginda dipercayai, bukan?

Dan bukankah dalam isu perletakan Hajarul Aswad di Kaabah, semua bersetuju menjadikan baginda sebagai hakim yang buat keputusan akhir? Kenapa tiba-tiba kamu nak kata dia gila, pula?

قَالَ الْبُخَارِيُّ عِنْدَهَا: حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ خَازم، حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ عَمْرِو بْنِ مرَّة، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْر ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: صَعدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّفَا ذَاتَ يَوْمٍ، فَقَالَ: “يَا صَبَاحَاهُ”. فَاجْتَمَعَتْ إِلَيْهِ قُرَيْشٌ، فَقَالُوا: مَا لَكَ؟ فَقَالَ: “أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَخْبَرْتُكُمْ أَنَّ الْعَدُوَّ يُصَبّحكم أَوْ يُمَسّيكم، أَمَا كُنْتُمْ تُصَدِّقُونِي؟ ” قَالُوا: بَلَى. قَالَ: “فَإِنِّي نَذِيرٌ لَكُمْ بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٌ شَدِيدٍ”. فَقَالَ أَبُو لَهَبٍ: تَبًّا لَكَ! أَلِهَذَا جَمَعْتَنَا؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ}

Imam Bukhari sehubungan dengan tafsir ayat ini mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Abdullah, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Hazim, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Amr ibnu Murrah, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahwa pada suatu hari Nabi Saw. mendaki bukit Safa, lalu berseru, “Hai orang-orang yang ada di pagi hari ini, berkumpullah!” Maka orang-orang Quraisy datang berkumpul kepadanya, lalu mereka bertanya, “Mengapa kamu?” Nabi Saw. bersabda: Bagaimanakah pendapat kalian seandainya aku beritakan kepada kalian bahwa musuh akan datang menyerang kalian di pagi hari atau di petang hari ini, apakah kalian percaya kepadaku?” Mereka menjawab, “Tentu percaya.” Nabi Saw. bersabda, “Maka sesungguhnya aku memberi peringatan kepada kalian sebelum (menghadapi) azab yang keras.” Maka Abu Lahab berkata, “Celakalah kamu, apakah hanya untuk itu engkau mengumpulkan kami?” Lalu Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. (Al-Lahab: 1)

Dan gunakanlah akal yang sihat untuk berfikir apakah benar apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad itu ataupun tidak? Kena gunakan akal yang bebas dari condong kepada mana-mana pendapat.

 

ما بِصاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ

tidak ada penyakit gila sedikit pun pada kawanmu itu.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Kalau mereka berfikir sungguh-sungguh seperti yang disarankan di atas, maka mereka akan sampai kepada satu keputusan iaitu Nabi Muhammad itu bukanlah seorang gila. Apa yang baginda sampaikan itu boleh diterima oleh akal yang sihat asalkan mahu buka hati dan minda.

 

إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ لَّكُم

Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu

Kedudukan Nabi Muhammad itu adalah sebagai pemberi peringatan. Kerana baginda telah ditugaskan untuk sampaikan peringatan itu. Dan kerana baginda sayangkan mereka, maka baginda hendak menyelamatkan mereka sedaya mungkin baginda.

Baginda akalnya sihat dan cekap. Bukanlah apa yang baginda sampaikan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal. Cubalah fikir-fikirkan apa yang disampaikan sebelum ini.

 

بَينَ يَدَي عَذابٍ شَديدٍ

sebelum (menghadapi) azab yang keras.

Nabi Muhammad bersungguh-sungguh memberi peringatan kepada kaumnya kerana baginda tahu bahawa azab yang keras itu tidak lama lagi. Kalau baginda biarkan sahaja maka mereka semua akan masuk neraka.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ، حَدَّثَنَا بَشِيرُ بْنُ الْمُهَاجِرِ، حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُرَيْدَةَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: خَرَجَ إِلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَنَادَى ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ: “أَيُّهَا النَّاسُ، أَتُدْرُونَ مَا مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ؟ ” قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ مثلُ قَوْمٍ خَافُوا عَدُوًّا يَأْتِيهِمْ، فَبَعَثُوا رَجُلًا يَتَرَاءَى لَهُمْ، فَبَيْنَمَا هُوَ كَذَلِكَ أَبْصَرَ الْعَدُوَّ، فَأَقْبَلَ لِيُنْذِرَهُمْ وَخَشِيَ أَنْ يُدْرِكَهُ الْعَدُوُّ قَبْلَ أَنْ يُنْذِرَ قَوْمَهُ، فَأَهْوَى بِثَوْبِهِ: أَيُّهَا النَّاسُ، أُوتِيتُمْ. أَيُّهَا النَّاسُ، أُوتِيتُمْ -ثَلَاثَ مَرَّاتٍ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Na’im, telah menceritakan kepada kami Basyir ibnul Muhajir, telah menceritakan kepadaku Abdullah ibnu Buraidah, dari ayahnya r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. keluar menemui kami di suatu hari, lalu beliau berseru sebanyak tiga kali dan bersabda, “Tahukah kalian, seperti apakah perumpamaan antara aku dan kalian?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya perumpamaan aku dan kalian bagaikan suatu kaum yang merasa khawatir akan kedatangan musuh yang menyerang mereka. Lalu mereka mengirim seorang lelaki untuk memata-matai kedatangan musuh. Ketika dia telah berada di posisinya, tiba-tiba dia melihat musuh datang. Maka segera dia kembali untuk memperingatkan mereka dengan penuh kekhawatiran akan tersusul oleh musuh sebelum dia menyampaikan peringatan ini kepada kaumnya, untuk itu dia melepaskan bajunya dan mengibar-ngibarkannya seraya berseru, “Hai kaumku, kalian akan diserang. Hai kaumku, kalian akan diserang, ” sebanyak tiga kali.

Begitu jugalah kita sekarang bersungguh-sungguh menyampaikan ajaran wahyu kerana tidak mahu keluarga dan kawan-kawan kita masuk neraka. Walaupun kita mungkin kena kutuk atau dipandang serong, tapi kerana kita sayang mereka, kita sampaikan juga.


 

Ayat 47: Kemudian Allah ajar cara tabligh. Ayat 47 – 54 (ayat akhir) adalah Perenggan Makro Ketujuh. Ia mengandungi dalil kerasulan Nabi Muhammad. Keraguan tentang perkara ini membawa kepada kekafiran.

قُل ما سَأَلتُكُم مِّن أَجرٍ فَهُوَ لَكُم ۖ إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى اللهِ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Whatever payment I might have asked of you – it is yours. My payment is only from Allāh, and He is, over all things, Witness.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Upah apapun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu. Upahku hanyalah dari Allah, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”.

 

قُل ما سَأَلتُكُم مِّن أَجرٍ فَهُوَ لَكُم

Katakanlah: “Upah apapun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu.

Allah ajar Rasulullah untuk berkata begini. Ini penting kerana Musyrikin Mekah tuduh yang baginda nak duit dan harta mereka dari ajaran baginda itu. Sedangkan baginda tidak pernah minta harta ataupun pangkat kedudukan dari mereka.

Kalau ada Nabi Muhammad minta mereka infaqkan harta itu sebenarnya bukan untuk baginda tetapi kebaikan untuk mereka sebenarnya. Apa-apa sahaja yang baginda suruh kita keluarkan dan lakukan adalah untuk kebaikan diri kita sahaja. Kerana dengan melakukan suruhan dan ajakan Nabi Muhammad itu kita akan mendapat pahala.

Dan bukan sahaja pahala di akhirat tetapi ia juga mengatur hidup kita. Kerana Allah yang jadikan kita maka Allah tahu bagaimana mengurus diri kita. Maka ajaran dan hukum seperti hukum hudud yang Allah berikan adalah untuk menjaga keharmonian hidup kita.

Maka kalau ada yang jemput kita ceramah ajar agama dan ada yang bagi duit, jangan ambil. Itu memang sudah tugas kita untuk berdakwah dan bukan kita lakukan kerana nak duit. Jangan kita terima duit itu sampai ada orang boleh kata yang kita bercakap itu adalah kerana hendak duit saja.

Ianya telah jadi teruk sampai ada orang awam yang sangka penceramah dan pendakwah ini memerlukan duit daripada orang awam sahaja. Kita kena ubah persepsi ini. Kita tidak perlukan wang mereka. Kita juga tidak perlukan sanjungan mereka.

 

إِن أَجرِيَ إِلّا عَلَى اللهِ

Upahku hanyalah dari Allah,

Baginda disuruh untuk beritahu yang baginda nak upah dari Allah sahaja. Bukannya baginda sampaikan ajaran agama dan wahyu ini kerana nak kekayaan atau cari makan.

Begitu jugalah kita apabila mengajar. Jangan berharap dengan ‘sampul putih’ dari anak murid. Kita carilah rezeki cara lain. Jangan jadikan ajar agama sebagai punca pendapatan. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang larangan untuk meminta upah dalam mengajar dan berdakwah.

 

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Allah menjadi saksi yang Nabi Muhammad tidaklah mengharapkan upah dari umatnya. Orang boleh berkata-kata apa-apa sahaja tuduhan, tapi itu tidak benar dan saksinya adalah Allah.

Ingatlah yang Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Kalau kita minta upah dari masyarakat dalam kita mengajar, maka Allah akan tahu.


 

Ayat 48: Allah ajar cara tabligh lagi.

قُل إِنَّ رَبّي يَقذِفُ بِالحَقِّ عَلّٰمُ الغُيوبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Indeed, my Lord projects the truth, Knower of the unseen.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku mewahyukan kebenaran. Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib”.

 

قُل إِنَّ رَبّي يَقذِفُ بِالحَقِّ

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku mewahyukan kebenaran.

Qazafa bermaksud membaling sesuatu jauh dan dengan kuat. Seolah-olah memberi isyarat bahawa kebenaran itu adalah sesuatu yang zahir. Dalam Surah Anbiya’ pun ada disebut tentang perkara ini.

Maksudnya Allah baling ke arah perkara yang batil. Supaya Allah mematikan kebatilan itu. Maka ia bermaksud Allah akan mencampakkan kebenaran ke dalam hati para nabi, termasuk ke dalam hati Nabi Muhammad SAW. Ia juga dicampakkan ke dalam hati manusia yang mahu kepada kebenaran.

 

عَلّٰمُ الغُيوبِ

Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib”.

Allah boleh lakukan perkara itu kerana Allah mengetahui perkara ghaib. Allah tahu mana Haq dan mana batil. Maka apa yang Allah sampaikan dalam wahyu adalah kebenaran. Dan jangan ragu langsung tentang perkara ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saba’ Ayat 40 – 43 (Manusia sembah jin rupanya)

Ayat 40: Takhwif ukhrawi bagi mereka yang menjadikan malaikat sebagai pemberi syafaat.

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ يَقولُ لِلمَلىٰئِكَةِ أَهٰؤُلاءِ إِيّاكُم كانوا يَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] the Day when He will gather them all and then say to the angels, “Did these [people] used to worship you?”

(MELAYU)

Dan (ingatlah) hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada malaikat: “Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”.

 

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَميعًا

Dan (ingatlah) hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka semuanya

Iaitu apabila makhluk dikumpulkan di Mahsyar. Semua akan duduk menunggu dalam keadaan takut. Semuanya menunggu keputusan dari Allah. Yang menyembah dan disembah akan dikumpulkan.

 

ثُمَّ يَقولُ لِلمَلىٰئِكَةِ

kemudian Allah berfirman kepada malaikat: 

Apabila kalimah ثُمَّ digunakan, ia bermaksud masa yang lama. Bukanlah bila dikumpulkan sahaja akan terjadi peristiwa ini. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kita semua akan menunggu selama 50 ribu tahun. Barulah Allah akan bercakap kepada makhlukNya.

Dalam ayat ini ia berkenaan soalan Allah kepada para malaikat. Disampaikan dalam ayat ini kerana malaikat adalah antara sembahan manusia yang ada fahaman syirik. Mereka sangka para malaikat itu ilah dan dapat beri syafaat dan berkat. Mereka memuja malaikat yang ada dikatakan sebagai tuhan hujan, tuhan rezeki, tuhan itu dan ini.

Maka ramailah yang seru dan puja malaikat seperti yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah. Pada Musyrikin Mekah, para malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah. Kalau masyarakat Melayu pula, ada ajaran sesat yang ajar beri salam kepada malaikat.

Dan ada ajaran silat yang ajar seru malaikat untuk mengawal dan beri perlindungan kepada mereka. Ini pun ajaran sesat juga. Ini adalah kerana ada akidah orang kita pun sama sahaja dengan akidah Musyrikin Mekah. Ini adalah kerana jahil dengan wahyu.

 

أَهٰؤُلاءِ إِيّاكُم كانوا يَعبُدونَ

“Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”.

Allah tanya kepada malaikat sama ada manusia-manusia musyrik itu menyembah mereka dulukah? Soalan ini bukan tanya hendak tahu kerana Allah sudah tahu. Allah hendak mengejek sahaja. Kerana Allah nak tanya dan tunjukkan kepada semua makhluk waktu itu, adakah malaikat pernah suruh mereka dipuja? Pernahkah malaikat redha dengan pemujaan manusia terhadap mereka?

Bukan para malaikat sahaja yang ditanya begini. Dalam ayat yang lain, para Nabi juga ditanya. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Swt. kepada Nabi Isa a.s.:

{أَأَنْتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَهَيْنِ مِنْ دُونِ اللهِ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ}

“Apakah kamu pernah mengatakan kepada manusia, “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang ilah selain Allah?” Isa menjawab, “Mahasuci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya)” (Al-Maidah: 116)

Kita kena faham bahawa maksud ‘sembah’ itu bukanlah dalam bentuk sujud sahaja. Orang yang ada fahaman syirik itu tidaklah mereka sujud kepada malaikat. Tapi ada ibadat yang mereka buat dan ditujukan kepada malaikat seperti beri salam dan seru. Ini pun termasuk dalam sembah juga.

Ini kena difahami kerana kalau kita kata kepada orang kita yang mereka ‘sembah’ malaikat, mereka kata mereka tak sujud pun kepada malaikat itu. Maknanya mereka itu adalah orang yang jahil.


 

Ayat 41: Malaikat jawab soalan dari Allah itu.

قالوا سُبحٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنا مِن دونِهِم ۖ بَل كانوا يَعبُدونَ الجِنَّ ۖ أَكثَرُهُم بِهِم مُّؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “Exalted are You! You, [O Allāh], are our benefactor excluding [i.e., not] them. Rather, they used to worship the jinn; most of them were believers in them.”

(MELAYU)

Malaikat-malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, bukan mereka; bahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu”.

 

قالوا سُبحٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنا

Malaikat-malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, 

Malaikat mula jawab dengan bertasbih kepada Allah. Tasbih adalah menyucikan Allah dari fahaman-fahaman syirik. Allah suci dari sifat kerendahan dan suci dari ada tandingan dan perkongsian dengan makhluk. Mereka menidakkan amalan-amalan manusia yang syirik kerana Allah Maha Suci dari sifat-sifat kerendahan yang ada pada makhluk.

Kalau kedudukan makhluk disamakan dengan kedudukan Allah, maka itu sebenarnya telah merendahkan martabat Allah. Maka dari sini kita tahu yang tasbih itu adalah ‘lawan’ kepada syirik. Maka kalau orang kita yang bertasbih selalu, tapi buat syirik dalam masa yang sama, maksudnya mereka tidak faham maksud tasbih itu.

مِن دونِهِم

bukan mereka;

Para malaikat itu berlepas diri diri manusia yang kononnya menyembah mereka itu. Maknanya malaikat sudah menolak amalan yang dilakukan oleh musyrikin itu. Malaikat tidak redha dengan amalan syirik yang dilakukan oleh golongan musyrik itu.

 

بَل كانوا يَعبُدونَ الجِنَّ

bahkan mereka telah menyembah jin; 

Malaikat memberitahu bahawa sebenarnya golongan musyrik itu bukannya menyembah mereka tetapi sebenarnya mereka menyembah jin. Maka tahulah kita sekarang yang sembahan manusia yang diberikan kepada selain Allah itu adalah sembahan dan seruan kepada jin rupanya.

Mereka yang melakukan amalan syirik itu sahaja yang sangka mereka menyeru kepada malaikat yang mereka anggap sebagai anak Allah tetapi sebenarnya mereka menyeru kepada jin. Ini semakna dengan apa yang telah disebutkan oleh firman-Nya:

{إِنْ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ إِلا إِنَاثًا وَإِنْ يَدْعُونَ إِلا شَيْطَانًا مَرِيدًا. لَعَنَهُ اللهُ}

Yang mereka sembah selain Allah itu tidak lain hanyalah berhala, dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang durhaka, yang dilaknati Allah. (An-Nisa: 117-118)

Dalam ayat ini, digunakan kalimah ‘sembah’. Tapi mungkin ada yang kata, bila masa pula mereka sembah dan sujud kepada jin? Jadi inilah kejahilan yang kena diperbersihkan. Jangan kita sangka ‘sembah’ itu bermaksud ‘sujud’ sahaja. Kalau kita taat kepada arahan dan ajakan seseorang yang bertentangan dengan kehendak Allah, maka itu pun sudah dikira sembah juga.

Maka mereka yang mengamalkan amalan seru kepada Nabi, wali dan malaikat itu adalah menyembah jin sebenarnya kerana itu adalah ajaran dari jin dan mereka ikuti.

 

أَكثَرُهُم بِهِم مُّؤمِنونَ

kebanyakan mereka beriman kepada jin itu”.

Manusia itu semua tertipu dengan jin kerana jin selalu menipu manusia. Maksud manusia ‘beriman’ dengan jin itu adalah percaya dengan apa yang ditipu oleh jin itu. Dan jin memang pandai menipu manusia.

Jin yang buat patung-patung berbunyi ataupun mengeluarkan darah. Dan kalau ada perawat bercakap dengan jin, ada kemungkinan kena tipu dengan jin, kerana mereka memang penipu. Ini termasuk kalau bila dibacakan ayat Al-Qur’an, jin yang ada dalam badan manusia itu berlakon menjerit-jerit.

Jinlah yang mengganggu budak-budak dan apabila dibacakan doa-doa syirik, atau pangkal tangkal, maka jin akan keluar dari budak itu dan tidak menangis lagi maka ibu bapa yang syirik percaya dengan amalan khurafat mereka. Memang jin akan keluar kerana niat mereka untuk menyesatkan ibu bapa itu sudah selesai. Maka amat malang sekali kalau ada ibubapa yang tertipu dengan permainan syaitan ini.

Maka kalau anak menangis, jangan pula bawa kepada bomoh atau ‘ustaz’ untuk diubati. Takut nanti diberinya tangkal atau ‘ustaz’ itu beri amalan karut pula seperti zikir-zikir yang entah datangnya dari mana. Masalah sekarang adalah bomoh sudah pandai pakai gelaran ‘ustaz’ padahal mereka adalah bomoh bertopengkan ‘ustaz’. Mereka pakai kopiah atau serban, kemudian baca sikit-sikit ayat Al-Qur’an. Tapi pada hakikatnya mereka itu bomoh dan pawang.

Bacakan sahaja Ayat Kursi kepada anak itu dan jin akan lari keluar. Kalau tidak keluar juga, maka anda yang ada masalah akidah sampaikan ayat yang mengingatkan kepada tauhid tidak memberi kesan. Maka kalau begitu, kenalah belajar.

Semasa baca Ayat Kursi itu kenalah faham apa yang dibaca. Kerana yang menghalau jin itu bukanlah ayat itu, tapi iman kita. Ayat itu cuma untuk mengembalikan iman kita sahaja.


 

Ayat 42:

فَاليَومَ لا يَملِكُ بَعضُكُم لِبَعضٍ نَّفعًا وَلا ضَرًّا وَنَقولُ لِلَّذينَ ظَلَموا ذوقوا عَذابَ النّارِ الَّتي كُنتُم بِها تُكَذِّبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But today [i.e., the Day of Judgement] you do not hold for one another [the power of] benefit or harm, and We will say to those who wronged, “Taste the punishment of the Fire, which you used to deny.”

(MELAYU)

Maka pada hari ini sebahagian kamu tidak berkuasa (untuk memberikan) kemanfaatan dan tidak pula kemudharatan kepada sebahagian yang lain. Dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim: “Rasakanlah olehmu azab neraka yang dahulunya kamu dustakan itu”.

 

فَاليَومَ لا يَملِكُ بَعضُكُم لِبَعضٍ نَّفعًا وَلا ضَرًّا

Maka pada hari ini sebahagian kamu tidak berkuasa (untuk memberikan) kemanfaatan dan tidak pula kemudharatan kepada sebahagian yang lain.

Mereka yang ada fahaman syirik berharap supaya wali, Nabi dan malaikat yang mereka seru itu akan beri bantuan kepada mereka. Tapi ini adalah harapan palsu sahaja. Tidak ada sesiapa yang boleh tolong sesiapa pada hati akhirat itu. Maka sia-sialah amalan puak musyrikin itu.

Juga tidaklah sesiapa boleh memberikan mudharat kepada makhluk lain tanpa kehendak Allah. Jadi kalau tidak buat ibadat syirik kepada berhala, Nabi, wali, malaikat atau jin itu, tidak ada sesiapa yang akan memudharatkan.

Ini penting diketahui kerana ada ajaran yang sesat yang mengatakan kalau tidak buat begitu dan begini, maka akan datang musibah pula. Maka jangan takut dengan ancaman sebegitu. Macam selalu kita dengar alasan puak musyrik yang kata kalau robohkan maqam wali itu dan ini (dakwaan mereka), maka nanti ada dapat musibah pula. Ini adalah fahaman syirik.

 

وَنَقولُ لِلَّذينَ ظَلَموا ذوقوا عَذابَ النّارِ الَّتي كُنتُم بِها تُكَذِّبونَ

Dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim: “Rasakanlah olehmu azab neraka yang dahulunya kamu dustakan itu”.

Orang zalim yang dimaksudkan itu adalah mereka yang menyeru malaikat untuk mendapatkan syafaat dari mereka hasil daripada bisikan jin. Begitu juga kepada amalan sembahan yang lain, bukan kepada malaikat sahaja.

Maka kerana amalan salah mereka dulu maka mereka akan dikenakan dengan azab. Azab yang mereka dulu tidak percaya. Apabila dikatakan kepada mereka supaya jangan amalkan tawasul dan seru selain Allah, kerana balasannya neraka, mereka tidak percaya. Maka sekarang rasalah azab itu.


 

Ayat 43: Ayat Syikayah. Ayat 43 – 46 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia menceritakan celaan orang kafir terhadap Rasul.

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّناتٍ قالوا ما هٰذا إِلّا رَجُلٌ يُريدُ أَن يَصُدَّكُم عَمّا كانَ يَعبُدُ ءآباؤُكُم وَقالوا ما هٰذا إِلّا إِفكٌ مُّفتَرًى ۚ وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our verses are recited to them as clear evidences, they say, “This is not but a man who wishes to avert you from that which your fathers were worshipping.” And they say, “This is not except a lie invented.” And those who disbelieve say of the truth when it has come to them, “This is not but obvious magic.”

(MELAYU)

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang, mereka berkata: “Orang ini tiada lain hanyalah seorang laki-laki yang ingin menghalangi kamu dari apa yang disembah oleh bapak-bapakmu”, dan mereka berkata: “(Al Qur’an) ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan saja”. Dan orang-orang kafir berkata terhadap kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata”.

 

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآيٰتُنا بَيِّناتٍ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang,

Ini adalah tentang golongan yang telah diberikan peringatan dari wahyu. Mereka telah diberitahu tentang amalan-amalan syirik dan dinasihatkan supaya jangan amalkan. Tapi mereka tidak mahu terima. Ajaran itu sudah terang jelas tapi mereka tetap nak tolak juga.

Sebagaimana ramai dari golongan masyarakat Islam di negara kita ini pun. Apabila kita tegur kerana mereka suka melawat kuburan yang dikatakan sebagai wali, mereka tidak mahu dengar teguran kita.

 

قالوا ما هٰذا إِلّا رَجُلٌ يُريدُ أَن يَصُدَّكُم عَمّا كانَ يَعبُدُ ءآباؤُكُم

mereka berkata: “Orang ini tiada lain hanyalah seorang laki-laki yang ingin menghalangi kamu dari apa yang disembah oleh bapak-bapakmu”, 

Golongan musyrik itu menuduh Nabi Muhammad itu hanya hendak menjauhkan mereka daripada ajaran tok nenek mereka. Mereka kutuk orang-orang yang ikut Nabi Muhammad itu dengan tuduhan tidak sayang kepada keturunan.

Mereka marah kerana agama turun temurun mereka dikatakan sebagai salah. Tentulah mereka marah. Macam orang kita sekarang juga. Kalau kita tegur amalan mereka, memang melenting sungguh. Mereka kata: “takkan kau nak kata amalan tok nenek kita dulu tu salah? Mereka semua akan masuk nerakakah?”

Mereka tetap nak pegang amalan lama dari orang lama padahal amalan mereka itu salah. Kalau amalan benar, maka bolehlah nak amalkan. Tapi kalau salah, maka kena tinggalkan. Kalau sudah lama diamalkan pun, tidak semestinya ia benar.

 

وَقالوا ما هٰذا إِلّا إِفكٌ مُّفتَرًى

dan mereka berkata: “ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan saja”.

Sekarang mereka sudah semakin kurang ajar dan sudah menjadi satu tahap di mana mereka membuat tohmahan kepada Nabi Muhammad. Kalau di awal surah ini mereka tidak tahu apa yang perlu dikatakan terhadap baginda. Sebab itu mereka kata mungkin Muhammad ini kena sampuk jin agaknya.

Tetapi lama kelamaan mereka sudah tidak tahan dan mula menuduh baginda dengan berbagai-bagai tuduhan. Sekarang mereka sudah mula kata yang Nabi Muhammad memang sengaja berbohong. Mereka kata ajaran yang dibawa oleh baginda itu adalah ajaran rekaan Nabi Muhammad sahaja.

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلحَقِّ لَمّا جاءَهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

Dan orang-orang kafir berkata terhadap kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata”.

Mereka tidak boleh terima ajaran dari Al-Qur’an itu tetapi dalam masa yang sama mereka dapat rasa yang ianya hebat. Lalu mereka katakan yang itu adalah sihir semata-mata. Kerana pada mereka sihir itu juga adalah sesuatu yang hebat. Iaitu sesuatu yang tidak boleh dijelaskan dengan akal.

Dan lagi satu kerana mereka perhatikan bila ada yang pergi dengar bacaan Al-Qur’an dari baginda, ramai yang ikut baginda. Mereka kata itu kena sihirlah tu.

Tapi mereka kejap kata baginda menipu, kejap kata baginda buat sihir pula. Mana satu yang benar ni? Kenapa kamu tidak dapat sepakat? Lihat bagaimana mereka pun sudah tak tahu nak kata apa lagi. Jadi mereka pakai tuduh sahaja mana yang sedap di mulut waktu itu. Macam penentang sunnah yang tidak ada hujah, akhirnya kalimah ‘wahabi’ juga yang keluar dari mulut mereka. Pusing punya pusing hujah, akhirnya keluar ‘wahabi’ dari mulut mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saba’ Ayat 36 – 39 (Kaya bukan bererti senang)

Ayat 36: Jawab syikayah yang disebut dalam ayat sebelum ini. Mereka berbangga dengan kekayaan yang mereka ada.

قُل إِنَّ رَبّي يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Indeed, my Lord extends provision for whom He wills and restricts [it], but most of the people do not know.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya). Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

 

قُل إِنَّ رَبّي يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan 

Allah yang buat keputusan tentang rezeki. Ada yang Allah beri banyak rezeki dan ada yang Allah beri sikit atau cukup-cukup sahaja. Adakah mereka yang kaya itu sangka mereka ada kekayaan itu kerana usaha mereka sahaja? Mereka telah tersilap kalau begitu.

Maka kerana Allah yang tentukan, maka Allah yang beri ikut kehendak Allah. Bukannya manusia kaya kerana kepandaian mereka berniaga, bekerja dan nasib. Allah yang buat keputusan siapa yang dapat rezeki banyak mana. Maka janganlah orang kaya itu berlagak dan lebih-lebih lagi jangan jadikan itu sebagai alasan untuk menolak kebenaran.

Ingatlah yang kekayaan sebenarnya ujian dari Allah. Sebagaimana kemiskinan juga adalah ujian, maka kekayaan itu juga ujian. Jadi jangan sangka yang kekayaan yang mereka ada itu sebagai tanda yang Allah sayang mereka dan mereka pasti dapat kebaikan di akhirat kelak.

Allah memberikan harta kepada orang yang dicintai-Nya dan orang yang tidak dicintai-Nya, dan Dia mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan memberikan kekayaan kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan hanya bagi-Nyalah hikmah yang sempurna, hujah yang pasti dan mengalahkan semua hujah.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Inilah salah sangka manusia yang banyak terdapat dalam fikiran manusia. Ramai yang sangka mereka insan istimewa kerana hidup mereka senang di dunia. Allah beritahu ramai yang ada salah faham ini. Maka kita janganlah termasuk dalam kategori ini.

Kena sedar kedudukan kekayaan. Ia bukanlah tanda Allah sayang. Kerana kalau begitu tentu semua para Nabi kaya belaka kerana Allah sayang mereka, bukan? Tapi kita pun tahu yang kebanyakan Nabi dan rasul hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Kalau yang kaya pun adalah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang disebut kisah mereka dalam surah ini.


 

Ayat 37: Zajrun.

وَما أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم بِالَّتي تُقَرِّبُكُم عِندَنا زُلفىٰ إِلّا مَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَأُولٰئِكَ لَهُم جَزاءُ الضِّعفِ بِما عَمِلوا وَهُم فِي الغُرُفٰتِ ءآمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is not your wealth or your children that bring you nearer to Us in position, but it is [by being] one who has believed and done righteousness. For them there will be the double reward for what they did, and they will be in the upper chambers [of Paradise], safe [and secure].

(MELAYU)

Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikit pun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal (saleh), mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga).

 

وَما أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم بِالَّتي تُقَرِّبُكُم عِندَنا زُلفىٰ

Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami;

Bukan harta dan anak yang menunjukkan kamu dekat dengan Allah. Ia juga tidak mendekatkan mereka dengan Allah. Allah tak pandang banyaknya harta kamu dan berapa ramai anak kamu kerana semua itu Dia yang beri pun.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ، رَحِمَهُ اللهُ: حَدَّثَنَا كَثير، حَدَّثَنَا جَعْفَرٌ، حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ الْأَصَمِّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إن اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ إِنَّمَا يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ”.

Imam Ahmad. mengatakan, telah menceritakan kepada kami Kasir, telah menceritakan kepada kami Ja’far, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnul Asam, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kalian, tetapi sesungguhnya Dia hanya memandang kepada hati dan amal perbuatan kalian.

 

إِلّا مَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا

tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh

Yang Allah pandang adalah iman dan amal soleh. Yang beriman dan beramal soleh yang akan dapat balasan baik di akhirat. Itulah juga yang dapat mendekatkan diri dengan Allah.

Ayat ini dalam khitab mufrad sahaja (dari segi bahasa ditujukan kepada seorang sahaja). Maknanya ia memberi isyarat yang hanya ada sikit sahaja dalam kalangan yang banyak. Peratusan tidak tinggi dalam golongan yang ini. Memang ada orang kaya yang beriman dan beramal soleh tapi tidak  banyak. Yang ramainya terleka dengan kejayaan dan anak pinak mereka yang ramai.

 

فَأُولٰئِكَ لَهُم جَزاءُ الضِّعفِ بِما عَمِلوا

mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; 

Mereka yang kaya dan beriman dan beramal soleh akan dapat pahala berganda. Kenapa dapat berganda? Kerana  mereka kena lawan dengan kebiasaan masyarakat. Ramai tak betul kalau dibandingkan dengan yang betul tapi mereka kena buat yang baik sahaja. Maka ada kesusahan untuk mereka kerana mereka melawan arus. Maka kerana usaha mereka itu maka mereka dapat pahala tambahan.

Dalam surah sebelum ini  telah disebut tentang  para isteri Nabi  yang dapat pahala berganda kerana mereka jadi contoh kepada manusia terutama para wanita. Maka begitu juga kalau anda sahaja Muslim dalam masyarakat anda. Anda yang jadi contoh bandingan untuk Islam maka anda ada kedudukan tinggi yang kena jaga. Lebih-lebih lagi kalau anda orang kaya.

Mereka yang kaya juga jadi ikutan manusia lain. Maka kalau mereka beriman dan beramal soleh, maka mereka akan jadi ikutan orang lain. Dan kerana mereka diikuti, maka mereka dapat pahala tambahan kerana menyebabkan orang lain jadi baik. Mereka sudahlah kaya dan ada pengaruh, kemudian mereka buat baik dan orang lain pun ikut mereka juga.

 

وَهُم فِي الغُرُفٰتِ ءآمِنونَ

dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi 

Mereka akan dapat duduk dalam syurga yang ada bilik-bilik yang besar dan tinggi. Maka mereka akan duduk di dalamnya dengan aman.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا فَرْوَة بْنُ أَبِي الْمِغْرَاءِ الْكِنْدِيُّ، حَدَّثَنَا الْقَاسِمُ وَعَلِيُّ بْنُ مُسْهِر، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ إِسْحَاقَ، عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ عَلِيٍّ، رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ فِي الْجَنَّةِ لَغرفا تُرَى ظُهُورُهَا مِنْ بُطُونِهَا، وَبُطُونُهَا مِنْ ظُهُورِهَا”. فَقَالَ أَعْرَابِيٌّ: لِمَنْ هِيَ؟ قَالَ: “لِمَنْ طَيَّبَ الْكَلَامَ، وَأَطْعَمَ الطَّعَامَ، وَأَدَامَ الصِّيَامَ، [وَصَلَّى بِاللَّيْلِ وَالنَّاسِ نِيَامٌ] “

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Farwah ibnu Abul Migra Al-Kindi, telah menceritakan kepada kami Al-Qasim dan Ali ibnu Misar, dari Abdur Rahman ibnu lshaq, dari An-Nu’man ibnu Sa’d, dari Ali r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga benar-benar terdapat tempat-tempat yang tinggi, bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalamnya dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya. Ketika ada seorang Badwi bertanya, “Untuk siapakah tempat-tempat itu?” Rasulullah Saw. menjawab: Bagi orang yang bertutur kata baik, memberi makan (orang-orang fakir miskin), rajin berpuasa, dan gemar solat di malam hari ketika manusia sedang tidur.

Mereka aman kerana tidak ada kesusahan dan kerisauan pada mereka. Tidak macam di dunia yang ada sahaja perkara yang akan merisaukan mereka. Sedangkan di syurga semuanya senang sahaja.

Jadi ayat ini boleh diringkaskan begini:

  1. Yang mendekatkan kita kepada Allah bukannya harta dan anak pinak tetapi iman dan taqwa kita.
  2. Dalam masa yang sama, harta dan anak pinak boleh juga mendekatkan kita kepada Allah.
    1. Iaitu kalau kita gunakan harta itu untuk kebaikan.
    2. Kita didik anak kita menjadi anak yang soleh dan kemudian berkhidmat untuk agama.

 

Ayat 38: Zajrun dan takhwif ukhrawi.

وَالَّذينَ يَسعَونَ في ءآيٰتِنا مُعٰجِزينَ أُولٰئِكَ فِي العَذابِ مُحضَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the ones who strive against Our verses to cause [them] failure – those will be brought into the punishment [to remain].

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berusaha (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan untuk dapat melemahkan (menggagalkan azab Kami), mereka itu dihadhirkan ke dalam azab.

 

وَالَّذينَ يَسعَونَ في ءآيٰتِنا مُعٰجِزينَ

Dan orang-orang yang berusaha (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan untuk dapat melemahkan

Ada manusia yang berusaha merendahkan wahyu Allah. Mereka sengaja mencari kesalahan-kesalahan dalam Al-Qur’an seperti yang dilakukan oleh penentang Islam.

 

أُولٰئِكَ فِي العَذابِ مُحضَرونَ

mereka itu dihadhirkan ke dalam azab.

Mereka pasti akan dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan kekal di dalamnya. Mereka akan dikenakan dengan azab yang amat keras.


 

Ayat 39: Targhib kepada infak.

قُل إِنَّ رَبّي يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ وَيَقدِرُ لَهُ ۚ وَما أَنفَقتُم مِّن شَيءٍ فَهُوَ يُخلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Indeed, my Lord extends provision for whom He wills of His servants and restricts [it] for him. But whatever thing you spend [in His cause] – He will compensate it; and He is the best of providers.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.

 

قُل إِنَّ رَبّي يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ وَيَقدِرُ لَهُ

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan baginya

Allah ingatkan bahawa harta sedikit atau banyak yang manusia dapat itu adalah dari Allah. Allah yang menentukan banyak mana rezeki yang manusia terima. Kuantiti rezeki itu bukan berdasarkan kepada sukanya Allah kepada seseorang itu. Kerana ada orang yang Allah sayang, tapi Allah tidak berikan kekayaan dan kesenangan kepadanya.

Ada hikmah kenapa Allah buat semua itu seperti yang disebut dalam ayat lain:

{انْظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلا}

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya (Al-Isra’: 21)

Dan kalau seseorang itu adalah seorang yang engkar kepada wahyu dan dia dapat banyak rezeki yang melimpah ruah, maka itu adalah tanda yang Allah akan kenakan dia dengan penghakiman yang keras. Nanti akan ditanya dari mana dia dapat rezeki itu dan ke mana dia salurkan.

Maka memang dia akan payah nanti. Rezeki yang dia dapat di dunia nanti akan menjadi hujah untuk menghukum dia nanti di akhirat. Maka rezeki itu adalah buruk untuknya. Dia mungkin rasa senang dengan rezeki itu semasa di dunia, tapi di akhirat nanti, dia akan menyesal kenapa dia dapat banyak rezeki.

Ada yang dapat banyak dan ada yang dapat sedikit sahaja. Kena redha dengan pemberian Allah itu kerana ianya adalah keputusan dari Allah. Kalau Allah beri rezeki yang banyak kepada kita, maka kita bersyukurlah dan sifat syukur itu lebih baik daripada rezeki yang Allah berikan; dan kalau kita dapat rezeki sedikit sahaja, maka bersabarlah. Dan kerana sabar kita itu, kita akan dapat pahala pula. Jadi tak dapat rezeki banyak tapi dapat pahala banyak. Ini lebih bagus, bukan?

 

وَما أَنفَقتُم مِّن شَيءٍ فَهُوَ يُخلِفُهُ

Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya 

Kemudian Allah beri anjuran dan motivasi untuk bersedekah dan mengeluarkan harta untuk jalan Allah. Allah beritahu yang apa sahaja yang kita berikan sama ada yang banyak ataupun sedikit akan berpusing dan patah balik kepada kita. Di dalam sebuah hadis disebutkan:

يَقُولُ اللهُ تَعَالَى: أنْفق أنْفق عَلَيْكَ”

Allah Swt. berfirman, “Berinfaklah kamu, maka Aku akan menggantinya kepadamu.”

Di dalam hadis lain disebutkan:

أَنَّ مَلِكَيْنِ يَصيحان كُلَّ يَوْمٍ، يَقُولُ أَحَدُهُمَا: “اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكا تَلَفًا”، وَيَقُولُ الْآخَرُ: “اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا”

bahawa setiap pagi hari ada dua malaikat yang salah satunya berdoa, “Ya Allah, berikanlah kerosakan kepada orang yang kikir,” sedangkan yang lain mengatakan dalam doanya, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.”

Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“أَنْفِقْ بِلَالًا وَلَا تَخْشَ مِنْ ذِي الْعَرْشِ إِقْلَالَا”

Infakkanlah terus hai Bilal, janganlah kamu takut bankrap kerana Tuhan yang mempunyai Arasy.

Dalam dunia ini lagi kita sudah nampak bagaimana proses ini sudah berjalan. Macam kalau kita berikan sedekah kepada orang lain maka akan ada kebaikan yang patah balik kepada kita.

Dan sebaliknya kalau kita keluarkan duit kita untuk perkara yang buruk maka Allah akan berikan balasan yang buruk kepada kita.

Musyrikin Mekah pun faham tentang perkara ini. Oleh kerana itu apabila mereka nak bina balik Kaabah selepas ianya rosak, maka mereka iklankan kepada mereka yang mahu bekerjasama bina balik Kaabah itu untuk dikeluarkan duit dari harta yang halal sahaja.

 

وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.

Dan Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki. Allah tahu bagaimana hendak beri rezeki kepada kita dan ia tidak semestinya dalam bentuk wang dan harta. Maka jangan kita persoalkan: “Kenapalah Allah bagi dia susah yer.. padahal dia orang baik…”. Jangan kita kata begitu. Pandailah Allah beri rezeki kepada manusia.

Kerana kebaikan itu boleh jadi dalam berbagai-bagai bentuk dan antaranya dengan beri keselamatan kepada kita. Maka ada yang Allah balas dengan menyelamatkan kita daripada perkara-perkara yang buruk. Ini adalah perkara yang amat penting.

Sebagai contoh, mungkin kita pergi temuduga di satu tempat kerja dan kita tidak dapat kerja itu. Mungkin kita bersedih kerana tidak dapat kerja di situ tetapi Allah sebenarnya mengelakkan kita daripada dapat kerja di situ kerana mungkin tempat itu akan menyebabkan hidup kita jadi susah.

Maka kena redha dengan apa yang Allah berikan kepada kita. Kalau kita dapat terima hakikat ini, maka kita akan tenang sahaja hidup. Tidak susah nak fikir banyak sangat. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, maka sabar dan redhalah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi