Ayat 21:
وَكَذٰلِكَ أَعثَرنا عَلَيهِم لِيَعلَموا أَنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَأَنَّ السّاعَةَ لا رَيبَ فيها إِذ يَتَنٰزَعونَ بَينَهُم أَمرَهُم ۖ فَقالُوا ابنوا عَلَيهِم بُنيٰنًا ۖ رَّبُّهُم أَعلَمُ بِهِم ۚ قالَ الَّذينَ غَلَبوا عَلىٰ أَمرِهِم لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيهِم مَّسجِدًا
Sahih International
And similarly, We caused them to be found that they [who found them] would know that the promise of Allah is the truth and that of the Hour, there is no doubt. [That was] when they disputed among themselves about their affair and [then] said, “Construct over them a structure. Their Lord is most knowing about them.” Said those who prevailed in the matter, “We will surely take [for ourselves] over them a masjid.”
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.
وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ
Demikianlah Kami perlihatkan ke atas mereka;
Demikianlah (وَكَذَٰلِكَ), merujuk kepada perbuatan mereka keluar mencari makanan di bandar. Bagaimana keadaan mereka waktu itu? Oleh kerana zaman mereka telah berlalu lama (300 tahun), maka pakaian mereka sudah lain dari orang zaman itu. Tentu cara percakapan mereka pun sudah lain dengan masyarakat waktu itu.
Maka dengan keadaan mereka itulah yang menyebabkan mereka dikenali. Kalimah أَعْثَرْ bermaksud ‘tergelincir’. Mereka yang keluar itu telah diberi pesan supaya berhati-hati. Jangan sampai orang bandar perasan mereka. Tapi mereka telah ‘tergelincir’. Bukankah kadang-kadang kita hendak simpan rahsia, tapi kita tersilap cakap dan sebagainya, sampai orang tahu rahsia kita?
Begitulah yang terjadi kepada pemuda-pemuda itu. Oleh kerana keadaan mereka berlainan dengan orang zaman itu, maka perbuatan dan percakapan mereka telah menyebabkan orang pelik dengan mereka. Tambahan pula lelaki itu menggunakan wang yang sudah tidak dipakai sekian lama. Jadi pekedai itu sangka dia telah menggali harta karun dan mahu tahu dari mana dia dapat.
Sebenarnya Allahlah yang menyebabkan mereka tergelincir itu. Semua ini adalah dalam aturan Allah. Ada sebab ada tujuan Allah buat begitu. Iaitu kerana Allah hendak memberi pengajaran tentang agama kepada manusia waktu itu dan zaman berzaman.
Ketika hendak membeli makanan dengan duit perak mereka, peniaga zaman itu tentu tak mahu terima duit itu kerana duit itu adalah duit purba. Bayangkan kalau sekarang ini ada orang bawa keluar Duit Pisang zaman Jepun. Tentu kecoh pekedai-pekedai. Mereka tanya dari mana dapat duit itu? Ada yang kata pemuda itu sudah jumpa harta karun dan sudah heboh hal mereka.
Akhirnya penduduk bandar itu telah tahu tentang mereka. Maka dengan kehendak Allah, maka terbongkarlah rahsia mereka. Akhirnya perihal mereka itu telah sampai ke pengetahuan Raja waktu itu. Pemuda itu telah dibawa kepada Raja dan beliau telah menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya.
Oleh kerana semua penduduk waktu itu beragama Nasrani, maka mereka amat berminat kerana mereka mendapat kisah ada penganut Nasrani dari 300 tahun dahulu yang menjaga agamanya. Maka mereka takjub kerana dapat berjumpa dengan mereka.
Akhirnya pemuda itu telah membawa Raja dan rakyat negeri itu untuk pergi ke gua tempat persembunyian mereka. Apabila sampai, dia suruh mereka tunggu di luar kerana dia hendak meminta izin dari rakan-rakannya yang lain untuk membenarkan mereka yang lain masuk.
Ada dikatakan bahawa rombongan Raja itu dapat masuk menemui pemuda-pemuda Kahfi itu dan raja telah mengucapkan salam dan memeluk mereka. Menurut riwayat, nama raja itu adalah Yandusus. Selepas mereka meluangkan beberapa lama dengan rombongan itu maka mereka kembali ke tempat perbaringan mereka dan Allah mewafatkan mereka. Kali ini betul-betul mereka mati.
Memang Allah bertujuan supaya pemuda-pemuda Kahfi itu diperlihatkan kepada orang-orang di bandar itu. Kerana ada pengajaran yang hendak Allah sampaikan kepada mereka. Apakah pengajaran penting yang Allah hendak beritahu sampai Allah rancang Pemuda Kahfi itu tidur selama 300 tahun?
لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ
agar mereka tahu bahawasanya janji Allah itu benar;
Mereka telah dibawakan kepada Raja. Dan ketika itu Raja memang sedang dalam kebingungan tentang isu kehidupan selepas mati. Ada yang kata yang dibangkitkan hanyalah roh, bukan jasad sekali.
Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, antara masalah yang dihadapi oleh manusia adalah fahaman materialisme, atau ‘kebendaan’. Mereka hanya melihat fizikal sahaja. Mereka tidak dapat menerima bahawa mereka akan dihidupkan kembali. Mereka hanya mementingkan dunia yang nyata ini sahaja.
Jadi, dengan adanya Pemuda-pemuda itu, telah pasti kepada mereka bahawa memang ada kehidupan selepas mati. Allah boleh sahaja tidurkan Pemuda-pemuda Kahfi sekian lama dan boleh sedarkan balik. Maka begitu jugalah nanti keadaan bangkit dari mati. Maka sedarlah mereka bahawa janji Allah untuk menghidupkan kembali makhluk itu adalah benar. Mereka waktu itu percaya kepada kebangkitan semula, tapi tidak ‘yakin’ kerana tidak melihat sendiri. Sedangkan perkara kebangkitan semula ini kena yakin.
Waktu itu walaupun ramai penduduk telah memeluk agama Nasrani, tapi masih ada lagi saki baki fahaman syirik zaman dahulu. Macam orang kita juga, walaupun sudah lama beragama Islam, tapi masih lagi ada fahaman Hindu dalam masyarakat kita seperti bersanding dan makan pulut kuning.
Waktu itu fahaman salah tentang kebangkitan semula yang kuat. Sampai ada juga yang langsung tidak percaya kepada kebangkitan semula. Maka Allah jadikan kejadian Pemuda Kahfi ini sebagai pengajaran. Allah hendak mengajar yang Dia boleh bangkitkan sekali roh dan jasad manusia sekali. Kalau Allah boleh hidupkan manusia selepas tiga ratus tahun tidur, jadi kalau Allah nak hidupkan kembali manusia adalah amat mudah.
وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا
Dan kiamat itu tidak syak padanya;
Lagi satu Allah hendak memberi dalil bahawa tidak syak lagi bahawa Dia akan buat Hari Kiamat itu nanti. Kerana Allah boleh buat apa sahaja. Nah sekarang bukti telah ada di depan mata mereka maka mereka telah beriman dengan kebangkitan semula dan akhirat.
إِذْ يَتَنٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ
Ketika mereka (yang hidup) saling berbantah diantara mereka dalam urusan mereka;
Jadi Allah berikan dalil dan bukti bahawa memang Allah boleh hidupkan kembali manusia yang telah mati pada ketika keimanan mereka telah bercelaru tentang perkara itu. Orang-orang yang hidup pada zaman itu berbantah sesama sendiri tentang hari Kiamat. Ada yang percaya dan ada yang tidak. Maka peristiwa Pemuda Kahfi itu menjadi hujjah dan dalil kepada mereka yang percaya kepada hari Kiamat.
Ada juga pendapat yang mengatakan, yang mereka berbantah itu adalah tentang nak bina bangunan atau tutup sahaja tempat Para Pemuda Kahfi itu. Ini disebut selepas ini.
فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيٰنً
Maka berkatalah satu puak: binakanlah atas mereka satu bangunan;
Satu pendapat mengatakan bahawa yang berkata ini adalah golongan yang beriman. Mereka cadangkan supaya dibina bangunan dengan tujuan untuk menutup gua tempat Pemuda Kahfi itu mati supaya mereka tidak diketahui dan dipuja kemudiannya. Biarkan sahaja mereka dalam keadaan mereka.
Sampai sekarang, kita tidak pasti manakah tempat Gua itu yang sebenarnya. Golongan yang mencadangkan supaya ditutup pandangan kepada Pemuda-pemuda Kahfi itu adalah golongan yang berfahaman tauhid. Mereka tidak ramai kalau dibandingkan dengan orang lain – macam zaman sekarang juga. Mereka mencadangkan supaya pemuda Kahfi itu dibiarkan dalam keadaan seperti itu. Mereka akhirnya kalah dengan golongan yang ramai yang musyrik.
Inilah yang sepatutnya dilakukan kerana fahaman syirik tebal dalam hati kebanyakan manusia. Kalau mereka tahu di mana kedudukan Pemuda Kahfi itu, maka mereka akan cari dan jadikan tempat persembahan pula. Sekarang tidak tahu di manakah kedudukan kubur mereka pun, ada orang kita yang bertawasul kepada mereka. Bayangkan kalau memang tahu di mana kubur mereka?
Saya teringat bagaimana kubur Arwah Tok Guru Nik Aziz sampai kena pagar kerana ada golongan jahil yang sampai ambil tanah kubur beliau. Memang begitulah yang akan terjadi kalau penyebaran tauhid tidak dikembangkan. Ramai dari kalangan orang kita ini cenderung nak buat amalan syirik kerana jahil agama. Nama sahaja orang Islam, tapi dalam hati mereka ada fahaman syirik.
رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ
Tuhan merekalah yang lebih mengetahui tentang mereka;
Tuhanlah yang tahu apa yang patut diperbuat tentang mereka. Kita tak tahu. Biarkan sahaja kedudukan mereka sebegitu. Jangan dikenali tempat mati mereka kerana Allah sahaja yang tahu kedudukan mereka itu. Kalau diketahui oleh orang yang jahil, tentu akan dijadikan tempat sembah pula.
قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ
Maka berkata golongan yang menang ke atas urusan mereka;
Ini pula adalah kata-kata golongan yang berfahaman syirik lagi walaupun mereka beragama Nasrani. Mereka adalah golongan paderi yang memegang tampuk kedudukan agama dalam masyarakat.
Mereka adalah golongan yang lagi ramai dan kerana itu kata-kata mereka lebih kuat lagi. Maknanya, merekalah yang berkuasa dan keputusan mereka kena diikuti.
لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَّسْجِدًا
Kami pastikan akan jadikan atas mereka itu masjid/gereja;
Mereka hendak mendirikan rumah peribadatan di tempat Pemuda Kahfi itu. Kalau zaman itu, mungkin yang dimaksudkan adalah ‘gereja’. Mereka yang berkuasa itu hendak membina gereja atas kubur pemuda-pemuda itu. Ini adalah kebiasaan agama Nasrani pada waktu itu kerana mereka telah jauh dari wahyu.
Kristian sekarang ini pun mereka memang tanam wali-wali (yang mereka lantik sendiri) mereka dalam gereja mereka. Mereka namakan sebagai ‘saints’. Ini adalah perbuatan yang buruk sekali kerana perbuatan ini menyebabkan orang memuja dan beribadat kepada kuburan itu. Mereka menjadikan kubur itu tempat ambil berkat, tempat berdoa dan sebagainya. Manusia buat syirik dengan cara ini.
Dan kerana itulah Nabi Muhammad telah melarang membina masjid atas kubur, atau masjid yang mengadap kubur atau di tepi kubur. Kerana ini amat bahaya kerana kuburan itu boleh dijadikan tempat orang buat syirik.
Tapi malangnya di masjid kita di Malaysia ini banyak yang dibina berdekatan dengan kubur. Kalau ada masjid sebegitu, ada masalah tentang akidah. Maka kita elakkan untuk solat di masjid yang sebegitu. Imam Ahmad sampai mengatakan yang solat di masjid yang berdekatan dengan kubur tidak sah.
Kalau dibina tempat peribadatan di kuburan, lama-kelamaan akan jadi perkara syirik di tempat itu. Macam sekarang sudah banyak kubur-kubur yang dikatakan kubur Nabi dan wali-wali yang dikerumuni oleh manusia yang jahil wahyu. Mereka menjadikan kubur-kubur itu sebagai tempat ibadat, tempat minta doa. Sampai kepada tahap ada yang sembah kubur-kubur itu. Sebagai contoh kubur Habib Noh. Itu yang kita tidak mahu.
Mereka yang suka beribadat di kubur itu digelar Golongan Quburiyyun. Antara yang kita kenal sekarang adalah golongan Habib yang datang dari Yaman itu. Mereka memang melakukan ibadat di kuburan para wali (kononnya pada anggapan mereka). Maka mereka telah menghias kuburan orang mati itu dan beribadat di situ.
Mereka berdoa di situ, berqasidah di situ, memukul gendang di situ dan banyak lagi amalan syirik yang mereka lakukan. Mereka bina binaan pada kuburan itu dan mereka pasang kelambu, letak gambar besar-besar orang yang telah mati itu dan menabur bunga pada kuburan itu.
Memang kalau dilihat tidak jauh bezanya dengan kubur orang Hindu. Tapi malangnya inilah golongan yang disanjung di negara ini sekarang. Mereka diberi peluang untuk menghabiskan duit dan masa rakyat kita untuk buat joget qasidah di stadium dan di masjid-masjid. Mereka diberi peluang untuk menyampaikan ajaran sesat mereka di masjid, malah di televisyen pun. Kalau ustaz Sunnah tidak ada tauliah ditangkap, tapi Habib ini satu Malaya dia boleh jelajah bagi ceramah dan kelas padahal mereka pun tidak ada tauliah.
Patutnya mereka ini dihalau tapi mereka disanjung pula. Mereka patutnya dihalau kerana mereka akan merosakkan akidah rakyat kita. Semoga kesesatan mereka akan diketahui oleh lebih banyak orang. Maka kerana itu kita terpaksa bongkarkan kesesatan mereka walaupun ramai juga yang marah apabila kita kata begini.
♦ Nota: ada juga yang terbalik dengan mengatakan golongan mukmin yang hendak membina masjid di atas kuburan Pemuda Kahfi itu. Ini adalah tafsiran yang salah kerana kalau kita lihat dalil-dalil lain yang ada, memang tidak boleh dibina masjid di atas kuburan.
Ayat 22: Ini nak menceritakan berapa orang Pemuda-pemuda Gua itu. Allah hendak menceritakan tentang pertelingkahan manusia tentang bilangan pemuda Kahfi itu. Allah menceritakan tiga pendapat dan melemahkan dua dari pendapat itu.
سَيَقولونَ ثَلٰثَةٌ رّابِعُهُم كَلبُهُم وَيَقولونَ خَمسَةٌ سادِسُهُم كَلبُهُم رَجمًا بِالغَيبِ ۖ وَيَقولونَ سَبعَةٌ وَثامِنُهُم كَلبُهُم ۚ قُل رَّبّي أَعلَمُ بِعِدَّتِهِم مّا يَعلَمُهُم إِلّا قَليلٌ ۗ فَلا تُمارِ فيهِم إِلّا مِراءً ظٰهِرًا وَلا تَستَفتِ فيهِم مِّنهُم أَحَدًا
Sahih International
They will say there were three, the fourth of them being their dog; and they will say there were five, the sixth of them being their dog – guessing at the unseen; and they will say there were seven, and the eighth of them was their dog. Say, [O Muhammad], “My Lord is most knowing of their number. None knows them except a few. So do not argue about them except with an obvious argument and do not inquire about them among [the speculators] from anyone.”
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).
سَيَقُولُونَ ثَلٰثَةٌ
Ada diantara mereka yang akan kata pemuda-pemuda gua itu tiga orang
Allah beritahu yang akan ada dari kalangan manusia yang kata bilangan pemuda itu tiga orang semuanya. Yang berkata dalam ayat ini adalah golongan Yahudi. Maklumat tentang bilangan mereka itu tidak diketahui dengan umum kerana ia sudah berlalu lama sangat jadi maklumat tentang mereka sudah samar-samar.
رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ
dan keempatnya adalah anjing mereka
Dan jangan lupa tentang anjing pula. Kita telah baca sebelum ini yang anjing itu menunggu sahaja di pintu gua itu. Jadi campur tiga orang lelaki dan anjing, maknanya ada empat.
وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ
dan ada pula yang kata mereka itu lima orang,
Dan ada pula yang kata para pemuda itu ada lima orang. Tadi dikatakan tiga orang, sekarang pendapat yang kata ada lima orang pula.
سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ
yang keenam itu anjing mereka
Dan yang keenam dari mereka adalah anjing itu.
رَجْمًا بِالْغَيْبِ
Itu semua adalah tekaan tanpa dalil tentang perkara ghaib;
Allah beritahu yang dua pendapat di atas hanyalah tekaan sahaja. Kalimah رجم adalah perbuatan melempar ke suatu tempat yang tidak diketahuinya, sama ada lemparan itu mengenai sasaran atau tidak.
Atau perbuatan seseorang yang melempar dalam gelap. Kalau kena pun lemparan itu, itu hanyalah sebagai satu kebetulan sahaja. Kalau kena pun, yang melempar tidak tahu sama ada tepat atau tidak.
Maknanya, mereka hanya meneka-neka sahaja bilangan pemuda di dalam gua itu. Kerana tidak dapat dipastikan perkara ini kerana ianya telah berlaku lama dahulu. Jadi ini sudah termasuk perkara ghaib kerana kita tidak dapat nak lihat untuk pastikan kebenarannya. Ini mengajar kita yang jikalau Allah tidak memberitahu kita tentang perkara ghaib, kita tidak akan tahu.
Ini juga memberitahu kita bahawa bilangan pemuda di dalam gua itu memang dibincangkan oleh Ahli Kitab di kalangan mereka dengan berbagai-bagai pendapat. Dan pendapat-pendapat itu tidak benar kerana mereka bergantung kepada maklumat yang tidak sahih. Dan ketika itu, penulisan tidak tepat seperti sekarang.
وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ
Dan ada yang kata mereka itu tujuh orang
Dan sekarang Allah sebut pendapat yang ketiga pula. Ini golongan lain pula selain dari golongan Yahudi itu. Setelah Allah sebut pendapat yang meneka-neka, sekarang Allah beri bilangan yang baru pula. Iaitu ada tujuh orang pemuda Kahfi itu.
وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ
dan yang kelapan itu adalah anjing mereka;
Dan bersama dengan tujuh pemuda itu, memang ada seekor anjing. Dan kali ini, Allah tidak menafikan bilangan yang ini. Jadi, besar kemungkinan ini adalah bilangan yang betul. Kerana Allah membezakan antara pendapat yang meneka sahaja dan pendapat yang betul.
قُلْ رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ
Katakanlah: Tuhanku lebih mengetahui jumlah mereka sebenarnya;
Ini adalah petunjuk bahawa yang terbaik dalam hal ini adalah mengembalikan pengetahuan itu kepada Allah. Bilangan mereka pun tidak penting untuk diketahui. Kerana yang penting adalah kita ambil pengajaran dari kisah mereka. Kita belajar tentang mereka pun, bilangan mereka itu tidak ada apa-apa pengajaran pun.
مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ
Tidaklah yang mengetahuinya melainkan sedikit sahaja;
Memang ada yang tahu berapa bilangan mereka dengan tepat, tapi yang tahu itu tidak ramai.
Ibnu Abbas dalam riwayat yang sahih mengatakan bahawa dia adalah antara orang yang tahu tentang bilangan mereka. Dia mengatakan bahawa jumlah mereka adalah seramai tujuh orang. Sama seperti yang dikatakan dalam pendapat ketiga ini.
فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ
Maka janganlah kamu bertengkar tentang mereka
Oleh kerana bilangan ini tidak penting, maka kalau ada orang yang kata bilangan mereka sekian banyak – sekian banyak, maka tidak perlu nak bertengkar lah. Kerana ianya bukan perkara yang penting. Yang lebih penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah mereka.
Allah beritahu kerana ada banyak pendapat tentang perkara ini. Semua dapat dari sumber-sumber yang berlainan. Kalau nak layan semua, buang masa sahaja sedangkan ia bukan penting pun. Ini sama macam perbincangan tentang bumi datar atau bumi bulat. Tak payah masuk campurlah perbincangan buang masa ini.
إِلَّا مِرَاءً ظٰهِرًا
melainkan perkara yang zahir sahaja;
Allah mengajar kita bahaya tak perlu nak berbahas tentang perkara yang kita tidak ada ilmu. Hanya berbahas tentang perkara yang nampak jelas zahir sahaja.
Juga bermaksud kita hanya berbahas dalam suasana sederhana dan ringan sahaja. Kerana pengetahuan tentang masalah ini tidak membawa faedah yang banyak. Kalau tahu pun bilangan mereka, kita nak buat apa? Adakah boleh menambah iman kalau kita tahu bilangan mereka dengan tepat?
وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِّنْهُمْ أَحَدًا
Dan jangan kamu tanya tentang mereka itu kepada seorang pun dari mereka;
Allah tidak beri Nabi tanya kepada golongan Yahudi itu kerana mereka sendiri pun tidak tahu berapakah jumlah Pemuda Kahfi itu dan yang mereka sebut bilangan itu hanyalah sebagai tekaan mereka sahaja. Sebab itu mereka pun tanya kepada Nabi kerana mereka pun tak tahu.
Dan ini mengajar kita, kalau ada orang kita yang suka nak tahu sangat detail seperti bilangan, jenis, warna dan fakta lain dari kisah-kisah islami, itu maknanya mereka itu ada sifat-sifat Yahudi kerana Yahudi yang suka maklumat sebegitu.
Dan memang jumlah Pemuda Kahfi itu tidak penting. Begitu juga, di mana mereka tinggal, itu juga tidak penting. Yang penting adalah cerita tentang mereka. Pengajaran yang boleh diambil dari mereka itu yang penting.
Allahu a’lam. Habis Ruku’ ke 3 dari 12. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 April 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Jalalain