Tafsir Surah Taha Ayat 58 – 64 (Ahli sihir bersemangat)

Ayat 58:

فَلَنَأتِيَنَّكَ بِسِحرٍ مِثلِهِ فَاجعَل بَينَنا وَبَينَكَ مَوعِدًا لا نُخلِفُهُ نَحنُ وَلا أَنتَ مَكانًا سُوًى

Sahih International

Then we will surely bring you magic like it, so make between us and you an appointment, which we will not fail to keep and neither will you, in a place assigned.”

Malay

“Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak”.

فَلَنَأْتِيَنَّكَ

Sesungguhnya pasti kami juga akan bawakan kepadamu;

Firaun masih lagi hanya bercakap dengan Musa sahaja. Walaupun Nabi Harun ada, dia tidak iktiraf sedikit pun. Dalam ayat sebelum ini, dia telah tuduh Nabi Musa menggunakan sihir untuk mengambilalih kerajaan Mesir. Sekarang dia kata dia hendak melawan Nabi Musa.

بِسِحْرٍ مِّثْلِهِ

dengan sihir yang seperti itu;

Firaun nak kata tok guru sihir dia pun ramai juga, bukan Musa sahaja. Jadi kalau Nabi Musa guna sihir, dia kata dia pun boleh bawa sihir yang hebat juga. Itu adalah kata-kata Firaun sahaja kerana dia nak kata bahawa Nabi Musa menggunakan sihir sahaja.

Dia sedang menjaga kedudukannya di mata rakyat dia yang sudah terpegun dengan mukjizat yang ditunjukkan Nabi Musa. Maka dia kena buat cerita yang itu semua adalah sihir yang dia pun boleh bawa juga.

فَاجعَل بَينَنا وَبَينَكَ مَوعِدًا

Maka tentukanlah antara kami denganmu, suatu tempoh pertemuan;

Firaun ajak buat pertemuan antara pasukannya dan Nabi Musa. Pertemuan untuk apa? Pertemuan untuk berlawan sihir. Kalau zaman sekarang, ianya adalah perjanjian untuk berdebat. مَوْعِدًا bermaksud masa dan tempat yang ditentukan dari awal lagi.

لَّا نُخْلِفُهُ نَحْنُ

yang kami tidak akan memungkirinya

Sekarang Firaun sendiri berjanji yang bila sudah buat perjanjian untuk sayembara itu, dia pasti akan datang.

وَلَا أَنتَ

dan tidak juga kamu; 

Dan dia minta Nabi Musa pun jangan tak datang pula. Maka ini menunjukkan dia beriya-iya hendakkan pertemuan itu diadakan. Mungkin dia yakin yang dia akan menang.

مَكَانًا سُوًى

suatu tempat yang adil (bagi semua pihak).

Firaun mahu tempat yang adil untuk mereka berdua. Kenapa tiba-tiba Firaun jadi adil pula? Padahal dari dulu lagi dia tidak mengamalkan pemerintahan yang adil. Tapi kali ini macam bunyi adil pula.

Sebenarnya dia buat begitu kerana dia sudah takut. Dia sudah nampak dia dalam keadaan yang lemah sebenarnya kalau dibandingkan dengan kedudukan Nabi Musa. Dalam sudut hatinya, dia sudah tahu Musa adalah benar. Jadi dia cakap pertemuan itu pada tempat yang tidak berat sebelah kerana dia takut kalah. Dia nak pastikan peluangnya dan peluang Nabi Musa sama sahaja.

Kalimah سُوًى juga bermaksud tempat yang letaknya pertengahan, dari arah mana saja didatangi oleh kedua pihak jaraknya sama. Ini supaya senang nak berkumpul.


Ayat 59: Ini adalah jawapan Nabi Musa kepada ajakan Firaun itu.

قالَ مَوعِدُكُم يَومُ الزّينَةِ وَأَن يُحشَرَ النّاسُ ضُحًى

Sahih International

[Moses] said, “Your appointment is on the day of the festival when the people assemble at mid-morning.”

Malay

Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang ditetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.

قَالَ

Musa berkata;

Ini adalah jawapan dari Nabi Musa sebagai menjawab ajakan Firaun itu tadi. Kalau nak sayembara, boleh sahaja.

مَوْعِدُكُمْ

perjanjian kamu itu;

Musa menekankan bahawa Firaun yang minta pertemuan itu. Bukan dia yang ajak. Kalau kamu kalah nanti, jangan kamu salahkan aku pula.

يَوْمُ الزِّينَةِ

pada hari raya;

Pertarungan itu senang untuk dibuat pada hari raya, kerana semua orang tak kerja pada hari itu. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘Hari Perhiasan’. Ianya hari perayaan yang masyarakat itu menyambut beramai-ramai, keluar dengan pakai perhiasan.

Nabi Musa pilih hari itu untuk memastikan seramai mungkin manusia akan datang dan menyaksikan pertandingan itu. Bila bukan hari yang sibuk, maka ramai yang akan datang. Nabi Musa yakin dengan kemampuannya yang akan dibantu oleh Allah.

Ibn Abbas mengatakan hari raya itu adalah Hari Asyura.

وَأَن يُحْشَرَ النَّاسُ

Dan kumpulkanlah manusia;

Carilah tempat ramai orang akan berkumpul dan tempat itu mestilah terbuka. Supaya ramai orang boleh menyaksikan.

ضُحًى

Waktu dhuha;

Dan waktu yang paling sesuai adalah waktu Dhuha iaitu waktu hujung pagi. Iaitu matahari telah naik sepenggalah. Ianya adalah waktu yang paling sesuai kerana kalau awal sangat, suasana gelap sampai tak nampak apa yang berlaku. Kalau selepas waktu itu, cuaca sudah panas dan tidak selesa untuk orang ramai.

Nabi Musa dipandu oleh Allah untuk merancang sebegini sebab dia nak ramai orang akan datang. Waktu itu kenalah waktu yang selesa supaya ramai yang akan datang. Musa yakin dengan apa yang dia nak kata. Jadi dia hendak pastikan waktu itu ramai yang akan hadir dan menyaksikan perlawanan itu. Baginda akan dapat peluang untuk berdakwah kepada ramai orang pada satu masa.


Ayat 60: Firaun sudah mula takut. Dia sudah rasa dia kena luangkan masa untuk kena bersiap menentang Nabi Musa.

فَتَوَلّىٰ فِرعَونُ فَجَمَعَ كَيدَهُ ثُمَّ أَتىٰ

Sahih International

So Pharaoh went away, put together his plan, and then came [to Moses].

Malay

Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Dia mengumpulkan tipu-dayanya, kemudian dia datang ke tempat perlawanan.

فَتَوَلَّىٰ فِرْعَوْنُ

Maka Firaun pun berangkat

Iaitu berangkat dari majlis itu; Firaun pergi dan Musa pun pergi. Firaun hendak buat strategi dia. Dia tahu bahawa untuk mengalahkan Musa, dia kena buat perancangan yang rapi. Dalam surah yang lain disebut dia telah berbincang dengan para penasihat dia.

فَجَمَعَ كَيْدَهُ

Kemudian dia menghimpunkan berbagai-bagai rancangan tipudayanya;

Dia suruh dihantar utusan ke setiap pelusuk negara untuk mengumpulkan ahli sihir yang mahir-mahir. Itu disebut dalam ayat lain dalam Syuara:36-42. Dia telah bersidang dengan menteri-menterinya dan mereka yang suruh tangguh pertandingan itu dan cari ahli-ahli sihir yang hebat-hebat.

Dan manusia disuruh kumpul beramai-ramai supaya dengan ramai orang itu, akan menakutkan Nabi Musa. Ahli-ahli sihir itu dijanjikan dengan upah yang lumayan dan kedudukan yang tinggi dengan Firaun.

ثُمَّ أَتَىٰ

Kemudian dia datang;

Iaitu setelah sekian lama pengumpulan dijalankan, Firaun datang dengan ahli-ahli sihir itu pada hari yang telah dijanjikan. Riwayat ada mengatakan Firaun datang dengan 40 ahli sihir. Ada yang kata 72 orang. Ada riwayat yang kata sampai berpuluh ribu. Zaman itu memang ramai yang mengamalkan sihir. Itu sebab sampai boleh jadi banyak.

Kenapa perbandingan yang diceritakan dalam Surah Taha ini tentang perlawanan dengan ahli sihir? Mukjizat Nabi-Nabi memang ada berkaitan dengan amalan umat-umat mereka. Nabi Isa diberikan mukjizat boleh mengubat kerana masyarakat baginda waktu itu pandai dalam ilmu pengubatan. Nabi Muhammad dilahirkan dalam masyarakat suka dengan bahasa jadi baginda diberikan dengan mukjizat Qur’an yang hebat bahasanya.

Maka Nabi Musa diberikan dengan mukjizat yang boleh mengalahkan sihir pengamal sihir. Ini kerana zaman itu banyak pengamalan sihir dijalankan dan ahli sihir dipandang tinggi oleh masyarakat kerana dikira ‘orang pandai’. Semua mukjizat Nabi-nabi itu dapat mengalahkan perkara-perkara yang diamalkan kaum mereka. Nabi Isa boleh mengubat sampaikan penyakit kusta, orang buta yang lahir dari kecil lagi dan sebagainya.

Maka mukjizat Nabi Musa dapat mengalahkan sihir ahli sihir yang paling pandai sekalipun. Dan bahasa Qur’an mengalahkan dan menundukkan ahli bahasa yang paling mahsyur sekalipun pada zamannya, sampailah sekarang.


Ayat 61:

قالَ لَهُم موسىٰ وَيلَكُم لا تَفتَروا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا فَيُسحِتَكُم بِعَذابٍ ۖ وَقَد خابَ مَنِ افتَرىٰ

Sahih International

Moses said to the magicians summoned by Pharaoh, “Woe to you! Do not invent a lie against Allah or He will exterminate you with a punishment; and he has failed who invents [such falsehood].”

Malay

Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa”.

قَالَ لَهُمْ مُوسَىٰ

Nabi Musa berkata kepada mereka;

Ini adalah dakwah Nabi Musa kepada tukang-tukang sihir itu, sebelum mereka sayembara.

وَيْلَكُمْ

Celaka kamu!

Perkataan وَيْلَكُمْ selalu digunakan untuk memarahi seseorang. Tapi ia juga boleh digunakan dengan maksud yang lain. Ia juga boleh digunakan untuk menyatakan kasihan kepada seseorang.

Dari apa yang kita tahu tentang Nabi Musa, sebenarnya baginda kasihan dengan ahli-ahli tukang sihir itu. Sebab Nabi Musa nampak kelebihan mereka. Mereka sebenarnya orang yang berilmu. Kerana untuk jadi tukang sihir, kenalah seorang yang pandai.

Cuma mereka telah tertipu dengan ilmu sihir. Mereka sangka ianya adalah ilmu yang boleh dipelajari sedangkan ia haram untuk dipelajari dan diamalkan. Nabi Musa juga telah nampak ada kebaikan dalam diri mereka. Kerana kita pun tahu, akhirnya mereka itu nampak kebenaran yang ada pada Nabi Musa dan mereka telah memeluk Islam akhirnya.

لَا تَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah;

Nabi Musa nasihat mereka: “kamu berkata kami (Nabi Musa dan Harun) mengamalkan sihir, tapi sebenarnya tidak. Kamulah sebenarnya yang mengamalkan sihir. Kamu membuat ilusi kepada orang ramai dengan tindakan kamu iaitu mengadakan hal yang sebenarnya tidak ada hakikat, seakan-akan ianya makhluk padahal sesungguhnya ia bukan makhluk yang hidup. Itu adalah mengadakan dusta terhadap Allah.”

Boleh tak kita kata begini kepada mereka yang menentang kita nanti? Boleh. Inilah sunnah Nabi Musa. Kalau zaman sekarang caranya adalah dengan berdebat dengan pengamal ajaran sesat. Sebelum berdebat, kita kata kepada lawan kita yang tidak menggunakan nas yang sahih. Kita ingatkan mereka jangan berdusta atas nama Allah.

Kata kepada mereka: “Kamu kena bawa dalil yang sah. Bukan dari kata-kata manusia. Kena bawa dalil dari Qur’an dan Hadis yang sahih. Kerana kalau kamu kata sesuatu yang bukan datang dari Allah dan Nabi, itu adalah berdusta atas nama Allah. Kerana itu bukan dari agama Islam.”

Ini kena diingatkan kerana sekarang banyak sangat yang menggunakan hujjah ustaz mereka, guru mereka, ulama itu ini, kitab itu dan ini. Dan mereka tidak sebut pun mana ayat Qur’an, mana hadis Nabi. Mereka sangka kata-kata guru dan ulama atau dari kitab-kitab itu adalah dari agama. Belum tentu lagi. Kerana kalau kata-kata ulama dan kitab itu bukan berdasarkan dari Qur’an dan hadis, ianya belum tentu datang dari agama Islam. Itu mungkin pendapat mereka dan pendapat mereka itu mungkin salah kerana manusia tidak sunyi dari kesalahan.

Yang hanya selamat adalah hujah dari Qur’an dan hadis Nabi. Dan hadis Nabi itu pula hendaklah yang sahih. Kerana ada banyak hadis dalam dunia sekarang. Ada yang dhaif, malah ada yang palsu. Banyak tersiar hadis-hadis yang dhaif dan palsu dalam masyarakat sekarang. Ingatlah bahawa hadis yang dhaif dan palsu tidak dapat dijadikan hujjah. Malangnya masyarakat kita tidak belajar dan mereka pakai petik sahaja mana hadis yang mereka jumpa tanpa selidik sama ada ia sahih atau tidak.

Jadi Nabi Musa memberi nasihat kepada mereka supaya jangan menipu atas nama Allah. Kalau mereka hendak menipu Nabi Musa pun sudah salah besar. Tapi kali ini mereka hendak menipu atas nama Allah, maka itu lebih teruk lagi.

Jadi Nabi Musa telah memberi nasihat dan dakwah kepada mereka sebelum mereka bertarung.

فَيُسْحِتَكُمْ بِعَذَابٍ

kamu pasti akan ditimpa dengan azab api neraka;

Ingatlah bahawa segala perbuatan kita ada kesannya. Kalau salah amalan kita itu, kita akan diazab oleh Allah kalau kita tidak mohon keampunan dariNya. Allah tak lalai dari apa yang kita perbuat dan perkatakan. Semuanya ditulis dalam kitab amalan kita. Jangan kita senang-senang sahaja dakwa begitu begini.

وَقَدْ خَابَ مَنِ افْتَرَىٰ

dan sesungguhnya amatlah rugi mereka yang mengadakan dusta terhadap Allah;

Makna خَابَ adalah perasaan yang sudah hilang harapan. Musa kata mereka akan jatuh sampai ke situ nanti kerana mereka berdusta atas nama Tuhan.

Dakwah Nabi Musa ada juga terkesan kepada mereka. Kerana ahli-ahli sihir itu ada kebaikan dalam diri mereka. Kita tahu kerana akhirnya mereka telah beriman.


Ayat 62: Ini adalah kesan daripada dakwah Nabi Musa kepada ahli-ahli sihir itu. Ada antara mereka yang sudah mula takut dan mempersoalkan tindakan mereka untuk berlawan dengan Nabi Musa.

فَتَنازَعوا أَمرَهُم بَينَهُم وَأَسَرُّوا النَّجوىٰ

Sahih International

So they disputed over their affair among themselves and concealed their private conversation.

Malay

Maka mereka pun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.

فَتَنَازَعُوا أَمْرَهُمْ بَيْنَهُمْ

Maka berbalah bantah puak-puak tukang sihir itu sesama mereka;

Ahli-ahli sihir itu sudah risau kalau benar-benar Nabi Musa itu seorang rasul. Kerana mereka tahu bahawa ucapan Nabi Musa itu bukanlah ucapan ahli sihir tapi adalah bunyi ucapan seorang Nabi. Mereka berbantahan sesama mereka, bukannya dengan Firaun dan kuncu-kuncunya.

Mereka takut kalau-kalau mereka menentang seorang rasul. Kerana tukang sihir zaman Nabi Musa adalah tok guru-tok guru yang dimuliakan dalam masyarakat. Jadi, mereka sebenarnya ada ilmu pengetahuan. Mereka tahu bahawa kalau seorang tukang sihir tidak akan bercakap sepertimana Nabi Musa.

Ini menunjukkan mereka terkesan dengan dakwah Nabi Musa dan mereka menilai balik sama ada patut atau tidak untuk mereka meneruskan pertarungan dengan Nabi Musa. Ini adalah suatu perdebatan yang hebat antara mereka.

وَأَسَرُّوا النَّجْوَىٰ

dan mereka rahsiakan apa yang mereka perbincangkan;

Apabila mereka berbantahan sesama mereka, orang lain sudah perasan. Maka mereka terus merendahkan suara mereka. النَّجْوَىٰ adalah apabila seseorang itu bercakap dengan nada suara yang perlahan, hanya berbisik-bisik sahaja.

Mereka takut kalau Firaun tahu apakah yang mereka sedang bincangkan. Tentu Firaun akan marah kalau dia tahu mereka sudah berbelah bahagi. Mereka tahu bahawa Firaun adalah seorang yang kejam.


Ayat 63: Akhirnya mereka sepakat untuk menentang juga Nabi Musa. Kerana ada yang bangun dan telah memberi semangat kepada rakan-rakan yang lain untuk meneruskan apa yang mereka telah disuruh oleh Firaun.

قالوا إِن هٰذانِ لَساحِرانِ يُريدانِ أَن يُخرِجاكُم مِن أَرضِكُم بِسِحرِهِما وَيَذهَبا بِطَريقَتِكُمُ المُثلىٰ

Sahih International

They said, “Indeed, these are two magicians who want to drive you out of your land with their magic and do away with your most exemplary way.

Malay

Mereka berkata: “Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.

قَالُوا

Mereka berkata:

Iaitu ada sekumpulan dari kalangan tukang-tukang sihir itu. Ada golongan yang lebih takut kepada Firaun, dan mereka telah memenangi keadaan itu. Suara mereka lebih kuat dan mereka berjaya mempengaruhi yang lain. Mereka bangkit dan berkata kepada kawan-kawan mereka yang sedang goyang itu.

إِنْ هَٰذَانِ لَسَاحِرَانِ

sesungguhnya mereka berdua adalah ahli sihir yang mahir;

Mereka tekankan kepada kawan-kawan mereka bahawa memang Nabi Musa dan Harun adalah ahli sihir. Ini adalah tuduhan yang mereka gunakan kepada Nabi Musa dan Harun walaupun ianya tidak benar. Mereka kata kepada kawan-kawan mereka supaya jangan ragu tentang Nabi Musa dan Harun itu adalah ahli sihir.

يُخرِجاكُم مِن أَرضِكُم

mereka berdua ingin hendak mengeluarkan kamu semua dari negeri kamu;

Mereka ulang kata-kata tuduhan dari Firaun. Propaganda Firaun digunakan semula.

بِسِحْرِهِمَا

dengan sihir mereka berdua;

Mereka juga menggunakan hujah sihir yang sama dengan apa yang Firaun katakan sebelum itu. Mereka mengulang balik sahaja. Mereka mengikut slogan Firaun. Macam orang kita juga, apabila ketua politik telah kata sesuatu, mereka akan ikut.

Mereka ulang dan ulang apa yang pemimpin mereka katakan, entah benar entah tidak. Itu tidak kisah pada mereka, asalkan apa yang mereka kata itu selari sahaja dengan kata ketua mereka. Kerana kalau tak sama, boleh tak berasap dapur nanti.

وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ

dan hendak melenyapkan adat resam kamu;

Mereka rasa cara hidup mereka sudah tergugat.

الْمُثْلَىٰ

yang tinggi;

Mereka kata cara hidup mereka adalah cara hidup yang mulia. الْمُثْلَىٰ bermaksud ‘sesuatu yang dijadikan sebagai contoh’. Yang dijadikan ‘misal’ bandingan. Seperti kita pakai perkataan ‘Bapa Mithali’ (bapa contoh). Dan memang begitu pun kerana negara-negara sekeliling melihat Mesir sebagai negara contoh dan mereka mahu negara mereka jadi seperti Mesir.

Oleh itu, Mesir adalah satu negara yang disanjung tinggi. Mereka takut kalau Nabi Musa dibiarkan naik, mereka tidak akan disanjung tinggi lagi. Mereka menjadikan isu dakwah Nabi Musa dan Harun sebagai isu nasional. Mereka takut mereka tidak lagi dipandang mulia di belakang hari.

Macam sekarang, puak-puak ahli bidaah itu takut kalau ahli sunnah diberikan peluang berdakwah, mereka tidak lagi dipanggil ustaz dan guru lagi. Kerana apabila puak Sunnah naik, maka akan pecah tembelang mereka. Iaitu apa yang mereka ajar itu tidaklah benar. Selama ini mereka disanjung, ke mana sahaja mereka pergi, kata-kata mereka diikuti dan dipegang masyarakat. Nanti perkara yang mereka buat sudah tidak boleh dilakukan lagi kerana masyarakat sudah tahu yang itu semua adalah amalan bidaah belaka.

Oleh itu, propaganda menggunakan isu ini telah digunakan dahulu lagi. Zaman Nabi Musa, zaman Nabi Muhammad dan juga zaman sekarang pun. Maka tidak perlu hairan. Kerana itu kita selalu dengar hujah begini: “amalan ini tok nenek kita sudah lama amalkan, tiba-tiba datang puak Wahabi ni kata ini amalan salah pulak!”


Ayat 64:

فَأَجمِعوا كَيدَكُم ثُمَّ ائتوا صَفًّا ۚ وَقَد أَفلَحَ اليَومَ مَنِ استَعلىٰ

Sahih International

So resolve upon your plan and then come [forward] in line. And he has succeeded today who overcomes.”

Malay

“Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini”.

فَأَجْمِعُوا كَيْدَكُمْ

Maka bersatulah dengan rancangan sihir kamu;

Golongan itu kerahkan kawan-kawannya yang lain untuk bawa keluar semua sihir mereka yang hebat-hebat. Jangan simpan-simpan ilmu sihir yang mereka ada, keluarkan semuanya. Zaman sekarang ini pun macam-macam sihir yang digunakan manusia. Dengan ilmu kebal, panah arjuna, jalan atas air, atas api dan sebagainya.

Mereka mengerahkan semuanya kembali kepada rancangan mereka iaitu menentang Nabi Musa.

ثُمَّ ائْتُوا صَفًّا

kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya;

Mereka suruh datanglah dengan berbangga. Sebab mereka ramai. Maka kena bergembleng tenaga supaya lebih kuat dan padu serangan mereka nanti. Mereka sangka mereka lagi kuat dan mereka akan memenangi perlawanan itu.

وَقَدْ أَفْلَحَ الْيَوْمَ

sesungguhnya akan berjayalah pada hari ini

Yang penting, mereka kena berjaya. Kenapa kena berjaya? Kerana mereka akan dapat habuan yang banyak dari Firaun.

مَنِ اسْتَعْلَىٰ

orang-orang yang menang;

Iaitu mereka yang berada di atas dari lawannya yang akan beruntung. Mereka rasa mereka akan menang kerana mereka ramai dan Musa dan Harun hanya berdua sahaja.

Perkataan اسْتَعْلَىٰ bermaksud ‘naik tinggi’. Yang dapat mengalahkan musuh akan naik tinggi pada hari itu. Macam mana tahu siapa yang menang? Yang menang adalah sesiapa yang dapat menakjubkan masyarakat yang melihat nanti. Mereka sudah terbayang kejayaan yang mereka sangka mereka akan dapat. Mereka sudah terbayang segala kemewahan dan ketinggian kedudukan yang telah dijanjikan Firaun kepada mereka.

Pada zaman Nabi Muhammad, Puak Quraish ada banyak helah dan mereka begitu ramai sekali. Dan sahabat sedikit sahaja dan nampak lemah kalau dibandingkan dengan mereka. Ayat ini hendak menunjukkan contoh bagaimana Nabi Musa dulu pun perlu memerangi puak sesat yang ramai.

Zaman kita pun sekarang pun kadang-kadang kita yang mengamalkan sunnah pun sikit sahaja. Kita kena menentang puak bidaah yang ramai yang suara yang lebih kuat kerana ramai yang ikut mereka. Maka dari ayat ini kita tahu yang itu adalah perkara biasa dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Selalunya yang benar itu hanya sedikit sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 52 – 57 (Siapakah Ulin Nuha?)

Ayat 52: Ini jawapan Musa dari soalan yang ditanya oleh Firaun dalam ayat sebelumnya – apakah nasib orang-orang terdahulu. Apabila kita ditanya dengan soalan seperti yang ditanya kepada Nabi Musa itu, kita kena jawab macam ini:

قالَ عِلمُها عِندَ رَبّي في كِتابٍ ۖ لا يَضِلُّ رَبّي وَلا يَنسَى

Sahih International

[Moses] said, “The knowledge thereof is with my Lord in a record. My Lord neither errs nor forgets.”

Malay

Nabi Musa menjawab: “Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Dia juga tidak pernah lupa”.

قَالَ عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي

Nabi Musa menjawab: “Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku

Nabi Musa serahkan kepada Allah. Kita pun kena serahkan kepada Allah juga. Jangan kita jawab mereka dalam neraka pula. Kerana kita tidak jaga pintu syurga dan neraka, jadi kita tidak tahu nasib mereka. Keadaan mereka di tangan Allah. Allah yang akan tentukan balasan bagi mereka. Kita tidak perlu buat andaian pun.

فِي كِتَابٍ

tertulis di dalam sebuah Kitab;

Iaitu Kitab Catatan Amal. Kitab amalan itu akan menulis semua sekali apa yang kita pernah lakukan semasa di dunia. Ini telah disebut dalam Surah Kahf ayat 49. Semuanya tertulis sama ada perbuatan yang kecil atau besar.

Maknanya Nabi Musa mengaku bahawa dia sendiri tidak tahu bagaimanakah nasib mereka yang telah berlalu. Tidak kisah kalau tak tahu pun sebab tidak kena mengena dengannya dan dengan kita pun. Tugas Nabi Musa sekarang, bukan dengan mereka yang telah berlalu. Mereka menerima apa yang mereka patut terima dari hasil perbuatan mereka. Kamu, Firaun pun macam tu juga, kena bertanggungjawab dengan apa yang kamu lakukan.

Ini mengajar kita untuk tidak bercakap tentang perkara yang tidak kena mengena dengan kita. Nabi Musa pun tidak pernah kata dia tahu perkara ghaib. Dia mengaku sekarang yang dia memang tak tahu. Dan bukan kita yang jaga syurga dan neraka dan kita tidak tahu apakah yang terjadi kepada orang-orang terdahulu sama ada mereka masuk neraka atau syurga.

Kita pun kena fokus dengan objektif kita dalam dakwah. Jangan buang masa fikirkan tentang mereka yang telah berlalu. Bukan urusan kita untuk menentukan keadaan dan nasib mereka di alam barzakh. Kita ada tugas kita sekarang iaitu memberi dakwah kepada orang yang hidup sekarang.

لَّا يَضِلُّ رَبِّي

Tuhanku tidak pernah tersilap;

Nabi Musa tegaskan yang tidaklah Allah tersilap tulis apa yang orang dahulu telah lakukan semasa di dunia. Allah juga tidak akan tersilap kira. Allah tidak pernah tertinggal dari urusanNya.

Allah tidak akan salah dalam memberi balasan. Yang baik akan dibalas dengan baik dan yang buruk akan mendapat balasan mereka. Maka kalau ada yang kena azab itu memang mereka layak kena azab.

وَلَا يَنسَى

dan Dia juga tidak pernah lupa;

Ia bermakna apabila Allah tidak lupa, Allah akan balas apa yang kita lakukan. Allah tidak akan lepaskan mereka yang buat salah begitu sahaja. Dan Allah tidak akan lupa membalas mereka yang patut dapat balasan dari amal kebaikan mereka.

Maka jawapan ini memberitahu: tidak perlu nak risau tentang apa yang Allah lakukan. Allah takkan tersilap tulis. Yang perlu kita risau adalah tentang apa yang di hadapan kita sekarang. Dan tidak perlu nak fikirkan orang yang sudah lepas kerana mereka akan dapat balasan mereka yang sepatutnya.

Sifat Allah berlawanan dengan sifat manusia. Pertama, manusia tidak tahu keseluruhan perkara, jadi dia mungkin tersilap. Keduanya, manusia itu sifatnya lupa.


Ayat 53: Nabi Musa teruskan dengan memberi penerangan tentang Allah.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ مَهدًا وَسَلَكَ لَكُم فيها سُبُلًا وَأَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجنا بِهِ أَزواجًا مِن نَباتٍ شَتّىٰ

Sahih International

[It is He] who has made for you the earth as a bed [spread out] and inserted therein for you roadways and sent down from the sky, rain and produced thereby categories of various plants.

Malay

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Dia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Dia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu terhampar;

Bumi ini terhampar dan kukuh tidak bergerak. Bumi ini dilapangkan oleh Allah supaya mudah untuk kita berjalan di atasnya. Dan Allah beri ia tegap kerana kalau bumi ini bergegar berterusan, hancurlah bumi ini. Nak menanam pun tidak boleh. Nak bina rumah pun tidak boleh sebab sudah bina, akan roboh. Allah sudah jadikan bumi ini mudah untuk kita berjalan padanya. Nak pergi mana-mana pun senang.

Kalimah مَهْدًا bermaksud ‘buaian’. Allah buatkan dunia sebagai buaian untuk kita. Dia jaga kita macam bayi dijaga dalam buaian. Segala keperluan kita diberikan. Sebagaimana bayi tenang di dalam buaian maka begitu jugalah kita tenang sahaja di atas bumi ini dan dapat hidup dengan mudah.

وَسَلَكَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا

dan Dia telah mengadakan bagi kamu di atas bumi itu jalan-jalan;

Allah taala lah yang menentukan jalan kita sekarang. Kita mungkin sangka kita yang buat jalan, tapi Allah yang tentukan. Dengan jalan itu, memudahkan kita untuk berjalan ke mana-mana.

وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

dan Dia juga telah menurunkan hujan dari langit; 

Allah selulu cerita tentang air dari langit, iaitu air hujan. Ini adalah kerana ia amat penting bagi keperluan hidup kita. Dengan air itu, bumi disegarkan.

فَأَخْرَجْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّن نَّبَاتٍ شَتَّىٰ

Maka Kami keluarkan dengan air hujan, berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya;

Kita boleh lihat berbagai-bagai jenis hidupan yang berbagai-bagai jenis warna. Tapi ianya daripada sumber air yang satu sahaja. Kalau manusia yang reka kereta, apabila buat minyak untuk menggerakkan kereta itu, berbagai-bagai jenis minyak kita kena reka, minyak brek, minyak silinder, minyak petrol. Tapi Allah boleh menjadikan berbagai-bagai jenis tanaman dengan menggunakan satu jenis air sahaja.

Perkataan أَزْوَاجًا kita selalu faham sebagai ‘pasangan’. Ia juga boleh juga digunakan untuk mengatakan perkara yang berlawanan. Iaitu berlawanan jenis yang ada berbagai-bagai jenis.

Kalimah شَتَّىٰ bermaksud satu barang tapi ada berbagai jenis. Macam kereta, kita kenal kereta, tapi kereta itu ada berbagai jenis.


Ayat 54:

كُلوا وَارعَوا أَنعامَكُم ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِأُولِي النُّهىٰ

Sahih International

Eat [therefrom] and pasture your livestock. Indeed, in that are signs for those of intelligence.

Malay

Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.

كُلُوا

Makanlah; 

Makanlah dari segala nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Allah telah turunkan air hujan dan darinya berbagai tumbuhan hidup. Dengan tumbuhan itu kita dapat makan dan binatang ternak pun dapat makan (dan kita pula seterusnya makan binatang ternak itu).

Jangan lupa bersyukur. Jangan kita lupa bahawa segala makanan itu Allah yang berikan kepada kita. Makan, tapi bersyukurlah juga. Jangan makan dengan lahap sahaja tapi tak ingat siapa yang bagi semua itu.

وَارْعَوْا أَنْعَامَكُمْ

dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu;

Makanan dalam dunia itu bukan sahaja untuk kita, tapi untuk binatang ternak kita juga. Kita pula makan binatang ternak itu. Mungkin kita tidak berasa dengan ayat ini, sebab kita tak ternak binatang. Tapi ingatlah bahawa daging yang kita beli di pasaraya itu datang dari binatang ternak, dan binatang ternak itu juga makan dari pemberian Allah.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ

sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda; 

Apabila Allah kata Allah beri sebagai tanda, maka ianya adalah suruhan untuk kita memerhatikan tanda-tanda itu dan memikirkan tentangnya. Ianya adalah tanda Allah itu wujud, Allah itu mempunyai qudrat dan tanda Allah sentiasa menjaga kita.

لِّأُولِي النُّهَىٰ

bagi orang-orang yang berotak waras;

Tanda itu sudah ada tapi bukan semua yang dapat memahaminya. Yang dapat memahaminya adalah orang yang berfikir dengan mendalam. Kita semua berfikir, tapi selalunya kita cuma fikir sikit sahaja.

Maksud perkataan النُّهَىٰ ini lebih dalam lagi dari maksud perkataan albab yang selalu juga digunakan dalam Qur’an. النُّهَىٰ bermaksud mereka ini adalah orang yang boleh melihat keputusan dalam sesuatu perkara.

Sebagai contoh, kita tahu bahawa matahari itu memberikan sinaran yang menghidupkan tanaman, tanaman itu pula kita makan. Tapi siapakah yang menjadikan matahari itu? Jawapannya adalah Allah. Maka, manusia yang ada sifat النُّهَىٰ, mereka boleh mencapai keputusan sesuatu perkara itu, iaitu kembali kepada Allah akhirnya.

Allah nak beritahu dalam ayat ini, bahawa tanpa Allah beritahu kepada kita pun melalui Nabi-nabiNya, kita sepatutnya sudah dapat mencapai keputusan itu kalau kita adalah orang yang mempunyai sifat النُّهَىٰ itu. Kerana ada orang-orang yang tidak dapat ayat-ayat dari Kitab-kitab Allah, tapi Allah telah berikan segala tanda-tanda kewujudanNya dalam alam ini.

Kalimah النُّهَىٰ ini diambil dari katadasar ن ه ي yang bermaksud menahan, menghalang, memberhentikan. Jadi ia bermaksud pengetahuan tentang Allah dan alam ini akan menghalang orang yang ada akal dari melakukan kesalahan dosa.


Ayat 55: Ini adalah kata-kata Allah. Ini adalah ayat yang dibacakan semasa taburkan tanah pertama di kubur semasa tanam mayat.

مِنها خَلَقناكُم وَفيها نُعيدُكُم وَمِنها نُخرِجُكُم تارَةً أُخرىٰ

Sahih International

From the earth We created you, and into it We will return you, and from it We will extract you another time.

Malay

Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ

Dari bumilah Kami ciptakan kamu;

Iaitu Allah menciptakan Nabi Adam dari tanah. Mengingatkan kita dulu dari tanah hina sahaja. Kita ini jadinya dari keadaan yang rendah sahaja, maka tidaklah perlu kita meninggi diri.

وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ

dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu,

Perkataan عِيدُ digunakan untuk membawa pengulangan. Seperti juga eid digunakan untuk memberi maksud hari perayaan kerana hari perayaan itu berulang-ulang setiap tahun.

Ayat ini memberi ingat kepada kita bahawa juga akan dibawa ke kubur nanti. Dari tanah kita dijadikan dan dari tanah kita akan dikembalikan.

Melawat kubur dan menghantar mayat ke kubur adalah memberi peringatan kepada kita bahawa kita juga akan mati. Ingatlah bahawa kita ini ada tarikh luput seperti juga makanan ada tarikh luput dia. Kubur kita sedang memanggil kita setiap hari.

وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ

dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu

Kita tidak akan kekal dalam tanah kubur itu. Sampai masanya nanti Mahsyar akan diadakan dan kita akan dikeluarkan untuk menuju ke Mahsyar.

تَارَةً أُخْرَىٰ

pada waktu yang lain;

Iaitu pada Hari Kiamat nanti. Kita telah dilahirkan ke dunia untuk kehidupan pertama dan sekali lagi akan dikeluarkan. Kali pertama kita keluar dari perut ibu kita dan kali kedua ini kita keluar dari perut bumi. Kita akan dikeluarkan untuk menjawab apakah yang kita telah lakukan semasa di dunia.

Dalam kitab Sunan, bahawa pernah Nabi menghadiri seorang jenazah, dan setelah mayat dikuburkan, baginda mengambil segenggam tanah, lalu melemparkannya ke kubur itu sambil bersabda: مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ, kemudian baginda mengambil tanah yang lain, lalu baginda mengatakan: وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ, dan kemudian baginda mengambil tanah yang lain dan berkata: وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ.


Ayat 56:

وَلَقَد أَرَيناهُ آياتِنا كُلَّها فَكَذَّبَ وَأَبىٰ

Sahih International

And We certainly showed Pharaoh Our signs – all of them – but he denied and refused.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami); dalam pada itu dia mendustakannya dan enggan (beriman).

وَلَقَد أَرَيناهُ آياتِنا كُلَّها

Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun tanda-tanda Kami semua sekali;

Apabila Allah katakan Dia sudah tunjukkan ‘semua tanda’ kepada Firaun, tidaklah kita mengambil maknanya secara literal. Allah boleh tunjukkan semua tanda, tapi Allah tidak buat begitu.

Allah hanya menunjukkan tanda yang perlu dilihat oleh Firaun. Semua tanda yang perlu sahaja bagi Firaun. Begitulah pemurahnya Allah – telah ditunjukkan tanda-tanda kepadanya. Dihantar dua Nabi kepadanya untuk berdakwah kepadanya. Sepatutnya tanda-tanda yang telah ditunjukkan kepadanya itu pun sudah cukup.

فَكَذَّبَ

tapi dia dustakan semua sekali

Walaupun telah ditunjukkan segala bukti yang perlu, tapi Firaun tetap berdegil tidak mahu menerimanya. Dia menganggap segala perkara itu dusta sahaja.

وَأَبَىٰ

dan dia enggan;

Semua sekali hujah diberikan kepadanya, tapi semua sekali dia tolak. Maka layaklah dia terima segala bala dan azab yang akan diberikan kepadanya.

Sama juga kepada Nabi Muhammad. Baginda sudah bagi semua hujah kepada penduduk Mekah tapi masih ramai lagi yang tidak mahu terima. Maka ayat ini adalah sebagai ayat pujukan kepada Nabi. Kerana Nabi sedih dan hairan kenapa setelah diberikan segala hujah dan tanda, mereka masih tidak mahu terima.

Maka Allah beritahu kepada Nabi, begitulah juga yang terjadi kepada Firaun. Dia telah diberikan semua hujah dan tanda, tapi dia masih enggan. Jadi, jangan hairan sangat dengan penduduk Mekah yang tidak mahu terima kerana mereka itu sifatnya lebih kurang sahaja dengan Firaun.

Ini juga sebagai penenang kepada kita. Ada orang yang kita telah beri segala hujah-hujah yang kita tahu kepada manusia, tapi masih lagi mereka tidak mahu terima jalan sunnah ini. Jangankan kita yang kerdil ini, pernah Nabi-nabi dahulu pun ditolak. Jadi kita pun jangan hairan sangat. Memang itu telah terjadi dahulu, dan sekarang pun terjadi juga seperti itu. Memang akan ada sahaja manusia yang tidak mahu menerima selepas kita berikan segala hujah kepada mereka.


Ayat 57: Walaupun setelah diberikan segala hujah dan tanda tentang kekuasaan Allah, Firaun masih hendak melawan lagi. Kali ini dia menggunakan taktik yang jahat.

Ada dua teknik yang digunakan olehnya yang disebut dalam ayat ini nanti. Ayat ini adalah kata-kata pemimpin kepada orang yang sebar agama. Pemimpin sekarang pun menggunakan hujah ini juga.

قالَ أَجِئتَنا لِتُخرِجَنا مِن أَرضِنا بِسِحرِكَ يا موسىٰ

Sahih International

He said, “Have you come to us to drive us out of our land with your magic, O Moses?

Malay

Firaun berkata: “Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?

قَالَ أَجِئْتَنَا

Firaun berkata: “Adakah kamu datang kepada kami;

Sekarang lihatlah bahasa yang digunakan oleh Firaun. Dia menggunakan perkataan ‘kami’. Padahal, dia adalah seorang raja yang sombong. Selalunya dia hanya menggunakan perkataan ‘aku’ sahaja, tapi kali ini lain sikit.

Sebab dia hendak memasukkan sekali rakyat bersamanya. Dia hendak rakyat yang sedang ada bersamanya itu pun bersama dengannya. Dia hendak semua orang itu benci kepada Nabi Musa maka dia rangkumkan mereka dengan penggunaan kalimah ‘kami’. Marilah kita lihat apakah tuduhan yang akan dikenakan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.

لِتُخرِجَنا مِن أَرضِنا

untuk mengeluarkan kami, dari negeri kami;

Firaun tuduh tujuan Nabi Musa itu adalah untuk mengeluarkan mereka iaitu Firaun, segala menteri dan rakyat sekali. Iaitu dari negeri Mesir. Sekarang Firaun menggunakan sentimen kenegaraan. Sebab itu dia kata ‘negara kami’.

Maka tuduhan pertama yang Firaun berikan kepada Musa dan Harun adalah mereka ini ‘pemberontak’, yang mahu mengambil alih negara itu. Firaun tuduh Nabi Musa nak jadi raja di Mesir.

Dan alasan ini selalu digunakan oleh para penentang kebenaran. Mereka kata ada gerakan agama hendak mengambilalih pemerintahan negara dan kerana itu mereka akan sekat pergerakan agama itu.

بِسِحْرِكَ

dengan sihirmu;

Firaun menuduh Nabi Musa menggunakan sihir sebagai alat untuk mengeluarkan mereka dari negeri Mesir itu. Ini adalah selepas Nabi Musa menunjukkan mukjizat tongkat menjadi ular dan tangan baginda menjadi bercahaya.

Ini adalah tuduhan yang kedua – Musa menggunakan sihir. Waktu Nabi Musa itu, disebut menggunakan sihir, kerana pada zaman itu masyarakat mereka ramai yang menggunakan sihir. Kalau sekarang, tidaklah ada tuduhan sihir lagi. Tapi yang banyak digunakan oleh golongan penentang gerakan Sunnah adalah gelaran Wahabi dan berbagai-bagai lagi ejekan yang mereka gunakan.

Kenapa pula Firaun gunakan tuduhan sihir? Bila dia tak boleh nak jelaskan apa yang mereka berdua buat, dia terus kata itu adalah sihir. Ini bermakna, Nabi Musa sudah tunjukkan mukjizat bagaimana tongkat itu menjadi ular dan bagaimana tangannya menjadi putih. Apabila Firaun tidak dapat nak terima itu sebagai satu mukjizat, dia tuduh itu adalah sihir. Ini adalah kerana dia sudah biasa dengan sihir.

Ini adalah kerana pada zaman itu, sihir banyak digunakan di Dan padanya itu adalah sihir. Itulah sifat manusia, mereka akan memberi apa yang mereka tidak tahu.

يَا مُوسَىٰ

hai Musa?

Sekali lagi kita nampak Firaun hanya bercakap dengan Nabi Musa sahaja dan tidak sentuh pun Nabi Harun yang mungkin berada di situ juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 42 – 51 (Apa jadi dengan tok nenek kita?)

Taha Ayat 42:

اذهَب أَنتَ وَأَخوكَ بِآياتي وَلا تَنِيا في ذِكرِي

Sahih International

Go, you and your brother, with My signs and do not slacken in My remembrance.

Malay

“Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.

اذْهَبْ أَنتَ وَأَخُوكَ

Pergilah, engkau dan saudaramu,

Kalau sebelum ini arahan dalam ayat 24 hanya kepada Nabi Musa sahaja, sekarang arahan itu diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Arahan ini selepas pelantikan Nabi Harun menjadi Nabi.

بِآيَاتِي

membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu

Jangan mereka berdua pergi sendiri-sendiri tapi pergilah dengan membawa ajaran Allah. Dengan membawa segala apa yang telah disampaikan oleh Allah termasuk mukjizat yang diberikan oleh Allah. Iaitu dengan hujah-hujah termasuk bukti-bukti dari Allah.

وَلَا تَنِيَا

dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai;

Kalimah تَنِيَا bermaksud ‘kamu berdua lalai dan malas’. Ia dari katadasar و ن ي yang bermaksud cuai dari melakukan tanggungjawab, lalai, penat.

فِي ذِكْرِي

dalam menyebut serta mengingati Daku.

Zikr adalah amalan yang amat penting bagi para pendakwah. Ianya adalah seperti minyak kepada kepada pekerja-pekerja dakwah. Kerana tugas dakwah amat memenatkan, dan kalau kita tidak berzikir kita akan jadi kepenatan dan lemah.

Sebelum ini, Nabi Musa telah berkata yang baginda dan Nabi Harun akan banyak berzikir kepada Allah. Maka dalam ayat ini, Allah mengingatkan baginda supaya jangan lupa janji itu.


Taha Ayat 43:

اذهَبا إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ

Sahih International

Go, both of you, to Pharaoh. Indeed, he has transgressed.

Malay

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ

Pergilah kamu berdua kepada Firaun,

Kali ini kalimah اذْهَبَا yang digunakan – Kali ini Allah suruh mereka berdua pergi sendiri (bandingkan dengan ayat 24). Sebelum ini Allah hanya suruh Nabi Musa sahaja. Tapi selepas Nabi Musa memohon supaya dilantik juga Harun sebagai Nabi, maka Allah sekarang mengulangi perintah yang sama, tapi kali ini dimasukkan sekali Nabi Harun.

Dalam surah-surah lain, ada juga disebutkan kisah Nabi Musa ini bertemu dengan Firaun. Tapi, dalam surah-surah itu, tidak disebutkan sangat tentang Nabi Harun. Tapi dalam surah Taha ini, banyak sekali disebutkan kewujudan Nabi Harun. Jadi, surah ini juga adalah sebagai satu surah berkenaan Nabi Harun juga.

Ada peningkatan dalam arahan Allah.
– pertamanya hanya kepada Musa sahaja. Ini kita boleh lihat dalam ayat 24
– kedua, disuruh Musa secara langsung dan ditambah Harun dalam ayat ke 42. Tapi tentunya Harun memerlukan masa untuk bersedia selepas baginda dilantik. Baginda juga perlu melalui latihan untuk membolehkan baginda membantu adiknya Nabi Musa.
– ayat ke 43 ini barulah mereka berdua disuruh serentak pergi menemui Firaun.

إِنَّهُ طَغَىٰ

sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

Firaun telah melampaui batas kerana dia telah melakukan syirik kepada Allah. Dia sampai mengaku dialah tuhan yang tinggi bagi penduduk Mesir.

Tapi mesej yang diberikan kali ini masih sama. Iaitu mereka diarahkan untuk pergi berjumpa dan dakwah kepada Firaun. Ini menunjukkan pentingnya untuk mengulang tujuan misi. Ini dinamakan proses Istikhlas – fokus. Mengingatkan diri kita kenapa kita buat sesuatu. Kita perlu buat proses ini sebelum buat dan selepas buat.

Contohnya, sebelum kita pergi berdakwah, kita perlu ingatkan diri kita kenapa kita pergi berdakwah. Dan kemudian, kita kena ingatkan lagi kepada diri kita dari masa ke semasa supaya kita tidak hilang fokus. Kerana kadangkala apabila kita sudah mula dakwah dan mendapat tentangan, kita jadi kucar kacir dan mula datang marah dalam diri kita. Maka pada waktu itu kena ingatkan balik diri kita yang kita ada tanggungjawab dari Allah.


Taha Ayat 44:

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ

Sahih International

And speak to him with gentle speech that perhaps he may be reminded or fear [ Allah ].”

Malay

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

فَقُولَا لَهُ

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya,

Kalimah فَقُولَا bermaksud Allah bercakap dengan mereka berdua – Nabi Musa dan Nabi Harun. Ini adalah penghormatan kepada Nabi Harun juga. Tapi tidaklah baginda bercakap secara terus dengan Allah.

قَوْلًا لَّيِّنًا

dengan kata-kata yang lemah-lembut,

Perkataan لَّيِّنًا bermaksud: berterusan dalam kelembutan itu. Bukan hanya dari mula sahaja. Kita ada juga dalam menasihati orang lain, mula-mula memang cakap dengan lembut, tapi lama-lama sudah naik suara. Tidak begitu apabila perkataan لَّيِّنًا digunakan. Ianya bermaksud, dari mula cakap dengan lembut, sampai ke akhir pun cakap dengan lembut juga.

Selepas Allah suruh berdakwah, Allah ajar macam mana cara berdakwah. Dakwah itu hendaklah dilakukan dengan kata-kata yang lemah lembut. Itulah cara yang kita kena pakai. Perkataan لَّيِّنًا selalu digunakan dalam bahasa Arab untuk menceritakan sifat sutera yang bersifat lembut. Dari segi bahasa, ianya bermaksud ‘berterusan berlembut’.

Dalam kita berdakwah, jangan kita bercakap dengan kasar dan merendahkan orang lain. Surah Fussilat mengandungi tata-cara berdakwah lebih-lebih lagi apabila kita orang Islam yang minoriti di dalam sesuatu tempat. Kerana surah itu diturunkan di Mekah semasa Islam adalah umat yang minoriti.

Allah mengajar kita bersifat rahmah kepada orang-orang lain. Banyak sekali ditunjukkan dalam Qur’an dan ajaran Nabi Muhammad bagaimana cara dakwah. Lihatlah dalam sunnah bagaimana Nabi Muhammad melayan orang lain yang tidak tahu. Amat lembut sekali baginda dengan para sahabat. Malah kepada orang kafir pun.

Ada satu kisah bagaimana seorang Badwi telah masuk ke dalam masjid dan telah kencing dalam Masjid Nabi sebab dia tidak tahu adab kerana dia baru masuk Islam. Para sahabat ada yang sudah mahu menangkap dan memukulnya, tapi Nabi larang. Nabi suruh basuh bekas kencing itu dan kemudiannya Nabi telah mengajar lelaki dengan cara lembut tentang adab-adab dalam masjid.

Bagaimanakah cara yang sepatutnya kita bercakap dengan manusia? Jangan kita kasar dengan orang lain. Islam tidak mengajar begitu. Nabi tidak pernah menunjuk dengan jarinya. Kalau dia perlu menunjuk, dia akan tunjuk dengan tangannya. Sebab itulah penting untuk kita mengetahui bagaimana cara hidup Nabi Muhammad. Orang dulu akan memulakan mengajar cara hidup Nabi.

Islam juga mengajar kita untuk berkata yang benar walaupun menentang kita sendiri. Itulah iman.

Pernah ada kisah bagaimana seorang ulama memarahi seorang raja. Dia nampak raja itu hidup bermewah dan dia telah menegur raja itu dengan cara yang kasar. Raja itu kata walau bagaimana teruknya pun dia, dia tidak lebih teruk dari Firaun. Dan sebaik mana pun ulama itu, dia tidak lebih baik dari Musa. Kerana Musa disuruh untuk pergi kepada Firaun dan Allah suruh bercakap dengan lemah lembut. Bayangkan, kepada Firaun yang zalim itu pun Allah suruh Nabi Musa dan Nabi Harun berlembut lagi, apatah lagi dengan orang lain yang tentunya tidak seteruk Firaun.

Mereka yang merendahkan diri kerana Allah, Allah akan meningkat darjat mereka. Kalau sombong, Allah akan merendahkan mereka.

Apakah yang ada dalam hati kita apabila kita berdakwah kepada manusia? Sudah semestinya niat yang mulia. Kerana kalau dalam hati kita akan perasaan tidak elok, tidak kira apakah yang kita sampaikan itu, ia akan memburukkan lagi keadaan.

Tapi kalau ada rahmah dalam hati kita, cinta kepada manusia, maka kalau hujah kita pun tidak kuat, kebaikan itu akan merebak. Kadangkala silap kita, kita melebihkan kepandaian berkata dan hujah yang kuat, tapi yang paling kuat adalah perasaan sayang kepada manusia. Manusia akan dapat merasai perasaan kita. Walaupun kita tidak cakap. Ini dinamakan ‘bahasa badan’.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Dan salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini. Dan ada dalam ayat-ayat yang lain juga:

a. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa:5. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

b. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam dalam ayat Nisa:9. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Sila gunakan percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

c. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam ayat Nisa:63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

d. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’:23. Memang boleh menegur hendaklah dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh tegur tapi kena pakai kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

e. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’:28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’:28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu. Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu pada waktu itu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah seksa.

f. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha:44 ini. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha:44 ini adalah arahan Allah kepada Nabi Musa untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ

semoga dia beringat

Allah suruh dakwah supaya ingatkan Firaun. Kenapa pula ‘ingatkan’? Kerana kita semua telah mengenal Allah semasa kita di alam roh. Semua manusia ada fitrah kepada Islam cuma apabila kita lahir, maka kebanyakan dari kita lupa siapa diri kita.

Mungkin dia akan ingat kalau kita beri peringatan kepadanya. Atau dia ingat segala nikmat yang dia telah dapat dan siapakah yang telah memberikan nikmat itu.

أَوْ يَخْشَىٰ

atau takut.

Mungkin dengan peringatan yang diberikan kepada Firaun, dia akan takut kepada seksaan yang dia akan terima.

Kalau bercakap dengan lemah lembut, ada kemungkinan Firaun akan terima. Kerana itulah misi mereka dihantar. Yang penting adalah memenuhi arahan yang telah diberikan kepada mereka. Kalau mereka bercakap dengan lembut, ada lagi harapan untuk Firaun menerima dakwah mereka. Tapi kalau mereka bercakap dengan kasar, memang sudah tidak ada harapan langsung.

Ayat ini mengajar kita untuk melihat kepada ‘kemungkinan’. Ada kemungkinan yang Firaun itu boleh menerima dakwah itu. Sebenarnya, Allah sudah tahu bahawa Firaun tidak akan beriman sampai bila-bila. Tapi Nabi Musa dan Nabi Harun tidak tahu (mereka tidak tahu ilmu ghaib).

Oleh kerana mereka tidak tahu, maka mereka kena berusaha berdakwah juga. Macam kita juga, kita tidak tahu sama ada orang yang kita hendak dakwah itu mahu terima atau tidak. Kita tidak boleh membuat keputusan yang dia tidak akan terima. Itu tidak adil kalau kita dari awal sudah menghukum. Maka kita kena cuba dulu.

Syaitan suka kalau kita rasa kita lebih baik dari orang lain. Contohnya, kita memang suka berdakwah, tapi tak ramai yang suka mendengar nasihat orang lain. Kita asyik nak komen kata-kata orang lain sahaja. Kita sekarang sebenarnya kekurangan tarbiah untuk diri kita. Kita senang untuk menasihati orang lain tapi susah kita hendak menerima nasihat dari orang lain.


Taha Ayat 45: Mereka berdua menceritakan kerisauan mereka untuk bertemu dengan Firaun. Kerana mereka memang kenal sangat siapakah Firaun itu. Dia adalah seorang yang amat kejam.

Adalah normal untuk manusia rasa risau. Kita kena ingat bahawa mereka berdua adalah manusia juga. Apabila ada perasaan seperti itu, kita kena mengadu kepada Allah. Seperti apa yang dibuat oleh Nabi Musa dan Harun ini.

قالا رَبَّنا إِنَّنا نَخافُ أَن يَفرُطَ عَلَينا أَو أَن يَطغىٰ

Sahih International

They said, “Our Lord, indeed we are afraid that he will hasten [punishment] against us or that he will transgress.”

Malay

Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa dia akan segera menyeksa kami, atau dia akan melampau batas”.

قالا رَبَّنا

Mereka berdua berkata: Wahai Tuhan kami!

Kali ini mereka berdua (Musa dan Harun) yang berkata dan mengadu kepada Allah.

إِنَّنَا نَخَافُ

Sesungguhnya kami takut;

Mereka mengaku dan mengadu yang mereka takut hendak mengadap Firaun kerana mereka manusia biasa juga. Mereka juga sudah kenal dengan Firaun yang memang melampau dalam perbuatannya. Jadi tidak salah perasaan takut mereka ini.

أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَا

Firaun akan menyeksa kami;

Mereka takut mereka terus kena tangkap dan terus diseksa. Kalimah يَفْرُطَ bermaksud menyerang seseorang. Ia dari kalimah ف ر ط yang bermaksud berlebihan, bertindak dengan kelam kabut dan tidak adil.

Maksudnya mereka takut Firaun belum apa-apa lagi sudah serang mereka berdua. Mereka takut mereka tidak sempat nak cakap apa pun sudah kena serang, kena tangkap dan diseksa. Berkemungkinan besar mereka tidak diberi peluang berkata-kata pun. Itu yang mereka takut.

أَوْ أَن يَطْغَىٰ

atau dia akan melampau batas;

Mereka takut Firaun akan buat macam-macam perkara yang amat melampau batas-batas kemanusiaan.

Kalimah يَطْغَىٰ bermaksud melampau batas. Sebab mereka tahu yang Firaun akan jadi marah sebab mereka berani menasihati dia, jadi dia akan buat lebih teruk lagi. Kadang-kadang kalau kita tegur orang, mereka akan buat lagi teruk lagi sebab mereka nak melawan.

Sebagai contoh, mereka akan nasihat Firaun supaya jangan seksa Bani Israil. Mereka takut kerana marah, Firaun akan seksa lagi teruk dari yang sebelumnya dia lakukan.


Taha Ayat 46:

قالَ لا تَخافا ۖ إِنَّني مَعَكُما أَسمَعُ وَأَرىٰ

Sahih International

[ Allah ] said, “Fear not. Indeed, I am with you both; I hear and I see.

Malay

Allah berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.

قَالَ لَا تَخَافَا

Allah berfirman: “Janganlah kamu berdua takut,

Allah memujuk dan menenangkan mereka berdua supaya jangan rasa takut apa-apa pun. Jangan takut apa? Allah tak sebut ketakutan apakah yang dimaksudkan. Allah cuma cakap ‘jangan takut’.

Maknanya, tidak apa yang perlu ditakuti. Mungkin ada bermacam-macam perkara yang mereka takuti. Allah nak kata, jangan takut langsung.

إِنَّنِي مَعَكُمَا

sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu berdua;

Sebab apa mereka tidak perlu takut? Allah beritahu kenapa mereka tidak perlu takut. “Sebab ‘Aku’ إِنَّنِي – ada penekanan di situ – bersama kamu berdua”.

Allah mengajar tentang dakwah dalam ayat ini. Jangan rasa berseorangan semasa berdakwah. Ingatlah bahawa ayat ini diturunkan semasa Nabi sedang berdakwah di pertengahan masa baginda di Mekah. Dalam keadaan yang meruncingkan kerana mereka waktu itu dalam keadaan yang amat lemah.

Allah nak beri isyarat bahawa apabila pendakwah bekerja di jalan Allah, mereka tidak berseorangan. Allah ada bersama kita dalam kita sedang berdakwah. Kalau kita mengamalkan Islam sendiri-sendiri, ingatlah juga bahawa Allah ada bersama kita dan menjaga kita. Tidak perlu ada rasa takut.

Begitu juga, kalau ada orang yang berdakwah kepada kita, kenalah ingat bahawa orang itu bersama dengan Allah. Jangan kita lihat kepada apa yang dia kata itu. Mungkin cara dia kata tidak kuat, tapi dia itu datang bersama Allah.

Apabila kita berdakwah, ingatlah bahawa kita sebenarnya sedang mewakili Allah. Maka, kita kenalah berhati-hati dengan apa yang kita cakapkan. Jangan kita menipu atas nama Allah. Kalau Allah tak pernah ajar sesuatu perkara itu, jangan kita kata itu adalah sesuatu dari ajaran Islam.

Allah memberitahu kepada mereka berdua bahawa ubun-ubun Firaun berada dalam genggamanNya, sehingga dia tidak berbicara, bernafas dan menyentuh kecuali dengan izinNya. Allah akan memberi perlindungan dan pertolongan kepada mereka.

أَسْمَعُ

Aku mendengar;

Allah kata Dia Mendengar, dan terus mendengar sama ada apa yang Firaun dan kuncu-kuncunya cakap atau apa yang ada dalam hati mereka. Kerana Allah Maha Mendengar. Allah juga hendak memberitahu bahawa Dia juga mendengar apa yang Nabi Musa dan Nabi Harun katakan kepada mereka.

وَأَرَىٰ

dan Aku melihat segala-galanya;

Aku melihat mereka berdua dan Allah juga melihat mereka. Dan Dia melihat dan terus melihat.

Allah tidak sebut mendengar ‘apa’. Bermakna, Allah meluaskan maknanya dan tidak terhad kepada percakapan mereka sahaja. Allah mendengar dan melihat apa yang mereka kata. Mereka sedang diperhatikan. Maka, jangan mereka kurangkan apa yang patut mereka buat. Mereka kena berhati-hati kerana Allah sedang melihat. Allah juga nak kata bahawa Dia mendengar dan melihat juga perbuatan mereka. Allah memerhatikan segala-segalanya.

Allah sebut ‘dengar’ dulu sebelum ‘lihat’. Kerana kalau mendengar, bermakna, dekat benar. Kerana kalau lihat sahaja, itu mungkin dari jauh sahaja. Tapi Allah nak kata bahawa Dia dekat dengan mereka. Itulah sebabnya dimulakan kata bahawa Dia mendengar dulu.

Potongan ayat ini menjelaskan apa maksud Allah ‘bersama’ mereka. Tidaklah Allah bersama duduk di sebelah mereka pula. Tidaklah Allah turun dari langit dan menemani mereka. Maka ini mengajar kita bab akidah. Apabila Allah kata Dia bersama, Dia bersama dari segi ilmu. Allah tetap berada di Arash tapi apa yang terjadi di bumi ini, Allah tahu.


Taha Ayat 47:

فَأتِياهُ فَقولا إِنّا رَسولا رَبِّكَ فَأَرسِل مَعَنا بَني إِسرائيلَ وَلا تُعَذِّبهُم ۖ قَد جِئناكَ بِآيَةٍ مِن رَبِّكَ ۖ وَالسَّلامُ عَلىٰ مَنِ اتَّبَعَ الهُدىٰ

Sahih International

So go to him and say, ‘Indeed, we are messengers of your Lord, so send with us the Children of Israel and do not torment them. We have come to you with a sign from your Lord. And peace will be upon he who follows the guidance.

Malay

“Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: “Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksa mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah.

فَأْتِيَاهُ

Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya; 

Iaitu kepada Firaun. Ini adalah arahan lagi dari Allah selepas menenangkan mereka dari rasa takut mereka.

فَقُولَا إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ

Maka katakanlah: “Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu;

Allah mengajar bagaimana cara mereka berdua kena berdakwah. Mereka kena memperkenalkan diri mereka sebagai Rasul kepada Firaun. Ini adalah sebagai pengakuan Allah terhadap mereka. Supaya Firaun jangan lihat mereka berdua itu datang dari bangsa yang diperhambakan sahaja. Tapi hendaklah Firaun tahu bahawa mereka itu adalah Rasul yang membawa risalah dari Tuhan.

Rasul adalah yang membawa risalah baru, bawa syariat baru. Seorang yang berpangkat Nabi tidak membawa syariat baru. Banyak ulama mufassir mengatakan bahawa Nabi Musa adalah Rasul dan Harun adalah Nabi sahaja kerana Nabi Harun tidak membawa syariat baru.

Tapi dalam ayat ini, disebutkan bahawa mereka berdua adalah ‘Rasul’. Ini adalah dari segi bahasa. Seperti juga, dalam bahasa Arab, apabila disebut ‘Umarain‘, ia merujuk kepada Abu Bakar dan Umar. Dan apabila disebut ‘Hasanain‘, ia merujuk kepada Hasan dan Husain. Ini adalah dalam penggunaan bahasa Arab. Jadi bukanlah ayat ini menjadi dalil yang Harun juga seorang ‘Rasul’.

Itu adalah arahan kepada Nabi Musa dan Harun. Tapi kita bukan Nabi. Maka, apabila kita berdakwah, kita tidak boleh kata kita penerima wahyu kerana kita bukan Nabi. Tapi kita boleh kata kita adalah mereka yang telah belajar wahyu Allah. Oleh itu, kalau orang yang tak belajar, kenalah belajar dengan kita. Kerana mereka belum belajar dan kita telah belajar.

Mereka tak kata ‘Tuhan kami’, tapi mereka gunakan perkataan ‘Tuhan kamu’. “Sama ada kau terima atau tidak wahai Firaun, Allah adalah Tuhan kamu juga. Segala apa yang kamu ada sekarang ini adalah dari Allah. Tuhan kamu kenal kamu. Dan sekarang Dia telah hantar dua orang Rasul untuk bertemu dengan kamu.”

Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan رَسُولَا, dua orang Rasul. Tapi dalam ayat lain, digunakan perkataan lain: ada kata membayangkan seorang sahaja: رَسُولَ. Ini adalah kerana Qur’an mengikut jalan cerita yang hendak dibawa. Ini menunjukkan ketepatan perkataan yang digunakan dalam Qur’an. Dalam surah Taha ini, ada disebut tentang Nabi Harun, tapi dalam ayat-ayat lain tidak disebut kerana itu hanya merujuk kepada maklumat ringkas tentang kejadian berjumpa dengan Firaun.

فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ

maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami,

Salah satu tugas mereka adalah menyelamatkan Bani Israil. Sebahagian dari Bani Israil masih percaya kepada Allah walaupun mereka sudah lama tiada Nabi. Walaupun tidak semua Bani Israil beriman, tapi tugas mereka adalah membawa keseluruhan Bani Israil bersama mereka.

وَلَا تُعَذِّبْهُمْ

dan janganlah engkau menyeksa mereka;

Firaun disuruh jangan jadikan Bani Israil sebagai hamba abdi lagi. Bebaskan mereka dan jangan terus seksa mereka lagi.

Dalam surah lain, ada disebut bahawa Nabi Musa telah mengatakan tentang Tuhan kepada Firaun. Jadi, semua Nabi-Nabi akan memberitahu tentang tuhan dulu kepada kaum-kaum mereka. Jangan beritahu tentang perkara lain. Yang penting adalah percaya kepada Allah dahulu.

قَدْ جِئْنَاكَ بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكَ

Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa tanda (mukjizat) dari Tuhanmu!

Mukjizat yang telah ditunjukkan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya adalah tangan Nabi Musa yang bercahaya dan tongkatnya yang boleh bertukar menjadi ular. Tujuan mukjizat diberikan kepada para Nabi adalah untuk menguatkan hujah mereka.

Mereka kena buktikan mereka Nabi dan bukti itu adalah dengan menunjukkan mukjizat. Ini adalah kerana mereka berhadapan dengan orang yang amat degil dan kerana itu mereka diberikan dengan mukjizat.

وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ

Dan selamat sejahtera untuk orang-orang yang menurut petunjuk.

Selamat sejahtera itu hanya kepada yang mengikut hidayah. Firaun diingatkan yang dia boleh jadi begitu juga kalau dia mahu mengikut dakwah Nabi Musa itu.

Ayat itu terbuka: kepada mereka yang mengikut hidayah – sesiapa sahaja. Kalau tak ikut, tak dapat janji yang diberikan Allah ini. Lihatlah bagaimana mereka tidaklah membodek Firaun dengan mengatakan Firaun akan selamat. Mereka kata kalau ikut hidayah sahaja yang akan selamat. Yang salah, mereka tetap akan kata salah.

Beginilah juga dakwah Nabi Muhammad seperti terkandung dalam surat yang diberikan kepada Heraclius, pembesar Rom:

Bismillahi rahmani rahiim. Dari Muhammad, Rasul Allah, kepada Heraclius, pembesar Rom. Keselamatan bagi orang yang mengikut petunjuk. Amma ba’du. Sesungguhnya aku mengajak kamu untuk mendukung Islam. Oleh kerana itu, masuklah Islam, nescaya kamu akan selamat. Dan Allah akan memberimu pahala dua kali lipat.


Taha Ayat 48: Inilah dakwah pertama kepada Firaun apabila mereka pertama kali berjumpa dengan Firaun. Ayat 48 – 79 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menceritakan tentang dakwah Nabi Musa kepada Firaun. Kita akan lihat dalam perenggan ini walaupun Firaun membantah tetapi pasukan ahli sihir Firaun bertaubat dan beriman dengan Allah. Akhirnya Bani Israil terselamat daripada kezaliman Firaun. Firaun dan pasukannya tenggelam di dalam laut.

إِنّا قَد أوحِيَ إِلَينا أَنَّ العَذابَ عَلىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ

Sahih International

Indeed, it has been revealed to us that the punishment will be upon whoever denies and turns away.’ ”

Malay

“Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa (di dunia dan di akhirat) ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya”.

إِنَّا قَدْ أُوحِيَ إِلَيْنَا

Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami

Lihatlah cara menyampaikan dakwah. Mereka tak kata mesej itu dari mereka tapi dari Allah. Itu adalah tanda merendah diri. Oleh itu, apabila kita berdakwah, hendaklah kita membawakan ayat-ayat Qur’an dan Hadis Nabi. Jangan kata maklumat itu dari kita, tapi ia dari Allah.

أَنَّ الْعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ

bahawa sesungguhnya azab seksa ditimpakan kepada orang yang mendustakan”.

Kalau menipu dalam agama, maka akan mendapat seksa yang keras. Ini adalah balasan kepada mereka yang tidak menerima ajaran wahyu yang disampaikan.

Maka amat bahaya kalau kita mendustakan wahyu. Jangan kita reka perkara baru dalam agama kerana itu pun termasuk dusta juga. Contohnya ada yang kata kalau sedekah kepada orang yang solat jenazah boleh dapat pahala. Tapi mereka tidak bawa dalil untuk membenarkan kata-kata mereka. Mereka cuma kata ianya adalah perkara baik dalam agama.

Dan banyak lagi perkara yang direka oleh manusia padahal Allah dan Nabi tidak pernah cakap begitu. Maka, mereka telah berdusta atas nama Allah. Itulah yang dimaksudkan berdusta.

وَتَوَلَّىٰ

dan berpaling daripada wahyuNya;

Firaun diingatkan supaya tidak berpaling dari ajaran wahyu. Kerana kalau berpaling, maka akan dapat azab dari Allah. Peringatan terus diberikan kepada Firaun kerana dia memang sudah melampau batas.

Ia juga adalah peringatan kepada semua orang termasuk kepada orang Islam pun. Iaitu mereka yang apabila kita ajak mereka kepada tauhid dan belajar tafsir wahyu Allah, mereka berpaling tidak mahu belajar.

Mereka kata azab akan dikenakan kepada orang yang berpaling. Mereka tak kata ke atas Firaun. Sebab bukan hanya ditujukan kepada Firaun sahaja. Bukan Firaun sahaja yang berpaling. Kalau kita juga berpaling, kita juga akan mendapat azab itu.

Memang banyak ayat dalam Taha berbentuk umum. Tidak sebut siapa yang ditujukan dengan khusus kerana ianya ditujukan kepada semua. Peringatan itu merangkumi untuk semua orang. Selain dari itu, ayat ini tidak sebut berpaling dari apa. Tapi secara tidak langsung ianya mengatakan, kalau tidak mengikut petunjuk agama, seseorang itu akan diazab.

Kita kena faham bahawa ada banyak perkara yang menyebabkan Firaun terkejut dan marah apabila Nabi Musa dan Harun berjumpa dengannya. Pertama, apabila dikatakan bahawa ada lagi Tuhan selain selain dia. Dia sangka selama ini, dia sahaja tuhan yang paling besar.

Kedua, dia kena lepaskan Bani Israil yang selama ini diperhambakan olehnya dan bangsa Qibti. Ketiga, dia tidak boleh siksa mereka lagi.

Dan keempat, kalau tak ikut petunjuk dari Allah, maka akan diazab nanti. Dan akhir sekali, Nabi Musa dan Nabi Harun datang dengan membawa tanda mukjizat dari Allah. Ini semua tidak dapat diterima oleh Firaun. Tentunya dia sedang marah.


Taha Ayat 49: Sekarang disebut apakah tindakbalas dari Firaun selepas disampaikan dakwah oleh Nabi Musa dan Harun. Dalam Qur’an, ada banyak lagi kisah pemimpin-pemimpin yang jahat. Tapi tidak sebanyak kisah Firaun. Ini adalah kerana Firaun adalah seorang yang pandai berhujah.

Jadi kita kena belajar dan faham apakah hujah-hujah Firaun itu. Kerana kita mungkin akan berjumpa dengan mereka yang menggunakan hujah-hujah sebegitu. Maka, sesiapa yang menggunakan hujah sebegitu, mereka itu seperti Firaun juga.

قالَ فَمَن رَبُّكُما يا موسىٰ

Sahih International

[Pharaoh] said, “So who is the Lord of you two, O Moses?”

Malay

(Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”

Maksud Firaun adalah kononnya dia tidak kenal siapakah Allah itu. Dan dia nak kata bahawa dia tidak tahu ada lagi tuhan selain dirinya.

Firaun tanya kepada mereka: Kamu bercakap atas nama siapa? Tadi awal-awal lagi mereka berdua sudah cakap bahawa Tuhan itu adalah tuhan kepada Firaun juga. Tapi dalam soalan ini menunjukkan dia tidak terima dakwaan mereka itu.

Kita boleh lihat dalam ayat yang digunakan bahawa Firaun cuma bercakap dengan Musa sahaja. Dia tidak bercakap langsung dengan Nabi Harun pun, walaupun Nabi Harun ada bersama Nabi Musa. Ini adalah kerana dia tak kenal Harun. Begitulah sombongnya Firaun. Nabi Musa pernah tinggal di istananya, jadi dia kenal, tapi Nabi Harun adalah dari bani Israil, iaitu kaum hambanya, maka dia langsung tidak sebut Nabi Harun pun.

Firaun pun sebenarnya tahu bahawa Bani Israil ada tuhan yang lain. Kerana masih ada lagi masyarakat Bani Israil yang masih Islam dan mengamalkan agama yang turun dari langit. Jadi soalan dia ini hanya sebagai mengejek sahaja.

Kenapakah Firaun tidak dapat terima dakwah itu? Kerana dia sudah mabuk dengan kuasa. Apabila dia kata dia adalah tuhan, bukanlah dia mengatakan dialah agama. Tapi bermaksud bahawa dialah yang paling berkuasa ke atas Mesir dan rakyat semua kena ikut cakap dia. Kuasa lah perkara yang dia paling sayangi.

Inilah bahayanya apabila seseorang itu telah mabuk dengan kuasa. Apabila kuasa mereka dicabar, mereka akan sanggup berbuat apa sahaja. Dan kadang-kadang perbuatan mereka itu melampaui batas. Mereka sanggup melakukan dosa-dosa besar kerana hendak mendapatkan kuasa atau mengekalkan kuasa yang mereka sudah ada.


Taha Ayat 50: Ini adalah jawapan dari Nabi Musa. Jawapannya lembut sahaja dan tidak kurang ajar.

قالَ رَبُّنَا الَّذي أَعطىٰ كُلَّ شَيءٍ خَلقَهُ ثُمَّ هَدىٰ

Sahih International

He said, “Our Lord is He who gave each thing its form and then guided [it].”

Malay

Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.

قَالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَىٰ كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ

Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya;

Allah lah yang telah memberikan kepada makhluk yang diciptakan itu, segala sesuatu yang diperlukan untuk melangsungkan kehidupan. Dengan segala makanan, oksigen, pakaian dan tempat tinggal dan berbagai-bagai lagi.

Ibn Abbas berkata maksud ayat ini adalah: Allah telah menjadikan manusia sebagai manusia, keldai sebagai keldai dan kambing sebagai kambing.

ثُمَّ هَدَىٰ

kemudian Dia memberi petunjuk kepada makhluk itu;

Petunjuk yang dimaksudkan adalah petunjuk untuk menjalani kehidupan dalam dunia; contohnya ikan tidak belajar dari emaknya bagaimana cari makan. Tapi dia tahu untuk makan dan mencari makan. Lebah tidak belajar buat sarang dari ibu bapanya, tapi mereka tahu bagaimana buat sarang.

Manusia dan binatang lain pun begitu juga. Untuk menjalani hidup, tidak ada masalah kepada manusia untuk mengikut petunjuk yang diberikan oleh Allah dalam hal kehidupan. Yang jadi masalah adalah petunjuk agama. Itu yang manusia susah nak terima dan ikut.

Semua yang terjadi adalah diberikan kewujudannya oleh Allah. Ia jadi kerana Allah yang menjadikannya. Maka Allah berikan kemudahan kepada kehidupan di dunia. Jadi semua yang bernyawa ada cara untuk mendapat arah. Penentang Al-Qur’an mengkritik Al-Qur’an kerana mereka kata binatang mana tahu pakai kompas! Akan tetapi sains moden zoologi telah membuktikan sebaliknya.

Sekarang kita tahu yang binatang ada petunjuk arah yang dinamakan Magnetoreception. Kehidupan seperti bacteria, arthropods, molluscs dan lain-lain ada cara untuk tahu kedudukan arah untuk menjadi panduan arah bagi mereka. Ini baru diketahui di dalam zaman moden ini tapi Allah telah beritahu 1,400 tahun dahulu. Ini membuktikan yang Al-Qur’an ini dari Allah.

Atau ayat ini boleh bermakna, apa sahaja yang makhluk ada, diberikan oleh Allah. Ini menentang pendapat ajaran sesat yang mengatakan memang Allah yang menciptakan makhluk, tapi lepas itu mereka menentukan hidup sendiri. Ketahuilah yang Allah tak biarkan kita hidup sendiri-sendiri. Apa yang terjadi adalah atas kudrat Allah. Setiap apa yang berlaku, berlaku atas kehendakNya. Musa tahu dan faham maksud itu, kerana dia telah lihat bagaimana Allah boleh mengubah tongkat menjadi ular.

Ada banyak krisis tentang perkara ini dengan mereka yang terpelajar dalam sains. Mereka keliru tentang perjalanan alam ini. Mereka sangka semua perkara boleh dijelaskan dengan sains. Mereka lupa tentang pengurusan Allah dalam setiap perkara. Contohnya, mereka kata kalau sesuatu barang yang jatuh, itu adalah disebabkan oleh graviti. Mereka tidak mengatakan Allah yang menjatuhkan.

Kesilapan mereka adalah kerana semua perkara mereka hendak jelaskan dalam bentuk sains. Kalau sesuatu itu tidak dapat dijelaskan, mereka akan kata itu adalah kerana sains belum jumpa jawapannya. Tapi mereka kata sains akan jumpa juga jawapan itu.

Itu adalah kerana mereka tidak belajar agama. Mereka belajar sains dengan mendalam tapi dalam agama kurang sangat belajar. Jadi mereka tak faham tentang dunia. Mereka juga tidak percaya dengan akhirat kerana akhirat tidak dapat dijelaskan dengan sains.

Hidayah itu ada dua jenis. Pertama tentang iman. Ini dinamakan Tasyiriyah. Ianya adalah hidayah tentang agama. Atau ada juga dipanggil perkara Spiritual.

Satu lagi dinamakan hidayah taqwiniah. Ini adalah hidayah berkenaan kehidupan. Allah mengajar makhluk tentang hidup. Itu pun ilmu dari Allah juga. Sebagai contoh, macam mana bayi tahu nak makan, sedangkan tidak ada sesiapa yang sempat mengajar dia semasa dalam perut ibu dia dahulu? Tapi, lahir-lahir sahaja sudah tahu menyusu susu ibu. Serangga dan segala kehidupan pun begitu juga. Semuanya tahu cara menjalani kehidupan kerana mereka mendapat ilham dari Allah.

Dalam sains pun, sampai kepada satu tahap, sains tidak dapat jawap bagaimanakah sesuatu perkara itu terjadi. Mereka akan letakkan perkara yang mereka tidak dapat jelaskan sebagai ‘intelligent design‘. Sampaikan ada yang kata ianya datang daripada makhluk asing. Mereka sanggup kata macam itu kerana tak mahu nak terima kewujudan Tuhan. Padahal semuanya diurus oleh Allah.


 

Taha Ayat 51: Firaun tak dapat nak balas jawapan Musa ini. Jadi dia mula nak mengarut. Dia mula menggunakan helah lain untuk menjatuhkan Nabi Musa dan Nabi Harun.

Maka sekarang Firaun menggunakan helah. Ramai yang tengah dengar percakapan antara mereka. Walaupun waktu itu mereka dalam istana Firaun, tapi ada pembesar-pembesar dia dan pegawai-pegawai dia yang sedang hadir. Maka Firaun tidak mahu jatuh air muka dia.

Jadi soalan dari Firaun ini adalah soalan perangkap. Kalau kita perhatikan, tidak ada kena mengena dengan soalan sebelum ini pun. Dia terus tukar kepada soalan yang baru. Sebab dia sudah tiada hujah lagi. Tapi Firaun memang seorang yang licik dan dia akan mengambil peluang untuk menjatuhkan Musa.

قالَ فَما بالُ القُرونِ الأولىٰ

Sahih International

[Pharaoh] said, “Then what is the case of the former generations?”

Malay

Firaun bertanya lagi: “Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu?”

Soalan Firaun: “Apa jadi kepada umat-umat yang dahulu? Bagaimana keadaan mereka sekarang? Adakah mereka dalam neraka?”

Kita akan ada banyak pengalaman dengan soalan ini. Apabila kita katakan amalan yang tok nenek amalkan dan disampaikan kepada kita itu salah, ramai yang akan gunakan hujah ini. Ramai  yang akan tanya bagaimana dengan guru-guru yang kita kata telah ajar ajaran yang kita kata salah itu, adakah mereka masuk neraka kerana mereka bawa ajaran yang salah? Bagaimana pula dengan tok nenek kita dulu? Mereka dalam neraka jugakah?

Mereka yang bertanya seperti itu, mereka tidak sedar yang mereka juga seperti Firaun.

Kalimah بَالُ bermakna ‘keadaan sekarang’. Firaun bertanya, bagaimana keadaan sekarang orang-orang yang dahulu. Tok-tok nenek mereka? Adakah mereka dalam neraka? Kerana kononnya mereka tak dapat hidayah, buat benda syirik dan bidaah, jadi tentulah mereka dalam neraka. Sebab Musa baru datang, lalu bagaimana dengan mereka yang tidak dapat mendengar ajakan dakwah Nabi Musa sekarang?

Ini sudah masuk hal peribadi. Firaun tanya begitu kerana dia hendak bangkitkan rasa marah orang ramai yang sedang mendengar. Kerana kalau Nabi Musa jawap mereka itu semua dalam neraka, tentulah mereka yang ramai mendengar itu akan marah sebab Nabi Musa kata tok nenek mereka dalam neraka. Manusia memang sensitif dengan keturunan. Maka Firaun licik dan dia hendak membangkitkan kemarahan orang ramai kepada Musa dan Harun. Kerana ini adalah kaum yang membanggakan keturunan mereka.

Jadi, kita kena pandai jawap. Kita tidak boleh kata semua tok nenek itu masuk neraka. Kita juga tidak boleh kata mereka dalam syurga. Kerana dua-dua jawapan itu tidak benar. Mari kita lihat apakah jawapan Nabi Musa dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam.

Kemaskini: 10 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 38 – 41 (Ujian-ujian kepada Nabi Musa)

Ayat 38: Allah jelaskan apakah pemberian yang telah diberikan olehNya kepada Nabi Musa sebelum ini.

إِذ أَوحَينا إِلىٰ أُمِّكَ ما يوحىٰ

Sahih International

When We inspired to your mother what We inspired,

Malay

“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:

إِذْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّكَ

“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu,

Ibunya mendapat ‘ilham’, bukan ‘wahyu’ kerana dia bukan seorang Nabi. Mungkin dalam bentuk mimpi ataupun inspirasi. Allah boleh membuatkan seseorang itu faham dengan memasukkan ke dalam hati seseorang itu.

Seperti juga dalam ayat lain, Allah telah memberi ilham kepada lebah untuk membuat sarang. Tidaklah bermakna lebah itu mendapat wahyu seperti wahyu yang diberikan kepada para Nabi.

مَا يُوحَىٰ

dengan apa yang diwahyu kepadanya:

Perkataan ini adalah satu kata-kata dalam bahasa Arab untuk memberi penekanan. Ianya adalah seperti satu pengulangan tapi pengulangan itu adalah untuk memberitahu kepada kita bahawa ianya bukanlah perkara yang biasa. Ianya adalah sesuatu yang besar dari Allah.

Ayat ini juga dalam bentuk rahsia. Kadang-kadang kita beritahu kepada orang lain satu nasihat. Kemudian kita kisahkan balik kepada orang lain, tapi kita tak mahu cakap apakah yang kita nasihatkan itu. Kita pun kata: “Aku sudah cakap apa yang aku patut cakap”.

Selalunya dalam Qur’an, Allah jarang menjelaskan apakah yang diwahyukan itu. Banyak kisah-kisah dalam Qur’an tidak diterangkan dengan terperinci. Kita akan mendapat maklumat terperinci selalunya dari hadis-hadis Nabi atau pendapat para ulama. Tapi dalam ayat seterusnya, Allah menjelaskan apakah ‘ilham’ yang telah diberikan kepada ibu Musa.


Ayat 39: Ini adalah kisah bagaimana Allah telah memberi ilham kepada ibu Nabi Musa untuk menyelamatkan baginda yang masih bayi waktu itu.

أَنِ اقذِفيهِ فِي التّابوتِ فَاقذِفيهِ فِي اليَمِّ فَليُلقِهِ اليَمُّ بِالسّاحِلِ يَأخُذهُ عَدُوٌّ لي وَعَدُوٌّ لَهُ ۚ وَأَلقَيتُ عَلَيكَ مَحَبَّةً مِنّي وَلِتُصنَعَ عَلىٰ عَيني

Sahih International

[Saying], ‘Cast him into the chest and cast it into the river, and the river will throw it onto the bank; there will take him an enemy to Me and an enemy to him.’ And I bestowed upon you love from Me that you would be brought up under My eye.

Malay

“Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.

أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ

Letakkanlah anakmu di dalam peti,

Kalimah اقْذِفِ bukan hanya bermaksud ‘meletakkan’ sahaja atau ‘membuang’. Tapi ‘membuang dengan jauh’. Perkataan itu digunakan untuk menunjukkan betapa emosinya ibu Nabi Musa. Hatinya pada waktu itu tentunya di dalam ketakutan. Kerana waktu itu tentera Firaun telah datang untuk menggeledah rumah-rumah untuk membunuh anak-anak lelaki yang baru lahir.

Bukan senang perbuatan yang hendak dilakukannya. Tapi ianya perlu dilakukan kerana untuk memastikan kelangsungan hidup anaknya yang tercinta itu. Tentulah cinta ibu kepada anaknya sangat tinggi. Sampaikan Allah pernah membandingkan kasihNya dengan kasih seorang ibu. Allah kata bahawa kasihNya lebih lagi dari kasih seorang ibu.

فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ

kemudian lepaskanlah peti itu ke laut,

Kalimah الْيَمِّ bermaksud kawasan air yang besar. Ianya juga boleh dipakai untuk merujuk kepada sungai yang lebar. Dalam ayat yang lain, kita tahu bahawa ibunya melepaskan Nabi Musa dalam Sungai Nil.

Perkataan الْيَمِّ hanya digunakan dalam Qur’an untuk menceritakan kisah Nabi Musa sahaja. Dalam surah-surah lain, apabila Allah menyebut tentang laut, Allah menggunakan perkataan ‘bahr’. Selalunya ‘bahr’ digunakan untuk perkara yang menggembirakan. Tetapi Allah menggunakan perkataan الْيَمِّ apabila hendak menceritakan perkara yang negatif dan menyedihkan. Seperti dalam kes ini, ianya tentang kesedihan ibunya yang terpaksa melepaskan Musa ke dalam Sungai Nil.

فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ

maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke tebing,

Kalimah فَلْيُلْقِهِ bermaksud Allah memerintahkan sungai itu untuk membawa Musa ke tempat yang sepatutnya. Iaitu ke tebing yang berdekatan dengan istana Firaun. Semua yang terjadi ini adalah dalam perancangan Allah yang teratur.

يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِّي

supaya dipungut oleh musuhKu;

Firaun adalah musuh Allah kerana dia telah mengaku menjadi tuhan. Tapi Allah rancang supaya Nabi Musa dipungut oleh Firaun. Mungkin bukan terus dipungut oleh Firaun sendiri tapi orang suruhannya. Tentulah tentera-tenteranya atau pesuruhnya dulu yang jumpa. Tapi akhirnya telah dibawa kepada Firaun dan Asiah, isteri Firaun.

وَعَدُوٌّ لَّهُ

dan musuhnya;

Firaun bukan sahaja musuh Allah tetapi dia juga musuh kepada Nabi Musa. Kita faham bagaimana Firaun itu adalah musuh Allah. Tapi bagaimana kita faham Firaun juga sebagai musuh kepada Nabi Musa yang masih bayi?

Kita jangan lupa bahawa waktu itu Firaun telah mengarahkan semua bayi lelaki dari Bani Israil dibunuh. Bermakna sewaktu bayi lagi Firaun telah menjadi musuh kepada Nabi Musa.

Atau, ia juga merujuk kepada masa hadapan dimana Firaun akan menjadi musuh kepada Nabi Musa apabila dia menentang Nabi Musa dan mahu membunuhnya.

وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّي

dan Aku telah tanamkan ke atas engkau perasaan kasih sayang orang terhadapmu;

Kalimat وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً – Aku telah melimpahkan kasih sayang kepadamu. Ia bermaksud sesiapa sahaja yang melihat bayi Nabi Musa semasa bayi itu akan jatuh cinta kepadanya.

Allah menggunakan perkataan أَلْقَيْتُ – AKU yang melimpahkan – jarang Allah menggunakan perkataan ‘Aku’ kecuali dalam keadaan tertentu. Selalunya Allah akan gunakan perkataan ‘Kami’. Kalau dalam keadaan bersangatan baru Allah akan gunakan kataganti ‘Aku’. Ini bermakna Allah melimpahkan kasih sayang itu dengan banyak sekali.

Sesiapa yang nampak Nabi Musa sahaja akan jatuh cinta. Sampaikan Firaun yang ganas itu pun timbul rasa kasih dan sayang kepada Nabi Musa yang masih bayi itu. Walaupun Firaun telah membunuh beribu-ribu bayi sebelum itu, tapi apabila dia melihat Nabi Musa, dia sendiri telah jatuh cinta.

Bukan sahaja Firaun dan Asiah yang jatuh cinta kepada Nabi Musa tapi semua orang. Bayangkan, tentera-tentera Firaun yang mula-mula jumpa Firaun pun jatuh cinta kepada Nabi Musa itu, sampaikan mereka tidak terus bunuh. Begitu juga apabila Nabi Musa datang kembali ke istana Firaun untuk berdakwah kepadanya, tentera-tentera itu tidak terus bunuh baginda.

Dan walaupun Nabi Musa memberi nasihat kepada Firaun, Firaun tidak pun bunuh baginda. Padahal, kalau orang lain, tentu sudah lama kena bunuh. Tak sempat cakap pun mungkin sudah kena bunuh.

Isteri Firaun bernama Asiah. Dia adalah seorang yang akhirnya telah beriman kepada Nabi Musa. Dialah yang telah berjaya memujuk Firaun untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat. Kerana walaupun Firaun sudah jatuh sayang kepada bayi itu, tapi dia sudah dapat agak bahawa ini tentunya anak dari Bani Israil. Dia tahu ada orang yang telah menghanyutkan anak ini untuk menyelamatkannya dari dibunuh.

Ini menunjukkan kepentingan perhubungan. Kerana Firaun sayang kepada isterinya itu, maka dia telah mengikut saranan isterinya itu. Firaun pula memang tidak ada anak. Diberitakan yang Asiah sebenarnya adalah sepupu Nabi Musa. Firaun telah berkahwin dengan Asiah tapi Firaun tidak boleh tidur dengan Asiah, sebab itu tidak ada anak. Tapi Firaun sangat sayang kepada Asiah.

Asiah telah memujuk Firaun untuk mengambil Nabi Musa sebagai anak. Asiah adalah antara beberapa orang yang telah disebut oleh Nabi Muhammad sebagai orang yang akan dimuliakan di akhirat nanti.

وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِي

dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.

Dengan takdir Allah, Nabi Musa telah hidup di istana Firaun. Makan makanan Firaun. Tapi baginda di bawah pengawasan dan pemerhatian Allah sebenarnya.

Kenapakah Allah buat perancangan yang teratur begini? Supaya Nabi Musa boleh diasuh dan dilatih di bawah pengawalan Allah taala. Nabi Musa akan diasuh dengan baik sebagai persediaan menjadi Nabi dan Rasul apabila bagnda dewasa kelak. Kalimah صْنَعَ bermaksud dari segi bahasa: membina sesuatu satu persatu.

Musa telah diberi satu latihan yang mantap. Dia dapat tinggal di istana Firaun supaya dia dapat kenal bagaimana keadaan dalam istana dan siapakah pemuka-pemuka di istana. Baginda juga dilatih di istana kerana di istana terdapat pembelajaran lengkap yang diberikan kepada anak-anak orang besar. Sampaikan ada raja-raja dari negara lain pun telah menghantar anak-anak mereka belajar di istana Mesir.

Nabi Musa dalam masa yang sama mendapat latihan dari ibu tirinya, Asiah, dan dari ibu kandungnya sendiri kerana dia juga dapat pulang ke rumah ibunya nanti. Dia juga ada kakak dan abang yang baik dan berilmu yang juga dapat memberi pengajaran kepadanya. Semua ini adalah dalam perancangan Allah.

Nota: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Dan untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat.

Ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan? Ia berkenaan orang kasih kepada Nabi Musa, bukannya kasih kepada kita.

Maka, ayat ini tidak menanggung kehendak pengamalnya. Ini macam nak tolak kereta, pakai pen. Apa kena mengena pen dengan tolak kereta? Katakanlah ada orang kereta dia tersadai, dia minta tolong kita tolak. Kita pun berlari ke rumah sebab nak ambil pen sebab nak tolak kereta. Tidakkah bodoh tindakan itu?


Ayat 40:

إِذ تَمشي أُختُكَ فَتَقولُ هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ مَن يَكفُلُهُ ۖ فَرَجَعناكَ إِلىٰ أُمِّكَ كَي تَقَرَّ عَينُها وَلا تَحزَنَ ۚ وَقَتَلتَ نَفسًا فَنَجَّيناكَ مِنَ الغَمِّ وَفَتَنّاكَ فُتونًا ۚ فَلَبِثتَ سِنينَ في أَهلِ مَديَنَ ثُمَّ جِئتَ عَلىٰ قَدَرٍ يا موسىٰ

Sahih International

[And We favored you] when your sister went and said, ‘Shall I direct you to someone who will be responsible for him?’ So We restored you to your mother that she might be content and not grieve. And you killed someone, but We saved you from retaliation and tried you with a [severe] trial. And you remained [some] years among the people of Madyan. Then you came [here] at the decreed time, O Moses.

Malay

“Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu:” Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?” Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya dia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu; dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah mendugamu dengan beberapa dugaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!

إِذْ تَمْشِي أُخْتُكَ

Ketika kakakmu terus berjalan;

Ibu Nabi Musa suruh kakak kepada Nabi Musa yang bernama Mariam untuk ikut tengok ke mana arah peti itu pergi. Dia sendiri tidak boleh ikut sebab takut nanti orang akan tahu yang itu adalah anaknya.

Kakaknya seorang yang alimah (berilmu). Kerana kakaknya mengikut peti itulah yang membolehkan dia tahu bahawa peti yang membawa Nabi Musa itu telah sampai ke tempat mandi isteri Firaun. Kisah ini tidak disebut dalam ayat ini tapi ada disebut dalam Surah Qasas. Kadang-kadang Allah tidak kisahkan sepenuhnya sebab ada dalam ayat-ayat yang lain. Seperti kalau dalam filem zaman sekarang, untuk tahu kisah penuh, kena tengok season-season yang lain.

فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ مَنْ يَكْفُلُهُ

Maka dia berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kepada kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?”

Dengan taqdir Allah, Nabi Musa yang masih bayi tidak mahu minum air susuan orang lain. Waktu itu tidak ada susu lain lagi, kena cari susu manusia juga. Tapi mana-mana wanita yang datang untuk cuba menyusukan beliau, dia tidak mahu menyusu dengan mereka.

Mereka terpaksa mencari alternatif lain. Mariam telah pergi kepada mereka dan cadangkan ada ahli keluarganya yang boleh menolong. كْفُلُ bermaksud seseorang yang bertindak sebagai pengasuh. Apabila ibu Musa datang, dia terus mahu menyusu.

فَرَجَعْنَاكَ إِلَىٰ أُمِّكَ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ

Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita

Ibu Musa mengambil peluang itu untuk membawa balik Nabi Musa kembali ke rumah. Sebab dia kata dia tinggal jauh, jadi dia kena bawa balik bayi itu untuk susukan di rumah dia sahaja. Untuk dapat cerita penuh kena rujuk surah Qassas.

Ibunya dibayar dengan banyak. Sudahlah dia dapat bawa balik anaknya, dia mendapat pulangan yang lumayan. Kerana tentunya Firaun memberikan bayaran yang lumayan kepadanya.

Allah menggunakan perkataan فَرَجَعْنَاكَ (Kami mengembalikanmu) dalam ayat ini. Apabila perkataan رَجَعْ digunakan, ianya untuk perjalanan yang telah pasti akan kembali. Seperti contoh, seseorang yang keluar rumah tapi dia telah pasti berapa hari dia akan bermusafir.

Dalam ayat ini kita boleh melihat cinta seorang ibu. Bagaimana sedih hatinya apabila terpaksa berpisah dengan anak kesayangannya. Allah menyenangkan kesusahan hati seorang ibu dalam ayat ini.

Sebenarnya, daripada ayat ini, ianya adalah nikmat kepada ibu Nabi Musa. Dengan dapat kembali anaknya, ibunya kembali bergembira. Padahal, sepatutnya sekarang Allah sedang menceritakan tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Musa, bukan ibunya. Ketika itu, Nabi Musa  masih lagi di atas bukit Thur sedang berbicara dengan Allah. Ini bermaksud, kalau ibunya gembira, itu pun sebenarnya adalah nikmat yang diberikan kepada Nabi Musa juga. Allah sambung menceritakan nikmat yang telah diberikan kepadanya dalam ayat seterusnya.

Ayat ini juga mengajar kita bagaimana berhubungan dengan ibu bapa. Kita tahu bahawa seorang ibu itu akan suka kalau anaknya gembira. Tapi dalam masa yang sama, kebalikannya pun kena ada juga. Kita juga patut gembira kalau ibu kita gembira. Bukan hanya sebelah pihak sahaja. Kita pun kena sayang ibu bapa kita.

وَقَتَلْتَ نَفْسًا

dan semasa engkau membunuh satu jiwa,

Memang Nabi Musa ada membunuh seorang lelaki tapi kita kena hormat kepada Nabi Musa apabila mengisahkan bagaimana baginda telah membunuh itu. Sama macam kita suruh orang muda dan orang tua dalam melakukan sesuatu. Kena tambah bunuh ‘tanpa sengaja’ apabila menceritakan tentang kejadian bunuh itu. Kerana memang Nabi Musa tidak berniat membunuh lelaki Qibti itu.

Kisah kejadian itu tersebut dalam ayat Qasas:15. Musa sebenarnya berniat untuk menolong seorang lelaki dari Bani Israil kerana lelaki itu dari bangsanya. Lelaki dari Bani Israil itu sedang berkelahi dengan seorang lelaki Bangsa Qibti – bangsa Firaun. Nabi Musa sangka orang Qibti itu yang salah. Maka, terjadilah tolak menolak antara Nabi Musa dan lelaki itu. Nabi Musa terpukul lelaki itu sampai orang itu mati.

Dia tumbuk itu pun sekali sahaja kerana dia adalah lelaki yang kuat. Umurnya waktu itu dalam 18 tahun. Dia tahu itu adalah dari perbuatan syaitan dan dia rasa bersalah sangat. Allah telah beri pengalaman ini kepada Nabi Musa.

فَنَجَّيْنَاكَ مِنَ الْغَمِّ

lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan (pembunuhan itu);

Dalam ayat Qassas:18, lelaki yang sama dari Bani Israil telah mengadu lagi kepada Musa. Maknanya, dia yang buat hal sebenarnya. Dia sudah mula bergerak hendak pukul lelaki itu tapi lelaki itu kata adakah Musa hendak bunuh dia macam Musa bunuh lelaki semalam?

Kali ini ramai orang dengar. Tak macam semalam – kerana semalam kejadian itu berlaku semasa orang tidak ada, jadi tidak ada orang lain yang tahu bahawa Musa lah yang telah membunuh lelaki Qibti itu. Jadi, sekarang, sudah ada orang lain yang dengar perkataan lelaki dari Bani Israil itu dan berita itu telah merebak. Sampaikan berita itu telah sampai kepada Firaun.

Firaun hendak menangkap dan menghukum Nabi Musa walaupun dia anak tiri dia. Sebab semua orang tahu dia adalah dari Bani Israil. Firaun pun memang mencari peluang sahaja untuk membunuh Nabi Musa. Kepadanya, kalau tidak dilakukan begitu, nanti Bani Israil tak dapat dikawal lagi. Dia takut nanti Bani Israil akan naik muka dan sangka mereka boleh bunuh orang Qibti tanpa hukuman.

Maka baginda terpaksa melarikan diri seperti yang disebut dalam ayat ke 20 Surah Qasas itu. Allah telah melepaskan Nabi Musa dari ditangkap oleh Bangsa Qibti dan baginda telah selamat melarikan diri. Ini kerana ada lelaki dari bangsa Qibti yang tahu tentang perancangan Firaun, maka dia telah nasihat Nabi Musa untuk segera melarikan diri.

وَفَتَنَّاكَ فُتُونًا

dan Kami telah mencubamu dengan beberapa cubaan;

Makna فُتُونً adalah jamak kepada perkataan ‘fitnah’ yang bermaksud ‘ujian’ dalam Arab klasik. Bukanlah maksudnya seperti maksud fitnah mengata orang yang kita selalu faham itu (itu sepatutnya digunakan kalimah tohmah).

Kalimah  فُتُونًا bermaksud ‘fitnah yang banyak’ – ujian yang banyak. Murid Ibn Abbas pernah bertanya Ibn Abbas apakah fitnah yang dimaksudkan? Ibn Abbas jawab:

– Nabi Musa lahir pada masa Firaun sedang membunuh semua anak-anak lelaki. Itu adalah ujian.
– Ibunya terpaksa memasukkannya ke dalam peti dan dihanyutkan ke laut. Itu adalah ujian.
– Apabila Firaun mula-mula mengambilnya sebagai anak angkat, Firaun berniat untuk membunuhnya. Itu adalah ujian.
– Apabila bagina membunuh orang lain tanpa sengaja, itu pun ujian juga. Kerana disebabkan kejadian itu, baginda telah mengalami trauma. Kita kena ingat bahawa Nabi Musa adalah seorang yang baik. Jadi, dia telah rasa bersalah sangat apabila ianya berlaku.
– Apabila dia kena berkhidmat selama 10 tahun dengan Nabi Syuaib. Itu adalah ujian.
– Dalam perjalanannya untuk pulang ke Mesir dengan keluarganya, mereka telah sesat jalan. Itu adalah ujian.
–  Dan banyak lagi ujian-ujian lain yang tidak disebut dalam ayat-ayat Qur’an.

Semuanya yang terjadi itu adalah untuk menyediakan Nabi Musa untuk menjadi Nabi. Ini kerana apabila kita telah banyak kena ujian dan melepasi segala ujian itu, semangat kita lain dari orang lain yang hidup tanpa ujian. Bayangkan sekarang Nabi Musa sedang diberi kursus motivasi untuk menaikkan semangat baginda.

Begitu juga perjalanan Nabi Muhammad sebelum baginda menjadi Nabi. Contohnya, keluarga Nabi Muhammad banyak yang meninggal. Maka, baginda telah melalui masa-masa yang susah juga. Itu pun sebagai ujian untuk menyediakan Nabi Muhammad menjadi Rasul.

فَلَبِثْتَ سِنِينَ فِي أَهْلِ مَدْيَنَ

kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan;

Kisah bagaimana kejadian baginda telah bermusafir hingga sampai ke negeri Madyan dan bagaimana baginda tinggal di sana ada disebut dalam ayat Qasas 23-27. Waktu itu, baginda tinggal dengan keluarga Nabi Syuaib (atau pendapat lain mengatakan bukan Nabi Syuaib).

Oleh itu, dari situ kita dapat tahu bahawa baginda telah mendapat pendidikan agama dari seorang Nabi yang juga bapa mertuanya (jika benar itu adalah Nabi Syuaib).

ثُمَّ جِئْتَ عَلَىٰ قَدَرٍ يَا مُوسَىٰ

setelah itu engkau sekarang engkau pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!

Perkataan ثُمَّ yang digunakan dalam ayat ini, bermaksud Nabi Musa telah tinggal di Madyan untuk masa yang lama – selama 8 tahun atau 10 tahun. Selama itu dia dilatih oleh Nabi Syuaib. Sekarang baginda sudah berumur 40 tahun dan sudah bersedia menerima tugas dari Allah sebagai Nabi.

Perkataan قَدَرٍ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘tepat pada waktu dan tempatnya’. Maknanya, Nabi Musa datang ke Thuwa itu adalah tepat pada masanya. Ianya adalah tepat kerana semua ini adalah dalam perancangan Allah. Setiap perincian perjalanan hidup Nabi Musa telah disusun oleh Allah supaya akan sampai ke tempat itu supaya baginda menjalankan tugas baginda untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun.


Ayat 41:

وَاصطَنَعتُكَ لِنَفسِي

Sahih International

And I produced you for Myself.

Malay

“Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu.

وَاصْطَنَعْتُكَ

Dan Aku telah memilihmu

Allah telah memilih Nabi Musa kerana ada kelebihan pada baginda. Ini adalah keputusan Allah dan keputusan Allah pasti tepat.

لِنَفْسِي

untuk DiriKu;

Maksud untuk Allah bermakna: untuk menjadi Rasul Allah. Kalimah لِنَفْسِي (Untuk DiriKu) bermaksud Allah berfirman yang Nabi Musa telah dilatih untuk Dirinya. Itu adalah satu penghargaan yang amat besar.

Ini adalah satu ayat yang hebat. Inilah satu perakuan dari Allah bahawa Nabi Musa adalah salah seorang dari RasulNya. Maknanya Nabi Musa telah dilatih sampai baginda sudah siap untuk berkhidmat kepada Allah.

Sekarang tugas Nabi Musa adalah berkhidmat untuk Allah. Satu nikmat yang paling besar dalam hidup kita adalah apabila kita tahu apakah tujuan hidup kita. Adakah kita tahu apakah tugas kita di dunia ini?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Jun 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 21 – 37 (Nabi Harun dinaikkan pangkat)

Ayat 21: Selepas tongkat itu menjadi ular, tentulah Nabi Musa takut. Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana Nabi Musa telah lari apabila tongkat itu menjadi ular. Allah telah memanggil Nabi Musa supaya kembali.

قَالَ خُذْهَا وَلَا تَخَفْ ۖ سَنُعِيدُهَا سِيرَتَهَا الْأُولَىٰ

Allah berfirman: “Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula,

قَالَ خُذْهَا

Tuhan berkata: peganglah ia;

Mengikut riwayat, Nabi Musa memegang kepala ular itu. Baginda beranikan diri dan memegang kepalanya. Sudahlah melihat tongkat menjadi ular sudah menakutkan, kali ini Allah suruh baginda pegang pula ular itu – memegang ular tentunya lebih menakutkan lagi, kerana takut ular itu akan patuk pula.

Pengajaran kepada kita: Allah yang kawal bahaya. Kadang-kadang kita takut kesan yang bahaya yang boleh terjadi dari perbuatan kita. Tapi ingatlah bahawa kesan dari sesuatu perbuatan itu juga dalam kawalan Allah. Berapa banyak perkara yang kita sangka akan jadi sesuatu, tapi akhirnya jadi lain.

Maka kita kena percaya kepada Allah. Apabila Allah suruh buat sesuatu, tentulah ianya yang terbaik. Jangan kita fikirkan sebaliknya. Jangan kita ragu-ragu.

وَلَا تَخَفْ ۖ

dan kamu jangan takut.

Lihatlah susunan ayat ini. Allah beri arahan dulu, baru kata jangan takut. Kalau kita beri arahan, berkemungkinan kita akan kata kepada orang itu supaya jangan takut dulu sebelum kita suruh dia buat sesuatu. Tapi tidak dalam kisah Nabi Musa ini.

Ada pengajaran yang Allah hendak sampaikan kepada Nabi Musa dan kita. Dengan Allah, yang penting adalah untuk menurut arahanNya tanpa soal. Sama ada kita mahu ataupun tidak, kena ikut dulu. Selepas Allah beri arahan, barulah Allah beritahu sebab apa Dia suruh pegang ular itu. Kerana:

سَنُعِيدُهَا سِيرَتَهَا الْأُولَىٰ

Kami akan kembalikan ia seperti keadaannya yang asal;

Iaitu ular itu akan jadi tongkat balik. Apabila Musa pegang ular itu, Allah menukarkan kembali ular itu menjadi tongkat. Pada mulanya, Nabi Musa membalut tangannya dengan bajunya untuk menangkap ular itu tapi ditegur oleh Malaikat. Malaikat kata, kalau apa yang Nabi Musa takut itu Allah takdirkan terjadi, adakah baju yang dia gunakan untuk balut tangannya itu berguna? Tentulah tidak. Maka, Nabi Musa menangkap dengan tangan kosong sahaja. Dan apabila baginda tangkap sahaja, ular itu telah menjadi tongkat semula.

Allah boleh ubahkan apa-apa sahaja. Dari benda yang biasa, jadi benda yang luar biasa. Dari benda yang luar biasa, jadi benda biasa. Begitu juga, Allah boleh tukar perkara yang tak elok jadi baik, dan perkara yang kita tak suka jadi perkara yang kita suka. Semuanya dalam kekuasaan Allah.

Ada yang kita rasa tak elok tapi sebenarnya baik. Ingatkan kembali bagaimana Nabi Muhammad telah berdakwah di Taif dan baginda telah dihalau dan dibaling dengan batu. Itu adalah keadaan yang tidak baik. Tapi akhirnya, keluar dari tempat itu orang-orang Islam yang baik.

Begitu juga, apabila Nabi terpaksa menandatangani perjanjian Hudaybiyah yang nampaknya berat sebelah, tapi akhirnya dengan perjanjian itu, telah memberi peluang kepada Nabi untuk berdakwah dengan lebih luas lagi. Kerana kalau tidak, Nabi akan sibuk untuk berperang dengan Musyrikin Mekah sahaja.

Yang penting adalah kita kena menurut arahan Allah. Kerana kalau nak kira, Allah boleh sahaja ubahkan ular itu menjadi tongkat dahulu, baru suruh pegang. Tapi Allah hendak melatih Musa untuk menerima arahan. Kerana baginda akan menghadapi Firaun, dan adalah amat penting untuk Musa mengikut arahan Allah tanpa bantahan dan ragu-ragu. Ada tiga pengajaran penting dalam ayat ini:

  1. Ikut arahan Allah
  2. Jangan takut.
  3. Percaya kepada Allah.

Itu semua adalah penting kerana tugas yang akan dihadapi Musa adalah amat berat sekali.


 

Ayat 22:

وَاضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ آيَةً أُخْرَىٰ

“Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.

وَاضْمُمْ يَدَكَ

Dan kepitkan tanganmu

Mufassir membincangkan tangan manakah yang dimaksudkan dalam ayat ini: kiri atau kanan. Mungkin tangan kiri sebab kalau kita lihat dalam ayat sebelumnya, Nabi Musa memegang tongkat dengan tangan kanan.

Ini adalah pendapat sahaja. Tidak penting untuk kita tahu sama ada tangan kiri atau kanan yang digunakan.

إِلَىٰ جَنَاحِكَ

di bawah ketiak kamu

Perkataan جَنَاحِ sebenarnya bermaksud ‘kepak’. Maksud dalam ayat ini adalah ‘ketiak’. Tapi bahasa Qur’an adalah bahasa yang lembut. Jadi, Allah tidak gunakan perkataan ‘ketiak’ dalam ayat ini.

تَخْرُجْ بَيْضَاءَ

kemudian keluarkan, nescaya ia akan jadi putih memancar;

Tangan baginda menjadi putih yang menyilau. Seakan-akan potongan dari cahaya bulan. Apabila baginda hendak mengembalikan kepada keadaan semula, baginda hanya perlu masukkan balik tangannya ke dalam ketiak kembali.

غَيْرِ سُوءٍ

bukan kerana cacat-cela;

Putih tangan itu tanpa belang dan tanpa penyakit serta tanpa cela.

آيَةً أُخْرَىٰ

ini adalah mukjizat yang lain. 

Allah boleh jadikan benda yang kita sudah biasa sebagai mukjizat. Dengan Nabi Musa, kita lihat bagaimana Allah menjadikan tongkat yang baginda memang sudah biasa pegang dan lihat menjadi ular; dan begitu juga Allah menjadikan tangannya sebagai satu mukjizat. Allah telah memberikan mukjizat awal-awal lagi di awal kenabian baginda. Tidak disebut Nabi-nabi lain pun dapat macam ini juga.


 

Ayat 23:

لِنُرِيَكَ مِنْ آيَاتِنَا الْكُبْرَى

“(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.

 

Ada dua perkara pelik sebagai mukjizat yang telah ditunjukkan kepada Musa setakat ini. Ini adalah sebagai mukjizat pengenalan sahaja. Supaya baginda dapat membiasakan diri melihat mukjizat. Kerana Allah nak tunjuk yang lebih besar lagi masa hadapan.

Antaranya akan ditunjukkan kepadanya katak puru, belalang, darah, hama, ribut dan macam-macam lagi. Itu semua nanti akan ditunjukkan apabila baginda telah mula berdakwah dengan Firaun nanti.

Kenapakah ditunjukkan semua itu? Itu semua adalah sebagai persediaan kepada baginda. Kerana Nabi Musa ada tugas yang besar. Apakah tugas itu?


 

Ayat 24:

اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ

“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas”.

اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ

Pergilah kepada Firaun; 

Salah satu tugas dan cabaran utama Nabi Musa berdakwah kepada Firaun. Ini adalah tugas yang amat mencabar. Baginda keluar dari Mesir kerana melarikan diri dari Firaun. Dan sekarang baginda kena jumpa balik Firaun, dan kali ini untuk berdakwah kepada dia pula.

إِنَّهُ طَغَىٰ

Kerana dia sangat melampau batas; 

Kenapa Nabi Musa kena juga pergi berdakwah kepada Firaun? Kerana dialah yang menjadi ketua syirik penduduk Mesir. Dia telah sangat melampau had. Dia telah diluar kawalan. Sampaikan dia mengaku tuhan. Dia sungguh keterlaluan.

Inilah tugas Musa yang amat berat sekali. Tapi kenapa Allah suruh Nabi Musa pergi dakwah kepada Firaun? Tidakkah Firaun sampai mati, dia tidak akan beriman? Tidakkah Allah tahu akhir hidup Firaun itu?

Jawapannya adalah, untuk menguatkan iman, kena pergi tabligh kepada orang yang kita paling gerun. Seperti Nabi Ibrahim, baginda kena dakwah kepada ayahnya sendiri. Kadang-kadang usaha dakwah itu adalah sebagai satu manfaat kepada kita, bukan kepada orang yang kita dakwah itu.

Dan supaya apabila dia berdepan Firaun, manusia lain boleh menyaksikan perdebatan mereka dan orang akan tahu yang mana benar dan yang mana salah.


 

Ayat 25:

قالَ رَبِّ اشرَح لي صَدري

Sahih International

[Moses] said, “My Lord, expand for me my breast [with assurance]

Malay

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

قَالَ رَبِّ

Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku,

Apa yang Allah tugaskan kepada Nabi Musa adalah satu tanggungjawab yang amat berat kepada baginda. Baginda sudah terasa beratnya tugas itu sebab dia memang amat kenal dengan Firaun. Sebab dia pernah tinggal di bawah naungan Firaun dulu.

Dan dia juga tahu yang Firaun mahu membunuhnya – kerana dia telah membunuh seorang lelaki bangsa Qibti tanpa sengaja. Maka Nabi Musa telah meminta Allah untuk membantu baginda untuk baginda menghadapi tugas itu.

اشرَح لي صَدري

lapangkanlah bagiku, dadaku;

Nabi Musa sudah rasa gerun sebab nak kena berhadapan dengan raja yang zalim. Firaun lah raja yang paling berpengaruh di muka bumi waktu itu, paling bengis, paling kufur, paling banyak memiliki bala tentera, paling boleh buat sesuka hatinya dan yang paling ingkar. Maka Nabi Musa minta doa kepada Allah untuk menghadapi Firaun. Maka kalau kita pun ada rasa gerun apabila hendak bercakap dengan seseorang, maka bacalah doa ini.

Ini adalah satu kata-kata dalam bentuk pepatah. Kerana kalau dari segi bahasa, ia bermaksud ‘lapangkan dadaku’. Bukan nak lapangkan dadanya jadi besar dari segi fizikal. Tapi Nabi Musa berdoa supaya Allah menenangkan dirinya. Kerana tentu dia ada rasa gerun nak bertemu dengan Firaun.

Nabi Musa menggunakan perkataan صَدْرِ, iaitu ‘dada’. Dia tidak gunakan kata ‘hati’, kerana dada lagi besar dari hati. Maka, dia berdoa supaya Allah memperkukuhkan apa-apa sahaja yang perlu dikukuhkan, bukan sahaja hatinya.

Maksud doa ini juga supaya Allah menetapkan hatinya supaya dapat terima tugas yang Allah telah berikan kepada dirinya itu. Kadang-kadang kita diberi sesuatu tugasan, tapi kita rasa tak selesa dengan tugas itu. Jadi Nabi Musa berdoa supaya Allah tetapkan hatinya untuk menerima tugas itu tanpa berbelah bahagi. Kerana tentu baginda sudah rasa ralat apabila diberitahu kena dakwah kepada Firaun.

Bandingkan permintaan Nabi Musa ini dengan Nabi Muhammad. Nabi Musa meminta kepada Allah supaya dilapangkan dadanya. Tapi kepada Nabi Muhammad, baginda tak minta pun Allah sudah lapangkan, seperti telah disebut dalam Surah al-Inshirah – أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ {Bukankah Kami telah melapangkan bagimu, dadamu?}

Satu lagi kemungkinan, Nabi Musa ada sikap panas baran. Sampaikan pernah baginda tumbuk seorang lelaki bangsa Qibti dalam perbalahan dan lelaki itu telah mati. Jadi dia takut kalau dalam berdakwah kepada Firaun, Firaun akan cakap sesuatu yang akan menyebabkan dia naik marah. Jadi dia siap-siap minta Allah melapangkan dadanya supaya dia dapat tenang walau bagaimana Firaun cakap kepadanya nanti.

Ini penting dalam dakwah kerana kalau kita marah, maka orang yang didakwah itu tentu tidak suka dengan kita dan dakwah kita akan rosak. Maka orang yang tidak dapat mengawal perasaannya tidak patut melakukan dakwah. Kerana kadangkala orang yang didakwah itu akan melawan dan melampau dan kalau kita tidak dapat tahan sabar, akan ada masalah.


 

Ayat 26:

وَيَسِّر لي أَمري

Sahih International

And ease for me my task

Malay

“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

 

Nabi Musa memohon bantuan Allah supaya dia akan mudah menjalankan tugasnya, kerana dia tahu tugas itu susah sebab dia kenal Firaun. Ini adalah satu doa yang bagus. Hanya Allah sahaja yang dapat memudahkan urusan kita. Kita kena berharap kepada Allah dalam semua keadaan.

Dalam doanya ini, Nabi Musa mengatakan ‘tugasku’ – bermakna dia sudah dapat terima tugas yang telah diamanahkan oleh Allah kepadanya. Baginda bukanlah menolak tugas itu. Baginda telah menerimanya tapi baginda cuma minta Allah mudahkan sahaja.


 

Ayat 27:

وَاحلُل عُقدَةً مِن لِساني

Sahih International

And untie the knot from my tongue

Malay

“Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

وَاحْلُلْ عُقْدَةً

Dan lepaskanlah simpulan

Kalimah عُقْدَةً bermaksud ikatan atau simpulan. Seperti kita biasa dengar ‘aqidah’ iaitu simpulan perkara yang perlu diimani.

مِنْ لِسَانِي

dari lidahku

Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk merungkaikan simpulan lidahnya. Kalau kita pun, kalau dalam keadaan takut, gementar, dada gemuruh kerana ramai orang yang melihat contohnya, lidah kita akan jadi kelu dan tidak dapat berkata-kata dengan baik.

Nabi Musa berdoa kepada Allah supaya Allah mudahkan dia untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun dan orang-orang lain. Kerana dia akan berhadapan bukan sahaja dengan Firaun, tapi ramai manusia yang tentunya akan bersama. Kerana dia tahu, dia tidak akan dapat bercakap berseorangan dengan Firaun, tentu akan ada pengikut-pengikutnya yang akan ada bersama.

Maka, dia tahu akan ramai orang yang akan memerhati. Selalunya, kalau ada ramai orang, kita akan ada rasa gementar. Jadi, kalau dia gementar, dia tidak dapat menyampaikan apa yang dia hendak sampaikan.

Ini adalah tentang komunikasi. Dari sini, kita tahu yang kita kena sampaikan maklumat kepada siapa yang kita kena sampaikan dengan sebaik mungkin. Ini pun termasuk dalam dakwah dalam bentuk penulisan pun. Usaha dakwah memerlukan usaha yang lebih kerana kita kena cuba sedaya upaya berusaha supaya orang lain dapat faham apa yang kita hendak sampaikan.

Mengikut riwayat, Nabi Musa adalah seorang yang mempunyai penyakit gagap. Jadi doa ini juga sesuai digunakan oleh mereka yang gagap. Dari riwayat, apabila Nabi Musa mula-mula tinggal di istana Firaun, Firaun tidak selesa dengan kehadiran bayi itu. Dia tahu bahawa itu adalah anak Bani Israil yang dia telah arahkan supaya dibunuh. Dia tahu bayi yang mereka jumpa itu adalah helah dari ibubapa Bani Israil yang tidak mahu anaknya dibunuh.

Firaun percaya kata-kata ahli nujumnya yang mengatakan anak Bani Israil lah nanti yang akan menjatuhkannya. Maka Firaun tidak percaya kepada bayi itu. Oleh itu, dia mahu uji bayi itu. Dia telah memegang bara api dan satu benda yang berkilauan dan dia telah mengacah Nabi Musa yang masih bayi untuk memilih – sama ada bara api atau barang yang berkilau itu.

Nabi Musa, sebagai seorang bayi yang tidak tahu apa, telah tertarik kepada barang yang berkilau itu dan dia mula bergerak ke arahnya, tapi Jibrail tolak baginda kepada bara itu kerana tidak sesuai seorang Nabi suka kepada barang yang berkilau-kilau (keduniaan). Nabi Musa telah meletakkan bara api itu ke mulutnya dan lidahnya sempat terbakar disebabkan bara api itu. Kerana lidahnya terbakarlah yang menyebabkan baginda telah menjadi gagap.

Benarkah kisah Nabi Musa seorang yang gagap? Ada kemungkinan yang besar. Dari sejarah Islam, kita dapat tahu bahawa cucu Nabi, Saidina Hussain pun seorang yang gagap juga. Apabila beliau bercakap dengan gagap, Nabi akan senyum dan terus mendengar sampai dia habis cakap. Dengan itu, ianya memberi semangat kepada beliau untuk terus bercakap.

Nabi tidak suruh dia berhenti bercakap, atau terus mengajuknya untuk bercakap, tapi baginda akan terus mendengar dengan sabar. Sampaikan kepada satu tahap, para sahabat tidak sabar dan nampak pada raut wajah mereka. Apabila Nabi perasan, Nabi telah berkata bahawa mereka tidak sepatutnya buat begitu, kerana dia telah mewarisi gagap itu dari ‘pakciknya’ Nabi Musa (kerana para Nabi dikira sebagai bersaudara). Oleh itu, dari sini kita tahu bahawa memang Nabi Musa seorang yang gagap

Dalam Surah Zukhruf juga, ada satu ayat dimana Firaun telah mengejek Nabi Musa. Dia berkata, adakah manusia hendak mengikuti manusia ini yang cakap pun tidak lancar? Ini kita boleh lihat dalam Zukhruf:52

Dalam Tafsir Ibn Kathir, dikatakan bahawa tidaklah Nabi Musa minta disembuhkan penyakit gagapnya itu. Nabi Musa hanya minta dihilangkan sekejap supaya dia boleh berbicara di hadapan Firaun dan kaumnya. Kerana seorang Nabi itu tidaklah meminta melainkan keperluan mereka sahaja. Allahu a’lam.

Dari perbuatan Nabi Musa ini, kita belajar bahawa kita juga perlu sedar kelemahan kita dan cuba menyelesaikannya. Kita kena periksa diri kita dan kena tahu apakah kelemahan diri kita supaya kita boleh baiki dan atasi. Tidaklah kita perasan kita semuanya baik-baik belaka. Langkah pertama membaiki kelemahan diri adalah menerima kelemahan diri kita.


 

Ayat 28:

يَفقَهوا قَولي

Sahih International

That they may understand my speech.

Malay

“Supaya mereka faham perkataanku;

“Supaya mereka faham, tablighku” – dakwah baginda. Maknanya, ayat doa ini kena baca apabila hendak tabligh kepada orang. Kerana itu para asatizah selalu menyebut doa ini apabila memulakan kelas. Kerana penting orang yang dengar dakwah kita faham dengan apa yang kita sampaikan. Dan siapakah yang boleh memberi faham kalau bukan Allah?

Satu lagi, apabila mula nak tabligh kepada orang, hendaklah kita ajak dia berdoa supaya mencari jalan yang benar. Kita dengan dia sekali minta Allah tunjukkan kebenaran kepada kita. Kerana dalam dunia sekarang, sudah tidak pasti mana satukah jalan yang benar. Satu puak kata begini, puak yang lain kata begitu.

Jadi, kita serahkan kepada Allah supaya memberi kita petunjuk manakah yang benar antara kedua pendapat itu. Kadang-kadang kita pun tidak pasti sama ada kita benar ataupun tidak. Kita berhadap semoga Allah akan membuka kebenaran kepada kita. Kita bukan hendak menang hujah sampai menolak kebenaran. Yang penting adalah kebenaran. Kalau kita menang hujah, tapi kita di pihak yang salah, kemenangan itu langsung tidak bernilai.

Perkataan يَفْقَهُوا itu diambil dari perkataan فْقَهُ yang lebih tinggi lagi dari makna ‘faham’. Ianya bermaksud benar-benar faham dengan apa yang telah disampaikan.

Dalam doa ini, Nabi Musa berdoa semoga Allah mengizinkan mereka yang dengar dakwah baginda itu faham. Kerana yang beri faham adalah Allah. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Kadang-kadang manusia boleh dengar apa yang kita sampaikan, tapi mereka tak faham. Allah sahaja yang boleh beri kefahaman yang mendalam kepada manusia. Kadang-kadang kita cakap banyak tapi mereka sikit pun tak faham. Tapi kadangkala, kita cakap sedikit sahaja, tapi mereka boleh faham. Itu semua adalah dalam kuasa Allah.

Mungkin Nabi Musa risau umatnya tak faham dakwahnya nanti, jadi dia siap-siap doa supaya Allah beri pemahaman kepada mereka. Kadang-kadang cara penyampaian kita yang salah. Begitulah Nabi kita selepas baginda dihalau dari Taif, baginda memohon maaf kepada Allah kerana tak pandai menyampaikan. Baginda takut cara penyampaian baginda yang salah. Begitulah merendah diri betul Nabi Muhammad.

Ini juga mengajar kita cara berdakwah. Yang penting adalah manusia faham apakah yang kita katakan. Ada kalanya, bahasa yang kita gunakan terlalu tinggi sampai orang lain tidak faham kerana mereka tidak berilmu macam kita.

Maka, seeloknya kita menggunakan bahasa yang sama pada tahap mereka supaya mereka faham. Kerana yang penting adalah manusia lain faham apakah yang kita hendak sampaikan. Oleh itu, kalau kita bercakap dengan kanak-kanak, kita guna bahasa yang kanak-kanak boleh faham. Kalau dengan orang kampung, kita guna bahasa orang kampung.


 

Ayat 29: Nabi Musa tambah lagi permintaannya.

وَاجعَل لي وَزيرًا مِن أَهلي

Sahih International

And appoint for me a minister from my family –

Malay

“Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.

وَاجعَل لي وَزيرًا

Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong

Kalimah وَزِيرًا bermaksud ‘pembantu’. Atau orang yang membawa beban, yang menanggung beban. Kerana kata dasar ini adalah sama dengan kata ‘beban’.

Ayat ini mengajar kita untuk mendapatkan pertolongan dari orang lain untuk menanggung bersama tugas yang berat. Kalau kita rasa kita tidak boleh buat sendiri, kita kena minta pertolongan. Selalunya kita lihat permintaan sebegini diminta oleh seorang yang tidak mampu buat sendiri. Kenapa Nabi Musa sebagai seorang Nabi sampai memerlukan pertolongan orang lain pula?

Kita kena lihat permintaan ini sebagai tanda bagaimana Nabi Musa merendah diri. Walaupun Allah telah pilih dia, dia tidak rasa dia tidak perlukan pertolongan lagi. Kalau kita, mungkin kita sangka sudah cukup kuat, sebab Allah dah pilih kita. Tapi tidak kepada Nabi Musa. Dia tidak ego. Yang penting adalah menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan. Kejayaan misi itu yang lebih penting.

Ini juga menunjukkan kebijakan Nabi Musa. Nabi Musa dapat menilai tugas yang baginda perlu lakukan dan dari pembacaan baginda, baginda tidak boleh buat sendiri.

Ada pengajaran dalam perbuatan Nabi Musa ini. Nabi Muhammad pernah kata bahawa kalau Allah hendakkan seseorang itu berjaya dalam apa-apa tugas, Allah akan berikan pembantu untuknya. Jadi, pemberian pertolongan adalah cara Allah hendak menjayakan perancanganNya.

Nabi Muhammad pun memerlukan pembantu juga. Walaupun seorang Nabi, baginda masih memerlukan penolong juga. Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa pembantunya di dunia adalah Abu Bakr dan Umar. Maka ini mengajar kita yang tidak ada kurangnya kalau kita memerlukan pembantu.

Ingatlah bahawa kita semua adalah manusia dan kita perlukan pembantu. Kadang-kadang kita lemah dan kadang-kadang kita terlupa. Maka, kalau ada sesiapa yang bersama kita, boleh membantu kita dan mengingatkan perkara yang kita terlupa.

مِنْ أَهْلِي

dari keluargaku

Kenapa Nabi Musa minta pertolongan yang spesifik dari keluarganya? Tidakkah ini nepotisme (pilih kasih)? Tidak. Nabi Musa adalah manusia biasa. Sebagai seorang manusia, kita akan lebih selesa dengan ahli keluarga sendiri. Kerana kita sudah kenal dan sudah biasa dengan ahli keluarga kita, maka senang untuk kita berurusan.

Permintaan pertolongan dari ahli keluarga juga menunjukkan betapa penting untuk kita masukkan sekali ahli keluarga kita dalam usaha dakwah dan kerja kita. Lebih-lebih lagi dalam perkara ibadah. Kadang-kadang kita tak kisah tentang mereka. Padahal, mereka lah yang rapat dengan kita. Sepatutnya mereka dahulu yang kita kena dakwah dan ajak buat ibadat sekali dengan kita. Tapi kadang-kadang, kita tidak hiraukan mereka tapi kita terus ajak orang lain yang bukan ahli keluarga kita.

Dari cara pemintaan Nabi Musa ini pun kita boleh lihat bagaimana baginda beradab dalam meminta. Baginda minta sikit-sikit. Mula-mula minta Allah lapangkan dadanya, lancarkan lidahnya dan berbagai lagi permintaan lain. Tidaklah terus minta pembantu dengan menyebut siapa yang dia hendak. Mula Nabi Musa kata dia perlukan pembantu dahulu. Dalam ayat seterusnya baru dia sebut nama.


 

Ayat 30:

هارونَ أَخِي

Sahih International

Aaron, my brother.

Malay

“Iaitu Harun saudaraku;

Dalam ayat ini baru dia cakap siapa yang dia hendak dijadikan sebagai pembantunya. Harun adalah abang kepada Nabi Musa. Mengikut riwayat, Harun tiga tahun lebih tua dari Nabi Musa.

Kenapa Musa kena cakap siapakah nama abangnya? Takkan Allah tak tahu siapa Harun? Ini adalah isyarat untuk dia mengatakan bahawa dia akan bertanggungjawab kepada abangnya itu. Bukankah kalau kita rekomen seseorang untuk satu-satu jawatan, kita akan bertanggungjawab tentangnya?

Satu lagi sebab kenapa Nabi Musa menyebut perkataan أَخِي (saudaraku) itu adalah untuk menunjukkan kecintaannya kepada abangnya itu. Dan betapa hormatnya dia kepada abangnya itu. Dalam agama, boleh kalau kita mencadangkan ahli keluarga kita untuk satu-satu jawatan jikalau dia layak.

Maka, apakah kelebihan Nabi Harun? Dia dikenali sebagai seorang yang pandai dalam agama (seorang rabbi) dan pandai pula berkata-kata. Kedudukan Nabi Harun yang tinggi ini ada tersebut sejarah Bani Israil. Kadang-kadang kita perlu merujuk kepada sejarah Bani Israil untuk memahami satu-satu perkara.

Ayat ini pendek sahaja, tapi dijadikan sebagai satu ayat. Boleh sahaja kalau ianya diletakkan dalam ayat yang lain, tapi Allah tak buat begitu. Bermakna, ada kelebihan sesuatu yang Allah hendak kita fikirkan tentang ayat ini.


 

Ayat 31: Nabi Musa memberikan hujahnya, kenapa dia memerlukan Nabi Harun untuk membantunya.

اشدُد بِهِ أَزري

Sahih International

Increase through him my strength

Malay

“Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,

Dari segi bahasa, أَزْرِ bermaksud: ‘tulang belakang’. Ianya seperti memakai ‘Back Brace‘. Kalau pekerja yang kena selalu mengangkat barang, mereka memerlukan ‘back brace’ ini untuk memudahkan kerja mereka.

Salah satu kelebihan Nabi Harun adalah dia pandai bercakap dan Nabi Musa seorang yang ada masalah gagap seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Maka, dengan adanya Nabi Harun membantunya, akan menguatkan lagi dakwah Nabi Musa.


 

Ayat 32:

وَأَشرِكهُ في أَمري

Sahih International

And let him share my task

Malay

“Dan jadikanlah dia turut bertanggungjawab dalam urusanku,

Makna ayat ini adalah Nabi Musa memohon kepada Allah supaya Nabi Harun juga diangkat menjadi Nabi juga. Bukan setakat pembantunya sahaja. Supaya mereka boleh berkongsi tanggungjawab dalam menjalankan tugas dakwah yang berat itu.

Permintaan ini menunjukkan betapa murahnya hati Nabi Musa. Dia mahu berkongsi tanggungjawab yang Allah telah berikan itu dengan Harun juga. Tanggungjawab itu adalah satu tugas yang mulia tapi Nabi Musa tidak kisah berkongsi kedudukan itu dengan orang lain. Ini menunjukkan Nabi Musa tidak ada ego.


 

Ayat 33:

كَي نُسَبِّحَكَ كَثيرًا

Sahih International

That we may exalt You much

Malay

“Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,

Nabi Musa memang akan bertasbih dengan banyak kepada Allah. Tapi kalau mereka berdua, bermakna akan lebih banyak bertasbih lagi. Bertasbih itu bermaksud menyucikan sifat-sifat Allah. Menidakkan tanggapan salah manusia yang tidak beriman.

Kita boleh lihat bagaimana Nabi Musa merayu kepada Allah dengan memberikan sebab-sebab kenapa baginda mencadangkan Harun diangkat menjadi Nabi.


 

Ayat 34:

وَنَذكُرَكَ كَثيرًا

Sahih International

And remember You much.

Malay

“Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;

Nabi Musa berjanji yang mereka berdua akan mengingati Allah dengan banyak.

Ulama ada membincangkan tentang Ilmu Hal. Iaitu kita kena tahu apakah amalan yang perlu dilakukan kena pada waktunya. Itupun adalah satu bentuk zikir juga. Contohnya, berzikir memang baik untuk dilakukan. Tapi apabila Iqamah sudah dilaungkan, maka waktu itu, yang penting adalah menjalankan solat.

Zikir adalah seperti satu bentuk tenaga yang dapat menguatkan tugas-tugas dakwah kita. Maka, dalam kita menjalankan tugas dakwah, hendaklah kita selalu mengingati Allah.

Tasbih adalah satu bentuk zikir juga. Tapi kenapa disebut tasbih dulu dalam ayat sebelum? Sebab tasbih adalah satu bentuk zikir nafi (penafian) dan zikir adalah dalam bentuk ithbat (penetapan). Contoh nafi dan ithbat yang kita biasa tahu adalah kalimah tahlil la ilaaha illallah.

Tasbih adalah menyucikan Allah dari sifat kekurangan apa-apa. Seperti la ilaha adalah nafi dan illa Allah adalah ithbat. Selain daripada itu, zikir Tasbih hendaklah dilakukan pada masa-masa tertentu dan zikir adalah dalam setiap masa.


 

Ayat 35:

إِنَّكَ كُنتَ بِنا بَصيرًا

Sahih International

Indeed, You are of us ever Seeing.”

Malay

“Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami”.

Ini adalah justikasi terakhir yang diberikan oleh Nabi Musa supaya Allah memilih Nabi Harun sebagai Nabi. Nabi Musa mengatakan bahawa Allah sentiasa melihat mereka berdua dan selama ini Allah lah yang telah menjaga mereka setiap masa. Dan Musa mengaku kepada Allah bahawa mereka berdua tertakluk kepadaNya.

Lihatlah bagaimana Allah telah menyelamatkan juga Nabi Harun dari dibunuh oleh tentera Firaun. Kerana seluruh anak lelaki Bani Israil telah dibunuh tapi kita lihat bagaimana Nabi Harun telah terselamat juga. Itu semua adalah dalam perancangan Allah.

Inilah wasilah yang digunakan dalam doa baginda. Sunnah para Nabi menggunakan wasilah dalam berdoa dengan tawasul yang dibenarkan. Menggunakan nama-nama Allah dan memuji-muji Allah dengan menyebut kekuasaanNya.

Kenapa berkenaan Harun, Musa banyak beri justifikasi? Kerana dia rasa segan dengan permintaan menaikkan Harun sebagai Nabi kerana ianya adalah satu pemberian yang amat besar.

Nabi Muhammad pun tahu bahawa pemberian Pangkat Kenabian kepada baginda adalah satu pemberian yang besar, maka segala kesusahan yang baginda lalui itu adalah berbaloi. Kita yang menjadi umatnya juga patut rasa berbangga kerana kita telah diberikan kelebihan menjadi umat baginda. Oleh itu kita kena menilai balik apakah yang kita lakukan layak dengan pemberian itu. Adakah kita memenuhi tugas sebagai umat Nabi Muhammad atau tidak?


 

Ayat 36: Allah memberitahu bahawa doa Nabi Musa diperkenankan. Inilah jasa paling besar pernah diberikan oleh seorang manusia kepada seorang manusia lain. Ini adalah kerana dia telah menaikkan saudaranya menjadi Nabi.

قالَ قَد أوتيتَ سُؤلَكَ يا موسىٰ

Sahih International

[ Allah ] said, “You have been granted your request, O Moses.

Malay

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!

Apabila dilihat dari bahasa yang digunakan, menunjukkan bahawa Allah terus memakbulkan permintaan Nabi Musa itu tanpa lengah. Kerana tidak ada kata-kata antara permintaan Nabi Musa dan kata-kata Allah yang memakbulkan. Ada pendapat yang mengatakan sebelum Nabi Musa pohon lagi Allah sudah berikan apa yang baginda pohon itu.

Segala permintaan manusia yang pernah dikabulkan adalah dikabulkan oleh Allah. Samada orang itu orang Islam ataupun tidak. Kerana bukanlah ada tuhan lain yang memakbulkan doa orang bukan Islam. Cuma bezanya, orang Islam berdoa kepada Allah, tapi orang bukan Islam tidak berdoa kepada Allah. Itu sahaja.

Kata قَدْ itu adalah satu penekanan. Ianya seperti bercakap sambil memukul meja. Allah hendak menekankan bahawa segala apa yang diminta oleh Nabi Musa itu Allah perkenankan. Dan perkenan itu tanpa apa-apa syarat dan kondisi. Diberi penuh seperti yang diminta.

Ayat ini memberi isyarat kepada Nabi Muhammad bahawa doa baginda juga akan diperkenankan oleh Allah sama seperti Allah memperkenankan doa Musa. Nabi Muhammad juga menghadapi satu tugas yang berat sepertimana Musa juga. Maka ini adalah sebagai memberi harapan kepada baginda.

Begitu juga kepada kita. Allah memberitahu kepada kita bahawa doa kita juga didengari oleh Allah. Cuma mungkin ada yang bertanya samada doa mereka dimakbulkan atau tidak. Ada tiga jenis cara bagaimana Allah menjawap doa kita itu:

1. Allah akan berikan kepada kita apa kita mohon. Sama seperti apa yang kita hendak.

2. Kerana apa yang kita minta itu tidak sesuai kalau Allah berikan apa yang kita minta, Allah akan ganti dengan perkara lain yang lebih baik. Mungkin Allah selamatkan kita dari bahaya dan sebagainya. Itu lebih baik, bukan?

3. Allah tidak beri semasa di dunia. Doa yang tidak dimakbulkan di dunia itu akan diganti dengan kelebihan di akhirat. Manusia akan diberikan dengan kelebihan itu di akhirat. Mereka akan ditunjukkan ganti kepada doa mereka yang tidak dimakbulkan semasa di dunia. Sampaikan mereka akan berkata, alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun doa mereka di dunia dulu dimakbulkan supaya diganti dengan kelebihan di akhirat.


 

Ayat 37: Allah kata bahawa sebelum itu pun Dia sudah memberi banyak pemberian kepada Nabi Musa.

وَلَقَد مَنَنّا عَلَيكَ مَرَّةً أُخرىٰ

Sahih International

And We had already conferred favor upon you another time,

Malay

“Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat

Perkataan مَنَ dalam مَنَنَّا bererti ‘pemberian yang besar’. Bukan pemberian yang biasa.

مَرَّةً أُخْرَىٰ

pada satu masa yang lain sebelum ini.

Ini adalah sebagai tanda kasih sayang Allah. Jangan ragu yang apa yang kamu minta ini kerana ia akan dimakbulkan. Kerana bukan waktu ini sahaja, kerana Allah telah beri keberkatan sebelum ini pun. Kalau dulu Allah telah beri pertolongan, tentulah kali ini pun boleh lagi. Allah terus memberi pertolongan kepada Nabi-nabiNya.

Allah telah memberi segala permintaan Nabi Musa itu sebelum Nabi Musa minta lagi. Kerana Allah akan memberikan apakah keperluan yang diperlukan oleh Musa untuk memastikan misinya berjaya. Semua yang berlaku adalah dalam perancangan Allah.

Memang segala pemberian itu dari Allah. Hatta orang kafir pun perlu juga kepada Allah. Kalaulah Allah tak beri keperluan mereka, mereka pun tidak akan dapat apa-apa dan tidak dapat hidup. Contohnya, kalau Allah tak beri mereka makan, tentu mereka akan mati. Cuma bezanya, orang Islam meminta kepada Allah dan orang kafir tidak meminta langsung kepada Allah.

Kalau kita rasa kita doa tak dapat, ingatlah balik berapa banyak Allah telah beri rahmatNya kepada kita. Kita selamat selama ini pun adalah atas rahmat Allah juga. Tidak pernah kita terlepas dari rahmat Allah.

Dalam ayat-ayat seterusnya, Allah mengingatkan Nabi Musa apakah ‘pemberian besar’ yang dimaksudkan itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain