Tafsir Surah Taha Ayat 88 – 93 (Nabi Musa marah Nabi Harun)

Ayat 88:

فَأَخرَجَ لَهُم عِجلًا جَسَدًا لَهُ خُوارٌ فَقالوا هٰذا إِلٰهُكُم وَإِلٰهُ موسىٰ فَنَسِيَ

Sahih International

And he extracted for them [the statue of] a calf which had a lowing sound, and they said, “This is your god and the god of Moses, but he forgot.”

Malay

“Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”

فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا

Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu;

Qur’an kata dia hanya ‘mengeluarkan’ sahaja. Allah tak kata dia ‘buat’. Sebab bukan dia buat pun. Dia hanya ambil dari leburan barang-barang kemas itu dan dia telah membentuk patung anak lembu.

جَسَدًا

yang bertubuh;

Patung itu bukan jadi anak lembu betul pun, tapi dalam bentuk anak lembu sahaja. Apabila digunakan perkataan ‘jasad’, tidaklah bermaksud ianya hidup. Kerana tubuh yang kosong di dalamnya pun dipanggil jasad juga.

Dalam riwayat, ada dikatakan lembu itu dalam keadaan duduk.

Tapi ada juga tafsir yang mengatakan patung itu ada daging dan darah. Dan ia jadi begitu kerana Samiri telah mencampurkan tanah yang dikutipnya dari bekas tapak kaki kuda Jibrail. Allahu a’lam.

لَّهُ خُوَارٌ

ianya bersuara;

Ada yang mengatakan bukan suara pun, tapi Samiri buat patung itu ada lubang, jadi apabila angin bertiup melaluinya, ada bunyi yang keluar. Ini adalah kerana Samiri adalah seorang yang pandai mengukir. Manusia yang bodoh dan sudah ada kecondongan kepada syirik dalam diri mereka, telah melihat ini sebagai satu benda yang menakjubkan, sebagai satu perkara keramat dan sebagainya, maka mereka akan menyembah.

Walaupun begitu, ada juga yang mengatakan bahawa keluar juga suara dari patung itu yang berbunyi seperti lembu. Tapi tentunya itu adalah kerana sihir, bukanlah patung itu hidup. Allahu a’lam.

Orang yang ada kecendurangan syirik dalam diri mereka akan mudah terpedaya dengan perkara-perkara ajaib seperti ini. Kalau ada bunyi sikit pun mereka sudah terpedaya dan mula percaya. Sebab itu banyak yang melakukan syirik apabila dipersembahkan kepada mereka dengan perkara-perkara sebegini. Kalau ada guru sesat boleh buat sesuatu yang hebat pun, mereka sudah percaya.

Janganlah kita jadi macam orang Hindu. Orang Hindu, kalau mereka lihat ada benda yang pelik, mereka akan sembah. Seperti contoh, kalau ada pokok yang besar lain macam, mereka akan sembah. Sebab itu mereka sembah lembu kerana lembu beri mereka macam-macam. Adakah kita macam itu juga? Adakah kita nak jadi orang Hindu juga?

فَقَالُوا هَٰذَا إِلَٰهُكُمْ وَإِلَٰهُ مُوسَىٰ

lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa;

Yang berkata itu adalah orang-orang yang memuja patung anak lembu itu. Mereka itu yang telah terpedaya dengan Samiri.

فَنَسِيَ

tetapi (Musa) telah lupa!;

Mereka kata Musa lupa tuhannya sendiri sampai panjat bukit nak jumpa Tuhan, padahal tuhannya adalah patung itu. Begitulah sesatnya mereka sampai sanggup mereka kata begitu kepada Nabi Musa yang telah menyelamatkan mereka.

Atau, satu lagi pemahaman adalah: orang yang ‘lupa’ dalam ayat ini adalah Samiri sendiri dan mereka yang mengikutinya. Dia telah lupa tentang ajaran Nabi Musa. Sebab itu dia sanggup buat perkara syirik itu. Kerana tidak jelas dalam ayat ini yang mengatakan yang lupa itu adalah Nabi Musa. Jadi ia boleh juga bermaksud orang lain.

Yang masih memuja lembu pada zaman sekarang adalah agama Hindu. Jadi, memuja lembu itu adalah ajaran sesat dari dulu lagi. Golongan Yahudi pun ada masalah dengan lembu dan ini boleh rujuk Surah Baqarah.

Lihatlah bagaimana mudahnya kaum Bani Israil jadi sesat. Nak bina mereka bukan mudah dan mengambil masa yang lama, tapi mereka nak jadi syirik sekejap sahaja. Begitulah manusia, nak belajar jadi orang Islam mengambil masa, tapi kalau nak sesat sekejap sahaja. Kerana itu kalau umat Islam dibiarkan begitu sahaja tanpa diberikan panduan, ajakan dakwah, teguran, mereka akan senang sesat.

Ini adalah kerana dalam hati sudah ada kecenderungan untuk sesat. Mereka cenderung kepada kesesatan dan ditambah pula dengan bisikan syaitan yang senang menipu mereka yang jahil. Mereka senang terpengaruh dengan anasir tidak baik. Ini adalah kerana suasana kesyirikan yang sudah ada dalam masyarakat. Iaitu diajar takut kepada hantu, jin, semangat dan lain-lain lagi. Suasana inilah yang mengganggu fahaman akidah kebanyakan dari kita. Kita manusia senang terkesan dengan orang lain.

Sebagai contoh katakanlah dalam satu kelas, pelajar-pelajarnya baik-baik belaka. Tapi kalau dimasukkan seorang sahaja pelajar yang mungkin datang dari pengajaran tidak baik, yang liar, kita boleh lihat bagaimana tidak lama selepas itu, satu kelas itu akan berubah perangainya.

Kenapa ramai manusia yang suka memuja selain dari Allah? Termasuk orang Islam pun? Kita pun memang hairan kenapa mereka sampai sanggup menyembah patung-patung yang mereka jadikan sendiri. Ulama membincangkan perkara ini.

Jawapan yang mereka sebut adalah: manusia suka yang senang. Kalau dengan Allah, kena buat macam-macam – kena solat, puasa, tolong orang lain dan sebagainya. Jadi mereka tak suka kerana nampak macam susah. Tapi kalau memuja selain Allah, senang. Tak suruh buat yang yang susah, cuma kena sembah sahaja. Atau beri duit, atau beri makan sahaja. Kemudian mereka yang buat begitu dijanjikan dengan berbagai-bagai pahala dan kemudahan yang hebat-hebat. Jadi pemuja selain Allah akan rasa inilah agama yang senang.


Ayat 89:

أَفَلا يَرَونَ أَلّا يَرجِعُ إِلَيهِم قَولًا وَلا يَملِكُ لَهُم ضَرًّا وَلا نَفعًا

Sahih International

Did they not see that it could not return to them any speech and that it did not possess for them any harm or benefit?

Malay

Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?

أَفَلَا يَرَوْنَ

Apakah mereka tidak nampak;

Apakah mereka tidak faham? Apakah mereka tidak dapat memikirkan?

Lihatlah penggunaan nahu bahasa yang digunakan dalam ayat ini. Walaupun ianya menceritakan tentang kejadian kaum Bani Israil di zaman Nabi Musa, tapi bahasa yang digunakan adalah dalam present tense. Kerana ia memberi isyarat bahawa kaum Musyrikin Mekah pun sedang melakukannya juga. Dan bukan waktu itu sahaja, waktu zaman kita sekarang pun masih lagi dilakukan oleh kaum-kaum yang sesat.

أَلَّا يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلًا

bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka;

Kalau mereka cakap dengan lembu itu, lembu itu tidak boleh balas pun percakapan mereka. Patung itu bukan boleh bercakap pun, cuma ada bunyi sahaja. Mereka akan bertanya macam-macam kepada patung itu: contohnya, mereka tanya boleh tak mereka buat begini, begitu? Patung itu keluar bunyi, maka mereka terima itu sebagai ya, dan mereka akan lakukan apa yang mereka hendak lakukan.

Padahal, itu adalah satu bunyi sahaja, yang berkemungkinan dibawa angin sahaja. Tapi kerana mereka amat bodoh sekali, sampai mereka tidak dapat berfikir lagi, mereka telah menerimanya sebagai satu kebenaran.

Ia pun tidak faham apa yang mereka katakan kerana patung itu tidak bernyawa. Itu pun mereka sudah puja. Kalau manusia yang mahu sesat, senang sangat untuk mereka jadi sesat. Manusia, kalau kita biarkan mereka tanpa dakwah, mereka akan pergi kepada kesesatan. Senang sangat mereka hendak jadi sesat.

Sebagai contoh, lihatlah berapa ramai yang pergi kepada Perigi Hang Tuah di Melaka kerana mereka mengharapkan supaya dengan mereka mandi air dari perigi itu, hajat mereka akan tercapai – antaranya hajat untuk mendapatkan anak. Itu adalah amalan yang syirik. Sampai sekarang, masih banyak lagi yang pergi ke tempat itu.

Itu tidak dikira tempat-tempat lain yang menggunakan kaedah yang sama. Siapakah yang memberi peringatan kepada mereka bahawa apa yang mereka buat itu adalah syirik? Di mana ustaz dan mufti negeri itu dan tempat-tempat lain?

وَلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا

dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya (mudharat) kepada mereka;

Kalau mereka tak sembah anak patung itu, anak patung itu tidak boleh beri mudharat kepada mereka pun. Sama juga dengan patung Hindu, kalau tak puja pun, tidak jadi apa-apa pun kepada puak Hindu itu. Kalau dengan manusia, bolehlah juga kita memikirkan bagaimana ia boleh menyakitkan kita kalau kita tidak buat apa yang dia suruh. Tapi ini adalah patung yang tidak bernyawa.

Orang-orang yang memuja benda-benda yang syirik, ada rasa takut dalam hati mereka yang kalau mereka tak terus puja berhala itu, berhala itu akan marah dan mereka akan ditimpa kecelakaan. Itu hanyalah perasaan mereka sahaja.

وَلَا نَفْعًا

atau memberi manfaat kepada mereka?;

Kalau mereka puja pun, patung itu bukan boleh beri apa-apa pun kebaikan kepada mereka. Maka sia-sia sahaja apabila mereka sembah patung itu apa-apa sahaja selain dari Allah. Kerana yang memberi mudharat dan manfaat hanyalah Allah sahaja.

Allah sebut ‘mudharat’ dahulu sebelum disebut ‘manfaat’. Lain dengan cara yang biasa – selalunya dalam ayat sebegini, Allah akan sebut ‘manfaat’ dahulu. Ada makna dalam cara susunan ayat-ayat dalam Qur’an. Apakah pemahaman yang kita boleh ambil?

Sebagai manusia kita akan takut dengan sesuatu dan kadang-kadang itu akan menjadikan kita ikut arahan dari seseorang yang kita takuti itu. Contohnya kita takut seseorang yang boleh memudaratkan kita maka kita akan ikut cakapnya walaupun kita tak mahu. Ketakutan lebih kuat sebagai pendorong daripada mahukan sesuatu.

Sebagai contoh, kita tahu kalau kita bekerja keras, kita akan berjaya. Tapi ramai manusia yang tidak bekerja keras. Tapi kalau mereka tidak bekerja, mereka akan mati, maka itu akan mendorong mereka. Itu adalah lumrah manusia.

Musa nak kata dalam ayat ini, bahawa benda itu tidak memudharatkan mereka pun. Kalau mereka takut dengan anak patung itu, boleh juga dia nak faham kenapa mereka buat syirik itu. Walaupun syirik tetap salah, tapi sekurang-kurangnya baginda faham.

Tapi tidak ada pun ketakutan dengan anak patung itu. Sebab patung itu tidak boleh buat apa-apa pun. Sebab itulah perkataan ‘mudharat’ diletakkan sebelum perkataan ‘manfaat’. Sebagai penekanan bahawa mudharat pun tidak ada kalau mereka tidak menyembah anak patung itu.


Ayat 90: Semasa Nabi Musa tiada, Nabi Harun lah yang bertanggungjawab memimpin Bani Israil. Dalam Injil, ada mengatakan yang Nabi Harun bersalah dalam hal kaumnya menyembah patung itu. Mereka kata baginda pula yang mula menyembah anak patung itu. Maka Qur’an membersihkan nama baginda dalam ayat ini. Iaitu hendak mengatakan bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

Nabi Musa sekarang tengah marah. Selepas dia bertanya kepada kaumnya, maka dia telah berjumpa dan marah Nabi Harun pula. Allah sedang beritahu kita bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

وَلَقَد قالَ لَهُم هارونُ مِن قَبلُ يا قَومِ إِنَّما فُتِنتُم بِهِ ۖ وَإِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحمٰنُ فَاتَّبِعوني وَأَطيعوا أَمري

Sahih International

And Aaron had already told them before [the return of Moses], “O my people, you are only being tested by it, and indeed, your Lord is the Most Merciful, so follow me and obey my order.”

Malay

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telah pun berkata kepada mereka sebelum itu: “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku”.

وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَارُونُ

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telah pun berkata kepada mereka:

Bukanlah Nabi Harun senyap tengok sahaja tanpa buat apa-apa. Nabi Harun telah menasihati mereka. Nabi Harun telah menegur kesalahan besar yang mereka telah lakukan.

 

مِن قَبْلُ

sebelum itu:

Ayat ini menolak pendapat yang kata Harun bersalah dalam hal ini. Sebenarnya dari mula lagi Nabi Harun sudah cuba halang mereka. Dalam ayat ini, Allah telah melepaskan Nabi Harun dari kesalahan syirik yang dilakukan oleh kaumnya. Allah hendak mengatakan bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

Ayat ini keluar sebelum ayat yang menceritakan kemarahan Nabi Musa kepada Nabi Harun. Allah melepaskan Nabi Harun dulu supaya apabila kita baca kisah Nabi Musa memarahi Nabi Harun, kita sudah tahu bahawa Nabi Harun tidak bersalah. Supaya tidak timbul langsung dalam hati kita bahawa Nabi Harun bersalah langsung. Kalau tak, kita mungkin ingat Nabi Harun mungkin bersalah.

Begitulah sayangnya Allah kepada Nabi Harun. Sebelum ada orang yang meraguinya lagi, Allah telah lepaskan baginda.

يَا قَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُم بِهِ

“Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya dicuba dengan patung itu;

Nabi Harun memberitahu mereka yang mereka telah diduga keimanan mereka dengan anak patung itu. Apabila mereka telah menyembahnya, maka mereka telah kalah dalam ujian itu.

وَإِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحْمَٰنُ

dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Tuhan ar-Rahman;

Baginda mengingatkan mereka tentang sifat belas kasihan dan rahmat Allah. Ada kelembutan dalam kata-kata Harun ini. Walaupun mereka telah buat syirik, tapi baginda masih tetap bercakap dengan baik. Dengan harapan mereka mahu mendengar.

Kenapa Nabi Harun menggunakan nama Allah ar-Rahman, dan tidak menggunakan perkataan ‘Allah’? Kerana mengingatkan mereka bahawa Tuhan bersifat Maha Pemurah, Maha Pengasih. Ini adalah kerana ada pemikiran dalam hati masyarakat waktu itu, Allah itu bersifat bengis. Sikit-sikit nak hukum, sikit-sikit nak hukum. Tapi tuhan yang mereka buat itu tidak garang, tidak minta buat itu ini. Bagi gula-gula, bagi limau sudah cukup nak puaskan hati tuhan mereka itu.

Ini mengajar kita, dalam kita mengajak orang yang sesat, hendaklah kita mengingatkan kembali kepada mereka betapa pemurahnya Allah kepada makhlukNya. Lihatlah betapa banyak yang Allah telah berikan kepada kita semua. Jangan kita lupa segala pemberian Allah.

Kita ingatkan begitu kepada manusia. Dan jangan hanya ingatkan mereka kepada hukuman-hukuman Allah sahaja. Ia memang benar, Allah akan hukum kita kalau kita buat salah dan dosa. Tapi janganlah hanya menakutkan manusia sahaja. Kenalah kita timbangkan dengan sifat Allah yang lain.

 

فَاتَّبِعُونِي

oleh itu, ikutlah daku;

Selepas Nabi Harun mengingatkan mereka kepada Allah, barulah dia ajak mereka untuk ikut. Ini menunjukkan kepentingan ilmu tauhid kepada manusia. Mulakan ajar mereka dengan mengenal Allah dahulu.

Ikut itu bermaksud ikut sunnah Nabi. Kalimah ittiba’ bermaksud ikut dengan rapat. Maka sesiapa yang reka amalan bidaah yang bukan dari ajaran Nabi, itu adalah perbuatan kufur kerana mereka-reka dalam hal agama. Dan sesiapa yang mengamalkan amalan bidaah, amalan itu tidak diterima.

Oleh itu, kita boleh lihat bahawa ada dua peringkat dalam agama: Pertama, kena ikut. Itu yang paling mudah. Ikut langkah demi langkah. Perkataan اتَّبِعُ itu bermaksud kita letak kaki atas tapak orang sebelum itu. Katakanlah kita berjalan di pantai. Orang di hadapan kita meninggalkan kesan tapak kakinya. Kita ikut dengan letak kaki kita atas bekas tapak kaki orang itu. Itulah maksud اتَّبِعُ.

Persoalan yang kita kena tanya diri kita adalah: Adakah kita ikut cara hidup Nabi? Macam sahabat ikut Nabi setiap langkah? Para sahabat amat teliti dalam melihat apakah amalan dan perbuatan Nabi dan mereka akan ikut sunnah yang ditinggalkan baginda.

وَأَطِيعُوا أَمْرِي

dan taatlah akan perintahku”;

Dan yang kedua, kena taat kepada perintah. Apabila dikatakan ikut perintah, itu lebih mendalam lagi maknanya. Kadang-kadang kalau kita ikut sahaja, itu bermakna kita hanya dapat ikut apa yang dia buat. Tapi kalau kita ikut perintah, itu termasuk kita meninggalkan apakah yang dilarang oleh Allah.


 

Ayat 91: Bani Israil tetap berdegil tidak mahu ikut nasihat Nabi Harun.

قالوا لَن نَبرَحَ عَلَيهِ عاكِفينَ حَتّىٰ يَرجِعَ إِلَينا موسىٰ

Sahih International

They said, “We will never cease being devoted to the calf until Moses returns to us.”

Malay

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami”.

قَالُوا لَن نَّبْرَحَ

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan memberhentikan penyembahan patung ini,

Kalimah برح bermaksud ‘berhenti’. Mereka itu bangsa yang amat degil. Dengan Nabi Harun pun mereka tidak mahu dengar.

عَلَيْهِ عَاكِفِينَ

kami akan tetap menyembahnya;

Maksudnya mereka akan terus iktikaf berdekatan patung itu. Maksud ‘iktikaf’ adalah duduk berdekatannya dan beribadat kepadanya. Mereka tidak mahu bergerak dari tempat penyembahan mereka itu.

Iktikaf itu adalah perbuatan beribadat yang melupakan hal dunia. Seperti apabila kita beriktikaf, kita hanya ingat untuk ibadat sahaja dan melupakan seketika hal dunia. Dalam maksud ayat ini, mereka betul-betul beribadat kepada patung itu.

حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ

hingga Nabi Musa kembali kepada kami”.

Mereka kononnya tidak mahu dengar nasihat dari Nabi Harun tapi nak dengar dari Nabi Musa sahaja. Bani Israil terpecah kepada tiga golongan waktu itu:

1. Menerima Harun sebagai Nabi juga. Dan dia yang bertanggungjawab sekarang mengganti Nabi Musa semasa ketiadaannya. Memang patut kerana Nabi Harun juga seorang Nabi mereka. Maka golongan pertama ini mengikut nasihat baginda.

2. Ada yang melakukan syirik tapi mereka hanya menerima Nabi Musa sahaja sebagai Rasul mereka. Kalau Nabi Musa balik, mereka akan berhenti dari menyembah anak patung itu.

3. Secara keseluruhannya sudah terima syirik sebagai cara hidup. Ini golongan yang paling teruk. Kalau ada Nabi Musa ada pun, mereka tetap akan buat syirik juga.

Ayat ini memberi isyarat kepada kita jangan taksub kepada seseorang individu. Itu adalah perbuatan yang mengundang kesalahan. Kadang-kadang apabila kita pegang sesuatu ulama itu, kita hanya terima kata-katanya sahaja. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil. Mereka hanya nak dengar dari Nabi Musa sahaja. Padahal, Nabi Harun pun Nabi mereka juga.

Maka, kita jangan jadi begitu. Kita bukan memandang kepada individu, tapi kita mencari mana yang benar. Kalau ada ulama yang berikan hujah yang lebih kuat dan dengan nas yang sahih, kita terima walaupun bukan datangnya dari ulama kita, bukan dari ustaz yang kita sudah biasa.

Kita kena ingat bahawa kalau namanya manusia, tentunya terbuka kepada melakukan kesalahan. Zaman manusia tidak buat salah sudah berlalu – iaitu zaman Nabi-nabi. Hanya para Nabi sahaja yang maksum. Jangan kita jadi macam Syiah yang mengatakan Imam-Imam mereka semuanya maksum.

Ini penting sekali, kerana sekarang ini kita lihat umat Islam ada guru yang mereka pegang tak lepas. Kalau guru itu kata, semuanya betul tanpa mereka periksa lagi. Kalau orang lain yang bertentangan dengan pendapat guru mereka, semua salah. Itu sudah taksub dan bodoh sangat. Walaupun guru mereka tidak beri hujah dengan menggunakan nas yang sahih, mereka masih tak mahu terima. Semoga kita tidak begitu.

Maka, dalam ayat ini menunjukkan mereka telah melanggar perintah Nabi Harun dan malah ada disebut dalam ayat lain, mereka cuba juga untuk membunuh Nabi Harun. Begitulah teruknya mereka.


Ayat 92: Nabi Musa sedang marah kepada Nabi Harun kerana kaumnya sudah buat syirik. Itu kesalahan yang besar kerana telah jelas syirik yang mereka lakukan itu.

قالَ يا هارونُ ما مَنَعَكَ إِذ رَأَيتَهُم ضَلّوا

Sahih International

[Moses] said, “O Aaron, what prevented you, when you saw them going astray,

Malay

(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: “Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,

قالَ يا هارونُ

Nabi Musa berkata: “Wahai Harun,

Nabi Musa pula rasa Nabi Harun tidak menjalankan tanggungjawab mengganti baginda sepeninggalan baginda naik ke Bukit Thur.

ما مَنَعَكَ إِذ رَأَيتَهُم ضَلّوا

apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,

Menghalang dari buat apa? Kita akan lihat apakah yang dimaksudkan oleh Nabi Musa dalam ayat yang seterusnya. Nabi Musa menegur Nabi Harun kerana seolah-olah Nabi Harun tidak menghalang pun kaumnya menyembah patung itu.


Ayat 93:

أَلّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيتَ أَمري

Sahih International

From following me? Then have you disobeyed my order?”

Malay

“Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”

أَلَّا تَتَّبِعَنِ

“Daripada menurutku?;

Turut apakah yang dimaksudkan? Iaitu menurut apa yang baginda telah ajar kepada Nabi Harun. Sebelum itu baginda sudah ajar Nabi Harun apakah yang kena buat semasa baginda tiada.

Atau, ada makna kedua: kalau mereka tak mahu dengar kata-katamu, kenapa tak turut datang kepadaku? Kenapa tak datang cari aku di Bukit Thursina?

Tapi bilakah masa yang sepatutnya Nabi Harun meninggalkan mereka? Seperti yang kita tahu, seorang Nabi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyedarkan kaumnya. Dia tentunya akan terus memujuk mereka untuk meninggalkan perbuatan syirik yang mereka buat itu.

Tapi satu pendapat mengatakan, kata-kata Nabi Musa ini menunjukkan bahawa Nabi Harun sepatutnya meninggalkan mereka yang menyembah anak patung itu. Kerana dengan dia ada di situ, memberi hujah kepada orang yang salah. Mereka boleh kata: “Nabi Harun pun ada di sini, takkan salah?”  Walaupun Nabi Harun tidak pernah kata boleh sembah anak patung itu, tapi dengan dia ada di situ sudah cukup untuk dijadikan hujah oleh orang yang jahil.

Begitulah juga kita yang ada ilmu. Jangan bercampur dengan orang yang buat maksiat. Sebab kalau kita dipandang sebagai ‘orang agama’ dan kita ada bersama mereka, mereka akan sangka bahawa perbuatan mereka itu tidak salah (“ustaz tengok tak tengur pun…. takkan salah?”). Maka, kalau ada yang buat maksiat atau buat dosa, kita kena tinggalkan mereka.

 أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي

Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”

Sekarang kita boleh nampak yang Nabi Musa sudah beremosi. Sebab baginda juga manusia. Dalam riwayat hadis juga ada mengatakan bahawa baginda seorang yang panas baran. Dalam surah Taha ini pun, kita telah belajar bagaimana baginda dalam kemarahan baginda, telah memukul seorang bangsa Qibti dan telah menyebabkan kematiannya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 83 – 87 (Kisah Samiri)

Taha Ayat 83: Ini adalah tentang kejadian di Bukit Thursina, semasa Nabi Musa diarahkan untuk naik mengambil Kitab Taurat untuk dijadikan panduan hidup kepada Bani Israil. Nabi Musa telah disuruh Allah untuk datang dan bermunajat dan berpuasa selama 30 hari. Dan kemudian 30 hari itu telah ditambah menjadi 40 hari.

Dalam ayat 80 sebelum ini, telah disebutkan tentang perjanjian Allah dengan Bani Israil di sebelah kanan Bukit Thursina. Jadi ini adalah tambahan maklumat tentang cerita itu.

وَما أَعجَلَكَ عَن قَومِكَ يا موسىٰ

Sahih International

[ Allah ] said, “And what made you hasten from your people, O Moses?”

Malay

Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa?.

 

وَمَا أَعْجَلَكَ

Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari

Kalimah أَعْجَلَ bermaksud ‘cepat’, ‘kelam kabut’.

 

عَن قَوْمِكَ

lebih dahulu dari kaum engkau?

Nabi Musa telah datang lebih awal dari kaumnya. Perkataan عَن  digunakan kerana ada maksud yang tidak disebut dalam ayat ini. Maksud Allah dalam ayat ini: “Kenapa kau tinggalkan kaummu?”

Ada dalam ayat sebelum ini menyebut berkenaan perjanjian dengan kaumnya untuk datang ke sebelah kanan Bukit Thur dan berkumpul di situ. Maknanya, mereka semua kena datang ramai-ramai ke situ tapi sebab mereka ramai, tentulah mengambil masa yang lama. Mereka semua ada beribu-ribu.

Nabi Musa pula nak cepat kerana dia kena buat iktikaf dahulu apabila dia sampai ke atas Bukit Thur nanti. Kalau dia tunggu lagi sampai semua sudah bersiap, dia tahu yang dia akan jadi lambat. Jadi dia pergi dulu. Waktu itu kaumnya tak siap kumpul lagi.

Lagipun dia tidak sabar untuk bercakap dengan Allah. Dia telah beri arahan dan meninggalkan Nabi Harun untuk meneruskan membawa mereka ke kaki Bukit Thur dan menunggu baginda di sana.

 

يَا مُوسَىٰ

wahai Musa?

Allah sedang menegur Nabi Musa dalam ayat ini. Hanya Allah sahaja yang boleh menegur para Nabi. Jadi jangan kita ada prasangka yang tidak baik terhadap Nabi Musa dan juga pada mana-mana Nabi. Mereka insan terpilih yang menjalankan tugas dari Allah. Semua yang berlaku adalah dalam perancangan Allah.


 

Taha Ayat 84: Nabi Musa beri jawapan kenapa baginda datang awal dan meninggalkan kaum baginda.

قالَ هُم أُولاءِ عَلىٰ أَثَري وَعَجِلتُ إِلَيكَ رَبِّ لِتَرضىٰ

Sahih International

He said, “They are close upon my tracks, and I hastened to You, my Lord, that You be pleased.”

Malay

Nabi Musa menjawab: “Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku”.

 

قالَ هُم أُولاءِ عَلىٰ أَثَري

Nabi Musa menjawab: “Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini;

Nabi Musa kata mereka itu ada di belakang baginda di bawah bukit. Maknanya Nabi Musa hendak kata bahawa kaumnya tidak jauh dari situ. Dari bahasa yang digunakan, menunjukkan bahawa Nabi Musa boleh nampak lagi mereka di kaki bukit. Baginda telah naik ke atas bukit, tapi baginda boleh tunjuk mereka.

 

وَعَجِلتُ إِلَيكَ رَبِّ لِتَرضىٰ

dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku;

Sekarang Nabi Musa menjelaskan kenapa baginda datang awal dan meninggalkan kaumnya di belakang. Baginda naik awal kerana kepada baginda, lebih cepat jumpa, lebih lagi Allah redha.

Ini juga mengajar kita, apabila Allah panggil, memang kena terus buat. Macam solat, kita kena cepat dirikan solat. Jangan lengah-lengahkan. Surah Taha ini memang banyak memberi isyarat tentang kepentingan menyegerakan solat.

Tapi dalam hal ini, bukan itu yang Allah kehendaki. Kes ini lain dari yang umum. Sebab itu Allah tegur baginda dalam ayat ini. Tapi ingat, kita kena menjaga adab dengan Nabi-nabi Allah, supaya jangan kita cari silap mereka. Mereka adalah manusia yang mulia. Jadi kita kena berhati-hati dalam menafsirkan ayat Qur’an sebegini.

Cuma dalam ayat ini Allah sendiri yang menegur Nabi Musa, jadi kita boleh terima bahawa Allah menegur Nabi Musa kerana ada sesuatu kesilapan yang telah dilakukan. Kesilapan mereka menjadi pengajaran bagi kita untuk mengajar kita untuk mengambil pelajaran.

Apakah pengajaran itu? Memang baik untuk datang cepat, tapi lebih baik Nabi Musa datang dengan kaumnya. Kerana sudah menjadi tugasnya untuk menjaga mereka dan membawa mereka ke tempat yang telah dijanjikan. Kalau kita lihat dalam surah yang lain, Allah menceritakan tentang arahan keluar dari tempat tinggal Nabi Luth apabila kaumnya akan dihancurkan.

Waktu itu, Nabi Luth adalah yang paling akhir sekali keluar dan baginda berjalan di belakang. Itu adalah untuk memastikan bahawa semua pengikutnya yang beriman telah keluar. Begitu juga dengan sunnah Nabi Muhammad. Selalunya baginda adalah yang terbelakang sekali dalam perjalanan, kerana baginda hendak memastikan semua sahabatnya telah ada.

Jadi, kita kena pandai menilai apakah perbuatan yang terbaik dalam sesuatu keadaan. Dalam keadaan tertentu, kena buat begini, tapi dalam keadaan lain, kena buat begitu pula. Kerana keadaan tidak sama semuanya.


 

Taha Ayat 85: Oleh kerana Nabi Musa datang cepat meninggalkan kaumnya, kerana baginda tinggalkan mereka bersama dengan Nabi Harun, sebagai kafarahnya, Allah telah menguji kaumnya. Maka Allah telah berfirman:

قالَ فَإِنّا قَد فَتَنّا قَومَكَ مِن بَعدِكَ وَأَضَلَّهُمُ السّامِرِيُّ

Sahih International

[ Allah ] said, “But indeed, We have tried your people after you [departed], and the Samiri has led them astray.”

Malay

(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”

 

قالَ فَإِنّا قَد فَتَنّا قَومَكَ مِن بَعدِكَ

Maka Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah mengenakan satu ujian kepada kaummu selepas kamu naik,

Ianya adalah satu perkara biasa untuk Allah berikan ujian kepada makhlukNya. Memang dunia ini tempat ujian pun. Jadi tidaklah menghairankan sangat apabila Allah uji Bani Israil dalam hal ini.

Selepas apa yang mereka lalui dan semua yang mereka telah lihat dari mukjizat kuasa Allah dan segala rahmat yang Allah telah berikan kepada mereka, Allah nak uji mereka. Kita pun begitu juga, Allah hendak menguji kita apakah yang kita akan buat dalam sesuatu keadaan. Sama ada kita bersabar atau tidak, buat perkara ikut syariat atau tidak.

 

وَأَضَلَّهُمُ السَّامِرِيُّ

dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”;

Siapakah Samiri itu? Namanya adalah Musa Samiri. Mengikut riwayat, Nabi Musa dijaga oleh Firaun, tapi Musa Samiri telah disorok oleh emaknya ke dalam gua. Ini adalah semasa Firaun membunuh anak-anak lelaki. Ibunya pun hendak menyelamatkan dia, jadi ibunya membuat keputusan menyoroknya di dalam gua di pergunungan (ibu Nabi Musa hanyutkan baginda dalam kotak ke sungai).

Selepas meletak Samiri dalam gua, ibunya akan naik dan beri makan kepada Samiri tapi akhirnya dia tak dapat datang. Oleh kerana ibunya tidak dapat memberi makan kepadanya, Musa Samiri telah diberi makan oleh Jibrail mengikut satu riwayat. Riwayat itu ada dalam Tafsir Tabari.

Oleh itu, kita tahu bahawa Musa Samiri dijaga oleh Jibrail. Tapi akhirnya dia telah melakukan syirik dan menyebabkan kaumnya pun buat syirik juga. Oleh itu, tidak mengejutkan kalau ada manusia diberi jagaan oleh orang yang baik tapi jadi buruk.

Dan ada orang yang jadi baik apabila dewasa walaupun hidup dalam keluarga yang teruk. Musa Samiri dijaga oleh Jibrail tapi dia jadi teruk, tapi Nabi Musa dijaga oleh Firaun, tapi dia menjadi orang yang baik. Yang penting, adalah diri orang itu sendiri.

Ada berbagai pendapat lagi yang mengatakan tentang siapakah Samiri itu. Ada kata dia adalah dari bangsa Qibti. Kononnya dia telah terima Islam tapi dia seorang munafik. Ada yang kata dia dari Bani Israil tapi munafik. Ada pula yang kata dia orang luar, bukan Bani Israil dan bukan dari bangsa Qibti, tapi dia telah datang ke Mesir dan telah masuk ke dalam perkumpulan umat Nabi Musa.

Semua itu tidak dapat dipastikan. Ini biasa sahaja kalau melibatkan individu dalam Qur’an, ada banyak teori tentang mereka. Tidak mengapa kalau kita tidak tahu dengan tepat. Kerana kita tidak akan ditanya kepada kita di akhirat kelak samada kita kenal atau tidak siapakah Samiri itu, dari mana asalnya, apakah nama sebenarnya, tidak. Itu semua tidak penting.

Jangan fikir sangat tentang mana satukah yang benar. Allah sudah ingatkan dalam Surah Kahf supaya kita jangan terlalu hendak mengetahui perkara yang kita tidak ada maklumat yang pasti tentangnya. Yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil dari apa yang diberitahu oleh Allah. Apabila Allah tidak beritahu sejarah yang lengkap tentangnya, bermakna ianya tidak penting.

Jangan kita jadi seperti orang Yahudi yang terlalu mementingkan maklumat dengan tepat. Lihatlah apa yang terjadi kepada mereka. Mereka berilmu, tapi mereka sesat. Terlalu banyak kisah-kisah tidak elok telah masuk dalam sejarah Yahudi dan Kristian sampaikan mereka merendahkan martabat para Nabi pun ada.

Dalam ayat ini, Qur’an mengatakan bahawa Samiri lah yang menyesatkan mereka. Inilah adab dalam meletakkan punca kesesatan. Kita tidak boleh kata Allah yang menyesatkan mereka. Walaupun pada hakikatnya, semuanya dalam perancangan Allah. Kalau Allah tak benarkan mereka jadi sesat, mereka tidak akan sesat. Adabnya adalah, dalam perkara baik, kita letakkan kepada Allah. Dan dalam perkara tidak elok, kita letakkan kepada selain Allah.


 

Taha Ayat 86: Musa telah disuruh beriktikaf di Bukit Thur selama 40 hari. Dan selepas itu, Allah beritahu kaumnya telah diuji. Maka dia sekarang cepat-cepat balik.

Pengajaran dari iktikaf Nabi Musa. Ada masanya kita kena tinggalkan dunia dan menumpukan perhatian kepada Allah. Yang ringkas kita telah lakukan adalah dalam solat. Tapi dari masa ke semasa, kita kena buat iktikaf yang penuh. Lebih-lebih lagi kalau kita seorang guru atau pendakwah. Kerana kita memerlukannya.

Kerana itu Nabi Muhammad akan iktikaf di masjid selama 10 hari setiap tahun dalam bulan Ramadhan. Di hujung hayat baginda, baginda melakukannya selama 20 hari. Maksud iktikaf adalah tinggalkan dunia dan hanya mengadap Allah. Tidak langsung menghiraukan hal dunia lagi.

فَرَجَعَ موسىٰ إِلىٰ قَومِهِ غَضبانَ أَسِفًا ۚ قالَ يا قَومِ أَلَم يَعِدكُم رَبُّكُم وَعدًا حَسَنًا ۚ أَفَطالَ عَلَيكُمُ العَهدُ أَم أَرَدتُم أَن يَحِلَّ عَلَيكُم غَضَبٌ مِن رَبِّكُم فَأَخلَفتُم مَوعِدي

Sahih International

So Moses returned to his people, angry and grieved. He said, “O my people, did your Lord not make you a good promise? Then, was the time [of its fulfillment] too long for you, or did you wish that wrath from your Lord descend upon you, so you broke your promise [of obedience] to me?”

Malay

Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; dia berkata: “Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?”

 

فَرَجَعَ مُوسَىٰ إِلَىٰ قَوْمِهِ

Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya

Setelah mendapat maklumat yang kaumnya telah disesatkan oleh Samiri, maka Nabi Musa segera pulang bertemu mereka.

 

غَضْبَانَ

dengan perasaan marah;

Tentulah baginda marah kerana mereka sembah patung anak lembu. Mereka telah melakukan syirik dengan terang terangan.

 

أَسِفًا

dan dukacita;

Dalam perasaan marah itu juga, tentulah baginda sangat-sangat sedih dengan apa yang mereka telah perbuat.  Sedih kerana mereka tidak taat kepadanya dan kepada Allah. Dia telah mengajar mereka selama hari ini untuk menyembah Allah dan sekarang mereka boleh sanggup menyembah selain dari Allah?

Baginda sedih kepada orang yang disesatkan dan kepada yang menyesatkan (Samiri). Begitulah hati seorang Nabi, walaupun marah tapi dalam masa yang sama dia sedih dengan kaumnya yang telah melakukan kesalahan itu. Kerana yang para Nabi itu sangat mengharapkan keselamatan kaum mereka. Kalau mereka melakukan perkara yang salah, mereka amat sedih.

Nabi Musa cepat-cepat bertemu dengan kaumnya dan terus meletakkan Kitab Taurat. Sedikit maklumat: Kitab Taurat turun siap bertulis. Bukan seperti Qur’an yang diturunkan sedikit demi sedikit.

 

قَالَ يَا قَوْمِ

Dia berkata: “Wahai kaumku!

Pertamanya, baginda telah bertanya kepada kaumnya dahulu kenapa mereka lakukan kesalahan yang amat berat itu.

 

أَلَمْ يَعِدْكُمْ رَبُّكُمْ وَعْدًا حَسَنًا

Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik?

Iaitu perjanjian hendak beri Kitab Taurat kepada mereka. Bukankah Allah menjanjikan kebaikan untuk mereka? Dalam Kitab Taurat itu nanti akan diberikan panduan hidup untuk mereka. Ada kebaikan yang mereka sudah dapat pun.

Sepatutnya mereka kenanglah kembali bagaimana mereka telah diselamatkan dari Firaun dan mendapat kehidupan yang baru. Dan banyak lagi kebaikan yang telah mereka dapati dari Allah.

Hanya ada dua sebab kenapa kamu sanggup buat begini:

 

أَفَطَالَ عَلَيْكُمُ الْعَهْدُ

Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu?

Yang pertama mungkin menyebabkan mereka sanggup buat begitu adalah kerana mereka rasa pemergian baginda selama 40 hari itu terlalu panjang. Adakah itu satu masa yang amat lama untuk mereka tunggu? Tentulah tidak.

Atau adakah sebab sudah lama mereka tak dapat janji dipenuhi? Sebab itukah mereka jadi sesat? Itu juga adalah satu alasan yang tidak munasabah. Mereka telah lihat sendiri dengan mata kepala mereka bagaimana mereka telah diselamatkan dari Firaun dan bagaimana laut telah dibelah. Kejadian itu baru lagi. Takkan mereka perlukan lagi kejadian sebegitu juga?

 

أَمْ أَرَدْتُمْ أَنْ يَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبٌ مِنْ رَبِّكُمْ

Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu;

Atau sebab kedua, adakah mereka memang hendak buat Allah marah? Kalau inilah yang mereka hendak, memang sudah teruk sangat perangai mereka. Bermakna, ada keinginan dalam hati mereka untuk mencari kemurkaan Allah.

Azab itu dari Allah yang berada di atas, maka kalimah يَحِلَّ bermaksud menurunkan. Kalimah يَحِلُّ dari katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; mengubah tempat; membuat dibenarkan; membenarkan.

Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Jadi sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

 

فَأَخْلَفْتُمْ مَوْعِدِي

lalu kamu melanggari perjanjian kamu denganku?

Adakah kerana salah satu sebab yang disebut di atas menyebabkan mereka melanggar perjanjian? Iaitu perjanjian untuk menunggu Nabi Musa dengan membawa Kitab Taurat.


 

Taha Ayat 87: Ini adalah alasan yang mereka berikan apabila Musa marah kepada mereka. Yang menyembah patung itu sebanyak 70 orang sahaja.

قالوا ما أَخلَفنا مَوعِدَكَ بِمَلكِنا وَلٰكِنّا حُمِّلنا أَوزارًا مِن زينَةِ القَومِ فَقَذَفناها فَكَذٰلِكَ أَلقَى السّامِرِيُّ

Sahih International

They said, “We did not break our promise to you by our will, but we were made to carry burdens from the ornaments of the people [of Pharaoh], so we threw them [into the fire], and thus did the Samiri throw.”

Malay

Mereka menjawab: “Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga “Samiri” mencampakkan apa yang dibawanya.

 

قَالُوا مَا أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا

Mereka menjawab: “Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kehendak kami;

Mereka kata mereka bukan sengaja nak buat apa yang mereka buat itu.

 

وَلَٰكِنَّا حُمِّلْنَا أَوْزَارًا

tetapi kami telah dibebankan membawa

Mereka beri alasan kerana mereka terbeban kerana membawa sesuatu. Apakah yang dimaksudkan?

 

مِّن زِينَةِ الْقَوْمِ

barang-barang perhiasan kaum itu,

Satu pendapat mengatakan mereka pinjam barang kemas tuan-tuan mereka dari bangsa Qibti kerana nak bagi alasan bahawa mereka ada keramaian. Itulah helah yang mereka akan gunakan untuk melarikan diri nanti. Mereka kata mereka akan berkumpul untuk satu keramaian kaum Bani Israil. Oleh itu, mereka hendak pinjam barang perhiasan dari tuan-tuan mereka.

Waktu itu mereka sudah disuruh berkumpul. Jadi mereka beri alasan bahawa mereka keluar berkumpul kerana hari perayaan mereka. Ini supaya tuan mereka dari bangsa Qibti tidak syak apabila mereka beramai-ramai keluar nanti.

Dalam kesibukan mereka melarikan diri, mereka bawa sekali barang kemas itu, kerana tentu mereka tak sempat nak pulangkan. Maka, mereka terasa beban kerana membawa barang yang bukan kepunyaan mereka. Mereka rasa bersalah kerana membawa harta yang bukan milik mereka.

 

فَقَذَفْنَاهَا

maka kami mencampakkannya;

Kerana rasa beban itu, mereka telah mencampakkan perhiasan itu semua ke dalam api.

Ia mungkin arahan dari Nabi Harun. Nabi Harun memberitahu kepada mereka bahawa salah untuk mereka masih pegang barang-barang kemas itu, kerana itu bukan hak mereka. Maka mereka disuruh untuk leburkan. Itulah syariat yang diberikan kepada mereka.

Ada yang kata Samiri yang suruh mereka buat begitu. Dialah yang buat lubang dan suruh kaumnya itu membuang barang perhiasan ke dalam lubang itu. Dikatakan dia buat begitu kerana dia pun hendak dapat kedudukan seperti Nabi Musa juga di mata kaumnya. Maka dia hendak melakukan sesuatu yang hebat semasa ketiadaan Nabi Musa.

 

فَكَذَٰلِكَ أَلْقَى السَّامِرِيُّ

maka demikianlah juga “Samiri” mencampakkan;

Selepas kaum Bani Israil mencampakkan perhiasan itu ke dalam api, Samiri kemudian telah mencampakkan apa yang dibawanya ke dalam lubang itu itu.

Samiri telah mencampakkan ‘sesuatu’ ke dalam leburan itu. Satu pendapat mengatakan Samiri melemparkan juga barang perhiasan yang ada padanya dan juga tanah bekas tempat pijak Jibrail yang menjaganya.

Atau perkataan أَلْقَى juga boleh bermaksud: buat sesuatu dengan barang kemas  itu. Dia adalah seorang yang pandai mengukir. Jadi, apabila emas itu telah lebur, dia telah mengukir patung anak lembu dari leburan barang kemas itu.

Ada satu lagi pendapat yang kata takkan bangsa Qibti akan beri pinjam barang kemas mereka kepada hamba-hamba mereka. Itu tidak logik. Dan tentunya Nabi Musa mesti tidak akan beri mereka bawa pergi barang kemas itu pergi bersama mereka kerana itu bukan hak mereka.

Tidak molek seorang Nabi membenarkan perkara itu terjadi. Semasa Nabi Muhammad hendak berhijrah, baginda telah tinggalkan Ali untuk selesaikan amanah yang diberikan kepadanya. Kerana ada orang-orang yang mengamanahkan barang mereka dengan Nabi kerana baginda adalah orang yang boleh dipercayai memegang amanah. Gelaran baginda pun adalah al-Amin.

Semasa baginda berhijrah, baginda suruh Ali tinggal dahulu dan mengembalikan barang-barang itu kepada tuannya. Maknaya, seorang Nabi tidak akan membenarkan kaumnya melakukan kesalahan membawa pergi benda yang bukan hak mereka.

Oleh itu, pendapat kedua ini mengatakan bahawa yang berkata-kata memberi alasan itu adalah ketua-ketua puak. Sebagai ketua, mereka adalah pemegang amanah barang-barang kemas puak mereka. Samiri yang telah suruh puak-puak itu untuk minta balik barang kemas mereka kerana dia nak jadikan patung.

Samiri telah menghasut orang ramai untuk minta barang kemas mereka kepada ketua-ketua kaum itu. Maka, mereka ramai-ramai datang kepada ketua-ketua mereka meminta barang kemas mereka untuk diberikan kepada Samiri. Itulah beban yang mereka maksudkan. Apabila puak mereka telah mendesak, jadi mereka terpaksa beri.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat-ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Taha


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 77 – 82 (Bani Israil selamat menyeberangi laut)

Taha Ayat 77: Selepas kejadian pertandingan dengan ahli-ahli sihir itu, Bani Israil kemudiannya diperintah oleh Allah untuk membuat penempatan yang baru. Tidak lagi mereka tinggal di celah-celah rumah tuan mereka dari kaum Qibti.

Ini adalah supaya senang untuk mereka beribadat dan supaya senang mereka berpindah nanti. Ini adalah perancangan Allah. Apabila telah sampai masa, mereka diarahkan untuk melarikan diri dari Mesir. Kita sudah sampai ke kisah itu sekarang.

Selepas kejadian dengan tukang sihir, Firaun semakin kejam lagi. Oleh kerana Nabi Musa mengatakan Firaun tidak boleh lagi menyeksa mereka, Firaun membalas dengan berlaku lebih kejam lagi. Kadang-kadang kalau orang yang degil dilarang dari buat sesuatu, lagi dia nak buat apa yang dilarang itu kerana dia hendak melawan, bukan? Begitulah Firaun.

Allah kemudiannya telah memberi berbagai bala kepada Firaun dan Mesir. Bala-bala itu disebut dalam Surah A’raf. Setiap kali bala itu diterima, Firaun akan minta Nabi Musa berdoa supaya bala itu diangkat dan dia berjanji kalau bala itu diangkat, dia akan membenarkan Bani Israil ikut Nabi Musa. Tetapi, setiap kali bala itu diangkat, dia akan tipu dengan kata dia tidak pernah kata yang dia pernah berjanji akan membebaskan Bani Israil.

Dalam Qur’an banyak disebutkan tentang puak-puak yang jahat. Tapi tidak pernah ada manusia jahat yang disebut dalam Qur’an yang diberi peluang berkali-kali macam Firaun. Itu menunjukkan betapa pemurahNya Allah, kerana memberi peluang kepada Firaun untuk bertaubat walaupun berkali-kali dia menipu. Kejadian itu semua bertahun-tahun lamanya, bukan dalam masa yang sekejap.

Bandingkan dengan kesusahan yang hampir sama yang dilalui semasa Nabi dan para sahabat berada di Mekah. Salah satu tujuan Allah dalam Surah Taha ini adalah untuk menyabarkan Nabi dan para sahabat. Kerana mereka waktu itu ditindas dengan teruk oleh bangsa Quraish. Sebab itu Allah bawa kisah Nabi Musa dan kaumnya.

Apabila sahabat mengadu kepada Nabi Muhammad, baginda akan meminta mereka bersabar dan mengingatkan mereka bahawa ada kaum sebelum mereka yang mengalami penindasan yang lebih teruk dari mereka.

وَلَقَد أَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَن أَسرِ بِعِبادي فَاضرِب لَهُم طَريقًا فِي البَحرِ يَبَسًا لا تَخافُ دَرَكًا وَلا تَخشىٰ

Sahih International

And We had inspired to Moses, “Travel by night with My servants and strike for them a dry path through the sea; you will not fear being overtaken [by Pharaoh] nor be afraid [of drowning].”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar mengembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam”.

 

وَلَقَدْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa:

Apabila telah sampai masanya, Bani Israil telah diarahkan keluar dari Mesir. Rancangan telah bermula dan arahan telah diberikan kepada Nabi Musa. Nanti arahan juga akan diberikan kepada Nabi Muhammad juga untuk berhijrah ke Madinah. Maka kisah-kisah penghijrahan ini menjadi isyarat kepada hijrah yang perlu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad juga. Hijrah yang pertama dilakukan ke Habashah.

 

أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي

Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu keluar mengembara pada waktu malam;

Kalimah أَسْرِ bermaksud ‘berjalan waktu malam’. Tapi kenapa dalam ayat pertama Surah Isra’, disebutkan lagi perkataan ‘لَيْلًا’? Bukankah dalam ayat itu sudah ada perkataan أَسْرَىٰ yang sudah bermaksud ‘malam’? Itu adalah kerana dalam surah Isra’ itu, Allah hendak menekankan bahawa perjalanan isra’ Nabi itu adalah dalam satu dari bahagian malam sahaja, bukan keseluruhan malam.

Allah tekankan peristiwa ajaib itu kerana waktu itu, dari segi kemajuan teknologi tidak boleh langsung kalau hendak berjalan malam sampai ke BaitulMaqdis melainkan dengan mukjizat Allah. Sebab itu Allah tambah perkataan ‘لَيْلًا’ itu. Oleh itu, dalam Surah Isra’ itu, لَيْلًا itu bermaksud ‘dalam satu bahagian malam’.

Perjalanan malam bukanlah mudah. Cuaca sejuk, jalan tak nampak dan tidak tahu apakah yang akan menyerang mereka. Tapi mereka ikut juga kerana arahan dari Allah telah dikeluarkan.

Tujuan mereka adalah untuk pergi ke BaitulMaqdis. Iaitu tempat asal bangsa Israil. Apabila mereka sampai ke Laut Merah, ada dari golongan dari Bani Israil yang mula mengata-ngata kepada Nabi Musa. Kerana waktu itu puak Qibti yang sedar mereka tiada di rumah mereka, telah mengejar Bani Israil.

Apabila mereka sampai, mereka nampak Bani Israil sudah di pantai. Bani Israil pun nampak puak-puak Qibti yang tidak jauh dari mereka. Maka mereka kata kepada Nabi Musa, apakah yang baginda telah buat kerana mereka akan ditangkap? Itu menunjukkan betapa lemahnya iman Bani Israil itu.

Kalimah أَوْحَيْنَا dalam bentuk jamak. Allah menggunakan kata ganti nama ‘Kami’ kerana menunjukkan Kekuasaan Allah. Tapi dalam ayat بِعِبَادِي digunakan kata ganti mufrad untuk menunjukkan kemesraan. Apabila Allah menggunakan kalimah ‘Aku’ dalam Qur’an, Allah hendak menunjukkan kemarahan yang tinggi atau kasih sayang yang tinggi.

Apabila Bani Israil menyalahkan Nabi Musa, baginda menjawab bahawa Allah bersamanya dan tidak akan meninggalkan mereka. Ini disebut dalam ayat yang lain (kena baca ayat-ayat lain untuk mendapatkan kisah penuh). Maka, sekarang Allah berfirman seterusnya:

 

فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِي الْبَحْرِ

kemudian pukullah, untuk mengadakan jalan bagi mereka di laut itu;

Nabi Musa disuruh memukul laut itu dengan tongkatnya. Maka, ianya adalah satu perintah dari Allah. Maka, kerana itu ianya dinamakan mukjizat. Hanya apabila Allah beri arahan baru tongkat itu jadi mukjizat.

Ini berbeza dengan perbuatan sesetengah golongan yang boleh melakukan perkara yang ajaib setiap kali mereka mahu. Setiap kali mereka hendak sahaja, boleh terjadi. Itu adalah sihir, bukan karomah. Kalau mukjizat dan karomah, ianya hanya akan terjadi dengan kehendak Allah.

Macam dalam ayat ini, apabila disuruh pukul dengan tongkat laut itu, barulah laut itu boleh terbelah. Kalau selepas itu, Nabi Musa sengaja nak pukul laut tanpa arahan Allah, laut itu tidak akan terbelah.

Laut yang dimaksudkan adalah Laut Merah. Apabila laut itu terbelah, setiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

 

يَبَسًا

yang kering;

Setelah laut itu dibelah, sepatutnya tentulah laluan itu basah kerana itu adalah dasar laut, bukan? Maka Allah mengirimkan angin untuk mengeringkan tanah tapak lautan itu, jadi seperti tapak tanah di bumi. Mengikut riwayatnya, terjadi 12 lorong. Mereka semuanya dalam 70 ribu orang Bani Israil semua sekali. Termasuk sekali dengan orang Qibti yang masuk Islam.

Kebanyakan dari mereka, ada yang masih tidak beriman dengan Nabi Musa. Tapi mereka adalah kaum-kaum Nabi Musa, maka mereka ikut sekali apabila diperintah pergi. Mereka bawa sekali apa yang mereka boleh bawa bersama mereka. Mereka ada yang bawa binatang ternakan dan ada yang berjalan kaki. Tentulah mengambil masa untuk mengumpul mereka semua sekali.

Ada juga orang Yahudi yang meminjam peralatan barang kemas dari tuan mereka orang Qibti apabila mereka ada majlis keraian. Itu adalah hak milik orang Qibti, bukan hak mereka kerana mereka meminjam sahaja. Bayangkan dengan segala apa yang bawa itu, tentulah mereka hanya dapat berjalan dengan perlahan.

Orang-orang Firaun hanya dapat tahu mereka tidak ada, pada keesokan harinya. Mereka sedar kerana hamba-hamba mereka tidak datang kerja semua sekali (mereka sudah duduk di penempatan yang lain). Apabila sedar, barulah mereka beritahu semua orang. Termasuk Firaun telah diberitahu. Kemudian mereka mengumpulkan semua orang sekali untuk mengejar Bani Israil. Dikatakan, sejumlah sejuta orang yang dikumpul, kalau mengikut riwayat.

Maka dasar laut itu kering. Ia jadi kering terus dan ini adalah suatu yang ajaib. Berselut pun tidak sedangkan kalau ikut akal, kalau air sudah tiada, tentulah ada sedikit basah pada dasarnya yang berselut. Kalau berselut pun sudah boleh lalu sebenarnya tapi Allah nak mudahkan kepada Bani Israil itu lalu melalui laluan laut itu. Begitulah sayangnya Allah kepada makhlukNya.

 

لَا تَخَافُ دَرَكًا

janganlah engkau menaruh bimbang daripada tersusul oleh musuh;

Allah tenangkan hati Nabi Musa dengan memberitahu yang mereka tak akan dikejar sampai mereka boleh dipotong oleh Firaun dan bangsa Qibti lainnya. Maksudnya, mereka tidak akan ditangkap.

Memang Firaun dan tenteranya telah dapat melihat Bani Israil dan kaum Bani Israil pun dapat melihat tentera Firaun yang semakin mendekat. Tapi Allah memberitahu mereka bahawa mereka tidak perlu takut kerana Allah akan menyelamatkan mereka.

 

وَلَا تَخْشَىٰ

dan jangan pula engkau takut;

Makna yang utama adalah jangan takut tenggelam. Bayangkan yang laut itu lebih kurang 20 KM antara jarak dari tebing ke tebing. Mungkin mengambil masa sehari suntuk untuk menyeberang. Satu puak satu lorong kerana telah dijadikan dua belas lorong. Semasa menyeberang, orang Yahudi nampak orang Qibti tapi mereka terhalang oleh sesuatu yang menyebabkan mereka tidak dapat menangkap orang Yahudi.

Laut itu pula seribu kaki dalamnya. Sebelah menyebelah adalah laut yang tinggi menggunung yang boleh menghempap mereka bila-bila masa sahaja. Maka tentulah mereka takut kalau air laut yang terbelah itu jatuh ke atas mereka. Maka Allah suruh mereka tenang kerana mereka akan selamat. Ini adalah janji Allah.

Tapi Allah tak kata: “jangan takut tenggelam” dalam ayat ini. Maknanya, perkataan ‘jangan takut’ itu juga boleh dibaca dalam bentuk umum. Maknanya jangan takut apa-apa sahaja. Cuma Mufassir mengambil maksud utama yang mereka tidak perlu takut adalah ‘takut tenggelam’ kerana inilah yang jelas nampak perkara yang mereka patut paling takut. Tapi tentunya ada lagi perasaan takut mereka yang macam-macam. Itu semua pun Allah kata jangan takut.


 

Taha Ayat 78: Apabila bangsa Qibti melihat apa yang telah terjadi, bagaimana laut telah terbelah, mereka tentunya amat terkejut. Firaun nampak wajah mereka telah berubah – nampak macam mereka nampak ada kebenaran pada Nabi Musa dan Harun.

Tapi Firaun amat bijak. Dia kata kononnya dialah yang menyebabkan laut itu terbelah. Dia kata: “tengoklah apa yang aku sudah buat ini.” Kononnya dialah yang membelah laut itu.

فَأَتبَعَهُم فِرعَونُ بِجُنودِهِ فَغَشِيَهُم مِنَ اليَمِّ ما غَشِيَهُم

Sahih International

So Pharaoh pursued them with his soldiers, and there covered them from the sea that which covered them,

Malay

Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu dia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.

 

فَأَتبَعَهُم فِرعَونُ بِجُنودِهِ

Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya,

Kemudian dia suruh askarnya mengejar Bani Israil itu. Maka semua mereka masuk ke dalam belahan laut itu dan mengejar Bani Israil termasuk Firaun sekali.

 

فَغَشِيَهُمْ مِنَ الْيَمِّ

lalu mereka diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya;

Dalam ayat ini adalah cerita yang ringkas. Apabila Bani Israil telah melepasi laut itu, dan Firaun dan tenteranya juga sedang di dalam belahan laut itu, Allah telah menutup kembali laut itu dan air laut telah menghempap Firaun dan tenteranya sampai mereka semuanya mati.

Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana Bani Israil suruh Nabi Musa menutup kembali laut yang dibelah itu supaya Firaun dan tenteranya tidak dapat masuk. Kerana mereka tidak tahu perancangan Allah untuk membunuh semua sekali dinasti Firaun. Dalam ayat lain, ada mengatakan bahawa Firaun pada waktu itu telah mengucap. Tapi syahadah dia tidak diterima waktu itu.

 

مَا غَشِيَهُمْ

dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.

Pengulangan perkataan ini adalah satu penggunaan bahasa dalam bahasa Arab untuk menunjukkan kedahsyatan kejadian itu. Tidak dapat dibayangkan bagaimana dahsyatnya kejadian itu.

Bani Israil nampak sendiri dengan mata kepala mereka bagaimana Firaun dan tenteranya telah dihempap dengan laut dan telah ditenggelamkan laut. Bandingkan dengan kaum-kaum lain yang telah dihancurkan oleh Allah kerana menentang Rasul mereka. Mereka itu tidak dapat melihat bagaimana kaum mereka yang sesat dihancurkan oleh Allah. Mereka telah disuruh meninggalkan tempat mereka kerana Allah nak hancurkan semua yang sesat. Dan mereka tidak dibenarkan menoleh untuk melihat pun apa yang terjadi kepada kaum mereka yang menentang itu.

Walaupun Bani Israil sudah nampak Firaun dan tenteranya ditenggelamkan, mereka masih takut lagi. Mereka takut kalau-kalau Firaun masih dapat hidup lagi dan boleh timbul mana-mana tempat. Ini kerana mereka amat takut dengan Firaun dan takut sangat kalau dia terselamat.

Maka mereka minta kepada Nabi Musa untuk tengok sendiri mayat Firaun. Maka Allah telah memakbulkan permintaan mereka itu dan melontarkan mayat Firaun ke darat supaya mereka dapat lihat bahawa benar-benar Firaun telah mati.

Kepada kaum lain, Allah akan hancurkan tempat asal mereka sampai tidak tinggal kesan. Tapi dalam kes Bani Israil, Allah hanya membunuh Firaun, tentera dan orang-orang Qibti yang bersamanya, tapi Allah biarkan negara Mesir tidak terjejas. Ini adalah kerana Mesir hendak diberikan kepada orang lain (mungkin Bani Israil sendiri, mengikut satu pendapat). Ia seperti Allah keluarkan sampah dan buang sampah keluar tapi rumah tidak dirosakkan atau dibakar.


 

Taha Ayat 79:

وَأَضَلَّ فِرعَونُ قَومَهُ وَما هَدىٰ

Sahih International

And Pharaoh led his people astray and did not guide [them].

Malay

Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah dia membawa mereka ke jalan yang benar.

 

وَأَضَلَّ فِرْعَوْنُ قَوْمَهُ

Dan dengan itu Firaun telah menyesatkan kaumnya,

Firaun sebagai pemimpin telah menyebabkan kaumnya sesat. Dia yang bertanggungjawab.

Ini adalah tentang tanggungjawab pemimpin seperti ahli politik dan mereka yang ada pangkat. Setiap manusia adalah pemimpin kepada orang bawahannya. Dan setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan kepada orang bawahan kita. Sama ada kita telah pimpin mereka dengan baik atau tidak.

Ramai orang nak jadi pemimpin tapi lupa dengan tanggungjawab sebagai pemimpin. Tapi ramai yang lupa yang mereka akan ditanya di hadapan Allah sama ada mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Itulah yang sepatutnya merisaukan pemimpin. Memang boleh jadi pemimpin, tapi kenalah sedar dengan tanggungjawab berat yang kita pikul itu.

Kita kena berjaga-jaga apabila diberikan dengan tugas sebagai pemimpin. Kena pandai menilai. Sepatutnya pemimpin kena bawa rakyat bawahannya ke arah iman dan dan ke arah menghambakan diri kepada Allah. Sahabat-sahabat dan alim ulama silam ada yang langsung tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan kepada mereka kerana mereka sedar tentang bahayanya memegang jawatan itu. Kerana tanggungjawab yang amat berat dan kalau mereka rasa mereka tidak mampu dan tidak layak, mereka tidak terima.

Tapi dalam masa yang sama, kadang-kadang kita perlu untuk menjadi pemimpin. Kerana kalau bukan orang yang baik yang jadi pemimpin, orang yang jahat pula yang akan mengambil alih. Itulah sebabnya dikatakan bahawa kita kena pandai menilai. Kadang-kadang kita kena memegang tampuk pemerintahan supaya ianya tidak jatuh ke tangan orang yang salah.

Firaun memang terbukti bersalah, tapi rakyatnya juga bersalah. Kerana mereka tidak melakukan apa-apa untuk menentang Firaun kerana takut. Dan mereka mengikut sahaja kesalahan yang dilakukan oleh Firaun itu. Mereka membutakan mata mereka atas kesalahan dan dosa yang dilakukannya.

Oleh itu, bukanlah pemimpin sahaja yang bersalah. Rakyat juga bersalah kerana mengikut pemimpin mereka yang salah. Kerana bukan semua rakyat Qibti mengikut telunjuk Firaun sahaja. Kerana ada sahaja yang tidak mengikut Firaun dan mereka telah selamat. Sebagai contoh, Asiah, isteri Firaun, tukang-tukang sihir dan ada juga bangsa Qibti dari kalangan keluarga Firaun sendiri yang beriman tapi menyembunyikan keimanannya.

Mereka itu tidak terikut masuk dalam kepompong kesesatan Firaun. Oleh itu, kita sebagai rakyat juga kena hati-hati dalam memilih pemimpin dan mengikuti pemimpin. Kalau pemimpin salah, janganlah kita ikut mereka.

Firaun telah menyesatkan kaumnya dalam dunia dan akhirat. Dalam dunia, dia telah salah membawa mereka masuk ke dalam laut yang terbelah itu dan dalam hal akhirat, Firaun telah menyesatkan kaumnya dengan mengatakan dia adalah tuhan, dan rakyatnya mengikutinya. Jadi, Firaun juga penyebab kepada kaumnya masuk neraka.

 

وَمَا هَدَىٰ

dan tidaklah dia membawa mereka ke jalan yang benar;

Firaun telah menutup jalan hidayah kepada rakyatnya. Apabila Nabi Musa dan Harun datang membawa kebenaran, dia telah menyekat mereka berdua dan menentang mereka. Itu adalah satu kesalahan yang besar. Kalaupun seorang pemimpin itu tidak pandai untuk mengajar rakyatnya, tapi jika ada yang boleh mengajar, dia kena benarkan orang itu mengajar dan beri sokongan, bukannya menentang dan menyekat.

Ini bermakna, di zaman sekarang, kalau ada pemimpin yang tidak membenarkan dakwah dijalankan, mereka juga dianggap telah menutup jalan hidayah kepada rakyatnya. Malangnya, kita tahu banyak pemimpin telah menutup jalan ke arah kebenaran. Ramai pemimpin yang mahu rakyat mereka terus jadi jahil supaya mereka senang diurus dan ditipu.

Sepatutnya pemimpin kena membawa orang bawahannya kepada hidayah. Itu tanggungjawab pemimpin. Satu lagi perkara yang kita kena ingat, kita semua kita adalah pemimpin dan kita akan ditanya tentang orang bawahan kita. Kalau kita ketua keluarga, rakyat kita anak anak isteri; kalau seorang ibu, rakyatnya adalah anak-anaknya; kalau pengarah di syarikat, rakyatnya pula adalah pekerjanya. Semua ini akan ditanya nanti.

Firaun mendakwa niatnya adalah untuk memberi petunjuk kepada rakyatnya itu seperti yang disebut dalam Ghafir:29

قالَ فِرعَونُ ما أُريكُم إِلّا ما أَرىٰ وَما أَهديكُم إِلّا سَبيلَ الرَّشادِ

Firaun berkata: ” Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar”. 

Itu adalah dakwaannya sahaja. Realitinya, dia telah membawa rakyat ke jurang kehancuran.


 

Taha Ayat 80: Ayat ini sehingga ayat 98 adalah Perenggan Makro Keempat. Ini kisah selepas Bani Israil telah menyeberangi Laut Merah dan keluar dari bumi Mesir.

Kemudian mereka menolak arahan Allah maka mereka telah disesatkan dalam padang pasir. Kerana Allah telah sesatkan mereka, maka Allah telah memberi makanan kepada mereka sampai mereka tak payah cari makanan. Itulah nikmat besar yang telah diberikan kepada mereka.

Apabila mereka telah selamat dari Firaun, tugas Nabi Musa dan Harun adalah untuk mendidik Bani Israil. Sekarang sudah tidak perlu nak risaukan tentang Firaun lagi kerana Firaun telah mati dan mereka telah lihat dengan mata mereka sendiri bagaimana Firaun itu benar-benar telah mati.

Ayat ini juga sebagai berita gembira kepada para sahabat yang sedang ditindas di Mekah. Mereka tentunya berharap akan sampai satu masa yang mereka akan menjalani kehidupan bersyariat Islam dengan bebas. Allah nak beri isyarat bahawa sebagaimana Bani Israil dapat hidup aman selepas lama ditindas, begitu juga mereka.

Ayat ini adalah dalam bentuk ringkas. Cerita selebihnya ada dalam surah-surah lain yang melengkap kisah ini.

Semasa mereka berjalan, mereka nampak satu kaum yang menyembah berhala. Ini ada dikisahkan dalam Surah A’raf. Mereka minta pula kepada Nabi Musa untuk membuatkan berhala untuk mereka juga. Begitulah teruknya mereka dan jahilnya mereka tentang tauhid.

Oleh kerana permintaan mereka itu, mereka telah dimarahi oleh Nabi Musa. Banyak lagi kisah tentang kesesatan mereka yang mereka lakukan yang disebut dalam surah-surah yang lain. Dalam ayat ini, Allah mengingatkan mereka tentang nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

يا بَني إِسرائيلَ قَد أَنجَيناكُم مِن عَدُوِّكُم وَواعَدناكُم جانِبَ الطّورِ الأَيمَنَ وَنَزَّلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ

Sahih International

O Children of Israel, We delivered you from your enemy, and We made an appointment with you at the right side of the mount, and We sent down to you manna and quails,

Malay

Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu, dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”,

 

يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ

Wahai Bani lsrail!

Yang dimaksudkan di sini adalah Bani Israil zaman Nabi Muhammad. Allah mengingatkan mereka kejadian semasa zaman Nabi Musa. Mereka pun tahu kisah itu, jadi ayat ini mengingatkan mereka sahaja.

 

قَدْ أَنْجَيْنَاكُمْ

Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu;

Yang diselamatkan adalah tok nenek Bani Israil telah diselamatkan pada zaman Nabi Musa.

Mereka diselamatkan sekaligus dan dengan lengkap. Selesai terus segala masalah mereka pada waktu itu. Itulah maksud أَنْجَيْنَا (Kami selamatkan) itu. Kerana ada juga disebutkan tentang Allah menyelamatkan mereka tetapi kosa kata yang berlainan digunakan. Kali ini Allah selamatkan terus mereka. Apakah maksudnya?

Ini adalah kerana kali ini, Firaun telah mati. Punca masalah mereka yang paling besar telah tiada. Bukan Firaun sahaja yang mati tapi dengan semua tenteranya dan orang Qibti yang ikut sekali. Jadi tidak akan tindak balas dari orang lain. Tidak perlu takut ada orang yang akan balas dendam, atau akan kejar mereka, atau akan tindas mereka selepas itu.

Bukan sahaja mereka telah selamat, tapi mereka diberikan dengan tempat baru untuk mereka mulakan hidup baru. Tidak ada lagi kekangan hidup seperti yang mereka alami semasa mereka di Mesir dahulu.

 

مِنْ عَدُوِّكُمْ

dari musuh kamu;

Yang dimaksudkan adalah Firaun dan pengikutnya. Punca utama masalah mereka telah selesai.

 

وَوَاعَدْنَاكُمْ جَانِبَ الطُّورِ الْأَيْمَنَ

dan Kami telah ambil perjanjian dengan kamu di sebelah kanan Gunung Tursina itu;

Yang dimaksudkan adalah perjanjian untuk taat kepada Allah dan memegang dengan teguh dan amalkan Kitab Taurat. Kejadian ini berlaku di sebelah kanan Gunung Thursina. Tempat inilah yang pertama kali Nabi Musa bercakap-cakap dengan Musa. Sekarang, dibawakan sekali Bani Israil ke tempat itu untuk menerima janji dari Allah.

Kejadian itu sama ada memang terjadi di sebelah kanan Bukit Thursina atau isyarat kepada ‘kebaikan’. Kerana ‘kanan’ selalunya dikaitkan dengan kebaikan. Sebagai contoh, telah disebut tentang mereka yang akan menerima Kitab Amalan di tangan kanan – bermaksud mereka akan mendapat kebaikan.

Sebelah kanan juga bermaksud diberkati. Sebab itu, sunnah Nabi adalah menggunakan tangan kanan dalam perkara-perkara yang baik seperti makan, minum, pakai kasut, melangkah dan sebagainya. Kalau begitu, Allah hendak mengatakan Gunung Thur adalah diberkati.

Ayat ini juga dalam bentuk yang ringkas. Dalam ayat lain dalam surah lain, disebutkan bagaimana Nabi Musa telah diarahkan Allah untuk naik ke Bukit Thursina untuk menerima Kitab Taurat. Baginda disuruh membawa sejumlah wakil dari Bani Israil dan selebihnya disuruh untuk tinggal di bawah, iaitu di sebelah kanan Bukit Thursina. Mereka disuruh berkumpul di situ untuk menunggu Nabi Musa membawa turun Kitab Taurat setelah baginda mendapatinya daripada Allah. Kisah berkenaan kejadian ini akan disambung dalam beberapa ayat lagi.

 

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ

dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”;

Iaitu diberikan kepada tok nenek mereka yang sesat di Padang Pasir Tih. Mereka diberikan dengan makanan dari langit kerana di padang pasir tidak ada makanan. Walaupun itu sebagai hukuman kepada mereka, tapi Allah tidak biarkan sahaja mereka. Mereka tetap diberikan makanan sampai tidak perlu susah nak cari makan lagi.

Perkataan نَزَّلْ yang digunakan bermaksud mereka selalu menerima Manna dan Salwa itu. Bukan sekali dua sahaja mereka dapat Manna dan Salwa itu. Bermakna, mereka sudah tidak perlu risau tentang mencari makanan. Makanan Allah akan sediakan.

Cerita panjang berkenaan perkara ini ada dalam surah lain. Mereka telah diarahkan untuk memasuki Kota Baitulmaqdis oleh Allah. Allah sudah beri arahan kepada mereka tapi mereka tidak menurut arahan itu. Kerana waktu itu, kota itu diduduki oleh satu kaum yang kuat (Puak Amaliqah). Mereka sepatutnya memerangi kaum itu kerana mereka puak yang jahat.

Tapi Bani Israil waktu itu enggan turut arahan itu sampaikan mereka suruh Nabi Musa dan Allah sahaja yang memerangi kaum itu sambil mereka menunggu sahaja di luar. Oleh kerana kurang ajar mereka itu, Allah telah murka kepada mereka dan mereka telah dihukum untuk sesat di padang pasir. Dalam riwayat dikatakan mereka telah sesat selama 40 tahun. Sewaktu mereka sesat itulah Allah turunkan makanan berupa Manna dan Salwa.

Manna mereka ambil dari pokok-pokok pada pagi hari. Ianya adalah sesuatu yang manis. Dan Salwa itu adalah seperti burung puyuh yang mereka boleh makan. Mereka boleh tangkap dengan senang untuk mereka masak. Dan ada yang berpendapat, burung itu sudah siap dimasak, mereka tinggal untuk makan sahaja.

Mereka boleh makan semua ini dengan suka hati, tapi dengan syarat mereka tidak boleh simpan. Tidak boleh simpan untuk bekal. Kerana esoknya Allah akan beri yang lain lagi. Tapi mereka telah degil dan tidak yakin dengan janji Allah, mereka masih juga simpan. Sejak mereka simpan itulah yang menyebabkan Allah menakdirkan yang daging akan jadi busuk setelah beberapa hari.

“Kalau bukan kerana bani Israil nescaya makanan dan daging kita tidak akan membusuk dan seandainya bukan kerana Hawa (isteri Nabi Adam) nescaya wanita tidak akan mengkhianati suaminya selama-lamanya.” (HR Bukhari & Muslim).

Mereka telah sesat di Padang Pasir dalam kawasan yang hanya sebesar 20KM sahaja. Tapi Allah telah sesatkan mereka juga walaupun dalam kawasan yang kecil. Mereka setiap hari akan silap arah. Mereka berpusing-pusing dalam kawasan yang kecil itu. Dan akhirnya mereka telah sesat selama 40 tahun.

Oleh kerana Allah yang menyebabkan mereka sesat, Allah jugalah yang telah memberi mereka makan. Seperti kita penjara orang, tentulah kita kena beri makan kepadanya.

Pakaian mereka tidak lusuh, tidak perlu risau nak kena buat baju atau beli baju. Dan anak mereka lahir siap dengan pakaian. Untuk meneduh mereka dari kepanasan, Allah berikan mereka awan untuk meneduh mereka.

Nabi Musa pun sekali bersama dengan mereka. Akhirnya Nabi Musa juga telah mati semasa kaumnya sesat itu. Tapi Nabi Musa itu seperti warden penjara. Walaupun warden itu duduk dalam penjara bersama dengan banduan, tapi dia boleh keluar masuk.

Bayangkan betapa pemurahnya Allah. Mereka telah diberi makan, padahal mereka waktu itu sedang dihukum. Makanan pula adalah makanan yang lazat, yang diturunkan dari langit. Maknanya, ia bukan sebarang makanan.


 

Taha Ayat 81:

كُلوا مِن طَيِّباتِ ما رَزَقناكُم وَلا تَطغَوا فيهِ فَيَحِلَّ عَلَيكُم غَضَبي ۖ وَمَن يَحلِل عَلَيهِ غَضَبي فَقَد هَوىٰ

Sahih International

[Saying], “Eat from the good things with which We have provided you and do not transgress [or oppress others] therein, lest My anger should descend upon you. And he upon whom My anger descends has certainly fallen.”

Malay

Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah dia.

 

كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Makanlah dari yang baik-baik yang Kami kurniakan kepada kamu;

Yang dimaksudkan adalah Manna dan Salwa secara khusus. Dan secara umumnya kita semua boleh makan segala makanan yang halal lagi baik. Secara umumnya, ayat ini mengingatkan kita untuk cari dan makan makanan yang halal yang Allah telah berikan kepada kita. Jangan makan yang haram.

Jangan dapatkan sumber makanan itu dari sumber yang haram. Sebagai contoh, walaupun makanan itu halal, tapi kalau kita mendapatinya dengan cara yang haram, ia akan jadi haram. Sebagai contoh, ayam adalah makanan yang halal, tapi kalau kita curi ayam itu, ianya adalah haram untuk kita makan.

 

وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ

dan janganlah kamu melampaui batas padanya;

Iaitu jangan kata Manna dan Salwa itu haram pula untuk dimakan. Ini termasuk ayat yang membicarakan tentang halal dan haram. Jika kita mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah, itu adalah perbuatan syirik. Kerana yang boleh menghalalkan dan mengharamkan adalah Allah. Kalau kita kata sesuatu makanan itu haram padahal ianya halal, kita sudah ambil kerja Allah dan itu adalah syirik.

Contohnya, perbuatan pantang memantang orang bersalin yang dibuat oleh masyarakat kita. Bidan atau orang tua-tua akan kata sesuatu makanan itu tidak boleh dimakan kerana tidak baik untuk ibu yang baru bersalin. Mereka kata tidak boleh itu tanpa memberikan apa-apa dalil dan sebab yang kuat. Hanya kerana tok nenek dulu kata tidak boleh.

Walaupun mereka tidak menggunakan perkataan ‘haram’, tapi pada dasarnya mereka telah mengharamkan sesuatu makanan itu tanpa sedar. Kerana yang boleh mengharamkan sesuatu itu hanyalah Allah. Kerana hanya Allah sahaja yang boleh mengharamkan sesuatu perkara.

Jadi, kalau ada kalangan kita yang baru bersalin, janganlah berpantang dengan sesuatu makanan itu melainkan kalau doktor yang kata tidak boleh makan. Kerana kalau doktor kata tidak boleh makan, itu adalah hasil dari kajian yang telah dilakukan. Bukan dari kata-kata kosong bidan dan orang tua-tua sahaja yang tidak ada dasar.

Sebagai contoh, bidan Melayu kata pantang orang lepas bersalin makan ayam. Tapi dalam masa yang sama, orang Cina yang baru lepas bersalin disuruh makan ayam sebab baik untuk kesihatan dan memberi tenaga kepada orang yang baru bersalin. Jadi bagaimana pula bidan Melayu kata tak elok makan ayam?

Mungkin makanan itu pernah tidak sesuai kepada seseorang suatu masa dulu, tapi itu untuk dia sahaja, bukan untuk semua orang. Begitu juga, kalau seorang perempuan itu makan dan dia tidak sesuai dengan makanan itu, barulah tahu yang makanan itu tidak sesuai untuk dia. Tapi tidaklah boleh kata makanan itu tidak sesuai untuk semua orang.

Maksud ‘jangan melampau’ itu juga bermaksud ‘jangan tidak bersyukur’. Mereka diingatkan untuk bersyukur apabila mendapat nikmat dan menggunakan nikmat dari Allah. Dengan segala nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka, sepatutnya mereka bersyukur.

Dan juga jangan menyimpan Manna dan Salwa itu sebagai bekal untuk makan esok. Kerana esok Allah akan beri Manna dan Salwa yang baru. Allah tak beri mereka simpan untuk mengajar mereka untuk percaya dan berharap hanya kepada Allah.

Tapi Bani Israil tidak percaya, takut esok tak dapat makanan, maka mereka simpan juga. Kesan dari itu, daging yang mereka simpan itu telah jadi busuk. Dan sampai sekarang daging akan rosak kalau disimpan lama. Padahal sebelum Bani Israil buat begitu, daging boleh tahan lama sebenarnya.

 

فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي

kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu;

Kalau melampau, Allah akan marah dan murka Allah tidak sama dengan murka manusia. Azab itu dari Allah yang berada di atas, maka kalimah يَحِلَّ bermaksud menurunkan. Kalimah يَحِلُّ dari katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; translokasi; membuat dibenarkan; membenarkan.

Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Jadi sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

 

وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي

dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu,

Amat malang sekali kalau dapat murka dari Allah.

 

فَقَدْ هَوَىٰ

maka pasti binasalah dia.

Pasti kebinasaan yang akan menimpa mereka yang dimurkai oleh Allah. Dan memang patut kalau Allah kenakan kemusnahan itu. Allah tidak pernah zalim dalam menghukum manusia.


 

Taha Ayat 82:

وَإِنّي لَغَفّارٌ لِمَن تابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صالِحًا ثُمَّ اهتَدىٰ

Sahih International

But indeed, I am the Perpetual Forgiver of whoever repents and believes and does righteousness and then continues in guidance.

Malay

Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.

 

وَإِنِّي لَغَفَّارٌ

Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun;

Walau bagaimana pun banyak kesalahan manusia, Allah boleh ampunkan. Malah Allah suka kalau makhluk meminta ampun kepadaNya. Allah bersedia untuk mengampunkan kita kalau kita ikhlas dalam meminta ampun kepadaNya.

Perkataan غفر ghafara bermaksud ‘menutup sesuatu’. Bermaksud apabila Allah mengampunkan dosa seseorang itu, Dia akan menutup kesalahan itu sampaikan tidak ada sesiapa yang tahu tentang dosa yang pernah dilakukannya semasa di dunia. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Dari segi nahu bahasa Arab, perkataan غفر digunakan dalam pelbagai bentuk dalam Qur’an, dengan membawa maksud yang berbagai:

    • ghaafir – mengampunkan dengan segera; Allah terus beri ampun
    • ghafuur – sentiasa dan berterusan memberi ampun kepada makhlukNya.
    • ghaffar  – memberi ampun dengan banyak. Tidak ada had kepada keampunanNya. Walaupun setinggi langit dosa makhluk itu. Perkataan inilah yang digunakan dalam ayat ini.

 

لِمَنْ تَابَ

kepada orang-orang yang bertaubat;

Allah sanggup beri ampun kepada mereka yang mahu bertaubat. Itulah syaratnya. Allah akan beri ampun kepada mereka yang mahu meminta ampun. Kena ikhlas dalam meminta ampun – jangan sebut di mulut sahaja tapi tidak sampai ke hati.

Jadi, hendaklah kita sentiasa meminta ampun kepada Allah. Kerana kita sentiasa sahaja berdosa. Jangan kita lupa untuk meminta ampun. Apabila teringat sahaja kesalahan yang kita buat, maka terus minta ampun kepada Allah. Kalau tengah memandu pun teringat tentang dosa itu, terus minta ampun. Itu bermakna Allah telah ketuk hati kita untuk mohon ampun kepadaNya.

‘Tawbah’ bermaksud kembali kepada tempat yang kita sepatutnya pergi. Bayangkan kalau kita sesat jalan semasa memandu, maka kita akan buat U-turn.  Ataupun kita telah terlepas jalan masuk yang sepatutnya kita masuk, maka kita kena U-turn. Itulah yang patut kita lakukan.

Dan kita boleh taubat bila-bila masa sahaja. Kalau memandu, kita kena cari tempat yang sesuai untuk buat u-turn, bukan boleh terus U-turn, tapi dalam memohon ampun kepada Allah, tidak perlu tunggu masa yang sesuai. Kita boleh minta ampun pada bila-bila masa sahaja. Dan sepatutnya kita terus meminta ampun kepada Allah. Jangan tangguh dalam meminta ampun.

 

وَآمَنَ

serta beriman;

Selepas minta ampun, hendaklah beriman dengan sebenar-benar iman. Hendaklah baiki iman kita, perbaharui iman kita. Yang penting, kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan ‘iman sempurna’. Iaitu iman tanpa ada syirik. Ini kena belajar keseluruhan tafsir Qur’an supaya dapat memahami ajaran tauhid dari Allah sendiri.

 

وَعَمِلَ صَالِحًا

dan beramal soleh;

Kemudian, beramal soleh adalah tanda kita sudah bertaubat. Kalau dulu kita malas solat, apabila kita sudah minta ampun, kenalah ada perubahan dalam diri kita. Kenalah jaga solat, jaga agama.

Perbuatan itu lebih besar dari cakap-cakap sahaja. Tentulah tidak diterima kita cakap sahaja kita sudah bertaubat tapi perbuatan kita sama sahaja macam dulu.

 

ثُمَّ اهْتَدَىٰ

kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.

Allah akan beri hidayah kepada sesiapa yang beriman dan beramal soleh. Apabila Allah sudah beri jalan, dengan beri hidayah, maka tugas kita adalah ikut jalan itu. Teruslah berada di atas jalan hidayah. Ini memerlukan ilmu dan kena luangkan masa untuk belajar agama dengan benar. Pertamanya, kena niat untuk habiskan tafsir Qur’an 30 juzuk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Taha


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 72 – 76 (Kuatnya iman ahli sihir)

Ayat 72: Ini adalah jawapan ahli-ahli sihir itu dengan ancaman Firaun untuk menyeksa mereka.

قالوا لَن نُؤثِرَكَ عَلىٰ ما جاءَنا مِنَ البَيِّناتِ وَالَّذي فَطَرَنا ۖ فَاقضِ ما أَنتَ قاضٍ ۖ إِنَّما تَقضي هٰذِهِ الحَياةَ الدُّنيا

Sahih International

They said, “Never will we prefer you over what has come to us of clear proofs and [over] He who created us. So decree whatever you are to decree. You can only decree for this worldly life.

Malay

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.

قَالُوا لَن نُّؤْثِرَكَ

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu

Ahli-ahli sihir itu sudah tidak mengendahkan lagi Firaun. Kalau sebelum itu, mereka hendak mendapatkan imbuhan dan upah yang banyak dari Firaun, sekarang tidak lagi. Apabila iman sudah masuk ke dalam hati mereka, mereka tidak kisah kepada perkara lain lagi.

عَلَىٰ مَا جَاءَنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ

daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata;

Iaitu kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa tadi. Mereka lebih mementingkan kebenaran daripada Firaun. Firaun sudah tidak penting di mata mereka. Macam mana mereka sampai jadi begini? Bagaimana mereka boleh jadi berani sebegini? Tidak takutkah mereka kepada Firaun yang maha zalim itu?

Kita kena ingat bahawa mereka adalah pakar dalam ilmu sihir. Dan apabila mereka lihat apa yang dilakukan oleh Nabi Musa, mereka tahu bahawa itu bukanlah sihir. Kerana mereka kenal sangat apakah sihir dan itu bukanlah sihir. Maka, mereka tahu bahawa ianya datang dari Tuhan. Maka, mereka tahu manakah yang lebih penting dan lebih benar.

Begitulah Allah menunjukkan kebenaran. Yang nampak kebenaran itu adalah orang-orang yang tahu, yang berilmu dan bijak. Mereka adalah orang yang sepatutnya boleh menilai dan mensahkan kebenaran sihir itu kerana mereka memang pakar sihir.

Begitu jugalah dengan Qur’an. Lihatlah bagaimana orang Arab yang pada masa itu amat mahir dengan bahasa telah terkesima dan terpegun apabila mereka mendengar Qur’an dibacakan. Mereka tahu bahawa ianya bukanlah bahasa manusia. Kalau ianya bukan bahasa manusia, tentulah ianya adalah Kalam Allah. Yang tidak mahu menerima itu adalah hanya mereka-mereka yang sombong.

Maka sepatutnya orang berilmu akan cepat beriman kerana mereka akan nampak kebenaran dari awal lagi. Mereka sepatutnya boleh menilai mana kaca dan mana pertama. Asalkan mereka tidak degil dan tidak sombong untuk menerima kebenaran.

وَالَّذِي فَطَرَنَا

dan Tuhan yang telah menciptakan kami;

Mereka telah sedar yang Allah lah yang telah menjadikan kita semua. Maka tentulah mereka mementingkan Allah kerana Firaun bukan buat apa pun.

Perkataan فَطَرَ bermaksud ‘yang mula-mula menjadikan’. Kerana kadang-kadang kita menjadikan sesuatu, tapi ianya diambil dari bahan-bahan yang sudah ada dalam alam. Atau kita mencipta sesuatu tapi diambil contoh dari benda lain.

Contohnya, kita cipta kereta guna besi yang Allah telah jadikan. Dan kita ambil contoh dari kereta zaman dahulu dan kita cuma baiki rekabentuk sahaja. Ini bukan فَطَرَ. Maksud فَطَرَ itu ialah menjadikan sesuatu sebelum yang sebelum itu memang tidak ada langsung. Tidak ada contoh yang digunakan untuk mencipta kita.

فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ

Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan;

Ahli-ahli sihir yang telah beriman itu cakap kepada Firaun: “buatlah apa kamu nak buat. Kami sudah buat yang kami hendak buat”. Inilah keberanian mereka sampaikan mereka berani bercakap di hadapan pemimpin zalim. Oleh itu, sedarlah kita bahawa iman memerlukan keberanian.

Mereka tahu bahawa Firaun sangat kejam dan mampu melakukan apa yang dia kata nak buat itu. Tapi apakah yang menyebabkan mereka begitu berani? Ada riwayat yang mengatakan semasa mereka jatuh sujud itu, Allah memperlihatkan kepada mereka bayangan syurga.

Atau, walaupun mereka baru beriman, tapi mereka sudah mendengar ceramah-ceramah dari Nabi Musa sebelum ini. Mereka telah curi-curi dengar dakwah baginda untuk mengenali Nabi Musa sebelum bertarung. Kadang-kadang sebelum perlawanan bola contohnya, kita akan lihat bagaimanakah permainan lawan kita supaya kita tahu kekuatan dan kelemahan mereka.

Oleh itu, ahli-ahli sihir itu telah tahu apakah mesej yang dibawa oleh Nabi Musa. Cuma waktu itu mereka tidak percaya sahaja. Maka, apabila mereka lihat apa yang terjadi, mereka tahu bahawa apa yang dikatakan oleh Musa itu adalah kebenaran belaka. Maka, kalau begitu, mereka sudah tahu apakah neraka, syurga dan siapakah Tuhan yang sebenarnya.

Maka, ini juga menunjukkan bahawa walaupun seseorang itu mendengar ceramah agama, belum tentu mereka sudah beriman. Ada juga yang hanya mendengar-dengar sahaja, tapi iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Sehinggalah Allah memasukkan iman ke dalam hati seseorang itu.

إِنَّمَا تَقْضِي هَٰذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja;

Sambung ahli sihir: “Di akhirat kamu sudah tak boleh nak azab kami. Maka, buatlah apa yang kamu hendak buat, wahai Firaun.”

Apabila sudah dipotong kaki dan tangan, tak lama selepas itu akan mati – dalam beberapa minit sahaja, bukan lama kalau nak dibandingkan dengan alam akhirat. Yang Firaun nak salib itu hanyalah untuk tunjuk kepada orang ramai sahaja. Sewaktu mereka disalib itu, mereka sudah lama mati.

Mereka sekarang hanya risaukan tentang akhirat. Akhirat lebih penting kerana akhirat lebih kekal. Perkataan الدُّنْيَا berasal dari perkataan دنو yang bermaksud ‘dekat’ dan ‘rendah’. Akhirat itu lebih tinggi dan lebih penting lagi dari dunia.

Begitulah Allah memberikan hidayahNya kepada sesiapa yang Dia mahu. Mereka awalnya bersepakat menentang Nabi Musa dan Harun tapi di hujungnya mereka menjadi orang beriman. Dan kita sampai sekarang membacakan kisah mereka zaman berzaman dan memuji mereka.

Ini untuk mengingatkan kepada para sahabat bahawa apa sahaja yang Musyrikin Quraish boleh lakukan kepada mereka adalah hanya dalam perkara dunia sahaja. Mereka hendaklah bersabar. Memang waktu itu mereka merasakan bahawa apa yang mereka hadapi dari Quraish itu sudah teruk. Tapi sekarang Allah hendak memberitahu kepada mereka bahawa ada lagi orang yang terdahulu yang dapat lagi teruk dari mereka.

Dalam riwayat, bukan sahaja tukang sihir menyatakan iman mereka, tapi isteri Firaun, Asiah juga menyatakan keimanannya pada waktu itu. Firaun tidak dapat kawal lagi perasaannya. Asiah juga telah dihukum. Ditarik kaki dan tangannya sampai putus dan dijatuhkan batu yang besar dari atas untuk membunuhnya. Tapi nyawanya telah ditarik sebelum badannya dihancurkan oleh batu itu. Allah telah menarik nyawanya supaya dia tidak merasa seksa dihempap batu besar itu.


Ayat 73:

إِنّا آمَنّا بِرَبِّنا لِيَغفِرَ لَنا خَطايانا وَما أَكرَهتَنا عَلَيهِ مِنَ السِّحرِ ۗ وَاللَّهُ خَيرٌ وَأَبقىٰ

Sahih International

Indeed, we have believed in our Lord that He may forgive us our sins and what you compelled us [to do] of magic. And Allah is better and more enduring.”

Malay

“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.

إِنَّا آمَنَّا بِرَبِّنَا

Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami,

Mereka dengan beraninya menyatakan keimanan mereka. Kita pun kena ikut apa yang mereka katakan ini. Jangan takut mengaku beriman.

لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَايَانَا

supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami;

Mereka tahu mereka telah banyak berbuat dosa lebih-lebih lagi dosa mengamalkan sihir. Mereka meminta ampun kepada Allah. Mereka mengaku mereka telah salah. Mereka juga tahu yang apabila masuk Islam, maka dosa dan kesalahan mereka yang telah lalu akan diampunkan. Maka mereka berharap sungguh kepada Allah.

وَمَا أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السِّحْرِ

dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya;

Firaun lah yang telah memaksa mereka menentang Nabi Musa dan Nabi Harun dengan sihir itu. Tapi mereka juga telah meminta habuan dari Firaun dulu. Bagaimana pula mereka kata mereka dipaksa? Tapi sebenarnya dalam ayat 62, mereka telah tidak mahu melakukannya kerana mereka telah terkesan dengan kata-kata Nabi Musa. Tapi mereka terpaksa ikut walaupun mereka sudah rasa tak sedap hati. Kerana mereka takut mereka akan kena hukum dengan Firaun. Itulah maksudnya mereka telah dipaksa.

Ada riwayat yang mengatakan mereka bukan nak datang, tapi setelah dihantar tentera-tentera Firaun untuk memaksa mereka, maka mereka terpaksa ikut.

وَاللَّهُ خَيْرٌ

Dan Allah jualah yang lebih baik;

Lebih baik untuk kita mengharap belas kasihan. Lebih baik untuk mengharap balasan. Allah lebih baik dari segala-galanya.

وَأَبْقَىٰ

dan lebih kekal balasan; 

Lebih kekal dari apa yang Firaun boleh bagi dan lebih kekal seksaan kalau mereka buat kesalahan kalau nak dibandingkan dengan apa yang Firaun nak seksa mereka itu.


Ayat 74: Tidak pasti sama ada ini adalah dari kata-kata tukang sihir itu atau kata-kata dari Allah. Berdasarkan dari maklumat yang diberikan yang begitu terperinci sekali, maka lebih sesuai dikatakan bahawa ianya dari Allah. Atau, ia mungkin dari apa yang mereka dengar dakwah Nabi Musa dan kali ini mereka keluarkan semula sahaja.

إِنَّهُ مَن يَأتِ رَبَّهُ مُجرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ

Sahih International

Indeed, whoever comes to his Lord as a criminal – indeed, for him is Hell; he will neither die therein nor live.

Malay

“Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang dia bersalah maka sesungguhnya baginya neraka jahannam yang dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.

إِنَّهُ مَنْ يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا

Sesungguhnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat dalam keadaan berdosa;

Lebih-lebih lagi kalau melakukan dosa syirik. Setiap manusia akan bertemu dengan Allah seorang-seorang. Kita semua akan kena jawab kepada Allah tentang apa yang kita lakukan semasa di dunia.

فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ

maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam

Kalau kita tidak dapat melepasi penghakiman dari Allah, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam.

لَا يَمُوتُ فِيهَا

yang dia tidak mati di dalamnya;

Dan mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu tidak akan mati sampai bila-bila. Kerana tidak ada lagi kematian di akhirat kelak. Memang mereka hendak sangat supaya mereka dimatikan, kerana tak tahan dengan seksaan yang dikenakan, tapi kematian tidak akan berlaku.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa ‘mati’ akan dipanggil dan ‘disembelih’ oleh Allah seperti menyembelih kambing. Bermakna, sudah tidak ada lagi kematian selepas itu. Kehidupan adalah kekal sampai bila-bila. Ianya adalah satu kegembiraan kepada ahli syurga dan satu penyesalan kepada ahli neraka. Mereka sedar bahawa mereka akan menerima seksaan pedih itu sampai bila-bila. Alangkah sedihnya dan alangkah menyesalnya kita waktu itu kalau kita dalam keadaan begitu.

وَلَا يَحْيَىٰ

dan tidak pula hidup

Kenapa dikatakan tidak hidup? Kerana kehidupan yang mereka lalui itu tidak boleh dipanggil ‘hidup’. Kerana teruk sangat seksaan yang mereka kena hadapi, sepanjang masa. Tidak layak dipanggil ‘hidup’ lagi.


Ayat 75: Sekarang, Allah bandingkan dengan orang yang berjaya pula. Jadi ini adalah ayat tabshir.

وَمَن يَأتِهِ مُؤمِنًا قَد عَمِلَ الصّالِحاتِ فَأُولٰئِكَ لَهُمُ الدَّرَجاتُ العُلىٰ

Sahih International

But whoever comes to Him as a believer having done righteous deeds – for those will be the highest degrees [in position]:

Malay

“Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang dia beriman, serta dia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:

وَمَنْ يَأْتِهِ مُؤْمِنًا

Dan sesiapa yang datang kepadaNya dalam keadaand ia beriman,

Iaitu mereka yang percaya benar kepada Allah dan tidak melakukan dosa syirik. Atau kalau dia pernah melakukan dosa syirik, dia sempat bertaubat sebelum dia mati. Maka kena faham apakah maksud ‘iman sebenar’. Iaitu tidak melakukan syirik.

Malangnya ada orang yang beriman dengan apa yang perlu diimani, tapi dalam masa yang sama, mereka beriman juga dengan perkara yang tidak boleh. Sebagai contoh, mereka lantik wakil bagi Allah berdoa. Ini tidak boleh dan ia adalah perkara syirik.

قَدْ عَمِلَ الصَّالِحَاتِ

serta dia telah mengerjakan amal-amal yang soleh;

Bukan hanya ‘beriman’ sahaja, tapi kena ada berbuat amalan yang soleh, iaitu amalan yang baik. Amalan yang baik adalah amalan yang diambil caranya dari ajaran Allah dan Nabi. Bukan amalan bidaah yang direka oleh manusia. Tidak kira sama ada ianya adalah bidaah hasanah atau tidak.

Sebenarnya tidak ada istilah ‘bidaah hasanah’ dalam Islam kalau kita perhatikan. Ianya hanyalah rekaan semata-mata. Kalau ada pun, ia hanya termasuk dalam amalan keduniaan sahaja, bukan bab ibadat. Maka pemahaman bidaah hasanah kebanyakan masyarakat Islam hari ini adalah amat tersasar jauh. Mereka sangka mereka melakukan kebaikan, tapi tidak sebenarnya.

Ayat ini memberikan penekanan kepada ‘kualiti’ amalan, bukan kuantiti. Ini kita dapat tahu dari segi bahasa yang digunakan. Perkataan الصَّالِحَاتِ yang digunakan adalah dalam bentuk jamak (plural) tapi jamak yang sikit. Maknanya, bukanlah Allah mahukan kita melakukan amalan ibadah dengan banyak sangat.

Walaupun amalan kita sedikit tapi pastikan ianya adalah berkualiti. Kalau kita boleh buat dalam kualiti yang baik dan lebih banyak, maka ianya lebih baik lagi. Tapi jangan kita kejar kuantiti, sampai kita lupakan kualiti amalan ibadah kita itu.

Tapi apakah amalan yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir itu? Mereka telah dibunuh dengan kejam oleh Firaun selepas mereka sujud – tidak sempat nak buat amalan ibadah. Nampak macam tidak ada amalan langsung yang mereka buat tapi perhatikan bahawa mereka melakukan sujud di khalayak ramai dan juga telah menyatakan keimanan mereka di khalayak ramai. Itu adalah amalan yang berkualiti. Kerana bukan senang untuk melakukannya.

لَهُمُ الدَّرَجَاتُ الْعُلَىٰ

maka mereka itu akan beroleh darjat-darjat yang amat tinggi;

Huruf ل yang digunakan dalam kalimah لهم ini membawa makna mereka memang layak terima darjat itu.

Kalimah الْعُلَىٰ sekali lagi menggunakan kaedah jamak yang sedikit. Ini bermaksud tidak ramai yang akan mendapat tingkatan yang tinggi ini. Dalam istilah zaman sekarang, ia dipanggil eksklusif. Apabila tidak ramai, maka Allah mahu kita meningkatkan lagi kualiti ibadah kita. Seperti kalau kita nak naik tiket kelas pertama kapal terbang, kenalah bayar mahal.


Ayat 76: Selepas Allah menyebutkan balasan yang baik yang akan diberikan kepada mereka yang datang kepada Allah dalam keadaan seorang mukmin dan beramal soleh, maka Allah memberitahu sedikit tentang apakah yang mereka akan dapat di syurga nanti. Ini adalah sebagai preview.

جَنّاتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ مَن تَزَكّىٰ

Sahih International

Gardens of perpetual residence beneath which rivers flow, wherein they abide eternally. And that is the reward of one who purifies himself.

Malay

“(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat”.

جَنَّاتُ عَدْنٍ

(Iaitu) Syurga-syurga Adnin;

Perkataan عَدْنٍ diambil dari kata yang bermaksud ‘kekal’. Sesiapa yang masuk syurga, akan kekal di dalamnya sampai bila-bila.

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;

Banyak perbincangan ulama tentang perkataan تَحْتِهَا (di bawahnya) itu. Apakah ianya bermaksud memang sungai itu mengalir dari bawah, dari celah-celah atau sebagainya?

Ada pendapat yang mengatakan, oleh kerana ada perkataan مِنْ (dari) itu, ianya bermaksud sungai itu berasal dari taman-taman syurga dan memancar ke tempat-tempat lain, termasuk ke rumah-rumah mereka.

Ada juga mengatakan, maksud ‘di bawah’ itu adalah di bawah takluk mereka. Ahli syurga boleh arahkan sungai itu untuk bergerak ke arah mana, ikut celah mana dan sebagainya.

خَالِدِينَ فِيهَا

mereka kekal di dalamnya;

Tidak akan keluar sampai bila-bila. Menikmati kenikmatan yang tidak ada hujungnya. Inilah satu nikmat yang amat besar sekali. Kerana kita manusia memang suka ada rumah yang kekal. Sebab itu kita teringin nak beli rumah dan tidak menyewa sampai bila-bila, bukan?

Dan kalau kita duduk di rumah kita yang kita punya lagi kita selesa. Kalau duduk di hotel termahal pun, kita tahu yang kita duduk sekejap sahaja dan akan keluar tidak lama lagi. Maka kalau begitu, maka nikmat duduk di hotel itu pun sudah berkurang kerana kita tahu kita tidak duduk lama di situ.

وَذٰلِكَ جَزاءُ مَن تَزَكّىٰ

dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang membersihkan dirinya;

Iaitu membersihkan diri dari sifat kufur dan maksiat. Perkataan زَكَّىٰ bermaksud ‘membersihkan sesuatu dari dalam’. Kita selalunya hanya melihat kepada kebersihan luaran sahaja. Itu pun penting juga tapi kenalah kita membersihkan dalaman juga. Iaitu membersihkan hati kita.

Kita kena cuba sebaik mungkin untuk membersihkan diri kita. Kerana perkataan تَزَكَّىٰ bermaksud mereka yang berusaha membersihkan diri. Allah menilai usaha kita, bukan dari kejayaan kita. Kerana kita mungkin tidak berjaya, tapi kalau kita sudah berusaha dengan sedaya upaya dan ikhlas, itu sudah diterima.

Tukang-tukar sihir itu masuk syurga kesemuanya. Walaupun mereka tidak pernah buat ibadat apa pun lagi. Kerana mereka semuanya telah dibunuh pada hari itu juga. Kisah mereka kita baca sampai ke hari ini. Begitulah hebatnya pengorbanan dan iman mereka sampaikan Allah telah meletakkan kisah mereka dalam Qur’an ini yang akan dibaca sampai Hari Kiamat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Taha Ayat 65 – 71 (Ahli sihir beriman dengan Nabi Musa)

Taha Ayat 65: Sekarang sudah bermula pertandingan diantara Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir itu di hadapan ramai orang.

قالوا يا موسىٰ إِمّا أَن تُلقِيَ وَإِمّا أَن نَكونَ أَوَّلَ مَن أَلقىٰ

Sahih International

They said, “O Moses, either you throw or we will be the first to throw.”

Malay

Mereka berkata: “Wahai Musa! Engkau kah yang akan mencampak lebih dahulu atau kami kah yang mula-mula mencampak?”

 

قَالُوا يَا مُوسَىٰ

Mereka berkata: “Wahai Musa!

Semasa di awal pertandingan itu, para ahli sihir itu telah memberi peluang kepada Nabi Musa untuk buat pilihan. Ini sebenarnya adalah penghormatan dari mereka kepada baginda.

 

إِمَّا أَنْ تُلْقِيَ

Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu

Kalau Nabi Musa mahu, baginda boleh campak dulu tongkat baginda.

 

وَإِمَّا أَنْ نَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَىٰ

atau kami kah yang mula-mula mencampak?”

Atau baginda boleh pilih untuk ahli sihir yang campak dahulu tongkat dan tali mereka.

Ahli-ahli sihir itu telah memberi pilihan kepada Nabi Musa untuk menentukan siapakah yang baling dahulu. Persoalan yang kita terfikir dalam ayat ini adalah: mana satukah yang lebih baik? Adakah yang mula dahulu atau yang kemudian?

Ada yang berpendapat lebih baik musuh menunjukkan kekuatan mereka supaya kita boleh lihat kekuatan mereka dahulu dan kita boleh bertindak mengikut apa yang kita telah dapat maklumat. Tapi ada juga yang berpendapat lebih baik kita yang mulakan dahulu.

Maknanya, kita terus tunjukkan kekuatan kita sampaikan musuh tidak boleh hendak melawan lagi. Tidak dapat dipastikan dengan tepat mana satukah yang lebih baik. Mana-mana boleh.

Tapi apakah senario semasa kejadian itu? Dari riwayat, Firaun dikatakan sentiasa sahaja mencari peluang untuk membunuh Nabi Musa dari Nabi Musa kecil lagi. Ini kerana dia tahu Nabi Musa itu adalah dari kalangan Bani Israil. Dan apabila Nabi Musa terbunuh seorang lelaki Qibti tanpa sengaja, dia terus hendak mengambil peluang itu untuk membunuh Nabi Musa.

Ini menunjukkan dia dari mula lagi tidak suka kepada seorang Nabi, walaupun belum lagi Nabi Musa menjadi Nabi waktu dia masih bayi dan membunuh lelaki Qibti itu. Oleh kerana Firaun tidak menghormati seorang Nabi, maka dia tidak diberikan dengan hidayah untuk masuk Islam. Ini adalah satu pendapat mufassir.

Itu menunjukkan kepentingan menghormati seorang Nabi. Kalau Firaun tidak menghormati seorang Nabi, ahli-ahli sihir itu lain pula. Mereka ada sedikit rasa hormat kepada Nabi Musa. Sebab itulah mereka memberi peluang kepada Nabi Musa untuk memilih sama ada Nabi Musa hendak mula dahulu atau mereka yang mula. Mereka juga seperti kita tahu dalam ayat-ayat sebelum ini, telah terkesan dengan amaran Nabi Musa.

Oleh kerana mereka menghormati seorang Nabi, maka akhirnya mereka telah diberikan hidayah, apabila nanti dalam ayat-ayat seterusnya kita akan tahu bahawa mereka telah tunduk sujud dan beriman.

Seorang lagi yang menghormati Nabi Musa adalah isteri kepada Firaun, Asiah. Dari kecil lagi, dialah yang telah menghalang Firaun dari membunuh Nabi Musa. Maka, dia juga telah diberikan hidayah oleh Allah kerana dia telah menghormati seorang Nabi. Dia juga telah mati dalam Islam.


 

Taha Ayat 66:

قالَ بَل أَلقوا ۖ فَإِذا حِبالُهُم وَعِصِيُّهُم يُخَيَّلُ إِلَيهِ مِن سِحرِهِم أَنَّها تَسعىٰ

Sahih International

He said, “Rather, you throw.” And suddenly their ropes and staffs seemed to him from their magic that they were moving [like snakes].

Malay

Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.

 

قَالَ بَلْ أَلْقُوا

Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”.

Nabi Musa mendapat wahyu dari Allah untuk suruh mereka yang campak dahulu. Supaya Nabi Musa dapat melihat apakah helah mereka.

 

فَإِذا حِبالُهُم وَعِصِيُّهُم

Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka;

Ahli-ahli sihir itu bukan sahaja menggunakan tongkat dalam sihir mereka, tapi mereka juga menggunakan tali. Apabila tali dan tongkat itu jatuh ke lantai, tiba-tiba nampak tali dan tongkat telah bertukar.

Mereka sudah tahu bahawa Nabi Musa pernah menjadikan tongkat baginda menjadi ular. Iaitu semasa Nabi Musa menunjukkan mukjizat itu kepada Firaun semasa pertama sekali mereka berjumpa. Oleh itu, ahli-ahli sihir itu pun menggunakan cara yang sama dan ditambah dengan tali pula. Mereka datang kepada majlis pertandingan itu dengan membawa tongkat-tongkat dan tali-tali.

 

يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِنْ سِحْرِهِمْ

terbayang-bayang kepada Musa disebabkan sihir mereka

Sihir mereka bukanlah benar. Maksudnya, tidaklah tali dan tongkat mereka itu benar-benar menjadi ular, tapi ianya hanyalah mengelabui mata sahaja. Ianya terbayang-bayang sahaja kepada mereka yang melihatnya. Kalau dalam bahasa kita, kita selalu gunakan istilah ‘Silap Mata’, seolah-olah khayal.

 

أَنَّهَا تَسْعَىٰ

seolah-olah benda-benda berjalan;

Nampak macam ular yang berjalan dengan cepat. Sebenarnya bukan betul jadi ular. Ini adalah sihir silap mata sahaja. Sihir telah mengelabui mata penonton sampaikan mereka sangka mereka melihat benar-benar tali dan tongkat-tongkat itu jadi ular.

Padahal tidak berubah pun sebenarnya. Tapi mereka memang hebat sampaikan Nabi Musa sendiri nampak bagaikan ianya adalah ular-ular yang benar. Dan ular-ular itu nampak kepada Nabi Musa bergerak dengan cepat. Maknanya, Nabi pun boleh terkesan dengan sihir juga. Dalam hadis juga kita dapat tahu yang Nabi Muhammad pun pernah kena sihir.


 

Taha Ayat 67:

فَأَوجَسَ في نَفسِهِ خيفَةً موسىٰ

Sahih International

And he sensed within himself apprehension, did Moses.

Malay

Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.

 

فَأَوْجَسَ فِي نَفْسِهِ

Maka terasalah pada jiwanya;

Nabi Musa terasa sedikit rasa takut dalam hatinya. Tapi jenis takut yang boleh disimpan (tidak nampak di muka). Sekejap sahaja baginda terasa takut dan baginda berjaya menyorok rasa takut itu. Ini kerana perkataan أَوْجَسَ bermaksud perasaan yang disimpan, tidak ditunjukkan.

 

خِيفَةً مُوسَىٰ

ketakutan kepada Musa;

Timbul sedikit rasa takut dalam hatinya itu kerana dia nampak beratus atau beribu ular di hadapannya. Dari sini, kita dapat tahu bahawa para Nabi pun ada rasa takut juga. Dan kita dapat belajar bahawa tidaklah perlu ada rasa malu kalau ada rasa takut dalam diri kita. Kerana kita adalah manusia biasa.

Ada mufassir yang mengatakan bahawa Nabi Musa takut itu adalah takut rakyat yang ramai-ramai itu akan terpengaruh dengan helah ahli-ahli sihir itu. Kerana sihir mereka nampaknya sama dengan mukjizat yang baginda telah tunjuk. Takut nanti orang ramai akan kata: “alahhh, sama jer dengan Musa buat hari tu…”

Pada malam sebelum perang Badr, Nabi Muhammad telah berdoa dengan lama sekali sambil mengangkat tinggi tangan baginda sampai terjatuh selendang dari bahu baginda. Abu Bakr lah yang datang dan nampak selendang itu jatuh dan meletakkan pada bahu baginda kembali.

Ini juga menunjukkan Nabi Muhammad pun ada sedikit rasa takut. Ianya adalah satu perasaan yang normal. Ini menunjukkan yang para Nabi kita semuanya adalah manusia juga.


 

Taha Ayat 68:

قُلنا لا تَخَف إِنَّكَ أَنتَ الأَعلىٰ

Sahih International

Allah said, “Fear not. Indeed, it is you who are superior.

Malay

Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.

 

قُلْنَا لَا تَخَفْ

Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)!

Allah tahu perasaan Nabi Musa. Dan Allah memberi wahyu kepada baginda supaya jangan takut. Apabila Allah beri wahyu, maka tentulah takut itu akan hilang.

 

إِنَّكَ أَنْتَ الْأَعْلَىٰ

Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi

Allah beritahu kepada Nabi Musa bahawa baginda pasti dapat mengatasi mereka kerana baginda lebih tinggi dari mereka. Allah memberitahu Nabi Musa bahawa baginda tidak perlu risau. Allah beri janji yang baginda pasti akan dapat mengalahkan mereka.


 

Taha Ayat 69:

وَأَلقِ ما في يَمينِكَ تَلقَف ما صَنَعوا ۖ إِنَّما صَنَعوا كَيدُ ساحِرٍ ۖ وَلا يُفلِحُ السّاحِرُ حَيثُ أَتىٰ

Sahih International

And throw what is in your right hand; it will swallow up what they have crafted. What they have crafted is but the trick of a magician, and the magician will not succeed wherever he is.”

Malay

“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja dia berada”.

 

وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ

Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu;

Allah yang mengarahkan Nabi Musa mencampakkan tongkat itu. Allah sebut yang di ‘tangan kanan’ baginda. Seperti dalam ayat-ayat sebelum ini, yang di tangan kanan Nabi Musa adalah tongkat itu. Apa yang terjadi semasa pertama kali (pertama kali bercakap dengan Allah) itu adalah latihan untuk Nabi Musa menerima arahan dari Allah.

Kita lihat dalam ayat ini, Allah lah yang suruh Nabi Musa campakkan tongkat itu, baru Nabi Musa campak. Oleh itu, kalau bukan Allah yang suruh, tongkat itu tidak akan menjadi ular. Kalau Nabi Musa campak suka-suka sahaja, tidak boleh ianya bertukar menjadi ular. Ini adalah mukjizat dan mukjizat hanya terjadi apabila Allah kehendaki.

Maka, kalau ada guru-guru yang sesat yang boleh buat perkara-perkara ajaib, dan mereka buat itu dengan kehendak mereka, maka ianya adalah sihir, bukan keramah atau maunah. Kerana keramah dan maunah juga adalah dari kehendak Allah juga, bukan dengan kehendak pembuat. Kita selalu dengar ada guru yang boleh pergi ke tempat-tempat lain dengan sekelip mata, ada ilmu kebal, boleh dengar percakapan orang lain, boleh rasa perasaan orang lain dan sebagainya.

Ketahuilah yang itu semua adalah sihir. Maka, kita hendaklah berhati-hati dengan apa yang mereka tunjukkan itu. Masyarakat kita memang mudah terpesona dengan perkara-perkara sebegitu dan menyebabkan mereka terus ikut kepada guru-guru sebegitu. Kerana itulah Ayah Pin itu boleh ada pengikut kerana ada perkara-perkara magis yang dia boleh buat dan orang jahil terpukau dan senang tertipu.

 

تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا

nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan;

Allah suruh campak tongkat dan beritahu yang ular itu akan menelan semua ular jelmaan dari ahli sihir. Kalimah تَلْقَفْ bermaksud menelan sesuatu dengan cepat. Tak kunyah pun. Maknanya makan dengan cepat. Juga memberi isyarat yang senang sahaja ia akan makan.

 

إِنَّمَا صَنَعُوا كَيْدُ سَاحِرٍ

kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya sihir;

Kalimah كَيْدُ merujuk kepada rancangan terperinci yang ada niat jahat di dalamnya. Kalau perancangan yang tidak ada niat jahat, tidak digunakan perkataan كَيْدُ. Ini menunjukkan telah banyak usaha yang perlu dijalankan dalam perancangan itu. Maksudnya sihir yang ditunjukkan oleh ahli sihir itu adalah sihir peringkat yang tinggi. Bukan main-main punya sihir.

 

وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ

ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan;

Mereka tidak akan berjaya kerana apa yang mereka amalkan itu adalah amalan dosa besar. Kerana itu mereka tidak akan mendapat kebaikan dan mereka tidak akan mendapat kejayaan.

 

حَيْثُ أَتَىٰ

walau dari mana sahaja mereka datang.

Ayat ini mengajar kita yang memang sihir adalah satu realiti. Kita katakan begini kerana mungkin dalam zaman moden ini, ada manusia yang kononnya sudah berfikiran moden sangat sampai tidak mahu menerima adanya sihir. Mereka cuba menjelaskan sihir itu dalam bentuk saintifik pula.

Ketahuilah bahawa sihir memang wujud dan memang diamalkan dahulu sampailah sekarang. Sebab itu ianya disebut dalam Qur’an. Dan Qur’an itu kekal sampai bila-bila.

Sihir adalah satu amalan syirik. Untuk sihir itu menjadi, pengamalnya perlu menggunakan jin syaitan. Dan untuk berkawan dengan jin syaitan itu, seseorang itu perlu melakukan perkara-perkara syirik, barulah mereka mahu berkawan. Ini disebut dalam ayat Qur’an yang lain. Apabila mengamalkan amalan syirik, mereka akan kekal dalam neraka sampai bila-bila.

Tidak akan jadi baik hasil daripada amalan sihir itu. Sebab itu, amatlah merbahaya apabila dalam media sekarang, banyak filem-filem yang menaikkan kedudukan sihir, contohnya kisah Harry Porter. Anak-anak kita rasa seperti amalan sihir itu baik dan dibolehkan. Mereka sangkakan bahawa sihir itu ada dua jenis: sihir putih dan sihir hitam. Padahal, segala bentuk sihir adalah salah dan syirik. Hukum mengamalkan sihir adalah dibunuh dalam Islam.

Dalam ayat ini, Allah beritahu Musa yang ahli sihir itu tidak akan berjaya menentangnya.

Ayat  وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ ini boleh dibaca untuk memutuskan perbuatan sihir. Apabila kita berhadapan dengan perbuatan sihir dari orang lain, maka kita boleh bacakan ayat ini. Dengan harapan Allah akan memotong sihir itu dengan doa kita. Tapi kena ingat yang bukan ayat itu yang memotong sihir itu tapi Allah. Cuma dengan kita baca ayat itu, mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah dan kelemahan sihir. Maka dengan iman kita itu, doa kita untuk mematahkan sihir itu akan dimakbulkan.


 

Taha Ayat 70: Apabila tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular, ianya telah menelan jelmaan ular-ular yang telah disilap-matakan oleh tukang-tukang sihir itu. Tapi apabila Nabi Musa mengambil balik ular itu, dan ianya menjadi tongkat semula, tongkat itu macam biasa sahaja. Tidaklah ianya menjadi besar. Kerana kalau benar tongkat itu sudah makan ular itu, patutnya besarlah, tapi tidak. Bermakna, bukan ada apa yang dimakannya.

Ahli-ahli sihir itu terkejut. Semua yang ada dalam majlis itu nampak apa yang terjadi. Kita manusia yang hidup pada zaman moden ini boleh bayangkan keadaan waktu itu. Sebab kita banyak tengok filem dan kita sudah biasa dengan special effect dalam filem. Itulah satu kelebihan kita yang hidup di zaman moden ini.

فَأُلقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا قالوا آمَنّا بِرَبِّ هارونَ وَموسىٰ

Sahih International

So the magicians fell down in prostration. They said, “We have believed in the Lord of Aaron and Moses.”

Malay

(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.

 

فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا

Ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud.

Kita boleh faham tentang sujud sebab kita orang Islam. Tapi bagaimana dengan tukang-tukang sihir itu? Mereka bukan orang Islam, lalu bagaimana mereka tahu yang mereka perlu sujud?

Sebenarnya mereka secara automatik telah jatuh sujud kerana mereka terkejut sangat. Mereka seperti tidak ada pilihan lain dan naluri mereka telah tahu yang mereka perlu sujud walaupun mungkin mereka tidak pernah sujud seumur hidup mereka pun. Mereka sujud itu di hadapan orang ramai dan itu telah amat mengecewakan dan menaikkan kemarahan Firaun.

Ramai manusia yang nampak kejadian itu pada waktu itu. Tapi yang dikatakan jatuh sujud adalah tukang-tukang sihir itu sahaja. Kenapa mereka sahaja yang sujud tapi tidak disebut orang ramai itu?

Kerana mereka adalah pakar dalam ilmu sihir dan mereka tahu mana satukah sihir dan mana yang tidak. Mereka tahu bahawa apa yang Nabi Musa lakukan itu bukanlah sihir. Maka mereka tahu bahawa ianya adalah mukjizat dari Tuhan. Kerana manusia atau jin memang tidak boleh buat macam itu.

Adakah kita macam itu juga? Apabila melihat kebenaran, adakah kita akan mengikut seperti mereka yang menerima kebenaran itu tanpa soal?

 

قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَىٰ

Sambil mereka berkata: “Kami beriman kepada Tuhan Nabi Harun dan Nabi Musa”;

Kerana ahli-ahli sihir itu tahu bahawa tidak ada orang yang boleh mengalahkan sihir mereka melainkan seorang Nabi. Kerana mereka telah belajar perkara itu dari guru mereka. Guru mereka mengajar bahawa kalau ada yang boleh mengalahkan sihir mereka sebegitu rupa, itu bukan lagi sihir tapi itu adalah mukjizat dan manusia yang melakukannya adalah seorang Nabi.

Dalam ayat lain, Qur’an selalunya menyebut Nabi Musa dahulu, baru disebut Nabi Harun. Tapi dalam ayat ini, disebut ‘Tuhan Nabi Harun’, kemudian baru disebut nama Nabi Musa. Banyak pendapat dikeluarkan tentang kenapakah susunan seperti ini. Ada yang kata ianya adalah susunan biasa sahaja, tapi kita memegang pendapat bahawa ada makna dalam susunan perkataan yang Allah gunakan dalam Qur’an.

Antara hujah yang dikeluarkan kenapa nama Nabi Harun disebut dahulu adalah: kerana Allah hendak memberi penghormatan kepada Nabi Harun. Kerana dalam ayat-ayat sebelum ini, kita boleh lihat bagaimana Firaun hanya bercakap dengan Nabi Musa sahaja. Dia buat tak kisah sahaja kepada Nabi Harun, padahal Nabi Musa datang dengan Nabi Harun. Itu menunjukkan bagaimana tidak beradab Firaun itu. Jadi dalam ayat ini, Allah memuliakan Nabi Harun dengan menyebut namanya dahulu. Allahu a’lam.


 

Taha Ayat 71: Ayat ini menyebut satu lagi helah yang digunakan Firaun. Tembelang dia sudah pecah sekarang. Ahli-ahli sihir yang sepatutnya menyebelahinya telah mengikut dan menerima Nabi Musa. Mereka itu dipandang tinggi dalam masyarakat, jadi perbuatan mereka itu bukanlah sesuatu yang biasa sahaja. Mereka tidak akan buat begitu jikalau mereka tidak melihat kebenaran.

Firaun tidak sangka akan terjadi sampai macam itu. Dia sangka tukang-tukang sihir itu akan terus menyebelahinya. Tapi ini sudah jadi lain. Dia sudah dimalukan di khalayak ramai. Jadi, dia kena memikirkan strategi yang lain:

قالَ آمَنتُم لَهُ قَبلَ أَن آذَنَ لَكُم ۖ إِنَّهُ لَكَبيرُكُمُ الَّذي عَلَّمَكُمُ السِّحرَ ۖ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِن خِلافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُم في جُذوعِ النَّخلِ وَلَتَعلَمُنَّ أَيُّنا أَشَدُّ عَذابًا وَأَبقىٰ

Sahih International

[Pharaoh] said, “You believed him before I gave you permission. Indeed, he is your leader who has taught you magic. So I will surely cut off your hands and your feet on opposite sides, and I will crucify you on the trunks of palm trees, and you will surely know which of us is more severe in [giving] punishment and more enduring.”

Malay

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.

 

قَالَ آمَنْتُمْ لَهُ

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa

Marah sungguh Firaun kepada para ahli sihir yang digajinya untuk melawan Nabi Musa, kemudian mereka pula yang beriman kepada baginda. Kiranya mereka sudah makan tuan.

 

قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ

sebelum aku memberi izin kepada kamu?;

Kononnya kena minta izin dia dulu kalau nak sembah tuhan lain. Begitu sombongnya Firaun. Dia sebenarnya mempunyai ego yang amat besar. Dia sebenarnya mahu mengawal semua orang. Jadi apabila mereka beriman tanpa kebenaran dia, itulah sebabnya dia marah sangat.

Nampaknya Firaun bukan kisah sangat mereka hendak beriman dengan apa pun. Yang dia marah adalah mereka beriman tanpa kebenaran dia.

 

إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ

Sesungguhnya dia lah ketua kamu;

Ini adalah cubaan Firaun untuk mengawal keadaan. Dia tak mahu ramai lagi rakyat yang mengikut tindakan para ahli sihir itu. Kalau dia tak cakap apa-apa, tentunya rakyat akan terikut juga. Maka dia buat satu tohmahan kepada Nabi Musa.

Dia kata ini semua adalah helah Nabi Musa. Dia kata rupa-rupanya Nabi Musa itu adalah ketua kepada ahli-ahli sihir itu. Patutlah ahli sihir itu ikut dia akhirnya. Memang sudah rancangan Nabi Musa dari dulu lagi. Itulah tuduhan dia terhadap mereka semua. Lihatlah betapa pandainya Firaun.

 

الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ

yang mengajar sihir kepada kamu;

Bukan sahaja dia kata Nabi Musa adalah ketua tukang-tukang sihir itu, tapi dia juga tuduh Musa yang mengajar sihir kepada tukang-tukang sihir itu. Sebab itulah sihir Musa lebih hebat lagi katanya, kerana memang dia yang mengajar.

 

فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ

Pasti aku akan memotong tangan kamu semua;

Ini hukuman dari Firaun. Dia nak potong tangan para ahli sihir itu. Ada penekanan dari segi bahasa di sini kerana ada huruf ل dalam perkataan فَلَأُقَطِّعَنَّ. Menunjukkan memang Firaun akan buat. Dia bukan cakap kosong-kosong sahaja.

Dan kita pun kenal Firaun, dia memang tidak ada hati perut. Dia boleh buat kalau dia mahu. Sedangkan bayi-bayi yang masih kecil pun dia sanggup bunuh, apatah lagi kalau ahli-ahli sihir itu.

 

وَأَرْجُلَكُمْ

dan kaki kamu

Lihatlah betapa ganasnya Firaun itu. Tak cukup potong tangan, dia nak potong kali sekali.

 

خِلَافٍ

dengan bersilang;

Contohnya, potong tangan kanan dan potong kaki kiri. Atau potong tangan kiri dan kaki kanan.

 

وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ

dan aku akan salib kamu pada batang-batang pohon tamar;

Selepas dia sudah potong kaki dan tangan mereka, Firaun tidak akan biarkan mereka mati macam itu. Dia akan salib dan gantung mereka di pokok kurma ke kebun kurma. Tujuannya supaya orang boleh nampak dengan jelas apakah kesan bila melawan Firaun.

Bayangkan bagaimana ngerinya apa yang dia nak buat itu. Bayangkan satu kebun kurma yang besar, dan di setiap pokok akan ada seorang tukang sihir yang telah disalib. Dengan tangan dan kaki mereka telah dipotong. Maka mereka akan mati kerana kehabisan darah.

Apabila perkataan فِي digunakan dalam ayat ini, menunjukkan bahawa Firaun akan membiarkan mereka di pokok kurma itu sampai mereka mati dan tubuh mereka hancur. Pokok kurma itu akan menjadi kubur mereka. Tidak boleh mereka diturunkan dan diberikan pengkebumian yang sempurna. Mereka akan dibiarkan sampai mereka reput di situ. Firaun nak buat begitu kerana dia hendak memberi pengajaran kepada orang lain supaya jangan lawan dia.

Ibn Abbas mengatakan, Firaun adalah orang yang pertama yang melakukan seksaan sebegini. Tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum itu. Pengkritik Al-Qur’an mengatakan Al-Qur’an telah salah apabila mengatakan ada hukuman salib di sini. Ini adalah kerana pada mereka, salib itu hanya mula digunakan oleh orang Rom pada kurun ke 4 sebelum Masihi. Sebenarnya kajian moden menunjukkan yang salib telah digunakan oleh Assyria dan juga orang Babylon lama sebelum bangsa Rom. Malah kajian tentang Mesir Purba telah membuktikan Firaun juga menggunakan salib dan Al-Qur’an telah menyebut tentangnya 1,400 tahun dahulu di dalam Fajr:10

وَفِرعَونَ ذِي الأَوتادِ

dan kaum Fir’aun yang mempunyai pasak-pasak

Akan tetapi salib menggunakan pasak ini tidaklah seperti huruf T yang kita selalu lihat pada patung Jesus itu. Ini kerana Firaun akan suruh potong tangan dan kaki dahulu seperti disebut dalam ayat ini. Kalau tangan dan kaki sudah dipotong, bagaimana nak paku pada tangan dan kaki? Jadi mereka dipaku pada badan.  Maka tidak benarlah orang Rom yang mula reka hukuman salib. Al-Qur’an sudah menyebut perkara ini yang dibuktikan dari tulisan hieroglif Mesir Purba. Al-Qur’an telah menyebut perkara ini 1,400 tahun dahulu yang membuktikan ia adalah mukjizat Kalamullah.

Bandingkan dengan apa yang dilalui oleh para sahabat Nabi semasa di Mekah. Kita pun tahu mereka juga telah diseksa. Ingat kembali kisah Bilal yang diseksa Abu Jahal. Abu Jahal telah meletakkan batu besar di atas Bilal. Kalau kita lihat perkara yang sama dibuat kepada binatang pun kita akan marah juga. Ini kan pula kepada manusia.

Bagaimana pula dengan seorang sahabat yang bernama Khabbab? Beliau telah diheret atas batu panas. Sampai rosak belakang tubuh beliau. Apabila Saidina Umar ditimpa kesusahan, beliau akan meminta lihat belakang Khabbab untuk mengingatkan bahawa ada lagi orang lain yang telah mengalami kesusahan lagi teruk dari beliau.

 

وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَا أَشَدُّ عَذَابًا

pasti kamu akan mengetahui siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya

Firauan hendak menekankan kepada rakyatnya bahawa beliaulah yang lebih hebat dan boleh beri azab yang lebih keras dari Allah. Dia hendak takutkan mereka dengan azab hukuman dari dia.

 

وَأَبْقَىٰ

dan lebih kekal azab;

Dia nak kata: “akukah yang boleh beri azab yang lebih keras dan kekal atau Tuhan Nabi Musa?” Dia nak kata, dia boleh beri azab yang lebih lagi dari Allah. Makanya Firaun telah mencabar Allah dalam ayat ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2023


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain