Tafsir Surah ash-Shura Ayat 39 – 44 (Balas kezaliman)

Ayat 39: Ini adalah sambungan sifat-sifat ahli syurga. Sebelum ini telah disebut kalau marah, dianjurkan untuk memaafkan. Tapi sekarang disebut kalau kita dizalimi. Adakah nak maafkan juga? 

وَالَّذينَ إِذا أَصابَهُمُ البَغيُ هُم يَنتَصِرونَ

Sahih International

And those who, when tyranny strikes them, they defend themselves,

Malay

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).

وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ

Dan juga orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim,

Kalimah الْبَغْيُ dari segi bahasa bermaksud ‘keinginan’. Di dalam ayat ini, ia membawa maksud ‘dizalimi’ kerana kadang-kadang apabila kita hendak memenuhi ‘keinginan’ kita, kita menzalimi orang lain. Iaitu apabila kita hendak ambil lebih dari yang sepatutnya.

Ada yang ambil bahagian orang lain sebab dia hendak lebih lagi dari yang sepatutnya. Kadang-kadang manusia melakukannya dengan cara yang keras dan kasar. Itu adalah zalim. Adakala kita menzalimi dan adakala juga kita yang dizalimi.

Bagaimanakah tindakan mereka yang mukmin apabila mereka dizalimi?

 

هُمْ يَنتَصِرُونَ

mereka bertindak membela diri

Kita sangka yang kita hanya disuruh bersabar sahaja kalau dizalimi. Tapi dalam ayat ini, Allah memberi satu jalan: kita boleh ‘membantu’ diri kita. Kerana perkataan يَنتَصِرُونَ dari kata dasar ن ص ر  yang bermaksud ‘bantu’. Iaitu membantu diri kita dengan mengambil tindakan balas.

Tidaklah kita disuruh menahan dan terima sahaja apa yang dikenakan kepada kita. Islam bukanlah agama yang sebegitu. Islam adalah agama praktikal untuk hidup dalam alam ini. Tidaklah kita diajar tahan dan terima sahaja kezaliman orang lain ke atas kita. Kalau kita buat begitu, itu bukanlah kebaikan.

Islam adalah agama yang adil. Oleh kerana itu, Islam membenarkan kita bertindak balas kepada mereka yang menzalimi kita. Tetapi dengan syarat-syarat yang dibenarkan. Tidaklah boleh kita ambil tindakan sesuka hati.

Pilihan tindakan itu banyak tetapi manakah yang sesuai dalam Islam? Ini adalah beberapa tindakan yang selalunya diambil oleh manusia:

1. Apabila ada orang yang menzalimi kita, kita biarkan sahaja. Contohnya seperti ajaran dalam Kristian. Kitab Injil mengajar, “Kalau ada yang menampar pipi kita, berikan pipi kita yang satu lagi”. Macam inikah yang dianjurkan oleh agama kita? Adakah ini praktikal dalam kehidupan di dunia ini? Tentu tidak.

2. Kita balas sama dengan apa yang dikenakan kepada kita. Kalau orang tampar kita, kita tampar dia semula. Dia patahkan tangan kita, kita patahkan tangan dia semula. Tapi haruslah dengan proses yang dibenarkan.

3. Kita memaafkan orang itu.

4. Kita balas dengan lebih berat lagi dari apa yang dikenakan kepada kita.

Yang dibenarkan kepada kita dalam Syari’at adalah pilihan kedua dan ketiga sahaja. Dalam Surah Hajj: 39 Allah telah berfirman:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Ayat dari Surah Hajj ini memberi kebenaran kepada kita untuk membalas kepada orang yang memerangi kita. Kita tidak kacau mereka dan tidak serang mereka, tapi apabila mereka yang mula menyerang kita, maka kita boleh menyerang mereka semula.

Kita juga boleh mengambil pilihan untuk memaafkan orang yang menganiaya kita, tapi tidaklah sampai kita membiarkan sahaja diri kita dianiaya berkali-kali tanpa melakukan apa-apa. Kerana kalau kita biarkan sahaja, orang zalim itu akan menjadi lebih zalim lagi. Bukan kita sahaja yang dizaliminya, orang lain pula yang dizaliminya. Sebab dia rasa perbuatannya itu tidak ada tindakan pembalasan pun, dengan senang hati sahaja dia akan terus melakukannya.

Oleh itu, kita kena ambil tindakan untuk menghentikannya. Kalau kita tidak mahu lakukan sendiri, kita boleh mengadu kepada orang lain atau pihak yang berkuasa. Sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan kalau kita tidak mampu untuk membalas, hendaklah kita berdoa kepada Allah untuk membantu kita.

Dalam ayat ini, Allah memberi kebenaran kepada kita untuk membela diri. Tapi surah ash-Shura ini adalah Surah Makkiah. Waktu zaman sahabat di Mekah, mereka banyak ditindas, diseksa dan disakiti. Tapi, Nabi tidak membenarkan mereka membalas balik kerana kedudukan mereka amat lemah waktu itu. Allah juga tidak lagi memberikan wahyu untuk membenarkan mereka menyerang balas.

Memang sahabat ramai yang hendak membalas balik, tambahan pula mereka ada Saidina Umar yang tentunya tidak mahu duduk senyap sahaja. Tapi, Nabi ﷺ tidak benarkan kerana Allah tidak beri kebenaran lagi. Kerana kalau mereka balas, akan menyebabkan tindakan buruk yang lebih besar lagi daripada kaum kafir Mekah.

Kerana setakat itu, yang dilakukan adalah Musyrikin Mekah secara bersendiri sahaja. Cuma ada segelintir sahaja yang melakukannya. Tapi kalaulah umat Islam membalas balik dengan kekerasan (untuk membela diri), maka seluruh kaum kafir Musyrikin Mekah akan bergabung dan memusnahkan terus Muslim yang sedikit sangat pada waktu itu.

Kerana pengganas Musyrikin Mekah akan gunakan sebagai hujah: “ha kau tengok, mereka ini memang ganas! aku dah cakap dah…..” Maka kerana itu para sahabat disuruh untuk bersabar. Maka, kalau bukan membalas begitu yang dimaksudkan, apakah maksudnya?

Surah ini adalah tentang Syura. Ianya tentang melakukan sesuatu dalam peringkat kerajaan. Iaitu, apabila kerajaan sudah ada, tindakan boleh dijalankan ke atas mereka yang menzalimi. Ini memberi isyarat kepada sahabat waktu itu di Mekah, bahawa mereka akan diberikan dengan kedudukan yang membolehkan mereka mengambil tindakan semula. Maksudnya, mereka akan ada kerajaan nanti. Cuma waktu itu sahaja mereka kena bersabar.

Memang waktu itu mereka tidak boleh ambil tindakan balas, tapi mereka akan diberikan dengan kedudukan itu tidak lama lagi. Memang tidak lama selepas itu, sahabat telah diarahkan untuk berhijrah dan mereka telah membina kerajaan Islam di Madinah. Waktu itu, barulah boleh tindakan balas diambil kerana undang-undang Islam telah ditegakkan.

Walaupun kita dibenarkan mengambil tindakan balas, tapi tidaklah dengan cara individu. Katakanlah seorang manusia tumbuk kita dan lari. Kita tidak boleh naik kereta dan cari dia lalu tumbuk dia semula. Kita akan dikira sebagai penjenayah dan boleh disabitkan dengan kesalahan dan hukuman oleh pihak berkuasa pula. Yang sebenarnya kita kena lakukan adalah melaporkan kepada pihak berkuasa dan mereka yang yang akan mengambil tindakan.

Kita jangan pandai mengambil tindakan sendiri

Antara hukuman yang boleh dikenakan adalah Qisas, iaitu kita boleh tumbuk dia semula. Tapi, itu adalah dalam suasana mahkamah. Mahkamah akan membuat penyiasatan dan perbicaraan untuk memastikan sama ada benar kejadian itu berlaku.

Tidak boleh ambil tindakan sendiri kerana bayangkan, kalau semua orang boleh ambil tindakan dengan tangan sendiri, maka itu akan memporak perandakan negara ini. Sudah tidak boleh kawal. Jadi seperti zaman koboi pula nanti.

Tetapi, kalau dia sedang tumbuk kita, kita boleh tumbuk dia balik waktu itu. Kerana itu dikira ‘mempertahankan’ yang termasuk dalam lingkungan ayat ini. Tapi, jangan pula kita tumbuk sampai lembik hingga dia pengsan pula.

Sekarang sudah lengkap 10 sifat-sifat yang perlu ada bagi mereka yang mengharap untuk masuk syurga. Secara ringkas, disenaraikan kembali kesemuanya:

1. Iman sempurna. Yakin dengan janji Allah.

2. Tawakal selepas melakukan taat.

3. Sentiasa berusaha menjauhi dosa besar.

4. Terutama dosa-dosa besar yang melibatkan hawa nafsu.

5. Bila terbit kemarahan ke atas orang lain, mereka mudah maafkan.

6. Menyahut seruan Tuhan dalam melaksanakan hukum sama ada akidah dan fardhu ain.

7.  Menjalankan ibadat terutama solat fardhu

8. Buat urusan penting sesama manusia dengan Syura. Berbincang dengan baik dalam masyarakat.

9. Infaq harta ataupun infaq ilmu.

10. Bila mereka dizalimi, mereka hanya bela diri sahaja. Tidak buat zalim balik. Tidak balas lebih dari yang patut.

Mereka yang ada kesemua sifat-sifat ini, barulah boleh ‘mengharap’ untuk masuk syurga. Belum tentu masuk lagi, tapi boleh mula mengharap.


 

Ayat 40: Ini adalah sambungan dari ayat sebelum ini: Selain dari balas balik, apa yang kita boleh lakukan? Ini adalah huraian tentang ayat membalas kezaliman yang telah disebut sebelum ini.

وَجَزٰؤُا سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثلُها ۖ فَمَن عَفا وَأَصلَحَ فَأَجرُهُ عَلَى اللهِ ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And the retribution for an evil act is an evil one like it, but whoever pardons and makes reconciliation – his reward is [due] from Allah . Indeed, He does not like wrongdoers.

Malay

Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

وَجَزٰؤُا سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا

Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang sama dengannya;

Ayat ini adalah dalil bahawa kita boleh membalas balik kepada orang yang melakukan kesalahan kepada kita sama dengan kesalahan yang telah dikenakan kepada kita. Apabila kita balas balik, hendaklah jangan lebih daripada apa yang dibuat kepada kita.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa ini adalah dalam konteks hukum Qisas. Islam telah memberikan jalan untuk memuaskan hati kita, maka kita kena lakukan dalam lingkungan yang dibenarkan sahaja. Dalam Baqarah:194

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.

Dalam hukum Qisas, kalau kita dipukul di kepala kita boleh memukulnya balik di kepala. Kalau ada orang yang membunuh ahli keluarga kita, kita boleh balas dengan membunuhnya kembali. Adakah kebaikan kalau kita membalas kesalahan yang dilakukan kepada kita? Memang ada. Sepertimana yang disebut di dalam Baqarah:179

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

Qisas atau ‘balas balik’ seperti yang dianjurkan oleh Islam ini adalah baik. Kerana bila kita membalas balik, ini akan memberitahu kepada manusia yang zalim bahawa mereka tidak boleh suka-suka hati untuk melakukan apa-apa sahaja kepada kita. Kerana kita boleh membalas balik.

Dengan itu ia akan menahan orang yang zalim daripada mengambil tindakan mereka. Supaya mereka tahu bahawa ada balasan kepada apa yang mereka lakukan itu. Ia akan menyelamatkan orang lain dari kena kezaliman yang sama dari mereka.

Oleh itu, kita kena melaporkan kesalahan yang dilakukan. Supaya mereka yang menyakiti orang lain itu akan diambil tindakan dan tidak mengacau atau menyakiti orang lain pula. Maknanya, dengan melaporkan pun bermakna kita berbuat kebaikan juga.

Qisas ini ada juga disebut dalam Maidah:45

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنفَ بِالْأَنفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Maknanya, Bani Israil juga telah diberikan dengan hukum yang sama. Ianya juga menjadi salah satu hukum dari agama Islam.

Jangan salah faham dengan kebenaran yang Allah telah berikan dalam ayat-ayat ini. Ada juga perkara yang kita tidak boleh balas sama dengan yang dilakukan kepada kita. Sebagai contoh, kalau kita ditipu, kita tidak boleh menipu balik. Kerana penipuan yang dilakukan oleh mereka itu hanya boleh dibalas oleh Allah.

Tidaklah kita boleh tipu balik orang lain, kalau kita kena tipu; atau kalau orang kata buruk tentang kita, kita kata buruk tentang dia balik – itu adalah pemahaman yang salah. Maka kena nilai satu persatu.

Atau, kalau anak kita kena rogol oleh seseorang, takkan kita nak rogol anak dia pula? Atau kalau kita dipaksa minum arak oleh seseorang, takkan kita nak paksa dia pula minum arak? Jadi kena nilai satu persatu apakah hukuman yang sesuai.

 

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ

dalam pada itu sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik

Kemaafan ada dua jenis: kemaafan jenis baik dan jenis yang tidak baik. Kemaafan yang baik adalah kalau kesalahan itu dikenakan kepada diri kita.

Kadang-kadang kalau kita tidak memaafkan dan kita lawan balik, ianya hanya akan menjadikan perbalahan itu berpanjangan. Kadang-kadang kita tidak mahu ianya berpanjangan sahaja, kita nak ianya berhenti. Kemaafan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kemaafan yang baik.

Terutama kalau orang yang melakukan kezaliman itu sendiri memang sudah rasa bersalah dan sudah bertaubat. Maka eloklah kalau kita maafkan. Kalau orang yang buat kezaliman itu pun masih nak mengganas lagi, maka eloknya dikenakan hukuman kepada mereka dan jangan dimaafkan.

Kemaafan yang tidak baik adalah apabila orang itu sepatutnya dihukum, tapi kita tak jalankan. Kerana mungkin kita di pihak yang buat keputusan, dan kita maafkan pula orang yang membuat kesalahan itu sedangkan bukan hak kita untuk memaafkan.

Sebagai contoh, pernah seorang perempuan dibawa kepada Nabi ﷺ kerana dia telah mencuri. Oleh kerana wanita itu dari keluarga yang terkenal dan orang besar, ada yang mencadangkan supaya beliau dilepaskan. Nabi ﷺ telah marah dan berkata kalaulah Fatimah anaknya sendiri yang mencuri pun dia akan potong tangan Fatimah.

Lagi satu maaf yang tidak baik adalah apabila memaafkan orang yang memang bersalah. Sebagai contoh, membebaskan penjenayah yang ditangkap sedangkan mereka telah melakukan kesalahan dan patut dihukum. Kalau mereka dibebaskan, ada kemungkinan mereka akan melakukan jenayah lagi. Maka itu bukanlah keadilan namanya. Namanya ‘maaf’, tapi bukan maaf yang baik.

Hukuman kadangkala perlu dijalankan. Sebagai contoh, kalau anak kita melakukan kesalahan, kita kena hukum mereka supaya mereka tahu apakah kesalahan yang mereka telah lakukan supaya mereka tidak membuatnya lagi. Jangan lepaskan mereka begitu sahaja, kerana nanti mereka tidak takut untuk melakukan kesalahan lagi.

Secara ringkasnya, dari dua jenis kemaafan itu, kita kena bahagikan kepada dua bahagian: peringkat individu dan peringkat kerajaan. Dalam peringkat individu, kita digalakkan untuk memaafkan. Tapi dalam peringkat kerajaan, tidak boleh memaafkan kalau telah sabit kesalahan yang dilakukan oleh seseorang.

Maka kalau seseorang telah melakukan kesalahan kepada kita, kita boleh maafkan. Tapi kalau kita sudah bawa ke muka pengadilan, hakim tidak boleh lepaskan dia kembali apabila telah sabit kesalahannya. Maka, kalau nak maafkan, kena maafkan sebelum mahkamah bermula. Kadangkala ada yang asalnya marah kepada orang, tapi kemudian dia jadi kesian. Tapi kalau dia lambat dan keputusan telah dibuat, hakim tidak boleh hentikan hukuman itu.

Kalimah أَصْلَحَ bermaksud ‘mahukan kebaikan’. Kita mencari apakah perkara yang baik yang dapat dicapai. Kita maafkan supaya perkara itu tidak dipanjangkan. Kita mahu memperbaiki perhubungan yang terputus kerana kejadian buruk itu. Kadang-kala tidak ada gunanya kalau kita meneruskan kemarahan itu atau membalas dendam.

Lihatlah bagaimana para sahabat tidak dibenarkan mengambil tindakan membalas balik kejahatan yang telah dilakukan kepada mereka semasa di Mekah. Kerana waktu itu mereka amat sedikit dan kalau mereka balas dengan menentang mereka secara fizikal, mereka akan dikalahkan terus kerana mereka amat sedikit. Itu maknanya membalas kejahatan yang dilakukan tidaklah baik waktu itu. Tidak أَصْلَحَ.

 

فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ

maka pahalanya ke atas Allah

Mereka yang memaafkan akan dapat balasan yang amat baik kalau mereka maafkan orang lain yang memang telah melakukan kezaliman kepada diri mereka.

Dalam ayat ini, Allah tak sebutkan apakah balasan yang akan diberikan. Allah cuma sebut عَلَى اللهِ (ke atas Allah). Selalunya Allah sebut apakah yang akan dapat kalau kita melakukan sesuatu perbuatan yang baik – dapat syurga, dapat rumah di syurga dan sebagainya.

Tapi apabila Allah sebut Dia yang akan balas, itu bermakna Allah akan beri lebih lagi dari yang amat-amat istimewa. Sampaikan tidak boleh disebut – ianya terpulang kepada Allah. Akal kita tidak dapat membayangkannya kalau Allah beritahu pun. Begitu hebatnya Allah menganjurkan kepada kita memaafkan orang yang berbuat zalim kepada kita.

Memang untuk membuat amalan yang baik memang susah tapi tidaklah sesusah menahan diri dari mengambil tindakan kepada orang yang zalim kepada kita. Sudahlah tidak ambil tindakan, kita maafkan dia pula. Sudahlah maafkan, kita perbaiki perhubungan kita dengan dia balik. Ma sha Allah, memang susah! Kerana itu pahalanya amat-amat tinggi.

Memang ada ruang hukum dalam Islam untuk membalas perbuatan zalim yang dikenakan kepada kita. Tetapi Allah juga memberitahu yang kalau kita memaafkan, itu lebih baik. Allah berfirman dalam Baqarah:178

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظّٰلِمِينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

Iaitu mereka yang melakukan kezaliman dan melakukan kesalahan kepada orang lain. Allah akan menghukum mereka nanti. Dan dalam urusan perundangan, mereka akan dikenakan dengan hukuman Hudud, Qisas atau Ta’zir.

Ia juga bermaksud mereka yang membalas lebih dari yang sepatutnya. Ini pun zalim juga. Kerana balasan yang boleh dilakukan hanyalah balasan yang setimpal dengan perlakuan asal sahaja. Kalau kita buat lebih lagi, itu sudah zalim namanya.


 

Ayat 41:

وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعدَ ظُلمِهِ فَأُولٰئِكَ ما عَلَيهِم مِّن سَبيلٍ

Sahih International

And whoever avenges himself after having been wronged – those have not upon them any cause [for blame].

Malay

Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah dia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.

وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِ

Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah dia dizalimi,

Iaitu mereka yang mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak yang berwajib tentang kesalahan yang dilakukan ke atas dirinya – supaya dia boleh balas balik kesalahan yang telah dilakukan.

 

فَأُولَٰئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ

maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.

Mereka tidak bersalah kalau mereka hendak mengambil tindakan balas. Mereka tidak ada dosa. Tidak ada jalan atau hujah untuk kita menyalahkan mereka. Memang ada anjuran untuk memaafkan, tapi itu hanya anjuran dan tidak wajib.

Dan ianya adalah anjuran yang berat, sampaikan Allah kata balasan yang akan diberikan adalah ‘atas DiriNya’ untuk membalas kebaikan memaafkan itu. Kalau mereka dapat tahan sabar dan tidak balas, mereka akan dapat pahala yang amat besar.

Tetapi, dalam masa yang sama, orang yang dizalimi ada hak untuk membalas dendam. Jangan pula kita paksa atau pujuk mereka untuk maafkan. Jangan kata mereka teruk kalau mereka nak balas juga. Mereka ada hak yang telah diberikan dalam Islam. Jangan kita cakap kepada mereka: “Kenapa kau nak balas juga, bukankah sesama Islam itu baik untuk memaafkan? Teruklah kau ini…”.

Hati manusia kita tidak tahu. Ada orang yang tidak selesai dalam dirinya sehinggalah dia melihat orang yang menzaliminya dibalas. Allah tahu isihati manusia. Kerana itulah Allah telah berikan mereka ruang untuk membalas balik. Jadi kalau dia nak balas juga, maka jangan salahkan dia.


 

Ayat 42: Takhwif Ukhrawi.

إِنَّمَا السَّبيلُ عَلَى الَّذينَ يَظلِمونَ النّاسَ وَيَبغونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

The cause is only against the ones who wrong the people and tyrannize upon the earth without right. Those will have a painful punishment.

Malay

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia

Mereka yang mula-mula melakukan kezaliman dan gangguanlah yang patut disalahkan dan dihukum. Apa yang mereka lakukan itu memang satu kesalahan dan dosa yang berat. Bukannya orang yang hendak membalas balik yang bersalah.

 

وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

dan menindas di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar.

Iaitu orang yang besar, yang berkuasa, yang bermaharajalela di atas muka bumi ini. Mereka melakukan perkara yang tidak ada alasan yang haq dan benar. Mereka buat ikut kehendak nafsu mereka sendiri sahaja sampai menzalimi orang lain. Orang-orang seperti ini tidak patut dibiarkan sahaja.

 

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

Di dunia lagi mereka boleh dikenakan dengan hukuman – hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir. Dan di akhirat nanti, mereka juga akan dikenakan dengan azab Allah. Maka kalau mereka terlepas dari penghakiman di dunia ini, maka ingatlah yang akhirat itu ada. Mereka akan tetap kena hukum dan kena azab. Maka kita bersabarlah dan serahkan kepada Allah. Ingatlah yang Allah itu ada dan Allah Maha Adil.


 

Ayat 43: Allah menganjurkan sekali lagi untuk memaafkan. Allah puji mereka yang berbuat begitu.

وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذٰلِكَ لَمِن عَزمِ الأُمورِ

Sahih International

And whoever is patient and forgives – indeed, that is of the matters [requiring] determination.

Malay

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang memerlukan keazaman.

وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ

Dan orang yang bersabar dan menutup kesalahan

Iaitu mereka yang memaafkan kesalahan orang terhadapnya.

Tetapi, selepas dia memaafkan kesalahan itu, dia tidak menceritakan kesalahan orang yang telah melakukannya. Itulah maksud غَفَرَ – menutupi kesalahan itu. Tutup kes dan jangan dibangkitkan lagi. Kerana manusia ada yang suka memberitahu semua orang tentang kejahatan yang telah dilakukan oleh orang lain.

Sebagai contoh, katakanlah ada pencuri yang masuk rumah kita. Kita pun berjaya tangkap dia. Tengok-tengok, rupanya dia adalah anak kawan sekampung dengan kita. Kita pun tak mahu panjangkan, maka kita suruh dia balik rumah dan pesan supaya dia jangan buat lagi kerja macam itu.

Maknanya, kita sudah maafkan dia. Tapi esok, janganlah pula cerita kisah itu di kedai kopi kampung – sebab semalam sudah maafkan, bukan? Apabila kita sudah maafkan, kita tak boleh nak pukul canang keliling kampung yang budak itu masuk rumah kita malam semalam nak mencuri. Itu adalah satu kesalahan. Kerana kita sudah maafkan, tapi ada pula usaha kita untuk memalukannya.

 

إِنَّ ذَٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

sesungguhnya yang demikian itu memerlukan keazaman.

Ianya adalah satu perbuatan yang mulia. Ia memerlukan kekuatan hati – keazaman yang kuat. Allah puji mereka yang boleh buat begitu. Bukan senang nak buat. Allah tambah huruf ل dalam لَمِنْ sebagai penegasan. Kenapa?

Kerana bukan senang nak maafkan dan sembunyikan dan buat senyap dengan apa yang telah dilakukan oleh pesalah itu. Kalau tidak ada azam (kekuatan dalaman), kita tidak mampu nak melakukannya. Tapi lihatlah bagaimana balasan yang Allah telah janjikan – ianya ‘ke atas Allah’.

Kita memang disuruh bersabar dalam banyak keadaan. Apabila kita ditimpa musibah, kita memang disuruh sabar. Sebagai contoh, anak sakit, kereta rosak, rumah kena banjir dan sebagainya. Dan memang sabar adalah satu-satunya pengubat jiwa waktu itu. Sebab tidak ada jalan lain.

Tapi apabila kita dizalimi dan kita ada peluang untuk membalasnya, tapi kita sabar, itu memang satu perbuatan yang amat besar. Tidak salah pun kalau kita ambil tindakan tapi amat mulia kalau kita dapat maafkan. Sebab itulah Allah beri penekanan huruf ل dalam لَمِنْ.

Habis Ruku’ ke 4 dari 5 ruku’ surah ini.


 

Ayat 44: Ayat 44 – 46 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan akibat buruk kepada golongan musyrikin dan kafirin.

Kita telah sebut bahawa tiada dalil yang sahih untuk melakukan syirik kepada Allah. Dan kalau ada dalil yang dibawa orang, itu adalah dalil yang salah dan ianya datang dari bisikan Syaitan. Dan kalau berterusan mengamalkan amalan syirik itu, maka Allah boleh buat keputusan untuk terus menyesatkan orang itu.

Ayat ini juga mengandungi takhwif ukhrawi.

وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن وَلِيٍّ مِّن بَعدِهِ ۗ وَتَرَى الظّٰلِمينَ لَمّا رَأَوُا العَذابَ يَقولونَ هَل إِلىٰ مَرَدٍّ مِّن سَبيلٍ

Sahih International

And he whom Allah sends astray – for him there is no protector beyond Him. And you will see the wrongdoers, when they see the punishment, saying, “Is there for return [to the former world] any way?”

Malay

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?”

وَمَن يُضْلِلِ اللهُ

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah,

Bukanlah Allah zalim untuk menyesatkan sesiapa. Allah beri hidayah kepada semua makhlukNya. Tapi apabila hidayah telah berkali-kali diberikan kepada mereka, tapi mereka masih tak mahu terima, masih menolak dan menentang, maka Allah akan tutup pintu hidayah kepada mereka. Ini adalah kafir peringkat keempat.

Mereka tidak akan menerima lagi hidayah selepas itu walaupun apa hujah dan dalil yang diberikan kepada mereka. Itulah maksudnya: ‘disesatkan oleh Allah’. Iaitu Allah ‘kunci mati’ hati mereka dari beriman.

 

فَمَا لَهُ مِن وَلِيٍّ مِّن بَعْدِهِ

maka tidak ada baginya sesudah Allah sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Ini adalah kafir ‘peringkat ke-empat’ dimana mereka tidak ada peluang lagi untuk menerima hidayah. Apabila pintu hidayah telah ditutup oleh Allah, tidak ada sesiapa pun yang boleh menolongnya. Tidak ada sesiapa yang boleh beri hidayah lagi kepada mereka. Kalau kita cuba ajar mereka pun, mereka tidak akan faham kerana Allah telah kunci mati hati mereka dari terima hidayah.

Dan Allah akan azab mereka dan mereka tidak akan ada penolong. Kalau Musyrikin Mekah dahulu, mereka menyangka berhala-berhala dan segala pujaan mereka akan menyelamatkan mereka. Ada juga dari kalangan mereka yang memohon dan menyembah malaikat-malaikat yang mereka anggap sebagai ‘anak perempuan Allah’.

Begitu juga penganut Kristian, mereka sangka Nabi Isa عليه السلام yang mereka sembah itu akan menjadi penolong mereka nanti di akhirat. Pengikut Buddha pula sangka Gautama Buddha akan menjadi penjamin mereka.

Mereka itu semua akan terkejut dan hampa apabila di akhirat kelak. Sangkaan mereka itu tidak akan menjadi kenyataan. Tidak ada sesiapa yang akan memberi pertolongan kepada mereka dan menjamin mereka.

Begitu juga orang Islam kita: ada yang sangka sembahan mereka seperti Nabi Muhammad ﷺ , Sheikh Abdul Qadir Jalani, Tok Kenali dan wali-wali yang lain, guru-guru mereka, atau sebagainya, akan menjadi penjamin bagi mereka. Tapi itu adalah anggapan sia-sia sahaja. Mereka mungkin bawa hujah dari tok guru mereka, mimpi mereka, kitab-kitab karangan manusia dan macam-macam lagi, tapi itu semua bukanlah dalil tapi dalil khayalan sahaja.

Mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan benar sahaja yang akan tertipu dengan dalil-dalil sebegitu. Itulah sebabnya penting anak-anak kita diajar dengan Al-Qur’an dari kecil lagi supaya mereka ada penimbang untuk membeza manakah ajaran yang benar dan tidak senang ditipu. Kita takut nanti mereka akan terjerumus ke kumpulan yang sesat. Mungkin nanti sampai satu masa mereka nak jadi orang baik, tapi pergi masuk kumpulan tarekat. Memang akan kena tipu sahajalah nanti.

 

وَتَرَى الظّٰلِمِينَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ

Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab

Allah suruh kita bayangkan keadaan di neraka itu. Iaitu apabila ahli-ahli neraka diperlihatkan neraka yang menyala-nyala kepada mereka. Tidak dapat dibayangkan dengan akal kita betapa hebatnya dan dahsyatnya azab yang mereka akan nampak itu.

Ahli neraka itu adalah mereka yang zalim. Dan zalim ada banyak jenis. Zalim kepada orang lain adalah apabila menganiaya orang lain. Selain dari itu, ada yang zalim kepada diri sendiri dan ada yang zalim kepada Allah. Zalim kepada Allah bermaksud mereka melakukan syirik kepada Allah.

‘Zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini lebih kepada zalim kepada Allah iaitu berbuat syirik.

 

يَقُولُونَ هَلْ إِلَىٰ مَرَدٍّ مِّن سَبِيلٍ

Mereka akan berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali?”

Iaitu mereka berharap untuk kembali ke dunia. Mereka berkata ini dalam keadaan yang menyesal sangat kerana mereka sudah tahu kesalahan mereka. Mereka tanya kepada kawan-kawan mereka dalam neraka itu ke sana dan ke sini. Mereka bertanya dengan berharap ada sesiapa yang tahu jalan nak keluar dari azab neraka.

Mereka akan minta juga kepada guru-guru dan pemimpin mereka yang mereka ikut semasa mereka di dunia; mereka juga akan minta kepada Penjaga Neraka. Ini semua disebut dalam Al-Qur’an dalam berbagai ayat.

Kenapa mereka nak sangat kembali? Kerana hendak memperbaiki kesalahan-kesalahan mereka semasa di dunia. Dulu semasa mereka di dunia, mereka telah menzalimi Allah, diri mereka sendiri dan orang lain. Dulu mereka buat amalan syirik, amalan bidaah, bermacam-macam dosa.

Apabila di akhirat, mereka menyesal. Kerana mereka sudah nampak kebenaran. Janganlah kita jadi begitu. Kenalah kita belajar Al-Qur’an secara talaqqi supaya kita tidak menyesal seperti mereka nanti.

Dalam al-An’am:27 Allah telah berfirman:

وَلَوْ تَرَىٰ إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami boleh dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.

Mereka nak balik ke dunia supaya mereka dapat menjadi orang Mukmin. Mereka nak buat amalan baik, yang sunnah, dan nak tinggalkan amalan syirik dan bidaah. Kerana mereka menyesal sangat-sangat dari kesalahan mereka dulu. Malangnya apabila sudah nampak azab baru nak beriman.

Takkan kita pun nak jadi macam itu juga? Sebab waktu itu sudah terlambat. Memang tidak akan dikembalikan ke dunia lagi. Lagi pun dunia pun sudah hancur lebur selepas Kiamat, jadi nak hantar ke mana? Waktu itu adalah waktu untuk mereka menerima azab hasil dari apa yang mereka lakukan semasa di dunia.

Oleh itu, janganlah percaya sahaja kepada kata-kata guru dan manusia lain. Mereka kena bawa dalil dan dalil yang diberikan itu pun kena diperiksa juga sama ada benar atau tidak, sahih atau tidak, sama fahaman dengan salafussoleh atau tidak. Kerana ada yang bawa dalil, tapi pemahaman dalil itu tidak seperti yang difahami oleh golongan salafussoleh.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 32 – 38 (Kepentingan Syura)

Ayat 32: Allah beri dalil tentang kekuasaanNya.

وَمِن ءآيٰتِهِ الجَوارِ فِي البَحرِ كَالأَعلٰمِ

Sahih International

And of His signs are the ships in the sea, like mountains.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.

 

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya

Ini adalah tanda yang kita sendiri boleh lihat. Kita tidak boleh melihat Allah, tapi kita boleh melihat tanda-tandaNya. Perkataan ‘alam’ itu sendiri bermaksud ‘tanda’.

Dengan melihat alam, kita boleh melihat tanda kewujudan dan kekuasaan Allah. Dengan melihat tanda-tanda itu, kita boleh mengenali Allah setakat yang kita mampu. Kita boleh kenal Allah setakat yang Allah benarkan sahaja. Macam kita tengok lukisan yang cantik dan kita dapat agak yang pelukis itu adalah seorang yang hebat.

 

الْجَوَارِ فِي الْبَحْرِ

ialah kapal-kapal belayar laju merempuh lautan.

Allah banyak memberi isyarat kepada kebesaranNya dengan menyuruh kita melihat alam ini. Dalam ayat ini, Allah menyuruh kita melihat kepada kapal di lautan pula. Lihatlah kepada kapal yang belayar laju di lautan itu. Ini adalah salah satu dari nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Air selalu menenggelamkan apa sahaja yang di atasnya, tapi kapal yang besar itu tidak tenggelam pula. Itulah yang hebatnya. Dengan kapal itu juga boleh mengangkut keperluan perniagaan dan kehidupan kita. Maka itu adalah nikmat dari Allah kepada manusia.

 

كَالْأَعْلٰمِ

seperti gunung,

Kalau kita lihat kapal-kapal besar yang berlayar di laut itu, ianya bagaikan gunung kerana besarnya kapal itu. Kalau di daratan, gununglah yang nampak dari jauh. Tapi kalau di lautan, kapallah yang nampak dari jauh.

Bayangkan betapa hebatnya, kapal yang begitu besar, yang kalau kita pertama kali lihat, tentunya akan tenggelam, tapi ianya dapat terapung di lautan. Dan dapat bergerak dengan bebas. Begitu banyak barang yang boleh dinaikkan di dalam kapal itu seperti manusia dan barang-barang kargo dan jualan. Kemudian, kain layarnya pula tinggi menjulang, menambahkan imaginasi kita kepada bentuk gunung.

Kapal Layar zaman moden

 

Ayat 33:

إِن يَشَأ يُسكِنِ الرّيحَ فَيَظلَلنَ رَواكِدَ عَلىٰ ظَهرِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

Sahih International

If He willed, He could still the wind, and they would remain motionless on its surface. Indeed in that are signs for everyone that is patient and grateful.

Malay

Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin, maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

 

إِن يَشَأْ يُسْكِنِ الرِّيحَ

Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin,

Kapal layar itu memerlukan angin yang kuat untuk bergerak meniup layarnya. Dan angin yang bertiup kencang itu, Allah boleh menghentikannya. Hanya Allah sahaja yang boleh melakukannya. Allah nak ingatkan yang kapal di lautan berjalan dengan Qudrat Allah. Bukanlah kapal itu berjalan sendiri.

 

فَيَظْلَلْنَ رَوَاكِدَ عَلَىٰ ظَهْرِهِ

maka tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di atas belakangnya.

Apabila angin berhenti dan tidak bertiup di lautan, maka kapal-kapal itu akan berhenti tidak bergerak. Ini adalah ketika laut itu tenang dan tidak ada angin yang meniup layarnya. Ianya akan hanya terapung-apung tidak bergerak.

Ini adalah untuk kapal layar kerana kapal layar memerlukan angin untuk menggerakkannya. Semasa ayat ini diturunkan, hanya ada kapal layar sahaja jadi contoh yang kita gunakan sekarang ini adalah berkenaan kapal layar sahaja.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi tiap-tiap orang yang sabar, lagi bersyukur.

Sifat sabar dan syukur disebut di hujung ayat ini. Ia merujuk kepada mereka yang sabar semasa susah dan mereka pula akan bersyukur di masa senang. Ini adalah dua sifat yang amat-amat penting. Ianya perlu ada bagi setiap orang mukmin.

Pertama yang perlu disyukuri adalah kerana air laut itu tenang. Dan apabila disebut kapal yang berlayar, ia juga sebagai isyarat kepada perjalanan safar. Dalam musafir, kita memerlukan kedua-dua sifat ini. Kerana di dalam setiap perjalanan, kita akan menghadapi banyak masalah.

Kita hendaklah bersabar bila kita diberikan dengan masalah-masalah itu. Di dalam masa yang sama, kita juga semestinya bersyukur kepada Allah kerana Allah telah memberi izin kepada kita untuk mengembara di atas muka bumi ini.

Sebagai contoh, perjalanan untuk mengerjakan Umrah dan Haji adalah perjalanan yang sukar. Maka hendaklah kita bersabar dalam perjalanan dan menghadapi kesukaran itu. Tetapi di dalam masa yang sama, kita hendaklah bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada kita untuk mengerjakan ibadah itu. Berapa ramai yang teringin sangat untuk ke Mekah, tetapi tidak mendapat kesempatan itu.

Lihatlah, sebenarnya kalau kita ada rasa syukur, perasaan sabar itu akan datang dengan sendiri.

Maka kita hendaklah menjadikan susah atau pun senang sebagai jalan/kenderaan untuk menuju kepada Allah. Tidak kira semasa senang atau susah, kita tetap menghadapkan diri kepada Allah. Ada ketika senang seperti perjalanan kapal yang mudah; dan ada ketika akan susah seperti ketika angin tidak ada untuk menggerakkan kapal.

Apa sahaja kehidupan kita dalam seharian tidak ada tujuan lain, melainkan untuk kembali kepada Allah. Akan pasti ada masa senang dan masa susah. Bila senang dia ingat itu dari Allah; bila susah dia tahu yang Allah sedang berikan ujian kepadanya.


 

Ayat 34:

أَو يوبِقهُنَّ بِما كَسَبوا وَيَعفُ عَن كَثيرٍ

Sahih International

Or He could destroy them for what they earned; but He pardons much.

Malay

Atau (jika Dia kehendaki) Dia binasakan kapal-kapal itu disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh orang-orangnya, (lalu setengahnya dibiarkan mati lemas) dan (setengahnya diselamatkan dengan jalan) Dia memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa mereka.

 

أَوْ يُوبِقْهُنَّ

Atau (jika Dia kehendaki) Dia boleh binasakan kapal-kapal itu

Allah boleh musnahkan kapal itu dengan macam-macam cara. Kapal itu boleh bocor, boleh terbakar, boleh langgar batu karang, langgar bongkah ais dan sebagainya. Hakikatnya, Allahlah yang membinasakan kapal itu.

Lihatlah apa terjadi kepada kapal Titanic. Mereka kata: “Tuhan pun tidak boleh menenggelamkan kapal ini”, tapi akhirnya Allah tenggelamkan juga.

Kapal Titanic yang besar itu pun Allah senang sahaja membinasakannya

 

بِمَا كَسَبُوا

disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh mereka,

Apabila dalam perjalanan kapal atau dengan perjalanan cara lain, tentulah banyak kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Allah boleh sahaja memusnahkan mereka kerana kesalahan mereka itu.

Atau memang penumpang kapal itu adalah mereka yang banyak berdosa, berbuat syirik, kufur atau berlaku zalim kepada ramai orang. Allah boleh beri balasan kepada mereka atas kesalahan dosa mereka itu serta merta.

Ini adalah takhwif duniawi di mana Allah ingatkan yang azab boleh dikenakan semasa di dunia lagi. Tapi kalau Allah tenggelamkan mereka, bukanlah Allah sengaja nak buat, tapi kerana kesalahan mereka sendiri. Kalau tidak ada dosa, Allah tidak akan beri musibah kepada mereka.

 

وَيَعْفُ عَن كَثِيرٍ

tapi Dia telah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa mereka.

Walaupun Allah boleh balas kesalahan mereka itu dengan dihancurkan mereka, tapi Allah tidak buat begitu. Allah telah maafkan kebanyakan dari dosa-dosa manusia. Allah tidak ambil kira kesemua dosa manusia yang ada dalam kapal itu.

Ini adalah kerana Allah maha pemaaf. Bukannya mereka tidak ada dosa, tapi Allah maafkan. Kalau Allah terus balas dosa manusia tentulah tidak ada manusia yang akan hidup di atas muka bumi. Maka Allah tangguhkan hukuman manusia.


 

Ayat 35: Ini adalah hikmah dijadikan ujian itu. Supaya mereka sedar.

وَيَعلَمَ الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِنا ما لَهُم مِّن مَّحيصٍ

Sahih International

And [that is so] those who dispute concerning Our signs may know that for them there is no place of escape.

Malay

(Berlakunya yang demikian supaya nyata kekuasaan Kami) dan supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui, bahawa mereka tidak akan dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).

 

وَيَعْلَمَ الَّذِينَ يُجٰدِلُونَ فِي ءآيٰتِنَا

Supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui,

Ada Jumlah Muqaddar dalam ayat ini: Allah tenggelamkan kapal di lautan kerana Allah nak balas kesalahan dan dosa hamba. Mereka yang membantah ayat-ayat Allah adalah mereka yang tak mahu beriman dengan ayat-ayat Allah. Apabila diberitahu dengan makna yang disampaikan dalam Al-Quran, ada sahaja yang mereka tolak. Apabila diajak belajar wahyu, mereka tolak.

Maka mereka dikenakan dengan azab di dunia supaya mereka dapat sedar kesalahan yang mereka telah lakukan. Supaya mereka sedar yang mereka itu lemah sahaja dan di dalam takluk Allah.

 

مَا لَهُم مِّن مَّحِيصٍ

bahawa mereka tidak akan dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).

Dikenakan azab kepada mereka yang menentang ayat-ayat Allah itu supaya mereka tahu bahawa mereka tidak ada kuasa nak melepaskan diri dari musibah Allah. Kalau Allah hentikan kapal mereka, musnahkan kapal mereka, senang sahaja bagi Allah dan mereka tidak dapat nak melepaskan diri dari takdir Allah itu.

Mereka kena sedar yang mereka tak boleh nak buat apa-apa pun. Katalah apa sahaja, ianya akan terjadi juga. Lihatlah apa kata mereka yang membuat kapal Titanic itu: “Kapal ini amat kuat, sampaikan Tuhan pun tak boleh nak karamkannya!” Begitu sombongnya mereka dengan pencapaian dan kepandaian mereka. Tapi lihatlah apa yang terjadi kepada kapal itu. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila kapal itu mula karam.

Orang-orang Musyrikin Mekah pun tahu bahawa apabila di lautan, yang berkuasa hanya Allah taala sahaja. Mereka tahu yang mereka  di dalam taqdir Allah pada waktu itu. Maka sekarang Allah nak ingatkan mereka sahaja.


 

Ayat 36: Allah menceritakan hakikat dunia. Allah juga memberitahu bahawa ramai manusia yang lalai kerana mereka leka dengan dunia. Bukanlah salah kalau mahu kepada dunia, cuma jangan sampai jadi hamba dunia.

Oleh kerana bahayanya dunia dan segala keindahannya pada mata manusia ini, Allah beri peringatan dalam ayat ini. Jadilah seperti orang zuhud yang lebih minat kepada akhirat. Mereka juga menggunakan dunia untuk keperluan hidup, tapi tidaklah terikat dengan dunia. Maknanya sayangkan akhirat bukanlah sampai tinggalkan dunia terus.

فَما أوتيتُم مِّن شَيءٍ فَمَتٰعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَما عِندَ اللهِ خَيرٌ وَأَبقىٰ لِلَّذينَ ءآمَنوا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

Sahih International

So whatever thing you have been given – it is but [for] enjoyment of the worldly life. But what is with Allah is better and more lasting for those who have believed and upon their Lord rely

Malay

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

 

فَمَا أُوتِيتُم مِّن شَيْءٍ

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu,

Allah nak ingatkan hakikat dunia kepada kita. Ramai yang senang terpesona dengan dunia. Tapi Allah ingatkan bahawa apa sahaja yang kita diberikan dalam dunia, segala harta, segala kekayaan dan sebagainya itu tidak kekal. Kita nampak macam banyak sahaja harta yang diberikan kepada kita itu. Tapi apakah hakikatnya?

 

فَمَتٰعُ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja,

Walau banyak mana pun harta itu, walau sebanyak harta Qarun pun, sebanyak harta Bill Gates pun, walaupun sepenuh bumi, ianya hanya مَتَاعُ (barangan kegunaan) dunia sahaja. Perkataan مَتَاعُ dari katadasar متع yang bermaksud sesuatu yang digunakan tapi ianya hanya untuk sementara sahaja. Sebagai contoh, perabot, rumah, kerusi, apa sahaja.

Ianya memang untuk keperluan kita, tapi hanya setakat kita hidup sahaja. Sama ada barang itu rosak dahulu atau kita yang mati dulu. Tidak kisah bagaimana menariknya barang itu, betapa hebat dan cantiknya benda itu, ianya tidak kekal. Ianya sedikit sahaja nilainya kerana barang tidak kekal tidaklah bernilai.

Tapi kita kena faham, Allah bukan suruh tinggalkan dunia tapi Allah suruh kita zuhud kepada dunia. ‘Zuhud’ itu maksudnya tidak minat sangat kepada dunia kerana lebih minat kepada akhirat. Tapi mereka pakai juga dunia kerana itu adalah keperluan hidup.

Ini menegur perangai kebanyakan manusia yang mementingkan harta dunia. Sebagai contoh, ramai yang meletakkan status kejayaan mereka pada rumah besar, kereta mewah, duit berkepuk dalam bank, alat elektronik yang canggih-canggih, baju yang cantik-cantik, dan macam-macam lagi. Allah ingatkan kita bahawa semua itu hanyalah kegunaan di dunia sahaja yang tidak akan kekal.

Dalam Kahf:46, Allah juga telah membezakan perhiasan dunia dan akhirat.

المالُ وَالبَنونَ زينَةُ الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَالباقِياتُ الصّالِحاتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوابًا وَخَيرٌ أَمَلًا
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

 

وَمَا عِندَ اللهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal

Bandingkan apa yang kita ada di dunia ini dengan apa yang Allah berikan di akhirat nanti, kalau seseorang itu masuk syurga. Kerana apa sahaja yang kita ada di dunia, ianya tidak kekal. Dan ianya tidak sempurna, pasti ada sahaja kekurangannya. Pasti ada sahaja masalahnya kerana ianya adalah barang dunia sahaja. Ada sahaja tak kena dengan hati kita walaupun kita suka.

Memang kita suka dan sayang barang dunia kerana ianya cantik, tapi mungkin warnanya kita tak berapa suka. Begitulah kita dengan harta kesayangan kita. Tidak semestinya ianya sempurna, walaupun kita sayang sekalipun. Tapi, apa yang Allah akan berikan di syurga nanti adalah lebih baik lagi.

Sebaliknya, barang di syurga nanti akan sempurna, ianya akan kekal sampai bila-bila. Dan ianya akan sempurna dimana kita tidak akan nampak apa-apa kekurangan pun pada apa yang Allah akan beri di akhirat nanti. Ahli syurga akan amat berpuas hati dengan barangan di syurga, tidak ada komen langsung.

Kalau kita diberi pilihan antara barang yang sekejap sahaja hayatnya dengan barang yang kekal, apakah pilihan kita? Tentunya kita mahukan yang kekal, bukan? Oleh itu, hendaklah kita membuat pilihan sama ada untuk mendapatkan harta akhirat ataupun harta dunia dari sekarang. Kena buat keputusan sekarang kerana kalau tunggu di akhirat nanti sudah terlambat.

Dan untuk mendapatkan harta syurga itu, bukannya senang-senang sahaja akan diberikan. Kerana ianya memerlukan kesabaran dan usaha. Ianya juga tidak diberikan kepada semua orang. Kepada siapakah ianya akan diberikan?

 

لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

bagi orang-orang yang beriman

Siapa yang dapat pemberian di syurga yang kekal itu? Adakah semua orang? Tentu tidak. Ianya hanya diberikan kepada mereka yang beriman sahaja. Iaitu yang beriman sempurna – tidak mengamalkan syirik. Akidah mereka mantap, kemas. Tauhid mereka jelas dan tidak goyang.

Untuk mendapatkan akidah yang sebegitu, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an dan memahami apa yang Allah sampaikan dalam Al-Qur’an. Bukannya mengambil dalil dari kata-kata manusia sahaja. Tidaklah cukup faham tauhid dengan hanya belajar Sifat 20 sahaja.

Kelebihan dunia diberikan kepada semua orang sama ada beriman atau tidak, Muslim atau tidak. Allah boleh berikan kepada sesiapa sahaja tidak kira beriman atau tidak, kerana ianya tidak bernilai. Benda yang tidak bernilai, senang sahaja kita beri kepada orang lain, bukan? Tapi kalau ianya berharga sedikit, kita akan pilih orang yang akan diberikan. Begitu jugalah dengan syurga dan segala perhiasannya. Ianya amat bernilai dan kerana itu Allah hanya berikan kepada orang beriman sahaja.

Oleh kerana itu, tidak semua akan dapat kelebihan di syurga nanti. Ada syarat untuk mendapatkannya. Dan syarat pertama yang disebut dalam ayat ini: beriman sempurna. Maksud ‘beriman sempurna’ pula adalah tidak melakukan syirik sedikit pun.

 

وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

Syarat kedua adalah seseorang itu hendaklah bertawakal hanya kepada Allah. Kita serahkan urusan kita selepas kita berusaha, kepada Allah. Apa yang Allah berikan keputusan kepada kita selepas kita berusaha, kita terima.

Tapi kena ingat, kita kena tawakal itu selepas melakukan taat. Kita taat dan tawakal dalam masa yang sama. Sebagai contoh, sewaktu kita solat, tentulah kita tinggalkan hal dunia, bukan? Maksudnya, dalam melakukan taat, tentu ada perkara keduniaan yang kita abaikan. Apa akan jadi kalau begitu? Adakah kita akan rugi?

Ada yang rasa begitu kerana mereka rasa mereka akan rugi kalau mereka taat dalam agama. Maka Allah nak ingatkan yang tawakal itu adalah taat dan serahkan apa yang akan jadi dengan dunia kita. Kerana kalau kita jaga ketaatan kita kepadaNya, Dia akan akan jaga keperluan dunia kita.

Kita mestilah percaya bahawa jikalau kita korbankan dunia ini kerana Allah, kita akan mendapat kelebihan di akhirat. Sebagai contoh, kadang-kadang kita mendapat peluang untuk mendapatkan kepentingan dan kelebihan dunia, tapi ianya salah di sisi agama. Apabila seseorang itu ada iman dan ada tawakal, dia akan sanggup untuk melepaskan peluangnya di dunia itu asalkan dia mendapat kebaikan akhirat.

Sebagai contoh, dia ada peluang untuk mencuri, berzina, tapi dia tidak melakukannya kerana imannya menghalangnya. Ini adalah kerana dia ada tawakal – dia tahu bahawa dengan menahan dirinya di dunia, dia akan mendapat balasan di akhirat yang lebih baik. Dia percaya yang kalau dia tahan dari mencuri, dia akan dapat barangan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat kelak; jikalau dia tahan dari berzina, dia tahu yang dia akan mendapat isteri dan bidadari yang cantik-cantik di akhirat kelak.

Semua ini memerlukan kepercayaan (tawakal) yang penuh kepada Allah. Kerana kalau tidak yakin penuh, tidak sampai kepada tahap melepaskan perkara-perkara yang salah itu.

Setelah mengetahui kelebihan syurga setelah diberitahu dengan berbagai-bagai ayat, kita tentu teringin untuk memasukinya. Semua ada peluang untuk memasukinya, tapi seperti yang telah kita sebut, ianya memerlukan usaha. Maka ada 10 syarat untuk memasukinya dan dua darinya telah disebut dalam ayat ini:

1. Iman sempurna. Dan yakin dengan janji Allah.

2. Tawakal selepas melakukan taat.


 

Ayat 37: Selain dari dua syarat di atas, apa lagi syarat untuk mendapat kebaikan di akhirat? Kita bukan hanya beriman sahaja, tapi hendaklah disertakan dengan perlakuan yang mencerminkan iman kita.

Dan iman itu bukannya hanya ‘melakukan’ sesuatu tapi ia termasuklah juga ‘meninggalkan’ sesuatu. Ayat ini adalah tentang meninggalkan sesuatu. Kerana ada perkara yang kita kena buat, dan ada perkara yang kita kena tinggalkan.

وَالَّذينَ يَجتَنِبونَ كَبٰئِرَ الإِثمِ وَالفَوٰحِشَ وَإِذا ما غَضِبوا هُم يَغفِرونَ

Sahih International

And those who avoid the major sins and immoralities, and when they are angry, they forgive,

Malay

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

 

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبٰئِرَ الْإِثْمِ

Dan juga orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar

Perkataan يَجْتَنِبُونَ dari katadasar ج ن ب yang bermaksud ‘sisi badan’. Kalimah إجتنب bermaksud menyelamatkan sisi badan. Sebagai contoh, kita mengelak tubuh kita dari kena sesuatu. Oleh itu, إجتنب bermaksud meninggalkan sesuatu yang kita ada peluang untuk melakukannya. Maksudnya, kita ada peluang, tapi kita tidak ambil peluang itu.

Memang senang tidak buat dosa apabila tidak ada peluang. Tapi apabila ada peluang, itu yang susah, bukan? Peluang di hadapan matalah yang menduga iman kita. Sebagai contoh, memang sekarang kita pandang zina itu sebagai dosa besar, tapi kalau ada wanita cantik yang menyerahkan dirinya depan kita, adakah kita ada kekuatan untuk menolaknya?

‘Dosa besar’ dipanggil ‘dosa besar’ kerana perbuatan itu adalah sesuatu yang besar dan kesan perbuatan itu juga besar. Sebagai contoh, dosa yang paling besar adalah syirik. Perbuatan syirik menyebabkan seseorang itu menyembah ilah selain Allah dan kesannya menyebabkan dia masuk ke dalam neraka dan kekal dalam neraka.

Satu lagi dosa besar adalah zina. Sudahlah dosanya besar tapi ia memberi kesan buruk yang besar. Bukan sahaja lelaki dan perempuan melakukan hubungan badan tapi kalau anak terhasil dari perhubungan itu, anak itu akan terbiar kerana ia adalah anak zina. Maka anak itu akan terabai hidupnya semasa dia membesar.

Bagaimana kita hendak tahu mana satu dosa besar? Dosa besar adalah dosa yang telah dikategorikan sebagai dosa besar oleh syariat. Iaitu melalui Al-Qur’an dan hadis. Dan dosa itu jenis yang telah ditetapkan balasannya, sama ada di dunia atau di akhirat.

Sebagai contoh, ada dosa yang dikenakan dengan hukum hudud. Hukum membunuh, mencuri, zina dan sebagainya telah ditetapkan hukumannya dalam Al-Qur’an dan Hadis. Hukuman itu boleh dikenakan semasa di dunia lagi. Hukum mencuri, potong tangan; menuduh orang berzina tanpa bawa bukti, 80 kali sebatan dan lain-lain lagi.

Selain dari itu, ada perbuatan yang telah diberikan ancaman seksa di akhirat. Mungkin tidak ada hukum hudud di dunia, tapi ada ancaman seksa di akhirat. Sebagai contoh, orang yang memakan harta anak yatim dikatakan akan memakan api neraka ke dalam perut mereka.

Selain dari itu, dosa besar juga termasuk kalau Allah melaknat perbuatan itu. Sebagai contoh, Allah melaknat mereka yang melaknat ibubapa mereka.

Selain dari itu, ada perbuatan yang Allah marah. Sebagai contoh, Allah marah kepada isteri yang menolak keinginan suami untuk bersama.

Ataupun, jikalau telah jelas dalam dalil yang sah bahawa sesuatu perbuatan itu adalah haram. Sebagai contoh, Allah telah jelas mengharamkan riba.

Ataupun, apabila diberitahu bahawa jikalau manusia melakukan sesuatu perbuatan itu, imannya ditolak. Sebagai contoh, jika kita menyakiti jiran kita.

Akhir sekali, hendak kita ingatkan yang jikalau manusia berterusan melakukan dosa-dosa kecil, itu juga adalah satu dosa besar. Ini kerana kalau berterusan melakukan dosa kecil, ia tidak jadi kecil lagi.

Ada ulama yang cuba menyenaraikan dosa-dosa besar itu untuk kemudahan kita. Antaranya, ada yang menyenaraikan lebih dari 300 dosa-dosa besar. Tapi memang bilangannya tidak tetap kerana ia berdasarkan kajian dan pendapat ulama’ sahaja dan ia tidak semestinya sama. Maka boleh buat rujukan lagi berkenaan dosa-dosa besar ini.

Bukanlah dosa besar sahaja yang perlu kita jauhi, tapi dosa kecil pun kita kena cuba jauhi juga. Tapi Allah beri syarat untuk memasuki syurga dengan menjauhi dosa besar, kerana amat susah untuk menjauhi dosa-dosa kecil. Jadi kalau diletakkan sebagai syarat memasuki syurga kena jauhi dosa kecil, tidak adalah orang yang dapat dapat masuk syurga pula nanti. Ini adalah salah satu dari rahmat Allah ke atas kita.

 

وَالْفَوٰحِشَ

serta perbuatan-perbuatan yang keji;

Ianya adalah perbuatan yang memalukan dan selalunya berasal dari syahwat yang tidak terkawal. Sebagai contoh, zina, homoseksual, mengahwini mereka yang tidak sepatutnya dikahwini.

Termasuk juga apa sahaja yang memalukan seperti pornografi, berbogel di tempat yang tidak sepatutnya, melihat aurat orang yang tidak sepatutnya, melihat dengan nafsu kepada yang tidak sepatutnya, berkata perkara lucah, menulis atau melukis perkara lucah.

Kerana dengan melakukan perkara-perkara itu, boleh menyebabkan syahwat naik. Termasuk dalam perkara ini adalah duduk bersama lelaki dan perempuan yang bukan mahram (ikhtilat), memegang tangannya, bersembang dengannya. Mendengar sesuatu yang lucah juga ada termasuk dalam perkara ini.

Dosa-dosa الْفَوَاحِشَ ini adalah dosa yang memalukan kita. Kita sendiri pun malu nak beritahu kepada orang, atau kita sendiri malu kalau orang lain tahu kita terlibat dengan dosa-dosa itu. Termasuklah kalau orang itu yang rapat dengan kita, contohnya ibu kita, isteri kita, kawan-kawan kita, adik beradik kita.

Kalau difikirkan, zina pun termasuk dalam dosa-dosa besar juga. Tapi kenapa disebut berasingan pula? Ini adalah kerana selalunya manusia akan berjaya mengelak dari dosa-dosa besar yang lain seperti membunuh, mencuri dan sebagainya. Tapi dosa besar yang melibatkan syahwat ini, manusia memang susah nak tinggalkan.

Dan ia apabila dilakukan menyebabkan orang lain pun teringin juga nak ikut buat sekali. Jadi perkara ini hendaklah dihentikan dari awal lagi. Lihatlah bagaimana kanak-kanak sekarang boleh dapat bahan porno dengan mudah menyebabkan mereka senang terlibat dengan perkara-perkara keji dari kecil lagi. Kerajaan kena lakukan sesuatu sebelum perkara ini teruk berleluasa dan tidak terkawal langsung.

Kalau tak sampai buat zina pun, mereka ada juga buat benda-benda lain yang kurang sikit, tapi termasuk juga dalam perkara الْفَوَاحِشَ. Jadi Allah beri penekanan khusus lagi dalam Al-Qur’an supaya kita boleh beri perhatian lebih sedikit. Jadi, kena jauhi diri dari dosa-dosa besar, terutama sekali dosa-dosa keji yang melibatkan syahwat.

 

وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

dan apabila mereka marah, mereka memaafkan;

Ini adalah syarat seterusnya untuk masuk syurga. Ini adalah kerana marah boleh membawa kepada banyak kesalahan lain. Mula-mula marah, tapi kemudian boleh pukul orang yang menyebabkan kita marah, malah sampai boleh bunuh dia pula. Ini adalah kerana apabila marah menguasai diri, akal sudah diletakkan di tepi dan manusia banyak buat perkara yang mereka sesali kemudian.

Orang yang mukmin, apabila mereka marah, mereka akan memaafkan orang yang menyebabkan mereka marah. Kerana marah jenis غَضِبُ, ianya adalah jenis marah yang boleh menyebabkan orang yang marah itu balas dendam kepada orang yang menyebabkan dia marah. Atau menyebabkan dia menyakiti orang itu. Maka ia kena diselesaikan atau dimatikan dari awal lagi. Jangan sampai kita teruskan kemarahan itu melarut ke perkara yang lain.

Itu adalah salah kerana kita tidak boleh menyakiti sesiapa. Tambahan lagi kalau orang yang menyebabkan kita marah itu adalah orang yang lebih tua dari kita, yang sepatutnya kita hormati. Takkan kita nak pukul orang tua pula? Atau, orang yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak?

Ataupun kadang-kadang anak-anak kita akan melakukan sesuatu yang menyebabkan kita marah sangat sampaikan kita rasa nak pukul dia, nak rotan dia, nak maki dia. Tapi, perbuatan kita itu akan memberi kesan kepada mental, emosi dan psikologi dia di masa hadapan. Ditakuti ianya akan menyebabkan pembesarannya boleh terganggu, dia menjadi orang yang penakut, tak mesra dengan kita lagi, dan sebagainya.

Ada keadaan yang kita rasa kita boleh ambil tindakan kerana kita kuat, kita berkuasa dan sebagainya. Tapi apabila kita menahan kemarahan itu sampaikan tidak mengambil tindakan, itu adalah salah satu asbab (punca) untuk dimasukkan ke dalam syurga. Oleh kerana tahan marah ini susah, maka balasannya amat besar.

Ketahuilah bahawa perasaan marah itu adalah dari syaitan. Kerana itu muka kita akan merah kalau kita marah kerana syaitan itu dijadikan dari api yang merah. Syaitan akan membisikkan perkara-perkara yang menyebabkan kita benci kepada orang lain dan sampai memaki orang itu, atau malah lebih teruk lagi.

Memang kita sebagai manusia, sekali sekala akan jadi marah. Ini biasa sahaja terjadi kerana kita memang manusia biasa. Sebab itu ayat ini tidak melarang kita dari jadi marah kerana perasaan itu memang susah ditolak. Tidak marah memang susah, tapi yang dianjurkan adalah memaafkan selepas marah itu.

Lihatlah yang disuruh dalam ayat ini adalah يَغْفِرُونَ – memaafkan, biarkan kemarahan itu berlalu, jangan ambil tindakan kerana perasaan marah itu. Jangan layan perasaan itu. Jangan sampai ianya menyebabkan kita ambil tindakan yang tidak sepatutnya. Ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi balasannya adalah besar sekali iaitu syurga.

Jangan kita rasa yang apabila kita menunjukkan kemarahan kita, ianya menunjukkan kekuatan kita. Ramai yang marah kerana hendak menunjukkan kuatnya dia, egonya dia, dia boleh buat apa-apa dia hendak. Tapi, Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu kita bahawa kekuatan adalah dalam menahan kemarahan kita. Orang yang boleh tahan marah itulah yang kuat sebenarnya.

Berikut beberapa hadits tentang keutamaan menahan marah:

  1. Rasulullah ﷺ bersabda : “Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam gusti tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
  2. Dari Ibnu Mas’ud ra Rasulullah ﷺ bersabda: “Siapa yang dikatakan paling kuat diantara kalian? Sahabat menjawab: iaitu diantara kami yang paling kuat gustinya. Baginda bersabda: “Bukan begitu, tetapi dia adalah yang paling kuat mengendalikan nafsunya ketika marah.” (HR. Muslim)
  3. Al Imam Ahmad meriwayatkan hadits dari Anas Al Juba’i, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyerunya pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu.” (HR. Ahmad dengan sanad hasan)
  4. Al Imam Ahmad juga meriwayatkan hadits dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda : “Tidaklah hamba meneguk tegukan yang lebih utama di sisi Allah SWT, dari meneguk kemarahan kerana mengharap wajah Allah SWT.” (Hadis shahih riwayat Ahmad)
  5. Al Imam Abu Dawud rahimahullah mengeluarkan hadits secara makna dari sahabat Nabi, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seorang hamba menahan kemarahan kerana Allah SWT kecuali Allah SWT akan memenuhi baginya keamanan dan keimanan.” (HR. Abu Dawud dengan sanad Hasan)
  6. “Dari Abu Hurairah ra, bahawa seseorang berkata kepada Nabi ﷺ: berwasiatlah kepadaku. Baginda bersabda: “jangan menjadi seorang pemarah”. Kemudian diulang-ulang beberapa kali. Dan baginda bersabda: “janganlah menjadi orang pemarah” (HR. Bukhari) .

Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun ada pernah marah juga. Kerana Nabi Muhammad ﷺ juga manusia. Tapi kalau kita lihat kepada hadis, kita tahu yang baginda hanya marah apabila agama dilanggar. Kalau ada yang bersalah kepada dirinya, baginda tidak marah dan sentiasa memaafkan.

Maka itulah cara marah yang betul. Iaitu kalau agama kita dilanggar atau dipermainkan. Kerana kalau tiada marah langsung, itu bukan manusia, tapi itu keldai.

Oleh itu, dalam ayat ini, sudah ada 3 lagi syarat untuk memasuki syurga. Ringkasnya:

3. Sentiasa berusaha menjauhi dosa besar.

4. Menjauhi terutamanya dosa-dosa besar yang melibatkan hawa nafsu.

5. Bila terbit kemarahan kepada orang lain, mereka mudah maafkan.


 

Ayat 38: Ini ada lagi syarat.

وَالَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَمرُهُم شورىٰ بَينَهُم وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Sahih International

And those who have responded to their lord and established prayer and whose affair is [determined by] consultation among themselves, and from what We have provided them, they spend.

Malay

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

 

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ

Dan juga orang-orang yang menyambut perintah Tuhannya

Apabila Allah menyuruh makhluk melakukan sesuatu, makhluk hendaklah menyambut dengan segera. Kena jalankan perintah Allah tanpa lengah dan tanpa soal lagi. Terus buat sahaja tanpa banyak soal. Mereka akan lakukan walaupun ia berat bagi mereka. Kalau tanya pun, tanya: “nak buat macam mana?” Bukannya ditanya: “kenapa kena buat?” Ada beza antara dua pertanyaan itu, bukan?

Orang yang taat akan terus sahut dan buat. Itulah makna taat kepada Allah. Orang yang sebegini akan dimasukkan ke dalam syurga. Orang yang asyik mempersoalkan, itu sudah ada tanda ahli neraka pada dirinya.

Oleh itu, makna ‘menyahut seruan Tuhan’ adalah melaksanakan hukum sama ada dalam perkara akidah dan fardhu ain. Mereka boleh terima syariat yang diberikan oleh Allah dengan hati yang lapang. Pada mereka, kalau Allah sudah suruh, maka buatlah sahaja.

Ini penting kerana ada juga manusia yang berat sahaja hati mereka untuk terima keputusan Allah. Mereka ada juga yang mempersoalkan sesuatu hukum itu. Konon, ada yang nak tahu dulu ‘hikmah’ hukum itu, baru nak buat. Sepatutnya kenalah buat dulu, barulah tahu hikmahnya kemudian.

 

وَأَقَامُوا الصَّلَوٰةَ

serta mendirikan sembahyang;

Ada banyak sekali ibadah dan yang paling penting dan utama sekali adalah solat.

‘Mendirikan solat’ bermaksud mengerjakan solat dengan sempurna. Antaranya, menyempurnakan syarat-syarat sebelum solat. Contohnya, kena ada wuduk, solat apabila waktu sudah masuk, menutup aurat dan sebagainya.

Dan hendaklah seorang mukmin melakukan solat itu dengan sempurna, dengan memenuhi segala rukunnya dan perkara-perkara yang wajib. Antaranya, kepada lelaki, wajib untuk mendirikan solat berjemaah di masjid, kecuali kalau ada perkara yang menghalang.

Ia juga bermaksud tetap melakukan solat itu setiap waktu. Bukannya buat sekali sekala sahaja, buat waktu senang sahaja. Kerana Allah tidaklah beri kita senang sahaja, ada masa kita akan ada dalam kesusahan dan kepayahan. Keimanan seseorang boleh dilihat jikalau dia melakukan solat di waktu senang atau di waktu susah juga.

Solat itu juga perlu dilakukan dalam keadaan khusyuk. Juga mengikut cara yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukannya ikut selera sendiri. Juga bukan ikut ajaran manusia yang tidak menepati cara Nabi ﷺ. Ini memerlukan pengajian yang lebih mendalam lagi. Kena belajar cara solat seperti cara Nabi ﷺ. Ini ramai yang tak tahu.

Oleh kerana itu, majoriti masyarakat Islam kita solat dengan cara yang salah. Kerana mereka tak belajar. Mereka sangka apa yang mereka pelajari di sekolah rendah dulu itu sudah cukup, padahal tidak. Maka, banyaklah yang solat tidak sempurna. Sudahlah tidak sempurna, ada pula perkara yang mereka tambah dalam solat itu, sebagai contoh, mereka raup muka mereka selepas solat.

Lihatlah bagaimana Solat terus disebut selepas Allah menyebut ‘menyahut arahanNya’. Kerana ini adalah amalan yang paling penting sekali. Dan solat dilakukan selepas mendengar azan menandakan telah masuk waktu. Apabila azan dikumandangkan, itulah tanda Allah mengarahkan kita untuk mendirikan solat. Maka kita menyahut arahan Allah itu dengan terus mendirikan solat.

Tambahan lagi, dalam solat, kita perlu mengambil wuduk. Dan bukankah wuduk itu dengan air? Dan air itu dapat memadamkan api. Bukankah kita telah sebutkan tadi bahawa marah itu adalah dari api syaitan? Api kemarahan dapat dipadamkan dengan air wuduk. Oleh itu, kita boleh lihat kaitan satu ayat dengan ayat yang lain.

 

وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ

dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;

Mereka membuat keputusan sesama mereka dengan mesyuarat sesama mereka. Mereka yang terlibat, dipanggil untuk mesyuarat bersama. Tidaklah kena panggil mereka yang tidak kena mengena. Yang tidak kena mengena tidak dapat memberi keputusan yang tepat kerana mereka tidak terlibat.

Selalu Allah sebut zakat selepas solat tapi kali ini Allah terus sebut mesyuarat pula. Mungkin disusun begini untuk mengambil peluang adakan mesyuarat di masjid selepas solat lima waktu.

Kalimah شُورَىٰ bermaksud mesyuarah (jamak: mesyuarat) itu dilakukan beramai-ramai. Bertukar-tukar pendapat dan fakta dan supaya akhirnya dapat sampai kepada keputusan yang sebaik mungkin. Supaya keputusan itu dipersetujui oleh semua orang yang terlibat. Keputusan boleh dibuat setelah mengambil kira semua perkara.

Apabila syura telah dijalankan dan dipersetujui, maka hendaklah semua memegang keputusan itu. Tak bolehlah kata mereka tidak bertanggungjawab, tak mahu lakukan tugas mereka, merajuk dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka telah dipanggil untuk berbincang dan memberikan pendapat mereka.

Selepas sahaja disebut tentang solat, terus disebut tentang syura. Ini adalah kerana cara-cara syura telah disebatikan dalam ibadah Solat. Dalam solat berjemaah, kita ada imam sebagai ketua. Imam itu akan menjadi ikutan semua orang, tetapi jikalau ada kesalahan yang dilakukan oleh imam itu, menjadi kewajipan jemaah yang di belakang untuk menegur.

Tapi dalam masa yang sama, tidaklah makmum itu meninggalkan jemaah itu walaupun imam itu telah melakukan kesalahan kerana hadis Nabi ada mengatakan yang imam itu dijadikan untuk diikuti dan kita mesti terus duduk dalam barisan saf solat.

Begitu juga dalam mesyuarat. Ada pengerusi mesyuarat dan ada ahli-ahli dalam mesyuarat. Pengerusi akan kawal mesyuarat dan ahli mesyuarat akan beri pandangan. Tapi kalau ada kesalahan di mana-mana semua boleh tegur, tapi dengan cara yang baik. Bukan nak kena jerit-jerit macam dalam parlimen. Kalau makmum nak tegur imam pun, ada cara, bukan? Tidaklah terus keluar dari mesyuarat itu.

Untuk melaksanakan syura juga memerlukan kesabaran yang tinggi. Kerana kena panggil orang yang terlibat untuk datang. Yang dipanggil perlu datang dan ini perlu meluangkan masa dan tenaga untuk datang. Tetapi ianya perlu dilakukan kerana ini akan menolong sesama sendiri kerana kebaikan syura akan kena kepada semua.

Keputusan yang didapati adalah lebih tepat lagi kerana mendapat maklumat dari semua yang terlibat. Kalau syura tidak dilakukan, akan menyebabkan masalah nanti kepada semua pihak. Kerana ada yang tidak puas hati kerana tidak dapat memberi pandangan. Atau mereka tidak tahu apakah keputusan yang telah dibuat, sedangkan dia pun terlibat juga dalam perkara itu.

Oleh itu, jalankan syura dalam semua hal. Sama ada dalam perkara kecil atau besar. Dalam perkara kecil seperti hal-hal keluarga dan dalam hal besar seperti pentadbiran negara, semua memerlukan syura. Kerana apabila kita bergabung akal, kita akan dapat keputusan yang lebih baik.

Kalau kita tidak berbincang dengan mereka yang terlibat dalam sesuatu perkara itu, tentunya mereka akan marah kalau tidak diberitahu lebih awal atau kalau mereka tidak ditanya dan diajak berbincang. Katakanlah kita ada hal esok harinya, tapi tidak memberitahu kepada isteri kita. Padahal isteri kita sudah memasak, atau sudah membuat perancangan keluarga. Tentulah dia akan marah kalau tiba-tiba sahaja kita sudah buat perancangan tanpa memberitahunya.

Begitu juga kalau kita ada rakan kongsi dalam syarikat. Takkan dia tidak marah kalau kita buat rancangan dan keputusan tanpa diberitahu atau diajak berbincang dengannya, bukan? Maka hendaklah kita dari mula-mula lagi sudah syura dengan mereka. Jangan bila sudah kena marah, baru nak minta maaf pula.

Kalau kita tidak ajak berbincang, walaupun nampak macam mereka setuju, tapi mereka akan rasa tidak selesa dan ada tidak beres dalam perasaan mereka. Tapi kalau kita ajak mereka berbincang, mereka akan lebih terbuka dan lebih memberi sokongan. Sebagai contoh, selalunya dengan anak-anak, ibubapa akan suruh sahaja mereka buat sesuatu. Memang mereka akan buat kerana mereka kena taat, tapi mungkin ada rasa tidak puas hati mereka.

Bayangkan pula kalau kita ajak mereka berbincang, tanya pendapat mereka, tentunya mereka akan lebih suka. Mereka akan rasa pendapat mereka diambil kira, suara mereka didengar. Dan kalau memerlukan kerjasama dari mereka, mereka akan lebih suka untuk membantu dan ringan tulang mereka.

Maka, janganlah kita jadi diktator di mana-mana pun. Termasuk dalam keluarga kita pun. Kalau kita buat keputusan bersama, maka semua yang terlibat akan memberi kerjasama dalam usaha yang perlu dilakukan.

Tapi janganlah kita menghina sesiapa pun dengan memberi mereka peluang untuk bercakap, tapi suara dan pendapat mereka tidak didengar. Sebagai contoh, suara anak-anak walaupun kecil, tetap perlu diambil kira. Jangan kita suruh mereka cakap, tapi apabila mereka beri pandangan mereka, kita buat macam tak dengar sahaja.

Atau kalau komiti masjid contohnya, ada jawatankuasa yang tua dan ada yang muda. Janganlah kita beri peluang yang muda beri pandangan tapi digelakkan sahaja pandangan mereka. Jangan ditongsampahkan cadangan mereka.

Banyak ibubapa mengeluh kerana anak-anak tidak berkomunikasi dengan mereka. Tapi itu salah siapa? Kalau ibubapa yang tidak memulakan dari anak-anak itu kecil lagi untuk berkomunikasi, tentulah anak itu malas untuk mula bercakap dengan mereka.

Tapi, kalau ibubapa itu selalu mengadakan syura dalam keluarga, selalu berbincang dalam setiap perkara yang melibatkan mereka, tentu keluarga itu akan ada banyak peluang untuk berkomunikasi sesama mereka. Bukanlah bila anak sudah besar, baru nak mengeluh yang anak tidak bercakap dengan mereka lagi.

Antara suami isteri pun selalulah syura sesama sendiri. Supaya ada pertolongan sesama sendiri, kasih sayang, tidak ada kekeliruan, tidak ada perpecahan. Tidaklah ada rasa yang salah seorang mengambil kesempatan ke atas pihak yang satu lagi. Walaupun suami adalah ketua keluarga, tidaklah dia suruh sahaja isteri buat semua perkara tanpa berbincang. Kenalah ada syura dengan isteri juga.

Dalam negara ini dan dalam dunia ini, tentulah ada banyak perkumpulan agama Islam yang berjuang untuk menegakkan agama Allah ini. Kadang-kadang walaupun semuanya mempunyai tujuan yang sama, tapi ada juga perbezaan pendapat yang kadang-kadang boleh menyebabkan perbalahan dan tuduh menuduh. Antara semua kumpulan ini juga perlulah ada syura juga, supaya matlamat yang sama boleh dicapai.

Syura penting supaya kita dapat duduk baik dalam masyarakat. Apabila masyarakat baik, hidup harmoni, bolehlah kita menjalankan dakwah kepada orang lain, kepada masyarakat luar, kepada orang kafir. Kalau kita sendiri tidak harmoni, bagaimana nak dakwah kepada orang lain?

Sekarang non-muslim tengok kita bertelagah, mereka pun tak hingin nak masuk Islam. Kerana mungkin ada yang fikir: kalau Islam ini bagus, tentu orang Islam ini bersatu, tapi tengoklah mereka sekarang…..

Mesyuarat perlu dijalankan dari masa ke semasa

Kalau ada manusia yang tidak perlu bermesyuarat, tentulah ianya adalah Nabi Muhammad ﷺ. Kerana baginda dipimpin oleh Allah. Baginda boleh sahaja terus membuat keputusan baginda dan para sahabat akan turut keputusan baginda. Tapi, baginda sendiri disuruh untuk bermesyuarah dengan para sahabat.

Dan banyak contoh dalam hadis bagaimana baginda telah berbincang dengan sahabat dalam banyak perkara. Antaranya, tentang peperangan yang akan dihadapi. Maka kalau Nabi ﷺ pun disuruh bermesyuarat dengan para sahabat, maka siapakah kita kalau kita tidak menjalankan sunnah ini?

Tapi ada perkara yang tidak boleh dibincangkan. Jangan pula kita buat mesyuarat dalam perkara agama yang sudah jelas ada dalil. Atau jelas tidak ada dalam agama. Sebagai contoh, tidak ada amalan bersalam ramai-ramai selepas solat berjemaah. Itu adalah amalan bidaah yang dimulakan oleh Kumpulan sesat al-Arqam.

Tapi ada masjid di negara ini yang kata pihak jawatankuasa masjid telah ‘bermesyuarat’ dan mereka telah setuju yang ianya baik. Ini tidak patut kerana takkan manusia boleh berbincang dan buat keputusan agama untuk membenarkan perkara bidaah dalam agama pula? Siapakah kita sampai boleh buat begitu?

 

وَمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنفِقُونَ

dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

Mereka tidak kedekut dengan rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka. Mereka derma, sedekah, keluarkan zakat.

Mereka juga menggunakan rezeki dengan cara yang baik, walaupun untuk diri mereka sendiri. Mereka akan menggunakan wang mereka apabila perlu. Tidak membazir dalam membeli belah. Tidak membazir adalah penting, kerana orang selalu tidak dapat derma atau infak kerana wang mereka sudah habis dan habis itu kerana mereka banyak bazirkan kepada benda yang tidak perlu.

Allah mengajar kita bagaimana membelanjakan harta dalam Furqan: 67

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

Dalam berbelanja, mereka tidak boros dan dalam memberi pun tidak berlebihan sampaikan tidak tinggal untuk anak beranak. Memanglah kita selalu dengar kisah Saidina Abu Bakr memberikan segala hartanya. Tapi itu adalah semasa Perang Tabuk dan situasi waktu itu memang memerlukan pengorbanan yang sebegitu. Dan kita pun bukanlah status Abu Bakr.

Ayat tentang berinfak itu disebut selepas disebut tentang menjalankan syura sesama sendiri. Ini adalah kerana selepas sesuatu keputusan itu dicapai, selalunya memerlukan perbelanjaan yang akan digunakan untuk menjalankan matlamat sesuatu organisasi itu.

Maka, hendaklah mereka yang terlibat ringan-ringankan tangan untuk menghulur keperluan dalam bentuk yang diperlukan. Ada kalanya, sumbangan yang diperlukan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tapi ada juga dalam bentuk tenaga, masa dan idea.

Sebagai contoh, jikalau kita telah membuka madrasah untuk mengembangkan ajaran agama, tentulah memerlukan sumber kewangan dan tenaga yang besar. Semua yang terlibat perlulah mengembeling tenaga dan mengumpul dana untuk menjayakan matlamat yang hendak dicapai. Allah melihat apa sahaja sumbangan kita untuk kebaikan itu dan akan dibalas.

Seperti yang telah disebut, ada 10 syarat yang disebut dalam gugusan ayat-ayat ini untuk masuk syurga. Dalam ayat ini ada 4 syarat yang ditambah. Secara ringkasnya:

6. Menyahut seruan Tuhan dalam melaksanakan hukum samada akidah dan fardhu ain.

7.  Terutama Solat Fardhu

8. Buat urusan penting sesama manusia dengan Syura. Iaitu urusan yang tidak ada dalil wahyu tentangnya.

9. Infak.

Infak itu tidak semestinya berkenaan rezeki fizikal sahaja, tapi termasuk juga dengan rezeki rohani, iaitu ilmu. Mana-mana ilmu yang Allah berikan, kita sampaikan juga kepada orang lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Julai 2019.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Masalah Solat Hajat

Pengenalan

Zaman sekarang memang ramai yang mengamalkan Solat Hajat. Apa-apa hal pun akan Solat Hajat: anak hendak menghadapi peperiksaan, Solat Hajat; Hujan tak turun, Solat Hajat; ada ahli keluarga jatuh sakit, Solat Hajat. Kalau dulu, untuk menghadapi peperiksaan, hanya dilakukan Solat Hajat biasa sahaja, dibuat di sekolah-sekolah.

2016-03-22 11.42.52-1-picsay

Sekarang, dengar khabarnya, pensel, pemadam dan pembaris pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan diletakkan di hadapan. Tidak mustahil, tidak lama lagi, anak-anak murid itu yang akan diletakkan di hadapan nanti.

Tetapi, anak-anak orang Islam yang tidak mengulangkaji pelajaran tetap tidak mendapat keputusan yang baik dan anak-anak bukan Islam yang mengulangkaji juga yang berjaya. Saya harap belum ada lagi dialog sebegini: “Din, kenapa awak gagal? Bukan itu hari sekolah ada buat itu sembahyang di dewan kah? Apa Tuhan awak tidak tolong awak kah?”

Yang dipanggil untuk melakukan Solat Hajat itu adalah ahli-ahli surau, ahli-ahli masjid, mereka yang terlibat dengan projek yang hendak dihajatkan dan sebagainya. Lagi ramai, lagi bagus. Kalau musim pilihanraya, satu ADUN itu akan bersolat Hajat. Kalau ada projek, mereka yang terlibat akan dipanggil.

Kalau nak buat bangunan, solat Hajat itu akan diadakan atas tapak bangunan itu, kalau nak buat jambatan, solat di jambatan, kalau nak minta bot nelayan banyak tangkap ikan, solat atas bot. Seumpama mereka nak beritahu Allah, itulah tempat yang mereka maksudkan, takut Allah tak tahu pula.

Memang kita digalakkan untuk meminta pertolongan kepada Allah dengan cara solat. Seperti Allah firman dalam Baqarah:45

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Memang sunnah Nabi pun kalau ada masalah, baginda akan solat. Ada angin kuat, contohnya, baginda akan solat. Malam-malam juga, baginda akan solat sunat sambil mengadu dengan Allah. Kerana solat ini ‘tali’ kita dengan Allah. SILATUrrahim itu tali persaudaraan kan? Maka SOLAT itu tali kita dengan Allah. Maka, memang elok kalau kita mengerjakan solat sunat dan selepas solat itu, kita berdoa kepada Allah, memohon pertolongan Allah. Ini adalah sunnah.

Tapi, ‘Solat Hajat’ itu tidak ada. Itu adalah rekaan baru dalam agama. Kalau Nabi dan sahabat ada masalah, mereka akan solat. Tapi itu adalah solat sunat biasa sahaja. Tidak ada nama yang diberikan.

Dalam erti kata lain, ianya adalah Solat Sunat Mutlak. Memang tak perlu ada nama pun diberikan kepada solat sunat itu. Bukan perlu untuk kita lafazkan niat kita – oleh itu, lafaz niat usolli …. itu sendiri memang tidak ada. Lafaz niat usolli itu pun dah bidaah dah. Tapi itu adalah perbincangan lain pula.

Masalahnya, apabila diberi nama khusus (Solat Hajat), maka kenalah cipta pula cara (kaifiat) solat itu. Apa nak baca rakaat pertama dan kedua, baca doa masa mana, masa sujud dan sebagainya.

Bidaah ini kalau dimulakan, mula diberi ruang, ia akan membuka semakin banyak bidaah. Sampaikan ada yang dinamakan Solat Hajat Kaki Tunggal. Iaitu Solat Hajat dalam keadaan angkat satu kaki. Bagaimana pula kalau di masa hadapan disuruh angkat dua-dua kaki, macam mana?

Kemudian tambah lagi cara. Kena buat ramai-ramai berjemaah supaya lebih ramai desak Allah.
Kemudian kena panggil orang alim yang solatkan. Kerana kalau diimamkan oleh orang yang alim dan warak kononnya, doa itu lebih makbul.
Kemudian apabila sudah ramai yang menghadiri Solat Hajat itu, kena pula dibuat kenduri. Kerana mereka rasa takkan datang ke rumah tidak diberi makan dan minum pula?
Kemudian orang alim tu takkan datang sendiri, kena diberikan tambang datang ke tempat solat.

amplop rejeki
Kemudian takkan tidak diberi sedikit wang kepada imam itu sebagai upah, kerana tentunya imam itu juga perlu hidup dan punca pendapatan, bukan?

Tawasul

Menggunakan ‘Orang Alim’ sebagai imam dengan sangkaan bahawa doa imam itu lebih makbul; dan iktikad bahawa jemaah yang ramai akan lebih memakbulkan permintaan itu adalah termasuk menggunakan ‘perantaraan’ atau ‘tawasul’. Ini adalah tawasul yang dilarang. Allah kata ini kufur dalam Zumar:3

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Ingatlah! kepada Allah ialah segala ibadat dan agama yang suci bersih. Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mereka yang mengadakan perkara baru dalam agama), lagi kufur.

Asal ayat ini adalah berkenaan Musyrikin Mekah yang mengatakan mereka menyembah berhala itu kerana mereka iktikad bahawa berhala-berhala itu akan mendekatkan diri mereka dengan Allah. Dan supaya doa mereka lebih makbul kerana disampaikan oleh berhala-berhala itu.

Mereka menganggap bahawa mereka memerlukan perantara atau broker antara mereka dan Allah. Itu adalah anggapan yang salah dan jauh tersasar. Allah tidak pernah mengatakan yang Dia memerlukan perantaraan makhluk lain dalam doa.

Dan kalau kita mempunyai anggapan yang sama dengan Musyrikin Mekah itu – iaitu memerlukan makhluk lain sebagai perantara antara kita dan Allah dalam berdoa, itu bermaksud kita pun mempunyai iktikad seperti orang kafir juga.

Memberi Upah Dalam Ibadat

Memberi wang kepada imam dan makmum untuk melakukan ibadat adalah dilarang. Allah berfirman bahawa ibadat yang diberikan upah akan membatalkan ibadat itu dalam Hud:15

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ

Sesiapa yang usahanya berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

Allah memberitahu kita bahawa mereka yang melakukan ibadat kerana hendakkan bayaran dan kelebihan dalam dunia, Allah akan berikan apa yang mereka mahukan itu. Mereka hendak dunia, Allah akan beri dunia itu kepada mereka. Tapi Allah sambung lagi dalam ayat seterusnya:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.

Lihatlah balasan kepada mereka yang mahukan upah dalam ibadat mereka – Allah akan masukkan mereka ke dalam neraka! Dan ibadat yang mereka lakukan itu terbatal! Tidak ada nilai.

Kenapakah manusia mengamalkan Solat Hajat itu? Asalnya adalah kerana mereka ada penyakit ‘syak’ kepada Allah. Iaitu mereka sangka kalau mereka solat sendiri, doa sendiri, Allah tak dengar, tak layan. Bayangkan, kalau kita syak dengan kawan dan keluarga kita pun, mereka dah marah. Tambahan pula kalau kita ada syak dengan Allah. Bahaya penyakit syak kepada Allah ini telah disebut dalam Baqarah:10

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Allah beritahu kepada kita dalam ayat ini bahawa perasaan syak itu adalah satu ‘penyakit’. Apabila mereka ada perasaan yang Allah tak dengar dan layan doa mereka kalau mereka doa sendiri, Allah akan tambah penyakit mereka itu – iaitu mereka mula melakukan amalan-amalan yang salah dan bidaah.

Sebagai contoh, Solat Hajat. Allah tambah lagi penyakit mereka itu apabila mereka beri upah pula atas ibadat itu. Maka bertimpa-timpa kesalahan yang mereka lakukan.

Masalahnya, orang kita salah faham dengan Allah. Mereka rasa Allah itu amat jauh. Itu sebab mereka reka cara Solat Hajat. Dengan berjemaah ramai-ramai, dengan cara-cara tertentu. Padahal dalam 2:186, Allah kata Dia rapat dengan kita dan akan jawap doa kita:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka: sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Lihatlah bagaimana Allah beritahu kita bahawa Dia amat rapat dengan kita dan akan jawab sendiri doa kita. Lihatlah juga bagaimana Allah menjawab persoalan dalam ayat itu. Mulanya, ayat bermula: “apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu“. Ini bermakna, apabila ada orang bertanya. Sepatutnya, Allah jawab dengan berfirman: ‘Katakan kepada mereka”.

Tapi tidak. Sebaliknya, Allah terus jawab: “Sesungguhnya Aku sentiasa hampir”. Ini menunjukkan isyarat bahawa dalam menjawab soalan itu pun Allah tidak menggunakan perantaraan Nabi; Allah terus jawab sendiri.

Doa sendiri atau solat hajat ramai-ramai

Oleh itu, hendaklah kita berdoa TERUS kepada Allah, tanpa menggunakan perantaraan. Yang cara orang kita lakukan sekarang adalah cara yang salah. Solat hajat perdana lah, mega lah. Itu semua adalah bidaah dholalah – bidaah yang sesat. Bukan Bidaah Hasanah. Bukan begitu cara minta kepada Allah.

Apakah amalan tawasul dalam Solat Hajat? Pertama, mereka menggunakan perantaraan imam yang alim dalam buat solat itu. Keduanya, mereka menggunakan perantaraan ‘orang ramai’ dalam solat itu.

Mereka yang tidak doa TERUS kepada Allah disifatkan sebagai orang yang ‘sombong’ oleh Allah. Allah kata Allah nak masukkan ke dalam neraka sesiapa yang sombong nak doa kepada Nya. Lihat ayat Ghafir:60

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.

‘Sombong’ berdoa itu adalah tidak terus kepada Allah, pakai perantaraan. Iaitu mereka hantar ‘wakil’ untuk minta dengan Allah. Apa perasaan kita kalau ada orang yang datang hendak minta tolong dengan kita, tapi dia tidak datang sendiri, sebaliknya dia hantar wakil? Tentulah kita kata ‘Eh, sombongnya dia, nak datang jumpa aku sendiri pun tidak mahu!”. Bayangkan, kita hendak minta sesuatu dengan Allah, tapi tak terus minta kepadaNya. Allah nak masukkan ke neraka dalam keadaan hina dina orang yang macam itu.

Adakah dalil untuk Solat Hajat?

Ramai yang mengamalkan Solat Hajat ini adalah kerana ikut-mengikut amalan orang lain sahaja. Dan memang telah lama diamalkan dalam masyarakat kita pun. Kalau ditanya kepada mereka yang mengamalkannya, mereka akan jawab: “Amalan ini telah lama diamalkan oleh ulama-ulama dahulu, bukan baru sekarang dilakukan”; “Ada dalam kitab”. “Takkan mereka salah?”

Mereka pun tak tahu sama ada ada dalil atau tidak amalan itu. Mereka tidak belajar. Dan tidak mahu belajar. Sebab itu mereka ikut membuta tuli sahaja. Orang buat, mereka ikut. Tetapi, persoalannya, adakah ada dalil amalan mereka itu?

Di dalam Jami’ Tirdmizi, ada satu tajuk berkenaan ‘Hajat’ dan Imam Tirdmizi membawakan satu hadis:

٤٤١ – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عِيسَى بْنِ يَزِيدَ الْبَغْدَادِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بَكْرٍ السَّهْمِيُّ و حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُنِيرٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بَكْرٍ عَنْ فَائِدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَفِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ وَفَائِدٌ هُوَ أَبُو الْوَرْقَاء

Terjemah:

441. Telah menceritakan kepada kami Ali bin Isa bin Yazid Al Baghdadi telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Bakr As Sahmi dan telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Munir dari Abdullah bin Bakr dari Fa’id bin Abdurrahman dari Abdullah bin Abu Aufa dia berkata, Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai hajat (keinginan) kepada Allah atau kepada seseorang dari anak Adam, maka hendaklah dia berwudhu’ dengan menyempurnakan wudhu’nya, lalu melaksanakan salat dua raka’at, memuji kepada Allah, membaca Salawat kepada Nabi Sallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian membaca “LAA ILAAHA ILLALLAAHUL HALIIMUL KARIIM, SUBHANALLAAHI RABBIL ‘ARSYIL ‘ADZIIM, AL HAMDULILLAAHI RABBIL ‘AALAMIIN, AS’ALUKA MUUJIBAATI RAHMATIKA WA AZAA’IMA MAGHFIRATIKA WAL GHANIIMATA MIN KULLI BIRRIN WAS SALAAMATA MIN KULLI ITSMIN, LAA TADA’ LI DZAMBAN ILLAA GHAFARTAHU WALAA HAMMAN ILLAA FARRAJTAHU WALAA HAAJATAN HIYA LAKA RIDLAN ILLA QADLAITAHA YAA ARHAMUR RADLIALLAHU ‘ANHAHIMIIN (Tidak ada Ilah yang berhak disembah selain Allah yang maha lembut lagi Maha Pemurah, Mahasuci Allah Rabb pemilik ‘Arsy yang Mahaagung, segala puji bagi Allah Rabb semesta Alam, aku mengharap rahmatMU, ketetapan hati (untuk meraih) ampunanMu, mendapatkan keberuntungan dengan segala kebaikan dan keselamatan dari segala perbuatan dosa, jangan Engkau biarkan dosa padaku kecuali Engkau mengampuninya, dan jangan Engkau biarkan kegundahan kecuali Engkau membukakannya, dan jangan Engkau biarkan kebutuhan-kebutuhan yang Engkau ridhai kecuali Engkau penuhi, wahai Dzat yang maha pengasih) “.
Abu Isa berkata, hadits ini gharib dan dalam sanadnya ada sesutatu yang perlu dibicarakan, Fa’id bin Abdurrahman telah dilemahkan dalam masalah hadits, dan Fa’id adalah ‘Abul Warqa’.

Hadis ini berstatus hadis dhaif jiddan kerana ada 2 perawi yang lemah. Apabila ada perawi yang lemah, maka ianya tidak boleh dijadikan hujah.

Dan kalau pun ianya tidak lemah, kalau kita lihat kepada matan hadis, perkataan yang digunakan adalah لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ “hendaklah dia bersolat”, iaitu merujuk kepada perbuatan berseorangan. Tidaklah ada suruhan untuk melakukan solat ini berjemaah.

Sedangkan kita tahu bahawa solat sunat hanya dilakukan berseorangan, kecuali jika ada nas perbuatan Nabi melakukannya berjemaah. Sebagai contoh, Solat Sunat Terawih, Istisqa’ dan Solat Gerhana, ada contoh Nabi melakukannya secara berjemaah. Tetapi solat sunat yang lain seperti Tahiyatul Masjid, solat ba’diah dan qabliah waktu, tidak ada contoh dari Nabi. Maka, kalau kita buat berjemaah, itu pun sudah dikira bidaah.

Tidak ada lagi dalil lain yang sampai kepada kita yang membolehkan dan menganjurkan Solat Hajat seperti yang dilakukan oleh masyarakat kita. Memang kita tahu ada lagi hujah-hujah mereka dengan dibawakan hadis-hadis dari perbuatan Nabi. Tapi tidaklah cukup kuat untuk mengatakan yang baginda ada melakukan Solat Hajat.

Kalaulah Solat Hajat ini baik, maka tentulah Nabi dan para sahabat telah melakukannya. Mereka lebih faham agama dari kita dan lebih kuat melakukan amal ibadat dari kita. Sedangkan mereka juga ada keperluan mendesak dalam kehidupan mereka. Pernahkah kita terbaca apa-apa riwayat Nabi dan para sahabat solat hajat berjemaah sebelum keluar berperang?

Solat hajat perdana bidaah

Sebagai contoh, tidaklah Nabi dan sahabat melakukan Solat Hajat supaya dilembutkan hati Musyrikin Mekah untuk menerima Islam atau menahan mereka dari menindas kaum Muslim waktu itu; semasa mereka memulakan hijrah ke Madinah, tidaklah mereka buat Solat Hajat; tidaklah juga semasa di ambang Perang Badar, mereka pakat berjemaah melakukan Solat Hajat; dan peperangan-peperangan yang lain, yang jumlahnya hampir seratus kali peperangan.

Sedangkan peperangan itu adalah perkara yang besar dan menentukan hidup dan mati. Bukan hanya hidup dan mati mereka, tapi hidup dan mati agama Islam sendiri. Kerana kalau mereka semuanya mati, tidak ada yang akan menyembah Allah sepertimana yang Allah kehendaki.

Adakah kita anggap Nabi dan para sahabat terlupa atau malas melakukannya? Atau lebih teruk lagi, kita anggap mereka tidak tahu cara melakukan Solat Hajat? Nauzubillahi min zaalik.

Jalan Penyelesaian

Masalahnya, orang kita tidak tahu cara berdoa, dan kerana itu, mereka putus punca bila ada masalah. Mereka tidak tahu cara mantap untuk berdoa kepada Allah. Itulah yang menyebabkan mereka mencari orang surau, orang ‘alim’ untuk buat Solat Hajat. Kerana pada mereka, itulah sahaja jalan penyelesaian cara ‘islamik’ yang mereka tahu. Tambahan pula, ianya dianjurkan oleh ustaz-ustaz yang terkenal juga.

Berhentilah kita dari faham Tuhan dan berdoa kepada Tuhan cara orang-orang kafir. Beginilah contoh cara berdoa orang-orang kafir dalam dunia ini:
1. Kristian minta paderi doakan hajat mereka, supaya sampaikan kepada Nabi Isa, supaya sampaikan kepada Tuhan Bapa.
2. Hindu -> sami -> dewa -> Tuhan yang satu
3. Buddha -> sami -> Buddha -> Tuhan yang satu
4. Taoism -> tok nenek yang telah mati -> Tuhan
5. Sikh -> paisam -> guru Nanak -> Allah.
6. Orang Islam Melayu yang tak belajar tafsir Quran -> imam/ustaz/guru – Nabi Muhammad/wali (contohnya Sheikh Abdul Qadir Jailani) -> Allah.

Padahal, dalam Qur’an telah  jelas kepada mereka yang belajar, doa TERUS kepada Allah.

Cara-cara berdoa telah Allah ajar dalam Qur’an. Antara yang disebut adalah dalam Sajdah:16

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Inilah cara makbul doa:

1. تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ – ‘merenggangkan lambung mereka dari tempat tidur’ yang bermaksud Solat malam. Waktu sahur (sepertiga akhir malam) adalah waktu terbaik. Kita kena pandai cari waktu terbaik untuk berdoa. Kerana ada waktu-waktu yang Nabi telah ajar kita sebagai waktu makbul doa. Bukannya Solat Hajat berjemaah. Yang kena buat adalah solat tahajjud. Iaitu solat sunat dua rakaat sekurang-kurangnya. Buat sendiri-sendiri sahaja.

2. يَدْعُونَ  – Mereka berdoa. Caranya adalah dengan melakukan ibadat dan kemudiannya doa. Doa ada dua makna: Ibadat dan doa. Kalau sebut dalam ayat ini disebut ‘doa’ sahaja, ia membawa kedua-dua makna. Jadi kita berdoa selepas solat. Itu yang paling bagus. Atau sekurang-kurangnya doa waktu malam, kalau tak mampu nak solat pun. Doa itu mestilah terus kepada Allah, tidak melalui perantaraan. Dalam doa itu, hendaklah kita merayu kepada Allah. Ceritakan apa sahaja masalah kita. Apa yang sebut dalam doa itu? Apa sahaja yang terlintas dalam hati kita. Kalau rasa nak menangis, menangislah. Tak tahu bahasa Arab? Pakai bahasa yang kita tahu sahaja. Kerana Allah itu TAHU APA SAHAJA BAHASA YANG KITA GUNAKAN. Orang kita, sampaikan rasa kalau doa dalam Melayu, tak mujarab. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah.

3. رَبَّهُمْ  – Tuhan mereka. Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan Rabb. Tidak digunakan perkataan ‘Allah’. Supaya manusia mengerti yang maksud rabb adalah ‘yang mengurus tadbir makhluk’ supaya kita ingat dan tahu yang Allah boleh selesaikan masalah kita. Kita kena minta dengan perasaan tahu yang Allah dapat menyelesaikan apa sahaja masalah kita. Masa doa itu, kita kena yakin yang Allah dengar rintihan kita, Allah tahu apa yang kita perlukan sampai kita tak perlu nak ajar Allah macam mana nak tolong kita. Jadi tak payahlah nak ajar Allah buat begini, begitu. Kita tak cakap pun Allah tahu, sebab Allah itu Rabb kita.

4. خَوْفًا  – Takut. Kena minta dengan perasaan takut. Dengan perasaan insaf dan menyesal. Iaitu kita takut dengan azab Allah. Ini adalah adab dalam berdoa. Kerana bayangkan kalau kita jumpa orang yang kita ada masalah dengan dia, ada buat salah dengan dia, tapi kita tengah ketawa, tersengih-sengih, tentu tidak kena kalau begitu.

Maka, kerana takut dengan azab Allah, mulakan doa dengan minta ampun dosa dosa kita. Sebab dosa kita banyak. Dosa banyak antara penghalang doa makbul. Bayangkan kalau anak kita datang jumpa kita meminta wang, tapi dia seorang yang perangai nakal, malas belajar dan sebagainya. Tentu kita berat hati untuk memberikan wang kepadanya, bukan? Tapi, kalau dia datang, dengan lemah lembut, menundukkan diri dan memohon maaf atas kesalahan yang telah dilakukan sebelum itu dan berjanji tidak buat lagi kenakalannya, tentulah kita akan rasa ringan untuk memberikan wang kepadanya, bukan? Begitulah juga Allah dengan kita. Kalau kita mulakan dengan memohon ampun dengan segala kesalahan kita, Allah akan lebih ringan untuk memberi apa yang kita minta kepadaNya.

وَطَمَعًا .5. Harap sungguh, bukan harap biasa. Perkataan yang digunakan adalah tama’, macam ‘tamak’ nak semua. Apa sahaja yang Allah hendak beri kepada kita, kita hendak semuanya. Bukannya kita cakap dengan Allah: ‘bagilah kalau boleh’. Kena zahirkan perasaan ‘mengharap’ itu. Tidak boleh tidak, kita nak juga dari Allah. Sebab kalau bukan Allah yang beri, kita nak minta dari siapa?

6. يُنفِقُونَ Menderma. Infak harta. Menderma adalah sebagai satu asbab (penyebab) kepada makbul doa. Infaklah rezeki kepada seseorang, kepada masjid dan sebagainya. Ikutlah banyak mana nak beri. Kalau hajat besar, berilah banyak lagi.

Begitulah cara doa yang kita boleh amalkan. Semoga dengan mengetahui cara doa ini, kita tidak lagi perlu untuk buat Solat Hajat. Kerana Solat Hajat itu bukanlah cara untuk memakbulkan doa kepada Allah. Allahu a’lam. Semoga Allah memberi pemahaman agama lebih lagi kepada kita. Amin

Bacaan Tambahan

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 27 – 31 (Kenapa manusia tidak semua kaya?)

Ayat 27: Ini adalah jawapan kepada persoalan: kalau Allah itu Maha Kaya, kenapa Dia tidak beri semua makhlukNya jadi kaya?

۞ وَلَو بَسَطَ اللهُ الرِّزقَ لِعِبادِهِ لَبَغَوا فِي الأَرضِ وَلٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مّا يَشاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبادِهِ خَبيرٌ بَصيرٌ

Sahih International

And if Allah had extended [excessively] provision for His servants, they would have committed tyranny throughout the earth. But He sends [it] down in an amount which He wills. Indeed He is, of His servants, Acquainted and Seeing.

Malay

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

 

وَلَوْ بَسَطَ اللهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi hambaNya,

Kalimah بَسَطَ bermaksud ‘mengembangkan sesuatu’. Bermakna dikembangkan rezeki sampai manusia jadi kaya dan mewah. Allah boleh sahaja nak buat apa sahaja, termasuk hendak memewahkan sesiapa sahaja, bukan?

Kadang-kadang Allah tak beri rezeki yang banyak kepada orang beriman. Kita pun kadang-kadang hairan kenapa orang yang baik dan orang yang beriman tidak dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Secara umumnya, kita boleh lihat yang kekayaan sekarang berada dengan kaum kafir dan bukannya orang Islam.

Orang Islam pula selalunya miskin, tidak berkuasa dan tidak berpengaruh dalam dunia. Sedangkan kepada mereka yang kufur dan musyrik, Allah beri banyak kelebihan keduniaan kepada mereka. Kenapa begitu? Allah jawab dalam ayat ini:

 

لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ

nescaya mereka akan melampaui batas di bumi

Orang-orang kaya ramai yang melampaui batas. Bukanlah semua, tapi kebanyakannya. Bayangkan kalau semua manusia ini kaya? Kita ada sikit sahaja yang kaya raya dalam dunia ini pun sudah berapa banyak masalah kita hadapi. Mungkin 5% sahaja orang kaya dalam dunia ini, tetapi dari merekalah yang menjadi punca kerosakan dalam dunia ini.

Sebagai contoh, siapakah pengusaha arak dalam dunia ini? Dengan arak itu, menyebabkan kadar jenayah yang tinggi di sesuatu kawasan dan negara itu. Sebagai contoh, apabila satu-satu komuniti mula dijualkan arak dengan terbuka, kadar jenayah akan meningkat di komuniti itu.

Hanya kerana mereka mahukan kekayaan yang banyak, mereka telah merosakkan masyarakat dan mereka tak kisah pun apa yang akan berlaku. Kerana pada mereka, yang lebih penting adalah menjadi kaya dan kaya lagi.

Begitu jugalah dengan Muslim pun. Ada yang semasa mereka susah atau biasa-biasa sahaja, mereka jadi baik dan beriman. Tetapi apabila dia mendapat kemewahan keduniaan, dia sudah mula lupakan agama. Mula sibuk nak menghabiskan wangnya, berjalan sana-sini, beli berbagai barang dan sebagainya.

Sudah mula kurang buat amal, sudah tidak datang ke kelas agama dan sebagainya. Bukanlah kita kata semua orang, tapi kebanyakan orang akan jadi begitu. Takut ada orang kaya yang baca ni, marah pula… janganlah marah, ini adalah kenyataan.

Kalau kita ada banyak barang, memang sifat kita akan membazir. Ada satu kereta, nak kereta satu lagi. Semua manusia kalau boleh nak hidup senang. Akhirnya jadi malas, jadi lemak. Kita tengoklah anak orang kaya, perangai mereka lain dengan perangai anak orang miskin.

Bandingkan dengan mereka yang kurang hartanya, terhad barang yang mereka ada. Mereka akan berdikit menggunakan harta yang Allah beri. Mereka bercakap baik sahaja dengan orang lain. Sebab itu Allah hadkan rezeki kepada kita. Allah mahu kita tetap jadi orang yang baik. Allah maha tahu tentang hambaNya, kerana Dia yang cipta kita, maka Dia buat keputusan dengan bijaksana.

Kalau semua orang kaya di dunia ini pun, susah juga, bukan? Siapa nak jadi kuli kerja di pejabat dan gudang?

Maka dari ayat ini, pengajaran yang kita boleh ambil adalah kemiskinan pasti akan ada. Ia tidak dapat dihapuskan kerana memang ianya adalah sifat di dunia ini. Kalau kekayaan diberikan kepada semua manusia, maka tentu dunia akan kacau bilau.

Mungkin timbul persoalan: kenapa nanti di syurga ada banyak kekayaan tapi tidak ada kacau bilau? Ini kerana di syurga nanti tidak ada hasad dengki kerana semua perasaan buruk dari diri manusia akan ditarik.

Kenapa pula tidak ditarik perasaan hasad dengki dari semua manusia supaya semua manusia boleh kaya dan hidup aman damai? Ini Allah tidak jadikan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian. Memang ada manusia yang ada perasaan hasad dengki dalam hati mereka yang menyebabkan kegawatan dalam dunia ini.

Ada pendapat yang mengatakan ada para sahabat yang teringin untuk jadi kaya. Ini setelah mereka melihat kekayaan yang ada pada Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. Juga dikatakan merujuk kepada Ahli Suffah yang ada teringin untuk jadi kaya juga sampaikan mereka menyuarakan keinginan hati mereka kepada Nabi ﷺ. Maka kerana itulah ayat ini diturunkan.

 

وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ

akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya.

Allah ingatkan yang Dia yang beri rezeki. Sebagai penekanan bahawa semua rezeki dari Allah. Tidak ada yang selain Allah yang boleh beri rezeki.

Rezeki utama dalam bentuk air. Kerana kalau air tidak ada, habis semua kehidupan di atas muka bumi. Manusia akan susah atau mati terus kalau tidak ada air. Dan Allah beri air itu kadar keperluan kita. Kalau diberikan semua air sekali gus, tentu semua tempat akan banjir, bukan?

Allah tahu kadar mana yang diperlukan oleh makhlukNya. Allah tahu apa yang diperlukan hambaNya. Kalau Allah hendak menjaga agama hambaNya, maka Allah akan beri cukup-cukup sahaja untuknya. Kerana Allah tahu kalau diberikan lebih lagi, akan menyebabkan dia itu akan terpesong dari agamanya.

Dan ada orang yang Allah beri lebih dan ada orang yang Allah beri kurang. Allah tahu keperluan satu individu dan individu yang lain. Ada orang yang boleh tahan dengan ada harta yang banyak, dan ada yang tidak.

Ada orang yang sibuk bekerja, tidak banyak duit untuk berlibur, makan apa yang ada sahaja. Orang itu akan senyap sahaja, tak kacau orang dan tak buat kerosakan. Tapi kalau tiba-tiba dia diberikan harta yang banyak, tiba-tiba perangai dia sudah jadi lain macam. Banyak kita boleh lihat orang sebegini, bukan?

 

إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

Allah tahu keperluan hambaNya. Allah Maha Tahu manakah hamba yang boleh tahan dengan harta yang banyak dan mana yang tidak. Allah selamatkan manusia yang tidak boleh tahan dengan harta yang banyak dengan diberikan sedikit sahaja.

Jadi, kalaulah kita tidak diberikan dengan harta yang banyak, mungkin kita pun termasuk orang yang sebegini. Kerana Allah tahu kalau kita dapat harta yang banyak, kita akan melampaui batas. Maka bersyukurlah anda tidak kaya.

Jangan kita salahkan Allah kalau kita dapat kurang. Ingatlah kedudukan kita di sisi Allah. Kita ini hambaNya dan Dia adalah Tuhan. Kita gunakan setakat mana yang Allah berikan ini sebagai alat untuk kita jadi hamba kepada Allah.

Dan ingatlah yang Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan dengan rezeki yang Dia berikan. Sama ada kita gunakan rezeki itu untuk kebaikan atau tidak. Setiap perbelanjaan kita akan ditulis dan akan ditanya nanti.

Allah tahu apakah yang baik untuk kita. Perancangan Allah sangat hebat, maka kita kena percaya sahaja. Kerana Allah maha bijaksana. Bandingkan dengan pemerintah negara kita. Sebagai perumpamaan, tengoklah keputusan yang terpaksa dilakukan oleh mereka. Mereka kadangkala terpaksa buat keputusan yang akan menyebabkan sesetengah pihak akan kerugian atau kesusahan. Tapi mereka terpaksa buat keputusan itu untuk kepentingan negara.

Mereka yang terkesan dengan keadaan itu tentulah marah kerana mereka jadi susah. Mereka mungkin memberontak atau mengata sana sini kerana mereka tidak tahu bahawa keputusan yang pemimpin negara buat itu adalah untuk kebaikan negara bagi jangka masa panjang.

Kalau hal masa depan negara pun kita tidak dapat nak tahu sebagai rakyat biasa, takkan kita boleh tahu apakah perancangan Allah yang tentunya lebih tepat dan lebih hebat? Maka kenalah kita redha dengan apa yang ditentukan oleh Allah.


 

Ayat 28: Dalil Aqli

وَهُوَ الَّذي يُنَزِّلُ الغَيثَ مِن بَعدِ ما قَنَطوا وَيَنشُرُ رَحمَتَهُ ۚ وَهُوَ الوَلِيُّ الحَميدُ

Sahih International

And it is He who sends down the rain after they had despaired and spreads His mercy. And He is the Protector, the Praiseworthy.

Malay

Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.

وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ

Dan Dia lah yang menurunkan hujan

Kita yang hidup di Khatulistiwa ini, mungkin tak rasa sangat nikmat hujan ini. Kerana kita selalu dapat hujan sepanjang tahun. Sampaikan berlebih-lebih hujan sampai kadang-kadang banjir. Sekali sekala sahaja kemarau. Sampaikan kalau ada hujan turun, kita macam tidak suka, kita kata: “alaaa… hujan pula… susah lah nak….”.

Allah selalu sebut hujan dalam Al-Quran kerana ianya adalah nikmat yang amat besar sekali. Lihatlah bagaimana Allah turunkan hujan itu mengikut keperluan kita. Allah turunkan hujan sepanjang tahun, bukannya Allah turunkan semuanya sekali di awal tahun.

Kalau keseluruhan hujan untuk tahun itu diberikan satu masa, maka tentulah akan banjir sesuatu tempat itu dan tidak elok pula. Antara nikmat Allah adalah Allah turunkan sedikit demi sedikit hujan itu. Maka, ianya dapat dimanfaatkan oleh kehidupan.

Dalam ayat ini, perkataan الْغَيْثَ digunakan. Sedangkan ada perkataan lain juga untuk hujan – مَطَر contohnya. Ini adalah kerana الْغَيْثَ adalah hujan yang diturunkan selepas kemarau. Iaitu waktu yang manusia amat mengharap kepadanya. الْغَيْثَ dari katadasar غ و ث yang bermaksud ‘kelegaan’.

Dan الْغَيْثَ juga bermaksud hujan itu turun dengan banyak. Selepas kemarau, tiba-tiba hujan turun, teramatlah suka manusia dengan hujan itu. Sedangkan kalau hari biasa hujan turun, sampai ada yang merungut bila hujan turun. Sampai ada yang kata: “alamak, hujan turun la pulak, aku nak keluar ni. Kenapalah hujan pagi-pagi ni? Tak tahu ke aku nak keluar?” Nauzubillah, kalau kita bercakap tanpa ilmu dan iman, memang boleh jadi macam ni.

Tapi kalau hujan turun selepas kemarau, ramai-ramai akan keluar menari-nari dalam hujan itu. Begitulah bezanya sikap manusia dengan hujan.

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan.

 

مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا

setelah mereka berputus asa,

Allahlah yang menurunkan hujan selepas manusia sudah tidak tahu nak buat apa untuk menurunkan hujan atau menghentikan kemarau itu. Kerana mereka tahu yang mereka tidak ada kuasa untuk menurunkan hujan. Memang hanya berharap kepada Allah sahaja. Bayangkan perasaan manusia apabila diberikan dengan hujan selepas lama hujan tak turun. Tentu amat lega.

Putus asa yang boleh adalah putus asa dengan usaha manusia. Sudah buat macam-macam tapi akhirnya tak tahu nak buat apa lagi. Jangan putus asa dengan Allah kerana putus asa dengan Allah adalah sifat kufur.

Negara kita jarang mengalami masalah kekurangan hujan. Tetapi sekali sekala ianya berlaku juga. Masalahnya, masyarakat kita tidak tahu bagaimana hendak memohon kepada Allah apabila hujan lama tidak turun. Kerana jahil, masyarakat kita masih juga mahu melakukan Solat Hajat.

Solat hajat lepas solat jumaat

Solat Hajat berjemaah adalah amalan yang bidaah. Sepatutnya yang dilakukan adalah Solat Istisqa’ – Solat Minta Hujan. Itulah cara solat yang diajar dan diamalkan oleh Nabi. Ada negara Islam yang apabila dua minggu sahaja hujan tak turun, mereka terus Solat Istisqa’.

Solat ini dilakukan di tempat umum seperti padang terbuka. Jemaah solat hendaklah memakai pakaian yang lusuh untuk menggambarkan kesusahan yang mereka sedang alami. Bawa sekali dengan binatang ternakan kerana binatang ternakan juga memerlukan hujan. Feqah Solat Istisqa’ ini boleh dipelajari di tempat lain.

solat minta hujan istisqa 3-1
Beberapa minit saja solat istisqa bermula, hujan telah turun dengan lebatnya hingga lebih 30 minit. Tempat peristiwa berlaku di SMA Negeri 1 Tanah Merah Riau pada 27.10.2015

Kadangkala satu-satu nikmat itu berlainan penerimaannya oleh manusia. Kadang-kadang Allah beri pertolongan di saat-saat seseorang itu sudah putus harap. Waktu itu, terasa sungguh nikmat itu.

Hikmahnya, apabila pertolongan itu diberikan waktu itu, mereka akan rasa teramat lega, dan teramat bersyukur. Kalau sebut ‘alhamdulillah’ waktu itu pun, bunyi sudah lain – disebut dengan penuh kelegaan dan dengan penuh syukur kepada Allah.

Ayat ini mengajar kita yang sekali sekala Allah akan tangguhkan penurunan hujan kepada manusia supaya mereka akan berharap lebih kepadaNya. Mungkin mereka telah melakukan kesalahan kepada Allah sebelum itu dan Allah tahan hujan sebagai peringatan kepada mereka untuk mengenang kembali apakah salah mereka dan bertaubat atas kesalahan mereka itu.

Perangai manusia, kalau selalu sahaja dapat apa yang dikehendaki, manusia tidak menghargai nikmat itu. Orang yang selalu makan sedap, dia tak kisah pun bila dia dapat makan makanan yang sedap. Tapi orang kampung yang jarang dapat makan sedap, sekali dapat makan steak, dia akan teruja sangat. Begitulah perumpamaannya.

 

وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ

dan Dia menyebarkan rahmatNya merata-rata.

Allahlah yang menyebarkan rahmatNya kepada seluruh makhlukNya. Semua makhluk akan dapat rahmat dari Allah. Sema ada manusia, binatang, serangga, semua sekali. Semua akan dapat rezeki masing-masing. Dalam bentuk yang mereka perlukan. Makanan untuk lembu lain dengan makanan untuk semut kerana Allah beri bahagian ikut keperluan masing-masing.

Begitulah, rezeki dalam bentuk hujan jatuh ke merata-rata kawasan yang luas. Bandingkan kalau air dari dalam bumi, seperti mata air dan telaga, ianya hanya terhad dalam kawasan yang kecil sahaja. Tapi apabila hujan turun, ianya pergi ke merata tempat.

Rezeki itu bukan dalam bentuk hujan sahaja. Macam-macam jenis rezeki yang Allah berikan. Cuma Allah selalu beri contoh hujan dalam Al-Quran untuk isyarat kepada rezeki.

Seperti yang selalu disebut, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Kita disuruh berdoa hanya kepada Allah, dan terus kepada Allah sahaja. Kerana Dia sahaja yang dapat memberi apa yang kita perlukan. Begitulah yang ditekankan dalam ayat ini. Kalau hujan sudah lama tak turun, maka doalah kepada Allah. Jangan pergi jumpa Bomoh Hujan pula – ini syirik.

Kalau hanya Allah sahaja yang boleh beri rezeki kepada kita, dalam bentuk hujan dan lain-lain bentuk rezeki, maka minta kepada Allah lah sahaja, jangan pula minta kepada yang lain.

 

وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ

Dan Dia lah pelindung, lagi Yang Maha Terpuji.

Ayat ini mengajar kita bagaimana Allah memberikan rezeki mengikut kadar keperluan. DiberikanNya sedikit demi sedikit harta dan keperluan kepada manusia. Kerana Allah tahu, kalau hambaNya diberikan dengan harta yang banyak sekaligus, akan menyebabkan manusia itu terpesong, jadi tak tentu arah.

Ini seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Macam juga hujan, diberikan sedikit demi sedikit, kerana kalau diberi banyak terus, bukannya jadi nikmat, tapi jadi musibah.

Manusia akan jadi lain kalau tiba-tiba jadi kaya. Kalau kita lihat budak-budak selepas kira duit raya mereka pun cukuplah. Perangai mereka sudah jadi lain macam: nak beli itu lah, ini lah. Nak makan itu, makan ini. Sibuk mereka dengan duit raya mereka itu.

Orang dewasa pun begitu juga. Kalau ada duit banyak, selalunya mereka boleh jadi hanyut dengan kemewahan. Jadi, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah telah ‘menyusun’ rezeki yang hendak diberikan kepada kita. Allah tidak beri banyak untuk keselamatan iman kita juga sebenarnya.


 

Ayat 29: Dalil aqli sebagai alamat kepada Qudrat Allah. Kenapa kita kena sembah Allah sahaja.

وَمِن ءآيٰتِهِ خَلقُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَثَّ فيهِما مِن دابَّةٍ ۚ وَهُوَ عَلىٰ جَمعِهِم إِذا يَشاءُ قَديرٌ

Sahih International

And of his signs is the creation of the heavens and earth and what He has dispersed throughout them of creatures. And He, for gathering them when He wills, is competent.

Malay

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya).

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya

Allah menyebut-nyebut tanda-tanda kekuasaanNya untuk mengingatkan kita yang Dialah Tuhan kita dan kita kena sembah dan seru hanya Dia. Tanda-tanda itu boleh dilihat pada alam ini. Dengan melihat alam ini akan mengingatkan kita kepada Allah.

 

خَلْقُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

ialah kejadian langit dan bumi

Allah selalu menyebut langit dan bumi kerana itulah dua makhluk besar yang kita selalu boleh lihat. Tidak mustahil ada lagi makhluk-makhluk Allah yang lain yang kita tidak dapat lihat. Sebagai contoh, Arasy adalah lebih besar lagi dari langit dan bumi, tapi kita tidak nampak.

Allah hendak memberitahu, begitu punya besar langit dan bumi itu, Dia sahaja yang mencipta keduanya, tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam penciptaannya.

 

وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَابَّةٍ

serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata;

Lihatlah berapa banyak makhluk Allah yang melata di bumi dan terbang di langit. Kalimah دَابَّةٍ bermaksud sesuatu yang bergerak sendiri dan selalunya digunakan untuk binatang. Termasuk juga sama ada manusia atau kehidupan yang lain. Apabila kita lihat segala makhluk itu, kita ingat dalam hati kita yang Allahlah yang menjadikan semua makhluk itu.

Semua yang ada atas bumi ini, binatang dan manusia dan apa sahaja, tidak terjadi sendiri. Tidaklah kita dan mereka membiak sendiri, melainkan Allah juga yang membiakkan kita. Kena ingat perkara ini.

Binatang dan makhluk di bumi kita boleh nampak. Tapi bagaimana dengan makhluk yang bergerak di langit? Mungkin yang dimaksudkan adalah para malaikat atau mungkin juga ada makhluk-makhluk lain yang melata yang kita tidak tahu kerana ilmu kita terhad terhadap alam ini. Oleh kerana itu, ada juga yang menggunakan ayat ini sebagai dalil ada makhluk di planet-planet lain. Ini adalah kerana kalimah دَابَّةٍ adalah makhluk yang melata di tanah. Kalau malaikat, mereka mungkin terbang sahaja.

 

وَهُوَ عَلَىٰ جَمْعِهِمْ إِذَا يَشَاءُ قَدِيرٌ

dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki

Walaupun makhluk itu merata-rata, ada di langit dan ada di bumi, tapi Allah mampu untuk mengumpulkan semua makhlukNya itu apabila tiba masanya. Kita nak kumpul anak beranak kita yang duduk di negeri lain pun sudah susah, tapi Allah mampu nak mengumpulkan makhlukNya walau di mana mereka berada. Semua makhluk nanti mati berlainan tempat dan berlainan masa, tapi Allah boleh kumpul semuanya sekali di Mahsyar.

Bila Allah yang jadikan dan menghidupkan makhluk, tentu Dia juga boleh matikan. Jadi kenapa Musyrikin Mekah tak boleh terima yang makhluk akan dihidupkan? Kerana mereka pun terima yang Allah sahaja yang boleh menjadikan. Mereka sepatutnya kena terima kerana itu semua dari Qudrat yang sama juga. Bila terima tentang Qudrat, maka syariat pun kena terimalah juga.

Habis Ruku’ ke 3 dari 5 ruku’ surah ini.


 

Ayat 30: Takhwif duniawi. Ayat ini adalah tentang bala yang menimpa manusia. Allah menceritakan kenapa manusia ditimpa bala itu. Ianya adalah kerana kesalahan yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Ini mungkin satu pemahaman yang ramai tidak tahu.

وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم وَيَعفو عَن كَثيرٍ

Sahih International

And whatever strikes you of disaster – it is for what your hands have earned; but He pardons much.

Malay

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

وَمَا أَصٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana),

Macam-macam kesusahan dan musibah yang kita alami dalam kehidupan dunia ini. Itulah namanya kehidupan, tidak sunyi dari masalah, tidak sunyi dari musibah. Sama ada berbentuk kesihatan, kewangan, pekerjaan, perhubungan antara manusia, malah apa-apa sahaja. Ada musibah yang besar dan ada musibah yang kecil. Apa yang Allah kata tentang musibah itu?

 

فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ

maka ia adalah disebabkan apa yang tangan kamu lakukan

Musibah-musibah itu ditimpakan kepada kita kerana perbuatan tangan kita sendiri. Manusia mendapat musibah kerana amalan dosa yang dilakukan. Bukan dosa tangan sahaja tapi dosa yang dilakukan oleh semua anggota walaupun disebut hanya tangan sahaja.

Ianya terjadi kerana kesalahan kita. Iaitu perbuatan dosa yang banyak kita lakukan. Perbuatan yang baik akan membawa kebaikan, dan perbuatan buruk akan membawa kepada keburukan.

Allah hendak memberitahu kita, apabila derhaka, di dunia lagi Allah boleh boleh beri azab sikit-sikit. Kalau orang kafir, apa sahaja musibah yang menimpa mereka itu sudah dikira azab. Iaitu azab yang kecil sebelum kena azab lebih teruk di neraka. Maka kalau nak selamatkan diri dari musibah, perbaiki amalan dari jahat kepada baik. Jangan jadi zalim, contohnya, taat kepada Allah dan serahkan diri kepada Allah.

Kepada orang mukmin yang ada buat dosa, ianya adalah peringatan atau sebagai asbab gugur dosa. Diberi musibah supaya orang itu insaf. Allah beri musibah-musibah itu untuk memberi peringatan kepada kita. Supaya selalunya apabila kita jatuh terduduk kerana masalah, baru kita teringat dengan Allah. Baru teringat dosa-dosa yang kita telah lakukan.

Selalunya orang bila sudah kena musibah, baru dia teringat nak istighfar, baru nak buat amal kebaikan. Masa kita kaya, masa kita ada kuasa dulu, kita menikmati kehidupan ini tanpa mengingati Allah. Sembahyang pun pakai mana yang mampu sahaja, kelas agama tak sempat nak pergi sebab sibuk nak belanja harta, pergi sana pergi sini.

Oleh kerana itu, kalau ada musibah dikenakan kepada diri kita, kena ingat baliklah: “apalah dosa yang aku telah lakukan? Apa yang Allah murka dengan aku?”

Tapi bagaimana dengan orang mukmin yang tidak buat dosa seperti para Nabi? Kenapa mereka kena musibah juga? Kepada mereka, dengan musibah yang mereka dapat itu, mereka akan naik darjat. Dan mereka akan diberikan pahala tambahan kerana sabar. Kerana kalau mereka tak diuji, macam mana orang mukmin nak dapat pahala sabar? Dan pahala sabar ini tidak ada had.

Maka musibah diberikan kepada mereka sebagai tambahan pahala kepada mereka. Jadi janganlah kita gatal mulut pula cakap dengan orang yang kena musibah: “ini tentu ada salah kau kat mana-mana ni… bertaubatlah…”. Jangan kita cakap begitu kerana musibah itu mungkin bukan kerana dosa dia, tapi kerana Allah nak beri pahala tambahan kepada dia.

 

وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Allah dengan Sifat RahmatNya, tak hukum kita terus dengan segala dosa-dosa yang kita lakukan. Kalau nak dikirakan, banyak sekali dosa-dosa yang kita lakukan. Tapi, musibah yang dikenakan kepada kita itu bukanlah atas semua dosa-dosa itu. Allah beri sikit sahaja. Ini istilah yang selalu gunakan: “Allah bayar cash terus ni…”

Maksud ayat ini, dosa-dosa yang kecil yang manusia lakukan, banyak yang Allah sudah ampunkan. Dosa itu diampunkan apabila kita solat, wuduk, buat kebaikan dan lain-lain ibadat. Kerana kalau Allah nak balas dengan semua dosa yang kita lakukan, tentu kita tidak mampu menanggungnya.

Oleh kerana itu, bukan semua amalan jahat terus dibalas di dunia. Allah maafkan begitu sahaja. Atau, Allah tangguh azab musibah itu kerana Allah beri peluang untuk bertaubat. Tapi kalau terlepas tidak kena azab di dunia, dan dia pun tidak minta ampun sampai dia mati, maka di akhirat akan kena juga. Maka jangan sangka akan terlepas begitu sahaja.

Tapi ada jenis dosa yang tidak diampunkan kerana pembuatnya kena minta ampun secara spesifik kepada Allah. Itulah dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Ini bukan jenis dosa yang akan terhapus dengan wuduk, solat dan buat kebaikan yang biasa. Ini termasuk dalam perbuatan syirik adalah amalan-amalan dan fahaman bidaah. Ini adalah kerana amalan bidaah adalah amalan menambah dalam agama, ianya adalah syirik juga. Ini kita telah belajar dalam tafsir ayat 21 surah ini.

Tetapi, kerana tidak belajar tafsir Al-Quran, tidak belajar sunnah, manusia tidak tahu manakah amalan bidaah dan syirik yang mereka lakukan. Oleh kerana mereka tak tahu, maka mereka tidaklah meminta ampun atas dosa-dosa itu. Kerana kalau mereka tahu, tentulah mereka akan meminta ampun.

Kesimpulan ayat ini, kerana ada dosa yang manusia lakukan, dan mereka tidak mohon keampunan lagi, maka Allah telah menjatuhkan musibah ke atas mereka. Musibah itu dikenakan untuk mengingatkan manusia apakah kesalahan yang mereka telah lakukan. Apa yang patut kita lakukan adalah memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa kita itu. Bukannya dengan buat Solat Tolak Bala, Doa Tolak Bala, Solat Hajat dan amalan-amalan bidaah yang lain.

Oleh kerana dosa-dosa yang tidak diminta ampun itulah yang menyebabkan kita dikenakan dengan musibah itu. Maka, kita kenalah sentiasa istighfar dan minta ampun kepada Allah supaya Allah terus ampunkan sahaja dosa kita dan tidak diganti dengan balasan musibah.

Manusia pertama yang melakukan dosa dan dikenakan musibah adalah Nabi Adam a.s. Baginda telah dihukum dengan diturunkan ke dunia dari syurga tempat tinggal asalnya. Itu adalah musibah yang amat besar. Bayangkan, setelah duduk di syurga dengan segala kenikmatannya, terpaksa tinggal di dunia yang serba tak cukup, serba kurang dan serba payah.

Maka, apakah yang baginda telah lakukan? Baginda telah memohon keampunan dari Allah. Walaupun baginda seorang yang amat bijak, tapi doa-doa taubat baginda tidak diterima oleh Allah. Sampailah Allah sendiri ajar baginda bagaimana memohon ampun. Doa yang diajar oleh Allah dan diamalkan oleh Nabi Adam ada tertulis dalam A’raf:23

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Nabi Adam dan Hawa mengaku kesalahan yang mereka lakukan dan memohon keampunan dari Allah. Selepas mengamalkan doa ini, barulah Allah maafkan baginda dan Hawa. Maka, tidaklah benar yang Nabi Adam bertawasul dengan nama Nabi Muhammad yang belum lahir, seperti yang diajar oleh puak-puak bidaah dan puak-puak tarekat.

Sedangkan telah jelas dalam ayat ini bagaimana cara Nabi Adam memohon ampun dari Allah. Maka, kalau kita ditimpa musibah, ada kemungkinan ianya adalah dari kesalahan yang kita lakukan, maka moleklah kalau kita amalkan doa ini juga.

Kalau kita tidak rasa kita ada buat dosa pun, sepatutnya kita kena selalu istighfar kepada Allah. Kerana kita tidak tahu apakah dosa yang kita telah lakukan. Tentunya kita ada sahaja dosa yang kita lakukan. Jangan nak tipu lah.


 

Ayat 31: Kalau Allah nak kenakan musibah atau azab, kita tidak akan mampu untuk menyelamatkan diri.

وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ ۖ وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Sahih International

And you will not cause failure [to Allah ] upon the earth. And you have not besides Allah any protector or helper.

Malay

Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ فِي الْأَرْضِ

Dan kamu tidak akan dapat melemahkan (kuasa Allah) di muka bumi;

Tidak ada tempat untuk kita lari dari apa yang Allah telah tetapkan kepada kita. Kita tidak boleh lemahkan atau tahan kuasa Allah untuk mengenakan musibah kepada kita. Kerana kita tinggal dalam bumiNya. Kalau Allah nak kenakan musibah kepada kita, ianya pasti akan kena.

Kalau kesalahan jenayah dunia, edar dadah atau bunuh orang, boleh lagi nak lari sampai polis tak tangkap dan tak kena penjara. Tapi tidak akan boleh lari kalau dengan Allah. Kerana kita tidak dapat melemahkan qudrat Allah untuk balas segala dosa kita.

Kenapa Allah kenakan musibah itu kepada kita? Adakah Allah benci kepada kita? Tentunya tidak. Bala dan musibah itu adalah sebagai amaran dari Allah. Allah nak ingatkan kita bahawa ada kesalahan yang kita telah lakukan. Allah nak beritahu kepada kita bahawa kita telah lupa kepada Allah. Yang kita telah buat kesalahan. Kita kena periksa balik, apakah kesalahan yang kita lakukan. Kalau Allah beri peringatan sebegini, ia adalah rahmat dari Allah. Kerana azab di akhirat lebih teruk lagi, bukan?

Ini adalah tentang musibah di dunia. Bagaimana pula di akhirat kelak? Allah sambung dengan potongan seterusnya pula, iaitu keadaan di akhirat kelak:

 

وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ

dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung

Tidak ada mana-mana guru, ustaz, Tok Sheikh, wali atau sesiapa sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari azab Allah. Kalau di dunia, ada orang boleh tolong kita, atau kita rasuah orang tolong kita, atau upah mereka, atau paksa mereka; tapi segala itu tidak akan terjadi di akhirat kelak.

Hanya Allah sahaja yang boleh melindungi kita dan menyelamatkan kita. Minta ampunlah kepada Allah. Mintalah pertolongan kepada Allah.

 

وَلَا نَصِيرٍ

atau pemberi pertolongan.

Allah sahaja yang boleh memberi pertolongan kepada kita apabila kita ada musibah, ada masalah. Kalau satu dunia berusaha untuk tolong menyelesaikan masalah kita, tapi kalau Allah tidak membenarkannya, masalahnya itu tidak akan selesai.

Lafaz وَلِيٍّ untuk penolong untuk selamatkan kita dari kena musibah. Atau untuk menghalang dari masuk ke dalam neraka. Tidak ada yang boleh halang.

Lafaz نَصِيرٍ pula untuk penolong selepas kita kena musibah atau azab. Juga tidak ada yang akan dapat keluarkan kita dari neraka tanpa izin Allah kalau kita dimasukkan ke dalam neraka.

Maka, kita sepatutnya pergi kepada Allah, bukannya lari dari Allah. Malangnya, ada orang kita yang apabila ditimpa kesusahan, contohnya bisnes jatuh bangkrap, isteri lari dengan orang lain, anak tinggalkan mereka, mereka bukan kembali kepada Allah tapi sebaliknya menjauhkan diri lagi daripada Allah.

Mereka ada yang hisap dadah, minum arak sebab nak lupakan masalah, ada yang bunuh diri, pukul orang lain dan macam-macam lagi kesalahan yang mereka lakukan. Itu adalah cara yang salah untuk menghadapi musibah yang telah dikenakan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Oktober 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 23 – 26 (Tidak boleh minta upah dalam mengajar agama)

Ayat 23: Ayat 23 – 43 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia tentang pahala yang akan diberikan kepada orang mukmin dan sifat-sifat mereka. Ayat 23 ini adalah Ayat Tabshir Ukhrawi

ذٰلِكَ الَّذي يُبَشِّرُ اللهُ عِبادَهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ ۗ قُل لّا أَسئلُكُم عَلَيهِ أَجرًا إِلَّا المَوَدَّةَ فِي القُربىٰ ۗ وَمَن يَقتَرِف حَسَنَةً نَّزِد لَهُ فيها حُسنًا ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ شَكورٌ

Sahih International

It is that of which Allah gives good tidings to His servants who believe and do righteous deeds. Say, [O Muhammad], “I do not ask you for this message any payment [but] only good will through kinship.” And whoever commits a good deed – We will increase for him good therein. Indeed, Allah is Forgiving and Appreciative.

Malay

(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)”. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).

ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللهُ عِبَادَهُ

Itulah yang Allah gembirakan hamba-hambaNya

Iaitu mereka diberikan dengan berita gembira bahawa mereka yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka akan ditempatkan di tempat yang paling subur dan paling cantik di taman-taman syurga itu. Dan mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka mahukan.

Maka, apabila Allah telah beri berita gembira itu, hendaklah kita berusaha ke arahnya. Janganlah kita buat tidak tahu sahaja macam ianya tidak ada apa-apa. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Dan jalan pertama adalah dengan belajar ilmu agama dimulai dengan tafsir Al-Qur’an dan kemudian hadis Nabi.

Kepada siapakah berita gembira ini diberikan? Adakah kepada semua orang?

 

الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

yang beriman dan beramal soleh.

Tapi hanya kepada hambaNya yang beriman dan beramal soleh sahaja yang diberikan dengan berita gembira ini. Kepada mereka yang engkar, mereka pun akan mendapat berita juga, tapi berita buruk, iaitu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Iman itu kena iman yang sempurna, iaitu amalkan tauhid dan tidak melakukan syirik; dan amal soleh adalah amal yang sunnah, ada contoh dari Nabi dan sahabat dan bukan amal yang bidaah.

 

قُل لَّا أَسْئلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا

Katakanlah: “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu,

Nabi ﷺ tidak pernah meminta upah kepada umatnya. Dan inilah sunnah dalam mengajar ajaran agama. Ayat ini dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama.

Kerana apabila seseorang melakukan kerja baik kerana Allah, dia hanya mengharapkan balasan dari Allah, bukan dari manusia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas usaha mereka. Pahala mengajar pun sudah amat banyak, tidak terkira banyaknya. Maka, kenapa kita perlu balasan dari manusia?

Ini adalah satu perkara yang amat penting diketahui oleh mereka yang mengajar. Mengajar ilmu agama itu adalah WAJIB kepada mereka yang berilmu. Begitu juga, belajar agama itu adalah juga WAJIB bagi setiap orang yang sudah baligh.

Maka, kalau orang yang berilmu menetapkan bayaran untuk mengajar agama, akan ada masalah kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menuntut ilmu, sedangkan belajar agama itu WAJIB. Maka mereka tidak dapat datang belajar kerana mereka tidak ada kemampuan. Maka tentulah mereka itu akan terus berada dalam kejahilan sampai bila-bila. Amat malang sekali kalau begitu.

Allah tidak benarkan meminta upah dalam mengajar, kerana kalau tidak, mereka yang tidak mahu belajar akan ada alasan pula untuk tidak belajar agama. Mereka akan kata: “bagaimana kami nak belajar, nak masuk kelas sahaja kena bayar RM100, setiap kali belajar kena bayar RM10 (dan apa-apa bayaran)”. Jadi Allah tutup alasan ini dengan melarang guru agama minta upah dalam mengajar. Supaya semua orang ada peluang untuk belajar.

Ini tidaklah menghalang guru agama untuk menerima pemberian dari anak muridnya. Anak murid yang berkemampuan sepatutnya memberi imbuhan kepada guru setakat yang mereka mampu. Hendaklah kita menghargai ilmu yang disampaikan oleh guru dengan memberi sedekah atau hadiah kepada guru.

Dan mereka memang layak untuk menerima pemberian itu. Cuma, guru itu TIDAK boleh menetapkan berapakah bayaran yang dikenakan. Kalau tidak ada sesiapa pun memberi pemberian, dia masih tetap perlu meneruskan pengajaran kerana itu sudah menjadi kewajipan kepadanya untuk mengajar. In sha Allah, Allah akan memberi rezeki kepadanya dengan cara yang lain.

Malangnya, banyak sangat ustaz di negara ini yang meminta upah dalam mengajar. Sampaikan ada yang menetapkan upah mengajar setiap kali RM5,000. Paling kurang, sekali mengajar selama sejam dua, mereka mengenakan bayaran sebanyak RM500. Selalunya, ia bergantung kepada ‘populariti’ ustaz itu.

Ustaz sebegini memang hendak mengajar agama untuk membuat duit sahaja. Dan selalunya apa yang mereka ajarkan itu bukanlah dari ajaran sunnah. Kerana memang mereka bukan berfahaman sunnah pun. Kalau mereka Sunnah, mereka tidak letak yuran pun.

Dan apabila mereka diberi bayaran, mereka tidak berani untuk menceritakan perkara yang akan menyebabkan anak murid marah. Jadi, mereka tidak tegur pun kesalahan anak-anak murid itu kerana mereka takut kalau mereka tegur, anak murid akan berasa hati dan tidak panggil mereka datang mengajar lagi.

Jadi, realiti sekarang adalah ramai guru yang meminta dan menetapkan bayaran upah dalam mengajar. Padahal, cara pengajaran salaf dari dahulu lagi adalah tidak mengenakan bayaran. Dan memang ada sampai sekarang, guru-guru agama yang mengajar agama tanpa mengenakan bayaran dan mereka boleh sahaja hidup sempurna.

Allah masih lagi memberi mereka dengan rezeki dengan cara lain. Tapi tidaklah ramai mereka itu, sampaikan jarang sekali kita dengar guru yang tidak meminta atau menetapkan bayaran dalam mengajar.

Ada satu lagi tafsir untuk lafaz أَجْرًا itu. Selain daripada upah dalam bentuk kewangan dan harta, ia juga boleh diterjemahkan kepada ‘sanjungan’. Kerana ada orang yang tidak mengharapkan harta, kerana mungkin mereka sudah kaya, tapi mereka mengharapkan sanjungan dari orang ramai.

Mereka suka kalau orang kata mereka pandai, bijak, berilmu dan sebagainya. Maka, ini pun kita kena jaga juga. Kerana takut kalau kita tidak mengharap upah dalam bentuk wang, tapi kita mengharapkan أَجْرًا dalam bentuk sanjungan manusia pula.

 

إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ

melainkan hanyalah kasih mesra dalam pertalian kerabat

Maksud ayat ini adalah: Nabi ﷺ tidak mengharapkan balasan upah daripada umatnya kecuali hanya mengharapkan pertalian rapat antara baginda dan umatnya sahaja. Baginda hanya mengharapkan semoga umatnya menghargai pertalian persaudaraan sesama mereka.

Tambahan lagi, Nabi ﷺ memang ada pertalian persaudaraan dengan mereka. Boleh dikatakan semua yang tinggal di Mekah itu ada pertalian persaudaraan dengan baginda. Walaupun mereka tak mahu terima, tapi sekurang-kurangnya sokonglah baginda.

Kalau tak mahu beriman pun, janganlah menentang baginda dan menyakiti baginda. Cubalah dengar apa yang baginda hendak katakan, kerana baginda bukan orang lain dengan mereka, tapi saudara mereka juga.

Dalam adat bangsa Arab, mereka amat mementingkan pertalian persaudaraan. Kalau seseorang itu dari puak mereka, mereka akan beri sokongan dalam semua hal. Tapi, apabila Nabi ﷺ membawa ajaran tauhid, mereka tidak menghargai langsung pertalian persaudaraan itu.

Malah, mereka yang rapat dengan baginda pun menentang baginda seperti Abu Lahab. Maka Nabi ﷺ memohon mereka supaya mengingati kembali pertalian antara mereka itu.

Tidaklah juga baginda berharap upah dari kerabat baginda. Seperti kita dengan anak beranak kita, takkan nak minta upah kepada mereka dalam mengajar, bukan? Takkan selepas memberi nasihat kepada anak beranak dan saudara mara, kita minta upah kepada mereka pula, bukan? Itu amat tidak patut kalau kita lakukan.

Ini juga sebagai isyarat yang kita kena sampaikan dakwah dan ajaran agama kepada kalangan kaum kerabat kita dahulu. Jangan sibuk dakwah kepada orang lain, tapi keluarga sendiri tidak diberi galakan sunnah.

Keduanya, perkataan الْقُرْبَىٰ boleh diterjemahkan sebagai ‘rapat’. Ianya adalah dari katadasar yang sama yang kita gunakan perkataan ‘karib’ yang kita gunakan dalam perkataan ‘sahabat karib’ kita yang bermaksud sahabat kita yang paling rapat.

Ini bermaksud Nabi ﷺ tidaklah mahukan upah daripada mereka sebaliknya Nabi ﷺ mahu mereka itu jadi rapat dengan Allah SWT. Kerana tugas setiap Rasul dibangkitkan adalah untuk mendekatkan manusia dengan Allah.

Apabila manusia sudah rapat dengan Allah dan menganggap Allah kekasih mereka, apa-apa sahaja arahan dari Allah akan mudah ditaati kerana ianya seumpama permintaan dari kekasih kita. Bukankah kita akan mudah penuhi permintaan kekasih? Oleh itu, Nabi Muhammad ﷺ tidak mengharapkan أَجْرًا dari umatnya, asalkan mereka jadi rapat dengan Allah, sudah cukup untuk baginda.

Maksud ketiga yang diberikan oleh para mufassir adalah baginda tidak meminta upah melainkan hanya mengharap supaya mereka melayan baginda seperti kaum kerabat mereka yang rapat. Apabila dengan kerabat yang rapat, tidaklah sepatutnya menyakiti sesama sendiri, sebaliknya bantu membantu. Itulah harapan baginda. Kerana waktu itu, banyak yang melayan baginda dengan teruk sekali.

Maksud keempat yang dibincangkan oleh mufassir adalah yang dimaksudkan oleh الْقُرْبَىٰ adalah ahli keluarga baginda. Iaitu Ali, Fatimah dan keluarga mereka atau selalu dipanggil dengan gelaran Ahl Bayt. Tetapi, ayat ini diturunkan di Mekah di mana Fatimah masih kecil dan belum lagi berkahwin dengan Ali.

Dan ahli keluarga Nabi bukanlah mereka sahaja, malahan ada ramai lagi. Kalau tanya kepada kebanyakan orang Islam, mereka hanya tahu anak baginda ada Fatimah, dan cucu baginda adalah Hassan dan Husein sahaja. Padahal banyak lagi. Jadi, pendapat yang mengatakan ayat ini tentang mereka berlima adalah lemah.

Dan hujah itu digunakan oleh kumpulan Syiah dan kita pun tahu yang mereka itu memang penipu. Maka kita tidak boleh gunakan hujah ini. Kita memang mesti menghormati ahli keluarga Nabi ﷺ tapi bukanlah seperti yang dilakukan oleh puak Syiah itu. Allahu a’lam.

 

وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik,

Kata يَقْتَرِفْ terbit dari katadasar ق ر ف yang bermaksud ‘mengupil kulit pokok’. Atau ‘kopek luka yang sudah kering’ yang selalu dilakukan oleh kanak-kanak. Maka maksudnya adalah ‘melakukan sesuatu’. Dalam ayat ini, ianya tentang melakukan kebaikan.

Dan untuk melakukan sesuatu, memerlukan usaha. Nak solat, nak tolong orang lain, nak belajar, semua itu memerlukan usaha. Oleh itu, iqtarif adalah perbuatan yang bersungguh-sungguh dan ada sedikit kesusahan dalam melakukan – memerlukan usaha dari seseorang. Macam nak umpil pokok bukannya senang, bukan?

 

نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا

Kami tambahi kebaikan baginya dalam kebaikannya itu.

Allah beri ganjaran berganda-ganda dari amalan orang yang melakukan kebaikan itu. Allah akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan semasa di dunia. Bukan itu sahaja, malah dia akan diberikan dengan taufik untuk melakukan kebaikan lagi.

Iaitu, seseorang yang melakukan amalan baik akan timbul dalam hatinya untuk melakukan lagi kebaikan. Perasaan yang dinamakan taufik itu diberikan oleh Allah. Dengan itu, orang itu akan mendapat lebih banyak lagi kebaikan.

Sebab itu kadang-kadang kita hairan memikirkan bagaimana ada orang yang boleh melakukan banyak perkara ibadat. Dia boleh belajar, dia boleh mengajar, dan dalam masa yang sama, sempat lagi menulis kitab. Ini adalah kerana Allah telah memberikan taufik kepadanya untuk melakukan amalan-amalan ibadat itu.

Allah telah memberikan nikmat kepada orang itu untuk merasai kemanisan dalam melakukan amalan-amalan baik itu. Sampaikan orang itu merasa gembira dan ‘ringan tulang’ untuk melakukannya.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa Allah memberi perasaan ini kepada mereka yang mula melakukan ibadat itu sedikit demi sedikit. Apabila dia sudah mula melakukan sedikit amal kebaikan, dan istiqamah dalam melakukannya. Allah akan beri dia rasa nikmat melakukannya. Oleh itu, mulakan dengan melakukan amalan yang ringan-ringan dahulu dan istiqamah. Jangan nak terus buat banyak kerana akan melemahkan diri sendiri.

Apabila kita sudah mula rasa kemanisan melakukan ibadah itu, maka tambah lagi dengan amalan yang lain. Janganlah terus hendak ikut orang lain yang melakukan amalan yang banyak. Mereka yang istiqamah melakukan amalan yang banyak, mereka pun bermula dengan sedikit dahulu.

Ini adalah targhib (rangsangan) untuk umat memperbanyakkan amal mereka. Bila kita sudah tahu kebaikan yang amat banyak dalam mengerjakan amal soleh, maka rebutlah peluang dan jangan tunggu lagi. Banyak kali Allah sebut dalam Al-Qur’an mengajak kita beramal dengan kebaikan.

Amat rugi kalau berlengah dan menangguh untuk melakukan amal kebaikan. Kerana ramai yang sudah tahu tapi masih tunggu lagi. Mereka telah ditipu oleh syaitan. Syaitan pada awalnya tak bagi kita belajar, tapi bila kita sudah belajar, syaitan bisikkan kepada kita untuk tangguhkan pula amal kebaikan itu.

Inilah senjata Talbis Iblis yang dinamakan taswif (melengahkan kebaikan). Syaitan tak boleh nak kata amal itu salah sebab orang itu sudah belajar, tapi mereka masih boleh lagi bisikkan supaya orang itu tangguhkan amal itu. Ramai yang mati dalam menjadi mangsa kepada senjata syaitan ini.

 

إِنَّ اللهَ غَفُورٌ شَكُورٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Amat Menghargai

Allah Maha Menghargai makhluk yang beribadat kepadaNya dan Dia akan membalas dengan lebih baik lagi. Allah amat suka dengan amalan yang kita lakukan dan Allah tidak akan mensia-siakannya.

Kenapa ada disebut sifat Allah yang Maha Pengampun dalam ayat ini pula? Kerana walaupun kita hendak taat kepada arahan dan suruhan Allah, tapi kadang-kadang kita cuai dalam amal. Ini adalah penawar bagi penyakit ujub iaitu salah satu dari Talbis Iblis. Ujub ini terjadi apabila seseorang itu rasa hebat dengan amal yang dia telah lakukan. Maka Allah ajar supaya minta ampun selepas beribadat, untuk mengingatkan kita yang ada amalan kita yang tidak cukup dan tidak sempurna. Jangan pandang hebat amalan kita itu.

Maka oleh kerana itu kita kena minta maaf dan ampun kepada Allah. Dan kerana itulah Allah beritahu yang Dia Maha Pengampun. Oleh itu, ada anjuran minta ampun dari dosa dalam ayat ini.

Kita memang selalu dianjurkan untuk minta ampun kepada Allah kerana kalau amalan kita sikit, tapi dosa kita banyak, nanti ada masalah untuk kita di dunia dan di akhirat kelak. Maka, kita minta ampun supaya dosa kita tidak ada lagi dan yang tinggal adalah pahala amalan kita walaupun ianya sedikit.

Dan Allah memang suka makhlukNya minta ampun dan sebab makhlukNya minta maaflah Allah beri taufik untuk melakukan kebaikan lagi dan lagi. Allah suka kita minta ampun kerana Dia suka mendengar kita mengaku lemah.


 

Ayat 24: Ayat Syikayah. Ini adalah tuduhan Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad. Dan tuduhan yang sama juga diberikan kepada penyebar tauhid sekarang. Allah beri jawapan kepada tuduhan itu dalam ayat ini.

أَم يَقولونَ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا ۖ فَإِن يَشَإِ اللهُ يَختِم عَلىٰ قَلبِكَ ۗ وَيَمحُ اللهُ البٰطِلَ وَيُحِقُّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sahih International

Or do they say, “He has invented about Allah a lie”? But if Allah willed, He could seal over your heart. And Allah eliminates falsehood and establishes the truth by His words. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.

Malay

(Orang-orang kafir tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad) bahkan mereka mengatakan: “Dia telah mereka-reka perkara dusta terhadap Allah” (Sebenarnya tidak patut mereka berkata demikian) kerana Allah berkuasa – jika Dia menghendaki – menutup hatimu (dan ingatanmu daripada menyatakan apa yang engkau telah nyatakan itu, tetapi Allah tidak menghendaki yang demikian, bahkan Dia memberi kuasa menyampaikan perintahNya, maka semua kenyataan yang engkau sampaikan adalah benar belaka). Dan sememangnya Allah tetap menghapuskan perkara yang salah serta Ia menetapkan yang benar dengan kalimah-kalimah wahyuNya dan keputusanNya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Adakah mereka mengatakan: “Dia telah mereka-reka dusta terhadap Allah”

Musyrikin Mekah memegang agama ajaran dari tok nenek mereka. Pada mereka, itulah ajaran yang benar. Dan mereka sangka ianya ajaran peninggalan dari Nabi Ibrahim.

Apabila Nabi Muhammad datang dan mengatakan bahawa pegangan mereka itu salah, maka mereka mengatakan Nabi Muhammad mereka-reka agama yang baru. Mereka juga menuduh yang Nabi Muhammad reka sendiri Al-Qur’an itu. Mereka pula yang kata Nabi Muhammad sesat sedangkan mereka yang sesat.

Mereka menuduh tanpa mendengar dulu pun apa yang hendak disampaikan oleh baginda. Mereka buat tuduhan melulu. Begitulah juga dengan kebanyakan dari kalangan masyarakat kita. Sebelum dengar dakwah dari kita, mereka terus label kita sebagai ‘wahabi’.

Musyrikin Mekah sebenarnya kenal Allah dan menerima Allah sebagai Tuhan. Tapi apabila Nabi datang dan membawakan ajaran tauhid la ilaaha illallah, (tidak ada ilah yang lain selain Allah), maka mereka melenting marah. Kerana mereka menyembah sembahan yang lain sebagai perantara (tawasul) kepada Allah. Mereka bukan sahaja sembah Allah, tapi mereka juga mahu sembah tuhan-tuhan yang lain yang mereka terima anggap sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ kepada Allah.

Begitulah juga dengan sesetengah dari masyarakat Islam kita. Mereka itu terima bahawa Allah itu adalah Tuhan yang mencipta alam ini, tapi mereka menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara antara mereka dan Allah dalam berdoa dan dalam ibadat.

Maka apabila kita katakan bahawa itu adalah cara berdoa yang salah, melentinglah mereka. Dan mereka kata kita bawa ajaran yang baru. Kerana mereka telah lama menerima ajaran bertawasul itu dari guru-guru dan tok nenek kita yang lama dulu sampaikan mereka sangka itulah agama.

 

فَإِن يَشَإِ اللهُ يَخْتِمْ عَلَىٰ قَلْبِكَ

jika Allah menghendaki, Dia boleh menutup hatimu

Jika Nabi Muhammad itu benar-benar berdusta atas nama Allah, bawa ajaran baru, bawa ajaran yang tidak benar, Allah akan tutup hati baginda. Allah boleh kunci mati hati Nabi. Iaitu baginda tidak akan ingat lagi apa yang telah baginda sampaikan dari Al-Qur’an itu.

Tapi lihatlah bagaimana walaupun Al-Qur’an itu telah diturunkan dalam masa selama 23 tahun, baginda tidak lupa langsung apa yang baginda telah sampaikan pada awal Islam.

Dan baginda tidak lupa pun apa yang telah baginda katakan pada awal Islam sampailah ke hujung hayat baginda. Bandingkan dengan penulis buku zaman sekarang. Hanya selepas beberapa tahun sahaja, mereka akan keluarkan edisi baru untuk memperbetulkan edisi asal tulisan mereka, kerana mereka jumpa maklumat baru, atau mereka nampak ada kesalahan dalam tulisan mereka yang dahulu.

Tapi itu tidak berlaku kepada Nabi, kerana baginda bukanlah penulis kepada Al-Qur’an. Itu adalah tanda bahawa Nabi menyampaikan ajaran yang benar.

Kalau Nabi pun akan dikunci mati hatinya kalau baginda reka agama, bagaimana pula kalau kita sendiri yang memandai reka agama, atau tambah amalan agama? Kita pun akan kena azab nanti. Cuma manusia yang menyebar ajaran salah tidaklah terjadi seperti Nabi Muhammad kerana kalau manusia ajar ajaran salah, ia tidaklah seteruk kalau Nabi yang ajar ajaran salah.

Ayat ini juga boleh bermaksud, kalau seseorang yang bukan Nabi tapi mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Allah tidak beri peluang ada seseorang yang mengaku Nabi dan orang ikut Nabi palsu itu. Kerana Allah tidak mahu ada kekeliruan dalam kalangan manusia.

Tapi ini adalah sebelum Nabi Muhammad dibangkitkan. Maksudnya kalau selepas Nabi Isa diangkat dan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi, kalaulah ada yang mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Kalau ada yang mengaku sebagai Nabi palsu selepas Nabi Muhammad, tidaklah orang itu terus dimatikan.

Sebab itu kita boleh dengar ramai sahaja yang mengaku sebagai Nabi selepas Nabi Muhammad wafat. Sebab penutup Nabi sudah dibangkitkan, maka kalau ada lagi mengaku sebagai Nabi, sudah pasti mereka itu menipu. Maka mereka tidak perlu dimatikan langsung. Yang percaya hanyalah mereka yang jahil dan gila sahaja.

Oleh itu, kalau Nabi Muhammad telah mengaku sebagai Nabi, dan baginda hidup sahaja, itu adalah dalil yang baginda ada Nabi yang sebenar.

 

وَيَمْحُ اللهُ الْبٰطِلَ

Dan Allah menghapuskan perkara yang salah

Ini adalah kaedah Allah untuk memastikan agama yang benar sahaja yang kekal. Dia akan menghapuskan ajaran yang salah. Kalaulah benar apa yang Nabi sampaikan itu adalah dari kata-kata baginda sendiri, Allah akan menghapuskannya lama dulu lagi. Tetapi lihatlah bagaimana selepas 1,400 tahun, ayat-ayat Al-Qur’an itu masih sama sahaja sampai ke hari ini.

Allah juga menghapuskan ajaran yang salah dengan membangkitkan Nabi Muhammad untuk membawa ajaran yang benar. Dan pada zaman sekarang, agama yang benar akan tetap dibawa oleh guru yang akan mengajar kepada manusia ajaran yang benar supaya manusia ada yang berada atas landasan yang benar.

Itulah mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis yang sahih, dan mengajar ajaran yang benar itu kepada manusia supaya dapat menghapuskan ajaran yang salah. Akan ada sahaja golongan ini yang Allah akan bangkitkan.

 

وَيُحِقُّ الْحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ

Dia menetapkan yang benar dengan kalimahkalimah wahyuNya.

Allah menyampaikan kebenaran kepada manusia melalui ayat-ayat Al-Qur’an. Hujah-hujah yang disampaikan adalah dengan dalil-dalil yang jelas dan mantap. Tapi ianya hanya jelas kepada mereka yang belajar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.

Ayat ini juga bermaksud Allah akan jaga mereka yang menyatakan kebenaran. Allah akan beri ketetapan hati kepada mereka.

Satu lagi pendapat, Allah membantu para Rasul عليهم السلام untuk menguatkan hujah mereka dengan diberikan mukjizat. Oleh kerana para Rasul عليهم السلام itu membawa hujah yang besar, maka mereka dibantu dengan sesuatu yang dapat mengalahkan kebatilan dari kalangan masyarakat. Maka itulah diberikan dengan mukjizat.

Dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah Al-Qur’an. Ia dikira terbesar kerana ia masih kekal sampai sekarang. Kita sendiri boleh lihat mukjizat di hadapan mata kita. Sedangkan mukjizat Nabi-nabi lain kita tidak dapat tengok, bukan?

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Allah tahu apa yang ada dalam hati Musyrikin Mekah itu. Mereka tuduh Nabi mereka-reka Al-Qur’an. Tetapi Allah tahu bahawa mereka sebenarnya percaya yang Al-Qur’an itu bukanlah buatan manusia. Cuma mereka sombong untuk menerimanya.

Allah juga Maha Tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam amalan ibadat kita. Hanya Allah sahaja yang tahu. Malaikat pencatat amal kita pun tidak tahu. Malangnya, ada kalangan masyarakat kita yang kata tok guru tahu niat dalam hati kita pula.

Itu adalah fahaman yang syirik. Kerana hanya Allah sahaja yang tahu dalam hati kita dan kalau kita kata ada makhluk yang tahu juga, maka itu menyamakan sifat makhluk dengan Allah. Itu adalah fahaman syirik.

Allah juga Maha Tahu sama ada kita ada syak atau tidak dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ada Muslim yang membaca ayat-ayat Al-Qur’an tapi mereka masih ragu dengan apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak nampak apakah yang Allah hendak sampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Dan walaupun mereka belajar tafsir, ada yang tidak belajar dengan ikhlas untuk mencari kebenaran. Oleh itu, apabila mereka berjumpa dengan ayat-ayat yang tidak kena dengan amalan dan fahaman mereka, mereka tolak ayat-ayat itu.


 

Ayat 25: Kenapa kena seru Allah sahaja?

وَهُوَ الَّذي يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَعفو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعلَمُ ما تَفعَلونَ

Sahih International

And it is He who accepts repentance from His servants and pardons misdeeds, and He knows what you do.

Malay

Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

 

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya

Mereka yang menentang Nabi Muhammad ﷺ diingatkan dalam ayat ini yang mereka masih ada harapan untuk bertaubat dan menerima baginda. Allah sanggup untuk menerima taubat mereka.

Sebelum ini Allah telah mengajar tentang syirik dalam berdoa. Maka ada orang yang setelah belajar tauhid, setelah belajar tafsir Al-Qur’an, barulah tahu yang mereka selama ini telah melakukan amalan dan fahaman yang syirik. Maka tentunya mereka hendak bertaubat dan meninggalkan amalan dan fahaman salah mereka itu. Inilah yang sepatutnya berlaku. Maka, Allah beritahu dalam ayat ini, Allah sanggup menerima taubat mereka.

Allah sahaja yang mampu menerima taubat dari hambaNya. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu menerima taubat dari makhluk. Oleh kerana itu, kita kena taubat terus kepada Allah.

Ini berlawanan dengan ajaran yang sesat seperti Nasara yang mengajar penganutnya untuk memberitahu dosa-dosa kepada paderi mereka dan paderi itu pula yang ampunkan dosa mereka. Itu adalah ajaran salah. Sepatutnya kita sendiri yang kena minta ampun kepada Allah.

‘Taubat’ bermaksud ‘kembali kepada Allah’. Allah suka untuk menerima taubat hambaNya. Walau banyak mana pun dosa manusia. Allah telah sebut dalam Zumar:53

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jangan putus harap dengan Allah. Allah mampu untuk mengampunkan segala dosa kita tidak kira berapa banyak pun. Jangan ada perasaan dalam hati kita yang dosa kita telah banyak sangat sampaikan Allah tidak akan ampunkan dosa kita yang banyak itu. Berapa banyak pun dosa kita, rahmat dari Allah lebih besar lagi.

Ayat ini juga bermaksud yang Allah ‘senang’ untuk menerima taubat kita. Allah tidaklah macam manusia yang susah untuk menerima permohonan maaf dari orang lain. Kadang-kadang mulut manusia kata dia maafkan, tapi kalau orang itu buat salah lagi, kesilapan yang telah dimaafkan sebelum ini pun akan diungkit balik, bukan?

Syaratnya, kita kena minta ampun sendiri kepada Allah. Syarat taubat adalah menyesal dengan dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Satu lagi syarat penting: Ianya mesti dilakukan sebelum pintu taubat ditutup – kalau Malaikat Maut sudah sampai, nyawa sudah di kerongkong, taubat itu tidak akan diterima.

Syarat lagi satu adalah ikhlas dalam taubat itu. Bukan kita sebut sahaja dengan mulut tetapi hendaklah hati kita juga mahu bertaubat. Kenalah betul-betul mahu bertaubat, bukannya sambil lewa sahaja. Sebab itu kena menyesal benar-benar dengan dosa yang telah dilakukan. Barulah boleh datang perasaan ikhlas itu.

Ada dua jenis taubat yang dibahagikan oleh ulama untuk pemahaman kita:

1. Taubatul Kul – iaitu taubat ‘keseluruhan’ dosa. Sebagai contoh, seorang yang baru masuk Islam. Dia akan memohon ampun atas segala dosanya semasa dia musyrik dahulu. Dan Allah akan ampunkan segala dosanya itu, sampaikan dia adalah seperti kain bersih yang tidak ada kekotoran langsung.

2. Taubatul Juz. Taubat ‘sebahagian’ sahaja. Sebahagian sahaja dosa yang diampunkan. Mungkin sebab seseorang itu tak ingat apakah dosa yang telah dilakukan. Atau dia sendiri tidak tahu apakah dosa yang dilakukan kerana dia tidak tahu ada perbuatannya yang berdosa. Atau ada dosanya yang tidak diampunkan kerana tidak cukup syarat.

Taubat jenis manakah yang Allah terima? Allah terima kedua-duanya sekali. Yang penting, kita kenalah selalu bertaubat. Kerana kita tidak tahu sama ada taubat kita diterima atau tidak. Maka kena teruskan bertaubat tanpa henti.

 

وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ

serta memaafkan kejahatan-kejahatan 

Taubat menghapuskan semua dosa sebelum itu jika Allah terima taubat itu. Apabila Allah terima taubat hamba itu, segala dosa-dosanya akan dihapuskan.

Sebagai contoh, apabila seseorang masuk Islam, segala dosanya akan diampunkan dan tidak sedikit pun tinggal (taubatul kul). Begitu juga kalau kita banyak dosa dan kita minta ampun dengan ikhlas. Kalau Allah terima taubat itu, Allah boleh ampunkan berapa banyak pun dosa kita. Walau sebanyak buih di lautan. Walaupun dosa itu adalah dosa syirik.

Atau Allah boleh sahaja bersihkan dosa yang tidak diminta ampun kerana kita tak ingat atau tak tahu yang kita berdosa. Allah boleh sahaja lakukan kalau Allah kehendaki.

Ataupun kita dalam proses belajar, maka ada dosa-dosa yang kita lakukan kerana kita tak tahu ianya adalah dosa. Maka, kerana kita sudah mula belajar, Allah akan maafkan kita.

Kita memang ada banyak dosa, tapi tidak semua Allah beri musibah. Mafhum dari ayat-ayat yang lain, segala musibah yang kita hadapi semasa di dunia adalah kerana kesalahan dosa kita. Sebagai contoh, hidup kita susah, hati tidak tenang, kerja tidak dapat diselesaikan dan macam-macam lagi.

Kalau Allah balas segala dosa kita dengan musibah di dunia ini lagi, tentulah lagi susah hidup kita. Tapi banyak yang Allah telah maafkan begitu sahaja tanpa kita minta maaf pun. Tapi ada yang Allah kenakan musibah juga untuk mencuci dosa itu semasa kita di dunia.

Oleh itu, kalau kita ada masalah dengan musibah yang bertimpa-timpa, kenalah kita kenang balik apakah dosa kita dan minta ampunlah atas segala dosa-dosa kita. Kalau Allah ampunkan dosa kita semuanya, maka tidak adalah musibah lagi.

Ada yang membezakan potongan ayat ini dengan potongan ayat sebelum ini. Taubat untuk dosa-dosa yang besar dan beri maaf adalah untuk dosa-dosa yang kecil. Allahu a’lam.

Dan ada dosa-dosa yang Allah ampunkan melalui syafaat Nabi Muhammad nanti di akhirat. Tapi kena tunggu di akhirat, jangan minta syafaat dari Nabi sekarang.

Allah sanggup ampunkan semua dosa manusia termasuk dosa syirik pun. Tapi dosa syirik, tidak akan diampunkan melainkan kita sendiri minta ampun. Tidak boleh harapkan ahli keluarga kita minta ampun selepas kita mati nanti. Dan tidak boleh harapkan doa pengampunan dari manusia lain.

 

وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

Semuanya Allah tahu. Allah tahu apa kita telah buat, segala kesalahan kita, berapa banyak kesalahan dan dosa yang kita lakukan. Allah tahu betapa teruknya kita tapi Allah masih mahu ampunkan semua dosa-dosa itu. Begitulah sayangnya Allah kepada kita. Kalau emak dan ayah kita tahu segala dosa kita, belum tentu mereka masih mengaku kita anak mereka. Tapi Allah yang tahu segalanya tentang kita, masih tetap sayang kepada kita.

Sama ada kita sendiri tahu atau tidak tahu apakah dosa yang kita lakukan, Allah Maha Mengetahui. Tidak ada dosa yang kita boleh sembunyikan dari Allah. Allah juga tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam bertaubat dan meminta ampun.


 

Ayat 26: Ayat Tabshir. Targhib kepada doa. Allah galakkan manusia berdoa terus kepadaNya tanpa menggunakan perantaraan. Juga terdapat takhwif ukhrawi dalam ayat ini.

وَيَستَجيبُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَيَزيدُهُم مِّن فَضلِهِ ۚ وَالكٰفِرونَ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sahih International

And He answers [the supplication of] those who have believed and done righteous deeds and increases [for] them from His bounty. But the disbelievers will have a severe punishment.

Malay

Dan Dia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Dia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.

وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan Dia menerima dari orang-orang yang beriman serta beramal soleh,

Menerima apa? Bermaksud Allah menerima dan ‘menjawab’ doa manusia. Hanya Allah sahaja yang mampu menerima doa kita. Tidak ada makhluk lain yang mampu mendengar dan menerima dan memakbulkan doa-doa itu. Oleh itu, permohonan doa kepada selain Allah adalah syirik.

Sama ada permintaan doa itu terus memohon kepada entiti selain Allah, ataupun menggunakan entiti selain Allah sebagai perantara dalam berdoa (tawasul). Sebagai contoh, ramai yang dari kalangan kita yang meminta pertolongan dari Nabi Muhammad untuk sampaikan doa kepada Allah. Tapi mampukah baginda mendengar permintaan kita, sedangkan baginda sudah mati?

Tidak ada dalil yang menyuruh kita meminta kepada baginda, sama ada dari Al-Qur’an atau hadis. Yang mengajar kita meminta pertolongan kepada Nabi itu adalah guru-guru yang sesat sahaja.

Allah suka untuk memakbulkan doa kita. Cuma tidaklah semua doa dimakbulkan di dunia ini. Ada yang dimakbulkan di akhirat kelak. Tapi kena ada dua syarat itu. Pertama, kena beriman sempurna dan beramal soleh.

‘Beriman sempurna’ bermaksud tidak melakukan syirik. Kalau orang yang buat syirik, tidak diterima doanya.

Keduanya, ibadat itu mestilah ibadat yang diajar oleh Nabi. Itulah baru dikatakan amal yang soleh. Ibadat yang tidak soleh adalah amalan yang bidaah dan akan menambah dosa sahaja, bukannya pahala seperti yang diharapkan.

Ayat ini juga boleh bermaksud Allah ‘menerima amal manusia’, asalkan amalan itu dilakukan oleh orang yang beriman dan amal itu kenalah amal yang soleh. Walaupun kita melakukan sebanyak mana amal ibadat dan amal kebaikan, tetapi jika kita tidak beriman sempurna, ada mengamalkan syirik, maka sia-sia sahaja amalan itu.

Entah berapa ramai yang tidak tahu tentang akidah tauhid dan manakah amalan yang syirik. Padahal mereka itu rajin beribadah. Mereka sangka amalan mereka itu menambah pahala, tapi sebenarnya amalannya itu tidak dikira lagi kerana mereka tidak ‘beriman sempurna’. Seumpama orang kafir yang solat, adakah dia mendapat pahala? Tentu tidak.

Dan entah berapa ramai manusia yang melakukan amalan dengan banyak, tapi amalan itu tidak diajar oleh Nabi, atau tidak dengan cara yang diajar Nabi. Mereka berusaha dan bertungkus lumus melakukan amalan itu, tetapi ianya adalah amalan yang bidaah yang bukan dari amalan sunnah. Amalan bidaah pun tidak diterima oleh Allah. Maka, sia-sia sahaja amalan mereka.

Pengajaran yang penting dalam ayat ini adalah: hendaklah kita belajar tentang tauhid dan lawannya: syirik; dan hendaklah kita belajar tentang amalan soleh dan lawannya: bidaah.

Kekeliruan timbul dalam masyarakat kerana tidak belajar wahyu Allah. Memang ada yang kononnya sudah belajar, tapi bukan dari aliran sunnah. Maka itulah sebabnya mereka punah.

 

وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِ

dan Dia menambahi mereka dari limpah kurniaNya

Selepas Allah terima amal ibadat hambaNya itu, Allah akan balas berganda-ganda. Allah bukan balas sama banyak dengan amalan, tapi berganda-ganda. Kerana Allah Maha Pemurah. Allah nak beri lebih kepada hambaNya.

Dan apabila Allah menerima doa hambaNya, Allah boleh beri lebih lagi dari apa yang diminta oleh hamba itu. Kita pun tak sangka kita akan dapat apa yang kita dapat itu. Kita harapkan sikit sahaja, tapi Allah beri lebih lagi. Semuanya bergantung kepada Allah. Sebagai contoh, mungkin kita minta basikal, tapi Allah boleh sahaja beri kereta kepada orang itu.

Memang doa manusia terhad sahaja. Kerana kita hanya boleh minta apa yang kita nampak sahaja. Pengetahuan kita terhad dalam bab doa. Sebab itu kalau kita lihat doa-doa yang diajar Nabi, baginda ajar untuk minta perkara-perkara yang kita sendiri tidak terfikir untuk minta.

Sebagai contoh, Nabi ajar kita minta ‘afiat’. Maksud afiat itu adalah tidak didatangi ujian-ujian – contohnya, tidak jatuh sakit. Ini permintaan sebelum sakit lagi. Ini adalah permintaan yang baik sekali, kerana diselamatkan dari musibah. Selalunya kita minta tolong Allah apabila sudah kena masalah, bukan? Maka kali ini minta jangan dikenakan musibah pun lagi. Maka  mintalah afiat di dunia dan akhirat.

Satu lagi contoh, Nabi pernah ajar kita untuk minta terus Syurga Firdaus. Maknanya, minta terus perkara yang paling balik sekali, jangan malu-malu nak minta kerana Allah mampu nak berikan. Kalau Allah kabulkan doa kita untuk masuk ke Firdaus, maka tentulah Allah akan beri kita amalan-amalan baik untuk memasukkan kita ke dalam Syurga Firdaus itu. Allah beri kita taufik supaya kita jadi orang yang beramal yang layak masuk Syurga Firdaus.

Atau, kalau tidak dapat Syurga Firdaus pun, kita dapat masuk syurga yang rendah sedikit, tapi dapat jugalah masuk syurga, bukan? Tapi lihatlah bagaimana Nabi ajar kita untuk berharap kepada sesuatu yang tinggi supaya usaha kita pun jadi tinggi. Kita kena aim higher.

 

وَالْكٰفِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.

Ini pula adalah ayat takhwif. Kalau tak beriman dan tak beramal dengan amal yang soleh, balasan bagi mereka adalah azab seksa.

Dan kalau engkar dalam berdoa, iaitu berdoa dengan cara orang kafir, pun mereka akan mendapat azab seksa juga. Contohnya, mereka yang menggunakan tawasul yang dilarang. Bukan semua tawasul yang dilarang. Maka kena belajar mana tawasul yang digalakkan dan tawasul yang dilarang.

Atau mereka meminta kepada selain dari Allah. Sebagai contoh, sekarang ramai dari masyarakat kita yang menerima ajaran sesat dari golongan Habib yang mengajar meminta doa kepada orang mati di kubur. Alangkah ruginya manusia yang sebegitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani