Tafsir Surah Zukhruf Ayat 6 – 10 (Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah)

Ayat 6: 

وَكَم أَرسَلنا مِن نَّبِيٍّ فِي الأَوَّلينَ

Sahih International

And how many a prophet We sent among the former peoples,

Malay

Dan (ingatlah), berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

 

وَكَمْ أَرْسَلْنَا مِن نَّبِيٍّ فِي الْأَوَّلِينَ

Dan berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.

Allah tetap memberikan peringatan kepada manusia. Selepas diberikan dengan kitab dariNya, diberikan pula para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia. Sudah banyak para Nabi dan Rasul yang diangkat oleh Allah di kalangan manusia supaya manusia mendapat peringatan dan ancaman dari mereka.

Begitulah sayang-Nya Allah kepada kita. Dia tidak turunkan wahyu sahaja, tetapi diberikan juga para Nabi untuk menjelaskan maksud wahyu itu. Begitulah juga dengan Al-Qur’an ini. Allah tidak turunkan Al-Qur’an sahaja, tetapi Allah angkat Nabi Muhammad ﷺ  sebagai Rasul untuk mengajar kita tentang Al-Qur’an.

Kerana kalau Nabi ﷺ  tidak mengajar kita, kita tidak faham pun apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an dan kita tidak tahu bagaimana hendak mengamalkannya. Maka baginda menjadi contoh bagi kita bagaimana nak mempraktikkan Al-Qur’an itu.

Zaman sekarang sudah tidak ada Nabi ﷺ lagi. Tetapi kita ada ulama-ulama penyebar tauhid yang menyampaikan ajaran yang sama. Carilah mereka yang dapat menyampaikan ajaran yang benar.

Hendaklah mencari guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ. Itulah ilmu yang perlu dipelajari mula-mula sekali. Sebelum belajar kitab-kitab lain, ilmu-ilmu agama yang lain, belajarlah dua perkara penting ini dahulu.


 

Ayat 7: Allah telah turunkan penyebar tauhid kepada manusia. Tetapi apa yang manusia lakukan kepada mereka?

وَما يَأتيهِم مِّن نَّبِيٍّ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

But there would not come to them a prophet except that they used to ridicule him.

Malay

Dan tidak ada seseorang Nabi pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

 

وَمَا يَأْتِيهِم مِّن نَّبِيٍّ

Dan tidak ada seseorang Nabi yang datang kepada mereka,

Apa yang selalu terjadi apabila seseorang Nabi datang berdakwah kepada kaumnya? Inilah apa yang terjadi kepada setiap Nabi.

 

إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

Ini adalah kebiasaan yang terjadi kepada para Rasul yang menyebar ajaran tauhid. Ini adalah kebiasaan orang yang tidak mahu menerima dakwah. Yang menerima adalah sedikit tapi majoriti akan menolak. Mereka akan mengejek dan mereka akan kata macam-macam dalam usaha mereka menolak kebenaran.

Begitulah juga yang terjadi kepada kita yang hendak menyebar ajaran tauhid di kalangan masyarakat kita yang sudah jauh dari tauhid. Mereka kata kita yang sesat. Mereka kata kita tipu. Mereka kata Allah tidak pernah kata begitu, tetapi kita sahaja yang memandai memperkatakan begitu.

Begitulah yang para Nabi terima. Dan inilah juga dugaan yang akan diterima oleh para pendakwah. Memang tidak boleh hendak ditolak lagi kerana Allah memang telah sediakan siap-siap orang-orang sebegini sebagai ujian untuk kita.

Mereka yang lemah imannya, akan gagal dalam cubaan ini. Kena kutuk, kena ejek sikit, sudah tidak berani berdakwah. Mereka takut dengan orang lain. Mereka takut dengan orang yang jahil!


 

Ayat 8: Setelah mereka menolak, apakah kesan kepada mereka?

فَأَهلَكنا أَشَدَّ مِنهُم بَطشًا وَمَضىٰ مَثَلُ الأَوَّلينَ

Sahih International

And We destroyed greater than them in [striking] power, and the example of the former peoples has preceded.

Malay

Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih kekuatannya (dan lebih kejam serangannya) daripada mereka; dan telah pun disebutkan (berulang-ulang di dalam Al-Qur’an) tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

 

فَأَهْلَكْنَا أَشَدَّ مِنْهُم بَطْشًا

Lalu Kami binasakan dengan kekerasan, orang-orang yang lebih hebat kekuatan serangan dari mereka;

Allah memberi peringatan kepada Musyrikin Mekah. Allah memberitahu dalam ayat ini bahawa sebelum mereka, telah ada kaum lain yang lebih kuat dari mereka dan mereka itu telah dimusnahkan dengan teruk. Musyrikin Mekah sangka mereka kuat, tetapi yang lagi kuat dari mereka pun sudah dimusnahkan.

Musyrikin Mekah itu sangka mereka hebat tetapi mereka lemah sebenarnya. Mereka lupa yang mereka itu makanan pun mengharap dari tempat lain. Kerana tempat tinggal mereka itu gersang tidak ada apa-apa. Mereka dapat sumber pun kerana mereka ada keluar berniaga sahaja, kalau tidak, makanan pun mereka tidak ada.

Ada banyak jenis kekuatan, ada banyak peringkat. Ada yang kuat menahan serangan. Tetapi بَطْشًا bermaksud ‘serangan’. Iaitu kekuatan serangan yang boleh mencengkam dan memusnahkan. Bermaksud kaum itu amat kuat sampaikan boleh menyerang kaum yang lain. Tetapi mereka yang kuat begitu pun telah dimusnahkan juga.

 

وَمَضَىٰ مَثَلُ الْأَوَّلِينَ

dan telah pun disebutkan tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.

Kisah-kisah umat terdahulu telah banyak disebut dalam Al-Qur’an dan dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang tahu kisah-kisah mereka kerana telah diceritakan zaman berzaman-zaman. Kita sendiri boleh periksa kebenaran kisah-kisah itu. Kerana kisah mereka ada disebut dalam lipatan sejarah manusia. Ramai yang telah mengkaji tamadun-tamadun dahulu.

Ramai kaji kehidupan mereka, apa mereka pakai, apa mereka makan, tetapi tidak ramai yang kaji apa akidah mereka dan sebab apa mereka dimusnahkan. Sebagai contoh, kita belajar dalam sejarah tamadun Inca, tetapi adakah kita tahu kenapakah mereka dimusnahkan? Bagaimana dengan Pompeii dan lain-lain lagi? Ini yang selalunya pengkaji tak tengok pun kerana agama bukanlah kepentingan bagi mereka.

Kisah-kisah umat dahulu dijadikan sebagai pengajaran kepada kita supaya kita beringat. Supaya kita jadikan mereka sebagai sempadan. Jangan kita buat seperti mereka kerana Allah boleh sahaja kenakan azab yang sama.

Jangan kita sangka kita terselamat. Ramai yang sangka apa yang terjadi kepada umat dahulu tidak akan terjadi kepada kita. Macam kita tengok orang kemalangan jalan raya. Kita rasa mereka sahaja yang kena. Kita lupa yang kita pun boleh kena kalau Allah sudah takdirkan. Ingatlah bahawa sejarah berulang kerana manusia tidak mengambil pengajaran. Mahukah kita kehancuran yang sama diberikan kepada kita?

Ayat ini adalah amaran kepada penduduk Mekah dan sekitarnya. Musyrikin Mekah tahu tentang kisah kaum-kaum terdahulu yang telah musnah seperti kaum Aad dan Tsamud. Termasuk juga kita, kena belajar tentang kesalahan yang dilakukan oleh kaum terdahulu.

Memang Allah turunkan Al-Qur’an kepada mereka walaupun mereka engkar, melampau dalam kehidupan mereka. Kemudian Allah beri para Nabi untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Tetapi kalau lama kelamaan mereka tetap engkar, tidak mahu mendengar nasihat, masih lagi mengamalkan syirik, mereka akan dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

Kita pun tidak tahu sama ada Allah akan terus memberikan peringatan kepada kita. Amalan syirik dan khurafat memang banyak diamalkan di negara dan dunia sekarang. Bukan sahaja diamalkan oleh orang kafir, orang Islam pun sekali.

Kalau Allah takdirkan azab diturunkan, ke mana lagi kita hendak selamatkan diri kita? Kalau kita tidak amalkan pun, kita pun akan terkena azab itu juga. Semoga kita diselamatkan oleh Allah .


 

Ayat 9: Ayat 9 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi dalil adanya akhirat. Ayat 9 ini adalah dalil aqli i’tirafi. Ada akidah Musyrikin Mekah yang benar. Ada beberapa perkara tauhid yang mereka sudah terima dan ada dalam fahaman mereka.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ خَلَقَهُنَّ العَزيزُ العَليمُ

Sahih International

And if you should ask them, “Who has created the heavens and the earth?” they would surely say, “They were created by the Exalted in Might, the Knowing.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

 

وَلَئِن سَأَلْتَهُم

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:

Nabi Muhammad ﷺ disuruh bertanya kepada Musyrikin Mekah untuk mengeluarkan apakah akidah mereka sebenarnya. Ini adalah salah satu cara berdakwah yang diajar oleh Allah. Iaitu menggunakan cara pertanyaan.

 

مَّنْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

“Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”

Alam yang begini indah dan hebat ini, siapakah penciptanya? Takkan ianya terjadi dengan sendiri pula? Kita juga boleh tanyakan soalan yang sama kepada orang ramai. Kepada orang kafir, kepada orang atheis, kepada orang Islam sekali pun.

 

لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعَزِيزُ الْعَلِيمُ

Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Musyrikin Mekah pun akan mengaku bahawa Allah lah yang mencipta langit dan bumi. Mereka tidak berdolak dalik. Kerana mereka pun kenal Allah juga. Yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Mengetahui adalah hanya Allah sahaja. Walaupun tidak disebut dalam ayat ini yang mereka menyebut nama ‘Allah’, tetapi kita tahu bahawa yang mereka maksudkan adalah Allah . Kerana dalam ayat-ayat yang lain, jelas mereka menyebut nama Allah.

Mereka percaya bahawa Allah adalah Tuhan. Mereka tahu bahawa Allah adalah pencipta alam ini. Dari ini, kita tahu mereka ada apa yang dinamakan Tauhid Rububiyyah dalam diri mereka. Iaitu mereka terima bahawa Tuhan itu ada.

Dan Musyrikin Mekah memang terima bahawa Tuhan itu bernama Allah . Dan mereka tahu dan terima bahawa Allah lah sahaja yang boleh mencipta alam ini.

Ramai yang terkejut dengan kenyataan ini. Mereka kehairanan dengan muka yang keliru, berkata: “Apa, Musyrikin Mekah percaya kepada Allah?!” Mereka kata kita pula sesat kerana kata Musyrikin Mekah ada tauhid.

Ya, mereka memang ada sebahagian dari ilmu tauhid iaitu mereka percaya kepada Allah . Ini jelas dalam hadis-hadis dan pembelajaran Sirah. Dan yang paling jelas seperti disebut dalam Al-Qur’an dalam banyak ayat-ayat.

Yang tidak tahu adalah hanya kerana mereka tidak belajar sahaja. Dan tidak belajar tafsir Al-Qur’an kerana memang jelas dalam ayat ini memberitahu bahawa Musyrikin Mekah menerima akidah yang Allah lah yang mencipta alam ini. Maka, hendaklah mereka mempelajari Sirah untuk mengetahui bagaimanakah kepercayaan Musyrikin Mekah terhadap Allah .

Allah ﷻ hendak memberitahu mereka dalam ayat ini: Kalau mereka menerima Allah ﷻ yang menjadikan alam ini, maka hendaklah mereka sembah Dia sahaja. Jangan sembah yang lain.

Oleh itu, dalam pembelajaran Tauhid Tiga Serangkai (atau digelar juga Tauhid 3T) (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Asma’ wa Sifat), kita belajar bagaimana Musyrikin Mekah itu ada pemahaman Tauhid Rububiyyah. Tetapi yang mereka tidak ada, adalah apa yang dinamakan: Tauhid Uluhiyyah.

Inilah kepercayaan hanya Allah ﷻ sahaja yang wajib disembah, diibadati, dipuja, diharap – tidak ada yang lain lagi. Mereka tidak hanya menyembah Allah ﷻ. Mereka memang sembah dan berdoa kepada Allah ﷻ, tetapi mereka juga sembah dan berdoa kepada selain dari Allah ﷻ.

Sebab itulah mereka menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan mereka. Mereka merasakan yang berhala-berhala itu akan menyampaikan doa mereka kepada Allah . Mereka menjadikan berhala-berhala itu sebagai tawasul.

Kenapa ayat ini penting? Kerana begitu juga kepercayaan kebanyakan orang Islam yang jahil dengan wahyu. Orang kita mengaku yang Allah itu Tuhan, Dia yang menjadikan alam ini seluruhnya. Orang kita juga melakukan ibadat kepada Allah . Tetapi dalam masa yang sama, orang Islam kita sembah entiti yang lain, taat kepada yang lain, melakukan ibadat kepada yang selain Allah . Yang paling tidak perasan adalah mereka berdoa kepada selain Allah. Iaitu mereka menggunakan wasilah untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah. Maka, kalau itulah sifat Musyrikin Mekah, apa yang kita hendak panggil orang Islam sebegini? Musyrikin Malaysia? Musyrikin Indonesia?

Ingatlah bahawa mengatakan yang Allah itu Tuhan, tidak cukup lagi. Ianya perlu diikuti dengan amalan yang benar. Iaitu kita mestilah hanya melakukan ibadat kepadaNya sahaja. Hanya sembah Allah sahaja, hanya seru kepada Dia sahaja dalam doa. Inilah ajaran tauhid.

Inilah yang tidak dapat diterima oleh Musyrikin Mekah. Mereka marah dan menentang Nabi Muhammad ﷺ  apabila baginda memberitahu mereka bahawa yang layak disembah hanyalah Allah sahaja. Musyrikin Mekah terima bahawa Allah itu Tuhan tetapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga sembahan-sembahan yang lain sebagai ‘ilah’ mereka – Nabi, wali, malaikat dan jin.

Mereka menganggap Allah sebagai Tuhan Utama dan sembahan-sembahan lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ atau ilah. Apabila Nabi Muhammad ﷺ  datang dengan membawa ajaran la ilaha illallah, mereka tidak dapat terima, itu sebab mereka melawan baginda.

Mereka marah kerana mereka dilarang dari mengamalkan apa yang mereka sudah biasa amalkan. Mereka marah kerana Nabi Muhammad ﷺ  menidakkan ilah-ilah mereka yang lain.

Begitulah juga masyarakat kita yang jahil – mereka marah benar kalau kita kata tidak boleh seru Nabi, wali atau malaikat dalam doa. Kerana perbuatan itu menjadikan entiti-entiti itu sebagai ilah.


 

Ayat 10: Siapakah Allah ? Ini adalah ayat Tanwirul Dakwa. Iaitu tambahan maklumat yang Musyrikin Mekah tidak tahu.

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ مَهدًا وَجَعَلَ لَكُم فيها سُبُلًا لَّعَلَّكُم تَهتَدونَ

Sahih International

[The one] who has made for you the earth a bed and made for you upon it roads that you might be guided

Malay

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا

(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai buaian,

Kalimah مَهْدًا dari segi bahasa bermaksud ‘buaian’. Macam buaian untuk bayi yang bergerak perlahan-lahan, didodoi sampaikan bayi itu sedap sahaja sampai dia tertidur. Buaian itu memang bergerak, tetapi bayi itu tidak tahu. Dia lagi suka dengan pergerakan buaian yang sepoi-sepoi itu.

Maknanya, Allah menjadikan bumi ini sebagai tempat yang sedap untuk didiami. Bumi ini memang sentiasa bergerak kalau kita belajar sains. Tetapi kita tidak rasa pun pergerakan yang laju itu. Kita rasa tenang sahaja. Padahal, ianya bergerak dengan kelajuan yang amat laju. Ini adalah kerana kita bergerak bersamanya.

Kesenangan hidup di bumi ini dijadikan oleh Allah untuk kita dari sifat RahmanNya. Semua keperluan kita untuk hidup, telah diberikan kepada kita. Apa-apa sahaja kebaikan dan kesenangan yang kita dapat, ingatlah yang ianya dari Allah .

 

وَجَعَلَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا

dan Dia telah mengadakan bagi kamu di bumi, jalan-jalan,

Allah yang membuat jalan sebenarnya. Kita sangka kita yang buat, tetapi rupanya Allah yang jadikan. Lihatlah bagaimana asal kejadian jalan-jalan itu. Asalnya jalan itu adalah dilalui oleh binatang-binatang sahaja, tetapi lama kelamaan diikuti oleh manusia dan kemudian dibesarkan.

Mulanya sebagai denai sahaja. Kemudian diperbesarkan kerana sudah ramai orang yang lalu. Kemudian dibuatkan jalan tanah merah. Lama kelamaan apabila sudah maju, dijadikan jalan tar. Kemudian naik taraf jadi jalanraya.

Akhir sekali, sampai jadi lebuhraya. Yang kita nampak, kita yang jadikan jalan itu, kita yang letak tar, korek tanah itu untuk dijadikan lebuhraya. Tapi ingatlah bahawa Allah yang memulakan jalan itu, dan kita jadikan jalan itu dengan ilham yang Dia berikan.

Juga bermaksud, Allah yang jadikan tanah bumi itu jadi sesuai untuk dibuat jalan. Dan kemudian Allah lah yang beri manusia itu dengan akal untuk buat jalan. Semakin maju manusia, semakin molek jalan. Kerana Allah juga yang beri akal kepada manusia supaya boleh buat yang lebih baik. Tujuannya supaya kita dapat sampai lagi cepat dan selamat.

 

لَّعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).

Supaya kita boleh bergerak dan menuju ke destinasi tujuan kita. Ada banyak jalan-jalan untuk ke sesuatu tempat, maka kita kena pandai memilih jalan yang senang.

Bukan hanya jalan kepada destinasi sahaja, tetapi mencari jalan kepada Allah ﷻ. Kehidupan dunia ini untuk kita lihat dan fikirkan supaya kita dapat memikirkan tentang siapakah pencipta alam ini? Tentunya ada yang menciptakannya, bukan?

Ada masalah sedikit dengan pemahaman ayat ini. Pihak bidaah dan sesat menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan terdapat banyak jalan menuju kepada Allah . Mereka kata tujuan kita semua adalah untuk bertemu dengan Allah dan boleh dicapai dengan berbagai cara, dengan jalan zikir, dengan jalan lagu, dengan jalan syair, dengan jalan sains, jalan silat, jalan tarekat, jalan sufi dan macam-macam lagi.

Macam kalau hendak pergi ke KLCC, ada jalan melalui Bukit Bintang, dari Jalan Istana, dari Petaling Jaya dan sebagainya. Mereka kata, asalkan boleh sampai ke KLCC, apa salahnya? Mereka kata ilmu Allah ini luas, dan semua jalan-jalan itu benar belaka. Itulah masalahnya. Mereka tidak faham manakah jalan yang benar. Sedangkan Allah dan Nabi ﷺ telah memberitahu kepada kita banyak kali dalam Al-Qur’an dan hadis bahawa jalan dalam Islam adalah menerusi jalan wahyu – Al-Qur’an ataupun Hadis yang sahih.

Bukan tujuan sahaja telah diberitahu kepada, tapi jalan menuju kepada tujuan itu pun sudah diberikan. Maka bahaya kalau pakai jalan yang direka sendiri.  Kerana jalan-jalan lain tidak selamat. Kena ikut jalan yang lurus dan jalan yang lurus itu telah dilalui oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita hendak selamat, maka ikutlah jalan mereka – jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Kerana jalan-jalan yang lain tidak selamat.

Seperti sabda Nabi Muhammad ﷺ :

عَنْ عَبْدِ اللهِ قَالَ خَطَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلاَّ عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ ( وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ )

Dari Ibnu Mas’ud , Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam membuat garis dengan tangannya, seraya bersabda kepada kami, “Ini jalan Allah yang lurus.” Dan baginda membuat garis-garis banyak sekali di kanan kirinya, seraya bersabda, “Ini jalan-jalan yang tak satu pun terlepas dari pujukan syaitan untuk menyesatkan.”
Kemudian baginda membaca ayat 153 surat Al An’aam, “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus. Maka ikutilah dia. Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain.” [HR Ahmad no 4205, Nasa’i; SHAHIH]

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa jalan yang lurus hanya satu sahaja. Jalan-jalan yang lain jangan diikuti kerana ianya boleh menyesatkan kita. Jalan-jalan yang lain itu tidak selamat, walau bagaimana indahnya ia nampak kepada kita. Tetapi bahaya kerana ianya tidak menuju kepada Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zukhruf Ayat 1 – 5 (Musyrikin Mekah ada Tauhid Rubibiyyah)

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa
Surah-surah Ha Mim yang berturut-turut ini membawa tema tauhid dalam berdoa.

Pengenalan:

Seperti yang kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam doa. Ini telah diberitahu dalam Surah Ghafir. Apabila diberitahu tentang tauhid dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia.

Untuk menjawab kesamaran-kesamaran itu, Allah ﷻ turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamim sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu.

Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain daripada Allah ﷻ, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah ﷻ memberitahu dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua: kononnya ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah ﷻ itu boleh. Surah Syura memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.

Surah Zukhruf ini menjawab kekeliruan yang ketiga: Ada yang berhujah, kata mereka tidak minta kepada selain Allah ﷻ itu tetapi, mereka cuma seru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat daripada wali, Nabi atau malaikat itu supaya doa mereka makbul.

Dan juga supaya mereka mendapat syafaat daripada mereka di akhirat kelak. Mereka kata mereka tidak minta kepada seruan-seruan mereka itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah ﷻ sahaja.

Allah ﷻ memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita pun ada fahaman sebegini, maka mereka pun sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at. Dan ini adalah Syirik Akbar.

Ianya tentu bukan dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام . Maka Allah ﷻ perbetulkan fahaman mereka dalam Al-Qur’an.

wahabi-syirik

Allah ﷻ beri satu surah untuk beritahu manusia dan jin bahawa fahaman sebegitu adalah fahaman syirik. Maksudnya, minta sokongan dalam bentuk syafaat juga adalah syirik. Tidak kira kepada siapa yang mereka minta itu, walau mereka seru minta kepada Nabi Muhammad ﷺ .

Kerana tidak ada sesiapa yang boleh memaksa Allah ﷻ untuk memberikan belas ihsan kepada kita di akhirat kelak. Malangnya, ramai sekali yang melakukan syirik seperti itu. Mereka pergi jauh ke Madinah tetapi melakukan syirik di kubur Nabi Muhammad ﷺ   dengan meminta syafaat kepada kubur baginda.

Mereka minta macam-macam di kubur Nabi Muhammad ﷺ, seolah-olah Nabi Muhammad ﷺ boleh mendengar apa yang mereka minta itu, sedangkan yang sahabat lakukan hanya memberi salam sahaja di kubur baginda.

Ini semua adalah kerana kejahilan yang merata dalam masyarakat kita. Mengaku sahaja Islam, tetapi tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mengaku sahaja Muslim, tetapi tidak tahu tentang agama.

Maksud/Dakwa ini disebut dalam ayat 86.

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفاعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ

Dan segala yang mereka sembah yang selain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat, kecuali mereka yang bersaksi atas kebenaran tauhid, mereka mengetahuiNya dengan yakin.

Roh-roh yang mereka seru itu tidak mempunyai kuasa untuk memberi syafaat kepada mereka. Roh-roh itu boleh ditafsirkan sebagai ‘Nabi, wali dan malaikat’. Kerana mereka inilah yang selalunya diseru oleh manusia yang mengamalkan syirik.

Mereka tidak ada kuasa syafaat. Syafaat hanya milik Allah ﷻ sahaja. Kalau mereka sendiri tidak ada kuasa syafaat, macam mana mereka hendak beri kepada orang lain? Jadi tidak ada harapan untuk mendapatkan syafaat dari Nabi, wali dan malaikat itu.

Melainkan orang yang bersaksi atas kebenaran tauhid. Kalimah الحَقِّ bermaksud ‘tauhid’. Mereka menegakkan tauhid dalam kehidupan mereka. Iaitu mereka yang mengamalkan tauhid, faham tauhid dengan sebenar-benarnya. Mereka yakin dengan akidah tauhid. Mereka tahu bahawa seru Nabi, wali dan malaikat itu adalah syirik dan mereka tidak lakukan.

Mereka bukan sahaja tidak lakukan, tetapi mereka yakin dengan benar. Mereka yang sebegitu memang ada harapan untuk mendapat syafaat. Mereka mungkin ada dosa dan mungkin dimasukkan ke dalam neraka untuk menjalani hukuman di neraka. Mereka boleh dapat syafaat dari mereka yang boleh memberi syafaat.

Kerana memang Allah ﷻ ada berikan orang-orang tertentu untuk beri syafaat nanti di akhirat. Seperti Nabi Muhammad ﷺ, akan diberikan kebenaran untuk memberi syafaat di akhirat kelak. Tetapi, itu di ‘akhirat’, bukan kita disuruh meminta sekarang, kerana Nabi Muhammad ﷺ sudah wafat, jadi macam mana baginda hendak dengar?

Masalahnya, ramai orang yang tidak faham apakah syafaat itu. Kita kena faham bahawa mereka yang memberi syafaat itu tidak ada kuasa mutlak untuk membantu sesiapa pun. Tetapi Allah ﷻ benarkan mereka memberi syafaat untuk memberi penghormatan kepada mereka yang memberi syafaat itu.

Sebenarnya Allah ﷻ memang hendak menolong pun orang yang akan ditolong itu. Inilah yang dinamakan syafaat dengan izin. Allah ﷻ cuma hendak memberi penghormatan kepada mereka yang memberi syafaat itu.

Oleh kerana itu, kita kena faham yang pemberi syafaat tidaklah memiliki kuasa mutlak dan kita bukannya boleh minta terus syafaat kepada mereka itu. Dan bukan wajib pun untuk Allah ﷻ memakbulkan syafaat mereka itu tetapi ianya adalah kemungkinan sahaja.

Mereka yang layak menerima syafaat itu adalah mereka yang menerima tauhid dengan hati yang yakin. Dan mereka yang mengamalkan tauhid. Kalau diri sendiri tidak mengamalkan tauhid, memang tidak ada harapan langsung untuk menerima syafaat nanti.

Surah ini adalah surah Makkiyah – diturunkan di Mekah. Perkataan ‘Zukhruf’ yang disebut dalam ayat ke 35 bermaksud ‘kecantikan’, ‘perhiasan’.

Surah ini menceritakan tentang realiti perhiasan dan harta di dunia ini. Allah ﷻ hendak memberitahu yang perhiasan dunia itu sedikit dan ianya sementara sahaja. Kita diingatkan supaya jangan terpedaya dan terpesona dengan dunia sehinggakan lupa membuat persediaan untuk akhirat. Kita diingatkan bahawa akhirat itu lebih penting.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 9 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi seruan Al-Qur’an.

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah ﷻ tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Kerana Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya.

Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi ﷺ memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Ada ulama’ yang mengatakan bahwa Allah yang mengetahui maksudnya. Hakikat huruf-huruf tersebut diserahkan pada Allah dan para ulama tidak menafsirkannya. Yang berpendapat seperti ini adalah dari sahabat-sahabat utama iaitu Abu Bakr, Umar, Utsman, Ali, dan Ibnu Mas’ud.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk melihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu.

Mereka takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawab: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar.

Jadi, apabila Al-Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Qur’an yang Allah ﷻ telah jadikan untuk kita.


 

Ayat 2: Allah ﷻ menerangkan tentang Al-Qur’an sebagai galakan untuk kita memahami dan mengamalkan ajaran dalam Al-Qur’an.

وَالكِتٰبِ المُبينِ

Sahih International

By the clear Book,

 

Malay

Demi Kitab Al-Qur’an yang menyatakan kebenaran.

 

Allah ﷻ bersumpah dengan Kitab Al-Qur’an dalam ayat ini. Allah ﷻ boleh bersumpah dengan makhlukNya tetapi kita hanya boleh bersumpah dengan nama Allah ﷻ sahaja.

Malangnya, ada manusia yang bersumpah dengan cahaya api, dengan matahari yang sedang naik, dengan bulan, bintang dan sebagainya. Itu tidak boleh. Sepatutnya kita hanya bersumpah dengan nama Allah ﷻ.

Apa sahaja yang Allah ﷻ gunakan sebagai sumpahNya, memberi isyarat kepada kedudukan yang tinggi perkara itu. Allah ﷻ ada bersumpah dengan masa, dengan buah Tin dan Zaitun dan macam-macam lagi.

Jadi dalam ayat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan Al-Qur’an. Maknanya, Allah ﷻ hendak meninggikan kedudukan Al-Qur’an itu. Allah ﷻ memberitahu kepada kita ketinggian kedudukan Al-Qur’an itu. Maka, kita pun hendaklah melihat Al-Qur’an itu dengan ketinggiannya.

Perkataan الْمُبِينِ bermaksud ‘jelas nyata’. Lebih tepat lagi, ianya memang telah jelas dengan diri sendiri dan tidak perlu dijelaskan oleh sumber yang lain. Sebagai contoh, telah jelas kepada kita bahawa tujuan utama Al-Qur’an adalah untuk mengajak kepada menyembah Allah ﷻ sahaja.

Dan pengajaran tauhid dalam Al-Qur’an adalah amat jelas sampaikan tidak perlu untuk merujuk kepada hadis atau kitab yang lain pun, kita akan dapat faham tauhid. Kerana pengajaran tentang tauhid itu diulang berkali-kali dengan berbagai cara.

Kalimah الْمُبِينِ juga bermaksud ‘memperjelaskan’. Al-Qur’an memperjelaskan kepada manusia tentang tauhid, aqidah, iman, membezakan kebenaran dan kebathilan dan macam-macam lagi perkara agama. Tetapi yang akan mendapatnya adalah mereka yang belajar tafsir sahaja. Maka, amatlah rugi kepada mereka yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an ini.

Al-Qur’an itu semua ayatnya sahih. Tidak boleh dipertikaikan lagi. Ayat-ayat Al-Qur’an itu sendiri sebagai bukti kesahihannya. Kehebatan Al-Qur’an itu tidak mungkin dibuat oleh manusia, maka tentunya ia dari Tuhan yang Maha Mulia.

Dan satu lagi kehebatannya, ia mudah difahami, asalkan mahu datang belajar sahaja. Kalau tidak belajar tafsir memanglah akan keliru dan tidak dapat memahami apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan. Dan memang bahaya kalau baca Al-Qur’an dan baca terjemahan tanpa ada guru yang mengajar. Kerana ada kemungkinan besar akan tersalah faham.

Jadi Al-Qur’an mudah untuk difahami kerana ianya jelas. Tetapi mungkin ada mempersoalkan bab hukum hakam dalam Al-Qur’an. Amat susah untuk diamalkan tanpa pengetahuan yang mendalam bukan? Maka bagaimana hendak kata Al-Qur’an itu jelas?

Maka kita kena faham ada ayat-ayat yang mudah difahami seperti nasihat-nasihat dan bab tauhid. Dan ada yang memerlukan penjelasan mendalam dari ulama feqah berkenaan hukum hakam dalam Al-Qur’an. Ini memerlukan pembelajaran dan pembacaan mendalam lagi bagi penuntut ilmu.

Kalau ada sumpah, tentu ada sesuatu yang hendak ditekankan. Sebagai contoh, orang bersumpah: “Demi Allah, aku tidak bersalah”. Maknanya, dia hendak mengatakan dia tidak bersalah. Jadi apakah perkara yang Allah ﷻ hendak tekankan dengan sumpah menggunakan Al-Qur’an ini?

Jawab sumpah adalah Nabi Muhammad ﷺ itu memang benar sebagai Rasul dari pemilihan Allah ﷻ.


 

Ayat 3:

إِنّا جَعَلنٰهُ قُرءآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ

Sahih International

Indeed, We have made it an Arabic Qur’an that you might understand.

 

Malay

Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Qur’an yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

إِنَّا جَعَلْنٰهُ قُرْءآنًا عَرَبِيًّا

Sesungguhnya Kami jadikannya sebagai Al-Qur’an dalam bahasa Arab,

Allah ﷻ menggunakan perkataan جَعَلْنَاهُ yang berasal dari katadasar ج ع ل yang bermaksud ‘menjadikan’. Ianya berbeza dengan katadasar خ ل ق yang bermaksud ‘mencipta’. Ini penting kerana kita tidak mahu ada pendapat yang mengatakan Al-Qur’an itu ‘makhluk’ – dicipta.

Akidah kita mestilah faham bahawa Al-Qur’an ini Kalam Allah ﷻ. Apabila digunakan perkataan جَعَل, ia boleh membawa banyak maksud dan tidak terhad dalam makna ‘mencipta’. جَعَل boleh merangkumi banyak makna termasuklah: membentuk, menyusun, dan sebagainya. Ia bermaksud membentuk sesuatu yang sudah ada.

Seperti Allah ﷻ menjadikan kita umat Islam sebagai ‘ummat pertengahan’. Maknanya kita ini sudah ada, tetapi Allah ﷻ bentuk kita jadi satu perkumpulan. Ini penting kerana masih ada juga umat Islam yang tidak faham, mereka mengatakan yang Al-Qur’an itu ‘makhluk’, sedangkan perbincangan ini telah lama selesai berkurun yang lalu.

Perkataan ‘Qur’an’ itu bermaksud kitab yang selalu dibaca. Tidak ada kitab lain atau buku lain yang dibaca sebanyak orang membaca Al-Qur’an. Walaupun kitab agama lain seperti Injil, tidak dibaca macam orang Islam membaca Al-Qur’an. Sudahlah yang membacanya ramai, yang membacanya pun akan membacanya dengan banyak sekali.

Dan ramai umat Islam yang bukan sahaja banyak membaca, tetapi menghafal Al-Qur’an itu. Ada yang hafal sebahagian dan ada yang menghafal keseluruhan 30 juzuk. Mereka itu di merata-rata dunia. Mereka sentiasa sahaja membaca Al-Qur’an itu. Inilah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an – ianya banyak dibaca.

Perkataan ‘Qur’an’ itu juga bermaksud ‘yang dibaca’. Kerana memang ada kitab wahyu yang lain sebelum Al-Qur’an, tetapi sudah tidak dibaca dan dijadikan amalan lagi. Kerana kitab-kitab itu sudah habis tempohnya. Hanya Al-Qur’an sahaja yang tinggal yang dijadikan sebagai rujukan dan akan dibaca sampai ke Kiamat nanti.

Al-Qur’an itu mesti dalam bahasa Arab. Bahaya kalau Al-Qur’an tidak disertakan dengan teks Arab. Sudah ada sekarang Kitab Terjemah Al-Qur’an tanpa bahasa Arab. Ada pula di pusat dakwah. Tujuannya untuk memudahkan manusia yang tidak tahu bahasa Arab untuk memahami Al-Qur’an. Tetapi ianya masih bahaya kerana ianya akan menyebabkan kekeliruan.

Takut jadi macam Kitab Injil yang telah dialih bahasa dari bahasa asalnya dan penganutnya hanya merujuk kepada terjemahan sahaja sedangkan terjemahan itu tidaklah semestinya terjemahan yang benar.

Sebab itu penting ada teks asal supaya boleh dirujuk. Teks Arab itu kena ada sentiasa supaya menjadi rujukan utama. Kita takut kalau tidak disertakan dengan teks Arab, akan ada yang sangka bahawa Al-Qur’an itu ada dalam bahasa lain.

Takut nanti jadi macam Kitab Injil pula. Kitab Injil itu asalnya dalam bahasa Hebrew, tetapi penganutnya dahulu telah menterjemahkan Injil itu dan tidak menyertakan dalam bahasanya yang asal. Akhirnya, ramai yang telah keliru, dan agama Kristian yang asalnya benar, telah menjadi sesat.

Oleh itu, jikalau kita memberitahu kepada orang lain tentang ayat Al-Qur’an, tanpa disertakan dengan teks asal Al-Qur’an itu, maka hilanglah mukjizat yang ada padanya. Maka, kalau kita berikan mesej ayat-ayat Al-Qur’an kepada kenalan kita, dalam Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya, pastikan kita masukkan sekali dengan ayat Al-Qur’an yang asal. Kerana terjemahan yang ada hanya satu cubaan untuk menterjemah maksud ayat Al-Qur’an itu sahaja. Tidak semestinya tepat.

Bahasa Arab itu sendiri adalah bahasa yang tepat. Yang belajar Bahasa Arab, akan faham apa yang kita maksudkan ini. Kalau dibandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Arab, bahasa Melayu kita adalah miskin. Kerana itulah kita kena tafsir dengan panjang satu kalimah dalam bahasa Arab kerana kalau hendak terjemah terus, tidak ada kalimah itu dalam bahasa Melayu kita.

Sebagai contoh, kita lihat kalimah ‘yaqin’ yang datang dari bahasa Arab. Kalau kita hendak terjemah maksud yaqin dalam bahasa kita, bolehkah? Ia tidak sama dengan ‘percaya’ sahaja kerana yaqin itu datang setelah datang dalil dan diterima dengan hati kerana percaya. Kalau percaya sahaja, belum tentu ada dalil lagi.

Oleh itu, kita kenalah belajar bahasa Arab juga untuk faham Al-Qur’an ini dan janganlah putus asa untuk mempelajari bahasa Arab. Mulakan belajar sedikit demi sedikit dan Allah ﷻ akan bantu untuk faham.

Bahasa Al-Qur’an itu adalah bahasa mukjizat. Ianya bukan bahasa Arab yang biasa. Kalau kita baca pun sudah lain dari bacaan tulisan Arab yang lain – siap kena belajar ilmu tajwid pula. Ejaan pun sudah tidak sama (sebagai contoh, lihatlah bagaimana ejaan ‘solah’ dalam Al-Qur’an. Kalau tidak pandai baca, ada yang bawa sebagai solawah pula. Kita kena ikut kerana begitulah yang sampai kepada kita).

Ini adalah kerana bahasa Al-Qur’an itu adalah bahasa yang khas. Ia tidak sama pun dengan bahasa Arab yang dituturkan oleh bangsa Arab sekarang. Apabila dibaca, ianya sedap dan dapat membuka hati manusia untuk menerima kalau mereka membuka hati kepada kebenaran.

 

لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab supaya manusia dapat memahaminya. Pertamanya, ianya diturunkan dalam bahasa Arab kerana penerima pertama wahyu ini adalah bangsa Arab. Apabila Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab, mudah untuk mereka memahaminya. Bayangkan kalau Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa selain Arab, tentulah mereka tidak faham.

Apabila mereka boleh faham, maka bolehlah mereka memikirkan apa yang hendak disampaikdan dalam Al-Qur’an itu. Ini menunjukkan kita kena memikirkan tentang ayat-ayat Al-Qur’an. Kita kena belajar tafsir dan kemudian kena selalu tadabbur ayat-ayatnya.

Tetapi bagaimana pula dengan kita yang berbahasa selain bahasa Arab? Kenapa tidak diturunkan kitab dalam bahasa Melayu? Kerana ada kelebihan pada bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang indah dan ia juga adalah bahasa yang tepat. Ianya dapat memperjelaskan sesuatu idea dengan menggunakan bahasa yang ringkas.

Kita nampak ringkas sahaja, tetapi apabila dibahaskan dan disyarah, baru nampak yang ianya membawa banyak maksud yang hendak disampaikan. Kelebihan ini tidak terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain. Kalau perkara yang sama hendak disampaikan dalam bahasa lain, memerlukan perkataan yang panjang-panjang.

Sebab itulah kita jangan tinggalkan teks Al-Qur’an dalam bahasa Arab itu. Dan ini juga sepatutnya menjadi motivasi untuk kita belajar bahasa Arab. Kerana ianya bahasa Al-Qur’an, maka hendaklah kita belajar bahasa Arab itu supaya kita boleh faham dengan lebih tepat lagi Al-Qur’an itu. Ianya memang mengambil masa. Sesuatu yang penting memang memerlukan masa untuk mendapatkannya.


 

Ayat 4:

وَإِنَّهُ في أُمِّ الكِتٰبِ لَدَينا لَعَلِيٌّ حَكيمٌ

Sahih International

And indeed it is, in the Mother of the Book with Us, exalted and full of wisdom.

 

Malay

Dan sesungguhnya Al-Qur’an itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami – sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.

 

وَإِنَّهُ فِي أُمِّ الْكِتٰبِ

Dan sesungguhnya Al-Qur’an itu dalam Kitab Induk

Al-Qur’an yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an yang asal. Iaitu sebelum diturunkan kepada manusia, ianya sudah ada di Sisi Allah . Bukanlah Al-Qur’an itu macam mushaf yang ada di tangan kita sekarang. Kitab Induk yang dimaksudkan itu ada di Lauh Mahfuz. Bagaimana rupanya, kita tidak tahu.

Ia dinamakan ‘Kitab Induk’ kerana ianya adalah asal kepada semua kitab yang diturunkan kepada manusia. Kalimah أُمِّ dari segi bahasa bermaksud ‘ibu’ dan dari ibu itu akan melahirkan beberapa orang anak. Maknanya, dari Kitab Induk itu dikeluarkan beberapa Kitab. Allahu a’lam.

 

لَدَيْنَا

di sisi Kami –

Apabila Allah berkata yang ianya di SisiNya, ianya bermaksud ianya dalam jagaan Allah . Tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Apabila di sisi Allah , maka ianya juga berada dalam kedudukan yang tinggi. Kerana Allah itu sendiri sudah berada dalam kedudukan yang tinggi.

Ayat ini memberitahu kepada kita sebelum Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi ﷺ sedikit demi sedikit dalam masa 23 tahun itu, ianya sudah ada di Lauh Mahfuz.

Apabila Al-Qur’an diturunkan, turun bersamanya 50,000 malaikat. Jangan pula kita sangka mereka itu untuk membantu Jibrail menjaga Al-Qur’an dari dicuri syaitan. Itu adalah anggapan yang salah. Jibrail sendiri ditakuti oleh para malaikat, takkan syaitan berani hendak ganggu?

Sebenarnya para malaikat yang ramai itu ada bersama sebagai penghormatan kepada Al-Qur’an. Macam kalau Sultan pergi ke mana-mana melawat kawasan, dia akan ditemani dengan ramai orang lain sebagai penghormatan kepadanya.

Al-Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad ﷺ  selama hampir 23 tahun. Apabila berlaku sesuatu keperluan, maka ada ayat-ayat yang diturunkan. Umat lebih faham tentang apa yang hendak disampaikan kerana ianya bersangkutan dengan kejadian waktu itu.

Maka penurunan Al-Qur’an mengambil masa yang lama. Maknanya kepada kita, ianya mengambil masa untuk memahami Al-Qur’an. Kita pun yang sedang belajar tafsir Al-Qur’an ini juga, perlu belajar sikit demi sedikit dan tidak gelojoh dalam menghabiskannya. Untuk belajar memahami Al-Qur’an memang memerlukan masa yang lama.

Bukanlah seperti pemahaman puak Tarekat yang mana mereka mencari-cari untuk mempelajari Ilmu Laduni supaya mereka kononnya boleh terus faham agama dan ilmu hakikat dalam masa sehari. Itu adalah satu pemahaman yang sesat yang hanya diterima oleh mereka yang jahil dan senang ditipu sahaja. Malang sekali, mereka ini amat ramai dalam kalangan kita. Ada dari kalangan kawan-kawan kita, adik beradik kita. Semoga Allah bukakan pintu hati mereka untuk menerima Islam yang sebenar.

 

لَعَلِيٌّ حَكِيمٌ

sangat tinggi (kemuliaannya), banyak mengandungi hikmat bijaksana

Al-Qur’an itu berada pada kedudukan yang amat tinggi. Ianya lebih tinggi dari mana-mana kitab, mana-mana buku. Ianya lebih tinggi lagi daripada kitab-kitab lain yang diturunkan seperti Injil, Taurat, Zabur dan sebagainya. Kalau lebih tinggi dari kitab-kitab Kalam Allah yang dahulu, apatah lagi kalau hendak dibandingkan dengan kitab-kitab karangan manusia.

Al-Qur’an sepatutnya menjadi rujukan utama. Sebab itulah kita sedih apabila diberikan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia sebagai hujah dan dalil, kadang-kadang ada yang berhujah dengan hadis, dengan kitab lain, dengan pendapat manusia dan macam-macam lagi. Maknanya, orang itu tidak menganggap yang Al-Qur’an itu berada pada kedudukan yang tinggi melebihi sumber-sumber lain.

Sedangkan hadis pun tidak dapat menandingi ketinggian Al-Qur’an. Kerana itulah, kalaulah ada hadis yang nampak bercanggah dengan ayat Al-Qur’an, pemahaman hadis itu perlu disesuaikan dengan ayat Al-Qur’an itu. Kerana tidak mungkin Nabi ﷺ  akan mengeluarkan kata-kata yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an pula, bukan?

Al-Qur’an itu mengandungi banyak hikmat. Dan satu lagi makna dari perkataan حَكِيمٌ itu adalah: Al-Qur’an mengandungi banyak hikmah (kebijaksanaan) untuk memandu kehidupan manusia di dunia supaya hidup dengan selamat di akhirat kelak. Orang yang bijak akan menggunakan nasihat-nasihat dalam Al-Qur’an untuk menjalani kehidupan mereka.

Kita selalu nampak di dada suratkhabar, banner masjid, tepi jalan, di TV dan sebagainya: “Kembalilah kepada Al-Qur’an dan Sunnah”. Adakah hanya bercakap sahaja tetapi tidak disertakan dengan pembelajaran Tafsir Al-Qur’an? Kerana kalau hendak kembali kepada Al-Qur’an, kenalah belajar untuk faham Al-Qur’an itu, bukan?

Adakah kata-kata aluan dan ajakan mereka itu hanya sebagai penyedap cakap di mulut sahaja? Atau hendak tunjukkan konon-kononnya kita beriman? Kalau begitu, ia hanyalah laungan kosong sahaja yang tidak ada makna.

Sedangkan ayat ini memberitahu kita ketinggian dan kemuliaan Al-Qur’an itu. Maka kita kenalah menghargainya. Menghargainya itu adalah dengan mengambil terus nasihat yang disampaikan di dalamnya, jangan abaikan. Jangan baca sahaja Al-Qur’an itu, tetapi nasihat yang disampaikan tidak diambil.

Ringkasnya, telah disebut empat sifat Al-Qur’an dalam ayat ini:

  1. Ada dalam Kitab Induk di Lauh Mahfuz
  2. Di sisi Allah
  3. Maha tinggi
  4. Maha bijaksana mengandungi hikmah

 

Ayat 5: Zajrun

أَفَنَضرِبُ عَنكُمُ الذِّكرَ صَفحًا أَن كُنتُم قَومًا مُّسرِفينَ

Sahih International

Then should We turn the message away, disregarding you, because you are a transgressing people?

 

Malay

Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Qur’an daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? (Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya).

 

أَفَنَضْرِبُ عَنكُمُ الذِّكْرَ صَفْحًا

Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan peringatan Al-Qur’an daripada kamu,

Kalimah أَفَنَضْرِبُ dari katadasar َضَرَب yang bermaksud ‘memukul’. Tetapi apabila ditambah selepasnya dengan perkataan عن, ia membawa maksud yang lain. Ia membawa maksud ‘berpaling dari sesuatu dan tidak menghiraukannya’. Atau dalam kata lain, menahan, meninggalkan.

Kalimah الذِّكْرَ merujuk kepada Al-Qur’an. Oleh itu, ayat ini bermaksud, menahan dari menurunkan Al-Qur’an kepada manusia. Adakah Allah akan buat begitu?

Kalimah صَفْحًا dari katadasar صَفَح yang bermaksud ‘tepi tangan’ ataupun ‘tepi leher’. Dan ianya juga bermakna ‘helaian-helaian’ – ada persamaan dengan perkataan ‘suhuf’. Bukankah dengan helaian buku, kita akan mengalihkannya?

Oleh itu, perkataan صَفْحًا  dalam ayat ini memberi maksud kita mengalihkan pandangan kita dari sesuatu. Menunjukkan isyarat tidak suka, tidak kisah. Adakah patut Allah alihkan Al-Qur’an dari manusia? Tentu tidak.

Kita disuruh untuk berdakwah dan memberi peringatan kepada manusia. Pertama sekali kepada ahli keluarga kita, kemudian kepada kenalan kita dan kepada orang lain. Kita kena ingatkan mereka dengan peringatan yang ada dalam Al-Qur’an. Kita kena cari peluang untuk berdakwah kepada manusia.

 

أَن كُنتُمْ قَوْمًا مُّسْرِفِينَ

kerana kamu kaum yang melampau?

Dalam ayat ini bermaksud tidaklah Allah berpaling dan tidak kisah dengan manusia sampaikan tidak memberikan Al-Qur’an kepada mereka, walaupun mereka orang yang degil. Musyrikin Mekah memang kaum yang melampau. Melampau dalam banyak perkara. Dalam kesyirikan mereka, dalam dosa, dalam kezaliman mereka dan dalam menolak ajakan Nabi Muhammad ﷺ .

Berkali-kali baginda berdakwah kepada mereka, tetapi mereka melampau dalam menolak ajakan Nabi ﷺ . Mereka ada yang mengejek, ada yang menyakiti baginda, menghina baginda dan macam-macam lagi.

Mereka memang dikirakan, tidak layak terima Al-Qur’an. Tetapi Allah tetap turunkan Al-Qur’an kepada mereka walaupun mereka engkar, walaupun kaum Musyrikin tidak mahu dengar. Supaya nanti di akhirat kelak, mereka tidak ada alasan tidak tahu agama kerana kitab Al-Qur’an telah diturunkan.

Allah akan tetap sampaikan kepada mereka, sehinggalah mereka tolak. Dan apabila mereka tolak, barulah keputusan akan dibuat. Allah akan tetap sampaikan kerana akan ada yang juga dari kalangan mereka yang mahu terima.

Bayangkan kalau Allah tidak menurunkan Al-Qur’an kepada mereka. Maka kita pun tidak mendapat pengetahuan Al-Qur’an ini juga. Walaupun ada yang tidak mahu, tetapi ada juga yang terima.

Macam sekarang, kita tetap sampaikan ajakan tauhid ini walaupun ada yang tidak suka dan tidak mahu dengar. Walaupun mereka menolak, tetapi kita tetap menjalankan kewajipan berdakwah kepada mereka. Supaya nanti di hadapan Allah , kita boleh jawab yang kita telah sampaikan, cuma mereka sahaja yang tidak mahu mendengar.

Jangan kita tahan dakwah dan ajakan kepada pemahaman Al-Qur’an dan agama, walaupun kita rasa mereka tidak mahu mendengar. Manusia memang ramai yang tidak mahu dengar dakwah kerana mereka sangka mereka sudah selamat ataupun mereka memang tidak kisah dengan akhirat. Tetapi walaupun mereka tidak kisah, telah melampau dalam hal agama dan kehidupan, itu bukanlah sebab untuk kita berhenti berdakwah kepada mereka.

Selalunya kita kena berkali-kali memberitahu dan berdakwah kepada manusia. Macam kita dengan anak kita. Kalau bagi nasihat, mereka akan cepat lupa. Dan kadangkala mereka buat tidak tahu sahaja dengan nasihat kita. Tetapi takkan kita hendak berhenti dari memberi nasihat kepada mereka? Kita kena terus berikan nasihat kepada mereka.

Sama juga kita dengan manusia yang engkar dan degil. Bukan sekali sahaja kita beritahu dan dakwah kepada mereka. Kita kena selalu memberitahu kepada mereka. Ada yang lama-lama akhirnya akan mendengar dakwah kita kerana selalu sangat kita beritahu mereka.

Macam anak kita tidak mahu makan, adakah kita berhenti dan tidak beri mereka makan? Tentu tidak. Kita akan beri dan paksa mereka makan juga kerana kita tahu yang ianya penting. Begitu juga dengan agama ini.

Ada orang yang kita nampak macam tidak ada harapan untuk beriman. Kita rasa macam mereka tidak akan dengar kita, tidak akan beriman, maka kita tidak dakwah kepada mereka. Itu adalah salah. Kita tidak boleh buat keputusan begitu. Jangan kita awal-awal lagi sudah menghukum orang lain sebelum kita bercakap dengan mereka.

Kita tidak boleh memilih siapa yang dapat hidayah atau tidak. Kita kena sampaikan juga. Kalau kita tidak sampaikan, kita pula yang salah. Nabi ﷺ tidak berhenti memberi dakwah kepada umatnya, maka kita pun jangan berhenti juga.

Kadang-kadang, ada yang marah kalau kita selalu beritahu mereka. Maka kita kena guna strategi. Berhenti dulu dari tegur mereka buat masa itu, tetapi kemudian datang balik dengan cara yang lain.

Kena ubah cara kita. Mungkin kali pertama dulu, dia tidak suka dengan cara kita. Atau waktu itu dia sedang mood tidak baik. Kita tunggu mood dia sudah baik, baru kita tegur dia balik. Maka kena pandai psikologi sikit. Jangan hendak hentam orang sahaja. Kena tengok keadaan dan cari masa yang sesuai.

Anda yang yang sedang membaca tulisan ini tentunya sudah ‘mahu’ kepada agama, hendak belajar tentang Al-Qur’an, sebab itu anda sedang membaca lagi tulisan ini walaupun ianya panjang berjela. Begitu juga mereka yang telah pergi ke kelas pengajian.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak kisah tentang agama? Iaitu ahli keluarga kita sendiri, kawan-kawan rapat kita sendiri, jiran-jiran kita dan orang di sekeliling kita? Ingatkan kepada mereka juga yang kita kena ingatkan dan ajar tentang Al-Qur’an ini. Mereka yang faham tentang kewajipan inilah yang pergi berjumpa dengan pemuda pemudi yang sedang berjoget di disco, kelab malam dan berdakwah kepada mereka.

Merekalah yang pergi ke tempat-tempat yang ‘orang warak’ tidak pergi, orang alim tidak pergi. Merekalah yang berusaha untuk menyampaikan ajaran agama kepada mereka yang nampaknya tidak kisah dengan agama. Merekalah juga yang pergi berjumpa dengan orang-orang kafir dan menyampaikan ajakan tauhid kepada mereka. Mereka sanggup kerana mereka tahu kepentingan dakwah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Julai 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

 

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 52 – 53 (Qur’an adalah Nur)

Ayat 52: Ini adalah Dalil Wahyi – titah khas dari Allah untuk menyampaikan ajaran tauhid dalam Al-Qur’an ini kepada manusia.

وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ روحًا مِّن أَمرِنا ۚ ما كُنتَ تَدري مَا الكِتٰبُ وَلَا الإيمٰنُ وَلٰكِن جَعَلنٰهُ نورًا نَّهدي بِهِ مَن نَّشاءُ مِن عِبادِنا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهدي إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

And thus We have revealed to you an inspiration of Our command. You did not know what is the Book or [what is] faith, but We have made it a light by which We guide whom We will of Our servants. And indeed, [O Muhammad], you guide to a straight path –

Malay

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Qur’an sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Qur’an) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Qur’an: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Qur’an itu ke jalan yang lurus,

 

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh dari perintah Kami;

Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu kepada kita bagaimanakah cara Allah memberikan wahyuNya kepada manusia. Dan begitulah juga cara yang telah digunakan Allah untuk menyampaikan wahyuNya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ketiga-tiga cara penyampaian wahyu yang disebut dalam ayat sebelum ini telah pernah dialami oleh baginda.

‘Roh’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Kenapakah pula Al-Qur’an disebut sebagai ‘roh’? Kita pun faham serba sedikit tentang roh itu, bukan? Jika tiada roh di dalam tubuh kita, maka tentunya kita sudah mati. Tubuh badan itu sudah tidak bermakna lagi dan orang-orang yang masih hidup akan menanam tubuh itu di dalam tanah kerana tidak lama selepas itu, tubuh itu akan menjadi busuk dan manusia pun tidak tahan lagi.

Mereka akan cepat-cepat tanam mayat yang tidak ada roh. Maknanya, tubuh kita memerlukan roh untuk jadi bermakna. Begitulah juga dengan Al-Qur’an itu. Jikalau hidup kita mengikut ajaran Al-Qur’an, maka hidup kita akan bermakna dan jikalau tiada Al-Qur’an dalam hidup kita, maka hidup kita tidak bermakna. Itulah sebabnya Al-Qur’an itu diibaratkan sebagai ‘roh’.

Secara ringkasnya, Al-Qur’an itu adalah ‘roh kepada roh’ jasad kita. Sepertimana jasad kita tidak bermakna tanpa ada roh, begitu juga roh kita tidak akan bermakna kalau tidak ada ilmu Al-Qur’an di dalamnya. Roh jasad yang tidak ada ilmu Al-Qur’an tidak bermakna dan layak dimasukkan ke dalam neraka sahaja.

Kalimat [مِّنْ أَمْرِنَا Dari perintah Kami] ini memberi isyarat bahawa segala perintah agama mestilah datang daripada wahyu Allah. Sama ada dalam bentuk Al-Qur’an ataupun Hadis. Ini adalah dua sumber utama agama Islam. Dua sumber inilah yang perlu diutamakan sebelum sumber-sumber lain.

Sebelum kita rujuk kepada apa kata ulama, apa yang ditulis dalam kitab karangan manusia, hendaklah kita merujuk kepada Al-Qur’an dan Hadis. Kalau ada sumber dalil yang berlawanan dengan apa yang disampaikan dalam dua wahyu ini (Al-Qur’an dan Hadis), maka ianya tertolak dengan sendiri.

Untuk merujuk kepada keduanya, memerlukan ilmu. Itulah sebabnya kena belajar tafsir Al-Qur’an dan Hadis Nabi. Ramai yang terus rujuk kepada kitab karangan manusia kerana mereka tidak tahu tentang tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis. Ramai yang tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an dan tidak pernah terfikir pun untuk belajar tafsir ini.

Begitu juga, ramai yang tidak memberikan perhatian kepada pembelajaran hadis. Padahal hadis itu adalah sumber kedua selepas Al-Qur’an. Dan malangnya, pembelajaran Hadis di negara ini kita amat kurang buat masa ini. Itulah sebabnya banyak percanggahan pendapat di kalangan agamawan negara ini.

Kerana itulah apabila diberitahu sesuatu perkara, orang yang tidak belajar Hadis tidak tahu kewujudan hadis yang berkenaan, kerana mereka tidak belajar. Tapi, mereka sangka mereka pandai!

Ataupun, mereka pernah baca hadis itu, tapi kerana mereka tidak belajar dengan guru, maka mereka tafsir maksud hadis itu ikut pemahaman mereka. Ini adalah amat bahaya.

Aqidah dan ibadat mesti datang dari dalil nas yang sahih. Tidak boleh kita menggunakan dalil atau pendapat dari mana-mana sumber yang lain. Ramai yang kata mereka menggunakan qiyas dan ijmak ulama’.

Kebanyakan masanya, mereka yang mengatakan begitu adalah mereka yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan qiyas dan ijmak ulama. Kita tidak mahu membincangkan dengan panjang lebar dalam hal ini. Kerana ini adalah perbincangan yang panjang dan perlu diberikan contoh-contoh supaya lebih faham. Perkara ini hendaklah dipelajari dalam pengajian usuluddin.

 

مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتٰبُ

engkau dulu tidak pernah mengetahui apakah Kitab (Al-Qur’an) itu

Sebelum Al-Qur’an itu diwahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ, baginda tidak tahu apakah wahyu dan apatah lagi Al-Qur’an itu. Tambahan pula, bangsa Arab adalah bangsa yang tidak mempunyai Kitab. Jadi, Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak tahu. Dan Nabi Muhammad ﷺ pun memang tidak pandai membaca dan menulis sebelum menjadi Nabi. Jadi kitab wahyu amat asing bagi baginda.

Begitu jugalah kita dalam mempelajari Tafsir Al-Qur’an ini. Sebelum kita mempelajarinya, kita pun tidak tahu apakah kepentingan mempelajarinya. Kita sangka apabila kita sudah beriman, sudah mengucap dua kalimah Syahadah, kita pun sudah mengaku orang Islam, buat ibadat seperti orang Islam yang lain, kita sangka kita sudah selamat dan sudah tahu tentang agama.

Tetapi apabila kita mula belajar tafsir Al-Qur’an, maka barulah kita tahu betapa bernilainya Al-Qur’an ini sebagai panduan hidup kita. Dan barulah kita sedar yang selama ini kita tidak tahu apa-apa pun tentang agama walaupun sudah lama jadi Muslim dan sudah lama belajar agama.

Kita pun hairan bagaimanakah mereka yang tidak belajar Tafsir Al-Qur’an ini boleh memahami agama ini tanpa mempelajari tafsir Al-Qur’an. Kerana di dalamnya mengandungi pengajaran-pengajaran yang amat penting diketahui. Yang kalau tidak belajar, tentu akan ada kesalahan dalam agama.

Mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an memang ada masalah dengan akidah. Oleh itu, kita amat menggalakkan mereka yang prihatin tentang agama, prihatin dengan keadaan mereka di Akhirat kelak, untuk mempelajari Tafsir Al-Qur’an.

 

وَلَا الْإِيمٰنُ

dan tidak juga mengetahui apakah iman itu;

Dan sebelum Nabi Muhammad ﷺ diberikan wahyu, Nabi sudah beriman tapi tidak tahu iman secara terperinci. Baginda tidak tahu pecahan iman lagi. Atau, baginda tidak tahu dengan sepenuhnya kerana mungkin ada saki baki peninggalan ajaran Nabi Ibrahim yang baginda tahu.

Tapi yang pasti, tidaklah sempurna pengetahuan baginda tentang iman itu. Tapi baginda sendiri tidak mengamalkan syirik langsung kerana para Nabi diselamatkan dari mengamalkan amalan syirik.

Ini menunjukkan kepentingan Al-Qur’an ini. Kerana iman ini hanya dapat dipelajari dari Al-Qur’an dan setelah memahaminya, barulah iman kita akan lengkap dan mantap. Dan iman itu sendiri adalah perkara yang amat penting kerana ia adalah dasar pada agama ini.

Tidak bermakna langsung segala amal ibadat yang kita lakukan jikalau iman kita tidak lengkap lagi. Letih sahaja beramal ibadat, tapi kalau kita ada fahaman syirik, segala amal ibadat kita itu tidak bernilai langsung.

 

وَلَٰكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا

akan tetapi Kami jadikan Al-Qur’an: cahaya yang menerangi,

Sebelum ini disebut Al-Qur’an sebagai ‘Roh’ dan sekarang disebutkan sebagai ‘cahaya’ pula. Sebagaimana cahaya diperlukan untuk kita melihat dalam alam ini, begitu juga kita perlukan Al-Qur’an untuk melihat apakah jalan agama yang benar. Sebagaimana apabila adanya cahaya,, baru mata kita boleh nampak manakah jalan yang di hadapan kita.

Kalau kita berada di dalam kegelapan, jikalau ada jalan di hadapan kita pun, kita tidak akan nampak jalan itu dan kita akan teraba-raba dan kalau kita jalan juga, berkemungkinan kita akan tersasar jauh. Oleh itu, ‘nur’ (cahaya) itu adalah sebagai isyarat kebaikan. Ianya adalah lawan kepada kegelapan yang buruk.

Begitu juga kalau Al-Qur’an ada di dalam hati kita – baru kita nampak jalan yang benar dan kalau kita tidak belajar Tafsir Al-Qur’an, kita pun tidak nampak kebenaran walaupun ianya ada di depan kita.

Kalau setakat baca sahaja Al-Qur’an itu setiap hari, tapi tidak memahaminya, tidaklah bermakna kerana kita mungkin langgar apa yang dilarang dalam Al-Qur’an itu.

Al-Qur’an juga diibaratkan sebagai ‘cahaya’ kerana ianya menerangkan dan mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik dan kekufuran. Kegelapan kufur dan syirik hanya boleh dihapuskan dengan cahaya Al-Qur’an.

 

نَّهْدِي بِهِ مَن نَّشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا

Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki dari hamba-hamba Kami.

‘Dengannya’ bermaksud ‘dengan Al-Qur’an’. Dalam ayat ini, Allah mengajar Nabi Muhammad ﷺ untuk menggunakan Al-Qur’an untuk memberi hidayah dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan dan kesyirikan.

Dari mula baginda diangkat menjadi Nabi sampailah ke Madinah, baginda akan menggunakan Al-Qur’an sebagai metode dakwah baginda. Maka begitulah juga kita perlu menggunakan Al-Qur’an untuk mengajar manusia bagaimana untuk menjalani kehidupan ini supaya selamat di dunia dan di akhirat.

Maka pertama sekali, jalan dakwah dan pengajaran agama kepada manusia hendaklah menggunakan Al-Qur’an. Ajarlah agama dengan mengajar mereka pemahaman Al-Qur’an. Bukanlah dengan menggunakan kitab-kitab yang lain dan ajaran-ajaran yang lain yang bukan berdasarkan kepada Al-Qur’an.

Sebelum kita belajar ilmu-ilmu agama yang lain, maka hendaklah kita mempelajari tafsir Al-Qur’an dan selepas itu mempelajari hadis. Bukan kita menghalang dari membaca kitab-kitab lain, tapi hendaklah dimulai dengan mempelajari Al-Qur’an dan Hadis.

Apabila kita telah kemas pemahaman Al-Qur’an dan Sunnah, barulah apabila kita membaca kitab-kitab lain, kita akan dapat menilai sama ada tulisan dalam kitab itu benar atau tidak.

Malangnya, ramai penyebar-penyebar agama tidak menggunakan Al-Qur’an tapi mereka menggunakan cara-cara yang lain seperti nasyid, syair, tulisan khat, Qasidah, kitab, amalan zikir dan macam-macam lagi. Mereka kata manusia itu ada yang suka lagu dan hiburan, ada yang suka tulisan, ada yang suka syair dan sebagainya.

Maka, mereka kononnya menggunakan cara-cara itu untuk memikat manusia kepada Islam. Itu adalah pemahaman yang salah. Bukan begitu cara membawa manusia kepada agama.

Kalaulah cara-cara itu baik, maka tentunya Nabi, para sahabat, tabein dan golongan salaf akan menggunakan cara-cara itu. Tapi tidak. Mereka sebaliknya menggunakan Al-Qur’an dan Hadis Nabi untuk menyampaikan ajaran agama dan dakwah kepada manusia.

 

وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memberi petunjuk ke jalan yang lurus,

Nabi memberi petunjuk dengan cara bacakan wahyu dan ajar wahyu itu kepada manusia. Bukanlah Nabi ﷺ yang beri hidayah terus kepada manusia kerana yang beri hidayah secara mutlaq adalah Allah sahaja.

Nabi Muhammad ﷺ sudah berada di atas jalan yang lurus dan baginda mengajak kepada jalan yang lurus juga. Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ mengajak kita kepada jalan yang lurus, maka kita sebagai umat baginda hendaklah mengikuti apa yang dibawa oleh baginda. Dan yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah Al-Qur’an dan hadis baginda.

Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh membawa umatnya ke jalan yang lurus. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ juga tidak boleh memberi hidayah. Sebab itulah dalam ayat ini digunakan perkataan إِلَىٰ yang bermaksud baginda hanya boleh ‘menunjuk kepada’ jalan yang lurus sahaja.

Terpulang kepada mereka yang ditunjuk itu sama ada hendak ikut atau tidak. Ini adalah kerana kita tidak boleh memaksa keimanan kepada sesiapa pun. Walaupun anak kita sendiri, kita tidak boleh paksa mereka beriman. Mereka kena belajar sendiri dan mereka kena beramal sendiri.

Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah ini. Kita hanya boleh menunjuk dan mengajak sahaja. Kita tidak boleh memastikan mereka untuk ikut petunjuk itu atau untuk mendapat hidayah itu. Itu adalah kerja Allah. Hanya Allah sahaja yang boleh memberi hidayah kepada mereka.

Kalau Nabi ﷺ boleh memberi hidayah, tentulah baginda akan memberikan hidayah kepada bapa saudaranya, Abu Talib. Kerana baginda amat sayang kepada bapa saudaranya itu dan beliau telah banyak menolong baginda dalam perjuangan baginda, cuma tidak mahu masuk Islam sahaja. Bukannya beliau tidak percaya yang Nabi itu Rasul, tapi tidak mahu terima hanya kerana malu sahaja dengan kaum Musyrikin Mekah yang lain.

Jalan yang paling senang diberi penerangan adalah jalan yang lurus. Bayangkan kalau kita kena beri petunjuk jalan kepada orang lain: “kau nak pergi ke Madrasah? Senang sahaja. Ikut sahaja jalan ini lurus, jalan belok kanan atau kiri”. Maka, jalan agama yang lurus ini senang sahaja. Tidak perlu belok-belok. Ikut sahaja Al-Qur’an dan Sunnah. Ianya mudah sahaja dipelajari sebenarnya.


 

Ayat 53: Ayat sebelum ini menyebut ‘Jalan yang Lurus’. Apakah jalan yang lurus itu?

صِرٰطِ اللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِلَى اللهِ تَصيرُ الأُمورُ

Sahih International

The path of Allah , to whom belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. Unquestionably, to Allah do [all] matters evolve.

Malay

Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

صِرٰطِ اللهِ

Iaitu jalan Allah

Ianya bukanlah jalan yang biasa tetapi ianya ialah jalan yang telah ditetapkan oleh Allah. Ianya adalah JALAN ALLAH, bukan jalan manusia dan bukan jalan Syaitan!

Kita kena ikut jalan yang telah diajar oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Tidak boleh kita ikut jalan yang direka-reka dari sumber-sumber yang lain. Banyak sekali yang direka-reka dalam masyarakat sekarang. Banyak sekali perkumpulan agama dalam masyarakat kita. Yang paling kita takut adalah kumpulan tarekat kerana amat banyak keserongan akidah dalam perkumpulan itu.

Dan ianya merebak ke serata dunia. Mereka begitu ramai dan ada dalam kalangan keluarga kita pun terjebak dalam kumpulan ini. Mereka telah kena ‘tarik’ dan kena ‘ikat’. Kita sebagai Muslim yang prihatin hendaklah sentiasa berhati-hati dan memastikan bahawa apa yang disampaikan adalah berlandaskan kepada Al-Qur’an dan Sunnah.

Seorang guru yang benar bukan sahaja menunjukkan jalan Allah tetapi hendaklah juga dia memberitahu kepada anak muridnya dan orang ramai tentang jalan-jalan yang salah. Kerana kalau hanya diberitahu apa yang perlu dilakukan dengan tidak diberitahu apa yang perlu ditinggalkan, maka masyarakat masih lagi akan keliru.

Perumpamaan yang boleh kita berikan adalah memandu kereta. Kalau kita ajar orang memandu kereta, kita tidak boleh setakat ajar dia bagaimana memandu. Kita kena juga ajar dia tempat-tempat yang tidak boleh memandu, lorong-lorong yang tidak boleh masuk dan larangan-larangan lain dalam jalan raya. Jikalau kita hanya mengajar mereka memandu, maka mereka akan susah kerana mereka akan langgar apa sahaja dan akhirnya akan memudaratkan diri sendiri sahaja.

Oleh itu, janganlah marah kalau kita ada menyebut tentang jalan-jalan yang salah. Kerana kita menjalankan tugas kita untuk memberi peringatan kepada manusia. Kadang-kadang kita tegur tentang perkumpulan tarekat, perkumpulan Habib dan lain-lain lagi.

Ramai yang marah bila kita komen dan kritik. Mereka kata, kalau tidak mahu ikut pun, janganlah kutuk. Kita jawab: kita hanya menyampaikan perkara yang perlu kita sampaikan. Kerana kalau kita tidak beritahu, mungkin ramai yang tertipu dengan jalan-jalan mereka.

Siapakah Allah?

 

الَّذِي لَهُ مَا فِي السَّمٰوٰتِ

yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit

Allah memiliki langit dan APA sahaja yang ada di langit itu. Kita pun tidak tahu sepenuhnya apa yang ada di langit. Apa yang kita boleh nampak dengan mata dan teleskop pun hanya secebis kecil sahaja dari apa yang ada di langit itu.

 

وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan yang ada di bumi.

Kita pun belum habis meneroka alam bumi ini pun lagi. Saintis sentiasa sahaja menemui penemuan baru dalam alam dunia ini. Padahal alam inilah yang dekat dengan kita. Tapi banyak sangat yang kita tidak tahu. Segala yang ada dalam bumi adalah milikNya sahaja.

Apakah maksud ayat ini? Ianya hendak memperkenalkan siapa Allah. Siapakah Allah itu? Dialah yang memiliki alam ini. Jikalau kita terima Dia sebagai Tuan dan pemilik alam ini, maka hendaklah kita ikut arahanNya kerana kita tinggal dalam alam milikNya. Kalau kita tidak mahu ikut, maka silalah cari alam yang lain untuk kita tinggal.

Dan hendaklah kita menyampaikan doa dan seruan kita hanya kepadaNya sahaja. Jangan lupa surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang tauhid dalam doa.

 

أَلَا إِلَى اللهِ تَصِيرُ الْأُمُورُ

Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

Segala perbuatan-perbuatan kita selama kita hidup di dunia akan dibawa kepada Allah dan Allah akan memberitahu kita manakah perbuatan benar yang kita lakukan dan juga perbuatan yang salah yang telah kita lakukan. Allahlah nanti yang akan membuat keputusan dan menghukum kita atas perbuatan kita dan menetapkan sama ada kita masuk ke syurga atau neraka.

‘Segala urusan’ juga boleh bermaksud ‘segala keputusan’ yang kita jalankan. Ayat ini boleh juga bermakna, Allah akan tanya balik kenapa kita ambil sesuatu ‘keputusan’ semasa di dunia. Maka, keputusan agama mestilah berdasarkan kepada dalil yang sahih. Kalau tidak, kita akan ada masalah kalau kita tidak boleh bawa dalil dari sebab keputusan dan amalan kita.

Bayangkan kalau kita buat satu amalan bidaah, dan Allah tanya kita kenapa kita buat keputusan untuk buat perkara bidaah itu, apakah jawapan yang kita berikan begini: “sebab ramai orang buat”, “sebab ada dalam kitab”, “sebab ulama kata molek”; agaknya, bolehkah jawapan kita sebegitu? Selamatkah kalau kita kata begitu? Maka, berhati-hati dengan keputusan kita melakukan sesuatu, lebih-lebih lagi yang melibatkan agama.

 

Ringkasan:

Surah Ghafir menekankan tentang tauhid dalam berdoa. Enam surah-surah Hawamim seterusnya menerangkan tentang kekeliruan yang mungkin timbul tentang tauhid dalam berdoa.

Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka kata apabila mereka seru selain dari Allah, mereka dapat apa yang mereka kehendaki. Allah beritahu dalam Surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

Surah Syura ini pula menjawab kekeliruan kedua: ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah itu boleh. Surah Syura ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Zukhruf

Kemaskini: 24 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 48 – 51 (Cara wahyu diberikan)

Ayat 48: Ada tasliah dan ada zajrun dalam ayat ini.

فَإِن أَعرَضوا فَما أَرسَلنٰكَ عَلَيهِم حَفيظًا ۖ إِن عَلَيكَ إِلَّا البَلٰغُ ۗ وَإِنّا إِذا أَذَقنَا الإِنسٰنَ مِنّا رَحمَةً فَرِحَ بِها ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم فَإِنَّ الإِنسٰنَ كَفورٌ

Sahih International

But if they turn away – then We have not sent you, [O Muhammad], over them as a guardian; upon you is only [the duty of] notification. And indeed, when We let man taste mercy from Us, he rejoices in it; but if evil afflicts him for what his hands have put forth, then indeed, man is ungrateful.

Malay

Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu). Dan (ingatlah) sesungguhnya apabila Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, dia bergembira dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya, kerana) sesungguhnya manusia itu sangat tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya.

فَإِنْ أَعْرَضُوا

Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar,

Iaitu mereka yang setelah diberikan dengan berbagai-bagai hujah, berbagai-bagai dalil, mereka masih juga tidak mahu terima, masih menolak. Malah, ada yang menentang dan mengejek kita. Ini seperti Abu Jahal yang menentang dan mengejek Rasulullah ﷺ.

Biasa sangat kita jumpa orang sebegini dalam masyarakat kita. Mereka masih juga hendak pakai pemahaman mereka yang mereka belajar dahulu. Mereka masih juga hendak pakai kata guru mereka, ustaz mereka, kitab karangan manusia.

Mereka masih juga nak pakai amalan tok nenek yang telah lama diamalkan dalam masyarakat. Antaranya, Solat Hajat berjemaah dan Majlis Tahlilan/Selamatan.

Maka, apakah kata Allah tentang mereka ini?

 

فَمَا أَرْسَلْنٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

maka Kami tidak mengutusmu sebagai penjaga terhadap mereka;

Tidak diutuskan sebagai ‘penjaga’ bermaksud Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh paksa mereka beriman; tidak boleh nak jaga setiap amalan mereka; tidak boleh nak hukum mereka kalau mereka buat amalan yang salah. Maka, janganlah baginda bersedih kalau mereka tidak mahu ikut dakwah baginda.

Kita pun begitu juga. Jangan kata orang lain, anak kita sendiri pun kita tak boleh jaga dan paksa untuk beramal dengan amalan sunnah. Kita boleh suruh dan paksa mereka solat kalau mereka ada dengan kita, tapi bagaimana kalau mereka di belakang kita? Bagaimana pada waktu kita tidak ada bersama mereka? Kalau tinggal dengan kita, bolehlah kita rotan mereka kalau mereka keluar dengan kawan-kawan yang tidak baik, tapi bagaimana kalau mereka duduk di asrama?

Kalau dengan anak sendiri tidak boleh, apatah lagi dengan orang lain. Maka, tidaklah kita dipersalahkan kalau ada dari kalangan masyarakat telah buat kesalahan. Sebab kita sudah pesan kepada mereka dan dedahkan mereka kepada kebenaran dari Al-Qur’an dan Sunnah, cuma mereka sahaja tak mahu terima. Apakah tugas kita sebenarnya?

 

إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلٰغُ

sesungguhnya ke atasmu tidak lain, hanyalah menyampaikan

Inilah tasliah (pujukan) dalam ayat ini. Tugas Nabi ﷺ dan tugas kita adalah hanya menyampaikan sahaja. Dan kena sampaikan semua sekali ayat-ayat Al-Qur’an.

Kita hendaklah menjalankan kewajipan dakwah kepada manusia. Itu sahaja yang boleh kita lakukan. Sama ada hidayah itu sampai atau tidak, bukan urusan dan bukan dalam daya kita. Allah sahaja yang boleh memberi mereka faham dan masukkan iman ke dalam diri mereka.

Kita cuma kena sampaikan kepada semua orang. Kita tidak tahu siapakah yang akan tolak dan siapakah yang akan terima. Memang kita akan bersedih apabila orang tidak terima malah menolak dakwah kita, tapi Allah pujuk dengan beritahu kita yang tugas kita hanya sampaikan sahaja.

Yang dapat memberi faham dan menyampaikan hidayah kepada makhluk hanyalah Allah sahaja. Sebab itulah kadang-kadang ada yang mudah terima dan ada yang tidak. Walaupun dalil yang sama diberikan kepada mereka. Kerana tidak sama penerimaan manusia dengan manusia yang lain.

Ramai yang tidak faham atau tidak ambil berat kewajipan berdakwah. Ramai yang belajar agama tapi mereka tidak ajak orang lain. Mereka macam nak lepaskan diri sendiri sahaja. Padahal ramai manusia yang tidak tahu ilmu agama.

Ramai yang tidak faham sebenarnya tentang agama yang benar. Mereka dulu belajar sekolah agama semasa di sekolah rendah dan menengah, dan itu sahaja yang mereka pegang sampailah mereka dewasa. Tapi, apa yang mereka belajar di sekolah itu tidak cukup lagi. Banyak lagi yang kita kena belajar sebenarnya. Pembelajaran agama ini sepatutnya berterusan sampai kita mati.

Tapi masalahnya, apabila yang sudah belajar pula yang tidak beritahu kepada yang tidak belajar. Mereka simpan ilmu. Mungkin mereka segan, mungkin mereka malas, mungkin mereka sangka mereka belum cukup ilmu untuk menyampaikan, atau apa-apa sahaja alasan. Itu semua adalah alasan yang salah. Allah dan Nabi ﷺ telah banyak mengingatkan kita untuk menyampaikan.

Kalau sikit yang kita tahu, maka sikitlah yang kita sampaikan kepada manusia. Yang penting, jangan biarkan masyarakat kita terus berada dalam kejahilan. Sampaikanlah dakwah kepada mereka. Kalau anda tidak pandai berkata, sampaikan tulisan ini; ajak mereka ke kelas agama (yang berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah).

Jangan pula ada guru yang menahan anak muridnya dari menyampaikan kepada orang lain. Jangan pula ada guru yang meletakkan syarat yang tidak patut-patut – umpamanya ada guru yang kata anak murid kena belajar sampai habis tafsir dan kitab hadis, baru boleh mengajar. Siapa yang ajar begitu? Adakah kamu buat pemahaman kamu sendiri? Adakah kamu nak halang manusia dari berdakwah dan mengajar?

Dalam kita belajar, pastikan kelas pembelajaran itu adalah dari pembelajaran yang benar. Janganlah pula kita terjerumus ke dalam kesilapan memilih pengajian. Banyak orang yang mahukan ilmu agama. Keinginan sudah ada, tapi kalau tersalah pilih, menjadi masalah pula.

Sebagai contoh, ada juga pergerakan yang membuat kelas tafsir Al-Qur’an. Gerakan ini diberi berbagai nama. Ada yang panggil mereka Pemuda al-Kahfi, Kumpulan ad-Din, NII (Negara Islam Indonesia), N11 dan ada juga yang menamakan mereka Tafsir MLM. Mereka dinamakan MLM kerana setiap ahli dari kumpulan ini mesti mencari lima orang ‘kaki’.

Mereka menamakan diri mereka Pemuda al-Kahfi (pemuda gua – mengambil nama dari Surah al-Kahfi) kerana mereka amat berahsia dalam pengajaran mereka kerana mereka kata kalau ramai orang yang tahu, pihak kerajaan akan menangkap mereka.

Memang mereka kena rahsiakan pergerakan mereka kerana pengajaran mereka adalah pengajaran yang sesat. Mereka juga dinamakan sebagai NII (Negara Islam Indonesia) kerana mereka hendak membina Negara Islam di Indonesia.

Dari apa yang kita tahu, mereka ini hanya mahukan wang orang ramai. Mereka akan mencari orang yang ada kekuatan kewangan sahaja kerana mereka mengenakan bayaran untuk belajar. Sampaikan untuk bertaubat pun kena bayar! Ingatlah, apabila satu-satu pengajaran itu berahsia, kita perlu berwaspada dengan mereka.

Kerana ajaran-ajaran sesat memang akan hanya mengajar dalam rahsia kerana mereka tahu yang ajaran mereka itu tidak masuk akal dan akan diserang oleh mereka yang ada ilmu. Apabila ianya berahsia, maka senanglah mereka untuk memilih orang-orang yang senang ditipu. Mereka akan suruh pelajar mereka berahsia, kerana mereka tahu yang kalau ajaran mereka didedahkan, tembelang mereka akan pecah.

Mereka hanya menggunakan terjemah Al-Qur’an yang tertentu dan mereka mentafsir Al-Qur’an berdasarkan kepada pemahaman mereka yang tidak langsung menggunakan tafsiran dari ulama-ulama Salaf. Mereka tafsir berdasarkan ‘terjemahan’ dalam bahasa Melayu, sedangkan Al-Qur’an itu dalam bahasa Arab.

Antara yang mereka kata, kisah tentang Sapi Betina dalam Surah Baqarah itu adalah suruhan Allah untuk mencari ‘orang yang kaya’ untuk belajar dengan mereka. Mereka memang mencari orang yang berkedudukan atau nampak berharta kerana mereka hendakkan duit orang.

Inilah yang kita takut. Kita takut orang yang ingin belajar agama tapi mereka ditipu oleh mereka yang jahil atau yang mencari peluang untuk mendapatkan benda yang lain. Mereka ini dikatakan  masih aktif lagi. Maklumat tentang mereka telah pun dibongkar oleh pihak agama negara ini. Lihat video ini: https://m.youtube.com/watch?v=0f469eYy4uo

 

وَإِنَّا إِذَا أَذَقْنَا الْإِنسٰنَ مِنَّا رَحْمَةً فَرِحَ بِهَا

Dan sesungguhnya apabila Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, dia sangat bergembira dengannya;

Inilah bahagian zajrun dalam ayat ini. Banyak sangat rahmat yang Allah telah berikan kepada kita. Allah gunakan perkataan رَحْمَةً dalam ayat ini kerana ianya adalah ‘pemberian’ dari Allah. Ianya bukanlah sesuatu yang semestinya kita dapat.

Kerana Allah sayang kepada kitalah yang menyebabkan Dia berikan رَحْمَةً itu kepada kita. Maka, bersyukurlah kita apabila kita dapat rahmat itu. Jangan pula kita marah kalau tak dapat. Jangan kita marah Allah sebab tak beri rahmat dan rezeki kepada kita.

‘Rahmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kesan’ dari ‘rahmat’ itu. Dan nikmat itulah yang dikehendaki oleh kebanyakan manusia. Mereka mahu kaya, sihat dan sebagainya.

Tentulah manusia akan gembira apabila dapat nikmat. Tapi ada yang gembira sangat sampai jadi sombong. Sebab dia sangka dia dapat kebaikan itu kerana usahanya, kerana kepandaiannya. Padahal, pemberian itu adalah kerana رَحْمَةً dari Allah. Ianya adalah ‘pemberian’ dari Allah kerana sifat PemurahNya. Bukan kerana usaha makhluk itu.

Oleh itu, kita kena faham bahawa ada kegembiraan yang dibenarkan dan ada kegembiraan yang tidak dibenarkan, iaitu kalau gembira dengan ada sombong. Dan satu lagi, gembira sahaja guna nikmat yang Allah berikan, tapi tak ikut apa yang Allah kita lakukan, tapi lawan pula ajaran Allah, maka mereka itu gembira tanpa haq. Mereka guna nikmat Allah tapi derhaka kepada Allah.

Ada pula manusia yang gembira sangat sampaikan tidak bersyukur dengan pemberian Allah. Gembira sampai sudah tak ingat Allah. Sibuk bergembira menghabiskan harta berjalan ke sana dan ke sini, beli itu dan ini. Ini adalah jenis gembira yang salah.

Kenapa dalam potongan ayat sebelum ini disebut tentang mereka yang menolak ajakan dakwah, dan dalam potongan ayat ini tentang mereka yang gembira dengan pemberian Allah? Apakah kaitannya? Ini adalah kerana kadang-kadang yang menolak dakwah itu adalah kerana mereka sedang sibuk bergembira dengan kemewahan yang diberikan kepada mereka.

Sedang sibuk main golf, sibuk bersiar-siar ke luar negara, sibuk main PS3, dan macam-macam lagi sibuk mereka. Sibuk menggunakan harta yang Allah berikan, sampai tidak ada masa nak datang belajar. Mereka hendak bergembira sahaja menghabiskan rezeki yang mereka telah dapat dari Allah itu.

 

وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ

dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan,

Lihatlah beza dalam dua jenis pemberian Allah itu. Apabila Allah sebut tentang pemberian nikmat, ianya adalah atas رَحْمَةً (Rahmat). Tapi apabila menyebut tentang pemberian kesusahan, ianya adalah kerana ‘dosa-dosa yang dilakukan’. Maknanya, Allah beri kesusahan itu pun kerana kesalahan mereka juga.

Iaitu dosa manusia itu telah diubah dengan musibah semasa di dunia lagi. Antaranya, mereka rasa sempit dalam kehidupan dunia. Asyik tak puas sahaja dalam apa yang mereka lakukan. Mereka akan rasa letih mencari-cari apa yang mereka mahukan, tapi tidak jumpa.

Sebaliknya, orang beriman pula akan puas dengan apa yang mereka dapat. Walaupun mereka dapat sikit sahaja tapi mereka rasa puas. Kerana mereka tahu yang itu adalah pemberian dari Allah dan mereka redha dengan apa yang Allah berikan. Inilah ketenangan yang kita harap-harapkan.

 

فَإِنَّ الْإِنسٰنَ كَفُورٌ

maka sesungguhnya manusia itu menjadi kufur

Kalimah كَفُورٌ di dalam ayat ini bukanlah jadi kafir yang keluar dari Islam. Ia bermaksud mereka ‘menidakkan’ segala nikmat yang mereka dapat. Mereka tidak bersyukur dengan nikmat yang mereka selalu dapat. Mereka tidak belajar pun wahyu Allah untuk melihat apa yang patut mereka buat semasa mereka hidup di dunia.

Semasa mereka sedang ditimpa kesusahan, mereka sebenarnya masih lagi menerima nikmat-nikmat yang lain. Tapi mereka cakap macam mereka hanya dapat susah sahaja. Dan mereka menidakkan segala pemberian Allah sebelum itu. Padahal, telah banyak nikmat yang mereka dapat.

Semua itu adalah dari pemberian Allah juga, tapi apabila ditahan satu nikmat sahaja, mereka sudah menidakkan segala nikmat yang diberikan kepada mereka selama ini. Lihatlah hadis dari Sahih Bukhari, Kitab Iman yang memperkatakan perkara ini:

حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ {قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيتُ النَّارَ فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ يَكْفُرْنَ . قِيلَ أَيَكْفُرْنَ بِاللَّهِ ؟ قَالَ يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ}

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Zaid bin Aslam dari ‘Atho’ bin Yasar dari Ibnu ‘Abbas berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku diperlihatkan neraka, ternyata kebanyakan penghuninya adalah wanita. Kerana mereka يَكْفُرْنَ (mengingkari)”. Ditanyakan kepada baginda: “Apakah mereka mengingkari Allah?” Beliau bersabda: “Mereka mengingkari pemberian suami, mengingkari kebaikan. Seandainya kamu berbuat baik terhadap seseorang dari mereka sepanjang masa, lalu dia melihat satu saja kejelekan darimu maka dia akan berkata: ‘aku belum pernah melihat kebaikan sedikit pun darimu”.

Perkataan yang digunakan dalam hadis ini juga adalah ‘kufur’ – يَكْفُرْنَ . Ini adalah kerana mereka ‘kufur’ dengan kebaikan yang pernah dilakukan oleh suami mereka. Bagaimana ini boleh terjadi, apakah contohnya? Mungkin ada kalangan kita yang kata begini apabila bertelagah dengan suami: “Sejak kahwin dengan awak, saya tak pernah merasa senang!”.

Itulah contoh perkataan kufur mereka. Mereka memang susah waktu itu, tapi selama-lama mereka berkahwin, takkan tidak pernah suaminya itu bercakap baik dengannya, belikan makanan kepadanya, belikan barang-barang kepadanya? Tapi si isteri itu menidakkan semua itu dengan berkata: “tak pernah merasa senang!”. Begitulah contohnya mereka yang kufur dengan suami mereka.

Dan perkara ini bukan terjadi kepada wanita sahaja. Yang lain pun ramai juga mungkin berkata: “Kenapalah nasib aku begini, tak pernah rasa senang. Dari kecil sampai besar, susah sahaja memanjang…”.

Selain dari itu, ramai dari kalangan manusia apabila mereka tidak mendapat sesuatu, mereka akan meraung dan berkata: kenapa mereka tidak mendapatnya. Ini adalah kerana mereka merasakan mereka ada ‘hak’ untuk mendapatnya, dan apabila ianya diambil nikmat itu seketika, mereka rasa seperti hak mereka telah diambil.

Kata-kata begini sebenarnya menidakkan firman Allah yang mengatakan bahawa Dialah yang memiliki langit dan bumi dan segala yang di dalamnya. Kalau kita menidakkan Allah sebagai Tuhan, itu adalah kufur Aqidah. Tapi apabila kita menidakkan Allah memiliki segala-galanya, itu adalah kufur dalam fahaman. Atau kufur dalam bentuk psikologi.

Maka kita kenalah sedar yang kalau Allah tarik mana-mana nikmat yang telah pernah diberikanNya kepada kita, itu adalah hak Allah untuk tarik balik. Allah boleh beri, dan kemudian Allah boleh tarik balik.


 

Ayat 49: Dalil Aqli kenapa kita hanya boleh seru Allah sahaja.

لِلَّهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ يَهَبُ لِمَن يَشاءُ إِنٰثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشاءُ الذُّكورَ

Sahih International

To Allah belongs the dominion of the heavens and the earth; He creates what he wills. He gives to whom He wills female [children], and He gives to whom He wills males.

Malay

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

لِلَّهِ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi;

Hanya Allah sahaja yang memiliki semua sekali alam ini. Ada takhsis dalam ayat ini yang menunjukkan makna eksklusif. Oleh itu, kalau hendak apa-apa sahaja, kena minta kepada Allah lah sahaja.

Dalam ayat ini, disebut langit dan bumi kerana itulah sahaja alam yang kita tahu dan boleh nampak. Ianya merangkumi segala alam ini. Apa sahaja yang kita tahu wujud, ianya adalah hak kepunyaan Allah. Bukan sahaja langit dan bumi tapi ‘apa sahaja yang di dalamnya’.

Alam ini dan segala isinya tidak dimiliki oleh entiti lain mana pun. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengaku mereka memiliki secara mutlak apa-apa pun. Kita mungkin ada harta kepunyaan kita, tapi pemilikan kita itu tidak mutlak.

Oleh kerana segala yang di langit dan di bumi adalah milik Allah, maka kita hendaklah berdoa terus kepada Allah sahaja, tidak perlu berdoa kepada selain Allah. Dan tidak perlu menggunakan perantaraan dalam doa kita.

 

يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ

Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya;

Allahlah yang mencipta segala apa yang ada dalam alam ini. Kalau manusia, lalat seekor pun kita tidak tidak boleh nak cipta.

Dan apabila Allah memiliki semuanya, keputusan qada’ dan qadar adalah dalam TanganNya. Keputusan penciptaan juga tertakluk kepada kehendakNya. Dia sahaja yang menentukan. Tidak ada yang bersekutu denganNya dalam membuat keputusan itu. Tidaklah Allah perlu nak bertanya kepada sesiapa pun dalam menciptakan atau menjadikan sesuatu.

Tidaklah Allah kena tanya kepada malaikat, kepada Rasul mana-mana pun sebelum Allah nak buat langit, buat manusia, buat tanaman dan apa-apa sahaja. Allah terus buat sahaja kerana Allah memiliki langit dan bumi.

 

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنٰثًا

Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, anak-anak perempuan

Dalam ayat ini, Allah memberi contoh pemberianNya kepada manusia. Dan Allah memilih contoh pemberian anak-anak kerana ini adalah pemberian yang amat besar. Dan Allah mulakan pula dengan menyebut ‘anak perempuan’.

Ini memberi isyarat bahawa anak perempuanlah yang lebih besar pemberianNya kalau dibandingkan dengan anak lelaki. Ini adalah dari segi balaghah – apabila sesuatu itu didahulukan, ia menunjukkan kepentingannya.

Tetapi bagaimana pula dengan kita? Bukankah secara umumnya kita akan lebih mementingkan anak lelaki dari anak perempuan? Tidakkah itu berlawanan dengan apa yang Allah telah isyaratkan? Dalam surah selepas ini akan disebut lagi tentang lelaki dan perempuan. Nanti akan ada penerangan tambahan di situ.

Keputusan sama ada satu ibubapa mendapat anak lelaki atau perempuan adalah keputusanNya semata-mata. Kalau Allah nak satu-satu pasangan itu anak perempuan sahaja, itu adalah dalam keputusanNya. Itu pun sudah satu rahmat yang amat besar.

Seperti Nabi Muhammad ﷺ, Allah hanya kurniakan anak-anak perempuan sahaja. Baginda ada juga anak lelaki tapi semuanya mati kecil. Maka, baginda dikurniakan anak perempuan sahaja. Dan baginda ada EMPAT anak perempuan. Tapi, yang selalu orang kita tahu hanyalah seorang sahaja – Fatimah.

Ini adalah kerana ada percaturan dari puak Syiah yang merancang untuk menutup kewujudan anak-anak yang lain. Ini adalah kerana mereka hendak mengelabui manusia dengan konsep Ahlul Bayt rekaan mereka. Mereka katakan yang Ahlul Bayt itu hanyalah Ali, Fatimah, Hassan dan Hussein sahaja.

Mereka tutup keturunan dari Saidina Uthman yang telah berkahwin dengan DUA anak Nabi ﷺ! Ke mana hilang kisah keturunan Saidina Uthman itu? Itulah kemusykilan yang kita sedang hadapi sekarang. Ianya bagaikan mereka itu hilang dari sejarah. Padahal mereka juga keturunan dari Nabi Muhammad ﷺ. Tapi kerana jahil dengan sejarah, maka senang sahaja masyarakat kita ditipu oleh pendakwah Syiah.

Ianya adalah satu perkara yang perlu kita fikir-fikirkan. Bukan ruang untuk kita bincangkan di sini, tetapi sejarah Islam memerlukan pemurnian semula sejarah islami. Banyak telah dimasukkan unsur-unsur Syiah dalam sejarah islami.

Kelahiran anak adalah satu pemberian Allah yang amat besar

 

وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

dan Dia mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Allah boleh sahaja menentukan satu-satu pasangan itu mendapat anak lelaki sahaja. Contoh Nabi yang mendapat anak lelaki sahaja adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Tentunya yang hanya mendapat anak lelaki, mengharapkan anak perempuan juga.

Sebab tidak sama anak perempuan dengan anak lelaki. Yang hanya ada anak perempuan sahaja, mengharapkan dapat juga anak lelaki. Tetapi tidak boleh buat apa, kerana itu adalah ketetapan Allah.

Ayat ini hendak mengingatkan kita bahawa segala keputusan adalah ditentukan oleh Allah. Kita boleh terima sahaja dan kena redha dengan keputusan yang Allah telah buat untuk kita.


 

Ayat 50:

أَو يُزَوِّجُهُم ذُكرانًا وَإِنٰثًا ۖ وَيَجعَلُ مَن يَشاءُ عَقيمًا ۚ إِنَّهُ عَليمٌ قَديرٌ

Sahih International

Or He makes them [both] males and females, and He renders whom He wills barren. Indeed, He is Knowing and Competent.

Malay

Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya DiaIa Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنٰثًا

Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan,

Allah boleh sahaja memberikan satu-satu ibubapa itu anak-anak lelaki dan perempuan. Ada yang diberikan dengan kelebihan itu. Maka, mereka dapat merasai bagaimana bezanya anak perempuan dan anak lelaki. Tidak sama antara anak lelaki dan anak perempuan.

Apabila ibubapa dapat kedua-dua anak lelaki dan perempuan, maka mereka dapatlah merasa kelebihan perbezaan antara anak lelaki dan perempuan. Selalu kita dengar bagaimana ibubapa teringin untuk mendapat ‘sepasang’ cahaya mata – ada anak lelaki dan ada anak perempuan.

Kalau anaknya berderet lelaki, dia teringin sangat untuk mendapatkan anak perempuan pula – maka dia akan mencuba untuk mendapatkan anak lagi, entah-entah dia dapat anak perempuan pula. Begitulah lumrah naluri manusia.

 

وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيمًا

dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mandul.

Ada juga pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan anak langsung. Itu adalah ‘rezeki’ mereka. Ini pun tidak dapat dipersoalkan kerana ianya adalah dalam keputusan Allah. Bila Allah tidak beri rezeki dalam bentuk anak, Allah akan beri rezeki dalam bentuk lain. Ada yang tidak ada anak tapi mereka dapat banyak kekayaan.

Mandul ini bukanlah terjadi pada perempuan sahaja tetapi lelaki pun ada yang mandul. Ini kita sebutkan di sini, kerana selalunya, ‘mandul’ ini selalu disalahkan kepada perempuan sahaja. Apabila pasangan tidak mendapat anak, orang ramai selalunya akan terus menyangka yang sang isteri itu yang mandul.

Mereka tidak pun terfikir bahawa suami itu yang mandul. Itu adalah satu ketidakadilan. Jangan hanya menyalahkan perempuan sahaja kalau pasangan itu tidak dapat anak.

Janganlah kita rasa kekurangan sangat jikalau kita tidak dapat anak. Lihatlah bagaimana isteri-isteri Nabi pun ada yang tidak mempunyai anak seperti Saidatina Aisyah.

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Kalimah عَلِيمٌ bermaksud Allah tahu keperluan manusia. Allah beri anak atau tidak, itu adalah atas IlmuNya. Kita tidak layak untuk mempersoalkan keputusan dan qadar Allah. Pengetahuan kita tidak sampai langsung untuk mempersoalkan. Allah tahu bagaimana hendak menguji hambaNya – kita cuma perlu taat sahaja dan belajar untuk tidak mempersoalkan perbuatan Allah.

Kalimah قَدِيرٌ bermaksud Allah berkuasa untuk buat keputusanNya sama ada kita suka atau tidak. Buatlah apa sahaja untuk mendapatkan anak, tapi kalau ditakdirkan tidak dapat anak, memang tidak akan dapat. Ini adalah kerana Allah boleh buat apa sahaja yang Dia hendak, kita tidak boleh persoalkan.


 

Ayat 51: Ayat 51 – 53 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Ia memberitahu kita tiga saluran wahyu sampai kepada manusia.  Ayat ini adalah cara Allah menurunkan wahyu kepada para Nabi. Ada tiga jenis cara yang disebut dalam ayat ini.

Ayat ini ada kena mengena dengan Maksud Kedua surah ini. Seperti yang kita tahu, wahyu diberikan untuk kita kenal Allah. Dan kalau telah kenal Allah, seseorang itu tidak akan buat syirik. Kalau ada buat syirik juga, itu memang tidak kenal Allah dan tidak kenal Allah kerana tidak kenal wahyu. Maka sekarang Allah sebut bagaimana wahyu sampai kepada manusia.

Dan seperti yang selalu kita tekankan, ajaran tauhid ini ada dalam wahyu. Kena ada sumber wahyu yang qat’ie barulah boleh digunakan sebagai hujah dalam akidah. Jadi kalau ada yang bawa dalil yang menunjukkan boleh buat syirik, boleh amal tawasul, boleh buat amal ibadat kepada selain Allah, kita kena tahu yang itu adalah dalil palsu. Boleh terus tolak kerana kita sudah pasti, kalau ianya berlawanan dengan pemahaman wahyu yang ada, mesti dalil itu tidak boleh dipakai.

Mesti kalau diperiksa, ianya akan dibuktikan yang ianya adalah palsu. Orang bodoh yang jahil dan tidak berilmu sahaja yang akan terpesona dan tertipu dengan dalil itu. Orang yang belajar, boleh tolak terus, tak payah buang masa nak periksa.

Ada juga kadangkala dalil yang disampaikan itu memang sahih. Tapi disalahfahami oleh mereka yang jahil kerana mereka tidak belajar. Mereka hanya dengar tafsiran dan syarahan guru mereka yang jahil terhadap sesuatu dalil itu. Mereka tidak ikut fahaman salafussoleh terhadap dalil itu.

۞ وَما كانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ إِلّا وَحيًا أَو مِن وَراءِ حِجابٍ أَو يُرسِلَ رَسولًا فَيوحِيَ بِإِذنِهِ ما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكيمٌ

Sahih International

And it is not for any human being that Allah should speak to him except by revelation or from behind a partition or that He sends a messenger to reveal, by His permission, what He wills. Indeed, He is Most High and Wise.

Malay

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia yang Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ إِلَّا وَحْيًا

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu

Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini adalah sebagai jawapan kepada Yahudi yang mengejek Nabi Muhammad ﷺ: Bagaimana kami nak percaya  kepada kamu sedangkan kamu tidak melihat Allah seperti Nabi Musa?

Maka Nabi Muhammad ﷺ diberitahu bahawa tidak benar kalau nak kata Nabi Musa عليه السلام telah melihat Allah. Tidak mungkin manusia dapat berkomunikasi bersemuka dengan Allah. Nabi Musa عليه السلام pun tidak pernah melihat Allah.

Di awal surah ini Allah menyebut tentang wahyu yang diberikanNya. Sekarang Allah menceritakan bagaimana wahyu itu diberikan kepada manusia. Allah menyebut tentang pemberian wahyu selepas menceritakan tentang anak kerana bayi-bayi yang di dalam perut juga ada menerima ‘wahyu’ dari Allah. Tapi, ayat ini menjurus kepada wahyu yang diberikan kepada para Rasul.

Ayat ini juga hendak menjawap hujah Musyrikin Mekah yang kata, kenapa mereka sendiri tidak dapat wahyu? Kalau Nabi Muhammad ﷺ boleh dapat wahyu, kenapa mereka tidak boleh dapat juga? Bukankah senang kalau mereka pun dapat juga? Supaya tidaklah ada perbalahan benar atau tidak wahyu itu.

Maka Allah jawap dalam ayat ini yang tidak layak manusia nak cakap terus dengan Allah dan mendapat wahyu begitu sahaja. Bukan semua manusia boleh mendapat wahyu melainkan yang terpilih sahaja. Kerana manusia biasa takkan mampu untuk menerima wahyu dari Allah kerana ianya amat berat. Perumpamaan macam kita dalam gelap, tiba-tiba ada orang suluh lampu ke mata kita. Tentu kita tidak mampu untuk melihat.

Atau kita tak mampu nak bercakap dengan seratus orang pada satu masa kerana itu adalah kekurangan kita sebagai manusia. Itu baru bercakap sesama makhluk lagi, kita sudah tidak boleh, apatah lagi kalau nak berkomunikasi terus dengan Allah, lagi tidak boleh.

Jadi ayat ini ada kena mengena dengan Dakwa Kedua surah ini iaitu tentang wahyu. Maka kalau ada mana-mana manusia bawa hujah selain dari wahyu untuk membenarkan bertawasul dalam doa kepada Nabi, wali dan malaikat, maka itu adalah penipuan dan kita tidak mahu terima. Ini adalah kerana kalau hal agama sahaja, kena ada asas amalan dan fahaman itu dari dalam wahyu. Jangan mudah-mudah sahaja menerima hujah dari akal.

Kalau bawa juga dalil yang bukan dari wahyu, maka itu adalah kerana orang yang membawakan perkara itu rasa wahyu tak cukup. Mereka rasa ia tidak cukup sampaikan mereka nak kena bawa sumber dari yang lain.

Atau, mereka sebenarnya tuduh kitab Allah Al-Qur’an ini tidak ada nilai. Mungkin mereka tidaklah berkata begitu dengan lidah mereka tetapi kalau mereka nak tolak wahyu dan pakai hujah lain, maka boleh dikatakan itulah fahaman mereka. Maka tentunya Allah murka kalau mereka ada perasaan begitu.

Allah itu begitu tinggi sampaikan tidak mungkin Allah akan berkata-kata dengan manusia secara berdepan. Allah tidak ada komunikasi dengan manusia kecuali Allah berkomunikasi dengan cara wahyu. ‘Wahyu’ adalah berita yang diberikan oleh Allah. Wahyu itu diberikan sama ada secara mimpi atau terus dimasukkan ke dalam hati Rasul dengan cara ‘ilham’.

Iaitu Allah terus beri ilham terus ke dalam hati Nabi ﷺ. Oleh itu, kalimah ‘wahyu’ itu kena diterjemah ‘ilham’ baru senang nak faham. Tapi, apabila diberikan kepada Nabi ﷺ, ia dikira sebagai ‘wahyu’, iaitu wahyu jenis ilham. Mereka yang bakal jadi Nabi ﷺ pun boleh dapat wahyu pada umur 40 tahun.

Kalau kepada selain Nabi, maklumat yang mereka dapat dari Allah itu dipanggil ‘ilham’. Ini seperti yang Allah beri kepada emak Nabi Musa عليه السلام. Bukan sahaja manusia, tapi binatang pun boleh dapat. Ada ayat Al-Qur’an menyebut lebah dan lain-lain makhluk yang dapat ilham dari Allah. Allah gunakan kalimah ‘wahyu’ juga dalam Al-Qur’an, tapi maksudnya adalah ‘ilham.

Kita pun boleh dapat ilham yang baik. Iaitu dalam bentuk mimpi yang baik. Itu ilham biasa sahaja dan bukan macam wahyu yang Nabi terima. Akan tetapi kena hati-hati, kalau kita dapat suatu ilham dalam bentuk keagamaan, kena bandingkan dengan wahyu yang sudah ada.

Kalau ilham yang kita dapat itu sama dan sejajar dengan wahyu (Al-Qur’an dan Sunnah), maka itu adalah ilham yang baik. Oleh itu, kena kenal pasti dulu baru boleh diterima-pakai. Jangan terus terima sahaja kerana kalau tak sama dengan wahyu yang sudah ada, itu bermakna itu adalah ilham yang tidak baik dan bukan datang dari Allah.

Ini penting untuk diberitahu dan dipelajari kerana banyak ajaran sesat dalam dunia ini timbul kerana ilham buruk macam inilah. Mereka dapat ilham dari syaitan tapi mereka mengaku dan sangka itu adalah ilham dari Allah. Maka sesatlah mereka. Ini semua kerana jahil dengan wahyu yang sudah ada. Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, senanglah mereka ditipu oleh syaitan.

Kembali kepada wahyu yang diberikan kepada para Rasul عليهم السلام. Telah disebut di dalam ayat lain bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام menerima wahyu di dalam tidurnya. Ini disebut dalam Saffat:102

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”.  Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Selain daripada itu, Allah boleh terus memberi wahyu secara terus ke dalam hati manusia yang hendak disampaikanNya. Jadi wahyu ini boleh diberikan kepada para Nabi samada secara jaga atau pun di dalam mimpi mereka. Hanya mimpi dan ilham para Nabi عليهم السلام sahaja yang boleh diterima. Ini adalah kerana mimpi para Nabi عليهم السلام dipelihara.

Kalau ilham dan mimpi selain para Nabi عليهم السلام, itu bukanlah hujah. Berapa banyak orang kita menerima hujah ‘orang itu mimpi itu dan ini’ dan mereka sudah rasa itu adalah pegangan dalam agama. Itu adalah salah sama sekali. Mimpi yang dialami oleh manusia tidak boleh dijadikan sebagai sumber syariat. Jadi, kalau guru apa sekali pun yang mimpi, itu bukanlah dalil.

 

أَوْ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ

atau dari sebalik tabir

Ada kalanya Allah berkata-kata terus dengan Rasul, tetapi Rasul itu tidak dapat melihat Allah. Kerana Rasul itu didindingi dengan hijab yang menghalangnya untuk melihat Allah. Ini seperti dengan Nabi Musa عليه السلام di Bukit Thur yang berkata-kata terus dengan Allah. Tapi tidaklah baginda melihat Allah. Disebut dalam Nisa:164

وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا

Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).

Begitu juga Nabi Muhammad ﷺ telah berkata-kata secara terus dengan Allah SWT sewaktu Mikraj baginda. Iaitu semasa baginda menerima arahan untuk mendirikan solat. Tetapi baginda tidak dapat melihat Allah waktu itu. Apabila ditanya samada baginda melihat Allah, baginda menjawap bahawa baginda dihijab oleh ‘Nur’.

Bukanlah Allah dihijab oleh nur (cahaya) itu kerana tidak ada apa yang dapat menghijab Allah. Cuma mata manusia sahaja yang tidak mampu melihat Allah. Nanti di akhirat kelak, apabila tubuh dan mata ahli syurga dinaiktaraf, semua ahli syurga boleh nampak Allah.

Para malaikat juga tidak pernah melihat Allah. Ini termasuklah Malaikat yang paling rapat dengan Allah iaitu Jibrail.

 

أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا

atau dengan mengutuskan utusan

Rasul yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Rasul yang berupa malaikat. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa malaikat juga mendapat gelaran ‘Rasul’ juga.

Malaikat yang dimaksudkan adalah Jibrail kerana dialah yang selalu menyampaikan wahyu kepada para Nabi. Ada juga yang mengatakan Mikhail juga pernah menyampaikan wahyu kepada Rasul. Cara penyampaian wahyu dengan cara ini adalah cara yang paling banyak disampaikan kepada para Nabi.

 

فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ

lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya.

Malaikat hanya menyampaikan apa sahaja yang Allah hendak sampaikan. Mereka tidak akan tambah dan tidak akan kurangkan. Malaikat tidak akan menurunkan wahyu lagi selepas kewafatan Nabi Muhammad ﷺ . Jadi, kalau ada yang mengaku mereka ada terima wahyu selepas kewafatan Nabi ﷺ itu adalah bohong semata-mata.

Ada juga orang Melayu yang mengaku Rasul.

Jadi, ada tiga cara yang disebut dalam ayat ini:

  1. Wahyu dalam bentuk ilham
  2. Di sebalik tabir
  3. Dihantar malaikat untuk menyampaikan wahyu itu.

Kalau selain dari tiga cara ini, bukanlah wahyu dan tidak boleh dipakai. Oleh itu, kalau ada yang bawa dalil dari selain dari wahyu dan bercanggah dengan wahyu, boleh terus tolak.

 

إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.

Lafaz عَلِيٌّ digunakan di dalam ayat ini kerana wahyu itu diturunkan kepada Nabi dari Allah yang Maha Tinggi kedudukanNya. Wahyu itu pula sentiasa datang daripada atas dan amat tinggi kedudukanNya penuh padat dengan حَكِيمٌ (hikmah kebijaksanaan) di dalamnya.

Allah maha tinggi tapi Allah beri cara untuk manusia kenal Dia. Iaitu belajar wahyu Dia. Itulah sebabnya kita kena belajar Tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah kepada kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah ash-Shura Ayat 45 – 47 (Tiada pembantu dan penolong)

Ayat 45: Allah menerangkan keadaan Hari Kiamat sebagai takhwif ukhrawi.

وَتَرٰهُم يُعرَضونَ عَلَيها خٰشِعينَ مِنَ الذُّلِّ يَنظُرونَ مِن طَرفٍ خَفِيٍّ ۗ وَقالَ الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ الخٰسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا إِنَّ الظّلِمينَ في عَذابٍ مُّقيمٍ

Sahih International

And you will see them being exposed to the Fire, humbled from humiliation, looking from [behind] a covert glance. And those who had believed will say, “Indeed, the [true] losers are the ones who lost themselves and their families on the Day of Resurrection. Unquestionably, the wrongdoers are in an enduring punishment.”

Malay

Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang beriman pula berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal”.

وَتَرٰهُمْ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا

Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka

Maksud didedahkan itu adalah mereka akan dipanggang kepada api neraka. Allah suruh kita bayangkan kalau kita melihat mereka waktu itu. Alangkah menakutkan, alangkah ngerinya! Kalau tengok pun sudah takut dan ngeri, apatah lagi kalau kita yang kena!

Mereka akan dipanggang kepada api neraka dan dalam ayat yang lain, ada disebut bagaimana mereka tidak ada penahan dari kepanasan api neraka itu dan mereka hanya boleh menahan dengan muka mereka sahaja. Ini adalah kerana tangan dan kaki mereka telah diikat. Ini ada disebut dalam Zumar:24.

Allah suruh kita bayangkan kalau kita melihat mereka dipanggang; bagaimana pula kalau kita yang dipanggang?

 

خٰشِعِينَ مِنَ الذُّلِّ

dalam keadaan tunduk dengan sebab kehinaan

‘Khusyuk’ adalah apabila tubuh kita tunduk taat. Iaitu apabila tubuh kita kaku ketakutan sampai tidak dapat bergerak. Begitulah keadaannya apabila kita khusyuk dalam solat. Dalam solat, tubuh kita akan kaku dan tidak bergerak melainkan apa yang disyariatkan sahaja dalam ibadat solat.

Tidaklah dalam solat itu tangan kita bergerak ke sana sini, main janggut, main baju dan sebagainya. Itulah tanda seorang yang tidak khusyuk. Mata kita pun kena tunduk melihat kepada satu tempat sahaja, tidaklah mata kita meliar ke mana-mana.

Begitulah juga, orang yang masuk dalam neraka, akan tunduk takut dan taat. Dulu semasa di dunia mereka tidak mahu tunduk dan taat, sekarang baru nak taat. Tapi taat waktu itu sudah terlambat kalau mereka nak tunjuk taat bagai.

Kalimah الذُّلِّ pula adalah perasaan hina yang timbul kerana kita ditekan, apabila kita di bawah kawalan orang lain, tidak ada daya dan kuasa pada diri kita untuk menolong diri kita sendiri ataupun melepaskan diri. Tentunya perasaan ini akan timbul apabila mereka dimasukkan ke dalam neraka dan mereka pun tahu yang sangat-sangat tahu yang mereka memang tidak boleh melakukan apa-apa lagi.

Waktu itu mereka hanya kena terima sahaja apa yang dikenakan kepada mereka. Penyesalan yang tidak ada hujungnya. Mereka tunduk kerana rasa hina sungguh.

 

يَنظُرُونَ مِن طَرْفٍ خَفِيٍّ

sambil memandang (ke neraka itu) hanya dengan mengerling

Mereka hanya mampu mengerling dengan rasa malu sahaja. Ada orang yang apabila malu-malu, hanya dapat melihat dengan mengerling sahaja. Ini sebab dia segan sangat nak lihat dengan tepat. Dan juga ada yang mengerling kerana takut melihat dengan tepat. Maksudnya mereka melihat tanpa benar-benar melihat (curi-curi pandang sahaja).

Ini adalah satu keadaan di mana seseorang takut untuk tengok sesuatu, tetapi dalam masa yang sama, hendak tahu juga. Iaitu tengok dalam keadaan takut. Macam seorang pelajar yang membuka kertas peperiksaan dan dia tahu yang dia tidak akan berjaya. Mereka buka kertas keputusan itu dengan ketakutan, dengan perlahan dan dengan mengerling sahaja.

Dalam ayat yang lain, ada dikatakan mereka itu dibangkitkan dalam keadaan buta. Dalam ayat ini, mereka dikatakan boleh menjeling pula. Untuk menjamakkan ayat-ayat ini, kita kena tahu bahawa mereka itu memang dibangkitkan dalam keadaan buta, mereka cuma diberi lihat benda yang menakutkan sahaja, iaitu ditunjukkan neraka kepada mereka.

 

وَقَالَ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman pula berkata:

Waktu itu orang-orang yang beriman akan berkata. Dulu semasa di dunia, mereka tidak boleh berkata sangat, kerana mungkin mereka orang yang lemah. Tapi di akhirat kelak mereka diberikan dengan kelapangan untuk berkata-kata semahu mereka.

Nampak macam mereka menunjuk-nunjuk pula dengan berkata apa yang mereka akan katakan itu. Tapi mereka berkata begitu kerana mereka suka sangat. Apakah kata-kata mereka?

 

إِنَّ الْخٰسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

“Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri

Apakah lagi kerugian yang paling besar selain daripada mereka yang dimasukkan ke dalam neraka? Mereka rugi kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an secara talaqqi sampai mereka faham apa yang mereka baca dalam Al-Qur’an.

Mereka ada peluang untuk masuk ke syurga, tapi mereka tidak menjalankan apa yang perlu dilakukan untuk membolehkan mereka masuk ke dalam syurga semasa mereka di dunia. Mereka tidak taat kepada Allah semasa di dunia.

Telah ada pendakwah yang telah datang kepada mereka memberitahu kebenaran, tapi mereka tak mahu terima. Mereka tolak, mereka hina guru dan pendakwah tauhid itu. Mereka sudah diajak belajar tafsir Al-Quran, tapi mereka tak mahu.

 

وَأَهْلِيهِمْ

dan keluarga mereka

Kenapa keluarga mereka pun akan rugi juga? Kerana dia ajar anak isteri dia dengan kesesatan yang dia amalkan. Kalau dia ada buat perkara yang syirik atau fahaman yang syirik, dia ada ajar keluarganya tentang perkara itu. Macam ada orang yang ajar anaknya sabung ayam. Dia ajar macam mana nak basuh ayam itu, latih ayam itu.

Padahal, menyabung ayam adalah haram kerana ada perjudian. Tapi kerana ayahnya yang ajar, anak itu sangka itu perkara itu boleh dilakukan. Jadi, bukan mereka sahaja yang masuk neraka, tapi anak beranak sekali masuk neraka disebabkan mereka. Sudahlah mereka rugi, mereka rugikan sekali ahli keluarga mereka.

 

يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

pada hari kiamat

Mereka sangka mereka akan selamat kerana mereka tidak pernah memikirkan keadaan mereka di akhirat. Oleh itu, apabila mereka melihat dan merasai sendiri keadaan di Hari Kiamat itu, mereka akan tahu bahawa mereka itu sebenar-benar rugi.

Kalau kita rugi di dunia pun kita sudah rasa menyesal, apatah lagi kalau rugi di akhirat kelak. Tentu tidak sama rugi di dunia dan rugi di akhirat. Rugi di dunia sementara sahaja, tapi rugi di akhirat adalah untuk selama-lamanya.

 

أَلَا إِنَّ الظّٰلِمِينَ فِي عَذَابٍ مُّقِيمٍ

Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal”.

Ini adalah tasdiq ilahi – Allah membenarkan apa yang dikatakan oleh mereka itu.

Azab itu bukanlah sekejap sahaja, tapi ianya akan berkekalan. Apabila kita melakukan amalan syirik, kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Apabila dimasukkan ke dalam neraka, dosa syirik tidak akan diampunkan sampai bila-bila. Oleh itu, mereka akan kekal dalam neraka. WALAUPUN mereka orang Islam. Ini disebut dalam Nisa:48

إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللَّهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

 

Ayat 46:

وَما كانَ لَهُم مِّن أَولِياءَ يَنصُرونَهُم مِّن دونِ اللهِ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن سَبيلٍ

Sahih International

And there will not be for them any allies to aid them other than Allah . And whoever Allah sends astray – for him there is no way.

Malay

Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong – yang lain dari Allah – yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayah petunjuk).

وَمَا كَانَ لَهُم مِّنْ أَوْلِيَاءَ

Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong

Kalau dalam dunia, kita ada penolong kita – keluarga kita, orang bawahan kita, kawan-kawan kita dan sebagainya. Tapi di akhirat kelak, tidak ada penolong langsung akan diberikan kepada mereka yang engkar dengan wahyu Allah.

Ayat ini untuk mematahkan harapan mereka yang merasakan ada pemberi syafaat yang akan membantu mereka. Allah nak tegaskan yang tidak sesiapa pun yang akan membantu mereka. Orang yang ada fahaman musyrik, mereka ada menyembah ilah-ilah dari kalangan Nabi, wali dan malaikat. Maka mereka sangka yang mereka sembah itu akan bantu mereka. Allah beritahu dalam ayat ini yang harapan mereka itu adalah harapan palsu sahaja.

 

يَنصُرُونَهُم مِّن دُونِ اللهِ

yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka – yang lain dari Allah –

Kalau orang-orang yang melakukan kezaliman di dunia, mereka ada penolong mereka, juak-juak mereka, yang akan beri pertolongan dan bantuan kepada mereka. Kalau semasa di dunia, ada yang kenal dengan orang itu, orang ini, politikus sana politikus sini.

Tapi di akhirat nanti, mereka tidak ada sesiapa yang akan sokong mereka, tolong mereka. Tinggallah mereka keseorangan. Yang kita boleh harapkan hanyalah Allah sahaja. Tapi kalau kita tidak taat kepada perintah Allah, kita lawan ayat-ayatNya, bagaimana nak mengharap pertolongan dari Allah?

 

وَمَن يُضْلِلِ اللهُ

dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah

Iaitu mereka yang ditutup hati mereka untuk menerima kebenaran. Ini adalah kerana mereka menentang dan menolak hidayah apabila hidayah sampai kepada mereka. Apabila mereka menolak berkali-kali, apabila sudah sampai kepada kesesatan peringkat keempat, Allah akan bawa mereka kepada kesesatan.

Janganlah kita sangka yang Allah terus taqdirkan sesiapa jadi sesat dari mula lagi, tidaklah begitu. Allah akan beri peluang kepada manusia berkali-kali. Tapi apabila mereka sentiasa menolak, barulah Allah kunci mati hati mereka dari menerima kebenaran. Kunci mati hati itu dinamakan Khatmul Qalbi – itulah kesesatan peringkat keempat dan terakhir sekali.

 

فَمَا لَهُ مِن سَبِيلٍ

maka tidak ada baginya sebarang jalan

Mereka tidak akan mendapat jalan untuk menyelamatkan mereka di dunia dan juga di akhirat. Kerana perkataan سَبِيلٍ itu boleh merujuk kepada jalan di dunia dan juga jalan di akhirat.

Mereka tak akan jumpa jalan kebenaran lagi. Walaupun selepas itu mereka diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, mereka tak nampak. Ramai orang yang sebegini. Kita sudah beri ayat Al-Quran yang berbagai-bagai, yang jelas; kita sudah beri mereka hadis-hadis yang sahih. Hujah juga telah ditegakkan kepada mereka. Kemudian kita terangkan lagi dalam bahasa yang mudah difahami, tapi mereka masih lagi tak nampak. Kerana jalan kepada iman telah ditutup kepada mereka.

Kerana mereka dulu asyik menolak. Mereka bukan sahaja tolak tapi mereka menentang sekali – melawan mereka yang bawa dakwah tauhid itu. Apabila sudah banyak kali menentang, mereka akan ditutup dari menerima kebenaran.


 

Ayat 47: Ayat 47 – 50 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi Dalil Aqli Anfusi. Untuk menyelamatkan diri dari menghadapi nasib yang amat teruk di akhirat, maka ambillah peluang sementara masih hidup ini. Selepas diberitahu dengan nasib buruk yang akan dikenakan kepada mereka yang degil, sekarang mereka diajak untuk taat kepada Allah. Untuk menguatkan hujah, Allah berikan dalil yang mereka boleh lihat pada diri mereka sendiri.

استَجيبوا لِرَبِّكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللهِ ۚ ما لَكُم مِّن مَّلجَإٍ يَومَئِذٍ وَما لَكُم مِّن نَّكيرٍ

Sahih International

Respond to your Lord before a Day comes from Allah of which there is no repelling. No refuge will you have that day, nor for you will there be any denial.

Malay

Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).

اسْتَجِيبُوا لِرَبِّكُم

sambutlah seruan Tuhan kamu,

Sambutlah dan ikutlah ajakan tauhid yang Allah telah sampaikan dalam ayat-ayatNya. Ajakan dan ajaran tauhid itu banyak terdapat dalam Al-Qur’an. Dan disebut dengan jelas sekali, sampaikan tidak perlu kepada kitab atau hadis lain pun sebenarnya untuk menerangkannya kerana ianya amat jelas sekali. Hadis dan hujah sebagai penguat sahaja.

Yang tidak jelas hanyalah kepada mereka yang tidak mahu belajar sahaja. Maka, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita boleh faham tauhid ini. Bukannya boleh faham tauhid dengan belajar Sifat 20.

‘Sambut’ itu juga bermakna, apabila kita sudah belajar dan tahu, maka hendaklah kita taat kepadaNya. Segala arahanNya kita ikut, dan segala laranganNya kita tinggalkan. Jangan setakat faham sahaja, tapi kena terima dan ikut sekali.

 

مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لَّا مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللهِ

sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak;

Apakah hari yang tidak dapat ditolak itu? Itulah hari kita mati. Ini maksud yang pertama.

Keduanya, dimaksudkan Hari Kiamat.

Kalimah مَرَدَّ bermaksud ‘memulangkan’. Seperti kalau ada orang memberi hadiah kepada kita, kita boleh tolak hadiah itu dengan ‘memulangkan’ hadiah itu kalau kita tidak mahu atau tidak suka kepada hadiah itu.

Kalau barang, bolehlah nak tolak dan pulangkan. Tetapi apabila Allah telah memulakan kematian seseorang atau memulakan hari kiamat tidak ada sesiapa yang boleh memulangkan atau menolak proses itu. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang kematian atau hari kiamat itu dari terjadi.

 

مَا لَكُم مِّن مَّلْجَإٍ يَوْمَئِذٍ

pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung,

Kalimah مَّلْجَإٍ dari katadasar ل ج ء yang bermaksud ‘berlindung di dalam kubu’. مَّلْجَإٍ bermaksud tempat berlindung terutama sekali berlindung dari musuh. Selalunya perlindungan yang kuat adalah dalam kubu.

Kalau di dunia boleh lagi ada tempat perlindungan tapi tidak ada di akhirat. Ini adalah kerana di Mahsyar nanti, ianya adalah tanah datar sejauh mata memandang, tiada lubang untuk kita masuk menyorok ke dalamnya atau bukit/tempat tinggi yang kita boleh berselindung di sebaliknya.

 

وَمَا لَكُم مِّن نَّكِيرٍ

dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan

Kalimah نَّكِيرٍ dari katadasar ن ك ر yang boleh bermaksud ‘ganjil’ atau ‘tidak disukai’. نَّكِيرٍ dalam ayat ini bermaksud ‘menafikan’. Iaitu tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan hari Kiamat dari berlaku, menafikan dosa mereka pada hari itu, menafikan hukuman yang dikenakan oleh Allah.

Kalimah نَّكِيرٍ juga boleh bermaksud seseorang yang menolong kita. Maknanya pada Hari Kiamat itu nanti, tidak akan ada sesiapa pun yang boleh menolong kita dan menyelamatkan kita daripada azab Allah. Keluarga kita pun tidak boleh hendak menolong kita. Mereka pun tak kisah dengan kita kerana mereka pun sibuk dengan hal mereka.

Maknanya, kita tidak boleh mengharap orang lain di akhirat kelak. Kita cuma boleh berharap kepada iman dan amal kita sahaja. Maka beramallah dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak menyesal di sana nanti. Kerana kita pasti akan menghadapinya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani