Tafsir Surah Ali Imran Ayat 123 – 133 (Menahan kemarahan)

Ayat 123:

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And already had Allāh given you victory at [the battle of] Badr while you were weak [i.e., few in number]. Then fear Allāh; perhaps you will be grateful.

MALAY

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

 

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badr, sedang kamu berkeadaan lemah

Allah‎ ﷻ mengingatkan yang Dia telah membantu tentera Islam semasa Perang Badr. Waktu itu tentera Islam amat kurang bilangan dan kurang peralatan perang. Pengalaman berperang pun kurang. Maknanya, kurang belaka dalam segala hal. Namun Allah ‎ﷻ yang telah memberikan kemenangan kepada mereka dengan qudrat-Nya sebab kekuatan dalaman yang ada pada orang Islam waktu itu.

Maka jangan takut untuk berjihad kerana Allah ‎ﷻ akan bantu. Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia sudah pernah bantu pada waktu dahulu.

 

فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur

Bertaqwalah kepada Allah ‎ﷻ. Mudah-mudahan dengan taqwa itu kamu boleh bersyukur atas jasa Allah ‎ﷻ. Salah satu yang mereka kena bersyukur adalah kerana mereka dapat berperang bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ.

Maka taqwa adalah salah satu syarat untuk mendapat pertolongan Allah ‎ﷻ di dalam peperangan.


 

Ayat 124:

إِذ تَقولُ لِلمُؤمِنينَ أَلَن يَكفِيَكُم أَن يُمِدَّكُم رَبُّكُم بِثَلٰثَةِ ءآلٰفٍ مِّنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُنزَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when you said to the believers, “Is it not sufficient for you that your Lord should reinforce you with three thousand angels sent down?

MALAY

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”

 

إِذ تَقولُ لِلمُؤمِنينَ

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman

Pada permulaan Perang Uhud itu, Allah ‎ﷻ memberi wahyu kepada Nabi ﷺ dan Nabi ﷺ berkata kepada orang mukmin yang mahu menyertai perang itu. Ini diberikan untuk memberi semangat kepada mereka.

 

أَلَن يَكفِيَكُم أَن يُمِدَّكُم رَبُّكُم بِثَلٰثَةِ ءآلٰفٍ مِّنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُنزَلينَ

“Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”

Allah ‎ﷻ berjanji akan menurunkan tiga ribu malaikat untuk membantu mereka. Ini salah satu cara Allah ‎ﷻ memenangkan umat Islam. Pelbagai cara Allah ‎ﷻ boleh tolong, dan bukan dengan menurunkan malaikat sahaja. Sebagaimana dalam Perang Ahzab, tiada bantuan malaikat, tetapi tentera Islam boleh menang juga. Dalam Perang Ahzab itu, Allah ‎ﷻ telah menghantar angin sahaja untuk mengkucar kacirkan tentera musuh. Jadi tidak semestinya Allah ‎ﷻ beri bantuan melalui malaikat.

Disebut tiga ribu malaikat pada waktu itu kerana mereka sudah dengar yang tentera musuh dari Mekah pun seramai tiga ribu juga. Allah ‎ﷻ boleh sahaja turunkan lebih banyak lagi daripada itu.


 

Ayat 125:

بَلىٰ ۚ إِن تَصبِروا وَتَتَّقوا وَيَأتوكُم مِّن فَورِهِم هٰذا يُمدِدكُم رَبُّكُم بِخَمسَةِ ءآلٰفٍ مِّنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُسَوِّمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Yes, if you remain patient and conscious of Allāh and they [i.e., the enemy] come upon you [attacking] in rage, your Lord will reinforce you with five thousand angels having marks [of distinction].”

MALAY

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.

 

بَلىٰ

Bahkan

Mengapa tidak? Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ yang sebut tentang bilangan tentera malaikat seramai 3 ribu itu (sebelum Allah ‎ﷻ sebut para malaikat akan diturunkan), dan Allah ‎ﷻ mengiyakan dalam ayat ini. Allahu a’lam.

 

إِن تَصبِروا وَتَتَّقوا

jika kamu bersabar dan bertaqwa,

Allah ‎ﷻ akan bantu sekiranya tentera Islam itu bersabar dalam taat dan ikut syari’at. Inilah dua syarat yang Allah ‎ﷻ letakkan untuk mendapatkan bantuan-Nya. Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang taqwa sentiasa dan tentunya dalam peperangan memerlukan kesabaran yang amat-amat tinggi.

 

وَيَأتوكُم مِن فَورِهِم هٰذا

dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, 

Dan kalaulah musuh menyerang kamu, jangan takut. Kerana Allah ﷻ tidak biarkan umat Islam bersendirian. Allah ﷻ akan beri bantuan.

 

يُمدِدكُم رَبُّكُم بِخَمسَةِ ءآلٰفٍ مِّنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُسَوِّمينَ

nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.

Jangan takut kerana Allah ‎ﷻ boleh menghantar malaikat yang boleh datang dengan serta merta untuk membantu. Para malaikat menunggu sahaja arahan daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah perlu Allah ‎ﷻ memanggil malaikat yang tengah ada kerja lain. Itulah tentera langit.

Allah ‎ﷻ boleh datangkan lima ribu malaikat yang semuanya berseragam cukup dengan kelengkapan perang. Mereka juga datang dengan kuda bertanda (مُسَوِّمينَ). Allahu a’lam bagaimana rupanya.

Memang Allah ‎ﷻ ada menghantar tentera dalam kalangan malaikat. Sebagai contoh, apabila dilihat tentera kafir yang mati di Badr, tidak kelihatan kesan luka pada badan mereka tetapi kesan terbakar. Maknanya mereka mati bukan kerana dibunuh manusia.


 

Ayat 126:

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ لَكُم وَلِتَطمَئِنَّ قُلوبُكُم بِهِ ۗ وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ العَزيزِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh made it not except as [a sign of] good tidings for you and to reassure your hearts thereby. And victory is not except from Allāh, the Exalted in Might, the Wise –

MALAY

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ لَكُم

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu,

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia akan hantar malaikat itu sebab menjadi berita gembira sahaja kepada tentera Muslimin. Ia untuk memberi semangat kepada mereka. Apabila mereka rasa ada bantuan dari malaikat, tentu mereka akan rasa lebih kuat. Ia hanya salah satu sahaja cara Allah ﷻ membantu hambaNya yang soleh.

 

وَلِتَطمَئِنَّ قُلوبُكُم بِهِ

dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu.

Allah ﷻ hendak senangkan hati umat Islam sahaja kerana jiwa manusia, kalau tahu mereka dalam bilangan yang ramai, baru mereka akan berasa lega dan aman dan yakin akan menang.

 

وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa pertolongan yang sebenarnya adalah daripada Allah ﷻ. Mereka akan tetap menang walaupun tanpa bantuan malaikat itu kerana kemenangan adalah ketetapan daripada Allah ‎ﷻ, bukannya dengan adanya malaikat yang membantu. Kalau Allah ‎ﷻ bantu, tentera Islam akan tetap menang, asalkan memenuhi syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Allah ‎ﷻ Maha Gagah Perkasa boleh mengalahkan mana-mana musuh. Tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan Allah ﷻ.

Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana dalam mengurus. Kadang-kadang Dia beri malaikat dan kadang-kadang diberi bantuan dengan cara lain. Allah ‎ﷻ sahaja yang tentukan dan cara Allah ‎ﷻ itu cara yang paling tepat.


 

Ayat 127:

لِيَقطَعَ طَرَفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا أَو يَكبِتَهُم فَيَنقَلِبوا خائِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He might cut down a section of the disbelievers or suppress them so that they turn back disappointed.

MALAY

kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.

 

لِيَقطَعَ طَرَفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا

kerana Allah hendak membinasakan satu golongan daripada orang-orang kafir

Tujuan Perang Badr Allah ﷻ takdirkan untuk memotong satu puak daripada orang kafir yang menjadi ketua mereka. 70 orang yang mati daripada kumpulan kafir Musyrikin Mekah itu adalah mereka yang paling kuat menentang Nabi ﷺ. Nanti apabila sudah tiada ada ketua yang kuat menentang, maka yang tinggal nanti adalah pengikut-pengikut sahaja.

 

أَو يَكبِتَهُم

atau menghina mereka

Atau Allah ‎ﷻ hendak mengalahkan mereka walau mereka bilangan ramai. Allah ‎ﷻ hendak memalukan mereka. Bayangkan tentera ramai, tapi masih tetap kalah juga.

 

فَيَنقَلِبوا خائِبينَ

supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.

Supaya mereka kembali ke Mekah dengan perasaan yang amat kecewa. Supaya mereka tidak boleh hendak berbangga dengan bangsa Arab yang lain yang mereka berjaya kalahkan Islam.

Sampai sini sahaja kisah Perang Badr. Selepas ini adalah tentang kisah Perang Uhud.


 

Ayat 128: Sekarang kita kembali kepada kisah Perang Uhud. Nabi ﷺ dan sahabat diuji menang pada peringkat awal tetapi kalah di pertengahan. Waktu sedang kalah itu Nabi ﷺ menyatakan kesedihan baginda. Allah‎ ﷻ jawab di dalam ayat ini.

لَيسَ لَكَ مِنَ الأَمرِ شَيءٌ أَو يَتوبَ عَلَيهِم أَو يُعَذِّبَهُم فَإِنَّهُم ظٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not for you, [O Muḥammad, but for Allāh], is the decision whether He should [cut them down] or forgive them or punish them, for indeed, they are wrongdoers.

MALAY

Engkau tidak berhak sedikit pun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada Dia menerima taubat mereka ataupun Dia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

 

لَيسَ لَكَ مِنَ الأَمرِ شَيءٌ

Engkau tidak berhak dalam urusan sedikit pun, 

Allah ‎ﷻ beritahu Nabi ﷺ bahawa baginda tidak ada hak dalam urusan menang kalah, kafir atau memberi hidayah, sedikit pun. Semuanya di tangan Allah ﷻ.

 

أَو يَتوبَ عَلَيهِم

sama ada Dia menerima taubat mereka

Sama ada Allah ‎ﷻ akan memberi ampun kepada mereka dan mereka masuk Islam atau menghancurkan mereka, itu hak Allah ‎ﷻ. Lihatlah bagaimana dua ketua perang Musyrikin Mekah waktu itu, Abu Sufyan dan Khalid al Walid telah masuk Islam kerana Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka.

 

أَو يُعَذِّبَهُم فَإِنَّهُم ظٰلِمونَ

ataupun Dia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

Atau Allah ‎ﷻ hendak kekalkan mereka dalam kufur dan kemudian Allah ‎ﷻ azab mereka di akhirat kelak dengan sehebat-hebat azab. Dan mereka memang layak diazab kerana mereka zalim.

Oleh itu, Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa bukan urusan Nabi ﷺ siapa yang dapat hidayah dan iman. Nabi ﷺ hanya perlu menjalankan tugas baginda sahaja untuk menyampaikan dakwah, memerangi mereka dalam menyampaikan dakwah. Sama ada manusia terima atau tidak, itu hak Allah ‎ﷻ.

Begitu juga dengan kita: kadang-kadang banyak usaha kita lakukan untuk sampaikan dakwah kepada manusia, kita buat tulisan, kita nasihat orang, kita beri ajaran dan sebagainya. Namun sama ada manusia terima atau tidak, itu terpulang kepada Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, nampaknya Allah ‎ﷻ telah menegur Nabi ﷺ. Kita kena ingat, Allah ‎ﷻ sahaja yang layak menegur Nabi ﷺ kerana kedudukan Allah ‎ﷻ. Namun, kita kena jaga adab kita. Jangan kita pula hendak kata Nabi Muhammad ﷺ salah dan membuat dosa pula kerana kedudukan kita lebih rendah daripada kedudukan Nabi ﷺ.


 

Ayat 129: Kenapa begitu? Kerana Dia Allah ‎ﷻ. Maka Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia mahu.

وَلِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. He forgives whom He wills and punishes whom He wills. And Allāh is Forgiving and Merciful.

MALAY

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَلِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki kerana alam ini adalah kepunyaan Dia. Siapa kita hendak mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ lakukan? Bukan sahaja alam, tapi kita ini pun adalah kepunyaan Allah ﷻ juga, bukan? Maka sepertimana kita buat apa sahaja yang kita hendak dengan barang kita, maka begitu jugalah Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak.

 

يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, 

Allah ‎ﷻ boleh masukkan perasaan hendak meminta ampun kepada sesiapa sahaja. Allah ﷻ juga boleh menggerakkan hati sesiapa sahaja ke dalam Islam dan mengampuni mereka.

Maka kalau kita rasa kita bersalah dan hati kita melakukan istighfar kepada Allah ﷻ, itu adalah satu nikmat yang amat besar. Maknanya Allah ﷻ telah jentik hati kita untuk rasa bersalah dan rasa lembut hati untuk meminta ampun. Maka kalau ada perasaan begitu, maka hendaklah kita cepat-cepat istighfar.

 

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan Dia menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Atau Allah ‎ﷻ boleh kekalkan mereka dalam kufur dan kemudian Allah akan azab mereka. Terpulang kepada Allah ﷻ. Dan kita tidak boleh hendak persoalkan Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hendak masukkan semua makhluk ke dalam neraka pun, kita tidak dapat persoalkan.

Tentulah Allah ﷻ tidak begitu, tapi kalaulah Allah ﷻ hendak buat begitu, kita pun tidak dapat mempersoalkanNya. Kita kena sedar kedudukan kita dan Allah ﷻ.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah mengingatkan SifatNya yang maha pengampun dalam ayat ini untuk beri isyarat bahawa Allah ampunkan kesilapan Nabi itu. Bukan sahaja kesilapan Nabi Muhammad, kalau kesilapan dan dosa kita pun Allah ﷻ boleh ampunkan.

Allah ﷻ boleh ampunkan kerana sifatNya yang Raheem. Allah ﷻ amat sayang kepada makhlukNya. Oleh kerana sayang sangat, maka Allah ﷻ mudah untuk ampunkan. Begitu jugalah kalau ada kalangan sahabat atau ahli keluarga kita yang kita sayang, kita mudah untuk maafkan kesilapan mereka terhadap kita, bukan?

Sekian Ruku’ 13 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ayat 130: Sekarang kita sudah masuk hal infak. Ayat ini adalah jenis yang dipanggil Jumlah Mu’taridah (perubahan topik). Kerana ayat-ayat sebelum ini tentang perang dan tiba-tiba masuk kepada ayat tentang riba pula. Apakah kaitannya?

Kita hidup sementara dan kita sepatutnya menggunakan masa hidup kita di dunia untuk kumpul pahala sebanyak yang boleh. Maka kena guna peluang semasa di dunia. Dan infak adalah salah satu cara untuk boleh dapat pahala. Macam-macam cara boleh infak. Kita kena ingat bahawa harta yang kita infak itulah yang jadi harta kita sebenarnya. Kerana kalau kita tidak infak, harta itu akan diwarisi oleh orang lain, sudah jadi harta orang lain, bukan harta kita lagi.

Tapi kalau kita infak, Allah akan simpan harta itu di SisiNya dan Allah akan balas dengan kebaikan. Topik infak telah banyak disebut dalam Surah Baqarah dan sekarang disambung dalam Surah Ali Imran ini kerana seperti kita telah sebut, ada pertalian antara surah Baqarah dan surah Ali Imran.

Dan infak disebut selepas disebut tentang Jihad kerana infak penting dalam menjalankan jihad Fisabilillah. Banyak belanja diperlukan untuk menjalankan Jihad.

Kenapa pula riba ada kena mengena dengan infak? Kerana dalam Al-Qur’an sebut kepentingan infak, ada pula manusia yang bukan sahaja tidak infak, tapi sebaliknya cari dan kumpul harta yang banyak dengan cara haram, iaitu dengan cara riba. Ianya amat berlawanan dengan infak. Mereka yang mengamalkan riba adalah orang yang mementingkan harta sampai sanggup hisap darah orang lain.

Anda rasa adakah orang sebegini akan infak dan berperang Fisabilillah? Tentu tidak. Maka Allah beri peringatan kepada kita tentang keburukan mengamalkan riba.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَأكُلُوا ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضعٰفًا مُّضٰعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not consume usury, doubled and multiplied, but fear Allāh that you may be successful.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَأكُلُوا ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضعٰفًا مُّضاعَفَةً

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda,

Orang yang mengamalkan riba adalah orang yang tamak dunia. Dalam kepala otak mereka, mereka cuma ingat nak kumpul harta sahaja. Mereka akan cari jalan untuk memperbanyakkan harta mereka berlipat kali ganda.

Oleh kerana itu, ada orang yang amalkan riba dengan beri pinjam kepada orang lain dengan syarat, kena bayar lebih lagi. Yang lebihan itu selalunya dipanggil ‘bunga’. Dan kalau tidak dapat bayar dalam waktu yang dijanjikan, ‘bunga’ akan meningkat lagi dan lebih menyusahkan orang yang meminjam itu. Kadang-kadang apabila sudah lama, ‘bunga’ itu lebih banyak lagi dari pinjaman pokok yang asal.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

Allah ingatkan kita supaya bertaqwa dengan jaga hukum. Hukum makan riba adalah haram. Kita telah tafsir tentang riba dalam Surah Baqarah, tentang bagaimana buruk sekali hukum riba itu dan apakah ancaman Allah kepada mereka yang memakan harta hasil dari riba.

Maka, janganlah amalkan riba, sebaliknya hendaklah bertaqwa kalau kamu mahu menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Tapi memang zaman sekarang, amat susah untuk lari dari riba. Kalau tidak terlibat secara langsung pun, tentu ada terkena sikit-sikit. Maka alangkah baik kalau bahayanya sistem riba ini diketahui oleh lebih ramai lagi supaya sistem riba ini lama kelamaan boleh hilang terus.


 

Ayat 131: Ayat takhwif ukhrawi (penakutan tentang akhirat).

وَاتَّقُوا النّارَ الَّتي أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fear the Fire, which has been prepared for the disbelievers.

MALAY

Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

 

وَاتَّقُوا النّارَ

Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, 

Ancaman neraka diberikan kepada mereka yang mengamalkan riba. Amat banyak bahaya riba ini dan kesannya yang mendalam kepada ekonomi dunia dan individu. Maka Allah beri penekanan tentang bahayanya sampaikan neraka dijadikan sebagai galang ganti bagi mereka yang terlibat dengan riba.

 

الَّتي أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ

yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Neraka itu sudah siap ada, sedang menunggu dimasuki oleh orang kafir. Orang kafir ada geran neraka (mereka akan kekal dalam neraka). Orang Islam sepatutnya akan masuk syurga. Tetapi ada juga yang akan masuk neraka dahulu kerana walaupun mereka beriman dan tidak mengamalkan syirik, tapi mungkin mereka ada dosa yang perlu dibersihkan di neraka.

Tapi mereka tidak akan kekal di neraka kerana orang mukmin memegang geran di syurga, bukan di neraka. Mereka duduk untuk sekian waktu sahaja di neraka. Istilah bagi mereka ini adalah jahannamiyyun (pernah duduk dalam neraka jahannam).

Kalau kita lihat ayat ini yang diberikan selepas diberikan ayat riba, ini menunjukkan yang riba dikaitkan dengan kufur. Mereka yang mengamalkan riba mengamalkan perbuatan orang kafir. Maka ini adalah amat berat sekali dan kerana itu kita kenalah berhati-hati.


 

Ayat 132:

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And obey Allāh and the Messenger that you may obtain mercy.

MALAY

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, mudah-mudahan kamu diberi rahmat.

 

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul

Janganlah amalkan riba, sebaliknya hendaklah kamu taat kepada Allah ‎ﷻ dan untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, hendaklah taat kepada Rasul kerana Rasul itu menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ.

Maka, untuk taat kepada Allah ‎ﷻ hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an, barulah faham apa perkara yang kita hendak taat dan untuk taat kepada Rasul, hendaklah kita belajar sunnah (belajar syarah Hadith). Kalau kita tidak belajar dua perkara itu, bagaimana kita kata kita ‘taat’, sedangkan apa perkara yang perlu taat pun kita tidak tahu?

 

لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

mudah-mudahan kamu diberi rahmat.

Mudah-mudahan dengan kita taat kepada Allah ‎ﷻ dan rasul itu, kita akan mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Rahmat ini adalah penting kerana kita hanya dapat masuk syurga kerana rahmat Allah ‎ﷻ sahaja. Kita tidak akan dapat masuk syurga dengan cara lain; tidak dengan amal ibadat kita, dengan pujuk rayu dan sebagainya, tidak.

Hanya dengan rahmat Allah ‎ﷻ sahaja kita akan dapat masuk syurga, maka kita amat berkehendak kepada rahmat daripada Allah ‎ﷻ ini. Untuk mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ, hendaklah kita mulakan dengan taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul, kita tidak boleh tidak, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi yang sahih.


 

Ayat 133: Ayat tabshir ukhrawi.

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And hasten to forgiveness from your Lord and a garden [i.e., Paradise] as wide as the heavens and earth, prepared for the righteous

MALAY

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

 

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu

‘Keampunan’ itu maksudnya kita berdoa supaya biar tidak ada dosa langsung. Ini adalah kerana dosa boleh menyebabkan kemurkaan Allah ‎ﷻ. Dosa juga akan menyebabkan kita masuk ke dalam neraka dan kita tidak mahu langsung ke dalam neraka walau sekejap mana pun.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menyuruh kita bersegera untuk meminta ampun. Malangnya kita ini kalau hal dunia laju sahaja; hendak pergi kerja, hendakkan kesenangan, hendak jumpa kekasih, hendak mendapatkan subsidi dan sebagainya. Namun dalam bab meminta keampunan, selalunya kita lembab, bukan?

 

وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ

dan Syurga, yang bidangnya seluas segala langit dan bumi

Bukan hanya bersegera kepada keampunan daripada Allah ‎ﷻ, tetapi bersegeralah untuk mendapatkan syurga.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang syurga itu sebesar langit dan bumi. Ini adalah tashbih (perbandingan) sahaja. Allah ‎ﷻ membandingkan keluasan syurga itu supaya kita bolehlah untuk agak-agak. Sebab bagi orang Arab, tidak ada yang lebih besar daripada langit dan bumi. Itu sahaja yang mereka nampak. Allah ‎ﷻ hendak memberikan kefahaman kepada mereka.

Namun begitu, tidaklah semestinya syurga itu benar-benar sebesar langit dan bumi. Mungkin lebih besar lagi.

 

أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Kalau neraka itu disediakan untuk orang kafir, syurga itu pula disediakan untuk orang yang bertaqwa. Memang setiap kita sudah ada tempat di dalam syurga (tetapi tinggal masuk atau tidak, sahaja).

Taqwa itu maksudnya bebas daripada syirik. Juga sedar tentang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan setiap perbuatan kita dan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 April 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 117 – 122 (Kisah Perang Uhud)

Ali Imran Ayat 117: Mereka sesat dengan mengorbankan harta mereka untuk menentang Islam. Infaq mereka itu akan memberi musibah kepada mereka.

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example of what they spend in this worldly life is like that of a wind containing frost which strikes the harvest of a people who have wronged themselves [i.e., sinned] and destroys it. And Allāh has not wronged them, but they wrong themselves.

MALAY

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

 

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini 

Dalam kitab tafsir disebut infaq dalam ayat ini adalah apabila orang bawahan bayar kepada orang atasan iaitu anak murid bayar kepada guru ulama’ su’ mereka. Sebagai contoh, kalau dalam kumpulan tarekat, anak-anak murid akan beri banyak duit kepada guru mereka kerana mengharapkan guru mereka itu akan menyelamatkan mereka.

Memang begitulah keadaan kalau ajaran sesat. Kita boleh lihat ada guru-guru tarekat kaya raya tapi anak murid miskin sahaja. Ini kerana proses pengambilan duit dari anak murid. Anak murid punyalah berkhidmat dengan tok guru mereka tapi amalan yang diajar adalah ajaran sesat.

Kalau dalam ajaran Syiah pula, pengikut kena bayar 1/5 dari pendapatan mereka kepada ketua agama mereka. Ini dipanggil ‘khumus’. Khumus memang ada dalam Islam tapi tidaklah seperti yang mereka pesongkan. Begitulah kalau anak murid yang jahil, mereka terus terima sahaja ajaran tok guru yang sesat. Mereka sendiri yang akan rugi.

Atau ia juga boleh dikatakan tentang Musyrikin Mekah yang mengumpul duit untuk menyerang kembali umat Islam selepas mereka kalah di Badr. Mereka ramai-ramai mengumpul duit keuntungan mereka tahun itu untuk membiayai peperangan menentang umat Islam di Madinah. Mereka infaq tetapi infaq itu akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka.

Jadi, ini mengajar kita bahawa infaq yang diterima hanyalah infaq dalam perkara yang baik. Kita pun selalu keluarkan duit juga, tetapi persoalannya, ke manakah kita infaq duit kita itu? Adakah ke tempat hiburan? Buat majlis bid’ah? Itu semua tidak akan memberi pulangan baik kepada diri kita.

 

كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ

samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; 

Seperti angin yang sangat kuat, di dalamnya ada udara yang sangat sejuk. Angin dan udara itu sampai membinasakan tanaman. Apabila air di dalam sel tumbuhan membeku, ia akan mengembang. Pengembangan ini memecahkan dinding sel, seterusnya membunuh sel tanaman itu. Itulah sebabnya tumbuhan mati dalam suhu rendah. Kerosakan tisu yang terhasil daripada proses ini dikenali sebagai “kerosakan frost”. Petani di kawasan di mana kerosakan fros diketahui menjejaskan tanaman mereka selalunya akan melabur menggunakan modal yang besar untuk melindungi tanaman mereka daripada kerosakan tersebut.

Ini diketahui baru-baru ini melalui ilmu botani moden, namun ia telah digambarkan dalam Al-Qur’an 1,400 tahun sebelum ia ditemui. Ini membuktikan yang Al-Qur’an adalah kalamullah dan mukjizat. Ia tidak mungkin diketahui oleh Nabi Muhammad (atau sesiapa sahaja pada zaman itu) yang pastinya tidak ada maklumat ini.

Lafaz حَرْثَ bermaksud tanaman yang sudah sedia untuk dituai. Kalau tanaman yang sudah boleh dituai, tentunya amat bernilai sekali, dan tuan punya tanaman itu mengharapkan kepada tuaian itu. Namun ia dibinasakan. Maka amatlah malang sekali. Bayangkan perasaan tuan tanaman itu apabila melihat tanaman yang dijaganya setelah sekian lama, dibaja, dipelihara, tetapi musnah begitu sahaja.

Sudah tentu dia sedih. Dia akan lebih menyesal lagi apabila melihat bagaimana infaqnya yang diberi kepada tempat yang tidak patut, akan menjadi sia-sia sahaja. Begitulah nanti perasaan orang-orang sesat apabila melihat ‘hasil’ dari infaq mereka yang salah itu.

 

 

وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.

Bukanlah Allah ‎ﷻ zalim tetapi mereka dikenakan dengan balasan itu kerana mereka mengabaikan arahan Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat yang Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim. Segala perbuatan Allah ‎ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim.


 

Ali Imran Ayat 118: Untuk mengelakkan Yahudi Nasara membinasakan umat Islam, kita mesti bersatu dalam dakwah kepada makruf dan nahi mungkar. Barulah kita dapat menjaga agama kita. Ini satu lagi nasihat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita supaya kita jaga betul-betul.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيٰتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not take as intimates those other than yourselves [i.e., believers], for they will not spare you [any] ruin. They wish you would have hardship. Hatred has already appeared from their mouths, and what their breasts conceal is greater. We have certainly made clear to you the signs, if you will use reason.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam”

Jangan ambil bukan orang Islam sebagai teman rapat kita. Maksudnya, jangan jadikan mereka teman rapat, penasihat, setiausaha kita dan sebagainya. Maksudnya, jangan jadikan mereka sebagai orang yang dipercayai.

Ini kerana kalimah بِطَانَةً ada kena mengena dengan ‘perut’ kerana بَطنٌ adalah perut. Ia adalah istilah dalam bahasa Arab mengenai kawan yang boleh simpan rahsia kita dalam perut. Itulah tempat kita mengadu dan kita ceritakan kepada mereka rahsia yang kita tidak cerita kepada orang biasa. Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam supaya jangan beritahu rahsia tentang Islam kepada orang bukan Islam.

Kita kena faham bahawa Arab Madinah mempunyai ramai kawan-kawan dalam kalangan Yahudi dan Nasara yang mereka telah kenal lama, sebelum masuk Islam lagi. Mereka berkongsi kehidupan, berkongsi cerita dan berkongsi rahsia sebelum itu. Namun apabila mereka sudah masuk Islam, persahabatan dengan mereka tidak sama lagi kerana sudah berlainan agama.

Jangan salah anggap pula. Masih boleh lagi berkawan dengan mereka, tetapi berkawan biasa sahajalah. Jangan sampai menceritakan berita-berita rahsia dalam perancangan Islam. Lebih-lebih lagi waktu-waktu peperangan kerana rahsia peperangan adalah rahsia yang amat besar. Kita tidak tahu kalau kita beritahu kepada orang luar Islam, kepada siapakah lagi yang mereka akan beritahu. Entah-entah mereka akan sampaikan kepada musuh kita pula. Maka, Allah ‎ﷻ beri peringatan kepada orang Islam dalam ayat ini.

Kita mungkin sangka mereka itu masih rapat dan baik lagi dengan kita, tetapi perbezaan agama bukanlah perkara mudah. Sebagai satu kisah, ada yang masih ingat lagi bagaimana kehidupan di Palestin sebelum Israel mengambil alih. Orang Islam, orang Kristian dan Yahudi hidup bersama-sama dan bercampur gaul.

Dulunya mereka duduk berjiran dan boleh bergelak ketawa, anak-anak mereka main bersama-sama, membesar bersama-sama. Namun, sebaik sahaja Israel mengambil alih Palestin, mereka tiba-tiba sudah menjadi lain. Mereka tutup pintu rumah mereka, tidak bertegur sapa malah mengambil alih tanah kawan-kawan mereka yang Muslim.

 

لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا

Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu.

Orang kafir yang jahat hati itu tidak putus-putus hendak menimbulkan kesusahan kepada kamu umat Islam. Mereka sentiasa berusaha untuk menjatuhkan Islam dari luar atau dari dalam. Mereka akan buat pelbagai cara untuk menyusahkan umat Islam. Kita mungkin tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka, tetapi sekarang Allah ‎ﷻ beritahu kita.

 

وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ

Mereka suka apa yang menyusahkan kamu. 

Mereka suka kalau kita ditimpa bencana. Sebab mereka memang benci kepada kita. Dalam hati mereka berkeinginan hendak menyusahkan kita, baik dunia atau akhirat. Jadi jangan ambil mereka rapat dengan kita.

Sebagai contoh, orang-orang Syiah memang diajar untuk berbuat khianat kepada ahlus sunnah. Pernah sampai cerita kepada kita bagaimana mereka jamu makan di rumah mereka, tapi mereka letak najis dalam makanan.

Maka kena berhati-hati dengan orang kafir. Bukan tidak berkawan langsung, tetapi jangan kongsi rahsia dengan mereka kerana kita diajar untuk berbaik dengan semua orang, jangan caci maki orang lain walaupun berlainan agama. Kita diajar untuk hidup harmoni dengan semua agama. Namun kita kena tahu batas-batas kita.

 

قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوٰهِهِمْ

Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya,

Dengan lidah mereka telah menzahirkan kebencian mereka. Lihatlah di media massa sekarang, bagaimana mereka kata kita adalah agama yang menyebabkan teroris, agama yang menekan orang perempuan, ada yang suruh bakar Al-Qur’an, mereka ada yang tidak suka orang Islam tinggal di negara mereka sampaikan mereka ingin menghalau orang Islam, ada yang mengharamkan pakai tudung kepada orang perempuan, dan banyak lagi. Ini baru yang kita dengar di media massa.

Kalau kita tidak mengamalkan Islam, mereka tidak kisah kepada kita, tidak kacau kita, malah mereka suka kalau ada orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam. Namun kalau kita mengamalkan agama Islam seperti yang sepatutnya, mereka akan benci kita. Dalam percakapan mereka pun mereka sudah zahirkan. Daripada kata mereka pun kita sudah dapat agak.

 

وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ

dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.

Apa yang dalam hati mereka lagi teruk dari apa yang mereka luahkan di dunia nyata. Selalunya orang tidak akan keluarkan apa yang dalam hati mereka di khalayak ramai. Namun bayangkan kalau sudah terkeluar di media massa, tentu dalam hati mereka lebih teruk lagi kerana apa yang mereka keluarkan di media tentulah mereka tidak meluahkan sepenuhnya, mereka tidak keluarkan semua kerana mereka segan juga dengan masyarakat dunia.

Kita memang tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia. Namun begitu, Allah ‎ﷻ beritahu kita, dalam hati mereka lebih teruk lagi benci mereka kepada kita. Kalau boleh mereka hendak bunuh kita dan lenyapkan kita dan agama Islam dari dunia.

 

قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيٰتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Alamat kebencian mereka kepada kita, Allah ‎ﷻ sudah tunjukkan dalam ayat-ayat ini. Maka kitalah kena fikir-fikirkan sendiri. Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan akal kita.


 

Ali Imran Ayat 119:

هَـٰٓأَنتُم أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتٰبِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا ءآمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Here you are loving them but they are not loving you, while you believe in the Scripture – all of it.¹ And when they meet you, they say, “We believe.” But when they are alone, they bite their fingertips at you in rage. Say, “Die in your rage. Indeed, Allāh is Knowing of that within the breasts.”

  • That of it revealed by Allāh, not what was subsequently altered by men.

MALAY

Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Qur’an). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

 

هَـٰٓأَنتُم أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ

Kamu ini adalah orang-orang, kamu sahajalah yang suka mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu.

Allah ‎ﷻ menegur kita dalam ayat ini. Kamu sahaja yang kasih kepada mereka (penentang Islam) tetapi mereka tidak kasih pun kepada kamu. Kamu sahaja yang tergila-gilakan kepada mereka, tiru cara hidup mereka, cara pakaian mereka, cara pemikiran mereka dan sebagainya. Namun mereka bencikan kamu.

 

وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتٰبِ كُلِّهِ

kamu beriman kepada segala Kitab Allah

Kamu beriman kepada semua kitab suci, asalkan daripada Allah ‎ﷻ kamu pasti terima, tetapi mereka menggunakan kitab mereka sahaja dan yang lain mereka tolak. Yahudi terima Taurat dan tolak Injil dan Nasara terima Taurat dan Injil, tetapi tolak Al-Qur’an.

Antara lain, sebab kita beriman kepada semua kitablah yang mereka benci kita. Mereka tidak beriman dengan ikhlas. Mereka beriman dengan perkara yang akan memenangkan mereka sahaja.

 

وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا ءآمَنَّا

Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, 

Cuma mereka itu pandai berkawan dan berhelah. Bila dengan kita, mereka kata mereka suka agama Islam, agama Islam ada persamaan dengan mereka, agama Islam dan agama mereka lebih kurang sahaja, sama-sama mengajak kepada kebaikan, dan banyak lagi mereka kata supaya kita lembut kepada mereka. Mulut mereka manis sahaja kalau di hadapan kita.

 

وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ

tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah

Namun kalau sesama mereka, mereka akan kutuk kita. Entah apalah mereka akan katakan dan gelakkan tentang kita, kita pun tidak tahu. Kadang-kadang kita terdengar juga sebab mereka sangka kita tidak dengar apa yang mereka kata. Mereka tengok kita dengan geram sahaja. ‘Gigit hujung jari’ itu adalah perumpamaan marah sangat dengan kita.

 

قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ

katakanlah: “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. 

Kita disuruh cakap kepada mereka begini: Kamu semua pergi matilah dengan kebencian kamu itu.

Keras sekali apa yang Allah ‎ﷻ katakan ini.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka, dan sekarang Allah ‎ﷻ telah beritahu kita. Begitu juga, Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati kita. Jadi kalau kita ada simpan kasih sayang lagi kepada mereka, itu sudah salah.


 

Ali Imran Ayat 120: Kalau tidak jelas kebencian mereka kepada kita orang Islam, maka Allah ‎ﷻ berikan lagi alamat tanda kebencian mereka.

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If good touches you, it distresses them; but if harm strikes you, they rejoice at it. And if you are patient and fear Allāh, their plot will not harm you at all. Indeed, Allāh is encompassing of what they do.

MALAY

Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

 

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ

Kalau kamu beroleh kebaikan, ia akan menyakitkan hati mereka; 

Jika umat Islam dapat kebaikan, mereka akan sakit hati. Kebaikan itu boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Antaranya kalau umat Islam menang dalam peperangan, atau bersatu hati dan bekerjasama sesama sendiri. Mereka berbulu sahaja mata bila nampak kita maju atau semakin ramai dan kuat.

 

وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا

dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.

Kalau umat dapat musibah, mereka akan bergembira. Ini adalah kerana kebencian mereka yang amat sangat terhadap kita. Katakanlah kita dapat bencana alam contohnya, mereka akan suka, mereka akan kata padan muka orang Islam itu.

Kalau orang Islam ramai mati mereka tidak kisah pun. Tengoklah bagaimana kalau penduduk Islam mati di Palestin dan sudah entah berapa ramai yang telah mati, mereka buat tidak kisah sahaja. Namun kalaulah ada seorang sahaja mati dalam kalangan orang Israel itu dibaling batu sahaja pun, mereka akan bising satu dunia.

Jadi apa yang kita perlu lakukan?

 

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا

Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun.

Kalau kita sudah tidak baik dengan mereka, mereka tentu tidak suka dan mungkin akan melakukan sesuatu seperti boikot kita dan sebagainya. Kalau jadi begitu, Allah ‎ﷻ suruh kita bersabar.

Maksud sabar adalah dengan ikut syari’at Allah ‎ﷻ. Biar sahaja dengan apa yang mereka lakukan. Serahkan segalanya kepada Allah ‎ﷻ kerana apa sahaja yang berlaku, bukan atas tangan mereka tetapi Allah ‎ﷻ yang menentukan apa yang akan terjadi. Kita tidak akan rugi kerana kita tetap terus ikut syari’at. Maka kena ingat yang sabar itu dengan ikut syari’at. Bukanlah sabar kosong sahaja.

Daripada ayat ini, kita kena yakin yang apa-apa sahaja tindakan mereka tidak akan membahayakan kita. Jadi tidak perlu bimbang. Ini mengajar kita bagaimana tindakan kita apabila baca pelbagai kisah konspirasi daripada musuh Islam. Kita hendak buat apa pun tidak tahu kerana mereka bergerak secara rahsia. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

 

إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ tahu apa mereka yang buat, bukannya Allah‎ ﷻ tidak tahu. Kita sendiri jangan risau. Allah ‎ﷻ akan uruskan, bukan Allah ‎ﷻ tidak boleh buat apa, bukannya Allah ‎ﷻ sengaja hendak biarkan kita dalam kesusahan. Apa yang mereka lakukan itu adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ, dan sekarang cuma beritahu sahaja yang Dia mengepung mereka.

Maknanya kita sudah boleh tenang-tenang sahaja kerana mereka dan usaha mereka tidak akan ke mana. Ke mana lagi mereka hendak pergi? Apa lagi yang mereka boleh buat kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan usaha mereka berjaya?

Sekian Ruku’ 12 dari 20 ruku’ surah ini


 

KISAH PERANG UHUD

Ali Imran Ayat 121: Ayat ini adalah jawapan kepada syubhat (persoalan) kenapa kadang-kadang umat Islam kalah perang. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa kekalahan itu adalah kerana kecuaian umat Islam sendiri. Bukanlah kekalahan itu kerana Allah ‎ﷻ tidak mahu bantu. Allah ‎ﷻ tentu akan bantu umat Islam tetapi umat Islam sendiri kenalah memenuhi syarat-syarat untuk mendapat bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Jadi, ini mengajar kita bahawa bila perang, kena ikut syarat.

Salah satu yang kena diikuti adalah: taat kepada Nabi dan pemimpin. Dalam perang Uhud, Nabi ﷺ sudah susun kedudukan tentera dengan cara spesifik. Ada yang ditugaskan menjaga kedudukan yang strategik; antaranya Nabi ﷺ meletakkan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat mengawal medan peperangan.

Namun begitu, ada yang tidak taat dan tidak tetap di kedudukan yang telah diletakkan oleh Nabi ﷺ itu. Nabi Muhammad ﷺ sudah pesan kepada pasukan pemanah yang di atas bukit, jangan tinggalkan tempat itu walau apa pun yang terjadi. Dalam riwayat disebut ‘walaupun burung mematuk mayat orang Islam’. Namun apabila pihak musuh lari bertempiaran, mereka telah turun untuk menolong kumpul harta yang ditinggalkan pihak musuh.

Itulah kesilapan fatal mereka. Padahal bukan boleh ambil terus pun harta itu kerana hanya Nabi ﷺ sahaja boleh bahagikan. Mereka langgar pesanan Nabi ﷺ kerana mereka sangka mereka sudah menang. Antara hujah mereka, Nabi ﷺ melarang turun kalau mereka kalah, tetapi sekarang mereka sedang menang, jadi tidaklah salah kalau mereka turun.

Ini sudah jadi satu salah faham yang besar. Di mana salah mereka? Mereka menggunakan akal mereka dan melanggar arahan Nabi ﷺ. Dari segi teknikal, bolehlah dikatakan yang mereka tidak salah namun sebenarnya mereka salah fikir juga. Inilah bahaya kalau guna akal dan menolak wahyu. Ini seperti puak Muktazilah juga yang menggunakan akal dalam hal agama.

Jadi ada yang melanggar arahan Nabi ﷺ pada waktu itu. Memang mereka melakukan kesalahan. Namun Allah‎ ﷻ sudah maafkan mereka seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ takdirkan mereka melakukan kesalahan supaya menjadi contoh kepada kita. Namun begitu, sekali lagi kena ingat yang Allah ‎ﷻ sudah maafkan mereka.

Maka janganlah kita ikut seperti golongan yang benci kepada para sahabat sampai mencaci mereka disebabkan perkara ini. Siapa kita hendak menghina sahabat Nabi ﷺ? Kena sedar kedudukan kita kalau dibandingkan dengan mereka. Jangan lebih sudu daripada kuah pula.

Jadi sekarang kita akan masuk kepada kisah Perang Uhud yang terjadi pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah. Tahun sebelumnya puak Musyrikin Mekah telah kalah dalam Perang Badr. Jadi kali ini mereka datang dengan lebih ramai bala tentera lagi dengan tujuan untuk balas dendam. Mereka sudah sangka mereka akan menang kali ini kerana persediaan mereka lebih hebat lagi.

Semasa Badr, mereka terdiri daripada seribu orang dan kali ini yang datang adalah seramai tiga ribu orang. Tahun lepas, ketua perang mereka adalah Abu Jahal dan dia telah mati. Tahun ini, pasukan tentera diketuai oleh antaranya Abu Sufyan dan Khalid al Walid. (Mereka berdua akhirnya masuk Islam).

وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقٰعِدَ لِلْقِتَالِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when you, [O Muḥammad], left your family in the morning to post the believers at their stations for the battle [of Uḥud] – and Allāh is Hearing and Knowing –

MALAY

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu

Ketika baginda keluar dari rumah isteri baginda Aisyah رضي الله عنها pada pagi hari.

 

تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقٰعِدَ لِلْقِتَالِ

dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang

Tujuannya adalah untuk mengatur tentera Islam bagi meletakkan mereka di tempat yang strategik untuk berperang dengan musuh. Nabi ﷺ susun mereka satu persatu. Arahan yang diberikan kepada mereka adalah mereka kena tetap duduk di situ.

Daripada sejarah, kita dapat tahu bahawa peletakan kedudukan itu amat penting. Yang paling terkenal adalah kedudukan pemanah. Nabi ﷺ telah meletakkan kedudukan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat memanah musuh dari kedudukan tinggi itu. Nabi ﷺ sudah pesan, walaupun nampak burung mematuk mayat tentera Islam sekalipun, mereka tidak dibenarkan meninggalkan tempat itu. Maknanya, walaupun umat Islam kalah, mereka tidak boleh tinggalkan tempat itu sebelum mendapat arahan daripada Nabi ﷺ.

Pertempuran awalnya telah menyebelahi tentera Islam. Walaupun mereka sedikit, tetapi mereka sedang memenangi pertempuran itu. Mereka telah membunuh seorang demi seorang tentera musuh dengan mudah. Sampaikan tentera bertempiaran lari dan mula meninggalkan medan peperangan.

Waktu itulah sebahagian daripada pasukan pemanah telah membuat kesalahan besar meninggalkan kedudukan strategik mereka untuk membantu mengumpulkan harta rampasan perang. Alasan mereka adalah kerana tentera Islam telah menang. Mereka telah lupa pesanan Nabi ﷺ. Mereka juga telah ingkar kepada arahan ketua mereka yang berada di atas bukit sekali. Sampaikan hanya beliau seorang sahaja yang tinggal kerana orang bawahannya telah turun mengumpul harta di medan perang.

Malangnya semasa musuh Islam melarikan diri, panglima perang musuh, Khalid al Walid nampak daripada ekor matanya yang pasukan pemanah telah meninggalkan tempat mereka. Beliau telah nampak peluang keemasan untuk menukar nasib mereka. Maka beliau telah mengumpulkan semula tentera Musyrikin Mekah dan telah pusing kembali dan menyerang dari arah belakang dan mengambil tempat pasukan pemanah.

Keadaan telah beralih. Sekarang tentera Islam pula yang digasak oleh pihak Musyrikin Mekah. Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tercedera dan patah gigi baginda (walaupun perkara ini ada dikritik juga kerana dalam Hadith Syamail Nabi ﷺ, tidak disebut gigi Nabi ﷺ rongak). Sehinggakan keluar khabar angin yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Ia memberi kesan negatif kepada tentera Islam sampaikan Umar رضي الله عنه sendiri telah patah semangat untuk terus berjuang.

 

وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ mendengar apa yang mereka sedang katakan. Allah ‎ﷻ tahu apa yang terjadi. Semua yang terjadi adalah dalam pengetahuan dan perancangan Allah‎ ﷻ. Tidak ada yang terlepas daripada pengetahuan Allah ‎ﷻ.


 

Ali Imran Ayat 122:

إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُما ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When two parties among you were about to lose courage, but Allāh was their ally; and upon Allāh the believers should rely.

MALAY

(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

 

إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا

(Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat 

Terdapat dua suku daripada tentera Islam yang terasa (هَمَّت) ingin mundur dan tidak mahu meneruskan peperangan kerana takut. Satu daripada Bani Harithah daripada Aus dan satu lagi Bani Salamah daripada Khazraj. Mereka mulanya hendak melarikan diri apabila mula perang. Mereka hilang semangat untuk berperang. Namun mereka selepas itu masuk balik dalam barisan peperangan.

 

وَاللَّهُ وَلِيُّهُما

padahal Allah Pelindung mereka;

Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang akan memberi perlindungan kepada mereka tetapi mereka tidak mahu ikut serta pada asalnya. Mesti yakin dahulu dalam hati yang Allah ‎ﷻ akan beri perlindungan. Mesti rela serahkan diri kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

Orang beriman akan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan taat untuk menunaikan arahan berperang kerana mereka tahu yang mereka akan tetap mendapat kebaikan. Kalau menang perang itu, mereka akan mendapat harta rampasan dan kalau kalah dan terbunuh, akan dapat mati syahid. Maknanya, apa sahaja yang terjadi, mereka tidak akan rugi.

Inilah pengajaran yang ada dalam jihad perang. Memang orang yang sudah di medan jihad telah melalui banyak dugaan. Untuk hadir ke medan perang itu pun sudah berperang dengan jiwa dan menolak kehendak nafsu yang banyak. Mereka yang berjaya datang itu sebenarnya sudah serahkan segalanya kepada Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Ogos 2023

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 110 – 116 (Kepentingan Amar Makruf Nahi Munkar)

Ayat 110: Umat Islam kena jadi umat seperti sahabat Nabi. Dan sekarang disampaikan kepada kita ayat ini yang menceritakan keadaan para sahabat sebagai motivasi kepada kita.

Ayat ini adalah tentang amar makruf nahi mungkar. Kita boleh masuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini kalau kita buat sama seperti apa yang mereka lakukan.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ ءآمَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You are the best nation produced [as an example] for mankind. You enjoin what is right and forbid what is wrong and believe in Allāh. If only the People of the Scripture had believed, it would have been better for them. Among them are believers, but most of them are defiantly disobedient.

MALAY

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

 

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,

Ayat ini ditujukan kepada para sahabat. Kita belum tentu lagi seperti mereka. Sahabat adalah sebaik-baik umat yang boleh dijadikan sebagai contoh. Mereka terbaik dari segi akidah dan amalan. Oleh itu, neraca kita adalah sahabat.

Oleh sebab itu, dalam amalan agama, kita kena selalu tanya, adakah sahabat buat amalan-amalan sebegitu? Kerana mereka belajar sendiri dari Nabi dan mereka lebih faham agama dari kita. Oleh itu, ada amalan-amalan yang kita kena periksa periksa. Adakah amalan itu ada dibuat oleh mereka?

Sebagai contoh, adakah mereka melakukan Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Majlis Tahlil, Talqin, berdoa di kubur dan sebagainya? Kalau tidak ada, maka ada masalah kalau masyarakat kita ada mengamalkan amalan-amalan sebegitu. Kerana orang yang terbaik dalam agama tidak buat, jadi kenapa kita pula ada buat?

Para sahabat telah diberi kedudukan yang tinggi kerana Allah pilih mereka untuk jadi sahabat. Perkataan ‘dikeluarkan’ dalam ayat ini maksudnya ‘dipilih’. Dalam banyak-banyak manusia dalam alam ini, mereka yang diberi peluang untuk duduk berjuang dan berdakwah bersama dengan Nabi.

Lalu, kalau kedudukan mereka tinggi sebegitu sampai dipuji oleh Allah, bagaimana mungkin ada golongan seperti Syiah yang sanggup untuk mengatakan mereka murtad setelah Nabi wafat? Ini memang amat karut sekali? Tapi bagaimana puak-puak Syiah ini boleh dapat tempat di negara kita yang kita cintai ini?

Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kelemahan ilmu agama masyarakat kita. Mereka sampai senang ditipu dan diperdaya oleh diayah-diayah golongan sesat sebegitu. Mereka pandai memutar-belitkan fakta agama dan kerana orang kita sendiri tidak ada pengetahuan agama, mereka sedang terpedaya. Oleh itu, tingkatkanlah ilmu agama tuan-tuan. Dan ajarlah anak beranak dan sahabat handai supaya tidak senang ditipu.

 

تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah

Para sahabat itu sebar agama. Mereka sampai telah mengembara ke serata dunia untuk menyampaikan agama Islam ini kepada umat manusia. Sampaikan ramai sahabat yang mati di negara yang jauh dari Mekah dan Madinah.

Bukan sahaja mereka berdakwah tapi mereka menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Kita pun kenalah juga buat apa yang mereka lakukan juga. Kena jalankan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kita. Kena tegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana memang banyak yang ada masalah.

Kita tidak boleh biarkan sahaja kerana kalau kita biarkan, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu tidaklah salah. Malangnya, ustaz-ustaz di negara kita memang segan nak tegur anak murid kerana takut mereka lari dari belajar. Mereka jaga sangat hati anak-anak murid.

Memang mereka nak jaga sensitiviti masyarakat, tapi kesannya amat bahaya. Bila tidak dijalankan amar makruf nahi mungkar, maka anak murid akan rasa: “takkan salah, kerana kalau salah tentu ustaz aku dah tegur!”

 

وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

serta kamu pula beriman kepada Allah

Para sahabat itu benar-benar beriman dengan Allah dengan sebenar-benar iman. Iman yang sempurna adalah tidak melakukan syirik atau mempunyai fahaman yang syirik. Ini penting untuk difahami kerana ada orang yang beriman dengan Allah, dengan Rasul dan lengkap Rukun Iman mereka, tapi dalam masa yang sama, mereka ada kepercayaan kepada fahaman syirik.

Maka kena belajar apakah iman para sahabat, bagaimana mereka faham tentang tauhid, tentang akidah. Janganlah pakai pegangan yang direka lama selepas mereka tidak ada!

 

وَلَوْ ءآمَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم

Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah itu baik bagi mereka.

Ini kelebihan bagi Ahli Kitab. Kalau mereka beriman, mereka akan dapat dua ganjaran. Ganjaran pertama kerana mereka percaya kepada Kitab Suci mereka. Dan kedua, ganjaran kerana beriman dengan Nabi Muhammad.

Ini adalah kelebihan mereka, yang tidak ada pada Bangsa Arab kerana mereka tidak ada kepercayaan kepada Kitab Suci sebelum itu. Kita pun tidak ada kelebihan itu kerana kita lahir-lahir sudah beragama Islam. Maka ayat ini adalah ayat motivasi hendak memujuk mereka ke arah Islam.

 

مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ

di antara mereka ada yang beriman

Ada yang baik dari kalangan mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad. Maka jangan kita terus pukul rata semua Ahli Kitab itu buruk-buruk belaka. Ada juga yang beriman. Antara yang terkenal adalah seorang sahabat yang bernama Ibnu Salam.

 

وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ

dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Tetapi majoriti dari mereka adalah yang fasik. Fasik itu bermaksud tidak taat kepada arahan Allah.

Amar makruf nahi munkar ini kena mulakan dengan diri sendiri, kemudian kepada keluarga kita sendiri. Sebelum kita nasihat kepada orang lain, kena mula dengan diri kita sendiri dulu. Dan kemudian mulakan dengan menasihati ahli keluarga dan sahabat handai (kadang kala inilah yang paling sukar).

Dan kena ingat yang kita nasihat orang lain adalah kerana kita sayang kepada mereka, bukannya kerana kita lebih baik dari mereka. Jangan ada perasaan tak elok macam itu. Jangan simpan perasaan kita lebih baik dari orang lain.

Begitu juga kalau kita sudah terima sunnah – alhamdulillah. Tapi jangan kutuk orang lain yang belum terima. Kerana kita dulu pun macam mereka juga, buat syirik, buat bidaah. Cuma kita dapat hidayah dahulu dari mereka. Entah-entah mereka kalau terima hidayah, mereka jadi lebih baik dari kita, lebih pandai dari kita, lebih warak dari kita.


 

Ayat 111:

لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِن يُقٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will not harm you except for [some] annoyance. And if they fight you, they will show you their backs [i.e., retreat]; then they will not be aided.

MALAY

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan dibantu.

 

لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti

Apabila mereka majoritinya fasik, mereka ada kemungkinan akan buat perkara yang jahat. Kerana yang pasti akan buat perkara yang baik adalah orang beriman sahaja kerana  mereka dipandu oleh iman mereka. Kalau fasik, mereka dipandu oleh hati mereka.

Walaupun mereka akan buat jahat kepada kita, Allah nak beritahu kita dalam ayat ini, jangan takut dan risau. Kerana mereka tidak akan dapat beri mudharat kepada kita melainkan dari segi kata-kata sahaja. Seperti menyakitkan hati kita, buat propaganda buruk dan sebagainya. Jangan risau kerana Allah janji akan jaga.

Tapi janji itu syaratnya adalah sekiranya ikut cara sahabat. Kalau kita pun porak peranda, agama entah ke mana, wahyu pun tidak kenal, memang tidaklah akan dapat bantuan dari Allah. Kerana ayat sebelum ini telah disebut kita kena ikut jalan mereka.

 

وَإِن يُقٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ

Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu

Mereka tidak akan sanggup memerangi orang mukmin. Kalau mereka ada niat nak perang pun, mereka sudah akan ada rasa takut dan akan lari. Tapi sekali lagi, kenalah kita sendiri betul dahulu.

 

ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

sesudah itu mereka tidak akan dibantu

Mereka tidak dibantu kerana Allah murka dengan mereka. Allah akan hancurkan mereka kalau mereka berani hendak menentang umat Islam (yang kuat imannya).

Ayat ini diturunkan sebelum orang Islam berperang dengan ahli kitab. Allah sudah beritahu siap-siap apa yang akan terjadi. Jadi ayat-ayat sebegini adalah bekal kekuatan bagi para mujahideen.


 

Ayat 112: Ini adalah jenis ayat ta’liliyah (penjelasan sebab sesuatu itu terjadi). Allah memberitahu kenapa Puak Ahli Kitab itu ditimpa kehinaan.

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have been put under humiliation [by Allāh] wherever they are overtaken, except for a rope [i.e., covenant] from Allāh and a rope [i.e., treaty] from the people [i.e., the Muslims].¹ And they have drawn upon themselves anger from Allāh and have been put under destitution. That is because they disbelieved in [i.e., rejected] the verses of Allāh and killed the prophets without right. That is because they disobeyed and [habitually] transgressed.

  • Once they have surrendered, the People of the Scripture retain their rights and honor (in spite of their refusal of Islām) through payment of the jizyah tax in place of zakāh and military service due from Muslims. They are then under the protection of the Islāmic state.

MALAY

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampau (hukum-hukum Allah).

 

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا

Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada,

Mereka tidak dihormati walau kaya macam mana pun. Mereka dihina walau di mana sahaja mereka berada. Kalau orang nampak macam hormat kepada mereka pun, kerana mereka ada kuasa kekayaan dan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

 

إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ

kecuali dengan adanya sebab tali Allah

Mereka selamat kerana syariat Allah yang tahan mereka dari dibunuh atau diperangi. Macam kalau perang dengan mereka, tidak boleh bunuh ahli ibadat mereka. Atau Allah ada tolong mereka sedikit sebanyak.

 

وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ

dan adanya sebab tali dengan manusia. 

Atau kerana mereka ada perjanjian perdamaian sesama manusia. Ada juga yang bantu mereka. Mereka dibantu, tapi sebenarnya mereka bukan dihormati.

 

وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ

Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, 

Mereka ini memang layak mendapat kemurkaan dari Allah. Banyak sekali kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan dan ini banyak disebut dalam Surah Baqarah sebelum ini. Mereka akan mati dalam kemurkaan dari Allah kalau mereka tidak terus beriman dengan segera.

 

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ

dan mereka ditimpakan kemiskinan

Lafaz الْمَسْكَنَةُ yang dimaksudkan dalam ayat ini, bukanlah kemiskinan dari segi harta, tapi mereka ditimpa hilang semangat untuk agama. Tidak ada Yahudi dijadikan contoh dalam hal agama.

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah

Kenapa mereka dikenakan dengan balasan yang buruk-buruk itu? Inilah yang dimaksudkan dengan ayat ta’liliyah itu. Allah hendak memberitahu sebab. Kerana mereka sentiasa kufur dengan ayat-ayat Allah. Mereka bukan sahaja engkar dengan ayat dari Al-Qur’an, tapi dari Kitab Suci mereka pun mereka engkar juga.

 

وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ

dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar.

Dan kerana mereka bunuh Nabi. Ramai dari kalangan Nabi mereka yang mereka bunuh. Teruk sekali perbuatan mereka itu. Kalau bunuh orang biasa pun sudah teruk, tambahan pula kalau bunuh Nabi.

Tentulah tidak ada sebab yang benar untuk bunuh mana-mana Nabi pun. Kalau ada orang yang buat kesalahan yang layak mereka dibunuh, barulah ada sebab yang benar untuk membunuh orang itu. Tapi takkan Nabi ada buat benda yang salah pula sampai boleh mereka dibunuh?

 

ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا

Semuanya itu disebabkan mereka derhaka

Ayat ta’liliyah lagi. Kenapa mereka sampai sanggup bunuh para Nabi? Sebab sebelum itu mereka sudah banyak langgar hukum dari Allah. Apabila sudah banyak kali langgar, tidak kena balasan terus dari Allah,  maka mereka jadi terbiasa buat dosa yang lebih teruk lagi.

 

وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ

dan mereka sentiasa melampau

Asal mereka jadi begitu adalah kerana mereka melampau, melanggar batasan dalam agama. Mereka bukannya tidak tahu mana batasan tapi mereka itu jenis yang amat degil.


 

Ayat 113:

لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are not [all] the same; among the People of the Scripture is a community¹ standing [in obedience], reciting the verses of Allāh during periods of the night and prostrating [in prayer].

  • Of people who accepted Islām.

MALAY

Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

 

لَيْسُوا سَوَاءً

Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama semuanya.

Tidak sama mereka semuanya. Oleh itu, jangan kita pukul rata mereka semuanya dengan kata mereka semua jahat belaka. Ada yang masuk Islam dan menjadi umat yang baik.

Ada yang memang menanti Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi kerana mereka tahu dari kitab-kitab mereka yang mengatakan Nabi akhir zaman akan datang ke Madinah. Antara mereka itu, macam Waraqah bin Naufal, Salman al Farisi, Abdullah bin Salam dan banyak lagi.

Zaman sekarang pun masih ada orang Yahudi yang masuk Islam dan selalunya, kalau mereka masuk Islam, mereka akan jadi umat Islam yang baik, kerana mereka memang jenis manusia yang bijak dan pandai. Malah mereka lebih baik lagi dari kita.

Begitulah, yang dikutuk dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah sifat-sifat Yahudi itu, bukan mereka sendiri. Kalau ada orang yang sifat macam sifat-sifat Yahudi itu, mereka pun dikutuk juga, bukanlah kerana bangsa mereka itu. Ini kena tahu bezakan. Jangan kita tengok Bani Israil sahaja, terus kita kutuk mereka. Kerana ada antara mereka yang memang baik. Dan ingatlah, ada isteri Nabi yang dari Bani Israil itu. Takkan kita nak kutuk ummul mukminin pula?

Dan jangan kutuk Bani Israil sedangkan entah kita ada sifat mereka pula. Sebab itu kena belajar sifat mereka dan bandingkan dengan kita. Allah ajar sifat mereka dalam Al-Qur’an supaya kita boleh elak dari sifat mereka.

 

مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ

Di antaranya ada golongan yang tetap tegak dalam taat

Ada antara mereka yang menegakkan kebenaran. Mereka masuk Islam dan menjadi insan yang baik.

 

يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ

mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam,

Lihatlah bagaimana mereka membaca ayat-ayat Allah di malam hari. Mereka itu kalau masuk Islam, memang menjadi insan yang taat. Mereka baca dan faham dan mereka amalkan. Tapi orang kita, baca Al-Qur’an tapi tak faham-faham. Bila orang luar kutuk Al-Qur’an, melenting habis satu kampung, tapi apa yang dalam Al-Qur’an pun mereka tidak tahu.

 

وَهُمْ يَسْجُدُونَ

dan mereka sujud

Maksudnya, mereka mendirikan Solat. Sebenarnya, dalam syariat mereka pun ada sujud juga kerana mereka juga asalnya mendirikan solat. Cuma zaman sekarang sahaja mereka sudah tidak solat kerana mereka telah tukar agama mereka.

Cuma cara solat mereka dahulu pun memang lain sedikit dari syariat Islam. Antaranya, dikatakan yang mereka akan sujud dulu, baru rukuk sedangkan dalam syariat kita, akan rukuk dulu. Atau pun, dalam syariat mereka, tidak ada rukuk pun.


 

Ayat 114: Apakah lagi sifat-sifat mereka?

يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُسٰرِعُونَ فِي الْخَيْرٰتِ وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصّٰلِحِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They believe in Allāh and the Last Day, and they enjoin what is right and forbid what is wrong and hasten to good deeds. And those are among the righteous.

MALAY

Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.

 

يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat,

Ada juga dalam kalangan mereka dahulu yang tidak berbuat syirik walaupun Nabi Muhammad ﷺ belum diangkat menjadi Nabi. Mereka terdiri daripada mereka yang meneruskan amalan agama mereka tanpa ditokok tambah. Contohnya, ada antara mereka yang tidak menyembah Isa عليه السلام sebagai ilah dan tidak menganggap Nabi Isa عليه السلام sebagai ‘Anak Tuhan’.

Apabila mereka memeluk Islam, mereka benar-benar beriman dengan Allah ‎ﷻ dan juga dengan Hari Akhirat – Ini adalah kerana maklumat tentang hari akhirat telah diberi kepada semua Nabi. Umat mereka sepatutnya tahu. Sampai sekarang pun, kita boleh lihat bagaimana dalam agama mereka masih tahu tentang perkara kehidupan selepas mati.

Maklumat yang ada pada mereka sekarang tidaklah banyak. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan di akhirat kelak sampaikan mereka mengagak-agak sahaja. Lihatlah bagaimana dalam filem-filem mereka tentang syurga dan neraka, pelbagai cara mereka persembahkan. Antaranya, mereka membayangkan bagaimana di syurga nanti, semuanya akan memakai baju putih, jalan-jalan dengan gembira dan sebagainya. Lain filem, lain cara mereka persembahkan.

Oleh kerana tidak ada maklumat, maka setiap orang daripada mereka akan membayangkan cara syurga dan neraka yang berlainan. Ini semua kerana maklumat tentang akhirat telah tidak ditekankan lagi dalam agama mereka.

 

وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah

Malah ada yang hebat di antara mereka yang menjalankan amar makruf nahi mungkar. Semenjak dahulu lagi sudah ada puak yang menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam kalangan mereka.

Ini memang satu kerja yang amat sukar sebenarnya. Kita kadangkala mudah untuk beramal dan menjadi orang baik, namun bab menegur orang memang susah. Tambahan pula manusia memang tidak suka ditegur. Habis melenting kalau perbuatan atau amalan mereka ditegur.

Kerana itulah ajaran Sunnah di negara kita ini amat dibenci sampai dituduh-tuduh ajaran Wahabi. Padahal kita hendak mengamalkan sunnah sahaja. Dalam sunnah memang ada perbuatan menegur kerana manusia kalau tidak ditegur, memang akan ke laut jadinya.

Oleh kerana manusia tidak suka ditegur, maka banyak dalam kalangan kita senyapkan sahaja amalan salah masyarakat. Ini kerana kalau kita tegur, nanti mereka bermasam muka dengan kita. Kita pun malas hendak melayan perangai sebegitu.

Masalah dengan para ustaz pun tidak berani hendak menegur kerana kalau ditegur, nanti anak murid tidak suka, sudah tidak panggil mereka untuk datang ke kelas pengajian, majlis makan-makan dan sebagainya. Buatlah apa sahaja, asalkan jangan ditegur. Pernah seorang ustaz yang agak popular dalam masyarakat kerana beliau datang dari negara luar namun fasih berbahasa Melayu. Pada mulanya ramai suka, tetapi sejak dia mula menegur amalan bid’ah masyarakat, teruk dia dikutuk. Sampai ada yang membuat laporan polis terhadap beliau.

Kerana itulah juga ajaran salah senang bercambah di negara ini. Ini kerana ajaran-ajaran sesat itu tidak menegur amalan masyarakat. Mereka hanya ‘tambah’ amalan baru sahaja. Ini tidak mengapa bagi masyarakat kerana kalau tambah, masih ok lagi. Jangan tegur sahaja.

Maka janganlah kita segan dan takut untuk menegur. Biarlah manusia tidak suka, asalkan Allah ‎ﷻ suka. Kita bukan hendak mencari redha manusia, tetapi mencari redha Allah ‎ﷻ. Dengan manusia, akan ada sahaja masalah yang akan membezakan kita. Kalau tidak kerana politik, kerana beza pasukan bola sahaja. Jadi biarlah kita berbeza dan menegur bab agama.

 

وَيُسٰرِعُونَ فِي الْخَيْرٰتِ

dan mereka pula bersegera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan.

Ini adalah tambahan yang ada pada golongan mereka: mereka bersegera kepada melakukan kebajikan. Mereka sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan. Ini mengajar kita juga supaya jangan menjadi malas. Kita hendaklah mencari peluang juga. Niatkan setiap hari selepas bangun tidur: “Apa kebaikan aku nak buat hari ini? Siapa yang aku nak tolong? Siapa yang aku nak ajar? Apa yang aku boleh baiki kehidupan manusia lain hari ini?”

 

وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصّٰلِحِينَ

Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang-orang yang soleh.

Mereka itulah orang-orang yang soleh. Malangnya, banyak daripada ajaran yang benar dalam agama mereka telah ditukar dan kerana itu agama mereka telah rosak. Mereka kemudian tidak lagi menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, maka mereka telah ditukar dengan umat Islam yang lain.

Kita kena jadikan mereka sebagai peringatan untuk kita. Kalau kita pun meninggalkan tanggungjawab kita sebagai umat Islam, maka Allah‎ ﷻ boleh menukar kita dengan puak yang lain yang akan menjalankan tugas itu. Tidak sukar untuk Allah ‎ﷻ untuk menukarkan kita dengan umat yang lain. Jangan perasan kita ini istimewa sangat.

Agama Islam sedang berkembang pesat di negara barat seperti di Eropah. Mereka itu lebih hebat daripada kita kerana apabila mereka memeluk Islam, mereka belajar dengan betul. Kita kebanyakannya agama warisan sahaja, tidak faham pun tentang agama Islam sebenarnya. Jadi mereka yang baru masuk Islam yang lebih hebat daripada kita sebenarnya.


 

Ayat 115: Sebelum ini ada disebut tentang ahli kitab yang beriman dan beramal soleh. Kepada mereka itu, tidak perlu bimbang, kerana tidak hilang penghargaan daripada Allah ‎ﷻ. Tidak sia-sia amalan mereka itu. Asalkan baik, mereka akan dibalas oleh Allah ‎ﷻ di akhirat kelak.

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whatever good they do – never will it be removed from them. And Allāh is Knowing of the righteous.

MALAY

Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.

 

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ

Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari 

Maksudnya, amalan ahli-ahli kitab itu diterima oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah tentang mereka yang mengamalkan ajaran agama mereka dengan benar, walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Nabi. Ini kerana mereka tidak mengamalkan syirik, cuma mereka tidak dapat bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, maklumat tidak sampai kepada mereka, maka mereka tidak masuk Islam lagi pada waktu itu.

Ini adalah munasabah kerana maklumat ketika zaman itu tidaklah selaju zaman sekarang. Ayat ini memberitahu, bahawa amalan mereka diterima asalkan mereka tidak bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah syarat, kerana kalau mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ telah sampai, mereka tidak ada pilihan lain selain daripada beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.

Selalu ada persoalan, bagaimana dengan mereka yang tidak sampai kepada mereka ajaran Nabi Muhammad ﷺ? Mungkin mereka tinggal di kawasan pedalaman yang tidak memungkinkan mereka tahu tentang Islam? Pertamanya, ini bukan perkara yang patut kita bimbangkan, kerana yang kita kena bimbangkan adalah hal diri kita, bukan diri orang lain.

Keduanya, kita kena yakin yang Allah‎ ﷻ itu adil. Apa-apa sahaja yang Allah ‎ﷻ buat, Allah ‎ﷻ tidak akan sesekali berlaku zalim.

Ada satu riwayat hadith, bagaimana ada manusia yang tidak berpeluang sampai kepada mereka dakwah Islam. Di akhirat nanti, mereka pun kata bahawa kalaulah sampai dakwah  kepada mereka, mereka tentunya akan masuk Islam. Maka Allah ‎ﷻ arahkan mereka lompat ke dalam neraka. Ada yang lompat dan ada yang berhujah lagi dengan Allah ‎ﷻ.

Maka, kepada mereka yang berhujah itu, Allah ‎ﷻ akan kata bagaimana mereka kata mereka akan percaya kepada Dia, sedangkan arahan Dia pun mereka tidak ikut? Maksud daripada riwayat ini, itu adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Mereka yang taat kepada Allah ‎ﷻ dengan melompat ke dalam neraka sebenarnya melompat masuk ke dalam syurga. Mereka yang tetap berhujah itu, mereka itu telah gagal dalam ujian itu. Maksudnya, Allah ‎ﷻ tetap akan uji dan Allah ‎ﷻ tidak zalim, percayalah.


 

Ayat 116: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوٰلُهُمْ وَلَا أَوْلٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا وَأُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allāh at all, and those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikit pun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوٰلُهُمْ وَلَا أَوْلٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka daripada (azab) Allah sedikit pun,

Oleh kerana tamakkan harta dan pengaruhlah yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur. Sedangkan harta dan anak pinak mereka itu tidak dapat menolong mereka pun. Di dunia lagi pun sudah tidak dapat tolong mereka, apatah lagi di akhirat.

 

وَأُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ النَّارِ

dan mereka itu ialah ahli neraka;

Di akhirat nanti akan masuk neraka. Mereka pegang geran Neraka. Itulah maksud ‘sahabat neraka’ iaitu kekal dalam neraka. Tidak sama dengan golongan yang masuk neraka tapi tidak kekal. Mereka ini dinamakan ‘jahannamiyyun’.

 

هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka bukan duduk tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi mereka akan kekal selama-lamanya di sana kerana mereka pemegang geran Neraka. Kalau orang mukmin, tetapi ada dosa, dia akan masuk neraka dahulu dan kemudian akan masuk ke syurga akhirnya, kerana dia pemegang geran Syurga. Dia cuma duduk di neraka untuk cuci dosa sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Disember 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 103 – 109 (Amar makruf Nahi mungkar)

Ayat 103: Allah beritahu yang kita kena buat seperti yang disuruh dalam ayat ini. Kalau kita lakukan, barulah kita akan capai apa yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And hold firmly to the rope¹ of Allāh all together and do not become divided. And remember the favor of Allāh upon you – when you were enemies and He brought your hearts together and you became, by His favor, brothers. And you were on the edge of a pit of the Fire, and He saved you from it. Thus does Allāh make clear to you His verses that you may be guided.

  • Referring either to His covenant or the Qur’ān.

MALAY

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

 

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah

Ulama sepakat mengatakan yang dimaksudkan dengan حَبْلِ اللَّهِ (Tali Allah) adalah Al-Qur’an.

Dan lafaz جَمِيعًا bermaksud ‘semua sekali’. Maksudnya, semua ayat-ayat Al-Qur’an itu. Jangan tolak walau satu pun ayat Al-Qur’an. Maka, kenalah belajar tafsir semua sekali ayat Al-Qur’an itu 30 juzuk. Jangan pilih-pilih pula mana yang kita suka. Kena luangkan masa dalam hayat kita ini supaya dapat belajar tafsir keseluruhan ayat Al-Qur’an.

Kata جَمِيعًا juga bermaksud ‘berjemaah’. Hendaklah kita bersama-sama dengan orang lain berpegang dengan Al-Qur’an. Oleh itu, hendaklah kita ramai-ramai kena belajar dan sebarkan Al-Qur’an ini. Janganlah kita faham sendiri sahaja dan biarkan orang lain terkontang-kanting tidak tahu hal agama ini.

Tapi belajar mestilah dengan cara yang benar. Kenalah talaqqi belajar dengan guru dan kemudian tambah dengan membaca kitab-kitab tafsir yang banyak ada di pasaran. Memang ada banyak tafsir dengan berbagai kitab tapi secara dasarnya banyak persamaan antara tafsir itu. Itu sebagai penambahan maklumat kerana setiap kitab ada perkara khusus yang disentuh.

 

وَلَا تَفَرَّقُوا

dan janganlah kamu bercerai-berai;

Jangan kamu berpecah belah tentang Al-Qur’an. Kalau kita tidak pegang Al-Qur’an semua sekali, akan rosak agama dan umat pun akan pecah belah. Untuk umat bersatu, bukan dengan menggunakan hadis, tapi dengan Al-Qur’an. Kerana dengan hadis, manusia boleh lagi berpecah jadi mazhab – kita pun lihatlah sekurang-kurangnya ada empat mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah pun. Bukanlah saya kata salah mazhab itu pula.

Tapi kita sekarang hendak bincang tentang perpaduan. Hanya dengan Al-Qur’an, baru boleh bersatu. Ini adalah kerana Al-Qur’an mengajak kepada akidah tauhid dan hal akidah ini mazhab yang empat pun sama sahaja pendapat mereka. Kalau perbezaan bab fekah, zaman sahabat pun sudah ada perbezaan pendapat dan tidak membahayakan pun.

Dalam hal feqah, kita boleh bertolak ansur kerana ada banyak pendapat, tapi dengan hal akidah, kena pegang satu pendapat sahaja, iaitu yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Terutama tentang tauhid dan furu’ aqidah. Oleh itu, janganlah ada yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an kalau prihatin dengan agama dan pengakhiran kita di akhirat kelak.

Semua sekali umat Islam kena belajar. Tapi diingatkan sekali lagi untuk belajar dengan benar. Jangan gunakan ayat-ayat Al-Qur’an pula untuk tafsirkan dengan cara yang salah, yang menyebabkan perpecahan dalam umat pula. Ini pun ada juga terjadi dalam kalangan umat Islam di dunia. Sebagai contoh, ada yang gunakan ayat Al-Qur’an untuk berbunuhan pula.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita supaya jangan berpecah buat kumpulan lain selain dari kumpulan Muslim. Memang akan ada sahaja perbezaan pendapat, ini perkara biasa kerana kita semua manusia, pendidikan berbeza dan pemahaman pun berbeza. Tapi kena tetap duduk dalam jemaah Islam.

Memang sebagai manusia akan ada sahaja perbezaan pendapat dan fahaman, tapi jangan besarkan perbezaan itu. Kita sekarang sudah banyak sangat kumpulan dan persatuan. Semua dengan niat yang baik, tapi janganlah kita taksub dengan kumpulan kita. Kerana kita semua bekerja untuk Allah. Walaupun banyak kumpulan kecil, tapi kumpulan yang terbesar adalah kumpulan jemaah Islam.

Dan kena pandai menangani perbezaan pendapat (ikhtilaf). Janganlah kerja nak mencari salah orang sahaja. Ramai yang terbelit dengan masalah ini kerana tidak tahu menahu langsung tentang ikhtilaf. Yang kita kena buat selalu adalah ingat nikmat Allah beri kepada kita (nikmat Islam dan dijadikan kita sebagai Muslim). Bayangkan kalau Dia masukkan kita dalam agama kafir, macam mana?

 

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ

dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu

Ini adalah nikmat yang khusus diberikan kepada Arab Madinah yang dulunya berperang sesama mereka. Dengan nikmat Al-Qur’an, mereka jadi seperti adik beradik. Ini adalah contoh bagaimana Al-Qur’an dapat menyatukan manusia. Apabila tauhid kepada Allah, Allah boleh satukan hati. Oleh itu, perkara yang besar yang penting dijaga adalah akidah.

Memang kita sendiri boleh rasa bagaimana Al-Qur’an dapat menyatukan manusia. Cara paling senang kita tengok adalah kalau kita lihat orang yang selalu baca Al-Qur’an, kita akan hormat dia. Ini terjadi secara semulajadi. Apatah lagi kalau seorang yang hafiz Al-Qur’an, lagi kita akan hormat dia. Allah yang timbulkan perasaan sayang dan hormat itu dalam hati kita kerana Al-Qur’an.

Perkataan فَأَلَّفَ digunakan yang bermaksud ‘seribu’ secara literal. Ia bermaksud benda yang pecah seribu dan dijadikan satu balik dan lekat balik. Pelekat itu adalah Al-Qur’an.

 

فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا

maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu, orang-orang Islam yang bersaudara.

Kerana Al-Qur’an manusia boleh menjadi saudara seagama dan berpegang kepada satu sumber pegangan yang menyatukan kita. Ada beza antara ‘ikhwah’ dan ‘ikhwan’. Dua-dua perkataan ini kita selalu dengar tapi apakah bezanya?

Ikhwah adalah talian persaudaraan kekeluargaan. Ikhwan pula adalah pertautan antara mereka yang mempunyai matlamat yang sama walaupun bukan keluarga darah daging. Tetapi apabila orang mukmin, walaupun bukan adik beradik, tapi mereka seperti ikhwah sesama sendiri. Sudah jadi macam adik beradik. Tapi dalam ayat ini digunakan lafaz إِخْوَانًا kerana masih pada peringkat awal.

Oleh itu, jagalah persaudaraan Islam sesama kita. Lihatlah orang Islam yang lain sebagai orang yang sama sahaja dengan kita, sama-sama dalam akidah yang satu dan Tuhan yang satu. Janganlah pandang sangat perbezaan antara kita. Perbezaan memang akan tentu ada. Tapi carilah apa perkara yang menyatukan kita. Pandanglah manusia lain dengan pandangan rahmah.

 

وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu.

Allah ingatkan Arab Madinah bagaimana mereka dahulu sudah duduk tepi jurang Neraka, tunggu mati sahaja untuk dimasukkan terus ke dalam neraka. Tapi Allah selamatkan mereka dengan beri fahaman tauhid kepada mereka.

Begitu juga, ramai dari kita yang hanya tahu tauhid dengan sebenar selepas belajar tafsir Al-Qur’an. Ada yang menangis kerana mengenangkan apa yang mereka lakukan semasa mereka belum belajar tafsir, kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan dulu, akan menyebabkan mereka masuk terus ke dalam neraka kalau tidak bertaubat.

Tapi, untuk bertaubat, hanya selepas mengetahui yang perbuatan itu salah dahulu. Berapa ramai lagi yang masih mengamalkan amalan syirik tanpa mereka sedari kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an?

 

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Allah menceritakan semua ini adalah untuk memberi hidayah kepada kita. Maka kita kenalah ambil pengajaran dari ayat-ayat Allah ini. Jangan kita baca begitu sahaja, hafal begitu sahaja tapi tidak difahami apakah yang Allah sampaikan.

 

Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Ini adalah apabila ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Al-Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand (trengkas). Dalam ayat ini, ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Dan kalau tambah huruf jadi ‘makang’, itu bermaksud makan dengan banyak. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Lihat kalimah تَفَرَّقُوا yang dalam bentuk ikhtizal. Iaitu telah dihazafkan satu huruf ت dalam ayat ini. Sepatutnya kalimah yang biasa digunakan adalah تَتَفَرَّقُوا. Sekarang bandingkan pula dengan ayat Syura:13 

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah تَتَفَرَّقُوا dalam wazan yang penuh. Tapi kenapa ada ikhtizal dalam ayat Ali Imran:103? Sedangkan kedua-dua ayat ini tentang larangan berpecah belah tetapi kenapa ada perbezaan kalimah yang digunakan?

Perbezaan itu adalah kerana ayat Ali Imran:103 ini ditujukan kepada puak Muhajirin dan Ansar sahaja. Bilangan mereka itu terhad kalau dibandingkan dengan tujuan ayat dalam Syura:13 itu. Dalam Syura:13 digunakan kalimah تَتَفَرَّقُوا dalam wazan yang penuh kerana ayat itu ditujukan kepada semua orang.


 

Ayat 104: Apabila umat Islam sudah bersatu, dan supaya kekal bersatu, kena ada sifat-sifat yang akan disebutkan:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let there be [arising] from you a nation inviting to [all that is] good, enjoining what is right and forbidding what is wrong,¹ and those will be the successful.

  • According to the laws of Allāh.

ABDULLAH BASMEIH

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

 

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak

Ada dua tafsir kepada potongan ayat ini:

1. Semua kita umat Islam kena ada sifat-sifat ini. Setelah kita belajar tafsir Al-Qur’an dan tauhid, tahu apa yang perlu dilakukan, maka kita hendaklah menjadi seperti sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini.

2. Kena ada satu umat yang mempunyai sifat-sifat ini. Maknanya bukanlah semua umat Islam.

Kalimah أُمَّةٌ bermaksud satu kumpulan yang tidak dibatasi oleh bangsa, bahasa dan negara. Tidak asabiyyah (sifat kepuakan). Dan yang menyatukan mereka adalah kalimah tauhid.

 

يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ

yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan

Sifat mereka adalah mereka mengajak (dakwah) sesiapa sahaja ke arah kebenaran Islam. Mereka mencari peluang di mana sahaja untuk berdakwah kepada manusia.

Mereka mengajak kepada apa? إِلَى الْخَيْرِ (ke arah kebaikan). ‘Kebaikan’ adalah apa-apa yang tsabit datang dari wahyu. Banyaklah perkara yang termasuk dalam perkara ini. Perkara ini kena belajar. Seorang yang hendak mencari kebenaran dalam agama, kenalah melazimi majlis ilmu dan belajar segala perkara yang perlu diketahui oleh seorang Muslim. Kalau diri sendiri tidak belajar, maka kepada apa yang kita hendak ajak manusia?

 

وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ

dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, 

Makruf adalah sesuatu yang telah diketahui secara umum. Tak payah ajar pun orang sudah tahu. Cuma nak kena ingatkan sahaja. Maknanya ini adalah kebaikan universal – contohnya seperti adab, cakap benar, tolong menolong, jangan ganggu orang lain dan sebagainya.

Kena ajak dengan cara baik. Ini adalah cara dakwah. Dan dakwah kena dengan dijalankan dengan cara yang baik. Kalau kita ajak orang lain, tapi dengan cara yang mereka tidak suka, ianya tidak berjaya. Ini pun kena belajar dan kena sabar dalam menjalankannya. Kerana bukanlah semua yang kita ajak akan terima. Kena ada cara-caranya.

 

وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

serta melarang daripada segala yang salah

Dan mereka menghalang orang lain dari melakukan perkara mungkar. Mungkar adalah lawan kepada makruf. Benda yang semua orang tahu sebagai tidak baik. Asal bahasa, ia bermaksud ‘asing’.

Nak nasihat orang yang buat salah pun kena berhemah juga. Kalau kita terus kata mereka teruk, tentulah mereka akan marah dan tak mahu ikut nasihat kita lagi. Untuk orang terima nasihat kita, hendaklah ada pertalian antara yang memberi nasihat dan yang diberi nasihat itu. Kalau tidak, susah untuk yang dinasihati untuk terima. Orang akan selalu percaya dan terima cakap orang yang mereka selesa.

Oleh itu, amar makruf adalah Jihad menggunakan lisan. Jangan berat mulut untuk beri nasihat dan tegur orang lain.

Nahi mungkar pula boleh sampai naik pedang untuk menegakkannya. Iaitu kepada mereka yang masih tetap berdegil dan sampai melakukan kezaliman kepada orang lain, kenalah kita berkeras sampai kadang-kadang kena hunuskan pedang. Tapi jihad dengan pedang ini, hanya kepada sesiapa yang ada kemampuan. Tak semua orang boleh buat.

 

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Maksud الْمُفْلِحُونَ adalah mereka yang berjaya setelah melakukan usaha, bukannya dengan goyang kaki sagaja. Memang menjalankan amar makruf dan nahi mungkar memerlukan usaha.


 

Ayat 105: Bani Israil tidak ada buat amar makruf nahi mungkar, maka kerana itu agama mereka rosak.

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not be like the ones who became divided and differed after the clear proofs had come to them. And those will have a great punishment

MALAY

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

 

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan

Mereka bermusuh dari segi fizikal (تَفَرَّقُوا) dan berselisih dalam fahaman agama (وَاخْتَلَفُوا). Mereka berbalah hal agama sampai ke tahap berperang sesama mereka. Mereka berbalah itu selepas mereka berpecah belah.

Sebenarnya tidak salah kalau ada perbezaan pendapat. Tapi jangan kerana hanya mahu pertahan kumpulan mereka sahaja. Yang penting adalah kebenaran (walaupun tidak berpihak kepada puak kita). Yang bahayanya, kalau sudah mula berpecah belah dan berbeza pendapat sampai memudharatkan diri. Ada yang sudah tidak kisah mana benar dan tidak, mereka hanya nak pertahankan kedudukan kumpulan mereka sahaja.

 

مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ

sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata

Perpecahan itu terjadi selepas mereka jelas tentang agama. Mereka telah tahu kebenaran dari nas-nas agama. Tapi mereka masih tetap lagi berpecah belah. Malangnya, inilah yang terjadi dalam masyarakat Islam sekarang. Kita sedang menuju kepada apa yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasara dahulu.

Saban hari kita dapat melihat perpecahan dan perdebatan di kalangan orang kita. Malangnya, kadang-kadang kita lihat perkara ini berlaku di kalangan agamawan juga. Sampai pening orang awam nak pilih mana satu.

 

وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Inilah ancaman Allah, tentang apa yang boleh terjadi kerana tiada amar makruf nahi mungkar. Apabila tiada amar makruf nahi mungkar, akan terjadi perpecahan dan perbalahan akhirnya membaca kepada azab dari Allah.


 

Ayat 106: Allah beritahu kepada kita yang ada dua jenis manusia di akhirat nanti.

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day [some] faces will turn white and [some] faces will turn black. As for those whose faces turn black, [to them it will be said], “Did you disbelieve [i.e., reject faith] after your belief? Then taste the punishment for what you used to reject.”

MALAY

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

 

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ

hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. 

Di akhirat nanti, manusia boleh cam mana ahli syurga dan ahli neraka. Ahli syurga akan berwarna putih cerah wajahnya dan ahli neraka akan hitam legam wajah mereka.

 

فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ

Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, 

Muka ahli neraka akan hitam legam. Semua orang akan tahu yang mereka itu adalah bakal ahli neraka.

 

أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ

“Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?

Dikatakan kepada mereka oleh malaikat: kenapa kamu murtad setelah kamu beriman?

Termasuk dalam mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang munafik dan ahli bidaah. Mereka itu dikira murtad kerana telah tolak syariat. Inilah bahayanya melakukan amalan bidaah. Kerana amalan bidaah itu melawan sunnah.

Ingatlah yang bidaah itu hasil dari penipuan syaitan (talbis iblis). Syaitan mulanya akan suruh buat perkara bidaah dulu, tapi sebenarnya dia nak kita murtad, sebenarnya. Kalau bidaah tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa, maka kita akan menuju ke arah kesesatan. Mungkin bidaah nampak tidak bahaya pada awalnya kerana kecil sahaja, tapi kesannya dalam jangka panjang adalah sesat.

 

فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

Kalau kufur, manusia akan menerima azab yang menyebabkan mereka akan kekal dalam neraka. Semoga kita diselamatkan dari termasuk ke dalam golongan ini.


 

Ayat 107:

وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for those whose faces turn white, [they will be] within the mercy of Allāh. They will abide therein eternally.

MALAY

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.

 

وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya,

Nasib kepada mereka yang putih wajahnya kerana iman mereka, tidaklah sama. Mereka ini akan mendapat kebaikan. Maka kita apabila baca ayat ini, hendaklah hati kita berdoa supaya termasuk dalam golongan ini.

 

فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ

maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah

Rahmat yang dimaksudkan itu adalah syurga. Kerana kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah, bukan dengan usaha dan amalan kita. Tapi ramai juga yang salah faham dengan maksud ini. Mereka bertanya: apa pula kena beramal ibadat?

Jawapannya, untuk mendapat rahmat Allah, bukanlah dengan goyang kaki. Tetap juga kena beramal ibadat. Kerana untuk mendapat rahmat Allah, tentulah dengan iman dan amal ibadat, bukan? Takkan berharap kosong sahaja?

 

هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

mereka kekal di dalamnya.

Kalau sekejap sahaja tinggal di syurga, itu tidaklah hebat mana, kerana kita tidak akan dapat merasai nikmat itu sepenuhnya kerana kita tahu yang kita akan keluar dari tempat itu akhirnya. Jadi, Allah beritahu yang penghuni syurga akan kekal di dalam syurga selama-lamanya.

Inilah rahmat yang terbesar. Kita manusia memang hendak tempat tinggal yang tetap. Di dunia lagi kita suka kalau rumah yang kita tinggal itu kita punya. Maka ramai yang beli rumah supaya rumah itu kekal, bukan disewa sahaja. Maka Allah penuhi naluri manusia dengan memberikan rumah yang kekal abadi dalam syurga.

Bayangkan betapa pemurahnya Allah Tuhan kita. Kita beramal bukannya lama pun. Tapi balasan  yang diberikan kekal sampai bila-bila.


 

Ayat 108:

تِلْكَ ءآيٰتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعٰلَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are the verses of Allāh. We recite them to you, [O Muḥammad], in truth; and Allāh wants no injustice to the worlds [i.e., His creatures].

MALAY

Itulah ayat-ayat keterangan Allah, Kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

 

تِلْكَ ءآيٰتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan haq. 

Inilah ayat-ayat Allah yang kita hendaklah beri perhatian. Allah hendak menegaskan bahawa ada sebab ayat-ayat ini dikhabarkan. Ianya dijelaskan untuk menceritakan kebenaran. Kalau kita tidak belajar, bagaimana kita hendak tahu kebenaran? Takkan kita hendak agak-agak sahaja?

 

وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعٰلَمِينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

Sebelum ini telah disebut tentang Allah memasukkan manusia yang degil ke dalam neraka. Allah tidaklah berlaku zalim dalam hal ini. Mungkin ada manusia yang terfikir “eh zalimnya Tuhan kau…”. Ingatlah yang Allah tidak zalim. Kerana memang mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka telah diberikan peluang tapi mereka telah mensia-siakan peluang itu.

Tidaklah Allah pernah mahu kezaliman kepada hambaNya. Allah tidak pernah zalim dan tidak akan berlaku zalim. Ini kita kena pegang dan ingat. Jangan kita ada salah sangka dengan Allah. Tapi yang mahukan begitu adalah syaitan. Sebab ada perkataan مَا di situ. Maksudnya, ada yang hendak melakukan kezaliman kepada manusia (tapi bukan Allah).


 

Ayat 109: Ini adalah dalil aqli kelima.

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And to Allāh will [all] matters be returned.

MALAY

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

 

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,

Apa sahaja yang ada di alam ini, termasuklah kita, adalah milik Allah. Kita kena rasa diri rendah diri bila baca ayat-ayat macam ini. Dan bila kita milik Allah, kita tidak ada hal melawan dan buat tidak tahu dengan kehendakNya. Kita kena belajar apakah arahanNya dan kita kena taat.

 

وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ

dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

Semua perkara kembali kepada Allah. Allah yang akan buat keputusan atas segala perkara termasuklah segala amal perbuatan kita. Allah juga yang menentukan apa yang akan terjadi. Oleh itu, kita sebagai makhluk yang hina, yang menjadi hambaNya, hendaklah belajar untuk redha dengan apa sahaja yang terjadi. Kerana semua perkara yang terjadi adalah dalam penentuanNya, dalam hikmahNya. Kita sahaja yang tidak nampak perancangan Allah.

Sekian Ruku’ 11 dari 20 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 November 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 97 – 102 (Jangan ikut sahaja orang lain)

Ayat 97:

فِيهِ ءآيَاتٌ بَيِّنٰتٌ مَّقَامُ إِبْرٰهِيمَ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ ءآمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In it are clear signs [such as] the standing place of Abraham. And whoever enters it [i.e., the Ḥaram] shall be safe. And [due] to Allāh from the people is a pilgrimage to the House – for whoever is able to find thereto a way. But whoever disbelieves [i.e., refuses] –then indeed, Allāh is free from need of the worlds.¹

  • He has no need for His servants’ worship; it is they who are in need of Him.

MALAY

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

 

فِيهِ ءآيٰتٌ بَيِّنَاتٌ

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata

Pada kiblat itu ada tanda dan kelebihan-kelebihan lain yang jelas nyata kepada kita. Kita tengok Kaabah dan Mekah itu pun sudah terpesona. Kalau sesiapa yang pernah tengok Kaabah berdepan akan tahu hebatnya perasaan waktu itu.

 

مَّقَامُ إِبْرٰهِيمَ

Maqam Nabi Ibrahim. 

Salah satunya yang hebat adalah Maqam Ibrahim. Ia adalah tempat Nabi Ibrahim berdiri semasa membina Kaabah. Ianya adalah sebagai kenang kenangan susah payah baginda membina Kaabah.

Jangan ada pula yang salah faham maksud ‘makam’ di sini macam kubur pula – takut ada sangka di sinilah kubur Nabi Ibrahim. Ia hanyalah ada bekas tapak kaki baginda. Akan tetapi sekarang tidaklah nampak kerana telah ditutup di dalam bekasnya.

Ada kelebihan pada Maqam Ibrahim ini. Disunatkan solat di situ selepas menunaikan Tawaf.

 

وَمَن دَخَلَهُ كَانَ ءآمِنًا

Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. 

Sesiapa yang masuk Tanah Haram ini aman dari musuh. Kuasa zalim tidak boleh masuk dan ini dijamin oleh Allah. Bandingkan dengan satu lagi tempat suci, BaitulMaqdis. BaitulMaqdis itu telah berapa kali diserang dan dimasuki. Tetapi tidak berlaku kepada Baitullah. Kerana Allah beri jaminan.

Dari segi hukum pun telah dilarang untuk berbunuhan di dalam Tanah Haram. Jangan kata nyawa manusia, pokok-pokok dan binatang pun dilarang untuk diganggu.

Sesiapa yang masuk Tanah Haram juga akan rasa aman di dalam hatinya. Kalau sesiapa yang pernah pergi ke sana, akan dapat rasa perasaan ini. Sebab itulah sesiapa yang sudah pergi ke sana, akan teringin sahaja untuk kembali lagi kerana satu perasaan yang tidak dapat digambarkan.

Juga boleh bermaksud, sesiapa yang mengerjakan Haji dan Hajinya diterima, dia akan selamat dari neraka.

Perkataan ‘haji’, ada kena mengena dengan kalimah ‘hujjah’. Iaitu apabila kita sudah menjalankan ibadat Haji, ianya menjadi hujjah kepada kita untuk selamat dari api Neraka. Maka kena simpan niat untuk mengerjakan Haji.

 

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. 

Bagi menyempurnakan tuntutan agama, Allah mewajibkan manusia untuk menunaikan Haji ke Mekah. وَلِلَّهِ maksudnya pekerjaan Haji itu dilakukan ‘kerana Allah’. Bukan kerana nak pergi melancong, bukan kerana malu dengan orang lain, bukan kerana lain, tapi kerana Allah.

‘Haji’ dan ‘hujjah’ datang dari kata dasar yang sama. Sesuatu yang tidak boleh dibangkang – indisputable. Sepertimana juga Al-Qur’an akan menjadi hujah ke atas kita – sama ada kita ikut atau tidak, ia akan jadi hujah untuk kita atau terhadap kita. Kalau kita ikut ia akan berhujah bagi pihak kita; kalau kita tidak ikut dan tidak endah sahaja, maka ia akan menjadi hujah melawan kita. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan Haji dan Hajinya diterima, maka itu adalah hujjah untuk dirinya dimasukkan ke dalam syurga.

Haji itu wajib kepada mereka yang mampu untuk pergi menunaikannya. Maknanya mereka yang ada bekalan dan kenderaan untuk sampai ke sana. Bekalan untuk pergi dan bekalan semasa di sana.

Termasuk dalam makna سَبِيلًا (jalan) ini, bermaksud perjalanan ke Mekah itu juga kena selamat. Kalau ada kemampuan tetapi jalan tidak selamat, mungkin ada perang, atau kejadian alam yang menghalang, maka tidak wajib kepada orang itu untuk mengerjakan Haji sampailah ianya selamat.

Zaman sekarang, ada macam-macam lagi sekatan – mungkin visa nak masuk tak dapat, passport kita ditahan kerajaan atau apa-apa sahaja lagi. Kalau zaman sekarang, virus Covid menyebabkan tidak dapat dikerjakan Haji seperti biasa. Macam negara kita, kena tunggu giliran untuk menunaikan Haji sebab ada kuota untuk setiap negara. Bukannya kita boleh terus ke sana kalau kita hendak (walaupun ada duit).

 

وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ

Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari sekalian makhluk.

Sesiapa yang engkar dengan kewajipan Haji ini, mampu untuk pergi, jalan pun selamat, tapi dia tidak pergi juga, maka Allah beritahu yang Allah tidak berkehendak kepada ibadat hambaNya.

Kaya itu maksudnya ‘tidak perlu’, iaitu Allah tidak perlukan pun ibadat kita. Kalau tidak ada hamba yang beribadah langsung kepada Allah, tidaklah Allah berkurang kekuasaanNya, tidak berubah langsung kedudukan Allah. Ianya tidak membahayakan Allah langsung, tapi akan bahaya kepada hamba itu kerana dia akan diazab kerana tidak menunaikan kewajipan yang perlu dipenuhinya.

Ma sha Allah, berapa orang yang sudah mampu untuk pergi menunaikan Haji ke Mekah, tapi masih menangguhnya lagi. Semoga kita tidak termasuk golongan ini.


 

Ayat 98: Ini adalah teguran pertama kepada Ahli Kitab, setelah kesamaran mereka dihilangkan. Sepatutnya mereka sudah masuk Islam kerana sudah diperjelaskan dengan lengkap selama ini. Kalau tak beriman juga, itu hanya kerana mereka degil sahaja, bukan kerana jahil.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَاللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعْمَلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O People of the Scripture, why do you disbelieve in the verses of Allāh while Allāh is Witness over what you do?”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?”

 

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab!

Ini adalah kata-kata dari Allah ditujukan terus kepada Ahli Kitab. Kita pun kena sampaikan ayat ini kepada Ahli Kitab juga. Kerana mungkin tidak sampai kepada mereka kalau kita tidak dakwahkan, kerana mereka mana baca Al-Qur’an.

 

لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah,

Allah tegur mereka secara terus. Mereka masih menolak walaupun mereka tahu yang Islam adalah agama yang benar. Tapi mereka sanggup tolak dan pusingkan kebenaran. Mereka sanggup pusing perkataan Bakkah dengan mereka tukar kepada Sakkah.

Dan banyak lagi keterangan lain yang mereka tukar. Kerana mereka ini memang puak yang degil.

 

وَاللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعْمَلُونَ

padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan”

Mereka diingatkan bahawa Allah melihat segala perbuatan mereka dan dicatat apa yang mereka lakukan. Jangan mereka sangka yang mereka akan selamat di akhirat nanti. Mereka mungkin selamat di dunia, tapi tidak di akhirat nanti.

Maka, jangan mereka sangka yang mereka akan diselamatkan oleh Nabi-nabi mereka nanti. Mereka tidak akan selamat. Bagaimana mereka sangka yang Nabi mereka akan menyelamatkan mereka sedangkan mereka menolak ajaran Nabi mereka sendiri?


 

Ayat 99: Ini adalah teguran kedua. Sudahlah mereka sendiri kufur, mereka nak kufurkan orang lain pula. Ini lebih teruk lagi.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ ءآمَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًا وَأَنتُمْ شُهَدَاءُ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O People of the Scripture, why do you avert from the way of Allāh those who believe, seeking to make it [seem] deviant, while you are witnesses [to the truth]? And Allāh is not unaware of what you do.”

MALAY

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? “Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

 

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! 

Ini Allah suruh kita cakap kepada Ahli Kitab. Jadi kena ambil perhatian. Pertama yang disuruh beritahu adalah Nabi Muhammad, tapi sekarang Nabi sudah tiada, maka kitalah yang kena ambil tugas baginda. Maka jangan lepaskan peluang dan tanggungjawab ini.

 

لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ ءآمَنَ

Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan-jalan Allah?

Kenapa kamu menghalang orang yang mahu beriman, atau orang yang telah beriman? Yang nak mula kenal-kenal Islam kamu halang, dan yang sudah muslim kamu kacau supaya mereka jadi murtad. Kenapa kamu buat begitu?

 

تَبْغُونَهَا عِوَجًا

mencari-cari supaya agama itu nampak bengkok, 

Kamu halang mereka dengan bertanya soalan-soalan yang boleh meragukan mereka. Kamu sengaja mencari kelemahan (yang kamu reka) dan kesilapan dalam agama. Mereka lakukan ini dengan menggunakan propaganda karut. Kalau tidak ada ilmu dan baca sahaja apa yang ada di internet itu, boleh jadi sesat agaknya.

Maka jangan terpedaya dengan helah dan tohmahan mereka. Kalau belajar agama dengan molek, In sha Allah tidak akan keliru dan terpedaya dengan kata-kata mereka. Bahayanya kepada mereka yang jahil. Mereka yang agama sendiri pun tidak kenal. Jadi, apabila ada orang Kristian yang datang dan tanya-tanya tentang agama Islam, boleh terpedaya dan terpercaya pula.

Beginilah yang banyak terjadi dengan anak-anak muda kita. Emak ayah memang tidak pentingkan agama, tinggalkan anak begitu sahaja tanpa pengetahuan agama, biarkan sahaja mereka berkawan dengan sesiapa sahaja. Sampaikan anak jahil agama dan ada yang berkawan dengan mubaligh Kristian. Mubaligh-mubaligh itu menggunakan berbagai-bagai tipu daya dan helah untuk menyesatkan anak-anak muda kita. Akhirnya ramai yang terjerumus.

Kita pun tidak pasti berapa banyak dari kalangan anak muda kita yang telah murtad, sedangkan kerajaan tidak mahu memberitahu perkara yang sebenar kerana mereka pun tidak ambil kisah (dan takut rakyat jadi resah). Pada mereka, yang penting adalah keadaan negara tidak kacau bilau. Kerana kalau mereka beritahu kisah sebenar, takut ada kacau bilau pula dalam negara.

 

وَأَنتُمْ شُهَدَاءُ

padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)?

Sedangkan kamu tahu yang perkara yang kamu buat itu adalah salah. Kamu sendiri tahu yang agama Islam itu benar, bukan? Tapi kerana mereka degil dan ikut hawa nafsu mereka, maka mereka tidak kisah semua itu. Mereka tidak kisah dengan bisikan hati mereka sendiri yang nampak kebenaran Islam itu.

 

وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Ini adalah ayat ancaman dari Allah. Kalau buat juga, maka tunggulah akibatnya nanti. Allah tahu apa yang mereka buat. Tak payah takut dengan cubaan mereka. Allah akan jaga agamaNya. Mereka yang buat perkara itu tidak akan menang. Dan mereka akan menerima azab yang pedih nanti. Kerana Allah bukan tengok sahaja, Allah akan beri balasan yang setimpal nanti.


 

Ayat 100:

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ كٰفِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if you obey a party of those who were given the Scripture, they would turn you back, after your belief, [to being] unbelievers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Ayat sebelum ini telah sebut bagaimana pihak Ahli Kitab itu cuba hendak memesongkan agama orang Islam. Sekarang khitbah (disampaikan khutbah) Allah kepada orang Islam pula. Dengar baik-baik.

 

إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ

Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu,

Kalau kamu termakan pujuk rayu dan terkeliru dengan tohmahan-tohmahan mereka. Iaitu percaya dengan tohmahan mereka (kerana tidak ada ilmu).

 

يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ كٰفِرِينَ

nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

Kamu kamu termakan tohmahan mereka, kamu boleh jadi murtad. Jadi jangan ikut mereka pula. Oleh itu, kena waspada selalu. Jangan masuk perangkap mereka.

Maka kita kena berikan pendidikan agama kepada anak-anak kita. Ceritakan kepada mereka tentang Islam dan tentang bahaya dugaan di luar sana. Jangan sibuk nak beri makan dan pelajaran akademik sahaja kepada anak-anak. Kamu sendiri kenalah juga belajar, supaya boleh nasihat anak itu sikit. Jangan sibuk nak cari harta sahaja. Memang anak isteri perlukan makan dan pakai, tapi agama lebih penting lagi.


 

Ayat 101:

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ءآيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how could you disbelieve while to you are being recited the verses of Allāh and among you is His Messenger? And whoever holds firmly to Allāh¹ has [indeed] been guided to a straight path.

  • i.e., adhering to His ordinances strictly, then trusting in Him and relying upon Him completely.

MALAY

Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur’an), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

 

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ

Dan bagaimana kamu menjadi kafir

Ini adalah ayat teguran kepada umat Islam yang jadi murtad. “Macam mana pula kamu boleh kufur ni…?” Maksudnya, memang tidak masuk akal kalau kamu kufur. Agama begini punya jelas pun boleh kufur lagi? Ini kerana jauh dari wahyu sahaja dan jahil tentang agama sendiri.

 

وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ءآيَاتُ اللَّهِ

padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah ke atas kamu

Padahal selalu ‘dibacakan’ ayat Al-Qur’an kepada kamu. Kalimah تُتْلَىٰ maksudnya orang itu bukan baca sendiri. Mereka yang jatuh murtad itu tentunya tidak baca Al-Qur’an, tidak belajar agama dengan betul. Jadi kalau mereka dengar pun, tentulah kerana ada orang lain yang bacakan dan sampaikan kepada mereka.

Ini isyarat bahawa yang dimaksudkan adalah orang yang lemah iman sebab tak baca sendiri Al-Qur’an itu. Kalau baca pun tidak, tentulah faham pun tidak (tidak belajar tafsirnya). Akan tetapi walaupun mereka sendiri tak baca, tapi telah ada yang sampaikan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Kerana Al-Qur’an ini boleh didapati di mana-mana dan para pendakwah pun ramai. Jadi tidak boleh kata tidak pernah dengar langsung.

 

وَفِيكُمْ رَسُولُهُ

dan dalam kalangan kamu ada RasulNya

Ayat Al-Qur’an adalah tafsir kepada perkataan آيَاتُ dalam ayat ini dan belajar sunnah adalah tafsir kepada perkataan رَسُولُهُ. Maksudnya, memang Nabi tidak ada dengan kita tapi kita masih ada kitab hadis. Semua kitab itu tertulis sudah oleh ulama-ulama hadis untuk menyampaikan agama kepada kita, tapi adakah orang-orang kita belajar?

Malangnya ramai tidak belajar dan jauh dari ilmu wahyu (Al-Qur’an atau hadis). Ini kerana mereka sibuk dengan perkara keduniaan yang lain. Ibu bapa pun tidak mementingkan pun pelajaran agama kepada anak-anak. Dan kalau ada yang belajar agama sampai ke Pondok dan sampai ke Universiti, tidak belajar pun Tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadis, tapi belajar kitab-kitab yang lain. Kitab-kitab itu bertahun-tahun mereka belajar, tapi Tafsir Al-Qur’an dan Hadis Nabi entah bila nak belajar, tak tahu.

Kesannya ramai yang keluar Islam sebab tak belajar agama Islam dengan betul.

 

وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

Berpegang teguh itu dalam konteks ayat ini maksudnya tidak ikut percaya kepada diayah ahli kitab.

Sekarang, bukan sahaja kena jaga dengan Ahli Kitab, tapi kena jaga dengan puak Syiah, ajaran sesat dan puak bidaah. In sha Allah, kalau pemahaman kita mantap, kita tidak akan terkeliru dengan dakyah mereka.

Sekian Ruku’ 10 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ayat 102: Ini adalah ayat targhib (ajakan) kepada jihad. Ini sebenarnya adalah pengulangan tajuk dalam Surah Baqarah. Ini adalah kerana Jihad pun sudah disebut dalam Surah Baqarah dan sekarang disambung dalam surah ini kerana Surah Ali Imran ini adalah kembar bagi Surah Baqarah. Seperti yang kita telah sebut, ada kaitan rapat antara Surah Baqarah dan surah Ali Imran.

Untuk memudahkan kita faham susunan ayat-ayat selepas ini, disenaraikan apakah topik-topik yang akan dibincangkan oleh ayat-ayat dari Surah Ali Imran ini nanti.

Ayat 102-129 tentang jihad.

Ayat 130-139 tentang infak.

Ayat 140-179 tentang jihad semula

Ayat 180-184 tentang infak semula

Ayat 185-186 tentang jihad dan infak

Ayat 187-188 Ayat-ayat Zajrun.

Ayat 189-192 tentang tauhid

Ayat 193-195 tentang risalah

Ayat 195-199 tentang jihad dan infak

Ayat 200 kesimpulan semula sekali, iaitu tentang Tauhid, Risalah, Jihad dan Infak

Jadi, kita boleh lihat bagaimana topik-topik itu berselang seli antara satu sama lain. Begitulah cara Al-Qur’an berseli-seli tajuknya kerana Al-Qur’an bukanlah buku akademik yang meletakkan tajuk-tajuk tertentu.

Untuk menghadapi orang kafir, bukan boleh tunggu dan lihat sahaja apa yang mereka akan buat. Kita kena lakukan sesuatu untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Oleh kerana itu umat Islam kena jalankan jihad, baru mereka akan lemah. Kerana kalau dibiarkan sahaja mereka, akan beri bahaya kepada kita kerana mereka akan mengajak ke arah agama mereka dan cara hidup mereka.

Inilah yang kita kena cakna, ditakuti kita menjadi jauh dari agama kita yang mulia ini. Kita amat takut sangat agama ini ini lari dari kita. Kalau kita tak murtad pun, ditakuti anak cucu kita pula yang akan murtad pula kerana kita hanya berpeluk tubuh sahaja.

Sedarlah yang Allah tidak akan selamatkan umat Islam yang mendiamkan diri. Allah boleh sahaja tukar kita dengan umat lain yang lebih baik dari kita. Maknanya, Allah sedang beri peluang kepada kita untuk berjuang dalam menjalankan dakwah kepada Islam. Dan kalau kita tidak buat apa-apa, Allah akan tukar kita dengan orang lain.

Tapi bukanlah kita hendak ajak jihad perang (Jihad Qital) sekarang (kerana jihad tidak boleh dilakukan sekarang kerana tidak cukup syarat). Ini kerana kita tidak ada khalifah lagi buat masa ini. Yang kita boleh jihad sekarang tanpa perlu tunggu Khalifah adalah menyampaikan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Iaitu ‘Jihad Lisan’.

Ini kerana ‘Jihad Qital’ kena penuhi banyak syarat dan bukan semua orang boleh buat. Tapi jihad dengan Al-Qur’an ini semua orang boleh buat. Jadi kena belajar semua ayat Al-Qur’an dan sampaikan kepada manusia lain. Kerana Allah sudah susun Al-Qur’an ini dari Surah Fatihah sampai surah an-Nas untuk kita kenal Dia. Kalau belajar semua sekali dengan cara yang benar, in sha Allah tidak akan murtad, tidak akan sesat.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh as He should be feared and do not die except as Muslims [in submission to Him].

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, 

Wahai manusia, hendaklah kamu takut sebenar-benar takut kepada Allah. Takut dalam ayat ini adalah takut kepada akidah syirik. Jangan langsung buat sesuatu yang boleh membawa kepada syirik pun.

Lafaz حَقَّ تُقَاتِهِ boleh bermaksud ‘taqwa kepada Allah sebagaimana yang sepatutnya’. Ini adalah amat berat sekali untuk dilakukan. Adakah kita mampu melakukannya? Para sahabat takut kerana mereka tahu yang mereka sendiri tidak mampu untuk melakukannya. Kerana mereka tahu bahawa mereka tidak mampu nak ibadat kepada Allah sebagaimana yang selayaknya, tidak dapat bertaqwa sebagaimana yang Allah kehendaki.

Ini biasa kerana kita semua insan yang lemah dan tidak mampu. Alhamdulillah, dalam Surah at-Taghabun, Allah telah berfirman yang kita melakukan taqwa setakat yang kita mampu. Jadi kena baca ayat itu bersama ayat ini. Kalau tidak, memang kita akan dikira gagal sahaja sentiasa.

Apabila sudah begitu, maka ianya kembali kepada diri kita sendiri. Kita kena nilai diri kita setakat mana yang kita mampu. Kita kena tahu setakat mana kemampuan kita. Kerana setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza-beza. Dan kita jangan ‘curi tulang’ pula. Iaitu, kita boleh buat lebih lagi, tapi kita buat kurang dari yang kita boleh.

Orang lain tidak akan dapat tahu, tapi kita sendiri akan tahu kerana kita kenal kemampuan kita, bukan? Ingatlah bahawa nanti kita akan mengadap Allah dan akan dipersoal sama ada kita sudah melakukan yang terbaik yang kita boleh lakukan. Dengan orang lain kita boleh jawab: aku dah buat yang terbaik. Mereka tidak boleh menilai kita. Tapi Allah boleh menilai kita.

 

وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Dalil yang menunjukkan bahawa ayat ini adalah peringatan supaya jangan syirik adalah kerana Allah pesan supaya jangan mati melainkan dalam keadaan akidah Islam. Muslimin di sini bermaksud muwahhidun – mentauhidkan Allah.

Ini amat penting kerana kalau ada amalan atau fahaman syirik, tidak ada peluang untuk dapat syafaat pun. Oleh itu, akidah kita kena jaga betul-betul. Kerana kalau mati ada syirik, tidak ada harapan langsung untuk masuk ke syurga. Kerana kalau kita buat dosa yang selain syirik, masih ada peluang untuk masuk syurga – sama ada Allah masukkan dalam neraka dahulu, atau Allah ampunkan terus. Tapi dosa syirik Allah telah beritahu yang Dia tidak akan ampun.

Allah ingatkan kita jangan mati melainkan dalam keadaan taat kepada arahanNya. Tapi kita tidak boleh tentukan bila kita akan mati bukan? Maka ini mengajar kita jangan langsung kita buat dosa kerana takut kalau kita mati semasa sedang melakukan dosa. Itu dinamakan su’ul khotimah – penutup yang buruk – kita tutup hayat kita di dunia dengan cara yang buruk.

Cara kita mati boleh dijadikan sebagai tanda apakah nasib kita di akhirat nanti. Ada tanda-tanda mati yang baik. Contohnya kalau kita mati sedang melakukan ibadah. Semoga kita mati semasa melakukan ibadah. Ini amat menakutkan sekali kerana kita tak tahu lagi apa nasib kita.

Jadi ayat ini adalah muqaddimah sahaja kepada jihad. Belum nampak dengan jelas lagi sekarang. Akan nampak dengan jelas apabila semakin kita baca dan telusuri ayat-ayat selepas ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 November 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan