Tafsir Surah Maryam Ayat 56 – 59 (Kena jaga Solat)

Ayat 56: Sekarang disebut tentang Nabi Idris عليه السلام pula.

وَاذكُر فِي الكِتٰبِ إِدريسَ ۚ إِنَّهُ كانَ صِدّيقًا نَّبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Idrees. Indeed, he was a man of truth and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta dia seorang Nabi.

 

وَاذْكُرْ فِي الْكِتٰبِ إِدْرِيسَ

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris;

Siapakah Nabi Idris عليه السلام? Tidak banyak info sahih yang kita ada tentang baginda. Tidak banyak disebut tentang Nabi Idris عليه السلام dalam Al-Qur’an dan hadith yang sahih. Jadi tidak banyak yang kita boleh sebut di sini.

Ada ahli tafsir yang mengatakan bahawa baginda adalah Nabi pertama selepas Nabi Adam عليه السلام. Ada juga yang mengatakan bahawa mungkin baginda adalah cucu kepada Nabi Adam عليه السلام. Ada riwayat yang mengatakan bagindalah yang memulakan ilmu astrologi – ilmu mengkaji bintang.

Ada juga yang mengatakan bahawa bagindalah yang mula-mula menjahit pakaian. Bagindalah juga dikatakan yang memulakan ilmu matematik asas. Allahu a’lam kerana riwayat-riwayat itu tidak dapat disahihkan.

Dalam Surah Anbiya ayat 85, ada disebutkan bahawa baginda adalah seorang yang sabar.

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ

Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.

Dalam ayat itu baginda sekali lagi disebut bersama Nabi Ismail عليه السلام dalam satu surah (seperti Surah Maryam ini). Dari situ kita juga dapat tahu bahawa Nabi Ismail عليه السلام juga seorang penyabar.

Apabila disebutkan bersama Nabi Ismail عليه السلام sekali lagi seperti dalam Surah Maryam ini, kita boleh dapat isyarat yang terdapat kaitan antara Nabi Idris عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام tetapi setakat ini kita tidak dapat pastikan lagi.

 

إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

sesungguhnya adalah dia amat benar, serta dia seorang Nabi.

Sifat yang sama telah dikatakan dalam Al-Qur’an tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Sila rujuk ayat 41.

Siddiq bermaksud membenarkan sesuatu yang benar. Contohnya, apabila kita dengar seseorang berhujah dan kita tanya apakah dalil dan orang itu beri dalil yang sahih daripada nas Al-Qur’an atau daripada hadith sahih. Selepas orang itu beri dalil, maka kita pun terima. Inilah sifat sadiq (membenarkan).

Walaupun kita mungkin tidak pernah dengar sebelum itu dan berlainan dengan apa yang kita amal selama ini. Ini kerana apabila diberikan hujah yang sahih, maka kita terima dengan rela. Inilah yang sepatutnya berlaku.

Kita juga sanggup terima bahawa amalan yang kita buat selama ini salah kerana ia bukanlah amalan yang sahih daripada Nabi dan para sahabat. Janganlah sebab kita sudah selalu buat, apabila ada yang kata ia salah, kita tidak mahu terima. Kita pula beri hujah kita yang tidak sahih, atau kita pun tidak pasti, untuk membenarkan amalan kita selama ini.

Itu bukanlah sifat seorang sadiq. Ingatlah, agama Islam ini berasaskan dalil. Kalau tidak diberikan dalil, maka sesiapa sahaja boleh kata apa sahaja, maka rosaklah agama.

Orang agama kita pula janganlah marah kalau anak murid tanya dalil kerana memang itu yang sepatutnya. Janganlah beri alasan macam-macam untuk tidak beri dalil. Sebab ada yang kata: “Kalau banyak tanya, itu tanda lemah iman”, “Kalau beri dalil pun mereka tak faham”, “Ini sudah lama ulama’ kita buat” dan macam-macam lagi alasan yang diberikan.

Selalunya alasan itu diberikan kerana memang tidak ada dalil. Ustaz yang sebut itu pun tidak tahu apakah dalilnya. Dia pakai sebut sahaja, kerana guru dia ajar dia macam itu, atau dia ada terbaca dalam mana-mana kitab tentang amalan itu (tanpa disertakan dalil).

Janganlah kita senang sahaja terima perkara sebegini, cukuplah sudah kita beragama cara terima sahaja tanpa usul periksa.


 

Ayat 57: Masih lagi tentang Nabi Idris عليه السلام.

وَرَفَعنٰهُ مَكانًا عَلِيًّا

Sahih International

And We raised him to a high station.

Malay

Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

 

Ada riwayat yang menyatakan, Nabi Idris عليه السلام telah diangkat ke langit dan ada juga kisah dalam hadith yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ berjumpa dengan Nabi Idris عليه السلام di langit semasa baginda Isra’ Mi’raj.  Namun riwayat itu tidak kuat dan kisah baginda di langit itu mungkin ia diambil daripada kisah Israiliyat.

Jadi mungkin maksud ‘diangkat’ dalam ayat ini adalah daripada segi kedudukan baginda. Allah ‎ﷻ telah menaikkan darjat baginda.

Kenapa disebutkan banyak nama-nama Nabi dan Rasul dalam Surah Maryam ini? Allah ‎ﷻ membawakan kisah Nabi-nabi ini untuk menunjukkan kepada kita bahawa ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah ajaran baru. Ia dibawa juga oleh Nabi-Nabi yang lain. Termasuklah Nabi-Nabi yang kita tidak banyak maklumat tentang mereka seperti Nabi Idris عليه السلام ini. Terlalu banyak yang kita tidak kenal.

Nabi-Nabi yang disebut itu adalah sebagai isyarat kepada agama-agama yang tidak mahu menerima Islam (seperti Nasrani dan Yahudi). Sedangkan para Nabi yang mereka sanjungi juga adalah Muslim sebenarnya dan taat kepada Allah ‎ﷻ dan mereka tidak melakukan syirik.

Oleh itu Allah ‎ﷻ sebut kisah Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa  عليهم السلام dan juga Maryam adalah sebagai teguran kepada penganut Kristian kerana mereka juga adalah Nabi-nabi dan orang penting dalam agama Kristian.

Nabi Harun, Nabi Musa, Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub عليهم السلام pula adalah sebagai teguran kepada ahli kitab. Mereka juga dipandang mulia dalam agama Yahudi.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام pula adalah teguran kepada Musyrikin Mekah, kerana mereka pun kenal Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام.

Dan sekarang, disebutkan tentang Nabi Idris عليه السلام yang kurang dikenali. Nabi yang tidak dikenali sangat pun ada disebut juga. Nak beritahu kepada kita bahawa banyak lagi yang kita tidak tahu. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada seramai 124 ribu para Nabi dan lebih daripada 300 rasul telah diturunkan.


 

Ayat 58:

أُولٰئِكَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَّهُ عَلَيهِم مِّنَ النَّبِيّينَ مِن ذُرِّيَّةِ ءآدَمَ وَمِمَّن حَمَلنا مَعَ نوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبرٰهيمَ وَإِسرٰءِيلَ وَمِمَّن هَدَينا وَاجتَبَينا ۚ إِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءَايَـٰتُ الرَّحمٰنِ خَرّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا ۩

Sahih International

Those were the ones upon whom Allah bestowed favor from among the prophets of the descendants of Adam and of those We carried [in the ship] with Noah, and of the descendants of Abraham and Israel, and of those whom We guided and chose. When the verses of the Most Merciful were recited to them, they fell in prostration and weeping.

Malay

Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم

Mereka itulah yang telah dikurniakan Allah telah memberi nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka

Banyak nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka, dari pangkat kenabian, ilmu, anak-anak, pengikut dan sebagainya. Tidak terkira nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

 

مِّنَ النَّبِيِّينَ مِن ذُرِّيَّةِ ءآدَمَ

dari para Nabi dari keturunan Nabi Adam,

Allah menceritakan nikmat-nikmat yang diberikan kepada para Nabi. Mungkin yang dimaksudkan مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ di sini adalah Nabi Idris.

 

وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ

dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh,

Nabi Nuh diibaratkan ‘Adam kedua’ kerana seluruh keturunan manusia telah habis kecuali yang berada dalam bahtera itu. Jadi kita ini semua adalah keturunan Nabi Adam dan juga Nabi Nuh (bukan Nabi Adam sahaja).

 

وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرٰهِيمَ وَإِسْرٰءيلَ

dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil-

Israil yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Yaakub. Baginda telah diberi gelaran nama ‘Israil’. Kerana itulah keturunan baginda disebut ‘Bani Israil’ (anak-anak Israil atau anak-anak Yaakub).

 

وَمِمَّنْ هَدَيْنَا

dan siapa-siapa yang Kami beri hidayah petunjuk

Iaitu mereka yang selain dari para Nabi itu. Ada ramai lagi yang Allah beri petunjuk. Hidayah adalah apa yang dibawa oleh para Nabi. Yang mengikut mereka diberi hidayah. Maka, hendaklah kita mengikut para Nabi itu dan ajaran yang dibawa.

Syariat yang kita kena ikut sekarang adalah syariat Nabi Muhammad. Bukanlah ajaran yang dibawa para ulama dan guru agama yang tidak menyampaikan ajaran dari Al-Qur’an dan Sunnah Nabi.

 

وَاجْتَبَيْنَا

dan yang Kami pilih.

Allah pilih sesiapa yang diberi hidayah. Kita yang menerima hidayah ini hendaklah bersyukur kerana terpilih. Bukan semua manusia mendapat hidayah ini kerana kita boleh lihat banyak manusia sebenarnya kufur lagi sesat. Ini memberi motivasi kepada kita yang mendapat hidayah Islam ini. Apabila kita rasa kita insan terpilih maka kita akan lebih bersemangat, bukan?

Maka kita hendaklah mengikut jejak langkah mereka yang telah disebut dalam ayat ini (golongan para Nabi dan juga orang yang telah diberi hidayah). Apakah yang mereka lakukan, kita kena ikut.

Selepas kita telah diberi motivasi, sekarang disebutkan apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Allah.

 

إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءآيَاتُ الرَّحْمَٰنِ

Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman,

Semua mereka yang telah disebut itu mempunyai satu persamaan utama. Iaitu mereka menerima dan taat kepada wahyu Allah. Maka sekarang apakah yang kita perlu buat selepas dipilih untuk menerima hidayah? Ikutlah Sunnah Nabi-Nabi itu.

Apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Tuhan?

 

خَرُّوا سُجَّدًا

Terus mereka tersungkur sujud

Kalimah خَرُّوا bermaksud tersungkur dengan segera. Tersungkur dengan secara automatik dalam bentuk sujud. Mereka para Nabi dan yang mendapat hidayah itu selalu sujud apabila dibacakan wahyu Allah kepada mereka. Ini adalah kerana perkataan سُجَّدًا adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah. Mereka tersungkur sujud itu kerana mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah.

Ini kerana mereka bukan sahaja mendengar. Tapi mereka memasukkan ajaran itu dalam hidup mereka. Dan ajaran itu telah memberi kesan kepada hati mereka. Kalau setakat dengar, tidak memahami dan tidak mengamalkan apa yang diajar, itu tidak memberi kesan. Berapa banyak antara kita yang dengar sahaja Al-Qur’an yang dibacakan, tapi tidak faham sedikit pun, tidak memberi kesan sedikit pun dalam hati kita.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat Sajdah dalam Al-Qur’an. Disunatkan untuk sujud apabila dibacakan atau membaca ayat-ayat ini. Ulama’ ada mengatakan bahawa disunatkan untuk berdoa dalam sujud itu tentang perkara yang berkenaan dengan ayat itu.

Jadi, kalau dalam ayat ini kita doakan supaya kita dimasukkan ke dalam golongan yang banyak menangis dan juga golongan yang menjaga solat dan zakat.

 

وَبُكِيًّا

serta menangis.

Mereka juga selalu menangis. Perkataan yang digunakan juga adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah – bermaksud ‘selalu’. Kenapa mereka selalu menangis?

Untuk tunjuk bahawa mereka bukan hanya sujud dalam bentuk fizikal sahaja tapi mereka telah meresapkan perasaan iman itu sampai dalam hati mereka. Mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah sampaikan mereka tidak dapat menahan titisan air mata mereka dari mengalir. Mereka khusyuk apabila membaca kalam Allah. Kesannya, mereka akan menangis.

Nabi juga pernah suruh kita menangis apabila berdoa. Kalau tak boleh menangis dengan sendiri, maka hendaklah cuba-cuba buat-buat menangis. Kerana ini menunjukkan kerendahan kita di hadapan Allah. Lama-lama kita akan menangis dengan sendiri.

Tapi ada yang tak mahu menangis sebab malu. Kita sahaja yang rasa malu kalau menangis. Atau kita rasa kurang selesa. Ada yang kata lelaki tidak menangis. Tapi ingatlah bahawa kita menangis di hadapan Allah, bukan di hadapan orang lain. Jadi tidak perlu kita rasa malu.

Tidak perlu kita rasa tinggi diri. Padahal ada waktu-waktu lain boleh pula kita menangis. Contohnya, tengok filem Hindustan, boleh pula menangis. Tengok cerita kartun pun menangis. Tapi kenapa dengan Allah, kita susah untuk menangis?

Para sahabat yang besar dan gagah pun menangis. Abu Bakr memang terkenal sebagai seorang yang kuat menangis. Pernah sekali, apabila Nabi hendak memilih Abu Bakr untuk mengganti baginda menjadi imam, kerana baginda sudah tidak mampu, Aisyah berkata kepada Nabi supaya jangan pilih Abu Bakr, (bapanya sendiri), kerana beliau kuat menangis.

Itu Abu Bakr, bagaimana pula dengan Umar, yang kita tahu seorang yang berani dan bengis, pun selalu menangis juga. Jadi, siapa kita yang rasa tinggi diri sampai susah untuk menangis kerana Allah?


 

Ayat 59: Ini adalah satu ayat yang menakutkan sangat kalau kita faham apakah yang disampaikan.

۞ فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ أَضاعُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوٰتِ ۖ فَسَوفَ يَلقَونَ غَيًّا

Sahih International

But there came after them successors who neglected prayer and pursued desires; so they are going to meet evil –

Malay

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

 

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan selepas mereka

Perkataan خَلْفٌ bermaksud pengganti, dan dari kata dasar yang sama, kita selalu dengar perkataan ‘khalifah’. Tapi bukanlah khalifah itu ‘pengganti’ Nabi, kerana Nabi tidak boleh diganti. Tapi mereka adalah pengganti keturunan.

Iaitu selepas Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, selepas Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ismail dan seterusnya. Mereka semua itu mengganti kepada Nabi-Nabi yang sebelum mereka. Begitu juga, selepas kita tiada, akan ada golongan lain yang akan mengganti kita.

Dari segi bahasa, خَلْفٌ bermaksud keturunan itu adalah dari jenis manusia yang jahat. Kalau خَلَفٌ pula, mereka itu dari golongan manusia yang baik. Bezanya adalah tanda mati/sukun pada huruf ل. Begitulah kehebatan bahasa Arab. Ubah sikit sahaja sudah jadi makna lain.

Ayat ini penting kerana ayat sebelum ini menceritakan tentang kebaikan-kebaikan para Nabi dan pengikut mereka. Tapi semasa ayat ini diturunkan, Nabi tengok di sekeliling baginda, tidaklah begitu keadaan kaum-kaum yang ada bersama baginda. Masyarakat yang ada pada zaman Nabi itu adalah sangat jauh dari kebenaran sampaikan mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.

Maka Allah jelaskan dalam ayat ini, selepas Nabi-Nabi itu, umat yang selepas mereka adalah umat yang buruk. Mereka itu yang teruk, bukan kerana salah Nabi-Nabi itu. Oleh itu, jangan salahkan Nabi-nabi itu, kerana mereka tidak bersalah.

Kenapa mereka boleh sampai jadi begitu? Sebabnya akan disebutkan dalam potongan ayat berikut.

 

أَضَاعُوا ٱلصَّلَوٰةَ

yang mencuaikan sembahyang

Cuai bermaksud tidak mengambil peluang dari solat itu. Setiap solat ada kelebihannya dan mereka tidak mengendahkannya.

Ini bukan bermaksud mereka langsung tak solat. Bukannya mereka tidak solat langsung tapi mereka tak menjaga waktu solat. Mereka lalai dalam menjaganya. Sebagai contoh, mereka solat di hujung waktu dan kadang-kadang terlajak masuk dalam waktu solat lain.

Atau mereka solat apabila sudah termasuk dalam waktu makruh. Contohnya, mereka solat Asar tapi sudah nak masuk waktu Maghrib. Itu adalah waktu yang makruh. Memang sah solat itu kerana dalam waktu lagi, tapi waktu yang makruh.

Begitu juga dengan solat Isyak, sepatutnya dilakukan sebelum tengah malam. Kalau selepas tengah malam, masih lagi dalam waktu tapi sudah termasuk dalam waktu yang makruh. Ramai yang tidak tahu hal ini dan Solat Isyak terlalu lewat.

Ada mufassir yang kata maksud ayat ini mereka tidak khusyuk dalam solat. Iaitu mereka tidak jaga kualiti solat mereka. Mereka solat tapi sambil lewa sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak menitikberatkan tentang kepentingan solat itu. Dan kerana mereka tidak faham falsafah solat, jadi mereka buat solat itu secara mekanikal sahaja (ikut pergerakan sahaja, tapi tidak ada ‘roh’).

Saidina Umar pula berkata ayat ini bermaksud mereka yang tinggalkan solat berjemaah di masjid kerana sibuk dengan dunia. Kalau sekarang memang kita tengok manusia sangat sibuk dengan kerja dan benda lain sampai tak sempat solat di masjid. Yang dimaksudkan adalah golongan lelaki kerana mereka sahaja yang wajib solat berjemaah di masjid. Ramai juga lelaki yang tidak tahu bahawa solat berjemaah di masjid itu adalah wajib.

Begitu juga, kita boleh kata mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang memasukkan perkara-perkara bidaah yang ditambah dalam solat. Amat banyak kalau hendak disebut di sini. Sebagai contoh, sekarang ini, apabila selepas solat berjemaah, masyarakat kita akan ramai-ramai salam keliling. Mereka beratur buat bulatan sambil bersalaman antara satu sama lain.

Itu adalah bidaah yang paling baru. Tidak pernah diajar dalam Islam. Para sahabat tidak buat pun perkara ini. Yang ada dalam hadis, kalau baru berjumpa barulah para sahabat berjabat salam. Tidaklah ada mana-mana hadis anjuran berjabat salam selepas solat.

Tapi perkara ini ramai masyarakat kita yang buat. Sekarang bukan hanya salam sahaja, sudah mula baca selawat. Maknanya, semakin ditambah dengan amalan-amalan khusus pula. Nanti akan ada selawat khas direka untuk salam keliling ini. Tak lama nanti akan ada doa khas pula dan entah apa lagi bidaah yang akan direka dalam agama.

Anak cucu kita nanti akan lihat perbuatan ini dan mereka akan sangka ini adalah perkara baik dalam agama atau sebahagian dari agama. Padahal ianya bukan dari syariat agama tapi rekaan manusia sahaja. Kita takut jadi lebih teruk lagi kalau ada yang kata ada pahala kalau buat begini. Dan kalau ada orang yang tidak buat, orang itu akan dikutuk kerana mereka kata meninggalkan sesuatu dalam agama. Padahal, ini bukanlah ajaran dalam agama Islam pun.

Ayat ini adalah tentang manusia yang engkar kerana lalai dalam solat. Jangan sangka kita sekarang ini tidak boleh jadi macam mereka. Kalau kita pun lalai dalam solat macam mereka, maka kita pun boleh jatuh seperti mereka. Sekarang lihatlah bagaimana keadaan solat kita. Lambat, tidak khusyuk dan hanya buat di ceruk-ceruk rumah sahaja.

Kalau kita lalai dalam solat, kita pun akan lalai dalam perkara-perkara lain. Kalau kita lalai dalam menjaga hak Allah, kita pun tidak akan menjaga hak makhluk lain.

Maka, hendaklah kita solat dalam waktu yang afdhal. Zaman sekarang senang nak pakai alat-alat canggih untuk mengingatkan kita tentang waktu solat. Maka, kita kena set reminder untuk diri kita sebelum waktu solat masuk supaya kita boleh bersedia untuk mendirikan solat. Supaya kita bersedia untuk pergi ke masjid untuk solat.

Kita kena tunjukkan tauladan menjaga waktu solat kepada anak-anak kita. Oleh itu kena sekali sekala solat bersama keluarga kita. Buatkan satu ruang dalam rumah kita untuk didirikan solat di situ. Mereka akan melihat solat sebagai sesuatu yang penting dan menjadi satu aktiviti keluarga yang merapatkan antara keluarga.

Kalau mereka menyia-nyiakan salat, tentulah mereka akan menyia-nyiakan kewajipan-kewajipan lain kerana salat adalah tiang agama dan sebaik-baik amal seorang hamba.

Bukan itu sahaja yang menyebabkan mereka jatuh, ada lagi:

 

وَاتَّبَعُوا الشَّهَوٰتِ

serta menurut nafsu;

Mula-mula mereka ikut nafsu. Lama-lama mereka jadikan nafsu mereka sebagai tuhan. Itulah bahayanya apabila kita ikut sahaja nafsu kita. Lihatlah ayat Furqan:43

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?

Allah memberitahu bahawa mereka itu rosak kerana mereka tidak menjaga solat dan mereka mengikut nafsu mereka sahaja.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah suruh Nabi Isa dan Nabi Ismail jaga solat dan zakat. Berkenaan solat ada disebut dalam ayat ini, tapi mana tentang zakat? Yang disebut adalah tentang nafsu pula.

Maknanya ada kaitan antara zakat dan nafsu. Apakah kaitan antara nafsu dan zakat? Kalau kita ikut nafsu kita dan membazir, tentulah kita tidak ada duit nak beri zakat dan sedekah lagi.

 

فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

Kalimah غَيًّا dari segi bahasa adalah ‘sesat kerana kepercayaan salah’. Sudah tidak tahu mana salah mana betul.

Ada juga pendapat yang mengatakan غَيًّا adalah nama gua atau lembah dalam neraka yang di dalamnya paling teruk seksaan yang diberikan. Teruk sangat sampai neraka sendiri pun minta lindung darinya. Dalam riwayat dikatakan neraka berdoa sebanyak lapan kali sehari supaya dilindung dari غَيًّا kerana neraka pun takut.

Dalam lembah itu ada sebanyak 70 ribu ekor ular. Setiap satu lubang adalah untuk seorang manusia. Seekor ular itu panjangnya boleh lilit bumi. Satu titik dari bisanya boleh mematikan segala kehidupan di dunia. Tapi mereka yang kena patuk di neraka nanti, tidak akan mati-mati. Inilah yang dijanjikan kepada mereka yang melalaikan solat.

Maknanya, bukan kecil dosa yang dikaitkan dengan melalaikan solat. Tidakkah ini menakutkan? Kita sangka dengan kita solat sudah cukup, sudah terlepas dari azab, tapi lihatlah apa balasan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang lalai dalam solatnya. Kerana pentingnya menjaga solat, Allah menakutkan kita dengan balasan yang berat.

Tapi Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dia tidak biarkan kita begitu sahaja. Selepas Allah takutkan kita, Allah beri jalan keluar. Lihat ayat seterusnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 April 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Maryam Ayat 51 – 55 (Jaga agama ahli keluarga)

Ayat 51: Sekarang kita masuk ke dalam kisah Nabi Musa عليه السلام pula. Daripada ayat ini sehingga ke ayat 63 adalah Perenggan Makro Keempat. Dalam perenggan ini, akan disebut Nabi-nabi yang lain juga.

Bermula dengan kisah Nabi Musa عليه السلام yang hanya disebut dengan ringkas sahaja. Dalam Surah Taha selepas ini nanti akan disebutkan dengan panjang lebar kisah Nabi Musa عليه السلام.

وَاذكُر فِي الكِتٰبِ موسىٰ ۚ إِنَّهُ كانَ مُخلَصًا وَّكانَ رَسولًا نَّبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Moses. Indeed, he was chosen, and he was a messenger and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya dia adalah orang pilihan, dan adalah dia seorang Rasul, lagi Nabi.

 

وَاذْكُرْ فِي الْكِتٰبِ مُوسَىٰ

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa;

Sekarang kita disuruh untuk ambillah pengajaran daripada kisah Nabi Musa عليه السلام. Banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah baginda dan umat baginda. Kisah Nabi Musa عليه السلام memang banyak dalam Al-Qur’an kerana perjuangan baginda ada banyak persamaan dengan perjuangan Nabi Muhammad ﷺ.

Pengajaran tentang Nabi Musa عليه السلام bukan untuk diri Nabi Muhammad ﷺ sahaja, tetapi baginda kena sampaikan kisah Nabi Musa عليه السلام kepada seluruh manusia. Ini kerana ada persamaan antara mesej yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام dan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Ingatkan kepada manusia bahawa semua Nabi membawakan perkara yang sama. Dari segi tauhid, sama sahaja.

Dan kisah Nabi Musa عليه السلام itu hendaklah diambil daripada Al-Qur’an sahaja. Atau, kena disesuaikan dengan Al-Qur’an. Jangan ambil daripada sumber-sumber lain yang tidak sahih. Banyak kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Kadang-kadang kisah itu boleh merendahkan martabat para Nabi. Ini adalah kerana banyak yang bersumberkan kisah-kisah israiliyat. Dan malangnya kisah-kisah itu telah masuk ke dalam kitab-kitab karangan manusia. Dan disampaikan orang para ‘tukang cerita’ di dalam ceramah-ceramah mereka.

Maka, berhati-hatilah kalau kita memperkatakan tentang para Nabi. Mereka adalah manusia mulia yang menjadi ikutan kita. Kalau ada kisah-kisah mereka yang boleh menyebabkan kita musykil dengan agama, rasa merendahkan dan menghina mereka, maka itu adalah satu perkara yang bahaya.

 

إِنَّهُ كَانَ مُخْلَصًا

sesungguhnya dia adalah orang pilihan,

Daripada segi bahasa, مُخْلَصًا bermaksud sesuatu yang tulus, yang telah disucikan, yang taat. Perkataan ini khas digunakan untuk para Nabi. Ertinya seorang yang ikhlas di dalam beribadah dan Allah ‎ﷻ membersihkan dirinya daripada hal-hal yang kotor.

Tetapi kalau difikirkan, semua Nabi mendapat kelebihan yang sama, jadi kenapa dalam ayat ini, ia disebutkan secara spesifik kepada Nabi Musa عليه السلام? Apakah kelebihan Nabi Musa عليه السلام kalau dibandingkan dengan Nabi-nabi yang lain?

Nabi Musa عليه السلام mendapat satu kelebihan yang tidak ada pada para Nabi yang lain – baginda bercakap secara terus dengan Allah ‎ﷻ. Dalam Nisa:134, telah diberitahu kepada kita tentang perkara ini. Maksud ayat itu, memang benar-benar Allah ‎ﷻ bercakap terus dengan Nabi Musa عليه السلام. Ia bukan secara isyarat tetapi memang bercakap dengan sebenarnya.

Dalam Shura:51, Allah ‎ﷻ telah menyebut bagaimana Allah ‎ﷻ berkomunikasi dengan para Nabi dan cara komunikasi dengan Nabi Musa عليه السلام ini adalah lebih hebat lagi. Tidak semua para Nabi dapat bercakap secara terus dengan Allah ﷻ. Jadi, itu adalah satu kelebihan yang amat tinggi yang telah diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام yang tidak diberikan kepada orang lain.

Dan kisah Nabi Musa عليه السلام penuh dengan ranjau, tetapi Allah ‎ﷻtelah menyelamatkan baginda setiap kali. Dari masa Nabi Musa عليه السلام masih bayi lagi, Firaun telah mengarahkan supaya dibunuh semua bayi lelaki tetapi Allah ‎ﷻ telah memberi ilham kepada ibu baginda untuk menyelamatkan baginda; apabila baginda telah membunuh seorang lelaki Qibti secara tidak sengaja dan baginda telah dikenakan hukuman bunuh, Allah ‎ﷻ telah menghantar seorang lelaki untuk menasihatkan baginda untuk melarikan diri; baginda telah berlawan dengan ahli sihir terkemuka dan hebat dalam negari Mesir dan Allah ‎ﷻ telah beri kemenangan kepada baginda; baginda telah dikejar semasa melarikan diri bersama Bani Israil yang bersama baginda di Laut Merah dan Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan baginda dengan membelah lautan.

Semua itu adalah nikmat-nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan baginda.

 

وَّكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

dan adalah dia seorang Rasul, lagi Nabi.

Dalam ayat lain, kita telah sebut apakah makna Nabi. Kali ini disebut bahawa Nabi Musa عليه السلام juga adalah seorang Rasul. Apakah makna Rasul?

Makna Rasul adalah seorang yang membawa ‘risalah’ daripada pihak yang tinggi. Dalam Islam, para Rasul membawa risalah dari Allah ‎ﷻ yang Maha Tinggi.

Apabila dua perkataan ini diletakkan bersama, bermakna ada perbezaan antara Rasul dan Nabi. Persoalan yang selalu timbul adalah: apakah perbezaan antara seorang Nabi dan Rasul? Jawapan yang kita selalu dengar adalah Rasul adalah Nabi yang membawa risalah. Oleh itu, setiap Rasul adalah Nabi setiap Nabi tidak semestinya seorang Rasul. Itu adalah jawapan yang kita biasa dengar dan mungkin tidak berapa tepat. Kerana ia terlalu simplistik.

Pendapat yang lebih bagus adalah: seorang Nabi dihantar kepada kaumnya tetapi seorang Rasul membawa syari’at baru. Itu pun masih ada khilaf di kalangan ulama’. Ada juga yang kata bahawa seorang Nabi diberikan wahyu untuk dirinya tetapi seorang Rasul kena menyampaikan dakwah kepada kaum.

Daripada segi penggunaan dalam Al-Qur’an, Nabi Muhammad ﷺ kadang-kadang disebut dengan pangkatnya sebagai seorang Nabi dan kadangkala sebagai seorang Rasul. Apabila diperhatikan, apabila baginda berurusan dengan manusia, pangkat Nabi yang disebut. Tetapi apabila dalam ayat itu menyebut tentang baginda menerima risalah daripada Allah ‎ﷻ, pangkat baginda sebagai Rasul yang disebut.

Jadi, apakah kaitannya dengan ayat ini? Kalau kita lihat penerangan tentang Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda disebut صِدِّيقًا نَّبِيًّا (seorang yang amat benar dan seorang Nabi). Tetapi, apabila disebut tentang Nabi Musa عليه السلام, baginda dikatakan: رَسُولًا نَّبِيًّا (seorang Rasul dan Nabi). Kenapa ada perbezaan?

Ini adalah kerana ada kriteria tertentu yang hendak ditekankan tentang mereka berdua yang berbeza antara satu sama lain. Dalam kes Nabi Musa عليه السلام, baginda mempunyai masalah dengan kaumnya yang susah untuk menerima baginda sebagai seorang Rasul yang mendapat risalah daripada Allah ‎ﷻ. Maka, status kerasulan baginda ditekankan.


 

Ayat 52:

وَنادَينٰهُ مِن جانِبِ الطّورِ الأَيمَنِ وَقَرَّبنٰهُ نَجِيًّا

Sahih International

And We called him from the side of the mount at [his] right and brought him near, confiding [to him].

Malay

Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.

 

وَنَادَيْنٰهُ

Dan Kami telah menyerunya

Kejadian yang dimaksudkan ini adalah ketika Nabi Musa عليه السلام telah sesat mencari api di Bukit Thur. Ada disebut di awal Surah Taha tentang kisah ini. Allah ‎ﷻ telah memanggilnya dan telah berdialog dengan Nabi Musa عليه السلام buat pertama kali.

Perkataan نداء digunakan dalam ayat ini kerana kita telah belajar sebelum ini bahawa maknanya: bercakap dengan seseorang yang kita tidak nampak. Nabi Musa عليه السلام memang berkata-kata secara terus dengan Allah ‎ﷻ, tetapi baginda tidak nampak Allah ‎ﷻ.

Nabi Musa عليه السلام memang ada minta untuk melihat Allah ‎ﷻ tetapi tidak boleh. Ini telah disebut dalam ayat A’raf:143 قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي.

 

مِن جَانِبِ الطُّورِ الْأَيْمَنِ

dari arah sebelah kanan Gunung Tursina,

Di manakah bahagian kanan ini? Ini mungkin sebagai isyarat sahaja. Bukan mengambil maksud yang literal sebelah ‘kanan’. Jadi tidak perlu pergi ke bukit Thur dan cari bahagian mana pula. Ia mungkin bermaksud ‘baik’. Kita pun selalu menggunakan ‘kanan’ untuk perkara yang baik, seperti ‘puak kanan’ dan sebagainya. Maka ayat ini hendak mengatakan bahawa tempat itu diberkati.

Apabila sesuatu itu diberkati, kenalah ada dalil dalam agama. Sama ada Allah ‎ﷻ beritahu atau Nabi beritahu kepada kita. Kita sebagai manusia, tidak tahu apakah yang diberkati kerana ia adalah perkara ghaib. Jangan kita pandai-pandai kata sesuatu itu berkat atau tidak.

Sebagai contoh masyarakat kita, kalau ada yang baru balik dari Mekah, kita akan kata kepada mereka: “Nak salam sekejap, nak ambil berkat”. Itu adalah rekaan semata-mata. Tidak ada dalil mereka yang balik dari Mekah bawa balik berkat itu dengan mereka dan boleh beri kepada kita pula. Kalau kita hendak dapat berkat, kita sendiri kena pergi ke Mekah kerana Mekah memang tempat yang diberkati.

Ada juga yang hendak peluk tok guru, minum air lebihan tok guru, tanah kubur tok guru dan macam-macam lagi kerana hendak ambil ‘berkat’. Ini tidak patut dilakukan kerana tiada dalil bagi semua berkat itu.

 

وَقَرَّبْنٰهُ نَجِيًّا

dan Kami dampingkan dia dengan dekat.

Nabi Musa عليه السلام telah diberi penghormatan berkata-kata dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu kelebihan kepada Nabi Musa عليه السلام yang tidak diberikan kepada Nabi-Nabi yang lain.

Kalimah نَجِيًّا ini seperti yang kita faham sebagai ‘munajat’ iaitu berkata-kata dengan rahsia bersama seseorang yang amat dekat sekali. Bercakap dengan rapat sekali. Jadi kalimah munajat dalam ayat ini bermaksud mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ dan mengadu kepada-Nya. Kerana itu solat dikatakan sebagai munajat kepada Allah ﷻ kerana kita sedang bercakap secara rahsia denganNya.


 

Ayat 53:

وَوَهَبنا لَهُ مِن رَّحمَتِنا أَخاهُ هٰرونَ نَبِيًّا

Sahih International

And We gave him out of Our mercy his brother Aaron as a prophet.

Malay

Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

 

وَوَهَبْنَا لَهُ

Dan Kami kurniakan kepadanya

Perkataan هَبْ digunakan apabila ianya melibatkan satu pemberian besar. Selalunya digunakan dalam Al-Qur’an apabila menceritakan tentang pemberian anak.

Anak adalah satu pemberian yang amat besar. Mereka yang sudah ada anak akan dapat memahami apakah yang dimaksudkan. Dan apa yang diberikan kepada Nabi Musa dalam ayat ini adalah juga satu pemberian yang besar. Apakah pemberian itu? Akan disebutkan selepas ini.

 

مِن رَّحْمَتِنَا

dari rahmat Kami,

Ianya adalah satu pemberian dan kurniaan yang amat besar dan kerana itu disebut sebagai rahmat dari Allah. Allah hendak mengingatkan kita bahawa pemberian itu adalah dari Allah. Bukan hanya pemberian kepada Nabi Musa sahaja yang dari rahmat Allah, tapi apa-apa pemberian pun kepada kita. Semua yang kita dapat adalah rahmat dari Allah.

Apabila ada perkataan مِن, ianya bermakna ‘sebahagian’. Walaupun besar pemberian Allah itu kepada Nabi Musa, tapi tidak sampai setitik pun dari keseluruhan rahmat Allah yang amat amat luas.

Apakah pemberian itu sampai digunakan kata هب dan dikatakan ianya rahmat dari Allah?

 

أَخَاهُ هٰرُونَ نَبِيًّا

saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

Nabi Musa telah berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya (abangnya) Harun sebagai Nabi dan Allah telah perkenankan doa Nabi Musa itu.

Ada beberapa perkara yang Nabi Musa minta kepada Allah. Antaranya adalah diminta supaya abangnya Harun dijadikan juga Nabi supaya dapat menyokongnya dalam dakwah terutama sekali dengan Firaun. Kisah ini disebut dalam surah seterusnya, Surah Taha dengan panjang lebar. Kisah Nabi Musa meminta supaya dilantik Nabi Harun menjadi Nabi ada disebut dalam Taha:29.

Bermakna Allah telah memperkenankan doa Nabi Musa. Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud doa umatnya seperti doa para Nabi Bani Israil. Bermaksud doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah. Cuma pemberian Allah itu berbagai cara – ada yang diberikan seperti apa yang diminta, ada yang ditukar kepada perkara yang lebih baik dan ada yang diberikan di akhirat kelak. Ini menunjukkan kehebatan doa. Maka jangan kita sia-siakan kebesaran yang Allah telah berikan kepada kita itu.

Dalam ayat ini dikatakan bahawa Nabi Harun adalah seorang Nabi. Ini menolak pendapat yang mengatakan Nabi Harun bukan seorang Nabi.


 

Ayat 54: Sebelum ini tentang Nabi-nabi dari Bani Israil, sekarang disebut Nabi dari jalur yang lain (Bani Ismail).

وَاذكُر فِي الكِتٰبِ إِسمٰعيلَ ۚ إِنَّهُ كانَ صادِقَ الوَعدِ وَكانَ رَسولًا نَّبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Ishmael. Indeed, he was true to his promise, and he was a messenger and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

 

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ismail;

Allah menyuruh Nabi Muhammad (dan kita juga) untuk memerhatikan kisah Nabi Ismail yang ada dalam Al-Qur’an ini. Bukan diambil dari karangan-karangan mengarut selain dari Al-Qur’an dan hadis.

Begitu juga kita hendaklah menyampaikan juga kisah Nabi Ismail ini kepada orang lain juga. Kita telah pernah sebut bahawa اذْكُرْ ada dua maksud: ingat dan sampaikan.

Sebelum ini tidak disebut Nabi Ismail apabila Al-Qur’an memperkatakan tentang anak dan cucu Nabi Ibrahim dalam ayat 49. Bukanlah kerana Nabi Ismail kurang status atau rendah dari Nabi Ishak. Ada di tempat lain dalam Al-Qur’an hanya disebut Nabi Ismail tanpa Nabi Ishak.

Kita kena faham yang Al-Qur’an memperkatakan sesuatu perkara mengikut keperluan. Dalam ayat 49, perlu disebut Nabi Ishak dan di tempat lain perlu disebut nama Nabi Ismail. Ini kerana Al-Qur’an adalah kata-kata Allah yang tepat. Kalau ianya tidak diperlukan, Allah tidak akan sebut dalam Al-Qur’an.

 

إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ

sesungguhnya dia adalah yang benar dan sentiasa menepati janji

Maksud ayat ini adalah Nabi Ismail sentiasa menepati janjinya. Tidak pernah baginda bernazar untuk melakukan sesuatu ibadat melainkan baginda akan menunaikannya. Pernah sekali, dbagindaia berjanji untuk berjumpa dengan seorang lelaki di satu tempat. Nabi Ismail telah pergi ke tempat itu seperti yang dijanjikan tapi lelaki itu terlupa untuk datang. Nabi Ismail tetap menunggu sampai lelaki itu datang esok harinya.

Dan memang normal untuk para Nabi menepati janji mereka. Tiada bezanya Nabi Ismail dengan Nabi-Nabi lain dalam hal itu. Tapi apabila ada ال dalam perkataan الْوَعْدِ (janji), itu bermaksud ianya adalah satu janji yang spesifik. Apakah janji yang dimaksudkan?

Janji yang dimaksudkan adalah kisah bagaimana Nabi Ibrahim telah mendapat mimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail. Kisah ini disebut dalam Saffat:102, 103. Apabila diberitahu kepada Nabi Ismail, baginda sanggup terima. Dan apabila sampai masa untuk menyembelih baginda, baginda datang menepati janjinya. Bukanlah baginda hanya cakap sahaja tapi kemudian melarikan diri. Itulah janji yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Ini memberi pengajaran kepada kita untuk menepati janji juga. Nabi pernah bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga. Jika bicara dia dusta, jika berjanji dia menyalahi, dan jika diberi amanah dia khianat.”

Dalam Sunan Abi Dawud, ada diriwayatkan kisah Nabi Muhammad. Seorang sahabat bernama Abil Hamsa berkata:

“Aku berbai’at kepada Rasulullah sebelum baginda diutus menjadi Nabi. Di kemudian hari, aku berjanji bertemu dengannya di suatu tempat. Akan tetapi pada hari itu aku lupa, begitu juga hari keduanya. Maka pada hari ketiga, aku menemui baginda dan aku melihat baginda tetap berada di tempat tersebut. Baginda bersabda kepadaku: “Hai anak muda, engkau menyebabkan aku rindu. Aku menunggumu di sini sejak tiga hari.”

 

وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

‘Rasul’ digunakan dalam ayat ini kerana bagindalah asas kepada bangsa Arab. Bagindalah yang telah meletakkan dasar dan hukum perjalanan bangsa Arab. Kalau kita mengambil definisi ‘Rasul’ sebagai seorang Nabi yang membawa syariat baru kepada kaumnya. Jadi itulah yang dibawa oleh Nabi Ismail kepada bangsa Arab. Dari keturunannya lahir Nabi Muhammad.

Baginda juga seorang Nabi lagi Rasul. Ada mufassir mengatakan ini menunjukkan kemuliaan Ismail dibandingkan saudaranya Ishaq. Kerana Allah mensifati Ishaq hanya dengan kenabian sedangkan Ismail disifatiNya dengan kenabian dan kerasulan.


 

Ayat 55: Ini adalah sambungan kisah Nabi Ismail a.s. Apakah yang hendak disampaikan oleh ayat ini? Semasa kita membaca ayat ini, kita perlu ingat bahawa baginda adalah seorang pemimpin besar. Baginda telah meletakkan asas pembentukan negara Arab.

Tentunya sebagai seorang pemimpin, baginda sibuk dengan tugas-tugas kenegaraan. Sebagai Rasul pula, tentunya baginda sibuk dengan tugas-tugas dakwah. Tapi begitu pun, baginda tidak melupakan tanggungjawab mengajar dan memberi peringatan agama kepada anak isterinya.

Baginda mengajar masyarakat yang dipimpinnya dari teladan yang ditunjukkan sendiri. Mereka boleh lihat sendiri bagaimana baginda berurusan dengan keluarganya. Maka elok sangat kalau kita mempelajari kisahnya di sini dan melihat apakah pengajaran yang kita boleh ambil. .

وَكانَ يَأمُرُ أَهلَهُ بِالصَّلٰوةِ وَالزَّكٰوةِ وَكانَ عِندَ رَبِّهِ مَرضِيًّا

Sahih International

And he used to enjoin on his people prayer and zakah and was to his Lord pleasing.

Malay

Dan adalah dia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan dia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!

 

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ

Dan adalah dia menyuruh keluarganya

Apabila كَانَ diletakkan sebelum kata kerja, ia bermaksud ‘sentiasa’. Begitulah kadang-kadang apabila kita mengajak ke arah kebaikan, tidak boleh hanya bercakap sekali sahaja. Macam kita nak ingatkan anak kita solat, hari ni kena cakap, esok kena cakap, lusa kena cakap dan tulat dan seterusnya, kena juga ingatkan mereka tentang solat dan tentang ibadat-ibadat lain.

 

بِالصَّلٰوةِ وَالزَّكٰوةِ

untuk mengerjakan sembahyang dan memberi zakat,

Sebelum ini, telah disebut bahawa arahan ini juga telah diberikan kepada Nabi Isa a.s. Sama sahaja arahan yang diberikan kepada Nabi-nabi untuk mengerjakan solat. Maka Nabi Ismail pun telah mengajar perkara yang sama kepada ahli keluarga baginda. Baginda sentiasa mengingatkan mereka untuk mengerjakan solat.

Dalam Surah Taha pun, ada disebut bagaimana Nabi Muhammad pun disuruh mengingatkan keluarganya untuk mengerjakan solat juga. Ini disebut dalam ayat 132.

Istilah ‘zakat’ ada dua makna. Maksud asal dari segi bahasa adalah ‘pembersihan’. Maka makna pertama yang kita boleh ambil dari kalimah ‘zakat’ adalah pembersihan ‘dalaman’ di mana kita membersihkan hati kita dari sifat-sifat buruk.

Dan makna zakat yang kedua adalah makna pembersihan ‘luaran’. Iaitu kita mengeluarkan zakat dalam bentuk harta di mana kita membersihkan harta itu. Apabila kita mengeluarkan zakat, kita sebenarnya membersihkan pendapatan kita jikalau ada dari pendapatan kita yang tidak bersih (dari sumber yang haram atau syubhah).

Kadangkala ada pendapatan-pendapatan yang syubhah yang kita tidak sedari. Sebagai contoh, kita berniaga kedai makan. Mungkin ada termasuk duit pelanggan yang kita tersilap kira. Jadi itu adalah pendapatan yang kotor sebab kita tidak patut dapat duit itu. Jadi, dengan memberikan zakat, keseluruhan harta kita jadi halal bagi kita. Itu adalah satu contoh.

Jadi kita diajar bahawa Nabi Ismail memastikan ahli keluarganya menjaga solat dan zakat. Ayat ini mengingatkan kita bahawa pemimpin pun tidak lepas dari tanggungjawab kepada keluarga. Kita perlu melihat amalan agama mereka (ahli keluarga) juga dengan selalu memberikan nasihat dan peringatan kepada mereka. Selalu kita risau hal dunia mereka, tapi bagaimana dengan agama? Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘tarbiyah’. Kita kena tarbiyah orang bawahan kita.

Banyak pengajaran terdapat dalam ibadat solat dan zakat. Sebab itulah ayat ini menyebut dua ibadat ini. Solat adalah ibadat yang melibatkan tubuh badan dan zakat adalah ibadat hati dan juga ibadat harta.

Nabi Ismail pun disuruh mengajar sendiri ahli keluarga baginda. Berapa banyak kita lihat dalam masyarakat, kadangkala seorang imam, guru agama, tok siak, tertinggal hal-hal agama anak isteri mereka sendiri. Mereka sibuk memberi nasihat kepada orang lain, tapi anak mereka sendiri, mereka tertinggal. Ini mungkin disebabkan mereka telah lalai dalam menjaga kesihatan agama ahli keluarga sendiri.

Memang selalu kita lihat ada orang yang baik, tapi anak mereka pula macam hantu. Anak Nabi-nabi pun ada begitu juga, sebagai contoh anak Nabi Nuh. Maka jangan kita tuduh seseorang itu teruk kalau melihat anaknya yang teruk. Dan jangan kita hanya gunakan alasan anak Nabi Nuh pun tak terima dia (alaahhh, Nabi Nabi pun jahat, apa kau nak kesah anak aku pula?) Kalau kita sudah memang menasihati mereka, barulah boleh kita nak kata kita sudah usaha tapi mereka masih juga tak mahu terima. Tapi kena tanya diri kita: “sudahkah aku nasihat anak isteri aku?”

Marilah kita ambil contoh bagaimana Nabi Muhammad bersama keluarganya. Walaupun baginda dalam kesibukan berdakwah dan menjadi pemimpin masyarakat, tapi baginda berjumpa dengan ahli keluarga baginda setiap hari. Baginda akan mengkhususkan waktu dari selepas Asar sampai Maghrib untuk bertemu semua ahli keluarga baginda.

Marilah kita mengajar anak-anak kita dengan contoh tauladan yang baik. Yang mereka boleh nampak kita buat sendiri. Kita sendiri mengajar mereka solat, baca Al-Qur’an, hadis Nabi dan lain-lain lagi. Dan pastikan mereka solat. Begitu banyak kelebihan dalam solat dan zakat yang boleh diterapkan. Sebagai contoh, solat mengajar mereka menghormati masa. Zakat pula mengajar mereka tanggungjawab sosial sesama umat.

 

وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

dan dia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya.

Penerangan bahawa Nabi Ismail diredhai diletakkan dalam ayat yang sama yang menyebut baginda mengajar keluarganya tentang agama. Ini menunjukkan kepentingan mengajar agama dan mengingatkan tentang agama kepada keluarga.

Apa yang kita hendak adalah redha Allah. Dan mengajar keluarga kita adalah salah satu jalannya untuk mendapat redha Allah. Begitu penting sekali kita mengajar agama kepada mereka. Jangan kita sibuk nak mengajar orang lain sahaja, tapi anak isteri sendiri dilupakan.

Malangnya begitulah yang terjadi kepada  beberapa ahli-ahli agama yang kita boleh lihat dalam masyarakat kita. Maka kalau dengan ahli keluarga kita, biar kita yang ajar sendiri. Tak perlu outsource kepada sekolah agama dan orang alim lain.

Berkeluarga adalah satu ibadah sebenarnya. Banyak kelebihan dalam berkeluarga. Memberi makan kepada mereka adalah sedekah; meluangkan masa dengan mereka adalah sedekah; bersama dengan isteri untuk mendapat zuriat adalah sedekah dan macam-macam lagi peluang untuk buat pahala dengan keluarga kita.

Dan jangan kita lupa bahawa kita tinggalkan mereka untuk meneruskan pahala kepada kita apabila kita tiada nanti. Dalam hadis telah disebut bahawa selepas mati anak Adam, maka putuslah pahalanya, melainkan sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Tapi tentang mendoakan ibubapa ini pun ramai yang keliru. Mereka selalu buat Majlis Tahlil atau sekurang-kurangnya, masyarakat kita akan menyedekahkan bacaan Surah Fatihah kepada ibubapa mereka yang telah tiada. Mereka berhujah bahawa itulah yang dimaksudkan dengan ‘doa’ kepada ibubapa. Ini adalah kerana mereka kurang faham dan mereka hanya ikut sahaja apa yang telah biasa dibuat oleh orang-orang terdahulu.

Orang-orang terdahulu pun keliru juga. Apa yang mereka buat itu adalah ‘sedekah pahala’ dan sedekah pahala tidak ada dalam Islam. Tidak ada dalil langsung yang mengajar kita untuk sedekah pahala sebegitu rupa. Yang dimaksudkan dengan doa adalah doa yang biasa kita baca.

Sebagai contoh doa yang pendek: “Ya Allah, ampunkanlah dosa ibubapaku”. Kalau ada doa yang panjang, boleh diambil dari Al-Qur’an dan hadis Nabi, itu lebih elok. Ini memerlukan perbincangan yang panjang kepada mereka yang masih tidak faham. Dan ini bukanlah tempat untuk perbincangan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 April 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Tafsir Surah Fatihah Ayat 5 [Bahagian 4] (Konsep Tawakal)

Kita juga kena berhati-hati dengan apa yang kita minta. Dalam doa kita, hendaklah kita ‘lapik’ permintaan kita itu dengan kata: “kalau ia adalah baik untuk kita”. Kerana kita hendakkan segala yang diberikan kepada kita itu adalah untuk kebaikan sahaja.

Sebagai contoh, apabila kita minta rezeki kepada Allah ﷻ, kita tidak mahu rezeki itu sebagai penyebab kepada kejatuhan kita pula. Kalau rezeki itu akhirnya akan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan, kita pun tidak mahukan rezeki itu, bukan? Oleh itu kalau kita minta sesuatu dan Allah ﷻ tidak makbulkan, maka tahulah bahawa ia adalah kebaikan untuk diri kita.

Dalam kita memohon kepada Allah ﷻ, hendaklah kita minta dengan ikhlas. Ada beberapa jenis manusia dalam hal ini:

1. Ada manusia yang beribadah kepada Allah ﷻ dan minta tolong juga kepada Allah ﷻ. Inilah jenis orang beriman yang sebenar.

2. Dua-dua tidak. Ini adalah orang-orang kafir. Sudahlah tidak beribadah kepada Allah ﷻ, mereka minta pun bukan kepada Allah ﷻ. Akan tetapi mereka pun berdoa juga kepada tuhan mereka. Kerana tentunya mereka mengharapkan banyak perkara dalam dunia ini. Sedangkan segala permintaan mereka yang dimakbulkan itu adalah daripada Allah ﷻ juga kerana tidak ada tuhan yang lain selain Allah ﷻ. Mereka sahaja yang sangka tuhan sembahan mereka yang makbulkan permintaan mereka itu. Oleh itu, apabila mereka dapat sesuatu, mereka tidak bersyukur kepada Allah ﷻ kerana mereka tidak mengiktiraf Allah ﷻ. Itu lebih memasukkan mereka ke dalam kesyirikankerana menyangka tuhan mereka yang berikan segalanya itu.

3. Ada manusia yang melakukan ibadah kepada Allah ﷻ tetapi tiada istianah (memohon bantuan) kepada Allah ﷻ. Mereka tiada pengharapan kepada Allah ﷻ. Mereka hanya bergantung kepada usaha mereka sahaja. Mereka sangka segala apa yang mereka dapat itu adalah hasil usaha mereka sendiri sahaja. Mereka tidak sedar ada ‘tangan’ Allah ﷻ dalam semua perkara.

Antara mereka yang berpendapat begini adalah golongan qadariah. Mereka terima dan tahu bahawa Allah ﷻlah yang menjadikan kita dan alam ini. Namun pada mereka, selepas itu semua perkara bergantung kepada kita. Kalau kita gagal, ia adalah salah kita. Dan kalau kita mendapat sesuatu, ia adalah hasil usaha kita. Kerana kepada mereka, Allah ﷻ telah mrnetapkan perjalanan sistem alam ini: kalau kita buat sesuatu, kita akan dapat hasilnya. Kalau gagal, ia adalah salah kita. Pada mereka, Allah ﷻ sudah tidak ada campur tangan dalam nasib kita lagi.

Mereka lupa bahawa hukum alam ini pun daripada Allah ﷻ juga. Ingatlah bahawa Allah ﷻ tidak meninggalkan kita walau sesaat pun. Allah ﷻ sentiasa menguruskan segala urusan alam dan urusan hidup kita. Kalau kita berusaha dan berjaya, itu adalah kerana pertolongan Allah ﷻ.

Kena sedar yang tidak ada nilai pada usaha kita itu tanpa keizinan Allah ﷻ. Kita disuruh berusaha dan kerana usaha kita itu, maka Allah ﷻ beri kita apa yang kita usahakan kalau Dia mahu. Akan tetapi sekiranya Allah ﷻ tidak izinkan ia berlaku, kita tidak akan dapat apa-apa dan tidak akan berjaya walau banyak mana pun usaha kita. Berapa banyak orang yang usaha sedikit, tetapi mereka berjaya dalam hidup.

Namun dalam masa yang sama, berapa banyak yang bertungkus lumus dalam usaha mereka, tetapi tidak berjaya juga. Itu adalah kerana Allah ﷻ tidak izinkan. Kalau kita sudah usaha, tetapi tak dapat juga, itu adalah kerana Allah ﷻ sedang menguji kita. Hendaklah kita usaha juga (janganlah pula duduk goyang kaki sahaja), tetapi kemudian redha dengan apa yang kita dapat. Kerana kadang kita dapat apa yang kita usahakan, kadang tidak dapat. Selepas usaha, kita tawakal kepada Allah ﷻ.

Ingatlah bahawa kalau Allah ﷻ tidak benarkan, kita hendak mengangkat tangan buat sesuatu apa pun tidak boleh. Allah ﷻ jugalah yang mengizinkan segalanya. Gerak geri kita pun Allah ﷻ yang berikan. Maka kita berharap supaya Allah ﷻ mengawal kita dalam segenap hidup kita untuk kebaikan. Kita diajar untuk membaca doa ini:

ياَ حَيُّ ياَ قَيُّوْم
Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri
بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ
Dengan rahmat-MU aku memohon pertolongan
أَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ
Perbaikilah untukku urusanku semuanya
وَلاَ تَكِلْنِيْ اِلىَ نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ
Dan janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.

4. Ada yang melakukan ibadat kepada Allah ﷻ, tetapi mereka tidak minta kepada Allah ﷻ. Ini kerana mereka salah faham tentang hal doa. Mereka sangka yang Allah ﷻ tidak mendengar doa mereka kerana mereka sangka Allah ﷻ tidak mendengar doa orang yang berdosa dan kurang tahu hal agama, tidak tahu bahasa Arab, bukan golongan Habib dan sebagainya. Maka mereka minta pertolongan kepada selain Allah ﷻ. Mereka minta kepada orang alim, ustaz, guru dan sebagainya.

Mereka kata mereka tahu yang perantara itu tidak boleh beri apa yang mereka hendak. Mereka juga memang tahu yang Allah ﷻ juga yang beri apa-apa yang mereka minta itu. Namun pada mereka, Allah ﷻ tidak mendengar doa mereka kalau mereka sendiri doa kerana kononnya mereka orang yang tidak layak.

Maka, mereka menjadikan orang lain sebagai perantaraan dalam doa mereka. Antaranya mereka akan mengadakan amalan bid’ah seperti ‘Majlis Doa Selamat’ dan Solat Hajat. Kedua perkara itu, walaupun selalu diamalkan oleh orang kita dan mereka anggap ia baik, sebenarnya ia bukanlah daripada amalan agama Islam.

Ada juga yang menggunakan perantaraan kepada entiti yang telah mati seperti para Nabi dan para wali. Ini lebih teruk. Ada juga yang menggunakan malaikat sebagai perantara mereka. Itu semua adalah kesesatan-kesesatan yang ada dalam fahaman doa yang salah. Apabila tidak ada ilmu, maka banyaklah kesesatan yang dilakukan oleh manusia. Dalam Surah-surah Hawameen Tujuh nanti akan diterangkan dengan panjang lebar tentang kesalahan dalam berdoa.

Maka hendaklah kita faham tentang cara-cara berdoa kepada Allah ﷻ dengan cara yang benar. Perkara ini banyak kita sentuh dalam penulisan ini dalam ayat-ayat yang lain. Untuk mengurangkan pengulangan, harap boleh baca tafsir ayat-ayat yang lain.

Cara berdoa juga kenalah sesuai dan cuba ikut cara-cara yang Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ sudah beri contoh dan tunjuk ajar.

Konsep Tawakal

Ayat daripada Surah Al-Fatihah ini mengajar kita untuk percaya kepada Allah ﷻ dan bergantung kepada Allah ﷻ. Itulah tawakal yang selalu disebut-sebut oleh orang Islam. Oleh itu, untuk faham tawakal, ada dua konsep yang kita perlu faham – percaya dan pergantungan. Kadang kala, ada yang kita percaya tetapi kita tahu tidak boleh bergantung kepadanya. Dan kadang-kadang terbalik: kita bergantung kepadanya tetapi kita tidak percaya.

Marilah kita lanjutkan pemahaman tentang tawakal kepada Allah ﷻ. Jangan kita hanya tahu sebut teapi kita tidak mendalami maksudnya. Perdu Agama ada dua: Ibadah dah tawakal. Dua elemen ini banyak kali disebut-sebut dalam Al-Qur’an kerana ia adalah perkara yang amat penting sekali.

Ramai yang cakap tentang tawakal namun tidak ramai yang faham. Dan yang faham pun bukan semua amalkan tawakal dalam kehidupan mereka. Kerana ia memerlukan tahap keimanan yang tinggi untuk mengamalkannya. Kadangkala kita pun lupa untuk tawakal kepada Allah ﷻ walaupun kita telah faham konsepnya. Marilah kita mula memahaminya supaya kita juga boleh amalkan sedikit demi sedikit.

Tawakal adalah ibadat hati. Secara ringkasnya, ia dapat dicapai apabila kita rasa ‘cukup dengan Allah ﷻ’. Iaitu, kita rasa cukuplah Allah ﷻ sebagai pembantu kita. Bukan itu sahaja, kita juga kena ‘redha dengan Allah ﷻ’. Ia akan dapat dicapai apabila kita dapat merasai hubungan kita dengan Allah ﷻ dalam setiap keadaan. Ia adalah pemahaman tentang siapa Allah ﷻ. Iaitu kita kenal Allah ﷻ dan perbuatan-Nya.

Pertama, kita mulakan dengan tahu dan terima Allah ﷻ adalah rabb kita. Kemudian kita kena kenal semua sifat Allah ﷻ. Maka kita kena kenal Allah ﷻ dengan mengetahui nama-nama-Nya. Cara paling senang hendak kenal Allah ﷻ adalah melalui belajar tafsir Al-Qur’an kerana Allah ﷻ telah memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an supaya kita kenal Dia. Tidak perlu belajar sifat 20 yang banyak diajar di Malaysia.

Kebanyakan mereka yang belajar sifat 20, bukan semakin kenal Allah ﷻ, tetapi semakin keliru jadinya. Kerana perbincangan Tauhid Sifat 20 adalah berdasarkan ‘Ilmu Kalam’ iaitu ilmu falsafah yang memang berpusing-pusing perbincangannya. Kerana itulah, antara kekeliruan masyarakat kita yang belajar sifat 20 adalah ‘Di Mana Allah?’.

Maka kita katakan, kalau belajar Sifat Allah dengan guru yang mengajar Sifat 20, mereka akan kata: “Allah wujud tidak bertempat”. Itu adalah pandangan yang salah dan berlawanan dengan ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi. Pengajaran Tauhid Sifat 20 adalah pengajaran tentang Allah ﷻ yang mengelirukan. Padahal, penerangan tentang Tauhid dalam Al-Qur’an adalah mudah dan tepat. Maka kita ajak masyarakat untuk kembali kepada Al-Qur’an supaya dapat kenal Allah ﷻ sepertimana yang Allah ﷻ kehendaki.

Apabila kita kenal siapa itu Allah ﷻ, barulah kita akan dapat berasa yakin dan senang hati untuk tawakal kepada Allah ﷻ kerana kita akan lebih jelas yang memang Allah ﷻlah tempat yang selayaknya untuk kita bergantung kepada-Nya.

Seperti yang kita telah belajar di awal Surah Al-Fatihah ini, Allah ﷻ telah memperkenalkan Dialah rabb alam ini. Dia mampu untuk buat segala-galanya. Apabila kita terima pemahaman ini, barulah lebih bermakna tawakal kita. Tidaklah kita rasa sangsi sama ada Allah ﷻ boleh dipercayai atau tidak. Dalam Allah ﷻ suruh kita bertawakal kepada-Nya, Allah ﷻ telah sebutkan sifat-sifat-Nya dalam Al-Qur’an. Supaya kita mengenali-Nya dan supaya kita yakin yang Dialah selayak-layak tempat untuk kita bertawakal.

Sebagai contoh, Allah ﷻ telah memberitahu kita bahawa Dia adalah yang hidup dan tidak mati sampai bila-bila. Kalaulah dengan manusia kita bertawakal, mereka akan mati juga akhirnya. Ini menolak pegangan golongan sesat yang tawakal dan berharap kepada ahli kubur. Mereka yang telah mati, tidak akan dapat membantu kita walau sedikitpun kerana mereka telah mati. Ini termasuklah juga Nabi Muhammad ﷺ yang kita sanjungi.

Allah ﷻ juga beritahu kita bahawa Dia adalah al Aziz – yang Maha Berkuasa – menunjukkan kepada kita bahawa Allah ﷻ mempunyai upaya yang penuh untuk menolong kita dalam segala urusan. Tidak ada makhluk yang mempunyai sifat begini. Setinggi mana kuasa seseorang manusia itu ada, akan ada manusia lain yang mempunyai kuasa lebih tinggi daripadanya.

Dia juga adalah al-Hakim – Maha Bijaksana. Dia amat tahu bila perlu untuk menggunakan kuasa yang ada pada-Nya. Bukan seperti manusia yang berkuasa. Kebanyakannya akan menyalahgunakan kuasa mereka. Atau mereka tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk menggunakan kuasa itu. Atau bilakah masa yang sesuai untuk menggunakannya. Allah ﷻ juga Maha Bijaksana untuk memberikan apa yang sesuai untuk kita. Ini kerana Allah sahaja ﷻ yang amat tahu apa yang kita perlukan.

Allah ﷻ juga ar-Rahman dan ar-Rahim – Allah ﷻ amat sayang kepada kita. Dia akan memberikan keperluan kepada kita. Keperluan itu pula sebagaimana apa yang kita perlukan. Tidak berlebih dan tidak berkurang.

Allah ﷻ juga adalah as-Sami’ – Maha Mendengar. Dia pasti dengar segala permintaan kita. Sama ada kita sebut secara kuat atau kita sebut dalam hati kita. Yang kita tidak lafaz pun Allah ﷻ tahu. Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam lubuk hati kita. Kalau dengan manusia, kita kena jelaskan dengan panjang lebar keperluan kita. Begitulah beza Allah ﷻ dengan manusia kerana makhluk bukanlah maha mendengar. Maka kalau minta kepada orang mati (walaupun Nabi atau wali), mereka pasti tidak akan dapat menolong kita.

Allah ﷻ juga amat tahu apa yang kita minta. Maka apabila berdoa kepada Allah ﷻ, kita tidak perlu susun ayat untuk meminta kepada Allah ﷻ. Kita terus minta apa sahaja yang kita hendak, di dalam bahasa kita, terus daripada kehendak hati kita. Tidak perlu susun doa, kerana Nabi ﷺ pun tidak suka doa yang berbunyi indah, bagaikan dalam bahasa puisi dan sajak. Apa yang penting adalah doa itu tulus daripada lubuk hati kita. Daripada keikhlasan hati kita. Ingatlah bahawa Allah ﷻ amat tahu apakah kemahuan kita kerana Allah ﷻ Maha Mendengar.

Allah ﷻ juga adalah al-Alim – Maha Tahu. Dia tahu apa yang kita perlukan. Kita tidak cakap pun Allah ﷻ tahu. Dan Allah ﷻ tahu apakah yang perlu diberikan kepada kita. Kadang-kadang kita memang mahukan sesuatu. Tetapi kita tidak tahu sama ada ia adalah baik untuk kita. Namun Allah ﷻ tahu sama ada apa yang kita minta itu penghujungnya sesuatu yang baik untuk kita atau tidak.

Maka, daripada segala sifat-sifat yang telah disebutkan di atas, dan banyak lagi sifat-sifat lain, tahulah kita bahawa cukuplah Allah ﷻ sahaja untuk keperluan kita. Allah ﷻlah tempat pergantungan yang sepatutnya kita serahkan harapan itu. Tidak perlu kepada yang lain lagi. Mintalah kepada Allah ﷻ sahaja. Tidak perlu minta kepada selain dari Allah ﷻ.

Ketahuilah Allah ﷻ membantu kita dengan pelbagai cara sama ada Dia memberikan ilham, atau menghantar manusia lain untuk membantu dan memudahkan urusan kita. Kita tidak perlu ‘ajar’ Allah ﷻ bagaimana untuk menyelesaikan masalah kita. Tahulah Allah ﷻ selesaikan masalah kita dengan cara yang penuh hikmah dan bijaksana.

Konsep Asbab – Cause and Effect

Untuk faham konsep tawakal, kita kena faham konsep asbab – penyebab. Selalunya disebut: Cause and effect. Apabila seorang Muslim salah faham dengan konsep tawakal dan kaitannya dengan konsep asbab, mereka sangka mereka hanya perlu berharap kepada Allah ﷻ tanpa membuat apa-apa. Mereka tidak menggunakan asbab yang Allah ﷻ telah tentukan dalam dunia ini. Itu adalah salah faham yang merugikan.

Ingatlah bahawa kita kena melakukan usaha untuk mencapai sesuatu. Akan tetapi tidaklah kita mengharap sepenuhnya pada usaha kita itu. Kerana usaha kita tidak bernilai apa-apa kalau Allah ﷻ tidak izinkan. Memang Allah ﷻ yang akan beri, tetapi Allah ﷻ hendak melihat usaha kita.

Sebenarnya tawakal itu pun sudah satu asbab yang besar. Kalau kita tidak faham bahawa tawakal adalah salah satu asbab, kita akan kekurangan satu elemen yang penting dalam mencapai hajat kita. Jika kita tidak ada tawakal kepada Allah ﷻ, mungkin Allah ﷻ tidak menolong kita. Itulah kepentingan kita faham apakah tawakal itu. Supaya dalam kita berdoa, dalam hati kita, kita bertawakal kepada Allah ﷻ.

Kebanyakan manusia lupa tentang kesan doa. Ada yang sangka doa adalah sutu perkara biasa sahaja. Mereka sangka ia adalah satu kebaikan untuk dilakukan tetapi tidak memberi kesan apa-apa. Mereka yang berfikiran sebegini tidak akan berdoa atau mereka akan berdoa sambil lewa. Nabi ﷺ telah bersabda untuk mengingatkan kita untuk berdoa kepada Allah ﷻ dalam semua perkara. Sebagai contoh, Nabi ﷺ pernah bersabda, berdoalah dalam segala hal walaupun untuk mencari tali kasut!

Mintalah-Hanya-Kepada-Allah-untuk-Segala-Hal-Tali-Sandal-Putus

Begitu pentingnya hal doa ini, sampai Allah ﷻ mengingatkan kita setiap hari dalam solat kita. Allah ﷻ telah mewajibkan kita membaca Surah Al-Fatihah yang mengandungi doa dalam solat lima waktu kita. Maka secara efektifnya, kita diingatkan dengan hal doa ini setiap hari. Oleh itu, setiap kali kita membaca ayat ini, maka hayatilah maksud yang telah disebutkan ini.

Memang Nabi ﷺ telah menyarankan kita untuk bertawakal kepada Allah ﷻ. Terdapat sebuah Hadith Nabi yang menyebut tentang tawakal burung:

Tawakal Umpama Burung
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
Daripada Umar al Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Jika kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakal, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kalian seperti Allah memberikan rezeki kepada seekor burung. Ia pergi (dari sarangnya) di pagi hari dalam keadaan perut yang kosong, dan kembali (ke sarangnya) di petang hari dalam keadaan perut yang penuh”.
(HR Tirmidzi No. 2266)
Status: Sahih

2021-05-30-07.00.15

Tawakal perlu bebas daripada syirik. Oleh kerana itu hanya berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Sebagai contoh, jangan kita sangka asbab itulah yang menyebabkan kita dapat apa yang kita hendak. Dalam hati kita kena sedar, walaupun nampak seolah-olah asbab itu yang menyebabkan terjadinya sesuatu perkara, namun sebenarnya Allah ﷻlah yang menyebabkan terjadinya perkara itu.

Hati kita hendaklah bergantung kepada Allah ﷻ dan hati kita mestilah tenang dengan penyerahan itu. Rasa cukup dengan Allah ﷻ sebagai pengharapan kita. Apa terjadi lepas itu tidak kisah dah. Kalau begitu, barulah betul dikatakan kita telah serah dan tawakal kepada-Nya. Kalau dalam hati kita masih ada sekelumit rasa tidak yakin dengan Allah ﷻ, maka itu bukan tawakal lagi namanya.

Kita hendaklah percaya bahawa Allah ﷻ akan buat yang terbaik. Jangan soal apa yang Allah ﷻ telah buat. Kita serahkan cara bagaimana Allah ﷻ akan lakukan. Kalau kita tidak suka dengan apa yang terjadi, bermakna kita tidak tawakal sebenarnya. Kadang-kadang sesuatu itu menyakitkan namun sebenarnya kesakitan itu adalah untuk kebaikan kita – kita sahaja tidak tahu dan tidak nampak.

Contoh seperti ibubapa yang bawa anaknya ke klinik dan anaknya itu dicucuk untuk rawatan. Walaupun kena cucuk itu sakit tetapi ia adalah untuk kebaikan anak itu. Kadangkala benda yang sakit dan menyedihkan kita adalah untuk kebaikan kita (kita sahaja mungkin tidak nampak pada waktu itu). Berapa ramai orang Islam yang kata kita diberikan oleh Allah ﷻ apa yang kita tidak patut dapat? Mereka mempersoalkan: Kenapalah Allah jadikan aku begini? Kenapa Allah buat macam ini? Dan macam-macam lagi. Itu adalah kata-kata yang tidak patut.

Oleh itu, sebelum kita melakukan sesuatu, kita serah dulu urusan itu kepada Allah ﷻ. Dan selepas kita selesai, kita serahkan kepada Allah ﷻ juga. Kita kena rasa lega dengan penyerahan itu. Sebagaimana tenang dan leganya seorang anak kecil di dalam pegangan dan pelukan ibunya. Begiitulah kita seharusnya rasa dengan penyerahan kita kepada Allah ﷻ. Selepas kita lakukan usaha, kita serahkan sama ada berjaya atau tidak itu kepada Allah ﷻ.

Itulah penerangan tentang tawakal yang lebih lengkap daripada yang biasa kita dengar. Bukanlah tawakal itu hanya kita sebut dengan lidah sahaja. Kita kena faham dan amalkan dalam kehidupan seharian.

Untuk lebih faham dengan tawakal, sila rujuk doa solat Istikharah yang diajar oleh Nabi ﷺ kepada kita. Doa itu merangkum pemahaman kita tentang tawakal.

حَدَّثَنِي إِبْرَاهِيمُ بْنُ الْمُنْذِرِ حَدَّثَنَا مَعْنُ بْنُ عِيسَى حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي الْمَوَالِي قَالَ سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ الْمُنْكَدِرِ يُحَدِّثُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَسَنِ يَقُولُ أَخْبَرَنِي جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ السَّلَمِيُّ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُ أَصْحَابَهُ الِاسْتِخَارَةَ فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُهُمْ السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ يَقُولُ إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ هَذَا الْأَمْرَ [ثُمَّ تُسَمِّيهِ بِعَيْنِهِ] خَيْرًا لِي فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ [قَالَ أَوْ] فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّهُ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي [أَوْ قَالَ] فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ
“Rasulullah  mengajari sahabat-sahabatnya untuk istikharah (meminta pilihan) dalam semua doanya sebagaimana baginda mengajarkan Surah Al-Qur’an kepada mereka, baginda sabdakan: “Jika salah seorang daripada kalian mempunyai suatu hajat maka hendaklah dia kerjakan solat dua rakaat (bukan solat wajib) kemudian mengucapkan: ‘ALLAAHUMMA INNII ASTAKHIIRUKA BI’ILMIKA, WA ASTAQDIRUKA BIQUDRATIKA WA AS’ALUKA MIN FADLLIKA, FAINNAKA TAQDIRU WALAA AQDIRU WATA’LAMU WALAA A’LAMU WA ANTA ‘ALLAAMUL GHUYUUB, ALLAAHUMMA FAIN KUNTA TA’LAMU HAADZAL AMRA KHAIRAN LII FII ‘AAJILI AMRII WA AAJILIHI -Qaala– AW FII DIINII WAMA’AASYII WA’AAQIBATU AMRII FAQDURHU LII WAYASSIRHU LII TSUMMA BAARIK LII FIIHI, ALLAAHUMMA WAIN KUNTA TA’LAMU ANNAHU YARRUN LII FII DIINIII WAMA’AASYII WA’AAQIBATI -Aw qaala-FII ‘AAJILI AMRII WA AAJILIHI FASHRIFNII ‘ANHU WQDIRLIL KHIARA HAITSU KAANA TSUMMA ARDLINII BIHI (Ya Allah, Saya meminta pilihan kepada-Mu dengan ilmu-Mu, dan saya meminta keputusan dengan keputusan-Mu, dan saya meminta-Mu dengan kurnia-Mu, sesungguhnya Engkau memutuskan dan saya tidak boleh memutuskan, dan Engkau Maha tahu sedang aku tidak mengetahui, dan Engkau Maha mengetahui yang ghaib, Ya Allah, jikalah Engkau tahu bahawa urusan ini [Si Pemohon menyebut nama urusannya] adalah baik bagiku baik untuk masa yang dekat maupun masa yang akan datang [atau dia berkata] dalam urusan agamaku dan duniaku, serta kesudahan urusanku, maka tetapkanlah untukku dan mudahkanlah bagiku, kemudian berilah aku barakah padanya. Ya Allah, sebaliknya jika Engkau tahu bahawa urusan ini adalah buruk bagiku dalam urusan agamaku dan kehidupanku, serta kesudahan urusanku- [atau sepertinya ia berkata] dalam kesudahan yang dekat maupun yang akan datang, maka palingkanlah aku daripadanya dan tetapkanlah kebaikan bagiku darimana saja berada kemudian jadikanlah aku redha terhadapnya)‘.”
(HR. Bukhari No. 6841)

Tawakal itu menguatkan tauhid. Iaitu kita faham dan terima dalam hati yang bahawa semua yang terjadi adalah kerana Allah ﷻ. Bukanlah asbab yang menyebabkan terjadinya sesuatu perkara itu. Tanda kita faham adalah kalau sesuatu terjadi tidak seperti yang kita hendak, kita terima dengan seadanya. Walaupun kita telah lakukan yang dalam pemikiran logik kita, sepatutnya benda itu telah terjadi. Selalunya manusia lupa tentang perkara ini. Mereka akan kata: “Aku dah buat begini, begitu, tapi kenapa tak jadi juga yer?”.

Baik, mari kita sambung perbincangan kita tentang Asbab. Apakah asbab itu sebenarnya? Asbab yang lengkap adalah mengandungi ikhlas dan usaha baik – usaha yang betul dan berkaitan serta bersesuaian. Kita selalunya gagal kerana tiada ikhlas atau tidak melakukan perkara yang betul di mana kita menggunakan strategi yang salah. Kena sedar, strategi juga amat penting.

Ini penting untuk kita faham. Kalau kita lapar, tentulah kita kena makan, kerana itulah strategi yang diperlukan untuk menghilangkan kelaparan. Nabi ﷺ pun menggunakan strategi juga dalam menyelesaikan masalah. Kita telah belajar dalam Perang Khandak, baginda memilih strategi yang dicadangkan oleh Salman al Farisi رضي الله عنه untuk menggali parit di keliling kota Madinah. Tentulah baginda juga berharap dan berdoa kepada Allah ﷻ, akan tetapi dalam masa yang sama, Nabi ﷺ pun menggunakan langkah yang sesuai dengan keadaan ketika itu.

Malangnya, ada pemahaman salah manusia (seperti golongan sufi) yang kata, kalau ikut asbab bermakna orang itu kurang tawakal. Mereka telah mengatakan pemahaman yang salah. Takkan begitu kerana Nabi ﷺ dan sahabat juga menggunakan strategi. Takkan golongan sufi itu lagi hebat daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat? Memang pelik dan tidak masuk akal cara pemikiran golongan sufi tarekat itu.

Tawakal semata bukanlah bererti tidak berusaha dan tidak mempunyai strategi. Ini seperti sebuah hadith nabi yang agak popular berkenaan tali unta. Nabi ﷺ menyuruh sahabatnya menambat tali unta kemudian tawakal. Maka perlulah ada asbab juga. Tawakal bukanlah bermaksud terus melupakan asbab. Tidaklah kita hanya mengharap sahaja tanpa melakukan apa-apa usaha untuk mencapai kehendak kita.

tawakal-itu-bukan-berarti-tidak-berusaha

Persoalan: bagaimana dengan orang yang telah melakukan perbuatan yang salah dan berdosa, tetapi berjaya juga. Ia seolah-olah menunjukkan yang Allah ﷻ redha pula dengan perbuatan orang itu sedangkan itu adalah perbuatan dosa.

Kita kena faham, ada yang Allah ﷻ benarkan sesuatu perkara terjadi kerana seseorang itu telah mengikut asbab – dia telah melakukan perkara-perkara yang mengikut hukum alam, akan menyebabkan terjadinya perkara itu. Namun itu tidaklah bermakna Allah ﷻ redha dengan perbuatan itu. Jangan silap faham pula. Tidak sama antara ‘izin’ dan ‘redha’.

Sebagai contoh, seorang perompak bank telah melakukan strategi yang mantap untuk dapat masuk ke dalam bank dan merompak duit dalam bank itu. Itu adalah perbuatan yang salah tetapi orang itu berjaya juga melakukannya dan berjaya meloloskan diri tanpa ditangkap. Orang itu mungkin berjaya mengikut asbabnya, tetapi dia telah mendapat dosa.

Kita sebagai Mukmin kenalah ada kedua-duanya sekali: Asbab dan tawakal. Janganlah pula jadi seperti golongan tasawuf yang hanya berserah dan bergantung kepada tawakal sahaja. Begitu juga jika kita meletakkan harap hanya kepada asbab sahaja, itu adalah salah satu syirik juga. Iaitu percaya sesuatu itu terjadi kerana asbab. Sebagai contoh dalam Ankabut: 65

فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ
Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Mereka berlaku syirik kepada-Nya?’. Mereka melakukan syirik kerana selepas mereka selamat, mereka kata sebab anginlah yang menyebabkan mereka selamat. Mereka tidak kata Allah ﷻ yang selamatkan mereka.

Padahal cuaca dan angin itu adalah dalam kawalan Allah ﷻ. Mereka telah meletakkan asbab itu sebagai entiti yang menyelamatkan mereka, padahal Allah ﷻlah yang telah menyelamatkan mereka. Mereka telah meletak satu kuasa pada makhluk selain Allah ﷻ – itulah syirik yang dimaksudkan.

Oleh itu, kita memang kena ada usaha. Allah ﷻ hendak melihat usaha kita. Sepertimana Allah ﷻ telah memerintahkan Maryam goyangkan pokok kurma. Boleh rujuk Maryam: 25

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

Jika mahu diikutkan logik akal, takkan jatuh kalau kita gegar batang pokok kurma itu. Kalau kita lelaki yang gagah pun tidak dapat gegarkan sampai jatuh kurma, apatah lagi Maryam, seorang perempuan, yang sedang dalam kelemahan selepas baru melahirkan anak pula? Tentu tidak boleh. Namun Allah  hendak lihat usaha kita.

Kesimpulan

Apakah kesan pemahaman kepada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ini? Apakah kesan dalam perbuatan kita? Kalau kita faham dan menghayati maknanya, kita tidak akan menggunakan cara yang haram untuk mencapai sesuatu. Kerana kita mahu Allah ﷻ mengizinkan kita mencapai apa yang kita hendak, takkan kita mahu menggunakan cara haram? Kalau begitu, itu sudah bertentangan dengan ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ.

Namun begitu, kalau kita lihat, Allah ﷻ turut memberi kejayaan kepada kafir atau orang yang berdosa walaupun mereka menggunakan cara yang haram. Memang Allah ﷻ izinkan, namun lihatlah bagaimana apa yang mereka dapat itu mengakibatkan mereka semakin jauh daripada Allah ﷻ. Kita tidak mahu begitu. Kita mahu mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukan menjauhkan diri daripada-Nya.

Ada lagi kesan lain. Apabila kita tawakal kepada Allah ﷻ, kita mengharapkan yang paling baik. Baik dunia dan juga baik di akhirat. Tetapi manakah yang lebih penting? Yang paling penting kita harapkan Allah ﷻ menjadikan kita hamba yang terbaik kepada Allah ﷻ. Oleh itu, kita sebenarnya bukan hendakkan kebaikan dunia sahaja, tetapi kebaikan akhirat.

Hal dunia bukanlah sesuatu yang penting sangat. Kalau susah sedikit di dunia pun tidak mengapa. Kalau susah, orang yang bertawakal yang sebenar akan sabar dengan apa yang terjadi padanya. Dan kalau musibah datang kepadanya, dia akan mendapat pahala daripada kesabarannya itu.

Apabila kita bertawakal kepada Allah ﷻ, kita tidak takut kepada selain daripada Allah ﷻ. Kerana kita tawakal kepada Allah ﷻ sahaja. Maka tidak perlu takut kepada manusia sehingga menyebabkan tidak melakukan ibadah kepada Allah ﷻ.

Kalau kita ditimpa musibah dan kesusahan, maka sedarlah dugaan itu adalah daripada Allah ﷻ sebagai ibtila’ (ujian). Memang itu adalah sunnatullah. Allah ﷻ sudah kata yang Dia akan uji kita. Maka tidak perlu panik sangatkalau dapat ujian daripada Allah ﷻ. Dan jangan marah Allah ﷻ kalau dikenakan musibah. Orang mukmin akan terima musibah ini sebagai peluang untuk meraih pahala yang amat besar daripada Allah ﷻ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Fatihah Ayat 5 [Bahagian 3] (Konsep Doa)

Apakah ibadah yang soleh?

Ada dua syarat untuk ibadat itu diterima.

1. Ibadat yang dilakukan hanya untuk Allah ﷻ. Inilah maksud ikhlas.

2. Mengikut cara yang Nabi ﷺ ajar. Barulah dinamakan ibadat yang soleh kalau ia adalah ajaran daripada Nabi ﷺ.

Banyak yang salah faham dengan dua syarat ini. Mereka sangka, kalau mereka melakukan sesuatu itu ikhlas kerana Allah ﷻ, tentu Allah ﷻ terima. Itu adalah fahaman yang salah. Dalam Al-Qur’an, berkali-kali Allah ﷻ memberi isyarat bahawa kena ada dua-dua elemen ini.

Sebagai contoh, dalam Sajdah: 19, Allah ﷻ berfirman:

أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka jannah sebagai tempat kediaman, sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.

Dalam Kahfi: 88 pula, Allah ﷻ berfirman lagi:

وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا
Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah daripada perintah-perintah kami”.

Dan dalam Asr: 3, Allah ﷻ berfirman:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Malah banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang meletakkan perkataan ‘iman’ dengan ‘amal soleh’. Ini bermakna, dua syarat itu perlu dipenuhi. Ibadat yang tidak mengikut amal yang diajar oleh Nabi ﷺ, itu bukanlah amalan soleh. Itu adalah amalan yang ‘bid’ah‘. Di negara kita, telah sekian lama kecoh akan hal ini. Ramai yang sudah faham maksud sebenar bid’ah akan tetapi masih ramai lagi yang tidak faham.

Daripada pemahaman ini, kita boleh bahagikan manusia kepada 4 golongan:

1. Golongan yang ikhlas dalam ibadat mereka dan dalam masa yang sama, mereka melakukan ibadat ikut cara Nabi ﷺ. Inilah orang yang faham dan mengamalkan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ. Mereka melakukan semua amal kebaikan kerana Allah ﷻ. Tidak mengharap balasan atau pujian selain daripada Allah ﷻ. Tidak kisah apa orang lain kata.

Dan dalam masa yang sama, mereka melakukan amalan mengikut sunnah. Bukan mengikut apa yang dicipta oleh manusia. Sebagai contoh, mereka tidak mengadakan atau menghadiri atau menyokong Majlis Tahlilan kerana ia tidak pernah dibuat Nabi ﷺ dan sahabat. Itu adalah satu contoh ibadah yang tidak soleh.

2. Golongan yang tidak ikhlas dan tidak mengikut cara ibadat Nabi ﷺ yang Nabi ﷺ ajar. Mereka hanya melakukan ibadat yang bid’ah dan hanya mengharap balasan daripada manusia, bukan daripada Allah ﷻ. Sudahlah ibadah mereka tidak mengikut cara Nabi ﷺ. Ini adalah seperti mereka yang menjadi imam solat Hajat berjemaah, dan dia mengharapkan upah.

3. Golongan yang ikhlas dalam melakukan ibadah itu, tetapi bukan mengikut cara ibadat yang Nabi ﷺ ajar. Contoh yang paling banyak golongan ini adalah golongan sufi. Contohnya, mereka menerima dan mengamalkan ibadah seperti zikir mereka daripada guru-guru mereka, yang ternyata bukanlah berasal daripada ajaran zikir Nabi ﷺ. Mereka memang menjaga bab hati mereka, namun bab amalan mereka tidak dijaga pula.

Mereka menerima sahaja tanpa usul periksa. Mereka buat begitu kerana mereka sebenarnya tidak berilmu. Mereka senang ditipu apabila tidak berilmu. Niat mereka berkemungkinan hanya ingin dekat kepada agama sahaja, tetapi jalan yang mereka nampak adalah jalan sufi. Mereka terus sahaja sangka itu adalah ajaran dalam Islam, namun sebenarnya tidak.

Tidak dinafikan mereka memang melakukannya dengan ikhlas kerana mereka memang menjaga hati mereka. Akan tetapi mereka tidak berhati-hati dalam melakukan amalan bid’ah. Bukan golongan sufi sahaja yang mempunyai masalah ini. Kebanyakan dalam masyarakat kita pun ada juga buat amalan-amalan ala sufi tarekat ini kerana ada juga yang mereka mendapat sedikit sebanyak amalan  zikir tersebut daripada kalangan ustaz.

Ini adalah kerana mereka tidak mendapat ajaran yang sebenarnya. Mereka hanya ikut-ikut sahaja apa yang diajarkan oleh guru-guru mereka. Mereka sangka kalau ustaz yang ajar, tentulah benar amalan itu. Yang ustaz itu pun ikut sahaja apa yang dilakukan oleh tok nenek kita dahulu. Mereka sangka ia adalah benar kerana ramai yang buat.

Mereka juga salah faham dengan konsep ‘ikhlas’. Mereka kata: “Kalau ia ikhlas, tentu Allah terima”. Itu adalah salah faham yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an yang kita telah beri di atas.

4. Golongan yang ikut amalan ibadat cara Nabi ﷺ tetapi tidak ikhlas. Mereka alhamdulillah telah melakukan amalan yang Sunnah, namun malangnya, tidak diterima amal itu. Kerana amalan yang diterima hanyalah amalan yang dilakukan kerana Allah ﷻ.

Contohnya, mereka melakukan solat tetapi hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang yang mereka telah melakukan ibadah. Kepada mereka ini, amalan mereka itu akan dilemparkan ke muka mereka nanti kerana ia tiada nilai.

Maka memang terdapat salah faham dalam maksud ‘ibadat’ itu. Ada yang sangka ibadat itu hanya yang ibadat ritual sahaja. Seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Padahal konsep ibadat itu lebih meluas lagi. Oleh kerana mereka telah sempitkan pemahaman ‘ibadat’, maka ada yang membuat ibadat yang ritual tetapi dalam masa yang sama, mereka buat perkara haram juga.

Kerana mereka sangka mereka telah menyempurnakan tuntutan ibadat dengan solat, puasa dan sebagainya. Kita kena ingat bahawa kita dalam lingkungan ibadat sepanjang 24 jam setiap hari. Iaitu dalam sepanjang kehidupan kita, kita kena taat kepada Allah ﷻ kerana kita adalah hamba Allah ﷻ sepanjang masa, bukannya semasa buat ibadah sahaja. Dalam setiap perbuatan kita, kita kena tahu apakah tuntutan Allah ﷻ dalam suatu perkara itu.

Sebagai contoh, kita tentunya akan makan setiap hari. Maka, kita kena tahu apakah tuntutan Allah ﷻ dalam hal pemakanan. Adakah ia wajib, sunat, harus, makruh atau haram? Apabila kita makan mengikut apa yang Allah ﷻ suruh, maka itu bermakna kita telah menjadikan proses makan itu sebagai satu ibadah kepada Allah ﷻ; Itulah konsep ibadat yang menyeluruh yang kita diingatkan tentangnya setiap kali kita baca Surah Al-Fatihah ini.

Ia adalah satu perkara yang amat penting, maka kita diingatkan selalu. Apabila kita faham konsep ibadat ini, maka makan jadi ibadat, tidur jadi ibadat, pergi kerja jadi ibadat, bersama isteri, bersama keluarga jadi ibadat dan macam-macam lagi.

Kembali kepada Allah ﷻ

Kita kena sedar yang diri kita ini hanyalah manusia yang amat lemah. Walaupun kita tahu yang kita kena sentiasa melakukan ibadat kepada Allah ﷻ, tetapi kadang-kadang kita tidak dapat mencapainya. Walaupun kita tahu dosa itu amat buruk kesannya kepada kita, tetapi kadang-kadang kita terjerumus juga dengan membuat dosa juga. Apabila kita buat dosa, kita sebenarnya telah menzalimi diri kita sendiri. Kerana kalau kita buat dosa, Allah ﷻ tidak terjejas apa-apa. Kita sahaja yang akan menanggung kesan daripada perbuatan dosa kita itu.

Namun kita kena ingat supaya jangan berputus asa. Allah ﷻ tahu kita buat dosa. Sebab kita ini manusia. Apa yang kita perlu lakukan adalah bertaubat kepada Allah ﷻ. Kita menyesali perbuatan dosa kita itu dan kita bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Allah ﷻ suka bila kita sedar yang kita telah berbuat dosa dan melakukan taubat. Allah ﷻ amat suka apabila kita memohon ampun kepada-Nya. Allah ﷻ suka apabila kita kembali kepada-Nya.

Sampaikan di dalam sebuah hadith seperti di bawah ada disebut, yang Allah ﷻ akan menggantikan kita dengan makhluk yang lain kalau kita tidak membuat dosa. Bukanlah bermaksud Allah ﷻ suka kita membuat dosa. Jangan salah faham pula. Akan tetapi Allah ﷻ suka kita bertaubat. Kalau kita tidak buat dosa, maka kita tidak bertaubat.

والذي نفسي بيدِه ! لو لم تذنبوا لذهب اللهُ بكم ، ولجاء بقومٍ يذنبون ، فيستغفرون اللهَ ، فيغفرُ لهم
الراوي : أبو هريرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 2749
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, kalau seandainya kalian tidak berdosa maka Allah akan membinasakan kalian dan sungguh Allah akan mendatangkan suatu kaum yang berdosa lalu mereka beristighfar kepada Allah lalu Allah mengampuni mereka.”
(Jalur Abu Hurairah Sahih Muslim no 2749)

Allah ﷻ suka kita bertaubat, maka Allah ﷻ akan gantikan dengan makhluk lain yang buat dosa, kemudian bertaubat kepadaNya. Namun kenalah faham, bukanlah Allah ﷻ suruh kita sengaja membuat dosa, kemudian bertaubat. Kena jelaskan perkara ini, sebab masyarakat banyak yang jahil sekarang. Bila baca hadith, tetapi tidak faham, macam-macam andaian yang mereka dapat. Kadangkala fahaman mereka macam kapal juga: selalunya ke laut.

Maka, kalau kita buat dosa tidaklah kita terkeluar daripada Islam. Bukanlah seorang hamba itu tidak berdosa langsung. Kita masih lagi hamba Allah ﷻ walaupun banyak dosa yang kita lakukan.

Tentang Cinta

Salah satu ibadah yang kita hendak sebutkan di sini adalah ‘ibadah cinta’. Kita semuanya mempunyai perasaan cinta, bukan? Namun begitu terdapat banyak jenis cinta. Ada cinta semulajadi dan ada cinta syar’i.

Cinta semulajadi adalah cinta yang terbit semulajadi dalam diri kita kerana kita adalah manusia dan Allah ﷻ telah tanam perasaan itu di dalam diri kita. Sebagai contoh, seorang lelaki mencintai seorang wanita, kepada ibubapa, cinta kepada tanah air, cinta kepada rumah, kepada benda-benda yang cantik dan sebagainya.

Cinta syar’i adalah sesuatu yang Allah ﷻ perintahkan kita untuk cinta kepadanya. Sebagai contoh, Allah ﷻ perintahkan kita cinta kepada Allah ﷻ, kepada Nabi, kepada ibu bapa dan sebagainya. Banyak perkara yang Allah ﷻ suruh kita sayang. Cinta ini hendaklah dipelajari satu persatu.

Oleh itu, ada dua jenis cinta di sini. Apabila ada pertentangan di antara dua cinta ini, cinta syar’i kena lebih kuat lagi. Cinta Syar’i akan mengalahkan cinta semulajadi. Kerana dalam cinta syar’i ada elemen intelek selain daripada emosi sahaja. Kerana kadang-kadang cinta semulajadi itu hanya terbit daripada emosi sahaja. Dalam membuat sesuatu keputusan, cinta syar’i mesti lebih dipentingkan.

Sebagai contoh, kita tentunya sayangkan anak kita. Akan tetapi sekiranya dia menentang ajaran Nabi ﷺ kita, maka kita mesti mempertahankan Nabi ﷺ melebihi anak sendiri. Walaupun kita amat sayangkan anak kita itu namun cinta terhadap anak hanyalah cinta semulajadi dan banyak dikuasai oleh elemen emosi, sedangkan cinta kepada Nabi ﷺ adalah cinta syar’i dan wajib dipertahankan melebih daripada cinta yang lain.

Kepentingan bermasyarakat

Dalam ayat ini, Allah ﷻ telah menggunakan kata ganti diri ‘kami’ semasa kita membaca ayat ini. Allah ﷻ suruh kita kata begini dan tentunya ada sebab. Ini menunjukkan penekanan tentang kehidupan sosial atau bermasyarakat. Kita disuruh bermasyarakat dan bukan hidup sendiri-sendiri, lebih-lebih lagi dalam hal melakukan ibadah.

Dalam kita melakukan ibadah, bukan hanya kita melakukannya sendirian. Kita disuruh untuk melakukannya bersama-sama orang lain – berjemaah. Inilah cara Islam yang diajar oleh Nabi ﷺ kepada kita. Bukan seperti agama lain. Sebagai contoh, kalau kita lihat para rahib, mereka selalunya akan melakukan ibadat secara berseorangan.

Kita juga diingatkan yang semasa kita berdoa dengan menggunakan ayat ini, kita bukan membacanya untuk diri kita sahaja. Kita juga mendoakan untuk orang lain juga. Ingatlah bahawa banyak lagi orang lain dalam dunia. Jangan kita ingat hanya untuk melepaskan diri kita sahaja. Jangan kita ingat kita sahaja yang berdoa kepada Allah ﷻ. Jangan kita sangka kita sahaja yang perlu kepada Allah ﷻ. Ramai lagi yang memerlukan Allah ﷻ selain kita. Allah ﷻ itu layak untuk dipuja oleh ramai orang. Allah ﷻ bukan Tuhan kepada diri kita sahaja.

Ada kelebihan kalau ramai orang yang berdoa kepada Allah ﷻ dalam masa yang sama. Semoga Allah ﷻ ada memakbulkan doa sesiapa yang ramai-ramai itu. Mungkin ada orang doanya dimakbulkan Allah ﷻ pada waktu itu. Dan bayangkan apabila orang itu mendoakan untuk semua.

Dan kalau kita termasuk dalam orang-orang yang didoakan olehnya, alangkah beruntungnya kita kalau kita mendapat kebaikan yang didoakan oleh orang itu. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah menyusunnya sebegitu rupa. Di mana-mana sahaja ada kebaikan yang Allah ﷻ telah susunkan untuk kita. Alangkah hebatnya ayat ini. Setiap kali ada orang yang membaca ayat ini, dia akan mendoakan untuk orang lain secara automatik.

Kita mendoakan untuk semua orang kerana kita semua ada tujuan yang sama – menjadi hamba kepada Allah ﷻ dan beribadat kepada Allah ﷻ. Apabila kita mendoakan orang lain bersama-sama, ini menimbulkan rasa kekitaan antara kita. Rasa sayang akan timbul kalau kita faham maksud ayat ini. Memang Allah ﷻ akan menimbulkan rasa sayang sesama orang mukmin. Lihatlah apa yang Allah ﷻ firman dalam Maryam: 96.

اِنَّ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمٰنُ وُدًّا
Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka).

Kita juga kena ingat bahawa hidayah itu bukan untuk kita sahaja tetapi untuk semua. Kita semuanya mengharapkan hidayah daripada Allah ﷻ.

Doa yang kolektif ini memberi isyarat bahawa memang ada ibadah yang dibuat berjemaah. Walaupun begitu, bukan semua ibadah dibuat beramai-ramai. Ada ibadah yang memang untuk dibuat sendiri. Sebagai contoh, wajib untuk kaum lelaki melakukan solat fardhu berjemaah di masjid. Dalam masa yang sama, solat sunat tidak boleh dilakukan berjemaah melainkan ada dalil pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ. Kena buat sendiri-sendiri kecuali kalau ada solat sunat yang telah pernah dilakukan berjemaah oleh Nabi ﷺ dan sahabat – sebagai contoh, solat sunat Tarawih memang sunat dilakukan berjemaah.

Oleh kerana kita semua mempunyai tujuan yang sama, maka kita kena tolong sesama kita untuk mencapai tujuan itu. Ayat yang Allah ﷻ ajarkan kepada kita ini memberikan kepada kita semua ikrar yang sama. Kita ini umat yang satu, maka jangan kita berpecah belah. Jangan kita beza-bezakan antara sesama Muslim.

Janganlah suka melabel sangat ada kumpulan itu dan kumpulan ini. Kita semuanya umat Islam. Tidak perlu pun ada kumpulan tarekat itu dan ini, kumpulan salafi dan khalaf, kumpulan tabligh dan macam-macam lagi. Amat bahaya apabila kita meletakkan diri kita dalam kumpulan yang berbeza. Kerana nanti akan ada satu perasaan yang kumpulan kita lebih baik daripada kumpulan lain. Allah ﷻ telah beri peringatan kepada kita dalam ayat Mukminoon: 53:

فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan ugama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka.

Inilah bahaya kalau kita ada kumpulan-kumpulan. Namun memang amat menyedihkan sekarang, bilaman ada banyak kumpulan dan kerananya, kita sesama Islam telah berpecah belah. Semua sangka mereka yang benar dan mereka kumpulan yang paling hebat. Semua sangka mereka lebih pandai, lebih baik daripada kumpulan lain dan orang lain. Mereka hanya mengikut kata ketua mereka sahaja. Sudah tidak mengikut dalil yang diberikan oleh pihak yang bukan dalam kalangan mereka. Ini adalah amat bahaya sekali.

Oleh itu, kita kena ingat yang kita ini adalah umat yang satu. Kita mestilah bersatu hati dan saling bekerjasama. Kita adalah umat yang satu – Ummah Muslim! Inilah yang sentiasa Allah ﷻ ingatkan kita dengan konsep ini setiap kali kita membaca Surah Al-Fatihah.

Konsep Doa

Dalam ayat ini, bahagian pertama kita membaca ‘hanya kepada Engkau kami sembah’ – ini menetapkan kepada kita apakah tujuan hidup kita, “mission statement” kita. Kemudian kita terus membaca bahagian kedua ayat ini: ‘dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan’. Apakah kaitan antara dua bahagian ini?

Cara untuk mendapatkan tujuan hidup ibadat kita kepada Allah ﷻ adalah dengan meminta pertolongan daripada Allah ﷻ. Kita tidak akan dapat mencapainya tanpa pertolongan Allah ﷻ. erana kita makhluk yang amat lemah. Kita baca bahagian pertama dan terus kita mengaku yang kita tidak boleh mencapainya tanpa pertolongan Allah ﷻ. Memang kita hendak beribadat kepada Allah ﷻ, tetapi kita tetap memerlukan pertolongan Allah ﷻ untuk melakukan ibadah itu.

Oleh itu, kita memohon pertolongan Allah ﷻ untuk membantu kita dalam melakukan ibadat kita. Ini adalah satu kefahaman yang amat penting iaitu kita tidak ada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah ﷻ ;walaupun dalam melakukan ibadah. Dengan ada kefahaman ini pun sudah dikira sebagai sebuah ibadat (ibadah hati).

Kita memang memerlukan pertolongan Allah ﷻ dalam segala hal. Kerana kita pun sedar bahawa ada banyak elemen yang mengganggu kita kita daripada mencapai tujuan hidup kita untuk beribadat kepada Allah ﷻ. Gangguan itu adalah daripada nafsu kita sendiri dan daripada syaitan. Bisikan nafsu adalah gangguan dalaman manakala bisikan syaitan adalah gangguan luaran.

Maka ketika membaca ayat ini kita berniat memerlukan pertolongan Allah ﷻ. Dan Allah ﷻ sudah kata dalam hadith Qudsi tentang ayat ini yang kita akan diberikan apa yang kita minta.

Lepas solat pun kita disuruh doa untuk mendapatkan bantuan Allah ﷻ dalam melakukan ibadat ini.

اللَّهُمَّ أعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk menyebut nama-Mu, mensyukuri-Mu dan ibadah yang baik kepada-Mu.

Oleh itu, bahagian kedua ayat ini adalah doa dan pengharapan kita kepada Allah ﷻ.

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Dalam kata-kata ini, kita merendahkan diri dengan Allah ﷻ. Kita Mengaku yang kita tidak ada daya dan usaha tanpa bantuan-Nya walaupun dalam buat perkara yang baik dan amal ibadat pun. Kita hendaklah selalu mengaku kekurangan diri kita ini. Dan kita pun diajar begini dalam doa-doa kita. Sebagai contoh, apabila azan, apabila dilaungkan

حيّ على الصَّلاَه
Marilah mendirikan solat,

dan
حيّ على الفلاح
Marilah menuju kejayaan,

kita diajar untuk jawab:

لا حول ولا قوّة إلّا بالله العلىّ العظيم
Tiada daya dan kuasa melainkan dengan kuasa Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Dalam doa ini menjawab azan ini, kita mengaku yang tidak ada dan kuasa pada kita melainkan dengan kuasa Allah ﷻ.

Perkara paling utama dalam hidup ini adalah untuk menjadi hamba kepada Allah ﷻ. Bila kita mengaku menjadi hamba, maka kita kenalah melakukan ibadat kepada Allah ﷻ. Maka, permintaan kita yang paling utama adalah minta Allah ﷻ bantu kita dalam ibadat kepada-Nya. Kita minta Allah ﷻ bantu kita mencapai tujuan utama hidup kita kerana dalam kita berdoa, hendaklah kita meminta perkara yang paling penting sekali.

Dalam Hadith Qudsi mengenai Surah Fatihah, Allah ﷻ berfirman bahawa seorang hamba yang berdoa dengan doa ini dalam Fatihah, dia akan mendapat apa yang dia inginkan. Oleh itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa berdoa adalah kewajipan kita sebagai hamba dan terserah kepada Allah ﷻ sama ada untuk menunaikannya (atau tidak). Dan sudah tentu, ada syarat lain untuk kita tunaikan agar doa kita dimakbulkan. Jika kita memenuhi tuntutan Allah ﷻ, maka pasti Allah ﷻ akan menunaikan janji-Nya.

Oleh itu, ayat ini adalah sebuah doa sebenarnya. Bukan kita baca kosong sahaja. Kita hendaklah ingat Doa juga adalah satu ibadah. Ramai yang tidak faham bahawa doa adalah ibadah. Lagi banyak ibadah kita buat maka lagi Allah ﷻ akan bantu kita. Semakin kita rapat dengan Allah ﷻ, Allah ﷻ akan datang lebih dekat kepada kita.

Kita telah sebut bahawa ayat ini adalah satu doa. Akan tetapi tidak disebutkan apa yang kita hendak dalam ayat ini. Ini adalah kerana apa yang kita minta kepada Allah ﷻ adalah secara umum. Tidak sempat untuk kita sebutkan satu persatu. Kita mengharapkan pertolongan Allah ﷻ dalam semua perkara. Dalam semua perkara yang melibatkan dunia dan akhirat. Seperti kita telah sentuh tentang ‘ibadah’ dalam bahagian yang sebelum ini – iaitu Ibadah adalah satu perkara yang menyeluruh. Maka doa pun adalah menyeluruh.

Allah ﷻ bantu kita dengan berbagai cara. Allah ﷻ boleh tolong kita dalam dunia dan juga akhirat. Kita tidak tahu bagaimana cara Allah ﷻ akan beri pertolongan itu. Kadang-kadang kita pun tidak sedar bagaimana cara Allah ﷻ bantu kita. Namun hendaklah kita tahu bahawa Allah ﷻ telah membantu kita dengan cara yang kadang-kadang kita tidak faham.

Yang sedar pertolongan Allah ﷻ dalam segenap kehidupan kita adalah mereka yang beriman. Oleh itu, merekalah yang lebih banyak bersyukur kepada Allah ﷻ. Apabila kita rasa kita telah mendapat nikmat, barulah kita akan senang hendak bersyukur. Namun ramai yang lalai. Mereka tidak perasan ‘tangan’ Allah ﷻ yang telah membantu mereka dalam segala hal.

Tentunya kita mengharapkan pertolongan Allah ﷻ dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan susah. Lebih-lebih lagi kalau waktu itu, kita tahu tidak ada sesiapa lagi yang dapat membantu kita melainkan Allah ﷻ sahaja. Untuk mendapatkan pertolongan Allah ﷻ, hendaklah kita ingat Allah dalam waktu susah dan senang.

12add4c7d0589478ab49847d52ca0af0

Kalau kita mengingati Allah ﷻ dalam waktu senang, Allah ﷻ akan menolong kita ketika kita sedang susah. Jangan masa susah sahaja baru hendak ingat Allah ﷻ, baru hendak minta pertolongan kepada Allah ﷻ. Namun entah berapa ramai yang hanya ingat Allah ﷻ apabila susah sahaja. Itu adalah amalan orang jahiliah dulu. Bila ada masalah besar, baru mereka minta kepada Allah ﷻ. Kalau waktu senang, mereka akan minta kepada berhala-berhala mereka.

Bayangkan kalau ada seseorang yang selalu kita minta tolong kepadanya. Dan dia memang selalu menolong kita pun. Tetapi kalau kita hanya berjumpa dengannya hanya ketika kita ada masalah sahaja, tentulah dia akan berasa hati – ada masalah baru cari dia. Lama kelamaan, kalau kita susah pun dia sudah tidak mahu tolong lagi.

Salah satu syarat supaya doa kita diterima adalah kita seorang yang taat kepada Allah ﷻ. Kalau kita taat, bukan sahaja Allah ﷻ akan bantu kita, tetapi Allah ﷻ akan bantu juga orang yang kita sayang. Ini jelas sepertimana yang telah disebut dalam Surah Kahf. Dalam ayat ke 82, Allah ﷻ berfirman:

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat daripada Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.

Kerana ayah mereka orang yang soleh, maka Allah ﷻ telah menjaga harta peninggalannya untuk dua anaknya itu. Begitulah kepentingan kita menjaga amal yang soleh. Bukan sahaja Allah ﷻ akan menjaga kita, tetapi orang yang kita sayang juga. Itulah rahmat Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga telah berfirman yang mafhumnya, kepada mereka yang bertaqwa, Allah ﷻ akan memberikan jalan keluar seperti yang disebut dalam ayat At-Talaq: 2

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya),

Cara Allah ﷻ memakbulkan doa kita dengan berbagai cara: kadang-kadang Allah ﷻ akan beri apa yang kita minta, dan kadang-kadang Allah ﷻ akan beri dengan cara lain; sebagai contoh, Allah ﷻ mungkin akan menjauhkan perkara yang boleh merosakkan kita. Contohnya menjauhkan kita daripada kedudukan tinggi, kekayaan dan sebagainya. Kerana Allah ﷻ tahu, kalau kita menjadi kaya dan mendapat kedudukan yang tinggi, maka kita tidak mampu mengawal diri kita dan kita akan terjerumus ke lembah kehinaan.

Ayat ini mengajar kita untuk hanya memohon pertolongan kepada Allah ﷻ sahaja. Mintalah hanya kepada Allah ﷻ dalam semua perkara. Seperti nasihat Nabi ﷺ kepada Ibn Abbas رضي الله عنهما.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمًا فَقَالَ
Daripada Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, beliau berkata: Aku berada di belakang Nabi ﷺ, lalu baginda bersabda:
‏ “‏ يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
Wahai budak lelaki, sesungguhnya aku akan mengajar engkau beberapa perkataan. Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjaga engkau. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapan engkau.
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah.
وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ
Ketahuilah, seandainya umat berkumpul untuk memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kepada kamu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tuliskan untuk mu.
وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ ‏.
Seandainya mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, mereka tidak akan dapat memudaratkan kamu kecuali dengan apa yang telah Allah tuliskan untuk kamu. ‏
رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ ‏”‏
Pen-pen telah diangkat, lembaran-lembaran telah pun kering.
(Jami’ At-Tirmidzi, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Raqaiq wa al-Wara’, no: 2516. At-Tirmidzi berkata hadith ini hasan sahih)

Memang hukumnya harus untuk meminta tolong kepada sesama makhluk. Yang harus adalah minta kepada mereka yang boleh beri. Iaitu, orang yang kita minta tolong itu, memang dia mampu untuk menolong kita. Sebagai contoh, kita minta dia tolong angkat barang. Atau kita minta dia tolong belikan barang untuk kita. Atau kita minta tolong dia masakkan untuk kita dan sebagainya.

Akan tetapi kalau dalam meminta kepada manusia pun, kita kena cuba untuk elakkan. Kerana tidak elok kalau kita berharap kepada manusia. Kerana mereka pun manusia dan tiada kuasa juga. Apa sahaja bantuan yang mereka nampak pada zahir boleh beri, tidaklah dia boleh tolong kita tanpa keizinan daripada Allah ﷻ. Maka dalam minta tolong kepada manusia, dalam masa yang sama kita kena berharap kepada Allah ﷻ. Kita kena faham dalam hati kita yang sebenarnya memberi pertolongan itu daripada Allah ﷻ sebenarnya.

Dalam masa yang sama, ada permintaan kepada manusia yang haram. Iaitu meminta perkara yang memang mereka tidak ada kuasa. Contohnya, kalau kita meminta pertolongan kepada manusia sama ada yang telah mati atau hidup untuk tambah iman kita, atau beri hidayah. Ini adalah haram kerana iman itu hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh beri. Malangnya, banyak yang meminta kepada yang mati.

Begitu juga ramai yang meminta ‘berkat’ kepada yang hidup atau yang mati. Ini pun satu kesesatan kerana manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Allah ﷻ sahaja yang boleh beri berkat. Oleh itu, mintalah keberkatan kepada Allah ﷻ. Kalau kita minta berkat daripada orang lain, itu merupakan satu kesyirikan. Kerana kita menganggap orang itu pun boleh beri berkat sama seperti Allah ﷻ juga. Perbuatan ini adalah syirik kerana menyamakan makhluk dengan Allah ﷻ.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah Fatihah Ayat 5 [Bahagian 2] (Maksud Ibadah)

Dalam ayat 5 ini, tidak disebutkan apakah pertolongan yang kita perlukan. Selalunya, jikalau kita minta tolong kepada sesiapa, kita akan sebut apakah pertolongan yang kita perlukan – sama ada bantuan wang atau bantuan tenaga dan sebagainya. Tetapi tidak disebutkan dalam ayat ini. Ada beberapa sebab ia tidak disebut:

    1. Allah ﷻ Maha Mengetahui apakah yang kita perlukan. Maka tidak perlu disebut lagi.
    2. Terlalu banyak pertolongan yang kita perlukan sampaikan kalau kita hendak senaraikan, akan jadi terlalu banyak.
    3. Atau permintaan pertolongan ini adalah di kala kita memang sangat-sangat memerlukan pertolongan sehingga tidak sempat kita hendak menyebutnya. Contohnya, kita hampir terjatuh ke dalam gaung. Kita tidak sebut dengan jelas apakah yang kita perlukan sebab waktu itu memang kita memerlukan sangat. Maka kita hanya minta ‘tolong’ sahaja.

Ayat ini ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu kita mengaku kita sebagai hamba. Untuk menjadi hamba yang sebenarnya kepada Allah ﷻ adalah susah, kerana kita selalu terpedaya dengan hawa nafsu dan syaitan. Maka, perkara pertama yang kita perlukan pertolongan kepada Allah ﷻ adalah untuk menjadikan kita sebagai hamba yang sebenarnya.

Kaitan dengan ayat sebelumnya

Kita boleh melihat pertukaran penggunaan kata-ganti dalam ayat ini. Dalam tiga ayat pertama Surah Al-Fatihah sebelum ini, kita memperkatakan ‘tentang’ Allah ﷻ. Sekarang, dalam ayat ini, kita bercakap terus dengan Allah ﷻ. Kita berkata-kata dengan Allah ﷻ – ‘Engkaulah’ yang kami sembah, dan kepada ‘Engkaulah’ yang kami memohon.

Penukaran kata-ganti dalam Al-Qur’an ini adalah satu keistimewaan dalam Al-Qur’an dan ia selalu digunakan dalam banyak ayat. Ia dipanggil kaedah ‘Iltifat‘. Ia merupakan salah satu daripada keindahan gaya bahasa Arab. Tujuannya adalah untuk menyedarkan dan menarik perhatian pembacanya. Ia menjadikan pembacaan Al-Qur’an lebih menarik. Kalau kita hanya memperkatakan tentang sesuatu dengan satu cara sahaja, lama kelamaan ia akan membosankan.

Bayangkan kalau sesuatu penulisan yang tiada dialog dan bandingkan penulisan yang ada dialog di dalamnya. Dengan penggunaan iltifat, ia sesuatu yang memberikan kesan yang menyegarkan pembaca. Kita pun akan lebih berwaspada – lebih berjaga-jaga – kerana tiba-tiba penggunaan kata ganti telah bertukar dan kita akan tertanya-tanya: “Kenapa begini?”. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tahu nahu bahasa Arab. Otak kita pun berjalan semasa membaca Al-Qur’an.

Mungkin mereka yang tidak tahu bahasa Arab tidak perasan pun perkara ini. Ini adalah sesuatu yang indah dalam Al-Qur’an. Kalau kita dapat tahu serba sedikit bahasa Arab, ia tentu akan memberikan pemahaman yang lebih dan lebih memberi takjub kepada kita.

Ternyata bahasa Al-Qur’an adalah sesuatu yang hebat. Akan tetapi, ada juga orang yang menyerang konsep ini. Mereka kata Al-Qur’an tidak konsisten, sekejap bercakap tentang seseorang, dan kemudian tiba-tiba berkata dengan orang itu pula. Serangan seperti ini mungkin terjadi kerana kejahilan mereka akan kewujudan kaedah ini atau mereka ada niat jahat yang tersembunyi.

Dalam ayat pertama, kita memuji-muji Allah ﷻ dengan menyebut sifat-sifat-Nya. Dalam tiga ayat pertama itu juga kita dapat lebih mengenal lebih lagi siapakah Allah ﷻ. Selepas kita mengenal Allah ﷻ, kita menjadi lebih rapat dengan-Nya. Itu adalah salah satu kesan selepas mengenali seseorang. Pepatah Melayu juga ada mengatakan: ‘tak kenal, maka tak cinta’.

tak-kenal-maka-tak-cinta

Begitu juga dengan kita dengan Allah ﷻ. Malah dengan Allah ﷻ, lebih lagi timbul rasa sayang dan rasa takjub kita. Selepas kita mengenali-Nya dan mengetahui segala kehebatan Allah ﷻ yang tidak ada tolok bandingnya, kita tentunya dan sepatutnya, MAHU menjadi lebih dekat dengan-Nya. Keinginan untuk menyembah-Nya sepatutnya semakin meningkat. Ini sepatutnya yang terjadi secara semulajadi. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi.

Pecahan ayat

1. إِيَّاكَ نَعۡبُدُ: Hanya Engkau yang layak kami sembah
2. إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ: Hanya Engkau yang layak kami minta pertolongan.

Lihatlah susunan dalam Surah Al-Fatihah ini yang amat cantik sekali. Selepas kita menyatakan sifat-sifat-Nya, barulah kita memperkatakan tentang beribadat kepada-Nya. Ini menunjukkan kita sepatutnya beribadat kepada Allah ﷻ hanya selepas kita mengenali-Nya. Oleh itu, kita kena ada ilmu sebelum beribadat. Kenalah kita kenal siapa Allah ﷻ dulu sebelum kita melakukan ibadat.

Kalau kita tidak kenal, takut-takut kita tidak tahu siapa yang kita sembah. Namun begitu tentulah kita tidak mengenal Allah ﷻ secara keseluruhan. Kita hanya hamba yang lemah tidak berupaya untuk mengenal Allah ﷻ sepenuhnya – hanya melalui apa yang Allah ﷻ telah sebutkan tentang Diri-Nya dalam Al-Qur’an dan daripada hadith Nabi.

Penting untuk kita mengetahui apa kata Nabi ﷺ tentang Allah ﷻ, kerana bagindalah yang paling mengenali Allah ﷻ. Oleh itu, selain daripada ayat-ayat Al-Qur’an, kita kena belajar juga hadith Nabi. Itu adalah sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim. Ia dikira sebagai ilmu asas. Yang lain-lain seperti kitab yang banyak-banyak itu, itu adalah ilmu tambahan. Ada yang mampu belajar lebih lagi.

Sememangnya pencapaian ilmu seseorang tidak sama dengan seorang yang lain. Namun kita haruslah berusaha setakat mana yang mampu. Kerana kalau kita tidak mengenal-Nya, ibadah yang kita buat itu tidak bermakna, tidak ada pahala. Kalau kita tidak kenal Allah ﷻ, kepada siapa kita beribadah itu? Yang lebih malang lagi kalau kita ada andaian yang salah tentang Allah ﷻ kerana belajar daripada ilmu yang bukan datang daripada wahyu!

Ayat kelima Surah Al-Fatihah ini adalah ayat yang paling banyak dibincangkan oleh ulama’. Mereka mengatakan agama Islam ini berlegar di antara ayat ini. Ini adalah kerana ada dua elemen yang ada dalam ayat ini yang kita akan cuba untuk kupaskan secara ringkas. Kalau kita faham dua konsep yang disebut dalam ayat ini, ia adalah satu pemahaman yang amat penting sekali. Kerana itulah ulama’ mengatakan ayat ini adalah ayat terpenting dalam surah Fatihah ini.

Ayat ini merupakan sebuah ikrar kita di hadapan Allah ﷻ. Iaitu kita berikrar dan berjanji kepada Allah ﷻ bahawa kita akan *hanya* beribadat kepada Allah ﷻ dan *hanya* berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Ia adalah sebuah ikrar yang besar. Bayangkan kita menyebutnya sekurang-kurangnya 17 kali sehari di dalam solat. Kita ulang ikrar itu berkali-kali. Itu pun kalau kita hanya membacanya dalam solat fardhu sahaja belum termasuk dalam ibadah sunat lain.

Persoalannya sekarang, adakah kita memegang ikrar dan janji kita itu? Atau adakah kita baca dengan kosong sahaja? Kalau kita baca dengan kosong, maka itulah sebabnya ia tidak memberi kesan ke dalam diri kita. Sebab itu ramai yang mengaku mahu sembah Allah  sahaja, namun dalam masa yang sama, mereka sembah juga entiti selain Allah ﷻ (selalunya tanpa mereka sedari). Sebagai contoh, ada yang sembah sultan, padahal baru tadi dalam solat mengaku tidak sembah yang lain melainkan Allah ﷻ sahaja.

Susunan ayat 

Terdapat susunan yang lain dalam ayat ini daripada kebiasaan susunan bahasa Arab. Ini kerana kalau hendak disampaikan maksud “kami sembah kepada Engkau”, perkataan ٓنٓعبُدُك boleh digunakan iaitu perkataan ‘kamu’ dalam bentuk ك diletakkan di hujung. Akan tetapi susunan dalam ayat ini berlainan. إِيّٓكٓ (hanya Engkau) diletakkan di permulaan ayat. Kenapakah begini?

Pertamanya, ini adalah sebagai menunjukkan adab kepada Allah ﷻ, di mana disebutkan Allah ﷻ dahulu kerana Allah ﷻ lebih mulia.

Keduanya, ini menekankan sesuatu yang eksklusif. Apabila struktur ayat diletakkan berlainan daripada biasa, ada maksud yang hendak disampaikan. Iaitu, *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja kita sembah. Dan *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja kita kita memohon pertolongan dan bantuan.

Bukan itu sahaja, perkataan إِيّٓكٓ digunakan dua kali. Sedangkan dalam bahasa Arab, boleh sahaja digunakan ayat sebegini: : إِيَّاكَ نَعْبُدُ ونَسْتَعِينُ dan ia masih satu ayat yang lengkap dan kita pun faham maksudnya. Namun tidak begitu yang dilakukan oleh Allah ﷻ. Tentu ada sebab kenapa Allah ﷻ jadikan begitu. Allah ﷻ meletakkan ayat dalam Surah Al-Fatihah ini sebegini: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Kalimah إِيَّاكَ diulang sebanyak dua kali sebagai penekanan kepada kedua-dua maksud itu: ‘sembah’ dan ‘memohon pertolongan’. Kerana kalau tidak ada إِيَّاكَ sebelum kalimah نَسْتَعِينُ, mungkin boleh diandaikan bahawa kalimah نَعْبُدُ lebih penting daripada kalimah نَسْتَعِينُ. Namun tidak begitu. Sedangkan kedua-dua elemen itu amat penting. Kedua-dua elemen itu hendak diberi penekanan oleh Allah ﷻ. Dan Allah ﷻ tunjukkan kepentingan keduanya kepada kita dalam susunan perkataan yang digunakan. Ini adalah sebahagian daripada ilmu Balaghah.

Ingatlah bagaimana Allah ﷻ membuatkan kita membaca ayat ini setiap hari sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali dalam sehari. Ini adalah kerana ayat ini adalah satu pernyataan dan doa yang amat hebat. Kerana atas sifat rahmat Allah ﷻlah yang menyuruh dan memberi peluang kepada kita untuk membaca ayat ini berkali-kali sebagai peringatan untuk kita.

Kalau Allah ﷻ ajar kita sebuah doa yang hebat, kita mungkin baca dan mungkin tidak. Mungkin kita ingat untuk baca tetapi kemungkinan kita akan lupa. Mungkin kita hanya amalkan sekejap sahaja. Tetapi lihatlah Surah Al-Fatihah ini. Hasilnya ia adalah satu surah yang mengandungi doa yang hebat, di mana Allah ﷻ telah mewajibkan kita untuk membacanya sebagai satu sistem supaya kita sentiasa ingat dan kita amalkan. Ma shaa Allah!

Kalau kita lihat susunan dalam ayat ini, ia menyebut tentang ‘ibadah’, kemudian baru disambung dengan ‘berdoa’ kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana ‘doa’ adalah salah satu daripada ibadah yang dilakukan oleh kita. Maka, Allah ﷻ menyebut ibadat dalam bentuk umum sebelum diberikan pengkhususan ibadah, iaitu ‘doa’.

Allah ﷻ memerintah makhluk-Nya untuk beribadat kepada-Nya. Namun hakikatnya, kita tidak akan berupaya untuk melakukan ibadat kepada Allah ﷻ tanpa bantuan Allah ﷻ dan rahmat daripada-Nya. Laluan untuk beribadat kepada-Nya adalah melalui-Nya juga. Tidak ada melalui cara lain.

Oleh itu, kita memohon rahmat dan bantuan daripada-Nya, untuk beribadat kepada-Nya dan juga untuk berdoa kepada-Nya. Oleh itu, dari sini, kita dapat kesimpulan bahawa tujuan hidup kita adalah beribadat kepada Allah ﷻ dan cara untuk beribadat kepada Allah ﷻ adalah melalui bantuan daripada-Nya. Oleh itu, ayat ini menyebut ‘tujuan’ dan ‘cara’ dalam satu ayat.

Ayat ini juga mengajar kita bagaimana cara berdoa. Hendaklah kita memuji-Nya sebelum kita memohon sesuatu kepada-Nya. Apabila kita menyebut kita hendak beribadat kepada-Nya, maka itu akan menyebabkan Allah ﷻ akan memakbulkan doa kita, in sha Allah.

Dalam berdoa, hendaklah kita memulakan dengan memuji-muji-Nya dahulu. Kita boleh melihat dalam empat ayat sebelum ini, di mana kita memuji-Nya dan sekarang kita baru hendak memulakan doa kita. Selain daripada itu, ada banyak contoh hadith daripada Nabi yang menunjukkan sebelum baginda memulakan doa dan memulakan bercakap sesuatu, baginda akan memuji-muji Allah ﷻ.

Oleh itu, kedua-dua bahagian dalam ayat ini menguatkan satu sama lain dan bersangkut paut. Tentulah tidak sesuai kalau kita menyembah Allah ﷻ, namun apabila tiba masa berdoa, kita meminta pertolongan kepada selain Allah ﷻ. Ingatlah, tidak boleh berdoa kepada selain Allah ﷻ kerana doa itu pun adalah satu ibadat. Bukankah tadi kita sudah berikrar untuk beribadat hanya kepada Allah ﷻ sahaja?

Kalau kita berdoa kepada selain Allah ﷻ, maka itu bermakna kita telah beribadat kepada selain daripada Allah ﷻ. Itulah syirik tersembunyi yang kadang-kadang kita tidak perasan. Sebab itulah kadangkala ada dalam kalangan manusia yang minta kepada selain Allah ﷻ. Macam orang kita pun ada ramai yang buat. Iaitu mereka melakukan ‘tawasul’. Mereka meminta kepada perantaraan dahulu supaya perantara itu akan menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Perbuatan itu sudah menyebabakn mereka terkeluar daripada ikrar dalam Surah Al-Fatihah ini untuk berdoa hanya kepada Allah ﷻ.

Maka kita kena faham apakah tawasul itu dan apakah cara doa yang terus kepada Allah ﷻ tanpa perantaraan. Itu disebut dan diajar dalam surah dan ayat-ayat yang lain. Dalam Surah Al-Fatihah ini diberikan pengenalan sahaja, tetapi pemahaman lengkap kena rujuk kepada ayat-ayat yang lain.

Ayat ini juga menyatakan bahawa kita mengaku kita tiada kuasa pada diri kita dan mengharap *hanya* kepada Allah ﷻ.

Dua ayat ini boleh memberi kesan kepada roh kita.

1. Buang sifat riya’ dalam diri dengan pemahaman kalimah نَعۡبُدُ. Kerana orang riya’ beribadat hanya untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Hanya mahu manusia lain melihat mereka beribadat. Mereka melakukan ibadat bukan kerana Allah ﷻ lagi (atau kerana Allah ﷻ tetapi sudah bercampur dengan niat yang lain). Ayat ini memberi kesan kepada kita dengan mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah ﷻ. Kita melakukan sesuatu ibadah itu hanya kerana Allah ﷻ.

2. Buang sifat kibr (besar diri) dengan pemahaman kalimah نَسۡتَعِينُ. Kerana kita tahu kedudukan kita yang amat rendah (kerana itu kita mohon doa) – lalu apa yang hendak dibanggakan sangat? Kita tidak ada apa-apa, semuanya mengharapkan pertolongan daripada Allah ﷻ.

Ibadah

Apakah maksud ibadah? Penting untuk tahu maksud ibadah. Sebab sudah bercampur baur dengan terma-terma lain yang digunakan sekarang. Agama lain pun menggunakan kalimah ibadah juga dan kita takut kita faham terma agama lain pula. Kerana agama lain pun ada ibadah juga kepada tuhan mereka. Maka kita kena bezakan ibadah kita dengan ibadah mereka.

Contohnya, kita ada sembahyang, agama Hindu pun ada ‘sembahyang’ juga. Orang Kristian pun ada ‘sembahyang’ mereka juga. Tetapi sesekali tidak akan sama antara sembahyang kita dan sembahyang mereka, bukan?

Ibadah itu adalah menyerah diri sebagai hamba. Serah diri dan taat seluruhnya kepada Allah ﷻ. Dilakukan dengan hati yang ikhlas. Iaitu ada keinginan dalam hati kita untuk berkhidmat kepada Allah ﷻ. Kalau tidak ada keinginan itu, ia bukanlah ibadah. Contohnya, seseorang itu nampak seperti buat ibadah, tetapi dia mungkin dia buat kerana malu dengan orang lain yang buat. Mungkin kerana orang lain ramai-ramai Solat Tarawih, oleh kerana malu,  dia ikutlah juga melakukannya.

Namun sebenarnya, mereka tidak ada keinginan untuk beribadah itu. Oleh kerana tidak ikhlas, ibadah itu tidak dikira dan tidak diberi pahala. Oleh itu kena ada cinta kepada Allah ﷻ. Kena ibadah dalam cinta kepada Allah ﷻ. Dua-dua kena ada – cinta dan ibadah – Kalau cinta tanpa taat pun tidak cukup. Kerana ada yang kata dan mengaku mereka cinta kepada Allah ﷻ, tetapi tidak nampak pun mereka buat ibadat. Sebagai contoh, mereka kata mereka beriman, tetapi mereka tidak memakai tudung pun. Itu bermaksud mereka tidak taat kepada Allah ﷻ.

Maka asas ibadah adalah cinta kepada Allah ﷻ. Hasilnya kita akan taat kepada suruhan dan larangan-Nya. Dan untuk taat kepada Allah ﷻ, kita kena ikut Nabi ﷺ. Kerana dalam Al-Qur’an ada dikatakan kalau kita cinta Allah ﷻ, maka kena ikut Nabi ﷺ. Dan apabila kita cinta kepada Allah ﷻ, kita akan mengharap cinta-Nya kepada kita.

manfaat-surat-al-imran-ayat-31-3

Kerana kalau kita tidak mengharap cinta-Nya kembali, itu bukanlah cinta sebenar. Kerana apabila kita mencintai seorang wanita atau lelaki, kita juga mengharapkan cintanya. Dengan manusia, tidak pasti yang mereka akan membalas cinta kita. Namun kalau dengan Allah ﷻ, kalau kita mencintai-Nya, Dia akan mencintai kita semula.

Melakukan ibadah dan menghambakan diri kepada Allah ﷻ adalah tujuan hidup kita. Tidak ada kedudukan yang lebih besar daripada menjadi hamba kepada Allah ﷻ. Malangnya zaman sekarang banyak elemen yang mengheret dan menjauhkan kita daripada menyembah Allah ﷻ. Ada sahaja perkara yang menyebabkan kita leka dan lalai dengan dunia. Senang sangat untuk mendapatkan hiburan yang melekakan. Tekan sahaja butang, akan keluar lagu di radio dan MP3. Tekan komputer satu dunia boleh keluar dari internet. Makin berlambak hiburan dan informasi daripada media sosial Facebook, ada Twitter, ada YouTube dan entah apa lagi.

Pulang ke rumah, TV selalunya sudah siap terpasang. Saluran TV beratus saluran kita boleh pilih. Dengan iklannya, dengan rancangan yang berbagai-bagai. Semuanya ada potensi untuk menarik perhatian kita. Dan media amat pandai untuk menghasilkan rancangan yang menarik minat kita. Mereka pandai menggunakan psikologi dan tahu bagaimana fikiran manusia berfungsi. Kalau kita tidak sedar kepentingan ibadah, maka semuanya itu kita rasa lebih baik dan menarik dan penting daripada menjalankan ibadah kepada Allah ﷻ.

Kehidupan moden sekarang rasanya sudah semakin sibuk. Setidak-tidaknya masa ibadah kita terbahagi antara kehidupan agama dan kehidupan suka-suka. Ditolak lagi dengan tugas hakiki kita di pejabat dan melapangkan masa dengan isteri, anak-anak dan keluarga yang memang perlu dilakukan, maka makin sedikit sebenarnya ruang masa untuk beribadah kepada Allah ﷻ. Kita kena sedar kepentingan ibadah supaya kita boleh mencari masa untuk beribadah juga kepada Allah ﷻ.

Ibadah adalah tujuan hidup kita. Kita mengaku perkara itu dalam ayat ini apabila kita mengatakan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ.

Kita juga mengaku bahawa kita adalah hamba Allah ﷻ. Kerana kalimah نَعۡبُدُ berasal daripada kalimah عبد yang bermaksud ‘hamba’. Secara umumnya, semua makhluk adalah hamba Allah ﷻ, sama ada mereka terima atau tidak, tahu atau tidak. Dalam ayat ini, seorang hamba menyatakan dengan khusus yang mereka mengaku yang mereka adalah hamba Allah ﷻ.

Inilah yang sepatutnya kita lakukan. Kita sepatutnya terima Allah ﷻ sebagai tuan kita dan kita adalah hamba-Nya, dengan rela. Kerana kalau kita tidak mengaku pun, kita ini tetap hamba-Nya juga. Maka lebih baik kita mengaku dan mengingatkan diri kita sendiri kedudukan kita sebagai hamba.

Taat kepada Allah ﷻ adalah satu-satunya tujuan hidup kita. Itulah tujuan kita dihidupkan. Semasa kita membaca ayat ini, kita mengakuinya dengan rela. Inilah yang sepatutnya terjadi, namun ada yang mempunyai konflik dengan hal ini. Ada yang sembah Allah ﷻ tetapi dalam masa yang sama, mereka juga mahu kenikmatan dunia yang dilarang.

Dan kadang-kadang kita buat sesuatu yang Allah ﷻ tidak suka. Memang manusia begitu keadaannya, manusia sentiasa melakukan kesalahan. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa memohon ampun atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan setiap hari, sama ada kita sedar ataupun tidak.

Ia adalah sebuah rahmat yang besar apabila kita hanya ada satu Tuan sahaja. Bayangkan kalau kita ada lebih daripada satu ilah. Susah untuk kita puaskan lebih daripada satu. Tambahan pula kalau ramai ilah, tentunya setiap ilah ada kehendak mereka masing-masing. Allah ﷻ beri perumpamaan seorang hamba yang mempunyai lebih daripada satu tuan dalam dalam Zumar: 29

ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Allah membuat perumpamaan (iaitu) seorang laki-laki (budak) yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat yang dalam perselisihan dan seorang budak yang menjadi milik penuh daripada seorang laki-laki (saja); Adakah kedua budak itu sama halnya? Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Tentulah amat susah kalau kita ada lebih daripada satu tuan. Seorang tuan akan suruh kita buat A dan seorang tuan lagi suruh kita B pula. Tentunya kita tidak dapat memuaskan kedua-dua tuan itu. Tambahan pula kalau A dan B itu berlawanan! Oleh itu, ia adalah sebuah rahmat apabila kita hanya disuruh memuaskan Allah ﷻ sahaja. Kepala kita tidak perlu pening kerana perlu mengikut satu arahan sahaja.

Seperti telah disebut tadi, permulaan ibadah adalah cinta kepada Allah ﷻ. Kita bukan dituntut untuk melakukan amalan sahaja. Itulah hasil daripada bacaan tiga ayat pertama dalam Surah Al-Fatihah sebelum ini. Apabila kita sudah dapat pengetahuan tentang siapakah Allah ﷻ, maka senang untuk kita cinta Allah ﷻ dan senang untuk kita beribadah kepada Allah ﷻ. Walaupun kita sudah tahu yang Allah ﷻ itu Tuhan sekalian alam, Dia bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim namun Dia juga mengingatkan kita bahawa Dia akan memberi balasan di Hari Kiamat nanti.

Apabila kita berkata tentang ibadah, kita kena faham skop ibadah itu yang melibatkan beberapa perkara: lidah, hati dan juga tubuh.

Ibadah hati: tahu siapa Allah ﷻ dan terima Allah ﷻ sebagai Rabb kita.

Ibadat Lidah: mengucapkan syahadah dan menyampaikan pemahaman itu kepada orang lain.

Ibadat Tubuh: melakukan ibadat seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.

Oleh itu, kita kena faham bahawa ibadah itu merangkumi keseluruhan kehidupan kita. Jangan kita sempitkan pemahaman ibadah itu hanya kepada ibadat tubuh seperti solat dan puasa sahaja.

Kefahaman tauhid

Kita juga perlu tahu elemen Tauhid dalam ibadat.

1. Ibadat hanya untuk Allah ﷻ. Sujud dan taat kepada yang lain adalah syirik.

2. Serah diri hanya kepada Allah ﷻ. Ikut hanya arahan Allah ﷻ. Bukanlah kita sembah Allah ﷻ, tetapi kemudian ikut taghut (sesuatu yang menjauhkan kita daripada Allah ﷻ). Hukum hakam yang diterimapakai adalah hanya daripada Allah ﷻ. Hanya menggunakan hukum Allah ﷻ yang Dia telah tetapkan dan disampaikan melalui Rasul-Nya Nabi Muhammad ﷺ.

Jangan kita jadi seperti orang Kristian dan Yahudi yang menggunakan hukum daripada paderi dan rabai mereka. Sebagaimana kita sekarang banyak menggunakan kata-kata ustaz dan meninggalkan kata-kata Allah ﷻ dan Nabi.

3. Cinta hanya kepada Allah ﷻ. Kalau cinta kepada yang lain, seperti ibubapa kita, isteri kita, anak-anak kita pun, itu adalah kerana Allah  juga. Kita juga kena benci apa yang Allah ﷻ benci. Inilah konsep wala’ wal bara’ (mendekatkan dan menjauhkan).

Apakah yang termasuk dalam ibadah? Itulah melakukan semua perkara yang Allah ﷻ suka. Dalam setiap perkara dan perbuatan kita, kita kena tahu manakah yang lebih Allah ﷻ suka. Ini dapat diketahui apabila kita semakin banyak belajar. Kerana kita tidak boleh mengagak dengan kesukaan dan kegemaran kita sahaja, kerana ia mungkin tidak sama dengan kehendak Allah ﷻ.

Ibn Qayyim رحمه الله berkata, kita kena melakukan ibadat yang sesuai dengan masanya. Sebagai contoh, apabila dilaungkan azan, maka kita kena dengar dan menjawab azan waktu itu, kemudian melakukan solat.

Kerana waktu itu, ibadah yang utama adalah mendirikan solat. Kalau waktu jihad, maka jihadlah ibadat yang sesuai pada waktunya, bukan solat. Waktu tetamu datang bertandang, maka kita kena layan mereka kerana itulah ibadat yang utama waktu itu. Bukanlah waktu tetamu datang, kita buat solat sunat pula.

Contoh ini kita boleh lihat hadith kisah Salman Al Farisi dan Abu Darda’ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا.

Daripada Abu Juhaifah Wahb bin ‘Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata,
آخَى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – بَيْنَ سَلْمَانَ ، وَأَبِى الدَّرْدَاءِ ، فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ ، فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً . فَقَالَ لَهَا مَا شَأْنُكِ قَالَتْ أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِى الدُّنْيَا . فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ ، فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا . فَقَالَ كُلْ . قَالَ فَإِنِّى صَائِمٌ . قَالَ مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ . قَالَ فَأَكَلَ . فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ . قَالَ نَمْ . فَنَامَ ، ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ . فَقَالَ نَمْ . فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ قُمِ الآنَ . فَصَلَّيَا ، فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، فَأَعْطِ كُلَّ ذِى حَقٍّ حَقَّهُ . فَأَتَى النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ ، فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « صَدَقَ سَلْمَانُ »
“Nabi ﷺ pernah mempersaudarakan antara Salman dan Abu Darda’. Tatkala Salman bertandang (ziarah) ke rumah Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ia melihat Ummu Darda’ رضي الله عنها (isteri Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) dalam keadaan mengenakan pakaian yang serba kusut. Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun bertanya padanya, “Mengapa keadaan kamu seperti itu?” Wanita itu menjawab, “Saudaramu Abu Darda’ sudah tidak mempunyai hajat lagi pada keduniaan.”
Kemudian Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan beliau membuatkan makanan untuk Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Setelah selesai Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepada Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, “Makanlah, kerana saya sedang berpuasa.” Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab, “Saya tidak akan makan sebelum engkau pun makan.” Maka Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun makan. Pada malam harinya, Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bangun untuk mengerjakan solat malam. Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun berkata padanya, “Tidurlah.” Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun tidur kembali.
Ketika Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bangun hendak mengerjakan solat malam, Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ lagi berkata padanya, “Tidurlah!” Hingga pada akhir malam, Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Bangunlah.” Lalu mereka solat bersama-sama. Setelah itu, Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepadanya, “Sesungguhnya bagi Rabbmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka penuhilah masing-masing hak tersebut.”
Kemudian Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mendatangi Nabi ﷺ lalu menceritakan apa yang baru saja terjadi. Baginda lantas bersabda, “Salman itu benar.”
(HR. Bukhari No. 1968)

Kalau perkara mubah (harus) dilakukan kerana Allah ﷻ, maka ia menjadi satu ibadat juga. Kita akan mendapat pahala kalau kita lakukan perbuatan itu dengan niat yang baik. Dan kalau kita buat dengan tahu bahawa Allah ﷻ telah membenarkan kita lakukan itu pun sudah mendapat pahala. Sebagai contoh, berjimak dengan isteri juga merupakan sebuah ibadat dan kita akan mendapat pahala.

Ini adalah kerana Allah ﷻ telah membenarkan perlakuan itu. Ini berdasarkan kepada Hadith Nabi juga. Memakai pakaian cantik juga merupakan satu ibadah kerana ia dibenarkan dan dianjurkan dalam Islam. Ini kerana sewaktu kita memakai pakaian yang cantik itu, kita sedang menzahirkan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Maka, bukanlah kita kena pakai baju yang lusuh dan buruk, kononnya hendak menunjukkan tawaduk kita. Itu hanya dilakukan oleh ahli zuhud (ahli sufi) yang jahil sahaja.

Jangan kita jadikan ibadat sebagai adat (kebiasaan) sahaja. Iaitu kita lakukan kerana semua orang buat. Atau kita lakukan kerana malu kalau orang lihat kita tidak buat, maka kita lakukan juga walaupun kita tidak berniat hendak buat. Contohnya, ada orang yang tidak sembahyang, tetapi sebab semua orang lain sedang solat, dia pun solat juga.

Atau dia lakukan sebagai adat kerana sudah biasa buat semenjak kecil. Atau seorang wanita memakai tudung kerana dia sudah ‘biasa’ pakai tudung. Kalau dia tidak pakai tudung, dia rasa lain. Dia bukan memakai tudung kerana hendak taat kepada Allah ﷻ. Dia memang sudah buat perkara yang baik, cuma dia kena perbaharui niat dia supaya boleh meraih pahala. Kita mestilah ikhlas dalam ibadat kita iaitu yang dilakukan bukan kerana ada kepentingan dunia tetapi untuk mencari redha Allah ﷻ semata-mata.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo