Tafsir Surah Yunus Ayat 94 – 97 (Bertanya kepada orang yang tahu)

MENERIMA KEBENARAN

Yunus Ayat 94: Ayat Zajrun (teguran) kepada Nabi ﷺ. Teguran kepada Nabi ﷺ adalah teguran membina, bukannya kerana Allah ﷻ marah.

فَإِن كُنتَ في شَكٍّ مِّمّا أَنزَلنا إِلَيكَ فَاسأَلِ الَّذينَ يَقرَءونَ الكِتٰبَ مِن قَبلِكَ ۚ لَقَد جاءَكَ الحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ

Sahih International

So if you are in doubt, [O Muhammad], about that which We have revealed to you, then ask those who have been reading the Scripture before you. The truth has certainly come to you from your Lord, so never be among the doubters.

Malay

Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.

 

فَإِن كُنتَ فِي شَكٍّ مِّمَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ

Sekiranya engkau merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu,

‘Engkau’ dalam ayat ini boleh diterjemahkan sebagai Nabi Muhammad ﷺ namun tidaklah Nabi Muhammad ﷺ ada berasa syak dengan Al-Qur’an pula. Maka yang hendak ditegur di sini adalah kita. Ini termasuk mereka pada zaman Nabi Muhammad ﷺ itu. Ia juga meliputi segala umat manusia yang meragui mesej Al-Qur’an ini. Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ sampaikan kepada kita tetapi menggunakan lafaz ditujukan kepada Rasulullah ﷺ kerana baginda yang kena sampaikan kepada manusia. Ini seperti Allah ﷻ sebut di dalam Zumar:65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi.

Dalam ayat di atas disebut jikalau Rasulullah ﷺ melakukan syirik. Hakikatnya tentulah baginda tidak ada melakukan syirik, bukan? Maka sama juga, tentulah Rasulullah ﷺ tidak ada syak dengan ayat-ayat Al-Qur’an.

Atau, kalau paling tinggi pun kita boleh terima jika ia hanya kemungkinan sahaja, iaitu ‘jikalau’ sahaja. Kalaulah Rasulullah ﷺ ada berasa syak dengan ‘mana-mana ayat Al-Qur’an’. Itu adalah satu pemahaman daripada maksud أَنزَلْنَا إِلَيْكَ (Yang Kami turunkan kepadamu). Yang ada masalahnya adalah kita kerana mungkin ada ayat yang kita baca dan kita tidak faham lalu boleh menimbulkan keraguan. Ini tentunya akan terjadi sekiranya kita hanya membaca terjemahan Al-Qur’an tanpa berguru. Kita sangka kita boleh faham sendiri, tetapi jika tiada asas pengajian tafsir, maka ini amat bahaya sekali.

Atau, أَنزَلْنَا إِلَيْكَ boleh bermaksud ‘kisah-kisah’ yang telah disampaikan dalam ayat-ayat sebelum ini. Iaitu tentang Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Musa عليه السلام dan lain-lain. Bangsa Arab mungkin tidak biasa dengan nama-nama itu kerana mereka tidak ada kitab. Mereka mungkin ada rasa syak, betulkah apa yang disampaikan?

 

فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكَ

maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu.

Oleh itu, sekiranya ada timbul rasa syak tentang kisah-kisah yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini, maka bertanyalah kepada ahli-ahli kitab yang telah membaca kitab-kitab mereka. Mereka telah lama ada kitab suci seperti Taurat dan Injil dan mereka telah mengkaji kitab-kitab itu. Semua kitab-kitab itu menyebut tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman (Nabi Muhammad ﷺ).

Jelas di sini, ini adalah cara untuk menghilangkan keraguan tetapi kita pun tahu yang mereka telah mengubah kitab mereka, maka yang perlu diberikan perhatian adalah daripada iktibar, bukannya daripada lafaz kitab itu kerana ia telah diselewengkan. Antaranya yang kita boleh ambil pengajaran adalah tentang Sunnatullah. Iaitu dalam kitab-kitab mereka pun disebut sesiapa yang menentang Rasul akan mendapat azab.

Kenapa tanya mereka? Kerana dalam kitab suci mereka pun ada diberitahu tentang kisah-kisah yang disebut dalam Al-Qur’an. Dalam kitab mereka pun sudah ada juga sebenarnya pengajaran tentang tauhid dan ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Banyak perkara yang mereka tahu, terutama sekali mereka kena bertanya kepada mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Kerana sudah ada makluman itulah yang menyebabkan ada ahli kitab yang beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, seperti Abdullah bin Salam (seorang pendita dalam kalangan Yahudi). Maka kena tanya mereka yang jujur kerana kalau tanya yang tidak beriman atau tidak jujur dengan ilmu, mereka mungkin akan menyembunyikan ilmu.

Maksud kedua ayat ini adalah untuk kita di zaman sekarang. Jika tidak faham tafsir mana-mana ayat Al-Qur’an, kenalah tanya kepada mereka yang tahu. Iaitu mereka yang telah belajar tafsir sebelum ini. Bertanya kepada mereka yang tahu itu Allah ﷻ telah beritahu kita dalam Anbiya:7

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
maka bertanyalah kamu kepada mereka yang tahu, jika kamu tidak mengetahui.

Jangan bertanya kepada mereka yang belum mempelajari tafsir Al-Qur’an. Maka sebelum tanya sesuatu perkara, hendaklah ditanya (dengan lembut dan beradab) kepada tok imam, ustaz dan agamawan negara ini, sama ada mereka sudah belajar tafsir (dengan secara lengkap) atau belum? Sebab kebanyakan guru yang mengajar agama di negara ini, belum betul-betul mempelajari lagi tafsir Al-Qur’an ini. Ini amat malang kerana rujukan utama agama pun mereka tidak mahir, tetapi sudah aktif menyampaikan ajaran agama kepada masyarakat. Mereka sangka mereka sudah belajar agama, tetapi selagi mereka tidak memahami tafsir Al-Qur’an, mereka sebenarnya masih belum benar-benar memahami asas dalam agama.

Mendapatkan maklumat yang betul tentang agama amatlah penting. Ini adalah perkara biasa kerana kita sentiasa belajar dan ada perkara baru yang kita baru dapat tahu. Sekali sekala ada perbezaan pendapat dalam kalangan kita kerana ilmu, pemahaman, daya fikir akal seseorang dengan seseorang yang lain tidak sama. Maka sebaiknya diadakan muzakarah ilmu dalam kalangan orang kita. Allah ﷻ juga telah memberikan saranan tentang hal ini di dalam Nisa’:59

فَإِن تَنٰزَعتُم في شَيءٍ فَرُدّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسولِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأويلًا
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

 

لَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ

Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran daripada Tuhanmu,

Kalimah الحق yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Mereka yang telah mengkaji kitab suci mereka, akan tahu bahawa apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini adalah benar. Sebab itulah ramai dari kalangan orang yang terpelajar daripada agama Yahudi dan Kristian telah memeluk Islam. Ini kerana mereka telah nampak kebenaran yang dibawa oleh Islam.

Allah ﷻ menyebut مِن رَّبِّكَ di dalam ayat ini untuk menekankan sifat Rabb-Nya. Dia yang telah mencipta dan memelihara kita dan tarbiyyah kita dengan penuh kasih sayang. Takkanlah Dia hendak berikan sesuatu yang tidak baik pula kepada kita, bukan? Maka kebenaran yang datang di dalam Al-Qur’an ini adalah sesuatu yang berguna kepada kita kerana ia datang daripada Rabb kita.

Di sini ditekankan yang kebenaran yang pasti adalah daripada Allah ﷻ, iaitu daripada Al-Qur’an. Kata-kata manusia belum tentu benar lagi. Maka tidak salah kalau kita persoalkan, minta penjelasan, kritik dan perbaiki mana-mana pendapat dan kata-kata manusia. Sebagai manusia, jikalau ditegur kenalah terima kerana tidak semestinya kita benar. Kena rendahkan sedikit ego itu.

 

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

maka jangan sekali-kali engkau menjadi daripada golongan yang ragu-ragu.

Janganlah kita termasuk di dalam golongan yang ragu-ragu tentang Al-Qur’an. Ingatlah yang Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ, maka ia tidak ada keraguan padanya. Yang ragu-ragu itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja.

Oleh kerana itulah kita mesti mempelajari tafsir Al-Qur’an sampai faham. Mereka yang ragu-ragu itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja. Sebab itu apabila berjumpa dengan ayat-ayat Qur’an yang mereka nampak berlainan dengan pemahaman mereka, mereka akan menjadi ragu.

Malang sekali ada juga dalam kalangan manusia yang terlalu teruk, sampai menolak ayat Al-Qur’an, sebab mereka hendak hanya menerima pendapat guru mereka walaupun jelas bertentangan dengan ayat Al-Qur’an. Sedangkan Nabi ﷺ pun tidak berani berbuat sesuatu yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an, sebaliknya mereka ini senang sahaja menolak ayat Al-Qur’an itu. Ramai yang buat begitu, memandai dalam hal agama. Maka mereka ini bukan setakat rugi, tetapi yang ‘paling rugi’ seperti Allah ﷻ firmankann di dalam Kahf:103-105

قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمٰلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم وَلِقائِهِ فَحَبِطَت أَعمٰلُهُم فَلا نُقيمُ لَهُم يَومَ القِيٰمَةِ وَزنًا
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

Lihatlah Allah ﷻ kata mereka ini الأَخسَرينَ أَعمٰلًا (paling rugi dalam dalam amal perbuatan mereka). Ini adalah kerana mereka itu beramal bukan dengan ajaran wahyu. Mereka membuat amalan yang syirik dan bid’ah tetapi mereka sangka itu amalan syariat. Mereka sangka mereka mengumpul banyak pahala kerana sudah banyak beramal namun sebenarnya mereka mengumpul dosa sahaja. Maka banyaklah amal mereka yang tidak selari dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Perbuatan itu seolah-olah menempah tempat di neraka sahaja. Itulah akibatnya jikalau menolak ayat Al-Qur’an seperti yang disebut dalam ayat seterusnya.


 

Yunus Ayat 95:

وَلا تَكونَنَّ مِنَ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ فَتَكونَ مِنَ الخٰسِرينَ

Sahih International

And never be of those who deny the signs of Allah and [thus] be among the losers.

Malay

Dan jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah, kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.

 

وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيٰتِ اللَّهِ

Dan jangan sekali-kali engkau menjadi daripada golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah,

‘Dusta’ di dalam ayat ini bermaksud menolak ayat Al-Qur’an. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil sebelum kita. Allah ﷻ sebut di dalam ayat 93 sebelum ini yang mereka telah diberikan nikmat, tetapi apabila datang ilmu yang benar, mereka berselisih tentangnya dan kebanyakan daripada mereka menolaknya. Mereka tidak bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan, sebaliknya mereka menjadi sombong. Maka salah satu punca manusia menolak kebenaran adalah kerana kesenangan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan sampai mereka lupa diri.

Maka kita jangan jadi orang yang mendustakan ayat-ayat Al-Qur’an. Malangnya ramai dalam kalangan kita pun begitulah juga. Mereka telah diberikan dalil daripada ayat Al-Qur’an tetapi mereka tidak terima kerana mereka beranggapan ayat itu berdusta. Tentulah mereka tidak kata ayat itu dusta dengan mulut mereka, tetapi melalui tindakan mereka.

Sudah tentu mereka tidak berani untuk mengatakan ayat Al-Qur’an itu dusta, tetapi jika perbuatan mereka itu berlawanan dengan perintah dalam ayat Al-Qur’an, itu bermakna mereka sudah tolak, mereka sudah mendustakan ayat-ayat Al-Qur’an. Adakah anda berani hendak masuk ke dalam golongan itu?

 

فَتَكُونَ مِنَ الْخٰسِرِينَ

kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.

Kerana bila menolak ayat Al-Qur’an kita akan masuk neraka dan semua pahala ibadah kita akan hancur. Mereka yang menolak Al-Qur’an akan rugi di dunia dan di akhirat. Orang Islam pun boleh menolak Al-Qur’an jikalau tidak mengamalkannya dan ambil peduli tentangnya. Alangkah ruginya, lahir dalam keluarga Islam, namun akhirnya masuk neraka.


 

UMAT NABI YUNUS عليه السلام DISELAMATKAN DARI AZAB

Yunus Ayat 96: Ayat Tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ dan para pendakwah. Juga mengandungi penjelasan tentang Qada’ dan Qadar.

إِنَّ الَّذينَ حَقَّت عَلَيهِم كَلِمَتُ رَبِّكَ لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Indeed, those upon whom the word of your Lord has come into effect will not believe,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman:

 

إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَتُ رَبِّكَ

Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab),

Iaitu mereka yang Allah ﷻ telah tetapkan akan berlaku kepada mereka ketetapan itu. Apakah ketetapan itu? Kalimah كَلِمَتُ (kalimat ketetapan) Allah ﷻ itu bermaksud, ada yang Allah ﷻ telah tetapkan yang mereka akan masuk ke neraka.

Namun begitu jangan kita salahkan Allah ﷻ pula. Ada yang kata yang tidak beriman itu disebabkan oleh ketetapanAllah ﷻ sejak dari mula lagi. Sebenarnya Allah ﷻ telah beri hidayah kepada mereka, cuma mereka sahaja yang tidak mahu menerima hidayah itu dan beriman. Mereka dibiarkan sesat kerana mereka degil untuk menyambut hidayah itu kerana degil dan ego. Mereka yang jenis inilah yang Allah ﷻ tetapkan akan masuk neraka.

Maka adakah Allah ﷻ telah tetapkan dari awal lagi yang mereka itu tidak akan beriman? Tentu tidak! Kalau begitu, maka zalimlah Allah ﷻ. Pemahaman ini memerlukan penjelasan, kalau tidak manusia akan salahkan Allah ﷻ pula. Maksud di sini adalah Allah ﷻ telah tahu siapa yang akan beriman dan siapa yang tidak akan beriman. Ini kerana ilmu Allah ﷻ itu amat luas, tahu apa yang akan berlaku.

Seperti yang kita patut tahu, Allah ﷻ telah memberi pilihan kepada manusia dan jin. Boleh pilih untuk beriman, boleh juga pilih untuk kufur. Allah ﷻ tidak memaksa sesiapa untuk beriman. Akan tetapi, Allah ﷻ TAHU siapa yang akan beriman dan siapa yang tidak beriman. Kita beri perumpamaan dalam kehidupan kita. Seorang guru kelas telah lama mengajar, sudah bertahun-tahun. Daripada pengalamannya yang luas itu, sekali pandang sahaja seorang pelajar itu, dia sudah tahu yang pelajar itu akan gagal dalam peperiksaan. Adakah guru itu telah menggagalkan pelajar itu? Adakah guru itu mahu pelajar itu gagal? Tentu tidak, bukan? Cuma daripada ilmu berdasarkan pengalaman guru itu, dia sudah tahu. Maka Allah ﷻ yang Maha Tinggi Ilmu-Nya tentu lebih tahu siapa yang tidak beriman dan siapa yang beriman.

Mungkin ada orang jahil yang berhujah: “Jikalau begitu, baik tidak payah berusaha kerana telah ditetapkan yang dia tidak akan beriman?”

Ini adalah hujah yang salah kerana kita tidak tahu sama ada kita di penghujung hayat nanti akan beriman ataupun tidak, bukan? Maka kita tetap kena berusaha sehingga ke hujung hayat kita, kerana kedudukan kita di akhirat bergantung kepada iman kita di hujungnya, seperti sabda Rasulullah ﷺ,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada akhirnya.”
(Sahih Bukhari No. 6607)

Begitu juga dengan rezeki. Rezeki pun telah ditentukan, bukan? Namun begitu adakah anda hanya duduk-duduk sahaja tunggu rezeki datang, atau anda terus berusaha? Tentulah terus berusaha, bukan? Kerana walaupun ia telah ditetapkan, namun kita masih tidak tahu. Oleh hal yang demikian teruskan usaha bukan sahaja untuk rezeki lebih-lebih lagi untuk mendapatkan hidayah juga.

 

لَا يُؤْمِنُونَ

mereka tidak akan beriman.

Maksud ayat ini sama seperti yang Allah ﷻ telah firmankan dalam Zumar:19

أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ الْعَذَابِ أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النَّارِ
Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak)! Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka?

Orang yang Allah ﷻ sudah tetapkan akan masuk neraka itu, kita tidak dapat menghindarkannya. Kita tidak mampu untuk selamatkan dia lagi walaupun dengan cara apa kerana itu adalah ketetapan Allah ﷻ. Ketetapan Allah ﷻ adalah muktamad dan tidak dapat dibantah. Maka di sini Allah ﷻ hendak pujuk Rasulullah ﷺ dan para pendakwah Tauhid, janganlah bersedih sekiranya manusia tidak mahu beriman setelah didakwah. Ini kerana memang telah ada manusia yang tidak akan beriman. Allah ﷻ telah tahu yang mereka tidak akan beriman.

Allah ﷻ sudah tahu yang mereka tidak akan beriman kerana mereka sendiri yang tidak mahu beriman sejak mula. Walau apapun hujah dan dakwah yang diberikan kepada mereka, mereka tidak akan beriman. Ini sepertimana Firaun dan pembesar-pembesarnya yang kita baru sahaja baca dalam ayat-ayat sebelum ini. Bayangkan betapa degilnya mereka itu walaupun telah melihat begitu banyak mukjizat yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام, namun mereka masih juga tidak mahu beriman. Ternyata mereka itu tidak akan beriman sampai bila-bila sehingga ke akhir hayat mereka.

Ada manusia yang menolak dari awal, kemudian berterusan menolak, maka Allah ﷻ tutup pintu hati mereka daripada dimasuki iman. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah:6

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

Namun perlulah tahu bahawa orang kafir itu umumnya ada dua: ada yang tidak akan beriman tetapi ada juga yang beriman dan menerima hidayah apabila sampai kepadanya. Oleh itu, amat penting sekali diingatkan agar jangan pukul rata semua. Cuma memang kebanyakan manusia akan menolak walaupun setelah diberikan dengan berbagai-bagai hujah dan dalil seperti Allah ﷻ sebut dalam Baqarah:145

وَلَئِن أَتَيتَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ بِكُلِّ ءآيَةٍ مّا تَبِعوا قِبلَتَكَ
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu,

Di sini Allah ﷻ beri contoh kedegilan manusia menerima kebenaran walaupun setelah diberikan dengan berbagai-bagi dalil hujah. Cuma bagi pendakwah, jangan pula terlalu cepat untuk membuat keputusan siapa yang akan beriman dan siapa yang tidak. Tugas kita hanya menyampaikan sahaja seperti biasa. Ini kerana akan ada juga manusia yang mahu beriman seperti disebut dalam Yaasin:10-11

وَسَواءٌ عَلَيهِم أَأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sama sahaja kalau kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak akan beriman.

إِنَّما تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكرَ وَخَشِيَ الرَّحمٰنَ بِالغَيبِ ۖ فَبَشِّرهُ بِمَغفِرَةٍ وَأَجرٍ كَريمٍ
Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Qur’an serta dia takut kepada Tuhan Rahman yang ghaib. Berilah berita gembira kepada mereka, iaitu keampunan dan pahala.

Dalam ramai-ramai yang menolak itu, entah ada yang timbul rasa takut dalam dirinya dan mahu menerima dakwah dan kebenaran wahyu daripada Allah ﷻ. Jadi kita terus cuba dan cuba sahaja. Kalau mereka tidak beriman pun, pahala dakwah sudah pasti buat kita.


 

Yunus Ayat 97: Apa maksud لَا يُؤْمِنُونَ di dalam ayat sebelum ini?

وَلَو جاءَتهُم كُلُّ ءآيَةٍ حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ

Sahih International

Even if every sign should come to them, until they see the painful punishment.

Malay

Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

 

وَلَوْ جَاءَتْهُمْ كُلُّ ءآيَةٍ

Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda

Apakah maksud ayat ini? Walaupun mereka dapat melihat semua tanda-tanda dan semua ayat-ayatNya yang Allah ﷻ telah berikan, mereka tetap juga tidak akan beriman. Ini adalah kepada mereka yang telah ditetapkan akan masuk neraka. Mereka tidak akan beriman.

Sampai bila?

 

حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Apabila mereka sudah nampak azab yang mereka akan terima, waktu itu baru mereka akan beriman. Jikalau waktu itu mereka baru beriman, iman mereka tidak diterima lagi. Ini telah dijawab dalam ayat sebelum ini iaitu لَا يُؤْمِنُونَ. Mereka tidak dikira beriman jika hanya beriman pada waktu itu. Seperti yang kita sudah baca sebelum ini tentang iman Firaun yang tidak diterima. Firaun hanya mahu beriman apabila sudah melihat azab.

Yang diterima iman mereka yang sudah nampak azab hanyalah kaum Nabi Yunus عليه السلام dan kisah tentang mereka akan disebut selepas ini.

Maka mereka itu apabila melihat azab nanti barulah mereka akan menyesal, tetapi tidak ada gunanya. Mereka tidak menghiraukan dakwah dan nasihat yang telah diberikan kepada mereka. Mereka tidak menggunakan akal mereka yang waras dan kerana itu mereka akan meraung nanti seperti disebut dalam Mulk:7-10

إِذا أُلقوا فيها سَمِعوا لَها شَهيقًا وَهِيَ تَفورُ
Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

تَكادُ تَمَيَّزُ مِنَ الغَيظِ ۖ كُلَّما أُلقِيَ فيها فَوجٌ سَأَلَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم نَذيرٌ
Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (daripada orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”

قالوا بَلىٰ قَد جاءَنا نَذيرٌ فَكَذَّبنا وَقُلنا ما نَزَّلَ اللهُ مِن شَيءٍ إِن أَنتُم إِلّا في ضَلٰلٍ كَبيرٍ
Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!”

وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ
Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment