Isra’ Ayat 51: Allah ﷻ beri lagi satu Syikayah (rungutan) dan jawapannya (Jawab Syikayah) dalam ayat ini.
أَو خَلقًا مِّمَّا يَڪبُرُ فِى صُدُورِكُم فَسَيَقُولُونَ مَن يُعِيدُنَاۖ قُلِ ٱلَّذِى فَطَرَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ فَسَيُنغِضُونَ إِلَيكَ رُءُوسَہُم وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هُوَۖ قُل عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ قَرِيبًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Or [any] creation of that which is great¹ within your breasts.” And they will say, “Who will restore us?” Say, “He who brought you forth the first time.” Then they will nod their heads toward you² and say, “When is that?” Say, “Perhaps it will be soon –
- Such as the heavens and earth.
- In disbelief and ridicule.
(MELAYU)
atau suatu makhluk dari makhluk yang lebih besar menurut fikiranmu”. Maka mereka akan bertanya: “Siapa yang akan menghidupkan kami kembali?” Katakanlah: “Yang telah menciptakan kamu pada kali yang pertama”. Lalu mereka akan menggeleng-gelengkan kepala mereka kepadamu dan berkata: “Bilakah itu (akan terjadi)?” Katakanlah: “Mudah-mudahan waktu berbangkit itu dekat”,
أَو خَلقًا مِّمّا يَكبُرُ في صُدورِكُم
atau suatu makhluk daripada makhluk yang lebih besar menurut dalam hati-hatimu”.
Atau kamu dijadikan makhluk yang lagi susah untuk dibentuk. Kalau kamu masih rasa batu atau besi boleh lagi dibentuk, apa lagi yang kamu rasa bahan yang Allah ﷻ susah hendak bentuk? Kamu pilihlah sendiri. Pilihlah mana-mana bahan yang kamu tahu, yang kamu rasa Allah ﷻ susah buat balik, yang kamu rasa Allah ﷻ tidak boleh jadikan kamu balik. Ini nada marah sungguh bunyinya.
Bahan apa pun, ketahuilah wahai manusia yang degil, Allah ﷻ masih tetap boleh jadikan kamu semula. Kamu semua akan tetap akan dihadapkan kepada-Nya juga. Kalau kamu jadi bulan, bintang, langit, apa sahaja pun, semua itu akan musnah juga dan akan dijadikan semula, seperti kamu juga akan dimatikan dan dibangkitkan kelak.
فَسَيَقولونَ مَن يُعيدُنا
Maka mereka akan berkata: “Siapa yang akan menghidupkan kami kembali?”
Ada yang tetap berdegil akan bertanya dengan soalan yang bodoh: “Siapa yang akan hidupkan kami semula?” Kenapa mereka bodoh? Kerana selama ini mereka mengakui beragama dengan menyembah berhala, menuruti dan taqlid kepada kepercayaan nenek-moyang, sehingga mereka tidak mempergunakan akal fikiran untuk meneliti dengan faham yang hening dan jernih.
Begitulah kalau agama hanya sekadar ikut-ikutan sahaja seperti kebanyakan dalam masyarakat kita. Entah berapa banyak amalan dan fahaman yang pelik-pelik mereka terima dan telan begitu sahaja. Yang terkini, fahaman golongan sesat Habib yang mengarut itu diterima sahaja tanpa periksa. Kebodohan masyarakat kita dalam hal ini tidak ada batasnya. Memang kasihan kita lihat mereka mengagungkan golongan Habib, memakai logo capal di kepala, mengamalkan ajaran mereka. Kemudian apabila disebut kononnya kehebatan habib-habib mereka boleh terbang, tidak ada jantung tetapi hidup, boleh baca Yaasin 60,000 kali antara Maghib dan Isyak, ada pula yang percaya!
Itu pun hanya kerana kononnya golongan Habib ini keturunan Rasulullah ﷺ. Setakat itu sahaja? Nah sekarang sudah ada pembongkaran yang apabila diperiksa DNA mereka itu, tidak pun berkaitan dengan keturunan Rasulullah ﷺ! Lalu apa lagi alasan pentaksub mereka ini?
قُلِ الَّذي فَطَرَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ
Katakanlah: “Yang telah menciptakan kamu pada kali yang pertama”.
Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab kepada mereka, kerana tidak layak Allah ﷻ melayan mereka. Oleh kerana Allahﷻ sudah terlalu murka dan benci kepada mereka sampai tidak mahu terus bercakap dengan mereka.
Allah ﷻ suruh beritahu, apa yang perlu dihairankan, tentulah yang mula-mula buat kamu dulu (daripada tiada kepada ada) boleh bangkitkan kamu semua. Masa kamu tidak ada dulu, siapa yang jadikan? Tentulah Allah ﷻ juga, bukan?
Musyrikin Mekah pun tahu dan menerima yang Allah ﷻ yang menjadikan mereka dan segala dalam alam ini. Maka apa yang perlu dihairankan lagi?
فَسَيُنغِضونَ إِلَيكَ رُءوسَهُم
Lalu mereka akan menggeleng-gelengkan kepala mereka kepadamu
Bila dijawab begitu, Allah ﷻ beritahu yang mereka akan turun dan naikkan kepala sambil tidak percaya. Atau mereka gelang kepala di hadapan Nabi ﷺ. Maknanya mereka tetap tidak percaya dan tunjuk isyarat tidak percaya itu dengan kepala mereka.
Mereka tidak buat lagi, tetapi Allah ﷻ sudah siap beritahu apa yang mereka akan lakukan. Kerana Allah ﷻ tahu yang mereka itu adalah manusia yang amat degil.
.
وَيَقولونَ مَتىٰ هُوَ
dan mereka berkata: “Bilakah itu (akan terjadi)?”
Mereka tanya dengan nada mengejek: “Ha, kalau betul akan terjadi benda yang kamu cakap itu, bila? Bila nak jadi hari itu?”. Ini adalah soalan cepu emas yang selalu orang kafir berikan kepada para Nabi. Soalan mereka ini adalah untuk mempersendakan Nabi.
Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi ﷺ yang secara pasti menyatakan bahawa hari kiamat tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan hanya Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ:
يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ ۚ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا
“Manusia bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang kedatangan hari kiamat, katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya ada di sisi Allah. Bagaimana kamu dapat mengetahui? Barangkali kiamat itu sudah dekat.’”
(Ahzab: 63)
Selain itu terdapat hadith riwayat Umar al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menceritakan berkenaan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang bertemu dengan Nabi ﷺ yang mana Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertanya kepada Baginda ﷺ:
فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا، ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ “.
“Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku)”. Baginda bersabda: “Yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.” Beliau berkata: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat pengembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya”.
(Riwayat Muslim (8))
قُل عَسىٰ أَن يَكونَ قَريبًا
Katakanlah: “Mudah-mudahan waktu berbangkit itu dekat”,
Walaupun Rasulullah ﷺ tidak dapat menjawab soalan mereka, tetapi Allah ﷻ suruh beritahu mereka: “Mungkin tak lama lagi. Yang kamu kurang ajar ini, bukannya lama pun, tak lama lagi kamu akan tahulah apa yang akan terjadi kepada kamu. Kamu sahaja yang sangka ia lama lagi, tapi entah-entah ia tidak lama lagi.” Kalimah عَسىٰ di sini juga boleh ditafsirkan sebagai ‘pasti’.
Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Ma’arij: 6-7
إِنَّهُم يَرَونَهُ بَعيدًا
Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),
وَنَرىٰهُ قَريبًا
Sedang Kami memandangnya dekat,
Lagi satu, kiamat itu mungkin lambat lagi (memandangkan tanda-tanda Kiamat semuanya belum keluar lagi), akan tetapi ada satu lagi kiamat iaitu Kiamat Kecil. Ini adalah kematian kita. Kalau Kiamat Besar itu lambat lagi, tapi Kiamat Kecil iaitu kematian kita adalah dekat. Bila-bila masa sahaja kita boleh mati kerana kematian itu tidak ada tandanya. Ketahuilah bahawa kematian kita adalah permulaan kepada Akhirat bagi kita.
Isra’ Ayat 52: Ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Bilakah Kiamat itu datang tidak boleh diberitahu, tetapi ia pasti akan berlaku. Ini telah disebut sebelum ini. Maka sekarang diberitahu apakah yang akan berlaku apabila ia datang.
يَومَ يَدعُوكُم فَتَستَجِيبُونَ بِحَمدِهِۦ وَتَظُنُّونَ إِن لَّبِثتُم إِلَّا قَلِيلاً
(SAHEEH INTERNATIONAL)
On the Day He will call you and you will respond with praise of Him and think that you had not remained [in the world] except for a little.”
(MELAYU)
iaitu pada hari Dia memanggil kamu, lalu kamu mematuhi-Nya sambil memuji-Nya dan kamu mengira, bahawa kamu tidak berdiam (di dalam kubur) kecuali sebentar saja.
يَومَ يَدعوكُم
iaitu pada hari Dia memanggil kamu,
Tidak lama lagi, akan sampailah pada hari yang kamu akan dipanggil. Tidak disebut siapa yang akan panggil, mungkin malaikat atau mungkin ada pemanggil yang khusus. Kamu akan dipanggil mengadap-Nya. Dikatakan yang memanggil itu adalah Malaikat Israfil dengan tiupan Sangkakala. Kita semua akan dipanggil untuk pergi ke Mahsyar. Waktu itu amat takutlah kamu, kerana hari yang kamu kata tidak ada itu, akan berada depan mata kamu nanti.
Melalui ayat-ayat dan hadith-hadith Nabi ﷺ diketahui bahawa kelak akan terjadi dua kali “peniupan sangkakala”. Yang pertama menjadikan seluruh alam raya hancur. Selanjutnya terjadi peniupan kedua di mana manusia yang telah mati bahkan semua yang bernyawa akan dihidupkan Allah ﷻ kembali, dan ketika itu dilukiskan bahawa manusia sambil menundukkan pandangan, keluar dari kubur-kubur mereka yakni meninggalkan alam barzakh dalam keadaan beramai-ramai, sedemikian banyaknya sehingga mereka bagaikan belalang yang berterbangan, bahkan sebenarnya lebih banyak dari itu. Mereka datang dengan cepat kepada penyeru itu menuju tempat yang diserukan untuk mendatanginya. Tempat itu adalah Padang Mahsyar. Lihat penerangan yang Allah ﷻ gambarkan di dalam Qamar: 7-8.
خُشَّعًا أَبصٰرُهُم يَخرُجونَ مِنَ الأَجداثِ كَأَنَّهُم جَرادٌ مُّنتَشِرٌ
(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan, keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.
مُّهطِعينَ إِلَى الدّاعِ ۖ يَقولُ الكٰفِرونَ هٰذا يَومٌ عَسِرٌ
Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!
Atau, bukan dipanggil dengan tiupan Sangkakala, akan tetapi dipanggil dengan nama masing-masing. Kerana itulah kita digalakkan untuk beri nama yang baik-baik kepada anak-anak kita. Kerana malulah kalau nama pelik-pelik pula dipanggil. Ini seperti disebut di dalam hadith,
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Sesungguhnya pada hari kiamat nanti kalian akan dipanggil dengan nama-nama kalian dan nama-nama bapak kalian. Oleh kerana itu, buatlah nama-nama yang baik untuk kalian.
(Riwayat Abu Dawud, No. 4948)
Didhaifkan oleh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ
Kita tidak tahu siapa yang akan menyeru memanggil kita, di dalam ayat lain juga hanya disebut penyeru sahaja seperti di dalam Qaf: 41-43
وَاستَمِع يَومَ يُنادِ المُنادِ مِن مَّكانٍ قَريبٍ
Dan dengarkanlah (seruan) pada hari penyeru (malaikat) menyeru dari tempat yang dekat.
يَومَ يَسمَعونَ الصَّيحَةَ بِالحَقِّ ۚ ذٰلِكَ يَومُ الخُروجِ
(Iaitu) pada hari mereka mendengar teriakan dengan sebenar-benarnya itulah hari keluar (dari kubur).
إِنّا نَحنُ نُحيي وَنُميتُ وَإِلَينَا المَصيرُ
Sesungguhnya Kami lah yang menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada Kami-lah tempat kembali (semua makhluk).
فَتَستَجِيبُونَ بِحَمدِهِۦ
lalu kamu mematuhi-Nya sambil memuji-Nya
Waktu itu barulah kamu menyesal dan barulah kamu hendak taat. Kamu akan cuba jawab sambil puji Allah ﷻ melambung-lambung. Allah ﷻ beritahu keadaan mereka waktu itu yang baru mereka hendak meminta maaf, baru hendak mengagungkan Allah ﷻ. Walaupun yang beriman dan tidak beriman pun akan melakukan perkara yang sama, tetapi ayat ini tentang golongan yang ingkar. Orang mukmin memang semenjak di dunia lagi sudah memuji Allah ﷻ, tetapi yang disebut sekarang adalah orang kafir pun memuji Allah ﷻ juga. Akan tetapi pujian mereka dan ketaatan pada waktu itu tidak berguna lagi.
Kenapa orang kafir pun akan taat kepada Allah ﷻ dan memuji-muji Allah ﷻ? Kerana mereka sendiri sudah melihat dengan mata mereka akan kehebatan Allah ﷻ dan kehebatan Hari Akhirat, maka mereka tidak boleh tidak akan terkesima dan akan takjub. Maka automatik mulut mereka pun akan mengakuinya.
Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini adalah tentang kata-kata orang Mukmin. Kerana di dalam ayat-ayat yang lain, disebut lain pula kata-kata orang kafir. Sebagai contoh, lihat Yaasin: 52
قالوا يٰوَيلَنا مَن بَعَثَنا مِن مَّرقَدِنا ۜ ۗ هٰذا ما وَعَدَ الرَّحمٰنُ وَصَدَقَ المُرسَلونَ
Mereka berkata: “Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?”. Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).
Juga lihatlah Zumar: 56
أَن تَقولَ نَفسٌ يٰحَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّٰخِرينَ
“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: `sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)!
Berkemungkinan besar, orang kafir akan kata semua seperti yang disebut di atas. Puji pun ya, menangisi nasib mereka yang malang pun ya juga. Kerana disebut di dalam ayat Zumar: 75, semua makhluk akan memuji Allah ﷻ.
وَتَرَى المَلائِكَةَ حافّينَ مِن حَولِ العَرشِ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَقيلَ الحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ
Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!”
وَتَظُنّونَ إِن لَّبِثتُم إِلّا قَليلًا
dan kamu mengira, bahawa kamu tidak berdiam (di dalam kubur) kecuali sebentar saja.
Waktu itu kamu akan rasa yang kamu duduk di dunia sekejap sahaja. Kamu sangka lama bukan hidup di dunia? Sebenarnya tidak. Nanti bila sudah lama duduk di Mahsyar, barulah kamu rasa yang duduk di dunia ini sekejap sahaja kalau dibandingkan dengan duduk di akhirat kerana akhirat itu tiada penghujungnya. Berada di Mahsyar pun berpuluh ribu tahun (ada yang kata 50 ribu tahun menunggu sahaja perbicaraan dimulakan).
Memang kehidupan dunia ini terasa sekejap sahaja. Begitulah firman Allah ﷻ memberitahu kepada kita.
قَٰلَ كَمۡ لَبِثۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ عَدَدَ سِنِينَ ١١٢ قَالُواْ لَبِثۡنَا يَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ يَوۡمٖ فَسۡـَٔلِ ٱلۡعَآدِّينَ ١١٣ قَٰلَ إِن لَّبِثۡتُمۡ إِلَّا قَلِيلٗاۖ لَّوۡ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١٤
Allah bertanya: “Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?”
Mereka menjawab: “Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung”.
Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui”
(Al Muminun: 112-114)
Kalimah لَّبِثتُم boleh ditafsirkan tinggal di dunia atau pun di dalam kubur. Kerana dua-dua itu terasa singkat sahaja masanya bagi kita apabila dibangkitkan kelak. Walaupun kita memang tahu ia lama (bayangkan manusia yang paling awal hidup dan di dalam alam kubur sekarang), akan tetapi ia akan dirasai sekejap sahaja kalau dibandingkan dengan kebangkitan di akhirat kelak.
Sekian Ruku’ 5 daripada 12 ruku’ surah ini
NASIHAT KEPADA NABI
Isra’ Ayat 53: Dalam ayat sebelum ini telah disebut kata-kata puak musyrik dan puak penentang yang tidak percaya kepada agama yang benar. Telah disampaikan ajaran Islam namun masih lagi mereka menentang. Maka tentulah kalau begitu terjadi kepada kita, kita akan marah, bukan?
Begitulah juga dengan para sahabat – mereka marah kepada golongan penentang itu. Akan tetapi lihatlah bagaimana Allah ﷻ ajar cara bercakap dengan mereka. Allah ﷻ ajar cara berdakwah kepada mereka.
Penyeru kepada tauhid hendaklah berbudi pekerti dan menggunakan bahasa yang lembut. Rasulullah ﷺ tidak menjawab kecaman-kecaman terhadapnya. Maka kita kena berhati-hati dan bersabar kerana syaitan akan mengambil peluang untuk menimbulkan perselisihan
وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ يَنزَغُ بَينَہُم إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ كَانَ لِلإِنسَـٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And tell My servants to say that which is best. Indeed, Satan induces [dissension] among them. Indeed Satan is ever, to mankind, a clear enemy.
(MELAYU)
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُۚ
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik
Allah ﷻ suruh umat Islam untuk balas kata-kata orang kafir (atau golongan sesat atau musyrik atau golongan penentang) dengan kata-kata yang lebih baik. Kita disuruh untuk cari jalan untuk buat lebih baik daripada apa yang mereka lakukan dan katakan itu. Kerana kalau kita tidak jaga mulut, hati dan emosi kita, kita boleh maki semula para penentang itu. Sekiranya itu terjadi, maka dakwah itu sudah tidak baik lagi dan tidak memberi kesan. Kerana manusia melihat akhlak kita sebenarnya.
Kalimah أَحسَنُ maksud ‘lebih baik’, bukan yang ‘terbaik’, kerana ‘terbaik’ itu adalah kata-kata Allah ﷻ sahaja. Cuma kita disuruh buat sehabis baik setakat yang kita mampu sahaja. Maka sebelum bercakap, kena fikirkan dulu apa yang nak cakap.
Namun kenapa dengan orang kafir, musuh dan penentang kebenaran pun kita kena cakap dengan baik? Kerana itulah cara dakwah. Bayangkan, kepada Firaun yang paling jahat itu pun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh untuk bercakap dengan lembut. Ini seperti disebut di dalam Taha: 44
فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.
Ayat daripada Surah Isra’ ini diturunkan di Mekah ketika Rasulullah ﷺ dan para sahabat berada di Mekah lagi. Ketika itu memang ada para sahabat yang sudah teringin hendak berkasar dengan golongan Musyrikin Mekah yang kurang ajar. Akan tetapi Allah ﷻ menahan mereka kerana ia memberi mudarat yang lebih besar lagi kerana mereka masih lemah.
Namun begitu ayat ini terpakai pada mana-mana zaman pun, terutama dalam dakwah. Allah ﷻ mengajar kita bersifat rahmah kepada orang-orang lain. Banyak sekali ditunjukkan dalam Al-Qur’an dan ajaran Nabi Muhammad ﷺ bagaimana cara dakwah. Lihatlah dalam sunnah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ melayan orang lain yang tidak tahu. Amat lembut sekali baginda dengan para sahabat. Malah kepada orang kafir pun.
Ada satu kisah bagaimana seorang Badwi telah masuk ke dalam masjid dan telah kencing dalam Masjid Nabi sebab dia tidak tahu adab kerana dia baru masuk Islam. Para sahabat ada yang sudah mahu menangkap dan memukulnya, tetapi Nabi ﷺ larang. Nabi ﷺ suruh basuh bekas kencing itu dan kemudiannya Nabi ﷺ telah mengajar lelaki dengan cara lembut tentang adab-adab dalam masjid.
Bagaimanakah cara yang sepatutnya kita bercakap dengan manusia? Jangan kita berkasar dengan orang lain. Islam tidak mengajar begitu. Nabi ﷺ tidak pernah menunjuk dengan jarinya. Kalau dia perlu menunjuk, dia akan tunjuk dengan tangannya. Sebab itulah penting untuk kita mengetahui bagaimana cara hidup Nabi Muhammad ﷺ. Orang dulu akan memulakan mengajar cara hidup Nabi ﷺ.
Dakwah pun ada taktiknyaa. Kalau kita perli, mengutuk dan menghina manusia, maka mungkin yang didakwah akan senang terima. Tidak rugi kalau kita bercakap baik dengan orang yang kita dakwahkan itu. Walaupun mungkin mereka itu bercakap kasar dengan kita, tuduh kita macam-macam. Allah ﷻ telah ajar taktik ini di dalam Fussilat: 34
وَلا تَستَوِي الحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَدٰوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ
Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Hikmah itu kenalah ikut cara Nabi ﷺ. Maka kena cari caranya. Untuk tahu, kena tahu cara hidup Nabi ﷺ dan bagaimana baginda berdakwah. Kita kena usaha dakwah dengan hikmah – seolah-olah perumpamaan ‘ular mati, tongkat tak patah’.
Maksudnya, dengan cara dakwah kita itu, syirik hilang dan hubungan kita dengan orang yang didakwah itu tidak tercalar. Kita kena guna hemah, sampai orang yang kita dakwah itu masih mahu jumpa kita di kemudian hari. Maka kena pandai menggunakan perkataan yang sesuai. Jangan kita hina dia sampai dia sudah tidak mahu menemui kita lagi.
Jangan juga kita perli dia dalam dakwah kita. Hendaklah bersabar banyak-banyak supaya jangan keluar kata-kata yang boleh menyakitkan hati. Kalau yang didakwah itu kata kita gila pun, kita katalah ‘terima kasih’. Banyakkan senyuman. Buat latihan senyuman selalu.
Inilah hikmah dan tidak dinafikan yang ia memang payah. Kerana selalunya kita tidak tahan juga. Kadang-kadang kita terkasar juga dalam membalas kata-kata nista orang yang didakwah dan itu tidak ‘أَحسَنُ’. Lihatlah bagaimana cara Nabi ﷺ sendiri berurusan dengan manusia, walaupun orang yang telah melakukan kesalahan lari dari medan Perang Uhud. Lihat Ali Imran: 159
فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Balaghah: Digunakan kalimah عِبَادِيَ dengan ya’ mutakallim dalam ayat ini. Bandingkan dengan ayat-ayat yang dihazafkan ya’ mutakallim seperti dalam Zumar: 10. Ini kerana apabila ada ya’ mutakallim, ia membawa makna putus, tidak kekal. Dan apabila dihazafkan ya’ mutakallim, ia bermaksud ‘berkekalan’ dan ‘berterusan’.
Allah ﷻ kekalkan ya’ mutakallim dalam ayat ini kerana ia ditujukan kepada orang beriman tetapi masih lagi boleh diganggu oleh syaitan kerana iman mereka belum sempurna. Syaitan masih lagi boleh ambil peluang menaikkan kemarahan mereka. Maka kerana itu Allah ﷻ beri peringatan dan ajaran kepada mereka dalam ayat ini.
إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ يَنزَغُ بَينَہُم
Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka.
Kerana ada makhluk yang akan ambil kesempatan kalau kita buat silap. Iaitu syaitan akan petik/bisikkan supaya kamu kata benda-benda yang menyakitkan hati. Kalau kita terpengaruh dengan bisikan itu, maka kita pun tercakap benda yang teruk.
Kemudian syaitan pergi pula kepada orang itu semula dan sampaikan apa yang kita kata. Lalu dia pun marah dan tentu dia pun mahu bercakap benda yang menyakitkan hati. Kemudian keadaan akan menjadi lebih teruk dek kerana balas membalas yang tidak berkesudahan. Sampai bila hendak habis?
Oleh itu, Nabi ﷺ ajar kepada Muslim cara berinteraksi dengan baik. Jangan memaki hamun. Jangan cakap perkara yang kita akan menyesal nanti. Selalu bukan kita kata perkataan yang keluar semasa kita marah dan kemudian kita menyesal? Maka berhati-hatilah.
Kerana kalau tidak buat begitu, syaitan akan ambil peluang. Syaitan akan jadikan perselisihan antara manusia. Inilah kesempatan yang syaitan akan ambil kalau menggunakan perkataan yang tidak tepat.
Atau kalau kita cakap dengan cara biadab. Waktu itu kedua-dua puak akan cuba untuk menjatuhkan sesama sendiri. Syaitan akan petik kata-kata kita dan akan tambah-tambah lagi jadi lagi supaya menjadi lebih teruk. Malangnya, kadangkala ada pendakwah yang rasa dakwah dengan cara perli dan kutuk itu bagus, padahal ia tidak.
Maka cubalah cakap dengan baik. Kena belajarlah sikit-sikit tentang komunikasi. Perbaikilah serta tingkatkan kualiti diri kita. Kita kena tahu serba sedikit cara bercakap yang efektif agar tidak disalahertikan oleh pihak lain. Kadang bahasa yang kita gunakan bermaksud lain pada telinga orang lain.
Ini penting kerana kita semua dalam usaha berdakwah. Maka jangan beri alasan untuk mereka tolak. Jangan mereka kata orang sunnah kurang ajar. Tunjukkan akhlak yang baik supaya orang boleh terima dengan mudah. Apa guna kalau kita menang hujah (kerana kita ada dalil dan nas), sebaliknya orang benci kerana mulut kita yang buruk?
Syaitan akan sentiasa mengambil peluang terhadap kita dan kerana itu diingatkan kepada kita tentang perkara ini dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Kerana itulah Nabi ﷺ pernah menasihati supaya jangan diacukan senjata kepada sesama Muslim.
حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُشِيرُ أَحَدُكُمْ إِلَى أَخِيهِ بِالسِّلَاحِ فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَحَدُكُمْ لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنْ النَّارِ
Telah diceritakan [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] kepada kami daripada Rasulullah ﷺ lalu beliau menyebutkan beberapa Hadith di antaranya; Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Janganlah kamu mengacukan senjata kepada saudaramu kerana seseorang di antara kamu tidak dapat mengetahui kemungkinan syaitan akan melemparkan apa yang ada di tangannya sehingga dia terjerumus ke dalam jurang neraka.”
(Sahih Bukhari (4742))
إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ كَانَ لِلإِنسَـٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Kena ingat perkara ini kerana memang syaitan sentiasa menjadi musuh kepada manusia. Macam-macam cara dia cuba buat. Sudah disebut berkali-kali cara mereka dalam Al-Qur’an ini, dan kali ini kita diberitahu yang syaitan menggunakan peluang apabila kita menggunakan bahasa yang salah. Bila kita salah cakap, maka syaitan akan bangkitkan kebencian.
Lalu apakah yang kita kena lakukan? Allah juga ajar di dalam Fussilat: 36 iaitu kita hendaklah berlindung kepada Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh bantu kita untuk selamat daripada syaitan. Ini kerana syaitan bukannya boleh dibawa bincang. Mereka memang dilahirkan untuk menyesatkan manusia dan menjadi musuh manusia. Mereka bukan ada kerja lain, melainkan untuk menyesatkan manusia sahaja.
وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطٰنِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 2 Mei 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
