Nahl Ayat 70: Ayat Dalil Aqli Anfusi. Selepas Allah ﷻ suruh lihat pada alam dan pada binatang, Allah ﷻ suruh pula lihat kepada diri kita sendiri.
وَاللهُ خَلَقَكُم ثُمَّ يَتَوَفّٰكُم ۚ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلىٰ أَرذَلِ العُمُرِ لِكَي لا يَعلَمَ بَعدَ عِلمٍ شَيئًا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ قَديرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh created you; then He will take you in death. And among you is he who is reversed to the most decrepit [old] age so that he will not know, after [having had] knowledge, a thing. Indeed, Allāh is Knowing and Competent.
(MELAYU)
Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu; dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (nyanyuk), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.
وَاللهُ خَلَقَكُم ثُمَّ يَتَوَفّٰكُم
Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu;
Allah ﷻlah sahaja yang menghidupkan dan mematikan kita. Tidak ada ilah lain lagi. Maka kenalah kita sembah dan seru Dia sahaja.
Ada Tauhid di sini iaitu hanya Allah ﷻ sahaja yang mencipta manusia sebagai Al-Khaaliq. Ini Musyrikin Mekah pun terima dan termasuk di dalam Tauhid Rububiyyah. Maka sembahlah Allah ﷻ sahaja kerana Dia sahaja yang mampu mencipta seperti firman-Nya di dalam Baqarah: 21
يٰأَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.
Ada Tauhid juga tentang mematikan kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh mematikan. Tidak ada yang mampu menghabiskan nyawa manusia. Kalau ada yang membunuh, itu bukanlah mematikan kerana itu sebagai penyebab sahaja. Jangan keliru seperti Namrud yang disebut di dalam Baqarah: 258
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبرٰهِـۧمَ في رَبِّهِ أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ إِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ قالَ أَناْ أُحيي وَأُميتُ
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.
Punyalah bodoh Namrud itu, dia sangka dengan dia menghukum mati seseorang, itu termasuk di dalam kuasa mematikan.
وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلىٰ أَرذَلِ العُمُرِ
dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah
Allah ﷻ yang hidupkan dan akhirnya matikan kita. Namun antara hidup dan mati itu, kita menjalani kehidupan kita. Sebelum mati itu, ada dalam kalangan kita yang patah balik.
Kalimah أَرذَلِ itu daripada katadasar ر ذ ل yang bermaksud ‘teruk’. Maka أَرذَلِ bermaksud paling teruk. Kalimat أَرذَلِ العُمُرِ bermaksud umur yang paling hina. Ini merujuk kepada mereka yang kembali menjadi lemah, lebih lemah daripada anak-anak kecil. Kalau anak-anak kecil, sekurang-kurang orang sayang sebab comel-comel belaka. Namun bagi orang dewasa, ia tidak bagus. Waktu itu paling susah mahu hidup. Keadaan sentiasa rasa lemah dan sakit sahaja kerana ada yang Allah ﷻ biarkan manusia menjadi tua sampai hidup sudah susah.
Memang tiada ubat untuk tidak menjadi tua. Waktu itu macam-macam penyakit hadir dan otak pun tidak secergas dulu lagi. Kalau dulu mereka yang menjaga orang lain tetapi sekarang orang lain pula yang kena jaga mereka. Allah ﷻ mahu memberitahu kita bahawa kita tetap akan menjadi tua jika kita dipanjangkan umur.
لِكَي لا يَعلَمَ بَعدَ عِلمٍ شَيئًا
supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya.
Waktu itu bukan badan sahaja lemah tetapi akal pun turut lemah sampai menjadi nyanyuk. Ini kerana kekuatan memori sudah berkurangan. Perkara yang mereka dulu tahu, waktu tua itu mereka sudah tidak tahu atau tidak ingat lagi. Kadangkala anak isteri sendiripun sudah tidak kenal lagi. Kita kena ingat yang perkara ini boleh terjadi kepada kita juga. Ia juga mengingatkan kita bahawa ilmu itu milik Allah ﷻ; Allah ﷻ boleh beri dan Allah ﷻ boleh tarik balik. Yang Maha Mengetahui hanyalah Allah ﷻ sahaja.
Perkara ini ada disebut juga dalam Yaasin: 68
وَمَن نُّعَمِّرهُ نُنَكِّسهُ فِي الخَلقِ ۖ أَفَلا يَعقِلونَ
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
Maka mereka akan nyanyuk dan kembali jadi macam budak-budak. Mereka akan ulang kata-kata mereka sampai orang yang melayan mereka bercakap akan bosan jadinya. Siapa yang ulang kata berkali-kali? Bukankah seperti budak-budak? Begitulah nanti bila sudah jadi tua.
Tentunya kita tidak suka kalau ini terjadi kepada kita. Yang kita mahu adalah semakin tua, semakin pandai dan bijak jadinya kita. Kerana itulah Imam Bukhari menyebut di dalam kitabnya:
عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ عَنْ عُمَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَرْذَلِ الْعُمُرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الصَّدْرِ قَالَ وَكِيعٌ يَعْنِي الرَّجُلَ يَمُوتُ عَلَى فِتْنَةٍ لَا يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ مِنْهَا
Daripada [Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ selalu berlindung diri daripada sifat pengecut dan bakhil, nyanyuk, seksa kubur, dan daripada fitnah hati. Waki’ menerangkan; iaitu seseorang meninggal di atas fitnah dan dia tidak beristighfar kepada kepada Allah daripada fitnah tersebut.
(Sahih Bukhari (3834))
Oleh itu kita boleh amalkan doa seperti yang dilakukan oleh baginda,
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كان يَدْعُو: “أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ وَالْكَسَلِ، وَالْهَرَمِ وَأَرْذَلِ الْعُمُرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ، وَفِتْنَةِ الدَّجَّالِ، وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ”.
Daripada Anas ibnu Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ pernah berucap dalam doanya: Aku berlindung kepada Engkau daripada kekikiran, malas, nyanyuk, umur yang paling lemah, seksa kubur, fitnah Dajjal serta fitnah kehidupan dan kematian.
(Sahih Bukhari (4338))
Jelas di sini bukanlah panjang umur yang diminta seperti yang dilakukan oleh ramai orang kita. Buat apa panjang umur tetapi umur yang panjang itu nyanyuk dan hidup menyusahkan orang? Kalau panjang umur dan boleh beribadat, baguslah juga tetapi kalau akal pun entah ke mana, bukan itu yang kita mahu. Ada yang mengatakan kalau kita selalu baca Al-Qur’an dan menghafalnya, otak kita akan aktif dan cekap dan tidak nyanyuk sampai mati. Begitulah pendapat Ikrimah رَحِمَهُ اللَّهُ.
Perkara ini sangat penting sampaikan ada satu bidang pengajian yang mengkaji hal ini. Gerontologi adalah ilmu yang mempelajari penuaan dan orang tua. Terma gerontologi berasal daripada kata gerontos yang bererti usia lanjut dan logos yang bererti ilmu. Ilmu ini penting dipelajari kerana banyak orang tua yang memerlukan perhatian khusus untuk kesihatannya. Selain itu, populasi penduduk orang tua secara global terus meningkat.
إِنَّ اللهَ عَليمٌ قَديرٌ
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.
Apabila Allah ﷻ sebut ilmu manusia akan berkurangan, lupa apa yang dulunya mereka tahu, Allah ﷻ berkata pula yang ilmu Allah ﷻ tidak berkurangan. Allah ﷻ maha tahu segalanya. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu yang sempurna. Ilmu Allah ﷻ bukan macam ilmu manusia yang terbatas.
Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa-apa sahaja terhadap kita. Kalau Allah ﷻ buat keputusan untuk jadikan kita nyanyuk, kita pun tidak boleh hendak buat apa lagi. Kita tidak ada kuasa untuk mengekalkan ilmu yang telah ada pun pada kita.
Apabila ilmu milik Allah ﷻ, maka hendaklah puja Allah ﷻ sahaja. Malangnya ada fahaman sesat yang mengatakan wali-wali ada yang ilmunya tinggi sampai tahu segala benda. Apabila mati, lebih banyak ilmu mereka akan dapat. Maka puak-puak sesat ini akan minta tolong kepada para wali kononnya yang boleh bantu mereka. Inilah yang ditolak oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ beritahu di sini yang dia yang Maha Mengetahui. Manusia tidak ada apa-apa ilmu melainkan diberikan oleh Allah ﷻ. Manusia sebelum mati pun Allah ﷻ boleh tarik ilmunya, apatah lagi orang yang sudah mati? Siapa pula yang kata setelah mati boleh dapat lagi banyak ilmu? Ilmu orang yang mati itu hanya ada setakat ilmu yang dia ada sahaja sebelum dia mati (atau sebelum dia nyanyuk). Dia tidak akan tahu menahu akan hal dunia. Oleh itu kenapa minta bantuan kepada orang yang sudah di alam barzakh?!
Sekian Ruku’ 9 daripda 16 ruku’ surah ini.
Nahl Ayat 71: Penjelasan tentang contoh tauhid dan syirik serta mengandungi Zajrun (teguran).
وَاللهُ فَضَّلَ بَعضَكُم عَلىٰ بَعضٍ فِي الرِّزقِ ۚ فَمَا الَّذينَ فُضِّلوا بِرآدّي رِزقِهِم عَلىٰ ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم فَهُم فيهِ سَواءٌ ۚ أَفَبِنِعمَةِ اللهِ يَجحَدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh has favored some of you over others in provision. But those who were favored [i.e., given more] would not hand over their provision to those whom their right hands possess [i.e., slaves] so they would be equal to them therein.¹ Then is it the favor of Allāh they reject?
- The argument presented in this verse is that if they cannot consider their own possessions equal to themselves, then how can they consider Allāh’s creations as being equal to Him?
(MELAYU)
Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki, tetapi orang-orang yang dilebihkan (rezekinya itu) tidak mahu memberikan rezeki mereka kepada budak-budak yang mereka miliki, agar mereka sama. Maka mengapa mereka mengingkari nikmat Allah?
وَاللهُ فَضَّلَ بَعضَكُم عَلىٰ بَعضٍ فِي الرِّزقِ
Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki,
Di dalam ayat sebelum ini disebut Allah ﷻ menghidup dan mematikan. Ini sebenarnya agak senang manusia untuk terima. Akan tetapi di dalam ayat yang lain, Allah ﷻ ada menyebut yang antara hidup dan mati itu, Dia memberi rezeki kepada makhluk. Lihat Rum: 40
اللهُ الَّذي خَلَقَكُم ثُمَّ رَزَقَكُم ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم
Allah-lah yang menciptakan kamu, kemudian memberimu rezeki, kemudian mematikanmu, kemudian menghidupkanmu (kembali).
Rezeki itu bukan saja semata-mata harta, tetapi apa sahaja yang menjadi kebaikan bagi kita. Oleh itu rezeki itu termasuk ketinggian fikiran, rezeki ketinggian kedudukan, ada yang menjadi raja dan ada yang menjadi rakyat, ada yang pintar berilmu pengetahuan dan ada yang bodoh, di samping ada yang kaya-raya dan ada yang papa. Semua ini ditentukan oleh Allah ﷻ.
Manusia susah untuk terima kerana mereka sangka bukan Allah ﷻ yang beri rezeki. Mereka hanya nampak kerajaan beri rezeki, atau bos mereka di tempat kerja. Mereka lupa bahawa apa-apa sahaja rezeki itu adalah daripada Allah ﷻ belaka. Begitulah bab rezeki ini memang ramai manusia ada masalah.
Allah ﷻ tidak memberi rezeki yang sama kepada setiap makhluk-Nya. Ada yang dapat lebih dan ramai yang dapat kurang. Sebelum ini telah disebut tentang umur – kerana umur juga adalah rezeki. Ada yang dapat umur lebih dan ada yang dapat kurang. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Rum: 37
أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللهَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.
Ini adalah perkara biasa kerana Allah ﷻ bukan beri semua orang dapat sama sahaja. Kepada mereka yang dapat lebih, kena bantu mereka yang dapat kurang; kepada yang dapat lebih, kena tolong orang yang dapat kurang rezeki. Kerana kita dapat lebih itu pun disebabkan Allah ﷻ yang beri kepada kita, bukan hasil usaha kita sahaja.
Janganlah kita sombong, dengan berkata: “Kenapa aku mahu beri kepada orang pula, sedangkan yang aku dapat ini adalah hasil usaha aku.”. Ini adalah kata-kata yang kurang berilmu. Kita kena sedar yang Allah ﷻ beri lebih kepada kita sebagai saluran kepada orang lain.
Jangan kita sangka kita dapat banyak rezeki kerana kita pandai, kerana kita telah berusaha. Kena terima yang rezeki itu ditentukan oleh Allah ﷻ. Kerana ada orang yang pandai, tetapi tidak banyak rezeki; ada orang yang usahanya lebih daripada kita, tetapi rezekinya sedikit sahaja. Bagi yang kurang dapat rezeki, kena redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Memang Allah ﷻ telah tentukan rezeki yang diberikan kepada manusia tidak sama seperti firman-Nya di dalam Zukhruf: 32
أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَّعيشَتَهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَرَفَعنا بَعضَهُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعضُهُم بَعضًا سُخرِيًّا ۗ وَرَحمَتُ رَبِّكَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ
(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi daripada darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.
Ini kerana kalau semua manusia kaya raya, tidak akan ada yang hendak bekerja angkat sampah pula nanti. Maka busuk habislah tempat kejiranan kita kerana sampah tidak diangkat, bukan? Begitulah yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ dan apabila manusia cuba memperbaiki apa yang Allah ﷻ telah tetapkan, kehidupan manusia juga akan rosak. Lihat contohnya sistem Komunisme ciptaan manusia.
Manusia yang benci kepada sistem Kapitalis telah mendapat idea untuk memberi satu dunia di mana semua manusia sama rata. Tiada kaya dan miskin, tiada yang berharta kerana semua harta milik kerajaan. Dari segi teori ia nampak cantik, tetapi dari segi praktikal, hancur habis. Ini kerana tetap ada manusia yang perlu untuk menguruskan dan memerintah manusia lain, dan mereka ini yang telah menyalahgunakan kedudukan mereka dan berlaku zalim kepada manusia yang di bawah mereka.
Apabila manusia keliru tentang rezeki itu daripada Allah ﷻ, maka mereka menggunakan segala usaha mereka untuk mendapatkan rezeki yang lebih. Ini adalah kerja sia-sia kerana rezeki itu telah ditentukan oleh Allah ﷻ dari dahulu lagi. Mereka mengejar rezeki sedangkan mereka tidak mengejar menuju ke arah Pemberi Rezeki itu!
Sedangkan untuk mendapatkan rezeki, tentulah dengan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ, bukannya menjauhkan diri daripada-Nya! Contohnya lihat Ali Imran: 37 bagaimana Maryam diberi rezeki oleh Allah ﷻ kerana beribadat dan mendekatkan dirinya kepada Allah ﷻ.
وَكَفَّلَها زَكَرِيّا ۖ كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.
Oleh itu, kunci utama untuk mendapatkan rezeki daripada Allah ﷻ adalah dengan taqwa. Ini disokong dengan firman Allah ﷻ di dalam Talaq: 2-3; yang begitu popular sekali dengan jenama ‘Ayat 1000 dinar’ malah dijadikan sebagai poster dan perhiasan seringkali dibingkai indah dan digantung di dinding. Namun persoalannya: adakah mereka yang menggantungkan ayat ini di dinding premis mereka benar-benar mengamalkan apa yang dinyatakan dalam ayat ini?
Maka kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah ﷻ untuk menambah rezeki kita, bukannya menjauhkan diri daripada Allah ﷻ. Belajarlah cara bagaimana untuk mencapai taqwa itu sepertimana Allah ﷻ kehendaki, bukan sekadar hanya menghafal dan membingkaikan ayat-ayat Allah ﷻ ini sekadar hiasan sahaja. Bukan itu caranya wahai manusia. Allah ﷻ sudah tentukan rezeki buat kita, maka jangan terlampau sibuk mengejar rezeki sampai keluarga dan ibadah terabai lalu persediaan untuk akhirat juga terabai. Lihatlah yang Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini رِزقًا لَّكُم yang bermakna rezeki itu sudah ditentukan buat kita. Pengajarannya jangan risau sangat bab rezeki kerana ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Selagi kita hidup, selagi itu rezeki akan mengalir buat kita. Bukanlah kita kata jangan bekerja pula, tetapi berpada-padalah. Jangan sibuk siang malam untuk dunia sampai lupa tentang akhirat.
Yakinlah yang Allah ﷻ tahu bagaimana memberi rezeki kepada kita. Ini akan kita yakin jikalau kita faham apa yang Allah ﷻ telah sebut di dalam Dzariyaat: 58
إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ
Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.
فَمَا الَّذينَ فُضِّلوا بِرآدّي رِزقِهِم عَلىٰ ما مَلَكَت أَيمٰنُهُم
orang-orang yang dilebihkan (rezekinya itu) tidak mahu memberikan rezeki mereka kepada budak-budak (hamba sahaya) yang mereka miliki,
Melalui pengajaran tentang harta dan rezeki itu, Allah ﷻ membawa kepada tauhid pula. Allah ﷻ suruh kita berfikir: mereka yang diberi banyak harta itu ada hamba atau ada pembantu mereka, bukan? Adakah mereka sanggup beri harta mereka yang banyak itu kepada hamba sahaya mereka?
فَهُم فيهِ سَواءٌ
agar mereka sama
Adakah mereka sanggup memberikan separuh daripada harta mereka itu sehingga menjadi sama pendapatan pula dengan hamba atau pembantu mereka? Contohnya, seorang tuan ada dua juta, kemudian dia beri sejuta kepada pembantu dia, maka sama-sama menjadi jutawan. Adakah yang sanggup buat begitu? Tentu tidak. Allah ﷻ pun tidak beri harta kepada makhluk menjadi sama dengan Dia.
Tidak ada sesiapa yang ada fikiran untuk buat begini. Maka Allah ﷻ suruh kita bandingkan dengan Allah ﷻ: Dalam kehidupan kamu, adakah kamu rasa kamu ada sama kedudukan dengan Allah ﷻ untuk buat keputusan? Tentu tidak sama, sepertimana juga seorang hamba dan pembantu itu tidak sama kedudukan dengan tuannya, maka begitu juga Allah ﷻ dengan kita. Kita tidak akan sama kedudukan dengan Allah ﷻ.
Maka Allah ﷻ membantah mereka, “Kalian tidak rela bila budak-budak kalian memiliki hak sama rata dengan kalian dalam harta yang Kami rezekikan kepada kalian. Maka mana mungkin Allah ﷻ redha bila hamba-hamba-Nya dipersamakan dengan-Nya dalam memperoleh penyembahan dan pengagungan?” Dalam ayat yang lain disebutkan oleh firman-Nya:
ضَرَبَ لَكُمْ مَثَلا مِنْ أَنْفُسِكُمْ هَلْ لَكُمْ مِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ شُرَكَاءَ فِي مَا رَزَقْنَاكُمْ فَأَنْتُمْ فِيهِ سَوَاءٌ تَخَافُونَهُمْ كَخِيفَتِكُمْ أَنْفُسَكُمْ
Dia membuat perumpamaan untuk kalian daripada diri kalian sendiri. Apakah ada di antara hamba sahaya yang dimiliki oleh tangan kanan kalian, sekutu bagi kalian dalam (memiliki) rezeki yang telah Kami berikan kepada kalian; maka kalian sama dengan mereka dalam (hak mempergunakan) rezeki itu, kalian takut kepada mereka sebagaimana kalian takut kepada diri kalian sendiri?
(Ar-Rum: 28),
أَفَبِنِعمَةِ اللهِ يَجحَدونَ
Maka adakah mereka mengingkari nikmat Allah?
Oleh itu, adakah mereka hendak mempersoalkan nikmat Allah ﷻ? Adakah kamu mahu mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan? Adakah kamu layak mahu persoalkan perbuatan Allah ﷻ? Tentu tidak boleh.
Berbalik kepada rezeki yang Allah ﷻ telah berikan kepada orang yang ada harta itu: apakah dengan segala nikmat yang Allah ﷻ berikan ini, mereka boleh ingkar lagi? Segala nikmat dan harta yang Allah ﷻ beri mereka mahu pakai dan guna, tetapi hukum Allah ﷻ mereka tidak mahu hendak ikut pula. Memang tidak patut kalau begitu.
Adakah kamu mensyirikkan Allah ﷻ dengan makhluk-Nya? Adakah kamu sangka ada makhluk yang ada sama kedudukan dengan Allah ﷻ yang layak disembah seperti disembahnya Allah ﷻ atau diminta doa seperti kita meminta doa kepada Allah ﷻ? Kalau buat begitu, maka itulah syirik yang menyebabkan pelakunya kekal dalam neraka.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 17 Januari 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

