Nahl Ayat 64: Tadi Allah ﷻ sebut Dia telah mengutus para Rasul. Sekarang disebut apakah tugas dan kewajipan Rasul itu. Ini dipanggil Faridatun Nabawiyah (kewajipan Nabi).
وَما أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ إِلّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اختَلَفوا فيهِ ۙ وَهُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We have not revealed to you the Book, [O Muḥammad], except for you to make clear to them that wherein they have differed and as guidance and mercy for a people who believe.
(MELAYU)
Dan Kami tidak menurunkan kepadamu Al-Kitab (Al Qur’an) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
وَما أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ إِلّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ
Dan Kami tidak menurunkan kepadamu Al-Kitab (Al Qur’an) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa
Tugas Rasul diutus kepada manusia adalah untuk menyampaikan; dan wahyu itu pula untuk menjelaskan kebenaran kepada manusia. Manusia amat memerlukan ilmu wahyu ini. Bukan hanya dibaca sahaja tetapi hendaklah dipelajari dan difahami. Maka ia hendaklah diajar. Malangnya pelajaran Tafsir Al-Qur’an belum lagi dibiasakan dalam negara kita ini. Malah lebih malang lagi ada golongan agamawan yang mengatakan Tafsir Al-Qur’an tidak layak dipelajari oleh orang awam. Entah siapalah yang mereka anggap layak mempelajari Al-Qur’an.
Akan tetapi itu hanya pendapat songsang mereka sahaja. Pendapat itu kerana mereka pun sendiri tidak belajar, guru mereka pun tidak belajar Tafsir Al-Qur’an. Sebab itu mereka terpaksa kata ia tidak layak dipelajari. Namun begitu ini adalah pandangan yang amat bahaya kerana membodohkan umat Islam.
الَّذِي اختَلَفوا فيهِ
apa yang mereka perselisihkan itu
Manusia selalunya ada kekeliruan dalam perkara agama dan kerana itu akan selalu ada perselisihan tentang agama. Perselisihan yang paling besar adalah tentang Tauhid. Itulah perkara yang membezakan antara Muslim dan non-muslim. Manusia yang jauh daripada wahyu akan menjadi sesat dan kerana itu para Rasul diutuskan kepada umat mereka untuk memperbetulkan salah faham mereka. Sejak zaman berzaman Allah ﷻ utuskan para Rasul untuk memperjelaskan mana jalan yang benar kepada manusia.
Dalam kalangan orang Islam pun, masih ada perselisihan dalam hal agama. Sebagai contoh, perkara yang menjadi kekeliruan besar adalah tentang tawasul (perantaraan) dalam berdoa. Ramai yang kata boleh bertawasul dengan Nabi, wali dan malaikat dalam doa. Kita tetap katakan yang tawasul menggunakan wasilah Nabi, wali dan malaikat itu tidak dibenarkan, dan ia adalah syirik.
Maka ramailah yang marah apabila kita kata begini. Ini adalah salah satu contoh perselisihan dalam kalangan orang Islam sendiri. Sejak dahulu hingga sekarang. Ayat ini hendak memberitahu bahawa kalau berselisih di dunia, nanti di akhirat akan diberi keputusan oleh Allah ﷻ manakah yang benar. Namun waktu itu, kalau kita di pihak yang salah, maknanya sudah terlambat untuk memperbetulkan diri.
Oleh sebab itu, kita sebenarnya tiada pilihan kecuali mesti mempelajari tafsir Al-Qur’an ini dan gunakanlah dalil-dalil yang diberikan untuk mencari dan mencapai keputusan yang muktamad sama ada amalan kita benar atau tidak; sama ada akidah kita benar atau tidak. Ini perlu dilakukan supaya jangan menyesal di akhirat kelak. Kerana waktu itu sesalan tidak akan berguna lagi.
وَهُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
Sekiranya kita mahu ambil tahu tentang Al-Qur’an, Al-Qur’an itu boleh menjadi sumber petunjuk kepada kita. Ia dapat memberitahu kita manakah akidah yang benar. Maka kita tidak perlu tunggu di akhirat kelak baru tahu yang mana benar dan mana tidak. Ini adalah kerana semuanya telah diberitahu dengan jelas sekali dalam Al-Qur’an dan hadith.
Jikalau kita mahu menerima ajaran daripada Al-Qur’an itu, maka Al-Qur’an itu akan menjadi rahmat buat kita. Maknanya, kita akan mendapat banyak kebaikan daripada Al-Qur’an ini. Akan tetapi kebaikan itu akan datang sekiranya ia diamalkan. Hanya orang beriman dan beramal sahaja yang akan mendapat faedah.
Begitulah Al-Qur’an itu harus dipelajari. Wajib belajar tafsir Al-Qur’an. Bukan setakat dibaca sahaja tanpa faham. Bukan sibuk hendak anjur tilawah Al-Qur’an setiap tahun, tetapi pelajaran dalam Al-Qur’an itu tidak dipelajari; tiadalah pula ditulis di ‘banner-banner’: ‘Kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah’; namun isi kandungan Al-Qur’an itu langsung tidak difahami apatah lagi memahami yang manakah ajaran yang sunnah.
Nahl Ayat 65: Allah beri lagi dalil aqli. Allah kembali menyuruh manusia melihat alam.
وَاللهُ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَسمَعونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh has sent down rain from the sky and given life thereby to the earth after its lifelessness. Indeed in that is a sign for a people who listen.
(MELAYU)
Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran).
وَاللهُ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً
Dan Allah menurunkan dari langit air
Air yang dimaksudkan adalah air hujan. Kehidupan di dunia amat memerlukan air ini untuk melangsungkan hidupnya. Allah ﷻ selalu menyebut tentang air hujan ini dalam Al-Qur’an. Ini menunjukkan kepentingannya. Maka apabila kita lihat air hujan turun, maka kita kena ingat kepada Al-Qur’an. Semasa kita lihat air hujan itu turun, kita kena ingat bahawa Allah ﷻ yang menurunkannya.
Manusia, tumbuhan dan haiwan memerlukan air hujan untuk kehidupan kita. Kalau tidak ada air hujan, memang tidak ada kehidupan. Allah ﷻ ingatkan yang Dialah menurunkan air hujan itu. Ini kita semua sudah tahu tetapi apakah kepentingannya?
Allah ﷻ hendak mengingatkan kita tentang kehebatan-Nya. Kita mungkin tidak perasan kerana kita hari-hari dapat air. Ia suatu perkara yang mudah diperolehi oleh kita sehingga tidak sedar akan nikmat besar ini. Akan tetapi kalau kita hendak menurunkan air dari langit, tentu kita sesekali tidak mampu. Hebatnya Allah ﷻ turunkan air dari langit tetapi asalnya adalah dari bumi, bukan? Ia diambil dari air laut yang kalau kita terus minum boleh mati kerana ia masin sangat. Memang patut pun air laut itu masin kerana ia adalah tempat kehidupan dan juga kematian banyak kehidupan. Kalaulah air itu tidak masin dan tidak bergelora, tentulah busuk kerana sangat banyak bangkai di dalamnya.
Maka, Allah ﷻ naikkan air laut ke langit melalui proses penyejatan, lalu Allah ﷻ simpan di dalam awan kemudian gerakkan awan itu ke tempat yang memerlukan air. Perkara ini berlaku setiap hari tanpa susah bagi Allah ﷻ. Tidak perlu mesin atau kilang untuk membersihkan air laut itu untuk digunakan kerana sistem Allah ﷻ itu lebih canggih lagi dan kerana itu air yang kita minum adalah air tawar yang manis seperti disebut dalam Mursalat: 27
وَجَعَلنا فيها رَوٰسِيَ شٰمِخٰتٍ وَأَسقَينٰكُم مّاءً فُراتًا
dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?
Allah ﷻ suruh kita fikirkan tentang nikmat yang amat hebat ini. Kita mungkin tidak perasan kerana kita dengan mudahnya memperolehi air setiap hari namun jika kita mahu duduk sejenak dan fikirkan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita ini seperti disebut dalam Waqiah: 68-70
أَفَرَأَيتُمُ الماءَ الَّذي تَشرَبونَ
Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
ءأَنتُم أَنزَلتُموهُ مِنَ المُزنِ أَم نَحنُ المُنزِلونَ
Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?
لَو نَشاءُ جَعَلنٰهُ أُجاجًا فَلَولا تَشكُرونَ
Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?
Kenapakah Allah ﷻ turunkan dari langit (dari atas)? Kerana kalau Allah ﷻ beri air dari bawah, yang duduk di kawasan tinggi tidak dapat air pula, bukan? Maka Allah ﷻ uruskan supaya air itu diturunkan dari atas supaya yang rendah dapat air, yang duduk di kawasan tinggi pun dapat air juga. Hebat, bukan? Semua kehidupan boleh mendapat air itu seperti manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Kita yang duduk di rumah pun boleh dapat air, tidak perlu order di Shopee pun.
فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها
dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya.
Kalau sesuatu tempat itu sudah lama tidak menerima air hujan, tentu kehidupan di situ sudah mati – sama ada tumbuhan ataupun hidupan lain. Al-Qur’an beri perumpamaan tanah yang sebegitu sebagai ‘mati’. Dengan Allah ﷻ turunkan hujan itu, maka tanah yang mati itu akan hidup subur semula.
‘Tanah’ yang mati itu adalah perumpamaan kepada ‘hati’ yang mati. Mati daripada wahyu dan dari agama. Dan ‘air’ itu pula merujuk kepada ‘wahyu’. Seperti mana air harus masuk dalam tanah untuk menghidupkan tanah itu semula, maka wahyu ini harus masuk dalam hati manusia. Selepas dimasuki wahyu Al-Qur’an, barulah hati boleh hidup seperti tanah mati yang hidup kerana air itu. Inilah seperti firman Allah ﷻ di dalam An’am: 122
اَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَاَحْيَيْنٰهُ وَجَعَلْنَا لَهٗ نُوْرًا يَّمْشِيْ بِهٖ فِى النَّاسِ كَمَنْ مَّثَلُهٗ فِى الظُّلُمٰتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَاۗ كَذٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكٰفِرِيْنَ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ
Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan.
Di dalam ayat Nahl ini Allah ﷻ menyebut Dia menghidupkan tanah yang mati (kering kontang tiada kehidupan padanya) dengan air. Maka mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghidupkan tanah tandus itu dengan diberikan air. Begitu jugalah mudahnya Allah ﷻ menghidupkan makhluk yang mati nanti di Hari Kiamat. Maka tidak perlu manusia mempersoalkan kemampuan Allah ﷻ seperti yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ berfirman di dalam Qaf: 11
وَأَحيَينا بِهِ بَلدَةً مَّيتًا ۚ كَذٰلِكَ الخُروجُ
dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati (kering). Seperti itulah terjadinya kebangkitan.
Di dalam ayat sebelum ini disebut tentang Kitab Wahyu yang memberi ilmu kepada manusia. Di dalam ayat ini pula Allah ﷻ menyebut air. Namun bukan air sahaja yang Allah ﷻ maksudkan tetapi ilmu pengetahuan. Air adalah perumpamaan kepada ilmu. Begitulah sabda Rasulullah,
وعن أبي موسى رضي الله عنه قال: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم : “مَثَلُ مَا بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ مِنَ الهُدَى وَالعِلْمِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَتْ مِنْهَا طَائِفَةٌ طَيِّبَةٌ قَبِلَتِ الماءَ فَأَنْبَتَتِ الكَلَأَ، وَالعُشْبَ الكَثِيرَ وكان مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الماءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا مِنْهَا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَ طَائِفَةً مِنْهَا أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذٰلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ في دِينِ اللهِ وَنَفَعَهُ ما بَعَثَنِيَ اللهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذٰلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الذي أُرْسِلْتُ بِهِ” ((متفق عليه))
Daripada Abu Musa (Al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) dia berkata, Nabi ﷺ bersabda, “Perumpamaan apa yang aku diutus oleh Allah dengannya daripada hidayah dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi (tanah), maka ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak. Ada pula daripadanya tanah yang gersang yang menyimpan (menampung) air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum daripadanya, memberi minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula mampu menumbuhkan tumbuhan. Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat daripada apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya (tidak menghiraukannya), dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.”
(Sahih Bukhari (4232))
Jelas ini adalah ayat jenis perumpamaan. Allah ﷻ selalu gunakan cara ini untuk memberi pengajaran kepada manusia. Allah ﷻ sebut di dalam Zumar: 27
وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرءآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan daripada Qur’an ini kepada manusia semua sekali, daripada berbagai contoh bandingan mudah-mudahan mereka mengambil peringatan.
Akan tetapi perumpamaan-perumpamaan yang diberikan perlukan dipelajari kerana ia bukannya terus boleh difahami. Begitu juga dengan perumpamaan di dalam ayat ini yang agak canggih.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَسمَعونَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan
Inilah tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ. Orang yang membuka telinganya dan sanggup memberi telinganya untuk mendengar ayat-ayat wahyu dibacakan yang akan dapat pemahaman ini. Bukan setakat dengar sahaja, tetapi harus dengar dengan pemahaman. Ramai orang yang dengar ayat Al-Qur’an dibacakan, tetapi mereka tidak dengar dengan hati yang mahu mendapatkan kebenaran. Lebih menyedihkan alunan bacaan Al-Qur’an juga dijadikan sebagai bunyi latarbelakang, sekadar halwa telinga sahaja sambil menjalankan aktiviti kehidupan seharian tanpa ditumpukan apa yang dibacakan itu.
Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) daripada Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”
وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.
Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimana hendak mengambil hidayah daripadanya?
Maka jangan kita jadi seperti orang kafir yang disebut di dalam Baqarah: 171 yang tidak mahu mendengar, degil untuk menerima nasihat dan dakwah. Allah ﷻ tempelak mereka sebagai orang yang pekak, bisu dan buta!
وَمَثَلُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا كَمَثَلِ الَّذِيْ يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ اِلَّا دُعَاۤءً وَّنِدَاۤءً ۗ صُمٌّ ۢ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُوْنَ
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.
Jangan hanya mengaku mendengar tetapi sebenarnya tidakpun seperti firman Allah ﷻ di dalam Anfal: 21-22
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ
dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.
۞ إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ
Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.
Sekian Ruku’ 8 daripada 16 ruku’ surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Januari 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA


Ayat 77 dari Surah Al-Nahl…. KULLI syain qadir… Tapi silap di papar sebagai KULLA…Minta diperbetulkan..
LikeLike
Terima kasih saudara Sabeek. Tapi apabila apabila tanda dibawah sabdu, ianya adalah kasrah – jadi bunyinya memang kulli, bukan kulla.
LikeLike