Tawbah Ayat 85: Ayat takhwif duniawi dan ukhrawi.
وَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَأَولٰدُهُم ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ أَن يُعَذِّبَهُم بِها فِي الدُّنيا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And let not their wealth and their children impress you. Allāh only intends to punish them through them in this world and that their souls should depart [at death] while they are disbelievers.
(MALAY)
Dan janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu dan agar melayang nyawa mereka, dalam keadaan kafir.
وَلا تُعجِبكَ أَموٰلُهُم وَأَولٰدُهُم
Dan janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu.
Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan terpikat dengan harta mereka yang banyak dan anak pinak mereka yang ramai. Anak pinak itu juga boleh ditafsirkan sebagai para pengikut.
Ini adalah kali kedua perkara ini disebut. Ayat ini telah disebut dalam ayat 55 sebelum ini cuma ada beza pada permulaan ayat di mana dalam ayat 55, ia dimulakan dengan فلا تعجبك. Apabila harf ف digunakan, ia bermaksud sambungan daripada ayat sebelumnya. Di dalam ayat 85 ini, ia dimulakan dengan harf و yang membawa maksud ini adalah tajuk atau perenggan yang baru.
Allah ﷻ ingatkan supaya jangan terpesona dengan kesenangan hidup golongan Munafik itu. Ini adalah kerana selepas Perang Tabuk, akan ada perang lain lagi, bukan? Peperangan akan dijalankan, sudah tentu memerlukan belanja yang besar dan infak yang banyak daripada umat Islam. Maka ada kemungkinan pemimpin Islam ada rasa memerlukan pertolongan mereka yang Munafik itu. Namun Allah ﷻ ingatkan, jangan minta daripada mereka, jangan ambil dari mereka.
Ayat ini sama dengan firman Allah ﷻ yang mengatakan:
وَلا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan daripada mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.
Maka jangan kita terpengaruh dengan kekayaan dan kesenangan orang lain. Mungkin ada yang melihat golongan Munafik yang tidak mengamalkan Islam dengan sempurna tetapi mendapat rezeki yang banyak dan hidup senang lenang pula dengan anak-anak dan pengikut yang ramai. Allah ﷻ kata tidak perlu ta’jub dengan kesenangan mereka itu. Itu rezeki mereka dan bahagian mereka daripada qadar Allah ﷻ. Buang masa sahaja kalau kita terpengaruh dan bercita-cita teringin menjadi seperti mereka.
Satu lagi jangan dengki juga dengan mereka. Dengki ini satu perasaan yang akan memakan diri sendiri sahaja dan menidakkan qada’ dan qadar Allah ﷻ. Sabda Rasulullah ﷺ:
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah ﷻ kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.
(Sahih al-Bukhari (73))
Kalau dilihat kepada lafaz ayat ini, seolah-olah ia ditujukan kepada Rasulullah ﷺ. Sebenarnya ia ditujukan kepada kita cuma khitabnya sahaja kepada Rasulullah ﷺ untuk baginda sampaikan kepada umat. Ini kerana kita tahu yang Rasulullah ﷺ tidak terkesan pun dengan harta yang ada pada manusia. Apa-apa sahaja yang ada baginda, baginda akan infakkan seperti disebut dalam banyak hadith, antaranya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَجْوَدَ النَّاسِ ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Rasulullah ﷺ adalah orang yang paling dermawan. Dan kedermawanannya memuncak pada bulan Ramadhan ketika Jibril عليه السلام menemuinya. Jibril عليه السلام menemuinya setiap malam untuk tadarus Al-Qur’an. Sungguh Rasulullah ﷺ lebih murah hati melakukan kebaikan daripada angin yang bertiup.
(Sahih Bukhari No. 6)
Harta baginda bukannya menimbun, malah kalau ada sahaja harta, baginda akan sedekahkan seperti contoh,
عَنْ عُقْبَةَ قَالَ صَلَّيْتُ وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ مُسْرِعًا فَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ إِلَى بَعْضِ حُجَرِ نِسَائِهِ فَفَزِعَ النَّاسُ مِنْ سُرْعَتِهِ فَخَرَجَ عَلَيْهِمْ فَرَأَى أَنَّهُمْ عَجِبُوا مِنْ سُرْعَتِهِ فَقَالَ ذَكَرْتُ شَيْئًا مِنْ تِبْرٍ عِنْدَنَا فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ
Daripada [‘Uqbah رضي الله عنه] dia berkata, “Aku pernah solat ‘Asar di belakang Nabi ﷺ di kota Madinah. Setelah salam, tiba-tiba baginda berdiri dengan tergesa-gesa sambil melangkahi leher-leher orang ramai menuju sebahagian kamar isteri-isterinya. Orang-orang pun merasa hairan dengan ketergesa-gesaan baginda. Setelah itu baginda keluar kembali menemui orang ramai, dan baginda lihat orang-orang merasa hairan. Maka baginda pun bersabda: “Aku teringat dengan sebongkah emas yang ada pada kami. Aku khuatir itu dapat menggangguku, maka aku perintahkan untuk dibahagi-bahagikan.”
(Sahih Bukhari (804))
Baginda sebenarnya memang kaya (dari segi hakikat). Kaya itu maksudnya tidak memerlukan apa-apa. Allah ﷻ telah cukupkan bagi baginda sampaikan baginda berharap hanya kepada Allah ﷻ sahaja dan tidak memerlukan manusia dan harta. Ini seperti disebut dalam Dhuha: 8
وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.
Ternyata yang miskin itu adalah mereka yang memiliki harta banyak tetapi berasa tidak cukup.
إِنَّما يُريدُ اللَّهُ أَن يُعَذِّبَهُم بِها فِي الدُّنيا
Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu
Sebenarnya, Allah ﷻ limpahkan kesenangan dan kekayaan kepada mereka kerana Allah ﷻ akan azab mereka di dunia ini lagi. Sebagai contoh, kerana mereka tidak infak, Allah ﷻ akan jadikan harta dan anak-anak mereka itu sebagai penyesalan untuk mereka nanti. Dengan kerana harta itu mereka jadi sibuk untuk jaga, untuk cari lagi harta kekayaan sampaikan terabai kehidupan dan keluarga. Hidup mereka tidak tenang dan mereka akan kepenatan ke sana dan ke sini.
Dengan anak pula mungkin anak-anak mereka tidak hormat mereka, buat perkara yang memalukan mereka, jadi penjenayah, hantar mereka ke rumah orang tua dan apa-apa sahaja boleh terjadi. Anak yang mereka banggakan semasa muda akhirnya memalukan mereka di masa tua. Di dunia lagi anak-anak itu tidak menjadi orang, apatah lagi apabila ibubapa itu sudah mati dan masuk ke alam kubur.
Di dunia mungkin ibubapa perlukan bantuan anak-anak untuk menjaganya selama 10 tahun sahaja, tetapi di alam kubur mereka lebih memerlukan bantuan daripada anaknya. Ini kerana anak-anak adalah ‘saham’ bagi ibubapanya. Supaya daripada amalan anak-anak terus mengalir menjadi pahala tambahan buat ibubapa itu. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang masyhur,
عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa’at baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya.”
(Sahih Muslim (3084))
Namun kalau di dunia lagi mereka akan nampak yang anak-anak mereka itu tidak boleh diharap untuk bantu mereka selepas mereka tidak ada. Maknanya mereka sudah dibalas di dunia lagi supaya mereka akan rasa menyesal yang amat sangat. Harta dan anak-anak mereka itu yang akan menyeksa jiwa mereka nanti. Dalam ayat yang lain, Allah ﷻ berfirman:
أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka sangka bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar. (Al-Mu’minun: 55-56)
Al-Hasan Al-Basri رحمه الله mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah mereka dibebani untuk membayar zakatnya dan menginfakkan sebahagian daripadanya di jalan Allah ﷻ (padahal semuanya itu tidak diterima daripada mereka).
Maka jangan pandang sangat dan kejar sangat harta di dunia ini. Di dalam Taghabun:15. Allah ﷻ memberitahu kita hakikat harta dan anak-anak itu,
إِنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ
Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.
Allah ﷻ beritahu kita di sini yang harta dan anak-anak itu adalah fitnah (ujian). Kalau ujian, adakah manusia berbangga dengannya? Tentu tidak. Maka ia adalah sesuatu yang diberikan untuk menduga kita. Kalau kita tersilap langkah, kita akan binasa. Bukanlah harta dan anak-anak itu buruk terus, tetapi yang bahaya adalah kalau kita gagal dengan ujian itu sampai melupakan persediaan kita kepada akhirat.
Harta dan anak-anak juga boleh menyebabkan manusia berbangga dan rasa diri mereka serba cukup sampaikan mereka sudah tidak rasa mereka memerlukan Allah ﷻ lagi. Ini disebut dalam Alaq: 6-7
كَلَّآ إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لَيَطغَىٰٓ
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,
أَن رَّءَاهُ ٱستَغنَىٰٓ
kerana dia melihat dirinya serba cukup.
Begitulah bahayanya harta ini sampaikan menyebabkan sifat materialistik dan hanya pentingkan dunia sahaja. Ramai manusia yang terpengaruh dengan gemerlapan kekayaan dan kesenangan orang lain. Maka orang itulah yang dijadikan sebagai idola mereka. Maka cara hidup mereka yang kaya raya itu dijadikan contoh dan bukannya orang berilmu. Lihatlah pengajaran yang Allah ﷻ beri dengan contoh Qarun di dalam Qasas: 79-80
فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ
Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.
Ramai masyarakat di sekeliling Qarun telah terpengaruh dengan materialistik kerana dikelabui oleh kekayaan Qarun. Alhamdulillah ada yang tidak terpengaruh dan mereka telah memberi nasihat kepada kaum itu. Ini adalah kerana mereka itu ada ilmu. Ada ilmu baru selamat ya tuan-tuan. Lihat apa mereka kata,
وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ وَيلَكُم ثَوابُ اللهِ خَيرٌ لِّمَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا وَلا يُلَقّٰها إِلَّا الصّٰبِرونَ
Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar”.
وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كٰفِرونَ
dan agar melayang nyawa mereka, dalam keadaan kafir.
Kalimat تَزهَقَ dari lafaz ز ه ق yang bermaksud ‘berpisah’. Maksudnya Allah ﷻ akan cabut nyawa daripada badan mereka dengan keadaan mereka kafir tidak beriman. Bukan sahaja mereka akan diseksa jiwa di dunia, di akhirat nanti pun mereka akan diseksa juga. Kerana mereka akan dicabut nyawa mereka dalam keadaan mereka kafir. Mereka tidak sempat mengucap syahadah dan mereka akan mati begitu sahaja.
Dan bila mereka mati dalam keadaan kafir, mereka akan diseksa sebagai orang kafir, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Mereka mungkin nampak dari segi luaran sebagai orang Muslim dan mereka mengaku Muslim, tetapi mereka mati dalam keadaan kufur. Alangkah menakutkan sekali! Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Muzzammil: 11-13
وَذَرني وَالمُكَذِّبينَ أُولِي النَّعمَةِ وَمَهِّلهُم قَليلًا
Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;
إِنَّ لَدَينا أَنكالًا وَجَحيمًا
Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan neraka yang menjulang-julang,
وَطَعامًا ذا غُصَّةٍ وَعَذابًا أَليمًا
Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Oleh kerana itu, harta mereka yang banyak itu menjadi istidraj bagi mereka – iaitu harta itu menarik-narik mereka untuk melakukan mungkar, bukannya melakukan kebaikan.
Sekali lagi Allah ﷻ sebut di dalam Muddaththir:11-17 dan kali ini disebut nikmat ada anak yang ramai. Bukan sahaja ramai, anak-anaknya itu membesar dan duduk bersamanya dan dia dapat selalu berjumpa. Akan tetapi dia tidak mengamalkan agama seperti yang sepatutnya maka mereka akan dibalas dengan azab seksa.
ذَرني وَمَن خَلَقتُ وَحيدًا
Biarkanlah Aku sahaja membalas orang yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri
وَجَعَلتُ لَهُ مالًا مَّمدودًا
Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang panjang,
وَبَنينَ شُهودًا
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
وَمَهَّدتُ لَهُ تَمهيدًا
Dan Aku siapkan dia dengan segala persiapan.
ثُمَّ يَطمَعُ أَن أَزيدَ
Kemudian dia tamak, supaya Aku tambahi lagi;
كَلّا ۖ إِنَّهُ كانَ لِأَيَـٰتِنَا عَنيدًا
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami
سَأُرهِقُهُ صَعودًا
Aku akan mengenakan dia dengan azab yang menaik.
MEREKA YANG TIDAK SETIA
Tawbah Ayat 86: Ayat zajrun (teguran) lagi kepada para munafik itu.
وَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ أَن ءآمِنوا بِاللَّهِ وَجٰهِدوا مَعَ رَسولِهِ استَئذَنَكَ أُولُو الطَّولِ مِنهُم وَقالوا ذَرنا نَكُن مَّعَ القٰعِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when a sūrah was revealed [enjoining them] to believe in Allāh and to fight with His Messenger, those of wealth among them asked your permission [to stay back] and said, “Leave us to be with them who sit [at home].”
(MALAY)
Dan apabila diturunkan suatu surat (yang memerintahkan kepada orang munafik itu): “Berimanlah kamu kepada Allah dan berjihadlah berserta Rasul-Nya”, nescaya orang-orang yang sanggup di antara mereka meminta izin kepadamu (untuk tidak berjihad) dan mereka berkata: “Biarkanlah kami berada bersama orang-orang yang duduk”.
وَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ أَن ءآمِنوا بِاللَّهِ وَجٰهِدوا مَعَ رَسولِهِ
Dan apabila diturunkan suatu surat (yang memerintahkan): “Berimanlah kamu kepada Allah dan berjihadlah berserta Rasul-Nya”,
Ini apabila diturunkan mana-mana surah supaya manusia beriman dengan Allah ﷻ, beriman dengan Rasul, berlaku ikhlaslah dan jangan jadi munafik. Atau ia boleh bermaksud mana-mana ayat yang suruh mereka berjihad dengan Rasul. Mereka tidak akan suka kerana mereka tidak suka berjihad. Kerana mereka takut mati, tidak mahu susah dan kedekut untuk mengeluarkan harta mereka. Maka ayat-ayat sebegitu akan menyesakkan fikiran mereka.
Kesannya mereka tidak suka dengan Al-Qur’an secara umum. Maka begitulah juga dengan munafik zaman ini yang tidak suka belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana bila belajar, maka akan adalah arahan yang mereka tidak mahu buat; dan ada larangan yang mereka tidak mahu tinggalkan. Jadi dari susah hati mereka, mereka terus sahaja tidak belajar dan terus berada dalam kejahilan wahyu. Mereka redha dengan kejahilan mereka.
استَئذَنَكَ أُولُو الطَّولِ مِنهُم
nescaya orang-orang yang sanggup di antara mereka meminta izin kepadamu
Izin yang dimaksudkan adalah mereka akan minta izin untuk tidak pergi berjihad. Yang permintaan izin itu datang dari أُولُو الطَّولِ iaitu daripada orang-orang yang sanggup, iaitu orang-orang kaya dan mampu dari kalangan mereka. Mereka cukup keperluan dari segi harta, cukup kuat tubuh badan; sepatutnya mereka boleh pergi, tidak ada alasan lagi. Namun mereka tetap mahu meminta izin untuk tinggal juga untuk tidak menyertai jihad. Oleh itu, permintaan izin ini datangnya daripada orang yang tidak sepatutnya diminta izin.
وَقالوا ذَرنا نَكُن مَّعَ القٰعِدينَ
dan mereka berkata: “Biarkanlah kami berada bersama orang-orang yang duduk”.
Mereka kata biarlah mereka tinggal duduk di Madinah sahaja, duduk dengan orang yang tidak boleh pergi kerana keuzuran, kerana sakit, wanita dan anak-anak. Mereka berkata biarkanlah mereka sendiri, jangan kacau mereka. Mereka mahu menjadi pondan agaknya kerana hendak duduk dengan golongan wanita.
Tawbah Ayat 87: Apakah kesan dan hukuman kepada mereka?
رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ وَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَفقَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They were satisfied to be with those who stay behind, and their hearts were sealed over, so they do not understand.
(MALAY)
Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak berperang, dan hati mereka telah dikunci mati maka mereka tidak memahami (kebahagiaan beriman dan berjihad).
رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ
Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak berperang,
Mereka lebih suka duduk dengan golongan yang tinggal di belakang tidak berjihad, duduk di rumah seperti wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak berasa malu pun malah mereka berasa bangga kerana mereka berjaya menyelamatkan diri mereka.
وَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم
dan hati mereka telah dikunci mati
Mereka jadi begitu, sebenarnya kerana hati mereka telah dikunci hati. Ini sudah sampai ke tahap Khotmul Qalbi. Mereka tidak akan ada peluang untuk mendapat hidayah lagi.
فَهُم لا يَفقَهونَ
maka mereka tidak memahami
Oleh kerana hati mereka telah dikunci, iaitu ditutup rapat daripada menerima hidayah, mereka tidak akan dapat memahami agama dan maksud jihad. Cakaplah bagaimana sekalipun, mereka tidak akan faham.
MEREKA YANG SETIA
Tawbah Ayat 88: Ayat tabshir (berita gembira). Selepas diberitahu tentang golongan yang tidak mahu berjihad, sekarang Allah ﷻ imbangkan dengan disebut golongan yang berjihad pula.
لٰكِنِ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ جٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم ۚ وَأُولٰئِكَ لَهُمُ الخَيرٰتُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But the Messenger and those who believed with him fought with their wealth and their lives. Those will have [all that is] good, and it is those who are the successful.
(MALAY)
Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama dia, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
لٰكِنِ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ جٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم
Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama dia, mereka berjihad dengan harta mereka dan diri mereka.
Puak munafik tidak mahu berjihad, akan tetapi Rasulullah ﷺ dan orang beriman dengan baginda, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Mereka sanggup keluar berjihad dan mereka mengeluarkan harta mereka untuk menjayakan jihad – kerana jihad memerlukan belanja yang besar.
Sesiapa sahaja boleh kata mereka beriman, namun apakah tanda dan buktinya? Tanda orang mukmin ketika zaman Nabi ﷺ adalah mereka keluar berjihad bersama dengan baginda. Maka begitu jugalah dengan kita. Kalau tidak boleh berjihad sekarang, tetap kena ada niat; dan jikalau tidak ada jihad perang, maka kena jihad lisan (dakwah).
Di dalam ayat ini dan banyak lagi contoh ayat sebegini, Allah ﷻ akan sebut أَموٰلِ (harta) sebelum sebut أَنفُسِ (jiwa). Dari segi kepentingan, manakah yang lebih penting? Tentunya nyawa, bukan? Kalau dibandingkan antara mati dengan keluarkan belanja, tentu keluar belanja lebih mudah. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ sebut harta dahulu? Allah ﷻ sebut harta walaupun ia lebih rendah nilainya adalah kerana harta yang lebih mudah dikeluarkan. Maka Allah ﷻ hendak lembutkan dengan sebut perkara yang lebih mudah dan ringan untuk dikorbankan iaitu harta.
Begitulah para Rasul dan sahabat mereka yang sanggup berjihad walaupun mengalami kepayahan yang amat tinggi. Seperti disebut di dalam Baqarah: 214. Akan tetapi inilah ujian yang mesti dihadapi oleh orang-orang Mukmin.
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
وَأُولٰئِكَ لَهُمُ الخَيرٰتُ
Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan,
Oleh kerana mereka sanggup berjihad, mereka akan diberi segala kebaikan yang banyak. Kalimah yang digunakan adalah الخَيرٰتُ sahaja tanpa diberikan pengkhususan maka ia boleh menjadi apa-apa sahaja bentuk kebaikan yang ditentukan oleh Allah ﷻ sendiri. Tidak perlu kita hendak risau, ia tentu baik dan hebat.
Tidak diberitahu di manakah mereka akan mendapat kebaikan itu, maka ia mungkin diberikan di dunia dan juga di akhirat sekali. Kebaikan itu boleh diberi ketika masih di dunia lagi hasil daripada jihad mereka. Sebagai contoh, mereka akan mendapat kemenangan dan memperoleh harta ghanimah yang banyak. Jika mereka kalah, mereka akan mati syahid dan pasti masuk syurga terus, tanpa perlu menunggu timbangan di Mahsyar. Sudah pasti mereka akan mendapat lebih banyak kebaikan di Akhirat.
Akan tetapi الخَيرٰتُ itu bukanlah seperti yang dianggap oleh golongan jahil seperti disebut dalam Mukminoon:55-61
أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),
نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ
Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
Maka orang jahil itu menyangka harta yang banyak dan anak pinak yang ramai itulah yang dikira sebagai الخَيرٰتُ tetapi Allah ﷻ telah menafikannya di dalam Surah Mukminoon ini. Kemudian Allah ﷻ sebut siapa yang akan mendapat الخَيرٰتُ dan apakah yang mereka telah lakukan sehingga mereka layak mendapat الخَيرٰتُ itu. Kita sambung lagi daripada ayat-ayat Surah Mukminoon ini untuk mengetahuinya,
إِنَّ الَّذينَ هُم مِّن خَشيَةِ رَبِّهِم مُّشفِقونَ
Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan Tuhan mereka,
وَالَّذينَ هُم بِئايٰتِ رَبِّهِم يُؤمِنونَ
Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka,
وَالَّذينَ هُم بِرَبِّهِم لا يُشرِكونَ
Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun),
وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,
أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ
mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.
Jikalau kita hendak mendapatkan الخَيرٰتُ daripada Allah ﷻ ini, maka hendaklah kita ikut satu persatu perkara yang Allah ﷻ sebut di atas.
Apakah sandaran hadith pula?
Daripada Shuhaib, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim No. 2999)
Di dalam hadith di atas, Rasulullah ﷺ menyatakan orang Mukmin sebenar sentiasa mendapat خَيْرًا tidak kira dalam situasi senang ataupun susah. Namun bagaimanakah caranya untuk mendapat خَيْرًا ini? Bersyukur ketika senang dan bersabar ketika susah. Kalaulah seorang Muslim mampu menghayati dan mengamalkan dua perkara ini (kerana hidup ini memang antara dua sahaja, antara susah atau senang), maka itu pun sudah dikira الخَيرٰتُ. Kelebihan ini bukanlah semua orang ada. Ramai yang tidak bersyukur ketika mendapat kesenangan, dan kebanyakannya akan mengomel, merungut dan merengus apabila ditimpa kesusahan.
وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Mereka itulah orang-orang yang benar-benar berjaya dunia dan akhirat. Kejayaan sebenar bukanlah kekayaan dan kesenangan di dunia ini, namun kejayaan sebenar adalah di akhirat kelak. Yang selamat di Akhiratlah yang benar-benar berjaya.
Tawbah Ayat 89: Ini adalah bayan (penerangan) kepada apakah الخَيرٰتُ itu.
أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has prepared for them gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide eternally. That is the great attainment.
(MALAY)
Allah telah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.
أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Allah telah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
Ini adalah penerangan tentang apakah الخَيرٰتُ yang dimaksudkan dalam ayat sebelum ini. Mereka yang berjihad itu akan dimasukkan ke dalam kebun-kebun syurga (bukan satu kebun tetapi ada banyak kebun). Allah ﷻ telah menyediakan khas syurga itu untuk mereka. Ini sebagai dalil bahawa syurga dan begitu juga neraka sudah ada, telah siap dicipta.
Ini adalah janji daripada أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم maka jangan kita khuatir akan perkara ini. Kalau Allah ﷻ sendiri yang memberitahunya, ia pasti terjadi. Malah apabila digunakan kalimah أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم, ia bermaksud syurga-syurga itu telah ada menunggu ahlinya. Bukanlah telah Kiamat dan ketika hendak dimasukkan ahli syurga, barulah syurga dijadikan. Maknanya sekarang pun syurga sudah ada.
Disebut sungai mengalir di bawah rumah-rumah syurga itu sebagai menceritakan bagaimana hebat sekali tempat tinggal di syurga itu nanti. Ini kerana manusia memang sukakan air dan tinggal di kawasan yang ada air. Maka ini adalah motivasi untuk manusia melakukan amal kebaikan supaya mendapat tempat tinggal yang ada air di akhirat kelak.
Sungai-sungai itu pula bukanlah sungai biasa. Telah disebut sifat-sifat syurga itu di dalam ayat-ayat yang lain; antaranya ada 4 jenis sungai, ia di bawah kawalan ahli syurga itu dan sebagainya. Semuanya ini adalah untuk menarik minat manusia untuk berusaha bagi mendapatkannya.
خٰلِدينَ فيها
mereka kekal di dalamnya.
Mereka tidak perlu risau kalau-kalau nikmat syurga itu akan berakhir kerana mereka akan kekal di dalamnya. Mereka akan terus menikmati segala nikmat dalam syurga itu untuk selama-lamanya.
Kalau dapat duduk tinggal di tempat yang hebat tetapi tidak kekal, itu bukanlah nikmat yang sempurna. Ini kerana ada rasa takut yang kita akan dikeluarkan. Namun kalau di syurga nanti, tidak ada sesiapa pun yang akan dikeluarkan.
ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ
Itulah kemenangan yang besar.
Itulah kemenangan yang sebenar, kerana mereka terselamat daripada memasuki neraka. Maknanya, mereka telah melalui Titian Sirat (yang di atas neraka) dan mereka terselamat daripada ditarik ke dalam neraka. Itulah kemenangan tertinggi yang amat bernilai sekali, kerana mereka telah nampak bahaya dengan mata mereka sendiri. Alangkah leganya mereka apabila telah selamat daripada bahaya itu.
Habis Ruku’ 11 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 12 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan




